Mati Syahîd
Soalan: Bagaimanakah seseorang itu boleh dikategorikan sebagai syahîd dunia dan akhirat? Adakah dikira mati syahîd dalam keadaan-keadaan berikut:
1. Anggota tentera yang terkorban ketika berperang secara langsung seperti frontliners (anggota tentera yang bertempur di barisan hadapan) atau combatant (anggota tentera yang berperanan dan terlibat di dalam pertempuran)?
2. Anggota tentera yang terkorban secara tidak langsung seperti mereka yang berperanan sebagai pemberi khidmat bantuan atau non-combatant (anggota tentera yang tidak berperanan dan tidak terlibat di dalam pertempuran) seperti pemandu kenderaan, medic, tentera wanita dan sebagainya?
3. Orang awam yang terkorban secara langsung seperti mangsa letupan dan sebagainya?
4. Anggota tentera atau orang awam yang terkorban di luar medan peperangan iaitu di mana peperangan itu tidak berlaku?
5. Anggota tentera yang terkorban semasa bertugas seperti pengawal ataupun peronda sebelum peperangan diisytiharkan seperti diserang hendap dan sebagainya?
6. Anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas ataupun latihan seperti mangsa helikopter terhempas atau terkena sambaran petir?
Jawapan: Orang yang mati kerana terbunuh dalam peperangan pada jalan Allah diistilahkan sebagai asy-syahîd (orang mati syahîd). Orang mati syahîd itu mempunyai darjat atau pangkat yang tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kedudukan orang mati syahîd yang tinggi itu ada disebut dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (mati syahîd) di jalan Allah itu mati, bahkan sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan dikurniakan rezeki. Mereka berkeadaan gembira dengan kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mereka. Dan mereka bergembira dengan berita baik tentang orang-orang yang masih hidup dan tetap berjihâd di jalan Allah yang belum menyusul mereka bahawa tidaklah ada ketakutan ke atas mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan ganjaran ni‘mat dan limpah kurnia daripada Allah. Dan sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Âli Imran: 169-171)
Kelebihan orang mati syahîd itu juga ada disebut dalam hadits daripada Miqdam bin Ma‘di Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bagi orang mati syahîd di sisi Allah terdapat enam keistimewaan: Diampunkan baginya dosa pada titisan awal (darahnya) mengalir, dia diperlihatkan tempat duduknya daripada syurga, dia diselamatkan daripada azab kubur, dia (dalam keadaan) aman daripada huru-hara besar (yang terjadi pada Hari Kiamat), dia diletakkan (dipakaikan) di atas kepalanya mahkota kemuliaan yang batu permata (yâqût) daripadanya lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya, dia dikahwinkan dengan tujuh puluh dua orang bidadari, dan dia diberikan (kelebihan) memberi syafaat kepada tujuh puluh orang daripada ahli kerabatnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Kategori Mati Syahîd
Orang mati syahîd boleh dikategorikan kepada syahîd dunia dan akhirat, syahîd dunia sahaja dan syahîd akhirat sahaja.
1. Syahîd dunia dan akhirat.
Syahîd dunia dan akhirat ialah sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, katanya:
Ertinya: Dan dia (asy-syahîd) ialah orang yang mati dalam peperangan menentang orang-orang kafir dengan sebabnya (dia mati kerana peperangan itu).
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj ketika menghuraikan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas berkata:
Ertinya: Dan dia iaitu kriteria orang mati syahîd yang haram memandikan dan menyembahyangkan ke atasnya ialah setiap orang yang mati sekalipun perempuan, hamba, kanak-kanak atau orang gila dalam peperangan menentang orang-orang kafir atau seorang kafir, sama ada kafir harbi, orang-orang murtad atau ahli dzimmah, yang mereka itu bertujuan melakukan serangan ke atas kita (orang-orang Islam) atau seumpamanya.
