Berzikir Dan Bernasyid Di Dalam Masjid Dengan Suara Yang Nyaring
Soalan: Apakah hukum bertausyeh, bernasyid, nyanyi-nyanyian, zikir beramai-ramai yang lantang dan seumpamanya di dalam masjid dengan alat muzik mahupun tanpa alat muzik. Bagaimana hukumnya jika dilakukan ketika ada orang yang bersolat, membaca al-Qur’an juga sebaliknya.
Jawapan: Masjid merupakan tempat mulia bagi orang Islam yang wajib dijaga kehormatannya baik dari segi kebersihan, ketenteraman mahupun ketenangannya. Salah satu adab ketika berada di dalam masjid ialah tidak mengangkat atau menyaringkan suara. Adalah makruh hukumnya membuat bising dan menyaringkan suara di dalam masjid.
Diriwayatkan daripada as-Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah berdiri di dalam masjid lalu seorang lelaki melempar batu kerikil kepadaku, maka aku pun memandang (kepadanya), ternyata orang itu adalah ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Lalu dia berkata: “Pergi dan datangkanlah kepadaku dengan dua orang ini”. Maka aku datang kepadanya dengan (membawa) dua orang (yang dimaksudkan). Dia (‘Umar) berkata: “Siapa kamu berdua - atau dari mana (asal) kamu berdua?” - Kedua-dua lelaki itu menjawab: “Dari penduduk Tha’if”. Dia (‘Umar) berkata: “Sekiranya kamu berdua dari penduduk negeri ini (nescaya) akan aku sakiti (sebat) kamu berdua, (disebabkan) kamu berdua menyaringkan suara kamu berdua di dalam masjid Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menyaringkan suara untuk mencari barang yang hilang dalam masjid juga adalah makruh hukumnya sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendengar seseorang menyaringkan suara (mencari) barang yang hilang di dalam masjid, maka hendaklah kamu katakan (kepadanya): “Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu. Sesungguhnya masjid-masjid tidak dibina untuk (tujuan) ini.” (Hadits riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, hukum makruh tersebut boleh menjadi haram jika suara yang nyaring tersebut akan mengganggu orang yang sedang bersembahyang di masjid.
Berzikir dan Bernasyid di Dalam Masjid Dengan Suara yang Nyaring Antara adab berzikir ialah mengucapkan zikir dengan suara yang perlahan, bukan dengan suara yang nyaring sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan dengan perasaan takut dan bukan dengan suara yang nyaring pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang lalai. (Surah al-A‘râf: 205)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, ayat di atas menunjukkan tegahan menyaringkan suara ketika berzikir. Imam Ibn Katsir Rahimahullâh pula dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm menyatakan bahawa zikir hendaklah tidak dilakukan dengan suara yang nyaring, bahkan sunat hukumnya tidak dilakukan dengan suara yang nyaring secara berlebihan. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ariy Radhiallâhu ‘anhu, bahawa beliau dan para sahabat pernah berjalan bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Apabila mereka melalui sebuah lembah mereka bertahlîl (mengucap َّلَّ هللا َلَإّلهه َ إ ( dan bertakbîr )mengucap ْب هللا أك ) dengan suara yang nyaring, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia, berlembutlah kamu terhadap diri kamu (rendahkanlah suara kamu), kerana sesungguhnya kamu tidak menyeru zat yang pekak dan tidak juga zat yang ghaib (jauh), sesungguhnya Dia bersama kamu, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat, Maha Berkat namaNya dan Maha Tinggi kemuliaanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun dalam perkara menyaringkan suara ketika berzikir di dalam masjid, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh pernah ditanya mengenai hukum sekumpulan ahli sufi yang mengadakan halaqah zikir dengan suara yang nyaring di dalam masjid. Beliau menjawab bahawa tidak makruh hukumnya berdasarkan hadits-hadits yang menghendaki suara dinyaringkan ketika mengadakan halaqah zikir seperti yang disebut dalam hadits Qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Maksudnya: Jika seseorang menyebutKu (berzikir mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) dalam suatu perhimpunan, maka Aku menyebutnya dalam suatu perhimpunan yang lebih baik daripadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari) Menurut beliau lagi, begitu juga hadits-hadits yang menyentuh mengenai halaqah zikir dan berkumpulnya para malaikat mengelilingi halaqah, kesemuanya menunjukkan bahawa berzikir itu dengan suara yang nyaring.
