Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Irsyad Hukum 2015

HADITS DHA‘ÎF DAN MAUDHÛ‘ MENGENAI KELEBIHAN BULAN REJAB

Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh mengikut kiraan taqwîm Hijriyyah. Ia merupakan bulan yang ditetapkan sebagai salah satu bulan yang dihormati. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya). (Surah at-Taubah: 36)

Menurut ulama tafsir bahawa empat bulan dihormati yang disebutkan oleh ayat di atas ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Menurut mereka lagi, maksud “حُرُم” (yang dihormati) itu ialah maksiat yang dilakukan di dalamnya mendatangkan dosa yang lebih besar, sementara ketaatan dan kebaikan yang dilakukan di dalamnya memperolehi ganjaran pahala yang lebih besar.

Orang-orang Arab amat menghormati dan mengagungkan bulan-bulan tersebut serta mengharamkan berlakunya pembunuhan di dalamnya sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya, anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu.

Beberapa Hadits Maudhû‘ (Palsu) Mengenai Kemuliaan Bulan Rejab

Memperkatakan berkenaan kemuliaan bulan Rejab, terdapat beberapa hadits yang menyatakan mengenainya. Hadits-hadits tersebut sebahagiannya dihukumkan sebagai dha‘îf (lemah), sebahagiannya lagi dihukumkan munkar dan ada juga yang dihukumkan sebagai maudhû‘ (palsu). Antara hadits-hadits tersebut ialah:

Maksudnya: Rejab bulan Allah, Sya‘ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.

Maksud “Rejab bulan Allah” ialah Allah mengharamkan melakukan pembunuhan di dalamnya.

Maksud “Sya‘ban bulanku” ialah kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam banyak melakukan ibadat puasa di dalamnya.

Sementara maksud “Ramadhan bulan umatku” pula ialah kerana banyaknya kebajikan yang boleh diraih oleh mereka pada bulan tersebut.

Hadits ini dikeluarkan oleh ad-Dailami daripada Anas dan Ibnu al-Jauzi dalam al- Maudhû‘ât daripada hadits Abu Sa‘id al-Khudri.

Ia juga dikeluarkan oleh Abu al-Fath bin Abu al-Fawaris dalam al-Amâli daripada al-Hasan al-Bashri secara mursal sebagaimana yang disebutkan oleh as-Suyuthi dalam al-Jâmi‘ ash-Shaghîr.

Asy-Syeikh ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad al-‘Azizi asy-Syafi‘e dalam as-Sirâj al-Munîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr menjelaskan bahawa hadits tersebut adalah hadits dha‘îf. Demikian juga di dalam kitab al-Jâmi‘ ash-Shaghîr hadits tersebut diberi tanda dengan (ض) yang bermaksud hadits dha‘îf.

Selain itu, dalam riwayat yang lain, hadits: رَجَب ُ شَهْر ُ هللا ِ... (“Rejab adalah bulan Allah...) tidak diriwayatkan setakat itu sahaja, bahkan terdapat juga beberapa riwayat yang merangkaikannya dengan kelebihan-kelebihan amalan tertentu. Antara riwayat tersebut:

(1)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam Syurga al-Firdaus yang tertinggi...

(2)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia....

(3)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Lalu Rasulullah ditanya: “Wahai Rasulullah! Apa maknanya kata-kata Tuan ‘Rejab adalah bulan Allah’?” Baginda menjawab: “Kerana ia dikhususkan dengan keampunan Allah. Kemudian Baginda bersabda: “Janganlah kamu melupakan malam pertama bulan Rejab, kerana ianya dinamakan oleh para malaikat sebagai ar-raghâ’ib. Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali, surah al-Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu…”

Ketiga-tiga hadits di atas (bilangan 1, 2 dan 3) dihukumkan oleh para ulama sebagai hadits maudhû‘ (palsu).

Puasa di Bulan Rejab

Antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Oleh itu, Rejab termasuk antara bulan-bulan yang disunatkan berpuasa di dalamnya.

Dalil yang menunjukkan sunat berpuasa pada bulan Rejab itu, diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia mengadap pula Baginda, sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan mengenaliku?” Baginda bersabda: “Siapa awak?” Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap Tuan pada tahun lalu.” Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: “Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah dengan Tuan”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kenapa engkau menyeksa dirimu?” Selanjutnya Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadhan) dan sehari setiap bulan”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!” Sambil Baginda bersabda itu Baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi berkata: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat.”

Hadits-hadits Dha‘îf Mengenai Kelebihan Berpuasa di Bulan Rejab

Dalam memperkatakan kelebihan berpuasa di bulan Rejab, Imam Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang ulama besar dalam mazhab asy- Syafi‘e, menjelaskan bahawa memang banyak hadits maudhû‘ (palsu) yang diriwayatkan bagi menerangkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Para ulama di kalangan kita dan selain mereka tidak meletakkan sandaran kepada hadits-hadits tersebut dalam berhujjah untuk menyatakan sunat berpuasa dalam bulan Rejab, mereka menjauhkan diri daripada berdalil dengan hadits-hadits tersebut. Bahkan mereka hanya meletakkan sandaran kepada hadits yang diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah yang disebutkan terdahulu dan hadits-hadits lainnya, seperti hadits:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah sungai yang dipanggil Rejab, (airnya) lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Rejab nescaya Allah akan memberinya minum air sungai itu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu‘ab)

Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah bin Sa‘id daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa berpuasa sehari dari bulan Rejab, ia umpama berpuasa setahun. Barang siapa berpuasa tujuh hari (dari bulan Rejab), maka ditutup baginya tujuh pintu Neraka Jahannam. Barang siapa berpuasa lapan hari (dari bulan Rejab), maka dibukakan baginya lapan pintu syurga. Barang siapa berpuasa sepuluh hari (dari bulan Rejab), maka dia tidak meminta sesuatu kepada Allah melainkan Allah mengurniakannya. Barang siapa berpuasa lima belas hari (dari bulan Rejab), maka penyeru dari langit akan berseru: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu apa yang telah lalu, maka mulakanlah amalanmu, kejahatan-kejahatanmu telah digantikan dengan kebajikan-kebajikan”. Dan barang siapa yang (berpuasa) lebih nescaya Allah akan melebihkan (pahalanya). (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu‘ab)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanya mengenai status kedua-dua hadits di atas adakah dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu) ataupun tidak?

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua hadits tersebut tidak dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu), bahkan hanya dihukumkan sebagai hadits dha‘îf (lemah). Oleh itu harus meriwayatkannya dan beramal dengannya dalam perkara menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl).

Perkara yang sama juga pernah ditanya kepada Imam as-Suyuthi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dan beliau memberi jawapan yang serupa.

Beramal Dengan Hadits Dha‘îf

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan, para ulama dalam kalangan ahli hadits, fuqahâ’ (ahli fiqh) dan selain mereka mengatakan: “Harus dan sunat beramal dengan hadits dha‘îf yang menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl), hadits yang menggalakkan beramal (at-targhîb) dan hadits yang memberi peringatan (at-tarhîb) selama mana hadits tersebut tidak sampai kepada peringkat maudhû‘ (palsu).” Akan tetapi dalam perkara hukum seperti perkara halal, haram, jual beli, nikah, thalaq dan sebagainya tidak boleh beramal melainkan jika berdasarkan kepada hadits shahîh atau hadits hasan. Kecuali dalam isu-isu untuk mengambil jalan berhati-hati, umpamanya apabila terdapat hadits dha‘îf yang menerangkan hukum makruh tentang sesetengah kegiatan jual beli atau pernikahan, maka sunat menghindari perkara tersebut akan tetapi tidak wajib menghindarinya.

Selain hadits maudhû‘, termasuk juga hadits yang tidak boleh dijadikan sebagai sandaran itu ialah hadits yang terlalu dha‘îf (sangat lemah). Oleh itu, untuk beramal dengan hadits dha‘îf hendaklah memenuhi dua syarat:

1. Terdapat prinsip syara‘ yang menyokong hadits tersebut, umpamanya hadits tersebut termasuk di dalam kaedah umum syara‘ (qâ‘idah kulliyyah).

2. Ketika beramal dengan hadits tersebut jangan beri‘tiqâd ia adalah tsabit, tetapi beramal setakat sebagai mengambil jalan berhati-hati.

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami juga menjelaskan, telah menjadi ketetapan secara ijmâ‘ bahawa hadits dha‘îf, mursal, munqathi‘, mu‘dhal dan mauqûf boleh beramal dengannya dalam perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Tidak diragukan lagi bahawa puasa di bulan Rejab itu merupakan daripada perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Maka dalam hal ini adalah memadai bersandar kepada hadits-hadits dha‘îf atau seumpamanya. Yang demikian itu tidak diingkari melainkan orang yang jahil yang tidak berpengetahuan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, memang terdapat banyak riwayat hadits yang memperkatakan kemuliaan bulan Rejab serta kelebihan beramal di dalam bulan tersebut, di mana sebahagiannya dikategorikan sebagai dha‘îf dan sebahagiannya lagi dikategorikan sebagai maudhû‘ dan sebagainya. Hadits-hadits dha‘îf masih boleh diamalkan kecuali yang maudhû‘ dan yang terlalu dha‘îf sebagaimana menurut pandangan ulama yang telah disebutkan terdahulu.

Hadits-hadits yang dikategorikan sebagai hadits maudhû‘ itu ialah antaranya:

1. Hadits yang bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam syurga al-Firdaus yang tertinggi...”

2. Hadits yang bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia…”

3. Hadits yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali, surah al-Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu…”

Oleh itu, dalam hal ini adalah elok mengambil sikap berhati-hati dalam memilih dan beramal dengan hadits-hadits yang diriwayatkan supaya tidak terjebak dalam hadits-hadits yang dikatakan maudhû‘ (palsu) itu, di samping jangan ikut sedap menolak mentah-mentah, apatah lagi sampai mencerca hadits-hadits dha‘îf.

MEMULIAKAN AL-QUR’AN: Jaga Adab-adab Mengajarkannya

Beriman dan percaya kepada kitab al-Qur’an merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam. Begitu juga mengagungkan dan memuliakannya adalah perkara yang amat dituntut oleh syara‘. Membacanya pula dijanjikan ganjaran pahala, selain ia sebagai zikir yang boleh mengubat rohani dan minda.

Mempelajari al-Qur’an hukumnya fardhu ‘Ain ke atas setiap orang Islam, manakala mempelajarinya dan mengajarkannya kepada orang lain adalah sebaik-baik perkara sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Mengajar Al-Qur’an

Hukum mengajarkan al-Qur’an itu fardhu Kifâyah iaitu kewajipan yang dituntut oleh syara‘ kepada semua orang Islam yang mukallaf - jika salah seorang telah mengerjakan perbuatan tersebut, maka gugurlah kewajiban bagi yang lain, jika tidak ada seorang pun yang mengerjakan, maka berdosalah keseluruhan umat Islam.

Oleh yang demikian, adalah wajib mengadakan orang yang mengajar al-Qur’an di sesebuah tempat atau negeri itu.

Jika hanya terdapat seorang sahaja yang boleh mengajar al-Qur’an, maka wajib (fardhu ‘Ain) ke atas orang tersebut mengajarkan al-Qur’an itu.

Sementara jika terdapat sekumpulan orang yang boleh mengajar al-Qur’an dan mereka mengajarkannya, maka gugurlah kewajipan itu pada sebahagian yang lain.

Sedangkan jika mereka enggan mengajarkannya, maka kesemua mereka menanggung dosa.

Berlainan halnya jika diminta salah seorang daripada kumpulan mereka yang boleh membaca dan mengajar al-Qur’an untuk mengajarkannya kepada orang lain tetapi dia enggan atau menolak, maka tidaklah dia berdosa akan tetapi hukumnya makruh jika dia menolak tanpa keuzuran.

Adab-Adab bagi Orang Mengajar Al-Qur’an

Mengajar al-Qur’an merupakan salah satu daripada perkara penting dan semulia-mulia pekerjaan dalam Islam. Ini kerana mengajar merupakan asas yang membimbing seseorang itu untuk memperdalami ilmu agamanya dan hal ehwal yang berkaitan dengannya termasuklah membimbing orang lain dalam pembacaan al-Qur’an. Oleh kerana itu, terdapat adab-adab yang mesti dijaga oleh mereka yang mengajar al-Qur’an agar apa yang diajarkan mendapat keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dapat difahami oleh para pelajar, antaranya sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh Ta‘âlâ dalam Kitab at-Tibyân fi Âdâb Hamlah al-Qur’ân:

1. Mengajar dengan tujuan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukan untuk tujuan keduniaan seperti bertujuan untuk mendapat kekayaan, kedudukan, kemasyhuran, mengharap pujian daripada orang ramai atau yang seumpamanya. Begitu juga dengan belajar al-Qur’an, tujuannya tidak lain adalah untuk mendapat keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, Kami tambah baginya keuntungan itu dan siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya dan tidaklah ada baginya suatu bahagian pun di akhirat. (Surah asy-Syûrâ: 20)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mendapat keredhaan Allah Ta‘ala lalu dia mempelajarinya untuk mendapat kesenangan dunia, maka dia tidak mendapatkan (bau harum) syurga pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Abu Daud)

2. Berakhlak dengan akhlak yang baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh syara‘ seperti murah hati, bermanis muka, lemah lembut, sabar, bersih daripada pendapatan yang hina, wara‘, khusyû‘, sentiasa tenang hati, sopan, tawâdhu‘ dan merendah diri. Hendaklah menjauhkan diri daripada ketawa yang berlebihan dan banyak bergurau, bersifat hasad, ria’, sombong, menghina orang lain dan seumpamanya.

3. Sentiasa melakukan perkara-perkara yang disyariatkan seperti membersihkan diri daripada kekotoran, memotong rambut atau bulu sebagaimana yang dituntut oleh syara‘ supaya dibuang, memotong kuku, membisaikan (merapikan) janggut, menghilangkan bau-bau yang tidak disukai dan tidak memakai pakaian yang tidak disukai oleh syara‘.

4. Sentiasa menasihati para pelajar dalam pelbagai perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tamim ad-Dariyyi Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Agama itu nasihat”. Kami berkata: “Bagi siapa?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasul-rasulNya, bagi umat Islam dan seluruh umat manusia.” (Hadits riwayat Muslim)

Antara nasihat yang disampaikan pula adalah berupa panduan dan bimbingan untuk kebaikan para pelajar. Menolong keperluan para pelajar al- Qur’an jika mampu, menjinakkan hati mereka (agar melakukan kebaikan), bersikap toleransi, sentiasa menanam sifat lemah-lembut dengan para pelajar serta memberikan semangat kepada mereka untuk belajar juga termasuk dalam ertikata memberi nasihat.

Hendaklah juga dijelaskan kepada mereka tentang fadhilat menuntut ilmu dan fadhilat belajar al-Qur’an serta ilmu-ilmu syari‘ah sebagai perangsang dan pendorong supaya mereka berminat mempelajarinya.

5. Hendaklah sentiasa menyayangi mereka serta menjaga mashlahat mereka sebagaimana guru menjaga mashlahat dirinya dan anak-anak, serta berperanan sebagaimana peranan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya guru segala guru iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya aku umpama seorang bapa kepada kamu, aku mengajar kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)

6. Tidak meninggikan diri terhadap para pelajar, sentiasa berlemah-lembut kepada mereka dan merendah diri. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Serta berlemah-lembutlah engkau terhadap orang-orang beriman. (Surah al-Hijr: 88)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidaklah berkurangan harta dengan sedekah dan tidaklah Allah akan menambah bagi seorang hamba yang memberi maaf (kepada saudaranya) melainkan dengan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu merendah diri semata-mata kerana Allah kecuali Allah akan mengangkat martabatnya. (Hadits riwayat Muslim)

7. Hendaklah mendidik para pelajar secara berperingkat-peringkat agar mereka mempunyai akhlak yang tinggi lagi mulia, serta berperangai dengan perangai yang disenangi. Berilah mereka semangat sama ada dengan percakapan atau perbuatan supaya mereka sentiasa ikhlas, jujur dan berniat baik serta ingat bahawa pengawasan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap mereka adalah pada segenap waktu.

Perlu juga ditanamkan kepada para pelajar bahawa dengan mempelajari al- Qur’an itu, akan terbukalah pintu-pintu pengetahuan, teranglah hati dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberkati pembelajaran dan kehidupan orang yang belajar al-Qur’an itu dan ia bersesuaian dengan perbuatan dan percakapannya (perbuatan dan percakapan mencerminkan akhlak yang diajar di dalam al-Qur’an).

8. Memberi komitmen yang tinggi ketika mengajar dan melapangkan hatinya daripada kesibukan ketika duduk mengajar mereka, serta memberi komitmen tinggi dalam memahamkan pelajaran kepada mereka.

Di samping itu, hendaklah dia sentiasa menjaga dan mengawasi tahap kemampuan para pelajar serta pemahamannya. Pengajar tidak boleh membataskan pembelajaran para pelajar tanpa sebab sedangkan mereka masih mampu dan bersedia menerima ilmu yang lebih daripada itu.

Hendaklah dia menyuruh para pelajar untuk sentiasa mengulang pembacaan yang telah diajarkannya dan hafalan serta menyoal mereka tentang perkara-perkara penting yang telah diajarkan berkaitan al-Qur’an seperti hukum tajwid dan sebagainya.

9. Hendaklah dia mendahulukan pelajar yang datang lebih awal apabila ramai yang datang belajar. Jika pelajar yang datang awal redha atau bersetuju untuk mendahulukan pelajar yang lain, maka boleh didahulukan yang lain.

10. Hendaklah menunjukkan kegembiraan dan bermanis muka dengan para pelajar, menyelidik hal ehwal atau keadaan mereka serta bertanyakan para pelajar yang tidak hadir bagi mengetahui perkhabaran mereka.

Begitulah antara adab-adab yang perlu dijaga dan diambil perhatian oleh mereka yang mengajar al-Qur’an kerana al-Qur’an adalah ilmu yang paling mulia.

Lebih utama lagi jika majlis pembelajaran al-Qur’an dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan lebih ramai lagi belajar di dalamnya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik majlis adalah yang seluas-luasnya (yang ramai orang menghadirinya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Inilah antara bukti keimanan dan kecintaan umat Islam terhadap al-Qur’an sebagai kitab Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Selain daripada mempelajarinya dan memahami isinya, menjaga adab-adab mengajarkannya juga adalah sebahagian daripada etika mengagung dan memuliakan al-Qur’an. Sesungguhnya mengajarkan al-Qur’an adalah amalan dan pekerjaan mulia yang menjanjikan pahala yang berterusan. Bertitik tolak daripada amalan dan pekerjaan mulia pengajar al-Qur’an inilah yang akan melahirkan generasi muda yang cintakan al-Qur’an dan berakhlak dengan al- Qur’an dalam seluruh kehidupan mereka.

JIMATKAN AIR KETIKA BERWUDHU’

Air merupakan satu ni‘mat kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menjadi asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini. Tidak kira manusia, binatang ataupun tumbuh-tumbuhan semuanya tidak akan dapat hidup tanpa air. Khusus bagi manusia, air bukan sahaja merupakan keperluan asasi dalam kehidupan seharian, tetapi juga berkait rapat dengan perkara-perkara ibadat.

Kepentingan air jelas terasa pada waktu ia sukar diperolehi. Bayangkan sahaja kesukaran yang berlaku setiap kali bekalan air ditutup atau dengan sebab-sebab lain seperti kemarau, paip air rosak dan yang seumpamanya. Rutin kehidupan harian seseorang pasti akan terjejas. Bagaimana seseorang itu mandi, berwudhu’, beristinjâ’, memasak dan sebagainya tanpa air? Sama ada sedar ataupun tidak, kita seakan kurang menghargai ni‘mat air kerana buat masa ini, ia masih mudah diperolehi. Akibat kurang menghargai ni‘mat air ini, terdapat sebilangan orang yang membazirkan air dengan menggunakannya lebih daripada kadar yang diperlukan. Antara waktu yang banyak berlaku pembaziran air ialah ketika mengambil wudhu’.

Menurut statistik, sepertimana yang disampaikan dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh negara pada 22 April 2011, pengguna air di Negara Brunei Darussalam adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Ini satu statistik yang sangat membimbangkan dan mendukacitakan kita.

Kadar Penggunaan Air untuk Berwudhu’ Menurut Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Terdapat beberapa riwayat tentang kadar penggunaan air yang digunakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda berwudhu’. Antaranya:

1. Riwayat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga (⅔) mud air.

Dua pertiga mud air adalah kadar yang paling sedikit tentang air wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, antaranya ‘Abdullah bin Zaid dan Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallâhu ‘anhum.

Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hendak berwudhu’, lalu Baginda dibawakan dengan bejana yang berisi air dalam kadar dua pertiga mud. (Hadits riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

2. Riwayat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air.

Adapun riwayat yang memberitakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air atau yang sebanding dengannya pula diriwayatkan dengan beberapa lafaz sukatan yang berlainan daripada beberapa orang sahabat, antaranya:

i. Satu mud:

Diriwayatkan daripada Anas, Safinah, ‘Aisyah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhum.

Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan satu mud air... (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii. Dua rithl:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan bejana yang muatnya menampung dua rithl air.... (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Menurut satu pendapat, dua rithl ini adalah bersamaan dengan kadar satu mud. iii. Satu makkûk:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mandi dengan lima makkûk air dan Baginda berwudhu’ dengan satu makkûk air. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, berkemungkinan makkûk ini adalah sama dengan mud.

Menurut riwayat-riwayat ini, kadar air wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabat adalah satu mud atau dua pertiga mud.

Adapun kadar satu mud itu adalah satu perempat shâ‘. Ini bersamaan dengan satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi atau dua rithl menurut pendapat sesetengah ulama. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi adalah pendapat yang masyhûr dan tepat. Kadar berkenaan adalah lebih kurang sekitar 0.567 hingga 0.7 liter atau 567 hingga 700 mililiter.

Adakah Disyaratkan Kadar Tertentu Penggunaan Air Dalam Berwudhu’?

Riwayat-riwayat mengenai wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sangat berjimat dalam menggunakan air. Bagaimanapun, adakah kadar-kadar dalam riwayat tersebut berbentuk tahdîd (perlu diikut kadarnya) ataupun sekadar petunjuk serta saranan supaya tidak membazirkan air?

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa berdasarkan ijmâ‘, tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air ketika berwudhu’. Selagimana ia adalah kadar yang mencukupi bagi setiap anggota, maka yang demikian itu adalah memadai walau berapa pun kadarnya. Sungguhpun demikian, menurut Imam asy- Syafi‘e dan al-Ashhâb Rahimahumullâh, mustahabb (disunatkan) air wudhu’ itu tidak kurang daripada kadar satu mud bagi orang yang memiliki tubuh badan yang sederhana. Syeikh al-Banjari Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Sabîl al- Muhtadîn: “Dan sunat bahawa jangan kurang air mandi itu daripada satu shâ‘ dan air wudhu’ daripada satu mud pada tubuh orang yang sederhana kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah ia mandi dengan satu shâ‘ daripada air dan mengambil wudhu’ dengan satu mud daripadanya. Adapun orang yang tidak sederhana tubuhnya maka hendaklah dikuranginya atau ditambahinya daripada yang demikian itu dengan yang patut dengan hal tubuhnya.”

Adapun kadar-kadar yang disebutkan dalam riwayat-riwayat berkenaan, menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh adalah sebagai taqrîb (kiraan kurang lebih) semata-mata dan bukannya tahdîd.

Ini bererti bahawa kadar menggunakan air untuk berwudhu’ adalah mengikut kadar yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’. Ini bermaksud ia tertakluk kepada keadaan fizikal tubuh badan masing-masing, sama ada kadar air yang mencukupi itu adalah satu mud atau kurang daripada satu mud. Bahkan tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu lebih daripada kadar satu mud dan kadar lebih daripada satu mud itu tidak membawa kepada pembaziran atau kadar kurang daripada satu mud itu tidak menyebabkan tidak tertunai tuntutan wajib.

Maka sungguhpun tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air wudhu’, namun riwayat-riwayat ini memberi penjelasan mengenai didikan serta saranan supaya sentiasa berjimat dalam menggunakan air dan menggunakannya dalam kadar yang diperlukan sahaja ketika berwudhu’. Di samping itu, ia juga merupakan tegahan daripada melakukan pembaziran. Bagaimanapun, jika mampu mengikut kadar air sepertimana yang disebutkan dalam hadits-hadits berkenaan, maka yang demikian itu adalah lebih baik sebagai mencontohi (ittibâ‘) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Membazir Air Suatu Perbuatan yang Ditegah Syara‘

Ulama sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika itu air banyak dan mudah diperolehi. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, pendapat yang azhhar mengenai hukum tegahan ini adalah makruh.

Bagaimanapun, tegahan ini tidak boleh sekali-kali diambil ringan kerana sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e, antaranya Imam al-Baghawi dan Imam al- Mutawalli Rahimahullâh menyatakan bahawa hukumnya adalah haram. Tambahan lagi, sifat membazir secara umumnya adalah satu sifat yang dicela oleh Islam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menyukai orang-orang yang membazir dan berlebih-lebihan sepertimana FirmanNya:

Tafsirnya: …dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-An‘âm: 141)

Orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Isrâ’ ayat 27:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 27)

Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh berkata: “Dan telahpun dimaklumi larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada membazirkan air serta perkhabaran Baginda bahawa akan muncul kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’. Maka barang siapa yang melampaui kadar yang sudah mencukupi menurut syara‘, maka dia dengan sendirinya telah melakukan pembaziran, maka yang demikian itu adalah haram.”

Adapun perkhabaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang dimaksudkan oleh Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh tentang kemunculan kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’ itu ialah sebuah hadits riwayat ‘Abdullah bin al- Mughaffal Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya akan ada daripada golongan umat ini kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berlebih-lebihan dalam berdo‘a. (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam bersuci’ ialah membazir air ketika berwudhu’ melebihi daripada kadar yang diperlukan. Manakala yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam berdo‘a’ pula ialah seperti mereka-reka do‘a yang tidak ada asal serta sumbernya dalam syara‘. Islam sangat prihatin dalam menjaga keperluan dan mashlahat manusia. Oleh kerana itu, disebabkan pentingnya air kepada manusia, Islam menganjurkan supaya menjimatkan air sekalipun dalam berwudhu’. Ia disarankan supaya penggunaannya menurut kadar yang diperlukan sahaja. Jadi sahutlah seruan syariat dan contohilah sebaik-baik qudwah iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Melihat kepada senario semasa, mengambil air wudhu’ pada zaman sekarang menggunakan paip air, tidak kira sama ada yang disediakan di masjid, di rumah, di pejabat dan sebagainya.

Berwudhu’ menggunakan paip air bukanlah halangan untuk menyahut seruan syariat serta petunjuk Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ketika berwudhu’, elakkan membuka paip air sehingga airnya keluar deras atau ‘suak-suak’, memadailah membuka paip air dalam kadar yang munasabah dan difikirkan perlu sahaja.

Oleh yang demikian, masjid boleh juga berperanan dengan mereka bentuk supaya pengaliran air (kederasannya) yang keluar daripada pili-pili paip air yang ada di tempat-tempat berwudhu’ di masjid-masjid dapat dihadkan pengalirannya sekira-kira yang difikirkan munasabah sesuai dengan amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini sesuai sepertimana yang disebutkan sebelum ini supaya maksud menjimatkan penggunaan air semasa berwudhu’ dapat dicapai.

Pendidikan pada peringkat awal adalah sangat penting bagi menanamkan serta membudayakan sikap menjimatkan air semasa berwudhu’ khususnya bagi golongan kanak-kanak, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Peranan sekolah-sekolah agama adalah sangat besar dalam merealisasikan tujuan ini. Oleh itu, tenaga-tenaga pendidik di sekolah-sekolah agama, selain perlu bermula dengan diri sendiri supaya menjadi contoh dan ikutan terbaik, mereka juga hendaklah berusaha menanamkan budaya menjimatkan air semasa berwudhu’ pada diri kanak-kanak melalui latihan amali dan sebagainya. Ini kerana pendidikan pada peringkat awal seperti di sekolah-sekolah agama ini merupakan platform terbaik dan terpenting bagi mendidik generasi baru kerana mereka ini sangat mudah dibentuk. Didikan pada peringkat ini sangat kuat kesan dan pengaruhnya kepada kanak-kanak kerana ia secara semula jadinya akan menjadi teras dalam pembentukan syakhshiyyah kanak-kanak tersebut.

SEMPURNAKAN TUNTUTAN FARDHU DAN SUNAT KETIKA MANDI WAJIB

Jangan ada orang Islam beranggapan bahawa mandi wajib itu perbuatan yang tidak perlu untuk diambil berat. Tanggapan ini adalah tidak betul malah merugikan. Lebih malang lagi jika mandi itu tidak sah.

Perlu diingat, mandi wajib atau disebut juga mandi hadats adalah mandi yang difardhukan; tidak sah setiap ibadat yang disyaratkan padanya suci daripada hadats tertentu melainkan dengan mandi tersebut.

Mandi wajib adalah ibarat kunci, hadats ibarat peti dan ibadat ibarat harta di dalam peti. Tidak akan dapat dibuka peti dan diambil harta tanpa kunci peti yang betul. Demikian juga tidak akan terangkat hadats dan tidak akan sah ibadat tanpa mandi wajib yang betul.

Perkara yang mewajibkan mandi itu ialah disebabkan mati, haidh, nifâs, wilâdah (melahirkan) tanpa keluar darah, junub dan keluar air mani.

Dalil pensyariatan mandi wajib itu antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib). (Surah al-Mâ’idah: 6)

Perkara-perkara Wajib dalam Mandi Wajib

Tidak sah mandi wajib jika dilakukan tanpa dua perkara berikut:

1. Niat.

Niat hendaklah dilakukan dalam hati dan disertai dengan permulaan mandi, iaitu ketika mencurahkan air pada bahagian pertama badan.

Niat dilakukan sama ada dengan:

i. Niat mengangkat hadats yang dimaksudkan.

Sebagai contoh, berniat mengangkat hadats junub ketika berjunub, berniat mengangkat hadats haidh setelah mengalami haidh atau berniat mengangkat hadats nifâs setelah mengalami nifâs, atau

ii. Memadai dengan satu niat secara umum dan menyeluruh seperti berniat mengangkat hadats atau berniat mengangkat hadats akbar (besar), atau

iii. Niat untuk membolehkan ibadat tertentu yang diwajibkan mandi terlebih dahulu.

Sebagai contoh, berniat mandi untuk menunaikan sembahyang atau berniat mandi untuk membaca al-Qur’an atau untuk menunaikan thawaf, atau

iv. Niat menunaikan fardhu mandi.

Sebagai contoh: “Sahaja aku menunaikan fardhu mandi” atau “Sahaja aku mandi fardhu” atau “sahaja aku mandi yang difardhukan” ataupun “sahaja aku mandi wajib”, atau

v. Niat bersuci daripada hadats atau bersuci untuk sembahyang.

Seperti yang dimaklumi, niat letaknya di dalam hati dan tidak wajib untuk dilafazkan. Walau bagaimanapun, afdhal niat itu disertakan juga dengan disebut atau dilafazkan kerana hukumnya adalah sunat.

2. Meratakan air ke seluruh badan.

Wajib meratakan dan menyampaikan air ke seluruh bahagian zahir badan. Ini termasuk kuku dan bahagian zahir di bawahnya, rekahan kulit, yang zahir daripada lubang telinga, kulup dan faraj wanita yang zahir apabila duduk bertinggung.

Demikian juga wajib menyampaikan air pada rambut dan bulu-bulu yang tumbuh termasuk bahagian dalam jika rambut atau bulu itu tebal seperti dengan menguraikan rambut yang tebal dan mengenakan air pada bahagian dalamnya atau menyelati air pada janggut yang tebal.

Dalil meratakan air ke seluruh badan seperti yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengambil tiga cedok (air) dengan kedua-dua tapak tangan, lalu mencurahkannya ke atas kepala, kemudian barulah meratakan air tersebut ke seluruh tubuh Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari) Perkara-perkara Sunat dan Makruh ketika Mandi Wajib

Di samping mandi yang betul dengan memelihara perkara-perkara yang diwajibkan, mandi juga menjadi lebih sempurna dengan menitikberatkan perkara-perkara sunat dan menghindari perkara-perkara makruh ketika mandi wajib. Antara perkara-perkara yang disunatkan itu ialah:

1. Menghadap qiblat.

permulaaan mandi dengan disertai perbuatan mula membasuh dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali dan niat untuk melakukan perkara-perkara sunat mandi.

4. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

5. Kencing terlebih dahulu bagi yang inzâl (keluar mani) supaya sisa-sisa mani ikut keluar bersama air kencing kerana jika sisa mani keluar setelah mandi dilakukan, maka wajib diulang mandi tersebut.

6. Membersihkan kotoran yang ada pada faraj dengan tangan kiri seperti kesan mani dan madzi walaupun kotoran dan hadats tersebut dapat dihilangkan sekaligus dengan mandi wajib sahaja.

7. Afdhal mendahulukan wudhu’ sebelum mandi.

Niat wudhu’ ketika mandi wajib pula adalah seperti berikut:

i. Jika seorang dalam keadaan junub tetapi tidak berhadats kecil seperti keluar mani disebabkan syahwat apabila melihat isterinya, jika dia hendak berwudhu’ sama ada sebelum atau selepas mandi wajib, maka dia boleh berniat dengan niat melakukan wudhu’ sunat untuk mandi wajib.

Contoh: “Sahaja aku melakukan wudhu’ yang disunatkan pada mandi”, atau: “sahaja aku berwudhu’ untuk melakukan perkara sunat mandi” ataupun “sahaja aku bersuci untuk melakukan perkara sunat mandi”.

ii. Jika seseorang dalam keadaan junub dan pada masa yang sama berhadats kecil, jika dia hendak berwudhu’ sebelum memulakan mandi wajib, maka dia boleh berniat dengan niat “sahaja aku mengangkat hadats kecil”.

Jika dia berwudhu’ di pertengahan atau selepas mandi, maka dia boleh berniat sama ada dengan:

a. Berniat mengangkat hadats kecil seperti di atas sebagai langkah untuk mengelak daripada berselisih pendapat dengan golongan yang berpendapat bahawa tidak ada penyatuan di antara hadats kecil dan hadats besar, atau

b. Berniat wudhu’ untuk melakukan perkara sunat mandi sahaja.

8. Bersungguh-sungguh meratakan dan menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlekuk seperti telinga, lubang pusat dan ketiak seperti dengan mengambil air dalam telapak tangan kemudian menyampaikannya pada bahagian-bahagian tersebut. Tujuannya ialah untuk memastikan air betul-betul sampai atau mengenai pada bahagian-bahagian tersebut.

9. Membasuh kepala sebanyak tiga kali dengan menggosoknya dan menyelangi air sehingga ke pangkal rambut.

10. Menyelangi air pada janggut dengan menggunakan jari.

11. Mencurahkan air ke seluruh badan dan menggosoknya sebanyak tiga kali.

12. Mendahulukan sebelah kanan badan kemudian sebelah kiri.

13. Air yang digunakan tidak kurang daripada sukatan satu gantang iaitu kira-kira 4.56 liter.

14. Berturut-turut.

15. Membaca do‘a yang sering dibaca selepas berwudhu’ iaitu:

Ertinya: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah hambaNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada orang-orang yang sentiasa bertaubat kepadaMu, dan jadikankanlah aku daripada orang-orang yang sentiasa menyucikan diri. Maha Suci Engkau wahai Allah dengan segala puji hanya milikMu, aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Engkau, aku memohon keampunanMu dan bertaubat kepadaMu.

16. Bagi perempuan haidh dan nifâs yang bukan dalam ihrâm ataupun ihdâd (berkabung), sunat membubuh kesturi atau wangian pada kapas dan mengusapnya pada faraj selepas mandi.

Semasa melakukan perkara-perkara yang disunatkan ketika mandi wajib, iaitu sebelum memulakan mandi wajib, adalah lebih baik untuk menentukan niat hendak melakukan perkara-perkara sunat dalam mandi wajib itu. Sebagai contoh: “Sahaja aku melakukan sunat-sunat mandi”.

Kemudian setelah melakukan perkara-perkara sunat, barulah diikuti dengan niat yang menyatakan untuk mandi wajib.

Hikmah menentukan niat tersebut adalah sebagai langkah untuk mendapatkan pahala sunat kerana pahala sunat boleh lenyap apabila sahaja bertepatan niat mandi wajib dengan perbuatan membasuh anggota atau bahagian yang difardhukan ketika mandi wajib.

Sebagai contoh, seseorang akan mendapat ganjaran sunat jika dia memulakan perkara sunat seperti membasuh kedua tangan serentak dengan tasmiyyah dan niat untuk melakukan perkara sunat.

Jika dia memulakan membasuh tangan tanpa berniat melakukan perkara sunat, berkemungkinan perbuatan tersebut adalah dikira bermulanya perbuatan wajib mandi kerana kedua-dua belah tangan adalah termasuk anggota wajib ketika mandi wajib.

Berbeza halnya dengan wudhu’ kerana kedua-dua belah tangan itu bukanlah anggota wajib ketika berwudhu’.

Sementara itu, antara perkara yang dimakruhkan ketika mandi wajib pula ialah:

1. Berlebih-lebihan menggunakan air.

2. Mandi dengan air yang bertakung dan tidak mengalir walaupun kadar airnya banyak seperti air telaga dari mata air.

3. Meninggalkan wudhu’.

4. Melakukan perkara-perkara yang dimakruhkan ketika berwudhu’ seperti bercakap semasa mandi, mengeringkan badan dengan tuala atau seumpamanya.

Menyatukan Mandi Wajib dengan yang Lain

1. Memadai dengan satu mandi jika hendak mengangkat hadats besar dan menghilangkan najis yang ada pada badan. Dalam erti kata lain, harus menghilangkan najis pada badan tatkala melakukan mandi wajib.

2. Sah menyatukan mandi wajib dengan mandi sunat dengan satu mandi sahaja. Umpamanya mandi wajib kerana haidh dan mandi sunat hari Jumaat disatukan dalam satu mandi dengan disertai niat yang dimaksudkan.

3. Memadai dengan satu mandi sahaja untuk mengangkat hadats kecil dengan hadats besar. Umpamanya seseorang berhadats kecil kemudian dia berjunub atau sebaliknya, maka memadai dia melakukan mandi sahaja iaitu dengan niat mengangkat hadats besar.

4. Jika tidak terdapat air ketika diwajibkan mandi, maka mandi itu boleh digantikan dengan tayammum. Dengan tayammum tersebut harus seseorang itu melakukan setiap perkara yang dilarang daripada melakukannya ketika berhadats besar seperti sembahyang, membaca al-Qur’an, thawaf dan seumpamanya.

Niat tayammum itu hendaklah dengan niat untuk membolehkan melakukan suatu ibadat yang diwajibkan suci daripadanya hadats seperti sembahyang, membaca al-Qur’an, thawaf dan seumpamanya. Sebagai contoh: “Sahaja aku bertayammum untuk melakukan sembahyang fardhu kerana Allah Ta‘ala”, atau “sahaja aku bertayammum untuk membaca al-Qur’an kerana Allah Ta‘ala”.

Tidak memadai berniat dengan niat untuk mengangkat hadats sama ada hadats kecil atau besar, ataupun dengan niat bersuci ataupun dengan niat melakukan fardhu tayammum kerana hadats tidak terangkat dengan tayammum dan tayammum itu adalah satu cara bersuci yang menggantikan wudhu’ dan mandi wajib apabila dalam keadaan tertentu.

Beberapa Kesilapan yang Dilakukan Semasa Mandi Wajib

1 Tidak mengulangi membasuh anggota yang telah dibasahi air sebelum lagi niat dilakukan.

Niat hendaklah serentak dengan perbuatan memulakan mandi iaitu apabila air dicurahkan pada badan. Jika niat dilakukan sebelum atau selepas (habis) mandi, maka tidaklah memadai dengan niat itu dan wajib diulang mandi tersebut.

Manakala jika niat dilakukan ketika mandi (sesudah mengenakan air atau membasuh sebahagian badan), maka wajib dibasuh semula bahagian badan yang tidak disertai dengan niat itu.

2. Berniat mandi sahaja tanpa menentukan untuk mengangkat hadats, mandi wajib ataupun untuk membolehkan ibadat tertentu.

Tidak memadai berniat hanya dengan niat mandi semata-mata sahaja. Seseorang yang melakukan mandi wajib mesti menentukan dalam niatnya bahawa dia melakukan mandi wajib. Ini kerana mandi itu adakalanya merupakan mandi biasa, adakalanya pula merupakan mandi ibadat sama ada mandi sunat atau mandi wajib. Oleh sebab itu, mandi memerlukan kepada penentuan untuk membezakan sama ada seseorang itu melakukan mandi biasa seperti untuk membersihkan badan, ataupun mandi sunat seperti mandi sunat Hari Raya ataupun mandi wajib seperti mandi wajib untuk mengangkat janâbah.

3. Air tidak sampai ke seluruh bahagian badan.

Air yang dicurahkan ke anggota badan wajib sampai ke semua bahagian termasuklah rambut, kulit kepala dan bahagian dalam rambut yang tebal ketika mandi. Sekiranya air tidak sampai ke seluruh bahagian rambut dan kulit kepala disebabkan sanggul atau tocang, maka wajib dileraikan tocang atau sanggul itu supaya air dapat mengenai bahagian yang dimaksudkan.

Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi tersebut.

Sebagai contoh pewarna rambut yang sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ia suci. Ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut dan meresap sepertimana meresapnya inai pada jari dan kuku. Jika ia meresap, maka ia tidak menghalang air untuk sampai ke rambut dan mandi wajib tetap sah.

Selain itu, kuku yang panjang juga boleh menghalang bahagian bawah kuku daripada dikenai air. Oleh kerana itu, bahagian tersebut hendaklah dipastikan terkena air kerana ia tidak terkecuali daripada bahagian yang wajib disampaikan air.

4. Menggunakan air yang bercampur dengan sabun, bunga-bungaan, daun-daunan, wangian dan seumpamanya.

Air yang dimaksudkan untuk bersuci ialah air muthlaq iaitu air yang suci lagi menyucikan.

Jika air yang digunakan itu bercampur dengan sesuatu yang suci, tetapi mengubah sifat air tersebut, maka ia bukan lagi air muthlaq.

Umpamanya mandi wajib dengan air yang dicampur dengan bunga-bungaan atau daun-daunan ataupun dicampur dengan limau dan garam, maka yang demikian ini adalah tidak memadai. Tidak sah mandi wajib tersebut dan tidak terangkat hadats dengan air yang digunakan itu.

Walau bagaimanapun boleh mandi dengan air yang dicampur dengan bahan-bahan seperti yang disebutkan itu hanya setelah selesai melakukan mandi wajib (sempurna niat dan menyampaikan air muthlaq ke seluruh badan).

5. Tidak menjaga aurat.

Walaupun harus membuka aurat ketika mandi berseorangan atau di hadapan orang yang boleh melihat auratnya seperti isterinya, akan tetapi menutup auratnya adalah afdhal. Haram membuka aurat di hadapan orang yang diharamkan memandang kepadanya.

6. Beranggapan mandi wajib tidak sah jika berlaku perkara seperti:

- Mandi dengan air yang kurang daripada kadar segantang.

Kadar satu gantang adalah kadar yang disunatkan sahaja. Tidak ditentukan had banyak dan sedikit air yang digunakan dalam mandi wajib hatta kurang daripada kadar satu gantang adalah memadai.

- Berlaku hadats kecil ketika sedang mandi wajib.

