Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Pemberian Kupon Kepada Anak Yatim Dan Wang Dalam Akaun Yang Belum Dituntut

Soalan: 1. Pendahuluan

Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak- Anak Yatim (DANA) telah dapat melaksanakan beberapa projek bantuan kepada anak-anak yatim dengan menyalurkan sumbangan-sumbangan yang telah diterima dari orang ramai.

2. Maklumat Projek-projek DANA

2.1 Projek Bantuan Kupon DANA.

Salah satu projek DANA ialah bantuan pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim dalam bentuk kupon bernilai B$70.00 setiap tahun untuk setiap anak yatim.

Selain itu, terdapat juga bantuan yang serupa iaitu Bantuan Keperluan Persekolahan Tahunan (BKPT) melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang mana ianya diadakan untuk membantu pelajar-pelajar dari peringkat Pra Sekolah sehingga Tingkatan Enam Atas bagi sekolah-sekolah kerajaan yang tersenarai di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kurang berkemampuan. Bagi penerima bantuan SKN akan menerima bantuan persekolahan anggaran dalam purata B$200.00 tertakluk kepada peringkat persekolahan.

Berikutan itu bermula pada tahun 2022, bagi mengelakkan duplikasi dalam menghulurkan sumbangan yang serupa, maka sumbangan-sumbangan kepada anak-anak yatim di DANA diselaraskan dengan agensi-agensi yang menghulurkan sumbangan melalui SKN. Sehubungan dengan ini, pemberian sumbangan kupon DANA hanya diberikan kepada anak yatim yang tidak termasuk dalam senarai SKN manakala selebihnya akan menerima sumbangan melalui agensi-agensi lain di bawah BKPT dengan nilai yang berbeza.

2.2 Akaun Simpanan DANA.

Setiap anak yatim yang berdaftar akan dibukakan Akaun Simpanan DANA di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan dikreditkan sumbangan awal sebanyak B$500.00 iaitu sekali sahaja. Wang tersebut tidak dapat dikeluarkan sehinggalah anak yatim mencapai usia 18 tahun qamariah atau terkeluar dari penyertaan atas sebab berkahwin, berhijrah keluar negara atau meninggal dunia. Dalam perkara ini, apabila anak yatim mencapai usia matang, mereka dibenarkan untuk mengeluarkan wang simpanan yang terkumpul dalam Akaun DANA masing-masing termasuk jumlah caruman takaful yang dibiayai oleh DANA.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa Akaun DANA di mana anak yatim yang telah mencapai usia matang tetapi belum menuntut wang simpanan mereka di Perbadanan TAIB. Jumlah terkini yang diperolehi adalah sebanyak 618 buah akaun dengan jumlah keseluruhan wang kumpulan simpanan sebanyak B$738,537.94 sahaja. Berikutan itu, Sekretariat DANA telah berusaha untuk menghubungi sebahagian anak yatim mengenai akaun mereka. Bagi yang tidak dapat dihubungi, antara lain usaha yang dilaksanakan ialah memaparkan senarai anak yatim berkenaan melalui siaran akhbar dengan harapan maklumat tersebut akan sampai kepada anak yatim mahupun kaum keluarga yang berkenaan.

Sehubungan dengan ini, sukacita dipohonkan fatwa perkara-perkara berikut:

1. Mengenai pengagihan bantuan pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim dalam bentuk kupon DANA dan SKN namun dengan nilai yang berbeza. Dalam perkara ini. Sekretariat DANA tidak memberikan sumbangan kupon kepada kesemua anak yatim yang berdaftar di DANA disebabkan proses penyelarasan dengan SKN. Ini bermakna, mana-mana anak yatim yang berdaftar di DANA yang menerima bantuan SKN tidak akan menerima sumbangan kupon di DANA lagi. Oleh yang demikian, dipohonkan penjelasan hukum mengenai perkara ini memandangkan Projek Bantuan Kupon DANA adalah bersumberkan hasil sumbangan daripada orang ramai.

2. Kedudukan baki wang kumpulan simpanan anak-anak yatim jika sekiranya masih terdapat Akaun DANA yang belum dituntut kerana anak yatim tersebut tidak dapat dihubungi setelah usaha menyiarkan maklumat Akaun DANA yang belum dituntut melalui surat akhbar dilaksanakan.

