Irsyad Hukum 2006
SEMBAHYANG SUNAT TASBIH: Kerjakanlah! Walaupun Sekali Seumur Hidup
Perintah supaya bertasbîh disebut di beberapa tempat dalam al-Qur’an termasuk penentuan waktunya iaitu pagi dan petang.
Amat rugi sekiranya manusia tidak bertasbîh kepada Allah sedang langit yang tujuh, bumi dan segala isi di dalamnya bertasbîh kepadaNya, tiada sesuatu melainkan bertasbîh dengan memuji Allah, hanya sanya manusia tidak dapat mengerti dan memahami tasbîh mereka itu.
Bertasbîh adalah salah satu daripada bentuk zikir dalam rangka mengingati Allah. Bahkan sering juga dipakai perkataan tasbîh itu untuk menggantikan perkataan zikir yang banyak macamnya itu.
Salah satu cara mengingati Allah itu ialah melalui sembahyang sunat Tasbih. Dinamakan ia sebagai sembahyang sunat Tasbih kerana mengingat banyaknya lafaz-lafaz tasbîh yang diucapkan dalam sembahyang itu. Oleh yang demikian, tajuk ini mengupas dan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat Tasbih itu, cara melakukannya, fadhilat-fadhilatnya dan lain-lain hukum yang berkaitan dengannya.
Fadhilat Membaca Tasbîh
Bertasbîh adalah di antara jalan untuk kita ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia juga mempunyai fadhilat yang besar sebagaimana diterangkan oleh al- Qur’an dan hadits: 1. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzâb: 35)
2. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Ada dua kalimah yang ringan disebut dengan lisan tetapi sangat berat timbangannya, dan ia sangat disukai Allah Tuhan yang Rahman. Kedua kalimah itu ialah ucapan: “ ِ Suci Allah dan segala puji hanya bagiNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung). (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Daripada Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bersuci itu sebahagian daripada iman, dan ucapan “ dapat memenuhi daun timbangan dan ucapan “ memenuhi kedua daun timbangan itu, atau memenuhi apa yang terdapat di antara langit dan bumi. (Hadits riwayat Muslim)
4. Hadits yang lain, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Demi sesungguhnya saya berkata: “ kerana saya lebih suka daripada matahari naik (yakni dunia dan isinya, kerana dunia akan pergi sementara pahala zikir-zikir ini tetap kekal tidak putus-putus.” (Hadits riwayat Muslim)
Menghitung Tasbîh Dengan Jari
Antara perkara yang berkaitan dengan tasbîh itu ialah bagaimana cara menghitungnya. Ada bermacam-macam cara menghitungnya, antaranya menghitung dengan jari sebagaimana yang diterangkan dalam hadits:
Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Saya melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyimpulkan (menghitungkan) tasbîh pada tangan Baginda.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain Yusairah Radhiallahu ‘anha daripada golongan Muhajirin meriwayatkan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu tetap membaca tasbîh, tahlîl dan taqdîs, dan simpullah (hitunglah) bacaanmu itu dengan anak-anak jari, kerana sesungguhnya jari-jari itu akan bertanggungjawab tentang perbuatannya dan janganlah kamu abaikan, nanti kamu lupa akan rahmat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits-hadits di atas maka membaca tasbîh dengan menghitungnya dengan jari itu hukumnya adalah sunat kerana ia adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Walau bagaimanapun harus juga menghitung tasbîh dengan sesuatu yang diperbuat daripada batu, kayu atau biji kurma atau tali disimpul sebagaimana yang dibuat oleh sahabat dan ulama yang mana perkara ini disebut oleh Imam as-Suyuthi.
Mudah-mudahan setiap kali melihat buah tasbîh itu mengingatkan bahawa tasbîh itu adalah alat untuk mengingat Allah Ta‘ala.
Riwayat Hadits Mengenai Sembahyang Sunat Tasbih
Mengikut riwayat hadits di bawah ini sembahyang sunat Tasbih boleh dilakukan dalam dua kaifiyyah:
i. Kaifiyyah yang pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang mana kaifiyyah bacaan tasbîh di dalam hadits ini bermula selepas membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘Abbas bin Abdul Muththalib: “Wahai ‘Abbas, bapa saudaraku, apakah suka kuberi kurnia. Kuberi hadiah istimewa, kuajari sepuluh macam keistimewaan yang mana jika engkau membuatnya dihapuskan oleh Allah bagi engkau sepuluh macam dosa, baik yang terdahulu mahupun yang sekarang, yang sudah lama mahupun yang baru, yang tidak disengaja mahupun yang sengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang. Sepuluh macam keistimewaan itu ialah: Hendaklah engkau sembahyang empat rakaat, pada setiap rakaat membaca al-Fâtihah dan satu surah (ayat al-Qur’an). Setelah selesai daripada membaca pada rakaat pertama dan engkau dalam keadaan berdiri maka bacalah وهللا اكا (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar) sebanyak 15 kali. Kemudian engkau ruku‘, dan dalam ruku‘ engkau baca kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau angkatlah kepala dari ruku‘ dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk antara dua sujud) dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau sujud kembali selepas itu bacalah tasbîh 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk istirâhah sebelum berdiri untuk rakaat selanjutnya) dan bacalah kalimah tasbîh 10 kali. Seluruh kalimah tasbîh itu dibaca 75 kali pada setiap rakaat, dan kerjakanlah di dalam empat rakaat.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada hadits di atas, jelas bahawa sembahyang sunat Tasbih ialah salah satu sembahyang sunat yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada bapa saudaranya Sayyidina ‘Abbas Ibnu Abdul Muththalib. Ia dilakukan dengan empat rakaat dan kaifiyyah bacaan tasbîh itu adalah pada rukun-rukun tertentu bermula selepas membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya dibaca tasbîh tersebut sebanyak 15 kali, kemudian selepas membaca tasbîh ruku‘ dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidâl dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud pertama dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca do‘a duduk antara dua sujud dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud kedua dibaca 10 kali dan semasa duduk istirâhah atau selepas tahiyyat awal (jika mengerjakan 4 rakaat dengan satu salam) dibaca 10 kali tasbîh, semua tasbîh itu dibaca sebanyak 75 kali tasbîh pada setiap rakaat dan jumlah keseluruhan tasbîh dalam empat rakaat sebanyak 300 kali tasbîh.
Kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang pertama dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma inilah yang arjah (lebih tepat) sepertimana yang diterangkan dalam kitab Fath al-‘Allâm.
ii. Kaifiyyah kedua pula sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mubarak yang mana di dalam hadits ini kaifiyyah bacaan tasbîh itu bermula selepas mengangkat takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca surah al-Fâtihah.
