Irsyad Hukum 2014
BERSELAWAT: Menzahirkan Kecintaan Terhadap Nabi Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam
Kedatangan bulan Rabiulawal mengikut perkiraan taqwîm Hijrah merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang beriman. Dalam bulan inilah lahirnya insan paling mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, insan paling disayangi oleh umat Islam yang beriman, insan paling dikagumi sebagai syi‘âr Islam kerana diutus untuk menyempurnakan syariat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di muka bumi sebagai Nabi terakhir, penyudah para nabi iaitu Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Bersempena bulan bersejarah ini, banyak negara Islam mengadakan perayaan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan tidak terkecuali negara kita, Brunei Darussalam. Aktiviti-aktiviti yang diadakan semuanya menjurus kepada mengingati Baginda yang kita cintai.
Mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada setiap tahun itu hukumnya adalah sunat. Aktiviti merayakan itu termasuk dalam ibadat memuliakan dan mengasihi Nabi. Ini kerana memuliakan dan mengasihi Nabi itu sangat dianjurkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Walau bagaimanapun hukum sunat ini hanyalah berlaku apabila perayaan tersebut tidak bercampur dengan perkara-perkara yang dilarang.
Berbagai bentuk acara sambutan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diadakan, antaranya dengan berzikir dan mendengar syarahan di masjid-masjid; membaca kisah Nabi seperti berzanji yang disudahi dengan bacaan do‘a serta ceramah agama. Selain itu, dengan memperbanyakkan sedekah, sama ada dalam bentuk makanan, wang, pakaian dan sebagainya. Semua ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Anjuran Memperbanyakkan Selawat ke Atas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam Pada Musim Maulid
Berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga merupakan satu pernyataan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang boleh dilafazkan sebanyak-banyaknya pada bulan kelahiran Baginda. Bukan pada waktu itu sahaja, bahkan dianjurkan untuk dilafazkan pada setiap hari. Selawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bahkan suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan. zâb: 56)hA-(Surah al
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuliakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda wafat. Begitu juga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Maksud Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ “berselawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam” ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda. Selawat para malaikat ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan keampunan, manakala selawat daripada umat Islam ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan mengagungkan kedudukan Baginda.
Kelebihan Berselawat ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam
Banyak disebutkan di dalam hadits-hadits mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:
1. Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada Hari Kiamat kelak termasuklah mendapat syafaat Baginda.
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seutama-utama manusia di sisiku pada Hari Kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Apa yang dimaksudkan dengan “seutama-utama manusia di sisiku” di dalam hadits di atas ialah manusia yang paling dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ia juga bermaksud manusia yang berhak mendapat syafaat daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah orang yang membanyakkan selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
2. Digandakan pahala berselawat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas bermaksud bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebanyak satu kali, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengurniakan kepadanya (orang yang berselawat) rahmat dan melipat gandakan pahalanya.
Cara Berselawat ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada mengajarkan umat Islam beberapa cara berselawat ke atas Baginda sebagaimana yang disebut dalam hadits-hadits yang diriwayatkan daripada para sahabat Radhiallâhu ‘anhum:
1. Sekurang-kurang lafaz selawat ialah:
Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad.
2. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau bertanyakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, ini adalah lafaz salam untuk Tuan, maka bagaimana pula lafaz selawat untuk Tuan?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad, hambaMu dan RasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Lafaz yang sempurna ialah selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kemudian kepada ahli keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm serta keluarga baginda. Lafaz tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
“Kami telah menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pada ketika itu kami dalam majlis Sa‘ad bin Ubadah. Lantas Basyir bin Sa‘ad berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Allah telah memerintahkan kami untuk berselawat kepadamu, ya Rasulullah! Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Katakanlah:
Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam. (Hadits riwayat Muslim)
Selawat ini dipanggil selawat Ibrahimiyyah. Ia merupakan selawat terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana di dalamnya terkumpul selawat kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dan keluarganya.
Ia adalah selawat yang ma’tsûr iaitu yang wârid atau datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada yang diajar, disuruh atau dibaca oleh Baginda pada sempena khusus atau tiada bersempena.
Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam iaitu selawat Ibrahimiyyah juga merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Ia dilafazkan sesudah membaca tasyahhud pada rakaat akhir di dalam sembahyang dan sebelum salam.
Lafaznya:
Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam.
Bagi selawat yang bukan ma’tsûr pula adalah harus untuk diamalkan seperti selawat yang dikarang oleh para ulama. Sebagai contoh selawat yang dikarang oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh di dalam kitabnya ar-Risâlah iaitu:
Ertinya: Semoga Allah mengurniakan selawat kepada Nabi kami sebanyak mana orang-orang yang berzikir ingat kepadaNya dan orang-orang yang lalai lupa daripada mengingatiNya.
Malah terdapat beberapa riwayat menyatakan tentang fadhilat selawat tersebut berdasarkan pengalaman para ulama mengamalkan sebahagian selawat yang bukan ma’tsûr itu. Namun yang lebih afdhal adalah amalan berselawat dengan selawat yang ma’tsûr.
Bila Kita Digalakkan Berselawat?
Selawat digalakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu. Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu dan tempat yang utama berselawat. Antaranya:
1. Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. 2. Pada hari Jumaat dan pada malamnya. 3. Pada waktu Shubuh. 4. Pada waktu petang. 5. Ketika hendak memasuki masjid. 6. Ketika hendak keluar dari masjid. 7. Ketika berada di makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. 8. Ketika hendak berdo‘a. 9. Ketika selesai berdo‘a. 10. Di akhir khatam al-Qur’an. 11. Ketika dalam kesedihan dan kesusahan. 12. Ketika memohon keampunan. 13. Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai. 14. Ketika memberi nasihat atau tunjuk ajar. 15. Ketika menyampaikan pelajaran. 16. Dalam perkumpulan orang ramai. 17. Ketika bersurai daripada perkumpulan. 18. Pada setiap tempat dan waktu di mana orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya. Ini termasuklah dalam majlis sempena Maulidur- Rasûl Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Oleh yang demikian perbanyakkanlah selawat, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Rabi‘ulawal ini. Bagi yang mengikuti perarakan sempena maulid Nabi, hiasilah lidah dengan berselawat agar perarakan yang dilakukan tidaklah semata-mata berjalan sahaja, bahkan perarakan yang dilakukan adalah sebagai ingatan dan kasih sayang terhadap Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
ASAP DAN WAP DARIPADA BENDA NAJIS: Adakah Dihukumkan Najis?
Permasalahan berkaitan najis merupakan salah satu perkara penting dalam kitab fiqh kerana ia berkait rapat dengan ibadat seseorang terutama ibadat sembahyang. Ini kerana kesucian badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis merupakan syarat sah sembahyang. Oleh yang demikian, setiap Muslim tidak boleh memandang remeh terhadap perkara najis kerana najis yang terkena pada badan, pakaian dan tempat sembahyang itu menghalang sahnya sembahyang.
Walau bagaimanapun syara‘ telah menggariskan bahawa terdapat juga dalam keadaan-keadaan tertentu, najis boleh dimaafkan dan apabila berlaku sedemikian, maka sah sembahyang seseorang itu. Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya. Contoh najis yang dimaafkan itu seperti darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.
Bagaimana pula halnya dengan asap dan wap yang terbit atau terhasil daripada benda najis? Adakah ia juga dihukumkan najis atau sebaliknya?
Adakah Asap daripada Pembakaran Najis Dihukumkan Najis?
Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, asap yang terbit daripada pembakaran benda najis dihukumkan najis. Ini kerana hukum asap yang berasal daripada satu benda, maka hukumnya sama seperti benda itu. Jika asal bendanya suci, maka asapnya adalah suci. Jika asal bendanya najis, maka asapnya pun najis. Sebagai contoh, apabila asap daripada pembakaran benda najis terkena pada pakaian seseorang, maka pakaian itu menjadi mutanajjis iaitu benda yang berlumuran dengan najis.
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e berpendapat jika asap yang terbit daripada pembakaran najis itu banyak, maka ia najis. Namun jika asap tersebut sedikit, maka ia dimaafkan dengan syarat orang yang terkena asap tersebut bukan kerana perbuatannya dan asap itu bukan berasal daripada najis mughalladzah iaitu anjing dan babi.
Walau bagaimanapun menurut sebahagian besar ulama mazhab asy-Syafi‘e termasuk Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika asap yang terbit daripada pembakaran benda najis itu sedikit walaupun najis mughallazhah adalah dimaafkan dengan syarat:
1. Tempat yang terkena asap tersebut tidak basah. Sebagai contoh, pakaian yang terkena asap tersebut adalah pakaian yang tidak basah.
2. Bukan disebabkan perbuatannya, iaitu seseorang yang terkena asap yang sedikit itu bukan kerana perbuatannya sendiri.
Perkara ini dijelaskan dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn syarh Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan dimaafkan yang sedikit – mengikut adat kebiasaan- asap najis, iaitu asap yang datang daripada najis melalui api (pembakaran), walaupun (asap) daripada kemenyan yang diletakkan di atas najis tahi, umpamanya. Dan termasuk dalam kategori asap najis itu (asap yang terhasil daripada bahan bakar yang najis) yang kebiasaannya digunakan untuk memanaskan air mandian atau sauna, maka itu adalah najis kerana ia termasuk daripada bahagian-bahagian najis yang dipisahkan oleh api daripada najis tersebut kerana kekuatannya (api itu). Dan dimaafkan yang sedikit daripada asap najis tersebut dengan syarat tempat yang kena itu tidak basah dan bukan kerana perbuatannya. Jika tidak (menepati dua syarat), maka tidak dimaafkan secara mutlak kerana disamakan kedudukan asap tersebut dengan kedudukan benda (najis) itu.
Imam asy-Syarwani Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula menjelaskan bahawa kadar sedikit atau banyak asap dapat diketahui melalui kesan yang terdapat pada benda yang terkena asap tersebut. Sebagai contoh, kekuningan yang melekat pada baju kesan daripada terkena asap; jika kekuningannya sedikit, maka asap itu adalah sedikit begitulah pula jika sebaliknya.
Berdasarkan pendapat tersebut, kesan yang terdapat pada benda terkena asap yang terhasil daripada pembakaran najis menjadi penentu adakah asap itu dianggap sedikit atau banyak. Oleh yang demikian, air yang terkena asap daripada najis adalah lebih utama dimaafkan kerana kesan asap yang melekat pada air itu tidak dapat diketahui. Dengan itu tidak dapat ditentukan adakah asap tersebut banyak atau sedikit. Berbeza dengan benda yang jelas kesan dan dapat diketahui kewujudan kesan tersebut dan dapat ditentukan banyak atau sedikit asap daripada najis itu.
Bagi menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu pula ialah dengan merujuk kepada adat kebiasaan, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai banyak, maka dikira sebagai banyak.
Adakah Wap daripada Najis Dihukumkan Najis?
Apabila disebut mengenai wap pula, timbul kekeliruan adakah hukum wap daripada najis sama dengan hukum asap yang terhasil daripada najis?
Untuk menentukan hukum tersebut, perlu dilihat terlebih dahulu apakah perbezaan di antara asap dan wap yang datang daripada najis.
Asap daripada najis adalah sesuatu yang timbul daripada najis melalui pembakaran api.
Manakala wap daripada najis pula ialah sesuatu yang naik atau timbul sendiri daripada najis bukan melalui pembakaran api. Maka ini dihukumkan suci. Sama juga halnya seperti bau yang datang dari tempat tertutup atau dari dubur, maka itu adalah dianggap suci. Jika terkena pada kain keseluruhannya dan kain tersebut digunakan ketika mendirikan sembahyang, maka sah sembahyangnya.
Walau bagaimanapun jika wap yang terhasil daripada najis itu timbul melalui pembakaran api, maka ia dihukumkan najis kerana najis itu terkandung dalam wap dengan kekuatannya (api) kecuali jika wap itu sedikit, maka adalah dimaafkan.
Oleh yang demikian, jelas bahawa asap yang terhasil daripada pembakaran benda najis adalah dihukumkan najis. Namun, jika asap tersebut sedikit sebagaimana anggapan mengikut kebiasaan masyarakat, maka ia adalah dimaafkan dengan syarat tempat yang terkena asap itu tidak basah dan bukan kerana perbuatan orang yang terkena asap itu sendiri. Manakala wap daripada najis yang bukan terhasil daripada pembakaran api, maka ia adalah suci.
PERSOALAN MEMAKAI MINYAK WANGI
Pada dasarnya lelaki memakai minyak wangi adalah sunat, tetapi tidak demikian halnya terhadap perempuan, kerana adakalanya memakai minyak wangi bagi perempuan itu haram. Persoalan inilah yang akan dihuraikan.
Hukum Memakai Minyak Wangi
Hukum asal memakai wangian termasuklah minyak wangi adalah sunat (digalakkan). Ini berdasarkan beberapa hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Aku memberi (memakaikan) Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebaik-baik wangian yang (Baginda) ada sehingga aku melihat wangian itu cerah/jernih (berkilau/berkilat) di kepala dan janggut Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menunjukkan bahawa memakai wangi-wangian adalah sunnah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Adapun yang dimaksudkan dengan memakai wangian ialah mengenakan wangian seperti minyak wangi pada badan atau pakaian mengikut cara kebiasaannya sama ada dilakukan dengan sendiri ataupun dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang umatnya daripada menolak pemberian berupa wangian. Sabda Baginda:
Maksudnya: Barang siapa yang ditawarkan wangian, maka janganlah dia menolaknya, kerana sesungguhnya ia adalah beban yang ringan (ringan dibawa) dan enak baunya. (Hadits riwayat Muslim)
Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati memakai minyak wangi kerana terdapat banyak minyak wangi yang mengandungi alkohol dijual di pasaran.
Memakai Minyak Wangi Yang Mengandungi Alkohol
Haram memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak sama ada di luar sembahyang, apatah lagi di dalam sembahyang, kerana arak itu adalah najis.
Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata bahawa haram hukumnya berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tidak ada sebarang keperluan (syar‘i).
Sebaliknya harus memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol sintetik daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis. Bagaimanapun, haram jika wangian itu diminum kerana sifatnya yang memudharatkan seperti juga racun. Selain hukum haram memakai minyak wangi yang mengandungi bahan najis, hukum memakai minyak wangi atau wangian lain juga berbeza mengikut keadaan dan ketentuan yang digariskan syara‘. Antaranya sebagaimana berikut:
1. Memakai wangian bagi lelaki dan perempuan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wangian lelaki adalah apa yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya, (manakala) wangian perempuan itu pula adalah yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut hadits ini, ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan memakai wangian yang tersembunyi baunya itu adalah bagi perempuan yang hendak keluar rumah. Sekiranya mereka tidak berhajat untuk keluar rumah, maka harus bagi mereka memakai wangian yang mereka mahu walaupun wangian itu yang nyata baunya.
Adapun wangian yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya itu adalah seperti air mawar, misk (kesturi) dan anbar.
Sementara wangian yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya pula adalah seperti za‘faran, khaluq dan inai.
2. Memakai wangian ketika sembahyang.
Memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi wangian ketika menunaikan sembahyang tidaklah dilarang tetapi hendaklah dipastikan bahawa ia suci daripada najis, kerana antara syarat-syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian mahupun tempat sembahyang.
Tidak sah sembahyang seseorang jika salah satu daripada yang tersebut di atas terkena najis seperti minyak wangi bercampur dengan alkohol yang dihasilkan daripada arak. Ini kerana arak di sisi syara‘ adalah najis.
Walau bagaimanapun, sah sembahyang seseorang jika dia memakai minyak wangi yang suci dan bebas daripada bahan-bahan najis.
3. Memakai wangian sebelum menunaikan sembahyang Jumaat.
Sunat bagi lelaki memakai wangian ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat. Diriwayatkan daripada Salman al-Farisi Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah mandi seorang lelaki itu pada hari Jumaat, membersihkan diri semampunya, meminyakkan rambut daripada minyaknya, memakai wangian (yang ada di) rumahnya, lalu dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), kemudian dia mendirikan sembahyang yang ditentukan ke atasnya dan sesudah itu duduk diam tatkala imam memberi khutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut sehinggalah Jumaat yang akan datang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan sembahyang yang ditentukan itu ialah sembahyang sunat rawâtib qabliyyah Jumaat, atau sembahyang-sembahyang sunat lain sekurang-kurangnya dua rakaat sembahyang tahiyyatul-masjid jika imam belum memulakan khutbah, ataupun juga sembahyang qadha’.
Adapun bagi khuntsâ dan perempuan, makruh ke atas mereka memakai minyak wangi apabila keluar rumah untuk menunaikan sembahyang Jumaat.
Akan tetapi sunat bagi mereka sekadar menghilangkan bau yang tidak enak seperti bau keringat. Ini kerana menghilangkan bau yang tidak enak sama ada dengan air atau selainnya juga merupakan perkara yang disunatkan apabila hendak menunaikan sembahyang Jumaat.
4. Memakai wangian sebelum menunaikan sembahyang Hari Raya.
Sunat bagi lelaki memakai sebaik-baik wangian sebelum keluar menunaikan sembahyang Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Bahkan memakai wangian sebelum sembahyang Hari Raya adalah lebih utama dan afdhal.
Memakai wangian bukan sahaja disunatkan bagi orang yang hendak sembahyang Hari Raya, malah orang yang tidak menunaikan sembahyang Hari Raya juga dituntut untuk memakai wangian pada hari tersebut.
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, makruh ke atas perempuan cantik menghadiri sembahyang Hari Raya di masjid dan sunat ke atas yang selainnya seperti perempuan yang sudah berumur hadir ke masjid asalkan dengan izin suami, tidak berhias dengan berlebih-lebihan, tidak berwangi-wangian dan memadai menggunakan air untuk menghilangkan bau yang tidak enak.
Walau bagaimanapun, perempuan disunatkan memakai wangian pada Hari Raya jika mereka tidak keluar rumah.
Ketetapan hukum bagi khuntsâ dalam perkara ini juga sama seperti ketetapan hukum bagi perempuan.
5. Memakai wangian ketika puasa.
Ulama mazhab Syafi‘e mengatakan bahawa menahan diri daripada keinginan untuk bersenang-senang seperti menghidu wangi-wangian ketika sedang berpuasa adalah sunat.
6. Memakai wangian ketika i‘tikâf.
Harus memakai wangian ketika melakukan i‘tikâf di masjid sama ada pada siang atau malam hari sebagaimana pendapat jumhûr fuqahâ’.
7. Memakai wangian ketika dalam ihram.
Haram bagi lelaki ataupun perempuan yang sedang dalam ihram memakai wangian pada pakaian ataupun badan. Jika seseorang yang dalam ihram itu memakai wangian, maka diwajibkan ke atasnya fidyah.
Sebaliknya, disunatkan untuk memakai wangian pada pakaian ataupun badan sebelum berniat ihram bagi lelaki, khuntsâ ataupun perempuan sama ada perempuan yang muda atau tua, bujang atau berkahwin.
Jika orang yang sedang dalam ihram itu memakai wangian kerana terlupa atau jahil akan hukum haram memakai wangian itu, ataupun dia dipaksa untuk memakainya, maka tidak diwajibkan fidyah ke atasnya.
Menghidu wangian ketika ihram adalah makruh. Berbeza halnya jika dia tidak bertujuan sedemikian seumpama melintas di hadapan kedai menjual minyak wangi, maka hukumnya tidak makruh.
8. Memakai wangian ketika ihdâd.
Ihdâd ialah perbuatan meninggalkan setiap yang dimaksudkan dengan perhiasan atau dipanggil juga berkabung. Ihdâd diwajibkan ke atas perempuan yang kematian suami.
Dalam tempoh ihdâd, seorang perempuan itu diharamkan untuk memakai wangian sama ada pada badan, pakaian, makanan dan celak. Diriwayatkan daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, telah berkata Ummu ‘Athiyyah: “Sesungguhnya kami dilarang untuk berkabung melebihi tiga hari ke atas mayat orang lain, melainkan ke atas mayat suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami tidak (boleh) memakai celak, wangi-wangian dan pakaian yang bercelup (dengan warna-warna terang atau berwarna-warni). (Hadits riwayat al-Bukhari) Walau bagaimanapun, perempuan dalam ihdâd diharuskan memakai sedikit sahaja wangian daripada qusth dan azhfar (jenis wangian yang diasapkan seperti kemenyan) apabila hendak bersuci daripada haidh dan nifas, iaitu dengan tujuan untuk menghilangkan bau, bukan untuk tujuan berwangi-wangian.
Bagi perempuan yang di dalam tempoh ‘iddah thalaq bâ’in dan ‘iddah thalaq raj‘i, mereka juga disunatkan untuk meninggalkan perhiasan termasuk berwangi-wangian. Ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak baik seperti fitnah dan seumpamanya.
9. Memakai wangian selepas mandi wajib daripada haidh dan nifâs.
Disunatkan ke atas perempuan haidh dan nifâs selain yang dalam ihram ataupun ihdâd membubuh wangian (kesturi) pada kapas dan mengusapnya pada tempat yang biasa terkena darah selepas selesai mandi wajib.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata bahawa telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seorang perempuan bertanya bagaimana caranya mandi daripada haidh, lalu Sayyidatina ‘Aisyah mengajarkan cara mandi kepada perempuan itu dengan mengambil kapas yang dibubuh misk (kesturi) untuk digunakan bersuci dan mengusap kapas tersebut pada tempat yang lazimnya terkena darah (faraj).
Adapun jika tidak ada misk, bolehlah digunakan benda yang memiliki haba seperti qusth dan azhfar. Jika tidak ada, boleh digunakan wangian lain, atau jika tidak ada wangian boleh digunakan tanah liat dan jika tidak ada, memadailah dengan air.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas hukum memakai wangian termasuklah minyak wangi di dalam Islam adalah berbeza mengikut keadaan dan ketentuan. Perlu diingat terutama bagi golongan perempuan, berlebih-lebihan dalam berhias seperti memakai wangian dengan tujuan untuk mempamerkan kecantikan diri atau menarik perhatian selain suami adalah termasuk dalam tabarruj. Tabarruj di sisi syara‘ adalah haram. Oleh kerana itu, adalah lebih baik perkara demikian ini diambil perhatian agar segala perbuatan kita khususnya yang berkaitan dengan ibadat tidak menjadi sia-sia.
KESEMPURNAAN SUJUD DALAM SEMBAHYANG
Sujud merupakan salah satu daripada rukun-rukun sembahyang berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang). (Surah al-Hajj: 77)
Persoalan bagaimana cara melaksanakan sujud dalam sembahyang itu hendaklah dilihat kepada cara dan tunjuk ajar sembahyang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang yang berupa rukun, perkara-perkara sunat dan tertib sembahyang, daripada permulaan sembahyang dengan takbîratul-ihrâm sehingga selesai dengan mengucapkan salam, kesemuanya itu hendaklah mencontohi cara sembahyang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Daripada Malik bin al-Huwayrits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: (Kerjakan) sembahyang sebagaimana kamu lihat aku sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Anggota Sujud
Anggota sujud dalam sembahyang ada tujuh, iaitu menyampaikan atau meletakkan pada tempat sujud sebahagian daripada dua tapak tangan, sebahagian daripada dua kaki (yakni jari-jari kaki), dua lutut dan sebahagian dahi yang tidak berlapik. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang (anggota sujud), iaitu: Pada dahi - dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda - dua tangan, dua lutut dan jari-jari daripada dua telapak kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits yang disebutkan di atas secara umum menjelaskan apakah anggota-anggota sujud dalam sembahyang. Akan tetapi, kadang-kala timbul persoalan yang melibatkan anggota-anggota sujud itu sendiri. Tidak dinafikan juga, terjadi kecuaian dan kesilapan dalam melakukan sujud tanpa disedari. Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:
1. Meletakkan hidung dan dahi pada tempat sujud.
Hukum meletakkan hidung pada tempat sujud ketika sujud adalah dituntut berdasarkan hadits shahîh di atas, akan tetapi hukumnya adalah sunat dan bukan wajib. Selain itu, para ulama telah menyebutkan bahawa sujud pada dahi semata-mata tanpa meletakkan hidung pada tempat sujud hukumnya adalah makruh. Sebaliknya pula, adalah tidak memadai sekiranya sujud dilakukan dengan hanya meletakkan hidung sahaja tanpa sebahagian dahi. Ini kerana dahi adalah termasuk dalam anggota sujud. 2. Mengangkat dahi ketika sujud.
Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.
Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir “سبحان هللا” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Seperti yang diketahui, thuma’ninah diwajibkan ketika sujud.
Oleh yang demikian, maksud thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit dari sujud.
3. Dahi dan hidung yang berlapik.
Ketika sujud, bahagian dahi hendaklah dalam keadaan terbuka atau terdedah tanpa dihalang oleh sebarang lapik seperti songkok, serban, telekung atau seumpamanya. Demikian juga, disunatkan agar bahagian hidung mencecah tempat sujud tanpa dihalang oleh sebarang lapik sebagai ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan riwayat daripada Abu Sa‘id al- Khudriy Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dapat dilihat pada dahi dan hujung hidung Baginda kesan (bekas) tanah (setelah selesai) daripada sembahyang yang dilaksanakan Baginda bersama-sama orang ramai. (Hadits riwayat Abu Daud)
4. Kedudukan jari-jari tangan dan kaki ketika sujud.
Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, diwajibkan ketika melakukan sujud untuk meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi, antaranya ialah dua tangan dan dua kaki. Yang dimaksudkan dengan dua kaki itu ialah perut jari-jari daripada dua telapak kaki.
Oleh itu, tidak sah sujud dalam sembahyang dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki, apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung tidak mencecah bumi atau lantai.
Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.
Demikian antara persoalan-persoalan mengenai hukum dan cara meletakkan anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang dan juga beberapa contoh kecuaian dan kesilapan yang berlaku ketika sujud.
Tertib Anggota Ketika Hendak Sujud
Selain menyempurnakan kewajipan dalam meletakkan anggota-anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang, terdapat juga perkara-perkara sunat ketika melakukan sujud, antaranya cara sujud dan tertib anggota sujud ketika hendak melakukan sujud.
Cara sujud dan tertib anggota sujud yang lebih sempurna ialah sunat bagi seseorang ketika hendak sujud supaya meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, diikuti dua kaki, iaitu jari-jari kaki yang dilipat dan dihadapkan ke arah qiblat, kemudian diikuti dengan meletakkan kedua-dua tapak tangan sebagaimana cara atau amalan yang telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Terakhir sekali meletakkan sebahagian dahi dan hidung secara serentak kerana ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Hukum meletakkan kedua-dua dahi dan hidung secara serentak adalah sunat.
Perbuatan tertib ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Wa’il bin Hujr Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Aku melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda hendak sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua (tapak) tangan Baginda. Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Tertib dan cara ketika hendak sujud inilah yang dipegang oleh kebanyakan ulama dan ulama fiqh. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan adalah makruh menyalahi tertib yang telah disebutkan di atas, manakala pendapat yang lain mengatakan sekiranya dia sujud dengan mendahului meletakkan kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya, maka itu adalah memadai, cuma dia telah meninggalkan sunat hai’ah dan meninggalkan perkara yang mustahabb, iaitu yang disukai.
Begitulah penjelasan mengenai cara sujud dan tertib anggota sujud yang disunatkan. Bagaimana pula cara dan tertib anggota ketika hendak bangun berdiri setelah selesai melakukan sujud yang kedua?
Bertumpu Dengan Tapak Tangan
Antara perkara yang disunatkan apabila hendak bangun untuk berdiri dalam sembahyang, seperti ketika bangun dari sujud, ketika bangun dari duduk istirâhah, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua sebelum bangkit berdiri, atau ketika bangun daripada tasyahhud, ialah bertumpu dengan dua tapak tangan. Kaifiyyah atau caranya ialah bertumpu dengan menetapkan tapak tangan dan perut jari-jari tangan yang dibentangkan (yakni tidak digenggam) di atas lantai atau tempat sembahyang.
Hukum bertumpu dengan tangan ketika bangun adalah sunat, malahan digalakkan untuk diamalkan, sama ada bagi mereka yang kuat (berdaya) mahupun yang lemah, sama ada lelaki mahupun perempuan. Bertumpu dengan tangan menyerupai tawâdhu‘ (merendah diri), di samping cara ini lebih membantu orang yang sembahyang.
Dasar dalam perkara ini adalah sebagai ittibâ‘. Telah tsabit bahawa cara Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bangun atau bangkit berdiri seolah-olah seperti bangunnya seorang yang lemah atau seorang tua yang lemah, yakni seseorang yang memerlukan bantuan dengan meletakkan tangan pada sesuatu atau lantai untuk menolongnya ketika bangun berdiri. Selain itu, dalam sebuah hadits shahîh menyebutkan perbincangan di antara Ayyub dan Abu Qilabah Radhiallâhu ‘anhum mengenai cara sembahyang ‘Amru bin Salimah Radhiallâhu ‘anhu yang menyerupai dan mencontohi sembahyang Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Dan apabila Baginda mengangkat kepala Baginda daripada sujud yang kedua, Baginda duduk (seketika) dan bertumpu pada bumi (atau lantai), kemudian (Baginda pun) bangun berdiri. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tidak Bertumpu Dengan Tangan Pada Lantai
Menurut penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa disunatkan ketika bangun dari sujud untuk bertumpu dengan menggunakan bantuan tangan yang ditetapkan atau diletakkan pada lantai atau tempat sembahyang. Bagaimanapun dalam hadits yang diriwayatkan oleh Wa’il bin Hujr Radhiallâhu ‘anhu yang terlebih awal disebutkan di atas, menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut ketika bangun berdiri, manakala dalam hadits Muhammad bin Juhadah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda tidak bertumpu pada lantai sebaliknya Baginda bertumpu pada peha Baginda ketika bangun berdiri sepertimana berikut:
1. Hadits Wa’il bin Hujr Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: …dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum daripada dua lutut Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Hadits Muhammad bin Juhadah menyebutkan:
Maksudnya: Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda bangun atas dua lutut Baginda dan bertumpu (dengan tangan diletakkan) pada peha Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, cara bangun untuk berdiri dalam kedua-dua hadits di atas adalah bagi sesiapa yang tidak melakukan amalan sunat bertumpu dengan tangan pada lantai. Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak bertumpu dengan tangan pada lantai, maka digalakkan agar dia mendahulukan mengangkat kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya dan dia bertumpu dengan kedua-dua tangannya pada dua pehanya supaya dengan cara sebegini membantunya atau menolongnya untuk bangun berdiri.
Sebagai kesimpulan, antara sunat hai’ah dalam sembahyang itu menyentuh mengenai tertib dan cara ketika hendak sujud dan bangun berdiri dari sujud. Tertib dan cara bangun dari sujud itu termasuklah bangun dari duduk istirâhah, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua dan sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya, serta bangun dari duduk tasyahhud. Tertib dan cara ini telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri berdasarkan beberapa hadits. Sebaliknya, meninggalkan tertib ini dalam sembahyang hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan sunat hai’ah.
RUKUN QAULI DALAM SEMBAHYANG WAJIB DIDENGAR OLEH DIRI SENDIRI
Sebagaimana yang kita maklumi, ibadat sembahyang mempunyai beberapa rukun yang mesti dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Kegagalan seseorang melakukan rukun sembahyang dengan baik dan sempurna, walaupun satu rukun daripadanya, boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah. Rukun-rukun sembahyang itu pula ada yang dilakukan dengan lintasan di dalam hati iaitu niat, ada juga yang dilakukan dengan gerakan anggota tubuh badan seperti berdiri betul, ruku‘, sujud dan lain-lain, dan ada juga yang dilakukan dengan gerakan lisan atau membaca bacaan tertentu seperti membaca takbîratul-ihrâm, membaca surah al- Fâtihah pada setiap rakaat dan lain-lain lagi.
Mengenai rukun yang dilakukan dengan gerakan lisan atau membaca bacaan tertentu, sebahagian orang mungkin sudah terbiasa dengan membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang tanpa didengar oleh telinganya sendiri. Perkara membaca bacaan dalam sembahyang seperti ini tidak semestinya hanya berlaku kepada orang yang sembahyang secara bersendirian ataupun yang menjadi makmum, bahkan juga mungkin berlaku kepada imam. Jadi perkara ini perlu diambil perhatian kerana dikhuatiri ibadat sembahyang yang dilakukan itu disangkakan sah namun sebenarnya tidak demikian.
Bacaan dalam sembahyang boleh dibahagi kepada dua iaitu bacaan wajib (rukun qauli) dan bacaan sunat. Kedua-dua jenis bacaan ini mempunyai hukum berbeza yang perlu diketahui bagi memastikan sama ada ibadat sembahyang yang kita lakukan itu sah ataupun tidak.
1. Bacaan-bacaan wajib (rukun qauli).
Bacaan wajib atau rukun qauli itu ialah takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhîr, selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas membaca tasyahhud akhîr dan salam pertama. Kesemua bacaan wajib atau rukun qauli ini wajib dibaca pada kadar suara yang boleh didengar oleh diri sendiri. Jika bacaan tersebut dibaca pada kadar suara yang tidak boleh didengar oleh diri sendiri maka ibadat sembahyang tersebut menjadi tidak sah. Perkara ini ada disebutkan dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan wajib diperdengarkannya (takbîratul-ihrâm) itu kepada dirinya sendiri sepertimana kesemua rukun qauli yang lain. (Kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/217)
Oleh itu, jika seseorang itu tidak melafazkan bacaannya dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti membaca bacaan-bacaan wajib itu di dalam hati maka sembahyang yang dikerjakannya itu tidak sah kerana bacaan rukun qauli itu wajib dilafazkan dengan kadar bacaan yang boleh didengar olehnya sendiri bukannya di dalam hati.
2. Bacaan-bacaan sunat.
Manakala bacaan-bacaan sunat dalam sembahyang itu banyak, antaranya ialah do‘a al-iftitâh, at-ta‘awwudz, ayat atau surah daripada al-Qur’an yang dibaca selepas surah al-Fâtihah, tasyahhud awwal dan lain-lain. Bacaan-bacaan sunat ini juga dituntut untuk dibaca dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Namun jika tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri tidaklah membatalkan ibadat sembahyangnya, hanya dia tidak mendapat pahala sunat.
Daripada penjelasan ini dapatlah difahami bahawa bacaan wajib atau rukun qauli dalam sembahyang iaitu takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhîr, selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas membaca tasyahhud akhîr dan salam pertama itu wajib dibaca dengan suara yang boleh didengar oleh diri sendiri. Jika bacaan rukun qauli itu tidak dilafazkan dengan kadar bacaan yang boleh didengar oleh diri sendiri atau tidak didengar oleh diri sendiri maka sembahyang seseorang itu tidak sah.
Manakala bacaan-bacaan sunat pula seperti do‘a al-iftitâh, at-ta‘awwudz, ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas surah al-Fâtihah dan tasyahhud awwal jika dibaca dengan kadar bacaan yang tidak dapat didengar oleh diri sendiri tidaklah menjejaskan ibadat sembahyang, namun sunat jika bacaan-bacaan sunat seperti yang disebutkan itu tadi dibaca dengan kadar bacaan yang boleh didengar oleh dirinya sendiri. Dengan berbuat demikian, dia akan mendapat pahala sunat.
Bagaimanakah Jika Ada Halangan Yang Menyebabkan Tidak Dapat Didengar Bacaan-Bacaan Wajib Atau Rukun Qauli Itu?
Walaupun hukum memperdengarkan kepada diri sendiri bacaan-bacaan yang wajib atau setiap rukun qauli adalah wajib iaitu dengan kadar suara yang boleh didengar oleh diri sendiri, namun kadang-kadang terdapat beberapa keadaan tertentu yang menghalang seseorang dari mendengar bacaan-bacaan wajib atau rukun qauli itu, sebagai contoh:
1. Mempunyai masalah pendengaran.
Jika seseorang itu menghadapi masalah pendengaran seperti tuli atau pekak, maka orang sebegini tidaklah diwajibkan mendengar rukun qauli yang dibacanya itu, namun dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.
Disebutkan juga di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Jika seseorang itu tidak mempunyai pendengaran yang baik seperti tuli, maka tidak wajib ke atasnya yang sedemikian itu (iaitu memperdengarkan kepada dirinya sendiri bacaan rukun qauli) bahkan wajib baginya mengangkat suaranya dengan kadar suara yang dapat didengar olehnya jika dia mempunyai pendengaran yang baik. (Kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/217)
2. Keadaan bising.
Begitu juga jika seseorang itu mendirikan sembahyang di tempat yang bising sehingga dia tidak dapat mendengar bacaan wajib yang dibacanya secara jelas maka tidaklah wajib baginya memperdengarkan kepada dirinya sendiri rukun qauli itu. Namun begitu hendaklah dia juga melafazkan bacaannya dengan kadar suara yang sekira-kira boleh didengar olehnya sendiri ketika dalam keadaan tidak bising walaupun suaranya itu tidak berapa jelas disebabkan gangguan keadaan yang bising tersebut.
Disebutkan juga di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Jika terdapat gangguan tidaklah wajib ke atasnya memperdengarkan kepada dirinya sendiri bacaan rukun qauli, akan tetapi wajib ke atasnya apa yang terdahulu (wajib ke atasnya mengangkat suaranya dengan kadar suara yang dapat didengar jika dalam keadaan tidak ada gangguan). (Kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/217)
Dengan demikian, berdasarkan apa yang dijelaskan bahawa memperdengarkan bacaan ke telinga sendiri ketika melakukan sembahyang adalah antara tuntutan yang perlu dibuat bagi kesempurnaan ibadat sembahyang seseorang.
MAKMUM YANG MASBÛQ DIJADIKAN IMAM
Sembahyang secara berjemaah berbanding sembahyang bersendirian atau seorang diri, sama ada bagi lelaki mahupun perempuan, mempunyai kelebihannya serta menjanjikan fadhilat yang sangat menguntungkan. Antaranya ganjaran pahala sebanyak 27 (dua puluh tujuh) darjat. Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut pendapat al-azhhar (lebih kuat), yang dimaksudkan dengan darjat itu ialah sembahyang, manakala dalam sesetengah riwayat menyebutkan maksud darjat itu sebagai gandaan.
Jemaah Yang Ramai Lebih Afdhal Berbanding Yang Sedikit
Dalam keadaan tertentu, sembahyang berjemaah dengan bilangan yang banyak adalah lebih afdhal daripada sembahyang secara berjemaah dengan bilangan yang sedikit. Telah diriwayatkan daripada Ubay bin Ka‘ab Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) seorang diri. Dan sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama dua orang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama (hanya)
seorang lelaki. Dan mana-mana yang lebih banyak, maka itu adalah lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits di atas, maksud ‘sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik’ ialah kerana mendapat pahala yang lebih. Manakala maksud ‘mana-mana yang lebih banyak’ ialah sembahyang yang banyak bilangan jemaah di dalamnya adalah lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala berbanding jemaah yang sedikit bilangannya.
Telah disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ dalam bab Hai’ât al-Jumu‘ah bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama 10 ribu orang jemaah, maka baginya ganjaran 27 darjat dan sesiapa yang sembahyang bersama-sama dua orang jemaah dia juga mendapat ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun darjat-darjat orang yang sembahyang dalam keadaan pertama (yang lebih banyak bilangannya) adalah lebih akmal atau sempurna.
Perkara ini telah dibayangkan dalam bab yang sama mengenai ganjaran bagi mereka yang datang ke masjid pada hari Jumaat di awal waktu berbanding mereka yang datang pada akhir waktu. Kedua-dua kumpulan ini sama-sama berhasil mendapat ganjaran yang asal, iaitu seekor unta ataupun lembu atau selain kedua-duanya, akan tetapi unta yang diperolehi oleh mereka yang datang pada awal waktu itu lebih sempurna berbanding unta bagi mereka yang datang pada akhir waktu. Demikian pula, bagi mereka yang datang pada waktu pertengahan, maka mereka mendapat unta yang sederhana atau pertengahan.
Memperoleh Fadhilat Berjemaah
Menurut para ulama, fadhilat berjemaah itu diperolehi melalui sembahyang berjemaah bersama imam. Antara caranya ialah seorang yang mengikut imam dengan mengikuti atau menyertai imam sejurus imam mengangkat takbîratul-ihrâm, maka dia akan memperolehi sembahyang berjemaah dan fadhilat berjemaah. Selain itu, dia juga mendapat fadhilat berjemaah sekiranya dia sempat menyertai atau mengikut imam pada mana-mana bahagian dan rakaat dalam sembahyang imam, sama ada pada permulaan sembahyang atau pertengahan. Malah, fadhilat tersebut diperolehinya sepanjang masa sembahyang dilaksanakan sekalipun sebentar sahaja, selagi imam belum selesai memberi salam (yang pertama) dalam sembahyang, kecuali dalam sembahyang fardhu Jumaat sebagaimana yang akan dijelaskan kemudian.
Maksud imam belum selesai mengucapkan salam ialah imam belum sampai kepada huruf ‘mim’ pada lafaz ‘as-salâmu ‘alaikum’ (السالم عليكم). Oleh yang demikian, sekiranya makmum tersebut mengangkat takbîratul-ihrâm serentak dengan permulaan imam memberi salam dan sebelum imam sampai ke huruf ‘mim’ seperti yang dijelaskan di atas, maka dalam situasi ini dia memperolehi pahala berjemaah bersama imam.
Para ulama juga memberikan gambaran bahawa seseorang memperolehi fadhilat berjemaah selagi imam belum selesai memberi salam, sekalipun dia tidak sempat duduk bersama-sama imam. Sebagai contoh, sebaik-baik sahaja dia sempurna mengangkat takbîratul-ihrâm, imam pun memberi salam.
Di sini dapat difahami bahawa sesiapa yang menyertai imam, sama ada dari awal sembahyang imam, pertengahan ataupun penghujungnya, kesemua mereka (makmum) memperolehi fadhilat berjemaah dan ganjaran pahala yang dijanjikan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa mereka yang telah mengikuti imam dari awal sembahyangnya akan mendapat kelebihan atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding mereka yang terkemudian mengikut imam atau mengikut imam cuma pada sebahagian sembahyang imam sahaja.
Perkara ini adalah berdasarkan kepada apa yang telah disebutkan terdahulu bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama 10 ribu orang jemaah ataupun bersama-sama dua orang jemaah, masing-masing memperolehi ganjaran 27 darjat. Namun, darjat-darjat orang yang sembahyang dalam bilangan jemaah yang ramai adalah lebih akmal atau sempurna berbanding bilangan jemaah yang sedikit.
Memperoleh Fadhilat Berjemaah Dalam Sembahyang Jumaat
Untuk memperolehi sembahyang berjemaah bersama imam pada sembahyang fardhu Jumaat, maka kedudukannya adalah berbeza daripada sembahyang fardhu lima waktu. Secara ringkas, mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat secara berjemaah merupakan fardhu ‘Ain. Sembahyang fardhu Jumaat disyaratkan dikerjakan secara berjemaah dengan mencukupkan bilangan 40 orang jemaah yang sah Jumaatnya (mukallaf, lelaki, merdeka dan bermastautin) dan bilangan ini termasuklah imam Jumaat itu sendiri.
Untuk membolehkan seorang makmum yang masbûq mendapat sembahyang fardhu Jumaat, maka hendaklah dia mengikut imam sembahyang fardhu Jumaat paling kurang satu rakaat. Inilah antara perbezaan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.
Oleh yang demikian, dalam sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya seorang makmum sempat mengikut imam yang akan ruku‘ pada rakaat kedua atau imam yang sedang ruku‘ pada rakaat kedua berserta thuma’ninah, maka dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat, iaitu memperolehi satu rakaat. Setelah imam selesai memberi salam, maka makmum yang masbûq itu hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu rakaat lagi dan kemudian memberi salam.
Sekiranya seorang makmum hanya sempat mengikut imam setelah imam selesai ruku‘ pada rakaat kedua ataupun ketika imam sujud pada rakaat kedua dalam sembahyang fardhu Jumaat, maka dalam keadaan ini dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Bagaimanapun sah dia mengikut imam tersebut, malahan dia memperolehi fadhilat berjemaah, sekalipun dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Oleh yang demikian, makmum tersebut meneruskan sembahyang fardhu Jumaat yang dikerjakannya dan setelah imam sembahyang fardhu Jumaat memberi salam, hendaklah dia menyempurnakannya menjadi empat rakaat sembahyang fardhu Zhuhur, kemudian diakhiri pada rakaat ke empat dengan salam.
