Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Irsyad Hukum 2005

“KHÂTAM AN-NABIYYÎN”: Menurut Al-Qur’an Dan Hadits

Perkataan khâtam menurut kebanyakan kamus ialah sesuatu yang terakhir atau bahagian yang akhir daripada sesuatu. Khâtam an-nabiyyîn pula bermaksud nabi yang terakhir atau penutup sekalian nabi.

Ulama tafsir yang terkemuka sependapat dalam mengertikan kata khâtam an-nabiyyîn sebagai nabi yang terakhir.

Abu Hayyan al-Andalusi dalam tafsirnya al-Bahr al-Muhîth berkata: “Khâtam an-nabiyyîn bermakna tidak akan ada lagi nabi sesudahnya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam).”

Ibnu ath-Thabari pula menyatakan dalam tafsirnya bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Nabi yang terakhir daripada sekalian nabi-nabi.

Manakala Syeikh Zamakhsyari dalam kitabnya al-Kasysyâf berkata: “Khâtam an-nabiyyîn bererti penutup sekalian nabi-nabi.”

Beriman Kepada Rasul

Dalam Islam, beriman kepada rasul-rasul adalah suatu tuntutan syara‘ dan menjadi salah satu daripada rukun iman yang wajib diimani. Beriman kepada rasul-rasul itu boleh dilakukan secara ijmâl dan tafshîl.

Beriman kepada rasul-rasul secara ijmâl ialah beriman kepada nabi-nabi Allah dan rasul-rasulNya yang diketahui kenabian dan kerasulan mereka secara umum – tidak disebutkan nama-nama mereka satu persatu di dalam al-Qur’an.

Manakala beriman kepada rasul-rasul secara tafshîl ialah beriman kepada nabi-nabi Allah dan rasul-rasulNya yang diketahui kenabian dan kerasulan mereka secara khusus satu persatu dengan jalan wahyu (disebutkan nama-nama mereka di dalam al-Qur’an).

Di dalam al-Qur’an disebutkan bahawa bagi setiap umat diutuskan seorang rasul sebagaiman Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya. (Surah Yunus: 47)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Thâghût. (Surah an-Nahl: 36)

Tujuan Allah mengutus para nabi dan rasul ialah supaya membimbing manusia ke jalan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, kerana tanpa bimbingan dan pimpinan dengan pedoman, manusia akan hidup menurut hawa nafsunya. Selain itu, mereka dibentuk sebagai role model kepada manusia lain. Para rasul akan melaksanakan dan memberi contoh teladan bagaimana panduan tersebut dilaksanakan dalam hidup manusia melalui sikap dan perbuatan mereka.

Nabi Terakhir Menurut Al-Qur’an

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memilih dan mengutus rasul-rasul ke alam dunia ini yang terdiri daripada seorang manusia di kalangan mereka sendiri. Ini adalah supaya rasul-rasul itu dapat menyiapkan diri mereka untuk menerima wahyu (syari‘at) daripada Allah Ta‘ala dan menyampaikannya kepada kaumnya, di mana Allah Ta‘ala lebih mengetahui, siapakah yang patut dipilih dan layak menerima jawatan rasul itu. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. (Surah al-An‘âm: 124)

Oleh yang demikian, adalah wajib beriman bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Nabi dan Rasul yang terakhir, tidak ada nabi dan rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Ahzâb: 40)

Menurut al-Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan bukti yang kuat bahawa tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tentang perkara ini banyak hadits mutawâtir (hadits yang sangat kuat) diceritakan oleh para sahabat dan tâbi‘în. Maka jika ada orang yang mendakwa bahawa dia adalah nabi (selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) orang itu adalah pembohong.

Berkata Ibnu ‘Athiyah bahawa ayat di atas adalah dalil (nash) yang menunjukkan tidak ada nabi selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Inilah pendapat semua ulama khalaf dan salaf.

Nabi Terakhir Menurut Hadits

Al-Qur’an al-Karim dengan jelas menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah penutup segala nabi dan rasul. Manakala ijmâ‘ ulama tafsir berpendapat perkataan khâtam bererti penutup. Ini bererti tidak ada nabi sesudah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebab dengan kedatangan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, maka syari‘at Islam telah sempurna.

Anas Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya risâlah dan nubuwwah telah terputus. Maka tidak ada lagi rasul dan nabi sesudahku. Baginda bersabda lagi: “Maka terasa berat perkara sedemikian kepada manusia”. Sabda Baginda lagi: “Kecuali al- Mubasysyirât”. Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah al-Mubasysyirât itu?” Baginda menjawab: “Mimpi seorang lelaki Muslim, kerana mimpi itu adalah sebahagian daripada nubuwwah (kenabian).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya perumpamaanku dengan para nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah. (Pembinaannya) disempurnakan dan diperelokkan kecuali di suatu sudut di mana terletak sebiji batu-bata (yang belum dimasak). Maka sesiapa yang mengelilingi dan mengkagumi rumah tersebut lalu mereka akan berkata: “Alangkah baiknya sebiji bata itu diletakkan! Baginda menjawab: “Akulah bata itu dan akulah penutup segala nabi.” (Hadits riwayat al-Bukhari) Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Dilebihkan aku daripada nabi-nabi yang lain dengan enam perkara: (Iaitu) diberikan kepadaku kata-kata yang sedikit tetapi mempunyai makna yang luas (al-Qur’an), diberikan aku kemenangan dengan menimbulkan rasa takut di hati musuh, dihalalkan bagiku rampasan perang, dijadikan bumi bagiku suci dan tempat bersujud (masjid), diutus aku untuk seluruh makhlukNya dan aku sebagai penutup sekalian para nabi. (Hadits riwayat Muslim)

Az-Zuhri mendengar daripada Muhammad bin Jubair bin Mat‘am daripada bapanya, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Aku adalah Muhammad, dan aku adalah juga Ahmad dan aku al- Mâhi (iaitu), kerana aku dihancurkan kekufuran. Aku al-Hâsyir (iaitu) dikumpulkan manusia di bawah tumitku (untuk mengikuti aku) dan aku al-‘Âqib (iaitu) tiada nabi selepasku. (Hadits riwayat Muslim)

Riwayat daripada ‘Irbath bin Sariyah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya aku (telah dijadikan) hamba Allah sebagai penutup segala nabi, manakala Adam ‘Alaihissalam (dijadikan) bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Ahmad)

Dengan demikian, jelaslah bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah Nabi dan Rasul terakhir, selepas Baginda tidak ada lagi nabi mahupun rasul yang diutus.

Mengingkari Kenabian Dan Kerasulan Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Menurut pengarang kitab Syarh al-Baijuri ‘ala al-Jawharah bahawa orang-orang yang ingkar akan kenabian para nabi atau ingkar kerasulan mereka yang memang diutuskan oleh Allah untuk menjadi rasul, maka orang-orang yang mengingkari itu hukumnya adalah kafir, kecuali bagi orang-orang awam yang tidak pernah belajar ilmu Tauhid. Mereka hanya boleh dihukumkan kafir apabila mereka ingkar selepas mereka belajar (mengetahuinya).

Pengarang kitab Rûh al-Ma‘âni menyatakan bahawa orang-orang yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa Muhammad sebagai Nabi terakhir adalah kafir dan hendaklah dihukum mati dalam negara Islam.

Begitu juga menurut al-Hayyan pangarang kitab al-Bahr al-Muhîth menyatakan bahawa orang-orang sedemikian adalah zindiq dan wajib dibunuh.

Adakah Turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam Ke Dunia Ini Membawa Risalah Baru?

Turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam telah dinyatakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam beberapa riwayat, antaranya riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Tidak berlaku Hari Kiamat sehingga turun kepada kamu putera Maryam sebagai orang yang membawa keadilan. Baginda akan menghancurkan salib, membunuh khinzîr, menegakkan jizyah dan meningkatkan kestabilan hidup/kemakmuran sehingga tidak ada seorang pun yang menerimanya (daripada harta).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ibnu Katsir mengatakan bahawa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kembalinya Isa ‘Alahissalam sangatlah banyak dan sangat kuat untuk mendukung kepercayaan ini.

Ibnu Hazm pula menulis dalam kitabnya al-Fishal fi al-Milal wa an-Nihal bahawa kepercayaan ini berdasarkan hadits yang amat kuat. Maka tidak ada tokoh ulama yang tercatat mengingkari kepercayaan ini, sekalipun golongan Mu‘tazilah.

Al-‘Allamah al-Qurthubi telah menyatakan dalam kitabnya at-Tadzkirah bahawa ada kaum atau puak yang berpendapat tentang turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam ke dunia ini sebagai rasul yang memerintahkan supaya penghuni dunia mentaati Allah dan menjauhi laranganNya. Dengan perkataan lain, baginda membawa risalah baru selepas risalah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Pendapat ini terkeliru kerana ia bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Tetapi dia (Muhammad) adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. (Surah al-Ahzâb: 40)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah bersabda:

Maksudnya: Tidak ada nabi (yang diutus) selepasku. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sabda Baginda yang lain:

Maksudnya: Aku adalah al-‘Âqib iaitu tidak ada selepasku nabi. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, tidak ada keraguan bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam turun ke dunia ini bukanlah sebagai Nabi yang membawa syari‘at baru lain selain daripada syari‘at yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan baginda ‘Alaihissalam itu turun sebagai salah seorang daripada pengikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sesuai dengan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada ‘Umar:

Maksudnya: Sekiranya pun Musa masih hidup beliau hanya mengikuti aku.

Al-Mawardi pula menyatakan dalam tafsirnya bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah nabi yang terakhir manakala Nabi Isa ‘Alaihissalam diturunkan adalah sebagai hakim dan imam yang adil berdasarkan syari‘at Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dipertanggungjawabkan untuk membunuh Dajjal dan membinasakan kayu-kayu salib.

Penutup

Berdasarkan penjelasan di atas, khâtam an-nabiyyîn (penutup sekalian nabi-nabi) itu ialah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qur’an dan hadits-hadits mutawâtir daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan seseorang itu nabi atau rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, adalah pembohongan besar yang boleh membawa kepada kufur.

Perlu diingat bahawa pengakuan sebagai nabi atau rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah salah satu daripada tanda-tanda kecil Hari Kiamat sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Tidak akan tiba Hari Kiamat itu sehingga ada dua golongan besar saling berbunuh-bunuhan, di antara keduanya itu berlakulah peperangan yang besar di mana da‘wah kedua-duanya adalah satu. Dan tidak akan tiba Hari Kiamat itu sehingga banyak kaum Dajjal pendusta yang bilangannya hampir tiga puluh orang, semuanya mengaku bahawa dirinya adalah Rasulullah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

BENCANA TSUNAMI: Meluntur Keangkuhan, Ambil I‘tibâr, Segera Bertaubat

Kejadian bencana alam iaitu gempa bumi yang mengakibatkan berlakunya gelombang maut yang lebih dikenali dengan nama Tsunami telah menggemparkan penduduk dunia. Rata-rata manusia melahirkan rasa terkejut dan sedih ke atas apa yang berlaku. Tidak dinafikan ia merupakan antara kejadian bencana alam yang paling dahsyat yang pernah terjadi dalam sejarah. Bencana ini mengakibatkan banyak jiwa terkorban melebihi angka seratus ribu orang dan kemusnahan besar ke atas harta benda yang berlaku dengan tiba-tiba dan cepat sekali. Ini belum lagi termasuk jumlah yang tercedera dan ratusan ribu orang yang kehilangan tempat berteduh. Kemudian selepas itu, para mangsa Tsunami itu akan menghadapi penderitaan hidup yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Jika dipandang secara sepintas lalu, malapetaka seperti ini berlaku adalah akibat proses alam semulajadi. Akan tetapi sebagai orang Islam yang beriman kita patut beri‘tiqâd bahawa apa yang berlaku itu adalah dengan takdir Allah dan sebagai tanda kebesaran dan kekuasaanNya yang ditunjukkan kepada manusia. Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi, menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Berkuasa untuk bertindak menurut apa yang dikehendakiNya. Ini jelas sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan. (Surah al-Anbiyâ’: 23)

Namun begitu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala Maha Bijaksana tentang segala apa yang dilakukanNya. Semuanya diletakkan pada tempat dan keadaan yang sesuai. Cuma kita sebagai makhlukNya tidak dapat menyelami segala hikmah yang terkandung di dalam perkara yang ditakdirkanNya. Kalaupun kita dapat menyelaminya, hanya sebahagian kecil sahaja yang terjangkau oleh akal fikiran manusia. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah: 30)

Segala apa yang ditakdirkan Allah, sungguhpun sebahagiannya mendatangkan bahaya dan dukacita kepada makhlukNya tentunya mengandungi hikmah. Sebab, mustahil Allah menciptakan sesuatu dan mentakdirkannya dengan sia-sia tanpa sebarang hikmah. Orang-orang yang sentiasa mengingati Allah berkata sebagaimana yang diungkapkan di dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. (Surah Âli ‘Imran: 191)

Apa yang dapat ditanggapi ialah bahawa ia berfungsi sebagai pengajaran kepada manusia supaya mengambil i‘tibâr daripada apa yang berlaku. Setiap apa yang ditunjukkan oleh Allah daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya hendaklah dimanfaatkan oleh umat manusia dengan mengambil pengajaran atau i‘tibâr. Perintah mengambil i‘tibâr atau pengajaran ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. (Surah al-Hasyr: 2)

Keengganan umat manusia untuk mengambil i‘tibâr daripada apa yang didatangkan oleh Allah daripada tanda-tanda kekuasaanNya akan mengakibatkan hati menjadi alpa, lalai dan ini akan menyebabkan mereka jauh daripada rahmat dan belas kasihan Allah. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar daripada (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu), dan mereka (yang bersifat demikian) jika melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan (yang membawa kepada) petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya. (Surah al-A‘râf: 146)

Di dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diterangkan beberapa jumlah hikmah yang terkandung di dalam kejadian bencana dan bala yang berlaku kepada manusia, antaranya ialah:

i. Adakalanya bencana atau malapetaka itu berlaku sebagai balasan Allah Ta‘ala kepada orang yang tidak beriman kepadaNya dan mengkufuri ni‘matNya, seperti peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh ‘Alaihissalam, angin ribut kencang yang menimpa kaum Nabi Hud ‘Alaihissalam, pekikan kuat yang menghancurkan kaum Nabi Salih sehingga menjadi seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, peristiwa kaum Nabi Luth yang ditimpakan angin ribut dengan dihujani batu, peristiwa Fir‘aun dan pengikutnya tenggelam di dalam laut, peristiwa Qarun yang ditelan bumi dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam al- Qur’an:

Tafsirnya: Maka masing-masing Kami binasakan disebabkan dosanya, iaitu di antaranya ada yang kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan mereka ditelan bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah!) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (Surah al-‘Ankabût: 40)

ii. Adakalanya bencana yang berlaku itu untuk menjadi alat pengukur atau batu ujian bagi membezakan di antara orang-orang yang benar-benar beriman dengan yang sebaliknya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah al-‘Ankabût: 2-3)

iii. Adakalanya bencana yang berlaku itu diundang oleh kerosakan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah ar-Rûm: 41)

iv. Adakalanya pula bencana itu terjadi untuk menjadi salah satu cara bagi membersihkan diri orang-orang yang beriman dan sabar daripada segala kesalahan dan dosa serta untuk melipatgandakan pahala mereka. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 155-157) Di dalam hadits shahîh disebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seorang Muslim itu tidak ditimpa dengan keletihan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, kesengsaraan dan kesusahan, bahkan sehingga duri yang menyakitinya melainkan semua itu Allah berkenan untuk menghapuskan dosa-dosanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan boleh saja bencana itu terjadi akibat daripada semua sebab-sebab yang disebutkan di atas.

Mungkin ada orang bertanya, adakah relevan jika dikatakan bahawa bencana gelombang Tsunami itu berlaku adalah sebagai bala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala disebabkan oleh dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, sedangkan yang turut menjadi mangsa adalah negara Islam, orang-orang Islam dan ribuan kanak-kanak yang tidak berdosa?

Sebagai respons kepada pertanyaan itu, pertama sekali perlu dijelaskan bahawa rahsia dan hikmah yang sebenarnya di sebalik apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Âli ‘Imran: 182)

Jika diandaikan bala yang diturunkan itu disebabkan dosa dan maksiat yang berlaku, ianya tidak semestinya tertimpa kepada golongan yang tidak beriman atau orang-orang dewasa yang berbuat dosa sahaja, tetapi boleh saja turut tertimpa kepada golongan yang beriman, sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak yang tidak berdosa. Cuma bezanya dari segi kesudahan masing-masing, sama ada tergolong ke dalam kalangan orang yang beruntung di sisi Allah dengan mendapat keampunan dan keredhaanNya ataupun tergolong ke dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Perkara ini disandarkan kepada beberapa buah hadits, antaranya yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila berlaku maksiat di kalangan umatku, Allah ‘Azza wa Jalla akan menimpakan azab daripadaNya dengan meliputi sekalian mereka. Aku (Ummu Salamah) berkata: “Wahai Rasulullah, sungguhpun di kalangan mereka pada hari itu terdapat orang-orang yang salih?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya”. Ummu Salamah berkata: “Lalu bagaimana hal keadaan mereka itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mereka ditimpa oleh apa yang menimpa umat manusia, kemudian akhirnya mereka mendapat keampunan daripada Allah dan keredhaanNya.” (Hadits riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran lalu tidak berusaha untuk mencegahnya maka telah hampir Allah menimpakan seksaanNya dengan meliputi sekalian mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sebenarnya, jika sesuatu bala atau cubaan datang menimpa seseorang, sekumpulan manusia atau sesebuah negeri, jika demikian itu dianggap sebagai azab yang diturunkan Allah sebagai balasan terhadap kemungkaran dan kederhakaan yang telah dilakukan, maka dengan anggapan sedemikian akan dapat melunturkan segala keangkuhan manusia, sama ada mereka yang ditimpa musibah atau sesiapa sahaja yang mahu mengambil i‘tibâr daripada musibah itu, mengejutkan mereka daripada kelekaan bersuka ria, menyedarkan mereka daripada hanyut kerana terlalu ‘iski’ (gembira) sehingga lupa daratan yang mengundang kemurkaan Allah. Seterusnya ini mendorong mereka untuk bertaubat, beristighfâr dan kembali kepada Allah.

Segala kejadian bencana alam yang berlaku mudah-mudahan akan sentiasa menggoncangkan hati kita kerana gerun, gementar dan takut kepada Allah dan memantapkan lagi keimanan. Sebab, beginilah ciri-ciri peribadi orang-orang yang beriman. Orang-orang yang benar-benar beriman itu hanya dengan dibacakan ayat Allah sahaja sudah cukup untuk menggoncangkan hati dan memantapkan iman mereka. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah al-Anfâl: 2)

JALAN RAYA PUN ADA HAK!

Jalan raya adalah kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam sesebuah negara bagi kegunaan orang ramai untuk berhubung dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.

Jalan raya disediakan bukan sahaja di bandar-bandar besar atau pekan, malahan juga di luar bandar, di kampung dan desa. Bagi semua pengguna jalan raya kecuali pejalan kaki dan basikal, sebahagian besar negara telah mewajibkan para pengguna kenderaan seperti kereta dan semua jenisnya termasuk bas, motosikal dan seumpamanya, untuk membayar road tax (cukai jalan raya) mengikut kadar yang ditentukan oleh kerajaan. Begitulah juga halnya di Negara Brunei Darussalam. Dengan makna lain, jalan raya umumnya adalah hak bersama, bukan hak perseorangan atau individu, kecuali jalan raya persendirian.

Untuk menjamin jalan raya itu selamat dan selesa digunakan oleh semua pengguna, sama ada kenderaan bermotor atau pejalan kaki, kerajaan telah memperuntukkan peraturan dan undang-undang bagi pengguna jalan raya. Ia hendaklah dipatuhi. Mana-mana pengguna yang menyalahinya akan dikenakan tindakan menurut undang-undang.

Tidak syak lagi bahawa peraturan dan undang-undang tersebut memberi tumpuan keselesaan dan keselamatan kepada semua pengguna jalan raya. Kecuaian di jalan raya boleh berakhir dengan kematian, selain kecederaan, kerosakan dan kemusnahan kenderaan itu sendiri. Apakah pandangan Islam mengenai jalan raya? Apakah hak-hak jalan raya itu?

Hak-hak Jalan Raya

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu duduk-duduk di jalan-jalan! Sahabat bertanya: “Kami susah meninggalkannya dan di sana kami hanya duduk-duduk bercerita”. Baginda bersabda: “Jikalau begitu, apabila kamu pergi juga ke tempat kamu bercerita itu, kamu berikanlah hak-hak jalan raya”. Mereka bertanya lagi: “Apakah dia hak-hak jalan raya itu?” Baginda menjawab: “Memelihara pandangan, membuang yang menyakitkan, menjawab salam dan membuat kebaikan serta menghalang kejahatan.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadits di atas melarang perbuatan duduk-duduk di jalan raya sama ada di kawasan lapang, di hadapan rumah atau di tepi-tepi jalan. Pengertian hadits di atas juga membawa kepada beberapa etika yang patut diketahui dan diamalkan ketika berada di jalan raya. Etika yang dimaksudkan berdasarkan hadits di atas ialah:

1. Memelihara Pandangan

Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam kitab Fath al-Bâri menjelaskan bahawa memelihara pandangan itu ialah menjauhkan pandangan daripada perkara-perkara fitnah dan maksiat seperti menjauhkan pandangan daripada wanita-wanita yang melintasi atau menggunakan jalan raya tersebut kerana mereka juga seperti pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Ini termasuklah mengganggu dan menyakiti mereka.

2. Membuang Perkara Yang Menyakitkan

Dalam perkara ini Ibnu Hajar al-‘Asqalani menyatakan:

Ertinya: Adapun yang dimaksudkan membuang sesuatu yang menyakitkan di jalan raya ialah tidak berada di jalan raya sehingga boleh menyempitkan (menghalang laluan) orang lain, atau tidak duduk di pintu sehingga boleh menggangu pengguna jalan raya atau sehingga boleh menampakkan aurat keluarganya atau apa sahaja yang mahu dilindunginya. Inilah pendapat ‘Iyadh”. Beliau juga berkata: “Boleh jadi juga yang dimaksudkan dengan membuang yang menyakitkan itu ialah membuang mana-mana yang menyakitkan atau menghalang yang boleh membawa orang ramai berselisih (bergaduh).”

3. Menjawab Salam

Menjawab salam juga menjadi perkara yang ditekankan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu bagi memuliakan orang-orang yang melintas dan menggunakan jalan raya. Oleh kerana itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang sesiapa sahaja daripada perbuatan duduk-duduk di jalan raya dikhuatiri ramai pengguna jalan yang melintasinya dan memberi salam kepadanya. Dengan keadaan demikian berkemungkinan dia sendiri tidak dapat menjawab salam tersebut. Jika ini berlaku ia akan mendatangkan dosa kerana menjawab salam itu adalah wajib. Dengan pengertian yang lain, mereka dianjurkan berkata-kata dengan baik dan bersopan (beradab) kerana ada kemungkinan para pengguna jalan raya bertanya sesuatu atau ingin memastikan arah jalan yang dimaksudkan.

Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, perintah menjawab salam itu disyaratkan dengan suara yang nyaring sekira-kira boleh didengar ketika memberi dan menjawab salam dan tidak memadai dengan isyarat tangan. Walau bagaimanapun Abu Sa‘id dan Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki telah memberi salam kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda sedang sembahyang dan Baginda menjawabnya dengan isyarat. Berdasarkan riwayat ini adalah harus menjawab salam dengan isyarat berserta perkataan (talaffuzh) jika dia tidak mendengar dan dalam keadaan yang berjauhan.

4. Membuat Kebaikan Dan Mencegah Kemungkaran

Dalam perkara membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran ini banyak anjuran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenainya, antaranya Ibnu Hajar al-‘Asqalani meriwayatkan daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu bahawa membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran itu adalah satu sedekah. Dalam konteks di jalan raya, membuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran boleh membawa maksud usaha-usaha pihak berkenaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya bagi menyelamatkan nyawa dan harta manusia daripada sebarang kemalangan, antaranya:

i. Mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan untuk mengesan sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.

ii. Menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

iii. Memberi peringatan kepada para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk kempen-kempen dan iklan-iklan.

iv. Menasihati para pemandu kenderaan supaya sentiasa mencari langkah dan memastikan keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar, memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain supaya pengguna jalan raya benar-benar selamat.

Mnghindarkan Segala Yang Menggangu Pengguna Jalan Raya

Islam menghendaki supaya semua pengguna jalan raya merasa selesa dan senang ketika menggunakan jalan raya. Islam menghendaki agar segala sesuatu yang menghalang perjalanan, menyakiti atau menggangu tidak terdapat di jalan-jalan raya.

Sebagai contoh, paku yang ditakuti menembusi tayar-tayar kereta dan duri yang ditakuti merobek kulit dan kain atau mencalar kereta tidak berada di jalan raya. Batu yang mengganggu perjalanan, barang-barang bekas makanan atau sampah sarap yang menggangu pemandangan, lebih-lebih lagi jika yang berbau busuk hingga menusuk hidung. Semuanya ini tidak patut kelihatan di jalan raya. Dalam pada itu bagi orang-orang yang menjauhkan segala perkara yang mengganggu dan menyakiti di atas jalan raya mempunyai ganjaran pahala yang sangat besar sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya ialah:

1. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menggambarkan keadaan orang yang bersenang-senang di dalam syurga disebabkan semasa hidupnya di dunia dia pernah memotong kayu dan membuangnya dari jalan raya kerana kayu itu mengganggu perjalanan orang ramai. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Demi sesungguhnya aku melihat seseorang bersenang-senang di dalam syurga disebabkan oleh sepohon kayu yang dibuangkannya dari atas jalan yang mengganggu orang ramai. (Hadits riwayat Muslim)

2. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pernah meminta Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya diajarkan kepadanya sesuatu ilmu yang akan dapat dipergunakannya; tetapi Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya menyuruhnya sentiasa membuang atau menjauhkan apa saja yang mengganggu daripada jalan raya yang digunakan oleh orang-orang Islam. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Wahai Nabi Allah! Ajarkan kepada saya sesuatu yang boleh saya manfaatkan daripadanya. Baginda Bersabda: “Jauhkan segala yang mengganggu (menyakiti) di jalan-jalan raya orang Islam.” (Hadits riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Barzah al-Aslami Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang boleh aku pergunakan. Nabi Menjawab: “Singkirkanlah segala yang menyakiti dari jalan-jalan raya orang Islam.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

3. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Di atas jalan raya terdapat dahan kayu yang menyakiti orang ramai. Kemudian dahan itu disingkirkan oleh seseorang, (disebabkan perbuatannya itu) maka dimasukkanlah orang itu ke dalam syurga. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

4. Imam al-Bukhari Rahimahullah pula meriwayatkan bahawa Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu menceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ketika seseorang sedang berjalan di suatu jalan raya dia mendapati dahan kayu yang berduri di tengah jalan, lalu beliau mengambilnya. Maka Allah redha akan perbuatannya itu dan memberikan pengampunan kepadanya. (Hadits riwayat Buhkari)

Dalam pada itu, Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah ada menjelaskan bahawa membuang yang menyakitkan dari jalan-jalan raya dinamakan sebagai sedekah. Oleh kerana perbuatan ini membantu memberi keselamatan kepada pengguna jalan raya, jadi dengan bantuan tersebut seakan-akan si pelaku menghulurkan sedekah. Dengan itu dia berhasil memperolehi pahala sedekah dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan perbuatan sedemikian adalah sebagai sedekah diri. Perkara ini dijelaskan dalam riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Membuang perkara-perkara yang menyakitkan dari atas jalan raya adalah sedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Larangan Mengganggu Kepentingan Pengguna Di Jalan Raya

Kepentingan awam di jalan raya memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh oleh semua pihak, tujuannya sangat jelas iaitu untuk menjaga keselamatan, kemudahan dan terhindar daripada perkara-perkara yang boleh mengganggu keselesaan penggunanya. Oleh itu apa jua yang boleh membahayakan adalah bertentangan dengan peraturan di jalan raya.

Sebagai contoh, membuang sampah sarap di tempat laluan orang ramai selain menyakitkan pandangan mata, merosakkan keindahan alam sekitar, dalam waktu yang sama juga boleh menyebabkan pencemaran yang mengundang pelbagai penyakit.

Walaupun orang yang mengganggu kepentingan awam di jalan raya dengan berbagai-bagai kotoran itu mungkin terlepas daripada tindakan undang-undang, namun dia tidak akan terlepas daripada laknat. Perkara laknat inilah yang tidak diketahui oleh sebahagian orang ramai.

Perkataan “laknat” dalam konteks mengganggu keselesaan orang ramai ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda sendiri melaknat orang-orang yang membuang najis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Takutlah tiga perkara yang menyebabkan pelakunya dilaknat iaitu membuang najis di jalan yang menuju sungai, di jalan raya dan di bawah pohon tempat perhentian. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan hadits di atas dapat diqiyâskan bahawa apa sahaja yang dikira mempunyai persamaan dengan najis, sama ada dari bau busuknya, kotoran yang menjijikkan serta keburukannya, maka ia termasuk perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan di jalan-jalan raya. Jika ini berlaku maka si pelakunya ditakuti termasuk dalam golongan orang-orang yang dilaknat itu.

Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya merupakan salah satu faktor yang banyak membunuh manusia selain penyakit-penyakit kronik. Bilangannya juga meningkat dari setahun ke setahun. Pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa dalam menyelamatkan nyawa manusia daripada sebarang kemalangan di jalan raya. Antaranya mengadakan sekatan dan pemeriksaan kenderaan, pemeriksaan ke atas pemandu serta memastikan pengguna-pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya supaya mereka benar-benar selamat.

Banyak lagi usaha lain yang dibuat supaya pengguna jalan raya selamat dan terhindar daripada bahaya dan kemalangan, di antara usaha-usaha itu kita dapati papan-papan tanda yang bertulis kalimah “Allâhu Akbar” dan “Subhânallah” terutamanya di jalan dan kawasan yang dikenal pasti sering terjadi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan cedera parah. Papan tanda ini dibuat dengan tujuan mengingatkan pemandu-pemandu supaya sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindunganNya serta berwaspada ketika memandu.

Bahkan ketika keluar rumahpun kita dianjurkan memohon perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘ala daripada sebarang bahayadan kejahatan sama ada daripada manusia, jin dan syaitan pada setiap masa dan keadaan. Antara amalan-amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum keluar rumah ialah membaca:

- Surah al-Fâtihah. - Ayat al-Kursiy. - Surah al-Quraisy. - Doa ketika keluar rumah:

Maksudnya: Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada perbuatan sesat atau disesatkan, daripada binasa atau dibinasakan, daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan.

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa berikut:

Tafsirnya: Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali. (Surah az-Zukhruf: 13-14)

Oleh itu, bagi mengelak daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, peringatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui hadits-hadits di atas insyâ’ Allah boleh menghindarkan diri, keluarga dan orang lain daripada kehilangan nyawa dan harta benda, lebih-lebih lagi hadits yang menyebutkan perkara laknat.

Jelas, berdasarkan hadits-hadits yang dibawakan itu membuktikan bahawa Islam juga menekankan hak-hak di jalan raya supaya dipatuhi oleh semua golongan dan peringkat manusia.

SEMBAHYANG SUNAT: Boleh Diqadha

Sembahyang sunat ialah sembahyang yang dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri. Jika ia dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan pula tidaklah berdosa.

Walaupun begitu, setiap seseorang Muslim patutlah merasa kesal dan rugi kerana tidak mengerjakan sembahyang sunat. Ini kerana tiap-tiap sembahyang sunat mempunyai fadhilat atau kelebihannya tersendiri.

Tidak mengerjakan sembahyang sunat bererti seseorang Muslim itu akan kehilangan fadhilat atau kelebihan sembahyang sunat itu.

Daripada ‘Aishah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sembahyang sunat Fajar dua rakaat lebih baik daripada dunia dan segala apa yang ada di dalamnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada an-Nu‘man bin Salim Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa bersembahyang dua belas rakaat dalam sehari secara tathawwu‘ (sembahyang sunat), dibina untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Hadits riwayat Muslim)

Daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Setiap tulang yang ada pada tubuh kamu merupakan sedekah. Maka setiap tasbih adalah sedekah, dan setiap tahmîd adalah sedekah, dan setiap tahlîl adalah sedekah, dan setiap takbîr adalah sedekah, dan menyuruh untuk berbuat baik adalah sedekah, dan melarang daripada berbuat kemungkaran adalah sedekah. Memadai kesemuanya ini dengan bersembahyang sunat Dhuha dua rakaat. (Hadits riwayat Muslim)

Sembahyang sunat juga dianggap sebagai tambahan kepada sembahyang-sembahyang fardhu sama ada ianya beriringan dengan sembahyang-sembahyang fardhu seperti sembahyang sunat rawâtib iaitu sembahyang yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah ataupun sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Hajat, Tarawih, Dhuha, Tahajjud dan sebagainya.

Sembahyang sunat disebut juga dalam bahasa Arab sebagai sembahyang nawâfil, tathawwu‘ dan mustahabb. Kesemua ini membawa maksud yang sama sepertimana pengertian sembahyang sunat di atas.

Kelebihan Sembahyang Sunat

Sembahyang sunat amat besar fadhilatnya di mana selain daripada mengharapkan rahmat serta maghfirah, ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu ianya juga dapat menampal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu kita, sebagaimana riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada malaikatNya, sedang Dia lebih Mengetahui: “Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka”), maka Allah berfirman lagi: Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian perhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.” (Hadits riwayat Ahmad)

Sembahyang sunat juga dianggap sebagai ibadat sunat secara fizikal yang paling afdhal selepas ibadat jihâd fî sabîlillâh.

Menurut kitab Mathâlib Uli an-Nuhâ fî Syarh Ghâyah al-Muntahâ karangan Syeikh Mushthafa as-Suyuthi ar-Rahibani dan Syeikh Hassan asy-Syathi menyebutkan bahawa amalan sembahyang sunat dianggap sebagai ibadat sunat secara fizikal yang paling afdhal selepas jihâd kerana dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat: Keikhlasan, bacaan ayat-ayat al-Qur’an, ruku‘ dan sujud, bermunâjât ke hadrat Ilahi, menghadap qiblat, tasbîh dan tahmîd, selawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan banyak lagi.

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui mana-mana amalan sunat yang lebih afdhal selepas amalan-amalan fardhu selain daripada jihâd.”

Daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Ketahuilah bahawasanya sebaik-baik amalan kamu itu ialah sembahyang. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadits ini, dapatlah diqiyâskan bahawa sebagaimana sembahyang fardhu itu adalah seafdhal-afdhal ibadat, maka ibadat sunatnya juga dianggap seafdhal-afdhal amalan sunat.

Jelas sekali di sini bahawa ibadat sembahyang sunat itu sangat besar fadhilat serta ganjarannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagaimanapun bagi sebahagian atau mungkin kebanyakan umat Islam adalah sukar untuk mengamalkan secara mudâwamah (berterusan) terhadap ibadat tersebut disebabkan kesibukan tugas seharian atau sebagainya.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan atau terluput mengerjakannya, adakah sembahyang sunat itu boleh diqadha?

Mengqadha Sembahyang

Apakah yang dimaksudkan dengan mengqadha sembahyang itu? Di dalam kitab al- Mausû‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan ‘qadha sembahyang’ bermaksud mengerjakan sembahyang di luar dari waktunya yang telah ditetapkan oleh syara‘.

Sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha sama ada disebabkan lupa, tidur, meninggalkannya dengan senghaja atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam.

Imam Abu Ishaq asy-Syirazi ada menulis di dalam kitabnya al-Muhadzdzab, barang siapa yang telah wajib ke atasnya sembahyang fardhu lalu dia belum menunaikannya sehingga luput waktunya, maka wajib mengqadha sembahyang tersebut berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa untuk bersembahyang, maka hendaklah dia mendirikan sembahyangnya itu apabila dia sudah teringat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Persoalannya ialah bolehkah sembahyang sunat itu diqadha?

