Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Irsyad hukum 2016

MENYEBAR HADITS MELALUI MEDIA SOSIAL

Umat Islam diperintahkan untuk mentaati ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan menjadikan Baginda sebagai qudwah atau ikutan. Ketaatan terhadap perintah ini, serta kecintaan yang tinggi terhadap Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, merupakan antara pendorong utama yang membuatkan setiap umat Islam apabila terdengar atau terbaca segala apa yang dinisbahkan kepada Baginda akan berasa teruja untuk mengamalkan dan seterusnya menyebarkannya kepada yang lain supaya pahala amal kebajikan itu sama-sama diperolehi.

Realiti yang kita nampak pada hari ini, aplikasi-aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Telegram, Instagram dan sebagainya seakan-akan menjadi trend dan keperluan semasa. Aplikasi-aplikasi media sosial seumpama ini, tidak dinafikan mempunyai banyak kebaikan yang tersendiri. Antaranya, ia membantu mengeratkan hubungan silaturahim dengan mempermudahkan perhubungan sesama keluarga serta sahabat handai. Ia juga merupakan platform terpantas bagi penyebaran dan perkongsian berita, maklumat ataupun ilmu.

Bagaimanapun, dalam kealpaan serta “keiskian” budaya “copy&paste”, sebilangan orang mudah terlupa akan satu hakikat yang sangat penting, iaitu tidak semua berita, maklumat ataupun ilmu yang viral atau tersebar dalam media sosial itu adalah shahîh dan tepat. Bahkan adakalanya ia hanya khabar palsu semata-mata, atau maklumat yang salah ataupun berita yang tidak betul. Antara bahan yang sering dikongsikan dalam aplikasi-aplikasi berkenaan ialah petikan daripada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa menyebarkan sesuatu ilmu yang berguna kepada orang lain merupakan satu ibadat yang mendatangkan pahala, lebih-lebih lagi jika yang disebarkan itu adalah hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang merupakan sumber tasyri‘ Islam yang kedua selepas al-Qur’an. ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat… (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa saranan supaya menyampai dan menyebarkan hadits-hadits Baginda itu ada batas-batas serta syarat-syaratnya. Antara perkara yang paling penting untuk diambil perhatian ialah hadits tersebut mestilah tsabit nisbahnya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bukan hadits-hadits yang mardud (tertolak) seperti hadits yang bertaraf dha‘îf jiddan (sangat lemah) apatah lagi hadits maudhû‘ (hadits palsu atau direka-reka).

Budaya penyebaran hadits semakin menjadi-jadi dan berleluasa akhir-akhir ini. Terutama sekali melalui platform aplikasi-aplikasi media sosial. Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah ada di antara hadits-hadits yang disebarkan itu adalah hadits maudhû‘.

Apakah dia hadits maudhû‘ itu? Apakah hukum meriwayat, mereka-reka atau menyebarkannya? Terlepaskah seseorang itu daripada dosa sekiranya dia meriwayat atau menyebarkan hadits maudhû‘ secara tidak sengaja, umpamanya kerana jahil, lalai atau kurang berhati-hati?

Definisi Hadits Maudhû‘

Hadits palsu atau dalam bahasa Arabnya dinamakan hadits maudhû‘ (موضوع) ialah apa sahaja perkataan, perbuatan serta lainnya yang dinisbahkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara palsu atau dusta.

Dalam erti kata lain, hadits maudhû‘ adalah segala kata-kata, perbuatan serta lainnya yang dinisbahkan kepada Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, padahal semua yang dinisbahkan kepada Baginda itu langsung tidak pernah disabdakan atau dilakukan oleh Baginda. Oleh sebab itu, hadits maudhû‘ bukanlah “hadits” pada hakikatnya. Bahkan ia disebut sebagai “hadits” semata-mata berdasarkan dakwaan perekanya atau perawinya sahaja.

Hadits maudhû‘ berasal daripada bermacam-macam sumber. Adakalanya hadits maudhû‘ tersebut sebenarnya adalah kata-kata para sahabat, kata-kata para ulama, kata-kata hikmah, kata-kata doktor perubatan, isrâ‘îliyyât (perkhabaran yang bersumber daripada kitab-kitab kaum Yahudi dan Nashrani) atau sebagainya yang dinisbahkan secara salah kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini berlaku sama ada secara sengaja atas tujuan-tujuan tertentu atau secara tidak sengaja atas sebab jahil, kurang ilmu, cuai dan sebagainya.

Malahan, ada juga hadits maudhû‘ yang sengaja direka sendiri oleh seseorang lalu dia sendiri menisbahkan kata-kata tersebut kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam padahal kata-kata tersebut langsung tidak pernah dituturkan oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini dilakukan dengan niat dan cara yang tertentu, iaitu:

1. Mencipta dengan niat baik, umpamanya bagi tujuan at-targhîb wa at-tarhîb, iaitu menganjurkan supaya orang ramai beribadat atau melarang daripada maksiat dengan mereka-reka ganjaran pahala atau fadhilat yang besar bagi sesuatu amalan (ibadat) dan mereka-reka balasan buruk atau azab ngeri bagi sesuatu perlakuan maksiat.

2. Mencipta dengan niat buruk, umpamanya dia mencipta hadits palsu bagi merosakkan ajaran serta nama baik agama Islam, menyebarkan bid‘ah sesat, khurafat, ajaran sesat, atas dasar kepentingan peribadi atau bagi menyokong atau menolak pendapat sesuatu aliran, pegangan atau kepercayaan, kerana suka atau benci kepada seseorang, taksub atau benci kepada suatu mazhab atau kerana ingin menarik perhatian orang ramai supaya suka, terpesona dan takjub mendengar ceramah atau khutbahnya dengan mereka-reka hadits tentang kisah-kisah yang ajaib dan pelik serta tujuan-tujuan yang lainnya.

Hukum Meriwayat dan Menyebarkan Hadits Maudhu’

Hadits maudhû‘ adalah seburuk-buruk hadits dalam lingkungan kategori hadits dha‘îf, yang paling berbahaya dan paling mudarat ke atas agama serta umat Islam.

Para ulama hadits, termasuk jumhûr ulama salaf dan khalaf sepakat mengatakan bahawa hukum meriwayat atau menyebarkan hadits maudhû‘ adalah haram jika orang itu mengetahui bahawa hadits tersebut adalah hadits maudhû‘. Tidak kira sama ada hadits maudhû‘ itu adalah dalam perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam, kisah-kisah, at-targhîb wa at-tarhîb atau sebagainya.

Bagaimanapun, tidak haram hukumnya jika ia diriwayatkan dengan tujuan untuk memperjelaskan kedudukannya sebagai hadits maudhû‘ supaya orang ramai mengenali dan mengetahui bahawa ia adalah hadits palsu yang tidak tsabit nisbahnya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Keharusan meriwayatkannya itu hanyalah bagi tujuan untuk memperingatkan orang ramai supaya berwaspada serta menjauhi hadits-hadits berkenaan.

Larangan meriwayatkan atau menyebarkan hadits maudhû‘ tidak hanya terbatas kepada hadits-hadits yang nyata atau diyakini palsunya sahaja, bahkan hadits-hadits yang diragui ketsabitannya pun termasuk dalam larangan ini. Ini jelas sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dalam Shahîhnya bahawa Samurah bin Jundab dan al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhumâ telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang meriwayatkan daripadaku suatu hadits sedangkan dia menyangka bahawa hadits itu adalah dusta, maka dia adalah salah seorang daripada pendusta-pendusta itu. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaani Rahimahullâh, hadits ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang meriwayatkan suatu hadits yang dia sendiri ragu akan ketsabitannya, yakni dia khuatir bahawa hadits tersebut berkemungkinan palsu, lalu dia tetap juga meriwayatkannya, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengganggap dia sama bersekutu dengan orang yang mencipta hadits maudhû‘ tersebut. Jika kerana ‘ragu’ atau ‘khuatir’ pun sudah dikategorikan sedemikian, apatah lagi jika seseorang itu meriwayatkan atau menyebarkan suatu hadits yang dimaklumi palsu kemudian dia sengaja pula meriwayatkannya tanpa menjelaskan kedudukannya.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata: “Haram hukumnya meriwayatkan hadits maudhû‘ bagi sesiapa yang mengetahui bahawa ia adalah hadits maudhû‘ ataupun dia merasakan bahawa ia adalah hadits maudhû‘. Maka barang siapa yang meriwayatkan satu hadits sedangkan dia tahu atau merasakan bahawa ia adalah hadits maudhû‘, lalu dia tidak menerangkan kepalsuan hadits itu dalam periwayatannya, maka dia termasuk dalam janji buruk tersebut.”

Imam al-Mulla ‘Ali al-Qari Rahimahullâh pula berkata: “Kemudian barang siapa yang meriwayatkan satu hadits daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sedangkan dia sendiri syak tentang hadits tersebut; adakah ia shahîh ataupun tidak shahîh, maka dia merupakan salah seorang daripada para pendusta itu.”

Jelasnya daripada kenyataan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Imam an-Nawawi serta Imam al-Mulla ‘Ali al-Qari’ Rahimahumullâh ini, amaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas atau tertumpu kepada mereka yang tahu bahawa hadits yang mereka riwayatkan, bawakan ataupun sebarkan itu adalah hadits maudhû‘, bahkan mereka yang memiliki walau sekelumit keraguan akan ketsabitan hadits berkenaan pun turut termasuk dalam amaran tersebut.

Meriwayat atau menyebarkan hadits maudhû‘ tanpa menjelaskan bahawa ia adalah hadits palsu, tidak syak lagi merupakan satu dosa serta jenayah yang sangat besar. Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Mughirah Radhiallâhu ‘anhum serta ramai sahabat lainnya meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang melakukan pendustaan terhadapku, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadits ini merupakan satu amaran keras ke atas siapa sahaja yang berdusta atau menisbahkan apa sahaja bentuk dusta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Janji neraka dalam hadits berkenaan sudah cukup menggambarkan bahawa perbuatan meriwayat atau menyebarkan hadits maudhû‘ merupakan satu jenayah yang sangat besar di sisi Islam. Ia satu perbuatan khianat dan derhaka yang selayaknya ditakuti dan dijauhi oleh seluruh umat Islam. Bahkan menurut Imam Abu Muhammad al-Juwaini Rahimahullah, perbuatan ini jika disengajakan akan mengakibatkan kekufuran. Bagaimanapun, jumhûr berpendapat bahawa ia tidaklah mengakibatkan kekufuran melainkan jika pelakunya beriktikad bahawa berdusta ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah sesuatu yang halal dan dibenarkan.

Imam az-Zahabi Rahimahullâh pula berkata dalam kitabnya al-Kabâ‘ir bahawa melakukan satu dusta terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan menisbahkan sesuatu kepadanya secara bohong boleh mengakibatkan kekufuran sekiranya ia dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram, katanya: “Dan tidak syak lagi bahawa perbuatan sengaja berdusta terhadap Allah Ta‘ala serta RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram sudah memadai untuk mengakibatkan kekufuran…”

Berhati-hati Menyebarkan Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam di Media Sosial

Telah pun dijelaskan sebelum ini bahawa meriwayat dan menyebarkan hadits maudhû‘ merupakan satu dosa besar dan satu perbuatan yang dijanjikan neraka. Kita juga dilarang daripada meriwayat dan menyebarkan hadits-hadits yang dikhuatiri maudhû‘ atau berkemungkinan tidak tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Bagaimana pula kedudukannya jika perkara ini dilakukan bukan dengan sengaja dan bukan dengan niat buruk, akan tetapi disebabkan jahil, lalai, silap atau kurang berhati-hati dalam mengambil maklumat? Hal ini berlaku di kalangan sebilangan masyarakat yang suka mengongsikan dan menyebar-nyebarkan (ataupun yang lebih dikenali pada masa ini dengan istilah share, forward atau copy&paste) apa sahaja yang diterimanya tanpa usul periksa. Termasuk dalam sebaran serta perkongsian tersebut adalah hadits-hadits maudhû‘ dan tidak ada asalnya. Adakah ia termasuk dalam kecaman serta janji buruk yang disebutkan itu? Atau adakah golongan ini dimaafkan atas kejahilan serta kecuaian mereka?

Menurut ulama, berhati-hati dalam mengambil dan menyebarkan hadits hukumnya wajib. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sebagai menjaga kesucian hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sayugia tidak diterima mana-mana hadits kecuali daripada sumbernya yang betul serta ahlinya yang mu‘tabâr.

Ulama-ulama besar Islam sangat bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam menilai keshahîhan sesuatu hadits sekalipun mereka adalah orang-orang yang diperakui dan tinggi ilmunya. Sebagai contoh, Imam al-Auza‘i Rahimahumullâh, sebaik sahaja mendengar suatu hadits, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada pakar-pakar hadits untuk mendapatkan kepastian tentang status keshahihannya.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri menegah daripada meriwayatkan dan menyebarkan hadits kecuali jika hadits tersebut benar-benar tsabit shahîh daripada Baginda.

Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya beliau telah mendengar Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda di atas mimbar:

Maksudnya: Wahai sekalian manusia, jauhi oleh kamu terlalu banyak meriwayatkan hadits daripadaku. Barang siapa yang menisbahkan sesuatu kata kepadaku, maka janganlah dia berkata-kata kecuali yang hak - atau semata-mata yang benar. Maka barang siapa menisbahkanse suatu kata kepadaku padahal aku sendiri tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka. (Hadits riwayat Ibnu Majah, ad-Darimi dan Ahmad)

Jika kita baca serta amat-amati sirah para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mendampingi serta mendengar sendiri hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara langsung daripada Baginda, kita dapati mereka ini sangat berhati-hati serta sangat berwaspada dalam meriwayatkan sesuatu hadits. Mereka tidak akan meriwayatkan suatu hadits kecuali jika mereka benar-benar yakin akan ketepatan periwayatan mereka itu.

Ini tidak lain adalah kerana mereka khuatir akan melakukan kesilapan dalam periwayatan mereka yang mungkin sekaligus akan mengakibatkan mereka menisbahkan sesuatu yang tidak benar kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara tidak sengaja. Sikap ini lahir daripada keikhlasan serta kesungguhan mereka untuk memelihara kemurnian agama Islam serta mempertahankan kesucian sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Bukan itu sahaja, bahkan dalam menerima hadits yang didatangkan oleh para sahabat yang lain pun mereka ini cukup tegas, ketat dan kritis. Ini jelas dengan adanya beberapa riwayat di mana para sahabat menuntut daripada perawi yang juga daripada golongan sahabat supaya bersumpah atau mendatangkan saksi bagi membuktikan bahawa riwayat yang mereka bawakan adalah tsabit dan shahîh daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini bukan kerana mereka ragu, buruk sangka atau kurang percaya akan para sahabat yang lain, jauh sekali menuduh mereka berdusta, tetapi mereka lakukan semata-mata kerana mahu memastikan hadits-hadits Baginda suci dan selamat daripada sebarang kekurangan atau tokok tambah. Dengan ini, kesucian dan ketulenan syariat Islam akan terus terpelihara.

Bagaimanapun, sikap prihatin serta waspada para sahabat ini tidaklah menghalang atau membantutkan usaha mereka daripada menyebarkan hadits serta ajaran Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Sememangnya tidak ada golongan yang lebih tekun dan bersungguh-sungguh berjuang dalam mempertahan dan menyebarkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lebih daripada para sahabat Baginda yang diredhai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini. Sikap prihatin serta waspada para sahabat ini sewajarnya dicontohi dan sepatutnya menjadi peringatan supaya sentiasa berhati-hati dalam meriwayat dan menyebarkan hadits Baginda.

Apabila para sahabat serta para ulama mu‘tabâr salaf dan khalaf sangat berwaspada serta sangat berhati-hati dalam meriwayat, menerima riwayat serta menyebarkan hadits-hadits Baginda, maka siapakah kita ini untuk bertindak terburu-buru, selarah-larahnya dan dengan sewenang-wenangnya menyebarkan setiap hadits tanpa usul periksa serta tanpa merujuk dahulu kepada ahlinya?

Seseorang yang meriwayat atau menyebarkan hadits palsu secara tidak sengaja, umpamanya kerana jahil, terlupa, tersilap, terlalai dan seumpamanya menurut hukum asalnya tidaklah berdosa. Ini kerana dalam syara‘, perbuatan tidak sengaja seperti itu adalah dimaafkan daripada menanggung dosa. Bagaimanapun, perbuatan ini jika dilakukan secara terus-menerus akan mengakibatkan dosa, iaitu dosa kerana cuai dan tidak menanamkan sikap berhati-hati dalam menyebarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Sikap suka meriwayat atau menyebarkan hadits tanpa usul periksa dan tanpa memastikan dahulu akan ketsabitannya sewajarnya dijauhi. Imam ad-Darimi Rahimahullâh berkata sepertimana yang dinukilkan daripadanya oleh Imam at- Tirmidzi Rahimahullâh, bahawa sesiapa yang meriwayat atau menyebarkan hadits sedangkan keaslian serta ketsabitan hadits tersebut daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak diketahui, maka dikhuatiri dia termasuk dalam golongan yang dijanjikan ancaman neraka.

Penulis kitab al-Minhaj al-Hadits fi ‘Ulum al-Hadits, iaitu Ustaz Doktor Syarf al- Qudhah Hafizhahullâh pula menyatakan dalam kitab tersebut bahawa seseorang yang menyebut atau meriwayatkan satu hadits maudhû‘ sedangkan dia sendiri jahil dan tidak mengetahui kedudukan hadits yang diriwayatkannya itu, maka dia menanggung dosa.

Daripada penjelasan-penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sikap tidak berwaspada serta membiarkan diri jahil hukum dan ilmu agama bukanlah suatu keuzuran yang boleh dipertimbangkan syara‘ untuk seseorang itu bebas melakukan apa sahaja tanpa usul periksa, terutama dalam hal menjaga keshahîhan sumber tasyri‘ kedua Islam iaitu hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Malah, jika dilihat dari sudut pengertian “dusta” itu sendiri, menurut Ahli as- Sunnah ia bermaksud “mengkhabarkan sesuatu secara bertentangan dengan kebenaran, sama ada dengan sengaja atau pun tidak sengaja”. Menurut Imam an- Nawawi Rahimahullâh, definisi ini adalah definisi “dusta” yang tepat dan masyhûr dalam pegangan Ahli as-Sunnah. Maka, menurut definisi atau takrifan ini, selagimana perkhabaran yang disampaikan itu tidak shahîh, tidak kira sama ada ia dilakukan secara sengaja ataupun tidak dan tidak kira sama ada dia mengetahui atau pun jahil mengenainya, semua itu termasuk dalam kategori melakukan “dusta”.

Pendapat Ahli as-Sunnah ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadits shahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sudah memadai seorang itu dikirakan sebagai pendusta apabila dia menyampaikan segala apa yang dia dengar. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini secara umum mencela dan menegah daripada mengambil, menyampaikan atau memberitakan segala apa sahaja yang kita dengar tanpa usul periksa. Jika tidak berhati-hati dalam menyampaikan perkara-perkara biasa pun sudah mendapat tegahan serta celaan, apatah lagi tidak berhati-hati dalam menyampaikan perkara-perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Perlu diingat bahawa menisbahkan suatu dusta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu tidak sama dengan menisbahkan suatu dusta kepada orang lain. Jika berdusta itu secara umum adalah dicela dan merupakan satu dosa, sudah setentunya melakukan pendustaan terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah lebih hebat celaannya dan lebih besar dosanya.

Al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya pendustaan terhadapku tidak sama seperti pendustaan terhadap orang lain. Barang siapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mendengar dan menerima hadits daripada sumber yang diragui wajib dijauhi. Imam Ibnu Sirin Rahimahullah pernah berkata: “Sesungguhnya ilmu ini (hadits) adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.”

Dengan menanamkan sikap prihatin dan waspada dalam menerima hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini, kita dengan sendirinya telah melakukan suatu khidmat yang sangat besar dalam memperjuangkan kesucian sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan menjadi perisai yang menghalang dan menghentikan penyebaran hadits palsu daripada menyelinap masuk ke dalam syariat Islam. Inilah bukti kecintaan sejati terhadap Rasul junjungan kita Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Kita perlu menanamkan sikap sentiasa berawas-awas dalam menerima setiap ilmu serta maklumat. Ini kerana setiap ilmu serta maklumat yang kita dengar, baca dan sebagainya sudah pasti tidak akan lari daripada dua keadaan; sama ada ia sesuatu yang tsabit dan benar ataupun sebaliknya. Jika segala ilmu dan maklumat itu diterima bulat-bulat dan disebarkan tanpa berawas-awas dan tanpa usul periksa, ini tidak syak lagi akan memungkinkan kita terjerumus melakukan pendustaan.

Dalam menerima setiap sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sikap prihatin, waspada serta berhati-hati perlu ada dalam diri setiap individu Muslim. Sayugia tidak diamalkan serta tidak disebarkan sesuka hati tanpa merujuk terlebih dahulu kepada para ulama serta ahli-ahlinya yang berkelayakan terutama sekali yang beredar di laman sesawang mahupun melalui aplikasi-aplikasi media sosial.

Apa yang sewajarnya dilakukan ialah kita teliti kandungan maklumat yang diterima. Jika telah pasti keshahîhan atau kebenaran maklumat yang diterima itu, barulah kita kongsikan atau menyebarkannya terutama sekali yang berhubung dengan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

KONSEP BID‘AH MENURUT PERSPEKTIF SYARIAT ISLAM

Bid‘ah merupakan satu isu yang bukan sahaja menjadi perbincangan besar di kalangan para ulama, bahkan ia juga turut menjadi topik hangat perbualan serta perbahasan segelintir golongan awam. Apabila disebut sahaja perkataan bid‘ah, seringkali ia akan mendatangkan tanggapan negatif pada sebilangan orang. Ini kerana menurut mereka, bid‘ah itu sinonim dengan kesesatan berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baharu diadakan, kerana tiap-tiap perkara yang baharu diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Akan tetapi betulkah tanggapan tersebut? Adakah benar hadits tersebut membawa maksud sepertimana yang difahami golongan berkenaan?

Definisi Bid‘ah

Bid‘ah menurut bahasa bererti sesuatu yang baharu direka atau diadakan, tanpa contoh atau asal yang seumpamanya sebelum itu dan tiada kebiasaan sepertinya. Tidak kira sama ada dalam urusan agama ataupun urusan lainnya.

Adapun menurut istilah syara‘ pula, para ulama berbeza pendapat:

1. Imam asy-Syafi‘e, Imam ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Salam, Imam an-Nawawi dan lainnya berpendapat bahawa bid‘ah adalah sesuatu yang baharu, yang tidak ada dalam al-Qur’an dan as-Sunnah atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Tidak kira sama ada ia adalah sesuatu yang tercela dan dikeji ataupun sebaliknya.

Menurut pendapat ini, bid‘ah itu menurut istilah syara‘ ada yang baik dan terpuji serta ada pula bid‘ah yang buruk dan tercela.

2. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa bid‘ah menurut istilah syara‘ adalah tiap sesuatu yang baharu, yang berlawanan dengan sunnah. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Ibnu Rajab dan lain-lain.

Menurut pendapat ini, sesuatu yang baharu itu, jika ia tidak bertentangan dengan sunnah, maka ia dinamakan bid‘ah dari segi bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah suatu yang baharu direka atau baru diadakan. Manakala jika ia bertentangan dengan sunnah pula, maka ia adalah bid‘ah menurut istilah syara‘.

Konsep Bid‘ah Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah

Secara asasnya, terdapat dua pendapat mengenai konsep bid‘ah menurut ulama mazhab Ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Penjelasannya seperti berikut:

Pendapat Pertama:

Menurut Imam asy-Syafi‘e, Imam an-Nawawi, Imam ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Salam dan lainnya, bid‘ah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1. Bid‘ah hasanah (yang baik atau bagus) atau bid‘ah mahmûdah (yang terpuji).

Bid‘ah hasanah atau bid‘ah mahmûdah adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, akan tetapi perkara tersebut masih termasuk di bawah dalil khas atau dalil am dari al-Qur’an atau hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau atsar para sahabat atau ijmâ‘ ulama Islam.

2. Bid‘ah sayyi’ah (yang buruk) atau bid‘ah dhalâlah (yang sesat).

Bid‘ah sayyi’ah atau bid‘ah dhalâlah pula adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, dan perkara itu menyalahi dalil dari al-Qur’an, atau menyalahi dalil dari hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, atau menyalahi atsar para Sahabat atau menyalahi ijmâ‘ ulama Islam. Dalam ertikata lain, ia menyalahi akan hukum-hukum syara‘ dan menyalahi akan dalil syara‘ yang khas mahupun dalil syara‘ yang am.

Adapun pengukur atau cara untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu termasuk dalam kategori bid‘ah hasanah ataupun bid‘ah sayyi’ah adalah melalui mizan (timbangan) syara‘. Apabila perkara yang baharu itu termasuk dalam perkara yang dinilai baik oleh syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah bid‘ah hasanah. Sebaliknya apabila perkara yang baharu itu termasuk dalam perkara yang dinilai buruk oleh syara‘, maka ia adalah bid‘ah sayyi’ah.

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata: “Perkara-perkara yang baru diadakan itu terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Perkara baharu yang bercanggah dengan al-Qur’an, atau as- Sunnah, atau atsar para sahabat atau al-ijmâ‘. Maka perkara seumpama ini adalah bid‘ah yang sesat.

Kedua: Perkara baharu yang baik yang tidak bercanggah dengan satu pun daripada al-Qur’an, as-sunnah, atsâr para sahabat atau al-ijmâ‘. Ini adalah perkara-perkara baharu yang tidak tercela.

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh berkata dalam kitabnya an-Nihâyah fi Gharîb al-Hadîts wa al-Atsâr: “Bid‘ah ada dua: Bid‘ah hidâyah dan bid‘ah sesat. Maka segala apa yang bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah dalam kategori (bid‘ah) yang tercela dan ditegah dan segala apa yang termasuk di bawah umum perkara yang dianjurkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula adalah termasuk dalam kategori (bid‘ah) yang terpuji.

Dan segala apa yang belum ada contoh seumpamanya (sebelum itu) seperti semua jenis perbuatan yang berupa kebajikan dan kemurahan hati serta semua jenis perbuatan yang ma‘rûf, adalah tergolong dalam kategori perbuatan yang terpuji.

Segala perbuatan (yang berupa kebajikan, kemurahan hati serta segala jenis perbuatan yang ma‘rûf) ini tidak mungkin tersenarai dalam perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syara‘ (sungguhpun ia tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menjanjikan baginya (segala perbuatan yang baik itu) ganjaran pahala. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Barang siapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam Ibnu al-‘Arabi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya ‘Aridhah al- Ahwazi bi Syarh Jame‘ at-Tirmidzi bahawa bid‘ah atau muhdats (sesuatu yang baru diadakan) itu tidak dikira tercela hanya kerana secara lafaznya ia digelar dengan perkataan bid‘ah atau muhdats. Katanya: “Adapun sesungguhnya dicela daripada perkara bid‘ah itu ialah apa-apa yang menyalahi sunnah dan dicela daripada perkara muhdats itu ialah apa-apa yang mengajak kepada kesesatan.”

Pendapat Kedua:

Menurut pendapat sebilangan ulama lain pula, penisbahan bid‘ah terhadap perkara-perkara baharu yang ada dasarnya dalam hukum syara‘ itu adalah dari sudut bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah sesuatu yang baharu yang tidak ada contoh, tidak ada asal serta tidak ada kebiasaan yang sepertinya sebelum itu. Manakala perkara-perkara baharu yang tidak ada dasarnya dalam hukum syara‘ atau bercanggah dengan hukum syara‘ pula adalah bid‘ah dari sudut istilah syara‘.

Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, katanya: “Manakala segala apa yang ada baginya asal atau dasar menurut dalil syara‘, maka ia bukanlah bid‘ah (dalam istilah syara‘). Adapun bid‘ah yang dimaksudkan dalam istilah syara‘ itu adalah semua bid‘ah yang tercela, manakala (bid‘ah) dari segi bahasa pula adalah sebaliknya (tidak semuanya tercela) kerana sesungguhnya (dari segi bahasa), setiap sesuatu yang baharu yang tidak ada contoh yang seumpamanya sebelum itu (semuanya) dinamakan bid‘ah, tidak kira sama ada ia adalah (bid‘ah) yang terpuji ataupun (bid‘ah) yang tercela.”

Kata-kata seumpama ini juga ada diriwayatkan daripada beberapa ulama lain, antaranya Imam Ibnu Rajab Rahimahullâh, yang berkata dalam kitabnya Jame‘ al- ‘Ulûm wa al-Hikam: “Adapun yang dimaksudkan dengan bid‘ah adalah segala apa yang baru diadakan, yang tidak ada asal dalam hukum syara‘ yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syariat). Manakala segala apa yang ada asal dalam hukum syara‘ yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syariat), maka ia bukan bid‘ah dari segi syara‘, bahkan ia adalah bid‘ah dari segi bahasa (semata-mata).”

Pendapat para ulama yang dinukilkan di atas, sungguhpun pada zahirnya terdapat perbezaan pendapat di antara mereka dari segi takrif atau definisi, ia tetap menjurus kepada satu natijah yang sama, iaitu tidak semua perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah buruk dan tercela sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, bahkan pada hakikatnya ada sesetengah ‘bid‘ah’ itu adalah perkara-perkara yang terpuji dan berkebajikan.

Ini berdasarkan dalil-dalil yang tsabit dan shahîh, antaranya sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mengada-adakan (sesuatu yang baharu) pada urusan kami ini (syariat), padahal ia bukan sesuatu daripadanya, maka ia adalah tertolak. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mafhûm hadits ini ialah sesiapa sahaja yang membuat atau mengada-adakan sesuatu perkara dalam Islam dengan sesuka hatinya, dengan mendakwa bahawa perkara itu ada dalam agama Islam, padahal perkara itu tidak ada dalam agama Islam, maka ia adalah tertolak dan jadi sia-sia, bahkan sebaliknya dia akan mendapat dosa dan masuk neraka.

Dapat juga difahami daripada hadits ini, serta daripada pendapat-pendapat ulama yang telah disebutkan tadi, bahawa setiap sesuatu yang baharu itu akan menjadi tertolak dan tercela hanya apabila ia menyalahi dan bertentangan dengan hukum syara‘. Maka selagimana sesuatu itu tidak bertentangan dengan hukum syara‘ dan tidak wârid nash yang menegah atau mencelanya, walaupun ia tidak ada dan tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka ia tidak semestinya termasuk dalam perkara yang tertolak dan tercela sepertimana yang disebutkan dalam hadits shahîh di atas.

Hukum Sesuatu Bid‘ah Tertakluk Kepada Hukum Syara‘

Telah dijelaskan sebelum ini bahawa segala perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu tidak semuanya buruk dan tercela, dan tidak pula semuanya baik dan terpuji. Imam Ibnu Hajar al- ‘Asqalani Rahimahullâh berkata: “Dan semua yang belum ada pada zaman Baginda itu dinamakan bid‘ah (dari segi bahasa). Akan tetapi antaranya ada yang baik dan antaranya pula ada yang sebaliknya (yang buruk).”

Adapun hukum segala perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tertakluk kepada kedudukannya dalam hukum syara‘. Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad- Dîn: “Maka tidak semua perkara yang baru dibuat itu tertegah. Adapun yang tertegah itu adalah bid‘ah yang bercanggah dengan sunnah yang tsabit… Bahkan membuat sesuatu perkara baharu itu adakalanya menjadi wajib dalam sebahagian keadaan…”

Ini turut disokong dan diperjelaskan lagi oleh Imam ‘Izzuddin Abdul ‘Aziz bin Abdussalam Rahimahullâh seorang ulama mazhab asy-Syafie. Beliau ada menyatakan dalam kitabnya Qawa’id al-Ahkam Fi Islah al-Anam bahawa setiap perkara bid‘ah itu termasuk di bawah salah satu daripada hukum syara‘ yang lima iaitu; wajib, haram, sunat, makruh dan mubah. Penjelasannya adalah seperti berikut:

1. Bid‘ah wâjibah.

Bid‘ah wâjibah bermaksud bid‘ah yang wajib. Contohnya, mempelajari kaedah nahu Bahasa Arab untuk memahami isi-isi Kalâmullâh (al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bagi menjaga syariat Islam. Ini kerana ayat-ayat al-Qur’an serta matn (lafaz) hadits Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam tercatat dalam bahasa Arab.

Ia termasuk dalam bid‘ah wâjibah kerana menjaga syariat agama Islam itu hukumnya wajib. Tanpa penguasaan Bahasa Arab yang sempurna, tuntutan ini tidak mungkin akan dapat dilaksanakan kerana penguasaan Bahasa Arab merupakan salah satu ilmu asas yang wajib dan utama untuk memahami isi-isi al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini sepertimana kaedah yang masyhur iaitu “sesuatu yang wajib, tetapi ia tidak sempurna kecuali dengan sesuatu yang lain, maka hukum sesuatu yang lain itu juga menjadi wajib”.

Jadi walaupun perkara seumpama ini dinamakan ‘bid‘ah’ kerana ia sesuatu yang baharu yang tidak ada dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, hukum mengadakannya adalah wajib kerana ia merupakan keperluan untuk melaksanakan perkara yang wajib, iaitu menjaga syariat agama Islam.

Termasuk juga dalam perkara bid‘ah wâjibah ini perkara-perkara wajib yang lain seperti mempelajari ilmu Tafsir, ilmu Hadits, ilmu Tauhid, ilmu Fiqh, ilmu Ushul Fiqh dan lain-lain yang seumpamanya bagi memahami agama Islam serta memelihara kesuciannya dan memperteguhkan syi‘arnya.

2. Bid‘ah muharramah.

Bid‘ah muharramah adalah segala perbuatan yang menyimpang, bertentangan dan menyalahi ajaran serta hukum syara‘ seperti ajaran golongan Mujassimah yang menjadikan tuhan mereka sebagai berhala dan lain-lain golongan yang menyalahi ajaran Ahli Sunnah Wa- Jama‘ah seperti mazhab dan ajaran golongan Qadariyyah, Murji’ah, Mu‘tazilah dan Khawârij.

Begitu juga amalan-amalan karut lagi khurafât yang tidak ada sandaran serta dasarnya dalam nash-nash syara‘ seperti sembahyang sunat Nishfu Sya‘ban, mengumpul kerak nasi di ‘Arafah, tawafkan duit keliling Ka‘bah, bercelak mata pada hari ‘Asyura, sembahyang sunat ‘Asyura dan bid‘ah-bid‘ah tertegah yang lainnya.

3. Bid‘ah mandûbah.

Bid‘ah mandûbah adalah segala perkara yang baik dan berkebajikan, akan tetapi belum pernah dibuat dan belum ada di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti membangun sekolah, membina rumah-rumah tumpangan dan sebagainya bagi memenuhi hajat dan keperluan hidup di suatu tempat atau negeri, menulis kitab-kitab ilmu, mendirikan sembahyang sunat Tarawih di masjid secara berjemaah, mengadakan acara memperingati maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmu dan yang seumpamanya.

4. Bid‘ah makrûhah.

Bid‘ah makrûhah adalah segala perkara baharu yang terdapat dalil syara‘ yang menerangkan bahawa perkara tersebut tidak disukai oleh syara‘. Sebagai contoh, perbuatan menghias dan mengukir masjid, bermain catur tanpa pertaruhan dan tanpa melalaikan daripada sembahyang, serta menghias Mushhaf al-Qur’an dengan yang lain daripada emas. Adapun menghias Mushhaf al-Qur’an dengan emas pula hukumnya adalah haram.

5. Bid‘ah mubâhah.

Bid‘ah mubahah adalah segala perkara baharu yang harus dibuat. Sebagai contoh, perbuatan bersalam-salaman selepas mengerjakan sembahyang berjemaah, bersenang-senang dengan makanan yang pelbagai dan enak-enak, memakai pakaian yang indah-indah dan cantik-cantik, memiliki atau menggunakan kenderaan dan sebagainya.

Pembahagian ini menyokong dan memperkukuhkan lagi pegangan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah bahawa bid‘ah atau suatu yang baharu itu bukanlah seluruhnya tertegah dan bukan pula seluruhnya secara mutlak dibenarkan, tetapi ia tertakluk kepada kedudukan perkara tersebut dalam kaedah hukum syara‘.

Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang wajib dalam hukum syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid‘ah wâjibah. Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang diharamkan dalam hukum syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid‘ah muharramah dan begitulah seterusnya.

Hadits “Tiap-Tiap Bid‘ah Itu Adalah Sesat” dan Ulasan Ulama Mengenainya

Golongan yang beranggapan bahawa setiap perkara baharu yang tidak disebutkan dalam al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu semuanya adalah tertolak dan sesat seringkali menyandarkan hujah mereka terhadap sebuah hadits yang diriwayatkan daripada al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baru diadakan, kerana tiap-tiap perkara yang baru diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadits ini, pada zahirnya membawa makna bahawa segala perkara yang tidak disebutkan dalam al-Qur‘an mahupun sunnah Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam kesemuanya adalah bid‘ah yang tertolak dan sesat. Betulkah begitu? Apakah ulasan para ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah mengenainya?

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, walaupun lafaz hadits ini berbentuk ‘umum’, akan tetapi ia bermaksud ‘khusus’ sekalipun ia merangkumi semua bid‘ah. Dengan maksud yang lain, walaupun lafaz hadits ini membidas dan mencela bid‘ah secara umum, akan tetapi bidasan serta celaan tersebut ‘dikhususkan’ kepada bid‘ah dalam kategori sayyi’ah (yang buruk) atau dhalâlah (yang sesat) sahaja. Adapun bid‘ah hasanah (yang baik) pula tidak termasuk dalam bidasan serta celaan ini.

Menurut beliau lagi, umum lafaz hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini ditakhshiskan (dikhususkan) maknanya oleh hadits yang diriwayatkan daripada Jarir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa dikurangi walau sedikit pun daripada pahala mereka itu. Dan barang siapa yang merintis suatu sunnah yang tidak baik dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa dikurangi walau sedikit pun daripada dosa mereka itu” (Hadits riwayat Muslim)

Ketika mensyarh hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata: “Dalam hadits ini terdapat anjuran supaya merintis atau memulakan perkara-perkara kebaikan, di samping (anjuran supaya) merintis perkara-perkara baharu yang baik-baik serta peringatan (amaran) daripada perkara-perkara yang bâthil dan buruk.

… Dan dalam hadits ini juga terdapat takhshîs (pengkhususan) bagi hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (iaitu hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu yang berbunyi): “Tiap-tiap perkara yang baru diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat.”

Dan bahawa sesungguhnya yang dimaksudkan dengan bid‘ah yang sesat dalam hadits berkenaan (hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu) adalah perkara-perkara baharu yang bâthil serta segala bid‘ah-bid‘ah yang tercela.”

Berdasarkan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh ini, setelah berlaku takhshîs, maka makna atau maksud sebenar bagi hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini adalah: “Tiap-tiap bid‘ah sayyi’ah itu adalah sesat”.

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh pula berkata: “Adapun yang dimaksudkan dengan hadits “Tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat” itu ialah segala apa yang bertentangan dengan asas-asas syariah dan tidak bertepatan dengan sunnah.”

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ketika mengulas hadits “tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat” berkata bahawa adapun bid‘ah yang dihukumkan sesat dalam hadits ini ialah segala apa yang baru diadakan atau direka yang tidak ada dalil ataupun dasar baginya dalam syara‘, sama ada secara umum mahupun secara khusus.

Salah satu dalil terkuat yang menyokong kefahaman Imam an-Nawawi serta ulama-ulama lain yang sependapat dengan beliau mengenai hadits riwayat al- ‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini ialah kata-kata Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu setelah beliau merintis suatu bid‘ah hasanah dengan mengumpulkan orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah di belakang seorang imam. Beliau berkata:

Maksudnya: Ini sebaik-baik bid‘ah... (Hadits riwayat Imam al-Bukhari)

Siapa tidak kenal Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu? Beliau seorang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang agung, mulia, setia lagi sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas dan tidak ada kompromi dalam menegakkan segala yang hak dan menolak segala yang bâthil.

Kata-kata di atas adalah lafaz daripada seorang sahabat agung yang dijamin masuk syurga. Ini sudah lebih daripada cukup untuk dijadikan petunjuk dan hujah bahawa tidak semua perkara serta perbuatan yang tidak berlaku pada zaman Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah buruk dan tercela. Beliau sendiri yang menggelarkan perbuatan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam itu sebagai ‘sebaik-baik bid‘ah’ setelah sekian lama dari zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ia hanya dikerjakan secara bersendirian atau dalam tompokan beberapa kelompok jemaah secara berasingan.

Menurut Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh, memandangkan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu tergolong dalam perbuatan-perbuatan yang baik dan terpuji, maka Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu tetap memuji perbuatan tersebut walaupun dia sendiri yang menamakannya sebagai ‘bid‘ah’.

Adapun sebab Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu menamakannya sebagai ‘bid‘ah’ adalah kerana sembahyang sunat Tarawih pada zaman Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pada zaman Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu tidak dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam. Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu adalah orang pertama memerintahkan dan menyarankan supaya sembahyang sunat Tarawih dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam. Perkara ini sungguhpun dinamakan bid‘ah, namun pada hakikatnya ia adalah sunnah serta ada asal dan dasarnya dalam syara‘ kerana perkara-perkara berikut:

1. Anjuran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk mendirikan qiyâm Ramadhan.

2. Orang ramai pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendirikan sembahyang sunat Tarawih di masjid secara bersendirian atau secara berjemaah dalam beberapa kelompok jemaah yang berasingan dengan imam-imam yang berlainan.

3. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah pada beberapa malam di bulan Ramadhan. Bagaimanapun, Baginda kemudian meninggalkannya kerana khuatir ia akan diwajibkan ke atas umat Islam, lalu akan memberatkan mereka sehingga mereka tidak mampu menunaikannya.

4. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri memerintahkan supaya mengikut Sunnah Baginda serta sunnah Khalifah ar-Rashidin selepas Baginda.

Tidak mungkin seorang sahabat yang bukan calang-calang tarafnya seperti Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu yang sentiasa mendampingi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jahil dan tidak faham akan syariat serta tidak mengetahui konsep sebenar bid‘ah dalam syara‘ lalu dengan sesuka hati mengarahkan supaya sembahyang sunat Tarawih dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam kemudian melabelkan pula perbuatan tersebut sebagai sebaik-baik bid‘ah.

Ini diperkukuhkan lagi apabila perbuatan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu mengumpulkan orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah di belakang seorang imam serta pujiannya terhadap perbuatan itu sebagai ‘sebaik-baik bid‘ah’ diterima sebulat suara tanpa sebarang tentangan oleh sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang lain, yang sememangnya sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa salla m yang lain ini juga pasti mengetahui bahawa sembahyang sunat Tarawih belum dilakukan pada zaman Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam. Jika semua bid‘ah itu buruk dan sesat, sudah pasti sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam akan bangkit menentang dan tidak mempersetujui perbuatan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu.

Penolakan terhadap bid‘ah hasanah atau bid‘ah yang baik itu serta tidak mengiktiraf kewujudannya dalam syara‘ bererti meragui ketokohan serta perlakuan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu. Bahkan ini juga bererti meragui ijmâ‘ seluruh sahabat yang hidup pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu yang rata-rata mempersetujui keputusan dan saranan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu itu. Antara mereka itu termasuklah Sayyidina ‘Utsman bin al-‘Affan dan Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhumâa yang merupakan Khalifah ar-Rashidin selepas Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu. Perbuatan ini sendiri sebenarnya sudah jelas sebagai satu penentangan terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri selain memerintahkan supaya mentaati dan mengikut ajaran serta sunnah Baginda, Baginda juga turut memerintahkan supaya mengikut ajaran dan sunnah Khalifah ar-Rashidin selepas Baginda sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Selain perkara mendirikan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam, banyak lagi perkara serta amalan yang dimulai dan dirintis oleh para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tidak berlaku pada zaman Baginda. Antaranya, pengumpulan al- Qur’an dalam satu Mushhaf serta penambahan azan pertama sembahyang fardhu Jumaat yang dirintis dan diperintahkan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu, sembahyang sunat dua rakaat sebelum dihukum bunuh yang dirintis oleh Khubaib bin ‘Adiy dan Hujr bin ‘Adiy Radhiallâhu ‘anhumâ serta banyak lagi.

Beberapa Contoh Amalan Bid‘ah Hasanah yang Disangka Bid‘ah Sayyi’ah

Pada hakikatnya, kekeliruan atau kurang faham terhadap konsep bid‘ah dalam perspektif syariat Islam ini adalah penyebab utama timbulnya beberapa golongan mahupun individu yang cenderung ataupun suka membid‘ah-bid‘ahkan amalan mahupun pegangan orang lain. Walhal amalan ataupun pegangan tersebut sudah pun diamalkan oleh ulama-ulama mu‘tabar yang jauh lebih berpengetahuan dan berilmu daripada mereka yang membid‘ah-bid‘ahkan itu sendiri.

Antara amalan yang sering menjadi sasaran mereka ini adalah amalan menyambut maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan amalan do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah.

1. Maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Kekeliruan tentang amalan menyambut maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sering sahaja ditimbulkan oleh segelintir golongan yang menganggap sambutan ini adalah satu bid‘ah yang sesat dan terlarang.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya tohmahan ini tidak sepatutnya ditimbulkan atau dicanang-canangkan lagi kerana ia sudah pun dijawab dengan jelas dan dengan hujah-hujah yang tidak diragukan lagi oleh ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jama‘ah sejak berabad lagi.

Sebenarnya, perayaan mauled Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah perayaan yang baru timbul pada zaman kita, bahkan menurut sejarah, ia sudah pun mula diraikan pada tahun 297 Hijriyyah oleh khalifah-khalifah Fathimiyah.