Berimamkan Seorang Makmum
Melihat kepada ganjaran dan kelebihan sembahyang berjemaah sebagaimana dalam hadits di atas dan pandangan para ulama yang telah disebutkan terdahulu, maka tidak hairanlah kenapa sesetengah orang melazimkan sembahyang secara berjemaah serta tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut ganjaran tersebut.
Mengenai sembahyang berjemaah dan mengikut imam ini, timbul pula satu persoalan, iaitu apakah hukumnya jika seseorang yang hendak menunaikan sembahyang secara berjemaah dengan menjadikan atau mengikut seorang makmum yang masbûq sebagai imam? Penjelasan ringkas mengenainya seperti berikut.
Untuk melakukan sembahyang secara berjemaah, perlu ada seorang imam dan makmum. Sembahyang berjemaah itu terhasil dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun lebih. Antara syarat-syarat sah mengikut seorang imam atau menjadikannya imam ialah imam tersebut hendaklah bukan terdiri daripada seorang makmum dan tidak pula ada syak atau keraguan sama ada dia seorang imam ataupun makmum.
Persoalannya apakah maksud berimamkan seorang makmum itu? Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang sembahyang berjemaah mengikut seorang imam, lalu dia menjadikan salah seorang daripada makmum itu sebagai imam, sedangkan makmum tersebut masih atau sedang menjadi makmum kepada imam yang sedia ada. Dalam keadaan ini, ulama sepakat (ijmâ‘) mengatakan bahawa kedudukan sembahyang Ahmad dengan berimamkan seorang makmum tersebut adalah tidak sah. Ini kerana seseorang itu tidak boleh menjadi imam dan juga makmum dalam satu masa yang sama. Dengan kata lain, orang yang hendak diikuti itu tidak boleh mengikut orang lain ataupun sedang berimamkan orang lain.
Bagaimanapun maksud ‘tidak sah mengikut seorang makmum’ itu tidaklah termasuk jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imam.
Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang mengikut seorang imam sembahyang berjemaah, bukan dalam sembahyang Jumaat. Apabila imam selesai memberi salam, salah seorang makmum yang masbûq pun seterusnya berdiri untuk menambah dan menyempurnakan bilangan rakaatnya. Pada ketika ini, jika Ahmad menjadikan makmum yang masbûq itu sebagai imam, maka hukum sembahyang Ahmad adalah sah.
Inilah pendapat Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh bahawa hukum sembahyang seseorang dengan cara yang disebutkan di atas adalah sah dan tidak dihukumkan makruh.
Berniat Menjadi Imam Pada Pertengahan Sembahyang Dan Caranya
Pada dasarnya, niat imâmah atau niat menjadi imam, melainkan dalam sembahyang fardhu Jumaat, bukanlah suatu syarat yang menentukan sahnya sembahyang berjemaah atau sebaliknya.
Bagaimanapun berniat menjadi imam dalam sembahyang adalah sunat. Perkara ini disunatkan agar dia (imam) juga mendapat fadhilat berjemaah. Oleh yang demikian, walaupun dia (imam) tidak berniat menjadi imam, sembahyang berjemaah itu tetap sah melainkan dalam sembahyang Jumaat.
Oleh kerana itu, seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah, maka sunat bagi orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam.
Menurut pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullâh, apabila seseorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, lalu datang orang lain menyertainya sebagai makmum, sedangkan dia (orang yang dijadikan imam) tidak mengetahui akan perkara ini (berjemaah), maka dia mendapat fadhilat berjemaah kerana mereka (para makmum) memperolehi fadhilat jemaah tersebut disebabkan olehnya (orang yang dijadikan imam). Sekiranya dia (orang yang dijadikan imam) mengetahui bahawa niat mereka yang menyertainya adalah untuk berjemaah dengannya, akan tetapi dia tidak berniat (memasang niat) sebagai imam, maka dalam situasi ini dia tidak memperolehi fadhilat berjemaah tersebut.
Selain itu, perlu juga diketahui bahawa imam akan mendapat pahala sembahyang berjemaah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam. Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu berniat di dalam hatinya untuk menjadi imam.
Walau bagaimanapun hukum niat berjemaah atau mengikut imam bagi makmum adalah berbeza. Antara syarat sah sembahyang seseorang yang mengikut imam ialah niat mengikut imam, atau niat berjemaah atau niat menjadi makmum. Bagi makmum, niat mengikut imam itu dilakukan pada ketika mengangkat takbîratul-ihrâm.
Sebagai kesimpulan, peluang untuk melaksanakan sembahyang secara berjemaah itu janganlah dilepaskan dan disia-siakan begitu sahaja melihat kepada fadhilat menguntungkan yang bakal diraih. Di samping itu, dianjurkan melaksanakan sembahyang berjemaah itu dalam bilangan yang lebih banyak kerana ia lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala dan adalah lebih afdhal dengan mendapat pahala yang berganda.
Demikian juga, sesesorang yang mengikut imam (berjemaah) dari awal sembahyang imam akan mendapat kelebihan yang banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding seseorang yang mengikut imam cuma dalam sebahagian sembahyang sahaja.
Sembahyang berjemaah itu terhasil dengan hanya dua orang ataupun lebih. Antara syarat sah sembahyang berjemaah hendaklah orang yang dijadikan imam itu bukan seorang makmum. Bagaimanapun jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imamnya, umpamanya imam selesai memberi salam dalam sembahyang dan makmum tersebut bangkit lagi untuk menambah dan menyempurnakan rakaatnya, maka hukum berimamkan makmum (yang masbûq) dalam keadaan sedemikian adalah sah.
PERMASALAHAN RAGU-RAGU DALAM BILANGAN RAKAAT SEMBAHYANG
Manusia mempunyai berbagai-bagai sifat kelemahan lagi serba kekurangan. Sifat lupa, silap, ragu-ragu dan sebagainya merupakan antara sifat-sifat kekurangan yang sering melanda manusia dalam apa sahaja perkara serta urusan, tidak terkecuali juga ketika melakukan ibadat seperti sembahyang dan puasa.
Namun demikian, syara‘ tidak terlepas pandang akan kelemahan dan kekurangan manusia ini. Kerana itu, dalam mengerjakan ibadat sembahyang misalnya, syara‘ telah memberikan bimbingan serta hukum-hakam tertentu sekiranya dalam ibadat sembahyang seseorang itu terdapat kekurangan atau kecacatan akibat daripada sifat-sifat kelemahan ini. Khusus mengenai ibadat sembahyang, antara perkara yang sering melanda manusia ketika mengerjakannya ialah ragu-ragu dalam bilangan rakaat.
Syara‘ telah menyediakan beberapa panduan serta kaedah tertentu bagi menghadapi masalah ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini:
1. Kaedah asas apabila ragu-ragu dalam bilangan rakaat ialah meninggalkan yang syak dan mengambil yang yakin.
Apabila seseorang itu mengerjakan ibadat sembahyang, lalu dia ragu-ragu bahawa adakah bilangan rakaat sembahyangnya sudah cukup ataupun masih kurang, sebagai contoh, ketika menunaikan sembahyang fardhu Zhuhur, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang dikerjakannya pada ketika itu adakah rakaat ketiga ataupun rakaat keempat, maka dalam situasi ini, orang itu wajib mengetepikan keraguannya dan mengambil bilangan yang yakin, iaitu mengirakan bahawa bilangan rakaatnya masih kurang. Ini dengan mengirakan bahawa rakaat yang dikerjakannya itu ialah rakaat ketiga, kemudian hendaklah dia menambah satu rakaat lagi (rakaat keempat) selepas rakaat ketiga itu bagi menghilangkan keraguan yang ada tadi dan sebagai langkah ihthiyâth (berhati-hati). Ini kerana menurut asalnya, dia dikirakan belum mengerjakan rakaat keempat.
Kemudian setelah selesai rakaat keempat, sunat dia mengerjakan sujud sahwi selepas tahiyyat akhir, iaitu sebelum memberi salam. Perkara ini dilakukan adalah bagi menampal kecederaan atau kecacatan yang terdapat dalam sembahyangnya kerana dia telah meneruskan rakaat yang dikerjakannya selepas rakaat ketiga itu secara ragu-ragu akan bilangannya yang sebenar, di samping terdapat kemungkinan bahawa rakaat yang dikerjakannya secara ragu-ragu itu boleh jadi rakaat keempat dan boleh jadi juga rakaat yang kelima.
Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi itu tetap sunat dikerjakan walaupun sebelum memberi salam dia teringat dan yakin bahawa rakaat yang terakhir dikerjakannya itu adalah benar-benar rakaat yang keempat.
2. Dalam perkara ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini, seseorang itu tidak boleh bersandar kepada sangkaannya semata-mata. Begitu juga dia tidak boleh berpegang kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain sebagai sandaran bagi memastikan bilangan sebenar rakaat sembahyangnya. Ini kerana perkara ini berkait dengan urusan sembahyangnya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan orang lain. Jadi tidak dibolehkan baginya berpegang atau berpandukan kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain tentang urusan sembahyangnya sendiri.
Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkashi Rahimahullâh, jika bilangan orang ramai itu mencapai bilangan mutawâtir, yang menurut kebiasaannya, perkhabaran daripada orang ramai dalam bilangan seumpama itu dapat diyakini dan dapat dipastikan keshahîhannya, maka dalam hal ini hendaklah orang itu berpegang kepada kata-kata ataupun perbuatan orang-orang tersebut. Bahkan menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh, wajib atasnya mengikut kata-kata ataupun perbuatan orang ramai yang mencapai bilangan mutawâtir itu.
Sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam jemaah yang bilangannya mencapai bilangan mutawâtir dan dia ragu-ragu dalam bilangan rakaat sembahyangnya, maka memadailah dia berpandu kepada perbuatan ahli jemaah sembahyang tersebut dan mengikut mereka.
Menyentuh tentang jumlah bilangan mutawâtir ini, Imam asy-Syibramalissi dan Imam asy-Syarwani Rahimahumullâh menukilkan dalam kitab mereka bahawa sebahagian pendapat ada menyebutkan bahawa bilangan yang dikirakan sebagai mutawâtir itu ialah sekurang-kurangnya hendaklah melebihi bilangan empat orang.
3. Sekiranya sewaktu mengerjakan suatu rakaat itu dia ragu-ragu akan bilangannya, lalu dia mengerjakan rakaat yang seterusnya dalam keadaan ragunya itu masih ada, maka disunatkan dia sujud sahwi.
Sebagai contoh, dalam sembahyang empat rakaat seperti sembahyang fardhu Zhuhur misalnya, ketika berada dalam rakaat ketiga, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang dikerjakannya itu adakah benar-benar rakaat ketiga ataupun sudah rakaat keempat, kemudian selepas dia meneruskan rakaat yang berikutnya (keempat), baru dia teringat kembali bahawa rakaat yang dikerjakannya tadi (rakaat ketiga) itu adalah sememangnya betul rakaat yang ketiga manakala rakaat yang sedang dikerjakannya ketika itu pula adalah sememangnya betul rakaat keempat. Maka dalam hal ini, sunat baginya mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana dia bangkit mengerjakan rakaat keempat itu dalam keadaan syak atau ragu-ragu bahawa kemungkinan rakaat keempat itu sebenarnya adalah rakaat tambahan yakni rakaat yang kelima.
Bagaimanapun, jika dia teringat kembali dalam rakaat ketiga itu juga, iaitu sebelum dia mengerjakan rakaat seterusnya (keempat), bahawa rakaat yang sedang dikerjakannya itu adalah rakaat yang ketiga, maka dalam hal ini tidak disunatkan dia sujud sahwi.
4. Apabila seseorang itu tersedar bahawa dia telah terlebih rakaat, sebagai misal, ketika mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur, dia teringat bahawa rakaat yang disangkakannya rakaat keempat yang sedang dikerjakannya ketika itu sebenarnya adalah rakaat yang kelima, maka dalam hal ini, wajib dia turun serta-merta meninggalkan rakaat tambahan (yang kelima) itu bagi mengerjakan tahiyyat akhir, sekiranya sebelum dia bangkit mengerjakan rakaat tambahan itu dia belum mengerjakan tahiyyat akhir, kemudian sunat dia mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Akan tetapi, jika sebelum itu dia sudah selesai mengerjakan tahiyyat akhir, lalu dia bangkit mengerjakan rakaat yang kelima kerana terlupa, tersilap ataupun terkeliru, maka dalam hal ini dia tidak perlu lagi mengulangi tahiyyat akhir, memadai dia turun serta-merta dan mengerjakan sujud sahwi sahaja dan kemudian memberi salam.
Demikian beberapa penjelasan serta panduan mengenai permasalahan ragu-ragu dalam bilangan rakaat. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, ilmu kita tentang ibadat sembahyang semakin bertambah serta sembahyang yang kita kerjakan menjadi lebih sempurna.
KEDUDUKAN PUASA PEREMPUAN MUSTAHÂDHAH
Apa dia mustahâdhah? Kenapa perlu dikaitkan ibadat puasa dengan mustahâdhah? Mustahâdhah ialah perempuan yang mengalami darah istihâdhah. Dikaitkan dia dengan ibadat puasa kerana tidak sedikit bilangan perempuan yang mengalami darah istihâdhah ini begitu keliru dalam menentukan waktu suci mereka bagi melaksanakan ibadat puasa, bahkan lain-lain tuntutan agama seperti sembahyang atau thawaf. Biasanya kekeliruan ini timbul apabila darah istihâdhah ini keluar sebelum atau selepas mengalami darah haidh dan kadang-kadang setelah melalui waktu maksimum keluar darah nifâs.
Bagi sesetengah perempuan, persoalan istihâdhah tidak begitu diambil kisah kerana mereka mempunyai waktu dan kadar haidh yang konsisten setiap bulan. Berbeza bagi sesetengah perempuan yang mengalami darah yang berterusan, bahkan mengalaminya sehingga bertahun lamanya tanpa berhenti sehingga menyebabkan dia lupa atau keliru tentang bila bermulanya haidh, berapa lama tempoh haidh, sifat darah haidh dan sebagainya.
Oleh itu, ada eloknya difahami perkara berkaitan darah istihâdhah agar mudah bagi perempuan yang mengalami masalah istihâdhah ini menentukan waktu suci khususnya bagi melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Bagi lelaki pula, tidak terkecuali kewajipan untuk memahami persoalan istihâdhah, haidh dan nifâs ini kerana ia satu pengetahuan penting yang berkaitan dengan hubungan suami isteri. Dengan sebaik-baik pemahaman mengenainya, dapatlah suami isteri mengelakkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘ dalam pergaulan mereka ketika dalam istihâdhah, haidh atau nifâs.
Maksud Istihâdhah dan Hukumnya
Menurut asy-Syeikh al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ, istihâdhah merupakan darah penyakit yang keluar mengalir daripada pangkal rahim perempuan disebut sebagai ‘adzil, kerana ada sebab, sama ada keluarnya itu bersambung dengan haidh atau tidak.
Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ seorang ulama mazhab asy-Syafi‘e menjelaskan bahawa istihâdhah ialah darah yang terjadi bukan pada waktu haidh, walaupun darah tersebut keluar daripada perempuan yang sudah putus haidh. Lebih jelas diterangkan ciri-ciri darah istihâdhah, iaitu:
1. Darah yang keluar atau mengalir daripada seorang kanak-kanak perempuan yang berumur kurang dari sembilan tahun qamariyah atau melebihi umur kebiasaan wanita putus haidh (menopaus).
2. Darah yang keluar kurang dari tempoh satu hari satu malam.
3. Darah yang keluar melebihi had maksimum haidh iaitu 15 hari.
4. Darah yang keluar pada tempoh bersih di antara dua haidh. Tempoh bersih di antara dua haidh ialah 15 hari ataupun lebih, bermula dari tarikh haidh berhenti.
Hukum mustahâdhah atau orang yang mengalami istihâdhah dalam perkara ibadat sama seperti perempuan yang suci daripada haidh dan nifâs. Mereka ini dikategorikan sebagai orang yang sentiasa dalam keadaan berhadats, namun mereka tidak ditegah oleh syara‘ daripada melakukan ibadat, tidak sepertimana perempuan haidh dan nifâs. Mustahâdhah boleh mengerjakan sembahyang, puasa, menyentuh dan membaca al-Qur’an dan lain-lain lagi jenis ibadat yang dilarang kepada perempuan yang dalam haidh dan nifâs.
Keadaan-keadaan Mustahâdhah dan Waktu Suci Mereka
Dalam menentukan waktu suci bagi perempuan mustahâdhah, seseorang itu perlu memahami keadaan istihâdhah yang dialami oleh setiap perempuan. Para ulama ada menerangkan mengenai keadaan-keadaan istihâdhah yang dialami ini.
Disebutkan bahawa perempuan mustahâdhah dibahagikan kepada beberapa keadaan:
1. Mubtada’ah Mumayyizah (مبتدأة مميزة):
Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami istihâdhah dan dia dapat membezakan di antara darah haidh dan darah istihâdhah dengan melihat sifat-sifat darah.
Sifat-sifat darah itu boleh dilihat daripada aspek-aspek berikut:
i. Kekuatan warna darah: Darah yang berwarna kehitaman adalah lebih kuat warnanya berbanding darah yang berwarna merah. Darah yang berwarna merah pula adalah lebih kuat berbanding darah yang berwarna merah kekuningan. Darah yang berwarna merah kekuningan pula adalah lebih kuat berbanding darah yang berwarna kuning.
ii. Kepekatan darah: Darah yang pekat adalah lebih kuat berbanding darah yang cair.
iii. Bau darah: Darah yang mempunyai bau busuk adalah lebih kuat berbanding darah yang tidak mempunyai bau.
Oleh itu, bagi perempuan yang termasuk dalam kategori mubtada’ah mumayyizah ini bolehlah menjadikan sifat-sifat darah di atas sebagai panduan dalam menentukan darah haidh dan darah istihâdhahnya. Darah yang mempunyai sifat yang lebih kuat adalah dikira sebagai darah haidh, sementara darah yang mempunyai sifat yang lebih lemah adalah dikira sebagai darah istihâdhah.
Bagi menentukan waktu sucinya adalah dengan cara memastikan pada hari-hari dia melihat adanya sifat darah haidh, maka hari-hari tersebut adalah waktu haidh. Manakala pada hari-hari yang baginya tidak ada sifat darah haidh, maka itu adalah waktu istihâdhah dengan syarat:
a. Hendaklah dia melihat darah berwarna kuat itu keluar pada masa tidak kurang daripada sehari semalam.
b. Hendaklah dia melihat darah berwarna kuat itu keluar tidak melebihi lima belas hari.
c. Hendaklah dia melihat sifat darah istihâdhah itu berturut-turut selama lima belas hari atau lebih.
Oleh yang demikian, pada hari-hari istihâdhahnya, dia adalah dituntut untuk berpuasa.
2. Mubtada’ah Ghair Mumayyizah (مبتدأة غري مميزة):
Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami masalah istihâdhah dan dia tidak dapat memastikan antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah disebabkan warna darah itu satu sahaja atau banyak dan dia tidak dapat membezakan di antara darah haidh dengan darah istihâdhah.
Bagi menentukan waktu sucinya adalah dengan mengetahui tempoh haidh bagi golongan ini. Tempoh haidh bagi golongan ini ialah satu hari satu malam dari waktu darah keluar walaupun darah tersebut berwarna lemah. Ini kerana, darah yang keluar dalam tempoh satu hari satu malam itu diyakini sebagai darah haidh. Sementara darah yang keluar melebihi tempoh satu hari satu malam itu terdapat keraguan padanya adakah ia haidh atau bukan. Oleh yang demikian, tidaklah boleh dihukumkan darah itu sebagai darah haidh. Manakala baki dua puluh sembilan hari itu adalah dikira sebagai hari sucinya dan dengan itu dia dituntut untuk berpuasa.
3. Mu‘tâdah Mumayyizah (معتادة مميزة):
Iaitu perempuan yang sudah biasa mengalami haidh, kemudian suci daripada haidh tersebut dan dia dapat membezakan di antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah.
Dengan perkataan lain, seorang perempuan yang sudah menjadi kebiasaannya mengalami haidh, kemudian dia bersih daripada haidh tersebut. Perkara ini berlaku secara rutin pada tiap-tiap bulan. Tetapi pada haidhnya kali ini dia menghadapi masalah istihâdhah. Namun begitu, dia dapat membezakan antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah.
Untuk menentukan hari sucinya ialah, hendaklah dia mengikut perkiraannya dan pengetahuannya yang dapat membezakan sifat darah yang keluar itu, sama ada ia darah haidh atau bukan. Misalnya seorang perempuan pada bulan sebelumnya didatangi haidh pada 2hb. selama enam hari. Tiba-tiba pada bulan ini dia melihat dan yakin darah haidh yang kehitam-hitaman cuma dalam tiga hari sahaja, kemudian diikuti dengan darah yang lemah warnanya selama dua puluh tujuh hari. Maka tiga hari yang pertama itulah waktu haidh, manakala selebihnya adalah waktu istihâdhah. Dengan demikian, ketika dia mengalami istihâdhah itu dia dituntut untuk berpuasa.
4. Mu‘tâdah Ghair Mumayyizah:(معتادة غري مميزة)
Iaitu perempuan yang sudah biasa mengalami haidh, dan kemudian bersih daripada haidh tersebut dan dia tidak dapat memastikan di antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah disebabkan sifat darah itu satu sahaja.
Dengan erti kata lain, seorang perempuan yang sudah menjadi kebiasaannya mengalami haidh, kemudian dia bersih daripada haidh tersebut. Perkara ini berlaku secara rutin pada tiap-tiap bulan, tetapi ketika haidhnya yang terbaharu dia menghadapi masalah istihâdhah dan dia tidak dapat membezakan sifat darah haidh dan darah istihâdhah.
Bagi menentukan waktu sucinya ialah dengan dikira mengikut kebiasaannya iaitu dari segi waktu dan tempoh haidhnya sebelum ini. Misalnya pada bulan sebelumnya dia didatangi haidh pada 2hb. selama enam hari, maka waktu dan tempoh itulah juga yang akan digunakan, sebagai ukuran pada bulan berikutnya untuk mengira jumlah hari haidh. Baki daripada hari haidh itu pula adalah hari istihâdhah. Dengan demikian, dia dituntut untuk berpuasa pada hari-hari dia mengalami istihâdhah.
Dalam menentukan kebiasaan pula, adalah memadai dengan satu kali berlaku haidh tersebut. Sebagai contoh bulan sebelum dia didatangi istihâdhah, dia baru pernah mengalami haidh pada 2hb. selama 6 hari, maka ini sudah boleh dianggap kebiasaan yang akan menentukan hari haidh dan hari sucinya pada bulan yang selepasnya.
5. Al-Mutahayyirah )املتحرية(:
Iaitu perempuan yang mengalami istihâdhah, bingung atau keliru akan kedudukan dirinya dalam menentukan tempoh haidh yang dialaminya ketika beristihâdhah.
Mereka juga dinamakan al-muhayyirah kerana keadaan mereka ini membingungkan para ulama fiqh dalam menentukan sesuatu hukum berkaitan thahârah atau ibadat ke atas mereka. Al-Mutahayyirah atau al-muhayyirah ini merupakan mustahâdhah yang tidak dapat membezakan di antara darah haidh dengan istihâdhah yang keluar dari dirinya.
Perempuan yang menghadapi masalah istihâdhah al-mutahayyirah terbahagi kepada tiga, iaitu:
i. Al-Mutahayyirah al-muthlaqah (املتحرية املطلقة):
Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan sebelumnya dan suci daripada haidh tersebut. Akan tetapi kedatangan haidhnya yang terbaharu ini darahnya keluar mengalir sama ada mengalir tanpa berhenti (mengalir tidak putus-putus) atau mengalir tetapi terputus-putus dan dia lupa tarikh dan jangka masa tempoh haidhnya. Selain itu juga, dia tidak dapat membezakan darah yang keluar dari dirinya itu, sama ada darah haidh atau istihâdhah.
Keadaan seperti ini berlaku berkemungkinan disebabkan oleh warna darah yang sama sahaja atau perempuan itu sudah lama tidak didatangi haidh, kerana umurnya yang lanjut dan lemah ingatan atau hilang akal seperti orang pelupa atau orang gila.
Untuk menentukan tempoh haidh bagi perempuan yang dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah, menurut pendapat masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘e, perempuan itu wajiblah berihtiyâth (berhati-hati) pada setiap masa. Ini kerana setiap detik yang dilaluinya mempunyai kemungkinan dia mengalami haidh atau telah kering daripada haidh dan ada kemungkinan juga dia suci (tidak haidh). Maka keadaannya pada ketika itu adalah sama seperti perempuan yang suci dalam perkara mengerjakan ibadat dan dalam masa yang sama dia juga sama seperti perempuan yang haidh dalam perkara jimâ‘.
Bagi golongan mustahâdhah seperti ini wajib ke atasnya berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan dan berpuasa lagi dalam tempoh sebulan genap (menggunakan taqwîm Hijriyyah) iaitu 30 hari berturut-turut pada bila-bila masa selepas bulan Ramadhan. Ini kerana menurut jumhûr ulama, dengan berpuasa sebulan penuh iaitu 30 hari berturut-turut, hari suci hanyalah dikira 14 hari sahaja. Oleh yang demikian, jika Ramadhan pada tahun itu 30 hari, maka adalah wajib ke atas perempuan itu menyempurnakan puasa berkenaan dengan mengqadha’ dua hari lagi dalam bulan Hijriyyah yang lain setelah selesai menunaikan puasa yang dua bulan tersebut. Jika Ramadhan pada tahun itu hanya 29 hari sahaja, maka adalah wajib ke atas perempuan itu menyempurnakan puasa berkenaan dengan mengqadha’ satu hari lagi dalam bulan Hijriyyah yang lain setelah selesai menunaikan puasa yang dua bulan tersebut.
Ada dua cara untuk mengqadha’ puasa bagi perempuan yang beristihâdhah dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah mengikut jumlah bulan Ramadhan pada tahun tersebut:
Pertama: Jika puasa Ramadhan tahun itu 30 hari, maka wajib dia mengqadha’ untuk dua hari. Oleh itu, hendaklah dia berpuasa enam hari dari 18 hari, iaitu pada hari pertama, hari kedua, hari ketiga dan kemudian berpuasa pada hari ke 16, hari ke 17 dan hari ke 18.
Kenapa perlu diqadha’ pada hari-hari yang ditentukan itu?
Enam hari yang ditentukan dalam bulan itu akan dapat membantu mustahâdhah mutahayyirah mengambil jalan selamat bahawa ada antara puasa yang dilakukannya pada enam hari itu dapat mengqadha’ dua hari puasanya yang luput.
Ini kerana jika dia didatangi haidh pada:
- Hari pertama; putus haidhnya pada hari ke 16, maka sah puasanya selama dua hari iaitu hari ke 17 dan 18.
- Hari kedua; putus haidhnya pada hari ke 17, maka sah puasanya selama dua hari iaitu hari pertama dan hari ke 18.
- Hari ketiga; putus haidhnya pada hari ke 18, maka sah puasanya selama dua hari iaitu pada hari pertama dan kedua.
- Hari ke 16; sah puasanya selama dua hari iaitu hari kedua dan ketiga.
- Hari ke 17; sah puasanya selama dua hari iaitu pada hari ke 16 dan hari ketiga.
- Hari ke 18; sah puasanya pada hari yang ke 16 dan yang ke 17.
Lihat sebagaimana rajah:
Jika Ramadhan 30 hari = Qadha 2 hari Maka hendaklah dia berpuasa selama 6 hari iaitu;1hb., 2hb., 3hb., 16hb., 17hb. dan 18hb.
*Kotak warna merah adalah jika itu waktu haidhnya *kotak warna hijau menunjukkan kedudukan puasanya yang dihukumkan sah *kotak warna biru adalah waktu maksimum haidh iaitu 15 hari 15 malam 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30
Yang jelas, mustahâdhah mutahayyirah ini sentiasa dalam keadaan darah yang mengalir atau mengalir tapi terputus-putus dan dia sendiri tidak tahu di mana waktu haidh dan istihâdhahnya. Maka dengan berpuasa enam hari yang ditentukan itu, terdapat dua hari dalam enam hari yang dilaksanakannya itu sebagai hari sucinya dan sah puasa qadha’ yang dilakukannya.
Kedua: Jika puasa Ramadhan tahun itu 29 hari, maka wajib dia mengqadha’ untuk sehari puasa. Oleh itu, hendaklah dia berpuasa tiga hari daripada 17 hari iaitu pada hari pertama, hari ketiga dan hari 17.
Kenapa perlu diqadha’ pada hari-hari tersebut?
Ini kerana kemungkinan:
- Jika dia didatangi haidh pada hari pertama; sah puasanya pada hari yang ke 17.
- Jika dia didatangi haidh pada hari kedua; sah puasanya pada hari pertama.
- Jika kesudahan haidhnya itu pada hari pertama, sah puasanya pada hari ketiga.
- Jika kesudahan haidhnya itu pada hari ketiga, sah puasanya pada hari ke 17.
Lihat sebagaimana rajah:
Jika Ramadhan 29 hari = Qadha 1 hari Maka hendaklah dia berpuasa selama 3 hari iaitu; pada 1hb., 3hb. dan 17hb.
*Kotak warna merah adalah hari dia mula didatangi haidh *kotak warna hijau menunjukkan kedudukan puasanya yang dihukumkan sah *kotak warna biru adalah waktu maksimum haidh iaitu 15 hari 15 malam 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 Kotak warna merah adalah hari dia mula didatangi haidh *kotak warna hijau menunjukkan kedudukan puasanya yang dihukumkan sah 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30
ii. Al-Mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya.
Mustahâdhah dalam kumpulan ini ingat atau tahu bila haidhnya bermula (tarikh mula haidh) tetapi lupa tempoh atau jangka masa haidh yang dilaluinya sebelum ini. Misalnya dia mengatakan bahawa setiap 1hb. dia didatangi haidh tapi lupa berapa lama tempohnya. Maka hari haidhnya adalah 1hb. dengan yakin. Hari bersihnya pula adalah 16hb. sehingga 30hb. dengan yakin. Manakala 2hb. sehingga 15hb. adalah hari dia ragu adakah dia haidh atau bersih.
Untuk menentukan tempoh haidhnya, maka perempuan ini mempunyai tiga keadaan dengan hukum yang berlainan, iaitu:
a. Menentukan hukum berdasarkan hari haidh (yakin haidh iaitu pada tarikh haidh bermula).
b. Pada hari dia yakin haidh iaitu pada tarikh haidh mula keluar, maka dia dihukumkan dalam keadaan haidh yakni hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa haidh.
Hari kemungkinan mengalami haidh atau telah suci (ragu antara haidh atau suci).
Hukumnya:
• Pada hari kemungkinan dia mengalami haidh atau telah suci iaitu dari hari kedua sehinggalah hari yang ke lima belas dari tarikh bermulanya haidh, maka dia adalah seperti mustahâdhah dalam kumpulan al-mutahayyirah al-muthlaqah iaitu wajib berhati-hati. Dalam keadaan ini, dia hendaklah mengerjakan semua ibadat yang dituntut termasuklah berpuasa, akan tetapi dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya.
• Jika dia mengagak pada hari tersebut dia telah suci daripada haidh atau darahnya telah berhenti, maka wajib dia mandi (sebelum berwudhu’) pada setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya dan wajib baginya melakukan sebarang tuntutan termasuklah tuntutan berpuasa.
• Jika dia mengagak pada hari tersebut dia masih haidh atau darahnya masih keluar (belum berhenti), maka dia hanya wajib berwudhu’ sahaja pada setiap kali sembahyang fardhu.
c. Hari suci (yakin suci dari haidh kerana telah melewati tempoh maksima haidh iaitu 15 hari).
Hukumnya: Pada hari dia yakin suci iaitu hari yang ke 16 dari tarikh bermulanya haidh, maka dia adalah dituntut untuk menunaikan segala kewajipannya termasuklah kewajipan berpuasa.
iii. Al-Mutahayyirah yang lupa tarikh bermula haidhnya tetapi ingat tempohnya.
Mustahâdhah dalam kategori ini keadaannya ialah dia lupa atau tidak tahu bila haidhnya bermula (tarikh mula haidh) tetapi dia ingat tempoh atau jangka masa haidh yang dilaluinya sebelum ini.
Sebagai contoh: Dia mengatakan tempoh haidhnya adalah lima hari dalam sepuluh hari yang pertama pada setiap bulan tetapi dia tidak tahu bila haidhnya bermula, namun begitu dia yakin bahawa dia suci pada hari pertama setiap bulan. Untuk menentukan tempoh haidhnya, maka hukum mustahâdhah dalam kategori ini juga sama dengan hukum mustahâdhah dalam kategori al-mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya seperti berikut:
a. Hari haidh: Umpamanya mustahâdhah merasa yakin bahawa hari dia mengalami haidh ialah pada 6hb. pada setiap bulan.
Hukumnya: Pada hari dia yakin mengalami haidh, maka dia dihukumkan dalam keadaan haidh yakni hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa haidh.
b. Hari kemungkinan haidh dan suci: Umpamanya mustahâdhah merasa ragu antara haidh atau suci ialah pada 2hb. hingga 5hb. dan 7hb. hingga 10hb. pada setiap bulan.
Hukumnya: Pada hari kemungkinan dia haidh atau telah suci, maka dia adalah seperti mustahâdhah dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah iaitu wajib berhati-hati. Dalam keadaan ini, dia hendaklah mengerjakan semua ibadat yang dituntut termasuklah berpuasa, akan tetapi dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya.
c. Hari suci: Umpamanya mustahâdhah yakin bahawa hari dia suci daripada haidh ialah pada 1hb. kerana berdasarkan kenyataannya, dia yakin bahawa dia suci pada hari pertama dan pada 11hb. sehingga 30hb. kerana dia memberitahu bahawa haidhnya hanya dalam tempoh 10 hari yang pertama sahaja pada setiap bulan.
Hukumnya: Pada hari dia yakin suci, dia adalah dituntut untuk berpuasa.
Sebagai kesimpulan, perempuan yang mustahâdhah bukanlah dia termasuk orang yang dalam keadaan hadats besar. Dalam perkara ibadat, dia sama seperti perempuan yang suci daripada darah haidh dan darah nifâs. Oleh yang demikian, darah istihâdhah yang keluar itu bukanlah halangan untuk seseorang itu tidak mengerjakan puasa bulan Ramadhan serta menunaikan lain-lain tuntutan agama.
KEKELIRUAN BILA BERMULANYA WAKTU IMSÂK
Puasa adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Dalam kita menjalani ibadat puasa, banyak perkara yang berkaitan dengannya perlu diketahui dan difahami dengan lebih mendalam, tujuannya untuk membantu kita melaksanakannya dengan sempurna. Salah satu perkara yang harus difahami itu ialah imsâk. Apa yang dimaksudkan dengan imsâk?
Pengertian Imsâk
Imsâk ialah perkataan bahasa Arab yang bererti menahan diri. Imsâk pada puasa pula ertinya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan, minum dan persetubuhan dengan syarat-syarat yang tertentu.
Waktu imsâk bagi orang yang berpuasa bermula dari terbit fajar shâdiq sehingga terbenam matahari, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu (kerana) mereka adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu, dan makan serta minumlah kamu (pada malam bulan Ramadhan itu) sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (Surah al-Baqarah: 187)
Selain daripada itu, imsâk pada bulan Ramadhan bukan hanya dikhususkan kepada orang yang berpuasa sahaja, bahkan ia diwajibkan juga kepada orang-orang tertentu walaupun puasanya sudah batal, antaranya:
1. Orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran.
2. Orang yang lupa berniat malam hari pada bulan Ramadhan.
3. Orang yang bersahur menyangka bahawa fajar shâdiq belum terbit, sedangkan pada hakikatnya ketika itu fajar sudah terbit.
4. Orang yang berbuka puasa menyangka bahawa matahari telah terbenam sedangkan pada hakikatnya ketika itu matahari masih kelihatan.
Selain itu juga, imsâk disunatkan kepada orang-orang tertentu walaupun dia tidak berpuasa, antaranya:
1. Seseorang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran seperti orang sakit apabila dia sembuh dan musafir apabila dia sampai ke tempat kediamannya pada waktu siang Ramadhan.
2. Orang yang sedar daripada gila, orang yang memeluk agama Islam, kanak-kanak yang baru bâligh dan perempuan yang baru bersih daripada haidh atau nifas pada waktu siang Ramadhan.
Beberapa Kekeliruan Mengenai Bermulanya Waktu Imsâk
1. Kekeliruan mengenai hadits bersahur setelah kedengaran azan.
Dalam usaha kita untuk mendalami hukum-hakam berhubung dengan puasa, pada masa kini telah diperkenalkan perkhidmatan sistem teknologi informasi dan komunikasi yang berfungsi sebagai tempat penyebaran maklumat-maklumat. Namun sejauh mana setiap perkongsian maklumat tersebut memberikan fakta yang tepat, shahîh dan benar? Antara maklumat-maklumat yang pernah disebarluaskan pada suatu ketika dahulu melalui perkhidmatan aplikasi moden ini, ialah satu perkongsian tadzkirah mengenai sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan terdapat bejana (tempat menyimpan makanan atau minuman) pada tangannya maka janganlah diletakkan bejana itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya (makan atau minum) daripada bejana itu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sebilangan orang berpendapat bahawa hadits ini menjelaskan tentang keadaan seseorang yang sedang bersahur yang tiba-tiba mendengar laungan azan Shubuh, sedangkan pada ketika itu dia belum selesai menghabiskan makanan atau minuman pada bekas atau gelas yang berada di tangannya, maka tidaklah perlu dia meletakkannya sehingga dia menghabiskan baki makanan atau minumannya itu. Menurut fahaman mereka juga, perkara ini apabila dilakukan tidak akan membatalkan puasa seseorang itu.
Persoalannya adakah benar seperti apa yang mereka fahami? Sejauh mana tadzkirah ini dapat menyampaikan ilmu dan maklumat yang benar-benar tepat? Jika ia tidak dihuraikan dengan lebih jelas maka ia akan menimbulkan kekeliruan.
Penjelasan mengenai hadits di atas, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa azan yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah laungan azan pertama sebelum fajar dan ia bukan azan Shubuh.
Ini bertepatan dengan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah kamu sehingga Ibn Ummi Maktum mengumandangkan azan. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Hadits ini menunjukkan bahawa harus melaungkan azan sebanyak dua kali, azan pertama sebelum terbit fajar (masih malam) dan azan kedua setelah masuk waktu Shubuh. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab Syarah Muslim, menurut ulama bahawa Bilal Radhiallâhu ‘anhu melaungkan azan sebelum fajar dan beliau berdo‘a dan sebagainya sementara menanti terbitnya fajar. Apabila fajar sudah hampir terbit, beliau akan mengkhabarkan Ibnu Ummi Maktum Radhiallâhu ‘anhu, kemudian Ibnu Ummi Maktum Radhiallâhu ‘anhu akan bersiap-siap dengan bersuci dan sebagainya lalu mengumandangkan azan Shubuh di awal masuknya waktu terbit fajar.
Hikmah melaungkan azan pertama sebelum terbit fajar itu antaranya bertujuan supaya orang ramai bersiap sedia sebelum menunaikan sembahyang Shubuh seperti bersuci daripada junub, berwudhu’, mandi dan termasuk juga untuk bersahur bagi orang yang hendak berpuasa.
Hadits ini juga menunjukkan bahawa orang yang hendak berpuasa harus makan, minum, jimâ‘ dan sebagainya selagi fajar shâdiq belum terbit.
Oleh itu, jelaslah bahawa tanggapan segelintir orang mengenai keharusan makan dan minum walaupun setelah azan Shubuh berkumandang adalah tidak tepat. Ini kerana hadits yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh makan dan minum selagi fajar shâdiq belum terbit.
2. Kekeliruan waktu imsâk yang tercatat dalam calendar.
Di Negara Brunei Darussalam telah disediakan waktu-waktu sembahyang, imsâk dan syurûk sepanjang tahun yang pada kebiasaannya dicetak dalam kalendar. Apa yang menjadi kekeliruan segelintir masyarakat adalah waktu imsâk yang tercatat dalam kalendar tersebut, bermula sepuluh minit lebih awal daripada waktu Shubuh.
Menurut mereka, jika masuk waktu imsâk yang tercatat dalam kalendar tersebut, maka bermulalah waktu berpuasa dan batal puasa jika masih meneruskan bersahur.
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, waktu imsâk bagi orang yang hendak berpuasa bermula dari terbit fajar shâdiq iaitu setelah masuk waktu Shubuh. Malahan sunat melambat-lambatkan sahur sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan bersahur. (Hadits riwayat Ahmad)
Hukum sunat melambatkan sahur itu tertakluk apabila tidak timbul keraguan pada waktu terbitnya fajar. Jika ada keraguan pada waktu terbitnya fajar maka tidak sunat melambat-lambatkan sahur bahkan afdhal untuk tidak melambatkannya sehingga ke akhir waktu. Ini kerana meninggalkan perkara yang diragukan itu adalah disuruh syara‘ sebagaimana diriwayatkan oleh al- Hasan bin ‘Ali, apa yang beliau hafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sabdanya:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Jika dilihat kembali mengenai puasa, antara perkara sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang disukai ialah melambatkan bersahur kerana sesiapa yang mengakhirkan atau melambatkan sahur pada akhir malam iaitu hampir terbit fajar akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur itu.
Adapun waktu afdhal melambatkan sahur itu kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar. Zaid bin Tsabit Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan:
Maksudnya: Kami bersahur bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak di antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.” Bukhari)-(Hadits riwayat al
Walau bagaimanapun waktu imsâk yang tercatat dalam kalendar (sepuluh minit lebih awal daripada waktu Shubuh) itu, adalah bertujuan antara lain sebagai langkah berhati-hati agar orang yang berpuasa bersiap sedia untuk menempuh waktu berpuasa seperti membersihkan makanan yang terselit di celah-celah gigi dan seumpamanya.
Demikianlah penjelasan mengenai waktu imsâk bagi menghuraikan kekeliruan segelintar masyarakat.
Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mengambil maklumat, pengajaran atau ilmu lebih-lebih lagi yang menyangkut perkara hukum tanpa menyelidiki keshahîhan sumber dan huraiannya. Kita hendaklah merujuk atau bertanya kepada orang yang benar-benar tahu mengenainya agar kita lebih terarah ke jalan yang benar sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl: 42)
PUASA PESAKIT BUASIR
Puasa itu wajib bagi setiap orang Islam yang mukallaf sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)
Namun bagi orang sakit, terdapat kelonggaran jika dia menunaikan ibadat puasa itu menyebabkannya tidak terdaya untuk menunaikan puasa atau puasanya itu akan mendatangkan mudharat atau melambatkan kesembuhan. Kelonggaran berpuasa bagi orang sakit ini disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka), maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Sungguhpun begitu, dalam keadaan sakit ada juga orang yang ingin meneruskan puasanya kerana ingin meraih keampunan selain pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping menghidupkan Ramadhan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Penyakit buasir adalah antara penyakit yang dihidapi oleh sebahagian orang. Penyakit buasir ini terjadi di bahagian dubur. Ia terjadi bila saluran urat darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur.
Jenis Buasir
Buasir atau hemorrhoids boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu buasir dalaman dan buasir luaran. Buasir dalaman adalah apabila buasir bermula dari dalam saluran dubur. Sementara buasir luaran pula berasal dari kawasan sekeliling lubang dubur.
• Buasir dalaman.
Buasir dalaman ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum (bahagian usus besar yang paling bawah). Buasir dalaman tidak berbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang tertekan, teregang dan kadangkala ia boleh pecah dan menyebabkannya berdarah.
• Buasir luaran.
Buasir luaran ini selalu mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit.
Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan.
Tahap Buasir
Buasir boleh dibahagikan kepada empat tahap:
Tahap 1: Buasir hanya berdarah saja, tetapi tidak terkeluar dari dubur.