Mengenai persoalan ini terdapat beberapa buah hadits yang menyatakan bahawa sembahyang sunat boleh diqadha, antaranya:

Imam Bukhari meriwayatkan di dalam Shahîhnya:

Maksudnya: (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah mengqadha sembahyang sunat ba‘diyyah Zuhur selepas bersembahyang ‘Ashar. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu tertidur sehingga tertinggal sembahyangnya atau terlalai daripadanya, maka hendaklah dia mendirikan sembahyangnya itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman: “Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.” (Hadits riwayat Muslim)

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang tertidur sehingga terlepas Witirnya ataupun terlupa menunaikannya maka hendaklah dia mendirikannya apabila dia teringat dan sesudah dia terbangun. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadits-hadits di atas, para ulama telah mengambil kesimpulan, antaranya Imam al-Khathib asy-Syarbini, seorang ulama mazhab Syafi‘e yang telah menyebutkan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, bahawa adalah sunat hukumnya mengqadha sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘ (اَلنا ََّنْاال ُِاوُؤَنَّااو) sama ada sembahyang sunat tersebut diharuskan untuk berjemaah seperti sembahyang sunat Hari Raya ataupun tidak seperti sembahyang sunatِ Dhuha. Sembahyang-sembahyang sunat ini sunat untuk diqadha meskipun ketika sedang bermusafir.

Imam asy-Syathi dan Imam ar-Rahibani, iaitu ulama daripada mazhab Hanbali menyebutkan bahawa sunat mengqadha sembahyang sunat rawâtib kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengqadha sembahyang sunat Fajar akibat tertidur dan mengqadha sembahyang sunat ba‘diyyah Zuhur selepas sembahyang ‘Ashar. Perkara ini bolehlah diqiyâskan dengan sembahyang-sembahyang sunat rawâtib yang lain. Disunatkan juga mengqadha sembahyang Witir berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyuruh untuk mengqadha sembahyang sunat Witir jika tertidur atau terlupa untuk menunaikannya apabila sudah terbangun.

Adakah Semua Sembahyang Sunat Boleh Diqadha?

Sebagaimana disebutkan terdahulu bahawa mengqadha sembahyang-sembahyang sunat yang telah ditetapkan waktunya oleh syara‘ hukumnya sunat, seperti sembahyang sunat Dhuha, Witir, rawâtib dan sembahyang-sembahyang sunat Hari Raya. Adapun sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditetapkan waktunya seperti sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, sembahyang sunat Hajat dan sembahyang Gerhana, tidaklah terdapat mana-mana nash daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa sembahyang-sembahyang sunat berkenaan boleh diqadha. Ini sesuai dengan maksud qadha sembahyang itu sendiri yang mana pengertiannya ialah:

“Mengerjakan sembahyang di luar dari waktunya yang telah ditetapkan oleh syara‘.”

Dengan perkataan lain sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditentukan waktunya seperti sembahyang sunat Hajat dan Gerhana tidaklah termasuk dalam sembahyang-sembahyang yang boleh diqadha.

Dalam perkara ini Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa sunat mengqadha sembahyang-sembahyang sunat yang berwaktu (yang ditetapkan waktunya oleh syara‘). Ini kerana sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditentukan masanya itu tidak dapat diqadha kerana waktu untuk mendirikannya tidak terbatas sehingga ianya dapat didirikan (diqadha) di luar dari waktunya.

Disunatkan juga untuk mengqadha sembahyang-sembahyang sunat muthlaq seperti sembahyang sunat Tahajjud jika ianya sudah menjadi kebiasaan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya. Adapun sembahyang-sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana, sembahyang sunat Istisqa‘ dan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, tidaklah disyariatkan untuk mengqadhanya kerana sembahyang-sembahyang sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada. Waktu Yang Dibolehkan Untuk Mengqadha Sembahyang Sunat

Menurut kebanyakan ulama Syafi‘e adalah sunat hukumnya mengqadha sembahyang-sembahyang sunat sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah bersembahyang seperti selepas sembahyang Asar dan Subuh. Ini kerana ada hadits yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengqadha sembahyang sunat ba‘diyyah Zuhur di waktu yang ditegah menunaikan sembahyang sunat iaitu selepas sembahyang fardhu ‘Ashar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan:

Maksudnya: Baginda (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah mengqadha sembahyang sunat ba‘diyyah Zuhur selepas bersembahyang ‘Ashar. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain daripada Qais bin Amrin Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah terlihat seorang lelaki bersembahyang dua rakaat selepas mendirikan sembahyang Subuh, lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun berkata kepadanya: “Sembahyang Subuh (hanya) dua rakaat”, lalu lelaki itu pun berkata: “Aku belum menunaikan sembahyang sunat dua rakaat sebelum Subuh (sembahyang sunat Fajar)”, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya berdiam diri.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadits-hadits serta penjelasan-penjelasan yang telah disebutkan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa sembahyang-sembahyang sunat yang ditentukan kadar masa untuk mengerjakannya dan sembahyang-sembahyang sunat muthlaq yang sudah menjadi kebiasaan seharian bagi seseorang adalah sunat diqadha pada bila-bila masa jika tidak dapat ditunaikan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan oleh syara‘.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita merebut peluang dan janganlah memandang ringan akan amalan sembahyang sunat ini kerana ianya akan menjadi bekalan yang dapat membantu mencukupkan amalan sembahyang fardhu jika terdapat kekurangan padanya di Hari Akhirat kelak.

SAF SEMBAHYANG: Elakkan 10 Kerugian

Salah satu kesempurnaan yang perlu dijaga dalam melakukan ibadat sembahyang secara berjemaah ialah membetulkan atau mengelokkan saf sembahyang. Apa yang dimaksudkan dengan mengelokkan saf sembahyang itu?

Ianya memberi maksud dua perkara, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang berjemaah itu hendaklah:

i. Membetulkan atau meluruskan saf mereka sehingga menjadi satu barisan yang lurus.

ii. Mengisi atau memenuhkan barisan saf yang terdapat ruangan kosong.

Bagaimana Mengelokkan Saf Sembahyang?

Jumhûr ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya tidak terdapat sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sama dan tidak lurus saf mereka. Ketika makmum berdiri, mereka hendaklah meluruskan saf dalam keadaan yang berdekatan sehingga bersentuhan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit supaya tidak terdapat ruang yang kosong dan renggang.

Sehubungan dengan itu, disunatkan bagi imam mengarahkan makmumnya supaya meluruskan saf-saf mereka sebagaimana yang biasa kita dengar sebelum imam mendirikan sembahyang, kerana meluruskan dan memenuhkan saf itu termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Kamu luruskanlah saf di dalam sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk keelokan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala dan sebahagian ulama hadits bahawa meluruskan saf itu hukumnya wajib. Barang siapa yang melampaui batas (barisan) adalah haram hukumnya, kerana suruhan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadits Baginda supaya meluruskan saf adalah menunjukkan perintah wajib. Hal ini jelas diterangkan dengan adanya ancaman mengenainya melalui sebuah hadits yang memerintahkan taswiyyah (meluruskan saf) sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sungguh kamu mahu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Syarh Shahîh Muslim disebutkan beberapa pendapat yang menerangkan mengenai maksud hadits di atas. Namun begitu, pendapat yang azhhar bagi maksud hadits di atas ialah terjadi di antara mereka (orang-orang yang tidak meluruskan saf) permusuhan, kebencian dan perselisihan di lubuk hati.

Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, walaupun tidak meluruskan saf dalam sembahyang jemaah itu hukumnya adalah haram, akan tetapi yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyang.

Tuntutan Memenuhi Saf Pertama

Para fuqahâ’ telah bersepakat mengatakan bahawa sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian barulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya. Ini adalah berdasarkan hadits-hadits shahîh yang menerangkan mengenainya, antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang. (Hadits riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Oleh yang demikian, tidak digalakkan bagi para jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang begitu sahaja, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya dan merapatkannya.

Disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberikan ruang kepada makmum di belakang yang hendak masuk ke saf hadapan selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barang siapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barang siapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Fadhilat Memenuhi Ruang Saf Yang Kosong

Memenuhi ruang-ruang saf bukanlah suatu kerja yang susah. Ia suatu kerja yang amat senang dilakukan. Namun begitu, sikap sesetengah orang yang amat payah untuk menggerakkan kakinya satu atau dua langkah untuk memenuhi ruang-ruang saf yang masih renggang atau kosong. Mereka lebih rela membiarkannya begitu sahaja dalam keadaan renggang atau kosong, ataupun dia lebih rela menyuruh orang lain memenuhinya. Walhal mengisi atau memenuhi ruang-ruang saf yang kosong atau renggang itu mempunyai kelebihan yang besar. Jika dia tahu nescaya dia tidak akan melepaskannya kepada orang lain.

Apakah kelebihan atau fadhilat memenuhi celah-celah atau ruang-ruang saf yang kosong itu? Berikut adalah beberapa riwayat yang menjelaskan mengenainya:

i. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para malaikatNya mendoakan ke atas orang-orang yang menghubungkan saf-saf, dan barang siapa yang menutupi celah-celah yang kosong, nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat. (Hadits riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

ii. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Barang siapa yang menutupi celah-celah saf yang kosong, nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat dan menyediakan baginya sebuah rumah di dalam syurga. (Hadits riwayat ath-Thabarani dalam kitab al-Awsath)

iii. Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang menutupi celah-celah saf (yang kosong) nescaya akan diampunkan dosanya. (Hadits riwayat al-Bazzar dengan sanad yang baik)

iv. Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: Tidak ada langkah yang lebih besar pahalanya daripada langkah di mana seseorang itu menggerakkan langkahnya menuju celah-celah saf (yang kosong) lalu dia menutupi celah-celah itu. (Diriwayatkan oleh ath-Thabarani dalam kitab al-Awsath)

Ganjaran Sembahyang Berjemaah

Membetulkan saf itu mempunyai kaitan langsung dengan sembahyang berjemaah, kerana maksud membuat saf atau barisan itu adalah untuk tujuan sembahyang secara berjemaah.

Kelebihan mendirikan sembahyang secara berjemaah itu adalah dua puluh tujuh kali ganda berbanding dengan mendirikannya secara bersendirian. Ini adalah berdasarkan hadits shahîh di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat yang lain, juga riwayat yang shahîh, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa kelebihan mendirikan sembahyang secara berjemaah itu adalah dua puluh lima kali ganda berbanding dengan mendirikannya secara bersendirian sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendirian dengan dua puluh lima darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya Fath al-Bâri menjelaskan bahawa ganjaran dua puluh tujuh darjat itu adalah ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fâtihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara yang nyaring (jahr), seperti sembahyang fardhu Subuh, Maghrib dan ‘Isya’. Sementara ganjaran dua puluh lima itu pula adalah ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fâtihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara perlahan (sir), seperti sembahyang fardhu Zuhur dan ‘Ashar.

Al-Imam Ibnu Hajar juga membuat analisa sebab-sebab kenapa orang yang melakukan sembahyang secara berjemaah itu dikurniakan ganjaran dengan jumlah sebegitu. Al-Imam merumuskan bahawa orang yang sembahyang berjemaah itu:

i. Menjawab seruan azan dengan niat untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah.

ii. Bersegera datang untuk berjemaah pada awal waktu.

iii. Berjalan pergi ke masjid dengan tenang.

iv. Masuk ke dalam masjid sambil berdoa.

v. Mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul masjid setelah masuk ke dalam masjid.

Kelima-lima perkara ini dilakukan dengan niat untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah.

vi. Menunggu-nunggu sembahyang berjemaah. vii. Para malaikat mendoakannya dan memohonkan keampunan baginya. viii. Disaksikan oleh para malaikat. ix. Menjawab iqâmah. x. Terselamat daripada gangguan syaitan, di mana syaitan akan cabut lari apabila mendengar iqâmah. xi. Berdiri kerana menunggu imam mengangkat takbîratul ihram atau masuk mengikut imam menunaikan sembahyang pada mana-mana bahagian dia mendapati imam. xii Menyempati takbîratul ihram imam. xiii Mengelokkan saf dan memenuhi ruang-ruang saf yang kosong. xiv Menjawab perkataan imam ketika dia berkata: “مساا ِهللاِواانَِااده ”ِ xv Terhindar daripada lupa pada kebiasaannya, di samping dapat mengingatkan imam jika dia terlupa dengan mengucapkan tasbîh (سبحانِهللا ) dan membetulkan bacaan imam jika dia tersalah baca. xvi. Pada kebiasaannya dia memperolehi khusyû‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya. xvii. Pada kebiasaannya dia mengelokkan dan menghiasi dirinya dan pakaiannya. xviii. Dikelilingi oleh para malaikat. xix Terbiasa atau terlatih dengan bacaan secara bertajwid dan dapat mempelajari rukun-rukun sembahyang dan sunat-sunat ab‘adhnya. xx. Menzahirkan syi‘ar-syi‘ar Islam.

xxi. Menyebabkan syaitan menjadi benci kerana terdapat perkumpulan untuk mengerjakan ibadat, bertolong-tolongan membuat perkara ketaatan dan orang yang malas menjadi rajin.

xxii. Terjauh daripada sifat kemunafikan dan secara langsung terhindar daripada perasangka buruk orang lain bahawa dia tidak menunaikan sembahyang.

xxiii. Menjawab salam imam.

xxiv. Mendapat manfaat kerana berkumpul beramai-ramai memohon doa dan berzikir, dan orang yang mempunyai kekurangan akan mendapat berkat daripada orang yang sempurna ibadatnya di kalangan mereka.

xxv. Dapat membangunkan organisasi persahabatan di antara jiran tetangga dan persefahaman terhasil pada waktu-waktu sembahyang.

Sebagai nilai tambah, berikut adalah dua ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fâtihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara yang nyaring (jahr):

xxvi. Diam ketika imam membaca surah al-Fâtihah dan surah atau ayat-ayat tertentu serta mendengarkannya.

xxvii. Mengaminkan ketika imam mengaminkan surah al-Fâtihah yang dibacanya.

Bagaimana Jika Sembahyang Jemaah Tidak Dilakukan di Masjid?

Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan lagi bahawa ganjaran yang berlipat ganda sehingga menjadi dua puluh tujuh atau dua puluh lima yang disebutkan itu adalah khusus bagi sembahyang jemaah yang dilakukan di masjid. Jika berjemaah itu pula tidak dilakukan di masjid, maka akan terluputlah tiga perkara kebajikan, iaitu:

i. Berjalan pergi ke masjid dengan tenang.

ii. Masuk ke dalam masjid sambil berdoa.

iii. Mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul masjid setelah masuk ke dalam

masjid.

Namun begitu, tiga perkara yang terluput itu akan diganti dan diliputi oleh tiga perkara yang lain yang mengandungi dua jenis kebajikan di dalamnya, umpamanya perkara-perkara yang tersebut di dalam bilangan (xv), (xxiv) dan (xxv). Ketiga-tiga perkara ini sebenarnya mengandungi enam perkara kebajikan, kerana setiap satu daripada tiga perkara tersebut mengandungi dua jenis perkara kebajikan, iaitu orang yang berjemaah itu:

• Mendapat manfaat kerana berkumpul beramai-ramai memohon doa dan berzikir.

• Mendapat berkat daripada orang yang sempurna ibadatnya di kalangan mereka.

• Dapat membangunkan organisasi persahabatan di antara jiran tetangga.

• Dapat mewujudkan persefahaman pada waktu-waktu sembahyang.

• Terhindar daripada lupa.

• Dapat mengingatkan imam jika dia terlupa dengan mengucapkan tasbîh (Subhânallah) dan membetulkan bacaan imam jika dia tersalah baca.

Maka dengan itu, jumlah ganjaran dua puluh tujuh masih kekal dengan pemecahan tiga perkara menjadi enam perkara.

Kerugian Sepuluh Ganjaran Kerana Tidak Mengelokkan Saf

Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya Basth al-Kaff fî Itmâm ash-Shaff, keengganan seseorang untuk mengelokkan saf sembahyang boleh mengurangkan satu darjat daripada ganjaran pahalanya sebanyak dua puluh tujuh, kerana mengelokkan saf itu mengandungi nilai satu darjat. Di samping itu, keengganannya mengelokkan saf itu juga meluputkan lagi sembilan perkara kebajikan lain yang mewakili dua puluh tujuh perkara kebajikan yang disebutkan di atas, di mana tiap-tiap satunya mengandungi nilai satu darjat.

Sembilan perkara yang terluput itu ialah:

i. Keamanan daripada gangguan syaitan. Ini kerana syaitan akan mencelah-celah di ruangan saf kosong yang sepatutnya diisi, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Luruskanlah oleh kamu saf-saf kamu dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan tutupi celah-celah, kerana syaitan masuk mencelah di antara kamu sama seperti anak domba, yakni anak-anak kambing yang kecil. (Hadits riwayat Ahmad)

ii. Lingkungan para malaikat. Ini kerana malaikat adalah musuh syaitan. Malaikat tidak akan berada di suatu tempat apabila syaitan berada di situ. Oleh itu, malaikat tidak akan datang ke tempat tersebut (saf yang tidak elok itu).

iii. Doa para malaikat baginya.

iv. Penyaksian para malaikat.

v. Pembangunan organisasi persahabatan. Ini kerana tidak mengelokkan saf itu boleh menyumbang kepada pergeseran dan perselisihan di lubuk hati sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membetul-betulkan bahu kami ketika (akan) mendirikan sembahyang, dan Baginda bersabda: “Luruskanlah, jangan kamu membengkok (saf), maka hati-hati kamu pun akan berselisih (tidak sefahaman).” (Hadits riwayat Muslim)

vi. Perolehan berkat orang yang mempunyai kekurangan daripada orang yang sempurna ibadatnya di kalangan mereka. Ini kerana tidak mengelokkan saf itu menyebabkan hati tidak bersatu.

vii. Terhindar daripada lupa. Oleh itu, orang yang tidak mengelokkan saf biasanya tidak akan terlepas daripada lupa.

viii. Kebencian syaitan terhadap perkumpulan orang yang mengerjakan ibadat dan bertolong-tolongan membuat perkara ketaatan. Apabila saf sembahyang dalam keadaan yang tidak elok, maka syaitan suka dengan keadaan saf yang tidak elok itu.

ix. Khusyû‘ dalam sembahyang. Ini kerana syaitan yang masuk di celah-celah saf yang kosong akan berusaha mengganggu dan mendatangkan was-was orang yang bersembahyang.

Ini bermakna orang yang tidak mengelokkan saf akan kerugian sepuluh nilai ganjaran daripada dua puluh tujuh ganjaran pahala.

Ini baru dilihat dari aspek mengelokkan saf, belum lagi termasuk aspek kesempurnaan sembahyangnya. Jika sembahyangnya pula mempunyai kekurangan, maka akan bertambah rugilah lagi, kerana semakin banyak pula ganjaran pahala akan terluput.

Untuk kesimpulannya, kesempurnaan ibadat sembahyang sebagaimana yang ditentukan oleh syara‘ merupakan suatu tuntutan, termasuk tata cara kesempurnaannya itu, jika sembahyang yang dilakukan secara berjemaah ialah dengan memenuhkan dan meluruskan saf sembahyang. Memenuhkan dan meluruskan saf tidaklah susah. Hanya sekadar mengorak beberapa langkah ke hadapan, ke kiri atau ke kanan. Yang menjadikannya susah itu ialah sikap atau tabiat yang tidak mahu berubah untuk mendisiplinkan diri dalam mengelokkan saf atau kerana kurang maklumat mengenai kelebihan mengelokkan saf sehingga ia dipermudah-mudahkan.

Perintah memenuhkan dan meluruskan saf janganlah dipandang kecil kerana ancaman Allah jelas bagi orang yang tidak mengelokkan saf dengan menjadikan rupanya seperti bentuk keldai atau hati menjadi tidak bersefahaman, selain itu hilangnya banyak kelebihan atau fadhilat. Ini bererti rugi! Kerugian inilah yang mesti dielakkan.

Oleh kerana memenuhkan dan meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang, maka tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berubah untuk mengelokkan saf. Jangan biarkan diri kita hanyut dengan memandang ringan terhadap kepentingan saf yang elok dan sempurna itu.

SEMBAHYANG TAHAJJUD: Janganlah dilupakan

Sembahyang selain sebagai salah satu daripada rukun Islam, ia mempunyai kedudukan yang utama daripada ibadat-ibadat lain. Keutamaannya antara lain boleh mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.  (Surah al-‘Ankabût: 45)

Melalui sembahyang seseorang itu bermunâjât langsung kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagai salah satu cara untuk memohon pertolongan kepadaNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyû‘. (Surah al-Baqarah: 45)

Sebenarnya semua ibadat dalam Islam mempunyai peranan dan kepentingannya tersendiri.

Mengetahui fadhilat dan kelebihan sesuatu ibadat itu pasti akan merangsang dan mendorong seseorang untuk melakukannya.

Salah satu ibadat yang tidak patut dilupakan ialah sembahyang Tahajjud (sembahyang waktu malam), kerana ibadat ini adalah amalan orang-orang salih.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menunjukkan contoh teladan bagaimana tekunnya Baginda bersembahyang di waktu malam sehingga pecah-pecah tumit kaki Baginda sebagaimana disebut dalam riwayat al-Bukhari:

Maksudnya: Baginda (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) qiyâm al-lail (sembahyang malam) sehingga pecah-pecah dua tapak kakinya (tumitnya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Suasana malam dengan segala macam program dan aktiviti-aktivitinya seperti rancangan-rancangan televisyen dan sebagainya, memungkinkan orang tidak dapat tidur di awal waktu, akibatnya orang akan tertidur hingga ke pagi, maka peluang untuk beribadat seperti sembahyang Tahajjud dan lain-lain ibadat tentu akan terlepas. Jika ini menjadi budaya sudah tentu sembahyang Tahajjud mungkin dilupakan, seperti sembahyang Witir yang berkemungkinan hanya diingati pada bulan Ramadhan, tetapi tidak menjadi amalan di malam-malam yang lain. Ditakuti sebahagian orang berfahaman bahawa kerja-kerja sunat itu apabila dibuat mendapat pahala sedangkan apabila ditinggalkan tidak berdosa. Fahaman sedemikian sangat membimbangkan kerana persoalannya di sini ialah, bukan kerana tidak berdosa, tetapi masalah kehilangan kelebihan dan fadhilat, padahal ia adalah saham untuk akhirat.

Pengertian Sembahyang Tahajjud

Sembahyang Tahajjud ialah sembahyang sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas bangun daripada tidur. Dinamakan ia dengan Tahajjud kerana meninggalkan keinginan untuk tidur dengan tujuan bermunâjat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Menurut sejarah, sembahyang Tahajjud dikerjakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sejak mula-mula Islam berkembang di Madinah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Qur’an dengan tartîl (bacaan yang terang, jelas dan betul menurut ilmu tajwid.)  (Surah al-Muzzammil: 1-4)

Tahajjud Dalam Al-Qur’an Dan Sunnah

Sembahyang Tahajjud disyariatkan di dalam al-Qur’an sebagai ibadat tambahan dan dijanjikan kepada orang yang melakukannya satu tempat yang terpuji di Hari Kiamat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang Tahajjud) padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu (pada Hari Akhirat) di tempat yang terpuji. (Surah al-Isrâ‘: 79)

Di samping itu, orang yang melakukannya akan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. (Surah al-Furqân: 64) Di dalam sebuah hadits ada disebutkan bahawa sembahyang Tahajjud dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kerjakanlah qiyâm al-lail (sembahyang malam) kerana sesungguhnya ia amalan biasa dilakukan oleh orang-orang salih sebelum kamu dan sesungguhnya qiyâm al-lail itu mendekatkan diri kepada Allah,ِ mencegah daripada membuat dosa, menghapuskan kejahatan-kejahatan dan dapat menghindarkan daripada penyakit tubuh badan.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sedekat-dekat Allah kepada hambaNya ialah pada tengah malam yang terakhir. Oleh itu, jikalau engkau berupaya, hendaklah engkau menjadi orang yang berzikir kepada Allah pada saat itu, maka usahakanlah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hukum Sembahyang Tahajjud

Pada asalnya hukum sembahyang Tahajjud adalah wajib berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Muzammil ayat 1-4 yang disebutkan terdahulu.

Berdasarkan riwayat Muslim, hukum sembahyang Tahajjud itu menjadi sunat selepas difardhukan sembahyang lima waktu sebagaimana riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika ditanya oleh Sa‘ad bin Hisham:

“Tunjukkan kepadaku bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang?” ‘Aisyah menjawab: “Tidakkah engkau membaca ayat “ ِِ ِْ ِاَياُهَاا الْمُزَّمِال?” Sa‘ad menjawab: “Ya! (aku membaca ayat berkenaan)”. Lalu ‘Aisyah berkata: “Sesungguhnya Allah telah memfardhukan sembahyang malam sebagaimana yang diperintahkan di dalam ayat pertama surah al-Muzzammil.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya menunaikan sembahyang malam itu selama dua belas bulan sehinggalah turun ayat terakhir daripada surah yang sama dan menjadikan sembahyang malam itu sebagai tathawwu‘ (amalan sunat) setelah ia difardhukan.

Walaupun sembahyang malam itu sebagai tathawwu‘, sembahyang ini masih menjadi keutamaan dan mempunyai fadhilat yang besar berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Seafdhal-afdhal sembahyang sesudah sembahyang fardhu ialah sembahyang malam (Tahajjud). (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Masa Dan Waktunya

Waktu menunaikan sembahyang Tahajjud ialah sesudah masuk waktu ‘Isya’ dan selepas menunaikan sembahyang ‘Isya’ hingga terbit fajar sebelum masuk waktu Subuh. Disyaratkan dilakukan selepas bangun daripada tidur, sekalipun tidur itu hanya sekejap. Jika dikerjakan sebelum tidur maka ia bukan dinamakan sembahyang Tahajjud.

Ahmad bin Qasim al-‘Abadi berkata: “Walaupun sembahyang Isya’ dilakukan secara jam‘ taqdîm dengan sembahyang Maghrib di dalam waktu Maghrib dan seterusnya bertahajjud disyaratkan juga dilakukan selepas tidur.”

Menurut Syeikh as-Syarwani pula, maksud selepas tidur itu ialah: “Hendaklah tidur selepas masuk waktu ‘Isya’ walaupun belum menunaikan sembahyang ‘Isya’, sebagaimana perkataan Sheikh Imam Shihab ar-Ramli, hendaklah tidur itu pada waktu yang biasa orang tidur (selepas sembahyang ‘Isya’). Persoalan yang mungkin berbangkit adakah memadai “syarat tidur” seseorang yang tidur di waktu Maghrib sehingga masuk waktu ‘Isya’?

Syeikh as-Syarwani menjelaskan, jika seseorang itu tidur di dalam waktu Maghrib dan bangun ketika masuk waktu ‘Isya’ tidaklah memadai dengan tidurnya itu kerana Ibnu Hajar menyatakan bahawa tidur itu hendaklah selepas masuk waktu Isya’ sekalipun dia masih belum mengerjakan sembahyang ‘Isya’.

Manakala waktu yang paling afdhal menurut Ibnu Hajar al-Haitami ialah waktu tengah malam atau waktu sahur, iaitu satu pertiga akhir malam hinggalah sebelum masuk waktu Subuh sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Qur’an dengan tartîl (bacaan yang terang, jelas dan betul menurut ilmu tajwid). (Surah al-Muzzammil: 2-4)

Rakaat Sembahyang Tahajjud

Di dalam kitab Fath al-Mu‘în disebutkan bahawa bilangan rakaat sembahyang Tahajjud itu tidak ditentukan, dan sekurang-kurangnya dua rakaat.

Walau bagaimanapun, sembahyang Tahajjud itu adalah mengikut ketentuan masa dan keikhlasan atau ketaatan individu itu sendiri mengikut kemampuannya. Jika banyak rakaatnya maka banyaklah pahalanya. Akan tetapi afdhal memanjangkan bacaan sembahyang daripada melakukan banyak rakaat menurut kebanyakan ulama Syafi‘iyyah.

Begitu juga, makruh mengerjakannya pada keseluruhan malam kerana ditakuti akan tidur dan tidak dapat melakukan tuntutan urusan keagamaan dan keduniaan yang lain di siang hari.

Dikecualikan pada sepuluh malam akhir bulan Ramadhan dan dua Hari Raya kerana menghidupkan malam-malam tersebut adalah disunatkan. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, telah berkata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepadaku: “Wahai Abdullah telah dikhabarkan kepadaku sesungguhnya engkau berpuasa di siang hari dan beribadat di waktu malam?” Abdullah pun menjawab: “Benar ya Rasulullah”, lalu Rasulullah pun bersabda: “Janganlah engkau berbuat begitu, berpuasalah kemudian berbukalah, beribadatlah (waktu malam) kemudian tidurlah, kerana sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya dan bagi matamu ada haknya dan bagi isterimu ada haknya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam perkara bangun di tengah malam ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kurang senang terhadap orang yang bangun di tengah malam, tetapi tidak mengerjakan sembahyang Tahajjud atau beribadat sebagaimana riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al- ِ‘ Ash katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadaku: “Wahai Abdullah! Jangan jadi seperti si polan, dia bangun malam tetapi meninggalkan sembahyang malam.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kelebihan Dan Fadhilatnya

Sembahyang Tahajjud mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antara kelebihan atau fadhilatnya ialah:

i. Di tempatkan di akhirat nanti di tempat yang terpuji, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu (pada Hari Akhirat) di tempat yang terpuji. (Surah al-Isrâ’: 79)

ii. Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. (Surah al-Furqân: 64)

iii. Dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala, sebagaimana riwayat al- Hakim:

Maksudnya: Sedekat-dekat Allah kepada hambaNya ialah pada tengah malam yang terakhir. (Diriwayatkan oleh al-Hakim)

Di dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Sesungguhnya qiyâm al-lail itu mendekatkan diri kepada Allah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iv. Dikabulkan doa dan permohonan serta diampunkan dosanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah yang Maha Agung turun pada setiap malam ke langit dunia pada satu pertiga akhir malam, Dia (Allah Subhanahu wa Ta‘ala) berfirman: “Siapa yang berdoa akan Aku kabulkan, siapa yang meminta akan Aku tunaikan, dan siapa yang memohon keampunan akan Aku ampunkan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

v. Terhindar daripada segala penyakit tubuh badan dan mencegah daripada melakukan dosa dan kejahatan. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kerjakanlah sembahyang malam kerana sesungguhnya ia pekerjaan yang biasa dilakukan oleh orang-orang salih sebelum kamu dan sesungguhnya menghidupkan malam itu mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada membuat dosa dan melakukan kejahatan serta dapat menghindarkan daripada penyakit tubuh badan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

vi. Dijanjikan masuk syurga dengan selamat sejahtera sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyanglah di waktu malam di kala orang sedang nyenyak tidur, pasti kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera. (Hadits riwayat al-Hakim, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

vii. Mendapat syafaat baginya dan ahli keluarganya seperti mana perkataan Abu al-Walid an-Nisaburi: “Orang yang sembahyang Tahajjud diberi syafaat kepadanya dan ahli keluarganya.”

Dari itu, tidak syak lagi sembahyang Tahajjud itu mempunyai fadhilat yang banyak dan kelebihan yang amat besar kepada orang-orang yang melakukannya.

Kaifiyyah (Cara-cara) Sembahyang Tahajjud

Sembahyang Tahajjud dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam dan diakhiri dengan sembahyang Witir. Di dalam hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari ada menyebutkan:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah bagaimanakah sembahyang malam itu?” Rasulullah menjawab: “Dua dua (tiap dua rakaat satu salam), maka apabila kamu khuatir akan masuk waktu Subuh, maka tutuplah dengan sembahyang Witir satu rakaat.” (Hadits riwayat al-Bukhari) Lafaz niat sembahyang Tahajjud ialah:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.

Rakaat pertama selepas surah al-Fâtihah dibaca surah al-Kâfirûn dan rakaat kedua dibaca surah al-Ikhlâsh.

Perkara-perkara sunat dilakukan sebelum sembahyang Tahajjud antaranya ialah:

1. Sunat sebelum tidur berniat untuk bangun melakukan sembahyang Tahajjud berdasarkan riwayat daripada Ibnu Khuzaimah:

Maksudnya: Telah bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang akan tidur dan berniat bangun untuk melakukan sembahyang malam, kemudian terlajak tidur hingga pagi, maka dicatatkan niatnya itu sebagai satu pahala, sedang tidurnya pula dianggap sebagai kurnia Tuhan ‘Azza wa Jalla yang diberikan kepadanya.” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

2. Sunat suami membangunkan isteri atau sebaliknya, berdasarkan riwayat daripada Abu Daud:

Maksudnya: Allah memberikan rahmat kepada seseorang lelaki yang bangun malam untuk bersembahyang dan membangunkan isterinya. Oleh itu, jika isteri itu enggan, percikkanlah air di mukanya. Allah juga memberikan rahmat kepada seseorang perempuan yang bangun malam untuk bersembahyang dan membangunkan suaminya. Oleh itu, jika suaminya enggan, percikkanlah air di mukanya. (Hadits riwayat Abu Daud)

3. Sunat bersiwâk sebelum sembahyang seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Huzaifah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun untuk bertahajjud di waktu malam Baginda menggosok-gosok mulutnya (gigi) dengan kayu siwak.” (Hadits riwayat ad-Darami)

4. Sunat sebelum sembahyang Tahajjud membasuh muka untuk menghilangkan rasa mengantuk dan membaca surah Âli ‘Imran berdasarkan riwayat daripada Ibnu Majah:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terjaga daripada tidur dan untuk menghilangkan rasa mengantuk Baginda menyapu mukanya dengan tangannya kemudian membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah Âli ‘Imrân. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

v. Sunat memulakan dengan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat yang ringan sebelum menunaikan sembahyang Tahajjud sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam haditsnya:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu bangun malam, maka hendaklah memulai sembahyangnya dengan dua rakaat yang ringan.” (Hadits riwayat Muslim)

vi. Selepas itu barulah menunaikan sembahyang Tahajjud seperti yang dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana disebutkan dalam hadits berikut:

Maksudnya: Daripada Aswad katanya: “Aku telah bertanya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bagaimanakah sembahyang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di waktu malam?” ‘Aisyah pun menjawab: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidur pada awal malam, kemudian bangun pada akhir malam, lalu Baginda mengerjakan sembahyang, kemudian tidur kembali, apabila azan dilaungkan Baginda pun bersegera bangun, jika Baginda ada keperluan Baginda akan mandi, jika tidak Baginda pun berwudhu kemudian keluar (ke masjid untuk bersembahyang).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Doa Sembahyang Tahajjud

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami selepas sembahyang Tahajjud hendaklah membanyakkan membaca doa dan istighfâr. Dituntut berdoa dan beristighfâr pada keseluruhan malam, lebih-lebih lagi pada pertengahan malam dan lebih afdhal pada waktu sahur, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang beristighfâr (memohon ampun) pada waktu sahur.  (Surah Âli ‘Imrân: 17)

Tafsirnya: Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfâr kepada Allah (memohon ampun). (Surah adz-Dzâriyât: 17-18)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Jabir katanya: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya pada waktu malam itu ada saat tertentu. Apabila seorang Muslim memohon kebajikan urusan dunia dan akhirat kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya, dan yang demikian itu ada pada setiap malam.” (Hadits riwayat Muslim)

Istighfâr yang biasa dibaca ialah:

Ertinya: Aku memohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung dan aku bertaubat kepadaNya.

Antara doa yang dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah:

1. Membaca doa sebagaimana yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika memulakan sembahyang malam:

Maksudnya: Daripada Abu Salamah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Aku telah bertanya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: “Dengan apa Nabi memulakan sembahyangnya jika bangun di waktu malam?” ‘Aisyah menjawab: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memulakan sembahyangnya dengan membaca doa (maksudnya):“Ya Allah ya Tuhanku, Tuhan Malaikat Jibril, Mika’il dan Israfil, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, Tuhan yang mengetahui alam yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah yang (menghukum) menentukan di antara hamba-hambaMu dalam perkara-perkara yang mereka perselisihkan, tunjukkanlah kepadaku dengan izinMu kebenaran daripada apa yang diperselisihkan, sesungguhnya Engkaulah yang memberi petunjuk kepada mereka yang Engkau kehendaki ke jalanMu yang lurus.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

2. Doa selepas sembahyang Tahajjud:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun daripada tidur Baginda pun bertahajjud dan membaca doa:“Ya Allah! BagiMu segala puji, Engkau penegak langit dan bumi serta segala isinya, bagiMulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi serta segala isinya, bagiMulah segala puji, Engkaulah Raja Penguasa langit dan bumi serta segala isinya, bagiMulah segala puji, Engkaulah yang Benar dan janjiMu adalah benar dan perjumpaanMu itu adalah benar, dan firmanMu adalah benar, dan syurga adalah benar dan neraka adalah benar dan nabi-nabi itu adalah benar dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah benar dan Hari Kiamat itu benar. Ya Allah! KepadaMulah aku menyerahkan diri, dan kepadaMulah aku beriman, kepadaMulah aku berserah diri (bertawakkal) dan kepadaMulah aku kembali dan dengan dalilMu aku berhujjah dan kepadaMulah aku memohon keadilan. Maka ampunilah aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, sama ada yang aku sembunyikan maupun yang aku nyatakan, Engkaulah Tuhan yang Terdahulu dan Tuhan Yang Terakhir, tiada tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bilakah Afdhal Memanjangkan Bacaan Semasa Sembahyang?