Menurut catatan sejarah lagi, perayaan maulid ini kemudian dijadikan salah satu amalan rasmi secara besar-besaran oleh pihak pemerintah di Kota Irbil di utara Iraq pada kurun ke-7. Menurut catatan Imam as-Suyuthi, Imam Ibnu Katsir dan lainnya, sambutan maulid secara rasmi dan besar-besaran ini dimulakan oleh penguasa negeri Irbil, iaitu Raja al-Muzfir Abu Sa‘id Kukubri bin Zainuddin ‘Ali bin Buktakin (wafat: 630H).

Berdasarkan catatan para ulama, acara dan bentuk sambutan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang telah bermula pada zaman pemerintahan Fathimiyah sehingga sekarang adalah dalam bentuk dan cara yang berbagai-bagai, antaranya:

- Memperbanyak sedekah, sama ada dalam bentuk makanan (jamuan), mata wang, pakaian dan sebagainya.

- Berzikir dan mendengar syarahan di masjid-masjid, sepertimana yang berlaku pada awal kemunculannya.

- Membaca kisah Nabi, seperti berzanji (sama ada satu malam atau selama beberapa malam) di masjid-masjid dan disudahi dengan bacaan do‘a serta syarahan agama.

- Mendengar syarahan sahaja.

- Berkumpul serta berarak dan lain-lain lagi.

Pendapat Ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah Mengenai Hukum Meraikan Sambutan Maulid

Imam-imam besar Ahli Sunnah wal Jama‘ah seperti Imam as-Suyuthi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahumullâh berpendapat bahawa sambutan maulid adalah suatu yang baik dan harus dilakukan, tetapi menegahnya sekiranya ia disertai sama dengan perkara-perkara bid‘ah.

Dengan didasari pendapat imam-imam besar tersebut, maka banyaklah ulama, termasuk dalam mazhab asy-Syafi‘e yang memfatwakan bahawa adalah sunat memperingati hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Meraikan hari maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu boleh dengan apa saja cara yang tidak bercanggah dengan syara‘, asalkan ia diniatkan untuk membesarkan dan mengagungkan hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Namun dalam pada itu, janganlah pula ada di dalam perayaan itu sesuatu yang ditegah oleh agama, seperti merayakan dengan berjudi, merayakannya dengan tari menari, merayakannya dengan muzik-muzik, merayakannya semalam suntuk dengan pergaulan bebas muda-mudi dan lain-lain pekerjaan yang jelas haramnya.

Banyak dalil yang membuktikan bahawa meraikan maulid itu adalah sunat. Dalil-dalil tersebut terbahagi kepada dalil khas dan dalil umum sepertimana berikut:

Pertama: Dalil-dalil khas, antaranya:

1. Imam Jalaluddin as-Suyuthi Rahimahullâh, ketika ditanya tentang maulid Nabi pada bulan Rabiulawal, apakah hukumnya menurut syara‘, apakah pekerjaan itu dipuji atau dicela dan apakah pelakunya diberi pahala atau tidak, beliau menjawab: “Asas daripada amal maulid itu ialah, bahawa manusia berkumpul, lalu mereka membaca sekadarnya ayat-ayat al-Qur’an, kemudian membaca kisah-kisah sejarah Nabi dan kisah-kisah bagaimana situasinya pada masa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dilahirkan kemudian mereka bersama dan selepas itu bersurai, tidak lebih daripada itu. Ibadat seperti itu adalah bid‘ah hasanah (bid‘ah yang baik), yang diberi pahala mengerjakannya, kerana dalam amal ibadat tersebut terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mulia.”

Daripada huraian ini dapatlah disimpulkan perkara-perkara berikut: i. Amalan maulid, iaitu umat Islam berkumpul di suatu tempat (di rumah, di surau atau di masjid) pada setiap bulan Rabiulawal bukan amalan baharu, tetapi telah berabad-abad dilakukan oleh orang Islam. Di dalamnya berbagai-bagai aturcara dibuat, seperti membaca sedikit ayat al-Qur’an dan sedikit kisah Nabi ketika lahir dan sedikit perjalanan hidup dan mukjizat-mukjizat Baginda, di samping untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas kedatangan Baginda membawa agama Islam yang suci.

Sesudah itu mereka berjamu makan minum, sama ada yang disediakan oleh orang perseorangan ataupun orang ramai, kemudian bersurai.

ii. Ibadat serupa itu adalah bid‘ah, tetapi bid‘ah hasanah, sepertimana kata Imam as-Suyuthi Rahimahullâh.

iii. Orang yang mengerjakan bid‘ah hasanah menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh mendapat pahala.

iv. Mengadakan perayaan maulid Nabi itu ibadat yang diberi pahala jika dikerjakan, dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

2. Imam Abu Syamah Rahimahullâh, seorang ulama besar dalam lingkungan mazhab asy-Syafi‘e berkata:

“Antara perkara terbaik yang direka pada zaman kita ini, ialah apa yang dibuat pada hari ini pada tiap-tiap tahun bersamaan dengan hari maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada perbuatan memberi sedekah, membuat kebajikan, melahirkan kegembiraan dan kesukaan. Semua perbuatan ini, di samping ihsan kepada kaum fakir, juga mengingatkan kita supaya mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, membesarkan Baginda dan bersyukur kepada Allah Ta‘ala atas kurniaNya, yang telah menciptakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai (Nabi) yang telah diutus untuk kebahagiaan seluruh alam.”

Beliau ini berpendapat:

i. Merayakan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan suatu perayaan dan dengan memperbanyakkan sedekah, amal bakti serta melahirkan kegembiraan kerana maulid itu adalah suatu “bid‘ah hasanah”. Bid‘ah hasanah apabila dibuat mendatangkan pahala.

ii. Mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah suatu “manifestasi” dari kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Daripada pendapat Imam Jalaluddin as-Suyuthi dan Abu Syamah Rahimahumullâh ini, lebih mengukuhkan lagi pendirian kita Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa bid‘ah itu ada dua, pertama bid‘ah yang baik (hasanah) dan kedua bid‘ah yang buruk (sayyi’ah) atau sesat (dhalâlah). Jadi walaupun maulid ar-Rasûl hanya muncul setelah lama Baginda wafat, akan tetapi memperingati dan meraikannya dianggap satu amalan yang sangat baik kerana ia membangkitkan semula semangat cintakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kerana itu ia dibenarkan dan dianggap sebagai bid‘ah hasanah yang juga mendatangkan pahala apabila dibuat.

Kedua: Dalil-dalil umum.

Walaupun amalan maulid belum ada pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, namun secara umum ia merupakan suatu yang dianjurkan oleh agama.

Sungguhpun tidak nyata nashnya, namun secara simbolik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâa dan RasulNya memang menggalakkan untuk mempertingati dan meraikan hari-hari yang besar dan mulia dalam Islam seperti hari mauled Nabi, hari Isra’ dan Mi‘raj, hari Nuzul al-Qur’an, hari tahun baharu Islam yakni tahun baharu Hijriyyah, hari ‘Asyura’ dan lain-lain.

Banyak dalil yang mengisyaratkan tentang perkara ini, antaranya:

1. Tersebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, katanya:

Ertinya: Ketika Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam datang ke Madinah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura (hari 10 Muharram). Lalu ditanyakan kepada orang-orang Yahudi akan puasa mereka itu. Kemudian mereka menjawab: “Ini adalah hari di mana Allah telah memenangkan Musa dan Bani Isra‘il ke atas Fir‘aun, dan kami berpuasa (pada hari ‘Asyura ini) kerana mengagungkannya”. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Kami lebih layak terhadap Musa berbanding kamu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâh mengatakan bahawa daripada hadits ini dapatlah dipetik hukum berikut:

i Umat Islam dibolehkan dan bahkan dianjurkan agar memperingati hari-hari yang bersejarah, hari-hari yang dianggap besar dan mulia, umpama hari maulid dan lain-lain.

ii. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun memperingati hari tenggelamnya Fir‘aun dan bebasnya Nabi Musa ‘Alaihissalâm dengan mengerjakan puasa ‘Asyura sebagai tanda syukur atas terhapusnya kebatilan dan tertegaknya kebenaran.

2. Allah Ta‘ala berfirman dalam al-Qur’an al-Karim:

Tafsirnya: Maka orang-orang yang beriman kepadanya dan memuliakannya dan menolongnya serta mengikut cahaya (al-Qur’an) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah al-A‘râf: 157)

Di dalam ayat ini dinyatakan dengan tegas, bahawa orang-orang yang memuliakan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah orang yang berjaya. Meraikan maulid Nabi tidak syak lagi adalah rangka memuliakan itu.

Bukan sahaja meraikan maulid, tetapi juga meraikan hari Isra’ dan Mi‘raj, hari awal tahun baharu Hijriyyah dan lain-lain itu adalah juga memuliakan namanya. Sekalian orang yang memuliakan Nabi itu in syâ’ Allâh akan mendapat imbalan syurga.

Ayat ini berbentuk umum dan sangat luas tafsirnya. Apa sahaja yang dilakukan dengan niat memuliakan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka pekerjaan itu diberi pahala. Kecualilah jika amalan mulia itu disambut atau dicampur-aduk dengan perkara-perkara yang memang bertentangan dengan ajaran Islam, pahala tidak dapat, sebaliknya kutukan pula yang datang. Umpamanya, seorang mengadakan perayaan maulid, walaupun dengan tujuan untuk memuliakan Nabi, namun disulam dengan judi, menyabung ayam, lakonan orang lelaki memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki, maka semua ini bukan mencari pahala tetapi mengundang laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

3. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: …Dan ingatkanlah mereka mengenai hari-hari Allah... (Surah Ibrahim: 5)

Maksud hari-hari Allah di sini ialah peristiwa-peristiwa yang bersejarah bagi sesuatu umat yang mengandungi ni‘mat-ni‘mat pertolongan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta tanda-tanda kebesaranNya atau bala bencanaNya yang membawa kepada naik atau jatuhnya sesuatu umat.

Kelahiran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak syak lagi merupakan satu peristiwa amat bersejarah yang mengandungi hikmah dan ni‘mat besar. Oleh itu memperingati hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah merupakan pernyataan bersyukur terhadap ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang tidak ada tolok bandingannya.

Hikmah Maulid

Meraikan maulid mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Imam as- Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menukilkan dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn pendapat beberapa ulama tentang maulid, hikmah dan khasiatnya.

Imam as-Sakhawi Rahimahullâh:

“Amalan maulid itu muncul selepas abad ke-3 Hijriyyah. Selepas itu umat Islam dari pelbagai negeri dan kota-kota besar teruslah mengamalkan perayaan maulid ini dengan bersedekah pada malam harinya dengan berbagai-bagai jenis sedekah dan juga secara khusus membaca sirah kelahiran Nabi. Dan adapun kesan daripada amalan ini, mereka itu telah beroleh berkatnya.”

Imam Ibnu al-Jawzi Rahimahullâh:

“Antara khasiat atau berkat mengadakan perayaan maulid ialah beroleh kedamaian dan kegembiraan pada tahun yang berkenaan itu.”

Imam al-Hasan Bashri Rahimahullâh:

“Sekiranya aku mempunyai emas seperti sebesar gunung Uhud, aku akan membelanjakannya untuk membacakan kisah maulid Nabi.”

Imam al-Junaid Rahimahullâh:

“Barang siapa yang hadir dalam perayaan maulid ar-Rasûl dan dia membesarkan pangkat Rasul, dia telah berjaya dengan iman.”

Apabila kita renungkan hikmah maulid ini, walaupun yang disebutkan di sini hanya sebahagiannya sahaja, sudah jelas membuktikan bahawa hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah hari biasa. Bahkan ia mempunyai kelebihan daripada hari-hari lain sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Jadi melakukan amal kebajikan pada waktu-waktu yang berkat seperti itu sudah pasti pahalanya berlipat ganda.

Dari itu, tidak syak lagi bahawa membuat keraian atau kesukaan pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah Ta‘ala di atas limpah kurniaNya mengutus NabiNya yang mulia adalah suatu perkara yang diperakui oleh syara‘. Akan tetapi dengan syarat keraian atau perayaan tersebut jangan dicampur dengan perkara-perkara bâthil yang ditegah oleh syara‘.

Justeru itu, orang-orang beriman pasti terdorong untuk menambahkan pahalanya dengan melakukan perkara-perkara berkebajikan pada hari yang berkat itu kerana yang demikian itu lebih menunjukkan kecintaan sejati terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan rasa syukur yang tidak ternilai atas pengutusan Baginda yang merupakan rahmat terhadap seluruh alam. Bukannya membuang masa dan tenaga menimbulkan kekeliruan, keresahan, perseteruan dan perdebatan dalam kalangan orang ramai kerana perkara tersebut tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada mana-mana pihak selain daripada memberi peluang musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai ruang untuk memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Amalan Membaca Do‘a Awal dan Akhir Tahun Hijriyyah

Satu lagi amalan yang di‘bid‘ah’kan segelintir golongan adalah amalan yang biasa kita buat setiap kali tiba tahun baharu Hijriyyah, iaitu amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah. Menurut mereka, amalan ini tidak wârid dan tidak pernah dibuat atau tidak pernah disambut pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat. Begitu juga nash do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah yang kita baca dalam majlis tersebut menurut mereka tidak ada sandarannya dalam al-Qur’an ataupun hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Oleh itu, menurut penilaian mereka, amalan ini berserta do‘anya adalah bid‘ah yang tidak ada sandarannya dalam syara‘ dan mesti ditinggalkan.

Berikut adalah jawapan kita terhadap dakwaan mereka itu:

1. Dakwaan bahawa amalan ini tidak wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat sememangnya tidak disangkal kebenarannya. Ini kerana memang benar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat tidak menyambut kedatangan tahun baharu Hijriyyah. Fakta sejarah turut menyokong kenyataan ini kerana penggunaan taqwim Hijriyyah itu sendiri hanya mula diilhamkan pada zaman Khalifah ar-Rashidin yang kedua, iaitu Sayyidina ‘Umar al-Khatthab Radhiallâhu ‘anhu.

Jadi memang benar amalan ini adalah ‘bid‘ah’ dalam ertikata ia sesuatu yang baharu dan tidak ada contohnya pada zaman Baginda. Bagaimanapun, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa dalam syariat Islam, bid‘ah itu ada dua, iaitu bid‘ah hasanah dan bid‘ah sayyi‘ah. Yang menjadi persoalannya di sini, adakah amalan menyambut tahun baharu Hijriyyah ini bid‘ah hasanah? Atau adakah ia bertentangan dengan syara‘ dan termasuk dalam kategori bid‘ah sayyi‘ah?

Dalam konteks kita di Negara Brunei Darussalam ini, acara utama sambutan awal tahun baharu Hijriyyah yang saban tahun kita buat ialah kita berkumpul beramai-ramai di masjid-masjid seluruh negara, tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat dan kedudukan untuk sama-sama berdo‘a memohon keampunan terhadap segala dosa dan kesilapan serta memohon diterima dan diberikan ganjaran terhadap segala amalan yang dikerjakan pada tahun yang bakal ditinggalkan. Kemudian berdo‘a supaya lebih didekatkan dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui amalan-amalan salih di samping diberikan perlindungan daripada syaitan dan dorongan hawa nafsu.

Adakah berdo‘a memohon keampunan, perlindungan, ganjaran serta taqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ suatu amalan yang dikeji dan bertentangan dengan syara‘? Jawapannya adalah tidak sama sekali! Adakah wârid suatu larangan yang mengharamkan orang Islam untuk berdo‘a pada awal dan akhir tahun Hijriyyah? Jawapannya juga adalah tidak sama sekali! Bahkan do‘a merupakan satu ibadat yang mulia dan dianjurkan syara‘ pada bila-bila masa. Bahkan dengan berdo‘a seumpama ini merupakan suatu amalan yang baik di mana selain menzahirkan rasa tawâdhu’ dengan penuh harap memohon belas dan ihsan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, ia juga menjadi pemangkin azam dan semangat kepada seseorang untuk berhijrah kepada yang lebih baik pada tahun mendatang.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘alah kepadaKu nescaya Aku (Allah) perkenankan do‘a kamu. (Surah Ghâfir: 60)

2. Menyentuh tentang hujah mereka yang menyatakan bahawa do‘a ini mesti ditinggalkan kerana ia tidak ada sandarannya dalam syara‘ atau tidak wârid daripada al-Qur’an mahupun as-sunnah pula, ini sebenarnya timbul daripada kurang faham akan kategori do‘a yang secara dasarnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

Pertama: Do‘a ma’tsûr, iaitu do‘a yang wârid daripada al-Qur’an dan as-sunnah.

Kedua: Do‘a yang bukan ma’tsûr, iaitu do‘a yang bukan wârid dari al- Qur’an dan as-Sunnah seperti do‘a yang direka atau dicipta oleh ulama dan seumpamanya. Salah satu contoh do‘a tidak ma’tsûr ini adalah do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah.

Do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah ini, walaupun tidak ma’tsûr, kerana ia bukan berasal daripada al-Qur’an dan as-sunnah, serta tidak juga wârid daripada para sahabat mahupun tâbi‘în, akan tetapi dalam syara‘ tidak ada halangan untuk membaca dan mengamalkannya. Ini kerana perkara-perkara berikut:

i. Menurut syara’, adalah diharuskan untuk berzikir dan berdo‘a dengan do‘a-do‘a yang tidak ma’tsûr. Ini berdasarkan beberapa buah hadits, salah satunya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada sebahagian sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bertanya kepada seorang lelaki:

Maksudnya: Bagaimana kamu berdo‘a dalam sembahyang? Lelaki itu menjawab: “Aku bertasyahhud kemudian berdo‘a: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu syurga dan berlindung denganMu daripada neraka. Sesungguhnya aku tidak mendengar dengan baik kumat-kamit Tuan (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan tidak juga kumat-kamit Mu‘adz (ketika berdo‘a).” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sekitar itulah kumat-kamit kami (ketika berdo‘a).” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh berkata: “Hadits ini menunjukkan bahawa boleh seseorang insan itu berdo‘a dengan apa sahaja lafaz yang dia mahu, daripada do‘a ma’tsûr dan selainnya.”

ii. Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, meminta perkara dunia ketika berdo‘a hukumnya adalah harus sementara meminta perkara akhirat pula hukumnya adalah sunat. Adapun dari segi kategori do‘a pula, syara‘ mengharuskan dan tidak menegah penggunaan do‘a yang bukan ma’tsûr. Bagaimanapun, adalah lebih baik mengamalkan do‘a ma’tsûr daripada yang selainnya, bagi mendapatkan berkat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan harapan agar dimakbulkan.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dan perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas merupakan satu anjuran untuk memperbanyakkan do‘a dengan apa sahaja permohonan yang diinginkan. Ini bermakna, dalam berdo‘a kita tidak dihadkan untuk berdo‘a dengan do‘a-do‘a khusus atau do‘a-do‘a ma’tsûr sahaja. Bahkan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri berdo‘a di mana-mana dengan do‘a-do‘a yang berlainan. Ini menunjukkan tidak mengapa untuk menggunakan apa sahaja do‘a.

Ini sepertimana dalam hadits daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kemudian seseorang itu memilih do‘a (sesukanya) selepas itu. (Hadit riwayat Muslim) iii. Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz Rahimahullâh, Mufti Kerajaan pernah menyebutkan dalam fatwanya bilangan 34/89: “Hendaklah diketahui bahawa dzikir-dzikir dan do‘a yang dikarang oleh ahli dzikir itu tiadalah ditegah dan bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggalakkan…”

Menurutnya lagi: “Dari itu janganlah suka-suka menegur dan ingkarkan ahli Tasawwuf dan ahli dzikir, ahli serban dan ahli jubah, ahli masjid, ahli ibadat, barangkali orang itu ada dalam peliharaan Allah, dan ia lebih yakin dan lebih kuat imannya daripada awak wahai orang yang mensia-siakan ahli serban dan jubah itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 34/89)

Dalam fatwa bilangan 67/91, beliau juga ada menerangkan tentang cara pemilihan lafaz-lafaz do‘a, sepertimana katanya: “Adalah lafaz-lafaz do‘a itu adalah bebas dan tiada ada sekatan padanya. Do‘a kesyukuran ada lafaz-lafaznya sendiri. Do‘a menyambut hari kemerdekaan ada lafaz-lafaznya sendiri, do‘a hari menyambut maulud Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada coraknya sendiri, ada yang panjang, ada yang pendek, ada lafaz-lafaz tertentu bagi dibaca oleh orang ramai yang tiada pandai berdo‘a dengan caranya sendiri, dan bagi orang yang pandai memilih lafaz-lafaz do‘a, ia boleh berdo‘a dengan lafaz-lafaznya sendiri dan dengan panjang dan lanjut mengikut keadaan sesuatu majlis dan sesuatu upacara itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 67/91)

Daripada hujah-hujah yang disebutkan di atas, maka jelaslah bahawa amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah itu tidak menyalahi syara‘ kerana amalan berdo‘a itu dituntut pada bila-bila masa dan dengan apa sahaja bentuk do‘a tidak kira ia do‘a ma’tsûr ataupun tidak ma’tsûr. Ini tidak ada bezanya dengan seseorang itu berdo‘a supaya lulus dalam peperiksaan, memohon supaya menang dalam suatu pertandingan, memohon dinaikkan pangkat dan seumpamanya. Selagi ia suatu do‘a yang baik, maka yang demikian itu tidak ditegah oleh syara‘ walaupun nash do‘a tersebut tidak ada dalam al-Qur’an dan as-sunnah.

Berdasarkan keterangan di atas, adalah jelas bahawa tradisi amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah ini adalah tidak termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai bid‘ah sayyi’ah. Sebab itu perkara tersebut turut mendapat sokongan penuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Bahkan menurut Baginda, do‘a itu sendiri mengandungi rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri sepertimana titah Baginda sempena menyambut awal tahun baharu Hijriyyah 1437, pada Hari Selasa, 1 Muharram 1437H bersamaan 13 Oktober 2015M:

“Pada hemat beta, do‘a kita pada setiap tahun itu adalah benar-benar menjadi punca kepada kebajikan bersama.

Dengan rahmatNya jua, negara ini benar-benar bebas daripada sebarang kemelut. Rakyat hidup bersatu hati, tiada pergaduhan atau pertelingkahan yang membebankan, bahkan semuanya adalah berjalan dengan baik.

Yang kita tahu pun, do‘a akhir dan awal tahun itu hanyalah rutin biasa saja. Tetapi beta penuh yakin, bahawa rutin inilah satu kelebihan untuk kita, di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.

Betapa tidak, isi kedua-dua do‘a tersebut, jika Allah memperkenankannya, tidak diragukan lagi, semua kebaikan adalah milik kita. Di dalam Do‘a Akhir Tahun kita meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa dan menerima taubat kita, sementara dalam Do‘a Awal Tahun pula kita memohon agar Allah melindungi kita daripada kejahatan syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta meminta supaya jangan dipesongkan oleh nafsu yang jahat. Andainya do‘a-do‘a ini diterima oleh Allah, maka tidakkah ini satu jaminan untuk kita meraih segala kebaikan berupa keselamatan, kebahagiaan, kemakmuran dan lain-lain?

Beta penuh percaya, do‘a kita ini telah dimakbulkan oleh Allah. Lalu kerana itu, berlakulah apa yang patut berlaku: Negara jadi aman, rakyat dan penduduk hidup bahagia di bawah pengurusan dan pemerintahan yang adil saksama, kerana, syaitan dan konco-konconya telah tewas, tidak dapat mencampuri segala urus tadbir kehidupan di negara ini. Allahu Akbar, Maha Besar Allah yang mengurniakan semua ini.

Tidak syak lagi, do‘a adalah survival kita, survival negara. Makanya tradisi mengisi Tahun Baharu Hijrah dengan do‘a ini adalah wajar diteruskan dan malah dikekalkan.”

Penilaian Tentang Bid‘ah adalah Urusan Para Ulama Mu‘tabar

Bid‘ah ataupun tidaknya sesuatu amalan itu, tidak cukup untuk dinilai dengan ada atau tidaknya ia dibuat atau disabdakan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam semata-mata. Begitu juga tidak cukup sekadar mencedoknya daripada sumber-sumber atau golongan-golongan yang tidak mu‘tabar, walaupun mereka itu digelarkan atau menggelarkan diri mereka sebagai ulama ataupun berimej dengan imej ulama. Ini kerana tidak semua golongan ulama itu dinilai sebagai ulama mu‘tabar.

Para ulama mu‘tabar adalah satu-satunya golongan yang layak menilai sama ada suatu perkara baharu itu adalah bid‘ah tertolak dan tercela ataupun sebaliknya. Ini kerana para ulama mu‘tabar adalah golongan yang diwakilkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai pewaris para nabi bagi menjaga syariat Islam serta menyampaikan dan memperjelaskannya sepertimana ia disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.

Perkara ini turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah baginda pada Majlis Hafl Al- Takharruj Ke-5 UNISSA, pada hari Sabtu 17 Oktober 2015 bersamaan 4 Muharram 1437. Dalam titah tersebut, baginda menegaskan akan pentingnya berpegang kepada pendapat dan kaedah para ulama mu‘tabar ini serta mengingatkan seluruh rakyat baginda yang beragama Islam supaya menjauhi segala fahaman serta aliran yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jama‘ah:

“Atas nama agama, orang suka membawa isu-isu baharu, misalnya, untuk menyangkal sesuatu perkara itu sebagai tidak ada dalam agama atau ianya tidak pernah disebut dan dibuat oleh Nabi, maka disarankanlah supaya ianya dibuang atau tidak payah dipakai lagi.

Beta melihat, pendapat seperti ini datangnya daripada orang-orang baharu, yang kadang-kadang imej mereka adalah imej ulama, tetapi tidak beretika dengan etika ulama.

Ulama mu‘tabar tidaklah secelupar itu. Mereka masih saja terikat untuk menghargai apa-apa yang baik, walaupun bukan dari hadits. Kerana itu mereka menyediakan dua kaedah atau sistem nilai: pertama, mana-mana perkara buruk yang tidak ada dalam hadits, perkara tersebut akan dikategorikan sebagai bid‘ah sayyi’ah (perkara baharu yang buruk yang sayugia jangan dilakukan), dan kedua, mana-mana perkara baik walaupun ia bukan dari hadits, maka perkara itu akan dikategorikan sebagai bid‘ah hasanah (perkara baharu yang baik dan malah jika dibuat boleh mendatangkan pahala).

Kaedah ulama mu‘tabar yang cantik dan sempurna ini, beta ingin tegaskan, hendaklah dipegang dan dipakai terus oleh UNISSA dan lain-lain pihak di negara ini. Adapun kaedah-kaedah baharu yang berlawanan dengan kaedah para ulama mu‘tabar adalah tidak berkenaan dengan kita.”

Perkara-perkara yang rumit serta memerlukan ilmu yang mantap dan kajian yang mendalam, apatah lagi dalam bab-bab agama seperti permasalahan bid‘ah ini hendaklah dirujuk kepada mereka yang benar-benar berautoriti dan mempunyai kepakaran dalam perkara-perkara serta urusan-urusan agama. Jika perkara rumit seperti penilaian bid‘ah ini dilakukan oleh golongan yang tidak mempunyai kepakaran serta asas kukuh dalam ilmu agama, ia pasti akan mengakibatkan kecelaruan dan kekeliruan terhadap syariat Islam. Bukan setakat itu sahaja, bahkan ia akan turut menjejaskan keharmonian amalan hidup beragama dalam sesebuah masyarakat.

Jelasnya, apa yang perlu diingat dan ditekankan dalam perkara bid‘ah ini ialah ia suatu perkara yang belum berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ataupun Baginda tidak melakukannya. Perkara ini tidak bererti ia haram dan tercela selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum syara‘. Berdasarkan penjelasan di atas, para sahabat sendiri pun ada melakukan perkara-perkara baharu yang tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang disentuh sebelum ini.

ISTIQÂMAH DALAM BERIBADAT

Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Di bulan ini, segala amal ibadat baik yang fardhu mahupun yang sunat dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding jika ia dikerjakan di bulan-bulan yang lain. Oleh itu, umat Islam perlu merebut peluang tersebut dengan memperbanyakkan amal salih bagi meraih ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini membuktikan betapa Ramadhan mampu mendidik dan melatih kita untuk lebih tekun beribadat dan giat berusaha bagi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Kini bulan Ramadhan telah berlalu dan kita berdo‘a semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Apa yang diharapkan ialah segala amal ibadat yang dikerjakan di bulan Ramadhan itu akan istiqâmah (konsisten) dikerjakan di bulan-bulan yang lain. Ini juga sebagai salah satu langkah agar kita meneguhkan iman dan taqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan istiqâmah.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan NabiNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan orang-orang yang beriman supaya istiqâmah dalam mengimani Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta tidak menyekutukanNya dengan mentaati segala suruhanNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka hendaklah engkau (wahai Nabi Muhammad) sentiasa beristiqâmah (tetap teguh di atas jalan yang benar) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah Hud: 112)

Diriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Abdullah ats-Tsaqafiy Radhiallâhu ‘anhu, beliau bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku mengenai Islam satu ungkapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seseorang selepasmu. Baginda bersabda: “Katakanlah: “Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqâmahlah.” (Hadits riwayat Muslim)

Istiqâmah bermaksud lurus, benar, tetap pendirian atas suatu keyakinan. Tetap (teguh) pendirian atas kebenaran ajaran Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melaksanakan segala ketentuanNya. Sementara dalam tafsir al-Qurthubi ada menyatakan bahawa istiqâmah itu bermaksud tetap atau konsisten pada satu arah tanpa membelok ke kanan dan ke kiri.

Istiqâmah pada mengimani Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bertaqwa kepadaNya itu akan tercapai dengan mentaati segala suruhanNya, antaranya melakukan perkara-perkara seperti berikut:

1. Istiqâmah pada menunaikan segala kewajipan yang difardhukan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas hamba-hambaNya seperti mempercayai bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah pesuruh Allah, mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu, membayar zakat, menunaikan puasa dan haji, berjihad di jalan Allah, menyuruh pada melakukan perkara yang makruf dan melarang pada melakukan perkara yang mungkar dan menunaikan serta menjaga hak-hak manusia.

Demikian juga, istiqâmah pada menunaikan perkara-perkara yang disunatkan seperti berterusan mengerjakan sembahyang sunat, puasa sunat, sedekah dan membaca al-Qur’an.

2. Istiqâmah pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan seperti menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bercakap bohong, memfitnah, mencuri dan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah. Diriwayatkan daripada an- Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara kedua-duanya ada perkara-perkara syubhah yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah itu nescaya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya… (Hadits riwayat Muslim)

Di samping itu juga, hendaklah istiqâmah pada meninggalkan perkara-perkara yang dimakruhkan.

3. Istiqâmah pada mentaati segala suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bertaqwa kepadaNya hingga ke akhir hayat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (Surah Âli ‘Imran: 102)

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu ketika beliau mendengar khutbah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antara petikannya Baginda bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang ingin diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah kematiannya datang dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dan hendaklah dia bermuamalah dengan orang lain dengan muamalat yang dia sendiri suka apabila orang lain bermuamalat dengannya… (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, kita hendaklah istiqâmah dalam mentaati segala suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ baik yang fardhu mahupun yang sunat dan meninggalkan segala laranganNya sama ada yang haram ataupun yang makruh. Dengan yang demikian itu, istiqâmah pada mengimani Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bertaqwa kepadaNya akan tercapai hingga ke akhir hayat dan seterusnya mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Di bulan Ramadhan adalah peluang keemasan bagi kita untuk terus istiqâmah melaksanakan amal salih dan terus istiqâmah meninggalkan perkara-perkara maksiat dan dosa di bulan-bulan yang lain. Ini kerana di bulan Ramadhan kita sudah terbiasa dan terdidik dengan melaksanakan ibadat sembahyang fardhu dengan sempurna, memelihara waktunya, bahkan turut melaksanakannya secara berjemaah. Di samping mengerjakan ibadat yang fardhu, kita juga sudah terbiasa dan terdidik dengan memperbanyakkan amal ibadat sunat seperti sembahyang sunat Rawatib, Tahajjud, Tasbih, Dhuha dan Witir, bersedekah dan bertadarrus al- Qur’an.

Demikian juga, di bulan Ramadhan kita sudah terbiasa dan terdidik untuk memelihara anggota dan pancaindera daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat, mampu mengawal hawa nafsu dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti mengumpat dan sebagainya.

Di bulan Ramadhan juga, kita mampu melaksanakan ibadat puasa selama sebulan penuh, ini sudah tentu dapat dilaksanakan pada bulan-bulan yang lain dengan melaksanakan puasa-puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, hari ‘Arafah di bulan Zulhijjah, ‘Asyura di bulan Muharram, enam hari di bulan Syawal dan puasa di bulan Sya‘ban.

Oleh itu, amalan yang telah kita laksanakan di bulan Ramadhan itu hendaklah tidak terhenti setakat di bulan Ramadhan sahaja, akan tetapi terus istiqâmah melaksanakannya di bulan-bulan yang lain bahkan hingga ke akhir hayat agar kita dapat menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa serta mencapai keredhaanNya.

BERSENTUHAN KULIT DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN: Kesannya Terhadap Wudhu’

Salah satu perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab asy-Syafi‘i ialah apabila bersentuh kulit tanpa berlapik antara lelaki dengan perempuan bukan mahram yang telah sampai pada had usia yang dikira boleh membangkitkan syahwat dari segi ‘urf.

Dasar ketetapan ini adalah merujuk kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: …atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu’ atau mandi), maka bertayamumlah dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua-dua tangan kamu (hingga ke siku) dengannya... (Surah al-Mâ’idah: 6)

Ayat ini memerintahkan agar berwudhu’ atau bertayammum sekiranya ketiadaan air untuk menghilangkan hadats akibat berlakunya persentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Dalam permasalahan sentuhan di antara lelaki dengan perempuan, wudhu’ akan batal setelah berlaku kesemua perkara berikut:

• Bersentuh kulit dengan kulit dengan yakin.

• Sentuhan berlaku di antara lelaki dengan perempuan.

• Sentuhan sesama orang dewasa atau pada usia yang boleh membangkitkan syahwat terhadap lawan jenisnya.

• Tiada hubungan mahram di antara kedua-duanya (ajnabiy)

Bersentuh Kulit dengan Kulit dengan Yakin

1. Hukum bersentuh selain kulit.

Yang dimaksudkan dengan kulit itu ialah anggota badan selain daripada rambut, bulu, gigi dan kuku. Termasuk juga dalam maksud kulit itu anggota berupa daging seperti gusi dan lidah.

Menyentuh bahagian badan yang tidak termasuk dalam maksud kulit seperti menyentuh rambut, bulu walaupun bulu kemaluan, gigi dan kuku tidak membatalkan wudhu’. Ini kerana kelazatan atau berlazat-lazat dengan anggota tersebut hanya dapat diperolehi dengan cara melihatnya sahaja dan bukan dengan cara menyentuhnya. Maksudnya di sini, segala anggota yang disebutkan itu tidak membatalkan wudhu’ apabila disentuh kerana tidak ada apa-apa kelazatan yang diperolehi akibat daripada menyentuhnya.

Adapun batin mata serta tulang yang nyata atas sebab luka pula terdapat perselisihan pendapat mengenainya di kalangan ulama asy-Syafi‘iyyah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, kedua-duanya tidak membatalkan wudhu’ apabila disentuh. Manakala menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula kedua-duanya membatalkan wudhu’. Sebagai jalan keluar daripada perbezaan pendapat para ulama di atas, adalah disunatkan juga bagi sesiapa yang menyentuh apa sahaja bahagian badan yang bukan dikategorikan sebagai kulit supaya mengambil wudhu’.

2. Syak adakah yang disentuh itu kulit ataupun bukan.

Sekiranya seseorang lelaki syak adakah dia telah tersentuh kulit perempuan bukan mahram ataupun rambutnya sahaja, ataupun adakah yang tersentuh itu hanya kukunya, contohnya dalam keadaan gelap atau bersesak-sesak, maka dalam hal ini tidak batal wudhu’nya.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, disunatkan juga ke atasnya untuk mengambil wudhu’.

3. Bersentuh dalam keadaan berlapik.

Tidak batal wudhu’ sekiranya sentuhan di antara seorang lelaki dengan perempuan berlaku secara berlapik sekalipun lapik itu nipis dan walaupun dengan diiringi syahwat.

4. Menyentuh atau tersentuh dengan anggota selain tangan.

Sentuhan yang boleh membatalkan wudhu’ tidak semestinya dengan tangan. Wudhu’ tetap batal walaupun sentuhan itu bukan dengan tangan. Tidak kira sama ada anggota tersebut adalah anggota asli ataupun tambahan dan tidak kira sama ada anggota tersebut sihat ataupun berpenyakit, walaupun anggota tersebut tidak lagi merasa apa-apa apabila disentuh.

Sentuhan Berlaku di antara Lelaki dengan Perempuan

1. Sentuhan di antara sesama jenis.

Tidak batal wudhu’ sekiranya bersentuh kulit sesama jenis, sama ada di antara lelaki dengan lelaki atau di antara perempuan dengan perempuan. Begitu juga tidak batal wudhu’ sekiranya seorang khuntsâ bersentuh kulit dengan khuntsâ yang lain. Semua ini tidak membatalkan wudhu’ walaupun sentuhan sesama jenis itu dilakukan dengan syahwat dan mendatangkan kelazatan atau keni‘matan atas kedua-duanya, umpamanya sentuhan sesama lesbian dan sebagainya.

Demikian juga tidak batal wudhu’ sekiranya seorang lelaki atau perempuan bersentuh kulit dengan khuntsâ walaupun sentuhan itu berlaku dengan diiringi syahwat.

Sekiranya dalam satu keadaan sesak yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan, seorang lelaki terasa sentuhan kulit seseorang pada kulit tangannya, lalu dia syak dan tidak pasti adakah kulit tangannya itu telah tersentuh dengan kulit lelaki ataupun kulit perempuan, maka yang demikian itu juga tidak membatalkan wudhu’.

Begitu juga sekiranya seorang lelaki telah tersentuh kulit seseorang yang dia tidak pasti adakah dia itu khuntsâ ataupun perempuan. Ini juga tidak membatalkan wudhu’ kerana syak yang ada padanya.

2. Bersentuh dengan tidak sengaja.

Bersentuh kulit antara seorang lelaki dengan perempuan yang bukan mahram, sama ada secara sengaja, terlupa atau dipaksa oleh seseorang, semuanya itu membatalkan wudhu’.

3. Adakah orang yang disentuh juga terbatal wudhu’nya?

Orang yang menyentuh serta orang yang disentuh kedua-duanya batal wudhu’. Ini kerana menurut ulama, kelazatan sentuhan itu sama-sama boleh dirasai oleh orang yang menyentuh dan orang yang disentuh sepertimana halnya orang yang menyetubuhi dan orang yang disetubuhi sama-sama merasai kelazatan bersetubuh.

Bagaimanapun, sekiranya seorang lelaki yang hidup menyentuh mayat perempuan yang bukan mahram nya, maka hanya wudhu’ lelaki yang hidup itu yang batal, manakala wudhu’ mayat perempuan itu pula tidak batal. Begitu juga sebaliknya, hukumnya adalah sama sekiranya seorang perempuan yang hidup menyentuh mayat lelaki yang bukan mahramnya. Hanya wudhu’ perempuan yang hidup itu sahaja yang batal, sementara wudhu’ mayat lelaki itu pula tidak batal.

Sentuhan Sesama Orang Dewasa atau pada Usia yang Boleh Membangkitkan Syahwat Terhadap Lawan Jenisnya

1. Hukum bersentuh dengan kanak-kanak.

Yang dimaksudkan dengan sentuhan di antara lelaki dan perempuan yang membatalkan wudhu’ itu ialah lelaki dan perempuan yang jelas sudah sampai pada tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada lawan jenisnya dari segi ‘uruf. Tidak kira sama ada kanak-kanak lelaki ataupun kanak-kanak perempuan itu sudah baligh ataupun belum.

Sekiranya seorang lelaki dewasa menyentuh kulit kanak-kanak perempuan yang belum sampai tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada lelaki yang normal naluri semula jadinya, maka tidak batal wudhu’ lelaki itu serta tidak batal wudhu’ kanak-kanak perempuan tersebut. Begitu juga tidak batal wudhu’ perempuan dewasa yang menyentuh kulit kanak-kanak lelaki yang belum sampai tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada perempuan yang normal naluri semula jadinya. Wudhu’ kanak-kanak lelaki itu juga tidak batal.

Demikian juga tidak batal wudhu’ kanak-kanak lelaki yang bersentuh kulit dengan kanak-kanak perempuan yang kedua-duanya belum sampai tahap yang boleh membangkitkan syahwat.

Sekiranya kanak-kanak tersebut telah sampai ke tahap yang boleh membangkitkan syahwat kepada lelaki atau perempuan yang normal naluri semula jadinya, maka menyentuh kanak-kanak tersebut membatalkan wudhu’ kedua-duanya walaupun orang yang menyentuh itu adalah lelaki atau perempuan yang tidak lagi memiliki kehendak terhadap lawan jenisnya seperti kerana faktor usia, kesihatan, kecederaan dan seumpamanya.

2. Bersentuh kulit gengan orang tua.

Menyentuh kulit orang tua yang bukan mahram, sekalipun tuanya itu telah sampai kepada had yang pada kebiasaannya dia tidak mungkin akan membangkitkan keinginan syahwat kepada lawan jenisnya, tetap membatalkan wudhu’.

Tiada Hubungan Mahram di Antara Kedua-duanya (Ajnabiy)

Maksud mahram dalam permasalahan ini ialah orang yang haram dinikahi selama-lamanya yakni mahram mu’abbad atas sebab keturunan, atas sebab susuan ataupun atas sebab mushâharah (perkahwinan).

Untuk lebih jelas lagi, sebagai contoh, bagi seorang lelaki, mahramnya kerana keturunan adalah seperti berikut:

1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 3. Adik-beradik perempuan seibu sebapa. 4. Adik-beradik perempuan sebapa. 5. Adik-beradik perempuan seibu. 6. Emak saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 7. Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan (anak kemanakan).

Sementara mahramnya kerana susuan pula adalah seperti berikut:

1. Ibu susuan. 2. Ibu kepada ibu susuan. 3. Ibu kepada bapa susuan (suami ibu susuan). 4. Adik-beradik perempuan kepada ibu susuan. 5. Adik-beradik perempuan kepada bapa susuan.

6. Anak perempuan kepada ibu dan bapa susuan (adik-beradik seibu sebapa susuan). 7. Anak perempuan kepada ibu susuan (adik-beradik seibu susuan). 8. Anak perempuan kepada bapa susuan (adik-beradik sebapa susuan).

Manakala mahram kerana mushâharah pula adalah seperti yang di bawah ini:

1. Emak mertua. 2. Anak menantu. 3. Emak tiri. 4. Anak tiri.

Adapun orang yang haram dinikahi bukan atas sebab keturunan, susuan ataupun mushâharah, umpamanya anak perempuan serta ibu kepada perempuan yang diwathi’ (disetubuhi) secara syubhah, perempuan kafir, murtad atau sebagainya, bersentuhan kulit dengan mereka juga akan membatalkan wudhu’.

Maka dari itu, setiap sentuhan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa berlapik, sama ada diiringi syahwat ataupun tidak, walaupun sentuhan itu hanya berlaku sedetik sahaja, adalah membatalkan wudhu’ walaupun lelaki itu adalah seseorang yang tidak cenderung atau sudah tidak memiliki nafsu terhadap perempuan, umpamanya lelaki yang tidak memiliki alat kelamin atau bijinya atau kedua-duanya sekali atau sudah putus alat kelaminnya dan sebagainya.

Begitu juga bersentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan yang pada kebiasaannya tidak lagi membangkitkan syahwat, umpamanya perempuan tua atau hodoh, tetap membatalkan wudhu’.

Beberapa Permasalahan Lain Tentang Perkara Bersentuhan Kulit di Antara Lelaki dan Perempuan

Selain permasalahan yang telah disebutkan sebelum ini, terdapat beberapa permasalahan lain yang penting untuk diketahui berkaitan perkara bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan ini. Antaranya:

1. Bersentuh kulit dengan orang yang tidak diketahui adakah mahram atau ajnabiy.

Menurut Syeikh ad-Darimi Rahimahullâh, sekiranya seorang lelaki itu tidak pasti adakah perempuan itu mahramnya ataupun bukan, sebagai contoh, dia tidak pasti adakah perempuan itu saudara susuannya ataupun bukan, ataupun dia menganggap perempuan itu mahramnya berdasarkan sangkaannya semata-mata, sekiranya tersentuh kulit di antara mereka maka yang demikian itu tidak membatalkan wudhu’ kedua-duanya kerana menurut hukum asal dia masih dikira kekal dalam thahârah.

2. Bersentuh kulit sesama mahram dengan syahwat.

Tidak batal wudhu’ seorang lelaki yang menyentuh perempuan mahramnya begitu juga tidak batal wudhu’ perempuan yang menyentuh mahram lelakinya walaupun sentuhan itu diiringi syahwat. Ini kerana menurut ulama, menyentuh mahram pada kebiasaannya tidak akan menimbulkan syahwat.

Demikian beberapa penjelasan tentang kesan bersentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan terhadap wudhu’. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu memantapkan lagi ilmu kita khususnya dalam mengetahui perkara-perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan wudhu’.

KAIFIYYAH MELETAKKAN TANGAN KETIKA DUDUK TAHIYYAT

Duduk tahiyyat akhir yang diakhiri dengan salam dan membaca tahiyyat (tasyahhud) adalah dua rukun sembahyang yang wajib disempurnakan. Manakala membaca tasyahhud awal dan duduk tasyahhud (tahiyyat) awal pula merupakan dua daripada sunat ab‘adh. Jika tahiyyat awal tertinggal atau sengaja ditinggalkan, tidaklah membatalkan sembahyang, akan tetapi sunat melakukan sujud sahwi bagi menampal kekurangan tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang sunat kita lakukan dalam sembahyang ketika tahiyyat akhir dan juga tahiyyat awal. Antaranya adalah mengenai tempat letak kedua belah telapak tangan dan cara meletakkan jari-jari tangan, perkara sunat mengenai keadaan jari-jari tangan kanan dan kiri terutama sekali jari telunjuk dan ibu jari kanan dan seterusnya masa untuk menaikkan dan menurunkan jari telunjuk kanan.

