Penggunaan Tangkal Dan Azimat
Soalan: Adakah kita boleh memakai tangkal atau azimat? Malahan ada antara masyarakat kita yang mengamalkan atau mempergunakan rajah-rajah ayat al-Qur’an atau yang serupa menjadi tangkal dan azimat, sama ada disimpan dalam poket, kantung atau diikatkan pada tubuh badan. Bukankah perbuatan ini boleh mengakibatkan kesyirikan dan kekufuran?
Ada pula kalangan masyarakat mengaitkan Nabi Sulaiman pakai tongkat dan Nabi Musa pakai tongkat, bukankah ini sama dengan azimat? Mohon penjelasan mengenainya.
Jawapan: Menurut Kamus Dewan, tangkal ialah penangkal sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin dan lain-lain). Terdapat tangkal yang diberi nama Tangkal Bisa, Tangkal Jin, Tangkal Sawan, Tangkal Sehari Bulan (azimat yang berbentuk bulan sabit daripada emas atau perak yang digantung di leher kanak-kanak) dan Tangkal Petir (besi pada bumbung rumah dan lain-lain yang dihubungkan dengan kawat ke tanah untuk menjauhkan bahaya petir). Manakala azimat pula ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh badan seperti pinggang yang dianggap mempunyai kesaktian dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya. Kedua-dua tangkal dan azimat mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menolak bencana dan penyakit.
Dalam bahasa Arab, tangkal dan azimat disebut sebagai tamîmah. Al-Hâfizh Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh mendefinisikan “tamîmah” (tangkal atau azimat) dalam kitabnya Fath al-Bâri bahawa ia adalah manik atau kalung yang digantung di kepala. Orang-orang pada zaman jahiliyyah mempercayai bahawa ia boleh menolak penyakit-penyakit atau perkara-perkara yang memudharatkan. Manakala sebahagian fuqahâ’ mendefinisikan “tamîmah” itu sebagai kertas yang ditulis padanya sesuatu daripada ayat-ayat al-Qur’an atau selainnya dan digantung pada badan manusia.
Perkara tangkal dan azimat juga ada kaitan dengan jampi sebagaimana yang dilakukan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr yang mengajar jampi tertentu kepada anaknya yang bâligh dan menulis jampi tersebut untuk digantung di leher anaknya yang belum bâligh sebagai tangkal. Dalam hadits daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya Radhiallâhu ‘anhum, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang kamu terjaga dalam (waktu) tidur maka katakanlah: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya, keseksaanNya, kejahatan hamba-hambaNya dan (aku berlindung) daripada bisikan syaitan-syaitan dan daripada mereka mendatangiku, maka sesungguhnya ia (bisikan syaitan) itu tidak akan memudharatkannya.” Adapun ‘Abdullah bin ‘Amr mengajarkannya kepada anaknya yang telah bâligh, dan sesiapa yang belum bâligh dari kalangan mereka (anak-anaknya), dia menulis do‘a tersebut pada kertas kemudian menggantungnya di lehernya (anak belum bâligh). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam al-Mubarakfuri Rahimahullâh ada menukil dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwadzi pendapat asy-Syaikh ad-Dahlawi Rahimahullâh bahawa hadits ini adalah sandaran tentang keharusan menggantung tangkal daripada ayat-ayat pelindung di leher kanak-kanak. Adapun menggantung tangkal daripada tulisan-tulisan jahiliyyah (yang mengandungi perkara syirik atau perkara yang tidak difahami) adalah haram tanpa perselisihan. Hadits ini juga tidak mengkhususkan pemakaiannya ketika tidur sahaja.
Al-Hâfizh Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ada menukil pendapat Imam al-Qurthubi Rahimahullâh tentang jampi yang dibahagikan kepada tiga bahagian:
1. Jampi orang-orang jahiliyyah daripada perkara yang tiada difahami maknanya. Ia wajib dijauhi supaya tidak berlaku syirik atau membawa kepada syirik.
2. Jampi yang menggunakan kalâmullâh (al-Qur’an) atau nama-nama Allah, ia harus digunakan. Jika ia jampi yang ma‘tsûr (bersumber daripada al-Qur’an atau hadits), hukumnya adalah sunat.
