Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Etika Bersalaman Dan Hukumnya

Pendahuluan

Bersalaman atau berjabat tangan adalah di antara amalan yang lumrah kita lihat di kalangan masyarakat kita. Hampir di merata tempat kita boleh melihat orang bersalaman, sehinggakan ia sudah menjadi satu fenomena yang tidak asing lagi bagi kita.

Oleh kerana pada anggapan kita bersalaman itu adalah satu amalan yang baik, maka ramai di kalangan masyarakat bangsa kita, terutamanya di kalangan ibu bapa mendidik dan mengasuh anak-anak mereka supaya mengamalkan sikap bersalaman bahkan mencium tangan orang-orang yang lebih dewasa daripada mereka, sebagai salah satu wasîlah atau cara memupuk dan menerapkan akhlak dan nilai-nilai yang murni ke dalam diri anak-anak mereka.

Tetapi satu perkara, sejauh manakah pengetahuan masyarakat kita tentang hukum dari amalan yang telah dilakukan ini? Adakah mereka menganggap bersalaman itu sebagai salah satu daripada ajaran agama atau hanya merupakan adat resam semata-mata?

Definisi Bersalaman, Tujuan Dan Hikmatnya

Bersalaman bererti: Seseorang meletakkan telapak tangannya pada telapak tangan orang lain ketika bertemu atau bersua muka. Ia berbeza dengan perbuatan memberi atau mengucap salam yang membawa erti: Ucapan penghormatan yang ditujukan kepada sesama muslim ketika berjumpa, memulakan perbualan atau mengakhirinya, perpisahan dan sebagainya.

Meskipun dalam kehidupan seharian, kita sering melakukan amalan bersalaman di antara sesama kita, namun agak kurang bilangan kita yang menyelami rahsia, tujuan atau hikmat bersalaman itu.

Sebenarnya bersalaman mempunyai nilai-nilai etika yang tinggi lagi mulia. Dengan bersalaman, kita dapat mempamerkan atau merealisasikan dan menunjukkan perasaan gembira dan senang hati dengan sesuatu pertemuan. Ia juga dapat menggambarkan penghargaan kita terhadap pertemuan itu, sebagaimana ia juga merupakan satu penghormatan kepada orang yang diajak bersalam.

Di samping itu bersalaman juga dapat menimbulkan perasaan cinta, kasih sayang dan persaudaraan, membasmi perasaan dendam, dengki dan permusuhan, dan menunjukkan kejernihan hati dan kehalusan budi pekerti orang yang menghulurkan tangan untuk bersalam.

Cuba kita bayangkan, bagaimanakah perasaan kita jika sekiranya seseorang yang bertemu dengan kita tidak menghulurkan tangannya untuk bersalam. Sudah tentu kita akan merasa terkilan dan tidak senang dengan sikapnya itu.

Bersalaman dengan seseorang bukan hanya bertujuan untuk melahirkan perasaan gembira kita di atas sesuatu yang menggembirakannya, tetapi juga untuk melahirkan perasaan dukacita kita di atas sesuatu yang mendukacitakannya. Dengan cara ini, suka duka seseorang muslim akan dapat sama-sama dirasai.

Oleh yang demikian, orang yang mempraktikkan amalan bersalaman itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan memperolehi ganjaran yang banyak daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi:

Maksudnya: Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum kedua-duanya itu berpisah.

Demikian juga hadits riwayat Thabarani:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang mukmin apabila berjumpa seorang mukmin, lalu dia memberi salam kepadanya serta berjabat tangan dengannya maka gugurlah dosa-dosanya seperti gugurnya daun kering.

Amalan bersalaman itu bukanlah dilakukan secara acuh tak acuh sahaja, bahkan hendaklah dibuat dengan menghadapkan muka ke arah orang yang diajak bersalam, dengan diiringi senyuman dan muka yang manis, di samping mendoakannya agar mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Maksudnya: Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Janganlah engkau pandang ringan perbuatan baik, sekalipun kecil, walaupun hanya dengan menunjukkan muka manis ketika engkau bertemu dengan saudaramu. (Hadits riwayat Muslim)

Hukum Bersalaman

Hukum bersalaman itu berbagai-bagai mengikut pelakunya. Secara ringkas ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

1. Di antara sesama jenis (jantina); lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.

2. Di antara lelaki dengan perempuan asing (ajnabiyyah) atau sebaliknya.

3. Di antara lelaki dengan mahramnya atau perempuan dengan mahramnya.

i. Hukum bersalaman di antara sesama jenis

Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum bersalaman di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain atau di antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain adalah sunat.

