Permainan Bingo Di Majlis-Majlis Keraian
Soalan: Permainan “Bingo” kini seakan menjadi budaya dalam masyarakat kita pada majlis-majlis keraian seperti kesyukuran, sambutan hari jadi dan majlis kenduri perkahwinan dalam sesebuah keluarga. Permainan ini menjanjikan hadiah yang disumbangkan oleh setiap individu dalam sesebuah keluarga tersebut. Saya sangat khawatir ia akan hanya dianggap sebagai suatu permainan yang biasa sahaja, sedangkan ia berbau syubhah. Dipohonkan pencerahan hukum mengenainya.
Jawapan: Permainan Bingo ialah permainan yang memberikan kad kepada pemain-pemainnya. Setiap pemain akan diberikan kad yang mempunyai 25 petak yang bertulis nombor-nombor secara rawak. Kemudian pengendali akan mencabut nombor dan menyebutkan nombor tersebut untuk dipangkah oleh para pemain pada kad masing-masing. Pemain yang lebih dahulu berjaya memangkah satu barisan nombor-nombor sama ada barisan melintang, menegak atau pepenjuru, pemain akan segera menjerit “Bingo” dan mengangkat tangan. Maka dialah pemenang dan mendapat hadiah bagi pusingan itu. Kemudian permainan akan diteruskan pada pusingan kedua dan seterusnya.
Jika permainan Bingo itu menghendaki setiap peserta membayar untuk menyertainya dan permainan tersebut menyediakan hadiah sebagai taruhan untuk dimenangi oleh pemain yang bernasib baik. Permainan seumpama ini adalah permainan yang berunsur judi. Selain itu, jika permainan Bingo tersebut tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada pesertanya tetapi menghendaki setiap peserta menyediakan hadiah untuk menyertainya, ia juga termasuk dalam permainan yang berunsur judi.
Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitabnya Kanz ar-Râghibîn Syarh Minhâj ath-Thâlibîn berkata:
Ertinya: Maka jika disyaratkan harta di dalamnya (suatu permainan) daripada kedua-dua belah pihak iaitu bahawa sesiapa yang menang daripada dua pemain itu akan menerima daripada pihak lain sekian (harta yang dipertaruhkan), maka itu adalah judi yang diharamkan.
Menurut keterangan penyoal, hadiah-hadiah dalam permainan Bingo tersebut adalah disediakan oleh setiap individu dalam sesebuah keluarga. Jika keterangan ini memberi erti bahawa sumbangan hadiah dalam permainan tersebut menjadi syarat untuk ikut serta, maka dalam keadaan seperti ini, permainan itu mengandungi unsur perjudian yang diharamkan oleh syara‘ kerana ada kemungkinan pihak yang menyumbang hadiah akan rugi kerana tidak mendapat apa-apa hadiah.
Pengharaman judi jelas disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan).
(Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh yang demikian, bagi mengelakkan daripada berlakunya unsur judi dalam permainan Bingo, maka hendaklah tidak disyaratkan apa-apa bayaran kepada peserta atau pemain dan tidak juga mensyaratkan kepada peserta atau pemain untuk menyediakan hadiah. Sebagai contoh hadiah disediakan oleh tuan rumah sahaja.
Walaupun unsur judi dalam permainan Bingo itu boleh dielakkan dengan cara sedemikian, namun apabila mengambil kira roh permainan Bingo itu adalah permainan yang dikaitkan dengan judi sehingga masyarakat umum menanggapi permainan tersebut adalah judi, lebih-lebih lagi definisi Bingo menurut Kamus Dewan memang ia sejenis permainan judi seakan-akan Lotto, maka adalah lebih selamat dan wajar permainan tersebut tidak dimain oleh orang-orang Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-16000
