Jihâd Fî Sabîlillâh Dan Pengisytiharannya
Soalan: Apakah maksud jihâd fî sabîlillâh dalam konteks peperangan atau konflik zaman ini? Bagaimanakah pula sesuatu peperangan itu diisytiharkan sebagai jihâd fî sabîlillâh dan siapakah yang mengisytiharkannya?
Jawapan: Perkataan jihâd berasal dari bahasa Arab al-jihâd. Menurut asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal dan asy-Syaikh ‘Abdullah asy-Syarqawi Rahimahumallâh, jihâd ialah memerangi orang-orang kafir untuk membela dan menegakkan agama Islam. Maksud orang kafir di sini ialah orang kafir yang tidak ada perjanjian perlindungan dan keamanan.
Asy-Syaikh Ibrahim al-Bajuri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah al-Bajuri dan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn menta‘rîfkan pula bahawa jihâd ialah peperangan fî sabîlillâh (pada jalan Allah) dan ia diambil daripada perkataan al-mujâhadah iaitu berperang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam.
Berdasarkan penjelasan di atas, jihâd fî sabîlillâh yang disebut oleh para ulama dalam kitab-kitab fiqh tertumpu kepada maksud yang khusus iaitu peperangan pada jalan Allah menentang orang-orang kafir bagi tujuan menegakkan agama Islam. Perkara ini sesuai dengan maksud hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah paling tinggi maka dia telah berperang pada jalan Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jihâd fî sabîlillâh adalah sesuatu yang dituntut dalam agama Islam berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diwajibkan atas kamu berperang padahal ia suatu yang kamu tidak menyukainya. Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al-Baqarah: 216)
Dalam hadits daripada ‘Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Perangilah orang-orang musyrik itu dengan harta-harta kamu, jiwa kamu dan lidah-lidah kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits lain yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Berperanglah kamu pada jalan Allah, sesiapa yang berperang pada jalan Allah (walaupun seketika) kadar waktu antara dua perahan susu unta, wajib baginya syurga. (Hadits riwayat Ahmad)
Hukum asal jihâd itu fardhu Kifayah iaitu apabila jihâd dilakukan sebahagian daripada orang Islam, maka gugurlah kewajiban jihâd itu daripada orang Islam yang lain. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Tidaklah sama (dari segi darjat dan pahala) orang-orang beriman yang tinggal (tidak turut berjihâd) selain daripada orang-orang yang mempunyai keuzuran dengan yang berjihâd pada jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihâd dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal (tidak turut berjihâd kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap golongan itu Allah janjikan ganjaran yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihâd atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berjihâd tanpa keuzuran) pahala yang sangat besar. (Surah an-Nisâ’:95)
Hukum jihâd menjadi fardhu ‘Ain apabila orang-orang kafir memasuki negara orang-orang Islam untuk menyerang, maka hendaklah ahli penduduk negara Islam sekalipun orang-orang fakir memerangi orang-orang kafir mengikut kemampuannya. Muhammad asy-Syarbini al- Khathib Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘ berkata:
Ertinya: Keadaan yang kedua daripada keadaan orang-orang kafir (yang boleh diperangi itu ialah) mereka yang memasuki (memerangi) negara kita (negara Islam) umpamanya, maka mesti (wajib) penduduknya menentang dengan semampunya (serangan) daripada mereka dan (hukum) jihâd ketika itu menjadi fardhu ‘Ain sama ada mereka itu boleh dijadikan tentera untuk berperang ataupun tidak.
