Irsyad Hukum 2018
LARANGAN MENDATANGI DAN MEMPERCAYAI TUKANG RAMAL
Kedatangan agama Islam yang dibawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ibarat cahaya yang menerangi umat manusia yang ketika itu hidup dalam kegelapan dengan banyak melakukan kesyirikan dan kejahatan. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyampaikan risâlah yang antaranya menghapus amalan-amalan jahiliyyah yang merosak aqidah. Salah satunya menghapus kebiasaan orang-orang jahiliyyah yang suka mendatangi tukang tilik dan tukang ramal bagi mengetahui perkara-perkara ghaib.
Tukang Ramal dan Ramalannya
Tukang ramal adalah orang yang menyampaikan khabar atau memberitahukan mengenai sesuatu yang bakal berlaku. Dia mendakwa mengetahui semua rahsia-rahsia dan dapat membaca perkara-perkara ghaib.
Ramalan pula bermaksud perkhabaran tentang perkara-perkara ghaib. Ia terbahagi kepada dua iaitu:
1. Ramalan yang terhasil di atas asas ilmiah seperti meramalkan turun hujan esok hari atau meramalkan tinggi suhu panas dan sebagainya. Ramalan seumpama ini (dengan kecanggihan teknologi masa kini) adalah dibolehkan kerana ia terhasil daripada asas yang kukuh iaitu dari hasil kajian keadaan cuaca. 2. Ramalan yang terhasil di atas asas yang bukan ilmiah untuk meramal perkara akan datang seperti meramal nasib seseorang atau yang seumpamanya, melalui pembacaan tapak tangan, penelitian bintang, perkhabaran jin dan sebagainya.
Hukum ramalan seperti ini adalah haram. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang mendatangi dukun mahupun tukang ramal bagi mendapatkan perkhidmatan mereka kerana perkataan mereka itu tidak benar dan tidak diterima. Ini berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:
i. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: siapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lantas dia membenarkan (mempercayai) apa yang dikatakannya (dukun atau tukang ramal), maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat Ahmad)
Ketika menjelaskan perbezaan antara al-kâhin (dukun) dan al-‘arrâf (tukang ramal), maksud اَلْكَاهِن ialah orang yang memberi perkhabaran tentang kejadian-kejadian pada waktu akan datang dan mendakwa mengetahui segala rahsia-rahsia. Manakala maksud اَلْعَرَّاف ialah seseorang yang mendakwa mengetahui sesuatu yang dicuri atau tempat gelap dan perkara-perkara lain yang seumpama kedua-duanya. Yang sedemikian itu ada dijelaskan oleh Imam al-Khathabi Rahimahullâh di dalam kitab Ma‘âlim as- Sunan (Syarh Sunan Abu Daud). Pada akhir kitab tersebut disebutkannya bahawa maksud al-kâhin ialah seseorang yang mendakwa dapat membaca mengenai alam ghaib dan mengkhabarkan kepada manusia tentang makhluk dan kejadian. Daripada kalangan orang Arab, dukun mendakwa bahawa mereka mengetahui banyak perkara. Ada antara mereka yang mendakwa mempunyai sahabat daripada kalangan jin yang boleh menyampaikan perkhabaran (ilmu ghaib) kepada mereka. Ada antara mereka pula yang mendakwa mendapat perkara-perkara (ghaib atau rahsia) melalui kefahaman yang dikurniakan kepadanya. Ada pula antara mereka ini yang dinamakan tukang tilik iaitu orang yang mendakwa bahawa dia mengetahui perkara-perkara ghaib dengan perantaraan tanda-tanda tertentu bagi mengetahui kedudukan atau letaknya seperti sesuatu yang dicuri dan dia mengetahui yang tersangka untuk mencuri dan yang seumpamanya. Ahli nujum juga turut termasuk dalam maksud dukun. Hadits mengenai larangan mendatangi dukun merangkumi semua yang disebutkan iaitu dukun, tukang tilik, ahli nujum dan yang seumpamanya, serta larangan mempercayai apa yang mereka sampaikan.
ii. Diriwayatkan daripada Safiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, daripada sebahagian isteri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan menanyakannya tentang sesuatu, maka tidak diterima sembahyangnya selama 40 malam. (Hadits riwayat Muslim)
Berkata Imam al-Khathabi Rahimahullâh dan yang lainnya: “Adapun ‘tidak diterima sembahyangnya’ bermaksud tiada pahala baginya dalam sembahyang yang dilakukan walaupun ia sudah mencukupi untuk menggugurkan kewajipan fardhu ke atasnya dan dia tidak perlu untuk mengulang sembahyang (yang tidak diterima pahalanya itu).”
Pengetahuan Tentang Perkara Ghaib: Hak Mutlak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ
Perkara ghaib dibahagikan kepada dua kategori:
Pertama: Sesuatu yang boleh diketahui menerusi pelbagai cara yang biasa dilakukan seperti menerusi kajian dan penyelidikan ataupun pencarian.
Perkara ghaib daripada kategori ini adalah perkara biasa dan tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika ada orang yang mendakwa mengetahuinya, bahkan ada antaranya yang dituntut oleh agama agar disingkap dan diketahui.
Sebagai contoh, keghaiban seseorang dapat diketahui dan diusahakan penemuannya menerusi pencarian, demikian juga rahsia alam semesta yang disuruh kepada kita untuk memikirkanya dapat disingkap melalui hasil kajian dan penyelidikan para saintis.
Sesuatu yang belum diketahui atau yang masih ghaib, kemudian ada yang mendakwa mengetahuinya setelah membuat kajian dan penyelidikan mengenainya, maka perbuatan itu tidaklah merosakkan aqidah. Tetapi hendaklah diingat bahawa pengetahuan mengenainya hanyalah dalam batas-batas yang terhad mengikut kadar pengetahuan manusia itu saja, kerana al-Qur’an telah memaklumkan bahawa ilmu yang diberikan Allah kepada manusia itu hanyalah sedikit sekali. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) tentang roh. Katakanlah: “Roh itu adalah daripada urusan Tuhanku dan kamu tidak dikurniakan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit sahaja.” (Surah Al-Israa’: 85)
Oleh itu, kita mestilah tetap beranggapan dan beraqidah bahawa pengetahuan atau dakwaan seseorang mengetahui yang ghaib daripada kategori ini tidaklah lengkap dan sempurna sebagaimana lengkap dan sempurnanya pengetahuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengenainya.
Kedua: Sesuatu yang hanya boleh diketahui menerusi cara khas atau perkhabaran yang benar seperti menerusi wahyu.
Perkara ghaib daripada kategori ini hanya dapat diketahui menerusi pemberitaan yang benar dan pasti iaitu melalui wahyu (pemberitahuan) daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia berkait rapat dengan aqidah seperti keghaiban syurga, neraka, Hari Kiamat dan yang lain-lain.
Perkara-perkara ghaib ini tidak terhingga banyaknya, antaranya ada yang langsung tidak diketahui oleh manusia dan ada yang namanya saja diketahui, tetapi hakikat dan perinciannya tidak diketahui seperti al-Kursiy, Lauh Mahfûzh dan yang seumpamanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan di sisi Allah jualah kunci-kunci perbendaharaan (perkara-perkara) yang ghaib, tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan yang di laut. Dan tidak sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya dan tidak sebutir biji pun yang berada dalam kegelapan bumi dan tidak (pula) sesuatu yang basah dan tidak (juga) yang kering melainkan (semuanya bertulis) di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfûzh). (Surah al-An‘âm: 59)
Yang jelas, mengetahui perkara-perkara ghaib itu merupakan hak mutlak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sesiapapun hatta para rasul, nabi apalagi manusia biasa tidak berupaya mengetahui perkara-perkara ghaib ini. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:
Tafsirnya: Dia yang mengetahui segala yang ghaib tetapi Dia tidak menzahirkan pengetahuan ghaibNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada rasul yang diredhaiNya maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat-malaikat) di hadapan dan di belakangnya. (Surah al-Jinn: 26-27)
Disebutkan di dalam Tafsîr al-Qurthubi: “Ulama Rahimahumullâh berkata: “Tatkala Allah Ta‘ala bermegah dengan ilmu ghaib dan Dia hanya mengkhususkan dan memilihnya untukNya saja tanpa ada pilihan lain, maka di dalam ayat itu terdapat petunjuk bahawa tidak ada sesiapapun yang mengetahui yang ghaib melainkan Dia saja. Kemudian Allah mengecualikan orang-orang tertentu daripada kalangan Rasul yang diredaiNya lalu melimpahkan sesetengah yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibnya itu menerusi wahyu kepada mereka dan menjadikannya sebagai mu‘jizat dan bukti kebenaran kenabian mereka itu. Sementara itu, ahli nujum dan yang seumpamanya, seperti orang yang meramal dengan cara mempergunakan batu-batu kecil, meneliti kitab-kitab dan menerusi (suara-suara) burung, bukanlah termasuk daripada kalangan yang diredhai oleh Allah lalu memperlihatkan mana-mana yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibNya itu kepada mereka bahkan orang-orang berkenaan adalah kufur kepada Allah.
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa kunci perbendaharaan segala yang ghaib adalah pada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Segala yang ghaib pula tidak dimaklumkanNya secara keseluruhan kepada sesiapapun daripada hambaNya, tidak nabi, tidak rasul, tidak malaikat dan tidak jin atau manusia, tidak ada makhlukNya yang mengetahuinya secara lengkap, termasuklah lima anak kunci yang ghaib sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah; (iaitu:) tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui apa yang akan terjadi pada esok hari kecuali Allah. Tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui kandungan rahim yang kurang sempurna kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan turun hujan kecuali Allah. Tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati (kecuali Allah). Dan tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui bila akan terjadi Hari Kiamat kecuali Allah. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas dapatlah disimpulkan bahawa antara perkara yang ghaib kepada manusia dari sudut hakikatnya berdasarkan maksud ayat di atas ialah pengetahuan tentang bila akan terjadi Hari Kiamat, ilmu tentang hakikat kandungan (janin) yang masih di dalam rahim, termasuk rezeki, nasib dan usianya, pengetahuan tentang apa yang akan dilakukan oleh seseorang di masa yang akan datang sekalipun pada esok harinya, kepastian bila hujan akan turun dan pengetahuan tentang di mana tempat kematiannya yang sebenar.
Kesimpulannya, mempercayai ramalan tentang perkara ghaib, termasuk mempercayai ramalan untung nasib diri pada masa akan datang amatlah dilarang oleh Islam. Ini merupakan antara ciri jahiliyyah yang sepatutnya tidak lagi wujud dalam masyarakat Islam sekarang. Perbuatan mendatangi dukun, tukang ramal atau tukang tilik bagi mengetahui perkara-perkara ghaib lantas mempercayai apa yang ditilik atau diramalkan merupakan antara dosa besar yang disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Dengan itu, manusia tetap terarah di landasan yang lurus iaitu mengesakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ramalan tidak berasas yang disebar tidak berlandas kajian ilmiah, seperti ramalan tentang nasib diri pada masa akan datang berdasarkan perjalanan bulan dan bintang kelahiran diri, sama tidak boleh dipercayai. Sebagai umat Islam, kita wajib percaya bahawa hanya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahajalah yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan jikapun diwahyukanNya pengetahuan mengenai perkara ghaib kepada rasul dan nabiNya yang terpilih, maka pengetahuan itu hanyalah sedikit sahaja.
MENJAGA TERTIB WUDHU’ KETIKA BERTAYAMMUM
Tertib merupakan salah satu daripada rukun wudhu’. Ia bermaksud melakukan rukun-rukun wudhu’ dengan tersusun iaitu hendaklah mendahulukan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua-dua tangan, diikuti dengan menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kedua-dua kaki.
Jika dilakukan rukun-rukun wudhu’ itu bukan pada tempatnya seperti mendahulukan membasuh kaki daripada menyapu kepala, maka perbuatan membasuh kaki itu tidak dikira dan wajib diulang perbuatan membasuh kaki itu setelah menyapu kepala.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (sedang kamu berhadats kecil) maka (berwudhu’lah iaitu) basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu hingga ke siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kaki kamu hingga ke buku lali. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Ayat ini menunjukkan kewajipan berwudhu’ dengan membasuh anggota-anggota wudhu’ yang wajib dengan mengikut tertib iaitu mendahului membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua-dua kaki.
Adapun tayammum pula, menurut istilah syara‘ ialah menyampaikan tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudhu’ dan mandi atau sebagai ganti kepada anggota wudhu’ dan anggota mandi dengan syarat-syarat tertentu.
Ia merupakan rukhshah atau keringanan bagi orang yang tidak boleh menggunakan air untuk berwudhu’ dan mandi kerana sakit atau kerana ketiadaan air atau kerana air yang ada itu diperlukan untuk menghilangkan dahaga.
Salah satu sebab untuk bertayammum itu adalah tidak boleh menggunakan air pada anggota wudhu’ kerana sakit sama ada anggota wudhu’ itu berbalut ataupun tidak. Oleh sebab itu, dituntut bertayammum sebagai ganti kepada anggota wudhu’ yang sakit itu.
Apa yang perlu dijelaskan di sini ialah cara berwudhu’ di samping melakukan tayammum bagi menggantikan anggota wudhu’ yang sakit. Adakah melakukan tayammum bagi anggota wudhu’ yang sakit itu perlu mengikut tertib wudhu’ ataupun tidak? Sebagai contoh, anggota wudhu’ yang sakit itu ialah tangan, adakah melakukan tayammum sebagai ganti membasuh tangan yang sakit itu setelah membasuh muka sebagaimana mengikut tertib wudhu’ ataupun bertayammum sebelum membasuh muka atau selepas membasuh kaki atau pada mana-mana tempat tanpa mengikut tertib wudhu’?
Bila Bertayammum Bagi Anggota Wudhu’ yang Sakit?
Apabila seseorang hendak mengangkat hadats kecil akan tetapi dia tidak boleh menggunakan air pada anggota wudhu’nya kerana sakit, dia dituntut untuk bertayammum sebagai ganti membasuh anggota wudhu’ yang sakit itu. Menurut pendapat yang ashah, wajib melakukan tayammum tersebut apabila tiba waktu giliran membasuh anggota yang sakit itu kerana menjaga tertib wudhu’.
Ini bererti jika seseorang itu tidak boleh menggunakan air pada mukanya maka wajib dia bertayammum sebelum membasuh kedua tangannya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada tangannya maka wajib dia bertayammum sebelum menyapu kepalanya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada keseluruhan kepalanya maka wajib dia bertayammum sebelum membasuh kedua-dua kakinya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada kakinya maka wajib dia bertayammum selepas menyapu kepalanya dengan air.
Sebagai contoh, jika keseluruhan kepala sakit maka diwajibkan tayammum sebagai ganti menyapu kepala yang sakit itu. Oleh itu, apabila berwudhu’ hendaklah terlebih dahulu membasuh muka dan kedua tangan dengan air. Kemudian barulah bertayammum sebagai ganti menyapu kepala yang sakit. Selepas itu membasuh kedua kaki dengan air.
Berbilang-bilang anggota wudhu’ yang sakit
Jika terdapat beberapa anggota wudhu’ yang tidak boleh terkena air maka bilangan tayammum yang wajib dilakukan adalah mengikut bilangan anggota wudhu’ yang sakit itu melainkan beberapa perkara yang akan dijelaskan kemudian iaitu keseluruhan anggota wudhu’ sakit dan berturut-turut atau kesemua anggota wudhu’ keseluruhannya sakit. Jika terdapat dua anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak dua kali dan jika terdapat tiga anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak tiga kali dan jika terdapat empat anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak empat kali. Dalam perkara ini disyaratkan juga melakukan tayammum itu apabila tiba waktu giliran membasuh anggota yang sakit itu kerana menjaga tertib wudhu’.
Sebagai contoh, jika sebahagian muka, sebahagian tangan, keseluruhan kepala dan sebahagian kaki yang sakit maka diwajibkan empat kali tayammum. Oleh itu, apabila berwudhu’ hendaklah bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian muka yang sakit itu kemudian membasuh muka yang sihat dengan air. Selepas itu, bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian tangan yang sakit kemudian membasuh sebahagian tangan yang sihat. Selepas itu lagi, bertayammum sebagai ganti menyapu keseluruhan kepala yang sakit. Kemudian bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian kaki yang sakit lalu membasuh kaki yang sihat dengan air.
Anggota wudhu’ yang berturut-turut keseluruhannya sakit
Jika anggota wudhu’ yang berturut-turut itu keseluruhannya sakit seperti keseluruhan muka dan keseluruhan kedua tangan sakit, maka memadailah sekali tayammum bagi kedua-dua anggota tersebut kerana tuntutan tertib bagi muka dan kedua-dua tangan itu tidak lagi wajib disebabkan tuntutan membasuh keduanya dengan air tidak lagi dituntut. Demikian juga, jika keseluruhan kedua-dua tangan, keseluruhan kepala dan keseluruhan kedua-dua kaki sakit maka memadailah sekali tayammum bagi ketiga-tiga anggota tersebut.
Sebagai contoh, jika keseluruhan kedua-dua tangan, keseluruhan kepala dan keseluruhan kedua-dua kaki sakit maka diwajibkan sekali tayammum. Oleh itu, apabila berwudhu’, pertama sekali basuhlah muka dengan air. Kemudian bertayammum sekali sahaja sebagai ganti membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua-dua kaki.
Ini berbeza keadaannya jika anggota-anggota wudhu’ yang sakit itu tidak berturut-turut atau tidak menyeluruh sakitnya. Sebagai contoh, keseluruhan muka dan keseluruhan kepala sakit, diwajibkan dua kali tayammum kerana kedudukan anggota muka dan kepala itu tidak berturut-turut. Contoh yang lain lagi, keseluruhan muka dan sebahagian tangan sakit, diwajibkan juga dua kali tayammum walaupun kedudukan anggota muka dan tangan itu berturut-turut akan tetapi anggota tangan tidak keseluruhannya sakit.
Anggota tangan kanan dan kiri itu umpama satu anggota wudhu’. Jika sebahagian tangan kanan sakit dan sebahagian tangan kiri sakit maka memadai sekali tayammum bagi anggota tangan kanan dan kiri itu. Demikian juga anggota kaki kanan dan kiri umpama satu anggota wudhu’. Walau bagaimanapun sunat dijadikan setiap anggota kanan dan kiri itu sebagai satu anggota wudhu’. Jika sebahagian tangan kanan sakit dan sebahagian tangan kiri sakit maka sunat bertayammum sebanyak dua kali. Sekali bagi anggota sebelah kanan dan sekali lagi bagi anggota sebelah kiri.
Adapun jika kesemua anggota wudhu’ iaitu muka, kedua-dua tangan, kepala dan kedua-dua kaki keseluruhannya sakit maka memadai sekali tayammum sahaja sebagai ganti membasuh kesemua anggota tersebut. Ini kerana tuntutan tertib bagi kesemua anggota itu tidak lagi wajib disebabkan tuntutan membasuh kesemuanya dengan air tidak lagi dituntut.
Demikian penjelasan mengenai kewajipan menjaga tertib wudhu’ apabila melakukan tayammum bagi anggota wudhu’ yang tidak boleh terkena air. Perkara ini perlu diketahui dan diambil perhatian terutama sekali bagi mereka yang mengalami sakit pada anggota wudhu’nya sehingga mewajibkannya untuk bertayammum sebagai ganti.
MANA YANG LEBIH UTAMA, MENANTI AIR ATAU BERTAYAMMUM?
Islam telah mensyariatkan tayammum sebagai rukhshah (keringanan) dan pengganti bagi wudhu’ apabila timbul keuzuran yang menghalang kita dari berwudhu’ seperti ketiadaan air atau sakit yang tidak membolehkan kita untuk menggunakan air. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika kamu sakit (yang tidak boleh terkena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu’ atau mandi), maka bertayammumlah dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua-dua tangan kamu (hingga ke siku) dengannya. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Kesukaran-kesukaran yang dihadapi ketika sakit, musafir dan sebagainya bukanlah menjadi halangan atau alasan untuk tidak mengerjakan sembahyang. Islam sebagai agama yang syumûl telah menyediakan garis panduan terhadap kesukaran-kesukaran tersebut dengan memberikan rukhshah agar sembahyang itu masih tetap dikerjakan.
Namun adakah seseorang itu diwajibkan untuk terus bertayammum dalam keadaannya tidak menemui air? Apa hukumnya kalau seseorang itu yakin akan ada semula air tersebut di akhir waktu sembahyang? Bagaimana pula kalau seseorang itu yakin dan tahu akan kewujudan air di tempat yang lain, seperti tempat yang jauh sedikit daripada tempat kediamannya?
Maksud Ketiadaan Air
Ketiadaan air itu boleh terjadi dalam dua keadaan:
1. Ketiadaan air secara hissiy (حِسِيٌّ):
Keadaan ini berlaku apabila pada asalnya tidak ditemukan air, atau terdapat keuzuran yang menghalang daripada sampai kepada air dan menggunakannya. Sebagai contoh, seseorang menemui air di suatu tempat namun terdapat halangan di antaranya dengan air tersebut seperti binatang buas. Dalam hal ini, tayammum adalah dibolehkan.
2. Ketiadaan air secara syar‘i (شَرْعِيٌّ):
Keadaan ini berlaku apabila seseorang itu menemui air, dia mampu untuk sampai kepada air itu dan menggunakannya, akan tetapi syara‘ melarangnya daripada menggunakan air tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang dalam pelayaran menemui air musabbal, iaitu air yang diwaqafkan khusus untuk minum sahaja (sepertimana berlaku dalam beberapa buah tempat di negara lain), maka baginya untuk bertayammum. Walau bagaimanapun dia tidak boleh menggunakan air musabbal itu untuk berwudhu’ kerana air itu dibataskan oleh pewaqafnya untuk minum sahaja. Contoh lain bagi ketiadaan air secara syar‘i ialah apabila seseorang dalam pelayaran takut akan keselamatan diri dan harta bendanya ketika mencari air, atau yakin dengan kejauhan air tersebut. Dalam semua hal ini, dibolehkan untuk bertayammum kerana telah tercapai sebab ketiadaan air itu.
Tidak Sah Tayammum Kecuali Selepas Mencari Air
Al-Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al- Muhadzdzab:
Ertinya: Dan tidak boleh bagi orang yang ketiadaan air itu untuk bertayammum kecuali selepas mencari air, berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla: “…lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu’ atau mandi), maka bertayammumlah…” [Surah an-Nisâ: 43], dan tidak dikatakan tidak memperolehi air itu kecuali selepas mencari air, dan kerana sesungguhnya tayammum itu pengganti (bagi wudhu’) yang hanya dibolehkan ketika tiada yang digantikan itu, maka tidaklah boleh melakukan tayammum itu kecuali setelah tsabit ketiadaan air.
Tayammum Jika Yakin Tidak akan Mendapati Air di Sekelilingnya
Apabila seorang musafir atau seorang yang menetap di suatu tempat yakin bahawa tidak ada air di sekelilingnya, maka dia dibolehkan untuk bertayammum tanpa mencari air, seperti dalam keadaan apabila pada masa itu dia berada di padang pasir. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: (Maka jika seorang musafir itu yakin) atau seorang yang bermukim... (ketiadaannya) iaitu ketiadaan air di sekelilingnya, (bertayammum dia tanpa mencari)... kerana mencari sesuatu yang diketahui ketiadaannya adalah sia-sia seperti apabila dia berada di sebahagian padang pasir.
Tidak Sah Mencari Air Kecuali Setelah Masuk Waktu Sembahyang
Disyaratkan dalam pencarian air itu, hendaklah setelah masuk waktu sembahyang. Maka tidak sah mencari air itu kecuali setelah masuk waktu sembahyang sepertimana yang dikatakan oleh al-Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan tidak sah mencari air kecuali setelah masuk waktu sembahyang, kerana sesungguhnya pencarian air itu adalah untuk mentsabitkan syarat sah tayammum, iaitu ketiadaan air, maka tidak boleh (mencari air untuk bertayammum) pada waktu yang tidak dibolehkan baginya untuk mengerjakan tayammum (di luar waktu sembahyang)
Bila Ketikanya Menanti Air Lebih Utama daripada Bertayammum?
Jika seseorang telah mencari air di awal waktu dan dia tidak berjaya memperolehi air, maka dalam keadaan ini dia sudah dibolehkan untuk bertayammum. Namun apabila dia yakin bahawa dia akan mendapati air atau yakin akan sampai air itu kepadanya di akhir waktu sembahyang (iaitu waktu yang cukup baginya untuk bersuci dan bersembahyang), maka menunggu air itu adalah lebih utama baginya.
Berlainan halnya, jika dia yakin air itu akan sampai ke rumahnya di akhir waktu, dan dia masih tetap berada di rumahnya dari awal waktu, maka wajib baginya menanti air.
Bila Ketikanya Bertayammum Lebih Utama daripada Menanti Air?
Jika seseorang itu pula telah mencari air dan dia tidak berjaya memperolehi air (dan dalam keadaan ini dia sudah dibolehkan untuk bertayammum), dan dia tidak yakin akan mendapati air di akhir waktu sembahyang, maka bertayammum itu adalah lebih utama baginya daripada menanti air.
Begitu juga keadaannya jika dia dapat mengerjakan sembahyang berjemaah di awal waktu, sedangkan jika dia melambatkan sembahyangnya dan dia akan mengerjakannya seorang diri (munfarid), maka disunatkan baginya mengerjakan sembahyang dengan bertayammum di awal waktu bagi meraih fadhilat berjemaah.
Mengerjakan Sembahyang di Awal Waktu dengan Tayammum, dan di Akhir Waktu dengan Wudhu’
Apa yang diterangkan sebelum ini adalah jika seseorang itu hanya ingin membataskan mengerjakan satu kali sembahyang sahaja. Namun jika setelah mencari air dan gagal mencarinya, lalu dia bersembahyang dengan tayammum di awal waktu, lalu setelah mendapati air sebelum luput waktu sembahyang tersebut dia mengerjakan sembahyang di akhir waktu dengan wudhu’, maka perbuatan sembahyangnya dengan wudhu’ itu adalah afdhal baginya kerana dia akan mendapat fadhilat mengerjakan sembahyang di awal waktu dan juga fadhilat mengulangi sembahyangnya.
Penutup
Sebagai kesimpulan, sembahyang tetap wajib dilakukan dalam apa jua keadaan dan sentiasa terus beristiqâmah dalam mengerjakannya dengan sebaik-baik keadaan. Jika kita tidak mendapati air untuk berwudhu’, eloklah kita mencari air terlebih dahulu dan jika diyakini tiada air di sekelilingnya, maka kita dibolehkan bertayammum tanpa mencari air.
Jika seseorang itu telah mencari air namun tidak menjumpainya dan dia yakin akan mendapatkan air di akhir waktu, maka menanti air adalah afdhal baginya, kerana sembahyang yang dikerjakan dengan wudhu’ itu adalah afdhal daripada sembahyang yang dikerjakan dengan tayammum, meskipun ia dikerjakan di akhir waktu.
Jika seseorang itu pula ragu akan mendapatkan air di akhir waktu, maka dia bolehlah menyegerakan tayammum dan mengerjakan sembahyang dengan tayammum itu. Begitu juga jika dia ingin meraih fadhilat berjemaah di awal waktu atau meraih fadhilat mengerjakan sembahyang di awal waktu, maka adalah afdhal baginya menyegerakan tayammum.
Namun jika seseorang itu mengerjakan sembahyang dengan tayammum di awal waktu, lalu setelah mendapati air sebelum luput waktu sembahyang tersebut dia mengulangi sembahyang di akhir waktu dengan wudhu’, maka inilah yang paling afdhal baginya kerana sembahyang yang diulanginya itu tetap akan diberikan ganjaran oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
SUNNAH MENJAGA WUDHU’
Menjaga wudhu’ adalah salah satu sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi was allam, dan hukum menjaga wudhu’ adalah sunat. Sunnah menjaga wudhu’ ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Istiqâmahlah kamu (dalam melakukan sesuatu amal ibadat) dan kamu tidak akan mampu (untuk beristiqâmah kerana kepayahannya), dan ketahuilah oleh kamu bahawa sesungguhnya sebaik-baik amalan kamu adalah sembahyang dan tidak ada yang dapat memelihara (menjaga) wudhu’ kecuali orang yang beriman. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits ini pada dasarnya menggalakkan kita untuk sentiasa beristiqâmah dalam melakukan apa jua amalan, walaupun pada hakikatnya kita tidak akan mampu untuk istiqâmah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seterusnya menerangkan bahawa sebaik-baik amalan itu ialah sembahyang.
As-Sindi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika menerangkan hadits ini berkata bahawa jika kita tidak mampu untuk beristiqâmah dalam sesuatu amalan, maka hendaklah kita istiqâmah dalam melakukan sembahyang, kerana dalam sembahyang itu terdapat berbagai jenis ibadat, seperti bacaan-bacaan al-Qur’an, tasbîh, tahlîl dan menahan diri daripada bercakap (ketika bersembahyang).
Menjaga wudhu’ yang dimaksudkan di dalam hadits tersebut ialah memelihara wudhu’ pada waktu-waktu sembahyang atau sentiasa mengamalkan untuk berada dalam keadaan berwudhu’. wudhu’ adalah permulaan bagi ibadat sembahyang.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengaitkan orang yang menjaga wudhu’ dengan orang yang beriman seperti dalam hadits di atas kerana wudhu’ itu sendiri adalah sebahagian daripada iman.
Menyentuh mengenai menjaga wudhu’, apakah fadhilat daripada menjaga wudhu’ itu? Perlukah untuk berwudhu’ setiap kali wudhu’ terbatal walaupun belum masuk waktu sembahyang?
Orang yang Berwudhu’ adalah Orang yang Suci, dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Mencintai Orang-Orang yang Suci
Berwudhu’ adalah satu amalan menyucikan diri daripada hadats kecil. Bersuci pula merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat mencintai dan mengasihi hamba-hambaNya yang bertaubat dan suka menyucikan diri sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222) Orang yang banyak bertaubat adalah orang yang menyucikan dirinya daripada dosa-dosa. Manakala orang yang sentiasa menyucikan diri adalah mereka yang menjaga keadaan mereka daripada kekotoran, sentiasa membersihkan diri, dan sentiasa berada dalam keadaan yang suci daripada hadats besar dan hadats kecil. Mereka inilah orang-orang yang dikasihi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh itu, orang yang sentiasa menjaga wudhu’ adalah orang yang sentiasa menyucikan dirinya daripada hadats kecil dan mereka ini termasuk juga di bawah golongan yang dikasihi oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Disunatkan Berwudhu’ Sebelum Tidur
Salah satu sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang selalu dipandang ringan ialah tidur dalam keadaan berwudhu’. Sunnah berwudhu’ sebelum tidur ini adalah sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Apabila engkau hendak tidur, berwudhu’lah sebagaimana wudhu’mu ketika hendak sembahyang. Kemudian berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu dan bacalah (maksudnya):“Ya Allah, aku serahkan diriku kepadaMu, aku pasrahkan urusanku kepadaMu dan aku sandarkan belakangku kepadaMu dengan rasa suka dan takut kepadaMu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukumanMu kecuali kepadaMu. Aku beriman kepada kitabMu yang telah Engkau turunkan dan kepada nabiMu yang telah Engkau utus.” Maka, jika engkau mati (dalam keadaan tersebut), engkau mati dalam keadaan fitrah. Maka jadikanlah ia sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas memberi petunjuk kepada kita tentang adab dan sunnah ketika hendak tidur, sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Aantara adab atau sunnah tersebut adalah berwudhu’ sebelum tidur.
Wudhu’ yang tersebut di dalam hadits di atas dianjurkan bagi mereka yang belum dalam keadaan berwudhu’ ketika hendak tidur. Manakala bagi mereka yang masih dalam keadaan berwudhu’ pada waktu itu, tidaklah perlu lagi untuk mengambil wudhu’ yang baharu.
Menyentuh mengenai kelebihan tidur dalam keadaan berwudhu’, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh Ta‘âlâ ketika mensyarahkan hadits di atas berkata:
Ertinya: Dan baginya (berwudhu’ sebelum tidur) banyak faedah: Antaranya tidur dalam keadaan suci supaya apabila kematian menjemputnya, maka dia akan berada dalam keadaan yang sempurna (kerana kesuciannya). (Daripada hadits ini) dapat difahami bahawa sunat bagi kita mempersiapkan diri untuk kematian dengan (sentiasa) menyucikan hati, kerana ia adalah lebih utama daripada menyucikan badan.
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh Ta‘âlâ juga ada menerangkan sunnah-sunnah penting ketika mensyarahkan sebuah hadits yang sama seperti di atas daripada Shahîh Muslim, yang berbeza dari segi sanadnya iaitu diriwayatkan daripada Jarir Radhiallâhu ‘anhu:
Ertinya: Dan dalam hadits ini terdapat tiga sunnah yang penting dan sangat digalakkan, (namun) bukan wajib, iaitu:
Pertama; Berwudhu’ ketika hendak tidur. Jika pada ketika itu dia masih dalam keadaan berwudhu’ maka memadailah wudhu’nya itu (tidak perlu untuk berwudhu’ lagi). Sebab, yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah tidur dalam keadaan suci, kerana ditakuti seseorang itu kematiannya datang ketika dia sedang tidur, dan (dengan wudhu’ itu) akan lebih membenarkan mimpinya, dan dapat menjauhkan dirinya daripada dipermainkan oleh syaitan dalam tidurnya, dan menjauhkan dirinya daripada perbuatan syaitan yang menakut-nakutkannya.
Kedua; Tidur di atas rusuk sebelah kanan, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam suka mendahulukan sebelah kanan, dan kerana ia (tidur atas rusuk sebelah kanan) lebih cepat untuk bangun (dari tidur).
Ketiga; Mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya ia menjadi penutup amalannya.
Daripada hadits tersebut, dapat disimpulkan bahawa kelebihan berwudhu’ sebelum tidur itu adalah seperti berikut:
1. Sebagai persiapan untuk kematian dengan menyucikan diri dan hati. 2. Dikurniakan mimpi yang benar dan bukan daripada mainan syaitan. 3. Mendapat perlindungan supaya dijauhkan daripada syaitan. 4. Mententeramkan diri.
Begitulah antara kelebihan tidur dalam keadaan berwudhu’. Sepertimana kita dianjurkan untuk berwudhu’ ketika hendak tidur, maka memelihara wudhu’ dan menjaganya ketika jaga juga adalah dianjurkan oleh syara‘.
Membaca Al-Qur’an Dalam Keadaan Berwudhu’ adalah Adab yang Mulia
Membaca al-Qur’an adalah satu amalan yang sunat dilakukan bagi setiap orang Islam dan setiap peringkat umur. Setiap ayat, bahkan setiap huruf yang kita baca sudah pasti akan dibalas oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sebaik-baik ganjaran.
Membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil adalah dibolehkan dan tidak berdosa dengan ijmâ‘ para Muslimin, akan tetapi membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu’ hukumnya adalah sunat dan ia merupakan satu adab ketika membaca al-Qur’an.
Adapun membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats besar, hukumnya adalah haram walaupun hanya satu ayat.
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya at-Tibyân fi Adab Hamlah al-Qur’ân telah menerangkan mengenai adab membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu’ di bawah bab Adab al-Qur’an. Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Disunatkan seseorang itu membaca (al-Qur’an) dalam keadaan dia suci, jika dia membaca dalam keadaan berhadats kecil, ia dibolehkan dengan ijmâ‘ para Muslimin, dan hadits-hadits mengenainya (membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil) banyak dan sudah diketahui. Imam al-Haramain berkata: “Dan tidaklah dia (ketika membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil) dikatakan telah membuat sesuatu yang makruh, bahkan dia hanya meninggalkan sesuatu yang afdhal (iaitu membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu’), jika dia tidak mendapati air (untuk berwudhu’), maka bolehlah dia bertayammum.”
Selain daripada membaca al-Qur’an, terdapat banyak lagi amalan-amalan yang disunatkan melakukannya dalam keadaan berwudhu’, namun tidak mengapa jika melakukannya dalam keadaan tidak berwudhu’. Amalan-amalan tersebut adalah seperti memasuki masjid dan duduk beri‘tikâf di dalamnya, mempelajari sesuatu ilmu atau menghadiri suatu majlis ilmu, mempelajari hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan meriwayatkannya, melaungkan azan, sa‘i di antara Shafa dan Marwah, wuquf di ‘Arafah dan menziarahi maqam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Tambahan lagi, amalan membaca al-Qur’an adalah satu bentuk zikir, hatta membaca al-Qur’an itu sendiri dikatakan sebagai zikir yang paling afdhal dilakukan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri tidak suka untuk berzikir dalam keadaan berhadats walaupun Baginda membolehkannya.
Diriwayatkan daripada al-Muhajir bin Qunfudz Radhiallâhu ‘anhu, sesungguhnya beliau pernah menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan Baginda (pada ketika itu) sedang membuang air kecil, maka beliau mengucapkan salam ke atas Baginda, namun Baginda tidak menjawab salamnya sehinggalah Baginda berwudhu’, kemudian Baginda meminta maaf seraya bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya saya tidak suka menyebut nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ (berzikir kepadaNya) kecuali dalam keadaan yang suci (daripada hadats), atau Baginda bersabda, “dalam keadaan yang bersih”. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas daripada hadits di atas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lebih suka untuk menjawab salam ketika Baginda dalam keadaan yang suci. Baginda tidak menjawab salam semasa membuang air kecil atau sebelum berwudhu’ kerana Baginda menginginkan yang lebih mulia, iaitu menjawabnya dalam keadaan yang suci daripada hadats dan kotoran.
Membaca al-Qur’an atau berzikir secara umumnya adalah sunat dan lebih afdhal diamalkan dalam keadaan yang sempurna, iaitu suci daripada hadats kecil dan besar, dan mulut yang bersih daripada segala kotoran.
Terus Berwudhu’ Setelah Berhadats
Satu sikap yang hebat yang perlu dicontohi ialah sikap yang sentiasa dipraktikkan oleh Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu iaitu sikap sentiasa memelihara wudhu’ dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu’. Menurut satu riwayat daripada ‘Abdullah bin Buraidah daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhumâ telah meriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memanggil Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai Bilal, dengan amalan apa engkau dapat mendahuluiku di Syurga? Sesungguhnya aku telah memasuki Syurga kelmarin, maka aku telah mendengar bunyi tapak sandalmu di depanku.
Maka Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu menjawab memberitahu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam amalan yang dilakukannya:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, tidaklah aku melaungkan azan kecuali setelah itu aku sembahyang sunat dua rakaat, dan tidaklah aku ditimpa hadats kecuali setelah itu aku terus berwudhu’ dan aku berpendapat sesungguhnya Allah telah menetapkan ke atasku sembahyang sunat dua rakaat (lalu aku pun sembahyang sunat dua rakaat kerana wudhu’ tersebut). Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkata: “Dengan dua ini”. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut al-Imam al-Hafizh al-Mubarakfuri Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mensyarahkan hadits ini, amalan yang menyebabkan Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu dapat mendahului Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memasuki syurga adalah kerana salah satu daripada tiga amalan tersebut:
1. Memelihara wudhu’, dan terus mengambil wudhu’ jika terbatal dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu’. (Ini yang lebih diterima oleh al- Imam al-Hafizh al-Mubarakfuri Rahimahullahu Ta‘âlâ) 2. Sembahyang sunat selepas azan dan sembahyang sunat wudhu’. 3. Sembahyang sunat selepas azan, memelihara wudhu’, dan terus mengambil wudhu’ jika terbatal dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu’.
Adapun maksud hadits bahawa Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu mendahului Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memasuki syurga bukanlah dari segi zahirnya. Ini adalah kerana Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu adalah khadam atau pembantu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Pada kebiasaannya di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, khadam selalu berjalan di hadapan tuannya.
Hadits ini juga menerangkan tentang kelebihan amalan Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu, sehingga dengan amalan tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mimpinya telah dapat mendengar pergerakan sandal Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhu di dalam syurga. Mimpi para Nabi pula adalah wahyu dan benar. Adapun kenyataan Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memasuki syurga adalah bermaksud ketika Baginda tidur.
Banyak faedah dan pengajaran yang dapat diambil daripada hadits ini, antaranya:
1. Mendirikan sembahyang sunat dua rakaat selepas azan. 2. Memelihara wudhu’ dan menjaganya daripada batal. 3. Bersegera untuk berwudhu’ jika batal wudhu’. 4. Anjuran untuk melakukan sembahyang sunat wudhu’ selepas berwudhu’. 5. Anjuran untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sentiasa dalam keadaan yang suci.
Sebagai kesimpulan, menjaga wudhu’ dan memeliharanya daripada terbatal hukumnya sunat, sehingga sebelum tidur pun kita dianjurkan untuk sentiasa dalam keadaan suci dan berwudhu’. Oleh itu, biasakanlah diri untuk sentiasa dalam keadaan berwudhu’, dan melakukan wudhu’ setiap kali batal, serta mengamalkan sembahyang sunat wudhu’. Tidaklah rugi untuk menjaga wudhu’ itu, malahan amalan tersebut mempunyai kelebihan yang besar. Ini kerana dengan menjaga wudhu’, kita tergolong dalam golongan orang-orang yang suci dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat mencintai orang-orang yang sentiasa dalam keadaan suci.
BATALKAH WUDHU’ MAYAT SUAMI JIKA ISTERI MENCIUMNYA?
Apabila suami atau isteri meninggal dunia ada yang menganggap bahawa jika isteri mencium mayat suaminya setelah dimandikan dan diwudhu’kan akan membatalkan wudhu’ mayat tersebut. Begitu juga sebaliknya jika suami mencium mayat isterinya.
Anggapan wudhu’ mayat terbatal dengan perbuatan isteri mencium mayat suaminya atau sebaliknya mungkin saja timbul daripada fahaman bahawa hukum dalam perkara membatalkan wudhu’ bagi orang sudah meninggal sama seperti wudhu’ orang yang masih hidup. Akan tetapi, apa yang sebenarnya hukum tersebut adalah berbeza.
Oleh itu, ruangan Irsyad Hukum kali ini akan menghuraikan kedudukan hukum isteri mencium mayat suami atau sebaliknya dan hukum wudhu’ di antara kedua-duanya.
Hukum Wudhu’ Mayat
Antara perkara yang dilakukan ketika memandikan mayat ialah mewudhu’kannya sebagaimana wudhu’ orang yang hidup dan salah satu perkara yang membatalkan wudhu’ ialah bersentuhan kulit lelaki dan perempuan ajnabi. Walaupun salah seorang di antara kedua-duanya itu sudah menjadi mayat. Akan tetapi hukum batal wudhu’ itu tidak berlaku ke atas mayat itu. Wudhu’ mayat tidak terbatal sama ada disentuh ataupun selainnya seperti keluar najis selepas dimandikan sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Khathib Asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tidaklah (mayat) menjadi berhadats setelah disentuh dan selainnya kerana gugur taklîf (tanggung jawab agama) daripadanya.
Oleh itu, dalam perkara memandikan mayat, adalah sunat jika suami ingin memandikan mayat isterinya ataupun sebaliknya isteri ingin memandikan mayat suaminya menggunakan sarung tangan supaya tidak bersentuhan kulit antara kedua-duanya ketika memandikan mayat itu. Tujuan menggunakan sarung tangan itu ialah supaya wudhu’ orang yang hidup antara suami atau isteri yang memandikan itu tidak terbatal. Adapun wudhu’ mayat yang dimandikan itu tidak terbatal kerana mayat itu tidak lagi mukallaf.
Hukum Isteri Mencium Mayat Suaminya ataupun Sebaliknya
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mencium mayat saudara sesusuan Baginda iaitu ‘Utsman bin Mazh‘un sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mencium ‘Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia, dan Baginda menangis, atau (‘Abdul Rahman bin Mahdiy salah seorang periwayat hadits) berkata: Kedua-dua matanya menitiskan air mata. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Selain Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, perbuatan mencium mayat ini juga dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas dan ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Bahawa Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu telah mencium Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan Baginda (ketika itu) telah wafat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadits ini maka hukum mencium mayat adalah harus bagi ahli keluarga si mati dan seumpama mereka seperti sahabat-sahabat sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Adalah harus mencium mayat pada wajah mayat tersebut kerana itulah yang wârid. Antara sebab diharuskan mencium mayat adalah kerana mengambil tabarruk dan rasa kasih atau kasihan ke atasnya.
Begitu juga keharusan mencium mayat itu adalah termasuk bagi suami ke atas mayat isterinya, dan juga bagi isteri ke atas mayat suaminya sebagaimana disebutkan oleh asy-Syibramalissi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Nihâyah al- Muhtâj.
Batalkah Wudhu’ Mayat Suami yang Dicium Isterinya ataupun Sebaliknya Mayat Isteri yang Dicium Suaminya?
Berdasarkan penjelasan sebelum ini, adalah jelas bahawa tidak mengapa jika isteri mencium mayat suaminya ataupun suami mencium mayat isterinya kerana perkara mencium mayat itu adalah wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Sementara kedudukan hukum wudhu’ mayat itu pula tidaklah batal walaupun setelah isteri mencium mayat suaminya begitu juga sebaliknya. Hukum batal wudhu’ ini hanyalah berlaku ke atas orang yang masih hidup berdasarkan hukum bersentuhan kulit antara suami dan isteri adalah membatalkan wudhu’. Kedudukan wudhu’ tidak batal ke atas mayat itu adalah kerana hukum agama tidak lagi dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Demikianlah huraian yang berkaitan dengan kedudukan wudhu’ mayat suami setelah isteri menciumnya. Wudhu’ mayat tidaklah terbatal walaupun bersentuhan dengan isteri yang masih hidup kerana mayat itu tidak lagi mukallaf. Akan tetapi wudhu’ isteri terbatal jika bersentuhan dengan mayat suaminya. Malah dalam keadaan tertentu seperti isteri memandikan mayat suami atau sebaliknya suami memandikan mayat isteri disunatkan bagi yang memandikan menggunakan sarung tangan supaya wudhu’ siapa yang memandikan itu tidak batal.
ELAKKAN PERKARA-PERKARA MAKRUH DALAM BERWUDHU’
Wudhu’ merupakan satu ibadat yang sangat tinggi nilai dan peranannya dalam Islam. Ia merupakan kunci bagi ibadat sembahyang. Jika wudhu’ tidak sah, maka sembahyang juga menjadi tidak sah. Tanpa wudhu’ juga thawaf tidak sah dan diharamkan menyentuh al-Qur’an.
Pengetahuan asas tentang tatacara mengerjakan wudhu’ sememangnya tidak menjadi isu bagi seorang Muslim kerana ia merupakan rutin harian yang wajib dikerjakan sekurang-kurangnya lima kali sehari, iaitu ketika hendak mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu. Tambahan lagi, tatacara mengerjakan wudhu’ ini sudah pun diajarkan pada peringkat awal persekolahan lagi sepertimana yang berlaku di negara ini. Walaupun demikian, terdapat beberapa permasalahan khusus mengenai wudhu’ yang mungkin kurang diketahui atau kurang jelas maklumatnya di kalangan sebahagian orang awam. Antaranya ialah mengenai perkara-perkara makruh dalam berwudhu’.
Perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ sangat penting diketahui kerana ia bersangkut paut dengan kesempurnaan tuntutan wudhu’ itu sendiri. Jika perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ itu dilakukan, walaupun wudhu’nya tetap sah, ia dinilai kurang sempurna dan akan kerugian pahala.
