Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pelancong Bukan Islam Melawat Makam Kesultanan Brunei

Soalan: Pusat Sejarah Brunei atas saranan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan merancang untuk menjadikan Makam Kesultanan Brunei sebagai destinasi pelancongan warisan yang berpotensi di Bandar Seri Begawan.

Projek ini adalah salah satu pendekatan yang baharu untuk membawa para pelancong ke lokasi Makam Kesultanan Brunei dan berpeluang melihat dengan lebih dekat kesan pembuktian sejarah yang mempunyai kepentingan nilai dan warisan budaya pada bahan dan reka seni bina, reka hiasan, ukiran dan tulisan jawi pada makam-makam tersebut.

Namun yang menjadi kemusykilan, pelancong-pelancong yang datang itu nanti ada di antara mereka yang bukan beragama Islam. Oleh yang demikian, dipohonkan fatwa mengenainya.

Jawapan: Secara umumnya, Makam Kesultanan Brunei termasuk dalam kategori tanah perkuburan orang-orang Islam. Tanah perkuburan orang Islam mempunyai kehormatan dan kemuliaan tersendiri.

Dalam Islam, menziarahi tanah perkuburan orang Islam mempunyai adab-adab tertentu untuk menjaga kemuliaan dan kehormatannya. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Hendaklah memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian.

2. Tidak duduk atau bersandar di atas kubur. Adapun duduk di sekitar atau sekeliling kubur yang bukan di tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak dilarang.

3. Tidak memijak dan berjalan di atas kubur kecuali terdapat dharûrah.

4. Tidak makan dan minum ketika ziarah kubur.

5. Tidak melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat yang menjejaskan ‘aqidah seperti mencium kubur, mengelilinginya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu.

Orang Bukan Islam Memasuki Tanah Perkuburan Orang Islam

Setakat pembacaan dan penelitian terhadap beberapa kitab fiqh mazhab Syafi‘i yang mu‘tabar yang membincangkan mengenai hukum menziarahi tanah perkuburan yang dibicarakan dalam bab al-janâ’iz, tidak dijumpai dalil-dalil atau pendapat para ulama yang jelas melarang orang bukan Islam memasuki tanah perkuburan orang Islam.

Namun jika dilihat dari sudut kehormatan dan kemuliaan tanah perkuburan orang Islam, hukum orang bukan Islam memasuki tanah perkuburan orang Islam boleh dikaitkan dengan perbincangan ulama mengenai hukum orang bukan Islam memasuki masjid.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Raudhah ath- Thâlibîn wa ‘Umdah al-Muftîn:

Ertinya: Adapun orang kafir maka tidak dibolehkan daripada memasuki Tanah Haram Makkah sama ada masjid-masjidnya dan selainnya (dalam Tanah Haram Makkah). Dan (harus) baginya (orang kafir) memasuki masjid-masjid selain kawasan Tanah Haram Makkah dengan izin orang Islam. Dan tidak harus baginya memasuki masjid-masjid tersebut tanpa izin orang Islam mengikut pendapat ash-shahîh.

Al-‘Allâmah Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh ketika menerangkan perkataan Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh di dalam kitabnya Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhaj telah berkata:

Ertinya: Dan dilarang (orang kafir) daripada masuk (masjid) kecuali dengan izin orang Islam yang bâligh atau untuk (tujuan) seumpama meminta fatwa atau untuk mashlahat kita (orang Islam), walaupun dalam keadaan junub.

Berdasarkan dari perkataan para ulama di atas yang mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid dengan syarat-syarat yang telah dijelaskan antaranya mestilah dengan keizinan orang Islam atau untuk mendatangkan mashlahat kepada orang Islam, maka tanah perkuburan orang Islam yang juga mempunyai kehormatan menurut syara‘ adalah harus bagi orang bukan Islam seperti pelancong memasukinya kerana jika dibandingkan dari sudut kehormatan dan kemuliaan antara kedua-duanya, masjid adalah lebih mulia daripada tanah perkuburan.

Walau bagaimanapun dalam melaksanakan pakej pelancongan yang melibatkan lawatan ke Makam Kesultanan Brunei, pemandu pelancong perlu memastikan para pelancong mematuhi adab-adab ziarah kubur sebagaimana disebutkan di atas. Disarankan juga kepada para pemandu pelancong dalam memperkenalkan tinggalan warisan yang mempunyai nilai dan kepentingan sejarah dan khazanah warisan ketamadunan Melayu Islam Brunei kepada pelancong untuk menyelitkan maklumat-maklumat keislaman khususnya yang berkaitan dengan kematian sebagai unsur da‘wah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15984