Cecair Serangga Dan Bekas Tompokan Putih Atau Bintik-Bintik Yang Terdapat Di Bawah Sarang Labah-Labah
Soalan: Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan cairan daripada labah-labah ataupun serangga seperti semut. Apakah hukum bekas tompokan putih atau bintik-bintik yang terdapat di bawah sarang labah-labah yang kadang kala terdapat pada al-Qur’an, buku dan tempat-tempat tertentu? Adakah ia najis atau tidak?
Jawapan: Islam mementingkan kebersihan diri, pakaian dan tempat. Orang yang menjaga kebersihan merupakan orang yang dikasihi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)
Kesucian dan Kenajisan Sesuatu yang Keluar dari Binatang
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Raudhah ath- Thâlibîn wa ‘Umdah al-Muftîn:
Ertinya: Cabang pada (menerangkan) sesuatu yang terpisah dari dalam (badan) binatang. Ia terbahagi kepada dua. Pertama, (sesuatu) yang tidak (melalui proses) ijtimâ‘ (pengumpulan) dan (proses) istihâlah (pertukaran) dalam badan (binatang) dan ia hanya merembes rembesan (apabila keluar). Kedua ialah (sesuatu) yang (melalui proses) istihâlah (pertukaran) dan pengumpulan dalam badan (binatang) kemudian ia keluar. Pertama ialah seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya (menurut hukum) binatang yang merembeskan (rembesan) itu. Jika ia (binatang yang dihukumkan) najis, maka (rembesan itu dihukumkan) najis dan jika tidak (binatang itu dihukumkan najis), maka (rembesan itu dihukumkan) suci. Dan kedua ialah seperti darah, air kencing, tahi dan muntah. Semuanya ini adalah najis daripada semua binatang iaitu (sama ada binatang) yang boleh dimakan dagingnya dan yang selainnya (yang tidak boleh dimakan dagingnya).
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula menerangkan dalam kitabnya al-Iqnâ‘ bahawa cecair yang keluar daripada qubul dan dubur binatang adalah najis melainkan air mani sebagaimana katanya:
Ertinya: Dan setiap cecair yang keluar daripada salah satu daripada dua jalan iaitu qubul dan dubur sama ada (yang keluar) itu (benda) yang biasa seperti air kencing dan tahi ataupun benda yang jarang seperti air wadi dan air mazi (semuanya) adalah najis sama ada ia daripada binatang yang boleh dimakan atau tidak.
Seterusnya beliau berkata:
Ertinya: Kecuali air mani maka ia suci daripada semua binatang kecuali (air mani) anjing, babi dan cabang (yang lahir daripada) salah satu daripada kedua-duanya (anjing dan babi).
Tahi dan air kencing binatang adalah najis termasuk juga serangga yang jika dibelah badannya tidak mengalir darahnya sebagaimana yang dijelaskan oleh al-‘Allâmah Sa‘id Ba‘isyn Rahimahullâh dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm, katanya:
Ertinya: Dan (antara benda yang dikategorikan najis itu ialah) tahi dan air kencing sekalipun kedua-duanya daripada burung, ikan, belalang, binatang yang tidak mengalir darah atau binatang yang boleh dimakan.
Hukum Labah-labah dan Sesuatu yang Keluar Darinya
Labah-labah ketika hidupnya adalah termasuk dalam kategori binatang yang suci dan apabila mati ia dikategorikan sebagai bangkai yang najis. Perkara ini difahami daripada perkataan al-Imam al-Mawardi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Hâwi al-Kabîr, beliau berkata:
Ertinya: Sesungguhnya binatang itu kesemuanya suci kecuali lima (jenis) iaitu anjing, babi, binatang yang lahir daripada (kacukan) anjing dan babi, binatang yang lahir daripada (kacukan) anjing dan binatang suci dan binatang yang lahir daripada (kacukan) babi dan binatang suci.
Berdasarkan perkataan al-Imam al-Mawardi Rahimahullâh di atas, labah-labah hukumnya suci ketika hidup. Maka cairan yang keluar daripadanya adalah mengikut hukum cairan haiwan sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Sebagai contoh, air liurnya adalah suci manakala air kencing dan darahnya adalah najis.
Mengenai sarang labah-labah pula, para ulama ada membincangkan hukumnya sama ada ia dihukumkan najis atau tidak sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj, katanya:
Ertinya: Dan daripada kitab al-‘Uddah dan al-Hâwi menegaskan kenajisan sarang labah-labah dan perkataan (pendapat) al-Ghazali dan al-Qazwini menyokongnya bahawa ia (sarang labah-labah itu terhasil) daripada air liurnya dengan (alasan) pendapat mereka bahawasanya ia (labah-labah) memakan bangkai lalat. Tetapi (mengikut pendapat) al-masyhûr, (sarang labah-labah) adalah suci sebagaimana yang dikatakan oleh as-Subki dan al-Adzra‘i.
Hukum sarang labah-labah suci disebut juga oleh al-‘Allâmah Sa‘id Ba‘isyn Rahimahullâh dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm, katanya:
Ertinya: Dan sarang labah-labah adalah suci.
Berdasarkan penjelasan di atas, jika diyakini bekas tompokan putih atau bintik-bintik yang terdapat di bawah sarang labah-labah itu sesuatu yang keluar daripada labah-labah yang dikira suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya ia adalah suci. Jika ia dikira najis seperti darah, air kencing, tahi dan muntah, maka hukumnya ia adalah najis.
Keraguan Terhadap Najis
Apabila seseorang tidak meyakini bahawa sesuatu itu najis atau tidak maka hendaklah dikembalikan hukumnya kepada asal iaitu suci. Perkara ini ada disebutkan oleh al-‘Allâmah Sa‘id Ba‘isyn Rahimahullâh dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm, beliau berkata:
Ertinya: Dan adapun (sesuatu) yang tidak diyakini kenajisannya maka (hukum) asalnya adalah suci.
Para ulama juga telah menetapkan bahawa untuk menetapkan hukum sesuatu perkara itu mestilah berdasarkan keyakinan dan bukannya berdasarkan syak atau keraguan semata-mata. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak.
Syak ataupun keraguan juga tidak dapat menghasilkan hukum ke atas sesuatu perkara berdasarkan kaedah ushûliyyah yang menyebut:
Ertinya: Keraguan tidak terbina (terhasil) atasnya hukum.
Oleh yang demikian, jika diragui tompokan putih atau bintik-bintik tersebut adalah najis atau tidak, maka ia tetap dihukumkan suci.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15903
