Wanita Bekerja Sebagai Penggali Kubur
Soalan: Bagaimanakah kedudukan seseorang perempuan yang mengambil pekerjaan sambilan sebagai penggali kubur?
Jawapan: Dalam Islam, sebaik-baik tempat bagi seorang wanita adalah rumahnya. Manakala tugas yang pertama dan utama baginya ialah mengasuh dan mendidik anak-anaknya, mengurus dan menjaga rumahnya, membahagiakan suaminya dan membina keluarga bahagia lagi harmoni berasaskan kasih sayang. Tidak dipertikaikan bahawa tugas-tugas di atas adalah tugas yang besar dan mulia yang menjadi tanggungjawab seorang wanita. Sekalipun demikian, tidak bermakna wanita dilarang sama sekali untuk bekerja di luar rumah.
Pada dasarnya wanita diharuskan bekerja di luar rumah bahkan ada kalanya ia menjadi satu keperluan jika keadaan menghendakinya seperti membantu ekonomi keluarga.
Namun dalam hal ini, keharusan bagi wanita bekerja di luar rumah hendaklah dibatasi dengan syarat-syarat tertentu agar ia tidak bercanggah dengan hukum syara‘. Antara syarat-syarat itu ialah:
1. Kerjaya itu hendaklah tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara‘ seperti kerjanya menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan lelaki di tempat yang sunyi dan terasing daripada orang lain atau kerja itu dilakukan dalam sebuah bilik yang hanya diisi oleh seorang lelaki dan seorang perempuan. Tugas yang dilakukan dalam keadaan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip yang digariskan hukum syara‘ sebagaimana dalam hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah sekali-kali seorang lelaki mengasingkan diri bersama seorang perempuan melainkan bersama (mereka) yang ada hubungan mahram. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Kerjaya itu tidak menyebabkan seorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut hukum syara‘ apabila seorang wanita keluar rumah hendaklah dia menutup aurat serta memenuhi adab-adab sebagai wanita Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan), dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka. (Surah an-Nûr:31)
3. Kerjaya itu hendaklah sesuai dengan kemampuan fizikal dan fitrah semula jadi kewanitaan. Kerja-kerja berat adalah tidak sesuai untuk wanita kerana fitrah semula jadi mereka adalah lemah-lembut sekalipun kerja-kerja itu dianggap oleh orang lain sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.
4. Kerjaya itu hendaklah mendapat restu dan izin daripada suami jika wanita itu bersuami dan tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Manakala bagi wanita yang belum bersuami hendaklah mendapat restu dan izin daripada walinya.
Wanita Bekerja Sebagai Penggali Kubur
Dalam perkara bekerja sebagai penggali kubur, kita boleh kaitkan dengan pendapat ulama mengenai wanita mengebumikan jenazah dan memasukkan mayat ke dalam kubur.
Mengenai hukum wanita mengebumikan jenazah sama ada jenazah tersebut lelaki atau perempuan, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab telah menukil pendapat Imam asy-Syafi‘i dan ulama mazhab Syafi‘i Rahimahumullâh. Beliau berkata:
Ertinya: Imam asy-Syafi‘i dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka) Rahimahumullâh berkata: “Orang yang lebih utama mengebumikan (jenazah) itu ialah lelaki sama ada si mati itu lelaki atau perempuan. Dan (hukum) ini tiada terdapat perbezaan (pendapat para ulama) mengenainya. Mereka mengemukakan dua ‘illah (sebab) baginya (keutamaan lelaki mengebumikan jenazah). Pertama: Yang telah disebut oleh pengarang (Imam asy-Syirazi Rahimahullâh) bahawasanya para lelaki lebih kuat dan lebih hebat dari segi tenaga, dan kedua: Bahawasanya jika perempuan yang menguruskannya (pengebumian jenazah), maka (perkara itu) akan membawa kepada terdedahnya sebahagian daripada tubuhnya.”
Menurut Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, memasukkan mayat ke dalam kubur itu adalah sunat bagi lelaki meskipun orang yang meninggal dunia itu adalah perempuan.
Menurut al-Imam al-Bujairimi Rahimahullâh pula, adalah khilâf al-aulâ (menyalahi yang utama) bagi wanita memasukkan mayat ke dalam kubur meskipun orang yang meninggal dunia itu adalah perempuan. Namun menurut sebahagian ulama, makruh bagi perempuan memasukkan mayat ke dalam kubur selagi ada orang lelaki yang boleh melakukannya. Bahkan menurut pendapat al-Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh, perempuan haram memasukkan jenazah ke dalam kubur. Pendapat ini juga disetujui oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini.
Keutamaan diberikan kepada lelaki dalam memasukkan jenazah ke dalam kubur adalah berdasarkan kepada beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Kami menyaksikan (pengebumian) bagi anak perempuan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (Ummu Kultsum Radhiallâhu ‘anhâ). (Anas) berkata: “Dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam duduk di kubur (anak Baginda)”. (Anas) berkata: “Aku melihat kedua mata Baginda mengalirkan air mata”. (Anas) berkata: “Lalu Baginda bersabda: “Adakah antara kamu lelaki yang tidak menggauli (isterinya) semalam?” Abu Thalhah berkata: “Saya”. Baginda bersabda: “Turunlah”. (Anas) berkata: “Maka dia (Abu Thalhah) turun ke (dalam) kuburnya (anak Baginda).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di saat kewafatan anak Baginda Ummu Kultsum Radhiallâhu ‘anhâ telah memilih Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu untuk memasukkan jenazah ke dalam kubur anak Baginda itu meskipun Ummu Kultsum Radhiallâhu ‘anhâ pada ketika itu mempunyai mahram lain daripada kalangan wanita seperti Fathimah Radhiallâhu ‘anhâ. Perkara ini ada dijelaskan oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, beliau berkata:
Ertinya: Dan dimaklumi bahawa dia (Ummu Kultsum Radhiallâhu ‘anhâ) mempunyai mahram daripada kalangan wanita seperti Fathimah dan selainnya (namun urusan pengebumian tetap diserahkan kepada Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu) dan kerana ia (pengebumian jenazah) memerlukan kekuatan, dan lelaki lebih layak untuk yang demikian berbeza dengan wanita disebabkan kelemahan (tubuh) mereka (melaksanakan perkara) tersebut pada kebiasaannya, dan dikhuatiri daripada pengurusan mereka (wanita) akan mencemari kehormatan si mati dan terdedahnya (aurat) mereka.
Dengan mengambil kira hukum-hakam wanita memasukkan jenazah ke dalam kubur iaitu makruh, khilaf al-aulâ dan juga haram sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka hukum-hakam tersebut boleh dikaitkan dengan hukum wanita menggali kubur. Bahkan kerja menggali kubur adalah lebih berat berbanding kerja memasukkan jenazah ke dalam kubur. Oleh itu, kerja menggali kubur tidak layak menurut syara‘ dilakukan oleh wanita memandangkan syara‘ telah meletakkan keutamaan kepada kaum lelaki untuk melakukannya kerana sifat fizikal yang diperlukan dalam pekerjaan tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-16008
