Kedudukan Sembahyang Bagi Pesakit Yang Membawa Bersamanya Kantung Kolostomi
Soalan: Dipohonkan pencerahan hukum mengenai kedudukan sembahyang bagi pesakit kolostomi yang sentiasa membawa kantung najis kolostomi di badannya. Adakah kantung najis itu perlu dibersihkan terlebih dahulu ataupun tidak?
Jawapan: Sebagai seorang muslim, ada kalanya kita menghadapi beberapa permasalahan hukum berkaitan thahârah atau bersuci seperti dalam perkara menghilangkan najis atau mengangkat hadats khususnya ketika dalam rawatan atau perubatan. Isu thahârah ini timbul kerana ia mempunyai hubungkait dengan kesahan ibadat sembahyang seseorang.
Thahârah merupakan perkara yang wajib dilakukan sebelum melaksanakan ibadat sembahyang. Sembahyang seseorang tidak sah jika dia berkeadaan tidak suci daripada hadats dan najis. Namun dalam kes-kes tertentu yang tidak dapat dielakkan terutamanya dalam isu orang sakit, ada kalanya seseorang itu akan sentiasa menanggung najis atau sentiasa dalam keadaan berhadats seperti pesakit yang mempunyai masalah untuk membuang air besar secara normal dan terpaksa memakai kantung najis yang dikenali sebagai pesakit kolostomi. Dalam hal ini, persoalan yang timbul adalah mengenai kedudukan thahârah dan sembahyangnya serta cara pengendalian kantung najis tersebut, adakah perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwudhu’ dan mengerjakan sembahyang?
Kolostomi
Kolostomi (operasi pengalihan usus) ialah prosedur pembedahan bagi membentuk saluran najis tiruan dengan membuat pembukaan lubang buatan (stoma) daripada sebahagian kolon (usus besar) yang disalurkan ke bahagian dinding abdomen yang ditebuk. Lubang pembukaan buatan tersebut berfungsi sebagai saluran pembuangan najis dari usus besar ke kantung najis kolostomi yang dilekatkan pada permukaan kulit abdomen.
Pembedahan kolostomi dilakukan bagi pesakit yang mempunyai masalah pada usus besar atau kecil, rektum (bahagian usus besar yang paling bawah) atau dubur seperti usus tersumbat atau bocor disebabkan penyakit kanser rektum dan sebagainya yang menghalangi seseorang itu daripada membuang air besar secara normal. Prosedur kolostomi dilakukan dengan dua cara iaitu secara sementara atau kekal, tertakluk pada jenis penyakit yang dihadapinya.
Kolostomi sementara dilakukan bertujuan untuk membantu memulihkan usus besar yang bermasalah. Prosedur ini dilakukan bagi memastikan usus besar yang sedang dalam proses penyembuhan tidak dilalui oleh najis sehinggalah ia kembali pulih dan berfungsi secara normal dan setelah itu lubang stoma tersebut akan ditutup kembali. Manakala kolostomi kekal perlu dilakukan apabila rektum atau dubur terpaksa dibuang seperti bagi merawat penyakit kanser rektum yang menjadikan pembuangan najis secara normal tidak dapat dilakukan.
Dalam hal pesakit yang menjalani pembedahan kolostomi ini, najis yang keluar tidak dapat dikawal oleh pesakit sama sekali dan ia akan sentiasa keluar sama ada banyak atau sedikit tertakluk pada pola permakanan pesakit.
Kantung Pembuangan Najis Kolostomi
Terdapat dua jenis kantung pembuangan najis kolostomi, iaitu kantung yang boleh dipakai semula (reusable) dan kantung pakai buang (disposable). Kantung kolostomi yang boleh dipakai semula mempunyai dua komponen, iaitu pelekat stoma (adhesive stoma) yang dilekatkan di bahagian abdomen atau perut yang boleh bertahan selama tiga ke empat hari dan komponen kedua ialah kantung pembuangan najis daripada plastik khas. Kantung tersebut boleh dikosongkan dan dibersihkan dengan air serta boleh digunakan semula bagi tempoh yang tertentu. Manakala kantung kolostomi pakai buang pula hanya mempunyai satu komponen iaitu pelekat dan kantung najis yang tidak terpisah. Ia hanya boleh digunakan sekali pemakaian sahaja dan kebiasaannya pesakit akan membiarkan kantung tersebut melekat di perut tanpa melepaskannya sehingga dua ke tiga hari, bergantung kepada kuantiti najis yang keluar setiap hari. Kedua-dua jenis kantung ini mempunyai ciri yang khas iaitu ia tidak tembus bau dan tidak tembus bocor.
Adakah Membawa Kantung Kolostomi Berisi Najis Menjejaskan Kesahan Sembahyang?
