Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hukum Spot Forex Dan Forex CFD (Contract For Differences)

Soalan: Adakah hukum haram spot forex berbeza dengan forex CFD (contract for differences)?

Jawapan: Spot forex dan forex CFD (contract for differences) adalah dua instrumen kewangan yang digunakan oleh pedagang-pedagang untuk melaksanakan urusan dagangan mereka dalam pasaran kewangan. Kedua-dua instrumen kewangan ini mempunyai ciri-ciri persamaan dalam beberapa perkara dan perbezaan dalam beberapa perkara yang lain.

Adakah persamaan dan perbezaan ini membawa kesan kepada kedudukan instrumen-instrumen berkenaan dari segi ketentuan hukum? Perkara tersebut hanya boleh diketahui setelah meneliti dan mengenal pasti hakikat sebenar instrumen-instrumen kewangan berkenaan terlebih dahulu kerana ketentuan hukum sesuatu perkara adalah terhasil daripada gambaran yang jelas mengenai perkara tersebut sebagaimana satu kaedah fiqh yang masyhur ada menyebut:

Ertinya: Penentuan hukum atas sesuatu perkara adalah satu cabang daripada gambarannya (perkara tersebut).

Persamaan dan Perbezaan

Dari sudut persamaan, spot forex dan forex CFD kedua-duanya digunakan untuk mencapai tujuan yang sama iaitu mengaut keuntungan dengan cara berdagang dalam pasaran masing-masing bagi pedagang individu. Ia dilakukan menerusi proses pelaksanaan dagangan yang serupa dan menggunakan platform atau perisian komputer yang juga serupa.

Pada kebiasaannya, pedagang-pedagang dalam kedua-dua segmen pasaran akan bertaruh nasib kepada pergerakan naik atau turun harga instrumen (sesuatu yang dijual beli). Jika harga instrumen dijangka naik, pedagang akan membuka posisi (open position) dengan melakukan urus niaga pembelian (buy) ke atas instrumen yang disasarkan. Manakala jika dijangka harga instrumen turun, pedagang akan membuka posisi dengan melakukan urus niaga penjualan (sell). Ketika posisi ditutup (close position) pedagang akan menjual atau membeli semula instrumen yang didagangkan bergantung kepada posisi yang diambil ketika ia dibuka. Dalam kedua-dua kegiatan berkenaan, keuntungan yang diterima pedagang ialah perbezaan nilai antara waktu dagangan dibuka dan ditutup setelah ditolak sebarang komisen broker atau faedah jika ada.

Spot forex dan forex CFD juga merupakan dua instrumen kewangan yang banyak bergantung kepada kelebihan fasiliti leveraj. Ini memberikan keupayaan kepada pedagang untuk melaksanakan dagangan mereka secara ‘margin’ yang bermaksud mereka hanya perlu membayar sejumlah kecil daripada keseluruhan nilai urus niaga bagi membuka kedudukan dalam pasaran. Berdagang dengan cara sebegini membolehkan pedagang mendapat pulangan yang lebih cepat namun pada masa yang sama juga mendedahkan mereka kepada risiko kerugian yang sangat besar.

Dari sudut perbezaan pula, spot forex hanya tertumpu kepada dagangan dalam segmen pasaran mata wang sahaja. Manakala dagangan forex CFD cuma melibatkan mata wang sebagai salah satu aset pendasar daripada beberapa aset yang lain lagi yang boleh digunakan untuk mencapai tujuan berkenaan. Selain daripada mata wang, CFD juga membabitkan aset-aset pendasar seperti saham, indeks, tenaga, logam dan sebagainya. Apabila instrumen CFD dikaitkan dengan saham sebagai aset pendasarnya, maka instrumen berkenaan akan dikenali sebagai saham CFD. Jika aset pendasarnya ialah indeks, maka ia dinamakan indeks CFD. Begitu juga seterusnya bagi aset-aset pendasar yang lain termasuk forex CFD yang menjadikan mata wang sebagai aset pendasar. Ciri-ciri inilah yang paling ketara membezakan spot forex daripada forex CFD.

