Kedudukan Wang Dividen Ahli Koperasi Yang Meninggal Dunia
Soalan: Saya selaku Setiausaha Agung sebuah koperasi memohon fatwa berhubung wang dividen ahli koperasi yang telah meninggal dunia dan wang dividen tersebut tidak dituntut oleh ahli warisnya.
Jika mengikut Peraturan 40 koperasi, wang dividen yang tidak dituntut dalam tempoh tiga bulan akan dimasukkan ke dalam akaun saham menurut pertimbangan Ahli Lembaga Pengarah.
Mohon pencerahan mengenai perkara ini bagi pihak koperasi mengambil tindakan yang tepat mengikut syariat Islam.
Jawapan: Menurut Kamus Dewan, koperasi ialah syarikat yang dianggotai dan diuruskan oleh sekumpulan orang untuk menjalankan kegiatan ekonomi (perniagaan dan sebagainya) dengan faedah dan keuntungannya dikongsi bersama.
Berdasarkan definisi koperasi ini, secara umumnya ia menyamai apa yang disebut dalam ilmu fiqh sebagai syarîkah al-‘inân. Dalam kitab al- Fiqh al-Manhaji, syarîkah al-‘inân ialah:
Ertinya: Maka ia (syarîkah al-‘inân) ialah dua orang atau lebih yang berkongsi dalam perniagaan dengan (menggunakan) harta mereka (dengan syarat) keuntungan hendaklah (dibahagikan) sesama mereka.
Menurut Kamus Dewan, dividen ialah bahagian keuntungan yang dibayar kepada pemegang saham dalam sesuatu syarikat.
Menurut syara‘, wang dividen yang merupakan hasil keuntungan daripada kumpulan saham adalah menjadi milik kepada ahli koperasi. Apabila ahli koperasi tersebut meninggal dunia, maka wang dividennya akan menjadi tarikah (harta pusaka) yang berpindah milik kepada ahli warisnya.
Mengenai cara pembahagian tarikah orang yang meninggal dunia, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn ada menjelaskan, katanya:
Ertinya: Dimulakan (pembahagian) daripada harta pusaka si mati dengan perbelanjaan penyempurnaan jenazahnya, kemudian dilunaskan hutang-piutangnya, kemudian (ditunaikan) wasiatnya satu pertiga daripada baki (selepas pengurusan mayat dan pembayaran hutang), kemudian baki (dua pertiga harta) dibahagikan di kalangan ahli waris.
Oleh yang demikian, harta yang ditinggalkan oleh si mati akan berpindah pemilikannya kepada ahli-ahli warisnya mengikut hukum farâ’idh setelah ditolak daripada perbelanjaan penyempurnaan mayatnya kemudian pembayaran hutang-piutangnya dan selepas itu diikuti dengan pelaksanaan wasiatnya jika ada.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut mengenai kedudukan ‘aqad asy-syarîkah apabila salah seorang daripada mereka yang menjalankan ‘aqad asy-syarîkah meninggal dunia, katanya:
Ertinya: Dan (‘aqad asy-syarîkah) terfasakh dengan (sebab) kematian salah seorang daripada dua orang (yang ber‘aqad asy-syarîkah).
Berdasarkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, difahami bahawa jika bilangan mereka yang menjalankan ‘aqad asy-syarîkah hanya dua orang, maka ‘aqad tersebut akan terfasakh secara keseluruhannya. Namun jika bilangan yang menyertai ‘aqad asy-syarîkah lebih daripada dua orang, maka ‘aqad yang terfasakh adalah ‘aqad pihak si mati sahaja. Ini bermakna dalam kedua-dua keadaan tersebut, kedudukan keahlian bagi ahli koperasi yang telah meninggal dunia terfasakh sejurus sahaja ahlinya meninggal dunia. Adapun ‘aqad koperasi bagi ahli lain yang masih hidup adalah masih kekal seperti biasa.
Mengikut Imam al-Mawardi sebagaimana disebut dalam kitab al-Hâwî al-Kabîr, keizinan untuk mengurus harta yang dimiliki seseorang dalam syarikat putus dengan kematiannya. Jika hal seumpama ini berlaku kepada ahli koperasi, maka apa-apa perjanjian yang telah dipersetujui antara ahli yang telah meninggal dunia dan pihak koperasi dengan sendirinya juga terfasakh dan pihak koperasi tidak lagi memiliki sebarang hak untuk menggunakan harta ahli yang meninggal dunia mengikut kehendaknya.