Menurut Ishak bin Rahawaih dalam kitab al-Majmû‘ menyatakan bahawa adalah afdhal memanjangkan bacaan semasa ruku‘ dan sujud daripada memanjangkan bacaan semasa berdiri bagi sembahyang sunat yang dilakukan di waktu siang. Sebaliknya di waktu malam, memanjangkan bacaan semasa berdiri lebih afdhal daripada memanjangkan bacaan semasa ruku‘ dan sujud, kerana sesungguhnya banyak keterangan daripada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan yang demikian. Ini kerana bacaan zikir semasa berdiri lebih afdhal daripada bacaan zikir ketika ruku‘ dan sujud.

Hadits Jabir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Daripada Jabir katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya: “Sembahyang apakah yang lebih afdhal?” Baginda bersabda: “Memanjangkan bacaan semasa doa qunut (berdiri).” (Hadits riwayat Ahmad)

Di Mana Lebih Afdhal, Di Rumah Atau Di Masjid?

Sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah seperti sembahyang Tahajjud adalah lebih afdhal dikerjakan di rumah, tetapi boleh juga dikerjakan di masjid.

Maksudnya: Wahai manusia, kerjakanlah sembahyang di dalam rumah-rumah kamu, sesungguhnya sebaik-baik sembahyang seseorang adalah di dalam rumahnya, kecuali sembahyang fardhu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada riwayat Abu Musa Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan rumah yang disebut nama Allah di dalamnya dan rumah yang tidak disebut nama Allah di dalamnya, adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kerjakanlah sembahyang kamu di rumah kamu dan janganlah kamu jadikan rumah kamu itu seperti kubur. (Hadits riwayat Muslim)

Bolehkah Bersembahyang Tahajjud Selepas Witir?

Apabila seseorang itu sudah mengerjakan sembahyang Witir, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat yang lainnya seperti sunat Tahajjud, hukumnya adalah harus dan tidak makruh perbuatannya itu. Akan tetapi bolehkah dia mengulangi sembahyang Witirnya itu? Dalam hal ini, sembahyang Witirnya yang awal itu tidak terhapus. Oleh yang demikian janganlah diulangi sembahyang Witirnya itu, dan bolehlah dia mengerjakan apa saja sembahyang yang syaf‘an (genap) jika dia mahu.

Dalam sebuah hadits Thalq bin ‘Ali daripada ayahnya berkata:

Maksudnya: Saya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiada dua witir dalam satu malam.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bolehkah Sembahyang Tahajjud Diqadha?

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami apabila luput sembahyang Tahajjud, sunat diqadha sebelum menunaikan sembahyang Subuh jika ada masa yang panjang. Jika tidak, bolehlah diqadha setelah habis waktu yang ditegah untuk bersembahyang sunat. Walau bagaimanapun, dibolehkan mengqadhanya di dalam waktu yang ditegah itu, kerana ia termasuk antara sembahyang yang mempunyai sebab terdahulu, selama mana tidak mencari-cari peluang dengan sengaja untuk melakukannya di dalam waktu yang ditegah.

Manisnya Sembahyang Tahajjud

Bangun tengah malam untuk bersembahyang Tahajjud bukanlah mudah. Ia hanya dilakukan oleh hamba yang ingin memanjatkan doanya, rasa takut akan kemurkaan Allah Ta‘ala di samping ingin memohon serta mengharapkan redha Allah Ta‘ala, sehingga mata lena dan mata mengantuk diterangi. Atas asas semuanya ini, semua halangan dan rintangan dapat diatasi. Mata yang mengantuk mudah dipimpin untuk memuja bagi mendapatkan redha Allah Ta‘ala, kerana keredhaan Allah Ta‘ala itulah yang diharap-harapkan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Serta keredhaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya. (Surah at-Taubah: 72)

Demikian itulah matlamat sembahyang Tahajjud sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang Tahajjud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepada mereka.  (Surah as-Sajadah: 16)

Rahsia kemanisan iman dan taqwa sebagaimana yang digambarkan oleh ayat di atas tidak akan dirasai melainkan oleh orang yang terjun dan bernang dalamnya. Maka bertolak daripada fadhilat dan kelebihan sembahyang Tahajjud sebagaimana yang diterangkan terdahulu sekali-kali jangan ia dilupakan, kelak akan kerugian!

Di sini disebutkan lagi beberapa kelebihan sembahyang Tahajjud sebagai tambahan iaitu:

- Orang yang menunaikan sembahyang Tahajjud akan diberikan sembilan keutamaan di dunia dan di akhirat sebagaimana riwayat ‘Umar al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Daripada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sesiapa bersembahyang waktu tengah malam (Tahajjud) dan memelihara sembahyang tersebut, Allah akan memberikan kepadanya sembilan macam kemuliaan; lima di dunia dan empat di akhirat. Lima macam kemuliaan di dunia itu ialah: Allah akan memelihara dirinya daripada segala penyakit; dinampakkan pada mukanya tanda-tanda sebagai orang yang taat kepada Allah; disayangi oleh hati-hati orang-orang salih dan sekalian manusia; lidah berisi hikmat (percakapannya penuh dengan hikmah) dan dijadikan orang yang bijaksana dengan dikurniakan pengetahuan yang tinggi. Empat macam kemuliaan di akhirat pula ialah: Dibangkitkan dari kubur dengan wajahnya yang putih bercahaya; diringankan hisabnya; dipermudahkan baginya meniti shirâth (jambatan) seperti kilat dan diberikan buku amalannya dengan tangan kanan di akhirat kelak.”

Dalam ibadat sunat seperti sembahyang Tahajjud, kalau tidak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua. Buatlah apa yang kita mampu dan terdaya, walaupun sedikit kerana yang sedikit itu adalah permulaan yang terbaik.

PERMASALAHAN SUJUD SAHWI

Sujud sahwi merupakan salah satu daripada pelengkap rahmat dan nikmat yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas umat Islam seluruhnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga adalah manusia biasa seperti kita yang pernah melakukan kesilapan dalam amal perbuatannya. Akan tetapi Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menjadikan kesilapan dan kelalaian Baginda itu sebagai sesuatu yang sia-sia, bahkan ada hikmah di sebaliknya. Daripada kesilapan tersebutlah disyariatkan sujud sahwi ke atasnya untuk menjadi ikutan umat Islam kemudian.

Daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang, berkata Ibrahim an-Nakha‘i Radhiallahu ‘anhu: “Aku tidak pasti sama ada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menambah ataupun mengurangkan rakaat sembahyangnya”. Maka setelah Baginda selesai memberi salam, lalu dikatakan kepadanya: “Ya Rasulullah, adakah telah berlaku sesuatu ketika Tuan bersembahyang tadi?”. Lalu Baginda pun bersabda: “Apakah yang telah berlaku tadi?”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya Tuan telah melakukan sembahyang begini dan begini.” Lalu Baginda pun melipatkan kedua belah kakinya seraya menghadap qiblat lalu bersujud sebanyak dua kali sujud kemudian Baginda pun memberi salam. Apabila Baginda berpaling menghadap kami (setelah selesai memberi salam), Baginda pun bersabda: “Seandainya terjadi sesuatu (perubahan) dalam sembahyang, nescaya aku akan mengkhabarkannya kepada kamu. Akan tetapi aku hanyalah manusia biasa seperti kamu yang boleh lupa sebagaimana halnya kamu. Andainya aku terlupa, maka ingatkanlah aku. Apabila seseorang daripada kamu merasa ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka berusahalah untuk mencari kepastian (meyakinkan diri), lalu sempurnakanlah (sembahyang tersebut). Kemudian hendaklah dia bersujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi).” (Hadits riwayat Muslim)

Dengan sujud sahwi inilah umat Islam dapat memperbaiki sembahyang mereka seandainya berlaku sesuatu kekurangan dalam sembahyang mereka tanpa perlu untuk bersembahyang semula.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sujud Sahwi?

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan manakala terlupa atau tertinggal sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya. Ia sebagai penampal terhadap kelalaian-kelalaian tersebut, sama ada ianya berlaku dalam sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka hendaklah dia membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan dua kali sujud (sujud sahwi). Jika ternyata sembahyangnya adalah sempurna (empat rakaat), maka rakaat tambahan (yang kelima) dan sujud sahwi tersebut adalah sebagai nâfilah (amalan sunat). Dan jika ternyata sembahyangnya kurang, maka rakaat keempat itu adalah sebagai pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi pula sebagai pengajaran (tamparan) bagi syaitan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Penyebab Sujud Sahwi

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, penyebab sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, walaupun hanya syak terhadap perkara-perkara tersebut.

Adapun penyebab yang pertama iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua perkara:

1. Terlupa rukun-rukun sembahyang yang terdiri daripada tiga belas perkara:

i. Niat. ii. Berdiri betul. iii. Takbîratul ihrâm. iv. Membaca surah al-Fâtihah. v. Ruku‘ serta thuma‘ninah padanya. vi. I‘tidâl serta thuma‘ninah padanya. vii. Sujud serta thuma‘ninah padanya. viii. Duduk di antara dua sujud serta thuma‘ninah padanya. ix. Membaca tahiyyat akhir. x. Duduk membaca tahiyyat akhir. xi. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tahiyyat akhir. xii. Memberi salam. xiii. Tertib.

Jika yang tertinggal itu sesuatu rukun daripada rukun-rukun di atas, maka tidaklah memadai dengan hanya melakukan sujud sahwi sahaja, bahkan mestilah menyempurnakan rukun-rukun yang tertinggal tersebut mengikut tertib sembahyang sebelum melakukan sujud sahwi.

2. Terlupa sunat-sunat ab‘adh yang terdiri daripada enam perkara:

i. Tasyahhud awal dan duduknya. ii. Qunut Subuh dan qunut Witir serta berdirinya. iii. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal. iv. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut. v. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir. vi. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.

Jika yang tertinggal itu sunat-sunat ab‘adh, maka memadailah menggantikannya dengan sujud sahwi sahaja.

Adapun perkara-perkara sunat dalam sembahyang selain daripada sunat-sunat ab‘adh seperti doa Iftitah, membaca surah-surah selepas surah al-Fâtihah dan

tidaklah disunatkan untuk bersujud sahwi menurut pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e. Bahkan ianya boleh membatalkan sembahyang jika sengaja dilakukan sedangkan dia mengetahui akan hukumnya kerana dia seolah-olah menambah sujud dalam sembahyangnya tanpa sebab-sebab yang dituntut oleh syara‘.

Dalam kitab al-Majmû‘ ada disebutkan bahawa tidak diharuskan untuk melakukan sujud sahwi jika meninggalkan sunat-sunat sembahyang yang bukan sunat ab‘adh sama ada secara sengaja ataupun tidak kerana perkara ini tidak tsabit daripada sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penyebab kedua pula juga terbahagi kepada dua bahagian:

1. Menukarkan suatu rukun qauli selain daripada salam dan takbîratul ihrâm ke tempat lain yang bukan tempatnya, misalnya terbaca surah al-Fâtihah ketika tahiyyat akhir, ataupun terbaca bacaan tahiyyat akhir ketika ruku‘.

Jika perkara ini berlaku, ia tidaklah membatalkan sembahyang walaupun disengajakan menurut pendapat yang paling râjih seperti mana yang dijelaskan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj. Ini adalah kerana memindahkan rukun qauli kepada yang lain dari tempatnya tidaklah mengubah rupa sesuatu sembahyang. Maka dalam hal ini, adalah disunatkan untuk melakukan sujud sahwi. Berlainan pula halnya jika memindahkan rukun fi‘li kerana ianya mengubah rupa sesuatu sembahyang, dan akan membatalkan sembahyang jika ianya disengajakan.

Demikian juga sunat hukumnya melakukan sujud sahwi jika terpindah bacaan-bacaan yang lain seperti zikir-zikir ruku‘, sujud, i‘tidâl dan bacaan duduk di antara dua sujud ke tempat yang bukan tempatnya.

Mengenai hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanyakan: “Adakah perlu untuk melakukan sujud sahwi jika terbaca zikir ruku‘ ketika sujud ataupun bacaan sujud ketika ruku‘?” Imam Ibnu Hajar al-Haitami memfatwakan: “Jika terbaca mana-mana zikir ruku‘, sujud, i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud pada tempat yang bukan tempat asalnya, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada disengajakan ataupun tidak. Ini adalah kerana kesalahan tidak mengikut perkara yang disuruh dalam sembahyang, iaitu kegagalan untuk menjaga tata tertib bacaan.”

Akan tetapi jika memindahkan salam ataupun takbîratul ihrâm dengan sengaja, ini boleh membatalkan sembahyang jika ianya diniatkan untuk memberhentikan ataupun untuk memulakan sembahyang. Bagaimanapun, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi jika ianya tidak disengajakan.

Menoleh, berfikir dalam sembahyang, melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut dan sebagainya adalah antara perkara yang jika dilakukan dengan sengaja tidak akan membatalkan sembahyang. Jika berlaku perkara-perkara sebegini tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada membuatnya secara sengaja ataupun tidak.

2. Melakukan perkara-perkara seperti memindahkan rukun fi‘li, menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud, makan atau berkata-kata dengan tidak sengaja (tidak melebihi enam patah perkataan menurut Imam Sayyid al-Bakri). Perkara-perkara ini jika dilakukan dengan tidak sengaja tidak membatalkan sembahyang tetapi disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Akan tetapi jika dia sengaja bercakap-cakap, maka tidaklah perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi lagi kerana sembahyangnya memang sudah batal.

Kayfiyyah (Cara Melakukan) Sujud Sahwi

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.

Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam.

Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi tersebut bacaan tasbîh berikut:

Ertinya: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.

Adakah Memadai Dua Kali Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?

Imam Khatib asy-Syarbini menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam al-Bukhari, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang fardhu Zuhur ataupun ‘Ashar bersama kami, lalu Baginda memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Dzul Yadain: “Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah dikurangkan?”. Lalu Baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya: “Benarkah apa yang dikatakannya?” Para sahabat lalu menjawab: “Benar ya Rasulullah”. Lalu Baginda pun menyambung dua rakaat terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua rakaat penuh termasuk rukun-rukun serta sunat-sunat ab‘adh yang ada dalam kedua-dua rakaat tersebut.

Hukum Melakukan Sujud Sahwi Selepas Salam

Menurut pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e, waktu untuk mengerjakan sujud sahwi itu ialah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam, ini berdasarkan kepada beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Abdullah bin Buhainah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdiri setelah dua rakaat bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, disunatkan juga untuk melakukan sujud sahwi selepas salam jika terlupa untuk mengerjakannya sebelum salam dengan syarat belum jauh jarak waktu pada kebiasannya di antara salamnya tadi dengan waktu teringat dan juga tidak terkena najis, sekalipun seseorang itu telah bercakap-cakap ataupun telah membelakangi qiblat sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtâj. Ini berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang Zuhur bersama kami sebanyak lima rakaat. Setelah Baginda memberi salam, lalu ditanyakan kepadanya: “Adakah telah ditambah (rakaat) sembahyang?” Lalu Baginda bertanya kembali: “Apa yang ditambah?” Lalu para sahabat pun menjawab: “Tuan telah bersembahyang lima rakaat”. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi). (Hadits riwayat Muslim)

Dalam Shahîh Imam al-Bukhari pula diriwayatkan, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan satu daripada dua sembahyang siang (kemungkinan besar ianya adalah sembahyang fardhu ‘Ashar mengikut pendapat Muhammad bin Sirin) sebanyak dua rakaat lalu Baginda memberi salam. Kemudian Baginda pun bangun lantas menuju ke arah sebatang kayu (tiang) yang terletak di muka masjid lalu meletakkan tangan Baginda pada kayu tersebut (bersandar padanya). Antara kalangan para sahabat yang hadir pada ketika itu ialah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar al- Khaththab Radhiallahu ‘anhuma. Kedua-dua sahabat itu merasa segan untuk menghadapkan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka jemaah yang berada dalam masjid pun keluar cepat-cepat lalu bertanya: “Adakah sembahyang ‘Ashar itu tadi telah diqasharkan?” Kemudian bertanya pula seorang sahabat yang digelarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Dzul Yadain: “Adakah Tuan tadi terlupa ataupun sembahyang itu tadi telah diqasharkan?” Baginda pun menjawab: “Aku tidak terlupa dan sembahyang itu tadi pun tidak diqasharkan”. Lalu Dzul Yadain berkata lagi:

“Betul, Tuan tadi telah terlupa”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menyambung kembali sembahyangnya sebanyak dua rakaat, lalu memberi salam, kemudian bertakbîr, lalu melakukan sujud sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Selepas itu Baginda pun bertakbîr kemudian sujud lagi sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Sesudah itu Baginda mengangkat kepalanya dan bertakbîr. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadits di atas menerangkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan sujud sahwi selepas Baginda memberi salam sedangkan Baginda telahpun berkata-kata, berjalan dan berpaling dari arah qiblat. Akan tetapi, jarak masa di antara salam dan waktu Baginda diingatkan oleh para sahabat itu tidak panjang yakni belum lagi lama.

Sebaliknya, jika jarak masanya sudah jauh maka luputlah sujud sahwi tersebut berdasarkan pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e. Begitu juga jika sekiranya seseorang itu terkena najis ataupun telah bercakap-cakap dengan banyak.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dengan sengaja memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi, maka luputlah sujud sahwi tersebut kerana tempat sujud sahwi itu asalnya ialah sebelum salam sedangkan dia telah dengan sengaja menutup sembahyangnya dengan memberi salam.

Pendapat Ulama Mengenai Kadar Jangka Masa Pendek Ataupun Panjang Dalam Sujud Sahwi

Diibaratkan oleh para ulama, kadar jangka masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada kisah Dzul Yadain. Dalam kisah tersebut, digambarkan bahawa Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Dzul Yadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Dzul Yadain tersebut.

Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq pula, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat.

Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.

Hukum Jika Teringat Ada Kekurangan Dalam Rukun Sembahyang Selepas Memberi Salam

Menurut pendapat Imam an-Nawawi, jika seseorang itu teringat bahawa dia telah terlupa sesuatu rukun dalam sembahyangnya selain daripada niat dan takbîratul ihrâm sesudah memberi salam, misalnya terlupa untuk ruku‘, sujud, membaca surah al-Fâtihah dan sebagainya dalam sembahyangnya tadi, jika jarak waktu teringat akan kelalaian tersebut masih belum lagi jauh pada adat kebiasaannya selepas memberi salam, maka wajiblah ke atasnya menyempurnakan sembahyang itu mengikut tertib sembahyang, kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Bagaimanapun, jika jarak waktu di antara keduanya sudah jauh, maka wajiblah ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut.

Umpamanya jika dia terlupa untuk membaca surah al-Fâtihah pada rakaat yang terakhir, wajib ke atasnya untuk berdiri betul dan membaca surah al-Fâtihah kemudian menyambung sembahyangnya itu mengikut tertib dalam rakaat akhir kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Akan tetapi jika yang tertinggal itu adalah niat ataupun takbîratul ihrâm, wajib ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut.

Waswas Selepas Memberi Salam

Jika seseorang ragu-ragu atau waswas selepas memberi salam bahawa dia mungkin terlupa suatu rukun selain niat ataupun takbîratul ihrâm, maka tidaklah dituntut ke atasnya untuk menyempurnakan rukun tersebut dan tidak juga dituntut melakukan sujud sahwi atas keraguannya terhadap sesuatu rukun itu, kerana pada zahirnya dari segi syara‘ dia dikira sudah menyempurnakan sembahyangnya.

Ini kerana jika keraguan tersebut memberi kesan ke atas sembahyangnya tadi, maka ini akan menjadi bebanan yang berat khususnya bagi orang yang menghidap penyakit waswas.

Adapun jika sekiranya keraguan tersebut pada niat ataupun takbîratul ihrâm, misalnya dia keliru adakah dia telah berniat untuk sembahyang fardhu ataupun sunat, atau adakah dia telah berniat untuk sembahyang Zuhur ataupun ‘Ashar, maka wajib ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut sepertimana penjelasan mengenai hal ini dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.

Ragu-Ragu Pada Bilangan Rakaat

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj ada dijelaskan beberapa permasalahan jika berlaku syak pada bilangan rakaat dalam sembahyang. Permasalahan tersebut adalah seperti berikut:

1. Jika seseorang itu sudah berdiri untuk mengerjakan rakaat keempat, kemudian dia ragu-ragu sama ada rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga ataupun keempat, hendaklah dia memilih bilangan rakaat yang paling sedikit, iaitu menganggap rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga kemudian disunatkan dia melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam oleh sebab keraguan tersebut, walaupun keraguannya itu tadi telah hilang sebelum dia memberi salam.

Ini kerana pada asalnya dia dikirakan belum lagi masuk ke dalam rakaat yang keempat ketika itu, sungguhpun rakaat tersebut sebenarnya adalah rakaat yang keempat kerana dia merasa ragu-ragu mengenainya.

Ini berdasarkan hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu ragu-ragu di dalam sembahyangnya, lalu dia tidak pasti sudah berapa rakaat dia bersembahyang, sama ada tiga rakaat ataupun sudah yang keempat, maka hendaklah dia membuang dan meninggalkan keraguan tersebut, dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (mengambil bilangan rakaat yang paling sedikit). Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum dia memberi salam. Jika sebenarnya dia telahpun bersembahyang sebanyak lima rakaat, maka disempurnakan sembahyangnya itu dengan sujud sahwi tersebut (dikira sempurna empat rakaat). (Hadits riwayat Muslim)

2. Jika seseorang itu berada pada rakaat yang ketiga, kemudian berasa ragu terhadap rakaat tersebut sama ada rakaat yang ketiga ataupun keempat, lalu dia teringat bahawa rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga. Sebelum dia berdiri semula untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya (yang keempat), maka tidaklah perlu untuknya melakukan sujud sahwi kerana apa yang dibuatnya selepas itu (berdiri untuk menyambung rakaat keempat) memang dituntut (tepat) dan dia yakin dan tidak ragu-ragu lagi akan kedudukan rakaat tersebut, walaupun sebelum itu dia waswas.

Lainlah halnya jika dia baru teringat sesudah dia berdiri untuk mengerjakan rakaat keempat. Ini kerana dia telah menyambung rakaat keempat tersebut dengan keadaannya yang masih lagi ragu-ragu, iaitu rakaat tersebut mungkin yang keempat ataupun boleh jadi sudah yang kelima, kemudian barulah dia teringat sesudah mengerjakan rakaat tersebut bahawa rakaat tersebut sememangnya adalah rakaat yang keempat.

Maka di dalam hal ini disunatkan ke atasnya untuk melakukan sujud sahwi kerana mengerjakan rakaat keempat tersebut dalam keraguan pada mulanya.

Bolehkah Melakukan Sujud Sahwi Jika Sengaja Meninggalkan Sunat Ab‘adh

Sujud sahwi disunatkan apabila tertinggal rukun sembahyang atau sunat ab‘adh dengan tidak sengaja. Persoalannya, bagaimanakah kedudukan sujud sahwi tersebut jika seseorang itu sengaja meninggalkan rukun sembahyang ataupun sunat ab‘adh dengan niat untuk melakukan bersujud sahwi?

Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmû‘ ada menyebutkan bahawa jika seseorang itu dengan sengaja meninggalkan rukun sembahyang maka sembahyangnya itu batal.

Manakala sunat ab‘adh pula jika sengaja ditinggalkan dengan niat untuk sengaja melakukan sujud sahwi, umpamanya sengaja untuk tidak membaca doa qunut semasa bersembahyang Subuh, menurut pendapat yang paling râjih adalah juga disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Ini adalah kerana sujud sahwi disyariatkan ke atas mereka yang dengan tidak sengaja melakukan kecacatan dalam sembahyang, maka orang yang dengan sengaja mencacatkan sembahyangnya adalah lebih perlu dan lebih dituntut untuk melakukan sujud sahwi.

Adakah Sah Sembahyang Jika Tidak Melakukan Sujud Sahwi?

Sujud sahwi disyariatkan untuk menampal kekurangan-kekurangan yang berlaku dalam sembahyang seseorang supaya kekurangan-kekurangan tersebut dapat ditutup kembali.

Bagaimanakah pula kedudukannya jika seseorang itu tidak melakukan sujud sahwi sedangkan dia sudah mengetahui bahawa terdapat kekurangan dalam sembahyangnya?

Bagi menjawab persoalan ini, adalah perlu untuk kita merujuk kembali hukum mengerjakan sujud sahwi tersebut, adakah ia wajib ataupun sunat.

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi hukumnya sunat mu’akkad, ianya disyariatkan untuk memperbaiki sembahyang dan bukannya salah satu daripada syarat sah sembahyang berdasarkan hadits riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika ragu-ragu seseorang daripada kamu dalam sembahyangnya, maka hendaklah membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi). Jika ternyata bahawa sebenarnya sembahyangnya itu tadi adalah sempurna (empat rakaat), maka rakaat tambahan (yang kelima) dan dua sujud sahwi tersebut adalah sebagai nafilah (amalan sunat). Jika ternyata pula bahawa sembahyangnya tadi sebenarnya kurang, maka rakaat keempat itu adalah sebagai pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi tersebut adalah sebagai pengajaran (tamparan) bagi syaitan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas menyatakan bahawa sujud sahwi tersebut adalah nâfilah (amalan sunat) dan juga mengibaratkannya sebagai pengajaran bagi syaitan.

Untuk menguatkan lagi pendapat ini, dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi dan ‘Umairah ada disebutkan, bahawa sujud sahwi adalah sebagai pengganti atau penampal sunat-sunat ab‘adh yang ditinggalkan dalam sembahyang, sedangkan sesuatu pengganti atau penampal mestilah yang sama taraf ataupun yang kurang sedikit daripada yang diganti. Adalah tidak munasabah jika amalan-amalan sunat tersebut ditampal dengan sesuatu yang wajib, maka jelaslah di sini bahawa hukum sujud sahwi adalah sunat.

Maka berdasarkan hadits tersebut, para ulama mazhab asy-Syafi‘e telah bersepakat menghukumkan sujud sahwi sebagai sunat mu’akkad. Oleh yang demikian, meskipun sujud sahwi tersebut ditinggalkan, sembahyang seseorang itu tetap sah, walaupun ianya ditinggalkan dengan sengaja.

Mudah-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan dan persoalan sujud sahwi ini maka akan bertambah pula pengetahuan kita tentang sembahyang.

PERSOALAN DARAH KETIKA HAMIL

Kehamilan berlaku ke atas seseorang wanita setelah terjadi persenyawaan atau pembuahan di dalam rahim akibat hubungan wath’ (persetubuhan). Maka hamil itu bererti keadaan seorang wanita yang mengandung anak atau janin di dalam rahimnya.

Pada kebiasaannya tempoh kehamilan itu berlaku selama sembilan bulan ke atas. Ulama fiqh berselisih pendapat mengenai tempoh kehamilan tersebut. Walau bagaimanapun menurut Imam al-Qurthubi ulama sepakat mengatakan tempoh minimum kehamilan itu tidak kurang daripada enam bulan. (Al-Jâmi‘ al-Ahkâm al-Qur’ân, Tafsîr al-Qurthubi: 9/286)

Begitu juga ulama fiqh berbeza pendapat mengenai tempoh maksima kehamilan. Menurut Imam Syafi‘e ia boleh berlaku sehingga empat tahun (Al-Jâmi‘ al-Ahkâm al-Qur’ân, Tafsîr al-Qurthubi: 9/286), kerana ada riwayat daripada al-Baihaqi mengatakan isteri Bani Muhammad bin ‘Ajlan mengandung selama empat tahun. (As-Sunan al-Kubrâ, bâb mâ jâ’a fi aktsar al-haml: 11/428)

Maksudnya: Daripada Walid bin Muslim berkata: “ Aku telah berkata kepada Malik bin Anas: “Aku telah berbual dengan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dan dia berkata: “Kandungan seorang perempuan yang hamil tidak lebih dari dua tahun seperti kadar masa memintal benang”. Maka Anas bin Malik berkata: “ Maha Suci Allah, siapa yang berkata demikian? Seorang perempuan jiran kami iaitu isteri Muhammad bin ‘Ajlan, dia seorang perempuan yang berkata benar dan suaminya juga seorang yang berkata benar, dia telah mengandung sebanyak tiga kali selama dua belas tahun iaitu, empat tahun bagi setiap kandungan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Pendarahan Ketika Hamil

Wanita yang sedang hamil, jarang sekali berlaku pendarahan, lebih-lebih lagi pada awal kehamilannya. Ini kerana anak yang berada dalam kandungan telah menyebabkan pintu rahim tertutup dan mengakibatkan darah tidak keluar, sehinggalah kandungan itu lahir.

Walau bagaimanapun bagi sesetengah kes, berlaku juga pendarahan ketika hamil. Persoalannya jika darah keluar ketika hamil, apakah ia dianggap sebagai haidh, darah fasad atau istihâdhah yang mana semua darah ini mempunyai hukum tersendiri?

Apabila berlaku pendarahan ketika hamil, darah tersebut boleh dianggap sebagai darah haidh atau darah fasad tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:

1. Apabila darah keluar ketika hamil dan belum melahirkan anak, menurut pendapat yang shahîh di dalam kitab al-Muhadzdzab ia adalah darah haidh, jika cukup syarat-syarat ke atas wanita yang keluar darah haidh, seperti darah yang keluar itu tidak kurang daripada satu hari satu malam (tempoh minima). Manakala tempoh haidh yang paling maksima (lama) tidak lebih daripada lima belas hari dan malamnya. Begitu juga tempoh di antara dua haidh tidak kurang daripada lima belas hari (hari bersih di antara dua haidh). Jika ini berlaku maka wajiblah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang ketika berkeadaan haidh. Al-Fiqh al-Manhaj: 1/83, Raudhah ath-Thâlibîn: 283-284).

2. Adapun darah yang keluar semasa sakit beranak ataupun yang keluar semasa melahirkan, terdapat dua pendapat:

i. Jika perempuan yang hamil itu tidak dalam keadaan haidh sebelum melahirkan anak, maka darah tersebut adalah darah fasad. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh Khathib asy-Syarbini. (Mughnî al- Muhtâj: 1/277).

ii. Darah tersebut ialah darah istihâdhah. Ini pula pendapat Imam al-Bakri pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn.(1/127).

Kedudukan Tuntutan Ibadat

Seseorang perempuan yang mengetahui dan yakin bahawa darah yang keluar itu adalah darah haidh, maka dengan sendirinya dia dikecualikan daripada beberapa kewajipan ibadat seperti tidak wajib mengqadha sembahyang yang ditinggalkan dan menjauhi beberapa larangan seperti bertawaf, membaca al-Qur’an dan lain-lain perkara yang diharamkan ke atas mereka. (Tuhfah al-Muhtâj; 1/134-135).

Bagaimana pula kedudukan ibadat perempuan yang menghadapi darah istihâdhah dan darah fasad?

Adapun perempuan yang mustahâdhah atau menghadapi darah fasad bukanlah dia dalam keadaan berhadas. Bagi mereka yang menghadapi sedemikian tidaklah gugur kewajipan sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat lain dan tidak pula ada larangan seperti yang dikenakan kepada perempuan yang sedang dalam haidh atau nifas. (Raudhah ath-Thâlibîn; hlm. 1/250-251)

Perkara mustahâdhah telah dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata: “Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang kepada Rasulullah sambil berkata: “Wahai Rasulullah! Saya seorang wanita yang dalam keadaan istihâdhah (darah yang keluar setelah tempoh haidh), namun saya tidak suci-suci, apakah boleh saya meninggalkan sembahyang?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Tidak, hal itu hanyalah pendarahan dan bukan haidh. Apabila haidh datang maka tinggalkanlah sembahyang. Apabila haidh itu telah hilang, maka cucilah darah daripadamu, kemudian sembahyanglah.” Dan ayahku berkata: “Kemudian berwudhulah bagi setiap sembahyang sehingga waktunya datang (masuk waktu sembahyang).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adakah Perempuan Hamil Mengalami Haidh?

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam qaul jadîd, perempuan hamil juga mengalami haidh. (Al-Muhadzdzab: 1/145).

Imam al-Qurthubi menyatakan bahawa ayat 8-9, surah ar-Ra‘d adalah dalil bagi perempuan yang hamil didatangi haidh. Allah berfirman:

Tafsirnya: Allah mengetahui setiap apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu. (Dialah juga) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (Dialah juga) yang Maha Besar lagi Maha Tinggi (yang mengatasi segala-galanya). (Surah ar-Ra‘d: 8-9)

Darah Selepas Bersalin

Darah yang keluar selepas bersalin dalam istilah fiqh ialah darah nifas. Darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak, iaitu setelah anak bercerai dari perut si ibu, sama ada anak yang dilahirkan itu hidup atau mati.

Tidak dikatakan sebagai nifas bagi darah yang keluar dari rahim perempuan sebelum dia melahirkan anak, ataupun darah yang keluar bersama-sama anak yang dilahirkan, melainkan ia dikatakan sebagai darah fasad (Fiqh Manhaj: 1/82). Itu pun jika tidak bersambung dengan darah haidh yang terdahulu. Jikalau bersambung dengan darah haidh yang terdahulu, maka ia adalah darah haidh. Ini adalah berdasarkan kepada pendapat yang ashah mengatakan bahawa perempuan yang hamil boleh didatangi haidh.(Nihâyah al-Muhtâj: 1/232, Fath al-‘Allâm: 1/ 277).

Tempoh Darah Nifas

Tempoh keluar darah nifas antara seorang perempuan dengan seorang perempuan yang lain adalah berbeza mengikut fizikal dan keadaan perempuan itu sendiri. Oleh itu para ulama membahagikan tempoh nifas itu kepada tiga kategori seperti berikut:

i. Masa yang paling minimum ialah kadar setitik darah. Apabila keluar darah sedikit selepas bersalin (melahirkan anak) kemudian berhenti, maka darah yang sedikit itu dipanggil nifas. Bahkan memang ada perempuan melahirkan anak tanpa darah nifas, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Baihaqi:

Maksudnya: Telah berkata Sahm hamba Bani Salim: “Sesungguhnya hamba perempuannya Ummu Yusuf telah melahirkan anak di Makkah tanpa darah, kemudian dia menemui Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, lalu beliau (‘Aisyah) berkata: “Engkau perempuan yang disucikan oleh Allah.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Tempoh bermulanya darah nifas itu keluar ialah sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas bahkan ia adalah darah haidh.(Mughnî al-Muhtâj: 1/295).

ii. Masa yang sederhana dan biasa berlaku ialah kadar keluar darah dalam tempoh empat puluh hari empat puluh malam. Kadang-kadang terdapat juga perempuan yang bernifas kurang daripada tempoh tersebut, seperti tiga puluh hari tiga puluh malam dan sebagainya.

iii. Masa yang paling maksima ialah kadar keluar darah dalam tempoh enam puluh hari enam puluh malam.

Jika darah masih berterusan keluar walaupun sudah menjangkau tempoh maksima, maka darah yang keluar selepas tempoh maksima itu tidak lagi dikatakan sebagai nifas tetapi dikatakan ia sebagai darah istihâdhah (darah yang keluar dari rahim perempuan selain dari masa haidh dan nifas dengan sebab penyakit).(Al-Fiqh al-Manhaj: 1/82).

Masalah Keguguran

Keguguran di dalam bahasa Arab ialah as-saqath bermaksud janin yang gugur dalam perut ibunya sebelum ianya terbentuk dengan sempurna sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Adapun jika yang keguguran itu adalah janin yang telah sempurna bentuknya sebagai manusia, maka darah yang keluar itu merupakan darah nifas. Begitu juga jika janin yang keluar itu belum sempurna bentuknya seperti ‘alaqah ataupun mudhghah.