Jawapan: Setiap sumbangan yang dikutip hendaklah disalurkan mengikut maksud atau niat orang yang menyumbang. Perkara ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menerangkan bahawa setiap amal perbuatan seseorang itu mengikut apa yang telah diniatkannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya amalan-amalan itu adalah (tergantung) dengan niat dan sesungguhnya (amalan) bagi setiap orang itu (menurut) apa yang dia niatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pihak pengurus yang bertanggungjawab mengumpul sumbangan orang ramai dan menyalurkan sumbangan tersebut pula dikira sebagai pemegang amanah. Maka dalam mengagihkan sesuatu sumbangan, pengurus sumbangan sebagai pemegang amanah berkewajiban memelihara tujuan sesuatu sumbangan itu dibuat yang merupakan niat para penyumbang. Dalam perkara ini, pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dan menyerahkan amanah tersebut kepada orang yang berhak menerimanya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah an-Nisâ’: 58)

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tafsîr al-Kabîr wa Mafâtîh al-Ghaib, dalam ayat di atas Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang beriman untuk melaksanakan amanah dalam semua urusan sama ada urusan agama ataupun kehidupan dunia. Manakala Imam al-Maraghi Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al- Maraghi menyatakan bahawa tuntutan melaksanakan amanah dalam ayat di atas adalah termasuk juga amanah seorang insan terhadap insan lain seperti menyerahkan barang titipan kepada yang empunya, tidak menipu, menjaga kerahsiaan dan sebagainya daripada perkara-perkara yang wajib terhadap ahli keluarga, saudara mara terdekat, orang ramai dan pemerintah.

Tuntutan untuk melaksanakan amanah juga ditekankan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu (apabila dia menuntutnya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, setiap sumbangan yang hendak digunakan oleh pemegang amanah atau pihak pengurus sumbangan hendaklah mengikut niat orang yang menyumbang atau mengikut tujuan sumbangan itu dikutip agar amanah yang diberikan dapat ditunaikan dengan sempurna. Pihak pengurus sumbangan yang memegang amanah juga akan menerima ganjaran pahala yang setimpal dengan perbuatannya itu sebagaimana diterangkan dalam hadits daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang bendahara (penyimpan harta) yang muslim lagi amanah yang melaksanakan - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “yang memberikan - apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu termasuk juga salah seorang daripada dua orang yang bersedekah.” (Hadits riwayat Muslim)

Sumbangan Kupon

Merujuk kepada perkara 2.1, Sekretariat DANA selaku pihak pengurus DANA tidak memberikan sumbangan kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan kepada kesemua anak yatim yang berdaftar di DANA disebabkan proses penyelarasan dengan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang juga memberi bantuan yang serupa iaitu Bantuan Keperluan Persekolahan Tahunan (BKPT) bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dari peringkat Pra Sekolah sehingga Tingkatan Enam Atas bagi sekolah-sekolah kerajaan yang tersenarai di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Ini bermakna, mana-mana anak yatim yang berdaftar di DANA yang menerima bantuan SKN tidak akan menerima sumbangan kupon di DANA lagi. Sumbangan kupon DANA hanya diberikan kepada anak-anak yatim yang tidak termasuk dalam senarai SKN, manakala selebihnya akan menerima sumbangan melalui SKN.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada buku Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, tujuan penubuhan DANA adalah bagi membantu anak-anak yatim untuk mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan bagi menjadikan mereka warganegara yang berguna. Difahami daripada tujuan penubuhan DANA tersebut, sumbangan yang dihulurkan oleh orang ramai untuk DANA adalah secara umum sahaja iaitu sumbangan untuk membantu mengurus kebajikan anak-anak yatim. Ia tidak dikhususkan untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim yang tertentu seperti menghadkan sumbangan tersebut kepada anak yatim miskin sahaja atau untuk kegunaan pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim dan sebagainya.

Apabila orang ramai menyumbang untuk maksud atau dengan niat untuk anak-anak yatim di DANA, maka sumbangan itu hendaklah disalurkan kepada ‘orang yang hanya dinamakan anak yatim’ di DANA sahaja. Dalam kata lain, sumbangan yang diberikan oleh orang ramai hanya untuk anak-anak yatim DANA secara umum sahaja tanpa ada sebarang pengkhususan kepada individu-individu dari kalangan anak yatim yang tertentu di DANA. Maka, wang sumbangan yang dikutip oleh pihak Sekretariat DANA belum menjadi hak milik kepada individu tertentu di kalangan anak-anak yatim berkenaan selagi mereka belum menerimanya.