Pembahagian harta pusaka kepada ahli waris ada diterangkan dalam al- Qur’an al-Karim. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu dalam hal (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu. Bahagian untuk seorang anak laki-laki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan sahaja lebih daripada dua orang maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika seorang anak perempuan sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) daripada harta itu. Dan bagi ibu bapa si mati bahagian tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seperenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati jika si mati mempunyai anak (sama ada laki-laki atau perempuan). Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak (sama ada laki-laki atau perempuan), sedang yang mewarisinya hanya ibu dan bapanya sahaja maka bahagian untuk ibunya ialah sepertiga (dan bakinya adalah untuk bapanya). Maka jika si mati mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik laki-laki atau perempuan) maka bahagian ibunya ialah seperenam (dan bapa pula ialah ‘ashabah). (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu itu tidaklah kamu ketahui siapakah antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya kepada kamu. Itulah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisâ’:11)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada memerintahkan supaya pembahagian harta pusaka itu berpandukan kepada al-Qu’ran sebagaimana hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di kalangan ahli farâ’idh (waris) berdasarkan Kitab Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, jika ketika pembahagian harta pusaka itu terdapat ahli waris yang hilang dan tidak diketahui perkhabarannya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dalam perkara ini, asy- Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ada menjelaskan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, katanya:
Ertinya: Dan jika orang yang diwarisi oleh orang yang hilang itu meninggal dunia sebelum ada bukti atau ketetapan (daripada qadhi) tentang kematiannya (orang hilang), (maka) hendaklah kita tahan semua harta pusaka jika (orang yang meninggal dunia itu) tidak ada baginya ahli waris selain orang yang hilang itu, dan sebaliknya (jika ada ahli waris yang lain) kita tahan bahagiannya (orang yang hilang) sahaja sehinggalah jelas bahawasanya dia (orang yang hilang itu) ketika kematian (orang yang diwarisinya) masih hidup atau telah meninggal dunia.
Daripada perkataan asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh di atas, dapat difahami bahawa pembahagian harta pusaka bagi ahli waris yang hilang hendaklah ditahan sehingga ada kepastian tentang kedudukan ahli waris tersebut sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Apabila ahli waris yang hilang itu masih hidup, maka bahagian yang tertahan itu akan menjadi miliknya. Namun jika ahli waris tersebut diyakini telah meninggal dunia setelah berlaku kematian orang yang diwarisi hartanya, maka bahagian yang tertahan itu akan diberikan kepada ahli waris orang yang hilang. Manakala jika orang yang hilang itu telah meninggal dunia sebelum berlaku kematian orang yang diwarisi hartanya, maka bahagian yang tertahan itu akan dikembalikan semula kepada ahli waris si mati yang ada ketika itu.
Mengenai dengan harta pusaka yang tidak diketahui keberadaan orang yang mewarisinya dan tidak ada lagi jalan untuk mengetahuinya, maka harta pusaka tersebut menjadi sebahagian daripada harta Baitul-Mal sebagaimana disebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:
Ertinya: Dan jika dia berputus harap dari mengetahui (mencari) pemiliknya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, (maka harta itu) menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul-Mal seperti wadî‘ah dan rampasan yang tiada lagi harapan untuk mengetahui pemilik kedua-duanya dan (seperti) harta pusaka yang tidak diketahui ahli warisnya.
Berdasarkan keterangan di atas dan merujuk persoalan yang diajukan, adalah jelas bahawa wang dividen ahli koperasi yang telah meninggal dunia termasuk saham yang dimilikinya adalah menjadi harta pusaka kepada ahli warisnya. Dalam perkara ini, pihak pengurusan koperasi hendaklah membekukan saham dan wang dividen yang dimiliki oleh ahli koperasi yang meninggal dunia kerana ‘aqad penyertaannya dikira terfasakh dengan kematiannya. Wang dividen dan saham tersebut wajib diserahkan kepada ahli warisnya. Pihak pengurusan koperasi tidak boleh melaksanakan kehendak Peraturan 40 iaitu memasukkan wang dividen berkenaan ke dalam akaun saham koperasi kecuali pihak pengurusan mendapat izin daripada semua ahli waris yang berhak.
Sekiranya pihak pengurusan koperasi tidak mampu untuk mengenal pasti keberadaan ahli warisnya setelah pelbagai cara diusahakan dan ketika itu pihak koperasi tidak lagi berhajat untuk mencari ahli warisnya, maka wang dividen dan saham tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal. Pihak pengurusan tidak boleh melaksanakan kehendak Peraturan 40 iaitu memasukkan wang dividen berkenaan ke dalam akaun saham koperasi kerana wang dividen dan saham tersebut sudah menjadi sebahagian daripada harta Baitul-Mal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15939
