Bacaan Surah Al-Fâtihah Sebelum Dan Selepas Majlis
Soalan: Apakah kedudukan bacaan surah al-Fâtihah sebelum dan sesudah sesuatu majlis?
Jawapan: Membaca surah al-Fâtihah sebelum memulakan suatu majlis atau perhimpunan seperti majlis perkahwinan, majlis do‘a kesyukuran dan mesyuarat sama ada ia berupa rasmi atau tidak rasmi telah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita. Begitu juga selepas selesai atau bersurai daripada suatu majlis atau perhimpunan pada lazimnya akan disudahi sama ada dengan do‘a penutup majlis, bacaan surah al-‘Ashr dan zikir kaffârah. Ada juga di kalangan masyarakat kita, suatu majlis itu diakhiri dengan bacaan surah al-Fâtihah.
Bacaan Surah al-Fâtihah Sebelum Memulakan Majlis
Kelaziman masyarakat kita memulakan sesuatu majlis dengan bacaan surah al-Fâtihah antara lain bertujuan supaya majlis yang diadakan itu diberkati, berjalan dengan baik dan hajat bagi majlis itu akan dimudahkan dan dikabulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana surah al-Fâtihah itu mempunyai banyak kelebihan. Antara kelebihan dan keistimewaannya ialah dengan membacanya dapat menyampaikan hajat orang yang membacanya. Daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:
Maksudnya: Ketika malaikat Jibril duduk di sisi Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dia mendengar suara seperti pintu dibuka dari atasnya lalu dia mengangkat kepalanya seraya berkata: “Ini adalah satu pintu di langit dibuka pada hari ini yang tidak pernah dibuka kecuali pada hari ini”. Lalu turun daripadanya satu malaikat. Maka malaikat Jibril berkata: “Ini adalah malaikat yang turun ke bumi yang tidak pernah turun kecuali pada hari ini”. Maka malaikat (yang turun) itu memberi salam dan berkata: “Bergembiralah (wahai Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dengan dua cahaya yang kedua-duanya dikurniakan kepadamu yang belum pernah dikurniakan kedua-duanya kepada nabi sebelummu iaitu Fâtihah al-Kitâb (surah al-Fâtihah) dan penutup surah al-Baqarah. Tidak akan engkau baca dengan satu huruf daripada kedua-duanya kecuali akan dikurniakan kepadamu (apa yang engkau hajati).” (Hadits riwayat Muslim)
Membaca surah al-Fâtihah sebelum memulakan majlis tidak bertentangan dengan nash-nash syara‘ kerana menurut ulama membaca al-Qur’an yang antaranya surah al-Fâtihah secara umumnya harus dibaca pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun ada juga terdapat keadaan seseorang itu dilarang membaca al-Qur’an iaitu ketika berjunub, ketika berada di tandas dan sebagainya.
Mengenai waktu membaca al-Qur’an, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menjelaskan dalam kitabnya al-Adzkâr min Kalâm Sayyid al-Abrâr, katanya:
Ertinya: Ketahuilah bahawa sesungguhnya bacaan (al-Qur’an) yang afdhal ialah ketika dalam sembahyang, dan (menurut) mazhab Imam asy-Syafi‘i dan para ulama yang lain Rahimahumullâh bahawa sesungguhnya memanjangkan (tempoh) berdiri (qiyâm) dalam sembahyang dengan bacaan (al-Qur’an) adalah afdhal daripada memanjangkan (tempoh) sujud dan selainnya. Adapun bacaan (al-Qur’an) bukan di dalam sembahyang maka yang afdhal ialah membacanya pada waktu malam dan separuh akhir daripada malam itu afdhal daripada awal (malam). Dan bacaan (al-Qur’an) di antara waktu Maghrib dan waktu ‘Isya’ adalah yang disukai. Adapun bacaan (al-Qur’an) pada waktu siang maka yang afdhalnya ialah selepas menunaikan sembahyang fardhu Shubuh, dan tidak makruh membaca (al-Qur’an) pada mana-mana waktu (di siang hari) dan tidak (makruh) juga pada waktu-waktu yang dilarang bersembahyang.