Melahirkan Anak Kembar

Menurut mazhab Syafi‘e tempoh bermula nifas bagi ibu yang melahirkan anak kembar ialah setelah lahir anak yang kedua dan begitulah seterusnya jika anak kembar itu lebih daripada dua orang. Manakala darah yang keluar ketika melahirkan anak pertama itu, ia adalah darah fasad, kecuali jika bersambung dengan darah haidh terdahulu, maka ia adalah darah haidh. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/232, al-Muhadzdzab: 1/163)

Penutup

Berdasarkan penjelasan di atas, hukum darah ketika hamil, semasa dan selepas melahirkan anak adalah berbeza. Ini dapat dilihat daripada penjelasan mengenai dengan darah yang keluar semasa melahirkan anak. Kebanyakan wanita beranggapan ianya adalah darah nifas dan secara tidak langsung meninggalkan tuntutan ibadat seperti layaknya seorang yang dalam keadaan haidh. Pada hakikatnya ia bukanlah darah nifas dan tidak menghalang daripada mengerjakan tuntutan ibadat wajib seperti puasa, sembahyang dan lain-lain.

Oleh itu mengetahui tentang kedudukan darah yang keluar daripada perempuan itu adalah wajib bagi kaum isteri mahupun suami kerana ianya membawa kepada hukum-hukum yang berkaitan dengan ibadat dan pergaulan suami isteri.

SENDA GURAU: Di Mana Batasnya?

Gurauan atau bergurau bermaksud percakapan secara bermain-main, bersenda, berjenaka, berkelakar atau berolok-olok. Antara sebab kita bergurau adalah untuk menggembirakan hati orang atau untuk membuat orang ketawa.

Sesungguhnya gurau senda itu sesuatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperolehi kesejahteraan, ketenangan dan terlepas daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi ikutan kita juga pernah bergurau dan hidup bersama sahabat-sahabat Baginda dengan kehidupan fitrah yang biasa. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ketawa, bergurau senda dengan sahabat-sahabat Baginda sepertimana Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah.

Cuba kita lihat antara senda gurauan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab asy-Syamâ’il:

Maksudnya: Al-Hassan telah berkata: “Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu bersabda: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya aku dapat masuk syurga”. Maka Rasulullah bersabda: “Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga”. Al-Hassan berkata (menceritakan): “Lalu menangislah si perempuan tua itu”. Dengan segera Rasulullah bersabda: “Katakan kepada perempuan itu, bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua”. Lalu dibacakan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam senda gurauan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain lagi ialah seperti yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu oleh Imam at- Tirmidzi:

Maksudnya: Sesungguhnya seseorang meminta kenderaan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku membawamu di atas anak unta betina”. Lalu dia (orang itu) berkata: “Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina?” Baginda menjawab: “Bukankah yang melahirkan unta jantan tua itu, hanyalah unta betina (iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya)?” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam satu peristiwa yang lain lagi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam telah bersenda gurau dengan memanggil Anas Radhiallahu ‘anhu orang yang memiliki dua telinga:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya: “Wahai orang yang memiliki dua telinga.” (Hadits riwayat at-Tirmidz)

Di dalam hadits ini Rasulullah memanggil Anas Radhiallahu ‘anhu dengan “dua telinga” bermaksud orang yang mendengar dengan bersungguh-sungguh dan memberi perhatian apa yang dicakapkan kepadanya.

Daripada kisah-kisah ini dapat kita lihat bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bergurau tetapi dalam perkara yang benar (bukan perkara yang dusta). Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain.

Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau senda yang berlebihan atau bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu boleh membuatkan orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada berzikir mengingati Allah. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berpesan:

Maksudnya: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Jadi, walaupun bergurau senda dibolehkan oleh syara‘, namun terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga supaya kita tidak berlebihan dalam bergurau.

Batasan Bergurau Senda

Islam tidak melarang bergurau senda. Namun ia mempunyai batasan-batasan yang perlu dijaga seperti berikut:

1. Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau sehingga hilang sifat sopan santun.

2. Hendaklah gurauan itu dengan tujuan untuk beramah-tamah atau menyenangkan hati orang lain.

3. Hendaklah dia tidak mengatakan perkara dusta ketika bergurau (tidak berkata kecuali dalam perkara yang benar).

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Tuan bersenda gurau dengan kami?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berkata melainkan kebenaran.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam lagi:

Maksudnya: Celaka bagi orang yang berbicara dengan pembicaraan untuk membuat manusia ketawa lalu dia berdusta, celaka baginya, celaka baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi).

4. Hendaklah ia tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasalam:

Maksudnya: Tidak dibolehkan bagi seorang Muslim menakut-nakutkan seorang Muslim yang lain. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits ini menjelaskan bahawa ketika sahabat-sahabat dalam perjalanan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, salah seorang daripada mereka telah tertidur di kenderaannya. Kemudian ada di kalangan mereka telah mengambil anak panah dari tempatnya sehingga sahabat yang tidur itu bangun dan terkejut. Maka Rasulullah melarang daripada berbuat yang demikian.

5. Hendaklah ia tidak mengandungi perkara yang menghina, mencerca, mengolok-olokkan atau menyakiti orang lain. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hujurât:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah dia beriman. (Surah al-Hujurât: 11)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyatakan bahawa orang mukmin itu jauh daripada perkara yang mencerca, berkata kotor dan mengutuk orang lain sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang pengkeji dan bukan juga seorang yang berkata kotor. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

6. Hendaklah dia tidak bergurau senda dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sungguh-sungguh seperti nikah, talak atau rujû‘ kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiga perkara boleh menjadi sungguh-sungguh, dan senda guraunya pula menjadi sungguh-sungguh: Nikah, talak dan rujû‘. (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun segala senda gurau yang tidak termasuk dalam keadaan yang tersebut tadi, maka ia adalah dibolehkan dan tidak dikira gurau senda yang ditegah dalam Islam.

Allah Ta‘ala membenci orang-orang musyrik, kerana mereka ketawa dan mempersenda-sendakan ketika mendengar al-Qur’an, padahal seharusnya mereka menangis. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan al-Qur’an ini (sehingga kamu mengingkarinya), serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (kesalkan kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu), sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh lagi yang melalaikan kewajipan? (Surah an-Najm: 59 – 61)

Allah juga telah mencela orang-orang munâfiq yang bergembira dan ketawa kerana keingkaran mereka kepada Rasulullah dalam perang Tabuk, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Orang-orang munâfiq yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah), dan mereka sememangnya tidak suka berjihâd dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah wahai Muhammad: “Api Neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. Maka bolehlah mereka (di dunia ini) ketawa sedikit dan mereka akan menangis banyak (di akhirat), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan. (Surah at-Taubah: 81-82)

Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkâr: “Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan selalu dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah.”

Adapun jika dia tidak berbuat sedemikian maka adalah harus baginya bergurau seperti perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sesungguhnya Baginda jarang sekali bergurau kecuali pada perkara-perkara yang membawa kemashlahatan dan untuk menyenangkan atau mengembirakan hati orang lain. Cara begini tidak ditegah sama sekali bahkan ia adalah suatu sunnah yang dianjurkan, asalkan perkara-perkara yang diguraukan itu baik, tidak mengandungi kebohongan dan tidak melalaikan.

Allah juga akan memberi ganjaran jika kita bermaksud untuk menyenangkan hati seorang Muslim yang lain terutama dalam keadaan kesusahan, sebaliknya akan mendapat dosa jika dengan gurauan itu boleh membawa kemudharatan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputusnya hubungan silaturahim dan jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada bergurau itu mungkin terjadi. Inilah yang tidak disukai oleh Islam.

SEMBAHYANG DHUHA: Mulakan Langkah Sekarang

Pernahkah kita terfikir bahawa dengan mengingati Allah itu akan mententeramkan jiwa, meredakan kesibukan dan melapangkan segala kesempitan? Ini telah dinyatakan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Ketahuilah! Dengan dzikrullâh itu tenang tenteramlah hati manusia. (Surah ar-Ra‘d: 28)

Segeralah kita melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepadaNya, sesungguhnya ia adalah keutamaan segala yang utama. Memelihara yang wajib itu suatu kemestian; rebutlah pula peluang untuk mengerjakan amalan-amalan yang sunat. Sebagai permulaan, luangkan sedikit masa di waktu pagi dengan mengerjakan sembahyang Dhuha.

Sembahyang Dhuha Sebagai Sembahyang Awwâbîn

Sembahyang Dhuha adalah termasuk dalam rangkuman sembahyang Awwâbîn. Imam Ibnu Hajar mentafsirkan sembahyang Dhuha itu sembahyang awwâbîn. Secara ta‘rîf, awwâbîn bererti orang-orang yang kembali semula kepada Allah dengan melakukan perkara-perkara ketaatan dan meninggalkan urusan-urusan yang kosong daripada dzikrullah. Dalam istilah yang lain ia juga disebut sebagai sembahyang ghaflah yang membawa maksud sembahyang yang dikerjakan ketika manusia pada kebiasaannya terleka atau lalai daripada mengingati Allah.

Justeru, jika sembahyang Dhuha itu mengandungi sifat-sifat sembahyang awwâbîn, maka amat wajarlah ia dikerjakan selalu apatah lagi waktu mengerjakannya adalah waktu di mana manusia begitu sibuk dengan aktiviti dan kepentingan masing-masing. Lazimnya, segala kesibukan tersebut mengakibatkan seseorang itu alpa daripada mengingati Allah. Fungsi sembahyang Dhuha dicerminkan melalui waktu mengerjakannya yang paling afdhal iaitu pada seperempat siang. Menurut ulama, antara hikmah ia dikerjakan pada waktu tersebut ialah agar tidak ada waktu di siang hari yang akan sunyi daripada mengingati Allah. Seperempat yang pertama diisi dengan sembahyang Subuh, keduanya sembahyang Dhuha, ketiga sembahyang Zuhur dan keempat sembahyang ‘Ashar Hukum Sembahyang Dhuha

Sembahyang Dhuha hukumnya sunat yang sangat dianjurkan. Walau bagaimanapun, ia tidak sunat dikerjakan secara berjemaah.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah) memberi wasiat (pesanan) kepadaku dengan mengerjakan puasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan sembahyang Dhuha dua rakaat dan mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadits daripada Ummu Hani’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melazimkan sembahyang Dhuha pada setiap hari. Ini bagaimanapun tidaklah boleh dijadikan sandaran ibadat itu bukan termasuk dalam anjuran. Sebaliknya, seperti yang dikemukakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah, perlakuan Rasulullah tersebut adalah atas dasar berjaga-jaga agar ia tidak dianggap suatu kefardhuan sebagaimana yang Baginda lakukan ketika menyatakan kedudukan sembahyang Tarawih.

Fadhilat Sembahyang Dhuha

Anjuran untuk mengerjakan sembahyang Dhuha boleh diselami melalui hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan tentang fadhilat sembahyang ini. Antara hadits-hadits tersebut adalah seperti berikut:

1. Daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Setiap sendi di tubuhmu adalah merupakan sedekah. Setiap tasbîh itu sedekah, setiap tahmîd itu sedekah, setiap tahlîl itu sedekah, dan setiap takbîr itu adalah sedekah. Ajarkan pada perkara kebajikan adalah sedekah dan cegahan daripada kemungkaran adalah juga sedekah. Semua itu adalah memadai dengan hanya melakukan dua rakaat sembahyang Dhuha. (Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)

2. Daripada Abu Buraidah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Dalam setiap tubuh manusia ada tiga ratus enam puluh sendi. Maka hendaklah dia bersedekah pada setiap sendi-sendinya itu. Mereka berkata: “Siapakah yang berdaya melakukannya wahai Nabi Allah?” Rasulullah menjawab: “(Dengan) menimbus kahak yang berada di kawasan masjid dan (dengan) menjauhkan duri di jalanan. Jika kamu tidak menjumpai perkara itu, maka memadailah bersembahyang Dhuha dua rakaat.” (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban)

3. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa melazimkan dua rakaat sembahyang Dhuha, maka diampuni dosanya meskipun banyaknya seperti buih di lautan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Dalam sanad (urutan perawi) hadits ini terkandung Nahhas bin Qahm. Menurut Imam al-Hafiz Abu al-‘Ula Muhammad Abdul Rahman bin Abdul Rahim pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi, Nahhas bin Qahm ini adalah dikenali sebagai seorang perawi hadits yang lemah.

Walau bagaimanapun, hadits seperti di atas boleh dipegang sekadar dalam menyatakan kelebihan sesuatu amalan. Ini dilakukan sendiri oleh para ulama termasuklah Imam an-Nawawi Rahimahullah. Hadits ini turut dihimpunkan oleh al-Imam al-Hafiz al-Munziri dalam kitabnya at-Targhîb wa at-Tarhîb dalam menyatakan kelebihan sembahyang Dhuha.

Sembahyang Dhuha Menolak Kepapaan, Kunci Pintu Rezeki

Dalam sebuah hadits daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Tabâraka wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: Hai anak Adam! Ruku‘lah untukKu empat rakaat di awal siang, nescaya Aku cukupkan (keperluan-keperluan) engkau sehingga ke akhirnya. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sumber rezeki adalah keperluan utama bagi setiap individu. Hakikatnya, tidak semua dapat mengecapi nikmat kepuasan rezeki yang mereka perolehi. Ia suatu realiti yang tidak dapat dijejaki dengan penjelasan yang mudah. Berapa ramai yang gigih berusaha tetapi amat sukar memperolehi hasil yang banyak. Betapa ramai pula yang memiliki kepintaran untuk menjawat pekerjaan yang baik tetapi akhirnya sentiasa merasa tidak puas dengan pendapatannya. Dalam masa yang sama kita juga dapat melihat orang-orang yang berada merasa gelisah diburu hutang piutang di keliling pinggang sedang yang miskin pula bahagia kerana secupak rezeki yang mereka nikmati.

Di sinilah tempatnya di mana faktor keberkatan rezeki itu sangat perlu diambil kira. Betapa tidak, wang kertas seringgit walaupun sedikit akan dapat memenuhi keperluan tuan empunyanya jika ianya diberkati. Sebaliknya jumlah yang banyak belum tentu dapat memuaskan segala tuntutan jika ia hampa daripada nikmat keberkatan tersebut.

Sejauh mana keberkatan itu dapat dijana, ia berkait rapat dengan amal ibadat seseorang yang mendekatkan dirinya kepada redha Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu yang Maha Pemberi segala punca rezekinya. Hadits Qudsiy di atas menjelaskan sembahyang Dhuha itu adalah salah satu wadah menuju matlamat keberkatan tersebut. Allah Subhanahu wa ta‘ala menerangkan sesiapa yang mengamalkan sembahyang empat rakaat di waktu pagi, nescaya akan dicukupkan keperluannya sepanjang hari itu.

Inilah yang telah diambil berat oleh para salaf ash-shâlih dahulu kala yang terkenal dengan sikap mereka yang ‘abid dan zuhud. Setiap kali mereka mempelajari anjuran-anjuran agama seumpama ini, mereka selalu menegakkannya dengan amalan yang berterusan. Mungkin oleh sebab itu rezeki mereka diberkati dan sentiasa mencukupi, walaupun sedikit. Selain dapat memenuhi keperluan-keperluan asasi, mereka masih mampu bersedekah dan membelanjakan harta mereka bagi menyebarkan syiar agama Islam. Ini banyak diceritakan dalam kisah-kisah agung pejuang Islam yang sangat mencintai agama mereka yang suci.

Lazimkanlah sembahyang Dhuha, mulakan langkah sekarang! Ia boleh merawat duka dan kesempitan tanpa diduga.

Waktu Mengerjakannya

Sembahyang Dhuha bermula ketika matahari naik pada kadar satu galah di waktu pagi dan berakhir dengan tergelincirnya matahari. Kadar satu galah itu ialah ketika matahari sedang naik kira-kira tujuh hasta pada pandangan mata. (Sila rujuk taqwim Hijriyyah yang dikeluarkan oleh institusi yang diiktiraf untuk menentukan waktu permulaan Dhuha yang tepat). Waktu yang paling baik untuk mengerjakan sembahyang Dhuha ialah setelah berlalu seperempat siang iaitu ketika matahari meninggi dan hari menjadi panas. Ini bersandarkan hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang awwâbîn (Dhuha) waktunya ialah ketika anak unta kepanasan. (Hadits riwayat Muslim, Ahmad dan at-Tirmidzi)

Ungkapan yang disebutkan dalam hadits di atas ialah kiasan waktu di siang hari ketika suhu udara panas terik. Ini dijelaskan dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi yang menyatakan jangka waktu itu digambarkan melalui kepanasan bumi di mana anak-anak unta mula tidak dapat duduk diam disebabkan pasir tempat mereka berpijak menjadi panas dipancar cahaya matahari. Oleh itu, berdasarkan kandungan maksud hadits ini serta pendapat ulama yang menyatakan waktu yang afdhal ialah setelah berlalu seperempat siang, anggaran waktu mengerjakan sembahyang Dhuha yang terbaik mengikut kiraan tempatan ialah dalam lingkungan 9.30 hingga ke 10.00 pagi.

Sebagaimana ibadat sembahyang yang lain, sembahyang Dhuha juga afdhal dilakukan dalam masjid. Bagaimanapun, jika bertembung keutamaan melengahkan sembahyang Dhuha dengan fadhilat mengerjakannya dalam masjid, adalah lebih awla mendapatkan kelebihan waktu. Contohnya: Tidak mengapa melupakan kelebihan mengerjakannya dalam masjid jika kesempatan tidak mengizinkan untuk pergi ke masjid yang berdekatan, bahkan kerjakan ia di mana sahaja asalkan dapat dicapai waktunya yang afdhal. Begitu juga, tidak perlu menanti dalam masjid begitu lama sehingga tiba waktu afdhalnya sedang keperluan-keperluan lain juga menghendaki untuk dipenuhi. Kelebihan waktu adalah yang utama daripada kelebihan tempat dalam hal ini.

Bilangan Rakaat

Bilangan rakaat yang paling sedikit ialah dua rakaat. Bilangan yang sekadar sempurna (adnâ al-kamâl) ialah empat rakaat. Lebih sempurna daripada itu ialah enam rakaat.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, bilangan rakaat yang maksimum bagi sembahyang Dhuha ialah dua belas rakaat. Ini turut dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya ar-Raudhah, walaupun dalam kitab al-Majmû‘ beliau mengatakan lapan adalah rakaat terbanyak. Mengikut as-Sayyid al-Bakri dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn, pendapat Imam Ibnu Hajar itu adalah pendapatnya yang mu‘tamad. Ketika menyatakan pendiriannya, Imam Ibnu Hajar bersandar kepada hadits yang diriwayatkan daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu walaupun ini menyebabkan kebanyakan ulama tidak sehaluan dengannya kerana hadits tersebut tidak terkeluar daripada menerima kritikan. Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa berpegang kepada hadits yang sedemikian sifatnya adalah tidak mengapa dalam persoalan ini. Beliau juga berpendapat, lapan rakaat ialah bilangan rakaat yang paling afdhal dilakukan, tetapi bukannya had terbanyak sebagaimana yang dipegang oleh kebanyakan ulama yang lain.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Jika engkau mengerjakan sembahyang Dhuha dua rakaat engkau tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah. Jika engkau menunaikannya empat rakaat engkau akan ditulis daripada kalangan orang-orang muhsinîn (orang-orang yang sering melakukan kebaikan). Jika engkau menunaikannya enam rakaat engkau akan ditulis daripada kalangan orang-orang yang taat mengerjakan ibadat. Jika engkau menunaikannya lapan rakaat engkau akan ditulis daripada kalangan orang-orang yang berjaya. Jika engkau menunaikannya sepuluh rakaat tidak ditulis bagimu pada hari itu walau satu dosa sekalipun, dan jika engkau menunaikannya dua belas rakaat Allah akan membina bagimu sebuah rumah di syurga. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Mengikut as-Sayyid al-Bakri, sembahyang Dhuha tidak boleh dikerjakan lebih daripada bilangan rakaatnya yang paling maksimum. Jika ia dikerjakan lebih daripada bilangan rakaat yang terbanyak itu dengan hanya sekali takbîratul ihrâm, sedang yang mengerjakannya itu tahu akan larangan tersebut, keseluruhan sembahyangnya adalah batal. Jika ia dikerjakan setiap dua atau empat rakaat, cuma rakaat-rakaat terakhir yang melebihi had maksimum sahaja dikira tidak sah. Sebaliknya, jika dia tidak mengetahui akan larangan itu, rakaat yang selebihnya itu adalah termasuk dalam amalan yang diberi pahala sunat.

Ketika mengerjakan sembahyang Dhuha lebih daripada dua rakaat, yang afdhal dilakukan ialah memberi salam setiap dua rakaat. Ini berdasarkan hadits Ummu Hani’ yang meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Dhuha lapan rakaat dengan memberi salam setiap dua rakaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Sembahyang Dhuha juga harus dikerjakan sekaligus dengan hanya sekali takbîratu lihrâm dan sekali duduk tahiyyat di rakaat terakhir. Juga boleh dikerjakan dengan duduk bertahiyyat, seperti tahiyyat awwal sembahyang fardhu atau sunat empat rakaat, pada setiap dua, empat, enam rakaat atau seterusnya.

Surah Yang Sunat Dibaca

Mengikut Imam Ibnu Hajar, sunat membaca surah asy-Syams dan surah adh-Dhuhâ selepas surah al-Fâtihah. Jika melebihi daripadadua rakaat, memadai dengan membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh selepas itu. Manakala Syeikh ar-Ramli pula menjelaskan lebih utama membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh daripada surah-surah yang lain hatta pada dua rakaat yang pertama.

Sebagai alternatif, adalah lebih awlâ menggabungkan surah-surah yang dianjurkan oleh ulama-ulama di atas untuk mendapatkan kesemua fadhilatnya. Ini disarankan sendiri oleh penulis kitab I‘ânah ath-Thâlibîn sebagaimana anjurannya untuk membaca surah asy-Syams dan surah al-Kâfirûn pada rakaat yang pertama selepas al-Fâtihah, dan kemudian surah adh-Dhuhâ dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua. Pada rakaat yang seterusnya bolehlah dibaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh sahaja.

Perlu diingatkan, jika sembahyang dikerjakan empat rakaat, tidak perlu membaca surah yang lain lagi mengiringi al-Fâtihah selepas duduk tahiyyat awwal pada rakaat yang kedua.

Bolehkah Sembahyang Dhuha Diqadha?

Menurut Syeikh ar-Ramli, sunat mengqadha sembahyang Dhuha jika ia luput dari waktunya. Ini turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi yang mengatakan ia adalah sembahyang yang terikat dengan waktu. Apabila luput waktunya, sunat ia diqadha sebagaimana sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Ini juga berdasarkan hadits daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Barang siapa terlupa menunaikan sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakannya apabila dia ingat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa Sembahyang Dhuha

Bagi menyempurnakan sembahyang Dhuha, terdapat beberapa doa yang boleh dijadikan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh ulama. Antara doa tersebut adalah seperti berikut:

1. Doa ini disebutkan dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn oleh pengarangnya Abu Bakar bin Muhammad Shatta ad-Dimyathi yang terkenal dengan gelaran as-Sayyid al- Bakri:

Ertinya: Ya Allah! Bahawasanya waktu Dhuhâ itu ialah DhuhâMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu ialah keindahanMu, kekuatan itu ialah kekuatanMu, kekuasaan itu ialah kekuasaanMu dan perlindungan itu ialah perlindunganMu. Ya Allah! Jika sekiranya rezekiku masih di langit, turunkanlah ia. Jika ia ada di perut bumi, keluarkanlah ia. Jika sukar, maka mudahkanlah ia. Jika ianya (daripada yang) haram, maka sucikanlah ia. Jika ia masih jauh, maka dekatkanlah ia dengan berkat waktu Dhuhâ, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu. Berikanlah kepadaku sepertimana yang telah Engkau berikan pada hamba-hambaMu yang salih.

Juga boleh dijadikan amalan membaca doa ini sebanyak empat puluh atau seratus kali selepas doa di atas:

Ertinya: Ya Allah! Ampunilah aku, rahmatilah hambaMu ini dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.

2. Doa ini pula dikumpulkan oleh Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali an-Nawawi al- Jawi Abu Abdul Mu‘thi dalam kitabnya Nihâyah az-Zain fi Irsyâd al-Mubtadi’în:

Ertinya: Ya Allah! Bukakanlah kunci-kunci yang menutupi pintu hati kami dengan kehendakMu, berikanlah kami taufikMu agar kami sentiasa membenarkan kemahuanMu, pancarkanlah kami saat ini dengan naungan hidayatMu, persiapkanlah kami dengan pedang kekuasaanMu, mahkotakanlah kami dengan mahkota ilmu pengetahuanMu, cucurilah kami dengan limpahan rahmatMu, limpahilah kami dengan curahan kasih sayangMu, tetapkanlah kami dalam himpunan kebaikanMu, tempatkanlah kami agar sentiasa berada dalam peliharaanMu. Jernihkanlah segala yang tersembunyi dalam diri kami, cahayakanlah pandangan kami, himpunkanlah kami dalam lingkungan kesucianMu, selesakanlah diri kami dengan kebaikanMu, dan janganlah pisahkan kami daripadaMu dengan apa-apa sekutu selainMu. Ya Allah! Apa yang datang daripada perlakuan kami daripada menerima sesuatu selain Engkau, dan menolak Engkau daripada kami sama ada dengan sengaja, tersilap atau lupa, maka hindarkanlah semua itu daripada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa terhadap tiap-tiap sesuatu.

Sembahyang Dhuha Penyebab Segala Kebaikan

Sembahyang Dhuha adalah satu wadah bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang istimewa. Di samping kelebihan yang tidak mampu disembunyikan lagi, ibadat ini menjadi penjalin akrabnya ketaatan seseorang dalam mengingati Penciptanya yang Maha Pemberi segala sebab-sebab kebaikan kepadanya. Seperti disebutkan, ia membuka pintu rezeki dan menolak kepapaan. Siapakah yang bakal mengaut untungnya selain daripada pengamalnya sendiri? Ia sudah tertulis, tinggal lagi kepada kita untuk merebutnya. Dalam satu hadits ada meriwayatkan:

Maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil Dhuha. Apabila tiba Hari Kiamat, seseorang akan menyeru: “Di manakah orang-orang yang selalu mendirikan sembahyang Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalamnya dengan Rahmat Allah.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Rebutlah peluang ini, jangan lepaskan peluang untuk memperolehi keistimewaan sembahyang Dhuha. Mulakanlah sekarang, dan tingkatkan usaha dalam menuju matlamat redha Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

RIA’: Ketahui Bahayanya

Ria’ bererti menunjuk-nunjuk atau memperlihatkan sesuatu amalan baik yang dilakukan oleh seseorang untuk memperolehi kedudukan di hati manusia.

Ikhlas adalah lawan bagi sifat ria’. Orang yang tidak ikhlas dalam amalannya, disebut sebagai orang yang menyekutukan amalannya itu dengan maksud lain untuk kepentingan dirinya. Perbuatan begini adalah sia-sia. Pemahaman tentang ria’ patut diketahui dan dihayati kerana ia pemusnah amalan dan amalan itu menjadi sia-sia tanpa disedari.

Ria’ Menurut Al-Qur’an

Ria’ adalah sifat yang tercela dan amat dibenci. Amalan yang diiringi dengan ria’, ketika di akhirat nanti bukan saja tidak mendapat ganjaran malahan akan diseksa, kerana dia beramal untuk dipuji dan disanjung orang, bukan kerana mengharapkan redha atau pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan ria’ (dalam ibadat dan bawaannya). (Surah al-Mâ‘ûn: 4-6)

Maksud “orang-orang yang berkeadaan ria’” dalam ayat yang tersebut ialah tiap-tiap amal ibadat yang dikerjakannya itu bukan kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala tetapi kerana tujuan yang lain.

Firman Allah lagi:

Tafsirnya: Mereka (hanya bertujuan) ria’ (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). (Surah an-Nisâ’: 142)

Kecelaan ria’ seseorang itu nanti akan diperlihatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di Hari Kiamat sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Siapa yang (dengan amalnya) mencari kemasyhuran untuk diperlihatkan kepada manusia, Allah akan menyiarkan keaibannya itu di Hari Kiamat; dan siapa yang memperlihatkan amalannya, Allah akan memperlihatkan kecelaannya. (Hadits riwayat Muslim) Hakikat Ria’ Dan Penyebabnya

Perkataan ria’ itu diambil daripada perkataan Arab iaitu ru’yah yang bererti penglihatan. Maksud asalnya ialah memikat hati orang ramai dengan menampakkan berbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata kerana menginginkan pangkat atau kedudukan.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn menerangkan bahawa perkara yang menimbulkan ria’ itu ada lima tetapi biasanya kelima-lima perkara itu terhimpun dalam diri seseorang untuk diperlihatkan kepada orang lain seperti ria’ dalam tubuh badan, pakaian, ucapan, perbuatan dan ria’ dengan memperbanyakkan pengikut.

Ria’ dalam tubuh itu ialah seperti orang yang berpura-pura menampakkan dirinya terlalu kurus agar orang lain menyangka bahawa dialah orang yang sangat banyak beribadat di tengah malam.

Adapun ria’ dalam pakaian seperti orang yang berpura-pura memakai pakaian-pakaian yang kasar dan baju yang diperbuat daripada bulu binatang dan menyingkatkannya hampir ke betis atau baju yang bertangan pendek. Semua ini termasuk amalan-amalan ria’ jika diperlihatkan kepada orang lain supaya kononnya dia orang yang sangat patuh kepada sunnah Nabi atau menurut jejak langkah para shâlihîn.

Begitu juga ria’ dalam ucapan, seseorang itu akan berpura-pura merendahkan suara ketika bercakap dengan orang ramai atau berlumba-lumba dalam memperkatakan tentang hadits sama ada shahîh ataupun tidak dengan tujuan supaya dia dipuji orang sebagai orang pandai dan seumpamanya.

Manakala ria’ dalam perbuatan pula ialah seperti seseorang berpura-pura berdiri terlalu lama dalam sembahyang, ruku‘ atau sujud supaya dilihat orang dia lebih menghayati sembahyangnya itu daripada orang lain.

Akhir sekali ria’ dengan memperbanyakkan sahabat, tetamu dan bercampur-gaul, seperti seseorang yang selalu mengharap-harapkan supaya dia dikunjungi oleh orang besar, agar orang ramai menganggap dia juga orang penting dan seumpamanya.

Kesemua orang yang bersifat seperti ini (beramal untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan), adalah bagi mereka itu azab seksa yang berat. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi mereka itu azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa. (Surah Fâthir: 10)

Ria’ Tergolong Dalam Sifat Orang Munâfiq

Sesungguhnya seseorang yang beramal dan mengerjakan sesuatu yang baik agar dihargai dan dipuji orang, adalah termasuk dalam perbuatan nifâq, ria’ atau berpura-pura. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munâfiq). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) ria’ (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). (Surah an-Nisâ’: 142)

Sedekah Yang Sia-sia

Orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain adalah dia itu ria’, dan pahala amal sedekahnya rosak serta sia-sia, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan ria’ itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum kafir. (Surah al-Baqarah: 264) Walaupun bersedekah itu amalan yang disunatkan dan tujuannya untuk membantu atau menolong orang lain yang berhajat, namun jika ia disertai dengan perbuatan membangkit-bangkit atau menyakiti orang yang diberi sedekah itu, nescaya habis atau rosaklah nilai sedekah itu, kerana perkara membangkit dan menyakiti orang yang diberi itu bukanlah kelakuan orang beriman tetapi orang ria’ yang memberi bukan kerana Allah.

Ria’ Itu Syirik Kecil

Setiap amal kebajikan yang disertai ria’ adalah syirik kecil, suatu perkara yang paling ditakuti oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berlaku ke atas umat Baginda, sebagaimana hadits Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya yang amat aku takuti daripada segala perkara yang harus aku takuti ke atas kamu ialah syirik kecil. Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitulah ria’.” Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla di Hari Kiamat setelah sekalian hambaNya menerima laporan amalannya:“Pergilah kamu sekalian kepada orang-orang yang kamu perlihatkan amalan kamu kepada mereka di dunia secara ria’, lihatlah adakah mereka menyimpan apa-apa balasan untuk kamu sekalian?” (Hadits riwayat Ahmad)ِ

Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak akan menerima sesuatu amalan, walaupun amalan itu baik, melainkan jika ianya dilakukan dengan tulus ikhlas keranaNya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak memerlukan sekutu daripada segala sekutu. Ini jelas dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah Tabâraka wa Ta‘ala berfirman: “Aku (Allah) sama sekali tidak memerlukan sekutu daripada segala sekutu. Barang siapa yang membuat satu amalan yang menyekutukan Aku dengan selain Aku, dia akan Aku tinggalkan bersama sekutunya itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan ria’ merupakan penyakit hati yang sangat merbahaya dan mengancam kesucian jiwa. Sementara lawan perbuatan ria’ itu ialah ikhlas iaitu melakukan amal ibadat kerana Allah jua, sekali-kali tidak bercampur dengan yang lain-lain. Apakah sebenarnya hakikat ikhlas?

Hakikat Ikhlas

Ikhlas bermaksud menyucikan hati daripada segala kekotoran yang akan mengeruhkan kejernihan dan kesuciannya. Ia berganding rapat dengan amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukannya untuk menunjuk-nunjuk (ria’).

Keutamaan Ikhlas

Fadhilat ikhlas banyak disebutkan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala, antaranya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu, hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepadaNya segala ibadat dan bawaanmu. Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik)! (Surah az-Zumar: 2-3)

Firman Allah dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar. (Surah al-Bayyinah: 5)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Siapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih, dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahf: 110)

Keutamaan ikhlas itu juga disebut di dalam hadits sebagai boleh menolong umat yang lemah sebagaimana hadits daripada Mash‘ab bin Sa‘ad daripada ayahnya, bahawa dia telah merasa mempunyai kelebihan atas kaum yang di bawahnya daripada para sahabat Rasulullah. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menolong umat ini disebabkan doa kaumnya yang lemah, kerana sembahyang mereka dan kerana keikhlasan mereka. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Sesungguhnya orang yang beramal dan melaksanakan segala tuntutan agama dengan penuh ikhlas dan mengharapkan redha Allah Subhanahu wa Ta‘ala tanpa ria’ akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An‘ âm: 162)

Nilai ikhlas tidak akan hilang di dalam segala situasi apapun. Ini dijelaskan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tidak engkau membelanjakan sesuatu harta kerana mengharapkan redha Allah melainkan engkau akan diberi pahala sampailah kepada apa yang engkau berikan kepada mulut isterimu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pendorong Yang Membawa Keikhlasan

Antara faktor yang dapat membantu untuk mencapai ikhlas itu ialah bersahabat dan bergaul dengan orang-orang yang ikhlas supaya dapat dicontohi akhlak dan budi pekerti mereka itu. Ole kerana itu, dilarang bersahabat dengan orang-orang yang buruk perangainya seperti mereka yang bersifat ria’ sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang salih dan berkawan dengan orang jahat, adalah seperti seseorang yang membawa minyak kasturi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa kasturi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu, mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan mendapati bau harum daripadanya. Akan tetapi orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin dia akan membakar pakaianmu, dan mungkin kamu akan mendapati bau yang tidak sedap. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penjelasan di atas, ikhlas itu merupakan amalan yang suci bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tetapi bila mana ia bercampur dengan niat lain seperti ria’, maka amalan itu akan menjadi sia-sia.

Oleh itu, berwaspada dan jauhkanlah diri daripada bahaya ria’ itu. Dengan cara ini, jiwa kita hanya akan tertumpu kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata, bukan kepada yang selain daripadaNya. Marilah kita berdoa sebagaimana yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada terlibat menyekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami tahu, dan kami memohon ampun kepadaMu daripada apa yang tidak kami mengetahuinya.

KASIH SAYANG MELALUI DOA

Amalan berdoa di kalangan umat Islam bukanlah suatu perkara yang baru, malahan ianya telah sebati dengan Muslimin dan Muslimat sejak dari zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Baginda telah menunjukkan kepimpinan dan ikutan bagaimana berdoa dan mendoakan.

