Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Fitrah

Perkara zakat fitrah memang telah diketahui umum, namun elok diulang-ulang. Selain maksud memantapkan pengetahuan mengenai zakat fitrah yang sedia ada, mudah-mudahan juga akan menambahkan lagi maklumat yang berkaitan dengannya, khasnya mengenai beberapa persoalan hukum yang akan kita sentuh dalam kesempatan ini.

Kewajipan mengeluarkan zakat, termasuk zakat fitrah adalah berdasarkan Al- Qur’an, hadits serta ijmâ‘ ulama.

Sebagai salah satu rukun Islam yang lima, maka sesiapa yang enggan mengeluarkan zakat adalah dihukumkan murtad. Orang Islam yang menentang dari menunaikan zakat wajib diperangi sebagaimana hal ini dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar Al-Shiddiq.

Kewajipan zakat itu tertanggung ke atas orang-orang kaya atau orang yang berharta. Hasil kutipan zakat itu akan dibahagikan kepada orang miskin atau fakir dan lain-lain golongan yang berhak menerimanya di kalangan umat Islam, supaya harta yang banyak itu tidak tertumpuk untuk satu golongan sahaja, malahan dapat pula dinikmati oleh golongan lain yang memerlukannya.

Zakat difardhukan pada tahun kedua Hijriyyah dan menurut kitab Al-Mawâhib zakat fitrah pula difardhukan dua hari sebelum hari raya pada tahun kedua Hijriyyah.

Zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan (syarat-syarat) yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang yang tertentu yang berhak menerimanya.

Zakat fitrah pula berupa makanan yang wajib dikeluarkan pada Hari Raya Puasa oleh setiap orang Islam yang mempunyai kelebihan makanan bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya untuk siang dan malam hari raya itu.

Mengenai dengan waktu mengeluarkan zakat fitrah itu terbahagi kepada lima:

(i) Waktu wajib: Mulai terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

(ii) Waktu sunat: Sebelum imam mendirikan sembahyang Hari Raya.

(iii) Waktu harus: Dari awal bulan Ramadhan.

(iv) Waktu makruh: Selepas sembahyang hari raya, kecuali ada keuzuran syara‘ seperti menunggu kerabat yang akan dibahagikan fitrah kepadanya. Walau bagaimanapun di negara kita, telah disediakan amil-amil bagi tujuan menerima/mengutip zakat fitrah, maka bagi mengelakkan waktu makruh ini, eloklah diserahkan zakat fitrah itu dengan segeranya.

(v) Waktu haram: Sesudah jatuh matahari hari raya pertama. Bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa dan wajib dibayar juga sebagai qadha, kerana dikeluarkan di luar waktunya.

Syarat Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah

Menurut Kitab Al-Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab, syarat wajib zakat fitrah itu ada tiga, seperti berikut:

(1) Islam

Wajib bagi setiap orang Islam mengeluarkan zakat fitrah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun orang kafir tiada wajib berfitrah bagi dirinya tetapi wajib dia keluarkan fitrah kerana kerabatnya yang beragama Islam menurut qaul al-ashah, sebagaimana wajib dia memberi nafkah hidup kepada kerabatnya itu.

(2) Merdeka

Tidak wajib bagi seorang hamba mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri dan juga bagi orang lain seperti isteri atau anaknya. Zakat fitrah hanyalah wajib ke atas orang Islam yang merdeka yang mempunyai kelebihan harta. Ia dikeluarkan meliputi untuk dirinya sendiri dan juga untuk orang-orang yang wajib ke atasnya nafkah, dengan sebab kerabat seperti ibu bapa, anak dan cucu atau dengan sebab perkahwinan seperti isteri.

(3) Mempunyai harta yang lebih daripada nafkah dirinya dan nafkah orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.

Dalam makna orang yang tiada mempunyai apa-apa lebihan dari makanannya dan makanan bagi orang yang wajib ditanggungnya (nafkah), untuk malam raya dan Hari Raya adalah diiktibarkan sebagai orang susah (mu‘sir), sementara orang yang mempunyai kelebihan pada malam dan hari raya itu diiktibarkan sebagai orang senang (mûsir).

Disyaratkan juga untuk membayar zakat fitrah itu, ada lebihan harta selain tempat tinggal, khadam yang layak baginya dan bagi orang-orang tanggungannya. Ini termasuk juga satu pasang persalinan seperti sehelai baju, seluar dan sepasang kasut baginya dan bagi orang-orang di bawah tanggungannya yang wajib menurut taraf kedudukannya. Tetapi tidak disyaratkan untuk membayar fitrah itu, dia mempunyai harta yang lebih daripada hutangnya.