Tahap 2: Buasir terkeluar dan boleh masuk dengan sendirinya, sama ada berdarah atau tidak.
Tahap 3: Buasir terkeluar dan perlu ditolak semula ke dalam dengan jari, sama ada berdarah atau tidak.
Tahap 4: Buasir terkeluar dan tidak boleh langsung dimasukkan semula.
Persoalannya bagaimana kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir, apabila buasir itu terkeluar dari duburnya sehingga terpaksa dimasukkan semula ke dalam?
Sebagaimana yang diketahui, antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka daripada bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.
Sehingga dalam perkara beristinjâ’ atau bersuci pada tempat rongga dubur juga hendaklah berhati-hati semasa sedang berpuasa kerana perbuatan demikian boleh membatalkan puasa jika memasukkan jari atau sesuatu benda seperti air ke dalam rongga dubur atau melebihi had yang diwajibkan beristinja’ atau bersuci.
Adakah perbuatan sedemikian juga dikira membatalkan puasa bagi orang yang menghidap penyakit buasir?
Puasa Bagi Pesakit Buasir
Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan sama ada bagi orang yang ingin meneruskan ataupun tidak meneruskan puasanya kerana terdapat perbezaan bentuk rawatan yang diberikan mengikut tahap penyakit buasir itu sendiri.
Ada yang hanya menggunakan krim bagi mengecutkan buasirnya, ada juga dengan memasukkan kembali buasir yang terkeluar dari dubur itu di samping memakan ubat yang diberikan, dan ada juga dengan memasukkan alat atau ubat ke dalam dubur pesakit.
Secara umumnya, jika puasa itu akan mendatangkan mudharat kepada dirinya, menambahkan sakitnya, melambatkan kesembuhan sakitnya atau puasa itu akan mengekalkan sakitnya, maka harus baginya berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib atasnya qadha’. Begitulah juga hukumnya jika puasa itu menghalang dirinya daripada mendapat manfaat perubatan atau rawatan yang boleh menghilangkan sakitnya.
Namun bagi sebilangan orang, walaupun dia menghidap penyakit buasir, tetapi dia ingin meneruskan puasanya kerana masih berdaya dan mampu mengurangkan kesakitan buasirnya dengan hanya menggunakan krim di luaran dubur. Dalam hal ini dia boleh meneruskan puasanya itu.
Melainkan jika rawatan yang dibuat itu dengan menggunakan alat atau ubat yang dimasukkan ke dalam dubur untuk mengurangkan sakit yang dialaminya, maka batal puasanya dan wajib dia mengqadha’ puasanya itu. Ini adalah kerana antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka daripada bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.
Berlainan halnya jika buasir itu bengkak dan terkeluar daripada dubur, kemudian masuk semula sama ada buasir itu masuk sendiri ke dalam dubur ataupun dimasukkan dengan menggunakan jari kerana dharurat maka perbuatan sedemikian itu tidak membatalkan puasa.
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib:
Ertinya: Jika memasukkan buasir yang terkeluar (itu semula) ke dalam rongga duburnya dengan jarinya maka tidaklah dikira dia berbuka (puasa) dengan berbuat demikian sebagaimana dishahîhkan oleh al-Baghawi kerana dharurat melakukannya. (Kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib: 6/436) Maka jelaslah bahawa memasukkan buasir yang terkeluar dari dubur sama ada masuk dengan sendirinya ataupun dimasukkan dengan jari kerana dharurat tidaklah membatalkan puasa.
Demikianlah penjelasan mengenai kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir yang perlu difahami supaya pesakit berkenaan akan terus berpuasa melainkan jika ia mendatangkan mudharat ke atasnya.
HIDUPKAN SEPULUH MALAM TERAKHIR BULAN RAMADHAN
Sedarkah kita, keistimewaan bulan Ramadhan dirasakan hanya seketika. Jangka waktu sebulan bukanlah masa yang lama. Pejam celik, tahu-tahu umat Islam akan berada di hujung bulan Ramadhan. Buat apa dizahirkan rasa sedih bila Ramadhan meninggalkan kita, jika kita tidak pernah mencuba untuk menggapai ni‘mat Ramadhan? Buat apa diluahkan penyesalan kerana tidak meni‘mati Ramadhan sepenuhnya, jika langsung semangat tidak dikuatkan untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan?
Namun kasih sayang dan kecintaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan umat Baginda amatlah besar, sehinggakan di saat-saat akhir bulan Ramadhan, umat Islam diberikan peluang meni‘mati ganjaran apabila menghidupkan malam-malam akhir bulan Ramadhan. Bukan ganjaran biasa, bahkan ganjaran yang lebih baik dan istimewa daripada malam-malam biasa! Itulah sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan – disebutkan tentang kelaziman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggandakan ibadat Baginda pada malam-malam tersebut –terdapatnya satu malam yang istimewa daripada seribu bulan di antara sepuluh malam-malam tersebut, iaitulah Lailatul- Qadr.
Kenapa Perlu Menghidupkan Sepuluh Hari Terakhir Itu?
Hikmah yang terdapat dalam perkara-perkara yang dianjurkan oleh syara‘ kadang kala tidak tercapai oleh mata dan hati manusia. Begitu juga dengan anjuran syara‘ untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Hanya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mengetahui keistimewaan yang tersirat dalam bulan Ramadhan dan sepuluh malam terakhir dalam bulan itu. Namun umat Islam dituntut untuk menghidupkan malam-malam tersebut berdasarkan beberapa perkara berikut:
1. Ittibâ‘ (mencontohi perbuatan) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan merupakan antara waktu di mana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meningkatkan ibadat Baginda lebih daripada kebiasaannya.
Diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersungguh-sungguh (mengerjakan ibadat) pada sepuluh (malam) terakhir (bulan Ramadhan) apa yang Baginda tidak kerjakan pada malam-malam yang lain. (Hadits riwayat Muslim)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan melebihi daripada ibadat yang biasa Baginda lakukan pada malam-malam yang lain.
Hadits di atas merupakan galakan untuk meningkatkan amalan pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dengan melakukan ibadat-ibadat.
Banyak ibadat yang ditingkatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam menghidupkan malam-malam tersebut. Disebutkan bahawa Baginda memperbanyakkan i‘tikâf di masjid untuk beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, qiyâm al-lail (menghidupkan malam) dengan sembahyang-sembahyang sunat, mengejutkan ahli keluarganya untuk sembahyang pada waktu malam, bersungguh-sungguh dalam ibadat dan meningkatkan ibadat lebih daripada biasanya. Ini disebutkan dalam sebuah hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila masuk sahaja sepuluh (malam terakhir bulan Ramadhan), Baginda mengencangkan kain Baginda, menghidupkan malam itu (dengan melakukan ibadat) dan juga membangunkan keluarga Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun maksud “شد مئزره” itu adalah menjauhi isteri-isteri Baginda dan mempergiatkan ibadat-ibadat pada sepuluh malam terakhir.
2. Terdapat Lailatul-Qadr di antara malam-malamnya.
Antara sebab penekanan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap keutamaan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dan peningkatan ibadat Baginda pada malam-malam tersebut ada hubung kaitnya dengan Lailatul- Qadr.
Menurut jumhûr ulama, Lailatul-Qadr itu berlaku di salah satu malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan dan besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu. Ini adalah berdasarkan daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu cari ia (Lailatul-Qadr) itu pada sepuluh malam terakhir (bulan Ramadhan) dan kamu cari ia pada tiap- tiap malam yang ganjil. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Lailatul-Qadr adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di bulan Ramadhan, bahkan sepanjang tahun. Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan. Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya daripada melakukan amal ibadat selama seribu bulan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Lailatul-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr: 3)
Dalam kitab Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari disebutkan bahawa Lailatul-Qadr bermakna malam yang memiliki keagungan kerana al-Qur’an diturunkan pada malam itu, kerana malaikat turun pada malam itu, kerana turunnya berkat, rahmat dan keampunan pada malam itu atau kerana sesiapa yang menghidupkan malam itu (dengan ibadat) akan memiliki keuntungan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa mengerjakan ibadat ketika Lailatul-Qadr kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bagaimana Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ini?
Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh malam terakhir ini adalah:
1. I‘tikâf.
2. Memperbanyakkan dan mempertingkatkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah Maghrib, sembahyang sunat awwâbîn (dikerjakan selepas sembahyang fardhu Maghrib dan berakhir dengan masuknya waktu ‘Isya’ dan afdhal sembahyang ini dikerjakan segera setelah selesai sahaja daripada mengerjakan zikir-zikir sembahyang fardhu Maghrib berserta ba‘diyyahnya), sembahyang qabliyyah dan ba‘diyyah Isya’, sembahyang Tarawih, sembahyang Witir. Adapun waktu yang afdhal untuk mengerjakan sembahyang witir itu ialah di akhir malam selepas mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti Tahajjud, Hajat dan sebagainya, sembahyang Tahajjud dan sembahyang sunat Tasbih.
3. Memperbanyakkan membaca al-Qur’an.
4. Memperbanyakkan dzikrullâh contohnya:
i. Bertahmîd iaitu: ُ ّللِ ا َْلَْمْد (segala puji-pujian bagi Allah). ii. Bertakbîr iaitu: َ اَهلل ُ اَكْب (Allah Maha Besar).
iii. Bertasbîh iaitu: سُبْحَان َ هللا (Maha Suci Allah).
kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung). v. Bertahlîl iaitu ال َ اِله َ اِال َّ هللا (tiada tuhan selain Allah).
5. Memperbanyakkan istighfâr kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana fadhilat istighfâr ini amatlah banyak. Istighfâr diertikan sebagai permohonan ampun kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atas dosa atau kesalahan yang dilakukan.
6. Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam
7. Memperbanyakkan do‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berupa do‘a-do‘a wârid daripada al-Qur’an atau hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
8. Memperbanyakkan sedekah, malahan amalan ini dianjurkan dari awal bulan Ramadhan.
9. Menghadiri majlis-majlis ilmu.
Peluang meni‘mati keistimewaan yang ada dalam bulan Ramadhan hanya terbuka setahun sekali. Hendaknyalah kita berusaha untuk mengakhiri bulan Ramadhan dengan sesuatu yang bermanfaat yang boleh menjana rasa ketaqwaan kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sayang sekali, jika kita semakin lalai dan alpa dengan urusan dunia pada saat-saat akhir bulan Ramadhan itu. Bukankah kita ingin sentiasa mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam semua akhlak dan perbuatan Baginda? Maka menghidupkan sepuluh malam terakhir ini adalah antara kelaziman Baginda, maka lakukanlah.
FIDYAH PEREMPUAN HAMIL DAN YANG MENYUSUKAN ANAK
Dalam Islam, perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak diharuskan berbuka pada siang hari bulan Ramadhan sebagai rukhshah (keringanan) ke atas mereka.
Namun begitu, selain diwajibkan mengqadha’ puasa sejumlah hari-hari yang ditinggalkan, dalam keadaan tertentu mereka juga diwajibkan membayar fidyah.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)
Menurut ulama tafsir, yang dimaksudkan dengan orang-orang yang tidak terdaya berpuasa adalah mereka yang terbeban atau di dalam keadaan sukar dan berat untuk menunaikan puasa termasuk perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan kanak-kanak.
Diriwayatkan lagi dalam sebuah hadits bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ telah ditanya mengenai kedudukan puasa seorang perempuan hamil yang takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, lalu beliau berkata:
Maksudnya: Berbukalah dan berilah makan orang miskin satu cupak gandum sebagai ganti setiap hari (yang dia berbuka). (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Apa Itu Fidyah?
Fidyah bermaksud denda yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan kesalahan tertentu dalam ibadat. Ia juga merujuk kepada menebus ibadat dengan memberi sedekah kepada fakir dan miskin berupa makanan asasi yang mengenyangkan bagi penduduk sesebuah negeri atau tempat.
Hikmah Disyari‘atkan Fidyah
Antara hikmah fidyah itu ialah:
1. Menjadikan seorang Islam itu tidak tergolong dalam orang-orang yang melalaikan perintah agama walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
2. Menunjukkan bahawa ajaran agama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia itu adalah bersesuaian dengan keadaan dan kesanggupannya.
Fidyah Perempuan Hamil atau Perempuan Yang Menyusukan Anak
Menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak, jika dia berbuka puasa, maka dia termasuk dalam orang yang diwajibkan mengqadha’ puasa, membayar fidyah atau kedua-duanya sekali.
Perkara tersebut bergantung kepada keadaan seperti berikut:
1. Jika perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan itu berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya sahaja, maka dia hanya diwajibkan mengqadha’ sejumlah puasa yang ditinggalkannya pada hari-hari lain dan tidak dikenakan fidyah.
2. Jika perempuan tersebut berbuka kerana takut mendatangkan mudharat ke atas dirinya dan juga anaknya, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasanya sahaja dan tidak dikenakan fidyah.
3. Jika dia berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya sahaja, umpamanya jika dia berpuasa anak dalam kandungannya akan terjejas atau gugur, dan yang menyusukan pula, anaknya pasti kehausan kerana air susu yang tidak mencukupi atau susu akan kering, maka dia diwajibkan kedua-duanya sekali iaitu mengqadha’ puasa sebagai hak bagi Allah Ta‘ala ke atas dirinya dan membayar fidyah disebabkan berbuka untuk orang lain (anaknya).
Wajib ke atas perempuan hamil atau yang menyusukan anak termasuk perempuan yang diupah untuk menyusukan anak berbuka jika mereka takut mendatangkan mudharat kepada anak dalam kandungan atau yang disusukan.
Hukum perempuan hamil adalah serupa dengan hukum perempuan yang menyusukan anak dari segi rukhshah (keringanan) untuk berbuka puasa dengan kewajipan mengqadha’ puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyah.
Kesimpulannya, kewajipan membayar fidyah hanyalah tertanggung ke atas perempuan hamil atau yang menyusukan anak jika mereka takut akan berlaku mudharat kepada anak yang dikandungnya atau yang disusuinya dan kewajipan membayar fidyah itu adalah disebabkan anak tersebut.
Kadar Fidyah
Fidyah puasa ialah memberi makan fakir miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai ganti bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan kadar satu mudd itu bersamaan 15 tahil (566.85 gram).
Bagi Negara Brunei Darussalam, makanan asasi majoriti penduduknya adalah beras wangi, beras Siam dan terdapat juga penduduk yang memakan beras “kabun” (beras tempatan) sebagai makanan asasi.
Oleh yang demikian, seorang perempuan hamil atau menyusukan anak wajib membayar fidyahnya daripada jenis beras tersebut atau jenis beras yang biasa dimakannya daripada beras tersebut. Walau bagaimanapun, membayar fidyah dengan jenis beras yang paling tinggi (mutu dan nilainya) adalah lebih mendatangkan kebaikan dan adalah sebagai tanda berlemah-lembut (menghormati dan mengasihi) terhadap golongan fakir atau miskin.
Dalam menentukan jumlah fidyah yang perlu dibayar, kadar satu mudd itu hendaklah didarab atau diganda dengan jumlah hari-hari puasa yang ditinggalkan.
Sebagai contoh, seorang perempuan hamil yang takut berlaku mudharat kepada kandungannya, meninggalkan puasa sebanyak 20 hari pada bulan Ramadhan 1435H. Dalam hal ini adalah wajib ke atasnya membayar fidyah di samping tuntutan mengqadha’ puasa yang tertinggal.
Puasa yang ditinggalkan
Fidyah yang perlu dibayar mudd gram/kg 1 hari 1 mudd 566.85 gram 20 hari 20 mudd x 566.85g
11337 g/ 11 kg 337 g
Dari segi gantian nilai pula, harus bertaqlîd dengan mazhab Hanafi bagi sesiapa yang hendak membayar fidyahnya dengan harganya atau wang.
Oleh yang demikian, gantian harga atau wang kepada satu mudd (yang bersamaan 15 tahil atau 566.85 gram) bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan ialah $0.71 (tujuh puluh satu sen) bagi beras wangi ataupun $0.48 (empat puluh lapan sen) bagi beras Siam.
Puasa yang ditinggalkan
Fidyah yang perlu dibayar mudd gram/kg $ (Beras Wangi)
(Beras Siam) 1 hari 1 mudd 566.85 gram $0.71 $0.48 20 hari 20 mudd x 566.85g
11337 g/ 11 kg 337 g
$14.20 (0.71 x 20 hari)
$9.60 (0.48 x 20 hari)
Bagi perempuan hamil atau yang menyusukan lebih daripada seorang anak, adalah memadai ke atasnya membayar fidyah dengan kadar satu mudd bagi setiap satu hari puasa yang ditinggalkan.
Beberapa Permasalahan atau Kekeliruan Berkenaan Dengan Fidyah Perempuan Hamil atau yang Menyusukan Anak 1. Tidak sempat mengqadha’ puasa dan membayar fidyah.
Pada dasarnya, orang yang tidak sempat mengqadha’ puasa sehingga masuk Ramadhan berikutnya sedang dia berupaya untuk melakukannya, adalah diwajibkan ke atasnya fidyah. Fidyah akan berganda mengikut ulangan Ramadhan sekiranya qadha’ puasa belum ditunaikan sehingga masuk Ramadhan berikutnya.
Adapun jika dia tidak sempat mengqadha’ puasa disebabkan keuzuran yang berterusan, sebagai contoh dia hamil, kemudian menyusukan anaknya dan belum sempat mengqadha’ puasanya dia hamil lagi dan menyusukan, maka dalam perkara ini, tidak diwajibkan ke atasnya fidyah disebabkan perbuatan lambat mengqadha’ puasa itu sebagaimana diwajibkan fidyah ke atas orang yang berkesempatan atau berupaya untuk mengqadha’ puasa tetapi tidak melakukannya.
Akan tetapi dia (yang berterusan uzur) itu tetap wajib membayar fidyah sekiranya dia berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya.
Dalam perkara ini perlu diingat, menurut mazhab asy-Syafi‘e, kewajipan qadha’ puasa yang ditinggalkan masih tetap tertanggung ke atasnya sehingga ia dilaksanakan.
2. Meninggal dunia sebelum sempat mengqadha’ puasa atau membayar fidyah.
Jika lambat mengqadha’ puasa disebabkan keuzuran yang dibenarkan syara‘ (termasuk hamil dan menyusukan anak), dan berterusan keadaan tersebut sehingga dia meninggal dunia, maka tidaklah dia berdosa bahkan tidak diwajibkan waris mengqadha’ puasa mahupun membayar fidyah daripada harta peninggalannya.
Walau bagaimanapun, jika dia lambat mengqadha’ puasa, sedang dia berupaya untuk melakukannya, maka adalah wajib ke atas wali atau waris untuk melakukan sama ada dengan mengqadha’ puasa atau membayar fidyah jika orang yang mati itu ada meninggalkan harta. Inilah pendapat qaul qadîm Imam asy-Syafi‘e yang râjih (lebih kuat) menurut Imam an-Nawawi.
Sebaliknya, tidak wajib ke atas wali atau waris berpuasa atau membayar fidyah, jika orang yang mati itu tidak ada meninggalkan harta. Walau bagaimanapun jika dilakukan juga hukumnya harus bahkan sunat bagi wali atau waris berpuasa dan membayar fidyah bagi pihak si mati.
Demikian pula, harus mengupah orang asing untuk berpuasa bagi orang mati itu dengan syarat hendaklah dilakukan dengan izin (wasiat) orang mati itu atau dengan izin walinya.
3. Dalam keadaan musafir atau sakit.
Jika perempuan hamil atau menyusukan anak dalam keadaan musafir atau sakit dan dia berbuka dengan niat disebabkan rukhshah sakit atau musafir, maka wajib ke atasnya qadha’ puasa sahaja.
Jika dia berbuka dengan niat rukhshah hamil atau menyusukan anak disebabkan takut berlaku mudharat pada anaknya, maka wajib ke atasnya qadha’ puasa dan fidyah.
4. Menyegerakan membayar fidyah sebelum masuk Ramadhan.
Jika seorang perempuan hamil atau menyusukan anak tidak dapat menunaikan puasa pada bulan Ramadhan tersebut, tidak harus (tidak boleh) dia menyegerakan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh, jangan menyegerakan membayar untuk dua hari atau lebih bagi puasa yang akan ditinggalkannya atau membayar tiga puluh mudd untuk tiga puluh hari puasa yang akan ditinggalkannya sebelum masuk bulan Ramadhan berkenaan.
Menurut para ulama, dia harus membayar fidyah pada harinya (selepas fajar) setiap hari di bulan Ramadhan. Begitu juga harus dia membayarnya pada malam harinya (sebelum fajar) setiap hari berpuasa.
Sebagai kesimpulan, fidyah hanya dikenakan bagi perempuan hamil atau menyusukan anak yang berbuka kerana takut berlaku mudharat kepada anaknya. Sementara itu, kewajipan mengqadha’ puasa tertangguh disebabkan uzur (hamil dan menyusukan) yang berterusan adalah tetap tertanggung meskipun tidak diwajibkan fidyah. Perkara ini perlu diambil perhatian memandangkan terdapat segelintir orang yang masih keliru tentangnya.
MENGABAIKAN KEWAJIPAN ZAKAT HARTA: Mengundang Azab Dan Kerugian
Seringkali orang terlepas pandang akan kewajipan zakat harta berbanding zakat fitrah.
Ada yang beranggapan bahawa zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja dan merasakan bahawa mereka telah menunaikan kewajipan zakat dengan mengeluarkan zakat fitrah pada setiap kali menjelang ‘Idul Fitri. Pada hakikatnya mereka belum lagi menunaikan zakat harta sekiranya harta mereka telah memenuhi syarat-syarat untuk dizakat umpamanya telah cukup nishâb zakat, sampai haul dan lain-lain.
Masih ada yang kurang faham atau tidak tahu tentang zakat harta, hukum-hakam zakat, tidak tahu kadar nishâb dan cara pengiraan zakat serta tidak tahu di mana tempat untuk mengeluarkan zakat.
Memandangkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam, masalah ini adalah sangat wajib untuk diketahui, umpamanya bagaimana cara mengeluarkan zakat perniagaan, zakat harta dan lain-lain yang wajib dizakat.
Hukum Zakat
Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syaratnya. Orang yang tidak mengeluarkan zakat adalah fâsiq dan berdosa besar manakala orang yang ingkar akan ketetapan hukum wajib zakat itu pula dikira kufur.
Terdapat banyak dalil yang menerangkan mengenai kewajipan zakat, antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah al-Baqarah: 110)
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ditegakkan Islam itu atas lima (rukun): Syahâdah (pengakuan) bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya (Nabi) Muhammad itu Rasul (utusan) Allah, mendirikan sembahyang (fardhu yang lima), mengeluarkan zakat, menunaikan haji (di Baitullâh) dan berpuasa di bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara itu, ijmâ‘ membenarkan ketetapan hukum tersebut dan para sahabat Ridhwânullâhu ‘alaihim telah sepakat memerangi dan mengambil harta zakat golongan yang enggan menunaikan zakatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu terhadap golongan yang enggan mengeluarkan zakat.
Zakat Harta
Yang dimaksudkan dengan zakat harta itu ialah nama bagi kadar harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan (syarat-syarat) yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang tertentu yang berhak menerimanya.
Sementara yang dimaksudkan dengan zakat fitrah pula ialah mengeluarkan sebahagian daripada makanan utama (asasi) menurut ukuran yang ditentukan oleh syara‘ sesudah selesai mengerjakan puasa bulan Ramadhan tiap-tiap tahun. Zakat fitrah dipanggil juga zakat tubuh badan.
Mengenai harta yang wajib dizakat apabila menepati syarat-syarat yang ditentukan ialah harta yang mempunyai sifat bertambah dan berkembang seperti an-naqdan (emas dan perak), al-an‘âm (unta, lembu termasuk juga kerbau dan kambing), harta perniagaan, tanam-tanaman daripada buah-buahan dan bijirin seperti beras, gandum, tamar (kurma) dan kismis.
Dalam konteks zakat, harta dikategorikan kepada dua jenis:
1. Harta bâthin iaitu emas, perak (termasuk wang), harta perniagaan dan harta rikâz (harta yang terdiri daripada emas dan perak yang disorok atau ditanam di dalam perut bumi pada zaman jahiliyah iaitu sebelum Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus menjadi Rasul).
2. Harta zhâhir iaitu tanam-tanaman, bijirin, binatang ternakan dan harta ma‘din (harta galian yang terdiri daripada emas atau perak yang dikeluarkan dari perut bumi).
Syarat-syarat Wajib Zakat Harta
Syarat utama orang yang diwajibkan mengeluarkan zakat harta itu ialah Islam, merdeka dan pemilik sempurna bagi harta zakat itu.
Manakala syarat utama bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat itu ialah cukup nishâb dan haul. Walau bagaimanapun, tidak semua jenis harta zakat itu diwajibkan cukup haul.
1. Cukup nishâb.
Nishâb ialah nama bagi kadar sesuatu yang tertentu daripada apa (harta) yang wajib dikeluarkan zakat. Kadar cukup nishâb adalah tertakluk kepada jenis harta yang hendak dizakat.
Kadar nishâb bagi an-naqdân (emas dan perak), bagi emas ialah apabila mencapai 20 mitsqal (85 gram) dan perak pula ialah apabila mencapai 200 dirham (595 gram). Maka wajib dikeluarkan 1/40 (2.5%) daripada emas dan perak tersebut.
Kadar nishâb bagi matawang pula adalah disandarkan kepada kadar nishâb emas. Sebagai contoh harga pasaran emas pada November 2013, satu gram emas bernilai $62.00, maka 85 gram emas bernilai $62 X 85 = $5,270.00. Oleh itu, kadar wang yang wajib dikeluarkan zakatnya ialah 1/40 atau 2.5% dari jumlah $5,270.00 iaitu $131.75. Kadar zakat wang akan berubah-rubah tertakluk kepada harga pasaran emas.
Kadar nishâb bagi al-an‘âm (binatang ternakan) pula adalah tertakluk kepada jenis binatang yang dizakatkan. Umpamanya, jika mencapai nishâb 40 hingga 120 ekor kambing, maka wajib dikeluarkan zakatnya iaitu seekor kambing.
Sementara itu, nishâb bagi zakat tanam-tanaman ialah setelah mencapai lima wasq iaitu bersamaan dengan 200 gantang Brunei dan bagi tanaman yang tidak dibuang kulitnya seperti padi, maka nishâb zakatnya ialah sepuluh wasq atau 400 gantang Brunei.
Kadar zakat yang wajib dikeluarkan adalah tertakhluk kepada bagaimana cara pengairan tanaman tersebut dibuat iaitu 1/10 atau 1/20 atau 3/40. 2. Sampai haul.
Haul bermaksud tempoh setahun hijrah iaitu pemilikan harta yang berada di tangan seseorang itu telah melalui tempoh setahun hijrah.
Harta yang wajib dizakat terbahagi kepada dua iaitu:
1. Zakat yang tidak disyaratkan haul iaitu zakat ma‘din, rikâz dan tanam-tanaman.
2. Zakat yang disyaratkan haul, iaitu:
i. Harta yang wajib dikeluarkan zakat pada ‘ainnya seperti an-naqdân dan al-an‘âm.
ii. Harta yang wajib dikeluarkan zakat bukan pada ‘ainnya seperti barang perniagaan.
Dalam perkara syarat wajib zakat ini, terdapat syarat dan ketetapan lanjut mengenainya yang perlu diketahui dan diambil kira sebelum pengeluaran zakat dibuat.
Hikmat Menunaikan Zakat
Antara hikmat pensyariatan zakat ialah:
1. Selain merupakan ibadat yang wajib ditunaikan, zakat juga adalah wadah untuk menyatakan rasa syukur atas ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Berfungsi sebagai pembersih diri dan harta. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka, dan do‘akanlah untuk mereka. (Surah at-Taubah: 103)
3. Membersihkan jiwa, mensucikan hati daripada rasa dengki sesama anggota masyarakat, mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan menambah rasa kasih sayang dan keakraban di antara setiap golongan masyarakat.
4. Menghapus rasa benci golongan miskin terhadap golongan kaya, kerana dengan bantuan zakat, mereka dapat merasakan adanya pertolongan, rasa tanggungjawab dan perikemanusiaan serta merasakan adanya perkongsian dalam hak pemilikan harta. Ini kerana pada hakikatnya orang-orang miskin dan fakir juga mempunyai hak ke atas harta yang dianugerahkan Allah Ta‘ala sebagaimana dalil yang menyebutkan:
Tafsirnya: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Surah al-Ma‘ârij: 24-25)
Natijahnya, jurang perbezaan di antara lapisan masyarakat semakin rapat.
5. Mendidik dan membiasakan diri seseorang menjadi dermawan, pemurah dan suka membantu. Dalam masa yang sama dapat menolak dan mengikis sifat kikir dan bakhil, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberkati harta si pemberi zakat dan menambahnya.
6. Masalah kekufuran disebabkan tekanan daripada kesempitan hidup yang biasanya berlaku di kalangan orang miskin, orang yang dibebani hutang atau yang seumpamanya boleh diatasi dengan kelapangan dan kesenangan yang terhasil daripada bantuan zakat yang diterima.
7. Membantu menjana ekonomi yang stabil dan teratur. Penghasilan zakat yang berterusan dan peruntukannya mengikut saluran-saluran yang ditentukan membantu membina ekonomi dengan cara yang praktikal. Umpamanya bantuan modal daripada hasil kutipan zakat diberikan kepada fakir atau miskin yang benar-benar berhajat untuk berniaga atau membuka perusahaan.
Selain itu, dalam memastikan pengurusan yang teratur dan efisien, institusi zakat memerlukan tenaga kerja yang mencukupi umpamanya pekerja-pekerja yang dibayar dengan upah yang diambil daripada bahagian ashnâf al-‘âmilîn dan ini membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Bantuan dan peluang pekerjaan tersebut mampu membantu menjana ekonomi yang stabil dengan cara membuka laluan kepada sumber pendapatan yang akhirnya menyumbang kepada putaran ekonomi yang sentiasa aktif.
Ganjaran Menunaikan Zakat
Orang-orang yang menunaikan zakat dijanjikan ganjaran besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan pemberian zakat (atau sedekah) yang kamu berikan kerana menghendaki keredhaan Allah maka mereka itulah orang-orang yang mendapat pahala berlipat ganda. (Surah ar-Rûm: 39)
Di samping ganjaran yang besar, terdapat banyak hikmat di sebalik pensyariatan zakat yang menjanjikan keuntungan kepada orang yang menunaikannya terutama dalam aspek keimanan, akhlak, ibadat dan pendidikan. Selain itu zakat juga memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat dan negara.
Adapun jika sebaliknya, iaitu sesiapa yang ingkar mengeluarkan zakat sedangkan dia berkewajipan kerana telah cukup syarat-syarat wajib mengeluarkannya akan mendapat kerugian dan azab daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Balasan Orang-orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat
Antara balasan bagi sesiapa yang tidak menunaikan zakat adalah sebagaimana yang diperingatkan melalui al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
1. Akan dikalungi (dilingkari) lehernya oleh ular daripada api. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. (Surah Âli ‘Imran: 180)
Dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak menunaikan zakatnya, maka harta itu akan dijadikan sebagai ular jantan gundul yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (lehernya) pada Hari Kiamat. Kemudian ular itu mengambil dengan dua tulang rahangnya dengan berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah harta karunmu”. Kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca ayat yang tafsirnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka (surah Âli ‘Imran: 180).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Akan dibakar dengan api yang panas.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak (yang tidak dikeluarkan zakatnya) dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta benda itu dalam Neraka Jahannam, lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasakanlah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak mengeluarkan zakatnya) itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)
Perkataan ‘gembirakanlah’ dalam ayat tersebut adalah suatu ejekan terhadap orang-orang yang tidak mahu membayar zakat dan tidak membelanjakan harta mereka pada jalan Allah. Berita azab yang disediakan oleh Allah untuk mereka bukanlah suatu yang menggembirakan bahkan mendukacitakan mereka.
Dalam hadits yang lain pula, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada seorang pun pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan hak (zakat) daripada emas dan perak, kecuali pada Hari Kiamat akan dihamparkan kepingan-kepingan daripada api, kemudian kepingan-kepingan itu dipanaskan di dalam Neraka Jahannam, kemudian dengan kepingan-kepingan itu dibakar dahinya dan punggungnya. Setiap kali kepingan itu menjadi dingin, ia kembali dipanaskan untuknya. (Di akhirat) sehari itu kadarnya 50 ribu tahun. (Hadits riwayat Muslim)
Selain itu, peristiwa Isra’ dan Mi‘raj yang berlaku kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga memperingatkan akan azab yang ditanggung oleh orang-orang yang tidak menunaikan zakat.
Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah diperlihatkan kepada satu kaum yang hanya menutup kemaluan (dubur dan qubûl mereka) dengan tampalan (secebis kain sahaja) dan mereka dihalau seperti binatang ternakan ke tempat pohon-pohon kering, buah zaqqum dan batu panas Neraka Jahannam. Apabila Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya siapakah mereka itu, maka Jibril ‘Alaihissalâm menjawab bahawa mereka ialah orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta mereka.
Menyegerakan Pengeluaran Zakat
Tiap-tiap harta yang tertentu, apabila telah sampai haul dan cukup nishâb, maka wajib dikeluarkan zakat bagi harta itu. Tidak boleh ditunggu haul dan nishâb bagi zakat yang lain atau ditunggu masuk waktu zakat fitrah.
Melambat-lambatkan pembayaran zakat setelah tamakkun (memungkinkan iaitu cukup syarat untuk dikeluarkan zakat) adalah berdosa. Kewajipan zakat itu tetap tertanggung ke atas pemilik zakat walaupun sekiranya harta zakat rosak disebabkan kecuaiannya (setelah tamakkun).
Adapun dalam perkara menyegerakan pembayaran zakat itu tertakluk kepada:
1. Zakat yang tidak disyaratkan haul: Zakat ma‘din, rikâz dan tanam-tanaman.
Tidak disyaratkan sampai haul pada mengeluarkan zakat daripada ma‘din dan rikâz. Maka tidak harus disegerakan zakatnya sebelum diperolehi harta tersebut kerana kewajipan mengeluarkan zakat ma‘din dan rikâz itu ialah sebaik sahaja harta tersebut diperolehi.
Demikian juga tidak disyaratkan sampai haul bagi zakat tanam-tanaman. Tanam-tanaman daripada buah-buahan dan bijirin wajib dikeluarkan zakatnya setelah mencapai nishâb. Ia wajib dikeluarkan sebaik sahaja bijirin tersebut menjadi keras (sudah matang) serta bersih daripada jeraminya, atau buah-buahan tersebut sudah matang serta kering. Oleh itu tidak harus mengeluarkan zakat tanam-tanaman sebelum ia matang.
2. Zakat yang disyaratkan haul: Harta yang wajib zakat pada ‘ainnya seperti an-naqdan dan binatang al-an‘âm adalah harus dikeluarkan zakatnya sebelum sampai haul asalkan harta tersebut telah mencapai nishâb sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawasanya al-‘Abbas bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang menyegerakan zakatnya sebelum sampai haul. Lalu Baginda mengharuskan baginya pada berbuat begitu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Akan tetapi tidak harus dikeluarkan zakat pendahuluan harta an-naqdan dan al-an‘am jika belum mencapai nishâb.
Manakala harta yang wajib zakat bukan pada ‘ainnya seperti barang perniagaan adalah harus dikeluarkan zakatnya sebaik sahaja bermula perniagaan itu walaupun belum lagi sampai haul. Demikian juga, ia harus dikeluarkan sebelum mencapai nishâb kerana nishâb zakat perniagaan itu dikira di akhir haul.
Sebagai contoh, peniaga (pemilik zakat) membeli barang perniagaan yang bernilai 100 dirham. Kemudian dia mengeluarkan sebanyak 5 dirham sebagai zakat pendahuluan apabila di penghujung haul nanti nilai barang perniagaannya mencapai nishâb 200 dirham. Setelah berlalu haul dan ternyata nilai barang perniagaannya mencapai nishâb 200 dirham, maka zakat pendahuluannya itu adalah memadai.
Syarat Sah Menyegerakan Pengeluaran Zakat
1. Pemilik harta zakat itu hendaklah masih bersifat sebagai orang yang diwajibkan zakat sehingga akhir haul. Jika dia mati atau murtad sebelum sampai haul maka zakat pendahuluannya itu tidak dikira sebagai zakat.
2. Harta yang diwajibkan zakat itu hendaklah masih kekal sehingga sampai haul. Jika harta itu musnah sebelum sampai haul atau pemilik harta zakat (peniaga) menjual barang perniagaannya ataupun harta itu menjadi kurang daripada nishâb sebelum sampai haul, maka zakat pendahuluannya itu tidak dikira sebagai zakat.
3. Penerima zakat itu hendaklah bersifat sebagai orang yang berhak menerima zakat di akhir haul. Jika dia mati atau menjadi kaya disebabkan harta lain selain zakat pendahuluan ataupun murtad sebelum haul maka zakat pendahuluan itu tidak dikira sebagai zakat. Oleh itu, hendaklah pemilik zakat mengeluarkan zakatnya sekali lagi.
Adapun jika penerima zakat itu menjadi kaya atau murtad di pertengahan haul kemudian dia kembali semula menjadi miskin atau kembali kepada Islam di akhir haul, maka zakat pendahuluan itu adalah memadai.
Zakat harus dikeluarkan sebelum sampai haul setahun asalkan ia telah mencapai nishâb. Tidak harus disegerakan zakat dua tahun lebih awal sebagaimana menurut pendapat ashah.
Cara Penyerahan Harta Zakat
Wajib disegerakan pembayaran zakat apabila ada harta dan ashnâf (golongan) penerima yang berhak dan menepati syarat. Pemilik zakat diharuskan melaksanakan zakat hartanya dengan salah satu cara berikut:
1. Menyerahkan zakatnya sendiri atau melalui wakilnya kepada pemerintah atau naibnya iaitu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan zakat seperti Baitul-Mal dan ‘âmil-‘âmil yang dilantik. 2. Mengagihkan sendiri zakat terus kepada mustahiqq (penerima yang berhak) yang terdiri daripada ashnâf yang lapan.
3. Menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat harta bâthin terus kepada mustahiqq.
4. Menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat harta zhâhir terus kepada mustahiqq. Ini adalah pendapat ashah dan adalah qaul jadîd Imam asy- Syafi‘e Rahimahullâh.
Jika pemerintah atau naibnya datang meminta dan mengutip zakat zhâhir, maka wajib bagi pemilik zakat itu menyerahkannya kepada mereka.
Menurut pendapat ashah, menyerahkan zakat harta bâthin kepada pemerintah atau naibnya adalah afdhal (lebih baik) daripada mengagihkannya sendiri kepada mustahiqq.
Begitu juga dalam perkara zakat zhâhir, menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih baik.
Oleh yang demikian, sebagai langkah untuk menjadikan aktiviti zakat lebih berkesan dan efisien, kesedaran dan keprihatinan terhadap zakat harta terutama daripada setiap individu Muslim perlulah dipertingkatkan dengan menitik-beratkan pendedahan dan pengetahuan mengenainya.
Adalah lebih baik zakat diserahkan kepada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik kerana pihak-pihak ini berperanan selaku naib pihak berkuasa atau wakil pemerintah.
Perkhidmatan daripada institusi-institusi berkenaan yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal zakat seperti Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan bank-bank Islam yang ada menawarkan khidmat Skim Potongan Zakat bolehlah dimanfaatkan kerana ia lebih memudahkan, meyakinkan, menepati syara‘, teratur dan dapat mengelakkan daripada tersilap, lupa, lalai mahupun ragu.
Pengabaian dan kegagalan seseorang untuk menunaikan zakat apabila menepati syarat tidak lain hanyalah mengundang kerugian dan balasan berupa seksaan.
ENGGAN MEMBAYAR ZAKAT MEMBAWA PADAH
Zakat itu terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama ialah zakat badan iaitu zakat fitrah dan yang kedua ialah zakat harta seperti zakat emas dan perak, binatang ternakan dan tanam-tanaman.
Ia dinamakan zakat kerana harta itu tumbuh dan berkembang dengan keberkatan disebabkan mengeluarkan zakat dan do‘a orang yang menerima zakat. Zakat itu juga menyucikan dosa orang yang mengeluarkan zakat dan ketika zakat itu menjadi saksi di akhirat, ia memuji-muji kebenaran iman orang yang mengeluarkan zakat.
Mengeluarkan zakat hukumnya wajib ke atas setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah al-Baqarah: 110)
Orang yang mengingkari ketetapan hukum wajib zakat itu boleh menyebabkan terkeluar daripada agama Islam. Sementara orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat pula adalah berdosa besar dan diperangi mereka serta dikutip zakat mereka secara paksa sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu.
Akibat dan Balasan Orang yang Tidak Mahu Membayar Zakat
Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat akan menerima balasan yang amat pedih di akhirat kelak. Akibat atau balasan bagi mereka itu ada disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:
1. Dikalung atau dililit ular pada Hari Kiamat.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Âli ‘Imran: 180)
Maksud “mereka akan dikalungkan” dalam ayat di atas ialah mereka akan dililit oleh seekor ular, sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak mengeluarkan zakatnya, nescaya pada Hari Kiamat nanti diumpamakan hartanya itu seekor ular gondol yang mempunyai dua taring yang akan melilitnya. Kemudian ular tersebut akan mengambilnya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu) dengan dua tulang rahangnya lalu ia berkata:
“Aku adalah hartamu, aku adalah harta simpananmu.” Kemudian Baginda
(Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Dahi, rusuk dan belakang diseterika dengan emas dan perak yang dibakar pada Hari Kiamat.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta benda itu dalam Neraka Jahannam, lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasakanlah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak mengeluarkan zakatnya) itu. (Surah at-Taubah: 35)
Hal ini juga dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak seorang pun daripada pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan hak hartanya itu melainkan pada Hari Kiamat diratakan baginya lempengan-lempengan daripada api. Lempengan-lempengan itu dibakar dalam Neraka Jahannam, lalu rusuk, dahi dan belakangnya akan diseterika dengan (lempengan-lempengan) itu. Setiap kali lempengan itu menjadi sejuk maka ia akan dipanaskan kembali. Demikianlah berterusan sepanjang hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga selesai Allah memberi hukuman di antara hamba-hambaNya. Lalu diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga ataupun ke neraka… (Hadits riwayat Muslim)
3. Dipijak, ditanduk dan digigit oleh binatang pada Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, iaitu sambungan daripada hadits di atas, setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskan perihal pengabaian hak emas dan perak, Baginda ditanya lagi mengenai unta, lembu dan kambing. Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan tidak seorang pun pemilik unta yang tidak menunaikan hak untanya itu dan antara haknya ialah susunya pada waktu keluarnya melainkan pada Hari Kiamat dibiarkan unta-unta itu sebanyaknya di padang yang luas dan tidak berkurangan walaupun seekor memijak-mijak pemiliknya dengan tapak kakinya dan menggigit-gigitnya dengan mulutnya. Setiap kali unta yang pertama melaluinya maka unta yang lain akan kembali.
Demikianlah berterusan sepanjang hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga selesai Allah memberi hukuman di antara hamba-hambaNya. Lalu diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga ataupun ke neraka.” Baginda ditanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing?” Baginda menjawab: “Dan tidak seorang pun pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan hak lembu dan kambingnya itu melainkan pada Hari Kiamat dibiarkan lembu dan kambing itu sebanyaknya di padang yang luas dan tidak berkurangan walaupun seekor, tidak ada yang bengkok tanduknya, tidak ada yang tidak bertanduk dan tidak ada yang pecah tanduknya. (Lembu dan kambing itu) menanduk-nanduk pemiliknya dengan tanduknya dan memijak-mijaknya dengan tapak kakinya. Setiap kali lembu dan kambing yang pertama melaluinya maka lembu dan kambing yang lain akan kembali. Demikianlah berterusan sepanjang hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga selesai Allah memberi hukuman di antara hamba-hambaNya. Lalu diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga ataupun ke neraka…” (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa hadits di atas adalah dalil bagi wajibnya zakat unta, lembu dan kambing.
4. Dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Diriwayatkan oleh ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat sepuluh golongan (iaitu:) Pemakan riba, pemberi makan riba, pencatit riba, kedua-dua saksi riba, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta, orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat, pembuat tatu dan orang yang minta ditatu. (Hadits riwayat Ahmad)
Kesalahan Menurut Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah 2013
Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat adalah juga menjadi satu kesalahan di Negara Brunei Darussalam sebagaimana disebutkan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah 2013, bahagian IV, penggal IV, kesalahan-kesalahan am, bab 236, seperti berikut:
236. (1) Mana-mana orang Islam yang setelah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh yang demikian, apabila syarat-syarat wajib zakat sudah mencukupi, hendaklah kita mengeluarkannya. Janganlah kita kikir atau kedekut mengorbankan sedikit harta untuk berzakat sedangkan mengeluarkan zakat itu membawa keberkatan pada harta kita. Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat itu bukan sahaja mendapat hukuman di dunia bahkan juga akibatnya akan menerima balasan yang amat berat di akhirat kelak.
MELONTAR JAMRAH: Bolehkah Diwakilkan?
Melontar jamrah merupakan salah satu daripada perbuatan wajib haji. Ia dilakukan di Mina kerana di tempat inilah terletaknya ketiga-tiga jamrah, iaitu jamrah al- Ûlâ, jamrah al-Wusthâ dan jamrah al-‘Aqabah yang wajib untuk dilontar oleh setiap jemaah haji.
Setelah meninggalkan ‘Arafah dan bermalam di Muzdalifah, jemaah haji akan berangkat menuju Mina untuk bermalam di sana selama dua hari, iaitu pada malam 11 dan 12 Zulhijjah ataupun tiga hari, iaitu pada malam 11,12 dan 13 Zulhijjah. Hari-hari tersebut dinamakan hari-hari Tasyrîq. Bermalam di Mina ini juga merupakan perkara wajib haji di samping melontar jamrah.
Apabila sampai di Mina, perkara wajib yang dilakukan ialah melontar jamrah al- ‘Aqabah dengan tujuh biji batu, iaitu pada hari Nahar (10 Zulhijjah). Begitu juga pada setiap hari Tasyriq 11, 12 dan 13 Zulhijjah, wajib melontar dengan tujuh biji anak batu pada setiap jamrah mengikut urutan, iaitu jamrah al-Ûlâ kemudian jamrah al-Wusthâ dan akhirnya jamrah al-‘Aqabah.
Terdapat hikmah kenapa disyariatkan melontar jamrah di dalam ibadat haji. Ia berbalik kepada sejarah Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm yang tidak terpedaya dengan hasutan syaitan yang cuba menghalang niat baginda untuk melaksanakan perintah Allah Ta‘ala. Allah Ta‘ala telah memerintahkan baginda untuk melontar syaitan kerana menganggu baginda dan perbuatan ini menjadi ikutan anak-anak baginda sehinggalah sekarang. Oleh yang demikian, melontar jamrah ini merupakan salah satu daripada tanda ketaatan seorang hamba terhadap perintah Allah Ta‘ala.
Waktu Melontar
Melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar (10 Zulhijjah) adalah sunat dilakukan selepas matahari terbit sehingga berakhir siang hari Nahar.
Waktu melontar ketiga-tiga jamrah (jamrah al-Ûlâ, jamrah al-Wusthâ dan jamrah al-‘Aqabah) pada hari-hari Tasyrîq, iaitu pada hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah pula adalah bermula selepas matahari tergelincir dan berakhir apabila matahari terbenam pada hari-hari tersebut.
Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melontar (jamrah al-‘Aqabah) pada hari Nahar di waktu Dhuha dan setelah itu, Baginda melontar jamrah yang lain-lain selepas matahari tergelicir. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jika perbuatan melontar jamrah ini tidak dilaksanakan sehingga luput waktu melontar, hajinya tetap sah, akan tetapi wajib ke atasnya dam, iaitu dengan menyembelih seekor kambing. Jika dia tidak dapat atau tidak berkemampuan untuk menyembelih seekor kambing, maka dia wajib berpuasa selama tiga hari semasa di Makkah dan tujuh hari setelah balik ke negaranya.
Bolehkah Berwakil Untuk Melontar Jamrah?
Dalam keuzuran yang benar-benar menghalang seseorang untuk melontar, dia dibolehkan untuk berwakil melontar kepada orang lain kerana waktu untuk melontar jamrah itu adalah terhad. Bahkan dalam keadaan dia tidak berupaya untuk melontar kerana sesuatu halangan yang tidak mungkin hilang sebelum luput waktu melontar seperti sakit atau ditahan, adalah wajib kepada orang yang diwakilkannya itu untuk melontar bagi pihak dirinya.
Walau bagaimanapun dalam hal ini terdapat beberapa syarat untuk menjadi wakil melontar jamrah bagi seseorang, iaitu:
1. Mendapat keizinan daripada pihak yang berwakil kepadanya.
Jika seseorang itu pengsan dan seorang lain telah melontar jamrah bagi pihak orang yang pengsan itu tanpa keizinannya, maka perbuatan melontar jamrah tanpa keizinannya itu adalah tidak dibolehkan. Namun jika dia telah memberi keizinan kepada seseorang (untuk menjadi wakil melontar untuknya) sebelum dia pengsan, maka itu dibolehkan.
Apabila orang yang berwakil pengsan atau mati, perwakilan untuk melontar tidak terputus. Wakil tersebut hendaklah meneruskan untuk melontar jamrah yang diwakilkan kepadanya.
Adalah afdhal bagi orang yang berwakil itu (ketika hendak mewakilkan kepada seseorang) meletakkan setiap batu kecil di tangan wakilnya, dia bertakbîr dan wakilnya melontar.
Sekiranya wakil telah melontar, kemudian dia sembuh daripada sakit, maka adalah sunat untuk dia sendiri mengulangi lagi melontar jamarah tersebut.
2. Hendaklah wakil itu terdiri daripada seorang yang mukallaf, ataupun kanak-kanak yang mumayyiz dengan syarat ada keizinan wali untuk dia melontar jamrah tersebut. 3. Wakil yang dilantik itu hendaklah terlebih dahulu melontar untuk dirinya, kemudian barulah dia melontar bagi pihak yang berwakil kepadanya.
Jika sekiranya wakil yang dilantik itu melontar terlebih dahulu bagi pihak yang berwakil kepadanya sedangkan dia belum melontar untuk dirinya, maka perbuatan melontar jamrah yang dilakukannya itu dikira sebagai lontaran untuk dirinya.
4. Hendaklah orang yang berwakil itu menyerahkan tugas untuk melontar kepada wakilnya selepas masuk waktu melontar, bukan sebelum masuk waktu melontar.
5. Tidak disyaratkan kepada wakil untuk melontar ketiga-tiga jamrah bagi dirinya terlebih dahulu sebelum dia melontar bagi orang yang diwakilinya itu. Bahkan jika dia sudah selesai melontar jamrah al-Ûla, kemudian dia melontar lagi jamrah al-Ûla bagi pihak yang diwakilinya, maka hukumnya adalah sah, sekalipun dia belum melontar bagi dirinya baki dua jamrah yang lain.
Selain daripada syariat yang dituntut dalam ibadat haji, melontar jamrah adalah bukti ketaatan hamba terhadap Allah Ta‘ala dan kekuatan dalam menghalang hasutan syaitan yang ingin merosakkan ketaatan itu. Orang yang tiada keupayaan melakukan sendiri melontar jamrah, berwakil adalah diharuskan sama ada dengan memberi upah kepada wakil atau tidak. Namun begitu, untuk berwakil perlu memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh syara‘.
PENGURUSAN JENAZAH DAN PENGHORMATAN TERHADAPNYA
Apabila berlaku kematian seorang Islam, maka adalah menjadi kewajipan fardhu Kifayah bagi individu, ahli keluarga atau sebahagian anggota masyarakat untuk menyelenggarakan dan menguruskan jenazah tersebut dengan berhati-hati, lemah lembut, tidak kasar dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mencabuli kehormatannya. Bahkan adalah berdosa jika kita menyakiti mayat, kerana dosa menyakitinya sama seperti dosa kita menyakitinya semasa hidupnya. Menurut Ibnu al-Malak, mayat juga akan merasai kesakitan apabila disakiti.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Memecah-mecahkan tulang mayat umpama memecah-mecahkannya ketika hidupnya. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Menghormati Jenazah Sepanjang Pengurusannya
Selain itu perlu diketahui bahawa Islam bukan sahaja menuntut supaya mayat diselenggarakan dan diuruskan dengan berhati-hati dan lemah lembut, malahan disyorkan (mustahabb) supaya orang ramai berkata-kata di sisi mayat dengan kata-kata yang baik.
Hukum Menanggalkan Anggota Palsu Dari Jenazah
Sesetengah ahli keluarga atau individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah kadang-kala telah sedia mengetahui ada sesuatu benda palsu terdapat pada anggota tubuh jenazah, sama ada benda itu dipakai ataupun disambung pada anggota tubuh jenazah, yang boleh ditanggalkan dengan mudah ataupun yang kekal, yang diperbuat daripada bahan suci ataupun najis, pada anggota yang zahir mahupun dalaman. Oleh yang demikian, persoalannya ialah apakah perlu benda tersebut ditanggalkan dari tubuh jenazah atau dibiarkan begitu sahaja?
Dalam pengurusan mengebumikan jenazah, tidak terdapat pensyaratan yang mewajibkan agar membuka atau menanggalkan apa-apa jua anggota palsu yang terdapat pada anggota jenazah seperti gigi, hidung, kaki atau sebagainya. Malah mengebumikan jenazah dengan sesuatu yang berharga seperti emas, perak, sutera dan sebagainya dengan tujuan memuliakan jenazah itu adalah boleh, namun hukumnya adalah makruh.
Oleh yang demikian, adalah harus memakaikan pada tubuh jenazah dengan barangan berharga seperti sutera, emas (bagi jenazah perempuan dan kanak-kanak), perak dan sebagainya yang dibolehkan dia memakainya semasa hidupnya. Namun dalam hal ini adalah disyaratkan ahli waris merelakannya dan si mati tidak mempunyai tanggungan hutang.
Selain barangan berharga yang dibolehkan memakaikannya pada tubuh jenazah, berikut dijelaskan beberapa perkara yang harus dan yang tidak harus ditanggalkan dari tubuh jenazah sepanjang pengurusannya dan sebelum dikebumikan:
1. Memotong kuku dan rambut semasa jenazah dimandikan.
Orang-orang Islam yang meninggal dunia bukan dalam keadaan berihram adalah makruh dipotong dan dibuang rambut dan juga kuku daripada jenazahnya, sekalipun pada kebiasaanya, kuku dipotong semasa hidupnya.
Pandangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa pendapat yang al-azhhar ialah makruh menggunting (memotong) misai, bulu ketiak dan ari-ari jenazah dan disyorkan (mustahabb) agar meninggalkan perbuatan sedemikian. Ini kerana bahagian-bahagian atau suku-suku mayat mempunyai kehormatan, maka janganlah dicemari dan dicabuli. Selain itu, tiada sesuatu yang mu‘tamad mengenai perlakuan atau perbuatan sedemikian ini yang pernah disampaikan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Oleh yang demikian, ulama menghukumkan makruh melakukan sedemikian.
2. Jenazah yang belum dikhatan.
Dalam mazhab asy-Syafi‘e, hukum berkhatan adalah wajib sama ada bagi lelaki mahupun perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Bagaimanapun menurut ulama, jenazah yang belum berkhatan adalah haram dikhatankan, sungguhpun dia telah berbuat dosa kerana melambat-lambatkan berkhatan itu dan sekalipun tujuannya adalah kerana kewajipan membersihkan mayat dengan menyampaikan air ke seluruh badan, termasuklah di bawah anggota tertentu, sedangkan bahagian yang belum dikhatan di bawah qulfahnya (kulit) terhalang daripada sampai air ketika dimandikan dan hanya boleh diratakan air dengan cara dilukakan seperti membuat pemotongan. Perkara ini ditegah kerana kembali pada larangan bahawa suku-suku (bahagian-bahagian) mayat itu mempunyai kehormatan.
3. Jenazah yang memakai gigi palsu.
Terdapat dua kaedah atau cara pemasangan dan pemakaian gigi buatan (palsu). Cara yang pertama ialah pemasangan atau pemakaian gigi palsu yang tidak kekal, iaitu yang mudah atau dapat ditanggalkan oleh pemakainya sendiri, manakala cara yang kedua ialah pemasangan atau pemakaian gigi palsu kekal yang hanya boleh ditanggalkan atau dikeluarkan oleh doktor gigi, antaranya seperti gigi palsu yang ditanam pada gusi. Terdapat juga jenis rawatan pergigian di mana gigi asal yang rosak dilapis atau disalut dengan logam seperti emas dan seumpamanya, ataupun gigi asal yang rosak ditampal dengan diisikan pada bahagian tertentu pada gigi asal tersebut dengan logam.
Menyentuh mengenai hukum menanggalkan gigi palsu daripada jenazah, maka jenazah yang memakai atau menyarung gigi palsu yang melekat dan mudah ditanggalkan adalah harus ditanggalkan, manakala gigi palsu yang ditanam yang susah hendak ditanggalkan hendaklah dibiarkan sahaja. Ini kerana mencabut gigi yang telah ditanam daripada orang yang telah meninggal itu mencabul kehormatan jenazah.
Gigi yang dilapis dengan suatu salutan yang mudah ditanggalkan tanpa memudharatkan jenazah, maka harus ditanggalkan salutan tersebut. Jika sebaliknya, iaitu menanggalkan sesuatu salutan pada gigi jenazah itu boleh merosakkan keadaan jenazah dan mencabuli kemuliaannya, maka tidak harus ditanggalkan salutan tersebut dan hukumnya adalah haram, kecuali jika ia (salutan tersebut) dimiliki oleh orang lain dan dituntut oleh pemiliknya.
4. Jenazah yang anggota palsunya diperbuat daripada benda najis.
Sekiranya benda atau anggota palsu tersebut diperbuat daripada najis, maka wajiblah ia dicabut melainkan jika mencabutnya itu boleh memudharatkan jenazah, umpamanya tulang yang bersambung dengan sesuatu yang najis, maka tidaklah wajib mencabut atau menanggalkannya menurut pendapat yang shahîh. Ini adalah bertujuan untuk memuliakan dan menghormati jenazah.
5. Jenazah yang bertatu (berkirong).
Secara ringkas, mereka yang melakukan tatu (kirong) dilaknat oleh Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Hukum bertatu adalah haram ke atas orang yang minta dibuatkan tatu dan orang yang membuatkan tatu. Perbuatan bertatu juga tergolong dalam dosa-dosa besar.
Hukum asal seseorang yang memakai tatu pada tubuh badan adalah wajib dihilangkan tatu tersebut. Bagaimanapun terdapat keadaan tertentu di mana seseorang itu tidak diwajibkan untuk menghilangkan tatu pada tubuh badannya. Kewajipan menghilangkan tatu antaranya disebabkan hubungannya dan kesannya terhadap ibadat seperti sembahyang. Orang yang bertatu itu dikira sebagai menanggung najis di bawah kulit. Dalam ibadat sembahyang umpamanya, najis di bawah kulit bertatu itu boleh menghalang sahnya sembahyang. Ini kerana antara syarat sah sembahyang ialah tidak menanggung najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang.
Sekiranya seseorang yang bertatu itu tergolong dalam kumpulan mereka yang wajib menghilangkan tatunya semasa hidupnya, lalu dia meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidak wajib, bahkan haram dihilangkan tatu jenazah itu. Ini kerana bagi menjaga kehormatan jenazah tersebut dan kerana kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan sembahyang telahpun luput.
6. Tembuni anak damit (kanak-kanak) yang meninggal dunia.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang dimaksudkan dengan kanak-kanak di sini ialah kanak-kanak yang lahir setelah cukup umur 6 bulan kehamilan (kandungan ibunya). Oleh itu, tidak dimaksudkan kanak-kanak di sini anak yang keguguran, iaitu yang lahir dan berumur kurang dari 6 bulan dalam kandungan ibunya.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh lagi, pengurusan jenazah bagi anak yang lahir setelah cukup 6 bulan adalah sama seperti pengurusan jenazah orang dewasa, iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan, walaupun anak itu mati ketika dia dilahirkan dan tidak diketahui hidupnya sebelum itu.
Manakala maksud tembuni itu menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh terbahagi dua, iaitu tembuni kecil yang dinamakan al-khalâsh (اَلْ خَالَصُ). Uri yang bersambung dengan tali pusat (tali uri) adalah dikira sebagai sebahagian anggota kanak-kanak kerana ia dipotong daripada kanak-kanak tersebut. Adapun tembuni (اَلْ مَشِيمَةُ) sebagai uri yang membungkus kanak-kanak ketika dalam kandungan adalah ia tersendiri tidak dikira sebahagian daripada anggota ibu yang mengandung dan tidak juga daripada kanak-kanak. Menurut asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khatib Rahimahullâh tembuni dan tembuni kecil yang dipisahkan daripada anak itu adalah suci, bukan najis.
Sebagai penghormatan kepada anggota manusia, maka tembuni dan tembuni kecil tersebut sunat dibungkus dengan kain atau lainnya dan ditanam jika ia dipisahkan ketika anak berkenaan hidup. Jika ia dipisahkan setelah anak berkenaan meninggal dunia, maka penyempurnaannya adalah mengikut penyempurnaan mayat anak berkenaan, kerana ia dikira sebagai sebahagian anggota kanak-kanak tersebut. Demikian juga, adalah haram dan dilarang digunakan uri, darah dan anggota manusia itu pada bahan-bahan alat solek dan berhias sebagai penghormatan kepada anggota tubuh manusia.
Sebagai kesimpulan, menjaga kehormatan dan kemuliaan jenazah adalah perkara yang dituntut dalam Islam. Malahan terdapat adab-adab yang perlu dijaga dan garis pandu yang mesti dilaksanakan sepanjang pengurusan jenazah bermula daripada kematiannya sehinggalah kepada pengebumiannya. Sesetengah anggota buatan (palsu) itu harus ditanggalkan daripada tubuh jenazah, khususnya yang mudah dibuka atau ditanggalkan, manakala setengah lagi hendaklah dibiarkan begitu sahaja kerana menjaga dan menghormati serta tidak mencabuli dan mencemari setiap suku-suku (bahagian-bahagian) tubuh jenazah.
HUKUM MEMBUAT BINAAN DI TANAH KUBUR
Islam memuliakan umatnya bukan sahaja ketika hidupnya, bahkan selepas mati pun ia tetap dimuliakan dan dipelihara akan haknya. Salah satu contoh terdekat ialah pendirian syariat Islam terhadap kubur. Walaupun kubur merupakan tempat persemadian jasad orang yang sudah meninggal dunia, ia bukanlah satu tempat sembarangan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Dalam syariat Islam, perkara kubur mempunyai hukum-hakam, adab-adab yang mesti dipatuhi dan kehormatannya yang tersendiri.
Apabila orang yang dikasihi pergi menyahut seruan Ilahi, perasaan kasih sayang serta ingatan yang ada semasa hidup terhadap si mati tidak akan lenyap begitu sahaja, apatah lagi bagi mereka yang paling rapat dengan si mati seperti ahli kerabat, keluarga atau waris. Justeru itu, tidak menghairankan adanya kesungguhan serta keprihatinan ahli kerabat, keluarga atau waris dalam menjaga dan memperelokkan lagi kubur-kubur ahli keluarga masing-masing dengan cara menambak kubur-kubur mereka dengan batu atau simen, membina atap, kubah dan seumpamanya. Bahkan ada juga yang membina pelbagai bentuk binaan di sekeliling kubur bagi kemudahan mereka melakukan ziarah seperti binaan yang berbentuk bangku dan yang seumpamanya.
Yang menjadi persoalan di sini ialah jika binaan itu dibuat di tanah perkuburan musabbalah, atau lebih dikenali sebagai tanah perkuburan awam. Kalau kita perhatikan sebahagian binaan yang dibuat itu, ada yang seolah-olah memperlakukan tanah perkuburan musabbalah itu umpama milik persendirian mereka sehingga menjejaskan kawasan kubur-kubur lain yang berdekatan. Ini satu realiti yang dapat kita lihat dengan jelas kerana terdapat sebahagian binaan yang dibuat itu terlalu besar serta merangkumi ruang yang luas hingga menyempitkan kawasan tanah perkuburan musabbalah tersebut. Ini dengan sendirinya membataskan atau menyempitkan dan mengurangkan ruang untuk mengebumikan jenazah di sana pada masa akan datang. Perkara ini menimbulkan persoalan kerana tanah perkuburan musabbalah merupakan hak milik orang awam dan setiap orang memiliki hak untuk dikebumikan di sana. Apakah syara‘ membenarkan perlakuan atau tindakan seumpama ini?
Hukum Binaan yang Dibuat di Tanah Kubur
Maksud binaan di sini ialah apa sahaja yang dibina di dalam kawasan tanah kubur ataupun di atas tanahnya seperti atap, kubah, rumah, masjid, bangku, lantai simen, tambak (dibentengi atau dilingkungi sekeliling kubur itu dengan batu atau simen) dan sebagainya. Tidak kira sama ada binaan tersebut terletak pada ruang liang lahad sahaja, ataupun merangkumi ruang lebih luas daripada itu.
Hukum binaan di tanah kubur berbeza di antara tanah kubur milik persendirian dengan tanah kubur yang terletak di tanah perkuburan musabbalah dan waqaf.
1. Binaan di tanah kubur yang terletak di tanah milik persendirian.
Sekiranya tanah perkuburan itu adalah tanah milik khas persendirian, maka apa sahaja binaan yang dibuat sama ada di atasnya, di sekelilingnya mahupun di dalam kubur berkenaan adalah makruh hukumnya.
2. Binaan di tanah kubur yang terletak di tanah perkuburan musabbalah dan waqaf.
Adapun hukum membuat binaan di tanah perkuburan musabbalah pula, iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk kawasan itu, seperti tanah-tanah perkuburan Islam yang disediakan oleh pihak Kerajaan di Negara Brunei Darussalam, menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, hukumnya adalah haram, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mewaqafkan atau mensabîlkannya.
Manakala tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi perkuburan orang Islam pula, hukumnya adalah sama seperti tanah perkuburan musabbalah iaitu haram, tidak kira sama ada diketahui orang yang mewaqafkannya ataupun tidak.
Perkara ini ada disebutkan dalam kitab-kitab ulama mazhab asy-Syafi‘e, antaranya sepertimana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: Sahabat-sahabat kami Rahimahumullâh berkata: “Tidak ada beza dalam membina binaan itu di antara membina kubah atau rumah atau selain kedua-duanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika tanah perkuburan itu adalah perkuburan musabbalah (tanah perkuburan orang awam) adalah haram ke atasnya berbuat sedemikian”. Sahabat-Sahabat kami berkata (lagi): “Dan hendaklah dirobohkan binaan tersebut tanpa pertikaian (para sahabat-sahabat kami)… (Tetapi) jika sekiranya tanah perkuburan itu miliknya sendiri (maka) adalah harus dia membina apa-apa binaan dengan dihukumkan makruh dan tidak dirobohkan (binaan itu).”
Al-‘Allâmah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Maka adalah dimakruhkan (membina) binaan di atas kubur jika (binaan itu) bukan di tanah perkuburan orang awam mengebumikan mayat. Jika tidak, (jika binaan itu di tanah perkuburan orang awam) adalah haram (hukumnya) sama ada (binaan itu) di atas tanah atau di dalam tanah. (Oleh itu) adalah wajib ke atas pemerintah merobohkan segala binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan musabbalah bagi tujuan pengebumian mayat iaitu tanah perkuburan yang telah menjadi kebiasaan penduduk sesuatu negeri mengebumikan mayat, kerana ia menyempitkan ke atas manusia (yang lain); dan (pengharaman itu) tidak ada beza di antara binaan yang berbentuk kubah, rumah, masjid atau selainnya yang antaranya ialah susunan batu-batu yang biasa diketahui (tambak daripada batu atau simen yang membentengi atau yang melingkungi kubur); (kecuali) apa yang dikecualikan oleh sebahagian ulama seperti kubur para nabi, syuhadâ’, orang-orang salih dan seumpama mereka.
Binaan di Tanah Kubur Boleh Dirobohkan Jika Ia Menyalahi Syara‘
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, sekiranya binaan dibuat di atas tanah milik khas persendirian, walaupun hukumnya makruh, binaan itu tidaklah perlu dirobohkan.
Bagaimanapun, jika binaan itu dibuat di tanah perkuburan musabbalah dan waqaf, maka menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e, pihak berkuasa atau pemerintah memiliki hak serta autoriti, bahkan wajib merobohkan sebarang binaan di tanah perkuburan musabbalah dan waqaf jika ia bertentangan dengan keizinan syara‘.
Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu pada suatu ketika terlihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya, lalu beliau pun merobohkannya dan berkata:
Ertinya: Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.
Adapun sebab kenapa membuat binaan di tanah perkuburan musabbalah ini ditegah oleh syara‘ dan wajib dirobohkan adalah kerana ia menyempitkan tanah perkuburan orang Islam tanpa sebarang mashlahat dan keperluan yang diiktiraf oleh syara‘. Hakikatnya, setelah mayat itu hancur luluh anggota badan serta tulang-tulangnya, binaan itu tetap sahaja kekal, dan ini sekaligus menyukarkan atau menghalang mayat lain untuk dikebumikan di kawasan tersebut. Ini jelas satu perbuatan menghalang dan mengambil hak orang Islam lain yang juga memiliki hak menggunakan tanah perkuburan berkenaan. Mengenai binaan-binaan yang dibuat di tanah perkuburan musabbalah dan waqaf ini, segala tindakan ke atasnya hendaklah diserahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa atau pemerintah yang memiliki hak serta autoriti sahaja. Jangan pula orang ramai bertindak sesuka hati meroboh atau membuka binaan tersebut kerana dikhuatiri ini boleh menimbulkan pertelingkahan, perseteruan dan sebagainya.
Bila Binaan Di Tanah Kubur Diharuskan?
Tegahan daripada membuat binaan di tanah kubur ini tidak bersifat mutlak. Ada beberapa keadaan yang diizinkan syara‘ untuk membuat binaan yang munasabah jika terdapat sesuatu hajat keperluan yang diiktiraf oleh syara‘, antaranya:
1. Takut digali oleh pencuri atau binatang.
2. Ditakuti runtuh kerana banjir atau tanah susur dan seumpamanya. Ini sepertimana tanah perkuburan yang terletak di kaki bukit atau tanah curam yang dikhuatiri tanah-tanahnya itu runtuh. Maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh.
Dalam keadaan-keadaan seumpama ini, syara‘ memberikan keizinan untuk membuat binaan yang munasabah dan bersesuaian bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur berkenaan. Bahkan ia boleh menjadi wajib sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj.
3. Sebahagian ulama juga memberikan pengecualian tegahan ini jika kubur tersebut adalah kubur para nabi, para sahabat, para syuhadâ’, para wali, orang-orang salih serta yang seumpama mereka. Sebab, perkara ini dapat membantu memakmurkan kubur mereka dengan amalan ziarah, tabarruk (mengambil berkat) dan menghalang kubur-kubur mereka daripada dibongkar.
Adakah Meletakkan Nisan di Atas Kubur Juga Ditegah?
Sepertimana yang telah dijelaskan tadi, segala bentuk binaan yang didirikan di tanah kubur yang tidak ada keperluan atau hajat untuk didirikan padanya adalah ditegah.
Berbeza halnya dengan batu nisan. Memandangkan kubur terutamanya kubur-kubur di tanah perkuburan awam biasanya diletakkan berhampiran di antara satu sama lain, ini akan menyukarkan penziarah mengenal kubur ahli keluarga yang ingin diziarahi. Kerana itu, menurut syara‘, sunat hukumnya meletakkan nisan di atas kubur kerana ia merupakan hak yang berhubung dengan si mati yang berada di dalam kubur.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum binaan yang didirikan di tanah kubur. Orang awam mestilah menyedari dan mengambil perhatian akan hal ini. Sikap tolak ansur dan menghormati hak sesama orang Islam hendaklah diamalkan kerana itu adalah sikap sebenar seorang Muslim.
Mayat dalam kubur tidak memerlukan segala binaan tersebut kerana ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat ataupun perlindungan bagi mereka. Jadi, sebagai curahan kasih sayang serta bakti untuk si mati, adalah lebih baik si mati dido‘akan, disedekahkan pahala serta dipanjangkan amal jâriahnya. Yang demikian itu adalah lebih utama dan lebih bermanfaat untuk si mati.
ELAKKAN JUAL BELI SECARA ANSURAN YANG TIDAK MENEPATI HUKUM SYARA‘
Salah satu rahmat Allah Ta‘ala kepada kita manusia, Allah Ta‘ala menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.
Dalam perkara jual beli sebagaimana yang kita maklum, adakalanya sesetengah orang lebih suka membayar apa yang dibelinya secara tunai. Tetapi ada juga sesetengah orang seperti orang yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, lebih cenderung membayar apa yang dibelinya dengan cara bertangguh (tidak tunai). Kedua-dua cara muamalat seperti ini adalah diharuskan oleh syara‘ berdasarkan ayat al-Qur’an yang secara mutlak menjelaskan:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga). (Surah al-Baqarah: 275)
Selain itu, berdasarkan dalil sunnah, Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi (dengan cara bertangguh) kepada suatu masa. Lalu Baginda menggadaikan baju besi Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika dilihat secara khusus perkara jual beli dengan bayaran bertangguh, adakalanya berlaku pembeli akan membayar sekali gus apa yang dibelinya pada tempoh yang telah dipersetujui di antaranya dengan penjual. Sebagai contoh, si A membeli daripada si B sekilo ikan dengan harga $10. Si B pula bersetuju agar si A membayar kepadanya harga ikan yang dibelinya itu iaitu $10 pada esok hari.
Adakalanya pula berlaku pembeli akan membayar dengan cara ansuran. Sebagai contoh, si A membeli daripada si B sebidang tanah dengan harga $50,000. Si B pula bersetuju agar si A membayar kepadanya harga tanah yang dibelinya itu iaitu $50,000 secara ansuran selama sepuluh tahun.
Harga Jualan Secara Ansuran Lebih Tinggi Daripada Harga Jualan Secara Tunai
Adakalanya pula berlaku di dalam akad jual beli, pembeli mengenakan bayaran yang berbeza di antara bayaran secara tunai dengan bayaran secara tangguh atau ansuran.
Sebagai contoh, si A hendak membeli sebidang tanah daripada si B. Si B pun berkata kepada si A: “Tanah ini harganya $50,000 jika dibayar secara tunai. Tetapi jika dibayar secara ansuran harganya ialah $60,000”. Lalu si A pun bersetuju untuk membeli tanah tersebut dengan dibayar secara ansuran pada harga $60,000. Selepas selesai proses tawar-menawar, si A dan si B pun berakad jual beli seperti berikut:
B berkata: “Saya jual tanah saya ini kepada tuan pada harga $60,000 dengan dibayar secara ansuran selama sepuluh tahun.”
A berkata: “Saya beli.”
Persoalannya, bolehkah penjual meletakkan harga jualan yang dibayar secara ansuran lebih tinggi berbanding dengan harga jualan yang dibayar secara tunai?
Untuk menjawab persoalan tersebut, apabila kita merujuk kepada pendapat ulama dalam mazhab Syafi‘e, jual beli seperti itu adalah sah dan diharuskan. Perkara ini dapat dilihat sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Adapun jika dia berkata: “Saya jual kepada awak dengan harga seribu secara tunai, dan dengan harga dua ribu secara bertangguh”, atau dia berkata:
“Saya jual kepada awak separuh dengan harga seribu, dan separuh lagi dengan harga dua ribu”, maka akad itu hukumnya adalah sah.”
Oleh itu, penambahan harga pada jual beli yang dibayar secara ansuran tidaklah menjadi apa-apa. Apa yang penting dan perlu dijaga, akad jual beli yang dibuat atau dimeterai hendaklah jelas bagi kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) bahawa harga jualan yang akan ditunaikan atau dibayar oleh pembeli adalah secara ansuran. Selain itu, tidak menjadi kesalahan sekiranya akad yang akan dibuat atau dimeterai didahului dengan proses tawar-menawar harga, termasuklah dalam tawar-menawar itu jika terdapat penyebutan harga jika dibayar secara tunai tidaklah menjadi apa-apa.
Perbezaan di Antara Penambahan Harga Dalam Jual Beli Secara Ansuran Dengan Faedah (Interest)
Jual beli secara ansuran dengan harga yang lebih tinggi berbanding harganya jika dibayar secara tunai adalah berbeza dengan riba, malahan tidak ada kaitannya dengan riba. Ini kerana, dalam urusan riba penjual akan mengenakan tambahan pada jenis yang bersamaan dengan barang yang dijualnya kepada pembeli apabila si pembeli membayar balik nanti barang tersebut, sebagai timbal balik kepada tempoh pembayaran yang bertangguh.
Sebagai contoh, si A menjual satu gantang gandum kepada si B dengan mengenakan tambahan setengah gantang gandum jika dibayar secara bertangguh, umpamanya dibayar selepas sebulan. Jadi, jumlah yang perlu dibayar balik oleh si B nanti ialah sebanyak satu setengah gantang, juga dibayar dengan jenis yang sama iaitu gandum.
Sebagai contoh lagi, si A menghutangkan kepada si B wang sebanyak 100 dinar dengan mengenakan tambahan 50 dinar apabila si B membayar balik nanti hutang tersebut kepada si A. Jadi, jumlah yang perlu dibayar oleh si B ialah sebanyak 150 dinar.
Adapun penambahan harga yang terdapat dalam urusan jual beli secara ansuran atau bertangguh berbanding jual beli secara tunai adalah sebagai timbal balik kepada barang yang dijual. Ini kerana, apa yang diserahkan oleh penjual kepada pembeli dalam akad jual beli tersebut adalah sesuatu berupa barang jualan, bukan berupa dinar, dirham atau mata wang, ataupun harta-harta yang dikategorikan sebagai harta ribawi yang diharamkan oleh syara‘ padanya jual beli secara bertempoh (tidak tunai) dan berlaku penambahan atau ketidaksamarataan (dari segi timbangan atau sukatan).
Beberapa Perkara Yang Perlu Dielak
Dalam hal jual beli secara ansuran, untuk memastikannya tidak bertentangan dengan hukum syara‘, terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan oleh penjual dan pembeli, antaranya:
1. Akad jual beli yang tidak jelas.
Antara syarat yang dikenakan dalam jual beli seperti ini, hendaklah akad yang dibuat oleh penjual dan pembeli berlaku dalam bentuk yang jelas iaitu harga yang hendak dibayar kepada penjual adalah secara ansuran. Sebagai contoh:
B berkata: “Saya jual tanah saya ini kepada tuan pada harga $60,000 dengan dibayar secara ansuran selama sepuluh tahun.”
A berkata: “Saya beli.”
Contoh bagi “akad jual beli yang tidak jelas” ialah seperti:
B berkata: “Saya jual tanah saya ini kepada tuan pada harga $50,000 jika dibayar secara tunai. Tetapi jika dibayar secara ansuran selama sepuluh tahun harganya ialah $60,000. Tuan boleh pilih, sama ada pada harga $50,000 dibayar secara tunai atau pada harga $60,000 dibayar secara ansuran.”
A berkata: “Saya beli.”
“Akad jual beli yang tidak jelas” seperti ini adalah tidak sah dan tidak menepati hukum syara‘. Ini kerana tidak ada ketentuan yang jelas sama ada penjual dan pembeli berakad pada harga yang dibayar secara tunai ($50,000) atau pada harga yang dibayar secara ansuran ($60,000). Akad jual beli seperti inilah antara yang termasuk dalam tegahan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang dikatakan sebagai “dua jual beli dalam satu kontrak jual beli”.
Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada melakukan dua jual beli dalam satu kontrak jual beli. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
2. Tempoh waktu pembayaran yang tidak jelas.
Dalam jual beli secara ansuran yang sifatnya sebagai jual beli bertangguh, hendaklah ditentukan dengan jelas di dalam akad jual beli yang dipersetujui di antara pembeli dan penjual tempoh bayaran ansuran bagi barang yang dibeli. Jika tempoh bayaran ansuran tersebut tidak jelas atau tidak diketahui sampai bila bayaran tersebut mesti dilunaskan, maka kedudukan jual beli tersebut hukumnya adalah tidak sah.
3. Menyatakan di dalam akad jual beli dengan mensyaratkan faedah (interest) yang dikenakan ke atas pembeli kerana bayaran bertangguh.
Tidak harus menyatakan dalam akad jual beli yang dipersetujui pengenaan faedah (interest) ke atas pembeli disebabkan bayaran yang dibuatnya secara ansuran, sama ada menurut kadar faedah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli) ataupun menurut kadar faedah semasa di pasaran.
Sebagai contoh:
A berkata: “Saya jual baju ini kepada tuan pada harga $40 tunai. Tetapi jika dibayar secara ansuran selama empat bulan saya akan kenakan faedah (interest) sebanyak $3 bagi setiap bulan yang bertangguh.”
B berkata: “Saya setuju.”
Dalam contoh di atas, pengenaan faedah (interest) sebanyak $3 bagi setiap bulan yang bertangguh itu bukanlah merupakan sebahagian daripada harga baju yang dibeli. Tetapi ia merupakan sebagai timbal balik kepada tempoh masa pembayaran yang bertangguh iaitu $3 x 4 bulan = $12. Jumlah wang $12 itu adalah riba yang diharamkan oleh syara‘.
4. Berjual beli yang melibatkan mata wang, emas dan perak secara ansuran atau bertangguh.
Sebagaimana menurut ketatapan yang diputuskan oleh Majlis Majma‘ Fiqh Islami Antarabangsa bahawa hukum yang berjalan ke atas mata wang kertas adalah sama sepertimana hukum yang berjalan ke atas emas dan perak. Salah satunya dalam hukum yang berkaitan dengan riba.
Di dalam bab riba, jual beli yang melibatkan pertukaran dua barang ribawi yang sama sebab ribanya (َب علة الر) dan yang sama jenis seperti emas dengan emas atau perak dengan perak, tiga perkara berikut hendaklah dijaga:
i. Sama rata pada timbangan / sukatan (الْمُمَاثلة), iaitu tidak berlaku padanya salah satu barang melebihi daripada yang lain.
ii. Secara tunai atau tidak bertangguh (اْللول ). iii. Serah menyerah (التقابض) di antara dua barang yang diperjualbelikan di dalam satu majlis akad.
Jika jual beli itu pula melibatkan pertukaran barang yang tidak sama jenis seperti emas dengan perak, dua perkara berikut hendaklah dijaga:
i. Secara tunai atau tidak bertangguh (اْللول ).
ii. Serah-menyerah (التقابض) di antara dua barang yang diperjualbelikan di dalam satu majlis akad.
Hal ini tidak ada bezanya sama ada emas dan perak itu sudah dibentuk menjadi barang kemas seperti gelang, cincin, rantai dan sebagainya ataupun belum dibentuk. Ini adalah berdasarkan sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh di dalam kitabnya Mughni al- Muhtâj:
Ertinya: Nilai pembuatan emas itu tidak memberi kesan kepada hukum asal emas itu sendiri, sehinggakan jika seorang membeli emas yang sudah dibentuk dengan dinar (wang emas) sebagai pertukarannya, di mana nilai emas yang sudah dibentuk itu lebih tinggi berbanding dinar tersebut, prinsip sama rata (timbangan) di antara keduanya tetap diambil kira, adapun nilai pembentukan emas itu pula tidak diambil kira.
Oleh itu, berdasarkan prinsip syara‘ yang disebutkan di atas, berjual beli emas atau perak dengan wang kertas hendaklah berlaku secara tunai, tidak boleh secara ansuran atau hutang. Hendaklah berlaku serah-menyerah di antara wang bayaran dengan barangan emas atau perak di majlis akad jual beli itu juga. Akan tetapi, disebabkan emas atau perak merupakan barang yang tidak sama jenis dengan wang kertas, maka prinsip “sama rata” (الْمُمَاثلة) daripada aspek timbangan tidak menjadi tuntutan dalam jual beli tersebut.
Sebagai kesimpulan, akad jual beli dengan bayaran secara ansuran hukumnya adalah harus. Begitu juga jika penjual meletakkan harga jualan yang dibayar secara ansuran lebih tinggi berbanding dengan harga jualan yang dibayar secara tunai, menurut pendapat ulama dalam mazhab Syafi‘e jual beli seperti itu adalah juga sah dan diharuskan.
Ini tidak syak lagi merupakan satu kemudahan bagi pembeli, lebih-lebih lagi bagi kalangan pembeli yang tidak mampu untuk membayar secara tunai sekaligus. Namun perlu juga diingat, pembeli yang membeli sesuatu barang dengan bayaran secara ansuran adalah dikira sebagai orang yang berhutang (penghutang) selagi dia masih belum habis melunaskan bayaran-bayaran yang tertangguh. Penghutang adalah berkewajipan melunaskan segala hutangnya. Penghutang yang mampu membayar tidak boleh melambat-lambatkan membayar hutangnya yang sudah tiba tempoh pembayarannya. Manakala penghutang yang mampu membayar, tetapi menangguh-nangguhkan pembayaran hutangnya adalah orang yang berlaku zalim, dan hukumnya adalah haram, sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
MENGELAKKAN RIBA DALAM PERTUKARAN EMAS
Emas adalah sejenis logam yang diciptakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia merupakan harta yang sangat berharga bagi manusia, menjadi kegemaran terutamanya kaum wanita sebagai perhiasan diri di samping lain-lain tujuan seperti menjadikannya harta simpanan mereka.
Warna kekuningan emas serta rekaannya dalam pelbagai bentuk baharu menjadi tarikan orang ramai. Tidak hairanlah mengapa seseorang itu sanggup berbelanja besar untuk memilikinya atau mengorbankan emas lama mereka sebagai pertukaran demi mendapatkan emas baharu dengan rekaan baharu.
Menyentuh mengenai pertukaran emas lama kepada emas baharu ini, pada kebiasaannya pekedai akan menilai terlebih dahulu emas lama itu sebelum pelanggan memilih emas baharu yang senilai dengan emas lama atau menambah harganya apabila nilai emas baharu itu lebih tinggi daripada nilai emas lama. Persoalannya adakah cara transaksi sebegini diharuskan oleh syara‘ ataupun sebaliknya?
Dalam keghairahan kita untuk memiliki emas baharu dengan rekaan baharu itu, perlulah berhati-hati kerana tanpa disedari dalam urusan jual beli emas itu boleh menyebabkan riba. Oleh itu eloklah dijelaskan terlebih dahulu pandangan syara‘ mengenai jual beli emas sebelum menjawab persoalan pertukaran emas lama kepada emas baharu.
Emas Harta Ribawi
Emas adalah salah satu daripada harta ribawi (harta yang boleh membawa kepada berlakunya riba) yang telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Apabila syarat dalam urusan pertukaran atau jual beli harta ribawi itu tidak dipatuhi nescaya jatuhlah ia kepada riba sama ada riba al-fadhl, riba al-yad atau riba an-nasa’, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin ash- Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, serupa dengan serupa, sama dengan sama (serupa atau sama jumlah dan jenisnya), tunai dengan tunai (tidak bertangguh kedua-duanya). Adapun jika berlainan jenis-jenis ini (seperti emas dengan perak atau kurma dengan garam) maka berjual belilah kamu sebagaimana kamu mahu jika ia langsung (lani) dengan langsung (lani). (Hadits riwayat Muslim)
Jenis-Jenis Riba Dalam Jual Beli Emas
Berjual beli emas walaupun ia harus namun tidak dinafikan ia boleh menjadi haram apabila cara bermuamalatnya dengan cara riba. Riba dalam jual beli emas terbahagi kepada tiga jenis:
1. Riba al-fadhl: Iaitu jual beli harta ribawi daripada jenis yang sama dan salah satu pertukarannya berlebihan daripada yang lain. Sebagai contoh berjual beli emas 100 gram dengan emas 120 gram.