Hukum berdoa adalah sunat (mustahabb iaitu digalakkan). Dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke arah kebaikan, sama ada dalam keadaan senang ataupun susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian mahupun berjemaah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)

Menurut Imam al-Qurthubi bahawa ayat di atas menunjukkan perintah Allah Ta‘ala supaya sentiasa berdoa dan beribadat kepadaNya. Ayat ini juga memberi kegembiraan dan kesenangan kepada makhluk Allah kerana dijanjikan bahawa doa-doa tersebut akan dikabulkan, melainkan ada sebab-sebab lain mengapa suatu doa itu tergantung-gantung atau ditolak.

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghâfir: 60)

Telah disebutkan dalam banyak hadits shahîh mengenai doa, antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan (tidak menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Manakala hadits-hadits berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada doa. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka Allah murka kepadanya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Akan dikabulkan doa seorang daripada kamu selama mana dia tidak terburu-buru mengatakan: “Aku sudah berdoa (kepada Allah), namun doaku belum dikabulkan.” (Hadits riwayat Muslim)

Mendoakan Orang Lain Tanpa Pengetahuannya

Alangkah indahnya Islam itu apabila menganjurkan supaya umatnya saling doa mendoakan antara satu sama lain, sama ada orang yang didoakan itu mengetahuinya ataupun tidak, lelaki atau perempuan, yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al-Hasyr: 10)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan. (Surah Muhammad: 19)

Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Setiap hamba Muslim yang mendoakan saudaranya pada ketika saudaranya itu tidak ada (tanpa pengetahuannya), maka malaikat akan berkata: “Semoga kamu juga mendapat seumpama (doa) itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Malah doa seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya adalah mustajâb berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Adapun doa seorang Muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajâb. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan bagi saudaranya itu, malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama apa yang engkau doakan itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Adapun antara orang-orang yang wajar didoakan adalah seperti berikut:

1. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bererti juga mendoakan Baginda. Di samping menunjukkan rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar itu, berselawat itu juga merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang perlu dilaksanakan sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)

2. Ahli Keluarga Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Para Sahabat dan Pengikut Baginda

Ulama juga sepakat mengatakan bahawa adalah harus atau dibolehkan menyebut ahli keluarga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, isteri-isteri, zuriat dan para pengikut Baginda selepas sempurna mengucapkan doa dan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Contoh ucapan tersebut ialah:

Sunat juga mendoakan para sahabat dan tâbi‘în dan mereka yang selepas tâbi‘în daripada para ulama, ahli ibadat dan orang-orang yang melakukan amal kebaikan. Caranya ialah dengan menyebut atau mendoakan mereka dengan “ ُِر َ ِاى َِهللا ُِعَنْاه ” dan “ُِ ر َََِاه ُِهللا” selepas nama mereka, contohnya Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha atau Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah.

3. Ibu Bapa

Berbuat baik dan mendoakan kedua ibu bapa merupakan kewajipan bagi setiap anak. Ini kerana ibu bapa adalah orang yang terutama sekali untuk didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara dan mendidik di waktu kecil. Malah penjagaan mereka terhadap anak-anak sampai dewasa, tiada penghujungnya. Terdapat kisah di dalam al-Qur’an yang membuktikan bahawa para Nabi juga memohon keampunan bagi kedua ibu bapa mereka.

Diceritakan dalam al-Qur’an tentang Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam mendoakan kedua ibu bapanya:

Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. (Surah Ibrâhim: 41)

Begitu juga Nabi Nuh ‘Alaihissalam telah mendoakan kedua ibu bapanya sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan. (Surah Nuh: 28)

Adapun doa yang sering dibacakan untuk mendoakan dan memohon keampunan bagi kedua ibu bapa, antaranya daripada surah Nuh ayat 28 di atas:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku.

Manakala dalam surah al-Isrâ’, ayat 24:

Tafsirnya: Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isrâ’: 24)

Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalnya daripadanya, melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya diangkat darjat seseorang hamba di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari mana (saya memperoleh darjat) ini?” Maka dikatakan padanya: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan oleh anakmu.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

4. Anak-anak

Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berdoa untuk anaknya yang tersebut di dalam surah ash-Shâffât:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang salih. (Surah ash-Shâffât: 100)

5. Ulama dan Guru

Mendoakan para ulama dan guru yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat adalah termasuk dalam perkara yang dianjurkan untuk dilakukan. Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Adzkâr, antara cara mendoakan ulama ialah dengan menyebut atau menulis Radhiallahu ‘anhu, Rahimahullah atau yang seumpamanya setelah menyebut atau menulis nama ulama tersebut.

Menurut as-Sayyid ‘Alawi as-Saqqaf dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah, antara adab-adab terhadap guru janganlah seseorang itu meninggalkan doa untuk gurunya, baik ketika dia hadir (ada) mahupun semasa ketiadaannya, sebagaimana seseorang itu tidak meninggalkan doa untuk kedua ibu bapanya dan hendaklah dia berbuat baik kepada gurunya sebagaimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

6. Orang Yang Berbuat Baik Pada Saudaranya

Apabila seseorang telah melakukan kebaikan dan memberi pertolongan, maka sewajarnya kita membalasnya dengan perbuatan setimpal. Jika itu tidak mampu dilakukan dan dilaksanakan, maka hendaklah kita mendoakannya dengan doa yang baik. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah mendoakan seseorang yang berbuat baik kepada Baginda:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki bilik air kecil, lalu aku meletakkan air wudhu untuk Baginda. Baginda bersabda: “Siapakah yang meletakkan ini (air wudhu)?” Maka Baginda pun diberitahu. Lalu Baginda berdoa: “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada Usamah bin Zaid bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya, maka katakanlah kepada orang yang membuat kebaikan itu: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan”. Sesungguhnya ucapan demikian itu adalah sebaik-baik pujian (ucapan). (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Adapun budaya mengucapkan terima kasih atau yang seumpamanya kepada sesiapa saja yang telah memberi pertolongan atau bantuan merupakan suatu budaya atau amalan yang baik. Malah ianya mempamerkan kemuliaan dan ketinggian akhlak serta budi pekerti si pelakunya. Tetapi alangkah lebih baik sekiranya di samping ucapan terima kasih itu, ianya diiringi pula dengan doa-doa yang baik sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Misalnya ucapan yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri seperti dalam hadits di atas, iaituًِِ َزاك َِهللا ُِخَريْا (semogaِ Allah membalasmu dengan kebaikan).

Adab Memulakan Doa

Memulakan doa dengan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu adab berdoa. Bahkan doa akan tergantung-gantung tanpa selawat.

Ulama telah sepakat mengatakan bahawa sunat memulakan doa dengan menyebut dan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga apabila menutup atau menamatkan doa tersebut.

Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama dengan nama-nama al-Asmâ’ al-Husnâ dan memberi selawat serta salam kepada Nabi, dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu. (Surah al-A‘râf: 180)

Telah diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Fadhalah bin ‘Abid Radhiallahu ‘anhu bahawa dia mendengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendengar seorang lelaki berdoa di dalam sembahyangnya, dia tidak mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan tidak membaca selawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ke atas ahli keluarga Baginda, maka Rasulullah bersabda: “Tergesa-gesa orang ini!” Kemudian Baginda memanggilnya, lalu bersabda kepadanya atau kepada yang lain: “Apabila seseorang berdoa, maka mulailah dengan mengagungkan Tuhannya dan memujiNya, setelah itu mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia (boleh) berdoa sesudah itu mengikut kehendaknya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Malah Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa setiap doa yang tidak dimulai dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah doa yang terhalang. Sayyidina ‘Umar berkata:

Ertinya: Sesungguhnya doa itu akan berhenti (tergantung) di antara langit dan bumi tidak boleh naik ke atas, sehingga engkau mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabimu Shallallahu ‘alaihi wasallam.

(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)

Ganjaran Berselawat ke Atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Terdapat banyak hadits yang meriwayatkan tentang besarnya ganjaran pada mendoakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa mengucapkan selawat untukku satu kali, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan memberinya rahmat sepuluh kali ganda. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala hadits daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu yang menyifatkan orang yang enggan atau berdiam diri daripada mengucapkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai bakhil.

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang kikir (bakhil) adalah orang yang apabila namaku disebut di sisinya, dia tidak mengucapkan selawat ke atasku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Selawat Ke Atas Nabi-nabi Terdahulu

Ulama bersepakat adalah sunat berselawat ke atas nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, begitu juga ke atas kesemua nabi-nabi yang terdahulu. Menurut ulama asy-Syafi‘e, selawat itu telah dikhususkan oleh ulama salaf bagi para anbiyâ, sebagaimana khususnya kalimat “َِّ عَااز َِّو َ َاال” bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Adapun selain daripada para nabi, seperti para sahabat contohnya Sayyidina Abu Bakar, maka tiada selawat ke atas mereka itu.

Mendoakan Orang Bersin

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah suka pada orang-orang yang suka bersin dan membenci orang yang menguap. Maka ketika seseorang itu bersin dan memuji Allah, maka adalah menjadi hak kepada bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan berkat ke atasnya. Adapun menguap, maka sesungguhnya hal itu daripada syaitan, maka tolaklah ia sekuat tenaga, maka ketika seseorang berkata: “Haa”, syaitan mentertawakannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara Mendoakan Orang Bersin

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ketika salah seorang di antara kamu bersin maka hendaklah dia berkata: “َِِِّ ُِ ا ْلَْمْااد” (segala puji bagi Allah) dan hendaklah saudaranya atau temannya mendoakannya: “ُِ ياَر ََُْااع َِهللا” (semoga Allah merahmatimu) dan ketika temannya berkata kepadanya “ُِ ياَر ََُْاع َِهللا”, hendaklah orang yang bersin tadi berkata: “ِْ َُُِِلَكُم ياَهْدِيكُم ُِهللا ُِوَيُصْل” (semoga Allah memberi petunjuk dan memperbaikkan sifatmu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Para ulama telah sepakat bahawa lafaz yang dianjurkan untuk diucapkan oleh (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam) dan lebih afdhal ٍِ ا ْلَْمْاد ُِِهلل ِِعَلَاى ِكُال ِِحَاال (segala puji bagi Allah ke atas tiap-tiap perkara).

Kelebihan Mengucapkan “Alhamdulillah” Ketika Bersin

Diceritakan di dalam sebuah hadits tentang kelebihan seorang yang mengucapkan “Alhamdulillah” apabila dia bersin:

Maksudnya: Dua orang lelaki bersin di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendoakan berkat untuk salah seorang daripada mereka dan tidak mendoakan yang seorang lagi, maka bertanyalah orang itu: “Wahai Rasulullah! Tuan mendoakan dia dan Tuan tidak mendoakan saya?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya yang ini memuji Allah, dan engkau tidak memuji Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits di atas, sesiapa yang tidak mengucapkan “Alhamdulillah” kerana lupa atau seumpamanya, maka dianjurkan bagi sesiapa yang berada di sisinya atau berdekatan dengannya agar mengingatkannya untuk mengucapkan “Alhamdulillah” kerana mengucapkan tahmîd, iaitu ِِ ا ْلَْمْاد ُِهلل ketika bersin itu adalah orang-orang yang ingat dan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka bagi orang-orang yang bersyukur kepada Allah itu pasti mendapat ganjaran yang tidak terhingga.

Ta‘ziah Atau Mendoakan Orang Yang Ditimpa Musibah

Adalah sunat mengucapkan ta‘ziah kepada saudara Islam yang ditimpa musibah sama ada disebabkan kematian, bencana dan sebagainya. Adapun hikmah mengucapkan ta‘ziah itu sebagai tanda bersimpati dan sama-sama merasakan kesedihan yang menimpa dan ditanggung oleh saudaranya. Sementara itu ganjaran bagi ucapan ta‘ziah itu sangat besar seperti mana yang disebut di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Tidaklah seorang mu’min yang mengucapkan ta‘ziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala memakaikannya pakaian daripada pakaian kehormatan pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Antara lafaz ta‘ziah yang ditujukan kepada ahli keluarga si mati adalah berdasarkan daripada al-Qur’an, iaitu dengan mengucapkan َِِ َِنَِّإِل ََْاه ِِرا َ ِعُاون َِنَِِّهلل ِِوَإ إ. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: 156)

Adapun orang yang junub dan perempuan yang haidh, maka hukumnya harus membaca sepotong ayat al-Qur’an di atas.

Antara lafaz ta‘ziah yang pernah diucapkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid bahawa mereka sedang berada berhampiran dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila datang orang suruhan salah seorang puteri Baginda, membawa khabar untuk Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa anak daripada puteri Baginda itu sedang menghadapi maut.

Maksudnya: Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang suruhan tersebut: “Kembalilah kepadanya dan katakan: “Sesungguhnya hanya Allah yang berhak mengambil dan hanya Allah yang berhak memberi. Segala sesuatu itu di sisiNya adalah dengan batas waktu tertentu. Maka suruhlah dia agar bersabar dan mengharap pahala (daripadaNya).”

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disebutkan di dalam kitab al-Adzkâr, lafaz ta‘ziah itu ialah:

Ertinya: Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.

Memohonkan Doa Daripada Orang Yang Bermusafir dan Orang-Orang Salih

Dibolehkan meminta seseorang untuk mendoakan, walaupun orang yang memohon itu lebih tinggi darjatnya dan lebih afdhal doanya daripada orang yang bakal mendoakan. Diriwayatkan oleh ‘Umar Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: ‘Umar berkata: “Aku pernah memohon izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk berumrah, maka Baginda mengizinkan aku, lalu Baginda bersabda: “Jangan engkau lupa mendoakan kami, hai saudaraku”. Maka Baginda telah mengucapkan suatu kalimat yang lebih menggembirakan aku daripada dunia ini.” Dalam riwayat yang lain dengan lafaz: “Sertakan (sebutkan) kami, wahai saudaraku, dalam doamu.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Tidak syak lagi bahawa amalan saling doa mendoakan itu adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sewajarnya menjadi ikutan dan contoh teladan kepada umatnya. Ia patut dijadikan budaya dan amalan hidup, lebih-lebih lagi di saat saudara kita itu amat memerlukan pertolongan dan bantuan dalam menghadapi kesusahan hidup, di mana peranan doa itu boleh menjadi senjata untuk menolak kesusahan dan penderitaannya. Dalam waktu yang sama kita mendoakannya untuk memperolehi segala kebaikan dan kebahagiaan.

Di samping peranan doa yang boleh mengeratkan pertalian dan perhubungan yang mesra sesama umat, ia juga mengukuhkan kekuatan iman dan tauhid kerana tiada tempat berdoa dan mengadu hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata. Lebih-lebih lagi mendoakan orang tanpa pengetahuannya itu adalah di antara doa yang tidak akan terhalang. Inilah suatu hakikat yang tidak patut dilupakan.

DARAH ISTIHÂDHAH: Fahami Persoalannya

Persoalan mengenai darah yang keluar dari faraj perempuan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan, kerana ia berkaitan dengan kebersihan diri dan juga ibadat. Persoalan darah ini bukan hanya setakat perlu diketahui dan difahami oleh kaum wanita sahaja, bahkan juga oleh para suami. Ini kerana, selain ianya berhubungkait dengan kebersihan diri dan ibadat, ia juga berhubungkait dengan pergaulan suami dan isteri. Pergaulan suami isteri itu akan terbatas apabila kedatangan darah haidh dan nifas. Maka bagi pasangan suami isteri apabila telah mengetahui dan memahami perkara ini dengan sebaiknya, dapatlah menjauhkan diri daripada larangan dan tegahan syara‘.

Persoalan yang akan dihuraikan ini ialah mengenai darah istihâdhah. Fahamilah ia dengan sebaik-baiknya supaya jangan terjebak dengan anggapan bahawa darah istihâdhah itu adalah darah haidh hanya kerana melihat tempoh haidh belum berakhir, padahal tidak demikian.

istihâdhah ialah perkataan Arab yang bermaksud darah penyakit yang keluar atau mengalir dari dalam rahim seorang perempuan.

Imam ar-Ramli, seorang ulama daripada mazhab Syafi‘e mendefinisikan istihâdhah ialah darah yang keluar dari faraj seseorang perempuan selain daripada darah haidh dan nifas, sama ada darah tersebut bersambung dengan darah haidh dan nifas ataupun tidak.

Perempuan yang dalam keadaan keluar darah istihâdhah dikatakan sebagai mustahâdhah. Bagi perempuan seperti ini adalah harus berubat atau mencari ubat, kerana darah yang keluar adalah darah penyakit.

Darah istihâdhah itu boleh jadi keluar atau mengalir sebelum hari-hari haidh atau nifas atau bersambung selepas darah haidh atau nifas atau ia keluar pada hari-hari yang bukan kebiasaan hari haidh atau nifas. Sebagai contoh darah yang keluar daripada kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun. Menurut pengarang kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn jika berlaku demikian, ia adalah darah istihâdhah, kerana menurut kebiasaan kanak-kanak perempuan yang didatangi haidh sekurang-kurangnya berumur sembilan tahun qamariyah.

Persoalan dan kekeliruan mengenai istihâdhah seringkali dikaitkan dengan haidh, kerana kebiasaannya darah istihâdhah keluar sebelum atau selepas darah haidh.

Perbezaan Antara Darah Haidh, Nifas Dan Istihâdhah

Secara thabî‘i ada tiga jenis darah yang keluar dari rahim seorang perempuan. Ketiga-tiga darah tersebut ialah darah haidh, istihâdhah dan nifas. Kesemua jenis darah ini mempunyai pengertian, sifat dan hukumnya yang tersendiri.

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, al-Muhadzdzab, al-Majmû‘ dan Raudhah ath- Thâlibîn pula disebutkan jenis darah yang keempat iaitu darah fasad. Bagi seorang perempuan yang menghadapi darah fasad, maka dia dihukumkan seperti seorang perempuan yang mustahâdhah, di mana keduanya berada di dalam keadaan berhadas kecil sahaja. Dengan perkataan lain tidak wajib mandi hadas ke atasnya. Perbezaan pendapat ini berpunca daripada definisi ulama terhadap tiga jenis darah tadi. Imam an-Nawawi menyebutkan darah istihâdhah itu khusus berkaitan dengan darah yang bersambung sebelum atau selepas darah haidh dan nifas. Adapun darah yang tidak bersambung dengan haidh dan nifas adalah darah fasad. Manakala pengarang kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn pula menyebutkan darah istihâdhah secara lebih umum, iaitu darah yang keluar pada hari-hari haidh dan nifas dan juga pada hari-hari yang lainnya.

Darah Haidh

Darah haidh adalah darah yang mengalir dari rahim seorang perempuan yang bâligh, bukan kerana sakit atau mengandung dan belum melebihi umur putus haidh.

Antara tanda-tanda bâligh bagi kanak-kanak perempuan ialah dengan didatangi haidh sekurang-kurangnya pada umur sembilan tahun qamariyah (mengikut kiraan bulan Hijrah). Adapun umur putus haidh (menopaus) bagi perempuan tidak pula disepakati. Ulama Syafi‘e mengatakan ia tiada had, akan tetapi pada kebiasaannya adalah pada umur 62 tahun.

Walau bagaimanapun, menurut Medical and Health Encyclopedia, menopaus boleh berlaku kepada perempuan yang berumur di antara 45 dan 50 tahun. Berkemungkinan pula ia akan datang lebih awal atau terlewat daripadanya.

Tempoh Haidh

Menurut pendapat ulama, yang dikatakan darah haidh itu ialah darah yang keluar tidak kurang dari satu hari satu malam (tempoh minimum). Manakala tempoh haidh yang paling lama (tempoh maksimum) tidak melebihi 15 hari dan malamnya. Pada kebiasaannya pula perempuan didatangi haidh selama enam ke tujuh hari. Tempoh di antara dua haidh hendaklah tidak kurang daripada 15 hari. Itulah yang dinamakan hari bersih di antara dua haidh. Tidak ada batas bagi tempoh maksimum bersih di antara dua haidh. Ini kerana ada sebilangan perempuan yang haidhnya tidak teratur; tiga atau empat bulan sekali, sekali sahaja dalam setahun, sekali seumur hidup dan ada juga yang langsung tidak pernah didatangi haidh. Adapun pada kebiasaannya, jika dia haidh selama enam hari dalam sebulan, maka baki 24 hari itu adalah hari bersihnya.

Darah Nifas

Darah nifas pula adalah darah yang mengalir dari rahim seorang perempuan akibat atau selepas daripada melahirkan anak.

Tempoh Nifas

Tempoh keluar darah nifas paling sedikit ialah satu lahzhah atau satu detik dan paling banyak selama 60 hari. Manakala pada kebiasaannya, nifas berlaku dalam tempoh 40 hari. Adapun darah yang keluar sewaktu hamil dan belum melahirkan anak, menurut pendapat yang shahîh di dalam kitab al-Muhadzdzab, ianya adalah darah haidh jika cukup syarat-syarat haidh, kerana di dalam qaul jadîd Imam asy- Syafi‘e perempuan hamil juga didatangi haidh.

Darah Yang Keluar Ketika Akan Dan Semasa Melahirkan Anak

Adapun darah yang keluar semasa sakit hendak melahirkan anak ataupun darah yang keluar bersama-sama dengan anak semasa lahirnya, terdapat dua pendapat.

Pendapat pertama mengatakan jika perempuan yang hamil tersebut tidak dalam keadaan haidh sebelum melahirkan anak, maka darah tersebut adalah darah fasad. Manakala pendapat yang kedua pula mengatakan darah tersebut adalah darah istihâdhah.

Jika seorang perempuan itu sedang haidh semasa hamil (sebelum melahirkan anak), lalu berterusan haidhnya sehingga dia melahirkan anak, maka kedua-dua pendapat di atas mengatakan darah yang keluar semasa sakit beranak ataupun darah yang keluar bersama-sama dengan anak itu adalah darah haidh.

Perbezaan Di Antara Darah Haidh Dan Istihâdhah Untuk Mengetahui Kedudukan Ibadat

Darah haidh pada kebiasaannya boleh dibezakan daripada darah istihâdhah khusus dari segi warna, sifat dan baunya. Darah haidh berwarna merah kehitam-hitaman atau merah kuat, sangat panas bila keluar, terasa sakit serta berbau busuk. Perempuan yang sedang dalam haidh juga diiringi kesakitan dan keletihan.

Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi penjelasan mengenai warna darah haidh di dalam hadits Baginda:

Maksudnya: Jika ia darah haidh, maka ia dapat diketahui dengan warna hitam. Jika terdapat warna itu hendaklah kamu tinggalkan sembahyang. Jika warna lain hendaklah kamu mengambil wudhu dan bersembahyang, kerana itu adalah ‘irq (pendarahan). (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada penjelasan di atas boleh diketahui bahawa darah istihâdhah itu ialah:

i. Darah yang keluar atau mengalir dari rahim seorang kanak-kanak perempuan yang berumur kurang dari sembilan tahun qamariyah atau melebihi umur kebiasaan wanita putus haidh (menopaus). Walau bagaimanapun kebanyakan ulama Syafi‘e mengatakan bahawa darah yang keluar sebelum cukup umur sembilan tahun qamariyah adalah darah fasad.

ii. Darah yang keluar kurang dari tempoh minimum haidh iaitu satu hari satu malam. Menurut kitab Mughnî al-Muhtâj dan al-Muhadzdzab ia adalah darah fasad.

iii. Darah yang keluar melebihi had maksimum haidh iaitu 15 hari.

iv. Darah yang keluar pada tempoh bersih di antara dua haidh. Tempoh bersih di antara dua haidh ialah 15 hari ataupun lebih bermula dari tarikh haidh berhenti. Jika didapati darah keluar dalam tempoh ini, maka ia tidak dinamakan darah haidh, tetapi darah fasad sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmû‘.

v. Darah yang berterusan keluar setelah berlalu tempoh maksimum darah nifas iaitu 60 hari.

vi. Hilang atau kurang satu sifat atau lebih daripada sifat-sifat darah haidh. Contohnya darah tersebut berwarna merah cair dan tidak mempunyai bau. Maka yang demikian itu dianggap darah istihâdhah.

Perlu diingat, selepas tamat 15 hari haidh dan setelah 60 hari nifas, sama ada darah telah kering ataupun sebaliknya, wajib ke atas perempuan yang haidh atau nifas itu mandi untuk mengangkat hadas besar, kerana darah yang selebihnya itu adalah darah istihâdhah.

Istihâdhah Dan Tuntutan Ibadat

Jika seorang perempuan itu mengetahui dan yakin bahawa darah yang keluar itu adalah darah haidh atau nifas, maka dengan sendirinya dia dikecualikan daripada melaksanakan beberapa kewajipan ibadat ke atasnya, misalnya dia dibolehkan meninggalkan sembahyang tanpa wajib mengqadha dan hendaklah menjauhi beberapa larangan seperti melakukan thawaf, membaca al-Qur’an, memegang, menyentuh atau membawa Mushaf dan masuk ke dalam masjid.

Bagaimana pula kedudukan ibadat perempuan yang mustahâdhah?

Perlu diketahui dan diingat bahawa perempuan yang mustahâdhah bukanlah dalam keadaan hadas besar. Bagi perempuan yang mustahâdhah tidak gugur kewajiban sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat lainnya dan tidak pula ada larangan seperti yang dikenakan kepada perempuan yang sedang dalam haidh atau nifas. Oleh yang demikian janganlah sesetengah orang menjadikan darah istihâdhah itu sebagai alasan untuk tidak mengerjakan dan menunaikan tuntutan agama. Ini jelas daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepertimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Telah datang Fathimah binti Abu Hubaisy kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihâdhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haidh. Oleh kerana itu jika datang darah haidh, tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah dari dirimu, lalu sembahyanglah.” (Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana Menentukan Hari Istihâdhah

Mungkin tidak terjangkau oleh fikiran seorang perempuan yang sihat tubuh badan mengenai masalah istihâdhah, di mana seorang perempuan itu dalam keadaan sentiasa mengalir darah. Keadaan sedemikian boleh berlaku sehingga berbulan-bulan dan ada pula yang menjangkau bertahun-tahun lamanya. Dalam sebuah hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Ummu Habibah telah mengalami istihâdhah selama tujuh tahun. Inilah bukti yang kukuh tentang adanya perkara istihâdhah dalam jangka masa yang cukup lama sehingga boleh menyebabkan dia lupa atau keliru tentang bila bermulanya haidh, berapa lama tempoh haidh, sifat darah haidh dan sebagainya.

Di dalam kitab Hâsyiyata Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan bahawa keadaan perempuan yang mustahâdhah dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu:

1. Al-Mubtada’ah al-Mumayyizah

Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami masalah istihâdhah dan dia dapat memastikan dan membezakan di antara sifat darah haidh dan istihâdhah.

Tempoh haidhnya: Pada hari dia melihat adanya sifat darah haidh, maka hari-hari tersebut adalah haidh. Manakala pada hari yang tidak ada sifat darah haidh, maka itu adalah darah istihâdhah.

Dengan syarat:

i. Hendaklah dia melihat darah haidh yang berwarna kehitaman itu keluar pada masa tidak kurang daripada sehari semalam.

ii. Hendaklah dia melihat darah haidh yang berwarna kehitaman itu keluar tidak melebihi 15 hari.

iii. Hendaklah sifat darah istihâdhah itu berturut-turut selama 15 belas hari atau lebih.

Jika kurang salah satu daripada tiga syarat di atas maka bukanlah mustahâdhah itu daripada kumpulan ini.

Contoh darah istihâdhah yang berturut-turut 15 hari itu ialah:

• Lima hari darah haidh kehitaman, kemudian dikuti dengan darah merah istihâdhah selama 25 hari.

• 15 hari darah merah istihâdhah, kemudian diikuti dengan 15 hari darah haidh kehitaman.

• Lima hari darah merah istihâdhah, diselangi lima hari darah kehitaman haidh, kemudian 25 hari darah merah istihâdhah. Menurut pendapat ulama Syafi‘e ada yang mengatakan lima hari darah merah kemudian lima hari darah hitam itu kesemuanya adalah haidh.

Adapun darah istihâdhah yang kurang daripada 15 hari, ialah umpamanya dia melihat darah berwarna hitam satu hari, kemudian darah berwarna merahduahari dan berterusan hingga ke penghujung bulan. Jika demikian keadaannya, maka mustahâdhah tersebut sudah tidak memenuhi syarat di atas dan berpindahlah mustahâdhah ini ke dalam kumpulan kedua di bawah ini.

2. Al-Mubtada’ah ghair al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami masalah istihâdhah dan dia tidak dapat memastikan antara sifat darah haidh dan istihâdhah disebabkan warna darah itu satu sahaja atau banyak sehingga dia keliru dan akhirnya dia tidak dapat membezakan antara keduanya.

Tempoh haidhnya adalah satu hari satu malam dan baki 29 hari itu adalah hari bersihnya.

3. Al-Mu‘tadah ghair al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh dan kemudian suci atau bersih daripada haidh tersebut dan dia tidak dapat memastikan antara sifat darah haidh dan istihâdhah disebabkan warna darah itu satu sahaja.

Jelasnya perempuan ini ialah perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia bersih daripada haidh tersebut dan pada haidhnya yang terbaru dia menghadapi masalah istihâdhah. Maka dia tidak dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah tersebut.

Tempoh haidhnya: Dikira mengikut kebiasaannya iaitu dari segi waktu dan tempoh haidhnya sebelum ini. Misalnya pada bulan yang sebelumnya dia didatangi haidh pada 2 haribulan, selama enam hari, maka waktu dan tempoh itulah juga yang akan digunakan sebagai ukuran pada bulan berikutnya untuk mengira jumlah hari haidh. Baki daripada hari haidh itu pula adalah darah istihâdhah. Oleh kerana dia tidak dapat mengenalpasti sifat darah, maka hendaklah dia menggunakan kelaziman dan kebiasaannya.

4. Al-Mu‘tadah al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh dan kemudian suci atau bersih daripada haidh tersebut dan dia dapat membezakan di antara sifat darah haidh dan istihâdhah.

Dengan perkataan lain, perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia bersih daripada haidh tersebut dan pada haidhnya kali ini dia menghadapi masalah istihâdhah. Walau bagaimanapun dia dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah. Tempoh haidhnya ialah dia hendaklah mengikut perkiraan dan pengetahuannya dalam membezakan sifat darah yang keluar itu, sama ada ia darah haidh atau bukan, dan tidak mengira berdasarkan kelaziman atau kebiasaannya. Misalnya seorang perempuan pada bulan sebelumnya didatangi haidh pada 2 haribulan selama enam hari. Tiba-tiba pada bulan ini dia melihat dan yakin darah haidh yang kehitam-hitaman cuma dalam tiga hari sahaja, kemudian diikuti dengan darah yang lemah warnanya selama 27 hari. Maka tiga hari yang pertama itulah haidh dan selebihnya adalah istihâdhah. Oleh kerana dia boleh membuat perbezaan, maka dengan sendirinya dia tidak boleh mengikutkan kelazimannya seperti keadaan al-mu‘tadah ghair al-mumayyizah di atas.

5. Al-Mutahayyirah

Al-Mutahayyirah terbahagi kepada tiga iaitu, perempuan yang lupa tarikh dan tempoh haidhnya, perempuan yang lupa tempoh haidhnya sahaja dan perempuan yang lupa tarikh haidhnya sahaja.

i. Al-Mutahayyirah yang lupa tarikh dan tempoh haidhnya (al-mutahayyirah al-muthlaqah).

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan bersih daripada haidh tersebut. Kemudian pada haidhnya yang terbaru dia menghadapi masalah istihâdhah. Akan tetapi dia lupa tarikh, masa haidhnya dan jangka tempohnya serta tidak dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah. Keadaan seperti ini berkemungkinan terjadi disebabkan oleh warna darah yang sama sahaja atau sudah lama tidak didatangi haidh atau kerana umur yang lanjut dan lemah ingatan atau hilang ingatan, seperti orang pelupa atau orang gila.

Dalam hal ini, menurut pendapat masyhûr ulama asy-Syafi‘e, adalah wajib bagi perempuan tersebut (al-mutahayyirah al-muthlaqah) berhati-hati setiap masa, kerana setiap detik yang dilaluinya mempunyai kemungkinan dia mengalami haidh dan ada kemungkinan juga dia bersih.

Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn, diharamkan ke atasnya jimâ‘. Walau bagaimanapun wajib ke atas suaminya memberi nafkah kepada isterinya yang berkeadaan demikian sekalipun dia dilarang jimâ‘ dengan isterinya, kerana dia bukan nusyûz. Begitu juga haram ke atas perempuan tersebut memegang atau membawa Mushaf dan membaca al-Qur’an di luar sembahyang, kerana ada kemungkinan dia di dalam keadaan haidh.

Dalam masa yang sama pula, menurut kitab Hâsyiyata Qalyubi wa ‘Umairah, wajib dia mengerjakan kesemua sembahyang fardhu ataupun yang sunat dan puasa, kerana ada kemungkinan dia suci. Dalam keadaan demikian wajib ke atasnya mandi untuk setiap kali sembahyang fardhu selepas masuk waktunya. Ini berdasarkan riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Sesungguhnya Ummu Habibah telah mengalami istihâdhah selama tujuh tahun, lalu dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang perkara itu. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhnya untuk mandi. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itu adalah ‘irq (pendarahan), maka hendaklah dia mandi setiap kali sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun keadaan-keadaan yang mewajibkan dia mandi hadas untuk setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya ialah:

• Jika dia tidak mengetahui atau tidak ingat bila darah haidhnya kering dan berhenti.

Berlainan hukumnya jika dia mengetahui dan ingat bahawa darah haidhnya kering dan berhenti pada waktu tertentu, seperti darahnya kering pada waktu Maghrib, maka memadailah dia mandi setiap hari setelah masuk waktu Maghrib dan seterusnya bersembahyang. Manakala untuk sembahyang-sembahyang fardhu yang lain memadailah dia berwudhu.

• Jika keadaan perempuan al-mutahayyirah al-muthlaqah itu darahnya sentiasa mengalir tanpa henti-henti (tidak putus-putus).

Berlainan hukumnya jika keadaan darah perempuan tersebut terhenti-henti atau terputus-putus ( ذاُِالتفالا ), maka semasa waktu bersih yang sementara itu (an-naqa’), menurut Imam Khathib asy-Syarbini tidak diwajibkan ke atasnya mandi hadas setiap kali hendak mengerjakan sembahyang fardhu.

Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah ath- Thâlibîn wajib dia berhati-hati dalam semua keadaan, sama ada dia melihat darah atau sebaliknya. Akan tetapi dia tidak diwajibkan mandi pada waktu an-naqa’ (bersih yang sementara) dan memadailah dia mandi pada awal an-naqa’ itu berlaku.

Menurut Imam an-Nawawi lagi, wajib dia berhati-hati ketika melihat darah dan ketika darah kering dan berhenti (ْانفالاا ). Pada waktu an-naqa’ tersebut, perempuan itu dihukumkan dalam keadaan suci (طاازر). Maka tidak berlaku larangan-larangan seperti mana yang telah ditentukan kepada perempuan-perempuan yang haidh. Bererti dia boleh melakukanِ jimâ‘, membaca al-Qur’an di luar sembahyang dan sebagainya.

ii. Al-Mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya dan lupa tempohnya.

Misalnya dia mengatakan bahawa setiap 1 haribulan dia didatangi haidh tapi lupa berapa lama tempohnya. Maka hari haidhnya adalah 1 haribulan dengan yakin. Hari bersihnya pula adalah 16 haribulan sehingga 30 haribulan dengan yakin. Manakala 2 haribulan sehingga 15 haribulan adalah hari dia ragu adakah dia haidh atau bersih.

iii. Al-Mutahayyirah yang ingat tempoh haidhnya tapi lupa bila tarikhnya.

Misalnya dia mengatakan tempoh haidhnya ialah lima hari dalam 10 hari yang pertama setiap bulan. Dia lupa bila tarikhnya tetapi dia yakin bahawa dia bersih pada hari yang pertama. Maka pada 1 haribulan dia yakin bersih dan begitu juga mulai 11 haribulan sehingga 30 haribulan. Sementara 2 haribulan sehingga 10 haribulan adalah hari dia ragu di antara haidh dan bersih.

Bagi al-mutahayyirah kumpulan (ii) dan (iii), pada hari dia yakin itu adalah hari bersihnya, maka hendaklah dia menunaikan apa jua tuntutan ibadat ke atasnya. Pada hari dia yakin dia haidh, maka hendaklah dia menahan dirinya seperti mana perempuan yang sedang haidh. Adapun pada hari dia ragu di antara haidh dan bersih, maka keadaannya pada ketika itu adalah sama seperti perempuan yang suci dalam perkara mengerjakan semua ibadat yang dituntut, kecuali dalam perkara jimâ‘. Dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya. Dalam hari dia ragu antara haidh dan bersih itu, jika dia mengetahui atau mengagak bahawa pada hari tersebut dia masih haidh, maka wajib dia berwudhu untuk setiap kali sembahyang fardhu. Manakala pada hari dia mengetahui atau mengagak bahawa pada hari itu dia sudah bersih daripada haidhnya, maka wajib dia mandi setiap hari untuk setiap kali sembahyang fardhu.