Maksudnya: Ahmad bin Abdah adh-Dhabbiy menceritakan kepada kami, Abu Wahab memberitahukan kepada kami, dia berkata: “Saya bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak tentang sembahyang yang didalamnya ada bacaan tasbîh”. Dia menjawab: “Dia (orang yang bersembahyang) mengangkat takbîr kemudian membaca: َ غَريْ ك (Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memujiMu dan Maha Suci NamaMu dan Maha Luhur PangkatMu, Tidak ada Tuhan selain Engkau). Kemudian membaca 15 kali: َ Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar). Kemudian membaca Ta‘awwudz, membaca Basmalah, membaca surah al-Fâtihah dan membaca surah yang lainnya. Kemudian membaca tasbîh itu 10 kali lagi. Kemudian ruku‘ dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian mengangkat kepala (dari ruku‘) dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian sujud dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian mengangkat kepala (dari sujud) dan membaca tasbîh tersebut 10 kali, kemudian sujud yang kedua dan membaca tasbîh itu 10 kali.
Dia bersembahyang empat rakaat dengan bacaan sebanyak 75 kali tasbîh pada setiap rakaat. Dimulai pada setiap rakaat dengan 15 kali bacaan tasbîh, kemudian membaca (surah al-Fatihah dan surah tertentu) dan kemudian membaca tasbîh lagi sebanyak 10 kali lagi, jika dikerjakan pada waktu malam, yang lebih disukai adalah mengucapkan salam pada setiap dua rakaat dua rakaat, dan jika dikerjakan di waktu siang ucaplah salam jika mahu (pada setiap dua rakaat), dan jika tidak mahu, janganlah ucapkan salam (setiap dua rakaat tetapi setelah empat rakaat). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits ini menjelaskan bahawa bacaan tasbîh itu bermula selepas mengangkat takbîr dan sebelum membaca surah al-Fâtihah dan surah selepas al-Fâtihah 15 kali dan membaca 10 kali lagi setelah selesai membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya, kemudian selepas membaca tasbîh ruku‘ dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidâl dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud pertama dibaca 10 kali, selepas membaca do‘a duduk antara dua sujud dibaca 10 kali dan selepas membaca tasbîh sujud kedua dibaca 10 kali.
Walau bagaimanapun kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang pertama itu adalah arjah (lebih tepat), akan tetapi kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua ini juga boleh dilakukan sepertimana riwayat hadits di atas, dan kedua-dua kaifiyyah ini juga diamalkan di sebahagian masjid-masjid di negara kita khususnya pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan untuk menghidupkan malam tersebut dan mengharapkan kehadiran Lailah al-Qadr.
Kaifiyyah Mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih Bagi kemudahan para pembaca didetilkan kaifiyat sembahyang sunat Tasbih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma: 1. Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Ta‘ala. Atau jika dilakukan empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah Ta‘ala. 2. Membaca do‘a iftitâh. - (Peringatan: Mengikut kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbîh yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbîratul-ihrâm dan membaca do‘a iftitâh iaitu sebelum membaca surah al- Fâtihah). 3. Membaca ta‘awwudz:
4. Membaca surah al-Fâtihah. 5. Membaca surah al-Hadîd atau surah at-Takâtsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).
Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al- ‘Ashr, pada rakaat ketiga surah ash-Shaff atau surah al-Kâfirûn dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah atau surah al-Ikhlâsh.
6. Setelah selesai membaca al-Fâtihah dan surah selepasnya dan sebelum ruku‘ membaca tasbîh sebanyak 15 kali.
- (Peringatan: Mengikut kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbîh itu dibaca lagi selepas surah al-Fâtihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian ruku‘. Bacaan tasbîh seterusnya dibaca semasa ruku‘, i‘tidâl, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbîh semasa duduk istirâhah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca begitu juga semasa tahiyyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.)
7. Ruku‘ dan membaca tasbîh ruku‘ 3 kali.
8. Setelah selesai membaca tasbîh ruku‘ terus sambung membaca tasbîh 10 kali.
9. I‘tidâl sambil membaca tasmî‘ kemudian tahmîd.
10. Membaca tasbîh selepas membaca tahmîd i‘tidâl 10 kali.
11. Sujud dan membaca tasbîh sujud 3 kali.
12. Membaca tasbîh selepas tasbîh sujud 10 kali.
13. Duduk antara dua sujud dan membaca do‘a.
14. Membaca tasbîh selepas membaca do‘a duduk di antara dua sujud 10 kali.
15. Sujud kedua dan membaca tasbîh sujud 3 kali.
16. Membaca tasbîh selepas tasbîh sujud kedua 10 kali.
- (Peringatan: Disinilah bacaan tasbîh terakhir bagi kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)
17. Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirâhah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbîh 10 kali.
18. Ulangilah bacaan tasbîh itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:
- Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbîh pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahhiyyat akhir.
- Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbîh terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbîh terakhir sebelum atau selepas tahiyyat akhir.
19. Begitulah kaifiyyah membaca tasbîh dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbîh yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbîh iaitu 75 tasbîh pada setiap rakaat.
20. Kemudian sunat membaca do‘a selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam.
Do‘a masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allâm selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam ialah:
Ertinya: Ya Allah! Kami bermohon dariMu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara‘, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.
Ya Allah! Kami bermohon kepadaMu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepadaMu, (kami bermohon kepadaMu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaanmu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepadaMu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepadaMu di dalam taubat, (kami bermohon) rasa cinta kepadaMu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepadaMu dalam meminta nasihat, (kami bermohon) bersangka baik kepadaMu Tuhan yang Maha Suci pencipta nûr (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepadaMu di dalam setiap urusan.
Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan do‘a ini:
Ertinya: Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.
Do‘a ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca do‘a ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca do‘a ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syubramilissi: “Do‘a ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbîratul-ihrâm dan dibaca do‘a ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbîratul-ihrâm.”
21. Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.
22. Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca do‘a-do‘a lain supaya diperkenankan segala hajat.
Begitulah kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbîh sepertimana yang diterangkan dalam hadits di atas dan ditambah dengan bacaan:
Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj.
Hukum Sembahyang Sunat Tasbih
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.
Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup. (Hadits riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.
Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih
Sunat dibaca surah at-Takâtsur pada rakaat pertama, surah al-‘Ashr pada rakaat yang kedua, surah al-Kâfirûn pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat yang keempat.
Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbîh iaitu surah al-Hadîd pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah ash-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Âdiyât pada rakaat kedua, surah at-Takâtsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat.
Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.
Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya
Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.
Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan dia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka dia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.
Bolehkah Sembahyang Sunat Tasbih Diqadha’?