Harus meneruskan mandi wajib walaupun berlaku hadats kecil tatkala sedang melakukan mandi wajib kerana hadats tersebut tidak menghalang sahnya mandi.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa mandi wajib bukanlah mandi semata-mata, bahkan ia adalah ibadat yang disyariatkan dan dituntut untuk ditunaikan.

Oleh kerana itu, kita hendaklah mengambil berat akan perkara-perkara yang berkaitan dengan mandi wajib itu dan tidak mempermudah-mudahkannya terutama dua perkara yang diwajibkan iaitu niat dan meratakan air ke seluruh badan. Tanpa dua perkara tersebut, mandi wajib tidak akan sah. Akibatnya, ibadat-ibadat lain yang disyaratkan padanya mandi wajib akan menjadi sia-sia.

ISU-ISU MENGERJAKAN SEMBAHYANG KETIKA KHATIB DUDUK DI ATAS MIMBAR PADA HARI JUMAAT

Para jemaah sembahyang fardhu Jumaat dianjurkan supaya datang awal ke masjid iaitu seboleh-bolehnya sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar. Adapun ganjaran atau pahala kepada jemaah yang datang awal ke masjid pada hari Jumaat ialah sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu-pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Maka apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para malaikat pun menutup buku catatan mereka dan mereka juga datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Dan perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah seperti orang yang menyembelih korban seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi jemaah yang datang lewat ke masjid sehingga khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar pula, selain terlepas daripada memperolehi fadhilat-fadhilat di atas, dia juga akan berhadapan dengan persoalan sama ada dia terus duduk sahaja untuk mendengarkan khutbah sebagai memenuhi tuntutan untuk diam serta mendengarkannya, atau dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid terlebih dahulu sebelum duduk sebagai syi‘âr serta adab menghormati dan memuliakan masjid. Inilah persoalan yang hendak kita huraikan.

Masuk ke dalam Masjid Ketika Azan Jumaat Dilaungkan

Bagi jemaah yang masuk ke dalam masjid ketika azan sembahyang fardhu Jumaat sedang dilaungkan, tidak kira sama ada azan pertama ataupun azan kedua, adalah disunatkan atasnya untuk menangguhkan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid sehingga dia selesai menjawab azan.

Maka dalam hal ini, dia bolehlah menjawab azan tersebut dalam keadaan berdiri sahaja. Kemudian selepas azan selesai barulah dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid secara takhfîf (ringan dan ringkas) supaya dia sempat mendengar awal khutbah tersebut.

Isu-Isu Mengerjakan Sembahyang Ketika Khatib Sudah Naik dan Duduk di Atas Mimbar

1. Haram bagi jemaah yang sudah sedia hadir dan duduk sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar mengerjakan sembahyang. Bagi jemaah yang sudah sedia hadir dan duduk dalam masjid sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar, haram ke atasnya untuk mengerjakan apa sahaja sembahyang setelah khatib naik dan duduk di atas mimbar, tidak kira sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat, walaupun khatib belum lagi memulakan khutbahnya. Ini kerana perbuatan tersebut menggambarkan keengganan daripada mendengar khutbah. Jika dikerjakan juga, maka menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, sembahyangnya itu tidak sah kerana ulama telah ijmâ‘ atas keharamannya.

Tidak ada beza dalam hal ini sama ada orang tersebut adalah orang yang wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat ataupun orang yang tidak wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat seperti perempuan, musafir dan lainnya.

Begitu juga tidak ada beza dalam hal ini sama ada dia yakin dia sempat menghabiskan sembahyangnya sebelum khatib mula membaca khutbah ataupun tidak. Apabila khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar, dengan sendirinya haram ke atas jemaah yang sedia hadir dan duduk dalam masjid untuk mengerjakan apa sahaja sembahyang.

2. Jemaah yang sedang bersembahyang, lalu khatib pun naik dan duduk di atas mimbar.

Adapun bagi mereka yang sedang mengerjakan sembahyang, lalu ketika mereka sedang sembahyang itu khatib pun naik dan duduk di atas mimbar, menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, wajib ke atas mereka itu meneruskan sembahyang mereka itu secara takhfîf walaupun sembahyang yang mereka kerjakan itu adalah sembahyang fardhu. Ini kerana perbuatan sengaja memanjangkan sembahyang pada ketika itu dikira sama dengan mendirikan sembahyang yang baharu. Jika dia memanjangkan juga sembahyangnya itu, maka sembahyangnya dikira batal.

2. Jemaah yang baru masuk masjid sedangkan khatib sudahpun naik dan duduk di atas mimbar.

Bagi jemaah yang baru masuk masjid sedangkan pada waktu tersebut khatib sudahpun duduk di atas mimbar, ataupun sudah mula menyampaikan khutbah, menurut ulama, sunat baginya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid dan makruh baginya meninggalkannya. Di samping itu, dia juga diwajibkan untuk mengerjakan sembahyangnya itu secara takhfîf. Jika dia memanjangkan juga sembahyangnya itu, maka sembahyangnya dikira batal. Namun hal ini disyaratkan apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid itu dia tidak takut akan terluput mengangkat takbîratul-ihrâm bersama imam.

Bagaimanapun, jika dia takut apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid itu dia akan terluput mengangkat takbîratul-ihrâm bersama imam, misalnya bagi jemaah yang baru masuk masjid pada penghujung khutbah, ataupun ketika khatib sudahpun selesai daripada khutbahnya, ataupun ketika iqâmah sudah dilaungkan, maka dalam hal ini, gugurlah tuntutan sunat ke atasnya untuk mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid, sebaliknya makruh atasnya untuk mengerjakannya. Begitu juga makruh atasnya untuk duduk. Sebaliknya, adalah lebih baik dan sunat baginya berdiri sahaja bagi menunggu imam untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Ini bagi mengelakkan dia duduk dalam masjid sebelum mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid.

Begitu juga tidak lagi dituntut bahkan makruh ke atasnya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid sekiranya ketika dia masuk masjid itu sembahyang fardhu Jumaat sudah mula didirikan.

Sekiranya jemaah yang datang lewat ke masjid pada penghujung khutbah itu tetap juga mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid, sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjidnya itu tetap sah. Dalam hal ini, menurut Imam Ibnu Rif‘ah Rahimahullâh, sunat ke atas khatib untuk memanjangkan sedikit khutbahnya sekira-kira hingga jemaah tersebut selesai mengerjakan sembahyangnya.

Keadaan ini adalah bagi makmum yang dituntut atasnya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid. Adapun bagi yang tidak dituntut atasnya untuk mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid, umpamanya jika sembahyang fardhu Jumaat itu dikerjakan bukan di masjid, sebagai contoh di sebuah kawasan lapang, balai ibadat, surau dan sebagainya, maka dalam keadaan ini tidak disyariatkan ke atasnya untuk mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid. Dalam hal ini, dia boleh terus duduk tidak kira sama ada pada ketika dia datang ke tempat didirikan sembahyang fardhu Jumaat itu khutbah sudah mula dibacakan ataupun belum.

Maksud Takhfîf dalam Mengerjakan Sembahyang Sunat Tahiyyatul-Masjid ketika Khatib Sudah Naik dan Duduk di Atas Mimbar

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa sebaik sahaja khatib naik dan duduk di atas mimbar, segala sembahyang yang sedang dikerjakan pada ketika itu, begitu juga sembahyang yang dikerjakan oleh jemaah yang baru masuk masjid pada waktu tersebut mahupun sepanjang khutbah dibacakan, wajib dikerjakan secara takhfîf.

Takhfîf pada dasarnya bermaksud ringkas ataupun ringan. Menurut satu pendapat yang dinukilkan daripada Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh, takhfîf dalam sembahyang ini bukanlah bermaksud mempercepatkan sembahyang, akan tetapi ia bermaksud membataskan dalam menunaikan sembahyang itu kepada perkara-perkara yang wajib sahaja.

Manakala menurut pendapat yang paling awjah pula, sepertimana yang disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, maksud takhfîf ialah tidak memanjangkan sembahyang. Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, Imam asy-Syibramalisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berpendapat bahawa bolehlah dibaca sebarang surah pendek selepas membaca surah al-Fâtihah.

Pensyariatan takhfîf ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Telah datang Sulaik al-Ghathafani pada suatu hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah, lalu dia (terus) duduk. Maka Baginda pun bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik! Bangunlah dan dirikanlah sembahyang dua rakaat dan kerjakanlah ia secara ringan (ringkas)”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Apabila seseorang daripada kamu hadir untuk (sembahyang) Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka kerjakanlah sembahyang dua rakaat dan hendaklah dia mengerjakannya secara ringan (ringkas).” (Hadits riwayat Muslim)

Sembahyang Apa yang Boleh Dikerjakan ketika Masuk Masjid Sewaktu Khatib Sudah Naik dan Duduk di Atas Mimbar?

Menurut ulama, selain daripada sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid, jemaah yang baru masuk masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar boleh mengerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat jika ia belum dikerjakan. Maka dalam hal ini, adalah lebih utama sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat itu disatukan niatnya bersama sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid dalam satu sembahyang dan dikerjakan sebanyak dua rakaat.

Jika orang itu hendak mengerjakannya dengan satu niat sahaja maka adalah lebih awla diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid sahaja. Ini kerana sembahyang sunat Tahiyyatul-Masjid akan luput jika tidak dikerjakan sebelum duduk. Adapun sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat pula, ia masih boleh dikerjakan sekalipun selepas sembahyang fardhu Jumaat, bahkan boleh juga diqadha jika dikerjakan di luar waktu.

Selain itu, jika seseorang itu mempunyai sembahyang untuk diqadha’, boleh juga dikerjakan sembahyang qadha’ yang jumlahnya dua rakaat seperti sembahyang qadha’ Shubuh.

Apa yang harus diingat dalam hal ini, segala sembahyang yang dikerjakan oleh jemaah yang baru masuk masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar hendaklah dikerjakan sebanyak dua rakaat sahaja. Jika dikerjakan lebih daripada itu maka ia tidak sah.

Bagaimanapun, dikecualikan dalam hal ini sekiranya orang itu ragu-ragu sama ada dia baru mengerjakan satu rakaat atau sudah dua rakaat. Dalam hal ini, sunat dia menambah satu rakaat lagi sebagai rakaat kedua kerana menurut hukum asal, dia dikira baru mengerjakan satu rakaat kerana keraguannya itu.

Demikian beberapa penjelasan mengenai orang yang datang ke masjid ketika khatib sudahpun naik dan duduk di atas mimbar. Apa yang perlu diingatkan di sini, bagi mereka yang tidak ada apa-apa kesusahan ataupun halangan untuk datang awal ke masjid bagi menghadiri perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat, seeloknya berusaha semampu yang boleh untuk hadir sekurang-kurangnya sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar. Segala ganjaran yang dijanjikan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sudah lebih daripada cukup sebagai penggalak supaya lebih awal datang ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat.

Jemaah yang datang lewat ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat sehingga melewati waktu tersebut adalah orang-orang yang sangat rugi. Ini kerana para malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan datang awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya sebaik sahaja khatib naik dan duduk di atas mimbar kerana para malaikat hendak sama-sama mendengar khutbah sepertimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang telah dinyatakan sebelum ini.

Mereka yang datang lewat ini hanya akan tercatat dalam senarai orang-orang yang hadir mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat semata-mata, tetapi tidak tersenarai dalam orang-orang yang mendapat kelebihan seolah-olah berkorban seekor unta, sapi, kambing atau lainnya sepertimana yang dinyatakan dalam hadits yang disebutkan sebelum ini.

Selain terlepas segala fadhilat datang awal ke masjid, orang-orang yang datang lewat ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat juga adalah orang-orang yang sangat rugi kerana mereka juga terlepas daripada mendengar dan menghayati khutbah yang penuh dengan ilmu, nasihat, teguran, peringatan serta pengajaran yang penting dan berguna.

KESALAHAN TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT

Kesedaran mengenai hukum yang berkaitan dengan agama perlu sentiasa dipertingkatkan. Penetapan hukum sepertimana disebutkan dalam al-Qur’an dan Sunnah, walaupun dihuraikan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka pada dasarnya adalah merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kepada hukum yang telah pun ditetapkan itu.

Negara Brunei Darussalam amat peka dan sangat mengambil berat terhadap kepentingan agama. Ini jelas terbukti apabila negara menetapkan hukuman-hukuman kesalahan berkaitan agama diperundangkan melalui Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 dan Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah- Mahkamah Kadi Penggal 77.

Kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan itu termasuklah kesalahan-kesalahan am bagi kesalahan orang yang tidak menunaikan sembahyang.

Kewajipan Sembahyang Jumaat

Hukum menunaikan sembahyang Jumaat adalah wajib kepada setiap orang Islam yang mukallaf (sudah bâligh dan berakal), merdeka, lelaki dan bermukim. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Sesungguhnya Allah Ta‘ala memerintahkan umat Islam berkumpul pada hari Jumaat untuk menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Jumu‘ah di atas “segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)”.

Maksud ‘segeralah pergi ke masjid’ itu bukanlah bererti mempercepatkan pergerakan kaki untuk pergi ke masjid, tetapi ia bermaksud menyegerakan niat, hati dan keinginan pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Perkara inilah yang disebut ulama dalam kitab-kitab tafsir.

Hukum Meninggalkan Sembahyang Jumaat

Meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa sehingga sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali akan dicap hatinya sebagai orang munâfiq. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali (berturut-turut) nescaya Allah akan mencap hatinya, dan menjadikan hatinya itu seperti hati orang munâfiq. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)

Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa ada uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicapkan oleh Allah sebagai hati orang munâfiq.

Kesalahan Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat Diwartakan

Kesalahan meninggalkan sembahyang Jumaat telahpun diwartakan di dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 di bawah kesalahan-kesalahan am. Jika ada sesiapa tidak menunaikan sembahyang Jumaat tanpa keuzuran boleh dikenakan hukuman. Ini jelas sepertimana disebutkan dalam perintah tersebut:

“Mana-mana lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar‘i atau dengan tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.” (Buku Warta Kerajaan)

Mengadakan hukuman bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana yang disebutkan di atas adalah supaya umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan sentiasa mendukung perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping memuliakan hari Jumaat itu sendiri. Keprihatinan kerajaan Negara Brunei Darussalam akan kepentingan agama dengan mengambil langkah mewartakan beberapa hukuman-hukuman tertentu adalah semata-mata membuka jalan dan mendorong umat Islam di negara ini supaya sentiasa taat dan patuh melaksanakan dan menjalankan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi laranganNya.

Kita rasa bersyukur di atas keprihatinan kerajaan mengenai hukuman-hukuman yang berkaitan dengan agama Islam seperti hukuman denda bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat dan seterusnya mengambil langkah menutup semua premis perniagaan bagi memberi ruang kepada orang Islam untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Perkara ini disambut baik dan mendapat kerjasama daripada pemilik-pemilik premis perniagaan yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang Islam malah juga pemilik-pemilik yang bukan daripada orang Islam.

Ini juga adalah selari dengan larangan berjual beli ketika sembahyang Jumaat, kerana umat Islam diperintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain.

Hukum Berjual Beli pada Hari Jumaat

Perintah meninggalkan jual beli apabila bermula waktu untuk menunaikan sembahyang Jumaat adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik Pemberi rezeki. (Surah al-Jumu‘ah: 11)

Ayat ini diturunkan ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah, kemudian datanglah kafilah dari Syam membawa barang dagangan, sehingga para jemaah sembahyang Jumaat meninggalkan Baginda Shallallâhu ‘alalihi wa sallam yang sedang berkhutbah. Bertitik tolak daripada kejadian tersebut, maka turunlah ayat ini.

Terdapat perbezaan hukum berjual beli pada hari Jumaat khususnya ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat. Perbezaan ini adalah mengikut keadaan masa tertentu, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

1. Haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat sehingga selesai sembahyang Jumaat. Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

2. Makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang Jumaat kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

3. Harus melakukan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

Begitulah secara ringkas hukum berjual beli ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat, manakala setelah selesai menunaikan sembahyang Jumaat, hukum berjual beli adalah harus.

Tetapi perlu diingat bahawa hukum haram dan makruh itu tidaklah terbatas kepada perkara jual beli sahaja malahan termasuk juga segala perkara yang melekakan daripada bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

Keuzuran Mengharuskan Meninggalkan Sembahyang Jumaat

Sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, namun seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘.

Antara keuzuran syar‘i itu ialah:

1. Sakit yang menghalangi untuk pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan sembuh. Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.

2. Orang musafir yang sedang dalam pelayaran yang diharuskan, selama mana dia tidak berniat untuk bermuqîm atau menetap pada sesuatu tempat dalam tempoh empat hari atau lebih.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa tidak harus memulakan pelayaran sebelum tergelincir matahari di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari melainkan setelah menunaikan sembahyang Jumaat. Namun adalah harus membuat pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya sembahyang Jumaat boleh atau sempat dilakukan di tempat yang dituju atau di tengah perjalanan.

Lebih-lebih lagi tidak harus yakni haram memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari kerana setelah tergelincir matahari itulah bermulanya kewajipan untuk pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat. Jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari, maka tidak ada baginya rukhshah yakni keringanan hukum, umpamanya keringanan berbuka puasa ketika dalam pelayaran, mengqashar atau memendekkan sembahyang dan sebagainya kerana pelayarannya itu dikira sebagai pelayaran maksiat. Melainkan jika dia belayar setelah berlalu atau luput waktu menunaikan sembahyang Jumaat kerana awal pelayarannya yang diharuskan untuk mengambil rukhshah itu dikira setelah berlalunya perkara maksiat yang dilakukannya itu iaitu mulai setelah berlalu ataupun luput waktu sembahyang Jumaat.

3. Orang yang dipenjara, direman atau ditahan. Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mempunyai keuzuran.

4. Sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk. Tidaklah disyaratkan orang yang menguruskan jenazah itu terdiri daripada ahli keluarganya seperti anaknya dan saudaranya. Adapun orang yang hadir, selain daripada orang yang menguruskan jenazah itu, bukanlah dikira orang yang mempunyai keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat.

Bagi orang yang ada keuzuran syar‘i sepertimana disebutkan sebelum ini dan menyangka keuzurannya itu akan hilang, maka adalah disunatkan supaya melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga ia berputus harapan untuk pergi ke masjid mengerjakan sembahyang Jumaat kerana keuzurannya itu boleh hilang dan dia dapat menunaikan sembahyang Jumaat itu. Namun jika dia bersembahyang Zhuhur di awal waktu kemudian hilang keuzurannya itu, tidaklah wajib ke atasnya sembahyang Jumaat lagi.

Oleh yang demikian, perlu diambil perhatian bahawa walaupun tindakan meninggalkan sembahyang Jumaat, merupakan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 sepertimana disebutkan sebelum ini, namun denda tersebut tidak sebanding bahkan jauh berbeza dengan dosa sebenar orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Apabila seseorang itu “dicap hati sebagai orang munâfiq” maka hatinya telah terlindung daripada cahaya kebesaran Allah yang Maha Agung, sehingga dia tidak mengenal lagi hak-hak ketuhanan Allah. Seseorang hamba tidak akan mencapai kemuliaan, kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan di akhirat, melainkan setelah mendirikannya, melazimkan diri dengan mengerjakannya serta senantiasa memeliharanya dengan baik. Malah tidak ada keselamatan, dan tidak ada pertolongan daripada azab dan kemurkaan Allah Ta‘ala, melainkan dengan mendirikan kewajipan itu serta memeliharanya.

Sememangnya tiada seorangpun yang mahu “dicapkan hati sebagai orang munâfiq”. Oleh itu, tunaikanlah sembahyang Jumaat atas dasar satu kewajipan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an.

Perlu diingat bahawa hukum menunaikan sembahyang Jumaat itu tetap wajib, sekalipun perintah menunaikan sembahyang Jumaat itu tidak diwartakan, samalah juga dengan hukum sembahyang fardhu lima waktu adalah wajib. Jangan pula disebabkan sembahyang fardhu lima waktu tidak diwartakan sebagai satu kesalahan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, maka kita tidak menunaikannya.

Jelasnya, setiap suruhan dan larangan agama mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Maka umat Islam diperintahkan berkumpul untuk menunaikan sembahyang Jumaat kerana hari tersebut mempunyai banyak hikmah dan kelebihan; antaranya ialah pada hari Jumaat inilah langit dan bumi diciptakan, pada hari Jumaat ini juga Nabi Adam diciptakan, pada hari Jumaat ini juga Nabi Adam dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga, pada hari Jumaat ini juga berlakunya Hari Kiamat dan pada hari Jumaat ini juga terdapat satu saat, jika kita memohon kepada Allah Ta‘ala pada saat itu akan kebaikan nescaya diperkenankanNya.

MENGAMINKAN DO‘A QUNUT IMAM KETIKA QUNUT SHUBUH

Membaca do‘a Qunut merupakan salah satu daripada sunat ab‘adh dalam sembahyang fardhu Shubuh, iaitu setelah selesai daripada i‘tidâl pada rakaat kedua. Perkara ini berdasarkan hadits-hadits shahîh bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak meninggalkan membaca do‘a Qunut dalam sembahyang Shubuh sehingga kewafatan Baginda.

Mengapa do‘a Qunut dikhususkan dalam sembahyang? Ini adalah kerana kemuliaan sembahyang Shubuh dan ia lebih singkat berbanding sembahyang fardhu yang lain, maka adalah lebih layak untuk ditambah dengan do‘a Qunut. Selain itu, sembahyang Shubuh juga merupakan sembahyang terakhir yang dikerjakan oleh malaikat Jibril ‘Alaihissalâm bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di sisi al-Bayt (Ka‘bah).

Oleh itu, untuk mencapai kesempurnaan sembahyang, merebut pahala sunat dan mendapat keistimewaan do‘a Qunut seperti yang terdapat pada maknanya, hendaklah dipastikan agar ia dilaksanakan dengan sempurna dan sebaik-baiknya. Oleh yang demikian, berikut dibawakan penjelasan bagaimana cara membaca do‘a Qunut bagi mereka yang sembahyang sendirian (munfarid), imam dan makmum.

Lafaz Do‘a Qunut

Lafaz do‘a Qunut adalah petikan do‘a sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (ittibâ‘). Diriwayatkan oleh al-Hakim Rahimahullâh dalam al-Mustadrak, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sembahyang Shubuh apabila selesai mengangkat kepala Baginda dari ruku‘ pada rakaat kedua, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdo‘a dengan do‘a ini sehingga ke akhirnya. Do‘a Qunut yang lengkap, berserta sedikit tambahan yang dibuat oleh para ulama, kemudian sunat diakhiri dengan selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah seperti berikut.

Lafaz do‘a Qunut bagi orang yang sembahyang sendirian adalah seperti lafaz di atas. Manakala sunat bagi imam untuk membaca do‘a Qunut dengan lafaz jama‘, iaitu menggunakan ganti nama ‘kami’, seperti berikut.

Membaca Do‘a Qunut bagi Orang Sembahyang Sendirian

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, orang yang sembahyang Shubuh secara sendirian (munfarid), sunat baginya membaca do‘a Qunut. Do‘a Qunut bagi munfarid sunat dibaca dengan suara sirr, iaitu perlahan, tanpa perselisihan ulama dalam perkara ini.

Membaca Do‘a Qunut bagi Imam

Imam yang membaca do‘a Qunut dalam sembahyang Shubuh, sunat baginya untuk menjahrkan, iaitu menyaringkan suara ketika membaca do‘a Qunut, sama ada dalam sembahyang tunai mahupun yang diqadha’. Demikian juga sunat bagi imam menyaringkan suaranya ketika membaca qunut Nazilah dan do‘a Qunut dalam sembahyang sunat Witir pada separuh kedua Ramadhan. Perkara ini disunatkan kerana ittibâ‘.

Do‘a Qunut adalah do‘a (permohonan), oleh kerana itu dituntut bagi imam untuk menyaringkan suara ketika membacanya agar didengar dan diaminkan oleh makmum akan do‘a tersebut.

Disunatkan bagi imam menyaringkan suara pada keseluruhan do‘a Qunut dari awal sehingga akhir, iaitu ketika membaca do‘a Qunut yang berbentuk do‘a, pujian, termasuk selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bagaimanapun kadar suara imam yang dinyaringkan ketika membaca do‘a Qunut itu adalah lebih rendah daripada suara yang dinyaringkannya ketika membaca surah al-Fâtihah, lebih-lebih lagi jika bilangan makmum tidak begitu ramai. Sekiranya bilangan makmum adalah ramai, maka suara imam dinyaringkan atau dinaikkan untuk disesuaikan dengan keramaian makmum agar boleh didengar oleh mereka semua. Sekiranya imam membaca do‘a Qunut dengan suara perlahan (sirr), maka tetap akan mendapat pahala atau ganjaran sunat membaca do‘a Qunut, bagaimanapun pahala sunat menyaringkan suara akan luput.

Membaca Do‘a Qunut bagi Makmum

Membaca do‘a Qunut Shubuh bagi makmum yang bermazhab Syafi‘e, sama ada dibaca oleh makmum sendiri ataupun mengikut imamnya, tertakluk sama ada dia boleh mendengar lafaz do‘a Qunut imamnya ataupun tidak.

Makmum yang tidak mendengar lafaz do‘a Qunut imamnya, disebabkan imam membaca dengan suara perlahan (tidak menyaringkan suara), makmum berada jauh daripada imam, makmum seorang yang tuli ataupun makmum mendengar suara yang tidak difahaminya, maka sunat bagi makmum untuk membaca sendiri do‘a Qunut dengan suara yang perlahan, sepertimana bacaan zikir-zikir sembahyang yang lain.

Manakala makmum yang mengikut imam yang tidak membaca do‘a Qunut, sebagaimana yang biasa dialami apabila menunaikan sembahyang fardhu Shubuh berjemaah di Masjid al-Haram, Makkah atau selainnya, maka makmum disunatkan membaca do‘a Qunut jika dia sempat melakukan sujud bersama-sama dengan imam pada sujud yang pertama.

Dalam keadaan seumpama ini, sunat bagi makmum untuk membaca do‘a Qunut dengan suara perlahan dan dia juga boleh memendekkan bacaan do‘a Qunut selagi bacaan itu mengandungi do‘a dan pujian. Menurut ulama, untuk mendapatkan pahala membaca do‘a Qunut adalah dikira memadai jika dia membaca do‘a dan pujian seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah aku, wahai Tuhan yang Maha Pengampun, dan rahmatilah aku wahai Tuhan yang Maha Mengasihani.

Bagaimanapun jika makmum tidak sempat membaca do‘a Qunut dan sujud bersama-sama imam pada sujud pertama, maka hendaklah dia mengikut apa yang dilakukan oleh imam. Kemudian selepas itu, sama ada dia sempat membaca do‘a Qunut ataupun tidak, disunatkan lagi bagi makmum untuk melakukan sujud sahwi kerana terdapat kekurangan di dalam sembahyang imamnya.

Apa yang perlu diambil perhatian ialah jika makmum itu memilih untuk membaca do‘a Qunut, maka hendaklah dia memastikan supaya tidak akan tertinggal dua rukun fi‘li daripada imamnya ketika membaca do‘a Qunut itu kerana jika tertinggal dua rukun fi‘li itu tanpa keuzuran, maka batallah sembahyang makmum tersebut.

Makmum Mengaminkan Do‘a Qunut Imam

Makmum yang boleh mendengar lafaz do‘a Qunut imamnya hendaklah dia mengaminkan do‘a Qunut tersebut kerana ittibâ‘.

Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan amalan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah membaca do‘a Qunut selama sebulan berturut-turut pada waktu Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib, ‘Isya’ dan Shubuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membaca: ( ََ حُ مِده ) pada rakaat terakhir, Baginda berdo‘a (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas qabilah-qabilah daripada Bani Sulaim, Ri‘l, Dzakwan dan ‘Ushaiyah. Dan orang di belakang Baginda mengaminkan (do‘a Baginda). (Hadits riwayat Abu Daud)

Kadar ketinggian suara makmum ketika mengaminkan do‘a Qunut imam adalah sepertimana makmum mengaminkan surah al-Fâtihah selesai imam membacanya dalam sembahyang.

Lafaz do‘a Qunut Shubuh yang diaminkan oleh makmum adalah pada ayat yang berbentuk do‘a, iaitu:

1. Pada lima ayat pertama.

2. Istighfâr.

3. Selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ahli keluarga dan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum.

Mengapa selawat termasuk ayat yang diaminkan oleh makmum? Ini kerana selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu dari segi makna bererti memohon bertambah rahmat ke atas Baginda, maka termasuklah selawat itu dalam erti kata do‘a. Kerana itu makmum dituntut mengaminkannya. Inilah pendapat al-mu‘tamad Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ. Yang lebih sempurna makmum seiringan dengan imam pada bacaan selawat kemudian mengaminkannya.

Apabila tiba pada ayat yang berbentuk puji-pujian, iaitu bermula daripada ayat

makmum tidak mengaminkannya. Ini kerana ia adalah ayat yang berbentuk pujian dan zikir, maka adalah lebih layak bagi makmum untuk menyatakan persetujuan atau muafakat. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan oleh makmum ialah membaca bersama-sama dengan imam apabila tiba pada ayat-ayat tersebut dengan suara perlahan dan ini adalah lebih utama (awlâ), ataupun makmum mendiamkan diri mendengarkan sahaja bacaan imam, ataupun makmum berkata atau menyahut setelah bacaan

Demikian penjelasan ringkas cara membaca do‘a Qunut dalam sembahyang fardhu Shubuh bagi yang sembahyang sendirian (munfarid), imam dan makmum. Begitulah juga cara membaca do‘a Qunut dalam sembahyang sunat Witir pada separuh terakhir Ramadhan.

Menadah Tangan ketika Berdo‘a

Mengangkat atau menadah tangan ketika berdo‘a di luar sembahyang adalah sunat sebagai ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam), begitu juga menyapu muka apabila selesai berdo‘a. Perkara ini berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menadah kedua-dua tangan Baginda ketika berdo‘a dan menyudahi do‘a Baginda dengan menyapu wajah Baginda dengan kedua-dua tangan Baginda. Kadar mengangkat kedua-dua tangan adalah separas (setinggi) dua bahu melainkan terdapat kesulitan, sama ada dirapatkan kedua-dua belah tangan ataupun dijarangkan dan dipisahkan di antara kedua-duanya.

Bagaimanapun mengangkat atau menadah tangan ketika berdo‘a dalam sembahyang adalah tidak disunatkan, kecuali menadah tangan pada bacaan do‘a Qunut dalam sembahyang kerana ittibâ‘. Demikian juga, pada asalnya tidak disunatkan untuk menyapu muka setelah selesai daripada membaca do‘a dalam sembahyang.

Sebagai kesimpulan membaca do‘a Qunut dalam sembahyang Shubuh merupakan sunat ab‘adh. Bagi mereka yang sembahyang sendirian, disunatkan untuk membaca Qunut dengan suara perlahan. Bagi imam, disunatkan untuk menyaringkan suara ketika membaca do‘a Qunut Shubuh dengan tujuan untuk diaminkan oleh makmum. Lebih utama bagi makmum yang boleh mendengarkan lafaz do‘a Qunut imamnya untuk mengaminkan pada bahagian ayat yang berbentuk do‘a, manakala pada bahagian yang berbentuk pujian-pujian lebih utama bagi makmum untuk bersama-sama imam pada bacaan tersebut dengan suara perlahan. Bagi makmum yang tidak mendengar lafaz do‘a Qunut imamnya, sunat baginya untuk membaca sendiri do‘a Qunut dengan suara perlahan. Menadah tangan dalam sembahyang ketika berdo‘a hanya disunatkan ketika membaca do‘a Qunut sahaja dan tidak disunatkan untuk menyapu muka diakhir do‘a Qunut. Jika Qunut itu ditinggalkan, sama ada terlupa atau sengaja, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.

SUNAT BERPINDAH TEMPAT DI ANTARA DUA SEMBAHYANG

Seorang yang mendirikan sembahyang di masjid, baik secara sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum, sesudah selesai menunaikan sembahyangnya dan dia mahu mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat rawâtib dan selainnya, adalah sunat baginya untuk berpindah dari tempat sembahyangnya yang pertama ke tempat lain untuk mengerjakan sembahyang seterusnya.

Cara lain yang dianjurkan bagi memisahkan di antara kedua-dua sembahyang itu adalah memadai juga dengan percakapan. Penjelasan mengenai kedua-dua cara ini adalah seperti berikut.

Memisahkan di Antara Dua Sembahyang

Hukum berpindah tempat untuk memisahkan di antara dua sembahyang adalah sunat. Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap perbuatan menyambung dua sembahyang. Diriwayatkan bahawa Nafi‘ bin Jubair telah mengutus ‘Umar bin ‘Atha’ pergi kepada as-Sa’ib Radhiallâhu ‘anhum, anak lelaki kepada saudara perempuan Namir, untuk menanyakan kepada as-Sa’ib mengenai suatu perkara atau perbuatan yang pernah dilihat dilakukan oleh Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhu dalam sembahyang:

Maksudnya: As-Sa’ib berkata: “Benar. Aku pernah sembahyang fardhu Jumaat bersama-sama Mu‘awiyah dalam maqshûrah (satu bilik kecil dalam masjid). Setelah imam memberi salam, aku pun berdiri pada tempat (yang sama) aku sembahyang, kemudian aku menunaikan sembahyang (sunat). Ketika Mu‘awiyah masuk, dia mengutus seseorang kepadaku dan utusan itu pun berkata: “Jangan kamu ulangi apa yang telah kamu lakukan tadi. Jika kamu telah selesai menunaikan sembahyang Jumaat, maka jangan kamu sambungkannya dengan sembahyang (lain di tempat yang sama) sehinggalah (terlebih dahulu) kamu bercakap sesuatu atau keluar (beredar daripada tempat itu), kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan kami dengan cara demikian, iaitu tidak menyambung sembahyang dengan sembahyang (yang lain di tempat yang sama) sehinggalah kami (terlebih dahulu) bercakap sesuatu atau kami keluar.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini jelas menunjukkan adanya larangan menyambung dua sembahyang tanpa diselangi sekurang-kurangnya dengan kata-kata ataupun dipisahkan dengan perbuatan keluar atau berpindah dari tempat sembahyang yang pertama.

Memisahkan di Antara Dua Sembahyang dengan Percakapan

Berdasarkan dalil daripada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai tegahan atau larangan menyambung dua sembahyang, sekiranya seseorang itu tidak berpindah dari tempat sembahyangnya yang pertama, maka memadailah dia memisahkan di antara dua sembahyangnya itu dengan percakapan.

Oleh yang demikian, adalah memadai jika dipisahkan di antara sembahyang pertama dan sembahyang seterusnya dengan percakapan, sekalipun yang tidak difahami, ataupun dengan mengucapkan lafaz yang boleh membatalkan sembahyang. Ini termasuklah zikir seperti bertasbîh, berdehem yang membatalkan sembahyang atau membaca ayat al-Qur’an. Akan tetapi tidak memadai memisahkan kedua-dua sembahyang tersebut dengan zikir dan do‘a yang tidak dilafazkan (tanpa suara).

Memisahkan di Antara Dua Sembahyang dengan Berpindah Tempat

Menurut ulama adalah disunatkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang sunat setelah sembahyang fardhu supaya berpindah dari tempat dia mengerjakan sembahyang fardhu. Begitu juga sebaliknya, disunatkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang fardhu supaya berpindah dari tempat dia mengerjakan sembahyang sunat. Demikianlah seterusnya, sunat dia berpindah tempat bagi setiap sembahyang yang dikerjakannya sama ada sembahyang qadha’ ataupun sembahyang sunat. Begitulah juga yang dilakukan untuk memisahkan setiap dua rakaat sembahyang sunat yang hendak dikerjakannya betapa pun banyaknya. Bagaimanapun untuk mengerjakan sembahyang yang ketiga misalnya, adalah memadai sekiranya dia kembali semula ke tempat sembahyangnya yang pertama. Sungguhpun demikian, terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini, iaitu tidak disunatkan untuk berpindah, sepertimana yang akan dijelaskan kemudian.

Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa seseorang yang hanya menetap pada satu tempat atau sudut tertentu sahaja di dalam masjid tanpa berpindah-pindah hukumnya adalah makruh, kecuali bagi imam, iaitu tidak dihukumkan makruh baginya untuk hanya menetap di mihrab tanpa berpindah-pindah darinya.

Melakukan Sembahyang Sunat Selesai Sembahyang Fardhu

Seseorang yang selesai daripada sembahyang fardhu di masjid, kemudian dia hendak mengerjakan lagi sembahyang sunat, iaitu yang tidak disunatkan berjemaah, adalah sunat, malahan afdhal baginya untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut di rumahnya.

Perkara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyanglah kamu wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya sembahyang yang afdhal ialah sembahyang seseorang (yang dikerjakan) di rumahnya melainkan sembahyang fardhu. )Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, hukum mengerjakan sembahyang sunat di rumah selepas mengerjakan sembahyang fardhu di masjid adalah afdhal secara mutlak berbanding mengerjakannya di masjid. Mengerjakan sembahyang sunat di rumah atau tempat kediaman adalah afdhal sekalipun bagi mereka yang berada di Masjidil Haram (Makkah), Masjid al-Madinah, Masjid al-Aqsa atau masjid selainnya berdasarkan keumuman hadits di atas. Oleh yang demikian, dapat difahami di sini bahawa kadang-kala sesuatu yang banyak ganjaran pahala itu tidak bererti merupakan keutamaan atau menjadi pilihan.

Perkara ini dikuatkan lagi oleh hadits shahîh riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu telah menunaikan sembahyang fardhu di masjidnya, maka peruntukkanlah bagi rumahnya satu bahagian daripada sembahyang sunatnya itu. Sesungguhnya Allah memperuntukkan bagi rumahnya kebaikan (yang banyak dan hebat) disebabkan sembahyangnya itu. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits di atas, sembahyang yang ditunaikan di masjid adalah sembahyang fardhu secara berjemaah manakala sembahyang yang diperuntukkan di rumah atau tempat tinggal adalah sembahyang sunat. Dengan ini tertunailah hak setiap tempat yang disebutkan itu, iaitu sembahyang fardhu di masjid, manakala sembahyang sunat pula di tempat kediamannya.

Antara sebab mengapa dituntut (sunat), malahan afdhal untuk berpindah dan tidak menetap di tempat yang sama adalah kerana dengan berpindah itu akan memperbanyakkan tempat sujud orang yang sembahyang itu. Tempat atau kedudukan yang kedua itu pula akan menjadi saksi baginya pada Hari Kiamat sebagaimana tempat sembahyang yang pertama menjadi saksi baginya. Di samping itu, dengan berpindah tempat sembahyang bermakna dia menghidupkan tempat-tempat yang lain itu dengan ibadat.

Oleh yang demikian, seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang sunat, selepas sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat yang lain, adalah digalakkan untuk berpindah ataupun mengubah kedudukannya ke tempat lain dari tempatnya yang awal. Sekiranya dia tidak berpindah umpama seseorang yang telah mengerjakan sembahyang fardhu di masjid dan dia tidak pulang ke rumahnya, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat dalam masjid, maka sunat baginya berpindah sedikit daripada tempat sembahyangnya ke tempat atau bahagian lain dalam masjid.

Hikmah Sembahyang Sunat Dikerjakan di Rumah Kediaman

Hikmah daripada suruhan mengerjakan sembahyang sunat di rumah masing-masing adalah untuk menjauhkan diri daripada riya’ dan juga disebabkan amalan yang dikerjakan di rumah adalah lebih tersembunyi, terpelihara daripada amalan yang sia-sia disebabkan tidak diterima (ditolak) oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Malahan hukumnya adalah sunat mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat di rumah, iaitu sembahyang yang tidak disunatkan berjemaah, berbanding mengerjakannya di masjid sekalipun dia aman ataupun selamat daripada riak.

Selain itu, galakan dan tuntutan untuk mengerjakan sembahyang sunat di rumah adalah untuk mendapatkan keberkatan kepada rumah dan ahli keluarga di dalamnya dengan sembahyang sunat, diturunkan rahmat dan para malaikat masuk ke dalam rumah, sementara syaitan pula lari menjauhkan diri dari rumah itu. Inilah antara maksud daripada kebaikan yang banyak dan hebat seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.

Ternyatalah ‘illah atau sebab mengapa sembahyang sunat dituntut dikerjakan di rumah sekalipun masjid itu sunyi, tiada orang atau jemaah, bukan hanya kerana untuk mengelakkan riya’ semata-mata, akan tetapi juga untuk mendapatkan keberkatan sembahyang tersebut kepada rumah dan ahli keluarga orang yang melaksanakannya.

Melakukan Sembahyang Sunat di Masjid

Setelah penjelasan mengenai tuntutan dan afdhalnya sembahyang sunat dikerjakan di rumah masing-masing, hukum seseorang yang mengerjakan sembahyang sunat di masjid pula adalah harus, tetapi menyalahi yang afdhal. Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau sendiri pernah sembahyang sunat (di masjid) bersama Baginda. Tambahan daripada itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga mengerjakan sembahyang sunat, selain sembahyang fardhu, di masjid pada malam-malam Ramadhan.

Pengecualian

Sembahyang sunat, secara mutlak, adalah afdhal dikerjakan di rumah berbanding dikerjakan di masjid bagi mereka yang tidak beri‘tikâf di masjid. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu sembahyang sunat afdhal dikerjakan di masjid dan tidak afdhal berpindah ke rumah atau tempat tinggal untuk mengerjakannya sepertimana penjelasan berikut:

1. Bagi mereka yang beri‘tikâf dalam masjid dan mereka yang duduk di dalam masjid untuk menuntut ilmu atau mengajarkan ilmu.

2. Bagi mereka yang tidak mahu mengakhirkan atau melewatkan sembahyang sunat tersebut sehingga pulang ke rumah kerana ditakuti akan luput waktu sembahyang rawâtib disebabkan sudah kesempitan masa, atau tempat tinggal yang jauh, atau ditakuti dia akan meringan-ringankannya apabila tiba di rumah sehingga tidak melaksanakannya.

3. Sembahyang sunat yang disunatkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid seperti sembahyang sunat Tarawih, Istisqa’, sembahyang sunat dua gerhana (matahari dan bulan), sembahyang sunat dua Hari Raya, (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha). Kesemua sembahyang sunat ini adalah afdhal dikerjakan di masjid berbanding di rumah.

4. Sembahyang sunat yang dilaksanakan di masjid seperti sembahyang Dhuha, sembahyang Istikharah, sembahyang memulakan safar (pelayaran), sembahyang kembali daripada musafir, sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu Jumaat (qabliyyah) kerana ia afdhal dikerjakan di masjid disebabkan adanya suruhan dan untuk merebut fadhilat dengan segera awal datang ke masjid bagi sembahyang fardhu Jumaat, sembahyang sunat dua rakaat ihram jika terdapat masjid pada kawasan mîqât seseorang dan sembahyang sunat thawaf.

5. Sembahyang sunat qabliyyah Maghrib serta sembahyang rawatib qabliyyah yang lainnya apabila telah masuk waktunya dan pada ketika itu dia sudahpun berada di masjid. Oleh itu, janganlah seseorang itu beredar atau berpindah keluar dari masjid untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut. Ini kerana para jemaah diperintahkan untuk bersegera datang untuk sembahyang dan mendapatkan shaf yang awal. Lebih-lebih lagi perbuatan berpindah tempat setelah shaf-sfaf tersusun dan terisi merupakan satu kesulitan khususnya apabila bilangan jemaah yang bersembahyang adalah ramai sepertimana dalam sembahyang fardhu Jumaat. Adapun sembahyang sunat selepas sembahyang fardhu Jumaat (ba‘diyyah), maka ia afdhal dikerjakan di rumah.