Kedudukan Tangan Ketika Duduk Tahiyyat

Secara amnya, semasa duduk tahiyyat awal dan akhir, disunatkan meletakkan kedua-dua belah tangan, yakni dua telapak tangan serta perut jari-jari, di atas kedua-dua belah kaki (peha). Tangan kanan diletakkan di atas peha kanan, manakala tangan kiri di atas peha kiri, sekira-kira hujung jari-jari tangan itu diletakkan berdekatan dengan

hujung lutut atau tepi lutut. Bagaimana pun tidaklah menjejaskan seseorang daripada mendapat ganjaran amalan sunat sekiranya hujung jarinya itu menyentuh atau mencecah lutut sepertimana dalam hadits yang akan disebutkan nanti.

Hikmah daripada anjuran meletakkan dua tangan di atas dua peha ialah supaya terhindar kedua-dua tangannya itu daripada melakukan perkara sia-sia semasa duduk Tahiyyat dan duduk selainnya. Selain itu, posisi begini adalah lebih dekat kepada tawâdhu‘. Demikianlah juga keadaan atau kedudukan tangan dalam sembahyang semasa duduk di antara dua sujud dan duduk selainnya.

Kedudukan Jari-jari Kiri ketika Duduk Tahiyyat

Jari-jari tangan sebelah kiri diletakkan di atas peha kiri dalam keadaan dihamparkan atau dibentangkan (tidak digenggam) menghala ke hadapan ke arah qiblat, serta dirapatkan jari-jari tersebut (tidak terlalu renggang). Tujuannya adalah untuk menjaga supaya hala ibu jari atau jari selainnya tidak terkeluar atau tersasar daripada arah qiblat. Cara atau kaifiyyah meletakkan tangan ini merupakan ittibâ‘. Yang dimaksudkan dengan ittibâ‘ itu ialah mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Hatta jika seseorang itu sembahyang di bahagian dalam bangunan Ka‘bah, dia juga dianjurkan untuk merapatkan kesemua jari-jarinya sedangkan dimaklumi bahawa jari-jarinya akan tetap menghala ke arah qiblat sekalipun dia merenggangkannya.

Bagi sesiapa yang belum elok bacaan tasyahhudnya, sunat baginya semasa dia duduk tahiyyat untuk meletakkan tangannya menurut kaifiyyah yang disebutkan di atas. Demikian juga, menurut pendapat al-muttajah, tetap dituntut bagi orang yang sembahyang secara berbaring atau telentang jika dia boleh (terdaya) untuk menyempurnakannya.

Kedudukan Jari-jari Kanan ketika Duduk Tahiyyat

Menurut pendapat al-mu‘tamad, jari-jari tangan sebelah kanan terlebih dahulu diletakkan di atas peha kanan dalam keadaan dihamparkan atau dibentangkan (tidak digenggam) menghala ke hadapan ke arah qiblat sekira-kira hujung jari-jari kanan itu berdekatan dengan hujung lutut kanan sepertimana juga keadaan jari-jari tangan sebelah kiri seperti yang telah dijelaskan.

Setelah sempurna dibentangkan, kemudian barulah digenggam jari-jari kanan, iaitu jari paling kecil (kelingking), jari manis dan jari tengah tetapi tidak termasuk ibu jari dan jari telunjuk. Jari telunjuk adalah jari di antara kedudukan ibu jari dan jari tengah. Jari telunjuk kanan diunjurkan ke hadapan (tidak digenggam) menghala ke hadapan arah qiblat (seperti isyarat menunjuk). Bagi yang memiliki dua jari telunjuk kanan, yang asal adalah memadai untuk melakukan isyarat dengan salah satu daripada kedua-duanya.

Dalil dalam perkara ini adalah ittibâ‘, sebagaimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin az-Zubair daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda duduk berdo‘a (tasyahhud), Baginda meletakkan tangan kanannya di atas peha kanannya, manakala tangan kirinya di atas peha kirinya dan Baginda membuat isyarat dengan jari telunjuk Baginda. Dan Baginda meletakkan ibu jari di atas jarinya yang tengah, manakala telapak tangan kiri menyentuh lutut kiri Baginda. (Hadits riwayat Muslim)

Mengenai maksud ‘menyentuh lutut kiri’, sebagaimana yang tersebut di dalam hadits di atas, para ulama secara ijmâ‘ (sepakat) mengatakan bahawa sunat meletakkan telapak tangan di sisi (dekat) lutut ataupun di atas lutut (menyentuhnya) ataupun menutupi lutut.

Menaikkan Jari Telunjuk Kanan

Setelah sempurna menggenggam jari kecil (kelingking), jari manis dan jari tengah serta dirapatkan ibu jari kepada jari telunjuk, serta jari telunjuk dibiarkan dalam keadaan dianjurkan ke hadapan (seperti isyarat menunjuk) menghala ke arah qiblat, maka apabila sampai kepada bacaan syahâdah, iaitu bacaan “ أشهد أن ال إله إال هللا ”, tatkala sampai pada huruf ‘hamzah’ ( (ء pada perkataan “ إال هللا ”, maka sunat menaikkan (mengangkat) jari telunjuk pada ketika itu dan dihalakan ke hadapan dengan memastikan hujung jari telunjuk itu betul-betul tidak terkeluar dari hala atau arah qiblat. Perbuatan menaikkan jari telunjuk tatkala sampai pada perkataan “ إال هللا ” juga merupakan ittibâ‘.

Diqashadkan (diniatkan) ketika jari telunjuk dinaikkan sebagai isyarat pembuktian terhadap keesaan Allah Ta‘ala dan berhimpunlah pada ketika itu tauhid qauli (ucapan), tauhid amali (amalan) dan tauhid i’tiqâdi (hati).

Hikmah menggunakan jari telunjuk kanan dan bukan jari selainnya untuk isyarat kemudian mengangkatnya adalah kerana bahawasanya jari telunjuk kanan itu berhubung dengan urat hati. Perbuatan mengangkatkannya itu sebab bagi menghadirkan hati.

Letak Ibu Jari

Ketika melakukan isyarat dengan jari telunjuk kanan, ibu jari kanan boleh diletakkan dengan berbagai cara sepertimana berikut:

1. Cara yang afdhal meletakkan ibu jari ialah ibu jari diletakkan di atas peha dan dirapatkan ibu jari dan jari telunjuk sekira-kira hujung ibu jari itu berada di bawah jari telunjuk dalam keadaan ibu jari itu dianjurkan ke hadapan sepertimana juga jari telunjuk.

2. Cara yang lain pula ialah ibu jari diletakkan di tepi jari telunjuk dan dianjurkan selaras dengan jari telunjuk.

3 Ibu jari digenggam, manakala hujung ibu jari itu berada di atas jari tengah.

4. Dibuat seperti satu lingkaran bulat dengan mempertemukan hujung ibu jari dengan hujung jari tengah

5. Diletakkan hujung jari tengah pada bahagian antara dua ruas ibu jari.

Yang pasti kesemua cara atau kaifiyyah di atas tetap menepati sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta akan beroleh ganjaran sunnah tersebut jika dilakukan, kerana kesemua cara tersebut telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Pada suatu waktu Baginda melakukan dengan salah satu cara, manakala pada waktu yang lain Baginda melakukan cara yang lain pula. Bagaimanapun ketekunan (muwâzhabah) Baginda dengan cara yang pertama di atas menjadikannya sebagai cara yang afdhal antara kesemuanya.

Perkara Sunat Semasa Jari Telunjuk Dinaikkan

Pada ketika jari telunjuk dinaikkan tatkala sampai pada huruf ‘hamzah’ ( (ء pada perkataan “ إال هللا ”, adalah sunat menghalakan pandangan mata kepada jari telunjuk tersebut, sekalipun jari telunjuk tersebut tersembunyi umpamanya di sebalik sapu tangan, pakaian, tudung, telekung dan selainnya. Pandangan mata pula sebaiknya tidak melampaui atau melebihi jari telunjuk tersebut. Sunat memandang semata-mata kepada jari telunjuk yang dinaikkan secara berterusan sepanjang masa jari telunjuk tersebut dinaikkan. Khusus dalam perkara ini, pada ketika ini dikecualikan bagi orang yang sembahyang daripada tuntutan menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud. Sekiranya jari telunjuk kanan terpotong, maka pandangan mata tidak lagi dihalakan ke arahnya akan tetapi dihalakan ke tempat sujud.

Setelah jari telunjuk kanan dinaikkan, adalah sunat membiarkannya berterusan dalam keadaan sedemikian dan tidak meletakkannya atau menurunkannya kembali sehinggalah tiba masa untuk berdiri untuk rakaat seterusnya, iaitu pada tahiyyat awal, atau sehinggalah selesai bacaan tasyahhud dan hendak memberi salam. Demikianlah menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh bahawa jari telunjuk tidak diletakkan atau diturunkan sehinggalah selesai daripada Tasyahhud Akhir, iaitu sebaik sahaja berakhir tasyahhud sebelum memberi salam yang pertama.

Makruh mengangkat jari selain daripada jari telunjuk kanan sebagai ganti seperti mengangkat jari-jari kanan atau jari telunjuk kiri sekalipun jari telunjuk kanan terpotong. Sekiranya jari telunjuk kanan itu terpotong atau sakit, maka gugurlah tuntutan sunat ini (isyarat dengan jari telunjuk kanan). Ini kerana menurut sunnah, melakukan isyarat itu adalah dengan jari telunjuk kanan. Adapun melakukan isyarat dengan jari telunjuk kiri adalah dikira meluputkan perkara sunat kerana menghamparkan atau membentangkan jari-jari tangan kiri di atas peha hukumnya adalah sunat. Selain itu, tidak disunatkan untuk menaikkan atau mengangkat jari telunjuk kanan tatkala membaca perkataan “ إال هللا ” di luar daripada sembahyang.

Perlu diketahui, jika menurut pendapat yang mengatakan meletakkan dua telapak tangan di atas dua peha ketika duduk dalam sembahyang merupakan perkara sunat dalam sembahyang, lalu sekiranya seseorang meletakkan telapak tangannya bukan di atas dua peha, seperti meletakkannya di atas lantai ataupun dia meletakkan telapak tangan di atas peha akan tetapi jauh daripada lutut, maka dalam keadaan ini dia tetap disunatkan melakukan isyarat dengan jari telunjuk kanan. Ini kerana kesemua suruhan ini merupakan amalan sunat yang tersendiri dan berasingan. Meletakkan telapak tangan di atas peha, merapatkan jari-jari, melakukan isyarat dengan jari telunjuk kanan, menaikkan jari telunjuk pada waktunya dan selainnya, masing-masing merupakan amalan sunat yang tersendiri.

Menurut pendapat al-mu‘tamad, sepanjang masa jari telunjuk dinaikkan, janganlah jari telunjuk tersebut diggerak-gerakkan. Hukum menggerakkannya adalah makruh kerana boleh mengganggu kekhusyû‘an seseorang dalam sembahyang, namun perbuatan itu tidaklah membatalkan sembahyang. Ini kerana perbuatan menggerak-gerakkan jari dalam sembahyang dikira sebagai pergerakan yang sedikit. Terlupa Mengangkat Jari Telunjuk ketika Tahiyyat dalam Sembahyang

Mengangkat jari telunjuk kanan tatkala sampai pada kalimat “ إال هللا ” ketika mengucap syahâdah adalah sunat dan bukanlah ia wajib atau rukun. Oleh yang demikian, seseorang yang duduk Tahiyyat Awal dalam sembahyang dan tidak mengangkat jari telunjuknya tatkala sampai pada kalimat “ إال هللا ” tidaklah membatalkan sembahyangnya. Umpamanya dalam sembahyang fardhu Zhuhur, apabila dia bangkit dari Tahiyyat Awal dalam rakaat kedua tanpa mengangkat jari telunjuknya, maka hendaklah dia teruskan baki sembahyangnya sehingga selesai dan sembahyangnya itu dikira sah serta sempurna. Adapun meninggalkan mengangkat jari telunjuk disebabkan lupa tidaklah dituntut untuk melakukan sunat sujud sahwi. Ini kerana sepertimana yang telah dijelaskan, mengangkat jari telunjuk kanan itu adalah daripada sunat hai’ah dan bukanlah sunat ab‘adh.

Sebagai kesimpulan, ke arah mencapai kesempurnaan sembahyang, selain daripada tumpuan yang teliti pada kesempurnaan pelaksanaan segala rukun sembahyang, pemerhatian terhadap perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan pelaksanaannya juga boleh dipertingkatkan untuk menuju ke arah yang dimaksudkan. Terdapat sunat-sunat hai’at yang boleh ditekuni ketika duduk Tahiyyat seperti cara meletakkan dua tangan dan kedudukan jari-jari, tempat dan cara meletakkan ibu jari kanan, waktu yang disunatkan untuk menaikkan jari telunjuk kanan kemudian waktu menurunkannya, hala pandangan mata dan selainnya.

PERIHAL SEMBAHYANG DUDUK

Berdiri dengan betul iaitu berdiri dengan menegakkan atau meluruskan sendi dan tulang belakang adalah antara rukun-rukun dalam sembahyang fardhu. Hukum menyempurnakannya adalah wajib bagi orang yang mampu berdiri. Kegagalan melaksanakannya dengan sempurna boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu batal kerana rukun adalah sebahagian daripada sembahyang.

Sementara itu, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk atau berbaring walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala bagi orang yang mampu untuk berdiri jika dia mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri dan pahala orang yang mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan berbaring adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan duduk. Oleh itu, mengerjakan sembahyang sunat dengan berdiri adalah afdhal (lebih utama).

Hukum Sembahyang Fardhu dengan Cara Duduk

Orang yang tidak mampu mengerjakan sembahyang fardhu dengan berdiri hendaklah dia mengerjakannya dengan cara duduk. Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (dengan rusuk mengiring). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang yang dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang apabila seseorang itu telah mampu berdiri setelah hilang keuzuran.

Mengenai dengan pahala pula, pahala seseorang yang sembahyang fardhu dengan cara duduk atau berbaring disebabkan keuzuran tidak akan berkurang, bahkan sama sahaja pahalanya seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

Sebab-sebab yang Mengharuskan Sembahyang Fardhu Dikerjakan dengan Cara Duduk

Seorang mukallaf harus mengerjakan sembahyang dengan cara duduk atau berbaring jika dia tidak mampu berdiri. Menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh, yang dimaksudkan dengan “tidak mampu” itu bukan setakat hilang keupayaan untuk berdiri, tetapi juga disebabkan takut akan berlaku kerosakan atau kemudharatan ke atas diri, takut tenggelam atau pening apabila berdiri di atas perahu, takut akan menambahkan lagi kesakitan, takut air kencing terus mengalir keluar jika berdiri dan tidak mungkin menahan hadats kecuali dengan duduk atau dinasihati oleh doktor yang dipercayai jika dengan duduk atau menelentang akan dapat membantu sakitnya sembuh. Selain itu diharuskan juga sembahyang dengan cara duduk jika seseorang mengalami masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan sehingga boleh mengganggu dan menghilangkan khusyû‘ dalam sembahyang.

Cara Duduk yang Afdhal

Tidak ditentukan cara dan keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri dan ingin menunaikan sembahyang dengan cara duduk. Adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk sebagai ganti perbuatan berdiri.

Walau bagaimanapun, duduk dalam keadaan iftirâsy (seperti duduk tahiyyat awal) adalah afdhal untuk dilakukan berbanding dengan duduk tarabbu‘ (bersila) dan duduk yang lain. Ini kerana duduk iftirâsy adalah cara yang disyariatkan di dalam sembahyang, maka ia adalah lebih awlâ (lebih utama).

Demikian juga duduk dalam keadaan iftirâsy adalah afdhal berbanding dengan duduk tawarruk (seperti duduk tahiyyat akhir), kerana duduk iftirâsy merupakan duduk yang tidak diikuti selepasnya oleh salam.

Sementara itu, makruh hukumnya duduk dalam keadaan iq‘a (bertinggung) kerana duduk tersebut menyerupai anjing dan monyet.

Cara Ruku‘, I‘tidâl dan Sujud bagi Sembahyang Duduk

Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara duduk, maka cara ruku‘, i‘tidâl dan sujudnya adalah seperti berikut:

1. Ruku‘.

Ruku‘ sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

2. I‘tidâl.

I‘tidâl ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

3. Sujud.

Cara sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa.

Tetapi jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa iaitu meletakkan dahi ke lantai, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut:

Pertama: Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang ruku‘ atau ruku‘ yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar demikian, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk ruku‘ dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.

Kedua: Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar ruku‘ yang sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar sempurna ruku‘ itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi ruku‘ yang sempurna itu bagi membezakan di antara sujud dan ruku‘.

Sementara itu, jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka dia hendaklah melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu terdaya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara melakukan isyarat itu adalah dengan kepala. Jika dia tidak terdaya melakukan isyarat dengan kepala, maka hendaklah dengan mata. Jika tidak terdaya juga, maka hendaklah dengan hati.

Tidak pula disyariatkan untuk meletakkan kerusi atau selainnya seperti meja sebagai tempat untuk sujud di atasnya jika seseorang itu tidak mampu tunduk dan membongkok untuk melakukan sujud seperti biasa.

Sembahyang Duduk di atas Kerusi

Berdasarkan kepada keumuman maksud hadits yang membolehkan sembahyang secara duduk yang telah dijelaskan dapat difahami bahawa sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri juga adalah dibolehkan kerana tidak ada ditetapkan cara dan keadaan duduk yang khusus mengenainya.

Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi, maka hendaklah dia ruku‘ dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

Kemudian kembali duduk dengan betul untuk melakukan i‘tidâl. Jika dia tidak mampu kembali duduk dengan betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

Setelah itu sujud seperti biasa dengan meletakkan dahi ke lantai.

Jika dia tidak mampu untuk sujud dengan meletakkan dahi ke lantai akan tetapi dia mampu untuk membongkokkan badan pada kadar ruku‘ paling kurang atau paling sempurna akan tetapi tidak mampu melebihi kadar demikian itu, maka bolehlah dia melakukan pada kadar yang termampu itu sekali untuk ruku‘ dan sekali lagi untuk sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi.

Adapun jika dia mampu untuk membongkok melebihi kadar ruku‘ paling sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar ruku‘ paling sempurna dan wajib dia sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kadar yang melebihi kadar ruku‘ paling sempurna itu.

Sementara itu, jika dia tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud, maka dia hendaklah melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk di atas kerusi itu secara isyarat sebagaimana yang telah dijelaskan.

Beberapa Permasalahan Mengenai Sembahyang Duduk

1. Mampu berdiri tetapi tidak mampu ruku‘ dan sujud.

Jika seseorang mampu berdiri akan tetapi dia tidak mampu ruku‘ dan sujud, umpamanya disebabkan terdapat masalah pada bahagian belakangnya, maka wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun ruku‘ dan sujud dilakukan dalam keadaan berdiri dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu sahaja.

Jika dia tidak mampu membongkokkan tulang belakangnya untuk ruku‘ dan sujud, maka hendaklah dia menundukkan leher dan kepalanya, dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat.

Dalam keadaan di atas, menurut Imam al-Halabi, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dengan isyarat ketika dalam keadaan berdiri, kemudian dia melakukan duduk antara dua sujud seperti biasa, setelah itu hendaklah dia melakukan sujud kedua dengan isyarat dalam keadaan dia duduk bukan dengan berdiri. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud.

2. Mampu berdiri dan berbaring sahaja.

Jika seseorang mampu berdiri dan berbaring sahaja, dan tidak mampu duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan memberi isyarat ruku‘ dan sujud sekadar yang mampu. Demikian juga dalam melakukan tasyahhud (tahiyyat), hendaklah dia melakukannya dalam keadaan berdiri.

3. Mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian sahaja.

Jika seseorang mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian, tetapi menghadapi kesulitan untuk berdiri apabila sembahyang berjemaah, melainkan dengan duduk pada sebahagian sembahyangnya, maka dalam keadaan tersebut, adalah afdhal baginya untuk sembahyang bersendirian sahaja. Namun sembahyangnya tetap sah jika dia berjemaah dan duduk pada sebahagian sembahyangnya itu.

4. Berlaku keuzuran di pertengahan sembahyang.

Apabila seorang yang sihat menunaikan sembahyang seperti biasa, tiba-tiba berlaku keuzuran yang menyebabkannya tidak mampu untuk berdiri, maka dalam hal tersebut harus dia melakukan daripada keadaan yang dia tidak mampu iaitu berdiri kepada yang termampu olehnya iaitu duduk.

Jika berlaku keuzuran ketika dia sedang membaca sebahagian surah al- Fâtihah, wajib dia meneruskan bacaan al-Fâtihah dalam waktu dia bergerak merendah untuk duduk itu.

5. Hilang keuzuran di pertengahan sembahyang.

Apabila seorang yang uzur mengerjakan sembahyang dengan cara duduk, tiba-tiba hilang keuzurannya dan mampu untuk berdiri, maka wajib baginya untuk segera bangkit dan berdiri.

Jika dia mampu untuk berdiri disebabkan hilang keuzuran atau berkurangan keuzurannya sebelum dia membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah dia bangkit berdiri dan membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri.

Demikian juga, jika dia berdaya untuk berdiri disebabkan hilang atau berkurangan keuzuran ketika dia sedang membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah dia bangkit dan menyambung bacaannya setelah dia sempurna berdiri. Wajib ke atasnya untuk tidak meneruskan membaca surah al-Fâtihah sehinggalah dia sempurna berdiri kerana tidak memadai atau tidak dikira bacaannya jika dia membacanya ketika bergerak untuk berdiri.

Adapun jika dia mampu untuk berdiri setelah selesai membaca surah al- Fâtihah sebelum lagi melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk tunduk ruku‘ tanpa perlu thuma’nînah dan disunatkan untuk membaca semula surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri sebelum ruku‘.

Dalam keadaan yang lain pula, jika seorang bersembahyang duduk lalu hilang keuzurannya ketika dia melakukan ruku‘ dalam keadaan duduk dan sebelum thuma’nînah, maka hendaklah dia terus berdiri dalam keadaan ruku‘ dan jangan berdiri tegak. Sembahyangnya menjadi batal jika dia berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudian baharu ruku‘. Ini adalah kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia menambah rukun fi‘li sembahyang iaitu berdiri.

Manakala jika keuzurannya itu hilang selepas thuma’nînah, maka ruku‘nya adalah sempurna dan wajib dia berdiri dalam keadaan i‘tidâl kemudian baharulah dia sujud tanpa perlu ruku‘. Jika dia melakukan ruku‘, sembahyangnya menjadi batal kerana dia menambah satu lagi rukun fi‘li sembahyang iaitu ruku‘.

Jika keuzurannya hilang ketika melakukan i‘tidâl dalam keadaan duduk sebelum berlaku thuma’nînah, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk i‘tidâl dan thuma’nînah. Sementara itu, jika keuzurannya hilang selepas berlaku thuma’nînah, maka menurut pendapat yang ashah, tidak perlu lagi dia berdiri supaya tidak berlaku perbuatan memanjangkan tempoh i‘tidâl, kerana ‘itidal merupakan rukun pendek. Adapun jika keuzurannya hilang selepas thuma’nînah di rakaat kedua sembahyang Shubuh, sebelum dia membaca do‘a qunut, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk membaca do‘a qunut. Jika dia tidak bangkit berdiri namun dia terus membaca do‘a qunut dalam keadaannya duduk, maka batal sembahyangnya kerana perbuatan tersebut dikira menambah perbuatan duduk yang bukan sepatutnya.

6. Tidak mampu berdiri lama.

Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri pada kadar yang lama, iaitu dia hanya mampu untuk berdiri sekadar sempat untuk membaca surah al-Fâtihah sahaja dan jika dia membaca surah lain selepas itu, nescaya dia tidak mampu lagi untuk berdiri, dalam hal yang demikian, afdhal baginya membaca surah al-Fâtihah sahaja tanpa membaca surah lain selepas al-Fâtihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu adalah lebih utama.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa setiap rukun di dalam sembahyang fardhu tetap wajib untuk dikerjakan oleh setiap mukallaf mengikut kadar kemampuannya.

Antaranya, bagi seseorang yang mempunyai keuzuran sehingga menyebabkan dia tidak mampu berdiri, akan tetapi dia mampu untuk duduk, maka dia hendaklah mengerjakan rukun berdiri dengan cara duduk mengikut ketetapan seperti yang telah dijelaskan. Pahala sembahyangnya sama sahaja seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

Sementara itu pula, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala sembahyangnya adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri.

SEMBAHYANG DI MASJID AL-HARAM: Isu Shaf Sembahyang Yang Bercampur di Antara Lelaki dengan Perempuan

Ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di Masjid al-Haram, rata-rata para jemaah berebut-rebut hendak mengerjakan sembahyang di shaf yang paling hampir dengan Ka‘bah. Ini menyebabkan setiap shaf itu menjadi penuh dan padat sehinggakan sukar untuk berpindah ke shaf yang lain kerana tidak ada lagi ruang untuk diisi terutama pada shaf-shaf hadapan.

Apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah percampuran yang berlaku di antara lelaki dengan perempuan dalam satu shaf. Adakah perkara ini merosakkan sembahyang seseorang? Adakah terjejas shaf berkenaan serta shaf-shaf di belakangnya? Adakah terjejas sembahyang berjemaah yang didirikan itu atau sebaliknya? Ikuti perbincangan ini selanjutnya.

Pada dasarnya, dalam keadaan jemaah yang ramai, disunatkan lelaki yang bâligh berada di shaf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khuntsâ (orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan baharulah jemaah perempuan di shaf yang terakhir.

.Bagaimanapun, kedudukan shaf sembahyang seperti ini, amat sukar untuk dipraktikkan di Masjid al-Haram yang sentiasa sesak dengan para jemaah yang menunaikan sembahyang ataupun tawaf tidak kira semasa musim haji ataupun umrah. Sebagai contoh ketika di Masjid al-Haram, jika kita perhatikan ketika sembahyang jemaah hendak didirikan, para jemaah yang sedang mengerjakan tawaf, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, kanak-kanak, orang dewasa mahupun orang tua, kebiasaannya akan mengisi shaf-shaf yang berdekatan dengan mereka. Ini menyebabkan kecelaruan shaf di mana dalam satu shaf itu berlaku percampuran di antara lelaki dengan perempuan dan perempuan berada pada shaf hadapan lelaki.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa shaf perempuan itu tempatnya adalah di belakang lelaki, kanak-kanak dan khuntsâ. Jadi apakah pandangan syara‘ mengenai perkara ini?

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebutkan permasalahan ini dengan terperinci dalam kitabnya al-Majmû‘:

1. Mengenai shaf yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan, adakah membatalkan sembahyang? Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan:

Ertinya: Sekiranya seorang lelaki sembahyang dan di sebelahnya ada seorang perempuan, tidak batal sembahyangnya dan juga tidak batal sembahyang perempuan itu sama ada lelaki itu adalah imam ataupun makmum. Ini adalah mazhab kita.

2. Dari sudut hukum mengerjakan sembahyang dengan shaf seumpama ini pula, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sembahyang perempuan di hadapan lelaki serta di sebelahnya hukumnya makruh. Dan sah sembahyangnya (perempuan itu) serta (sah) sembahyang makmum-makmum lelaki yang perempuan berada di shaf hadapan mereka mahupun sebaris dengan mereka menurut pendapat kita (mazhab asy-Syafi‘e) serta jumhûr.

Beliau berkata lagi:

Ertinya: Dan hasilnya, bahawa tempat kedudukan-kedudukan (shaf) yang disebutkan keseluruhannya itu adalah dalam bentuk istihbâb (sunat). Maka jika mereka menyalahinya, hukumnya adalah makruh dan sah sembahyang sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang (Imam asy-Syirazi). Begitu juga (sah sembahyang dan makruh) jika imam sembahyang di tempat lebih tinggi daripada makmum ataupun sebaliknya (makmum sembahyang di tempat lebih tinggi daripada imam) tanpa hajat. Begitu juga (sah sembahyang dan makruh) apabila perempuan berada di hadapan shaf lelaki selagi mana dia tidak berada di hadapan imam, atau (perempuan itu) berdiri bersebelahan imam atau bersebelahan makmum lelaki, maka sah sembahyang (perempuan) serta sembahyang (jemaah-jemaah) lelaki tanpa perselisihan menurut pendapat kami.

Apa yang dapat difahami daripada kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh itu ialah:

1. Kedudukan atau susunan shaf yang disebutkan oleh para ulama seperti mendahulukan lelaki yang bâligh di shaf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khuntsâ dan barulah jemaah perempuan adalah berbentuk istihbâb (sunat) dan bukannya wajib.

2. Sekiranya kedudukan shaf yang sepatutnya ini tidak dapat diikuti, maka ia tidak membatalkan sembahyang dan sembahyang berjemaah itu tetap sah didirikan akan tetapi hukumnya makruh.

3. Sembahyang tanpa mengikut kedudukan shaf yang sepatutnya, seperti makmum perempuan berada di sebelah makmum lelaki dalam satu shaf ataupun makmum perempuan sembahyang di hadapan shaf makmum lelaki tetap sah, akan tetapi hukumnya makruh. Maka tidak batal sembahyang perempuan tersebut, serta tidak batal sembahyang lelaki yang mengerjakan sembahyang di sebelahnya mahupun di belakang makmum perempuan itu.

4. Begitu juga sah dan makruh hukumnya sekiranya seorang makmum, sama ada lelaki ataupun perempuan, bersembahyang di sebelah imam mereka.

Bagaimanapun, adalah batal sembahyang makmum sekiranya seorang makmum lelaki ataupun makmum perempuan itu bersembahyang di hadapan imam mereka.

Selain itu, terdapat riwayat yang mendukung kenyataan bahawa keberadaan perempuan dalam shaf lelaki tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada perempuan itu turut mengerjakan sembahyang ataupun tidak. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengerjakan sembahyang pada suatu malam sedangkan aku berada di sisinya dan aku sedang uzur... (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi, Imam asy-Syaukani dan Imam Ibnu Rajab Rahimahumullâh, hadits di atas merupakan dalil bahawa tidak batal sembahyang seorang lelaki sekiranya di sisinya ada seorang perempuan. Ini adalah pendapat mazhab asy-Syafi‘e serta mazhab jumhûr.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menambah, berdasarkan hadits di atas, sekiranya keberadaan seorang perempuan yang tidak mengerjakan sembahyang di sisi seorang lelaki yang sedang mengerjakan sembahyang tidak membatalkan sembahyang lelaki tersebut, maka adalah lebih utama tidak membatalkan sembahyang sekiranya perempuan itu juga sedang mengerjakan sembahyang di sisinya.

Demikian penjelasan mengenai permasalahan shaf sembahyang yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan. Daripada penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa percampuran tersebut, sepertimana yang biasa berlaku di Masjid al-Haram, hukumnya adalah makruh. Bagaimanapun, perkara ini tidaklah membatalkan sembahyang serta tidak menjejaskan sembahyang berjemaah.

MASBÛQ KETIKA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT

Islam menggalakkan para jemaah fardhu Jumaat untuk datang lebih awal ke masjid bagi mengambil tempat duduk masing-masing dan menunggu waktu sembahyang didirikan. Perkara ini disunatkan kepada mereka, kecuali imam dan orang uzur yang sukar baginya datang awal ke masjid.

Waktu yang dituntut untuk datang awal ke masjid itu bermula di awal siang iaitu terbit fajar shâdiq sebagaimana waktu bermula mandi sunat sembahyang fardhu Jumaat. Orang yang datang awal ke masjid akan dicatat oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala yang besar, sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi junub kemudian dia pergi (awal pagi untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kedua nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor lembu; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang ketiga nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor kibasy yang bertanduk; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang keempat nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor ayam; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kelima nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah sebiji telur. Apabila imam keluar (menaiki mimbar) maka malaikat hadir untuk mendengar zikir (khutbah). (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini jelas menunjukkan galakan supaya datang awal ke masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan menjelaskan kelebihan-kelebihan yang diperolehi mengikut peringkat waktu dia datang dan hadir ke masjid daripada sebesar ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta sehingga ganjarannya hanya bersedekah sebiji telur.

Alangkah ruginya sesiapa yang datang lewat ke masjid, apatah lagi jika dia datang sewaktu imam menaiki mimbar, kerana malaikat tidak lagi mencatat kehadiran mereka yang datang lewat dan terlepas peluang mereka untuk meraih ganjaran pahala datang awal ke masjid.

Terdapat sebilangan orang yang bukan setakat lewat datang ke masjid bahkan mereka juga hanya sempat masbûq dalam berjemaah sembahyang fardhu Jumaat. Persoalannya apakah kedudukan sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum yang masbûq ini?

Makmum yang Masbûq dalam Sembahyang Fardhu Jumaat

Masbûq ialah makmum yang tidak sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat. Adapun muwâfiq pula ialah makmum yang sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat.

Kedudukan sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum yang masbûq sama ada dia dikira mendapat sembahyang fardhu Jumaat atau sebaliknya, dilihat pada tiga keadaan berikut:

1. Sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama.

Makmum yang masbûq, jika dia sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama sehingga selesai memberi salam, maka sembahyang fardhu Jumaatnya dikira dan makmum itu tidak perlu lagi bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk mengganti rakaat yang pertama itu. Ini kerana dia dikira menyempati rakaat pertama bersama imam.

2. Tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama.

Makmum yang masbûq, jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama namun dia sempat bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia menyempati rakaat pertama bersama imam. Oleh itu, hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat pertama yang tidak dikira itu.

Walau bagaimanapun, sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum tersebut adalah dikira kerana dia sempat bersama imam satu rakaat terakhir itu, akan tetapi tidak mendapat pahala yang sempurna. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada sembahyang Jumaat maka dia mendapati sembahyang itu. (Hadits riwayat al-Hakim)

Hadits yang lain lagi, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada sembahyang Jumaat maka hendaklah dia menambah satu rakaat yang lain lagi. (Hadits riwayat al-Hakim)

Sungguhpun makmum itu sempat bersama imam satu rakaat dan dikira sembahyang fardhu Jumaatnya namun dengan syarat bilangan 40 orang jemaah hendaklah berkekalan sehingga sempurna satu rakaat makmum yang masbûq itu.

3. Tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua.

Makmum yang masbûq, jika dia tidak sempat bersama imam pada rakaat pertama malah dia juga tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat itu kerana dia tidak sempat walau satu rakaat pun bersama imam. Maka hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam dengan melakukan sembahyang fardhu Zhuhur sebanyak empat rakaat.

Menurut pendapat yang ashah, makmum yang tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua itu, wajib dia berniat sembahyang fardhu Jumaat ketika mengikut imam dan tidak perlu dia berniat sembahyang fardhu Zhuhur apabila dia bangkit setelah imam selesai memberi salam.

Sebagai contoh:

Imam mula melakukan sujud pertama pada rakaat kedua sedang makmum baru hendak mula sembahyang. Dalam keadaan ini hendaklah makmum mengangkat takbiratul-ihrâm berserta niat sembahyang fardhu Jumaat dengan mengikut imam. Setelah itu dia terus mengangkat takbîr lagi untuk melakukan sujud pertama bersama imam. Kemudian makmum bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk menyempurnakan sembahyang fardhu Zhuhur sebanyak empat rakaat tanpa berniat semula.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum orang yang masbûq ketika mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat yang perlu diketahui. Amat rugi orang-orang yang datang lewat ke masjid pada hari Jumaat kerana tidak memperolehi ganjaran pahala orang-orang yang datang awal ke masjid, malah lebih rugi lagi apabila tergolong orang-orang yang tidak dikira sembahyang fardhu Jumaatnya.

PERSOALAN MAKMUM MENGIKUT IMAM DALAM SEMBAHYANG YANG BERBEZA

Seseorang yang mengikut imam dalam sembahyang yang berbeza mungkin pernah berlaku. Tidak dinafikan ada di antara makmum yang bersembahyang fardhu sementara imam bersembahyang sunat, begitu juga sebaliknya makmum bersembahyang sunat manakala imam bersembahyang fardhu. Setelah mengetahui bahawa sembahyang yang dilakukannya itu tidak menepati dengan sembahyang yang dilakukan imam, dia menyangka bahawa sembahyangnya itu tidak sah, lalu dia pun mengulang sembahyangnya.

Selain itu, ada juga makmum yang sengaja mengikut imam walaupun dia mengetahui bahawa sembahyang yang dilakukannya dengan sembahyang yang dilakukan imam itu berbeza. Sebagai contoh, makmum yang lewat datang ke masjid pada bulan Ramadhan untuk melakukan sembahyang Tarawih secara berjemaah. Ketika makmum tersebut sampai, dia mendapati imam sedang bersembahyang sunat Tarawih, maka dia terus sahaja mengikut imam tersebut dengan niat sembahyang fardhu ‘Isya’.

Persoalannya, adakah sah jika makmum mengikut sembahyang imam, sedangkan sembahyang makmum dengan sembahyang imam itu berbeza?

Hukum Makmum Mengikut Sembahyang Imam dalam Sembahyang Berbeza

Dalam perkara mengikut imam, antara syarat qudwah atau mengikut imam dalam sembahyang berjemaah ialah hendaklah sembahyang imam dan makmum itu mempunyai persamaan dalam tatacara melakukannya. Oleh itu, jika sembahyang makmum dan imam berbeza tatacara melakukannya, umpamanya imam menunaikan sembahyang fardhu dan makmum pula menunaikan sembahyang sunat Gerhana Matahari atau imam menunaikan sembahyang fardhu dan makmum pula menunaikan sembahyang Jenazah, maka dalam keadaan sebegini tidak sah makmum mengikut sembahyang imam kerana tatacara sembahyang di antara imam dan makmum adalah berbeza.

Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib asy-Syirbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan syarat kelima daripada syarat-syarat mengikut imam ialah mempunyai persamaan tatacara melakukan di antara kedua-dua sembahyang (imam dan makmum) dalam pergerakan yang zahir seperti ruku‘ dan sujud walaupun tidak sama jumlah rakaat. Jika berbeza tatacara melakukannya iaitu melakukan kedua-dua sembahyang itu seperti sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang Gerhana, atau sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang Jenazah, maka tidak sah mengikut imam pada kedua-duanya (imam melakukan sembahyang fardhu sedang makmum melakukan sembahyang Gerhana atau sembahyang Jenazah) menurut pendapat yang shahîh, ini kerana terdapat kepayahan dalam mengikut imam disebabkan berbeza tatacara melakukannya. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 1/387)

Jika sembahyang imam dan makmum tidak ada perbezaan dari segi tatacara melakukannya, umpamanya imam menunaikan sembahyang Zhuhur, makmum pula menunaikan sembahyang ‘Ashar, ataupun imam menunaikan sembahyang sunat Tarawih, makmum pula menunaikan sembahyang qadha’ fardhu Shubuh, maka dalam keadaan seperti ini sah makmum mengikut sembahyang imam asalkan tatacara sembahyang imam dan makmum tidak ada perbezaan.

Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh antaranya ialah kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Sah orang yang melakukan sembahyang tunai mengikut imam yang melakukan sembahyang qadha’, dan sah orang yang melakukan sembahyang fardhu mengikut imam yang melakukan sembahyang sunat, dan sah orang yang melakukan sembahyang Zhuhur mengikut imam yang melakukan sembahyang ‘Ashar, dan begitulah juga sebaliknya iaitu sah orang yang melakukan sembahyang qadha’ mengikut imam yang melakukan sembahyang tunai, dan sah orang yang melakukan sembahyang sunat mengikut imam yang melakukan sembahyang fardhu, dan sah orang yang melakukan sembahyang ‘Ashar mengikut imam yang melakukan sembahyang Zhuhur, sebab, tatacara sembahyang itu tetap tidak berubah dengan sebab perbezaan niat sembahyangnya. (Kitab Mughnî al- Muhtâj: 1/347)

Perbezaan bilangan rakaat di antara sembahyang imam dengan sembahyang makmum tidaklah menjadi halangan untuk sembahyang berjemaah. Sebagai contoh, orang yang melakukan sembahyang qadha’ fardhu ‘Ashar boleh mengikut atau berimamkan orang yang melakukan sembahyang fardhu Maghrib secara tunai.

Namun dalam hal ini perlu diambil perhatian, jika jumlah bilangan rakaat di antara sembahyang imam dan makmum sama, seperti imam melakukan sembahyang Zhuhur, sementara makmum pula melakukan sembahyang ‘Ashar, makmum tidak akan menghadapi masalah jumlah rakaat apabila mengikut sembahyang imam. Tetapi bagaimana jika jumlah bilangan rakaat di antara sembahyang imam dan makmum itu tidak sama, seperti makmum melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar sementara imam pula melakukan sembahyang Shubuh atau Maghrib, dan bagaimana pula jika berlaku sebaliknya?

Berikut diterangkan keadaan makmum mengikut imam berdasarkan jenis sembahyang yang dilakukan makmum dan imam.

Makmum Sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar, Imam Sembahyang Shubuh atau Maghrib

Dari segi bilangan rakaat sembahyang, walaupun bilangan rakaat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar lebih banyak berbanding Shubuh atau Maghrib, akan tetapi jika makmum bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar sementara imam bersembahyang Shubuh atau Maghrib, makmum boleh saja mengikut sembahyang imam tersebut kerana keadaan ini sama seperti keadaan orang sembahyang masbûq.

• Cara makmum melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar mengikut imam sembahyang Shubuh.

Dari segi bilangan rakaat, rakaat sembahyang Shubuh hanyalah dua rakaat sementara sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar adalah empat rakaat. Oleh itu, setelah imam selesai melakukan sembahyang Shubuh, makmum bolehlah berdiri untuk meneruskan dua rakaat yang kurang dalam sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar sebagaimana keadaan orang yang sembahyang masbûq.

Selain berbeza bilangan rakaat di antara sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar dengan sembahyang Shubuh, bacaan do‘a Qunut juga tidak ada dilakukan dalam sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar. Maka apakah yang perlu dilakukan oleh makmum yang melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar di belakang imam yang bersembahyang Shubuh apabila mendapati imam tersebut membaca do‘a Qunut?

Jika makmum menghadapi situasi sebegini, makmum tersebut boleh terus mengikuti imam tersebut walaupun imam itu melakukan sembahyang Shubuh dan dia melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar. Akan tetapi, apabila imam itu membaca do‘a Qunut, makmum tersebut boleh memilih sama ada menunggu imamnya selesai membaca do‘a Qunut tersebut dan seterusnya melakukan sujud bersama imam sepertimana dilakukan oleh orang bersembahyang masbûq ataupun makmum tersebut berniat mufâraqah ketika imam membaca do‘a Qunut dan terus saja melakukan sujud untuk menyelesaikan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar secara bersendirian. Namun menunggu imam sehingga selesai membaca do‘a Qunut adalah lebih afdhal daripada melakukan mufâraqah. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Tidaklah membatalkan (sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar yang makmum lakukan jika) mengikut imam membaca do‘a Qunut dalam sembahyang Shubuh atau (mengikut imam) melakukan duduk Tahiyyat Akhir dalam sembahyang Maghrib sepertimana dilakukan oleh orang yang bersembahyang masbûq dan makmum juga boleh tidak mengikutnya (iaitu imam) dengan niat mufâraqah (apabila imam sedang membaca) do‘a Qunut dan Tahiyyat Akhir untuk melakukan urutan tatacara sembahyangnya. Namun mengikut imam (membaca Do‘a Qunut dan Tahiyyat Akhir) adalah lebih afdhal daripada berniat mufâraqah. (Mughnî al-Muhtâj: 1/347)

• Cara makmum sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar mengikut imam sembahyang Maghrib.

Makmum juga boleh mengikut imam yang melakukan sembahyang Maghrib walaupun dia melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar. Namun disebabkan sembahyang Maghrib hanya tiga rakaat sementara sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar pula empat rakaat, ketika imam membaca Tahiyyat Akhir dalam rakaat ketiga sembahyang Maghrib apakah yang perlu dilakukan oleh makmum?

Makmum yang bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar mengikut imam yang bersembahyang Maghrib, apabila tiba masanya imam melakukan Tahiyyat Akhir makmum boleh memilih sama ada menunggu imamnya itu selesai membaca Tahiyyat Akhir dan memberi salam. Kemudian barulah makmum itu berdiri untuk menambah rakaat keempat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar yang belum selesai sepertimana dilakukan oleh orang bersembahyang masbûq, ataupun makmum tersebut berniat mufâraqah tanpa mengikut imam melakukan Tahiyyat Akhir sembahyang Maghrib itu dan terus sahaja berdiri meneruskan rakaat keempat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar yang dilakukannya itu secara bersendirian. Namun menunggu imam sehingga selesai membaca Tahiyyat Akhir dan memberi salam adalah lebih afdhal daripada melakukan mufâraqah sebagaimana disebutkan nashnya sebelum ini.

Makmum Sembahyang Shubuh atau Maghrib, Imam Sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar

Keadaan makmum melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar dengan mengikut imam yang melakukan sembahyang Shubuh atau Maghrib telah pun diterangkan sebelum ini. Namun bagaimana pula jika berlaku sebaliknya, iaitu makmum melakukan sembahyang Shubuh atau Maghrib dengan mengikut imam yang melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar?

• Cara makmum sembahyang Shubuh mengikut imam sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar.

Walaupun bilangan rakaat sembahyang Shubuh dan Zhuhur atau ‘Ashar adalah tidak sama, namun makmum yang bersembahyang Shubuh juga boleh mengikut imam yang bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar. Begitulah juga dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai rakaat kurang daripada rakaat sembahyang yang dilakukan imam seperti sembahyang Maghrib atau sembahyang-sembahyang sunat.