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa sembahyang sunat Tasbih adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan waktu dan sebab dan sunat dilakukan di waktu malam dan siang selain waktu yang diharamkan bersembahyang, ia juga boleh dilakukan pada setiap masa dan dianjurkan supaya selalu mengerjakannya walaupun dalam masa yang berdekatan kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar.
Dari itu, sembahyang sunat Tasbih tidaklah dapat diqadha’ disebabkan ia adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak ada waktu tertentu.
Hukum Bacaan Tasbîh Dalam Sembahyang Sunat Tasbih Dan Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat Selainnya
Bacaan tasbîh dalam sembahyang sunat Tasbih itu adalah dikategorikan sebagai sunat hai’ah seperti bacaan takbîr dalam sembahyang dua Hari Raya. Jika tertinggal bacaan tasbîh tersebut itu dalam sembahyang, tidaklah disunatkan menggantikannya dengan sujud sahwi.
Begitu juga jika seseorang berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Tasbih, akan tetapi dia tidak membaca tasbîh tersebut semasa sembahyang, sembahyangnya adalah dikira sah dengan syarat tempoh masa i‘tidâl, dan duduk di antara dua sujud dan duduk istirâhah tidak dipanjangkan, kerana perkara sedemikian boleh membatalkan sembahyang. Dengan demikian menjadilah ia sembahyang sunat mutlak sahaja bukanlah sembahyang sunat Tasbih. Jika sekiranya seseorang berniat untuk sembahyang sunat biasa sahaja, kemudian mendatangkan bacaan tasbîh-tasbîh tersebut dalam sembahyangnya itu, maka dalam perkara ini diharuskan baginya membaca tasbîh berkenaan selagi dia tidak memanjangkan rukun yang pendek seperti i‘tidâl kerana niatnya itu niat sembahyang sunat biasa sahaja bukan sembahyang sunat Tasbih. Dengan demikian ia tetap dianggap sebagai sembahyang sunat mutlak biasa bukannya sembahyang sunat Tasbih.
Selain itu, disunatkan mengisrârkan (tidak menyaringkan) bacaan tasbîh itu, sama ada ia dilakukan di waktu malam ataupun di waktu siang. Adapun bacaan-bacaan lain dalam sembahyang sunat Tasbih itu disunatkan juga membaca dengan isrâr jika dilakukan di waktu siang akan tetapi disunatkan membaca dengan bacaan pertengahan antara jahar (dinyaringkan) dan isrâr jika dikerjakan di waktu malam sepertimana sembahyang sunat-sunat yang lain.
Akan tetapi jika bernazar untuk menyaringkan bacaan tasbîh itu dalam sembahyang sunat Tasbih tersebut, maka menjadilah bacaan jahar itu wajib disebabkan nazar itu, sepertimana yang disebutkan dalam bab nazar.
Jika sekiranya terlupa membaca tasbîh dalam rukun tertentu sehingga berpindah pada rukun selepasnya, tidak harus kembali kepada rukun tersebut untuk membacanya. Sekiranya dia tahu akan perkara itu dan dengan sengaja mengulang rukun itu, maka batallah sembahyangnya.
Oleh kerana tidak dapat mengulang rukun tasbîh tersebut untuk membaca tasbîh, maka gantilah bacaan tasbîh itu pada rukun seterusnya selain semasa i‘tidâl, duduk antara dua sujud dan duduk istirâhah. Ini kerana memanjangkan tiga rukun ini boleh membatalkan sembahyang walaupun dalam sembahyang sunat Tasbih, sebab bacaan tasbîh dalam tiga rukun tersebut di dalam sembahyang sunat Tasbih hanyalah dikhususkan untuk bacaan yang asal sahaja.
Oleh itu, jika sekiranya terlupa membaca tasbîh ketika ruku‘, maka janganlah diganti bacaan tasbîh yang tertinggal itu semasa i‘tidâl, kerana tidak boleh memanjangkan bacaan padanya akan tetapi gantilah bacaan itu semasa sujud, kerana sujud adalah dikategorikan sebagai rukun yang panjang sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baghawi.
Manakah Yang Lebih Afdhal; Washl Atau Fashl?
Washl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bersambung iaitu empat rakaat dengan satu salam. Sementara fashl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bercerai iaitu setiap dua rakaat sekali salam.
Ibnu Hajar mengatakan dalam kitabnya Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, kedua cara tersebut ada diterangkan di dalam hadits. Oleh yang demikian, harus melakukan kedua cara tersebut, akan tetapi Imam al-Ghazali mengatakan dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, jika dikerjakan di waktu siang sambungkanlah empat rakaat dengan satu salam, dan jika dikerjakan di waktu malam ceraikanlah empat rakaat dengan dua salam, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki tentang bagaimana sembahyang malam itu, Baginda pun menjawab:
Maksudnya: Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat. (Hadits riwayat Ahmad)
Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?
Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai sembahyang at-tathawwu‘ dan an-nawâfil. Sembahyang-sembahyang an-nawâfil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan, kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:
1. Yang sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, dan sembahyang Witir pada bulan Ramadhan.
2. Yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang ar-rawâtib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu, sembahyang Witir bukan di bulan Ramadhan, sembahyang Dhuha, sembahyang Tahajjud dan sembahyang Tasbih.
Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy- Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtâj menjelaskan, adapun sebab ia tidak disunatkan berjemaah kerana muwâzhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah, tetapi tidak dihukumkan makruh, kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah.
Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhâj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:
Ertinya: Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah.
Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hâsyiyatân ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “tidaklah makruh” di atas, katanya:
Ertinya: Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ) dan maksudnya, tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.
Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilâf al-awlâ yakni menyalahi yang utama sahaja.
Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah. Sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syubramalissi katanya:
Ertinya: Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awlâ (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.
Penutup
Dari penjelasan yang di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang sunat Tasbih mempunyai fadhilat yang tersendiri selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Ta‘ala dengan bertasbîh, tahmîd, tahlîl dan takbîr, sembahyang sunat Tasbih juga dapat menghapuskan segala dosa. Oleh yang demikian, janganlah kita abaikan, kerana sesiapa yang mengetahui akan fadhilat dan kelebihan sembahyang sunat Tasbih ini tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tergolong di antara orang yang mencuaikan agama sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain. Dari itu, kerjakanlah sembahyang sunat Tasbih itu walaupun sekali seumur hidup.
Berhati-Hati Menggunakan Pewarna Rambut
Di akhir-akhir ini ramai para remaja dan belia kita yang mewarnakan rambut mereka dengan bermacam-macam warna sehingga menjadi satu trend atau gaya terbaharu. Apakah trend atau gaya mewarna rambut sebegini dibolehkan dalam syara‘ ataupun sebaliknya? Sekiranya dibolehkan, apakah garis panduan yang ditetapkan oleh syara‘ mengenainya?