Definisi dan Hukum Forex

Spot forex atau biasa juga dikenali dengan forex trading dan singkatannya forex didefinisikan sebagai satu urus niaga yang melibatkan pertukaran mata wang kepada mata wang yang lain mengikut kadar tertentu. Setiap urus niaga pertukaran mata wang akan membabitkan pembelian unit mata wang tertentu dengan menggunakan unit mata wang yang lain sebagai bayaran.

Dalam konteks pertanyaan di atas, urus niaga spot forex merujuk kepada kegiatan menjual beli mata wang secara ta‘âqub (berpusingan) dengan berpandukan kepada indeks harga yang diapungkan dalam bursa mata wang antarabangsa. Istilah ta‘âqub bermaksud urus niaga pembelian mata wang yang diikuti dengan penjualan semula mata wang tersebut atau sebaliknya. Istilah spot pula merujuk kepada jenis urus niaga dalam forex berdasarkan nilai tarikh urus niaga (value dates). Dalam urus niaga spot, urus niaga dibuat berdasarkan kadar forex yang ditanda aras menurut waktu urus niaga, namun penyerahan mata wang adalah mengambil masa selama dua (2) hari bekerja daripada tarikh transaksi dibuat (T+2). Sebagaimana difahami, kebanyakan pedagang-pedagang individu terlibat dalam segmen spot forex berbanding segmen-segmen lain yang terdapat dalam pasaran forex.

Kegiatan perdagangan spot forex pada kelazimannya dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform yang dibekalkan oleh pihak broker. Selain daripada faktor kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, platform inilah yang memberikan keupayaan kepada pedagang runcit untuk mengakses dan menjalankan dagangannya sendiri dalam pasaran. Tanpa khidmat yang disediakan oleh pihak broker, pedagang runcit sukar untuk ikut serta secara langsung dalam pasaran forex disebabkan peratusan dagangan mereka yang sangat kecil berbanding volum keseluruhan dagangan.

Berkenaan forex trading dalam segmen spot yang disertai oleh pedagang-pedagang individu, kedudukannya dari segi hukum telah dijelaskan melalui fatwa-fatwa yang terdahulu. Antaranya ialah fatwa siri bilangan (18) tahun 2021 bertajuk Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing Secara Lani (Individual Spot Forex).

Fatwa berkenaan menyatakan bahawa perdagangan mata wang asing dalam sistem spot forex atau forex trading adalah satu muamalat melibatkan urus niaga ke atas mata wang (barangan ribawi) dan dari sudut fiqhiyyah tertakluk kepada hukum bai‘ ash-sharf (jual beli mata wang). Berdasarkan tatacara dan kaedah yang dilaksanakan dalam kegiatan perdagangan berkenaan, didapati bahawa kegiatan forex trading melibatkan urus niaga yang bercanggah dengan prinsip-prinsip muamalat Islam. Antaranya, forex trading melibatkan urus niaga yang tidak sah kerana tidak berlaku serah milik sebagaimana dikehendaki oleh syara‘ terhadap mata wang yang di‘aqadkan dan wujud unsur riba disebabkan ketiadaan serah milik berkenaan. Ketiadaan serah milik terhadap mata wang yang di‘aqadkan juga membawa kepada amalan menjual sesuatu yang belum diterima oleh pihak penjual. Dari aspek yang lain, terdapat unsur riba menerusi penggunaan fasiliti leveraj yang terdapat dalam sistem perdagangan terbabit kerana kemudahan tersebut pada dasarnya adalah berbentuk pinjaman yang membawa manfaat kepada pihak yang memberikan pinjaman. Selain itu, terdapat penyatuan dua ‘aqad dalam satu urus niaga iaitu ‘aqad jual beli yang disatukan dengan ‘aqad pinjaman dalam penggunaan fasiliti leveraj. Kegiatan forex trading juga mengandungi aktiviti spekulasi yang diharamkan dalam muamalat Islam.

Maka berdasarkan isu-isu yang dinyatakan di atas, kegiatan spot forex telah difatwakan sebagai kegiatan perdagangan yang haram menurut syara‘ dan orang ramai adalah dituntut untuk tidak melibatkan diri dalam urus niaga berkenaan. Fatwa ini selari dengan keputusan organisasi-organisasi dan majlis-majlis muzakarah fatwa di beberapa buah negara termasuk keputusan majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, Liga Dunia Islam (Muslim World League) dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kegiatan urus niaga berkenaan.