2. Riba al-yad: Iaitu jual beli harta ribawi (sama ada harta tersebut daripada satu jenis yang sama seperti jual beli emas dengan emas ataupun daripada jenis yang berbeza seperti jual beli emas dengan perak) dengan mengakhirkan atau menangguhkan qabdh (pemilikan atau penerimaan) kedua-dua pertukaran ataupun salah satunya. Sebagai contoh berjual beli emas dengan emas sedang pembeli atau penjual atau kedua-duanya menerima emas itu kemudian.
3. Riba an-nasa’: Iaitu jual beli harta ribawi (sama ada harta tersebut daripada satu jenis yang sama ataupun daripada jenis yang berbeza) dengan bertempoh. Sebagai contoh berjual beli emas pada hari ini dengan bayarannya di bulan hadapan.
Perbezaan di antara riba al-yad dan riba an-nasa’ ialah bahawa riba al-yad itu terjadi disebabkan kelambatan qabdh (pemilikan atau penerimaan) barang di dalam majlis akad sedangkan jual belinya itu adalah berbentuk langsung (lani) dan tidak disyaratkan dalam akad bahawa ia bertempoh atau bertangguh. Adapun riba an-nasa’ itu terjadi kerana disebutkan syarat bertempoh atau bertangguh di dalam akad.
Ketiga-tiga jenis riba ini adalah haram, sebagaimana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mengingatkan supaya jangan berjual beli emas dengan emas secara riba (sama ada dalam bentuk atau jenis riba al-fadhl, riba al-yad atau riba an-nasa’), Baginda bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu berjual beli emas dengan emas kecuali sama jumlahnya serta janganlah kamu melebihi atau mengurangi sebahagiannya dari sebahagian yang lain. Dan janganlah kamu berjual beli perak dengan perak kecuali sama jumlahnya serta jangan melebihi atau mengurangi sebahagiannya dari sebahagian yang lain. Dan janganlah kamu berjual beli (emas perak) dengan sebahagian secara langsung (lani) dan sebahagian lagi ditangguhkan. (Hadits riwayat Muslim)
Syarat-syarat Jual Beli Emas
Syarat-syarat jual beli emas itu pula dibahagikan kepada dua bahagian:
1. Jual beli sejenis. Sebagai contoh, jual beli emas dengan emas. Dalam hal ini, jika serupa jenisnya emas dengan emas maka syarat-syarat bagi jual beli tersebut adalah seperti berikut:
i. Hendaklah sama jumlahnya seperti jual beli 100 gram emas dengan 100 gram emas. Jika tidak sama jumlahnya seperti jual beli 100 gram emas dengan 120 gram emas maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba al-fadhl.
ii. Hendaklah penyerahan kedua-dua emas itu secara langsung (lani) dan diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah daripada majlis akad. Jika penyerahan kedua-dua emas ataupun salah satunya bertempoh atau bertangguh, dan penerimaan kedua-dua emas ataupun salah satunya terjadi setelah berpisah daripada majlis akad, maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba an-nasa’ dan al-yad.
2. Jual beli berbeza jenis tetapi mempunyai ‘illah riba yang sama (naqdiyyah). Sebagai contoh, jual beli emas dengan perak. ‘Illah riba bermaksud sebab riba iaitu sama ada naqdiyyah (emas dan perak) atau tha‘miyyah (makanan seperti gandum, beras dan lain-lain).
Jika jual beli emas dengan sesuatu yang berlainan jenisnya tetapi sama ‘illah ribanya iaitu perak, maka syarat bagi jual beli tersebut adalah seperti berikut:
i. Hendaklah penyerahan kedua-dua barang (emas dan perak) itu secara langsung (lani). Jika penyerahan kedua-duanya ataupun salah satunya bertempoh atau bertangguh maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba an-nasa’.
ii. Hendaklah kedua-dua barang itu diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah. Jika penerimaan kedua-duanya ataupun salah satunya terjadi setelah berpisah daripada majlis akad, maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba al-yad.
Adapun jika ‘illah riba itu tidak sama seperti jual beli emas dengan beras, jual beli seperti ini tidaklah terikat dengan syarat-syarat tersebut iaitu sama jumlah, penyerahan kedua-dua barang secara langsung (lani) dan diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah daripada majlis akad.
Perbezaan di antara kedua-dua bahagian ini ialah pada syarat bahawa jumlah timbangan emasnya hendaklah sama. Ia hanya disyaratkan pada jual beli emas dengan emas. Adapun jual beli emas dengan jenis yang lain adalah dibolehkan salah satunya melebihi berat timbangan yang lain, seperti jual beli 100 gram emas dengan 500 gram perak dengan syarat penyerahan dan penerimaannya dibuat secara langsung.
Pertukaran Emas Lama Kepada Emas Baharu
Transaksi pertukaran emas lama kepada emas baharu di kedai-kedai emas, pada kebiasaannya pekedai akan menilai harga terlebih dahulu emas lama yang hendak ditukar. Setelah dinilai harga, pelanggan diminta untuk memilih emas baharu mengikut nilaian harga emas lama atau menambah bayaran jika melebihi nilaian harga tersebut tanpa mengambil kira berat emas yang menjadi pertukaran itu.
Sebagai contoh, emas lama seberat 3 gram dinilai oleh pekedai dengan harga $90. Kemudian pelanggan akan memilih emas baharu yang senilai $90 tanpa mengira berat emas baharu tersebut sama ada ia sama berat, lebih berat atau lebih ringan timbangannya. Jika harga emas baharu itu melebihi $90, maka pelanggan diminta untuk menambah bayaran yang lebih itu.
Dalam contoh transaksi di atas, jika pertukaran emas lama dengan emas baharu itu tidak sama berat timbangannya seperti 3 gram emas lama dengan 2 gram emas baharu atau 3 gram emas lama dengan 4 gram emas baharu, maka hukumnya adalah haram kerana berat timbangannya berbeza dan ia termasuk dalam jenis riba al-fadhl.
Adapun jika pertukaran emas lama dengan emas baharu itu berat timbangannya sama seperti 3 gram emas lama dengan 3 gram emas baharu, maka tidaklah ia termasuk dalam jual beli riba kerana berat timbangannya adalah sama. Akan tetapi jika ada penambahan sebarang harga di samping penyerahan kedua-dua emas yang sama berat timbangannya itu, maka hukumnya adalah haram kerana ada penambahan harga dan ia termasuk dalam jenis riba al-fadhl. Sebagai contoh pertukaran rantai emas baharu seberat 5 gram dengan gelang emas lama seberat 5 gram berserta wang tambahan sebanyak $100.
Penyelesaian Bagi Transaksi Pertukaran Emas Lama Kepada Emas Baharu
Sebagai jalan keluar bagi mengelakkan transaksi yang mengandungi unsur riba dalam transaksi pertukaran emas lama dengan emas baharu di kedai-kedai emas pada masa ini (jika dia pekedai orang Islam), adalah disarankan untuk mengikut langkah-langkah berikut:
1. Setelah pekedai menilai emas lama milik pelanggan, hendaklah terlebih dahulu melakukan transaksi jual beli emas lama tersebut dengan harga yang dipersetujui. Iaitu pelanggan menyerahkan emas lama untuk dijual kepada pekedai. Kemudian pekedai menyerahkan wang secara langsung (lani) kepada pelanggan.
2. Setelah selesai urusan jual beli emas lama dengan penyerahan dan penerimaan kedua-dua barang transaksi, baharulah selepas itu dilaksanakan jual beli emas baharu dengan harga yang dipersetujui.
Dalam hal ini, hendaklah kedua-dua transaksi jual beli (1) dan (2) di atas dalam majlis akad yang berasingan dan janganlah ia dalam satu majlis akad yang sama. Ini kerana jika ia dilakukan dalam satu majlis akad yang sama maka ia termasuk dalam larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap dua bentuk jual beli dalam satu transaksi. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada dua bentuk jual beli dalam satu transaksi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Balasan dan Akibat Riba
Pemakan riba apabila dibangkitkan dari kubur pada Hari Kiamat nanti seperti orang gila dan seperti orang yang dirasuk syaitan, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Orang-orang yang memakan riba tidak akan dapat bangkit (dari kubur pada Hari Kiamat) melainkan seperti berdirinya orang-orang yang dirasuk syaitan (dengan keadaan terhuyung-hayang) kerana rasukan (syaitan) itu. (Surah al-Baqarah: 275)
Memakan riba termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan ia tergolong daripada tujuh perkara yang membinasakan. Ini kerana ia boleh menyebabkan orang yang memakan riba itu rosak dan binasa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Orang bertanya: “Apakah ia wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri daripada pertempuran dan menuduh berbuat zina terhadap wanita muhshan yang lalai daripada melakukan dosa lagi beriman. (Hadits riwayat Muslim)
Pemakan riba dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pemakan riba jauh daripada mendapat rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini termasuk juga orang yang memberi makan riba, pencatit dan saksinya. Diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, kedua-dua saksi dan pencatatnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Demikianlah penjelasan mengenai transaksi pertukaran emas lama dan emas baharu yang perlu kita ketahui. Sungguhpun transaksi yang diamalkan di kedai-kedai emas itu pada zahirnya seolah-olah seperti jual beli biasa yang tidak menyalahi kehendak-kehendak syara‘, namun pada hakikatnya ia boleh menyumbang kepada muamalat riba. Oleh itu, kita perlu berhati-hati khususnya dalam urusan jual beli emas ini agar kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
HADIAH: Boleh Menjadi Rasuah
Pada kebiasaan, hadiah yang diberikan kepada seseorang adalah bertujuan untuk menghormati atau memuliakan orang itu dan bukan ada tujuan-tujuan yang lain. Sebagai contoh, hadiah yang diberikan oleh kebanyakan orang sempena hari-hari tertentu seperti Hari Raya, hari lahir, hari guru, hari ibu bapa dan sebagainya. Akan tetapi, adakalanya berlaku pemberian hadiah kepada seseorang bukan pada adat kebiasaannya iaitu untuk menghormati atau memuliakan orang itu. Sebaliknya, pemberian hadiah itu disebabkan adanya tujuan tertentu, seperti supaya orang yang diberi hadiah itu dapat menunaikan hajatnya. Sebagai contoh pemberian hadiah oleh seseorang kakitangan, pegawai kerajaan, pegawai swasta atau orang awam kepada orang tertentu yang mempunyai kaitan dalam urusan-urusan tertentu sama ada melepaskan daripada kesalahan, meluluskan permohonan atau sebagainya. Adakah pemberian seperti ini dikira sebagai hadiah?
Definisi Rasuah Dan Hadiah
• Rasuah: Rasuah dalam bahasa Arab disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menyampaikan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi. Dalam kitab Lisân al-‘Arab rasuah bererti menghubungkan dua orang kepada suatu hajat dengan cara mengambil hati.
Dari segi istilah rasuah bermaksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.
• Hadiah: Hadiah ialah pemberian tanpa mengharapkan balasan dan bermaksud sebagai penghargaan atau pujian (ke atasnya).
Menurut kamus al-Fiqhi hadiah ialah memberikan kuasa pemilikan sesuatu tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh) sebagai penghargaan.
Daripada definisi ini dapatlah difahamkan bahawa pemberian hadiah adalah sebagai penghargaan atau pujian kepada seseorang tanpa sebarang maksud atau tujuan untuk menyampaikan sebarang hajat. Namun jika hadiah itu terselit maksud untuk menyampaikan hajat maka hukum hadiah itu akan berubah menjadi rasuah.
Dalam kitab al-Ahkâm ash-Shulthâniyyah perbezaan di antara rasuah dengan hadiah itu ialah: Rasuah merupakan sesuatu yang diambil dengan meminta, dan hadiah pula merupakan sesuatu yang diberi dengan kebajikan. Hadiah dengan niat untuk memuliakan orang yang diberi dan bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang adalah halal bagi pemberi dan penerima. Manakala hadiah dengan niat minta disampaikan hajat maka pemberian itu dianggap sebagai rasuah yang haram.
Maksud “Suapan” Menurut Akta Pencegahan Rasuah
menurut akta pencegahan rasuah tahun 1981, rasuah bermaksud suapan. Maka apa jua bentuk hadiah daripada seseorang yang mempunyai hajat adalah dikira sebagai suapan. Antara huraian maksud suapan yang berbentuk hadiah dalam akta pencegahan rasuah itu ialah:
1. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran, cagaran, berharga atau benda-benda lain atau kepentingan dalam harta benda jenis apa pun jua, sama ada boleh digerak atau tidak boleh digerak;
2. Sebarang balasan yang berharga jenis apa pun jua, sebarang potongan harga, komisen, pengurangan, bonus, penolakan atau habuan;
3. Sebarang bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh, atau bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh yang dibuat-buat, dan sebarang janji bagi atau perolehan, atau persetujuan atau percubaan untuk memperolehi, atau memberikan sebarang harapan akan memperolehi, sebarang pemberian, pinjaman, upah, ganjaran, balasan atau suapan dalam bidang makna perenggan ini;
4. Apa jua layanan, pertolongan atau faedah jenis apa pun jua, termasuk perlindungan daripada sebarang hukuman atau kehilangan keupayaan yang dilakukan atau ditakuti atau daripada sebarang tindakan atau perbicaraan jenis yang mengenai tatatertib atau hukuman, sama ada sudah atau belum dimulakan, dan termasuk menjalankan atau menahan diri daripada menjalankan sebarang hak, sebarang kuasa atau kewajipan rasmi.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan dalam kitab al-Majmû‘ bahawa tidak boleh seseorang menerima hadiah yang diberikan kepadanya bukan secara adat kebiasaan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasullulah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadits ketika memerintahkan seorang sahabat menguruskan zakat sepertimana diceritakan oleh Abu Humaid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melantik seorang lelaki daripada Bani Asad yang dikatakan (bernama) Ibnu Utabiyyah (sebagai pegawai petugas) sedekah (zakat), maka ketika dia datang (daripada tugasnya), dia datang (menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) lalu berkata: “Ini untuk kamu dan ini dihadiahkan untukku.” Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (pun) berdiri di atas mimbar, Sufyan (Ibnu Uyainah) juga berkata: “Maka Baginda naik atas mimbar lalu mengucap Alhamdullilâh dan memuji Allah. Kemudian Baginda bersabda (lagi): “Apakah gerangan petugas yang kami utus itu, kami mengutusnya lalu dia datang (kepada kami) dan berkata: “Ini untuk Tuan dan ini dihadiahkan untukku”. Tidakkah sebaiknya dia duduk saja di rumah ayah dan ibunya lalu menunggu adakah dia diberi hadiah atau tidak. Demi Zat di mana jiwaku berada di tanganNya, tidaklah dia (petugas itu) datang dengan (membawa)nya di Hari Kiamat, dia membawanya pada batang lehernya dengan rupa unta yang melenguh, lembu yang menguak atau kambing yang mengembek (dengan suara yang kuat?”). Kemudian Baginda mengangkat kedua-dua tangan Baginda hingga kami melihat putih ketiak Baginda (ketika Baginda bersabda): “Tidakkah aku telah menyampaikan (peringatan ini) sebanyak tiga kali?” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menerangkan bahawa apapun hadiah yang diberikan kepada seorang pekerja atau ketua kerana rasa terima kasih adalah haram. Tambahan lagi daripada harta hak orang-orang Islam.
Perkara seperti ini perlu diambil perhatian kerana ditakuti akan menjatuhkan seseorang kepada amalan rasuah. Oleh itu perlu difahami perbezaan di antara hadiah dengan rasuah.
Hadiah Ratu Saba’ (Balqis) Kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm Yang Berbentuk Rasuah
Hadiah adalah sesuatu pemberian yang bermaksud untuk memuliakan orang yang diberi, akan tetapi ada kalanya juga memberi hadiah itu sebenarnya merupakan rasuah apabila pemberian hadiah itu bertujuan untuk menyampaikan sebarang hajat. Dalam makna yang lain perbuatan rasuah itu ditutupi dengan perbuatan hadiah sehingga perbuatan rasuah itu tidak ketara berlaku atau tidak nampak sebagai rasuah.
Pemberian hadiah berupa rasuah ini sudah berlaku pada zaman Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm ketika baginda menyeru Ratu Saba’ (Balqis) dan kaumnya yang menyembah matahari supaya mengesakan Allah sebagaimana tersebut di dalam al- Qur’an.
Setelah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm mendengar perkhabaran daripada burung Hudhud mengenai kesesatan Ratu Saba’ itu, lalu baginda mengutus surat melalui burung Hudhud tadi kepada Ratu Balqis serta kaumnya untuk mengesakan dan mentauhidkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya surat itu daripada Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). (Surah an-Naml: 30-31)
Apabila Ratu Balqis menerima surat itu, baginda mengumpulkan ketua, wazir dan pembesar-pembesar negara untuk mengumumkan perihal apa yang berlaku serta meminta pandangan daripada mereka. Setelah itu Ratu Balqis mengambil keputusan untuk berdamai dan mengutus utusannya dengan membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm.
Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm tidak menerima hadiah yang dibawa oleh utusan Ratu Saba’ itu, malah mengancam untuk menghantar bala tenteranya jika mereka tidak mahu beriman. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu menghulurkan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan harta kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak akan terdaya
menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah an-Naml: 36-37)
Demikianlah kisah ringkas bagaimana Ratu Balqis cuba memberi rasuah berupa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm agar Baginda mahu berdamai dengannya. Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm tidak menerima hadiah tersebut malahan baginda mengancam Ratu Saba’ itu untuk memerangi mereka jika tidak mahu beriman. Malah baginda juga memuji-muji akan pemberian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang jauh lebih baik daripada hadiah yang mereka tawarkan.
Bilakah Hadiah Bertukar Menjadi Rasuah?
Adakalanya terdapat keadaan yang menyebabkan memberi hadiah menjadi haram dan dianggap sebagai rasuah. Perkara ini dapat dilihat seperti berikut:
1. Hadiah bagi pemberi dan rasuah bagi penerima.
Memberi hadiah kepada orang yang zalim dengan tujuan menyelamatkan dirinya daripada kezaliman orang tersebut. Dalam hal ini, hadiah yang diberi kepada orang yang zalim itu adalah halal dan bukan dikira sebagai rasuah kerana dalam keadaan dharurat. Manakala bagi penerima pula haram dia mengambil hadiah yang diberikan kepadanya bagi menutup kezaliman yang dilakukannya. Hadiah yang diterimanya itu dikira sebagai rasuah kerana menerima pemberian dengan cara zalim dan bukan pada jalan yang hak.
2. Hadiah adalah rasuah bagi pemberi dan penerima.
Antara contoh dalam hal ini ialah hadiah yang diberikan kepada qadhi atau hakim untuk menghukum dengan bâthil atau untuk menyampaikan sesuatu yang dia tidak berhak. Oleh itu, pemberi dan penerima berdosa kerana hadiah tersebut merupakan rasuah walaupun pada zahirnya dilihat sebagai hadiah atau pemberian.
Rasuah tidaklah terhad hanya berlaku kepada qadhi dan hakim sahaja. Rasuah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang memberi hadiah dengan tujuan yang terselit di sebalik pemberian itu supaya hajatnya dapat ditunaikan, termasuklah pemberian hadiah untuk meluluskan sebarang permohonan, sama ada dalam sektor kerajaan ataupun swasta. Sebagai contoh memberi hadiah kepada seorang pegawai kerajaan yang khusus menguruskan proses pengambilan pekerja baru. Dengan pemberiannya itu dia berharap supaya peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan itu cerah. Pemberian hadiah seumpama ini jelas berbentuk rasuah.
Dalam perkara ini, Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ berkata bahawa orang yang memberi hadiah kepada seseorang yang dapat menunaikan hajatnya lalu diterimanya hadiah itu adalah as-suht (haram).
Memberikan hadiah dengan maksud atau tujuan agar hajat dipenuhi adalah ia seperti riba, kerana mengambil hadiah dengan cara begitu menghilangkan pahala pemberian, sebagaimana mengambil riba menghilangkan kehalalan.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya itu lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba. (Hadits riwayat Abu Daud) Ancaman Laknat Kepada Pelaku Rasuah
Larangan melakukan rasuah jelas disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya melaknat orang yang melakukan rasuah kerana rasuah adalah termasuk dalam perkara memakan harta dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil daripada al-Qur’an bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)
Manakala dalam beberapa buah hadits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah melaknat atau mengutuk orang yang memberi dan menerima rasuah. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhu, Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Laknat Allah adalah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Dalam riwayat yang lain Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Bukan setakat itu sahaja, bahkan laknat ini juga berlaku ke atas orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut sama ada dia sebagai utusan daripada pihak penerima ataupun utusan daripada pihak pemberi sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung di antara kedua-duanya. (Hadits riwayat Ahmad)
Namun begitu, jika pengantara rasuah itu sebagai utusan daripada pihak pemberi, mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk kepada tujuan pemberi rasuah. Jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat manakala jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga.
Ketahuilah bahawa orang yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Maka jelaslah bahawa hadiah boleh menjadi rasuah apabila ia diberikan dengan hajat tertentu. Dari itu, berhati-hatilah apabila hendak memberi atau menerima sebarang hadiah. Jika hadiah itu terselit perkara yang berunsur rasuah hendaklah dihindarkan sama ada sebagai pemberi atau penerima. Dengan demikian kita akan terselamat daripada dilaknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya kerana sesiapa yang dilaknat itu akan terjauh daripada rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sehingga tidak ada sesiapapun yang boleh menolongnya sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah maka engkau sekali-kali tidak akan mendapat penolong baginya. (Surah an-Nisâ’: 52)
KEWAJIPAN SIAPA MENGELUARKAN NAFKAH?
“Nafkah” merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab “al-infâq”. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan ialah menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan. Pensyariatan nafkah adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan juga ijmâ‘ para sahabat Radhiallâhu ‘anhum.
Pengertian Nafkah
Nafkah ialah perbelanjaan yang wajib diberikan daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya.
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih daripada kemampuannya. (Surah al-Baqarah: 233) Menurut tafsir al-Mawardi “ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan perkataan “al-ma‘rûf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. Ayat ini menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberikan nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.
Pembahagian Nafkah
Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian, iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya sendiri berbanding nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Mulailah (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu. (Hadits riwayat Muslim)
Antara faedah yang diperolehi daripada hadits yang disebutkan di atas ialah keutamaan dalam pemberian nafkah, iaitu hendaklah dimulai mengikut urutan yang telah disebutkan. Demikian juga dalam perkara pemberian hak-hak dan kebaikan, maka hendaklah mendahulukan yang lebih utama di kalangan mereka menurut urutan.
Nafkah Terhadap Orang Lain
Selain menanggung nafkah diri sendiri, kadang-kala seseorang itu juga menanggung nafkah orang lain. Menurut jumhûr ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). Fokus kita hanya akan menyentuh dua sebab sahaja daripada tiga sebab yang dinyatakan, iaitu kewajipan nafkah kerana hubungan perkahwinan dan hubungan kerabat. Penjelasan secara ringkas adalah seperti berikut:
1. Kewajipan nafkah disebabkan hubungan perkahwinan.
i. Nafkah isteri.
Kewajiban seseorang menanggung nafkah disebabkan perkahwinan atau dalam erti kata lain nafkah suami ke atas isteri adalah berdasarkan hukum syara‘. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu. (jika ada).
Ulama telah sepakat bahawa suami berkewajipan menanggung nafkah isteri apabila si isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya... (Surah ath-Thalâq: 7)
Manakala Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai seorang suami dan bapa, menjadi contoh teladan kepada umatnya dan Baginda juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji Wada‘:
Maksudnya: Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak kamu sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas merupakan dalil yang jelas bahawa isteri-isteri wajib diberi nafkah oleh suami.
Selain itu, para sahabat dan para tâbi’în (generasi selepas para sahabat) Radhiallâhu ‘anhum telah sepakat menyatakan bahawa suami wajib menanggung nafkah isteri. Selain kewajipan suami menanggung nafkah isteri, terdapat kewajipan lain bagi suami terhadap isteri yang ditetapkan oleh syara‘ kerana hubungkaitnya dengan nafkah. Kewajipan tersebut ialah kewajipan mengeluarkan zakat fitrah isteri. Secara umum, hubungan di antara nafkah dengan zakat fitrah ialah siapa yang menanggung nafkah individu lain, maka dialah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah orang yang ditanggungnya itu. Bagaimanapun terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini sepertimana yang akan dijelaskan kemudian. Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah isteri melainkan dalam beberapa keadaan.
ii. Nafkah isteri dalam ‘iddah.
a. Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq raj‘i (thalaq satu atau dua), sama ada dia hamil ataupun tidak, maka wajib baginya seluruh nafkah daripada suaminya, yang berupa sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddahnya atau sehingga melahirkan anak dalam kandungannya.
Oleh yang demikian, zakat fitrah bagi isteri yang dithalaq dengan thalaq raj‘i yang tidak hamil dan belum tamat tempoh ‘iddahnya sebelum terbenam matahari pada malam ‘Id (Hari Raya) wajib dikeluarkan oleh suaminya. Jika suami menceraikan isterinya setelah terbenam matahari akhir Ramadhan (malam ‘Id), maka suami wajib mengeluarkan fitrah isteri yang dithalaq itu.
b. Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in (kerana thalaq tiga atau kerana khulu‘) yang tidak hamil, maka dia tidak menerima nafkah sara hidup dan pakaian daripada (bekas) suami. Bagaimanapun isteri tersebut berhak tempat tinggal dan makanan sepanjang tempoh ber‘iddah. Oleh yang demikian, suami tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang dithalaq dengan thalaq bâ’in sekalipun tidak hamil. Ini kerana kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang dithalaq bâ’in telah gugur. Bahkan wajib bagi perempuan tersebut untuk mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya jika dia berkemampuan.
Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in dan sedang hamil pula, menurut sepakat ulama diberikan nafkah dan tempat tinggal selama dalam tempoh kehamilan sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya dan disyaratkan anak dalam kandungan itu adalah keturunan daripada suami yang menceraikannya.
Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang dithalaq dengan thalaq bâ’in yang sedang hamil.
Perkara ini bertsabit daripada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. (Surah ath-Thalâq: 6 )
c. Isteri yang ber‘iddah kerana kematian suami, maka tiada nafkah baginya, tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal, sama ada hamil ataupun tidak.
iii. Nafkah isteri yang nusyûz.
Nafkah ke atas isteri yang nusyûz (yang ingkar perintah suaminya) tidak wajib ditanggung oleh suami. Oleh yang demikian, zakat fitrah bagi isteri yang nusyûz juga tidak wajib dikeluarkan oleh suami, tetapi wajib ke atas isteri tersebut untuk mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Sekiranya isteri tersebut kembali taat kepada suami sebelum terbenam matahari (pada malam ‘Id), ketika itu wajib atas suami mengeluarkan zakat fitrah isteri tersebut.
iv. Nafkah isteri bagi suami yang tidak berkemampuan.
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) mahupun seorang yang mu‘sir (susah).
Walau bagaimanapun tidak wajib bagi suami yang mu‘sir (susah) mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang berkemampuan (kaya), sekalipun isteri itu tidak berlaku nusyûz. Malahan sunat bagi isteri tersebut mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya.
Demikian juga bagi tanggungan-tanggungan yang lain (mereka yang ditanggung nafkahnya sedangkan orang yang menanggung nafkahnya itu seorang yang susah), maka sunat baginya mengeluarkan sendiri zakat fitrah dirinya jika yang menanggungnya itu tidak mengeluarkannya.
2. Kewajipan nafkah disebabkan hubungan kerabat.
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, mereka yang berhak diberi atau ditanggung nafkahnya disebabkan ikatan atau hubungan kekerabatan ialah bapa dan seterusnya ke atas seperti datuk sama ada daripada sebelah bapa atau sebelah ibu serta ke atas. Begitu juga nenek daripada sebelah bapa dan sebelah ibu serta ke atas.
Demikian juga anak-anak dan seterusnya ke bawah seperti cucu, sama ada cucu lelaki atau perempuan, daripada anak lelaki atau anak perempuan.
Selain daripada dua hubungan atau ikatan ini, iaitu bapa dan anak, tidak diwajibkan seseorang itu menanggung nafkah bagi mana-mana hubungan kekerabatan, seperti abang, kakak, bapa saudara dan ibu saudara sebelah bapa.
Perlu diketahui, dalam perkara nafkah, mazhab asy-Syafi‘e tidak meletakkan agama sebagai syarat bagi menanggung nafkah itu. Sekalipun mereka berlainan agama, umpama bapanya bukan beragama Islam manakala anaknya beragama Islam ataupun sebaliknya, tetap wajib memberi atau menanggung nafkah sekiranya mereka miskin.
Dalam perkara zakat fitrah pula, seorang yang bukan beragama Islam tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya kerana berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang hanya mewajibkan zakat fitrah ke atas orang Islam sahaja. Bagaimanapun, wajib baginya (yang bukan beragama Islam) mengeluarkan zakat fitrah bagi hambanya (jika ada) dan kerabatnya (ibu bapa dan anak) yang beragama Islam menurut pendapat yang lebih kuat.
i. Nafkah ibu bapa.
Kewajipan seorang anak lelaki atau perempuan yang kaya untuk menanggung nafkah kedua ibu bapanya adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Surah Luqman: 15)
Antara maksud ma‘rûf itu ialah menunaikan keperluan kedua ibu bapa ketika mereka memerlukannya.
Seorang anak wajib memberi nafkah kepada ibu dan bapanya dengan syarat:
• Bapa itu fakir atau lemah bekerja (mencari pendapatan) atau sudah tua. Sekiranya bapa itu fakir akan tetapi mampu untuk bekerja, si anak tetap wajib menanggung nafkah bapanya.
Ini kerana para ulama bersepakat bahawa nafkah kedua ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan dan harta, adalah wajib diambil daripada harta anak. Sekiranya seorang anak belum mempunyai tanggungan isteri dan anak, maka yang berhak ditanggungnya ialah bapanya.
Sebaliknya, bapa yang kaya (berkemampuan) dan berdaya untuk bekerja mencari pendapatan, maka tidak wajib atas anak untuk menanggung nafkah bapa.
• Anak tersebut seorang yang kaya (berkemampuan) atau dia berupaya bekerja mencari pendapatan. Harta atau pendapatannya itu pula hendaklah berbaki setelah diperuntukkan nafkah dirinya, anaknya dan isterinya (jika ada). Sekiranya dia bukan orang yang senang atau pendapatannya itu tidak mencukupi untuk membiayai isteri dan anaknya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya, maka tidak wajib atas anak tersebut memberi nafkah kepada kedua ibu bapanya.
Oleh yang demikian, zakat fitrah bapa yang kaya tidak wajib ke atas anak mengeluarkannya. Bahkan tidak sah anak tersebut mengeluarkan fitrah melainkan dengan izin bapa.
a. Nafkah ibu kandung.
Seorang anak akan menanggung nafkah ibunya dengan syarat hendaklah si ibu itu tidak mempunyai nafkah yang mencukupi daripada nafkah suaminya, umpamanya:
• Suami tidak berupaya memberi nafkah kepada isterinya, maka dalam keadaan ini anak akan berkewajipan menanggung nafkah ibunya. Sekiranya suami berupaya memberi nafkah kepada isterinya (si ibu), maka gugurlah kewajipan si anak.
• Kiranya si ibu kematian suami, dan ibu itu pula belum berkahwin, maka wajib bagi anak menanggung nafkah ibunya. Jika ibu berkahwin lagi, maka nafkah itu akan ditanggung oleh suami kepada ibu (bapa tiri).
Oleh itu, orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ibu yang mempunyai suami adalah sepertimana zakat fitrah seorang isteri.
b. Nafkah ibu tiri (isteri kepada bapa).
Isteri kepada bapa (ibu tiri) bermaksud perempuan yang dikahwini oleh bapa seseorang selain daripada ibu kandungnya.
Seorang anak lelaki wajib menanggung nafkah bapa dan isteri kepada bapa (ibu tiri), termasuk anak-anak bapanya dengan isteri tersebut, disebabkan bapanya yang miskin atau susah. Walau bagaimanapun anak lelaki tersebut tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri kepada bapanya disebabkan bapanya yang miskin. Demikian juga tidak wajib baginya mengeluarkan zakat fitrah anak-anak bapa bersama isteri tersebut.
Di sinilah perbezaan di antara nafkah dan zakat fitrah. Ini kerana (pada asalnya) nafkah (terhadap isterinya) itu wajib ke atas bapa sekalipun dia susah. Oleh kerana bapa tersebut susah, maka nafkah bapa yang susah itu ditanggung oleh anak lelaki, termasuklah isteri kepada bapa. Berbeza hukumnya dengan zakat fitrah kerana zakat fitrah itu tidak wajib bagi bapa mengeluarkannya dengan keadaannya yang susah. Oleh itu, zakat fitrah yang merupakan kewajipan bapa tidak ditanggung oleh anak lelaki.
ii. Nafkah anak-anak.
Menjadi kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan. Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya. (Surah ath-Thalâq: 6)
Apabila lahir seorang anak, maka adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut, sama ada isteri (ibu kepada anak itu) atau perempuan lain. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat ini telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan yang menyusukan anak ditanggung dan dibayar oleh bapa anak tersebut. Dengan kewajipan menanggung dan membayar upah penyusuan anak tersebut, menghendaki bahawa bapa wajib memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut.
Kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya adalah dengan syarat:
• Anak tersebut fakir; tiada harta atau pendapatan, atau masih kecil. Dalam hal ini nafkahnya ditanggung oleh bapanya.
• Seorang bapa itu mempunyai lebih daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya. Sebaliknya, jika tiada berbaki, maka tidak wajib atas bapa untuk memberi nafkah kepada anak.
Oleh yang demikian, zakat fitrah anak kecil yang miskin dikeluarkan oleh bapanya.
Daripada dua syarat di atas, secara ringkas, tidak wajib bagi bapa mengeluarkan zakat fitrah bagi kedua-dua anaknya yang kecil dan demikian juga anak dewasanya yang gila yang mempunyai harta. Zakat fitrah mereka wajib dikeluarkan daripada harta kedua-dua mereka oleh walinya (bapa).
Sekiranya bapa mengeluarkan zakat fitrah untuk kedua-dua mereka ini daripada hartanya sendiri, hukumnya adalah harus dan gugurlah kewajipan itu daripada kedua-dua mereka kerana zakat fitrah mereka telah ditunaikan.
a. Nafkah anak dewasa yang kaya.
Anak dewasa yang berakal atau yang mampu untuk bekerja atau memiliki apa yang mencukupi untuk dirinya atau yang mempunyai harta, maka tidak wajib bagi bapa menanggung nafkahnya. Ini kerana anak tersebut memiliki apa yang mencukupi untuk dirinya.
Oleh itu, zakat fitrah anak dewasa yang berakal atau mampu untuk bekerja atau mempunyai harta adalah wajib ke atas anak tersebut mengeluarkannya. Sekiranya bapa mengeluarkan zakat fitrah untuk anak dewasa tadi, maka sah zakat fitrahnya dan perbuatan itu dikira sebagai bertabarruk, dengan syarat hendaklah ada izin daripada anak tadi.
Anak dewasa akan tetapi fikirannya tidak rasyid (cerdik) – seperti dungu- maka dia disamakan seperti anak kecil. Oleh itu, bapa harus mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak anak tersebut tanpa perlu izinnya.
b. Anak zina.
Nafkah anak zina (tidak sah taraf) dan anak yang dinafikan dengan li‘ân adalah wajib atas ibunya. Oleh yang demikian, zakat fitrah anak daripada zina demikian juga anak yang dinafikan dengan li‘an adalah dikeluarkan oleh ibunya.
c. Anak susuan.
Seorang perempuan yang menyusukan anak dengan cukup syarat-syaratnya, maka anak tersebut adalah anak susuan kepada perempuan tadi. Perempuan yang menyusukan itu menjadi ibu susuan, manakala suami kepada perempuan itu (ibu susuan) menjadi bapa susuan kepada anak tersebut. Oleh yang demikian, berjalanlah hukum susuan di antara anak tersebut dengan ibu susuannya serta mereka yang berkenaan, seperti haram berkahwin, dalam perkara wudhu’ apabila bersentuhan, aurat dan khalwat. Walau bagaimanapun tidak tsabit nafkah ke atas bapa susuan.
Pekerja yang Dibayar Gaji atau Upah
Pekerja yang dibayar upah atau gaji kerana sesuatu pekerjaan atau khidmat, maka tidak wajib nafkahnya ke atas orang yang mengupah. Oleh yang demikian, zakat fitrah pekerja seperti yang disebutkan tidak wajib dikeluarkan oleh majikan atau orang yang mengupahnya.
Jelasnya, kewajipan nafkah itu adalah tsabit berdasarkan firman Allah Ta‘ala, hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan juga ijmâ‘ para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Dalam sesetengah keadaan seseorang itu hanya menanggung nafkah untuk dirinya sahaja dan terdapat juga orang yang menanggung nafkah orang lain.
Antara sebab kewajipan menanggung nafkah itu ialah hubungan perkahwinan dan hubungan kerabat. Bagaimanapun menurut mazhab asy-Syafi‘e tidak diwajibkan bagi seseorang itu menanggung nafkah kerabat selain daripada hubungan ibu bapa dan anak-anak.
Keutamaan dalam pemberian nafkah juga telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan hendaklah mendahulukan yang lebih utama di kalangan mereka sebagaimana urutan tersebut.
LARANGAN DALAM ‘IDDAH DAN IHDÂD KEMATIAN SUAMI
Kehidupan sosial di zaman teknologi yang serba canggih ini memberi cabaran yang besar terhadap masyarakat, terutama masyarakat Islam. Cara dan gaya hidup moden yang tidak selari dengan Islam boleh saja menjejaskan nilai moral seseorang. Apa yang ditakuti ialah jika seseorang itu tidak dibimbing untuk memahami dan menghayati konsep Islam, maka setiap apa yang diajarkan oleh Islam akan dianggap remeh dan menyusahkan. Namun jika hikmah perintah dan larangan agama itu difahami, maka manusia tidak pernah akan mahu menyimpang daripada hukum-hakam yang ditentukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Penetapan hukum-hakam keluarga di dalam Islam jelas menunjukkan betapa Islam menitikberatkan tentang pemeliharaan terhadap nasab manusia, mementingkan perdamaian di antara keluarga, mengutamakan hak seorang suami yang wajib dijaga oleh isteri dan sebaliknya serta lain-lain lagi hikmah dan kebaikan dalam menjaga hubungan kekeluargaan. Masing-masing, suami dan isteri ada hak yang sudah ditentukan oleh syariat. Hatta pada awal proses perceraian, dititikberatkan juga hak suami dan isteri yang perlu dijaga dan dihormati oleh kedua-dua pihak.
‘Iddah, satu bab dalam perkara nikah disyariatkan bukan sahaja bagi perempuan yang bercerai hidup, malahan bagi perempuan yang kematian suami. Selain ‘iddah, ihdâd juga diwajibkan bagi perempuan yang kematian suami.
Apa Dia ‘Iddah dan Ihdâd?
Pertama: ‘Iddah
Dari segi bahasa bermaksud bilangan kerana ‘iddah itu ghâlibnya merupakan bilangan daripada qurû’ atau hitungan menurut kiraan bulan.
Dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang perempuan yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan isteri yang bercerai kerana kematian suami.
‘Iddah yang disyariatkan Islam ialah:
1. ‘Iddah kerana thalaq atau fasakh; iaitu ‘iddah kerana bercerai hidup daripada suami setelah berlaku jimâ‘ (persetubuhan) di antara suami dan isteri, sama ada disebabkan oleh thalaq atau fasakh. Jika thalaq atau fasakh terjadi sebelum berlakunya jimâ‘, maka tidak dikenakan ‘iddah ke atas isteri.
2. ‘Iddah kerana kematian suami; ‘iddah disebabkan kematian suami, sama ada sebelum atau selepas berlaku jimâ‘ di antara kedua-duanya.
Jika seorang perempuan berada dalam tempoh ‘iddah thalaq raj‘i, apabila suaminya meninggal dunia ketika dia masih di dalam ‘iddah tersebut, maka ‘iddahnya berpindah kepada ‘iddah kematian suami. Maka dengan kematian suaminya itu, terbatallah hukum ‘iddah thalaq raj‘inya dan tsabitlah ke atasnya ‘iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari yang bermula dari saat kematian suaminya.
Adapun tempoh ‘iddah perempuan yang kematian suami terbahagi kepada dua:
i. Jika perempuan itu tidak hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah empat bulan sepuluh hari.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (Surah al-Baqarah: 234)
ii. Jika perempuan itu hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah sehingga dia melahirkan anaknya, dengan syarat anak yang di dalam kandungannya itu adalah keturunan daripada suaminya yang telah meninggal dunia.
Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang mengandung tempoh ‘iddahnya adalah melahirkan kandungan mereka. (Surah ath-Thalâq: 4)
Hikmah pensyariatan ‘iddah kepada perempuan ialah:
1. Bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada benih suami yang menceraikannya atau yang sudah meninggal dunia. Ini mengelak daripada terjadinya percampuran benih di antara suaminya dahulu dan suaminya yang baharu jika dia berkahwin sebelum tempoh ‘iddah selesai dijalankan.
2. Bagi memberi ruang kepada suami isteri untuk berfikir mengenai tindakan yang sudah dibuat dan memberi peluang kepada kedua-duanya kembali bersatu. Ini hanya khusus untuk ‘iddah thalaq raj‘i.
3. Bagi perempuan yang kematian suami pula, selain daripada memastikan rahimnya kosong daripada benih suaminya yang meninggal dan tempoh ‘iddah juga adalah tempohnya ihdâd (berkabung) kerana kepergian suami untuk selama-lamanya. Ini sebagai tanda menjaga hak suami dan sebagai menyatakan kesetiaan si isteri kepada suaminya.
Kedua: Ihdâd (Berkabung)
Ihdâd dari segi bahasa bermaksud tegahan atau larangan, kerana perempuan berihdâd ditegah daripada berhias dan berharum-haruman.
Menurut pengertian syara‘, ihdâd bermaksud meninggalkan berwangi-wangian dan berhias.
Bagi perempuan yang kematian suami, diwajibkan ke atasnya ihdâd (berkabung) selama empat bulan sepuluh hari jika dia tidak hamil. Jika dia hamil maka wajib dia ihdâd sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya.
Kewajipan ihdâd dan larangan yang terdapat di dalamnya ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak berkabung seorang perempuan ke atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali ke atas suaminya, (dia berkabung) selama empat bulan sepuluh hari dan dia dilarang memakai pakaian yang dicelupkan warna kecuali pakaian yang sederhana, dilarang memakai celak mata dan memakai wangi-wangian kecuali untuk bersuci (selepas membersihkan darah haidh), iaitu diusap sedikit sahaja daripada haruman atau wangian. (Hadits riwayat Muslim)
Larangan Dalam Tempoh ‘Iddah dan Ihdâd Kematian Suami
Islam telah pun menggariskan beberapa perkara ke atas perempuan yang menjalani tempoh ‘iddah dan ihdâd kerana kematian suami, iaitu:
1. Meninggalkan perkara yang mempunyai unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Antara perkara yang dilarang:
i Memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning.
ii Memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan.
iii. Menghias diri seperti berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna.
iv. Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat daripada emas atau perak, permata dan sebagainya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh sebagaimana di atas. Dalam sebuah hadits yang lain pula, Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Perempuan yang kematian suaminya tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kekuningan dan juga kemerahan, tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak mata. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas daripada hadits di atas, perempuan yang kematian suami dilarang untuk berhias pada tubuh badan dan pakaian dan berwangi-wangian kecuali untuk bersuci atau membersihkan darah haidh, iaitu untuk menghilangkan bau daripada kesan darah haidh dan bukan bagi tujuan berwangi-wangian.
2. Diwajibkan menetap diam di rumah suaminya yang meninggal dunia atau rumah tempatnya tinggal dan tidak boleh meninggalkan rumah itu selama dia masih dalam tempoh ‘iddah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddah mereka) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. (Surah ath-Thalâq:6)
Ayat tersebut menerangkan tentang kewajipan suami menempatkan isterinya yang dalam tempoh ‘iddah di rumahnya. Manakala kewajipan isteri pula, sama ada ‘iddah yang dicerai hidup ataupun yang kematian suami menetap di rumah tempat tinggalnya sewaktu berlakunya perceraian sehinggalah dia selesai menjalani ‘iddahnya.