Orang yang ikut serta dalam jihâd ini, jika dia terbunuh dia akan mendapat kemuliaan di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dihukumkan sebagai mati syahîd. Kedudukan orang yang mati syahîd pada jalan Allah itu ada disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (mati syahîd) di jalan Allah itu mati, bahkan sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan dikurniakan rezeki. Mereka berkeadaan gembira dengan kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mereka. Dan mereka bergembira dengan berita baik tentang orang-orang yang masih hidup dan tetap berjihâd di jalan Allah yang belum menyusul mereka bahawa tidaklah ada ketakutan ke atas mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan ganjaran ni‘mat dan limpah kurnia daripada Allah. Dan sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Âli ‘Imran: 169-171)
Firman Allah Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: Oleh itu, orang (beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Allah). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah, lalu dia terbunuh (mati syahîd) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan kurniakannya pahala yang besar. (Surah an-Nisâ’:74)
Dalam hadits pula, dijelaskan bahawa orang yang mati syahîd itu memberi syafaat tujuh puluh ahli keluarganya sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Orang yang mati syahîd diberikan (kelebihan) memberi syafaat kepada tujuh puluh orang daripada ahli keluarganya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Manakala dalam hadits yang diriwayatkan daripada Miqdam bin Ma‘di Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bagi orang mati syahîd di sisi Allah terdapat enam keistimewaan: Diampunkan baginya dosa pada awal mula darahnya mengalir, dia melihat tempat duduknya/kedudukannya daripada syurga, dia diselamatkan daripada azab kubur, dia (dalam keadaan) aman daripada huru-hara besar (yang terjadi pada Hari Kiamat), dia diletakkan (dipakaikan) di atas kepalanya mahkota kemuliaan yang batu permata (yaqut) daripadanya lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya, dia dikahwinkan dengan tujuh puluh dua orang bidadari, dan dia diberikan (kelebihan) memberi syafaat kepada tujuh puluh orang daripada ahli kerabatnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang berjihâd fî sabîlillâh juga berhak mendapat agihan zakat sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan ‘âmil-‘âmil, dan orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), dan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan orang-orang yang berhutang, dan (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah:60)
Sekalipun jihâd fî sabîlillâh dituntut dan mempunyai keistimewaan, namun ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya bahkan ia perlu kepada pengisytiharan.
Pengisytiharan Jihâd Fî Sabîlillâh
Pemimpin atau pemerintah adalah orang yang memiliki kuasa dalam mengisytiharkan peperangan kerana pemerintah memiliki segala kemampuan untuk melaksanakannya meliputi segala kepakaran, strategi perang, pasukan tentera dan lain-lain. Dalam hal ini, jihâd diletakkan di bawah tanggungjawab pemerintah sebagaimana dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya pemerintah itu adalah perisai (benteng rakyat), mereka berperang dari belakangnya (menurut perintahnya) dan berlindung (daripada musuh) dengan (kekuasaan)nya. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu adalah makruh hukumnya melakukan peperangan tanpa izin daripada pemimpin atau pemerintah. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj berkata:
Ertinya: Dilarang (makruh) melakukan sesuatu peperangan tanpa izin imam (pemerintah) atau naibnya kerana beradab dengannya (menghormati), dan kerana dia lebih mengetahui dari orang selainnya mengenai kemashlahatan jihâd.
Menurut Dr. Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buthi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jihâd Fî al-Islam, beliau menyatakan bahawa pengisytiharan jihâd fî sabîlillâh adalah termasuk dalam ahkâm al-imâmah (hukum-hakam yang berkaitan dengan kepemimpinan). Oleh itu, setiap orang Islam tidak harus secara bersendirian melakukan jihâd tanpa izin dan konsultasi pemerintah untuk ketetapan mengenainya.
Berdasarkan penjelasan di atas, peperangan yang diistilahkan sebagai jihâd fî sabîlillâh itu adalah dilarang dan dihukumkan makruh jika dilakukan tanpa izin dan persetujuan pemerintah atau naibnya kerana pemerintah lebih mengetahui akan kemashlahatan peperangan (jihâd) tersebut. Ini bererti hanya pemerintah atau naibnya sahaja yang berhak mengisytiharkan jihâd fî sabîlillâh itu.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, siasah peperangan dalam jihâd fî sabîlillâh adalah di bawah kuasa sultan selaku pemerintah negara. Selaku rakyat, adalah wajib taat kepada sultan selaku ulil-amri sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’:59)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15923