Dagangan Contract For Differences (CFD)

Jika dagangan forex merupakan urus niaga ke atas pasangan mata wang, CFD pula ialah urus niaga yang berkaitan dengan sesuatu kontrak. Secara literal, CFD bererti ‘kontrak untuk perbezaan’. Dari segi istilah pula, CFD merupakan satu kontrak antara pembeli dan penjual yang memberikan hak untuk mendapatkan keuntungan atau tanggungjawab untuk membayar kerugian antara mereka berdasarkan naik turun nilai aset pendasar kontrak ketika urus niaga tutup. Dalam hal ini, apabila satu pihak mendapat keuntungan, maka pihak yang lain pula akan menanggung kerugian.

Pihak-pihak utama yang terlibat dalam urus niaga membabitkan CFD ialah pedagang dan broker CFD. Pedagang ada kalanya bertindak sebagai pembeli manakala broker pula menjadi penjual. Ada kalanya pedagang pula berperanan sebagai penjual ketika posisi dibuka dan broker sebaliknya bertindak sebagai pembeli. Pedagang dan broker kedua-duanya akan bertukar-tukar peranan sama ada sebagai pembeli atau penjual ketika penutupan urus niaga bergantung kepada kedudukan yang mereka ambil ketika posisi mula-mula dibuka.

Berbeza halnya dengan dagangan spot forex, broker tidak berurus niaga secara langsung dengan pedagang. Broker hanya berfungsi sebagai orang tengah antara pedagang dan bank atau rangkaian bank bagi membolehkan mereka membeli dan menjual mata wang asing. Sebagai perantara, mereka menyediakan senarai harga mata wang terkini (running price) melalui kotak ‘squawk’ broker bagi tujuan mengatur transaksi antara pembeli dan penjual di pelbagai lokasi pusat-pusat kewangan. Dalam setiap urus niaga, pembeli dan penjual akan bertindak mengikut motif dagangan masing-masing berasaskan trend naik atau turun pasaran.

Nilaian harga instrumen CFD sama ada ketika dagangan dibuka atau ditutup adalah diasaskan kepada nilaian harga aset tertentu. Aset inilah yang dikenali sebagai aset pendasar (underlying asset) dan pada kebiasaannya ia terdiri daripada aset-aset seperti saham, komoditi, indeks dan mata wang. Sebagai contoh, jika aset pendasar ialah saham, maka nilaian harga instrumen CFD adalah diasaskan kepada turun naik nilai aset saham berkenaan. Jika aset pendasarnya pula ialah mata wang, maka nilai harga instrumen CFD juga akan digantungkan kepada nilaian semasa mata wang ketika posisi dibuka dan ditutup. Begitu seterusnya nilaian harga ditentukan iaitu berdasarkan nilaian aset-aset yang mendasari instrumen berkenaan.

Produk Derivatif

Instrumen CFD termasuk dalam kategori inovasi kewangan masa kini yang dikenali sebagai produk derivatif kewangan. Sebagaimana produk-produk derivatif kewangan yang lain seperti futures (kontrak niaga hadapan), option (pilihan) dan seumpamanya, instrumen CFD memperolehi (derive) harganya daripada nilai aset-aset yang mendasari produk-produk derivatif berkenaan. Menurut laman web Investopedia.com, istilah derivatif itu merujuk kepada jenis kontrak kewangan yang nilainya bergantung kepada nilai aset asas atau kumpulan aset atau penanda aras. Dalam bahasa Arab pula, derivatif kewangan dikenali sebagai al-musytaqqah al-mâliyah.

Antara kriteria utama produk derivatif ialah derivatif hanya melibatkan urus niaga ke atas kontrak semata-mata. Kontrak tersebut mengandungi hak-hak dan kewajiban-kewajiban tertentu. Ada kalanya ia berbentuk suatu perjanjian yang mengikat pihak yang terlibat dalam kontrak berkenaan untuk membeli atau menjual sesuatu seperti bahan-bahan komoditi dalam kuantiti yang tertentu pada masa hadapan dengan bayaran harga pada hari urus niaga dilakukan. Kontrak sebegini dikenali sebagai futures (niaga hadapan). Ada kalanya ia merupakan suatu pilihan yang mengenakan bayaran tertentu sama ada untuk membeli/menjual atau tidak membeli/menjual sesuatu mengikut harga yang telah ditetapkan pada masa hadapan. Dalam hal ini, apabila pihak yang berkontrak tidak berminat untuk melaksanakan hak yang terkandung dalam kontrak yang ditandatanganinya, dia tidak boleh dipaksa untuk melakukan pembelian/penjualan pada masa yang ditetapkan. Kontrak sebegini dinamakan sebagai option (pilihan).