Sungguhpun demikian, bagi perempuan yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami dan perempuan yang ber‘iddah thalaq bâ’in yang tidak hamil, dia dibolehkan keluar dari rumahnya pada siang hari untuk memenuhi keperluannya dan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya seperti membeli barang keperluan, berubat, bekerja dan seumpamanya kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami dan tidak ada orang lain yang dapat menolongnya dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, pada waktu malam mereka dilarang keluar melainkan ada hajat atau keperluan yang tidak dapat dilaksanakan ketika siang. Maka dalam hal ini dibolehkan dia keluar malam dengan syarat dia dalam keadaan aman iaitu tidak mendatangkan kerosakan atau fitnah kepadanya.
3. Tidak boleh keluar belayar sekalipun untuk menunaikan haji atau umrah kecuali dalam beberapa keadaan yang tertentu.
Pertama: Perempuan yang sedang dalam musafir untuk melakukan haji atau umrah (dengan izin suaminya) kemudian di tengah perjalanannya itu diwajibkan ke atasnya ber‘iddah kerana dia dithalaq suaminya atau suaminya meninggal dunia, maka dia diberi pilihan sama ada:
- untuk meneruskan perjalanannya kerana memutuskan perjalanan atau pelayarannya itu akan mendatangkan kesukaran, terutama sekali apabila dia berada jauh dari negerinya dan takut terpisah daripada rombongannya atau; - untuk kembali semula ke tempat tinggalnya dan ini adalah lebih afdhal.
Kedua: Sekiranya kewajipan ber‘iddah ke atas perempuan itu terjadi sebelum dia keluar belayar dari rumahnya, maka dia sama sekali tidak dibolehkan keluar untuk membuat pelayaran.
Ketiga: Sekiranya perempuan itu telah berihram haji dengan izin suaminya, ataupun tanpa izin suaminya, kemudian dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, maka jika dia khuatir akan luput haji apabila dia menghabiskan ‘iddahnya dahulu, kerana masa yang singkat, maka wajib dia keluar untuk mengerjakan haji dalam keadaan ber‘iddah kerana dia telah berihram lebih awal. Jika sekiranya masa masih panjang, dan dia tidak khuatir akan luput haji, maka harus baginya keluar untuk mengerjakan haji.
Tetapi berbeza pula kedudukannya jika dia berihram untuk mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya setelah dia dithalaq atau setelah kematian suaminya, dengan keizinan yang diberikan oleh suaminya sebelum itu ataupun tanpa izin suaminya, maka dalam keadaan ini dia ditegah untuk keluar, sama ada dia khuatir akan luput haji atau tidak. Ini kerana keizinan yang diberikan sebelum dia melakukan ihram itu telah terbatal kerana berlakunya thalaq atau kematian suaminya, ataupun dia sememangnya tidak mendapat izin daripada suaminya. Maka apabila telah selesai ‘iddahnya, barulah dia menyempurnakan umrah atau hajinya, jika masih ada waktu haji. Sekiranya waktu haji telah luput, hendaklah dia bertahallul dengan umrah, dan wajib ke atasnya qadha’ dan membayar dam kerana luput haji.
Jelasnya bahawa seorang isteri yang kematian suami yang masih lagi menjalani ‘iddah adalah dilarang keluar belayar, termasuk belayar untuk mengerjakan haji atau umrah, Seorang wanita yang berihram setelah dithalaq suaminya atau setelah kematian suaminya, tidak kira sama ada dia telah diberi izin sebelum itu ataupun tidak, dan tidak kira sama ada ihram itu bagi tujuan haji atau umrah atau kedua-duanya, dia tetap dilarang keluar dari rumahnya bagi melaksanakannya selagi dia masih dalam tempoh ‘iddah.
Keharusan untuk keluar menunaikan haji atau umrah bagi wanita yang dalam ‘iddah hanyalah dalam dua keadaan, iaitu:
1. Apabila dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, sedang dia pada ketika itu berada dalam musafir (dalam pelayaran).
2. Apabila dia telah berihram haji atau umrah sebelum dithalaq atau sebelum kematian suaminya.
Larangan di dalam ‘iddah merupakan satu kewajipan yang perlu dijaga oleh isteri yang ber‘iddah kerana perceraian atau kematian suami, bahkan kewajipan ihdâd juga berlaku bagi isteri yang kematian suami.Manakala larangan untuk berhias, bukanlah larangan ini menafikan aspek kebersihan dan kesihatan diri kerana menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya hidup sihat juga adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Walaupun dalam ‘iddah dan ihdâd, perempuan juga masih dituntut untuk menjaga kedua-duanya.
MENDEDAHKAN AURAT KETIKA BERSUKAN: Mengapa Memancing Laknat?
Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memelihara kesihatan dan meningkatkan kekuatan tubuh badan serta ketajaman akal. Kerana itu Islam menggalakkan aktiviti-aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan qudwah (ikutan) yang terbaik dalam hal ini. Dalam kitab-kitab hadits dan sîrah, banyak riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menggemari dan menganjurkan sukan-sukan berbentuk olahraga, pertahanan diri dan ketenteraan seperti berlumba lari, berenang, memanah, menunggang kuda, beradu senjata, dan sebagainya.
Sungguhpun demikian, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terbiar begitu sahaja untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memberikan sebarang bimbingan, garis pandu atau batasan. Maka kerana itulah, tiap sesuatu itu ada batasannya yang perlu dijaga dan diperhatikan, termasuk juga dalam perkara sukan dan bersukan.
Walaupun bersukan itu pada dasarnya adalah harus, sama ada ia dilakukan atas dasar memelihara kesihatan atau sekadar mengisi masa lapang, namun ia boleh menjadi sesuatu yang ditegah bahkan haram dalam keadaan-keadaan tertentu terutama jika ia bertentangan dengan hukum, ajaran, tatacara, syariat dan adab-adab Islam. Antara batasan yang sering dipandang ringan ketika bersukan ialah perintah menutup aurat.
Tidak Ada Keringanan Untuk Mendedahkan Aurat Ketika Bersukan
Aurat merupakan mahkota kehormatan tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki. Dari itu ia wajib dijaga bukan sahaja ketika mengerjakan sembahyang, bahkan juga pada sepanjang masa hatta dalam rumah sekalipun. Menjaga aurat itu sangat tinggi nilainya, sehinggakan apabila seseorang itu menutup aurat dengan sempurna, identitinya sebagai seorang Islam akan terserlah dan dipandang dengan penuh rasa mulia dan hormat. Sebagai contoh, jika kita terlihat seorang perempuan yang menutup auratnya dengan sempurna misalnya, maka perkara paling awal yang akan terdetik dalam hati kita ialah perempuan tersebut adalah seorang yang beragama Islam dan merupakan seorang Muslimah yang baik.
Apa dia aurat? Dari segi bahasa, aurat berasal daripada perkataan Arab yang bererti aib atau sesuatu yang memalukan.
Menurut istilah syara‘ pula, aurat ialah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan orang ramai. Aurat lelaki ialah di antara pusat dengan dua lutut, sementara aurat perempuan pula ialah seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan (luar dan dalam) sehingga dua pergelangan tangannya.
Daripada definisi aurat itu sendiri dapat difahami bahawa mendedahkan aurat itu merupakan satu perbuatan yang mendatangkan aib dan memalukan. Jadi, orang yang sihat perasaannya, sempurna akhlaknya dan waras akal fikirannya secara fitrah dan semula jadinya pasti akan menjaga auratnya dengan sempurna dan akan segera menutupi auratnya yang terdedah itu dengan apa jua cara sekalipun.
Menurut syara‘, hukum menutup aurat itu adalah wajib, dan mendedahkannya pula adalah haram dengan nash al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ umat Islam dan merupakan satu dosa besar. Mendedahkan aurat menyebabkan orang itu sentiasa dalam laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa dalam dosa selagimana dia belum bertaubat, belum menyesali dan belum berniat untuk meninggalkan perbuatan tersebut.
Hendaklah diingat bahawa tidak ada kelonggaran untuk membuka aurat ketika bersukan. Alasan-alasan seperti panas, rimas, sukar membuat pergerakan dan sebagainya jika menutup aurat ketika bersukan tidak sekali-kali diterima oleh syara‘.
Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah. Perlu diingat dan ditekankan di sini bahawa pakaian yang jarang, nipis atau ketat sehingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.
Tidak ada kelonggaran menurut syara‘ dalam hal menutup aurat ketika bersukan ini sungguhpun di antara sesama lelaki ataupun sesama perempuan. Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Janganlah seorang lelaki memandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain). (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Mu‘awiyah bin Haidah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jagalah auratmu kecuali daripada isterimu atau hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Selain memastikan aurat terjaga dengan sempurna, wajib juga menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara’ dalam hal berpakaian seperti:
1. Tidak menyerupai pakaian lawan jenisnya.
2. Tidak menyerupai pakaian atau cara berpakaian orang kafir. Maksudnya di sini ialah apa-apa pakaian atau sesuatu yang dipakai oleh orang kafir sebagai cogan khas atau ciri pengenalan bagi mereka, contohnya di sini seperti ‘scapular’, iaitu sejenis potongan kain atau aksesori tertentu yang dipakai khusus oleh pengabdi ugama Kristian.
3. Tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras atau sebagainya.
4. Khusus bagi perempuan pula, jangan memakai pakaian yang mempunyai wangi-wangian dan jangan pakaian itu berhias-hias kerana yang demikian itu akan menarik perhatian lelaki dan sekaligus mengundang fitnah.
5. Bagi lelaki pula, jangan pakaiannya itu diperbuat daripada benang sutera.
Dari itu, dengan sendirinya, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya seperti mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mendedahkan aurat, memakai pakaian yang mengandungi lambang salib atau sebagainya adalah wajib ditinggalkan.
Bagi merealisasikan rasa taqwa dan takutkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, marilah kita menutup aurat dengan sempurna dan menghindarkan apa sahaja bentuk dan jenis pakaian yang melanggar aturan hukum syara‘ di sepanjang masa termasuk ketika melakukan aktiviti sukan. Jangan hendaknya aktiviti sukan yang pada asalnya diharuskan oleh syara‘ itu menjadi satu aktiviti yang mendatangkan dosa akibat kealpaan kita dalam menjaga adab berpakaian. Biar dalam kita berusaha mendapatkan sihat itu kita turut sama mendapatkan berkat dan redha Allah. Jangan pula kerana inginkan sihat, laknat pula yang kita dapat!
JANGAN JADIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI MEDAN PENYEBARAN UMPAT DAN FITNAH
Kecanggihan dunia teknologi pada masa ini tidak dapat disangkal lagi. Banyak ciptaan berteknologi baru muncul, ditambah lagi dengan ‘update’ (penaiktarafan) barisan teknologi yang sedia ada, di samping kemunculan sistem teknologi tanpa wayar (wireless) menjadikan dunia semakin kecil. Maklumat mengenai global dapat diperolehi dengan hanya menekan komputer atau telefon bimbit yang canggih dan komunikasi di antara satu dengan lain menjadi semakin mudah.
Dari segi individu pula semakin ramai kini yang celik teknologi maklumat dan komunikasi ini. Penggunaannya menjadi satu trend kehidupan masyarakat masa kini. Segenap lapisan masyarakat daripada golongan pemimpin, profesional malahan golongan kanak-kanak pun kini menjadikan teknologi ini sebagai medium informasi dan perhubungan dalam perkara harian. Teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan banyak memberi manfaat kepada dunia moden hari ini.
Sejak akhir-akhir ini pula, muncul banyak penulisan, imej dan video yang diposkan menerusi laman-laman sosial dan aplikasi-aplikasi tertentu seperti WhatsApp, Facebook dan yang seumpamanya. Maklumat atau berita tersebar dengan pantas tanpa sempadan. Kadang-kadang maklumat atau berita tersebut langsung tidak mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang dikirimkan, hanya sebagai hiburan dan bahan ketawa semata-mata. Yang membimbangkan jika terdapat antara maklumat atau berita yang disampaikan berupa pembohongan semata-mata, dan lebih dahsyat lagi jika pembohongan itu menjadi fitnah, seterusnya mengaibkan mana-mana pihak atau individu tertentu.
Apa Dia Teknologi Maklumat Dan Komunikasi?
Menurut Kamus Dewan, maksud teknologi maklumat ialah teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.
Adapun fungsi teknologi maklumat dan komunikasi ini amat banyak, antaranya:
1. Untuk mendapatkan maklumat sama ada maklumat umum seperti mencari maklumat mengenai kebudayaan sesebuah negara atau maklumat untuk bahan kerja seperti guru yang mencari bahan untuk pengajarannya.
2. Menjadi medium untuk maklumat atau komunikasi kerja seperti Dropbox, e-mail dan yang seumpamanya.
3. Menjadi medium pembelajaran seperti e-Learning atau e-Tutor dan yang seumpamanya.
4. Menjadi bahan bacaan yang mudah seperti e-Book dan yang seumpamanya.
5. Menjadi medan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat di antara keluarga atau rakan-rakan seperti perkhidmatan “group chat” di dalam MSN room atau WhatsApp.
6. Menjadi medium untuk meluaskan perniagaan seperti Facebook, blog persendirian dan yang seumpamanya.
Banyak lagi fungsi teknologi maklumat dan komunikasi yang mendatangkan manfaat kepada penggunanya, namun yang pasti terdapat dua faktor utama yang menguntungkan pengguna dengan pemakaian teknologi ini iaitu penjimatan masa dan penjimatan kos. Yang jelas manfaat dan keuntungan banyak diperolehi dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi pada era ini.
Hukum Mengumpat dan Memfitnah Orang Lain
Umpat dan fitnah merupakan perbuatan keji yang dibenci Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ, hukum mengumpat dan memfitnah dengan lidah itu adalah haram.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mencela pengumpat dan menyamakan mereka ini seperti memakan daging bangkai saudaranya sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat akan sesetengahnya yang lain. Sukakah seseorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Surah al-Hujurât: 12)
Maksud ‘umpat’ adalah sesuatu yang disebut mengenai orang lain dengan perkara yang dibenci oleh orang tersebut jika sampai kepadanya, sama ada menyentuh mengenai kekurangan pada fizikalnya, seperti: “Mata si Polan juling”, atau menyentuh mengenai keburukan keturunannya, seperti: “Bapa si Polan seorang fâsiq”, atau menyebut keburukan akhlaknya, seperti: “Si Polan seorang bakhil”, atau mengata kekurangan agamanya, sepert: “Si Polan berpura-pura alim”, dan yang seumpamanya. Perlu diingat bahawa mengatakan mengenai seseorang walaupun perkara itu benar dianggap sebagai mengumpat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghîbah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya.” Dikatakan: “Apakah pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku?”Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar, maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Adapun umpat atau fitnah yang dicela syara‘ itu tidak hanya terbatas pada umpat atau fitnah dengan lidah bahkan juga dengan perbuatan. Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab beliau Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn menyebutkan bahawa menyebarkan dengan apa sahaja cara umpat atau fitnah yang boleh difahami sama ada dengan percakapan, isyarat atau tulisan juga adalah haram.
Adapun banyak perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat atau memfitnah, antaranya:
1. Untuk meredakan kemarahannya terhadap orang tersebut dengan cara mengumpat atau memfitnahnya. 2. Dengki atau iri hati terhadap seseorang yang mendapat pujian, disukai atau dimuliakan oleh orang ramai. Untuk menghilangkan segala kemuliaan itu, maka disebarkan berita buruk mengenai orang tersebut
3. Untuk gurauan dan mengisi waktu dengan gelak tawa, maka disebut keaiban orang lain.
4. Mengejek dan menghina. Perbuatan ini dapat dilakukan sama ada ketika kehadiran orang yang diejek atau semasa ketiadaannya.
Apabila dilihat kepada perkara di atas, jelas bahawa punca seseorang itu mengumpat atau memfitnah orang lain adalah untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang yang diumpat atau difitnahnya. Inilah antara perbuatan yang sangat-sangat dilarang oleh Islam, sama ada disedari ataupun tidak.
Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sebagai Tempat Penyebarluasan Umpatan atau Fitnah
Walaupun penggunaan sumber teknologi maklumat dan komunikasi memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada penggunanya, namun jika disalahgunakan ia juga merupakan medium terhebat untuk menyebarluaskan perkara-perkara yang tidak elok pada pandangan syara‘, antaranya:
1. Menjadi medan untuk mengata atau mengaibkan orang lain.
2. Menjadi tempat perdebatan dan bertegang urat.
3. Menjadi saluran untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu pihak sehingga boleh menaikkan kemarahan orang ramai terhadap pihak tersebut.
4. Menjadi tempat penyebarluasan masalah sosial, bukan sahaja di kalangan remaja, malahan kanak-kanak dan orang-orang dewasa. Kesemua penyalahgunaan di atas memberi impak negatif pada individu, masyarakat malahan agama dan negara seperti semakin tersebar luas umpat dan fitnah di kalangan masyarakat. Persoalannya, adakah umpat dan fitnah menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat juga dianggap seperti umpat dan fitnah yang dilarang syara‘?
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ sebagaimana di atas, bahawa salah satu bentuk umpatan dan fitnah adalah dengan tulisan, sebagai contoh: Seorang pengarang buku dengan jelas menyebut orang tertentu di dalam penulisannya bahawa: “Si Polan itu begini dan begini”, dengan tujuan menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka yang sedemikian itu hukumnya adalah haram.
Oleh yang sedemikian, maka umpat dan fitnah melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti blog, e-mail atau WhatsApp juga dianggap sebagai satu bentuk penyebaran umpat dan fitnah dengan tulisan dan ini juga merupakan perbuatan yang dicela oleh syara‘. Ini kerana penyebaran dalam bentuk ini juga tidak sunyi daripada kejahatan umpat dan fitnah seseorang terhadap orang lain.
Perlu kita sedar, penyebaran umpat dan fitnah melalui kemudahan teknologi dan komunikasi ini turut menyumbang kepada perpecahan dan perbalahan ummah, bahkan ia lebih dahsyat lagi daripada penyebaran biasa kerana kepantasan penyampaian yang sekelip mata dengan hanya menekan ‘send’ (hantar/kirim) terus kepada penerima dapat merealisasikan niat buruk seseorang yang ingin mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang lain.
Sebagai kesimpulan, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi adalah hasil ciptaan terbaik manusia yang seharusnya digunakan untuk manfaat dan kebaikan, bukan sebaliknya. Janganlah hendaknya hasil kemajuan minda manusia ini pula menjadi penyebab kemunduran akhlak ummah dek kerana berleluasa umpat dan fitnah yang ditabur di laman maklumat dan komunikasi.
ADA KEMAMPUAN WANG RINGGIT: Jangan Lupa Untuk Berkorban
Bulan haji tidak lama lagi akan menjelang dan umat Islam akan meraikan pula Hari Raya Adha (‘Idul Adha), iaitu pada 10 Zulhijjah. Berbeza dengan Hari Raya Fitrah (‘Idul Fitri), pada Hari Raya Adha ini Islam telah mensyariatkan satu ibadat yang merupakan salah satu daripada syi‘âr agama Islam, iaitulah ibadat korban dan ia sunat dilakukan oleh setiap orang Islam.
Tuntutan hanya sekali dalam setahun, jelas sekali menunjukkan masa untuk melaksanakan ibadat ini adalah terhad. Amat sayanglah jika peluang untuk melaksanakannya dibiarkan begitu sahaja tanpa usaha untuk melakukannya apalagi jika seseorang itu ada kemampuan wang ringgit. Ini kerana selain daripada suatu tuntutan agama, ibadat korban juga memberi impak besar dalam menjana sifat ketaqwaan dalam jiwa seseorang sekaligus dengan keikhlasan berkorban turut membuktikan ketulusan hati mencintai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Bukankah keistimewaan yang seumpama ini yang kita cari?
Atas dasar itu, tidaklah mengapa mengeluarkan sedikit jumlah daripada harta yang dimiliki untuk melaksanakan ibadat korban atau paling tidak pun berusaha untuk dapat melaksanakannya melalui inisiatif lain yang memudahkan peluang untuk melaksanakan korban.
Tuntutan Melakukan Ibadat Korban
Hukum berkorban adalah sunat mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut. Jumhûr ulama mengatakan adalah sunat melakukan ibadat korban bagi orang yang berkemampuan pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).
Hukum sunat mu’akkadah melakukan ibadat korban ini terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Sunat mu’akkadah ‘ainiyyah iaitu sunat yang dituntut sekalipun jika dia tinggal bersendirian dalam sebuah rumah.
2. Sunat mu’akkadah kifâyah iaitu sunat yang dituntut secara umum; jika sesebuah keluarga tinggal dalam sebuah rumah, adalah memadai jika salah seorang daripada mereka melakukan korban. Dalam keadaan ini, apabila salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan melakukan ibadat korban, maka gugurlah tuntutan sunat mu’akkadah kifâyah daripada anggota keluarga yang lain. Namun jika ramai antara ahli keluarga yang melakukannya adalah lebih baik.
Walau bagaimanapun hukum sunat berkorban itu menjadi wajib apabila berlaku salah satu daripada dua perkara, iaitu apabila:
1. Menentukan binatang korban:
Contohnya seseorang berkata: “Ini korbanku” dengan menentukan kambing yang dimilikinya. Namun tidaklah binatang korban itu menjadi binatang yang ditentukan jika dia hanya berniat semata-mata tanpa melafazkannya.
2. Dinazarkan:
Contohnya seseorang berkata: “Aku bernazar untuk berkorban pada tahun ini.”
Hikmah Pensyariatan Ibadat Korban
Antara hikmah yang ada di sebalik pensyariatan ibadat korban ini ialah:
1. Mengingatkan kita tentang ketaatan dan ketaqwaan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sehingga sanggup melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalâm. Sifat baginda yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengatasi rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anaknya. Ketaatan baginda itu mendapat pujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sehingga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menggantikan Nabi Ismail ‘Alaihissalâm dengan seekor kibasy sebagai korban.
2. Meningkatkan ketaqwaan kerana meninggikan syi‘âr Islam kerana peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalâm tadi merupakan salah satu daripada syi‘âr Islam.
3. Menyemai sikap sentiasa bersyukur kerana salah satu hikmah pensyariatan ibadat korban adalah melahirkan kesyukuran kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap ni‘mat hidup yang telah diberikanNya.
Ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya adalah tidak terkira. Antaranya ni‘mat rezeki binatang ternakan dijadikan untuk dimanfaatkan oleh manusia serta diizinkan kepada mereka untuk menyembelihnya sebagai makanan. Manakala untuk menyatakan rasa syukur ini, salah satu caranya ialah dengan melaksanakan ibadat korban bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan lebih pada Hari Raya korban.
4. Menanam sifat ikhlas dalam diri ketika melaksanakan apa jua ibadat yang diperintahkan oleh syariat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat termasuklah dalam melaksanakan ibadat korban.
Ini kerana ketika berkorban, syarat-syarat yang perlu dijaga ketika memilih binatang yang hendak dibuat korban itu antaranya ialah binatang tersebut bebas daripada kecacatan atau aib. Dalam konteks pemilihan binatang korban ini, biasanya binatang yang baik fizikal dan banyak dagingnya mempunyai nilai yang lebih mahal. Maka orang yang ingin berkorban hendaklah berlapang dada untuk berbelanja lebih kerana mengadakan binatang korban yang baik fizikalnya. Di sinilah akan menguji sejauh mana keikhlasan seseorang dalam menjalankan tuntutan agama.
5. Mengasuh diri dengan bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang ditimpakan dalam kehidupan, tidak mengeluh dan tetap menyerah dan tawakkal kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bersabar dalam konteks berkorban adalah meneladani sikap Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalâm yang sabar dengan ujian diberikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
6. Memupuk sikap belas kasihan dan tolong menolong terhadap golongan yang tidak berkemampuan.
Pensyariatan ibadat korban boleh memupuk sikap pemedulian terhadap masyarakat terutama sekali fakir dan miskin. Daging korban diagih-agihkan sebagai makanan atau melebihkan rezeki mereka pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq.
Jika korban itu korban sunat, maka disedekahkan satu pertiga daripadanya kepada fakir dan miskin. Manakala jika ia adalah korban wajib, maka daging korban wajib itu akan disedekahkan kesemuanya kepada fakir dan miskin termasuk kulit dan anggota yang lain.
Banyak lagi hikmah yang ada dalam pensyariatan korban bukan sahaja dari segi pahalanya, malahan dari sudut tarbiyyah rohani supaya lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Menabung Duit Untuk Persediaan Berkorban
Mengeluarkan wang sekaligus untuk menyertai korban atau udhhiyyah mungkin membebankan setengah orang kerana untuk melakukan ibadat korban memerlukan jumlah wang tunai tertentu dan tidak semua orang mampu mengadakannya.
Atas dasar itu, terdapat beberapa pihak yang mengambil inisiatif untuk mengadakan kutipan wang secara bulanan dan apabila sudah cukup maka ibadat korban dilaksanakan. Inisiatif ini tidaklah dilarang.
Walau bagaimanapun bagi mengelakkan hasrat itu menjadi nazar, maka memadailah wang yang disimpan atau ditabung itu dijadikan sebagai wang simpanan biasa bagi sebarang kegunaan pada masa hadapan termasuk juga untuk membeli binatang atau lainnya. Bahkan wang simpanan itu boleh diambil atau dikeluarkan oleh penyimpan pada bila-bila masa dia memerlukannya.
Dengan demikian, berkorban itu akan tertakluk kepada kemampuan masing-masing, sama ada seseorang itu akan berkorban pada setiap tahun atau setelah beberapa tahun, jika keadaan mengizinkannya untuk menyertai ibadat korban tersebut.
Bolehkah Berkongsi Pahala Korban?
Pada dasarnya seekor kambing hanya boleh dikorbankan untuk seorang sahaja, begitu juga dengan seekor kerbau hanya boleh dikongsi oleh 7 orang sahaja. Walau bagaimanapun, harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menyembelih dua ekor kibasy dan Baginda berdo‘a:
Maksudnya: Ya Allah! Mohon terima (korban) daripada Muhammad, daripada keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.
Hadits ini yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ secara penuhnya berbunyi:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh bawakan seekor kibasy bertanduk yang kaki-kakinya berwarna hitam, perutnya berwarna hitam dan kedua-dua matanya berwarna hitam. Lalu didatangkanlah kibasy yang dimaksudkan untuk disembelih sebagai korban. Baginda bersabda kepada ‘Aisyah: “Wahai ‘Aisyah, berikan kepadaku pisau!”, kemudian Baginda bersabda: “Asahlah dulu dengan batu!”, maka dia (‘Aisyah) melaksanakannya. Selanjutnya Baginda mengambil pisau itu dan memegang kibasy lalu Baginda membaringkannya, kemudian Baginda menyembelih, kemudian Baginda mengucapkan:
(Dengan nama Allah, ya Allah! Mohon terima daripada Muhammad, daripada keluarga Muhammad dan juga daripada umat Muhammad) kemudian Baginda berkorban dengannya. (Hadits riwayat Muslim) Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mensyarahkan hadits ini berkata:
Ertinya: (Hadits) ini dijadikan dalil oleh ulama yang mengharuskan seseorang berkorban untuk dirinya dan untuk keluarganya, serta dia dan mereka bersekutu (sama-sama) mendapat pahalanya. Itulah mazhab kita dan mazhab jumhûr.
Sekalipun pahala berkorban itu diniatkan untuk dikongsi oleh orang lain bukanlah bermakna ia mengurangkan pahala perbuatannya melakukan ibadat korban itu.
Oleh itu, jika ada kemampuan wang ringgit, laksanakanlah. Paling tidakpun berazamlah untuk berusaha ke arah melaksanakan ibadat korban dengan melakukan beberapa inisiatif yang pelbagai walau hanya sekali seumur hidup kerana ganjaran yang dikurniakan dalam ibadat korban ini bukannya sedikit. Selain ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kita juga dapat menerapkan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Jangan hanya ketiadaan wang dan kemampuan dijadikan alasan untuk tidak berkorban.
SETAKAT MANA DAGING KORBAN HARAM DIPINDAHKAN KE NEGERI LAIN?
Sambutan Hari Raya Korban di negara kita nampak meriah dengan pelaksanaan ibadat korban yang banyak dibuat di mana-mana tempat seperti di masjid-masjid, jabatan-jabatan kerajaan ataupun swasta. Begitu juga banyak dibuat di rumah-rumah persendirian. Daging korban tersebut disedekahkan kepada saudara mara ataupun sahabat handai, terutama sekali golongan fakir dan miskin tidak kira di mana juga mereka berada. Justeru itu ada di antara orang yang berkorban itu ingin mengagihkan daging korbannya itu kepada saudara maranya yang berada di negara jiran berdekatan kerana dianggap mereka itu lebih berhak memiliki daging korban disebabkan keadaan mereka yang susah.
Dalam perkara mengagihkan daging korban kepada saudara mara yang berada di luar negeri hendaklah difahami dan dipastikan apa dia bahagian daging korban yang boleh dipindahkan dan bahagian daging korban yang tidak boleh dipindahkan. Ini adalah supaya tidak bersalahan dengan hukum yang telah disyariatkan. Oleh itu, berikut diterangkan dengan lebih lanjut mengenai hukum memindahkan daging korban ke negara lain.
Memindah Daging Korban Ke Negeri Lain
Pada dasarnya keharusan memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain adalah bergantung kepada jenis ibadat korban yang dilakukan iaitu sama ada ibadat korban wajib ataupun sunat. Kedua-dua ibadat korban ini mempunyai perbezaan hukum apabila dagingnya hendak dipindahkan ke negeri lain.
As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan di dalam kitabnya Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa di dalam kitab an-Nihâyah telah diputuskan mengenai memindahkan daging korban dari negeri tempat korban itu dibuat hukumnya adalah haram seperti mana juga dalam hal memindah zakat, sama ada korban itu korban sunat atau korban wajib. Adapun yang dimaksudkan dengan korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin.
Untuk lebih jelas, berikut diterangkan hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain mengikut jenis ibadat korban:
• Korban wajib:
Kesemua daging korban wajib daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada negeri tempat binatang korban itu disembelih. Inilah pendapat jumhûr ulama asy-Syafi‘iyyah.
Apa yang perlu dibuat dalam hal ini, daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.
• Korban sunat:
Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan atau dihadiahkan oleh orang yang berkorban dan terdapat juga bahagian yang wajib disedekahkan.
Dalam hal ini, bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain, sementara bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin pula wajib disedekahkan di negeri tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.
Gambaran bahagian daging korban sunat yang boleh dipindahkan ke negeri lain itu adalah seperti berikut:
Dalam korban sunat adalah disunatkan membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian:
1. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan ini.
Oleh kerana bahagian sepertiga (1/3) ini adalah untuk disedekahkan dan diagihkan kepada fakir dan miskin di negeri (tempat) binatang korban disembelih, maka haram ia dipindahkan ke negeri lain.
2. Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.
Sunat hukumnya orang yang berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil berkat. Bahagian ini harus dipindahkan ke negeri lain.
3. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Orang yang berkorban sunat, harus menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya daripada kalangan orang Islam. Bahagian ini juga harus dipindahkan ke negeri lain.
Oleh yang demikian, sebagaimana yang dijelaskan bahawa bahagian yang hanya boleh dipindahkan ke negeri lain itu ialah bahagian daging untuk dirinya sendiri dan untuk dihadiahkan kepada orang kaya. Manakala bahagian yang diperuntukkan kepada fakir dan miskin wajib diagihkan kepada fakir dan miskin yang berada di negeri tempat orang itu menyembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.
Melaksanakan Ibadat Korban di Luar Negeri
Selain daripada memindahkan daging korban ke negeri lain, tidaklah salah jika ingin melakukan ibadat korban di negeri yang dirasakan ramai orang yang lebih berhak menerima bahagian daging korban tersebut. Malah adalah diharuskan memindahkan wang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Perkara berkorban atau beraqiqah di luar negeri ini pernah ditanyakan kepada Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi Rahimahullâhu Ta‘âlâ sepertimana disebutkan dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn. Pada masa itu telah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi (di negerinya)
Beliau menjawab dengan berkata: “Perbuatan sedemikian itu adalah sah dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (Kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/381)
Namun begitu, dalam hal memindahkan daging korban itu juga adalah dibolehkan sekadar bahagian yang harus dipindahkan daripada korban sunat sahaja. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitabnya Sabîl al-Muhtadîn ketika menukilkan perkataan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
“Kata Syeikh saya, Muhammad bin Sulaiman: “Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu.”
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullâhu Ta‘âlâ kemudian berkata: “Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya dari negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram …… dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallâhu ‘alam.” (Kitab Sabîl al-Muhtadîn: 228)
Kemudian Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata lagi: “Jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir dan miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain.” (Kitab Sabîl al-Muhtadîn: 230)
Sebagai kesimpulan, orang yang berkorban harus memindahkan daging korbannya ke negeri lain jika ibadat korban yang dilakukannya itu korban sunat, tetapi daging korban yang dipindahkan itu hendaklah daripada bahagian yang harus dihadiahkan atau dimakan olehnya sahaja, bukan daripada bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin kerana bahagian fakir dan miskin itu haram dipindahkan ke negeri lain.
Begitu juga adalah haram memindahkan daging korban wajib dari negeri tempat ia disembelih kerana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah.
ALLÂHU AKBAR! Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 Mula Berkuatkuasa
Agama Islam memelihara kemashlahatan dan menolak kerosakan terhadap keperluan asas kehidupan manusia yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu disyariatkan undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi memelihara keperluan asas ini.
Undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu meliputi segala aspek kehidupan manusia, sama ada dari segi aqidah, syariat dan akhlak. Inilah yang menunjukkan betapa undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu amat sempurna dan tidak ada cacat celanya berbanding undang-undang ciptaan manusia. Oleh sebab itu, undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ inilah sepatutnya kita amalkan demi menjamin mashlahat manusia sejagat.
Alhamdulillâh, Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah pada 22 Oktober 2013 dan Akta Perintah ini akan mula berkuatkuasa enam bulan selepas ia digazetkan secara berfasa. Perkara ini telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al- Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Perasmian Majlis Ilmu 2013 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Fasa-fasa pelaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah ini adalah seperti berikut:
Fasa pertama: Berkuatkuasa 6 bulan selepas Akta Perintah ini diwartakan.
Dalam fasa pertama ini akan dilaksanakan peruntukan-peruntukan bagi semua Kesalahan Am dalam Bahagian IV Penggal IV yang membawa kepada hukuman denda atau penjara.
Fasa kedua: Berkuatkuasa 12 bulan dari tarikh Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah (SYARIAH CPC) diwartakan.
Dalam fasa kedua ini akan dilaksanakan peruntukan-peruntukan bagi kesalahan-kesalahan di dalam Bahagian IV Penggal I, II dan III yang boleh dikenakan hukuman had, qisas, diyat, badal al-sulh atau arsy kecuali kesalahan yang membawa kepada hukuman mati.
Fasa ketiga: Berkuatkuasa 24 bulan dari tarikh Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah (SYARIAH CPC) diwartakan.
Dalam fasa ketiga ini pula, Perintah ini dikuatkuasakan sepenuhnya termasuk pelaksanaan hukuman mati.
Pelaksanaan Akta Perintah ini adalah sebagai menjunjung perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antara lain firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah engkau menetapkan hukum di antara mereka mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka serta berwaspadalah terhadap mereka supaya mereka tidak memesongkan engkau daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada manusia itu adalah orang-orang yang fâsiq. (Surah al-Mâ’idah: 49)
Ayat ini jelas menunjukkan kewajipan menetapkan hukuman dengan mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Banyak dalil yang menunjukkan ketetapan hukum daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama ada daripada al-Qur’an ataupun hadits, antaranya seperti firman Allah Ta‘ala mengenai hukuman bagi pencuri:
Tafsirnya: Adapun orang lelaki dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah (pergelangan) tangan (kanan) mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Mâ’idah: 38) Demikian juga hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallâhu ‘anhu mengenai Ma‘iz bin Malik al-Aslami. Dia datang menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan zina dan ingin membersihkan dirinya daripada dosa. Namun Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menolak pengakuannya itu malah Baginda mengutus seseorang kepada kaum Ma‘iz untuk bertanyakan kesiuman akal Ma‘iz dan mereka memberitahunya bahawa akal Ma‘iz dalam keadaan baik dan waras. Setelah Ma‘iz datang kali keempat menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk membuat pengakuan zinanya maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya digali lubang untuk Ma‘iz dan direjam sampai mati.
Oleh itu adalah menjadi fardhu Kifayah mewujudkan kuasa kehakiman sebagaimana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri menghakimkan orang ramai. Baginda juga pernah mengutus para sahabat Baginda di daerah-daerah lain untuk menghakimkan orang ramai seperti Saiyidina ‘Ali Karramallâhu Wajhah diutus ke Yaman dan ‘Abdullah bin Mas‘ud diutus ke Kufah.
Memang tepat dan wajarlah Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah ini dikuatkuasakan di negara kita Brunei Darussalam. Hasrat kerajaan bukanlah untuk menyusahkan siapa-siapa atau mana-mana pihak, apatah lagi untuk menzalimi akan tetapi adalah untuk menegakkan keadilan dan memelihara keamanan sebagai amanah. Mudah-mudahan dengan tertegaknya keadilan dan terpeliharanya keamanan akan bertambah-tambah lagi kemakmuran Negara Brunei Darussalam. Selain itu ia juga adalah untuk mengharapkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Tidak dinafikan timbulnya suara orang-orang yang mempersoalkan undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini dengan mengatakan bahawa undang-undang tersebut tidak adil dan zalim. Ada juga pihak yang mendakwa bahawa undang-undang tersebut belum sesuai untuk dilaksanakan pada zaman ini.
Tanggapan dan dakwaan bahawa undang-undang tersebut sebagai tidak adil dan zalim adalah tidak betul sama sekali. Perintah kanun yang akan dilaksanakan itu merupakan satu rahmat kurnia Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, siapa Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil dan Dia meletakkan hukumNya dengan adil.
Undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tidak membezakan taraf atau kedudukan orang yang telah melakukan kesalahan, sama ada dia orang kaya atau miskin, berkedudukan tinggi atau orang biasa, kuat atau lemah, mereka akan tetap dihukum atas kesalahan mereka. Hal ini terbukti sebagaimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang mengisahkan seorang wanita daripada qabilah Makhzumiyah (qabilah yang besar daripada kaum Quraisy) yang telah mencuri. Lalu kaum kerabat wanita tersebut mengutus Usamah untuk memohon kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam agar wanita yang mencuri itu tidak dihukum hudûd. Namun permohonan tersebut ditolak oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Baginda bersabda dalam khutbahnya:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah apabila mereka mendapati orang mulia di kalangan mereka yang mencuri, nescaya mereka membiarkannya sahaja. Namun jika mereka mendapati orang lemah di kalangan mereka yang mencuri, nescaya mereka akan menjatuhkan hukuman hudud ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya. (Hadits riwayat Muslim)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menzalimi seseorang pun daripada makhlukNya akan tetapi manusia itu yang menzalimi diri mereka sendiri. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: (Azab) yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri. Dan sesungguhnya Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah al-Anfâl: 51)
Hakikatnya, manusia itu akan mendapat balasan atas apa yang mereka lakukan. Oleh itu jika seseorang berbuat perkara yang baik, maka dia akan mendapat manfaat dan kebaikannya, manakala bagi orang yang berbuat kejahatan, berbuat perkara maksiat, maka sudah tentu mereka akan mendapat balasan di atas perbuatan mereka itu. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang mengerjakan amalan salih maka (faedahnya) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka mudharatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu sekali-kali tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fushshilat: 46)
Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menghukum hamba-hambaNya melainkan hanya kepada orang yang berbuat dosa. Allah sama sekali tidak menzalimi hambaNya malahan merekalah yang menzalimi diri mereka atas perbuatan mereka sendiri.
Adapun tanggapan pihak yang mendakwa bahawa undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu belum sesuai untuk dilaksanakan pada zaman ini adalah tidak tepat. Sebenarnya undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itulah yang paling sesuai dan yang terbaik untuk digunakan bagi mendapatkan keadilan yang sebenar.
Undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sesuai di sepanjang zaman, dari zaman dahulu hingga sekarang malah sesuai pada bila-bila masa. Janganlah kita mengikut jejak langkah orang-orang terdahulu yang hanya mengikut sebahagian hukum-hukum yang terdapat di dalam kitab mereka. Mereka hanya akan mengikut hukum yang memenuhi keinginan dan kehendak mereka dan meninggalkan hukum yang tidak memenuhi keperluan mereka. Hal ini telah diberi peringatan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Adakah kamu hanya percaya kepada sebahagian isi Kitab (Taurat) dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan di dunia dan pada Hari Kiamat mereka akan ditolak ke dalam seberat-berat azab (neraka). Dan Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Baqarah: 85)
Sepatutnya tidak berlaku reaksi yang negatif terhadap pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah ini, apatah lagi daripada kalangan rakyat dan penduduk yang beragama Islam. Sebaliknya, kita sepatutnya bersyukur kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di atas kemunculan akta ini.
Setiap anggota masyarakat selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam adalah berperanan untuk bersatu padu mendukung pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah ini. Perkara ini ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Baginda sempena Majlis Ilmu 22 Oktober, 2013 yang berbunyi: “Beta berharap, sesiapa juga yang berstatus rakyat dan penduduk negara ini, akan sama-sama berdiri teguh dan berganding bahu dalam mendukung dan mengalu-alukan kelahiran Akta yang bersejarah ini. Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian dari ‘sejarah besar’ kita dan Negara.”
Sebagaimana penjelasan sebelum ini, hukum mewujudkan kuasa kehakiman itu adalah fardhu Kifayah dan ketetapan hukum dengan mengikut apa yang diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah wajib, maka memang sepatutnyalah kita selaku rakyat menyokong dan mendukung pelaksanaan akta ini. Tambahan lagi hukum mentaati pemerintah itu adalah wajib sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-‘Amri’ (orang-orang yang berkuasa). (Surah an-Nisâ’: 59)
Oleh itu, sokong dan dukunglah pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah ini, mudahan-mudahan kita mendapat keberkatan daripadanya dan mudah-mudahan kita tidak tergolong orang yang dilabel oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai orang kafir, zalim dan fâsiq kerana tidak menetapkan hukum mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
KANUN HUKUMAN JENAYAH SYARI‘AH: Kurang Kefahaman Punca Pertikaian
Negara Brunei Darussalam telahpun menguatkuasakan fasa pertama pelaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah pada 1hb Mei 2014. Alhamdulillâh, peristiwa bersejarah ini telah diisytiharkan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 30hb April 2014.
Tidak syak lagi ia merupakan rahmat dan ni‘mat yang besar bagi Negara Brunei Darussalam. Sungguhpun begitu, pada saat pengisytiharannya malah sebelum itu lagi, telah muncul golongan-golongan yang mempertikai pelaksanaan hukuman ini. Apa yang menghairankan dan amat menyedihkan, sebahagian golongan yang mempertikai itu termasuk daripada kalangan orang Islam sendiri.
Mereka bukan sahaja mendakwa hukuman kanun ini tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini malah mereka juga mengatakan ia adalah hukuman zaman kuno. Lebih dahsyat lagi, mereka mendakwa hukuman ini zalim dan tidak adil. Antara mereka ada yang merasa takut apabila hukuman ini dilaksanakan kononnya ramailah orang akan kudung atau tidak bertangan, orang akan mati dihukum bunuh, direjam dan disebat. Demikian juga sebahagian mereka bimbang tidak akan ada pelancong datang melawat, ekonomi akan merosot dan bermacam-macam lagi alasan dan andaian yang mereka luahkan, semata-mata mengikut akal dan logik mereka sendiri. Sebenarnya cakap-cakap dan dakwaan-dakwaan begini timbul berpunca daripada kurangnya kefahaman mereka mengenai hukuman ini. Mereka mempertikai hukuman ini dengan tidak berbekalkan ilmu yang mendalam mengenainya, bahkan mereka hanya mengikut akal dan logik serta mengambil pendapat daripada orang-orang yang bukan ahlinya sehingga menimbulkan dakwaan dan takwilan yang bermacam-macam.
Di manakah letaknya iman kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Rasul dan kitabNya? Bukankah undang-undang ini kepunyaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana disebut oleh al-Qur’an mahupun melalui hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam?
