Jual Beli Saham
Soalan: Saya ingin memohon penjelasan dan fatwa mengenai beberapa perkara berikut:
1. Bolehkah kita ikut berniaga saham di Bursa Saham Malaysia (sektor saham yang halal)?
2. Bolehkah kita berniaga saham tersebut dalam beberapa jam sehari sahaja? Sebagai contoh, kita beli saham pada pukul 10:00 pagi dan kemudian menjualnya pada pukul 3:00 petang?
Jawapan: Berniaga atau berjual beli merupakan salah satu cara untuk memenuhi keperluan manusia dan sebagai usaha untuk mencari pendapatan atau rezeki. Pada dasarnya, hukum berniaga atau berjual beli adalah harus berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj bahawa pendapat al-azhhar daripada dua pendapat Imam asy-Syafi‘i mengenai ayat di atas adalah bersifat umum dalam maksud bahawa semua jual beli adalah halal melainkan beberapa jenis jual beli yang telah ditentukan (takhshîsh) hukum sebaliknya oleh hadits. Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada melarang beberapa jenis jual beli dalam beberapa hadits Baginda, antaranya:
(i) Hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala-berhala. (Hadits riwayat al-Bukhari)
(ii) Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli al-hashâh (dengan cara melempar batu) dan jual beli gharar (ketidakpastian). (Hadits riwayat Muslim)
Di samping itu, setiap ‘aqad jual beli yang dilaksanakan hendaklah juga memenuhi rukun dan syarat jual beli yang telah ditetapkan oleh syara‘. Jika ia tidak memenuhi rukun atau syarat jual beli seperti penjual atau pembeli itu seorang yang gila atau al-mabî‘ (barang jualan) tidak bermanfaat menurut syara‘ kerana tidak dikira sebagai harta, maka hukum ‘aqad jual beli itu adalah tidak sah.
‘Aqad jual beli yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak akan menjadi sempurna apabila penjual menyerahkan barang jualannya kepada pembeli dan pembeli menerima barang jualan tersebut sama ada secara hakiki atau hukmi (konstruktif umpamanya diberikan sijil sebagai bukti kesempurnaan serah terima) terhadap barang jualan yang di‘aqadkan.
Pembeli berkenaan tidak boleh menjual semula barang jualan tersebut sebelum dia menerimanya kerana barang jualan tersebut belum berada dalam pegangannya. Dalam erti kata yang lain, barang jualan tersebut belum menjadi miliknya secara sah. Menurut syara‘, hukum menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangan penjual adalah tidak sah. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tidak sah menjual barang jualan sebelum penerimaannya.
Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada Hakim bin Hizam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku hendak menjual barang-barang jualan ini. Maka (terangkanlah kepadaku) apa yang halal daripadanya dan apa yang haram ke atasku?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai anak saudaraku jangan engkau sekali-kali menjual sesuatu sehingga engkau menerimanya. (Hadits riwayat al-Baihaqi) Berdasarkan keterangan di atas dapat difahami bahawa hukum berniaga atau berjual beli seperti jual beli saham adalah harus melainkan jika transaksi jual beli itu tidak memenuhi rukun dan syarat jual beli atau terkait dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syara‘ seperti riba, arak, berhala, gharar dan seumpamanya, maka hukum jual beli dalam perkara sedemikian adalah haram. Manakala jika pembeli berhasrat untuk menjual semula barang jualan tersebut, maka pembeli hendaklah terlebih dahulu menerima barang jualan tersebut sama ada penerimaan secara hakiki atau hukmi sebelum pembeli melakukan semula transaksi jual beli.
Saham di Bursa Malaysia
Bursa Malaysia merupakan sebuah syarikat pemegangan bursa yang menyediakan akses mudah kepada pelbagai produk dan perkhidmatan pelaburan, menghubungkan peserta pasaran domestik dan luar negara kepada kepelbagaian peluang yang membolehkan semua peserta pasaran berkembang dan meraih keuntungan. Antara jenis produk dagangan dan pelaburan yang ditawarkan ialah ekuiti (saham), produk pasaran derivatif, Dana Dagangan Bursa (Exchange Traded Fund), Amanah Pelaburan Hartanah (Real Estate Investment Trust), Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (Exchange Traded Bonds and Sukuk).
Menurut Bursa Malaysia, saham ialah sekuriti yang mewakili sebahagian modal pemilik dalam perniagaan. Pemegang saham merupakan pemilik perniagaan dan berkongsi kejayaan atau kegagalan perniagaan.