3. Jampi daripada selain nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti nama-nama malaikat atau orang salih atau nama makhluk mu‘azhzham (yang diagungkan) seperti ‘Arasy, ia tidak wajib dihindari tetapi lebih utama ditinggalkan. Namun, jika jampi itu mengandungi perkara mengagung-agungkan nama yang digunakan, maka hendaklah dihindari seperti menghindari bersumpah dengan nama selain nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Al-Hâfizh Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab beliau juga menyebut bahawa para ulama sepakat mengenai keharusan jampi apabila ia menepati tiga syarat iaitu:
1. Hendaklah menggunakan kalâmullâh (al-Qur’an) atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.
2. Hendaklah menggunakan bahasa Arab atau bahasa lain yang diketahui maknanya.
3. Hendaklah beri‘tiqâd atau mempercayai bahawa jampi itu sendiri tidak memberi apa-apa kesan tetapi kesan itu datang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Berkenaan penggunaan tangkal atau azimat daripada ayat al-Qur’an pula, para ulama asy-Syafi‘i seperti Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj dan asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh dalam al-Bujairimi ‘ala al-Khathib menerangkan bahawa tamîmah iaitu kertas yang ditulis padanya ayat al-Qur’an dan digantung di kepala umpamanya adalah untuk mengambil berkat, maka tidak haram menyentuh dan membawanya tanpa wudhu’. Tetapi makruh hukumnya menulis ayat al-Qur’an di atas kertas untuk dijadikan tangkal atau azimat dan menggantungnya kecuali jika dilapisi selaput lilin atau seumpamanya seperti kulit untuk memeliharanya (kertas yang ditulis padanya ayat al-Qur’an). Demikian juga makruh meletakkannya (kertas yang ditulis padanya ayat al-Qur’an) di atas badan tanpa ada sesuatu yang melindunginya.
Asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh ada menukil pendapat asy-Syaikh al-Jauhari Rahimahullâh yang menukil daripada guru-gurunya Rahimahumullâh bahawa penulis azimat atau tangkal daripada ayat al-Qur’an perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya hendaklah penulisnya dalam keadaan suci, menulisnya di tempat suci, tidak meragui keshahîhannya, tidak menulisnya dengan tujuan percubaan, melafazkan apa yang ditulisnya, tidak mendedahkannya kepada penglihatan orang bahkan penglihatannya sendiri dan penglihatan sesuatu yang tidak berakal setelah selesai menulisnya, memeliharanya daripada matahari, mengharapkan keredhaan Allah ketika menulisnya dan menulisnya dalam keadaan berpuasa serta tidak membaris huruf-hurufnya dan tidak menitiknya.
Berdasarkan penjelasan di atas, pemakaian tangkal dan azimat adalah harus jika ia daripada tulisan yang difahami maknanya dan tidak mengandungi perkara syirik seperti mempercayai bahawa ia memberi kesan pada mendatangkan kebaikan atau menolak keburukan. Malah ia boleh menjadi sunat jika bertujuan untuk mengambil berkat daripada nama-nama Allah, zikir-zikir dan ayat-ayat al-Qur’an. Namun tangkal dan azimat daripada ayat-ayat al-Qur’an hendaklah dipelihara seperti dibungkus dalam lapisan yang dilumuri lilin, kulit, kain atau seumpamanya agar ia sentiasa terjaga dan tidak terdedah kepada penghinaan.
Manakala tangkal atau azimat yang mengandungi tulisan yang tidak difahami, lebih-lebih lagi perkara yang membawa syirik seperti mempercayai ia boleh menolak mudharat, penyakit atau lainnya adalah haram dan berdosa besar sebagaimana menurut Imam Ibn Hajar al- Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir kerana tiada yang memberi manfaat dan mudharat melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Berkenaan penggunaan rajah-rajah yang mengandungi kalimat-kalimat suci termasuk ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan apa yang kita dapat fahami sebagai azimat, maka ia ada hubungan dengan penggunaan wafaq. Mengenai dengan penggunaan wafaq, Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah menjelaskan bahawa hukum wafaq itu tertakluk kepada tujuannya. Jika ia digunakan untuk perkara-perkara yang harus maka hukumnya harus tetapi jika digunakan untuk perkara-perkara yang haram maka hukumnya haram.
