Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bekerja Sebagai Designer Yang Menyediakan Perkhidmatan Membuat Kandang Binatang Ternakan Termasuk Babi

Soalan: Saya diterima bekerja di sebuah syarikat AGRO yang menyediakan perkhidmatan membuat kandang binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan juga babi. Apakah hukum saya menyiapkan design dan menyediakan structure kandang babi? Adakah rezeki yang saya terima itu haram untuk saya gunakan?

Jawapan: Islam menghendaki umatnya untuk memakan dan mencari rezeki daripada sumber yang halal. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Surah al-Mâ’idah: 88)

Perkara ini juga ada disebut dalam hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Mencari yang halal adalah wajib atas setiap orang Islam. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Adapun memakan hasil daripada sumber yang haram akibatnya dijanjikan dengan balasan yang amat berat sebagaimana hadits daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya:

Maksudnya: Sesungguhnya tidak ada daging yang berkembang tumbuh dari perkara yang haram melainkan neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Mereka Bentuk Kandang Ternakan Babi

Bekerja menyediakan reka bentuk dan struktur kandang binatang ternakan secara umumnya adalah pekerjaan yang diharuskan syara‘ dengan syarat pekerjaan tersebut tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘.

Berdasarkan soalan yang diajukan adalah difahami bahawa syarikat AGRO berkenaan memberi khidmat pembuatan kandang binatang ternakan termasuk babi.

Meskipun bekerja menyediakan reka bentuk kandang binatang ternakan itu sendiri adalah sesuatu yang diharuskan, namun dalam perkara pekerja menyediakan reka bentuk kandang ternakan yang dikhususkan untuk penternakan babi, hukumnya adalah tertakluk kepada keadaan kerana adakalanya sebahagian pekerjaan itu adalah terikat dengan perjanjian pekerjaan secara umum dan sebahagian pekerjaan pula tidak sedemikian.

Jika kerja menyediakan reka bentuk dan struktur kandang babi itu tidak terikat dengan perjanjian pekerjaan bahkan merupakan pilihan dengan maksud kerja tersebut boleh dikecualikan atau ditolak, maka melakukan kerja itu adalah dikira melibatkan diri dengan perkara bertolong-tolongan (ta‘âwun) pada perkara dosa kerana membela babi hukumnya haram sebagaimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Tidak harus (haram hukumnya) membela babi sama ada terdapat penularan penyakit yang menjangkiti manusia atau tidak.

Islam melarang bertolong-tolongan pada perkara dosa sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)

Jika kerja menyediakan reka bentuk dan struktur kandang babi itu terikat dengan perjanjian (kontrak) pekerjaan dengan maksud dia tidak boleh menolak atau minta dikecualikan dari membuat kerja tersebut kerana tugasnya sebagai pereka bentuk dan struktur kandang binatang ternak, bahkan keengganannya itu akan menyebabkan dia dibuang kerja dan risiko kehilangan pekerjaan itu pula akan mendatangkan kesusahan kepada dirinya serta orang-orang yang di bawah tanggungannya, maka dalam keadaan sedemikian harus baginya melakukan kerja tersebut kerana hajatnya pada menyara kehidupannya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya.

Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir menyebut bahawa suatu al-hâjah atau keperluan boleh menempati hukum adh-dharûrah:

Ertinya: Al-hâjah (keperluan) menempati hukum adh-dharûrah sama ada (keperluan itu bersifat) umum atau khusus.

Dalam situasi tertentu keadaan adh-dharûrah juga mengharuskan perkara yang dilarang syara‘.

Ertinya: (Keadaan) adh-dharûrah itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.

Gaji yang Diterima daripada Syarikat AGRO

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan dapat difahami bahawa pendapatan syarikat AGRO adalah pendapatan yang bercampur antara pendapatan yang bersumber daripada pembuatan kandang binatang yang halal seperti ayam, itik, kambing serta lembu dan pembuatan kandang binatang yang haram iaitu babi. Ini bermaksud bayaran yang diterima hasil daripada pembuatan kandang-kandang binatang ternakan tersebut boleh sahaja bercampur antara hasil pendapatan yang halal, haram ataupun syubhah.

Kedudukan kehalalan harta yang bercampur-campur antara halal dan haram ada dijelaskan oleh para ulama. Antaranya, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ telah menjelaskan bahawa:

Ertinya: Sesiapa yang mewarisi harta dan dia tidak mengetahui dari mana pemberi warisnya memperolehinya, adakah (harta tersebut) daripada (sumber) yang halal atau haram dan tidak ada tanda (untuk mengetahuinya), maka ia (harta) itu adalah halal berdasarkan ijmâ‘ para ulama. Jika (pewaris) mengetahui bahawa pada harta itu (terdapat) yang haram dan dia syak akan kadarnya, maka dikeluarkan kadar yang haram itu dengan (cara) ijtihâd.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, jika bercampur benda-benda haram yang tidak terbatas dengan benda-benda halal yang tidak terbatas, maka tidak haram mengambil sesuatu daripada benda bercampur itu yang berkemungkinan benda itu haram atau halal, melainkan terdapat bukti nyata yang menunjukkan sesuatu yang diambil itu adalah daripada yang haram. Jika tidak ada bukti nyata yang menunjukkan ia daripada yang haram, maka meninggalkannya adalah sifat wara‘ dan mengambilnya adalah halal serta memakannya tidak menjadikan dia fâsiq.

Maka berdasarkan pendapat-pendapat di atas, kedudukan gaji yang diterima oleh pekerja daripada syarikat AGRO yang pendapatannya bercampur-campur adalah halal diterimanya kerana adalah sukar untuk mengenal pasti bahawa gaji yang diterima itu bersumber daripada pendapatan yang haram atau halal.

Walau bagaimanapun, oleh kerana perkhidmatan membuat tempat ternakan itu termasuk perkhidmatan menyediakan reka bentuk dan struktur kandang babi, maka bagi pekerja yang beragama Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kerja-kerja seperti menyediakan reka bentuk dan struktur kandang babi bagi menghindarkan dirinya daripada tergolong sebagai bertolong-tolongan pada perkara dosa. Dengan demikian, dia hanya akan membuat kerja-kerja menyediakan reka bentuk dan struktur kandang ayam, itik, kambing dan lembu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15895