Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Membayangkan Wajah Syaikh Atau Guru Ketika Berzikir

Soalan: Adakah boleh berzikir sambil membayangkan wajah syaikh untuk menambahkan fokus dalam zikir atau do‘a? Ataupun menghadirkan sebelum mula berzikir?

Jawapan: Perkataan zikir dari segi istilah bermaksud mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama ada dengan semata-mata mengkhabarkan (pernyataan) tentang zatNya, sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya, hukum-hakam yang disyariatkanNya atau dengan membaca KitabNya (al-Qur’an), atau memohon dan berdo‘a kepadaNya, atau melafazkan sanjungan kepadaNya dengan mensucikanNya, mentauhîdkanNya, memujiNya, mensyukuriNya dan mengagungkanNya.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri menyatakan bahawa lafaz dzikrullâh juga digunakan dengan maksud mengerjakan secara berterusan amalan-amalan yang diwajibkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ataupun yang disunatkanNya, seperti membaca al-Qur’an, membaca hadits, mempelajari ilmu dan mengerjakan sembahyang sunat.

Maka zikir dalam maksud di atas, merangkumi semua perbuatan yang dilakukan dengan tujuan mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Istilah zikir digunakan juga untuk makna yang lebih khusus iaitu melafazkan sanjungan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mensucikanNya, mentauhîdkanNya, memujiNya, mensyukuriNya dan mengagungkanNya. Menurut kebanyakan fuqahâ’, zikir menurut pengertian yang lebih khusus ini hanya tertumpu kepada lafaz-lafaz zikir yang tertentu dan tidak merangkumi perbuatan membaca al-Qur’an, berdo‘a dan sebagainya.

Menurut Imam Ibn ‘Allan Rahimahullâh istilah yang khusus ini adalah maksud zikir yang hakiki. Manakala zikir dalam erti kata yang lain daripada maksud tersebut seperti membaca al-Qur’an dan berdo‘a, hanyalah zikir dari segi majâzi (kiasan) sahaja. Menurut beliau, asal perkataan zikir itu ialah apa yang dilafazkan yang mempunyai nilai ibadat di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada lafaz-lafaz yang mengagungkanNya dan menyanjungiNya.

Menurut para ulama tashawwuf pula, perkataan zikir mempunyai pelbagai maksud yang lebih terperinci dan mendalam kerana amalan berzikir adalah amalan yang sangat penting dalam thariqat tashawwuf dan menjadi antara amalan utama bagi para pengikutnya.

Abu Bakr Muhammad al-Kalabadzi Rahimahullâh menyatakan bahawa hakikat zikir ialah engkau melupakan segalanya selain apa yang disebut dalam zikir sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Kahf, ayat 24:

Tafsirnya: Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa. (Surah al-Kahf: 24)

Dalam makna lain zikir menurut beliau ialah melupakan selain daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan hanya mengingatNya.

Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi Rahimahullâh dalam kitabnya ar-Risâlah al-Qusyairiyyah telah menyebut perkataan al-Ustaz Abu ‘Ali ad-Daqqaq Rahimahullâh dan beliau menyatakan:

Ertinya: Zikir adalah rukun yang kuat (penting) pada jalan menuju Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bahkan ia adalah landasan pada jalan ini. Tidak seseorang pun sampai (menuju) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melainkan dengan sentiasa berzikir.

Menurut Imam al-Qusyairi Rahimahullâh zikir itu ada dua jenis iaitu zikir lisan dan zikir hati. Zikir lisan boleh menyampaikan seorang hamba kepada sentiasa berzikir dengan hati dan zikir lisan itu memberi kesan kepada zikir hati. Maka apabila seorang hamba berzikir secara lisan dan hatinya, maka dia mencapai kesempurnaan dalam jalannya menuju kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya al-Munqidz min adh-Dhalâl, ketika menjelaskan tentang Tharîqah ash-Shûfiyyah (jalan para sufi) telah menyatakan tentang kepentingan kedudukan zikir dalam thariqat. Menurut beliau, jalan para sufi ini hanya dapat diikuti dengan ilmu dan amal, menyingkirkan keinginan-keinginan hawa nafsu, membersihkan diri daripada akhlak-akhlak yang tercela dan sifat-sifat keji, sehingga dia mengosongkan hatinya daripada segalanya melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menghiasinya dengan zikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Berdasarkan penerangan para ulama di atas dapat difahami bahawa zikir mempunyai peranan yang penting sebagai salah satu amalan dalam thariqat untuk mencapai maqâm iaitu tahap atau tingkat yang dilalui seorang hamba untuk sampai kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau mencapai hâl iaitu keadaan rohani atau hati yang tertinggi dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, bagi mencapai tujuan tersebut, para ulama tashawwuf telah menyusun asas, syarat-syarat dan proses-proses yang perlu diikuti dan dilalui oleh setiap ahli thariqat untuk mencapai tujuan tersebut yang merangkumi adab-adab berzikir dan syarat-syarat bagi melayakkan seseorang menjadi syaikh atau mursyid thariqat.

