Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Memuat Turun Dan Membeli Perisian Komputer Cetak Rompak

Soalan: Mendownload lagu, journal, ebook, software dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan kebanyakan orang pada masa kini. Apakah hukum mendownload atau membeli software yang pirated dan menggunakannya untuk membuat kerja di samping untuk keperluan peribadi. Adakah ia dibolehkan?

Jawapan: Lagu, jurnal (journal), buku elektronik (ebook) dan perisian komputer (software) adalah termasuk dalam kategori harta yang diistilahkan sebagai harta intelek.

Menurut Kamus Perniagaan, harta intelek bermaksud ilmu pengetahuan, idea kreatif atau pengungkapan fikiran manusia yang mempunyai nilai komersial dan mempunyai perlindungan di bawah hak cipta, paten, tanda perkhidmatan, tanda perdagangan atau undang-undang rahsia perdagangan daripada peniruan dan pencabulan. Harta intelek termasuk jenama, penemuan, formula, ciptaan, pengetahuan, reka bentuk berdaftar, perisian komputer dan hasil seni, penulisan atau apa-apa yang bersifat muzik.

Pertubuhan Harta Intelek Sedunia juga memberi maksud harta intelek dengan istilah yang merujuk kepada ciptaan fikiran seperti reka cipta, hasil kerja seni, reka bentuk dan simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan.

Dari segi syara‘, sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh diperniagakan serta orang yang merosakkannya wajib menggantinya adalah ia dikira sebagai harta. Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Asybâh wa an-Nazhâ’ir ada menukil perkataan Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh:

Ertinya: Tidak dinamakan harta kecuali atas sesuatu yang ada padanya nilai, ia dijual beli dengannya (nilai) dan wajib (nilai itu) ke atas orang yang merosakkannya.

Sesuatu yang mempunyai manfaat juga dinamakan harta menurut syara‘. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn ketika membahaskan tentang syarat barang yang sah dijual beli berkata:

Ertinya: Hendaklah (barang yang dijual beli itu) boleh dimanfaatkan dengannya. Maka sesuatu yang tidak ada manfaat padanya, ia bukan harta.

Berdasarkan penjelasan di atas, lagu atau liriknya, isi kandungan jurnal, buku elektronik, perisian komputer atau apa-apa pun jua yang dikategorikan sebagai harta intelek yang mempunyai nilai dan manfaat adalah diiktiraf sebagai harta oleh hukum syara‘.

Memuat Turun (Download)

Salah satu cara mudah untuk mendapatkan lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer atau sebagainya ialah dengan cara memuat turun melalui internet sama ada dengan cara pembelian atau dengan percuma tanpa ada sebarang perubahan pada lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer berkenaan. Menurut hukum syara‘, memuat turun lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer atau sebagainya yang tidak dilarang penggunaannya adalah harus dimuat turun dan dimanfaatkan. Walau bagaimanapun, sesuatu yang dilarang penggunaannya adalah tidak harus dan haram hukumnya dimuat turun seperti lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer yang bertentangan dengan hukum syara‘. Contohnya buku elektronik atau jurnal yang mengandungi bahan lucah atau lagu yang disertai dengan bunyi-bunyian alat muzik yang ditegah oleh hukum syara‘. Pengharaman ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebut oleh al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Asybâh wa an-Nazhâ’ir:

Ertinya: Sesuatu yang haram penggunaannya, (maka) haram juga memperolehinya.

Dari sudut lain pula, memuat turun lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer dan sebagainya adalah sesuatu yang berkait dengan hak milik atau hak cipta kerana terdapat sebahagian lagu, jurnal, buku elektronik, perisian komputer dan sebagainya itu dikawal oleh undang-undang seperti undang-undang hak cipta (copyright law) untuk memelihara sesuatu ciptaan atau rekaan itu daripada ditiru, dicetak rompak atau sebagainya.

Sebahagian lagu, jurnal, buku elektronik dan perisian komputer itu boleh diperolehi dengan cara memuat turun melalui laman-laman web secara percuma yang dikongsikan oleh pemilik atau penciptanya ataupun wakilnya. Sebahagiannya pula boleh diperolehi dengan memuat turun secara percuma tetapi dikenakan syarat atau terhad ke atas sesiapa yang memuat turun lagu, jurnal, buku elektronik dan perisian komputer tersebut oleh pemilik atau wakilnya. Selain itu, ada juga yang dimuat turun dengan kebenaran pemiliknya atau wakilnya tetapi mengenakan bayaran.

Majlis Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangannya kali kelima yang diadakan di Kuwait pada 1 hingga 6 Jamadil Awwal, 1409 bersamaan 10 hingga 15 Disember, 1988 telah mengeluarkan resolusi

dengan harta intelek, seperti berikut:

Pertama: Nama perniagaan, nama korporat, tanda perniagaan (cap dagangan atau trade mark), karya, reka cipta atau inovasi adalah hak-hak yang khusus bagi pemiliknya. Menurut ‘urf (kebiasaan) masa kini ia mempunyai nilai harta yang diiktiraf untuk diperniagakan oleh manusia. Hak-hak ini diiktiraf oleh syara‘ dan tidak harus pencerobohan ke atasnya.

