Puasa Ramadhan
Pendahuluan
Agama Islam tidak mensyariatkan sesuatu perkara melainkan mempunyai hikmat-hikmat yang tertentu. Sekalipun hikmat itu kadang-kadang tidak jelas, namun yang lebih penting ianya bersifat ta‘abbudiy (menjunjung titah perintah Allah), sebab akal manusia tidak dapat menyelukinya, dan Maha Suci Allah daripada mensyariatkan perkara yang sia-sia. Hanya manusia sahaja selalu lalai dan tidak mahu memperhatikan dan berfikir akan segala hikmat perintah dan laranganNya.
Sesungguhnya Allah tidak berhajat kepada segala isi alam ini, dan segala amal kebajikan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya tidak sekali-kali memberi kemanfaatan kepada Allah sebagaimana segala kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya tidak sekali-kali memberi kemudaratan kepadaNya. Bahkan sebaliknya, segala amal kebajikan yang diperintahkan dan kemaksiatan yang dilarang semuanya akan kembali maslahatnya untuk hamba-hambaNya sendiri.
Puasa adalah di antara ibadat-ibadat yang disyariatkan kepada umat Islam yang mempunyai berbagai hikmat dan kemaslahatan. Ini jelas sekali sebagaimana yang telah banyak disabdakan oleh junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan ibadat puasa itu. Di antaranya ialah puasa itu sebagai perisai daripada perkataan- perkataan kotor dan dosa di dunia, dan sebagai perisai api neraka di akhirat. Puasa itu juga merupakan sebagai salah satu cara untuk menundukkan hawa nafsu syahwat manusia, di mana nafsu syahwat itu merupakan senjata yang paling berbahaya sekali yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan dan membinasakan manusia.
Ini ialah di antara hikmat puasa jika dilihat dari segi kerohanian. Manakala dari segi sosial dan kemasyarakatan pula, puasa itu menimbulkan rasa belas kasihan kepada fakir miskin, melahirkan keinsafan, mendidik jiwa daripada sifat tamak, bakhil dan sebagainya. Dari segi kesihatan pula, memang telah diperakui oleh ahli-ahli perubatan bahawa puasa itu boleh memelihara kesihatan tubuh badan manusia dan boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Apa yang lebih penting kesimpulan daripada segala hikmat-hikmat yang disebutkan, puasa itu tujuannya yang asas adalah supaya menambahkan lagi darjah ketaqwaan kita kepada Allah.
Semua ini tidak akan dapat dicapai jika kita tidak menunaikan ibadah puasa itu dengan rupa bentuk yang sempurna. Di antara jalan untuk menuju kesempurnaan sesuatu ibadah itu adalah dengan cara mempelajari dan mengetahui rukun-rukun, syarat-syarat, larangan-larangan di dalam sesuatu ibadah yang dilakukan itu. Maka dengan adanya irsyâd hukum mengenai puasa ini, diharapkan sedikit sebanyak akan dapat mendekatkan kita dalam menuju kesempurnaan ibadah puasa tersebut.
Memang dimaklumi bahawa puasa di bulan Ramadhan itu adalah salah satu daripada rukun agama Islam yang lima. Barangsiapa yang meninggalkannya dengan sengaja dengan tidak ada apa-apa keuzuran, bukan saja dia berdosa besar bahkan ia adalah suatu kerugian yang tidak boleh ditukar ganti sebagaimana digambarkan oleh sebuah hadits, bahawa satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan oleh seseorang tanpa ada apa-apa keuzuran, tidak akan dapat diganti puasa yang ditinggalkannya itu walaupun dia berpuasa sepanjang hidupnya, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Hadits riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasâ’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Pengertian Puasa
Puasa dari segi syara‘ bererti menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shâdiq hingga masuk matahari dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.
Dalil Wajib Puasa
Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam yang lima dan telah tsabit wajibnya daripada Al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama.
Dalil yang mewajibkan puasa Ramadhan itu daripada Al-Qur’an ialah firman Allah:
Tafsirnya: Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 183)
Hadits Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dibina Islam itu di atas lima rukun, (iaitu) mengucap dua kalimat syahadah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasul Allah), mendirikan sembahyang lima waktu, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, dan puasa pada bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Telah ijmâ‘ ulama dari zaman Nabi lagi hingga sekarang bahawa puasa di bulan Ramadhan itu wajib dan fardhu ‘ain ke atas setiap orang Islam yang mukallaf. Maka dari itu, semua ulama sepakat menghukumkan kepada sesiapa yang mengingkari fardhunya atau merasa ragu-ragu akan fardhunya adalah terkeluar dari agama Islam (murtad).
