Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menjual Barang Tiruan

Soalan: Apakah hukum hasil penjualan daripada barang tiruan seperti baju, kasut, beg dan sebagainya, kerana saya bercadang untuk berniaga menjual jersi bola copy original?

Jawapan: Tiruan menurut Kamus Dewan ialah perbuatan meniru; hasil meniru (bukan asli atau tulen), hasil daripada usaha membuat sesuatu yang sama atau hampir sama dengan yang asli. Berdasarkan pengertian tiruan ini, maka maksud barang tiruan ialah barang yang bukan asli atau tulen atau barang yang dihasilkan daripada usaha membuat sesuatu yang sama atau hampir sama dengan yang asli.

Apabila dikatakan suatu barang itu barang tiruan seperti baju tiruan, kasut tiruan, beg tiruan dan sebagainya, maka diketahui ada barangnya yang asli, tulen atau original yang dibuat khusus oleh pengilang atau perekanya.

Pada kebiasaannya, harga barang asli itu lebih mahal daripada harga barang tiruan. Begitu juga, kualiti barang asli lebih tinggi dari segi ketahanan, reka bentuk, jahitan dan lain-lain lagi berbanding barang tiruan. Kebanyakan barang yang dikatakan asli itu dapat dikenalpasti dengan tanda perniagaan (trade mark) yang diletakkan pada barang tersebut.

Tanda perniagaan ialah setiap sesuatu yang ditanda pada barang-barang perniagaan dan produk ataupun dengan ada tanda itu diketahui perbezaan barang perniagaan dengan barang perniagaan peniaga lain yang menyerupainya atau empunya produk-produk lain. Tanda perniagaan mempunyai pelbagai bentuk, seperti nama yang diambil dari bentuk khusus, perkataan, huruf, nombor, ukiran, alamat kedai, cap, setem, gambar atau apa jua tanda-tanda lain yang digunakan, atau bertujuan sama ada untuk membezakan produk atau apa jua barang jualan, atau menunjukkan sumber atau jaminan produk atau barang, atau menunjukkan prestasi perkhidmatan dari perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.

Dalam Undang-Undang Negara Brunei Darussalam sebagaimana bab 3 bahagian ll (Penggal 96), tanda perniagaan ditafsirkan sebagai sesuatu tanda yang digunakan untuk memberi makna bahawa barang-barang adalah perkilangan atau dagangan seseorang yang tertentu.

Contoh tanda perniagaan itu ialah jenama (brand), nama atau logo seperti Crocodile, Valentino, Polo, Nike, Adidas, Puma, Gucci, Guess, Coach, Louis Vuitton, Rolex dan sebagainya.

Terdapat juga barang yang kelihatan asli kerana reka bentuk dan jenamanya sama dengan yang asli tetapi sebenarnya ia adalah tiruan. Sebagai contoh kasut yang dicetak dengan jenama, nama atau logo seperti Adidas atau baju dicetak dengan nama seperti Nike atau logo Nike tetapi bukan dikeluarkan oleh syarikat yang empunya jenama tersebut atau syarikat yang diberi izin untuk mengeluarkan bagi pihaknya.

Jersi Bola yang Original dan Copy Original

Jersi bola yang original atau asli setakat yang diketahui, ia mempunyai dua versi iaitu jersi yang dibuat menyamai dengan jersi yang dipakai oleh pemain sesuatu kelab di atas padang dan jersi yang dinamakan replika yang dibuat khas untuk dipakai oleh penyokong kelab berkenaan. Kedua-dua versi jersi ini dibuat menggunakan fabrik yang berkualiti dan direka mengikut kesesuaian dan keselesaan pemain atau penyokong. Kedua-dua versi jersi ini dijual dengan harga yang mahal kerana kualitinya. Pengeluaran kedua-dua versi jersi ini juga secara rasmi mendapat lesen atau kebenaran daripada kelab atau pasukan pemilik jenamanya.

Manakala jersi bola copy original ialah istilah bagi jersi bola yang dibuat dan direka sama seperti versi jersi bola replika original untuk dipakai oleh penyokong. Walaupun kualiti jersi bola copy original tidak sama dengan versi jersi bola replika original tetapi ia masih dianggap jersi bola yang berkualiti.

Tanda Perniagaan

Para ulama masa kini telah pun sepakat mengatakan bahawa tanda perniagaan seperti jenama atau logo adalah termasuk dalam kategori harta yang dikenali sebagai harta intelek (intellectual property) iaitu sesuatu yang boleh dimiliki dan mempunyai nilai harta yang diiktiraf oleh hukum syara‘.