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ adalah seperti berikut:
(1) Membazir air dan berlebih-lebihan dalam menggunakannya ketika berwudhu’.
Ini dengan menggunakan air melebihi daripada kadar yang mencukupi bagi memenuhi tuntutan wajib dan sunat dalam berwudhu’.
Ulama sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika itu air banyak dan mudah diperolehi. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, pendapat yang azhhar mengenai hukum tegahan ini adalah makruh.
Bagaimanapun, tegahan ini tidak boleh sekali-kali diambil ringan kerana sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘i, antaranya Imam al-Baghawi dan Imam al-Mutawalli Rahimahullâh menghukumkannya sebagai haram.
Dalam perkara menjimatkan air ketika berwudhu’ ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan ikutan terbaik. Menurut perkhabaran riwayat-riwayat hadits, kadar air wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabat Baginda adalah satu mud atau dua pertiga mud sahaja.
Adapun kadar satu mud itu adalah satu perempat shâ‘. Menurut pendapat yang masyhûr dan tepat, ini bersamaan dengan satu satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi. Kadar berkenaan adalah lebih kurang sekitar 0.567 hingga 0.7 liter atau 567 hingga 700 mililiter.
Sungguhpun demikian, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, tidaklah disyaratkan kadar tertentu dalam penggunaan air ketika berwudhu’. Selagimana ia adalah kadar yang mencukupi bagi setiap anggota, maka yang demikian itu adalah memadai walau berapa pun kadarnya.
Ini bermaksud ia tertakluk kepada keadaan fizikal tubuh badan masing-masing, sama ada kadar air yang mencukupi itu adalah satu mud atau kurang daripada satu mud. Bahkan tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu lebih daripada kadar satu mud, selagimana kadar lebih daripada satu mud itu tidak membawa kepada pembaziran. Begitu juga tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu kurang daripada kadar satu mud, selagimana kadar kurang daripada satu mud itu tidak menyebabkan tidak tertunai tuntutan wajib.
(2) Mendahulukan membasuh anggota yang kiri daripada kanan ketika membasuh kedua-dua tangan hingga siku atau ketika membasuh kedua-dua kaki. Begitu juga makruh hukumnya membasuh kedua-dua tangan hingga siku atau kedua-dua kaki secara serentak di antara anggota kanan dan kiri.
Ini kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta anjuran umum supaya mendahulukan anggota-anggota kanan (at-tayammun) dalam semua perkara yang baik-baik.
‘Aishah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu menggemari at-tayammun (mendahulukan anggota yang kanan) ketika memakai sandal dan ketika menyikat rambut dan ketika dia bersuci, (serta) dalam segenap urusannya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, at-tayammun ini merupakan satu kaedah umum yang dituntut ketika mengerjakan perkara-perkara baik dan mulia seperti ketika memakai pakaian, memakai kasut, masuk masjid, keluar tandas, memotong kuku, memberi salam ketika sembahyang dan sebagainya.
Adapun dalam perkara-perkara yang sebaliknya, iaitu perkara-perkara yang tidak dinilai sebagai perkara-perkara yang mulia, seperti memasuki tandas, keluar dari masjid, istinjâ’, membuka pakaian, membuka kasut dan sebagainya pula disunatkan at-tayassur iaitu mendahulukan yang kiri.
Sepertimana yang disebutkan tadi bahawa dalam berwudhu’, tegahan ini khusus ketika membasuh kedua-dua tangan hingga siku serta kedua-dua kaki sahaja. Adapun ketika membasuh anggota lain seperti kedua-dua telinga misalnya, tidak disunatkan at-tayammun bahkan dituntut untuk membasuhnya secara serentak.
(3) Membasuh atau mengusap anggota wudhu’ melebihi daripada tiga kali atau mengurangi daripada kadar tersebut secara yakin dan sengaja.
Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali. Maka menyalahi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dianggap menyalahi sunnah.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr bin al- ‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengambil air wudhu’ secara tiga-tiga kali, Baginda lalu bersabda:
Maksudnya: Beginilah cara berwudhu’ (secara tiga-tiga kali). Barang siapa yang menambah atau mengurangi daripada kadar ini, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan dan aniaya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun perbuatan ini dilarang dan dianggap berbuat kesalahan dan aniaya ialah kerana perbuatan tersebut menyalahi yang lebih utama serta menyalahi sunnah yang telah dicontohkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Walau bagaimanapun, tuntutan mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali ini perlu ditinggalkan sekiranya terdapat keuzuran. Contohnya, waktu sembahyang hampir habis di mana jika dia mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali dia akan terluput sembahyang fardhu, atau air hanya cukup untuk mengerjakan tuntutan fardhu wudhu’ sahaja, atau dia akan terlepas sembahyang jemaah jika dia mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali. Maka dalam hal ini tidak makruh dia mengurangi daripada tiga kali.
(4) Meminta bantuan daripada orang lain untuk membasuh anggota wudhu’nya tanpa apa-apa keuzuran seperti sakit dan seumpamanya.
Ini kerana perbuatan seumpama itu merupakan salah satu bentuk takabbur yang bertentangan dengan konsep serta ruh peribadatan.
Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Khathib asy-Syarbini dan lainnya, meminta bantuan daripada seseorang untuk mengambilkan air ataupun untuk menuangkan air ke anggota wudhu’ tidak dihukumkan makruh. Adapun yang dimakruhkan adalah meminta bantuan daripada orang lain untuk membasuhkan anggota wudhu’nya sahaja.
(5) Berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung bagi orang yang sedang berpuasa.
Ini kerana perbuatan tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan batal puasa sekiranya air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung.
Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
(6) Tidak menyelati janggut yang tebal.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam al-Minhâj al-Qawîm, bagi orang yang sedang berihram, hendaklah dia melakukannya dengan lembut dan perlahan bagi mengelakkan bulu janggutnya gugur.
Demikian penjelasan mengenai perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berwudhu’. Apa yang perlu ditekankan di sini, sebagai seorang Muslim yang bertaqwa dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa berusaha untuk mengamalkan dan menghidupkan sunnah serta ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berwudhu’ ini sewajarnya dielakkan. Ini kerana dengan melakukannya, wudhu’ kita menjadi kurang sempurna dan kita akan kekurangan pahala sedangkan untuk meraih kesempuraan wudhu’ itu bukanlah satu perkara yang susah. Maka sayugia jangan dipandang ringan perkara ini dan kerjakanlah wudhu’ dengan sebaik-baiknya.
ORANG JUNUB DAN BERHADATS: Bolehkah Berzikir?
Amalan berzikir adalah amalan yang disukai dan dituntut melakukannya pada setiap keadaan, bahkan sebaliknya kita dilarang lalai dan lupa daripada berzikir. Berzikir merupakan syi‘âr agama dan mempunyai fadhilat yang sangat besar. Antaranya ialah dengan banyak berzikir akan dikurniakan oleh Allah Ta‘ala kedudukan darjat yang lebih utama di sisiNya berbanding dengan orang yang berperang di jalan Allah sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ditanya: “Siapakah hamba yang paling utama darjatnya di sisi Allah pada Hari Kiamat?” Baginda menjawab: “Golongan lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah”. Aku (Abu Sa‘id al-Khudri) lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, (adakah lebih utama) daripada orang yang berperang pada jalan Allah?” Baginda menjawab: “Walaupun dia membunuh orang-orang kafir dan musyrik dengan pedangnya sehingga patah dan mengalirkan darah, nescaya orang-orang yang banyak berzikir itulah yang lebih utama darjat daripadanya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitu juga dalam hadits yang lain disebutkan bahawa berzikir boleh menyucikan hati, mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping boleh meraih keredhaanNya. Disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Darda Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu tentang amalan yang sangat baik bagi kamu, yang sangat bersih di sisi Tuhan kamu, dan boleh menaikkan tahap darjat kamu, dan (amalan itu) lebih baik untuk kamu daripada membelanjakan emas dan perak, dan (lebih baik untuk kamu) daripada kamu berdepan dengan musuh lalu kamu memenggal leher mereka, dan mereka juga memenggal leher kamu?, Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa dia (amalan itu) wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadits riwayat al-Hakim)
Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ menerangkan bahawa maksud mengingati Allah sebagaimana disebutkan dalam hadits Abu Darda Radhiallâhu ‘anhu itu ialah zikir yang sempurna yang menggabungkan zikir dengan lisan dan zikir dengan hati iaitu memikirkan maksud zikir di samping menghadirkan kesedaran hati akan kebesaran Allah Ta‘ala. Sesiapa yang berzikir sebegini adalah lebih afdhal daripada berjihâd membunuh orang kafir (musuh) yang memerangi kita.
Kelebihan berjihâd tanpa menghadirkan kesedaran hati dinisbahkan hanya seperti zikir dengan lidah sahaja. Maka apapun amalan seperti sembahyang, puasa, sedekah ataupun berjihâd memerangi orang kafir, yang meliputi bukan sahaja zikir dengan lidah tetapi dalam masa yang sama hati juga mengenang akan kebesaran Allah Ta‘ala adalah mencapai tahap kemuncak zikir.
Oleh itu, janganlah dilepaskan peluang berzikir memandangkan fadhilatnya yang sangat besar sebagaimana disebutkan sebelum ini. Akan tetapi, timbul persoalan bagaimana pula berzikir bagi orang yang sedang dalam keadaan junub dan berhadats. Adakah boleh orang yang sedang dalam keadaan junub atau berhadats itu berzikir?
Berzikir Ketika Junub dan Berhadats
Berzikir boleh dilakukan dalam setiap keadaan melainkan dalam waktu-waktu tertentu yang dikecualikan berzikir seperti ketika duduk qadha’ hajat ataupun ketika khathib sedang berkhutbah.
Antara adab berzikir pula ialah orang yang berzikir itu adalah dituntut dalam keadaan suci daripada hadats. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Muhajir bin Qunfuz bahawa dia telah memberi salam kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam setelah Nabi membuang air kecil. Akan tetapi Nabi tidak menjawabnya melainkan setelah berwudhu’, Baginda pun bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak suka mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (berzikir) melainkan dalam keadaan suci. (Hadits riwayat al-Hakim)
Hadits ini menunjukkan bahawa berzikir adalah afdhal dalam keadaan suci daripada hadats umpamanya dengan berwudhu’. Namun suci daripada hadats ini bukanlah sebagai syarat untuk seseorang itu boleh berzikir kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga berzikir pada setiap keadaan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengingati Allah (berzikir) pada setiap keadaannya. (Hadits riwayat Muslim)
Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa orang yang dalam keadaan berhadats, junub, haidh dan nifâs adalah harus membaca zikir seperti tasbîh, tahlîl, tahmîd, takbîr, selawat dan do‘a. Sama ada dengan hati ataupun dengan lidah sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Adzkâr susunan Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ.
Jenis-jenis Zikir
Secara umumnya zikir terbahagi kepada dua iaitu: Zikir yang ma’tsûr dan zikir yang tidak ma’tsûr. Zikir ma’tsûr itu ialah zikir yang diajarkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam antaranya ialah seperti takbîr, tahlîl, tahmîd, tasbîh, hauqalah (ال حول وال قوة إال َبهلل), selawat. Sementara zikir yang tidak ma’tsûr pula ialah zikir yang bukan diajarkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam namun mengandungi puji-pujian kepada Allah Ta‘ala jua seperti zikir muthlaq. Walaupun boleh beramal dengan zikir yang tidak ma’tsûr namun adalah afdhal beramal dengan zikir-zikir yang ma’tsûr.
Membaca al-Qur’an Haram bagi Orang Junub dan Haidh
Adalah dikecualikan daripada keharusan berzikir bukan dalam keadaan suci itu membaca al-Qur’an. Ini kerana orang haidh dan orang yang junub adalah haram membaca al-Qur’an. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan perempuan yang haidh dan orang yang junub membaca sesuatu ayat daripada al-Qur’an. ( Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang dalam keadaan berhadats, junub, haidh dan nifâs haram hukumnya ke atas mereka membaca al-Qur’an walaupun sedikit umpamanya beberapa ayat. Walaupun ayat al-Qur’an itu terdapat dalam kitab-kitab fiqh dengan tujuan menjadikan al-Qur’an itu sebagai sandaran dalil.
Membaca al-Qur’an dengan Niat Zikir
Sungguhpun demikian, orang yang berhadats, junub, haidh dan nifâs, walaupun tidak boleh membaca al-Qur’an tetapi adakalanya dibolehkan membaca al-Qur’an dalam keadaan-keadaan tertentu dengan meniatkan membacanya bukan sebagai ayat al-Qur’an tetapi sebagai zikir. Ini kerana orang yang dalam keadaan berhadats, junub, haidh dan nifâs adalah diharuskan berzikir sama ada dengan hati ataupun dengan lidah sebagaimana disebutkan sebelum ini. Antara contoh-contoh membaca ayat al-Qur’an dengan niat zikir: 1. Ketika mendengar atau menghadapi musibah. Harus membaca ketika sedang mendengar atau ditimpa musibah dengan tidak mengqashadkan ayat ini sebagai al-Qur’an:
Tafsirnya: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali. (Surah al-Baqarah: 156) 2. Ketika menaiki kenderaan. Begitu juga ketika membaca do‘a menaiki kenderaan, walaupun daripada ayat al-Qur’an tetapi boleh diniatkan sebagai zikir dan tidak mengqashadkan sebagai al-Qur’an seperti membaca:
Tafsirnya: Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. (Surah az-Zukhruf: 13) 3. Ketika membaca do‘a. Selain daripada itu juga, adalah harus berdo‘a dengan do‘a yang daripada al- Qur’an tetapi dengan niat zikir seperti membaca do‘a:
Tafsirnya: Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka. (Surah al-Baqarah: 201)
Maka begitulah juga apa yang seumpama dengan keadaan hal yang sedemikian. Membaca ayat al-Qur’an dalam keadaan-keadaan seperti itu adalah harus dengan bukan diqashadkan ayat itu sebagai al-Qur’an.
Sebagai kesimpulan bahawa orang yang dalam keadaan junub dan berhadats adalah tidak haram bahkan diharuskan berzikir dalam meraih kelebihan atau fadhilat berzikir itu melainkan membaca al-Qur’an. Ini kerana orang yang junub dan berhadats adalah haram membaca al-Qur’an melainkan jika ayat al-Qur’an itu bertepatan dengan zikir-zikir tertentu maka dibolehkan membacanya dalam keadaan junub atau berhadats namun bukan diqashadkan sebagai al-Qur’an tetapi sebagai zikir.
PEREMPUAN BERISTIHÂDHAH BERSEMBAHYANG FARDHU ‘ISYA’ DAN SUNAT TARAWIH
Menghidupkan malam-malam dalam bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal ibadat adalah sangat dituntut. Antaranya ialah mengerjakan sembahyang sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan lain-lain ibadat. Khusus di bulan Ramadhan, umat Islam dituntut (sunnah mu‘akkadah) mengerjakan sembahyang sunat Tarawih sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Selain kaum lelaki, kaum perempuan juga dilihat tidak ketinggalan dalam turut sama merebut peluang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih yang sangat dituntut ini. Bagi perempuan yang dalam haidh atau nifâs, mereka perlu menunggu sehingga mereka berada dalam keadaan suci untuk dapat mengerjakannya. Keadaan ini agak berbeza dengan perempuan beristihâdhah yang dibolehkan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih.
Perempuan Beristihâdhah Sentiasa dalam Berhadats
Istihâdhah adalah darah penyakit yang keluar dari hujung urat di bawah rahim perempuan, sama ada keluar dengan bersambung (sebelum atau selepas) haidh atau tidak. Setengah ulama berpendapat bahawa istihâdhah adalah darah yang khusus bersambung dengan haidh, manakala yang selainnya dinamakan sebagai darah fasad seperti darah yang keluar daripada perempuan yang belum sampai umur kedatangan haidh (sembilan tahun qamariyyah).
Walau bagaimanapun pendefinisiannya (sama ada khusus bersambung haidh mahupun yang selainnya), hukumnya tetap sama dalam semua keadaan iaitu perempuan yang beristihâdhah adalah sentiasa dalam keadaan berhadats seperti orang yang sentiasa keluar air kencing. Namun situasi ini tidak menghalangnya untuk melakukan sembahyang, puasa dan yang lainnya sebagaimana yang dilarang ke atas perempuan haidh atau nifâs kerana keadaan perempuan yang beristihâdhah adalah dianggap sebagai dharurat.
Perempuan yang beristihâdhah tidak diwajibkan untuk mandi setiap kali hendak menunaikan sembahyang, melainkan hanya pada ketika haidhnya terhenti. Jika dia ingin melaksanakan sembahyang fardhu, wajib baginya membersihkan diri dan berwudhu’ selepas masuk waktu sembahyang. Ini kerana bersucinya dalam keadaan berhadats itu adalah kerana dharurat, maka tidak sah wudhu’nya jika dilakukan sebelum masuk waktu sembahyang kerana ketiadaan dharurat pada ketika itu.
Perempuan Beristihâdhah Bersembahyang Tarawih
Perempuan yang beristihâdhah boleh mengerjakan sembahyang Tarawih dengan jumlah rakaat yang disyariatkan dan boleh secara berjemaah jika dia mahu selama mana wudhu’nya tidak batal.
Perempuan yang beristihâdhah hendaklah mengambil perhatian tentang kesucian dirinya daripada hadats dan kebersihan dirinya daripada najis (dengan menghilangkan najis) sebelum dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan sembahyang sunat rawâtib dan Tarawih. Ini dilakukan sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama mengenai thahârah perempuan istihâdhah yang ingin mendirikan sembahyang. Penjelasannya sebagaimana berikut:
1. Thahârahnya
Setelah masuk waktu sembahyang fardhu ‘Isya’, perempuan yang beristihâdhah hendaklah terlebih dahulu menghilangkan darah dengan membasuh farajnya sebelum berwudhu’. Kemudian menyumbat tempat keluar darah dengan sesuatu seperti kapas untuk menahan najis dari menitis keluar atau mengurangkan darah. Jika sekiranya sumbatan ini masih tidak dapat menahan darah dari menitis keluar, maka hendaklah diikat kain dengan dijadikan cawat bersama sumbatan tersebut. Melakukan cara demikian (menyumbat faraj dan mengikat kain jika darah masih menitis) adalah wajib kecuali bagi perempuan yang berpuasa, maka menyumbat kapas pada tempat keluar darah itu tidak boleh dilakukannya kerana dengan menyumbatkan kapas itu membatalkan puasanya. Begitu juga tidak wajib melakukan sedemikian bagi perempuan yang merasa sakit apabila menyumbat kapas pada tempat keluar darah. Dalam hal ini, pembalut wanita yang luas pemakaiannya pada masa ini hendaklah juga dipastikan tebal dan tidak menitis darah jika cara sedemikian yang ingin digunakan.
Sebaik sahaja dia selesai mengambil langkah membersihkan diri daripada najis dengan membasuh faraj dan meletakkan sesuatu padanya supaya darah tidak menitis, maka hendaklah dia segera berwudhu’.
Jika perempuan yang beristihâdhah hendak mendirikan sembahyang, maka dia hendaklah berniat ketika berwudhu’ dengan niat mengharuskan sembahyang.
Lafaz niat wudhu’ untuk membolehkannya melakukan sembahyang fardhu dan sunat:
Ertinya: Sahaja aku mengambil wudhu’/Sahaja aku mengambil wudhu’ untuk mengharuskan sembahyang/Sahaja aku berniat mengharuskan bagi yang berkehendakkan wudhu’.
Perempuan yang beristihâdhah diwajibkan melakukan wudhu’ secara muwâlâh iaitu melakukan perbuatan wudhu’ dari satu anggota ke anggota wudhu’ yang lain secara berterusan kerana adanya dharurat. Dalam keadaan biasa (tiada dharurat), muwâlâh termasuk antara sunat wudhu’ menurut ulama mazhab Syafi‘i. Namun dalam keadaan waktu yang sempit seperti orang yang ada dharurat, maka muwâlâh adalah diwajibkan sama, sebagai contoh orang yang sentiasa keluar air kencing.
Dalam mazhab Syafi‘i, perempuan yang beristihâdhah hanya boleh bersembahyang satu sembahyang fardhu dengan satu kali wudhu’, sama ada sembahyang fardhu yang dikerjakannya itu tunai atau qadha’. Namun dia diharuskan mengerjakan sembahyang sunat seberapa banyak yang dia mahu dengan wudhu’ tersebut.
2. Sembahyangnya
Perempuan beristihâdhah hendaklah segera melakukan sembahyang sebaik-baik sahaja selesai dia berwudhu‘. Jika dia melengahkannya kerana perkara yang ada hubungkait dengan mashlahah sembahyang seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqâmah, menunggu sembahyang berjemaah, berijtihâd dalam menentukan qiblat, pergi ke masjid, meletakkan sutrah (pembatas) sembahyang, maka harus dia melengahkannya. Manakala jika dia melengahkannya tanpa suatu keuzuran sebagaimana di atas, maka batal wudhu’nya dan wajib dia mengulang dengan membasuh faraj, menyumbat dan mengikatnya (jika menitis darah) dan berwudhu’.
Seorang perempuan yang beristihâdhah yang ingin mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan seterusnya sembahyang sunat Tarawih hendaklah sentiasa mengambil perhatian terhadap keadaan darahnya yang sentiasa keluar. Dalam beberapa keadaan jika darah istihâdhahnya itu terhenti, maka hukum wudhu’ dan sembahyangnya adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
i. Darah istihâdhah terhenti dan dia sembuh dari istihâdhahnya:
- Jika darahnya terhenti dalam keadaan dia sudah berwudhu’ sebelum dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’, maka wajib dia menghilangkan darah yang ada sebelumnya dan kemudiannya berwudhu’ dan barulah mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ serta sembahyang rawâtibnya dan seterusnya sembahyang sunat Tarawih selama mana tidak berlaku padanya perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.
- Jika darahnya terhenti setelah dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’, maka sembahyangnya dikira sah, akan tetapi batal wudhu’nya dan dia tidak dibolehkan mengerjakan sembahyang sunat termasuk sembahyang sunat Tarawih. Sekiranya dia ingin mengerjakan sembahyang sunat Tarawih, maka wajib dia menghilangkan darah yang ada sebelumnya dan kemudiannya berwudhu’ dan barulah mengerjakan sembahyang sunat Tarawih.
- Jika terhenti darahnya ketika dia sedang bersembahyang fardhu ‘Isya’, maka menurut pendapat yang shahîh batal sembahyang dan juga wudhu’nya dan wajib dia menghilangkan darah yang ada sebelumnya dan kemudiannya berwudhu’ semula dan mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ serta sembahyang rawâtibnya dan seterusnya sembahyang sunat Tarawih selama mana tidak berlaku padanya perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.
Sekiranya terhenti darahnya ketika dia sedang bersembahyang sunat Tarawih (selepas sembahyang fardhu ‘Isya’), maka batal sembahyang sunat Tarawihnya itu. Sekiranya dia ingin meneruskan sembahyang sunat Tarawih, maka wajib dia menghilangkan darah yang ada sebelumnya dan kemudiannya berwudhu’ dan barulah mengerjakan sembahyang sunat Tarawih yang batal itu.
ii. Darah istihâdhah terhenti ketika dia sudah berwudhu’ dan secara kebiasaannya darahnya terhenti dan akan keluar semula atau dia dimaklumkan oleh orang yang dipercayai daripada kalangan pakar bahawa darahnya akan terhenti dan akan keluar semula:
- Jika darahnya terhenti dalam waktu singkat sehinggakan dia tidak sempat untuk berwudhu’ dan bersembahyang, maka hendaklah dia terus mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ sahaja. Untuk dia mengerjakan sembahyang sunat Tarawih pula, hendaklah dia mengulang wudhu’ setelah menghilangkan darah yang ada sebelumnya untuk membolehkannya mengerjakan sembahyang sunat Tarawih.
Sekiranya darah berterusan berhenti (selesai dia mengerjakan sembahyang fardhu dan sunat), maka jelaslah batal wudhu’nya dan wajib dia mengqadha’ sembahyang fardhu ‘Isya’ yang sudah dilakukannya.
- Jika kebiasaannya darah terhenti pada kadar waktu yang mencukupi untuk dia berwudhu’ dan bersembahyang fardhu secara sempurna sebelum darah keluar semula, maka wajib dia menghilangkan darah yang ada sebelumnya dan kemudiannya berwudhu’ dan barulah melakukan sembahyang.
Akan tetapi jika darah keluar semula (sebelum sempat berwudhu’ dan bersembahyang) dan ini tidak biasa berlaku kepadanya, maka tidak wajib dia mengulangi wudhu’nya menurut pendapat yang ashah.
- Jika dia mendirikan sembahyang fardhu ‘Isya’ selepas darahnya terhenti dalam keadaan waktu yang singkat di mana dia tidak sempat mengulangi wudhu’nya dan darah keluar semula sebelum dia menghabiskan sembahyangnya, maka menurut pendapat yang ashah wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyangnya.
iii. Darah istihâdhah terhenti ketika dia sudah berwudhu’ dalam keadaan bukan kebiasaan (dia tidak mengetahui adakah darahnya akan datang semula atau tidak) atau dia tidak dimaklumkan oleh pakar bahawa darahnya akan terhenti dan akan keluar semula, maka dia wajib mengulang wudhu’nya.
Sekiranya (dalam keadaan di atas) darah keluar semula dalam keadaan yang menyebabkan dia tidak sempat berwudhu’ semula dan bersembahyang, maka wudhu’nya yang sebelum ini masih kekal sah.
Akan tetapi sekiranya dia bersembahyang fardhu ‘Isya’ tanpa mengulang wudhu’nya selepas darahnya terhenti dan kemudian darahnya tidak keluar semula, maka sembahyang yang dilakukannya tidak sah kerana jelas kesembuhannya.
Penjelasan di atas adalah bagi perempuan beristihâdhah di mana darahnya mengalir dalam keadaan yang berterusan.
Dalam situasi seorang perempuan yang beristihâdhah di mana darahnya terhenti pada satu waktu dan mengalir pada waktu yang lain pula, maka dia hendaklah mengerjakan sembahyang pada waktu darahnya terhenti. Tidak diharuskan baginya mengerjakan sembahyang pada ketika darahnya mengalir kecuali jika dia takut terluput waktu sembahyang, maka dia harus berwudhu’ dan sembahyang pada waktu darahnya mengalir. Oleh yang demikian dalam perkara sembahyang Tarawih, perempuan yang beristihâdhah dalam keadaan ini, hendaklah berwudhu’ untuk mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan sembahyang Tarawih pada ketika darahnya terhenti.
Dalam menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan, tiada halangan bagi perempuan beristihâdhah untuk turut sama meraikan tuntutan ini. Selain mengerjakan sembahyang Tarawih, perempuan beristihâdhah boleh mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain dan juga ibadah lain seperti membaca al- Qur’an dengan syarat dia perlu mengambil perhatian terhadap thahârahnya dan menjaga wudhu’nya sepanjang melakukan ibadah-ibadah tersebut.
MENJALANI UJIAN PAP SMEAR DAN TRANSVAGINAL ULTRA SOUND: Adakah Diwajibkan Mandi Hadas?
Ujian kesihatan ke atas perempuan dengan menggunakan kaedah pap smear dan transvaginal ultra sound semakin kerap digunakan di pusat-pusat rawatan. Ujian pap smear dilakukan untuk memeriksa dan mengesan jika ada ketumbuhan pada rahim atau serviks. Sementara itu, transvaginal ultra sound adalah prosedur terbaik untuk mengkaji dan memeriksa rahim dan adnexa.
Memandangkan prosedur kedua-dua rawatan tersebut dilakukan dengan memasukkan peralatan rawatan ke dalam faraj, berlaku kekeliruan di kalangan sesetengah orang khususnya perempuan mengenai hubungkaitnya dengan thahârah sama ada prosedur tersebut menyebabkan junub dan mewajibkan mandi hadats ataupun tidak.
Di dalam hukum syara‘, perkara-perkara yang menyebabkan wajib mandi itu ialah mati, haidh, nifâs, melahirkan anak dan junub.
Junub adalah salah satu perkara yang menyebabkan wajib mandi ke atas seseorang. Pensyariatan ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib). (Surah al-Mâ’idah: 6)
Apa yang Dimaksudkan dengan Junub?
Dari segi bahasa, junub dan janâbah bererti jauh. Dari segi istilah syara‘ pula, janâbah ialah perkara bersifat ma‘nawi yang tertanggung ke atas tubuh badan seseorang iaitu yang menegahnya daripada sah sembahyang ketika mana tidak ada murakhkhish (kelonggaran).
Lelaki atau perempuan sama ada seorang, dua orang ataupun ramai yang mengalami janâbah disebut juga sebagai junub. Junub berlaku ke atas orang yang hidup sama ada sebagai pelaku ataupun diperlakukan ke atasnya. Adapun orang yang mati, tidak diwajibkan ke atasnya mandi disebabkan junub kerana terputusnya taklîf dengan kematian, melainkan mandi disebabkan mati iaitu sebagai memuliakannya.
Sebab-sebab Junub
Janâbah atau junub di sisi syara‘ adalah disebabkan keluar air mani dan jimâ‘ iaitu masuk hasyafah ke dalam faraj.
1. Keluar air mani.
Air mani ialah cecair berwarna putih dan pekat. Tiga ciri utama air mani ialah:
i. keluar dengan terpancut,
ii. waktu keluar terasa lazat dan diikuti dengan syahwat dan zakar menjadi lemah,
iii. bau seperti bau adunan tepung gandum dan mayang kurma apabila basah dan seperti bau putih telur apabila kering.
Apabila terdapat semua ciri tersebut atau terdapat salah satu daripadanya, maka cecair yang keluar itu adalah air mani dan diwajibkan mandi disebabkannya.
Pada kebiasaannya air mani lelaki bersifat pekat dan putih. Ada kala juga air mani lelaki berwarna kekuningan dan cair disebabkan penyakit. Air mani perempuan pula cair dan kekuningan dan ada kalanya berwarna putih. Selain itu, ada juga air mani lelaki atau perempuan yang keluar dengan warna kemerahan disertai sedikit darah.
Para ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullâhu Ta‘âlâ telah ijmâ‘ mengatakan bahawa diwajibkan mandi ke atas lelaki dan perempuan kerana keluar air mani sama ada diiringi dengan rasa syahwat ataupun tidak, sama ada dengan rasa seronok ataupun tidak, sama ada air mani itu banyak ataupun sedikit dan sama ada air mani itu keluar di dalam keadaan seseorang itu jaga mahupun ketika dia sedang tidur.
Demikian juga, ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullâhu Ta‘âlâ mengatakan bahawa diwajibkan mandi kerana keluar air mani sama ada air mani itu keluar disebabkan jimâ‘, istimnâ’ (onani), bermimpi, melihat dan memikirkan sesuatu yang menimbulkan syahwat, berseronok dengan pasangan ataupun air mani itu keluar tanpa ada sebarang sebab.
Pensyariatan wajib mandi ini adalah berdasarkan hadits yang antaranya diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata bahawa Ummu Sulaim, isteri Abu Thalhah telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu bertanya:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu menyatakan yang hak (kebenaran), adakah diwajibkan mandi ke atas perempuan yang bermimpi (melakukan jimâ‘)? Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ya, apabila kamu nampak air (mani).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Jimâ‘.
Jimâ‘ di antara lelaki dan perempuan iaitu dengan masuk hasyafah (kepala zakar) atau masuk kadar hasyafah bagi orang yang tidak ada hasyafah ke dalam faraj.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila duduk di antara bahagian perempuan yang empat (melakukan jimâ‘) dan khitân bertemu khitân, maka diwajibkan mandi. (Hadits riwayat Muslim)
Bertemu dua khitân itu berlaku masuknya hasyafah ke dalam faraj.
Khitân ialah tempat yang dipotong ketika berkhatan iaitu kulup bagi lelaki dan bazhr bagi perempuan (daging yang tersembul dekat lubang kemaluan perempuan).
Tidak ada perselisihan (khilâf) di kalangan ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullâhu Ta‘âlâ di dalam hukum wajib mandi disebabkan masuknya hasyafah ke dalam faraj. Yang dimaksudkan dengan diwajibkan mandi kerana masuknya hasyafah itu ialah masuknya keseluruhan hasyafah atau kadar hasyafah bagi orang yang terpotong hasyafahnya ke dalam faraj atau dubur, sama ada manusia atau binatang, lelaki atau perempuan, hidup atau yang mati, kanak-kanak atau orang tua.
Demikian juga, diwajibkan mandi disebabkan masuknya hasyafah ke dalam faraj walaupun tanpa tujuan, terpaksa, tidak disertai syahwat, tidak keluar air mani dan walaupun hasyafah itu dimasukkan dengan berlapik.
Adakah Ujian Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound Menyebabkan Diwajibkan Mandi?
Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound adalah ujian rawatan yang menggunakan peralatan moden tertentu. Prosedur kedua-dua ujian rawatan tersebut melibatkan bahagian pelvis perempuan iaitu dengan memasukkan peralatan khusus ke dalam faraj. Dalam ujian Pap Smear, contoh sel serviks akan diambil melalui faraj dengan menggunakan sudip, pengelap kapas atau berus plastik. Sementara dalam Transvaginal Ultra Sound pula, transducer atau alat penerima gelombang suara frekuensi tinggi berbentuk lengkung digunakan. Alat tersebut ditutupi dengan gel pelincir dan sarung getah steril sebelum dimasukkan ke dalam faraj untuk membuat imbasan organ dalaman di bahagian pelvis.
Bagi sesetengah perempuan yang menjalani salah satu daripada dua ujian rawatan tersebut, adakalanya menjadi keliru adakah perlu mandi hadats selepas menjalaninya? Berdasarkan penjelasan di atas, jelasnya ujian rawatan Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound tidak termasuk di dalam perkara yang menyebabkan wajib mandi sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘.
Kedua-dua ujian rawatan tersebut bukan unsur jimâ‘ sebagaimana yang dimaksudkan oleh syara‘ iaitu bertemunya dua khitan ataupun masuknya hasyafah atau kadar hasyafah ke dalam faraj. Demikian juga, bentuk rawatan ini kebiasaannya tidak menyebabkan keluar air mani. Oleh itu, tidak ada sebab yang menunjukkan seseorang itu mandi junub kerana menggunakan rawatan tersebut.
Tetapi jika sekiranya perempuan yang menjalani ujian itu mendapati dengan melihat sendiri air mani dan yakin air mani tersebut air maninya, maka wajib ke atasnya mandi kerana salah satu perkara yang menyebabkan wajib mandi itu ialah apabila keluar air mani walaupun tanpa sebab dan tidak disertai syahwat.
Demikian beberapa penjelasan mengenai ujian rawatan Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound dan hubungkaitnya dengan thahârah. Kesimpulannya, kedua-dua rawatan tersebut bukan menyebabkan seseorang itu junub yang mewajibkannya mandi hadats. Akan tetapi, jika keluar air maninya setelah menjalani salah satu ujian rawatan tersebut, maka barulah diwajibkan ke atasnya mandi.
PENGGUNAAN PEMBERSIH TANGAN (HAND SANITIZER): Kesannya Terhadap Sembahyang
Tangan adalah anggota penting yang perlu dijaga kebersihannya bagi mencegah kuman atau virus daripada merebak. Selain menggunakan air dan sabun, produk pembersih tangan antiseptik tanpa air yang lebih dikenali dengan hand sanitizer juga semakin kerap digunakan untuk membersihkan tangan. Pelbagai jenis pembersih tangan antiseptik sama ada dalam bentuk buih, cecair mahupun gel yang terdapat di pasaran.
Selain digunakan di pusat-pusat kesihatan, pembersih tangan antiseptik juga mudah digunakan dan dibawa ke mana-mana bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan kuman. Oleh kerana itu, penggunaannya semakin mendapat tempat di kalangan orang ramai terutama jika berada di pusat-pusat kesihatan, tempat-tempat awam, pusat-pusat kawalan sempadan negara dan jika berada di luar negara.
Namun dalam pada itu, timbul juga kekeliruan khususnya di kalangan orang Islam mengenai kesan penggunaan pembersih tangan antiseptik terhadap ibadat terutama ibadat sembahyang.
Apabila penggunaan pembersih tangan antiseptik dikaitkan dengan ibadat sembahyang, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kesucian bahan pembersih tangan tersebut jika digunakan ketika sembahyang.
Ini adalah kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya daripada najis. Sembahyang orang yang terdapat najis pada tubuh badannya, pakaiannya atau tempat sembahyangnya adalah tidak sah.
Oleh yang demikian, kedudukan hukum mengenai penggunaan pembersih tangan antiseptik ketika sembahyang adalah tertakluk kepada sumber bahan kandungan pembersih tangan tersebut sama ada suci ataupun najis.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), produk pembersih tangan antiseptik terbahagi kepada dua berdasarkan bahan aktif yang terkandung di dalamnya iaitu pembersih tangan dengan alkohol dan tanpa alkohol. Namun apa yang ditemui kebanyakan pembersih tangan tersebut mengandungi alkohol dan triclosan.
Adakah alkohol itu najis?
Berdasarkan keterangan dari ensiklopedia The New Webster’s Encyclopedic Dictionary of the English dan The New Encyclopaedia Britannica, alkohol ialah cecair tanpa warna yang mudah mengewap, mudah terbakar dan mempunyai bau yang sederhana. Alkohol dihasilkan melalui dua cara iaitu:
1. Penapaian yis atau ragi karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Ia juga dikenali sebagai etanol atau etil alkohol dan merupakan isi kandungan aktif minuman keras.
2. Sintetik atau tiruan yang dihasilkan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alcohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang.
Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamr (arak) atau minuman yang memabukkan.
Daripada keterangan tersebut dapat difahami bahawa tidak semua alkohol itu bersumber daripada arak dan tidak dinafikan setiap arak itu mengandungi alkohol.
Maka alkohol semata-mata tidak semestinya najis kerana alkohol tidak semestinya dihasilkan melalui proses pembuatan arak.
Menurut ulama, arak adalah najis sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh kerana itu, kenajisan alkohol itu adalah bertitik tolak daripada kenajisan arak. Jika alkohol bersumber daripada arak, maka alkohol tersebut dihukumkan najis. Sebaliknya alkohol yang tidak bersumber daripada arak pula adalah dihukumkan suci dan bukan najis.
Adakah Sah Sembahyang Seorang yang Menggunakan Pembersih Tangan Antiseptik?
Sebagaimana yang telah dijelaskan, kesahan sembahyang orang yang menggunakan pembersih tangan antiseptik adalah tertakluk kepada sumber bahan kandungan yang digunakan untuk pembuatan pembersih tangan yang digunakan. Penggunaan pembersih tangan antiseptik ketika sembahyang dapat dibahagikan kepada keadaan seperti berikut:
1. Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang tidak mengandungi alcohol.
Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang tidak mengandungi alkohol dan benda-benda najis yang lain adalah jelas tidak menjejaskan kesahan sembahyang. Sembahyang tetap sah dengan menggunakannya.
2. Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui proses pembuatan arak.
Pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui proses pembuatan arak yang memabukkan adalah najis. Alkohol tersebut adalah termasuk bahagian daripada arak sendiri, maka hukumnya tentu najis.
Oleh kerana itu, penggunaan pembersih tangan tersebut boleh membatalkan sembahyang atau sembahyang menjadi tidak sah dengan menggunakannya kerana terdapat najis pada anggota badan khususnya bahagian tangan.
Tetapi jika dia telah membersihkan tangan dan mana-mana bahagian badan, pakaian dan tempat sembahyang yang terkena bahan pembersih tangan tersebut dengan air terlebih dahulu sebelum dia mendirikan sembahyang, maka yang demikian itu tidak lagi menjadi masalah kepada ibadat sembahyangnya. Sembahyangnya sah kerana tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya suci daripada najis.
3. Pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol sintetik.
Alkohol sintetik atau tiruan tidak dihukumkan najis kerana tidak bersumber daripada arak walaupun menurut syara‘ alkohol tersebut tidak boleh dimakan atau diminum kerana sifatnya yang memudharatkan sama seperti racun.
Pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol sintetik atau tiruan adalah tidak dihukumkan najis. Oleh kerana itu, penggunaan pembersih tangan daripada jenis ini tidak akan menjejaskan kesahan ibadat sembahyang seseorang bahkan harus dia menggunakannya ketika sembahyang.
Jika seorang itu merasa ragu akan sumber alkohol yang terkandung di dalam pembersih tangan yang digunakannya, sama ada alkohol tersebut diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, maka adalah lebih baik untuk tidak menggunakannya ketika sembahyang. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadits shahih yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Maka barang siapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (bererti) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan barang siapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)
Di samping itu sebagai irsyad, walaupun pada kebiasaannya pembersih tangan antiseptik itu bersifat sejat, adalah lebih baik bagi orang yang hendak berwudhu’ membersihkan tangan atau mana-mana anggota badan, pakaian atau tempat sembahyangnya yang terkena pembersih tangan antiseptik alkohol terlebih dahulu.
HUKUM SEMBAHYANG APABILA TERPALING DARI ARAH QIBLAT
Menghadap qiblat merupakan salah satu daripada syarat sah sembahyang. Jika seseorang tidak menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang maka sembahyangnya tidak sah melainkan semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan sama ada sembahyang fardhu ataupun sunat dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya untuk menghadap qiblat.
Tuntutan menghadap qiblat tsabit dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Ka‘bah). (Surah al-Baqarah: 150)
Kewajipan menghadap qiblat itu juga tsabit dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Ketika Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam masuk ke Baitullah (Ka‘bah), Baginda berdo‘a di setiap sudut Ka‘bah. Baginda tidak mengerjakan sembahyang sehinggalah Baginda keluar daripadanya. Ketika Baginda keluar, Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat di hadapan Ka‘bah. Lalu Baginda bersabda: “Inilah qiblat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, mereka yang ingin mengerjakan sembahyang hendaklah memastikan dadanya iaitu keseluruhan lebar badannya menghadap ke qiblat. Jika sebahagian daripada lebar badannya terkeluar daripada menghadap qiblat maka tidak sah sembahyangnya.
Dalam perkara menghadap qiblat ini, bagaimana pula kedudukan hukum bagi orang yang sembahyang terpaling dari arah qiblat disebabkan lupa atau dipaksa?
Hukum Sembahyang apabila Terpaling dari Arah Qiblat
Untuk menjelaskan kedudukan hukum sembahyang apabila terpaling dari arah qiblat ini dilihat pada tiga keadaan berikut:
1) Berpaling dari arah kiblat dengan sengaja.
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu sengaja memalingkan sebahagian dadanya dari arah qiblat maka batal sembahyangnya.
2) Berpaling dari arah qiblat disebabkan lupa.
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu memalingkan sebahagian dadanya dari arah qiblat disebabkan lupa, maka sembahyangnya sah apabila dia kembali menghadapkan dadanya semula ke qiblat dalam kadar yang segera. Akan tetapi jika dia kembali menghadap ke qiblat dalam jangka masa yang lama maka batal sembahyangnya sebagaimana menurut pendapat yang ashah.
Perkara ini sama kedudukannya dengan hukum orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan lupa.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendirikan sembahyang Zhuhur atau ‘Ashar bersama kami lalu Baginda memberi salam. Dzu al-Yadain pun bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Adakah sembahyang dipendekkan?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada para sahabatnya: “Adakah benar apa yang dikatakannya?” Mereka menjawab: “Ya!” Lalu Baginda mendirikan sembahyang dua rakaat lagi kemudian melakukan dua kali sujud (sujud sahwi). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menjelaskan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tertinggal dua rakaat sembahyang kerana lupa dan Baginda berkata-kata sedikit bertanyakan perkara yang lupa itu kepada sahabat lalu menyambung sembahyang dengan menambah dua rakaat yang tertinggal itu. Ini menunjukkan bahawa sembahyang sah dengan berkata-kata sedikit kerana lupa. Walau bagaimanapun jika berkata-kata banyak kerana lupa maka batal sembahyang.
3) Berpaling dari arah qiblat disebabkan paksaan orang lain.
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu memalingkan sebahagian dadanya dari arah qiblat disebabkan paksaan orang lain maka batal sembahyangnya apabila dia kembali menghadap ke qiblat dalam jangka masa yang lama. Demikian juga menurut pendapat yang mu‘tamad, batal sembahyangnya walaupun dia kembali menghadap ke qiblat dalam kadar yang segera kerana ia jarang berlaku.
Perlu diingat, perkara ini boleh berlaku ketika seseorang menyusup masuk di tengah-tengah shaf di antara dua orang yang sedang sembahyang lalu menyebabkan orang yang sedang sembahyang itu terpaling dari arah qiblat, nescaya sembahyang orang tersebut batal walaupun dia kembali menghadap ke qiblat dalam kadar yang segera.
Perkara ini sama kedudukannya dengan hukum orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan paksaan orang lain. Orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan paksaan sama ada berkata-kata sedikit ataupun banyak adalah membatalkan sembahyang.
Demikian penjelasan mengenai hukum sembahyang apabila terpaling dari arah qiblat sama ada disebabkan sengaja, paksa ataupun lupa. Perkara ini perlu diketahui dan diambil perhatian bagi mencapai kesempurnaan sembahyang.
MAKSUD MENUTUP AURAT YANG BETUL MENURUT SYARA‘: Panduan Bagi Perempuan Bersembahyang
Kesempurnaan dalam melaksanakan ibadat merupakan impian setiap Muslim yang benar-benar ingin mengukuhkan tiang agama iaitu sembahyangnya. Mengukuhkan sembahyang pula adalah dengan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti tersebut. Syarat-syarat sah sembahyang dan rukun-rukunnya benar-benar diperhatikannya, bahkan pada perkara afdhal dan sunat juga tidak diremehkannya. Sembahyang dilakukannya dengan mengikuti garis panduan syara‘ secara sempurna kerana sembahyang itu merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang agung. Apabila ia dilakukan dengan sesempurna maka hubungannya dengan Penciptanya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tetap terjaga.
Antara perkara paling utama dijaga ketika sembahyang adalah cara menutup aurat yang sempurna sebagaimana digariskan syara‘. Bagi golongan perempuan, jika ingin kesempurnaan dalam ibadat sembahyang, maka konsep menutup aurat jangan hanya dilihat dari segi membalut tubuh badan semata-mata. Ia juga perlu dilihat dari kehendak syara‘ yang dengan jelasnya telah menggariskan kaedah menutup aurat yang sebenarnya.
Menutup Aurat Adalah Syarat Sah Sembahyang
Menutup aurat dalam sembahyang hukumnya wajib, bahkan di luar sembahyang pun ia adalah wajib. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mengerjakan sembahyang (dan thawaf). (Surah al-A‘râf: 31) Maksud “pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna” dalam ayat di atas ialah pakaian yang sempurna menutup aurat sama ada bagi lelaki mahupun perempuan. Turunnya ayat tersebut adalah untuk menegah umat Islam dari melakukan adat kebiasaan orang-orang jahiliyah Arab yang mengelilingi Ka‘bah dengan menanggalkan kesemua pakaian mereka. Ayat tersebut merupakan perintah untuk menutup aurat dan berpakaian baik serta sempurna dalam sembahyang.
Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah sembahyang. Berkata Syeikh al- Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh dalam Syarh ar-Raudh bahawa syarat sah sembahyang ialah menutup aurat daripada pandangan orang. Disebutkan lagi bahawa aurat itu wajib ditutup sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang, sekalipun bersendirian. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan bahawa apabila aurat seseorang yang sembahyang itu didedahkannya dengan sengaja, sama ada sedikit atau banyak, maka sembahyangnya batal yakni tidak sah. Untuk jelasnya, jika dia sengaja tidak menutup aurat, padahal dia mampu berbuat demikian, maka batal sembahyangnya.