Bolehkah Mewarna Rambut?
Mewarna rambut yang beruban dengan warna kuning atau merah adalah sunat bagi lelaki dan perempuan. Begitu juga janggut yang beruban. (Al-Majmû‘: 1/360-362). Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarna (rambut dan janggut mereka yang beruban, oleh kerana itu) kamu buatlah kelainan daripada mereka (dengan mewarna rambut dan janggut kamu yang beruban). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun rambut yang tidak beruban adalah sayugianya dikekalkan atau dibiarkan sebagaimana asalnya tanpa perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu hajat untuk mewarnakannya seperti untuk tujuan perubatan.
Mewarna Rambut Dengan Warna Hitam
Bagaimanapun, mewarna rambut dengan warna hitam sama ada bagi lelaki atau perempuan adalah diharamkan. Daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Pada hari penaklukan Makkah, Abu Quhafah dibawa ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya yang berwarna putih seperti tsaqhâmah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Lalu Baginda bersabda: “Tukarlah ini (rambut dan janggut) dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (daripada menggunakan) warna hitam.” (Hadits riwayat Muslim)
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarna rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka itu tidak akan dapat mencium bau syurga. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan dua hadits yang tersebut di atas, maka adalah haram mewarna rambut dengan warna hitam bagi lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun diberi kelonggaran bagi orang yang keluar berjihâd menggunakan warna hitam sekiranya ia bertujuan untuk menakutkan musuh. Begitu juga diberi kelonggaran kepada wanita yang bersuami menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya dengan syarat ada izin daripada suaminya. (Al-Majmû‘: 1/360-362 dan Bughyah al-Mustarsyidîn: 78)
Pewarna Rambut Yang Terdapat Di Pasaran
Pewarna rambut yang terdapat di pasaran sewajarnya tidak digunakan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna tersebut mempunyai cap perkataan HALAL oleh negara pengeluar.
Setakat manakah keharusan menggunakan bahan pewarna tersebut dan apakah ia tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan besar, perkara tersebut tidak dapat dipastikan dengan yakin. Oleh kerana itu, hendaklah berhati-hati dalam menggunakannya.
Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu’. Jika ada sesuatu yang menghalang air daripada sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas dan wudhu itu. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.
Oleh itu, sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ia suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut (menghalang air sampai ke rambut) adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.
Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tidak menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.
Meniru Trend Dan Gaya Orang Bukan Islam
Perbuatan mewarna rambut kerana meniru trend dan gaya penampilan orang-orang bukan Islam adalah tidak bersesuaian dengan prinsip akhlak Islam, sebagaimana yang kita lihat ia menjadi ikutan di kalangan anak-anak remaja bahkan belia-belia Islam zaman sekarang. Meniru trend atau gaya orang bukan Islam adalah dilarang kerana perbuatan tersebut akan menjadikan seseorang itu tergolong dalam kumpulan tersebut. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam ada bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah menyerupai mereka (orang yang bukan Islam) dari sudut penampilan zahiriyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ia juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggapnya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggap kelakuan orang bukan Islam itu satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukan kelakuan orang bukan Islam itu.
Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi satu kebiasaan kepada dirinya. Jika ini berlaku akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.
Oleh itu perbuatan menyerupai orang-orang bukan Islam itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjerumus ke arah perkara yang boleh membawa kepada kekufuran. Wal‘iyadzubillah.
Kesimpulannya, mewarna uban yang tedapat di kepala adalah sunat sama ada bagi lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah bukan warna hitam. Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan warna hitam sekiranya ia bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihâd. Begitu juga, perempuan diberi kelonggaran menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya dengan syarat ada izin daripada suami itu.
Tanda atau logo HALAL yang dicap pada pewarna rambut yang terdapat di pasaran bukanlah suatu jaminan bahawa pewarna rambut itu tidak akan menghalang air sampai ke rambut sekalipun ia suci. Oleh itu, adalah lebih selamat tidak menggunakannya atau dipastikan terlebih dahulu dengan yakin agar kita terhindar daripada perkara syubhah atau samar-samar demi memelihara kesucian agama, sesuai dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang samar, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh badan, ketahuilah ia adalah hati. (Hadits riwayat Muslim)
Pewarna yang jelas selamat lagi harus ialah seumpama inai.
Isrâr Dan Jahar Dalam Sembahyang
Bacaan dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu isrâr dan jahar. Jika membaca dengan bacaan isrâr ataupun jahar pada tempatnya kita akan mendapat pahala sunat dengan bacaan isrâr atau jahar tersebut selain daripada pahala bacaan-bacaan yang ditentukan di dalam sembahyang. Akan tetapi, mungkin ada yang tidak tahu tempat-tempat yang disunatkan membaca dengan isrâr ataupun jahar itu.
Pengertian Isrâr dan Jahar
Menurut kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, isrâr dalam istilah bermaksud antara lain ialah:
1. Suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik tanpa didengar oleh orang lain, dan sekurang-kurang isrâr ialah bunyi yang keluar daripada pergerakan lidah. Inilah maksud isrâr yang sering digunakan oleh ahli fuqahâ’ di dalam bacaan-bacaan sembahyang dan zikir.
2. Suara perlahan yang dapat didengar oleh orang yang berada di samping atau di sisinya seperti suara orang berbisik, dan tidak dapat didengar oleh orang lain selain orang yang di samping atau di sisinya itu.
Manakala jahar dalam istilah pula ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain. Atau jahar juga membawa makna mengeraskan suara atau meninggikannya.
Batasan Isrâr dan Jahar
Sekurang-kurang isrâr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa halangan untuk mendengar seperti tuli, dan sekurang-kurang jahar itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya. Bacaan pertengahan di antara jahar dan isrâr itu pula ialah bacaan yang nyaring sedikit daripada bacaan yang hanya didengar olehnya sendiri dan tidak sampai suara bacaan itu kepada orang lain.
Sebab Disyariatkan Isrâr dan Jahar
Pada permulaan Islam, semasa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan ibadat di Makkah dengan cara bersembunyi-sembunyi, Baginda dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyaringkan bacaan sembahyangnya kerana mengelakkan gangguan kaum musyrikin. Baginda juga dilarang membaca dengan perlahan kerana yang demikian itu tidak dapat didengar oleh sahabat-sahabat Baginda yang turut sembahyang berjemaah. Lalu diperintahkan membaca dengan suara yang sederhana.