Orang yang beriman tidak akan mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada RasulNya malah mereka akan patuh mentaatinya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Rasulullah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan di antara seorang dengan yang lain daripada rasul-rasulNya.” Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami taat (suruhan Engkau). (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah: 285)
Ingatlah, akibat orang yang tidak mengakui hukum-hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu boleh merosakkan aqidah dan membawa kepada kekufuran.
Hukum Allah Itu Adil
Ketahuilah bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil dan Dia meletakkan hukumNya dengan adil. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menghukum hamba-hambaNya melainkan hanya kepada orang yang berbuat dosa. Allah sama sekali tidak menzalimi hambaNya malahan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang mengerjakan amalan salih maka (faedahnya) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka mudharatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu sekali-kali tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fushshilat: 46)
Hukum Allah Itu Sesuai Sepanjang Zaman
Sesungguhnya hukum Allah itu sesuai untuk sepanjang zaman, dari zaman dahulu hingga sekarang malah sesuai pada bila-bila masa. Contohnya hukuman sebat, ia juga masih terpakai dalam undang-undang sivil di zaman sekarang akan tetapi cara sebatan dan kesannya adalah jauh berbeza daripada sebatan dalam hukuman jenayah Islam.
Sebatan dalam undang-undang sivil bermatlamat untuk menghukum pesalah semata-mata dengan sebatan yang keras dan memeritkan sehingga menyebabkan pesalah menderita sepanjang hayat.
Ini berbeza dengan sebatan yang dilaksanakan dalam hukuman jenayah Islam, ia bermatlamat untuk membersihkan rohani, mengasuh dan mendidik pesalah dan juga masyarakat. Cara sebatannya pula tidak menyeksakan sepertimana sebatan undang-undang sivil. Ia dilakukan dengan sebatan sederhana dengan cara mengangkat tangan perlahan-lahan dan tidak mengangkatnya tinggi sehingga ke paras kepala.
Apa yang ingin disentuh di sini, hukuman sebat itu masih juga diterima pada zaman ini sungguhpun pelaksanaannya berbeza dengan hukum Allah. Persoalannya mengapa sebatan dalam hukum Allah itu dipertikai kesesuaiannya walhal ia jauh lebih rasional berbanding sebatan dalam undang-undang sivil yang hanya semata-mata menghukum dan menyeksa pesalah? Jelaslah bahawa sebatan dalam hukum Allah itu sesuai di sepanjang zaman. Demikianlah juga dengan lain-lain hukuman. Ia diletakkan dengan kebijaksanaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Tinggi IlmuNya.
Hikmah Pensyariatan Undang-Undang Jenayah Syar‘iah
Sungguhpun pada Hari Kiamat nanti Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan azab dan balasan ke atas orang-orang yang berbuat dosa, namun ia tidak menghalang manusia daripada melakukan kemudharatan terhadap kepentingan individu dan masyarakat dalam kehidupan di dunia. Oleh itu, disyariatkan hukuman bagi menjamin kesejahteraan manusia di setiap zaman dan tempat sehinggalah jenayah dan perbuatan yang merosakkan di muka bumi ini yang sukar untuk diperbaiki melainkan dengan cara dihukum dapat dibendung.
Cuba kita perhatikan dan amat-amati jenayah curi contohnya, betapa mangsa curi itu bersusah payah membanting tulang pada siang dan malam untuk mendapatkan rezeki bagi menyara hidup diri dan keluarga, di samping memenuhi keperluan yang lain seperti membaiki rumah, membeli kenderaan, ubat-ubatan dan keperluan sekolah anak-anak serta menabung untuk keperluan masa hadapan, keperluan menunaikan haji, melakukan amal jâriah dan sebagainya. Tiba-tiba pencuri datang mengambil hak mangsa lalu terputuslah niat dan tujuan murni mereka dalam menyalurkan pendapatan mereka itu.
Dalam jenayah curi, bukan sahaja harta mangsa diambil malahan juga harta benda mereka yang lain turut binasa dan kadang-kadang membawa kepada pertumpahan darah serta kehormatan dicabuli. Ia juga menyebabkan kemunduran, bencana dan menggugat keamanan negara.
Jenayah curi itu adalah umpama anggota yang rosak dalam tubuh badan masyarakat yang wajib dihapuskan. Oleh itu, di sinilah hikmatnya Islam mensyariatkan hukuman potong terhadap anggota badan yang membantu perbuatan curi iaitu tangan yang mencapai sesuatu yang dicuri dan kaki yang pergi menuju ke tempat curi. Hukuman ini bukan sahaja membersihkan rohani, mendidik dan menginsafkan pesalah bahkan juga ia menghalang sesiapa sahaja daripada melakukan jenayah tersebut dan akhirnya hidup pun amanlah daripada ancaman-ancaman jenayah curi.
Prosedur Hukum Allah Itu Kemas
Hukuman-hukuman ini tidaklah dilaksanakan selagi belum memenuhi prosedur pentsabitan dan pembuktiannya yang tertentu. Ia sangat kemas lagi berhati-hati dalam menangani sesuatu kes. Contohnya dalam kes curi, banyak sudut yang perlu dinilai sebelum menjatuhi hukuman seperti jumlah yang dicuri, tempat menyimpan atau cara disimpan benda yang dicuri. Begitu juga dalam kes zina, seperti mesti ada empat orang saksi yang ‘âdil dan mereka ini tidak boleh bercanggah dalam memberi keterangan masing-masing. Namun kedua-dua kes ini tidak akan terlepas daripada hukuman ta‘zîr.
Demikian juga dengan jenayah-jenayah yang lain, ia ditangani dengan teliti sebelum menjatuhi hukuman sebagaimana dalam undang-undang sivil yang memerlukan adanya pentsabitan dan pembuktian yang kukuh. Malahan dalam prosedur pentsabitan dan pembuktian dalam hukum Allah itu jauh lebih kemas, teliti dan halus berbanding undang-undang sivil. Tahap pembuktian untuk menjatuhkan hukuman mestilah mencapai tahap yakin. Tidak memadai jika hanya mencapai tahap melampaui keraguan munasabah.
Dalam hukum Allah, saksi yang ‘âdil dan tidak fâsiq adalah menjadi kemestian. Pada lazimnya sifat ‘âdil ini datangnya daripada orang-orang yang beriman. Ini kerana dengan iman itulah mereka tidak melakukan maksiat dan boleh diharap amanah mereka. Ini berbeza dengan undang-undang sivil yang tidak mengambil kira tentang saksi yang ‘âdil. Ia boleh sahaja daripada sebarang orang walaupun kanak-kanak dan orang bukan Islam.
Betapa hukum Allah itu cukup sempurna, kemas dan teliti. Siapakah kita untuk mempertikaikan hukum Allah Ta‘ala. Siapakah kita berbanding dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Luas IlmuNya.
Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan jangan sewenang-wenangnya mempertikai hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana ia boleh merosakkan aqidah dan membawa kepada kekufuran. Fahamilah dan pelajarilah hukum-hukum Allah ini dan bertanyalah kepada orang yang benar-benar tahu dan mahir mengenainya agar diri tidak terpesong dari jalan yang benar.
NILAI SARIQAH DAN KAITANNYA DENGAN HUKUMAN HADD
Sariqah atau mencuri bermaksud mengambil atau memindah dengan bersembunyi-sembunyi harta alih daripada hirz atau milikan tuan yang empunya harta itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya, dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta tersebut daripada kawalan atau milikan tuannya itu.
Adapun maksud hirz dalam definisi sariqah di atas ialah penjagaan atau tempat penyimpanan sesuatu harta menurut kesesuaiannya berdasarkan hukum syara‘, di mana dengan menjaga atau menyimpan harta dalam hirz itu pemilik harta itu tidak dikira sebagai cuai dalam menjaga hartanya.
Hukuman bagi jenayah sariqah dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah yang diwartakan pada 16 Zulhijah 1434 Hijrah bersamaan 22 Oktober 2013 Masihi ialah hukuman hadd potong tangan kanan pada sendi pergelangannya bagi kesalahan pertama dan hukuman hadd potong kaki kiri sehingga ke buku lali bagi kesalahan kedua. Manakala bagi kesalahan ketiga serta berikutnya pula akan dihukum secara ta‘zîr iaitu penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun.
Hukuman hadd ke atas pesalah jenayah sariqah ini wajib dijalankan kerana ia merupakan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta perintahNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Adapun orang lelaki dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah (pergelangan) tangan (kanan) mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Mâ‘idah: 38)
Hukuman hadd bagi jenayah sariqah ini dilaksanakan dengan penuh berhemah bagi mengajar, menta‘dîb, mendidik serta bagi membanteras jenayah sariqah, sekaligus menolak segala kerosakan serta kesan buruk yang berlaku akibat perbuatan jenayah itu. Pelaksanaan hukuman hadd ini juga boleh memberikan pengajaran kepada pencuri supaya tidak lagi melakukannya sekaligus memberikan peringatan kepada orang lain supaya jangan sekali-kali melakukannya.
Walau bagaimanapun, hukuman hadd tidak sekali-kali dijalankan secara sembarangan atau selarah-larahnya. Ia tertakluk kepada beberapa peraturan, sukat-sukat (garis panduan) serta pensyaratan yang sangat ketat lagi teliti. Salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi pentsabitan hukuman hadd ini ialah nilai harta benda sariqah itu hendaklah mencapai nishâb.
Nishâb ataupun nilai sariqah yang dikenakan hukuman hadd sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah ialah satu dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam mata wang tempatan pada masa kesalahan sariqah dilakukan. Jadi jika harga pasaran satu gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nishâb bagi sariqah yang dikenakan hukuman hadd dalam matawang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.
Dalam perkara nishâb bagi nilai sariqah ini, beberapa perkara perlu diambil perhatian dan dipertimbangkan dengan teliti, yang akan menentukan sama ada hukuman hadd boleh ditsabitkan ke atas pelaku sariqah atau sebaliknya. Jika kita merujuk kepada pandangan para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah:
1. Harta benda sariqah dinilai berdasarkan nilai harta benda tersebut pada ketika sariqah dilakukan.
Dalam kaedah penentuan sama ada nilai sariqah mencapai nishâb ataupun sebaliknya, jumlah nilai sariqah itu adalah dinilai berdasarkan nilai harta benda sariqah pada ketika sariqah dilakukan daripada hirz.
Oleh itu, jika ketika sariqah itu dilakukan nilai harta benda sariqah itu adalah satu dinar, maka hukuman hadd akan dikenakan kepada pencuri itu walaupun setelah sariqah selesai dilakukan nilai harta benda sariqah itu turun daripada nilai asalnya iaitu menjadi kurang dari satu dinar. Dalam hal ini, tidak ada perbezaan sama ada nilai sariqah itu berkurang kerana perbuatan si pencuri itu sendiri, ataupun kerana turunnya harga pasaran harta benda sariqah itu.
Salah satu contoh nilai sariqah berkurang kerana perbuatan si pencuri itu sendiri ialah umpamanya pencuri itu mencuri sesuatu yang bernilai satu dinar, kemudian setelah mencurinya, dia lalu memakan sebahagian hasil sariqahnya itu. Maka dengan sendirinya, ini telah mengurangkan nilai sariqahnya itu daripada nilai asalnya pada ketika pencuri itu melakukan sariqah. Jadi dalam hal ini, walaupun nilai sariqah itu berkurang kerana dimakan oleh pencuri itu, hukuman hadd tetap akan dikenakan ke atasnya kerana ketika sariqah dilakukan nilai harta benda sariqah tersebut adalah satu dinar.
Berbeza halnya jika ketika sariqah dilakukan, nilai harta benda sariqah itu tidak sampai satu dinar, iaitu tidak sampai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd. Dalam hal ini, hukuman hadd tidak akan dikenakan walaupun nilai harta benda sariqah itu bertambah mencapai nilai satu dinar setelah sariqah selesai dilakukan.
2. Tidak disyaratkan pengetahuan pencuri tentang nilai curiannya.
Dalam pentsabitan hukuman hadd dalam jenayah sariqah, tidak disyaratkan sama ada si pencuri itu mengetahui ataupun tidak bahawa nilai curiannya itu telah mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd. Jadi selagimana nilai curiannya mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd tetap akan ditsabitkan ke atasnya, tanpa dibezakan sama ada dia tahu ataupun tidak akan nilai curiannya itu.
Sekiranya pencuri itu bermaksud untuk mencuri sesuatu yang pada sangkaannya kurang daripada nishâb, iaitu kurang daripada nilai satu dinar, lalu dia secara tersilap ataupun secara tidak sengaja terambil nilai yang mencapai nishâb, maka hukuman hadd tetap akan ditsabitkan ke atasnya kerana dia dikirakan telah mengambil nilai yang mencapai nishâb daripada hirznya dengan niat untuk melakukan sariqah. Sebagai contoh, seorang pencuri mencuri sehelai baju yang lusuh yang nilainya tidak seberapa, akan tetapi tanpa pengetahuannya, dalam kocek baju yang lusuh itu terdapat wang ataupun sesuatu benda yang nilainya satu dinar. Maka dalam hal ini, hukuman hadd ditsabitkan ke atasnya walaupun dia tidak mengetahui tentang wang ataupun benda yang berada dalam kocek baju tersebut ketika dia mencuri baju itu.
Adapun jika pencuri itu mencuri sesuatu yang pada sangkaannya mencapai nishâb, lalu setelah melakukan sariqah ternyata nilai curiannya itu tidak mencapai nishâb, contohnya seorang yang mencuri peti yang pada sangkaannya berisi harta mencapai nilai satu dinar, lalu setelah selesai melakukan sariqah, ternyata peti itu kosong tidak berisi, maka hukuman hadd tidak boleh ditsabitkan ke atasnya.
3. Nilai sariqah yang mencapai nishâb bagi pentsabitan hukuman hadd adalah bagi hasil satu kali sariqah.
Bagi mentsabitkan hukuman hadd, hendaklah jumlah nilai curiannya itu mencapai nishâb dalam satu kali sariqah. Maka jumlah hasil curiannya yang pertama, tidak akan dicampur dengan hasil jumlah curiannya yang kedua serta seterusnya.
Jadi sekiranya seorang pencuri itu telah berulang kali melakukan sariqah, tetapi hasil setiap satu kali curiannya itu tidak mencapai nishâb, misalnya setiap kali melakukan sariqah, dia hanya mencuri nilai setengah dinar, maka hukuman hadd tidak akan ditsabitkan ke atasnya, walaupun jika dicampurkan jumlah hasil keseluruhan setiap sariqah yang dilakukannya itu ia mencapai ataupun melebihi nishâb. Ini kerana salah satu syarat bagi mentsabitkan hukuman hadd, hendaklah jumlah nilai curiannya itu mencapai nishâb dalam satu kali sariqah.
4. Hasil sariqah yang nilainya mencapai nishâb itu adalah bagi setiap seorang pelaku sariqah
Nilai sariqah yang mencapai nishâb yang mewajibkan pentsabitan hukuman hadd hanya diambil kira jika nilai satu dinar itu dimiliki oleh setiap seorang pelaku sariqah. Maka jika ada dua orang pelaku sariqah yang bersekutu melakukan sariqah dan nilai keseluruhannya adalah satu dinar, lalu harta sariqah itu dibahagi dua, iaitu setengah dinar tiap seorang, maka hukuman hadd tidak akan dikenakan kerana bahagian tiap seorang tidak mencapai nishâb.
Adapun jika dua orang pelaku sariqah bersekutu memasuki atau mencerobohi hirz dan bekerjasama melakukan sariqah yang nilainya mencapai dua kali nishâb dan tiap seorang daripada mereka masing-masing memperolehi satu nishâb iaitu nilai satu dinar hasil daripada sariqah tersebut, maka hukuman hadd tsabit ke atas kedua-dua orang pencuri itu kerana tiap seorang daripada mereka itu dikirakan telah mencuri nilai satu nishâb. Maka dalam hal ini, tidak ada beza sama ada tiap seorang daripada dua orang pencuri yang bersekutu itu melakukan pemindahan harta sariqah dengan nilai yang sama daripada hirznya, ataupun salah seorang daripada pencuri tersebut hanya memindahkan sebilangan kecil sahaja daripada harta sariqah itu, iaitu tidak sampai satu nishâb, manakala bakinya dipindahkan oleh yang seorang lagi. Ini kerana tiap seorang daripada mereka dikirakan telah bersekutu dalam melakukan sariqah yang bernilai dua kali nishâb tersebut.
5. Harta benda sariqah yang sampai nishâb itu diiktiraf mempunyai nilai dari segi syara‘.
Tidak semua harta benda itu mempunyai nilai dari segi syara‘ walaupun dalam pasaran harganya mencecah ribuan mahupun jutaan ringgit. Dalam perkara jenayah sariqah, hukuman hadd tidak akan dikenakan kecuali jika harta benda sariqah yang mencapai nishâb itu diiktiraf mempunyai nilai dari segi syara‘.
Maka dari itu, jika barang sariqah itu tidak mempunyai nilai atau tidak berharga dari segi syara‘, umpamanya arak, babi, anjing, kulit bangkai yang belum disamak dan yang seumpamanya, maka hukuman hadd tidak dikenakan ke atas pencuri tersebut. Ini kerana semua harta yang telah disebutkan itu bukannya harta dan tidak ada nilainya dari segi syara‘ walaupun dalam pasaran harga barang sariqah tersebut mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd.
Adapun jika seseorang itu mencuri arak yang disimpan dalam sebuah bekas dan nilai bekas itu mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd ditsabitkan ke atas pencuri tersebut kerana nilai bekas arak itu.
Termasuk juga dalam kategori tidak bernilai dan tidak berharga dari segi syara‘ ini ialah setiap alat hiburan yang melalaikan seperti peralatan muzik yang ditegah oleh syara‘ umpamanya gambus dan serunai, begitu juga segala alat-alat maksiat seperti salib, berhala, buku-buku lucah, buku-buku sihir dan sebagainya. Jadi jika benda-benda seperti ini yang dicuri, maka hukuman hadd tidak dikenakan ke atas pencuri itu walaupun pemilik membelinya dengan harga ribuan ringgit. Ini kerana dari segi syara‘, benda-benda tersebut tidak bernilai dan tidak berharga.
Berbeza halnya jika pecahan atau bahagian tertentu daripada benda-benda seperti gambus atau buku-buku maksiat itu mempunyai nilai dari segi syara‘ setelah ia dipecahkan, dipatahkan atau dirosakkan. Jika pencuri itu, misalnya memecahkan gambus itu, lalu dia mencuri beberapa bahagian berharga daripada pecahan bekas gambus itu dengan niat untuk mencuri semata-mata, dan bahagian yang dicurinya itu mencapai nishâb sariqah yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd dikenakan ke atas pencuri itu kerana dia dikira telah mengambil nilai yang mencapai nishâb daripada hirznya dengan niat atau tujuan melakukan sariqah.
6. Tidak disyaratkan pencuri melakukan sariqah terhadap nilai yang sampai nishâb itu dengan menggunakan tangan.
Tidak disyaratkan dalam pentsabitan hukuman hadd bahawa sariqah itu mesti dilakukan dengan tangan. Apa sahaja teknik atau kaifiyyah perbuatan dengan niat mencuri sesuatu harta benda daripada hirznya adalah dikenakan hukuman hadd selagi nilai sariqah itu mencapai nishâb.
Maka sekiranya seseorang itu menebuk sesuatu bekas untuk mengeluarkan sesuatu yang bernilai darinya dengan niat untuk melakukan sariqah, umpamanya dia menebuk bekas yang berisi gandum atau berisi minyak, atau mengoyak kocek untuk menjatuhkan atau mengeluarkan benda yang berada di dalamnya, maka jika benda-benda sariqah tersebut mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, hukuman hadd akan dikenakan ke atasnya kerana dia telah mengambil atau mengeluarkan nilai yang mencapai nishâb daripada hirz atau tempat simpanannya dengan niat untuk melakukan sariqah.
Begitu juga jika pencuri itu memasuki hirz, umpamanya rumah yang berkunci, lalu melemparkan harta curiannya itu keluar rumah, ataupun dia berdiri di luar hirz lalu memasukkan tangannya ataupun apa sahaja peralatan seperti kayu dan sebagainya untuk mengambil harta benda yang berada dalam hirz itu, maka semua ini adalah juga dikenakan hukuman hadd jika nilai harta benda sariqah itu mencapai nishâb.
Demikian juga halnya sekiranya seorang mukallaf menebuk hirz lalu memerintahkan atau memperalatkan kanak-kanak yang belum mumayyiz ataupun orang gila untuk mengeluarkan harta benda daripada hirz tersebut. Dalam hal ini, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika nilai sariqah yang dikeluarkan oleh kanak-kanak ataupun orang gila yang diperalatkan itu mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, tsabitlah hukuman hadd ke atas orang mukallaf yang menyuruh itu. Bagaimanapun, kanak-kanak ataupun orang gila itu tidak dikenakan hukuman hadd kerana mereka hanya dijadikan sebagai ‘alat curian’ baginya semata-mata.
Demikian beberapa penerangan tentang permasalahan nishâb sariqah dan hubungannya dengan pentsabitan hukuman hadd. Sepertimana yang jelas kepada kita, hukuman hadd tidak akan dijalankan sewenang-wenangnya. Hukuman hadd tertakluk kepada peraturan dan pensyaratan yang sangat ketat. Sekiranya syarat itu tidak dipenuhi, ataupun terdapat elemen syubhah dalam kes sariqah itu, maka dengan sendirinya hukuman hadd tidak akan dilaksanakan. Namun, ini bukan bererti penjenayah itu terlepas begitu sahaja daripada hukuman, sebaliknya kes itu akan diselesaikan secara ta‘zîr.
Nyata sekali bahawa Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah adalah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang sangat adil lagi teliti. Sangkaan golongan jahil dan kurang beriman bahawa hukuman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu kejam adalah salah dan tidak berasas sama sekali. Walhal tujuan hukuman hadd bukanlah kerana dendam, geram atau melepaskan kemarahan ke atas pencuri, tetapi ia dijalankan dengan penuh hemah demi menegakkan keadilan dan lebih berbentuk ta‘dîb, pengajaran dan peringatan, semata-mata bagi menjaga kemashlahatan sejagat.
PERSETUBUHAN SESAMA JENIS: Pengundang Laknat dan Azab
Hubungan sejenis sama ada di antara lelaki sesama lelaki (gay) ataupun di antara perempuan sesama perempuan (lesbian) bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara yang melanggar fitrah lagi menjijikkan ini sebenarnya sudah lama mencemarkan moral dan ketamadunan manusia. Dalam al-Qur’an, ada diceritakan bagaimana suatu kaum telah diazab dengan azab yang sangat dahsyat atas perlakuan luar tabi‘i ini.
Persetubuhan sesama jenis termasuk dalam kategori zina. Ia adalah satu amalan yang sangat keji, terlaknat dan terkutuk. Ia juga merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar dan pengharamannya adalah lebih berat dan lebih buruk daripada zina. Jika zina merupakan dosa besar yang ketiga paling besar selepas jenayah syirik dan bunuh, jadi bagaimana pula berat serta buruknya jenayah persetubuhan sesama jenis ini yang dikira lebih besar daripada jenayah zina itu sendiri?
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an ada menceritakan perihal kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang mengamalkan persetubuhan sesama jenis ini serta akibat yang telah ditimpakan ke atas mereka sebagai pengajaran kepada yang lain supaya tidak mengikut jejak langkah mereka. FirmanNya:
Tafsirnya: Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas. (Surah al-A‘râf: 80-81)
Dalam ayat di atas, perbuatan liwat (persetubuhan sesama jenis di antara lelaki) digelarkan sebagai “al-fâhisyah” yang bermaksud “perbuatan yang keji”. Ini tidak syak lagi menunjukkan bahawa ia adalah haram dan wajib dijauhi kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan supaya menjauhi segala perkara-perkara “al-fâhisyah” dalam semua jenis serta rupa bentuknya sepertimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: …dan janganlah kamu mendekati perbuatan keji sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi… (Surah al-An‘âm: 151)
Keharamannya menjadi semakin jelas lagi kerana dalam ayat tersebut Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengutuk dan menggelar mereka sebagai “kaum yang melampaui batas”.
Akibat daripada perbuatan mereka yang jijik, terkutuk dan melampaui batas itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengazab pelakunya, iaitu kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm dengan suatu azab yang tidak pernah ditimpakan ke atas kaum yang lain sebelum itu. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka mereka pun dibinasakan oleh satu tempikan suara yang kuat (yang menggoncangkan bumi) ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (diterbalikkan) dan Kami menghujani atas mereka dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar. 74)-73:ijrH-(Surah al
Manakala perbuatan sihâq (persetubuhan sesama jenis di antara perempuan) pula, juga dikategorikan ulama dalam kategori zina dan para fuqahâ’ tidak berselisih pendapat mengenai keharamannya. Sihâq juga merupakan dosa besar sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir.
Perbuatan sihâq juga tergolong dalam perkara “al-fâhisyah” yang bermaksud “perbuatan yang keji”. Ini sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat berikut:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) daripada kalangan perempuan-perempuan kamu, maka hendaklah kamu mendatangkan atas mereka empat orang saksi lelaki di antara kamu. Lalu apabila mereka telah memberikan kesaksian maka kurunglah mereka (perempuan-perempuan yang berzina itu) dalam rumah sehingga mereka menemui ajal atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (daripada hukuman itu). (Surah an-Nisâ’: 15)
Syeikh Abu Hayyan al-Andalusi Rahimahullâh menukilkan dalam kitab al-Bahr al- Muhîth fi at-Tafsîr, bahawa beberapa ulama tafsir, antaranya Mujahid Rahimahullâh berpendapat perkataan “al-fâhisyah” dalam ayat tersebut bermaksud sihâq.
Hukuman Bagi Jenayah Persetubuhan Sesama Lelaki
Menurut peruntukan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 82 (1), yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 Masehi bersamaan 16 Zulhijjah 1434 Hijrah, hukuman bagi perbuatan liwat adalah sama dengan perbuatan zina. Bab berkenaan menyebut:
“Mana-mana orang yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukkan bagi kesalahan zina.”
Menurut akta ini, pesalah liwat, yang dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahâdah sekurang-kurangnya empat orang syâhid atau saksi menurut hukum syara‘, jika tsabit kesalahan dikenakan hukuman hadd sepertimana hukuman hadd jenayah zina, iaitu:
(a) Jika ia muhsan, direjam sehingga mati dengan disaksikan sekumpulan orang Islam; atau
(b) Jika dia ghairu muhsan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.
Hukuman bagi pesalah liwat ini adalah sama dengan hukuman hadd bagi pesalah zina. Ia berdasarkan pendapat masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘e, iaitu hukuman rejam bagi pesalah yang sudah bernikah dan hukuman sebatan serta taghrîb (pemulauan bagi tempoh satu tahun) bagi pesalah yang belum bernikah. Perkara ini tsabit daripada nash dan ijmâ‘.
Hukuman Bagi Jenayah Persetubuhan Sesama Perempuan
Berlainan pula halnya dengan hukuman bagi jenayah sihâq. Walaupun sihâq juga dikategorikan sebagai perbuatan zina, ia tidak dikenakan hukuman hadd zina sepertimana yang dikenakan ke atas pelaku jenayah liwat. Ini kerana hadd zina hanya khusus dikenakan ke atas pasangan yang melakukan jimâ‘ sama ada melalui faraj atau dubur, sedangkan persetubuhan sesama jenis dalam perlakuan sihâq tidak melibatkan sebarang jimâ‘. Dalam erti kata lain, tidak ada “ilâj” dalam perlakuan sihâq.
Adapun maksud “ilâj” di sini ialah memasukkan seluruh hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya, walaupun dengan memakai hâ’il (lapik) ke dalam qubûl atau dubur sekira-kira dengannya wajib mandi junub. Jadi dalam perlakuan sihâq, ilâj tidak berlaku kerana pelaku sihâq yakni perempuan tidak memiliki zakar.
Disyaratkan juga bahawa zakar dalam permasalahan ini adalah zakar yang asli dan yang bersambung dengan tubuh manusia, yakni bukan yang putus ataupun zakar binatang. Oleh itu, jika yang dimasukkan dalam perlakuan liwat atau sihâq itu bukan zakar, ataupun hanya zakar buatan, atau yang sudah putus atau zakar binatang, maka hukuman hadd tidak akan dikenakan.
Disebabkan ketiadaan berlaku ilâj dalam persetubuhan sihâq ini, maka perbuatan seorang perempuan melakukan persetubuhan sesama jenis dengan perempuan lain tidak dikenakan hadd zina, sebaliknya hukuman ta‘zîr wajib dijatuhi sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut serta sebagai pengajaran kepada yang lain supaya jangan sekali-kali melakukannya.
Hukuman bagi jenayah sihâq ini ada diperuntukkan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 92 (1) dan (2), yang berbunyi:
(1) Mana-mana perempuan Islam yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun, disebat tidak melebihi 40 sebatan atau gabungan mana-mana dua hukuman tersebut.
(2) Mana-mana perempuan bukan Islam yang melakukan musahaqah dengan perempuan Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun, disebat tidak melebihi 40 sebatan atau gabungan mana-mana dua hukuman tersebut.
Dalam peruntukan di atas, “musâhaqah” bermakna apa-apa kegiatan fizikal di antara perempuan dengan perempuan yang akan terjumlah kepada perbuatan seksual jika ia dilakukan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, selain ilâj.
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, bahawa persetubuhan sesama jenis merupakan satu perlakuan yang melampau dengan norma akhlak manusia. Bukan sahaja ia berlawanan dengan hukum syara‘, bahkan ia juga bersalahan dengan fitrah manusia. Ia perbuatan yang meruntun sifat malu, mencalar maruah serta mengundang laknat dan azab. Menurut Imam Ibnu Sirin Rahimahullâh, hanya babi dan keldai sahaja yang tergamak mendatangi kaum sejenisnya. Ini bermakna sesiapa sahaja yang terlibat dalam gejala ini sebenarnya lebih buruk dan lebih hina daripada binatang, bahkan lebih buruk dan lebih hina daripada babi serta keldai itu sendiri. Ini kerana binatang tidak memiliki akal, tidak memiliki iman dan tidak memiliki pegangan agama yang mampu memimpin, membimbing serta menunjukkan kepadanya perkara yang baik dan yang buruk. Sedangkan manusia, bukan sahaja diciptakan memiliki akal, bahkan juga dikurniakan bimbingan syariat yang memimpin dan memandu mereka ke arah jalan yang benar dan menjauhkan mereka daripada kesesatan dan kegelapan. Maka dari itu, tidaklah menghairankan bahawa persetubuhan sesama jenis ini bukan sahaja diharamkan dan dikutuk dalam agama Islam, bahkan juga diharamkan dan dikutuk dalam agama-agama lain.
Secara fitrahnya, seorang lelaki mempunyai kecenderungan kepada wanita dan begitu juga sebaliknya. Jika fitrah aturan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini ditentang dan disalahi, tidak syak lagi ia pasti akan membawa kehancuran kepada kehidupan serta merosak tamadun manusia kerana setiap ketentuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan fitrah kejadian yang diciptakanNya adalah yang terbaik dan satu-satunya jalan yang lurus dan selamat.
Maka jauhilah perlakuan jijik ini, jangan mengundang laknat dan azab. Ambillah i‘tibâr daripada kisah kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang telah ditimpakan azab yang sangat pedih akibat daripada perbuatan mereka yang melampaui batas itu. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan mereka yang sentiasa mendapat rahmat serta hidayahNya.
BERDIAM DIRI, INGAT AKHIRAT: Tuntutan Ketika Mengiringi Jenazah
Mengiringi jenazah sehingga ke perkuburan merupakan perkara yang amat digalakkan kepada golongan lelaki. Ia juga salah satu perkara yang termasuk dalam pengurusan jenazah yang dihukumkan fardhu Kifayah seperti juga memandikan, mengafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Ini kerana mengiringi jenazah termasuk hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum mengiringi jenazah bagi lelaki adalah sunat. Kelebihan mengiringi jenazah pula bukanlah suatu ganjaran yang kecil. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengiringi jenazah seorang Muslim dengan penuh keimanan serta hanya mengharapkan pahala Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan dia telah bersama jenazah itu daripada menyembahyangkannya sehingga selesai menguburkannya, maka dia pulang dengan membawa pahala sebanyak dua qîrâth: Setiap qîrâth menyamai bukit Uhud. Dan sesiapa menyembahyangkannya kemudian pulang sebelum jenazah dikebumikan, maka dia pulang dengan satu qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ganjaran sebanyak ‘dua qîrâth’ sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di atas diperolehi apabila seseorang itu hadir menyembahyangkan jenazah seterusnya mengiringinya ke tanah perkuburan sehingga jenazah tersebut selamat dikebumikan.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga turut menyembahyangkannya, maka baginya satu qîrâth. Sesiapa yang menyaksikannya sehingga jenazah itu dikebumikan, maka baginya dua qîrâth. Ditanyakan: “Apakah dua qîrâth itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Seperti dua bukit yang besar.” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas memberi petunjuk kepada kita akan galakan menyembahyangkan jenazah dan mengiringinya ke perkuburan sehingga selesai ia dikebumikan. Orang-orang yang menyembahyangkan jenazah dan mengiringinya sehingga sempurna pengebumiannya akan mendapat ganjaran pahala dua qîrâth. Satu qîrâth diperolehi kerana menyembahyangkannya, sementara satu qîrâth lagi kerana mengiringi dan menghadiri pengebumiannya.
Manfaat Mengiringi Jenazah
Setiap perintah atau larangan dalam Islam mengandungi hikmah yang kadang-kadang tidak dapat dilihat mata kasar kita dan tidak dapat dicapai oleh minda dengan mudah kecuali apabila kita mendalami setiap tuntutan itu. Dalam perkara mengiringi jenazah ini, banyak manfaat yang boleh diperolehi daripadanya sehinggakan manfaat tersebut tidak hanya untuk si pelakunya atau kepada keluarga si mati, bahkan juga terhadap si mati itu sendiri.
Antara manfaat yang boleh diperolehi daripada perbuatan mengiringi jenazah jika dilakukan dengan keikhlasan dan mengharapkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah:
1. Mengingatkan kita kepada kematian yang pasti akan dialami semua orang.
2. Mendatangkan keinsafan dalam diri tentang Hari Akhirat.
3. Melaksanakan hak si mati sebagai saudara seagama kita sebagaimana yang disebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
4. Menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
5. Mengurangkan kesedihan keluarga si mati dengan kehadiran dan pemedulian orang-orang yang hadir menziarahi jenazah.
Dianjurkan Berdiam Ketika Mengiringi Jenazah
Perkara yang dianjurkan ketika mengiringi jenazah pula ialah mendiamkan diri sepanjang mengiring jenazah. Para ulama bersepakat bahawa makruh hukumnya meninggikan suara ketika mengiringi jenazah walaupun mengangkat suara untuk berzikir atau membaca al-Qur’an atau yang selain keduanya seperti berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, apatah lagi bercakap mengenai perkara-perkara keduniaan.
Apa yang dituntut ketika mengiringi jenazah itu adalah berdiam dan menyibukkan diri dengan bertafakkur tentang kematian dan yang berkaitan dengannya. Dengan berfikir di saat begini, dapatlah seseorang itu muhasabah diri dengan menjadikan kematian itu sebagai peringatan kepada dirinya, bahawa akan tiba saatnya pula untuk dia juga berada di tempat jenazah yang sedang diiringinya itu, di samping mengingatinya tentang Hari Akhirat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Pendapat yang terpilih, bahkan yang betul adalah apa yang dilakukan oleh golongan salaf (salaf ash-shâlih)iaitu berdiam (tidak berkata-kata) ketika berjalan mengiringi jenazah. Tidak mengangkat suara dengan membaca al- Qur’an, tidak berzikir dan selain keduanya. Bahkan menyibukkan diri dengan berfikir tentang kematian dan perkara yang berkaitan dengannya.
Walau bagaimanapun seseorang itu tidak dilarang untuk membaca ayat-ayat al- Qur’an atau berzikir jika dituturkannya secara senyap, hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja.
Bolehkah Perempuan Mengiringi Jenazah?
Bagi perempuan, mengiringi jenazah sehingga ke perkuburan tidaklah digemari oleh syara‘. Walau bagaimanapun ia dihukumkan sebagai makruh dan tidaklah diharamkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:
Maksudnya: Kami dilarang untuk mengiring jenazah, namun tidaklah di‘azamkan (tidak ditekankan) ke atas kami. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya sangat banyak kelebihan yang tersirat dalam tuntutan mengiringi jenazah apalagi jika sudah turut serta dari awal pengurusannya sehingga ia dikebumikan. Selain menunaikan hak sesama Islam, perkara mengiringi jenazah sehingga selesai pengendaliannya ini menjadi satu motivasi dalam mengwujudkan keinsafan kita tentang kematian dan Hari Akhirat, seterusnya mengukuhkan lagi ketaqwaan dan keimanan kita terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang berkuasa menghidup dan mematikan makhluk-makhlukNya.
Ambillah i‘tibâr seolah-olah yang dimandikan dan yang diusung jenazahnya itu pula ialah kita, dengan demikian mendorong kita untuk menyediakan bekalan di akhirat kelak.
KENCING DALAM KEADAAN BERDIRI: Adakah Dilarang?
Kencing atau membuang air kecil adalah perkara semula jadi bagi setiap orang. Kencing atau membuang air kecil ini dilakukan untuk mengeluarkan sisa-sisa metabolisme tubuh (mengeluarkan kotoran tubuh). Dalam melakukan kencing atau membuang air kecil ini adalah dituntut melakukannya dengan betul dan sesuai menurut aturannya.
Menurut syara‘, air kencing merupakan najis, sama ada air kencing kanak-kanak atau orang dewasa. Air kencing ialah air najis yang keluar daripada kemaluan manusia. Ia merupakan najis atau kotoran terbuang yang keluar daripada tubuh manusia.
Menurut ulama air kencing juga merupakan najis hakiki atau ‘aini yang menghalang daripada sah sembahyang. Ini bererti apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang kena najis, ia wajib dibasuh kerana benda-benda itu menghalang sah sembahyang.
Dalam perkara kencing ini, ada orang membuang air kecil dengan cara berdiri dan ada juga dengan cara duduk. Antara kedua-duanya itu, bagaimanakah cara yang tepat menurut syara‘?
Dalam Islam, apa jua perkara ada aturan, adab serta garis panduannya, termasuklah dalam perkara membuang air kecil sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Salman Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau ditanya oleh seseorang:
Maksudnya: Kamu telah diajarkan oleh Nabi kamu tiap-tiap sesuatu hingga perkara buang air. Salman menjawab: “Benar! Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang kita menghadap qiblat ketika buang air besar atau kecil. (Baginda juga melarang) beristinja’ dengan tangan kanan, (melarang) beristinja’ kurang daripada tiga biji batu dan (melarang) beristinja’ dengan tahi binatang yang telah keras atau dengan tulang.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Cara Qadha’ Hajat
Dalam qadha’ hajat pun diajar bagaimana melakukannya, iaitu sunat qadha’ hajat dengan cara duduk sehingga berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan. Kemudian merapatkan kedua-dua peha untuk memudahkan lagi qadha’ hajat. Cara begini akan memudahkan air kencing ataupun najis keluar melalui dubur.
Hukum Membuang Air Kecil dalam Keadaan Berdiri
Para ulama menjelaskan bahawa adab membuang air kecil itu ialah tidak dilakukan dalam keadaan berdiri. Jika dilakukan dalam keadaan berdiri hukumnya adalah makruh.
Hukum makruh membuang air kecil dalam keadaan berdiri ini adalah berdasarkan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membuang air kecil dalam keadaan berdiri, maka jangan kamu mempercayainya, Baginda tidaklah membuang air kecil melainkan dalam keadaan duduk. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Namun begitu, jika terdapat keuzuran atau sebab yang menghalang seseorang itu daripada membuang air kecil dalam keadaan duduk, maka tidaklah makruh baginya untuk membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ hukum membuang air kecil dalam keadaan berdiri tanpa keuzuran adalah makruh tanzîh dan jika ada keuzuran tidaklah makruh.
Begitu juga Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan sedemikian, kecuali disebabkan keuzuran seperti dalam menjalani rawatan atau ketiadaan tempat duduk yang sesuai untuk membuang air kecil.
Di dalam satu riwayat, disebutkan bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendatangi suatu tempat pembuangan sampah suatu kaum, lalu Baginda membuang air kecil dalam keadaan berdiri. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah) Berkenaan hadits di atas para ulama menyatakan beberapa sebab mengenai perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membuang air kecil dalam keadaan berdiri seperti berikut:
1. Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa orang Arab yang menghidap sakit belakang (kebiasaannya) berubat dengan cara membuang air kecil dalam keadaan berdiri. Oleh itu, boleh jadi pada ketika itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengalami sakit tulang belakang.
2. Boleh jadi pada ketika itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengalami sakit lutut.
3. Boleh jadi pada ketika itu tidak ada tempat yang sesuai untuk Baginda duduk membuang air kecil.
4. Baginda berbuat begitu (membuang air kecil dalam keadaan berdiri) adalah bertujuan memberitahu atau menerangkan bahawa perkara itu adalah diharuskan. Namun begitu, dalam banyak keadaan Baginda membuang air kecil dalam keadaan duduk.
Walaupun hadits ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menyatakan bahawa Nabi tidak pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri, namun hadits itu tidaklah memansûkhkan hadits Huzaifah Radhiallâhu ‘anhu yang menerangkan bahawa Nabi pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri. Ini adalah kerana ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ hanyalah berpandukan pengetahuannya sepanjang Nabi berada di rumah dan tidaklah ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengetahui apa yang berlaku sepanjang Nabi berada di luar rumah. Maka apa yang dinafikan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ sebenarnya tidak merangkumi tatacara Rasulullah membuang air kecil apabila berada di luar rumah.
Tambahan lagi Huzaifah Radhiallâhu ‘anhu adalah salah seorang daripada kalangan sahabat yang terkemuka. Sementara itu, terdapat di kalangan para sahabat juga pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri seperti ‘Umar bin al- Khaththab, ‘Ali bin Abu Thalib dan Zaid bin Tsabit Radhiallâhu ‘anhum. Ini menunjukkan keharusan membuang air kecil dalam keadaan berdiri selama seseorang itu selamat daripada terkena najis air kencing.
Dengan demikian, jelaslah bahawa dalam Islam adalah dituntut membuang air kecil dalam keadaan duduk. Walau bagaimanapun, tidaklah makruh jika tidak dapat membuang air kecil dalam keadaan duduk disebabkan perkara-perkara tertentu sepetimana yang disebutkan sebelum ini sehingga terpaksa membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
Namun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ketika membuang air kecil dalam keadaan berdiri, iaitu:
1. Berhati-hati daripada terkena percikan najis air kencing.
Antara perkara yang penting dan perlu dibuat ialah sikap berhati-hati supaya tidak terkena percikan air kencing itu pada badan atau pakaian. Ini kerana kebanyakan seksa kubur juga berpunca daripada sikap yang tidak berhati-hati terhadap air kencing. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Banyak seksa kubur berpunca kerana (tidak berhati-hati) daripada air kencing. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Orang yang tidak berhati-hati atau tidak menjaga dirinya daripada terkena percikan air kencing ketika membuang air kecil itu akan mendapat seksa di kubur. Mengenai perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendengar suara dua orang yang sedang diseksa di dalam kubur mereka sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah lalu di antara dua kubur lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya itu diazab kerana dosa besar. Adapun salah seorang daripada kedua-duanya (diazab) kerana dia berjalan ke sana ke mari mengadu domba sedang yang seorang lagi (diazab) kerana dia tidak mendinding (dirinya daripada) air kencingnya.” Ibnu ‘Abbas berkata lagi: “Lalu Baginda meminta sebatang pelepah tamar, maka dibelahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan belahan pelepah tamar itu ke atas kubur kedua-duanya kemudian Baginda bersabda: “Semoga diringankan kedua-dua (penghuni kubur yang sedang diseksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Dalam kitab Fath al-Bâri diterangkan bahawa maksud “ال يسترت من بوله” (tidak mendinding dirinya daripada air kencingnya) itu ialah tidak membuat sesuatu pendinding di antara dirinya dan air kencingnya atau dalam perkataan yang lain tidak memelihara dirinya dari terkena percikan air kencingnya.