Aurat Perempuan dalam Sembahyang
Dalam mazhab ash-Syafi‘i, aurat perempuan dengan lelaki ajnabi (lelaki yang bukan mahramnya) adalah keseluruhan tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan ini juga adalah aurat yang wajib ditutupnya di dalam sembahyang.
Apa yang dimaksudkan dengan muka itu ialah kawasan mula tempat tumbuh rambut di kepala sehingga bahagian akhir dagu (dua tulang rahang sepanjang tempat tumbuh gigi bawah) dan kawasan muka di antara dua anak telinga. Ini disebut dalam maksud had muka ketika mengambil wudhu’.
Manakala yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan pula ialah keseluruhan tapak tangan bahagian luar dan dalamnya dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.
Adapun batas aurat kanak-kanak perempuan dalam sembahyang sama ada dia mumayyiz mahupun belum adalah sama dengan aurat perempuan dewasa sebagaimana di atas, iaitu keseluruhan badan kecuali muka dan dua tapak tangan.
Muka dan dua tapak tangan bukanlah aurat. Makruh hukumnya bagi perempuan yang hendak sembahyang memakai niqâb (tutup muka) iaitu kain atau yang seumpamanya yang digunakan untuk menutup muka, kerana muka tidak termasuk anggota aurat.
Larangan menutup muka ini hanyalah sebagai karâhah tanzîh (perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib). Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka dia tidak berdosa dan tidak pula membatalkan sembahyangnya, hanya perbuatan itu dikira sebagai khilâf al-aulâ (menyalahi yang utama).
Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang
Disyaratkan pakaian yang digunakan untuk menutup aurat sama ada dalam sembahyang mahupun luar sembahyang itu dapat melindungi atau menutupi warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain, pakaian yang dipakai seorang perempuan itu tidak boleh bersifat nipis atau jarang yang menampakkan warna dan bentuk auratnya. Sekiranya auratnya itu tidak sempurna ditutup, maka sembahyangnya tentu sahaja batal dan tidak diterima kerana tuntutan menutup aurat itu tidak terlaksana.
Sebahagian ulama fiqh dalam menjelaskan maksud menutup aurat itu turut menggariskan kaedah betul menutup aurat. Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitab al-Muhadzdzab menyatakan bahawa disunatkan bagi seorang perempuan bersembahyang dengan memakai tiga pakaian yang terdiri daripada (1) penutup yang menutup kepala dan leher, (2) baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua-dua kaki, dan (3) kain yang menyelimuti baju.
Disunatkan kain atau baju sebelah luar sekali itu tebal agar tidak membayangkan anggota-anggota tubuhnya. Juga disunatkan pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia ruku‘ atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya di sebelah dalam.
Pakaian yang berwarna atau dicelup dengan warna tapi kelihatan jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-sâtir (penutup). As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyebutkan bahawa sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ia jarang dan nipis adalah juga tidak memenuhi syarat as-sâtir.
Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka dapat diambil kesimpulan bahawa kritera-kriteria pakaian itu adalah seperti berikut:
1. Pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘, antaranya:
i. Pakaian yang jarang atau nipis.
Maksud pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila dipakainya. Untuk jelasnya adalah tidak memenuhi maksud as-sâtir dalam perkara menutup aurat itu bentuk pakaian sebagaimana berikut:
- Memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan aurat tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, atau - Memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya, namun warna kulit tetap saja kelihatan.
Pakaian nipis dan jarang tidak memenuhi syarat as-sâtir kerana tidak mencapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit.
ii. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang.
Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat as-sâtir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.
2. Pakaian perempuan ketika bersembahyang, antaranya:
i. Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, betis, tapak kaki melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan (belakang dan hadapan) sehingga pergelangan tangan.
ii. Hendaklah pakaian itu tebal dan tidak mempunyai celah-celah sulaman yang boleh menampakkan kulit.
iii. Hendaklah pakaian perempuan itu luas dan lebar, tidak sempit dan tidak ketat yang boleh menampakkan susuk badannya.
Walaupun memakai pakaian yang tidak menampakkan warna kulit tetapi tidak luas sehingga menyifatkan bentuk tubuh ketika sembahyang itu tidak membatalkan sembahyang, namun ia adalah makruh dan meninggalkan yang makruh itu pula dijanjikan pahala.
iv. Sekiranya pakaian yang dinyatakan di para (i), (ii) dan (iii) di atas tidak dapat disempurnakan sebelum seseorang perempuan itu melakukan sembahyang, maka hendaklah dia berusaha menutup pakaiannya itu dengan pakaian tebal di sebelah luar sehingga maksud tidak menampakkan warna aurat itu terlaksana.
Islam tidak menentukan pakaian khusus dipakai perempuan ketika mengerjakan sembahyang. Apa yang ditentukan adalah had-had aurat yang wajib ditutup serta kaedah penutupan aurat secara sempurna sebagaimana yang dipandu oleh syara‘.
Perlu diambil perhatian, janganlah berpuas hati melakukan sembahyang dengan memakai tudung, berbaju lengan pendek dan bersarung tangan panjang menutup anggota tangan atau berseluar tidak lebar, hanya sampai setakat buku lali dan memakai stokin untuk menutup kaki kerana beranggapan pakaian sedemikian sudah memenuhi syarat menutup aurat. Aurat perlu ditutup dengan sesempurnanya ketika sembahyang kerana yang dihadap itu adalah Pencipta kita dan setentunyalah kita ingin tampil dengan cara berpakaian yang terbaik dan sempurna di hadapanNya.
Aurat yang wajib ditutup dalam sembahyang itu pula adalah sama dengan aurat yang wajib ditutup di luar sembahyang ketika bersama mereka yang bukan mahram. Maka berpatutanlah bagi seorang perempuan itu apabila keluar rumah berpakaian dengan pakaian yang menutup aurat sebagaimana kehendak syara‘. Ini kerana selain daripada satu tuntutan, berpakaian sebegini juga memudahkannya untuk melaksanakan sembahyang jika tiada bersamanya kain atau pakaian lain yang boleh menutupi pakaiannya seperti telekung atau yang seumpamanya.
PERTEMBUNGAN WAKTU SEMBAHYANG DENGAN WAKTU HIDANGAN
Rasa lapar atau dahaga boleh menyebabkan seseorang merasa tidak tenang dan kurang selesa, apatah lagi pada ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia. Ini menyebabkan sesetengah orang tidak mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa sahaja perkara yang dilakukannya, hatta dalam perkara ibadat sekalipun, kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu. Sekiranya waktu hidangan itu bertembung pula dengan waktu sembahyang, pastinya dalam keadaan lapar atau dahaga seseorang itu akan menghadapi dilema sama ada untuk mendahulukan tuntutan sembahyang ataupun memenuhi keperluan makan dan minum terlebih dahulu kerana khuatir tidak dapat mengerjakan sembahyang dengan kekhusyû‘an yang sempurna.
Pertembungan di antara waktu hidangan dengan waktu sembahyang ini merupakan satu perkara yang lumrah terjadi. Mungkin ia tidak mendatangkan masalah bagi sebahagian orang. Akan tetapi, ia boleh mendatangkan beban bagi mereka yang pada ketika itu sedang lapar atau dahaga lalu berhajat terhadap suatu makanan atau minuman yang ketika itu sudah tersedia. Bagi orang yang seperti ini, adakah perlu dia mendahulukan tuntutan mengerjakan sembahyang atau dia menjamah makanan atau minuman itu terlebih dahulu?
Hukum Mengerjakan Sembahyang Ketika Hidangan Sudah Tersedia
Islam merupakan agama yang mengiktiraf keperluan dan naluri manusia. Atas sebab itulah keperluan seseorang untuk memenuhi hajat makan dan minum ketika lapar bukanlah suatu yang dicela. Dalam waktu yang sama, Islam juga tidak sekali-kali memberi kelonggaran untuk meremehkan tuntutan sembahyang dan menunaikannya sambil lewa sahaja. Kerana itulah menurut ulama, kita dimakruhkan daripada menunaikan sembahyang dalam apa jua keadaan yang boleh menjejaskan kekhusyû‘an ketika mengerjakannya.
Mengenai persoalan hukum mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sudahpun memberikan petunjuk mengenainya sepertimana yang disebut dalam beberapa buah hadits. Antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Apabila makan malam sudah dihidangkan, maka dahulukanlah memakan hidangan itu sebelum kamu mengerjakan sembahyang Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah dari makan malam kamu itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ pula meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu sedang menikmati makanan, maka janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai memenuhi hajatnya daripada makanan tersebut, walaupun ketika itu sembahyang jemaah sudahpun didirikan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam Shahîh Muslim pula diceritakan bahawa salah seorang faqîh terbesar zaman tâbi‘în iaitu al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ash-Shiddiq Rahimahullâh telah dihidangkan makanan oleh ibu saudaranya ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ. Setelah melihat makanan tersebut, al-Qasim Rahimahullâh lantas bangun untuk mengerjakan sembahyang, akan tetapi ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menghalangnya. Lalu ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan kepadanya bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak sempurna sembahyang apabila makanan sudah sedia dihidangkan dan tidak juga sempurna sembahyang ketika seseorang itu sedang menahan daripada dua benda kotor (air kecil dan air besar). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits-hadits di atas menjadi dasar bahawa makruh hukumnya mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia sedangkan orang tersebut cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman tersebut. Ini adalah pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i. Ini kerana dalam keadaan sedemikian, fikiran, perasaan dan tumpuannya boleh terganggu dan ini mungkin menyebabkan dia tidak khusyû‘ mengerjakan sembahyang atau tidak mampu mengerjakannya dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.
Sekiranya seseorang itu tidak berhajat atau tidak cenderung terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, maka tidak makruh atasnya untuk mengerjakan sembahyang terlebih dahulu.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, dikecualikan juga dalam perkara ini orang yang mengerjakan puasa. Maka tidak makruh orang yang sedang berpuasa untuk mengerjakan sembahyang tanpa menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia itu. Ini kerana orang yang sedang berpuasa sememangnya ditegah daripada makan dan minum. Jadi pada kebiasaannya, makanan atau minuman tersebut tidak akan mengganggu fikiran, perasaan dan tumpuannya. Bagaimanapun, sekiranya dia terganggu juga kerana hidangan tersebut, maka sunat dia berpindah daripada tempat makanan atau minuman itu dihidangkan.
Adapun maksud “makanan” dalam hadits-hadits di atas merangkumi apa sahaja hidangan sama ada makanan atau minuman yang halal.
Begitu juga maksud hidangan dalam hadits-hadits di atas bukanlah khusus untuk makan malam sahaja. Bahkan ia merangkumi semua hidangan yang boleh menjadi gangguan terhadap kekhusyû‘an seseorang sama ada makan tengahari, makan malam dan lainnya.
Hukum makruh ini khusus dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih panjang. Ini bermaksud, sekiranya baki waktu sembahyang masih lagi panjang dan ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia, lalu dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu sedangkan dia cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman tersebut, maka yang demikian itu makruh hukumnya kerana ia menghilangkan atau mengurangkan rasa khusyû‘ ketika sembahyang.
Akan tetapi, menurut jumhûr ulama, sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang dalam keadaan tersebut, iaitu dalam keadaan kekhusyû‘annya terjejas kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, sembahyangnya tetap dikira sah. Bagaimanapun, dalam keadaan ini sunat dia mengulang (i‘âdah) sembahyangnya.
Maka dari itu, apabila seseorang itu menghadapi perkara ini, disunatkan dia makan atau minum terlebih dahulu dan menangguhkan sembahyang sehingga dia selesai memenuhi hajatnya. Ini bagi tidak menjejaskan kekhusyû‘annya dalam sembahyang. Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, ini menunjukkan bahawa fadhilat kehadiran hati dan rasa khusyû‘ ketika mengerjakan sembahyang itu adalah lebih utama daripada fadhilat mengerjakan sembahyang di awal waktu.
Berbeza halnya sekiranya waktu sembahyang sudah sempit, di mana sekiranya dia menjamah makanan atau minuman tersebut terlebih dahulu, dia akan terluput mengerjakan sembahyang berkenaan. Maka dalam hal ini, wajib dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu walaupun dalam keadaan dia teringatkan hidangan tersebut. Ini adalah bagi menjaga waktu sembahyang agar tidak luput, kerana terluput mengerjakan sembahyang itu lebih berat daripada tidak khusyû‘ ketika mengerjakannya. Dalam keadaan ini, menurut jumhûr, sunat dia mengulang (i‘âdah) sembahyangnya.
Hukum Mengerjakan Sembahyang Ketika Hidangan akan Disediakan
Bagi seseorang yang sedang lapar dan berhajat terhadap makanan atau minuman dan dia mengetahui bahawa makanan atau minuman akan dihidangkan tidak lama lagi, maka menurut satu pendapat yang dinukil daripada Ibnu Daqiq al-‘Id Rahimahullâh, makruh baginya mengerjakan sembahyang ketika itu bagi mengelakkan kekhusyû‘annya daripada terganggu. Bahkan sunat baginya untuk menunggu makanan dan minuman itu disediakan dan memenuhi hajatnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang. Dengan syarat bahawa perbuatannya menunggu makanan dan minuman yang akan dihidangkan itu tidak menyebabkan luput waktu sembahyang.
Kadar Hidangan yang Boleh Diambil Sebelum Mengerjakan Sembahyang
Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa makruh atas orang yang sedang lapar untuk mengerjakan sembahyang sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan tidak lama lagi. Bahkan dia disunatkan untuk memenuhi hajat makan dan minumnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang sekiranya waktu sembahyang masih lagi panjang. Ini supaya dia mampu mengerjakan sembahyang dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.
Berkenaan kadar makanan atau minuman yang boleh diambil sebelum mengerjakan sembahyang pula, adakah yang dituntut itu ialah mengambil sesuap dua makanan atau seteguk dua minuman dalam kadar mengisi kekosongan perut terlebih dahulu dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang? Atau dia boleh makan dan minum sehingga dia sempurna memenuhi hajatnya kemudian baru dia mengerjakan sembahyang?
Menurut ulama, hadits-hadits yang telah disebutkan sebelum ini dengan jelas menganjurkan ke atas seseorang yang sedang lapar, sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan itu supaya memenuhi hajatnya hingga selesai. Setelah selesai dia memenuhi hajatnya, barulah dia mengerjakan sembahyang.
Maksudnya di sini, syara‘ membenarkannya untuk makan dan minum terlebih dahulu sehingga selesai. Kemudian barulah dia mengerjakan sembahyang. Bukanlah bermaksud dia hanya dibenarkan untuk mengambil satu atau dua suap sahaja untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaganya itu. Bahkan dia boleh makan dan minum sehingga terpenuhi hajatnya.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu yakin dia boleh mengerjakan sembahyang dengan kekhusyû‘an yang sempurna dengan mengambil beberapa suap atau beberapa teguk sahaja untuk menghilangkan rasa lapar atau dahaganya sebelum dia mengerjakan sembahyang, maka yang demikian itu tidaklah menjadi kesalahan dan luputlah hukum makruh itu sepertimana yang dinukilkan daripada Imam al-Asnawi Rahimahullâh.
Ini dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih lagi panjang dan mengizinkannya untuk menjamah makanan dan minuman tersebut sehingga selesai hajatnya. Bagaimanapun, sekiranya baki waktu sembahyang tidak terlalu panjang, sekira-kira dia hanya ada waktu yang mencukupi untuk menjamah beberapa suap sekadar mengisi kekosongan perutnya semata-mata, maka dalam keadaan seumpama ini hanya kadar tersebut yang dituntut untuk diambil kemudian hendaklah dia segera mengerjakan sembahyang dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang.
Demikian penjelasan hukum mengenai pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan. Apa yang dapat difahami ialah makruh hukumnya mengerjakan sembahyang dalam apa jua keadaan yang menjejaskan kekhusyû‘an. Salah satu keadaan tersebut ialah ketika seseorang yang lapar atau dahaga merasa cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia atau tidak lama lagi akan dihidangkan, sedangkan waktu sembahyang masih lagi panjang. Dalam keadaan seperti ini, hendaklah dia makan atau minum terlebih dahulu supaya kekhusyû‘an mengerjakan sembahyang tidak terjejas.
Hukum ini bukanlah bermaksud Islam mendahulukan hak seorang hamba terhadap hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan pula bermaksud makan minum itu lebih penting daripada sembahyang. Bahkan sebenarnya hukum ini disyariatkan semata-mata bagi menjaga hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya ibadat sembahyang itu dikerjakan dalam keadaan sempurna hati, akal serta seluruh jiwa raga.
Sebagai irsyâd, bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi, adalah elok sekiranya jadual atau rutin makan dan minum itu diatur dan disesuaikan supaya tidak bertembung dengan awal waktu sembahyang. Ini satu perkara yang boleh diusahakan memandangkan waktu sembahyang boleh diketahui lebih awal dengan merujuk taqwîm waktu sembahyang dan seumpamanya. Dengan perancangan lebih awal seumpama ini, perkara pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan dapat dielakkan dan sembahyang dapat dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.
SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH SECARA BERSENDIRIAN: Hukum dan Kedudukannya
Sembahyang sunat Tarawih merupakan sembahyang sunat muakkadah iaitu sembahyang sunat yang diberatkan untuk umat Islam melakukannya di bulan Ramadhan bagi menghidupkan malam-malam pada bulan tersebut.
Pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sembahyang sunat Tarawih dilakukan di Masjid Madinah. Diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersembahyang bersama orang ramai beberapa hari. Kemudian Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak keluar bersembahyang selepas itu kerana Baginda takut sembahyang sunat Tarawih itu nanti diwajibkan ke atas umat Islam dan menjadi bebanan atau memberatkan kepada mereka. Inilah keprihatinan Baginda terhadap umat Islam sebagaimana telah diceritakan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah keluar pada suatu malam (di tengah malam), lalu Baginda mengerjakan sembahyang di masjid lantas beberapa orang lelaki turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.
Pada waktu pagi, orang ramai pun bercakap mengenai perkara tersebut. Lalu berhimpunlah lebih ramai (daripada malam pertama) di kalangan mereka. Kemudian Baginda mengerjakan sembahyang dan mereka pun turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.
Pada waktu pagi berikutnya, orang ramai pun bercakap mengenai hal tersebut. Maka pada malam ketiga itu berhimpunlah lebih ramai lagi ahli masjid. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam keluar seperti biasa untuk mengerjakan sembahyang dan mereka pun turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.
Apabila datang malam yang keempat, masjid pun dipenuhi oleh para jemaah sehinggalah Baginda keluar untuk mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh. Setelah Baginda selesai mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh, Baginda pun menghadap orang ramai lalu Baginda bertasyahhud, kemudian bersabda: “Adapun, sesungguhnya tidak tersembunyi daripada pengetahuanku akan keadaan kamu, akan tetapi aku khuatir (sembahyang sunat Tarawih) akan diwajibkan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu melaksanakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Selepas peristiwa itu, Baginda terus menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian dan umat Islam pun masing-masing mengerjakannya secara bersendirian. Ada pula sebahagiannya mengerjakannya secara berjemaah di masjid dan berlakulah sembahyang sunat Tarawih itu sedemikian rupa sehingga Baginda wafat.
Pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, sembahyang sunat Tarawih juga dilakukan sebagaimana sebelumnya. Sehinggalah pada suatu malam, beliau telah keluar dari rumahnya di bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid. Beliau mendapati orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berkelompok-kelompok, ada yang mengerjakannya secara bersendirian dan ada pula yang mengerjakannya secara berjemaah. Melihat keadaan ini, beliau mengarahkan agar menghimpunkan orang ramai supaya mengerjakannya secara berjemaah dengan berimam kepada Ubai bin Ka‘ab Radhiallâhu ‘anhu.
Pada suatu malam, Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu telah datang ke masjid lantas melihat sendiri orang ramai mengerjakan sembahyang di belakang seorang imam. Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu sangat gembira melihat keadaan ini lalu berkata: “Ini adalah bid‘ah yang baik”.
Para fuqahâ’ sepakat menyatakan bahawa sembahyang sunat Tarawih sunat dikerjakan secara berjemaah sebagaimana yang tsabit dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, para sahabat Radhiallâhu ‘anhum serta para pengikut mereka sejak zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu dan berterusan diamalkan secara berjemaah hingga sekarang.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana pula hukumnya jika sembahyang sunat Tarawih itu dikerjakan secara bersendirian dan adakah ia dikira memenuhi tuntutan dan beroleh pahala mengerjakan sembahyang sunat Tarawih?
Sembahyang Tarawih Dikerjakan Secara Bersendirian
Menurut mazhab asy-Syafi‘i, sembahyang sunat Tarawih boleh dikerjakan sama ada secara berjemaah di masjid, di rumah atau sebagainya. Ia juga sah dan memadai jika dikerjakan secara bersendirian.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Maka sembahyang sunat Tarawih hukumnya sunat dengan ijmâ‘ para ulama. Menurut mazhab kami (mazhab asy-Syafi‘i) ia dikerjakan sebanyak dua puluh rakaat dengan sepuluh kali salam dan ia harus dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun berjemaah.”
Penjelasan Imam an-Nawawi Rahimahullâh ini dengan sendirinya menjawab persoalan sebahagian orang ramai yang musykil mengenai kedudukan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian adakah ia sah ataupun tidak.
Yang Mana Lebih Afdhal: Sembahyang Sunat Tarawih Secara Bersendirian atau Berjemaah?
Sebelum ini telah dijelaskan bahawa sembahyang sunat Tarawih sunat dikerjakan secara berjemaah dan ia juga boleh dikerjakan secara bersendirian. Di sini timbul lagi satu persoalan, adakah sembahyang sunat Tarawih itu lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah ataupun sebaliknya?
Menurut pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i serta pendapat kebanyakan ulama Ahli as-Sunnah, sembahyang sunat Tarawih lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah. Ini berdasarkan beberapa hujjah, antaranya:
(i) Fadhilat khusus yang dijanjikan kepada orang yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah hingga selesai.
Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu. Dalam hadits tersebut, diriwayatkan bahawa pada suatu malam, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengimamkan sembahyang sunat Tarawih. Setelah selesai, para sahabat lalu meminta supaya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meneruskan qiyâm bersama mereka seluruh malam. Lalu Baginda pun bersadba:
Maksudnya: Bahawa barang siapa yang qiyâm (mengerjakan sembahyang sunat Tarawih) bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyâm sepanjang malam. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Hadits ini jelas menunjukkan kelebihan khusus bagi mereka yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama imam sehingga selesai. Jemaah yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama imam dan tetap sabar menunaikannya bersama imam sehingga selesai sembahyang, akan diberikan ganjaran seolah-olah dia mendirikan qiyâm al-lail sepanjang malam.
Berdasarkan hadits di atas ini, Imam Ahmad Rahimahullâh berkata: “Aku suka seseorang mengerjakan sembahyang (sunat Tarawih) bersama imam dan turut Witir bersamanya.”
(ii) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri pada asalnya mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah. Baginda hanya berhenti mengerjakannya secara berjemaah kerana bimbang ia akan difardhukan ke atas umat Islam sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang telah disebutkan sebelum ini.
(iii) Sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu adalah ijmâ‘ para sahabat. Diriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Ali, Ibnu Mas‘ud, Ubai bin Ka‘ab, Zayyid bin Tsabit serta para sahabat lainnya mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah. Sayyidina ‘Umar sendiri mengarahkan supaya sembahyang sunat Tarawih itu dikerjakan secara berjemaah dan amalan ini diteruskan oleh para sahabat yang lain tanpa apa-apa pertentangan atau perselisihan.
(iv) Selain ijmâ‘ para sahabat, ia juga menjadi ijmâ‘ jumhûr para ulama dan kaum Muslimin. Pendapat bahawa sembahyang sunat Tarawih itu lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah merupakan pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i, mazhab Abu Hanifah, mazhab Ahmad dan sebahagian ulama mazhab Maliki.
(v) Menurut Imam al-‘Iraqi Rahimahullâh, sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu sudahpun menjadi sebahagian daripada syi‘âr Islam yang zahir sebagaimana halnya sembahyang sunat Hari Raya.
Selain menjadi sebahagian daripada syi‘âr Islam, mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu merupakan satu perbuatan yang dianggap sebagai menghidupkan sunnah. Imam Ahmad Rahimahullâh berkata: “Aku suka seseorang mengerjakan sembahyang (sunat Tarawih) secara berjemaah bagi menghidupkan sunnah.”
Dari penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tarawih boleh dan sah dikerjakan secara bersendirian. Apabila seseorang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian dia sudah dikira memenuhi tuntutan dan beroleh pahala mengerjakan sembahyang sunat Tarawih. Sungguhpun demikian, mengerjakannya secara berjemaah adalah lebih afdhal dan utama. Dari itu, rugilah mereka yang meninggalkan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah tanpa apa-apa sebab dan keuzuran kerana terlepas pahala qiyâm al-lail sepanjang malam dan terlepas gandaan pahala dan kelebihan lainnya yang hanya ada khusus pada bulan suci Ramadhan.
SEMBAHYANG QADHA’ BAGI ORANG YANG BERMUSAFIR: Bolehkah Diqashar?
Agama Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kemashlahatan dan kesejahteraan umatnya dan menginginkan yang terbaik bagi penganutnya. Dalam aspek peribadatan, setiap ibadat yang disyariatkan bukanlah bertujuan untuk membebankan dengan kesusahan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan dalam urusan agama. (Surah al-Hajj: 78)
Namun apabila seseorang itu ditimpa oleh sesuatu kesusahan atau dibebani oleh sesuatu yang di luar kawalannya seperti pelayaran dan sakit, agama Islam telah mensyariatkan rukhshah atau keringanan agar terangkat beban dan kesusahan tersebut.
Sembahyang qashar adalah satu contoh rukhshah yang disyariatkan. Sembahyang qashar bermaksud memendekkan sembahyang fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat, iaitu khusus bagi sembahyang fardhu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’ sahaja. Ia dibolehkan ketika dalam pelayaran berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka bukanlah suatu dosa ke atas kamu mengqasharkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. (Surah an-Nisâ’: 101)
Ya‘la bin Umayyah Radhiallâhu ‘anhu pernah bertanya kepada Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu mengenai ayat tersebut di atas dan berkata: “Bukankah manusia itu sudah berada dalam keadaan aman?” Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu menjawab bahawa beliau pun pernah merasa hairan sepertimana Ya‘la bin Umayyah Radhiallâhu ‘anhu merasa hairan. Lalu beliau telah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenainya, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: (Sembahyang Qashar dalam keadaan yang aman itu adalah) sedeqah yang dengannya Allah telah sedeqahkan (berikan) ke atas kamu, maka terimalah oleh kamu sedeqahNya. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini menunjukkan bahawa mengqasharkan sembahyang itu bukanlah dikhususkan kepada keadaan takut disebabkan perang sahaja, bahkan ia juga boleh dilakukan dalam keadaan yang aman.
Syarat-Syarat mengqasharkan Sembahyang
Diharuskan orang yang dalam pelayaran itu mengqasharkan sembahyang dengan syarat-syarat tertentu, seperti berikut:
i. Hendaklah jarak perjalanan pergi belayar itu (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran), tidak kurang dari dua marhalah iaitu 91 kilometer atau 56 batu.
ii. Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah.
iii. Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syara‘ dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.
iv. Jangan mengikut imam yang tidak diketahui kedudukannya, sama ada imam itu musafir, berniat sembahyang qashar ataupun tidak. Jika seorang musafir itu mengikut imam musafir yang mengerjakan sembahyang dengan tidak mengqasharkannya, hendaklah dia juga menyempurnakan rakaat sembahyangnya yakni tidak diqasharkan.
v. Hendaklah berniat sembahyang qashar ketika takbîratul- ihrâm.
vi. Hendaklah dipelihara niat qashar itu supaya jangan berubah-ubah atau ragu-ragu. Jikalau niatnya itu berubah-ubah ataupun merasa ragu-ragu maka hendaklah dikerjakan sembahyang tersebut secara sempurna yakni empat rakaat.
vii. Hendaklah orang yang musafir itu mengetahui dengan yakin bahawa dia masih kekal dalam pelayaran ketika dia mengerjakan sembahyang qashar itu. viii. Hendaklah orang yang musafir itu mengetahui akan hukum harus baginya mengqasharkan sembahyang. Jika dia mengqasharkan sembahyang tanpa mengetahui akan ketetapan hukum tersebut maka tidak sah sembahyangnya itu, kerana dia beramal tanpa ilmu.
Sembahyang Apa Yang Tidak Boleh Diqasharkan?
Sembahyang yang tidak boleh diqasharkan pula adalah seperti berikut:
a) Sembahyang Shubuh dan Maghrib tidak boleh diqasharkan dengan ijmâ‘. Ini adalah kerana jika sembahyang Shubuh diqasharkan, bilangan rakaatnya menjadi tidak genap, maka sembahyang itu akan menjadi tidak relevan jika hanya dikerjakan pada satu rakaat.
Begitu juga dengan sembahyang Maghrib, ia tidak dapat diqasharkan menjadi dua rakaat kerana Maghrib itu bilangan rakaatnya adalah ganjil, dan tidak juga kepada satu rakaat kerana yang demikian itu menjadikannya terkeluar daripada kelompok sembahyang fardhu.
b) Jika sembahyang yang dilakukan adalah sembahyang nazar, iaitu bagi sesiapa yang telah bernazar untuk bersembahyang empat rakaat, maka dia tidak boleh mengqasharkan sembahyang nazarnya itu jika dia melakukannya dalam pelayaran.
c) Jika sembahyang yang dilakukan adalah sembahyang sunat empat rakaat, seperti empat rakaat sebelum ‘Ashar, sembahyang tersebut tidak boleh diqasharkan kepada dua rakaat kerana tidak ada nash yang membolehkannya.
d) Sembahyang yang tidak memenuhi syarat qashar adalah tidak boleh diqasharkan, seperti pelayaran yang tidak sampai dua marhalah dan sebagainya.
Adapun sembahyang fardhu yang diqadha’ dalam pelayaran, yang tidak dilakukan pada waktunya adalah sunat disegerakan jika ia ditinggalkan dengan tidak sengaja kerana uzur seperti tidur yang bukan disengajakan atau lupa disebabkan kesibukan pelayaran. Adapun jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa uzur, maka wajib disegerakan qadha’nya itu.
Hukum Mengqasharkan Sembahyang Qadha’ yang Tertinggal Ketika Masih
Sembahyang fardhu yang tidak dilakukan pada waktunya ketika masih bermuqîm, iaitu sebelum memulakan pelayaran, sama ada sengaja atau tidak sengaja ditinggalkan, adalah tidak boleh diqasharkan apabila seseorang itu mengqadha’nya di dalam pelayaran. Ini adalah kerana sembahyangnya yang tertinggal itu telah menjadi satu tanggungan kepada dirinya dalam bentuk yang sempurna, iaitu empat rakaat.
Hal ini dijelaskan oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj:
Ertinya: [Tidak boleh (mengqasharkan) sembahyang yang tertinggal ketika bermuqîm] walaupun secara ihtimâl (iaitu syak sama ada sembahyang itu tertinggal ketika dalam pelayaran atau ketika masih bermuqîm)… maka tidak boleh mengqasharkannya sekalipun mengqadha’nya dalam pelayaran secara ijmâ‘… dan (sebab tidak boleh mengqasharnya) kerana sesungguhnya ia tsabit dalam tanggungannya sebagai tanggungan bersifat sempurna.
Hukum Mengqasharkan Sembahyang Qadha’ yang Tertinggal Semasa
Apabila masuk waktu sembahyang fardhu ketika dalam pelayaran dan ia tidak dikerjakan sehingga habis waktu tersebut, sama ada sengaja atau tidak sengaja ditinggalkan, maka mengenai keadaan ini, al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada menjelaskan:
Ertinya: [Dan jika seseorang mengqadha’ sembahyang yang tertinggal dalam pelayaran] yang dibolehkan untuk mengqashar, [maka menurut pendapat al-azhhar boleh mengqasharkannya dalam pelayaran] yang telah tertinggal (sembahyang itu) padanya atau pelayaran lain yang dibolehkan qashar, meskipun (kedua pelayaran tersebut) dipisahkan oleh tempoh bermuqîm yang panjang. Ini kerana wujud sebab qashar pada mengqadha’nya sepertimana pada tunainya… [tetapi (tidak boleh mengqasharnya) ketika bermuqîm] dan seumpamanya kerana ketiadaan sebab qashar semasa melakukannya.
Daripada penjelasan ini, dapat disimpulkan bahawa terdapat tiga keadaan apabila seseorang itu ingin mengqadha’ sembahyangnya yang tertinggal ketika safar (pelayaran) seperti berikut:
1. Jika dia mengqadha’nya dalam pelayaran yang dia telah tertinggal sembahyangnya, maka boleh baginya untuk mengqashar sembahyang qadha’ tersebut menurut pendapat yang azhhar, kerana wujud sebab atau rukhshah untuk mengqasharkan sembahyang qadha’ sepertimana wujud sebab untuk mengqashar sembahyang tunai, iaitu pelayaran.
2. Jika dia mengqadha’nya dalam pelayaran yang lain, iaitu bukan pelayaran yang dia telah tertinggal sembahyangnya, maka boleh juga baginya untuk mengqashar sembahyang qadha’ tersebut menurut pendapat yang azhhar, walaupun di antara kedua-dua pelayaran itu dipisahkan oleh satu tempoh bermuqîm (tinggal menetap pada satu tempat dalam tempoh masa yang panjang).
Gambaran keadaan ini contohnya, seseorang tertinggal sembahyang fardhu Zhuhur dalam sebuah pelayaran, lalu dia menetap di suatu tempat dalam tempoh dua minggu. Kemudian dia memulakan lagi pelayaran yang kedua yang memenuhi syarat-syarat qashar. Jika dalam pelayaran yang kedua ini dia hendak mengqadha’ sembahyang Zhuhurnya yang tertinggal ketika pelayaran yang pertama, maka boleh baginya untuk mengqashar sembahyang tersebut.
Namun dia hanya boleh mengqasharkan sembahyangnya dengan syarat pelayaran yang pertama dan kedua itu hendaklah pelayaran yang memenuhi syarat-syarat qashar. Jika salah satu pelayaran tersebut tidak memenuhi syarat qashar, maka hendaklah dia mengqadha’nya dengan bilangan sempurna.
Contohnya, seseorang tertinggal sembahyang fardhu Zhuhur dalam sebuah pelayaran yang memenuhi syarat-syarat qashar, lalu dia menetap di suatu tempat dalam tempoh dua minggu. Kemudian dia memulakan lagi pelayaran yang kedua yang tidak memenuhi syarat-syarat qashar seperti pelayaran yang tidak mencapai jarak dua marhalah. Jika dalam pelayaran yang kedua ini dia hendak mengqadha’ sembahyang Zhuhurnya yang tertinggal ketika pelayaran yang pertama, maka dia tidak boleh mengqashar sembahyang qadha’nya tersebut.
Begitu juga sebaliknya jika seseorang tertinggal sembahyang fardhu Zhuhur dalam pelayaran yang pertama yang tidak memenuhi syarat-syarat qashar, lalu setelah menetap di suatu tempat dalam tempoh dua minggu dia memulakan pelayaran yang kedua yang memenuhi syarat-syarat qashar. Jika dia ingin mengqadha’ sembahyang Zhuhur pada pelayaran yang kedua, dia tetap tidak boleh mengqashar sembahyang qadha’nya itu meskipun pelayaran yang kedua itu memenuhi syarat-syarat qashar, kerana pelayaran yang pertama yang dia telah tertinggal sembahyangnya itu tidak memenuhi syarat-syarat qashar dan sembahyang Zhuhur itu dikira sebagai sembahyang yang tertinggal ketika
3. Jika dia mengqadha’nya ketika bermuqîm ataupun ketika dalam pelayaran yang tidak memenuhi syarat qashar seperti pelayaran maksiat atau pelayaran yang tidak mencapai jarak dua marhalah, maka dia tidak boleh mengqashar sembahyang qadha’nya itu.
Ini kerana tiada sebab untuknya mengqasharkan sembahyang dan kerana sembahyang qashar itu adalah satu keringanan yang bergantung kepada keuzuran, maka apabila keuzuran itu berakhir, keringanan tersebut turut berakhir.
Ragu Sama Ada Sembahyang yang Terluput Terjadi Sebelum atau Selepas Pelayaran
Jika seseorang syak atau ragu-ragu sama ada sembahyangnya itu tertinggal ketika dia masih bermuqîm atau ketika dalam pelayaran, maka dia tidak boleh mengqasharkan sembahyang qadha’nya itu jika dia ingin mengqadha’nya ketika dalam pelayaran sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyath), kerana pada asalnya sembahyang itu adalah sempurna (empat rakaat).
Masalah Qashar Sembahyang Ketika Memulakan Pelayaran di Akhir Waktu Sembahyang
Jika seseorang memulakan pelayarannya pada ketika sudah di akhir waktu sembahyang sedangkan dia belum bersembahyang, maka ketentuan hukum sama ada boleh atau tidak dia mengqashar sembahyangnya adalah tertakluk kepada dua keadaan:
i. Jika dengan waktu yang berbaki itu dia menyangka yang dia sempat untuk melakukan sekurang-kurangnya satu rakaat sembahyang, maka dia boleh mengqasharkan sembahyangnya yang tunai ataupun yang qadha’ pada pendapat yang ashah. Ini kerana jika dia melakukan sembahyang pada masa itu juga, ia dikira sebagai sembahyang tunai, dan jika dia tidak melakukannya tetapi mengqadha’nya dalam pelayaran, maka ia dikira sebagai sembahyang yang tertinggal semasa pelayaran (فائتة السفر).
ii. Jika dengan waktu yang berbaki itu dia menyangka yang dia tidak sempat untuk melakukan satu rakaat sembahyang, maka dia tidak boleh mengqasharkan sembahyangnya kerana sembahyangnya itu dikira sebagai sembahyang qadha’ yang tertinggal ketika bermukim (فائتة اْلضر ) dan bukan tunai.
Apa yang dimaksudkan dengan melakukan satu rakaat sembahyang ialah bangun dari sujud kedua dan berdiri untuk melakukan rakaat kedua.
Apa yang dimaksudkan dengan sangkaan menyempati satu rakaat itu ialah mengikut kebiasaan tempoh seseorang itu melakukan sembahyang. Contohnya, jika pada kebiasaannya dia melakukan sembahyang Zhuhur selama lapan minit, maka ini bermaksud dia memerlukan dua minit bagi setiap satu rakaat. Tempoh masa inilah yang menjadi ukuran sama ada dia boleh mengqashar sembahyangnya atau tidak.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, mengqashar sembahyang qadha’ adalah dibolehkan bagi sembahyang yang tertinggal ketika dalam pelayaran yang memenuhi syarat qashar dan pelayaran itu dimulakan dalam tempoh yang sempat baginya melakukan sekurang-kurangnya satu rakaat sembahyang.
Akan tetapi, sembahyang qadha’ tidak boleh diqasharkan bagi sembahyang yang tertinggal ketika masih bermuqîm, ketika dalam pelayaran yang tidak memenuhi syarat qashar ataupun ketika pelayaran itu dimulakan dalam tempoh yang tidak sempat baginya melakukan satu rakaat sembahyang.
Penjelasan mengenai hukum mengqashar sembahyang qadha’ ini hanyalah semata-mata sebaran ilmu mengenainya bagi mereka yang berkenaan dan bukan bertujuan untuk menggalakkan atau kelonggaran bagi orang ramai untuk meninggalkan sembahyang ketika belayar. Ibadat sembahyang itu wajib dikerjakan pada waktunya walaupun seseorang itu berada dalam keadaan ketakutan ataupun sakit dan haram hukumnya bagi seseorang itu meninggalkan sembahyang dengan sengaja.
Ibadat sembahyang yang tidak dilakukan pada waktunya adalah sunat disegerakan untuk diqadha’ jika ia ditinggalkan dengan tidak sengaja kerana uzur seperti tidur yang bukan disengajakan atau lupa disebabkan kesibukan pelayaran. Adapun jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa sebarang keuzuran, maka wajib disegerakan qadha’nya itu.
SEMBAHYANG JAMA‘ KERANA HUJAN
Sembahyang jama‘ ialah dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan di dalam satu waktu. Iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar dan menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya’. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menghimpunkan di antara sembahyang dalam satu pelayaran yang Baginda belayar semasa peperangan Tabuk. Maka Baginda menghimpunkan di antara Zhuhur dan ‘Ashar dan di antara Maghrib dan ‘Isya’. Sa‘id berkata: “Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: Apa yang membuatkan Baginda berbuat demikian?” Beliau menjawab: “Baginda tidak mahu meberatkan umatnya.” (Hadits riwayat Muslim)
Apa yang sering kita dengar dan ketahui mengenai sembahyang jama’ ini, ia diharuskan ke atas orang yang dalam pelayaran sebagai rukhshah atau keringanan syara‘ atas kesusahan yang kebiasaannya ditempuhi dalam pelayaran. Namun sembahyang jama‘ itu juga diharuskan dengan sebab hujan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengerjakan sembahyang dengan menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar dan menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ bukan sebab takut dan bukan sebab pelayaran. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh, beliau berpendapat bahawa sembahyang jama‘ yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah sembahyang jama‘ kerana hujan.
Sembahyang jama‘ kerana hujan harus dikerjakan sama ada ketika dalam pelayaran ataupun bermuqîm. Walau bagaimanapun sembahyang jama‘ kerana hujan itu hanya harus dikerjakan secara jama‘ taqdîm iaitu mengerjakan sembahyang kedua dalam waktu sembahyang yang pertama seperti sembahyang ‘Ashar dihimpunkan dalam sembahyang Zhuhur.
Ia tidak harus dikerjakan secara jama‘ ta’khîr iaitu mengerjakan sembahyang pertama dalam waktu sembahyang yang kedua seperti sembahyang Zhuhur dihimpunkan dalam sembahyang ‘Ashar. Ini kerana mengekalkan hujan itu turun bukan kehendak orang yang bersembahyang itu, kadang-kadang ia berhenti dan menyebabkan sembahyang yang pertama itu terkeluar daripada waktunya tanpa ada keuzuran.
Syarat-syarat sembahyang jama‘ kerana hujan
Syarat-syarat sembahyang jama‘ kerana hujan itu sama kedudukannya dengan syarat-syarat sembahyang jama‘ taqdîm melainkan ia ditambah dengan beberapa syarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1. Mengikut tertib.
Hendaklah dikerjakan dua sembahyang yang dijama‘ itu secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang Zhuhur kemudian diikuti dengan sembahyang ‘Ashar dan dengan mendahulukan sembahyang Maghrib kemudian diikuti dengan sembahyang ‘Isya’.
Sekiranya ia dikerjakan dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan sembahyang ‘Ashar kemudian diikuti dengan sembahyang Zhuhur, maka tidak sah sembahyang tersebut dan hendaklah diulang semula sembahyang ‘Ashar itu selepas mengerjakan sembahyang Zhuhur.
2. Niat untuk menjama‘ sembahyang.
Hendaklah berniat untuk menjama‘ sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) bersama dengan sembahyang yang pertama (Zhuhur atau Maghrib). Niat itu afdhal dilakukan ketika takbîratul-ihrâm pada sembahyang yang pertama dan harus juga dilakukan niat tersebut semasa sembahyang yang pertama sebelum selesai memberi salam sebagaimana menurut pendapat yang azhar.
3. Berturut-turut (muwalah).
Hendaklah dikerjakan dua sembahyang yang dijama‘ itu secara berturut-turut iaitu tidak dipisahkan di antara kedua-duanya dengan jarak waktu yang panjang. Jika di antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka wajib dikerjakan sembahyang yang kedua itu (‘Ashar atau ‘Isya’) di dalam waktunya kerana syarat menjama‘ sudah luput.
4. Dikerjakan ketika hujan turun.
Hendaklah hujan turun di permulaan dua sembahyang yang dijama‘ dan ketika memberi salam pada sembahyang yang pertama bagi merealisasikan sembahyang jama‘ itu disebabkan keuzuran sebagaimana pendapat yang ashah.
Sebagai contoh sembahyang jama‘ Zhuhur dan ‘Ashar, hendaklah hujan turun di permulaan sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar. Demikian juga, hujan turun ketika memberi salam pada sembahyang Zhuhur.
Sekiranya hujan sedang turun di permulaan sembahyang iaitu ketika mengangkat takbîratul-ihrâm, lalu hujan berhenti ketika pertengahan sembahyang yang pertama, kemudian hujan kembali turun sebelum memberi salam sembahyang yang pertama dan berterusan sehingga permulaan sembahyang yang kedua, maka sembahyang jama‘ tersebut adalah harus kerana terdapat keuzuran ketika mengerjakan sembahyang jama‘.
Adapun jika seseorang memulakan sembahyang yang pertama sedangkan hujun belum lagi turun, lalu ia turun setelah dia masuk mengerjakan sembahyang, maka dalam hal ini tidak harus sembahyang jama‘ kerana sebab rukhshah menjama‘ sembahyang itu terjadi selepas masuk mengerjakan sembahyang.
Selain itu, hendaklah hujan yang turun itu sekira-kira membasahi pakaian walaupun hujan yang turun itu tidak lebat. Demikian juga dengan hujan salju asalkan ia mencair dan membasahi pakaian. Sekiranya hujan itu turun dan tidak membasahi pakaian maka tidak harus sembahyang jama‘.
5. Sembahyang jemaah di masjid yang jauh dan hujan menyusahkan di perjalanan.
Kelonggaran untuk menjama‘ sembahyang kerana hujan itu adalah khusus bagi mereka yang bermaksud untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah di masjid atau tempat-tempat sembahyang seperti surau dan balai ibadat.
Kedudukan masjid itu hendaklah berada jauh mengikut ‘uruf daripada rumah mereka dan sekira-kira hujan itu menyusahkan mereka di perjalanan menuju ke masjid.
Adapun orang yang mengerjakan sembahyang di rumahnya sama ada secara bersendirian atau berjemaah adalah tidak diharuskan menjama‘ sembahyang kerana hujan. Demikian juga, jika hujan itu tidak menyusahkan mereka di perjalanan seperti mereka berjalan menuju ke masjid melalui naungan seperti atap dan seumpamanya ataupun kedudukan masjid itu tidak jauh daripada rumahnya, maka tidak diharuskan menjama‘ sembahyang.
Beberapa Permasalahan Sembahyang Jama‘ kerana Hujan
1. Mungkin timbul persoalan mengenai syarat kedudukan masjid yang jauh dari rumah, sedangkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjama‘ sembahyang kerana hujan walaupun rumah-rumah isteri Baginda berhampiran dengan masjid. Namun hakikatnya, rumah-rumah isteri Baginda itu bermacam-macam dan kebanyakannya berada jauh dari masjid. Oleh itu, Baginda menjama‘ sembahyang kerana hujan hanya semasa Baginda berada di rumah isterinya yang jauh.
2. Imam yang ditugaskan oleh pemerintah atau sesiapa yang apabila dia tidak menjadi imam akan menyebabkan tidak ada sembahyang jemaah adalah harus dia menjama‘ sembahyang kerana hujan bersama ma’mum walaupun imam itu tidak disusahkan oleh hujan seperti imam itu tinggal di masjid.