Dapat difahami bahawa perbuatan berpindah ke tempat lain untuk mengerjakan sembahyang sunat hanya sunat dilakukan dengan syarat perbuatan itu tidak menyebabkan terluput sesuatu fadhilat (kelebihan), umpamanya luput fadhilat shaf awal dan kedudukan yang berhampiran atau berdekatan dengan imam ataupun boleh menyebabkan kesulitan dan pelanggaran shaf-shaf yang lain.

Sembahyang Shubuh

Pengecualian juga termasuk sembahyang fardhu Shubuh. Selain daripada berpindah dari tempat dia sembahyang sunat Shubuh (sunat Fajar) untuk mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh atau dengan berzikir dan membaca ayat al-Qur’an, cara yang afdhal memisahkan di antara sembahyang fardhu Shubuh dengan sembahyang sunat Shubuh (sunat Fajar) ialah dengan berbaring dan adalah awlâ (lebih utama) secara mengiring ke sebelah (bahu) kanan kerana bahagian

ini adalah yang afdhal. Perkara ini adalah berdasarkan ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Tambahan pula muka dan bahagian depan badan akan menghadap ke arah qiblat sepertimana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan salih dan bersiap-sedia untuk menghadapi kematian.

Ini berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau telah berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila selesai mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Shubuh di rumah), Baginda berbaring (mengiring) di atas bahu kanan Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sebelum berbaring, iaitu setelah selesai sahaja mengerjakan sembahyang sunat Shubuh, sebahagian ulama menganjurkan untuk membaca do‘a berikut sebanyak tiga kali:

Ertinya: Ya Allah! Tuhan Jibril, Israfil, Mika’il dan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, aku berlindung denganMu daripada api neraka.

Selain itu apabila dipisahkan di antara sembahyang fardhu Shubuh dan sembahyang sunat Shubuh dengan percakapan adalah makruh bercakap mengenai perkara keduniaan.

Menurut sebahagian ulama muta’akhkhirîn bagi sesiapa yang membaca zikir apabila dia selesai sembahyang fardhu Shubuh sehingga terbit matahari, tidak disunatkan baginya berpindah. Dengan erti kata lain, hendaklah seseorang itu tetap duduk di tempatnya. Ini kerana dalam sebuah hadits telah menyatakan bahawa ganjarannya adalah seperti melakukan satu haji dan satu umrah. Perkara ini adalah berdasarkan riwayat oleh Anas Radhiallâhu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang sembahyang Fajar (Shubuh) berjemaah kemudian dia duduk berzikir mengingati Allah sehingga terbit matahari, kemudian dia sembahyang dua rakaat (setelah terbit matahari) adalah baginya ganjaran seperti (mengerjakan) satu haji dan satu umrah. Menurut Anas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “(Baginya haji dan umrah yang) sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sebagai kesimpulan, seorang munfarid (sembahyang secara sendirian), imam mahupun makmum yang sudah selesai daripada sembahyangnya di masjid dan ingin untuk mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat yang lain, adalah sunat baginya untuk memisahkan di antara sembahyang pertama dengan sembahyang yang seterusnya.

Cara memisahkan di antara kedua-dua sembahyang itu ada dua cara, iaitu dengan berpindah dari tempatnya sembahyang ke tempat lain, ataupun sekurang-kurangnya diselangi di antara kedua-dua sembahyang itu dengan percakapan. Sekiranya dia tidak berpindah atau beredar ke tempat kediamannya, maka memadai juga dengan berpindah sedikit dari tempat sembahyang pertama. Bagaimanapun dalam sesetengah keadaan adalah afdhal sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah itu dikerjakan di rumah atau tempat kediaman berbanding dikerjakan di masjid.

MUFÂRAQAH DALAM SEMBAHYANG BERJEMAAH

Pengertian mufâraqah dari segi bahasa ialah berpisah atau meninggalkan. Manakala dari segi istilah pula, pengertian mufâraqah itu adalah serupa sepertimana pengertiannya dari segi bahasa.

Pengertian mufâraqah dalam ibadat sembahyang pula jika dikaitkan mengikut makna dari segi bahasa ialah makmum berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah.

Apabila makmum berniat mufâraqah maka terputuslah hubungan sembahyang makmum dengan sembahyang imam, dan apa juga hukum yang berlaku ke atas imam tidak akan menjejaskan hukum sembahyang makmum seperti hukum mengikut imam atau hukum imam terlupa atau tersilap.

Dalam perkara mufâraqah ini, kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, yang ditulis oleh Sayyid ‘Abdul Rahman Ba ‘Alawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, menyebutkan bahawa mufâraqah itu terbahagi kepada lima hukum:

Ertinya: Sesungguhnya perihal berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah adalah tertakluk kepada hukum-hakam yang lima. Wajib (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila melihat imam melakukan perkara yang membatalkan sembahyang, dan sunat (berpisah daripada mengikut imam) apabila melihat imam tertinggal sunat sembahyang, dan harus (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila mendapati imam memanjangkan sembahyang, dan makruh (berpisah daripada mengikut imam) tanpa keuzuran, kerana yang demikian itu meninggalkan fadhilat berjemaah, dan haram (berpisah daripada mengikut imam) jika yang demikian itu menyebabkan syi‘âr tidak menyerlah (kewajipan agama) atau sembahyang jemaah itu merupakan satu kewajipan seperti sembahyang Jumaat. (Bughyah al- Musytarsyidîn: 74)

Berdasarkan penjelasan di atas, makmum dibolehkan atau dibenarkan berniat keluar daripada imamnya (mufâraqah) dalam sembahyang berjemaah mengikut keadaan-keadaannya yang tertentu sehinggakan adakalanya makmum tidak perlu berniat mufâraqah tetapi hanya perlu menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian. Ini bermakna melakukan mufâraqah dalam sembahyang berjemaah adakalanya harus, adakalanya pula wajib bahkan adakalanya makruh dan haram.

Keadaan-keadaan Mufâraqah

Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa hukum mufâraqah boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram mengikut keadaan yang berlaku ke atas imam dan makmum. Maka untuk lebih jelas dibawakan beberapa gambaran keadaan-keadaan mufâraqah itu.

1. Mufâraqah kerana imam terlupa atau tersilap melakukan rukun sembahyang.

Apabila imam tersilap atau terlupa melakukan rukun sembahyang, maka makmum sunat mengingati imam dengan cara ucapan tasbîh (Subhânallâh) bagi makmum lelaki dan dengan cara tashfîq bagi makmum khuntsâ dan perempuan. Jika imam menyedari akan kesilapannya lalu mengerjakan rukun yang tertinggal itu, maka wajib bagi makmum mengikut imam tersebut.

Akan tetapi jika imam tidak juga melakukan rukun yang tertinggal itu, makmum tidaklah boleh terus mengikut sembahyang imam tersebut malah haram hukumnya. Oleh yang demikian makmum wajib berniat mufâraqah dan menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.

Menyentuh tentang tasyfîq yang dikhususkan bagi makmum khuntsâ dan perempuan, ia boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:

i. Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri.

ii. Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri.

iii. Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri.

iv. Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan.

v. Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan.

vi. Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.

2. Mufâraqah kerana imam terlupa atau tidak melakukan perkara sunat dalam sembahyang.

Jika imam didapati meninggalkan sunat sembahyang seperti tasyahhud awwal ataupun Qunut, sama ada terlupa ataupun sengaja, yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyang jika makmum terus mengikut imam sekalipun dia tidak melakukan tasyahhud awwal ataupun Qunut tersebut. Akan tetapi adalah sunat hukumnya bagi makmum berniat mufâraqah untuk melakukan perkara sunat itu.

Perlu diingat bahawa terdapat perbezaan di antara cara mengulangi perkara sunat sembahyang yang tertinggal dengan rukun sembahyang yang tertinggal.

Pada dasarnya, jika seseorang itu bersembahyang secara bersendirian dan terlupa akan salah satu daripada rukun sembahyang, maka dia hendaklah terus melakukan rukun tersebut sejurus setelah dia teringat walaupun setelah berlalu beberapa rukun yang lain. Ini kerana rukun lain yang dilakukannya itu (selepas rukun yang tertinggal itu) adalah tidak dikira selagi rukun yang tertinggal itu tidak dilakukannya.

Manakala jika seseorang itu tertinggal akan salah satu daripada sunat sembahyang dia boleh melakukan sunat sembahyang yang tertinggal itu selagi dia belum sempurna melakukan rukun yang seterusnya. Sebagai contoh, jika yang tertinggal itu tasyahhud awwal maka dia boleh kembali melakukan tasyahhud awwal itu selagi belum sempurna melakukan rukun qiyâm pada rakaat seterusnya. Ini kerana jika sudah sempurna rukun qiyâm pada rakaat seterusnya itu, maka dia tidaklah boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal yang tertinggal itu. Jika dilakukannya juga, perbuatannya itu akan membatalkan sembahyangnya.

Sehubungan dengan itu, jika makmum melihat imamnya terlupa sehingga tidak melakukan tasyahhud awwal, dan imam tersebut terus bangkit sehingga sempurna mengerjakan qiyâm (berdiri betul), maka makmum tidak boleh duduk menunggu imam dengan andaian bahawa imam itu akan duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awwal. Bahkan wajib makmum bangkit mengikut imam untuk mengerjakan qiyâm. Ini kerana perbuatan makmum duduk menunggu imam itu akan membatalkan sembahyang makmum disebabkan melakukan perbuatan yang bersalahan dengan perbuatan imam.

Jika makmum tetap sahaja sengaja duduk menunggu imam yang sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiyâm dengan andaian bahawa imam tersebut akan kembali duduk mengerjakan tasyahhud awwal, maka batal sembahyang makmum jika dia tidak berniat mufâraqah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau sengaja meninggalkan tasyahhud awwal), mufâraqah daripada imam itu adalah lebih utama.

Bagaimana pula halnya jika imam dan makmum (kedua-duanya) sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiyâm dan meninggalkan tasyahhud awwal?

Jika imam duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awwal yang tertinggal atau ditinggalkannya itu, maka makmum tidak boleh mengikut imam tersebut untuk duduk semula mengerjakan tasyahhud awwal.

Jika keadaan ini berlaku, maka makmum mempunyai dua pilihan, iaitu:

i. Berdiri menunggu imam. Ini kerana makmum berandaian bahawa imam tersebut kembali duduk untuk mengerjakan tasyahhud awwal kerana tersilap atau imam lupa akan keharamannya (duduk semula setelah berlaku qiyâm). Pada masa yang sama, makmum juga berandaian bahawa imam tersebut akan bangkit semula untuk mengerjakan qiyâm setelah dia teringat akan kelalaian dan kesilapannya kembali duduk untuk mengerjakan tasyahhud awwal itu.

ii. Ataupun makmum melakukan mufâraqah daripada mengikuti imam. Melakukan mufâraqah ini adalah lebih utama sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Jika makmum tersebut kembali duduk juga untuk mengerjakan tasyahhud awwal bersama imam, dan dia terlupa ataupun jahil tentang keharamannya, maka yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyangnya. Akan tetapi, jika makmum tersebut sengaja melakukannya sedangkan dia mengetahui akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya.

Begitulah cara makmum mufâraqah jika imam tertinggal atau terlupa salah satu daripada perkara-perkara sunat dalam sembahyang.

3. Mufâraqah kerana mendapati sembahyang imam tidak sah.

Hukum mufâraqah menjadi wajib bagi makmum apabila dia mendapati berlaku perkara yang membatalkan sembahyang ke atas imam, sedangkan imam tersebut tidak mengetahuinya. Sebagai contoh, makmum melihat terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian imam yang tersembunyi di bahagian tertentu pada bajunya ataupun makmum melihat baju imam koyak sehingga mendedahkan sebahagian auratnya.

Maka dalam keadaan seperti ini makmum wajib berniat mufâraqah sejurus setelah mengetahui perkara tersebut. Ini kerana, jika makmum tidak berbuat demikian maka batal sembahyangnya. Sebab, makmum tidak boleh mengikuti imam tersebut sebagaimana menurut kesepakatan para ulama. 4. Mufâraqah disebabkan keuzuran ataupun tanpa sebab keuzuran.

Menurut pendapat mazhab asy-Syafi‘iyyah, melakukan mufâraqah daripada sembahyang berjemaah tanpa sebarang keuzuran adalah makruh kerana hukum asal sembahyang berjemaah itu adalah fardhu Kifayah. Maka sembahyang berjemaah yang ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran itu hukumnya adalah makruh, kerana meninggalkan kelebihan berjemaah.

Walau bagaimanapun, harus bagi makmum berniat mufâraqah daripada imam jika terdapat keuzuran seperti makmum dalam keadaan sakit atau imam membaca bacaan terlalu panjang sedangkan makmum ada keperluan lain yang perlu dilaksanakan. Dalam keadaan seperti ini, makmum boleh berniat mufâraqah dan menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.

5. Mufâraqah dalam sembahyang Jumaat.

Dalam perkara sembahyang Jumaat, seseorang itu akan dikira melakukan sembahyang Jumaat jika dia sempat melakukan satu rakaat bersama imam. Ini berdasarkan sebuah hadits:

Maksudnya: Barang siapa sempat satu rakaat ketika sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia menambah satu rakaat lagi sembahyang Jumaatnya itu. (Sunan Ibnu Majah)

Ini bermakna, melakukan satu rakaat secara berjemaah bersama imam merupakan syarat yang perlu dipenuhi dalam sembahyang Jumaat.

Oleh yang demikian, maka tidak harus melakukan mufâraqah atau berpisah daripada imam dalam sembahyang Jumaat pada rakaat pertama. Jika seseorang melakukan mufâraqah pada rakaat pertama maka dia tidaklah tergolong di antara jemaah yang melakukan sembahyang Jumaat. Seseorang itu hanya akan dikira menunaikan sembahyang Jumaat jika dia sempat melakukan satu rakaat bersama imam dalam sembahyang Jumaat tersebut.

Jika makmum mendapat keuzuran dan ingin melakukan mufâraqah dalam sembahyang Jumaat, maka hendaklah makmum tersebut memastikan supaya dia melakukan mufâraqah itu selepas menunaikan rakaat pertama iaitu pada rakaat kedua supaya dia termasuk antara para jemaah yang menunaikan sembahyang Jumaat itu.

Berdasarkan hadits di atas juga, bagi orang yang bersembahyang masbûq dan sempat melakukan ruku‘ bersama imam pada rakaat kedua sembahyang Jumaat, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat sahaja untuk meneruskan sembahyang Jumaatnya. Ini kerana dia dikirakan sudah sempat melakukan satu rakaat secara berjemaah bersama imam.

Ini bermakna, sekiranya orang yang masbûq dan sempat melakukan ruku‘ bersama imam pada rakaat kedua sembahyang Jumaat itu ingin keluar daripada imamnya sebelum imamnya memberi salam, contohnya orang yang masbûq itu ingin mufâraqah ketika tasyahhud akhîr, ia adalah dibolehkan dan dia hanya perlu menambah satu rakaat sahaja lagi untuk menyempurnakan sembahyang Jumaatnya.

6. Mufâraqah disebabkan imam menambah bilangan rakaat sembahyang.

Sekiranya imam menambah bilangan rakaat sembahyang, seperti bangun untuk mengerjakan rakaat kelima, maka makmum tidak boleh mengikuti imam. Ini kerana dia tahu perbuatan imam bangun pada rakaat kelima itu adalah salah. Makmum hendaklah mengingati imam akan kesalahannya itu dengan cara ucapan tasbîh bagi lelaki atau dengan cara tasyfîq bagi khuntsâ atau perempuan. Jika imam tidak membetulkan kesilapannya untuk kembali duduk tasyahhud akhîr maka wajib bagi makmum mufâraqah iaitu berniat keluar daripada mengikut imam untuk menyempurnakan sembahyangnya secara bersendirian.

Dalam keadaan demikian, makmum boleh juga tidak melakukan mufâraqah dan menunggu sehingga imam duduk tasyahhud akhîr dan memberi salam bersama-sama imam.

Sebagai kesimpulan, hukum mufâraqah itu adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan yang berlaku ke atas imam ataupun makmum. Adakalanya mufâraqah itu dihukumkan wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Ini menunjukkan bahawa suatu permasalahan dalam ibadat itu setentunya ada cara penyelesaiannya. Begitulah juga apabila makmum menghadapi permasalahan imam yang terlupa atau tersilap semasa sembahyang ataupun makmum sendiri mempunyai keuzuran untuk mengikuti imam ketika sembahyang berjemaah.

Mufâraqah merupakan satu penyelesaian bagi makmum untuk memastikan sembahyang yang dilakukannya itu akan tetap sah ataupun merupakan suatu penyelesaian bagi makmum yang mempunyai keuzuran untuk mengikuti imam.

FAHAMI SUNGGUH-SUNGGUH PERMASALAHAN SALAM DALAM SEMBAHYANG

Mengucapkan atau melafazkan salam merupakan salah satu daripada rukun-rukun sembahyang. Apabila telah sempurna mengucapkan salam, bererti seseorang itu sudah sempurna mengerjakan sembahyangnya dan dengan yang demikian dia tidak lagi terikat dengan mana-mana perkara yang ditegah dalam sembahyang seperti bercakap-cakap dan sebagainya. Memandangkan salam adalah salah satu daripada rukun-rukun sembahyang, maka jika kita mengucapkannya dengan tidak menghadapkan dada ke arah qiblat atau menukarkannya dengan yang lain akan menyebabkan sembahyang seseorang itu tidak sah.

Pensyariatan ucapan atau lafaz salam dalam sembahyang adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin ‘Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Kunci sembahyang itu adalah thaharah (berwudhu’), dan tahrîmnya pula adalah takbîr dan tahlîlnya pula adalah mengucapkan salâm. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Maksud ‘tahrîm’ dalam hadits di atas adalah batas yang mengharamkan seseorang daripada melakukan segala perkara yang dibenarkan di luar sembahyang. Maksud ‘tahlîl’ pula ialah batas yang menghalalkan kembali baginya untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah atau diharamkan ketika sembahyang.

Lafaz Salam Dalam Sembahyang

1. Lafaz salam yang dituntut dan yang memadai.

i. Sekurang-kurang lafaz salam itu ialah ( ْالسَّالَم ُ عَلَيْكُم) yang maknanya: “Selamat sejahtera ke atas kamu.”

Tidak memadai dan tidak sah mengucapkan salam dalam sembahyang jika kurang daripada lafaz ini mahupun menukar salah satu hurufnya dengan huruf yang lain ataupun menambah-nambahkannya dengan suatu lafaz yang tidak wârid serta boleh merubah maknanya.

ii. Lafaz salam yang paling afdhal pula ialah ( ِ السَّالَم ُ عَلَيْكُم ْ وَرَحَْة ُ هللا) yang maknanya: “Selamat sejahtera serta rahmat Allah ke atas kamu.”

iii. Menurut ulama, diharuskan juga memberi salam dengan lafaz ( ُ ْ وَالسَّالَم عَلَيْكُم) yang maknanya: “Dan selamat sejahtera ke atas kamu”. Iaitu dengan menambah huruf ( َ و) pada permulaan lafaz salam tersebut. Huruf ( َو) tersebut maksudnya: “Dan”.

iv. Memadai mengucapkan salam dengan lafaz ( ُ عَلَيْكُم السَّالَم) iaitu dengan menterbalikkan kedudukan dua perkataan lafaz salam itu. Bagaimanapun, mengucapkan salam dengan lafaz ini hukumnya adalah makruh. Maka dari itu, adalah lebih baik lafaz salam seumpama ini tidak diamalkan atau tidak dibuat.

2. Lafaz salam yang tidak memadai.

i. Menurut ulama, memberi salam dengan lafaz ( ُ السَّالَمعَلَيْهِمْ ) yang membawa makna: “Selamat sejahtera ke atas mereka”, atau ( ُ السَّالَم عَلَيْهْ ) yang membawa makna: “Selamat sejahtera ke atasnya” atau (السَّالَم ُ عَلَيْهِما) yang membawa makna: “Selamat sejahtera ke atas mereka berdua” tidaklah memadai. Akan tetapi menurut ulama, lafaz-lafaz di atas ini walaupun tidak memadai, ia tidak membatalkan sembahyang.

ii. Begitu juga tidak memadai mengucapkan salam dengan lafaz seperti:

(السَّالَم ُ عَلَيْك) ْ kerana lafaz-lafaz seumpama ini tidak wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Jika seseorang itu dengan sengaja memberi salam dengan lafaz-lafaz ini, sedangkan dia mengetahui akan keharamannya, maka batal sembahyangnya.

Jika dia tidak sengaja memberi salam dengan lafaz-lafaz ini pula, tidaklah batal sembahyangnya. Akan tetapi hendaklah dia mengerjakan sujud sahwi serta wajib dia mengulang semula salamnya itu.

3. Hendaklah lafaz salam itu bersambung dan berturut-turut di antara ( ُالسَّالَم) dengan ( ْعَلَيْكُم). Jika selepas mengucap ( ُ السَّالَم) itu dia berkata-kata, kemudian baru dia meneruskan salamnya dengan mengucap ( ْ عَلَيْكُم), maka salam seumpama itu hukumnya tidak sah.

Begitu juga tidak sah salam sekiranya selepas menyebut ( ُالسَّالَم) itu dia sengaja diam dalam kadar waktu yang lama. Bahkan menurut sebilangan ulama mazhab asy-Syafi‘e, salam juga tidak sah sekalipun dia hanya diam sebentar sahaja sekiranya dia berniat dengan diamnya itu untuk memutuskan di antara dua kalimah salam tersebut. 4. Salam hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab. Jika tidak mampu, memadailah dengan terjemahannya.

5. Disyaratkan juga bahawa lafaz salam itu hendaklah diucapkan sekira-kira dapat didengar oleh dirinya sendiri. Sekiranya lafaz salam itu tidak dapat didengar oleh dirinya sendiri tanpa sebarang halangan ataupun keuzuran, maka salam itu tidak memadai dan wajib salam itu dikerjakan semula.

Berlainan pula halnya bagi seorang imam. Menurut asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Ishin Rahimahullâh, sunat bagi imam untuk menjaharkan (menyaringkan) salamnya itu.

Kaifiyyât Salam dalam Sembahyang

1. Wajib mengucapkan salam dalam keadaan duduk atau gantiannya bagi yang tidak mampu duduk, dengan dadanya menghadap ke arah qiblat, dari permulaan mengucapkan salam sehingga penghujungnya, iaitu sehingga sampai ke huruf (م) dalam kalimah ( ْ عَلَيْكُم).

Sekiranya ketika mengucapkan salam dadanya tidak menghadap qiblat, atau dia sengaja mengalihkan dadanya daripada arah qiblat sebelum sempurna mengucapkan salam, sedangkan dia tahu akan hukumnya, maka batal sembahyangnya.

Bagi memenuhi tuntutan menghadapkan dada ke arah qiblat ketika mengucapkan salam ini, bagi orang yang sembahyang berbaring, memadailah dia menghadap qiblat dengan wajahnya sahaja.

2. Menurut pendapat jumhûr ulama, salam diucapkan sebanyak dua kali. Salam pertama hukumnya wajib kerana ia adalah salah satu daripada rukun sembahyang, manakala salam kedua pula hukumnya sunat. Bahkan sunat juga makmum mengucapkan salam kedua walaupun imam meninggalkannya.

Ketika mengucapkan salam yang pertama, sunat memalingkan muka ke arah kanan sehingga terlihat pipi kanannya, manakala ketika mengucapkan salam yang kedua pula, sunat memalingkan muka ke arah kiri sehingga terlihat pipi kirinya.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberi salam ke arah kanannya serta ke arah kirinya sehingga aku nampak putihnya pipi Baginda. (Hadits riwayat Muslim)

Sunat juga dijarakkan atau dipisahkan di antara dua salam itu dengan berhenti seketika (saktah) sebelum mengucapkan salam yang kedua dalam kadar kira-kira bacaan tasbîh (Subhânallah).

Jika berlaku sesuatu yang menyebabkan sembahyangnya batal selepas mengucapkan salam yang pertama, seperti dia berhadats, terkena najis yang tidak dimaafkan, dadanya beralih dari arah qiblat atau sebagainya selepas mengucapkan salam yang pertama itu, maka haram dia mengucapkan salam yang kedua.

Bagaimanapun, segala perkara yang menyebabkan sembahyangnya batal yang berlaku sejurus selepas salam yang pertama itu tidaklah membatalkan sembahyangnya. Ini kerana dia dikira sudah selesai mengerjakan sembahyangnya setelah sempurna mengucapkan salamnya yang pertama itu.

3. Ketika mula mengucapkan salam, hendaklah menghadapkan muka ke arah qiblat, kemudian barulah dia memalingkan mukanya ke arah kanan bagi salam yang pertama. Selepas itu, dia menghadapkan semula mukanya ke arah qiblat, kemudian barulah dia memalingkan mukanya ke arah kiri bagi mengucapkan salam yang kedua dengan menghabiskan lafaz salam itu serentak dengan sempurnanya dia memalingkan mukanya ke arah kanan ataupun kiri.

Menurut pengarang kitab Busyrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm, iaitu asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Ishin Rahimahullâh, sunat seseorang itu menetapkan mukanya ke arah qiblat dari permulaan mengucapkan salam dan hanya mula menoleh atau memalingkan mukanya ke arah kanan ataupun kiri ketika menyebut huruf (م) dalam lafaz ( ْ عَلَيْكُم).

4. Ketika mengucapkan salam, sunat bagi sesiapa sahaja tidak kira imam, makmum ataupun munfarid (sembahyang bersendirian) untuk meniatkan salam tersebut kepada sesiapa sahaja orang-orang Islam yang berada di sebelah kanannya ketika mengucapkan salam ke arah kanan dan kepada sesiapa sahaja orang-orang Islam yang berada di sebelah kirinya ketika mengucapkan salam ke arah kiri. Tidak kira sama ada orang-orang yang diniatkannya memberi salam kepada mereka itu sedang bersembahyang ataupun tidak.

Bagaimanapun, tidak wajib bagi orang yang diniatkan salam itu untuk menjawab salam tersebut walaupun orang yang diniatkan salam itu tidak mengerjakan sembahyang pada ketika itu, sekalipun dia tahu bahawa salam itu ditujukan kepadanya. Bahkan hukum menjawabnya adalah sunat sahaja.

Bagi melaksanakan tuntutan ini dalam sembahyang berjemaah misalnya, ketika mengucapkan salam, imam berniat memberi salam kepada para jemaah dan para jemaah pula juga berniat menjawab salam imam. Begitu juga para jemaah itu sendiri berniat memberi dan menjawab salam di antara satu dengan yang lain. Penjelasannya adalah seperti berikut:

i. Khusus bagi imam:

- Ketika mengucapkan salam yang pertama, imam akan meniatkan salam pertamanya itu untuk memberi salam kepada makmum yang berada di sebelah kanannya.

- Ketika mengucapkan salam yang kedua pula, imam meniatkan untuk memberi salam kepada makmum yang berada di sebelah kirinya.

Menurut sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e, imam boleh juga meniatkan untuk menjawab salam makmum yang berada di sebelah kirinya ketika dia mengucapkan salam yang kedua sekiranya ada makmum yang sudah mula mengucapkan salam sebelum imam selesai menyempurnakan kedua-dua salam. Bagaimanapun, perbuatan makmum yang mengucapkan salam sebelum imam selesai mengucapkan salam yang kedua ini akan menyebabkan makmum tersebut terlepas pahala sunat walaupun sembahyangnya masih sah. Ini kerana menurut ulama, makmum disunatkan untuk menunggu imam selesai menyempurnakan kedua-dua salamnya terlebih dahulu kemudian barulah makmum tersebut mula mengucapkan salam.

Selain itu, imam juga boleh meniatkan untuk memberi salam kepada makmum yang berada di belakangnya pada mana-mana salam yang dia mahu, sama ada pada salamnya yang pertama ataupun pada salamnya yang kedua.

ii. Bagi makmum:

a. Makmum yang berada di sebelah kanan imam.

- Ketika mengucapkan salam yang pertama:

❖ Diniatkan salam pertamanya itu untuk memberi salam kepada makmum lain yang berada di sebelah kanannya sekiranya mereka belum memberi salam kepadanya, atau

❖ Menjawab salam mereka sekiranya mereka sudah memberi salam kepadanya.

- Ketika mengucapkan salam yang kedua.

❖ Diniatkannya untuk memberi salam kepada makmum lain yang berada di sebelah kirinya sekiranya mereka belum memberi salam kepadanya, serta ❖ Menjawab salam imam dan makmum lain yang berada di sebelah kirinya sekiranya makmum lain yang berada di sebelah kirinya itu sudah memberi salam kepadanya.

b. Makmum yang berada di sebelah kiri imam.

- Ketika mengucapkan salam yang pertama:

❖ Diniatkan salam pertamanya untuk memberi salam kepada makmum lain yang berada di sebelah kanan sekiranya mereka belum memberi salam kepadanya, serta

❖ Menjawab salam imam dan makmum lain yang berada di sebelah kanannya sekiranya makmum lain yang berada di sebelah kanannya itu sudah memberi salam kepadanya.

- Ketika mengucapkan salam yang kedua:

❖ Diniatkannya untuk memberi salam kepada makmum lain yang berada di sebelah kirinya sekiranya mereka belum memberi salam kepadanya, atau

❖ Menjawab salam makmum lain yang berada di sebelah kirinya sekiranya makmum lain yang berada di sebelah kirinya itu sudah memberi salam kepadanya.

c. Makmum yang berada di belakang imam:

Makmum berniat untuk menjawab salam imam pada mana-mana salam yang dia mahu sama ada pada salamnya yang pertama ataupun pada salamnya yang kedua. Bagaimanapun, melakukan kedua-duanya itu pada salam makmum yang pertama adalah lebih utama.

Adapun bagi meniatkan untuk memberi dan menjawab salam makmum lain yang berada di hadapan ataupun di belakangnya pula, seorang makmum itu boleh berniat untuk memberi salam dan menjawabnya kepada mereka yang berada di hadapan atau belakangnya pada mana-mana salam yang dia mahu sama ada pada salamnya yang pertama ataupun pada salamnya yang kedua.

Bagaimanapun, melakukan kedua-duanya itu pada salam makmum yang pertama adalah lebih utama.

Selain sunat berniat menujukan salam itu kepada orang-orang yang beragama Islam, sunat juga diniatkan salam itu kepada para malaikat serta jin-jin Islam.

5. Bagi makmum, sunat dia mula mengucapkan salam selepas imam selesai mengucapkan kedua-dua salam.

Jika makmum tidak menunggu sehingga imam selesai mengucapkan kedua-dua salam, lalu dia mula mengucapkan salam sejurus selepas imam selesai mengucapkan salam yang pertama, maka yang demikian itu adalah harus dan memadai serta sah sembahyangnya. Walau bagaimanapun, perbuatan itu menyebabkan makmum tersebut terlepas pahala sunat sepertimana yang disebutkan sebelum ini.

Adapun mengucapkan salam serentak dengan imam pula tidaklah membatalkan sembahyang. Bagaimanapun, yang demikian itu makruh hukumnya kerana ia akan menyebabkan orang tersebut terlepas kelebihan berjemaah.

6. Bagi makmum yang masbûq, sunat baginya untuk menunggu sehingga imam selesai mengucapkan salam yang kedua, kemudian barulah dia bangkit dan menyempurnakan rakaat yang seterusnya.

Jika makmum yang masbûq itu bangkit untuk meneruskan sembahyangnya selepas imam baru sahaja selesai mengucapkan salam yang pertama, yakni imam belum lagi mengucapkan salam yang kedua, maka yang demikian itu adalah harus dan memadai serta tidak membatalkan sembahyangnya.

Bagaimanapun, sekiranya makmum yang masbûq itu bangkit untuk meneruskan sembahyangnya sebelum imam mula mengucapkan salam yang pertama, maka batallah sembahyangnya. Begitu juga batal sembahyang makmum tersebut jika dia bangkit untuk meneruskan sembahyangnya sedangkan imam belum selesai daripada menyebut lafaz ( عَلَيْكُمْ ) pada salam yang pertama sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Baghawi Rahimahullâh.

Adakah Wajib Berniat Keluar daripada Sembahyang ketika Mengucapkan Salam?

Menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh) dalam mazhab asy-Syafi‘e, tidak wajib menyertakan niat untuk keluar daripada sembahyang ketika mengucapkan salam.

Bagaimanapun, adalah disunatkan juga supaya meniatkannya semasa permulaan salam yang pertama sebagai mengambil kira atau sebagai jalan keluar daripada perselisihan sebahagian ulama yang berpendapat bahawa berniat untuk keluar daripada sembahyang ketika mengucapkan salam itu adalah wajib. Dalam hal ini, perlu diingati, hendaklah dia berhati-hati supaya tidak berniat keluar daripada sembahyang sebelum mengucapkan salam yang pertama kerana perbuatan tersebut akan membatalkan sembahyang.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, jika seseorang berniat keluar daripada sembahyang pada salam yang kedua, ataupun ketika pertengahan salam yang pertama, maka dia terlepas pahala sunat. Akan tetapi perbuatan ini tidak membatalkan sembahyang.

Demikian beberapa penjelasan tentang hukum-hakam dan permasalahan mengucapkan salam dalam sembahyang yang mesti difahami bersungguh-sungguh.

Perlu diingat bahawa adalah menjadi kewajipan setiap individu Muslim untuk sentiasa memperbaiki dan menghalusi ibadat sembahyangnya dari semasa ke semasa agar ia dikerjakan sepertimana yang dituntut oleh syara‘.

BEBERAPA PERMASALAHAN TAKBÎR AZ-ZAWÂ’ID DALAM SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA

Suasana Hari Raya sentiasa dirasai kemeriahannya, sama ada Hari Raya Fitri mahupun Hari Raya Adha. Suasana kemeriahan Hari Raya jelas kelihatan dengan ramainya orang menghadiri sembahyang sunat Hari Raya.

Sembahyang sunat Hari Raya ini mempunyai sifat yang sama dengan sembahyang sunat yang lain. Akan tetapi, terdapat perkara-perkara sunat yang tidak ada pada sembahyang sunat yang lain, iaitu antaranya ialah disunatkan melakukan takbîr az-zawâ’id. Oleh kerana sembahyang sunat Hari Raya ini dilakukan hanya dua kali setahun iaitu Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha, maka tidak hairanlah jika ada sebahagian orang yang terlupa untuk melakukan takbîr az-zawâ’id ini semasa menunaikan sembahyang sunat tersebut.

Maka akan diterangkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan takbîr az-zawâ’id dalam sembahyang sunat Hari Raya ini.

Pengertian Takbîr Az-Zawâ’id dan Hukumnya

Takbîr az-zawâ’id ialah takbîr-takbîr tambahan dalam sembahyang sunat Hari Raya yang dilakukan selepas takbîratul-ihrâm pada rakaat pertama dan selepas takbîr intiqâl iaitu takbîr ketika bangun dari sujud pada rakaat kedua.

Takbîr az-zawâ’id ini sunat dilakukan dalam sembahyang sunat Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha berdasarkan riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan takbîr pada sembahyang Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbîr dan pada rakaat kedua lima kali takbîr … selain dua takbîr ruku‘. (Hadits riwayat Abu Daud)

Bilangan dan Masa Melakukan Takbîr Az-Zawâ’id

Takbîr az-zawâ’id dilakukan pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali selepas membaca do‘a Iftitâh dan sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihah, dilakukan sebanyak lima kali selepas takbîr intiqâl iaitu takbîr ketika bangun dari sujud pada rakaat kedua sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihah.

Mengangkat Tangan ketika Melakukan Takbîr Az-Zawâ’id

Sunat mengangkat tangan setiap kali melakukan takbîr az-zawâ’id sepertimana mengangkat tangan ketika melakukan takbîr yang lain seperti takbîratul-ihrâm dan takbîr al-intiqâlât, dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah paras dada.

Zikir Selepas Setiap Takbîr Az-Zawâ’id

Ulama sepakat mengatakan bahawa takbîr az-zawâ’id dibaca dengan jahr manakala bacaan zikir selepas setiap kali takbîr itu dibaca dengan isrâr. Bacaan takbîr itu, sunat diselangi dengan bacaan zikir yang sederhana panjang seperti bertahlil, bertakbîr dan bertahmîd. Oleh itu, bermacam-macamlah versi bacaan zikir yang disebutkan ulama:

Menurut jumhûr ulama, bacaan zikir selepas setiap kali takbîr az-zawâ’id itu dilakukan ialah:

Ertinya: Maha suci Allah, segala puji hanya bagi Allah, tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar.

Zikir-zikir di bawah ini juga boleh dibaca, sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian para sahabat. Zikir-zikir yang dimaksudkan itu ialah:

1. Menurut ash-Shaidalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ, ada sebahagian sahabat membaca zikir:

Ertinya: Tiada tuhan (yang disembah dengan sebenar-benarnya yang maujûd) melainkan Allah (jua), yang tunggal, tiada sekutu bagiNya, yang mempunyai kerajaan (di langit dan di bumi), dan mempunyai kepujian, dan Dialah (Tuhan) di atas tiap-tiap sesuatu yang berkuasa.

2. Menurut Ibnu ash-Shabbagh Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, ada juga yang membaca zikir mengikut kebiasaan seperti zikir:

Ertinya: Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, segala puji yang teramat banyak bagi Allah, Maha Suci Allah pada waktu pagi dan waktu petang, dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada Sayyidina Muhammad serta ahli keluarga dan para sahabat Baginda dengan puji-pujian yang berlimpah-limpah.

3. Sementara menurut al-Mas‘udi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, ada juga para sahabat membaca zikir seperti:

Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji hanya bagiMu, Maha Berkat NamaMu, Maha Tinggi KebesaranMu, Maha Besar pujianMu, serta tiada tuhan (yang disembah) melainkan Engkau.

Hukum Sujud Sahwi bagi Sesiapa yang Terlupa Melakukan Takbîr Az- Zawâ’id

Takbîr az-zawâ’id ini ialah salah satu di antara sunat-sunat hai’ah dalam sembahyang seperti at-ta‘awwudz atau do‘a Ifftitâh. Apabila tertinggal sama ada kerana lupa atau sengaja, maka tidak perlu dilakukan sujud sahwi. Namun makruh jika ditinggalkan sebahagian atau kesemuanya atau melebihi takbîr tersebut.

Beberapa Permasalahan Takbîr Az-Zawâ’id

Ada beberapa permasalahan yang berkaitan dengan takbîr az-zawâ’id, iaitu:

1. Ragu ketika melakukan takbîr az-zawâ’id:

a. Ragu bilangan takbîr az-zawâ’id.

Jika merasa ragu berapa bilangan takbîr az-zawâ’id yang sudah dilakukan, maka hendaklah diambil kira bilangan yang sedikit dengan mengambil qiyâs pada perkara ragu dalam bilangan rakaat sembahyang.

b. Ragu takbîratul-ihrâm ketika melakukan takbîr az-zawâ’id.

Jika seseorang itu sudah melakukan takbîr az-zawâ’id sebanyak lapan kali termasuk takbîratul-ihrâm, akan tetapi dia merasa ragu adakah dia melakukan salah satu daripada lapan takbîr itu takbîratul-ihrâm, maka dalam perkara ini tidak sah sembahyangnya, kerana jika ragu pada takbîratul-ihrâm maka seseorang itu dikira tidak melakukan takbîratul-ihrâm tersebut, walaupun sudah melakukan lapan kali takbîr.

2. Terlupa melakukan takbîr az-zawâ’id:

Ada beberapa keadaan jika seseorang itu terlupa melakukan takbîr az-zawâ’id, iaitu:

a. Teringat takbîr az-zawâ’id selepas membaca at-ta‘awwudz.

Jika seseorang itu terlupa membaca takbîr az-zawâ’id dan teringat selepas membaca at-ta‘awwudz, dia masih boleh melakukan takbîr az-zawâ’id itu kerana masih dikira dalam waktu melakukannya walaupun sudah membaca at-ta‘awwudz.

b. Teringat takbîr az-zawâ’id semasa atau selepas membaca surah al- Fâtihah.

Jika seseorang terlupa melakukan takbîr az-zawâ’id dan ingat sebelum melakukan ruku‘ iaitu ketika membaca surah al-Fâtihah, walaupun belum selesai membaca surah al-Fâtihah, maka tidak perlu dia melakukan takbîr az-zawâ’id itu kerana berlalu sudah waktu atau masa yang sepatutnya melakukan takbîr tersebut. Namun jika dia mengulangi semula untuk melakukan takbîr az-zawâ’id yang tertinggal itu tidaklah batal sembahyangnya.

c. Teringat takbîr az-zawâ’id semasa atau selepas melakukan ruku‘.

Jika seseorang terlupa melakukan takbîr az-zawâ’id dan ingat semasa atau selepas melakukan ruku‘, maka dalam hal ini tidak perlu kembali untuk melakukan takbîr az-zawâ’id yang terlupa itu kerana jika seseorang itu berdiri untuk melakukan takbîr az-zawâ’id itu, maka batallah sembahyangnya jika dia tahu bahawa berbuat demikian hukumnya adalah haram. Melainkan jika dia tidak tahu hukum berbuat demikian adalah haram, dalam keadaan ini tidaklah batal sembahyangnya.

3. Takbîr az-zawâ’id bagi imam dan makmum.

Ada beberapa keadaan yang berkaitan dengan takbîr az-zawâ’id yang berlaku kepada imam atau makmum, iaitu:

a. Imam tidak melakukan takbîr az-zawâ’id.

Jika imam tidak melakukan takbîr az-zawâ’id sama ada kerana sengaja atau terlupa, maka makmum juga hendaklah mengikut perbuatan imam dengan tidak melakukan takbîr az-zawâ’id itu. Namun tidaklah batal sembahyang makmum jika dia melakukan takbîr az-zawâ’id itu juga asalkan tidak mengangkat tangan tiga kali berturut-turut kerana perbuatan sedemikian boleh membatalkan sembahyang.

b. Imam terlebih melakukan takbîr az-zawâ’id.

Jika imam terlebih melakukan takbîr az-zawâ’id umpamanya sebanyak lapan kali pada rakaat pertama, maka makmum tidak boleh mengikut perbuatan imam melakukan takbîr az-zawâ’id yang lebih itu kerana menyalahi tuntutan bilangan yang disunatkan iaitu sebanyak tujuh kali.

c. Imam kurang melakukan takbîr az-zawâ’id.

Jika takbîr az-zawâ’id yang dilakukan oleh imam itu kurang daripada bilangan yang disunatkan, umpamanya imam hanya melakukan enam kali takbîr pada rakaat pertama atau empat kali pada rakaat kedua, maka dalam keadaan ini, makmum hendaklah mengikut perbuatan imam dan tidak perlu menambah bilangan takbîr az-zawâ’id itu sekalipun bilangannya kurang.

d. Takbîr az-zawâ’id imam berlainan mazhab.

Begitu juga jika makmum mengikut di belakang imam yang melakukan tiga atau enam kali takbîr az-zawâ’id sahaja, umpamanya mengikut imam yang berlainan mazhab, maka makmum hendaklah mengikut bilangan takbîr yang imam lakukan itu sahaja tanpa menambahnya.

Bilangan takbîr az-zawâ’id dalam setiap mazhab adalah tidak sama. Menurut mazhab Hanafi takbîr az-zawâ’id dilakukan sebanyak tiga kali pada rakaat pertama dan rakaat kedua. Manakala menurut mazhab Maliki takbîr az-zawâ’id dilakukan sebanyak enam kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.