Zakat fitrah itu wajib dikeluarkan lebih dahulu bagi diri sendiri, kemudian barulah dikeluarkan bagi orang-orang yang di bawah tanggungan mengikut susunan berikut:

i. Jika ada kelebihan, maka dia keluarkan untuk isterinya.

ii. Jika ada lebih, maka dia keluarkan untuk anaknya yang kecil.

iii. Jika ada lebih, maka dia keluarkan untuk bapanya hingga ke atas seperti bapa kepada bapanya.

iv. Jika ada lebih, maka dia keluarkan untuk ibunya.

v. Jika ada lebih, maka dia keluarkan untuk anaknya yang besar.

vi. Jika ada lebih, maka dia keluarkan untuk tanggungannya yang lain seperti hambanya.

Semua ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Mulailah dengan diri engkau sendiri (lebih dahulu) maka berzakatlah untuk dirimu sendiri, maka jika ada lebihnya, (berzakatlah) untuk keluargamu (anak isterimu), maka jika ada juga lebihnya, (berzakatlah) untuk kaum kerabatmu. (Hadits riwayat Muslim)

Berapakah Kadar Zakat Fitrah?

Kadarnya ialah satu shâ‘ berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah (dengan kadar) satu shâ‘ dari tamar atau satu shâ‘ dari gandum ke atas setiap hamba atau orang merdeka sama ada kecil atau besar. (Hadits riwayat Muslim)

Sukatan yang telah ditetapkan di Negara Brunei Darussalam ialah 3 kati 12 tahil bersamaan dengan 2 kilo 268 gram.

Jenis yang wajib dikeluarkan itu ialah makanan yang ghâlib dimakan di negeri itu, kerana orang-orang yang akan menerima zakat fitrah itu nanti berharap akan mendapat makanan yang seumpama itu. Di negara kita, makanan asasinya yang biasa ialah beras. Disyaratkan bagi beras itu ialah yang baik bukan yang tidak baik seperti berkulat, berubah rasa, bau dan warnanya, dan yang basah kecuali sesudah ia kering dan boleh disimpan dan dijadikan makanan. Tiada memadai zakat fitrah itu dengan dikeluarkan tepung, roti atau nasi.

Di antara rahsia dikeluarkan fitrah dari makanan itu ialah supaya semua orang, tidak terkecuali fakir miskin, tidak akan bekerja pada hari raya dan tiga hari selepasnya, kerana bergembira meraikan raya dan beristirehat dari penat lelah berpuasa.

Sekarang, marilah kita huraikan beberapa permasalahan zakat fitrah untuk perhatian kita bersama, di antaranya ialah:

(1) Zakat fitrah wajib dikeluarkan mulai dari terbenam matahari pada akhir Ramadhan (malam hari raya), iaitu bagi orang yang sempat hidup sebahagian terakhir bulan Ramadhan dan awal bulan Syawwal. Adapun kanak-kanak yang baru lahir atau orang yang bernikah (kahwin), atau menjadi kaya atau masuk Islam, ketika atau setelah terbenam matahari akhir Ramadhan, tidak wajib bagi mereka ini mengeluarkan zakat fitrah.

(2) Setiap orang yang wajib menanggung nafkahnya dan orang di bawah tanggungannya seperti isteri, sekalipun isteri yang di thalaq raj‘i atau thalaq bâ’in dalam keadaan hamil atau kerabat, wajib zakat fitrah dikeluarkan untuk mereka itu sebagaimana juga nafkah bagi mereka.

(3) Zakat fitrah isteri yang nusyûz, tidak lagi menjadi kewajipan kepada suaminya, kerana hak nafkah bagi isteri yang nusyûz telahpun gugur disebabkan nusyûznya. Walau bagaimanapun, kewajipan zakat fitrah isteri itu adalah menjadi tanggungannya sendiri (jika dia kaya). Jika isteri kembali taat (tidak nusyûz) sebelum terbenam matahari akhir Ramadhan, maka menjadi kewajipan ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang kembali taat itu.

(4) Zakat fitrah anak kecil yang kaya tidak menjadi kewajipan kepada ayahnya, oleh itu wajib diambil dari harta anak itu. Akan tetapi harus bagi ayah itu mengeluarkan fitrah anaknya yang kecil dengan hartanya (si ayah) sendiri, dan boleh si ayah tadi meminta bayaran balik jika hal itu diniatkan (pada waktu pembayaran zakat).