Adapun selain daripada imam tersebut seperti mereka yang tinggal berhampiran dengan masjid tidaklah diharuskan berjemaah bersama dengan imam yang menjama‘ sembahyang kerana hujan, akan tetapi hendaklah mereka mengakhirkan sembahyang kedua itu ke waktunya. Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh, jika mereka yang mengakhirkan sembahyang kedua itu ke waktunya akan menyebabkan mereka mengerjakan sembahyang secara berseorangan, maka harus mereka ikut berjemaah bersama imam yang mengerjakan sembahyang jama‘ kerana hujan tersebut bagi mendapatkan fadhilat berjemaah.
3. Menurut Imam al-Muhibb ath-Thabari Rahimahullâh, sekiranya seseorang itu pergi ke masjid untuk berjemaah sedangkan hujan belum turun, lalu ia turun semasa dia berada di masjid, maka harus dia ikut berjemaah mengerjakan sembahyang jama‘ kerana hujan. Ini kerana dia masih berhajat untuk mengerjakan sembahyang seterusnya seperti ‘Ashar atau ‘Isya’ dengan berjemaah di masjid, jika tidak dikerjakan secara jama‘ maka akan menyusahkannya berulang-alik ke masjid.
Demikian beberapa penjelasan mengenai kelonggaran mengerjakan sembahyang jama‘ kerana hujan. Walaupun sembahyang Jama‘ kerana hujan jarang sekali kita mendengar orang melakukannya, tetapi hal ini elok juga diketahui dan difahami sejauh mana keharusan mengerjakan sembahyang jama‘ kerana hujan, terutama sekali syarat-syarat mengerjakannya. Ini kerana boleh jadi suatu hari nanti kita mempunyai keperluan untuk melakukannya. Apabila kita sudah mempunyai ilmu mengenainya maka mudahlah bagi kita untuk menunaikannya.
AZAN DAN IQÂMAH BAGI MUNFARID
Melaungkan azan apabila masuk waktu sembahyang fardhu lima waktu serta melaungkan iqâmah ketika hendak menunaikannya hukumnya sunat. Ada pula sebahagian ulama yang mengatakan hukumnya fardhu Kifayah kerana ia salah satu perkara yang menzahirkan syi‘âr Islam dan mengabaikan kedua-duanya bererti meremehkan agama.
Azan dan iqâmah hanya dilaungkan untuk sembahyang fardhu lima waktu sahaja termasuk sembahyang fardhu Jumaat. Adapun sembahyang-sembahyang sunat, sembahyang jenazah, sembahyang yang dinazarkan serta lainnya tidak disyariatkan azan dan iqâmah, bahkan makruh hukumnya.
Bagi mereka yang sembahyang secara berjemaah, azan dan iqâmah merupakan satu tuntutan sunat Kifayah. Ini satu perkara yang jelas dan diketahui umum. Apa yang menjadi persoalan di sini ialah bagaimana pula kedudukan azan dan iqâmah bagi munfarid iaitu orang yang bersembahyang sendirian? Adakah munfarid juga dituntut untuk melaungkan azan dan iqâmah sepertimana halnya ia dituntut dalam sembahyang jemaah?
Hukum Azan dan Iqâmah Bagi Munfarid Serta Persoalannya
Pada dasarnya, menurut qaul jadîd dalam mazhab asy-Syafi‘i, orang yang bersembahyang sendirian yakni munfarid disunatkan secara sunat ‘Ain untuk menlaungkan azan dan iqâmah. Walau bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, kaifiyyah serta tuntutannya tidak sama dengan azan dan iqâmah yang dilaungkan untuk sembahyang jemaah.
Terdapat beberapa perbincangan hukum dan persoalan khusus bagi permasalahan azan dan iqâmah bagi seorang munfarid. Ini sepertimana berikut:
1. Hukum azan dan iqâmah bagi munfarid.
Sunat ke atas munfarid secara sunat ‘Ain untuk melaungkan azan serta iqâmah walaupun azan sudah dilaungkan sebelum itu oleh orang lain dan dia sendiri telah mendengar azan tersebut. Ini tidak ada beza sama ada munfarid itu hendak mengerjakan sembahyang dalam bangunan ataupun tempat terbuka seperti padang pasir dan sebagainya.
2. Kadar suara ketika melaungkan azan dan iqâmah bagi munfarid
(i) Bagi seorang munfarid, sekiranya dia tidak mahu mengeraskan suaranya ketika melaungkan azan, maka adalah memadai untuk dia melaungkannya dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja. Dengan yang demikian, dia dikira sudah menunaikan tuntutan melaungkan azan dan mendapat pahala sunat melaungkan azan.
Ini berbeza dengan azan ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan padanya untuk dilaungkan dengan suara keras supaya ia dapat didengar oleh para jemaah. Ini bertujuan bagi mengumumkan masuk waktu supaya para jemaah mengetahui bahawa tidak lama lagi sembahyang jemaah akan dikerjakan.
(ii) Walaupun dikira memadai bagi seorang munfarid untuk melaungkan azan dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja, akan tetapi menurut ulama adalah disunatkan dan lebih dituntut atas munfarid untuk mengeraskan suaranya lebih daripada kadar yang hanya dapat didengar olehnya sendiri.
Tuntutan sunat mengeraskan suara ketika azan ini dikira sudah memadai dan memenuhi tuntutan bagi munfarid sekiranya kadar suara azannya itu melebihi sedikit daripada kadar yang dapat didengar olehnya sendiri. Adapun bagi munfarid yang hendak melaksanakan tuntutan yang lebih sempurna pula, maka dia disunatkan untuk mengeraskan suaranya ketika azan semampu yang boleh, asalkan tidak menimbulkan masyaqqah atau menyusahkan dirinya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu yang secara umum menganjurkan ke atas sesiapa sahaja yang melaungkan azan supaya mengeraskan suaranya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada satu pun jin, manusia atau sesuatu yang mendengar laungan gema dan cakupan suara seorang mu’adzdzin melainkan masing-masing mereka itu akan bersaksi untuk kebaikan diri mu’adzdzin tersebut pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
(iii) Bagi iqâmah pula, adalah juga memadai atas munfarid untuk iqâmah dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja.
Ini juga berbeza dengan iqâmah ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan jahr iaitu dengan suara yang keras. Bagaimanapun, dalam sembahyang jemaah, iqâmah disyaratkan supaya lebih rendah daripada azan.
3. Hukum dan kaifiyyah azan bagi munfarid ketika bersembahyang di masjid, surau dan seumpamanya
(i) Sekiranya seorang munfarid hendak mengerjakan sembahyang di masjid, surau atau tempat-tempat lain yang sudah dilaungkan azan padanya dan sudah dikerjakan sembahyang jemaah padanya sebelum itu, maka munfarid itu tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan. Tidak ada beza dalam hal ini sama ada jemaah itu sudah beredar atau belum.
Begitu juga munfarid tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan sekiranya di tempat seperti masjid dan sebagainya itu terdapat mereka yang sudah mengerjakan secara seorang diri sembahyang fardhu yang hendak dikerjakan oleh munfarid itu.
Sebaliknya, apabila berada di masjid serta tempat-tempat lain yang sudah dilaungkan azan dan dikerjakan sembahyang padanya itu, munfarid disunatkan untuk tidak mengangkat suara ketika azan.
Sebagai contoh, seseorang pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu Shubuh. Ketika dia sampai ke masjid tersebut, azan Shubuh sudah dilaungkan oleh mu’adzdzin masjid berkenaan dan sembahyang fardhu Shubuh pun sudah dikerjakan secara berjemaah atau secara bersendirian oleh sebilangan jemaah. Maka dalam hal ini, sekiranya orang itu hendak mengerjakan sembahyang secara bersendirian, maka disunatkan ke atasnya azan tanpa mengangkat suara.
Adapun sebab kenapa munfarid tidak disunatkan untuk mengangkat suara ketika menlaungkan azan pada tempat dan keadaan seumpama ini ialah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan terhadap orang lain. Kekeliruan yang boleh timbul antaranya:
(a) Dikhuatiri orang yang mendengarnya menyangka bahawa telah masuk waktu sembahyang yang berikutnya.
(b) Dikhuatiri mereka boleh menyangka bahawa sembahyang yang telah mereka kerjakan sebelum itu tidak sah kerana dikerjakan sebelum masuk waktunya. Ini kerana mereka menyangka bahawa azan bagi sembahyang yang sudah selesai mereka kerjakan itu baru sahaja dilaungkan oleh munfarid tersebut.
(ii) Sekiranya seseorang itu pergi ke masjid atau surau dan sebagainya yang sudah dilaungkan azan padanya, lalu dia hendak mengerjakan sembahyang seorang diri di tempat tersebut sedangkan ketika itu jemaah lain masih menunggu sembahyang didirikan secara berjemaah, maka tidak disunatkan atasnya untuk azan. Ini kerana azan yang sudah dilaungkan di tempat tersebut sebelum itu sudah memadai baginya.
(iii) Begitu juga halnya sekiranya seseorang itu mendengar azan di suatu masjid atau surau contohnya, lalu disebabkan azan yang didengarnya itu dia pergi ke masjid atau surau tersebut untuk mendirikan sembahyang. Maka dalam hal ini dia tidak lagi dituntut untuk melaungkan azan walaupun dia mengerjakan sembahyang secara bersendirian kerana azan yang dilaungkan sebelum itu sudah memadai baginya. Ini kerana dengan menghadirkan diri ke masjid atau surau berkenaan, dia dikira telah menyahut seruan azan tersebut. Berbeza pula halnya jika dia pergi ke masjid atau surau itu bukan kerana menyahut seruan azan yang dilaungkan oleh mu’adzdzin di masjid atau surau berkenaan. Sebagai contoh, seseorang mengetahui bahawa sembahyang fardhu Maghrib sudah masuk waktunya kerana melihat matahari terbenam, lalu dia pergi ke suatu masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib secara bersendirian sedangkan dia sendiri tidak mendengar azan Maghrib yang dilaungkan di masjid tersebut sebelum itu. Maka dalam hal ini, sunat dia mendirikan azan.
4. Azan dan iqâmah bagi munfarid yang mengerjakan sembahyang qadha’.
(i) Disunatkan iqâmah ke atas munfarid yang hendak mengerjakan qadha’ sembahyang fardhu lima waktu kerana ia dianggap sebagai iftitâh atau pembukaan bagi sembahyang.
(ii) Berkenaan azan pula, terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab asy- Syafi‘i di antara qaul qadîm dan qaul jadîd. Menurut qaul jadîd, azan tidak dituntut ketika mengerjakan sembahyang qadha’ fardhu lima waktu kerana waktunya sudah berlalu. Sebaliknya menurut qaul qadîm pula, azan tetap disunatkan bagi sembahyang qadha’ fardhu lima waktu.
Bagaimanapun, jumhûr ulama asy-Syafi‘i lebih cenderung untuk memilih qaul qadîm iaitu sunat melaungkan azan ke atas mereka yang hendak mengerjakan sembahyang qadha’ fardhu lima waktu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian.
Ini kerana menurut pendapat yang ashah, azan merupakan hak bagi sembahyang fardhu lima waktu, maka ia tetap disunatkan sama ada dikerjakan dalam waktu mahupun di luar waktu. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Kaum musyrikin telah mempersibukkan (mengganggu) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada menunaikan empat sembahyang fardhu ketika peperangan Khandaq sehinggalah berlalu – sebagaimana yang dikehendaki Allah – sebahagian waktu malam.
Lantas Baginda mengarahkan Bilal (supaya melaungkan azan), lalu beliau pun melaungkan azan. Selepas itu, beliau melaungkan iqâmah lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad)
5. Azan dan iqâmah bagi munfarid perempuan.
(i) Berbeza dengan lelaki, orang perempuan tidak disunatkan azan sama ada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan, sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan.
Walaupun azan pada dasarnya tidak disunatkan atas perempuan, sekiranya perempuan itu azan untuk dirinya sendiri dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri atau untuk jemaah sesama perempuan yang hanya dapat didengar di kalangan mereka, maka hukumnya tidak makruh bahkan adalah harus. Bagaimanapun, perempuan itu tidak mendapat pahala sunat kerana melaungkan azan. Akan tetapi, sekiranya dia mengangkat suaranya lebih daripada kadar tersebut, maka makruh hukumnya.
Dalam perkara ini, disyaratkan ke atas perempuan itu untuk tidak meniatkan azan tersebut sebagai azan syar‘i. Ini kerana menurut syara‘, perempuan bukanlah ahli untuk melaungkan azan, maka dengan sendirinya azan yang didirikannya itu hanya sebagai dzikrullâh semata-mata. Jika dia meniatkannya sebagai azan syar‘i atau sebagai satu ibadat, maka hukumnya adalah haram.
(ii) Berbeza halnya jika seorang perempuan azan untuk jemaah lelaki atau khuntsâ. Menurut syara‘, tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki atau khuntsâ, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsâ haram memandangnya. Ini kerana perbuatannya melaungkan azan itu boleh menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya. Perkara ini boleh berlaku kerana orang yang mendengar azan disunatkan untuk melihat orang yang azan. Tidak syak lagi perkara ini boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu, azan dianggap sebagai tugas dan syi‘âr yang hanya khusus bagi lelaki semata-mata.
Begitu juga sekiranya seorang perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, maka haram hukumnya. Begitu juga haram jika perempuan itu meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi).
(iii) Adapun iqâmah pula adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sahaja. Begitu juga seorang perempuan disunatkan melaungkan iqâmah dalam jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh sesama mereka.
Sebaliknya, sekiranya seorang perempuan iqâmah bagi lelaki atau khuntsâ, maka iqâmah tersebut tidak sah.
Secara ringkasnya, perempuan hanya boleh mendirikan iqâmah untuk dirinya sendiri dan dia juga boleh melaungkan iqâmah ke atas jemaah perempuan sahaja dengan suara yang rendah. Namun adalah ditegah seorang perempuan melaungkan iqâmah ke atas khuntsâ atau ke atas jemaah lelaki.
Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum-hakam dan permasalahan azan dan iqâmah bagi munfarid. Mudahan-mudahan penjelasan ini mampu menambahkan ilmu dan memantapkan amal kita terutama dalam perkara menunaikan dan memelihara tuntutan azan dan iqâmah yang merupakan keistimewaan khusus umat Islam.
BERNIAT PUASA KETIKA HAIDH ATAU NIFÂS: Adakah Sah Puasa?
Suci daripada haidh dan nifâs adalah salah satu syarat wajib puasa. Menurut hukum yang disyariatkan, perempuan yang sedang mengalami haidh atau nifâs adalah diharamkan untuk melakukan ibadat puasa, bahkan tidak sah puasa jika dilakukan.
Sungguhpun demikian, keuzuran disebabkan haidh ataupun nifâs bukan suatu alasan untuk tidak menunaikan kewajipan puasa atau melengah-melengahkan kewajipan tersebut.
Perempuan yang mengalami haidh atau nifâs yang belum kering darahnya sehingga malam hari dan belum melakukan mandi wajib itu tidak semestinya terlepas peluang daripada menunaikan ibadat puasa pada keesokan harinya.
Syariat Islam ternyata teratur dan tidak membebankan. Perempuan yang mengalami haidh atau nifâs pada malam hari dan darahnya berhenti keluar sebelum terbit fajar tidak perlu menunggu waktu satu hari penuh untuk berada dalam keadaan suci daripada haidh dan nifâs bagi membolehkannya melakukan niat puasa. Perempuan tersebut boleh berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari sekiranya niat dilakukan menepati ketetapan yang telah disyariatkan sebagaimana huraian berikut.
Wajib Berniat Puasa
Berniat untuk melakukan puasa adalah rukun puasa. Hukum berniat itu adalah wajib. Tidak sah puasa sama ada puasa wajib atau puasa sunat tanpa niat, kerana puasa adalah ibadat tersendiri sebagaimana juga ibadat sembahyang.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda di dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:
Maksudnya: Hanya amalan-amalan itu dengan niat dan hanya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Niat sah dilakukan pada keseluruhan malam hari iaitu bermula dari terbenam matahari hingga terbit fajar.
Tidak sah puasa seseorang jika niat dilakukan di luar waktu yang ditetapkan hatta sedetik sebelum terbenam matahari. Demikian juga jika niat dilakukan seiringan dengan terbit fajar.
Perlu diingat berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan malam hari itu adalah termasuk waktu selepas jam 12 tengah malam sehingga waktu sebelum terbit fajar iaitu sebelum masuk waktu subuh.
Berniat Puasa Ketika Haidh atau Nifâs
Khusus mengenai dengan perempuan yang mengalami haidh atau nifâs, jika darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar pada malam hari atau sebelum lagi terbit fajar, dia boleh menunaikan puasa pada siang harinya dengan syarat dia berniat dalam tempoh waktu berniat di malam hari yang telah ditetapkan oleh syara‘ walaupun ketika dia berniat itu, darah haidh atau nifâsnya masih keluar.
Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang perlu diambil perhatian berkenaan dengan berniat puasa ketika haidh atau nifâs sebagaimana beberapa keadaan atau permasalahan berikut:
1. Darah haidh atau nifas berhenti keluar pada malam hari dan genap tempoh maksima haidh atau nifâs.
Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar dan darahnya itu berhenti pada malam hari dan genap tempoh maksima haidh iaitu lima belas hari ataupun genap tempoh maksima nifâs iaitu enam puluh hari, maka sah puasa dengan niat tersebut. Ini adalah kerana perempuan itu telah pasti bahawa hari esok dan berikutnya adalah dikira suci.
Niat perempuan itu juga tetap sah jika darah belum berhenti keluar. Ini kerana darah yang keluar melebihi tempoh maksima haidh atau nifâs itu ia adalah dihukumkan sebagai istihâdhah. Perempuan yang mengalami istihâdhah tidak dilarang menunaikan ibadat puasa, bahkan diwajibkan ke atasnya puasa.
Contoh:
i) Genap hari kelima belas haidh, selepas masuk waktu maghrib kira-kira jam 6:30 petang, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian, darah haidhnya hanya berhenti keluar hampir waktu subuh iaitu kira-kira jam 4:30 pagi. Maka dengan niatnya itu, puasa Fatimah adalah sah walaupun niat dilakukan ketika darah haidhnya masih keluar.
ii) Genap hari kelima belas haidh, selepas masuk waktu maghrib kira-kira jam 6:30 petang, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian, pada jam 7 pagi, darah haidhnya masih terus keluar dan melewati waktu terbit fajar. Maka dengan niatnya itu, puasa Fatimah tetap sah walaupun niat dilakukan ketika darahnya masih keluar. Ini adalah kerana dia sedang mengalami istihâdhah disebabkan darahnya keluar melebihi tempoh maksima haidh dan diwajibkan ke atasnya puasa.
2. Darah haidh atau nifas berhenti keluar pada malam hari dan genap tempoh kebiasaan haidh atau nifâs.
Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar dan darahnya itu berhenti pada malam hari dan genap tempoh atau kadar kebiasaan haidh atau nifâsnya, walaupun tidak sampai tempoh maksima haidh atau nifâs, maka sah puasa dengan niat tersebut sebagaimana menurut pendapat al-ashah.
Ini adalah kerana pada zahirnya, kebiasaan itu berterusan ataupun konsisten, sama ada waktu kebiasaan itu benar-benar sama, umpamanya darah haidh berhenti keluar pada hari keenam setiap kali kitaran haidh berlaku, ataupun berlainan, akan tetapi masih sejajar ataupun teratur dan dia ingat akan waktu kitarannya itu.
Contoh:
i) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama enam hari pada setiap bulan. Dia berniat untuk menunaikan puasa selepas masuk waktu maghrib pada jam 7 malam. Kemudian darah haidhnya berhenti keluar jam 11 malam setelah genap enam hari haidh. Maka dengan niat ini, puasa Fatimah adalah sah.
ii) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama tiga hari pada bulan Muharram, empat hari pada bulan Safar, lima hari pada bulan Rabiulawwal. Kemudian berulang semula tempoh tersebut dengan teratur iaitu pada bulan Rabiulakhir darah haidh keluar selama tiga hari, empat hari pada bulan Jamadilawwal dan lima hari pada bulan Jamadilakhir. Demikian juga pada bulan seterusnya sehingga pada bulan Ramadhan, darah haidhnya berhenti keluar genap hari kelima haidh. Jika dia berniat pada hari kelima itu untuk menunaikan puasa setelah masuk waktu maghrib pada jam 7 malam, kemudian darah haidhnya berhenti keluar jam 11 malam sebelum lagi terbit fajar, maka dalam keadaan ini, puasa Fatimah adalah sah dengan niat tersebut kerana niat dilakukan genap hari kelima sebagaimana mengikut tempoh kitaran haidhnya yang berselisih akan tetapi tetap teratur dan konsisten. Puasa Fatimah juga sah dengan niat itu kerana dia tidak lupa akan waktu kitaran haidhnya.
iii) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama enam hari pada setiap bulan. Jika dia telah berniat pada malam hari keenam (tempoh kebiasaan kitaran haidhnya), kemudian darah haidh masih terus keluar sehingga melewati waktu terbit fajar hari berikutnya iaitu hari ketujuh, maka dia tidak boleh menunaikan puasa pada hari ketujuh itu walaupun dia telah berniat puasa pada malam hari sebelumnya (tempoh kebiasaan kitaran haidhnya). Ini kerana dia masih di dalam keadaan haidh jika dia berpuasa pada siang hari ketujuh itu.
3. Tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifâs dan tidak genap tempoh maksima haidh atau nifâs pada malam hari.
Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat pada waktu malam untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar, akan tetapi dia tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifâs dan dia berniat pada waktu malam itu pula ketika dia belum lagi sampai tempoh maksima haidh atau nifâs, kemudian darahnya berhenti keluar sebelum waktu subuh, maka dalam hal ini puasanya tidak sah dengan niat tersebut. Ini kerana perempuan tersebut tidak pasti dengan niatnya dan dia tidak mempunyai sebarang asas atau tanda sebagai rujukan untuk membolehkannya berniat untuk berpuasa.
Contoh:
Fatimah baru pertama kali haidh. Darah haidh mula keluar pada 1 Ramadhan. Genap sepuluh hari, pada jam 7 malam setelah masuk waktu maghrib. Dia berniat untuk menunaikan puasa esok harinya. Pada jam 10 malam Darah haidhnya berhenti keluar. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut kerana dia tidak pasti dengan niatnya dan niatnya itu tidak diasaskan kepada sebarang alamat atau tanda. Fatimah tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh memandangkan dia baru pertama kali mengalami haidh. Dia juga berniat sebelum genap tempoh maksima haidh iaitu lima belas hari.
4. Memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifas yang berbeza-beza.
Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar, kemudian darahnya berhenti akan tetapi dia memang memiliki tempoh haidh yang berbeza-beza sama ada kitarannya yang tidak teratur atau tidak berulang-ulang ataupun teratur akan tetapi dia lupa akan kitaran haidhnya atau lupa akan kitaran terakhirnya. Maka dalam keadaan ini, puasa perempuan itu tidak sah dengan niat tersebut. Ini adalah kerana dia tidak pasti dengan niatnya dan ia tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.
Contoh:
i) Kitaran haidh Fatimah berbeza-beza pada kebiasaan dan kebanyakan waktu. Sebagai contoh, pada bulan Jamadilakhir, darahnya keluar selama enam hari bermula pada 10 haribulan. Dalam bulan Rejab pula, darahnya keluar selama sepuluh hari bermula pada 3 haribulan. Kemudian pada bulan Sya‘ban, darah mula keluar pada 25 haribulan dan berakhir 28 haribulan, iaitu selama empat hari. Pada bulan Ramadhan pula, darah keluar pada 1 haribulan. Pada bulan Ramadhan ini, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada hari kelima haidh iaitu 5 haribulan ketika darah haidh masih keluar. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut, walaupun dilakukan pada malam hari kerana Fatimah memiliki waktu dan tempoh haidh yang berbeza-beza pada setiap kali kitaran haidh berlaku dan niat dilakukan dengan tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.
ii) Fatimah memiliki kitaran haidh yang berbeza tetapi masih teratur dan berulang-ulang. Pada bulan Muharram, darah haidh keluar selama tiga hari, kemudian empat hari pada bulan Safar dan lima hari pada bulan Rabiulawwal. Demikian kitaran seterusnya. Walau bagaimanapun, Fatimah lupa akan waktu dan tempoh kitaran haidhnya.
Genap lima hari bulan Ramadhan, Fatimah berniat pada jam 7 malam setelah masuk waktu maghrib untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian darah berhenti jam 11 malam. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut kerana Fatimah tidak ingat dan tahu akan waktu atau tempoh kitaran haidhnya dan niat dilakukan dengan tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.
5. Belum mandi wajib.
Sah puasa perempuan yang belum melakukan mandi wajib dengan syarat dia berniat pada malam hari dan darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar pada malam hari atau sebelum terbit fajar.
Perkara ini ada disebutkan di dalam Minhâj ath-Thâlibîn bahawa apabila darah haidh atau nifâs berhenti keluar, maka tidak diharuskan ke atas setiap perempuan yang mengalaminya itu (melakukan) perkara yang diharamkan dengan sebab haidh atau nifâs sebelum mandi wajib dilakukan kecuali puasa dan thalaq.
Walau bagaimanapun, tidak sah puasa jika dilakukan tanpa berniat ataupun jika niat dilakukan di luar waktu yang ditetapkan. Begitu juga tidak sah puasa, jika darah haidh atau nifâs berhenti keluar selepas terbit fajar. Contoh:
Fatimah berniat puasa selepas masuk waktu maghrib, umpamanya pada jam 7 malam setelah genap hari ketujuh haidh. Dia memiliki kitaran haidh yang teratur dan memiliki tempoh kebiasaan haidh tujuh hari. Darah haidhnya berhenti keluar pada jam 4 pagi sebelum terbit fajar. Maka dalam keadaan ini puasa Fatimah sah dengan niat tersebut walaupun dia belum melakukan mandi wajib dan mandi setelah terbit fajar.
Demikian beberapa penjelasan berkenaan berniat puasa ketika haidh atau nifâs. Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui. Ternyata perempuan haidh atau nifâs boleh melakukan puasa pada esok hari walaupun darah haidh atau nifâs masih keluar pada malam hari dengan syarat melakukan niat dengan menepati kehendak syara‘ sebagaimana yang telah dijelaskan. Sementara itu, puasa juga sah dilakukan jika seorang perempuan belum mandi wajib. Walaupun demikian, perkara tersebut bukan alasan untuk melengah-lengahkan daripada mandi wajib, kerana dengan melengahkannya, ibadat lain boleh terjejas seperti dikhuatiri waktu sembahyang akan luput dan terlepas peluang memperbanyak membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan.
PUASA ORANG YANG HILANG AKAL
Ibadat puasa yang wajib mahupun sunat adalah sah dilakukan bagi mereka yang sudah mukallaf, iaitu mereka yang beragama Islam, sudah bâligh dan berakal. Dengan erti kata lain, mukallaf adalah salah satu syarat sah puasa seseorang itu. Jika seseorang yang berpuasa itu murtad atau dia kanak-kanak yang belum mumayyiz, maka tidak sah puasa mereka.
Namun puasa orang yang hilang akal, hukum sah atau tidak puasanya adalah bergantung kepada sebab hilang akalnya.
Maksud Orang yang Berakal
Sepertimana yang telah diketahui, salah satu syarat sah puasa adalah berakal. Berakal menurut ulama bermaksud at-tamyîz iaitu mumayyiz, yang dapat membezakan di antara yang baik dan buruk. Ia juga bermaksud al-gharîzah, yang bermaksud tabiat, naluri dan kebolehan untuk memulakan percakapan dan mengemukakan pandangan.
Apabila seseorang itu hilang akal, maka hilanglah kemampuannya untuk membezakan di antara yang baik dan buruk, serta hilanglah juga kemampuannya untuk memulakan percakapan dan mengemukakan pandangan.
Sebab-Sebab Hilang Akal
Hilang akal boleh terjadi dengan sebab sakit atau dengan sebab kekurangan semula jadi. Hilang akal juga boleh terjadi dengan sebab yang disengajakan tanpa ada keperluan atau dengan sebab keperluan seperti berubat. Antara sebab-sebab seseorang itu hilang akal ialah:
1. Gila. 2. Pengsan. 3. Mabuk. 4. Tidur.
Puasa Orang yang Gila
Tidak sah puasa orang yang gila, sama ada puasa yang wajib mahupun sunat, selagi mana dia dalam keadaan gila kerana puasanya dianggap ketiadaan niat. Bahkan orang yang gila tidak diwajibkan ke atasnya untuk berpuasa berdasarkan hadits dan ijmâ‘ para Muslimin. Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): Orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (bâligh) dan orang gila sehingga dia berakal. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jika seseorang itu sedar daripada gilanya, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa Ramadhan yang telah luput waktunya semasa dia dalam keadaan gila, walaupun tempoh masa dia menjadi gila itu sekejap ataupun lama, walaupun dia sedar dari gilanya itu selepas bulan Ramadhan atau ketika bulan Ramadhan. Ini adalah pendapat madzhab asy-Syafi‘i dan juga pendapat jumhûr.
Jika seseorang itu sedang berpuasa, tiba-tiba menjadi gila pada ketika itu walaupun sekejap sahaja, maka puasanya menjadi batal. Ini kerana gila itu menggugurkan kewajipan dan keahlian untuk beribadat. Namun dia tidak diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.
Jika seseorang itu sedar daripada gilanya pada ketika bulan Ramadhan, iaitu ketika waktu berpuasa, disunatkan baginya untuk menahan diri daripada makan dan minum sepanjang waktu berpuasa sehingga berbuka bagi menghormati waktu Ramadhan. Namun, perkara ini tidaklah diwajibkan ke atasnya dan tidak juga dituntut.
Berlainan pula halnya jika seseorang itu menghilangkan akalnya secara sengaja dan melampaui batas tanpa ada hajat atau keperluan seperti meminum ubat atau menyuntik dadah yang menyebabkannya menjadi gila. Dalam keadaan ini, puasanya tetap batal dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya yang wajib, Dia juga berdosa kerana perbuatannya membatalkan puasa itu.
Sama juga halnya jika dia dengan sengaja menghilangkan akalnya sehingga menjadi gila pada waktu malam dan berterusan keadaannya sehingga masuk waktu Shubuh, maka puasanya tetap tidak sah jika dia telah sedar daripada gilanya selepas masuk waktu Shubuh dan wajib ke atasnya mengqadha’ puasanya dan dia tetap berdosa dengan perbuatannya itu.
Gila bukanlah satu penyakit, ia hanyalah satu kekurangan dalam diri seseorang. Oleh kerana itu para Nabi ‘Alaihimussalâm semuanya bebas dan selamat daripada sifat gila.
Puasa Orang yang Pengsan
Jika seseorang itu hilang akal disebabkan pitam atau pengsan, maka tidak diwajibkan ke atasnya puasa pada ketika dia masih pengsan kerana tidak sah puasa ke atas orang yang pengsan. Jika dia sedar daripada pengsannya, wajib ke atasnya mengqadha’ puasa yang telah ditinggalkannya sepanjang dia pengsan. Ini adalah kerana pengsan adalah satu penyakit dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berfirman:
Tafsirnya: Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Namun, jika seseorang itu sedang berpuasa dan tiba-tiba pengsan pada suatu ketika di siang Ramadhan, puasanya adalah sah dengan syarat hendaklah dia sedar walaupun sekejap pada waktu puasa itu, iaitu setelah masuk waktu Shubuh dan sebelum masuk waktu Maghrib.
Jika seseorang itu telah berniat puasa pada malam Ramadhan dan dia pengsan sebelum Shubuh (sebelum masuk waktu puasa), namun tersedar sekejap pada waktu petang hari tersebut dan pengsan semula sehingga selepas waktu Maghrib, maka sah puasanya dan tidak diwajibkan ke atasnya qadha’ puasa tersebut kerana dia sempat sedar walaupun sekejap dan memenuhi syarat sah puasanya.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ada menjelaskan:
Ertinya: [Dan pada pendapat yang azhhar] dan dalam (kitab) Raudhah ath- Thâlibîn (karangan al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh): Pendapat al-madzhab, [sesungguhnya pengsan itu tidak memudharatkan (puasanya) jika dia sedar sekejap sahaja dari siang harinya] iaitu (sedar) walaupun untuk seketika mengikut tempoh masa pengsan itu dari (tempoh) kesedarannya. Jika dia tidak sedar (dari siang harinya, maka puasanya) menjadi batal.
Bagaimanapun, jika seseorang itu pengsan secara sengaja dan melampau, seperti meminum ubat yang menyebabkan dirinya pengsan tanpa ada keperluan perubatan atau hajat, maka dia berdosa dengan perbuatannya itu, batal puasanya jika dia sedang berpuasa, dan wajib ke atasnya qadha’ puasa, walaupun pengsannya itu hanya seketika pada siang hari puasa. Sama juga halnya jika dia menghilangkan akalnya pada waktu malam secara sengaja dan pengsan sehingga masuk waktu puasa, dia tetap berdosa dan tidak sah puasanya.
Puasa Orang yang Mabuk
Hukum puasa orang yang mabuk adalah sama seperti hukum puasa bagi orang yang pengsan.
Jika pada waktu malam bulan Ramadhan, seseorang itu mabuk kerana perbuatan haram seperti meminum arak dan berterusan mabuknya sepanjang hari, maka tidak ada puasa baginya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya. Tambahan lagi, dia tetap berdosa kerana perbuatannya meminum arak itu.
Namun dalam keadaan ini, jika dia sedar dari mabuk walaupun sekejap di siang hari puasa, maka puasanya adalah dikira sah dan dia tidak perlu untuk mengqadha’ puasanya. Namun dia tetap berdosa atas perbuatannya meminum arak itu.
Walaubagaimanapun, jika dia dengan senghaja memabukkan dirinya sama ada dengan cara meminum arak (yang jelas batal puasanya dengan perbuatan meminum) ataupun dengan melakukan suntikan yang memberi kesan sampingan mabuk kepadanya, maka puasanya adalah batal walaupun jika dia sempat sedar di siang hari Ramadhan. Dia berdosa dengan perbuatannya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.
Puasa Orang yang Hilang Akal Disebabkan Berubat
Orang yang sakit dibolehkan untuk meneruskan puasanya dengan syarat puasanya itu tidak memudharatkan dirinya atau mendatangkan bahaya kepadanya.
Jika seseorang itu meminum ubat atas tujuan perubatan pada waktu malam dan akibatnya dia tidak sedar atau hilang akal keesokan harinya sepanjang hari sama ada pengsan atau mempunyai kesan sampingan seperti mabuk dan hanya sedar setelah masuk waktu berbuka, maka puasanya adalah batal jika dia telah berniat untuk berpuasa. Namun dia tidaklah berdosa dengan perbuatannya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.
Namun dalam keadaan yang sama, jika seseorang itu berubat lalu hilang akalnya dan dia sempat sedar walaupun sekejap pada siang hari Ramadhan, maka puasanya adalah sah jika dia telah berniat puasa di malam hari. Dia tidak perlu untuk mengqadha’ puasanya atas pendapat yang mu‘tamad.
Perlu diambil perhatian bahawa keadaan yang dijelaskan di atas adalah berlaku pada waktu malam.
Jika seseorang itu memasukkan sesuatu seperti ubat atau darah melalui urat besar ke dalam badannya ketika sedang berpuasa, maka batal puasanya walaupun jika dia tidak hilang akal, kerana darah itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.
Begitulah juga batal puasa bagi pesakit yang disuntikkan air seperti air gelukos bagi tujuan mengenyangkan kerana air yang disuntikkan itu akan sampai ke perutnya, bahkan sampai ke perut besarnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan.
Sama juga halnya jika dia meminum ubat untuk tujuan melampau seperti ingin berkhayal, maka batal puasanya jika dia sedang berpuasa dan dia berdosa dengan perbuatannya itu serta wajib baginya untuk bertaubat dan mengqadha’ puasanya.
Puasa Orang yang Tidur
Puasa orang yang tidur adalah tetap sah walaupun jika dia tidur sepanjang waktu puasa dari waktu Shubuh hingga waktu Maghrib. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ada menjelaskan:
Ertinya: [Dan tidak memudharatkan (puasa bagi orang yang) tidur yang terlalu lena] (iaitu tidur) bagi sepanjang hari, [pada pendapat yang shahîh] kerana masih kekal keahliannya untuk beribadat.
Ini adalah kerana orang yang tidur itu lebih senang untuk dibangunkan daripada orang yang pengsan atau gila. Sebab, orang yang tidur itu akan sedar dan bangun jika dibangunkan dari tidurnya.
Namun perlu diingat bahawa puasanya hanya sah jika dia telah berniat untuk berpuasa sebelum dia tidur. Jika dia tidak berniat pada malam sebelumnya dan berterusan tidur sehingga esok pagi, maka puasanya tidak sah kerana tidak ada niat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, orang yang gila tidak diwajibkan puasa dan tidak juga diwajibkan qadha’ puasa. Manakala puasa orang yang pengsan, mabuk dan pesakit yang berubat di waktu malam pula, jika mereka hilang akal sepanjang hari, tidak sah puasa mereka. Jika mereka sedar walau sekejap ketika waktu puasa, sah puasa mereka.
Orang yang pengsan, mabuk dan pesakit yang meminum ubat adalah diwajibkan untuk qadha’ puasa yang telah luput atau batal sepanjang mereka hilang akal. Manakala orang yang tidur seharian pula adalah tidak menjejaskan puasanya.
Namun, jika seseorang itu dengan sengaja menghilangkan akalnya dengan sebab yang diharamkan, seperti meminum arak atau meminum ubat tanpa ada keperluan, lalu dia menjadi mabuk atau pengsan, ataupun melakukan sesuatu yang menyebabkannya menjadi gila, maka dia adalah berdosa dan batal puasanya jika dia sedang berpuasa serta wajib ke atasnya qadha’ puasanya itu.
Jika dia hilang akal atas keperluan perubatan atau keuzuran yang dibenarkan syara‘, dia tetap wajib qadha’ puasa jika dia tidak sedar sepanjang hari dan tidak perlu qadha’ jika dia sedar walau sekejap pada siang hari puasa atas pendapat yang mu‘tamad. Tidaklah dia berdosa dengan perbuatannya yang menyebabkan dia hilang akal itu KEWAJIPAN MENGELUARKAN ZAKAT: Mengikut Keberadaan Penzakat atau Hartanya?
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu zakat fitrah dan zakat harta seperti zakat emas dan perak. Zakat itu wajib dilaksanakan apabila memenuhi syarat-syarat zakat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah al-Baqarah: 110)
Orang yang mengingkari ketetapan hukum wajib zakat itu boleh menyebabkan dia terkeluar daripada agama Islam. Sementara orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat pula adalah dia tergolong orang yang berbuat maksiat, fâsiq, dosa dan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak (yang tidak dikeluarkan zakatnya) dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah mereka dengan azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta-benda itu dalam Neraka Jahannam, lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasakanlah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak mengeluarkan zakatnya) itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)
Kewajipan mengeluarkan zakat itu wajib dilaksanakan apabila memenuhi syarat-syarat zakat sama ada ia zakat fitrah ataupun zakat harta. Antara persoalan yang timbul dalam perkara membayar zakat ini ialah tentang tempat mengeluarkan zakat. Di manakah penzakat sepatutnya mengeluarkan zakatnya, adakah mengikut di mana dia berada ataupun mengikut di mana hartanya?
Sebagai contoh dalam kewajipan zakat fitrah, seseorang yang berada di Brunei, adakah harus dia mengeluarkan zakat fitrahnya di luar negeri? Atau dia berada di Brunei dan orang yang wajib dibayarkannya zakat berada di luar negeri, adakah harus dia mengeluarkan zakat fitrah di Brunei bagi orang yang wajib dibayarkannya zakat itu?
Demikian juga dalam kewajipan zakat harta, seseorang yang memiliki kambing yang cukup haul dan nishâb di Malaysia sedangkan dia berada di Brunei, adakah dia harus mengeluarkan zakat hartanya di Brunei?
Maka berhubung dengan perkara ini, persoalan yang ingin dijelaskan di sini ialah di manakah seseorang itu sepatutnya mengeluarkan zakat fitrah dan zakat hartanya, adakah mengikut keberadaan penzakat atau hartanya?
Zakat Fitrah Mengikut Keberadaan Penzakat
Menurut hukum syara‘, kewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah mengikut di mana penzakat itu berada. Jika penzakat itu berada di suatu negeri sedangkan hartanya berada di negeri lain maka menurut pendapat yang ashah, zakat fitrahnya dikeluarkan di negeri di mana penzakat itu berada kerana orang itu adalah sebab kewajipan zakat.
Sebagai contoh, jika Ali berada di Brunei sedangkan hartanya berada di Malaysia maka hendaklah Ali mengeluarkan zakat fitrahnya di Brunei.
Demikian juga, jika penzakat berada di suatu negeri sedangkan orang yang wajib dibayarkannya zakat berada di negeri lain, maka hendaklah penzakat itu mengeluarkan zakat fitrah bagi orang yang wajib dibayarkannya itu di negeri mereka berada.
Sebagai contoh, jika Ali berada di Brunei sedangkan anak kecilnya berada di Malaysia maka hendaklah Ali mengeluarkan zakat fitrah bagi anak kecilnya itu di Malaysia.
Perkara ini disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Adapun zakat fitrah, jika hartanya berada di suatu negeri dan dia berada di negeri lain maka yang mana satu diambil kira? Ada dua pendapat, yang ashahnya ialah di negeri pemilik harta itu berada. Saya (Imam an-Nawawi) berkata: “Sekiranya ada baginya orang yang wajib dibayarkannya zakat fitrah sedangkan dia berada di negeri lain, maka yang zhahir diambil kira ialah di negeri orang yang wajib dibayarkannya itu berada.”
Zakat Harta Mengikut Keberadaan Harta
Adapun kewajipan mengeluarkan zakat harta, menurut hukum syara‘ ialah mengikut di mana harta penzakat itu berada. Jika penzakat itu berada di suatu negeri sedangkan hartanya berada di negeri lain maka hendaklah dia mengeluarkan zakat hartanya di negeri harta itu berada kerana hartanya itu adalah sebab kewajipan zakat.
Sebagai contoh, jika Ali memiliki kambing yang mencukupi haul dan nishâb di Brunei sedangkan dia berada di Malaysia, maka hendaklah Ali mengeluarkan zakat hartanya itu di Brunei.
Perkara ini disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Sekiranya harta berada di suatu negeri dan pemilik harta berada di negeri lain maka yang diambil kira ialah negeri harta itu berada kerana harta adalah sebab kewajipan zakat.
Larangan mengeluarkan zakat fitrah bukan di tempat keberadaan penzakat dan larangan mengeluarkan zakat harta bukan di tempat keberadaan harta penzakat yang telah dijelaskan di atas ada kaitannya dengan hukum larangan memindah zakat. Hukum memindahkan zakat ke negeri lain menurut mazhab Syafi‘i ialah haram melainkan dalam keadaan tertentu seperti tidak ada ashnâf zakat di negeri penzakat.
Demikian penjelasan mengenai kewajipan mengeluarkan zakat. Zakat fitrah wajib dikeluarkan mengikut di mana penzakat itu berada. Sementara zakat harta pula wajib dikeluarkan mengikut di mana harta penzakat itu berada. Perkara ini perlu diketahui terutama sekali bagi para penzakat agar mencapai kesempurnaan mengeluarkan zakat.
BERSETUBUH KETIKA BERIHRAM
Pergaulan suami isteri menjadi halal setelah bernikah. Suami isteri bukan sahaja boleh bersentuhan dan melihat aurat antara mereka, bahkan juga boleh jimâ‘ iaitu bersetubuh. Namun begitu kedudukan hukum bersetubuh ketika menunaikan ibadat haji atau umrah adalah berbeza. Suami dan isteri adalah haram melakukan persetubuhan ketika masih dalam ihram haji ataupun umrah. Larangan mengenai perkara ini terkandung dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: (Musim untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah pada beberapa bulan yang termaklum. Oleh itu sesiapa yang telah mewajibkan ke atas dirinya (dengan niat ihram mengerjakan) ibadat haji pada bulan-bulan itu, maka dia tidak boleh mencampuri isterinya dan tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan ia diketahui oleh Allah. Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. Dan bertaqwalah kamu kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Surah al-Baqarah: 197)
‘Ibnu Katsir Rahimahullâhu Ta‘âlâ menafsirkan perkataan “ar-rafatsu” bermaksud “al-jimâ‘” iaitu persetubuhan dan pendahuluannya seperti merangsang syahwat dan bercumbuan.
Persetubuhan Dalam Ihram Haji atau Umrah
Ada banyak perkara yang diharamkan ke atas orang yang mengerjakan ibadat haji dan umrah melakukannya ketika dalam ihram. Perkara keempat yang diharamkan melakukannya dalam ihram sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Khatib asy- Syerbini Rahimahullâh Ta‘âlâ dalam kitab mughni al-Muhtaj ialah bersetubuh (jimâ‘). Beliau berkata:
Ertinya: (Keempat) daripada perkara yang diharamkan (ketika berihram ialah) persetubuhan.
Maksud persetubuhan yang diharamkan itu ialah memasukkan zakar atau kadar khasyafah ataupun kadar sisa zakar yang terpotong ke dalam qubul atau dubur perempuan sama ada dia itu isteri, perempuan yang dimiliki ataupun perempuan asing dalam bentuk zina, liwâth ataupun persetubuhan ke atas binatang, sama ada hidup ataupun mati, sekalipun zakarnya berbalut dengan kain.
Begitu juga haram melakukan pendahuluan jimâ‘ seperti mengucup perempuan, memandang, memegang, berpelukan dengan perasaan berahi atau syahwat walaupun tidak mengeluarkan air mani. Dari segi kewajipan membayar dam, jika memandang dengan perasaan berahi atau syahwat dan mengucup secara berlapik hukumnya adalah haram tetapi tidak wajib membayar dam walaupun sehingga menyebabkan keluar air mani. Selain daripada itu melakukan pendahuluan jimâ‘ seperti berpegangan atau berpelukan adalah dikenakan dam walaupun tidak menyebabkan keluar air mani, jika perbuatan itu dilakukan secara sengaja dan dengan perasaan berahi atau syahwat.
Tahallul Awwal dan Tahallul Tsâni
Tahallul awwal dan tahallul tsâni hanya dikaitkan dengan ibadat haji sahaja kerana ibadat umrah hanya ada tahallul awwal sahaja.
Perlu diingat bahawa ada perkara-perkara yang haram dilakukan ketika berihram itu boleh dilakukan setelah tahallul awwal dan ada juga perkara-perkara yang haram dilakukan ketika berihram itu hanya boleh dilakukan setelah tahallul tsâni.
Tahallul haji ada dua peringkat:
1. Tahallul awwal ialah apabila orang yang mengerjakan haji telah selesai mengerjakan dua daripada tiga perkara iaitu melontar jamrah al-‘Aqabah, bercukur atau bergunting rambut dan thawaf serta sa‘i.
Tahallul awwal akan terhasil selepas dia melakukan lontaran jamrah al-‘Aqabah dan bercukur atau bergunting rambut, ataupun selepas melakukan lontaran jamrah al-‘Aqabah dan thawaf ifâdhah serta sa‘i, ataupun selepas melakukan thawaf ifâdhah serta sa‘i dan bercukur atau bergunting rambut. Maka selepas itu, dibenarkan baginya melakukan semua larangan ihram kecuali jimâ‘ (bersetubuh) dan akad nikah.