Maka dalam perkara ini, apabila bersembahyang Hari Raya bersama imam yang bermazhab Hanafi atau Maliki, maka hendaklah mengikut bilangan takbîr az-zawâ’id sebagaimana yang dilakukan oleh imam berkenaan. Sebagai contoh, jika takbîr dilakukan tiga kali sebagaimana dituntut dalam mazhab Hanafi, maka hendaklah makmum juga melakukan tiga kali takbîr. Begitu juga jika enam kali takbîr dalam mazhab Maliki, maka hendaklah makmum juga melakukan enam kali dan tidak boleh lebih atau kurang daripada bilangan tersebut. Inilah yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab al- Majmû‘.

e. Takbîr az-zawâ’id bagi makmum yang masbûq.

Makmum yang masbûq hanya perlu melakukan takbîr az-zawâ’id yang sempat bersama imam sahaja. Umpamanya, pada rakaat pertama makmum tidak sempat melakukan tujuh kali takbîr bersama imam, bahkan hanya sempat melakukan sekali takbîr sahaja, maka makmum hanya perlu melakukan sekali takbîr az-zawâ’id yang sempat bersama imam itu sahaja dan tidak perlu menambah bilangan takbîr az-zawâ’id yang tertinggal itu.

Manakala jika makmum yang masbûq itu hanya sempat mengikut imam di awal rakaat kedua dan sempat melakukan takbîr az-zawâ’id bersama imam sebanyak lima kali, maka makmum tersebut juga sunat melakukan takbîr az-zawâ’id itu sebanyak lima kali apabila dia berdiri menambah bilangan rakaat yang kurang itu selepas imam memberi salam.

Sebagai kesimpulan, tidaklah membatalkan sembahyang jika terlupa atau sengaja tidak melakukan takbîr az-zawâ’id ketika melakukan sembahyang sunat Hari Raya, kerana ia hanyalah salah satu daripada perkara sunat hai’ah. Namun selain hukum melakukan takbîr az-zawâ’id itu adalah sunat hai’ah, perlu diketahui bahawa takbîr az-zawâ’id juga merupakan syi‘âr Hari Raya itu sendiri yang hanya dikerjakan pada sembahyang sunat Hari Raya sahaja dan tidak pada sembahyang sunat yang lain.

MEMBACA SURAH SELEPAS SURAH AL-FÂTIHAH: Adakah Makmum Dituntut Membacanya?

Hukum Membaca Surah selepas Surah Al-Fâtihah dalam Sembahyang

Membaca surah selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang merupakan sunat hai’ah yang disunatkan sebagai ittibâ‘ (mengikut) perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bahkan menurut kebanyakan ulama dalam mazhab asy-Syafie, meninggalkan membaca surah selepas surah al-Fâtihah adalah makruh.

Maka adalah sunat membaca surah selepas surah al-Fâtihah bagi imam dan munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.

Oleh yang demikian, sunat hukumnya membaca surah selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang dua rakaat, sama ada sembahyang fardhu seperti sembahyang Jumaat dan sembahyang fardhu Shubuh atau sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Shubuh, sembahyang sunat Hari Raya dan lainnya.

Begitu juga disunatkan membaca surah selepas surah al-Fâtihah pada dua rakaat yang pertama daripada sembahyang empat rakaat iaitu sembahyang fardhu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘‘Isya’ serta pada dua rakaat yang pertama daripada sembahyang tiga rakaat iaitu sembahyang fardhu Maghrib. Adapun dalam sembahyang jenazah pula, maka tidak disunatkan untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah bahkan hukumnya adalah makruh.

Disyaratkan bahawa surah tersebut hendaklah dibaca selepas surah al-Fâtihah. Sekiranya ia dibaca sebelum surah al-Fâtihah maka hukumnya adalah makruh serta bacaan tersebut tidak dikira kerana ia bertentangan dengan sunnah. Oleh itu, hendaklah dia mengulang kembali bacaan surah tersebut selepas dia selesai membaca surah al-Fâtihah.

Kadar yang Memadai bagi Bacaan Surah selepas Surah Al-Fâtihah dalam Sembahyang

Tuntutan sunat membaca sesuatu ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas surah al-Fâtihah itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada al- Qur’an. Bagaimanapun, yang afdhalnya adalah sebanyak tiga ayat.

Akan tetapi satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya). Ini kerana apabila dibaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang, boleh jadi dia waqaf (memberhentikan) di tempat yang tidak diharuskan waqaf dan ini boleh memutuskan ayat al-Qur’an yang mempunyai kaitan dengan ayat yang selepasnya.

Sekiranya seseorang membaca satu surah yang sama pada rakaat pertama dan rakaat kedua, misalnya pada rakaat pertama dia membaca surah adh-Dhuhâ, kemudian pada rakaat kedua dia mengulang kembali surah adh-Dhuhâ itu, maka yang demikian itu adalah memadai dan tercapai tuntutan sunat itu walaupun dia hafaz surah-surah yang lain.

Adapun membaca surah al-Fâtihah bagi menggantikan surah-surah tersebut menurut ulama adalah tidak memadai dan tidak terhasil tuntutan sunat tersebut. Dikecualikan dalam hal ini sekiranya orang tersebut tidak hafaz selain daripada surah al-Fâtihah. Dalam hal ini, tuntutan sunat tersebut terhasil dan tercapai dengan mengulang surah al-Fâtihah itu sebagai ganti surah-surah tersebut. Inilah pendapat yang tepat dan dipilih dalam mazhab asy-Syafi‘e.

Tuntutan Membaca Surah selepas Surah Al-Fâtihah bagi Makmum

Tuntutan untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah ke atas makmum berbeza dalam sembahyang jahr dengan sembahyang sirr. Begitu juga terdapat perbezaan hukum dalam permasalahan ini bagi makmum yang masbûq. Penjelasannya adalah seperti berikut:

1. Dalam sembahyang jahr:

i. Makmum dapat mendengar bacaan imam.

Tidak disunatkan ke atas makmum untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang jahr jika makmum itu dapat mendengar bacaan imam. Bahkan makmum dituntut dan disunatkan untuk mendengar bacaan imam. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarkanlah ia (dengan teliti) serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A‘râf: 204)

Jika dia membaca juga maka ini tidaklah membatalkan sembahyang akan tetapi hukumnya adalah makruh.

Walau bagaimanapun, membaca surah selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang jahr yang bacaan imamnya dapat didengar oleh makmum boleh menjadi haram ke atas makmum sekiranya bacaan makmum itu boleh mengganggu jemaah lain.

ii. Makmum tidak dapat mendengar bacaan imam.

Sekiranya makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dalam sembahyang jahr, misalnya kerana jauh daripada imam, ataupun imam memperlahankan bacaannya dalam sembahyang jahr itu, atau makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dengan jelas (sehingga tidak dapat membezakan di antara huruf-hurufnya), ataupun makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dengan baik kerana masalah pendengaran, maka dalam hal ini dituntut ke atas makmum untuk membacanya. Bagaimanapun, hendaklah makmum tersebut membaca secara sirr sahaja kerana makmum ditegah daripada membaca secara jahr di belakang imamnya.

2. Sembahyang sirr:

Adapun dalam sembahyang sirr pula, maka makmum dituntut untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah kerana dalam sembahyang sirr makmum tidak dapat mendengar bacaan imam.

Walau bagaimanapun, sekiranya imam membaca secara jahr dalam sembahyang yang sepatutnya dibaca secara sirr, contohnya imam membaca secara jahr dalam sembahyang fardhu Zhuhur, maka dalam hal ini makmum tidak disunatkan untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah, bahkan makmum dituntut untuk mendengar bacaan imam sepertimana dalam keadaan sembahyang jahr.

3. Bacaan surah selepas surah al-Fâtihah bagi makmum yang masbûq

i. Makmum yang tidak sempat mengerjakan rakaat pertama dan rakaat kedua bersama imam dalam sembahyang fardhu Zhuhur atau ‘Isya’ misalnya, adalah disunatkan untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah pada rakaat terawal yang didapatinya bersama imam.

Sebagai contoh, seorang makmum baru mengikuti jemaah sedangkan imam sudah berada pada rakaat ketiga dalam sembahyang fardhu Zhuhur atau ‘Isya’. Dalam hal ini, sunat makmum yang masbûq itu membaca surah selepas surah al-Fâtihah pada rakaat pertama dan kedua yang dikerjakannya bersama imam (rakaat ketiga dan keempat bagi imam). Perkara ini boleh dilakukan jika makmum yang masbûq itu berkesempatan membacanya pada rakaat tersebut.

Sekiranya dia tidak ada kesempatan untuk membacanya, maka dia boleh menqadha’ bacaan surah selepas surah al-Fâtihah itu secara sirr pada baki rakaat yang ada selepas imam memberi salam (rakaat ketiga dan keempat bagi makmum masbûq). Ini bagi menjaga serta memastikan sembahyangnya itu tidak kosong daripada surah tanpa sebarang keuzuran.

ii. Dalam sembahyang fardhu Maghrib pula, sekiranya seorang makmum baru mengikuti jemaah sedangkan imam sudah berada pada rakaat ketiga, lalu dia tidak dapat membaca surah selepas surah al-Fâtihah dalam rakaat yang dikerjakannya bersama imam itu (rakaat pertama bagi makmum masbûq dan rakaat terakhir bagi imam), kemudian selepas imam memberi salam, dia tidak juga membaca surah selepas surah al-Fâtihah pada rakaat kedua yang dikerjakannya secara bersendirian, maka menurut Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, sunat dia membaca dua surah pada rakaat ketiga yang dikerjakannya sebagai ganti bacaan surah yang tidak dibacanya pada rakaat yang pertama dan kedua.

iii. Sekiranya makmum yang masbûq itu mendapati imam dalam keadaan dia tidak sempat membaca surah al-Fâtihah, contohnya dia mula mengikuti imam semasa imam sedang ruku‘ pada mana-mana rakaat sembahyang, maka dengan sendirinya bacaan surah selepas surah al- Fâtihah juga terlepas daripada tanggungan makmum sepertimana halnya bacaan surah al-Fâtihah terlepas daripada tanggungan makmum dan ditanggung oleh imam. Maka dari itu, dia tidak lagi dituntut untuk membaca surah selepas surah al-Fâtihah bagi rakaat tersebut dan dia tidak perlu menqadha’nya pada rakaat yang lain.

Demikian beberapa penjelasan tentang hukum membaca surah selepas surah al- Fâtihah bagi makmum. Semoga ia akan menambahkan lagi ilmu kita mengenai ibadat sembahyang agar kita dapat menunaikan segala tuntutannya, sama ada yang wajib ataupun yang sunat dengan sempurna sepertimana yang dituntut oleh syara‘.

MELANGKAH DALAM SEMBAHYANG

Ketika sembahyang, kadang-kala seseorang itu tidak sunyi daripada melakukan pergerakan yang sedikit, umpamanya menggaru, menggerakkan kaki, tangan atau kepala. Selain itu, ada juga orang di dalam sembahyangnya tanpa sengaja melakukan perbuatan yang melebihi daripada apa yang telah disyariatkan, umpamanya menambah rukun fi‘li (perbuatan). Malahan disebabkan sesuatu perkara, seseorang itu perlu melangkah dalam sembahyangnya, iaitu dengan menggerakkan dan memindahkan kaki ke hadapan, ke belakang atau ke tepi, sama ada dengan sengaja ataupun tidak, sama ada hanya sebelah kaki sahaja ataupun kedua-duanya sekali.

Secara ringkas, perbuatan-perbuatan seperti yang disebutkan itu adalah perbuatan yang tidak disyariatkan dalam sembahyang dan ia terbahagi kepada dua. Pertama, perbuatan yang sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang seperti menambah perbuatan ruku‘, sujud, duduk dan selainnya. Kedua, perbuatan yang tidak sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang atau dengan erti kata lain perbuatan yang menyalahi perbuatan-perbuatan dalam sembahyang seperti perbuatan melangkah yang dilakukan oleh seseorang ketika sembahyang. Oleh itu, perkara yang disebutkan ini perlu kepada penjelasan kerana ia bersangkutan dengan hukum sah atau batal sembahyang tersebut.

Melakukan Perbuatan yang Sejenis dengan Rukun Fi‘li dalam Sembahyang

Seorang yang sembahyang sendirian melakukan suatu perbuatan yang sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang lebih daripada apa yang telah disyariatkan tanpa sengaja, umpamanya kerana lupa atau jahil akan keharamannya, adalah tidak membatalkan sembahyang. Sebagai contoh seorang tanpa sengaja menambah satu ataupun lebih perbuatan ruku‘, sujud, duduk atau berdiri, ataupun tanpa sengaja menambah rakaat dalam sembahyang adalah tidak membatalkan sembahyang.

Dalil dalam perkara ini ialah suatu riwayat oleh ‘Abdullah ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa satu ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah sembahyang Zhuhur sebanyak 5 rakaat kerana lupa. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan sujud sahwi pada akhir sembahyang Baginda itu dan Baginda tidak mengulangi sembahyang tersebut.

Berbeza hukumnya bagi seorang yang sembahyang sendirian yang dengan sengaja menambah rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang, umpamanya ruku‘ dan selainnya, maka batal sembahyangnya itu, sekalipun tambahan pada rukun fi‘li (perbuatan) tersebut hanyalah satu ruku‘ sahaja. Ini kerana dia dikira mempermain-mainkan perkara sembahyang.

Melakukan Perbuatan yang Tidak Sejenis dengan Rukun Fi‘li Dalam Sembahyang

Dalam sesetengah keadaan yang tertentu, sepertimana yang telah disebutkan oleh ulama fiqh berdasarkan beberapa hadits dan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri, melakukan pergerakan atau perbuatan yang tidak disyariatkan atau yang menyalahi perbuatan dalam sembahyang adalah tidak membatalkan sembahyang jika ia adalah pergerakan yang sedikit atau kecil. Perkara ini tiada perselisihan ulama mengenainya.

Antara keadaan tersebut, seorang yang sedang sembahyang menahan atau menghadang orang lain daripada berjalan melintas di hadapannya ketika dia sedang sembahyang, membetulkan kain selendang, menghumban atau melempar seumpama kutu dan keadaan-keadaan lain yang telah diperincikan dalam kitab fiqh. Menyentuh mengenai cara menghalang atau menolak seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu, ia dilakukan dengan seringan-ringan gerakan. Menurut beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘e, menghalang atau menolak orang yang lalu itu adalah dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.

Begitu juga tunduk (membongkokkan badan sehingga had ruku‘) dalam sembahyang untuk memukul ular atau kala jengking adalah tidak membatalkan sembahyang kerana pergerakan untuk membunuh umpama ular dilakukan atas sebab takut akan mudharat binatang tersebut ke atas dirinya, maka jadilah pergerakannya itu suatu kemestian (dharûriy).

Melangkah dalam Sembahyang

Melangkah dalam sembahyang merupakan satu pergerakan yang menyalahi perbuatan-perbuatan dalam sembahyang. Bagaimana satu langkah di dalam sembahyang itu menjadi perbincangan para ulama.

Yang dimaksudkan dengan melangkah itu ialah memindahkan salah satu kaki, tanpa mengira ke mana arahnya, umpamanya ke hadapan, ke belakang atau ke tepi, kemudian meletakkan kaki tersebut setelah memindahkannya. Ini dikira sebagai satu pergerakan atau satu langkah.

Sekiranya dia memindahkan salah satu kaki kemudian diikuti oleh kaki yang satu lagi secara berturut-turut, maka perbuatan memindah kaki yang kedua itu dikira sebagai langkah kedua, sama ada kaki yang kedua itu dipindahkan dan diletakkan sejajar (sebaris kedudukan) dengan kaki yang pertama tadi, ataupun kaki yang kedua itu diletakkan lebih ke hadapan daripada kaki yang pertama, ataupun kaki yang kedua itu diletakkan lebih ke belakang daripada kaki yang pertama tadi. Inilah yang dii‘timâdkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab at-Tuhfah, Imam ar- Ramli dan anaknya serta Khathib asy-Syarbini Rahimahumullâh.

Dari itu, perbuatan menggerakkan salah satu kaki ke hadapan kemudian mengembalikan semula kaki tersebut adalah dikira dua pergerakan secara muthlaq.

Menurut pendapat al-mu‘tamad, mengangkat atau menaikkan sebelah kaki ke arah atas yakni ke udara (bukan memindahkan kaki ke hadapan, ke belakang atau ke tepi) kemudian menjatuhkannya ke arah bawah dan meletakkannya semula ke tempat yang sama, adalah ia dikira satu pergerakan atau satu langkah. Bagaimanapun jika dia meletakkan semula kakinya di tempat lain, maka pergerakan meletakkan kakinya itu dikira sebagai pergerakan kedua.

Pergerakan yang Sedikit Tidak Membatalkan Sembahyang

Sukat-sukat suatu pergerakan yang tidak disyariatkan atau yang menyalahi perbuatan dalam sembahyang itu dikatakan sebagai pergerakan yang sedikit ataupun banyak yang boleh membatalkan sembahyang adalah dirujuk kepada ‘urf atau adat. Perlu juga diketahui bahawa asas sukat-sukat menurut ‘urf atau adat itu pula adalah hasil daripada perbandingan yang dibuat berdasarkan beberapa hadits dengan melihat kepada contoh-contoh pergerakan yang pernah dilakukan dalam sembahyang.

Hasilnya, menurut adat, “tiga” pergerakan adalah dikira sebagai pergerakan yang banyak tanpa khilâf ulama dalam perkara ini. Satu pergerakan adalah dikira sebagai pergerakan yang sedikit atau kecil tanpa khilâf ulama. Adapun dua langkah, masih dikira sebagai pergerakan yang sedikit. Sekiranya timbul syak adakah sesuatu perbuatan itu dikira sebagai sedikit ataupun banyak, maka ia adalah perbuatan yang sedikit dan tidak membatalkan sembahyang.

Perlu diambil perhatian, sungguhpun melakukan perbuatan yang sedikit atau kecil tanpa niat (qashd) bermain-main dan tanpa sebarang hajat adalah dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyang, namun hukumnya adalah makruh, melainkan kerana lupa atau dilakukan kerana hajat atau pergerakan yang dilakukan untuk membunuh umpamanya kalajengking dan menghadang orang lain daripada berjalan melintas di hadapannya ketika dia sedang sembahyang. Dalam dua keadaan yang terakhir ini ia tidak dihukumkan makruh, malah disunatkan.

Berbeza pula halnya dengan pergerakan yang sedikit dengan tujuan bermain-main, bersenda-gurau dan hiburan ataupun disengajakan adalah tetap membatalkan sembahyang, sekalipun sedikit. Umpamanya seseorang yang memanjangkan atau menghulurkan kakinya lalu diletakkannya di atas hujung baju atau kain kawannya dengan tujuan bergurau, iaitu untuk menahan kawannya itu daripada berdiri lurus selepas sujud, maka batal sembahyangnya semata-mata (bermula) dia memanjangkan kakinya itu.

Demikian juga satu pergerakan yang melampau sekalipun sedikit seperti melakukan satu lompatan adalah membatalkan sembahyang tanpa khilâf, melainkan lompatan disebabkan ketakutan kerana ular, maka tidak membatalkan sembahyang kerana ada keuzuran atau hajat. Demikian juga menggerakkan keseluruhan badan atau hampir keseluruhannya, sekalipun tanpa menggerakkan kedua-dua kakinya, adalah tetap membatalkan sembahyang.

Pergerakan yang Banyak dan Berturut-turut Membatalkan Sembahyang

Meninggalkan pergerakan yang banyak dalam sembahyang adalah dituntut kerana ia boleh membatalkan sembahyang dan termasuklah juga perbuatan yang melampau seperti melompat dalam sembahyang, sama ada sengaja ataupun lupa, ataupun jahil akan keharamannya melainkan pergerakan yang banyak itu disebabkan oleh suatu keuzuran.

Ulama telah bersepakat bahawa pergerakan yang banyak adalah sebanyak tiga pergerakan dan ia membatalkan sembahyang dengan syarat tiga pergerakan itu dilakukan secara berturut-turut, melainkan pada sembahyang yang dilakukan dalam keadaan sangat takut dan sembahyang sunat ketika dalam musafir.

Pergerakan yang banyak yang membatalkan sembahyang itu tidak disyaratkan daripada pergerakan yang sejenis sahaja dan daripada anggota yang sama. Penjelasan mengenai perkara ini adalah seperti berikut:

1. Melakukan tiga pergerakan yang sejenis (sama) secara berturut-turut seperti melakukan tiga langkah berturut-turut, sekalipun tiga langkah berturut-turut itu hanya menyamai kadar satu langkah.

2. Melakukan tiga pergerakan yang berbeza secara berturut-turut, umpamanya bergerak satu langkah, membuat satu pukulan dan menggoyangkan kepala satu kali dilakukan secara terturut-turut di antara kesemua pergerakan tersebut, atau melangkah dua langkah dan membuat satu pukulan.

3. Melakukan tiga pergerakan kesemuanya secara serentak, umpamanya menggerakkan kedua-dua belah tangan dan kepala secara serentak, ataupun menggerakkan kedua-dua belah tangan secara serentak kemudian diikuti perbuatan menggerakkan kepala.

Jika seseorang bertekad (qashd) mahu melakukan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka dalam perkara ini sembahyangnya menjadi batal sekalipun dia melakukan hanya satu pergerakan sahaja ataupun sembahyangnya menjadi batal sebaik sahaja dia mula melakukannya. Akan tetapi jika dia langsung tidak melakukan apa-apa pergerakan seperti yang ditekadkannya itu, maka tidak batal sembahyangnya. Sekiranya dia syak sama ada pergerakannya itu adalah berturut-turut ataupun tidak, maka dianggap pergerakannya itu sebagai tidak berturut-turut.

Pergerakan yang Banyak tetapi tidak Berturut-turut tidak Membatalkan Sembahyang

Pergerakan yang banyak tetapi tidak berturut-turut, yakni terpisah-pisah, tidak membatalkan sembahyang. Untuk menentukan anggaran sesuatu perbuatan dan pergerakan itu sebagai berturut-turut atau bersambung, ulama merujuk perkara ini kepada ‘urf.

Contohnya seorang melangkah satu langkah, kemudian dia diam atau berhenti seketika, kemudian dia melangkah satu atau dua langkah lagi, diselangi dengan diam atau berhenti seketika, kemudian dia melangkah dua langkah lagi. Yang dimaksudkan dengan kadar diam seketika atau berhenti seketika itu ialah apa yang menurut ‘urf sesuatu perbuatan yang seterusnya itu tidak bersambung daripada perbuatan sebelumnya, umpamanya perbuatan yang kedua itu terpisah (tidak bersambung) daripada perbuatan yang pertama dan perbuatan yang ketiga terpisah (tidak bersambung) dengan perbuatan yang kedua.

Sebagai kesimpulan, meninggalkan pergerakan yang banyak dalam sembahyang adalah dituntut kerana ia boleh membatalkan sembahyang, sama ada dilakukan dengan sengaja, lupa, ataupun jahil akan keharamannya melainkan pergerakan yang banyak itu disebabkan oleh keuzuran tertentu. Ulama telah bersepakat bahawa pergerakan yang banyak, iaitu sebanyak tiga pergerakan, dilakukan secara berturut-turut adalah membatalkan sembahyang, manakala kurang daripada itu seperti satu atau dua pergerakan adalah dikira sedikit atau kecil. Sungguhpun melakukan perbuatan yang sedikit atau kecil tanpa sebarang hajat serta bukan dilakukan dengan niat (qashd) bermain-main atau disengajakan adalah dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyang, namun hukumnya adalah makruh.

KELUAR AIR MANI DI SIANG HARI BULAN RAMADHAN

Ketika mengerjakan ibadat puasa, kita dituntut supaya menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan ibadat tersebut. Tidak kira sama ada kerana perkara tersebut boleh membatalkan ibadat puasa, atau kerana ia boleh menjejaskan kesempurnaannya kerana tidak selari dengan hikmat pensyariatan serta adab-adab berpuasa.

Salah satu perkara yang boleh menjejaskan ibadat puasa bahkan boleh menyebabkan ibadat puasa batal ialah keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan. Walaupun demikian, bukan dalam semua keadaan keluar air mani itu boleh membatalkan ibadat puasa, kerana ada kalanya ia tidak menjejaskan ibadat puasa.

Sebab-sebab berlaku keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan seperti berikut:

1. Disebabkan melakukan hubungan kelamin.

Mengadakan hubungan kelamin, sama ada bersama pasangan yang sah yakni suami isteri atau bukan, melalui qubûl ataupun melalui dubur, memakai sarung seperti kondom ataupun tidak, berlaku inzâl (keluar air mani) ataupun tidak, semuanya adalah membatalkan puasa.

Begitu juga tidak ada beza dalam perkara ini sama ada ia dilakukan bersama manusia ataupun bersama binatang. Semuanya ini membatalkan puasa dengan syarat dia tahu akan hukum haramnya, dan dia melakukannya dengan sengaja, atas kemahuannya sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa.

Bagi lelaki, disyaratkan hubungan kelamin yang membatalkan puasa itu masuknya keseluruhan hasyafah yakni kepala zakar, ataupun kadarnya bagi lelaki yang tidak mempunyai hasyafah. Oleh itu, tidak batal puasa jika tidak masuk keseluruhan hasyafah ataupun kadarnya itu kecuali sekiranya ia menyebabkan inzâl yakni keluar air mani.

Adapun perempuan yang disetubuhi pula, batal puasanya dengan berlakunya dukhûl (masuk zakar ke dalam faraj atau dubur) semata-mata, walaupun hanya sebahagian hasyafah sahaja yang masuk ke dalam qubûl atau duburnya itu.

Wajib ke atas orang yang batal puasanya kerana jimâ‘ ini supaya imsâk (menahan diri daripada makan dan minum) sepanjang siang puasa Ramadhan sepertimana keadaan orang yang sedang berpuasa. Khusus bagi lelaki yang mewathi‘ (menyetubuhi), di samping wajib qadha’, dia juga wajib membayar kaffârah dengan memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa dua bulan berturut-turut, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.

2. Disebabkan istimnâ‘ (onani).

Keluar air mani dengan sebab istimnâ‘ (onani), sama ada dilakukan menggunakan tangan sendiri atau tangan orang lain, dan sama ada dengan menggunakan sarung seperti kondom ataupun tidak, begitu juga sama ada dengan diiringi syahwat ataupun tidak, selama mana perbuatan itu menyebabkan keluar air mani, dan ia dilakukan dengan sengaja atas kemahuan sendiri serta tahu akan hukum haramnya, maka yang demikian itu adalah membatalkan puasa.

Adapun orang yang keluar air mani kerana menggaru zakarnya yang sangat gatal, maka yang demikian itu tidak membatalkan ibadat puasa jika dia tidak tahu bahawa perbuatannya itu boleh menyebabkan air maninya keluar.

Bagaimanapun, jika orang tersebut tahu bahawa jika dia menggaru zakarnya air maninya akan keluar, maka hal ini terbahagi kepada dua keadaan:

i. Jika dia tidak mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia pun menggarunya kemudian keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.

ii. Jika dia mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia menggarunya juga, kemudian keluar air maninya, maka batal puasanya.

3. Disebabkan ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya.

Keluar air mani kerana ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya ini mempunyai beberapa permasalahan:

i. Keluar air mani kerana menyentuh mana-mana anggota tubuh badan perempuan yang membatalkan wudhu’, sama ada dengan cara ciuman, sentuhan dan sebagainya, tanpa berlapik, adalah membatalkan puasa.

ii. Sekiranya yang disentuh itu bukan yang membatalkan wudhu’, seperti rambut perempuan misalnya, walaupun rambut perempuan yang bukan mahramnya, lalu keluar air maninya kerana menyentuh rambut perempuan itu, maka tidak batal puasanya.

Begitu juga jika yang disentuh itu adalah mahramnya sendiri, dan sentuhannya itu bukan dengan syahwat, bahkan sekadar sentuhan kasih sayang atau belas kasihan semata-mata, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.

Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh, berlainan pula hukumnya jika dia menyentuh mahramnya itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya kerana sentuhan itu, maka batal puasanya kerana ini termasuk dalam kategori istimnâ‘ iaitu mengeluarkan air mani secara sengaja di luar jimâ‘.

iii. Sekiranya dia menyentuh atau memeluk perempuan dengan berlapik, sekalipun nipis lapiknya itu, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya, tidak kira sama ada dia melakukannya dengan syahwat ataupun tidak.

Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh, jika dia menyentuh atau memeluk dengan lapik itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya, maka batallah puasanya kerana ini juga termasuk dalam kategori istimnâ‘.

iv. Sekiranya dia memeluk perempuan sebelum masuk waktu berpuasa, seperti dalam waktu sahur misalnya, kemudian dia melepaskan pelukan tersebut sebelum masuk waktu Shubuh, tiba-tiba apabila masuk waktu Shubuh air maninya pun keluar, perkara ini tidaklah membatalkan puasa.

v. Sekiranya lelaki itu mencium perempuan ketika sedang berpuasa, lalu dia melepaskan ciumannya, kemudian setelah dia melepaskan ciumannya itu, air maninya pun keluar, maka dalam hal ini, jika ciuman itu diiringi syahwat dan berlaku ereksi pada zakarnya, maka batallah puasanya.

Adapun jika ciuman itu tidak diiringi syahwat dan tidak berlaku ereksi pada zakarnya, lalu keluar air maninya selepas melepaskan ciuman itu, perkara ini tidaklah membatalkan puasanya.

vi. Sekiranya air maninya keluar kerana menyentuh kemaluan binatang, perbuatan tersebut tidaklah membatalkan puasanya.

4. Disebabkan melihat atau memikirkan sesuatu yang menimbulkan syahwat.

Melihat, memikirkan atau membayangkan sesuatu sehingga timbul syahwat lalu keluar air mani, menurut ulama perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa.

5. Disebabkan bermimpi.

Keluar air mani kerana mimpi di siang hari puasa tidak membatalkan ibadat puasa. Akan tetapi menurut Imam al-Asnawi Rahimahullâh, sunat dia menyegerakan mandi wajib sebaik sahaja dia tersedar daripada mimpinya.

Dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, ibadat puasa yang batal itu wajib diqadha’. Manakala kaffârah pula, ia hanya diwajibkan ke atas mereka yang rosak puasanya kerana melakukan jimâ‘ di siang hari puasa bulan Ramadhan walaupun tidak berlaku inzâl kerana jimâ‘ itu. Bagaimanapun, kaffârah ini hanya wajib ke atas lelaki yang mewathi‘ sahaja, dan tidak ke atas yang diwathi‘ (disetubuhi).

Adapun sekiranya air mani keluar kerana selain daripada jimâ‘, seperti kerana melakukan onani, menyentuh kulit perempuan yang bukan mahram tanpa lapik dan sebagainya, tidaklah diwajibkan kaffârah.

Memasuki Waktu Shubuh dalam Keadaan Berhadats Besar

Orang yang memasuki waktu Shubuh sedangkan dia masih lagi dalam keadaan berhadats besar, yakni belum mengerjakan mandi wajib, sama ada kerana jimâ‘, bermimpi dan sebagainya, hukum puasanya tetap sah. Begitu juga perempuan yang baru habis daripada haidh atau nifâs pada malam hari dan dia ada berniat untuk mengerjakan puasa, lalu dia masih belum mengerjakan mandi wajib sedangkan waktu Shubuh sudah masuk, hukum puasanya juga tetap sah.

Bagaimanapun, sunat menyegerakan mandi wajib sebelum masuk waktu Shubuh supaya dia berada dalam keadaan suci dari permulaan waktu berpuasa. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada termasuk air ke rongga-rongga telinga, dubur dan sebagainya yang boleh menjejaskan ibadat puasa sekiranya mandi wajib itu dilakukan ketika sudah masuk waktu berpuasa.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum ibadat puasa orang yang keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan. Mudah-mudahan penjelasan ini akan mampu meningkatkan lagi pengetahuan serta kefahaman kita tentang ibadat puasa sekaligus membantu kita untuk mengerjakannya dengan lebih baik dan sempurna.

PERSOALAN PUASA BAGI MUSAFIR DI AKHIR SYA‘BAN ATAU DI AWAL RAMADHAN DAN DI AKHIR RAMADHAN ATAU DI AWAL SYAWAL

Dalam bulan Ramadhan, memang banyak persoalan mengenai ibadat puasa ditimbulkan. Salah satu persoalan yang sering kali ditimbulkan ialah mengenai puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.

Isu mengenai puasa di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal ini bolehlah dibahagikan kepada dua persoalan, iaitu:

1. Kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan.

2. Kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.

Kedudukan Puasa bagi Orang yang dalam Pelayaran di Akhir Sya‘ban atau di Awal Ramadhan

Hasil penglihatan anak bulan Ramadhan bagi sesebuah negeri itu adalah tidak sama. Bagi negeri yang berhasil melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Sya‘ban, negeri tersebut wajib memulakan puasa Ramadhan, manakala bagi negeri yang tidak berhasil melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Sya‘ban, mereka akan menggenapkan bulan Sya‘ban menjadi 30 hari. Oleh sebab ketidaksamaan ini, timbul persoalan mengenai kedudukan puasa orang yang dalam pelayaran di akhir bulan Sya‘ban atau di awal bulan Ramadhan ini. Ini kerana adakalanya negeri tempatnya memulakan pelayaran belum berpuasa Ramadhan tetapi negeri tempat ditujunya sudah berpuasa Ramadhan, ataupun sebaliknya, negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berpuasa Ramadhan sedangkan negeri tempat ditujunya itu belum berpuasa Ramadhan. Jadi bagaimanakah kedudukan puasa orang yang menghadapi keadaan seperti ini?

Mengenai perkara ini, apa yang perlu diambil perhatian ialah jika penduduk negerinya atau negeri tempatnya memulakan pelayaran, contohnya Brunei Darussalam, belum berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak tsabit kelihatan pada 29 Sya‘ban, sedangkan negeri yang ditujunya, contohnya Singapura, sudah berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tsabit kelihatan atau tsabit melalui hisab atau kiraan falak syar‘i pada 29 Sya‘ban, maka dalam hal ini wajib ke atasnya menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa pada hari itu.

Dalam hal ini, jika dia masih berada di negeri Singapura sehingga Hari Raya, maka hendaklah diqadha’ hari tersebut. Namun jika dia kembali ke Brunei Darussalam sebelum Hari Raya dan cukup bilangan hari puasanya sepertimana bilangan hari puasa penduduk negerinya, maka tidaklah dikenakan qadha’.

Manakala jika seseorang membuat pelayaran pada 1 Ramadhan ketika anak bulan Ramadhan telah kelihatan pada 29 Sya‘ban, contohnya di Singapura, sedangkan negeri yang ditujunya, contohnya Brunei Darussalam belum lagi berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak kelihatan pada 29 Sya‘ban, maka dalam hal ini ada dua pendapat yang boleh dipilih:

1. Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ mengatakan, hendaklah dia berbuka sebagaimana keadaan penduduk di mana dia berada iaitu Brunei Darussalam dan tidak dikenakan qadha’ satu hari yang dia berbuka itu, jika dia berpuasa bersama mereka sebanyak 29 hari. 2. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ mengatakan, tidak boleh baginya berbuka, kerana puasanya itu berdasarkan penglihatan anak bulan dengan yakin, maka tidak harus dia menyalahinya hanya dengan semata-mata sampai ke suatu tempat yang lain yang mana anak bulan tidak kelihatan. Oleh itu dia hendaklah meneruskan puasanya itu.

Kedudukan Puasa bagi Orang yang dalam Pelayaran di Akhir Ramadhan atau di Awal Syawal

Oleh kerana hasil penglihatan anak bulan Syawal di antara sesebuah negeri dengan sesebuah negeri yang lain adakalanya berbeza, maka ini menyebabkan berlakunya kekeliruan bagi sesetengah orang yang melakukan pelayaran pada akhir Ramadhan. Kekeliruan berlaku bilamana negeri tempat dia bertolak untuk melakukan pelayaran belum berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit kelihatan, sementara negeri yang ditujunya sudah mula berhari raya disebabkan anak bulan Syawal telah tsabit kelihatan. Ataupun sebaliknya, negeri tempat dia bertolak untuk melakukan pelayaran sudah mula berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tsabit kelihatan, sementara negeri yang ditujunya belum berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit kelihatan. Jadi, bagaimanakah kedudukan puasa orang yang menghadapi situasi seperti ini?

Mengenai kedudukan puasa orang yang dalam pelayaran di akhir Ramadhan atau di awal Syawal ini, bolehlah di bahagikan kepada tiga keadaan seperti berikut:

1. Jika penduduk negeri tempat seseorang itu memulakan pelayaran sudah 30 hari berpuasa kerana anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, tetapi negeri yang ditujunya baru hendak berpuasa 30 hari disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, maka menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh) hendaklah dia juga ikut berpuasa bersama penduduk negeri itu, kerana dengan kedatangannya ke negeri tersebut menjadikan dia sebahagian daripada penduduk negeri itu. 2. Jika penduduk negerinya atau negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berhari raya (1 Syawal), tetapi negeri yang ditujunya baru hendak berpuasa 30 hari disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, maka dalam hal ini, walaupun ketika memulakan pelayaran itu dia tidak berpuasa (kerana negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berhari raya), hendaklah dia menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa pada hari itu kerana mengikut penduduk tempatan (negeri yang ditujunya) berpuasa, sungguhpun dia sudah berpuasa 30 hari sebelum hari itu.

Apa yang perlu diambil perhatian ialah walaupun dia sudah berpuasa sebanyak 30 hari sebelum itu di negeri tempat dia memulakan pelayaran, namun wajib dia mengqadha’ hari tersebut (hari dia sampai ke negeri yang ditujunya) walaupun dengan mengqadha’ puasanya itu akan menjadikan puasanya itu sebanyak 31 hari. Ini kerana dengan berada di negara tersebut dia telah menjadi salah seorang daripada penduduk negara tersebut.

3. Jika negeri tempatnya memulakan pelayaran masih berpuasa (29 atau 30 Ramadhan) sedangkan negeri yang ditujunya itu sudah berhari raya (1 Syawal), maka dalam hal ini hendaklah dia ikut sama berbuka dan berhari raya.

Akan tetapi perlu diingat jika dia berbuka puasa, sekiranya bilangan puasanya hanya 28 hari sahaja, maka wajiblah diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu bagi mencukupkan bilangan 29 hari. Melainkan jika dia sudah berpuasa sebanyak 29 hari maka tidaklah perlu diqadha’ hari yang dia berbuka itu.

Bagaimana pula jika orang yang dalam pelayaran itu ingin meneruskan puasanya kerana pelayarannya yang singkat dan balik semula pada hari yang sama?

Dalam sebuah pelayaran yang singkat seperti perjalanan dari Brunei ke Miri, walaupun negeri tempatnya memulakan perjalanan (Brunei) masih berpuasa dan negeri yang ditujunya sudah berhari raya (Miri), maka dia hendaklah berbuka bersama mereka. Walau bagaimanapun jika dia balik semula ke Brunei pada hari yang sama sebelum sempat berbuka, maka dia masih lagi dianggap berpuasa.

Begitulah huraian mengenai kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.

NIAT PUASA RAMADHAN (SEBULAN PENUH): Pandangan Mazhab Asy-Syafi‘e dan Maliki

Niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa. Tanpa niat seseorang itu tidak dianggap berpuasa, walaupun dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Ini adalah berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Hanya amalan-amalan itu dengan niat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, iaitu masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq. Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, hatta ketika sedang menunaikan sembahyang fardhu Maghrib. (Al-Majmû‘: 6/303)

Apabila seseorang itu sudah berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam, tidak bererti pada lingkungan waktu itu dia mesti menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Selama mana perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan tidak melewati waktu fajar shâdiq, maka perbuatan-perbuatan tersebut tidak membatalkan niat puasanya tadi. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu (waktu) fajar. (Surah al-Baqarah: 187)

Berdasarkan ayat di atas, Allah mengharuskan makan dan minum pada malam puasa sehinggalah terbit fajar. Jelas bahawa perbuatan makan, minum dan segala perkara-perkara yang membatalkan puasa, keculi murtad, pada malam hari puasa tidak membatalkan niat puasa seseorang. (Al-Majmû‘: 6/301, 303-304)

Berniat Puasa Setiap Malam

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, berniat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada tiap-tiap malam, kerana ibadat pada setiap hari puasa itu adalah dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Sebab itu apabila satu hari puasa itu terbatal, ia tidak membatalkan puasa hari-hari yang terdahulu dan yang akan datang. Oleh itu, tidak memadai satu niat sahaja bagi satu bulan puasa. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sabdanya:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni)

Niat puasa Ramadhan itu sekurang-kurangnya ialah:

Ertinya: Sahaja aku berniat puasa Ramadhan.

Niat yang lengkap pula ialah:

Ertinya: Sahaja aku berniat puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.

Lupa Berniat

Sebagaimana yang telah dijelaskan, niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam. Oleh itu, orang yang terlupa berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam tidak sah baginya melakukan ibadat puasa dan wajib diqadha’ hari puasa yang terluput itu pada hari lain di luar bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, demi menjaga mashlahah (kepentingan) dan hâjah (keperluan) sebagai langkah berhati-hati dan ditakuti terlupa berniat puasa pada malam hari, ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e menganjurkan juga berniat puasa dengan bertaqlîd kepada mazhab Maliki.

Dalam perkara ini, ays-Syeikh asy-Syarqawi Rahimahullâh dalam Hâsyiahnya menyebutkan;

Ertinya: Sekiranya seseorang berniat pada malam pertama Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh, adalah tidak memadai selain pada hari pertama itu sahaja. Walau bagaimanapun, hendaklah dia melakukan yang demikian itu (berniat pada malam pertama Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh) supaya dia mendapat pahala puasa bulan Ramadhan sekiranya dia terlupa untuk berniat pada (setiap malam) sebagaimana mengikut pendapat Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu. Begitu juga sunat berniat puasa di awal siang hari pada hari dia terlupa berniat bagi mendapatkan pahala puasanya sebagaimana pendapat Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu. Jelasnya, semua perkara yang dinyatakan itu adalah dilakukan dengan cara bertaqlîd … (Hâsyiah asy-Syarqawi ‘alâ Tuhfah at-Thullâb bi Syarh Tahrîr Tanqîh al-Lubab: 1/407)

Pengarang kitab Hâsyiah al-Baijuri pula menyebutkan;

Ertinya: Dan menurut pendapat Imam Malik, sesungguhnya adalah memadai berniat puasa satu bulan penuh Ramadhan pada malam pertama daripada bulan Ramadhan. Dan bagi orang yang bermazhab Syafi‘e boleh bertaqlîd (mengikut) dalam perkara tersebut bagi mengelak supaya dia tidak terlupa berniat pada satu-satu malam yang menyebabkan dia perlu mengqadha’ puasanya. (Hasyiah asy- Syeikh Ibrahim al-Baijuri: 1/553)

Manakala pengarang kitab Busyrâ al-Karîm pula menyatakan adalah sunat bertaqlîd dengan mazhab Malik iaitu berniat puasa di malam pertama Ramadhan:

Ertinya: Dan sunat berniat puasa sebulan penuh Ramadhan di malam pertama Ramadhan pada pandangan mazhab Malik, kerana niat tersebut memadai bagi keseluruhan bulan Ramadhan dan hendaklah bertaqlîd dengannya kerana ditakuti terlupa berniat puasa di waktu malam pada sebahagian malam bulan Ramadhan. (Busyrâ al-Karîm: 1/480)

Begitu juga Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di dalam kitabnya al- Minhâj al-Qawîm menyebutkan:

Ertinya: Maka sekiranya seseorang berniat pada malam pertama bulan Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh, yang demikian itu tidaklah memadai kecuali bagi hari pertama (bulan Ramadhan) itu sahaja. Walau bagaimanapun, hendaklah dia melakukan yang demikian itu (berniat pada malam pertama bulan Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh) supaya dia mendapat pahala puasa bulan Ramadhan sekiranya dia terlupa untuk berniat pada sebahagian hari-hari daripada bulan Ramadhan menurut pendapat yang mengatakan bahawa yang demikian itu adalah memadai. (Al-Minhâj al-Qawîm: 326 & 327)

Imam al-Qalyubi Rahimahullâh juga di dalam Hâsyiahnya menyebutkan:

Ertinya: Dan adalah sunat bagi seseorang berniat di malam pertama bulan Ramadhan untuk puasa sebulan penuh bulan Ramadhan atau (berniat) puasa bulan Ramadhan seluruhnya supaya dia dapat manfaat bertaqlîd dengan mazhab Imam Malik (sebagai penampung) bagi hari yang dia lupa untuk berniat misalnya, kerana niat seumpama itu adalah memadai menurut pendapatnya (Imam Malik) bagi (mengerjakan puasa) sebulan penuh. Dan adapun menurut mazhab kita (mazhab asy-Syafi‘e), niat seumpama itu hanya memadai untuk malam pertama (hari pertama) bulan Ramadhan itu sahaja. (Hâsyiah Qalyubi: 2/66)

Berdasarkan perkataan ulama-ulama asy-Syafi‘e di atas, mereka dilihat turut cenderung untuk bertaqlîd dengan mazhab Maliki dalam perkara menjaga kepentingan orang yang terlupa berniat setiap malam, iaitu berniat sebulan penuh di malam pertama bulan Ramadhan. Maka ia bolehlah dilakukan bahkan sunat beramal dengannya.