Salah satu perkara yang menjadi syarat sah sembahyang ialah seseorang itu hendaklah suci daripada hadats sama ada hadats besar atau kecil dan suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang. Salah satu perkara yang membatalkan wudhu’ ialah keluar sesuatu dari dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur sama ada air kencing, tahi, kentut dan sebagainya.
Adapun keluar sesuatu seperti air kencing atau tahi melalui jalan atau lubang yang bukan dari jalan biasa (qubul dan dubur) disebabkan kedua-duanya atau salah satu daripadanya tertutup atau tersumbat kerana sesuatu halangan atau penyakit, adalah juga membatalkan wudhu’ jika lubang tersebut berada di bawah perut.
Bagi pesakit yang menjalani pembedahan kolostomi, kesahan wudhu’ dan ibadat sembahyang merupakan perkara yang menjadi persoalan dan keraguan, memandangkan pesakit tersebut mengalami masalah najis yang sentiasa keluar tanpa dapat dikawal. Oleh sebab itu, kantung najis tersebut perlu sentiasa dipasang dan dibawa bersama termasuk ketika mendirikan sembahyang. Pesakit seperti ini boleh dikategorikan sebagai da’im al-hadats (orang yang sentiasa dalam keadaan berhadats). Maka dalam hal ini, penetapan hukum bagi kedudukan sembahyangnya boleh disesuaikan mengikut kedudukan sembahyang orang yang menghadapi masalah istihâdhah sepertimana juga orang yang menghadapi masalah salas al-baul (kencing tidak lawas).
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: Adapun sesiapa yang mempunyai masalah terlepas (tidak dapat dikawal) jalannya (saluran qubul dan dubur) lalu sentiasa keluar air kencing, tahi dan angin (kentut) daripadanya maka hukumnya adalah (seperti) hukum perempuan yang beristihâdhah dalam setiap perkara yang telah kami sebutkan.
Menurut para ulama, orang yang mempunyai masalah sentiasa dalam keadaan berhadats seperti istihâdhah atau salas al-baul, perkara sedemikian tidak menghalangnya daripada melakukan tuntutan ibadat sembahyang. Namun bagi memastikan sembahyang yang dikerjakannya itu sah, terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian sebelum berwudhu’ dan mengerjakan sembahyang, iaitu:
1. Wajib membersihkan tempat keluar najis (qubul atau dubur) terlebih dahulu sebelum berwudhu’.
2. Setelah itu wajib menampal atau menyumbat tempat keluar najis tersebut dengan sesuatu seperti kapas untuk menahan najis tersebut daripada keluar dari tempatnya atau untuk mengurangkan najis tersebut daripada keluar dengan banyak.
3. Sekiranya penyumbat itu masih juga tidak dapat menahan najis tersebut daripada keluar, maka wajib diikat pada faraj bersama penyumbat tersebut dengan kain yang dijadikan seperti cawat atau dibungkus pada kepala zakar bersama penyumbat tersebut. Jika sumbatan tersebut memadai untuk menahan najis tersebut, maka mengikat atau membungkus kain padanya adalah tidak wajib.
Menurut Imam ar-Ramli dan asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahumallâh memadai mengikat atau membungkusnya dengan kain sahaja tanpa menyumbatnya jika dengan ikatan atau bungkusan itu boleh mengurangkan atau menahan najis daripada keluar. Namun jika dengan ikatan atau bungkusan tersebut tidak dapat menahan najis daripada keluar, maka wajib menyumbat tempat keluar najis itu dengan sesuatu sebelum mengikat atau membungkus kain padanya kecuali bagi mereka yang berpuasa. Menyumbat kapas pada tempat keluar najis ketika berpuasa tidak boleh dilakukan kerana ia membatalkan puasa.
4. Wajib membaharui atau mengulang semula ketiga-tiga langkah di atas iaitu membersihkan tempat keluar najis, menyumbat dan mengikat atau membungkusnya dengan kain setiap kali sebelum mengambil wudhu’. Kewajiban tersebut adalah apabila ikatan atau bungkusannya itu terlepas atau tersasar dari tempat kedudukannya sehingga kain atau kapas penyumbat, atau kain ikatan atau bungkusan dan sekelilingnya itu dikotori dengan najis yang tidak dimaafkan iaitu najis yang banyak sedangkan najis tersebut dapat atau mudah untuk dikurangi dan dihindari daripada keluar dengan penyumbat atau ikatan atau bungkusan tersebut.
