Kemudahan Urinals Bagi Tandas-Tandas Awam Lelaki
Soalan: Saya selaku wakil bagi pengerusi mesyuarat ditugaskan untuk mendapatkan pencerahan dan ketetapan mengenai dengan kemudahan urinals di tandas-tandas awam hospital/pusat kesihatan/fasiliti kesihatan. Penjelasan mengenainya akan membolehkan pihak Kementerian Kesihatan untuk membuat keputusan sama ada kesemua urinals di fasiliti-fasiliti kesihatan untuk dikekalkan atau sebaliknya.
Jawapan: Membuang air kecil atau kencing adalah salah satu proses ekskresi tubuh yang dilakukan oleh sistem perkemihan manusia. Adab-adab membuang air kecil itu telahpun dijelaskan dalam hukum syara‘. Antaranya ada disebut dalam hadits daripada Salman al-Farisi Radhiallâhu ‘anhu yang berkata:
Maksudnya: Demi sesungguhnya Baginda telah melarang kami menghadap qiblat ketika buang air besar atau kencing, (melarang) kami beristinjâ’ dengan tangan kanan, (melarang) kami beristinjâ’ dengan kurang dari 3 biji batu atau (melarang) kami beristinjâ’ dengan tahi binatang atau tulang. (Hadits riwayat Muslim) Hadits di atas jelas menyatakan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengajarkan kepada umatnya cara atau adab ketika membuang air kecil atau air besar. Selain adab yang disebut dalam hadits di atas, terdapat lagi adab-adab membuang air kecil dan besar yang telah dijelaskan oleh para ulama.
Membuang Air Kecil Dalam Keadaan Duduk
Salah satu adab membuang air kecil ialah melakukannya dalam keadaan duduk dan tidak dalam keadaan berdiri. Menurut para ulama, membuang air kecil dalam keadaan duduk adalah sunat.
Manakala membuang air kecil dalam keadaan berdiri hukumnya adalah makruh berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, dia berkata:
Maksudnya: Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membuang air kecil dalam keadaan berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Baginda tidak pernah membuang air kecil melainkan dalam keadaan duduk. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh adalah makruh hukumnya membuang air kecil secara berdiri tanpa sebarang keuzuran kerana orang yang kencing berdiri tidak selamat daripada terkena percikan air kencing.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika menjelaskan perkara ini dalam kitabnya al-Majmû‘, beliau mengatakan bahawa membuang air kecil dalam keadaan berdiri tanpa ada keuzuran adalah makruh tanzîh namun jika terdapat keuzuran, maka hukumnya tidak makruh. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga dalam kitabnya al-Manhaj al-Qawîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh. Akan tetapi jika ada keuzuran hukumnya tidak makruh seperti untuk tujuan rawatan atau ketiadaan tempat duduk yang sesuai untuk membuang air kecil.
Membuang air kecil dalam keadaan berdiri disebabkan keuzuran itu tidak dikatakan makruh kerana terdapat hadits yang menyebut bahawa Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah melakukannya, antaranya hadits daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila tiba suatu tempat pembuangan sampah suatu kaum, Baginda membuang air kecil dalam keadaan berdiri, maka aku beredar (menjauhkan diri). Baginda bersabda: “Mendekatlah (kepadaku)”, maka aku mendekat sehingga berdiri dekat tumit Baginda (hampir dengan Baginda). Kemudian Baginda berwudhu’ dan menyapu kedua-dua khuf Baginda. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam al-Khaththabi dan Imam al-Baihaqi Rahimahumallâh, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membuang air kecil dalam keadaan berdiri dalam hadits di atas adalah kerana mempunyai sebab. Di antara perkara-perkara yang mungkin menyebabkan Baginda membuang air kecil dalam keadaan berdiri menurut para ulama adalah seperti berikut:
1. Kemungkinan pada ketika itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengalami sakit tulang belakang kerana orang Arab yang menghidap sakit tulang belakang kebiasaannya berubat dengan cara membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
2. Kemungkinan pada ketika itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengalami sakit lutut yang menyebabkan Baginda membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
3. Kemungkinan pada ketika itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak menjumpai tempat yang sesuai untuk Baginda membuang air kecil dalam keadaan duduk.
Membuang Air Kecil Secara Tertutup
Salah satu perkara yang diajarkan oleh syara‘ ialah membuang air kecil dalam keadaan tertutup atau terlindung daripada pandangan orang lain.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah membuang air kecil dalam keadaan duduk dengan memegang perisai untuk menghalang daripada pandangan orang sebagaimana hadits daripada ‘Abdurrahman bin Hasanah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah datang kepada kami dan di tangan Baginda ada (sesuatu) yang berbentuk perisai, lalu Baginda meletakkannya (sebagai penghalang antaranya dengan orang lain), kemudian Baginda duduk di belakangnya lalu membuang air kecil menghadapnya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyatakan bahawa sunat ketika membuang air untuk berselindung daripada pandangan orang lain dengan penghadang yang ketinggiannya kira-kira dua pertiga hasta dan lebih dengan jarak di antaranya dengan penghadang itu tiga hasta atau kurang. Sekiranya membuang air kecil secara berdiri, hendaklah ketinggian dan lebar penghadang itu dapat menutup auratnya.