Mudah-mudahan dengan penjelasan di atas, dapatlah diketahui mengenai perbezaan di antara tiga jenis darah yang dihadapi oleh wanita, iaitu darah haidh, darah nifas dan lebih-lebih lagi darah istihâdhah. Fahamilah dengan teliti supaya tidak berlaku keraguan tentang ibadat yang wajib dikerjakan, sekaligus dapat dijauhi pula perkara-perkara yang dilarang.

KHULU‘: Hak Wanita Dalam Perceraian

Menurut pengamatan kita, penyebab terjadinya khulu‘ (tebus talak) antara lain adalah munculnya sikap suami yang tidak menghormati isteri dan lalai daripada menunaikan tanggungjawab hingga membawa kepada pertengkaran.

Dalam keadaan seperti ini, Islam memberikan jalan keluar bagi mengatasi krisis rumah tangga tersebut dengan menempuh jalan khulu‘. Inilah yang dimaksudkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya dalam surah an-Nisâ’:

Tafsirnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyûz (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka suami isteri membuat perdamaian di antara mereka berdua secara yang sebaik-baiknya, kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka. (Surah an-Nisâ’: 128)

Perdamaian dalam ayat ini dapat dilakukan dengan mengakhiri hubungan suami isteri melalui perceraian atas permintaan isteri, dengan kesediannya membayar bayaran ganti atau mengembalikan mahr (mas kahwin) suami yang telah diberikan ketika akad nikah berlangsung.

Pengertian Khulu‘ dan Sejarah Pensyariatannya

Apabila seorang isteri diabaikan suami atau si isteri tidak menyukai suaminya kerana buruk akhlak atau agamanya, lalu si isteri menginginkan untuk keluar daripada ikatan perkahwinan, maka boleh dan harus baginya menggunakan jalan khulu‘ atau tebus talak.

Khulu‘ ialah perceraian antara suami isteri dengan bayaran ganti yang diserahkan kepada pihak suami, atau perceraian dengan bayaran ganti yang diambil oleh suami. Dalam bahasa Melayu ia dipanggil “tebus talak” yang bermaksud meminta untuk diceraikan dengan membayar kembali mahr kepada suami.

Oleh itu jelaslah, pensyariatan khulu‘ adalah sebagai jalan bagi isteri untuk menebus dirinya daripada suami dengan suatu jumlah harta atau wang yang dipersetujui bersama daripada jumlah mahr yang telah diberikan oleh suami kepada isterinya ketika berlangsungnya akad nikah.

Perkara ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). (Surah al-Baqarah: 229)

Menurut hadits yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari ada disebutkan tentang berlakunya khulu‘:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawasanya isteri Tsabit bin Qais datang menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah, Tsabit bin Qais, saya tidak mencelanya dalam akhlak dan agama. Tetapi saya membenci kekufuran dalam Islam”. Rasulullah bertanya: “Mahukah kamu mengembalikan kebunnya kepadanya (Tsabit)?” Dia (isteri Tsabit) menjawab: “Ya”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Tsabit bin Qais: “Terimalah kembali kebun itu dan ceraikanlah dia satu talak.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut riwayat ini, isteri Tsabit tidak suka kepada suaminya (Tsabit) walaupun beliau tidak menemui kecelaan atau keburukan pada akhlak atau agama suaminya, akan tetapi jiwanya tidak dapat menerimanya. Namun si isteri sangat takut akan kekufuran dalam agama Islam sekiranya berlaku penderhakaan daripada pihak dirinya terhadap suaminya.

Justeru wanita itu pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengadukan masalahnya. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh wanita itu memulangkan kebun yang menjadi mas kahwin suaminya untuk dirinya sebagai balasan atau imbalan bagi menuntut khulu‘ daripada suaminya. Dikatakan inilah khulu‘ pertama yang berlaku dalam Islam.

Demikian juga para sahabat telah ijmâ’ dan sepakat mengatakan tentang pengharusan khulu‘ dalam Islam.

Hakikat Khulu‘

Khulu‘ pada hakikatnya adalah talak dan sah khulu‘ dengan menggunakan lafaz talak atau khulu‘, sama ada dengan lafaz sharîh (nyata) atau kinâyah (sindiran) yang diiringi dengan niat.

Perceraian yang berlaku dengan jalan khulu‘ adalah talak dan ia akan mengurangkan bilangan talak. Maksudnya ialah, jika seorang isteri menuntut khulu‘ daripada suaminya dengan bayaran ganti atau tebus talak yang dipersetujui oleh suaminya, maka jatuhlah hukum khulu‘ dan jatuhlah talak bâ’in shugrâ ke atas si isteri. Jika kedua suami isteri tersebut ingin kembali semula hendaklah dengan akad dan mahr yang baru. Jika berlaku perceraian kali kedua jatuhlah talak dua. Apabila mereka rujuk semula, tinggallah satu talak iaitu talak yang ketiga atau talak bâ’in kubrâ. Jika berlaku perceraian di antara suami isteri selepas itu, maka tidaklah boleh dirujuk semula. Inilah pendapat yang mu‘tamad menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e.

Jumhûr ulama juga sepakat mengatakan khulu‘ adalah talak bâ’in. Oleh itu jika seorang suami mengkhulu‘kan isterinya maka jadilah isteri itu seorang yang ajnabiyyah (asing) di sisinya dan suami tidak boleh rujuk kembali kepada si isteri dalam tempoh ‘iddah, berlainan keadaannya dengan talak biasa, di mana suami boleh rujuk semula ketika isteri masih dalam tempoh ‘iddah.

Jalan untuk suami kembali semula kepada isterinya itu ialah dengan menikahinya semula dengan akad dan mahr yang baru. Manakala bekas isterinya itu mempunyai hak memilih, sama ada untuk menerima bekas suaminya itu ataupun menolaknya.

Hukum Khulu‘

Khulu‘ pada dasarnya adalah makruh kerana ia adalah sejenis talak yang dituntut oleh isteri dengan bayaran ganti (‘iwadh) sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah adalah talak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Khulu‘ yang dihukumkan makruh ialah:

i. Seorang suami membenci isterinya dan dia berhasrat untuk mengkhulu‘ isterinya maka makruh bagi suami itu menuntut bayaran ganti (‘iwadh).

ii. Seorang suami tidak menyukai isterinya kerana buruk akhlaknya, lalu dia sengaja tidak memberi nafkah kepada isterinya sehingga si isteri menuntut khulu‘, maka makruh ke atas suami mengambil bayaran tersebut.

Bagi kedua-dua perkara ini, makruh bagi suami mengambil bayaran ganti tersebut. Walau bagaimana pun hukum khulu‘ itu adalah sah.

Namun di sebalik hukum makruh itu, ada beberapa perkara yang mengharuskan khulu‘ antaranya:

i. Jika isteri tidak menyukai suaminya kerana buruk akhlak atau agamanya, lalu si isteri takut tidak akan dapat menunaikan hak suaminya, maka harus baginya khulu‘ dengan bayaran ganti sebagaimana disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 229 di atas.

ii. Jika khulu‘ itu berlaku di atas keredhaan kedua suami isteri tanpa sebab yang tertentu, maka ia adalah harus, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Kemudian jika mereka dengan sesuka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal)itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya. (Surah an-Nisâ’: 4)

iii. Jika kedua suami isteri itu atau salah seorang daripada keduanya takut tidak akan mampu melaksanakan hukum Allah yang diwajibkan dalam pernikahan maka harus bagi mereka khulu‘.

Waktu Khulu‘

Harus atau dibolehkan bagi seorang suami mengkhulu‘ isterinya sama ada dalam waktu suci ataupun haidh.

Berlainan keadaannya dengan talak biasa, di mana suami haram menjatuhkan talak ke atas isteri dalam waktu haidh. Ini kerana ia akan mendatangkan mudharat pada isteri sebab terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk menghabiskan waktu ‘iddahnya kerana kiraan ‘iddah itu bermula dalam waktu suci.

Akan tetapi dalam hal khulu‘, diharuskan atau dibolehkan bagi suami mengkhulu‘ isterinya dalam waktu haidh, kerana khulu‘ itu adalah keinginan isteri untuk membebaskan dirinya daripada suami. Jadi, tidak berbangkit masalah kemudharatan bagi isteri dalam menunggu waktu ‘iddah yang panjang kerana khulu‘ itu adalah kehendaknya.

Rukun-rukun Khulu‘

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e rukun khulu‘ itu ada lima perkara:

i. Al-Mujîb ii. Al-Qâbil iii. Mua‘wwadh iv. ‘Iwadh v. Shîghah

Rukun Pertama: Al-Mujîb (Suami)

Yang dimaksudkan dengan al-mujîb ialah penyataan khulu‘ daripada suami misalnya: “Aku ceraikan engkau atau aku mengkhulu‘ engkau dengan lima ratus ringgit.”

Ataupun suami menjawab pertanyaan isteri, misalnya isteri berkata: “Ceraikan aku dengan lima ratus ringgit”. Lalu suami menjawab “Aku ceraikan engkau dengan lima ratus ringgit.”

Disyaratkan bagi seorang suami itu hendaklah dia seorang yang bâligh, berakal dan mampu membuat pilihan (tidak dipaksa). Maka tidak sah khulu‘ seorang kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa. Manakala khulu‘ suami yang mahjûr ‘alaih menurut mazhab asy-Syfi‘ie adalah sah sama ada dengan izin wali ataupun tidak. Mahjûr ‘alaih itu ialah orang yang ditegah menguruskan hartanya kerana ditakuti dia membazirkannya atau tidak tahu untuk mengembangkannya.

Adapun orang yang muflis dan safîh (orang yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dengan baik mengenai hartanya) maka khulu‘ daripada keduanya ini adalah sah.

Oleh itu wajiblah isteri membayar bayaran ganti, dan mestilah diserahkan bayaran ganti itu kepada wali bagi suami yang safîh. Adalah tidak harus menyerahkan bayaran ganti tersebut kepada suami yang safîh, kerana ditakuti dia tidak dapat menguruskan harta tersebut kecuali setelah mendapat izin daripada walinya, maka bolehlah diserahkan bayaran ganti itu kepada suami yang safîh itu.

Jika isteri menyerahkan bayaran ganti itu kepada suami yang safîh tanpa pengetahuan wali dan harta itu lenyap, maka wajiblah ke atas isteri membayar mahr mitsl. Mahr mitsl ialah mahr yang sebanding dengan mahr perempuan-perempuan dalam keluarga isteri yang terdekat misalnya adik-beradik, dan jika tidak ada, hendaklah mengikut jumlah mahr yang menjadi kebiasaan bagi perempuan senegerinya.

Misalnya, jika mahr bagi kakak atau adik dalam keluarga isteri ialah lima ratus ringgit, maka wajiblah isteri membayar sebanyak jumlah tersebut kepada wali suaminya.

Manakala suami yang muflis pula diharuskan baginya menerima bayaran ganti, kerana pada asalnya dia menepati syarat dan mampu bertindak ke atas hartanya.

Rukun Kedua: Al-Qâbil Atau Al-Mukhtali‘

Maksud al-qâbil atau al-mukhtali‘ ialah adanya penerimaan lafaz khulu‘ sama ada daripada isteri itu sendiri atau daripada orang lain bagi pihak isteri.

Disyaratkan hendaklah dalam penerimaan lafaz khulu‘ itu adanya penyerahan ‘iwadh atau bayaran ganti. Disyaratkan hendaklah penerima itu seorang yang mukallaf iaitu seorang yang bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Adapun khulu‘ seorang kanak-kanak sama ada mumayyiz ataupun tidak, atau orang gila tidaklah diambil kira dalam syara‘.

Adapun khulu‘ ke atas isteri yang safîh tidak sah, kerana dia ditegah daripada bertindak ke atas hartanya walaupun ada keizinan walinya. Jika ia berlaku maka jatuhlah talak raj‘i (talak yang dibolehkan rujuk tanpa akad baru) bukan talak bâ’in sughrâ seperti yang berlaku dalam hukum khulu‘.

Jika khulu‘ ini berlaku sebelum jimâ‘ ke atas isteri yang safîh maka jatuhlah talak bâ’in tanpa sebarang bayaran kepada suami.

Rukun Ketiga: Al-Mua‘wwadh

Al-Mua‘wwadh ialah barang tebusan yang ditebus oleh isteri dengan menyerahkan bayaran ganti (‘iwadh) kepada suami. Yang dimaksudkan di sini ialah hak suami ke atas isteri dalam perkahwinan, di mana seorang isteri itu adalah di bawah kuasa suaminya. Jika berlaku khulu‘ wajiblah bagi isteri membayar bayaran ganti kepada suaminya bagi menebus hak suami itu dalam perkahwinan kerana khulu‘ itu adalah atas kehendak isteri.

Disyaratkan hendaklah keadaan kedua-dua suami isteri itu masih terikat dengan perkahwinan.

Rukun Keempat: Al-‘Iwadh

Al-‘Iwadh ialah bayaran ganti yang diambil oleh suami daripada isteri sebagai tebusannya dalam menuntut khulu‘. Sama ada ia adalah mahr yang diberikan oleh suami semasa pernikahan seperti yang disebutkan dalam riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma mengenai isteri Tsabit bin Qais. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Tsabit: “Terimalah kembali kebun itu dan ceraikanlah dia dengan satu talak.” (Hadits riwayat al-Bukhari) Ataupun bayaran ganti itu berbentuk harta atau wang, sama ada nilainya sedikit atau lebih daripada mahr yang asal ataupun dalam bentuk hutang ataupun manfaat, kerana tidak ada disebutkan kadar tertentu bagi bayaran ganti ini. Perkara ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Baqarah, ayat 229 di atas.

Oleh itu setiap apa yang harus dijadikan mahr, maka haruslah ia dijadikan sebagai bayaran ganti atau tebusan dalam khulu‘.

Disyaratkan pada bayaran ganti ini beberapa perkara:

i. Hendaklah ia berharga atau bernilai menurut pandangan syara‘. ii. Hendaklah harta itu diketahui atau dimaklumi. iii. Hendaklah harta itu boleh diserahkan kepada orang lain. iv. Dapat dimiliki sepenuhnya.

Bentuk-bentuk Bayaran Ganti Yang Diharuskan Dalam Khulu‘

Diharuskan bayaran ganti dalam khulu‘ itu harta yang tertentu selain daripada mahr, misalnya seribu ringgit, kebun kurma, harta yang ditentukan sifat-sifatnya misalnya ladang kurma yang sedang berbuah, empat puluh ekor kambing betina atau sebagainya.

Dibolehkan juga bayaran ganti tersebut berbentuk hutang yang akan dibayar kepada suami. Selain daripada bayaran ganti yang berbentuk harta atau material, diharuskan juga bayaran ganti yang berbentuk manfaat. Misalnya, tinggal di rumah isteri beberapa lama, memanfaatkan ladang atau kebun kepunyaan isteri untuk jangka masa yang tertentu, menyusukan atau memberi nafkah kepada anak suami atau menjaga anak suami bagi jangka masa yang tertentu, sama ada anak itu anak kandungnya atau anak suami dengan isteri yang lain.

Maka jika wujud kesemua syarat-syarat bayaran ganti (‘iwadh) yang disebutkan, dikiralah khulu‘ itu sah. Apabila salah satu daripada syarat-syarat di atas hilang, misalnya bayaran ganti yang majhûl (tidak diketahui) atau yang tidak bernilai dan bermanfaat pada pandangan syara‘, maka dikira khulu‘ itu adalah fâsid (rosak).

Khulu‘ Dengan Bayaran Ganti Yang Majhûl

Khulu‘ dengan bayaran ganti yang majhûl itu ialah bayaran ganti yang tidak dimaklumi atau diketahui. Sebagai misalnya, khulu‘ dengan binatang yang masih dalam kandungan perut ibunya seperti anak lembu atau kerbau, kerana keadaannya tidak diketahui sama ada hidup atau mati ataupun cacat dan sebagainya. Maka dalam hal ini, jatuhlah talak bâ’in dengan mahr mitsl.

Khulu‘ Dengan Bayaran Ganti Yang Tidak Sah Nilainya Atau Tidak Memberi Manfaat

Khulu‘ dengan bayaran ganti yang tidak sah nilainya pada syara‘ seperti arak adalah sah, akan tetapi wajib ke atas isteri membayar mahr mitsl kepada suaminya dan jatuhlah talak bâ’in ke atas si isteri. Ini kerana arak adalah haram dan tidak memberi sebarang manfaat.

Khulu‘ Dengan Bayaran Ganti Yang Rosak Atau Terdapat Aib

Jika berlaku khulu‘ dengan bayaran ganti yang rosak sebelum ia diambil, atau terdapat aib padanya, misalnya khulu‘ dengan ladang yang berbuah, tetapi buahnya telah habis dirosakkan binatang sebelum ianya diserahkan, maka khulu‘ seumpama ini tetap sah. Tetapi wajib ke atas isteri membayar mahr mithl kepada suaminya dan jatuhlah talak bâ’in ke atas si isteri.

Jika berlaku khulu‘ dengan harta yang ditentukan sifat-sifatnya misalnya emas yang berwarna kuning, maka jika telah diserahkan bayaran ganti itu kemudian didapati bertukar warna, maka suami boleh mengembalikan bayaran ganti itu dan meminta ganti yang serupa dengannya.

Rukun Kelima: Shîghah

Shîghah itu mengandungi dua perkara: Îjâb dan qabûl.

Îjâb dalam khulu‘ bermaksud ucapan daripada suami. Manakala qabûl pula adalah penerimaan atau jawapan daripada isteri kepada ucapan suami.

Syarat-syarat Shîghah

Syarat-syarat shîghah itu ialah:

i. Hendaklah îjâb dan qabûl itu dibuat dengan lafaz yang terang (jelas) bagi orang yang mampu berkata-kata. Misalnya: Suami berkata: “Aku mengkhulu‘ engkau dengan membayar seribu ringgit” Isteri menjawab “Aku terima”. Maka jatuhlah talak bâ’in shugrâ dan wajiblah isteri membayar seribu ringgit kepada suaminya.

Jika suami atau isteri ialah orang yang bisu, memadailah dengan isyarat yang difahami atau dengan cara bertulis.

ii Antara îjâb dan qabûl itu tidak dipisahkan dengan percakapan yang banyak.

iii Hendaklah qabûl itu tidak bercanggah dengan îjâb. Misalannya: Suami berkata: “Aku ceraikan engkau dengan membayar seribu ringgit”, lalu isteri menjawab: “Aku terima dengan dua ribu ringgit”. Maka shîghah yang seumpama ini tidak diterima dari sudut syara‘.

Shîghah itu pula terbahagi kepada dua: Sharîh (nyata atau terang) dan kinâyah (sindiran).

Lafaz Khulu‘

Harus berkhulu‘ dengan lafaz talak, sama ada ia sharîh atau kinâyah yang disertai dengan niat. Begitu juga dengan lafaz khulu‘ ( خلا) yang bererti menanggalkan dan melepaskan. Begitu juga dengan lafazِ fidâ’ (ِادَاء ) yang bererti tebusan. Khulu‘ juga sah dengan lafaz yang diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa asing.

Oleh itu khulu‘ dengan menggunakan lafaz ِِ خالعتاع atau ِ ِِخالعاونصاَنع (akuِ khulu‘kan engkau atau separuh daripada engkau) atau yang seumpamanya dengan disebutkan bayaran ganti adalah sah. Begitu juga dengan lafaz talak dan fidâ’ (tebusan). Akan tetapi jika berlaku khulu‘ tanpa disebutkan bayaran ganti, maka wajiblah ke atas isteri mahr mitsl. Misalnya: “Aku khulu‘ engkau” atau “aku tebuskan engkau (اديتاع )”, maka wajib isteri membayar mahr mitsl kepada suami dengan syarat, hendaklah îjâb khulu‘ itu diterima oleh isteri dan suami mengharapkan isteri akan menerima îjâb yang dinyatakannya.

Sah khulu‘ dengan lafaz talak secara kinâyah (sindiran) yang disertai dengan niat. Misalnya: “Aku jual dirimu kepadamu dengan seribu ringgit”, atau “aku pulangkan kepadamu akan dirimu dengan seribu ringgit”. Lafaz-lafaz kinâyah ini hendaklah disertakan dengan niat dan diterima atau dijawab dengan segera oleh isteri. Jika tidak disebutkan jumlah bayaran ganti atau isteri tidak menerima atau tidak menjawab dengan segera, maka khulu‘ itu tidak sah.

Jika khulu‘ itu dengan berlainan lafaz misalnya, isteri menyatakan: “Talakkan aku dengan sekian jumlah harta”, kemudian dijawab suami: “Aku khulu‘kan engkau dengan sekian jumlah harta”, maka pernyataan demikian juga dikira sah. Manakala khulu‘ dengan bergurau-senda adalah sah, sama seperti talak.

Jika suami menggunakan lafaz khulu‘ dengan kalimah ‘bila mana’ (مامِماا ) atauِ ‘bila’ ( مام ) atau ِ ‘ketika’ (ِحاني ) atau disebutkan waktu atau zamannya dan lain-lain kalimah yang digunakan untuk maksud ta‘lîq, maka tidak disyaratkan qabûl atau penyerahan bayaran ganti itu dengan dilakukan segera. Misalnya suami berkata: “Bila engkau berikan padaku seribu ringgit maka engkau tertalak”. Maka dalam hal ini, tidak disyaratkan penerimaan secara lafaz dan penyerahan bayaran ganti itu dibuat dengan segera atau sewaktu majlis berakad kerana talak yang disebutkan itu akan jatuh apabila isteri memberikan kepada suami seribu ringgit yang disebutkan.

Sekirannya isteri menyerahkan jumlah harta yang disebutkan suami, maka ini bermakna si isteri setuju dan menerima pernyataan suami.

Khulu‘ Ke Atas Isteri Yang Sudah Ditalak

Jika seorang isteri itu telah dijatuhkan talak bâ’in oleh suaminya, misalnya dalam perkara li‘ân lalu dikhulu‘ lagi oleh suaminya, maka tidak sah khulu‘ tersebut.

Jika seorang isteri itu telah dijatuhkan talak raj‘i kemudian dikhulu‘ oleh suaminya ketika masih lagi dalam ‘iddahnya, maka sah hukum khulu‘ tersebut, kerana suami masih ada hak untuk rujuk atau kembali semula kepada isterinya itu. Ini kerana isteri masih lagi menerima kesan daripada ikatan pernikahan mereka, seperti dalam masalah waris. Sekiranya suami itu meninggal dunia ketika isteri masih dalam ‘iddah talak raj‘i, maka isteri akan mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya.

Berwakil Dalam Khulu‘

Berwakil kepada orang ketiga dalam khulu‘ adalah harus, sama ada daripada pihak suami atau isteri atau kedua-duanya. Disyaratkan bagi wakil itu ialah orang yang sah melakukan khulu‘ bagi dirinya sendiri, maka sahlah wakâlah (perwakilan), sama ada wakil itu lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir, mahjûr ‘alaih atau seorang dewasa. Akan tetapi berwakilkan kepada orang yang mahjûr ‘alaih untuk menerima ‘iwadh (bayaran ganti) dalam khulu‘ tidak diharuskan.

Jika suami berwakil dan telah menetapkan pada wakilnya jumlah bayaran ganti yang tertentu, kemudian wakilnya menyatakan dengan jumlah yang ditetapkan atau lebih, maka hukum khulu‘ itu adalah sah. Akan tetapi jika wakil tersebut mengkhulu‘ dengan jumlah yang kurang daripada jumlah yang telah ditetapkan, maka khulu‘ tersebut tidak sah.

Apabila suami berwakil dalam mengkhulu‘ isterinya, kemudian wakil suami itu mengkhulu‘kan dengan mahr mitsl atau lebih maka itu adalah sah. Jika suami tidak menyebutkan jumlah bayaran ganti, kemudian dikhulu‘kan oleh wakilnya dengan mahr mitsl atau lebih maka khulu‘ itu adalah sah. Tetapi jika wakil tersebut mengkhulu‘kan tanpa bayaran ganti maka khulu‘ tersebut adalah sah, dan wajib ke atas isteri memberikan mahr mitsl.

Manakala daripada pihak isteri, jika isteri berwakil tanpa menyebutkan jumlah ‘iwadhnya (bayaran ganti), maka wajiblah ke atasnya bayaran sejumlah mahr mitsl. Jika wakil isteri mengkhulu‘kan dengan lebih daripada mahr mitsl maka harus bagi isteri membayar jumlah mahr mitsl sahaja. Manakala jika jumlah bayaran ganti itu kurang daripada mahr mitsl maka itu adalah diharuskan dan lazimlah isteri membayar jumlah yang kurang itu.

Jika wakil daripada pihak isteri menyandarkan bayaran ganti dalam khulu‘ itu kepada dirinya, maka hukum khulu‘ itu adalah sah dan wajiblah ke atas dirinya membayar bayaran ganti yang disebutkannya, walaupun ia melebihi daripada jumlah yang telah ditentukan. Jika wakil tersebut tidak menyandarkan bayaran ganti tersebut pada dirinya dan tidak juga pada si isteri, maka wajiblah ke atas isteri membayar apa yang telah disebutkannya dan wajib ke atas wakil membayar yang selebihnya.

Jika wakil isteri mengkhulu‘kan dengan arak atau babi sama ada dengan izin isteri tersebut ataupun tidak, maka wajiblah atas isteri itu mahr mitsl kerana bayaran ganti yang disebutkan itu dikira fâsid (rosak).

Jika wakil itu tidak melakukan seperti apa yang ditetapkan maka khulu‘ tersebut tidak dikira dari sudut syara‘.

‘Iddah Isteri Yang Dikhulu‘

Mengikut pendapat jumhûr ulama, ‘iddah isteri yang dikhulu‘ adalah sama dengan ‘iddah isteri yang ditalak, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang berbunyi:

Tafsirnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haidh). (Surah al-Baqarah: 228)

Oleh kerana khulu‘ itu adalah perceraian di antara suami isteri semasa mereka masih hidup dengan syarat isteri itu telah disetubuhi, maka ‘iddahnya adalah tiga quru‘ (tiga kali suci).

Hikmah Disyariatkan Khulu‘

Apabila rumah tangga mengalami krisis yang tidak dapat dipulihkan lagi kerana suami isteri sudah tidak dapat mewujudkan persefahaman atau dengan berbagai-bagai sebab, dan demi untuk mengelakkan kemudharatan, maka perpisahan atau perceraian tidak dapat dielakkan, sama ada oleh satu pihak atau kedua-dua pihak, suami dan isteri, maka di sinilah keperluan talak atau khulu‘ dalam Islam.

Sungguhpun begitu ia adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, ini kerana hakikat perceraian itu memutuskan ikatan perkahwinan, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits riwayat Abu Daud:

Maksudnya: Perkara halal yang sangat dibenci Allah Ta‘ala adalah talak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Yang paling menyedihkan, ikatan yang telah dibina dan diikat sekian tahun itu, terurai dan tentunya akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa pasangan tersebut, kepada anak-anak, dan kesan lanjutnya juga kepada masyarakat dan negara.

Seperti talak, khulu‘ juga dikhususkan sebagai hak wanita jika menginginkan jalan keluar daripada ikatan perkahwinan melalui jalan khulu‘ atau tebus talak, dengan menyerahkan sejumlah harta yang dipersetujui kedua-dua suami dan isteri kepada si suami sebagai bayaran ganti (‘iwadh). Oleh itu wanita berhak ke atas mahr di dalam perkahwinan dan akan menyerahkannya semula kepada suami jika berlaku khulu‘ (tebus talak) atau lain-lain bentuk bayaran sebagai ganti.

Walaupun begitu, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menyukai perkara ini sebagaimana firmanNya yang berbunyi:

Tafsirnya: Dan bagaimana kamu (tergamak) mengambilnya kembali (pemberian itu) padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu? (Surah an-Nisâ’: 21)

Walaupun khulu‘ itu memutuskan perhubungan yang merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk mencegah berlakunya kemudharatan yang lebih besar. Ini kerana jika perbalahan antara isteri dan suami itu berterusan dan tidak ada jalan keluar, maka ditakuti keduanya tidak mampu untuk menunaikan kewajipan mereka dan ditakuti keduanya akan berlaku kufur terhadap perintah-perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka khulu‘ adalah cara untuk meleraikan pertelingkahan mereka dan sebagai jalan untuk mendirikan hukum Allah Subuhanahu wa Ta‘ala jua. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua–duanya tidak dapat menegakkan aturan–aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu. Itulah aturan-aturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. (Surah al-Baqarah: 229)

MEMBERI SALAM

Dalam struktur masyarakat yang berbilang etnik, bangsa, agama dan bahasa, kita tidak dapat lari daripada menghadapi kenyataan bahawa menghormati keunikan orang lain adalah salah satu jalan untuk kedamaian dan keharmonian hidup bermasyarakat. Dalam Islam salah satu cara untuk mencapai keharmonian dan mengeratkan silaturahim dan persahabatan itu adalah dengan mengucapkan salam atau dengan menghulurkan tangan dan bertanya khabar. Etika ketika berjumpa saudara sesama Islam dengan mengucapkan hai, hello, selamat pagi atau selamat petang, walaupun tidak salah, tetapi bukanlah budaya Islam. Memberi salam itu mempunyai nilai yang tinggi, bukan suatu sikap “low profile” atau “sikap bawahan.” Oleh kerana itu, ia perlu dihidupkan oleh masyarakat kita, benar-benar dipraktik atau dihayati akan keutamaan salam itu!

Pengertian Salam

Salam memang mempunyai maksud serta pengertian yang banyak. Sifat salam itu dengan mengucapkan: As-salamulaikum ِ (السَّااالَم ُِعَلَاا َْكُمْ)atauِ salâmun ‘alaikum ٌِ (سَااالَم عَلَا َِْكُمْ). (Ikmâl al-Mu‘allim bi Fawâ’id Muslim Syarh Shahîh Muslim li al-Qhadhi ‘Iyâdh al-Musamma, bâb as-salâm: 40).

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat daripada dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat!” (Surah al-An‘âm: 54)

Dari segi makna, salam itu ialah salah satu nama daripada nama-nama Allah yang Maha Mulia, yang bermaksud Yang Maha Penyelamat dan selamat daripada kekurangan dan kecacatan. (Ikmâl al-Mu‘allim bi Fawâ’id Muslim Syarh Shahîh Muslim li al-Qhadhi ‘Iyâdh al-Musamma, bâb as-salâm: 42)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan); Yang Melimpahkan keamanan; yang Maha Pengawal serta Pengawas. (Surah al-Hasyr: 23)

Selain itu juga ianya membawa maksud selamat dan kejayaan bagi kamu, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka (akan dikatakan kepadanya): “Selamat sejahteralah kepadamu, (kerana engkau) daripada puak kanan.” (Surah al-Wâqi‘ah: 91)

Daripada perkataan salam itu, maka terbitlah perkataan “Islam” yang menunjukkan pengertian aman, tenteram, selamat dan sejahtera.

Keutamaan Salam

Salah satu daripada hak sesama Islam adalah menyebarkan salam. Dengan mengucapkan salam itu dapatlah kita mengeratkan lagi tali persaudaraan, mendekatkan yang jauh dan melahirkan rasa kasih sayang. Walaupun ucapan salam itu sangat pendek tetapi isi dan maksudnya adalah doa bagi mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan mereka.

Diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kepada kami tujuh perkara iaitu: Mengunjungi orang sakit, menghantar jenazah, menjawab tahmîd orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kita dituntut untuk memberi salam sesama Islam sama ada kepada orang yang kita kenali atau tidak. Ini menunjukkan betapa manis dan murninya agama Islam itu dalam menghubungkan persaudaraan sesama Islam melalui pengucapan salam, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah (pelaksanaan ajaran) Islam yang paling baik?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan yang tidak engkau kenali.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Memberi Salam

Dari segi hukum syara‘, mengucapkan salam itu hukumnya sunat mu’akkadah (kitab al-Adzkâr, bâb hukm as-salâm: 244), manakala menjawabnya pula adalah wajib. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisâ’: 86)

Hukum memberi salam itu juga adalah sunat kifâyah, jika satu jemaah atau kumpulan hendak memberi salam, cukuplah salah seorang daripada mereka itu mewakili yang lain. Jika sekiranya semua mereka memberi salam, maka itu lebih baik dan afdhal.

Adapun mengenai menjawab salam, jika orang yang diberi salam itu bersendirian maka hukumnya fardhu ‘ain. Ini bererti wajib dia menjawab salam tersebut. Manakala jika mereka terdiri daripada suatu jemaah atau kumpulan, maka jawapan oleh salah seorang daripada mereka itu adalah fardhu kifâyah dan memadai. Ini adalah berdasarkan keterangan daripada Zaid bin Aslam bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada suatu kaum telah memberi salam maka sudah cukup mewakili mereka. (Hadits riwayat Malik)

Dengan demikian dapatlah diertikan bahawa orang yang tidak mengucapkan salam ketika berjumpa dengan sesama saudara Islam itu adalah dianggap belum memenuhi keperluan menuju ke arah kesempurnaan iman. Ini telah dijelaskan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kamu tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga kamu beriman, kamu belum beriman (dengan sempurna) sehingga kamu saling sayang-menyayangi. Apakah kamu tidak suka aku tunjukkan akan sesuatu yang apabila kamu kerjakan, pasti kamu akan saling sayang-menyayangi? Sebarkanlah salam di antara kamu. (Hadits riwayat Muslim)

Lafaz Memberi Salam

Sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa bentuk lafaz salam yang paling afdhal dan sempurna ialah dengan mengatakan:ُِ ُِِالسَّاالَم

keberkatanNya).(Al-Adzkâr, bâb kaifiyyah as-salâm: 241-242).

Telah menjadi kebiasaan bagi kita mengucapkan salam itu dengan mengatakan

mempunyai nilai pahala yang berbeza-beza seperti yang diterangkan oleh Rasulullahِ Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin al- Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu mengucapkan: “ِْ السَّااالَم ُِعَلَاا َْكُم ”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawabnya, kemudian orang itu duduk, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sepuluh kebaikan”. Kemudian datang lagi seorang yang lain seraya mengucapkan: “ِِ tersebut duduk. Baginda bersabda: “Dua puluh kebaikan”. Kemudian datang pula seorang yang lain, maka dia mengucapkan: “ُِ Bagindaِ menjawabnya, lalu orang tersebut duduk. Baginda bersabda: “Tiga puluh kebaikan.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Adapun mengucapkan salam dengan lafaz as-salâmu ‘alaikum (ِْالسَّاالَم ُِعَلَا َْكُم) maka itu sudah memadai. Demikian juga jika diucapkan dengan lafazِ as-salâmu ‘alaika (َِالسَّاالَم ُِعَل ََْاع) atauِ salâmun ‘alaika (َِسَاالَم ٌِعَل ََْاع), maka itu juga memadai dan dikira memberi salamِ.

Sementara jawapan salam itu sekurang-kurangnya wa‘alaikassalâm (ُِوَعَل ََْاع َِالسَّااالَم)

tanpa menyebutِِ “wa” atau huruf (و ) maka itupun sudah mencukupi sebagai jawapan salam. (Al-Adzkâr, bâb kaifiyyah as-salâm: 242).

Walau bagaimanapun adalah dianjurkan menjawab salam itu dengan sebaik-baik balasan salam, sebagaimana yang telah diterangkan dalam surah an-Nisâ’, ayat 86 di atas.

Tatacara Memberi dan Menjawab Salam

Sesiapa yang memulakan mengucapkan salam adalah lebih afdhal. Oleh kerana itu, kita dianjurkan ketika saling berjumpa berusaha untuk memulai mengucapkan salam terlebih dahulu, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah mereka yang memulai mengucapkan salam. (Hadits riwayat Abu Daud) Mengucapkan salam mempunyai tata caranya yang tersendiri. Ketika kita bertemu sesama saudara Islam, disunatkan memberi salam sehingga dapat didengar oleh orang yang diberi salam. Jika orang yang diberi salam tidak mendengarnya, maka ucapannya itu belum dikira salam dan yang diberi salam tidak wajib menjawabnya.