2. Tahallul tsâni ialah apabila orang yang mengerjakan haji telah sempurna mengerjakan ketiga-tiga perkara iaitu melontar jamrah al-‘Aqabah, bercukur atau bergunting rambut dan mengerjakan thawaf ifâdhah serta sa‘i. Menurut ijmâ‘ ulama, dengan terhasil tahallul tsâni, maka dibenarkan baginya baki daripada perkara-perkara yang dilarang ketika berihram termasuklah bersetubuh dan akad nikah.
Hukum Bersetubuh Sebelum Tahallul Awwal dan Ketika antara Dua Tahallul
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, melakukan persetubuhan atau pendahuluannya adalah haram ketika dalam ihram haji atau umrah. Jadi apakah kesan ibadat haji jika ada antara suami isteri yang melakukan persetubuhan ketika berihram haji?
Ada dua keadaan hukum bersetubuh ketika menunaikan ibadat haji, iaitu:
1. Sebelum tahallul awwal
Bersetubuh setelah berihram haji dan sebelum tahallul awwal seperti bersetubuh sebelum wuquf ataupun sesudahnya akan merosakkan ibadat haji. Maka wajib bagi orang yang bersetubuh itu menyembelih seekor unta dan wajib pula ke atasnya menyempurnakan hajinya yang rosak itu serta mengqadha’nya pada tahun hadapan dengan segera.
Sementara dam persetubuhan yang dilakukan kali kedua selepas persetubuhan yang pertama sebelum tahallul awwal tidaklah sama dengan dam persetubuhan yang dilakukan pada kali pertama sebelum tahallul awwal. Persetubuhan kali kedua itu hanya diwajibkan membayar dam iaitu seekor kambing kerana persetubuhan kali kedua itu bukanlah dikira sebagai persetubuhan yang merosakkan haji.
2. Ketika di antara dua tahallul iaitu setelah tahallul awwal dan sebelum tahallul tsâni.
Jika persetubuhan itu dilakukan setelah tahallul awwal dan sebelum tahallul tsâni maka persetubuhan itu tidaklah merosakkan ibadat haji tetapi wajib membayar dam iaitu seekor kambing.
Jenis Dam Melakukan Persetubuhan Dalam Ihram
Jenis-jenis dam apabila melakukan persetubuhan ketika berihram haji atau umrah ialah:
1. Seekor unta yang cukup umur untuk dijadikan binatang korban. 2. Jika tidak terdaya, maka seekor lembu. 3. Jika tidak terdaya, maka tujuh ekor kambing. 4. Jika tidak terdaya, maka beri makanan kepada fakir miskin mengikut kadar harga unta itu. 5. Jika tidak terdaya, maka hendaklah berpuasa mengikut bilangan cupak yang senilai dengan harga unta itu.
Maka dengan penjelasan itu, dapatlah disimpulkan bahawa persetubuhan yang dilakukan dalam ihram haji atau umrah adalah haram dan boleh merosakkan ibadat haji atau umrah jika dilakukan sebelum tahallul awwal. Orang yang melakukan persetubuhan sebelum tahallul awwal itu wajib membayar dam iaitu seekor unta dan wajib menyempurnakan ibadat hajinya yang rosak itu dan mengqadha’nya lagi dengan segera pada tahun hadapan.
Sementara jika persetubuhan itu berlaku di antara dua tahallul iaitu selepas tahallul awwal dan sebelum tahallul tsâni tidaklah merosakkan ibadat haji atau umrah, namun wajib membayar dam iaitu seekor kambing.
ADAB DAN SUNNAH PULANG KE TANAH AIR BAGI JEMAAH HAJI DAN UMRAH
Peluang untuk menjadi tetamu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merupakan impian setiap Muslim. Hakikatnya, tidak semua golongan bernasib baik dikurniakan kemampuan dan kesempatan untuk memenuhi impian ini. Ini kerana tuntutan dan persediaan bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah bukannya mudah dan sedikit. Ia bukan sahaja menuntut pengorbanan yang besar dari segi material dan kewangan, tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal, mental, emosi dan rohani yang lebih berat jika dibandingkan secara umumnya dengan ibadat-ibadat yang lain.
Sepanjang mengerjakan ibadat haji dan umrah, jemaah haji dan umrah pastinya akan sedaya upaya memanfaatkan peluang berada di tanah suci dengan menggandakan amal ibadat dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Pokoknya, sepanjang berada di tanah suci, setiap peluang meraih ganjaran dan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan dilepaskan. Sikap seperti ini, tidak sepatutnya hanya ditanamkan sewaktu berada di tanah suci sahaja bahkan hendaklah diteruskan walaupun sesudah pulang ke tanah air. Salah satu peluang meraih ganjaran dan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang tidak patut dilepaskan bagi jemaah haji dan umrah ialah mengamalkan adab dan sunnah ketika pulang dari tanah suci.
Dalam kitab-kitab mazhab asy-Syafi‘i, jemaah yang pulang ke tanah air setelah menunaikan ibadat haji atau umrah disunatkan untuk memelihara beberapa adab dan melakukan beberapa amalan sunat. Antaranya: (1) Bagi yang berkemampuan, sunat membawa buah tangan atau hadiah untuk ahli keluarga dan kaum kerabat.
Antara hikmah disunatkan memberi hadiah atau buah tangan ini ialah walaupun mungkin harganya tidak seberapa, ia mampu menggembirakan dan mengeratkan lagi kasih sayang dan kemesraan kerana hadiah atau buah tangan tersebut menunjukkan ingatan, mahabbah dan kasih sayang terhadap orang yang diberi hadiah atau buah tangan tersebut.
(2) Memaklumkan tentang jadual atau waktu ketibaan kepada ahli keluarga serta mereka yang berkenaan sekiranya mereka yang berada di tanah air itu belum mengetahuinya. Begitu juga sekiranya terdapat apa-apa perubahan dalam jadual penerbangan dan sebagainya, maka hendaklah dimaklumkan juga kepada mereka.
Ini merupakan satu perkara yang sangat mudah dilakukan pada zaman ini kerana sistem perhubungan masakini semakin canggih dengan adanya aplikasi-aplikasi sosial yang memudahkan perhubungan. Dengan memberikan update seperti ini, pihak yang hendak menyambut kepulangan mereka tidak merasa gelisah dan tidak tertunggu-tunggu sekiranya terdapat penangguhan dan sebagainya. Ini juga membantu ahli keluarga khususnya untuk membuat dan mengatur persiapan yang sepatutnya dengan lebih rapi dan teratur.
(3) Sesudah sampai ke tanah air, sebelum sampai ke rumah, sunat jemaah haji dan umrah itu singgah ke masjid yang paling hampir dengan rumahnya untuk mengerjakan sembahyang sunat qudum dua rakaat.
Ini berdasarkan beberapa riwayat hadits, antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak akan pulang dari pelayaran Baginda kecuali pada waktu siang semasa waktu dhuha. Maka apabila Baginda pulang (dari pelayaran Baginda), mula-mula sekali Baginda akan pergi ke masjid lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat di sana. Kemudian Baginda akan duduk di dalamnya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun niat mengerjakan sembahyang sunat qudum itu adalah seperti berikut:
Ertinya: Sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat Qudum, dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
(4) Jangan memasuki rumah dari bahagian belakang rumah. Bahkan hendaklah memasukinya dari pintu masuk bahagian hadapan rumah tersebut. Ini berdasarkan ayat 189 daripada surah al-Baqarah di mana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan bukanlah satu kebaikan, kamu memasuki rumah-rumah dari bahagian belakangnya, tetapi kebaikan itu ialah (perbuatan) orang yang bertaqwa dan kamu masuklah ke rumah-rumah (kamu) melalui pintunya, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Baqarah: 189)
Menurut Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh, ayat ini diturunkan mengenai adat kebiasaan kaum jahiliyyah yang masuk ke rumah mereka daripada sebelah belakangnya ketika mereka sedang berihram haji. Mereka beranggapan bahawa cara demikian lebih mendekati kepada kebajikan.
(5) Apabila masuk ke dalam rumah, sunat membaca do‘a berikut:
Ertinya: Kurniakanlah taubat, kurniakanlah taubat, hanya kepada Tuhan kami tempat kami kembali, kembali tanpa meninggalkan sebarang dosa.
(6) Sunat bagi jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji mendo‘akan kaum keluarga dan orang-orang yang menunggunya dengan maghfirah (pengampunan) walaupun orang tersebut tidak memintanya.
Selain itu, disunatkan juga ke atas orang lain yang menemuinya untuk memohon do‘a daripada jemaah haji tersebut. Adab ini dituntut kerana do‘a daripada jemaah haji itu dinilai istimewa kerana jemaah haji merupakan golongan yang telah menerima pengampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dalam Hasyiah al-Jamal ada disebutkan bahawa tuntutan memohon do‘a daripada jemaah haji ini terbatas dalam lingkungan waktu yang terhad sahaja. Menurut Imam al-Munawi Rahimahullâh, ia hendaklah dilakukan sebelum jemaah haji itu masuk ke dalam rumah. Apabila dia masuk ke dalam rumah maka luputlah tuntutan tersebut. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat bahawa ia masih boleh dilakukan dalam jangka masa 40 hari dari hari kepulangannya. Manakala dalam kitab al-Ihyâ’ pula, ia dikatakan berlanjutan sehingga berlalu 20 hari dari bulan Rabi‘ulawwal tahun berikutnya iaitu kira-kira berlalu dua bulan beberapa hari dari musim mengerjakan haji.
Walau bagaimanapun, adalah lebih utama untuk memohon do‘a daripada jemaah haji sebelum jemaah itu masuk ke rumahnya sepertimana pendapat yang disebutkan oleh Imam an-Munawi Rahimahullâh.
(7) Bagi ahli keluarga, saudara mara serta sahabat handai pula, sunat hukumnya menyambut jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji atau umrah dan bersalaman dengannya di samping mengucapkan do‘a berikut:
(i) Sekiranya dia pulang dari mengerjakan ibadat haji, sunat orang yang menyambut itu mengucapkan do‘a berikut:
Ertinya: Semoga Allah menerima ibadat hajimu dan mengampunkan dosamu serta menggantikan perbelanjaanmu.
Di samping itu, sunat juga dido‘akan orang yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu dengan do‘a di bawah ini:
Ertinya: Ya Allah, ampunilah dosa orang yang mengerjakan ibadat haji dan dosa sesiapa sahaja yang dipohonkan keampunan oleh orang yang mengerjakan ibadat haji.
(ii) Sekiranya dia pulang dari mengerjakan ibadat umrah, sunat diucapkan kepadanya:
Ertinya: Semoga Allah menerima ibadat umrahmu dan mengampunkan dosamu serta menggantikan perbelanjaanmu.
(8) Sunat bagi ahli keluarga, saudara mara atau sahabat handai menyediakan walîmah atau kenduri bagi menyambut jemaah haji dan umrah. Kenduri ini dikenali sebagai walîmah an-naqi‘ah, iaitu kenduri yang sunat diadakan sebagai meraikan atau menyambut orang yang pulang dari musafir, termasuk jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji dan umrah.
Menurut sebahagian pendapat lain pula, walîmah an-naqi‘ah ini boleh juga disediakan sendiri oleh orang yang pulang dari musafir itu.
Demikian penjelasan mengenai adab dan sunnah pulang ke tanah air bagi jemaah haji dan umrah. Adab dan sunnah ini walaupun hanya sunat, sayugia ia tidak ditinggalkan kerana ia merupakan salah satu bukti kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta ketaatan terhadap ajaran dan sunnah Baginda. Dengan mengamalkannya juga, kita dengan sendirinya dapat menambah bekalan pahala serta mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Perlu juga diingat bahawa dalam keghairahan dan kegembiraan menemui ahli keluarga dan kaum kerabat ini jangan sampai melakukan perkara-perkara yang terlarang seperti melakukan pembaziran, melakukan amalan-amalan yang bercanggah dengan aqidah dan melakukan perkara-perkara terlarang yang lain seperti bersalaman dan berpelukan sesama bukan mahram dan seumpamanya.
PENGURUSAN JENAZAH ANAK MATI DALAM PERUT DAN ANAK KEGUGURAN
Apabila berlaku kematian terhadap orang Islam sama ada lelaki ataupun perempuan maka terdapat empat perkara fardhu Kifayah yang berkaitan dengan pengurusan jenazah yang wajib dilakukan oleh orang yang hidup, sama ada daripada kalangan ahli keluarga ataupun anggota masyarakat. Empat perkara kewajipan fardhu Kifayah yang dimaksudkan itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan. Tetapi adakalanya jenazah itu tidak wajib disembahyangkan dan adakalanya juga jenazah itu tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan. Perbezaan ini dilihat mengikut bagaimana keadaan jenazah itu.
Biasa berlaku kedengaran mengenai anak yang mati di dalam perut dan anak keguguran. Maka persoalan yang sering ditimbulkan berkaitan dengan perkara ini ialah bagaimanakah pengurusan jenazah mereka?
Bagi menjawab persoalan tersebut akan dihuraikan bagaimana keadaan-keadaan anak yang mati dalam perut dan anak keguguran dan cara menguruskan jenazah mereka.
Anak Keguguran
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan disebutkan di dalam kitab fiqh sebagai as-siqth. Sementara jika anak itu gugur melebihi enam bulan kehamilan tidaklah dinamakan sebagai as-siqth. Cara menguruskan jenazah anak keguguran adalah mengikut keadaan-keadaan seperti berikut:
i. Anak keguguran yang diketahui hidupnya.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan yang diketahui hidupnya dengan adanya suara menjerit atau menangis sebelum dia mati maka pengurusan jenazahnya adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan kerana diyakini dia mati selepas hidupnya walaupun tidak sampai empat bulan kehamilan.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Jika anak (waktu dia dilahirkan) menjerit maka hendaklah dia disembahyangkan dan diwarisi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
ii. Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya tetapi nyata tanda hidup padanya.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan walaupun tidak diketahui hidupnya tetapi nyata tanda hidup padanya sebelum dia mati seperti bergerak-gerak tubuhnya selepas keluar dari perut ibunya, walaupun tidak sampai empat bulan kehamilan maka pengurusan jenazahnya juga adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu bukan sahaja wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan malah juga wajib disembahyangkan sebagaimana menurut pendapat yang azhhar. Ini kerana anak tersebut berkemungkinan hidup dengan adanya tanda yang menunjukkan dia hidup. Ini juga dilakukan kerana mengambil langkah berhati-hati.
iii. Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya tetapi nyata kejadiannya dalam bentuk manusia.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan tetapi mencapai empat bulan kehamilan atau 120 hari (batas umur ditiupkan roh padanya) dan nyata kejadiannya dalam bentuk manusia tetapi tidak diketahui hidupnya dan tidak nyata tanda hidup padanya adalah tidak harus dan tidak wajib bahkan haram disembahyangkan menurut pendapat yang azhhar tetapi wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan sahaja.
iv. Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya dan tidak nyata kejadiannya dalam bentuk manusia.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum sampai empat bulan kehamilan atau 120 hari (batas umur ditiupkan roh padanya) yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya dan tidak nyata kejadiannya dalam bentuk manusia adalah tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan tetapi sunat dibungkus dengan kain dan dikuburkan sahaja.
Anak yang Mati Dalam Perut Selepas Cukup Enam Bulan Kehamilan
Setengah keadaan ada juga berlaku situasi di mana seorang perempuan mendapati anaknya mati di dalam perut selepas cukup enam bulan kehamilan.
Jika anak yang dilahirkan dari kandungan ibunya yang mencapai enam bulan kehamilan dalam keadaan mati maka pengurusan jenazahnya adalah sama dengan orang dewasa iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan sebagaimana disebutkan oleh para ulama seperti Imam ar-Ramli, as-Syarawani dan al-Bujairimi Rahimahumullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Bahawasanya (pengurusan jenazah) anak yang lahir selepas sempurna bulannya iaitu enam bulan kehamilan wajib padanya sebagaimana yang diwajibkan ke atas (jenazah) orang dewasa seperti sembahyang dan selainnya walaupun lahir dalam keadaan mati atau sudah menjadi mayat dan tidak diketahui padanya tanda hidup.
Oleh yang demikian, pengurusan jenazah anak yang mati dalam perut ibunya setelah sampai enam bulan kehamilan adalah sama dengan pengurusan jenazah orang dewasa.
Hukum Anak yang Mati Dalam Perut dan Anak Keguguran yang Tidak Disembahyangkan Sedangkan Ia Wajib Disembahyangkan
Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa anak yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang diketahui hidupnya atau nyata tanda hidupnya itu bukan sahaja wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan, bahkan juga wajib disembahyangkan.
Sekiranya berlaku kesilapan dalam pengurusan jenazah anak damit yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang diketahui hidupnya atau nyata tanda hidupnya itu dengan hanya dikafankan, dimandikan dan terus dikuburkan sahaja tanpa disembahyangkan disebabkan jahil atau tidak tahu mengenai hukum, bagaimanakah kedudukan mengenai perkara ini?
Menyembahyangkan jenazah wajib didahulukan daripada menguburkannya. Jika jenazah itu dikuburkan dahulu dan tidak disembahyangkan tanpa sebarang keuzuran maka berdosalah ke atas siapa yang dituntut menyembahyangkannya. Oleh itu, dalam hal ini jenazah itu hendaklah disembahyangkan di atas kuburnya dan tidak perlu digali semula.
Sehingga bilakah tempoh dibolehkan sembahyang di atas kuburnya?
Para ulama berbeza pendapat mengenai tempoh dibolehkan sembahyang mayat di atas kubur. Namun pendapat yang mu‘tamad menurut al-Qalyubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ tempoh menyembahyangkan jenazah yang belum disembahyangkan itu ialah selama-lamanya.
Oleh itu, jika ada berlaku anak yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang nyata hidupnya atau ada tanda-tanda hidup yang wajib disembahyangkan tetapi tidak disembahyangkan semasa menguruskan jenazahnya maka hendaklah disembahyangkan di atas kuburnya.
Demikianlah dijelaskan beberapa permasalahan mengenai pengurusan jenazah anak keguguran dan anak yang mati dalam perut ibunya yang wajib dan tidak wajib disembahyangkan. Perbezaan keadaan mahupun dari segi umur, bentuk kejadian akan membuatkan kedudukan hukum menjadi berbeza sehingga ada yang perlu disembahyangkan dan ada juga yang tidak perlu disembahyangkan. Oleh itu, semua keadaan ini perlu diperhatikan dan difahami dalam menentukan kewajipan fardhu Kifayah yang wajib dilaksanakan ke atas jenazah anak keguguran dan anak yang mati dalam perut itu.
MENTALQÎNKAN KALIMAH ال إله إال هللا DI SISI ORANG NAZAK
Kematian adalah suatu yang pasti. Semua manusia pasti akan menghadapi mati. Walau di mana pun kita berada dan macamana kukuhnya sekalipun benteng tempat kita berada namun kematian pasti juga mendapati kita. Perkara ini jelas disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Di mana sahaja kamu berada nescaya maut akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng tinggi yang kukuh. (Surah an-Nisâ’: 78)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. (Surah Âli ‘Imran: 185) Ayat ini juga ada disebutkan dalam surah al-Anbiyâ’ ayat ke 35 dan surah al- ‘Ankabût, ayat ke 57.
Sebagai orang Islam, setiap diri kita memang berharap supaya di penghujung hayat kita sebelum menghembuskan nafas terakhir, kalimah yang terakhir kita ucapkan ialah kalima ال إله إال هللا. Ini kerana sesiapa yang di akhir ucapan sebelum matinya menyebut kalimahال إله إال هللا maka dijanjikan syurga baginya sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang di akhir ucapannya ال إله إال هللا maka dia akan masuk syurga. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum Mentalqînkan Kalimah ال إله إال هللا
Mentalqînkan (mengajarkan) kalimah syahâdah iaitu ال إله إال هللا kepada orang yang hampir mati atau nazak hukumnya adalah sunat walaupun kepada kanak-kanak yang sudah mumayyiz supaya dia mendapat pahala sebagaimana disebutkan dalam hadits di atas. Perkara mentalqînkan kalimah ال إله إال هللا ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu talqînkanlah (ajarkanlah) sesiapa yang (hampir) mati di kalangan kamu dengan ال إله إال هللا (tidak ada Tuhan melainkan Allah). (Hadits riwayat Muslim)
Cara Mentalqînkan Kalimah ال إله إال هللا
Terdapat beberapa cara tertentu yang boleh dilakukan dalam mentalqînkan kalimah ال إله إال هللا kepada orang yang nazak itu sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama di dalam kitab-kitab susunan mereka.
Orang yang mentalqînkan kalimah ال إله إال هللا hendaklah menyebutkan kalimah ال إله إال هللا itu tanpa mendesak atau tidak menekan terus menerus supaya orang yang nazak itu tidak merasa meluat atau gelisah. Janganlah menyuruh dia untuk menyebutnya dengan berkata: “Katakanlah, ucaplah atau sebutlah ال إله إال هللا kerana berbuat sedemikian hukumnya makruh. Akan tetapi, ajarkan atau sebutkan kalimah ال إله إال هللا itu di sisinya sekali sahaja supaya dia faham dan ingat untuk menyebut kalimah syahâdah itu. Setengah ulama pula mengatakan, ulangi membaca kalimah ال إله إالهللا itu di sisinya sehingga tiga kali.
Begitu juga, janganlah mentalqînkan orang yang dalam nazak itu dengan berkata: “Bersyahadatlah”. Ini kerana apa yang hendak dicapai daripada perbuatan mentalqînkan itu ialah supaya kalimah ال إله إال هللا itu merupakan kalimah terakhir yang diucapkannya sebelum dia meninggal dunia, supaya dia berjaya masuk syurga bersama orang-orang yang terdahulu, ataupun masuk syurga tanpa hisab ataupun dia terlebih dahulu masuk syurga berbanding dengan orang yang tidak menyebutkan kalimah ال إله إال هللا itu.
Sekiranya orang yang nazak itu belum juga menyebut kalimah ال إله إال هللا selepas ditalqînkan maka diamlah seketika, kemudian baharulah mentalqînkannya lagi. Manakala jika orang yang nazak itu dapat mengucap kalimah ال إله إال هللا tidaklah perlu lagi diulang mentalqînkannya selagi dia tidak bercakap hal lain sekalipun zikir. Jika orang yang nazak itu bercakap hal lain maka ulangilah mentalqînkannya supaya kesudahan kata-katanya adalah kalimahال إله إال هللا.
Perbuatan mentalqînkan itu pula dilakukan sebelum orang yang nazak itu dibaringkan miring ke kanan dengan menghadap ke arah qiblat. Namun jika boleh dilakukan perbuatan mentalqînkan dan membaringkan dengan miring ke kanan menghadap ke kiblat orang yang nazak itu sekaligus maka lakukanlah ia dengan serentak. Akan tetapi, jika tidak boleh melakukannya dengan serentak maka mulakanlah dahulu dengan mentalqînkannya.
Bolehkah Kalimah Talqîn ال إله إال هللا Ditambah حممد رسول هللا?
Adalah tidak disunatkan menambah kalimah ُممد رسول هللا selepas kalimah ال إله إال هللا tersebut, kerana mengikut zahir hadits di atas yang hanya menyebutkan kalimah ال
Orang yang Disunatkan Mengajarkan Kalimah ال إله إال هللا
Orang yang melakukan talqîn itu sunat terdiri daripada orang lain yang bukan daripada ahli waris orang yang ditalqînkan, supaya mengelak daripada tohmahan untuk mendapatkan segera harta waris atau bukan terdiri daripada orang yang bermusuhan dengannya, orang yang berdengkian dengannya atau seumpamanya. Sekiranya orang lain itu tidak ada, maka orang yang mentalqînkannya ialah ahli warisnya yang lebih kasih sayangnya kepada orang yang ditalqînkan.
Kesimpulannya, mentalqînkan orang yang dalam keadaan nazak hukumnya sunat. Tidak syak lagi, orang yang sedang menghadapi saat-saat kematian amat memerlukan orang-orang yang di sekelilingnya untuk membantunya menghadapi saat-saat getir itu. Salah satu perkara yang boleh dibuat untuk membantunya ialah mentalqînkannya dengan kalimah هللا إال إله ال. Mudah-mudahan dengan mentalqînkannya dia akan dapat melafazkan kalimah ال إله إال هللا sebagai kalimah terakhir sebelum kematiannya. Ini kerana siapa yang dapat menyebutkan kalimah ال إلهإال هللا di akhir hayatnya maka orang itu in syâ’ Allah akan mendapat ganjaran iaitu masuk syurga sebagaimana disebutkan dalam hadits di atas.
BOLEHKAH BERNIAT TAQARRUB KETIKA MELAKUKAN PERKARA MUBÂH?
Dalam Islam, niat merupakan satu perkara penting sebagai pembeza amalan seseorang, sama ada untuk ibadat, untuk mendapat ganjaran pahala atau untuk melaksanakan perbuatan semata-mata. Niat merupakan tempat tumpuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada diri hambaNya sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak melihat pada jasad kamu atau pada rupa paras kamu, melainkan yang dipandangNya adalah hati kamu – dan (Baginda) mengisyaratkan jari-jari Baginda ke arah dada. (Hadits riwayat Muslim)
Letak niat adalah di dalam hati kerana hakikat niat itu adalah maksud atau keinginan. Letak maksud atau keinginan itu adalah di dalam hati. Namun melafazkannya pula adalah sunat. Ini kerana pada hakikatnya akal, pengetahuan, kecenderungan, kebencian dan kepercayaan juga terletak di dalam hati. Yang demikian itu, niat dianggap salah satu daripada perbuatan (yang dilahirkan dari) hati.
Para ulama fiqh termasuk ulama Syafi‘iyyah menetapkan niat sebagai keutamaan sama ada ia menjadi rukun atau syarat sah dalam melaksanakan satu-satu ibadat. Dalam perbuatan-perbuatan mubâh pula, niat tidaklah disyaratkan seperti makan, minum, tidur dan yang seumpamanya. Akan tetapi, persoalannya adakah boleh seseorang itu berniat taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) ketika melakukan perbuatan-perbuatan mubâh?
Pengertian Niat
Banyak ta‘rîf diberikan berkaitan niat. Namun daripada ta‘rîf yang diberikan itu ia tetap memberi makna: Tujuan, maksud atau keinginan. Menurut para ulama, niat itu adalah ketetapan hati untuk menghasilkan satu perbuatan secara sungguh-sungguh.
Para ulama Syafi‘iyyah menta‘rîfkan niat sebagai memaksudkan sesuatu seiring dengan perbuatannya.
Di dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah disebutkan bahawa niat ada dua jenis, iaitu:
1. Niat at-taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), iaitu niat yang digandingkan dengan perbuatan. Orang yang berniat taqarrub ini hendaklah berlaku ikhlas semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Contohnya seseorang memberi makanan kepada jirannya dengan tujuan bersedekah.
2. Niat at-tamyîz (membezakan), iaitu niat yang menentukan maksud lafaz atau perbuatan yang boleh membawa banyak maksud; membezakan antara adat (kebiasaan) dan ibadat. Contohnya seseorang duduk di masjid berniat sama ada dia duduk untuk berehat atau untuk beri‘tikâf. Membezakan antara satu ibadat dengan ibadat yang selainnya, contohnya seseorang hendak melakukan sembahyang berniat sama ada hendak melakukan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat.
Bolehkah Berniat Taqarrub Ketika Melakukan Perkara Mubâh?
Imam al-Ghazali Rahimahullâh menjelaskan bahawa amalan yang berhubung dengan niat itu terbahagi kepada tiga bahagian; maksiat, amal taat dan mubâh.
i. Amal maksiat.
Amal maksiat tidak boleh berubah kedudukannya daripada amal maksiat kepada amal taat dengan hanya menambah niat melakukan ketaatan semata-mata. Contohnya, seseorang mencuri untuk niat bersedekah kepada orang lain dari hasil curian atau seseorang hendak membina masjid dengan wang haram.
ii. Amal taat.
Amal taat itu berkaitan dengan niat dalam syarat sahnya dan dalam berlipat ganda pahalanya. Asas amalan yang sah itu, hendaklah seseorang itu meniatkan melakukan amal semata-mata sebagai ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tidak menyimpang kepada yang selainNya. Sekiranya perbuatan taat itu disertai dengan niat untuk riya’, maka ia berubah menjadi perkara maksiat.
Dalam hal pahala berlipat ganda pula, ia terhasil dengan memperbanyakkan niat ketika melakukan amal tersebut. Setiap satu niat, maka ganjarannya adalah dengan satu pahala yang berasingan. Sebagai contoh beri‘tikâf di masjid. i‘tikâf adalah amal ketaatan. Ketika seseorang beri‘tikâf di dalam masjid, dia boleh memperbanyakkan atau mempelbagaikan niatnya di samping niat untuk beri‘tikâf sehingga dengan itu pahalanya menjadi berlipat ganda hanya dengan satu perbuatan iaitu beriktikaf. Antara perkara yang boleh diniatkannya:
a. Beri‘tiqâd bahawa masjid adalah rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sesiapa yang masuk ke dalamnya adalah sebagai tetamu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
b. Berniat menunggu satu sembahyang sehingga masuk sembahyang yang lain dan ini jelas semua masanya tertumpu dalam melaksanakan sembahyang secara berterusan.
c. Berniat memusatkan segala perhatian kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memfokus jiwanya untuk memikirkan hanya pada urusan-urusan akhirat semata-mata serta menolak segala gangguan yang boleh memesong perhatian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
d. Berniat melapangkan masa untuk berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk mendengar nasihat-nasihat untuk mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
e. Berniat untuk meninggalkan maksiat kerana malu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan malu untuk melakukannya di dalam rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Demikianlah contoh bagaimana cara memperbanyakkan atau mempelbagaikan niat untuk mencapai pahala berlipat ganda.
iii. Amal Mubâh.
Seseorang tidak perlu berniat untuk melakukan perkara mubâh (yang diharuskan) seperti makan, minum, memakai pakaian dan yang seumpamanya. Namun jika perbuatan itu disertai dengan niat, maka ia akan dinilai sesuai dengan niatnya itu.
Setiap amal mubâh boleh disertai dengan niat sama ada satu niat atau banyak, untuk menjadikan amal itu suatu amal qurbah (amal yang mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala). Seseorang akan mendapat pahala jika perbuatan mubâh dilakukannya dengan disertai niat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Contohnya, seseorang makan dengan niat untuk memberinya kekuatan beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka perbuatan makannya itu adalah satu ketaatan dan baginya pahala untuk itu.
Contoh yang lain pula, seseorang memakai haruman adalah mubâh (harus) apabila dia hendak meni‘mati wangi minyak harum atau untuk menimbulkan kegembiraan di hati dengan memakai minyak harum. Namun jika dia meniatkan dengan niat-niat hasanah (kebaikan), maka dia mendapat pahala dengan niat-niat qurbah itu seperti meniatkan untuk mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang memakai haruman pada hari Jumaat dan meniatkan untuk mengagungkan rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana memasukinya (adalah lebih baik) dengan bau yang menyenangkan. Begitu juga jika diniatkannya untuk memberi kewangian kepada orang-orang di sekelilingnya sehingga mereka suka dengan kewangian tersebut.
Sebahagian para ulama salaf berkata: “Aku gemar menyertakan niat baik pada setiap sesuatu sehingga dalam makanku, minumku, tidurku serta ketika masukku ke dalam bilik air.
Semua perbuatan mubâh boleh disertakan dengan niat taqarrub iaitu niat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, sesiapa makan dengan meniatkan demi menguatkan badan untuk beribadat atau menggauli isteri dengan meniatkan untuk memelihara agamanya atau untuk menyenangkan hati isterinya atau untuk mendapat anak salih yang meneruskan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sesudah dirinya, maka dia melakukan ketaatan kerana makannya atau kerana nikahnya (persetubuhannya itu). Dengan itu dia mendapat pahala kerana niat tersebut.
Pemurahnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap hamba-hambaNya sehinggakan manusia boleh sahaja mendapat pahala dengan perbuatan yang biasa-biasa dilakukan sehari-hari. Pahala bagi perbuatan-perbuatan mubâh ini boleh kita dapat dengan berniat mendekatkan diri kepadaNya ketika melakukan perbuatan tersebut.
MEMADAIKAH WAQAF HANYA DENGAN NIAT SAHAJA?
Waqaf merupakan satu amalan mulia dan istimewa kerana orang yang melaksanakannya berjaya membelanjakan hartanya bagi tujuan membantu atau memudahkan orang lain dan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ganjaran pahala buat pewaqaf itu pula tetap berterusan diterimanya selama mana harta atau benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun pewaqaf itu sudah meninggal dunia.
Waqaf bermaksud menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut tetap kekal fizikalnya, di mana pewaqaf memutuskan hak tasharrufnya terhadap benda atau barang yang diwaqafkannya, untuk dikhususkan manfaatnya kepada pihak penerima yang diharuskan dan tsabit kewujudannya.
Maksud pewaqaf menahan suatu harta miliknya dengan memutuskan hak tasharrufnya terhadap harta tersebut ialah pewaqaf memberhentikan haknya terhadap harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, hibah, gadai, wasiat dan pusaka.
Kedudukan harta waqaf kekal sebagai hak Allah. Dengan demikian, ia tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah, diwarisi dan yang seumpamanya. Hanya manfaatnya diperuntukkan untuk orang-orang yang diwaqafkan kepadanya (penerima waqaf). Berbeza dengan sedekah yang bermaksud pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, barang sedekah yang telah diserahkan kepada orang yang menerima sedekah boleh diperlakukan mengikut keinginan penerima sedekah. Walau bagaimanapun, waqaf tetap juga bermanfaat sebagai sedekah. Ia disebut sebagai sedekah jâriah iaitu sedekah yang berterusan. Ini kerana ganjaran pahala orang yang berwaqaf akan berkekalan selama mana harta yang diwaqafkan itu masih boleh diambil manfaatnya.
Namun, timbul persoalan adakah memadai pemindahan harta atau benda daripada tuan punya harta yang hendak diwaqafkan itu kepada milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ hanya dengan niat orang yang hendak berwaqaf semata-mata tanpa dia berlafaz waqaf? Adakah penerima dapat menerima manfaat harta atau benda tersebut hanya dengan berdasarkan hasrat orang yang hendak berwaqaf tanpa ada lafaz waqaf?
Shîghah Waqaf
Rukun waqaf ada empat (4), iaitu:
1. Pewaqaf (orang yang berwaqaf). 2. Barang yang diwaqaf. 3. Penerima waqaf. 4. Shîghah (lafaz waqaf).
Shîghah dalam perkara waqaf bermaksud lafaz îjâb daripada orang yang berwaqaf. Tidak sah waqaf kecuali dengan berlafaz waqaf. Manakala lafaz qabûl hanya disyaratkan jika penerima barang waqaf itu ditentukan oleh orang yang berwaqaf. Sekiranya penerima tidak ditentukan, maka tidak perlu kepada lafaz qabûl.
Lafaz waqaf (lafaz îjâb daripada orang yang berwaqaf) itu pula terbahagi kepada dua iaitu lafaz sharîh dan lafaz kinâyah.
1. Lafaz waqaf sharîh (jelas) iaitu lafaz yang secara jelas menunjukkan waqaf dan tidak membawa kepada maksud yang lain. Lafaz yang dilafazkan secara jelas ini tidak memerlukan orang yang berwaqaf itu untuk berniat.
Lafaz al-waqf (الوقف) atau apa-apa yang terbina daripada lafaz tersebut seperti waqaftu (وقفتُ) adalah dianggap lafaz yang jelas. Contohnya seseorang melafazkan: “Aku mewaqafkan rumah ini untuk dijadikan surau di kawasan ini” atau “Tanahku ini diwaqafkan ke atasnya”.
Jika seseorang itu hanya menyebut: “Aku mewaqafkan rumah ini” sahaja tanpa menyebut ‘kepada’ atau ‘untuk’ atau ‘ke atas’ apa atau siapa, maka waqafnya itu tidak sah.
Selain daripada lafaz al-waqf )الوقف(, pendapat shahîh dalam mazhab as-Syafi‘i juga menyebutkan bahawa lafaz at-tahbîs ) ُالتَّحْبِيس( dan at-tasbîl ) ُالتَّسْبِيل( atau apa-apa yang terbina daripada kedua-duanya, seperti habbastu ) ُحَبَّسْت( atau sabbaltu ) َُّلْت سَب( sebagai lafaz sharîh perbuatan waqaf. Ini kerana kedua lafaz tersebut dikenali dari segi syara‘ dan pada kebiasaan sebagai menahan harta.
2. Lafaz waqaf kinâyah (kiasan) iaitu lafaz yang boleh membawa pada pengertian yang banyak dan tidak jelas sebagai lafaz untuk berwaqaf. Contohnya seseorang melafazkan: “Aku bersedekah”. Maka waqaf dengan hanya berlafaz sedemikian adalah tidak sah sekalipun dia berniat waqaf kerana apa yang dilafazkannya itu (lafaz sedekah) boleh saja membawa maksud berwaqaf atau boleh saja membawa maksud sedekah sunat.
Jika lafaz tersebut digandingkan dengan lafaz lain yang menunjukkan kepada perbuatan waqaf, contohnya seseorang melafazkan: “Aku bersedekah dengan barang ini sedekah waqaf” atau “Aku bersedekah dengan sedekah yang tidak boleh dijual atau tidak boleh dihibahkan” dan pewaqaf juga berniat waqaf, maka yang demikian itu dii‘tibâr sabagai waqaf. Menurut pendapat ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, bahawa lafaz sedekah (kinâyah) yang dilafazkan dengan lafaz gandingan itu dianggap sebagai lafaz waqaf yang jelas disebabkan adanya lafaz lainnya.
Adakah Memadai Waqaf Hanya Dengan Niat Sahaja?
Waqaf tidak memadai hanya dengan niat atau hasrat seseorang itu untuk menjadikan barang tersebut sebagai waqaf. Waqaf perlu kepada shîghah (lafaz yang membawa maksud berwaqaf) bagi menjadikan sesuatu barang itu sah dan tsabit menjadi barang waqaf.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebutkan:
Ertinya: Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan lafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf), dan (lafaz) yang sharîhnya (terang) ialah: “Aku berwaqaf barang ini” atau “tanahku menjadi barang waqaf untuknya.”
Seseorang yang berniat atau berhasrat untuk mewaqafkan sesuatu yang dimilikinya hendaklah melafazkan niatnya bahawa barang tersebut adalah untuk waqâf bagi tujuan untuk melepaskan hak miliknya terhadap harta tersebut dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).
Berlainan halnya jika sesuatu yang hendak diwaqafkannya itu merupakan tanah mawât (tanah yang tiada pemilik). Dalam hal ini, jika dia mengusahakan tanah mawât dan dia berniat untuk mewaqafkan masjid atau kubur atau perigi atau bangunan untuk fakir miskin atau sekolah, maka waqaf itu adalah sah sekalipun dia tidak berlafaz kerana tanah mawât bukan milik sesiapa dan tidak perlu ada pelepasan hak pemilikan.
Disebutkan dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:
Ertinya: Dan tidak sah waqaf kecuali dengan lafaz (yang membawa maksud untuk berwaqaf), sekalipun (dalam hal hendak) membina masjid. Berlainan keadaannya jikalau seseorang itu mengusahakan tanah mawât dengan niat untuk mewaqafkan masjid atau kubur atau perigi atau bangunan untuk fakir miskin atau sekolah, (maka waqaf itu sah sekalipun dia tidak berlafaz waqaf).
Oleh yang sedemikian, jika seseorang yang hendak berwaqaf harta atau benda miliknya namun belum mengeluarkan lafaz waqaf atau lafaz yang membawa maksud waqaf, maka dia belum lagi dikira berwaqaf sekalipun dia telah berniat atau berhasrat untuk berwaqaf. Ini kerana niat atau hasrat saja belum memenuhi syarat shîghah waqaf iaitu dengan berlafaz.
Bagi orang yang bisu pula, isyarat yang difahami dia berwaqaf adalah dianggap seperti berlafaz waqaf. Begitu juga dengan tulisannya yang menyatakan dia berwaqaf, juga dianggap seperti berlafaz waqaf. Manakala bagi orang yang boleh berkata-kata, maka tulisannya yang menyatakan dia berwaqaf perlu disertakan dengan niat.
PENERIMAAN (QABDH) SEBAGAI SYARAT DALAM PEMBERIAN (HIBAH)
Hibah merupakan amalan sunat dan digalakkan dalam Islam. Hibah termasuk di bawah pengertian ‘athiyyah atau pemberian selain sedekah dan juga hadiah. Namun ketiga-tiganya adalah berbeza dari segi tujuan dan maksud seseorang ketika menyampaikannya kepada si penerima.
Hibah dari segi syara‘ bermaksud pemindahan hak milik sesuatu harta atau benda kepada orang lain tanpa ada pertukaran atau balasan, yang dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup, dan diberikan secara sukarela dengan îjâb (penawaran) dan qabûl (penerimaan).
Shîghah (îjâb dan qabûl) merupakan salah satu daripada rukun hibah di samping rukun-rukun yang lain iaitu orang yang memberi hibah, orang yang menerima hibah dan harta yang dihibahkan. îjâb dan qabûl berkaitan dengan pemilikan hendaklah dilaksanakan secara berlafaz bagi orang yang boleh berkata-kata atau dengan isyarat bagi orang yang bisu. Contoh îjâb yang dilafazkan oleh orang yang memberi hibah: “Saya hibahkan barang ini kepadamu” atau “saya milikkannya kepadamu” atau “saya anugerahkannya kepadamu”. Manakala contoh lafaz qabûl: “Saya menerima” atau “saya redha”. Begitu juga îjâb dan qabûl dalam hibah boleh dibuat dengan tulisan yang disertai dengan niat. Sebagai contoh orang yang memberi hibah menulis: “Ini untukmu”.
Walau bagaimanapun, perlaksanaan hibah belum terjadi hanya dengan adanya shîghah (ijab dan qabul) daripada kedua-dua belah pihak semata-mata. Ini kerana perpindahan hak milik bagi harta atau barang yang dihibahkan belum dikira terjadi selagi belum berlaku qabdh (penerimaan) barang atau harta tersebut di pihak penerima.
Syarat Qabdh (Penerimaan) dalam Hibah
Qabdh iaitu penerimaan harta atau barang di pihak penerima merupakan syarat bagi menetapkan harta hibah itu telah sempurna menjadi milik orang yang menerima hibah. Qabdh bermaksud pemilikan ke atas barang yang diterima yang membolehkan penerima untuk melakukan tindakan dan transaksi terhadap barang tersebut.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn menyebutkan:
Ertinya: Dan tidak dimiliki oleh penerima barang yang diberikan melainkan dengan penerimaan (barang pemberian) dengan izin pemberi.
Penerimaan orang yang diberi hibah terhadap harta hibah itu pula boleh terjadi sama ada dengan penyerahan harta oleh orang yang memberi itu sendiri kepadanya atau dengan keizinan orang yang memberi untuk menyerahkan harta hibah itu kepadanya atau dengan keizinan daripada wakil orang yang memberi untuk orang yang diberi harta hibah.
Keizinan orang yang memberi hibah dan penerimaan harta hibah oleh orang yang menerima hibah adalah amat penting dalam proses menetapkan terjadinya penerimaan harta hibah. Sekiranya harta hibah itu berada di tangan penerima tanpa ada izin orang yang memberi atau wakilnya, juga belum memadai untuk dianggap sebagai satu penerimaan harta hibah. Ini kerana pemilikan harta yang diterimanya hanya menjadi miliknya setelah ada berlakunya penerimaan dan keizinan orang yang memberi atau wakilnya.
Begitu juga, perpindahan hak milik bagi harta yang dihibahkan belum terjadi selagi belum berlaku penerimaan harta walaupun sudah ada keizinan daripada orang yang memberi atau wakilnya. Sekiranya penerimaan harta belum berlaku, maka pemberi hibah atau wakilnya masih lagi berhak ke atas harta hibah tersebut dan dia boleh menariknya balik selagi harta hibah belum diserahkan kepada penerima hibah.
Cara Qabdh Dalam Menetapkan Hibah
Qabdh (penerimaan) harta dalam hibah adalah sama seperti qabdh (penerimaan) dalam perkara jual beli. Namun terdapat perbezaan cara qabdh (penerimaan) harta yang dihibahkan mengikut bentuk atau sifat harta tersebut. Cara penerimaan harta tidak alih seperti hartanah adalah berbeza dengan cara penerimaan harta alih seperti kereta atau barang-barang kemas.
Cara qabdh (penerimaan) harta tidak alih seperti tanah atau rumah atau yang seumpamanya adalah dengan cara pemberi melepaskannya atau mengosongkannya bagi membolehkan orang yang diberi hibah untuk menguasai dan melakukan tasharruf terhadapnya atau dengan lafaz yang menunjukkan pelepasan atau pengosongan harta oleh orang yang memberi hibah jika dia mempunyai hak untuk menahan harta hibah tersebut. Contohnya, dia berlafaz: “Aku lepaskan rumah ini kepada tuan.”
Cara qabdh (penerimaan) harta hibah yang berkunci seperti rumah dan kuncinya ada pada orang yang memberi adalah dengan penyerahan kunci kepada orang yang diberi hibah selain pengosongannya. Pengosongan dengan disertai sijil atau dokumen rasmi juga merupakan cara yang dianggap sebagai qabdh (penerimaan). Sebagai contoh, A menghibahkan sebuah rumah kepada B, lalu A mengosongkan rumah tersebut dan mendaftarkannya di bawah nama B. Maka pensijilan ini dianggap sebagai qabdh.
Selain itu, qabdh harta hibah juga boleh dilakukan dengan pengasingan harta hibah dengan harta yang lain yang tidak dihibahkan dan pengasingan tersebut berdasarkan kepada ‘urf (adat atau kebiasaan sesuatu tempat). Sebagai contoh A memecah geran tanahnya kepada beberapa lot dan satu lot dihibahkannya kepada B secara bersurat.
Manakala cara qabdh bagi harta alih seperti kenderaan atau binatang adalah dengan memindahkannya dari tempat asalnya ke tempat lain. Manakala qabdh bagi harta yang ringan yang kebiasaannya diserah atau diambil dengan tangan seperti wang, pakaian atau barang-barang kemas boleh berlaku dengan penyerahan harta hibah ke tangan penerima atau diletakkan di hadapan penerima sekira-kiranya boleh untuk dicapainya, sama ada diletakkan sebelah kirinya, kanannya atau belakangnya. Begitu juga cara qabdh bagi harta mudah alih ini adalah dengan mengasingkan harta hibah dengan harta-harta lain.
‘Urf (adat atau kebiasaan) bagaimana cara suatu masyarakat itu melakukan qabdh juga boleh dilihat sebagai salah satu cara qabdh yang menentukan sah akad hibah. Ini bererti, jika ‘urf sesuatu tempat atau masyarakat itu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan itu merupakan qabdh, maka ia dianggap sebagai qabdh yang sah berdasarkan ‘urf yang terpakai itu.
Bagaimana Jika Berlaku Kematian Sebelum Qabdh?