Dalam setiap dagangan membabitkan produk derivatif, subjek-subjek yang diurusniagakan hanya melibatkan kontrak-kontrak atau perjanjian-perjanjian seperti yang dijelaskan di atas dan ia tidak melibatkan aset yang menjadi asas kepada kontrak atau perjanjian itu sendiri sama ada aset itu aset fizikal seperti aset yang didagangkan dalam pasaran komoditi atau aset kewangan seperti aset yang didagangkan dalam pasaran saham tradisional. Oleh kerana urus niaga yang membabitkan produk derivatif tidak melibatkan aset, maka kontrak tersebut tidak memerlukan pemilikan atau penyerahan apa-apa aset.

Berbeza halnya dalam dagangan yang melibatkan aset seperti pasaran saham, subjek yang diurusniagakan ialah aset kewangan sebenar iaitu saham dan bukan kontrak semata-mata. Oleh sebab itu, apabila seseorang memiliki saham ke atas mana-mana syarikat tersenarai, ia bererti dia mempunyai hak ke atas syarikat tersebut. Jika seseorang memiliki unit amanah pula, maka dia mempunyai kepentingan dalam portfolio dana unit amanah berkenaan.

Isu-isu Hukum Berkaitan CFD

Apabila kedudukan CFD termasuk dalam kategori produk-produk derivatif, maka isu-isu hukum berkaitan dengan CFD pada dasarnya boleh dirujuk kepada hukum yang berkaitan dengan produk-produk derivatif kewangan.

Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuhu telah membincangkan kedudukan urus niaga produk-produk derivatif ketika membicarakan hukum-hukum berkaitan pasaran kontrak (burshah al-‘uqûd). Menurut beliau, perbahasan mengenai urus niaga dalam pasaran berkenaan mencakup isu-isu seperti penjualan sesuatu yang tidak dimiliki atau belum diserah terima, ‘aqad tanpa ditentukan dan dijelaskan harganya, jual beli hutang dengan hutang dan lain-lain lagi isu hukum yang berkaitan. Perkara-perkara ini adalah perkara-perkara am yang berkait dengan produk-produk derivatif kewangan secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, ketentuan hukum setiap jenis produk derivatif kewangan tertakluk kepada kedudukan setiap produk itu sendiri.

Antara isu-isu utama yang melibatkan perkara hukum dalam urus niaga CFD ialah:

i. Urus Niaga Sesuatu Yang Tidak Wujud (Bai‘ al-Ma‘dûm).

Urus niaga CFD tidak berkait dengan aset atau perkara yang dijual beli sepertimana dalam jual beli biasa bahkan ia melibatkan perkara-perkara yang tidak wujud sama sekali. Dalam ilmu fiqh urus niaga sedemikian dikenali sebagai bai‘ al-ma‘dûm. Urus niaga yang dilakukan ke atas sesuatu yang tidak wujud adalah tidak sah kerana ada unsur gharar yang terdapat dalam jual beli berkenaan di samping terdapat nash yang melarang jual beli dengan cara sedemikian. Unsur-unsur bai‘ al-ma‘dûm bagaimanapun dikecualikan dalam jual beli secara as-salam (tempahan) atas dasar ada hajat keperluan kepada jenis jual beli berkenaan.

Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhadzdzab menyebut:

Ertinya: Tidak harus jual beli ke atas sesuatu yang tidak wujud seperti buah yang belum jadi.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ juga telah menukil ijmâ‘ para ulama tentang hukum batal jual beli secara bai‘ al-ma‘dûm. Beliau menyatakan:

Ertinya: Adapun hukum permasalahan ini, maka jual beli ke atas sesuatu yang tidak wujud adalah batal secara ijmâ‘ (para ulama).