Cara pengagihan wang sumbangan DANA pula tertakluk kepada kebijaksanaan pihak Sekretariat DANA setelah menilai keperluan anak-anak yatim supaya pengagihan itu dilaksanakan dengan adil dan kebajikan anak-anak yatim itu terpenuhi dan mencukupi serta kemashlahatan hidup mereka terjamin. Dengan adanya penilaian keperluan masing-masing bagi anak-anak yatim, pengagihan wang sumbangan DANA hanya disalurkan mengikut kadar keperluan dan kelayakan masing-masing, bahkan wang sumbangan DANA dapat digunakan tanpa sebarang pembaziran dan dapat digunakan bagi perancangan atau projek lain untuk menjaga kemashlahatan hidup anak-anak yatim DANA berkenaan.

Maka, tindakan pihak Sekretariat DANA tidak memberikan sumbangan kupon kepada anak-anak yatim DANA yang menerima bantuan kupon BKPT melalui SKN adalah tidak melanggar tanggungjawab yang diamanahkan kerana tujuan sumbangan yang diterima adalah secara umum iaitu kegunaan untuk mengurus kebajikan anak-anak yatim sahaja tanpa mengkhususkan individu-individu tertentu di kalangan anak-anak yatim di DANA dan sumbangan daripada orang ramai untuk anak-anak yatim di DANA masih terlaksana mengikut niat orang yang menyumbang. Perkara keadilan dalam pengagihan sumbangan kupon juga tidak berbangkit kerana anak-anak yatim DANA yang menerima bantuan kupon BKPT melalui SKN masih juga menerima sumbangan DANA melalui perancangan atau projek DANA yang lain.

Wang Simpanan Yang Belum Dituntut

Berdasarkan maklumat yang disertakan, setiap anak yatim yang berdaftar di DANA akan dibukakan akaun simpanan DANA di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan dikreditkan sumbangan awal daripada DANA sebanyak B$500.00. Wang tersebut tidak dapat dikeluarkan sehinggalah anak yatim mencapai usia 18 tahun qamariah atau terkeluar dari penyertaan atas sebab berkahwin, berhijrah keluar negara atau meninggal dunia. Dalam perkara ini, apabila anak yatim mencapai usia matang, mereka dibenarkan untuk mengeluarkan wang simpanan yang terkumpul dalam akaun DANA masing-masing termasuk jumlah caruman takaful yang dibiayai oleh DANA.

Dengan adanya akaun simpanan DANA di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bagi setiap anak-anak yatim tersebut, maka wang sumbangan orang ramai yang diserahkan kepada mereka dengan cara mengkreditkannya ke dalam akaun tersebut telah menjadikan mereka sebagai pemilik yang sah kepada wang tersebut. Dalam perkara hibah (pemberian) termasuk juga sedekah, derma, hadiah atau sumbangan, jika telah berlaku qabdh (penerimaan barang hibah) kepada penerima hibah dengan izin pemberi hibah, maka pemilikan akan berpindah kepada pihak penerima hibah.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Al-qabdh (penerimaan) yang menghasilkan pemilikan ialah yang berlaku dengan izin pemberi hibah.

Qabdh boleh berlaku secara haqîqi (penyerahan secara fizikal dari tangan ke tangan) atau secara hukmi (penyerahan secara konstruktif seperti diberikan sijil atau seumpamanya sebagai bukti kesempurnaan serah terima). Dalam perkara penyerahan wang sumbangan DANA dengan cara mengkreditkannya ke dalam akaun simpanan DANA penerima, jumlah wang yang dikreditkan itu akan tertera dengan jelas dalam akaun simpanan DANA penerima. Maka penerimaan sumbangan DANA dengan cara demikian disebut sebagai qabdh hukmi. Merujuk kepada perkara 2.2, iaitu mengenai kedudukan baki wang kumpulan simpanan anak-anak yatim yang belum dituntut, pihak Sekretariat DANA telah berusaha untuk menghubungi sebahagian anak yatim mengenai akaun mereka. Bagi yang tidak dapat dihubungi, antara lain usaha yang dilaksanakan ialah memaparkan senarai anak yatim berkenaan melalui siaran akhbar dengan harapan maklumat tersebut akan sampai kepada anak yatim mahupun kaum keluarga yang berkenaan. Maka dalam keadaan ini, mereka itu diistilahkan sebagai al-mafqûd dalam perbahasan ilmu fiqh.