Syarat Menjadi Syaikh Atau Mursyid Thariqat

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ayyuha al-Walad, seorang murid thariqat hendaklah mempunyai seorang syaikh mursyid atau murabbi yang dapat menghilangkan daripadanya akhlak yang tercela dengan didikannya, lalu menggantikan tempatnya dengan akhlak yang terpuji dan dapat menunjukkannya ke jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Dalam kitab berkenaan Imam al-Ghazali Rahimahullâh juga menyebut syarat-syarat seorang syaikh mursyid atau murabbi. Antaranya ialah seorang syaikh itu hendaklah dia seorang yang luas ilmunya namun bukan semua orang yang berilmu itu layak dijadikan syaikh. Hendaklah juga tidak ada pada dirinya kecintaan terhadap harta dan kedudukan, sentiasa berakhlak dengan akhlak-akhlak terpuji dan bersih daripada akhlak-akhlak tercela di samping syarat-syarat yang lain yang melayakkan seorang itu sebagai syaikh mursyid atau murabbi. Menurut beliau lagi, apabila syaikh seumpama ini dijumpai, maka dia layak untuk diikuti meskipun hal ini sangat jarang ditemui.

Asy-Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili Rahimahullâh dalam kitabnya Tanwîr al-Qulûb juga menyebut hal yang sama. Menurut beliau, seorang murid yang ingin menempuh jalan untuk sampai kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ hendaklah mendapatkan seorang syaikh. Syaikh tersebut hendaklah seorang yang telah sampai pada maqâmah yang sempurna dari sudut syariat dan hakikat, yang suluknya berdasarkan al-Qur’an, sunnah Rasulullah dan meneladani para ulama. Perjalanan rohani syaikh tersebut dalam menuju kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ hendaklah juga sempurna dengan bimbingan mursyid yang telah sampai kepada maqâmah tersebut dan ini bersalasilah sehingga bersambung kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka seorang syaikh yang al-‘ârif al-washîl iaitu yang mencapai tingkat ma‘rifah dan sampai kepada Allah, adalah menjadi wasîlah atau pengantara bagi murid untuk sampai kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Antara syarat bagi syaikh atau mursyid itu ialah:

1) Hendaklah dia orang yang ‘âlim dalam perkara yang diperlukan seorang murid berkenaan dengan hukum fiqh dan ‘aqidah untuk menghilangkan keraguan murid pada peringkat permulaan supaya dia tidak perlu bertanya kepada orang lain.

2) Hendaklah dia orang yang tahu tentang kesempurnaan hati dan adab-adabnya, kerosakan dan penyakit jiwa, mengetahui cara menjaga kesihatan jiwa dan keseimbangannya.

3) Hendaklah dia bersikap pengasih dan penyayang terhadap kaum muslimin khususnya kepada para muridnya. Apabila dia melihat para muridnya tidak mampu menolak hawa nafsu mereka serta meninggalkan kebiasaan mereka, maka dia akan bertolak ansur terhadap mereka selepas memberi nasihat, dia tidak memutuskan mereka dari terus ikut thariqat, dia tidak menjadikannya sebagai sebab kepada mereka digelar orang-orang yang celaka dan dia tetap mendampingi mereka hingga mereka mendapat petunjuk.

4) Hendaklah dia menutup aib muridnya.

5) Hendaklah dia menjauhkan diri dari menggunakan harta muridnya dan tidak mengharapkan sesuatu pun dari apa yang dimiliki muridnya.

6) Hendaklah dia melakukan perkara yang disuruhnya dan meninggalkan perkara yang dilarangnya supaya kata-katanya memberi kesan pada jiwa murid-muridnya.

7) Hendaklah kata-katanya bersih daripada kecelaan hawa nafsu, senda gurau dan perkara yang tidak berfaedah.