Unsur-unsur bai‘ al-ma‘dûm yang jelas dalam urus niaga CFD boleh dilihat daripada dua perkara berikut:

a) Dalam urus niaga CFD, subjek yang di‘aqadkan bukan berupa harta ( ٌ مَال) atau manfaat ( ٌ حفَعَةمَنـ) atau haqq mâliy menurut syara‘ kerana subjek yang di‘aqadkan ialah kontrak semata-mata yang tidak melibatkan aset fizikal atau aset kewangan. Menurut syara‘, antara syarat subjek yang di‘aqadkan ( ُ دحقُوحّ اَلحمَع هحعَلَي) hendaklah ia suatu harta ( ٌ مَال) yang dianggap bermanfaat menurut pandangan syara‘.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyatakan:

Ertinya: Maka tidak sah jual beli sesuatu yang tidak ada manfaat padanya kerana ia tidak dikira sebagai harta.

Dalam hubungan ini, Imam as-Suyuthi Rahimahullâh telah menjelaskan bahawa tidak dinamakan sesuatu itu harta melainkan apabila ia mempunyai nilai dan dengan nilainya itu ia dijual beli. Begitu juga, tidak dinamakan harta kecuali apabila ia dirosakkan maka orang yang merosakkannya berkewajiban untuk membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut walaupun sedikit.

Oleh kerana urus niaga CFD berdasarkan kontrak semata-mata dan tidak melibatkan aset fizikal atau aset kewangan, maka kedudukan urus niaga CFD adalah serupa dengan urus niaga kontrak option.

Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah memutuskan bahawa option adalah instrumen perdagangan yang tidak diharuskan kerana perkara yang mendasarinya tidak memenuhi ciri-ciri harta atau manfaat atau haqq mâliy yang mengharuskannya untuk dijual beli. Resolusi Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa bilangan 63 (1/7) daripada persidangan kali ketujuh pada 7-12 Zulkaedah1412H bersamaan 9-14 Mei 1992 menyebut:

Ertinya: Oleh kerana subjek yang di‘aqadkan bukan harta, bukan manfaat dan bukan juga hak berkaitan harta yang harus ditukar ganti, maka ia (urus niaga option) adalah satu ‘aqad yang tidak harus di sisi syara‘. Oleh kerana ‘aqad- ‘aqad ini pada asasnya tidak harus dilakukan, maka ia juga tidak harus didagangkan.

b) Subjek yang di‘aqadkan dalam urus niaga CFD tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘ dalam jual beli iaitu tidak ada pemilikan terhadap subjek yang di‘aqadkan.

Dalam ‘aqad jual beli, antara syarat sah jual beli itu ialah barang yang dijual hendaklah dimiliki oleh penjual. Oleh kerana itu, tidak sah menjual sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang yang ber‘aqad. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan:

Ertinya: Antara syarat-syarat barang jualan itu ialah pemilikan terhadapnya (barang jualan) bagi orang yang ber‘aqad (penjual).

Berdasarkan keterangan di atas, adalah jelas bahawa urus niaga CFD tidak sah di sisi syara‘ kerana ia merupakan urus niaga sesuatu yang tidak wujud (bai‘ al-ma‘dûm).

ii. Perjudian.

Kedudukan urus niaga CFD sebagai bai‘ al-ma‘dûm menjadikan urus niaga tersebut termasuk dalam jenis kontrak-kontrak simulasi yang dilakukan untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu sahaja. Urus niaga tersebut serupa dengan kegiatan urus niaga derivatif index (al-mu’asysyirât) yang menjadikan index sebagai aset pendasarnya. Hukum urus niaga derivatif index ini telah ditetapkan oleh Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam resolusinya bilangan 63 (1/7) sebagai perjudian semata-mata. Resolusi tersebut antaranya menyebut:

Ertinya: Urus niaga ke atas index:

Index ialah nombor kira-kira (aritmetik) yang dikira secara kaedah statistik yang khas bertujuan untuk mengetahui volum perubahan dalam pasaran tertentu. Ia menjadi subjek yang dijual beli di beberapa pasaran antarabangsa.

Tidak harus menjual dan membeli index kerana ia adalah perjudian semata-mata dan ia adalah jual beli sesuatu (yang bersifat) khayalan yang tidak mungkin wujudnya.