Bila Difardhukan Puasa Di Bulan Ramadhan Puasa telah difardhukan di Madinah pada tahun kedua Hijriyyah dan seumur hidup Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadhan.
Syarat-Syarat Wajib Puasa
Orang yang diwajibkan ke atasnya puasa itu mempunyai lima syarat iaitu:
(i) Islam
Tidak wajib puasa Ramadhan kepada orang kafir, dan tidak dikehendaki baginya mengqadha puasa apabila dia memeluk agama Islam. Begitu juga kepada orang yang murtad, tidak wajib dan tidak sah baginya puasa Ramadhan, tetapi apabila dia kembali kepada Islam, maka wajib baginya mengqadha apa yang telah ditinggalkannya ketika dia menjadi murtad.
(ii) Baligh
Adapun kanak-kanak (yang belum baligh) tidak diwajibkan ke atasnya puasa di bulan Ramadhan berdasarkan sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan); kanak-kanak sehingga dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar dan orang gila sehingga dia waras. (Hadits riwayat Abu Daud dan Nasâ’i)
Tetapi jika kanak-kanak yang telah mumayyiz (yang boleh membezakan di antara yang baik dan buruk) berpuasa, maka sah puasanya. Oleh kerana itu wajib kepada wali (ibu bapa/penjaga) menyuruh anak-anaknya yang sudah mumayyiz atau yang mencapai umur tujuh tahun jika dia sihat dan berupaya, untuk mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadhan sebagai suatu latihan.
Apabila kanak-kanak itu mencapai sepuluh tahun pula wajib ke atas walinya memukulnya (sebagai pengajaran dengan pukulan yang tiada mencederakan) jika anaknya itu meninggalkannya. Ini adalah diqiyâskan kepada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang lima waktu yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Amr:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
(iii) Berakal
Tidak wajib puasa ke atas orang yang gila dan tidak dituntut ke atasnya untuk mengqadhanya apabila dia sembuh berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam daripada Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan); kanak-kanak sehingga dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar dan orang gila sehingga dia waras. (Hadits riwayat Abu Daud dan Nasâ’i)
Manakala bagi orang yang pengsan, mabuk atau pitam, tidak wajib bagi mereka berpuasa, tetapi diwajibkan bagi mereka mengqadhanya sekalipun keuzuran mereka itu meliputi seluruh bulan Ramadhan, kerana pengsan dan pitam itu termasuk di dalam kategori sakit. Berlainan dengan gila, kerana gila adalah sifat yang mengurangkan bagi menunaikan ibadah (bukan mukallaf). Maka sebab itulah tidak harus terkena gila bagi seorang Nabi dan harus pula baginya terkena pengsan atau pitam.
Wajib qadha kepada orang sakit atau orang musafir itu ialah melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam pelayaran (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)
(iv) Sihat dan berdaya menunaikan puasa
Orang tua yang jika dia berpuasa akan mendatangkan kesusahan yang berlebihan dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, mereka tidak diwajibkan berpuasa dan tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan, tetapi diwajibkan ke atas mereka membayar fidyah sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Dan wajib bagi orang yang tiada mampu mengerjakannya (jika mereka tidak berpuasa) maka mereka hendaklah membayar fidyah, memberi makan seorang miskin. (Surah Al-Baqarah: 184)
Berkata Ibnu ‘Abbas: “Ayat ini tidak mansûkh, kerana ia adalah khusus bagi orang-orang tua yang tidak berdaya untuk berpuasa.” Maka mereka diwajibkan memberi makan satu mudd kepada orang miskin sebagai ganti setiap hari puasa yang ditinggalkan itu.
Manakala bagi orang yang sakit yang ditakuti akan bertambah sakitnya jika dia berpuasa tetapi ada harapan untuk sembuh, maka tidak wajib baginya berpuasa, tetapi apabila dia sembuh wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu tanpa fidyah.
Tidak harus berbuka bagi orang yang sakit biasa (sedikit) yang tidak membawa kepada kepayahan seperti sakit kepala, telinga, gigi dan sebagainya, melainkan jika dia takut bertambah sakitnya dengan sebab dia berpuasa, maka harus baginya berbuka.
