Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Zikir Hari Jumaat Terakhir Bulan Rejab

Soalan: Sejak akhir-akhir ini sering tersebarnya amalan-amalan tertentu yang memang diragui akan keshahîhannya baik pada dalilnya mahupun pada nashnya melalui aplikasi WhatsApp. Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan mengenai status amalan di bawah ini yang disebarkan baru-baru ini:

AMALAN JUMAAT TERAKHIR BULAN REJAB 1444H.

Habib Quraisy Baharun menuturkan amalan ijazah Habib Salim bin ‘Abdullah asy-Syathiri tentang do‘a pada Jumaat terakhir bulan Rejab seperti berikut:

Fatwa Habib Salim bin ‘Abdullah asy-Syathiri ihwâl amalan kaya di Jumaat terakhir bulan Rejab.

Dalam kitab Kanz an-Najâh wa as-Surûr disebutkan bahawa barang siapa membaca: “Ahmad Rasulullah, Muhammad Rasulullah” sebanyak 35 kali di Jumaat terakhir bulan Rejab pada saat khatib di atas mimbar, maka dirham tidak akan terputus di tangannya pada tahun itu. Bagaimana kita membacanya? Sedangkan khatib di atas mimbar dan di waktu itu kita diperintahkan untuk diam mendengar khutbah? Jawab: Tidak disyaratkan untuk membacanya dengan mulut akan tetapi di dalam hati saja sudah cukup, atau dibaca ketika khatib duduk di mimbar sebelum khutbah, atau ketika do‘a untuk para sahabat, kerana yang dimaksud untuk diam di dalam khutbah adalah diam mendengarkan rukun khutbah, bukan yang lainnya.

Zikir ini juga disarankan al-Imam Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi.

Beliau memberikan ijazah kepada para murid dan pecintanya untuk membaca:

Ertinya: “Ahmad adalah Rasulullah, Muhammad adalah Rasulullah” sebanyak 35 kali di hari Jumaat terakhir bulan Rejab, ketika khatib sedang berkhutbah.

Beliau berkata: “Barang siapa membaca kalimat di atas pada Jumaat terakhir bulan Rejab, ketika khatib sedang berkhutbah, maka selama setahun tangannya tidak akan pernah kosong dari wang.”

Jawapan: Bulan Rejab adalah antara bulan-bulan haram yang dihormati lagi dimuliakan dalam Islam. Ramai ulama yang menyusun amalan-amalan termasuk zikir-zikir yang baik diamalkan dalam bulan tersebut sama ada yang ma’tsûr atau bukan ma’tsûr.

Zikir terbahagi kepada dua iaitu ma’tsûr dan bukan ma’tsûr. Zikir ma’tsûr ialah zikir-zikir daripada al-Qur’an dan as-sunnah iaitu yang datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada yang diajar, disuruh atau dibaca oleh Baginda pada sempena yang khusus dan tidak bersempena. Manakala zikir bukan ma’tsûr ialah zikir yang bukan bersumberkan daripada al-Qur’an atau as-sunnah tetapi zikir tersebut dicipta atau dikarang oleh para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan selain mereka seperti at-tâbi‘în dan para ulama.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menerangkan dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa zikir ma’tsûr adalah lebih baik diamalkan berbanding zikir yang bukan ma’tsûr. Maka hendaklah zikir ma’tsûr diamalkan kerana berkatnya yang banyak dan dengan besar harapan yang ia diterima oleh Allah Ta‘ala kerana keberkatan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Imam Ibn ‘Allan Rahimahullâh pula menerangkan dalam kitabnya al-Futûhât ar-Rabbâniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah bahawa wirid-wirid dan hizib-hizib yang dikarang oleh para ulama adalah tidak mengapa untuk diamalkan. Walau bagaimanapun, kebaikan dan keutamaan adalah pada mengamalkan zikir yang ma’tsûr daripada al-Qur’an dan as-sunnah.

Keharusan mengamalkan zikir bukan ma’tsûr adalah berdasarkan beberapa hadits antaranya hadits daripada Rifa‘ah bin Rafi‘ az-Zuraqiy Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Pada suatu hari kami telah bersembahyang di belakang Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka ketika Baginda mengangkat kepala Baginda daripada ruku‘, Baginda membaca: “ ُ حَّدَهحسَّع َ ا لِلٰه ُ لّمَن”. Seorang lelaki (di belakang Baginda) pun membaca: “ َ رَبـَّنَا وَلَك َ ا ْلحد ُ حَحداحم ّْيحكَثحَكا فّيّ ا طَيّٰبا مُبَاره ”. Setelah Baginda selesai (menunaikan sembahyang), Baginda bertanya: “Siapakah yang mengucapkan (bacaan tersebut)?” (Lelaki berkenaan) berkata: “Saya”. Baginda bersabda: “Aku telah melihat tiga puluh lebih malaikat berebut-rebut siapakah antara mereka yang lebih dahulu menulisnya (bacaan tersebut).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menerangkan dalam kitabnya Fath al-Bâri bahawa hadits ini menunjukkan keharusan mengarang zikir bukan ma’tsûr di dalam sembahyang selagi zikir tersebut tidak menyalahi zikir ma’tsûr.