Adab ini disepakati hukum sunatnya sebagaimana disebut dalam kitab al-Majmû‘. Namun, menurut asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh, hukum sunat meletak penghadang untuk menutup auratnya dari pandangan orang lain itu bertukar menjadi wajib apabila ada orang yang tidak menjaga pandangannya daripada melihat aurat orang lain.
Menjaga Daripada Terkena Percikan Air Kencing
Antara perkara yang perlu dititikberatkan apabila seseorang membuang air kecil ialah berhati-hati supaya tidak terkena percikan air kencing pada badan atau pakaian. Hal ini kerana kebanyakan seksa kubur juga berpunca daripada sikap tidak berhati-hati terhadap air kencing sebagaimana disebut dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kebanyakan seksa kubur itu (disebabkan tidak menjaga diri) daripada air kencing. (Hadits riwayat Ibn Majah)
Bahkan dalam satu hadits telah menyebut bahawa orang yang tidak berhati-hati atau tidak menjaga dirinya dari terkena percikan air kencing ketika membuang air kecil itu mendapat seksa di kubur sebagaimana hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah lalu pada dua kubur lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diazab dan tidaklah kedua-dua mereka itu diazab kerana perkara besar (sukar dihindari). Adapun salah seorang daripada kedua-duanya (diazab) kerana dia berjalan (ke sana ke mari) dengan adu domba sedang yang seorang lagi (diazab) kerana dia tidak melindungi (dirinya) dari air kencingnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Bukhari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri menjelaskan bahawa ungkapan َََتَُّل تحيَسحّمّنلّهحبـَو (tidak melindungi dirinya daripada air kencingnya) bermaksud tidak membuat suatu pelindung di antara dirinya dan air kencingnya, dalam makna lain tidak memelihara dirinya dari terkena percikan air kencingnya.
Sekiranya seseorang itu telah berhati-hati dan berusaha sedaya upayanya mengambil tindakan yang wajar supaya tidak terkena percikan air kencing, tetapi percikan air kencing tersebut masih juga terkena pada pakaian atau badan, maka dalam perkara ini para ulama mazhab asy- Syafi‘i mempunyai pelbagai pendapat yang berbeza. Namun pendapat ash-shahîh dan al-mukhtâr daripada pendapat-pendapat tersebut ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian sebagaimana yang ditegaskan oleh al- Mahamili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muqni‘. Imam al-Ghazali Rahimahullâh mengatakan bahawa pendapat ini adalah shahîh kerana kesukaran menghindarinya dan menurut beliau menghindari terkena najis dalam keadaan sedemikian mendatangkan kepayahan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan dalam urusan agama. (Surah al-Hajj:78)
Oleh itu dalam situasi ini, percikan air kencing yang sedikit dan sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil setelah dia berusaha dan berhati-hati untuk menghindari dari terkena percikan air kencing itu tidak menajiskan pakaian atau badan.
Kemudahan Urinals
Berdasarkan apa yang kita fahami kemudahan urinals adalah tempat membuang air kecil yang biasanya diletakkan melekat ke dinding bilik tandas secara berderet. Kemudahan ini biasa didapati dalam tandas lelaki bagi kegunaan untuk membuang air kecil secara berdiri. Kemudahan urinals yang terdapat di tandas-tandas awam seumpama ini tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang adab-adab membuang air kecil. Kebanyakan kemudahan urinals yang dipasang berdekatan antara satu dengan yang lain, tanpa penghadang yang sempurna untuk mengelak pendedahan aurat.
Tidak dinafikan bahawa kemudahan urinals ini adalah sesuatu yang diperlukan terutama di pusat-pusat kesihatan kerana terdapat para pengguna yang memerlukannya disebabkan sakit dan seumpamanya. Maka untuk menepati tuntutan syara‘ dalam adab-adab membuang air kecil, khususnya dari segi mengelak pendedahan aurat dan dari terkena percikan air kencing, maka pihak-pihak yang berkenaan disarankan untuk mengambil kira perkara-perkara berikut:
1. Hendaklah dibuat dinding yang sesuai untuk menutup pandangan orang lain ketika membuang air kecil. Dengan demikian akan dapat memelihara aurat pengguna.
2. Hendaklah disediakan kemudahan urinals yang boleh menghindarkan percikan air kencing terkena kepada pakaian atau badan pengguna ketika menggunakannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15943