Hukum Percikan Air Kencing
Sepertimana disebutkan sebelum ini, adalah dianjurkan supaya berhati-hati daripada terkena percikan air kencing ketika membuang air kecil. Namun bagaimana pula halnya jika seseorang terkena percikan air kencingnya itu walaupun setelah berhati-hati dan mengambil tindakan yang wajar supaya terpelihara dirinya daripada percikan air kencingnya?
Sebilangan orang kadang-kadang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya selepas mereka membuang air kecil, adakah terkena percikan najis air kencing atau tidak, sehingga perkara itu menghalang mereka daripada melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima.
Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.
Para ulama mazhab asy-Syafi‘e mempunyai pendapat yang berbeza dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.
Pendapat yang shahîh dan terpilih daripada pendapat-pendapat itu ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili Rahimahullâh mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya al-Muqni’ dan Imam al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan dalam urusan agama. (Surah al-Hajj:78)
Membuang Air Kecil Dalam Keadaan Tertutup Atau Berdinding
Selain itu, secara umumnya di tandas-tandas awam pada masa sekarang disediakan banyak tempat-tempat membuang air kecil secara berdiri dan dalam keadaan terbuka tanpa bertutup atau berdinding. Ini juga tidak bertepatan dengan adab yang dituntut dalam Islam iaitu sunat membuang air kecil dalam keadaan yang tertutup.
Islam menganjurkan umatnya supaya membuang air kecil dalam keadaan tertutup atau berdinding daripada pandangan orang. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika membuang air kecil meminta Huzaifah Radhiallâhu ‘anhu untuk melindunginya daripada pandangan orang awam sepertimana diriwayatkan bahawa Baginda memanggil Huzaifah Radhiallâhu ‘anhu sehingga dia berada dekat di belakang Baginda.
Begitu juga dalam riwayat yang lain, diceritakan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah membuang air kecil dalam keadaan duduk sambil memegang perisai untuk menghalang daripada pandangan orang sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abdul Rahman bin Hasanah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah keluar bersama kami dan di tangannya terdapat sesuatu yang berbentuk perisai, lalu Baginda meletakkannya (sebagai penghalang antaranya dengan orang lain), kemudian Baginda duduk lalu membuang air kecil menghadapnya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Ini bermakna, membuang air kecil itu dituntut dalam keadaan tertutup atau berdinding daripada pandangan orang.
Berdasarkan penjelasan di atas, cara kencing atau membuang air kecil yang betul ialah mengikut cara sunah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ketika kencing biarlah mengikut adab yang telah digariskan oleh Islam kerana kebanyakan manusia mendapat azab kubur hanya akibat kencingnya tidak sempurna.
Oleh yang demikian, hukum asal bagi kencing dalam keadaan berdiri adalah makruh. Adapun jika wujud sebarang keperluan, maka ketika itu, kencing dalam keadaan berdiri tidak lagi menjadi makruh. Namun begitu kencing atau membuang air kecil dalam keadaan duduk itu adalah sunnah kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
CARA MENGHADAPI ORANG NAZAK DAN ORANG YANG BARU MENINGGAL DUNIA
Orang yang nazak disebut dalam bahasa Arab sebagai muhtadhar. Ia bermaksud orang yang hampir mati dan permulaan sakarâtul-maut iaitu ketika roh dicabut daripada jasad.
Dalam masyarakat kita, sudah menjadi kebiasaan apabila seseorang mengalami sakit tenat ataupun nazak, sanak-saudara, jiran dan sahabat handai akan datang mengunjungi pesakit tersebut dengan mendo‘akannya, membaca ayat-ayat al- Qur’an dan sebagainya. Kebiasaan masyarakat kita ini adalah amalan yang terpuji dan sayugia ia diteruskan.
Apakah sebenarnya yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang nazak ini? Memang ada orang tidak mengetahui sepenuhnya apa yang diajarkan oleh Islam apabila menghadapi orang yang nazak. Perkara ini perlu diketahui, lebih-lebih lagi oleh ahli keluarga orang yang nazak agar tidak terpinga-pinga memikirkan apa yang perlu dilakukan.
Adab-Adab Menghadapi Orang Yang Sedang Nazak
Islam ada mengajarkan apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang yang nazak ini, seperti berikut:
1. Mentalqîn kalimah tauhid.
Sunat mentalqînkan orang yang nazak itu dengan kalimah tauhid iaitu: َ ال َ إِله َّ هللا إِال ٍُ. Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu talqînkanlah (sebutlah) sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu dengan َ َالَّإِلهّللَُّإِالا (tidak ada tuhan melainkan Allah). (Hadits riwayat Muslim)
Adalah tidak disunatkan menambah ُمَُمَّد ٌ رَسُول ُ هللا ٍِ selepas kalimah tauhid tersebut, kerana mengikut zahir hadits di atas yang hanya menyebutkan kalimah tauhid sahaja.
Cara mentalqînkan orang yang nazak itu memadailah dengan menyebut kalimah tauhid di sisinya sekali atau dikatakan kepadanya: “Mengingati Allah Ta‘ala itu membawa berkat.” supaya dia ingat dan menyebut kalimah tauhid itu. Sekiranya orang yang nazak itu belum juga menyebut kalimah tauhid maka diamlah seketika kemudian barulah mengulangi talqîn.
Janganlah mendesak orang yang nazak dan janganlah dikatakan kepadanya: “Ucaplah”, “sebutlah” atau “katakanlah!” supaya tidak menyakitinya atau menimbulkan rasa meluat.
Sekiranya orang yang nazak itu telah menyebut kalimah tauhid, maka janganlah lagi diulangi talqîn tersebut selagi orang yang nazak itu tidak berkata-kata hal lain sekalipun zikir. Jika orang yang nazak itu berkata-kata hal lain maka ulangilah talqîn itu supaya kesudahan kata-katanya adalah kalimah tauhid sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang kesudahan (akhir) kata-katanya َ َالَّإِلهّللَّإِال ا ٍُ (tidak ada tuhan melainkan Allah) nescaya dia masuk syurga. (Hadits riwayat Abu Daud)
Orang yang melakukan talqîn itu sunat terdiri daripada orang lain yang bukan daripada ahli warisnya supaya mengelak daripada tohmahan untuk mendapatkan segera harta waris, bukan orang yang bermusuhan dengannya, orang yang berdengkian dengannya atau seumpamanya. Sekiranya orang lain itu tidak ada, maka orang yang mentalqînkannya ialah ahli warisnya yang terlebih kasih sayangnya.
Menurut Imam al-Mawardi Rahimahullâh, perbuatan mentalqînkan itu dilakukan terlebih dahulu sebelum orang nazak itu dibaringkan dengan miring ke kanan. Sementara menurut Ibnu al-Firkah Rahimahullâh, jika mampu melakukan di antara talqîn dan baring dengan miring itu sekaligus maka lakukanlah ia dengan serentak akan tetapi jika tidak mampu melakukannya serentak maka mulakanlah dahulu dengan talqîn.
2. Membaringkannya dengan memiringkan ke kanan serta menghadap qiblat.
Orang nazak itu sunat dibaringkan dengan memiringkannya ke kanan sepertimana kedudukan meletakkan mayat di liang lahad. Demikian juga, sunat menghadapkannya ke qiblat kerana ia semulia-mulia arah.
Jika sukar memiringkannya ke kanan disebabkan kawasan yang sempit atau seumpamanya, maka miringkanlah dia ke kiri. Jika yang demikian itu pun sukar, maka baringkanlah dia dengan menelentangkannya dan hadapkan wajah dan kedua tapak kakinya ke qiblat serta tinggikan sedikit kepalanya dengan meletakkan sesuatu seperti bantal agar wajahnya menghadap qiblat.
3. Membaca surah Yâsîn di sisinya.
Sunat membaca surah Yâsîn di sisi orang yang nazak sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bacalah oleh kamu Yâsîn ke atas sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Digalakkan membacanya dengan suara yang jahr (nyaring). Hikmat membaca surah Yâsîn di sisi orang yang nazak adalah supaya dia ingat akan hal-hal Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan. Ini kerana surah Yâsîn itu terkandung di dalamnya hal-hal Hari Kiamat, Hari Kebangkitan, ni‘mat syurga dan azab neraka.
Menurut sebahagian ulama, digalakkan juga membaca surah ar-Ra‘d di sisi orang yang nazak dengan suara yang sirr (perlahan) bagi memudahkan keluar roh.
4. Menegukkannya air.
Sunat menegukkan air kepada orang yang nazak malahan wajib jika ada tanda-tanda orang nazak itu berkehendak kepada air. Ini kerana pada saat nazak itu berlaku si pesakit akan terasa dahaga yang amat sangat. Demikian juga ditakuti pada saat dahaga itu, syaitan mengambil kesempatan untuk menyesatkan orang yang nazak dengan menawarkan kepadanya air, syaitan berkata kepadanya: “Katakanlah olehmu terlebih dahulu bahawa tidak ada tuhan melainkan aku nescaya akan aku berikan engkau minum”. Sekiranya orang yang nazak itu berkata demikian sepertimana yang disuruh oleh syaitan itu sedangkan dia sedar, maka matinya dikhuatiri dalam keadaan tidak beriman.
5. Mengelokkan sangkaannya dengan rahmat Allah Ta‘ala.
Sunat mengelokkan sangkaan orang yang nazak bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merahmatinya dan mengampuni dosa-dosanya, malahan wajib jika orang yang nazak itu ada tanda-tanda kecewa dan putus asa. Suruhan bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini ada disebutkan dalam hadits riwayat Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, tiga hari sebelum kewafatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam beliau mendengar Baginda bersabda:
Maksudnya: Janganlah sekali-kali orang yang akan mati di kalangan kamu melainkan dia mengelokkan sangkaan terhadap Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)
Adab-Adab Menghadapi Orang Nazak Yang Baru Meninggal Dunia
Sebaik sahaja orang yang nazak itu meninggal dunia, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, seperti berikut:
1. Memejamkan matanya.
Sunat memejamkan mata mayat supaya tidak kelihatan buruk pada pandangan. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengunjungi Abu Salamah (yang meninggal dunia) dan matanya terbuka lalu Baginda memejamkannya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya roh apabila dicabut nescaya mata mengikutinya.” (Hadits riwayat Muslim)
Ketika memejamkan mata mayat itu sunat sambil membaca:
Ertinya: Dengan nama Allah dan atas syariat (agama) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
2. Menutup mulutnya.
Sunat menutup mulut mayat dengan cara melilit dari bawah kedua rahang mulut hingga ke atas kepala mayat dengan pembalut supaya mulut mayat itu tidak sentiasa terbuka dan tidak dimasuki oleh serangga.
3. Melembutkan sendi-sendi anggotanya.
Sunat melembut-lembutkan sendi anggota mayat iaitu dengan cara melipatkan lengan bawah ke lengan atas kemudian kembali meluruskannya, melipatkan betis ke paha dan dari paha ke perut kemudian kembali meluruskannya dan melembut-lembutkan jari jemarinya. Ini bertujuan supaya mudah memandikan mayat.
Ia dilakukan sebaik sahaja orang itu meninggal dunia kerana tubuh badan manusia masih hangat sebaik sahaja dicabut rohnya dan sendi-sendi anggotanya masih boleh dilipat-lipat. Jika ia lambat dilakukan maka sukarlah untuk melembut-lembutkan sendi anggotanya itu.
4. Menanggalkan pakaian yang dipakainya dan menutup seluruh badannya dengan kain nipis.
Sunat menanggalkan pakaian yang dipakainya ketika mati dan menutup seluruh badannya dengan kain yang nipis supaya mayat itu tidak hangat dan tidak cepat rosak. Kemudian diselitkan hujung kain di bawah kepala dan di bawah kaki mayat supaya tidak terdedah.
5. Meletakkan sesuatu yang berat di atas perutnya.
Sunat meletakkan sesuatu yang berat daripada jenis besi di atas perut mayat. Jika tidak diperolehi maka gunakan tanah yang basah dan jika tidak diperolehi juga maka gunakan apa sahaja barang yang mudah seperti batu supaya perut mayat itu tidak kembung dan tidak kelihatan buruk pada pandangan.
Barang yang diletakkan di atas perut mayat itu sekurang-kurangnya seberat 20 dirham dan tidak juga terlalu berat sekira-kira tidak menyakiti apabila diletakkan di atas perut orang yang hidup. Jika ia terlalu berat maka hukumnya haram.
Janganlah diletakkan atas perutnya Mushhaf, kitab-kitab hadits dan kitab-kitab ilmu syara‘.
6. Meletakkannya di atas katil.
Sunat meletakkan mayat di atas katil atau di tempat-tempat yang tinggi supaya tidak bersentuhan dengan kelembapan tanah yang menyebabkan mayat itu cepat rosak. Jangan diletakkan di atas tilam kerana ia boleh menyebabkan mayat itu hangat dan cepat rosak.
7. Menghadapkan ke qiblat.
Sunat menghadapkan mayat itu ke qiblat apabila terdaya sepertimana kedudukannya ketika dalam keadaan nazak. Jika tidak ada kesukaran untuk mayat itu dibaringkan dengan cara memiringkannya ke kanan atau ke kiri, maka sesuatu yang diletakkan di atas perut mayat itu perlulah diikat dengan pembalut supaya tidak terjatuh.
Orang yang sepatutnya melakukan perbuatan memejamkan mata mayat, menutup mulut mayat dan kerja-kerja seterusnya adalah mahram si mati yang terlebih kasih sayangnya. Oleh itu, sunat bagi mahram lelaki mengurus mayat lelaki dan mahram perempuan mengurus mayat perempuan. Jika mahram lelaki mengurus mayat perempuan dan sebaliknya adalah harus. Demikian juga kedudukan suami isteri malahan lebih utama suami mengurus mayat isteri dan isteri mengurus mayat suami.
Setelah diyakini kematian orang yang nazak itu dengan adanya tanda-tanda kematian seperti kedua-dua kaki lembik dan tidak menegak, hidung condong dan kedua-dua pelipis cekung atau pengesahan daripada pegawai perubatan yang diiktiraf, maka sunat menyegerakan urusan mayat seterusnya iaitu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan mayat. Malahan wajib menyegerakannya jika ditakuti mayat itu akan rosak. Walau bagaimanapun jika tidak diyakini kematian orang yang nazak itu, maka wajiblah diakhirkan pengurusannya sehingga diyakini kematiannya.
Demikianlah penjelasan mengenai cara menghadapi orang yang nazak dan orang yang baru meninggal dunia. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada ahli keluarga si mati supaya bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan orang yang nazak dan orang yang baru meninggal dunia itu.
TUNAIKAN JANJI SEKALIPUN TERHADAP ORANG BUKAN ISLAM
Hidup manusia di dunia ini akan sentiasa terikat dengan janji, sama ada janji kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau janji kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seterusnya janji kepada orang lain.
Adapun yang dimaksudkan dengan janji kepada Allah adalah beribadat hanya kepadaNya manakala janji yang dimaksudkan kepada Rasul adalah mengikuti segala perjalanan, sîrah, dan kehidupan Baginda. Ini bererti menepati janji kepada Allah dan RasulNya itu adalah pokok atau keutamaan daripada semua janji.
Apabila seseorang berhasil menepati janji kepada Allah dan RasulNya, maka dia pula pasti akan berhasil menepati janji kepada lainnya. Sebaliknya, apabila dia gagal memenuhi janji kepada Allah dan RasulNya itu, maka dia adalah orang yang tidak memegang amanah, sedangkan menunaikan janji itu termasuk dalam kategori akhlak yang mulia dan orang-orang yang bertaqwa. Perkara taqwa ini ada disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesiapa yang menepati janjinya dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa (Surah Âli ‘Imran: 76) Al-Qur’an juga dengan jelas telah menyatakan bahawa janji hendaklah ditepati kerana ia akan dipertanggungjawabkan di Hari Kiamat nanti. Ini bererti, menepati janji itu adalah tuntutan syara‘. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah janji yang kamu buat (sama ada dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan (di Hari Kiamat).
(Surah al-Isrâ’: 34)
Menurut ulama hukum menunaikan janji pada perkara-perkara yang wajib pada syara‘ adalah wajib. Perkara-perkara yang wajib pada syara‘ itu antaranya ialah tanggungjawab kepada keluarga dalam menunaikan nafkah, menjaga amanah yang dititipkan, menjaga harta orang lain dan seumpamanya. Semua itu adalah wajib dijaga dan ditunaikan.
Mereka berpendapat ayat al-Qur’an dan hadits-hadits yang menyatakan kewajipan pada menunaikan janji adalah jelas. Tidak menepati janji adalah suatu pembohongan, manakala pembohongan dan mengkhianati janji bukan daripada akhlak orang-orang beriman.
Oleh kerana itu janganlah mudah membuat janji, kalau janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi. Ini kerana setiap perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan.
Menjaga Janji Kepada Orang Bukan Islam
Orang Islam jangan ada yang beranggapan bahawa tidak menjadi kesalahan atau berdosa jika janji dengan orang bukan lslam tidak ditunaikan disebabkan oleh perbezaan agama ataupun bangsa.
Pandangan ini tidak betul dan bertentangan dengan al-Qur’an al-Karim serta hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Perkara ini tidak ubah seperti sikap orang Yahudi yang juga menyatakan tidak berdosa jika membohongi atau mengkhianati masyarakat Arab. Hal ini jelas disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan antara Ahli Kitab, ada yang jika engkau mengamanahkan kepadanya sejumlah besar harta, dia akan mengembalikannya kepadamu. Dan ada pula antara mereka jika engkau mengamanahkan kepadanya satu dinar, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali jika engkau sentiasa menuntutnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka berkata: “Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang ummiy (orang-orang Arab)”. Mereka berkata dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui (bahawa mereka berdusta). (Surah Âli ‘Imran: 75)
Ayat di atas menjelaskan bahawa berbuat baik hanya kepada bangsa atau golongan sendiri sahaja merupakan perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Dalam perkara janji pula, ia hendaklah ditepati sekalipun berbeza agama dan bangsa, ataupun kepada musuh. Ini kerana menunaikan janji adalah sifat orang-orang yang bertaqwa sebagaimana telah disebut dalam surah Ali ‘Imran ayat 76 di atas.
Jelasnya, menunaikan janji dengan manusia sebenarnya menunaikan janji dengan Allah. Ini kerana menunaikan janji tersebut dikaitkan dengan sifat taqwa.
Dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala telah mememerintahkan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya menjaga janji kepada kaum musyrikin. Perkara ini tercatat dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) daripada orang-orang musyrik kemudian mereka tidak mengurangi sedikitpun (isi perjanjian) kamu itu, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu maka sempurnakanlah perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. (Surah at-Taubah: 4)
Ayat di atas memerintahkan kepada Rasulullah supaya memelihara dan memenuhi janji yang dibuat dengan orang-orang musyrik iaitu bani Dhomrah dan bani Kinanah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kepada Baginda Shallallâhu ‘àlaihi wa sallam serta orang-orang lslam yang lain, supaya terus menjamin keselamatan mereka (orang-orang musyrikin tersebut) dan mencukupkan tempoh perjanjian yang telah dibuat.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga dinasihatkan supaya tidak mengkhianati perjanjian tersebut sekalipun dengan orang-orang bukan lslam. Ini bererti, lslam mewajibkan supaya janji dipelihara dan dijaga menurut yang telah dijanjikan sekalipun berlainan agama dan bangsa.
Ayat ini juga menerangkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyukai orang-orang yang bertaqwa. Hal ini menunjukkan bahawa memelihara janji dan menyempurnakan janji adalah termasuk sifat orang-orang bertaqwa. Ini kerana memelihara perjanjian ertinya memelihara pertanggungjawaban terhadap keadilan antara manusia yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan jika engkau khuatir adanya (tanda-tanda yang nyata) perbuatan khianat daripada suatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka kembalikanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang (dan adil). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat. (Surah al-Anfâl: 58)
Menurut Ibnu Katsir bahawa ayat yang bermaksud “sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat” adalah termasuk orang-orang yang mengkhianati janji dan hak orang-orang bukan lslam. Dengan demikian, mengkhianati janji atau hak orang-orang bukan lslam juga dilarang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana maksud ayat di atas.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, bahawa setiap perjanjian yang masih berlaku, wajiblah dipenuhi dan disempurnakan sesuai dengan syarat-syarat perjanjian itu, walaupun perjanjian itu dengan kaum musyrikin, selama mana mereka masih memenuhi semua syarat perjanjian itu.
Dalam hal yang sama juga, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menganjurkan umatnya supaya menjaga janji sesama manusia sekalipun dengan orang bukan lslam. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah riwayat bahawa Abu Rafi‘ menceritakan beliau telah diutus oleh kaum Quraisy untuk bertemu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Setelah beliau menemui Rasulullah, lalu terdetik di hatinya untuk memeluk agama lslam. Beliau mengatakan kepada Baginda bahawa beliau tidak akan kembali lagi kepada kaumnya. Akan tetapi Rasulullah melarang perbuatan Abu Rafi‘ itu lalu bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak akan mengkhianati perjanjian dan aku tidak akan menahan utusan. Sayugialah engkau pulang (kepada kaummu), jika pada dirimu masih cenderung untuk memeluk agama lslam seperti sekarang ini, maka kembalilah (kepadaku)”. Berkata Rafi‘: “Lalu aku pun pergi (kepada kaumku). Setelah itu aku datang kembali kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kemudian memeluk Islam. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut pengarang kitab ‘Aun al-Ma‘bûd, hadits di atas menganjurkan supaya setiap janji itu dijaga dan dipelihara sekalipun perjanjian dibuat dengan orang bukan lslam. Perjanjian dengan orang bukan lslam itu hendaklah dijaga sepertimana juga menjaga janji sesama orang lslam.
Manakala pengarang kitab Subul as-Salâm menyatakan bahawa hadits tersebut adalah dalil bagi menepati dan menjaga janji sekalipun perjanjian itu juga kepada orang bukan lslam.
Jelasnya, berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alahi wa sallam bahawa perkara janji kepada sesama manusia (pada perkara yang tidak ditegah) adalah wajib ditepati dan dijaga, lebih-lebih lagi janji manusia kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh itu, menepati dan menjaga janji adalah akhlak orang-orang beriman dan sifat yang mulia di sisi masyarakat. Orang-orang beriman tidak akan cuai dan tidak mengkhianati janjinya, sekalipun berbeza agama dan bangsa. Ini kerana mengkhianati janji bererti tidak beramanah dan termasuk sifat orang-orang munâfiq sebagaimana yang disebut oleh Baginda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa tanda-tanda orang munâfiq ialah jika berbicara dia berbohong, jika berjanji dia memungkiri dan jika diberi amanah dia berkhianat. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tanda-tanda orang munâfiq itu tiga perkara; apabila berkata dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh kerana itu, Islam cukup prihatin terhadap budi pekerti dan tingkah laku umatnya. Kebaikan dan tingkah laku yang diamalkan oleh umat Islam, bukan sahaja boleh menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan aman dan damai, malah menjadi model atau contoh yang baik kepada penganut agama lain. Ini kerana keindahan Islam dalam berbagai aspek boleh mendorong ramai orang di luar Islam memeluk Islam. Maka antara kebaikan dan tingkah laku yang dimaksudkan itu ialah menjaga dan menepati janji.
BERKAT DAN TABARRUK ITU DISYARIATKAN: Jadikan Ia Keutamaan Dalam Hidup
Dalam mengejar kesenangan hidup, berbagai cara dan bentuk usaha dilakukan oleh manusia untuk mendapatkannya, sehingga ada yang sanggup bertindak salah dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.
Namun, berapa ramai pula yang sanggup berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan dan menjadikannya sebagai matlamat hidup, sedang keberkatan itu pada hakikatnya adalah kebaikan kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ?
Dari sudut lain pula, kita sering mendengar, mengucapkan dan berdo‘a agar mendapat keberkatan dalam setiap perkara. Namun adakah kita benar-benar tahu apa dia berkat itu dan bagaimana kita boleh mendapatkannya?
Perihal berkat, mencari berkat atau menagih berkat menurut hukum syara‘ merupakan sesuatu yang disyariatkan di dalam Islam.
Terdapat banyak tempat di dalam al-Qur’an dan hadits yang menyebutkan tentang
Antaranya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyatakan bahawa air yang turun dari langit itu mengandungi banyak faedah dan keberkatan sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan Kami telah menurunkan hujan dari langit yang banyak faedahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu kebun-kebun (pohon buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai. (Surah Qâf: 9)
Sementara itu, perkataan ‘تَبَُّك’ (tabarruk) juga banyak disebutkan oleh para ulama Islam termasuk ulama fiqh. Keharusan tabarruk (meminta berkat) tsabit daripada perbuatan dan kata-kata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ. Antaranya sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn, kitab al- Majmû‘ dan kitab-kitab fiqh lain yang menunjukkan bahawa harus mengangkat jenazah dari keempat-empat sisinya atau empat penjuru kerandanya untuk tujuan ingin mendapatkan berkat (tabarruk). Pengertian Berkat Berkat berasal daripada perkataan Arab ‘barakah’. Dari segi bahasa, ‘barakah’ bererti perkembangan, pertambahan atau lebih. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa asal makna ‘barakah’ atau berkat itu ialah kebaikan yang banyak dan tetap. Di samping pengertian tersebut, ‘barakah’ juga membawa erti: 1. Gembira atau bahagia. 2. Berterusan dan tetap. 3. Makmur, bernasib baik dan untung. 4. Kebaikan yang berlimpah. Apabila diperhatikan semua pengertian yang diberikan, ia mempunyai makna yang hampir sama, salah satunya merujuk kepada salah satu yang lain. Umpamanya, kebahagiaan adalah sebahagian daripada kebaikan. Demikian juga keuntungan dan pertambahan. Oleh yang demikian, semua pengertian tersebut dapat disimpulkan sebagai membawa maksud kebaikan yang berlimpah, bertambah, tetap dan berterusan. Adapun ‘tabarruk’ dari segi bahasa ialah menuntut, memohon, meminta, mencari, menagih atau menginginkan berkat. Sementara itu dari segi istilah, ‘tabarruk’ bererti menagih ketetapan kebaikan di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada sesuatu perkara. Hakikat Berkat Berkat merupakan kurnia Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang diletakkan ke atas setiap sesuatu yang Dia kehendaki.
Di dalam kitab Gharîb al-Qur’ân susunan Raghib al-Ashfahani, ‘barakah’ atau berkat ialah kepastian atau ketetapan kebaikan di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada sesuatu perkara.
Masih ramai yang tidak tahu hakikat berkat melainkan mengetahui adanya berkat itu dengan sesuatu yang nampak banyak dan bertambah.
Pada hakikatnya ruang lingkup berkat itu sangat luas dan meliputi berbagai aspek kehidupan sebagaimana yang disebutkan dan dapat difahami dari al-Qur’an dan hadits, umpamanya berkat pada harta, makanan, ilmu, umur, waktu dan sebagainya.
1. Berkat pada rezeki, harta dan makanan.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mengajar seorang sahabat dengan memberikan satu contoh perumpamaan yang menunjukkan bahawa sesungguhnya harta kekayaan yang banyak itu apabila hilang atau kosong daripada berkat, tidak akan memberi apa-apa kepuasan dan hanyalah sesuatu yang sia-sia. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini adalah seperti buah-buahan menghijau yang subur, enak dan disukai. Barang siapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (tidak rakus dan meminta-minta), nescaya akan diberkati baginya harta itu. Manakala barang siapa yang mengambilnya dengan rasa tinggi diri maka tidak ada berkat padanya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits berkenaan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberikan contoh harta agar mudah difahami.
Pertama: Diumpamakan harta itu dengan buah-buahan manis dan enak yang setentunya disukai dan diingini oleh setiap orang.
Kedua: Diumpamakan harta berlimpah ruah yang kosong daripada berkat itu dengan perbuatan makan dengan banyak tetapi tidak merasa puas atau kenyang.
Tujuan utama seseorang untuk makan tidak lain hanyalah untuk mengenyangkan perut atau menghilangkan rasa lapar. Namun apabila dia makan dengan banyak, tetapi masih tidak kenyang, maka perbuatan tersebut hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak memberi sebarang faedah mahupun keuntungan.
Adapun makanan yang berkat itu adalah yang dihasilkan dengan mengikut adab yang disyariatkan seperti dimulai dengan basmalah. Tidak semestinya makanan itu dalam kuantiti yang banyak dan berbagai jenis. Oleh itu, sunat hukumnya dimulai makan dan minum dengan bacaan basmalah.
Antara adab makan yang jelas mengundang berkat ialah sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sementara itu, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa makanan yang berkat adalah makanan yang boleh mengenyangkan, tidak membahayakan dan menyakitkan tubuh badan, makanan yang boleh menjadi sumber kekuatan untuk berbuat ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Berkat pada ilmu.
Ilmu yang berkat pada diri seseorang adalah ilmu yang memberi kesan manfaat dalam ibadat, akhlak, tingkah laku dan pergaulannya sesama manusia.
3. Berkat pada umur dan waktu.
Menurut sebuah hadits hasan shahîh, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Beliau berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?” Baginda menjawab: “Siapa yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya”. Lelaki itu bertanya lagi: “Maka siapa pula seburuk-buruk manusia?” Baginda menjawab: “Siapa yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits ini menunjukkan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang di dalam hidupnya yang mengundang berkat itulah ukuran, bukan berdasarkan panjang umurnya semata-mata.
Semua perkara di atas jelas menggambarkan bahawa sesuatu yang banyak itu belum tentu memberi sebarang faedah. Harta kekayaan yang berlimpah, ilmu yang tinggi dan umur yang panjang belum tentu dapat memberi kebaikan kepada pemiliknya. Wujudnya harta, ilmu, umur dan waktu itu sama sahaja seperti tiada. Perkara ini adakalanya dapat dilihat dengan mata kasar. Terdapat orang kaya, orang berpendidikan tinggi dan orang yang lanjut usia hidup di dalam keadaan resah, menderita, sering berhadapan dengan pelbagai masalah seperti perbalahan keluarga, anak-anak menderhaka dan sebagainya.
Keharusan Tabarruk (Meminta Berkat) Menurut Yang Disyariatkan
Berkat dan tabarruk (meminta berkat) saling berpaut antara satu sama lain kerana berkat tidak akan dapat diraih tanpa perbuatan tabarruk dan usaha untuk bertabarruk tidak akan mendapat apa-apa jika Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak mewujudkan berkat pada sesuatu perkara itu.
Dalam perkara tabarruk mesti tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu:
1. Tabarruk yang harus iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang diketahui ada disyariatkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan al-Qur’an yang memang mempunyai banyak kerberkatan.
2. Tabarruk yang dilarang iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang tidak disyariatkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan batu atau kubah.
Kadangkala tabarruk itu disalah anggap oleh sebilangan orang dengan mempercayai dan melakukan perkara yang sama sekali tidak disyariatkan, malah bertentangan dengan aqidah Islam seperti perbuatan yang boleh membawa kepada unsur syirik, bid‘ah dan khurafât.
Sebagai contoh, memakai azimat yang bukan daripada nama atau sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, seperti nama-nama malaikat, orang salih atau nama mu‘azhzham (yang dimuliakan) daripada kalangan makhluk seperti ‘Arasy. Meninggalkan perbuatan mengambil berkat sedemikian adalah aulâ (lebih utama).
Lebih dikhuatiri jika niat memakai azimat untuk mendapatkan berkat itu terseleweng sehingga menjadikan pemakainya beri‘tiqâd bahawa azimat itu yang mempunyai kuasa mendatangkan kebaikan kepadanya. Hal ini boleh membawa kepada perbuatan syirik dan wajib untuk dihindari.
Adapun tabarruk sebagaimana yang disyariatkan Islam, ia adalah sesuatu yang diharuskan berdasarkan ketetapan daripada al-Qur’an dan sunnah Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Antara Perkara-perkara Mengundang Berkat Menurut Yang Disyariatkan
Berdasarkan ketentuan yang dinyatakan di dalam al-Qur’an dan hadits, juga sebagaimana yang disepakati oleh para ulama, berkat boleh diraih antaranya melalui peribadi manusia, benda, tempat, waktu selain do‘a dan perbuatan. Berikut adalah perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada berkat dan umat Islam dituntut untuk bertabarruk dengannya:
1. Peribadi manusia.
i. Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Adapun berkat paling agung yang dianugerahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya ialah Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diutus kepada sekalian alam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi hidayah kepada hambaNya dengan berkat kerasulan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dengan apa yang telah dibawa oleh Baginda yang tidak lain berupa petunjuk dan keterangan.
Terdapat banyak kisah yang menceritakan mengenai berkat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya kisah para sahabat Radhiallâhu ‘anhum berwudhu’ dan minum air yang keluar dari celah-celah jari Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Jabir Radhiallahu ‘anhu sendiri mengusap air tersebut pada perutnya. Ini kerana mereka sedar bahawa mu‘jizat Nabi itu mengandungi berkat dan mereka tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.
Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum yang diikuti oleh para tâbi‘în dan orang-orang salih bertabarruk daripada atsar (kesan dan peninggalan) Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bertabarruk dengan atsar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sudah pun berlaku pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Baginda tidak melarangnya dan ini menunjukkan bahawa bertabarruk itu harus dan tidak ditegah oleh syara‘ berdasarkan hadits-hadits antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selesai melontar jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al-Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut. Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: “Cukurlah!” Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: “Bahagi-bahagikanlah potongan rambut itu kepada orang ramai.” (Hadits riwayat Muslim)
ii. Para nabi.
Antaranya sebagaimana yang diakui oleh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm yang disebutkan di dalam surah Maryam:
Tafsirnya: Dan Dia menjadikan aku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Surah Maryam: 31)
iii. Orang-orang salih.
Menurut sebuah hadits riwayat Mahmud bin Rabi‘ al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, ‘Itban bin Malik Radhiallâhu ‘anhu pernah mempelawa dan berharap agar Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sembahyang di rumahnya, kemudian dia menjadikan tempat Baginda sembahyang itu sebagai tempat beliau sembahyang.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata hadits berkenaan mengandungi banyak faedah pengajaran antaranya disyariatkan bertabarruk dengan orang-orang salih dan atsar-atsar mereka, sembahyang di tapak mereka sembahyang dan meminta keberkatan daripada mereka.
Sementara itu, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh berkata bahawa apa yang dapat diambil pengajaran daripada hadits berkenaan ialah sesiapa sahaja orang-orang salih apabila orang berhajat untuk mengambil berkat daripadanya, hendaklah dia memenuhi permintaan tersebut selagi ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.
2. Al-Qur’an al-Karim.
Al-Qur’an adalah kalâm Allah Ta‘ala yang penuh dengan berkat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul-Qura (Makkah) serta orang-orang yang beriman dengan adanya Hari Akhirat, mereka beriman kepada al-Qur’an dan mereka tetap memelihara sembahyang mereka. (Surah al-An‘âm: 92)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Adapun berkat al-Qur’an itu ialah pertunjuk (hidayat), ilmu pengetahuan, penawar, rahmat kepada setiap orang beriman dan lain-lain yang tidak terkira banyaknya.
Selain itu, rumah yang dibacakan al-Qur’an di dalamnya juga akan dipenuhi dengan berkat.
3. Iman dan taqwa.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Surah al-A‘râf: 96)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya). Dan Dia mengurniakannya rezeki daripada arah yang tidak terlintas di fikirannya. (Surah ath-Thalâq: 2-3)
Menurut ulama, maksud ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya” itu ialah memberi berkat ke atas setiap apa yang diberi. Ibnu ‘Uyainah Rahimahullâh dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan rezeki itu ialah berkat.
4. Menunaikan sembahyang dan memeliharanya.
Tafsirnya: Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu. Dan akibat (kesudahan yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Thâhâ: 132)
Imam Ibnu Katsir ketika mentafsir ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu” berkata bahawa jika kamu menunaikan sembahyang, maka akan datang kepada kamu rezeki dari arah yang tidak kamu sangka iaitu berkat sebagaimana tafsiran ayat ketiga surah ath-Thalâq.
5. Dzikrullâh.
Dzikrullâh adalah amalan mengingati Allah dan menyebut namaNya dengan tasbîh, tahmîd, tahlîl, membaca ayat al-Qur’an dan sebagainya sama ada dilakukan dengan hati ataupun dengan lisan.
Istighfâr juga merupakan zikir. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Maka aku berkata (kepada mereka): “Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu. Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)
Antara yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah apabila kamu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah Ta‘ala, nescaya rezeki kamu akan bertambah, diberikan berkat daripada langit dan bumi.
6. Do‘a.
Dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdo‘a dan memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke arah kebaikan. Hukum berdo‘a adalah sunat (mustahabb iaitu digalakkan).
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri mendo‘akan para sahabat agar dikurniakan berkat dan memimpin umat Islam untuk selalu berdo‘a agar dikurniakan berkat dalam setiap perkara yang baik. Antaranya do‘a-do‘a Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Orang-orang (penduduk Madinah) apabila melihat buah pertama, mereka membawanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu Baginda mengambilnya seraya berdo‘a: “Ya Allah, berkatilah kami (melalui) buah kami, berkatilah kami (melalui) bandar kami, berkatilah kami (melalui) shâ‘ (gantang) kami dan berkatilah kami (melalui) mudd (cupak) kami.” (Hadits riwayat Muslim)
Kemudian Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam akan memanggil anak paling kecil yang ada ketika itu dan memberikan buah itu kepadanya.
7. Tawakkal kepada Allah Ta‘ala.
Tawakkal ialah yakin dan berserah diri kepada Allah Ta‘ala serta mengikut sunnah RasulNya Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Dalam hadits disebutkan, Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar tawakkal, maka akan diberikan rezeki kepada kamu sepertimana rezeki yang diberikan kepada burung yang pergi di awal pagi ketika perutnya kosong dan kembali di waktu petang dalam keadaan kenyang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits di atas menyatakan bahawa jika seseorang itu benar-benar bertawakkal kepada Allah Ta‘ala, yakin bahawa tidak ada selain Allah Ta‘ala yang memberi rezeki, Dia yang melakukannya dan tidak ada yang berkuasa menghalangNya, maka akan dilimpahkan kepadanya rezeki sepertimana rezeki yang dilimpahkan kepada burung iaitu pergi di waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang.
8. Redha dan qanâ‘ah dengan apa yang ditentukan dan diberikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Sentiasa redha dan qanâ‘ah (merasa puas dan lapang dada) dengan apa yang diberikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuknya walaupun sedikit, akan mendatangkan berkat kepada seseorang sebagaimana hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi menguji setiap hambaNya dengan apa yang diberikan kepadanya. Barang siapa yang redha dengan apa yang Allah ‘Azza wa Jalla berikan kepadanya, nescaya Allah akan memberkati dan melapangkan (pemberian) itu untuknya. Dan barang siapa yang tidak redha (dengan apa yang diberikan Allah itu), nescaya ia tidak akan diberkati baginya. (Hadits riwayat Ahmad)
9. Mensyukuri ni‘mat.
Ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada manusia terlalu banyak sehingga tidak terhitung semuanya. Oleh kerana itu, sebagai orang Islam kita dituntut untuk mensyukuri segala ni‘mat dan bertahmîd memuji Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mensyukuri ni‘mat itu adalah wasîlah dan sebab kepada pertambahannya.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala ni‘matKu) tentu Aku akan menambah ni‘mat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap ni‘mat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.” (Surah Ibrahim: 7)
10. Sedekah.
Sedekah iaitu mengeluarkan sejumlah harta sama ada wajib seperti zakat atau sunat dengan niat kerana Allah Ta‘ala, boleh membawa kepada pertambahan harta dan terpelihara daripada bencana dan kebinasaan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafirnya: Allah menghilangkan (keberkatan harta kerana) riba dan menambahkan (keberkatan harta daripada) sedekah-sedekah. Dan Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang tetap dalam kekufuran lagi bergelumang dosa. (Surah al-Baqarah: 276)
11. Silaturrahim.
Silaturrahim iaitu menjalin tali persaudaraan dan hubungan baik sesama manusia juga mengundang berkat. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang mahu untuk dilapangkan rezekinya dan ditunda (ajalnya), maka hendaklah dia menjalinkan silaturrahim. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Yang dimaksudkan dengan dilapangkan rezekinya ialah diluaskan dan ditambahkan rezekinya serta diberi keberkatan. Sementara itu, yang dimaksudkan dengan ditunda ajalnya ialah umurnya diberkati, diberi taufik untuk berbuat ketaatan, waktunya terisi dengan amalan dan perkara yang bermanfaat untuk kehidupan akhirat, terpelihara daripada mensia-siakan waktu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mengeratkan silaturrahim adalah wajib dan antara sebab-sebab mendapat rezeki yang berkat dan dipanjangkan umur.
12. Berkumpul ketika makan.
Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk empat orang dan makanan empat orang cukup untuk lapan orang. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, kecukupan makanan itu terbit daripada keberkatan makan secara berkumpul dan berkat itu bertambah dengan keramaian orang di dalamnya.
13. Mencari rezeki pada awal-awal pagi.
Diriwayatkan daripada Shakhar al-Ghamidi Radhiallâhu ‘anhu, daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah umatku di setiap awal pagi mereka. Dan apabila (Shakhar) mengutus pasukan, dia mengutusnya di pagi hari. Dia seorang peniaga yang (memulakan) dagangannya di pagi hari, maka dia diberi kekayaan dan hartanya bertambah banyak. (Hadits riwayat Abu Daud)
14. Benar dalam berjual beli.
Dalam sebuah hadits shahîh, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dua orang yang berjual beli (mempunyai hak) khiyâr (pilihan) selagi mereka belum berpisah (daripada majlis akad). Jika kedua-duanya berkata benar dan menerangkan (hal berkaitan barang dan harga), nescaya akan diberkati jual beli mereka. Adapun jika kedua-duanya menyembunyikan (keaiban) dan berdusta, nescaya dihapuskan keberkatan jual beli mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
15. Menunaikan amanah dalam sukatan dan timbangan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang betul. Yang demikian itu baik (di dunia) dan lebih baik pula kesudahannya (di akhirat). (Surah al-Isrâ’: 35) Imam al-Qurthubi dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa menyukat dan menimbang dengan betul itu baik di sisi Allah dan diberkati. 16. Menyukat atau menakar makanan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sukatlah makanan kamu, nescaya kamu diberkati. (Hadits riwayat al-Bukhari) 17. Waktu. Antara waktu dan ketika untuk memperolehi berkat ialah: i. Lailatul-Qadr. ii. Sahur. iii. Bulan Ramadhan. iv. Hari Jumaat. v. Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. vi. Hari ‘Âsyûrâ’.
vii. Sepuluh hari di awal bulan Zulhijjah. viii. Hari ‘Arafah. ix. Hari-hari putih pada setiap bulan. x. Pertengahan malam terakhir. xi. Selepas menunaikan sembahyang fardhu. xii. Antara azan dan iqâmah. xiii. Ketika mengatur barisan untuk berjihâd di jalan Allah.
18. Tempat. Terdapat beberapa tempat yang ada disebutkan sebagai tempat yang memiliki berkat iaitu: i. Bait al-Haram (Ka‘bah) di Makkah. ii. Madinah al-Munawwarah. iii. Masjid al-Aqsha di Palestin. iv. Negeri Syam.
19. Benda-benda yang mengandungi berkat. i. Ubun-ubun kuda (yang digunakan dalam peperangan pada jalan Allah). ii. Air Zamzam. iii. Habbah as-Saudâ’ (jintan hitam). iv. Pokok Zaitun dan setiap yang terbit daripadanya. v. Air hujan. vi. Madu.
Sebagai kesimpulan, masih terdapat lagi perkara-perkara yang boleh mengundang berkat memandangkan berkat itu hanya daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang diletakkan pada sesuatu yang Dia kehendaki.
Di samping itu, pengetahuan mengenai berkat dan untuk mendapatkan berkat wajar untuk diambil perhatian agar fahaman yang salah mengenainya dapat dihindari. Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa mencari berkat sebagaimana yang disyariatkan, kerana mengabaikannya adalah suatu yang amat merugikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5889