Imam Nawawi Rahimahullah pernah mengatakan bahawa bersalaman itu disunatkan dalam setiap pertemuan. Ini berdasarkan kepada hadits:

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: “Seorang lelaki telah bertanya (kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam): “Wahai Rasulullah! Seseorang di antara kami bertemu dengan sahabatnya, apakah patut menundukkan kepala kepada sahabatnya itu?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Apakah memeluk dan menciumnya?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak.” Dia bertanya: “Apakah bersalaman (berjabat tangan) dengannya?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya! kalau dia menghendakinya. (Hadits riwayat Tirmidzi)

Hadits tersebut diriwayatkan oleh Tirmidzi dan menggolongkannya di dalam hadits hasan. Ibnu Majah, Baihaqi dan Imam Ahmad juga meriwayatkan hadits tersebut. Hadits tersebut ditulis oleh Imam Ahmad, juga Tirmidzi tetapi beliau tidak menuliskan َ إِن ْ شَاء (kalau dia menghendakinya). Begitu juga dengan lafaz yang ditulis oleh Ibnu Majah, namun di dalamnya terdapat ال َ ، وَلكِن ْ تَصَافَحُوا (tidak, akan tetapi bersalam yakni berjabat tanganlah kamu sekalian).

Begitu juga di dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Daripada Anas hadits marfu‘ dengan lafaz: “Seorang lelaki tidak harus membongkok kepada lelaki yang lain dan seorang lelaki tidak harus mencium lelaki yang lain.” Mereka bertanya: “Adakah lelaki bersalaman dengan lelaki yang lain?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya!”

Dari kedua-dua hadits di atas jelaslah kepada kita bahawa bersalaman di antara sesama jenis itu sangat-sangatlah dituntut oleh agama untuk kita amalkan di dalam setiap kali pertemuan dan para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat sebagaimana yang telah dijelaskan.

Berpelukan, berkucupan dan menundukkan kepala

Sementara itu bersalaman dengan disertakan pelukan dan kucupan tidaklah digalakkan untuk dilakukan di dalam setiap kali pertemuan, melainkan pada pertemuan yang jarang-jarang berlaku atau ketika balik dari pelayaran atau semasa memberi ucapan tahniah.

Begitu juga dengan menundukkan kepala, bukanlah suatu yang dituntut oleh syara‘ sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits terdahulu, kerana ia dikhuatiri menyerupai ruku‘ dalam sembahyang sedangkan ruku‘ itu semata-mata hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja.

ii. Hukum bersalaman di antara lelaki dengan perempuan ajnabiyyah

Adapun maksud daripada perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang bukan mahram, dan mahram bererti perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Menurut Imam Nawawi, hakikat mahram yang sesungguhnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya. Kesimpulannya, perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram.

Untuk mengetahui siapakah perempuan ajnabiyyah itu, kita perlulah terlebih dahulu mengetahui siapakah yang dikatakan perempuan mahram itu kerana perempuan yang selain daripada perempuan mahram itulah yang dikatakan perempuan ajnabiyyah.

Perempuan mahram boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dengan sebab-sebab yang tertentu:

1. Mahram kerana keturunan. 2. Mahram kerana saudara sesusuan.

3. Mahram kerana perkahwinan. Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut: i. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. ii. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. iii. Adik beradik perempuan seibu sebapa. iv. Adik beradik perempuan sebapa. v. Adik beradik perempuan seibu. vi. Emak saudara sebelah bapa (adik beradik bapa) dan seterusnya ke atas. vii. Emak saudara sebelah ibu (adik beradik ibu) dan seterusnya ke atas. viii. Anak perempuan dari adik beradik lelaki mahupun dari adik beradik perempuan (anak kemanakan). Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Dilarang untuk dinikahi saudara (adik beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan. (Hadits riwayat Muslim) Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan berikut); ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik beradik kamu, adik beradik bapa kamu, adik beradik ibu kamu, anak-anak kepada adik beradik lelaki kamu, anak-anak kepada adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, adik beradik sesusuan kamu, ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang telah kamu campuri; tetapi jika kamu belum campuri mereka itu dan kamu telahpun menceraikan mereka, maka tidaklah salah bagi kamu untuk mengahwininya, dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu yang berasal dari benih kamu, dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekaligus (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Nisâ’: 23)

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut:

i. Ibu mertua. ii. Anak menantu. iii. Emak tiri. iv. Anak tiri.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, perempuan-perempuan selain dari yang tersebut di atas adalah perempuan-perempuan yang dinamakan perempuan ajnabiyyah atau yang bukan mahram, dan para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum bersalaman dengan mereka ini adalah haram.

Ini berdasarkan kepada dalil-dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, di antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata: “Dan tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi.