Dalam kitab Fath al-‘Allâm, diterangkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca al-Qur’an dengan jahar dalam semua sembahyang sedangkan pada masa itu orang-orang musyrikin menghina Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Allah turunkanlah ayat ini:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan do‘a atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. (Surah al-Isrâ’: 110)
Maksud ayat di atas ialah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya tidak menjaharkan semua bacaan dan tidak pula mengisrârkan semuanya, akan tetapi hendaklah ambil bacaan pertengahan iaitu jahar pada sebahagian dan isrâr pada sebahagian yang lain.
Selepas turun ayat di atas itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan isrâr dalam sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar untuk menghindar daripada gangguan pada waktu itu, dan membaca dengan jahar dalam sembahyang Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh kerana orang musyrikin sedang makan pada waktu itu dan seterusnya tidur, dan membaca dengan jahar dalam sembahyang Jumaat dan sunat dua Hari Raya kerana sembahyang itu didirikan di Madinah di mana orang musyrikin tidak ada kuasa atau kekuatan di tempat itu.
Hukum ini masih kekal dilaksanakan sehingga sekarang, walaupun sebab pensyariatan ini sudah lenyap atau penghinaan orang musyrikin terhadap orang Islam sudah tiada lagi kerana larangan mengapa ia disyariatkan tidak semestinya berterusan.
Bacaan jahar itu pula dikhususkan pada dua rakaat awal sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ adalah supaya akan dapat menimbulkan semangat bagi orang yang bersembahyang dalam rakaat tersebut.
Pengertian Jahriyyah dan Sirriyyah Dalam Sembahyang Fardhu
Sembahyang jahriyyah ialah sembahyang yang bacaannya jahar bagi imam pada sembahyang Subuh dan sembahyang Jumaat. Begitu juga pada dua rakaat awal dalam sembahyang Maghrib dan sembahyang ‘Isya’.
Sembahyang sirriyyah pula ialah sembahyang yang bacaannya isrâr bagi imam pada sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar, pada rakaat ketiga sembahyang Maghrib dan rakaat ketiga dan keempat sembahyang ‘Isya’.
Adapun bacaan jahar dan isrâr bagi munfarid (orang yang sembahyang sendiri) adalah sama dengan bacaan imam kerana bacaan munfarid adalah seperti bacaan imam menurut jumhûr ulama.
Manakala bagi makmum, sunat membaca dengan isrâr bahkan disuruh mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu dengan bacaan jaharnya itu akan bacaan imam, dan makruh bagi makmum itu membaca dengan jahar sama ada bacaan imam dapat didengarnya ataupun tidak. Perkara ini telah dijelaskan dalam hadits ‘Imran bin Husain Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zhuhur, kemudian ada seorang lelaki yang membaca “ األعلااى” (surah al-A‘lâ) di belakang Baginda. Ketika Baginda telah selesai bersembahyang, Baginda bertanya: “Siapakah di antara kamu yang membaca itu?” Seorang lelaki menjawab: “Saya”. Bagindapun bersabda: “Sudah kuduga, bahawa sebahagian daripada kamu menyaingi aku membacanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Nawâfil
Tidak ada khilâf di antara ulama bahawa sunat menjaharkan bacaan pada sembahyang-sembahyang sunat Hari Raya, Istisqa’, Tarawih, gerhana bulan dan thawaf pada waktu malam atau subuh. Adapun sembahyang nawâfil mutlak di siang hari adalah sunat mengisrârkan bacaannya, manakala sembahyang nawâfil malam adalah sunat menjaharkan bacaan padanya.
Akan tetapi hendaklah dibaca dengan bacaan pertengahan di antara jahar dan isrâr pada sembahyang nawâfil di waktu malam jika tidak mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Jika perbuatannya itu boleh mengganggu maka sunat membacanya dengan isrâr.
Dalam perkara ini telah berkata Qadhi Husain: “Hendaklah membaca dengan bacaan pertengahan di antara isrâr dan jahar.”
Begitu juga sembahyang sunat rawâtib sebelum dan selepas sembahyang fardhu adalah disunatkan membaca dengan isrâr mengikut kesepakatan ulama Syafi‘iyyah.
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Masbûq
Adapun orang yang bersembahyang masbûq sunat menjaharkan bacaan pada rakaat kedua yang tertinggal setelah imam selesai mengucapkan salam sepertimana bacaan dalam sembahyang jahriyyah. Perkara ini telah dikatakan oleh Qadhi Abu Thayib dalam kitab al-Umm: “Selesaikanlah satu rakaat sembahyang itu oleh kamu sendiri dengan bacaan yang jahar, kerana hukum sembahyang jahar bagi munfarid adalah seperti hukum sembahyang jahar bagi imam dalam rakaat kedua dan tidak dibantah oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala.”
Begitu juga bagi orang yang sembahyang masbûq dalam sembahyang Jumaat sunat menjaharkan bacaan pada rakaat yang kedua.
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Qadha
Tidak ada khilâf bahawa mengqadha sembahyang malam yang luput, pada waktu malam hendaklah dibaca dengan jahar, begitu juga sebaliknya mengqadha sembahyang siang yang luput, pada waktu siang hendaklah dibaca dengan isrâr.
Akan tetapi, jika sembahyang siang yang luput diqadha pada waktu malam ataupun sebaliknya, sembahyang malam yang luput diqadha pada waktu siang, maka mengikut pendapat yang ashah hendaklah mengikut waktu masa mengqadha itu sama ada dalam waktu isrâr (malam) ataupun di dalam waktu jahar (siang).
Sebagai contoh, jika sembahyang yang luput itu sembahyang jahriyyah seperti sembahyang Maghrib dan diqadha di waktu isrâr (siang) hendaklah dibaca dengan isrâr begitu juga sebaliknya jika sembahyang yang luput itu sembahyang sirriyyah seperti sembahyang ‘Ashar pada waktu jahar (malam) maka hendaklah dibaca dengan jahar kerana bacaan isrâr dan jahar dalam sembahyang qadha adalah mengikut waktu bila mengqadha sembahyang itu, bukannya mengikut bacaan sembahyang itu di dalam waktunya.
Untuk lebih jelas, jika dikerjakan di waktu jahar (malam) hendaklah bacaan sembahyang qadha itu dijaharkan begitu juga sebaliknya dikerjakan di waktu isrâr (siang) hendaklah diisrârkan bacaan sembahyang qadha itu.
Masa bacaan jahar ialah daripada terbenam matahari hingga terbit matahari, dan begitulah sebaliknya dibaca dengan isrâr dari terbit matahari hingga terbenam matahari. Dikecualikan Sembahyang Hari Raya kerana dibolehkan menjaharkan bacaan semasa mengqadha sembahyang itu sepertimana bacaan jahar di dalam waktunya.