Bagi orang yang tersangat lapar atau haus dan ditakuti jika dia meneruskan puasanya, dia yakin akan mendatangkan bahaya kepada dirinya walaupun ketika dia berpuasa itu dia seorang yang sihat, maka wajib baginya berbuka dan wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut, kerana membinasakan diri sendiri itu adalah dilarang berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (Surah Al-Baqarah: 195)
(v) Bermuqîm (tidak musafir)
Bermuqîm ertinya ialah orang yang menetap di suatu tempat. Bagi orang yang musafir harus dia berbuka dengan dua syarat:
(a) Perjalanannya mestilah mencapai atau melebihi jarak yang dibolehkan mengqasar sembahyang (lebih kurang lapan puluh sembilan kilometer iaitu lima puluh enam batu).
(b) Perjalanan itu ialah perjalanan yang diharuskan oleh hukum syara‘.
Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Sesungguhnya Hamzah bin ‘Amr Al-Aslamiy berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Adakah mesti aku berpuasa di dalam musafir?” (Walhal) adalah Hamzah itu seorang yang banyak mengerjakan ibadah puasa. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau hendak berpuasa, berpuasalah dan jika engkau hendak berbuka, berbukalah. (Hadits riwayat Bukhari)
Berkata Imam Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya bahawa orang musafir itu boleh membuat pilihan di antara berbuka atau berpuasa. Adapun yang afdhal daripada keduanya ialah jika dengan berpuasa memudaratkan baginya, maka berbuka adalah afdhal, dan jika tidak, maka berpuasa adalah afdhal baginya.
Syarat diharuskan mula berbuka (tidak berpuasa) bagi orang musafir itu hendaklah dia melewati tempat yang dikira dia memulakan perjalanannya sebelum terbit fajar shâdiq, iaitu apabila dia melewati sempadan atau perbatasan kampung tempat tinggalnya.
Jika dia melewati tempat tersebut selepas fajar shâdiq maka dituntut baginya berpuasa dan tidak harus baginya berbuka kecuali datang sesuatu kesusahan yang menyebabkan dia tidak berkuasa meneruskan puasanya, bahkan jika dia meneruskan juga puasanya akan memudaratkan dirinya.
Syarat-Syarat Sah Puasa
Syarat-syarat sah puasa itu ada empat perkara:
(i) Islam
Tidak sah puasa orang kafir atau orang yang murtad.
(ii) Berakal atau mumayyiz
Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz atau orang gila. Begitu juga tidak sah puasa orang yang pengsan, pitam dan mabuk di sepanjang hari, tetapi jika dia ada sedar walaupun sekejap, maka sah puasanya. Berlainan dengan puasa orang yang tidur di sepanjang hari, puasanya adalah sah kerana masih kekal padanya sifat mukallaf.
(iii) Suci daripada haidh dan nifas
Tidak sah puasa orang yang di dalam haidh atau nifas dengan ijmâ‘ ulama, kerana itu jika seorang perempuan yang sedang berpuasa datang haidh atau nifas pada siang hari, maka batal puasanya dan diwajibkan ke atasnya qadha.
(iv) Masuk waktu berpuasa
Puasa bulan Ramadhan tidak sah dilakukan jika belum masuk waktunya atau telah luput waktunya. Demikian juga puasa-puasa lain tidak sah jika dilakukan pada hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah), hari Syakk dan separuh terakhir bulan Sya‘ban.
Walau bagaimanapun berpuasa pada hari Syakk dan hari-hari separuh terakhir bulan Sya‘ban adakalanya tidak diharamkan dengan sebab-sebab yang tertentu seperti puasa qadha, nazar, kaffârah atau telah menjadi kebiasaan kepada seseorang itu berpuasa pada hari-hari tertentu seperti Isnin dan Khamis kemudian bertemu hari tersebut dengan hari Syakk atau bersambung puasa separuh bulan Sya‘ban (16 Sya‘ban) itu dengan puasa pada 15 Sya‘ban.
Rukun Puasa
Rukun puasa itu ada tiga:
(i) Orang yang berpuasa
Disyaratkan bagi orang yang berpuasa itu Islam, berakal dan suci daripada haidh dan nifas.
(ii) Niat
Niat adalah wajib sama ada puasa itu puasa wajib atau puasa sunat.
Maksudnya: Daripada ‘Umar Ibnu Al-Khaththab berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang itu mengikut niatnya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Diwajibkan berniat itu pada tiap-tiap malam, kerana ibadat pada tiap-tiap hari puasa itu adalah ibadat berasingan yang masuk waktu puasa itu dengan terbit fajar shâdiq dan keluar waktunya dengan terbenam matahari. Apabila rosak satu hari puasa itu, ia tidak merosakkan puasa yang terdahulu dan yang terkemudian, maka tidak memadai satu niat sahaja bagi satu bulan puasa itu seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadits riwayat Baihaqi dan Al-Daraquthni)
Adapun sekurang-kurang lafaz niat puasa Ramadhan itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa Ramadhan.
