Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Adab Meletakkan Al-Qur’an Dan Potongan Ayat-Ayatnya Sebagai Hiasan

Soalan: Senario pada masa ini terdapat al-Qur’an dan potongan-potongan ayatnya yang dibuat perhiasan dengan khat-khat tertentu. Adakah terdapat sukat-sukat ketinggian dan tempat utama bagi meletakkannya?

Jawapan: Al-Qur’an mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, darjatnya tinggi lagi suci sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Ayat-ayat suci itu tersimpan) di dalam shuhuf (lembaran-lembaran) yang dimuliakan (di sisi Allah). Yang ditinggikan darjatnya lagi disucikan. (Surah ‘Abasa: 13-14)

Imam Ibn Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm ketika mentafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa kedudukan al-Qur’an adalah tinggi dan ia suci dari sebarang kotoran, penambahan dan pengurangan.

Dalam ayat yang lain lagi, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh hamba-hamba yang telah bersuci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Para ulama Rahimahumullâh mengistinbâth hukum dari dua ayat tersebut di atas bahawa orang yang berhadats tidak boleh menyentuh Mushhaf kerana penduduk langit (para malaikat) mengagungkannya. Maka penduduk bumi adalah lebih utama dan lebih patut untuk mengagungkannya, memberi penghormatan dan mentaatinya kerana al- Qur’an diturunkan dan kandungannya ditujukan kepada mereka.

Menurut ijmâ‘ ulama, Mushhaf al-Qur’an atau seumpamanya yang mengandungi potongan ayat-ayat al-Qur’an wajib diagungkan, dipelihara dan dihormati. Mendedahkannya kepada penghinaan dengan sengaja seperti mencampakkannya kepada sesuatu yang kotor atau mencampak sesuatu yang kotor kepadanya sekalipun kotoran tersebut suci seperti hingus, air liur atau air mani adalah haram dan pelakunya dihukumkan kafir kerana perbuatan sedemikian menghina agama.

Berkenaan sukat-sukat ketinggian meletak atau menggantung ayat-ayat al-Qur’an sama ada pada rak, dinding atau seumpamanya, dibawakan beberapa pendapat para ulama yang boleh dijadikan panduan dalam menentukan sukat-sukat tersebut:

1. Imam al-Bujairimi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Bujairimi ‘alâ al-Khathib:

Ertinya: Dan haram meletak Mushhaf di atas lantai, bahkan hendaklah menaikkannya (meletakkan di tempat tinggi) sebagaimana ‘urf (kebiasaan) walaupun sedikit ketinggiannya.

2. Al-Hakim at-Tirmidzi Rahimahullâh dalam kitabnya Nawâdir al-Ushûl fî Ma‘rifah Ahâdîts ar-Rasûl ada menyatakan bahawa antara cara menghormati al-Qur’an itu hendaklah tidak meletakkan apa-apa buku di atasnya supaya kekal selamanya (al-Qur’an itu) berada di tempat yang tinggi di atas semua buku. Jika membacanya, hendaklah diletakkan di atas batu atau apa-apa benda di antara kedua-dua tangannya dan tidak meletakkannya di atas lantai. Demikian juga tidak menulisnya di atas lantai sebagaimana disebut dalam hadits daripada Muhammad bin az-Zubair al- Hanzhali daripada ‘Umar bin ‘Abdul Aziz Radhiallâhu ‘anhum:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah melintasi tulisan di lantai. Maka Baginda bertanya kepada seorang pemuda yang ada bersama Baginda: “Apa ini?” Dia berkata: (Tulisan) “ َّّلِل م ّ احبّس”. Baginda bersabda: “Allah melaknat sesiapa yang melakukan ini, jangan kamu meletakkan nama Allah kecuali pada tempatnya (yang sepatutnya).” (Hadits riwayat Abu Daud)

3. As-Sayyid ‘Alawi as-Saqqaf Rahimahullâh, pengarang Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah di bawah tajuk kitab al-Fawâ’id al- Makkiyah ada menyatakan bahawa jika menggantung sesuatu yang ada padanya tulisan al-Qur’an hendaklah ia digantung di tempat yang suci seperti dengan menggunakan paku pada dinding yang bersih dan menggantungnya di bahagian hadapan adalah lebih utama.

4. Asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyahnya menyatakan bahawa membelakangi Mushhaf atau potongan ayat-ayat al-Qur’an adalah harus tanpa tujuan menghinanya; seperti membelakanginya semasa tidur, duduk atau sembahyang ketika ruku‘ dan sujud.

Maka berdasarkan pendapat para ulama di atas, dapat difahami bahawa meletak atau menggantung Mushhaf atau sesuatu yang ada padanya ayat al-Qur’an sama ada di masjid, surau, balai ibadat, sekolah, rumah atau di mana sahaja hendaklah di tempat yang tinggi dan suci. Meletak atau menggantungnya di bahagian hadapan adalah lebih utama. Tujuannya ialah untuk memuliakan dan mengagungkan al-Qur’an. Namun tidak ada ketentuan khusus bagi ketinggian tempat meletak atau menggantung Mushhaf atau sesuatu yang ada padanya ayat al-Qur’an. Ia tertakluk kepada ‘urf (kebiasaan) sekira-kira tidak menyebabkan ia terhina. Sengaja meletak al-Qur’an di tempat yang hina atau mendedahkannya kepada penghinaan adalah haram dan boleh membawa kepada kafir.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15886