Beliau berkata lagi pada menghuraikan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas:
Ertinya: (Dia mati) dengan sebabnya iaitu sebab peperangan sama ada dia dibunuh oleh orang kafir atau dia terkena senjata orang Islam kerana tersilap atau terkena senjatanya sendiri atau dia terjatuh ke dalam perigi atau gaung atau dia ditendang oleh binatang tunggangannya lalu dia mati atau dia dibunuh oleh pemberontak Islam yang bersekongkol dengan kafir harbi sebagaimana ia termasuk juga (dalam makna) peperangan menentang orang-orang kafir, atau dia dibunuh oleh sekumpulan kafir harbi ketika mereka (kafir harbi) telah tewas sepenuhnya lalu dia menjejaki mereka maka mereka menyerangnya lalu membunuhnya, meskipun (perkara ini) tidak terkandung dalam ungkapan pengarang, atau dia mengikuti mereka dengan tujuan untuk pembasmian mereka, maka dia adalah seperti mati dibunuh dalam peperangan, atau dia dibunuh oleh orang-orang kafir sebagai tawanan atau dia dijumpai mati dalam peperangan dan tidak diketahui sebab kematiannya sekalipun tidak ada padanya kesan darah kerana pada zahirnya kematiannya itu adalah disebabkan peperangan.
Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh dalam kitabnya al-‘Azîz bi Syarh al- Wajîz juga ada menjelaskan mengenai maksud syahîd dunia dan akhirat, katanya:
Ertinya: Dan orang mati syahîd itu ialah orang yang mati dengan sebab peperangan menentang orang-orang kafir ketika berlaku peperangan, dan ia merangkumi tiga makna: Mati dengan sebab peperangan, dan peperangan itu ialah peperangan menentang orang-orang kafir, dan kematian itu ketika berlaku peperangan.
Mereka itu digelar syahîd dunia iaitu syahîd pada hukum dunia bermaksud mereka tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan. Manakala mereka digelar syahîd akhirat iaitu syahîd pada hukum akhirat bermaksud bagi mereka pahala yang istimewa. Pada sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mereka adalah hidup dan dikurniakan rezeki.
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în berkata:
Ertinya: Dan diistilahkan perkataan syahîd itu ke atas orang yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah paling tinggi, maka dia adalah syahîd dunia dan akhirat.
2. Syahîd dunia sahaja.
Adapun syahîd dunia sahaja ialah orang yang mati dalam peperangan menentang orang-orang kafir dengan niat untuk mendapat harta rampasan atau dia mati dibunuh dalam keadaan dia melarikan diri dari medan peperangan atau dia berperang kerana riya’ dan seumpamanya.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj berkata mengenai syahîd dunia ini:
Ertinya: Dan adapun orang mati syahîd dunia sahaja, maka dia tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan. Dia ialah orang yang mati dibunuh dalam peperangan menentang orang-orang kafir dengan sebabnya (peperangan) dan (tujuannya berperang) semata-mata untuk memperolehi harta rampasan atau dia dibunuh dalam keadaan dia melarikan diri (dari medan peperangan) atau dia berperang kerana riya’ atau seumpamanya.
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh pula dalam kitabnya Fath al-Mu‘în berkata:
Ertinya: Dan (syahîd juga diistilahkan) ke atas orang yang berperang untuk mempertahankan kaumnya maka dia adalah syahîd dunia.
3. Syahîd akhirat sahaja.
Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, syahîd akhirat sahaja ialah orang yang mati bukan kerana peperangan antaranya ialah orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati lemas, orang yang mati kerana penyakit perut, orang yang mati kerana penyakit ta‘un, orang mati kerana menuntut ilmu, orang yang mati kerana melahirkan anak dan seumpamanya.
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în berkata:
Ertinya: Dan orang yang dibunuh secara zalim, mati lemas, mati terbakar, mati kerana penyakit perut iaitu orang yang matinya (disebabkan) perutnya seperti sakit busung air atau cirit-birit, maka mereka adalah orang-orang syahîd di akhirat sahaja.
Pengurusan Jenazah Orang Mati Syahîd
1. Syahîd dunia dan akhirat.
Orang mati syahîd dunia dan akhirat adalah tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan kerana diharamkan berbuat demikian terhadap mereka. Perkara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengumpulkan dua orang lelaki (yang terbunuh) dalam peperangan Uhud di dalam satu kain (kafan), kemudian Baginda bersabda: “Siapa antara mereka yang lebih banyak menghafaz al- Qur’an?” Apabila ditunjukkan kepada Baginda salah seorang antara kedua-duanya, maka Baginda mendahulukannya (dimasukkan) ke dalam liang lahad, lalu Baginda bersabda: “Saya menjadi saksi ke atas mereka pada Hari Kiamat”. Baginda pun menyuruh mengebumikan mereka dengan darah-darah mereka tanpa dimandikan dan tanpa disembahyangkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hikmah orang mati syahîd tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan ialah untuk mengekalkan kesan mati syahîd pada diri mereka dan untuk memuliakan mereka yang tidak berhajat kepada do‘a orang ramai.