Niat yang lengkap pula ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Di samping berniat pada tiap-tiap hari, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat satu bulan bagi tujuan berhati-hati jika seseorang itu lupa berniat pada tiap-tiap malam, bertaqlîd kepada mazhab Maliki.
Lafaz niatnya ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Berniat pada tiap-tiap malam ini adalah khusus kepada puasa wajib sahaja iaitu puasa bulan Ramadhan, nazar, kaffârah, qadha dan fidyah haji. Masa berniat itu mulai terbenam matahari hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq. Manakala bagi puasa-puasa sunat masa berniat itu mulai terbenam matahari hingga sebelum tergelincir matahari pada hari berikutnya selagi dia belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar shâdiq pada hari tersebut, sebagaimana di dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Bersabda Rasulullah kepadaku pada satu hari: “Wahai ‘Aisyah, adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?” Maka aku (‘Aisyah) berkata: “Wahai Rasulullah tidak ada di sisi kita sesuatupun (untuk dimakan).” Berkata (Rasullullah): “Maka (kalau begitu) sesungguhnya aku seorang yang berpuasa. (Hadits riwayat Muslim)
(iii) Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa
Adapun perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah:
(a) Datang haidh atau nifas
Adapun perempuan yang sedang berpuasa, jika datang darah haidh atau nifas, maka batallah puasanya dan wajiblah dia mengqadhanya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha sesungguhnya dia (‘Aisyah) berkata mengenai haidh:
Maksudnya: Sesungguhnya kami diperintahkan untuk mengqadha puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
(b) Minum atau makan dengan sengaja
Haram bagi orang yang berpuasa makan atau minum di siang hari bulan Ramadhan.
(c) Muntah dengan sengaja
Apabila seorang yang berpuasa itu muntah dengan sengaja, maka batal puasanya. Adapun muntah dengan sengaja itu ialah melakukan sesuatu yang menyebabkan dia muntah seperti menjolok-jolokkan lidahnya ke langit-langit kemudian dia muntah dengan sebab perbuatannya itu.
Jika muntahnya itu dengan tidak sengaja seperti muntah yang keluar dengan tiba-tiba yang disebabkan oleh rasa badannya yang tidak sehat, maka muntah yang sedemikian itu tidak membatalkan puasanya. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berkuasa menahan muntahnya, maka tidak wajib atasnya qadha (tidak batal puasanya) dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka wajib dia mengqadha (batal puasanya). (Hadits riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)
(d) Mengeluarkan air mani dengan sengaja
Mengeluarkan air mani dengan sengaja itu boleh berlaku dengan menggunakan tangan atau dengan sebab menyentuh atau menggesel atau dengan sebab berpeluk-peluk atau bercium-cium atau seumpamanya. Jika air mani itu keluar dengan sebab yang disengajakan, maka batal puasanya.
Jika air mani itu keluar dengan sebab tidak sengaja atau dengan sebab melihat sesuatu yang memberangsangkan, berkhayal yang pada adatnya air mani tidak keluar, maka tidaklah batal puasa seseorang itu, tetapi jika pada adatnya air maninya keluar dengan sebab-sebab yang tersebut, maka batal puasanya kerana dia mengeluarkan air maninya dengan sengaja melihatnya.
(e) Menjadi gila atau hilang akal sepanjang hari
Orang yang sedang berpuasa apabila tiba-tiba dia menjadi gila, maka puasanya adalah batal, sekalipun gilanya itu dalam tempoh yang pendek dan tidak wajib qadha baginya.
Begitu juga halnya kepada orang yang hilang akal kerana pitam, pengsan atau mabuk sepanjang hari yakni daripada terbit fajar shâdiq hingga masuk matahari, maka puasanya adalah batal dan diwajibkan baginya mengqadha puasa tersebut, tetapi jika dia ada sedar dalam tempoh tersebut walau sesaat maka puasanya adalah sah.
(f) Menjadi murtad
Apabila orang yang sedang berpuasa itu menjadi murtad (keluar dari agama Islam), walaupun sekejap, maka batal puasanya dan wajib baginya mengqadhanya apabila dia kembali semula kepada Islam.
