Irsyad Hukum 2004
BERHUTANG UNTUK MENGERJAKAN HAJI
Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Antara syarat-syarat wajib haji itu ialah istithâ‘ah. Istithâ‘ah bererti berkuasa atau ada kemampuan.
Istithâ‘ah (berkuasa) mengerjakan haji itu ada dua bahagian iaitu:
i. Berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri.
ii. Berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.
Apa yang menarik perhatian kita untuk ditonjolkan dalam perbincangan ini mengenai kedua-dua jenis istithâ‘ah di atas ialah berkenaan “berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri.”
Menurut para ulama, berkuasa mengerjakan haji dengan dirinya sendiri itu mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:
i. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga sara hidup bagi orang yang wajib dibelanjainya semasa dalam pelayarannya, serta perbelanjaannya itu melebihi daripada hutangnya.
ii. Mempunyai kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewaan biasa menurut tempat dan masa.
Syarat mempunyai kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji itu hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya daripada Makkah iaitu sejauh dua marhalah atau lebih iaitu jarak jauh yang membolehkan sembahyang qashr. Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan itu disebut dalam hadis riwayat Ibnu ‘Umar dengan katanya:
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata (bertanya): “Ya Rasulullah, apakah yang mewajibkan haji itu? Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan itu belum diwajibkan ke atasnya mengerjakan haji.
Menurut Ibnu Hajar, tidak wajib ke atas orang Islam mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau menerima pemberian daripada orang lain atau dengan cara berhutang, kecuali dia mendapat bekalan dan seumpamanya itu daripada harta yang sedia ada di tangannya.
Bagi orang yang memiliki belanja yang melebihi daripada keperluan diri dan tanggunggannya sepanjang pemergiaannya untuk mengerjakan haji maka haji adalah wajib ke atas orang tersebut. Demikianlah sebaliknya sekiranya belanja tersebut tidak melebihi keperluan diri dan tanggunggannya maka tidaklah wajib haji ke atasnya. Adapun orang yang memiliki harta yang memberi hasil kepadanya dan hasil tersebut tidak melebihi kadar keperluan diri dan tanggunggannya, seperti tanah atau rumah sewa dan seumpamanya, tetapi apabila dijual harta berkenaan, hasil jualan tersebut akan membolehkan dia mengerjakan haji dan melebihi keperluan tanggunggannya sepanjang pemergian haji, maka menurut qaul yang ashah dalam mazhab Syafi‘e haji adalah wajib ke atas orang tersebut.
Walau bagaimanapun tidak wajib menjual rumah tempat kediamannya dan perkakas rumah untuk mengerjakan haji, pada fikiran kita termasuk juga tidak menjual tanah, kerana semua perkara itu merupakan keperluan yang sangat dihajati (dharûri). Malahan ia mesti diberikan prioriti sebagai perkara asas untuk membolehkan seseorang menjalani kehidupan.
Oleh itu Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan haji jika belum berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya.
Orang Berhutang Untuk Mengerjakan Haji
Apa yang kadang-kadang berlaku, walaupun mengerjakan haji itu wajib hanya bagi orang yang berkemampuan sahaja, namun terdapat sebahagian orang memaksa dirinya berhutang untuk tujuan tersebut. Berhutang itu mengandungi risiko yang tinggi yang boleh menyusahkan bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.
Antara hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Malik:
Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya.” (Hadis riwayat Malik) Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Di dalam sebuah âtsâr diriwayatkan daripada Tariq, beliau berkata:
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Ibnu Abu Awfa (salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) ditanya berkenaan seorang lelaki yang berhutang untuk pergi menunaikan haji, beliau berkata: “Mohonlah rezeki kepada Allah dan jangan berhutang.” (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi)
Imam an-Nawawi menjelaskan pendapat para ulama mazhab Syafi‘e bahawa sekalipun orang yang memberi hutang itu rela supaya hutang itu dibayar semula pada tempoh selepas menunaikan haji, haji tetap tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu. (Al-Majmû‘: 7/56)
Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji para ulama telah menjelaskan syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas berdasarkan al-Qur‘an, hadis dan ijmâ‘. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka haji tidak wajib baginya, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam. Ini membuktikan bahawa agama Islam itu agama rahmat dan tidak menyusahkan umatnya.
Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan haji yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu menyusahkan dirinya dengan berhutang. Lebih-lebih lagi bagi haji yang dikerjakan itu kali kedua atau seterusnya. Berhutang kerana tujuan ini adalah dilarang oleh agama kerana hutang itu akan menjadi bebanan dan menyusahkannya sebagaimana yang telah disebut oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam.
MENSYUKURI NIKMAT MELALUI AQIQAH
Para ulama telah berselisih pendapat dalam mengertikan aqiqah. Dari segi bahasa terdapat empat pendapat yang diberikan iaitu:
1. Aqiqah ialah rambut yang di atas kepala anak ketika dia dilahirkan.
2. Perkataan aqiqah diambil daripada kata dasar ‘al-‘aqq’ yang membawa erti memutuskan (al-qath‘).
3. Aqiqah adalah perbuatan menyembelih itu sendiri. Hujahnya, bahawa makna asal ‘al-‘aqq’ itu adalah dari perkataan ‘al-qath‘’ (memutus atau memotong).
4. Mengandungi makna kedua-duanya sekali iaitu dengan makna rambut dan menyembelih, dan ini merupakan pendapat yang lebih baik dipegang.
Manakala dari segi syara‘ pula, aqiqah ialah binatang ternakan yang berkaki empat yang disembelih ketika hendak mencukur rambut di kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.
Hukum Aqiqah Dan Tujuannya
Jumhûr ulama mengatakan bahawa hukum aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Dasar kepada tuntutan ini ialah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud “anak-anak tergadai dengan aqiqahnya”. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada Hari Kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat yang terbaik.
Keguguran anak yang sudah bernyawa (ditiupkan roh) juga dituntut supaya dibuatkan aqiqah untuknya.
Aqiqah dituntut oleh Islam bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tetapi juga dituntut bagi melahirkan kesyukuran ibu bapa kepada Allah di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya. Di samping itu, ia juga merupakan latihan untuk umat Islam dalam melakukan sedikit pengorbanan.
Selain daripada itu, pelaksanaan aqiqah juga adalah bagi melahirkan kegembiraan ibu bapa di atas nikmat yang besar itu. Adalah dianggap kurang sopan kepada ibu bapa yang telah dikurniakan nikmat yang begitu besar, tidak bersyukur kepada Allah dengan melaksanakan aqiqah itu, sedangkan dia mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kelapangan.
Orang Yang Berhak Melakukan Aqiqah
Orang yang disunatkan membuat aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa.
Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah (bapa atau ibunya).
Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada wang atau harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan kerana aqiqah adalah tabarru‘ (sedekah). Jika diambil daripada wang atau harta anak, aqiqah yang dibuat itu tidak sah dan ibu bapa tersebut wajib menggantinya.
Bagi ibu bapa yang berkemampuan, hukum sunat melakukan aqiqah untuk anak mereka itu berkekalan sehinggalah anaknya itu bâligh atau cukup umur. Jika anak itu sudah bâligh tetapi tidak dibuat aqiqah untuknya, maka sunat ke atasnya melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Adapun yang dimaksudkan dengan berkemampuan yang merupakan syarat untuk melakukan aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu mempunyai wang belanja yang lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sebelum berlalu jangka masa terpanjang bagi perempuan bernifas iaitu enam puluh hari. Jika kemampuannya itu wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu dia tidak mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu), maka tidaklah disunatkan ke atasnya beraqiqah.
Asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini di dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk beraqiqah sebaik saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu sebelum umur anak itu genap tujuh hari, maka sunat ke atas wali itu beraqiqah untuk anaknya itu.
Jika kemampuannya itu ada selepas hari ketujuh dari hari kelahiran anaknya dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari-hari nifasnya (enam puluh hari), maka kebanyakan ulama muta’akhirîn berpendapat tidak disunatkan ke atasnya aqiqah.
Adapun jika kemampuan itu wujud selepas hari ketujuh dari hari kelahiran anaknya sedang isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat. Menurut pendapat Yusuf al-Ardabili di dalam kitabnya al- Anwâr li A‘mâl al-Abrâr, beliau mentarjîhkan (lebih cenderung kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke atasnya aqiqah.
Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas isterinya, maka gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah.
Dalam masalah menentukan hukum melakukan aqiqah untuk anak zina pula, menurut Ibnu Hajar sebagaimana tersebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa hukumnya adalah sunat ke atas ibunya melakukan aqiqah untuk anak zinanya itu, akan tetapi hendaklah dilakukan aqiqah itu secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan).
Masa Aqiqah
Aqiqah sunat dilakukan sebaik-baik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu bâligh. Ini adalah pendapat yang paling râjih. Apabila anak itu sudah bâligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Walaupun masa yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhalnya hendaklah dilakukan pada hari ketujuh dari hari kelahirannya. Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula dari hari selepasnya (siang berikutnya).
Jika tidak sempat disembelih aqiqah pada hari ketujuh, digalakkan disembelih pada hari yang keempat belas dari hari kelahiran anaknya, jika tidak sempat pada hari tersebut, disembelih pada hari yang kedua puluh satu. Begitulah seterusnya, boleh dilakukan selepas itu setiap kali berlalu tujuh hari yang berikutnya, seperti pada hari yang kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya.
Di dalam kitab Kifâyah al-Akhyâr ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas ibunya, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sepatutnya janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun dari tarikh lahir). Jika tidak dilakukan juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukan juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, boleh lagi dilakukan selepas itu, tetapi hendaknya sebelum anak itu sampai umur (bâligh). Jika anak itu telah sampai umur bâligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Masa yang afdhal untuk menyembelih aqiqah itu ialah setelah terbit matahari, dan semasa penyembelihan itu dilakukan hendaklah dibaca:
Ertinya: “Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar (kerajaanNya), ya Allah, mohon kurniakan selawat, rahmat dan kebesaran kepada Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda, ya Allah ini adalah untukMu dan kepadaMu, ya Allah, ini aqiqah si polan.”
Semasa menyembelih itu juga disyaratkan berniat dengan niat bahawa binatang yang disembelih itu adalah untuk aqiqah.
Bilangan Binatang Yang Hendak Disembelih
Bagi anak lelaki, yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami beraqiqah untuk anak lelaki dengan (menyembelih) dua ekor kambing dan untuk anak perempuan dengan (menyembelih) seekor kambing.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Jika tidak mampu menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor unta atau daripada seekor lembu atau kerbau sahaja, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda, Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain dengan menyembelih seekor kambing bagi tiap-tiap seorang.
Bagi anak yang khuntsâ iaitu anak yang mempunyai dua kemaluan pula, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih untuknya. Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsâ sama seperti anak perempuan iaitu memadai disembelih seekor kambing sahaja. Manakala Imam ar-Ramli mengatakan bahawa bagi anak khuntsâ disunatkan disembelih dua ekor kambing, sama seperti anak lelaki.
Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau.
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, yang paling afdhal sekali, dituntut supaya dia beraqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor unta atau seekor lembu.
Binatang Aqiqah Dan Dagingnya
Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah sama seperti binatang-binatang yang sah dibuat korban iaitu binatang ternakan berkaki empat seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibasy yang telah sampai umurnya dan sihat badannya, tidak berpenyakit dan tidak ada sebarang kecacatan yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau mengurangkan anggota-anggota yang boleh dimakan.
Oleh kerana itu, binatang yang sangat kurus, kudung, patah kaki atau pincang, buta, terpotong telinga atau seumpamanya, tidak sah dibuat aqiqah.
Manakala daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan dimasak dengan sedikit rasa manis.Tujuannya ialah untuk menaruh harapan baik (optimis) terhadap keelokan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.
Kemudian daging yang dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka hadir makan ke rumah tempat beraqiqah, tetapi jika dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka adalah lebih afdhal.
Adapun kaki hingga ke pangkal peha kambing tersebut adalah dikecualikan daripada dimasak iaitu dibiarkan ia mentah, dan disunatkan disedekahkan kaki kanannya kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. Ini kerana Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha, puteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri melakukan demikian dengan suruhan Baginda.
Sementara itu, orang yang beraqiqah digalakkan memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan selama mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar).
Begitu juga daging aqiqah itu harus dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu, dengan maksud bahawa dia boleh memakan atau menjualnya.
Akan tetapi daging aqiqah haram diberikan kepada orang kafir dan juga haram dijual.
Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecah atau dikerat-kerat tulang binatang yang diaqiqah itu, bahkan dikehendaki supaya diasing-asingkan tulang-tulang itu antara satu sama lain melalui sendi-sendinya sahaja, ini bertujuan untuk mengambil sempena baik supaya tulang anak-anak nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqahnya. Kalau sekiranya tulang-tulang binatang aqiqah itu dipecah-pecah atau dipotong-potong dan dikerat sebagaimana yang biasa dilakukan kepada binatang sembelihan biasa, maka tidaklah menjadi makruh, akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).
Sebagai kesimpulan, aqiqah merupakan ibadat yang antara lain sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu adalah perlu ianya dilakukan menurut sebagaimana yang digariskan oleh syara‘.
SEMBAHYANG HARI RAYA
Sembahyang an-nafl ialah amalan sunat yang lebih afdhal daripada sunat-sunat lainnya. Menurut kitab Tuhfah karangan Ibnu Hajar, bahawa sembahyang-sembahyang sunat mengikut tertib keafdhalannya bermula daripada sembahyang sunat ‘Idul Adha, ‘Idul Fitri, gerhana matahari, gerhana bulan, istisqâ’ (meminta hujan), sembahyang sunat Witir, dua rakaat fajar, sunat-sunat rawâtib yang selebihnya, Tarawih, Dhuha, sembahyang dua rakaat tawaf, dua rakaat Tahiyatul Masjid, dua rakaat sunat ihram, sembahyang sunat wudhu, sunat Zawal kemudian diikuti dengan sembahyang sunat Mutlak.
Amalan-amalan sunat disyariatkan sebagai penampal atau penyempurna kekurangan amalan-amalan fardhu, bahkan amalan sunat itu di akhirat nanti menjadi pengganti kepada amalan fardhu yang tertinggal kerana ada uzur seperti lupa. Apa yang dimaksudkan amalan sunat itu menjadi pengganti di akhirat kelak, ialah apabila seseorang itu tertinggal amalan fardhu seperti sembahyang, tertinggal kerana uzur kemudian meninggal dunia dan tidak sempat mengqadha sembahyang fardhu tersebut, maka sembahyang sunat itulah menjadi penggantinya. Setiap 70 daripada sembahyang sunat itu menjadi satu rakaat bagi sembahyang fardhu. Ini kerana pahala amalan fardhu melebihi 70 darjat amalan sunat.
Berlainan halnya, jika seseorang itu ingat bahawa dia mempunyai qadha, maka wajib diqadhanya dan jangan harap amalan sunatnya itu akan menggantinya jika tidak diqadha amalan fardhunya itu. Hari Raya merupakan kurniaan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Makkah selepas hijrah) telah sampai ke Madinah dan bagi mereka (penduduk Madinah) ada dua hari untuk berpesta menyambutnya (iaitu hari Nairuz dan Mehrajan). Lalu Baginda bertanya: “Apakah yang berlaku pada dua hari tersebut?” Mereka menjawab: “Kami berpesta pada dua hari tersebut di zaman jahiliyah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik iaitu ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada hadis di atas jelaslah bahawa hari kebesaran dan hari perayaan Islam itu ialah ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri. ‘Idul Adha dipanggil sebagai al-akbar (besar), sementara ‘Idul Fitri dipanggil sebagai al-ashghar (kecil).
‘Idul Adha lebih afdhal daripada ‘Idul Fitri kerana ‘Idul Adha itu sabit di dalam al- Qur’an, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelih korban (sebagai bersyukur).” (Surah al-Kautsar: 2)
Sembahyang ‘Idul Fitri adalah sembahyang Hari Raya yang pertama dikerjakan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu pada tahun kedua Hijrah, demikian juga disyariatkan pada tahun itu sembahyang ‘Idul Adha.
Hukum Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Hukum sembahyang Hari Raya itu adalah sunat mu’akkadah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: “Seorang lelaki daripada penduduk Najd datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan keadaan rambut yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam.” Lelaki tersebut bertanya lagi: “Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepadaku?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, melainkan jika engkau ingin melakukan yang sunat.” (Hadis muttafaq ‘alaihi)
Sembahyang Hari Raya itu sunat dikerjakan oleh orang yang mukallaf, sama ada lelaki atau perempuan, yang bermuqim atau yang sedang musafir.
Sembahyang sunat Hari Raya itu afdhal dilakukan di masjid, kerana ia adalah tempat yang mulia.
Sembahyang Hari Raya adalah sunat dan afdhal dikerjakan secara berjemaah, melainkan bagi orang yang menunaikan haji, afdhal bagi mereka mengerjakan sembahyang ‘Idul Adha dengan bersendirian, kerana banyak kesibukan melakukan ibadat haji di hari tersebut.
Permasalahan Perempuan Sembahyang Hari Raya
Sunat bagi perempuan tua yang tidak berharum-haruman dan yang berpakaian harian (pakaian yang tidak cantik) keluar (ke masjid) untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya berjemaah. Jika dia memakai pakaian yang cantik atau berharum-haruman, maka makruh baginya keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya tersebut.
Bagi perempuan muda, makruh bagi mereka keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya walaupun dengan berpakaian harian. Demikian juga, makruh bagi perempuan yang ada kemuliaan keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya sekalipun sudah tua.
Manakala bagi isteri haram keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya jika tidak mendapat keizinan suami.
Bagi perempuan yang dimakruhkan keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya tersebut, sembahyanglah di rumah sahaja sama ada dikerjakan dengan bersendirian atau berjemaah sesama mereka.
Waktu Sembahyang Hari Raya
Waktu sembahyang Hari Raya itu bermula di antara terbit matahari sehingga tergelincir matahari, iaitu terbitnya sebahagian daripada matahari, akan tetapi sunat dan afdhal diakhirkan sembahyang Hari Raya itu sehingga naik matahari dengan kadar tinggi segalah (kira-kira 7 hasta pada pandangan mata kasar). Ini kerana bagi ittiba‘ dan bagi mengelakkan daripada pendapat yang menyatakan bahawa awal waktu sembahyang Hari Raya itu bermula pada naiknya matahari.
Sunat dengan segera bagi imam keluar untuk mengerjakan sembahyang ‘Idul Adha (sesudah naik matahari segalah) supaya luas masa untuk melakukan ibadat korban. Sementara sembahyang ‘Idul Fitri pula sunat diakhirkan sedikit (daripada waktu Adha tersebut) supaya luas masa untuk orang yang hendak membayar zakat fitrah.
Perkara Sunat Sebelum Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Perkara-perkara yang disunatkan sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya ialah:
1. Menghidupkan Malam Hari Raya
Asy-Syeikh Qalyubiy di dalam kitab Hâsyiyatan telah menyebutkan bahawa sunat hukumnya menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang ‘Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh (dengan berjemaah).
2. Melaungkan Takbîr Hari Raya
Sunat melaungkan takbîr dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid, pasar atau sebagainya pada malam ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbîratulihram sembahyang Hari Raya. Takbîr ini dinamakan mursal dan muthlaq (takbîr yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan bila-bila masa sahaja). Sementara takbîr muqayyad (takbîr yang terikat dan dilaungkan sebaik sahaja selesai sembahyang fardhu, sunat, tunai atau qadha) khusus bagi ‘Idul Adha dan bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bermula takbîr tersebut pada subuh Hari Arafah sehinggalah waktu Asar di akhir Hari Tasyriq.
Apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat menurut asy- Syibramalisiy, lakukanlah pada malam tersebut dengan bertakbîr, membaca surah al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Lafaz takbîr yang disunatkan itu ialah:
Orang yang menunaikan haji atau umrah tidak disunatkan bertakbîr ‘Idul Adha melainkan selepas dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada ‘Idul Adha. Mereka disyariatkan bertalbiah di malam Hari Raya itu.
Pada sepuluh Dzulhijjah, sunat mengucapkan takbîr apabila melihat atau mendengar suara binatang korban sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).” (Surah al-Hajj: 28)
3. Sunat Makan Sebelum Sembahyang ‘Idul Fitri Dan Sunat Tidak Makan Sebelum Sembahyang ‘Idul Adha
Sunat makan terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang ‘Idul Fitri dan sunat menahan diri sebelum mengerjakan sembahyang ‘Idul Adha sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar (mengerjakan sembahyang Hari Raya) pada ‘Idul Fitri sehinggalah Baginda makan dan tidak makan pada ‘Idul Adha sehinggalah Baginda sembahyang (‘Idul Adha).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Pada ‘Idul Fitri itu sunat makan beberapa biji tamar (dengan bilangan yang ganjil) sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar di awal pagi ‘Idul Fitri sehinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. Berkata Murajja’ bin Raja’: “Telah menceritakan kepadaku Ubaidullah katanya: “Anas menceritakan kepadaku daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Dan Baginda memakannya (tamar) dengan bilangan yang ganjil.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
4. Mandi Sebelum Sembahyang Hari Raya
Sunat mandi sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum sembahyang Jumaat. Ini kerana pada hari tersebut orang ramai berkumpul untuk mendirikan sembahyang.
Demikian juga sunat berharum-haruman, mencabut atau mencukur bulu seperti bulu ari-ari dan bulu ketiak, menggunting misai dan janggut, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan pada badan dan pakaian. Dalam hal memotong kuku dan menghilangkan bulu-bulu ini tidak disunatkan bagi mereka yang hendak melakukan ibadat korban melainkan setelah menyembelih binatang korbannya.
Sementara waktu mandi pula, menurut pendapat yang ashah dan disepakati oleh ulama-ulama Syafi‘iyyah harus mandi selepas fajar atau sebelumnya.
5. Memakai Pakaian Yang Cantik
Sunat memakai pakaian yang terbaik dan afdhal memakai pakaian berwarna putih. Jika seseorang itu terdapat dua pakaian yang sama baik dan eloknya, maka yang putihlah diutamakan. Jika pakaian yang terbaik itu bukan berwarna putih, maka pakaian tersebut lebih afdhal daripada pakaian yang putih. Sunat juga memakai serban.
Menurut ulama-ulama Syafi‘iyyah, bahawa memakai pakaian yang terbaik, berharum-haruman, mandi, mencabut atau mencukur bulu-bulu dan menghilangkan bau pada badan, selain disunatkan bagi orang yang pergi mengerjakan sembahyang Hari Raya, disunatkan juga bagi yang duduk di rumah. Ini kerana hari tersebut merupakan hari perhiasan.
6. Makmum Datang Lebih Awal Daripada Imam
Sunat bagi makmum datang awal selepas fajar bagi mengambil tempat duduk untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya. Sementara sunat bagi imam hadir apabila tiba waktu untuk berjemaah sembahyang Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu keluar pada ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri, lalu Baginda terus memulakan dengan sembahyang (Hari Raya).” (Hadis muttafaq ‘alaihi)
7. Berjalan Kaki Ke Tempat Mengerjakan Sembahyang
Sunat berjalan kaki ketika hendak menuju ke masjid atau surau untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya dan jangan menaiki kenderaan melainkan masjid atau surau itu jauh dari rumah, ada uzur seperti sakit, lemah dan sebagainya. Jika dia menaiki kenderaan juga, itu tidaklah mengapa. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan kaki ketika hendak menuju ke tempat sembahyang Hari Raya, kerana itu adalah sesempurna akhlak dan tinggi kedudukan.
8. Pergi Ke Tempat Sembahyang Hari Raya Melalui Jalan Yang Panjang Dan Balik Melalui Jalan Yang Pendek
Sunat bagi setiap orang yang hendak pergi ke tempat sembahyang Hari Raya, melalui jalan yang lebih panjang dan balik daripada sembahyang melalui jalan lain yang lebih pendek sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di Hari Raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikuti jalan yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut Imam asy-Syafi‘e, sunat bagi imam ketika balik, berdiri di suatu tempat dengan menghadap kiblat sambil berdoa.
9. Menyeru Dengan Seruan “الصالة جامعة”
Sunat menyeru untuk mendirikan sembahyang dengan seruan “الصـالة جَمعـة ” ketika hendak mengerjakan sembahyang Hari Raya. Ini diqiyâskan dengan sembahyang kusûf, di mana disunatkan padanya menyeru dengan seruan tersebut. Tidak ada seruan azan dan iqamah bagi sembahyang Hari Raya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Hari Raya tanpa azan dan iqâmah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Sembahyang Hari Raya itu sekurang-kurangnya dikerjakan seperti sembahyang sunat wudhu. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbîr. Segala rukun, syarat dan sunat sembahyang sama dengan sembahyang-sembahyang yang lain. Hanya pada sembahyang Hari Raya itu disunatkan lagi bertakbîr tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.
Lafaz niat sembahyang ‘Idul Adha:
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat ‘Idul Adha dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Lafaz niat sembahyang ‘Idul Fitri:
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat ‘Idul Fitri dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Pada rakaat pertama sesudah membaca doa iftitâh, sunat melafazkan takbîr (at-takbîrah az-zâ’idah) dengan suara jahr (nyaring) sebanyak tujuh kali. Pada rakaat kedua pula sebelum membaca at-ta‘awwudz ( أعـوعِبهلل مـن اليـمطَن الـرجمم ), sunat bertakbîr sebanyak lima kali.
Takbîr tujuh kali dan lima kali itu termasuk dalam sunat hai’ah. Apabila tertinggal sama ada kerana lupa atau senghaja, maka tidak perlu melakukan sujud sahwi. Menurut kitab al-Umm, makruh ditinggalkan sebahagian atau kesemuanya atau melebihi takbîr tersebut.
Menurut Imam ar-Ramli, orang yang terlupa (imam atau orang yang sembahyang seorang diri) melakukan takbîr az-zâ’idah pada rakaat pertama, bolehlah dilakukannya takbîr itu pada rakaat kedua. Walau bagaimanapun makruh berbuat yang demikian itu. (kitab al-Umm) Memadailah dilakukan takbîr rakaat kedua sahaja tanpa diqadha takbîr rakaat pertama itu.
Seseorang yang masbûq, hendaklah mengikuti imamnya. Apabila imam itu sudah selesai bertakbîr, makmum yang masbûq tidak perlu bertakbîr. Jika dia mendapati imam itu bertakbîr pada takbîr yang ketujuh (yang akhir), maka cukuplah baginya bertakbîr untuk yang ketujuh itu sahaja.
Jika orang yang masbûq itu sempat melakukan takbîr bersama imam (lima takbîr) pada rakaat kedua, maka apabila dia menambah satu rakaat, lakukanlah lagi lima takbîr pada rakaat tersebut.
Adalah sunat mengangkat tangan pada setiap kali takbîr dan sunat diselangi setiap takbîr itu dengan suara isrâr (sunyi) mengucapkan zikir ( ، ، واْلمـد هلل، وال الـه اال َبسـبحَن
Selepas bertakbîr tujuh dan lima kali barulah membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihah, diikuti dengan membaca surah-surah al-Qur’an. Pada rakaat pertama sunat membaca surah Qaf (ق) atau surah al-A‘lâ dan rakaat kedua surah al-Qamar atau surah al-Ghâsyiyah.
Khutbah Hari Raya
Sunat khatib membaca dua khutbah selepas mengerjakan sembahyang Hari Raya. Segala rukun dan perkara sunat ketika berkhutbah adalah sama dengan rukun dan perkara sunat khutbah Jumaat. Walau bagaimanapun sedikit perbezaan pada syarat khutbah Hari Raya dan Jumaat, iaitu ketika imam membaca khutbah Hari Raya tidak disyaratkan berdiri, duduk antara dua khutbah, berthahârah dan menutup aurat, akan tetapi disunatkan sahaja.
Dimulakan pada khutbah pertama dengan bertakbîr sebanyak sembilan kali dan khutbah kedua sebanyak tujuh kali dibaca dengan berturut-turut. Hendaklah khatib memisahkan antara dua khutbah itu dengan memperbanyakkan takbîr, boleh juga dipisahkan dengan bertahmîd, tahlîl dan pujian-pujian sebagaimana dinyatakan dalam Syarah az-Zubad. Hal melafazkan takbîr sebagai pemisah antara dua khutbah tersebut, tidak disunatkan bagi makmum melafazkannya, bahkan disunatkan mendengarnya daripada khatib.
Sunat juga bagi khatib ketika ‘Idul Fitri berkhutbah mengenai hukum-hukum zakat fitrah. Manakala ‘Idul Adha pula sunat berkhutbah mengenai hukum-hukum ibadat korban.
Tidak disunatkan berkhutbah bagi orang yang mengerjakan sembahyang Hari Raya dengan bersendirian. Demikian juga bagi jemaah perempuan, melainkan ada lelaki yang membacakan khutbah untuk mereka.
Ucapan Tahniah Hari Raya
Sunat mengucapkan tahniah Hari Raya antara satu dengan yang lain sambil bersalaman dengan sesama jenis atau mahram sebagaimana yang diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah. Ucapan tahniah itu seperti:
Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kita (amal ibadat) dan menerimanya daripada awak.” Sunat dibalas ucapan tahniah ini seperti:
Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kamu, semoga Allah memelihara kamu kerana mentaatiNya, setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”
SEMBAHYANG JAMA‘: Bolehkah Dilakukan Sebelum Memulakan Pelayaran?
Keistimewaan yang disebut sebagai rukhshah yang dikurniakan kepada orang yang membuat pelayaran ialah keharusan menjama‘ atau menghimpunkan dua waktu sembahyang dan dikerjakan dalam satu waktu.
Sebahagian dalil yang disandarkan bagi menjelaskan ketetapan hukum harus menjama‘ sembahyang ketika dalam pelayaran, diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda membuat perjalanan sebelum matahari tergelincir Baginda akan melewatkan sembahyang Zuhur kepada waktu Asar, kemudian menjama‘ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut. Dan jika matahari sudah tergelincir Baginda akan menunaikan sembahyang Zuhur terlebih dahulu, kemudian Baginda memulakan perjalanan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melalui riwayat Anas juga, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak menghimpunkan dua sembahyang ketika dalam pelayaran Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur sehinggalah masuk awal waktu sembayang Asar, kemudian Baginda menjama‘ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut.” (Hadis riwayat Muslim)
Bagaimana Cara Yang Lebih Utama Dalam Menjama‘ Sembahyang?
Kebanyakan para ulama termasuk ulama mazhab Syafi‘e mengatakan bahawa harus menjama‘ atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zuhur dengan Asar dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut, sebagaimana juga harus menjama‘ sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut ketika seseorang itu dalam pelayaran yang jauh.
Sembahyang jama‘ itu terdapat dua cara iaitu jama‘ taqdîm dan jama‘ ta’khîr. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan Asar yang dijama‘ itu dikerjakan di dalam waktu Zuhur ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama‘ itu dikerjakan dalam waktu Maghrib maka itu dinamakan jama‘ taqdîm. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan Asar yang dijama‘ itu dikerjakan di dalam waktu Asar ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama‘ itu dikerjakan dalam waktu ‘Isya’ maka itu dinamakan jama‘ ta’khîr.
Persoalannya, bagaimana cara yang lebih elok dikerjakan, adakah dengan cara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr? Para ulama menggariskan bahawa seseorang yang dalam pelayaran itu jika dia singgah atau berehat di suatu tempat, dan pada ketika itu waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib sudah masuk, maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama‘ taqdîm, iaitu menghimpunkan sembahyang Asar ke dalam waktu Zuhur atau menghimpunkan sembahyang ‘Isya’ ke dalam waktu Maghrib.
Sebaliknya, jika waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib telah masuk dan dia pada masa itu dalam perjalanan maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama‘ ta’khîr, iaitu menghimpunkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu Asar atau menghimpunkan sembahyang Maghrib ke dalam waktu ‘Isya’.
Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Tidakkah aku khabarkan kepada kamu tentang sembahyang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam? Apabila matahari tergelincir dan pada ketika itu Baginda berada di rumah (tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran), maka Baginda akan menyegerakan sembahyang fardhu Asar ke dalam waktu Zuhur, lalu menjama‘ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan Asar) pada waktu tergelincir matahari (waktu Zuhur). Apabila Baginda membuat pelayaran sebelum tergelincir matahari, maka Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu Asar, lalu menjama‘ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan Asar) pada waktu Asar.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang baik)
Bolehkah Sembahyang Jama‘ Dikerjakan Di Rumah Sebelum Membuat Pelayaran?
Persoalan ini ditimbulkan kerana terdapat dakwaan bahawa sembahyang jama‘ kerana pelayaran itu boleh dilakukan sejak dari rumah lagi, iaitu sebelum memulakan pelayaran (safar). Dakwaan ini berdasarkan riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya (Sebagaimana yang diterjemahkan oleh pendokong pendapat di atas): “Bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak belayar (musâfir) sebelum tergelincir matahari Baginda mengakhirkan sembahyang Zuhur kepada waktu Asar, kemudian Baginda pun turun (memulakan perjalanan). Maka Baginda menghimpunkan di antara kedua sembahyang itu (sembahyang Zuhur dan Asar). Jika tergelincir matahari sebelum Baginda belayar (musâfir) Baginda mengerjakan sembahyang Zuhur dan Asar, kemudian Baginda pun menunggang (memulakan perjalanan).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apa yang dapat difahami bahawa pendapat ini ternyata kurang tepat dan tersasar daripada pemahaman yang betul terhadap dalil yang dibawakan.
Alasan yang dapat dikemukakan untuk menolak pendapat di atas:
1. Apabila kita petik sebahagian sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, iaitu:
Maksudnya: “Jika tergelincir matahari sebelum Baginda membuat perjalanan Baginda mengerjakan sembahyang Zuhur dan Asar, kemudian Baginda pun menunggang (memulakan perjalanan).”
Tidak dinafikan sungguhpun pada zahirnya hadis di atas memberi maksud Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjama‘ sembahyang Zuhur dan Asar dengan cara jama‘ taqdîm semasa Baginda berada di rumah sebelum membuat perjalanan, akan tetapi perlu difahami bahawa perkara ini berlaku ketika Baginda sedang dalam pelayaran, ketika Baginda singgah di suatu tempat untuk menunaikan sembahyang secara jama‘ sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.
Perkara ini disokong oleh beberapa riwayat lain seperti hadis yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda dalam pelayaran, lalu matahari tergelincir, Baginda pun menunaikan sembahyang Zuhur dan Asar secara jama‘, kemudian barulah Baginda meneruskan perjalanan.”
(Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan al-Isma‘ili, dan dikatakan shahîh oleh Ibnu Hajar)
Hadis ini lebih jelas menyatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjama‘ sembahyang sebelum memulakan perjalanan adalah ketika Baginda sedang dalam pelayaran.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Tidakkah aku khabarkan kepada kamu tentang sembahyang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam? Apabila matahari tergelincir dan pada ketika itu Baginda berada di rumah (tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran), maka Baginda akan menyegerakan sembahyang fardhu Asar ke dalam waktu Zuhur, lalu menjama‘ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan Asar) pada waktu tergelincir matahari (waktu Zuhur). (Hadis riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang baik)
Dijelaskan di dalam al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, terbitan Kementerian Waqaf Dan Hal Ehwal Islam, Kuwait, bahawa maksud perkataan “ َ وَ هُـِوِ هامل َِّْـ ِل ” (pada ketika itu Baginda berada di rumah) di dalam hadis di atas adalah bermaksud “ م ـَن الِّــ ول ه السفر” (tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran). (15/287)
Di dalam riwayat yang lain lagi daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda berhenti di sebuah rumah ketika dalam pelayaran dan Baginda berkenan (suka) kepada rumah tersebut, maka Baginda menempatinya sehinggalah Baginda menjama‘ sembahyang Zuhur dengan Asar, kemudian Baginda meneruskan perjalanan. Jika rumah tidak tersedia untuk Baginda, Baginda akan meneruskan pelayaran, maka Baginda pun berjalan dan mengakhirkan sembahyang Zuhur sehinggalah Baginda datang ke sebuah rumah, di mana di rumah itu Baginda hendak menjama‘ sembahyang Zuhur dengan Asar.” (Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan periwayat-periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai)
Berdasarkan riwayat-riwayat yang dikemukakan di atas, jelas menerangkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sembahyang jama‘ adalah sewaktu Baginda singgah di suatu tempat atau di sebuah rumah ketika dalam pelayaran, bukannya sebelum memulakan pelayaran. Dengan lain perkataan, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjama‘ sembahyang ketika Baginda sudah dalam keadaan musafir, bukannya dalam keadaan bermukim.
2. Seorang itu hanya dikatakan musafir sebaik-baik sahaja dia melewati (keluar) daripada sempadan perkampungan atau kota atau bandar di mana dia tinggal. Jadi, bagaimana boleh seseorang itu diharuskan menjama‘ sembahyang ketika dia masih berada di rumahnya sebelum keluar belayar kerana rukhshah pelayaran, sedangkan ketika itu dia belum lagi dikatakan sebagai musafir?
Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiah Dan Fatwa, Arab Saudi yang diketuai oleh bekas Mufti Arab Saudi, Abdul Aziz bin Baz Rahimahullahu Ta‘ala pernah dihadapkan persoalan mengenai dengan seorang yang hendak membuat pelayaran, adakah diharuskan baginya menjama‘ tanpa mengqashar sembahyang fardhu Zuhur dengan Asar sedang pada ketika itu dia masih lagi di rumah (belum lagi keluar rumah untuk memulakan pelayaran)?
Jawatankuasa tersebut menjawab: “Tidak harus bagi sesiapa yang berniat untuk membuat pelayaran menjama‘ sembahyang Asar dengan Zuhur atau menjama‘ sembahyang ‘Isya’ dengan Maghrib selama mana dia masih lagi berada di rumah dan belum lagi memulakan pelayaran, kerana tidak terdapat sebab yang mengharuskan dia menjama‘ sembahyang iaitu pelayaran. Bahkan rukhshah atau kelonggaran mengqashar dan menjama‘ itu adalah bermula apabila dia meninggalkan kediaman negerinya.”
Penutup
Berdasarkan perbincangan yang lalu, jelas bahawa orang yang hendak membuat pelayaran dan bercadang untuk menjama‘ sembahyang kerana rukhshah pelayaran, tidak boleh menjama‘ sembahyangnya ketika dia masih lagi belum memulakan pelayaran atau ketika dia masih lagi berada di rumah kediamannya, kerana pelayarannya hanya dikira apabila dia keluar atau lepas daripada sempadan tempat tinggalnya.
IMAN SEBAGAI TUNJANG BERNEGARA
Negara yang makmur menjadi idaman kepada setiap orang yang bernaung di bawah suatu pimpinan atau pemerintahan. Makmur dalam konteks bernegara memberi maksud negara yang aman, sejahtera, harmoni, maju, memiliki kesenangan, keselesaan, kebebasan yang selayaknya, saling hormat menghormati dan apa saja yang bersangkutan dengan arena kehidupan yang baik. Di samping itu, negara yang makmur itu adalah bercirikan bebas daripada segala bentuk kemungkaran dan kejahatan, sebaliknya diliputi oleh keimanan, ketaqwaan, keberkatan dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Inilah contoh negara yang ditunjukkan oleh al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Surah Saba’ 15)
Bila kita imbas kembali detik urutan sejarah hijrah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dari Makkah ke Madinah, ianya memberi input petunjuk yang hebat dalam aspek pembentukan negara Islam yang makmur dan paling ideal berpaksikan keimanan dan ketaqwaan. Dalam rangka kerja membina masyarakat Islam, perkara yang pertama sekali dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setiba Baginda di Madinah ialah membangunkan masjid, di mana ianya dibangunkan atas landasan taqwa sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: “Sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau dirikan wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah at-Taubah: 108)
Pembinaan masjid tersebut merupakan isyarat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa penjanaan dan pengukuhan iman amat penting sebagai modal membina sebuah negara dan masyarakat, di mana masjid merupakan sarana yang sangat penting dalam rangka menjana keimanan dan ketaqwaan.
Model yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu memberi petunjuk betapa tinggi kepentingan iman itu dalam pembangunan ummah dan kehidupan bernegara. Pelbagai manfaat dan faedah yang boleh diraih jika warga yang bernaung di bawah suatu kepimpinan itu tindak-tanduk dalam kehidupannya sentiasa berpandu dan berlandaskan kepada iman.
Dengan terbinanya iman yang mantap akan melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai hati yang bersih, akhlak yang mulia, harga diri yang tinggi, keikhlasan yang sejati, amanah, ikatan persaudaraan yang harmoni, semangat perjuangan dan pengorbanan yang kental, suka mengajak kepada kebaikan dan benci kepada kemungkaran.
Untuk menjamin kelangsungan agama serta kemakmuran negara pula, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas kepada anggota masyarakat untuk memelihara agama itu serta kemakmuran negara dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran.
Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran itu merupakan salah satu kewajipan yang difardhukan. Al-Imam an-Nawawi menjelaskan, umat Islam telah ijmâ‘ mengatakan bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran ( األمرِبملعروف والِّهي عن امل ِّ ر ) itu hukumnya adalah wajib.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang yang berjaya.” (Surah Âli ‘Imrân:104)
Al-Imam al-Ghazali telah menjelaskan tentang kedudukan dan kepentingan mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran terhadap negara dan anggota masyarakat yang bernaung di bawahnya, beliau berkata: “Ketahuilah bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran ( األمــر ِبملعــروف والِّهــي عــن امل ِّ ــر ) adalah puncak tertinggi dalam agama dan persoalan yang penting di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutus sekalian nabi kerananya. Andaikata tugas ini dilengahkan dan ilmu serta amalan yang bersangkutan dengannya dicuaikan nescaya kesesatan akan bermaharajalela dan kejahilan akan terus melanda, dan ketika itu negara akan menjadi rosak, sementara rakyatnya menjadi kacau-bilau.”
Al-Qur’an telah mengungkapkan berbagai ciri yang dimiliki oleh orang yang beriman. Salah satu ciri asasi yang dimiliki oleh orang yang beriman menurut al- Qur’an ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “(Orang-orang yang beriman itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan gembirakanlah orang-orang yang beriman. ” (Surah at-Taubah: 112)
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh berbuat baik itu maka terkeluarlah dia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah Ta‘ala dalam ayat di atas sebagai orang yang beriman.
Untuk menjayakan rangka kerja dakwah menyuruh berbuat baik dan meninggalkan perkara mungkar itu pula, tidak memadai dengan kewujudan suatu kelompok atau suatu pihak yang peka terhadap tugas dan tanggungjawab seperti ini dalam sebuah masyarakat, sedangkan kelompok itu dibelakangi dan dipencilkan.
Masyarakat yang beriman itu ialah masyarakat yang tidak meminggirkan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ianya adalah sumber hidayah, perundangan dan hukum. Justeru itu, tidak beriman masyarakat itu jika hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya diabaikan, diperkecil-kecilkan dan dianggap kolot.
Masyarakat yang beriman itu juga, masyarakat yang tidak meminggirkan aqidah Islam daripada sistem kehidupan. Malahan ianya dijadikan sebagai penggerak dan penjana paling utama dalam kehidupan individu, berkeluarga dan bernegara. Justeru itu, aqidah tidak dianggap sebagai perkara sampingan.
Tidak dikatakan masyarakat yang beriman, jika ia bertolak ansur dengan aqidah-aqidah lain yang menyerang atau mengganggu gugat aqidah Islam.
Begitu juga tidak dikatakan masyarakat yang beriman, jika ia menggerak orang supaya mengamalkan nilai-nilai akhlak yang luhur, akan tetapi pada masa yang sama memberi laluan kepada perkara-perkara mungkar dan maksiat untuk dinikmati oleh warga masyarakat tersebut.
Oleh itu, adalah sewajar dan semestinya seluruh warga masyarakat berganding bahu bekerja keras menggerakkan setiap orang supaya berhijrah kepada kebaikan dan meninggalkan serta menjauhi yang mungkar supaya iman anggota masyarakat akan terpelihara, seterusnya negara akan kekal dan bertambah makmur serta sentiasa diberkati Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A‘râf: 96)
Untuk mencapai matlamat ىٌّ ْيَفُـــوْر ى طَمِبَـــةى وَرَببـَلْـــدَة sebagaimana yang disebutkan terdahulu, setiap warga negara akan memperanankan dirinya mengikuti atau mengambil contoh teladan daripada pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya seperti pesanan Baginda:
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan yang demikian itu (mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Di samping itu juga, hendaklah sentiasa bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan menghindarkan daripada membantu melakukan perkara yang mengundang kepada maksiat yang boleh memberi padah kepada diri, agama dan masyarakat. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-M â’idah:2)
ISU-ISU LUPA DALAM SEMBAHYANG
Memang tidak dinafikan bahawa lupa itu sering terjadi pada manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan, sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Lupa itu berlaku dalam semua perkara termasuk lupa dalam sembahyang, umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.
1. Contoh-Contoh Lupa Syarat Sembahyang
Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang. Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu. Syarat sembahyang itu ada lima, iaitu mengetahui waktu sembahyang, menghadap qiblat, menutup aurat, suci daripada hadas dan suci daripada najis.
Antara contoh-contoh lupa melakukan syarat sembahyang itu seperti seseorang yang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Jika teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau tidak mandi wajib, maka sembahyang yang dikerjakan dalam keadaannya yang tidak suci itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) tetapi bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.
Demikian juga jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut. Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.
Apabila seseorang tidak mengetahui sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis, maka menurut fatwa al-Baghawi, diharapkan daripada kemurahan Allah agar tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa.
Jika terjadi syak pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhu ataupun tidak, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia syak pada asal bersuci sedang asalnya dia tidak bersuci. Adapun jika dia syak sama ada wudhunya batal ataupun tidak, maka sembahyangnya itu sah kerana dia syak pada batalnya wudhu sedangkan pada asalnya wudhunya itu masih ada.
2. Contoh-Contoh Lupa Rukun Sembahyang
Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:
i. Rukun qalbi: Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaitu niat. ii. Rukun qauli: Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbîratulihrâm dan membaca surah al-Fâtihah.
iii. Rukun fi‘li: Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, ruku‘ dan sujud.
Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang, sama ada tertib di antara rukun atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang. Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang, seperti mendahulukan membaca
at-ta‘awwudz itu diulang semula selepas membaca iftitâh, kerana at-ta‘awwudz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya. Demikian juga halnya tertib di antara sunat sembahyang dan rukun sembahyang, seperti mendahulukan membaca surah al-Qur’an sebelum membaca surah al- Fâtihah.
Sementara tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang. Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja, umpamanya didahulukan rukun fi‘li seperti sujud sebelum ruku‘ atau ruku‘ sebelum membaca surah al-Fâtihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.
Adapun jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi‘li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud ataupun didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan selawat sebelum membaca tasyahhud, maka tidaklah batal sembahyang itu akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (selawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya dan tanpa diulang semula yang kena dahului itu (tasyahhud).
Bagaimana pula keadaannya jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang? Untuk menjawabnya, eloklah disebutkan beberapa contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang seperti berikut:
i. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu adalah tidak dikira. Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan tidak senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.
Sebagai contoh hal di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang lupa membaca surah al-Fâtihah, kemudian teringat ketika sedang ruku‘. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al- Fâtihah dan ruku‘nya sebelum itu tidak dikira. Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.
Imam atau munfarid yang lupa melakukan ruku‘, kemudian teringat ketika sedang sujud, maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan ruku‘. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.
Demikian juga halnya jika timbul syak ketika ruku‘ sama ada dia telah membaca surah al-Fâtihah atau belum, maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fâtihah. Jika dia menunggu walaupun seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya. Berbeza halnya jika terjadi syak ketika sedang qiyâm (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fâtihah atau belum. Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.
ii. Ingat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak setelah sampai pada rukun sepertinya (seperti yang tertinggal atau yang disyaki itu), maka memadailah rukun sepertinya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Kemudian hendaklah dilakukan baki sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya, kerana perbuatan di antara rukun yang tertinggal dan rukun sepertinya itu tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.
Untuk jelasnya, imam atau munfarid yang tertinggal ruku‘ di rakaat pertama kemudian ingat ataupun terjadi syak ketika ruku‘ di rakaat kedua, maka memadailah ruku‘ rakaat kedua itu sebagai ganti ruku‘ rakaat pertama yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukan antara ruku‘ rakaat pertama dan ruku‘ rakaat kedua adalah tidak dikira. Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.
iii. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam
Jika ingat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam hal ini hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu ingat. Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbîratulihrâm atau rukun selain keduanya. Jika yang tertinggal itu niat dan takbîratulihrâm, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu. Adapun jika rukun yang tertinggal itu selain daripada niat dan takbîratulihrâm serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang Zuhur atau Asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?” Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘urf. Dii‘tibârkan kadar masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada khabar Zulyadain. Dalam khabar Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.
Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa satu rakaat. Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.
iv. Makmum Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila makmum teringat atau syak meninggalkan surah al-Fâtihah sebelum dia melakukan ruku‘ dan selepas imam telah ruku‘, maka hendaklah makmum membaca surah al-Fâtihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya. Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.
Sementara jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan surah al- Fâtihah selepas dia dan imam melakukan ruku‘, maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fâtihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
Adapun jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fâtihah, maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
Jika makmum itu teringat dia telah meninggalkan niat dan takbîratulihrâm, maka batal sembahyangnya. Demikian juga jika terjadi syak meninggalkan niat dan takbîratulihrâm dan berpanjangan syaknya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.
Dalam hal hukum sunat melakukan sujud sahwi pula, tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam. Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum. Lain pula halnya jika makmum itu terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.
Berlainan halnya apabila terjadi pada makmum syak dan berterusan syaknya itu sehingga selesai mengikuti imam, maka disunatkan bagi makmum itu melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang disyakinya itu. Ini kerana imam tidak lagi menanggung syaknya itu bahkan dia sendiri yang menanggungnya.
v. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbîh seperti katanya: “ َِ سُــبْح ََن” atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring). Bagi makmum perempuan pula sunat menepuk tangannya iaitu menepuk zahir tapak tangan kanan dengan batin tapak tangan kiri atau sebaliknya. Menurut ulama Syafi‘iyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian itu dengan niat bermain-main maka batal sembahyangnya.
Jika imam itu teringat rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya, maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut. Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.
Dalam keadaan ini, apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud), maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya akan tetapi hendaklah dia berniat mufâraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.
vi. Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat
Seseorang yang syak bilangan rakaat ketika dalam sembahyang, adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat, maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit, kemudian melakukan baki sembahyang dan sujud sahwi sebelum salam.
Jika teringat pada rakaat yang disyakinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi. Umpamanya di rakaat ketiga terjadi syak pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat, kemudian dia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat. Maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi. Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.
Adapun jika terjadi syak selepas memberi salam, sama ada syak pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya maka tidaklah syak itu memberi kesan apa-apa terhadapnya.
3. Contoh-Contoh Lupa Sunat Sembahyang
Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:
i. Sunat ab‘adh: Perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
ii. Sunat hai’ah: Perkara sunat yang tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
Sunat-sunat ab‘adh itu terdiri daripada:
a. Tasyahhud awal dan duduknya. b. Qunut Subuh, qunut Witir dan berdirinya. c. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal. d. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut. e. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir. f. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
Sunat-sunat hai’ah pula ialah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:
a. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbîratulihrâm, ketika hendak ruku‘, ketika bangkit daripada ruku‘ dan ketika bangkit dari tasyahhud awal. b. Membaca doa iftitâh. c. Membaca at-ta‘awwudz sebelum surah al-Fâtihah. d. Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fâtihah pada dua rakaat permulaan. e. Melafazkan takbîr ketika takbîr intiqâlât (takbîr perpindahan dari satu rukun ke satu rukun yang lain). f. Membaca tasbîh ketika ruku‘ dan sujud.
Berbalik kepada permasalahan apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya:
i. Lupa Melakukan Sunat Hai’ah
Jika perkara-perkara sunat hai’ah ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa, maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi. Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedang dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya. Lain pula halnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut.
ii. Lupa Melakukan Sunat Ab‘adh
Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘adh walau tertinggal lebih daripada satu, maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Umpamanya tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf “و” dalam ayat “ وأن ُممـدا رسول”, maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Demikian juga qunut Subuh atau qunut Witir (tidak termasuk qunut nâzilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf “ف” dalam ayat “ُإنك تَضى وال َضى علمك ”, maka disunatkan sujud sahwi.
iii. Ingat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang
Adapun jika teringat sunat ab‘adh yang tertinggal itu sebelum intishâb (had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fâtihah) atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud), maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘adh yang tertinggal itu.
Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishâb, maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal. Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang. Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi.
Demikian juga halnya jika seseorang tertinggal qunut kemudian dia menuju untuk melakukan sujud, lalu teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna, maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal. Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had ruku‘ (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu ruku‘.
iv. Ingat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang
Apabila teringat sunat ab‘adh yang tertinggal itu setelah intishâb atau sujud, maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘adh tersebut. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam. Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu.
Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal, kemudian teringat setelah dia sampai intishâb (berdiri tegak), maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal. Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya. Lain halnya jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.
Demikian juga dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.
v. Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘adh
Jika seseorang syak pada meninggalkan sunat ab‘adh, maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘adh.
Umpamanya terjadi syak pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.
vi. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘adh
Apabila imam tertinggal sunat ab‘adh kemudian teringat sebelum intishâb atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu, maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishâb atau sujud. Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufâraqah.
Umpamanya imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishâb (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum wajib mengikuti imamnya itu walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishâb.
Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat setelah imam intishâb, lalu imam kembali pada melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal, maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya. Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum. Pertama, hendaklah makmum itu mufâraqah (berpisah daripada mengikuti imam). Ataupun yang kedua, makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.
Jika dalam hal imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishâb, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut, maka batal sembahyang makmum itu. Lain halnya jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.
Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu intishâb sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.
4. Cara Mengerjakan Sujud Sahwi
Sujud sahwi hukumnya adalah sunat dilakukan apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.
Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang. Hanya ada pendapat mengatakan bahawa zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi itu ialah “سُـبْح ََن َ مَـن ال َـ ََِّـ َم ُ وَال ََسْـهُو”. Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.
Wajib berniat sujud sahwi, iaitu mengqashadkan dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.
Dengan penjelasan-penjelasan mengenai keadaan-keadaan lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.
KONSEP PAKAIAN DALAM ISLAM
Pakaian adalah di antara tiga perkara terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap orang dalam hidupnya selain daripada makanan dan tempat tinggal. Justeru kerana ia merupakan keperluan asasi, pakaian juga boleh menjadi ukuran keperibadian seseorang, sebagai simbol atau tanda dan lain-lain perlambangan.
Kriteria berpakaian itu tidak memadai hanya berdasarkan kebiasaan ukuran adat kerana adat boleh berubah, dan yang demikian, pakaian juga boleh berubah. Berapa banyak bentuk atau corak pakaian yang kalau dipakai dianggap tidak sopan tetapi sekarang ini menjadi popular.
Kalau begitu, ukuran agamalah yang dipakai bagi menentukan kriteria berpakaian. Corak dan fesyen tetap sahaja berbeza berdasarkan tempat dan zaman, yang penting pakaian itu menurut syara‘ menutup aurat biarpun dalam keadaan bersendirian. Antara maksud menutup aurat itu, selain menutup seluruh badan bagi wanita, pakaian itu longgar, tidak ketat, tidak jarang dan lain-lain.
Pendeknya pakaian itu bukan sahaja ada hubungan dengan agama, tetapi juga ada hubungan dengan maruah, budi pekerti dan ketertiban.
Ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai bagi seseorang boleh menjatuhkan maruahnya bahkan boleh menggugurkan orang itu daripada tuntutan hadir sembahyang berjemaah, sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang kitab Fath al-Mu‘în bahawa di antara perkara-perkara uzur berjemaah dan uzur sembahyang Jumaat ialah tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak kepada seseorang sekalipun telah mempunyai penutup auratnya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/79)
As-Sayyid al-Bakri pula menambah bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/79)
Pakaian semasa mengerjakan ibadat haji atau umrah telahpun ditetapkan kriterianya. Berpakaian sewaktu menunaikan sembahyang Jumaat sangat digalakkan dengan memakai yang indah-indah.
Dalil Menutup Aurat
Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadis. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri kamu seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu (semasa keluar hendaklah memakai pakaian yang sopan dan jangan mendedahkan aurat seperti cara kaum jahiliyah).” (Surah al-Ahzâb: 33)
Dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang lain:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah al-A‘râf: 26)
Firman Allah Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nûr: 31)
Sementara itu dalil daripada hadis yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bahz bin Hakim daripada bapanya dan daripada datuknya:
Maksudnya: “Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! (Kepada siapakah) daripada aurat kami boleh kami perlihatkan dan (kepada siapa) kami hindarkan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Peliharalah aurat kamu melainkan daripada isteri kamu atau hamba sahaya perempuan kamu”. Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula jika ada orang-orang berhimpun sebahagiannya dengan sebahagian yang lain?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kamu berdaya agar jangan dilihat aurat kamu oleh seseorang, maka janganlah pula dia (orang lain) itu melihat aurat kamu”. Dia berkata: “Saya bertanya: “Bagaimana pula jika seseorang itu bersendirian?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah itu lebih berhak dimalui daripada manusia.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Melalui dalil-dalil yang disebutkan, jelaslah bahawa agama Islam amat mengambil berat terhadap masalah aurat sehingga diterangkan dengan jelas sebagaimana ayat 31, surah an-Nûr di atas, dan lebih daripada itu kita juga digalakkan untuk menutup aurat dalam keadaan kita berseorangan meskipun di suatu tempat yang tertutup.
Tuntutan Berhias Dalam Sembahyang
Islam menuntut umatnya berhias dalam ibadat, lebih-lebih lagi ketika masuk ke dalam masjid dan bersembahyang. Tuntutan berhias ini telah dijelaskan dalam al- Qur’an sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).” (Surah al-A‘râf: 31)
Menurut kebanyakan ulama tafsir sebab turunnya ayat di atas (perintah berhias masuk ke masjid) adalah kerana orang-orang jahiliyah ketika hendak masuk ke Masjid al-Haram dan melakukan tawaf, mereka menanggalkan pakaian dengan bertelanjang. (Tafsîr al-Qurthubi: 4/189, Tafsîr ath-Thabari: 5/210-213, Tafsîr Ibnu Katsîr: 6/285-287)
Ayat di atas juga memerintahkan apabila masuk ke dalam masjid hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan elok sehingga terasa oleh diri sendiri bahawa begitulah yang sepatutnya diperbuat.
Ayat ini juga menjelaskan perintah berhias ketika hendak masuk ke dalam masjid bukan saja terhad ketika masuk ke Masjid al-Haram, bahkan semua masjid.
Sunat Memakai Pakaian Yang Terbaik Pada Hari Jumaat
Berhias ketika bersembahyang adalah sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, terutama pada hari Jumaat dan Hari Raya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan.” (Surah al-A‘râf: 26)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang lain:
Tafsirnya: “Pakailah pakaian kamu yang indah berhias.” (Surah al-A‘râf: 31)
Di samping itu sunat juga memakai bau-bauan (berharum-harum) kerana ia termasuk dalam kategori berhias. Begitu juga bersiwak (membersihkan gigi) kerana menggosok gigi itu penyempurnaan perhiasaan dan seutama-utama pakaian ialah yang berwarna putih. (Tafsîr Ibnu Katsîr: 6/286)
Mandi, memakai bau-bauan, berhias dan memakai pakaian yang terbaik sebelum mendirikan sembahyang Jumaat juga adalah disunatkan. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis riwayat Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memperelokkan mandinya, membersihkan dirinya, memakai pakaian yang baik dan memakai apa-apa yang ditetapkan oleh Allah kepadanya daripada bau-bauan ahli keluarganya, kemudian dia pergi menunaikan sembahyang Jumaat dan dia tidak melakukan perkara yang sia-sia dan tidak memisahkan di antara dua orang (yang sudah duduk berdekatan), maka diampunkan dosanya yang ada di antara Jumaat itu dengan Jumaat berikutnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam hadis yang lain riwayat Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma telah bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakian yang terbaik dan memakai bau-bauan jika ada, kemudian dia pergi untuk menunaikan sembahyang Jumaat dan tidak melangkah kepala orang lain, seterusnya dia menunaikan sembahyang yang ditetapkan oleh Allah kepadanya, selepas itu dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul sehinggalah dia selesai sembahyang, maka yang demikian adalah penghapus dosanya yang berlaku di antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam satu riwayat yang lain pula seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyediakan satu pakaian khas untuk bersembahyang. Perkara ini disebut dalam satu riwayat daripada ath-Thabarani dengan isnâd yang shahîh daripada Qatadah, daripada Muhammad bin Sirin bahawa sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu Tamim ad-Dari pernah membeli sehelai ridâ’ (selendang pakaian lelaki) dengan harga satu ribu dinar untuk dipakainya khusus ketika bersembahyang. (Tafsîr Ibn Katsîr: 6/287)
Berdasarkan hadis-hadis yang dibawakan di atas, tidaklah bertepatan dengan kehendak dan tuntutan syara‘ ketika menunaikan sembahyang hanya dengan memakai sehelai kain sahaja tanpa memakai baju sekalipun memakai pakaian yang lengkap itu bukan sebagai syarat sah atau tidaknya sembahyang.
Pembuka Pintu Kebaikan
Sifat manusia itu tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu salah satu agenda yang perlu tercatit dalam diari kehidupan sehariannya ialah taubat. Agenda taubat itu pula perlu dilaksanakan setiap hari tanpa bertangguh-tangguh, kerana perkara taubat itu amat besar dan amat penting sekali dalam perjalanan kehidupan seharian manusia, lebih-lebih lagi kalau dosa itu melibatkan hak orang lain seperti melakukan rasuah, melakukan kezaliman dan sebagainya, selain ianya sebagai suatu syariat yang wajib dilaksanakan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selaku hamba Allah yang dimuliakan oleh Allah Ta‘ala dengan mengampunkan dosa Baginda yang terdahulu dan yang akan datang, Baginda sendiri bertaubat setiap hari seratus kali, sebagaimana tersebut di dalam hadis shahîh, betapa kita hamba Allah yang biasa ini.
Taubat itu merupakan proses pembersihan diri daripada segala bentuk maksiat supaya menuju kehidupan yang jernih tanpa dosa. Taubat itu merupakan daya penggerak dalaman pada diri seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna.
Taubat itu juga adalah jalan keluar bagi orang yang kehilangan arah, tercari-cari jalan yang mana hendak dituju setelah tersesat kerana bergelumang dengan dosa, jalan berisi harapan yang mengembalikan kepercayaan kepada diri sendiri betapa kasih, rahmat dan keampunan Allah kepada hambaNya amat luas dan tidak terbatas. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53)
Seseorang yang telah melalui proses taubat dengan taubat nashûha, akan merasa diri dan hatinya lebih tenang, dengan itu akan mendorongnya untuk memperbaiki segala tingkah lakunya, gemar melakukan kebaikan dan benci kepada kemungkaran.
Al-Imam an-Nawawi mengatakan bahawa taubat itu ialah berhenti daripada melakukan dosa.
Al-Imam al-Ghazali pula menjelaskan bahawa taubat itu mengandungi pengertian yang tersusun daripada tiga unsur, iaitu: Ilmu, keadaan dan perbuatan.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘ilmu’ itu ialah mengetahui tentang besarnya bahaya dosa yang dianggap sebagai pemisah di antara hamba dengan setiap yang dicintai.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘keadaan’ itu pula ialah rasa pedih hati yang timbul daripada perbuatan yang menyebabkan terpisah dengan yang dicintai. Rasa pedih itu dinamakan penyesalan.