(5) Zakat fitrah bagi anak hasil zina adalah menjadi kewajipan ibunya.

(6) Zakat fitrah anak yang besar lagi rasyîd yang berupaya untuk bekerja atau berharta), tiadalah harus bapa atau bapa kepada bapa (datuk) mengeluarkan zakat fitrahnya, dengan tiada izin dari anak yang besar yang rasyîd itu.

(7) Tiada wajib anak lelaki mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri bapanya (emak tirinya), sekalipun dia wajib memberi nafkah ke atas keduanya. Manakala nafkah bagi isteri itu tadi ditanggung oleh bapanya, walaupun bapanya itu orang susah. Anak lelaki tersebut hanya menanggung nafkah ke atas mereka sebagai ganti.

(8) Jika seorang suami yang susah (mu‘sir) tidak mempunyai kelebihan makanan pada hari raya dan malamnya pada waktu wajib fitrah, tiadalah mesti ke atas isteri yang merdeka dan kaya serta tiada nusyûz bahkan sunat sahaja bagi isteri itu mengeluarkan fitrah bagi dirinya sendiri.

(9) Wajib berniat ketika mengeluarkan zakat fitrah seperti katanya: “Ini zakat fitrahku” atau “ini zakat fitrah isteriku” atau “ini zakat fitrah anakku” dan seumpamanya.

Niat dilakukan pada ketika mengeluarkan zakat fitrah itu, atau ketika menyukat beras yang akan dijadikan zakat fitrah, atau ketika mengasingkan atau mencatukan wang (harta) yang akan dijadikan zakat fitrah.

(10) Harus berwakil kepada seseorang bagi mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan tanggungannya setelah masuk bulan Ramadhan dan juga sebelum Ramadhan, dengan berkata: “Saya berwakil kepada awak mengeluarkan zakat fitrah dan jangan awak keluarkan melainkan dalam bulan Ramadhan.”

(11) Hendaklah wali (penjaga) itu berniat ketika mengeluarkan zakat kanak-kanak atau orang gila dan memadai niat orang yang berwakil itu ketika dia menyerahkan kepada orang yang diwakilkannya dan yang lebih afdhal wakil itu berniat juga ketika dia menyerahkan zakat itu.

(12) Perkara zakat fitrah penuntut yang belajar di luar negeri seperti di Eropah, Amerika atau yang seumpamanya, bahawa zakat hendaklah dikeluarkan oleh penuntut itu sendiri di mana dia berada, bukan dikeluarkan oleh ibu bapanya yang berada di negara asalnya. Contohnya penuntut Brunei yang sedang belajar di United Kingdom hendaklah mengeluarkan zakat fitrahnya semasa dia berada di United Kingdom juga, bukan oleh bapanya yang berada di Brunei, kerana penuntut itu mampu menanggung dirinya sendiri melalui elaun yang mereka terima dari kerajaan atau lain-lain agensi atau melalui peruntukan kewangan daripada ibu bapa mereka, mereka ini sudah tentu mempunyai kelebihan makanan pada hari raya dan malamnya sebagai salah satu daripada syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah. Satu perkara lagi jika zakat fitrah penuntut itu dikeluarkan oleh bapanya, ini bererti memindah zakat ke tempat lain, sedangkan memindahkan zakat ke tempat lain itu adalah tidak diharuskan melainkan ada syarat-syaratnya yang tertentu.

Mustahiqq Al-Zakâh (Orang Yang Berhak Menerima Zakat)

Zakat itu diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya (al-mustahiqqûn) iaitu mereka yang termasuk di dalam lapan golongan manusia seperti yang disebutkan dalam firman Allah:

Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Taubah: 60)

Untuk jelasnya kita huraikan tiap-tiap golongan yang wajib menerima zakat itu ialah:

1. Fakir

Orang yang tidak mempunyai harta dan pekerjaan yang patut (layak) yang boleh menghasilkan dan mencukupi keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya. Iaitu orang yang tiada mendapat dari hasil hartanya dan pencariannya yang layak sehari sebanyak sepuluh ringgit, tetapi hanya mendapat dua ringgit atau tiga ringgit sehari.