Jika pemberi hibah atau penerima hibah meninggal dunia sebelum qabdh berlaku, maka ahli waris akan menggantikan tempat si mati dalam penerimaan hibah sekiranya si mati adalah penerima atau ahli waris akan menggantikan tempatnya dalam penyerahan hibah sekiranya dia adalah pemberi. Kematian yang berlaku kepada salah satu daripada kedua-duanya tidak membatalkan akad kerana penggantian tempat si mati oleh ahli warisnya juga membawa kepada berlakunya hibah.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj menyebutkan:
Ertinya: Jika salah seorang daripada kedua-duanya meninggal dunia iaitu orang yang memberi atau orang yang diberi hibah di antara waktu hibah dan qabdh, maka akad hibah tidak terbatal. Dan waris pihak pemberi akan mengambil alih untuk penyerahan dan keizinan untuk qabdh (penerimaan), dan waris pihak orang yang diberi pula akan mengambil alih untuk urusan qabdh (penerimaan).
Walau bagaimanapun dalam perkara qabdh harta hibah, jika pemberi hibah meninggal dunia setelah berlakunya akad hibah, tetapi qabdh barang hibah belum berlangsung, maka kuasa untuk memberi izin bagi melaksanakan qabdh harta hibah adalah tertakluk kepada ahli waris pihak pemberi, sama ada ingin meneruskan penyerahan harta hibah ataupun sebaliknya.
Dapat disimpulkan bahawa dalam mazhab asy-Syafi‘i, qabdh (penerimaan) merupakan syarat yang mesti dan menyempurnakan pemberian dalam perkara hibah. Akad hibah belum dianggap sempurna dengan îjâb dan qabûl semata-mata, kecuali selepas berlakunya qabdh. Sekiranya qabdh tidak berlaku, maka pemberi hibah atau warisnya berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta tersebut masih berada dalam pemilikannya.
JANGAN SEKALI-KALI AMBIL MUDAH KEWAJIPAN MEMBAYAR HUTANG!
Perbuatan menzalimi hak sesama manusia merupakan satu perbuatan tercela yang sangat ditegah oleh syara‘. Seorang Muslim yang meyakini hari pembalasan semestinya berusaha menjauhi perbuatan seumpama itu kerana mengharapkan kesudahan yang baik di akhirat kelak. Pastinya dia mahu menemui Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam keadaan suci bersih, bebas daripada segala tuntutan yang belum selesai terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mahupun daripada tuntutan hak hamba-hambaNya.
Terdapat perbezaan jelas di antara tuntutan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan tuntutan hak sesama manusia. Hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ boleh ditunaikan dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga maha Pengasih dan Penyayang di mana segala dosa, melainkan syirik, boleh diampunkanNya dengan cara bertaubat.
Berlainan halnya dengan tuntutan hak sesama manusia. Ini kerana hak tuntutan sesama manusia hanya dapat diselesaikan sesama mereka. Tambahan pula, manusia berbeza sifat di antara satu dengan yang lain, ada yang pemaaf dan ada pula yang sebaliknya. Mungkin dia boleh bermanis muka serta bergaul mesra dengan kita, padahal dalam hatinya masih bersarang api kemarahan, rasa benci dan sakit hati.
Bahana dan Bahayanya Cuai Membayar Hutang
Salah satu perkara yang dianggap sebagai kezaliman terhadap hak sesama manusia ialah perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang. Sama ada dia melengahkan membayar hutang sedangkan dia mampu membayarnya atau dia langsung tidak berusaha serta langsung tidak ada keinginan untuk melunaskan hutangnya itu. Kezaliman seumpama ini merupakan salah satu perkara yang menjejaskan keharmonian hidup berukhuwwah kerana ia merupakan antara punca utama berlakunya perseteruan termasuklah sesama rakan baik, saudara terdekat, bahkan sesama ahli keluarga sendiri.
Perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang bukan sahaja akan menyusahkan penghutang itu di dunia, bahkan akan mengheretnya kepada kesusahan yang tidak terperi di akhirat kelak sekiranya dia mati sebelum sempat melunaskan hutangnya. Antara bahaya dan kecaman terhadap orang yang mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang itu ialah:
(i) Dosanya tidak akan diampunkan.
Orang yang mengabaikan kewajipan membayar hutang sedangkan dia mampu melunaskannya merupakan satu dosa yang tidak akan diampunkan walau bagaimana salih dan wara‘ sekalipun orang yang berhutang itu. Sehinggakan orang yang mati syahîd kerana berjihâd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dijanjikan pengampunan dan ganjaran syurga pun tidak akan dapat melepaskannya daripada dosa menanggung hutang. Ini kerana urusan hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam.
Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdiri di hadapan para sahabat Baginda, lalu Baginda menyatakan bahawa sesungguhnya jihâd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan beriman denganNya adalah sebaik-baik amalan. Kemudian seorang sahabat bangkit lalu bertanya:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah, dosa-dosaku akan terhapus? Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya: “Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh dan tidak lari berpaling dari medan jihâd.” Setelah itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya sekali lagi: “Apa yang kamu katakan tadi?” Lalu sahabat itu tadi pun mengulangi pertanyaannya: “Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dosa-dosaku akan terhapus?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun menjawab, “Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh dan tidak lari berpaling dari medan jihâd, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. Sesungguhnya Jibril menyatakan sedemikian kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim) Dalam satu lagi riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Diampunkan bagi orang yang mati syahîd semua dosa, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. (Hadits riwayat Muslim)
(ii) Risiko menjadi ahli neraka kerana hilang amal kebajikan dan dibebankan tanggungan dosa
Seseorang yang mati sebelum dia sempat melunaskan hutangnya akan berhadapan dimasukkan ke dalam api neraka. Ini kerana sebagai ganti hutangnya itu, segala kebajikan yang dilakukannya akan diberikan kepada pemiutang dan jika belum mencukupi pula, segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pemiutang itu akan dipindahkan kepada penghutang tersebut. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang ada berlaku zalim terhadap saudaranya (yang berupa kezaliman terhadap) kehormatan atau sesuatu (apapun), maka hendaklah dia membebaskan diri daripadanya di dunia sebelum datang hari di mana tidak ada dinar dan tidak ada dirham (Hari Kiamat). (Pada Hari Kiamat itu) seandainya dia memiliki amal salih maka akan diambil daripadanya (untuk diberikan kepada pemilik hak) menurut kadar kezaliman yang dilakukannya. Dan sekiranya dia tidak memiliki kebajikan, maka akan diambil pula keburukan si pemilik hak dan dibebankan tanggungjawabnya kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud hadits ini ialah sesiapa sahaja yang ada berlaku zalim kepada seseorang dalam apa perkara sekalipun, sama ada kezaliman terhadap tubuh badan, harta benda dan sebagainya, maka hendaklah dia segera menebus dirinya daripada segala kezaliman yang telah dilakukannya itu.
Iaitu dengan cara menunaikan hak tersebut sesegeranya kepada pihak yang dizalimi dengan membayar hutang, mengembalikan sesuatu yang diambil, menuntut kemaafan dan sebagainya.
Jika ini tidak dilaksanakan di dunia, maka pada Hari Akhirat kelak, amal kebajikannya di dunia akan diberikan kepada orang yang dizaliminya bagi menampung dan mengimbangi nilai kezalimannya itu. Jika tidak ada amal kebajikannya, maka keburukan orang yang dizalimi itu pula akan ditanggung oleh orang yang berlaku zalim itu menurut kadar kezalimannya.
(iii) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam Enggan menyembahyangkan jenazah orang yang mati menanggung hutang.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diriwayatkan pernah menolak untuk menyembahyangkan jenazah orang mati yang masih menanggung hutang sehingga dilunaskan hutangnya terlebih dahulu ataupun ditanggung hutangnya itu oleh orang lain.
Jenazah yang disembahyangkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dido‘akan oleh Baginda pastinya beroleh kelebihan kerana sembahyang dan do‘a Baginda merupakan satu syafaat yang besar bagi diri orang yang disembahyangkan. Sungguhpun begitu, dalam hal orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, Baginda enggan menyembahyangkannya. Ini kerana hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam yang tidak dapat diselesaikan atau dimaafkan dengan cara taubat atau memohon pengampunan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Kisah ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia, lalu kami pun memandikannya, memberikannya wangian dan mengkafaninya. Kemudian kami membawanya mendatangi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya Baginda menyembahyangkannya. Lalu kami mengatakan: “Tolong Tuan sembahyangkan atasnya (jenazah ini).” Maka Baginda melangkah mendekatinya lalu bersabda: “Adakah dia ini masih mempunyai hutang?” Kami menjawab, “(Ya ada), sebanyak dua dinar.” Baginda kemudian beredar (tanpa menyembahyangkannya). Abu Qatadah kemudian bersetuju untuk menanggung hutang dua dinar itu lalu kami pun mendatanginya. Abu Qatadah pun berkata, “Hutangnya dua dinar itu menjadi tanggunganku.” Lantas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Adakah (hutang si mati itu) menjadi tanggunganmu dan si mati ini bebas daripada hutangnya itu?” Dia (Abu Qatadah) menjawab: “Ya.” Setelah itu Baginda pun menyembahyangkannya. Pada keesokan harinya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Bagaimana hal dua dinar itu?” Maka dia (Abu Qatadah) menjawab: “(Belum lagi), bukankah dia baru sahaja meninggal dunia kelmarin?” Pada keesokan harinya (Abu Qatadah) kembali semula kepada Baginda dan berkata: “Aku telah melunaskannya.”
Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Sekarang engkau telah membuat kulitnya merasa dingin.” (Hadits riwayat Ahmad)
Kita renung dan perhatikan hadits ini. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan bertanya tentang banyak atau sedikitnya amal ibadat si mati, akan tetapi Baginda bertanya adakah si mati memiliki hutang terhadap orang lain. Ini jelas menunjukkan betapa Baginda sangat risau dan prihatin akan perkara hutang ini. Hutang berhubung kait dengan hak sesama anak Adam dan perlu diselesaikan di antara kedua-dua pihak penghutang dan pemiutang. Taubat, do‘a dan sebagainya tidak akan memainkan apa-apa peranan terhadap dosa menzalimi hak sesama anak Adam.
Perhatikan juga bagaimana Abu Qatadah yang telah berkesudian untuk menanggung hutang si mati itu tetap sahaja diperingatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya segera melunaskan hutang si mati. Ini menunjukkan bahawa jaminan Abu Qatadah untuk menanggung hutang si mati sebenarnya belum mencukupi untuk menyelamatkan si mati itu daripada kesusahan kubur. Bahkan si mati hanya terlepas daripada kesusahan kubur setelah Abu Qatadah sempurna menyelesaikan tanggungan si mati itu.
Adapun keengganan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk menyembahyangkan jenazah orang yang mati dalam keadaan menanggung hutang bukanlah bermaksud haram disembahyangkan jenazahnya. Akan tetapi, menurut ulama, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berbuat demikian sebagai amaran supaya tidak menzalimi hak sesama manusia dengan melengah-lengahkan membayar hutang. Perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu juga bertujuan bagi menganjurkan para sahabat supaya segera melunaskan hutang semasa masih hidup supaya sesudah mati nanti Baginda tidak menolak untuk menyembahyangkan jenazah mereka.
(iv) Sentiasa Hidup Dalam Kehinaan Dan Keresahan.
Tanggungan hutang menimbulkan rasa kehinaan dan keresahan sepanjang hari. Seorang yang beriman dan bertanggungjawab pastinya tidak mampu menjalani hidup dengan tenteram apatah lagi apabila terfikir seandainya dia mati sebelum terlunas segala hutang piutangnya. Pastinya dia merasa risau memikirkan bagaimanakah nasibnya nanti di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang ilmu dan pengadilanNya meliputi setiap sesuatu.
Bebanan hutang menjadikan dunia terasa sempit. Rasa malu terhadap pemiutang akan menjadikan dirinya terasa sangat kerdil dan hina. Perasaan ini adakalanya mendorong dia supaya mengelak daripada bertembung dengan pemiutang kerana malu, takut dan kurang selesa berhadapan dengan pemiutang.
Berdosakah Melengahkan Membayar Hutang Setelah Mampu?
Orang yang berhutang, jika dia belum mampu untuk membayar hutangnya, dia tidak berdosa. Akan tetapi, sebagai adab serta menjaga hubungan baik bersama pemiutang yang telah berkesudian membantunya atas dasar ihsan, simpati dan persaudaraan, wajarlah dijelaskan dengan elok dari masa ke semasa supaya pemiutang tidak tertunggu-tunggu dan tidak membangkitkan kemarahannya.
Walau bagaimanapun, sekiranya orang itu sudah mampu dan dalam keadaaan senang, maka hendaklah dia melunaskan hutangnya sesegera mungkin.
Bagaimana pula keadaannya sekiranya orang yang sudah mampu dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya? Para ulama membezakan dalam keadaan ini sama ada pemiutang ada menuntut hutang tersebut ataupun belum.
Sekiranya pemiutang sudah menuntut ataupun waktu tempoh pembayaran yang disepakati antara kedua-duanya sudah tiba, maka dengan sendirinya penghutang yang mampu membayar itu wajib membayar sesegera mungkin.
Berkenaan hal ini Imam asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan wajib bagi yang diluaskan rezekinya (dalam keadaan senang) untuk melunasi segera (hutangnya) sesuai dengan kemampuan jika diminta (oleh pemiutang), berdasarkan sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
“Penundaan pembayaraan hutang oleh seorang yang mampu (tanpa apa-apa keuzuran) adalah satu kezaliman”. Ini karena tidak dikatakan “dia menundanya” kecuali setelah dia (pemiutang) menuntutnya, lalu si penghutang menolaknya (tidak mahu melunaskan hutangnya) … Adapun sebelum berlaku tuntutan (hutang), maka pelunasan (segera) belum wajib …
Jelas di sini bahawa orang yang mampu melunaskan hutangnya, lalu dia menunda-nundanya sedangkan pemiutang sudah melakukan tuntutan, maka yang demikian itu dianggap satu kezaliman dan satu perbuatan haram yang mendatangkan dosa.
Selain mendatangkan dosa, pelakunya juga dihukumkan fâsiq sepertimana pendapat jumhûr. Ini kerana perbuatan tidak memberikan hak seseorang setelah dituntut dinilai sebagai berbuat zalim dan menyerupai perbuatan merampas yang dianggap sebagai kabîrah (dosa besar).
Sekiranya belum dituntut pula, maka berdasarkan kata-kata Imam asy-Syarbini Rahimahullâh tadi, penghutang tidak berdosa sekiranya dia belum membayar dengan segera. Ini kerana menurutnya, kezaliman itu hanya dinilai berlaku setelah tuannya menuntut hutang tersebut.
Imam Ibnu Hajar as-‘Asqalani Rahimahullâh dalam Fath al-Bâri juga menyatakan bahawa sekiranya belum dituntut, maka penghutang itu tidak dihukumkan fâsiq dan belum dinilai sebagai berlaku zalim.
Sebahagian ulama pula, antaranya Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullâh, seorang ulama besar mazhab al-Maliki, berpendapat bahawa sekiranya penghutang yang sudah mampu membayar dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya tanpa sebarang uzur syar‘i, maka dia dinilai sebagai zalim dan menanggung dosa walaupun tuannya belum melakukan tuntutan. Ini kerana, mungkin tuannya itu belum menuntut kerana malu atau takut untuk menuntut hutangnya. Menurutnya, malu atau takut untuk menuntut ini sama keadaannya dengan ‘menuntut’.
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, maka sewajarnyalah orang yang berhutang segera melunaskan hutangnya sekalipun belum dituntut. Walaupun sebahagian ulama berpendapat bahawa hutang belum wajib dilunaskan sekiranya belum dituntut, akan tetapi perlu juga diambil kira pendapat yang mewajibkan melunaskan hutang bagi yang sudah mampu walaupun belum dituntut. Ini sebagai jalan keluar daripada khilâf ulama.
Tambahan lagi, perbuatan melengahkan hutang sesudah mampu itu, walaupun belum dituntut oleh pemiutang merupakan perbuatan yang tidak mengenang budi pemiutang yang sanggup mengeluarkan hartanya untuk membantu meringankan beban dan kesusahan yang dihadapi penghutang. Sewajarnya perbuatan mulia si pemiutang itu sekurang-kurangnya dibalas dengan menjaga dan menghormati haknya sebagai seorang manusia yang telah berbuat baik kepadanya.
Adapun orang kaya yang tidak mampu membayar hutangnya kerana hartanya hilang atau atas sebab lain, maka dia boleh menunda membayar hutangnya sehingga dia mampu. Dalam keadaan ini, dia tidak dinilai sebagai berlaku zalim dan tidak dinilai berdosa ataupun fâsiq.
Begitu juga orang yang tidak mampu membayar hutangnya. Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, dia tidak dikira melakukan kezaliman.
Kenapa Terhimpit dengan Tanggungan Hutang?
Banyak perkara yang boleh menjadi penyebab kenapa seseorang itu dilimpahi tanggungan hutang sehingga akhirnya dia sendiri tidak mampu membayarnya atau keberatan melunaskannya walaupun sebenarnya dia mempunyai kemampuan. Antaranya:
(i) Kurang iman, kurang pengetahuan agama dan kurang taat mengikut syariat.
(ii) Terlalu terikut-ikut dengan trend semasa.
(iii) Terlalu banyak berhutang walaupun untuk perkara-perkara yang tidak penting dan tidak diperlukan.
(iv) Berhutang bagi tujuan bermewah-mewah atau suka menunjukkan kemewahan.
(v) Suka melengah-lengahkan membayar hutang sedangkan dia sudah mampu melunaskannya.
(vi) Hutang yang bertindih-tindih sedangkan hutang-hutang yang sebelumnya belum lagi selesai dilunaskan.
(vii) Berhutang dalam kadar yang dia sendiri tidak yakin akan mampu melunaskannya kembali.
(viii) Berhutang untuk perkara-perkara haram dan tertegah.
(ix) Kurang bijak dalam mengatur perbelanjaan serta kurang bijak menilai yang mana lebih utama.
Adab-Adab Supaya Dipermudahkan Melunaskan Hutang Serta Tidak Terhimpit dengan Tanggungan Hutang
(i) Hendaklah berhutang dengan niat yang baik berserta iringan azam untuk melunaskannya sesegera mungkin.
Orang yang memiliki azam untuk melunaskan hutangnya ketika berhutang lalu dia tidak mampu melunaskannya tidak dikeji syara‘. Bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri menjamin untuk melunaskan hutangnya. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk mengembalikannya, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan membantunya untuk melunaskannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud hadits di atas ialah barang siapa yang mengambil harta manusia dengan apa-apa cara muamalat yang dibenarkan syara‘, seperti dengan cara berhutang dan sebagainya dengan niat dan azam untuk membayar atau melunaskannya kembali, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menolongnya dengan meluaskan rezekinya di dunia supaya dia dapat melunaskan hutangnya itu.
Sekiranya orang yang ada niat untuk melunaskan hutang itu tidak sempat melunaskan hutangnya di dunia kerana belum dikurniakan kemampuan, atau dia meninggal sebelum sempat melunaskan hutangnya maka kebajikannya tidak akan diberikan kepada pemiutang dan keburukan pemiutang juga tidak akan dipertanggungkan kepadanya. Ini kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri akan menjamin hutangnya itu di akhirat kelak.
Di sini jelas pentingnya niat yang baik ketika berhutang dan peranannya yang besar dalam menentukan buruk baik sesuatu perbuatan.
(ii) Azam tidak memadai tanpa usaha. Maka dari itu, penghutang mestilah sentiasa berusaha untuk melunaskan hutang dengan segera serta tidak berhenti berdo‘a memohon pertolongan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Salah satu amalan yang diajarkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ke atas mereka yang menanggung beban hutang ialah dengan membaca do‘a yang telah Baginda ajarkan kepada Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu iaitu:
Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal agar aku terhindar dari apa yang Engkau haramkan dan kayakanlah aku dengan kurnia keni‘matanMu sehingga aku tidak meminta kepada selain Engkau. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
Dengan mengamalkan do‘a di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan membantu dia melunaskan hutangnya itu walau sebanyak manapun hutangnya itu dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
(iii) Hanya berhutang sekiranya benar-benar terpaksa bagi keperluan perkara yang penting dan tidak dapat dielakkan.
(iv) Mengelakkan menambah hutang sebelum terlunas hutang yang terdahulu.
(v) Sekiranya telah tiba tempoh pembayaran yang disepakati, lalu penghutang belum mampu melunaskan hutangnya, maka hendaklah penghutang itu berbincang dengan elok untuk meminta tangguh.
(vi) Memberi maklumat kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas dan tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang. Jangan pula disebabkan belum mampu membayar hutang, si pemiutang dilayan sebagai orang asing atau musuh.
Apa yang menyedihkan, banyak berlaku sipemiutang pula yang terpaksa berusaha berhempas pulas, tabubut-bubut (terkejar-kejar) menagih hak milik mereka. Sedangkan penghutang bersembunyi, tidak dapat dihubungi atau acuh tidak acuh sahaja. Ini satu akhlak yang sangat buruk.
(vii) Mengelak bersenang-lenang sebelum selesai melunaskan hutang. Jangan pula penghutang itu mudah mengeluarkan belanja untuk melancong dan membeli-belah tetapi berat menjelaskan pembayaran hutang. Ini boleh membuatkan pemiutang berasa tidak puas hati dan boleh menyebabkan pertengkaran dan perselisihan di antara penghutang dan pemiutang.
(viii) Merancang perbelanjaan dengan teliti dengan mengutamakan keperluan-keperluan utama dan meninggalkan keinginan-keinginan yang tidak penting. Iaitu dengan mengamalkan hidup sederhana serta berbelanja dengan berhikmah. Jangan terlalu boros dan jangan pula terlalu kedekut sehinggakan makan minum diri dan keluarga pun dibataskan secara tidak munasabah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah (pula) engkau menghulurkannya sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya engkau akan jadi tercela dan menyesal. (Surah al-Isrâ’: 29)
(ix) Menanamkan sifat qanâ‘ah (merasa cukup dengan nikmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) dan redha dengan ketentuan rezeki yang telah dikurniakan olehNya.
Setiap manusia berbeza kedudukan dalam pembahagian ini menurut ilmu dan kehendak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Isrâ’, ayat 30:
Tafsirnya: Sesungguhnya Tuhanmu meluaskan pemberian rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Teliti lagi Maha Melihat hamba-hambaNya. (Surah al-Isrâ’: 30)
Dengan menanamkan kedua-dua sifat ini, seseorang itu akan lebih mudah merasa cukup dengan apa yang ada pada dirinya tanpa membanding-bandingkan dengan ketentuan nasib orang lain. Ini juga memandunya supaya tidak tertarik kepada perkara-perkara yang pada hakikatnya tidak perlu dan di luar daripada kemampuannya.
‘Ubaidullah bin Mihsan al-Khathmi Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa di antara kamu yang memasuki waktu pagi hari dalam keadaan aman pada diri dan keluarganya, sihat tubuh badannya dan dia memiliki makanan asas yang mencukupi pada hari tersebut, maka dia seolah-olah telah diberi dunia seisinya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sebenarnya, perbuatan berhutang adalah harus jika ada hajat dan keperluan. Perbuatan berhutang, jika dilakukan berdasarkan adab, akhlak serta garis pandu yang ditentukan, ia sekali-kali tidak dikeji syara‘ dan tidak sekali-kali merendahkan maruah dan martabat seseorang. Sedangkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri juga pernah berhutang.
Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah tanggungan hutang tidak akan terlepas daripada seseorang walaupun dia sudah meninggal dunia. Perlu diingat bahawa mati itu boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Dari itu, perbuatan melengahkan atau menangguhkan membayar hutang sedangkan dia mampu membayarnya adalah satu perbuatan yang sangat buruk dan sangat berisiko. Mungkin dia licik dan boleh melarikan diri daripada pemiutang di dunia, akan tetapi dia sekali-kali tidak akan dapat melarikan diri daripada pengadilan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
JANGAN SEKALI-KALI MENCUAIKAN PEMBAYARAN UPAH PEKERJA
Bekerja adalah kekuatan utama untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia dan senjata utama untuk memerangi kemiskinan. Islam menyeru penganutnya supaya bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki bagi memenuhi kelangsungan hidupnya dan keluarganya serta memperoleh harta yang dapat dimanfaatkannya bagi keperluan orang lain melalui jalan-jalan yang betul seperti berwaqaf, bersedekah, qardh hasan (pinjaman tanpa faedah) atau memberi pekerjaan kepada orang lain bagi membantu ekonomi mereka.
Pemilikan harta sebenar adalah berdasarkan kepada kerja yang diusahakan, bukan berpeluk tubuh atau meminta-minta. Usaha memperoleh harta itu boleh sahaja dilakukan dengan bekerja sendiri seperti membuka perniagaan atau mengusaha ternakan atau bercucuk tanam ataupun boleh sahaja bekerja untuk orang lain dengan menerima upah atau gaji.
Menyentuh mengenai pekerjaan yang diupahkan atau digajikan, maka wujud hubungan kerja antara orang yang diupah iaitu pekerja dan orang yang membayar upahnya iaitu majikan sebaik-baik sahaja persetujuan dibuat di antara kedua-dua belah pihak. Dalam Islam, pekerja dan majikan perlu berkerjasama dalam memastikan satu-satu pekerjaan itu terlaksana dengan lancar dan efisien. Kedua-duanya saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab dalam menunaikan hak-hak antara satu dengan yang lain.
Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pihak majikan. Tugasan itu pula mesti dilaksanakan dengan komitmen dan kegigihan yang tinggi. Hasil yang diperolehi daripada pekerjaan yang dilakukannya dari usahanya sendiri itulah merupakan sumber utama baginya menampung keperluan diri dan keluarga. Diriwayatkan daripada Miqdam Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak seseorang itu memakan makanan yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud ‘Alaihissalâm memakan (makanan) daripada hasil usaha tangannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala di pihak majikan pula bertanggungjawab menunaikan hak-hak pekerja dengan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan para pekerja. Kebajikan pekerja perlu sentiasa dititikberatkan terutama dalam pembayaran upah atau gaji pekerja. Adalah menjadi kewajipan kepada majikan untuk membayarnya sebagaimana dalam akad yang disepakati oleh kedua-dua belah pihak. Jika upah dijanjikan apabila kerja sempurna, maka hendaklah majikan membayar apabila pekerja sempurna melaksanakan pekerjaannya. Jika upah dijanjikan untuk diberi mengikut waktu seperti diberikan setiap bulan, maka hendaklah dilunaskannya mengikut waktu yang ditetapkan setiap bulan.
Pengertian Upah dari Perspektif Islam
Islam memberikan perhatian utama terhadap kepentingan upah kerana fungsinya yang besar dalam menentukan keseimbangan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Manusia sememangnya memerlukan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan asasi mereka dan keluarga mereka. Upah pula merupakan sebilangan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan mereka itu.
Upah dalam bahasa Arab disebut sebagai ujrah (أجرة). Dari segi bahasa, upah bermaksud ganjaran atau balasan atas sesuatu pekerjaan. Dari segi istilah pula, ujrah bermaksud gantian/imbalan dalam akad sewa/upah. Dalam ilmu fiqh, ujrah merupakan salah satu antara rukun ijârah [إجارة] (sewa/upah).
Secara umum, pengertian upah sering disamakan dengan gaji. Dalam Kamus Dewan, upah ialah wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan sesuatu, bayaran sebagai pembalas jasa atau ganjaran untuk tenaga orang yang telah digunakan. Manakala gaji pula ialah upah yang tetap atau bayaran yang tetap untuk pekerjaan. Setelah melihat definisi di atas, maka dapat disimpulkan bahawa upah dan gaji adalah perkara yang sama dari segi pembayaran perkhidmatan dan pekerjaan, hanya berbeza dari segi ketetapan pembayaran kedua-duanya. Pembayaran upah adalah berdasarkan kerja atau tugas yang dihasilkan. Manakala pembayaran gaji pula adalah tetap, di mana seseorang itu akan menerima sejumlah gaji yang sama setiap bulan bagi satu-satu jawatan yang dipegangnya. Kedua-dua bentuk pembayaran ini ada disebut dalam bab ijarah (sewa/upah) dalam kitab fiqh.
Disebutkan dalam perkara ijârah (sewa/upah), pembayaran upah bagi tenaga dan perkhidmatan sah dilakukan dengan mata wang atau bentuk barangan seperti baju, kitab, barang makanan dan sebagainya. Pembayaran upah dalam bentuk wang atau selainnya ini adalah berdasarkan kepada penetapan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja. Walau bagaimanapun rata-rata pada zaman ini, pembayaran upah khidmat atau gaji pekerja dibayar dalam bentuk mata wang kerana kepentingannya lebih praktikal dalam memenuhi keperluan manusia.
Penetapan kadar upah pula biasanya bergantung pada kadar kebiasaan di sesuatu tempat, jenis pekerjaan, keadaan pekerjaan, hasil pekerjaan dan sebagainya. Semua ini mestilah jelas disebut dalam kontrak. Dalam syarat ujrah, hendaklah di antara kedua-dua pihak yang berakad tahu jenis upah, kadarnya dan sifatnya sebagaimana syarat makluman harga dalam perkara jual beli.
Hukum Mencuaikan Upah Pekerja
Dalam kontrak pekerjaan atau perkhidmatan yang dibuat di antara majikan dan pekerja, disebutkan mengenai skop kerja yang perlu dilaksanakan oleh pekerja dan sebagai imbalannya, majikan membayarnya sejumlah upah atau gaji. Jika pekerjaan atau tugasan itu dilakukan seperti yang disebut di dalam kontrak, maka tidak ada alasan bagi majikan untuk mencuaikan upah pekerja.
Mencuaikan upah pekerja membawa maksud majikan melambat-lambatkan pembayaran upah atau langsung sama sekali tidak membayar upah sebagaimana perjanjian. Tindakan ini adalah penganiayaan dan kezaliman terhadap pekerja dan hak-haknya. Oleh kerana itu ia termasuk antara dosa-dosa besar sebagaimana disebut dalam kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir, karangan Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâh.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Disebut ‘kering peluhnya’ kerana upahnya itu adalah pekerjaan (yang dilakukan oleh tubuh badannya). Apabila manfaat pekerjaan itu segera diterima oleh seorang majikan, maka pekerja berhak menerima upah hasil usahanya itu dengan segera. Disebut ‘berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya’ adalah berupa perumpamaan tentang kewajipan menyegerakan pembayaran upah sebaik-baik sahaja kerja selesai apabila dituntut (oleh pekerja tersebut) walaupun dia tidak berpeluh (ketika melakukan pekerjaan) atau dia berpeluh dan peluhnya kering.
Imam al-Munawi Rahimahullâh dalam kitab beliau, Faidh al-Qadîr menjelaskan berdasarkan hadits di atas:
Ertinya: Maka haram melambat-lambatkannya (pembayaran upah) dan menangguhkannya sedangkan dia mampu (untuk membayarnya dengan segera).
Melambatkan atau menangguhkan pembayaran upah pekerja sehingga kadang-kadang sampai berminggu malahan berbulan, menyebabkan pekerja menghadapi masalah ekonomi yang bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan keluarganya, lebih-lebih lagi jika pekerja itu merupakan tulang belakang keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan asasi mereka. Bukankah ini satu penganiayaan?
Lain halnya lagi, jika majikan tidak membayar langsung upah pekerja sehinggakan ada yang tamat perkhidmatan namun jumlah upah yang dijanjikan tidak dilunaskan. Ini adalah satu penindasan dan perbuatan menindas orang lain ini sangat ditegah oleh Islam. Seseorang yang menahan orang yang diupah dari mendapatkan haknya (upahnya kerana melakukan pekerjaan), maka dia dianggap menzalimi orang yang diupah itu apabila dia menerima khidmatnya tanpa dibayar upah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memusuhi golongan yang zalim ini. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh sahabat, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tiga orang, Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat: Seorang lelaki yang membuat perjanjian atas namaKu lalu dia memungkiri (perjanjian)nya, seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya dan seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang tersebut lalu dia tidak membayar upahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menjelaskan mengenai seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang itu tetapi tidak membayar upahnya sama seperti dua orang yang disebut sebelumnya (seorang lelaki yang membuat perjanjian atas nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lalu dia memungkiri (perjanjian)nya dan seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya) yang dianggap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai musuhNya. Ini kerana orang yang mengupahkan itu menerima manfaat daripada orang yang diupahnya tanpa ada gantian atau imbalan, maka seolah-olah orang yang mengupah itu memakan hak orang yang diupahnya. Begitu juga dengan meminta khidmatnya tanpa diberi upah seolah-olah dia menghambakan orang yang berkhidmat itu.
Begitu juga dianggap penganiayaan bilamana upah seorang pekerja dibayar tetapi kurang dari jumlah yang dijanjikan dalam kontrak perkhidmatan melainkan ada sebab yang munasabah menurut kontrak bahawa upah itu dikurangkan. Perbuatan membayar upah bukan seperti jumlah yang dijanjikan dalam kontrak termasuk dalam kategori perbuatan tidak menepati janji. Tidak menepati janji juga termasuk antara dosa besar yang disebut dalam kitab az-Zawajir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir. Ini kerana menepati janji itu merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah janji yang kamu buat (sama ada dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan (di Hari Kiamat). (Surah al-Isrâ’: 34)
Janji yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk disempurnakan dalam ayat di atas adalah perjanjian yang disepakati oleh mereka yang membuat kesepakatan dan kontrak-kontrak yang mereka bermuamalat atau berurusan dengannya. Perjanjian dan kontrak inilah yang akan dipersoalkan kepada pelakunya di hari pembalasan kelak.
Kesimpulannya, majikan berkewajipan menjaga hak-hak pekerja, antaranya ialah membayar upah atau gaji pekerja sebagaimana disebutkan dalam kontrak perkhidmatan. Pembayaran upah ataupun gaji pekerja tidak boleh dicuaikan oleh mana-mana pihak yang menggunakan khidmat orang lain dalam menjayakan perkhidmatan dan menghasilkan produksi sektor mereka. Ini kerana pembayaran upah dan gaji yang dilaksanakan secara efisien dan mencukupi keperluan pekerja dan keluarganya berperanan besar dalam mengatasi masalah sosio-ekonomi seperti mengurangkan jumlah kemiskinan atau perbuatan meminta-minta. Ini termasuklah apa-apa bentuk imbalan yang dijanjikan pihak majikan kepada pekerja dalam kontrak perkhidmatan seperti elaun, komisyen dan yang seumpamanya. Maka, adalah tidak wajar menangguh-nangguhkan pembayaran upah atau gaji mereka sehingga mengambil masa yang lama untuk mereka menerimanya atau langsung tidak dibayar. Rebutlah ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan membantu memudahkan urusan orang lain yang menjana pendapatan bagi kehidupan mereka.
Dalam pada itu, pekerja pula tidak boleh mengambil ringan akan tugasannya walaupun sekiranya upah atau gaji yang dibayar kepadanya tetap dan tidak bergantung pada hasil tugas. Dia juga berkewajipan menjaga hak-hak majikan, antaranya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan tekun dan jujur, tidak sekali-kali cuai apa lagi berlaku khianat. Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap apa-apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaannya dan tidak boleh wujud salah laku seperti penyalahgunaan bekalan/kemudahan di tempat kerja, tidak jujur dan tidak amanah, melakukan kelakuan tidak bermoral di tempat kerja atau tidak patuh dan ingkar terhadap majikan. Raihlah keberkatan melalui upah pekerjaan yang dilakukan dengan amanah dan diniatkan kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
TANGGUNGJAWAB DAN SYARAT-SYARAT PENJAMIN MENURUT SISTEM MUAMALAT ISLAM
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan manusia untuk sentiasa memelihara hak mereka dan tidak menghilangkannya atau tidak menyalahgunakannya pada perkara yang tidak bermanfaat. Atas dasar itulah, disyariatkan pengakuan penggunaan hak seseorang. Akad jaminan merupakan salah satu bentuk pengakuan yang disyariatkan untuk mengukuhkan pemeliharaan harta selain kesaksian dan gadaian.
Jaminan bertujuan untuk menjamin pertanggungjawaban dan melindungi jumlah pinjaman, sama ada kerana pinjaman tidak dapat dituntut atau ditagih daripada peminjam atau kerana kelalaian peminjam untuk membayarnya. Jaminan ini boleh dibuat dalam bentuk dokumen bertulis, pengesahan, jaminan peribadi, ikrar, cek dan nota janji membayar hutang.
Khusus dalam perkara pinjaman, pada kebiasaannya akad jaminan dijadikan salah satu syarat utama yang mesti dipenuhi bagi memudahkan rundingan antara peminjam dan pemberi pinjaman serta proses pinjaman. Jaminan itu diperlukan oleh peminjam bagi mengangkat bebanan dan kesempitan mereka dengan adanya pinjaman yang memerlukan akad jaminan sebelum pinjaman dibenarkan. Ia juga diperlukan oleh pemberi pinjaman untuk melindungi hak miliknya yang akan diserahkan kepada peminjam. Sebagai contoh, institusi kewangan yang memerlukan akad jaminan dalam pinjaman bagi melindungi aset mereka sekiranya peminjam tidak dapat membayar balik sebagaimana yang ditetapkan.
Melihat kepada perkara “pertanggungjawaban” dalam perkara jaminan, beberapa syarat telah digariskan oleh syara‘ dalam setiap rukun dalam perkara jaminan untuk memastikan akad jaminan terlaksana dengan sebaiknya. Antaranya syarat-syarat seseorang yang dibenarkan menjadi penjamin.
Jaminan dan Hukumnya Menurut Syara‘
Jaminan atau di dalam bahasa Arab disebut adh-dhamân (الضمان), menurut bahasa bererti tanggungan atau pertanggungjawaban. Manakala menurut syara‘ bermaksud mempertanggungjawabkan sesuatu hak yang tsabit dalam tanggungan pihak yang lain atau menghadirkan seseorang yang mempunyai kewajipan membayar hak tersebut atau mengembalikan harta benda yang menjadi barang jaminan.
Sebahagian besar ulama mazhab asy-Syafi‘i menggunakan istilah dhamân (ضمان) bagi jaminan harta, sama ada jaminan ke atas hutang atau barang. Mereka menggunakan istilah kafâlah (كفالة) pula bagi melindungi jiwa dan tubuh badan.
Berdasarkan definisi jaminan di atas, maka akad jaminan itu menghendaki pihak yang dinamakan sebagai penjamin untuk:
i. Bertanggungjawab terhadap hak yang ditanggung oleh orang lain; jika orang lain itu tidak menunaikan tanggungjawab menunaikannya.
ii. Bertanggungjawab membawa pihak yang berkewajipan dalam menunaikan sesuatu hak kepada tuan punya hak tersebut.
iii. Bertanggungjawab kepada seseorang untuk mengembalikan barang yang menjadi hak orang itu daripada pihak lain yang memegang barang tersebut.
Hukum jaminan pada asalnya adalah mubâh (dibolehkan) kerana orang yang memberi pinjaman contohnya, diberi pilihan sama ada memasukkan pengakuan penjamin ataupun tidak atau peminjam diberi pilihan untuk membayar sama ada secara tunai ataupun bertangguh.
Akan tetapi dengan adanya keperluan untuk adanya jaminan menunjukkan bahawa memberikan jaminan itu adalah digalakkan. Ia juga salah satu cara bagi mencapai maksud tolong-menolong sesama insan. Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan manusia untuk tolong-menolong ke arah perkara kebaikan dan taqwa. Di dalamnya terdapat hikmah dalam menunaikan hajat atau keperluan orang lain, menutupi kesusahan orang yang meminjam serta menjaga hak orang yang memberi pinjaman. Demikianlah antara hikmah disyariatkan akad jaminan.
Syarat-syarat Penjamin
Rukun jaminan ada 5, iaitu: 1. Penjamin. 2. Pihak yang menerima jaminan/pihak yang menuntut hak. 3. Pihak yang dijamin. 4. Perkara/barang yang dijamin. 5. Shîghah.
Penjamin merupakan orang yang berkewajipan menunaikan hutang atau menyampaikan barang atau menghadirkan orang yang dijamin bagi orang yang menerima jaminan. Maka secara dasarnya mereka ini dianggap sebagai pemikul tanggungjawab. Oleh yang demikian, Islam menetapkan ke atas orang yang menjadi penjamin dengan syarat sebagaimana berikut:
i. Penjamin yang diterima pengakuannya.
Terkeluar daripada maksud di atas adalah golongan kanak-kanak kecil, orang gila, orang yang sedang tidur dan orang pengsan. Begitu juga tidak diterima pengakuan orang yang menderita delirium (gangguan mental serius) kerana lemah fikirannya. Jika akad jaminan dilakukan juga, maka tidak sah dan batal akad tersebut.
Jika seorang penjamin mendakwa bahawa dia masih kanak-kanak ketika akad jaminan dilakukan, maka diterima dakwaannya itu dengan bersumpah. Demikian juga jika seseorang itu mendakwa bahawa dia gila ketika akad jaminan dilakukan dan memang diketahui dia gila ketika itu atau dakwaannya itu datang dengan pembuktian bahawa dia gila ketika itu, maka diterima dakwaannya. Melainkan jika tidak diketahui oleh orang lain tentang keadaannya yang gila pada masa itu atau tiada bukti dakwaannya itu, maka diterima dakwaan orang yang menerima jaminan dengan bersumpah bahawa penjamin bukan kanak-kanak lagi atau penjamin tidak gila pada masa akad jaminan dibuat.
Bagi orang yang mabuk, para ulama membezakan hukum jaminan antara orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharamkan dan orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharuskan. Akad jaminan yang dilakukan oleh orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharamkan iaitu mabuk kerana minum arak dihukumkan sah dan diterima sebagaimana diterima thalaq yang dilafazkannya ketika dia dalam keadaan mabuk. Manakala bagi orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharuskan iaitu mengambil sesuatu yang memabukkan atau mengkhayalkan dengan tujuan berubat, maka tidak diterima dan batal akad jaminannya sama seperti orang gila.
Tidak sah akad jaminan yang dilakukan oleh orang bisu dengan isyarat yang disampaikannya tidak difahami oleh orang lain dan juga tulisannya tidak elok sehingga tidak dapat difahami. Jika dia melakukannya dengan isyarat yang difahami atau dengan tulisan yang boleh difahami, maka sah akad jaminannya sama seperti jual belinya dan lain-lain urusan transaksi yang dilakukannya.
ii. Berkelayakan untuk menderma ْبع)(أهلية الت.
Disyaratkan pada seorang penjamin itu mempunyai kelayakan untuk menderma kerana jaminan ini adalah bersifat mempertanggungjawabkan harta dengan akad jaminan yang dilakukan. Adapun orang yang berkelayakan untuk menderma hendaklah seorang yang bâligh, berakal dan rasyîd iaitu pandai menjaga kemashlahatan agama dan harta.
Orang yang ditahan hartanya kerana safîh (bodoh) sehingga tidak dapat mengurus harta, maka akad jaminannya tidak sah walaupun dengan ada keizinan walinya. Berbeza halnya dengan orang yang ditahan hartanya kerana iflâs (muflis iaitu orang yang tidak mampu membayar hutangnya kerana pengeluaran/perbelanjaan pendapatannya lebih banyak daripada kemasukan), akad jaminannya sah sebagaimana sah pembeliannya dan dituntut apa yang dijaminnya itu jika hartanya tidak lagi ditahan dan dia sudah berkemampuan.
Bagi orang sakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut pula, sah jaminannya dengan diambil kira setakat 1/3 daripada jumlah hartanya jika dia menjamin tanpa ada persetujuan daripada orang yang dijaminnya atau tanpa diketahui oleh orang yang dijaminnya. Jika dia menjamin dengan diketahui atau dibenarkan oleh orang yang dijaminnya, maka jaminannya sah dengan dikira daripada harta dan aset yang dimilikinya. Ini kerana sekiranya berlaku kematian kepada penjamin, maka warisnya boleh kembali kepada orang yang dijamin (bagi pengurusan harta). Walau bagaimanapun jika orang sakit itu mempunyai hutang yang banyak dan hutang itu dibayar dengan hartanya, maka tidak sah akad jaminannya itu. Akad jaminan perempuan sama ada yang berkahwin atau tidak adalah sah dan diterima. Isteri tidak memerlukan pada keizinan suami untuk dirinya menjadi penjamin sebagaimana urusan-urusan transaksinya yang lain.
iii. Hendaklah dia menjamin secara sukarela (kehendaknya sendiri). Jika dia dipaksa untuk melakukan jaminan, maka tidak sah jaminan tersebut kerana tidak sah transaksinya.
Orang yang Menerima Jaminan Diketahui Penjamin
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, penjamin disyaratkan untuk mengetahui orang yang menerima jaminan (orang yang menuntut hak) secara peribadi. Tidak memadai dengan hanya mengetahui nama dan keturunannya. Ini kerana penjamin akan menunaikan hak dan hak itu dikembalikan kepada orang yang menerima jaminan.
Oleh yang demikian, penjamin hendaklah memastikan adakah orang yang menerima jaminan sesuai melakukan muamalat atau tidak. Begitu juga disyaratkan ke atas penjamin untuk mengetahui wakil orang yang menerima jaminan sekiranya orang yang menerima jaminan itu berurusan melalui perwakilan.
Demikian syarat-syarat asas seorang penjamin yang telah digariskan Islam. Walau bagaimanapun, terdapat juga pihak yang memberikan pinjaman meletakkan syarat tambahan yang akan diteliti sebelum menerima seseorang itu untuk menjadi penjamin. Sebagai contoh institusi kewangan yang meletakkan syarat penjamin hendaklah mempunyai pendapatan tetap bagi membolehkannya menjamin orang lain.
Tanggungjawab seorang penjamin amatlah besar. Seseorang yang meletakkan dirinya sebagai penjamin bertanggungjawab menanggung hutang yang telah disepakatinya dalam akad jaminan. Tanggungjawab ini tidak boleh dilepaskan sekehendak hatinya kerana dia sudah terikat dengan hutang orang yang dijaminnya. Apalagi jika melibatkan perjanjian yang bersangkutan dengan undang-undang, maka penjamin itu terikat dari segi undang-undang untuk membayar balik pinjaman jika peminjam tidak membuat pembayaran walaupun setelah dituntut oleh pihak yang meminjamkan. Oleh itu, penjamin patut mempertimbangkan terlebih dahulu kemampuannya untuk menjadi penjamin. Sekiranya dia mampu, maka capailah kebaikan dan hikmah dengan menjadi seorang penjamin kepada yang memerlukan.
Bagi pihak yang dijamin (peminjam) pula perlu menjaga perjanjian yang termeterai di dalam akad. Perlu diingat, penjamin dengan niat baik dan tulus sedaya upaya membantu peminjam dengan memudahkan urusan pinjaman yang memerlukan adanya penjamin. Begitu juga orang menerima jaminan (orang yang meminjamkan) juga berniat baik dan belas untuk meminjamkan sejumlah wang yang diperlukan si peminjam. Oleh yang demikian, bagi pihak yang dijamin (peminjam) seharusnya ada rasa jujur kepada pihak yang meminjamkan dan ada rasa belas kepada yang berkesudian menjaminkan bagi pihaknya untuk komited membayar pinjamannya mengikut waktu dan tempoh yang disepakati. Dengan yang demikian, wujud kitaran kerjasama yang baik dan harmoni di antara pihak-pihak yang berakad. Inilah antara tujuan sebenar akad jaminan disyariatkan.