2. Syahîd dunia sahaja.
Orang mati syahîd dunia sahaja juga disempurnakan seperti orang mati syahîd dunia dan akhirat iaitu tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan kerana pada zahirnya mereka adalah orang yang menyertai peperangan menentang orang-orang kafir.
Dalam perkara mengkafankan jenazahnya pula, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menjelaskan bahawa orang mati syahîd itu sunat dikafankan dengan pakaian yang dipakainya ketika dia mati dan pakaian yang berlumuran darah adalah lebih utama kerana ittibâ‘ iaitu mengikut sunnah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
3. Syahîd akhirat sahaja.
Adapun orang mati syahîd akhirat sahaja, mereka itu wajib dimandikan dan disembahyangkan jenazah mereka. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ berkata:
Ertinya: Orang-orang mati syahîd (akhirat) yang bukan mati dengan sebab peperangan menentang orang kafir seperti orang (mati kerana) penyakit perut, orang (mati kerana) penyakit ta‘un, orang mati lemas, keruntuhan bangunan, al-gharîb (mati dalam keadaan dagang), perempuan mati ketika melahirkan anak dan sesiapa yang dibunuh oleh orang Islam atau orang kafir dzimmi atau dibunuh oleh orang jahat bukan semasa peperangan dan orang yang seumpama mereka, maka mereka dimandikan dan disembahyangkan tanpa ada khilâf.
Dalam hal ini juga, Imam al-Ghazali Rahimahullâh ada menjelaskan dalam kitabnya al-Wasîth Fî al-Madzhab, katanya:
Ertinya: Adapun orang yang dibunuh secara zalim daripada (perbuatan) orang Islam atau orang kafir dzimmi atau (mati) disebabkan penyakit perut atau al-gharîb (mati dalam keadaan dagang), apabila mati maka mereka disembahyangkan sekalipun ada lafaz syahîd (dinisbahkan) kepada mereka.
Berdasarkan penjelasan ulama mengenai orang mati syahîd dan pengkategoriannya kepada tiga iaitu syahîd dunia dan akhirat, syahîd dunia sahaja dan syahîd akhirat sahaja, maka perkara syahîd yang dibangkitkan dalam soalan di atas adalah seperti berikut.
Tiga golongan daripadanya boleh termasuk dalam kategori syahîd dunia dan akhirat, jika kematian mereka adalah disebabkan oleh peperangan menentang orang-orang kafir kerana menegakkan kalimah Allah dan kematian mereka itu ketika peperangan masih berlaku. Mereka ialah:
(i) Anggota tentera yang terkorban ketika berperang secara langsung seperti frontliners (anggota tentera yang bertempur di barisan hadapan) atau combatant (anggota tentera yang berperanan dan terlibat di dalam pertempuran).
(ii) Anggota tentera yang terkorban secara tidak langsung seperti mereka yang berperanan sebagai pemberi khidmat bantuan atau non-combatant (anggota tentera yang tidak berperanan dan tidak terlibat di dalam pertempuran) seperti pemandu kenderaan, medic, tentera wanita dan sebagainya.
(iii) Orang awam yang terkorban secara langsung seperti mangsa letupan dan sebagainya.
Dalam pengurusan jenazah, mereka tidak perlu dimandikan dan tidak disembahyangkan.
Manakala selain tiga golongan di atas adalah tidak termasuk syahîd dunia dan akhirat kerana kematian mereka bukan disebabkan peperangan iaitu menentang orang-orang kafir untuk menegakkan kalimah Allah dan kematian mereka itu bukan ketika peperangan berlaku. Mereka ialah:
(i) Anggota tentera atau orang awam yang terkorban di luar medan peperangan iaitu di mana peperangan itu tidak berlaku.
(ii) Anggota tentera yang terkorban semasa bertugas seperti pengawal ataupun peronda sebelum peperangan diisytiharkan seperti diserang hendap dan sebagainya.
(iii) Anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas ataupun latihan seperti mangsa helikopter terhempas atau terkena sambaran petir.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15947