Sementara yang dimaksudkan dengan ‘perbuatan’ pula ialah meninggalkan dosa itu, sama ada pada masa sekarang mahupun pada masa akan datang, serta memperbaiki apa yang telah terlanjur di masa lalu. Sering juga taubat itu diertikan sebagai satu penyesalan semata-mata. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Penyesalan itu adalah taubat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat
Terdapat beberapa dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk langsung kepada ketetapan hukum wajib melakukan taubat, antaranya:
1. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan “taubat nashûha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah at-Tahrîm: 8)
2. Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nûr: 31)
3. Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: “Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
4. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
5. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh urusan dan kerja. Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Syarat Sah Taubat
Taubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan dengan lidah kalimat istighfâr ( اسـتغفر ) yakni “aku meminta ampun kepada Allah”, sedang hati tidak pernah menyesal dan tidak mahu berjanji untuk menjauhkan diri daripada maksiat.
Para ulama telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa syarat taubat yang mesti dipenuhi. Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat berikut:
1. Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:
i. Meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera. ii. Menyesali perbuatannya itu. iii. Membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
2. Andaikata hak-hak itu bersangkut-paut dengan hak anak Adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.
Para ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang disebutkan di atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada tujuan yang lain melainkan semata-mata kerana Allah Ta‘ala ataupun semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab Allah di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.
Contoh-Contoh Taubat Bukan Taubat
Jika ada orang bertaubat kerana sesuatu dorongan yang lain selain yang disebutkan di atas, umpamanya kerana takut kemudaratan akan menimpa dirinya, kehormatannya atau hartanya jika dia tidak bertaubat, maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras, merokok dan sebagainya kerana takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian itu tidak dinamakan sebagai taubat.
Begitu juga, menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan atau pangkat, maka itu tidaklah dinamakan sebagai taubat.
Sebagai contoh lagi, menyesali dan bertaubat daripada melakukan zina kerana takut malu kepada orang, tidak dinamakan yang demikian itu sebagai taubat.
Oleh yang demikian, taubat itu mestilah bertitik tolak daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah semata-mata, bukan kerana yang lain-lain.
Langkah-langkah Menuju Taubat Nashûha
Dalam menuju untuk mencapai taubat nashûha, pertama sekali sebagai asas, perlulah ada inisiatif tertentu yang mesti dilakukan oleh seseorang hamba Allah dalam mencari jalan yang dapat membantunya untuk membersihkan dirinya daripada sebarang dosa.
Terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk menjernihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa, di mana langkah yang dimaksudkan itu merupakan jalan cahaya yang telah ditunjukkan oleh al- Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya ialah:
i. Menghindari Tempat Maksiat
Hendaklah meninggalkan tempat yang boleh mendorong seseorang melakukan maksiat, kerana kehadiran seseorang itu di tempat yang boleh mendatangkan dosa adalah amat bahaya kepada dirinya, di mana situasi itu akan mudah mempengaruhi dan menjebaknya ke dalam perangkap dosa.
Al-Qur’an telah memberi petunjuk kepada kita supaya segera menghindari dan cepat beredar dari tempat yang berlaku kemungkaran. Cuba kita perhatikan firman Allah Ta‘ala di bawah ini:
Tafsirnya: “Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama-sama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau teringat (akan larangan itu).” (Surah al-An‘âm: 68)
Sesungguhnya antara hikmat mengapa Allah melarang kita duduk diam di tempat yang berlaku kemungkaran itu kerana ianya boleh mendatangkan mudarat dan bahaya yang besar. Oleh itu, menghindari tempat yang berlaku maksiat bererti kita telah melangkah menghampiri pintu taubat.
ii. Memilih Kawan Yang Baik Dan Menghindari Kawan Yang Tidak Baik
Memang tidak dinafikan, kawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kawannya yang lain. Hal ini disebabkan kawan adalah di antara orang yang paling rapat dengan seseorang dalam pergaulan sehariannya. Pengaruh yang tidak baik adalah lebih mudah memberi kesan, lebih cepat memberi tindak balas berbanding dengan pengaruh yang baik. Ini dapat dilihat daripada apa yang sering berlaku di mana-mana. Berapa ramai orang terjerumus ke dalam kancah dosa dan maksiat kerana terpengaruh atau dipengaruhi oleh kawan-kawannya?
Al-Qur’an al-Karim memberi gambaran kepada kita betapa buruknya akibat atau kesudahan yang menimpa kepada orang yang bersahabat dengan orang yang tidak baik sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul. Aduhai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (al-Qur’an) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” (Surah al-Furqân: 27-29)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi amaran tentang keburukan bersahabat dengan orang yang tidak baik, sebaliknya menganjurkan supaya memilih orang yang salih sebagai sahabat. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan kawan yang salih dan kawan yang tidak baik adalah seperti seorang pembawa minyak kasturi dan peniup puputan (alat untuk menghembus angin daripada buluh atau seumpamanya untuk menyalakan api) tukang besi. Maka pembawa minyak kasturi sama ada dia akan memberikan kepadamu atau engkau akan membeli daripadanya atau engkau akan mendapat aroma yang harum daripadanya. Sedang peniup puputan tukang besi sama ada dia akan menghanguskan pakaianmu atau engkau akan mendapat bau yang busuk.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika syara‘ menganjurkan memilih kawan daripada golongan orang yang baik akhlak dan orang yang salih, maka inilah antara jalan yang dapat membantu dan yang diperlukan oleh orang yang ingin mencapai taubat nashûha, kerana golongan sebeginilah yang akan membimbingnya ke jalan yang benar, yang akan mengingatkannya jika dia leka dan yang akan menasihatinya jika dia tersesat.
iii. Berjuang Menangkis Pujukan Syaitan
Syaitan adalah musuh utama yang nyata yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Oleh itu, bagi orang yang ingin mencapai taubat nashûha perlulah dia sentiasa berusaha melawan dan menangkis segala bisikan dan pujuk rayu syaitan.
Terdapat dua cara bagaimana untuk menangkis pujukan syaitan:
a. Menjaga hati supaya tidak lalai dan hanyut oleh bisikan syaitan. Hati perlu sentiasa dipandu dengan mengingati Allah. Inilah praktis yang diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka (dengan itu) mereka nampak (jalan yang benar).” (Surah al-A‘râf: 201)
b. Sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A‘r âf: 200)
iv. Sentiasa Menyesal Terhadap Dosa Yang Lalu
Penyesalan yang berterusan daripada seorang hamba yang bertaubat terhadap tindakan-tindakannya yang melibatkan dosa akan menjadi pemangkin kepada agenda taubatnya. Maka dengan itu dia akan sentiasa merasakan betapa keji dan buruknya maksiat itu, betapa besar kemurkaan Allah akan menimpa orang yang melakukannya. Tidak syak lagi, penyesalannya itu akan menjadi benteng kepadanya supaya dia sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya pada hari-hari yang mendatang.
v. Memperbanyak Istighfâr
Antara langkah yang terpenting untuk mencapai taubat nashûha itu ialah memperbanyakan istighfâr, iaitu memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kepentingan istighfâr dalam konteks ini dapat dilihat dari berbagai-bagai aspek seperti berikut:
a. Orang yang bertaubat jika dia memohon keampunan (beristighfâr) kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam istighfârnya nescaya Allah akan memberi keampunan kepadanya, kerana itu adalah janji Allah Ta‘ala kepada hambaNya yang benar-benar dan ikhlas memohon keampunan, sebagaimana tersebut di dalam beberapa ayat al-Qur’an antaranya:
Tafsirnya: “Dan beristighfârlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 199)
b. Ketahuilah bahawa sesungguhnya istighfâr itu boleh menjadi sebab untuk seseorang yang bertaubat itu dikurniakan ketenangan dan kejernihan dalam kehidupannya. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kepada kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang salih) akan pahala kelebihannya itu.” (Surah Hûd: 3)
c. Istighfâr boleh menjadi antara sebab yang terbesar untuk menolak atau menyelamatkan seseorang daripada azab dan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Tafsirnya: “Dan tidaklah pula Allah akan menyeksakan mereka sedang mereka beristighfâr (meminta ampun).” (Surah al-Anfâl: 33)
d. Melalui istighfâr akan dapat menimbul dan meningkatkan daya ketahanan diri orang yang bertaubat, sama ada kekuatan jasmani mahupun spiritual. Dengan demikian akan menjadikannya lebih bersikap positif, baik terhadap dirinya mahupun terhadap orang lain. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada.” (Surah Hûd:52)
e. Dengan melazimkan istighfâr akan dibukakan bagi orang yang bertaubat itu pintu-pintu rezeki yang luas, jalan keluar daripada segala bentuk kesempitan dan menjauhkannya daripada diliputi perasaan dukacita. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barang siapa yang tetap mengamalkan istighfâr (memohon keampunan) nescaya Allah akan membebaskannya daripada segala bentuk kesusahan, melepaskannya daripada segala bentuk kesempitan dan mengurniakannya rezeki yang tidak disangka-sangka. ” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
vi. Melakukan Amal Salih
Salah satu langkah untuk memperteguh kedudukan orang yang bertaubat supaya dia beroleh hasil dan tetap berdiri pada landasan taubatnya ialah dengan melakukan amal salih. Amal salih yang dilakukan oleh orang yang bertaubat merupakan bukti keikhlasan dan kesungguhannya dalam bertaubat dan juga menjadi penebus terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.
Selain itu, dengan melakukan amal salih Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menggantikan kejahatan yang telah dilakukannya dengan kebaikan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.” (Surah al-Furqân 70-71)
Dalam konteks ini juga Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam memberi petunjuk agar kesalahan dosa yang telah dilakukan dibersihkan dengan membuat perkara yang berkebajikan sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada dan susulilah kejahatan dengan melakukan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
vii. Berdoa
Doa merupakan senjata yang penting bagi orang yang hendak membersihkan dirinya daripada dosa, kerana kehidupan seseorang itu tidak akan terarah di atas landasan yang benar kecuali dengan taufiq dan hidayah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju jalan kebaikan, kemudian memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan rasa rendah diri dan takut, sesungguhnya Allah akan membimbingnya ke jalan petunjuk dan memeliharanya daripada kejahatan nafsu dan syaitan.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berdoalah kepadaNya (Allah) dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘râf 56)
viii. Muhâsabah diri
Antara langkah yang dapat membantu orang yang bertaubat supaya dia sentiasa bersungguh-sungguh dalam taubatnya ialah melakukan muhâsabah atau membuat penilaian terhadap dirinya. Dengan melakukan penilaian seperti itu barulah dia dapat mengetahui kedudukan amalan yang telah dilaksanakannya, sama ada baik atau masih ada lagi kekurangan-kekurangan yang perlu ditambah atau dibaiki. Tegasnya hendaklah dia berusaha sedaya upaya menjauhi tegahan Allah dan melaksanakan perintahNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menganjurkan setiap orang yang beriman supaya sentiasa membuat penilaian terhadap amalan yang telah dilaksanakan sebagai bekalan menuju Hari Akhirat sebagaiman firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah disediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr: 18)
Penutup
Taubat suatu syariat yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah-lengah. Ia mengandungi kemuliaan, keberkatan dan nilai yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala jika didasarkan semata-mata keranaNya.
Selain itu, taubat adalah jalan untuk menuju segala macam kebaikan, sama ada kebaikan dunia mahupun kebaikan akhirat. Justeru itu, adalah penting bagi setiap orang melazimkan diri dengan bertaubat pada setiap ketika demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
KUIZ ATAU LELONG MELALUI SMS: Adakah Ia Judi?
Kekayaan dan kesenangan adalah nikmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah yang bersifat ar-Râziq memberi rezeki kepada mereka yang dikehendakiNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah asy-Syûrâ: 19)
Banyak cara atau jalan untuk mendapatkan sumber rezeki, umpamanya bercucuk tanam, berniaga, mencari upah dan sebagainya selagi ia tidak melanggar batasan agama Islam. Tambahan lagi pada zaman serba canggih ini, cara atau jalan untuk mendapatkan rezeki cukup luas. Namun apa yang kurang menyenangkan, ada yang cuba mendapatkan rezeki itu dengan cara atau jalan yang salah tanpa mempedulikan halal haramnya asalkan matlamat mereka tercapai semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
Kadang-kadang cara mereka itu jelas salahnya seperti mencuri, menipu, berjudi, memeras ugut dan sebagainya. Bahkan ada juga yang cukup licik menutupi cara mereka supaya nampak seperti perbuatan itu tidak salah, sekaligus tidak mendatangkan keraguan kepada pelanggannya. Dengan cara itu mereka dapat mengaut keuntungan yang lebih hasil daripada tipu helah yang mereka lakukan.
Salah satu cara atau jalan yang salah itu ialah dengan berjudi. Judi memang perkara yang tidak asing lagi untuk didengar. Ia memang sudah wujud sejak zaman berzaman. Disebabkan arus kemodenan, kadang-kadang bentuk judi itu tidak jelas atau tidak ketara sebagai judi, padahal ia adalah judi atau menyerupai judi.
Judi Pada Pandangan Syara‘
Judi disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir. Al-Maisir merupakan suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu akan menerima atau mendapat taruhan tersebut.
Tersebut dalam kitab Rawâ’i‘ al-Bayân, bahawa setiap permainan yang membawa keuntungan pada satu pihak dan kerugian pada pihak yang lain adalah judi yang diharamkan.
Judi adalah amat dilarang oleh syara‘. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah: 219)
Berdasarkan ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa judi itu adalah dosa besar di samping juga mempunyai beberapa manfaat, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Dosa daripada judi itu menggambarkan akibat-akibat buruk yang timbul daripadanya.
Ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum judi itu sebagai salah satu dosa besar. Ia adalah daripada perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Mâ’idah: 90)
Di samping itu, judi juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Judi juga menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menunaikan sembahyang, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?).” (Surah al-Mâ’idah: 91)
Jumhûr ulama daripada empat mazhab berpendapat bahawa unsur penting daripada al-maisir itu adalah “taruhan”. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan ‘illah (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.
Perbezaan antara wang pertaruhan (kerana judi) dan jual beli ialah pertaruhan yang dibuat tidak ada gantiannya kerana orang yang membuat taruhan sama ada dia menanggung rugi ataupun untung. Hatta sekalipun untung, namun keuntungannya itu adalah daripada wang yang tidak halal, kerana diperolehi daripada hasil perjudian. Adapun dalam hal jual beli, penjual menjual barang kepada pembeli dengan mendapat imbalan sebagai ganti.
Oleh itu, dalam pertaruhan terdapat unsur ketidakadilan atau berat sebelah yang merugikan salah satu pihak. Perkara ini amat dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Setiap permainan yang ada unsur taruhan adalah judi. Umpamanya dalam perlumbaan kuda, para penonton akan diberi peluang untuk mendapatkan hadiah yang lumayan hasil daripada tekaan mereka terhadap pelumba mana yang akan berjaya dengan mempertaruhkan duit mereka. Contoh yang lain lagi, seperti bermain daun terup dengan mempertaruhkan duit atau sebagainya.
Contoh-contoh di atas memang jelas adalah judi. Bagaimana pula permainan yang mungkin tidak nampak atau samar-samar sama ada ia judi ataupun tidak? Kadang-kadang bentuk permainan itu ditutupi dengan slogan-slogan “amal” untuk kebajikan agar ia tidak kelihatan berunsur perjudian.
Judi Dalam Bentuk Terkini
Dalam kitab Tafsîr al-Manâr ada menyebutkan, bahawa terdapat di zaman sekarang jenis-jenis pertaruhan yang dipanggil sebagai al-yânashîb.
Al-Yânashîb adalah loteri. Penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan nombor dilakukan, pelanggan yang memiliki nombor tertentu (bertuah) sahaja akan memperolehi hadiah yang disediakan. Ini menunjukkan ada unsur-unsur mengambil harta orang dengan cara yang salah sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian.
Memakan harta orang lain dengan cara yang salah adalah haram, sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)
Apa yang popular dan laris masa kini, sebagaimana yang terpapar di akhbar-akhbar, iklan-iklan, kaca televisyen, radio dan sebagainya ialah tentang peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau short messaging service (SMS). Soalannya, adakah peraduan-peraduan seperti ini mengandungi unsur-unsur judi?
Eloklah dinyatakan contoh-contoh peraduan melalui SMS seperti berikut:
1. Permainan teka teki: Umpamanya pelanggan diminta meneka pemain terbaik dalam sesuatu perlawanan bola sepak. Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran umpamanya 50 sen atau lebih. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat akan mendapat hadiah.
2. Peraduan kuiz: Pelanggan diminta menjawab kuiz yang disediakan. Setiap kali jawapan dihantar melalui SMS dikenakan bayaran umpamanya 50 sen. Sesiapa yang paling banyak menjawab soalan dengan tepat akan mendapat hadiah.
Inilah antara contoh-contoh peraduan melalui SMS. Ia cukup mudah dan cepat dilakukan. Apabila kita lihat sepintas lalu, peraduan di atas cumalah sebagai permainan, untuk menguji minda pelanggan bagi mendapatkan hadiah. Akan tetapi, adakah terselindung di dalam peraduan itu sebarang unsur judi ataupun tidak?
Penganjur peraduan melalui SMS ini akan membuat perjanjian dengan penyedia khidmat SMS sebagai pengantara mereka. Dalam perjanjian itu, hasil pembayaran daripada setiap hantaran SMS akan dibahagi. Ini bererti selain daripada bayaran untuk penghantaran SMS, penyertaan bagi mengikuti peraduan tersebut juga dikenakan bayaran.
Mari kita bezakan contoh peraduan melalui SMS di atas dengan permainan-permainan yang memang terang ada unsur judi seperti berikut:
1. Tikam-tikaman: Pelanggan akan membeli kertas seperti tikam-tikaman yang mengandungi nombor atau gambar hadiah yang bakal dimenangi. Ini tertakluk kepada nasib pelanggan itu, kadang-kadang kertas yang dibeli itu kosong, sekaligus tidak memperolehi sebarang hadiah.
2. Cabutan nombor bertuah: Pelanggan terlebih dahulu membeli sesuatu seperti tiket dan dalam tiket itu tertulis nombor bersiri. Kemudian pelanggan yang nombornya kebetulan dicabut – dalam kes nombor bertuah hanya beberapa nombor sahaja yang akan dicabut - akan mendapat hadiah. Sementara nombor yang tidak dicabut tidak akan mendapat sebarang hadiah.
3. Soalan kuiz berbayar: Penganjur akan menyediakan soalan-soalan kuiz dengan mengenakan bayaran tertentu. Pelanggan yang menjawab kuiz dengan tepat sahaja boleh menyertai cabutan undi bagi memenangi hadiah yang disediakan.
Perbezaan yang kita nampak daripada ketiga-tiga contoh di atas dengan contoh peraduan melalui SMS, hanyalah pada tekniknya sahaja. Peraduan melalui SMS lebih mudah bagi pelanggan untuk menyertainya, tidak perlu susah payah membeli kertas kuiz atau nombor di kedai-kedai atau di tempat-tempat yang dikhaskan. Pelanggan hanya perlu mendail nombor telefon yang ditentukan bagi menghantar jawapan atau penyertaan melalui SMS kepada penganjur. Namun pada hakikatnya contoh peraduan melalui SMS tersebut adalah serupa sahaja dengan ketiga-tiga contoh yang bukan SMS di atas. Iaitu setiap penyertaan peraduan adalah dikenakan bayaran bagi membolehkan untuk mendapat hadiah yang juga tertakluk pada untung nasib. Maka jelaslah di sini, kesemua contoh-contoh yang disebutkan di atas ada persamaan dengan al-yânashîb (loteri).
Jualan Lelong Melalui SMS
Sebutannya adalah ‘jualan lelong’. Tetapi mari kita teliti beberapa contoh jualan lelong melalui SMS itu, seperti berikut:
1. Penganjur akan menawarkan beberapa barangan kepada pelanggan. Setiap kali pelanggan menaruh harga, dia akan dikenakan bayaran umpamanya 3 ringgit. Pelanggan yang paling banyak menghantar taruhan harga, dialah yang akan menerima barang tersebut.
2. Contoh yang hampir serupa dengan di atas: Penganjur menyediakan beberapa barangan lelong dengan menawarkan harga permulaan umpamanya 50 ringgit. Penganjur juga menetapkan bayaran umpamanya 3 ringgit bagi sekali tawaran yang dibuat oleh pelanggan. Ini bererti harga barangan lelong itu akan meningkat setiap kali tawaran dibuat sehingga sampai harga yang ditetapkan oleh penganjur atau setelah sampai tarikh tutupnya, ditambah lagi dengan bayaran 3 ringgit yang juga sentiasa bertambah pada setiap kali tawaran harga dibuat oleh pelanggan. Syarat bagi pemenang barangan lelong tersebut ialah siapa yang paling banyak membuat tawaran harga yang sekaligus paling banyak pula membayar tiga ringgit setiap kali menyebut tawaran harga.
Mari kita bezakan antara contoh jualan lelong melalui SMS dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘. Ia dipanggil al-muzayadah iaitu penjual menyebut harga barang yang dilelong, kemudian pembeli-pembeli yang berminat pada barang tersebut akan berlumba-lumba menyebut harga sehinggalah harga terakhir yang disebut oleh pembeli dan dia mengambil barang yang dilelong dengan membayar harga terakhir paling tinggi. Sementara pembeli-pembeli yang lain tidak dikenakan sebarang bayaran.
Di sini jelas menunjukkan jualan lelong melalui SMS itu berbeza dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘, kerana penganjur jualan lelong melalui SMS mengenakan bayaran kepada semua pelanggan setiap kali mereka menyebut harga dengan menghantarnya melalui SMS. Sedangkan tidak semua pelanggan itu akan memperolehi barang lelong tersebut bahkan mereka semata-mata rugi kerana turut membayar kepada penganjur setiap kali mereka menaruh harga.
Apabila kita lihat jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘ pula, bukanlah semua pembeli yang menaruh harga dikenakan bayaran melainkan hanyalah pembeli yang berjaya mendapatkan barangan lelong itu sahaja yang perlu membayar.
Di sini menunjukkan bahawa contoh-contoh jualan lelong melalui SMS yang disebutkan di atas terdapat unsur memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini kerana pelanggan yang tidak berjaya mendapatkan barang lelongan akan menanggung kerugian disebabkan mereka juga terpaksa membayar apabila membuat taruhan harga.
Oleh itu, hendaklah kita mengambil langkah berhati-hati dalam apa pun perkara yang hendak dilakukan. Kita nilai dulu halal, haram, baik dan buruknya perkara tersebut. Termasuk jika sesuatu itu ada kesamaran (syubhah), maka sayugia juga ia kita tinggalkan, sebagaimana petunjuk hadis yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda sambil an-Nu‘man memegang kedua belah telinganya: “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga diri daripada perkara syubhah, dia telah bebas (daripada kecaman) demi untuk agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram umpama penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, besar kemungkinan binatangnya akan masuk ke kawasan tersebut. Ingatlah! Setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah terlarang milik Allah adalah apa sahaja yang diharamkanNya. Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, tidak lain dan tidak bukan ia adalah hati.” (Hadis muttafaq ‘alaihi)
Apa-apa jua jenis peraduan atau permainan yang ada pertaruhan wang atau seumpamanya dan menyebabkan sebahagian pihak mendapat untung dan sebahagian yang lain lagi mendapat rugi adalah judi. Berdasarkan kriteria ini, maka peraduan melalui SMS sebagaimana contoh-contohnya di atas, adalah mengandungi unsur-unsur perjudian. Ini kerana setiap mereka yang menyertai peraduan itu dikenakan bayaran, sedangkan mereka belum pasti mendapat atau memperolehi hasil daripada peraduan itu atau ia hanya bergantung kepada nasib.
Demikian juga dalam perkara lelong yang tidak diharuskan oleh syara‘. Berhati-hatilah dengannya.
Oleh kerana liciknya peraduan-peraduan yang dianjurkan pada masa ini, maka peserta-peserta peraduan hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak kepada suatu mu‘âmalah yang tidak dibenarkan oleh syara‘.
AZAB KUBUR: Sabit Berdasarkan Al-Qur’an Dan Hadis
Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Manakala perkataan kubur pula bermaksud tempat menanam mayat. Jika disebutkan perkuburan bermakna tanah lapang, kawasan tempat menguburkan orang yang telah mati atau pemakaman.
Mayat sama ada ditanam, ditenggelamkan, terbakar jadi debu atau dimakan binatang; mereka disebut berada di alam barzakh. Maka pengertian kubur yang dikaitkan dengan kesenangan atau azab ialah alam kubur yang berada di antara alam kehidupan dunia dengan alam akhirat iaitu alam barzakh.
Alam Barzakh
Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh.
Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. (Ensiklopedia Islam: 3/8- 9)
Pengarang kitab Mu‘jam Alfâzh ash-Shawfiyyah menyatakan perkataan barzakh dari sudut bahasa ialah sekatan atau pemisah di antara dua perkara, seperti bercakap adalah pemisah di antara manusia dengan binatang. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.” (Surah ar-Rahmân: 19-20)
Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijâb) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga Hari Kiamat.
Jadi alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat sementara penghuni dunia untuk sampai ke Hari Kiamat.
Menurut al-Qurthubi ketika menafsirkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah al-Mu’minûn: 100)
Beliau menjelaskan bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Tafsir al-Qurthubi: 6/113)
Pengarang kitab Aqîdah al-Mu’min pula menyatakan tujuan wujudnya alam barzakh ialah untuk menghimpunkan semua roh dan bersiap sedia memasuki alam akhirat. Dengan kedudukannya yang seperti itu, maka alam barzakh berfungsi sebagai pendinding atau pemisah di antara dua kehidupan lain iaitu kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Dengan perkataan lain, alam barzakh ialah alam penantian atau ruang menunggu untuk masuk ke alam akhirat selepas kematian. (Halaman 409-501)
Dalil-Dalil Al-Qur’an Yang Menyatakan Azab Kubur
Pensabitan azab kubur di dalam al-Qur’an telah dijelaskan oleh para ulama tafsir yang mu‘tabâr lagi masyhur. Mereka itu termasuklah Imam al-Qurthubi, Ibnu Katsir, Imam Muhammad ar-Razi Fakhr ad-Din dan lain-lainnya yang menyebut perkara tersebut dan kewajipan beriman dengannya di dalam kitab-kitab mereka.
Ayat-ayat al-Qur’an yang menjadi bukti wujudnya azab kubur antaranya ialah:
1. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Thâhâ: 124)
Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhum perkataan َ ِّ ضـ (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahîh. Telah disebutkan dalam kitab at-Tadzkirah, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Disempitkan kubur orang kafir itu sehingga tulang-tulang berselisih.” (At-Tadzkirah:151-152 & al-Qurthubi: 6/3307)
2. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya Kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya.” (Surah Ghâfir: 46)
Ayat di atas menceritakan tentang berlakunya pendedahan bahan-bahan api neraka di alam barzakh. Perkara ini bertepatan dengan pendapat jumhûr ulama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi bahawa bahan-bahan api neraka yang didedahkan pada waktu pagi dan petang itu berlaku di alam barzakh. Sebahagian ahli ilmu pula menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Mereka mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’an, al-Qurthubi: 8/4415-4416)
Imam Ibnu Katsir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh. Beliau berkata:
Ertinya: “Ayat ini adalah sebenar-benar sumber mengenai pensabitan Ahli Sunnah terhadap berlakunya azab kubur di alam barzakh.” (Tafsîr al-Qur’an al- ‘Azhîm oleh Ibnu Katsir: 12/193)
3. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka ditenggelamkan (dengan bah taufan), kemudian (pada Hari Akhirat) dimasukkan ke dalam neraka.” (Surah Nûh: 25)
Al-Qurthubi menafsirkan perkataan “dimasukkan ke dalam api neraka” iaitu selepas mereka (kaum Nabi Nuh ‘Alaihissalam) ditenggelamkan. Berkata al- Qusyairi:
Ertinya: “Inilah bukti (berlakunya) azab kubur (yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh ‘Alaihissalam, ditenggelamkan dengan bah taufan dan pada Hari Akhirat dimasukkan ke dalam api neraka).”
Dengan perkataan lain sebagaimana riwayat Abu Rauq daripada ad-Dahhaq bahawa di dunia mereka diazab dengan api neraka sekaligus ditenggelamkan. Yakni mereka itu ditenggelamkan pada satu sudut dan pada sudut yang lain mereka dibakar di dalam air lautan. (Al-Qurthubi: 9/5187-5188)
Imam an-Nasafi menjelaskan bahawa mereka (kaum Nabi Nuh ‘Alaihissalam) ditengelamkan dengan bah taufan dan dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan oleh kesalahan-kesalahan mereka yang banyak. Huruf fa’ dalam ayat ُـأ خلوا ialah لإل ـذان (untuk pemberitahuan) iaitu mereka diazab dengan api neraka ketika ditenggelamkan. Inilah dalil dan bukti wujud dan sabitnya azab kubur. (Tafsîr an-Nasafi: 4/297)
4. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut.” (Surah ath-Thûr: 47)
Al-Qurthubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (At-Tadzkirah fi Ahwâl al-Mautâ wa Umûr al-Âkhirah: 152 & al-Qurthubi: 9/4786).
Ini kerana Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: “(Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa.” (Surah ath-Thûr: 45)
Menurut beliau (al-Qurthubi) hari yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah hari terakhir di dunia. Ini adalah bukti bahawa azab yang dihadapi (di dunia) itu ialah azab kubur. (At-Tadzkirah: 152) 5. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).” (Surah at-Takâtsur: 1-4)
Imam al-Qurthubi menyatakan bahawa surah di atas mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan Ahli Sunnah wal Jama‘ah. (At-Tadzkirah: 152 & al-Qurthubi: 10/5540- 5541)
Ibnu Jarir ath-Thabari pula menjelaskan ayat حــ َّت زرا املَــَبر (sehingga kamu masuk kubur) sebagai dalil atau bukti keshahîhan wujudnya azab kubur. Perkara ini disebut dalam beberapa riwayat, antaranya riwayat daripada Zirru bin Hubaisy, daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Kami masih ragu tentang azab kubur, lalu turunlah surah at-Takâtsur.” (Jâmi‘ al-Bayân li Ibn Jarir ath-Thabari: 15/362)
Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Berita dan khabar yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersumber daripada wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, setiap hamba Allah Ta‘ala wajib mempercayai dan beriman dengannya. Inilah i‘tiqâd orang-orang Islam.
Maka banyak hadis-hadis shahîh yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat hadis yang masyhur seperti al-Bukhari dan Muslim yang secara terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur, antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba”. Lalu Baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian?” Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata: “Telah datang kepadaku dua orang tua Yahudi Madinah sambil berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya ahli kubur itu diazab dalam kubur-kubur mereka”. ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menjawab: “Kamu berdua berbohong dan aku tidak mempercayai kamu”. Lalu kedua orang tua Yahudi itu pun keluar. Tatkala masuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulallah! Sesungguhnya dua orang tua Yahudi Madinah telah berjumpa aku dan keduanya menyangka bahawa ahli kubur itu diazab di dalam kubur-kubur mereka”. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Benar kata-kata kedua orang Yahudi itu, sesungguhnya mayat-mayat itu diazab sehingga didengar akannya oleh sekalian binatang”. (‘Aisyah Radhiallahu ‘anha) berkata: “Aku tidak melihat Baginda selepas sembahyang kecuali (berdoa) memohon perlindungan daripada azab kubur.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Daripada riwayat Abu Ayyub katanya:
Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
4. Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
5. Dalam riwayat Imam Muslim:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya.” (Hadis riwayat Muslim)
6. Daripada Zaid bin Tsabit menceritakan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi beberapa kubur, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat yang dikuburkan ini?” Seorang lelaki menjawab: “Saya”. Baginda bertanya: “Bilakah mereka mati?” Lelaki itu menjawab: “Mereka mati ketika dalam kafir”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan azab kubur sebagaimana aku mendengar daripada kubur-kubur ini”. Kemudian Baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Baginda bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka jelas daripada segala hadis yang shahîh di atas bahawa azab kubur adalah sabit dan benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak aqidahnya.
Al-Imam al-Qadhi Ali bin Abu al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh Thahawiyyah berkata: “Dan telah mutawâtir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta perkara dua malaikat. Maka wajib beri‘tiqâd akan sabitnya yang demikian itu.” (Syarh al-‘Aqîdah ath-Thahawiyyah: 2/456)
Adakah Azab Kubur Berterusan Atau Sebaliknya?
Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa azab itu ada dua macam iaitu azab yang tetap (امـم ) dan azab yang terputus (مَِّطـع ). Azab yang tetap berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh).” (Surah Ghâfir: 46)
Walau bagaimanapun dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala azab boleh diringankan berdasarkan beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba”. Lalu Baginda mengambil pelepah buah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian?” Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Riwayat daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang kamu meninggal dunia akan dibentangkan kepadanya tempat duduk pada waktu pagi dan petang. Sekiranya dia ahli syurga maka dia adalah penghuni syurga dan sekiranya dia ahli neraka maka dia adalah penghuni neraka. Lalu dikatakan kepadanya: “Inilah tempat dudukmu sehingga Allah membangkitkan engkau semula di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Manakala azab yang putus ialah seseorang yang diazab dengan api neraka pada suatu waktu yang ditentukan kemudian dia dikeluarkan semula daripada azab tersebut. Sebagai contoh seseorang yang diazab disebabkan dosanya kemudian dia dikeluarkan atau diringankan daripada azab tersebut disebabkan oleh doa, pahala sedekah, pahala haji atau pahala bacaan al-Qur’an yang sampai kepadanya oleh sanak keluarga atau orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.” (Surah al-Baqarah: 255)
Ibnu Abu ad-Dunia menyebutkan sebuah cerita Abdullah bin Nafi‘ katanya: “Telah mati seorang lelaki daripada orang Madinah lalu aku melihat dia seolah-olah sebagai ahli neraka dan dia sangat berdukacita kerana yang demikian itu. Kemudian selepas beberapa ketika aku melihatnya pula seolah-olah sebagai ahli syurga. Lalu aku bertanya: “Tidakkah engkau berkata bahawa engkau tergolong daripada ahli neraka?” Dia menjawab: “Sememangnya begitu (sebagaimana yang aku katakan kepadamu) kecuali setelah dikuburkan bersama-sama kami ini seorang yang salih dan kerananya telah mendapat syafaat seramai empat puluh orang di sekeliling kuburnya dan aku termasuk daripada mereka yang mendapat syafaat itu.”
Inilah ringkasan perkataan Ibnu Qayyim di dalam kitabnya ar-Rûh mengenai persoalan azab kubur itu berterusan atau sebaliknya. (Ar-Rûh: 107-109)
Kedudukan Hadis Âhâd Dalam Hujjah
Ada sebahagian orang yang mendakwa bahawa azab kubur tidak sabit kerana hadis-hadis yang mengkhabarkan keshahîhan azab kubur adalah hadis âhâd.
Al-‘Allamah al-Kautsari berkata: “… Kemudian memakai hadis âhâd pada dalil hukum syara‘ adalah sabit dan nyata dengan disokong oleh dalil-dalil qath‘i dan pemutus bahawa hadis âhâd memberi ilmu yakin, betul benar isi kandungannya tiadalah ada ragu-ragu padanya walaupun ia dinamakan hadis tunggal (âhâd), bagaimana telah ditegaskan oleh al-Imam Abul Hasan al-Karkhi dan as-Sam‘ani dalam kitab al-Qawâthi‘, al-Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustashfâ dan al- Imam Abul Aziz al-Bukhari dalam kitab Syarh Ushûl Fakhr al-Islâm.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 4/90 (Fatwa Berturut Bil: 71)
Menurut pengarang kitab al-Aqidah al-Islâmiyyah wa Ususuha bahawa kebanyakan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sampai kepada kita ialah menerusi jalan âhâd. Jika hadisnya shahîh, ia membawa ilmu zhanni kepada periwayatannya. Ini memberi faedah bahawa ia difahami pasti datang daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi tidak seperti aqidah kita kepada mutawâtir. Walaupun begitu, sesetengah hadis âhâd yang mengandungi persoalan aqidah ada yang diterima umat Islam pada zaman awal Islam dengan penerimaan sepenuhnya tanpa bantahan. Hadis âhâd seperti ini meningkat ke taraf “riwayat mutawâtir” dengan mengambil kira kandungannya telah diambil dan diterima pakai umat Islam tanpa bantahan. Dengan itu hadis âhâd seperti ini jadilah “mutawâtir ma‘nâ”, dan dari itu pula ia membawa faedah yang sama pada riwayat “mutawâtir lafzhi.” (Abdul Rahman Hanakah al-Midani: h.37)
Imam Syafi‘e Rahimahullah telah mensabitkan bolehnya berhujjah dengan hadis âhâd sebagaimana terdapat banyak tempat di dalam kitab-kitab beliau khasnya ketika dalam perbahasan atau munazzah. Hadis âhâd dipakai beliau apabila hujjah yang diperlukan tidak dijumpai dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘ atau yang semakna dengannya.” (Ar-Risâlah: 596-598 & Abu Zuhrah, asy-Syafi‘e: 308)
Al-Baqilani pula berkata: “Adalah wajib mengamalkan hadis âhâd jika perâwinya bersifat ‘âdil dan tidak bertentangan dengan nash yang lebih kuat daripadanya …” (Al-Baqilani, At-Tamhîd: 164)
Penutup
Berdasarkan fakta atau hujjah daripada al-Qur’an, sunnah dan perkataan ulama adalah sabit wujudnya azab kubur. Al-Imam al-Qadhî Ali bin al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Aqîdah ath-Thahawiyyah menyebutkan bahawa telah mutawâtir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta soal dua malaikat. Maka wajib beri‘tiqâd akan sabitnya yang demikian dan beriman dengannya. Janganlah kita persoalkan atau bercakap mengenai kaifiyyah (caranya) kerana akal tidak akan berhenti pada memikirkannya.” (Syarh al-‘Aqîdah ath-Thahawiyyah: 456)
Imam Abu Hanifah pula menyebutkan di dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar bahawa sempitnya kubur dan azab kubur itu adalah benar kepada mayat kafir sekaliannya dan sebahagian daripada yang derhaka daripada orang-orang yang beriman.
Maka ada pula dakwaan sesetengah penganut agama dan fahaman yang menyeleweng yang menyangka apabila jasad manusia dibakar dengan api sehingga menjadi abu atau ditenggelamkan ke dasar laut, jasad itu terlepas daripada azab barzakh iaitu azab kubur. Perkara ini telah disangkal dan ditolak oleh al-Imam al- Qadhî Ali bin al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Aqîdah ath-Thahawiyyah katanya:
“Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka sesiapa yang telah mati adalah berhak bagi azab yang tertentu ke atasnya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan, yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu dan diterbangkan ke udara, atau disalib atau tenggelam di laut, nescaya sampailah kepada roh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan.” (Syarh al-‘Aqîdah ath- Thahawiyyah: 457).
Daripada hujjah dan keterangan ini, maka tertolaklah segala pendapat dan anggapan orang yang mengingkari azab kubur sebagaimana pada akhir-akhir ini turut menyaksikan adanya pendapat dan anggapan yang sedemikian daripada penulis-penulis yang bertopengkan Islam tetapi sebenarnya mengingkari ajaran Islam.
ELOKKAN TEMPAT SERTA SUASANA BERDOA DAN BERZIKIR
Orang yang ingin mencapai kesempurnaan iman tentu sekali tidak mahu terlalai atau dilalaikan oleh sesuatu daripada berzikir dan berdoa. Zikir dan doa yang dipanjatkan kepada Allah merupakan ibadat serta sumber keberkatan dan kebaikan di dunia dan di akhirat.
Dorongan Melakukan Zikir
Banyak dalil syara‘ yang menjelaskan tentang dorongan melakukan zikir, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Oleh itu, berzikirlah (ingatlah) kamu kepadaKu, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (Surah al-Baqarah: 152)
Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! (Untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbîhlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzâb: 41-42)
Di dalam ayat yang lain lagi Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu di dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘râf: 205)
Dorongan Berdoa
Doa pula adalah termasuk dalam kategori zikir. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya memohon atau meminta dengan berdoa kepadaNya; segala hajat dunia dan akhirat sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Dan berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Mu’min: 60) Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.” (Surah al-A‘râf 55)
Di samping itu, zikir dan doa selain dilakukan secara berseorangan ianya juga dilakukan secara beramai-ramai atau berjemaah. Terdapat beberapa dalil yang menyebutkan secara khusus tentang kelebihan berzikir secara beramai-ramai itu, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis shahîh, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Satu kaum itu tidak duduk bersama-sama berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla melainkan para malaikat hadir mengelilingi mereka sedang rahmat meliputi mereka, dan ketenangan turun ke atas mereka, manakala Allah pula menyebut-nyebut mereka itu kepada sesiapa yang berada di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada hadis di atas, jelas bahawa orang yang berkumpul pada majlis zikir memperolehi empat keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain; Malaikat Rahmat turun mendampinginya, rahmat meliputinya, ketenangan menyelubunginya dan namanya akan disebut-sebut Allah di kalangan makhluk-makhluk yang berada di sisiNya.
Kemuliaan Zikir Mesti Dipelihara
Oleh kerana doa dan zikir itu adalah ibadat di mana seseorang hamba bermunâjât kepada Tuhannya Allah ‘Azza wa Jalla, maka perlulah dipelihara dan diambil perhatian dengan bersungguh-sungguh segala adab-adabnya demi memelihara kemuliaan, kehormatan zikir dan doa itu supaya mudah diterima dan dimakbulkan.
Salah satu adab yang perlu diberi perhatian dengan sungguh-sungguh ialah tempat serta suasana berzikir dan berdoa itu hendaklah dipilih pada yang elok dan sesuai dengan kemuliaannya.
Dalam hal ini, al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala ada menjelaskan, hendaklah tempat berzikir itu bersih dan tenang daripada sebarang gangguan, kerana yang demikian itu lebih diberi perhatian demi menjaga kemuliaan zikir dan lebih-lebih lagi kemuliaan yang diingati iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu, berzikir di masjid dan di tempat-tempat yang mulia adalah suatu perkara yang terpuji. Al-Imam al-Jalil Abu Maisarah Radhiallahu ‘anhu berkata:
Ertinya: “Tidak disebut nama Allah Ta‘ala kecuali pada tempat yang baik.”
Menurut Ibnu ‘Allan, apa yang dimaksudkan dengan “tempat yang baik” itu ialah tempat yang bebas daripada perkara syubhah (yang tidak jelas halal dan haramnya), apatah lagi yang diharamkan yang boleh mengganggu gugat hati orang yang berzikir, lebih-lebih lagi perkara-perkara yang mendatangkan dosa. (Al- Futûhât ar-Rabbâniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah: 1/142)
Jangan Dicampuradukkan Zikir Dengan Perkara Mungkar
Kedudukan doa dan zikir itu sangatlah mulia. Oleh kerana itu janganlah ia dilakukan hanya sebagai adat, tradisi atau memenuhi acara sesuatu majlis. Ia adalah ibadat untuk meraih pahala dan menzahirkan kesyukuran kepada Pensyariatnya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Mungkin inilah sebabnya mengapa ada orang tidak merasa janggal dan tidak merasa bersalah apabila mencampuradukkan sesuatu yang mungkar dalam majlis doa atau zikir.
Bagaimana untuk mencari keberkatan sedang majlis itu berisi dengan perkara mungkar? Ada permainan judi, nyanyi-nyanyian asmara, bunyi-bunyian muzik yang dilarang oleh syara‘, makan minum yang haram atau di dalamnya ada patung-patung untuk disembah atau dipuja dan sebagainya. Semuanya ini menyebabkan Malaikat Rahmat tidak akan hampir kepada perkumpulan atau majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran-kemungkaran itu.
Tersebut dalam suatu riwayat bahawa pada suatu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berada di dalam majlis. Baginda menghalakan pandangan Baginda ke langit, lalu Baginda menundukkan pandangannya, kemudian mengalihkannya kembali ke atas. Maka Baginda ditanya oleh para sahabat mengapa Baginda berbuat begitu, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Baru saja tadi, kaum itu berzikir mengingati Allah (di satu majlis di hadapan Baginda) sehingga para Malaikat Rahmat turun membawa sakînah (ketenteraman) bagaikan sebuah kubah untuk mereka. Ketika malaikat itu sudah dekat kepada mereka, seseorang daripada mereka pula mengucapkan kata-kata bâthil (sia-sia), maka malaikat itu lari menjauhi mereka.” (Al-Futûhât ar-Rabbaniyyah ‘alâ al- Adzkâr an-Nawawiyyah: 1/105)
Riwayat ini menceritakan bahawa majlis yang terdapat di dalamnya zikir dan pada masa yang sama terdapat juga perkara yang bâthil tidak akan dihampiri oleh Malaikat Rahmat. Ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sesuatu yang baik itu jika dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka perkara yang baik itupun turut tidak bernilai dan menjadi sia-sia.
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Fatâwâ al- Hadîtsiyyah pernah ditanya tentang kedudukan hukum mengadakan perkumpulan majlis maulid, zikir dan sembahyang Tarawih, di mana dengan adanya perkumpulan tersebut terjadi perkara yang tidak disukai pada pandangan syara‘ seperti percampuran di antara lelaki dan perempuan di luar batasan yang dibenarkan oleh syara‘.
Beliau menjawab: “Apabila terdapat sesuatu yang diharamkan pada perkumpulan majlis zikir, sembahyang Tarawih atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang mempunyai kuasa menegah perkara itu dan bagi yang tidak mempunyai kuasa wajib ke atasnya menegah dirinya daripada hadir ke majlis berkenaan. Jika tidak, maka dia dianggap bersubahat dengan mereka. Al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafi‘e Rahimahumallahu Ta‘ala dengan jelas menyatakan bahawa duduk bersama dengan orang-orang fâsiq itu kerana untuk mengambil hati mereka adalah dianggap perbuatan maksiat.”
Ibnu Hajar juga menjelaskan, sesuatu yang dilarang oleh syara‘ itu sungguhpun kecil atau sedikit tidak ada kelonggaran untuk meringan-ringankannya, sebagaimana jelas dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Maka apabila aku menegah kamu daripada melakukan sesuatu maka hindarilah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu membuat sesuatu perkara maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, berdasarkan apa yang difatwakan oleh Ibnu Hajar di atas, jelas bahawa sungguhpun majlis zikir atau doa itu suatu yang baik dan digalakkan pada pandangan syara‘, akan tetapi ianya tidak boleh bercampur aduk dengan apa juga perkara yang ditegah oleh syara‘. Menghadirkan diri dalam majlis seperti itu dianggap berdosa kerana bersubahat dengan orang-orang fâsiq. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bertolak ansur dan melarang secara tegas daripada melakukan perbuatan haram dalam apapun bentuknya. Dalam kaedah fiqh juga ada menyebutkan:
Ertinya: “Menolak kerosakan itu adalah lebih diutamakan daripada mendatangkan mashlahat.”
Penebus Dosa Sesuatu Majlis
Sebagai bekalan dan ingatan bersama, sebelum meninggalkan majlis adalah elok mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai penebus apa-apa kesalahan yang mungkin terjadi pada majlis itu. Tentulah majlis yang dimaksudkan di sini ialah majlis zikir, majlis berkebajikan dan seumpamanya.
Diriwayatkan daripada Abu Barzah al-Aslami Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di saat akhir apabila Baginda hendak berdiri meninggalkan majlis, Baginda mengucapkan:
Maksudnya: “Maha suci Engkau ya Allah dan dengan segala pujian bagiMu, aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Lalu seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, Tuan mengucapkan kata-kata yang belum pernah Tuan ucapkan sebelum ini”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ucapan yang demikian ialah penghapus kesalahan yang terjadi dalam majlis.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Penutup
Allah Subhanahu wa Ta‘ala mensyariatkan zikir dan doa itu sebagai ibadat. Orang yang melakukan zikir dan memanjatkan doa itu akan diberi ganjaran pahala. Oleh kerana kedudukannya sebagai ibadat, kemuliaan dan kehormatannya mestilah dijaga dan dipelihara agar zikir dan doa itu mudah terangkat dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Maka meletakkan zikir dan doa hanya sebagai memenuhi acara sesuatu majlis atau tradisi dan adat kebiasaan semata-mata adalah tidak menepati kehendak syara‘.
MENAMBAK KUBUR: Hukum Dan Beberapa Perkara Mengenai Kubur
Anak yang salih akan sentiasa berusaha membuat kebajikan kepada kedua ibu bapanya, sekalipun mereka telah meninggal dunia. Sebenarnya hubungan antara kedua ibu bapa dengan anak tidak akan putus.
Islam sangat menganjurkan agar anak-anak sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan kepada kedua ibu bapa mereka sama ada semasa hidup atau selepas kematian mereka. Antara yang disebut oleh agama sebagai salah satu sumber pahala kepada kedua ibu bapa yang terus mengalir dan tidak putus-putus ialah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila meninggal dunia seseorang itu, maka terputuslah daripadanya segala amalnya kecuali tiga perkara (iaitu) sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat atau anak salih yang sentiasa mendoakan baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Atas dasar ingin berbakti itulah ada anak-anak yang akan melakukan sesuatu yang pada anggapan mereka sangat baik untuk kedua ibu bapa mereka yang meninggal. Antaranya ialah menambak kubur kedua ibu bapa. Namun, hukum menambak ini mungkin tidak begitu jelas bagi kebanyakan orang berbanding dengan hukum membina rumah atau kubah untuk si mati. Persoalan menambak kubur inilah yang ingin kita bincang dan perjelaskan dalam tajuk ini.
Perkataan menambak bererti membina, membuat benteng atau membentengi dengan tambak pada sesuatu. Manakala penambak pula ialah sesuatu yang dijadikan tambak seperti batu, tanah, simen dan lain-lain.
Sementara kubur ialah tanah yang digali dengan bentuk dan ukuran tertentu untuk menutupi atau mengebumikan mayat.
Perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:
1. Tanah kubur yang diwaqafkan kerana kubur orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.
2. Tanah kubur yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk-penduduk di kawasan itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun menurut pengarang Hâsyiah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain mengebumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh, dan tanah itu tidak digunakan lagi untuk mengebumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.
3. Tanah mawât, iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut atau tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.
Alhamdulillâh, di Negara Brunei Darussalam tanah perkuburan orang-orang Islam dijaga dan dipelihara sebagaimana tuntutan syara‘. Bahkan ada kawasan (harîm) kubur dikelilingi dengan pagar. Manakala di sebahagian tanah-tanah perkuburan orang Islam itu disediakan pekerja-pekerja untuk menggali liang lahad dan membersihkan kawasan-kawasannya.
Hukum Menambak Kubur
Di Negara Brunei Darussalam tanah-tanah perkuburan orang-orang Islam disediakan oleh pihak Kerajaan. Tanah-tanah perkuburan seperti ini dipanggil tanah perkuburan awam atau disebut juga kubur musabbalah.
Adalah dimaklumi keprihatinan ahli-ahli waris si mati membisaikan atau memperelokkan kubur-kubur keluarga masing-masing dengan menambak kubur-kubur dengan batu atau simen sama ada berbentuk kekal atau sementara (tambak itu boleh dibuka pada bila-bila masa dikehendaki). Selain menambak kubur, ada juga ahli waris membuat tembok kecil daripada batu mengelilingi kubur bagi kemudahan ahli keluarga dan waris si mati untuk duduk ketika menziarahi kubur. Perbuatan seperti ini pada pandangan mata kasar adalah suatu perbuatan yang tidak bertentangan dengan syara‘. Persoalannya betulkah begitu? Apakah kata-kata ulama mengenainya?
Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: “Makruh mengecat kubur, membina bangunan dan menulis di atas kubur. Jika dibina bangunan di atas kubur orang awam (musabbalah) hendaklah dirobohkan.” (Minhâj ath-Thâlibîn, hlm: 360)
Walau bagaimanapun menurut an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa membina bangunan di atas kubur adalah haram:
Ertinya: “Berkata sahabat-sahabat kami Rahimahullah: “Tidak ada perbezaan antara membina bangunan (di atas kubur) sama ada membina kubah, rumah atau seumpama keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika kubur itu kubur musabbalah (kubur orang awam) adalah haram di atasnya berbuat demikian…. Jika sekiranya kubur itu milik persendirian adalah harus membina bangunan dan tidak perlu dirobohkan, (hanya perbuatan demikian) dihukumkan makruh.” (Al- Majmû‘: 5:260)
Untuk lebih jelas, huraiannya adalah seperti berikut:
1. Jika kubur itu tanah perkuburan orang awam atau disebut juga kubur musabbalah adalah haram didirikan sebarang binaan di atasnya, sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentengi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekeliling kubur berkenaan).
2. Jika kubur itu tanah milik khas baginya adalah makruh sahaja membina sebarang binaan di atas kubur berkenaan.
Hukum haram mendirikan bangunan atau binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadis Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada mengkapur (mengecat) kubur dan duduk di atasnya serta mendirikan binaan di atasnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Menurut kitab I‘ânah ath-Thâlibîn pula makruh membangun atau membina tembok sama ada di bawah (liang kubur) atau di atasnya (timbunan tanahnya) kerana ada hadis shahîh (hadis Jabir Radhiallahu ‘anhu di atas) yang melarangnya tanpa suatu hajat atau keperluan seperti dibuat tembok kerana takut digali atau terkena banjir. Sekiranya membangun atau membina tembok (tambak) di atas tadi tanpa hajat atau keperluan khasnya di tanah perkuburan orang awam (musabbalah), maka hukumnya haram dan wajib dirobohkan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/188) Nashnya adalah seperti berikut:
Ertinya: “(Dan dimakruhkan membina tembok baginya) iaitu di dalam kubur (atau di atas timbunan tanahnya) kerana ada hadis shahîh yang melarangnya, tanpa suatu hajat atau keperluan seperti takut digali atau digali oleh binatang atau runtuh kerana banjir. Makruh membangun sedemikian itu jika tanah kubur adalah miliknya sendiri. Apabila membina tembok (di dalam kubur atau di atas timbunan tanah kubur berkenaan) tanpa hajat atau keperluan seperti di atas atau membina kubah di atas kubur di tanah perkuburan orang awam (musabbalah) iaitu tanah yang disediakan oleh penduduk suatu negeri bagi mengebumikan mayat …, adalah haram dan wajib dirobohkan kerana bangunan tersebut berbentuk kekal setelah mayat-mayat hancur luluh. (Bangunan itu juga) menyempitkan kawasan tanah perkuburan bagi orang Islam menanam mayat (lain) dan (bangunan itu) tiada sebarang keperluan di sisi syara‘. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/188)
Dengan maksud yang lain, pengarang kitab Hâsyiah al-Baijuri ‘alâ Ibni Qâsim menjelaskan bahawa pengharaman binaan tersebut bukan sahaja di sebelah atas kubur bahkan juga sebelah bawahnya. Maka wajib merobohkan sebarang binaan yang terdapat di perkuburan awam yang diwaqafkan kepada orang ramai untuk mengebumikan mayat-mayat mereka di situ. Beliau seterusnya berkata:
Ertinya: “Dan tiada perbezaan binaan itu (sama ada ia berbentuk) kubah, rumah, masjid atau selainnya termasuk batu-batu yang disusun (sebagai tembok atau tambak).”
Menurut setengah ulama pengharaman ini tidak termasuk kubur para nabi, syuhadâ’, orang-orang salih dan orang-orang seumpama mereka. (Hâsyiah al- Baijuri ‘alâ Ibni Qâsim: 1/381)
Sementara itu jika kubur-kubur berkenaan berada di kaki bukit atau curam ditakuti tanah-tanah kubur itu runtuh, maka boleh diadakan sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama itu juga bererti menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.
Tujuan Larangan
Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan kawasan perkuburan mayat orang-orang Islam yang lain yang juga berhak menggunakan kubur berkenaan. Lagi pula tiada sebarang faedah, mashlahat atau tujuan sebenar di sisi syara‘. Demikian itulah pendapat al-Imam al-Azra‘i yang lahir pada 708 Hijrah. Beliau ialah seorang ulama besar di dalam mazhab asy-Syafi‘e. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina Umar ibnu al- Khaththab Radhiallahu ‘anhu iaitu selepas baginda melihat satu kubur yang di atasnya dibina kubah. Maka baginda merobohkannya, sambil berkata: “Biarlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.” (Bujairimi ‘alâ al-Khathîb: 2/371/372)
Demikian pandangan dan perkataan ulama mengenai perkara menambak kubur. Maka elok juga diperjelaskan perkara-perkara sunat mengenai kubur yang diperkatakan oleh para ulama di antaranya:
1. Batu Nisan
Meletakkan batu nisan di bahagian kepala orang mati di atas kubur adalah sunat kerana nisan itu telah menjadi suatu hak yang berhubung dengan orang mati di dalam kubur.
Tujuan nisan itu adalah sebagai tanda kepada kubur seseorang bagi memudahkan kaum keluarga si mati untuk menziarahinya. Ia juga bertujuan bagi memudahkan pengebumian keluarganya yang meninggal dunia selepasnya supaya berhampiran dan berhimpun dengan kubur berkenaan. Menurut al-Khatib asy-Syarbini adalah sunat menghimpunkan keluarga di satu tempat yang berhampiran ketika mengebumikan mayat-mayat supaya memudahkan keluarga yang masih hidup menziarahi mereka. (Mughnî al- Muhtâj (Buku Besar): 1/541)
Perkara batu nisan ini bertepatan dengan perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda telah meletakkan dekat kepala sahabat Otsman bin Maz‘un Radhiallahu ‘anhu sebiji batu besar dan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Saya hendak mengetahui dengan sebiji batu besar itu akan kubur saudara saya (saudara susuan), dan supaya dapat mengebumikan dekat kubur (Otsman bin Maz‘un Radhiallahu ‘anhu ) mana-mana kerabat saya yang mati. ” (Hadis riwayat Abu Daud)
2. Menjirus Kubur
Amalan menjirus kubur dengan air adalah perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjiruskan air di kubur anaknya Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud.
Tujuan menjirus kubur dengan air itu sebagai bertafa‘ul (penuh harapan) untuk mendapatkan rahmat bagi si mati dan menyejukkan tempat pembaringannya (مضـجعة). Ia juga bertujuan menjaga tanah daripada bertaburan. Menurut al-Azra‘i lebih awlâ (utama) menjirus kubur dengan air bersih dan sejuk (tidak panas). Menurut as-Subki pula tidak mengapa menjirus kubur dengan air bunga-bungaan jika ia berupaya dan bermaksud supaya para malaikat hadir kerana malaikat sangat suka kepada bau-bauan yang harum lagi bagus. (Mughnî al-Muhtâj: 1/541)
3. Meletakkan Pelepah Daun
Sunat meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur iaitu sebagai ikutan daripada perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda meletakkan pelepah kurma yang masih hijau di atas kubur anaknya Ibrahim. (Mughnî al-Muhtâj: 1/541) Perbuatan seperti ini adalah kerana berkat tasbîh pelepah tersebut, maka seksa orang yang telah mati di dalam kubur diringankan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/186-187)
Oleh yang demikian adalah haram mengambil pelepah atau bunga seperti yang disebutkan di atas sebelum kering dari kubur, kerana mengambil pelepah atau bunga itu bererti memutuskan manfaat hak si mati (bagi mendapatkan berkat tasbîh pelepah atau bunga itu) dan memutuskan hak si mati dengan sebab bau-bauan yang harum menyebabkan para malaikat turun dari langit.
Demikian penjelasan Ibnu Hajar dan Ibnu Ziyad Rahimahumullah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/187)
Kesimpulanan
Memelihara dan menjaga tanah-tanah perkuburan orang Islam adalah kewajipan bersama. Oleh yang demikian memberikan kemudahan kepada orang lain untuk menggunakannya adalah juga suatu kebajikan. Umpamanya kubur-kubur tidak akan ditambak sewenang-wenangnya kerana ditakuti boleh menyebabkan kawasan kubur menjadi sempit dan menghalang mayat-mayat yang lain daripada dikuburkan. Perkara sedemikian adalah suatu perkara yang bertentangan dengan syara‘ khususnya di tanah-tanah perkuburan awam (musabbalah).
Begitu juga melakukan perkara-perkara bid‘ah di dalam kubur seperti mencium kubur dan memberi isyarat (istilâm), mencium pagar-pagar dan peti sebagaimana yang dibuat di kubur-kubur para nabi, sahabat-sahabat nabi, wali-wali dan orang salih. Demikian juga mencium sesuatu seperti pintu ketika hendak masuk berziarah. Semua ini adalah perkara-perkara bid‘ah yang biasa dibuat oleh sebilangan orang terutama ketika menziarah kubur para nabi, sahabat, wali-wali dan orang-orang salih. (Mughnî al-Muhtâj: 1/540) Dalam perkara ini al-Qur’an telah memperingatkan bahawa perkara yang dipandang elok itu kadang-kadang membawa kepada perlanggaran hukum sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik?” (Surah Fâthir: 8)
SEMBAHYANG JUMAAT BAGI PEREMPUAN: Wajibkah Lagi Melakukan Sembahyang Zuhur?
Sembahyang Jumaat ialah sembahyang dua rakaat dalam waktu Zuhur pada hari Jumaat dan didahulukan dengan dua khutbah. Sembahyang Jumaat adalah fardhu ‘ain ke atas orang lelaki yang mukallaf, berakal lagi merdeka, sihat dan tidak di dalam pelayaran.
Menurut kitab Tuhfah al-Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj dan Hâsyiah Qalyubi sembahyang Jumaat difardhukan di Makkah al-Mukarramah sebelum Hijrah. Walau bagaimanapun, ia tidak dilaksanakan kerana agama Islam masih belum tersebar luas dan bilangan umat Islam pula tidak mencukupi dan sedikit. Orang yang pertama mendirikan sembahyang Jumaat di Madinah al-Munawwarah sebelum Hijrah ialah As‘ad bin Zararah iaitu dengan izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/329, Mughnî al-Muhtâj: 1/414, Hâsyiah Qalyubi: 1/310)
Sembahyang Jumaat pertama dalam Islam yang ditunaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa itu berlaku selepas Hijrah. (Fadhâ’il al-Jumu‘ah, Dr.Muhammad Zahir Asadullah, hlm: 73)
Dalil Pensyariatan Sembahyang Jumaat
Hukum sembahyang Jumaat ialah fardhu ‘ain apabila cukup syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah sembahyang Jumaat itu. Dalil yang menjelaskan kefardhuannya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada ketika itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan tentang kewajipan sembahyang Jumaat itu dalam banyak hadis-hadis Baginda. Antaranya ialah:
Maksudnya: “Daripada Hafsah Radhiallahu ‘anha iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pergi (bersembahyang) Jumaat itu wajib ke atas setiap orang yang bermimpi (bâligh).” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Dalam hadis Baginda yang lain:
Maksudnya: “Daripada Thariq bin Syihab, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan cara berjemaah kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kedudukan Perempuan Bersembahyang Jumaat
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam kitab al-Umm:
Ertinya: “Tidak (wajib) ke atas orang yang belum bâligh, orang perempuan dan hamba menunaikan sembahyang Jumaat.” (Al-Umm: 1/218)
Menurut kitab al-Minhâj karangan Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa syara‘ telah menentukan wajib fardhu ‘ain sembahyang Jumaat itu ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, merdeka, lelaki, orang yang muqîm, yang tidak sakit dan seumpamanya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/263) Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa tidak wajib Jumaat ke atas orang yang tidak mukallaf, perempuan, khuntsâ, orang musafir dan orang sakit sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Thariq bin Syihab, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan cara berjemaah kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis di atas diriwayatkan juga oleh ad-Daraqutni dalam kitabnya as-Sunan, al- Baihaqi dalam kitabnya al-Kabîr dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam an-Nawawi Rahimahullah menshahîhkan hadis di atas dalam kitab al-Majmû‘ kerana bertepatan dengan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Begitu juga al- Hafiz dalam kitab at-Talkhîsh menyatakan hadis di atas dishahîhkan oleh ramai orang. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/263 dalam nota kaki)
Wajibkah Bersembahyang Zuhur Setelah Menunaikan Jumaat?