(g) Bersetubuh
Apabila orang yang sedang berpuasa itu bersetubuh pada siang hari dengan sengaja dengan memasukkan hasyafah atau kadarnya pada qubul atau dubur, manusia atau binatang, maka batal puasa orang yang melakukan persetubuhan itu dan wajib dia mengqadha puasanya serta menunaikan kaffârah. Begitu juga kepada orang yang disetubuhi adalah batal juga puasanya, tetapi wajib dia mengqadhanya sahaja tanpa kaffârah.
Jika perkara-perkara yang membatalkan puasa itu (makan, minum, mengeluarkan air mani, menyampaikan sesuatu ke rongga batin, murtad dan bersetubuh) dilakukan kerana terlupa, dipaksa atau jahil akan hukumnya seperti orang yang baru masuk agama Islam, maka tidaklah batal puasa seseorang itu mengikut mafhûm hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa (sedang berpuasa) makan atau minum sedang dia dalam keadaan terlupa, tidaklah membatalkan puasanya, sesungguhnya itu hanyalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah. (Diriwatkan oleh Tirmidzi, Al-Daraquthni dan Baihaqi)
Walaupun dalam nash hadits di atas hanya disebut makan dan minum, tetapi para ulama mengqiyâskannya kepada semua perkara-perkara yang membatalkan puasa jika dilakukan di dalam keadaan terlupa. Manakala bagi orang yang jahil akan haramnya melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti orang yang baru memeluk agama Islam, samalah juga keadaannya seperti orang yang lupa.
Begitu juga halnya kepada orang yang dipaksa seperti yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diangkatkan (dimaafkan) atas umatku yang tersalah, terlupa dan kerana terpaksa. (Hadits riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Daraquthni, Thabarani dan Al- Hakim)
(h) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia
Maksud dengan benda di sini ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk maksud benda itu ialah rasa, warna atau bau. Apabila masuk ke dalam rongga seseorang itu sesuatu yang bukan benda seperti rasa, warna atau bau, tidaklah membatalkan puasa.
Yang dimaksudkan dengan ‘lubang yang terbuka’ itu ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu semula jadi adanya seperti mulut, hidung dan sebagainya atau yang baru wujud seperti luka.
Adapun maksud ‘sengaja’ itu pula ialah dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain dengan keizinannya.
Manakala maksud ‘rongga’ pula ialah apa-apa sahaja yang dinamakan rongga sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak seperti rongga otak, kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlil).
Untuk jelasnya berikut adalah huraian maksud tiap-tiap satu daripada rongga-rongga yang disebutkan itu.
(i) Rongga otak
Adapun yang dinamakan rongga otak itu ialah tempurung kepala. Maka jika dimasukkan ubat ke dalam kepala melalui lubang yang ditebuk di kepala atau yang luka, apabila sampai sahaja ubat itu ke tempurung kepala kharîthah al-dimâgh adalah membatalkan puasa walaupun tidak sampai ke dalam otak.
(ii) Kerongkong atau rongga mulut
Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar makhraj huruf ‘ح’ hingga ke atas mulut, manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluarnya makhraj huruf ‘ء’ atau ‘هـ’ hingga ke bawah (kerongkong). Maka yang dikatakan rongga mulut yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut ke had batin (makhraj huruf ‘ء’ atau ‘هـ’).
Adapun air liur yang ada pada had zahir mulut itu apabila ditelan tidaklah membatalkan puasa kecuali air liur yang berpisah dari lidahnya dan melilih keluar ke bibir, apabila ditelan adalah membatalkan puasa.
Manakala kahak atau hingus yang sampai (datang) pada had zahir mulut yang seseorang itu berkuasa membuangnya (mengeluarkan dari mulutnya/meludahnya) apabila ditelannya, adalah membatalkan puasa.
(iii) Rongga hidung
Apa-apa jua yang dimasukkan ke dalam hidung yang melebihi pangkal batang hidung (khaisyûm) adalah membatalkan puasa.
(iv) Rongga telinga Adapun rongga telinga yang membatalkan puasa itu ialah batin telinga (bâthin al-udzun). Maka jika dimasukkan sesuatu seperti menitikkan ubat ke dalam telinga dan sampai ke batin telinga (bâthin al-udzun) adalah membatalkan puasa.
(v) Rongga perut
Batal puasa seseorang itu apabila dimasukkan sesuatu seperti ubat melalui lubang yang ditebuk pada perut dan sampai ke dalam perut walaupun tidak sampai ke perut panjang (al-am‘â’). Begitu juga jika dia menikam perutnya dengan sengaja atau oleh orang lain dengan izinnya, maka batal puasa dengan sampainya alat seperti pisau yang digunakan untuk menikam itu.