Kedua: Harus mengurusniaga nama perniagaan, nama korporat, tanda perniagaan (cap dagangan atau trade mark), dan (harus) memindah (milik) sesuatu daripadanya dengan imbalan harta apabila terhindar gharar (ketidaktentuan), pemalsuan dan penipuan dengan asas bahawa yang demikian itu telah menjadi hak yang berupa harta.

Ketiga: Hak karya dan reka cipta atau inovasi dilindungi oleh syara‘, dan pemiliknya mempunyai hak berurusniaga padanya, dan tidak harus pencerobohan ke atasnya.

Majlis Fatwa Dan Penyelidikan Eropah dalam persidangannya yang kelapan di Valencia, Sepanyol telah menekankan lagi resolusi Majlis Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa di atas dengan beberapa tambahan seperti berikut:

(i) Perisian komputer (sama ada perisian operasi, perisian aplikasi atau perisian penyimpanan, dan sama ada perisian sumber yang menguasai semua penyimpanan, input dan output data atau ditulis dengan salah satu bahasa komputer) mempunyai nilai harta yang diperakui oleh hukum syara‘, maka pemilik-pemiliknya daripada kalangan pengeluar atau wakil mereka harus berurusniaga dengan penjualan, pembelian, penyewaan dan sebagainya jika tidak ada gharar (ketidaktentuan) dan pemalsuan.

(ii) Oleh kerana perisian komputer ini adalah hak harta kepada pemiliknya, maka ia dilindungi menurut syara‘ dan ia tidak boleh dicerobohi sebagai memelihara hak orang lain yang telah mencurahkan usaha dan harta dalam menghasilkannya dan sebagai menegah daripada memakan harta orang secara bâthil.

(iii) Pembeli perisian komputer wajib mematuhi syarat-syarat yang tidak menyalahi hukum syara‘ dan undang-undang yang mengawal peredarannya kerana ada nash-nash yang menyatakan tentang kewajiban menunaikan kontrak (perjanjian) dan kewajiban mematuhi syarat-syarat. Maka ia tidak boleh disalin semula untuk orang lain selagi kontrak tidak membenarkannya.

(iv) Tidak harus membeli perisian komputer yang diketahui dicuri atau disalin semula tanpa kebenaran dan tidak harus memperniagakannya.

(v) Pembeli perisian komputer harus menyalinnya semula untuk kegunaan peribadi selagi dalam kerangka yang dibutirkan dalam penggunaan yang dipersetujui.

(vi) Syarikat-syarikat pengeluar atau wakilnya sepatutnya tidak meletak harga perisian komputer secara berlebihan.

Di Negara Brunei Darussalam, undang-undang yang mengawal hak cipta ada diperuntukkan di bawah Perintah Darurat Hak Cipta, 1999 [Emergency (Copyright) Order, 1999].

Walaupun hak milik dan hak cipta itu dilindungi oleh syara‘ dan undang-undang, namun masih juga terdapat lagu, jurnal, buku elektronik dan perisian komputer yang dimuat turun tanpa kebenaran atau keizinan pemilik atau penciptanya beredar di pasaran. Lagu, jurnal, buku elektronik dan perisian komputer yang dimuat turun tanpa keizinan pemilik atau pencipta diistilahkan sebagai cetak rompak (pirated).

Memuat Turun atau Memperniagakan Perisian Komputer Cetak Rompak Perisian komputer cetak rompak ialah perisian yang dibuat tanpa kebenaran daripada pemilik hak cipta perisian tersebut. Pembuatannya bersumber daripada penyalinan perisian asal yang diperolehi secara sah atau kebenaran daripada pihak pemilik hak cipta perisian atau wakilnya. Kemudian salinan cetak rompak tersebut dipasarkan kepada orang ramai dengan harga yang lebih murah atau diedarkan secara percuma.

Dari pandangan syara‘ syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemilik hak cipta perisian atau wakilnya kepada pembeli dalam pembelian dan penggunaan perisian asal adalah wajib dipatuhi oleh pembeli selagi mana tidak terdapat dalam syarat-syarat tersebut perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘. Sebagai contoh syarat larangan membuat salinan perisian tanpa kebenaran. Dalam sebuah hadits daripada ‘Amr bin ‘Auf al-Muzani Radhiallâhu ‘anhu daripada datuknya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Perdamaian adalah harus antara orang-orang Islam, kecuali perdamaian yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Semua orang Islam (terikat) atas syarat-syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Oleh yang demikian, perbuatan mencetak rompak dan perbuatan memuat turun perisian komputer cetak rompak adalah perbuatan yang mencerobohi hak orang lain dan termasuk dalam perkara mengambil harta orang lain tanpa keizinan. Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Setiap muslim itu haram darahnya, hartanya dan kehormatannya ke atas muslim (yang lain). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penjelasan di atas dapat difahami bahawa perbuatan menceroboh hak orang lain dengan mencetak rompak perisian komputer tanpa kebenaran pemiliknya adalah haram dan berdosa menurut hukum syara‘.

Maka memuat turun perisian komputer cetak rompak atau membelinya adalah haram kerana perbuatan tersebut termasuk dalam bertolong-tolongan pada perkara dosa iaitu pencerobohon hak orang lain. Larangan tersebut jelas disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15964