Selain itu, membaca al-Qur’an dalam suatu majlis juga adalah amalan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan sebuah atsar yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila mereka duduk (dalam satu majlis), perbincangan mereka adalah mengenai fiqh melainkan ada seorang lelaki membaca satu surah atau beliau menyuruh lelaki (lain) membacakan satu surah. (Hadits riwayat al-Hakim)
Bacaan Surah Al-Fâtihah Selepas Majlis Manakala membaca surah al-Fâtihah selepas majlis, juga bertujuan untuk mendapat keberkatan dengan membaca surah tersebut kerana mengambil kira amalan membaca surah al-Fâtihah setelah berdo‘a apabila selesai daripada mengerjakan sembahyang. Imam ar-Ramli Rahimahullâh pernah ditanya mengenai hukum membaca surah al-Fâtihah selepas berdo‘a selesai sembahyang di dalam fatwanya Fatâwâ ar-Ramli:
Ertinya: (Imam al-Ramli Rahimahullâh) telah ditanya mengenai bacaan al-Fâtihah setelah berdo‘a selesai sembahyang adakah padanya asal (asas) daripada sunnah ataupun ia adalah perkara baharu yang belum pernah dilakukan pada zaman awal (zaman Nabi Muhammad)? Jika kamu mengatakan ia (amalan) itu perkara baharu, adakah ia baik ataupun buruk? Dan (jika amalan) itu diandaikan (hukumnya) makruh, adakah diberikan pembacanya pahala atau tidak?
(Imam al-Ramli Rahimahullâh) menjawab bahawa bacaan al-Fâtihah selepas do‘a selesai sembahyang itu mempunyai asal (asas) di dalam sunnah dan makna dalam (perkara ini) adalah jelas disebabkan banyak fadhilatnya. Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Fâtihah al-Kitâb (surah al-Fâtihah) itu terpaut pada ‘Arasy, tidak ada di antaranya dan Allah hijâb (penghalang). Padanya (surah al-Fâtihah) terdapat sifat-sifat yang tidak ada di dalam surah selainnya sehinggakan mereka (para ulama) berkata: “Sesungguhnya seluruh (isi) al-Qur’an ada padanya (surah al-Fâtihah) iaitu ia mempunyai dua puluh lima kalimah yang meliputi ilmu-ilmu al-Qur’an kerana mengandungi pujian ke atas Allah ‘Azza wa Jalla dengan sifat-sifat kesempurnaanNya dan keindahanNya, perintah untuk beribadat, ikhlas dalam beribadat dan pengakuan akan kelemahan dari melakukan sesuatu (ibadat) daripadanya kecuali dengan pertolongan Allah, permohonan harapan kepadaNya dalam (mendapat) hidayah ke jalan yang lurus dan penjelasan akan akibat orang-orang yang ingkar.”
Adapun membaca surah al-Fâtihah selepas majlis juga tidak bertentangan dengan nash-nash syara‘ kerana sebagaimana yang dijelaskan membaca al-Qur’an harus dilakukan pada bila-bila masa.
Walau bagaimanapun amalan yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila meninggalkan sesuatu majlis iaitu sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang duduk dalam suatu majlis lalu banyak dalamnya kata-kata yang tidak berfaedah atau mengandungi dosa lalu dia membaca sebelum berdiri (meninggalkan) majlisnya,“ َّ هُم ٰهحَانَك َ اللحسُب dan dengan segala pujianMu, aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Engkau aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu) kecuali diampunkan untuknya apa yang telah terjadi di majlisnya itu (daripada dosa). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Membaca ayat-ayat al-Qur’an selain surah al-Fâtihah ada juga diamalkan oleh para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila mereka ingin berpisah dari suatu majlis. Mereka membaca surah al- ‘Ashr sebagaimana riwayat Abu Madinah ad-Darimi Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dua orang lelaki daripada sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila mereka berjumpa, mereka tidak akan berpisah sehingga salah seorang daripada kedua-dua mereka
kemudian salah seorang daripada kedua-duanya memberi salam kepada yang lain. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Berdasarkan penjelasan di atas, membaca surah al-Fâtihah sebelum dan selepas majlis hukumnya adalah harus. Ia termasuk dalam amalan membaca al-Qur’an dan membaca al-Qur’an boleh dilakukan pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi surah tersebut mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat yang antaranya menyampaikan hajat atau niat orang yang membacanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15892