Apabila seorang perempuan bersembahyang Jumaat, sah sembahyangnya itu dan memadai sebagai ganti kepada sembahyang Zuhur. Perkara ini disebutkan oleh kebanyakan ulama Syafi‘iyyah seperti Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar al-Haitami, Abu Ishaq asy-Syirazi, Syeikh al-Qalyubi dan Syeikh ‘Umairah Rahimahumullah ajma‘în dan lain-lain.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam al-Minhâj:
Ertinya: “orang yang sah menunaikan sembahyang Zuhur maka sah sembahyang Jumaatnya.” (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/264)
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah iaitu “orang yang sah menunaikan sembahyang Zuhur” bermaksud orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat seperti perempuan, maka sah Jumaatnya jika dia menunaikan sembahyang Jumaat itu. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/330)
Menurut Syeikh ar-Ramli Rahimahullah yang masyhur dengan gelaran as-Syafi‘e ash-Shaghîr (Syafi‘e Kecil) yang meninggal pada tahun 1004 Hijrah ketika mengulas perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah di atas iaitu perkataan “sah sembahyang Jumaatnya” bermaksud memadailah sembahyang Jumaat itu (sebagai ganti sembahyang Zuhur). (Nihâyah al-Muhtâj: 2/288)
Asy-Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullah mengatakan:
Ertinya: “Dan orang yang tidak wajib Jumaat atasnya mempunyai pilihan antara melakukan sembahyang Zuhur dan sembahyang Jumaat. Maka jika dia telah melakukan sembahyang Jumaat memadailah apa yang dia lakukannya (sembahyang Jumaat) itu daripada sembahyang Zuhur.” (Al-Muhadzdzab: 1/360)
Imam an-Nawawi Rahimahullah pula menjelaskan perkataan asy-Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullah di atas bahawa orang-orang yang diberi kelonggaran (ma‘dzûr) seperti hamba, perempuan, orang yang musafir dan seumpamanya adalah wajib ke atas mereka menunaikan sembahyang Zuhur. Jika ditunaikan sembahyang Zuhur tersebut adalah dihukumkan sah. Manakala jika ditinggalkan sembahyang Zuhur itu dan mereka menunaikan sembahyang Jumaat memadailah bagi mereka menurut ijmâ‘ ulama. (Al-Majmû‘: 4/415)
Menurut Syeikh Qalyubi Rahimahullah pula, orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat ialah kanak-kanak, hamba, perempuan dan orang yang musafir. Adalah sah sembahyang Jumaat itu jika dilakukannya dan memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti sembahyang Zuhur. (Hâsyiatan: Qalyubi wa ‘Umairah: 1/310-311)
Mufti Hadhramaut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn berkata: “Harus bagi sesiapa yang tidak wajib mengerjakan Jumaat seperti hamba, orang yang musafir dan perempuan sembahyang fardhu Jumaat ganti sembahyang fardhu Zuhur dan Jumaat itu memadailah sebagai ganti fardhu Zuhur… Begitulah sebagaimana fatwa daripada Ibnu Hajar….” (Bughyah al-Mustarsyidîn: 78-79)
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji Ismail bin Umar Abd Aziz ketika menjadi Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah memfatwakan mengenai kedudukan perempuan yang telah menunaikan sembahyang Jumaat, adakah perlu lagi bersembahyang Zuhur? Beliau menjawab: “Boleh dan harus bagi perempuan sembahyang Jumaat di masjid dan sah Jumaat perempuan itu dan memadailah Jumaatnya jadi ganti sembahyang Zuhurnya yakni tiada wajib dan tiada sah bagi perempuan sembahyang Zuhur setelah ia sembahyang Jumaat itu… bagaimana yang disebutkan oleh Mufti Hadhramaut di dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidîn.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 20/78)
Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiyah dan Fatwa yang berpusat di Riyadh yang diketuai oleh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz memfatwakan kedudukan seorang perempuan yang mendirikan sembahyang Jumaat, adakah gugur tuntutan sembahyang Zuhur ke atasnya? Jawatankuasa itu menjawab: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang Jumaat dengan berjemaah Jumaat, memadailah Jumaat itu daripada sembahyang Zuhur dan tidak harus baginya bersembahyang Zuhur lagi pada hari itu.” (Fatâwâ al-Lujnah ad-Dâ’imah li al- Buhûts al-Ilmiyyah wa al-Fatwâ: 7/337)
Berdasarkan perkataan ulama-ulama asy-Syafi‘iyyah dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan di atas, maka bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jumaat itu tidak wajib ke atasnya menunaikan sembahyang Zuhur kerana gugurnya tuntutan Jumaat ke atas mereka itu adalah sebagai takhfîf (keringanan). Memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti daripada sembahyang Zuhur. Bahkan tidak sah mengerjakan sembahyang Zuhur setelah dia menunaikan sembahyang Jumaat.
Adakah Dituntut Perempuan Bersembahyang Jumaat?
Sembahyang Jumaat tidak wajib ke atas perempuan berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun perempuan tidak dilarang untuk menunaikan sembahyang tersebut. Menurut kebanyakan ulama, apabila seorang perempuan menunaikan sembahyang Jumaat maka dia tidak wajib melakukan sembahyang Zuhur pada hari tersebut. Persoalannya adakah afdhal dan dituntut seorang perempuan itu keluar ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat atau dia duduk di rumah mengerjakan sembahyang Zuhur?
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah (Tuhfah al-Muhtâj: 1/275) bahawa perempuan lebih afdhal berjemaah di rumah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah kamu tegah perempuan-perempuan kamu pergi ke masjid sedangkan di rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam perkara perempuan keluar ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat menurut kitab al-Majmû‘, perempuan-perempuan sama ada muda atau tua yang boleh merangsang nafsu adalah makruh pergi ke masjid kecuali sebaliknya. (Al- Majmû‘: 4/415). Dengan perkataan yang lain menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah adalah makruh bagi perempuan berjemaah ke masjid jika perempuan itu boleh merangsang nafsu sekalipun dengan hanya mamakai pakaian harian (pakaian yang tidak cantik) atau perempuan itu tidak merangsang nafsu tetapi dia berhias-hias atau berharum-harum. Lebih-lebih lagi haram hukumnya jika ditakuti akan berlaku fitnah ke atasnya. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/275)
Manakala menurut al-Bandaniji pula adalah dituntut (mustahabb) bagi perempuan tua pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana katanya:
Ertinya: “Adalah disunatkan (mustahabb) bagi perempaun tua hadir menunaikan sembahyang Jumaat (ke masjid) dan makruh bagi perempuan muda hadir pada semua sembahyang yang berhimpun (bercampur) dengan lelaki kecuali pada sembahyang Hari Raya.” (Al-Majmû‘: 4/405)
Kesimpulan
Perempuan adalah termasuk di dalam orang-orang yang diberikan takhfîf (keringanan) untuk tidak menunaikan sembahyang Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan penjelasan para ulama mengenainya. Walau bagaimanapun, perempuan tidak dihalang untuk menunaikannya dan bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jumaat maka tidaklah wajib atasnya menunaikan sembahyang fardhu Zuhur pada hari tersebut dan memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti sembahyang Zuhur.
PEREMPUAN: Wajibkah Berkhatan?
Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.
Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Berkhatan
Sepertimana yang tersebut dalam kitab al-Majmû‘ dan kitab Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj, berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl: 123)
Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dan di antara ajaran-ajaran Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam itu ialah berkhatan. Perkara ini jelas dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam itu sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya lapan puluh tahun, sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berkhatan ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadûm.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Syarh al-Muhadzdzab ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ialah berkhatan. Berkhatan itu adalah wajib dalam agamanya. Sementara itu, dalil daripada hadis yang menunjukkan wajib berkhatan itu ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam mengambil dalil dengan hadis ini, para ulama Syafi‘e mengatakan bahawa jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah diharuskan membuka aurat ketika berkhatan dan tidaklah diharuskan tukang khatan melihat aurat orang yang dikhatan, kerana kedua-duanya itu adalah haram. Jadi apabila kedua-dua yang diharamkan itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Asy-Syirazi, al-Ghazali (kedua-duanya daripada ulama mazhab asy-Syafi‘e) dan sebahagian ulama pula berdalil dengan qiyâs. Mereka mengatakan bahawa berkhatan itu ialah dengan memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah boleh memotongnya (memotong selaput kulit zakar) sebagaimana tidak boleh memotong jari, kerana tidak harus memotong anggota yang sejahtera melainkan jika kerana dijatuhkan qishâsh.
Cara Berkhatan Bagi Lelaki
Cara bagaimana berkhatan itu, yang wajib bagi lelaki ialah dengan memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar sehingga nampak (terdedah) kepala zakar itu keseluruhannya. Jika dipotong sebahagian sahaja daripada selaput kulit itu, wajib dipotong bakinya sekali lagi.
Cara Berkhatan Bagi Perempuan
Cara yang wajib bagi perempuan ialah dengan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul kepala ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja daripada daging itu.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur Ummu ‘Athiah Radhiallahu ‘anha dengan bersabda:
Maksudnya: “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian البهـــر [al-bazhr]) dan janganlah engkau berlebih-lebihan (dalam memotong), kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh).” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Masa Atau Waktu Berkhatan
Tersebut dalam kitab al-Majmû‘, menurut ulama-ulama Syafi‘iyyah masa wajib untuk berkhatan itu ialah selepas bâligh dan berakal. Namun begitu adalah sunat dan digalakkan kepada ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak mereka semasa mereka masih kecil lagi kerana ini lebih memberi manfaat kepada mereka, luka berkhatan lebih cepat sembuh dan bentuk zakar akan lebih sempurna.
Sunat dikhatankan anak pada hari ketujuh dari hari kelahirannya, melainkan jika dia lemah, tidak berdaya (tidak tahan) menahan kesakitan berkhatan apabila dijalankan ke atasnya. Maka dalam hal ini hendaklah ditangguhkan berkhatan itu sehingga dia berdaya menanggungnya, dan makruh dikhatankan anak sebelum hari ketujuh dari hari kelahirannya.
Jika tidak dapat dikhatan pada hari ketujuh, sunat dikhatan pada hari keempat puluh. Jika terlewat (tidak dikhatankan) juga, sunat dikhatankan pada masa umurnya tujuh tahun. Dalam hal menentukan masa berkhatan ini, anak lelaki dan anak perempuan adalah sama.
Perlulah ditekankan di sini, bahawa hukum berkhatan pada masa-masa yang disebutkan sebelum ini (masa sebelum bâligh) adalah sunat dan bukannya wajib. Ini adalah pendapat yang shahîh dan masyhûr yang dipegang oleh jumhûr ulama.
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu, bahawa kewajipan berkhatan itu bermula daripada sesudah anak itu bâligh. Sekiranya dia sudah bâligh, maka kewajipan itu berjalan dengan serta-merta. Namun begitu jika orang yang sudah bâligh itu lemah kejadiannya, di mana jika dia dikhatankan, ditakuti akan mendatangkan kemudharatan kepadanya, maka dalam hal ini tidaklah harus dia dikhatan, bahkan hendaklah ditunggu sehingga keadaannya selamat atau mengizinkan untuk berkhatan.
Kenduri Khatan
Sunat mengadakan walîmah (kenduri) bagi perkhatanan lelaki, kerana ia termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir dan kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an.
Menurut al-Adzra‘i, bahawa hukum sunat mengadakan kenduri khatan itu adalah bagi perkhatanan lelaki dan bukan untuk perkhatanan perempuan, kerana perkhatanan bagi perempuan itu sunat disembunyikan dan hal yang memalukan jika berterang-terangan. Diihtimalkan juga bahawa hukum sunat mengadakan kenduri bagi perkhatanan perempuan itu hanyalah khusus bagi sesama perempuan sahaja tanpa jemputan lelaki. Meninggal Dunia Sebelum Berkhatan
Jika seseorang itu meninggal dunia sedang dia belum lagi berkhatan, maka menurut pendapat yang shahîh jangan dikhatan si mati tersebut.
Hikmah Dan Kelebihan Berkhatan
Islam menuntut umatnya supaya berkhatan kerana terdapat beberapa hikmah dan kelebihan yang tersendiri yang tidak akan diperolehi mereka yang tidak berkhatan. Hikmah dan kelebihan itu boleh kita lihat pada dua sudut iaitu sudut keagamaan dan sudut kesihatan. Pada sudut keagamaan, antaranya:
i Berkhatan merupakan tuntutan fitrah dan salah satu syi‘ar Islam.
ii. Sebagai menyempurnakan tuntutan syara‘ yang berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam.
iii. Untuk membezakan antara orang-orang Islam dengan penganut-penganut agama lain. Namun begitu sekarang ini orang-orang bukan Islam ada juga yang sudah mula berkhatan.
iv. Sebagai suatu ikrar kesetiaan penghambaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan patuh segala perintahNya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaanNya.
Dari sudut kesihatan pula:
i. Untuk membersih dan memperelokkan zakar, mencantikkan bentuknya dan menambahkan kelazatan semasa hubungan kelamin.
ii. Untuk mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada dihinggapi penyakit kelamin, kanser dan lain-lain penyakit.
Demikianlah di antara hikmah dan kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang berkhatan. Dengan ini juga tergambar kepada kita akan keindahan Islam serta rahsia-rahsia di sebalik syariatnya.
PELARANGAN ROKOK DAN MEROKOK: Menolak Kemudharatan Sejagat
Islam memperakui bahawa kesihatan itu adalah nikmat yang mesti dipelihara. Menurut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kesihatan merupakan salah satu rukun asasi bagi kebahagiaan di dunia ini, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Sesiapa di kalangan kamu memasuki waktu pagi dalam keadaan aman pada jiwanya, sihat tubuh badannya, mempunyai (cukup) makanan hariannya, maka seolah-olah dia memiliki dunia ini.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Oleh sebab itu, Islam menegah umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan.
Sebagai langkah untuk menghindari daripada berlakunya perkara yang tidak baik kepada kesihatan, Islam telah lebih awal menunjukkan apa yang perlu dibuat untuk memastikannya sentiasa dalam keadaan baik, iaitu dengan menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudharatkan akal dan tubuh badan. Antara amalan buruk yang melanda dunia hari ini ialah tabiat merokok. Bahaya dan mudharat yang disebabkan oleh rokok telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Jika demikian, apakah pandangan Islam terhadap sesuatu yang memudharatkan seperti menghisap rokok ini? Inilah persoalan yang hendak kita huraikan dalam perbincangan ini.
Bahaya Rokok
Rokok tidak syak lagi mempunyai kaitan dengan soal kesihatan. Kegelisahan dan kekhuatiran warga dunia mengenai rokok dibangkitkan oleh ancamannya kepada kesihatan semua orang. Ancaman rokok itu bukan saja terbatas kepada perokok itu sendiri, iaitu perokok aktif, tetapi juga menular kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok, atau lebih dikenali sebagai perokok pasif.
Seluruh kajian yang dijalankan oleh para pakar perubatan, sama ada pakar Islam atau bukan Islam mengenai rokok, menemui natijah yang sama iaitu rokok membahayakan kesihatan.
Menurut kajian, telah ditemui bahawa rokok mengandungi 4,000 unsur kimia, antaranya ialah racun yang boleh membunuh dan lain-lain yang boleh mendatangkan penyakit barah.
Menurut satu kenyataan seorang pakar lagi, bahawa bahan yang menyebabkan terjadinya kanser daripada rokok ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium 201, d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene dan vinye chloride (bahan untuk membuat pvc). Setiap hisapan yang dilakukan oleh perokok, sebenarnya dia bernafas dalam 4,000 bahan kimia yang dinyatakan seperti di atas. Semua kenyataan di atas sudah cukup untuk membuktikan akan bahaya rokok kepada kesihatan.
Bahaya Rokok Kepada Wanita
Khusus bagi wanita, jika kebiasaan merokok itu merupakan kebiasaan yang tidak baik di kalangan kaum lelaki, maka ia lebih tidak elok lagi jika menjadi kebiasaan kepada kaum wanita, kerana rokok boleh merosakkan kecantikan, mengubah warna gigi, menyebabkan bau mulut tidak sedap dan lain-lain. Padahal semua itu merupakan perkara penting bagi kaum wanita itu sendiri.
Bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak, menurut kajian para doktor perubatan, ibu yang kuat merokok ketika mengandung boleh membawa bahaya kepada anak dalam kandungan. Merokok boleh menyebabkan kelahiran kanak-kanak kurang berat badan, kurang ketinggian dan kecerdikannya serta lebih mendedahkannya kepada penyakit dan kematian.
Selain itu, menurut statistik yang dibuat, peratus keguguran di kalangan wanita-wanita hamil yang merokok mencapai 22.5% berbanding 7.4% di kalangan yang tidak merokok. Peratus kematian kanak-kanak yang lahir daripada ibu-ibu yang merokok meningkat kepada 10% berbanding kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang tidak merokok.
Pandangan Para Ulama
Isu rokok tidak wujud di zaman Rasululllah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan itu tidak ditemui dalil khusus yang memperuntukkan masalah rokok. Apabila timbul isu rokok, para ulama telah membincangkan dan membuat penyelidikan untuk penetapan hukum syara‘ mengenainya. Disebabkan ketiadaan dalil khusus yang memperuntukkan dalam hukum merokok, para ulama mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Sebahagian ulama menghukumkannya harus, sebahagian yang lain menghukumkannya makruh dan ada juga yang menghukumkannya haram.
Walau bagaimanapun, para ulama pada masa ini lebih cenderung untuk mengharamkan rokok. Alasan yang mereka kemukakan untuk menjadi sandaran pengharaman merokok, di samping dalil-dalil syara‘ yang bersifat umum, ialah penemuan-penemuan terbaru hasil kajian yang dibuat para pakar perubatan yang mungkin sebelum ini tidak ditemui atau tidak diketahui, di mana rokok tidak syak lagi mendatangkan kemudharatan kepada perokok, sama ada yang aktif atau yang pasif, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.
Dalil-Dalil Syara‘ Tentang Pengharaman Rokok
Terdapat beberapa jumlah dalil syara‘ yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok, antaranya:
1. Diharamkan Segala Benda Yang Menjijikkan
Dari segi kaedah pemakanan, al-Qur’an telah menyediakan dasar sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk).” (Surah al-A‘râf: 157)
Menurut ulama tafsir, perkataan al-khabâ’its (benda yang jijik, keji dan buruk) yang tersebut di dalam ayat di atas ialah apa jua perkara yang menjijikkan dan tidak disukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal manusia, seperti bangkai dan darah yang mengalir, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada orang yang memakannya atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan. (Tafsîr al-Munîr: 9/117)
Menurut al-Imam ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semula jadi dan dianggap kotor oleh jiwa, memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu pula adalah haram. Oleh yang demikian, asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan. (Tafsîr al-Kabîr: 15/21-22)
Jika setiap yang memudharatkan kerana memakannya itu haram, maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram, kerana ia telah terbukti memudharatkan.
2. Haram Memakan Atau Meminum Setiap Yang Memudharatkan
Terdapat satu kaedah yang menyeluruh dan telah diakui dalam syariat Islam, iaitu setiap Muslim tidak dibolehkan memakan atau meminum sesuatu yang boleh membunuh, sama ada lambat atau cepat, misalnya segala jenis racun, atau sesuatu yang membahayakan termasuk juga makan dan minum yang terlalu banyak yang menyebabkan sakit. Sebab seorang Muslim itu bukanlah milik dirinya sendiri, tetapi adalah milik Allah. Hidupnya, kesihatannya, hartanya dan seluruh nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya adalah sebagai amanah. Oleh kerana itu dia tidak boleh mengabaikan amanah itu.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada jiwa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisâ’: 29)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Janganlah kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Berdasarkan kaedah ini, selama rokok itu membahayakan, maka menghisapnya adalah terlarang.
3. Larangan Membelanjakan Harta Kepada Perkara Yang Tidak Bermanfaat
Islam cukup mengambil berat tentang penjagaan harta. Membuang harta pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat adalah dilarang dan dianggap suatu pembaziran yang sangat ditegah oleh syara‘. Apakah membelanjakan harta untuk membeli rokok itu tidak termasuk dalam kategori seperti ini?
Merokok memang mengundang bahaya pembuangan harta tanpa faedah. Orang yang sudah ketagihan rokok biasanya tidak dapat membendung keinginannya untuk mendapatkan rokok, walaupun harga rokok itu mahal dan perbelanjaan membeli rokok itu sama harganya dengan jumlah wang yang diperlukan oleh seisi keluarganya.
Imam Ibnu Hazm Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya al-Muhalla menjelaskan maksud pemborosan, antaranya:
i. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
iii. Membuang-buang wang, walaupun kecil jumlahnya, kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Larangan pembaziran itu jelas diperuntukkan dalam al-Qur’an, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. ” (Surah al-Isrâ’: 26-27) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.” (Surah al-An‘âm: 141)
Apabila rokok disifatkan sebagai bahan yang mendatangkan mudharat, maka ia boleh dianggap sebagai bahan yang tidak bermanfaat. Oleh itu, tidak syak lagi membelanjakan harta untuk membeli rokok adalah termasuk sebagai perlakuan membuang-buang harta atau pembaziran yang ditegah oleh syara‘.
Fatwa-Fatwa Pengharaman Rokok
Terdapat beberapa jumlah fatwa telah dikeluarkan mengenai rokok, antaranya:
1. Tersebut di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai benda halal yang paling buruk, di mana ia boleh mengkhayalkan dan menyebabkan berlakunya pembaziran harta, dan ia bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Telah difatwakan mengenai pengharamannya oleh para ulama tasawwuf seperti al-Qutub Sayyidina Abdullah al-Haddad, al-‘Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat mereka berdua dan ulama lain yang sependapat dengan mereka. Bahkan al-Habib al-Imam al-Husain bin asy-Syeikh Abu Bakar bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras mengenai tembakau. Beliau (al-Habib) mengatakan: “Aku khuatir orang yang tidak bertaubat daripada merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan sû’ al-khâtimah (mati yang berkesudahan buruk).
2. As-Sayyid al-‘Allamah Umar al-Bashri Rahimahullahu Ta‘ala dalam fatwanya berkata: “Kaedah-kaedah yang dipakai oleh para ulama kita ketika menyatakan haramnya sesuatu makanan dalam bab al-Ath‘imah ialah makanan yang boleh membawa kepada mabuk atau memudharatkan akal atau tubuh badan, maka memakan benda yang memabukkan adalah haram, kerana ia memabukkan, dan memakan makanan yang memudharatkan akal juga haram, kerana mudharatnya itu. Begitu juga jikalau seseorang membuat pengakuan bahawa dia tidak menemui apa-apa manfaat dalam makanan itu dari semua segi, maka elok makanan berkenaan diharamkan ke atasnya, kerana yang demikian itu berlaku pembaziran harta. Pembaziran harta tidaklah ada bezanya di antara membuangnya ke laut atau membakarnya dan sebagainya yang dikira sebagai membuang-buang harta itu. Manakala yang lainnya adalah halal, kerana yang muktamad, bahawa asal sesuatu benda itu halal, apalagi bagi orang yang menjadikannya sebagai ubat.”
“Apa yang disebutkan di atas, begitulah juga hukum yang berlaku kepada tembakau (rokok). Salah satu sifatnya ialah baunya yang busuk. Maka pendapat yang râjih (kuat), hukumnya adalah haram kerana kotornya…”
3. Al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar, Mesir menyebutkan di dalam fatwanya: “Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun ia mempunyai berbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga kepada orang lain yang tidak merokok.”
“Para doktor telah menganalisa kandungan komponen-komponen tembakau dan mereka menemui adanya bahan racun di dalam kandungan tembakau itu, di mana racun ini boleh membunuh (melenyapkan) kebahagiaan dan kegembiraan seseorang walaupun secara perlahan.”
“Jika demikian halnya, tidak diragukan lagi bahawa menghisap tembakau adalah suatu yang menyakiti dan memudharatkan. Dalam pandangan Islam, sesuatu yang menyakiti dan memudharatkan itu adalah keji yang mesti dijauhi.”
“Di samping itu, apabila kita tinjau wang yang dibelanjakan untuk tembakau, kita mendapati bahawa perokok lebih memerlukan wang berkenaan, atau dia sepatutnya menggunakannya kepada perkara lain yang lebih baik dan berfaedah. Dalam pandangan Islam, menghabiskan wang dengan cara yang sedemikian itu adalah dilarang dan tidak harus.”
Nasihat Kepada Perokok
Setiap perokok perlulah mempunyai niat yang bulat dan tekad yang kuat untuk meninggalkan secara total tabiat buruk merokok. Kalau tidak berdaya meninggalkannya dengan segera, maka tindakan secara beransur-ansur atau setapak demi setapak sangatlah bermanfaat.
Orang yang kemahuannya lemah, hendaklah sedaya mungkin mengurangkan sikap merokok setiap hari. Jangan memuji-muji rokok, jangan membeli rokok dan jangan menggalakkan orang lain merokok dengan menghidang atau menawarkan rokok kepadanya. Di samping itu jangan sekali-kali lupa untuk mengadu dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya diberi kekuatan dapat melepaskan diri daripada belenggu rokok. Rahmat Allah tetap berpihak kepada sesiapa yang ingin menuju kepada kebaikan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘râf: 56)
Oleh itu, di samping usaha secara fizikal yang datang daripada perokok itu sendiri, perlu juga diiringi dengan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Kesimpulan
Merokok telah dibuktikan mendatangkan bahaya yang besar dan melenyapkan harta tanpa apa-apa manfaat kepada manusia. Mengikut pandangan syara‘, sesuatu yang memudharatkan dan begitu juga perbuatan membazirkan harta untuk perkara yang tidak bermanfaat adalah berdosa dan dilarang.
Selain itu, budaya merokok bukanlah simbol kemegahan yang boleh menaikkan imej, sebaliknya ia merupakan budaya yang menjatuhkan martabat dan maruah.
SEMBAHYANG QADHA: Wajibkah Mendahulukannya Daripada Sembahyang Tunai?
Sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha sama ada disebabkan lupa, tidur, meninggalkannya dengan sengaja atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam.
Adapun kanak-kanak yang meninggalkan sembahyang fardhu ketika zaman kanak-kanaknya, tidak wajib dia mengqadha sembahyangnya itu apabila dia sudah bâligh, kerana tidak ada taklîf (tuntutan mematuhi hukum-hukum Islam) ke atasnya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tiga orang yang dosanya tidak dicatat (tidak ada taklîf): Orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia besar (bâligh) dan orang gila sehinggalah dia berakal atau sedar.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Walau bagaimanapun sunat bagi kanak-kanak tersebut apabila sudah bâligh mengqadha sembahyang yang ditinggalkannya ketika zaman mumayyiznya, akan tetapi ketika sebelum zaman mumayyiznya tidaklah dikira jika diqadhanya.
Demikian juga halnya bagi orang gila, mabuk atau pitam yang bukan disengajakan, walaupun gila, mabuk atau pitamnya itu hanya seketika dan ia tidak terjadi ketika murtad. Apabila dia kembali normal seperti sedia kala (sembuh), maka tidak wajib diqadha sembahyangnya, tetapi sunat sahaja diqadha. Manakala jika gila, pitam atau mabuk yang disengajakan, atau ia terjadi ketika murtad walaupun gila, pitam atau mabuknya itu tidak disengajakan, maka wajib dia mengqadha sembahyangnya itu.
Sementara perempuan yang haidh atau nifas tidaklah diwajibkan dia mengqadha sembahyang yang ditinggalkan ketika haidh atau nifas itu. Menurut kitab Tuhfah al-Muhtâj (karangan al-Imam Ibnu Hajar ulama mazhab Syafi‘e), haram perempuan haidh atau nifas mengqadha sembahyang yang ditinggalkannya ketika haidh atau nifas itu.
Orang kafir yang baru memeluk agama Islam, tidak diwajibkan qadha sembahyang yang luput semasa kafirnya. Malahan tidak disunatkan baginya untuk mengqadha, bahkan juga tidak memadai sembahyang yang diqadhanya itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (daripada kekufuran mereka), nescaya akan diampunkan (dosa) mereka yang telah lalu.” (Surah al-Anfâl: 38)
Kewajipan mengqadha sembahyang fardhu ini, sunat disegerakan jika ia ditinggalkan kerana uzur seperti tidur yang bukan disengajakan atau lupa. Adapun jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa uzur, maka wajib disegerakan qadhanya itu.
Menjaga Tertib Sembahyang-Sembahyang Qadha
Sembahyang-sembahyang fardhu yang diqadha, sunat dikerjakan dengan mengikut tertib sembahyang, umpamanya mengqadha Subuh sebelum qadha Zuhur, kemudian mengqadha Zuhur sebelum qadha Asar dan begitulah seterusnya.
Jika sembahyang-sembahyang qadha itu sebahagiannya ditinggalkan kerana suatu keuzuran dan sebahagiannya lagi bukan disebabkan suatu keuzuran, maka wajib didahulukan qadha sembahyang yang ditinggalkan bukan disebabkan suatu keuzuran itu, walaupun menyalahi tertib sembahyang. Ini kerana mengikut tertib sembahyang itu adalah sunat, sedangkan menyegerakan sembahyang qadha yang ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa keuzuran itu adalah wajib. Ini disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: “Wajib mendahulukan sembahyang yang luput tanpa keuzuran daripada sembahyang yang luput disebabkan suatu keuzuran walaupun tidak mengikut tertib, kerana (tertib) itu sunat dan menyegerakan (qadha sembahyang yang ditinggalkan tanpa keuzuran) itu adalah wajib.”
Umpamanya seseorang meninggalkan sembahyang Zuhur dan Asar kerana suatu keuzuran dan dia meninggalkan juga sembahyang Maghrib dan Isya’ bukan disebabkan suatu keuzuran, maka wajib didahulukan sembahyang qadha Maghrib dan Isya’ daripada sembahyang qadha Zuhur dan Asar.
Mendahulukan Sembahyang Qadha Daripada Sembahyang Hâdhir
Sunat mendahului sembahyang qadha yang ditinggalkan kerana suatu keuzuran daripada sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) jika tidak ditakuti akan luput waktunya. Sekalipun takut luput sembahyang berjemaah, sunat juga didahulukan sembahyang qadha yang ditinggalkan dengan sebab keuzuran daripada sembahyang hâdhir. Ini kerana menolak perselisihan pendapat yang mengatakan wajib tertib dan juga kerana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (ittibâ‘), yang mana Baginda ketika perang Khandaq pernah luput sembahyang Asar, lalu Baginda menunaikannya selepas terbenam matahari kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib.
Adapun jika ditakuti luput waktu sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) itu, seperti melakukan sebahagian perbuatan sembahyang di dalam waktunya dan sebahagiannya lagi ataupun kurang daripada sebahagian perbuatan sembahyang di luar waktunya, maka wajib didahulukan sembahyang hâdhir tersebut.
Sebagai contoh, seseorang yang hendak mengerjakan qadha sembahyang Zuhur di dalam waktu Asar. Namun waktu Asar ketika itu hanya tinggal sedikit dan dia menjangkakan jika dikerjakannya sembahyang Asar, hanya sebahagian rakaat sembahyang Asar sahaja di dalam waktunya dan sebahagiannya atau kurang daripadanya lagi di luar waktu Asar. Oleh itu wajiblah didahulukannya sembahyang Asar tersebut. Ini kerana haram mengeluarkan (melakukan) sebahagian perbuatan sembahyang daripada waktunya, sedangkan mampu ditunaikan keseluruhan perbuatan sembahyang dalam waktunya itu.
Sementara sembahyang qadha yang ditinggalkan bukan kerana keuzuran, adalah wajib didahulukan daripada sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) jika waktunya masih luas.
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang hâdhir, kemudian dia teringat ada sembahyang qadha yang belum dikerjakan, maka jangan dihentikan sembahyang hâdhirnya itu. Adapun jika dia sedang mengerjakan sembahyang qadha dalam waktu sembahyang hâdhir yang disangkakannya masih panjang waktu sembahyang hâdhir tersebut, padahal sebenarnya tidak luas waktunya, maka wajiblah dihentikannya sembahyang qadha itu bagi menunaikan sembahyang hâdhir.
Kesimpulan
Sembahyang fardhu lima waktu tetap wajib ditunaikan dan tidak ada satu alasan pun yang boleh mengharuskan untuk meninggalkannya, melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan oleh syara‘, seperti perempuan yang haidh dan nifas.