8) Hendaklah dia bertolak ansur terhadap hak-hak dirinya, tidak mengharap untuk dimuliakan atau dihormati, tidak membebankan murid-muridnya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka lakukan untuk memenuhi hak dirinya, tidak menyusun amalan-amalan yang membuat mereka jemu dan tidak menyusahkan mereka.

Inilah antara syarat-syarat yang disebut oleh para ulama, bahkan banyak lagi syarat-syarat lain yang disenaraikan oleh para ulama bagi melayakkan seseorang itu sebagai syaikh mursyid atau murabbi.

Persoalan Ar-Râbithah Dalam Berzikir

Dalam kitab al-Mausû‘ah al-Yusufiyyah fî Bayân Adillah ash-Shûfiyyah ada dijelaskan bahawa manusia tidak terlepas daripada pelbagai bentuk ar-râbithah (ikatan). Ada orang yang terikat pada harta, pekerjaan, sahabat, kawan dan selainnya. Manakala ar-râbithah dalam thariqat pula membawa maksud menafikan segala ar-rawâbith (ikatan-ikatan) dan mengalihkan hati daripadanya serta menghubungkannya dengan syaikh atau guru dan membayangkan seolah-olah guru itu ada bersama dengannya. Ar-Râbithah juga disebut sebagai antara sebab utama untuk sampai (al-wushûl) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ setelah berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Dalam kitab Mausû‘ah Mushthalahât at-Tashawwuf al-Islâmiy ada menerangkan bahawa ar-râbithah dalam istilah thariqat bermaksud murid mendapatkan limpahan kelebihan kerohanian gurunya yang telah kâmil (sempurna) dan fanâ’ pada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ (lenyap dirinya kerana penyaksian terhadap Allah) dan membanyakkan bayangan kehadiran gurunya dalam ingatan supaya dia beradab dan mendapat limpahan kerohanian gurunya ketika ketiadaannya sebagaimana ketika kehadirannya.

Imam asy-Sya‘rani Rahimahullâh dalam kitabnya al-Anwâr al-Qudsiyyah fî Bayân Qawâ’id ash-Shûfiyyah juga ada menyebut perkara yang sama ketika menjelaskan tentang adab-adab berzikir. Menurut beliau adab-adab berzikir itu ada dua puluh, yang merangkumi adab sebelum memulakan zikir, ketika melakukan zikir dan setelah selesai melakukan zikir. Apabila seorang murid hendak memulakan zikir, maka hendaklah dia mendapatkan limpahan himmah (semangat kerohanian) gurunya dengan membayangkan gurunya menjadi pendampingnya dalam perjalanannya menuju Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dia juga hendaklah faham bahawa mendapatkan limpahan himmah daripada gurunya itu hakikatnya adalah mendapatkan limpahan himmah daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan guru itu hanya merupakan pengantara (wâsithah) antara dirinya (murid) dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Menurut Imam asy-Sya‘rani Rahimahullâh lagi bahawa antara adab ketika melakukan zikir pula ialah membayangkan kehadiran guru tersebut ketika berzikir. Beliau berkata:

Ertinya: Hendaklah seseorang itu membayangkan (kehadiran) syaikhnya (gurunya) di antara kedua-dua matanya (di hadapannya) sepanjang dia berzikir, dan menurut mereka (para ulama tashawwuf) perkara ini adalah antara adab yang lebih dituntut kerana seorang murid akan meningkat daripadanya (adabnya bersama guru) kepada adab bersama Allah dan murâqabah baginya.

Asy-Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili Rahimahullâh dalam kitabnya Tanwîr al-Qulûb menyebut bahawa antara kaifiyyah berzikir ialah melakukan râbithah al-mursyid. Beliau berkata:

Ertinya: Ikatan kepada mursyid (syaikh), ialah mempertaut hati murid dengan hati syaikhnya dan memelihara bayangannya (syaikh) dalam khayalan walaupun ketika ketiadaannya, dan menyedari bahawa sesungguhnya hati syaikh itu adalah umpama pancuran yang limpahan air daripada lautannya yang luas turun kepada hati murid yang mengikat (dirinya kepada syaikhnya) dan mendapatkan limpahan berkat daripadanya kerana dia (syaikh) itu adalah pengantara untuk sampai (kepada Allah).

