Menghormati Bendera Negara Dan Berdiri Tegak Ketika Menyanyikan Lagu Kebangsaan
Soalan: Apakah hukumnya seseorang yang menghormati bendera negaranya dan berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan (national anthem)?
Jawapan: Menghormati bendera negara dan berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan merupakan amalan yang menjadi adat dan tradisi negara-negara di dunia ini. Ia merupakan salah satu simbol atau lambang kecintaan rakyat terhadap negara dan penzahiran rasa cinta dan taat setia kepada tanah air.
Dalam Islam, mencintai negara merupakan perkara yang dituntut. Perkara ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Humaid, beliau mendengar Anas Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda pulang daripada pelayaran, maka Baginda melihat akan jalan-jalan Madinah lalu Baginda mempercepatkan (pergerakan) unta Baginda dan jika tunggangan itu binatang yang lain Baginda memacunya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selepas meriwayatkan hadits di atas, Imam al-Bukhari Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Al-Harits bin ‘Umair (salah seorang perâwi hadits ini) telah menambah (lafaz) daripada Humaid: “Baginda memacunya (tunggangannya) kerana kecintaan Baginda terhadapnya (Madinah).”
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri ketika mensyarahkan hadits di atas, berkata:
Ertinya: Dan dalam hadits (di atas) menunjukkan (tentang) kelebihan Madinah dan pensyariatan mencintai tanah air dan rindu kepadanya.
Dalam hal mencintai negara dengan menghormati bendera dan berdiri tegak semasa lagu kebangsaan dinyanyikan, tidak didapati nash daripada al-Qur’an dan hadits tentang larangan mengenainya.
Menurut syara‘, hukum asal melakukan perkara yang tiada nash mengenai larangan atau pengharamannya, hukumnya adalah harus berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menjelaskan satu per satu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu. (Surah al-An‘âm: 119)
Selain al-Qur’an, keharusan melakukan perkara yang tidak ada larangan syara‘ mengenainya adalah juga berdasarkan hadits sepertimana yang diriwayatkan daripada Salman Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Perkara halal ialah apa yang telah dihalalkan oleh Allah dalam KitabNya (al-Qur’an). Perkara haram pula ialah apa yang telah diharamkan oleh Allah dalam KitabNya (al-Qur’an). Manakala apa yang (Allah) diamkan (tidak menyebut hukum halal atau haram) daripadanya, maka ia (termasuk) daripada perkara yang Allah memaafkan darinya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan keterangan di atas, perbuatan menghormati bendera negara dan berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan adalah perkara yang diharuskan oleh syara‘. Walau bagaimanapun, jika dalam keadaan tertentu berdiri tegak itu merupakan satu penghormatan dan meninggalkannya merupakan satu penghinaan, maka dalam keadaan sedemikian hendaklah seseorang itu berdiri tegak bagi memelihara adab dan akhlak yang mulia serta bagi mengelak pertelingkahan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15968