Oleh itu, disunatkan menyaringkan suara sehingga terdengar oleh orang yang diberi salam. Apabila dia ragu, maka dia harus menyaringkan lagi dengan sejelas-jelasnya melainkan jika di sekitarnya ada orang-orang yang sedang tidur, maka disunatkan merendahkan suaranya agar hanya didengar oleh orang yang bangun sahaja sehingga tidak membangunkan orang yang sedang tidur. (Al-Adzkâr, bâb Kaifiyyah as-salâm: 242-243).

Daripada Miqdad Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Kami menyerahkan susu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bahagian Baginda, maka pada suatu malam Baginda datang lalu memberi salam dengan salam yang tidak membanguni orang tidur dan hanya dapat didengar oleh orang yang bangun. Saya tidak dapat tidur sedang dua orang sahabat saya semua tidur, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang lalu memberi salam sebagaimana tadinya Baginda memberi salam. (Hadits riwayat Muslim)

Bagi pihak yang diberi salam pula, hendaklah jawapan salamnya itu dapat didengar oleh orang yang memberi salam. Oleh itu, apabila jawapan orang yang diberi salam itu suaranya tidak didengar oleh orang yang memberi salam, maka tidak gugur kewajipan membalas salam itu.

Adalah disyaratkan menjawab salam itu dengan segera, sekiranya tiada keuzuran. Apabila terlambat menjawab salam tersebut, maka jawapan itu tidak sah dan dikira berdosa.

Selain itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberikan garis panduan siapakah yang sebaik-baiknya lebih dahulu memberikan salam. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan kaki (memberi salam) kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit (memberi salam) kepada orang yang banyak. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

Maksudnya: Orang yang lebih muda memberi salam kepada orang yang lebih tua, orang yang berjalan kaki (memberi salam) kepada orang yang duduk, dan orang yang sedikit (memberi salam) kepada orang yang banyak. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dijelaskan dalam hadits di atas merupakan tata cara yang disunatkan. Namun begitu, jika orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang menaiki kenderaan atau orang yang duduk memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang menaiki kenderaan, tidaklah makruh hukumnya sepertimana yang diterangkan oleh Imam Abu Sa‘ad al-Mutawalli dan yang lainnya. Tetapi dengan cara demikian bererti kedua-duanya telah meninggalkan haknya untuk diberi salam kerana keduanya memberi salam. Ini adalah tata cara memberi salam apabila kedua pihak bertemu di tengah jalan.

Adapun apabila seseorang datang menemui seseorang yang sedang duduk, maka yang datang itu yang memberi salam sama ada yang datang itu lebih muda atau lebih tua dan sama ada yang datang itu sedikit atau banyak. (Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari, bâb at-taslîm al-qalîl ‘ala al-katsîr: 267, al-Adzkâr: 254)

Etika Tetamu Menziarahi Rumah

Menurut sunnah, apabila seseorang hendak berjumpa saudara seIslam ketika menziarahi rumah saudaranya, hendaklah tetamu itu memberi salam terlebih dahulu kemudian meminta izin untuk masuk sambil berdiri di sisi pintu. Sekiranya seseorang yang hendak berjumpa itu tidak melihat penghuni di dalam rumah, maka dia mengucapkan: “Assalamualaikum” (ِْالسَّاالَم ُِعَلَا َْكُم) bolehkah saya masuk?”ِ. Apabila tidak ada jawapan sehingga dia mengucapkan sedemikian itu dua hingga tiga kali, maka baliklah. (Al-Adzkâr, bâb al-isti’dzân: 256).

Daripada Rab‘i bin Hirasy at-Tabi‘i al-Jalil, beliau berkata:

Maksudnya: Telah diceritakan kepada kami bahawa seorang lelaki daripada Bani ‘Amir meminta izin masuk kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (ke rumah Baginda) sedangkan Baginda berada dalam rumah. Maka lelaki itu berkata: “Bolehkah saya masuk?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada khadam (pembantu Baginda): “Jumpai orang itu di luar maka ajarkanlah kepadanya cara meminta izin”, maka berkata khadam Baginda kepadanya: “Katakanlah as-salâmu ‘alaikum (ِْ Orang itu mendengar pemberitahuan itu, maka dia berkata: “As-salâmu ‘alaikum َْكُم ) bolehkah saya masuk?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mempersilakannya, maka masuklah dia (ke rumah Baginda). (Hadits riwayat Abu Daud)

Apa yang disebutkan tentang mendahulukan salam sebelum meminta izin adalah pendapat yang shahîh. Imam al-Mawardi memberi ulasan bahawa perkara ini ada tiga pendapat:

i. Memberi salam sebelum meminta izin.

ii. Meminta izin terlebih dahulu sebelum memberi salam.

iii. Terserah orang yang akan berjumpa itu boleh sama ada memberi salam atau meminta izin terlebih dahulu. (Kitab al-Adzkâr, bâb al-isti’dzân: 257).

Jika tetamu itu melihat penghuni rumah sebelum dia masuk ke rumah, maka salam lebih dahulu diucapkan dan jika tetamu itu tidak melihatnya, maka meminta izin lebih dahulu sebelum memberi salam.

Apabila tetamu itu sudah mengucapkan permintaan izin untuk masuk sampai tiga kali tetapi belum juga ada jawapan daripada penghuni rumah walaupun tetamu itu berfikir bahawa penghuni rumah itu tidak mendengarnya, maka tidak boleh tetamu itu mengulanginya lebih daripada tiga kali. Ini telah diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Memintakan izin itu sampai tiga kali, maka jika kamu diizinkan (masuklah), jika tidak, pulanglah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika seseorang yang datang berjumpa meminta izin dengan memberi salam atau mengetuk pintu, lalu dijawab oleh penghuni rumah itu dengan berkata “siapa kamu?”, lalu dijawab oleh orang yang memberi salam atau orang yang mengetuk pintu itu dengan menyebut identitinya yang sebenar “saya polan bin polan”, maka cara ini adalah dituntut, kerana bertujuan supaya tuan rumah itu betul-betul tahu dan kenal dengan tetamunya yang berada di luar. Jika tetamu itu menjawab dan memberi identitinya dengan mengatakan “aku”, “khadam”, “salah seorang sahabatmu” atau kata-kata yang lain, maka hukumnya adalah makruh.

Dalam hubungan meminta izin dan memberi salam kepada tuan rumah sebelum masuk adalah jelas sekali diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). (Surah an-Nûr: 27)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (Surah an-Nûr: 28)

Bahkan masuk ke rumah sendiri pun kita disuruh memberi salam kepada keluarga di rumah. Ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah an-Nûr: 61)

Sekalipun jika tiada penghuni atau tidak ada seseorang di dalam rumah atau masjid, maka kita juga disuruh mengucapkan salam seperti:

Ertinya: Selamat sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih. (Kitab al-Adzkâr, kitâb as-salâm: 239).

Majlis Yang Bercampur Orang Islam Dan Bukan Islam

Jika dalam sesuatu majlis terdapat percampuran di antara orang Islam dengan bukan Islam, maka disunatkan kita memberi salam dengan niat memberi salam kepada orang Islam sahaja. Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam sepertimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui satu majlis yang di dalamnya bercampur antara orang Islam dan kaum musyrikîn, penyembah berhala serta orang-orang Yahudi, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi salam kepada mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Kitab Raudhah ath-Thâlibîn, kitâb as-siyar: 430-431)

Sebaliknya adalah haram memberi salam ke atas kaum Nashrani dan Yahudi. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Janganlah kamu terlebih dahulu memberi salam kepada orang-orang Yahudi dan Nashrani. Apabila kamu bertemu dengan salah seorang daripada mereka di jalan, maka mintalah agar mereka menyisih. (Hadits riwayat Muslim) (Kitab al-Adzkâr, bâb hukm as-salâm: 246, kitab Fath al-Bârî: 298).

Apabila mereka memberi salam juga, maka wajib menjawab salam dengan mengucapkan “wa‘alaikum” sahaja, sepertimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila Ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka jawablah dengan “wa‘alaikum.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim) (Kitab al-Adzkâr, bâb hukm as-salâm: 246, kitab Fath al-Bâri: 298).

Salam Ketika Masuk Dan Keluar

Memberi salam itu bukan sahaja disunatkan ketika bertemu, masuk ke rumah atau majlis, malah kita disunatkan juga mengucapkan salam ketika berpisah atau keluar dari rumah atau majlis, sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu sampai di suatu majlis, maka hendaklah dia memberikan salam, lalu apabila dia hendak meninggalkannya, maka hendaklah dia memberikan salam. Tidaklah salam pertama itu lebih utama daripada salam terakhir. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Salam Kanak-kanak

Disunatkan memberi salam kepada kanak-kanak dan jika mereka memberi salam, maka wajib menjawabnya kerana hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu menyebutkan:

Maksudnya: Bahawasanya ketika beliau (Anas Radhiallahu ‘anhu) melalui perkumpulan kanak-kanak, beliau memberi salam ke atas mereka dan beliau mengatakan: “Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun seseorang memberi salam kepada jemaah yang didalamnya ada kanak-kanak lalu dijawab salam itu oleh kanak-kanak sahaja, maka tidak gugur kewajipan menjawab salam itu sepertimana yang diterangkan oleh Imam an-Nawawi. Oleh itu diwajibkan bagi jemaah itu menjawab salam tersebut atau salah seorang daripada mereka.(Fath al-Bâri, bâb taslîm ar-rijâl ‘ala an-nisâ’: 298-299)

Menyampaikan Salam

Salam juga boleh diutus atau dikirim melalui seseorang atau surat. Jika salam yang diutus melalui surat itu sampai kepada orang yang ditujukan, maka wajib salam itu dijawab dengan segera.

Salam yang dikirim melalui seseorang wajib disampaikan oleh orang yang membawa salam, kerana ia merupakan satu amanah. Jika salam yang diutus melalui seseorang sampai kepada orang yang ditujukan salam, maka wajib orang yang ditujukan salam menjawab salam dengan segera dan sunat juga menjawab kepada penyampai itu dengan berkata:

Ertinya: Dan ke atas awak dan ke atasnya kesejahteraan.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril ‘Alaihissalam memberi salam ke atasmu, ‘Aisyah menjawab: “Ke atasnya (Jibril ‘Alaihissalam) kesejahteraan dan rahmat Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Lelaki Memberi dan Menjawab Salam Perempuan

Sunat bagi perempuan memberi salam kepada sesama perempuan dan wajib ke atas yang diberi salam menjawab salam tersebut sebagaimana keadaan hukumnya antara lelaki dengan lelaki memberi dan menjawab salam.

Jika perempuan itu adalah isteri kepada lelaki tersebut atau mahramnya, maka kedudukannya sama seperti keadaan lelaki memberi dan menjawab salam dengan sesama lelaki, iaitu sunat salah seorang daripada mereka memulai memberi salam dan salah seorang lagi wajib menjawab salam tersebut.

Jika perempuan itu adalah orang asing (ajnabiyyah) bagi lelaki tersebut, apatah lagi perempuan itu tergolong dalam kategori perempuan yang cantik yang ditakuti menimbulkan fitnah, maka makruh lelaki itu memberi salam kepada perempuan seperti ini. Jika dia (lelaki) memberi salam juga, haram bagi perempuan itu menjawab salam tersebut. Begitu juga bagi perempuan haram memberi salam kepada lelaki dan jika dia (perempuan) memberi salam juga, makruh bagi lelaki menjawab salam tersebut. (Raudhah ath-Thâlibîn, kitâb as-siyar: 431, kitab Nihâyah Syarh al-Minhâj: 52, kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 166, kitab Hawâsyi asy-Syirwâni wa Ibn al-Qâsim al-‘Abbadi ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj Syarh al-Minhâj li Ibn Hajar al-Haitami: 223).

Jika perempuan yang ajnabiyyah itu pula adalah perempuan yang sudah tua, sekira-kira tidak menimbulkan fitnah, maka boleh (sunat) perempuan itu memberi salam kepada lelaki dan wajib lelaki itu menjawab salamnya, begitu juga hukumnya salam lelaki kepada perempuan tersebut.

Adapun jika perempuan itu terdiri daripada bilangan yang ramai, dibolehkan (harus) bagi seorang lelaki memberi salam kepada mereka atau sekiranya lelaki terdiri daripada bilangan yang ramai, maka boleh (harus) mereka memberi salam kepada seorang perempuan, dengan syarat tidak ditakuti terjadinya fitnah, sama ada kepada lelaki atau perempuan tersebut.

Situasi yang Dimakruhkan Memberi Salam

Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

i. Memberi salam kepada orang yang sedang buang air. Dalam hal ini, dimakruhkan memberi salam. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut. (Kitab al-Adzkâr, bab man yusallim ‘alaihi: 248-249, kitab Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari, bâb ifsyâ’ as-salâm: 282-283).

ii. Memberi salam kepada orang yang sedang tidur atau mengantuk.

iii. Mengucapkan salam kepada orang yang sedang azan, iqâmah dan sembahyang.

iv. Orang yang makan sedang makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab salam itu. Akan tetapi jika dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.

v. Ketika sedang khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi berpendapat, makruh memberi salam kepada jemaah yang hadir, kerana mereka disuruh untuk berdiam diri mendengarkan khutbah.

vi. Orang yang sedang membaca al-Qur’an, menurut pendapat Imam Abu al- Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdhal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qur’annya dimulai lagi

vii. Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiyah ketika berihram, kerana memutuskan talbiyah itu adalah makruh. Tetapi jika dia diberi salam, maka dijawabnya salam itu dengan lisan (bukan dengan isyarat).

viii. Makruh juga hukumnya jika seseorang itu memberi salam dengan mengatakan ‘alaikassalam’ (ُِعَل ََْاع َِالسَّاالَم). Sungguhpun begitu, wajib dijawab salam tersebutِ kerana ia termasuk dalam kategori salam, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Jurai al-Hujaimiِ Radhiallahuِ ‘anhu,ِ beliau berkata:

Maksudnya: Aku telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku berkata: “ ‘Alaikassalam (ِ Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jangan awak katakanِ “‘alaikassalam” kerana sesungguhnya ucapan “ ‘alaikassalam’ itu adalah salam untuk orang-orang yang telah mati.” (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

ix. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam dengan menggunakan kepala, tangan dan isyarat. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Adapun larangan memberi dan menjawab salam dengan isyarat adalah khusus kepada orang yang mampu mengucapkan salam tetapi tidak melafazkannya. Manakala orang yang bersembahyang, orang yang diberi salam itu jauh jaraknya, begitu juga orang yang kurang pendengaran, mereka ini tidak dilarang menjawab salam dengan isyarat.(Fath al-Bâri: 275)

Haram ke atas orang yang bersembahyang menjawab salam dengan mengucapkan وعلاَكمِالسااالم, jika dijawabnya maka batallah sembahyangnya dengan syarat dia mengetahui akan hukumnya. Jika dia tidak mengetahui atau jahil tentang hukum menjawab salam ketika sembahyang, maka tidaklah batal sembahyangnya. Jika dia menjawab علَاهِالساالم, tidaklah batal sembahyangnya. Disunatkan bagi orang yang bersembahyang itu menjawab salam dengan isyarat sahaja bukan dengan melafazkan salam tersebut. (Al- Adzkâr: 249).

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah lalu dalam sebuah masjid dan di dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

x. Menentukan salam kepada seseorang atau kumpulan tertentu. Kita ditegah menentukan salam kepada seseorang yang tertentu, kerana salam bertujuan kemesraan, damai dan persaudaraan. Jika menentukan salam, ianya akan menimbulkan buruk sangka serta perasaan iri hati yang membawa kepada permusuhan.

Daripada huraian ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkara memberi dan menjawab salam itu bukanlah perkara mudah, kerana atas tanggapan ia sudah menjadi perkara biasa, tetapi ia mempunyai huraian dan permasalahan yang patut difahami oleh masyarakat kita.

Islam mengajarkan umatnya supaya menanamkan dalam diri dan menjadikan budaya memberi salam sebagai salah satu cara hidup bermasyarakat. Islam menyeru umatnya agar mendoakan saudaranya dengan kesejahteraan. Oleh sebab itu, untuk memupuk amalan memberi salam, kita harus menanamkan budaya memberi salam di kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengaturkan cara salam untuk umat Islam bagi menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang penuh kedamaian, ketenteraman dan ketenangan. Dalam hubungan ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menjadikan salam itu sebagai cara penghormatan bagi umat kita, juga sebagai tanda kesejahteraan bagi orang-orang Dzimmi yang ada dalam lindungan kita. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

PERMASALAHAN BERHARI RAYA KETIKA BERPUASA SUNAT ENAM SYAWWAL

Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.

Kini dengan tibanya bulan Syawwal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.

Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?

Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para shalihîn di bulan Syawwal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah puasa sunat enam itu?

Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawwal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawwal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawwal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawwal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawwal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawwal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawwal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun. (Hadits riwayat ad-Darimi) Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka

Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di ‘Idul Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan “open house”.

Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di Hari Raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.

Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan. (Hadits riwayat Muslim)

Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.

Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut makan bersamanya. Maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkunjung ke rumahnya, beliau menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ berkata:

Maksudnya: Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: “Apakah ia (dosamu itu)?” Katanya: “Aku ini berpuasa, dan aku berbuka”. Baginda bersabda: “Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu?” (Ummu Hani’) berkata: “Bukan”. Baginda bersabda: “(Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.

Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.

Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam surah Muhammad, ayat 33:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu! (Surah Muhammad: 33)

Hukum Menqadha Puasa Sunat

Orang yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya sama ada ingin meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka. (Hadits riwayat Ahmad)

Menurut pendapat mazhab Imam asy-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa sunat sama ada kerana keuzuran ataupun tidak, maka tidaklah wajib ke atasnya menqadha puasanya itu bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak meneruskannya (puasa sunat) adalah haram.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki daripada suatu kaum berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Maka ambillah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu sahaja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan dalam suasana Hari Raya.

HADIR TANPA DIUNDANG: HUKUMNYA!

Mengadakan majlis jamuan dalam bahasa Arab disebut sebagai walîmah. Walîmah bermaksud setiap hidangan makanan yang diadakan atau disediakan atas sesuatu sebab atau sempena yang menggembirakan. Hukumnya adalah sunat kerana menzahirkan rasa syukur atas ni‘mat Allah yang diperolehi. Manakala mengadakan majlis atau undangan perkahwinan pula hukumnya sunat mu’akkadah kerana perkara ini tsabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun perkataan walîmah seringkali digunakan dan lebih tersohor penggunaannya untuk majlis perkahwinan, ianya juga boleh digunakan untuk sebarang majlis yang lebih umum. Maka penggunaan perkataan walîmah dalam perbincangan ini lebih umum daripada walîmah perkahwinan.

Barang siapa yang menyediakan makanan, dengan niat menjamu seseorang, bolehlah memilih sama ada menghantar makanan tersebut ke rumah sesiapa yang ditentukannya atau dia menjemput atau mengundang tetamu tersebut hadir untuk menikmati hidangan yang disediakan di rumahnya.

Di samping itu apabila ingin menjemput atau mengundang seorang tetamu, sunat juga menyertakan undangan untuk orang-orang yang rapat kepada tetamu tersebut. Bagaimanapun tetamu yang telah dijemput itu janganlah menolak (menghampakan) sesuatu undangan, sekalipun tuan punya majlis tidak mengizinkan sebahagian daripada sahabat tetamunya itu untuk hadir bersamanya. Perlu diingat mana-mana orang yang ingin mengadakan hidangan makanan bagi satu jemaah (kumpulan), maka sesuaikanlah mengikut kadar jumlah mereka. Sekalipun dia tidak mampu menyediakan lebih daripada itu, asalkan tidak kurang. Walau bagaimanapun, pembaziran hendaklah dielakkan kerana perbuatan tersebut dilarang oleh agama.

Hadir Tanpa Diundang

Istilah asal dalam bahasa Arab mengenai perbuatan hadir tanpa diundang disebut sebagai at-tathfîl (ُِالتَّال َْنَِل) daripada perkataanِ tathafful (ِ َال ََنُل ). Thufaili (ِط َُنََْل ) ialah seorang tetamu yang hadir tanpa diundang atau dijemput yang dimansûbkan kepada seorang lelaki yang berasal dari Kufah yang seringkali menghadiri majlis-majlis walîmah tanpa dijemput.

Imam al-Baijuri Rahimahullah menyatakan adalah haram hukumnya menghadiri majlis tanpa diundang kecuali jika dia tahu tuan rumah itu berniat untuk bersedekah atau sebagainya dan redha dengan kehadirannya.

Jika sesuatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat khas, maka wajib tetamu tersebut menghadiri undangan itu. Maksud tetamu yang bersifat khas di sini ialah tetamu yang telah ditentukan orangnya oleh tuan punya majlis atau wakilnya.

Adapun menghadiri suatu majlis khas tanpa dijemput, maka hukumnya adalah haram, melainkan dia mengetahui tuan punya majlis itu redha dengan kehadirannya kerana di antara tuan majlis dan tetamu itu keduanya saling kenal-mengenali dan mempunyai hubungan yang rapat atau mesra.

Jika suatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat umum, maka dalam keadaan ini tidaklah termasuk dalam larangan. Maka tidak haram hukumnya dia hadir ke majlis tersebut walaupun tanpa undangan khas. Contohnya ialah:

- Tuan rumah mengatakan pada seseorang: “Panggillah dan jemputlah sesiapa yang kamu mahu atau sesiapa yang kamu temui.”

- Tuan rumah atau wakilnya membuka pintu rumahnya dan berkata: “Sesiapa saja boleh masuk dan hadir ke majlis ini.”

Membawa Individu Lain Yang Tidak Termasuk Dalam Undangan

Menurut Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘, antara adab makan dalam sesuatu jamuan, janganlah dia hadir dengan membawa teman yang tidak dijemput oleh tuan punya majlis. Andainya dia hadir dengan membawa seseorang bersamanya ke majlis tersebut, maka dia telah melakukan sesuatu yang buruk.

Jika tuan punya majlis telah membuat undangan bagi satu kumpulan yang telah ditentukan orang-orangnya, tiba-tiba hadir bersama mereka seorang lain yang tidak dijemput atau ditentukan, maka dalam hal ini dia tetap tidak termasuk dalam senarai tetamu yang diundang.

Berbeza jika tuan punya majlis mengatakan kepada wakil atau utusannya: “Jemputlah si polan dan sesiapa yang ada bersamanya”. Maka bolehlah sesiapa yang ada bersama si polan pada ketika itu hadir bersamanya.

Secara dasarnya, keizinan dan kebenaran daripada tuan punya majlis untuk hadir adalah sangat penting dan sangat perlu, melainkan dia sudah mengetahui bahawa tuan punya majlis akan redha dengan kehadirannya.

Perkara ini pernah terjadi kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri di mana Baginda telah dijemput untuk menikmati hidangan yang telah dimasak. Dalam undangan tersebut telah ditentukan siapa orang dan jumlahnya. Riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Anshari, dia menceritakan bahawa ada seorang lelaki daripada golongan Anshar bernama Abu Syu‘aib yang mempunyai seorang pembantu yang menjual daging. Pada suatu hari Abu Syu‘aib memandang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia mengetahui daripada wajah Baginda bahawa Baginda kelihatan lapar. Maka dia menyuruh pembantunya untuk menyediakan makanan untuk lima orang, kerana dia ingin mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai salah seorang daripada lima orang tetamu yang diundangnya.

Maka pembantunya itu pun melaksanakan perintah itu. Kemudian dia diutus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengundang Baginda sebagai salah seorang daripada lima orang (maksudnya tetamu yang diundang ada lima orang termasuk Rasulullah sendiri). Akan tetapi telah datang, ada bersama-sama mereka seorang lagi (tidak termasuk antara tetamu yang diundang) dan ketika sampai di depan pintu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya orang ini ikut (datang) bersama kami, jadi terserahlah kepadamu, apakah engkau memberinya izin (untuk masuk) atau kalau engkau mahu dia harus pulang. Abu Syu‘aib menjawab: “Tidak! Bahkan aku memberinya izin wahai Rasulullah!” (Hadits riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Mu‘awiyah:

Maksudnya: Telah ikut (datang) bersama-sama kami seorang lelaki. Dia tiada bersama kami pada ketika kamu mengundang kami. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan mafhûm daripada hadits di atas, Ibnu Hajar al-‘Asqalani membuat kesimpulan dengan beberapa perkara, iaitu:

- Barang siapa hadir tanpa diundang, maka tuan majlis boleh memilih untuk menegahnya. Jika dia masuk tanpa izin, maka tuan majlis boleh mengeluarkannya atau menghalangnya.

- Berdasarkan perbuatan lelaki yang ikut serta bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits di atas, hadir tanpa diundang pada asalnya adalah tidak ditegah dan Baginda tidak pula menyuruhnya pulang. Ada kemungkinan dia akan diterima dengan baik dan diizinkan masuk, terpulang kepada kebijaksanaan, kebaikan hati dan budi bicara tuan majlis tersebut.

- Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta izin daripada Abu Syu‘aib kerana membawa seseorang yang tidak dijemput untuk memberi kebaikan pada dirinya. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah mengetahui bahawa Abu Syu‘aib tidak menghalang atau menegah kehadiran lelaki yang tidak diundang itu.

- Ini berdasarkan daripada hadits riwayat Abu Mu‘awiyah, tentang adanya isyarat atau petanda bahawa jika lelaki itu berada dalam kumpulan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika kumpulan itu diundang, maka tidak perlu lagi meminta izin kerana sudah pasti dia akan diundang sama.

- Sekiranya tetamu datang dengan membawa orang lain yang tidak dijemput, lalu tetamu tersebut pun meminta izin untuknya, maka sebaiknya izinkanlah orang yang tidak dijemput itu masuk sepertimana yang telah dilakukan oleh Abu Syu‘aib kerana itu adalah sebahagian daripada makârim al-akhlâq (akhlak yang terpuji).

- Dilarang mengikut tetamu lain ke suatu majlis melainkan dia tahu tuan punya majlis redha dengan kehadirannya.

- Kehadiran seseorang tanpa keizinan, kebenaran atau pengetahuan tuan punya majlis, maka makanan yang dimakan oleh tetamu yang tidak diundang itu umpama memakan sesuatu yang haram sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa diundang, lalu dia tidak memenuhi undangan itu, sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa masuk (ke majlis) tanpa diundang, maka dia masuk sebagai pencuri dan dia keluar sebagai perampas harta orang. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Enggan Menerima Individu Lain Sebagai Tetamu

Telah diriwayatkan dalam hadits daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang daripada jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah berbangsa Parsi yang pandai memasak. Pada suatu hari dia menyediakan suatu masakan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kemudiannya dia datang untuk mengundang Baginda menikmati masakan tersebut. Kebetulan isteri Baginda, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, berada bersama-sama Baginda pada ketika itu.

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bertanya: “Dan dia ini?” (Baginda menunjuk kepada ‘Aisyah). Orang itu menjawab: “Tidak!” Baginda pun bersabda: “Tidak!” Lalu orang (jiran) itu pun mengulangi undangannya. Baginda masih bertanya: “Dan dia ini?” Orang (jiran) itu menjawab: “Tidak!” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Tidak!” (Ertinya Baginda tidak mahu memenuhi undangan itu kalau ‘Aisyah tidak diundang bersama). Sekali lagi dia mengulangi undangannya dan Baginda bertanya lagi: “Dan dia ini?” Maka pada kali yang ketiga orang (jiran) itu pun menjawab: “Ya!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ‘Aisyah pun berdiri dan segera mengikut orang itu sehingga mereka berdua sampai ke rumahnya. (Hadits riwayat Muslim)

Adapun mafhûm daripada hadits di atas, antara sebab jiran Rasulullah itu enggan mengizinkan ‘Aisyah hadir kerana berkemungkinan dia telah menyediakan makanan yang cukup untuk seorang sahaja iaitu untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya dia mengizinkan ‘Aisyah hadir, dia khuatir makanan itu tidak akan mencukupi untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Enggan Hadir Melainkan Membawa Teman

Keengganan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri undangan jiran Baginda tidak menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menolak terus daripada menghadirinya.

Berkemungkinan Baginda enggan datang sendirian dan meminta ‘Aisyah dibawa bersama kerana:

- Perbuatan atau undangan jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbeza dengan perbuatan pembantu Abu Syu‘aib, kerana pembantunya telah menjemput Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berserta orang-orang yang rapat dengan Baginda. Manakala jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya menjemput Baginda seorang sahaja sedangkan ‘Aisyah ada bersama Baginda pada ketika itu. Oleh kerana itu Baginda enggan memenuhi undangan tersebut melainkan ‘Aisyah turut sama diundang.

- Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui bahawa ‘Aisyah ingin untuk menikmati hidangan tersebut.

- Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suka kalau ‘Aisyah menemani Baginda makan makanan tersebut.

Kesimpulan

Apabila membuat undangan sebaiknya pastikanlah dengan jelas tetamu yang akan dijemput, sama ada berbentuk khusus atau umum, agar tidak timbul keraguan di hati mereka untuk menghadirinya.

Manakala daripada pihak yang diundang (tetamu), memenuhi undangan dan menghadirinya akan menerbitkan rasa gembira di hati orang yang menjemput, di samping mengeratkan dan menyuburkan lagi silaturahim sesama tetamu yang lainnya.

Oleh kerana itu menghadiri walîmah adalah wajib kecuali atas sesuatu sebab atau keuzuran, sama ada dia dijemput ke majlis itu oleh tuan punya majlis itu sendiri, atau melalui wakilnya yang dipercayai, atau melalui utusan seorang yang mumayyiz yang tidak diragui kejujurannya (tidak mungkin berbohong).

Menghadiri walîmah tanpa diundang pula boleh mengakibatkan ketidak-selesaan, perasaan serba salah dan mungkin juga kesusahan kepada tuan punya majlis terutamanya mengenai persediaan yang telah dibuat. Sebagai contoh, orang yang mengundang hanya mampu menyediakan jamuan bagi 10 orang sedangkan yang hadir melebihi daripada had yang telah ditentukan. Perkara sedemikian ini boleh mengakibatkan ketidak-selesaan kepada yang mengundang. Walau bagaimanapun bagi orang yang mengundang adalah lebih elok menerima sahaja tetamu yang tidak diundang itu kerana ia adalah sebahagian daripada makârim al-akhlâq (akhlak yang terpuji). Maka adalah menjadi ingatan bahawa perilaku hadir tanpa diundang digambarkan sebagai sesuatu yang buruk dan perlu dihindari. Oleh itu, perbuatan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya, jangan sampai ianya dipandang ringan, sambil lewa serta kurang penting.

‘IDDAH DAN PERSOALANNYA

Masyarakat Arab pada zaman jahiliah mempunyai bermacam-macam adat, tradisi dan upacara-upacara aneh yang semuanya mereka warisi daripada nenek moyang mereka secara turun-temurun. Sebagai contoh wanita yang kematian suami akan diperlakukan mengikut cara dan adat yang telah mereka amalkan. Adapun antara adat mereka itu adalah seperti berikut:

i. Wanita yang kematian suami adalah menjadi hak keluarga suaminya iaitu keluarga pihak suami lebih berhak atas wanita tersebut daripada keluarga wanita itu sendiri.

ii. Jika suami yang meninggal dunia, maka isterinya akan diwarisi oleh ahli waris yang mewarisi harta suaminya.

iii. Isteri tidak diberikan hak untuk berkahwin dengan pilihan sendiri atau pilihan orang lain dan dia hendaklah mengikut kemahuan ahli waris suaminya.

iv. Isteri yang kematian suami tidak berhak menerima bahagian daripada harta peninggalan suaminya, walaupun harta yang ditinggalkan suami itu dalam jumlah yang banyak. Harta peninggalan suami itu juga tidak akan diberikan kepada isteri untuk keperluannya semasa dia menjalani kehidupan sendiri.

Hal-hal yang sedemikian tidak menghairankan kerana perempuan pada zaman jahiliah dipandang rendah darjatnya berbanding dengan lelaki.

Setelah kedatangan Islam, kehidupan wanita telah berubah khususnya bagi wanita yang kematian suami atau yang diceraikan oleh suami. Martabat mereka telah diangkat dan mereka diberikan hak-hak tertentu, umpamanya mereka tidak lagi dianiaya dan tidak lagi diperlakukan secara zalim sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta ‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak (untuk kamu). (Surah an-Nisâ’: 19)

Adapun antara keistimewaan dan hak yang telah diberikan kepada kaum wanita ialah tuntutan untuk ber‘iddah.

‘Iddah merupakan ketentuan atau ketetapan syara‘ yang diwajibkan ke atas wanita yang telah bercerai sama ada suami isteri itu bercerai hidup atau mati. Hukum ‘iddah wajib dijalankan tanpa dilengah-lengahkan oleh isteri yang diceraikan itu mengikut sebab-sebabnya yang tertentu.

Ta‘rîf ‘Iddah

‘Iddah berasal daripada perkataan Arab. Adapun ‘iddah daripada segi bahasa bermaksud bilangan iaitu menghitung qurû’ dan bulan. Manakala ‘iddah dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang wanita yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ataupun untuk menzahirkan rasa kesedihan bagi isteri yang bercerai kerana kematian suami.

Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam, seorang wanita yang bernama Asma’ binti Zaid telah diceraikan oleh suaminya. Pada waktu itu, ‘iddah belum lagi disyariatkan bagi wanita yang dicerai. Maka daripada peristiwa tersebut turunlah ayat al-Qur’an menerangkan tentang cara tuntutan ‘iddah bagi wanita yang dicerai sama ada cerai hidup ataupun cerai mati.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haidh). (Surah al-Baqarah: 228)

Menurut Imam asy-Syafi‘e, qurû’ bermaksud suci daripada haidh. Berdasarkan ayat di atas bahawa talak hanya akan terjadi semasa suci, kerana itu haram menjatuhkan talak pada masa isteri dalam keadaan haidh.

Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam juga menunjukkan tentang adanya ‘iddah bagi isteri yang dicerai sebagaimana kisah Fatimah binti Qais tatkala dia ditalak oleh suaminya. Menurut riwayat Imam Muslim, dia berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bertanyakan tentang hal tersebut dan Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Hendaklah ber‘iddah (jalanilah ‘iddah) kamu di rumah Ummi Maktum. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan daripada dalil-dalil yang tersebut di atas bahawa menjalani ‘iddah itu wajib ke atas setiap wanita yang bercerai sama ada penceraian hidup atau kerana kematian suami.

Bahagian ‘Iddah ‘Iddah nikah itu terbahagi kepada dua bahagian: i. ‘Iddah kerana talak atau fasakh: Iaitu ‘iddah kerana dicerai suami ketika masih hidup disebabkan oleh talak atau fasakh. Penceraian tersebut terjadi setelah berlaku jimâ‘ (persetubuhan) di antara suami dan isteri. ii. ‘Iddah kerana kematian suami: Iaitu ‘iddah disebabkan oleh kematian suami sama ada berlaku jimâ‘ atau sebaliknya. Maka dalam keadaan-keadaan di atas, seseorang wanita yang diceraikan atau difasakh adalah wajib menjalani ‘iddah. Begitu juga dengan wanita yang kematian suami sebagaimana yang telah disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasalam.

Tempoh ‘Iddah Kerana Talak Atau Fasakh ‘Iddah diwajibkan ke atas wanita yang bercerai ketika masih hidup setelah berlaku jimâ‘ dengan suaminya dengan sebab talak atau fasakh. Wanita yang telah dijimâ‘ itu pula terbahagi kepada beberapa kumpulan iaitu: i. Wanita yang masih haidh tetapi tidak hamil, tempoh ‘iddahnya ialah tiga kali qurû’ iaitu tiga kali suci daripada haidh. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka daripada berkahwin selama tiga kali suci daripada haidh. (Surah al-Baqarah: 228)

ii. Wanita yang telah berhenti darah haidhnya kerana lanjut usia (menopaus) atau belum pernah didatangi haidh (belum bâligh), tempoh ‘iddahnya ialah selama tiga bulan.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan daripada kalangan kamu yang putus asa daripada kedatangan haidh, jika kamu menaruh syak terhadap tempoh ‘iddah mereka maka ‘iddahnya ialah tiga bulan dan demikian juga ‘iddah perempuan-perempuan yang tiada haidh. (Surah ath-Thalâq: 4)

Jika wanita ini didatangi haidh ketika masih menjalani tempoh ‘iddah (masih dalam tempoh tiga bulan), maka wajiblah dia menukar ‘iddah tiga bulan kepada ‘iddah tiga qurû’ iaitu tiga kali suci daripada haidh. Manakala tempoh suci yang telah dijalaninya sebelum itu tidaklah dikira dan hendaklah wanita tersebut memulakan penghitungan dengan tempoh ‘iddah yang baru iaitu selama tiga qurû’ (tiga kali suci daripada haidh).