Meninggalkan sembahyang fardhu adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Ancaman dan balasan bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang amatlah dahsyat sekali. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “(Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
AMANAH: Pengajaran Daripada Peristiwa Isrâ‘ Dan Mi‘râj
Amanah adalah satu sifat terpuji yang dituntut oleh Islam. Setiap orang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu ditanai (pupuk) dalam semua aspek kehidupan. Amanah juga merupakan sifat yang menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ia merupakan salah satu unsur kesempurnaan peribadi yang patut dimiliki dan dipertahankan oleh setiap individu Muslim.
Setiap insan mestilah menyedari bahawa dia sentiasa memikul amanah, baik amanah pada diri, keluarga, masyarakat, negara mahupun agama agar segala yang menjadi tugasnya terlaksana dengan sempurna. Seseorang itu belum dikatakan beriman sepenuhnya jika dia tidak bersifat amanah.
Dalam peristiwa Isrâ‘ dan Mi‘râj Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan seorang lelaki yang mengumpulkan seikat kayu api yang besar. Dia tidak mampu memikulnya, tetapi terus menambah bilangan kayu api tersebut. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada Jibril ‘Alaihissalam mengenai gambaran yang dilihat Baginda itu. Lalu Jibril ‘Alaihissalam menjawab: “Inilah lelaki daripada umatmu yang menanggung amanah manusia. Dia tidak mampu menunaikan amanah tersebut tetapi mahu terus memikulnya”. Apakah pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa ini?
Pengertian Amanah Dalam Konteks Al-Qur’an
Amanah berasal daripada perkataan Arab “amana” yang bererti tenteram, aman, selamat dan harmonis. Dalam pengertian nilai akhlak pula, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah itu dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa dia dapat melaksanakannya sebagaimana dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan kepercayaan yang diberikan dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakan amanah mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmonis. (Ensiklopedia Islam: Malaysia)
Menurut kitab al-Mu‘jam al-Mufahras li Alfâzh al-Qur’an al-Karim perkataan amanah disebutkan di beberapa surah dalam al-Qur’an:
1. Amanah dikaitkan dengan larangan menyembunyikan kesaksian atau kewajipan memberikan kesaksian yang benar:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 283)
2. Amanah dikaitkan dengan keadilan atau pelaksanaan hukum secara adil:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisâ’: 58)
3. Amanah dikaitkan dengan sifat khianat:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfâl: 27)
4. Amanah dikaitkan dengan salah satu sifat manusia yang mampu memelihara kemantapan rohani, tidak berkeluh-kesah apabila ditimpa kesusahan, dan tidak melampaui batas ketika mendapat kesenangan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya” (Surah al-Ma‘ârij: 32)
5. Amanah difahami dalam pengertian yang lebih luas, sama ada sebagai tugas keagamaan mahupun tugas kemanusiaan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzâb: 72)
Amanah Terhadap Allah Ta‘ala
Amanah ini bermula daripada kedudukan manusia sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan berfungsi sebagai khalifahNya. Tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah patuh, taat dan tunduk kepadaNya. Tangungjawab manusia sebagai khalifah pula ialah membangun, memakmur dan melaksanakan ishlâh di bumi Allah ini.
Kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah dengan fungsinya untuk patuh, taat dan meng‘imârahkan bumi Allah ini ialah suatu amanah yang wajib dilaksanakan secara menyeluruh. Segala tuntutan agama dan kewajipan yang ditetapkan hendaklah dipikul dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki tanpa lalai, ragu dan sambil lewa.
Maka puncak amanah dan tanggungjawab insan ialah amanah dan tanggungjawabnya kepada Allah. Amanah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah berusaha memenuhi matlamat manusia itu diciptakan iaitu beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah adz-Dzâriyât: 56)
Amanah Kepada Rasul
Amanah terhadap rasul adalah cabang daripada amanah terhadap Allah. Ia bererti patuh dan taat terhadap apa jua perintah dan larangan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Amanah juga adalah salah satu sifat yang wajib dimiliki oleh para rasul.
Oleh sebab itu, Rasulullah telah menyediakan as-sunnah dan qudwah (ikutan) sebagai panduan untuk dilaksanakan dengan jujur dan amanah.
Seseorang dianggap mengkhianati amanah Allah dan RasulNya jika kewajipan yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya diabaikan. Perkara ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya orang itu mentaati perintah Allah. Dan sesiapa yang melanggar perintahku, maka sesungguhnya dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mematuhi perintah pembesarku (orang yang dilantik Rasulullah), maka sesungguhnya orang itu mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah pembesarku, maka sesungguhnya orang itu melanggar perintahku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Amanah Terhadap Harta Orang Lain
Dalam istilah fiqh Islam, amanah bererti juga memberikan kepercayaan kepada seseorang berhubung dengan pemeliharaan harta benda yang disebut sebagai al-wadî‘ah dan al-‘âriyah.
1. Al-Wadî‘ah (الو عــة) dari segi bahasa ialah memberikan sesuatu untuk disimpan, iaitu sesuatu barang yang diletakkan kepada orang lain untuk tujuan menyimpan dan menjaganya. Dengan perkataan lain, al-wadî‘ah itu ialah barang titipan yang diamanahkan kepada orang lain untuk menjaga harta benda yang dimilikinya itu.
Penitipan atau wadî‘ah di dalam Islam dihukumkan sunat berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…” (Surah an-Nisâ’: 58)
Dalam firman Allah yang lain:
Tafsirnya: “Maka kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya….” (Surah al-Baqarah: 283)
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah dan janganlah kamu berlaku khianat kepada orang yang mengkhianatimu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis di atas para ulama sepakat mengharuskan wadî‘ah atau titipan, kerana manusia sangat memerlukan malah merasakan penting kepada wadî‘ah dalam menguruskan harta benda. (Mughnî al-Muhtâj: 3/101-102)
Wadî‘ah atau titipan itu merupakan amanah semata-mata. Pemegang wadî‘ah hendaklah menjaganya sendiri dan tidak boleh diberikan kepada orang lain seperti anak, isteri, hambanya atau qadhi menjaga wadî‘ah tersebut sama ada tanpa izin daripada pemilik wadî‘ah atau tanpa uzur pemegang wadî‘ah itu. Jika berlaku sedemikian, pemegang wadî‘ah itu hendaklah memberi dhamân (jaminan), namun jika wadî‘ah diberikan kepada orang lain kerana uzur seperti sakit atau bermusafir, ia tidak perlu kepada dhamân (jaminan). (Mughnî al-Muhtâj: 3/104-105)
Dalam perkara wadî‘ah ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan contoh teladan yang baik kepada umat Baginda sehingga digelar al-Amîn oleh penduduk Makkah. Ibnu Ishak menceritakan bahawa ketika Baginda hendak meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Baginda sempat menyerahkan barang-barang titipan (wadî‘ah) kepada sepupunya Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallahu wajhah untuk diserahkan semula kepada yang empunya wadî‘ah tersebut di kalangan kaum musyrikin Makkah.
Contoh di atas memberi pengajaran kepada umat Islam, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat mementingkan perkara amanah, sekalipun ketika itu Baginda dalam keadaan ketakutan kerana kaum musyrikin Makkah sedang mengepung rumah dan mahu membunuh Baginda. Oleh kerana itu, Baginda tidak dapat menyampaikan wadî‘ah tersebut dan menyerahkannya kepada sepupu Baginda yang dipercayai iaitu Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallahu wajhah. (Sîrah an-Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam li Ibn Hisyam: 2/98)
2. Al-‘Âriyah ـة) (العَر dari segi bahasa ialah memberi pinjam. Manakala dari segi syara‘ pula ditakrifkan bahawa harus mengambil manfaat daripada pinjaman tanpa membayar imbalan (gantian). (Mughnî al-Muhtâj: 2/263)
Dalam Islam al-‘âriyah adalah sunat (mandûbah) berdasarkan ayat-ayat al- Qur’an. (Kitab al-Fiqh al-Islâmî wa Adillatuh: 5/4036).
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dalam firmanNya yang lain:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).” (Surah al-Mâ‘un: 7)
Dalam beberapa riwayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri melakukan pinjaman secara i‘ârah (اعَـ َرَهُ) sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Telah berlaku suatu ketakutan di Madinah, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam meminjam seekor kuda jantan milik Abu Thalhah yang dipanggil sebagai Mandub dan Baginda menunggangi kuda tersebut seraya bersabda: “Tidak kami melihat suatu ketakutan pun malahan kami mendapati seekor kuda yang panjang langkahnya (laju).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain daripada Safwan bin Umaiyyah:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meminjam beberapa baju besi daripadanya (Safwan) ketika perang Hunain, lalu beliau berkata: “Rampasankah ini wahai Muhammad?” Baginda bersabda: “Tidak, tapi pinjaman secara dhamân (dijamin).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas dapat disimpulkan bahawa kepentingan amanah dalam urusan pemeliharaan harta adalah sangat diambil perhatian oleh Islam.
Dalam mazhab Syafi‘e menyatakan bahawa pinjaman secara i‘ârah itu perlu dibayar ganti oleh peminjam dengan nilainya pada hari ia rosak jika ia digunakan pada perkara yang tidak diizinkan, tetapi jika ia rosak pada perkara yang diizinkan, ia tidak perlu membayar ganti kerana kerosakan berlaku dengan sebab yang diizinkan. (Kitab al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 5/4048-4049)
Teladani Sifat Amanah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah digelar al-Amîn (orang yang amanah) sejak masa remajanya iaitu sebelum diangkat menjadi rasul.
Sifat semula jadi Baginda ini berkekalan sepanjang hayat Baginda. Al-Hafiz Ibnu Katsir Radhiallahu ‘anhu (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm Ibn Katsîr: 4/126-127) ada menceritakan mengenai perkara ini ketika memberikan penjelasan berhubung dengan sebab turunnya ayat 58 surah an-Nisâ’ iaitu peristiwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta kunci Ka‘bah daripada Utsman bin Thalhah bin Abu Thalhah ketika penaklukan Makkah. Lalu Baginda menyerahkannya kepada Utsman sebagai pemegang kunci.
Ibnu Katsir Radhiallahu ‘anhu telah menyalin beberapa riwayat mengenai kejadian tersebut, antaranya riwayat daripada Ibnu Ishaq bahawa sesudah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke Makkah lalu Baginda terus menuju Baitullah dan bertawaf di atas kenderaannya. Setelah selesai bertawaf, Baginda memanggil Utsman bin Thalhah untuk masuk ke dalam Ka‘bah. Di dalam Ka‘bah tersebut, Baginda telah menghancur dan melemparkan keluar beberapa patung berhala dan barang-barang yang bersifat pemujaan. Lantas Baginda berdiri dan bersabda: “Tidak ada tuhan selain Allah, yang tidak ada sekutu bagiNya. Benar segala janjiNya. Menolong hambaNya dan mengalahkan musuh-musuh dengan sendiriNya.”
Setelah itu, Bagindapun duduk kembali ke dalam masjid. Tiba-tiba ‘Ali bin Abu Thalib datang dan memohon supaya Baginda menyerahkan kunci Ka‘bah yang ada di tangan Baginda kepadanya. Dia (Ali) berkata: “Wahai Rasulullah! Serahkanlah kunci itu kepada kami, supaya terkumpul di tangan kami juru kunci dan soal makan minum jemaah haji”. Permintaan ‘Ali itu tidak dijawab malahan Baginda bertanya: “Di mana Utsman bin Thalhah?” Lalu Utsman pun dipanggil seraya Baginda bersabda: “Inilah kuncimu, wahai Utsman. Hari ini adalah hari kebajikan dan persetiaan janji”. Lalu Baginda membaca ayat:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya.” (Surah an-Nisâ’: 58)
Begitulah contoh dan sikap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam memberikan qudwah (pimpinan) dan petunjuk kepada umatnya supaya menunaikan amanah. Padahal dengan kedudukan dan kuasa yang ada pada diri Baginda, kunci tersebut boleh sahaja diberikan kepada orang lain.
Akibat Tidak Menunaikan Amanah
Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan mendapat pembalasan sama ada ganjaran pahala atau azab seksa di akhirat nanti.
Maka tidak menunaikan amanah atau melakukan khianat akan menerima balasan seksa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Dan tidaklah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersamanya pada Hari Kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).” (Surah Âli ‘Imrân: 161)
Peringatan yang sama juga dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui riwayat Muslim bahawa Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menceritakan: “Ketika berlaku perang Khaibar, beberapa orang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang dan mereka berkata: “Si polan telah mati syahid, si polan telah mati syahid”, sehingga setiap kali mereka berjumpa seseorang mereka akan katakan sedemikian. Namun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak mungkin! Aku melihatnya berada di dalam neraka kerana dia telah menggelapkan pakaian (sejenis baju labuh untuk menyelubungi badan)”. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan ‘Umar Radhiallahu ‘anhu: “Hai Ibnu Khaththab! Pergilah dan serukan kepada orang ramai bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang beriman”. Lalu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu keluar dan mengumumkan: “Ingatlah, bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang beriman.”
Dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Kami keluar bersama Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam menuju Khaibar. Allah Memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan rampasan perang berupa emas atau perak. Hanya kami perolehi adalah barang-barang makanan dan pakaian. Kemudian kami menuju satu lembah dan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah seorang hamba pemberian seorang lelaki dari Juzam bernama Rifa‘ah bin Zaid daripada Bani adh-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu berdiri untuk melepaskan tali ikatan kenderaannya. Malangnya, dia terkena anak panah dan di situlah dia meninggal, lalu kami berkata: “Kami bersyukur dia gugur dalam mati syahid”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak! Demi diri Muhammad, sesungguhnya sehelai pakaian jubah akan memarakkan api neraka ke atasnya. Pakaian itu dia ambil daripada harta rampasan perang Khaibar, padahal pakaian itu bukan bahagiannya”. Berkata Abu Hurairah: “Lalu orang ramai menjadi takut”. Maka datang seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali kasut dan berkata: “Ya Rasulullah! Aku mendapatkannya ketika perang Khaibar”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seutas atau dua utas tali tersebut (boleh membawa) kepada neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas amat jelas bahawa balasan seksa akan diterima oleh orang-orang yang tidak beramanah (khianat) sekalipun hanya kerana sehelai pakaian atau seutas tali kasut.
Kesimpulan
Amanah adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Perlu diambil perhatian bahawa tidak amanah akan memasukkan si pelakunya ke dalam api neraka.
Amanah tidak hanya terhad kepada pemimpin bahkan kepada setiap individu terhadap apa yang telah diamanahkan kepadanya.
Dengan mengambil i‘tibâr daripada peristiwa isrâ‘ dan mi‘râj, dalam konteks amanah dan lain-lain peristiwa yang ditunjukkan, mudah-mudahan dapat membina penghidupan yang lebih sempurna bagi menghadapi hari-hari yang mendatang kerana amanah itu termasuk dalam perkara iman. Perkara ini telah diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhuma, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak beriman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak beragama bagi orang yang tidak menunaikan (tanggungjawab) agamanya.” (Hadis riwayat Ahmad)
RASUAH: Gejala Masyarakat Yang Perlu Dibanteras
Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan. Namun jangan ada di antara kita yang menjadikannya sebagai matlamat hidup ini, sehingga berlumba-lumba untuk memperolehinya tanpa mengira penat lelah, bekerja siang dan malam serta sanggup pula mengabai dan mengetepikan suruhan dan perintah kewajipan terhadap Allah.
Memang kita disuruh mencari kekayaan itu selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangun ummah.
Sementara kemiskinan pula adalah malapetaka yang kadang-kadang boleh mengubah seseorang kepada kekufuran. Sama ada kekufuran dalam bentuknya yang hakiki dengan mengabaikan aqidah keimanannya atau kekufuran dalam bentuk memenuhi tuntutan hidup yang terdesak dengan mencuri, menipu, mendapatkan wang dengan cara yang tidak halal atau jalan yang salah seperti rasuah.
Namun untuk mencari kehidupan yang mewah juga menyebabkan seseorang terdorong untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang bukan hanya salah di sisi agama, tetapi juga bertentangan dengan etika dan moral. Walaupun kadang-kadang disaluti dan dihiasi dengan bentuk-bentuk yang manis seperti hadiah, ganjaran, upah, pemberian, pinjaman, hatta dalam bentuk pekerjaan, jawatan dan kehormatan, namun tujuan dan matlamatnya satu iaitu rasuah.
Persoalan bahaya rasuah perlu diperjelaskan kepada masyarakat, supaya masyarakat terselamat, kerana kemurkaan Allah dengan sebab perbuatan rasuah itu tidak dapat diukur dan disukat sejauh mana kesannya. Perbincangan ini akan menjelaskan pandangan Islam terhadap rasuah serta kesan dan bahayanya kepada individu, masyarakat dan negara.
Definisi Rasuah
Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil daripada kata asal rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.
Tersebut dalam kitab Tâj al-‘Arûs, rasuah adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukumkan sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.
Menurut Kamus Bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).
Sementara dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.
Manakala menurut Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131, suapan adalah termasuk:
1. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada yang boleh digerakkan atau tidak;
2. Jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan atau khidmat;
3. Pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya;
4. Pulangan berharga, diskaun, komisen, rebet dan bonus;
5. Menahan diri daripada menuntut wang atau sesuatu yang bernilai wang atau barang berharga;
6. Bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh;
7. Perkhidmatan lain, pertolongan atau faedah;
8. Tawaran, jaminan atau janji untuk memberi atau apa jua suapan seperti yang disebutkan di atas.
Rasuah Menurut Hukum Syara‘
Menurut syara‘ rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘ para ulama.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Mâ’idah: 42)
Berdasarkan ayat-ayat al-Qur‘an di atas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang hambaNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebâthilan, pembohongan serta memakan rasuah.
Perbuatan rasuah disebut juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hukuman laknat atau kutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Antara hadis yang membincangkan perkara rasuah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja kepada pemberi dan penerimanya malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melaknat pemberi, penerima dan pengantara rasuah yakni yang menjadi penghubung antara keduanya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun pengantara atau penghubung rasuah itu, jika dia sebagai utusan pihak penerima maka pengantara itu berdosa juga sebagaimana orang yang menerima rasuah. Jika pengantara rasuah tersebut sebagai utusan pihak pemberi, maka mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk kepada tujuan pemberi rasuah. Jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat. Namun jika tujuannya jahat, maka pengantara itu juga akan dilaknat. Tidak ada perbezaan dosa dalam jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit. Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Siapakah Golongan Penerima Rasuah Itu?
Hukum pengharaman rasuah tidak hanya terbatas kepada sesuatu golongan sahaja seperti para hakim, sebagaimana yang disentuh oleh ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 188) di atas, bahkan ia adalah bersifat umum meliputi semua golongan. Salah satu golongan yang disebutkan secara khusus oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah para petugas (‘âmil zakat). Baginda mengingatkan para petugas dan melarang mereka (‘âmil zakat) mengambil atau menerima rasuah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azd bernama Ibnu Lutbiyyah. Ibnu Sarh bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyyah, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (lantas) bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku”? Tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu, apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di Hari Kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik. Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan, bukankah saya telah menyampaikan?” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hadiah-hadiah para petugas (‘âmil) adalah khianat.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sementara dalam kitab Marâtib al-Ijmâ‘ disebutkan, ulama telah bersepakat bahawa rasuah dalam menjatuhkan hukuman adalah haram.
Kisah-Kisah Rasuah Pada Zaman Silam
Rasuah sudah menjadi gejala umum serta tidak asing lagi dalam masyarakat dahulu dan sekarang. Penyakit ini seolah-olah menjadi trend kehidupan moden dan merupakan suatu amalan yang sah, halal dan menjadi keperluan hidup. Masalah rasuah ini memang sudah dikenali oleh masyarakat silam, namun ia lebih bersifat individual dan terhad. Demi untuk mengambil pengajaran dan i‘tibâr, eloklah disebutkan beberapa kisah atau sejarah mengenai amalan rasuah yang telah terjadi pada zaman silam.
1. Kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam Dengan Ratu Saba’ (Balqis)
Saba’ adalah sebuah nama kerajaan di zaman dahulu, ibu kotanya dipanggil Ma’rib yang terletak tiga batu dari San‘a iaitu ibu kota Yaman sekarang.
Ratu Saba’ ialah Balqis binti Syarahil seorang pemerintah yang mempunyai kekuasaan yang luas dan singgahsana yang megah yang dihiasi dengan emas dan berbagai-bagai batu permata. Dia mempunyai tiga ratus dua belas ahli mesyuarat, di bawah setiap seorang daripada mereka mempunyai sepuluh ribu orang lelaki. Ratu Saba’ itu mempunyai enam ratus dayang-dayang istana.
Ratu Saba’ serta kaumnya terpesong dari jalan kebenaran dan mereka menyembah matahari. Kisah ini tersebut dalam al-Qur’an, di mana burung hudhud mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tentang kesyirikan Ratu Saba’ serta kaumnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Aku dapati raja perempuan itu (Balqis) dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik)
mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk.” (Surah an-Naml: 24)
Setelah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam mendengar perkhabaran daripada burung hudhud mengenai Ratu itu, lalu Baginda mengutus surat melalui burung hudhud kepada Ratu Saba’ serta kaumnya untuk mengesa dan mentauhîdkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Isi kandungan surat itu sebagaimana tercatat dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya surat itu daripada Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” (Surah an-Naml: 30-31)
Ratu Saba’ mengumpulkan ketua, wazir dan pembesar-pembesar negara untuk mengumumkan perihal yang berlaku serta meminta pandangan daripada mereka. Setelah itu Ratu Saba’ mengambil keputusan untuk berdamai dan mengutus utusannya dengan membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Ratu Saba’ menantikan apa yang dibawa kembali oleh utusannya itu, dan berkata: “Jika Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam menerima hadiah itu bererti dia adalah seorang Raja maka perangilah dia, dan jika Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tidak menerimanya bererti dia adalah seorang Nabi maka ikutlah dia.”
Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tidak menerima hadiah yang dibawa oleh utusan Ratu Saba’ itu, malah mengancam untuk menghantar bala tenteranya jika mereka tidak mahu beriman. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu menghulurkan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan harta kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah an-Naml: 36-37)
Setelah utusan itu kembali menemui Ratu Saba’ dan menyampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, lalu Ratu Saba’ berkata: “Demi Allah, sungguh aku mengetahui bahawa dia bukan sembarangan raja. Kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapinya dan kita tidak dapat melakukan apa pun untuk menentangnya.”
Ratu Saba’ mengirim utusan untuk menyampaikan pesanan kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, bahawa Ratu Saba’ dan para pembesarnya akan datang menghadap Baginda untuk melihat apa yang diperintah dan didakwa oleh Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Ratu Saba’ juga memerintahkan agar membawa singgahsananya yang diperbuat daripada emas, mutiara dan zabarjad.
Sebelum rombongan Ratu Saba’ sampai ke tempat Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, Baginda pun mengumpulkan jin dan manusia yang berada di sekitarnya dan Baginda mengumumkan kepada mereka, bahawa siapakah yang sanggup membawa singgahsana Ratu Saba’ kepadanya sebelum rombongan mereka sampai.
Berkatalah ‘Ifrit daripada golongan jin, bahawa dia sanggup membawa singgahsana itu sebelum Baginda bangun dari tempat duduknya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku! Siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkatalah ‘Ifrit daripada golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat lagi gagah serta amanah.” (Surah an-Naml: 38-39)
Maksud daripada ayat “sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu” ialah dari pagi sehinggalah tergelincir matahari.
Namun Baginda mahu singgahsana itu sampai lebih cepat dari itu, untuk melihatkan kepada mereka akan kebesaran kerajaan Baginda yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Lalu berkatalah seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah, bahawa dia boleh membawa singgahsana tersebut dalam sekelip mata. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata.” (Surah an-Naml: 40)
Kemudian tanpa disedari oleh Baginda, singgahsana itupun berada di hadapannya. Baginda menyuruh agar diubah sedikit sifat singgahsana itu untuk menguji ingatan Ratu Saba’.
Akhirnya Ratu Saba’ memeluk agama Islam dan memurnikan penghambaannya hanya kepada Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, Zat yang menciptakan segala sesuatu lalu menetapkan kadarnya. Ratu Saba’ memeluk agama Islam setelah diajak oleh Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam ketika Ratu Saba’ masuk ke dalam istana besar yang dibangunkan oleh jin. Istana itu diperbuat daripada kaca yang mengalir air di bawahnya.
Demikianlah kisah ringkas bagaimana Ratu Saba’ cuba memberi rasuah berupa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam agar Baginda mahu berdamai dengannya. Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tidak menerima hadiah tersebut malahan Baginda mengancam Ratu Saba’ untuk memerangi mereka jika tidak mahu beriman. Malah Baginda juga memuji-muji akan pemberian Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang jauh lebih baik daripada hadiah yang mereka tawarkan.
2. Kisah ‘Utbah Bin Rabi‘ah Bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Dalam kegelisahan orang-orang kafir Quraisy tentang perkembangan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bertambahnya pengikut dan sahabat-sahabat Baginda termasuklah juga Islamnya Sayyidina Hamzah Radhiallahu ‘anhu, maka satu pertemuan diadakan di balai orang-orang Quraisy. ‘Utbah, salah seorang tokoh yang berpengaruh, memberi satu cadangan kepada orang-orang Quraisy, supaya dia (‘Utbah) berjumpa sendiri dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menawarkan kepada Baginda beberapa tawaran agar Baginda dapat memberi kerjasama dengan mereka.
Datanglah ‘Utbah bertemu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda sedang duduk bersendirian dalam masjid.
Berkata ‘Utbah bin Rabi‘ah: “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya engkau adalah daripada golongan kami, sebagaimana yang engkau ketahui engkau mempunyai kehormatan keluarga dan keluhuran nasab keturunan. Sesungguhnya engkau telah membawa satu perkara yang besar kepada kaummu. Engkau pecah belahkan jemaah mereka, memperbodohkan akal fikiran mereka, mencaci maki tuhan dan agama mereka dan mengkafirkan orang tua mereka yang telah meninggal dunia. Maka engkau dengarlah kataku, aku akan tawarkan padamu beberapa tawaran yang boleh engkau fikirkan, semoga engkau menerimanya daripada kami.”
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah wahai Abu Walid (gelaran kepada ‘Utbah)! Aku mendengar.”
Berkata ‘Utbah: “Wahai anak saudaraku! Jika kiranya apa yang engkau bawa ini bertujuan kerana mahukan harta, kami akan kumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kehormatan, kami akan angkat engkau menjadi pemimpin kami sehingga kami tidak akan memberi sesuatu kata putus tanpa bersama denganmu. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kekuasaan, kami akan angkat engkau menjadi raja kami. Jika kiranya disebabkan yang datang kepadamu itu kerasukan jin dan engkau tidak mampu mengusirnya, kami akan cari pengubatnya dengan perbelanjaan kami sendiri sehingga engkau sembuh.”
Setelah selesai ‘Utbah berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula menyuruh ‘Utbah mendengar sabda Baginda. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda dengan membacakan surah Fushshilat:
Tafsirnya: “ حـم. Turunnya (kitab) ini dari Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Qur’an yang diturunkan dengan bahasa Arab, bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu, kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu) sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)!” (Surah Fushshilat: 1-5)
‘Utbah diam sambil mendengarkan bacaan Baginda sehinggalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai membaca pada ayat sajadah, di mana Baginda sujud tilâwah ketika membaca ayat sajadah itu. Lalu Baginda bersabda: “Wahai Abu Walid! Engkau telah mendengar apa yang baru saja engkau dengar, maka terserah kepadamu dengan apa yang engkau dengar tadi.”
Setelah itu ‘Utbah kembali kepada sahabat-sahabatnya dengan raut wajah yang berlainan berbanding semasa dia pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka bertanya kepada ‘Utbah apa yang sudah terjadi. ‘Utbah menjawab: “Demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar perkataan yang belum pernah aku dengar sebelum ini. Demi Allah, perkataan itu bukan syair, bukan sihir dan bukan tilikan. Wahai kaum Quraisy! Taatlah kepadaku dan serahkan persoalan Quraisy kepadaku, biarkan dia (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan apa yang dia bawa. Demi Allah, ucapannya yang aku dengar itu akan menjadi berita yang besar. Jika ucapannya itu didengar oleh orang Arab, nescaya yang demikian itu sudah cukup buat mereka tanpa kamu. Jika dia berhasil mengalahkan orang Arab, maka kekuasaannya adalah kekuasaan kamu dan kejayaannya adalah kejayaan kamu dan kamu menjadi manusia yang paling berbahagia dengannya.”
Mereka berkata: “Demi Allah, engkau telah disihir dengan mulutnya wahai Abu Walid!”
‘Utbah menjawab: “Ini pendapatku tentang dia. Maka lakukanlah apa yang kamu inginkan.”
Cubaan tokoh-tokoh Quraisy terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran terus dilakukan. Namun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menerima tawaran tersebut, malah Baginda hanya mensabdakan kepada mereka yang Baginda tidak bertujuan untuk mendapatkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan. Baginda diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah sebagai Rasul. Allah turunkan kepadanya al-Qur’an dan Allah perintahkannya supaya memberi khabar gembira dan peringatan kepada mereka. Jika mereka menerima apa yang disampaikan Baginda, nescaya mereka mendapat keuntungan di dunia dan akhirat, dan jika mereka menolak, Baginda hanya bersabar terhadap perintah Allah sehingga Allah memutuskan persoalan antara Baginda dengan mereka.
Demikianlah sedikit gambaran daripada kisah orang-orang kafir Quraisy yang cuba memberi rasuah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran yang hebat agar Baginda bekerjasama dengan mereka, namun Baginda tidak menerima walau satupun daripada tawaran tersebut.
3. Rasuah Sifat Orang Yahudi
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan kalau engkau berpaling daripada mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-M â’idah: 42)
Al-Hasan al-Bashri mentafsirkan ayat “mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram”, adalah bagi hakim-hakim Yahudi itu yang suka mendengar berita dusta dan memakan rasuah.
Tersebut dalam riwayat Sulaiman bin Yasar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus ‘Abdullah bin Rawahah ke sebuah perkampungan Yahudi yang bernama Khaibar (untuk mengutip al-kharaj iaitu cukai hasil bumi daripada orang Yahudi). Maka beliau (‘Abdullah) menghitung bahagian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang Yahudi. Namun orang Yahudi itu memberi rasuah kepada ‘Abdullah agar pembahagian yang hendak diambil daripada mereka itu dikurangkan malah ditambah pula bahagian yang lebih untuk mereka. Akan tetapi ‘Abdullah bin Rawahah tegas menolak rasuah itu dengan katanya: “Apa yang kamu berikan kepadaku ini adalah daripada rasuah, sesungguhnya rasuah itu adalah suht (segala yang haram) dan sesungguhnya kami tidak memakannya (rasuah).”
Bentuk-bentuk Rasuah
Ada beberapa bentuk yang diistilahkan sebagai rasuah, di mana sebahagiannya terselindung dengan perbuatan yang berkebajikan atau atas nama kebajikan dan ada juga yang jelas sebagai perbuatan rasuah:
1. Rasuah Dalam Memberi Hukuman
Hakim atau qadhi memang berdepan dengan risiko yang tinggi dalam menjatuhkan sesuatu hukuman terhadap orang yang tertuduh. Lebih-lebih lagi jika hakim itu menerima rasuah daripada orang lain, bertujuan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang salah.
Perkara ini sangat merbahaya dan perbuatan sedemikian adalah perbuatan yang paling keji. Oleh itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi, penerima dan pengantara perbuatan rasuah itu.
Laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Seseorang yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, adalah jauh daripada mendapat rahmat, taufiq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan.
Apa akan jadi jika seseorang itu jauh daripada rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala? Apabila seseorang tidak mendapat petunjuk Allah, dia bagaikan berjalan di waktu gelap tanpa penyuluh yang menerangi. Apabila tidak mendapat rahmat Allah, maka jauhlah dia daripada kebaikan dan nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu, jika hakim atau qadhi mengambil rasuah untuk menjatuhkan sesuatu hukuman, maka hukuman yang diputuskannya itu ditolak walaupun keputusan itu adalah hak atau benar dan rasuah (yang diterimanya) itu hendaklah dikembalikan.