Menurut beliau lagi bahawa seorang murid secara umumnya, tidak akan mampu mencapai maqâm (tingkatan atau tahap) yang tertinggi dengan sendirinya dan kerana itu dia memerlukan pembimbing yang kâmil (sempurna) yang telah mencapai maqâm musyâhadah (tingkatan penyaksian terhadap Allah). Maka hendaklah murid itu memohon pertolongan daripada semangat kerohanian gurunya yang sempurna yang telah fanâ’ pada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memperbanyak menghadirkan gambaran gurunya itu dalam fikirannya untuk memperolehi seperti yang ada pada gurunya itu dan mendapat limpahan daripadanya seolah-olah dia hadir di hadapannya dan sempurna/tercapai baginya kehadiran kesedaran dan cahaya. Ini semua dilakukan dengan menghadapkannya ke hati sanubari sehingga sampai kepada keghaiban dan fanâ’ dari diri(nya) yang merupakan muqaddimah fanâ’ pada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Perkara ini menurut asy-Syaikh al-Kurdi Rahimahullâh dicapai melalui perwarisan daripada seorang guru kepada guru yang lain sehingga sampai kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan inilah yang dinamakan râbithah al-mursyid. Maka murid yang membayangkan kehadiran syaikh mursyid atau gurunya itu bukan kerana diri syaikh itu sendiri dan bukan untuk memohon sesuatu daripadanya, tetapi kerana anugerah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mengalir pada dirinya dengan i‘tiqâd atau keyakinan bahawa yang memberi kesan dan melakukan semua hal tersebut tidak lain hanyalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Perkara ini juga ada disebut oleh asy-Syaikh Daud al-Fathani Rahimahullâh dalam kitabnya Dhiyâ’ al-Murîd yang menyatakan bahawa antara adab berzikir ialah mengkhayalkan rupa syaikh antara kedua-dua matanya. Cara ini adalah lebih mu’akkad (sangat dituntut) dalam memberi bekas ataupun lebih memberi kesan.

Perkara membayangkan kehadiran syaikh dalam berzikir ini juga boleh dikaitkan dengan apa yang disebut oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn mengenai cara melakukan rukun tasyahhud dalam sembahyang. Beliau menyatakan bahawa apabila seseorang telah melakukan duduk tasyahhud, maka dihadirkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan syakhshiyyah Baginda

samping berharap bahawa bacaan tersebut akan sampai kepada Baginda dan dibalas dengan yang lebih baik daripada itu.

Maka berdasarkan penjelasan para ulama di atas, berzikir dengan membayangkan kehadiran diri syaikh atau guru thariqat sebelum atau ketika berzikir adalah amalan yang harus dilakukan kerana ia merupakan salah satu adab berzikir yang diperakukan dalam ilmu tashawwuf dan menjadi amalan para ulama shûfiyyah.

Hal sedemikian dilakukan dengan maksud memohon limpah pertolongan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hati Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan daripada hati Baginda melimpah kepada hati-hati para syaikh atau guru sehingga sampai kepada hati orang yang berzikir. Dengan itu orang yang berzikir akan mendapat pertolongan dan kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ apabila hatinya ikhlas kepadaNya.

Ini bererti, membayangkan kehadiran syaikh ketika berzikir itu bukan kerana diri syaikhnya itu sendiri dan bukan kerana untuk memohon sesuatu daripadanya, tetapi kerana anugerah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mengalir pada diri syaikhnya dengan keyakinan bahawa yang memberi kesan dan melakukan semua hal tersebut hanyalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Walau bagaimanapun perkara membayangkan kehadiran syaikh ketika berzikir ini bukan merupakan sesuatu yang mesti dilakukan dalam berzikir. Ingin juga kita mengingatkan di sini bahawa sekiranya amalan membayangkan wajah syaikh atau guru thariqat itu dilakukan dengan maksud dan tujuan lain yang boleh menyebabkan ia bertentangan dengan syara‘, maka wajib ia ditinggalkan kerana ia akan menjerumuskan pengamalnya ke dalam perkara yang dilarang atau yang menjejaskan ‘aqidah. Begitu juga jika amalan ini atau apa jua amalan lain, sama ada dalam thariqat, kumpulan dan sebagainya, menimbulkan keraguan pada orang yang melakukannya ataupun seseorang itu tidak dapat memahami cara untuk melakukannya, maka adalah lebih baik dan selamat perkara tersebut ditinggalkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15960