Demikianlah sebilangan nash atau qaul-qaul (kata-kata) ulama-ulama dalam mazhab ays-Syafi‘e yang mengatakan sunat dan menganjurkan untuk berniat satu bulan puasa Ramadhan dengan bertaqlîd (mengikut) mazhab Maliki. Ia bertujuan demi menjaga mashlahat dan hâjah serta kepentingan bagi orang yang terlupa berniat di setiap malam bulan Ramadhan.

Niat Puasa dalam Mazhab Maliki

Mengikut pendapat dalam mazhab Maliki pula, boleh berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan dan niat itu dilakukan pada malam pertama puasa.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga demi untuk mengelakkan terlupa berniat puasa, di samping berniat pada tiap-tiap malam, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat satu bulan, dengan bertaqlîd (mengikut) pendapat mazhab Maliki sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Lafaz niatnya ialah:

Ertinya: Sahaja aku berniat puasa bulan Ramadhan seluruhnya (sebulan penuh) pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala”

Namun begitu, perlu diketahui juga, apa yang dinyatakan di dalam mazhab Maliki, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan syara‘ ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut. Dalam makna yang lain, hendaklah berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari puasa yang berbaki.

Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan:

1. Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).

2. Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifâs, gila, pengsan dan sebagainya.

3. Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syara‘.

Oleh itu, orang yang berniat sebulan puasa jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, seperti sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.

Begitu juga bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifâs, gila, pengsan dan sebagainya, niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.

Sebab, ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.

Khusus bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu sebab yang mengharuskan dia berbuka puasa, seperti orang sakit dan orang yang dalam pelayaran, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam. (Al-Qawânîn al-Fiqhiyyah: 104, Hâsyiah ad-Dusuqi: 1/812-813 dan Taqrîrât ‘Ulaisy: 1/812-813)

Kesimpulan

Niat atau berniat pada pandangan syara‘ adalah titik tolak permulaan bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuk ibadat puasa. Tanpa niat, ibadat puasa menjadi tidak sah. Dalam mazhab asy-Syafi‘e niat wajib dilakukan pada setiap malam. Akan tetapi ulama mazhab asy-Syafi‘e juga menganjurkan supaya bertaqlîd dengan mazhab Maliki iaitu berniat sebulan penuh pada malam pertama Ramadhan sebagai langkah berjaga-jaga demi mengelakkan terlupa berniat puasa. Bahkan dalam mazhab asy-Syafi‘e sendiri perkara itu adalah sunat. Perbezaan pendapat di antara pelbagai mazhab termasuk dalam perkara niat puasa merupakan satu rahmat. Dengan adanya pendapat-pendapat yang berbeza itu kita boleh beramal dengannya berdasarkan apa yang disarankan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka.

BOLEHKAH MENYATUKAN PUASA QADHA’ RAMADHAN DENGAN PUASA-PUASA SUNAT?

Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka orang itu akan mendapat pahala seolah-olah pahala berpuasa sepanjang tahun. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)

Namun bagaimana jika seseorang hendak berpuasa enam dalam bulan Syawal sedangkan dia mempunyai puasa qadha’ Ramadhan yang belum dibayar, kerana menqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib sama ada puasa Ramadhan itu ditinggalkan dengan sengaja ataupun disebabkan keuzuran syar‘i.

Di sini apa yang menarik, sesiapa sahaja yang mempunyai puasa qadha’ Ramadhan, dia boleh sahaja menyatukannya dengan puasa-puasa sunat yang lain sama ada menyatukan dengan puasa ‘Asyûrâ’, hari ‘Arafah, puasa di bulan Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, termasuk puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Namun begitu, perlu dilihat terlebih dahulu apakah sebab puasa Ramadhan itu ditinggalkan, kerana perbezaan sebab meninggalkan puasa Ramadhan akan menentukan sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat. Maka untuk lebih jelas akan diterangkan bagaimana boleh menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat itu.

Sebab Meninggalkan Puasa Ramadhan

Untuk mengetahui sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa Ramadhan dengan puasa sunat itu maka perlu dilihat sebab seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan itu. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Meninggalkan puasa Ramadhan bukan disebabkan uzur syar‘i iaitu dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara‘.

2. Meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar‘i seperti kerana datang haidh, nifâs, sakit atau musafir.

Menyatukan Puasa Qadha’ Dengan Puasa Sunat

Kedua-dua sebab yang disebutkan di atas menghasilkan hukum yang berbeza dalam perkara menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat. Untuk jelasnya diterangkan seperti berikut:

i. Hukum menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan bukan disebabkan uzur syar‘i‘.

Adalah haram ke atas seseorang melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal jika dia meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja, kecuali setelah selesai mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu.

Oleh kerana orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja itu haram ke atasnya melakukan apa jua jenis puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal, selagi puasa Ramadhan yang ditinggalkannya belum diqadha’nya, maka dia tidaklah boleh menyatukan puasa enam Syawal dengan puasa qadha’ yang ditinggalkan dengan sengaja itu, melainkan setelah selesai dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkan dengan sengaja itu.

ii. Hukum menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar‘i.

Adalah sunat hukumnya bagi orang yang meninggalkan puasa yang diharuskan oleh syara‘ melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal. Oleh itu, jika seseorang ingin melakukan puasa qadha’ yang ditinggalkannya kerana uzur, maka bolehlah dia menyatukan niat puasa qadha’ tersebut dengan niat puasa-puasa sunat yang hendak dilakukannya seperti puasa enam bulan Syawal.

Pahala Menyatukan Niat Puasa Qadha’ dengan Niat Puasa Sunat

Mengenai perkara ini, Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam fatwanya menjelaskan, bahawa orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib akan mendapat ganjaran pahala bagi kedua-dua puasa yang diniatkannya itu sebagaimana katanya:

Ertinya: Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjaran pahalanya. (Kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah: 2/75)

Bagaimanakah Lafaz Niat Puasa yang Disatukan Itu?

Niat bagi orang yang hendak menyatukan puasa qadha’ Ramadhan disebabkan ada uzur yang dibolehkan oleh syara‘ dengan puasa-puasa sunat seperti puasa enam bulan Syawal, maka bolehlah dia berniat bagi kedua-dua puasa yang disatukannya itu seperti contoh:

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha’ fardhu Ramadhan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”

Dengan berbuat demikian, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu pahala puasa qadha’ dan pahala puasa sunat tersebut.

Perkara ini sama dengan orang yang berniat puasa wajib, sama ada puasa qadha’ atau puasa nazar pada hari ‘Arafah. Jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat hari ‘Arafah, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan dengan puasa wajib dan puasa sunat itu.

Sebagai kesimpulan, orang yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar‘i bolehlah dia melakukan puasa sunat enam di bulan Syawal dengan menyatukan niat puasa sunat enam Syawal itu dengan puasa qadha’ Ramadhan yang ditinggalkannya. Namun ganjaran pahalanya tidaklah sama sepertimana ganjaran pahala orang yang berpuasa penuh di bulan Ramadhan dan melakukan puasa sunat enam Syawal sebagaimana disebutkan dalam hadits di atas. Namun begitu, akan tetap juga mendapat ganjaran pahala kedua-dua puasa yang diniatkannya itu.

Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja, adalah haram baginya mengerjakan puasa sunat melainkan setelah dia selesai mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya dengan sengaja itu dan dia tidak boleh menyatukan niat puasa qadha’ dengan puasa sunat yang lain seperti puasa sunat enam Syawal.

Demikianlah penjelasan yang berkaitan dengan menyatukan puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat.

ZAKAT FITRAH: Bagaimana Jika Seseorang Itu Berada di Luar Negeri?

Menurut ulama, zakat fitrah wajib dikeluarkan di tempat zakat itu diwajibkan. Sebagai contoh, jika ia berada di Negara Brunei Darussalam, maka wajib zakat itu ditunaikan di Negara Brunei Darussalam juga. Persoalannya, bagaimana pula bagi orang-orang Brunei yang bertugas atau belajar di luar negara? Di manakah sepatutnya zakat fitrah itu dikeluarkan, sama ada di negeri tempat mereka berada ataupun di tanah air mereka? Ini kerana terdapat antara orang-orang yang berada di luar negeri itu, zakat fitrah dibayarkan oleh ahli keluarga mereka di tanah air mereka. Maka akan dihuraikan perkara yang berkaitan dengan zakat fitrah ini bagi orang yang berada di luar negeri.

Zakat fitrah bagi orang-orang yang berada di luar negeri, sama ada bertugas ataupun belajar, hendaklah dikeluarkan sendiri di mana mereka berada, kerana mereka itu mampu menanggung diri mereka sendiri melalui gaji atau elaun yang mereka terima daripada kerajaan atau lain-lain agensi yang menaja biasiswa mereka. Ini kerana, zakat fitrah itu tidak harus dipindahkan ke tempat lain melainkan dengan syarat-syarat tertentu. Apabila zakat fitrah itu dikeluarkan oleh ahli keluarga mereka yang berada di tanah air, bererti mereka dikira memindah zakat fitrah mereka itu ke tempat lain.

Memindah zakat ke tempat lain itu bermaksud memberi zakat kepada orang (ashnâf) yang tidak berada di tempat zakat ketika zakat wajib dikeluarkan, sama ada dia (penerima) daripada kalangan penduduk tempat zakat (yang dikeluarkan) itu atau bukan daripada kalangan mereka, dan sama ada pembayar zakat mengeluarkannya (memindahkannya) dari tempat (zakat wajib dikeluarkan) atau penerima-penerima zakat (dari luar negara) datang ke tempat zakat setelah masuknya waktu wajib mengeluarkannya.

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dan diagihkan kepada ashnâf yang berhak menerimanya di tempat zakat itu diwajibkan. Oleh itu, menurut pendapat mazhab asy-Syafi‘e adalah ditegah memindahkan zakat ke tempat lain dari tempat zakat itu wajib dikeluarkan sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Dan menurut pendapat al-azhhar ditegah memindah zakat. (Mughnî al- Muhtâj: 3/118)

Tegahan memindah zakat ke tempat lain itu adalah berdasarkan sebuah hadits sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu (ketika dia hendak diutus sebagai gabenor di negeri Yaman):

Maksudnya: Maka apabila mereka (penduduk Yaman) telah patuh dalam hal yang demikian (tentang kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu), maka engkau beritakanlah pula kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) di dalam harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diagihkan zakat itu juga kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari) Perkataan “orang-orang fakir” sebagaimana disebut di dalam hadits tersebut adalah merujuk kepada orang-orang fakir yang berada di tempat zakat wajib dikeluarkan.

Menurut asy-Syeikh al-Baijuri Rahimahullâhu Ta‘âlâ, zakat hendaklah diagihkan di tempat ia wajib dikeluarkan sebagaimana disebutkan dalam kitab Hâsyiah al- Baijuri:

Ertinya: Dan haram ke atas pemilik harta memindahkan zakat (fitrah) dari tempat zakat itu wajib dikeluarkan sedangkan ada orang-orang yang berhak menerimanya (di tempat itu). (Kitab Hâsyiah al-Baijuri: 1/293)

Antara sebab kenapa zakat tidak boleh diagihkan di tempat lain adalah kerana terdapat ashnâf zakat di tempat itu. Para ashnâf zakat di tempat itu juga sememangnya menaruh harapan besar untuk mendapatkan habuan daripada zakat tersebut, maka apabila zakat fitrah itu dipindahkan untuk diagihkan ke tempat lain nescaya ini akan mengecewakan harapan mereka.

Oleh itu, jelaslah bahawa jika seseorang itu berada di luar negeri sama ada bertugas ataupun sedang belajar, maka hendaklah dia membayar zakar fitrahnya itu di tempat di mana dia berada dan tidak boleh zakatnya itu dikeluarkan oleh ahli keluarganya di tanah airnya. Jika ahli keluarganya membayar zakat itu di tanah airnya, perbuatan tersebut dikira memindahkan zakat, sedangkan memindahkan zakat ke tempat lain adalah tidak harus selagi di tempat itu terdapat orang yang berhak menerimanya.

MELAKUKAN AR-RAMAL KETIKA THAWAF

Ar-Ramal adalah perkataan Arab yang bererti berjalan cepat atau bergegas-gegas ketika melakukan thawaf. Dalam perkara ini, lmam an-Nawawi Rahimahullâh menta‘rîfkan perkataan ar-ramal itu sebagai mempercepatkan jalan iaitu melangkah pendek dengan cepat tetapi bukan melompat dan berlari.

Definisi lmam an-Nawawi Rahimahullâh di atas juga bertepatan dengan perkataan Imam al-Kurdi Rahimahullâh pengarang kitab Irsyâd az-Zumrah li Manâsik al- Hajj wa al-‘Umrah. Beliau berkata:

Ertinya: Ar-Ramal ialah mempercepatkan jalannya iaitu melangkah pendek dengan cepat sambil menggerakkan bahunya (tetapi) bukan dengan berlari dan melompat.

Kitab Asnâ’ al-Mathâlib juga menyebutkan:

Ertinya: (Dinamakan) ar-ramal juga sebagai (al-khabab iaitu melangkah pendek dengan cepat tetapi tidak berlari – (seperti jalannya kuda iaitu berlari-lari anak) padanya (dan) tidak (melompat). Berdasarkan penjelasan ulama di atas, maksud al-ramal itu ialah berjalan dengan cepat, tetapi bukan melompat atau berlari. Di kalangan masyarakat ia lebih dikenali dengan sebutan berlari-lari anak.

Melakukan Ar-Ramal Ketika Thawaf

Sunat melakukan ar-ramal (berlari-lari anak) ketika berthawaf. Ia sunat dilakukan pada tiga pusingan terawal iaitu pusingan pertama hingga ke pusingan ketiga. Manakala baki empat pusingan yang seterusnya disunatkan berjalan dengan tenang. Jika luput melakukan ar-ramal pada tiga pusingan terawal maka tidak perlu diqadha’ ar-ramal tersebut pada empat pusingan terakhir. Perkara ini disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘:

Ertinya: Telah berkata sahabat-sahabat kami dan sunat melakukan ar-ramal ketika thawaf pada tiga pusingan terawal dan sunat berjalan dengan tenang pada baki pusingan terakhir. Jika luput melakukannya pada tiga pusingan tersebut maka tidak perlu diqadha’ pada empat pusingan terakhir.

Perbuatan ar-ramal ketika mengelilingi Ka‘bah ini pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda sedang berthawaf sebagaimana Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan dan berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan ar-ramal (berjalan cepat) pada tiga pusingan dan berjalan (dengan tenang) pada empat pusingan ketika melakukan ibadat haji dan umrah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh bahawa perkataan sa‘â (سَعَى) bermaksud berjalan dengan cepat pada tiga pusingan awal thawaf.

Begitu juga Imam Muslim Rahimahullâh telah meriwayatkan sebagaimana hadits Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dengan lafaz yang lain, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan ar-ramal (ketika thawaf - bermula) dari Hajr al-Aswad dan (berakhir juga) pada Hajr al- Aswad iaitu pada tiga pusingan (terawal thawaf) dan berjalan (dengan tenang) pada empat pusing (terakhir). (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa hadits ini adalah pensyariatan bagi melakukan ar-ramal pada seluruh pusingan ketika berthawaf mengelilingi Ka‘bah. Ia berlaku ketika peristiwa haji Wada‘. Hadits di atas ini juga memansûkhkan hadits yang mengatakan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya melakukan ar-ramal pada tiga pusingan dan berjalan dengan tenang di antara dua rukun (al-yamani).

Oleh yang demikian menurut ulama, ar-ramal dilakukan pada seluruh pusingan ketika mengelilingi Ka‘bah (pada tiga pusingan terawal) dan inilah pendapat yang shahîh sebagaimana Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Adakah mengelilingi Ka‘bah dengan melakukan ar-ramal? Di sini ada dua pendapat iaitu (pendapat yang shahîh) pendapat ini masyhûr dan diambil oleh jumhûr ulama iaitu hendaklah dia mengelilinginya (Ka‘bah) dengan melakukan ar-ramal bermula dari Hajr al-Aswad dan berakhir juga di Hajr al-Aswad tanpa berhenti kecuali pada perkara istilâm (iaitu) melambaikan tangan dan mencium serta meletakkan dahinya kepada Hajr al-Aswad.

Perlu diketahui bahawa ar-ramal hanya disunatkan kepada orang dewasa dan kanak-kanak lelaki sahaja, manakala orang perempuan sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ar-ramal ketika berthawaf sebagaimana yang disepakati oleh para ulama.

Jenis Thawaf yang Disunatkan Melakukan Ar-Ramal

Jenis-jenis thawaf yang disunatkan melakukan ar-ramal ialah thawaf yang diiringi dengan ibadat sa‘i seperti thawaf ifâdhah (thawaf rukun haji atau umrah). Sebagai contoh, seseorang yang melakukan thawaf ifâdhah disunatkan melakukan ar-ramal apabila dia memasuki Makkah setelah wuqûf di ‘Arafah.

Begitu juga pada thawaf qudûm yang dilakukan sa‘i selepasnya. Sebagai contoh, seseorang yang masuk Makkah bagi tujuan umrah, dia akan melakukan thawaf umrah yang diiringi selepasnya sa‘i. Maka ar-ramal sunat dilakukan pada thawaf berkenaan.

Persoalannya, apabila seseorang itu melakukan thawaf qudûm, lalu melakukan ar-ramal dan sa‘i selepasnya, adakah dia perlu melakukan ar-ramal pada thawaf ifâdhah? Menurut pendapat yang ashah dia tidak lagi perlu melakukan ar-ramal pada thawaf ifâdhah kerana thawaf ifâdhah berkenaan tidak diiringi dengan sa‘i. Jika dia melakukan thawaf qudûm dan ar-ramal tetapi tidak diiringi sa‘i selepasnya, menurut jumhûr ulama tidak sunat ar-ramal pada thawaf ifâdhah tersebut kerana dia hanya perlu ar-ramal pada thawaf ifâdhah yang diiringi dengan sa‘i. Perkara ini disebut oleh lmam an-Nawawi Rahimahullâh sebagaimana katanya:

Ertinya: Jika seseorang melakukan thawaf qudûm, ar-ramal dan sa‘i selepasnya, (tidak sunat) melakukan ar-ramal pada thawaf ifâdhah kerana thawaf ifâdhah berkenaan tidak diiringi dengan sa‘i. Jika dia melakukan thawaf qudûm dan ar-ramal sahaja dan tidak melakukan sa‘i selepasnya, menurut pendapat shahîh yang dipegangi oleh jumhûr ulama (tidak sunat ar-ramal pada thawaf berkenaan), kerana dia (hanya sunat) melakukan ar-ramal pada thawaf ifâdhah yang diiringi dengan sa‘i …

Adapun bagi penduduk Makkah yang berniat haji dari Makkah, maka sunat dia melakukan ar-ramal ketika thawaf haji kerana thawaf tersebut diiringi dengan sa‘i. Inilah pendapat yang ashah sebagaimana disebut dalam kitab al-Îdhâh.

Adapun thawaf sunat dan thawaf wada ‘ tidak sunat dan tidak digalakkan melakukan ar-ramal tanpa khilâf ulama.

Ar-Ramal bagi Orang yang Menaiki Kenderaan atau Usungan

Jika seseorang melakukan thawaf dengan kenderaan (راكبا), maka sunat bagi kenderaan tersebut dipercepatkan pergerakan jalannya. Begitu juga sunat bagi orang yang membawa atau mengangkat usungan tersebut melakukan ar-ramal iaitu dengan mempercepatkan jalannya. Inilah pendapat yang shahîh sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Majmû‘.

Kesimpulannya, perbuatan ar-ramal dalam ibadat thawaf adalah sunat dilakukan pada tiga pusingan terawal iaitu pada thawaf yang diiringi dengan sa‘i bermula dan berakhir di Hajr al-Aswad. Manakala meninggalkan ar-ramal pula tanpa suatu keuzuran ketika berthawaf adalah makruh. Walau bagaimanapun thawaf tersebut dihukumkan sah, tidak berdosa dan tidak perlu membayar dam, hanyasanya menghilangkan fadhilat.

MENYENTUH KA‘BAH KETIKA THAWAF

Thawaf merupakan salah satu daripada rukun haji yang enam. Secara ringkas rukun-rukun haji yang enam itu ialah ihram, wuqûf di ‘Arafah, thawaf ifâdhah, sa‘i di antara Shafa dan Marwah, menggunting rambut dan tertib.

Jenis-jenis thawaf pula antaranya ialah thawaf ifâdhah, thawaf qudûm, thawaf wada‘, thawaf nazar, thawaf tathawwu‘ dan thawaf tahallul iaitu thawaf yang dilakukan oleh seseorang yang telah luput hajinya, umpamanya luput haji kerana luput berwuquf di ‘Arafah, sebagai bertahallul (cara melepaskan dirinya) daripada ihram hajinya. Manakala dam orang yang luput hajinya ini adalah sepertimana dam tamattu‘ dari segi sifat dan segala hukumnya.

Thawaf Sekeliling Ka‘bah

Thawaf bererti melakukan pusingan di sekeliling al-Bait al-Haram, (Ka‘bah), iaitu mengelilingi Ka‘bah sebanyak tujuh kali pusingan dengan syarat tertentu sambil berdo‘a.

Tempat melakukan thawaf ialah di sekeliling Ka‘bah yang terletak di dalam Masjid al-Haram. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan melakukan thawaf di Bait al-‘Atiq (Ka‘bah). (Surah al-Hajj: 29)

Syarat-syarat Thawaf

Sepertimana ibadat-ibadat lain yang mempunyai syarat-syarat tertentu agar sesuatu ibadat itu dianggap sah dan sempurna, thawaf juga mempunyai syarat-syaratnya. Secara ringkas syarat-syarat thawaf adalah seperti berikut:

1. Menutup aurat sebagaimana menutup aurat di dalam sembahyang.

2. Suci daripada hadats kecil dan hadats besar serta suci pada pakaian, badan dan tempat thawaf daripada najis.

3. Sentiasa menghalakan bahu kiri ke arah Ka‘bah sepanjang melakukan thawaf.

4. Memulakan thawaf dari penjuru Hajar al-Aswad ataupun bersetentangan dengan penjuru Hajar al-Aswad. Apabila memulakan thawaf, hendaklah keseluruhan badan orang yang thawaf, yakni pada bahagian bahu kiri, bersetentangan dengan penjuru Hajar al-Aswad dan tidak boleh mana-mana anggota badannya itu terkedepan dari garisan Hajar al-Aswad.

5. Melakukan 7 kali pusingan thawaf yang sempurna dengan yakin. Bermula satu pusingan thawaf yang sempurna daripada penjuru Hajar al-Aswad dan berakhir pada penjuru Hajar al-Aswad itu juga.

6. Thawaf dilakukan di dalam Masjid al-Haram di sekeliling Ka‘bah dan di luar dari asy-Syadzarwan dan al-Hijr (Hijr Isma‘il). Tidak memadai thawaf seseorang itu melainkan mengelilingi keseluruhan Ka‘bah, sama ada thawaf dilaksanakan dengan jarak yang berhampiran dengan Ka‘bah ataupun jauh sedikit darinya, selagi ia dikerjakan di dalam lingkungan Masjid al-Haram. Hukum thawaf tetap sah walaupun terdapat halangan atau hadangan (ha’il) di antara orang yang thawaf itu dengan Ka‘bah, seperti mimbar, tiang atau telaga Zamzam. Demikian juga adalah sah melakukan thawaf dari atas atap Masjid al-Haram menurut pendapat al-mu‘tamad, kerana ruang di atas masjid mengambil hukum sepertimana hukum masjid. Dengan kesepakatan ulama, thawaf yang dilakukan di luar Masjid al-Haram adalah tidak sah.

7. Niat thawaf.

8. Tujuan adalah semata-mata untuk thawaf dan bukan selainnya.

Had Kawasan Ka‘bah

Sebagaimana yang dijelaskan, tempat melakukan thawaf ialah di sekeliling atau di sisi Ka‘bah. Oleh yang demikian, tidak sah thawaf yang dilakukan pada Ka‘bah, di atas Ka‘bah ataupun dalam Ka‘bah. Oleh itu, terlebih dahulu perlu diketahui apakah dia Ka‘bah dan di manakah had atau kawasan yang dinamakan Ka‘bah?

Ka‘bah merupakan rumah empat persegi. Ia dinamakan al-Bait al-Haram, difahami sebagai binaan Ka‘bah itu sendiri.

Selain daripada binaan Ka‘bah itu sendiri seperti yang dilihat pada ketika ini, terdapat juga kawasan atau bahagian yang merupakan Ka‘bah yang asal, seperti asy-Syadzarwan dan al-Hijr (Hijr Isma‘il) yang mengambil hukum seperti Ka‘bah juga. Oleh itu, berikut dijelaskan beberapa perkara mengenai hukum thawaf pada kedua-duanya:

1. Asy-Syadzarwan sebahagian Ka‘bah yang asal.

Pada asalnya, dinding Ka‘bah adalah lebih besar atau terkeluar sedikit dari dinding Ka‘bah yang ada pada ketika ini. Untuk mengetahui dinding asal Ka‘bah, antaranya dilihat pada asy-Syadzarwan, iaitu binaan asas pada bahagian bawah Ka‘bah yang terkeluar daripada tepi dinding Ka‘bah. Ia berbentuk seperti bendul dan diperbuat daripada marmar. Tingginya dari dasar lantai lebih kurang 11 sentimeter (2/3 dzira‘) dan lebarnya lebih kurang 40 sentimeter.

Bahagian asal Ka‘bah asy-Syadzarwan yang ada pada masa ini telah dibiarkan atau ditinggalkan terkeluar dari dinding Ka‘bah oleh kaum Quraisy semasa pembinaan semula Ka‘bah, disebabkan kesempitan pembiayaan atau dana kaum Quraisy pada ketika itu.

• Thawaf mengelilingi asy-Syadzarwan:

Maksud “thawaf mengelilingi asy-Syadzarwan” ialah thawaf di sisi asy-Syadzarwan, di luar darinya dan di luar dari ruang di atas asy- Syadzarwan. Perkara ini berdasarkan ayat daripada surah al-Hajj ayat 29 yang telah disebutkan. Menurut jumhûr ulama, keseluruhan badan orang yang thawaf itu, termasuk tangannya, wajib berada di luar dari asy-Syadzarwan ketika melakukan thawaf.

2. Al-Hijr sebahagian Ka‘bah yang asal.

Al-Hijr dinamakan juga Hijr Isma‘il, iaitu suatu tembok melengkung berbentuk separa bulatan pada dua penjuru bahagian sebelah kiri Ka‘bah.

Lebih tepat al-Hijr berada di kawasan bawah pancuran (mizab) Ka‘bah. Di antara dinding Ka‘bah dan kedua-dua hujung al-Hijr terdapat tempat laluan.

Al-Hijr adalah bahagian asal Ka‘bah yang ditinggalkan pembinaannya oleh kaum Quraisy kerana kekurangan pembiayaan atau dana ketika pembinaan semula Ka‘bah yang mereka lakukan. Lalu mereka mengeluarkannya daripada binaan yang dibuat oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dan mereka jadikannya tembok rendah.

Al-Hijr adalah sebahagian daripada Ka‘bah berdasarkan beberapa hadits shahîh antaranya daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai tembok (al-Hijr), apakah ia termasuk Baitullah? Baginda menjawab: “Ya”. Aku bertanya: “Kenapa mereka tidak memasukkannya ke dalam Baitullâh?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya kaummu (pada ketika itu) kekurangan dana (pembiayaan).” Aku bertanya: “Kenapa pintunya diletakkan tinggi (di bahagian atas)?” Baginda menjawab: “Kaummu telah membuatnya seperti itu, supaya mereka boleh memasukkan siapa yang mereka kehendaki dan menegah siapa yang mereka kehendaki. Kalau bukan kerana kaummu masih dekat dengan (keadaan) jahiliyyah dan (kalau bukan kerana) aku merasa khuatir hati mereka akan mengingkarinya, nescaya akan aku masukkan tembok (al-Hijr) di dalam Baitullâh dan akan aku letakkan pintunya di bahagian bawah sahaja.” (Hadits riwayat Muslim)

Thawaf Mengelilingi Al-Hijr

Thawaf mengelilingi al-Hijr adalah wajib. Yang dimaksudkan thawaf mengelilingi al-Hijr itu ialah thawaf di belakang (di luar) al-Hijr dan tidak memasuki atau merentasi al-Hijr melalui dua tempat laluannya. Menurut jumhûr ulama, mereka yang tidak melakukan thawaf di belakang al-Hijr, hukum thawafnya itu tidak sah dan tidak dikira kerana al-Hijr adalah sebahagian daripada Ka‘bah dan dia tidak melakukan thawaf mengelilingi keseluruhan Ka‘bah.

Perkara ini adalah sebagai mengikut perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Baginda tidak pernah meninggalkan thawaf di belakang al-Hijr semasa thawaf mengelilingi Ka‘bah. Bahkan perbuatan Baginda itu memperjelaskan lagi ayat al- Qur’an yang telah disebutkan.

Sungguhpun ada pendapat yang mengatakan bahawa hanya sebahagian sahaja daripada al-Hijr itu adalah bahagian asal daripada Ka‘bah dan bukan keseluruhan al-Hijr, akan tetapi oleh sebab kebanyakan perkara-perkara haji merupakan ta‘abbud, adalah wajib mengikuti dan mencontohi perbuatan dan cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, iaitu wajib melakukan thawaf di luar kawasan al- Hijr.

Demikianlah juga thawaf yang dilakukan oleh para Khulafâ’ ar-Râsyidîn dan selain mereka daripada para sahabat dan mereka yang selepas sahabat Radhiallâhu ‘anhum, bahawa mereka tidak pernah melakukan thawaf melainkan di luar al-Hijr. Oleh yang demikian adalah wajib melakukan thawaf di luar kawasan al-Hijr sebagai mengikuti Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum ketika melakukan thawaf.

Persoalan Thawaf Asy-Syadzarwan dan al-Hijr

Melakukan thawaf di sekeliling Ka‘bah dan di luar daripada kawasan asy- Syadzarwan dan al-Hijr adalah wajib. Berikut dijelaskan beberapa perkara berkaitan kedua-duanya:

1. Seorang yang melakukan thawaf dengan berjalan di atas asy-Syadzarwan sekalipun satu langkah atau berjalan di atas tembok al-Hijr, adalah tidak sah thawafnya pada pusingan itu dan tidak memadai (tidak dikira). Ini kerana thawaf dalam keadaan seperti itu adalah thawaf pada Ka‘bah dan bukan di sekeliling atau di sisi Ka‘bah.

2. Seorang yang melakukan thawaf di luar dari asy-Syadzarwan dan sekali-sekala dia meletakkan salah satu daripada kakinya di atas asy-Syadzarwan dan yang sebelah lagi memijak lantai tempat thawaf, menurut pendapat yang disepakati oleh ulama Syafi‘iyyah hukum thawafnya itu juga tidak sah.

Bagaimanapun kedua-dua keadaan yang telah disebutkan di atas mengenai asy-Syadzarwan (1 dan 2) besar kemungkingan tidak lagi terjadi pada masa sekarang. Ini kerana asy-Syadzarwan telah ditinggikan dari dasar lantai kemudian di bahagian atasnya berbentuk condong sehingga hujungnya bertemu dan menempel dengan dinding Ka‘bah. Maka terpeliharalah orang-orang yang thawaf daripada melakukan thawaf di atasnya.

3. Seorang yang melakukan thawaf di luar dari asy-Syadzarwan lalu dia menyentuh dengan tangannya dinding Ka‘bah yang sejajar (di atas) dengan asy-Syadzarwan atau mana-mana bahagian lain daripada Ka‘bah, menurut pendapat yang ashah thawafnya itu tidak sah.

Demikian juga hukum thawaf seorang yang menyentuh tembok al-Hijr dengan mana-mana anggotanya ketika melakukan thawaf, walaupun dengan hujung jari, thawafnya pada pusingan tersebut tidak sah, iaitu setelah perbuatannya menyentuh al-Hijr.

4. Seseorang yang memasuki atau merentasi ruang di atas asy-Syadzarwan dan al-Hijr ketika thawaf, sama ada dengan badannya atau pakaiannya yang bergerak dengan pergerakannya ataupun dia memanjangkan atau merentangkan tangannya dalam ruang di atas keduanya, thawafnya itu menjadi batal sekalipun pakaiannya atau tangannya itu tidak menyentuh dinding Ka‘bah atau tembok al-Hijr. Akan tetapi tidak mengapa jika dia menyentuh Ka‘bah dengan batang atau tongkat di tangannya dan seumpamanya.

Orang yang thawafnya batal kerana melakukan perkara-perkara yang disebutkan di atas, maksudnya ialah thawafnya mulai tidak dikira setelah dia menyentuh Ka‘bah, asy-Syadzarwan ataupun al-Hijr, ataupun setelah dia memasuki atau merentasi ruang di atas asy-Syadzarwan atau al-Hijr, sama ada dengan badan, anggota badan atau pakaiannya. Oleh itu, hendaklah dia kembali semula ke tempat di mana dia melakukan perkara yang membatalkan thawafnya itu, kemudian menyambung semula thawafnya dari tempat tersebut dan dikira sebagai satu pusingan sempurna. Adapun pusingan thawaf yang terdahulu yang telah dilaksanakan sebelumnya adalah tidak batal.

5. Seseorang yang masuk ke dalam salah satu daripada dua laluan tempat masuk al-Hijr ketika thawaf dan merentasinya kemudian dia keluar dari laluan al-Hijr yang satu lagi, maka sebahagian thawafnya pada pusingan tersebut adalah batal dan tidak dikira.

Bagaimanapun jika dia berundur semula atau pergi ke pintu al-Hijr yang sama yang dimasukinya dan keluar sepenuhnya dari kawasan al-Hijr, maka dia boleh meneruskan (menyambung semula) thawafnya dari tempat dia keluar sepenuhnya dari kawasan al-Hijr itu dan menyambung semula thawafnya sehingga sempurna. Pusingan thawaf ini akan dikira satu pusingan daripada tujuh pusingan.

Daripada penerangan ringkas di atas, jelaslah asy-Syadzarwan dan al-Hijr adalah sebahagian daripada Ka‘bah. Selain daripada keduanya, tidak mengapa (tidak membatalkan thawaf) sekiranya seseorang memasuki atau merentasi ruang di antara maqâm Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dan bangunan Ka‘bah ketika thawaf. Demikian juga tidak mengapa seseorang thawaf di belakang maqâm Nabi Ibrahim‘Alaihissalâm.

Mengucup Hajar Al-Aswad ketika Thawaf

Orang yang mengucup Hajar al-Aswad ketika dia melakukan thawafnya, bererti pada ketika itu sebahagian badannya dan bahagian kepalanya berada dalam ruang sisi Ka‘bah.

Oleh itu, hendaklah dia menetapkan kedudukan kedua-dua tapak kakinya pada tempat dia meletakkannya dan tidak menggerakkan kedua-dua tapak kakinya itu sehinggalah dia selesai mengucup Hajar al-Aswad dan setelah dia meluruskan badannya atau berdiri tegak terlebih dahulu. Ini kerana sekiranya ketika dia mengucup Hajar al-Aswad tapak kakinya itu tersasar atau bergerak sedikit dari tempat letaknya ke kawasan pintu Ka‘bah, sekalipun hanya kadar sejengkal atau kurang, dan ditetapkan tapak kakinya itu di tempat tersebut, kemudian selesai dia mengucup Hajar al-Aswad dia berdiri tegak semula sedang kedua-dua tapak kakinya tetap berada di tempat yang tersasar tadi, dan dia tidak mengembalikan semula tapak kakinya ke tempat asal sebelum ia tersasar atau bergerak, lalu dari situ dia meneruskan thawafnya, maka batal thawafnya pada pusingan tersebut dan tidak dikira thawafnya itu. Ini kerana pusingan thawafnya dalam keadaan ini adalah tidak sempurna disebabkan sebahagian daripada thawafnya telah terbatal, kerana sebahagian badannya berada dalam Ka‘bah, iaitu ruang di atas asy- Syadzarwan.

Dalam keadaan yang disebutkan di atas, sekiranya dia tidak meneruskan thawafnya daripada tempat bermula thawafnya menjadi batal (kerana sebahagian badannya berada dalam Ka‘bah) akan tetapi dia berundur dan keluar sepenuhnya dari ruang sisi Ka‘bah tempat letak Hajar al-Aswad lalu menyambung semula thawafnya dari tempat tersebut (di luar dari asy-Syadzarwan) sehingga sempurna satu pusingan, maka dikira satu pusingan thawaf daripada tujuh pusingan.

Oleh itu, perlu diambil perhatian khususnya ketika mengucup Hajar al-Aswad, terutama sekali dalam keadaan bersesak-sesak, berebut-rebut, bertembung dengan jemaah yang lain, malahan memerlukan pergerakan yang pantas dalam tempoh masa yang terhad, besar kemungkinan seseorang itu tidak akan dapat menjaga perkara-perkara yang disebutkan di atas sehingga menyebabkan thawaf yang dilakukannya pada pusingan tersebut menjadi batal. Selain itu, para fuqahâ’ juga menggantungkan hukum sunat mengucup Hajar al-Aswad itu daripada aspek keselamatan orang yang melakukan thawaf, iaitu disyaratkan jangan sampai boleh menyebabkan mudharat kepada orang lain dan tidak boleh menempah (menyebabkan) mudharat ke atas diri sendiri disebabkan kesesakan.

Sebagai kesimpulan, thawaf dalam Masjid al-Haram mengelilingi Ka‘bah sebanyak 7 (tujuh) pusingan merupakan salah satu rukun daripada rukun haji yang enam. Antara syarat thawaf itu hendaklah mengelilingi keseluruhan Ka‘bah termasuklah binaan Ka‘bah yang asal seperti asy-Syadzarwan dan Hijr Isma‘il yang terletak di sisi Ka‘bah serta thawaf di luar dari ruang di atas asy-Syadzarwan dan Hijr Isma‘il.

Oleh yang demikian, menyentuh dinding Ka‘bah (termasuk kelambu Ka‘bah), asy- Syadzarwan dan tembok Hijr Isma‘il, sama ada dengan badan, anggota badan ataupun pakaian, serta memasuki ruang di atas keduanya, ataupun memasuki Hijr Isma‘il daripada salah satu laluannya ketika thawaf akan menyebabkan thawaf seseorang itu menjadi batal. Apabila dia melakukan perkara yang membatalkan thawaf, yang terbatal hanyalah pusingan yang dibuatnya selepas dia melakukan perkara yang membatalkan thawaf, sementara pusingan yang telah lalu, sebelum dia melakukan perkara yang membatalkan thawaf, tidaklah terjejas.

Seseorang yang hendak mencium Hajar al-Aswad ketika melakukan thawaf hendaklah mengambil perhatian terhadap beberapa perkara ketika melakukannya agar thawafnya tidak menjadi batal. Bagaimanapun dalam keadaan bersesak-sesak dan keupayaan seseorang yang sangat terbatas dalam menjaga keselamatan diri sendiri adalah lebih selamat dia menggantikan tuntutan sunat mengucup Hajar al- Aswad ketika melakukan thawaf dengan istilâm menggunakan isyarat tangan sahaja.

SIAPA LEBIH UTAMA MEMANDIKAN MAYAT?

Di Negara kita ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang menangani pengurusan mayat sama ada bagi mayat lelaki ataupun perempuan. Sungguhpun demikian, ia tidak menghalang kaum kerabat si mati daripada turut sama dalam menguruskan mayat malahan merekalah yang lebih utama dalam menguruskannya.

Salah satu perkara yang wajib dilakukan dalam pengurusan mayat ialah mandi. Hukum memandikan mayat adalah fardhu Kifayah, sebagaimana juga tuntutan mengafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan mayat.

Orang yang dituntut memandikan mayat pada hukum asalnya ialah lelaki hendaklah memandikan mayat lelaki dan perempuan hendaklah memandikan mayat perempuan.

Persoalannya adakah harus bagi perempuan memandikan mayat lelaki atau sebaliknya dan siapakah di kalangan lelaki atau perempuan yang lebih utama dalam memandikan mayat?

Tuntutan Sama Jantina dalam Memandikan Mayat

Pada hukum asal, mayat dan orang yang memandikan mayat itu hendaklah sama jantinanya melainkan beberapa orang yang tertentu seperti berikut:

1. Suami harus memandikan mayat isterinya (yang bukan dalam thalaq raj‘î atau ‘iddah kerana syubhah) walaupun dia mengahwini adik-beradik isterinya setelah isterinya meninggal dunia dan mayatnya belum dimandikan ataupun dia mengahwini empat orang setelah isterinya meninggal dunia. Ini kerana hak-hak perkahwinan itu tidak terputus disebabkan kematian.

Keharusan suami memandikan mayat isterinya itu ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang sedang sakit kepala:

Maksudnya: Tidak ada yang perlu disusahkan jika engkau meninggal dunia terlebih dahulu sebelumku, nescaya aku mandikan engkau, aku kafankan engkau, aku sembahyangkan engkau dan aku mengebumikan engkau. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

2. Isteri harus memandikan mayat suaminya walaupun si isteri telah habis ‘iddahnya dan dia telah berkahwin dengan orang lain. Gambaran bagi situasi ini, isteri melahirkan anak sebaik sahaja suaminya meninggal dunia, lalu dia berkahwin dengan lelaki lain sebelum bekas suaminya dimandikan.

Keharusan isteri memandikan mayat suaminya ada diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, dia berkata:

Maksudnya: Sekiranya aku mengetahui apa yang berlaku masa hadapan sebagaimana aku mengetahui apa yang telah berlaku, nescaya tidak dimandikan Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melainkan oleh isteri-isteri Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)

3. Tuan yang memiliki hamba perempuan. Apabila hambanya itu meninggal dunia, harus bagi tuannya memandikan mayat hambanya itu.