Bacaan Jahar Pada Tempat Isrâr dan Sebaliknya
Mengikut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmû‘, sekiranya berlaku bacaan jahar di tempat bacaan isrâr atau sebaliknya bacaan isrâr di tempat bacaan jahar dengan sebab terlupa ataupun tidak tahu, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan sembahyang dan tidak pula diganti dengan sujud Sahwi. Akan tetapi perbuatan tersebut hukumnya makruh.
Begitu juga sembahyang Jumaat jika perlahan bacaan padanya maka hukumnya adalah makruh tanpa mengulang sembahyang itu dan tidak diganti dengan sujud Sahwi.
Isrâr Dan Jahar Bagi Perempuan Dan Khuntsâ (Pondan)
Mengikut pendapat kebanyakan ulama Syafi‘iyyah bahawa perempuan boleh menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah jika perempuan itu sembahyang berseorangan di tempat itu, ataupun dengan kehadiran perempuan lain atau lelaki mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan lain ataupun bersendirian, akan tetapi jika ada lelaki asing (bukan mahramnya) di tempat sembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrârkan bacaannya.
Manakala bacaan jahar bagi perempuan itu hendaklah perlahan sedikit daripada bacaan jahar bagi lelaki. Perkara itu telah dinyatakan oleh al-Bandaniji bahawa hendaklah bacaan jahar bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahar bagi lelaki.
Walau bagaimanapun, tidaklah membatalkan sembahyang jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat itu, kerana mengikut pendapat yang ashah suara perempuan itu bukanlah aurat.
Adapun khuntsâ (pondan) hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrârkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.
Isrâr Dan Jahar Dalam Bacaan Sembahyang
1. Takbîratul-ihrâm
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala berkata di dalam kitabnya al-Umm: “Aku suka imam menjaharkan bacaan takbîratul-ihrâm dengan bacaan takbîr yang jelas dan tidak memanjangkan bacaan takbîrnya, begitu juga makmum menjaharkan takbîrnya dengan bacaan jahar yang dapat didengar olehnya dan orang yang di sebelahnya dan jika kedua-dua mereka tidak mendengar akan bacaan takbîr maka tidaklah memadai. Begitulah juga kepada perempuan adalah sama seperti lelaki, akan tetapi perempuan tidak boleh melebihi bacaan yang didengar oleh dirinya.
Walau bagaimanapun jika salah seorang daripada mereka menjadi imam bolehlah menjaharkan bacaan takbîr untuk diperdengarkan kepada jemaah perempuan yang lain dan hendaklah jemaah perempuan membaca takbîr dengan bacaan isrâr di belakang imam.
Sunat juga bagi imam menjaharkan takbîratu-ihrâm dan takbîr-takbîr intiqâlât (perpindahan) sehingga dapat didengar oleh makmum supaya mereka dapat tahu akan keshahîhan sembahyang imam dan disyaratkan hendaklah dengan niat zikir.
Adapun bagi makmum dan munfarid adalah sunat mengangkat takbîr dengan bacaan isrâr dan sekurang-kurang bacaan isrâr itu dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik dan tidak ada halangan untuk mendengar seperti bising.
Sekiranya masjid itu besar dan tidak sampai suara takbîr imam kepada semua jemaah, ataupun kerana suara imam terlalu perlahan kerana sakit atau kerana keaslian suaranya, maka hendaklah mu’adzdzin (orang yang melaungkan azan) atau bilal dan makmum yang lain menjaharkan takbîr mengikut bacaan jahar yang dikehendaki untuk diperdengarkan kepada makmum atau jemaah yang lain.
Perkara ini telah disebut dalam riwayat oleh Abu Zubair Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang bersama kami sedang Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu berada di belakang Baginda, apabila Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertakbîr, Abu Bakar pun bertakbîr untuk memperdengarkan kepada kami. (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga sunat mengangkat dan menjaharkan bacaan takbîr-takbîr sunat di dalam sembahyang sunat ‘Idul fitri dan ‘Idul Adha untuk menjadi ikutan kepada makmum, seperti takbîr-takbîr intiqâlât dalam sembahyang.
Manakala dalam sembahyang jenazah para fuqahâ’ telah sepakat bahawa sunat menjaharkan bacaan takbîr dan salam bagi imam dan muballigh (bilal).
2. Do‘a Iftitâh
Sunat selepas takbîratul-ihrâm membaca do‘a iftitâh dalam sembahyang fardhu dan nawâfil bagi imam, makmum dan munfarid jika ada masa untuk membacanya, dan yakin bahawa dengan membacanya sempat membaca surah al-Fâtihah, dan sunat membacanya dengan isrâr sama ada dalam sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah seperti bacaan zikir-zikir sunat yang lain, dan sunat bagi makmum menpercepatkan bacaan do‘a iftitâh jika mendengar imam memulakan bacaan surah al-Fâtihah.
3. Ta‘awwudz
Adapun ta‘awwudz mengikut Imam an-Nawawi adalah tidak disunatkan membacanya dengan jahar dalam sembahyang secara mutlak walaupun dalam sembahyang jahriyyah sama ada bagi imam, makmum atau munfarid.
Akan tetapi sunat membacanya dengan isrâr dalam setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya sama ada dalam sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Oleh itu, apabila engkau membaca al-Qur’an, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam. (Surah an-Nahl: 98)
4. Basmalah
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Umm berkata: “Hendaklah dijaharkan bacaan basmalah ( بساام هللاالا ُن الا حيم ) semasa sembahyang sebelum membaca Umm al-Qur’ân (al-Fâtihah) dan sebelum membaca surah selepas al-Fâtihah”.
Mengikut Imam an-Nawawi adalah wajib mendahulukan surah al-Fâtihah dengan basmalah, kerana basmalah itu adalah satu ayat daripada al-Qur’an dan dibaca selepas membaca ta‘awwudz dan sunat menjaharkan bacaan basmalah sepertimana bacaan surah al-Fâtihah, sebagaimana riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memulakan sembahyang Baginda dengan membaca basmalah ( (Sunan at-Tirmidzi)
Riwayat daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pula:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dalam sembahyang بسام هللا الا ُن الا حيم dan Baginda mengirakannya (bismillah itu) satu ayat, dan mengira العااا dua ayat (ayat kedua), dan ْي kumpulkan sebagai ayat kelima daripada jari-jarinya (sambungannya). (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Membaca basmalah dengan jahar semasa sembahyang jahriyyah adalah perkataan kebanyakan ulama daripada sahabat dan tâbi‘în dan generasi selepas mereka daripada ahli fuqahâ’ dan ahli qurrâ’. Di antara sahabat-sahabat yang berkata demikian ialah Abu Bakar ash-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab, Utsman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abu Thalib, ‘Amar bin Yasir, Ubai bin Ka‘ab, Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum.