Dalam keadaan ini, apa yang perlu dilakukan oleh makmum ialah jika imam berdiri pada rakaat ketiga untuk meneruskan rakaat keempat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar, dia boleh berniat mufâraqah dan menyelesaikan sembahyang Shubuhnya sehingga memberi salam. Selain itu, makmum tersebut boleh juga menunggu imamnya yang bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar itu selesai melakukan rakaat ketiga dan keempat. Setelah imam selesai memberi salam barulah dia memberi salam. Dalam dua keadaan ini, jika tidak ditakuti waktu sembahyang akan luput, maka menunggu imam untuk memberi salam adalah lebih afdhal sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Apabila imam berdiri pada rakaat ketiga (untuk meneruskan rakaat keempat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar), sama ada makmum mahu berniat mufâraqah dan terus menyelesaikan sembahyang Shubuhnya sehingga memberi salam ataupun makmum mahu menunggu imamnya (yang bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar itu selesai melakukan rakaat ketiga dan keempat) lalu memberi salam bersamanya bertujuan supaya imam akan mengucapkan salam bersama jemaah.” (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 3/289)

Sementara itu, pada rakaat kedua makmum tersebut boleh membaca do‘a Qunut jika sempat, ataupun makmum tersebut boleh meninggalkan bacaan do‘a Qunut itu jika tidak sempat membacanya dan tidak perlu melakukan sujud sahwi. Namun jika makmum tersebut ingin membaca do‘a Qunut itu juga, dia boleh berniat mufâraqah dan membaca do‘a Qunut, seterusnya menyelesaikan sembahyang Shubuhnya secara bersendirian. Menurut Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Jika seseorang itu bersembahyang Shubuh di belakang orang yang bersembahyang selain Shubuh, dan sempat membaca do‘a Qunut dalam rakaat kedua ketika imam berdiri dalam waktu yang singkat, maka membaca do‘a Qunut adalah disunatkan untuk meraih pahala sunat membacanya selagi tidak tertinggal oleh imam, melainkan (jika tidak sempat), maka jika orang itu tidak sempat membaca do‘a Qunut, maka tidaklah perlu membacanya kerana ditakuti tertinggal oleh imam. Orang itu juga tidak perlu melakukan sujud sahwi (jika dia tidak membaca do‘a Qunut) itu kerana imam menanggung kekurangan itu baginya. Begitu juga, orang itu boleh berniat mufâraqah untuk membaca do‘a Qunut bagi meraih pahala sunat. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 3/293)

• Cara makmum sembahyang Maghrib mengikut imam sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar.

Jika makmum bersembahyang Maghrib mengikut imam yang melakukan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar, apabila imam tersebut berdiri bagi meneruskan rakaat keempat sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar, makmum tidak perlu menunggu imam tersebut. Malahan dia hendaklah berniat mufâraqah dan melakukan Tahiyyat Akhir secara bersendirian. Perkara ini juga ada disebutkan oleh Imam al-Khatib asy-Syirbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Adapun jika seseorang itu bersembahyang Maghrib di belakang sembahyang yang empat rakaat (seperti Zhuhur atau ‘Ashar) ketika imam berdiri pada rakaat keempat, maka janganlah dia menunggu imamnya itu menurut pendapat yang ashah. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 3/290)

Makmum Sembahyang ‘Isya’, Imam Sembahyang Tarawih

Keadaan makmum bersembahyang ‘Isya’ mengikut imam bersembahyang Tarawih ini sama dengan keadaan makmum bersembahyang Zhuhur atau ‘Ashar mengikut imam bersembahyang Shubuh. Oleh itu, setelah imam memberi salam makmum terus saja berdiri meneruskan rakaat ketiga dan keempat secara bersendirian sepertimana orang bersembahyang masbûq.

Ertinya: Sah sembahyang ‘Isya’ di belakang orang yang bersembahyang Tarawih seperti (mana juga sah orang) yang bersembahyang Zhuhur mengikut orang yang bersembahyang Shubuh. Apabila imam memberi salam maka orang itu hendaklah berdiri menyelesaikan lebihan baki sembahyangnya, dan yang lebih utama ialah orang tersebut hendaklah menyelesaikan sembahyang ‘Isya’ itu secara bersendirian. Manakala jika orang yang bersembahyang ‘Isya’ itu meneruskan baki dua rakaat sembahyang ‘Isya’nya itu dengan dua rakaat sembahyang Tarawih yang seterusnya lagi, maka hukumnya adalah harus sepertimana orang yang bersembahyang sendiri dan diikuti pada pertengahan rakaat sembahyangnya oleh orang lain. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 3/290)

Makmum Sembahyang Shubuh, Imam Sembahyang Sunat Hari Raya atau Sunat Istisqa’ (Memohon Hujan)

Makmum yang bersembahyang Shubuh juga boleh mengikut imam yang bersembahyang sunat Hari Raya atau sunat Istisqa’ (Memohon Hujan) ataupun sebaliknya, memandangkan tatacara melakukan kedua-dua sembahyang tersebut adalah sama. Namun afdhal bagi makmum yang bersembahyang Shubuh itu supaya tidak membaca Takbîr az-Zâ’id yang dilakukan oleh imam dalam sembahyang Hari Raya. Jika berlaku sebaliknya, iaitu makmum bersembahyang sunat Hari Raya mengikut imam yang bersembahyang Shubuh, adalah afdhal bagi makmum untuk tidak meninggalkan Takbîr az-Zâ’id tersebut.

Jika makmum yang bersembahyang Shubuh itu membaca Takbîr az-Zâ’id kerana mengikut imam bersembahyang sunat Hari Raya, tidaklah membatalkan sembahyangnya kerana tidak mengapa zikir-zikir seperti zikir Takbîr az-Zâ’id itu dibaca walaupun tidak disunatkan membacanya. Begitu juga bagi makmum yang bersembahyang sunat Hari Raya mengikut imam yang bersembahyang Shubuh, jika dia tidak membaca zikir Takbîr az-Zâ’id itu tidaklah membatalkan sembahyang walaupun disunatkan membacanya semasa melakukan sembahyang Sunat Hari Raya.

Ertinya: Adalah sah sembahyang Shubuh yang dilakukan di belakang orang yang bersembahyang sunat Hari Raya atau sunat Istisqa’ (memohon hujan) atau sebaliknya memandangkan tatacara melakukan kedua sembahyang tersebut adalah sama. Dan lebih afdhal (orang yang bersembahyang Shubuh itu) tidak membaca Takbîr az-Zâ’id jika melakukan sembahyang Shubuh di belakang orang yang bersembahyang sunat Hari Raya atau sunat Istisqa’. Begitu juga dalam perkara meninggalkan (takbîr az-Zâ’id) jika berlaku sebaliknya (sembahyang sunat Hari Raya dan Istisqa’ di belakang orang yang bersembahyang Shubuh) kerana mengambil kira mengikut sembahyang yang dilakukannya. Tidak juga membatalkan sembahyang jika (makmum yang bersembahyang Shubuh itu membaca takbîr az-Zâ’id) itu. Ini adalah kerana zikir-zikir itu tidak membatalkan sembahyang, sama ada dilakukan walaupun tidak disunatkan dalam sembahyang ataupun ditinggalkan walaupun disunatkan dalam sembahyang. (Kitab Mughnî al- Muhtâj: 3/292)

Mengenai bacaan do‘a Qunut pula, makmum yang bersembahyang Shubuh itu boleh membaca do‘a Qunut pada rakaat kedua untuk meraih pahala sunat jika sempat membacanya tanpa tertinggal oleh imam. Berlainan halnya jika makmum tersebut tidak sempat membaca do‘a Qunut itu kerana takut tertinggal oleh imam maka hendaklah dia meninggalkan membaca do‘a Qunut dan dia tidak perlu melakukan sujud sahwi kerana kekurangan makmum tidak membaca do‘a Qunut itu ditanggung oleh imam. Akan tetapi jika makmum itu ingin mendapat pahala sunat membaca do‘a Qunut itu juga, maka boleh dia berniat mufâraqah sebagaimana disebutkan nashnya sebelum ini.

Sebagai kesimpulan, makmum boleh mengikut sembahyang imam walaupun sembahyang yang dilakukannya dengan sembahyang yang imam lakukan itu berbeza asalkan tatacara melakukan sembahyang di antara makmum dan imam itu sama.

Tetapi jika tatacara sembahyang yang dilakukan oleh imam dan makmum itu berbeza, seperti imam melakukan sembahyang fardhu sementara makmum pula melakukan sembahyang sunat Gerhana ataupun sembahyang jenazah, maka tidak sah bagi makmum untuk mengikut imam dalam keadaan seperti ini.

KEWAJIPAN MENGHADAP QIBLAT KETIKA SEMBAHYANG

Sembahyang merupakan perkara yang biasa kita lakukan dalam hidup seharian. Sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Segala rukun, syarat dan cara mengerjakan sembahyang telah pun kita ketahui dan mudah untuk dilaksanakan termasuk perkara menghadap qiblat. Namun kadang-kadang masih juga timbul beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan. Umpamanya perkara menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang dalam keadaan-keadaan yang bukan biasa seperti ketika berada di atas kenderaan, dalam kapal terbang, di atas kapal laut, di atas perahu dan seumpamanya. Ada orang yang menganggap perkara menghadap qiblat ketika sembahyang dalam keadaan tersebut tidak wajib. Malah ada yang berfahaman, memadai menghadap qiblat itu ketika mengangkat takbiratulihram sahaja.

Tajuk ini akan menjelaskan tentang tuntutan menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang dan cara menentukan arah qiblat.

Qiblat dari segi bahasa bererti arah dan dari segi syara‘ pula ia bermaksud Ka‘bah yang terletak di Masjid al-Haram Makkah. Dinamakan ia sebagai qiblat kerana orang yang mengerjakan sembahyang menghadap ke arahnya. Menghadap qiblat merupakan syarat sah sembahyang. Tuntutan menghadap qiblat tsabit dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Ka‘bah). (Surah al-Baqarah: 150)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Ketika Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam masuk ke Baitullâh (Ka‘bah), Baginda berdo‘a di setiap arah. Baginda tidak mengerjakan sembahyang sehinggalah baginda keluar daripadanya. Ketika Baginda keluar, Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat di hadapan Ka‘bah. Lalu Baginda bersabda: “Inilah qiblat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Menghadap Qiblat ketika Sembahyang

Tuntutan menghadap qiblat ketika sembahyang hukumnya adalah wajib bagi orang yang mampu berbuat demikian, sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan dalam dua keadaan, iaitu:

Keadaan pertama: Sembahyang yang dikerjakan sama ada sembahyang fardhu ataupun sunat ketika dalam keadaan sangat takut seperti dalam peperangan yang diharuskan. Termasuk juga dalam keadaan ini orang yang lari dari kebakaran, banjir, binatang buas atau ular dan dia tidak memperolehi jalan selamat daripadanya.

Orang yang berada dalam keadaan ini tidak disyaratkan ke atasnya untuk menghadap qiblat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka jika kamu takut (kepada sesuatu bahaya seperti musuh atau binatang buas) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan (dengan menghadap qiblat atau tidak). (Surah al-Baqarah: 239)

Imam al-Bukhari Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Shahihnya mengenai tafsir ayat al-Qur’an di atas, Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ ketika beliau ditanya mengenai sembahyang dalam keadaan sangat takut, beliau berkata:

Ertinya: Apabila keadaan ketakutan lebih dahsyat daripada itu, mereka sembahyang dengan berjalan kaki atau berkenderaan dengan menghadap qiblat ataupun tidak menghadapnya.

Keadaan kedua: Sembahyang sunat yang dikerjakan ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat dan susah bagi seseorang itu untuk menghadap qiblat. Dalam hal ini, tidak disyaratkan baginya untuk menghadap qiblat.

Adapun sembahyang sunat yang dikerjakan ketika dalam pelayaran bagi tujuan yang diharamkan atau sembahyang sunat ketika bukan dalam pelayaran adalah tidak termasuk dalam pengecualian ini. Ia tetap disyaratkan untuk menghadap qiblat. Demikian juga sembahyang fardhu yang didirikan ketika dalam pelayaran adalah tetap diwajibkan untuk menghadap qiblat. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arah, tetapi apabila Baginda hendak mengerjakan sembahyang fardhu Baginda turun lalu menghadap qiblat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut imam an-Nawawi Rahimahullâh mengenai orang yang mengerjakan sembahyang fardhu di atas kapal, sekiranya angin bertiup sehingga mengubah haluan kapal itu lalu terpaling daripada kedudukan qiblat, maka wajib dia mengembalikan dirinya menghadap ke arah qiblat dan meneruskan sembahyangnya.

Oleh itu, selain daripada dua keadaan yang disebutkan di atas tuntutan menghadap qiblat adalah wajib, sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Jika sembahyang didirikan dalam keadaan tidak menghadap qiblat maka kedudukan sembahyang tersebut adalah tidak sah.

Hukum Menghadap Qiblat bagi Orang yang tidak Mampu

Adapun bagi orang yang tidak mampu menghadap qiblat seperti orang sakit yang terlantar di atas katil dan tidak ada orang yang membantu menghadapkannya ke qiblat atau seperti orang yang diikat di sebatang pokok, hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam keadaan posisinya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyangnya itu setelah dia mampu.

Jika seseorang berada di atas tunggangan dan dia takut tertinggal oleh rakan-rakannya sekiranya dia turun dari tunggangannya untuk mengerjakan sembahyang fardhu atau dia takut terjadi sesuatu yang tidak baik ke atas diri atau hartanya, maka dia boleh mengerjakan sembahyang fardhu itu di atas tunggangannya sekalipun tanpa menghadap qiblat demi menghormati waktu dan wajib dia mengulang sembahyang tersebut. Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menyebutkan perkara ini dalam kitabnya al-Majmû‘, katanya:

Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami: “Kalau sekiranya waktu sembahyang fardhu telah masuk sedangkan mereka dalam perjalanan dan mereka khuatir sekiranya mereka turun (dari tunggangan mereka) untuk bersembahyang di atas bumi nescaya mereka tertinggal daripada rakan-rakan mereka atau takut akan berlaku sesuatu ke atas diri atau harta mereka, maka dalam hal ini tidak harus meninggalkan sembahyang itu dan mengeluarkannya daripada waktunya. Bahkan hendaklah dia bersembahyang di atas tunggangan bagi menghormati waktu dan wajib mengulangi sembahyang itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.”

Cara Menghadap Qiblat

Selain permasalahan hukum menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang, kadang-kadang timbul juga permasalahan bagaimana cara untuk menentukan kedudukan qiblat dan bagaimana cara menghadap qiblat yang betul. Perkara ini juga amat penting untuk kita ketahui.

Orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berdiri ataupun duduk disyaratkan dadanya menghadap ke qiblat. Apa yang dimaksudkan dengan dada itu ialah keseluruhan lebar badan. Jika seseorang itu menghadap tepi Ka‘bah dan sebahagian daripada lebar badannya terkeluar daripada menghadap qiblat maka tidak sah sembahyangnya.

Adapun orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring mengiring, wajib dia menghadapkan muka dan dadanya ke qiblat. Manakala orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring menelentang, wajib dia menghadapkan muka dan kedua-dua telapak kakinya ke qiblat.

Bagi orang yang berada berdekatan dengan Ka‘bah, arah qiblat yang wajib dihadap ketika bersembahyang ialah ‘ain Ka‘bah itu sendiri dan hendaklah dia mengetahui secara yakin akan kedudukan Ka‘bah itu. Demikian juga, orang yang berada jauh dari Ka‘bah, diwajibkan menghadap ‘ain Ka‘bah akan tetapi dalam menentukan kedudukan ‘ain Ka‘bah itu adalah memadai secara zhann sahaja.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘ain Ka‘bah itu ialah fizikal Ka‘bah itu sendiri dan sepanjang ruangnya di atas sehingga lapisan langit yang ketujuh dan sepanjang ruangnya di bawah sehingga lapisan bumi yang ketujuh.

Manakala bagi orang yang mengerjakan sembahyang di dalam Ka‘bah, hendaklah dia menghadap ke dinding Ka‘bah atau menghadap pintu Ka‘bah yang tertutup. Jika dia menghadap pintu Ka‘bah yang terbuka maka tidak sah sembahyangnya melainkan bendul pintu Ka‘bah itu setinggi kadar dua pertiga hasta atau lebih.

Adapun orang yang mengerjakan sembahyang di atas bumbung atau sutuh Ka‘bah dan menghadap pada sesuatu binaan yang bersambung dengan Ka‘bah setinggi kadar dua pertiga hasta seperti dinding, pancang atau tongkat yang dipaku di atas Ka‘bah maka sah sembahyangnya kerana dia menghadap pada suatu suku daripada Ka‘bah. Jika di atas Ka‘bah itu tidak ada sesuatu binaan yang bersambung dengannya atau ia tidak sampai pada kadar tinggi dua pertiga hasta maka tidak sah sembahyang di atas sutuh Ka‘bah tersebut.

Mengetahui Kedudukan Qiblat

Sebagaimana dijelaskan di atas, menghadap qiblat ketika sembahyang adalah wajib. Maka seseorang itu mestilah mengetahui kedudukan qiblat yang sebenar. Menurut al-‘Allamah Abu Bakar ‘Utsman bin Muhammad Syatha ad-Dimyathi Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, dalam mengetahui kedudukan qiblat itu ada empat peringkat, iaitu: Mengetahui dengan sendiri, melalui perkhabaran orang lain yang tahu (kedudukan qiblat), ijtihâd dan bertaqlîd kepada orang yang berijtihâd.

Huraian mengenai empat peringkat itu adalah seperti berikut:

Pertama: Mampu mengetahui dengan sendiri kedudukan qiblat dengan melihat Ka‘bah, seperti orang yang berada di hadapan Ka‘bah atau orang yang berada di Makkah yang penglihatannya tidak terhalang daripada menyaksikan Ka‘bah itu sendiri. Demikian juga, termasuk dalam peringkat ini ialah mampu mengetahui kedudukan qiblat dengan menyentuh Ka‘bah ketika waktu gelap atau bagi orang yang buta.

Kedua: Mengetahui kedudukan qiblat melalui pengkhabaran orang yang dipercayai yang tahu kedudukan qiblat walaupun dia seorang hamba atau perempuan seperti katanya: “Saya telah melihat Ka‘bah begini”. Adapun pengkhabaran dari orang fâsiq, kanak-kanak mumayyiz dan orang kafir adalah tidak diterima.

Termasuk dalam makna peringkat kedua ini ialah mengetahui arah qiblat melalui mihrab (tempat yang dikhaskan bagi imam dalam sembahyang) yang dibuat oleh orang-orang Islam. Begitu juga, mengetahui arah qiblat melalui kompas adalah termasuk dalam makna peringkat ini.

Ketiga: Mampu mengetahui kedudukan qiblat dengan berijtihâd melalui petunjuk-petunjuk qiblat seperti melihat kedudukan bintang, matahari, bulan dan angin.

Keempat: Mengetahui kedudukan qiblat dengan bertaqlîd (mengikut) kepada seseorang yang dipercayai tahu kedudukan qiblat dengan ijtihâdnya melalui petunjuk-petunjuk qiblat walaupun dia seorang hamba atau perempuan.

Oleh itu, orang yang hendak mengerjakan sembahyang perlu terlebih dahulu berusaha menentukan kedudukan qiblat dengan mengikut urutan peringkat-peringkat yang diterangkan di atas.

Jika seseorang itu mampu mengetahui dengan sendiri kedudukan qiblat sebagaimana peringkat pertama di atas seperti dia berada di hadapan Ka‘bah, maka wajib dia menentukan kedudukan qiblat itu dengan pengetahuannya itu dan haram dia berpandukan kepada pengkhabaran orang yang dipercayai, ijtihâd dan taqlîd.

Adapun jika dia tidak mampu mengetahui dengan sendiri kedudukan qiblat seperti terhalang pandangannya terhadap Ka‘bah, akan tetapi diperolehinya pengkhabaran orang yang dipercayai yang tahu kedudukan qiblat sebagaimana peringkat kedua di atas, maka wajib dia berpandukan kepada pengkhabaran tersebut dan haram dia berijthad dan bertaqlîd.

Namun jika dia tidak mampu juga mengetahui kedudukan qiblat melalui pengkhabaran orang yang dipercayai tahu kedudukan qiblat, maka wajib dia berijtihâd sekiranya dia mampu sebagaimana peringkat ketiga di atas iaitu berpandukan kepada petunjuk-petunjuk qiblat dan haram dia bertaqlîd.

Seterusnya, jika dia tidak mampu juga mengetahui kedudukan qiblat dengan berijtihâd seperti dia tidak tahu petunjuk-petunjuk qiblat, maka wajib dia bertaqlîd sebagaimana peringkat keempat di atas iaitu bertaqlîd kepada ijtihâd orang lain.

Hukum Mempelajari Petunjuk-petunjuk Qiblat

Menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh), seorang mukallaf yang hendak bermusafir dan dia mampu mempelajari petunjuk-petunjuk qiblat adalah menjadi satu kewajipan fardhu ‘ain ke atasnya untuk mempelajari petunjuk-petunjuk qiblat tersebut kerana ia keperluan pelayaran secara umum. Sementara orang yang tidak bermusafir pula, hukum mempelajarinya adalah fardhu kifâyah.

Demikian penjelasan mengenai kewajipan menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang. Perkara ini amat penting dan perlu diketahui agar sembahyang yang dilakukan sah dan diterima oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

“SURUHLAH ANAK-ANAK KAMU MENDIRIKAN SEMBAHYANG…” Pimpinan Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam Dalam Mendidik Anak-anak Bersembahyang

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus bukan hanya semata-mata untuk menyampaikan wahyu dan risalah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat manusia, malahan sebagai pemimpin dan pembimbing yang memiliki jiwa penuh kasih sayang. Dengan kasih sayang, Baginda memimpin umat Islam membina ketamadunan yang maju dan berakhlak tinggi sehingga cemerlang di dunia. Dengan kasih sayang jugalah, Baginda membimbing umat Islam mematuhi hukum Allah bagi mencapai kejayaan Hari Akhirat. Kepimpinan berteraskan kasih sayang inilah yang perlu dimiliki oleh ibu bapa atau ketua keluarga bagi memastikan diri dan keluarganya berjaya bukan sahaja di dunia, malahan juga di akhirat kelak.

Rahsia utama kejayaan hidup seorang Muslim itu adalah ketaatannya mengerjakan sembahyang lima waktu sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Pemimpin kita, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, di dalam hadits-hadits yang diriwayatkan oleh para sahabat pun banyak menyebut tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kelebihan serta keistimewaan yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya yang mengerjakan sembahyang, balasan buruk bagi yang meninggalkannya serta menerangkan dan menjelaskan cara pelaksanaan sembahyang dengan betul melalui percakapan dan perbuatan Baginda. Semua ini berupa bimbingan dan didikan bagi memastikan kejayaan umat Baginda. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi petunjuk kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bagi mengajak ahl (keluarga) Baginda mendirikan sembahyang sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. (Surah Thaha: 132)

‘Ahl’ (keluarga) dalam ayat di atas secara umumnya merangkumi keluarga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara khusus dan umat Baginda keseluruhannya. Selepas sahaja ayat ini diturunkan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pergi pada setiap pagi (menjelang Subuh) ke rumah Sayyidatina Fatimah Radhiallâhu ‘anhâ dan Sayyidina ‘Ali Karamallâhu wajhah dan bersabda: “Dirikan sembahyang”.

Ibu Bapa Berperanan Menyuruh Anak-anak Bersembahyang Menurut Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak selain daripada kewajipan memberi nafkah. Memastikan kejayaan anak-anak di akhirat kelak merupakan kewajipan yang dituntut ke atas mereka. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka … (Surah at-Tahrîm: 6)

Maksud ‘peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka’ ialah memelihara daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia merupakan suatu perintah bagi seseorang untuk menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada neraka. Dengan itu seseorang itu perlu memperbaiki dirinya dan memperbaiki ahli keluarganya dengan melakukan ketaatan (mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).

Terdapat beberapa pendapat para sahabat dan ulama mengenai pesanan supaya memelihara diri dan ahli keluarga daripada neraka sebagaimana maksud ayat di atas, iaitu:

1. Memerintahkan ahli keluarga untuk taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melarang mereka menderhakaiNya.

2. Mengajar ahli keluarga tentang kewajipan-kewajipan yang tertanggung ke atas mereka dan mendidik mereka tentang kehidupan keduniaan mereka.

3. Mengajar ahli keluarga tentang kebaikan dan memerintahkan untuk melaksanakan kebaikan itu, di samping menerangkan kepada mereka tentang keburukan dan melarang mereka daripada melakukannya.

Termasuk juga dalam maksud ayat di atas ialah anak-anak. Oleh yang demikian, pimpinan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada ibu bapa untuk memerintahkan anak-anak mereka mengerjakan sembahyang turut termasuk dalam konteks ayat di atas. Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak laki-laki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun…. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas menunjukkan bahawa wajib ke atas ibu bapa menyuruh kanak-kanak yang sudah berumur tujuh tahun qamariyyah mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat-syarat dan rukun-rukun sembahyang.

Namun jika kanak-kanak itu tiada mempunyai ibu atau bapa, maka datuknya mengambil tempat bapa dan ibunya. Jika tiada datuknya, maka diambil tanggungjawab ini oleh orang yang dipesankan oleh bapa atau datuknya. Jika tidak ada, maka berpindah kepada penjaga kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah pula kepada wali-wali yang lebih hampir kepada kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah kepada pemerintah dan kemudiannya kepada orang-orang Islam yang salih di tempat kanak-kanak itu berada. Inilah dia susunan orang-orang yang wajib menyuruh kanak-kanak lelaki dan perempuan itu mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat dan rukunnya.

Adapun kewajipan mendidik kanak-kanak ini tidak terhad pada sembahyang sahaja, bahkan pada semua perkara berkaitan agama. Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, adalah menjadi kewajipan bagi kedua-dua ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka yang masih kecil tentang perkara-perkara yang akan diwajibkan setelah mereka mencapai umur bâligh, antaranya mengajarkan thahârah (bersuci), sembahyang, puasa dan yang seumpamanya.

Umur Sesuai Mendidik Anak-anak Bersembahyang Menurut Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak lelaki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan mendirikan sembahyang) apabila umur mereka sepuluh tahun dan kamu pisahkanlah mereka dari tempat-tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan ibu bapa untuk mula menyuruh anak-anak mendirikan sembahyang dengan cukup syarat dan rukun pada umur tujuh tahun qamariyyah setelah si anak mempelajarinya. Manakala bila sampai umur sepuluh tahun dan si anak enggan atau belum melakukan sembahyang, maka bolehlah dipukul.

Menurut Imam al-‘Alqami Rahimahullâh: “Suruhan memukul ketika umur sepuluh tahun disebabkan kebiasaannya umur sepuluh tahun merupakan had umur yang boleh menanggung pukulan (pukulan ringan). Pukulan yang dimaksudkan di dalam hadits di atas pula adalah pukulan yang tidak mencederakan iaitu pukulan ringan yang bertujuan untuk mengajar dan mendidik.

Adapun rahsia syariat Islam menyuruh mendidik anak agar sembahyang pada peringkat seawal umur tujuh tahun ini adalah supaya dapat mengajarkan mereka tentang hukum-hakam ibadat dan membiasakan mereka mengerjakan sembahyang sedari kecil sehingga mereka terdidik untuk mematuhi dan melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Yang sedemikian, jiwa dan hati mereka akan bersih, akhlak mereka akan terdidik serta pergaulan dan perbuatan mereka akan sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (manfaat dan kesannya). (Surah al-‘Ankabût: 45)

Oleh yang demikian, didiklah anak-anak kita bersembahyang sedari umur mereka masih kecil. Manakala bila sampai umur yang sesuai sebagaimana yang disebutkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka perintahkan mereka mendirikan sembahyang secara disiplin.

Pimpinlah mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang serta berusaha terus dan tegas menyuruh mereka bersembahyang sehingga mereka baligh.

Binalah suasana kondusif yang boleh membawa anak-anak malahan seisi keluarga mendirikan sembahyang secara teratur seperti sembahyang berjemaah bersama-sama, penyediaan bilik sembahyang yang teratur dan seumpamanya.

Berdo‘alah tanpa putus-putus agar anak-anak sentiasa mendirikan sembahyang, antaranya dengan do‘a khusus yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm bagi anak-anak dan keturunannya agar sentiasa mendirikan sembahyang:

Tafsirnya: Ya Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan sembahyang dan (demikian juga) zuriat keturunanku. Ya Tuhan kami! Perkenankan do‘aku. (Surah Ibrahim: 40) Paling utama sebagai pemimpin keluarga adalah dengan menjadi contoh terbaik buat anak-anak. Melakukan sembahyang secara teratur dan mendirikannya pula di awal waktu serta menjadi imam ketika berjemaah adalah antara usaha yang boleh mendorong anak-anak untuk turut sama melakukan sembahyang. Contohilah junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam memimpin dan mendidik keluarga dan umat Baginda. Baginda bukan sahaja contoh seorang pemimpin yang tegas, tetapi juga contoh seorang pendidik dan pembimbing yang kaya dengan kasih sayang, yang dengannya dapat memandu keluarga dan umat Baginda kepada jalan kejayaan dunia dan akhirat. Antaranya dalam perkara mendirikan sembahyang.

PERGERAKAN YANG MEMBATALKAN SEMBAHYANG

Sembahyang adalah penghubung di antara manusia dengan Penciptanya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan melaksanakan sembahyang dapat menanam keimanan di hati manusia kerana dengannya dapat mengajak manusia untuk sentiasa mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Bagi menjunjung tuntutan wajib sembahyang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ inilah, seorang Muslim yang beriman pasti akan menjaga sembahyang dan menginginkan khusyû‘ dalam sembahyangnya. Setiap perkara wajib dan rukun akan dijaganya agar semuanya terlaksana tanpa sesuatu yang tertinggal. Perkara-perkara sunat dalam sembahyang pula tidak diabainya agar kesempurnaan sembahyang dapat diperoleh. Manakala perkara-perkara makruh sedaya upaya dielaknya agar kekhusyû‘an sembahyang tidak terganggu dan tidak membawa kepada perkara yang boleh membatalkan sembahyang.

Terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan sembahyang seseorang. Antaranya melakukan perbuatan atau pergerakan yang banyak secara berturut-turut.

Pergerakan yang Membatalkan Sembahyang

Adapun yang dimaksudkan dengan perbuatan yang membatalkan sembahyang itu ialah:

1. Perbuatan banyak yang dilakukan dalam keadaan yakin.

Pendapat shahîh dalam menentukan kadar perbuatan yang dianggap sebagai banyak dan sedikit itu adalah dengan merujuk kepada kebiasaan orang ramai/masyarakat.

i. Perbuatan yang dianggap banyak seperti melangkah sebanyak tiga kali langkah atau lebih.

ii. Perbuatan yang dianggap sedikit pula seperti memberi isyarat ketika menjawab salam sama ada dengan isyarat kepala atau tangan, melangkah dengan dua langkah atau memukul dengan dua pukulan yang sederhana.

Perbuatan yang sedikit tidak termasuk dalam perbuatan yang membatalkan sembahyang. Maksud perbuatan yang sedikit adalah perbuatan yang kurang dari tiga seperti sekali pukulan atau dua kali pukulan dengan tidak berlebih-lebihan dalam pukulannya ataupun selangkah atau dua langkah walaupun langkahnya itu luas. Walau bagaimanapun, jika perbuatan sedikit itu dilakukan dengan tujuan main-main atau gurauan, perbuatan tersebut membatalkan sembahyang.

2. Perbuatan yang bukan daripada jenis perbuatan sembahyang; seperti lompatan, pukulan, tendangan dan yang seumpamanya, sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.

3. Perbuatan yang dilakukan tanpa sebab munasabah yang membolehkannya untuk melakukan pergerakan atau perkara yang memerlukannya untuk melakukan pergerakan. Jika ada hajat untuk melakukan pergerakan seperti sembahyang dalam keadaan ketakutan atau membunuh binatang berbisa yang memudaratkan seperti ular dan kala jengking di mana membunuhnya adalah disunatkan, maka tidak batal sembahyang walaupun banyak pergerakan dilakukan.

4. Perbuatan yang dilakukan dengan menggunakan anggota yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.

5. Perbuatan yang dilakukan sebanyak tiga kali atau lebih secara berturut-turut; sama ada pergerakan itu daripada jenis perbuatan yang sama seperti menggoyangkan kepala tiga kali berturut-turut atau dua jenis perbuatan seperti melangkah ke hadapan selangkah dan diikuti dengan memukul dua kali pukulan atau tiga jenis perbuatan seperti melangkah, pukulan dan goyangan kepala secara berturut-turut.

Termasuk di dalam maksud berturut-turut yang membatalkan sembahyang itu:

i. Jika tiga kali perbuatan atau lebih dilakukan pada waktu yang sama seperti memukul, menendang dan menggerakkan kepala pada satu masa.

ii. Jika satu kali perbuatan diniatkan tiga kali.

Jika tiga pergerakan atau lebih dilakukan secara terpisah atau berselang-seli, maka yang sedemikian tidaklah membatalkan sembahyang seperti langkah yang kedua terpisah (tidak dilakukan berturut-turut) daripada langkah pertama dan langkah ketiga terpisah daripada langkah kedua.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah ketika dalam sembahyang, Baginda menggendong Umamah anak perempuan Zainab iaitu anak perempuan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan Abu al-Ash bin ar-Rabi‘. Maka diangkatnya Umamah apabila Baginda sedang berdiri dan diletakkannya apabila Baginda sujud. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, perbuatan sedikit tidaklah membatalkan sembahyang. Begitu juga halnya dengan perbuatan yang berulang dilakukan terpisah-pisah, tidak berturut-turut, hukumnya tidak membatalkan sembahyang.

Menambah Perbuatan daripada Jenis Perbuatan Sembahyang Adakah Membatalkan?

Jika seseorang menambah perbuatan sembahyang kerana terlupa seperti tambahan satu rakaat dalam sembahyang, tidaklah membatalkan sembahyangnya dan disunatkan melakukan sujud sahwi (sujud sebanyak dua kali setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan di antara kedua-dua sujud itu duduk di antara dua sujud dan selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam).

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah sembahyang bersama kami dengan bilangan lima rakaat. Apabila selesai sembahyang, orang ramai berbisik-bisik sesama mereka. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Apa hal kamu?” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, adakah tambahan (rakaat) di dalam sembahyang?”Baginda menjawab: “Tidak.” Mereka berkata lagi: “Bahawasanya Tuan sembahyang lima rakaat.” Baginda kemudiannya berpaling lantas melakukan dua kali sujud dan bersalam. Kemudian Baginda berkata: “Sesungguhnya aku juga manusia seperti kamu, aku juga lupa sebagaimana kamu lupa”. Ibnu Numair mempunyai tambahan di dalam hadits: “Apabila lupa salah seorang daripada kamu (perkara-perkara yang dituntut di dalam sembahyang),maka sujudlah kamu dua kali sujud.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menjadi dalil bahawa seseorang yang menambah satu rakaat di dalam sembahyangnya kerana lupa tidak membatalkan sembahyangnya. Jika dia mengetahui selepas lama berlalu salamnya, sah sembahyangnya dan tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahîh). Manakala jika dia ingat sejurus selepas salam, disunatkan ke atasnya untuk sujud sahwi.

Jika dia melakukan perbuatan berkeadaan ruku‘ bertujuan untuk membunuh binatang berbisa, ular umpamanya, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan sembahyangnya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bunuhlah ‘al-aswadain’ di dalam sembahyang; ular dan kala jengking (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam al-Khathabi Rahimahullâh menyebutkan bahawa hadits di atas merupakan dalil yang menunjukkan bahawa harus melakukan perbuatan ringan di dalam sembahyang dan melakukan perbuatan dua kali berturut-turut tidak membatalkan sembahyang. Akan tetapi jika perbuatan itu dilakukan berturut-turut dan sampai kepada had yang dianggap sebagai banyak, maka batal sembahyang. Pada kebiasaannya, membunuh ular adalah dengan sekali atau dua kali pukulan. Namun jikapun ia dilakukan lebih dengan tiga kali pukulan atau lebih, maka tidak membatalkan sembahyang kerana suruhan membunuh ular dan kala jengking ini adalah suruhan mutlak semata-mata tanpa mengaitkan dengan sekali atau dua kali pukulan. Termasuk juga maksud ular (boleh dibunuh ketika di dalam sembahyang) ialah setiap binatang yang memudharatkan boleh dibunuh seperti penyengat dan seumpamanya.

Namun jika dia melakukan perbuatan itu secara sengaja seperti menambah ruku‘, maka batal sembahyangnya walaupun perbuatan itu hanya dilakukannya sekali sahaja. Ini kerana menambah perbuatan daripada jenis sembahyang secara senghaja seperti ruku‘ atau sujud, tidak berkait dengan banyak atau sedikit perbuatan itu.

Perbuatan Ringan yang tidak Membatalkan Sembahyang

Sembahyang tidak batal dengan perbuatan-perbuatan ringan sekalipun banyak dan bersambung-sambung namun dihukumkan makruh. Sebagai contoh, menggerakkan jari berkali-kali tanpa bergerak tapak tangannya kerana menggaru pada tapak tangan. Begitu juga menggerakkan lidah, menggerakkan kelopak mata ataupun menggerakkan kedua-dua bibir adalah tidak membatalkan sembahyang kerana semuanya masih tetap di tempatnya.

Dalam perkara menggerakkan jari tidak termasuk pergerakan tapak tangan. Menggerakkan tapak tangan tiga kali berturut-turut boleh membatalkan sembahyang, kecuali jika seseorang yang terkena penyakit kulit gatal yang pada kebiasaannya dia tidak tahan untuk menggarunya, maka sembahyangnya tidak batal dengan menggerakkan tapak tangan tiga kali atau lebih kerana keterpaksaan melakukan sedemikian.

Dalam perkara menggerakkan lidah pula, sebahagian ulama membahas bahawa menggerakkan lidah sehingga sampai keluar dari batasnya iaitu mulut dengan tiga kali gerakan atau lebih adalah membatalkan sembahyang. Ini kerana menggerakkan lidah yang dianggap sebagai perbuatan ringan yang tidak membatalkan sembahyang adalah apabila pergerakan itu tetap di tempatnya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang Muslim, menjaga kesempurnaan sembahyang perlu dijadikan keutamaan. Khusyû‘ dalam sembahyang adalah ni‘mat yang amat besar dalam meningkatkan tahap iman seseorang. Perkara-perkara yang boleh menyebabkan hilang khusyû‘ dalam sembahyang ini perlu dihindari, umpamanya bergerak di dalam sembahyang yang boleh menganggu konsentrasi bersembahyang malahan boleh membatalkan sembahyang. Memang tidak semua pergerakan membatalkan sembahyang, namun mengelakkannya adalah lebih baik.

QADHA’ PUASA BAGI PIHAK ORANG LAIN

Puasa Ramadhan wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Ia wajib dilaksanakan melainkan ada keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ untuk berbuka puasa. Walau bagaimanapun orang yang ada keuzuran untuk berpuasa itu masih juga dituntut untuk melaksanakannya sama ada dengan mengqadha’ puasa atau membayar fidyah ataupun kedua-duanya sekali.

Orang yang berbuka puasa kerana adanya uzur syar‘i seperti perempuan yang didatangi haidh, orang yang musafir atau sakit adalah diwajibkan mengqadha’ puasanya itu. Kewajipan mengqadha’ puasa itu tidak wajib dilakukan dengan segera selagi mana tidak masuk ke bulan Ramadhan yang baharu. Walau bagaimanapun sunat bagi orang yang berbuka puasa kerana adanya uzur syar‘i itu mengqadha’ puasanya dengan segera.

Berlainan halnya bagi orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa uzur syar‘i. Menurut pendapat yang ashah, mereka diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu dengan segera.

Menurut Imam Ibnu Hajr al-Haitami Rahimahullâh, orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa uzur syar‘i itu adalah fâsiq dan wajib bertaubat dengan segera. Tidak sah taubat melainkan setelah mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu. Apabila qadha’ puasa itu dilengah-lengahkan tanpa keuzuran, ini bererti dia berterusan dalam kefâsiqan sedangkan berterusan dalam kefâsiqan itu merupakan suatu dosa.

Demikian juga perlu diingat, orang yang berbuka puasa Ramadhan sama ada disebabkan keuzuran ataupun tidak, adalah berdosa melengah-lengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baharu tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadha’nya seperti sakit yang berpanjangan.

Dalam perkara mengqadha’ puasa Ramadhan ini, timbul persoalan hukum mengqadha’ puasa bagi pihak orang lain sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Hukum Mengqadha’ Puasa bagi Pihak Orang Lain yang Masih Hidup

Mengqadha’ puasa bagi pihak orang yang masih hidup sama ada orang yang masih hidup itu berupaya untuk mengqadha’ puasanya ataupun dia tidak berupaya mengqadha’ puasanya seperti kerana sakit, tidak boleh orang lain mengqadha’ puasa bagi pihaknya, sebagaimana Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami dan selain mereka: “Tidak boleh berpuasa bagi pihak orang lain yang masih hidup sama ada dia tidak berupaya ataupun berupaya untuk berpuasa tanpa khilâf ulama.”

Hukum Mengqadha’ Puasa bagi Pihak Orang Lain yang Sudah Meninggal Dunia

Adapun hukum mengqadha’ puasa bagi pihak orang lain yang sudah meninggal dunia dilihat pada dua keadaan sama ada dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan ataupun setelah ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa. 1. Meninggal dunia sebelum ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa terbahagi kepada dua keadaan:

i. Meninggalkan puasa Ramadhan kerana adanya uzur syar‘i.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan kerana adanya uzur syar‘i lalu dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’ puasanya, maka dia tidak berdosa serta tidak tertanggung ke atasnya qadha’ puasa dan tidak juga dia dituntut membayar fidyah kerana bukan disebabkan kecuaiannya. Oleh itu, kaum kerabat si mati tidak perlu mengqadha’ puasa dan membayar fidyah bagi pihak si mati tersebut.

Apa yang dimaksudkan dengan “sebelum ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa” ialah seseorang itu tidak ada kesempatan mengqadha’ puasanya selepas bulan Ramadhan kerana berterusan dalam keuzuran syar‘i sehingga dia meninggal dunia ataupun dia meninggal dunia semasa dalam bulan Ramadhan.

Sebagai contoh, sebelum terbit fajar pada hari kedua bulan Syawal (2 Syawal), seseorang itu masih ditimpa sakit atau baru ditimpa sakit dan berterusan sehingga dia meninggal dunia adalah termasuk dalam golongan orang yang tidak ada kesempatan mengqadha’ puasanya. Selain ditimpa sakit, ini termasuk juga keuzuran lain seperti musafir yang diharuskan syara‘, didatangi haidh dan nifâs.

ii. Meninggalkan puasa Ramadhan bukan kerana uzur syar‘i.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan bukan kerana uzur syar‘i seperti sengaja makan di siang Ramadhan lalu dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’ puasanya, maka dia berdosa dan tertanggung ke atasnya qadha’ puasa.

Oleh itu, menurut qaul qadîm Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dan merupakan pendapat yang azhhar, jika si mati itu ada meninggalkan harta pusaka maka kaum kerabat si mati wajib memilih sama ada mengqadha’ puasa bagi pihak si mati ataupun membayar fidyah daripada harta pusaka tersebut. Adapun jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka maka kaum kerabat si mati tidak wajib mengqadha’ atau membayar fidyah bagi pihak si mati akan tetapi hukumnya sunat sahaja.

2. Meninggal dunia setelah ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan sama ada kerana adanya uzur syar‘i atau bukan kerana uzur syar‘i, lalu dia meninggal dunia setelah ada kesempatan mengqadha’ puasanya, maka dia berdosa dan tertanggung ke atasnya qadha’ puasa itu.

Oleh itu, kaum kerabat si mati wajib memilih sama ada mengqadha’ puasa bagi pihak si mati, membayar fidyah apabila si mati ada meninggalkan harta pusaka ataupun sunat bagi kaum kerabat si mati melakukan di antara kedua-duanya apabila si mati tidak meninggalkan harta pusaka, sebagaimana menurut qaul qadîm Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh yang dijelaskan di atas.

Dalil Keharusan Mengqadha’ Puasa bagi Pihak Orang Lain yang Sudah Meninggal Dunia

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan tertanggung ke atasnya puasa (yang wajib diqadha’) maka walinya boleh berpuasa bagi pihaknya. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits yang lain lagi, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa seorang perempuan datang menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia, dan tertanggung ke atasnya puasa nazar. Apakah boleh saya berpuasa bagi pihaknya? Baginda bersabda: “Apa pandanganmu sekiranya tertanggung ke atas ibumu hutang lalu engkau membayarkannya, adakah ia terlunas bagi pihaknya?” Perempuan berkata: “Ya.” Baginda bersabda: “Berpuasalah bagi pihak ibumu.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas jelas menunjukkan wali si mati boleh mengqadha’ puasa bagi pihak orang yang sudah meninggal dunia. Apa yang dimaksudkan dengan wali si mati itu ialah semua kaum kerabat si mati walaupun dia bukan terdiri daripada ahli waris, penerima ashabah ataupun wali harta. Kaum kerabat yang dimaksudkan itu juga disyaratkan dia seorang yang bâliqh dan berakal.

Adapun orang lain (ajnabi) yang bukan terdiri daripada kaum kerabat si mati harus mengqadha’ puasa bagi pihak orang yang sudah meninggal dunia dengan syarat mendapat keizinan kaum kerabat si mati ataupun ada wasiat daripada si mati.

Jika orang ajnabiy itu mengqadha’ puasa bagi pihak orang yang meninggal dunia tanpa keizinan kaum kerabat si mati ataupun tidak ada wasiat daripada si mati maka menurut pendapat yang ashah tidak sah qadha’ puasanya itu.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum mengqadha’ puasa bagi pihak orang lain sama ada bagi pihak orang yang masih hidup ataupun orang yang sudah meninggal dunia. Perkara ini perlu diambil perhatian terutama sekali kepada kaum kerabat si mati, lebih-lebih lagi pada perkara yang menyentuh harta pusaka si mati. Ini kerana jika tuntutan untuk melepaskan tanggungan qadha’ puasa si mati itu dengan membayar fidyah maka ahli waris hendaklah membayar fidyah si mati itu daripada harta pusakanya sebelum harta tersebut dibahagikan mengikut faraidh.

