Memakan Organ Binatang Dan Organ Ikan
Soalan: Adakah organ binatang yang disembelih seperti buah pinggang, biji testis dan selainnya itu halal dimakan? Bagaimana pula dengan ikan, adakah keseluruhan bahagian ikan itu boleh dimakan seperti makanan Jepun ‘shirako’ daripada bahagian sperm sac ikan?
Jawapan: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan kita supaya memakan makanan yang halal lagi baik sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Wahai manusia! Makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah:168)
Imam Ibn Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm ketika mentafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharuskan manusia makan dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik iaitu sesuatu yang baik pada zatnya dan tidak membahayakan tubuh badan dan akal.
Antara makanan yang halal dimakan ialah makanan dari jenis binatang. Para ulama fiqh dalam kitab-kitab mereka telah menjelaskan dan memperincikan jenis-jenis binatang yang halal dimakan dan jenis-jenis binatang yang haram dimakan oleh umat Islam berdasarkan ayat-ayat al- Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antara jenis-jenis binatang yang halal dimakan ialah seperti kambing, lembu, unta, ayam, itik dan sebagainya. Manakala antara jenis-jenis binatang yang haram dimakan ialah seperti babi, harimau, monyet dan sebagainya.
Binatang-binatang yang boleh dimakan hanya akan menjadi halal untuk dimakan setelah binatang berkenaan menjalani proses penyembelihan yang menepati kehendak hukum syara‘. Perkara ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih), darah (yang mengalir), daging babi, (binatang) yang disembelih bukan atas nama Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh dari tempat yang tinggi, yang ditanduk, yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan (diharamkan juga) yang disembelih atas nama berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, kerana itu adalah perbuatan fâsiq. (Surah al-Mâ’idah: 3)
Memakan Organ Binatang dan Organ Ikan
Pada dasarnya, keseluruhan bahagian binatang yang disembelih menurut hukum syara‘ adalah halal dimakan kecuali yang dikategorikan sebagai najis seperti darah binatang sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Katankanlah (wahai Nabi Muhammad): “Aku tidak mendapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia kotor.” (Surah al-An‘âm: 145)
Adapun organ binatang sama ada organ dalaman atau luaran seperti buah pinggang, perut, lidah, telinga, biji testis, mata dan sebagainya hukumnya adalah sama seperti dagingnya iaitu halal dimakan. Walau bagaimanapun, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab ada membawakan hadits yang menyatakan bahagian-bahagian daripada kambing yang tidak disukai oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits daripada Mujahid Radhiallâhu ‘anhu yang berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai tujuh (bahagian) daripada kambing iaitu darah, pundi hempedu, zakar, dua biji testis, alat kelamin kambing betina, kelenjar dan kantung kencing. (Mujahid Radhiallâhu ‘anhu) berkata (lagi): “(Bahagian)
kambing yang paling disukai (Baginda) ialah bahagian hadapannya (pangkal lengan dan bahu kambing).” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata lagi:
Ertinya: Al-Khaththabi berkata: “Darah adalah haram dengan ijmâ‘ (kesepakatan para ulama) dan kesemua yang disebutkan bersamanya (darah dalam hadits tersebut) adalah makruh bukan diharamkan.”
Mengenai dengan ikan pula, kesemua bahagiannya termasuk organnya adalah halal dimakan kecuali yang dikategorikan sebagai najis seperti darah. Perkara ini berdasarkan keumuman hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ia (laut) suci airnya, halal bangkainya. (Hadits riwayat Ahmad)
Darah ikan hukumnya adalah tidak halal dimakan kerana ia najis menurut pendapat al-ashah. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab berkata:
Ertinya: Adapun dua wajh (pendapat) mengenai darah ikan adalah dua pendapat yang masyhur dan telah dinaqal oleh al-Ashhâb kedua-kedua pendapat tersebut dalam (permasalahan) darah belalang. (Imam) ar- Rafi‘i juga menaqal dua pendapat tersebut dalam (permasalahan) darah yang mengalir dari hati dan limpa. Menurut pendapat al-ashah, kesemuanya adalah najis dan antara ulama yang berpendapat mengenai kenajisan darah ikan ialah (Imam) Malik, (Imam) Ahmad dan (Imam) Daud (azh-Zhahiriy).
Termasuk dalam kategori najis ialah kotoran dan najis yang terkandung di dalam perut ikan. Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan adalah merupakan najis, maka dalam perkara ini, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis.
Adapun mengenai kedudukan kantung sperma ikan (sperm sac) hukumnya juga adalah halal berdasarkan keumuman hadits di atas. Walau bagaimanapun air mani atau sperma itu tidak halal dimakan sekalipun air mani binatang yang halal dimakan itu dihukumkan suci kerana ia menjijikkan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab berkata:
Ertinya: Adakah halal memakan air mani (binatang) yang suci, padanya dua wajh (pendapat), pendapat ash-shahîh lagi al-masyhûr bahawasanya ia (air mani) tidak halal kerana ia sesuatu yang menjijikkan.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, keseluruhan bahagian binatang termasuk organ dalaman dan luaran binatang halal yang disembelih adalah harus dan halal dimakan kecuali apa yang dikategorikan sebagai najis seperti darah dan apa yang menjijikkan seperti air mani. Tetapi ada sebahagiannya yang dihukumkan memakannya makruh seperti pundi hempedu, biji testis, alat kelamin binatang, kelenjar dan kantung kencing. Manakala ikan pula, keseluruhan bahagian dan organnya adalah juga halal dimakan kecuali apa yang dikategorikan sebagai najis seperti darah dan apa yang menjijikkan seperti air mani.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15955