Manakala sebaliknya, jika kain ikatan atau bungkusan masih berada di tempatnya dan dilihat bahawa najis tersebut tidak mengotori kain penyumbat dan kain ikatan atau bungkusan, atau ia dikotori dengan najis yang dimaafkan iaitu yang sedikit, maka perkara yang hanya wajib dilakukan ialah mengikat atau membungkusnya semula setiap kali sebelum berwudhu’ tanpa menukar kain sumbatan dan kain ikatan atau bungkusan tersebut sepenuhnya.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj menyebut:
Ertinya: Sesungguhnya kedudukan wajib membaharuinya (adalah) ketika tercemarnya (kain penyumbat, kain ikatan atau kain bungkusan dan kawasan sekelilingnya) dengan sesuatu (najis) yang tidak dimaafkan. Jika tidak tercemar pada asalnya atau tercemar dengan sesuatu (najis) yang dimaafkan kerana sedikitnya (najis), maka adalah wajib pada pendapat azh-zhâhir membaharui ikatannya (mengikat semula) bagi setiap (sembahyang) fardhu, tidak menukarnya secara keseluruhan.
Berdasarkan perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas dapat difahami bahawa permasalahan utama dalam kewajiban mengulangi ketiga-tiga langkah pembersihan (thahârah) tersebut adalah apabila najis yang keluar itu akan mengotori badan, pakaian dan tempat sembahyang kerana kain penyumbat, kain ikatan atau kain bungkusan dan sekelilingnya telah dikotori oleh najis.
Wudhu’ Orang yang Sentiasa Dalam Berhadats
Sejurus setelah melakukan langkah-langkah thahârah yang telah disebutkan, bagi orang yang mempunyai masalah sentiasa dalam keadaan berhadats yang hendak mengerjakan wudhu’nya hendaklah berwudhu’ dengan segera. Wudhu’ tersebut pula hendaklah dilakukan apabila telah masuk waktu sembahyang fardhu berkenaan kerana wudhu’ yang dilakukan dalam keadaan ini merupakan thahârah ketika dharurat. Oleh itu, tidak harus melakukannya sebelum masuk waktunya kerana ketiadaan dharurat pada ketika itu.
Adapun niat wudhu’ bagi orang yang mempunyai masalah sentiasa dalam keadaan berhadats ini tidak sah dilakukan dengan niat untuk mengangkat hadats. Bahkan, hendaklah diniatkan wudhu’nya itu bagi mengharuskannya mendirikan sembahyang dan yang demikian itu adalah memadai. Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh adalah sunat menyatukan niat mengangkat hadats dengan niat mengharuskan sembahyang.
Contoh lafaz niat wudhu’ bagi mengharuskan melakukan sembahyang fardhu:
Ertinya: Sahaja aku berwudhu’ bagi mengharuskan (untuk mengerjakan) kewajiban (fardhu) sembahyang kerana Allah Ta‘ala.
Perlu juga diingat bahawa setiap satu wudhu’ hanya sah untuk satu sembahyang fardhu sahaja, namun diharuskan mengerjakan sembahyang sunat seberapa banyak yang dikehendakinya selepas mengerjakan sembahyang fardhu tanpa perlu mengambil wudhu’ sekali lagi melainkan jika wudhu’ tersebut menjadi batal kerana keluar angin atau kentut atau keluar sesuatu daripada qubul atau duburnya.
Pesakit yang Memakai Kantung Kolostomi
Dalam masalah pesakit yang telah menjalani rawatan kolostomi, ketiga-tiga langkah thahârah yang disebut di atas adalah sukar untuk dilakukan kerana najis tersebut sentiasa keluar dan ia tidak dapat dihalang dengan cara menyumbat atau mengikat kain padanya. Najis tersebut hanya dibiarkan keluar dan terkumpul di dalam kantung najis (beg kolostomi) yang dilekatkan pada lubang stoma pesakit kerana permukaan stoma sangat halus dan sensitif yang memerlukan penjagaan dan pembersihan dengan cara yang lembut agar tidak merosakkan atau mencederakan stoma tersebut.
Menurut para ulama, jika dengan cara menyumbat atau mengikat atau membungkus akan menyakiti orang da’im al-hadats seperti perempuan yang beristihâdhah, maka cara demikian tidak diwajibkan. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Jika dia (perempuan beristihâdhah) merasa sakit dengan (cara) menyumbat atau mengikat dan darah berkumpul menyakitinya, (maka) tidak wajib atasnya melakukannya (menyumbat atau mengikat).
Bahkan menurut asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh adalah sunat untuk tidak menyumbat atau mengikatnya dalam keadaan demikian.
Berdasarkan penjelasan para ulama di atas dan melihat kepada masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh pesakit kolostomi, maka membersihkan tempat keluar najis setiap kali hendak berwudhu’, menyumbat dan mengikat lubang stoma adalah tidak wajib. Namun hendaklah dipastikan kantung najis tersebut dipasang dengan betul agar najis tidak keluar dari pelekat kantung tersebut dan mengotori kawasan di sekeliling stoma.