Kemudian hadits yang diriwayatkan oleh Malik, Nasâ’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu:

Maksudnya: Daripada Muhammad bin Al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘at dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak- anak kami, tidak menipu dan tidak ingkar kepada Tuan hamba di dalam kebaikan.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya.” Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami dari diri kami sendiri. Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.

Hadits riwayat Thabarani dan Baihaqi iaitu:

Maksudnya: Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.

Dari hadits-hadits yang telah disebutkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram. Ini berdasarkan kepada hadits yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isterinya, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan pada waktu membai‘ah (menerima pengakuan taat setia) daripada mereka. Maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bersalaman dengan para perempuan pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, ini menunjukkan bahawa bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah pada keadaan-keadaan atau perjumpaan-perjumpaan biasa adalah terlebih-lebih utama dilarang.

Oleh kerana itu, kita perlulah memerhati dengan teliti dan berhati-hati dengan siapa kita boleh bersalaman dan dengan siapa kita dilarang untuk bersalaman, kerana apa yang kita dapati dan kita lihat di kalangan masyarakat kita, ramai yang bersalaman dengan orang-orang yang disangkanya boleh bersalaman, akan tetapi sebenarnya ia adalah dilarang (haram). Contohnya seperti bersalaman dengan sepupu, dengan isteri bapa saudara (isteri kepada tua, tangah dan bongsu), dengan anak kemanakan isteri, dengan sepupu ibu atau sepupu bapa dan lain-lain lagi, atau bersalaman dengan tidak mengira siapa, tidak mengira hukum halal haram di sebalik perbuatannya. Amalan seumpama ini adalah merugikan akhirat kita kerana ianya sudah tsabit dan terang serta jelas dilarang oleh syara‘. Adapun perasaan dan akal kita yang menyangkanya elok itu, adalah semata-mata timbangan nafsu dan rangsangan syaitan jua.

Kita sepatutnya merasa gerun dengan ancaman yang amat keras sebagaimana disebutkan oleh hadits terdahulu. Cubalah bayangkan bagaimana seseorang ditusuk atau dicucuk kepalanya dengan sebatang jarum, tentulah amat sakit, dan kesakitan itu terlebih baik baginya dari dia melakukan dosa menyentuh perempuan ajnabiyyah. Ini membayangkan kepada kita betapa besarnya dosa akibat perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh itu.

Hikmat larangan

Adapun hikmat kenapa kita diharamkan untuk bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, antaranya bahawa perempuan itu adalah sebesar-besar fitnah atau dengan kata lain, fitnah yang paling memudaratkan seseorang lelaki, kerana ia boleh membinasa dan mendatangkan bahaya terhadap keyakinan beragama dan akalnya. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku, fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada fitnah kaum perempuan.”

Oleh kerana itu, kita diharamkan melihat batas-batas yang diharamkan dilihat bagi perempuan-perempuan yang bukan mahram, kerana mereka boleh merangsang syahwat, mendatangkan fitnah dan menarik hati untuk terpaut kepada mereka. Lebih-lebih lagi, iblis sangat pandai memainkan peranannya dalam memperindah atau memperelokkan perempuan itu bagi lelaki dan memperindahkan lelaki itu bagi perempuan sehingga masing-masing akan merasa tertarik di antara satu sama lain, akhirnya apabila syahwat telah mengatasi segala-segalanya, maka terjadilah sesuatu yang di luar batas-batas yang telah digariskan oleh agama. Begitulah, alangkah lemahnya seorang lelaki itu di hadapan seorang perempuan, sehinggakan dengan hanya sekadar mengalihkan pandangan kepadanya, dia telah terheret ke lembah durjana.

Jadi apabila perbuatan melihat itu sudah dilarang, maka perbuatan menyentuhnya, tentulah terlebih-lebih lagi dilarang, kerana sentuhan itu lebih kuat merangsang syahwat jika dibandingkan dengan hanya sekadar melihat atau memandang.

Al-Syarbini di dalam kitab Mughni Al-Muhtâj, semasa mengulas pendapat Imam Nawawi, mengatakan bahawa sesuatu yang diharamkan untuk dilihat, diharamkan pula untuk disentuh kerana ianya akan mendatangkan kenikmatan dan membangkitkan nafsu syahwat yang tinggi.

Bertolak dari sini, dapatlah kita tanggapi bahawa larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu merupakan jaminan keselamatan bagi kita daripada fitnah. Maka wajiblah bagi kita menjauhi perkara yang berbahaya itu.

Setelah kita mengetahui tentang hukum bersalaman di antara seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyyah, kita perhatikan pula tentang hukum bersalaman dengan mahram.

iii. Hukum bersalaman dengan mahram

Hukum bersalaman di antara seorang lelaki dengan mahramnya atau di antara seorang perempuan dengan mahramnya adalah sama dengan hukum bersalaman di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain atau di antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain iaitu sunat.