(vi) Rongga dubur
Rongga dubur yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu seperti jari ke tempat yang tidak wajib dicuci ketika beristinja’.
Demikian juga halnya dengan najis yang telah keluar tetapi tidak terpisah daripada dubur, apabila dikecitkan dubur tanpa ada keperluan dan najis itu masuk kembali ke dalam, maka batal puasa seseorang itu, kerana dimasukkan dengan sengaja iaitu perbuatan menarik balik yang tidak diperlukan, tetapi jika terpaksa seperti orang yang sakit buasir, maka tidaklah batal puasanya.
(vii) Rongga faraj
Adapun rongga faraj yang membatalkan puasa ialah jika masuk sesuatu yang melebihi had zahir faraj. Had zahir faraj itu ialah apa yang nyata ketika seorang perempuan itu duduk mencangkung di atas kedua betisnya. Sebagai contoh jika dimasukkan jari atau apa-apa benda seperti kapas atau alat pencegah hamil melebihi had zahir, maka batallah puasanya.
(viii) Pundi-pundi kencing (matsânah)
Adalah batal puasa seseorang itu jika sampai sesuatu ke pundi-pundi kencing seperti ditebuk di bahagian ari-ari bagi tujuan memasukkan ubat atau alat ke pundi-pundi kencing itu.
(ix) Lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlil)
Apabila dimasukkan sesuatu benda atau menitikkan ubat ke lubang tempat keluar air kencing atau lubang tempat keluar air susu, walaupun tidak sampai ke pundi-pundi kencing atau tidak melebihi hasyafah atau melebihi puting susu adalah membatalkan puasa.
Maka selain dari apa yang disebutkan di atas, tidaklah termasuk dalam apa yang disebut sebagai rongga seperti lubang bulu roma, zahir mulut, zahir telinga, zahir hidung dan mata.
Kaffârah puasa
Di antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah bersetubuh. Apabila seorang lelaki yang sedang berpuasa di bulan Ramadhan dengan sengaja memasukkan seluruh hasyafahnya atau kadar hasyafah pada qubul atau dubur sama ada manusia atau binatang, lelaki atau perempuan, hidup atau mati, pada siang hari, sama ada air maninya keluar atau tidak, maka wajib baginya mengqadha puasanya dan membayar kaffârah. Manakala bagi perempuan yang disetubuhinya itu batal juga puasanya, tetapi diwajibkan baginya mengqadha puasa sahaja tanpa kaffârah.
Jika seseorang itu bersetubuh sebanyak dua hari, maka wajib baginya dua kaffârah, dan begitulah seterusnya hukumnya apabila dia mensetubuhi di setiap hari di bulan Ramadhan, maka wajib baginya bilangan kâffarah sebanyak hari-hari dilakukannya di bulan Ramadhan itu, berlainan hukumnya jika dia berkali-kali bersetubuh di dalam satu hari maka wajib baginya hanya satu kâffarah sahaja.
Dalil yang mewajibkan kaffârah puasa itu ialah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam lalu dia berkata: “Telah celaka aku ya Rasullullah.” Bersabda Nabi: “Apa yang telah mencelakakan engkau?” Berkata lelaki itu: “Aku menyetubuhi isteriku (siang hari) di bulan Ramadhan.” Bersabda Nabi: “Adakah engkau mempunyai sesuatu untuk memerdekakan seorang hamba?” Berkata lelaki itu: “Tidak.” Bersabda Nabi: “Sanggupkah engkau puasa dua bulan berturut-turut?” Berkata lelaki itu: “Tidak.” Bersabda Nabi: “Sanggupkah engkau memberi makan enam puluh orang fakir miskin?” Berkata lelaki itu: “Tidak.” Berkata (Abu Hurairah): “Kemudian sementara orang itu duduk, dibawa orang kepada Nabi sebuah keranjang berisi kurma.” Bersabda Nabi kepada orang itu: “Bersedekahlah engkau dengan ini.” Berkata lelaki itu: “Tentu kepada orang yang lebih miskin daripada kami, agaknya tidak ada penduduk di sekitar sini yang lebih berhajat kepadanya (keranjang berisi kurma itu) daripada kami.” (mendengar itu) maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketawa sehingga nampak gigi asu Baginda. Kemudian bersabda Nabi kepada orang itu: “Bawalah pulang, beri makanlah keluargamu dengannya. (Hadits riwayat Muslim)
Kaffârah puasa itu ada tiga jenis, dan dikerjakan salah satu daripadanya mengikut tertib. Disyaratkan dalam menunaikan kaffârah itu supaya berniat sama ada berniat kaffârah memerdekakan, atau kaffârah puasa atau kaffârah memberi makan. Jenis-jenis kaffârah itu ialah:
(i) Memerdekakan seorang hamba.