PERMASALAHAN BERKAITAN RONGGA MULUT KETIKA BERPUASA

Ramadhan adalah bulan mulia yang penuh keberkatan. Segala amal dilimpahkan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Oleh itu umat Islam perlu merebut peluang untuk meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadhan ini.

Puasa yang dikerjakan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna iaitu dengan menjaga dan memelihara perkara yang diwajibkan dan disunatkan dan menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat puasa lebih-lebih lagi perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Antara perkara yang boleh membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut dengan sengaja. Apa yang dimaksudkan dengan “memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut dengan sengaja” akan dihuraikan seperti berikut:

Maksud “Rongga Mulut”

Rongga mulut terbahagi kepada dua bahagian iaitu had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah tempat keluar (makhraj) huruf “ح” (اْلاء) dan “خ” (اْلاء), manakala had batin mulut pula ialah tempat keluar (makhraj) huruf “ء” (المزة) dan “ه” (الاء). Kedua-dua bahagian ini amat penting diketahui dalam menentukan batal atau tidaknya puasa seseorang itu apabila masuk sesuatu benda ke dalam dua bahagian tersebut.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut yang boleh membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu benda ke had batin mulut. Ini bermakna, apabila sesuatu benda masuk ke had zahir mulut sahaja tidaklah membatalkan puasa.

Maksud “Sesuatu Benda”

Apa yang dimaksudkan dengan “sesuatu benda” itu ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga (bijan) atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk dalam maksud ‘sesuatu benda’ itu ialah rasa, warna dan bau. Apabila masuk ke dalam rongga seseorang itu sesuatu yang bukan benda seperti rasa, warna dan bau, ia tidak membatalkan puasa.

Maksud “Dengan Sengaja”

Apa yang dimaksudkan “dengan sengaja” pula ialah dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain dengan keizinannya.

Permasalahan yang Berkaitan dengan Rongga Mulut

1. Merasa makanan.

Merasa makanan ketika berpuasa hukumnya makruh bahkan sunat ia ditinggalkan kerana ditakuti sampai makanan itu masuk ke kerongkongnya atau boleh menimbulkan nafsunya untuk makan.

Walau bagaimanapun jika orang yang berpuasa itu merasa makanan kerana keperluan seperti dia seorang tukang masak yang ingin memperbaiki rasa masakannya maka hukumnya tidak makruh, sekalipun ada di sampingnya orang lain yang tidak berpuasa, kerana kadang-kadang orang lain itu tidak pandai merasa makanan.

2 Mengunyah makanan.

Mengunyah makanan ketika perpuasa hukumnya adalah makruh bahkan sunat juga ia ditinggalkan.

Adapun jika orang yang berpuasa itu yakin makanan itu sampai masuk ke dalam kerongkong dengan sengaja maka batal puasanya. Akan tetapi, jika dia hanya syak akan sampai masuk ke dalam kerongkong ataupun cuma rasa atau bau sahaja yang tertelan maka tidaklah batal puasanya.

Jika orang yang berpuasa mengunyah makanan tanpa sebarang keuzuran seperti mengunyah roti hukumnya adalah makruh. Akan tetapi, mengunyah makanan kerana keperluan seperti untuk memberi makan anaknya, maka hukumnya tidak makruh.

3 Terselit sisa makanan pada celah gigi.

Jika sisa makanan itu terselit pada celah gigi, lalu ditelannya dengan sengaja maka batal puasanya. Adapun jika sisa makanan yang terselit dicelah gigi itu tanggal bersama air liur lalu ditelannya tanpa sengaja dan dia tidak mampu membezakannya dan tidak mampu meludahkannya maka tidaklah batal puasanya. Sebaliknya, jika dia mampu membezakan dan mampu meludahkannya maka batal puasanya.

4. Menelan air liur.

Menelan air liur yang terbit dari bawah lidah tidak membatalkan puasa walaupun dengan sengaja, kerana terlalu payah atau sukar untuk mengelak daripada tidak menelannya. Walaupun air liur itu terkumpul sehingga banyak lalu ditelannya adalah juga tidak membatalkan puasa.

Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyebutkan perkara ini dalam kitab Hâsyiah al-Bujairimi ‘alâ al-Khathib:

Ertinya: Dan tidak memudharatkan (tidak membatalkan puasa) sampai air liurnya dari tempat terbitnya (iaitu di bawah lidah) ke dalam rongga mulutnya.

Adapun jika air liur yang keluar dari mulut seperti meleleh ke bibir kemudian dimasukkan kembali air liur itu ke dalam mulut dan ditelannya, maka batal puasa kerana air liur itu sudah terpisah dari mulut.

Demikian juga jika orang yang berpuasa itu membasahi benang dengan air liur kemudian dimasukkannya kembali benang yang berair liur itu ke dalam mulut dan ditelannya maka batal puasanya.

Berlainan halnya, jika lidah yang berair liur itu dikeluarkan dari mulut kemudian dimasukkan kembali ke dalam mulut dan ditelannya air liur itu, maka tidak batal puasa kerana air liur itu tidak terpisah dari mulut dan lidah itu masih dikira sebagai dalam mulut.

5. Gusi berdarah.

Jika orang yang berpuasa itu menelan air liur yang bercampur dengan sesuatu yang suci atau najis seperti darah gusi maka batal puasanya. Oleh itu, orang yang berdarah gusinya ketika berpuasa hendaklah dia membuang air liur yang bercampur darah itu dan membasuh mulutnya. Jika dia tidak membuang air liur tersebut dan tidak membasuh mulut lalu ditelannya air liur itu maka batal puasanya.

Berbeza halnya sebagaimana menurut al-Azra‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika darah gusinya itu sentiasa keluar maka ia dimaafkan kerana sukar untuk menjaganya. Memadai bagi orang yang sentiasa keluar darah gusinya itu untuk meludahkannya dan kesan darah gusi yang tinggal itu adalah dimaafkan.

6. Kahak.

Jika orang yang berpuasa mengeluarkan kahak yang datang dari otak atau perutnya lalu diludahkannya maka tidak batal puasanya. Demikian juga jika kahak itu keluar dengan sendirinya disebabkan batuk lalu diludahkannya maka tidak batal puasanya.

Adapun jika kahak itu datang dari otak lalu sampai masuk ke had zahir mulut maka hendaklah dia meludahkannya agar kahak itu tidak sampai masuk ke had batin mulut. Jika dia tidak meludahkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk melakukannya lalu ditelannya maka batal puasanya.

7. Berkumur-kumur.

Berkumur-kumur adalah perkara sunat yang dilakukan ketika berwudhu’ walaupun dalam keadaan berpuasa.

Adapun berkumur-kumur dengan berlebih-lebihan ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam.

Akan tetapi, jika air itu masuk melewati bahagian had batin mulut disebabkan berlebih-lebihan ketika berwudhu’, adalah membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan, maka puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan sengaja.

Begitu juga, jika air itu masuk melewati bahagian had batin mulut pada perkara yang tidak dituntut agama seperti membasuh anggota wudhu’ melebihi tiga kali (iaitu kali keempat atau lebih) atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.

8. Muntah.

Secara umumnya jika orang yang berpuasa itu muntah dengan sengaja seperti perbuatan menjolok langit-langit sehingga muntah, maka batal puasanya.

Adapun jika dia muntah dengan tidak sengaja seperti muntah yang keluar dengan tiba-tiba yang disebabkan oleh rasa badan yang tidak sehat, maka tidak batal puasanya. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak berkuasa menahan muntahnya semasa berpuasa, maka tidak wajib atasnya qadha’ (tidak batal puasanya) dan barang siapa yang muntah (dengan sengaja), maka wajib dia mengqadha’ (batal puasanya). (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Demikianlah beberapa perbahasan mengenai permasalahan yang berkaitan dengan rongga mulut ketika berpuasa. Perkara ini penting diketahui lebih-lebih lagi bagi orang yang berpuasa demi mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan ibadat puasa.

JANGAN SEKALI-KALI MEMBUAT HELAH AGAR TERLEPAS DARIPADA KEWAJIPAN BERZAKAT

Harta yang dimiliki oleh seseorang merupakan anugerah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia berupa anugerah yang dinikmati oleh si pemilik itu sendiri. Akan tetapi dalam masa yang sama terdapat hak bagi orang-orang tertentu di dalam harta tersebut jika mencukupi syarat-syarat tertentu untuk dikeluarkan melalui ibadat zakat.

Mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia dikategorikan sebagai ibadat mâl (harta) iaitu ibadat yang dilakukan melalui harta yang dimiliki. Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat pula adalah daripada jenis-jenis tertentu dan dengan syarat-syarat tertentu. Contohnya, wajib dikeluarkan zakat emas simpanan apabila cukup nisab 85 gram dan kekal dalam simpanannya selama setahun Hijrah.

Kewajipan mengeluarkan zakat banyak disebutkan di dalam al-Qur’an, hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan juga ijmâ‘ ulama. Disebutkan juga ganjaran-ganjaran bagi sesiapa yang melaksanakannya sesuai dengan apa yang diperintahkan. Begitu juga disebutkan balasan bagi sesiapa yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan dia berkewajipan untuk mengeluarkannya kerana mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diperlihatkan pembalasan berupa seksaan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat selain daripada seksaan bagi orang yang melibatkan diri dalam riba, pencela dan pemfitnah, perempuan yang tidak menutup aurat dan penyeksaan-penyeksaan yang lain lagi.

Oleh kerana pengeluaran zakat ini bergantung kepada syarat-syarat tertentu, mungkin sahaja terdapat sebilangan orang yang licik ingin melarikan diri daripada kewajipan berzakat dan membuat helah tertentu supaya hartanya tidak dikenakan zakat. Antara helah yang dibuat ialah menjual atau memberikan kepada ahli keluarga harta yang mencukupi syarat zakat sebelum haulnya tiba. Dengan itu, mereka tidak perlu mengeluarkan zakat, kerana harta tersebut tidak cukup nishâb untuk dikeluarkan zakat.

Yang menjadi persoalan ialah apakah hukum orang yang berhelah untuk mengelak dari kewajipan mengeluarkan zakat pada hartanya?

Perintah Mengeluarkan Zakat dan Ganjarannya

Mengeluarkan zakat merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang banyak disebutkan di dalam al-Qur’an al-Karim. Antaranya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan ruku‘lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula bersabda:

Maksudnya: Kamu sembahlah Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, serahkanlah zakat dan sambunglah silaturrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dari segi ganjaran mengeluarkan zakat pula, orang-orang yang mengeluarkan zakat akan memperolehi ganjaran besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (Surah ar-Rûm: 39)

Balasan Tidak Menunaikan Zakat

Balasan berupa azab bagi sesiapa yang meninggalkan zakat banyak disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan harta oleh Allah, namun dia tidak menunaikan zakatnya, maka harta itu akan dijadikan sebagai ular jantan gundul mempunyai dua taring yang akan mengalunginya pada Hari Kiamat. Kemudian ular itu mengambil dengan dua tulang rahangnya seraya berkata: “Saya adalah hartamu, saya adalah simpananmu”, kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa.. االيَة ” yang tafsirnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan apa yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka... (…bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan) (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits yang lain pula, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiada bagi tuan yang empunya emas dan (tiada bagi sesiapa yang empunya) perak yang tidak menunaikan hak daripada emas dan perak (zakat), kecuali pada Hari Kiamat akan dihamparkan kepingan-kepingan daripada api, kemudian kepingan-kepingan itu dipanaskan di dalam Neraka Jahannam, kemudian dicucuh dahinya dan punggungnya (dengan kepingan-kepingan

tersebut). Setiap kali kepingan itu menjadi dingin, ia kembali dipanaskan dan (hal ini terus terjadi) sehingga lima ribu tahun. (Hadits riwayat Muslim)

Hukum Membuat Helah agar Terhindar daripada Kewajipan Berzakat

Para ulama mazhab Syafi‘e seperti Imam Ibnu Hajar, Imam ar-Ramli, Imam al- Khathib asy-Syarbini dan Imam al-Malibari Rahimahumullâh menyebutkan bahawa makruh bagi seseorang yang memiliki harta itu menghilangkan pemilikannya terhadap harta itu sama ada dengan menjual atau pertukaran kerana membuat helah agar mengelak daripada melaksanakan kewajipan zakat. Perbuatan tersebut dianggap sebagai lari daripada melakukan qurbah iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Sebagai contoh: Seseorang memiliki lembu sebanyak 35 ekor dan dia mengetahui apabila sampai haul dia wajib mengeluarkan seekor anak lembu berumur satu tahun sebagai zakat kerana jumlah lembu yang sudah mencapai nishâb. Untuk mengelak daripada mengeluarkan zakat, dia berhelah dengan menjual separuh daripada lembunya. Dengan demikian dia terlepas daripada kewajipan mengeluarkan zakat lembunya.

Contoh yang lain pula: Seseorang memiliki wang simpanan berjumlah $10,000. Beberapa hari kemudian sebelum genap haulnya iaitu setahun Hijriyyah, wang tersebut dibelanjakannya sehingga berkurang daripada nishâbnya dengan tujuan untuk mengelak daripada kewajipan mengeluarkan zakat.

Dalam dua contoh di atas, perbuatan menghilangkan status pemilikian itu hukumnya adalah makruh. Walau bagaimanapun sesetengah ulama berpendapat bahawa haram bagi seseorang membuat helah dengan menghilangkan status pemilikannya terhadap harta untuk lari daripada menunaikan zakat.

Ibnu Shalah Rahimahullâh pula berkata bahawa (seseorang yang membuat helah agar terhindar daripada kewajipan zakat itu) berdosa kerana niatnya, bukan disebabkan perbuatannya (menjual atau menukarkan hartanya).

Menghilangkan Pemilikan Harta kerana Hajat atau Keperluan

Berlainan halnya pula dengan seseorang yang menghilangkan status pemilikan hartanya kerana ada keperluan, umpamanya dia menjual lembunya yang bakal dikenakan zakat selang beberapa hari sebelum cukup haulnya bagi tujuan untuk mendapatkan wang perbelanjaan membeli keperluannya, keperluan keluarganya atau sebagainya. Perbuatan seperti ini tidaklah dihukumkan makruh.

Begitu juga jika seseorang itu menghilangkan status pemilikannya kerana hajat atau keperluan dan dalam masa yang sama juga bertujuan untuk lari daripada kewajipan berzakat, maka dalam keadaan ini pun tidaklah perbuatannya itu dihukumkan makruh.

Kesimpulannya, mengeluarkan zakat adalah wajib hukumnya apabila cukup syarat-syaratnya dan berdosa jika seseorang yang mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan tidak menunaikan kewajipan tersebut.

Membuat helah semata-mata untuk lari daripada menunaikan zakat walaupun hanya dihukumkan makruh, ia bukanlah satu tindakan yang elok. Lebih-lebih lagi menunaikan zakat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam. Bahkan ada juga ulama yang menghukumkannya sebagai haram. Membuat helah untuk maksud lari daripada zakat itu benar-benar mendatangkan kerugian kerana terlepas peluang untuk bertaqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan terlepas peluang untuk mendapatkan kelebihan yang hebat yang dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada orang yang menunaikan zakat.

Menunaikan zakat tidak sekali-kali mendatangkan kerugian, malahan sebaliknya mendatangkan keuntungan kepada orang yang berzakat dan keberkatan pada harta yang dizakat.

BOLEHKAH MENGERJAKAN IBADAT HAJI DAN UMRAH DENGAN PERANTARAAN ORANG LAIN?

Ibadat haji dan umrah diwajibkan ke atas setiap orang yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji dan umrah. Antara syarat-syarat wajib haji dan umrah itu ialah berkemampuan. Jika seseorang itu tidak berkemampuan maka tidak wajib ke atasnya ibadat haji dan umrah.

Kemampuan mengerjakan ibadat haji dan umrah itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

1. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri.

2. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Ibadat haji dan umrah pada asalnya dituntut mengerjakannya dengan sendiri dan bukan dengan perantaraan orang lain. Ini kerana ibadat haji dan umrah itu merupakan ibadat yang berkaitan dengan kemampuan iaitu dengan tenaga dan hartanya, sama ada haji atau umrah fardhu, lebih-lebih lagi ibadat haji atau umrah sunat.

Walau bagaimanapun, terdapat kelonggaran dalam syara‘ bagi orang yang tidak berkemampuan mengerjakan haji dan umrah dengan sendiri. Oleh itu orang yang tidak berkemampuan boleh mengerjakannya dengan perantaraan orang lain memandangkan kelonggaran ini tidak diberikan kepada orang yang berkemampuan mengerjakannya dengan diri sendiri. Orang yang tidak mampu mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan sendiri, wajib ke atasnya mengerjakan haji dan umrah itu dengan perantaraan orang lain apabila dia mempunyai kemampuan dari segi harta. Oleh itu, akan diterangkan keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Kewajipan Haji dan Umrah dengan Perantaraan Orang Lain

Keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain terbahagi kepada dua sebagaimana disebutkan oleh as- Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Keadaan istithâ‘ah yang kedua: Mampu (mengerjakan haji dan umrah) dengan perantaraan orang lain, dan dikatakan (mampu dalam kategori kedua ini) dengan mampu dari segi harta sahaja, dan berlaku kepada orang yang meninggal dunia (yang masih menanggung kewajipan haji dan umrah) dan orang lemah (yang tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri). (Kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/439-440)

Keadaan pertama: Orang yang meninggal dunia tertanggung ke atasnya ibadat haji atau umrah.

Jika seseorang itu meninggal dunia dan dia tidak menunaikan ibadat haji atau umrah semasa hidupnya sama ada haji atau umrah qadha, haji atau umrah nazar ataupun haji atau umrah yang diupahkan ke atasnya, sedangkan dia mampu mengerjakannya, maka kewajipan haji atau umrah itu masih tertanggung ke atasnya.

Kewajipan haji atau umrah yang tertanggung ke atas orang yang meninggal dunia itu adalah sama halnya dengan kewajipan membayar hutang yang tertanggung ke atas si mati. Ini kerana kewajipan membayar hutang tidak akan luput walaupun sesudah orang itu meninggal dunia.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji lalu dia mati sebelum mengerjakan haji, adakah aku mengerjakan haji untuknya?” Baginda bersabda: “Ya, kerjakanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda Bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

• Siapakah yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi si mati?

Orang yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi pihak si mati yang tertanggung ke atasnya haji dan umrah adalah seperti berikut:

i. Orang yang diwasiatkan oleh si mati untuk mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati.

ii. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada ahli waris si mati.

iii. Jika tidak ada ahli waris yang boleh mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada hakim.

Orang yang diwajibkan mengerjakan haji atau umrah bagi pihak si mati itu harus dia mengerjakannya sama ada dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain.

• Mengerjakan haji dan umrah bagi si mati daripada harta peninggalannya.

Orang yang mengerjakan haji dan umrah bagi si mati yang tertanggung ke atasnya haji atau umrah itu hendaklah dia melaksanakannya dengan segera dan perbelanjaannya diambil daripada harta peninggalan si mati. Hal ini disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: (Menghajikan) atau mengumrahkan (baginya iaitu si mati darpadai harta peninggalannya) dikerjakan dengan segera. (Kitab Tuhfah al-Muhtâj: 4/31)

• Si mati tidak ada harta peninggalan.

Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka tidak wajib ditunaikan ibadat haji atau umrah itu untuk si mati. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris mengerjakan haji dan umrah untuk si mati. Demikian juga sunat bagi orang asing mengerjakan haji dan umrah untuk si mati walaupun tanpa izin ahli waris. Sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Apabila (seseorang itu meninggal dunia) dan tidak meninggalkan harta nescaya tidak wajib seseorang itu haji dan tidak juga wajib dihajikan untuknya, akan tetapi sunat bagi ahli waris dan orang asing (mengerjakan haji bagi si mati) walaupun orang asing itu tidak mendapat keizinan ahli waris. (Kitab Tuhfah al-Muhtâj: 4/31)

• Tidak sempat menunaikan haji atau umrah setelah cukup syarat.

Jika seseorang itu mampu mengerjakan haji dan umrah akan tetapi dia tidak sempat mengerjakannya seperti kerana meninggal dunia, gila, hilang hartanya atau lemah kerana sakit sebelum para jemaah mengerjakan haji dan umrah, maka tidak dikerjakan haji dan umrahnya itu daripada harta peninggalannya.

Demikian juga, orang yang meninggal dunia yang tidak tertanggung ke atasnya haji dan umrah kerana dia tidak berkemampuan semasa hidupnya maka tidak wajib ke atas ahli waris mengerjakan haji atau umrah untuk si mati daripada harta peninggalannya.

Keadaan kedua: Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri.

Jika seseorang itu lemah atau terbatas kesempurnaan pergerakannya sama ada disebabkan sangat tua, cacat, sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri kerana ada kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan, maka dibolehkan baginya mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Perkara ini adalah berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Fadhl Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang perempuan daripada Khats‘am berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya bapaku sangat tua sedang ke atasnya kewajipan haji dan dia tidak mampu untuk tetap berada di atas untanya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Maka engkau kerjakanlah haji untuknya.” (Hadits riwayat Muslim)

• Mengupah orang lain mengerjakan haji dan umrah bagi dirinya.

Jika seseorang itu lemah dan tidak mampu untuk mengerjakan haji dan umrah dengan dirinya sendiri tetapi ada orang lain yang mampu mengerjakan haji dan umrah bagi dirinya dengan bayaran upah (mengikut kadar bayaran biasa) ataupun orang itu redha tanpa mengambil bayaran upah, maka wajib baginya mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain. Tetapi jika kadar bayaran upah itu melebihi kadar biasa walaupun hanya sedikit, maka tidak wajib ke atasnya mengupah orang lain untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah bagi dirinya.

Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri itu disyaratkan dia mempunyai bekalan lebih pada hari dan malam dia mengupah. Iaitu segala keperluannya seperti nafkah, pakaian dan khadam sama ada cukup untuk dirinya atau keluarganya pada hari dan malam dia mengupah itu sebagaimana menurut Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.

Ertinya: Disyaratkan adanya upah itu lebihan bekalan mereka (keluarga orang yang lemah itu) seperti nafkah, pakaian dan selainnya, dan bekalan untuk dirinya sendiri pada hari dan malam dia mengupah itu. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 1/632)

Demikian juga disyaratkan ada lebihan semua bekalan tersebut selain nafkah orang yang lemah itu dan keluarganya selepas hari dia mengupah. Ini kerana orang yang lemah itu apabila dia berada di dalam negeri (bermuqim bersama keluarganya) nescaya dia boleh memperolehi nafkah tersebut seperti dengan meminjam. Hal ini disebutkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn.

Ertinya: Maka tidak disyaratkan adanya upah itu lebihan bekalan nafkah selepas hari dia mengupah. Ini adalah disebabkan apabila dia tidak meninggalkan negeri, nescaya dia boleh memperolehinya (nafkah) walaupun dengan meminjam. (Kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/447)

Jika orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri itu tidak memperolehi orang yang boleh mengerjakan haji dan umrah untuk dirinya atau tidak mempunyai bekalan lebih pada hari dia mengupah dan selepasnya sebagaimana yang disebutkan di atas, maka tidak wajib ibadat haji dan umrah ke atasnya.

• Orang lain yang membayarkan upah.

Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin membayarkan upah tersebut bagi pihak orang yang lemah itu, maka menurut pendapat yang ashah tidaklah wajib ke atas orang yang lemah itu menerimanya sebagaimana dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn.

Ertinya: Dan jika anaknya atau orang asing memberi harta (kepada orang yang lemah) untuk membayar upah (kepada orang yang diupah itu), maka tidak wajib (bagi orang yang lemah itu) menerimanya menurut pendapat yang ashah. (Kitab Minhâj ath-Thâlibîn: 1/458)

• Orang lain mengerjakan haji dan umrah secara sukarela.

Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela, maka wajib orang yang lemah itu menerimanya (mengizinkannya). Adapun jika dia tidak mengizinkan mereka mengerjakan haji dan umrah untuk dirinya, maka tidaklah perlu hakim mengizinkan bagi pihak dirinya dan janganlah dipaksa orang yang lemah itu supaya mengizinkannya, ini kerana haji tersebut tidak wajib dikerjakan dengan segera.

Perlu diketahui juga bahawa adalah tidak sah mengerjakan haji dan umrah untuk diri orang yang lemah itu apabila dia tidak mengizinkan. Ini kerana ibadat haji itu memerlukan kepada niat sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Malibari al-Fannani Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Dan tidak sah mengerjakan haji bagi orang yang lemah tanpa izinnya kerana ibadat haji itu perlu kepada niat. (Kitab Fath al-Mu‘în: 2/324)

Syarat bagi Orang yang Hendak Mengerjakan Haji atau Umrah bagi Pihak Orang Lain

Orang yang hendak mengerjakan ibadat haji atau umrah bagi pihak si mati atau bagi pihak orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji atau umrah dengan diri sendiri, disyaratkan orang yang hendak mengerjakan ibadat haji atau umrah bagi pihak orang lain itu tidak tertanggung ke atasnya haji fardhu, qadha’ atau nazar.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendengar seorang lelaki berkata:

Maksudnya: Aku bagi pihak Syubrumah datang menyahut panggilanMu. Baginda bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudaraku atau kerabatku.” Baginda bertanya: “Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Jika dia berniat ihram untuk orang lain sedangkan dirinya sendiri belum mengerjakan haji atau umrah fardhu, qadha dan nazar, maka jatuhlah niat ihramnya itu untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Mu‘tamad:

Ertinya: Jika berniat ihram haji atau umrah untuk orang lain sebelum dia mengerjakan haji atau umrah bagi dirinya maka niat ihram itu jatuh bagi dirinya dan bukan bagi orang yang diniatkannya itu. (Kitab al-Mu‘tamad: 2/291)

Mengerjakan Haji dan Umrah Sunat dengan Perantaraan Orang Lain

Hukum mengerjakan haji dan umrah sunat dengan perantaraan orang lain dijelaskan seperti berikut:

1. Orang yang mampu mengerjakan haji dan umrah sunat dengan diri sendiri tidak harus mengupah orang lain untuk mengerjakan haji dan umrah sunat bagi dirinya.

2. Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah sunat dengan diri sendiri harus mengupah orang lain untuk mengerjakan haji dan umrah sunat bagi dirinya.

3. Tidak harus mengerjakan haji dan umrah sunat bagi si mati melainkan dengan adanya wasiat.

Demikanlah beberapa penjelasan mengenai hukum mengerjakan haji dan umrah fardhu dan sunat dengan perantaraan orang lain. Perkara ini perlu diketahui terutama sekali kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syarat haji dan umrah dan termasuklah juga ahli waris dan mereka yang diupah untuk mengerjakan haji dan umrah bagi pihak orang lain.

INGAT-INGATLAH AKAN KEMATIAN

Kematian pasti datang sesuai dengan ajal yang telah ditetapkan ke atas seorang insan. Ke mana sahaja manusia pergi kematian tetap akan mengejarnya. Kematian datang tanpa memilih umur, tanpa memilih waktu dan tanpa memilih tempat. Perkara ini jelas sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Âli ‘Imran: 185)

Ayat ini menjelaskan bahawa semua manusia tidak kekal dan pasti akan mati apabila tiba masanya. Ayat ini juga sebagai peringatan bahawa kematian itu akan menghilangkan keni‘matan dunia. Sesungguhnya di sebalik alam kehidupan dunia ini ada lagi alam kehidupan lain yang akan membezakan orang yang baik daripada orang yang jahat dan akan diperlihatkan balasan amalan mereka. Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan bagi tiap-tiap umat (yang mendustakan rasul-rasul mereka) itu ada ajal (batas waktu kebinasaannya yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajal mereka itu tidaklah dapat mereka undurkan (kemudiankan) walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka dahulukan. (Surah al-A‘râf: 34)

Sebahagian ulama tafsir juga mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan ajal dalam ayat di atas ialah umur. Apabila sudah sampai batasan umur atau sudah sempurna maka tidaklah dapat dipercepatkan ataupun dikemudiankan.

Sekuat manapun benteng pertahanan ataupun kubu yang disediakan oleh seseorang untuk mengelak kedatangan mati itu, namun kematian pasti menemui dan mengundangnya. Ini jelas disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Di mana sahaja kamu berada nescaya maut akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng tinggi yang kukuh. (Surah an-Nisâ’: 78)

Hakikat Mati

Ramai orang takut akan mati disebabkan diri mereka belum bersedia. Antaranya termasuklah mereka yang merasa kurang bekalan amalan untuk menghadapi mati atau disebabkan tidak adanya pengetahuan tentang mati. Namun bagi orang yang cukup pengetahuan dan keyakinan terhadap hidup sesudah mati dan mungkin merasa dirinya cukup bekalan untuk menghadapi mati, maka bagi mereka tidak ada ketakutan terhadap mati.

Sebilangan manusia mempunyai prasangka-prasangka yang tidak betul mengenai hakikat mati. Sebahagian mereka menyangka bahawa mati adalah kesudahan suatu kehidupan. Menurut mereka tidak ada lagi perkara yang dinamakan kebangkitan dan perhimpunan sesudah mati kerana matinya manusia itu adalah seperti matinya seekor binatang dan tumbuh-tumbuhan. Dengan kata lain tidak ada lagi perhitungan selepas mati. Inilah pendapat orang-orang mulhid iaitu orang yang mengingkari adanya Tuhan dan Hari Akhirat.

Manakala sebahagiannya pula ada yang menyangka bahawa sesudah mati dia sudah tidak ada (musnah keseluruhannya). Maka tidak lagi ada rasa sakit terhadap sesuatu seksaan dan tidak ada lagi merasa ni‘mat pahala selama dia berada di alam kubur sehingga ia dibangkitkan di padang mahsyar.

Sementara itu, ada pula golongan yang menyangka bahawa roh itu tetap kekal, tidak musnah dengan datangnya mati, dan yang diberi pahala dan diseksa adalah roh bukanlah tubuh atau jasad kerana tubuh atau jasad itu tidak sekali-kali dibangkitkan dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

Semua ini adalah sangkaan yang salah dan terpesong daripada kebenaran, kerana mati itu adalah perubahan keadaan sahaja. Nyawa atau roh adalah kekal sesudah berpisah dengan jasad iaitu terputus urusan nyawa dengan tubuh daripada mentaatinya. Sebab tubuh itu adalah alat bagi roh.

Sesungguhnya jasad tidak berfungsi setelah mati itu sama sahaja seperti terhentinya fungsi anggota-anggota badan orang yang lumpuh disebabkan kerosakan sifat badan dan kesukaran yang terjadi pada urat saraf. Dalam keadaan orang yang lumpuh ini, sebahagian anggota badan itu ada yang masih boleh mematuhi kehendak roh dan sebahagian yang lain tidak mampu mematuhi kehendak roh. Namun dalam perkara mati, keseluruhan anggota badan tidak lagi mampu mematuhi kehendak roh. Dari itu, semua anggota badan itu adalah alat dan rohlah yang sebenarnya memakai alat itu.

Oleh yang demikian, mati bermaksud putus urusan roh dari badan dan keluarnya badan dari menjadi alat baginya. Sebagaimana makna kelumpuhan, maka mati itu adalah kelumpuhan yang mutlak pada anggota-anggota badan seluruhnya.

Tanda-tanda Husnul Khâtimah dan Sû’ul Khâtimah

Oleh kerana kematian itu suatu yang pasti, maka adakah kita akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang mati dalam keadaan husnul khâtimah ataupun sebaliknya sû‘ul khâtimah?. Namun semua orang mahu mati dalam husnul khâtimah dan bukannya sû’ul khâtimah. Ini jelas sebagaimana do‘a yang seringkali dibaca selepas sembahyang yang berbunyi:

Ertinya: “Ya Allah, tamat kehidupan kami dengan kesudahan yang baik (matikan kami dalam iman), dan janganlah Engkau tamatkan kehidupan kami dengan kesudahan yang buruk (mati di luar iman).”

Husnul khâtimah bererti kesudahan hidup yang baik ataupun mati dalam iman. Sementara sû‘ul khâtimah bererti kesudahan hidup yang buruk ataupun kematian di luar iman.

Antara tanda-tanda husnul khâtimah itu ada disebutkan di dalam hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

1. Hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

Maksudnya: Jika Allah menghendaki seseorang hamba itu dengan kebaikan, maka akan disegerakan hukumannya di dunia. Manakala jika Allah menghendaki seorang hamba itu dengan keburukan, maka akan ditahan (seksanya) disebabkan dosanya sehingga dipenuhi (pembalasannya) di Hari Kiamat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

2. Hadits daripada ‘Amr bin al-Hamiq Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika Allah menghendaki seorang hamba itu dengan kebaikan, (nescaya) Dia jadikan orang itu beramal.”Bertanya para sahabat: “Bagaimanakah Dia menjadikan orang itu beramal?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskan: “Orang itu akan dituntun untuk melakukan amal salih ketika mana dia mendekati ajalnya sehingga (kerana amalnya itu) orang-orang di sekelilingnya meredhainya.” (Hadits riwayat Ahmad)

3. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki (ada antara mereka) melakukan dalam masa yang panjang pekerjaan ahli syurga, kemudian disudahinya dengan amalan ahli neraka, dan ada pula seorang lelaki yang melakukan dalam masa yang panjang pekerjaan ahli neraka, kemudian disudahinya dengan amalan ahli syurga. (Hadits riwayat Muslim)

Sesungguhnya hadits di atas merupakan bukti bahawa ketentuan takdir itu adalah daripada Allah Ta‘ala sepertimana orang yang bertaubat boleh menghilangkan dosa-dosa yang dilakukannya sebelum itu mengikut ketentuan dan kehendak Allah Ta‘ala melainkan orang kafir.

Manakala sû‘ul khâtimah pula sebagaimana dikatakan oleh ulama, antara faktor besar yang boleh menyebabkan sû‘ul khâtimah ada empat: “Mengabaikan sembahyang, minum arak, derhaka kepada ibu bapa dan menyakiti orang Islam.”

Para ulama merumuskan dengan lebih luas sebagai: “Tiada yang menjadi sebab sû‘ul khâtimah itu melainkan kekal di dalam maksiat pada zahir dan batin tanpa taubat.”

Anjuran Mengingati Mati dan Hukumnya

Selain melakukan segala kewajipan agama, kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan sunat sebagai bekalan di akhirat kelak. Antara perkara sunat itu ialah memperbanyakkan mengingati mati. Bukan sahaja ketika seseorang itu dalam keadaan sakit, malah ketika dalam keadaan sihat juga sunat memperbanyakkan mengingati mati.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati pemutus keni‘matan (mati). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sementara itu dalam hadits yang lain, orang yang mengingati mati itu dianggap sebagai orang yang paling cerdik sebagaimana tersebut dalam satu riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Sedang aku bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam maka datang seorang lelaki daripada kaum Anshar lantas memberi salam kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang lebih utama?” Baginda menjawab: “Iaitulah, orang-orang yang yang lebih baik akhlak.” Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang mukmin yang paling cerdik?” Baginda menjawab: “Iaitulah, siapa yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persiapannya menghadapi masa-masa sesudahnya. Mereka itulah orang-orang yang cerdik.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Orang yang mengingati mati juga dianggap sebagai orang yang sangat pemalu, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Kami berkata: “Kami malu kepada Allah dan pujian-pujian bagi Allah.” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Siapa malu kepada Allah sebenar-benar malu maka (orang itu) hendaklah menjaga kepalanya dan yang terkandung di dalamnya, menjaga perut dan apa yang terkandung di dalamnya, mengingati mati dan kehancuran yang berlaku akibatnya, dan barang siapa yang mahukan akhirat maka dia meninggalkan perhiasan kehidupan dunia. Barang siapa yang berbuat demikian itu, maka dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keadaan Manusia Mengenai Mengingati Mati

Terdapat beberapa keadaan manusia tentang kesedaran mereka dalam mengingati mati sebagaimana berikut:

1. Orang lalai mengingati mati.

Jenis orang yang pertama ini tidak syak lagi hatinya akan lalai daripada mengingati mati kerana terlalu mengejar keduniaan. Orang yang terlalu mengejar keduniaan ini akan mencela mati jika mereka teringat mengenainya. Maka orang seperti ini jelas jauh sekali untuk mengingati mati dan mengingati Allah.

2. Orang takut dan gementar.

Orang yang bertaubat banyak mengingati mati untuk membangkitkan di dalam dirinya perasaan takut dan gementar, supaya dengan itu akan mendorongnya untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Boleh jadi orang dari golongan ini tidak suka mati, tetapi dia tidak suka kepada mati disebabkan dia takut kalau-kalau dia tidak sempat untuk bertaubat dan tidak cukup bekalan untuk mati. Perasaan “tidak suka” kepada mati dalam hal ini adalah tidak mengapa dan dimaafkan.

3. Orang bersedia mengingati mati.

Menurut ilmu tawassuf, ilmu ma‘rifat itu ialah sebahagian daripada ilmu rasa yang tidak dapat dibayangkan hanya dengan akal, kerana ilmu ma‘rifat itu ialah ilmu terbukanya hijab hati sehingga dipenuhi dengan cahaya kebenaran Ilahi.

Maka orang yang berilmu ma‘rifat selalu mengingati mati kerana itulah waktu yang dijanjikan untuk bertemu denganNya. Menurut kebiasaan orang akan mengharapkan supaya lambat menghadapi kematian, berbeza dengan orang yang berilmu ma‘rifat, kerana mereka ini suka menghadapi kematian supaya terlepas dunia yang penuh dengan maksiat dan berpindah ke sisi Tuhan semesta alam sebagaimana riwayat daripada Huzaifah bahawa tatkala beliau hampir mati, beliau mengucapkan: “Ya Allah Tuhanku, jikalau Engkau mengetahui bahawa kemiskinan lebih aku sukai daripada kekayaan, sakit lebih aku sukai daripada sihat dan mati lebih aku sukai daripada hidup, maka mudahkanlah mati kepadaku, sehingga aku menemuiMu.”

Perkara-perkara yang Boleh Mengingatkan Mati

Ada beberapa cara yang boleh mengingatkan kita kepada kematian, antaranya ialah:

1. Menziarahi orang naza‘.

Tidak diketahui bagaimanakah rasanya sakaratul maut melainkan bagi mereka yang telah merasainya. Orang-orang yang belum merasainya mengetahui rasa sakaratul maut hanyalah dengan mengqiyâskannya kepada kepedihan-kepedihan yang pernah dialaminya ataupun berpandukan kepada keadaan orang ketika naza‘ (dicabut nyawa). Oleh itu, menyaksikan orang yang sedang sakarâtul-maut boleh mengingatkan kepada kematian.

2. Menziarahi kubur.

Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam, manakala hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana sifat mereka yang tidak sabar, cepat tersentuh perasaan dan ditakuti akan menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan sehingga menyebabkan kaum perempuan mudah menangis, meraung atau meratapi kubur si mati.

Amalan ziarah kubur ini boleh mengingatkan kepada akhirat dan kematian. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada menyebutkan bahawa amalan menziarahi kubur boleh mengingatkan seseorang kepada kematian sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: (Sebelum ini aku telah menegah kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahilah ia, kerana ziarah kubur itu memalingkan daripada dunia dan mengingatkan kepada akhirat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Dalam lafaz lain juga disebut ziarah kubur itu akan mengingatkan kepada kematian sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menziarahi kubur ibu Baginda, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya, lalu Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada mati.” (Hadits riwayat Muslim)

3. Menziarahi orang sakit.

Sementara menziarahi orang sakit pula serba sedikit boleh mendorong seseorang itu untuk mengingati kematian. Melihat kepada kesakitan yang dideritai oleh seseorang itu akan serba sedikit boleh menimbulkan kesedaran untuk lebih mengingati Allah Ta‘ala dan kematian. Tambahan lagi menziarahi orang sakit hukumnya adalah sunat mu’akkadah. Antara hadits yang menegaskan hukum tersebut ialah sebagaimana diriwayatkan oleh al- Barra’ Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh kami (melakukan) tujuh perkara dan menegah kami daripada tujuh perkara (iaitu), Baginda menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang yang sakit … al-hadits (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tambahan lagi, menziarahi orang sakit merupakan hak sesama orang Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulan, mati adalah perkara yang besar dan dahsyat. Kematian pasti akan dihadapi dan dialami oleh setiap manusia. Kejadian tersebut tidak dapat dihindari dengan cara bagaimanapun juga. Mengingati mati pula akan menimbulkan rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan meninggalkan segala laranganNya, serta akan mendorong kita bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan amal kebajikan untuk bekalan menghadapi perhitungan Allah di akhirat kelak. Segeralah gerakkan diri kita untuk selalu mengingati mati supaya kita tidak lalai dan hanyut mengejar perkara-perkara keduniaan semata-mata dan kita terlepas peluang untuk menyediakan bekalan untuk keperluan alam akhirat.

Dengan mengingati mati juga akan menghindarkan kita daripada bersifat sombong, bongkak, takabbur dan bangga dengan kemewahan dunia yang kita miliki. Bahkan akan mendorong kita untuk lebih memanfaatkan dan menginfaqkannya ke jalan kebajikan demi mengharapkan reda Allah.

TADABBUR DAN TARTÎL: Sangat Dianjurkan Ketika Membaca al-Qur’an

Membaca al-Qur’an merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut oleh syara‘, sama ada membacanya di luar ataupun dalam sembahyang. Malahan, ganjaran yang dijanjikan kepada orang yang membaca al-Qur’an juga sangat hebat.

Ganjaran yang bakal diraih daripada membaca al-Qur’an amatlah besar dan telah disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya ialah daripada ‘Abdullah ibn Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Siapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Qur’an), maka baginya satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan itu menyamai (akan diganda menjadi) sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan bahawa ‘alif, lâm, mîm’ itu satu huruf, akan tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘lâm’ satu huruf dan ‘mîm’ satu huruf. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadits yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Umamah al- Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya al-Qur’an akan mendatangimu pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya. (Hadits riwayat Muslim)

Membaca al-Qur’an pada waktu malam adalah antara waktu yang afdhal dan dianjurkan berbanding pada waktu siang. Pada malam hari, waktu yang afdhal ialah separuh akhir daripada malam berbanding separuh awal malam, semasa waktu sahur dan di antara waktu Maghrib dan ‘Isya’. Manakala pada siang hari pula, waktu yang afdhal adalah selepas Shubuh. Bagaimanapun membaca al-Qur’an pada mana-mana waktu selain waktu yang telah disebutkan tidaklah dihukumkan makruh.

Oleh itu, sangat wajar untuk kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Memperbanyakkan Membaca Al-Qur’an

Menyibukkan diri atau memenuhi masa yang terluang dengan membaca al-Qur’an adalah amalan yang dianjurkan oleh agama. Ini kerana membaca al-Qur’an itu adalah ibadat yang lebih utama sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ibadat umatku yang paling afdhal adalah membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dalam keghairahan kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an itu perlu juga dijaga kesempurnaan bacaan al-Qur’an, baik dari segi hukum tajwid dan makhraj huruf, bahkan dituntut juga ketika membaca al-Qur’an dengan tadabbur dan tartîl.

Tadabbur Ketika Membaca Al-Qur’an

Apabila seseorang memulakan pembacaan al-Qur’an, hendaklah dirinya dalam keadaan khusyû‘. Maksud khusyû‘ di sini ialah merendah diri, melemparkan pandangan mata ke bumi dan merendahkan suara serta tenang atau diam segala anggota. Kemudian hendaklah dalam keadaan tawaduk dan tadabbur (menghayati dan merenung) ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an. Inilah antara perkara yang dituntut, kerana dengan tadabbur ketika membaca al-Qur’an akan melapangkan dan menenangkan jiwa serta menerangkan hati. Dalil mengenai tadabbur ketika membaca al-Qur’an sangat banyak, antaranya ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Tidakkah mereka itu memperhatikan (dan memikirkan tentang) al- Qur’an? (Surah an-Nisâ’: 82)

Demikian juga anjuran apabila membaca al-Qur’an dalam sembahyang. Antara perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalam sembahyang ialah membacanya dengan tadabbur, iaitu merenung dan mengamati dengan menumpukan perhatian pada makna ayat-ayat yang dibaca. Bagaimanapun adalah memadai bagi orang yang membaca al-Qur’an itu untuk memahami makna ayat al-Qur’an secara rumusan (ijmâl) dan bukannya secara terperinci (tafshîl). Selain itu, membaca al-Qur’an dalam sembahyang dengan tadabbur juga merupakan antara cara atau jalan yang dianjurkan ke arah mencapai khusyû‘ dalam sembahyang.

Sesungguhnya orang yang membaca al-Qur’an dengan tadabbur, iaitu merenung dan memahami al-Qur’an adalah orang yang paling Allah Ta‘ala sukai pada bacaan al-Qur’annya. Anjuran tadabbur akan makna ayat al-Qur’an yang dibaca itu pula adalah bersesuaian menurut kemampuan seseorang.

Tartîl Ketika Membaca Al-Qur’an

Membaca al-Qur’an secara tartîl adalah sangat dituntut. Bacaan tartîl ialah membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Membaca al-Qur’an dengan menyempurnakan sebutan setiap huruf-hurufnya dinamakan oleh ahli Qura’ sebagai bertajwid dalam bacaan al-Qur’an.

Ulama telah sepakat bahawa bacaan al-Qur’an secara tartîl adalah sangat dianjurkan berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirannya: Dan bacalah al-Qur’an dengan tartîl (teratur dan jelas).

(Surah al-Muzammil: 4)

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, penggunaan perkataan tartîl dan pengulangannya dalam ayat di atas menguatkan lagi suruhan untuk membaca al- Qur’an secara tartîl. Oleh itu, ia adalah suatu perkara yang mesti dilaksanakan oleh para qâri’ (pembaca) al-Qur’an.

Bacaan secara tartîl juga telah tsabit daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ ketika ditanya kepadanya mengenai cara bacaan al-Qur’an Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu beliau menyifatkan (meniru) bacaan Baginda, iaitu dengan bacaan yang jelas pada setiap huruf-hurufnya satu persatu.

