Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Sukan Bola Sepak Wanita

Soalan 1:

Antara objektif pembangunan yang diamanahkan kepada Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) adalah pembangunan bola sepak wanita dari akar umbi hingga dewasa.

Pihak FABD berhasrat untuk membangun infrastruktur yang khusus hanya untuk keperluan pembangunan bola sepak wanita dari segi infrastruktur futsal yang boleh menanai amanah dan mandat berkenaan. Antara inisiatif lain juga adalah agar wanita diberi peluang mengikuti perkembangan futsal dengan dasar-dasar dan juga protokol islamiah.

Namun, bagi sama-sama menghormati negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja, pihak FABD juga mengambil maklum akan status penganjuran sukan yang melibatkan wanita di Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu, pihak FABD ingin memohon nasihat dan juga pandangan mengenainya jika pelan tindakan berkenaan dapat dijalankan agar mengikuti lunas-lunas dan dasar negara.

Soalan 2:

Jabatan Pendidikan Swasta (JPS), Kementerian Pendidikan telah menerima jemputan daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam untuk mempelawa pelajar-pelajar wanita berumur 17 tahun ke atas untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan persahabatan bola sepak di Okinawa, Jepun yang dibiayai penuh oleh kerajaan Jepun.

Sehubungan itu, dipohonkan sebarangan pandangan dan penjelasan hukum mengenainya.

Jawaban:

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mencipta manusia daripada golongan lelaki dan wanita. Kedua-dua golongan mempunyai perbezaan dari pelbagai segi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan anak laki-laki tidak sama dengan anak perempuan. (Surah Âli ‘Imran: 36)

Berdasarkan keumuman maksud ayat di atas, dapat difahami bahawa terdapat perbezaan di antara lelaki dan wanita termasuk fitrah lelaki yang biasanya dikaitkan dengan ketangkasan dan kekuatan fizikal. Manakala wanita pula dikaitkan dengan sifat lemah lembut dan pemalu.

Imam al-Fakhr ar-Razi Rahimahullâh dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar- Razi ketika mentafsirkan ayat di atas ada membawakan pendapat mengenai kelebihan anak lelaki ke atas anak perempuan dari pelbagai sudut. Antaranya lelaki lebih layak untuk melakukan suatu perkhidmatan kerana kekuatan dan semangatnya berbanding wanita.

Oleh kerana ada perbezaan antara kemampuan dan kekuatan fizikal lelaki dan wanita, maka lelaki digalakkan untuk belajar berenang dan memanah manakala wanita pula digalakkan untuk melakukan aktiviti yang sesuai dengan fitrah kewanitaan seperti menenun sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ar-Rabi‘ al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Kamu ajarlah anak-anak lelaki kamu berenang dan memanah, dan sebaik-baik hiburan wanita beriman di rumahnya ialah menenun. (Hadits riwayat Abu Nu‘aim)

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh, pengarang kitab al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah, hadits tersebut menunjukkan bahawa Islam menggalakkan lelaki untuk belajar berenang dan memanah kerana ia merupakan hiburan, permainan dan kerehatan jiwa yang penting dan berguna dalam berjihâd. Manakala wanita pula digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti menenun sebagai suatu hiburan yang diharuskan oleh syara‘ lagi bermanfaat dan berfaedah bagi wanita Islam.

Beginilah cara Islam mentarbiyyah (mendidik) anak-anak lelaki dan perempuan sesuai dengan fitrah masing-masing iaitu lelaki dengan permainan yang boleh meningkatkan kekuatan dan ketangkasan yang juga sesuai dengan keperluan untuk berjihâd. Manakala wanita melakukan aktiviti atau hiburan yang sesuai dengan fitrahnya sebagai wanita yang lembut dan pemalu. Bersesuaian juga dengan fitrah lembut dan pemalu ini, wanita tidak diasuh untuk melakukan aktiviti yang memerlukan kekuatan dan ketangkasan fizikal sepertimana yang dituntut ke atas lelaki bagi keperluan persiapan berjihâd. Lebih-lebih lagi wanita tidak dikategorikan sebagai ahli jihâd sebagaimana disebut oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘ fî Hill Alfâzh Abi Syuja‘:

Ertinya: Maka tidak ada (tuntutan) jihâd ke atas wanita disebabkan (sifat) lemahnya dan berdasarkan firman Allah Ta‘ala (yang tafsirnya): “Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang.” Sebutan lafaz ‘ ّْيحن ’ (dalam ayat ini) adalah terarah (khusus) kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj pula menyatakan bahawa wanita itu bukan ahli kepada jihâd, beliau berkata:

Ertinya: Kedua-duanya (perlumbaan dan perlawanan) iaitu setiap dari kedua-duanya dengan maksud persiapan untuk jihâd adalah sunat bagi kaum lelaki muslim berdasarkan apa yang disebut sebelum ini, tetapi tidak (dihukumkan sunat) ke atas kaum wanita dan khuntsâ kerana kedua-dua golongan ini tiada kelayakan untuk menyertai kedua-duanya (perlawanan dan perlumbaan kerana mereka bukan ahli jihâd).