4. Mahram lelaki harus memandikan mayat mahram perempuannya. Contohnya, bapa harus memandikan mayat anak perempuannya.

5. Mahram perempuan harus memandikan mayat mahram lelakinya. Contohnya ibu harus memandikan mayat anak lelakinya.

6. Lelaki harus memandikan mayat kanak-kanak perempuan (yang belum sampai had mendatangkan syahwat).

7. Perempuan harus memandikan mayat kanak-kanak lelaki (yang belum sampai had mendatangkan syahwat).

Siapakah Lebih Utama Memandikan Mayat?

1. Jika mayat itu lelaki, maka orang yang lebih utama memandikannya ialah mengikut urutan tertib berikut:

i. Orang yang lebih utama mengimamkan sembahyang mayat iaitu keturunan lelaki yang ‘ashabah (kerabat yang termasuk dalam ahli waris yang menerima kesemua bahagian waris atau bakinya) dengan mengikut tertib berikut:

• Bapa. • Datuk sebelah bapa hingga ke atas. • Anak lelaki. • Cucu lelaki sebelah anak lelaki hingga ke bawah. • Adik-beradik lelaki seibu sebapa. • Adik-beradik lelaki sebapa. • Anak saudara lelaki sebelah adik-beradik lelaki seibu sebapa. • Anak saudara lelaki sebelah adik-beradik lelaki sebapa. • Keturunan lelaki yang ‘ashabah mengikut tertib waris seperti bapa saudara sebelah bapa, anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa, datuk saudara sebelah bapa, anak lelaki kepada datuk saudara sebelah bapa dan begitulah seterusnya dengan mendahulukan yang seibu bapa daripada yang sebapa.

Orang yang faqîh (yang mengetahui perkara memandikan mayat) adalah diutamakan daripada orang yang tidak faqîh walaupun yang tidak faqîh itu lebih tua atau lebih akrab dengan si mati.

ii. Lelaki yang memerdekakannya kemudian keturunannya daripada lelaki yang ‘ashabah.

iii. Ketua negara atau penolongnya, jika Baitul-mal ada diwujudkan secara teratur di negara berkenaan.

iv. Lelaki yang mempunyai hubungan dzawu al-arhâm (kerabat yang tidak termasuk dalam ahli yang menerima bahagian waris). Dalam hal ini, didahulukan kerabat yang lebih dekat, antaranya seperti tertib berikut:

• Datuk sebelah ibu. • Cucu lelaki sebelah anak perempuan. • Adik-beradik lelaki seibu. • Bapa saudara sebelah ibu. • Bapa saudara seibu sebelah bapa.

v. Lelaki ajnabiy (yang tidak ada pertalian darah).

vi. Isteri.

vii. Kerabat di kalangan perempuan yang mahram seperti anak perempuan dan ibu.

2. Jika mayat itu perempuan, maka orang yang lebih utama memandikannya ialah mengikut tertib berikut:

i. Kerabat di kalangan perempuan yang mahram (iaitu yang haram nikah dengannya jika ditakdirkan si mati itu lelaki) seperti anak perempuan, ibu dan adik-beradik perempuan.

Jika kedudukan perempuan itu sama dalam mahram maka didahulukan yang ‘ashabah (jika ditakdirkan mereka itu lelaki) seperti ibu saudara sebelah bapa adalah didahulukan daripada ibu saudara sebelah ibu.

ii. Perempuan yang mempunyai hubungan dzawu al-arhâm. Didahulukan di kalangan mereka yang lebih dekat seperti anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa adalah didahulukan daripada anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu.

iii. Perempuan yang memerdekakannya.

iv. Perempuan mahram disebabkan sesusuan seperti ibu sesusuan dan adik-beradik sesusuan.

v. Perempuan mahram disebabkan perkahwinan seperti ibu mertua dan menantu perempuan.

vi. Perempuan ajnabiyyah (yang tidak ada pertalian darah).

vii. Suami. viii. Kerabat di kalangan lelaki yang mahram dengan mengikut keutamaan dalam hal menjadi imam dalam sembahyang mayat.

Syarat-syarat Melayakkan Seseorang Diberi Keutamaan Memandikan Mayat Sungguhpun jika seseorang itu diberi keutamaan atau didahulukan untuk memandikan mayat, namun perlu juga dilihat apakah dia memenuhi syarat-syarat berikut ataupun tidak: 1. Merdeka. 2. Berakal. 3. Sama agamanya dengan si mati. 4. Tidak melakukan pembunuhan ke atas si mati walaupun dengan hak. 5. Tidak bermusuhan dengan si mati. 6. Tidak fâsiq. 7. Bukan kanak-kanak sekalipun mumayyiz. Jika orang yang lebih utama memandikan mayat itu tidak memenuhi syarat-syarat di atas maka didahulukan orang selepasnya yang memenuhi syarat-syarat tersebut. Sebagai contoh datuk yang tidak fâsiq didahulukan daripada bapa yang fâsiq sekalipun bapa itu lebih utama daripada nenek lelaki dalam memandikan mayat. Sunat Berlapik ketika Memandikan Mayat Sunat bagi suami membalut tangannya dengan kain ketika memandikan mayat isterinya supaya wudhu’ orang yang memandikan mayat itu tidak batal apabila bersentuhan kulit di antara kedua-duanya.

Begitu juga, sunat bagi isteri membalut tangannya dengan kain ketika memandikan mayat suaminya dan sunat bagi tuan yang memiliki hamba membalut tangannya dengan kain ketika memandikan mayat hamba perempuannya.

Walau bagaimanapun, jika mereka tidak membalut tangan mereka dengan kain dan bersentuhan kulit di antara mereka dengan si mati, mandi mayat itu tetap sah.

Ketiadaan Orang Memandikan Mayat Selain Orang Ajnabiy yang Berlainan Jantina

Sekiranya tidak ada orang untuk memandikan mayat lelaki melainkan hanya perempuan ajnabiyyah sahaja ataupun sebaliknya iaitu tidak ada orang untuk memandikan mayat perempuan melainkan hanya lelaki ajnabiy, maka menurut pendapat yang ashah wajib mayat tersebut ditayammumkan sahaja dengan berlapik dan tidak perlu dimandikan kerana keuzuran syara‘ iaitu menghalang daripada melihat dan menyentuh perkara yang diharamkan.

Demikianlah penjelasan mengenai hukum memandikan mayat dan orang yang lebih utama memandikan mayat. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada ahli keluarga si mati supaya mempelajari ilmu fiqh khususnya perkara pengurusan mayat sebagai persediaan menghadapi keluarga yang ditimpa musibah.

LAFAZ ÎJÂB DAN QABÛL DALAM JUAL BELI: Beberapa Isu Hukum Mengenainya

Jual beli merupakan salah satu daripada keperluan individu yang sangat mustahak dalam kehidupan sehariannya. Ini kerana dalam kehidupan masa kini dengan hajat manusia yang pelbagai, seseorang individu itu tidak mampu untuk mengadakan keseluruhan keperluannya secara bersendirian. Islam sebagai agama yang syumûl telah memberikan garis panduan yang jelas dalam semua perkara, termasuk bentuk jual beli yang selari dengan kehendak syara‘ atau sebaliknya.

Jual Beli Menurut Syara‘

Perkara mengenai jual beli telah pun disebutkan dalam beberapa ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Ayat ini secara umum menjelaskan bahawa setiap jual beli adalah halal, yakni dibolehkan dalam Islam. Walau bagaimanapun hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kemudian secara khusus memperincikan lagi beberapa jual beli yang ditegah oleh syara‘, umpamanya jual beli yang berasaskan atau berunsurkan riba.

Dalil daripada hadits mengenai jual beli pula antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya jual beli (adalah) dengan keredhaan (persetujuan bersama). (Hadits riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Tambahan daripada itu, para ulama juga telah sepakat mengenai keharusan jual beli.

Rukun Jual Beli

Secara ringkas rukun jual beli itu ada enam iaitu, dua orang yang berakad, iaitu penjual dan pembeli, benda atau barang yang dijual atau ditawarkan dan harga barang, dan rukun terakhir shîghah, iaitu lafaz îjâb dan qabûl.

Fokus dalam perbincangan ini adalah pada rukun yang terakhir, iaitu shîghah. Jual beli tanpa shîghah, îjâb dan qabûl, adalah tidak sah kerana ia merupakan rukun dalam jual beli. ‘Illah atau sebab mengapa disyaratkan îjâb dalam jual beli, bahkan mustahak dilafazkan, adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: …kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu… (Surah an-Nisâ’: 29)

Dalam ayat di atas, jual beli adalah semata-mata dengan keredhaan kedua belah pihak yang berakad, penjual dan pembeli. Bagaimanapun seperti yang dimaklumi, keredhaan itu merupakan suatu perkara yang tersembunyi, yang tidak nampak. Oleh kerana itu, jual beli dengan keredhaan itu perlu kepada suatu yang boleh menzahirkannya. Maka shîghah di sini berperanan sebagai suatu yang akan mengungkapkan atau menerangkan keredhaan penjual dan pembeli, sama ada dengan lafaz kata-kata, isyarat, tulisan atau perbuatan yang dilaksanakan mengikut suatu percakapan.

Shîghah Îjâb dan Qabûl

Shîghah, iaitu lafaz îjâb dan qabûl terbahagi kepada dua bentuk seperti berikut:

1. Lafaz sharîh (terang).

Jual beli dengan lafaz sharîh (terang), iaitu lafaz perkataan yang jelas dan nyata menunjukkan maksud jual beli. Jual beli dengan lafaz sharîh (terang) adalah sah dengan semata-mata melafazkannya dan tidak perlu lagi kepada niat.

Contoh lafaz îjâb (atau tawaran) daripada penjual dalam bentuk sharîh, umpamanya penjual berkata: “Saya jual kepada kamu barang ini dengan harga sekian”, atau “kamu miliki barang ini dengan harga sekian”, atau “barang ini adalah barang jualan kepadamu dengan harga sekian”, ataupun “belilah daripada saya benda ini dengan harga sekian”.

Lafaz jawapan atau penerimaan tawaran daripada pembeli, umpama dia berkata: “Saya beli”, atau “saya ambil”, atau “saya terima”, atau “saya setuju”, ataupun “ya”.

Selain itu, disyaratkan antara îjâb dan qabûl itu jangan diselangi dengan percakapan mengenai perkara lain yang tiada kaitan atau terkeluar daripada jual beli tersebut. Begitu juga îjâb dan qabûl itu tidak boleh diselangi dengan diam yang panjang yang memberi tanda keengganan atau tidak setuju satu pihak daripada menerima tawaran jual beli.

Bagaimanapun, sekiranya pembeli seorang yang beragama Islam, setelah dibuat tawaran kepadanya oleh seorang Islam juga, memulakan percakapannya dengan basmalah, hamdalah dan selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, seterusnya baru berkata “saya terima” atau pun “saya setuju”, maka dalam keadaan ini (percakapan yang dimulai dengan perkataan seperti di atas) jual belinya adalah sah.

Disyaratkan juga hendaklah perkataan jual beli yang dilafazkan oleh seseorang itu dimaksudkannya dengan maknanya, iaitu jual atau beli. Sekiranya dia tidak bermaksud dengan perkataan jual beli akan maknanya yang asal, umpamanya seorang yang tersasul menyebut perkataan jual beli tetapi tidak bermaksud menjual atau membeli, ataupun seorang yang berbahasa asing menyebut suatu perkataan yang dia tidak mengetahui maknanya, maka dalam keadaan seperti ini tidak terjadi jual beli tersebut.

2. Lafaz kinâyah (kiasan).

Jual beli dengan lafaz kinâyah (secara kiasan), iaitu lafaz perkataan yang berkemungkinan bermaksud untuk jual beli ataupun perkara selain jual beli. Menurut mazhab asy-Syafi‘e, jual beli dengan lafaz kinâyah adalah sah, dengan syarat hendaklah diiringi dengan niat (jual beli) atau terdapat (wujud) tanda-tanda yang menunjukkan keredhaan (persetujuan) untuk jual beli.

Contoh lafaz secara kiasan seperti penjual berkata: “Ambillah/ terimalah/saya beri awak kuasa atas barang ini dengan harga sekian.” Lalu dijawab oleh pembeli: “Saya ambil barang itu (yang dimaksudkan untuk dijual)”.

Jual beli dengan menggunakan lafaz kiasan adalah sah kerana dalam contoh di atas niat dan keinginan penjual memang untuk jual beli. Petunjuknya ialah penjual menyebut harga barang sebagai tukaran atau ganti yang menandakan maksud kata-katanya itu adalah jual beli.

Îjâb daripada Pembeli dan Qabûl daripada Penjual

Pada kebiasaannya îjâb (tawaran) dimulai oleh penjual dan qabûl pula daripada pembeli. Bagaimanapun kadangkala îjâb dimulakan oleh pembeli, iaitu pembeli terlebih dahulu membuat tawaran kepada penjual untuk membeli barang. Perkara ini adalah harus dan jual belinya adalah sah. Sebagai misal:

Pembeli berkata: “Saya hendak membeli barang ini daripada awak dengan harga sekian”. Penjual menjawab: “Saya jual kepada awak”, ataupun “ya”.

Demikian juga lafaz dalam bentuk arahan atau perintah umpamanya:

Pembeli berkata: “Juallah kepada saya barang ini dengan harga sekian”. Lalu penjual pun menjawab: “Saya jual”.

Dengan lafaz yang telah disebutkan di atas, maka jual beli tersebut adalah sah kerana ada tanda atau petunjuk penjual tersebut redha (setuju) dengan jual beli.

Barang yang Hendak Dijual Beli dan Harganya

Sesiapa yang memulakan tawaran jual beli, sama ada penjual atau pembeli, hendaklah menyebutkan dalam shîghah jual beli dua perkara, iaitu apa dia barang yang hendak dijual atau dibeli dan harga barang tersebut. Shîghah yang lengkap umpamanya: “Saya jual kepada kamu barang ini dengan harga sekian.”

Bagaimanapun, jawapan atau penerimaan daripada pihak yang satu lagi tidak disyaratkan untuk menyebut salah satu mahupun kedua-dua perkara di atas. Sebagai contoh, penjual menawarkan barang berserta harganya, lalu pembeli berkata: “Saya terima”.

Demikian juga sekiranya pembeli berkata: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian”. Lalu penjual berkata: “Saya jual kepada awak”.

Jawapan daripada pihak kedua di atas, iaitu tanpa menyebut barang dan harga barang, adalah memadai.

Jual Beli dengan Isyarat dan Tulisan

Pada asalnya jual beli yang sah hendaklah dengan ucapan atau lafaz dan menggunakan bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak. Dalam sesetengah keadaan, jual beli adalah sah daripada orang bisu dengan menggunakan isyarat yang difahami serta tulisan. Begitu juga sah jual beli dengan menggunakan tulisan di antara dua orang yang berjauhan. Ini kerana adanya hajat atau keperluan dan kerana wujudnya keredhaan. Malahan jual beli dengan menggunakan tulisan adalah tanda yang lebih kuat sebagai bukti adanya keredhaan dan kemahuan untuk jual beli.

Tulisan, bagi orang bisu, adalah berperanan dalam menterjemahkan dan mengungkapkan apa yang ada dalam hatinya sebagaimana percakapan atau lafaz menunjukkan apa yang ada dalam hati orang yang tidak bisu (orang normal).

Jual Beli Tanpa Lafaz Îjâb dan Qabûl

Îjâb dan qabûl merupakan rukun dalam jual beli dan tidak sah tanpa kedua-duanya. Oleh yang demikian, bagaimanakah hukum jual beli tanpa sebarang lafaz îjâb dan qabûl seperti realiti yang biasa berlaku pada masa kini? Dalam perbincangan ulama jual beli seumpama ini disebut sebagai jual beli al-mu‘âthâh (املعاطاة).

Gambarannya seorang menyerahkan wang untuk membeli sesuatu, lalu penjual mengambil wang tersebut daripada pembeli dan berlaku tukar ganti atau serah terima tanpa berkata apa-apa, ataupun kadangkala hanya ada lafaz daripada satu pihak manakala pihak yang satu lagi diam sahaja tidak berkata apa-apa. Bagaimanapun kedua-dua penjual dan pembeli redha dan bersetuju dengan harga barang.

Sesetengah ulama berkata jual beli pada benda yang sedikit atau harga yang sedikit seperti jual beli roti, sepotong kuih, secawan kopi dan daging adalah harus dengan tiada îjâb dan qabûl, iaitu kedua-dua penjual dan pembeli bersetuju di atas harga dan di atas benda yang dibeli tanpa lafaz îjâb dan qabûl padanya.

Adapun sukat-sukat sesuatu benda dikatakan sebagai banyak atau sedikit, nilai harganya tinggi ataupun sebaliknya sederhana, maka kesemuanya adalah mengikut adat kebiasaan sebagaimana petikan berikut daripada Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Rujukan (jual beli) bagi (benda yang) sedikit, banyak, biasa (sederhana nilai) dan berharga (bernilai) adalah (berdasarkan) adat kebiasaan (al-‘urf).

Oleh yang demikian, setiap benda yang dijual atau dibeli oleh masyarakat umum tanpa îjâb dan qabûl kerana sudah menjadi kebiasaan dan telah diterima oleh mereka sebagai jual beli tidak kira berapa pun nilainya, maka jual beli dengan cara sedemikian adalah sah.

Jual Beli dalam Bentuk Pertanyaan

Lafaz jual beli dalam bentuk pertanyaan, umpamanya seorang pembeli bertanya: “Adakah kamu jual kepadaku?” ataupun “adakah kamu akan jual kepadaku?”, lalu penjual menjawab: “Ya, aku jual”.

Dalam keadaan ini, belum berlaku jual beli tersebut sehinggalah pihak yang pertama, dalam contoh ini pembeli, menerima atau menyetujui tawaran tersebut umpamanya dia berkata: “Saya beli”.

Demikian juga hukumnya sekiranya seorang penjual berkata: “Adakah kamu akan membeli barang jualanku ini?” Lalu dijawab “saya beli.” Belum berlaku jual beli sehinggalah penjual berkata selepas itu: “Saya jual.”

Jual Beli dalam Bentuk Ta‘lîq (Tergantung-gantung Bersyarat)

Jual beli dengan lafaz ta‘lîq adalah tidak sah jika ta‘lîq itu sesuatu yang tiada kaitan dengan akad jual beli tersebut, umpama seorang penjual berkata: “Jika Zaid datang, maka saya akan jual kepada awak”.

Bagaimanapun sekiranya lafaz ta‘lîq itu ada kaitan secara langsung dengan jual beli tersebut, maka jual beli adalah sah. Sebagai contoh penjual berkata: “Saya jual kepada awak barang ini dengan harga sekian jika awak mahu”. Lalu dijawab: “Saya beli”.

Demikian juga jual beli adalah sah dengan lafaz seumpama: “Saya beli daripada awak benda ini dengan harga sekian jika awak mahu”. Lalu dijawab: “Saya jual”.

Sebagai kesimpulan, asas dalam jual beli itu adalah keredhaan dan persetujuan kedua-dua pihak penjual dan pembeli. Bagaimanapun keredhaan itu sesuatu yang tersembunyi. Oleh yang demikian, shîghah, iaitu lafaz îjâb dan qabûl, memainkan peranan dalam mengungkapkan dan menterjemahkan keredhaan seseorang itu.

Pada kebiasaannya îjâb adalah daripada penjual manakala qabûl daripada pembeli dengan bahasa, isyarat atau qarînah yang difahami oleh kedua-dua pihak. Shîghah yang lengkap dalam jual beli hendaklah menyatakan benda yang dimaksudkan untuk dijual dan harganya. Selain menggunakan lafaz, dalam keadaan tertentu jual beli adalah sah dengan menggunakan isyarat dan juga tulisan disebabkan hajat keperluan sebagaimana dalam keadaan orang bisu.

Jual beli di gedung-gedung perniagaan, pasaraya dan seumpamanya tanpa îjâb dan qabûl sudah dianggap sebagai kebiasaan (‘urf), berapa pun nilai harganya, kerana kedua-dua pihak penjual dan pembeli, telah bersetuju dengan harga barang dan cara sedemikian, melainkan dalam perkara-perkara tertentu yang memerlukan dokumen atau pengesahan secara bertulis seperti pembelian dengan menggunakan kad kredit.

MERTUA TIRI DENGAN MENANTU TIRI: Adakah Mahram?

Mengetahui atau mengenali orang-orang yang dikategorikan sebagai mahram dan bukan mahram adalah amat penting kerana terdapat perbezaan batasan hukum terhadap kedua-duanya.

Mahram ialah orang lelaki atau perempuan yang haram dinikahi menurut hukum syara‘ kerana hubungan nasab (keturunan), sesusuan dan perkahwinan.

Perempuan mahram kerana hubungan nasab ada disebutkan secara detil dalam al- Qur’an, maka untuk memudahkan disebutkan satu persatu seperti berikut:

1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 3. Adik-beradik perempuan seibu sebapa. 4. Adik-beradik perempuan sebapa. 5. Adik-beradik perempuan seibu. 6. Ibu saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 7. Ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan (anak kemanakan).

Perempuan mahram kerana saudara sesusuan adalah sama kedudukannya dengan perempuan mahram kerana keturunan. Persamaan ini adalah berdasarkan sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala perempuan mahram kerana perkahwinan juga jelas disebutkan dalam al- Qur’an seperti berikut: 1. Ibu mertua. 2. Anak menantu. 3. Ibu tiri. 4. Anak tiri.

Apa yang jelas ialah ikatan perkahwinan boleh membuatkan seseorang itu menjadi mahram, namun timbul persoalan adakah antara ibu mertua tiri dengan menantu lelaki tirinya atau sebaliknya bapa mertua tiri dengan menantu perempuan tirinya dikategorikan sebagai mahram?

Mungkin sebilangan orang mempunyai tanggapan bahawa hubungan ibu mertua tiri iaitu ibu tiri kepada isteri dengan menantu lelaki tirinya seolah-olah sama dengan hubungan ibu mertua kandung iaitu ibu kandung kepada isteri dengan menantu lelakinya.

Begitu juga sebaliknya menantu lelaki tiri juga mungkin tidak mengetahui dan beranggapan bahawa apabila dia sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri maka ibu tiri isterinya itu atau ibu mertua tirinya itu dianggapnya juga sebagai mahram disebabkan perkahwinan.

Begitu juga halnya jika berlaku sebaliknya di antara bapa mertua tiri dengan anak menantu perempuan tirinya.

Persoalannya, adakah tanggapan-tanggapan yang disebutkan itu betul? Maka akan dijelaskan dengan lebih lanjut adakah mertua tiri termasuk dalam kategori mahram kepada menantu tirinya.

Siapa Mertua dan Menantu Tiri?

Untuk memudahkan fahaman, maka akan diterangkan terlebih dahulu siapakah yang dimaksudkan dengan ibu mertua dan menantu tiri?

Pada dasarnya, apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka hubungan bapa dan ibu kandung perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa dan ibu mertua kandung.

Namun berbeza keadaannya jika bapa perempuan atau ibu perempuan itu berkahwin baharu, kerana isteri bapa perempuan yang baru itu ataupun suami ibu perempuan yang baharu itu akan menjadi bapa tiri atau ibu tiri kepadanya. Maka hubungan bapa tiri atau ibu tiri perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa ataupun ibu mertua tiri.

Begitulah gambaran bagaimana boleh terjadinya bapa mertua tiri atau ibu mertua tiri dan menantu lelaki tiri atau menantu perempuan tiri.

Adakah Sama di Antara Mertua Kandung dengan Mertua Tiri dan di Antara Menantu Kandung dengan Menantu Tiri?

• Perbezaan mertua kandung dengan mertua tiri.

Terdapat perbezaan di antara bapa mertua kandung dengan bapa mertua tiri dan di antara ibu mertua kandung dengan ibu mertua tiri sebagaimana diterangkan sebelum ini.

Apabila berlaku perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan, maka bapa kandung lelaki itu akan menjadi mahram kepada isterinya kerana dikira sebagai bapa mertua kandung kepada isteri. Begitu juga sebaliknya ibu kandung perempuan itu akan menjadi mahram kepada suaminya kerana dikira sebagai ibu mertua kandung kepada suami.

Al-Qur’an al-Karim telah menyebutkan kedudukan ibu mertua kandung sebagai salah seorang mahram disebabkan perkahwinan. Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya) … (Surah an-Nisâ’: 22)

Namun tidaklah sama halnya jika seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri, kerana walaupun setelah lelaki dan perempuan itu berkahwin, ibu tiri perempuan itu tidaklah menjadi mahram kepadanya, begitu juga jika berlaku sebaliknya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai bapa tiri, bapa tiri lelaki itu juga tidak menjadi mahram kepada perempuan itu.

Bahkan seorang lelaki boleh mengahwini ibu mertua tirinya jika berlaku perceraian atau kematian kepada bapa isterinya sepertimana disebutkan dalam kitab al-Hâwi al-Kabîr:

Ertinya: (Bagi tujuan untuk dijadikan isteri) tidak mengapa bagi seorang lelaki menghimpunkan seorang perempuan dengan (bekas) isteri bapa perempuan itu (iaitu bekas ibu tiri perempuan itu) atau (dengan bekas) isteri anak lelaki perempuan itu, dan menghimpunkan seorang perempuan dengan anak tiri perempuan itu, kerana di antara mereka tidak ada ikatan nasab. (Kitab al-Hâwi al-Kabîr: 11/292)

Justeru itu, kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Hubungan mertua kandung dengan menantu kandungnya adalah hubungan mahram mu’abbad (selama-lamanya), manakala hubungan mertua tiri dengan menantu tiri adalah ajnabiy (orang asing).

• Perbezaan menantu kandung dengan menantu tiri.

Begitu juga terdapat perbezaan di antara menantu lelaki kandung dengan menantu lelaki tiri dan di antara menantu perempuan kandung dengan menantu perempuan tiri.

Apa yang jelas ialah isteri bagi anak kandung (menantu kandung) adalah mahram mu’abbad sementara isteri bagi anak tiri (menantu tiri) adalah ajnabiy.

Menantu yang dikira sebagai mahram mu’abbad sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an al-Karim itu ialah isteri daripada anak kandung, bukan isteri daripada anak tiri. Untuk lebih jelas disebutkan sekali lagi ayat tersebut, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan (haram kamu berkahwin dengan bekas) isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu (termasuk isteri cucu). (Surah an-Nisâ’: 23)

Syeikh al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj bahawa isteri daripada anak angkat samalah juga dengan isteri anak tiri tidaklah termasuk kategori mahram dan tidak haram mengahwininya selepas dia bercerai dengan suaminya. Maka untuk lebih jelas dibawakan nash daripada kitab Mughnî al-Muhtâj tersebut:

Ertinya: Tidak termasuk (daripada kategori mahram itu) ialah isteri anak angkat (termasuk juga isteri anak tiri), maka tidak haram ke atas seseorang (mengahwini bekas) isteri anak angkatnya kerana anak angkatnya itu bukanlah anaknya sebenar. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 12/243)

Berdasarkan penjelasan itu jelaslah bahawa mertua tiri dan menantu tiri tidaklah ada ikatan mahram dan hubungan antara kedua-duanya adalah seperti hubungan bersama dengan orang asing.

Batasan Hukum di Antara Mertua Tiri dengan Menantu Tiri

Oleh itu di antara mertua tiri dengan menantu tiri hendaklah menjaga etika pergaulan sepertimana yang digariskan oleh syara‘ iaitu antaranya:

1. Menutup aurat.

Menutup aurat kepada selain mahram hukumnya adalah wajib. Kewajipan menutup aurat kepada selain mahram itu jelas disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits. Dari itu, di antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak ada hubungan mahram, maka mereka tidaklah boleh mendedahkan aurat antara mereka.

2. Tidak berdua-duaan atau berkhalwat.

Larangan ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkhutbah:

Maksudnya: Jangan seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan ada bersamanya (perempuan atau lelaki) mahram. (Hadits riwayat Muslim)

3. Tidak bersentuhan.

Ancaman bersentuhan dengan perempuan asing ini ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Adalah lebih baik seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)

Oleh itu, di antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak boleh mendedahkan aurat, tidak boleh berdua-duaan dan tidak boleh bersentuhan seperti berjabat tangan kerana jelas hukumnya adalah haram.

Sebagai kesimpulan, mertua tiri perlu mengetahui bahawa suami kepada anak perempuan tirinya atau isteri kepada anak lelaki tirinya iaitu menantu tirinya adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya sebagaimana diterangkan sebelum ini kerana anak menantu yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an itu ialah suami atau isteri kepada anak kandungnya.

Begitu juga nisbahnya kepada menantu tiri, menantu tiri juga perlu mengetahui bahawa suami kedua kepada ibu isterinya (bapa tiri isteri) atau isteri kedua kepada bapa isterinya (ibu tiri isteri) adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya kerana mertua yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an itu ialah bapa kandung atau ibu kandung kepada isteri.

Dengan ini jelaslah bahawa kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Mertua kandung merupakan mahram, manakala mertua tiri adalah ajnabiy.

Begitu juga kedudukan anak menantu kandung adalah tidak sama dengan anak menantu tiri. Anak menantu kandung merupakan mahram, manakala anak menantu tiri adalah ajnabiy.

Apa yang penting dan perlu diambil perhatian ialah hubungan di antara mertua tiri dengan menantu tirinya adalah seperti hubungan sesama orang asing yang bukan mahram. Ini bererti mereka wajib menjaga batasan pergaulan sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘, walaupun bernaung di bawah satu bumbung.

PELIHARA AURAT DAN SEMBAHYANG KETIKA BERSUKAN

Kesihatan yang baik merupakan impian setiap orang. Tanpa ni‘mat kesihatan yang baik, sukar bagi seseorang itu menjalani kehidupan sehariannya dengan baik dan sempurna. Kerana itulah Islam mengambil perhatian yang berat tentang kesihatan seseorang.

Waktu sihat merupakan satu waktu yang sangat tinggi nilainya dalam kehidupan seorang manusia apatah lagi bagi seorang Muslim yang dituntut supaya memanfaatkan waktu sihat sesempurna mungkin.

Adalah dimaklumi bahawa melakukan aktiviti olahraga fizikal, seperti bersukan dan bersenam, merupakan antara cara terbaik bagi memelihara dan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Zaman sekarang ini, kesedaran tentang perkara ini mendorong ramai orang daripada berbagai golongan untuk menggiatkan aktiviti bersukan. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif kerana umat yang gagah, sihat dan kuat dapat menyumbang ke arah pembangunan sesebuah negara.

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memelihara kesihatan dan meningkatkan kekuatan tubuh badan serta ketajaman akal. Oleh kerana itu Islam menggalakkan aktiviti-aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kemampuan fizikal dan mental.

Sebagai contoh, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri merupakan qudwah (ikutan) yang terbaik mengenai aktiviti riadah. Dalam kitab-kitab hadits dan sîrah, banyak riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menganjurkan sukan-sukan yang berbentuk olahraga, pertahanan diri dan ketenteraan seperti berlumba lari, berenang, memanah, menunggang kuda, beradu senjata dan sebagainya.

Sukan-sukan seperti ini dianjurkan kerana selain daripada membantu memelihara dan meningkatkan kesihatan, ia juga mampu menguatkan fizikal, meningkatkan kemahiran serta mengukuhkan kekuatan pertahanan umat Islam. Bahkan hukumnya boleh menjadi sunat atau fardhu Kifayah sekiranya dibuat atas tujuan persediaan menghadapi musuh atau pertahanan.

Selain itu, sukan atau permainan yang menajamkan fikiran dan akal juga dianjurkan di sisi Islam.

Walau bagaimanapun, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya melakukan sesuatu perkara tanpa memberikan sebarang bimbingan, garis pandu atau batasan. Oleh kerana itulah, setiap sesuatu itu ada batasannya yang perlu dijaga dan diperhatikan, termasuk juga dalam perkara bersukan.

Walaupun bersukan itu pada dasarnya adalah harus, sama ada ia dilakukan untuk memelihara kesihatan atau sekadar mengisi masa lapang, namun ia boleh menjadi tertegah bahkan haram dalam keadaan-keadaan tertentu jika ia bertentangan dengan hukum, ajaran, tatacara, syariat dan adab-adab Islam. Antara perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum dan ajaran Islam ialah:

1. Melalaikan daripada mengingati dan menunaikan kewajipan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti kewajipan sembahyang lima waktu.

Terlalu obses dan asyik melakukan aktiviti sukan sehingga membelakangkan dan mencuaikan tuntutan kewajipan sebagai seorang Muslim, ini tidak syak lagi menjerumuskan pelakunya ke lembah dosa. Antara kewajipan-kewajipan yang paling mudah seseorang itu terlalai daripadanya dalam keasyikan bersukan ialah ibadat yang paling utama iaitu ibadat sembahyang fardhu yang lima.

Akibat terlalu asyik bersukan, berkemungkinan ibadat sembahyang akan tertinggal, tidak ditunaikan dengan sempurna atau dilambatkan ke akhir waktu kerana terlalu ‘gagas’ atau ‘iski’ hendak bersukan ataupun susah berhenti daripada melakukan aktiviti sukan tersebut.

Perlu diketahui bahawa sembahyang adalah ibadat yang paling awal sekali dihisab di akhirat kelak. Jika ibadat sembahyangnya tidak sempurna, maka celakalah dia.

Tamim ad-Dari Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Adapun yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan seorang hamba pada Hari Kiamat ialah tentang sembahyangnya. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Dari itu, ketika bersukan hendaklah diperhatikan kesesuaian waktu, tempat, keadaan dan sebagainya. Elakkan daripada melakukan aktiviti sukan pada waktu, tempat dan keadaan yang akan menyukarkan daripada mengerjakan kewajipan sembahyang.

Kesimpulannya, apa jua permainan yang menyebabkan tertinggal tuntutan wajib dalam agama adalah haram dan wajib dijauhi.

2. Tidak menutup aurat.

Aurat merupakan satu mahkota kehormatan tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki. Dari itu ia wajib dijaga bukan sahaja ketika mengerjakan sembahyang, bahkan juga pada bila-bila masa termasuk dalam rumah sekalipun. Tingginya nilai menjaga aurat itu sehinggakan apabila seseorang itu menutup aurat dengan sempurna, identitinya sebagai seorang Islam pasti terserlah dan dipandang mulia dan dihormati.

Aurat merupakan suatu aib dan suatu yang memalukan. Jadi orang yang sihat perasaannya, sempurna akhlaknya dan waras akal fikirannya secara fitrah dan semula jadinya pasti akan menjaga auratnya dengan sempurna dan pasti akan segera menutupinya dengan apa jua cara sekalipun sekiranya auratnya itu terdedah.

Menurut syara‘, hukum menutup aurat itu adalah wajib dan mendedahkannya pula adalah haram dan merupakan satu dosa besar berdasarkan nash al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ umat Islam. Ini kerana mendedahkan aurat menyebabkan orang itu sentiasa dalam laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa dalam dosa selagimana dia belum bertaubat, belum menyesali dan belum berniat untuk meninggalkan perbuatan tersebut.

Bagi lelaki auratnya ialah di antara pusat dengan lutut, manakala bagi perempuan pula ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya. Namun harus diingat bahawa pakaian yang jarang, nipis atau ketat sehingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah juga ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.

Khusus dalam perkara bersukan, tidak ada kelonggaran syara‘ dalam hal menutup aurat di antara sesama lelaki ataupun sesama perempuan. Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Janganlah seorang lelaki memandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain). (Hadits riwayat Muslim)

Daripada Mu‘awiyah bin Haidah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jagalah auratmu kecuali dari isterimu atau hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak nipis, tidak jarang, tidak ketat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah.

Selain memastikan aurat dijaga dengan sempurna, wajib juga menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara‘ dalam hal berpakaian seperti tidak menyerupai pakaian lawan jenisnya, tidak menyerupai pakaian orang kafir, tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras dan sebagainya, dan lain-lain syarat atau kreteria yang telah ditetapkan oleh Islam dalam hal berpakaian. Justeru, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan untuk memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya adalah wajib ditinggalkan.

Demikian antara beberapa batasan yang perlu dijaga tatkala melakukan aktiviti sukan. Ringkasnya, segala jenis sukan atau permainan yang boleh menyebabkan tertinggalnya tuntutan wajib dalam agama, seperti sembahyang fardhu dan lain-lain adalah haram. Begitu juga jika sampai menyebabkan terabainya segala hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan. Ia juga menjadi haram apabila terdapat dalam sukan tersebut unsur-unsur maksiat, syirik dan seumpamanya, atau pelaku tersebut sendiri yang melanggar batasan syara‘ seperti membuka aurat dan sebagainya.

Maka sebagai sebuah negara zikir yang umatnya sentiasa mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepanjang masa, dan mentaati segala suruhan serta menjauhi segala laranganNya, konsep ‘zikir dalam sukan’ ini perlu dilestarikan oleh semua peringkat serta golongan.

HUKUM MEMBERI UCAPAN TAHNIAH SEMPENA PERAYAAN AGAMA LAIN

Islam adalah agama yang mementingkan kasih sayang dan kedamaian bagi kesejahteraan dan keharmonian umat manusia di dunia. Umat Islam dididik untuk sentiasa mengeratkan silaturahim sesama Islam dan menjaga hubungan baik dengan orang yang bukan beragama Islam.

Menjaga hubungan baik dengan orang bukan Islam pula merangkumi banyak perkara selama mana ia tidak menyangkut perkara keagamaan. Hubungan baik ini menyentuh mengenai hubungan di antara manusia dengan manusia "حبل من الناس" seperti pendidikan, pekerjaan, perniagaan, kerjasama dalam menjaga keamanan dan sebagainya. Inilah akhlak mulia dalam hubungan sesama manusia yang diasuh oleh Islam kepada penganutnya.

Perkara toleransi di antara orang Islam dan orang bukan Islam tidaklah dilarang, kecuali pada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam dan melibatkan perkara keagamaan. Sebagai contoh, umat Islam dilarang untuk merayakan dan memeriahkan perayaan-perayaan keagamaan lain walaupun hanya sekadar untuk suka-suka.

Namun apabila hal mengenai perayaan ini disebut, timbul pula persoalan mengenai hukum ucapan tahniah orang Islam kepada orang bukan Islam sempena hari-hari perayaan mereka.

Apa Itu Ucapan Tahniah?

Tahniah bererti ucapan selamat (untuk orang yang berkahwin, mendapat anak, naik pangkat dan lain-lain). Dalam al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah menyebutkan, pengertian lafaz tahniah adalah:

1. Permohonan keberkatan dan do‘a di atas kegembiraan atau ni‘mat yang diperolehi oleh seseorang.

2. Sebagai tanda turut bergembira kerana ni‘mat atau khabar gembira yang diperolehi oleh seseorang.

Mengucapkan Tahniah Sempena Hari Perayaan Keagamaan Orang Bukan Islam

Jika dilihat pada maksud tahniah seperti yang disebutkan di atas, ternyata pengertiannya menjurus kepada keberkatan dan do‘a serta turut bergembira atas sesuatu perkara. Persoalannya, bolehkah berkat dan do‘a kita pohonkan untuk kepercayaan yang tidak sama dengan kepercayaan kita? Wajarkah kita turut bergembira dengan pegangan yang tidak sama dengan aqidah kita?

Perlu kita sedar bahawa setiap perayaan agama lain diadakan bukan hanya sekadar sambutan semata-mata bahkan sebagai memperingati sejarah perayaan tersebut yang tentunya mempunyai hubung kait dengan kepercayaan terhadap suatu perkara dalam satu-satu agama. Dalam menyambut perayaan itu pula, wujud kepercayaan atau amalan yang tidak sesuai dan jelas ditolak oleh Islam kerana berkait dengan aqidah umat Islam itu sendiri. Apa yang jelas, hari perayaan agama lain pada hakikatnya adalah syi‘âr agama mereka. Umat Islam dilarang untuk merayakannya, turut serta memeriahkannya, menyerupai perbuatan-perbuatan khusus perayaan tersebut serta apa-apa juga yang berkait dengan perayaan tersebut sama ada dia bermaksud untuk menyerupai mereka dalam memeriahkan perayaan ataupun hanya sebagai penghubung kepada muamalat bersama mereka dan ini termasuklah mengucapkan selamat dan tahniah sempena perayaan agama itu.

Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan:

“Adapun mengucapkan tahniah (kepada orang kafir) ke atas syi‘âr-syi‘âr kekufuran yang khusus bagi agamanya adalah haram menurut kesepakatan ulama seperti mengucapkan tahniah kepada mereka sempena hari-hari perayaan dan puasa mereka. Umpamanya seseorang berkata kepada mereka: “Semoga mendapat hari raya yang berkat bagimu atau tahniah dengan kedatangan hari raya ini dan sebagainya”. Sekalipun jika diandaikan orang yang mengucapkan tahniah itu selamat daripada kekufuran, tetapi yang demikian itu adalah sesuatu perkara yang haram. Ia adalah seumpama mengucapkan tahniah kepadanya kerana sujud kepada salib dan ini adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah....Maka sesiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang kerana maksiat atau bid‘ah atau kufur, maka tetap mengundang kebencian dan kemurkaan Allah..... ”.

Daripada dalil di atas, jelas bahawa perayaan keagamaan orang bukan Islam adalah syi‘âr agama mereka. Atas dasar itulah mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan keagamaan mereka adalah dilarang kerana dengan ucapan tahniah sempena perayaan itu boleh saja menunjukkan bahawa orang yang mengucapkan tahniah itu mengaku dan membenarkan agama berkenaan.

Larangan mengucapkan selamat atau tahniah bersempena hari perayaan agama orang bukan Islam seperti krismas tidak ada bezanya, sama ada ucapan itu diucapkan melalui mulut ataupun melalui utusan kad atau pesanan ringkas telefon bimbit.

Secara umumnya, mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam seperti tahniah kerana lulus peperiksaan, tahniah kerana mendapat rumah baru dan yang seumpamanya adalah diharuskan. Apabila wujud unsur keagamaan dan kepercayaan, umat Islam perlu lebih berhati-hati dengan apa yang ditetapkan oleh syara‘. Sebagai contoh, dalam perkara mengucapkan takziah, umat Islam diharuskan untuk memberi ucapan takziah kepada keluarga si mati yang bukan Islam, namun lafaz itu hanya menyebut untuk mereka bersabar dan bukan menyebut membesarkan pahala. Berbeza dengan takziah yang dilafazkan kepada keluarga Islam iaitu َ أَعْظَم َ هللا ُ أَجْرَك ertinya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu”. Lafaz ‘membesarkan ganjaranmu’ dalam ucapan takziah bermaksud menjadikannya mulia atau membesarkannya. Bayangkanlah, jika dalam mengharungi kesedihan pun ucapan takziah kepada orang bukan Islam itu tidak harus diselitkan dengan lafaz membesarkan atau memuliakannya dengan ganjaran pahala dan memadai sekadar hanya menenangkan dengan kesabaran kerana musibah tersebut, maka apalah lagi dengan keharusan kita untuk memberi ucapan tahniah sempena perayaan yang jelas sekali berkait dengan agama, aqidah dan kepercayaan mereka.