Ini adalah seperti yang disabdakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: Adakah engkau mempunyai sesuatu untuk memerdekakan seorang hamba?
(ii) Jika dia tidak berkuasa memerdekakan seorang hamba, maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
Sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: Sanggupkah engkau puasa dua bulan berturut-turut?
Dimestikan bagi orang yang mengerjakan kaffârah puasa supaya berniat pada tiap-tiap malam seperti puasa di bulan Ramadhan.
Manakala yang dimaksudkan dengan dua bulan berturut-turut itu ialah dua bulan Qamariyyah dan dimulai daripada awal bulan. Jika tidak dimulai dari awal bulan seperti dimulai pada minggu pertama atau pertengahan bulan, hendaklah disempurnakan bulan yang pertama itu dengan berpuasa pada bulan yang ketiga dengan tiga puluh hari.
Maksud berturut-turut pula ialah berpuasa berterusan pada tiap-tiap hari tanpa berselang. Jika seseorang itu berbuka puasa walau sehari daripada tempoh dua bulan itu sekalipun pada hari terakhir, masih dikira tidak berturut-turut. Begitu juga jika seseorang itu terlupa berniat di salah satu malam atau berbuka kerana musafir atau sakit, adalah dikira juga tidak berturut-turut kecuali jika dia berbuka disebabkan oleh gila maka puasanya tetap dikira berturut-turut kerana gila itu menegahnya daripada melakukan puasa (jika dia berpuasa juga, puasanya tidak sah).
(iii) Jika dia tidak berupaya melakukan puasa kerana sangat tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin secupak makanan asasi yang sah dijadikan zakat fitrah bagi tiap-tiap seorang sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: Sanggupkah engkau memberi makan enam puluh orang fakir miskin?
Maka apabila dia tidak juga berupaya melakukan salah satu daripada tiga jenis kaffârah yang disebutkan, maka akan tetap wajib pada dirinya tanggungan kaffârah puasa itu sehingga dia dapat menunaikannya.
Fidyah Puasa
(i) Orang yang diwajibkan membayar fidyah
Fidyah puasa adalah satu mudd (secupak) makanan yang sah dijadikan zakat fitrah bagi setiap hari daripada hari- hari bulan Ramadhan yang diwajibkan kepada orang yang tertentu dengan sebab-sebab yang tertentu dan diberikan kepada fakir miskin.
Adapun orang-orang yang diwajibkan membayar fidyah puasa itu ialah:
(a) Orang yang terlalu tua yang tidak berdaya untuk berpuasa sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan wajib bagi orang yang tiada mampu mengerjakannya (jika mereka tidak berpuasa) maka mereka hendaklah membayar fidyah, memberi makan seorang miskin. (Surah Al-Baqarah: 184)
Berkata Ibnu ‘Abbas: “Ayat ini tidak mansûkh, kerana ia adalah khusus bagi orang-orang tua yang tidak berdaya untuk berpuasa.” Maka mereka memberi makan satu mudd kepada orang miskin sebagai ganti bagi tiap hari yang ditinggalkan.
(b) Orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, kerana orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh adalah sama halnya seperti orang yang terlalu tua yang tidak berdaya untuk berpuasa. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Dia (Allah Subhanahu wa Ta‘ala) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan (kepayahan). (Surah Al-Hajj: 78)
(c) Perempuan yang hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit, jika mereka berbuka kerana takut akan kemudaratan kepada anak mereka sahaja, maka wajib ke atas mereka membayar fidyah dan juga qadha.
Adapun jika mereka berbuka puasa kerana takut akan kemudaratan atas diri mereka atau diri mereka dan anak mereka, maka wajib ke atas mereka qadha sahaja tanpa fidyah.
(d) Orang yang mempunyai qadha puasa Ramadhan, tetapi dia tidak mengqadhanya dengan tidak ada apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, maka wajib ke atasnya bersama qadha itu satu fidyah setiap kali masuk bulan Ramadhan yang baru bagi satu hari yang ditinggalkan.
Manakala jika seseorang itu melengahkan qadha puasa Ramadhan tanpa apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru dan dia meninggal dunia, maka dikeluarkan daripada hartanya bagi setiap hari yang ditinggalkan dua mudd (dua cupak) iaitu satu mudd kerana tidak berpuasa dan satu mudd lagi kerana melambatkan qadha.