Oleh yang demikian, sunat menjaharkan bacaan basmalah dalam sembahyang jahriyyah sepertimana membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah yang lain selepasnya.
5. Surah Al-Fatihah Dan Surah Selepasnya
Sunat bagi imam membaca dengan jahar surah al-Fâtihah dan surah selepasnya pada dua rakaat awal sembahyang Maghrib, ‘Isya’, Subuh, Jumaat, sembahyang sunat Dua Hari Raya, sunat Tarawih, sunat Witir di bulan Ramadhan, sunat Gerhana Bulan, sunat Minta Hujan malam atau siang, dua rakaat Thawaf di waktu malam atau subuh.
Sunat juga membaca dengan isrâr pada sembahyang Zhuhur, ‘Ashar, rakaat akhir sembahyang Maghrib, dua rakaat akhir sembahyang ‘Isya’, sembahyang sunat Gerhana Matahari, sunat rawâtib, nawâfil siang mutlak dan sembahyang sunat Witir selain di bulan Ramadhan.
Hendaklah membaca dengan pertengahan di antara jahar dan isrâr pada sembahyang nawâfil malam mutlak jika tidak menggangu orang yang sedang tidur atau orang yang bersembahyang, jika tidak, hukumnya adalah makruh.
Adapun bagi makmum sunat mengisrârkan bacaan surah al-Fâtihah dengan bacaan yang dapat didengar olehnya dan makruh menjaharkannya dan tidak disunatkan membaca surah selepas al-Fâtihah bahkan hendaklah makmum mendengar bacaan surah-surah yang dibaca oleh imam selepas surah al-Fâtihah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A‘râf: 204)
Dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka janganlah kamu membaca suatu surah daripada al-Qur’an apabila aku membaca dengan jahar (ketika sembahyang) kecuali dengan Umm al- Qur’ân (surah al-Fâtihah).” (Hadits riwayat Abu Daud)
Akan tetapi, jika suara imam tidak dapat didengar disebabkan tuli dan seumpamanya atau mendengar bacaan yang tidak dapat difahami maka adalah lebih baik makmum membaca surah yang lain selepas membaca surah al-Fâtihah.
Adapun bacaan surah al-Fâtihah dan surah selepasnya bagi imam, makmum dan munfarid dalam sembahyang nawâfil adalah sama dengan sembahyang fardhu.
Sembahyang nawâfil seperti sembahyang sunat Hari Raya, Minta Hujan, Tarawih dan Gerhana Bulan, disunatkan bagi imam menjaharkan bacaan surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya, dan disunatkan bagi makmum membaca surah al- Fâtihah dengan bacaan isrâr dan mendengar surah-surah selepas al-Fâtihah yang dibaca oleh imam.
Begitu juga sembahyang nawâfil di waktu malam adalah disunatkan menjaharkan bacaan surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya bagi imam dan hendaklah makmum membaca surah al-Fâtihah dengan isrâr dan mendengar bacaan surah selepas al-Fâtihah sepertimana di dalam sembahyang fardhu. Adapun sembahyang nawâfil yang dikerjakan di siang hari disunatkan membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya dengan bacaan isrâr tanpa ada khilâf sama ada bagi imam, makmum atau munfarid.
6. Membaca “Âmîn” Selepas Membaca Surah Al-Fâtihah
Tidak ada khilâf bahawa membaca “âmîn” selepas membaca surah al-Fâtihah adalah sunat kepada semua orang yang bersembahyang sama ada sembahyang fardhu ataupun nawâfil, dan sama ada sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah.
Jika dalam sembahyang sirriyyah disunatkan bagi imam dan makmum membaca “âmîn” dengan bacaan isrâr mengikut pembacaan dalam sembahyang sirriyyah, dan sunat bagi makmum membaca “âmîn” dengan jahar dalam sembahyang jahriyyah mengikut pembacaan imam tanpa ada khilâf dan disepakati oleh para sahabat.
Perkara ini telah dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana riwayat daripada Wail bin Hujr:
Maksudnya: Adalah (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) apabila membaca َ ِْيَ وَال َّالس ال, Baginda membaca “âmîn” dan meninggikan bacaan suaranya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sekiranya imam tidak membaca “âmîn” adalah disunatkan bagi makmum membaca “âmîn” dengan jahar, sama ada imam meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa kerana tidak ada perbezaan sama ada imam terlupa ataupun sengaja meninggalkannya.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa sesiapa yang serentak bacaan “âmîn”nya dengan bacaan malaikat diampunkan dosanya yang terdahulu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam membaca “âmîn” maka kamu aminkanlah bersama, sesungguhnya siapa yang serentak bacaan aminnya dengan bacaan malaikat diampunkan baginya apa yang terdahulu daripada dosanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sunat bagi imam diam sekejap selepas membaca “âmîn” dengan kadar makmum selesai membaca surah al-Fâtihah.
7. Tasbîh Semasa Ruku‘ dan Sujud Serta Do‘a Semasa Duduk di Antara Dua Sujud
Sunat mengisrârkan bacaan tasbîh semasa ruku‘ dan sujud serta do‘a semasa duduk di antara dua sujud mengikut kesepakatan para ulama, sama ada sembahyang fardhu ataupun nawâfil. Akan tetapi hendaklah bacaan isrâr itu dapat didengar oleh dirinya dan sunat tidak melebihi daripada bacaan isrâr itu sama ada bagi imam, makmum dan munfarid.
Sunat bagi imam dan muballigh (bilal) menjaharkan bacaan tasmî‘ sebagai pemberitahuan kepada makmum pertukaran rukun sembahyangnya sepertimana bacaan takbîr intiqâlât dan mengisrârkan bacaan tahmîd, kerana bacaan tahmîd dilakukan semasa i‘tidâl. Maka hendaklah diisrârkan bacaan padanya seperti bacaan tasbîh semasa ruku‘ dan sujud.
Adapun bagi makmum hendaklah mengisrârkan kedua-dua bacaannya sepertimana bacaan isrâr pada takbîr intiqâlât. Sekiranya hendak memperdengarkan kepada makmum yang lain bolehlah imam menjaharkan bacaan tasmî‘ bukannya bacaan tahmîd kerana bacaan tasmî‘ itu disyariatkan ketika bangkit daripada ruku‘ dan bacaan tahmîd disyariatkan ketika i‘tidâl.
Walau bagaimanapun, sunat bagi mu’adzdzin (bilal) ataupun selainnya daripada makmum menjaharkankan bacaan tasmî‘ itu dengan bacaan jahar yang boleh didengar oleh para jemaah jika bacaan imam lemah ataupun kerana suaranya sakit.