Majlis Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangannya kali kelima yang diadakan di Kuwait pada 1 hingga 6 Jamadil Awwal, 1409 bersamaan 10 hingga 15 Disember, 1988 telah mengeluarkan resolusi mengenai hak-hak maknawi (نَوّيَّةحق ُ الحمَعحا ْلح ُقُو) yang antaranya berkaitan

dengan harta intelek, seperti berikut:

Ertinya:

Pertama: Nama perniagaan, nama korporat, tanda perniagaan (cap dagangan atau trade mark), karya, reka cipta atau inovasi adalah hak-hak yang khusus bagi pemiliknya. Menurut ‘urf (kebiasaan) masa kini ia mempunyai nilai harta yang diiktiraf untuk diperniagakan oleh manusia. Hak-hak ini diiktiraf oleh syara‘ dan tidak harus pencerobohan ke atasnya.

Kedua: Harus mengurusniaga nama perniagaan, nama korporat, tanda perniagaan (cap dagangan atau trade mark), dan (harus) memindah (milik) sesuatu daripadanya dengan imbalan harta apabila terhindar gharar (ketidaktentuan), pemalsuan dan penipuan dengan asas bahawa yang demikian itu telah menjadi hak yang berupa harta.

Ketiga: Hak karya dan reka cipta atau inovasi dilindungi oleh syara‘ dan pemiliknya mempunyai hak berurusniaga padanya, dan tidak harus pencerobohan ke atasnya.

Apabila nama perniagaan, nama korporat, tanda perniagaan dan sebagainya diiktiraf sebagai harta dan hak kepada pemiliknya, maka orang yang menceroboh hak kepunyaan orang lain tanpa kebenaran pemiliknya adalah haram dan berdosa. Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Setiap muslim atas muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya dan kehormatannya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penjelasan di atas dapat difahami bahawa perbuatan menceroboh hak orang lain dengan menggunakan tanda perniagaan tanpa kebenaran pemiliknya adalah haram dan berdosa menurut hukum syara‘.

Menjual Jersi Bola Copy Original

Pada dasarnya, jual beli merupakan suatu muamalat yang diharuskan dalam Islam selagi tidak terdapat perkara yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ dalam jual beli berkenaan.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Walau bagaimanapun, adakalanya jual beli itu dilarang dan ‘aqadnya batal atau rosak. Ada juga jual beli itu dilarang tetapi ‘aqadnya tetap sah.

Jual beli yang dilarang dan ‘aqadnya batal atau rosak ialah jual beli yang menyalahi rukun-rukunnya ataupun syarat-syarat sahnya. Contohnya ialah seperti menjual anak binatang yang masih dalam kandungan. Menjual anak binatang yang masih dalam kandungan adalah tidak harus kerana penjual tidak dapat menyerahkan barang jualannya ketika itu dan kandungan tersebut tidak diketahui dengan pasti. Perkara ini termasuk dalam perkara gharar dalam jual beli.

Contoh jual beli yang dilarang tetapi ‘aqad jual beli tidak menjadi batal dan jual belinya tetap sah ialah seperti menjual anggur kepada orang yang dikenalpasti membelinya untuk membuat arak. Maka hukum menjual anggur tersebut adalah haram menurut pendapat al-ashah kerana perbuatannya itu adalah jelas perbuatan bertolong-tolongan dalam perkara kemaksiatan. Walau bagaimanapun, jual beli tersebut masih tetap sah kerana jual beli tersebut memenuhi rukun dan syaratnya.

Dalam perkara menjual jersi bola copy original, penjualan jersi tersebut adalah sah kerana memenuhi rukun dan syarat jual beli. Walau bagaimanapun, jika penggunaan tanda perniagaan seperti jenama dan logo yang ada pada jersi bola copy original tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pemilik jenama atau logo asalnya, maka penggunaannya adalah suatu pencerobohan terhadap hak orang lain dan perkara ini dilarang dan haram hukumnya dalam Islam. Menjual jersi bola copy original tersebut pula juga dilarang dan haram kerana termasuk dalam perbuatan bertolong-tolongan pada pencerobohon hak orang lain.

Adapun kedudukan hasil daripada penjualan jersi bola copy original tersebut adalah halal kerana hasil yang diperolehi daripada jual beli yang sah.

Oleh yang demikian, awang sepatutnya tidak melibatkan diri dengan penjualan jersi bola tiruan kerana walaupun jual beli jersi tersebut sah, tetapi awang tetap akan terlibat dalam perkara haram iaitu bertolong-tolongan dalam perkara pencerobohan hak orang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15975