Bahkan adalah afdhal dan sunat menyaringkan suara apabila dengan berbuat demikian akan memberi faedah kepada orang yang mendengarnya, boleh membangkitkan hati orang-orang yang berzikir, dapat menumpukan perhatian, pemikiran dan pendengaran terhadap zikir yang dibaca dan membantu melawan rasa mengantuk serta dapat menambah semangat dan kecergasan orang yang sedang berzikir. Menyaringkan suara dengan faedah tersebut adalah afdhal selagi dia tidak takut akan menimbulkan riya’ atau gangguan ke atas orang yang tidur dan orang yang sedang beribadat di dalam masjid seperti orang yang sedang bersembahyang, membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya. Namun jika dia takut akan menimbulkan riya’ atau gangguan, maka afdhal baginya membaca dengan suara yang rendah.
Diriwayatkan daripada al-Bayadhiy Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menemui orang ramai yang pada ketika itu sedang menunaikan sembahyang dan sebahagian mereka yang berada di samping orang yang sedang bersembahyang itu menyaringkan bacaan al-Qur’an mereka, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang sedang bersembahyang itu sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka hendaklah dia menumpukan perhatian terhadap apa yang dia munajatkannya, dan janganlah pula sebahagian kamu menyaringkan suaranya (melebihi) atas sebahagian yang lain dengan (membaca) al-Qur’an. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în adalah makruh menyaringkan bacaan al-Qur’an atau yang lainnya di dalam masjid jika suara yang nyaring itu akan mengganggu orang tidur atau orang yang sembahyang. Beliau juga ada menukilkan pendapat Imam Ibn Hajar Rahimahullâh bahawa berlebihan dalam menyaringkan suara ketika berzikir atau berdo‘a di dalam masjid sehingga mendatangkan gangguan ke atas orang yang sedang bersembahyang, maka patut dihukumkan haram.
Manakala al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdurrahman Ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidîn berkata:
Ertinya: Tidak dihukumkan makruh menyaringkan suara di dalam masjid dengan berzikir dengan segala jenisnya, dan antaranya ialah membaca al-Qur’an melainkan jika (perbuatan tersebut) mengganggu ke atas orang yang sedang bersembahyang atau menyakiti (mengganggu) orang yang sedang tidur, bahkan jika ia terlalu mengganggu, haram (hukumnya) maka ditegah daripadanya (menyaringkan suara di dalam masjid kerana membaca al-Qur’an) pada ketika itu sebagaimana (halnya) jika seseorang duduk setelah azan dia berzikir mengingat Allah Ta‘ala, dan setiap sesiapa yang datang untuk sembahyang duduk bersamanya dan dia mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang, maka jika (perbuatan-perbuatan itu) tidak mendatangkan gangguan, ia diharuskan (menyaringkan suara di dalam masjid) bahkan disunatkan untuk (tujuan) seumpama mengajar (orang lain) jika tidak takut akan menimbulkan perasaan riya’.
Adapun bernasyid dan bertausyeh di dalam masjid dengan suara yang nyaring sudah pasti akan mendatangkan gangguan kepada orang yang beribadat di dalam masjid. Maka, ia tidak wajar dilakukan kerana menyaringkan suara di dalam masjid untuk tujuan melakukan amalan zikir pun dihukumkan makruh jika ia mendatangkan gangguan kepada orang yang beribadat di dalamnya, bahkan boleh menjadi haram apabila ia terlalu menggangu para jemaah. Apatah lagi menyaringkan suara di dalam masjid untuk tujuan bernasyid dan bertausyeh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15897