Maknanya rasuah itu memberi kesan terhadap keputusan hakim, di mana dengan sebab rasuah itu akan menjejaskan keputusan hakim walaupun dia menghukumkan sesuatu yang benar.
2. Rasuah Dalam Bentuk Hadiah
Hadiah adalah sesuatu pemberian kepada seseorang dengan maksud untuk memuliakan orang yang diberi. Akan tetapi ada kalanya juga tujuan untuk memberi hadiah itu terselit dengan maksud supaya hajatnya dipenuhi. Oleh itu, eloklah disebutkan di bawah ini beberapa bentuk hadiah yang bermaksud rasuah:
i. Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Penerima
Terdapat perbezaan antara rasuah dan hadiah, sebagaimana yang tersebut dalam kitab al-Ahkâm as-Sulthâniyah:
Ertinya: “Perbezaan antara rasuah dan hadiah ialah rasuah merupakan sesuatu yang diambil dengan meminta, dan hadiah pula merupakan sesuatu yang diberi dengan kebajikan.”
Hadiah dengan niat untuk memuliakan orang yang diberi dan bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang adalah halal bagi pemberi dan penerima.
ii. Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Haram Bagi Penerima
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hadiah yang diberi kepada seseorang dengan maksud menyelamatkan dirinya daripada kezaliman orang yang diberi adalah halal bagi pemberi kerana dharurat dan haram pula bagi penerima kerana bukan hak, seperti orang yang memberi sesuatu kepada penyair kerana takut dirinya difitnah atau diejek.
iii. Hadiah Haram Bagi Pemberi Dan Penerima
Hadiah yang diberikan kepada seseorang dengan harapan hajatnya akan dipenuhi oleh penerima adalah merupakan rasuah yang ditutupi atau dihiasi dengan nama perbuatan yang terpuji iaitu hadiah atau pemberian.
Berkata Ibnu Mas‘ud, bahawa orang yang memberi hadiah kepada seseorang yang telah menunaikan hajatnya lalu diterimanya hadiah itu adalah as-suht (haram).
Berkata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, hadiah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah merupakan hadiah sebenar, namun pada zaman sekarang (zaman ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz) adalah rasuah.
Bentuk hadiah dengan maksud atau tujuan agar hajat dipenuhi adalah seperti riba, kerana mengambil hadiah dengan maksud tersebut menghilangkan pahala pemberian, sebagaimana mengambil riba menghilangkan kehalalan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah, beliau berkata:
Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan, kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Faktor-Faktor Berlakunya Rasuah
Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya amalan rasuah seperti berikut:
1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.
2. Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.” (Surah al-Fajr: 20)
3. Tidak bersifat amanah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun memberikan dasar kriteria pemimpin, ketua, pegawai dan selainnya untuk dilantik, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qashash: 26)
Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seorang mukmin yang kuat (jiwa yang teguh dan bersih dalam perkara-perkara akhirat) lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Terabainya amanah iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada seseorang yang bukan ahlinya, adalah salah satu tanda Hari Kiamat, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah Hari Kiamat”. Bertanya (al-A‘rabiy): “Bagaimana mengabaikannya wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila suatu perkara diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah Hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
4. Tidak ada penerapan hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kehidupan manusia.
5. Kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.
6. Faktor-faktor yang lain secara ringkas:
i. Lemah pendidikan agama dan etika. ii. Tamak. iii. Banyak berhutang. iv. Ada keinginan dan mengambil peluang. v. Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah. vi. Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup. vii. Untuk mencapai cita-cita. viii. Belanja hidup yang semakin meningkat.
Ancaman Kepada Pengamal Rasuah
Ancaman-ancaman terhadap pengamal rasuah adalah seperti berikut:
1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
2. Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
3. Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4. Pemberi dan penerima rasuah diancam dengan api neraka.
5. Rasuah itu termasuk memakan harta dengan jalan yang tidak diredhai.
6. Rasuah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar.
7. Doa tidak diterima.
Bahaya Rasuah Dan Kesannya
Amalan rasuah merupakan suatu bentuk gejala sosial yang wajib ke atas setiap individu mencegahnya. Ini kerana rasuah itu banyak memberi kesan yang buruk, bukan sahaja terhadap individu bahkan juga kepada masyarakat dan negara. Antara kesan-kesan buruk rasuah itu adalah seperti berikut:
1. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Individu:
i. Kehilangan pekerjaan. ii. Kejatuhan moral atau maruah. iii. Menerima hukuman. iv. Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga. v. Keluarga terabai.
2. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat:
i. Mengakibatkan ketidakadilan kerana mengetepikan hak-hak orang tertentu. ii. Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah. iii. Membebankan golongan orang susah. iv. Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.
3. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Negara:
i. Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran. ii. Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan. iii. Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang. iv. Kenaikan kos barang dan perkhidmatan. v. Mengurangkan pendapatan negara. vii. Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.
Penyelesaian Penyakit Rasuah
Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini daripada berleluasa, antaranya:
1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.
2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi Muslim yang beriman dan bertaqwa, kerana dengan adanya iman dan taqwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.
3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.
4. Menanamkan sikap dan minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.
5. Memperbanyak dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keagamaan, seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab agama.
6. Membentuk peribadi Muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d: 11)
7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.
8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.
9. Merapatkan diri dengan Al-Khâliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.
10. Menjalankan hukuman ta‘zîr bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga untuk orang ramai mengambil i‘tibâr dengan hukuman tersebut.
11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membanteras gejala rasuah daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.
Penutup
Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘, bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:
1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.
2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.
3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.
Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.
NIAT: Kesannya Kepada Ibadat Puasa Ramadhan
Perkara asas yang perlu diketahui dalam mengerjakan ibadat puasa ialah niat, sebab niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa. Tanpa niat seseorang itu tidak dianggap berpuasa, walaupun dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Waktu Berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq. Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, hatta ketika sedang menunaikan sembahyang fardhu Maghrib. (Al-Majmû‘: 6/303)
Apabila seseorang itu sudah berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam, tidak semestinya dia menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Perkara ini jika dilakukan tidak membatalkan niat puasanya tadi, kecuali murtad, selama mana perbuatan seperti makan dan minum itu jika ia dilakukan tidak melewati waktu fajar shâdiq. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu (waktu) fajar.” (Surah al-Baqarah: 187)
Berdasarkan ayat di atas, jika sekiranya perbuatan makan dan minum pada malam puasa itu membatalkan niat puasa, maka sudah tentu tidak diharuskan baginya makan dan minum sehingga terbit fajar. Akan tetapi, Allah mengharuskan makan dan minum pada malam puasa sehinggalah terbit fajar. Maka jelas, perbuatan makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa, keculi murtad, pada malam hari puasa tidak membatalkan niat puasa seseorang. (Al-Majmû‘: 6/301, 303-304)
Niat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada tiap-tiap malam, kerana ibadat pada setiap hari puasa itu adalah dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Sebab itu apabila satu hari puasa itu terbatal, ia tidak membatalkan puasa hari-hari yang terdahulu dan yang akan datang. Oleh itu, tidak memadai satu niat sahaja bagi satu bulan puasa. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni)
Niat puasa Ramadhan itu sekurang-kurangnya ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa Ramadhan.”
Niat yang lengkap pula ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Yang Teragak-agak
Antara syarat sah niat puasa, hendaklah niat itu datang dalam bentuk yang pasti atau tidak teragak-agak.
Oleh itu, jika seorang berniat untuk berpuasa dalam keadaan tidak pasti atau teragak-agak, umpamanya dia berniat: “Jika saya cergas atau tidak letih untuk berpuasa, saya akan puasa Ramadhan esok hari”, maka niat puasa seperti ini adalah tidak sah, kerana bentuk niat seperti ini dianggap tidak pasti. (Al-Majmû‘: 6/316)
Ragu-ragu (Syak) Dalam Berniat
Perasaan ragu-ragu (syak) pada siang hari puasa, sama ada sudah berniat puasa pada malam hari ataupun tidak, boleh menjejaskan ibadat puasa seseorang jika dia tidak dapat mengingati kembali apakah dia sudah berniat atau belum.
Jika dia boleh mengingat kembali, walaupun setelah berlalu sebahagian besar waktu siang atau setelah masuk hari seterusnya (selepas waktu Maghrib), bahawa dia sudah berniat pada malam hari, maka puasanya dianggap sah. (Tuhfah al- Muhtâj: 1/508, al-Majmû‘ 6/315,317 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/423)
Lupa Berniat
Sebagaimana yang telah dijelaskan, niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap hari waktu malam. Oleh itu, orang yang terlupa berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam tidak sah baginya melakukan ibadat puasa dan wajib diqadha hari puasa yang terluput itu pada hari lain di luar bulan Ramadhan, kecuali jika dia berniat puasa sebulan pada malam pertama puasa sepertimana niat puasa dalam mazhab Maliki.
Wajib Menahan Diri
Mengikut prinsip hukum syara‘, orang-orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘ diwajibkan ke atas mereka menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang di siang hari puasa, seperti makan dan minum, walaupun mereka ini tidak berpuasa.
Hal ini juga sama keadaannya bagi orang-orang yang tidak berpuasa kerana terlupa berniat puasa. Tidak boleh bagi mereka melakukan perkara-perkara yang ditegah bagi orang yang berpuasa, seperti makan dan minum di siang hari, bahkan wajib ke atas mereka menahan diri seperti orang berpuasa, walaupun mereka ini tidak berpuasa. Sebab, terlupa berniat itu dianggap sebagai tidak memberi perhatian yang serius dalam perkara ibadat. (Al-Majmû‘: 6/314, Mughnî al-Muhtâj: 1/438)
Niat Puasa Dalam Mazhab Maliki
Mengikut pendapat dalam mazhab Maliki, boleh berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan, dan niat itu dilakukan pada malam pertama puasa.
Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga demi untuk mengelakkan terlupa berniat puasa, di samping berniat pada tiap-tiap malam, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat satu bulan, dengan bertaqlîd (mengikut) pendapat mazhab Maliki.
Lafaz niatnya ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”
Namun begitu, perlu diketahui juga, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan syara‘ ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut- turut.
Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari puasa yang berbaki.
Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan:
1. Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).
2. Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.
3. Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syara‘.
Oleh itu, orang yang berniat sebulan puasa jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, seperti sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.
Begitu juga bagi orang yang berlaku sesuatu ke atasnya yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya, niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.
Sebab, ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.
Khusus bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu sebab yang mengharuskan dia berbuka puasa, seperti orang sakit dan orang yang dalam pelayaran, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit atau dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam. (Al-Qawânîn al- Fiqhiyyah: 104, Hasyiah ad-Dusuqi: 1/812-813 dan Taqrîrât ‘Ulaisy: 1/812-813)
Berniat Membatalkan Puasa
Adakah berniat membatalkan puasa sesudah berniat puasa memberi kesan terhadap niat puasa dan ibadat puasa itu sendiri? Umpamanya, apabila seorang itu berniat puasa, kemudian selepas beberapa ketika atau beberapa jam dia berniat pula untuk tidak berpuasa.
Untuk mengetahui kedudukan hukum masalah ini perlu dilihat kepada dua keadaan, iaitu:
1. Membatalkan niat puasa sebelum masuk waktu puasa (sebelum terbit fajar).
Orang yang berniat puasa, kemudian selepas beberapa ketika atau beberapa jam sebelum terbit fajar, dia berniat pula membatalkannya atau berniat untuk tidak berpuasa, maka dalam hal ini niatnya untuk melakukan ibadat puasa menjadi batal dan tidak sah baginya untuk berpuasa dengan niatnya yang mula-mula atau yang pertama itu. Sebab, dia telah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan niat yang pertama tadi.
Untuk itu, hendaklah dia berniat puasa semula bagi membolehkannya melakukan ibadat puasa dan tidak memadai dengan niatnya yang pertama.
2. Berniat membatalkan puasa di siang hari
Orang yang berpuasa yang membatalkan niatnya di siang hari untuk tidak meneruskan puasanya pada siang hari itu ataupun niat berbuka puasa pada siang hari, niat tersebut tidak membatalkan puasanya, selama mana tidak diiringi dengan sesuatu yang boleh membatalkan puasa, seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Ini adalah pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/508, Majmû’: 3/248, 6/313 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/424)
Oleh itu, niatnya pada siang hari untuk membatalkan puasanya itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap ibadat puasanya dan dia tetap dianggap berpuasa.
Kesimpulan
Niat pada pandangan syara‘ adalah titik tolak bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuk ibadat puasa. Walaupun persoalan niat itu nampak seperti perkara biasa, tetapi ianya penting difahami dengan betul, kerana kesannya amat besar dalam ibadat.
SAHUR: Apakah Keberkatannya?
Sahur ialah makan selepas waktu tengah malam atau dinihari sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain.
Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat (mustahab) berdasarkan beberapa hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu mempunyai berkat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda sedang bersahur lalu bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta‘ala dan malaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Hadis riwayat Ahmad)
Berkat Bersahur Menurut Ulama
Perintah bersahur itu walaupun hanya pada peringkat sunat dan hukum berpuasa bagi orang-orang yang tidak bersahur tetap sah. persoalan yang hendak ditimbulkan ialah, apakah berkat yang terdapat di sebalik bersahur itu?
Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani pengarang kitab Fath al-Bâri dan Imam an- Nawawi di dalam kitab Shahîh Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan itu bermaksud:
i. Memperolehi balasan dan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
ii. Mengikut sunnah (jejak langkah) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
iii. Membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa Ahli Kitab sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Perbezaan di antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim)
iv. Menghalang perbuatan-perbuatan yang tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari.
v. Memberi kekuatan untuk beribadat dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari, sesuai dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Bangun dan berdoa di waktu sahur mempunyai barakah kerana pada waktu itu rahmat turun dan doa terangkat sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Daripada Abu Umamah telah berkata: “Ya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bilakah waktu doa itu lebih didengar?” Baginda bersabda: “Pada waktu tengah malam dan selepas sembahyang fardhu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Di samping itu bagi orang yang bangun sahur tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk melakukan amal-amal salih seperti berwudhu, berzikir, membaca al-Qur’an dan bersembahyang sunat Tahajjud dan sunat Witir. Begitulah juga dengan sunat-sunat yang lain hingga terbit fajar. Apatah lagi jika malam tersebut kebetulan merupakan Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Khusus mengenai sembahyang Witir, waktu yang afdhal untuk mengerjakan sembahyang tersebut ialah di akhir malam selepas mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti Tahajjud, hajat dan sebagainya, sekalipun ianya meninggalkan sembahyang Witir berjemaah di awal waktu selepas Tarawih.
vi. Menggalakkan perbuatan bersedekah dan bersahur bersama-sama.
vii. Mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang terlupa melakukan niat puasa.
Makanan Yang Disunatkan Ketika Bersahur
Adapun makanan yang dimakan ketika bersahur biarlah sederhana sesuai dengan kemampuan dan upaya masing-masing.
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menjelaskan bahawa hanya seteguk air sudah memadai untuk mendapat berkat daripada bersahur sebagaimana hadis Baginda di atas.
Jika terdapat buah tamar (kurma), maka itu adalah lebih baik kerana buah kurma itu adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam riwayat yang lain daripada as-Saib bin Yazid Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma).” Sabda Baginda lagi: “Allah memberikan rahmat kepada orang-orang yang bersahur.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Melambatkan Bersahur
Melambatkan sahur adalah sunat sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh ayat al-Qur’an sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah demi memendekkan masa untuk menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Tersebut di dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa seorang sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Kami telah bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas Radhiallahu ‘anhu bertanya: “Berapakah jarak waktu di antara keduanya?” Zaid menjawab:
Ertinya: “Kadar membaca lima puluh ayat.”
Dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.” (Hadis riwayat Ahmad)
Menurut kitab al-Majmû‘ bahawa Imam Syafi‘e menjelaskan dalam kitabnya al- Umm, apabila seseorang syak tentang waktu sahur sama ada waktunya masih kekal atau sebaliknya, adalah sunat dia tidak bersahur. Jika dia bersahur juga dalam keadaan sedemikian, puasanya dihukumkan sah kerana pada asalnya waktu itu
Adapun waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga sebelum terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur.
BERSEDERHANA DALAM BERBELANJA KETIKA MENYAMBUT HARI RAYA
Sikap bersederhana di dalam semua perkara dan tindakan seperti ketika berbelanja adalah dituntut di dalam Islam, kerana menurut pandangan Islam, perkara yang berada di luar kesederhanaan dikatakan sebagai, sama ada melampaui batas yakni berlebih-lebihan, ataupun mengurangi batas yang sepatutnya yakni bakhil atau kikir.
Perkara ini dapat diambil petunjuk daripada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan mereka (yang diredai oleh Allah itu ialah) mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak melampaui batas dan tidak bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil itu).” (Surah al-Furqân: 67)
Dari aspek membelanjakan harta, ukuran sederhana mengikut pandangan syara‘, hendaklah perbelanjaan itu berada di antara dua batas, iaitu tidak melampaui batas atau tidak boros dan tidak pula kurang daripada batas yang sepatutnya atau tidak bakhil.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, sikap bersederhana dalam berbelanja tidak terkecuali daripada menjadi tuntutan agama. Walaupun pada Hari Raya disunatkan memakai pakaian yang sebagus-bagusnya kerana ia merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok, akan tetapi ini tidak bermakna dibolehkan berlaku perkara yang berlebih-lebihan yang melewati batasan yang dibenarkan syara‘.
Oleh itu, bersederhana di dalam menyambut Hari Raya itu tentulah bermaksud tidak berlaku pembaziran di dalamnya dan tidak pula berlaku kekurangan daripada yang sepatutnya (bakhil atau kedekut), bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan masing-masing, sama ada dari aspek keperluan makan minum, pakaian, hiasan dan sebagainya.
Hukum Membazir Atau Boros
Menurut pengertian dari segi istilah syara‘, membazir itu bermaksud melampaui had atau batas yang digariskan oleh syara‘.
Menurut sesetengah ulama pula, melampaui batas itu ialah melakukan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau melakukan sesuatu perkara yang melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan.
Perbuatan membazir adalah jelas dilarang, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan makanlah dan minumlah kamu dan janganlah kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A‘râf: 31)
Oleh itu, dalam menyambut Hari Raya, apa sahaja perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau apa sahaja perkara yang dilakukan melebihi daripada apa yang sepatutnya, maka itulah yang dikatakan perbuatan melampaui batas dan membazir yang dilarang oleh syara‘.
Hubungan Perbuatan Membazir Atau Berlebih-lebihan Dengan Sifat Bermegah-megah
Sama ada disedari atau tidak, perbuatan membazir atau berlebih-lebihan berkait rapat dengan sifat bermegah-megah. Membazir atau berlebih-lebihan boleh membuka pintu kepada sifat bermegah-megah. Manakala sifat bermegah-megah pula akan membuka pintu sifat-sifat yang dikeji dalam Islam, seperti riak, sombong dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Makanlah kamu, minumlah kamu, bersedekahlah kamu dan pakailah (pakaian) kamu, asalkan tanpa bermegah-megah dan tanpa melampau-lampau (membazir). Sesungguhnya Allah suka diperlihatkan nikmat-nikmatNya ke atas hambaNya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, an-Nasa’i dan Ahmad)
Melalui hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggandingkan perbuatan bermegah-megah dengan perbuatan berlebih-lebihan (membazir). Ini memberi isyarat bahawa bermegah-megah dan berlebih-lebihan itu mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain.
Hukum Bakhil Atau Kedekut
Jika sikap berlebih-lebihan atau membazir adalah dilarang, maka sikap bakhil atau kedekut juga adalah dilarang di dalam Islam. Ini kerana sikap bakhil itu terkeluar daripada konsep bersederhana sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu.
Allah Subahanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak.” (Surah Âli ‘Imrân: 180)
Menurut para ulama, bakhil atau kedekut itu ialah enggan menafkahkan harta dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya atau di dalam perkara yang disunatkan ke atasnya.
Oleh itu, sesiapa yang enggan menafkahkan atau membelanjakan hartanya di dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, seperti memberi nafkah anak-anak dan isteri, atau enggan membelanjakan hartanya di dalam perkara yang disunatkan, seperti bersedekah, maka dia digolongkan sebagai orang yang bakhil atau kedekut.
Antara risiko sikap bakhil itu, tidak syak lagi akan membawa kepada penganiayaan atau kezaliman, kerana sikap seperti ini boleh menyebabkan perbelanjaan nafkah orang-orang yang wajib ditanggung, seperti anak, isteri dan ibu bapa akan terabai dan tidak mencukupi. Perkara ini boleh disandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Takutlah kamu akan perbuatan zalim, sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di Hari Kiamat; dan takutlah kamu perbuatan kikir, sesungguhnya kikir itu telah membinasakan orang-orang yang sebelum kamu yang telah membawa mereka kepada melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan mahram-mahram mereka.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)
Melalui hadis di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggandingkan perbuatan zalim dengan perbuatan kikir. Ini memberi isyarat bahawa kezaliman dan sikap bakhil atau kikir itu mempunyai pertalian yang rapat antara satu sama yang lain.
Penutup
Apa yang dianjurkan oleh syara‘ untuk sentiasa bersikap bersederhana dalam berbelanja sememangnya mempunyai hikmat dan kebaikan. Kemeriahan berhari raya bukanlah ruang atau peluang untuk berlebih-lebihan berbelanja sehingga berlaku pemborosan, apalagi sehingga seseorang itu terdorong untuk berhutang, dan tidak pula untuk terlalu berjimat cermat sehingga ke tahap yang dikatakan sebagai kedekut. Menyambut Hari Raya dengan cara sederhana dan tidak terkeluar daripada had-had yang digariskan oleh syara‘ insyâ’ Allah akan membawa keberkatan.
HAYATI KONSEP DOA DI MALAM ‘IDUL FITRI
Dalam Islam doa itu ibadat. Sebagai ibadat tentulah sumbernya daripada perintah Allah Ta‘ala dan RasulNya. Bagi orang Islam yang berdoa dia telah mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mentaati perintah Allah pasti akan mendapat ganjaran, limpah rahmat, kelebihan dan lain-lain kebajikan yang tidak diduga. Demikian sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang kepada hambaNya.
Bagi umat Islam, janganlah ada orang yang menyangka bahawa berdoa itu hanyalah sikap dan perbuatan orang-orang yang lemah, yang hanya dibuat sebagai jalan terakhir untuk menghasilkan harapan dan cita-citanya. Janganlah juga dianggap bahawa berdoa itu sebagai ibadat yang jika suka sahaja dibuat, tetapi jika tidak suka ditinggalkan. Padahal tidak demikian hakikatnya. Doa itu menurut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah otak segala ibadat sebagaimana dalam hadis Baginda:
Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Doa itu adalah otak segala ibadat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam usaha mencapai harapan dan cita-cita melalui berdoa, kita dianjurkan memilih hari dan waktu yang paling mustajâb di mana doa akan diperkenankan. Maka di antara hari-hari itu termasuklah malam Hari Raya. Perkara ini jarang diambil perhatian kalaupun tidak ia dilupakan kerana kita terlalu sibuk dengan urusan persiapan untuk menyambut Hari Raya itu, khasnya ‘Idul Fitri.
Dalam menghidupkan Hari Raya itu, Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri dengan ikhlas kepada Allah Ta‘ala tidak akan mati hatinya sebagaimana hari dimatikan semua hati.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hadis di atas adalah hadis dha‘îf. Walau bagaimanapun, menurut Ibnu Majah periwayat-periwayat hadis ini adalah tsiqah (dipercayai) kecuali sebahagiannya sahaja mudallas (berperangai buruk).
Al-Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajâb pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam ‘Idul Adha, malam ‘Idul Fitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Asy-Syeikh al-Qalyubi di dalam kitab Hâsyiyatân menyebutkan bahawa sunat menghidupkan malam-malam ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri, malam Nisfu Sya‘ban, awal malam Rejab dan malam Jumaat dengan zikir atau sembahyang. Manakala sembahyang yang utama dilakukan ialah sembahyang sunat Tasbih kerana malam-malam tersebut doa diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Adalah memadai menghidupkan malam Hari Raya itu pada sebahagian besar malamnya, sekurang-kurangnya menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah dan berazam juga melakukan sembahyang Subuh dengan berjemaah.
Pengertian Doa
Abdul Rahman Jilan menukil pengertian doa dari segi istilah daripada sebahagian kata-kata ulama yang memberi maksud memohon ‘inâyah dan pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, menyatakan iftiqâr (hajat dan keperluan) kepadaNya, memohon daripadaNya segala perkara yang memberi manfaat atau menolak mudarat daripada bala, memohon rahmat kepadaNya dan memohon apa yang memberi manfaat kepada orang yang berdoa.
Manakala di kalangan orang Melayu pula, perkataan doa itu lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba (Muslim) kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, iaitu untuk keperluan sesuatu hajat, sama ada pertolongan atau perlindungan.
Perintah Berdoa
Di dalam al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, terdapat perintah supaya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antara firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah:
Tafsirnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah: 186)
Menurut al-Qurthubi ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya hamba-hambaNya sentiasa berdoa dan beribadat kepadaNya. Ayat ini juga memberi kegembiraan dan kesenangan kepada makhluk Allah kerana dijanjikan bahawa doa-doa tersebut akan diperkenankan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘râf: 55-56)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghâfir: 60)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menganjurkan supaya umatnya sentiasa dan banyak berdoa dalam apa jua keadaan sebagaimana disebutkan di dalam banyak hadis Baginda, antaranya riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang ingin doanya dikabulkan oleh Allah di waktu susah, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi:
Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala daripada doa.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Adab-adab Doa
Al-Imam al-Ghazali dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, al-Hafiz al-Munziri dalam kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb dan Ibnu al-Imam dalam kitab Silâh al-Mu‘min fi ad-Du‘â’ wa adz-Dzikr ada menyebut mengenai adab-adab ketika berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
1. Hendaklah doa dimulakan dengan memuji Allah اْلمـد هلل) ) dan berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
2. Hendaklah memperbanyakkan berdoa ketika waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat dan pada sepertiga malam.
3. Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika dalam peperangan memperjuangkan agama Allah, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, antara azan dan iqâmah, ketika sedang sujud, ketika hati sedang tenang dan lapang serta bersih daripada gangguan syaitan.
4. Hendaklah ketika berdoa itu menghadap qiblat dengan mengangkat kedua belah tangan serta menyapu kedua belah tangan ke muka setelah selesai berdoa.
5. Hendaklah merendahkan suara ketika berdoa.
6. Berdoa dengan penuh rasa rendah diri, khusyû‘, penuh harapan serta merasakan kebesaran dan kehebatan Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam hati.
7. Berkeyakinan dan meneguhkan harapan bahawa doa itu akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
8. Hendaklah bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sebaiknya doa diulang-ulang tiga kali.
9. Menjaga adab batin iaitu segera bertaubat dan menghindarkan diri daripada perbuatan zalim serta bersungguh-sungguh menumpukan perhatian ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
10. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil ketika berdoa.
11. Sentiasa ikhlas ketika berdoa.
12. Berdoa dengan nama-nama Allah yang mulia (Asmâ’ Allah al-Husnâ).
13. Memilih doa-doa yang ma‘tsûr (doa yang wârid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam).
14. Imam hendaklah menyertakan makmumnya di dalam doanya.
15. Menjauhi segala perkara yang haram di dalam kehidupannya termasuk makan, minum dan sebagainya.
16. Jangan berdoa untuk perkara-perkara maksiat (haram) atau memutuskan silaturahim.
17. Akhiri doa dengan berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Doa Buktikan Wujudnya Allah Ta‘ala
Berdoa adalah menjadi fitrah (tabiat) bagi manusia. Doa juga merupakan penghubung batin antara manusia dan Penciptanya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu, manusia akan sentiasa ingat dan rindu kepada Allah yang akan memberi perlindungan dan pertolongan kepadanya di waktu kesusahan dan kesukaran atau untuk menghindarkan sesuatu keburukan, kejahatan dan mala petaka. Maka apabila berhadapan dengan peristiwa-peristiwa kehidupan seumpama ini, tiadalah tempat sandaran atau landasan untuk menyelesaikannya selain usaha-usaha fizikal iaitulah dengan berdoa.
Jelasnya, doa adalah pengakuan akan kelemahan dan kekurangan diri sebagai hamba Allah, sebaliknya adalah pengakuan terhadap kesempurnaan, kekuasaan, kebesaran dan kemuliaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Pengakuan ini akan menambah kekhusyu‘an dan kepatuhan kepadaNya.
Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar menyatakan bahawa manusia terlalu lemah dan kurang dalam semua segi, kerana itu kita sentiasa berhajat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala setiap waktu dan keadaan di dalam kehidupan ini baik di waktu susah mahupun di waktu senang. Oleh yang demikian, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memerintahkan agar kita memohon pertolongan dan perlindungan kepadaNya melalui doa.
Para nabi dan rasul ‘Alaihimusshalatu wassalam juga memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada setiap waktu dalam urusan mereka sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: “(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyû‘ (dan taat) kepada Kami.” (Surah al-Anbiyâ’: 90)
Jika kita menoleh kepada sejarah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam peperangan Badar, jumlah musuh lebih ramai kira-kira seribu orang, sedang orang-orang Islam hanya tiga ratus lebih orang sahaja. Justeru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengadap qiblat berdoa memohon ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Lalu Allah Subhanahu wa Ta‘ala memperkenankan doa Baginda dan orang-orang Islam yang kecil bilangannya itu berjaya mencapai kemenangan dengan bantuan bala tentera malaikat yang diturunkan oleh Allah Ta‘ala pada hari yang bersejarah itu sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah:
Tafsirnya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada kalangan malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfâl: 9)
Berdasarkan keterangan di atas bahawa, sedangkan para nabi dan rasul sentiasa memohon pertolongan dan perlindungan melalui doa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sekalipun mereka mempunyai keistimewaan-keistimewaan di sisiNya, inikan pula kita sebagai seorang manusia biasa. Inilah hakikat bahawa doa itu merupakan bentuk perhambaan diri manusia kepada Penciptanya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Larangan Berdoa Selain Kepada Allah
Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang memohon sesuatu selain daripadaNya. Perkara ini banyak disebut dalam al-Qur’an, antaranya Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.” (Surah Yûnus: 106) FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain daripada Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya daripada bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, ataupun membangkit dan menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati.” (Surah al-Furqân: 3)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda-benda yang lain daripada Allah, yang tidak memberi manfaat kepada mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada mereka (yang tidak menyembahnya); dan orang kafir selalu menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya.” (Surah al-Furqân: 55)
Ayat-ayat di atas menunjukkan penjelasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengenai dalil-dalil tauhid (ketuhanan) yang membuktikan kekuasaan dan limpah rahmatNya, lalu diterangkan pula tentang sebilangan manusia yang tergamak berlaku syirik dan menderhaka kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menjadi dan menciptakan mereka serta melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga banyaknya kepada mereka.
Anjuran Memohon Pertolongan Dan Perlindungan Kepada Allah
Dalam pada itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengisyaratkan kepada umatnya supaya memohon perlindungan dan pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.
Abu Ya‘la meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Bolehkah aku tunjukkan apakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada musuh kamu, dan meluaskan serta membanyakkan rezeki kamu? (Iaitulah) kamu berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di waktu malam dan di waktu siang, maka sesungguhnya doa itu senjata bagi orang mukmin.” (Hadis riwayat Abu Ya‘la)
At-Tirmidzi pula meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang ditimpa oleh kefakiran, lalu dia datang kepada orang lain untuk memohon kepadanya daripada kefakiran itu, nescaya tidak akan dapat terlepas daripada kefakiran tersebut. Bahkan jika sesiapa yang ditimpa oleh kefakiran, kemudian dia memohon (berdoa) kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka Allah akan memberinya ganti (mengabulkannya) sama ada dengan rezeki yang segera ataupun lambat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Menurut al-Munziri pengarang kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb, hadis-hadis di atas dapat disimpulkan dengan beberapa perkara iaitu:
i. Pernyataan disyariatkan berdoa dengan memohonkan hidayat dan rezeki yang luas kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala
ii. Luas kemuliaan dan kebesaran rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana itu pintu doa serta harapan terbuka luas kepada hambaNya asalkan dia melakukan taubat dengan sebenar-benarnya dan beristiqâmah dalam melakukan taat kepadaNya.
iii. Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin dan tiang agama; sunat berlapang dada sama ada perkara yang diminta akan dikabulkan atau sebaliknya.
iv. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyukai orang-orang yang sentiasa berdoa kepadaNya.