Menurut Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’, al-mafqûd ialah orang yang tidak diketahui keadaannya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh ada menerangkan dalam kitabnya Hâsyiyah al-Jamal mengenai maksud al-mafqûd ketika menerangkan cara pengurusan harta al-mafqûd. Beliau berkata:

Ertinya: Maka orang hilang yang terputus khabarnya (beritanya) dan tidak diketahui keadaannya (sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia) semasa dalam pelayaran atau berada dalam negeri, semasa dalam peperangan atau ketika kapal pecah atau selainnya dan dia mempunyai harta. Dan (termasuk) dalam maknanya (orang hilang) ialah tawanan yang terputus khabar beritanya, jika terdapat bukti tentang kematiannya, dibahagi-bahagikan harta pusakanya.

Dalam kitab al-Mu‘tamad fî al-Fiqh asy-Syafi‘i, Dr. Muhammad az-Zuhaili Hafizhahullâh menjelaskan bahawa al-mafqûd itu ialah seseorang yang hilang dan terputus perkhabarannya, tidak diketahui keadaannya sama ada hidup atau meninggal dunia, dalam pelayaran atau berada dalam negeri, dalam peperangan atau dalam situasi kapal laut yang tenggelam atau dalam situasi kapal terbang yang terhempas dan sebagainya. Jika diketahui bahawa dia masih hidup, maka berjalan ke atasnya hukum yang berkaitan dengan orang yang hidup. Jika diketahui bahawa dia telah meninggal dunia, maka berjalan ke atasnya hukum yang berkaitan dengan kematian.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn pula menyatakan:

Ertinya: Dan sesiapa yang ditawan atau hilang dan terputus khabar beritanya, dibiarkan (ditahan) hartanya (tanpa dibahagi-bahagikan) sehingga terdapat bukti tentang kematiannya, atau berlalu satu tempoh masa yang membawa kepada sangkaan bahawa dia (orang yang ditawan atau hilang itu) tidak akan hidup lebih daripadanya (tempoh masa itu), maka (pada ketika itu) qadhi (hakim) berijtihâd dan menghukumkan kematiannya, kemudian memberi hartanya itu kepada sesiapa yang mewarisinya ketika penghakiman.

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, berdasarkan hukum asal, orang yang hilang itu tetap dikira masih hidup. Maka harta orang yang hilang tidak boleh diwarisi melainkan diketahui dengan yakin bahawa orang yang hilang itu telah meninggal dunia sama ada wujud bukti yang menunjukkan kematiannya atau berlalu satu tempoh masa yang membawa sangkaan kuat bahawa dia tidak lagi hidup dengan ada ijtihâd qadhi yang menetapkan kematiannya. Adapun tempoh masa tersebut adalah tidak ditentukan kadarnya.

Berdasarkan pendapat para ulama di atas, difahami bahawa jika orang yang hilang yang tidak diketahui keadaannya itu mempunyai harta, maka hartanya itu masih menjadi miliknya dan harta tersebut tidak boleh dibahagi-bahagikan sehingga dia terbukti telah meninggal dunia sama ada secara bukti yang zahir atau melalui ijtihâd qadhi. Apabila terdapat bukti yang dia telah meninggal dunia sama ada dengan bukti zahir atau ijtihâd qadhi, harta pusakanya akan diuruskan sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.

Maka dalam perkara di atas, pihak Sekretariat DANA selaku pemegang amanah hendaklah menjaga Akaun Simpanan DANA tersebut sehingga diketahui dengan yakin atau ada ketetapan daripada pihak mahkamah tentang kedudukan anak-anak yatim tersebut sama ada hidup atau telah meninggal dunia.

Dalam perkara ini, pihak Sekretariat DANA perlu meningkatkan lagi usaha untuk menjejaki anak-anak yatim berkenaan kerana wang simpanan mereka dalam Akaun Simpanan DANA tetap menjadi hak milik mereka. Sekiranya usaha pihak Sekretariat DANA dengan memaparkan senarai nama anak-anak yatim berkenaan melalui siaran akhbar tidak menghasilkan sebarang penyelesaian mengenainya, maka pihak Sekretariat DANA perlu mengusahakannya dengan cara yang lain lagi. Antara langkah yang boleh dibuat ialah mendapatkan data keberadaannya melalui siasatan alamat terkini yang tercatat di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan atau kerjasama daripada penghulu dan ketua kampung atau alamat terkini yang tercatat dalam sistem BruHealth, Kementerian Kesihatan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15988