Diceritakan oleh al-Hasan Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membaca satu ayat al-Qur’an lalu lelaki tersebut pun menangis. Lalu Baginda pun bersabda: “Adakah kamu tidak mendengar firman Allah Ta‘ala, َ ْ تِ رْ تيال َ َ وِِ رِ تْلُ الْ قَ رآن? Beginilah yang dinamakan (bacaan) tartîl.”

Oleh itu, bacalah al-Qur’an dalam keadaan tenang dan teratur (tartîl) serta tadabbur akan kandungan dan makna-makna al-Qur’an dan janganlah mempercepatkan atau bergegas-gegas membacanya.

Demikian juga, membaca al-Qur’an di dalam sembahyang disunatkan dengan bacaan tartîl, yakni membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Sedangkan mempercepatkan bacaan secara keterlaluan adalah makruh serta dilarang.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memanjangkan bacaan ketika membaca al-Qur’an. Menurut beliau, apabila Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca basmalah, Baginda memanjangkan bacaan بسم هللا, kemudian memanjangkan bacaan الرمحن, kemudian memanjangkan bacaan الرحيم. Maksud Baginda memanjangkan bacaan ialah memanjangkan pada huruf madd dan huruf lin. Bagaimanapun Baginda tidak keterlaluan memanjangkan bacaan Baginda kerana bacaan yang sedemikian itu adalah dianggap mencuaikan bacaan serta dicela.

Selain itu, disebutkan juga cara bacaan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah Baginda membaca dengan berhenti dari satu ayat ke satu ayat yang lain. Ketika membaca surah al-Fâtihah sebagai contoh, Baginda mulakan bacaan dengan basmalah dan berhenti, kemudian membaca ayat pertama dan berhenti, kemudian membaca ayat kedua dan berhenti dan seterusnya dengan cara yang disebutkan.

Perkara mengenai bacaan secara tartîl pernah ditanyakan kepada Mujahid Rahimahullâh mengenai dua orang lelaki yang sembahyang, salah seorang daripadanya membaca dua surah, iaitu surah al-Baqarah dan surah Âli ‘Imran, manakala yang seorang lagi membaca surah al-Baqarah sahaja, namun masa atau tempoh sembahyang kedua-duanya, ruku‘, sujud dan duduk mereka adalah sama. Lalu Mujahid Rahimahullâh pun menjawab bahawa dalam perkara ini lelaki yang membaca satu surah sahaja, iaitu surah al-Baqarah, adalah afdhal di antara kedua-duanya kerana bacaan al-Qur’an dalam sembahyangnya itu adalah secara tartîl.

Satu huruf yang dibacakan secara tartîl adalah afdhal berbanding dua huruf yang dibaca tanpa tartîl. Demikian juga separuh (setengah) surah yang dibaca secara tartîl adalah afdhal berbanding menghabiskan keseluruhan surah yang dibaca tanpa tartîl, melainkan dalam beberapa keadaan yang dituntut antaranya membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat. Menyempurnakan (menghabiskan) membaca keseluruhan surah al-Kahfi sekalipun dengan bacaan secara cepat, kerana untuk mencapai tuntutan sunat membacanya pada hari tersebut, adalah afdhal berbanding membaca hanya sebahagian besar surah al-Kahfi dengan bacaan tartîl.

Kebaikan Membaca Secara Tartîl

Antara kebaikan membaca al-Qur’an dengan tartîl ialah membantu dalam memahamkan al-Qur’an dan merenung (tadabbur) akan isi kandungan serta makna ayat-ayat al-Qur’an. Beginilah cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri ketika membaca al-Qur’an. Oleh kerana itu, menurut ulama, bacaan tartîl digalakkan bagi orang a‘jamiy (selain daripada orang Arab) yang tidak faham akan makna ayat-ayat yang dibacanya kerana dengan cara ini akan lebih dekat membawanya kepada sifat bersopan-santun dan menghormati al-Qur’an serta mampu memberi kesan yang mendalam kepada hati.

Menurut al-Imam Muhammad ar-Razi Rahimahullâh ketika mentafsir Surah al- Muzammil ayat 4, tatkala Allah Ta‘ala memerintahkan Baginda untuk bangun dan sembahyang pada waktu malam, Baginda diperintahkan untuk membaca al-Qur’an dengan tartîl sehingga membolehkan hati merenung hakikat dan perincian ayat-ayat al-Qur’an yang dibacanya. Apabila sampai bacaan pada ayat yang mengingatkan dirinya akan Allah Ta‘ala, maka akan terasa kebesaran-Nya dan keagunganNya. Ketika sampai bacaan pada ayat mengenai janji pembalasan baik, maka akan membuahkan harapan dan pada janji pembalasan buruk pula akan melahirkan perasaan gentar.

Sebaliknya, membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang cepat boleh menyebabkan orang yang membacanya tidak berpeluang untuk memahami makna ayat-ayat tersebut. Pada kebiasaannya, hati seseorang itu akan merasa bahagia apabila mengingati penciptanya Allah ‘Azza wa Jalla. Sesiapa yang merasa bahagia dengan sesuatu perkara, maka pasti dia suka untuk mengingati dan merenung perkara tersebut dan sesiapa yang suka akan sesuatu perkara, dia tidak akan segera atau cepat-cepat meninggalkannya atau melaluinya. Maka nyatalah, antara maksud daripada bacaan tartîl itu ialah menghadirkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala.

Sebagai kesimpulan, membaca al-Qur’an adalah suatu ibadat yang pastinya dijanjikan dengan ganjaran dan pahala yang hebat. Oleh itu sewajarnya bagi kita untuk memperbanyakkan membaca al-Qur’an lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadhan sepertimana yang dianjurkan.

Di samping memperbanyakkan bacaan al-Qur’an sebagai ibadat, adalah utama untuk kita membacanya secara tartîl (teratur) dan tadabbur sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Alangkah beruntungnya jika kehebatan daripada membaca al-Qur’an itu dapat diraih, iaitu membacanya dengan tadabbur, mengamati, merenung dan menghayati isi kandungan dan makna ayat-ayat al-Qur’an, serta mampu membawa kita kepada satu peringkat yang lebih tinggi, iaitu mengenal dan memahami isi kandungan al-Qur’an dan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

BARANG PEMBERIAN: Tidak Boleh Daripada Bahan Yang Najis

Amalan menghulurkan pemberian kepada orang lain terutama kepada golongan yang memerlukan adalah salah satu daripada perkara kebaikan yang digalakkan oleh syara‘. Dalam bahasa Arab, pemberian secara umum disebut sebagai ‘athiyyah. ‘Athiyyah atau pemberian merangkumi hibah, sedekah dan hadiah. Namun ketiga-tiga perkara tersebut adalah berbeza dari segi tujuan dan maksud seseorang ketika menyampaikannya kepada si penerima.

- Jika pemberian itu bukan bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan sebagai penghargaan mahupun penghormatan kepada si penerima, maka ia dimaksudkan sebagai hibah.

- Jika pemberian itu dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ maka ia adalah sedekah.

- Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai penghormatan atau penghargaan, maka ia dinamakan hadiah.

Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa setiap sedekah dan hadiah itu adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah atau hadiah.

Rukun hibah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

1. Orang yang berakad (pemberi dan penerima) 2. Barang pemberian

3. Shîghah (lafaz îjâb dan qabûl)

Mengenai rukun ‘barang pemberian’, setiap benda yang diharuskan untuk dijual beli, maka harus juga untuk dijadikan sebagai pemberian. Bagi menentukan sesuatu barang itu boleh dijadikan sebagai barang pemberian hendaklah barang tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘. Syarat ‘barang pemberian’ hendaklah:

1. Barang itu sesuatu yang diketahui oleh si pemberi dan penerima.

2. Suci.

3. Dapat dimanfaatkan sebagaimana yang disyaratkan dalam perkara barang jual beli.

Barang yang Dijadikan Hibah Hendaklah Suci

Apa yang dimaksudkan dengan syarat ‘suci’ di atas ialah apa yang kosong daripada najis (tidak najis). Dalam perkara jual beli, tidak sah jual beli sesuatu yang najis atau yang bernajis sebagaimana berikut:

1. ‘Ain najis (benda): Seperti anjing, walaupun anjing yang dilatih untuk berburu dan seumpamanya, babi, arak, darah, tahi dan air kencing.

2. Sesuatu yang terkena najis dan kemudiannya tidak dapat disucikan umpamanya minyak yang terkena air kencing, susu bercampur sesuatu najis, air kopi bercampur darah atau yang seumpamanya.

Sebaliknya jika benda yang terkena najis itu dapat disucikan seperti baju yang terkena darah, maka ia sah dijual beli kerana baju tersebut masih dapat disucikan.

Syarat suci yang dikenakan ke atas barang pemberian adalah semuanya sama seperti syarat suci dalam perkara jual beli. Maka hendaklah barang-barang pemberian itu:

1. Bukan barang-barang najis seperti darah, bangkai, babi, anjing, arak dan sebagainya.

2. Tidak terkena atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada benda yang najis seperti enzim babi atau titikan arak dan yang seumpamanya.

Jika barang yang hendak dijadikan pemberian itu terkena najis atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada najis, hendaklah ia boleh disucikan seperti baju yang terkena tahi anjing dan dapat dihilangkan najis tersebut serta disertu, maka sah pemberian tersebut.

Hibah Berupa Makanan yang Berkemungkinan Mengandungi Bahan tidak Suci

Salah satu bentuk pemberian yang biasa dihulurkan kepada orang lain ialah pemberian berupa makanan sama ada makanan yang dimasak sendiri atau makanan yang dibeli di kedai-kedai. Dari segi syarat penyajian dan juga pemberian, makanan itu hendaklah merupakan sesuatu yang suci atau tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak suci.

Untuk menjelaskan mengenai kedudukan makanan yang berkemungkinan mengandungi bahan yang tidak suci ini ialah umpamanya kek atau kuih-muih yang dibuat daripada bahan yang diragui kehalalannya atau apa yang diistilahkan sebagai syubhah.

Syubhah atau dalam bahasa Melayunya disebut keraguan atau kesangsian bermaksud:

1. Sesuatu yang tidak diyakini akan halal atau haramnya.

2. Sesuatu yang tidak diketahui adakah pada hakikatnya ia halal atau haram.

3. Sesuatu yang keadaannya seolah-olah tsabit atau pasti, tetapi sebenarnya tidak tsabit atau tidak pasti.

Prinsip Syara‘ Mengenai Syubhah

Jika pada asalnya sesuatu yang syubhah itu adalah halal dan kemudiannya timbul syak atau ragu pada haramnya, maka ia dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu halal. Namun menjauhi diri daripada perkara syubhah dengan bersifat wara‘ merupakan sikap yang mulia.

Contoh: Produk biskut keluaran syarikat milik orang Islam yang mengandungi bahan-bahan suci seperti tepung, telur, minyak kelapa sawit, oat dan garam tetapi kita syak pada haramnya kerana kemungkinan ada bahan lain yang tidak dinyatakan dalam pemprosesan produk tersebut. Maka dalam hal ini, produk itu dianggap halal kerana yakin bahan yang disenaraikan adalah terdiri daripada bahan suci dan syarikat itu pula adalah milik orang Islam. Maka biskut tersebut boleh dijadikan pemberian tetapi tidak menjadikannya sebagai pemberian adalah lebih baik kerana kita sendiri ada syak terhadapnya.

Jika pada asalnya keadaan sesuatu yang syubhah itu adalah haram dan kemudiannya timbul syak dan ragu bahawa ia adalah halal, maka wajib dijauhi daripada melakukan syubhah sedemikian kerana menurut hukum asalnya iaitu haram.

Contoh: Daging lembu yang didatangkan dari negara lain untuk dijual di pasaraya-pasaraya tempatan dengan diberi logo ‘Halal’ yang diragui. Hukum asal daging tersebut adalah tidak halal dimakan melainkan ia jelas disembelih mengikut syara‘. Oleh kerana tidak jelas penyembelihannya atau siapa penyembelihnya, sekalipun terdapat logo tersebut yang boleh menimbulkan rasa syak kemungkinan halalnya, maka hukum daging tersebut dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram dimakan dan ia tidak suci. Maka daging tersebut tidak boleh dijadikan pemberian sama sekali.

Melalui penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa menjaga diri daripada mengambil sesuatu yang syubhah adalah suatu yang dituntut. Begitu juga dalam konteks pemberian, jika pemberian yang berupa makanan atau minuman itu merupakan sesuatu yang diragui adakah ianya halal ataupun haram maka mengambil sikap untuk tidak memberikannya kepada orang lain adalah lebih baik walaupun pada asalnya ia adalah halal. Manakala jika barang pemberian yang berupa makanan atau minuman itu pada asalnya adalah haram, maka tidak boleh diberikan pada orang lain, kerana pemberian tersebut tidak menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘ iaitu barang pemberian tersebut bukan terdiri daripada barang atau bahan yang suci.

Bolehkah Diberikan Makanan atau Minuman yang Syubhah kepada Orang Bukan Islam?

Merujuk kepada syarat dalam pemberian sebagaimana yang disebutkan terdahulu, semua pemberian termasuk makanan atau minuman itu, hendaklah daripada bahan yang suci. Maka dalam hal ini, barang yang ingin diberikan kepada orang lain, tidak kira sama ada si penerima itu orang Islam atau orang bukan Islam, hendaklah memenuhi syarat-syarat sah pemberian. Ini kerana perkara sah pemberian itu kembali pada barang pemberian itu sendiri dan bukan dilihat kepada siapa yang menerimanya, sama ada dia orang Islam atau bukan orang Islam.

Oleh yang demikian, pemberian kepada orang bukan Islam juga hendaklah terdiri daripada zat dan bahan-bahan yang suci.

Jika barang pemberian itu berlaku padanya syubhah, sesuatu yang pada asalnya adalah halal namun masih diragui kehalalannya kerana kemungkinan mengandungi atau bercampur dengan bahan yang najis, maka dalam hal ini adalah lebih baik tidak diberikan kepada orang lain termasuklah orang bukan Islam.

Sebagai kesimpulan, barang pemberian itu hendaklah dipastikan memenuhi syarat-syarat pemberian. Janganlah hendaknya seseorang memberikan pemberian yang langsung tidak memberi manfaat kepada si penerima dan juga terdiri daripada benda najis atau bahan-bahannya bersumberkan sesuatu yang najis.

UCAPAN KETIKA MENERIMA HADIAH

Buah tangan, hadiah dan seumpamanya, boleh menggembirakan hati si penerima, mampu mengeratkan hubungan persahabatan antara pemberi dan penerima, serta penyebab yang akan mengukuhkan lagi ikatan kasih-sayang dan silaturrahim, lebih-lebih lagi jika penerima itu adalah dalam kalangan ahli keluarga dan kerabat.

Amalan memberi hadiah secara umumnya adalah sunat dan digalakkan sebagaimana dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kamu saling memberi hadiah (nescaya) kamu akan saling mengasihi (berkasih sayang). (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, para raja telah mengutus hadiah kepada Baginda umpama pakaian, binatang ternak dan hamba (pembantu) perempuan. Baginda juga menerima hadiah daripada an-Najasyi (gelaran raja bagi negeri Habsyah) seorang yang beragama Islam, lalu diguna pakai hadiah tersebut dan Baginda juga mengutus hadiah kepada an-Najasyi.

Bagaimanapun Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga sentiasa berhati-hati sebelum Baginda meni‘mati atau memakan sesuatu makanan, malahan menyelidiki terlebih dahulu sama ada makanan tersebut merupakan hadiah ataupun sedekah, dikhuatiri ia adalah sedekah. Ini disebabkan Baginda tidak akan memakannya sekiranya ia adalah sedekah.

Secara zahirnya, suatu pemberian kepada mereka yang memerlukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala, maka pemberian itu adalah sedekah. Manakala suatu pemberian kepada seseorang dengan tujuan mahabbah )kasih sayang) dan memuliakannya, maka pemberian itu adalah hadiah.

Adab Apabila Menerima Hadiah

Pada adat kebiasaannya, apabila seseorang menerima hadiah, buah tangan dan selainnya, ungkapan yang sering digunakan sebagai balasan dan tanda berbesar hati adalah ‘terima kasih’ dan yang seumpamanya. Dengan ucapan ringkas seperti terima kasih itu mencerminkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia. (Hadits riwayat Abu Daud)

Apabila seseorang telah melakukan suatu kebaikan dan memberi pertolongan, maka sewajarnya kita membalasnya dengan balasan yang setimpal. Bagaimanapun jika itu (balasan yang setimpal) tidak mampu dilakukan dan dilaksanakan, maka sebaiknya kita do‘akan pemberi berkenaan dengan do‘a yang baik sehinggalah kita merasakan do‘a kita itu telah dapat membalas perbuatan dan pertolongan baik tersebut.

Telah diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya, maka katakanlah kepada orang yang membuat kebaikan itu: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.” Sesungguhnya ucapan demikian itu adalah sebaik-baik pujian (ucapan). (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Selain itu, mana-mana do‘a yang baik juga boleh diucapkan sebagai balasan kepada suatu perbuatan baik atau pertolongan sepertimana Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mendo‘akan seseorang yang berbuat baik kepada Baginda dengan do‘a berikut.

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ: “Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memasuki bilik air kecil, lalu aku meletakkan air wudhu’ untuk Baginda. Baginda bersabda: “Siapakah yang meletakkan ini (air wudhu’)?” Maka Baginda pun diberitahu. Lalu Baginda berdo‘a: “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Secara khusus menyentuh mengenai hadiah, antara adab yang lagi indah diajarkan dalam agama Islam itu ialah digalakkan bagi pemberi dan penerima sesuatu hadiah untuk saling mendo‘akan, umpamanya dengan berkat dan selainnya.

Pada asasnya dianjurkan bagi orang yang menerima suatu hadiah itu untuk menghargai suatu pemberian itu dengan ucapan atau do‘a bagi orang yang memberikannya hadiah. Namun apabila orang yang memberi hadiah itu dido‘akan oleh si penerima hadiah, maka digalakkan pula baginya mendo‘akan kembali si penerima. Malahan dianjurkan kepada pemberi hadiah supaya mendo‘akan dengan do‘a yang setimpal atau setara sepertimana do‘a si penerima hadiah yang mendo‘akannya ketika menerima hadiah tersebut. Perkara ini ada disebut dalam suatu kisah yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata:

Ertinya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah diberi hadiah berupa seekor kambing, Baginda bersabda kepadanya (‘Aisyah): “Bahagi-bahagikan ia (kambing tersebut).” Apabila si pembantu telah kembali (daripada membahagi-bahagikan kambing) maka ‘Aisyah bertanya kepadanya: “Apa yang mereka katakan?” Si pembantu menjawab: “Mereka mengucapkan ‘bârakallâhu fîkum’ (semoga Allah memberkati kamu sekalian).” Lalu ‘Aisyah mengucapkan: “Wa fîhim bârakallâh (dan semoga Allah memberkati mereka). Kita membalas mereka dengan misal (seumpama) apa yang mereka ucapkan dan semoga pahala kita tetap bagi (diri) kita.”

Menerima Hadiah daripada Orang Bukan Islam

Pada realitinya, sesetengah orang Islam bukan hanya menerima buah tangan atau hadiah daripada keluarga, sahabat-handai atau jiran yang terdiri daripada orang Islam semata-mata, akan tetapi juga menerima buah tangan atau hadiah daripada orang bukan Islam.

Persoalannya apakah hukum menerima hadiah daripada seseorang yang bukan beragama Islam? Menerima hadiah daripada orang bukan Islam hukumnya adalah harus sebagaimana juga harus menerima hadiah daripada orang Islam kerana ittibâ‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).

Dalil dalam perkara ini antaranya ialah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri menerima utusan hadiah daripada al-Muqawqis yang bukan beragama Islam. Menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam fatwanya adalah harus menerima hadiah daripada orang bukan Islam dan harus bersahabat dengan mereka.

Ucapan kepada Pemberi Bukan Islam

Daripada penjelasan di atas, ketika menerima hadiah, selain daripada ucapan terima kasih, adalah sunat bagi kedua-dua penerima dan pemberi untuk saling mendo‘akan antara satu sama lain dengan berkat dan seumpamanya, sekiranya kedua-kedua pemberi dan penerima adalah beragama Islam. Bagaimanakah pula cara untuk mendo‘akan pemberi yang bukan beragama Islam? Apakah ada do‘a-do‘a tertentu atau adab-adab yang dianjurkan dalam Islam mengenainya?

Sesuai dengan agama Islam yang bersifat syumûl, maka Islam juga telah menggariskan cara tertentu untuk seseorang itu membalas budi, mendo‘akan, mengucapkan terima kasih, tahniah atau selamat dan seumpamanya kepada sahabat, jiran atau keluarga yang bukan beragama Islam. Kerana itu, terdapat jenis ucapan atau do‘a yang layak dan dibolehkan untuk diucapkan kepada orang bukan Islam atas balasan suatu kebaikan atau pertolongan yang diberikannya.

Disebutkan dalam satu kisah daripada sahabat Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminta air minum daripada seorang Yahudi, lalu Yahudi tersebut pun memberikan air kepada Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kemudian bersabda kepadanya: “Jammalakallâh” yang bererti: “Allah Ta‘ala elokkan kamu”. Diceritakan bahawa Yahudi itu tidak kelihatan uban (pada dirinya) sehinggalah dia mati.

Menurut al ‘Allamah al-Ardabili di dalam kitab al-Anwâr adalah harus mengucapkan kesejahteraan kepada orang bukan Islam dengan menggunakan selain daripada perkataan “Assalamu‘alaikum” seperti ucapan “Allah beri hidayah kepada awak”.

Khusus mengenai jiran yang bukan beragama Islam, dibolehkan memberi ucapan sejahtera kepadanya apabila dia dalam kegembiraan (kegembiraan bukan kerana suatu sempena atau upacara keagamaan) seperti menyambut kelahiran anak atau mendapat kejayaan dan memberi takziah bila dia dalam kesedihan, menziarahinya bila sakit dan mati dengan batas-batas tertentu. Selain itu, mendo‘akan mereka supaya masuk Islam dan menjadi jiran baik, aman kepada jiran Islam dan baik hati agar kekal perhubungan yang baik dan mendo‘akan mereka supaya makmur.

Bagaimanapun terdapat sebahagian ucapan atau do‘a yang tidak dibolehkan untuk diucapkan kepada orang bukan Islam. Antaranya tidak boleh mendo‘akan mereka dengan rahmat dan maghfirah (keampunan). Diriwayatkan suatu kisah daripada Abu Musa al-Asy‘ariyy Radhiallâhu ‘anhu:

Ertinya: Kaum Yahudi (dengan sengaja) bersin ketika mereka bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana mereka mengharapkan Baginda akan mengucapkan kepada mereka: “Allah merahmati kamu sekalian”. Lalu Baginda bersabda: “Semoga Allah memberikan hidayah kepada kamu dan menyejahterakan keadaan kamu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak mendo‘akan mereka dengan rahmat kerana rahmat itu dikhususkan hanya kepada orang-orang mukmin. Bagaimanapun Baginda mendo‘akan bagi mereka dengan sesuatu yang memperelokkan dan menyejahterakan keadaan mereka seperti dido‘akan dengan hidayâh, taufîq dan iman. Oleh itu dapat difahami dalam perkara membalas budi dan mendo‘akan orang bukan Islam, mestilah dengan perkara yang dibenarkan oleh syara‘, seperti mendo‘akan orang yang bukan Islam itu dengan panjang umur dan afiat serta mendapat hidayah.

Selain itu dilarang mendo‘akan orang kafir yang telah mati dalam kufur dengan memohon supaya diampunkan dosanya. Perkara sedemikian adalah tidak harus (tidak dibolehkan). Ini kerana Allah Ta‘ala tidak akan mengampunkan dosa kufur sebagaimana yang tersebut dalam al-Qur’an, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Tidaklah patut bagi Nabi (Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan orang-orang yang beriman memohonkan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun mereka itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi orang-orang beriman bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka. (Surah at-Taubah: 113)

Sebagai kesimpulan, menerima dan memberi hadiah merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam. Berterima kasih dan seumpamanya atas pemberian hadiah tersebut mempamerkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia penerimanya. Antara adab orang yang menerima hadiah dan orang yang memberi hadiah adalah saling mendo‘akan dengan berkat dan seumpamanya. Menerima hadiah daripada keluarga, jiran dan sahabat bukan Islam hukumnya adalah harus. Bagaimanapun dalam Islam, cara mendo‘akan orang bukan Islam itu ada batas-batas tertentu antaranya dengan mendo‘akan panjang umur, afiat, kesihatan dan juga agar dia mendapat hidayah. Tetapi dilarang mendo‘akan dengan keampunan dan beroleh rahmat Allah Ta‘ala.

WANG Sedekah Untuk Keluarga Si Mati: Dahulukan Keperluan Utama

Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu, sama ada dengan wang ringgit atau lainnya, adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Antara sedekah yang menjadi kebiasaan masyarakat Brunei adalah sedekah berbentuk wang ringgit yang dihulurkan kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian. Melalui sedekah ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga si mati dan dapat menghiburkan mereka dengan keprihatinan saudara mara, jiran dan sahabat handai ke atas mereka.

Galakan Menyediakan Makanan kepada Keluarga Si Mati

Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan orang yang ditimpa musibah. Contohnya dalam musibah kematian, sunat bagi jiran kepada keluarga si mati, kerabat yang jauh atau sesiapa yang mengenali mereka untuk menyediakan makanan bagi mereka, iaitu makanan yang mampu mengenyangkan mereka selama tempoh sehari semalam selepas kematian.

Tujuan digalakkan menyediakan makanan kepada keluarga si mati adalah untuk meringankan bebanan mereka di samping menunjukkan rasa simpati dan prihatin terhadap mereka. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika sampai kepada Baginda berita mengenai kematian Ja‘far bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Kamu sediakan makanan untuk keluarga Ja‘far (yang meninggal itu). Sesungguhnya telah datang kepada mereka (keluarga Ja‘far) perkara (kematian Ja‘far) yang membebani mereka (mendatangkan kesedihan di hati mereka). (Hadits riwayat Abu Daud)

Di dalam hadits di atas terkandung pensyariatan mengadakan perbelanjaan makanan yang diperlukan keluarga si mati kerana kesibukan mereka dengan musibah yang menimpa.

Sedekah berbentuk wang ringgit juga termasuk dalam bentuk bantuan yang dihulurkan kepada keluarga si mati. Ini kerana tujuan orang yang menghulurkan bantuan adalah untuk meringankan beban orang yang ditimpa musibah di samping mengharap keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Bersedekah sama ada dalam bentuk wang ringgit atau lainnya adalah amalan yang dianjurkan oleh syara‘. Antara dalil yang menyebutkan anjuran bersedekah ini ialah:

1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apa jua harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri. Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan pahala). (Surah al-Baqarah: 272)

2. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi daripada yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kanan-Nya (diterima dengan redha), kemudian Allah akan memelihara (menambah pahala sedekah) untuk orang yang bersedekah itu, sebagaimana salah seorang daripada kamu memelihara anak kuda, sehingga sedekah itu sebesar gunung. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits di atas telah disebutkan ‘tangan kanan’. Ini sebagai tanda kemuliaan dan penghormatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada orang yang bersedekah.

3. Diriwayatkan daripada ‘Adiyy bin Hatim Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah kurma, maka hendaklah dia lakukan. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas merupakan dalil adanya galakan atau anjuran untuk bersedekah. Tiada halangan bagi seseorang untuk bersedekah walaupun sedikit kerana sedekah dengan kadar yang sedikitpun boleh menyebabkan seseorang itu berjaya daripada tidak memasuki api neraka.

Kedudukan Wang Sedekah yang Dihulurkan kepada Keluarga Si Mati

Menghulurkan wang sedekah pada keluarga yang ditimpa kematian adalah salah satu budaya atau adat kebiasaan di Negara Brunei Darussalam. Wang sedekah yang dihulurkan itu menjadi milik orang yang diberi, iaitu keluarga si mati dan ia bukan menjadi milik si mati, bahkan ia tidak termasuk dalam harta pusaka si mati. Ini kerana tujuan sedekah itu dihulurkan adalah untuk membantu meringankan bebanan keluarga si mati atau sebagai tanda simpati kepada mereka atas kehilangan orang tersayang. Oleh itu, keluarga si mati boleh menggunakan wang tersebut untuk apa sahaja keperluan yang mereka kehendaki. Wang Sedekah Digunakan untuk Keperluan Utama Sungguhpun keluarga si mati boleh menggunakan wang sedekah yang dihulurkan kepada mereka, namun sebagai irsyad adalah wajar ia dibelanjakan pada perkara yang lebih utama. Antaranya perbelanjaan untuk keperluan keluarga seperti makan dan minum isteri, anak-anak atau ibu bapa yang ditinggalkan. Perbelanjaan pada keperluan ini adalah lebih menepati tujuan orang yang menghulurkan sedekah, iaitu untuk meringankan bebanan keluarga yang ditinggalkan, apalagi jika si mati merupakan tulang belakang keluarga, iaitu tempat ahli keluarga bergantung perbelanjaan hidup. Wang sedekah itu boleh juga digunakan untuk keperluan si mati sendiri seperti perbelanjaan pengurusan jenazah dan melangsaikan hutang piutang si mati apabila si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka. Inilah juga antara maksud si pemberi dalam perkara mengurangkan bebanan keluarga yang ditimpa musibah.

Khusus dalam perkara hutang piutang si mati, sama ada hutangnya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti zakat, haji fardhu, pembayaran kaffârah, fidyah dan sebagainya, ataupun hutangnya kepada manusia seperti pinjaman wang, adalah menjadi kewajipan keluarga si mati untuk melunaskan hutang si mati melalui harta peninggalannya, bahkan sunat ia disegerakan bagi melepaskan bebanan si mati. Ini kerana roh orang yang berhutang itu tergantung-gantung sehinggalah hutangnya dilunaskan.

Dalam perkara melunasi hutang ini, hutang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ hendaklah didahulukan daripada hutang kepada manusia.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Roh) seorang mu’min itu tergantung-gantung (tertahan) dengan sebab hutangnya sehinggalah dibayar hutangnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

‘Tergantung-gantung’ atau ‘tertahan’ dalam hadits di atas bermaksud urusan si mati terhenti, iaitu dia tidak dihukumkan berjaya dan tidak juga dihukumkan berdosa atau binasa sehingga dilihat adakah telah diselesaikan hutangnya semasa hidupnya ataupun tidak.

Daripada penerangan hadits di atas, adalah jelas bahawa hutang bukanlah suatu perkara kecil yang boleh diremehkan, tambahan lagi jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka. Hutang tersebut akan tetap ditanggung oleh si penghutang kecuali jika pemiutang mengizinkannya, sama ada dengan permintaan ahli waris atau pemiutang sendiri yang meredhakannya. Bahkan sunat bagi wali si mati membayarkan hutang si mati apabila si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka. Oleh yang demikian, dalam keadaan ini adalah wajar wang sedekah yang dihulurkan itu digunakan untuk melunaskan hutang si mati semata-mata untuk melepaskan bebanan yang ditanggung oleh si mati.

Selain itu, wang sedekah yang dihulurkan itu boleh juga digunakan untuk bersedekah bagi pihak si mati. Ini kerana sedekah orang yang masih hidup adalah memberi manfaat kepada orang yang meninggal dunia.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa seorang lelaki yang telah kematian ibunya, lalu dia bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Adakah bermanfa‘at jika aku bersedekah bagi pihaknya? Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya”. Maka lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun (yang pokok-pokoknya menghasilkan) buah, dan aku bersaksi dengan tuan, sesungguhnya aku telah menyedekahkannya bagi pihak ibuku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Sesungguhnya pahala sedekah sampai kepada si mati dan bermanfa‘at baginya tanpa perselisihan di kalangan orang Islam. Dan inilah yang betul. Apa yang pasti, kebiasaan orang menghulurkan wang sedekah kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian adalah suatu perbuatan terpuji yang diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, lebih-lebih lagi kebaikan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan Ramadhan pasti akan dilipatgandakan pahalanya.

Manakala wang sedekah yang dihulurkan itu sewajarnya hendaklah ia digunakan pada perkara yang lebih utama kerana ini lebih menepati niat atau tujuan si pemberi yang ingin membantu mereka.

AWAS! JANGAN DEKATI RIBA “Saya Boleh Menghutangkan Kepada Tuan, Tetapi dengan Syarat...”

Pendahuluan

Islam amat menggalakkan dan malah menyuruh kita semua supaya sentiasa membuat kebaikan kepada orang lain, apatah lagi kepada orang-orang yang memerlukan bantuan atau pertolongan. Bentuk bantuan atau pertolongan itu boleh dibuat dan dihulurkan dengan pelbagai cara yang munasabah berdasarkan kemampuan masing-masing. Antara bentuknya ialah memberi pinjaman atau menghutangkan sesuatu kepada orang yang dalam kesempitan wang, makanan dan sebagainya.

Menghutangkan atau memberi pinjam kepada orang lain hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat mu’akkadah). Sama ada orang yang diberi hutang (penghutang) itu terdiri daripada orang Islam ataupun bukan Islam. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa dalil umum yang menggalakkan kita supaya membuat kebaikan kepada orang lain. Antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan lakukanlah kebaikan supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Hajj: 77)

Dalam hadits pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. (Hadits riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Namun hukum sunat tersebut boleh berubah kepada hukum lain mengikut keadaan atau situasi yang berlaku sebagaimana berikut:

▪ Wajib: Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang yang dalam keadaan terdesak atau amat memerlukan untuk berhutang sesuatu, maka pada ketika itu wajib ke atas pemiutang memberi pinjaman atau menghutangkan orang tersebut.

Sebagai contoh, orang miskin yang memerlukan duit untuk membeli makanan. Jika dia datang kepada seorang yang berkemampuan untuk berhutang duit atau makanan, maka dalam situasi begitu wajib ke atas orang yang berkemampuan itu memberi hutang kepada orang miskin tersebut.

▪ Haram: Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang untuk berhutang, dan dia memang tahu atau mengikut sangkaannya yang kuat bahawa jika dia menghutangkan kepada orang tersebut (penghutang), penghutang akan membelanjakannya pada perkara yang haram. Dalam keadaan ini, haram ke atasnya memberi hutang kepada orang tersebut.

▪ Makruh: Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang untuk berhutang, dan pemiutang memang tahu atau mengikut sangkaannya yang kuat bahawa jika dia menghutangkan kepada orang tersebut (penghutang), penghutang akan membelanjakannya pada perkara yang makruh. Dalam keadaan seperti ini, makruh ke atas pemiutang memberi hutang atau menghutangkan orang tersebut.

▪ Harus: Adakalanya memberi pinjam atau menghutangkan kepada orang lain hukumnya menjadi harus. Hukum harus ini berlaku sekiranya tujuan memberi pinjaman itu bukan untuk keperluan menghilangkan atau melapangkan kesusahan penghutang, tetapi bagi tujuan lain yang diharuskan.

Sebagai contoh, seorang peniaga pergi berhutang kepada seorang yang lain bukan kerana adanya keperluan mendesak tetapi hanya bertujuan untuk membesarkan perniagaan demi mengaut lebih keuntungan. Maka dalam hal ini, harus hukumnya pemiutang menghutangkan atau memberi pinjaman kepada peniaga berkenaan.

Akad Hutang yang Dilarang

Di dalam sistem muamalat Islam, akad hutang disyariatkan bukan untuk membuka jalan bagi pemberi hutang (pemiutang) meraih sebarang keuntungan daripada penghutang. Sebaliknya akad hutang disyariatkan adalah untuk memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang yang memerlukan. Menurut hukum syara‘, memberi pinjam atau menghutangkan bagi maksud untuk menjana atau mengaut sebarang keuntungan atau manfaat daripada penghutang adalah dilarang. Pemiutang tidak boleh mengambil kesempatan daripada penghutang untuk meraih sebarang manfaat dengan sebab hutang. Perbuatan tersebut adalah dikira sebagai memakan riba yang diharamkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tidak kira sama ada harta yang dihutangkan itu dalam bentuk wang, emas, perak atau selainnya, seperti binatang ternakan, beras dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, seperti Ibnu Mas‘ud, Ibnu ‘Abbas, Ubai bin Ka‘ab dan ‘Abdullah bin Sallam Radhiallâhu ‘anhum:

Ertinya: Sesungguhnya mereka menegah daripada hutang yang boleh menjana manfaat.

Merujuk kepada riwayat di atas, apakah maksud “menjana keuntungan daripada hutang” yang dilarang itu?

Para ulama telah menghuraikan mengenai aktiviti mualamat hutang yang termasuk di dalam kategori “menjana keuntungan melalui hutang” yang dilarang sebagaimana riwayat di atas dengan membawakan beberapa contoh akad seperti berikut:

1. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar lebih daripada kadar hutang.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $100.00 dengan syarat tuan mesti membayar balik kepada saya sebanyak $120.00.”

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $50.00 dengan syarat tuan mesti belanja saya makan sekali di restoran.”

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti dua contoh akad di atas iaitu “membayar lebih daripada yang dihutangkan iaitu sebanyak $20.00” dan “belanja makan di restoran” merupakan akad yang dilarang dan termasuk di dalam kategori “menjana keuntungan melalui hutang”.

2. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar balik dengan barang yang lebih elok berbanding dengan barang yang dihutangkan.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan atau meminjamkan tuan sekilo beras grade “C”, dan tuan mesti bayar atau ganti balik kepada saya dengan sekilo beras yang lebih baik mutunya iaitu sekilo beras grade “A”.

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya bersedia menghutangkan kepada tuan seekor kambing saya yang tempang ini (tempang kerana salah satu kakinya patah) untuk disembelih. Tetapi saya mahu tuan membayar atau mengganti balik kambing saya ini nanti dengan seekor kambing yang tidak tempang.”

Pengenaan syarat kepada penghutang iaitu “membayar balik dengan beras daripada grade yang lebih baik (grade A)” dan “membayar atau mengganti balik dengan kambing yang tidak tempang” di dalam dua contoh di atas merupakan akad hutang yang dilarang dan termasuk di dalam kategori “menjana keuntungan melalui hutang”.

3. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menyewa barang milik pemiutang dengan harga sewaan yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan tuan wang sebanyak $500.00, tetapi tuan hendaklah menyewa rumah saya ini dengan harga sewaan $50.00 lebih tinggi daripada harga sewaan biasa.”

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti contoh akad di dalam senario di atas iaitu mensyaratkan penghutang menyewa rumah pemiutang dengan membayar harga sewa $50.00 lebih tinggi daripada harga sewaan biasa merupakan perbuatan yang dilarang dan termasuk di dalam kategori “menjana keuntungan melalui hutang”.

4. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menjual sesuatu barang miliknya kepada pemiutang.

Sebagai contoh, si A (penghutang) terdesak untuk berhutang duit bagi membiayai sesuatu keperluan. Lalu si A pun pergi kepada si B (pemiutang) untuk berhutang duit sebanyak $2,000.00. Apabila si A menyampaikan hasratnya itu kepada si B, si B pun bersetuju dengan bersyarat. Si B berkata:

“Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $2,000.00 dengan syarat tuan jual tanah tuan itu kepada saya.”

Akad seperti ini juga termasuk di dalam kategori “menjana keuntungan melalui hutang”. Akad hutang dan jualan dalam satu masa seperti ini adalah tidak sah dan haram hukumnya. Ini adalah berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak halal hutang bersama jualan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Membayar Balik Hutang Melebihi Jumlah yang Dihutangkan

Bagaimana pula hukumnya jika penghutang dengan sukarela, tanpa disyaratkan oleh pemiutang, membayar balik hutangnya dengan melebihi daripada kadar yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dihutangkan?

Seorang yang berhutang, apabila dia membayar balik hutangnya dengan kadar melebihi jumlah yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada barang yang dihutangkan dengan kehendak dan kerelaan orang yang berhutang itu sendiri, dan tanpa diminta atau disyaratkan oleh pemiutang, maka bayaran yang lebih itu atau bayaran dengan sesuatu yang lebih baik itu bukan dinamakan riba. Bahkan pembayaran yang sedemikian itu adalah suatu perkara yang elok dan hukumnya adalah sunat. Bayaran lebihan itu dianggap sebagai pemberian (tabarru‘) daripada penghutang. Berlainan keadaannya jika lebihan itu disebut atau disyaratkan dalam akad, maka yang demikian itu dinamakan riba.

Perkara ini berdasarkan riwayat daripada Abu Rafi‘ Radhiallâhu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berhutang seekor unta muda kepada seorang lelaki. Kemudian Baginda mendapat unta sedekah, lalu memerintahkan Abu Rafi‘ membayarkan hutang Baginda kepada lelaki tadi dengan seekor unta muda. Abu Rafi‘ kembali kepada Baginda dan berkata: “Saya tidak menemukan dalam kumpulan unta sedekah itu kecuali unta yang bagus.” Lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Bayarkan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya. (Hadits riwayat Muslim)

Akad Hutang Bersyarat yang tidak Dilarang

Bagi tujuan pengesahan atau bagi memelihara akad hutang itu sendiri daripada berlaku kemungkiran di pihak yang berhutang, pemiutang boleh mengenakan syarat supaya akad hutang di antara penghutang dan pemiutang dibuat secara bertulis, mengadakan saksi atau mensyaratkan penghutang mengadakan barang jaminan atau penjamin.

Keharusan pengenaan syarat bagi semua atau salah satu daripada perkara di atas merupakan sesuatu yang disyariatkan sebagaimana dijelaskan di dalam beberapa ayat al-Qur’an seperti berikut:

1. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu membuat urusan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (mencatatkan hutang dan masa bayarannya). Dan hendaklah pencatat (hutang) antara kamu itu mencatatkannya dengan adil (untuk mengelakkan perselisihan). (Surah al-Baqarah: 282)

2. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu. Sekiranya tidak ada dua orang saksi lelaki maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui untuk menjadi saksi supaya jika yang seorang lupa daripada saksi saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. (Surah al-Baqarah: 282)

3. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan jika kamu sedang musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedang kamu tidak mendapati pencatat maka hendaklah diadakan barang jaminan untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). (Surah al-Baqarah: 283)

Kesimpulan

Apa yang dapat disimpulkan daripada penjelasan di atas, akad hutang disyariatkan bukan bertujuan untuk membuka ruang kepada pemiutang meraih atau membuat keuntungan daripada harta yang dipinjamkan atau dihutangkan kepada penghutang tetapi semata-mata demi membantu penghutang. Apatah lagi jika penghutang itu merupakan seorang yang dalam kesusahan hidup dan memerlukan pinjaman bagi menampung keperluannya.

Memberi pinjam atau menghutangkan kepada orang lain bagi maksud untuk menjana atau mengaut sebarang keuntungan atau manfaat daripada penghutang adalah dilarang dan termasuk di dalam kategori aktiviti riba.

RIBA DI SEBALIK PEMBELIAN EMAS

Riba bukanlah istilah yang baru wujud dalam dunia ekonomi masa kini, bahkan ia adalah satu bentuk muamalat yang sudah lama dipraktikkan dari zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Islam memandang riba sebagai suatu keburukan yang merosak pertumbuhan ekonomi kerana praktik menjana ekonomi yang betul sudah pun digariskan oleh Islam melalui konsep al-bai‘ (jual beli) berlandaskan hukum syara‘. Islam turut memandang riba sebagai suatu kejahatan yang merosak nilai luhur insani iaitu sikap bantu-membantu tanpa meraih keuntungan peribadi sebagaimana yang diajarkan Islam melalui konsep al-qardh (pinjaman).

Riba merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar selain daripada membunuh, minum arak dan lain-lain. Pengharaman riba ada disebut di dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Hikmah di sebalik pengharamannya juga ada dibahas oleh para mufassirîn dan juga para ulama kontemporari. Yang jelas, umat Islam wajib mengelak daripada terjebak dalam muamalat riba. Ia adalah perintah syara‘, bahkan dalam masa yang sama ia menjaga mashlahat manusia daripada kerugian harta dan rosaknya nilai akhlak seorang Muslim.

Keberadaan riba dalam sistem ekonomi moden kadang-kadang tidak disedari, malahan yang menggerunkan apabila segelintir umat Islam turut terlibat mengamalkan riba dalam kehidupan seharian tanpa mereka sedari sedangkan pada hakikatnya mereka boleh mengelak daripada bermuamalat secara riba. Perkara seumpama ini berlaku kerana kurangnya perolehan maklumat mengenai riba, antaranya mengenal amwâl ribâwiyyah atau disebut barang-barang ribawi yang disebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan cara muamalat yang betul dengan barang-barang ribawi.

Salah satu daripada barang-barang ribawi adalah emas. Transaksinya, sama ada dari segi pinjaman atau jual beli hendaklah dilaksanakan selaras dengan kehendak syara‘. Namun terdapat bentuk jual beli emas yang dilakukan tidak memenuhi tuntutan yang digariskan syara‘ dan akhirnya transaksi tersebut mengundang kepada perbuatan riba.

Amwâl Ribâwiyyah dan Kaedah Transaksi yang Dibenarkan Syara‘

Barang-barang yang boleh berlaku riba jika transaksinya tidak dilakukan selaras dengan syara‘ jelas disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Apabila ditukar dan diperjualbelikan) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, secara tunai (tangan ke tangan), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran secara tunai (tangan ke tangan). (Hadits riwayat Muslim)

Tiga perkara dapat dikupas daripada hadits di atas:

1. Barang ribawi.

Terdapat enam jenis barang yang disebut sebagai barang ribawi sebagaimana hadits di atas iaitu:

i. Emas. ii. Perak. iii. Gandum. iv. Barli. v. Kurma kering. vi. Garam.

2. ‘Illah riba.

‘Illah atau sebab riba yang terdapat pada barang-barang yang tersebut di dalam hadits di atas terbahagi kepada dua:

i. Barang berharga untuk alat pertukaran atau barang yang dijadikan harga iaitu ‘illah riba yang ada pada emas dan perak. Ini kerana pada kebiasaannya kedua-duanya adalah jenis barang berharga.