Berkenaan penggunaan tongkat pula, dalam kitab Subul al-Hudâ wa ar- Rasyâd disebutkan bahawa para nabi ‘Alaihim as-salâm sebelum Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai tongkat. Diriwayatkan daripada Abu al-Mutsanna al-Amluki Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para nabi ‘Alaihim as-salâm sebelum Baginda, berjalan menggunakan tongkat sambil bertelekan padanya kerana tawâdhu‘ (merendah diri) kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Perihal Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm menggunakan tongkat ada disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apakah yang ada di tangan kananmu itu wahai Musa? Nabi Musa berkata: “Ia tongkatku, aku bertelekan padanya (ketika berjalan) dan aku memukul daun-daun kayu dengannya (untuk makanan) kambingku dan bagiku pada tongkat itu ada lagi kegunaan-kegunaan lain.” (Surah Thâhâ: 17-18)
Imam Ibn Katsir Rahimahullâh dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm mentafsirkan firman Allah Ta‘ala: “” bermaksud Nabi Musa
‘Alaihi as-salâm menjadikan tongkatnya sebagai tempat untuk bertelekan atau bertumpu ketika berjalan. Adapun firman Allah Ta‘ala: “” bermaksud Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm
menggunakan tongkatnya untuk memukul pokok supaya gugur daunnya bagi memudahkan kambing-kambingnya makan daun-daun tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa perkataan “ ”dalam ayat di atas
bermaksud ada beberapa kemashlahatan, manfaat dan keperluan lain selain itu.
Manakala perihal Nabi Sulaiman ‘Alaihi as-salâm memakai tongkat juga ada disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Setelah Kami tetapkan kewafatan Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kewafatannya melainkan makhluk yang melata di bumi (anai-anai) yang memakan tongkatnya. Maka apabila dia tersungkur, tahulah jin bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak berada dalam azab yang menghinakan. (Surah Saba’: 14)
Imam Ibn Jarir ath-Thabari Rahimahullâh dalam kitabnya Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl Ây al-Qur’ân mentafsirkan perkataan “ ُ مّنحسَأَتَه” dalam ayat di atas ialah tongkat yang asalnya digunakan untuk menggembala atau menggiring kambing biri-biri.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân bahawa kegunaan tongkat itu banyak dan ia mempunyai tempat atau kedudukan di dalam syariat, antaranya ialah: Tongkat dijadikan tanda arah qiblat di padang pasir. Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mempunyai ‘anazah (tongkat) yang dipacakkan untuk Baginda, lalu sembahyang ke arahnya. Apabila Baginda keluar pada Hari Raya, Baginda memerintahkan untuk diambilkan harbah (tongkat) lalu diletakkan di hadapan Baginda kemudian Baginda sembahyang ke arahnya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga mempunyai mihjan iaitu tongkat yang pangkalnya bengkok yang Baginda gunakannya untuk menyentuh al-Hajar al-Aswad ketika Baginda tidak mampu menciumnya.
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan thawaf semasa haji Wada‘ di atas unta serta Baginda menyentuh rukun (al-Hajar al-Aswad) dengan menggunakan mihjan (tongkat). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya juga ada menukil perkataan Imam al-Hasan al-Bashri Rahimahullâh mengenai kelebihan tongkat:
Ertinya: Padanya (tongkat) itu enam ciri, iaitu: Sunnah para nabi, perhiasan bagi orang-orang salih, senjata terhadap musuh, pembantu bagi orang yang lemah, kedukaan orang-orang munâfiq dan penambah ketaatan.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa para nabi ‘Alaihim as-salâm menggunakan tongkat mereka untuk menjalani kehidupan dan beribadat seperti untuk bertumpu ketika berdiri atau berjalan, menggembala, tanda arah qiblat dan sebagainya dan bukan sebagai tangkal atau azimat sekalipun ia mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Adapun kejadian-kejadian luar biasa yang dikaitkan dengan tongkat Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm itu tidak boleh dikaitkan dengan azimat kerana ia adalah semata-mata mu‘jizat tentang kerasulannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15992