Adapun bagi wanita yang didatangi haidh setelah selesai menjalani ‘iddah selama tiga bulan, maka tidak perlu dia mengulangi lagi ‘iddah tiga qurû’ dan memadailah ‘iddah yang telah dilaluinya sebelum dia didatangi haidh iaitu selama tiga bulan.

iii. Wanita yang mempunyai haidh tetapi terhenti haidhnya, sama ada diketahui sebabnya seperti terhenti disebabkan menyusukan anak atau penyakit, ataupun tidak diketahui sebab-sebab terhenti darah tersebut, maka bagi menentukan kadar ‘iddahnya hendaklah wanita tersebut bersabar menunggu sehingga haidhnya datang kembali, sekalipun memakan masa yang panjang. Jika haidhnya telah datang, maka tempoh ‘iddah wanita itu ialah tiga qurû’ (tiga kali suci daripada haidh).

Jika perempuan tersebut mencapai kepada umur wanita putus haidh (menopaus) di antara 45-50 atau 62 tahun, maka ‘iddah wanita itu ialah tiga bulan, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menjadikan ‘iddah tiga bulan itu kecuali untuk wanita yang tidak haidh dan wanita yang putus haidh.

Walau bagaimanapun, jika haidhnya datang semasa dia menjalani ‘iddah tiga bulan itu, maka wajiblah menukar tiga bulan kepada ‘iddah tiga qurû’ iaitu tiga kali suci daripada haidh dengan serta merta.

Jika haidhnya datang setelah dia selesai menjalani ‘iddah tiga bulan dan dia bernikah selepas itu maka sah hukum nikahnya. Tetapi jika dia tidak bernikah selepas ‘iddahnya itu, maka wajib ke atasnya ber‘iddah lagi dengan ‘iddah tiga qurû’ kerana telah terbukti dia belum lagi putus haidh.

iv. Wanita hamil, sama ada yang dicerai hidup dengan talak raj‘i (talak satu atau talak dua) atau talak bâ’inِ atau kerana kematian suami, maka tempoh ‘iddahnya adalah sehingga dia melahirkan kandungannya dan disyaratkan anak dalam kandungan itu adalah keturunan daripada suami yang menceraikannya atau yang mati ditinggalkan suami.

Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan mengandung tempoh ‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. (Surah at-Thalâq: 4)

Ayat tadi menjelaskan bahawa tujuan ‘iddah bagi wanita yang hamil ialah untuk membersihkan rahim daripada janin. Maka apabila berlaku kelahiran, selesailah sudah tempoh ‘iddahnya.

v. ‘Iddah wanita istihâdhah:

Istihâdhah ialah darah penyakit yang keluar mengalir dari dalam rahim perempuan kerana ada sebab sama ada keluarnya kesan daripada haidh atau sebaliknya.

Jika perempuan yang ditalak itu dalam keadaan istihâdhah dan dia dapat membezakan di antara darah haidh dan darah istihâdhah dari segi bau, warna, banyak atau sedikit, maka yang demikian itu hendaklah dia menunggu habis ‘iddahnya berdasarkan pengalaman haidhnya.

Dalam hal ini, wanita yang tidak ada keraguan di dalam membezakan di antara haidh dan istihâdhah, maka ‘iddahnya ialah tiga kali qurû’ (tiga kali suci daripada haidh).

Ini berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka daripada berkahwin selama tiga kali suci daripada haidh. (Surah al-Baqarah: 228)

Manakala bagi wanita yang dalam keadaan istihâdhah dan dia tidak dapat membezakan di antara darah haidh dengan darah istihâdhah dan tidak tahu kadar kebiasaan haidhnya, maka menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, ‘iddah bagi wanita sedemikian ialah selama tiga bulan.

Perkara ini berdasarkan ayat al-Qur’an yang menyatakan ‘iddah bagi orang-orang yang syak ialah tiga bulan sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta ‘ala berfirman:

Tafsirnya: Jika kamu menaruh syak terhadap tempoh ‘iddah mereka, maka ‘iddahnya ialah tiga bulan. (Surah ath-Thalâq: 4)

Tempoh ‘Iddah Kerana Kematian Suami

Bagi isteri yang kematian suami, dengan syarat isteri tersebut tidak hamil, sama ada berlaku jimâ‘ atau sebaliknya dan sama ada dia masih dalam kategori perempuan yang masih haidh atau tidak, tempoh ‘iddahnya ialah empat bulan sepuluh hari.

Ini berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (Surah al-Baqarah: 234)

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat melakukan ihdâd (berkabung) lebih dari tiga hari kecuali bagi suaminya yang meninggal, maka sesungguhnya dia akan berihdâd (berkabung) selama empat bulan sepuluh hari. (Hadits riwayat Muslim)

Adapun tempoh ‘iddah wanita hamil kerana kematian suami ialah sehingga melahirkan anak dengan syarat anak yang dikandung itu keturunan daripada suami yang meninggalkannya.

Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan mengandung tempoh ‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. (Surah ath-Thalâq: 4)

‘Iddah Bagi Wanita Yang Belum Dijimâ‘

Adapun isteri yang belum dijimâ‘ (disetubuhi) oleh suaminya sejak mula berkahwin dan berlaku perceraian di antara keduanya dengan sebab talak atau fasakh, maka tidak ada ‘iddah ke atasnya, iaitu tidak wajib atasnya ber‘iddah dan tidak ada halangan dan larangan baginya untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika dalam ber‘iddah seperti berkahwin dengan orang lain, keluar rumah dan sebagainya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu meyentuhnya maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang ‘iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. )zâb: 49hA-(Surah al

Akan tetapi jika perceraian itu disebabkan suami meninggal dunia, maka ‘iddahnya empat bulan sepuluh hari, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (Surah al-Baqarah: 234)

Perpindahan ‘Iddah

Perpindahan ‘iddah boleh berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu.

Jika isteri sedang menjalani ‘iddah talak raj‘i kemudian suaminya meninggal dunia, maka gugur ‘iddah talak raj‘i itu dan berpindah ‘iddah tersebut kepada ‘iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. Tempohnya bermula dari waktu suaminya meninggal dunia, kerana isteri yang dalam ‘iddah talak raj‘i masih ada ikatan suami isteri dan masih berhak menerima peninggalan harta waris suaminya.

Berlainan keadaannya, jika isteri sedang dalam ‘iddah talak bâ’in kemudian suaminya meninggal dunia, maka isteri tetap menjalani ‘iddah talak bâ‘in tersebut dan isteri tidak perlu berpindah kepada ‘iddah kematian suami, kerana isteri tidak lagi ada ikatan terhadap suami dan tidak berhak dalam peninggalan harta waris suami.

Talak Dalam Waktu ‘Iddah

Para ulama fiqh bersepakat bahawa talak boleh berlaku ke atas wanita yang menjalani ‘iddah talak raj‘i (talak satu atau talak dua). Begitu juga suami masih boleh merujuk isterinya ketika dia menjalani ‘iddah tersebut, kerana mereka masih lagi mempunyai ikatan perkahwinan.

Berlainan halnya bagi wanita yang dalam ‘iddah talak bâ’in, menurut jumhûr ulama talak tidak boleh berlaku ke atasnya, kerana isteri tidak lagi mempunyai hak di dalam perkahwinan tersebut.

Perkiraan Waktu ‘Iddah

‘Iddah kematian suami bermula dari hari kematiannya selama empat bulan sepuluh hari, sama ada isteri telah dijimâ‘ atau belum.

Sementara ‘iddah tiga kali qurû’ dan ‘iddah tiga bulan pula bermula dari hari gugurnya talak ke atas wanita tersebut sehingga tamat tempoh yang telah ditetapkan. Jika wanita itu ditalak pada waktu suci, maka tempoh ‘iddahnya akan berakhir pada haidhnya yang ketiga. Jika wanita itu ditalak ketika dia sedang haidh, maka berakhir tempoh ‘iddahnya pada haidh yang keempat.

Manakala ‘iddah bagi wanita yang hamil pula ialah sehingga dia selesai melahirkan keseluruhan kandungannya. Ini kerana ‘iddah itu disyariatkan ialah untuk membersihkan rahim daripada janin.

Apa yang dimaksudkan dengan melahirkan ialah melahirkan sesuatu daripada kejadian manusia, walaupun dalam keadaan mati atau hanya segumpal darah yang berbentuk, sekalipun bentuknya samar-samar.

Sekiranya segumpal darah itu tidak berbentuk dan jika dilihat dipercayai wujud permulaan daripada kejadian manusia, maka tempoh ‘iddah hamil berakhir ketika dia melahirkan keseluruhannya, dengan syarat anak yang dikandungnya itu disandarkan kepada suami yang mentalaknya.

Para ulama fiqh mengatakan bahawa ‘iddah hamil itu berakhir setelah selesai mengeluarkan (melahirkan) seluruh tubuh badan anak dari rahimnya. Jika anak yang dikandungnya itu lebih daripada seorang (kembar), maka hendaklah ditunggu sehingga semuanya keluar dari rahim, kerana tempoh ‘iddah masih lagi berbaki selagi rahim perempuan tadi masih mempunyai janin yang lain.

Hak Dan Kewajipan Wanita Dalam ‘Iddah

Bagi memelihara hak suami, hak isteri atau kedua-dua belah pihak selepas berlakunya perceraian, Islam telah menetapkan beberapa perkara yang perlu dijaga dan dipelihara, lebih-lebih lagi semasa seorang wanita masih di dalam tempoh ‘iddahnya. Di antara hak dan kewajipan tersebut adalah seperti berikut:

i. Wanita yang menjalani tempoh ‘iddah tidak boleh dipinang oleh lelaki lain sama ada secara terang-terangan mahu pun secara sindiran. Tetapi bagi wanita yang menjalani tempoh ‘iddah kerana kematian suami, pinangan boleh dilakukan, tetapi dengan cara sindiran sahaja dan hanya boleh menikahi perempuan tersebut apabila selesai tempoh ‘iddahnya.

Ini berpandukan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan secara sindiran untuk meminang perempuan-perempuan yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah atau tentang kamu menyimpan dalam hati keinginan berkahwin dengan mereka, Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, yang demikian itu tidaklah salah, akan tetapi janganlah membuat janji dengan mereka dalam sulit selain daripada menyebutkan kata-kata secara sindiran yang sopan. Dan janganlah kamu bersungguh-sungguh hendak melakukan akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat tadi menjelaskan, perempuan yang kematian suami boleh dipinang tetapi hanya secara sindiran dan tidak boleh dinikahi sehinggalah habis ‘iddahnya. Manakala perempuan yang menjalani ‘iddah talak tidak boleh dipinang sama ada secara terus terang atau sindiran dan tidak boleh dikahwini sehinggalah selesai ‘iddahnya.

ii. Wanita yang dicerai suaminya sama ada cerai hidup mahupun mati adalah dilarang keluar rumah.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah tempat kediamannya sehingga selesai ‘iddahnya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. (Surah ath-Thalâq: 1)

Ayat tadi menerangkan kewajipan tinggal di rumah suami bagi wanita yang sedang menunggu habis masa ‘iddahnya. Dia tidak dibenarkan keluar rumah dan suaminya tidak boleh menghalaunya dari rumah tersebut kecuali disebabkan adanya keperluan dharurat, sama ada takut terhadap dirinya dan hartanya. Walau bagaimanapun, jika bekas isteri itu melakukan perbuatan yang keji pada pandangan syara‘, suami boleh menghalau wanita itu dari rumahnya.

Bagi wanita yang ber‘iddah talak raj‘i tidak dibolehkan keluar rumah kecuali dengan izin suami. Jika wanita itu ber‘iddah talak bâ’in atau kerana kematian suami, maka wanita itu dibolehkan keluar dari rumahnya pada siang hari untuk memenuhi keperluannya dan untuk melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya, kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami.

iii. Bagi wanita yang menjalani ‘iddah talak raj‘i atau dalam keadaan hamil, suami wajiblah menyediakan seluruh nafkah yang diperlukan oleh wanita itu seperti tempat tinggal, pakaian dan sebagainya.

Sementara wanita yang menjalani ‘iddah talak bâ’in atau kerana kematian suami, wajib ke atas mereka tinggal di rumah di mana mereka diceraikan sehingga habis tempoh ‘iddah.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani ‘iddah mereka itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. (Surah ath-Thalâq: 6)

Bagi isteri yang menjalani ‘iddah talak bâ’in yang tidak hamil dan isteri yang kematian suami, tidak diwajibkan ke atas bekas suami untuk menanggung perbelanjaan bekas isteri termasuk nafkah dan pakaian, kerana ikatan suami isteri di antara mereka telah terputus disebabkan dengan perceraian tersebut.

Melainkan jika wanita yang menjalani ‘iddah talak bâ’in itu hamil, maka wajib bagi bekas suami menanggung nafkah bekas isteri tersebut sehinggalah dia melahirkan.

iv. Wanita yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami wajib berihdâd (berkabung) iaitu tidak berhias dengan berlebih-lebihan selama empat bulan sepuluh hari.

Hal ini berdasarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Maksudnya: Tidak dihalalkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat melakukan ihdâd (berkabung) lebih dari tiga hari kecuali ke atas suaminya. (Hadits riwayat Muslim)

v. Wanita dalam masa ‘iddah talak raj‘i berhak mendapatkan harta warisan suaminya yang meninggal dunia, manakala wanita yang menjalani ‘iddah talak bâ’in pula tidak berhak mendapatkan harta warisan daripada suaminya yang meninggal dunia.

Penutup

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mensyariatkan ‘iddah kerana dalam ‘iddah terkandung beberapa hikmah.

Adapun hikmah disyariatkan ‘iddah itu antara lain ialah untuk memberikan kesempatan kepada suami isteri untuk kembali kepada kehidupan berumahtangga, apabila keduanya masih melihat adanya kebaikan di dalam hal itu. Di samping itu, untuk mengetahui adanya kehamilan atau sebaliknya pada isteri yang diceraikan bagi memastikan keturunan benih tidak bercampur dengan keturunan yang lain, dengan tujuan bagi memelihara nasab atau keturunan daripada si ayah.

Di samping itu, isteri yang berpisah kerana kematian suami dapat menghormati hak suami bagi menzahirkan rasa kesedihan yang dialami di atas kematian suaminya itu. Dengan kehilangan suami, isteri akan kehilangan nikmat pernikahan.

Ini kerana nikah merupakan satu nikmat yang besar pada isteri kerana suamilah yang menjaga kesejahteraannya, nafkahnya, pakaiannya dan tempat tinggalnya.

Dengan wujudnya pensyariatan ‘iddah itu membuktikan Islam begitu memelihara kemashlahatan umatnya dan membenci perceraian.

WANITA BERJEMAAH DALAM SEMBAHYANG SUNAT

Hukum berjemaah dalam sembahyang fardhu, selain daripada fardhu Jumaat, adalah sunat mu’akkadah bagi golongan lelaki. Sembahyang berjemaah yang dikerjakan oleh orang lelaki di masjid pula adalah lebih afdhal daripada sembahyang yang dikerjakannya di tempat-tempat lain. Menurut qaul Imam Syafi‘e dan ulama-ulama Syafi‘e, kanak-kanak lelaki hendaklah disuruh dan digalakkan hadir ke masjid dan berjemaah dalam sembahyang untuk membiasakannya.

Adapun fadhilat dan ganjaran mengerjakan sembahyang fardhu berjemaah adalah sangat banyak dan telah diketahui umum. Antaranya hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)

Terhasil berjemaah dalam sembahyang itu dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun lebih dari itu. Ini berdasarkan hadits riwayat Abu Musa al-Asy‘ariy:

Maksudnya: Dua orang dan lebih daripada itu adalah jemaah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Wanita Sembahyang Berjemaah Di Masjid

Menurut Imam an-Nawawi, hukum berjemaah bagi golongan perempuan sesama mereka juga adalah sunat, manakala untuk hadir ke masjid bersama-sama golongan lelaki, hukumnya makruh bagi wanita-wanita yang mempunyai hai’at (yang mempunyai daya tarikan) untuk mengelakkan fitnah. Oleh kerana itu sembahyang orang perempuan di rumahnya adalah lebih afdhal daripada sembahyang di masjid.

Sembahyang jemaah perempuan dengan berimamkan seorang lelaki pula adalah lebih afdhal daripada berimamkan seorang perempuan, kerana imam lelaki lebih mengetahui mengenai perkara dalam sembahyang dan lebih jelas bacaannya dalam semua hal. Akan tetapi seorang perempuan tidak boleh berjemaah dengan seorang imam lelaki yang tiada hubungan mahram di antara keduanya.

Menurut Imam asy-Syirazi, hukum seorang lelaki yang bersembahyang dengan seorang perempuan ajnabiyyah adalah makruh. Imam an-Nawawi seterusnya menerangkan bahawa makruh yang dimaksudkan di atas adalah makruh karâhah tahrîm. Maka seorang lelaki yang mengimamkan seorang perempuan ajnabiyyah dan bersendirian dengannya, hukumnya adalah haram ke atasnya dan ke atas perempuan tersebut.

Menurut ulama Syafi‘e, jika perempuan itu seorang yang sudah berumur (tua) dan tidak menarik perhatian, maka tidak makruh baginya hadir berjemaah ke masjid. Adapun perempuan muda atau yang boleh menarik perhatian, maka hukumnya adalah makruh.

Terdapat beberapa hadits shahîh yang menyebut tentang kehadiran jemaah wanita ke masjid di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi ini tertakluk juga dengan syarat dan keadaan tertentu. Antara hadits tersebut, daripada Hindun binti al-Harits berkata bahawa Ummu Salamah, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahunya:

Maksudnya: Bahawa wanita-wanita di zaman Rasulullah jika telah selesai daripada sembahyang fardhu, mereka segera pulang. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masih tinggal bersama kaum lelaki dengan kehendak Allah jua. Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri, barulah mereka (kaum lelaki) berdiri. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Manakala hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pula:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang Fajar (sembahyang Subuh), maka perempuan-perempuan mukminat menyaksikan bersama Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, kepala mereka terselubung dalam tudung (tutup kepala), kemudian mereka pulang ke rumah masing-masing dan seorang pun tidak mengetahui mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebutkan bahawa jika kaum wanita yang meminta izin daripada suami mereka untuk hadir ke masjid, maka hendaklah suami tersebut mengizinkan isterinya pergi dan janganlah menegahnya. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah bersabda:

Maksudnya: Jika isteri-isteri kamu meminta izin daripada kamu untuk pergi ke masjid, maka izinkanlah mereka. (Hadits riwayat Muslim)

Akan tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan orang perempuan agar tidak memakai wangi-wangian sebagaimana hadits daripada Zainab isteri Abdullah bin Mas‘ud:

Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu ingin sembahyang di masjid, maka janganlah kamu memakai wangi-wangian. (Hadits riwayat Muslim)

Sungguhpun di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kaum wanita hadir ke masjid, terdapat juga hadits yang kurang menggalakkan kehadiran mereka sebagaimana riwayat daripada ‘Amrah bin ‘Abdul Rahman bahawa ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: Andaikata Rasulullah mengetahui apa yang dilakukan wanita sekarang, nescaya Baginda lebih melarang mereka (untuk pergi ke masjid), sebagaimana wanita Bani Israel telah dilarang. Aku (Yahya) bertanya kepada ‘Amrah: “Apakah kaum perempuan Bani Israel itu dilarang berbuat demikian?” Dia (‘Aisyah) menjawab: “Ya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang berjemaah bagi kaum wanita di rumah mereka adalah lebih afdhal daripada hadir berjemaah di masjid berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu menegah kaum wanita kamu (hadir) ke masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka (daripada hadir ke masjid). (Hadits riwayat Abu Daud)

Sembahyang-Sembahyang Sunat Yang Disunatkan Berjemaah

Adapun sembahyang-sembahyang sunat itu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu yang sunat dikerjakan secara berjemaah dan yang tidak sunat dikerjakan secara berjemaah.

Adapun maksud sunat dikerjakan secara berjemaah itu kerana telah disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah. Sembahyang-sembahyang sunat tersebut adalah seperti berikut:

i. Sembahyang Dua Hari Raya

Iaitu ‘îd al-akbar (sembahyang Hari Raya Adha) dan ‘îd al-ashghar (sembahyang Hari Raya Fitrah). Hukum sembahyang dua Hari Raya adalah sunat mu’akkadah.

Menurut Khatib asy-Syarbini sembahyang Hari Raya Adha dan sembahyang Hari Raya Fitrah sunat dikerjakan oleh lelaki atau perempuan, bersendirian atau berjemaah, hamba atau merdeka, orang yang musafir, khuntsâ dan juga kanak-kanak lelaki.

Menurut nash Imam asy-Syafi‘e dan para ulama Syafi‘e, bahawa kanak-kanak lelaki yang sudah mumayyiz juga digalakkan untuk hadir berjemaah dalam sembahyang sunat Hari Raya.

Adapun hukum sembahyang dua Hari Raya itu sunat mu’akkadah. Ini adalah berdasarkan kepada kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sembahyang dua Hari Raya ini juga disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah kerana Rasulullah melakukan sedemikian dan hukum berjemaah adalah sunat.

Kehadiran Wanita Bersembahyang Dua Hari Raya Di Masjid

Menururt Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘, hukum perempuan yang cantik dan yang boleh menarik perhatian hadir ke masjid adalah makruh kerana ditakuti fitnah. Adapun perempuan yang telah berumur atau yang tidak menarik perhatian adalah digalakkan untuk hadir ke masjid. Walau bagaimanapun sekiranya mereka ingin hadir ke masjid, maka hendaklah memakai pakaian yang sederhana (pakaian seharian) dan membersihkan diri, serta dilarang daripada memakai wangi-wangian.

Telah disebutkan dalam beberapa hadits yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah, bahawa pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang perempuan juga turut hadir pada perkumpulan di Hari Raya. Antaranya:

Maksudnya: Kami dan perempuan yang menyembunyikan diri serta anak gadis diperintahkan keluar pada kedua-dua Hari Raya. Berkata (Ummu ‘Athiyyah): “Perempuan-perempuan yang sedang haidh juga keluar dan berada di belakang kaum Muslimin. Mereka ikut bertakbîr bersama kaum Muslimin.” (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits yang lain:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh keluar gadis-gadis, wanita merdeka, wanita yang menyembunyikan diri dan wanita yang sedang haidh. Adapun wanita yang haidh, maka hendaklah memisahkan diri mereka daripada tempat sembahyang dan menyaksikan da‘wah kaum Muslimin. Salah seorang daripada mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana seandainya dia tidak mempunyai jilbâb (tudung dan jubah)?” Baginda menjawab: “Hendaklah saudaranya memakaikan (atau meminjamkan) untuknya daripada jilbâb-jilbâbnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau menceritakan:

Maksudnya: Aku telah keluar bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Adha, maka Baginda pun sembahyang, kemudian Baginda berkhutbah. Setelah itu Baginda menemui kaum wanita lalu menasihati, mengingatkan dan menyuruh mereka supaya bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

ii. Sembahyang Kusûfain

Iaitu sembahyang yang dilakukan kerana kejadian gerhana matahari dan gerhana bulan. Dikatakan juga perkataan kusûf ِِ (كسااوف) adalah untuk gerhana matahari, manakala perkataan khusûf ( ِخساوف) adalah untuk gerhana bulan. Adapun ulama telah sepakat bahawa sembahyang kusûfain ini adalah di antara sunat-sunat mu’akkadah untuk dikerjakan.

Sembahyang ini disunatkan bagi setiap orang Islam yang bermukim atau musafir, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, dilakukan sembahyang itu dengan cara berjemaah atau berseorangan.

Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah dua bukti daripada tanda-tanda kebesaran Allah ‘Azza wa Jalla, tidak terjadi gerhana itu disebabkan kematian dan tidak kerana lahirnya seseorang. Maka jika kamu melihat gerhana itu (matahari dan bulan), maka hendaklah kamu bermohon kepada Allah, mengucapkan takbîr, sembahyang dan bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Bakrah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda sembahyang dua rakaat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang kusûfain itu sunat dikerjakan secara berjemaah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakannya secara berjemaah di masjid. Sunat juga mengajak orang ramai mengerjakannya secara jemaah dengan berkata “ َِّ َِإِنٌِالصَّالَةَامِعَو ” (marilah sembahyang berjemaah).

Kehadiran Wanita Dalam Sembahyang Kusûfain

Asma’ binti Abu Bakar menceritakan bahawa dia telah datang kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pada ketika terjadi gerhana matahari. Maka ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pun berdiri untuk melakukan sembahyang kusûf, dan Asma’ turut sama melakukannya, sebagaimana hadits yang menyebutkan:

Maksudnya: Aku pergi menemui ‘Aisyah Radhiallah ‘anha, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu terjadi gerhana matahari. Tiba-tiba orang ramai sudah pun berdiri mengerjakan sembahyang gerhana dan ‘Aisyah pun berdiri untuk bersembahyang. Aku bertanya kepada ‘Aisyah: “Mengapa orang-orang itu berbuat demikian?” ‘Aisyah memberi isyarat dengan tangannya ke arah langit dan mengucapkan: “Subhanallah”. Lalu aku berkata: “Suatu tanda kekuasaan Allah?” Lalu ‘Aisyah memberi isyarat: “Ya”. Maka aku pun berdiri sehingga aku hampir pengsan (kerana terlalu lama berdiri), membuatkan aku menyiramkan air di atas kepalaku. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam asy-Syafi‘e dalam kitab al-Umm:

Ertinya: Aku tidak mengatakan makruh bagi sesiapa yang tiada hai’ah (menarik perhatian) daripada golongan wanita, tidak juga (makruh) bagi perempuan tua dan tidak juga (makruh) bagi kanak-kanak perempuan untuk menghadiri sembahyang kusûf bersama-sama dengan imam, bahkan aku menyukai mereka sembahyang kusuf, dan aku lebih menyukai bagi perempuan-perempuan yang mempunyai hai’ah (menarik perhatian) untuk mengerjakan sembahyang kusûf di rumah-rumah mereka. Imam asy-Syafi‘e berkata: “Dan jika berlaku gerhana, seorang lelaki itu bersama dengan wanita-wanita antara mereka itu adalah mahram kepada lelaki tersebut, maka sembahyanglah dia bersama-sama wanita-wanita itu. Dan jika tidak ada antara mereka itu mahram kepada lelaki tersebut, makruh dia melakukan demikian. Adapun jika dia melakukan juga sembahyang dengan mereka (perempuan-perempuan itu), maka itu tidak mengapa.”

iii. Sembahyang Istisqâ’ (Meminta Hujan)

Iaitu sembahyang yang dilakukan kerana hajat atau keperluan kepada air disebabkan sama ada ketiadaan air, air menjadi masin, tidak dapat dijadikan air minuman atau kekurangan air sehingga tidak mencukupi untuk penduduk sesebuah negeri atau kampung.

Hukum sembahyang Istisqâ’ adalah sunat mu’akkadah. Sembahyang Istisqâ’ pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menurut hadits daripada Abdullah bin Zaid:

Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke mushalla, lalu memohon diturunkan hujan. Baginda menghadap qiblat dan membalikkan selendangnya, lalu sembahyang dua rakaat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang Istisqâ’ sunat dikerjakan secara berjemaah kerana di antara adab-adab untuk mengerjakan sembahyang ini ialah dengan menyeru atau memanggil orang ramai untuk melakukannya secara berjemaah dengan berkata:

Ertinya: Marilah sembahyang berjemaah.

Manakala dalam hadits lain yang diriwayatkan oleh Tamim daripada bapa saudaranya, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sembahyang Istisqâ’ dengan jemaah yang lain:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar bersama dengan orang ramai dengan maksud memohon hujan. Kemudian Baginda sembahyang dua rakaat bersama-sama mereka, di mana Baginda menyaringkan bacaan pada kedua-dua rakaat tersebut. Baginda memindahkan selendang Baginda, mengangkat kedua tangannya memohon hujan dan menghadap qiblat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Di antara adab-adab tersebut termasuklah juga memilih jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang-orang yang salih selain daripada kerabat Baginda, orang-orang tua lelaki, mereka yang dha‘îf, kanak-kanak lelaki, perempuan-perempuan tua, dan perempuan yang tidak mempunyai hai’ah (menarik perhatian).

iv. Sembahyang Tarawih

Hukum sembahyang Tarawih mengikut kesepakatan ulama adalah sunat. Ianya boleh dikerjakan secara bersendirian ataupun berjemaah. Akan tetapi adalah lebih afdhal jika ia dikerjakan secara berjemaah. Sunat menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan beribadat sepertimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Barang siapa yang mendirikan (malam) Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosanya yang lampau. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun menurut hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah meninggalkan berjemaah dalam sembahyang Tarawih kerana dikhuatiri akan menjadi suatu sembahyang yang wajib ke atas Muslimin.

Maksudnya: Pada suatu malam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang di masjid. Baginda bersembahyang dengan beberapa orang, kemudian Baginda bersembahyang dengan satu qabilah, sehingga jumlahnya menjadi banyak. Kemudian mereka semua berkumpul pada malam yang ketiga atau keempat, tetapi Rasulullah tidak keluar untuk menemui mereka. Apabila tiba waktu pagi Baginda pun bersabda: “Aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menahanku daripada keluar menemui kamu kecuali aku merasa khuatir kalau sampai sembahyang itu menjadi kewajipan ke atas kamu”. Dan Baginda bersabda: “Demikian pada bulan Ramadhan.” (Hadits riwayat Muslim)

Wanita Berjemaah Dalam Sembahyang Tarawih

Menurut sebuah riwayat daripada al-Baihaqi, bahawa sembahyang Tarawih dilakukan secara berjemaah sehingga zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu. Beliau mengumpulkan orang ramai di masjid untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan.

Daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya mengatakan:

Ertinya: Bahawa ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu telah mengumpulkan orang ramai untuk menghidupkan (malam) bulan Ramadhan. Orang lelaki bersama Ubay bin Ka‘ab dan orang perempuan bersama Sulaiman bin Abu Hatsmah. (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Diriwayatkan daripada ‘Arfajah ats-Tsaqafi bahawa Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu juga menyuruh orang ramai untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan.

Ertinya: Bahawa ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu menyuruh orang ramai menghidupkan (malam) bulan Ramadhan. Beliau melantik bagi golongan lelaki seorang imam, dan bagi golongan perempuan seorang imam. Berkata ‘Arfajah: “Maka aku sendiri dijadikan imam bagi golongan perempuan.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Kejadian Alam Selain Gerhana Matahari Dan Bulan

Menurut Imam asy-Syirazi, adapun kejadian-kejadian alam selain daripada gerhana, maka tidak disunatkan sembahyang secara berjemaah, kerana kejadian-kejadian tersebut pernah berlaku dan tidak dinaqalkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh melakukan sembahyang jemaah kecuali untuk kejadian gerhana sahaja.

Imam an-Nawawi seterusnya menerangkan contoh kejadian atau bencana alam itu seperti gempa, kilat, keadaan yang sangat gelap di siang hari, angin kencang dan sebagainya. Manakala ulama Syafi‘e sepakat bahawa sembahyang kerana kejadian yang disebutkan di atas sunat dikerjakan secara sendirian (tanpa berjemaah) serta berdoa dan beribadat agar seseorang itu tidak lalai.

Penutup

Usaha untuk mendapatkan ganjaran pahala dan memperbanyakkan lagi ibadat dalam perkara-perkara sunat sangatlah dituntut, umpamanya sembahyang berjemaah di masjid. Namun pada dasarnya kehadiran wanita dalam sembahyang berjemaah di masjid tidaklah dituntut khasnya wanita-wanita yang memiliki hai’at (mempunyai daya tarikan) sebagaimana kaum lelaki dan bersembahyang di rumah-rumah mereka adalah lebih baik.

Mengenai sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah, jika para isteri hendak pergi bersembahyang jemaah ke masjid, hendaklah dengan keizinan suami dan menjaga batas-batas yang telah ditentukan oleh syara‘ seperti menjaga dan menutup aurat, tidak memakai wangi-wangian dan berpakaian secara sederhana.

ALANGKAH RUGINYA TIDAK BERKORBAN

Suatu perkara yang perlu selalu dalam ingatan dan perhatian kita ialah merebut peluang, lebih-lebih lagi jika peluang itu untuk mendapat keredhaan Allah yang menjanjikan suatu keuntungan yang berlipat ganda.

Dalam ibadat, peluang itu kalau dilihat dari sudut masa, kehadirannya ada yang hanya datang sekali dalam setahun seperti Lailatul qadar di bulan Ramadhan yang mana ganjaran beramal di dalamnya adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Begitu juga apa yang berlaku dengan ibadat korban yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun di setiap bulan Zulhijjah, bermula dari hari ke-10 Zulhijjah sehingga hari yang ke-13 Zulhijjah.

Ibadat korban merupakan ibadat yang sangat dituntut (sunat mu‘akkadah) dalam syariat Islam. Ia boleh berperanan sebagai platform bagi seseorang untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di atas ni‘mat yang dilimpahkan oleh Allah kepadanya.

Di samping itu juga, ia merupakan sebahagian daripada syiar agama Allah yang mesti diagungkan dan dihormati. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa mengagungkan dan menghormati syiar agama Allah itu adalah satu tanda ketaqwaan hati orang-orang yang beriman. Firman Allah:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang menghormati (membesarkan) syi‘ar-syi‘ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. (Surah al-Hajj: 32)

Yang pastinya, keuntungan mengerjakan ibadat korban ialah janji Allah dengan memberi ganjaran pahala yang amat banyak kepada orang yang melakukannya. Peluang yang sangat terhad dan pahala yang bakal diperolehi itu sepatutnya mendorong kita terutama orang-orang yang berkemampuan iaitu orang yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilai harga binatang korban daripada keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq, untuk merebut dan tidak melepaskan peluang melakukan ibadat korban agar ia tidak akan terlepas begitu saja. Di antara fadhilat dan kelebihan berkorban itu ialah:

1. Titisan darah korban yang pertama merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Hakim)

2. Kebajikan (hasanah) yang dikurniakan kepada orang yang berkorban adalah sebanyak bulu binatang yang dikorbankan. Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim”. Mereka bertanya: “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan”. Mereka bertanya: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Pengertian kebajikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza di kalangan para ulama ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’. Antaranya:

i. Ibnu Katsir Rahimahullah berkata: “Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti sihat, selamat, tempat tinggal yang luas, isteri yang baik, rezeki yang banyak dan sebagainya. Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah masuk syurga dan selanjutnya semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu.”

ii. Menurut al-Qadhi al-‘Iyadh Rahimahullah, maksud hasanah itu ialah ni‘mat iaitu sama ada ni‘mat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat atau ni‘mat terpelihara daripada seksaan.

iii. Manakala menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, maksud hasanah ialah iman. Sebagai contoh, barang siapa yang mengucapkan syahâdah, maka baginya setiap amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia ini akan digandakan dengan sepuluh kali ganda dari segi pahalanya. Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah ‘Azza wa jalla berfirman: “Sesiapa yang datang (melakukan) satu kebajikan, maka baginya sepuluh ganda pahala sepertinya dan Aku (Allah) akan menambahnya lagi.” (Hadits riwayat Muslim)

3. Darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadat korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Oleh yang demikian, peluang yang tidak ternilai dalam melakukan ibadat korban yang hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah tidak wajar diabaikan dan dilepaskan begitu saja. Walaupun berkorban itu hukumnya hanyalah sunat sahaja iaitu sesiapa yang melakukannya mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa, namun demikian kita hendaklah melihat perkara sunat itu dari perspektif yang berbeza bahawa sesiapa yang meninggalkannya “Alangkah ruginya!”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkemampuan yang mana menurut Imam asy-Syafi‘e: “Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkan (ibadat korban) bagi orang yang mempunyai kemampuan. Jika ditinggalkan juga, maka hukumnya adalah makruh.”

Oleh kerana itu, hargai dan rebutlah peluang untuk berkorban semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala di samping memperolehi fadhilat yang telah dijanjikanNya. Semarakkanlah syi‘ar Islam dengan melakukan ibadat korban selagi hayat dikandung badan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5969