Manakala perlumbaan untuk tujuan berhibur untuk menambah kemesraan dan kasih sayang dalam keluarga adalah tidak dilarang dalam Islam kerana perkara ini pernah dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersama isteri Baginda sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa beliau pernah bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah pelayaran. Semasa dalam pelayaran itu beliau berlumba dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana kata beliau:

Maksudnya: Maka aku berlumba dengan Baginda lalu aku telah mendahului Baginda dengan kedua-dua kakiku (tanpa menaiki tunggangan). Apabila tubuhku memberatiku (gemuk), aku berlumba (lagi) dengan Baginda lalu Baginda mendahuluiku. Maka Baginda bersabda: “(Kemenangan) ini adalah untuk kemenanganmu (yang lalu) itu (balasan kepada kekalahan Baginda yang lalu).” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh, hadits tersebut menunjukkan tentang keharusan wanita berlumba lari dengan suaminya atau mahramnya atau sesama wanita dengan syarat menjaga batasan aurat dan tidak terdedah kepada pandangan lelaki yang bukan mahram.

Berdasarkan penjelasan di atas, aktiviti permainan yang harus dilakukan oleh wanita itu hendaklah bersesuaian dengan fitrah kewanitaan yang lembut. Aktiviti permainan tersebut juga hendaklah terhad di kalangan sesama wanita atau sesama mahram atau bersama suaminya sahaja dengan syarat auratnya tetap terpelihara.

Permainan Bola Sepak dan Wanita

Permainan bola sepak ialah permainan yang dimain oleh dua buah pasukan yang terdiri daripada beberapa orang sepasukan. Objektif asas permainan ialah membolosi gawang gol pihak lawan masing-masing dengan cara menendang bola, mendada bola atau menanduknya dengan kepala.

Permainan bola sepak memerlukan kekuatan, ketangkasan dan kelincahan ketika bermain. Selain itu, ia memerlukan pelbagai aksi seperti menendang, mendada, menanduk, melontar dan melompat. Ada kalanya tindakan yang agak keras juga dilakukan untuk menyaingi pihak lawan. Begitu juga dengan permainan futsal.

Semua keadaan ini jelas menunjukkan bahawa permainan bola sepak atau futsal tidak sesuai dilakukan oleh kaum wanita kerana bertentangan dengan fitrah wanita yang bersifat lembut dan pemalu. Wanita yang pemalu tidak akan melakukan sesuatu perkara yang menyalahi fitrah dan ciri-ciri kewanitaannya yang boleh mendatangkan keaiban pada dirinya.

Perkara wanita tidak sesuai bermain bola sepak bukan hanya pendapat di pihak kita orang Islam, malah juga pernah berbangkit di kalangan golongan profesional di beberapa buah negara. Antaranya, permainan bola sepak wanita pernah dilarang oleh beberapa persatuan seperti Persatuan Bola Sepak (The Football Association) di England pada tahun 1921-1971 dan Persatuan Bola Sepak Jerman (German Football Association) pada tahun 1955-1970. Larangan tersebut adalah disebabkan ketidaksesuaian permainan bola sepak untuk wanita. Ia dicipta oleh kaum lelaki untuk permainan lelaki dan bersifat maskulin dan lasak. The Football Association di England menyatakan: The game of football is quite unsuitable for females and should not be encouraged.

Ertinya: Permainan bola sepak sangat tidak sesuai untuk wanita dan tidak patut digalakkan.

Menurut Daniela Schaaf, seorang pakar komunikasi di German Sports University di Cologne mengenai larangan permainan bola sepak wanita di Jerman: It’s because soccer is a sport that was invented by men for men. It concentrates only on male attributes, on the male body and masculinity.

Ertinya: Ia (larangan tersebut) adalah kerana bola sepak adalah sukan yang dicipta oleh kaum lelaki untuk kaum lelaki. Ia tertumpu hanya kepada sifat-sifat lelaki pada tubuh badan lelaki dan ciri-ciri maskulin.

Selain itu, negara Perancis juga melarang keterlibatan wanita dalam permainan bola sepak pada tahun 1941-1970 dan Brazil juga pernah melarangnya pada tahun 1941-1979. Sebab utama bagi larangan ini adalah sama seperti sebab-sebab larangan di negara-negara lain dan berkaitan dengan kenyataan bahawa kaum wanita tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam sukan yang tidak sesuai dengan fitrah mereka kerana boleh merosakkan kesihatan dan maruah.

Mengenai permainan bola sepak wanita ini, Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz juga ada menyebut dalam fatwa bilangan 22/1987 bahawa permainan bola sepak itu adalah permainan orang lelaki.

Berdasarkan penerangan di atas, apabila wanita bermain bola sepak, ia adalah dikira menyerupai kaum lelaki. Dalam Islam, wanita yang menyerupai lelaki dari segi pakaian, percakapan, pergerakan dan seumpamanya adalah haram dan berdosa besar sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir ‘An Iqtirâf al-Kabâ’ir.

Antara dalil yang menunjukkan haram bagi wanita menyerupai perbuatan lelaki atau sebaliknya itu ialah hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai orang lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, hasrat pihak FABD untuk membangun infrastruktur khusus untuk keperluan pembangunan futsal wanita agar wanita diberi peluang mengikuti perkembangan futsal dengan dasar-dasar dan juga protokol islamiah pada hakikatnya adalah bercanggah dengan ketetapan hukum syara‘ yang mengharamkan wanita bermain futsal atau bola sepak.

Adapun persoalan yang dibangkitkan oleh Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan mengenai perkara jemputan yang diterima daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam untuk mempelawa pelajar-pelajar wanita berumur 17 tahun ke atas untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan persahabatan bola sepak di Okinawa, Jepun yang dibiayai penuh oleh Kerajaan Jepun adalah tidak perlu dipenuhi kerana Islam melarang wanita bermain bola sepak, lebih-lebih lagi permainan itu diadakan secara terbuka dan ditonton oleh orang ramai.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-16004