Hikmah di Sebalik Larangan Mengucapkan Tahniah Sempena Perayaan Agama Lain

Agama Islam amat mementingkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap lima matlamat syara‘ iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Memelihara aqidah berada di kedudukan teratas dalam matlamat syara‘ dan inilah hikmah di sebalik larangan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Memang secara zahir, mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain nampak remeh kerana ia hanya dilihat sekadar ucapan yang dilafazkan semata-mata. Sesetengah pihak merasakan dengan mengucap tahniah sempena perayaan keagamaan orang bukan Islam tidaklah membawa apa-apa kesan kepada mereka. Bahkan mereka berani mengatakan perbuatan itu tidak akan mudah menggoyah aqidah mereka. Sedangkan memberi ucapan tahniah itu sendiri adalah perkara yang diharamkan kerana ia jelas berkaitan dengan syi‘âr-syi‘âr kekufuran yang dibenci Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Dengan adanya tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan ‘tidak menjejaskan aqidah jika hanya sekadar ucapan tahniah kerana perayaan agama ini’ atau seumpamanya itu lebih mewajarkan kita untuk sentiasa beringat dan mengingatkan orang-orang sekeliling untuk berhati-hati tentang diayah dan hasutan yang kadang-kadang datang tanpa kita sedari kerana ia amat halus, tersembunyi dan sukar dikenali. Diayah seumpama inilah yang boleh merosak pegangan umat Islam, bahkan lebih dahsyat lagi boleh menyebabkan wujudnya perbalahan antara sesama Islam kerana mempertahankan hujah dan pendapat masing-masing dalam menangani isu-isu berkaitan toleransi termasuk perkara ucapan tahniah ini.

Wajib bagi umat Islam mempertahankan aqidah dan kesucian Islam. Penting bagi umat Islam menguatkan benteng aqidah dengan tidak menghampiri sesuatu yang boleh menyebabkan kesudahannya membawa hati cenderung kepada perkara-perkara yang boleh merosak aqidah tanpa disedari. والعياذ ًبهلل

Larangan toleransi dalam perkara keagamaan ini mempunyai hikmah yang cukup besar bagi umat Islam. Ia berkaitan dengan pemeliharaan aqidah umat Islam sendiri. Tidak mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan orang-orang bukan Islam bukanlah jadi ukuran dalam menilai hubungan baik di antara Muslim dan orang bukan Islam. Tuntutan dan ajaran Islam kepada umatnya untuk terus berbuat baik kepada orang bukan Islam sudah cukup untuk menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan orang bukan Islam. Setiap hari bermuamalatlah dengan mereka secara jujur dan ikhlas, berbuat baiklah kepada mereka, sama ada dengan perkataan dan perbuatan serta berlaku adillah kepada mereka dalam segenap perkara. Hubungan masyarakat seumpama inilah yang lebih bermakna kepada mereka bagi menjaga keharmonian masyarakat di samping dapat kita mempamer akhlak Islam sebenar yang cinta keamanan dan perdamaian. Tetapi dalam perkara yang menyangkut aqidah wajib difahami dan dijaga.

BAHAN MAKANAN BERSUMBER DARIPADA SERANGGA: Adakah Halal Dimakan?

Islam mewajibkan memakan makanan yang halal lagi baik. Kerana itu pemakanan halal adalah perkara yang penting dalam hidup seharian. Adapun memakan sesuatu yang haram adalah perbuatan dosa dan mendapat balasan api neraka di akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dan perlu menjaga pemakanan daripada perkara yang haram.

Pada masa sekarang, bermacam-macam jenis makanan yang dihasilkan dengan bahan ramuan yang pelbagai jenis sama ada bahan asli yang bersumber daripada tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikro-organisma atau bahan-bahan tiruan dan lain-lain sehingga serangga pun turut dijadikan bahan ramuan seperti dijadikan bahan pewarna dan sebagainya.

Persoalannya, adakah boleh serangga dijadikan sebagai bahan makanan ataupun tidak?

Serangga Tidak Halal Dimakan

Serangga seperti lipas, kumbang, ulat, semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah dan lalat adalah haram dimakan melainkan belalang. Ini kerana serangga adalah termasuk dalam sesuatu yang dianggap buruk dan menjijikkan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: …dan dia (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk... (Surah al-A‘râf: 157)

Adapun ulat yang lahir daripada buah atau makanan seperti ulat buah, kurma, bijirin, keju dan cuka, menurut pendapat yang ashah, ulat itu boleh dimakan bersama-sama dengan buah atau makanan tersebut jika ia sukar untuk dihindari.

Tetapi jika tidak ada kesukaran untuk menghindarinya maka haram dimakan ulat tersebut. Begitu juga, ulat yang lahir daripada buah atau makanan seperti ulat buah, jika dimakan berasingan dan tidak dimakan bersama-sama buah tersebut maka haram memakan ulat itu kerana ia termasuk dalam kategori sesuatu yang najis dan menjijikkan.

Bangkai Serangga Najis

Menurut Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâh daripada mazhab asy-Syafi‘e, hukum asal bagi bangkai itu adalah najis sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih)... (Surah al-Mâ’idah: 3)

Sebab pengharaman bangkai itu adalah kerana ia benda najis. Oleh yang demikian, semua bangkai adalah najis melainkan bangkai ikan, belalang dan mayat manusia. Kehalalan dan kesucian bangkai ikan dan belalang itu ada disebutkan dalam riwayat ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Dihalalkan bagi kami dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu belalang dan ikan, hati dan limpa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Sementara mayat manusia pula, ia adalah suci kerana kemuliaan manusia itu tidak dihukumkan najis. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami telah mengangkut mereka (di dalam pelbagai kenderaan) di darat dan di laut dan Kami telah mengurniakan mereka rezeki yang baik serta Kami telah melebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang Kami telah ciptakan dengan kelebihan yang sempurna. (Surah al-Isrâ’: 70)

Adakah Bangkai Serangga Boleh Menajiskan Air dan Cecair?

Bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya seperti lipas, kumbang, ulat, semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah, kutu dan lalat yang kena pada cecair atau air yang sedikit adalah dimaafkan dan tidak menajiskan cecair atau air tersebut kerana kesukaran untuk menghindarinya, melainkan jika bangkai itu merubah sifat-sifat cecair atau air yang sedikit itu, ataupun bangkai itu dicampakkan oleh seseorang dengan sengaja ke dalam cecair atau air yang sedikit itu maka ia menajiskannya.

Maksud merubah sifat-sifat air itu ialah merubah warna, rasa dan bau air walaupun dengan perubahan yang sedikit, manakala yang dimaksudkan dengan air yang sedikit ialah air yang kurang daripada dua qullah.

Disebutkan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, kadar dua qullah ialah lebih kurang 161 liter atau isi padu empat segi 60x60x60x60cm. (Siri fatwa: 19/2004)

Adapun maksud serangga yang tidak mengalir darahnya ialah serangga yang tidak mengalir darahnya apabila dibelah anggotanya pada ketika ia hidup, sama ada serangga itu pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai darah akan tetapi tidak mengalir.

Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu 'alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah dia selamkannya (lalat itu ke dalam minuman), kemudian hendaklah dia keluarkannya (lalat itu dari minuman). Sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada membawa penyakit dan pada sayap yang satu lagi ada penawar. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini menunjukkan bahawa bangkai lalat tidak menajiskan cecair. Sekiranya ia menajiskan cecair, nescaya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak akan memerintahkan supaya menyelamkan lalat itu ke dalam minuman. Tambahan lagi apabila lalat itu diselamkan ke dalam air yang panas, kadang-kadang ia boleh mengakibatkan lalat tersebut mati. Namun air itu masih boleh diminum setelah bangkai lalat tersebut dibuang. Oleh itu, tiap-tiap bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya sama hukumnya dengan bangkai lalat.

Adapun bangkai serangga yang mengalir darahnya adalah termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan. Jika ia kena pada cecair sama ada kurang atau lebih daripada dua qullah dan sama ada ia menyebabkan sifat cecair itu berubah ataupun tidak, ia tetap menajiskan cecair tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila jatuh tikus ke dalam minyak sapi (lalu menjadi bangkai), jika ia (minyak sapi itu) beku maka buanglah ia (bangkai tikus) dan apa yang di sekelilingnya, dan jika ia (minyak sapi itu) cair maka janganlah kamu dekatinya (janganlah kamu memakannya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, bangkai serangga selain belalang adalah haram untuk dijadikan bahan makanan termasuk bahagian-bahagian yang diambil daripada serangga tersebut seperti bahan pewarna yang diekstrak daripada serangga. Ini kerana kesemua bahagian bangkai adalah dihukumkan najis sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh:

Ertinya: Maka bangkai adalah najis walaupun (bangkai binatang yang) tidak mengalir darahnya dan begitu juga bulunya, tulangnya dan tanduknya.

Bahan Pewarna daripada Cochineal adalah Najis

Khusus mengenai bahan pewarna Cochineal iaitu sejenis serangga yang sering dijadikan bahan pewarna dalam makanan. Sungguhpun cochineal itu serangga yang tidak mengalir darahnya namun bangkainya najis dan tidak halal dimakan.

Walaupun penggunaan cochineal hanyalah pada ekstrak daripada serangga tersebut yang dijadikan sebagai bahan pewarna, tetapi ia tetap dihukumkan haram kerana bahan pewarna itu merupakan bahagian daripada bangkai serangga berkenaan, sekalipun penggunaannya dalam kuantiti yang sedikit pada suatu produk.

Tambahan lagi bahan pewarna dari cochineal itu jelas dapat mengubah sifat cecair yang menjadikan cecair dalam makanan itu mutanajjis atau bercampur najis. Selain itu, penggunaan bahan pewarna tersebut bukan berlaku kerana tidak dapat dielakkan, tetapi sebaliknya ia dimasukkan dengan sengaja ke dalam produk makanan. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bangkai daripada jenis binatang yang darahnya tidak mengalir, jika ia mengubah sifat cecair atau ia dicampakkan dengan sengaja pada cecair yang suci, maka ia akan menajiskan cecair tersebut.

Produk yang Menggunakan Bahan Pewarna daripada Cochineal adalah Membahayakan

Menurut penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh pihak yang berautoriti, antaranya sekumpulan penyelidik daripada Universiti Michigan, Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat, bahan pewarna daripada serangga cochineal yang dibubuh pada gula-gula, yogurt dan minuman buah-buahan boleh menyebabkan berbagai penyakit yang berbahaya. Antara penyakit tersebut, alahan tindak balas yang mengancam nyawa, menyebab kesan hyperactive (tingkah laku yang terlalu aktif sehingga sukar dikawal) yang buruk terhadap kanak-kanak dan penyakit barah. Pihak Parlimen British dan Eropah pula ada mencadangkan supaya pewarna daripada serangga ini diharamkan kerana kesan mudharat pewarna tersebut. Pernah dilaporkan berlakunya jangkitan pada usus yang melibatkan penggunaan cochineal dan menyebabkan kematian kanak-kanak Boston, Amerika Syarikat dan juga seramai 22 orang menghidap demam yang sangat serius akibat memakan produk yang menggunakan pewarna tersebut. (A Consummer’s Dictionary of Food Additives, Ruth Winter: 72 & 212)

Maka berdasarkan penjelasan di atas, produk yang menggunakan bahan pewarna daripada serangga cochineal adalah tidak halal dimakan kerana produk tersebut telah tercemar dengan najis dan boleh mendatangkan kemudharatan.

HUKUM MENYENTUH DAN MEMILIKI ANJING

Lebih dari 1400 tahun yang lalu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menyebutkan melalui hadits Baginda mengenai anjing dan hukum bejana yang dijilat anjing. Begitu juga tentang tidak adanya keberkatan bagi rumah yang di dalamnya ada anjing. Berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam inilah perkara mengenai kenajisan anjing bukanlah satu yang baharu dan direka-reka oleh para ulama. Ia adalah ketetapan hukum yang berkait dengan kebersihan dan kesucian yang merupakan perkara utama dalam kehidupan seorang Muslim. Kebersihan dan kesucian itu ada kaitan dengan ibadat.

Menghukumkan anjing sebagai najis bukan bererti membenarkan orang Islam untuk memukul, menyeksa atau membunuhnya. Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik kepada binatang kerana binatang juga adalah makhluk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ termasuk anjing sekalipun ia binatang yang najis. Namun, ini tidak bermakna kita dibolehkan memilikinya tanpa tujuan dan keperluan tertentu. Bahkan Islam telah menetapkan peraturan dan syarat-syarat dalam perkara pemeliharaan atau pemilikan anjing ini.

Kenajisan Anjing

Selain babi, anjing juga merupakan binatang yang tergolong dalam najis mughallazhah, iaitu najis berat. Kenajisannya tidak hanya terbatas kepada air liur atau kotorannya sahaja bahkan ia merangkumi keseluruhan anggota tubuh badannya termasuk mulut, bulu, peluh dan sebagainya.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Penyucian bejana setiap seorang daripada kamu, apabila anjing menjilatnya, adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya (cucian air yang bercampur) dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

Jika dilihat pada perkataan ُ طُهُور pada permulaan matan hadits yang bermaksud penyucian nyatalah menunjukkan bahawa anjing adalah najis. Hanya benda atau zat yang bernajis sahaja perlu kepada penyucian.

Apabila disebut perbuatan ‘jilat’, maka ia berkaitan dengan air liur, anggota lidah dan mulut. Perlu diingat, walaupun di dalam hadits hanya disebutkan cucian untuk ‘jilatan’ sahaja, namun kenajisan ini merangkumi seluruh tubuh badan anjing kerana sifat anjing yang gemar menjilat-jilat tubuh badannya. Apabila disebut air liurnya sebagai najis, maka begitulah juga dengan peluh yang keluar dari seluruh badannya juga adalah najis. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa kenajisan anjing itu sebagaimana dalam hadits hanya terbatas pada air liur sahaja adalah pendapat dan tanggapan itu salah.

Najis merupakan kotoran yang menyebabkan sembahyang tidak sah. Bila disebut pula kenajisan anjing ia juga menyentuh perkara kebersihan. Kebersihan pula melibatkan kesihatan. Kenajisan anjing bukan sahaja kotor tetapi juga dapat mengundang pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan diri kita. Menurut kajian para ilmuwan sains perubatan terkini, pelbagai penyakit boleh terjadi dengan sebab menyentuh anjing. Ia boleh jadi disebabkan oleh virus, bakteria, fungus, protozoa, cacing, serangga atau hama yang terdapat di dalam atau pada badan anjing. Parasit yang ada pada anjing boleh sahaja berpindah kepada manusia yang mengusap bulu anjing atau tersentuh najis anjing. Kutu-kutu anjing pula hinggap pada tempat-tempat anjing biasa berehat di dalam sesebuah rumah. Jadi jika anjing tersebut tiada, kutu-kutu itu pula akan melompat ke badan manusia untuk mencari makan. Sebagai contoh, di kawasan tropika, berjalan kaki tanpa kasut di atas pasir atau tanah yang pernah dicemari oleh najis anjing boleh membawa kepada jangkitan cacing kerawit anjing.

Antara penyakit-penyakit yang boleh dihidapi disebabkan oleh anjing ialah:

1. Rabies: Penyakit anjing gila yang disebabkan oleh virus yang menjangkiti sistem saraf. Ia terdapat pada air liur anjing dan boleh berjangkit melalui gigitan atau jilatan pada rekahan kulit manusia. Virus itu pula akan merebak dari luka melalui saluran saraf hingga ke otak. Ini menyebabkan radangan, kekejangan otot dalam kerongkong dan pelbagai gejala lain. Ia adalah penyakit yang boleh membunuh dengan nisbah peratus iaitu 100%.

2. Hydatidosis: Serangan parasit yang terdiri daripada anak-anak cacing pita, digelar sebagai Echinococcus Granulosus, yang ada pada anjing. Ia biasa menyerang hati, paru-paru, otot atau otak yang perlahan-lahan menumbuhkan lebaman-lebaman cecair (cysts). Kehadirannya pada otak boleh mengakibatkan buta dan lumpuh. Lebaman cecair yang pecah pula boleh mengakibatkan tindak balas alergi seperti demam dan Urticaria (ruam gatal).

Hukum Menyentuh Anjing

Apabila seseorang menyentuh atau terkena mana-mana anggota anjing sama ada salah satunya (orang tersebut atau anjing tersebut) atau kedua-duanya (orang dan anjing itu) dalam keadaan basah, wajiblah disertu bahagian yang terkena najis itu sebanyak tujuh kali cucian (dengan air), salah satunya dicampur dengan tanah.

Begitu juga apabila sesuatu menjadi najis disebabkan terkena atau tersentuh anjing, seperti seseorang yang melihat seliparnya dijilat-jilat anjing, maka selipar tersebut nyata najis dan wajib dibersihkan terlebih dahulu dengan cara yang disyariatkan untuk membersihkan najis mughallazhah iaitu disertu sebelum dipakai semula. Ini ada dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan apa yang menjadi najis kerana bersentuhan sesuatu daripada anjing hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dengan (air yang bercampur) tanah.

Hukum Memiliki Anjing

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh memiliki anjing tanpa tujuan dan keperluan hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa memiliki anjing bukan anjing bagi tujuan berburu, bukan tujuan menjaga binatang ternak, bukan juga bagi tujuan menjaga ladang, maka yang demikian itu menyebabkan pahalanya berkurangan dua qîrâth (satu qîrâth seperti gunung Uhud) pada setiap hari. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut sebahagian ulama, harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan berburu atau untuk tujuan menjaga sesuatu, menjaga binatang ternak, dan untuk menjaga sawah ladang dan diharuskan juga memiliki anak anjing untuk diajar bagi keperluan-keperluan tersebut.

Namun adalah haram memiliki anjing jika tidak ada keperluan padanya seperti mereka yang tidak dan belum mempunyai sawah ladang dan juga mereka yang tidak berburu dan hanya berburu apabila dia berkeinginan sahaja.

Bagaimana pula hukum memiliki anjing untuk tujuan menjaga rumah?

Para ulama berselisih pendapat dalam perkara ini. Pendapat yang ashah (lebih shahîh) mengatakan adalah harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan menjaga rumah, pintu, gerbang dan seumpamanya berqiyâskan kepada tiga keperluan yang diharuskan iaitu kerana tujuan berkebun, berburu atau menjaga binatang ternak. Begitu juga harus menggunakan anjing terlatih bagi tujuan pengesanan dadah dan menjejaki penjenayah. Namun begitu seseorang tetap dikehendaki berhati-hati dan berwaspada kerana ditakuti boleh tersentuh anjing tersebut.

Begitulah apa yang telah digariskan syara‘ mengenai hukum berkaitan anjing. Tentu sahaja ada hikmah di sebalik itu, dan yang nyata manusia turut menyangkut perkara memelihara kebersihan dan kesihatan manusia.

HIRÂBAH: Dosa dan Jenayah Besar yang Boleh Membawa Hukuman Mati

Definisi Hirâbah

Hirâbah bermakna suatu perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan hendak menggunakan kekerasan yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang bersenjatakan apa-apa jenis senjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata.

Tidak disyaratkan dalam hirâbah itu sama ada penjenayah melakukan jenayah tersebut secara berseorangan ataupun secara berkumpulan. Tidak juga disyaratkan bahawa si penjenayah itu adalah lelaki ataupun perempuan. Begitu juga tidak disyaratkan dalam hirâbah itu pembunuhan mahupun kecederaan telah berlaku ataupun harta yang dirompak itu sampai nishâb.

Selagimana rompakan itu dilakukan dengan kekerasan atau dengan ugutan hendak menggunakan kekerasan, dan ia dilakukan dengan menggunakan senjata atau apa sahaja alat yang boleh digunakan sebagai senjata, sama ada ia dilakukan oleh orang perseorangan ataupun secara berkumpulan, lelaki ataupun perempuan, berlaku pembunuhan ataupun tidak, berlaku kecederaan ataupun tidak, harta yang dirompak sampai nishâb ataupun tidak, maka jenayah tersebut dinamakan atau dikategorikan sebagai hirâbah.

Hukum dan Balasan Melakukan Jenayah Hirâbah

Hirâbah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram dan merupakan satu dosa besar. Ia termasuk dalam bahagian jenayah yang dikenakan hukuman hadd dengan kesepakatan para fuqahâ’. Dalam al-Qur’an, perlakuan hirâbah dianggap dan digelarkan sebagai perlakuan memerangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Mâ’idah ayat 33:

Tafsirnya: Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi (dengan menyamun dan merompak) ialah dengan dibalas bunuh, atau dipalang atau dipotong tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka dengan bersilang atau dibuang negeri (tempat kediaman mereka). Hukuman yang demikian itu adalah suatu penghinaan kepada mereka di dunia dan di akhirat kelak bagi mereka azab yang besar. (Surah al-Mâ’idah: 33)

Perumpamaan jenayah hirâbah sebagai satu perlakuan memerangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi adalah satu perumpamaan yang sangat dahsyat di mana ia jelas menggambarkan bahawa perlakuan hirâbah itu adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat.

Pelaku jenayah hirâbah ini, yang tergamak menggunakan kekerasan serta senjata untuk merampas hak dan harta benda orang lain, adalah mereka yang sangat malang. Selain kecaman dalam al-Qur’an, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri telah menafikan mereka ini sebagai umat Baginda. ‘Abdullah bin ‘Umar, Salamah bin al-Akwa‘, Abu Musa al-Asy‘ari dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang menghunus senjata ke atas kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penafian sebagai umat Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau umat Islam ini merupakan satu amaran serta kecaman atas perbuatan melampau mereka yang bertindak menyebabkan ketakutan di kalangan orang ramai serta satu peringatan kepada semua supaya menjauhi jenayah seumpama itu.

Ini kerana sebagai umat Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau umat Islam, hak mereka sesama Muslim sepatutnya adalah saling membantu, mempertahankan dan memberikan perlindungan di antara satu dengan yang lain. Bukannya merompak, membunuh, mencederakan, menggugat keamanan dan keselamatan atau menimbulkan ketakutan di kalangan mereka. Amaran ini jelas menunjukkan betapa beratnya perlakuan jenayah tersebut dan satu dalil jelas bahawa ia adalah suatu yang haram.

Hukuman Hadd bagi Jenayah Hirâbah

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa jenayah hirâbah merupakan jenayah yang dikenakan hukuman hadd. Jenayah hirâbah tidak syak lagi merupakan satu jenayah yang sangat berat dan merbahaya. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman hadd yang sangat berat juga jika jenayah hirâbah itu ditsabitkan dengan dua cara: 1. Iqrâr (pengakuan bersalah) oleh tertuduh sendiri, ataupun

2. Syahâdah (keterangan saksi mengikut hukum syara‘), selain daripada keterangan mangsa.

Sekiranya didapati tsabit kesalahan jenayah hirâbah itu melalui salah satu cara di atas atau kedua-duanya sekali, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menetapkan hukuman hadd berikut ke atas mereka sepertimana yang dinyatakan dalam ayat 33 surah al-Mâ’idah:

1. Hukuman hadd bunuh dan salib.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirâbah terbunuh dan harta yang dirompak atau diambil pula cukup nishâb ataupun lebih.

Dalam kes seumpama ini, walaupun harta yang dirompak atau diambil cukup nishâb, hanya hukuman hadd bunuh dan salib sahaja yang akan dijalankan ke atas pesalah. Adapun hukuman hadd potong tangan kanan dan kaki kiri pula tidak akan dikenakan.

Pelaksanaan hukuman hadd salib atau palang selepas dibunuh ini bertujuan sebagai balasan atas perbuatan melampau mereka serta sebagai pengajaran dan amaran bagi yang lain supaya menjauhi jenayah ini.

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, hukuman hadd salib ini hendaklah dilaksanakan selepas pelaksanaan hukuman hadd bunuh. Ini kerana jika hukuman hadd salib itu dilaksanakan sebelum hukuman hadd bunuh, ia merupakan suatu penyeksaan yang ditegah oleh syara‘.

Selepas hukuman hadd bunuh dilaksanakan ke atas pesalah jenayah hirâbah, jenazahnya hendaklah dimandikan, kemudian dikafankan dan seterusnya disembahyangkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah jenazah pesalah hirâbah itu disalib pada kayu atau seumpamanya selama tiga hari tiga malam supaya perkara jenayah dan hukumannya itu diketahui umum agar orang ramai mengambil i‘tibâr dan pengajaran daripadanya. Bagaimanapun, jika jenazah itu berubah ataupun mereput sebelum sampai tiga hari, menurut pendapat yang ashah hendaklah ia diturunkan.

Bagaimanapun, dalam konteks Negara Brunei Darussalam, atas dasar mashlahah, Majlis Ugama Islam Brunei telah bersetuju untuk meniadakan hukuman hadd salib ini.

2. Hukuman hadd bunuh.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirâbah terbunuh walaupun harta tidak diambil ataupun harta diambil akan tetapi kurang daripada nishâb.

3. Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lal.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu cuma harta yang dirompak atau diambil sahaja yang sampai nishâb ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku.

Adapun nishâb atau nilai yang dikenakan hukuman hadd sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah ialah 1 dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam matawang tempatan pada masa kesalahan dilakukan. Jadi jika harga pasaran 1 gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nishâb curian atau rompakan yang dikenakan hukuman hadd dalam mata wang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.

Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali ini adalah dikira satu hukuman hadd dan perlu dilaksanakan kedua-duanya. Dalam makna, apabila semasa melakukan jenayah hirâbah itu cuma harta yang diambil yang sampai nishâb ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku, maka jika tsabit kesalahan, kedua-dua pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lalinya akan dipotong. Dari itu, kedua-duanya perlu dilaksanakan ke atasnya sama ada secara sekaligus ataupun secara satu persatu.

Hukuman Jenayah Hirâbah dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah

Dengan pelaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam, sebagai mendukung kanun atau undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, hukuman hadd bagi jenayah hirâbah ini telah diperuntukkan dalam Bab 63 Akta tersebut seperti berikut:

Hukuman hirabah:

63. (1) Mana-mana orang yang melakukan hirabah dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya dua orang syahid menurut Hukum Syara‘ selain keterangan mangsa setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hadd seperti berikut –

(a) bunuh, jika semasa dia melakukan hirabah itu qatl (pembunuhan) telah berlaku, sama ada mengambil harta atau tidak, sama ada harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau kurang daripada nisab;

(b) (i) potong tangan kanan di pergelangannya dan kaki kiri di buku lali, jika semasa dia melakukan hirabah, harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau lebih;

(ii) apabila kesalahan hirabah itu telah dilakukan bersama oleh lebih daripada seorang, maka hukuman potong tangan dan kaki itu hendaklah hanya dikenakan jika nilai bahagian setiap orang daripada mereka itu adalah sampai kepada nisab atau lebih;

Selain hukuman di atas, turut dinyatakan dalam bab 63(c) akta tersebut bahawa jika jenayah hirâbah itu mengakibatkan kecederaan ke atas mangsa, maka hukuman berikut akan dikenakan menurut jenis kecederaan atau sepertimana yang ditetapkan oleh mahkamah:

i. hukuman balas balik atau hukuman yang serupa bagi kecederaan tersebut (qishâsh), atau;

ii. membayar suatu jumlah tertentu sebagai ganti rugi kepada mangsa kerana kecederaan (arsy).

Hukuman Ta‘zîr dalam Jenayah Hirâbah

Dalam kes jenayah hirâbah, selain daripada peruntukan hukuman hadd di atas, hukuman ta‘zîr juga boleh dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Bila hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak dikenakan.

Hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak akan dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

i. Jika ia dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukkan di bawah ceraian (1), iaitu ia dibuktikan dengan cara selain daripada: a. Iqrâr oleh tertuduh sendiri, ataupun selain daripada;

b. Syahâdah (keterangan daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi mengikut hukum syara‘), selain daripada keterangan mangsa.

ii. Dalam keadaan-keadaan di mana hukuman hadd potong tangan dan kaki mungkin tidak dikenakan dalam jenayah sariqah (curi). Umpamanya jika nilai harta hirâbah itu kurang daripada nishâb, ataupun pesalah itu bukan mukallaf ataupun jika harta yang dicuri adalah sejenis harta yang tidak bernilai dan sebagainya sepertimana yang disebutkan dalam bab 56 akta jenayah sariqah.

Dalam hal hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak dikenakan sepertimana dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, maka jika tsabit kesalahan, hukuman ta‘zîr akan dikenakan, iaitu dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan. Hal ini ada disebutkan dalam bab 63(2) dalam akta berkenaan.

2. Percubaan melakukan hirâbah:

Orang-orang yang tsabit kesalahan kerana percubaan melakukan hirâbah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirâbah tidak akan dikenakan hukuman hadd. Akan tetapi, mereka dikenakan hukuman ta‘zîr. Hal ini ada diperuntukkan dalam bab 65 akta berkenaan seperti berikut:

65. Mana-mana orang yang cuba melakukan hirabah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirabah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 30 sebatan.

3. Subahat melakukan jenayah hirâbah:

Hukuman melakukan subahat dalam jenayah hirâbah, sepertimana yang diperuntukkan dalam bab 66 dalam akta tersebut adalah seperti berikut:

66. (1) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika tsabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

(2) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

Ini bermaksud, orang yang bersubahat melakukan jenayah hirâbah, yang mana jenayah tersebut dibuktikan dengan iqrâr tertuduh ataupun syahâdah, maka orang yang tsabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

Sementara dalam kes jenayah hirâbah itu dibuktikan dengan selain daripada iqrâr tertuduh ataupun syahâdah pula, ataupun dalam keadaan hukuman hadd potong tangan dan kaki tidak boleh dikenakan ke atas pesalah, maka orang yang tsabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

Demikian beberapa penerangan tentang jenayah hirâbah serta hukuman yang diperuntukkan bagi pesalah jenayah tersebut. Apa yang pasti, undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil dan saksama serta penuh dengan hikmah yang tersendiri. Hukuman yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ peruntukkan bukanlah untuk membalas dendam ataupun melepaskan geram ke atas pesalah, akan tetapi ia sebagai pembela hak dan nasib mangsa serta pengajaran dan iktibar bagi yang lain. Sememangnya Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah itu adalah penjamin keamanan dan kesejahteraan buat semua.

SUMPAH YANG MENGUNDANG RISIKO HILANG KEBERKATAN

Pengertian Sumpah Ghamûs

Sumpah dari segi istilah ialah menguatkan atau mengesahkan sesuatu yang belum pasti, sama ada berkaitan dengan sesuatu yang berlaku pada masa lalu atau akan datang, untuk memperakukan ataupun menafikan kemungkinan berlakunya ataupun tidak mungkin berlaku, sama ada perkara itu benar ataupun dusta dan sama ada orang yang bersumpah itu benar mengetahui mengenai perkara itu ataupun tidak mengetahuinya.

Perkataan sumpah lazimnya dilafazkan oleh sebilangan orang untuk menguatkan percakapan terutama dalam menyatakan perkara yang benar. Namun adakalanya juga sumpah ini digunakan bagi menguatkan atau mempertahankan perkara yang tidak benar. Sumpah daripada jenis kedua ini dinamakan dengan sumpah ghamûs iaitu sumpah palsu.

Apakah sebenarnya sumpah ghamûs ini dan apa pula hukum melafazkannya? Adakah melafazkan sumpah ghamûs ini tidak mendatangkan dosa dan tidak dikenakan kaffârah, atau dalam ertikata lain tidak memberikan kesan apa-apa? Bagi menjawab persoalan-perosalan tersebut akan diterangkan apakah sebenarnya sumpah ghamûs itu dan hukum yang berkaitan dengannya.

Adapun sumpah yang dilafazkan oleh seseorang mengenai suatu perkara yang telah lalu yang tidak benar dan dia mengetahui akan kebohongannya maka sumpah tersebut dinamakan sumpah ghamûs.

Ia dinamakan dengan sumpah ghamûs kerana perkataan ghamûs itu berasal daripada perkataan ghamasa ( َغَمَس) yang bererti “membenamkan”. Maka orang yang bersumpah ghamûs itu akan membenamkan dirinya ke dalam dosa dan api neraka.

Perkataan Sumpah

Sumpah tidak sah dilakukan kecuali dengan zat Allah seperti wallâhi ( ِوَهللا), atau sifat bagiNya seperti wa Rabbil-‘âlamîn ( ِْوَرَبِْيَ العَالَم) atau semua nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti wa Mâliki Yaumid-dîn ( ِِ َوْم ِالدِين وَمَالِك ِي). Maka bersumpah dengan selain zat Allah, sifat-sifatNya dan nama khusus bagi Allah seperti bersumpah dengan nama Nabi, Ka‘bah atau Jibril adalah tidak sah.

Begitu juga, sumpah hendaklah dilafazkan dengan menggunakan huruf-huruf yang khusus. Huruf-huruf tersebut ada tiga: Huruf bâ’ seperti “billâhi”, huruf wâu seperti “wallâhi” dan tâ’ seperti “tallâhi”. Oleh itu, jika seseorang bersumpah dengan berkata: “Wallâhi, aku bersumpah akan melakukan perkara itu” maka yang demikian itu dikira sebagai sumpah.

Hukum Sumpah Ghamûs

Sumpah dihukumkan sebagai tidak sah jika ia dilafazkan tanpa disengajakan umpamanya orang yang tersasul melafazkan sumpah ketika dalam keadaan yang sangat emosi atau dalam keadaan marah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah tidak mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah) tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang kamu maksudkan untuk bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Akan tetapi sungguhpun begitu, sumpah ghamûs ataupun sumpah palsu apabila dilafazkan, ia tetap dikira sebagai sumpah mun‘aqid iaitu sumpah yang sah. Sebagai contoh, seseorang bersumpah tentang berlakunya sesuatu perkara namun sebenarnya perkara itu tidak berlaku, atau bersumpah tentang sesuatu perkara yang tidak berlaku namun sebenarnya berlaku, maka sumpah seperti ini adalah dikira sah dan dihukumkan sebagai haram dan berdosa. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai alat tipu daya di antara kamu, yang menyebabkan tergelincirnya kaki (kamu) sesudah (ia berdiri) tegak dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu telah menghalangi (orang lain) daripada jalan Allah, dan bagi kamu azab yang besar (di akhirat kelak). (Surah an-Nahl: 94)

Hal ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murka kepada orang yang bersumpah palsu itu. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah di atas satu sumpah sedang dia berdusta dengannya (sumpah itu) untuk mendapatkan dengannya (sumpah itu) harta seseorang Islam, nescaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaanNya murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits di atas, adalah jelas bahawa bersumpah dengan nama Allah di atas perkara yang tidak benar adalah dikira sah tetapi mendatangkan dosa besar terhadap pelakunya.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memberi peringatan mengenai sumpah ghamûs ini dan mengkategorikannya sebagai dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, menderhakai kedua ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah ghamûs (palsu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini menerangkan dengan jelas bahawa dosa besar selepas syirik itu ada tiga iaitu menderhakai kedua ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah ghamûs (palsu).

Bersumpah dalam Jual Beli

Terdapat sebilangan daripada peniaga atau pedagang kadang-kadang suka melafazkan sumpah semata-mata untuk melariskan barangan jualannya. Melafazkan sumpah bagi melariskan dagangan itu, jika tidak dilakukan dengan betul, boleh mendatangkan risiko yang tidak baik. Antaranya peniaga akan kehilangan berkat dalam jual belinya. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sumpah itu dapat melariskan dagangan dan juga boleh menghilangkan keberkatan.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ mensyarahkan hadits di atas dengan berkata: “Hadits ini mengandungi larangan banyak melafazkan sumpah dalam berniaga atau berdagang. Maka sesungguhnya bersumpah tanpa sebarang hajat hukumnya adalah makruh dan sumpah itu terkandung di dalamnya unsur-unsur untuk melariskan barang jualan. Para pembeli boleh saja terpedaya dengan lafaz sumpah itu.”

Dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang yang mengutamakan keuntungan dunia dan memperjualbelikan sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat rahmat di akhirat iaitu Allah tidak menyapa, tidak memandang dan tidak mengampunkan dosa mereka bahkan akan mengazab mereka dengan azab yang pedih sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menukarkan janji Allah dan (memperjual-belikan) sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak akan mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan menyapa mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan menyucikan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih. (Surah Âli ‘Imran: 77)

Orang yang bersumpah palsu ketika berjual beli akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak akan memandang kepada mereka, tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Abu Dzarr berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membacanya tiga kali.” Abu Dzarr berkata: “Mereka telah kecewa dan rugi, siapakah mereka wahai Rasullullah?” Baginda bersabda: “Orang yang melabuhkan pakaiannya, pengungkit (pemberian) dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta.” (Hadits riwayat Muslim)

Kaffârah Sumpah

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini sumpah ghamûs adalah termasuk sumpah yang dikira sah. Namun perlu diambil perhatian, sesiapa yang bersumpah ghamûs telah pasti dia melanggar sumpahnya itu maka wajib dia membayar kaffârah sumpah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Yang demikian itu adalah kaffârah sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Dalam ayat yang lain Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Allah tidak mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang kamu maksudkan oleh hati kamu. Dan Allah itu Pengampun, lagi Maha Penyantun. (Surah al-Baqarah: 225)

Oleh itu, sesiapa bersumpah ghamûs, telah pasti dia melanggar sumpahnya dan wajib ke atasnya membayar kaffârah. Sumpah ghamûs merupakan dosa besar sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ yang disebutkan sebelum ini.

Kaffârah bagi orang yang melanggar sumpah disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui firmanNya:

Tafsirnya: Maka kaffârahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan yang sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak dapat melakukannya, (kaffârahnya) hendaklah berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffârah sumpah kamu apabila bersumpah. Dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu bersyukur. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Orang yang hendak melaksanakan kaffârah sumpah diberikan pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya, memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka. Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.

Oleh yang semikian, perlu diingat bahawa sumpah bukanlah lafaz yang dapat diucapkan dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana sumpah itu adakalanya boleh mendatangkan dosa kepada pelakunya dan dikenakan membayar kaffârah. Selain itu, bersumpah juga mempunyai risiko menghilangkan keberkatan.

BOLEHKAH LELAKI MEMAKAI CINCIN PLATINUM?

Cincin yang diperbuat daripada logam platinum kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita bukan sahaja di kalangan kaum Hawa bahkan juga kaum Adam tidak ketinggalan memakainya. Namun adakah memakai cincin yang diperbuat daripada platinum itu diharuskan ke atas lelaki sebagaimana mereka diharuskan memakai cincin perak ataupun diharamkan ke atas mereka memakainya sebagaimana diharamkan ke atas mereka memakai cincin emas?

Hukum lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak adalah harus bahkan disunatkan memakainya pada jari kelingking sama ada di sebelah kanan atau kiri, namun yang afdhal adalah dipakai di sebelah kanan.

Memakai cincin yang diperbuat daripada perak merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wa sallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun hukum lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas atau apa jua yang mengandungi bahan emas sama ada kandungan bahan emas itu sedikit ataupun banyak adalah jelas haram.

Antara dalil yang menunjukkan tegahan tersebut ialah hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas... (Hadits riwayat Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan cincin yang mengandungi bahan emas itu ialah jenis-jenis cincin yang dihasilkan menerusi proses penyalutan (plating) bahan emas ke atas bahan logam yang lain. Cincin yang dihasilkan dengan cara ini biasa dikenali sebagai cincin gold plated. Demikian juga, cincin yang dihasilkan menerusi proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain seperti perak atau tembaga atau selainnya dan cincin jenis ini biasa dikenali sebagai cincin emas suasa, cincin rose gold, cincin white gold dan sebagainya.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab al-Majmû‘, beliau berkata:

Ertinya: Para ulama telah ijmâ‘ tentang hukum haram ke atas lelaki memakai perhiasan emas bersandarkan kepada hadits-hadits shahîh yang telah disebutkan sebelum ini dan juga berdasarkan hadits-hadits yang lain. Para ulama dalam mazhab kita (mazhab asy-Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syirazi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun buah cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan dengan sepakat para ulama.

Hukum Lelaki Memakai Cincin Platinum

Menurut keterangan di dalam kamus, antaranya kamus Bahasa Melayu Nusantara mentakrifkan platinum itu sebagai:

“Platinum Kim. Unsur logam berharga (logam mulia) berwarna putih kekelabuan, tidak kakis (tidak berkorosi), dan digunakan sebagai mangkin (katalis) untuk membuat barang kemas dan lain-lain; unsur dengan nombor atom 78, lambang Pt, dan berat (bobot) atom 195.09; platina I.”

Sementara itu kamus berbahasa Inggeris seperti Kamus Longman Active Study Dictionary Of English mentakrifkannya sebagai:

“Plat.i.num n [Uncountable] Expensive greyish-white metal that is a simple substance (ELEMENT (1)) and is used esp. in very valuable jewellery: a platinum ring|This ring is (of) platinum.”

Ertinya: “Kata nama [Tidak Dijumlahkan] Logam mahal berwarna putih keperakan merupakan suatu bahan yang tersendiri (UNSUR (1)) dan sering digunakan terutamanya sebagai perhiasan yang sangat berharga: sebentuk cincin platinum|Cincin ini (berasal daripada) platinum.”

Dan dalam The New Webster’s Encylopedic Dictionary of the English Language:

“Plat.inum n. 1. a heavy, grayish white, highly malleable and ductile metallic chemical element, resistant to most chemicals, practically unoxidizable except in the presence of bases, and fusible only at extremely high temperatures: used for making chemical and scientific apparatus, as a catalyst in the oxidation of ammonia to nitric acid, and in jewelry. Symbol: Pt; at. wt.: 195.09; at. no.: 78; sp. gr.: 21.5 at 20◦C. 2. a light, metallic gray with very slight bluish tinge when compared with silver.”

Ertinya: “Kata nama. 1. unsur kimia metalik yang berat, berwarna putih keperakan, mulur dan sangat mudah dibentuk, kalis kebanyakan bahan-bahan kimia yang lain, secara praktiknya tidak dapat disebatikan dengan oksigen kecuali apabila wujud bahan dasar campuran bagi bahan-bahan lain, hanya cair pada suhu yang sangat tinggi: digunakan bagi membuat perkakas kimia dan sains, menjadi mangkin (bahan untuk mempercepatkan tindakan kimia) dalam proses oksidasi bahan ammonia kepada asid nitrik, dan untuk barang-barang perhiasan. Simbol: Pt; berat atom: 195.09, nombor atom: 78, spesifikasi graviti: 21.5 pada 20◦C. 2. metalik kelabu yang ringan dengan sedikit kesan kebiru-biruan apabila dibandingkan dengan perak.”

Berdasarkan beberapa petikan pengertian platinum daripada kamus-kamus tersebut jelas menunjukkan bahawa logam platinum tidak berasal daripada emas bahkan ia memiliki unsur sendiri.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, lelaki harus memakai cincin yang diperbuat daripada perak dan haram bagi lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas. Keharusan memakai cincin perak itu termasuk juga cincin yang diperbuat daripada besi, tembaga dan timah.

Oleh itu, hukum lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada platinum adalah harus sebagaimana diharuskan lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak, besi, timah dan tembaga. Ini kerana platinum itu bukan terdiri daripada emas.

Bagaimana pula Hukum Lelaki Memakai Perhiasan Selain Cincin yang Diperbuat daripada Platinum?

Syara‘ telah menetapkan bahawa kaum lelaki haram memakai perhiasan seperti gelang, rantai, subang atau yang seumpamanya sekalipun bukan diperbuat daripada emas, perak, besi, tembaga, atau sebagainya termasuklah logam platinum.

Larangan ini adalah kerana barang perhiasan tersebut adalah perhiasan yang khusus bagi perempuan. Perbuatan lelaki yang memakai gelang, rantai, subang atau seumpamanya itu adalah dikira perbuatan yang menyerupai perempuan. Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata di dalam al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama kedua-duanya.

Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ juga ada menyebutkan mengenai pemakaian perhiasan gelang dan seumpamanya seperti dumluj (gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Beliau berkata:

Ertinya: Maka tidak boleh kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelelakian) orang-orang lelaki.

Oleh yang demikian, haram ke atas lelaki memakai gelang, rantai dan subang platinum atau yang seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah termasuk menyerupai perempuan dan hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar.

Adakah Platinum Wajib Dizakat?

Menurut pendapat ulama mazhab asy-Syafi‘ie, salah satu syarat diwajibkan zakat harta ma‘din (harta galian yang dikeluarkan daripada perut bumi) adalah terbatas pada emas dan perak sahaja. Adapun harta galian selain daripada emas dan perak seperti batu permata yaqut, zabarjad, fairuz, ‘aqiq, zamrud, kristal, tembaga, besi, timah, minyak dan selainnya adalah tidak wajib dizakat.

Apa yang dapat difahami, platinum termasuk dalam harta galian yang bukan terdiri daripada emas atau perak. Oleh yang demikian, tidak wajib dikeluarkan zakat bagi platinum.

Sebagai kesimpulan, harus bagi lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada platinum kerana ia bukan terdiri daripada emas. Adapun perhiasan selain daripada cincin seperti gelang, rantai atau subang sekalipun diperbuat daripada platinum adalah haram bagi lelaki memakainya kerana ia adalah perhiasan yang khusus bagi perempuan.

MENADAH TANGAN KETIKA BERDO‘A: Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam

Berdo‘a adalah suatu amalan yang amat digemari dan disuruh dalam Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai Aku, maka (katakan kepada mereka): “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)

Berzikir dan berdo‘a adalah antara perkara-perkara yang sunat untuk dilakukan setiap kali selesai sembahyang tanpa perselisihan ulama mengenainya. Oleh yang demikian, berzikir dan berdo‘a sunat dilakukan oleh imam, makmum dan orang yang sembahyang bersendirian (munfarid).

Apabila seseorang selesai daripada sembahyangnya, disunatkan baginya untuk berdo‘a dengan mengangkat atau menadah tangan, kemudian menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan apabila selesai daripada berdo‘a dan membaca hamdalah dan selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada awal dan penutup do‘anya. Sunat memperbanyakkan membaca zikir (yakni zikir yang khusus dibaca selepas sembahyang) dan berdo‘a dengan do‘a yang ma’tsûr selepas sahaja selesai sembahyang. Malahan do‘a yang dipanjatkan selepas sembahyang adalah mustajâb. Bagaimanapun tidak mengapa jika berzikir itu tidak dimulai sebaik sahaja selepas selesai sembahyang dengan jarak atau tempoh masa yang pendek, tertakluk kepada ‘urf atau kebiasaan.

Menyegerakan berzikir dan berdo‘a, iaitu sebaik sahaja selesai memberi salam selepas sembahyang dan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara lain, mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Antaranya ialah kerana kita memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat-tempat atau ketika agar do‘a itu mudah dan cepat dikabulkan.

Perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu, katanya: “Telah ditanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Do‘a apakah yang lebih didengar (dikabulkan)? Nabi bersabda: “(Do‘a tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Diriwayatkan oleh al-Harits bin Muslim at-Tamimi Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berpesan kepadanya jika dia selesai daripada sembahyang Shubuh dan Maghrib, hendaklah dia terus sahaja membaca zikir tertentu yang diajarkan oleh Baginda kepadanya sebelum dia bercakap-cakap dengan sesiapa. Sabda Baginda:

Maksudnya: Sekiranya engkau (selesai daripada) sembahyang Shubuh, maka ucapkanlah (zikir) sebelum engkau bercakap-cakap: “ tujuh kali. Sesungguhnya jika engkau (mengucapkan zikir tersebut) kemudian mati pada siang hari itu, nescaya Allah menentukan bagimu keamanan (keselamatan) daripada api neraka. Dan sekiranya engkau (selesai daripada) sembahyang Maghrib, maka ucapkanlah (zikir) sebelum engkau bercakap-cakap: “ النَّار ” sebanyak tujuh kali. Sesungguhnya jika engkau (mengucapkan zikir tersebut) kemudian mati pada malam hari itu, nescaya Allah menentukan bagimu keamanan (keselamatan) daripada api neraka. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Pengertian daripada zikir “ ِْنِ مِن َ النَّار اَللَّهُم َّ أَجِر ِِ ” adalah Ya Allah aku berlindung kepada Mu daripada api neraka, selamatkan aku daripada azab api neraka atau selamatkan aku daripada masuk ke dalam neraka.

Oleh kerana itu, tidak gugur tuntutan membaca zikir dan do‘a sekiranya kedua-dua perkara ini terpisah daripada sembahyang yang pertama (awal) kerana diselangi dengan melakukan sembahyang sunat rawâtib terlebih dahulu. Bagaimanapun yang afdhalnya ialah terus membaca zikir dan do‘a sejurus selepas selesai menunaikan sembahyang fardhu, iaitu sejurus selepas selesai memberi salam. Beginilah cara yang dituntut ketika berzikir selepas sembahyang, sebagaimana juga yang dibuat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Bagi seorang yang sembahyang dengan cara menjama‘kan dua sembahyang, zikir bagi sembahyang yang pertama itu dikemudiankan atau diakhirkan, iaitu selepas menunaikan sembahyang yang kedua.

Menadah Tangan ketika Berdo‘a dalam Sembahyang

Mengangkat atau menadah tangan ketika berdo‘a dalam sembahyang adalah tidak disunatkan melainkan menadah tangan ketika membaca do‘a Qunut. Menadah kedua-dua tangan ketika membaca do‘a Qunut dalam sembahyang hukumnya adalah sunat, sepertimana sunat menadah kedua-dua tangan ketika berdo‘a di luar sembahyang kerana mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Walau bagaimanapun hukum menyapu muka setelah selesai daripada membaca do‘a Qunut dalam sembahyang adalah tidak disunatkan.

Menadah Tangan ketika Berdo‘a di Luar Sembahyang

Antara adab yang disunatkan ketika berdo‘a ialah mengangkat atau menadah kedua-dua belah tangan dengan kedua-dua tapak tangan menghala ke langit. Apabila selesai daripada berdo‘a, adalah sunat untuk menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan tersebut.

Mengangkat atau menadah tangan ketika berdo‘a di luar sembahyang itu merupakan ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Perkara ittibâ‘ ini adalah berdasarkan riwayat, antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila engkau berdo‘a kepada Allah, maka berdo‘alah dengan (menadah) dua tapak tanganmu, dan janganlah engkau berdo‘a dengan kedua-dua belakang tapak tangan. Apabila engkau selesai berdo‘a, maka sapulah mukamu dengan kedua-dua tapak tanganmu itu. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Menurut ulama, rahsia di sebalik menadah kedua-dua tapak tangan ke arah langit adalah kerana langit merupakan qiblat atau arah untuk berdo‘a, kerana langit adalah tempat turun rahmat, tempat turun rezeki, tempat turun wahyu dan tempat turun berkat.

Kadar mengangkat kedua-dua tangan ketika berdo‘a adalah separas (setinggi) dua bahu, melainkan jika terdapat kesulitan. Apabila seseorang itu bermohon atau berdo‘a bagi perkara yang sangat mendesak dan penting, adalah sunat diangkat tangan melebihi atau melimpasi bahu. Di samping itu, seseorang yang berdo‘a sudah dikira sebagai melakukan perkara yang disunatkan dengan semata-mata menadah kedua-dua tapak tangannya, sama ada dirapatkan kedua-dua tapak tangannya ataupun dijarangkan (dipisahkan) kedua-duanya, dan sama ada jari-jari tangannya diratakan dengan tapak tangannya ataupun jari-jarinya itu lebih terangkat atau tinggi (melekuk) daripada tapak tangannya.

Membalikkan Tapak Tangan ketika Berdo‘a

Daripada penjelasan di atas, cara yang dianjurkan ketika berdo‘a di luar sembahyang adalah dengan mengangkat kedua-dua tangan kerana mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Menurut ulama, ketika berdo‘a atau memohon kurnia sesuatu perkara kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sunat bagi seseorang menadah kedua-dua tapak tangannya ke langit. Memohon sesuatu perkara itu bererti memohon sesuatu yang baik, termasuklah juga do‘a yang berbentuk permohonan supaya dihindarkan daripada bala bencana ke atas dirinya pada masa hadapan. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, adalah sunat bagi setiap orang yang berdo‘a untuk membalikkan kedua tapak tangan, yakni kedua-dua belakang tapak tangan dihalakan ke langit, antaranya ketika berdo‘a memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar dihindarkan bala atau diangkat suatu musibah yang sedang atau benar-benar telah berlaku pada dirinya.

Perkara ini adalah berdasarkan amalan yang dilakukan di dalam sembahyang sunat Istisqa’, iaitu sembahyang sunat untuk memohon hujan. Dalam sembahyang sunat Istisqâ’, ketika berdo‘a semasa khutbah, adalah sunat bagi khatib dan para jemaah untuk menadah tangan ke langit ketika membaca do‘a. Walau bagaimanapun apabila do‘a bagi menolak bala dibacakan, adalah sunat belakang tapak tangan dihalakan ke langit.

Perkara ini adalah tsabit berdasarkan riwayat Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila berdo‘a memohon hujan (disebabkan kemarau), Baginda menghalakan belakang tapak tangan Baginda ke langit:

Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila berdo‘a meminta hujan, maka Baginda mengisyaratkan dengan belakang kedua-dua tapak tangan Baginda ke langit. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu perlu diketahui, ketika membaca do‘a Qunut dalam sembahyang, apabila tiba pada ayat َ ِ ِنِشَ ر َّمَ ا قَ ضَ يْ ت َِ ق و (dan selamatkan aku daripada bahaya yang telah Engkau tentukan), adalah tidak disunatkan berdo‘a dengan menterbalikkan kedua tapak tangan ke bumi dan belakang tapak tangan pula dihalakan ke langit, kerana pergerakan sedemikian adalah tidak dituntut di dalam sembahyang.

Sebagai kesimpulan, berdo‘a merupakan suatu amalan yang sangat digemari dalam Islam, bahkan disunatkan memperbanyakkannya. Berzikir serta berdo‘a selepas sembahyang, sama ada bagi imam, makmum dan juga orang yang sembahyang secara bersendirian dengan zikir dan do‘a yang ma’tsur selepas sembahyang, hukumnya adalah sunat.

Adapun masa yang dituntut untuk berzikir dan berdo‘a selepas sembahyang ialah sebaik sahaja selesai memberi salam dalam sembahyang. Malahan antara saat yang mustajâb untuk do‘a dikabulkan ialah selepas sembahyang. Melihat kepada keistimewaan ini, janganlah seseorang itu meninggalkan amalan berdo‘a selepas sembahyang ataupun terlalu cepat untuk beredar sebelum do‘a selesai dibaca sehingga menyebabkan dia kerugian kerana terluput daripada keistimewaan tersebut, lebih-lebih lagi dalam sembahyang berjemaah fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.

Antara adab berdo‘a itu adalah mengangkat kedua-dua tangan sebagai ittiba‘, iaitu mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Sunat bagi seseorang yang berdo‘a supaya menadah kedua-dua tapak tangan ke langit pada do‘a yang berbentuk permohonan sesuatu yang baik, termasuklah juga do‘a untuk menolak (dihindarkan) bala di masa hadapan. Demikian juga, adalah sunat bagi seseorang yang berdo‘a untuk membalikkan kedua-dua tapak tangannya ketika membaca do‘a tolak bala.

JADIKAN JALAN RAYA SEBAGAI PENGHUBUNG DESTINASI YANG SELAMAT

Kemalangan jalan raya merupakan salah satu penyebab kematian terbesar di Negara Brunei Darussalam selain daripada pelbagai penyakit kronik seperti kanser dan lain-lain.

Perkara ini menimbulkan kebimbingan pihak berkuasa khususnya dan orang ramai umumnya. Kemalangan bukan hanya membabitkan kerugian harta benda yang sedikit tetapi yang tidak dapat dinilai kerugiannya ialah jumlah korban nyawa dan kecederaan fizikal yang semakin meningkat.

Berbagai usaha telah dan giat dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah ini antaranya; dengan menguatkuasakan beberapa peraturan seperti penguatkuasaan pemantauan had laju, pemasangan tali pinggang keledar, pemakaian topi keledar bagi penunggang dan pembonceng motosikal, larangan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, tanggungjawab menangani masalah ini tidak hanya diletakkan di bahu pihak berkuasa sahaja, malahan orang ramai selaku pengguna jalan raya juga perlu sama-sama bertanggungjawab menanganinya.

Menjaga Adab Sebagai Langkah Keselamatan

Agama Islam mementingkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap jiwa dan harta. Apa sahaja perkara yang membawa kerosakan kepada jiwa dan harta benda tanpa hak adalah dilarang sama sekali. Para pengguna jalan raya bertanggungjawab ke atas keselamatan dirinya, para pengguna yang lain serta harta benda kedua-duanya dan awam.

Menjaga adab sebelum memulakan perjalanan sehingga sampai ke tempat yang dituju adalah sebagai usaha untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan, antaranya:

1. Mengamalkan do‘a sebagai pelindung.

Do‘a merupakan senjata orang Islam untuk memohon segala hajat dunia dan akhirat, termasuk do‘a keselamatan dan perlindungan daripada segala bahaya dan bala bencana. Peranan do‘a sebagai senjata ini ada disebut dalam hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Do‘a itu senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi. (Hadits riwayat al-Hakim)

Selain itu, do‘a juga merupakan ibadat kerana petunjuknya yang berupa permohonan seseorang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan menghadapNya dan berpaling daripada yang selainNya, dalam erti kata tidak meminta atau tidak takut kecuali kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja.

Sahabat, an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Do‘a itu adalah ibadat.” Kemudian Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah al- Mu’min: ayat 60 yang tafsirnya): “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘alah kepadaKu nescaya Aku perkenankan do‘a kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadat kepadaKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Berikut ini ialah amalan-amalan untuk memohon perlindungan di jalan raya:

i. Do‘a ketika hendak keluar rumah.

Ketika hendak keluar rumah disunatkan membaca do‘a-do‘a tertentu untuk memohon perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya ialah:

a. Do‘a yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda keluar dari rumah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada tersesat (daripada petunjukMu), atau aku disesatkan, atau aku tergelincir (daripada kebenaran), atau aku digelincirkan, atau aku berlaku zalim, atau aku dizalimi, atau aku melakukan kejahilan, atau orang lain melakukannya terhadapku. (Hadits riwayat Abu Daud)

b. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam turut mengajarkan ayat yang dianjurkan untuk dibaca ketika keluar rumah. Do‘anya ada disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, dan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah. (Hadits riwayat Abu Daud)

ii. Do‘a menaiki kenderaan atau memulakan perjalanan.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberikan panduan yang jelas tentang apa yang dibaca apabila sudah duduk tetap di dalam kenderaan dan bersedia memulakan perjalanan. Panduan ini ada disebut dalam al- Qur’an al-Karim dalam surah az-Zukhruf, ayat 12 hingga 16:

Tafsirnya: Dan (Dialah yang telah menciptakan semuanya berpasangan dan Dia mengadakan bagi kamu bahtera dan binatang ternakan yang kamu dapat kenderai. Supaya kamu telah berada tetap di atasnya kemudian kamu mengingati ni‘mat Tuhan kamu apabila kamu berada tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami.” (Surah az-Zukhruf: 12-14)

Di dalam kitab al-Adzkâr, disebutkan do‘a-do‘a ma’tsûr daripada beberapa hadits yang boleh diamalkan, antaranya:

a. Dalam sebuah hadits daripada Rabi‘ah al-Asadiy Radhiallâhu ‘anhu, Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah membaca do‘a ini:

Ketika kaki melangkah masuk ke dalam kenderaan dibaca:

Ertinya: Dengan nama Allah.

Setelah duduk tetap di dalam kenderaan, disambung:

Ertinya: Segala pujian bagi Allah Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami.

Kemudian sambung:

Ertinya: Segala pujian bagi Allah, segala pujian bagi Allah, segala pujian bagi Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan selain Engkau! Sesungguhnya aku telah menganiayai diriku, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa-dosa itu melainkan Engkau sahaja.

b. Do‘a yang lain pula ada diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang membacanya khusus ketika hendak berjalan jauh:

Ertinya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu dalam pelayaran kami ini kebaikan dan taqwa serta perbuatan (kami) yang Engkau redhai. Ya Allah, permudahkanlah segala-galanya dalam pelayaran kami ini, dan jadikanlah pelayaran kami ini seperti pelayaran yang dekat. Ya Allah, Engkaulah sebagai teman dalam pelayaran, dan pengganti dalam keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kesusahan dalam pelayaran, pandangan yang tidak menyenangkan dan keburukan yang terjadi pada harta benda dan keluarga. (Hadits riwayat Muslim)

Apabila kembali daripada pelayaran, dianjurkan sekali lagi mengucapkan do‘a yang sama seperti di atas, namun ditambah pada akhirnya dengan:

Ertinya: Kami sudah pulang dengan keadaan bertaubat, menyembah Tuhan kami dan memujiNya. (Hadits riwayat Muslim)

2. Mematuhi peraturan lalu lintas.

Peraturan lalu lintas adalah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi pengguna-pengguna jalan raya. Setiap negara meletakkan peraturan lalu lintas jalan raya bagi mewujudkan keselamatan jalan raya di negara masing-masing.

Mematuhi lampu isyarat dan tanda-tanda di jalan raya, memandu pada had yang dibenarkan, memakai tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, menyalakan isyarat ke kanan atau ke kiri ketika menukar haluan adalah antara peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan lalu lintas. Kelalaian dalam mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan boleh saja mengundang mudharat bukan saja kepada diri pengguna itu sendiri malahan juga orang lain.

Mewujud dan menggubal peraturan lalu lintas adalah pelaksanaan merealisasikan tujuan syariat Islam. Mengapa dikatakan sedemikian?

Setiap peraturan yang diwujudkan dan digubal oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk menjaga mashlahat orang awam. Peraturan ini termasuk dalam perkara-perkara yang disyariatkan kerana agama Islam amat mementingkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap lima tujuan syara‘ iaitu pemeliharaan terhadap agama, pemeliharaan terhadap nyawa/jiwa, pemeliharaan terhadap akal, pemeliharaan terhadap keturunan dan pemeliharaan terhadap harta benda.

Dengan penggubalan dan pelaksanaan peraturan lalu lintas ini dapat menjamin keselamatan manusia dari sudut jiwa dan harta benda mereka. Contoh; peraturan yang dikuatkuasakan merupakan antara langkah-langkah bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh mengundang kecederaan tubuh badan, kematian dan kerosakan harta benda. Jelas di sini, peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh pihak kerajaan adalah salah satu langkah menolak kemudharatan atau bahaya yang boleh membawa kepada kemusnahan jiwa dan harta benda. Menolak kemudharatan atau bahaya itu bermaksud menghilangkan atau menyingkirkan sesuatu yang boleh membawa kemudharatan atau bahaya. Menghilangkan atau menyingkirkan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudharatan itu pula merupakan salah satu tuntutan yang terkandung di dalam kaedah-kaedah fiqhiyyah, iaitu:

Ertinya: Kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Kaedah ini adalah bersumber daripada sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu:

Ertinya: Tidak boleh mencipta mudharat (bahaya) dan tidak boleh mendatangkan mudharat (bahaya). (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka tidak syak lagi bahawa mewujudkan peraturan lalu lintas itu adalah antara perkara-perkara yang dituntut oleh syara‘.

Para ulama kontemporar dalam Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami (Akademi Fiqh Islam) kali ke-8 menyebut dalam resolusi bahawa mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan adalah wajib selama mana tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ini kerana mematuhi undang-undang atau peraturan itu merupakan salah satu daripada perkara-perkara mentaati ulul-amri (pemerintah). 3. Menghormati pengguna jalan raya lain.

Para pengguna perlu sedar bahawa dirinya merupakan salah seorang daripada anggota masyarakat dan menjaga kebajikan masyarakat merupakan tanggungjawab yang perlu dijaganya.

Sikap saling hormat menghormati merupakan tanggungjawab yang perlu dipupuk di antara sesama pengguna jalan raya. Sikap ini dapat melahirkan suasana positif di jalan raya seperti tolong menolong sesama pengguna.

Tolong-menolong ini adalah antara akhlak Islam yang sering disebut oleh para ulama tashawwuf, antaranya Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab beliau Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn.

Sikap tolak ansur juga termasuk dalam perkara tolong-menolong. Sentiasa bertolak ansur sesama pengguna jalan raya terutama ketika berlaku kesesakan dapat mencipta suasana selamat di samping dapat membantu melepaskan kesusahan pengguna lain. Sebagai contoh, pemandu memberi laluan kepada kereta yang ingin mengambil U-Turn (laluan pusing) ketika berlaku kesesakan jalan raya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seorang Muslim itu adalah saudara seorang muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan dia tidak boleh membiarkannya dizalimi/disakiti. Barang siapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya, maka Allah pun akan menunaikan hajatnya. Dan barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Begitulah antara akhlak yang sewajarnya dimiliki oleh para pengguna jalan raya. Akhlak ini bukan saja mendatangkan manfaat kepada diri pengguna itu sendiri dari segi kebaikan dan keselamatan diri, bahkan juga kepada pengguna yang lain.

Syariat Islam datang untuk menjaga mashlahat manusia. Antara matlamat-matlamat syariat Islam ialah memelihara jiwa dan harta benda. Jika kemalangan merupakan punca kehilangan jiwa/nyawa manusia dan kerosakan pada harta benda, maka hendaklah berusaha untuk mencegahnya daripada berlaku. Antara usaha mencegah itu ialah dengan menjaga adab-adab di jalan raya. Marilah kita bersama menjadikan jalan raya sebagai penghubung destinasi yang selamat untuk semua.

JAUHI PERBUATAN MEMINTA-MINTA

Masyarakat hidup rukun dan harmoni adalah antara faktor utama tercapainya pembangunan mantap dan kemajuan sesebuah negara. Kerukunan dan keharmonian ini dapat dicapai apabila nilai-nilai mulia yang diajarkan Islam dipraktikkan, antaranya menanam sifat suka membantu dan menolong orang lain yang dalam kesusahan dan mengharap pertolongan kerana tersepit dalam kesempitan hidup. Bantuan dan pertolongan yang dihulurkan dengan ikhlas kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bahawa Dia akan membalas mereka dengan balasan yang lebih baik sama ada di dunia atau pun di Hari Akhirat.

Di dalam al-Qur’an disebutkan mengenai zakat dan sedekah. Walau berbeza hukum dan cara pelaksanaannya, namun kedua-duanya merupakan medium yang dituntut syara‘ bagi membantu golongan fakir dan miskin dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka. Oleh yang demikian, umat Islam perlu komited untuk merealisasikan fungsi kedua-duanya sebagaimana yang dikehendaki syara‘. Dengan itu masalah kemiskinan boleh diatasi.

Dari satu sudut yang lain, jangan pula sesetengah pihak yang menjadikan alasan susah atau sempit hidup sebagai alasan untuk meminta-minta daripada orang lain tanpa usaha untuk memajukan diri dan menaiktarafkan pendapatan keluarga melalui pekerjaan daripada titik peluh sendiri kerana perbuatan meminta-minta juga adalah punca keretakan harmoni masyarakat memandangkan ketidakselesaan orang lain terhadap si peminta.

Meminta-minta Menurut Pandangan Islam

Dalam Islam, perbuatan meminta-minta dianggap sebagai perbuatan yang keji dan tercela. Banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menjelaskan akan hinanya perbuatan sedemikian.

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam penjelasannya mengenai hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyatakan bahawa diharuskan seseorang itu meminta-minta jika dia benar-benar berhajat dan terdapat keperluan yang mendesak. Akan tetapi yang lebih baik ialah meninggalkan perbuatan meminta-minta dan bersabar sehingga memperolehi rezeki tanpa perlu meminta-minta. Memperolehi rezeki pula adalah dengan berusaha atau bekerja untuk mendapatkannya, bukanlah dengan meminta-minta.

Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, haram bagi seseorang itu meminta-minta dalam keadaan dia mempunyai kuasa atau kemampuan untuk berusaha dan bekerja.

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa Islam melarang umatnya daripada meminta-minta dan larangan ini jelas pula haramnya apabila si peminta itu mempunyai keupayaan fizikal yang tidak menghalangnya untuk berusaha dan berkerja bagi memperolehi rezeki bagi dirinya mahupun keluarganya.

Celaan bagi Orang yang Meminta-minta

Hadits-hadits Rasulullah Shalallalahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan mengenai celaan ke atas orang yang meminta-minta tanpa keperluan dan hajat atau meminta-minta sedangkan mempunyai keupayaan berusaha dan berkerja untuk memperolehi rezeki.

Antara celaan-celaan yang disebutkan dalam hadits-hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

1. Wang hasil meminta-meminta tiada berkatnya.

Diriwayatkan daripada Hakim Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberitahu kepadanya:

Maksudnya: Sesungguhnya harta itu kehijauan yang manis. Barang siapa yang mengambilnya dengan kemurahan hati si pemberi (bukan disebabkan dia meminta, maka Allah berikan berkat kepadanya pada harta tersebut. Dan barang siapa yang mengambilnya dengan kerakusan jiwa, maka Allah tidak memberikan berkat kepadanya pada harta tersebut. Dan perumpamaan (orang yang meminta-minta) seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang (kerana tidak ada berkat untuknya pada harta tersebut). Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits di atas jelas bahawa hasil daripada perbuatan meminta-minta daripada orang lain itu tidak akan sepenuhnya membantu si peminta kerana tiada keberkatan harta tersebut disebabkan perbuatannya.

2. Wang hasil meminta-minta tidak dapat menutup kefakiran diri.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang ditimpa kemiskinan lalu dia mengadukannya kepada manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya. Dan barang siapa mengadukan kemiskinannya itu kepada Allah, maka Allah akan memberikannya (salah satu di antara dua) kecukupan iaitu sama ada dengan kematian yang cepat atau kesenangan yang cepat. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits ini menjelaskan bahawa seseorang yang ditimpa kemiskinan seperti berhajat pada keperluan atau sempit kehidupan dan dia memberitahu perkara ini kepada orang lain dengan mengadu dan meminta pertolongan agar dihilangkan kemiskinannya, maka orang lain tidak akan dapat menunaikan hajatnya dan tidak akan dapat menghilangkan kemiskinannya, dan setiap kali dibantu hajatnya akan ditimpa lagi kemiskinan yang lebih berat daripada sebelumnya. Akan tetapi jika dia mengadukan kemiskinannya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan berserah kepada kekuasaanNya, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memberikannya pertolongan dengan serta-merta.

Berdasarkan hadits ini, jelas bahawa penyelesaian terhadap sesuatu masalah termasuk kemiskinan hidup itu adalah dengan mengadu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana hanya Dia sahajalah yang mampu menghilangkan kemiskinan hamba-hambaNya selain daripada berusaha menghasilkan yang terbaik untuk mengatasi kemiskinan hidup.

3. Mengumpul bara api Neraka Jahannam dengan perbuatan meminta-mintanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa meminta-minta kepada manusia demi memperbanyakkan hartanya, maka sesungguhnya dia mengumpul bara ap kerana itu terserahlah dia mahu menyedikitkan atau memperbanyakkan. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya yang mensyarahkan hadits-hadits riwayat Imam Muslim, bahawa hadits di atas merupakan larangan untuk meminta-minta.

4. Datang pada Hari Kiamat dengan tidak ada sekerat pun daging di wajahnya.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seseorang yang meminta-minta kepada orang lain sehingga dia datang pada Hari Kiamat dalam keadaan tiada sepotong pun daging pada wajahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari

Menurut Imam al-Khathabi Rahimahullâh, maksud ‘dalam keadaan tiada sepotong pun daging pada wajahnya’ sama ada bermaksud:

i. Datang pada Hari Kiamat dengan keadaan berjatuhan (lemah) tiada keupayaan dan tiada kemegahan, atau

ii. Dia diazab pada wajahnya sehingga berjatuhan dagingnya sebagai hukuman kesalahannya terhadap anggota kerana mengaibkan wajahnya dengan perbuatannya yang meminta-minta, atau

iii. Dia dibangkitkan dalam keadaan yang hanya tinggal tulang dan ini merupakan tanda untuk orang lain mengenalinya.

5. Mencakar wajah sendiri di Hari Kiamat disebabkan dengan perbuatannya meminta-minta.

Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundab Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Meminta-minta itu merupakan cakaran (kesan kupasan) yang dicakar oleh seseorang itu pada wajahnya (dengan perbuatan meminta-minta). Maka barang siapa yang mahu membiarkan (kesan) tersebut diwajahnya, lakukanlah. Dan barang siapa yang mahu tiada kesan di wajahnya, maka tinggalkanlah (perbuatan meminta-minta) kecuali meminta kepada orang yang mempunyai kuasa atau atas suatu perkara yang sangat perlu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadits tersebut, jelas menunjukkan bahawa dilarang meminta-minta kecuali kepada orang yang mempunyai kuasa atau pegawai yang dipertanggungjawabkan memegang pentadbiran Baitul-Mal. Selain itu juga, meminta-minta yang dibolehkan itu adalah apabila seseorang itu benar-benar berhajat kepada bantuan sepertimana orang yang ditimpa kemiskinan, bahkan diwajibkan meminta apabila dalam keadaan dharurat seperti tidak berpakaian (kerana tidak mampu mendapatkannya) atau berkeadaan lapar.

Celaan yang disebutkan jelas menunjukkan bahawa perbuatan meminta-minta adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Jika tidak kerana keperluan yang mendesak dan tiada keupayaan melakukan pekerjaan, barulah meminta-minta itu diharuskan.

Walau bagaimanapun setiap masalah itu ada penyelesaian dan sebaiknya setiap masalah dan kesulitan yang ada diadukan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Jika masalah itu pula membabitkan kesempitan ekonomi, berusahalah dan sedaya upaya elakkan daripada meminta-minta. Dengan keupayaan fizikal yang ada, lakukanlah apa sahaja pekerjaan halal kerana itu adalah lebih baik daripada meminta-minta.

Manakala bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai kelebihan rezeki, tidak salah untuk berkongsi sama kesenangan dan kelebihan yang diperolehi dengan orang-orang yang susah, bahkan inilah sedekah, iaitu perbuatan yang dituntut terhadap umat Islam dan dijanjikan ganjaran pahala. Selain dapat menyenangkan hati orang lain, amalan bersedekah ini juga mampu menyenangkan jiwa yang keresahan dan merupakan salah satu wasîlah melafazkan syukur kita terhadap ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang tidak pernah putus-putus dianugerahkanNya kepada hamba-hambaNya.

Jika hati berat untuk mengeluarkan sedikit bantuan atau pertolongan, ingatlah bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjanjikan ganjaran keluasan rezeki dan kemudahan mengatasi kesulitan serta berada di bawah lindunganNya bagi mereka yang menutupi kesusahan dan memudahkan urusan orang lain.

MENGHAYATI SUNNAH RASULULLAH SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WA SALLAM SATU TUNTUTAN

Lebih 1400 tahun yang lalu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengutus Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk menyampaikan risalah Islam bagi memandu umat manusia ke arah kejayaan dunia dan akhirat. Baginda telah berjaya menyebarkan Islam sehingga Islam mampu berdiri kukuh hingga ke saat ini. Baginda telah berjaya membangun struktur kehidupan yang menyeluruh dan sempurna bagi mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat, dengan menjadikan akhirat sebagai matlamat yang terakhir dan kekal abadi.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi penghormatan yang tiada tolok bandingnya dengan meletakkan kedudukan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada tempat yang tinggi dan amat istimewa di sisiNya. Begitu juga dalam kalangan umat Islam sendiri. Baginda amat dikasihi, dicintai, disanjung dan kemuliaan Baginda dipertahankan daripada sebarang unsur penghinaan yang boleh merosakkan nama baik dan imej Baginda.

Kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sering dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti keagamaan yang dianjurkan terutama bila menjelangnya bulan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Pelbagai bentuk acara yang diadakan sempena sambutan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya majlis berzikir termasuk berselawat, mendengar syarahan di masjid-masjid, membaca kisah Nabi seperti berzanji yang disudahi dengan bacaan do‘a serta ceramah agama dan seumpamanya. Semua ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Namun kecintaan seumpama ini akan lebih bermakna jika umat Islam lebih menghayati sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan dan mengajarkannya kepada generasi muda yang merupakan penerus umat masa depan bagi menjamin kejayaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Sebagai Panduan dan Bimbingan

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus kepada manusia keseluruhannya untuk mengajar mereka akan hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas mereka dan ajaran Baginda inilah dinamakan sunnah atau perjalanan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu pula merangkumi perkara aqidah, akhlak dan syariat (hukum). Sunnah Baginda meliputi semua perkara dalam kehidupan terutamanya memerintahkan manusia untuk taat kepada Allah Tuhan semesta alam dan beribadat kepadaNya, menyuruh manusia berakhlak mulia, menyuruh anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa, memerintahkan umat Islam untuk menuntut ilmu bagi menambah keimanan, memandu dalam perkara muamalat dan seumpamanya.

Kewajipan Mentaati Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus sebagai pemimpin dan pembimbing umat manusia dan alam seluruhnya. Baginda wajib diimani sebagai Nabi dan Rasul terakhir.

Umat Islam diwajibkan supaya mentaati Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Orang-orang yang mentaati Baginda bererti mereka mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia taat kepada Allah. (Surah an-Nisâ’:80)

Selain berkewajipan mentaati Baginda, kita juga diwajibkan memuliakan dan menghormati Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya (dalam menetapkan sesuatu hukum). (Surah al-Hujurât:1)

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa adalah tidak wajar bagi kita untuk menetapkan sesuatu hukum tanpa terlebih dahulu merujuk al-Qur’an dan as-sunnah. Kewajipan kita untuk menerima, melaksana atau mengamal suruhan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan meninggalkan larangan Baginda terkandung dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah (amalkanlah) dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya maka tinggalkanlah. (Surah al-Hasyr: 7)

Secara umumnya ayat ini membawa maksud bahawa kita wajib mengikut dan mentaati semua suruhan dan meninggalkan semua larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu perkara kecuali ia adalah perkara kebaikan dan tidak akan melarang suatu perkara melainkan ia akan menyebabkan keburukan atau kerosakan kerana semua itu datang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan dia tidak memperkatakan sesuatu menurut hawa nafsunya. Segala yang dikatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah an-Najm: 3-4)

Oleh yang demikian, apa jua perintah dan larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah berupa panduan dan bimbingan yang wajib diikuti dalam membina kehidupan yang cemerlang di samping sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.

Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Contoh Terbaik Akhlak Mulia

Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu merangkumi bimbingan ke arah membina akhlak mulia yang menjadi tuntutan dalam Islam. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memiliki akhlak yang sangat mulia dan ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)

Dalam satu riwayat, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pernah menjelaskan bahawa akhlak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah al-Qur’an apabila ditanyakan mengenai akhlak Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berakhlak al-Qur’an itu bermaksud Baginda adalah contoh ketaatan kepada suruhan dan larangan al-Qur’an. Apa yang diperintahkan al-Qur’an Baginda melakukannya dan apa yang dilarang al-Qur’an Baginda pasti meninggalkannya. Manakala karakter dan keperibadian Baginda juga mengikut sebagaimana al-Qur’an seperti sifat pemalu, pemurah, berani, pemaaf, lembut, tidak suka bermusuhan dan lain-lain sifat mulia.

Ketaatan Baginda yang tinggi kepada perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta akhlak mulia yang Baginda miliki menjadikan Baginda sebagai contoh modal insan bagi sesiapa yang ingin berjaya di dunia dan akhirat. Perkara ini disebut dengan jelas dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) Hari Akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah. (Surah al-Ahzâb: 21)

Maka, selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam segenap perkara dalam kehidupan. Manakala akhlak Baginda yang sering disebut di dalam al-Qur’an, hadits dan sîrah, janganlah hanya sekadar menjadi bahan bacaan, malahan hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan seharian agar kita dapat menjalani hidup di dunia selaras dengan apa tujuan kita diciptakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Sesungguhnya orang yang berpegang dengan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka dia adalah orang bahagia dan mulia. Manakala orang yang tidak mempedulikan sunnah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka dia adalah orang yang kecewa dan derhaka.

BAGAIMANA MENGHIDUPKAN SEPULUH HARI PERTAMA BULAN ZULHIJJAH?

Kelebihan Hari-hari Al-‘Asyr Al-Awâ’il

Bulan Zulhijjah adalah bulan suci yang sangat istimewa dan penuh dengan kebajikan serta keberkatan. Bulan Zulhijjah dikenali umum sebagai bulan yang dikhususkan padanya ibadat haji dan korban. Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa keistimewaan bulan Zulhijjah bukan setakat pada pensyariatan dua ibadat itu sahaja. Selain keistimewaan pada dua ibadat itu, perlu juga diketahui bahawa sepuluh hari pertama daripada bulan tersebut, atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai al-‘asyr al-awâ’il, adalah hari-hari yang agung dan sangat istimewa di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Sebenarnya sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah itu adalah lebih utama daripada hari-hari yang lain. Adapun hari Jumaat dalam lingkungan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah adalah lebih utama daripada hari-hari Jumaat pada hari-hari biasa, sementara hari ‘Arafah pula adalah hari yang paling afdhal dalam lingkungan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah itu.

Betapa agung dan istimewanya sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah itu sehinggakan amal salih yang dikerjakan di dalamnya adalah lebih afdhal daripada amal salih pada hari-hari lain. Bahkan amal salih di dalamnya dianggap lebih afdhal daripada pulang selepas berjuang pada jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Tidak ada amal salih yang lebih afdhal daripada amal salih pada hari-hari ini (sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya: “Dan tidak juga jihâd (mampu menandinginya)?” Baginda menjawab: “Dan tidak juga jihâd (mampu menandinginya), kecuali seorang yang keluar berjuang dengan jiwa dan hartanya lalu dia tidak kembali dengan suatu apa pun (mati syahîd).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Begitu istimewanya sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah itu sehinggakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah bersumpah dengannya dalam al-Qur’an. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Demi fajar. Demi malam-malam yang sepuluh. (Surah al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu ‘Abbas, ‘Abdullah bin az-Zubair, Qatadah, Mujahid dan ramai ahli tafsir salaf dan khalaf, maksud “malam-malam yang sepuluh” dalam ayat berkenaan ialah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah.

Atas dasar tidak mahu ketinggalan merebut keistimewaan ini, para salaf ash-shâlih umpamanya Sa‘id bin Jubair Rahimahullâh, apabila masuk sahaja sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dia akan berusaha mempertingkatkan amalnya dengan seluruh kemampuannya.

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh berkata: “Dan apa yang jelas, adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Sembahyang, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu-waktu yang lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.”

Amalan-amalan yang Dianjurkan pada Hari-hari Al-‘Asyr Al-Awâ’il

Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan amal salih sememangnya dituntut pada setiap masa. Bagaimanapun, terdapat beberapa masa serta keadaan di mana ia lebih dituntut serta ganjarannya lebih besar daripada masa serta keadaan yang lain. Ini adalah satu kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh sekalian hamba-hambaNya. Salah satu daripada hari-hari istimewa tersebut adalah hari-hari al-‘asyr al-awâ’il, iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini.

Tanggal 10 Zulhijjah sedia dimaklumi merupakan Hari Raya ‘Idul Adha yang diisi dengan takbîr, sembahyang sunat ‘Idul Adha, ibadat korban dan sebagainya. Jadi apa pula bentuk amalan untuk mengisikan sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ini?

Berikut beberapa amalan yang paling utama serta patut dikerjakan dan dilipatgandakan pada hari-hari tersebut, antaranya:

1. Memperbanyakkan sembahyang sunat.

Ibadat sembahyang adalah ibadat yang pertama sekali dihisab pada Hari Akhriat kelak. Sembahyang sunat secara khususnya pula mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana ia akan menjadi penampung terhadap kekurangan-kekurangan yang berlaku atau terdapat pada sembahyang fardhu. Ini menjadikan ia ibadat yang paling utama dan merupakan antara cara paling afdhal untuk taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga antara cara terbaik untuk memperoleh kecintaanNya sekaligus mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Memandangkan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini merupakan hari-hari amal ibadat yang padanya paling disukai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka amalan sembahyang-sembahyang sunat sayugia diperbanyakkan.

2. Puasa sunat.

Ibadat puasa juga merupakan antara amalan-amalan yang paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini.

Mengenai kelebihan amalan puasa pula, dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berfirman: “Semua amal ibadat anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali ibadat puasa.

Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah untukKu dan Aku sendiri yang akan mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun puasa sunat yang sangat dianjurkan pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ialah:

i. Puasa sunat ‘Arafah (9 Zulhijjah).

Hukum puasa sunat ‘Arafah adalah sunat mu’akkadah (yang sangat dituntut) bagi orang yang tidak mengerjakan haji dan ia adalah puasa yang paling utama dan paling dituntut pada hari-hari al-‘asyr al-awâ’il ini.

Sebaliknya orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berupaya untuk melaksanakan puasa.

Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir serta orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.

Puasa sunat ‘Arafah sangat besar fadhilatnya. Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Puasa hari ‘Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini bermaksud bahawa mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu diberikan ganjaran pengampunan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah dan setahun selepasnya.

Imam al-Mawardi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata bahawa ‘pengampunan’ dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran:

a. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.

b. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memeliharanya pada dua tahun tersebut dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun itu.

Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil sahaja. Ini kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sepertimana yang dinukil oleh Imam asy-Syaukani Rahimahullâh dalam kitabnya Nail al-Authâr, sekiranya orang yang mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka akan diampunkan pula baginya dosa-dosanya yang besar. Sekiranya dia tidak juga mempunyai dosa-dosa besar, maka puasanya itu akan mengangkat darjatnya.

ii. Puasa keseluruhan hari pertama hingga sembilan Zulhijjah.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, puasa sunat pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah merupakan puasa sunat yang sangat-sangat dituntut dan digalakkan.

Salah satu dalil pensyariatan puasa ini ialah hadits yang diriwayatkan daripada salah seorang isteri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

3. Memperbanyakkan zikir.

Perkara ini ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di mana Baginda menggalakkan supaya memperbanyakkan zikir pada hari-hari tersebut.

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah serta tidak ada hari-hari di mana amalan pada hari-hari tersebut lebih disukai olehNya lebih daripada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini. Maka perbanyakkanlah pada hari-hari itu tahlî, takbîr dan tahmîd. (Hadits riwayat Ahmad)

Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata: “Dan berzikirlah kamu mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di hari-hari yang tertentu iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah serta hari-hari yang tertentu bilangannya iaitu hari-hari tasyrîq.”

Imam al-Bukhari Rahimahullâh berkata dalam Shahîhnya: “Adapun Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhum keluar ke pasar pada sepuluh hari-hari pertama bulan Zulhijjah dan bertakbîr, lalu orang ramai (yang mendengarnya) turut sama bertakbîr.”

Inilah sebahagian amalan yang elok dilipatganda dan diperbanyakkan pada hari-hari al-‘asyr al-awâ’il itu. Selain itu, banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan seperti memperbanyakkan sedekah, berdo‘a, membaca al-Qur’an, berselawat dan sebagainya. Jangan biarkan hari-hari istimewa ini berlalu begitu sahaja tanpa direbut segala kelebihan-kelebihan yang ada padanya kerana ini adalah peluang keemasan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta mengangkat darjat di sisiNya. Kita tidak tahu adakah kita masih berpeluang lagi menemuinya selepas ini ataupun sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5896