Begitu juga dengan keperluan menukar atau membersihkan kantung najis kolostomi setiap kali hendak berwudhu’, sekalipun lubang stoma tidak dapat disumbat dan diikat dengan kain namun jika pelekat kantung najis itu dipasang dengan betul, najis tidak akan keluar dan mengotori kawasan lain. Ini bermakna jika pelekat tersebut tidak terlepas atau tersasar dari tempat kedudukannya, selagi najis tidak keluar dari pelekat tersebut dan mengotori pelekat serta mengotori kawasan sekeliling stoma, maka kantung najis tersebut tidak perlu ditukar atau dibersihkan setiap kali hendak berwudhu’ kerana najis tidak akan mengotori pakaian dan tempat sembahyang.
Sembahyang Orang Yang Membawa Kantung Kolostomi
Kantung kolostomi adalah sesuatu yang perlu sentiasa dipasang pada lubang stoma bagi membolehkan najis yang keluar tidak mengotori badan, pakaian, tempat atau lain-lain.
Mengenai sembahyang pesakit kolostomi yang sentiasa membawa kantung najis ketika sembahyang, para ulama ada menjelaskan bahawa hukum membawa kantung atau bekas yang terdapat di dalamnya najis ketika bersembahyang adalah tidak harus. Namun ketidakharusan tersebut ialah apabila tidak terdapat sebarang dharurat sebagaimana disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al- Muhtâj:
Ertinya: Dan tidak harus bagi as-salis (orang yang mempunyai masalah kencing tidak lawas) menggantung qârûrah (kelalang atau bekas) supaya air kencingnya menitis di dalamya (qârûrah) kerana (dengan) keadaannya itu ia telah menjadi pembawa najis yang bukan pada tempatnya yang asal (pundi kencing) tanpa terdapat sebarang dharurat.
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula menjelaskan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj mengenai hukum sembahyang seseorang yang menanggung najis ketika dalam sembahyang bahawa adalah tidak sah sembahyang seseorang yang membawa bersamanya bekas atau kantung yang di dalamnya berisi najis seperti darah atau air kencing tanpa terdapat sebarang hajat keperluan untuk membawanya.
Dalam keadaan pesakit yang membawa kantung kolostomi, pemakaiannya adalah suatu keperluan memandangkan najis tersebut sentiasa keluar tanpa dapat dikawal dan tidak dapat ditahan dengan cara menyumbat atau mengikat tempat keluar najis (lubang stoma). Ia diperlukan bagi mengelak najis daripada mengotori badan, pakaian dan tempatnya sembahyang. Bahkan menggunakan kantung kolostomi lebih diyakini dapat menjaga kebersihannya kerana dengan pemasangan kantung kolostomi tersebut, najis yang keluar tidak mengotori kawasan lain luar dari kawasan stoma tersebut.
Oleh yang demikian, memandangkan membawa kantung kolostomi merupakan satu keperluan, maka harus membawanya ketika bersembahyang dan ia tidak menyebabkan sembahyang menjadi batal atau tidak sah. Sembahyang yang dikerjakannya ketika dia dalam keadaan menanggung najis dan berhadats itu adalah tetap sah dan dia tidak perlu mengulang sembahyang tersebut apabila dia telah sihat kembali daripada penyakitnya. Perkara tersebut dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: Ashhâbunâ (para ulama asy-Syafi‘i Radhiallâhu ‘anhu) berkata: “Apabila perempuan yang beristihâdhah melakukan thahârah (bersuci) dengan dua thahârah (suci daripada) hadats dan najis mengikut syarat-syarat (yang ditetapkan) lalu dia sembahyang, maka tiada pengulangan ke atasnya (tidak perlu mengulang sembahyangnya), dan begitu juga setiap sesiapa yang kami kaitkannya (samakan hukumnya) dengannya (perempuan beristihâdhah) daripada (mereka yang menghidap) penyakit air kencing tidak lawas dan air madzi dan sesiapa yang sentiasa (dalam keadaan) berhadats, luka yang mengalir dan yang seumpama mereka, tiada pengulangan (sembahyang) ke atas mereka.”
Maka pesakit kolostomi wajib menyegerakan sembahyang sebaik sahaja selesai mengambil wudhu’ bagi tujuan mengurangkan keluar najis. Namun jika terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan mashlahat sembahyang yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum dia mendirikan sembahyang seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqâmah, menunggu sembahyang berjemaah, berijtihâd dalam menentukan qiblat, pergi ke masjid, meletakkan sutrah (pembatas) sembahyang dan sebagainya, maka dalam hal ini melewatkan sembahyang adalah harus kerana perbuatan seumpama itu tidak dianggap sebagai perbuatan yang melalaikan sembahyang. Jika dia melewatkannya tanpa sebarang mashlahat sebagaimana di atas, maka hendaklah dia mengulang wudhu’nya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15935