Dalam laman sesawang Bursa Malaysia, terdapat satu artikel yang bertajuk “Amalan Terbaik Pelaburan Syariah”, yang antaranya menyebut:
Dalam membangunkan kerangka Pelaburan Syariah di Bursa Malaysia yang menyeluruh bagi pelaburan dan jual beli instrumen pasaran modal patuh Syariah (selepas ini dirujuk sebagai “Sekuriti Patuh Syariah”), Bursa Malaysia telah menerbitkan Amalan Terbaik Pelaburan Syariah (selepas ini dirujuk sebagai “Amalan Terbaik”) yang komprehensif untuk para pelabur memastikan keseluruhan aktiviti pelaburan dan jual beli mereka adalah, tanpa was-was, selari dengan parameter prinsip Syariah yang kukuh. Amalan Terbaik ini juga bertujuan menggalakkan para pelabur yang melabur dalam dan berjual beli Sekuriti Patuh Syariah di Bursa Malaysia untuk menjalankan aktiviti mereka melalui Organisasi Peserta/Broker Saham berdaftar yang mengendalikan perniagaan pembrokeran saham selari dengan prinsip Syariah sama ada secara penuh (full-fledged) atau menerusi ‘tingkap Islam’ (Islamic Window) (“PO Islam”).
Artikel tersebut juga menyebut tentang panduan pelaburan dan jual beli secara syari‘ah yang dipraktikkan di Bursa Malaysia, antaranya:
1. Pelaburan Syari‘ah di Bursa Malaysia menyediakan satu persekitaran yang baharu kepada para pelabur yang menginginkan Sekuriti Patuh Syari‘ah. Dengan perantaraan PO Islam, sama ada secara langsung atau secara dalam talian, para pelabur dapat menggunakan perkhidmatan Bursa Malaysia dan mengambil manfaat dari Pelaburan Syari‘ah yang menyeluruh dan komprehensif.
2. Melalui PO Islam berkenaan, para pelabur dapat mengakses Sekuriti Patuh Syari‘ah yang tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Malaysia Securities”). Kedua-dua perkhidmatan dagangan dan pasca dagangan yang disediakan oleh Bursa Malaysia adalah patuh Syari‘ah; penyelesaian dagangan pula disempurnakan melalui institusi-institusi kewangan Islam.
3. Pembeli dan penjual Sekuriti Patuh Syari‘ah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan PO Islam untuk aktiviti dagangan mereka di Bursa Malaysia.
4. Dagangan mereka di Bursa Malaysia hendaklah dilaksanakan selari dengan prinsip-prinsip syari‘ah.
5. Setiap dagangan sekuriti akan mengguna pakai mekanisme beli dan jual (bai‘).
6. Mekanisme beli dan jual ini dianggap sempurna dan sah apabila urus niaga dijalankan atas terma harga, jenis dan kuantiti sekuriti yang tertentu. Sebarang ketidakpastian boleh menyebabkan urus niaga ini terbatal atau boleh dibatalkan, mengikut mana yang berkenaan.
7. Seseorang pembeli boleh menjual sekuriti tersebut apabila no.6 di atas telah dipenuhi walaupun penyelesaian dagangan hanya akan berlaku pada hari T+3 (tiga hari selepas urus niaga). Ini berdasarkan prinsip milikan konstruktif (qabdh hukmi) di mana pemunyaan sekuriti dianggap telah berpindah kepada pembeli walaupun milikan fizikal hanya akan berlaku di masa hadapan. Kontrak jualan yang sah dan boleh dikuatkuasakan (yang dikeluarkan oleh PO Islam) adalah bukti pemindahan langsung pemunyaan sekuriti daripada penjual kepada pembeli.
Majlis Penasihat Syari‘ah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula merupakan badan yang berautoriti dalam meluluskan dan mengemas kini saham-saham yang dikelaskan sebagai Sekuriti Patuh Syari‘ah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan kaedah saringan syari‘ah yang dibangunkan oleh MPS SC.
Berdasarkan penjelasan yang dimuatkan di dalam laman sesawang Bursa Malaysia dan kelulusan yang diberikan oleh Majlis Penasihat Syari‘ah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap saham-saham yang dikelaskan sebagai Sekuriti Patuh Syari‘ah yang disenaraikan di Bursa Malaysia di atas, maka jual beli Sekuriti Patuh Syari‘ah yakni saham dalam sektor halal yang diniagakan di Bursa Malaysia adalah harus kerana transaksi yang dijalankan mengikut prinsip-prinsip yang digariskan oleh hukum syara‘.
Apabila pembeli saham patuh syari‘ah di Bursa Malaysia telah selesai melaksanakan ‘aqad jual beli saham dan menerima bukti pemindahan saham daripada penjual kepadanya secara penerimaan hukmi, maka ‘aqad tersebut adalah ‘aqad yang sempurna. Oleh itu, pembeli saham boleh menjual saham yang dibelinya itu mengikut kehendaknya tanpa sebarang batasan waktu yang ditetapkan kerana telah sempurna pemilikannya.
Sebelum seseorang itu menceburkan diri dalam bidang perniagaan saham, adalah penting baginya mengetahui ilmu-ilmu yang berkaitan tentang perniagaan saham dan memahami dengan sebaiknya untuk mendapatkan keuntungan dan mengelak kerugian. Ilmu muamalat Islam hendaklah juga dipelajari dan difahami agar transaksi saham yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan hukum syara‘ sesuai dengan pesanan yang disebut dalam hadits daripada Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Janganlah (seseorang) berjual beli di pasar kami kecuali sesiapa yang memahami (hukum-hakam jual beli) dalam agama. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15927