(ii) Jenis dan kadar fidyah
Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi sesebuah negeri seperti di Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu kira-kira lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.
(iii) Pihak yang berhak menerima fidyah
Adapun yang berhak menerima fidyah itu ialah orang-orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan beberapa cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffârah, kerana ia hendaklah satu cupak kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang iaitu tidak boleh dua cupak untuk satu orang miskin.
Permasalahan Puasa Dan Hukumnya
(i) Memakai kontek lens dan bertitik mata
Adapun mata adalah tidak termasuk dalam apa yang dikatakan rongga itu, demikian dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudhah Al- Thâlibîn. Dari hal yang demikian, maka memasukkan sesuatu ke mata dengan sengaja seperti memakai kontek lens di pelopak mata ketika berpuasa itu tidak membatalkan puasa si pemakainya. Begitu juga menitiskan air titik mata pada mata ketika berpuasa tidak membatalkan puasa kecuali jika diyakini benda (‘ain) cecair yang dititikkan itu masuk melalui lubang yang ada pada mata itu, dan sampai ke kerongkong, maka apabila benda itu ditelan, batal puasanya. Jika diludahkannya tidaklah membatalkan puasanya. Tetapi jika yang sampai ke kerongkong itu hanya rasanya bukan benda cecair itu, walaupun ditelan tidaklah membatalkan puasanya, kerana rasa itu tidak dinamakan benda (‘ain). Hal ini diqiyâskan pembicaraan ulama tentang memakai celak mata ketika berpuasa.
(ii) Pemindahan darah
Pemindahan darah itu sama ada mengeluarkan darah dari dalam badan atau memasukkan darah ke dalam badan.
Adapun hukum mengeluarkan darah dari dalam badan orang yang berpuasa, tidak membatalkan puasa seperti orang yang berbekam, kerana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbekam sedang baginda seorang yang berpuasa. (Hadits riwayat Bukhari)
Walaupun begitu, perbuatan berbekam ini adalah makruh bagi orang yang berpuasa kerana ditakuti akan melemahkan dirinya. Demikian juga hukum berderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa, tidaklah membatalkan puasa, hanya dihukumkan makruh sahaja, kerana perbuatan ini bukan memasukkan sesuatu ke dalam sebarang rongga tetapi sebaliknya iaitu mengeluarkan darah.
Manakala memasukkan darah ke dalam tubuh badan orang yang sedang berpuasa atau penyucian darah dengan menggunakan mesin bagi orang yang mengalami sakit buah pinggang adalah membatalkan puasa, kerana darah yang dimasukkan itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.
Hal ini sama dengan menyuntikkan cecair ubat seperti air gelukos melalui urat darah bagi tujuan memberi tenaga atau lain-lain tujuan pencegahan atau kesihatan adalah membatalkan puasa, kerana dalam hal ini benda (‘ain) itu pasti sampai ke perut panjangnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan, maka sudah tentu perbuatan ini lebih utama membatalkan puasa daripada perbuatan menambah darah.
(iii) Perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak damit
Bagi perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak damit adalah diharuskan berbuka puasa sama ada wajib kepada mereka qadha atau fidyah tertakluk kepada hal-hal berikut:
(a) Jika dia berbuka kerana merasa takut akan kemudaratan terhadap dirinya sahaja atau takut akan kemudaratan terhadap dirinya dan juga anaknya, maka wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya.
(b) Jika dia berbuka kerana merasa takut akan kemudaratan terhadap anaknya sahaja, maka wajib ke atasnya mengqadhanya serta mengeluarkan fidyah pada tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu.
Harus dikeluarkan fidyah itu selepas masuk malam bagi hari yang dikeluarkan fidyah itu. Jenis makanan itu ialah makanan yang mengenyangkan bagi sesuatu negeri itu, dan bagi negeri kita ialah beras. Kadar fidyah itu ialah satu mudd (cupak) bersamaan dengan kiraan lima belas tahil (566.85 gram).
(iv) Berpuasa dalam keadaan junub (hadats besar)
Apabila seorang itu telah berjimâ‘ dan apabila waktu siang dia di dalam keadaan berjunub, adalah sah puasanya itu. Begitu juga halnya apabila berhenti darah haidhnya atau nifas diwaktu malam dan berniat dia berpuasa untuk esok harinya dan belum dia mengangkat hadats besar, maka adalah sah puasanya. Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendapat waktu Shubuh dalam keadaan junub kerana jimâ‘, bukan kerana mimpi dan Baginda terus saja berpuasa. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-2651