HUBUNGAN SEORANG LELAKI DENGAN ANAK HASIL PERBUATAN ZINANYA
Zina merupakan satu maksiat yang sangat keji dan sangat besar kemudharatannya. Ia bukan sahaja mendatangkan dosa dan aib ke atas pasangan yang berzina, bahkan seluruh keluarga akan turut sama menanggung malu apatah lagi buat ibu bapa yang pastinya merasa sangat sedih dan kecewa atas musibah besar yang menimpa itu. Lebih menyedihkan lagi, kesannya akan turut sama ditanggung oleh anak yang tidak berdosa yang terhasil daripada perbuatan terlarang itu.
Dalam perzinaan yang menghasilkan anak, status ibu tidak menjadi persoalan kerana anak tersebut tetap sahaja bersambung nasab kepada ibu yang melahirkannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Apa yang menjadi kemusykilan dalam perkara ini ialah status hubungan antara lelaki dengan anak yang terhasil daripada hubungan zinanya. Adakah lelaki itu diiktiraf sebagai bapa dan ditsabitkan nasab kepadanya? Adakah ada kaitan mahram antara keduanya? Adakah sentuhan antara keduanya menjejaskan wudhu’? Adakah dia boleh menjadi wali nikah kepada anak tersebut?
Hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya, boleh dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu sama ada dia mengahwini perempuan yang hamil kerana perbuatan zina itu atau dia tidak mengahwininya.
Pasangan Zina Tidak Bernikah
Sekiranya pasangan yang berzina itu tidak bernikah, lalu perempuan itu melahirkan anak hasil daripada perbuatan zina mereka itu, maka hubungan di antara lelaki dengan anak tersebut adalah sepertimana yang disebutkan di bawah ini:
(i) Permasalahan nasab.
Anak yang lahir itu tidak bersambung nasab dengan lelaki berkenaan dan tidak juga bersambung nasab dengan mana-mana lelaki sekalipun. Anak tersebut juga tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan lelaki yang telah berzina dengan ibunya itu.
Anak seumpama ini adalah anak yang dinamakan anak tidak sah taraf, iaitu anak yang tidak mempunyai bapa pada pengertian syara‘.
Dalam Islam, haram hukumnya menasabkan mana-mana anak kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengannya dan ia adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab anak tersebut. Dalam kedudukan anak tidak sah taraf atau anak yang terhasil daripada perbuatan zina, anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibu kandungnya. Walau bagaimanapun, anak tersebut juga harus dibinkan atau dibintikan kepada nama-nama seperti ‘Abdullah atau nama-nama lain daripada al-’Asma al-Husna dengan menambahkan ‘Abdul di pangkalnya seperti ‘AbdulRahman, ‘AbdulRahim, ‘AbdulMalik dan sebagainya yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya.
Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jelas sekali di sini bahawa mendustakan nasab dengan cara merahsiakan atau mengubah nasabnya yang sebenar ataupun menghalalkan perbuatan tersebut adalah haram dan boleh menyebabkan berdosa dan rosak aqidah. Perbuatan seumpama ini sangat besar impaknya kerana ia membabitkan hukum-hakam yang lain seperti batas aurat, pergaulan, khalwat, wudhu’, wali dalam pernikahan dan sebagainya. Dari itu, wajib hukumnya menasabkan dengan betul supaya tidak berlaku kesamaran dan kekeliruan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam.
(ii) Permasalahan Wudhu’.
Lelaki yang melakukan zina dengan perempuan sehingga perempuan itu hamil lalu melahirkan anak dan lelaki itu tidak mengahwini perempuan itu, maka dia tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan anak hasil daripada perbuatan zinanya bersama perempuan itu. Dari itu, sekiranya anak yang lahir daripada hasil perzinaan itu adalah anak perempuan, maka wudhu’ kedua-duanya yakni wudhu’ anak perempuan dengan lelaki yang telah berzina dengan ibu anak tersebut adalah batal sekiranya berlaku persentuhan kulit di antara mereka.
(iii) Permasalahan wali nikah.
Memandangkan lelaki itu tidak bersambung nasab dengan anak yang terhasil daripada perhubungan zinanya dan tidak diiktiraf sebagai bapanya dan tidak juga ada apa-apa kaitan mahram dengannya, maka dengan sendirinya dia tidak boleh mewalikan anak hasil perzinaannya itu. Bahkan anak tersebut diwalikan oleh wali hakim.
Pasangan Zina Bernikah Sebelum Perempuan yang Hamil Daripada Perbuatan Zina itu Melahirkan
Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah sebelum perempuan yang hamil daripada zina itu melahirkan, maka keadaan ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:
1) Perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.
2) Perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.
Dua keadaan ini mempunyai kesan tersendiri terhadap hubungan di antara lelaki tersebut dengan anak hasil perbuatan zinanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:
(i) Permasalahan Nasab.
(a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya itu dan dibinkan atau dibintikan kepadanya.
(b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan haram hukumnya berbuat demikian. Bahkan anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja atau kepada nama ‘Abdullah atau salah satu daripada al-’Asma’ al-Husna sepertimana kedudukan anak tidak sah taraf yang telah disebutkan sebelum ini.
Walaupun demikian, dalam kedua-dua keadaan ini, anak yang dilahirkan itu tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Nisâ’ ayat 23:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu (termasuk nenek iaitu ibu bagi bapa dan ibu bagi ibu hingga ke atas), dan anak-anak perempuan kamu (termasuk cucu-cucu perempuan hingga ke bawah), dan adik-beradik perempuan kamu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu), dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki (hingga ke bawah) dan anak-anak perempuan bagi adik- beradik perempuan (hingga ke bawah) dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu susuan) dan adik-beradik perempuan kamu yang sesusuan (termasuk anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan dari ibu susuan), dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya), dan anak-anak tiri kamu yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri (termasuk cucu dan setiap yang menjadi keturunan kepadanya), tetapi sekiranya kamu belum mencampuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka) maka tidaklah menjadi salah ke atas kamu (berkahwin dengan mereka). (Surah an-Nisâ’: 23)
Adapun perkiraan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan ijmâ‘ ulama yang mengatakan bahawa tempoh minima seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan qamariah.
Bagi tujuan penetapan nasab, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah, iaitu satu lahzhah untuk jima‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan. Pengiraan ini bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jima‘) setelah mempunyai akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan.
(ii) Permasalahan wudhu’.
Dalam kedua-dua keadaan ini, iaitu sama ada perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah atau sebelumnya, anak tersebut tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Oleh itu wudhu’ tidak batal sekiranya berlaku sentuhan antara suami ibunya dengan anak tersebut.
(iii) Permasalahan wali nikah.
(a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan disabitkan dia sebagai bapa kepada anak tersebut. Dengan ini, berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya dan sah dia menjadi wali nikah bagi anak tersebut.
(b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang nikah dengan ibunya itu dan haram hukumnya berbuat demikian. Oleh itu, haram dan tidak sah dia menjadi wali nikah kepada anak tersebut.
Pasangan Zina Bernikah Selepas Perempuan yang Hamil daripada Zina itu Melahirkan
Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah selepas perempuan yang hamil daripada perzinaan itu melahirkan pula, maka segala hukum yang berlaku dalam permasalahan ini sama kedudukannya dengan pasangan yang berzina lalu bernikah sebelum perempuan itu melahirkan, akan tetapi anak itu lahir sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Ini bermakna, anak tersebut tidak ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami ibunya dan tidak dibinkan atau dibintikan kepadanya. Lelaki itu juga haram dan tidak sah menjadi wali nikah bagi anak tersebut. Walau bagaimanapun, dia tetap menjadi mahram kepada anak tersebut kerana dia mengahwini dan jima‘ dengan ibunya.
Demikian penjelasan mengenai status hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang seringkali timbul mengenai status hubungan seorang lelaki dengan anak yang terhasil daripada perbuatan zinanya.
JANGAN CUAIKAN NAFKAH ISTERI DAN ANAK-ANAK
Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan umat manusia. Manusia pula diberi tanggungjawab untuk meluaskan kesejahteraan itu dalam kehidupan mereka. Tanggungjawab itu pula jika digalas dengan sempurna sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh syara‘ akan merealisasikan kesejahteraan dalam kehidupan manusia, bahkan bagi yang menunaikannya tidak terkecuali memperoleh ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Komitmen suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing adalah resepi utama dalam memastikan kesejahteraan dalam sebuah rumah tangga kekal berpanjangan. Isteri bertanggungjawab menunaikan hak-hak suaminya, maka sejahtera dirasai oleh suami. Suami pula bertanggungjawab terhadap hak isterinya, maka sejahtera dan selamat dirasa oleh isteri. Suami isteri menunaikan hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka, maka anak-anak akan merasa sejahtera dan dilindungi.
Menyebut mengenai hak-hak isteri, penunaian nafkah adalah hak terbesar isteri yang menjadi kewajipan suami sama ada isteri berkerja atau tidak. Nafkah itu pula meliputi keperluan seharian seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jumlah nafkah yang wajib diberi adalah mengikut kemampuan suami.
Begitu juga dengan nafkah kepada anak-anak. Kewajipan memberi nafkah kepada mereka adalah ke atas suami iaitu bapa mereka selama mana mereka menepati syarat-syarat menerima nafkah walaupun kedua-dua ibu dan bapa mereka bercerai.
Pengertian Nafkah dan Pensyariatannya
Perkataan nafkah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Perkataan nafkah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan al-infâq. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan ialah menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan.
Dari segi istilah, nafkah membawa maksud harta yang dibelanjakan untuk keperluan seseorang berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan yang lainnya.
Kewajipan nafkah disyariatkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan melalui al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:
1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. (Surah al-Baqarah: 233)
Menurut tafsir al-Mawardi bahawa maksud “al-maulûd” dalam ayat di atas ialah bapa. “Ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan “kiswah” pula ertinya pakaian. Manakala perkataan “al-ma‘rûf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan.
Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh berkata ketika menafsirkan ayat ini bahawa wajib ke atas bapa anak tersebut untuk memberi nafkah berupa makan minum dan pakaian kepada ibu-ibu (isterinya) dengan cara yang sepatutnya iaitu mengikut adat kebiasaan ibu-ibu di negara tersebut tanpa berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berhemat mengikut kadar kemampuan seorang bapa atau suami iaitu dengan melihat kepada status ekonominya sama ada kaya, sederhana atau susah.
Ayat ini juga menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberi nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.
2. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha menceritakan tentang Hindun binti ‘Utbah (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang suaminya (Abu Sufyan) yang bakhil (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya). Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ambillah (daripada hartanya) kadar yang mencukupi untukmu dan anakmu mengikut kebiasaan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas menunjukkan bahawa kewajipan nafkah isteri dan anak-anak adalah daripada harta suami.
Selain daripada itu, adanya ijmâ‘ (kesepakatan) para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang pensyariatan nafkah dan ini juga yang diikuti para tâbi‘în (generasi selepas para sahabat), tiada seorang pun yang menyalahi tentang ketetapan itu.
Nafkah untuk Isteri Mendahului Nafkah untuk yang Lain
Menurut jumhûr ulama, kewajipan memberi nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan pemilikan (nafkah tuan terhadap hambanya). Nafkah disebabkan perkahwinan adalah nafkah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk isteri apabila isteri memenuhi syarat-syarat yang ditentukan syara‘. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu (jika ada) selepas nafkah untuk dirinya sendiri.
Dalam khutbah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika menunaikan haji Wada‘, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berpesan kepada umat Baginda, antaranya mengingatkan kepada golongan lelaki tentang kewajipan menunaikan nafkah. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang engkau tidak sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakannya. Mereka berhak ke atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh yang berupa beberapa petikan daripada khutbah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu merupakan penegasan (menyuruh untuk bersungguh-sungguh kepada para suami) supaya memelihara hak isteri dan berpesan kepada para suami berbuat baik atau memberi layanan baik kepada isteri. Telah banyak hadits-hadits shahîh mengenai pesanan berbuat baik kepada isteri dan penerangan tentang hak-hak mereka dan juga amaran jika mencuaikan hak-hak mereka.
Nafkah isteri berlaku dengan adanya akad nikah. Islam telah menetapkan kepada para suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Akan tetapi bagi mendapatkan hak nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syara‘, iaitu:
i. Isteri bersedia menyerahkan dirinya kepada suaminya.
ii. Isteri tidak keberatan untuk berpindah ke negeri atau rumah yang dipilih suami dan baik untuk didiami.
Kadar Nafkah Isteri
Menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i bahawa penetapan nafkah isteri adalah bergantung pada keadaan (harta atau pekerjaan) suami, sama ada dia seorang kaya atau seorang yang sederhana atau seorang miskin, kerana nafkah ini berdasarkan pada kemampuan pemberi nafkah, maka ia tidak ditetapkan berdasarkan pada keadaan isteri.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Orang yang mampu hendaklah memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka dia hendaklah memberi nafkah daripada apa yang dikurniakan Allah kepadanya (sekadar kemampuannya). Allah tidak membebani seseorang melainkan sekadar yang dikurniakan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah ath-Thalâq: 7)
Mazhab asy-Syafi‘i juga menetapkan bahawa pemberian nafkah bermula dari terbit matahari setiap hari. Walau bagaimanapun adalah harus memberi nafkah itu sama ada disegerakan atau dilambatkan tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut.
Wajib memberi nafkah dengan mengeluarkan kadar mudd (cupak) daripada makanan asasi sesebuah negeri yang sah dijadikan zakat fitrah sebagaimana diqiyâskan dalam kadar membayar kaffârah. Di Negara Brunei Darussalam, nilai satu mudd bersamaan dengan lebih kurang 567 gram beras. Kadar nafkah sebagaimana berikut:
i. Suami yang berkemampuan/kaya: Sebanyak dua mudd, iaitu bersamaan dengan 1 kilo 134 gram beras sehari.
ii. Suami yang berkeadaan sederhana: Sebanyak 1½ mudd, iaitu bersamaan dengan 850.50 gram beras sehari.
iii. Suami yang tidak mampu/miskin: Sebanyak 1 mudd, iaitu bersamaan 567 gram beras sehari.
Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika isteri bersetuju.
Nafkah Isteri yang dalam ‘Iddah
i. ‘Iddah kerana thalaq raj‘i.
Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq raj‘i (thalaq satu atau dua), sama ada dia hamil ataupun tidak, wajib suaminya memberi nafkah kepadanya berupa sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddahnya atau sehingga melahirkan anak dalam kandungannya. Walau bagaimanapun alat pembersih badan dan pencuci pakaian tidak termasuk nafkah yang diwajibkan ke atas suami kepadanya kecuali jika isteri ditimpa kesusahan dengan keadaan yang kotor. Maka dalam keadaan ini wajib suami memberikannya nafkah bagi membersihkan badan dan pakaian.
ii. ‘Iddah kerana thalaq bâ’in.
Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in (kerana thalaq tiga atau kerana khulu‘) yang tidak hamil, maka dia tidak menerima nafkah sara hidup dan pakaian dari (bekas) suami. Bagaimanapun isteri tersebut berhak diberi tempat tinggal sepanjang tempoh ber‘iddah.
Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in dan sedang hamil pula, menurut sepakat ulama, diberikan nafkah dan tempat tinggal selama dalam tempoh kehamilan sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya.
iii. ‘Iddah kerana kematian suami.
Isteri yang ber‘iddah kerana kematian suami, tiada nafkah baginya, tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal, sama ada hamil ataupun tidak.
Nafkah Isteri Bagi Suami yang Tidak Berkemampuan
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) atau seorang yang susah.
Jika seorang suami yang berkemampuan atau sederhana menyerahkan kepada isterinya kadar nafkah yang kurang daripada apa yang diwajibkan, umpamanya menyerahkan dengan kadar yang diwajibkan kepada orang miskin, maka baki yang kurang tersebut dianggap sebagai hutang suami kepada isterinya.
Jika tiba-tiba keadaan seorang suami berubah daripada berkemampuan kepada pertengahan atau miskin, ataupun daripada pertengahan kepada miskin, maka isteri mesti mengikut keadaan suami dan dia tidak boleh meminta lebih daripada kadar yang ditentukan berdasarkan keadaan suami.
Nafkah Bapa Kepada Anak-Anak
Adalah menjadi kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalâq: 6)
Dalam ayat ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan (sama ada isteri atau perempuan lain) yang menyusukan anak damit (kecil) ditanggung dan dibayar oleh bapa anak damit tersebut. Apabila kewajipan membayar upah penyusuan anak damit tersebut tertanggung ke atas bapa, maka mewajibkan ke atas bapa untuk memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut adalah lebih utama.
Syarat Wajib Bagi Seorang Ayah Memberi Nafkah
Kewajipan seorang bapa memberi nafkah kepada anaknya adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
1. Bapa mempunyai kemampuan: Seorang bapa diwajibkan ke atasnya memberi nafkah kepada anaknya apabila dia mempunyai kemampuan untuk memberi nafkah, iaitu seorang bapa mempunyai lebihan daripada nafkah dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya.
2. Anak kecil: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu masih kecil. Maka dalam hal ini, diwajibkan nafkahnya ke atas bapanya. Ini disebabkan faktor ketidakmampuan anak kecil itu untuk mencukupkan keperluan dirinya dan dia memang berhajat atau memerlukan nafkah tersebut.
3. Anak yang fakir: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu seorang yang fakir, iaitu anak tersebut tidak mempunyai kecukupan untuk keperluan dirinya dan dia tidak berkemampuan untuk bekerja. Sebagai contoh anak yang cacat anggota tubuh badannya sehingga sukar baginya untuk melakukan pekerjaan. Maka dalam hal ini, diwajibkan ke atas bapanya untuk memberi nafkah kepadanya.
Tetapi jika dia memiliki kecukupan untuk keperluan dirinya bererti dia tidak berhajat pada orang lain atau jika dia mampu untuk bekerja maka samalah keadaannya seperti orang yang mampu untuk mendapatkan harta. Dalam hal ini, tidak wajib ke atas bapanya untuk memberikan nafkah kepadanya.
Sesungguhnya nafkah isteri dan anak-anak itu merupakan kewajipan yang dituntut oleh syara‘ ke atas seorang suami. Janganlah sekali-kali diabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka. Sekiranya pun terjadi perceraian suami isteri, nafkah anak-anak tetap hak yang dipertanggungjawabkan ke atas bapa mereka iaitu bekas suami.
BOLEHKAH KANAK-KANAK DAN PEREMPUAN MENYEMBELIH BINATANG?
Binatang yang boleh dimakan seperti kerbau, lembu, kambing dan seumpamanya adalah tidak halal apabila tidak disembelih mengikut sembelihan syara‘. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih), darah (yang mengalir), daging babi, (binatang) yang disembelih bukan atas nama Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh dari tempat tinggi, yang ditanduk, yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan (juga) yang disembelih atas nama berhala. (Diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, kerana itu adalah perbuatan fâsiq. (Surah al-Mâ’idah: 3)
Oleh yang demikian, binatang yang boleh dimakan itu hendaklah terlebih dahulu disembelih mengikut sembelihan syara‘ agar ia halal. Ini kerana mencari yang halal itu adalah satu kewajipan ke atas setiap orang Islam. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (lagi halal) dan kerjakanlah amalan salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mu’minûn: 51)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mencari yang halal itu wajib ke atas setiap orang Islam. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Salah satu rukun penyembelihan binatang itu ialah adanya orang yang menyembelih. Apa yang sudah kita maklum bahawa kebiasaannya penyembelih itu terdiri daripada lelaki dewasa yang beragama Islam. Namun penyembelih yang terdiri daripada kanak-kanak dan perempuan jarang sekali kita dengar atau mungkin tidak diketahui oleh sebilangan orang tentang hukumnya adakah perbuatan mereka menyembelih binatang itu dibolehkan oleh syara‘?
Oleh itu di sini dijelaskan kedudukan hukum kanak-kanak dan perempuan menyembelih binatang dan kedudukan binatang yang mereka sembelih.
Hukum Kanak-kanak Menyembelih Binatang
Menyembelih binatang itu afdhal dan sunat dilakukan oleh orang yang bâligh dan berakal kerana dia lebih mampu untuk melakukan penyembelihan.
Adapun kanak-kanak yang mumayyiz (mampu membezakan di antara yang baik dan yang buruk dan pada kebiasaannya mencapai umur tujuh tahun), jika dia melakukan penyembelihan kepada binatang maka binatang itu halal.
Tidak ada had umur yang tertentu sebagai sukat-sukat dalam menentukan permulaan kanak-kanak mencapai tahap mumayyiz kerana pertumbuhan kejiwaan kanak-kanak itu tidak sama di antara satu dengan yang lain. Namun pada kebiasaannya had umur kanak-kanak mencapai tahap mumayyiz itu ialah pada umur tujuh tahun.
Sementara kanak-kanak yang belum mumayyiz (tidak mampu membezakan di antara yang baik dan yang buruk), jika dia melakukan penyembelihan binatang maka menurut pendapat yang azhhar, binatang itu halal apabila kanak-kanak yang belum mumayyiz itu berkemampuan dan berkebolehan untuk menyembelih. Walau bagaimanapun hukumnya adalah makruh dan makruh memakan binatang yang disembelih oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz tersebut kerana ditakuti terjadi kesilapan dalam penyembelihannya.
Jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu tidak berkemampuan dan tidak berkebolehan untuk menyembelih maka binatang yang disembelihnya itu haram dan tidak halal dimakan.
Hukum Perempuan Menyembelih Binatang
Menyembelih binatang itu sunat dilakukan oleh lelaki bahkan lebih utama dan afdhal kerana dia lebih berupaya untuk melakukannya. Adapun perempuan walaupun dia dalam keadaan haidh ataupun nifâs, binatang sembelihan mereka itu adalah halal. Diriwayatkan daripada Mu‘adz bin Sa‘ad atau Sa‘ad bin Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawasanya hamba perempuan bagi Ka‘ab bin Malik menggembala kambing di Sala‘ (bukit di Madinah). Lalu seekor daripada kambing itu sakit, maka dia mendapatinya dan menyembelihnya dengan menggunakan batu. Maka ditanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenainya. Baginda bersabda: “Kamu makanlah ia (kambing yang disembelih oleh hamba perempuan itu).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menunjukkan bahawa penyembelihan binatang yang dilakukan oleh perempuan itu adalah halal sebagaimana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh memakan sembelihan yang dilakukan oleh hamba perempuan bagi Ka‘ab bin Malik Radhiallâhu ‘anhu.
Sungguhpun penyembelihan yang dilakukan oleh kanak-kanak dan perempuan itu halal, namun ia lebih utama dilakukan oleh lelaki Islam yang sudah bâligh. Hal ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Sahabat-sahabat kami berkata: “Orang yang lebih utama melakukan sembelihan ialah lelaki yang berakal dan Islam. Kemudian perempuan Islam lebih utama daripada kanak-kanak Islam. Kemudian orang Yahudi dan Nashrani. Orang Nashrani lebih utama daripada orang gila dan mabuk kerana ditakuti kedua-duanya membunuh binatang itu.”
Adapun kedudukan dari segi keutamaan melakukan penyembelihan bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah sama kedudukannya dengan penyembelihan yang dilakukan oleh orang gila dan mabuk.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum penyembelihan binatang yang dilakukan oleh kanak-kanak dan perempuan. Walaupun mereka ini harus melakukan penyembelihan namun perkara-perkara lain yang wajib dipatuhi ketika menyembelih perlu difahami dan ditaati agar sembelihan yang dilakukan itu menepati kehendak syara‘.
MENCABUT UBAN ATAU MEWARNAKANNYA
Uban ialah rambut yang sudah putih ataupun mulai menjadi putih. Pada kebiasaannya uban akan tumbuh pada usia tua tetapi ada juga sebahagian orang sudah beruban pada usia muda. Oleh kerana itu, ada orang yang merasa gelisah, risau dan ada juga yang merasa malu dengannya. Maka ada yang mencabutnya dan ada juga yang mewarnakannya dengan warna hitam. Namun adakah perbuatan itu dibenarkan oleh Islam.
Beberapa Ayat al-Qur’an Mengenai Uban
Ada beberapa ayat dalam al-Qur’an yang menyebut mengenai uban, iaitu:
1. Surah Maryam, ayat 4:
Tafsirnya: Dia berkata: “Ya Tuhanku! Sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku tidak pernah merasa hampa dengan do‘a permohonanku kepadaMu ya Tuhanku (maka janganlah Engkau hampakan do‘aku ini).” (Surah Maryam: 4)
2. Surah ar-Rum, ayat 54:
Tafsirnya: Allah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu berkeadaan kuat (muda), setelah itu Dia menjadikan kamu lemah semula dan tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. (Surah ar-Rum: 54)
3. Surah al-Muzzammil, ayat 17:
Tafsirnya: Maka bagaimanakah kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu jika kamu tetap ingkar kepada hari (yang huru-haranya) menyebabkan kanak-kanak beruban? (Surah al-Muzzammil: 17)
Kelebihan Orang yang Mempunyai Uban
Antara kelebihan uban ialah sebagaimana disebutkan dalam hadits at-Tirmidzi yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Murrah bahawa Rasulullah Shallalâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam maka baginya cahaya pada Hari Kiamat.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam al-Hafizh Muhammad ‘Abdul Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullâh pengarang kitab Tuhfah al-Ahwadzi menghuraikan bahawa sesiapa memiliki sehelai uban dalam beragama Islam (iaitu lebih umum daripada berjihâd atau selainnya) maka baginya cahaya di Hari Kiamat iaitu cahaya yang menerangi sesuatu kegelapan dan meleraikan kesukarannya. Menurut al-Munawi Rahimahullâh rambut yang beruban itu sendiri yang akan menjadi cahaya bagi tuannya.
Begitu juga dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
berubantidakberiman,yangseorangbagicahayaadalahUbanMaksudnya: Islamberagama(keadaannya)dalamubansehelaidenganituseseorang satudengannyadiangkatdankebajikansatuituubanhelaisetiapbagimelainkan darjat.
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Hadits ini menerangkan bahawa uban itu adalah sebagai cahaya bagi orang yang beriman kerana ia boleh menghalang daripada perbuatan membangga diri dan kurang berhati-hati dan ia boleh mendorong kepada melakukan ketaatan sehingga mendapat kebajikan dan ditempatkan pada darjat yang tinggi di syurga.
Selain itu, uban juga merupakan satu peringatan khususnya di usia tua dalam menambahkan dan meningkatkan kesedaran untuk lebih beramal dalam persediaan menghadapi ajal yang pasti tiba. Ini kerana uban itu juga adalah sebagai pemberi peringatan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: (Dikatakan kepada mereka:) “Bukankah Kami telah memanjangkan umur kamu untuk kamu berfikir bagi orang yang mahu berfikir padahal kamu telah didatangi oleh pemberi peringatan? Maka rasailah (azab Kami), tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” (Surah Fâthir: 37)
Dalam ayat di atas uban disebut sebagai “sang pemberi peringatan” oleh sebahagian ahli tafsir seperti Ibnu ‘Abbas, ‘Ikrimah dan Qatadah Radhiallâhu ‘anhum sebagaimana disebut dalam kitab Tafsîr Ibnu Katsir.
Hukum Mencabut Uban
Hukum mencabut uban dari bahagian badan yang tidak dituntut untuk mencabutnya adalah makruh, sebagaimana disebutkan oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘. Tidaklah ada beza sama ada mencabut uban di janggut ataupun di rambut. Hukum makruh ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya dan datuknya, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu mencabut uban kerana ia adalah cahaya bagi orang Islam, tidak ada daripada orang Islam itu yang beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam melainkan Allah menulis baginya dengan sehelai uban itu satu kebajikan dan mengangkatnya dengan sehelai uban itu satu darjat dan menggugurkan daripadanya dengan sehelai uban itu satu kesalahan. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Hukum Mewarna Uban
Sunat mewarnai uban dengan inai yang berwarna kekuningan atau kemerahan sebagaimana yang telah disepakati oleh para ashhâb berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara itu para fuqahâ’ telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam. Pendapat yang shahîh mengatakan bahawa hukum perbuatan tersebut adalah haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihâd. Dalil pengharaman mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Pada hari penaklukan Makkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam.” (Hadits riwayat Muslim)
Sementara hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati. Mereka tidak dapat meni‘mati bau syurga. (Hadits riwayat Abu Daud)
Tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam larangan mewarnai rambut dengan warna hitam itu melainkan bagi perempuan yang bersuami harus baginya mewarnai rambut yang beruban dengan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suami dengan izin suaminya menurut pendapat al-aujah sebagaimana disebutkan oleh Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al- Muhtâj.
Pewarna Rambut yang Dijual di pasaran
Ada berbagai jenis perwarna rambut atau lebih dikenali dengan dye rambut dijual di pasaran. Namun perlu diambil perhatian mengenai dye rambut yang berjual di pasaran, bukan sahaja kesucian atau kehalalannya tetapi sifatnya yang meresap ke rambut dan bukannya melekat atau melapis rambut juga perlu diketahui supaya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadats kecil dan hadats besar.
Ini kerana dalam perkara mengangkat hadats besar seperti mandi junub ataupun mengangkat hadats kecil iaitu berwudhu’, rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh. Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke seluruh bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu’. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidak sah mandi hadats dan wudhu’ berkenaan. Maka ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadats atau wudhu’nya itu tidak terangkat.
Sebab itulah bukan sahaja kesucian pewarna rambut malah sifatnya yang meresap juga perlu diambil perhatian demi memastikan ibadat yang kita lakukan tidak akan terjejas setelah menggunakan perwarna rambut tersebut. Demikianlah huraian mengenai hukum mencabut uban dan mewarnakannya. Janganlah malu dengan tumbuhnya uban kerana uban mempunyai kelebihan sebagaimana disebutkan sebelum ini.
BERBEKAM KETIKA PUASA
Berubat untuk menghilangkan penyakit adalah perkara yang digalakkan oleh syara‘. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri pernah berubat dan menyuruh umatnya berubat. Dalam sebuah hadits, daripada Usamah bin Syuraik menjelaskan bahawa segolongan orang Arab pernah bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kata mereka:
Maksudnya: Wahai Rasulullah adakah kami boleh berubat? Baginda menjawab: “Berubatlah kamu, kerana Allah ‘Azza wa Jalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan bagi penyakit itu ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penyembuh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lagi:
Maksudnya: Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)
Ada banyak cara atau kaedah perubatan. Antaranya ialah berbekam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kesembuhan itu terdapat pada tiga cara: Minum madu, pisau pembekam dan besi panas, aku melarang umatku membakar dengan besi panas. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut kamus dewan bekam dan membekam bererti mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada bahagian kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu.
Bekam di dalam bahasa Arab disebut sebagai hijâmah. Menurut sebahagian fuqahâ’, perbuatan hijâmah ialah mengeluarkan darah daripada tengkuk dengan cara menghisapnya dengan alat-alat bekam selepas dibedah. Al-Khaththabi ada menyebutkan bahawa hijâmah atau berbekam itu tidak dikhususkan tempatnya di tengkuk sahaja bahkan ia juga boleh dilakukan di mana-mana bahagian badan.
Manfaat Bekam
Ada beberapa manfaat berbekam, antaranya sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah:
Maksudnya: Sebaik-baik hamba adalah tukang bekam, dia dapat menghilangkan darah (kotor), meringankan tulang punggung serta mempertajamkan pandangan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hukum Berbekam
Perubatan dengan menggunakan kaedah bekam adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan antara sebaik-baik cara perubatan. Ini adalah berdasarkan beberapa buah hadits, antaranya sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Kiranya ada suatu perubatan yang lebih baik bagi kamu, maka itulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits yang lain, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika ramai orang berbekam memandangkan perubatan bekam ini juga adalah perubatan yang terbaik sebagaimana disebutkan dalam hadits. Selain itu ada juga yang menjadikan pekerjaan sebagai tukang bekam ini sebagai mata pencarian dalam menyara hidup seharian.
Berbekam Ketika Puasa
Berbekam ketika berpuasa tidaklah membatalkan puasa. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah berbekam ketika Baginda sedang berpuasa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berbekam padahal Baginda sedang berpuasa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara itu Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata dalam kitab al- Umm:
Ertinya: Jika seseorang lelaki meninggalkan bekam ketika berpuasa kerana berhati-hati, maka itu lebih aku sukai, namun jika dia berbekam juga aku tidak menilainya (perbuatan bekam itu) sebagai sebab yang membatalkan puasanya.
Walaupun berbekam itu merupakan jenis perubatan yang sangat baik dan hukumnya adalah sunat, namun perlu diingat bahawa jika berbekam ketika berpuasa di siang Ramadhan ataupun ketika berpuasa sunat hukumnya adalah makruh. Maka adalah lebih baik ditinggalkan. Ini kerana berbekam akan melemahkan dan ini dikhuatiri akan mendorong orang yang berbekam itu untuk berbuka puasa. Keadaan ini adalah sama seperti orang yang berderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa, kerana perbuatan ini bukan memasukkan sesuatu ke dalam sebarang rongga tetapi sebaliknya iaitu mengeluarkan darah.
Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanya mengenai adakah beliau tidak menyukai berbekam bagi orang yang berpuasa? Beliau berkata: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan)”.
Oleh itu, berbekam ketika puasa adalah makruh tetapi tidak membatalkan puasa. Hukum makruh itu adalah kerana berbekam itu boleh menyebabkan badan menjadi lemah. Hal ini dikhuatiri akan mendorong seseorang itu untuk berbuka puasa.
MEMBUNUH DIRI MENEMPA AKIBAT BURUK BUKAN PENYELESAI MASALAH
Gejala membunuh diri adalah satu isu besar yang perlu diambil perhatian dan perlu ditangani dengan sebaiknya agar ia tidak menjadi satu budaya atau satu cara pilihan untuk menyelesaikan permasalahan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun hampir 800,000 kes bunuh diri dan pada tahun 2015 seramai 788,000 orang membunuh diri di serata dunia. Bahkan di Negara Brunei Darussalam, menurut catatan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) seramai 46 kes bunuh diri dari tahun 2014 hingga ogos 2018.
Faktor penyebab yang mendorong seseorang individu untuk membunuh diri antaranya ialah kerana masalah kesihatan mental seperti kemurungan, masalah ketagihan seperti penyalahgunaan dadah, masalah sosioekonomi seperti hutang dan masalah hubungan.
Perbuatan membunuh diri bukanlah satu jalan yang boleh menyelesaikan masalah bahkan ia adalah satu jalan yang membawa kepada kebinasaan yang lebih berpanjangan dan memedihkan. Inilah akibat yang ditanggung oleh orang yang membunuh diri menurut syara‘.
Hukum membunuh diri
Membunuh diri hukumnya adalah haram bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bathil (seperti makan riba, merampas, menipu dan berjudi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
Ayat ini menunjukkan tentang larangan membunuh orang lain dan ia juga menunjukkan tentang larangan membunuh diri sendiri. Diriwayatkan daripada ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhu, bila mana beliau bermimpi (keluar air mani) pada malam yang sangat sejuk ketika perang Dzat as-Salasil. Lalu beliau bertayammum untuk mengerjakan sembahyang Shubuh bersama sahabat kerana beliau takut akan mudharat apabila menggunakan air untuk mandi wajib. Hal ini diceritakan oleh sahabat kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu Baginda bertanya kepada ‘Amru bin al-‘Ash:
Maksudnya: Wahai ‘Amru! Adakah engkau sembahyang bersama sahabatmu sedang engkau dalam junub? Lalu saya mengkhabarkan kepada Baginda dengan perkara yang menghalang saya daripada mandi. Kemudian saya berkata: “Sesungguhnya saya mendengar Allah berfirman (yang tafsirnya): “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketawa dan Baginda tidak berkata apa-apa. (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam Ibnu Hajr al-Haitami Rahimahullâh menjelaskan bahawa hadits ini menunjukkan ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhu menta’wîl ayat al-Qur’an tersebut dengan larangan membunuh diri sendiri dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak mengingkarinya.
Akibat membunuh diri
Segelintir orang menyangka bahawa perbuatan membunuh diri itu merupakan jalan keluar bagi sesuatu masalah yang dihadapi. Namun pada hakikatnya, mereka hanya beralih dari suatu masalah ke masalah yang lebih besar dan dari suatu penyeksaan ke penyeksaan yang lebih dahsyat.
Orang yang membunuh diri sendiri dengan sesuatu cara akan diazab dengan cara tersebut juga pada Hari Kiamat kelak. Sekiranya dia membunuh diri dengan menikam diri maka di neraka kelak dia akan diazab dengan menikam dirinya dan jika dia membunuh diri dengan meminum racun maka di neraka kelak dia akan diazab dengan meminum racun dalam jangka masa yang lama. Diriwayatkan daripada Tsabit bin ad-Dhahhak Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah atas sesuatu sumpah dengan agama selain agama Islam secara dusta maka keadaannya seperti apa yang dia kata. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu maka dia diazab dengannya pada Hari Kiamat dan tidak tertanggung nazar ke atas seorang lelaki pada sesuatu yang tidak dimilikinya. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain lagi daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan besi maka besi yang di tangannya itu, dia akan menikamkannya di perutnya di neraka Jahannam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun lalu membunuh dirinya maka dia akan meminumnya di neraka Jahannam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang terjun dari gunung lalu membunuh dirinya maka dia akan terjun ke dalam neraka Jahannam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. (Hadits riwayat Muslim)
Maksud ayat “di neraka Jahannam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya”, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan beberapa pendapat dalam kitabnya Syarh Muslim antaranya bahawa maksud kekal di dalam neraka itu ialah diazab dan berada di neraka dalam jangka masa yang lama.
Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah 2013
Negara Brunei Darussalam sangat memandang serius perkara percubaan bunuh diri ini sehingga ia menjadi satu kesalahan sebagaimana disebutkan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah 2013, Bahagian IV Kesalahan-kesalahan, Penggal II Bunuh diri, Bab 165 Percubaan bunuh diri;
“Mana-mana orang yang cuba melakukan atau cuba untuk menyebabkan berlakunya perbuatan bunuh diri adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.”
Oleh yang demikian, janganlah dianggap perbuatan membunuh diri itu boleh menyelesaikan masalah dengan secepatnya malahan sebaliknya ia menimbulkan masalah yang makin berat dan berpanjangan.
Islam ada mengajarkan kita jalan keluar daripada segala masalah dan kesusahan. Jika kita mengalami apa-apa jua kesulitan maka kembalilah kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bertaqwalah kepadaNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya). (Surah ath-Thalâq: 2)
Berterusan memohon pertolongan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak berputus asa daripada rahmatNya merupakan cara yang ideal untuk keluar daripada masalah yang dihadapi. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah (sampaikanlah firmanKu ini wahai Nabi Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan ma‘siat)! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah az-Zumar: 53)
Islam juga ada mengajarkan kepada kita supaya sentiasa menolong dan memudahkan urusan orang yang susah. Dengan berbuat begitu nescaya Allah akan memudahkan urusan kita di dunia dan akhirat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang yang beriman dari kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan daripada kesusahan Hari Kiamat. Barang siapa yang memudahkan urusan orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang Islam, nescaya Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, apabila kita menghadapi sebarang masalah sama ada yang ringan ataupun yang berat, janganlah mengambil langkah yang tidak wajar dan bertindak untuk membunuh diri. Ingatlah akan balasan buruk yang lebih besar di akhirat sebagaimana disebutkan di atas. Fikirlah untuk menyelesaikannya dengan cara yang baik dan kembalilah kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
HUKUM MAKAN DAN MINUM BERDIRI
Makan dan minum merupakan salah satu keperluan terpenting dalam kelangsungan hidup seorang manusia. Manusia memerlukan makan dan minum untuk terus hidup dan beroleh kekuatan bagi menjalankan pelbagai tuntutan serta rutin-rutin seharian seperti mengerjakan ibadat, melaksanakan tugas dan sebagainya. Memandangkan pentingnya makan dan minum dalam kehidupan manusia, berbagai hukum dan adab telah disyariatkan ke atas umat Islam untuk menjadi panduan mereka khusus mengenai perkara tersebut. Salah satu adab yang tsabit dalam hukum syara‘ ialah larangan makan dan minum berdiri.
Persoalan makan dan minum berdiri merupakan satu persoalan yang adakalanya menimbulkan perbahasan. Ini kerana hadits mengenai perkara tersebut seakan terdapat percanggahan. Dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menegahnya. Sedangkan dalam beberapa riwayat yang lain diriwayatkan bahawasanya Baginda sendiri, serta beberapa sahabat lain pernah melakukannya.
Hadits yang Menegah Makan dan Minum Berdiri
Antara hadits yang menegah daripada makan dan minum berdiri ialah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik dan Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhumâ, mereka berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menegah daripada minum berdiri. (Hadits riwayat Muslim)
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu minum dalam keadaan berdiri. Maka barang siapa (melakukannya kerana) terlupa, maka hendaklah dia memuntahkannya. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, anjuran memuntahkan minuman yang diminum dalam keadaan berdiri ini hukumnya adalah sunat semata-mata dan tidak berdosa jika tidak dilakukan. Menurut beliau lagi, hadits di atas dengan jelas menganjurkan untuk memuntahkan minuman yang diminum dalam keadaan berdiri kerana terlupa, maka orang yang minum berdiri secara sengaja adalah lebih dituntut untuk memuntahkannya.
Hadits yang Membolehkan Makan dan Minum Berdiri
Antara hadits yang membawa maksud makan dan minum berdiri itu dibolehkan ialah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah memberi minum Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam air Zamzam, lalu Baginda minum dalam keadaan berdiri. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadits lagi, diriwayatkan bahawa pada suatu hari Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu telah minum berdiri. Apabila beliau menyedari seolah-olah orang ramai kurang senang melihat perbuatannya, beliau pun berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya orang ramai tidak suka minum dalam keadaan berdiri. Sedangkan aku sendiri telah menyaksikan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan apa yang telah kamu lihat aku lakukan (minum berdiri). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ pula berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kami makan dalam keadaan berjalan dan kami minum dalam keadaan berdiri. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Selain itu, terdapat juga riwayat-riwayat lain yang menyebutkan bahawa sebahagian sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam makan dan minum dalam keadaan berdiri, antaranya Sayyidina ‘Umar, Sayyidina Utsman dan ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallâhu ‘anhum. Perkara ini ada diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullâh dalam al-Muwattha’.
Apabila dilihat kedua-dua riwayat ini, sama ada riwayat yang menegah daripada makan dan minum berdiri atau riwayat yang mengharuskannya, ternyata kedua-duanya merupakan riwayat yang Shahîh bahkan ia turut diriwayatkan dalam kitab Shahîhain, iaitu Shahîh Imam al-Bukhari dan Shahîh Imam Muslim. Maka dalam perkara seumpama ini, perlu dirujuk perkataan dan pendapat ulama yang mu‘tabar dan menjauhi tafsiran dan ta’wîlan sendiri.
Satu perkara yang perlu diingat, walaupun dalam hadits-hadits di atas kebanyakannya menyebut perbuatan minum sahaja, akan tetapi menurut ulama, jika minum ditegah dalam keadaan berdiri, maka makan dalam keadaan berdiri adalah lebih buruk dan besar kesalahannya. Ini berdasarkan riwayat di mana seorang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, iaitu Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu telah ditanya oleh Qatadah bin Di‘amah Rahimahullâh adakah larangan ini khusus bagi minum sahaja ataupun ia merangkumi makan dan minum. Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu menjawab: “(Makan dalam keadaan berdiri) itu adalah lebih buruk”.
Pendapat Ulama Mengenai Perbezaan Riwayat Dalam Perkara Makan dan Minum Berdiri
Perbezaan antara riwayat yang menegah daripada makan dan minum berdiri dengan riwayat yang mengharuskannya mengakibatkan timbulnya beberapa perbezaan di kalangan ulama mengenai permasalahan ini.
Ada yang berpegang kepada hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri sahaja dan mengabaikan hadits yang menegahnya kerana menurut pendapat mereka hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri lebih Shahîh dan lebih kuat daripada hadits yang menegahnya. Ada pula yang berpendapat bahawa hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri dimansûkhkan oleh hadits yang menegahnya. Bahkan ada pula yang berpendapat sebaliknya, iaitu hadits yang menegahnya dimansûkhhkan oleh hadits yang mengharuskannya. Sementara itu, ada juga golongan ulama yang berusaha menggabungkan kedua-dua riwayat tersebut dengan ta’wîlan-ta’wîlan tertentu.
Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, pendapat yang paling baik untuk dipegang dan diikuti serta yang lebih selamat dan jauh dari sebarang perbalahan dan pertentangan ialah pendapat Imam al- Khaththabi, Imam ath-Thabari, Imam Ibnu Baththal, Imam an-Nawawi dan lain-lain yang menggabungkan kedua-dua riwayat ini dengan ta’wîlan bahawa tegahan daripada makan dan minum berdiri dalam hadits tersebut bukan atas dasar tahrîm (haram), bahkan ia ditegah atas dasar irsyâd dan didikan adab. Adapun makan dan minum dalam keadaan duduk itu adalah lebih afdhal dan merupakan sunnah. Manakala makan dan minum dalam keadaan berdiri pula dinilai makruh tanzîh dan lebih baik dielakkan jika mampu.
Ini jelas dalam riwayat-riwayat berkenaan bahawa walaupun Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada makan dan minum berdiri dalam beberapa buah riwayat, akan tetapi dalam riwayat yang lain, Baginda sendiri ada melakukannya. Ini menunjukkan bahawa ia bukanlah sesuatu yang haram, bahkan lebih menjurus kepada bimbingan adab dan membentuk ke arah yang lebih baik, iaitu anjuran supaya makan dan minum dalam keadaan duduk.
Satu perkara yang perlu diingat di sini, walaupun terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa Baginda pernah makan dan minum berdiri, akan tetapi yang demikian itu bukanlah kebiasaan Baginda. Baginda hanya makan dan minum berdiri sekiranya keadaan tidak memudahkan Baginda untuk duduk seperti tempat yang sesak dan seumpamanya bagi menunjukkan bahawa ia tidak haram. Selain itu, Baginda akan makan dan minum dalam keadaan duduk sebagaimana yang disarankan sendiri oleh Baginda.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika membincangkan hadits-hadits ini telah berkata: “Tidak ada dalam hadits ini, alhamdulillâhi Ta‘âlâ, sebarang masalah dan tidak pula ia dha‘îf. Bahkan semuanya adalah hadits-hadits shahih belaka. Pendapat yang tepat ialah bahawa tegahan tersebut adalah dalam bentuk makruh tanzîh semata-mata. Manakala riwayat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam minum dalam keadaan berdiri itu adalah bagi menerangkan keharusannya. Jadi tidak ada apa-apa masalah dan tidak ada apa-apa percanggahan dalam riwayat-riwayat tersebut.”
Kenapa Makan dan Minum Berdiri Tidak Digalakkan?
Pensyariatan suatu hukum dalam agama Islam pastinya mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Termasuk juga dalam perkara larangan makan dan minum berdiri ini. Perkara ini sudahpun menjadi bahan kajian dan perbincangan ulama dari zaman salaf lagi.
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa pendapat yang paling baik untuk dipegang adalah dengan menilai larangan tersebut sebagai larangan makruh tanzîh. Ini bermaksud jika dilakukan hukumnya makruh dan tidak mendatangkan dosa. Bagaimanapun, adalah lebih baik meninggalkannya, iaitu dengan makan dan minum dalam keadaan duduk kerana ia lebih sempurna dan lebih afdhal.
