Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menulis Ayat Al-Qur’an Mengikut Rasm ‘Utsmani Dalam Bahan Terbitan

Soalan: Antara isu-isu yang dibangkitkan semasa mesyuarat di antara pegawai-pegawai daripada Jabatan Mufti Kerajaan dengan pegawai-pegawai daripada Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah ialah mengenai ayat al-Qur’an yang terkandung di dalam bahan-bahan terbitan.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan fatwa mengenai perkara-perkara berikut:

i. Merujuk Irsyad Hukum bertajuk Menulis Ayat Al-Qur’an Dengan Selain Rasm ‘Uthmani, bilangan (15/2023):

“Tulisan al-Qur’an dengan al-Khath al-‘Utsmani adalah suatu perkara yang mesti (wajib) bagi al-Qur’an...”

Berdasarkan Irsyad Hukum tersebut, adakah dibolehkan ayat al-Qur’an yang terkandung di dalam bahan-bahan terbitan seperti buku, buku panduan, buku Yâ Sîn, buku dikir, buku khatam dan sebagainya menggunakan kaedah rasm selain Rasm ‘Uthmani?

ii. Selain itu, antara perkara yang menimbulkan keraguan ialah mengenai tanda baca (ءَا). Mengikut hukum tajwîd, ia dibaca dengan dua harakat sebagai contoh di dalam surah adz-Dzâriyât, ayat 16:

Namun, terdapat bahan terbitan yang mengandungi ayat al-Qur’an dan cenderung menggunakan tanda mad (آ) yang mengikut bacaan harakatnya adalah empat hingga enam harakat.

Adakah penggunaan tanda mad (آ) itu dibolehkan di dalam bahan terbitan seperti buku, buku panduan, buku Yâ Sîn, do‘a-do‘a, hadits dan sebagainya?

Jawapan: Dalam penulisan ayat-ayat al-Qur’an, terdapat dua jenis rasm (kaedah penulisan) yang biasa digunakan iaitu ar-Rasm al-‘Utsmani dan ar-Rasm al-Imlâ’i. Ar-Rasm al-‘Utsmani ialah kaedah penulisan kalimat-kalimat al-Qur’an pada Mushhaf-Mushhaf yang ditulis oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu dan kemudiannya dihantar ke negara-negara Islam yang lain. Manakala ar-Rasm al-Imlâ’i atau ar-Rasm al-Qiyâsi bermaksud kaedah penulisan kalimat yang menggunakan huruf-huruf hijâ’iyyah (abjad bahasa Arab) sebagaimana ia dilafazkan pada permulaan kalimat dan tempat berhentinya.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan mengenai kalimat ‘ َ نحآخّذّي’ yang ditulis mengikut ar-Rasm al-Imlâ’i sama ada huruf alif yang bertanda mad di atasnya ‘آ’ mesti dibaca dengan empat atau enam harakat, huruf tersebut pada asalnya mengandungi dua huruf iaitu huruf alif hamzah ‘ َأ ’ dan huruf alif mad ‘ا’. Oleh kerana pada kalimat tersebut berlaku perkara yang bertentangan dengan ar-Rasm al-Imlâ’i iaitu pertemuan dua huruf yang sama dalam satu kalimat (dua huruf alif), maka salah satunya hendaklah digugurkan. Mengikut ar-Rasm al-Imlâ’i, huruf alif mad ‘ا’ digugurkan dan huruf alif hamzah ‘ َأ ’ dikekalkan serta diletak tanda mad di atas huruf tersebut ‘آ’ bagi menggantikan huruf alif mad yang digugurkan itu.

Berdasarkan penerangan di atas, dapat difahami bahawa tanda mad ‘آ’ yang ada pada kalimat ‘ َ نحآخّذّي’ hanya dibaca dua harakat mengikut ar-Rasm al-Imlâ’i kerana ia merupakan gabungan dua huruf alif.

Adapun mengenai hukum menulis ayat-ayat al-Qur’an pada selain Mushhaf dengan ar-Rasm al-Imlâ’i, perkara ini ada dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, beliau berkata:

Ertinya: Manakala belum wârid padanya (selain Mushhaf) apa-apa (kaedah penulisan), wajib kembali dalam (menentukan kaedah penulisan ayat-ayat al-Qur’an) kepada kaedah-kaedah yang ditetapkan di sisi ahlinya.

Berdasarkan perkataan Imam Ibn Hajar Rahimahullâh di atas, dapat difahami bahawa tidak ada kaedah penulisan yang wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam penulisan ayat-ayat al-Qur’an pada selain Mushhaf. Jika demikian, kaedah penulisannya adalah menurut kaedah asalnya iaitu ar-Rasm al-Imlâ’i.

Dalam hal ini, Fadhilah al-Ustaz Dr. Ali Jum‘ah, Mufti Republik Arab Mesir (pada tahun 2003-2013) dalam fatwa beliau ada menyatakan bahawa keharusan menulis ayat-ayat al-Qur’an pada selain Mushhaf menggunakan ar-Rasm al-Imlâ’i hampir disepakati oleh para ulama sebagaimana katanya menyebut:

Ertinya: Ya, harus menulis ayat-ayat al-Qur’an al-Karim pada selain Mushhaf dengan kaedah (penulisan) al-Imlâ’iyyah (ar-Rasm al-Imlâ’i) tanpa mengambil kira (cara penulisan) ar-Rasm al-‘Utsmani yang dikenali dalam Mushhaf-Mushhaf, dan hampir tidak ada seorang pun yang menyalahi (pendapat) itu. Dan (perkara) sedemikian adalah seperti penulisannya dalam buku-buku pelajaran dan selainnya, surat khabar serta selain itu daripada apa-apa sahaja yang tidak layak (jika dipanggil) bahawasanya ia (sebagai) Mushhaf atau satu bahagian daripada bahagian-bahagiannya kerana tidak terdapat sesuatu yang ditegah dan ia tidak membawa kepada perkara yang ditegah.

Walau bagaimanapun, bagi penulisan ayat-ayat al-Qur’an yang terkandung dalam bahan-bahan terbitan seperti buku Yâ Sîn dan buku khatam sewajarnya ditulis dengan menggunakan ar-Rasm al-‘Utsmani kerana perkara tersebut lebih memelihara akan kehormatan Mushhaf. Adapun penulisan ayat-ayat al-Qur’an dalam bahan-bahan terbitan dengan tujuan menjadikannya sebagai dalil sepertimana lampiran yang disertakan bersama-sama soalan yang diajukan, maka perkara tersebut adalah diharuskan.

Oleh yang demikian, kewajiban menulis ayat-ayat al-Qur’an dalam ar- Rasm al-‘Utsmani sebagaimana petikan Irsyad Hukum Jabatan Mufti Kerajaan, bilangan (15/2023) yang dinukil dalam persoalan hendaknya difahami sepertimana penjelasan di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15980