Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Dividen Yang Diserahkan Kepada Baitul-Mal Dituntut Semula Oleh Ahli Waris

Soalan: Adakah dividen saham milik si mati yang telah diserahkan kepada Baitul-Mal kerana ahli warisnya tidak dapat dikesan boleh dituntut semula oleh ahli waris yang tiba-tiba muncul setelah selang beberapa tahun?

Jawapan: Harta pusaka yang gagal diketahui ahli waris yang mewarisinya, setelah pelbagai cara diusahakan oleh pemegang amanah terhadap harta pusaka tersebut sehinggalah dia berputus harap pada mencarinya, maka harta pusaka tersebut akan diserahkan kepada Baitul-Mal sebagaimana disebut oleh as-Sayyid Ba‘Alawi Rahimahullâh dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:

Ertinya: Dan jika dia berputus harap dari mengetahui (mencari) pemiliknya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, (maka harta itu) menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul-Mal seperti wadî‘ah dan harta rampasan yang telah berputus harap untuk mengetahui pemilik kedua-duanya dan (seperti) harta pusaka yang tidak diketahui waris baginya. Ketika itu, dia menyalurkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam yang utama dengan didahulukan yang lebih utama, seperti pembinaan masjid tatkala tidak ada yang lebih umum (mashlahatnya) daripadanya.

Hak ahli waris terhadap harta pusaka adalah tidak gugur disebabkan dia hilang (ghaib). Perkara ini dapat difahami daripada perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj yang menyebut:

Ertinya: Dan jika rosak (bahagian) harta pusaka yang ditahan untuk orang yang ghaib, (menjadi tanggungjawab) atas semua ahli waris yang ada (menggantinya). Maka jika dia (orang yang ghaib itu) muncul semula, hendaklah dikembalikan apa yang telah diberikan (daripada harta pusaka) kepada mereka dan dibahagi-bahagikan (kepada semua waris) mengikut (bahagian) perwarisan masing-masing.

Berkenaan dengan perkara tidak gugur hak ahli waris terhadap harta pusaka disebabkan dia hilang (ghaib), Dr Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuhu ada menyatakan bahawa orang yang hilang masih berhak menuntut harta pusaka miliknya yang telah diserahkan kepada Baitul-Mal. Beliau berkata:

Ertinya: Maka apabila muncul ahli waris, dan (dia) membuktikan atas pewarisannya, (dia berhak untuk) mendapatkan kembali harta pusaka (yang diwarisinya) daripada Baitul-Mal.

Berdasarkan penjelasan di atas, jika ahli waris tidak diketahui itu tiba-tiba muncul setelah selang beberapa tahun, maka dia boleh dan tetap mempunyai hak untuk menuntut dividen saham (harta pusaka) yang telah diserahkan kepada Baitul-Mal dengan mendatangkan bukti tentang pewarisannya kepada pihak yang berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15910