Selain dianjurkan untuk meninggalkan makan dan minum berdiri kerana perbuatan tersebut dinilai sebagai makruh tanzîh dan berlawanan dengan yang lebih afdhal, ia juga perlu dielakkan bagi menjauhi kemudharatan kerana makan dan minum berdiri itu mempunyai banyak keburukan dan membawa penyakit. Perkara ini ada disebutkan oleh ulama-ulama besar seawal zaman tâbi‘în lagi, antaranya Imam Ibrahim an-Nakha‘i dan Imam ‘Amir asy-Sya‘bi.
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh juga ada menukilkan bahawa tegahan ini ada dasarnya dari sudut kesihatan iaitu bagi mengelakkan berlakunya mudharat. Ini kerana makan dan minum berdiri boleh menyebabkan seseorang itu tercekik dan ia juga boleh menyebabkan kesakitan di bahagian perut serta kerongkong. Oleh kerana itulah Islam menganjurkan supaya makan dan minum duduk kerana ia merupakan cara yang lebih baik dan lebih sihat.
Perubatan moden turut menyokong kenyataan ulama-ulama muktabar Islam ini di mana kajian telah mengenalpasti beberapa mudharat yang boleh terhasil akibat makan dan minum berdiri.
Yusuf al-Haj Ahmad, dalam buku susunannya iaitu Mausû‘ah al-I‘jâz al-‘Ilmi fi al- Qur’ân al-Karîm wa as-Sunnah al-Muthahharah, ada menukilkan pendapat dua pakar perubatan beragama Islam iaitu Doktor ‘Abdul Razzaq al-Kilani dan Doktor Ibrahim ar-Rawi Rahimahullâh mengenai hikmah larangan makan dan minum berdiri dari sudut kesihatan dan perubatan.
Beliau menukilkan bahawa Doktor ‘Abdul Razzaq al-Kilani Rahimahullâh telah berkata dalam bukunya al-Haqâ’iq ath-Thibbiyyah fi al-Islâm: “Adapun makan dan minum dalam keadaan duduk adalah lebih sihat, lebih selamat, lebih tenang dan lebih memuaskan. Ini kerana dalam keadaan duduk, seluruh anggota badan serta perut seseorang berada dalam keadaan tenang dan tetap. Maka minuman akan mengalir dari mulutnya hingga ke dinding perut dengan lembut dan tenang.
Sebaliknya, sekiranya seseorang itu minum dalam keadaan berdiri, cecair akan jatuh dari mulutnya hingga ke dasar perut dengan keras lantas akan merempuh lapisan perut. Sekiranya perkara ini berlaku berulang kali, lambat laun ia akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkannya susah menghadam makanan.”
Doktor Ibrahim ar-Rawi Rahimahullâh pula berpendapat bahawa ketika seseorang itu berdiri, dia berada dalam keadaan tegang, di mana pada masa itu sistem imbangan pada pusat saraf sedang berkerja keras mengawal semua otot tubuh untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak. Ini merupakan proses yang sangat rumit dan menyeluruh yang melibatkan semua sistem saraf dan otot secara serentak. Ini menjadikan anggota manusia tidak tenang ketika berdiri sedangkan ketenangan anggota merupakan antara keperluan paling penting ketika makan dan minum. Ketenangan anggota ini boleh didapati ketika duduk, di mana seluruh sistem saraf dan sistem otot berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang. Dalam keadaan duduk ini, sistem penghadaman akan lebih bersedia dan lebih mampu menyerap makanan dan minuman dengan cara yang betul.
Beliau juga menegaskan bahawa kebiasaan makan dan minum berdiri secara kerap dan berterusan dianggap satu perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada dinding perut dan ia boleh menyebabkan luka atau ulser pada bahagian tersebut. Para doktor mendapati bahawa luka atau ulser di bahagian perut kebanyakannya (95%) berlaku di tempat rempuhan makanan atau minuman yang diambil. Ini bertepatan sekali dengan hasil kajian Doktor ‘Abdul Razzaq al-Kilani Rahimahullâh yang mendapati bahawa makanan dan minuman akan jatuh dari mulut hingga ke dasar perut dengan keras lalu akan merempuh lapisan perut sekiranya seseorang itu makan atau minum berdiri.
Maka jelaslah kepada kita bahawa larangan Baginda ini bukan satu larangan yang sia-sia. Bahkan ia merupakan satu panduan ke arah kemashlahatan. Ini tidak syak lagi merupakan satu bukti kukuh bahawa Islam bukan sahaja mementingkan urusan akhirat semata-mata, bahkan ia juga turut membimbing manusia sehingga ke urusan yang boleh dianggap kecil oleh sebilangan orang seperti urusan makan dan minum.
Demikian penjelasan mengenai hukum makan dan minum berdiri. Dari penjelasan ini, tidak dapat diragui lagi bahawa Islam satu-satunya agama sempurna yang sentiasa membimbing umatnya ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Tidak ada agama selain Islam yang membimbing umatnya dari segenap aspek rohani dan jasmani dan mengganggap kedua-duanya sama penting dan saling berkait rapat di antara satu dengan yang lain. Setiap pensyariatan sesuatu hukum, jika dikaji dan diperhati, akan menyingkap berbagai hikmah dan rahsia yang tidak lain merupakan petunjuk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya. Umat Islam yang taat mengikut dan mengamalkan syariat Islam sebagai cara hidup akan sentiasa hidup sejahtera.
BOLEHKAH MEMOTONG DAHAN POKOK JIRAN YANG MENJALAR KE PEKARANGAN RUMAH KITA DAN MEMAKAN BUAHNYA?
Kehidupan berjiran, sama ada jiran itu terdiri daripada keluarga, sahabat mahupun orang lain pasti wujud di dalam sebuah masyarakat.
Persekitaran sebuah kejiranan itu pula sememangnya tidak kosong daripada pohon dan tumbuhan yang ditanam di pekarangan depan dan belakang rumah. Begitu juga di kiri dan kanan pekarangan rumah. Pohon dan tumbuhan yang ditanam juga ada pelbagai jenis dan saiz. Jiran di sebelah kanan terdapat pohon mangga, jiran di sebelah kiri terdapat pohon rambutan, jiran di belakang terdapat pokok pisang dan ada juga jiran yang menanam sayur-sayuran dan pokok-pokok bunga.
Untungnya, sayur dan buah milik jiran yang tumbuh di sebelah rumah itu boleh kita ni‘mati apabila ada jiran dengan bermurah hati memberikannya sedikit kepada kita. Amalan saling memberi ini bukan perkara yang asing lagi dalam kehidupan berjiran terutama di kalangan masyarakat Melayu dan beragama Islam. Amalan seumpama ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai Abu Dzarr, jika engkau memasak maraqah (kuah sup), maka banyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada jiranmu. (Hadits riwayat Muslim)
Namun dalam suasana berjiran itu, ada kalanya buah, dahan dan ranting pokok milik jiran melewati sempadan pekarangan rumahnya sehingga memasuki pekarangan rumah kita, pekarangan rumah jiran yang lain ataupun memasuki kawasan awam seperti jalan raya.
Situasi seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan dahan dan buah tersebut, sama ada dahan pokok milik jiran itu boleh dipotong atau tidak dan sama ada buahnya boleh diambil dan dimakan atau tidak.
Lebih dikhuatiri, kekeliruan di dalam perkara tersebut boleh sahaja mendatangkan perbalahan di antara jiran mahupun masyarakat setempat sedangkan Islam sangat mengutamakan sikap hormat-menghormati dalam hidup berjiran dan menyuruh umatnya untuk sentiasa berbuat baik terhadap jiran. Ini jelas disebutkan di dalam al-Qur’an, sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan suatu apa pun. Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya) dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (Surah an-Nisâ’: 36)
Memotong Dahan Pokok yang Melewati Pekarangan Rumah
Jika dahan pokok milik jiran menjalar dan melewati sempadan sehingga memasuki ruang udara atau pekarangan rumah kita atau rumah jiran yang lain, maka kita atau jiran tetangga yang lain boleh meminta kepada jiran yang empunya pokok itu supaya menyingkirkan dahan pokok tersebut.
Jika jiran yang empunya pokok itu tidak berbuat demikian, maka kita atau jiran tetangga yang lain boleh mengalihkan dahan itu bahkan boleh memotongnya jika tidak boleh dialihkan lagi walaupun dengan tidak meminta izin kepada hakim atau pihak berkuasa yang berkenaan.
Mengenai perkara ini, para ulama ada menyebutkan di dalam kitab mereka, antaranya Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab beliau Mughni al-Muhtâj. Beliau berkata: “Seseorang boleh mengalihkan dahan-dahan pokok milik orang lain yang condong ke ruang udara milik peribadinya atau milik yang dikongsi bersama jika pemilik pokok enggan mengalihkan dahan-dahan tersebut. Dia juga boleh memotong dahan-dahan itu walaupun dengan tidak ada keizinan daripada hakim jika sekiranya dahan-dahan tersebut tidak lagi dapat dialihkan.”
Contoh: Dahan pokok mangga jiran A melewati pagar lalu memasuki pekarangan rumah jiran B. Dalam hal ini;
• jiran B boleh meminta jiran A menyingkirkan dahan pokok mangganya itu. • jiran B boleh mengalihkan dahan pokok mangga jiran A jika jiran A tidak menyingkirkannya dari pekarangan rumah jiran B. • jiran B boleh memotong dahan pokok mangga jiran A jika dahan pokok tersebut tidak lagi dapat dialihkan walaupun dengan tidak meminta izin kepada hakim atau pihak berkuasa yang berkenaan.
Memakan Buah yang Melewati Pekarangan Rumah
Seseorang tidak boleh mengambil dan memakan buah daripada pokok-pokok buah milik orang lain termasuk milik jiran dengan tidak ada izin daripada pemiliknya.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ada berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 188:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang bâthil. (Surah al-Baqarah: 188)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah bersabda sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Tidak halal sesuatu daripada harta saudaranya kecuali apa yang telah diberikannya dengan kerelaan hatinya. (Hadits riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Hatta buah daripada pokok-pokok buah milik keluarga atau sahabat sekalipun, tidak boleh dimakan jika masih merasa bimbang dan ragu sama ada dia mengizinkan ataupun sebaliknya. Jika merasa besar kemungkinan keluarga atau sahabat itu mengizinkan, maka boleh dimakan buah tersebut dengan kadar yang berkemungkinan diizinkan sahaja. Perkara yang demikian ini adalah berbeza mengikut keadaan, orang, harta dan masa.
Walau bagaimanapun, apabila di dalam keadaan dharurat, buah-buah daripada pokok milik orang lain adalah boleh dimakan dengan syarat hendaklah diganti balik.
Mengenai dengan buah daripada pokok jiran pula kedudukannya adalah seperti berikut:
a) Buah yang masih di dahan pokok.
Sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak boleh diambil dan dimakan buah daripada pokok milik orang lain termasuk milik jiran kecuali dengan ada izin pemilik atau di dalam keadaan dharurat.
Berdasarkan ini, buah jiran yang masih di dahan pokok walaupun kedudukannya berada di pekarangan rumah kita juga tidak boleh diambil dan dimakan sesuka hati tanpa keizinannya.
b) Buah yang telah jatuh daripada pokok.
Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada dinyatakan bahawa haram bagi orang lain mengambil buah yang jatuh daripada pokok yang diberi pagar dan buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar tersebut. Jika mengikut kebiasaan setempat pemiliknya tidak memberi keizinan untuk mengambil buah daripada pokok yang tidak diberi pagar atau buah yang jatuh di luar pagar, maka hukumnya juga haram mengambil buah itu. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, hukum buah yang telah jatuh daripada pokok adalah mengikut hukum buah yang masih berada di atas pokok )milik tuan pokok( jika buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar atau sempadan. Begitu juga hukumnya jika buah tersebut jatuh di luar kawasan pagar atau sempadan dan kebiasaan penduduk setempat tidak mengizinkan orang lain mengambil dan memakan buah tersebut. Akan tetapi jika kebiasaan setempat itu mengizinkannya, maka yang ashah (lebih shahîh) adalah dibolehkan mengambil dan memakan buah tersebut berdasarkan adat kebiasaan yang biasa berlaku serta adanya zhann atau sangkaan bahawa pemilik buah berkenaan mengizinkan orang lain untuk mengambil dan memakannya.
Berdasarkan pendapat para ulama di atas, maka begitu juga kedudukan hukum buah jiran yang jatuh sama ada di dalam pekarangan rumah jiran atau di dalam pekarangan rumah kita.
Contoh: Jiran A mempunyai pokok mangga;
• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan mangga jiran A yang masih berada di pohon sama ada di dalam pekarangan rumah jiran A ataupun yang melewati ke pekarangan rumah jiran B kecuali dengan keizinan daripada jiran A.
• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran A kecuali dengan keizinan daripada jiran A.
• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran B kecuali mengikut kebiasaan setempat pemilik mengizinkan buah tersebut diambil dan dimakan.
Demikian beberapa penjelasan tentang permasalahan dahan dan buah milik jiran yang melewati sempadan. Kesimpulannya, kita tidak boleh memotong dahan dan memakan buah jiran yang memasuki pekarangan rumah kita dengan sesuka hati. Terdapat beberapa ketetapan yang telah dijelaskan oleh fuqahâ’ dengan menurut kehendak syariat Islam sebagai irsyâd kepada kita dalam permasalahan tersebut.
Dalam kehidupan berjiran tetangga, adalah elok untuk menganggarkan jarak yang sesuai sebelum menanam apa juga pokok lebih-lebih lagi pokok yang menjalar dan bersaiz besar supaya pokok-pokok itu tidak memasuki pekarangan rumah jiran.
Selain mengotori pekarangan rumah jiran, dahan dan ranting-ranting yang terjuntai dan bersepah di pekarangan rumah jiran itu boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesulitan terhadap jiran bahkan mendatangkan kerosakan, kerugian, kemudharatan dan kesakitan.
Perlu diingat, perintah untuk berbuat baik terhadap jiran apatah lagi jiran yang dekat itu antaranya adalah dengan menjaga hak jiran, memelihara keselamatan jiran, memelihara pergaulan dan hubungan baik dengan jiran serta tidak menyakiti jiran.
ADAB ZIARAH MASJID NABAWI DAN MAKAM RASULULLAH SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WA SALLAM: Raih Ganjaran Dengan Melakukan Perkara-Perkara Yang Dianjurkan
Kota Madinah tidak pernah sunyi daripada kunjungan umat Islam yang berbilang bangsa dan datang dari segenap pelusuk dunia.
Madinah ialah tempat hijrah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Makkah dan juga tempat mula berkembangnya agama Islam.
Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menggambarkan tentang betapa istimewanya Madinah itu dalam Islam. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Zaid bin ‘Ashim Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan mendo‘akan penduduknya. Aku mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan aku mendo‘akan pada shâ‘ dan muddnya (keberkatan pada makanannya) sebagaimana Ibrahim telah mendo‘akan penduduk Makkah. (Hadits riwayat Muslim)
Apabila berada di Madinah, peluang untuk meraih dan mengaut lebih banyak pahala dan ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah terbuka luas.
Di tengah kota Madinah terletak Masjid an-Nabawi iaitu masjid kedua di dalam Islam yang ditekankan untuk dikunjungi setelah Masjid al- Haram di Makkah. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudhri dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhumâ, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ditekankan untuk bermusafir kecuali ke tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid ar-Rasul Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (Masjid an- Nabawi) dan Masjid al-Aqsha. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah menyatakan akan ganjaran pahala yang diperolehi orang yang melakukan sembahyang di dalam Masjid an- Nabawi sebagaimana sabda Baginda di dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sembahyang di dalam masjidku (Masjid an-Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu sembahyang di tempat selainnya kecuali di Masjid al-Haram. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Di samping melakukan sembahyang di dalamnya, orang yang mengunjungi Masjid an-Nabawi juga berpeluang menggandakan pahala dan meraih ganjaran dengan menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang terletak di dalam masjid yang mulia itu.
Pensyariatan dan Hukum Ziarah Masjid an-Nabawi dan Makam Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam
Umat Islam adalah dianjurkan untuk datang melakukan ziarah ke Masjid an- Nabawi sebagaimana ditekankan di dalam hadits yang telah disebutkan.
Demikian juga, umat Islam dianjurkan untuk menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Diriwayatkan daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda kepada beliau ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengutusnya ke Yaman:
Maksudnya: Wahai Mu‘adz, engkau tidak akan menemuiku selepas tahun ini. Engkau mungkin akan melalui masjidku dan kuburku. (Hadits riwayat Ahmad)
Menurut sebilangan besar fuqahâ’, hukum menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah sunat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh Ta‘âlâ ada menyebutkan di dalam kitab al- Majmû‘: “Sesungguhnya ziarah makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah antara cara mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang terpenting dan suatu kejayaan atau keuntungan kepada orang yang berusaha melakukannya. Perbuatan menuju Madinah untuk menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, berniat ziarah untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta‘ala dan mengutamakan dan sedaya upaya untuk datang ke sana merupakan perbuatan yang sangat disukai ke atas orang-orang yang menunaikan haji dan umrah apabila hendak meninggalkan Makkah. Apabila seorang menuju Madinah, maka perbanyakkanlah mengucap selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di dalam perjalanannya.”
Karamat Bagi Orang yang Melakukan Ziarah
Disebutkan di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, menurut sebahagian ulama terdapat sepuluh karâmah (kemuliaan dan kehormatan) bagi orang yang datang menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, iaitu:
1. Dikurniakan kedudukan yang lebih tinggi. 2. Disampaikan kehendak dan hajat. 3. Ditunaikan hasrat, keperluan dan sasaran. 4. Dikurniakan limpahan anugerah. 5. Dipelihara daripada kebinasaan. 6. Dipelihara daripada aib. 7. Dipermudahkan segala kesukaran. 8. Diberi kesanggupan dan keringanan dalam menghadapi musibah. 9. Diberi firasat sehingga dapat merasakan apa yang akan berlaku. 10. Diberi rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Waktu Mendahulukan Ziarah Makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dari Mengerjakan Haji
Para fuqahâ’ ada mengatakan bahawa menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu lebih ditekankan ke atas orang yang menunaikan haji atau umrah kerana pada kebiasaannya mereka datang dari jauh dan apabila sudah berada dekat dengan Madinah maka adalah tidak elok jika mereka meninggalkannya.
Namun hukum menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah sunat semata-mata dan tidak terikat dengan ibadat haji mahupun umrah. Ziarah tersebut boleh dilakukan selepas menunaikan haji dan umrah atau sebelum melakukan kedua-dua ibadat tersebut ataupun dilakukan di luar rangka menunaikan haji dan umrah. Anjuran untuk menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu tidak terbatas dengan waktu yang dikhususkan.
Mengenai dengan waktu bila mendahulukan ziarah ke Makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dari mengerjakan haji, al-‘Allâmah Abu Khudhair sebagaimana disebutkan di dalam kitab Fath al-‘Allâm mengatakan bahawa: “Al- Muttajih (yang dicenderungi) adalah jika waktu untuk ziarah itu luas dan waktu selepasnya juga luas untuk mengerjakan haji, maka adalah lebih utama mendahulukan ziarah dengan segera agar dapat mencapai tujuan agung mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Halangan terhadap ziarah berkemungkinan sahaja boleh berlaku selepas mengerjakan haji. Sebaliknya, jika waktu sempit, maka kerjakanlah haji terlebih dahulu.”
Adab Ziarah Makam Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam
Sesuai dengan kedudukannya yang sangat mulia dan penting di dalam Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab orang Islam yang bertujuan untuk menziarahi Madinah dan menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk menitikberatkan adab ketika berziarah agar ziarah itu menepati apa yang disyariatkan, berjaya meraih ganjaran daripada Allah Ta‘ala dan terhindar daripada perkara-perkara bid‘ah, perkara-perkara mungkar dan menjadi perkara-perkara bertentangan sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat umum.
Sebilangan Adab Ziarah Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam
Antara adab yang disebutkan di dalam beberapa kitab fiqh madzhab asy-Syafi‘i:
1. Niat dan selawat.
Orang yang hendak melakukan ziarah dianjurkan berniat melakukan ziarah sebagai ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, mengunjungi Masjid an-Nabawi dan melakukan sembahyang di dalamnya.
Apabila menghala ke Madinah, dia disunatkan untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di sepanjang perjalanan dan kemudian memperbanyakkan lagi selawat dan salam ke atas Baginda apabila sahaja melihat pokok-pokok di Madinah serta memohon kepada Allah Ta‘ala agar ziarah tersebut bermanfaat bagi dirinya dan diterima oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Mandi dan memakai pakaian bersih.
Disunatkan berhenti di Dzulhulaifah dan disunatkan mandi sebelum memasuki Madinah. Jika sukar untuk mandi sebelum memasuki Madinah, maka mandi boleh dilakukan sebelum memasuki Masjid an-Nabawi. Disunatkan juga berwudhu’ atau bertayammum jika di dalam keadaan ketiadaan air, memotong kuku, bulu ketiak dan bulu ari-ari, memakai pakaian yang bersih dan indah serta memakai wangi-wangian.
3. Berjalan kaki.
Disunatkan ke atas lelaki, jika mampu dan keadaan selamat daripada najis dan kotoran, untuk turun daripada kenderaannya apabila sahaja melihat Madinah dan berjalan kaki tanpa alas kaki atau kasut.
4. Menghayati kemuliaan Madinah dan kehormatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Menghadirkan di dalam hati perasaan memuliakan Madinah. Sesungguhnya Madinah itu adalah sebaik-baik tempat dan mulianya Madinah dengan kemuliaan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sebaik-baik manusia.
Oleh kerana itu, orang yang pergi berziarah hendaklah merasakan keagungan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan memenuhi hati dan jiwanya dengan menghayati kehebatan dan kewibawaan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, seolah-olah dia benar-benar melihat Baginda di hadapan mata.
5. Berpuasa dan bersedekah.
Dianjurkan melakukan puasa apabila berada di Madinah dan memberi sedekah dengan apa yang boleh disedekahkan dengannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak menghadap bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah secara khusus maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu menghadapnya. (Surah al-Mujâdalah: 12)
6. Berdo‘a ketika masuk Masjid an-Nabawi.
Apabila berada di ambang pintu Masjid شى- Nabawi, disunatkan untuk memperbaharui taubat, berdiri seketika sekira-kira merasakan dan mengharapkan dirinya dalam keadaan bersih dan suci daripada noda dosa.
Disunatkan masuk melalui pintu Jibril ‘Alaihissalâm dan mulakan langkah memasuki masjid dengan kaki kanan seraya berdo‘a:
Ertinya: Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Agung dan dengan wajahNya Yang Maha Mulia serta dengan kuasaNya yang tidak ada permulaan daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah dan segala puji hanya bagi Allah. Ya Allah, kurniakanlah selawat serta kurniakanlah kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan keluarga Baginda. Ya Allah, ampunilah aku bagi segala dosaku dan bukakanlah bagiku segala pintu rahmatMu.
Kemudian mulakan langkah dengan kaki kiri apabila hendak keluar Masjid an- Nabawi sebagaimana juga dianjurkan apabila hendak keluar daripada masjid yang lain.
7. Menuju Raudhah dan sembahyang Tahiyyatul Masjid.
Setelah memasuki Masjid an-Nabawi, teruslah sahaja orang yang berziarah itu pergi menuju Raudhah yang terletak di antara mimbar dan makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kemudian lakukan dua raka‘at sembahyang Tahiyyatul Masjid di sisi mimbar jika keadaan membolehkan untuk berbuat demikian. Apabila selesai sembahyang, sama ada di Raudhah atau selainnya di masjid berkenaan, hendaklah menyematkan rasa syukur kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atas segala ni‘mat yang dikurniakanNya dan memohon agar tujuan dapat dicapai dengan sempurna dan ziarahnya diterima Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
8. Menuju makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Setelah selesai melakukan sembahyang Tahiyyatul Masjid, mulakan menuju ke Makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dari arah selatan. Kemudian menghadap ke arah Makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan membelakangi qiblat dengan jarak kira-kira empat dzirâ‘ (hasta) dari bahagian pangkal makam asy-Syarif dan berdiri memandang ke bawah, menundukkan pandangan isyarat mengagungkan dan menghormati, bertindak melapangkan hati daripada masalah duniawi dan menyematkan di jiwa akan kebesaran dan keagungan tempat dan kedudukan insan yang diziarahinya.
9. Memberi salam dan berdo‘a.
Memberi salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan berdo‘a dengan suara yang perlahan, tenang dan sepenuh hati. Antara salam dan do‘a yang diajarkan adalah seperti berikut:
Ertinya: Semoga selamat ke atasmu wahai Rasul utusan Allah. Selamat ke atasmu wahai Nabi Allah. Selamat ke atasmu wahai makhluk terbaik pilihan Allah. Selamat ke atasmu wahai kekasih Allah. Selamat ke atasmu wahai penghulu para utusan Allah dan penutup para nabi Allah. Selamat ke atasmu wahai sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Selamat ke atasmu dan ke atas keturunanmu, ahli keluargamu, isteri-isterimu dan para sahabatmu semuanya. Selamat ke atasmu dan ke atas semua para nabi yang lainnya serta ke atas hamba-hamba Allah yang salih.
Semoga Allah membalasmu, wahai Rasul Allah demi kami balasan yang lebih utama yang Dia berikan kepada seorang nabi dan rasul demi umatnya. Semoga Allah memberkatimu ketika mana ingatnya orang yang mengingatimu dan lupanya orang yang lupa dari mengingatimu, dengan keberkatan yang lebih utama dan yang lebih sempurna daripada yang diberikan kepada salah satu daripada makhluk semuanya.
Kami bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah, hanya Dia sahaja yang berhak disembah, tidak ada sekutu bagiNya dan kami bersaksi bahawa sesungguhnya engkau hamba Allah, utusanNya dan sebaik-baik makhluk ciptaanNya. Kami juga bersaksi bahawa sesungguhnya engkau telah menyampaikan risalah daripada Allah, telah menunaikan amanah, telah menasihati umatmu dan berjihâd dengan sebenar-benarnya di jalan Allah. Ya Allah, Engkau kurniakan kepada Baginda Sellallâhu ‘alaihi wa sallam wasîlah dan keutamaan serta bangkitkanlah Baginda di suatu tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Ya Allah Engkau kurniakan kepada Baginda apa yang wajar yang diminta oleh orang-orang yang meminta. Ya Allah, Engkau kurniakanlah selawat kepada Muhammad, hambaMu, utusanMu Nabi yang ummi dan kepada keluarga Baginda, isteri-isteri dan zuriat keturunan Baginda sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Ya Allah, kurniakanlah berkat kepada Muhammad, kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan berkat kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Di alam ini, sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Do‘a di atas ini boleh dibaca dengan ringkas sebagaimana berikut:
Ertinya: Selamat sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Imam Malik Rahimahullâhu Ta‘âlâ membaca sebagaimana berikut:
Ertinya: Semoga selamat ke atasmu wahai Nabi Allah, ke atasmu rahmat dan berkat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Menurut azh-zhahir dari pendapat ulama mazhab asy-Syafi‘i, membaca do‘a dengan panjang adalah aulâ (lebih utama) jika disertai penghayatan sepenuh hati, akan tetapi jika tidak maka disegerakan adalah aulâ.
Sementara itu jika seseorang seperti ahli keluarga ataupun sahabat handai berpesan agar disampaikan salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka orang yang melakukan ziarah boleh mengucapkan seperti berikut atau seumpamanya dengan dimaksudkan kepada orang yang berpesan:
Ertinya: Selamat sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah daripada Fulan bin Fulan (nama orang yang berpesan).
Ertinya: Fulan bin Fulan (nama orang yang berpesan) mengirim salam kepadamu wahai Rasulullah.
Jika orang yang memesan salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ramai, maka boleh diucap dengan lafaz seperti berikut:
Ertinya: Selamat sejahtera ke atasmu daripada orang yang berpesan kepada kami dan kami terima pesan daripadanya.
10. Memberi salam kepada Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ.
Setelah memberi salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ziarah diteruskan dengan mengarah ke sebelah kanan kira-kira jarak satu hasta (dzirâ‘) lalu memberi salam kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu sebagaimana berikut:
Ertinya: Selamat sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar sahabat karib Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan teman Baginda ketika berada di dalam gua. Semoga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ membalasmu demi umat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan balasan yang terbaik.
Kemudian mengarah lagi ke sebelah kanan kira-kira jarak satu hasta lalu memberi salam kepada Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu sebagaimana berikut:
Ertinya: Selamat sejahtera ke atasmu wahai ‘Umar yang dengannya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengukuhkan agama Islam. Semoga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ membalasmu demi umat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan balasan yang terbaik.
11. Berdo‘a.
Setelah selesai memberi salam, kembali semula ke Makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan memuji dan mengagungkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta meminta syafaat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kemudian memohon do‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk dirinya tentang apa yang dimahukan akan kebaikan dunia dan akhirat, juga mendo‘akan kedua-dua ibu bapanya, ahli keluarga, sahabat handai, para guru dan orang-orang Islam yang lain.
12. Memperbanyakkan selawat dan do‘a.
Selain itu, dianjurkan kembali semula ke Raudhah dan memperbanyakkan zikir, selawat dan do‘a khusus untuk Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di sisi mimbar. Disebutkan di dalam shahihain hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tempat yang ada di antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah yang merupakan bahagian kebun daripada kebun-kebun yang ada di syurga sedang mimbarku terletak di atas telagaku.
Antara yang diajarkan ialah seperti berikut:
Ertinya: Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya Allah, kurniakanlan selawat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, juga ke atas keluarga junjungan kami Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Selamat sejahtera ke atasmu wahai junjunganku wahai Rasul utusan Allah. Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah menurunkan ke atasmu kitab al-Qur’an yang benar, firmanNya: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Nabi Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.
Demikian juga, perbanyakkan do‘a yang berbentuk menyeluruh dan umum demi meraih ganjaran dan kelebihan yang ada. Akhiri do‘a dengan memuji Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan selawat ke atas RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.”
13. Menghindari perkara-perkara yang dilarang.
Sewaktu berada di Madinah, kita hendaklah menjaga adab-adab seperti:
i. Tidak dibolehkan mengelilingi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
ii. Makruh merapatkan bahagian belakang atau punggung ke dinding makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Demikian juga makruh merapatkan perut ke dinding makam Baginda.
iii. Makruh mengusap-usap makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan kedua-dua tangan.
iv. Makruh mencium makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, bahkan yang lebih baik adalah mengambil tempat yang agak jauh sebagaimana berhadapan dengan Baginda ketika masih hidup. Ini adalah cara yang betul yang diikuti oleh ulama.
Meninggalkan Madinah (Masjid an-Nabawi)
Apabila orang yang melakukan ziarah hendak meninggalkan Madinah, maka dianjurkan ke atasnya sebelum meninggalkan Masjid an-Nabawi untuk melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan berdo‘a. Dianjurkan juga untuk datang menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan mengulang semula do‘a dan selawat yang disebutkan di atas serta membaca do‘a ini:
Ertinya: Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ini masa yang terakhir bagiku dengan tanah haram RasulMu. Engkau permudahkanlah bagiku untuk kembali lagi ke dua-dua tanah haram (Makkah dan Madinah) dan keampunan serta ke afiatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, Engkau kembalikanlah kami kepadanya dengan selamat dan mendapat kejayaan.
Kemudian berganjak dengan menghadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan jangan berundur dengan membelakangi Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Demikian beberapa penjelasan mengenai ziarah ke Masjid an-Nabawi dan makam Rasululullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kesimpulannya, umat Islam adalah dianjurkan untuk menziarahi kedua-dua tempat yang sangat mulia di sisi Islam itu kerana menziarahi kedua-duanya adalah peluang besar untuk meraih karamat dan mengaut lebih banyak ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, di samping mengukuhkan lagi rasa kasih kita terhadap junjungan agung kita Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Maka sebagai merealisasikan pulangan yang lumayan itu, marilah kita menjaga niat dan adab serta menghindarkan apa sahaja perkara yang dilarang ketika melakukan ziarah. Jangan hendaknya ziarah yang pada asalnya dianjurkan oleh syara‘ itu menjadi satu perbuatan yang mendatangkan dosa.
Umat Islam hendaklah mengikut ketetapan dan panduan yang dijelaskan oleh ulama agar tidak terperdaya melakukan perkara-perkara yang tidak disyariatkan.
HUKUM BERTEPUK TANGAN
Menurut Kamus Dewan, bertepuk tangan bermaksud satu perbuatan mengadakan bunyi dengan menamparkan kedua-dua telapak tangan. Ia biasanya dilakukan atas sebab-sebab tertentu antaranya kerana kagum, gembira, suka hati, tanda setuju, tanda penghormatan dan sebagainya.
Seimbas pandang, perbuatan bertepuk tangan mungkin dianggap satu tabiat biasa dan perbuatan semula jadi manusia sahaja. Akan tetapi, pada hakikatnya, bertepuk tangan ada hukum-hakamnya yang tersendiri, di mana menurut syara‘ ada kalanya ia dibolehkan dan ada kalanya pula ia dilarang. Bahkan ada ketikanya pula bertepuk tangan itu diharamkan.
Bertepuk Tangan yang Dibolehkan
1. Dalam perkara ibadat.
(i) Peringatan kepada kesilapan imam dalam sembahyang.
Sunat atas perempuan untuk menepuk tangan dalam sembahyang untuk memberi peringatan kepada imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang. Perbuatan ini, yang dikenali dengan istilah tashfîq, dituntut dan dinilai sunat bagi perempuan sahaja walaupun pada ketika itu mereka hanya mendirikan sembahyang sesama jemaah perempuan sahaja. Adapun sebab ia dinilai sunat adalah kerana bertepuk tangan dalam perkara ini merupakan satu taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bertepuk tangan (tashfîq) ini hanya boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:
(a) Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri. (b) Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri. (c) Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri. (d) Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan. (e) Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan. (f) Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.
Perbuatan ini, jika dilakukan kerana tuntutan syara‘ serta ada keperluan yang membolehkannya, maka ia tidak membatalkan sembahyang walaupun dilakukan dengan banyak serta berturut-turut sepertimana pendapat yang terpilih dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj dan Mughni al-Muhtâj. Ini kerana menurut ulama, perbuatan tersebut dinilai sebagai perbuatan yang khafîf (ringan) sahaja. Ia juga tidak membatalkan sembahyang walaupun ia dilakukan oleh lelaki.
Adapun bagi lelaki pula, jika imam terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang, mereka tidak disunatkan melakukan tashfîq. Akan tetapi mereka disunatkan mengucapkan tasbîh dengan meniatkan bacaan tasbîh itu sebagai membaca zikir dan tujuan memberi ingat.
(ii) Peringatan terhadap perkara yang dibolehkan dalam sembahyang.
Orang yang sedang mendirikan sembahyang diharuskan untuk memberi peringatan terhadap sesuatu perkara yang dibolehkan syara‘. Contohnya, sebagai isyarat memberi keizinan masuk terhadap orang yang meminta izin atau sebagai amaran terhadap seseorang daripada berlaku ke atasnya suatu musibah atau bahaya.
Kaifiyyah memberi peringatan ini berbeza di antara lelaki dengan perempuan. Bagi perempuan, disunatkan untuk menepuk tangan dengan cara yang disebutkan sebelum ini. Adapun bagi lelaki pula, mereka disunatkan mengucapkan tasbîh sepertimana halnya dalam perkara mengingatkan imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang.
Hukum memberi peringatan ini pula tertakluk kepada hukum asal perkara yang diingatkan atau diisyaratkan itu sendiri. Contohnya seperti berikut:
a) Ia boleh menjadi harus jika peringatan itu berupa perkara yang harus umpamanya memberi izin terhadap seseorang untuk masuk ke rumah, ke bilik atau sebagainya.
b) Ia juga boleh dihukumkan wajib jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang wajib seperti memberi peringatan atau amaran kepada orang buta jika ditakuti akan berlaku bahaya ke atasnya.
c) Ia juga boleh menjadi haram jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang haram seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk membunuh seseorang yang lain tanpa hak atau mencuri barang orang lain. d) Ia boleh menjadi makruh jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang makruh seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk melihat kepada sesuatu yang makruh dilihat.
Khusus dalam hal-hal peringatan yang wajib, sekiranya peringatan, isyarat atau amaran dengan bertepuk tangan atau tasbîh itu tidak berhasil, wajib dia memberikan peringatan dengan apa jua cara sekalipun walaupun terpaksa melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan sembahyang seperti berteriak atau melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun, sembahyangnya tetap dianggap batal walaupun perbuatan yang dilakukannya itu hukumnya wajib.
Dalam kedua-dua hal di atas, sama ada sebagai peringatan kepada imam atau sebagai peringatan atas perkara-perkara yang dibolehkan, sekiranya lelaki yang menepuk tangan atau perempuan yang mengucap tasbîh, harus hukumnya dan tidak batal sembahyang. Bagaimanapun, yang demikian itu, walaupun tidak makruh, ia dinilai berlawanan dengan sunnah.
2. Di luar perkara ibadat.
Memberi tepukan sebagai salah satu corak penghormatan, penghargaan, pujian dan sebagainya terhadap seseorang atau apa sahaja yang dipersembahkan dalam satu majlis contohnya, adalah satu perbuatan yang dibolehkan dan tidak ditegah syara‘.
Ini kerana ia merupakan satu cara melahirkan rasa kagum atau penghargaan. Ini dengan syarat tepukan tersebut diberikan dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan bukannya dalam perkara-perkara yang mengandungi kemungkaran atau perbuatan haram.
Bertepuk Tangan yang Tidak Dibolehkan
1. Dalam perkara ibadat.
(i) Menjadikan bertepuk tangan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat
Dalam perkara ibadat, bertepuk tangan hanya dibolehkan dalam ibadat sembahyang bagi perempuan atas tujuan taqarrub untuk memberi peringatan kepada imam. Ia juga diharuskan dalam sembahyang bagi tujuan memberi peringatan lain yang diharuskan oleh syara‘.
Adapun perbuatan bertepuk tangan selain tujuan di atas, jika dilakukan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai kaum musyrikin.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Anfâl ayat 35:
Tafsirnya: Dan tiadalah sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu melainkan hanyalah siulan dan tepukan tangan. Oleh itu rasakanlah azab disebabkan kekufuran kamu itu. (Surah al-Anfâl: 35)
Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata bahawa kaum Quraish Jahiliyyah melakukan thawaf di Baitullah dalam keadaan bertepuk tangan, bersiul dan tidak berbaju. Menurut sangkaan mereka, perbuatan mereka itu adalah satu ibadat.
(ii) Menepuk kedua-dua telapak tangan dalam sembahyang.
Menepuk tangan dalam sembahyang hanya dibolehkan dengan enam cara yang telah disebutkan sebelum ini. Adapun menepuk kedua-dua telapak tangan, iaitu menepuk tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri atau sebaliknya, haram dilakukan dalam sembahyang kerana ia dianggap bermain-main. Jika dilakukan juga dengan sengaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya.
(iii) Menepukkan tangan dalam sembahyang tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main.
Menepukkan tangan tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main dalam sembahyang juga ditegah, walaupun tepukan itu dilakukan dengan cara-cara yang dibolehkan. Jika dilakukan dengan sengaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya. Ini sama hukumnya sama ada ia dilakukan oleh lelaki atau perempuan.
2. Di luar perkara ibadat.
(i) Bertepuk tangan untuk bermain-main tanpa apa-apa hajat dan keperluan sehingga leka dan lalai.
Hal ini dinilai makruh oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dan dinilai haram oleh beberapa ulama lain, antaranya Imam ar-Ramli Rahimahullâh.
(ii) Haram jika dilakukan oleh lelaki dengan tujuan menyerupai perempuan.
(iii) Bertepuk tangan sebagai pujian serta penghargaan terhadap satu perbuatan maksiat atau sebagai saranan supaya membuat perkara yang haram.
(iv) Bertepuk tangan di masjid.
Perbuatan bertepuk tangan di masjid adalah satu perbuatan yang ditegah dalam syara‘ sekalipun kerana hendak memberi penghargaan kepada penceramah dan seumpamanya.
Ini kerana masjid merupakan tempat yang suci yang perlu dipelihara daripada apa jua bentuk gangguan, sehinggakan berdo‘a dan berzikir dengan suara nyaring dalam masjid pun adakalanya dihukumkan makruh malah boleh membawa kepada haram jika boleh mengganggu orang yang berada di dalam masjid.
Bertepuk tangan dalam masjid tidak syak lagi merupakan satu perbuatan yang mendatangkan gangguan sekiranya dilakukan dalam masjid dan boleh menjejaskan kehormatan masjid yang sepatutnya berkeadaan hening, bukannya hingar-bingar dan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara keduniaan serta perkara-perkara melekakan.
Sekiranya seseorang menepukkan kedua-dua telapak tangannya dalam masjid tanpa apa-apa hajat dan keperluan, maka hukumnya adalah haram sepertimana pendapat yang dinukilkan oleh Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh.
Demikian penjelasan mengenai hukum bertepuk tangan. Mudah-mudahan penjelasan ini akan meningkatkan lagi ilmu dan kefahaman kita mengenai hukum-hakam syariat Islam khususnya mengenai hukum bertepuk tangan.
Khusus mengenai perbuatan bertepuk tangan apabila melihat suatu yang disukai dan dikagumi, walaupun ia diharuskan, adalah lebih elok untuk mengucapkan tasbîh atau takbîr kerana ini lebih menepati akhlak Islam. Ini kerana adalah lebih wajar kekaguman itu diungkapkan dengan puji-pujian dan zikir terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Selain dapat mengungkapkan penghargaan sesama manusia, kita juga mendapat pahala berzikir memuji keagungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
BERSALAMAN DENGAN WARGA EMAS DAN KANAK-KANAK
Amalan bersalaman atau berjabat tangan sudah menjadi kebiasaan dan lumrah diamalkan dalam masyarakat kita. Ia sering dilakukan sama ada dalam pertemuan, kunjungan, majlis tertentu dan sebagainya. Amalan bersalaman ini juga biasa diamalkan ketika berkunjung ke rumah orang di musim Hari Raya sama ada kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas.
Apa yang ingin dijelaskan di sini, sejauh manakah keharusan bersalaman itu dari pandangan Islam dan bagaimana kedudukan bersalaman dengan warga emas dan kanak-kanak? Perkara ini perlu diketahui di mana batas-batas bersalaman yang diharuskan oleh Islam agar perbuatan yang mulia itu tidak menjadi dosa.
Sungguhpun amalan bersalaman itu mempunyai tujuan yang baik sebagai tanda penghargaan, percintaan, kasih sayang, persaudaraan, bermaaf-maafan dan seumpamanya namun ada batas-batas hukum yang perlu dipatuhi dan dipelihara.
Menurut ajaran Islam, orang yang mengamalkan perbuatan bersalaman itu akan mendapat keampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi kedua-duanya sebelum kedua-duanya berpisah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum bersalaman di antara sesama jenis iaitu lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan adalah sunat. Demikian juga, bersalaman di antara suami dan isteri atau bersalaman dengan mahram sama ada lelaki bersalaman dengan mahramnya perempuan ataupun perempuan bersalaman dengan mahramnya lelaki adalah harus.
Adapun hukum bersalaman di antara lelaki dengan perempuan asing (ajnabiyyah) atau perempuan bersalaman dengan lelaki asing adalah haram. Apabila perbuatan melihat sudah dilarang, setentunyalah perbuatan menyentuh lebih lagi dilarang, kerana sentuhan itu lebih merangsangkan syahwat berbanding dengan melihat. Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebutkan hal ini dalam kitabnya al- Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Apabila diharamkan untuk dilihat nescaya diharamkan untuk disentuh.
Setiap sesuatu yang haram dilihat adalah haram disentuh. Walau bagaimanapun ia terkecuali dalam beberapa keadaan tertentu seperti dalam pertunangan, harus melihat wajah perempuan yang dipinang akan tetapi menyentuh wajahnya tetap haram. Demikian juga dalam persaksian dan ketika belajar.
Dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan asing ini ada disebutkan dalam riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak pernah menyentuh tangan seseorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki (perempuan yang telah Baginda nikahi). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Perbuatan menyentuh perempuan asing itu lebih besar akibatnya daripada dicucuk kepala dengan sebatang jarum besi. Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Adalah lebih baik bagi seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum besi daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Oleh itu, perbuatan lelaki yang bersalaman atau berjabat tangan dengan perempuan yang tiada kaitan mahram atau perempuan yang tiada hubungan pernikahan adalah perbuatan dosa. Demikian juga dengan sebaliknya iaitu perbuatan perempuan yang bersalaman dengan lelaki yang tiada kaitan mahram atau lelaki yang tiada hubungan pernikahan adalah perbuatan dosa.
Bagaimana pula kedudukan hukum bersalaman dengan kanak-kanak ataupun warga emas yang ajnabi (bukan mahram)?
Hukum Bersalaman Dengan Kanak-kanak dan Warga Emas
Bersalaman dengan kanak-kanak ajnabi yang tidak merangsang atau membangkitkan syahwat sama ada lelaki bersalaman dengan kanak-kanak perempuan ataupun perempuan bersalaman dengan kanak-kanak lelaki hukumnya adalah harus. Akan tetapi jika kanak-kanak itu sampai kepada tahap membangkitkan syahwat maka kedudukan hukumnya sama dengan orang dewasa.
Adapun bersalaman dengan warga emas ajnabi iaitu lelaki atau perempuan yang sudah tua yang tidak merangsang atau membangkitkan syahwat hukumnya tetap haram dan kedudukan hukumnya sama dengan orang muda.
Dalam mazhab Syafi‘i, haram bersentuhan di antara lelaki dan perempuan dengan tidak membezakan di antara yang muda ataupun yang sudah tua. Demikian juga dalam perkara membatalkan wudhu’ apabila bersentuhan. Kedudukan hukum batal wudhu’ apabila bersentuhan dengan perempuan muda adalah sama dengan perempuan yang sudah tua.
Manakala dalam perkara hukum melihat perempuan pula, imam al-Ghazali Rahimahullâh menegaskan bahawa kedudukan hukum melihat perempuan yang sudah tua adalah sama dengan perempuan muda, kerana syahwat itu tidak dapat ditentukan dan ia adalah tempat persetubuhan.
Oleh yang demikian, bersalaman dengan lelaki atau perempuan yang sudah tua yang tidak membangkitkan syahwat adalah tetap haram. Akan tetapi jika bersalaman di antara lelaki dan perempuan dengan berlapik tanpa ada syahwat dan fitnah maka hukumnya adalah harus.
Hal ini ada disebutkan dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib:
Ertinya: (Sunat berjabat tangan) iaitu bagi yang sama jenis jantina. Adapun berbeza jantina, jika ada hubungan mahram atau hubungan perkahwinan atau berjabat tangan bersama kanak-kanak yang tidak membangkitkan syahwat atau bersama orang dewasa dengan berlapik adalah harus apabila tanpa syahwat dan tiada fitnah.
Walau bagaimanapun, keharusan menyentuh dengan berlapik itu hanya terbatas pada muka dan kedua tapak tangan sahaja tanpa ada syahwat dan tiada fitnah. Adapun selain daripada wajah dan kedua-dua tapak tangan adalah haram sungguhpun berlapik dan tanpa syahwat serta fitnah.
Oleh yang demikian, amatlah wajar kita sama-sama mengambil berat tentang perkara ini supaya diri kita sentiasa terpelihara daripada terjerumus ke dalam dosa kerana melakukan perkara yang diharamkan iaitu bersalaman dengan orang yang tidak sepatutnya kita bersalaman.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5936
