Kedudukan Nazar Yang Ditolak Penerimanya
Soalan: Seseorang telah bernazar akan membawa dan membelanjai kedua ibu bapanya untuk mengerjakan umrah jika dia mendapat jawatan tertentu dalam pekerjaannya.
Setelah dia mendapat jawatan yang diinginkannya itu, sudah tentu nazarnya itu wajib ditunaikan. Akan tetapi, apabila dimaklumkan dan ditawarkan kepada ibunya, ibunya tidak mahu pergi mengerjakan umrah atas sebab dia sudah pernah mengerjakan haji dan umrah sebelum ini.
Persoalannya, apakah kedudukan nazar tersebut dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya?
Jawapan: Nazar dari segi syara‘ ialah janji untuk melakukan kebaikan yang tertentu dengan mewajibkan ke atas diri sendiri sebagai suatu perbuatan qurbah iaitu perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dr. Muhammad az-Zuhaili Hafizhahullâh merumuskan pengertian nazar sebagaimana yang disebut dalam kitabnya al-Mu‘tamad ialah:
Ertinya: Mewajibkan suatu qurbah (ibadat) yang tidak diwajibkan (ke atasnya) pada syara‘, sama ada (nazar itu) secara mutlak atau digantungkan kepada sesuatu perkara.
Perkara yang berupa qurbah atau ibadat yang tidak wajib dilakukan oleh seorang mukallaf seperti sedekah, puasa sunat, sembahyang sunat, waqaf dan sebagainya apabila ia dinazarkan maka wajib ke atasnya menunaikan nazarnya itu. Jika perlaksanaan nazarnya digantungkan pada suatu kejadian atau perkara, maka apabila ia tercapai atau terjadi, seperti bernazar untuk bersedekah jika dia sembuh daripada penyakitnya, nazarnya untuk bersedekah itu wajib ditunaikan apabila dia sembuh.
Kewajiban menunaikan nazar tsabit berdasarkan al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (hendaklah mereka) menyempurnakan nazar-nazar mereka. (Surah al-Hajj: 29)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:
Tafsirnya: Dan kamu sempurnakanlah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu melanggar sumpah-sumpah (kamu) sesudah meneguhkannya, padahal kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin (saksi dan pengawas) atas kamu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. (Surah an-Nahl: 91)
Manakala dalil daripada hadits pula, daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya (tunaikanlah nazar itu), dan sesiapa bernazar untuk menderhakaiNya, maka janganlah dia menderhakaiNya (janganlah dia menunaikan nazar itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Membawa ibu bapa untuk menunaikan ibadat umrah dengan maksud menanggung segala perbelanjaan yang berkaitan dengan perlaksanaan ibadat umrah tersebut seperti perbelanjaan perjalanan ke tanah suci dan sebagainya merupakan salah satu cara berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Melakukan kebaikan kepada ibu bapa sama ada yang berbentuk wajib mahupun sunat adalah satu bentuk ibadat dan jalan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh ada menerangkan dalam kitabnya at- Tafsîr al-Munîr bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menggandingkan banyak ayat al-Qur’an berkaitan dengan perintah untuk beribadat kepadaNya dengan perintah berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa kerana mereka adalah sebab zhâhir wujudnya manusia. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. (Surah al-Isrâ’:23)
Sekiranya perkara tersebut dinazarkan dan perkara yang digantungkan padanya tercapai, maka ia wajib dilaksanakan.
Merujuk persoalan di atas mengenai nazar membawa dan membelanjai ibu bapanya untuk menunaikan umrah dan ibunya menolak untuk mengerjakan umrah, maka bagaimana kedudukan nazar tersebut?
Para ulama ada menjelaskan mengenai kedudukan nazar seseorang berupa pemberian kepada orang tertentu iaitu orang yang diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya (له املنذور), namun tidak ada pernyataan qabûl daripadanya. Dalam hal ini, ulama menjelaskan tidak disyaratkan dalam kewajiban melaksanakan nazar adanya penerimaan secara lafaz atau qabdh (menerima). Namun jika orang yang hendak diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya menolak pemberian tersebut, maka gugur kewajiban melaksanakan nazar tersebut.
Umpamanya seseorang bernazar bahawa jika dia sembuh daripada penyakitnya, dia akan memberi sedekah kepada si Polan sepuluh dirham. Maka dalam hal ini, jika dia sembuh dia wajib menunaikan nazarnya dengan memberi sepuluh dirham kepada si Polan kecuali jika pemberiannya itu ditolak. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan jika (seseorang) bernazar untuk orang yang tertentu (orang yang diberikan nazar kepadanya) dengan (memberinya) beberapa dirham umpamanya, dia (orang yang diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya) adalah (berhak) baginya menuntut kepada orang yang bernazar dengannya (dirham itu) jika dia (orang yang bernazar) tidak memberinya, sebagaimana orang-orang fakir yang ditahan (hak mereka untuk mendapat zakat), bagi mereka (berhak) menuntut zakat yang wajib (untuk mereka). Maka jika dia (orang yang bernazar) memberinya demikian itu (sesuatu yang dinazarkan) lalu dia (orang yang diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya) tidak mahu menerima (maka) orang yang bernazar itu terlepas (gugur darinya kewajiban melaksanakan nazarnya).
Berdasarkan perkataan asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh di atas, selama mana pemberian nazar itu tidak ditolak oleh orang yang diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya, maka dia wajib melaksanakan nazarnya itu. Jika pemberian tersebut ditolak, maka nazarnya dikira gugur dan orang yang bernazar tidak lagi wajib melaksanakan nazarnya itu.
Namun jika orang yang hendak diberikan sesuatu yang dinazarkan kepadanya itu menerima kembali pemberian tersebut setelah ditolaknya, maka dalam hal ini wajib ke atas orang yang bernazar itu menyerahkan pemberiannya itu.
Berdasarkan penjelasan di atas, jika nazar untuk membawa ibu bapa mengerjakan umrah dengan maksud menanggung segala perbelanjaan pemergian mereka itu ditolak oleh ibunya, maka dalam hal ini nazarnya untuk membawa ibunya mengerjakan umrah adalah gugur dan dia tidak lagi wajib melaksanakan nazarnya kecuali ibunya menuntut kembali apa yang dinazarkannya. Adapun nazarnya untuk membawa bapanya mengerjakan umrah adalah masih dituntut dan wajib dilaksanakannya kerana pemberiannya itu tidak ditolak oleh bapanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15931