Isu perjudian dalam kegiatan perdagangan pasaran kewangan termasuk pasaran sekuriti seperti saham sering menjadi perbahasan di kalangan pakar-pakar kewangan dan ilmuan Islam masa kini. Dalam pasaran derivatif unsur-unsur perjudian menjadi lebih ketara kerana urus niaga derivatif hanya berbentuk simulasi dan pihak-pihak yang terlibat dalam urus niaga berkenaan hanya berminat untuk mendapatkan perubahan harga. Ciri-ciri sebegini menjadikan kegiatan dagangan melibatkan produk derivatif kewangan bertukar daripada urus niaga jual beli kepada suatu kegiatan berisiko tinggi yang terdapat dalam kegiatan perjudian iaitu satu pihak akan mendapat keuntungan dan dalam masa yang sama kerugian akan ditanggung oleh pihak yang lain pula.

Kegiatan yang mengandungi risiko sebegini pada kebiasaannya dikenali dengan zero-sum game. Istilah zero-sum game merujuk kepada situasi keuntungan satu pihak adalah atas kerugian pihak yang lain. Dalam kegiatan zero-sum game, tidak ada kemungkinan kedua-dua pihak yang terlibat dalam permainan berkenaan boleh sama-sama menang dalam satu masa yang sama. Sebaliknya, seorang pemain akan menang dengan mengorbankan pemain yang lain.

Antara contoh kegiatan zero-sum game ialah perjudian seperti permainan poker dan apa jua kegiatan atau permainan yang mengandungi risiko yang melibatkan keuntungan satu pihak atas kerugian satu pihak yang lain terhadap jumlah yang dipertaruhkan.

Perkara di atas juga berlaku dalam konteks CFD kerana pembeli dan penjual masing-masing mempunyai jangkaan yang berlawanan. Jika penjual mendapat keuntungan, pembeli akan menanggung kerugian kerana telah membayar harga lebih daripada harga pasaran. Jika pembeli pula mendapat keuntungan, penjual telah menerima harga yang lebih rendah daripada harga yang mereka akan dapat jika mereka hanya menunggu dan menjual instrumen dalam pasaran terbuka. Inilah yang dimaksudkan dengan keuntungan pembeli atas kerugian penjual dan begitu juga sebaliknya.

Dengan adanya unsur pertaruhan keuntungan dan kerugian antara pembeli seperti di atas dalam urus niaga CFD, maka adalah jelas urus niaga berkenaan mengandungi unsur-unsur judi. Dalam istilah syara‘ perjudian ialah apa jua permainan yang melibatkan harta dan pihak yang menang akan mengambilnya daripada pihak yang kalah. Muhammad Ali ash-Shabuni Rahimahullâh dalam kitabnya Rawâ’i‘ al-Bayân fî Tafsîr Âyat al-Ahkâm menyebut bahawa:

Ertinya: Setiap permainan yang di dalamnya (memberi) keuntungan kepada satu pihak dan kerugian kepada pihak yang lain, ia adalah judi yang diharamkan.

Berdasarkan pengertian ini, secara definisi Islam melihat apa jua permainan yang membawa keuntungan kepada satu pihak dan menyebabkan pihak yang lain pula menanggung kerugian sebagai satu kegiatan perjudian. Perkara sebegini diharamkan oleh Islam kerana ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang lain dengan jalan bâthil.

Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya Mafâtîh al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maisir dan qimâr adalah ia boleh membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan serta merupakan perbuatan mengambil harta orang lain secara bâthil di samping melalaikan manusia daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mengerjakan sembahyang.

Inilah antara isu-isu utama berhubung kegiatan urus niaga CFD. Tidak dinafikan masih terdapat isu-isu lain yang boleh dianalisa dari sudut hukum berkaitan dengan urus niaga CFD. Lebih-lebih lagi urus niaga CFD itu bergantung kepada fasiliti leveraj yang berasaskan margin sebagaimana spot forex. Oleh kerana itu, isu-isu dagangan spot forex yang berbangkit daripada penggunaan fasiliti berkenaan akan turut juga berbangkit dalam urus niaga CFD.

Daripada keterangan-keterangan di atas, adalah jelas bahawa urus niaga spot forex dan urus niaga CFD merupakan dua instrumen kewangan yang tidak patuh syara‘. Oleh yang demikian, orang Islam adalah dilarang untuk melibatkan diri dalam kedua-dua urus niaga berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15919