Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penglibatan Wanita Islam Dalam Sukan Angkat Berat

Soalan: Pihak Persatuan Angkat Berat Kebangsaan Brunei Darussalam ingin menghantar beberapa atlet wanita untuk menyertai pertandingan angkat berat antarabangsa. Pihak persatuan juga akan menggariskan ‘Kod Pakaian’ iaitu bagi lelaki hendaklah menutup aurat sama ada memakai seluar panjang ataupun berbaju dan berseluar sehingga melepasi paras lutut dan bagi wanita ialah bertudung dan memakai pakaian yang bersesuaian sebagai atlet muslimah. Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa mengenainya.

Jawapan: Islam menggalakkan umatnya menjaga kesihatan tubuh badan, antaranya ialah dengan melakukan aktiviti fizikal atau riadah yang menyumbang kepada ketangkasan, kemahiran, menguatkan tubuh badan dan mendatangkan manfaat. Perkara ini sejajar dengan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seorang mu’min yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah berbanding seorang mu’min yang lemah, (meskipun) pada setiap (kedua-duanya) terdapat kebaikan. Kerjakanlah dengan rajin apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan menyerah.

(Hadits riwayat Muslim)

Pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terdapat beberapa aktiviti fizikal yang dilakukan dan dipertandingkan. Antaranya aktiviti memanah sepertimana yang disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa‘ Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melintasi sekumpulan orang dari Bani Aslam yang sedang mengadakan pertandingan memanah, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Memanahlah kamu Bani Isma‘il kerana sesungguhnya datuk kamu (Nabi Isma‘il ‘Alaihi as-salâm) adalah pemanah, memanahlah kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri juga melakukan aktiviti fizikal dan Baginda pernah berlumba lari dengan isterinya sebagaimana disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menandingiku (dalam perlumbaan lari) lalu (kemudian) aku telah mendahuluinya (mengalahkannya). Lalu kami berhenti sehingga apabila tubuhku membebaniku (kerana sedikit gemuk), Baginda menandingiku lalu Baginda mendahuluiku (mengalahkanku). Kemudian Baginda bersabda: “Ini adalah untuk itu (balasan kepada kekalahan yang lalu).” (Hadits riwayat Ibn Hibban)

Selain itu, aktiviti fizikal seperti menunggang kuda juga ada disebut dalam beberapa hadits, antaranya hadits daripada ‘Abdurrahman bin Abu Husain Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Memanahlah kamu dan menungganglah kamu (kuda), dan nescaya kamu memanah itu lebih aku sukai daripada kamu menunggang (kuda). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan keterangan di atas, agama Islam pada dasarnya tidak menolak aktiviti fizikal yang bertujuan untuk kecergasan jasmani. Walau bagaimanapun, apa jua bentuk aktiviti fizikal yang dilakukan hendaklah tidak bercanggah dengan kehendak hukum syara‘.

Wanita Islam dan Sukan Angkat Berat

Menurut Kamus Dewan, sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga (seperti berenang, permainan bola, tenis, lumba lari dan lain-lain) yang dilakukan sebagai acara hiburan (acara pertandingan, kegiatan untuk menyihatkan badan dan lain-lain).

Manakala menurut Kamus Britannica, sukan (sport) ialah pertandingan atau permainan yang mana orang yang melakukan aktiviti fizikal tertentu mengikut peraturan-peraturan tertentu dan bersaing antara satu sama lain.

Berkenaan dengan penglibatan wanita Islam dalam sukan angkat berat (weightlifting) yang ditanyakan, hukum mengenainya adalah tertakluk kepada jenis sukan itu sendiri dan cara melaksanakannya:

1. Sukan angkat berat dan fitrah wanita.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menciptakan manusia daripada golongan lelaki dan perempuan sudah setentunya mempunyai perbezaan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan anak laki-laki tidak sama dengan anak perempuan. (Surah Âli ‘Imran: 36)

Berdasarkan keumuman maksud ayat di atas, dapat difahami bahawa terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita termasuk fitrah kejadian lelaki yang biasanya dikaitkan dengan ketangkasan dan kekuatan fizikal. Manakala wanita pula dikaitkan dengan sifat lembut dan pemalu. Ini bermakna, tidak semua apa yang dilakukan oleh lelaki itu layak dilakukan oleh wanita kerana fitrah kejadian lelaki mempunyai kekuatan atau kemampuan yang lebih berbanding wanita.

Perbezaan fitrah antara lelaki dan wanita ini juga dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ar-Rabi‘ al- Anshari Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Kamu ajarlah anak-anak lelaki kamu berenang dan memanah, dan sebaik-baik hiburan wanita beriman di rumahnya ialah menenun. (Hadits riwayat Abu Nu‘aim)

Menurut Dr. ‘Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh, pengarang kitab al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah, hadits tersebut menunjukkan bahawa Islam memberi galakan kepada lelaki untuk belajar berenang dan memanah kerana ia merupakan hiburan, permainan dan kerehatan jiwa yang penting dan berguna dalam berjihâd. Manakala wanita pula digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti menenun sebagai suatu hiburan yang harus lagi bermanfaat dan berfaedah bagi wanita Islam.

Beginilah cara Islam mentarbiyyah wanita dengan menggalakkan anak-anak perempuan melakukan suatu aktiviti atau hiburan di tempat yang tertutup sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang perempuan yang lembut dan pemalu.