Tiada menegahnya dari menjadi fakir (dia masih dikira fakir) walaupun dia mempunyai harta, akan tetapi hartanya itu berada jauh daripadanya sejauh dua marhalah (lima puluh enam batu) atau hartanya itu berada di tangan orang yang berhutang yang membayar secara bertangguh atau hartanya itu tidak boleh diambil kerana terhalang oleh sesuatu.

Begitu juga dia tetap dianggap fakir meskipun ada peluang pekerjaan menantinya, tetapi pekerjaan itu tidak sesuai atau tidak layak baginya.

2. Miskin

Orang yang memiliki harta atau pekerjaan untuk memenuhi keperluannya, tetapi masih tidak mencukupi bagi dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya yang wajib, atau orang yang berdaya dan mendapat setengah dari apa yang dihajatinya dari suatu harta atau pencarian yang boleh menutup hajatnya tetapi tidak memadai (mencukupi).

Orang yang mengaku dirinya fakir, miskin atau tidak mampu bekerja boleh diterima dakwaannya sekalipun badannya kuat untuk bekerja dengan tiada bersumpah. Tidak diterima dakwa orang yang mengaku kerosakan harta yang diketahui tanpa keterangan atau bukti.

3. Amil

Amil itu sembilan macam:

(i) Orang yang dilantik oleh raja sebagai Sha’e (pemungut zakat) itu hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

a) Islam. b) Baligh. c) Berakal. d) ‘Âdil. e) Merdeka. f) Mendengar. g) Melihat. h) Mengetahui hukum-hukum zakat.

(ii) Kâtib iaitu orang yang menulis nama pemberi zakat dan apa-apa (harta) yang dibayar kepada orang yang berhak menerimanya.

(iii) Qâsim iaitu orang yang membahagikan kepada orang yang berhak menerimanya. (iv) Hâsyir iaitu orang yang menghimpunkan mereka yang wajib berzakat (mempunyai harta) atau orang-orang yang berhak menerima zakat. (v) ‘ Ârif iaitu orang yang mengenal pasti akan orang yang berhak menerima zakat. (vi) Hâsib iaitu orang yang menghitung harta zakat. (vii) Hâfiz iaitu orang yang memelihara harta zakat. (viii) Jundi iaitu orang yang mengawal harta zakat (askar). (ix) Jadbi iaitu orang yang memaksa pada mengeluarkan zakat. 4. Muallaf Orang yang masuk agama Islam padahal hatinya masih lemah untuk memegangi Islam sebagai agamanya, atau kuat Islamnya dan dia mempunyai pengaruh dan kemuliaan di sisi kaumnya, dengan harapan apabila dia diberi bahagian muallaf, maka kaumnya akan mengikut jejak langkahnya. 5. Riqâb Hamba yang dijanjikan oleh tuannya dengan perjanjian yang sah di antara keduanya bagi menebus (memerdekakan) dirinya dengan sejumlah wang tunggakan. 6. Ghârimîn Orang yang berhutang kerana mendamaikan dua orang atau pihak atau kaum yang bersengketa, maka diberi orang itu dari bahagian ghârim sekalipun dia kaya. Adapun jika dia membayar hutangnya dengan hartanya sendiri, maka tiada diberikan bahagian ghârim itu kepadanya.

Atau orang berhutang untuk kepentingan umum seperti menghormati tetamu, membebaskan tawanan (tahanan), meng‘imârah masjid seperti membaikinya boleh diberi bahagian ghârim sekalipun kaya.

7. Fî sabîlillah

Pejuang Islam yang sukarela sekalipun kaya, maka diberi pejuang itu bahagiannya sebagai nafkah dan pakaian untuknya dan juga untuk keluarganya dan alat-alat peperangan selama mana dia pergi dan balik.

8. Ibnu sabîl

Orang yang hendak belayar (musafir) dengan pelayaran yang harus pada syara‘ dari tempat (negeri) zakat atau dia lalu di negeri zakat itu, maka diberi bahagian ibnu sabîl kadar apa yang dihajatkan seperti belanja pelayarannya dan belanja orang-orang tanggungannya sama ada nafkah dan pakaian selama pergi dan pulang. Jika dia mendakwa tidak memiliki harta, diterima dakwaannya tanpa bersumpah.

Mudah-mudahan dengan penjelasan tadi mengenai zakat fitrah akan dapat mengulangi pengetahuan kita mengenai zakat berkenaan. Dan sebelum kita mengundurkan diri marilah kita merenung firman Allah:

Tafsirnya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Âli ‘Imrân: 180)

FirmanNya lagi dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (Surah Al-Taubah: 35)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-2664