Mengenai wang kertas yang diguna pakai pada masa ini, Akademi Fiqh Islam Sedunia dalam perbincangan mereka yang diadakan di Amman, Jordan pada tahun 1986 mengenai hukum-hukum wang kertas mengeluarkan resolusi bahawa wang kertas dianggap mempunyai sifat barang berharga untuk alat pertukaran atau barang yang dijadikan harga dan berlaku padanya hukum-hukum yang telah ditetapkan bagi emas dan perak seperti dalam perkara riba, zakat, perniagaan dan apa-apa hukum berkaitan kedua-duanya (emas dan perak).

ii. Makanan iaitu ‘illah riba yang ada pada jenis-jenis lain yang disebut dalam hadits di atas iaitu kurma, gandum, barli dan garam. Termasuk dalam maksud makanan yang dianggap sebagai barang ribawi ialah sama ada makanan yang ditimbang, disukat atau selain kedua-duanya.

3. Syarat-syarat jual beli barang-barang ribawi.

Islam telah menggariskan beberapa syarat dalam transaksi jual beli barang ribawi untuk mengelak daripada perkara riba. Apabila syarat-syarat ini terpenuhi, maka jual beli barang-barang ribawi tersebut menjadi sah dan tidak jatuh kepada riba. Syarat-syarat tersebut dilihat daripada beberapa keadaan jual beli:

i Jika dari jenis dan ‘illah yang sama seperti jual beli emas dengan emas ataupun jual beli gandum dengan gandum, maka disyaratkan 3 perkara:

a. Hendaklah jual beli barang itu pada kadar yang sama; sama ada kadar timbangan seperti 1 kilogram emas dengan 1 kilogram emas atau kadar sukatan seperti 1 cupak gandum dengan 1 cupak gandum (املماثلة).

b. Hendaklah secara tunai iaitu bukan secara hutang (اْللول).

c. Hendaklah serah terima di antara kedua-duanya selesai sebelum berpisah daripada majlis ‘aqad (التقابض).

ii. Jika daripada jenis yang berbeza namun mempunyai ‘illah yang sama seperti jual beli emas dengan perak ataupun jual beli kurma dengan garam, maka disyaratkan 2 perkara:

a. Hendaklah jual beli secara tunai iaitu bukan secara hutang (اْللول) dan tiada penangguhan dalam ‘aqad.

b. Hendaklah serah terima di antara kedua-duanya selesai sebelum berpisah daripada majlis ‘aqad (التقابض).

iii. Jika daripada jenis dan ‘illah yang berbeza seperti jual beli gandum dengan emas, jual beli kurma dengan perak ataupun jual beli garam dengan wang sekarang, maka jual beli tersebut adalah sah dan diharuskan serta transaksi tersebut tidak dikenakan syarat-syarat di atas.

iv. Jika salah satu daripada barang jual beli itu terdiri daripada barang ribawi seperti emas dan satunya lagi bukan daripada barang ribawi seperti baju, maka sah jual beli tersebut dengan tidak disyaratkan apapun dalam transaksi tersebut.

Bentuk Jual Beli Emas yang Dilarang

Dewasa ini, jual beli emas dilihat sebagai transaksi popular walaupun di saat harga emas melambung tinggi. Trend pemakaian emas dalam kalangan perempuan tidak pernah pudar walau kewujudannya sudah beberapa abad, malahan kini emas menjelma dalam pelbagai bentuk yang menarik dan mudah pula untuk didapatkan. Hal ini semakin menarik minat golongan perempuan untuk memilikinya. Bahkan terdapat juga emas yang dibentuk untuk simpanan. Ini kerana kualiti emas tulen yang tidak pernah turun menjadikannya sebagai komoditi yang sesuai untuk disimpan selain wang kertas.

Namun perlu beringat, dalam melakukan transaksi jual beli emas, perlu berhati-hati dalam menjaga syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ mengenai barang-barang ribawi. Berikut adalah contoh jual beli emas yang dilarang kerana mengundang perbuatan riba di sebalik transaksinya:

1. Jual beli emas dengan wang ringgit secara berhutang.

Sebagai contoh, seseorang membeli seutas rantai emas dengan harga $550.00 dan membayarnya kepada penjual pada akhir bulan.

Jual beli emas dalam contoh di atas adalah dilarang kerana tidak memenuhi syarat transaksi barang ribawi (yang sama ‘illah dan berbeza jenis) iaitu transaksi jual beli tidak dilakukan secara tunai.

Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli perak dan emas secara hutang. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

2. Jual beli emas dengan wang ringgit secara beransur.

Sebagai contoh, seseorang membeli seutas gelang emas dengan harga $350.00 dan membayarnya secara ansuran sebanyak $50.00 sebulan selama 7 bulan. Emas itu pula masih disimpan oleh pekedai dan hanya diserahkan kepada pembeli setelah harga bayaran sepenuhnya dilunaskan.

Jual beli emas dalam contoh di atas adalah dilarang kerana tidak memenuhi syarat transaksi barang ribawi (yang sama ‘illah dan berbeza jenis) iaitu transaksi jual beli tidak dilakukan secara tunai.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) melarang jual beli perak dan emas secara bertangguh iaitu (hendaklah) dengan lunas (secara penuh). (Hadits riwayat al-Bukhari)

3. Jual beli emas dengan penangguhan penyerahan salah satu barang.

Sebagai contoh, pembeli membeli emas seberat 275 gram secara tunai, sedangkan pada masa itu si penjual hanya mempunyai emas seberat 250 gram dalam simpanannya. Namun penjual berjanji untuk menyerahkan selebihnya iaitu 25 gram bila stok emas baru sudah sampai.

Contoh yang lain pula, A yang berada di Temburong ingin membeli emas/menempah emas daripada stokis emas yang berada di Kuala Belait. Dia telah pun memasukkan wang bagi bayaran emas yang dibeli ke dalam akaun stokis tersebut dan akan mengambil emas tersebut daripada stokis selepas satu minggu.

Dalam dua senario di atas, transaksi jual beli emas tersebut adalah dilarang kerana tidak memenuhi syarat transaksi barang ribawi iaitu berlaku penangguhan penyerahan barang iaitu emas.

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bila ditanyakan tentang jual beli wang kertas dan emas:

Maksudnya: Jika (jual beli) dilakukan secara serah terima (tangan ke tangan) maka tidak mengapa dan jika dilakukan secara bertangguh maka tidak sah. (Hadits riwayat al-Bukhari) Kesimpulan

Mengetahui dan memahami secara teliti tentang kaedah muamalat barang-barang ribawi secara betul adalah salah satu cara bagi kita mengelak daripada terlibat dalam transaksi yang dilarang syara‘. Dalam hal jual beli emas, hendaklah jual beli tersebut dilaksanakan dengan melihat keadaan dan mematuhi syarat-syarat yang digariskan. Apa yang perlu dijaga di dalam jual beli emas, elakkan berhutang, elakkan bayaran beransur (installment) dan hendaklah serah terima barang pertukaran dilakukan pada ketika itu juga. Kerana yang ditakuti adalah terjebaknya seseorang dengan perbuatan riba dalam transaksi jual beli emas tanpa disedarinya.

BOLEHKAH BERWAKIL PADA PERKARA IBADAT?

Seseorang mewakilkan orang lain untuk menguruskan urusannya kerana sibuk atau kerana tiada kemahiran dalam perkara tersebut atau kerana tidak dapat keluar/hadir untuk berurusan adalah perkara biasa yang sering terjadi terutama apabila melibatkan perkara muamalat seperti mewakilkan seseorang untuk urusan jual beli. Sebagai contoh, tidak sedikit orang yang menggunakan khidmat wakil dalam urusan jualan sama ada jualan dilakukan secara direct selling atau online dan tidak sedikit juga orang yang menggunakan khidmat institusi tertentu bagi menguruskan kewangan mereka seperti mewakilkan pihak bank untuk urusan pemindahan wang, pelaburan atau seumpamanya.

Wakâlah atau perwakilan termasuk salah satu muamalat yang diperbolehkan untuk dilakukan oleh umat Islam. Namun adakah semua perkara atau urusan boleh untuk diwakilkan, termasuk perkara yang berkaitan dengan ibadat?

Dalil Pensyariatan Wakâlah

Wakâlah bermaksud penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada orang lain dalam hal-hal yang boleh diwakilkan pelaksanaannya, agar dilaksanakan pada waktu hidupnya (orang yang berwakil).

Ulama sepakat mengatakan tentang pengharusan wakâlah pada perkara-perkara tertentu. Terdapat dalil daripada kitab al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menunjukkan tentang pensyariatan wakâlah dalam perkara-perkara tertentu. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan jika kamu takut persengketaan (yang berterusan) antara kedua-duanya (suami isteri), maka lantiklah hakam (orang tengah yang adil untuk mendamaikan mereka), seorang daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri. Jika kedua-dua hakam itu hendak mendamaikan, nescaya Allah akan memberikan taufîq kepada kedua-duanya (sama ada berbaik-baik semula ataupun bercerai). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. (Surah an-Nisâ’: 35)

Dalam sebuah hadits daripada sahabat, ‘Urwah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberikannya satu dinar untuk dia membeli seekor kambing. Lantas dia membeli dua ekor kambing dan menjual salah seekor kambing tersebut dengan harga satu dinar. Kemudian dia memberikan satu dinar dan kambing tersebut kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu Baginda mendo‘akannya dengan keberkatan dalam urusan jual belinya. Hadits ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullâh.

Apakah Perkara atau Urusan yang Boleh Diwakilkan

Rukun wakâlah ada 4, iaitu:

1. Muwakkil (orang yang mewakilkan).

2. Wakîl.

3. Muwakkal fîh (perkara yang diwakilkan).

4. Shighah (lafaz îjâb dan qabûl).

Untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara atau urusan itu boleh diwakilkan kepada orang lain yang layak untuk dilantik sebagai wakil, maka perkara atau urusan tersebut perlu menepati syarat yang ditentukan oleh syara‘. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Hendaklah perkara atau barang tersebut milik atau kepunyaan orang yang mewakilkan ketika perwakilan.

Oleh itu tidak sah perwakilan jika seseorang mewakilkan perkara yang belum dimilikinya. Sebagai contoh, mewakilkan kepada kawan untuk menjual barang yang akan dimilikinya atau mewakilkan kepada seseorang untuk menjatuhkan thalak bagi perempuan yang belum dinikahinya.

2. Hendaklah pengurusan perkara tersebut boleh diganti oleh orang lain (wakil) untuk melakukannya. Ini kerana maksud perwakilan adalah penggantian. Oleh itu tidak sah mewakilkan perkara seperti sembahyang, sumpah, kesaksian dan yang seumpamanya.

3. Hendaklah sesuatu yang diwakilkan itu jelas diketahui oleh wakil pada beberapa sudut bagi mengurangkan berlakunya gharar (tidak jelas).

Oleh itu, tidak sah perwakilan ke atas sesuatu perkara yang samar. Sebagai contoh, orang yang mewakilkan berkata kepada wakil: “Aku mewakilkan kamu pada setiap urusanku” atau “tuan saya lantik menjadi wakil saya, maka uruskan sebagaimana yang tuan kehendaki.”

Namun tidak pula disyaratkan ke atas wakil untuk dia mengetahui semua sudut perkara yang diwakilkan, hanya memadai pada sebahagian sahaja. Bolehkah Perkara Ibadat Diwakilkan?

Menyentuh hukum wakâlah atau perwakilan berkaitan perkara ibadat, para ulama membahagikannya kepada tiga:

1. Tidak boleh berwakil/mewakilkan pelaksanaan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata) kepada orang lain, seperti mewakilkan ibadat sembahyang, puasa, bersuci daripada hadats seperti wudhu’ atau mandi kerana hadats besar kepada orang lain. Ini kerana tujuan disyariatkan ibadat badaniyyah ini adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan yang mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya dan ia tidak akan berlaku jika dilaksanakan oleh orang lain.

2. Dibolehkan berwakil dalam melaksanakan ibadat mâliyyah (ibadat yang berkaitan harta) seperti berwakil dalam mengeluarkan atau pembahagian zakat mahupun sedekah, berwakil melaksanakan kaffârah (denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara‘ yang mengakibatkan dosa seperti memberi makan orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin), berwakil melaksanakan ibadat korban atau aqiqah dan yang selainnya berbentuk ibadat harta.

3. Ibadat badaniyyah dan mâliyyah, seperti ibadat haji dan umrah. Ibadat yang termasuk dalam kategori ini tidak boleh diwakilkan jika seseorang itu berkuasa atau mempunyai keupayaan untuk melakukannya sendiri. Namun jika dia tidak berupaya untuk melaksanakan ibadat tersebut, maka pelaksanaannya boleh diwakilkan kepada orang lain.

Selain daripada ibadat badaniyyah yang tersebut di atas, terdapat lagi beberapa perkara yang tidak boleh diwakilkan, antaranya ialah mengenai perkara kesaksian. Tidak boleh mewakilkan urusan kesaksiankepada orang lain kerana kesaksian berkaitan dengan perkhabaran yang diperolehi sama ada melalui penglihatan saksi itu sendiri atau yang didengar sendiri oleh saksi. Begitu juga halnya dengan perkara nazar dan sumpah termasuk ‘ilâ’ (lafaz sumpah suami yang ditujukan kepada isterinya bahawa dia tidak akan menyetubuhinya selama waktu tertentu) dan li‘ân (kalimat tertentu yang dijadikan hujah untuk menuduh isteri melakukan zina dan mengaibkan isteri atau menafikan nasab anak kepadanya). Ini kerana penerimaan lafaz sumpah adalah berkaitan dengan lafaz orang yang bersumpah yang mana hanya dirinya sahaja mengetahui kebenaran lafaz tersebut.

Sebagai kesimpulan, Islam mengharuskan wakâlah bagi memudahkan seorang yang mempunyai kesukaran melakukan perkara atau urusan yang hendak diselesaikan atau disegerakan dengan menyerahkan kepada wakil untuk menguruskannya. Namun terdapat syarat yang perlu diperhatikan sebelum urusan diserahkan kepada wakil seperti syarat yang berkaitan dengan perkara yang hendak diwakilkan.

Syarat bagi perkara yang diwakilkan itu pula antaranya ialah perkara tersebut boleh diserahkan kepada orang lain (wakil) untuk menguruskannya atau melaksanakannya seperti perkara jual beli, gadaian, simpanan dan yang seumpamanya. Keharusan wakâlah pula tidak berlaku pada perkara yang menyangkut ibadat badaniyyah kecuali dalam ibadat yang tertentu sahaja seperti mana yang dijelaskan tadi. Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati tentang perkara yang dibenarkan untuk diwakilkan dan meneliti sebelum melaksanakan perwakilan ini, tidak kira sama ada kita terdiri daripada pihak yang akan mewakilkan kepada orang lain atau kita adalah pihak yang mewakili orang lain.

SUSU HAIWAN: Adakah Kesemuanya Halal?

Susu merupakan antara sumber permakanan yang berkhasiat dan mudah diperolehi. Sumber susu yang paling lumrah dan mudah diperolehi adalah daripada susu haiwan mamalia khususnya haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan seumpamanya. Selain diminum begitu sahaja, susu juga merupakan bahan ataupun ramuan dalam sebahagian makanan dan minuman. Pada kebiasaannya, susu yang digunakan sebagai bahan atau ramuan makanan dan minuman adalah susu mentah (segar) ataupun susu yang telah diproses. Selain itu terdapat juga produk-produk tenusu yang lain dihasilkan daripada susu melalui proses dan teknik tertentu seperti keju, krim, dadih, ais krim, minyak, mentega dan seumpamanya.

Menyentuh mengenai susu, produk makanan dan minuman yang dihasilkan daripada susu, timbul persoalan adakah kesemua jenis susu haiwan itu halal diminum atau dimakan? Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut.

Susu Haiwan

Menurut fuqahâ’, perbincangan mengenai susu haiwan, sama ada ia halal atau sebaliknya, adalah bergantung kepada sumber ia diperolehi, iaitu daripada jenis haiwan mana susu itu diperolehi. Sumber susu haiwan itu terbahagi kepada tiga, iaitu susu yang diperolehi daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya, susu daripada anjing dan babi, dan terakhir sekali susu daripada kesemua haiwan yang suci selain daripada apa yang disebutkan di atas. Penjelasannya adalah seperti berikut.

Pertama: Haiwan yang boleh dimakan dagingnya.

Jenis haiwan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah unta, lembu, kambing biri-biri, kuda, kijang dan selainnya daripada binatang buruan dan bukan binatang buruan. Binatang yang disebutkan ini adalah suci berdasarkan al-Qur’an, hadits-hadits yang shahîh serta ijmâ‘ para ulama. Susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini adalah dihukumkan suci.

Dalil yang menunjukkan tentang kesucian susu haiwan yang halal dimakan dagingnya ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberi kamu minum daripada apa yang ada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara hampas makanan dan darah, yang mudah diminum lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya. (Surah an-Nahl: 66)

Haiwan yang lahir hasil kacukan di antara dua binatang yang halal, umpamanya kuda betina dan keldai liar (keldai hutan) atau kacukan antara kuda betina dan lembu, adalah halal tanpa sebarang percanggahan (khilaf). Oleh yang demikian, susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini adalah suci.

Kedua: Haiwan anjing dan babi.

Termasuk dalam kategori anjing dan babi, apa-apa juga haiwan yang lahir hasil daripada campuran atau kacukan daripada anjing atau babi dengan haiwan suci. Anjing dan babi serta haiwan hasil kacukan daripada kedua-duanya adalah najis secara ittifâq (tanpa perselisihan di antara ulama asy-Syafi‘iyyah). Oleh yang demikian, susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini juga adalah najis.

Ketiga: Haiwan suci yang tidak boleh dimakan dagingnya.

Contoh haiwan yang termasuk dalam kategori ini ialah seperti kucing, keldai kampung (keldai negeri) dan lain-lain. Susu yang diperolehi daripada haiwan betina dalam kategori ini adalah najis.

Haiwan yang lahir hasil kacukan di antara binatang yang halal dan yang haram, umpama baghal, adalah haram. Ini kerana adanya larangan memakan dagingnya berdasarkan hadits dan juga kerana baghal adalah haiwan hasil kacukan binatang yang halal dan haram, iaitu di antara kuda betina dan keldai kampung jantan atau sebaliknya. Kuda adalah binatang yang halal, manakala keldai kampung sekalipun ia menjadi liar adalah binatang yang haram. Oleh itu, susu yang diperolehi daripada haiwan jenis ini adalah juga najis.

Susu yang Diperah daripada Bangkai Haiwan

Susu yang diperah atau diambil daripada bangkai haiwan kerana tidak disembelih dengan cara yang dituntut oleh syara‘, seperti bangkai lembu, kambing dan selainnya, maka susu tersebut adalah najis tanpa perselisihan ulama mengenainya (khilâf).

Menurut syara‘, ada beberapa keadaan bagaimana seekor haiwan itu dianggap menjadi bangkai, antaranya ialah:

1. Haiwan yang mati semata-mata tanpa disembelih menurut syara‘.

2. Atau penyembelihan yang bukan syar‘i seperti menyembelih haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya, umpamanya keldai kampung (keldai negeri) dan baghal (binatang kacukan daripada keldai negeri jantan dan kuda betina). Kedua-dua haiwan ini adalah haram dimakan dagingnya.

3. Atau menyembelih haiwan yang halal dimakan dagingnya akan tetapi dengan cara sembelihan yang tidak menepati hukum syara‘, umpamanya haiwan yang disembelih dengan menggunakan tulang.

4. Atau haiwan yang disembelih oleh orang bukan Islam.

5. Atau haiwan sembelihan tersebut adalah hasil perburuan seorang yang beragama Islam yang sedang dalam ihram.

Sebagai kesimpulan, hanya susu yang diperolehi daripada haiwan yang halal dimakan sahaja dihukumkan suci, manakala susu yang diperolehi daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya atau haiwan yang menjadi bangkai adalah dihukumkan najis. Adapun susu yang diperolehi daripada anjing dan babi serta haiwan hasil kacukan daripada kedua-duanya adalah najis secara ittifâq, iaitu tanpa perselisihan di antara ulama asy-Syafi‘iyyah.

IBADAT KORBAN: Jangan Berhutang Tetapi Menabunglah!

Korban adalah ibadat sunat yang sangat dituntut. Walaupun ia hanya sunat mu’akkadah tetapi ramai juga orang yang tidak mahu terlepas daripada mengerjakannya demi meraih atau memperolehi fadhilat dan kelebihan berkorban itu. Kadang-kadang keinginan sebegini bukan pula timbul daripada orang kaya atau orang yang senang, tetapi timbul daripada sebahagian orang yang kurang berkemampuan. Ini juga mungkin disebabkan kerana keinginan yang kuat, ditambah lagi kerana belum pernah melakukan ibadat korban. Oleh kerana keinginan yang kuat, walaupun merasakan kurang berkemampuan, ibadat korban tetap akan dilakukan juga walaupun dengan cara berhutang.

Melakukan Ibadat Korban dengan Cara Berhutang

Pembelian binatang seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya dengan duit secara berhutang adalah muamalat yang sah menurut hukum syara‘. Binatang yang dibeli secara berhutang itu pula akan menjadi hak milik orang yang berhutang setelah binatang tersebut diserahkan oleh orang yang memberi hutang walaupun binatang tersebut tidak ditasharrufkan (dimanfaatkan) oleh orang yang berhutang.

Oleh yang demikian, binatang yang dibeli secara hutang adalah menjadi hak mutlak pembeli. Dengan adanya hal pembeli sebagai pemilik binatang yang dibeli secara hutang itu, maka binatang tersebut adalah sah untuk dijadikan korban.

Namun perlu diketahui bahawa amalan berhutang adalah tidak digalakkan dalam Islam kerana hutang itu boleh membebankan dan menyusahkan orang yang berhutang, bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat, apabila hutangnya itu lambat atau tidak dibayar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta dengan tidak mengembalikannya. (Hadits riwayat Malik)

Oleh sebab itulah, Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selalu meminta perlindungan kepada Allah daripada berhutang sepertimana do‘a Baginda yang berbunyi:

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sementara itu, jika orang berhutang itu meninggal dunia, maka kematiannya itu tidak membuatkan dia terlepas daripada kewajipan membayar hutang, kerana selagi dia masih mempunyai hutang selagi itulah dia akan mendapat seksaan. Kerana roh orang yang mati dalam keadaan berhutang itu akan terhalang dari tempat yang mulia sehinggalah hutangnya itu dibayarkan. Perkara ini jelas disebutkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang dari tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. (Hadits riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Oleh itu, hutang bukan sahaja akan membebankan seseorang di dunia bahkan juga akan membebankan setelah dia meninggal dunia jika masih lagi belum dilunaskan.

Berdasarkan keterangan ini, kita perlu berusaha menghindarkan diri daripada berhutang. Begitu juga dalam perkara melakukan ibadat korban kerana tuntutan melaksanakan ibadat korban itu adalah apabila seseorang itu mempunyai wang belanja yang melebihi keperluannya pada siang dan malam Hari Raya dan hari-hari Tasyriq kerana hari-hari tersebut adalah waktu untuk menyembelih korban.

“Amalan Menabung Duit” untuk Berkorban

Untuk menghidupkan amalan berkorban ini supaya terus dilakukan dan tidak terlepas begitu sahaja tanpa berhutang, seseorang itu bolehlah mengusahakan satu amalan iaitu “amalan menabung duit” dengan cara menyimpan sejumlah duit dengan cara beransur-ansur. Duit yang dikumpul itu adalah mengikut kemampuan masing-masing, mungkin ada yang mengumpul dan sudah mencukupi dalam tempoh setahun dan mungkin juga ada yang mengumpul sehingga mengambil tempoh beberapa tahun disebabkan wang yang dikumpulkan itu diambil atau digunakan untuk keperluan yang lain.

Apabila duit yang dikumpulkan sudah mencukupi maka bolehlah seseorang itu melakukan ibadat korban. Oleh itu, “amalan menabung duit” ini bukan hanya boleh diamalkan untuk melakukan ibadat korban sahaja, bahkan ia juga boleh diamalkan bagi tujuan yang lain. Apa yang jelas “amalan menabung duit” ini boleh menghindarkan seseorang itu daripada beban hutang.

Ingatlah bahawa tuntutan untuk melakukan ibadat dalam agama bukanlah untuk membebankan manusia. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Surah ath-Thalâq: 7)

Oleh yang demikian, hindarkanlah diri daripada “amalan berhutang” dan ubahlah amalan berhutang itu dengan “amalan menabung duit”. Dengan usaha dan azam yang kuat, apa pun niat yang baik seperti melakukan ibadat korban, in syâ’ Allâh akan tercapai dengan “amalan menabung duit”.

BINATANG KORBAN YANG DINAZARKAN BERKEADAAN BUNTING: Apa Kedudukannya?

Dalam konteks pemilihan binatang korban, terdapat syarat-syarat yang perlu dijaga ketika memilih binatang-binatang yang hendak dibuat korban, antaranya binatang itu hendaklah selamat daripada kecacatan dan ‘aib yang boleh mengurangkan dagingnya.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits di atas disebutkan bahawa binatang yang hendak dibuat korban itu tidak boleh terdiri daripada binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat, sekalipun biji matanya masih ada, binatang yang jelas tempang kakinya yang jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang, binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya, binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya. Ini disebabkan adanya kecacatan dan ‘aib sehingga mengurangkan daging binatang tersebut.

Termasuk juga dalam contoh tersebut binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang semula jadi tidak bertelinga kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya, binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit, binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput, binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurapdan binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya.

Bagaimana pula kedudukan hukum korban sekiranya seseorang bernazar dan dia menentukan binatang yang mempunyai kecacatan seperti menentukan binatang bunting untuk dijadikan korban?

Hukum Binatang Korban bila Dinazarkan

Hukum asal korban adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Dalam ibadat korban, apabila seseorang bernazar untuk berkorban, maka hukum berkorban bertukar daripada sunat kepada wajib disebabkan oleh nazar tersebut. Antara lafaz nazar korban yang sah:

1. Dengan nama Allah: “Demi Allah, wajib ke atasku berkorban.”

2. Dengan perkataan nazar: “Aku bernazar untuk berkorban.”

Kedua-dua lafaz nazar di atas adalah berbentuk umum dan sah sebagai nazar. Oleh itu, wajib ke atas orang yang bernazar untuk menunaikan nazarnya. Dia boleh berkorban dengan menyembelih apa jua jenis binatang yang sah dijadikan korban, iaitu unta, lembu, kerbau dan kambing. Ini kerana dalam lafaz nazar yang diucapkannya itu dia tidak menentukan atau mengaitkannya dengan binatang tertentu. Binatang yang disembelihnya itu pula menjadi korban wajib.

Jika seseorang memiliki binatang yang sah dibuat korban dan dia menentukan binatang tersebut untuk dijadikannya korban, maka sah lafaz nazar korbannya seperti berikut:

1. “Demi Allah, wajib ke atas diriku membuat korban dengan binatang ini.”

2. “Aku bernazar untuk menyembelih binatang ini sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti.”

3. “Bagi Allah, atasku menyembelih korban dengan binatang ini.”

Oleh yang demikian, apabila dia berlafaz seperti lafaz-lafaz di atas atau seumpamanya wajiblah dia menyembelih binatang yang telah ditentukannya itu dan jadilah binatang korban itu korban wajib. Disyaratkan hendaklah binatang korban itu selamat daripada ‘aib apabila ditentukan untuk dijadikan korban.

Menurut hukum syara‘, apabila dia menentukan binatang yang dimilikinya itu untuk dijadikannya sebagai korban, maka serta merta terlucutlah hak pemilikannya terhadap binatang tersebut.

Dalam perkara daging sembelihan korban yang dinazarkan pula, haram bagi orang yang berkorban itu memakan daripada daging binatang korban nazarnya, bahkan adalah wajib baginya menyedekahkan kesemuanya kepada fakir dan miskin termasuk segala kulit, bulu, tanduk dan seumpamanya. Hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin di negeri tempat dia berkorban dan haram dipindah sesuatu daripada daging sembelihan korban nazar ke negeri yang lain.

Jika dimakannya daging itu, maka wajib diganti kadar yang dimakannya itu untuk diberikan kepada fakir miskin dan tidak wajib baginya untuk menyembelih semula yang lain.

Binatang Korban yang Dinazarkan Berkeadaan Bunting

Pada dasarnya, binatang yang bunting tidak boleh dijadikan korban kerana bunting itu boleh mengurangkan dagingnya disebabkan adanya janin. Jika terjadi seseorang berkorban dengan menentukan binatang yang bunting untuk dijadikan korban, maka kedudukannya adalah seperti berikut:

1. Jika seseorang bernazar untuk berkorban dengan binatang bunting yang dimilikinya, contoh dia berkata: “Inilah korbanku” atau “aku jadikannya sebagai korban”, maka wajib ke atasnya untuk menyembelih binatang yang bunting itu kerana menunaikan nazarnya dan diberikan ganjaran pahala dengan sembelihannya itu namun ia tidak memadai sebagai korban (sama ada korban sunat atau korban nazar yang masih ditanggungnya) sekalipun telah ditentukan untuk disembelih pada waktu korban. Sembelihannya itu merupakan qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala) dan dagingnya dibahagi-bahagikan sebagai sedekah kepada fakir miskin. Manakala tasharrufnya (seperti hukum memakannya, menjualnya dan sebagainya) adalah sama seperti korban wajib.

2. Jika seseorang mewajibkan ke atas dirinya untuk berkorban dengan binatang yang bunting, kemudian sebelum disembelih, binatang itu pun melahirkan, maka tidak memadai binatang tersebut sebagai korban. Ini kerana ketika dia bernazar untuk berkorban dengan binatang tersebut, binatang dalam keadaan ‘aib (bunting). Apabila ‘aib pada binatang tersebut tidak lagi wujud sebelum ia disembelih, maka keadaan itu tetap tidak diambil kira.

3. Jika binatang korban nazar yang telah ditentukan itu bunting sebelum tiba waktu berkorban dan sebelum dia berkuasa untuk menyembelihnya dan ‘aibnya bukan disebabkan kecuaian orang yang bernazar, maka memadai binatang itu dijadikan korban apabila disembelihnya pada waktu berkorban dan tidak wajib ke atasnya untuk mengganti binatang tersebut dengan binatang yang lain.

Adapun jika disembelihnya sebelum waktu berkorban, maka wajib disedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada waktu berkorban. Akan tetapi wajib atasnya bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

4. Jika binatang korban nazar yang telah ditentukan itu bunting dan ‘aibnya itu berlaku setelah dia berkuasa untuk menyembelihnya, maka tidak memadai binatang itu dibuat korban kerana kecuaiannya melambat-lambatkan penyembelihan sehingga binatang korban nazar itu menjadi bunting. Walau bagaimanapun wajib disembelih binatang itu dan disedekahkan dagingnya dan wajib diganti dengan binatang yang baharu.

Hukum Janin dari Perut Binatang yang Disembelih

Selepas seseorang menyembelih, jika dia mendapati ada janin mati atau hidup namun hidupnya seperti binatang yang disembelih yang tidak bertahan lama di dalam perut binatang yang disembelih, maka sembelihan bagi janin itu adalah mengikut sembelihan ibunya. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sembelihan janin adalah (mengikut) sembelihan ibunya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Ini kerana ia merupakan sebahagian daripada ibunya dan sembelihan ibunya adalah sembelihan keseluruhan bahagian ibunya.

Namun jika dia mendapati dalam perut ibunya itu ada janin hidup yang benar-benar hidup serta bertahan lama dan boleh untuk disembelih, maka wajib ia disembelih dan tidak dihukumkan mengikut sembelihan ibunya.

Pada dasarnya, binatang yang dipilih untuk dijadikan korban hendaklah selamat daripada kecacatan dan keaiban yang boleh mengurangkan dagingnya. Jika seseorang yang bernazar korban dengan binatang yang mempunyai kecacatan ataupun binatang itu menjadi cacat dan ‘aib setelah ditentukannya, maka hendaklah dia memastikan dengan lebih teliti ketentuan hukumnya sebagaimana yang dijelaskan di atas terutama adakah binatang yang ditentukannya itu memadai untuk dijadikan korban ataupun sebaliknya.

LARANGAN MEMOTONG RAMBUT, KUKU, BULU DAN ANGGOTA BADAN BAGI ORANG YANG BERKORBAN

Ibadat korban adalah syi‘ar yang perlu dipelihara oleh setiap orang Islam yang berkemampuan. Hukum melakukan ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut).

Salah satu perkara yang perlu dipelihara di dalam ibadat korban itu ialah menitikberatkan perkara-perkara yang disuruh dan dilarang di dalam ibadat tersebut. Ini termasuk adab dan perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang hendak menunaikan ibadat korban.

Antara adab dan perkara yang disunatkan itu ialah tidak menghilangkan kuku dan rambut.

Para ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan menghilangkan kuku dan rambut itu ialah:

1. Larangan menghilangkan atau membuang kuku dengan cara memotong, membelah, memecah atau selainnya.

2. Larangan menghilangkan atau membuang rambut dengan cara mencukur, menggunting, mencabut, membakar, menanggalkan dengan kapur ataupun selainnya sama ada rambut kepala, bulu ketiak, misai, janggut, bulu kemaluan atau bulu roma selainnya. Larangan tersebut juga termasuk membuang anggota badan yang lain.

Siapakah yang Dilarang Memotong Rambut, Kuku, Bulu dan Anggota Badan?

Larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan dianjurkan ke atas setiap orang Islam yang hendak menunaikan ibadat korban. Disunatkan ke atasnya untuk tidak memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badannya akan tetapi tidak diwajibkan ke atasnya untuk berbuat demikian.

Sementara itu, menurut pendapat yang shahîh hukum meninggalkan anjuran tersebut pula adalah makruh.

Bila Bermula Larangan Memotong Rambut, Kuku, Bulu dan Anggota Badan?

Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan tentang larangan memotong anggota zahir badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila telah masuk hari-hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai binatang korban yang hendak dikorbankan, maka janganlah sekali-kali mengambil (memotong) rambut dan memotong kuku. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang ada sembelihan untuk disembelih (hendak dijadikan binatang korban), maka apabila telah tampak hilal Zulhijjah, janganlah dia sekali-kali mengambil (memotong) sesuatu pun daripada rambut dan kukunya, sehinggalah dia selesai menunaikan ibadat korban. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits-hadits di atas, jelas menunjukkan bahawa larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu adalah bermula sebaik sahaja tampak atau tsabit dilihat anak bulan Zulhijjah iaitu 1 Zulhijjah dan larangan tersebut berakhir sehingga orang itu selesai menunaikan ibadat korbannya.

Hikmah Larangan

Hikmah larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban ialah agar seluruh anggota tubuh orang yang menunaikan ibadat korban itu kekal lengkap sehingga mendapat jaminan bebas daripada api neraka.

Beberapa Permasalahan yang Berkaitan

1. Larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan adalah disunatkan ke atas orang yang hendak menunaikan ibadat korban tidak termasuk orang yang sedang berihram. Seseorang yang sudah berniat ihram, haram ke atasnya memotong kuku dan menghilangkan segala bulu-bulu yang tumbuh di badan dengan sengaja. 2. Setiap perkara yang diwajibkan memotong salah satu daripada anggota badan seperti hukuman potong tangan bagi pencuri dan khatan orang dewasa adalah terkecuali daripada larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan apabila hendak menunaikan ibadat korban.

3. Bagi orang yang menunaikan ibadat korban lebih daripada seekor binatang korban, hukum makruh memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan itu berakhir dengan selesai sembelihan pertama daripada binatang korbannya. Walau bagaimanapun, afdhal tidak memotongnya sehingga selesai semua binatang korbannya disembelih.

Demikian beberapa perkara mengenai larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban. Jelasnya, larangan tersebut bermula setelah masuk sahaja 1 haribulan Zulhijjah iaitu setelah tsabit kelihatan anak bulan Zulhijjah sehingga ibadat korban selesai dilakukan. Disunatkan ke atas orang yang hendak menunaikan ibadat korban untuk tidak memotong rambut, kuku, bulu-bulu yang tumbuh di badannya termasuk anggota badan yang zahir dan makruh jika berlaku sebaliknya APAKAH HUKUMAN ANAK MELAKUKAN SARIQAH TERHADAP HARTA BAPANYA ATAU SEBALIKNYA?

Sariqah atau mencuri bermaksud mengambil atau memindah dengan bersembunyi-sembunyi harta alih daripada hirz atau milikan tuan yang empunya harta itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya, dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta tersebut daripada kawalan atau milikan tuannya itu.

Sekiranya nilai sariqah itu sampai atau melebihi nishâb dan ia dibuktikan sama ada dengan iqrar tertuduh atau dengan syahâdah (kesaksian) sekurang-kurangnya dua orang syâhid (saksi) menurut hukum syara‘ selain keterangan mangsa, maka menurut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah, 2013, daripada undang-undang Negara Brunei Darussalam, pelaku sariqah akan dikenakan hukuman hadd potong tangan kanan pada sendi pergelangannya bagi kesalahan pertama dan hukuman hadd potong kaki kiri sehingga ke buku lali bagi kesalahan kedua. Manakala bagi kesalahan ketiga atau berikutnya pula akan dihukum secara ta‘zîr iaitu penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun.

Bagaimanapun perlu diambil perhatian, hukuman hadd tidaklah dikenakan selarah-larahnya. Bukan potong asal potong. Bukan asal ada harta yang hilang, akan ada tangan yang dipotong. Hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bukan begitu. Bahkan hukuman hadd Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ada dasar, syarat dan sukat-sukat yang mesti dilihat dan diperiksa dengan sempurna terlebih dahulu.

Salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi mentsabitkan hukuman hadd ke atas pelaku sariqah ialah tidak ada syubhah atau kesamaran pada harta yang dicuri. Antara perkara yang boleh menimbulkan syubhah pada harta yang dicuri ialah jika sariqah itu berlaku antara ushûl dan furû‘, misalnya sariqah yang berlaku di antara bapa dan anak dan seumpamanya.

Hukuman bagi Kes Sariqah di antara Ushûl dan Furû‘

Sariqah yang berlaku di antara ushûl dan furû‘ ada dua keadaan:

1. Pelaku sariqah merupakan ushûl kepada pemilik harta yang dicurinya.

Contohnya, seorang bapa melakukan sariqah terhadap harta anaknya, atau seorang datuk melakukan sariqah terhadap harta cucunya.

2. Pelaku sariqah merupakan furû‘ kepada pemilik harta yang dicurinya.

Contohnya, seorang anak melakukan sariqah terhadap harta bapa atau ibunya, atau seorang cucu melakukan sariqah terhadap harta datuk atau neneknya.

Menurut jumhûr fuqahâ‘, hukuman hadd tidak akan dikenakan sekiranya seorang ushûl melakukan sariqah terhadap harta furû‘nya walaupun sehingga ke bawah (anak, cucu dan seterusnya ke bawah). Begitu juga tidak dikenakan hukuman hadd sekiranya seorang furû‘ melakukan sariqah terhadap harta ushûlnya walaupun sehingga ke atas (ibu, bapa, datuk, nenek dan seterusnya ke atas). Tidak kira sama ada pelaku sariqah itu seorang hamba atau seorang yang merdeka. Begitu juga tidak kira sama ada mereka itu berlainan agama.

Ini kerana terdapat sebab yang menolak hukuman hadd daripada dilaksanakan dalam kes sariqah yang melibatkan golongan ushûl dan furû‘ ini; iaitu syubhah pada harta yang dicuri atas sebab kewajipan nafkah serta kesamaran hak milik di antara kedua-dua belah pihak. Berikut sedikit penerangan mengenai syubhah berkenaan:

1. Anak wajib menanggung nafkah ibu bapa.

Menurut syara‘, seorang anak lelaki atau perempuan yang kaya atau berupaya bekerja mencari pendapatan serta harta atau pendapatannya itu pula berbaki setelah diperuntukkan untuk nafkah dirinya, anak dan isterinya (jika ada), wajib menanggung nafkah kedua-dua ibu bapanya sekiranya bapanya seorang yang fakir. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Surah Luqman: 15)

Antara maksud ma‘rûf itu ialah menunaikan keperluan kedua-dua ibu bapa ketika mereka memerlukannya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman lagi dalam surah al-Isrâ’:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. (Surah al-Isrâ’: 23) Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata: “Dan sebahagian daripada ‘berbuat baik’ itu adalah dengan memberi nafkah kepada kedua-duanya.”

Wajib nafkah ini tidak terbatas kepada kedua-dua ibu bapa sahaja, bahkan menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh, ia juga wajib diberikan kepada datuk-datuk serta nenek-neneknya.

Selain kewajipan seorang anak menanggung nafkah ibu bapanya, disebutkan juga dalam kitab Nail al-Authâr, bahawa seorang bapa harus menggunakan atau membelanjakan daripada harta anaknya selagimana ia dibelanjakan dengan cara yang baik serta tidak boros atau membazir.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu makan adalah daripada usaha kamu dan sesungguhnya anak-anak kamu adalah daripada usaha kamu. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawasanya seorang lelaki telah mendatangi Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu mengadu akan hal bapanya yang meminta nafkah dalam kadar yang sangat tinggi daripadanya.

Lalu Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab:

Maksudnya: Engkau dan hartamu adalah bagi bapamu. Sesungguhnya anak-anak kamu adalah daripada sebaik-baik usaha kamu, maka oleh itu makanlah daripada usaha anak-anak kamu. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah Rahimahullâh melalui riwayat Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ.

Dalam hadits di atas, jelas sekali bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak memberikan sebarang kelonggaran kepada lelaki tersebut untuk tidak memberikan nafkah kepada bapanya.

Adapun sabda Baginda “hartamu adalah bagi bapamu” bukanlah bermaksud harta anak adalah milik bapanya. Akan tetapi ia bermaksud seorang bapa adalah harus hukumnya mengambil sebahagian harta anaknya dalam kadar yang diperlukan dan munasabah bagi memenuhi keperluannya.

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa kedua-dua ibu bapa ada hak terhadap harta anaknya. Malah, hak tersebut turut dimiliki oleh ushûl-ushûl yang lain. Menurut syara‘, ini satu syubhah yang menolak hukuman hadd daripada dilaksanakan terhadap pelaku sariqah daripada golongan ushûl itu.

2. Ibu bapa wajib menanggung nafkah anak.

Seorang bapa wajib memberi nafkah kepada anaknya. Ini dengan syarat:

i. Anak tersebut masih kecil; tiada harta, tiada pendapatan atau fakir.

ii. Seorang bapa itu mempunyai lebihan daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya, sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya.

Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berikanlah mereka upah… (Surah at-Thalâq: 6)

Apabila lahir seorang anak damit (kecil), adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut, sama ada isteri (ibu kepada anak tersebut) atau perempuan lain. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat di atas telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan yang menyusukan anak damit ditanggung dan dibayar oleh bapa anak damit tersebut. Dengan kewajipan menanggung dan membayar upah penyusuan anak damit tersebut, menghendaki bahawa bapa wajib memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut.

Bahkan wajib juga dia menanggung nafkah cucunya walaupun sehingga ke bawah (anak kepada cucunya dan seterusnya daripada furû‘nya) sekiranya mereka itu tidak ada penjaga yang mampu menanggung nafkah mereka.

Seorang ibu juga wajib menanggung nafkah anaknya sekiranya bapa anak tersebut tidak mampu menanggung nafkah anak berkenaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah:

Tafsirnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

(Surah al-Baqarah: 233)

Berdasarkan ayat ini, apabila syara‘ mewajibkan seorang ibu untuk melakukan sesuatu yang seorang bapa tidak mampu melakukannya, iaitu menyusukan anak, maka wajib juga seorang ibu itu menanggung nafkah anak sekiranya bapa anak tersebut tidak mampu berbuat demikian.

Bagaimanapun, sebelum ia wajib ditanggung oleh ibu, kewajipan tersebut jatuh terlebih dahulu kepada ushûl-ushûl yang lain, iaitu kepada datuknya, kemudian bapa kepada datuknya dan begitulah seterusnya hingga ke atas. Jika tidak ada, maka barulah ia menjadi kewajipan ibunya.

Ini jelas menunjukkan bahawa seorang anak juga ada hak nafkah terhadap harta kedua-dua ibu bapa serta ushûl-ushûlnya yang lain. Menurut syara‘, ini satu syubhah yang menolak hukuman hadd daripada dilaksanakan terhadap pelaku sariqah daripada golongan furû‘.

Walaupun jenayah sariqah yang berlaku di antara ushûl dan furû‘ ini tidak dikenakan hukuman hadd, ini tidak bererti pelaku sariqah itu terlepas daripada hukuman. Namun, kes itu akan diselesaikan secara ta‘zîr di mana jika tsabit kesalahan; menurut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah, 2013, pesalah boleh dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, dikenakan suatu denda tidak melebihi $56,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 14 tahun atau kedua-duanya sekali.

Demikian penjelasan mengenai hukuman jenayah sariqah yang berlaku di antara ushûl dan furû‘. Secara kesimpulannya, kes sariqah yang berlaku di antara ushûl dan furû‘ iaitu seorang ibu atau bapa hingga ke atas melakukan sariqah terhadap harta anak hingga ke bawah, atau seorang anak hingga ke bawah melakukan sariqah terhadap harta ibu atau bapa hingga ke atas tidak dikenakan hukuman hadd kerana terdapat syubhah yang menghalangi hukuman hadd daripada dilaksanakan. Sebaliknya, kes ini akan diselesaikan secara ta‘zîr. MEMELIHARA KEBERSIHAN MASJID SATU IBADAT ISTIMEWA Masjid merupakan tempat yang paling dicintai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda sepertimana yang diriwayatkan daripadanya oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Tempat yang paling dicintai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah masjid-masjidnya. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut ulama, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat mencintai masjid-masjidNya kerana masjid merupakan buyut ath-tha‘at (rumah-rumah bagi melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), yang berasaskan taqwa, serta tempat turunnya limpahan rahmat dan ni‘mat.