Jika dilihat kepada pertandingan sukan angkat berat ini, ia memerlukan kekuatan fizikal dengan latihan yang berterusan, maka perkara ini tidak layak dilakukan oleh wanita kerana fitrah kejadiannya yang bersifat lembut. Fitrah ini juga yang menyebabkan wanita tidak dikategorikan sebagai ahli jihâd sebagaimana disebut oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab al-Iqnâ‘ Fî Hill Alfâzh Abi Syuja‘:

Ertinya: Maka tidak ada (tuntutan) jihâd ke atas wanita disebabkan (sifat) lemahnya dan berdasarkan firman Allah Ta‘ala (yang tafsirnya): “Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang.” Sebutan lafaz ‘ ّْيحن ’ (dalam ayat ini) adalah terarah (khusus) kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

Begitu juga mengambil bahagian dalam pertandingan yang menjurus kepada jihâd sepertimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Kedua-duanya (perlumbaan dan perlawanan) iaitu setiap dari kedua-duanya dengan maksud persiapan untuk jihâd adalah sunat bagi kaum lelaki muslim berdasarkan apa yang disebut sebelum ini, tetapi tidak (dihukumkan sunat) ke atas kaum wanita dan khuntsâ kerana kedua-dua golongan ini tiada kelayakan untuk menyertai kedua-duanya (perlawanan dan perlumbaan kerana mereka bukan ahli jihâd).

2. Pakaian sukan angkat berat.

Apa yang dimaklumi melalui penjelasan penyoal bahawa pakaian yang diterima bagi atlet wanita Islam dalam acara-acara sukan antarabangsa termasuklah sukan weightlifting ini ialah baju lengan panjang yang dipakai di bawah singlet yang diperlukan dan seluar panjang serta hijâb. Namun apa yang didapati berdasarkan penelitian terhadap gambar-gambar dan video-video yang ada ditayangkan dalam media massa, adalah jelas bahawa pakaian wanita Islam yang mengambil bahagian dalam pertandingan sukan tersebut adalah tidak menepati garis panduan sebenar cara berpakaian yang ditetapkan oleh syara‘.

Adapun cara berpakaian yang betul menurut hukum syara‘ ialah menutup aurat dengan sempurna baik dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang. Namun masih ramai yang tidak memahami maksud menutup aurat yang sempurna sebagaimana kehendak syara‘ dengan beranggapan bahawa hanya dengan menutup kepala dan tubuh badan sudah memadai dan menepati maksud menutup aurat yang disyariatkan.

Pakaian yang dianggap sebagai pakaian yang menepati tuntutan syara‘ yang wajib dipakai oleh seorang muslimah sekalipun ketika melakukan aktiviti sukan adalah pakaian yang boleh melindungi aurat seseorang dengan sempurna iaitu pakaian yang tidak nipis dan tidak jarang supaya tidak menampakkan warna kulit. Memakai pakaian yang masih mendedahkan auratnya dengan menampakkan warna kulit adalah dilarang. Perkara ini ada disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dua golongan penghuni neraka yang aku tidak pernah melihat kedua-duanya, (pertama) satu kaum yang bersama mereka cambuk seperti ekor lembu yang mereka (gunakan untuk) memukul orang dengannya (cambuk), dan (kedua) wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang mengajak (orang) berbuat perbuatannya (yang dicela dan menyimpang daripada mentaati Allah) serta berjalan dengan bergaya (lenggang-lenggok). Kepala (sanggul) mereka seperti bonggol unta yang berlenggok-lenggok (ketika berjalan). Mereka ini (perempuan-perempuan tersebut) tidak masuk syurga, dan mereka tidak dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu boleh dicium sejauh perjalanan begini dan begini. (Hadits riwayat Muslim)

Selain itu, ciri pakaian yang dianggap menutup aurat yang sempurna itu ialah pakaian tersebut tidak ketat iaitu labuh dan longgar supaya tidak nampak bentuk tubuh badan dan lekuk-lekuknya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka memakai jilbâb (pakaian yang labuh dan longgar yang menutup aurat selain muka dan dua tapak tangan) mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa keluar rumah). Yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali supaya mereka tidak diganggu. (Surah al-Ahzâb: 59)

Dalam ayat yang lain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua telapak tangan), dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberi kepadaku qubthiyyah (baju cotton) tebal yang dihadiahkan kepadanya oleh Dihyah al-Kalbiy lalu aku memberikannya (qubthiyyah) kepada isteriku. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kenapa engkau tidak memakai qubthiyyah” Aku berkata: “Aku telah memberinya (qubthiyyah) kepada isteriku.” Lalu Baginda bersabda: “Suruhlah dia (isterimu) untuk memakai baju lapis di bawahnya (qubthiyyah) kerana sesungguhnya aku takut ia (qubthiyyah itu) menggambarkan bentuk tulangnya (susuk tubuh).”

Mengenai dengan pakaian yang labuh dan longgar ini termasuk juga cara pemakaian tudung (hijâb) iaitu tudung tersebut hendaklah dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada dan tidak menampakkan bentuk dada.

Keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa pakaian lengan panjang dan seluar panjang serta hijâb yang biasa dipakai dalam acara pertandingan sukan angkat berat tersebut tidak menepati kehendak syara‘ kerana pakaian tersebut tidak labuh dan tidak longgar dan masih menampakkan bentuk tubuh badan. Hijâb yang dipakai juga tidak labuh dan tidak longgar sebagaimana yang dituntut oleh syara‘ iaitu menutup keseluruhan bahagian dada.

Berdasarkan penilaian terhadap dua perkara di atas iaitu perkara fitrah kejadian wanita dan pakaian sukan angkat berat, maka penglibatan wanita Islam dalam acara pertandingan sukan angkat berat itu adalah jelas bertentangan dengan kehendak hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-15996