Jangan Mencampuradukkan Doa Dengan Perkara Mungkar
Kedudukan doa itu sangatlah mulia. Oleh kerana itu janganlah dilakukan hanya sekadar adat kebiasaan, tradisi atau memenuhi acara sesuatu majlis. Ia sebenarnya adalah sebagai ibadat untuk menghadapkan harapan dan cita-cita serta menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subahanahu wa Ta‘ala di atas nikmatNya yang melimpah-limpah, akhirnya untuk meraih pahala daripada doa itu sendiri.
Oleh sebab itu adalah salah jika ada orang yang tidak merasa janggal, tidak merasa bersalah apabila mencampuradukkan sesuatu yang mungkar dalam suatu majlis dengan doa dan zikir.
Bagaimanakah akan mendapat keberkatan sedang majlis itu berisi dengan perkara yang tidak direstui oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala? Bagaimana Malaikat Rahmat akan hampir kepada perkumpulan atau majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran itu?
Tersebut dalam suatu riwayat bahawa pada suatu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berada di dalam suatu majlis. Baginda menghalakan pandangan Baginda ke langit, lalu Baginda menundukkan pandangannya, kemudian mengalihkannya kembali ke atas. Maka Baginda ditanya oleh para sahabat mengapa Baginda berbuat begitu. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Baru saja tadi, kaum itu berzikir mengingati Allah (di satu majlis di hadapan Baginda) sehingga para Malaikat Rahmat turun membawa sakînah (ketenteraman) bagaikan sebuah kubah untuk mereka. Ketika malaikat itu sudah dekat kepada mereka, salah seorang daripada mereka pula mengucapkan kata-kata bâthil (sia-sia), maka malaikat itu lari menjauhi mereka.”
Riwayat ini menceritakan bahawa majlis yang terdapat di dalamnya zikir dan pada masa yang sama terdapat perkara yang bâthil tidak akan dihampiri oleh Malaikat Rahmat. Ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sesuatu yang baik itu jika dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka perkara yang baik itu pun turut tidak bernilai dan menjadi sia-sia.
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Fatâwâ al- Hadîtsiyyah pernah ditanya tentang kedudukan hukum mengadakan perkumpulan majlis maulid, zikir dan sembahyang Tarawih, di mana dengan adanya perkumpulan tersebut terjadi perkara yang tidak disukai pada pandangan syara‘ seperti percampuran di antara lelaki dan perempuan di luar batasan yang dibenarkan oleh syara‘.
Beliau menjawab: “Apabila terdapat sesuatu yang diharamkan pada perkumpulan majlis zikir, sembahyang Tarawih atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang mempunyai kuasa menegah perkara itu dan bagi yang tidak mempunyai kuasa wajib ke atasnya menegah dirinya daripada hadir ke majlis berkenaan. Jika tidak, maka dia dianggap bersubahat dengan mereka. Al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafi‘e Rahimahumullahu Ta‘ala dengan jelas menyatakan bahawa duduk bersama dengan orang-orang fâsiq kerana untuk mengambil hati mereka adalah dianggap perbuatan maksiat.”
Ibnu Hajar juga menjelaskan, sesuatu yang dilarang oleh syara‘ itu sungguhpun kecil atau sedikit tidak ada kelonggaran untuk meringan-ringankannya, sebagaimana jelas dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Maka apabila aku menegah kamu daripada melakukan sesuatu maka hindarilah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu membuat sesuatu perkara maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, berdasarkan apa yang difatwakan oleh Ibnu Hajar di atas, jelas bahawa sungguhpun majlis zikir atau doa itu suatu yang baik dan digalakkan pada pandangan syara‘, akan tetapi ianya tidak boleh bercampur aduk dengan apa juga perkara yang ditegah oleh syara‘. Menghadirkan diri dalam majlis seperti itu dianggap berdosa kerana bersubahat dengan orang-orang fâsiq. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bertolak ansur dan melarang secara tegas daripada melakukan perbuatan haram walau apa pun bentuknya.
Penutup
Tanggapan tentang doa hendaklah tepat di sisi syara‘ seperti masa, tempat dan keadaannya mestilah betul-betul sesuai. Adalah sangat tidak sesuai berdoa pada masa, tempat atau keadaan di mana orang tidak menghormati agama, membelakangi atau melupakan agama, atau terdapat campur aduk di antara ingat dan lupakan agama. Apatah lagi di dalam perayaan, perkumpulan atau majlis menentang agama, yang berlawanan dan bercanggah dengan agama. Adalah lebih baik jika doa tidak dibacakan dalam keadaan sedemikian kerana doa adalah perkara besar, perkara di antara hamba dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukan perkara main-main, seperti perkara menyanyi, tari-menari, sukan atau olahraga yang dicampurkan dengan perkara-perkara derhaka kepada Allah dan lain-lain lagi. Ini semua patutlah difahami serta diambil perhatian yang mendalam oleh semua pihak.
Adapun niat yang baik untuk berdoa itu memanglah patut diberi pujian, kerana ia merupakan suatu kebajikan. Jelasnya, sebelum melakukannya kita perlu turut melihat terlebih dahulu, apa tujuan berdoa dan di mana serta dalam keadaan yang bagaimana doa itu akan dibacakan.
TALBIYAH DAN TAKBÎR: Pensyariatannya Dalam Ibadat Haji
Talbiyah ialah perkataan Arab yang bermaksud membalas atau menjawab seruan ( اجَبـة املِّـ َ ى ) sama ada dalam ibadat haji atau selainnya seperti walîmah. Dalam ibadat haji ia bermaksud ucapan orang-orang yang sedang berihram. Manakala dalam walîmah ialah menghadiri undangan kerana undangan wajib ditunaikan
Lafaz Talbiyah
Lafaz Talbiyah yang biasa digunakan ialah:
Ertinya: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.”
Lafaz talbiyah di atas adalah talbiyah yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang disebutkan dalam satu riwayat daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Sesungguhnya talbiyah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setelah duduk di atas kenderaannya untuk bertolak dari masjid Zi al-Hulaifah, Baginda membaca talbiyah: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.” (Hadis riwayat Muslim) Hukum Membaca Talbiyah
Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘ menyebutkan bahawa Imam asy-Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya sepakat mengatakan talbiyah adalah sunat (mustahabb). Jika ditinggalkan, haji yang dikerjakan oleh seseorang itu tetap sah dan tidak dikenakan dam. Walau bagaimanapun dia tidak mendapat pahala fadhilat talbiyah tersebut.
Persoalannya, adakah disunatkan membaca talbiyah bagi orang-orang yang hendak melakukan tawaf Qudum sedangkan mereka dalam keadaan berihram dan selepasnya pula melakukan sa‘i?
Menurut pendapat yang mashyur dalam mazhab asy-Syafi‘e iaitu qaul jadîd dengan berdasarkan dalil-dalil yang ashah bahawa tidak disunatkan bertalbiyah ketika tawaf qudûm dan sa‘i tersebut kerana tawaf itu mempunyai zikir-zikir yang khusus dan lebih utama membaca zikir-zikir tersebut. Begitu juga tidak disunatkan membaca talbiyah ketika tawaf Ifadhah dan tawaf Wada‘ kerana ia terkeluar daripada waktu-waktu yang disunatkan.
Menurut kitab al-Umm tidak mengapa bertalbiyah itu sama ada dalam keadaan berwudhu atau sebaliknya, begitu juga dengan perempuan yang dalam keadaan haidh. Begitu juga sunat (mustahabb) membanyakkan ucapan talbiyah sepanjang berihram sama ada dalam keadaan berdiri, duduk, menaiki kenderaan termasuk turun dari kenderaan, menunggu kenderaan, ketika berjalan kaki, dalam keadaan-keadaan seperti junub, haidh dan nifas, pada waktu siang dan malam termasuk waktu sahur, selepas sembahyang fardhu dan sunat (sebaik-sebaik sahaja selesai membaca wirid dan zikir selepas sembahyang), ketika hendak tidur dan selepas tidur. Jelasnya, dalam apa jua keadaan sepanjang berihram.
Keutamaan Talbiyah
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda mengenai fadhilat talbiyah. Disebutkan dalam satu riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya:
Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiyah dan menyembelih binatang.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Ibnu Majah pula meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril ‘Alaihissalam seraya berkata: “Ya Muhammad! Perintahkan sahabat-sahabatmu menyaringkan suara-suara mereka dengan talbiyah kerana talbiyah itu adalah syi‘ar ibadat haji.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Waktu Bermula Bacaan Talbiyah
Pengarang kitab Irsyâd az-Zumar li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah, Syeikh Muhammad al-Kurdi Rahimahullah menyatakan bahawa pensyariatan talbiyah bagi orang-orang yang berihram haji bermula sebaik-baik sahaja dia memasang niat ihram. Begitu juga bagi orang-orang yang berihram umrah.
Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitab at-Tuhfah pula menyatakan bahawa bagi orang yang hendak berihram adalah wajib berniat ihram di dalam hati dan sunat dilafazkan melalui lisan sebagai ittibâ‘ (mengikut sunnah). Sebaik-baik sahaja selesai berniat disunatkan pula bertalbiyah.
Waktu Berakhir Bacaan Talbiyah
Imam asy-Syafi‘e menyebutkan dalam kitab al-Umm bahawa waktu berakhir dan terputusnya ucapan talbiyah bagi orang yang berihram haji berlaku apabila hendak melakukan lontaran batu yang pertama Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar kerana disunatkan bertakbîr ketika melakukan lontaran tersebut sebagai ittibâ‘ (mengikut sunnah). Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan:
Maksudnya: “Sesungguhnya Usamah Radhiallahu ‘anhu mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dari Arafah ke Muzdalifah, kemudian al-Fadhl pula mengikuti Baginda dari Muzdalifah ke Mina. Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma: “Usamah dan al-Fadhl berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa bertalbiyah sehingga melontar Jamrah al-‘Aqabah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Imam Muslim juga meriwayatkan perkataan al-Fadhl di atas dan menyatakan bahawa inilah dalil supaya talbiyah itu sentiasa diucapkan sehingga melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar.
Manakala bagi jemaah yang hendak bertahallul dengan mendahulukan tawaf dan bercukur pula, ucapan talbiyahnya terputus ketika hendak melakukan tawaf. Begitu juga bagi orang-orang yang berihram umrah, waktu berakhir ucapan talbiyahnya ialah ketika hendak memulakan tawaf.
Perkara ini telah disebutkan dalam riwayat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Talbiyah bagi orang yang mengerjakan umrah (terhenti) sehingga dia memberi isyarat atau istilâm Hajar al-Aswad.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut Abu Isa hadis di atas adalah hasan shahîh dan kebanyakan ahli ilmu beramal dengan hadis di atas dan mereka mengatakan terhentinya talbiyah orang yang umrah itu ketika dia memberi isyarat atau istilâm Hajar al-Aswad.
Perkara-Perkara Yang Disunatkan Ketika Bertalbiyah
Menurut Imam an-Nawawi dalam kitab Hâsyiah Ibnu Hajar ‘alâ al-Îdhâh, di antara perkara sunat yang dilakukan ketika bertalbiyah ialah:
1. Sunat memulai ucapan talbiyah dengan ٍ ِبَِـ َّ لَبـَّمْـك َ اللَّهُـم jika dia berihram haji atau ُ ٍلَبـَّمْــك َ اللَّهُـــم َّ بِعمْـــرَة jika dia berihram umrah. Selepas itu tidak diulangi perkataan haji dan umrah itu pada setiap kali ucapan talbiyah menurut pendapat yang shahîh lagi terpilih
2. Membaca talbiyah sebagaimana lafaz talbiyah yang diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika ditambah lafaz tersebut maka dia meninggalkan sunnah. Walau bagaimanapun tidak makruh berbuat demikian kerana diriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Umar al-Khaththab dan anaknya Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah menambah lafaz talbiyah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan perkataan:
Maksudnya: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, dan aku merasa bahagia dapat memenuhi panggilanMu, dan segala kebajikan hanya bagiMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, dan segala kasih sayang serta amal kebajikan adalah bagiMu.” (Hadis riwayat Muslim)
3. Berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam selepas bertalbiyah. Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah sebaik-baik selawat yang dibaca ialah selawat yang dibaca di dalam tashahhud (selawat Ibrahimiyyah).
4. Memohon doa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan nikmat syurga dan keredhaanNya serta memohon perlindungan daripada api neraka atau sebarang doa yang lain dalam perkara dunia dan agama. Sebagai contoh doa yang dibaca ialah:
Ertinya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu keredhaan dan syurgaMu, dan aku berlindung daripada kemurkaanMu dan azab api neraka.”
Perkara memohon doa selepas bertalbiyah adalah berdasarkan riwayat Khuzaimah bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai daripada membaca talbiyah ketika haji atau umrah, Baginda memohon kepada Allah Ta‘ala keredhaanNya dan syurga serta berlindung dengan rahmatNya daripada azab api neraka. Kemudian Baginda memohon sebarang perkara yang dikehendakinya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan asy-Syafi‘e)
5. Memperbanyakkan ucapan talbiyah sepanjang berihram pada setiap masa, tempat dan keadaan. Walau bagaimanapun, menurut al-Khathib asy-Syarbini makruh bertalbiyah di tempat-tempat yang najis dan seumpamanya.
6. Disunatkan bertalbiyah dalam keadaan berdiri, duduk, di atas tunggangan atau kenderaan, ketika berjalan, berbaring, sama ada dalam keadaan haidh atau junub. Lebih-lebih lagi ketika turun dan naik kenderaan, sama ada duduk atau berdiri dalam kenderaan, atau dalam perkumpulan jemaahnya.
7. Disunatkan juga di waktu sahur, siang dan malam. Begitu juga selepas menunaikan sembahyang iaitu sebelum membaca zikir-zikir yang lain sebagaimana menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah.
8. Disunatkan juga ketika berada di dalam masjid seperti Masjid al- Haram, Masjid al-Khaif di Mina dan Masjid di Arafah kerana semua itu adalah tempat-tempat nusuk (tempat-tempat ibadat dalam berhaji). Dibolehkan menyaringkan suara ketika bertalbiyah di dalam masjid. Walau bagaimanapun haram berbuat demikian jika keterlaluan sehingga mengganggu para jemaah lain yang sedang sembahyang, tawaf, tidur atau membaca.
9. Disunatkan bagi lelaki menyaringkan suara ketika bertalbiyah asalkan tidak menyusahkan dirinya. Bagi perempuan pula memadai dengan suara yang perlahan yang boleh didengar oleh dirinya sendiri dan tidak disunatkan menyaringkan suaranya, kerana ditakuti fitnah daripada suaranya itu.
10. Sunat diulang-ulang talbiyah sehingga tiga kali. Sebagai contoh diucapkan talbiyah tiga kali kemudian berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan membaca doa. Begitulah seterusnya diulang-ulang sebagaimana menurut Ibnu Hajar Rahimahullah. Jika diucapkan talbiyah itu dengan banyak dan berkali-kali tidaklah disunatkan berselawat dan berdoa kecuali setelah dia menamatkan ucapan talbiyah tersebut.
11. Sunat tidak bercakap-cakap ketika bertalbiyah kecuali menjawab salam dan lebih elok mengakhirkan menjawab salam tersebut. Menurut Imam an-Nawawi makruh bagi orang yang bertalbiyah memberi salam kerana memutuskan talbiyah itu adalah makruh.
12. Apabila melihat sesuatu yang menghairankan, mengejutkan atau memeranjatkan sunat diucapkan:
Ertinya: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya kehidupan sejati itu adalah kehidupan di akhirat.”
Bolehkah Bertalbiyah Selain Bahasa Arab?
Harus bagi orang yang tidak pandai berbahasa Arab bertalbiyah dengan bahasanya sendiri sebaliknya haram bagi orang yang pandai berbahasa Arab mengalih-bahasakan talbiyah tersebut ke bahasanya sendiri sebagaimana menurut Ibnu Hajar dan lain-lain ulama Syafi‘iyyah.
Menurut al-Mutawalli pula jika seseorang itu tidak pandai bahasa Arab maka diperintahkan untuk belajar. Dalam masa dia belajar itu maka bolehlah dia bertalbiyah dengan bahasanya sendiri.
Takbîr Hari Raya
Salah satu syi‘ar dalam haji khasnya pada ‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri ialah takbîr.
Sunat melaungkan takbîr dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid, pasar atau sebagainya pada malam ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbîratul ihrâm sembahyang hari raya. Takbîr ini dinamakan mursal dan mutlaq iaitu takbîr yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan bila-bila masa sahaja.
Manakala takbîr muqayyad ialah takbîr yang terikat dan dilaungkan sebaik sahaja selesai sembahyang fardhu, sunat, tunai atau qadha. Takbîr muqayyad ini khusus bagi ‘Idul Adha dan bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bermula takbîr tersebut pada subuh hari Arafah sehinggalah Asar di akhir hari Tasyriq.
Apabila bertepatan malam hari raya itu dengan malam Jumaat, menurut asy- Syibramalisiy, lakukanlah pada malam tersebut dengan bertakbîr, membaca surah al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Lafaz takbîr yang disunatkan itu ialah:
Bagi orang yang menunaikan haji atau umrah tidak disunatkan bertakbîr ‘Idul Adha melainkan selepas dia mengerjakan sembahyang Zuhur ‘Idul Adha tersebut. Ini kerana mereka disyariatkan bertalbiyah di malam hari raya itu.
Pada sepuluh Zulhijjah, sunat mengucapkan takbîr apabila melihat atau mendengar suara binatang korban sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).” (Surah al-Hajj: 28)
Penutup
Talbiyah dan takbîr adalah di antara amalan-amalan sunat yang dilakukan di dalam ibadat haji.
Talbiyah disyari‘atkan sebaik-baik sahaja selesai berniat ihram dan disunatkan sentiasa diucapkan sepanjang berihram sebagai mengikut sunnah. Ia juga adalah syi‘ar dalam ihram.
Takbîr pula disunatkan kepada orang yang melakukan haji ketika melakukan lontaran pertama Jamrah Aqabah pada hari Nahar. Khusus takbîr Hari Raya, bagi para jemaah haji hanya disunatkan kepada mereka selepas mengerjakan sembahyang Zuhur pada hari tersebut.
PERHIASAN YANG DILARANG DALAM ISLAM
Perhiasan dalam bahasa Arab disebut az-zînah, iaitu sesuatu yang dapat memperindah sesuatu yang lain, barang yang dipakai untuk berhias.
Dalam al-Qur’an terdapat perkataan az-zînah (perhiasan), antaranya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.” (Surah al-Hijr 16)
Hukum Memakai Perhiasan
Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantikkan diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.
Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A‘râf 31)
Perhiasan itu fungsinya bukan setakat untuk memperindah dan mencantikkan tubuh badan dan sesuatu tempat saja, seperti dinding-dinding dan ruang-ruang tertentu di dalam rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi juga menjadi alat dan bahan untuk kegunaan sesuatu tujuan, sama ada ianya digunakan kerana ada keperluan seperti untuk perubatan, ataupun digunakan tanpa keperluan, seperti pinggan dan cawan yang diperbuat daripada perak atau emas digunakan untuk makan dan minum kerana semata-mata menunjukkan gaya kehidupan yang mewah.
Namun begitu, bukan semua jenis barang-barang perhiasan itu diharuskan untuk dijadikan bahan kegunaan atau hiasan diri dan tempat. Terdapat garis panduan hukum syara‘ yang menentukan bahan-bahan perhiasan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dan dipakai, baik bagi lelaki mahupun perempuan.
Berikut adalah beberapa contoh mengenai perhiasan yang dibenarkan dan yang dilarang di dalam Islam:
1. Barang-Barang Kemas Daripada Emas Dan Perak
i. Barang-Barang Kemas Daripada Emas
Segala perhiasan seperti cincin, anting-anting, kalung, gelang dan seumpamanya yang diperbuat daripada emas adalah harus dipakai oleh perempuan, tetapi haram bagi kaum lelaki.
Namun begitu, hukum harus berhias diri dengan emas bagi kaum perempuan itu tidaklah bersifat mutlak, tetapi dibatasi pada had yang tertentu. Islam membatasi penggunaan atau pemakaian yang diharuskan itu dengan dua batasan; tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah.
Dalam hal ini tersebut dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Makanlah kamu dan bersedekahlah serta berpakaianlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Larangan pemakaian secara berlebihan itu adalah disebabkan hal itu boleh menggambarkan adanya rasa sombong mempamerkan kekayaan atau menunjuk-nunjuk. Sikap sombong mempamerkan kekayaan atau menunjuk-nunjuk tidak disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bahkan boleh membawa kepada haram. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah an-Nisâ’: 36)
Menurut ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e, berlebihan yang dilarang dalam konteks ini ialah apa yang dikatakan terlalu berlebihan atau berlebihan yang melampau ( املبَلغــةه الســرف ), seperti seorang perempuan memakai sepasang gelang kaki yang berat timbangannya dua ratus mitsqal (bersamaan dengan 850 gram mengikut timbangan pada zaman sekarang), kerana yang demikian itu tidak lagi dikira sebagai berhias atau dipandang sebagai indah, bahkan akan dipandang jelik.
Akan tetapi berlebihan yang sedikit tidaklah mengapa, namun begitu hukumnya adalah makruh.
Oleh itu, ukuran bagi sikap berlebihan yang melampau dalam konteks ini adalah apabila seorang wanita itu memakai barang perhiasannya sehingga tidak lagi dipandang indah, bahkan dipandang jelik, maka itu dikatakan terlalu berlebihan. (Mughnî al-Muhtâj 1/393, I‘ânah ath- Thâlibîn 2/181)
ii. Barang-Barang Kemas Daripada Emas Suasa
Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.
Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum lelaki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur), sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu. (Tuhfah: 1/118- 119, ar-Raniri, Sirâth al-Mustaqîm: 25, Fatwa Mufti Kerajaan Brunei siri 4/86)
Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirâth al-Mustaqîm menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa...” (Halaman 25)
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang lelaki memakai rantai leher, gelang tangan dan cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:
“Haram di atas lelaki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhâj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”
Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas Matn al-Minhâj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”
Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.
Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”
Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa Mufti Kerajaan Brunei siri 4/86)
iii. Barang-Barang Kemas Daripada Perak
Harus bagi perempuan memakai cincin, gelang, rantai, loket dan anting-anting yang diperbuat daripada perak. Akan tetapi, barang-barang kemas seperti itu adalah dilarang bagi kaum lelaki memakainya kecuali cincin.
Tidak dilarang bagi lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak, bahkan hukumnya adalah sunat, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai cincin yang diperbuat daripada perak.
Kadar pemakaian perak yang diharuskan bagi perempuan adalah sebagaimana kadar pemakaian emas yang diharuskan bagi mereka.
Sementara bagi lelaki, ukuran kadarnya ialah tidak melebihi daripada pandangan adat kebiasaan atau ‘urf. Dalam erti kata yang lain, jika pada pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu adalah banyak, maka itulah yang dilarang. Sebaliknya, jika menurut pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu tidak dikatakan sebagai berlebihan, maka ianya diharuskan. (Al-Majmû‘: 4/331, Mughnî al-Muhtâj: 1/392)
2. Bejana Emas Dan Perak
Para ulama fiqh telah sepakat menetapkan bahawa haram hukumnya bagi lelaki dan perempuan memakai atau menggunakan bejana yang diperbuat daripada emas dan perak seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu dan cawan. Termasuk maksud bejana itu juga pencelak mata, tempat pencelak mata, pencungkil gigi dan seumpamanya. Penggunaan yang dilarang itu tidak kira sama ada bagi tujuan sebagai alat untuk makan dan minum, tempat menyimpan ataupun semata-mata hanya untuk perhiasan tanpa digunakan.
Dasar ketetapan hukum haram memakai atau menggunakan barang-barang ini disandarkan kepada berbagai-bagai sumber hadis, antaranya sepertimana yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang minum (menggunakan) pada bejana daripada emas atau perak, maka dia hanya akan menggelegakkan di dalam perutnya api daripada neraka Jahannam.” (Hadis riwayat Muslim)
Termasuk juga yang diharamkan itu, memakai bejana yang disadur dengan emas dan perak.
Namun begitu, tidak mengapa kalau perak dijadikan sebagai pematri atau penampal bejana yang pecah atau berlubang, jika tampalan itu kecil kerana keperluan atau hajat.
3. Memakai Sutera
Sutera ialah benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat iaitu ulat sutera.
Sutera hanya diharuskan bagi kaum perempuan sahaja. Sementara bagi kaum lelaki, para ulama fiqh bersepakat mengatakan bahawa memakai sutera bagi lelaki adalah haram. Larangan memakai sutera bagi lelaki itu meliputi sama ada untuk tujuan pakaian seperti baju, kain sarung, tali leher dan sebagainya, ataupun untuk tujuan selain daripada pakaian, iaitu seperti hamparan permaidani, bantal dan lain-lain.
Perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami daripada minum dengan menggunakan bejana emas dan perak, menggunakannya untuk makan dan (melarang kami) daripada memakai sutera, pakaian yang ditenun daripada sutera dan (melarang kami) daripada duduk di atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sutera yang dilarang bagi kaum lelaki itu ialah sutera yang tidak bercampur dengan bahan lain (pure silk) ataupun sutera yang bercampur dengan bahan lain tetapi kadar suteranya lebih banyak daripada bahan lain itu.
Ukuran banyak dan sedikit sutera yang dicampur dengan bahan lain itu adalah dilihat kepada berat timbangannya. Oleh itu, jika sutera itu bercampur dengan bahan yang lain dan bahan suteranya lebih berat timbangannya berbanding dengan bahan lain, maka tidak boleh bagi lelaki memakai atau menggunakannya. Jika suteranya lebih ringan timbangannya, maka diharuskan bagi lelaki memakai atau menggunakannya. Jika kadar timbangan keduanya (sutera dan bahan yang bercampur dengannya) sama berat, maka mengikut pendapat yang shahîh, diharuskan bagi lelaki memakai atau menggunakannya. (Al-Majmû‘ 4/320-323)
4. Gambar Dan Lukisan Objek Yang Bernyawa Atau Yang Diharamkan
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang menggunakan kain, selimut atau tabir hiasan yang terdapat padanya lukisan gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia, haiwan atau binatang. Akan tetapi, tidak menjadi apa-apa, yakni harus, memakai kain yang terdapat padanya lukisan gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan sebagainya.
Termasuk juga perkara yang dilarang oleh syara‘, memakai pakaian yang memaparkan apa sahaja jenama minuman keras yang diharamkan oleh syara‘, kerana dengan memakai pakaian tersebut secara tidak langsung ia menandakan bahawa dia redha, menyokong, memberi pertolongan kepada mempromosi minuman tersebut, walaupun dia tidak berniat sedemikian.
Demikian juga, memakai pakaian yang memaparkan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol agama lain seperti salib. Salib termasuk benda-benda yang dipakai khas oleh orang Nashrani.
Menurut pendapat al-Imam as-Sayyid Abdullah bin Yahya, bahawa orang Islam yang memakai salib dengan cenderung hatinya pada agama Nashrani atau dia maksudkan menyerupai orang kafir pada cogan-cogan atau adat kufur mereka, maka dia dihukumkan kafir. Jika tidak cenderung hatinya pada agama Nashrani dan tidak pula dia maksudkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur orang Nashrani, maka dia telah berbuat haram dan dosa. Jika dia menyerupai orang Nashrani dalam perkara yang tersebut dengan tidak sengaja atau tidak semena-mena dan tiada maksud sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut, maka tidaklah berdosa tetapi dia telah membuat sesuatu yang makruh.
5. Patung-Patung
Membuat atau mengukir patung bagi objek yang bernyawa secara lengkap dengan segala anggota tubuh badan serta terdapat baginya jisim dan bayang, sama ada ianya dalam bentuk manusia ataupun binatang, sekalipun patung itu merupakan objek yang tidak pernah wujud atau hanya merupakan hasil ilham pengukirnya, seperti kuda bersayap atau kuda berwajah manusia dan sebagainya adalah merupakan suatu dosa besar.
Perkara ini disandarkan kepada beberapa hadis shahîh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi amaran tentang azab seksa yang akan ditimpakan kepada mereka yang mengukir patung pada Hari Kiamat kelak.
Apabila patung-patung tersebut diletakkan sebagai perhiasan, maknanya ia diletakkan sebagai sesuatu yang dimuliakan atau ada unsur-unsur penghormatan. Oleh itu, meletakkannya dengan tujuan perhiasan adalah perbuatan yang haram (berdosa).
Sementara itu pula, malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung-patung atau gambar-gambar (sesuatu yang bernyawa).” (Hadis riwayat Muslim)
Al-Imam al-Qurthubi menjelaskan, malaikat tidak mahu memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung, kerana pemiliknya menyerupai orang-orang kafir, di mana mereka kebiasaannya meletakkan patung di dalam rumah mereka untuk diagung-agungkan. Dengan itu, malaikat tidak menyukainya dan tidak mahu memasukinya. (Fath al-Bâri 3/2627)
Namun begitu, patung atau mana-mana anggotanya yang dibuat atau diukir untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran, seperti patung untuk tujuan kajian, latihan perubatan atau kedoktoran, atau patung kanak-kanak sebagai mainan bagi kanak-kanak perempuan untuk tujuan pendidikan dan latihan bagi masa depannya sebagai ibu, itu adalah diharuskan dan harus dimiliki serta digunakan, kerana terdapat keperluan (hajat), tidak kira sama ada ia diperbuat daripada batu, besi, kayu ataupun plastik.
6. Memakai Cemara
Yang dimaksudkan dengan memakai cemara ialah memakai rambut tambahan, sama ada daripada rambut lain, nilon atau lain-lain yang digunakan untuk membesarkan sanggul. Ia adalah sebahagian daripada cara menghias diri, khususnya bagi perempuan.
Perbuatan orang yang menyambung rambutnya sendiri dengan rambut yang lain atau meminta disambungkan rambutnya hukumnya adalah haram, tidak kira sama ada perempuan ataupun lelaki.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa Allah Subahanahu wa Ta‘ala melaknat orang yang melakukannya, bahkan perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin tetap dilarang melakukannya. Ini adalah berdasarkan beberapa hadis shahîh antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Seorang perempuan Anshar telah berkahwin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga gugur rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk menyambung rambutnya. Lalu mereka bertanya dulu kepada Nabi, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta disambungkan rambutnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam satu riwayat yang lain, Asma’ binti Abu Bakar berkata:
Maksudnya: “Seorang perempuan telah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak saya terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur dan saya akan mengahwinkannya. Apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang disambungkan rambutnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penutup
Islam tidak pernah menafikan naluri dan keinginan manusia untuk berhias supaya senang dan sedap dipandang. Akan tetapi itu tidak bermakna Islam memberi ruang secara mutlak untuk setiap orang berhias mengikut selera masing-masing tanpa batasan. Batasan yang digariskan oleh syara‘ itu pula bukanlah semata-mata menyekat kemahuan dan selera manusia. Akan tetapi ianya mengandungi hikmat dan tujuan yang lebih tinggi, seperti memelihara kemurnian aqidah, menjauhkan diri daripada sifat bermegah-megah, sombong, pembaziran, penipuan dan sebagainya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi kesejahteraan dan kebaikan manusia itu sendiri.
Dalam perkara kesenian pula, seni ukir umpamanya, Islam memandangnya sebagai suatu yang indah, selama mana dalam batas-batas yang dibenarkan atau diharuskan oleh syara‘. Urutan sejarah telah membuktikan bahawa berapa banyak patung yang tujuan asalnya adalah untuk menjadi i‘tibâr dan pengajaran tetapi akhirnya bertukar kepada pemujaan, paling sedikit ada rasa penghormatan dan pemuliaan terhadap patung-patung itu. Tidak kurang pula berlaku pembaziran kerana harga patung itu yang tinggi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5963