Mahram sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Dalam pada itu, perlu pula difahami, bahawa adik atau kakak ipar yang juga tidak boleh dinikahi selagi kita masih beristerikan adik atau kakaknya, adalah tidak termasuk di dalam maksud mahram yang kita bincangkan di sini, kerana ipar hanyalah merupakan mahram mu’aqqat (sementara) sahaja. Maka dengan itu, haram bagi seseorang lelaki bersalaman dengan adik atau kakak iparnya.

Sementara itu, disunatkan kita mencium tangan kedua ibu bapa ketika bersalaman dengan mereka. Ini berdasarkan kepada pendapat ulama Syafi‘e yang mengatakan sunat mencium tangan ibu bapa, sebagaimana yang tercatat di dalam kitab Tuhfah. Perlu juga kita sentuh di sini, bahawa selain dari ibu bapa, kita juga disunatkan mencium tangan orang alim, orang mulia serta sultan atau raja yang adil.

Penutup

Seorang muslim yang beriman, yang memiliki jiwa dan hati nurani yang suci bersih, sudah tentu tidak akan teragak-agak untuk menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Inilah sifat orang yang bertaqwa.

Selaku umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam kita mestilah mencontohi gerak-geri dan tingkah laku Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana Baginda itu ikutan dan suri teladan yang terbaik kepada umatnya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Surah Al-Ahzâb: 21)

Oleh itu, apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan amalan bersalaman bersama-sama para sahabat dan menganjurkan supaya kita bersalaman di dalam setiap kali pertemuan, maka sewajarnyalah kita mencontohi Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai tanda kecintaan dan kasih sayang kita kepada Baginda. Begitu juga apabila Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, maka wajiblah bagi kita mengikut langkah dan sikap Baginda itu, kerana dalil-dalil yang telah disebutkan terdahulu adalah cukup jelas menunjukkan bahawa perbuatan Baginda itu menjurus kepada satu hukum iaitu hukum haram bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah.

Tambahan pula Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memperingatkan kita bahawa menyentuh perempuan ajnabiyyah itu adalah salah satu daripada jenis-jenis zina, sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan, tidak mustahil dia pernah melakukannya: Dua mata zinanya (ialah) memandang; dua telinga zinanya (ialah) mendengar; lidah zinanya (ialah) bercakap; tangan zinanya (ialah) memukul; kaki zinanya (ialah) melangkah dan hati zinanya (ialah) ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) sama ada hanya menurut atau tidak menurut.

Walaupun dalil-dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu sudah amat jelas dan ulama Syafi‘e khususnya telah menerangkan dengan panjang lebar, namun kita dapati segelintir umat Islam masih enggan mentaati larangan ini dengan mengemukakan berbagai-bagai alasan demi memenuhi kehendak nafsu dan mengikutkan perasaan masing-masing.

Di antaranya ada yang beralasan bahawa bersalaman itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka dan dianggap penting bagi merapatkan hubungan berbaik-baik dan lain-lain lagi. Sebenarnya kebiasaan yang mereka katakan itu tidaklah dapat dijadikan alasan yang mendesak sehingga mengharuskan untuk menyentuh perempuan ajnabiyyah, kerana kebiasaan itu bukanlah hujjah atau landasan untuk mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Al-Qur’an atau al-sunnah.

Ada yang beralasan bahawa dia tidak mempunyai sebarang maksud melainkan dengan niat yang baik apabila dia bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, dan ada pula yang beralasan bahawa dia melakukan itu kerana takut melukakan hati orang yang hendak bersalaman dengannya.

Sebenarnya, alasan-alasan bagi mengharuskan perkara-perkara yang ditegah oleh syara‘ itu adalah semuanya hawa nafsu yang didorong oleh tipu daya syaitan. Usaha dan perjuangan syaitan memanglah untuk memesongkan serta akhir sekali memusnahkan manusia dengan dosa-dosa mereka sendiri, sebagaimana telah meriwayatkan Abu Ya‘la di dalam musnadnya bahawa iblis telah berkata: “Aku memusnahkan manusia dengan dosa-dosa yang mereka lakukan, dan mereka memusnahkan aku dengan ucapan َ ال َ إِلهإِال َّ هللا dan istighfâr. Maka apabila mereka melakukan yang demikian itu, aku hancurkan pula mereka dengan hawa nafsu mereka.”

Kesimpulannya, orang yang mentaati perintah Allah dan RasulNya dengan menjauhi larangan-laranganNya itu adalah orang yang sebenar-benarnya beriman, sebaliknya orang yang mengingkari perintah Allah dan RasulNya dan melanggar laranganNya pula, adalah orang yang lemah iman serta mudah diperdaya oleh syaitan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-2864