Menurut as-Sayyid al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm pula, sunat memperbanyak zikir dan do‘a selepas selesai sembahyang dan terhasil hukum sunat itu walaupun dengan zikir yang bukan ma’tsûr akan tetapi mengamalkan zikir yang ma’tsûr adalah afdhal.

Oleh yang demikian, harus membaca zikir bukan ma’tsûr sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang. Begitu juga harus menambah zikir pada zikir ma’tsûr selagi zikir yang ditambah itu tidak menyalahi zikir ma’tsûr.

Adapun zikir sebagaimana yang diajukan dalam soalan ada disebut dalam kitab Kanz an-Najâh wa as-Surûr karangan asy-Syaikh ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Rahimahullâh, salah seorang ulama asy-Syafi‘i, di bawah tajuk ‘Bayân Mâ Yuthlab fî Rajab al-Harâm al-Mukarram’. Beliau menyebut bahawa antara faedah-faedah yang disebut oleh asy-Syaikh al-Ujhuri Rahimahullâh dalam kitab Khulâshah al-Atsâr:

Ertinya: Sesungguhnya sesiapa membaca pada hari Jumaat terakhir pada bulan Rejab sedang khathib berada di atas mimbar: “ ّ حُمَُمَّد ٌ رَسُو ” (Ahmad Pesuruh Allah, Muhammad Pesuruh Allah) sebanyak tiga puluh lima kali maka tidak terputus dirham (wang) dari tangannya pada tahun itu.

Antara nama-nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang masyhur dan disebut dalam al-Qur’an ialah Muhammad dan Ahmad. Nama Muhammad disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Nabi Muhammad ialah Rasulullah. (Surah al-Fath: 29)

Manakala nama Ahmad pula disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi ‘Isa ibn Maryam berkata: “Wahai Bani Israel! Sesungguhnya aku ini Rasul Allah kepada kamu yang mengakui kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku iaitu kitab Taurat dan membawa berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang namanya Ahmad.” (Surah ash-Shaff: 6)

Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri juga menyebut beberapa nama Baginda sebagaimana dalam hadits daripada Jubair bin Muth‘im Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Aku mempunyai lima nama: “Aku Muhammad, aku Ahmad, aku al-Mahi (penghapus) yang Allah menghapus denganku kekufuran, aku al-Hasyir (penghimpun) yang manusia dihimpun atas kakiku (dihimpunkan atas jejakku, zaman kenabianku dan risalahku) dan aku al-‘Aqib (penyudah para nabi).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, ungkapan ّ ل ُ هللاحُمَُمَّد ٌ رَسُو adalah merupakan zikir ma’tsûr yang ditambah oleh ulama menjadi:

Ertinya: Ahmad ialah Pesuruh Allah, Muhammad ialah Pesuruh Allah.

Berkenaan fadhilat dirham atau wang tidak terputus sepanjang tahun dengan membaca zikir tersebut pula, menurut al-‘Allâmah al-Habîb Zain bin Ibrahim bin Sumaith, ia terbukti berhasil daripada percubaan orang-orang yang mengamalkannya. Beliau berkata dalam kitabnya al- Fawâ’id al-Mukhtârah li Salîk Tharîq al-Âkhirah:

Ertinya: Faedah: Untuk mengekalkan dirham (wang) sepanjang tahun dengan mendatangkan zikir ini sebanyak 35 kali pada hari Jumaat terakhir di bulan Rejab semasa khutbah kedua iaitu: “ ُ ُ هللا لحرَسُو ” (Ahmad Pesuruh Allah, Muhammad Pesuruh Allah).

Sesungguhnya ramai orang telah mencubanya (mengamalkannya) dan ia adalah benar (terjadi) pada mereka.

Maka mengamalkan zikir tersebut adalah tidak mengapa bahkan harus hukumnya apatah lagi hari Jumaat merupakan hari yang disunatkan untuk memperbanyakkan do‘a dan zikir dan terdapat padanya waktu yang dikabulkan do‘a, antaranya ketika khathib duduk di atas mimbar sehingga selesai sembahyang. Walau bagaimanapun, membaca zikir tersebut hendaklah sebelum atau selepas khathib menyampaikan khutbah kerana diam mendengar khutbah bagi mereka yang dapat mendengar khutbah itu hukumnya adalah sunat dan lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-16012