Masjid mempunyai fungsi yang sangat besar kepada Islam dan umat Islam. Ia bukan sahaja tempat untuk mendirikan ibadat, bahkan juga menjadi pusat masyarakat Islam untuk mendirikan aktiviti-aktiviti keagamaan, ilmiah, kemasyarakatan dan sebagainya.

Pada masa kini, masjid semakin mendapat tempat untuk dijadikan pilihan utama mengadakan majlis-majlis pernikahan, tahlîl dan do‘a arwah, do‘a selamat dan seumpamanya. Perkara ini sememangnya satu perkembangan yang sangat positif kerana ini menunjukkan berfungsinya masjid sebagai pusat hubungan; bukan sekadar di antara seorang hamba dengan Tuhannya sahaja, bahkan juga sesama umat Islam. Ini turut membantu mendekatkan umat Islam kepada masjid dan sekaligus menjadikan masjid semakin makmur.

Namun dalam pada itu, ketika mengadakan majlis di masjid, jangan kita lupa akan hakikat bahawa ini adalah rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apabila berada di rumah orang lain pun kita sangat berhati-hati ketika bertamu, jadi apatah lagi ketika bertandang ke rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apa yang menyedihkan, sebahagian umat Islam seolah-olah kurang mengambil perhatian akan hal ini. Sehinggakan ada didapati selepas majlis selesai, bau makanan memenuhi udara masjid sehingga mengganggu tumpuan, keselesaan dan kekhusyû‘kan jemaah-jemaah yang hendak mendirikan sembahyang selepas itu. Begitu juga dengan sampah sarap serta sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna.

Dari sudut lain pula, ketika majlis diadakan, sebilangan kanak-kanak bermain-main tanpa dikawal sehingga membuat bising serta mengganggu peralatan-peralatan dalam masjid. Ada pula sebahagian tetamu yang memakai pakaian yang tidak bersesuaian dengan kemuliaan masjid seperti pakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya. Semua ini mencemarkan kesucian dan kehormatan rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Tanggungjawab Memelihara Kebersihan Masjid

Memelihara kebersihan masjid dengan membersihkannya daripada segala jenis kotoran dan menjaganya daripada dikotori merupakan salah satu bentuk khidmat kepada masjid.

Berkhidmat kepada masjid merupakan satu amalan mulia lagi terpuji di sisi syara‘. Sebenarnya, amalan berkhidmat kepada masjid bukanlah sesuatu yang baru disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, bahkan sudah pun disyariatkan kepada umat-umat terdahulu. Dalam al-Qur’an ada diceritakan kisah tentang isteri ‘Imran, yang dikenali dalam kitab-kitab tafsir dengan nama Hannah binti Faquz, iaitu ibu kepada Maryam, bernazar kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya anak dalam kandungannya berkhidmat kepada masjid.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: (Ingatlah) ketika isteri ‘Imran berkata: “Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu apa yang ada (anak) dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan kepentingan dunia untuk berkhidmat di Baitul Maqdis), maka terimalah nazarku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Âli ‘Imran: 35)

Masjid perlu dipelihara kebersihannya kerana jika masjid tidak bersih, bukan sahaja fungsinya sebagai tempat beribadat akan terganggu, tetapi darjatnya sebagai syi‘âr Islam juga akan terjejas. Ini bukan sahaja akan membawa nama buruk kepada masjid, bahkan kepada agama Islam serta umat Islam sendiri. Ini jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang telah merafa‘kan martabat kebersihan ke tempat yang sangat tinggi.

Dari segi hukum, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, membersihkan masjid hukumnya sunat yang sangat dituntut.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam syarhnya terhadap Shahîh Imam Muslim:

Ertinya: … Adalah suatu sunat yang sangat dituntut untuk menyapu dan membersihkan masjid berdasarkan hadits-hadits yang shahîh lagi masyhur mengenainya…

Manakala mengotorkan atau mencemarkannya pula, walaupun dengan sesuatu yang bersih, menurut Imam al-Munawi Rahimahullâh, hukumnya adalah haram kerana perbuatan tersebut seolah-olah satu penghinaan ke atas rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Ini sepertimana kata Imam al-Munawi Rahimahullâh dalam kitab Faidh al-Qadir:

Ertinya: … dan diharamkan mengotorkannya (masjid) walaupun dengan sesuatu yang bersih kerana ia satu penghinaan terhadap masjid.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan dalam Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim, tercatat kisah mengenai Ummu Mehjan Radhiallâhu ‘anhâ, seorang wanita yang secara sukarela berkhidmat memelihara kebersihan masjid. Beliau secara rutin dilihat menyapu dan membuang sampah di masjid Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Namun pada suatu hari, beliau tidak lagi kelihatan.

Menyedari serta terkesan akan ketiadaannya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun mencarinya dan bertanya kepada para sahabat Baginda akan hal wanita tersebut. Mereka pun memberitakan kepada Baginda bahawa wanita itu sudah pun meninggal dunia. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu terkejut dan merasa kesal kerana Baginda tidak dikhabarkan lebih awal tentang kematiannya dan Baginda menegur para sahabatnya kerana mereka seolah-olah tidak memandang tinggi kedudukan wanita itu sehingga mereka menyangka kematiannya tidak perlu dikhabarkan kepada Baginda dengan segera.

Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminta para sahabat untuk menunjukkan kuburnya lalu Baginda pun pergi ke kuburnya lantas menyembahyangkan jenazahnya.

Alangkah beruntungnya Ummu Mehjan Radhiallâhu ‘anhâ ini sehinggakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri sanggup bekarih pergi ke kuburnya untuk menyembahyangkan jenazahnya sebagai penghormatan dan penghargaan atas khidmatnya membersih, menyapu dan mengutip sampah di masjid. Kenapa Ummu Mehjan Radhiallâhu ‘anhâ ini sangat beruntung? Kerana sembahyang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk jenazahnya itu merupakan rahmat dan cahaya di kuburnya. Ini menunjukkan bahawa khidmat memelihara kebersihan masjid itu bukan calang-calang khidmat, bahkan ia satu taqarrub serta amalan mulia dan ibadat yang sangat istimewa.

Dalam beberapa riwayat lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam banyak mengarahkan supaya masjid itu dipelihara kebersihannya. Antaranya sebuah riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya membina masjid-masjid di kawasan tempat perkumpulan suku-suku kaum dan (hendaklah masjid-masjid itu) dibersihkan (daripada kotoran) dan diberi harum-haruman”. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Hadits seumpama ini juga diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud, Musnad Ahmad dan lainnya daripada Samurah bin Jundab Radhiallâhu ‘anhu.

Dalam kitab Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah, diriwayatkan bahawa Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah terlihat kahak di kiblat masjid, lalu Baginda pun marah sehingga merah muka Baginda. Lantas bangunlah seorang wanita daripada golongan Anshar menggosoknya (membersihkannya) kemudian meletakkan wangian pada bekas kahak tersebut. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Alangkah eloknya perbuatan ini.” (Hadits riwayat an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan sekadar mengarahkan kita supaya memelihara kebersihan masjid, bahkan Baginda sendiri menjadikan diri Baginda contoh tauladan. Ini jelas sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari dan Imam Muslim daripada beberapa sahabat antaranya Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Hurairah, Ibnu ‘Umar dan ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhum yang memberitakan bahawa apabila ternampak kotoran di masjid, Baginda sendiri tanpa berlengah akan membersihkannya.

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah terlihat air ludah pada dinding qiblat (di masjid), lalu Baginda pun menggosoknya (membersihkannya) … (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alangkah beruntungnya mereka yang bekerja sebagai pembersih rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tempat yang paling dicintaiNya. Tugas sebagai pembersih masjid bukan satu pekerjaan yang boleh dianggap ringan, remeh atau hina, tetapi ia satu pekerjaan yang sangat mulia dan patut dipandang tinggi.

Memelihara Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama

Memelihara rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada sebarang kotoran bukanlah sekadar tanggungjawab pekerja pembersih masjid, imam ataupun bilal semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab sesiapa sahaja yang menggunakan atau memasuki masjid, sama ada jemaah yang hendak mendirikan sembahyang atau orang yang menghadiri suatu majlis mahupun kuliah, kursus dan sebagainya yang diadakan di mana-mana kawasan masjid.

Dalam sama-sama memikul tanggungjawab memelihara kebersihan masjid, sayugia diambil perhatian perkara-perkara berikut:

1. Memelihara kebersihan masjid tidak terhad kepada bangunannya sahaja, bahkan menurut ulama, wajib memelihara keseluruhan masjid. Ini termasuk luar dan dalam bangunan masjid, harim atau kawasan masjid, menara, tandas dan sebagainya.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Dinding masjid luar dan dalamnya adalah sama keadaan hukumnya sepertimana hukum masjid dalam perkara kewajipan memeliharanya dan menghormati kesuciannya, begitu juga bumbungnya serta telaga yang terdapat di dalamnya, dan begitu juga seluruh halamannya.

2. Haram hukumnya membawa masuk najis ke dalam masjid. Salah satu contoh yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah jika pada badan seseorang itu terdapat najis atau ada kecederaan sehingga ia menjadi kotor oleh darah dan seumpamanya, maka haram dia masuk masjid jika dikhuatiri akan mengotorkan masjid.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak layak untuk sesuatu pun daripada kencing dan kotoran. Sesungguhnya ia (masjid-masjid ini) adalah tempat untuk mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sembahyang dan membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat Muslim)

3. Mematuhi seluruh peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak masjid. Ini seperti larangan memakai kasut atau selipar melebihi dari had kawasan yang dibenarkan oleh pihak masjid. Oleh itu, hendaklah disimpan kasut dan selipar dengan elok di tempat yang telah disediakan atau yang telah ditetapkan oleh pihak masjid.

Adalah sesuatu yang elok dan wajar juga untuk membersihkan tapak kasut ataupun selipar sebelum memasuki kawasan masjid. Ini bagi mengelakkan masjid dan kawasannya menjadi kotor sekiranya terdapat najis dan sebagainya pada tapak kasut atau selipar.

4. Selain menjaga diri supaya tidak mengotori masjid, pengguna masjid juga sewajarnya membudayakan sikap tidak camah mata apabila ternampak kotoran di mana-mana kawasan masjid.

Elok juga sekiranya para jemaah serta pengguna masjid yang mempunyai kelapangan untuk mengambil sedikit masa merebut pahala dengan membersihkan dan memperelokkan masjid dan seluruh persekitarannya. Ini satu amalan yang sangat elok dan patut dibudayakan. Aktiviti membersihkan masjid dan kawasannya yang dilaksanakan dari satu masa ke satu masa oleh institusi-institusi, persatuan-persatuan dan seumpamanya adalah satu amalan yang sangat terpuji dan wajar diteruskan serta ditambah kekerapannya.

5. Selepas menggunakan masjid untuk sesuatu majlis atau acara, hendaklah dibersihkan segala sampah sarap, bekas-bekas makanan, minuman dan sebagainya. Begitu juga segala perkakas atau peralatan masjid hendaklah disusun dan dikemas kembali sepertimana asalnya.

Sayugia juga dipastikan segala perkakas dan peralatan masjid tidak diamai atau diganggu khususnya oleh kanak-kanak bagi menjaga kehormatan masjid serta keselesaan pengguna masjid yang lainnya.

6. Menanamkan sikap bertanggungjawab dengan memastikan tandas dibersihkan selepas digunakan. Apabila semua jemaah serta pengguna masjid mengambil inisiatif menjaga kebersihan tandas dan menjaga peralatan dalam tandas di masjid-masjid, segala masalah tandas kotor dan berbau ataupun masalah tandas yang tidak elok atau tidak boleh digunakan akan dapat diatasi.

Perlu diingat bahawa mengotori, apatah lagi merosakkan harta benda masjid adalah termasuk perkara yang dilarang dan pelakunya mendapat dosa, kerana perbuatan tersebut ditegah oleh agama. Tandas yang kotor umpamanya, akan menyukarkan jemaah serta pengguna masjid untuk menunaikan hajat masing-masing. Bahkan bau yang timbul daripada masalah tersebut akan mengganggu jemaah serta pengguna masjid. Ini akan mengganggu kekhusyû‘kan bahkan boleh menyebabkan jemaah kurang gemar serta menjauhkan diri daripada mendirikan sembahyang di masjid berkenaan.

Masjid yang bersih dapat mendatangkan kekhusyû‘kan kepada para jemaah serta keselesaan kepada seluruh penggunanya. Masjid yang bersih pastinya lebih selesa dan cenderung untuk dimakmuri. Apabila masjid bersih dan makmur, bukan sahaja keselesaan dalam beribadat dapat diperolehi, bahkan syi‘âr Islam juga pasti akan menjadi lebih tegak dan terserlah. Selain itu, ia juga membuktikan kesungguhan umat Islam dalam mengamalkan ajaran Islam yang sangat mementingkan aspek kebersihan.

JANGAN ABAIKAN IBU BAPA YANG LANJUT USIA Anak merupakan amanah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dipertanggungjawabkan kepada para ibu dan bapa. Ibu bapa yang mengetahui akan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sememangnya akan berusaha sedaya upaya mengasuh, mendidik dan membimbing anak-anak mereka sehingga mereka menjadi orang yang berguna nanti setelah anak-anak itu dewasa sehingga mendirikan rumah tangga. Asuhan, didikan dan bimbingan yang baik daripada ibu bapa akan menjadikan anak-anak itu orang yang berguna dan bertanggungjawab. Kemudian setelah kedua-dua ibu bapa semakin tua dan lanjut usia, anak-anak pula yang akan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka. Begitulah lumrah kehidupan yang silih berganti.

Apa yang menyedihkan, terdapat sebilangan anak-anak yang lupa akan pengorbanan yang telah ibu bapa lakukan itu. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dengan penuh kesabaran menjadi satu bebanan yang membimbangkan mereka. Anak-anak seperti ini sesuai diibaratkan seperti pepatah melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”.

Perkara pengabaian ibu bapa khususnya ibu bapa yang berumur lanjut memang berlaku dalam masyarakat tidak terkecuali di negara kita Brunei Darussalam. Menurut statistik daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat Brunei terdapat sebanyak 22 kes pengabaian warga emas ataupun orang tua berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan, iaitu dari tahun 2011 hingga 2015.

Definisi Warga Tua

Menurut Kamus Dewan, warga tua didefinisikan sebagai ahli keluarga yang sudah tua atau lanjut usia. Biasanya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal seperti muka berkedut, badan lemah, penglihatan kabur dan sebagainya. Selain daripada itu, warga tua juga dapat dilihat daripada biologinya, sebagai contoh berlaku “menopause” kepada wanita dan “andropaus” kepada lelaki.

Pada usia ini, kebiasaannya mereka menghendaki dan memerlukan perhatian dan kasih sayang kerana tahap perkembangan usia mereka akan menurun ke tahap seperti kanak-kanak. Di Negara Brunei Darussalam, definisi warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, usia lanjut ialah batasan akhir umur di mana keadaan seseorang itu menjadi lemah sebagaimana keadaan di awal umur ketika masih kecil.

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa yang Lanjut Usia

Apabila ibu bapa kita mencapai umur lanjut, adakalanya bermacam-macam kerenah yang kita hadapi sebagai seorang anak. Ada yang sikapnya semakin cerewet, ada juga yang semakin sensitif (mudah tersinggung perasaan), ada juga yang semakin hilang daya kewarasan dan sebagainya. Semua ini tidak syak lagi merupakan ujian atau dugaan yang amat besar kepada anak-anak.

Dalam sebuah hadits ada disebutkan bahawa seseorang anak akan dipandang hina dan tidak akan masuk syurga jika dia mencuaikan atau tidak berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah tua atau berumur lanjut. Ini jelas sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

Maksudnya: Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina.” Baginda ditanya: “Siapakah (yang hina itu) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya ketika mereka dalam keadaan tua sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak masuk syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

Sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadits di atas bahawa hadits tersebut mendorong anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa yang sudah lanjut usia dan ketika berkeadaan lemah dengan berbakti dan memberikan nafkah atau seumpamanya, kerana dengan berbuat demikian akan mendapat pahala yang besar dan dijanjikan masuk syurga. Namun jika anak-anak berbuat sebaliknya iaitu tidak berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa mereka maka akan dipandang hina oleh Allah Ta‘ala dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.

Maka seorang anak hendaklah bersabar dalam membuat kebaikan dan berbakti kepada ibu bapa apatah lagi kepada ibu bapa yang berumur lanjut.

Ini kerana anak-anak tidak boleh melupakan dan menafikan jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa yang amat besar khususnya dalam membesarkan dan mendidik mereka. Jasa mereka tidak akan dapat dibalas walau dengan apa pun juga. Umpamanya pengorbanan ibu semasa melahirkan ada disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan susah payah. Sedang tempoh menghentikan penyusuannya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Apabila dia cukup dewasa dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdo‘a: “Ya Tuhanku! Kurniakanlah aku ilham supaya aku tetap bersyukur terhadap ni‘matMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amalan salih yang Engkau redhai dan kurniakanlah kebaikan kepadaku dengan (mengurniakan kebaikan) kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepadaMu).” (Surah al-Ahqâf: 15)

Bagaimana mungkin pengorbanan ibu sepertimana disebutkan di dalam ayat al- Qur’an di atas dapat dibalas oleh anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak wajib melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga hak kedua-dua ibu bapanya apatah lagi ketika mereka sudah berumur lanjut sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak.

Antara tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya termasuk ibu bapa yang sudah berumur lanjut ialah:

1. Berbuat baik kepada ibu bapa.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa apatah lagi yang sudah berumur lanjut bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun tetapi merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

Dalil perintah berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia ini ada disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Isrâ’:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sebarang perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya, tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)

Dalam kitab tafsir al-Qurtubi menjelaskan bahawa jika salah seorang atau kedua-dua ibu bapa sudah berumur lanjut iaitu sudah tua dan berkeadaan lemah maka setentunya ketika inilah mereka lebih memerlukan jagaan atau pemedulian yang lebih banyak daripada sebelumnya sebagaimana halnya kanak-kanak yang sentiasa memerlukan belaian dan kasih sayang ketika masih dalam usia anak damit (kecil). Sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab dan prihatin serta mempunyai sifat kemanusiaan, kita mestilah menjaga kebajikan mereka kerana sememangnya mereka dalam usia yang lanjut tidak lagi berdaya menguruskan diri, dan tidak berkeupayaan dalam membuat kerja hariannya. Inilah masanya mereka sangat memerlukan anak-anak dalam menguruskan hari-hari mereka yang mendatang.

Sesuai dengan maksud perkataan “dalam jagaan atau peliharaanmu” dalam ayat al- Qur’an di atas memberikan gambaran betapa ibu bapa yang lanjut usia sangat memerlukan perlindungan dan belaian kasih sayang ketika mereka sudah tua dan dalam keadaan lemah sebagaimana dijelaskan dalam kitab tafsir al-Alusi.

Namun begitu, perlu diingat, perintah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa bukan sahaja ketika mereka sudah berumur lanjut, bahkan ketika mereka belum sampai usia lanjut pun Allah Ta‘ala dan RasulNya, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

Ayat-ayat al-Qur’an yang memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, antaranya ialah:

Tafsirnya: Dan (ingatlah wahai Nabi Muhammad) ketika Kami mengikat perjanjian dengan Bani Israel (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa …” (Surah al-Baqarah: 83)

Tafsirnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan suatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa … (Surah an-Nisâ’: 36)

Tafsirnya: Katakanlah: “Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu, iaitu jangan kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa …” (Surah al-An‘âm: 151)

Dalam sebuah hadits, ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Apakah amalan yang lebih disukai Allah Ta‘ala? Rasulullah bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Kemudian berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Berjihad di jalan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, tidak dinafikan lagi bahawa anak wajib berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadits di atas.

2. Berbahasa dengan lembut dan sopan.

Dalam menjaga ibu bapa yang sudah dalam keadaan tua atau uzur, anak-anak hendaklah berbahasa dengan bahasa yang lembut dan sopan santun dan jangan sekali-kali menyinggung perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur‘an tadi. Walau bermacam-macam kerenah yang mereka lakukan ketika dalam usia lanjut ini, anggaplah ia sebagai cubaan atau dugaan. Cubaan atau dugaan yang diterima dengan baik dan ikhlas setentunya akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. 3. Jangan menghina atau menengking.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, bahawa apabila ibu bapa sudah uzur atau mencapai umur lanjut, bermacam-macam kerenah yang dihadapi oleh anak-anak. Oleh itu, menjaga atau memelihara mereka dalam keadaan ini merupakan cubaan yang sangat mencabar.

Ada di antara mereka yang dapat bersabar dan ada juga yang tidak dapat bersabar dengan cubaan-cubaan sebegini dan mungkin juga ada yang sanggup menghina dan menengking. Sebagai contoh, umpamanya ketika mendapati mereka membuang air besar atau kencing maka janganlah mereka dicaci ketika membersihkan air kencing atau kotoran mereka dengan perkataan-perkataan yang buruk seperti mengatakan mereka pengotor ataupun sebagainya.

Ingatlah bahawa larangan menengking kedua-dua ibu bapa jelas disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana disebutkan sebelum ini yang tafsirnya “dan janganlah engkau menengking kedua-duanya”.

4. Mendo‘akan ibu bapa.

Antara tanggungjawab anak kepada kedua-dua ibu bapa ialah sentiasa mendo‘akan mereka dengan kebaikan dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka yang telah mereka lakukan.

Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka sudah lanjut usia, hendaklah mereka merendahkan diri mereka dengan rasa tawadhu‘ dan tidak melakukan perbuatan yang di anggap melampau kepada mereka dan menjaganya dengan penuh kasih sayang di samping mendo‘akan mereka. Antara do‘a yang boleh dibaca sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an di atas ialah:

Tafsirnya: Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi). (Surah al-Isrâ’: 24)

Anak-anak selain bertanggungjawab mendo‘akan ibu bapa ketika kedua-duanya masih hidup, mereka juga bertanggungjawab mendo‘akan ibu bapa setelah kedua-duanya sudah meninggal dunia. Ini kerana do‘a anak yang salih itu merupakan salah satu amalan yang tidak putus setelah ibu atau bapa meninggal dunia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah amalannnya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Sementara itu, perkara berbakti kepada kedua-dua ibu bapa setelah mereka meninggal dunia ini juga pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah Assa‘idi Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Ketika kami duduk di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datang seorang lelaki dari suku Bani Salamah lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang dapatku lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?” Rasulullah bersabda: “Ya ada, mengerjakan sembahyang ke atas kedua-duanya, meminta keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan yang dahulu biasa mereka lakukan dan menghormati sahabat-sahabat mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadits di atas, selain mendo‘akan mereka, anak-anak hendaklah juga turut menyembahyangkan jenazah mereka, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan dan menghormati sahabat-sahabat mereka. Ini merupakan perkara kebaikan yang boleh dilakukan untuk berbakti terhadap orang tua.

5. Memberi nafkah.

Termasuk dalam tuntutan berbuat al-ihsan iaitu berbuat baik kepada ibu bapa juga ialah memberi nafkah kepadanya, hatta kepada ibu bapa yang bukan Islam.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Surah Luqman: 15)

Para ulama sepakat mengatakan bahawa anak wajib memberikan nafkah kepada kedua-dua ibu bapa yang tidak ada pendapatan atau tidak ada harta sebagaimana disebutkan oleh Ibnu al-Munzir Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Oleh itu, jika seorang anak mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai harta (fakir), ataupun tidak berdaya untuk mencari nafkah kerana sakit umpamanya, sedang anak itu mempunyai kemampuan dari segi harta ataupun mampu untuk mencari nafkah, maka dalam keadaan ini anak tersebut wajib memberi nafkah ibu bapanya itu.

Hatta jika ibu bapa yang fakir itu mampu untuk bekerja mencari nafkah, kewajipan memberi mereka nafkah tetap tertanggung ke atas anaknya yang mempunyai kemampuan harta atau kemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ini kerana anak-anak adalah diperintahkan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan adalah tidak patut jika ibu bapa dibebankan untuk bekerja mencari nafkah dalam keadaan mereka yang sudah lanjut umur dan lemah anggota badan.

Dalam konteks ibu bapa yang sudah lanjut usia, setentunya mereka tidak lagi mampu untuk mencari rezeki sendiri. Oleh itu, anak-anak bertanggungjawab untuk memenuhi segala keperluan serta mengurus segala kebajikan yang berkaitan dengan mereka.

Inilah antara beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Kedudukan Anak yang Berbakti kepada Orang Tua

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada bersabda dalam sebuah hadits mengenai seorang sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah sehingga kisah sahabat itu telah dikhabarkan oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada Sayyidina ‘Umar al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Orang yang dimaksudkan itu ialah Uwais bin ‘Amir Al Qarni Radhiallâhu ‘anhu.

Kisah Uwais bin ‘Amir al-Qarni Radhiallâhu ‘anhu boleh dijadikan i’tibar dan pengajaran kerana baktinya kepada orang tuanya. Dia mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah Ta‘ala dan merupakan salah seorang yang do‘anya mustajab sehingga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri mengakuinya.

Kisahnya bermula daripada pertemuannya dengan ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Ketika ‘Umar bin al-Khaththab didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, beliau pun bertanya kepada mereka: “Adakah di kalangan kamu yang bernama Uwais bin ‘Amir?” Sehinggalah ‘Umar bertemu dengan Uwais, lalu ‘Umar mendekati Uwais dan bertanya lagi: “Adakah engkau benar-benar Uwais bin ‘Amir?” Uwais pun menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Benar engkau dari Murad dan Qaran?” Uwais menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Adakah engkau memiliki penyakit kulit tetapi sudah sembuh kecuali hanya yang tinggal sebesar satu dirham?” Uwais menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Benar engkau mempunyai seorang ibu?” Uwais menjawab: “Ya.”

‘Umar berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad dan Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh daripadanya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia ada seorang ibu dan dia sangat berbakti kepadanya. Seandainya dia berdo‘a kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipohonkannya. Jika engkau mampu agar dia mahu memintakan kepada Allah supaya engkau diampuni, mohonlah kepadanya supaya dia memohonkan keampunan kepada Allah bagimu.”

‘Umar pun bertanya pada Uwais: “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab: “Kufah”. ‘Umar pun berkata: “Tidakkah engkau mahu aku menulis surat kepada penguasanya?” Uwais menjawab: “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”

Tahun berikutnya, ada seseorang dalam kalangan orang-orang terhormat daripada mereka pergi berhaji dan dia bertemu ‘Umar. ‘Umar pun bertanya tentang Uwais. Orang yang terhormat tersebut menjawab, “Aku tinggalkan Uwais dalam keadaan rumahnya miskin dan barang-barangnya sedikit.” ‘Umar pun berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda (yang maksudnya):

“Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Seandainya dia berdo‘a kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipintanya. Jika engkau mampu agar dia meminta kepada Allah supaya engkau diampuni, mintalah kepadanya.”

Orang yang terhormat itu pun mendatangi Uwais, dia pun meminta kepada Uwais: “Mintalah keampunan kepada Allah untukku”. Uwais menjawab: “Bukankah engkau baru saja pulang dari safar yang baik (iaitu haji), mintalah keampunan kepada Allah untukku.” Orang itu mengatakan kepada Uwais: “Bukankah engkau telah bertemu ‘Umar?” Uwais menjawab: “Ya.” Uwais pun memintakan keampunan kepada Allah untuknya.

Orang lain pun tahu akan keistimewaan Uwais. Lantaran itu, dia mengasingkan diri menjauh daripada manusia.”

Hukum Anak yang Derhaka Kepada Kedua-dua Ibu bapa

Hukum derhaka kepada kedua-dua ibu bapa termasuk di antara dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Menyekutukan Allah.” Dia (orang Arab itu) berkata lagi: “Kemudian apa?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kemudian menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa …” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, elakkanlah daripada membuat kedua-dua ibu bapa terguris hati, menangis kerana terluka. Sebab, salah satu di antara tanda-tanda seseorang anak itu tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah membuatkan hati mereka terluka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Ertinya: Menyebabkan kedua-dua ibu bapa menangis termasuk antara perkara-perkara derhaka dan dosa-dosa besar. (Kitab al-Âdâb al-Mufrad)

Apa yang dimaksudkan dengan derhaka ialah apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati kedua-dua ibu bapa. Begitu juga dikira derhaka jika anak tidak menurut perintah mereka. Ini kerana taat perintah kedua-dua ibu bapa hukumnya adalah wajib.

Sebagai kesimpulan, seorang anak perlu menyedari betapa seseorang ibu atau bapa itu memerlukan pertolongan atau bantuan anak-anak ketika mereka sudah berumur lanjut. Setiap anak-anak bertanggungjawab untuk sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua-dua ibu bapa mereka yang sudah berumur lanjut dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin. Janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka. Hendaklah sentiasa mendo‘akan mereka agar mereka mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Ingatlah bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Keredhaan Tuhan (kepada hambaNya) terletak pada keredhaan bapa (begitu juga ibu bahkan lebih utama), manakala kemurkaan Tuhan (kepada hambaNya) adalah terletak pada kemurkaan bapa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits di atas menjelaskan bahawa untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta‘ala, seorang anak perlu mendapatkan keredhaan kedua-dua ibu bapanya. Ini kerana mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa merupakan perintah Allah Ta‘ala.

Oleh itu, sesiapa yang mentaati kedua-dua ibu bapa maka dia telah mentaati Allah Ta‘ala dan siapa yang tidak menta‘ati kedua-dua ibu bapanya maka sesungguhnya Allah Ta‘ala akan murka kepadanya. Sesiapa yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya hukumnya adalah berdosa besar.

KETAHUI LARANGAN-LARANGAN KETIKA MENZIARAHI KUBUR

Ziarah kubur merupakan amalan yang pada lazimnya lebih bersemarak di bulan Ramadhan serta Hari Raya ‘Idul Fitri. Terdapat juga sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan secara lebih kerap seperti seminggu sekali, umpamanya setiap hari Jumaat, sebulan sekali atau pada waktu-waktu tertentu yang dipersetujui oleh ahli keluarga untuk berziarah beramai-ramai ke kubur.

Ziarah kubur bukan satu amalan biasa.tetapi ia merupakan satu ibadat. Walaupun kubur merupakan tempat persemadian jasad orang yang sudah meninggal dunia, ia bukan satu tempat sembarangan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Oleh sebab itu, dalam syariat Islam, amalan ziarah kubur mempunyai larangan-larangannya yang tersendiri yang perlu dijauhi supaya amalan tersebut, yang asalnya merupakan satu ibadat, tidak menjadi amalan yang sia-sia atau mendatangkan dosa.

Hukum Ziarah Kubur

Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat, manakala bagi golongan perempuan pula, sama ada perempuan yang dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan haidh atau nifas, hukumnya adalah makruh.

Ini dengan syarat perempuan itu mampu mematuhi segala syarat serta larangan ketika menziarahi kubur, seperti mampu mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Sekiranya perempuan itu tidak berupaya untuk mematuhi segala syarat serta larangan tersebut, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini kerana menziarahi kubur Baginda disunatkan ke atas lelaki mahupun perempuan. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan auliâ’.

Hikmah Ziarah Kubur

1. Ziarah kubur mempunyai banyak hikmah. Antaranya:

2. Supaya dikasihi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana mengikut dan menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

3. Bagi merenung asal-usul kejadian manusia yang berasal dari tanah dan akan kembali semula ke tanah.

4. Bermuhâsabah dengan mengingati hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, sama ada akan layak menuju ke syurga atau sebaliknya.

5. Mengambil i‘tibâr serta pengajaran daripada apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.

6. Mengingat kembali pengorbanan orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihâd kerana menegakkan kalimat tauhid.

7. Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia. 8. Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdo‘a dan memohon keampunan untuk mereka.

Larangan-larangan ketika Menziarahi Kubur

Ziarah kubur mempunyai larangan-larangan tertentu yang perlu dijauhi. Antara larangan tersebut ialah:

1. Membuka aurat. Hendaklah menutup aurat dengan sempurna dengan memakai pakaian yang sopan, bersesuaian dan mematuhi tuntutan syara‘.

2. Duduk atau bersandar tanpa apa-apa keperluan di atas kubur kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh di sisi syara‘.

Bagaimanapun, jika terpaksa melakukannya kerana suatu keperluan atau darurat, contohnya kerana tidak ada ruang disebabkan keadaan tanah perkuburan yang kuburnya sudah sesak dan padat serta berdekatan di antara satu kubur dengan kubur yang lain, maka dalam hal seumpama ini tidak makruh duduk atau bersandar di atasnya.

Larangan duduk di atas kubur itu ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur. (Hadits riwayat Muslim) Adapun duduk di sekitar atau di sekeliling kubur pula, yakni bukan di tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak dilarang.

3. Berjalan di atas kubur atau memijaknya tanpa keperluan kerana memijak itu sama hukumnya seperti duduk.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan lain menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu melainkan dengan memijak kubur yang lain, maka dalam keadaan sedemikian harus hukumnya memijak kubur kerana adanya keperluan.

Adapun lalu atau memijak kawasan persekitaran dalam tanah perkuburan yang bukan tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak makruh walaupun memijaknya atau lalu di atasnya tanpa keperluan. Ini kerana larangan memijak, begitu juga duduk, berbaring atau bersandar itu hanyalah khusus jika dilakukan di atas kubur tempat mayat ditanam sahaja dan bukan di persekitaran atau tempat laluan yang disediakan di kawasan tanah perkuburan.

4. Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya dan berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun perasaan sayu, hiba, sedih atau airmata yang mengalir tanpa pekikan, ratapan dan yang seumpamanya tidak dilarang kerana kesedihan dan airmata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.

5. Berkata bâthil mahupun bergurau senda, menyanyi-nyanyi dan berbual kosong ketika berziarah.

Sebaliknya hendaklah diisikan waktu ziarah kubur itu dengan bermuhâsabah dan mengambil i‘tibâr, menghadiahkan bacaan ayat suci al-Qur’an dan berdo‘a memohon kesejahteraan dan keampunan untuk si mati yang diziarahi serta ahli-ahli kubur yang lain.

6. Melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat yang menjejaskan aqidah seperti mencium kubur, mengelilinginya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan yang seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu seperti beroleh berkat, kesembuhan dan sebagainya. Perkara sesat seperti ini adalah haram dan ia akan menjejaskan kesucian agama Islam dan menjatuhkan pelakunya ke lembah syirik.

7. Membuang air kecil ataupun air besar di atas kubur kerana perbuatan tersebut haram di sisi syara‘. Begitu juga tidak wajar berak dan kencing di persekitarannya kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh dan merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun.

8. Mengotorkan kawasan tanah perkuburan dengan meninggalkan sisa-sisa plastik, surat khabar, botol dan sebagainya.

Membuang sampah atau apa-apa sisa buangan di kawasan tanah perkuburan bukan sahaja mencemarkan kehormatan kubur serta ahli kubur, bahkan ia turut sama menyusahkan dan menyakiti penziarah kubur yang lain.

Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak, wajib dijauhkan dari kubur orang Islam kerana menyakiti orang Islam yang datang ziarah di situ serta menyakiti mayat orang Islam hukumnya haram.

9. Menurut Imam ad-Dardir Rahimahullah, seorang ulama mazhab Maliki, makruh hukumnya makan dan minum ketika ziarah kubur. Perbuatan seumpama ini jelas sekali tidak selari dengan pensyariatan dan hikmah ziarah kubur yang sepatutnya mendatangkan rasa gerun dan insaf kerana ia memperingatkan perihal kematian dan Hari Akhirat.

10. Merokok di kawasan tanah perkuburan. Selain haram, merokok juga mengotorkan kerana debu daripada puntung rokok yang berterbangan dan puntung rokok yang selalunya akan dibuang merata-rata. Perbuatan sedemikian merupakan satu pencemaran dan pencabulan terhadap hak dan kehormatan kubur serta ahli kubur. Selain itu, ia juga memudharatkan dan mengganggu keselesaan penziarah kubur yang lain. Ini jelas sekali merupakan perbuatan yang tidak elok dan tidak selari dengan perlakuan seorang Muslim. Penziarah kubur bukan sahaja perlu menjaga kehormatan si mati yang mereka ziarahi, tetapi mereka juga perlu menghormati seluruh ahli kubur serta penziarah yang lain.

Tidak sempurna kedudukan seseorang itu sebagai seorang Muslim selagi dia masih mengganggu dan menyakiti orang lain dengan perbuatan buruknya. Abu Musa al-Asy‘ari dan ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Seorang Muslim (yang terbaik dan sempurna) itu ialah siapa yang selamat orang-orang Islam (yang lainnya) daripada (perbuatan buruk) lidah dan tangannya (segenap perbuatannya). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

11. Khusus bagi golongan perempuan pula, selain larangan-larangan di atas, terdapat beberapa larangan khusus yang patut dijauhi ketika menziarahi kubur, iaitu:

i. Berziarah kubur tanpa keizinan suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, maka perempuan itu tidak dibenarkan untuk berziarah kubur. ii. Bersolek, berhias-hias dalam berpakaian serta memakai harum-haruman ketika ziarah kubur. Ini kerana selain perkara tersebut dilarang di waktu dan tempat yang lain kerana boleh menimbulkan fitnah, ia juga tidak selari dengan hikmah amalan ziarah kubur yang disyariatkan antaranya untuk mengingati mati dan Hari Akhirat.

iii. Berziarah kubur seorang diri. Hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.

iv. Melafazkan bacaan al-Qur’an bagi perempuan yang dalam haidh atau nifâs.

Sepertimana yang diketahui, perempuan yang haidh atau nifas dilarang daripada membaca al-Qur’an dengan mengeluarkan suara, walaupun bacaan tersebut hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Adapun membaca ayat al-Qur’an di dalam hati tanpa menggerakkan lidah atau dengan menggerakkan lidah tetapi tidak kedengaran olehnya sendiri adalah diharuskan.

Oleh yang demikian, perempuan yang haidh atau nifâs boleh membaca al-Qur’an dalam hati jika dia hafal atau dengan melihat kepada Mushhaf yang berada pada orang di sebelahnya.

Selain boleh membaca al-Qur’an dalam hati ketika menziarahi kubur, perempuan yang haidh atau nifâs juga boleh mengisikan waktu ziarah dengan melakukan amalan lain yang bermanfaat contohnya mendo‘akan ahli kubur dengan do‘a-do‘a wârid yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Demikian beberapa penjelasan tentang larangan-larangan yang perlu dijauhi ketika ziarah kubur. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu kita melaksanakan amalan ziarah kubur dengan lebih sempurna serta terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan amalan tersebut kepada satu perbuatan yang mendatangkan dosa atau dikeji syara‘.

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN PERBUATAN MENANGIS

Menangis adalah perkara normal, terjadi pada setiap orang lebih-lebih lagi kaum perempuan. Menangis boleh sahaja berlaku dengan hanya keluar air mata tanpa suara ataupun diiringi dengan suara yang perlahan ataupun dengan suara yang tinggi seperti teriakan dan seumpamanya. Kebiasaannya perbuatan menangis berlaku disebabkan tiga perkara, iaitu:

1. Sakit:

i. Sakit jasmani iaitu kesakitan yang menimpa anggota tubuh seperti sakit kepala, sakit kaki dan yang seumpamanya.

ii. Sakit di dalam jiwa iaitu kesedihan yang teramat sangat seperti sedih ke atas mayat, sedih kerana kehilangan harta dan seumpamanya.

2. Takutkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu kerana wujudnya rasa cinta dan perasaan rindu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, takutkan azab Allah Ta‘ala dan sebagainya.

3. Terlalu gembira iaitu kegembiraan yang menimbulkan perasaan terharu sehingga mengalirkan air mata.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebut tentang jenis-jenis tangisan; ada tangisan kerana kasihan dan simpati (الرمحة والرقة), ada tangisan kerana takut dan gerun (اْلوف واْلشية) ada tangisan kerana cinta dan rindu (احملبة والشوق), ada tangisan kerana suka dan gembira (ح والسرورالفر), ada tangisan kerana sedih disebabkan kesakitan yang dirasai yang tidak mampu untuk ditanggung dan ada tangisan kerana dukacita (اْلزن).

Menangis dalam beberapa keadaan tertentu mempunyai hukumnya tersendiri seperti berikut:

1. Menangis kerana takutkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Menangis bukan dilihat sebagai perasaan biasa sahaja. Pada beberapa keadaan ia adalah perasaan luar biasa apabila ia berkaitan dengan perasaan takut seorang ‘âbid (hamba) kepada Penciptanya iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Menangis kerana takutkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah antara sifat-sifat orang yang mukmin. Tangisan seorang mukmin kerana takutkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lahir kerana kuat keimanan dan kasih sayangnya terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Inilah yang digambarkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang (benar-benar) beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambah (kuat) iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal. (Surah al-Anfâl: 2)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka; (iaitu) mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang (bangun) malam untuk berjaga di jalan Allah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadits di atas disebutkan “mata yang menangis kerana takutkan Allah” adalah martabat mujahidin iaitu orang-orang yang berjuang melawan hawa nafsu, yang ingin bertaubat dan membersihkan diri daripada maksiat, sama ada dia merupakan orang yang berilmu ataupun tidak. 2. Menangis di dalam sembahyang.

Adapun hukum menangis di dalam sembahyang; jika menangis dengan jelas/nyata keluar dua huruf, maka perbuatan itu boleh membatalkan sembahyang kerana wujud sesuatu yang menafikan perbuatan sembahyang iaitu perkara yang membatalkan sembahyang, walaupun seseorang itu menangis kerana takutkan akhirat.

3. Menangis ketika membaca atau mendengar bacaan al-Qur’an

Sunat hukumnya menangis ketika membaca al-Qur’an ataupun jika tidak mampu menangis maka buat-buatlah menangis. Menangis ketika membaca al-Qur’an disifatkan sebagai orang-orang yang arif dan lambang syi‘ar hamba-hamba Allah yang salih.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan mereka tunduk sujud sambil menangis dan mereka bertambah khusyu‘ (kerana kuatnya pengaruh al-Qur’an). (Surah al-Isrâ’: 109)

Ini merupakan gambaran tentang kehebatan sifat mereka dan ia merupakan pujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada mereka. Adalah pasti sesiapa yang dikurniakan ilmu dan memperoleh sesuatu daripada ilmu untuk sampai ke tahap khusyû’ ketika mendengar bacaan al-Qur’an dan merendah diri.

Disebutkan dalam Musnad ad-Darimi bahawa orang yang dikurniakan ilmu tetapi ilmu itu tidak membuatkannya menangis kepada Pencipta (Allah), sesungguhnya dia belum dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

Maka yang demikian, orang yang membaca al-Qur’an hendaklah dalam keadaan khusyu‘, teliti serta memahami dan menghayati makna ayat-ayat al- Qur’an yang dibaca, tunduk dan merendah diri. Dengan memahami dan menghayati kandungan al-Qur’an akan menimbulkan khusyû‘ dan dengan kekhusyu‘an inilah akan mampu membuat orang yang membaca mahupun orang yang mendengar bacaannya mengalirkan air mata kerana perasaan cinta dan kasih sayang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

4. Menangis ketika berlaku kematian.

Harus menangisi jenazah sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu ketika dalam keadaan nazak ataupun selepas berlakunya kematian. Walau bagaimanapun menangisi jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama berbanding menangisinya selepas kematian.

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah menangis ketika menghadapi kematian anak Baginda Ibrahim. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu, ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Kami masuk bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendatangi Abu Saif al-Qaiyn (iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘Alaihissalâm (putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam). Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengambil Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian kami menjumpainya lagi selepas (peristiwa) itu dan Ibrahim hampir menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan kedua-dua mata Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berlinang air mata. Lalu ‘Abdul Rahman bin ‘Auf

Radhiallâhu ‘anhu (dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda: “Tuan juga (menangis) wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat,” kemudian berterusanlah keluar air mata Baginda. Setelah itu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mata boleh mencurahkan air mata, hati boleh merasa sedih, akan tetapi kami tidak boleh mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahanmu ini wahai Ibrahim kami amat bersedih,” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits di atas, ungkapan “sesungguhnya ini adalah rahmat” yang merupakan jawapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada soalan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf Radhiallâhu ‘anhu membawa maksud bahawa tangisan itu adalah perasaan kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau kesedihan sepertimana yang disangkakan oleh sahabat Baginda itu.

Yang diharuskan tangisan ke atas jenazah itu ialah tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar terisak-isak) walaupun dengan mengeluarkan air mata dan wujudnya perasaan hati yang sedih.

Menurut Imam as-Subki Rahimahullâhu Ta‘âlâ jika tangisan ke atas jenazah itu kerana perasaan kasih sayang, kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa kepadanya daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkara-perkara yang menakutkan pada Hari Kiamat hukumnya tidaklah makruh.

Jika tangisan ke atas jenazah itu kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi jenazah kanak-kanak adalah tidak mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar.

5. Menangis ketika menziarahi kubur.

Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita hukumnya adalah haram. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun perasaan hiba, sedih atau air mata yang mengalir tanpa ratapan tidaklah dilarang kerana kesedihan dan air mata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta Hari Pembalasan.

Dalam satu riwayat yang shahîh, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: (Pada suatu ketika) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pergi ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pula orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadits riwayat Muslim)

Begitulah beberapa perkara berkaitan dengan menangis. Dalam beberapa keadaan ia digalakkan dan diharuskan. Namun dalam beberapa keadaan pula ia adalah diharamkan.

Yang pasti, menangis itu adalah satu perkara semula jadi yang ada dalam diri manusia, lebih-lebih lagi bila melibatkan kesakitan dan kesedihan. Elakkan menangis untuk perkara yang sia-sia seperti menangis kerana tidak berpeluang berjumpa artis kesayangan, menangis kerana ditinggal pergi oleh kekasih atau yang seumpamanya. Berusahalah untuk mengalirkan air mata ketika mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sama ada ketika membaca al-Qur’an dan ketika membaca zikir seperti takbîr, tahmîd, tasbîh, hawqalah dan sebagainya atau ketika bertafakkur dan merenung ciptaanNya di sekeliling kita. Biarlah tangisan itu kerana takutnya kita akan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ!

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5925