9. Tasyahhud Awal dan Akhir Serta Do‘a Sebelum Salam
Ulama bersepakat bahawa sunat mengisrârkan bacaan tasyahhud awal dan akhir bahkan makruh menjaharkan kedua-duanya sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang nawâfil dengan bacaan isrâr yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri, dengan pendengaran yang baik tanpa halangan untuk mendengar, dan sunat tidak melebihi daripada bacaan isrâr itu dan begitu juga bacaan do‘a di akhir sembahyang sama ada bagi imam, makmum dan munfarid.
10. Salam Untuk Menutup Sembahyang
Salam adalah di antara rukun sembahyang dan tidak sah sembahyang melainkan dengannya dan tidak ada yang menggantikan tempatnya. sekurang-kurang salam ialah dengan mengucapkan ‘السالم عليَّم ’ dan yang afdhal ialah ‘السالم عليَّم ورُة هللا ’.
Sunat bagi imam meniatkan salam pertama kepada sekalian malaikat dan golongan jin serta manusia Islam di sebelah kanan begitu juga sebaliknya salam kedua ditujukan kepada sekalian malaikat dan golongan jin serta manusia Islam di sebelah kiri.
Oleh itu, wajib hukumnya mengucapkan salam yang pertama dan sunat hukumnya mengucapkan salam yang kedua. Sunat menjaharkan ucapan salam sebagai pemberitahuan untuk keluar daripada sembahyang.
Telah bersepakat para fuqahâ’ bahawa sunat bagi makmum mengucapkan salam setelah imam selesai mengucapkan salam pertama dan lebih afdhal selepas imam mengucapkan salam yang kedua.
Imam asy-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala berkata dalam kitabnya al-Umm: “Banyak hadits menerangkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan salam ke kanan dan selepas itu ke kiri, yang semua hadits ini menyuruh supaya mengucapkan salam dua kali, sama ada bagi imam, makmum ataupun munfarid. Sekiranya imam tidak mengucapkan salam dua kali hendaklah makmum mengucapkan salam dua kali.”
11. Do‘a Qunut
Mengikut mazhab asy-Syafi‘iyyah adalah sunat bagi imam menjaharkan bacaan do‘a qunut dalam sembahyang Subuh dan sunat Witir di pertengahan bulan Ramadhan. Akan tetapi hendaklah bacaan itu perlahan daripada bacaan-bacaan jahar pada yang lain seperti surah al-Fâtihah, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Mawardi: “Hendaklah bacaan jahar pada do‘a qunut dalam sembahyang itu bukan seperti jaharnya pada bacaan (yang disunatkan membaca dengan jahar seperti surah al-Fâtihah).”
Maka sekiranya imam membaca qunut dengan isrâr, dia mendapat pahala sunat qunut itu, tetapi tidak mendapat pahala sunat jahar.
Adapun bagi munfarid bolehlah membaca dengan isrâr.
Manakala makmum pula bolehlah menjaharkan bacaan “âmîn” di belakang imam untuk memberkati do‘a qunut, ataupun mengisrârkan bacaan “âmîn” di dalam hati sahaja sambil mendengar bacaan do‘a qunut imam.
Jika bacaan do‘a qunut imam tidak dapat didengar kerana tuli atau kerana berada jauh dari imam atau imam tidak membaca dengan jahar do‘a qunut atau suara imam tidak jelas didengar maka sunat bagi makmum membaca qunut dengan bacaan isrâr.
Begitu juga bacaan di dalam qunut Nazilah yang dibaca semasa i‘tidâl pada rakaat yang terakhir sembahyang fardhu disebabkan sesuatu wabak seperti penyakit taun, adalah disunatkan menjaharkan bacaan qunut secara mutlak bagi imam dan munfarid walaupun dalam sembahyang sirriyyah.
Penutup
Walaupun bacaan isrâr dan jahar ini adalah di antara perkara sunat namun ia perlu diambil perhatian supaya dapat diamalkan oleh semua orang terutama sekali bagi orang yang tidak tahu di mana tempat-tempat yang disunatkan membaca dengan isrâr dan jahar dalam sembahyang itu. Semoga kita menjadi orang yang berilmu dan melakukan ibadat dengan sempurna. Di samping itu ia juga dapat menambahkan pahala ibadat wajib dengan pahala ibadat sunat yang dikerjakan pada tempat-tempat yang tertentu dalam sembahyang dengan bacaan isrâr dan jahar.
Pakaian Perempuan Dalam Sembahyang
Pakaian adalah di antara perkara terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap orang dalam hidupnya. Ia juga merupakan keperluan asasi dan menjadi ukuran keagamaan serta simbol keperibadian seseorang.
Al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan ke atas setiap Muslim supaya menutup aurat. Bahkan ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai bagi seseorang boleh menjatuhkan maruahnya dan boleh menggugurkan orang itu daripada tuntutan hadir sembahyang berjemaah, sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang kitab Fath al-Mu‘în bahawa, di antara perkara-perkara uzur berjemaah dan uzur sembahyang Jumaat ialah tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak kepada seseorang, sekalipun telah mempunyai penutup auratnya.
As-Sayyid al-Bakri pula menambah bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.
Pendeknya pakaian bukan hanya setakat ada hubungan dengan maruah, budi pekerti dan adat, tetapi juga menjadi tuntutan agama sama ada di luar mahupun di dalam sembahyang. Khusus mengenai pakaian perempuan, ia tidak boleh dipandang ringan, dilanggar hukumnya dengan senghaja kerana akibatnya ialah laknat sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, iaitu kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)
Dalil Menutup Aurat
Aurat ialah sesuatu bahagian daripada anggota badan, sama ada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya.
Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan. Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. (Surah al-A‘râf: 26)
Firman Allah Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang ‘aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nûr: 31)
Sementara itu dalil daripada hadits yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat itu ialah yang diriwayatkan oleh Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! (Kepada siapakah) daripada aurat kami boleh kami perlihatkan dan (kepada siapa) kami hindarkan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Peliharalah ‘aurat kamu melainkan daripada isteri kamu atau hamba sahaya perempuan kamu.” Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula jika ada orang-orang berhimpun sebahagiannya dengan sebahagian yang lain?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kamu berupaya (membuat) seseorang tidak akan melihat ‘aurat kamu, maka janganlah orang itu melihatnya.” Dia berkata: “Saya bertanya: “Bagaimana pula jika seseorang itu bersendirian?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah itu lebih berhak dimalui daripada manusia.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan tentang kewajipan menutup aurat, bahkan juga dalam keadaan bersendirian walaupun di tempat yang tertutup.
Batas Aurat Lelaki Dan Perempuan
Menurut Khathib asy-Syarbini aurat bagi lelaki sama ada hamba, orang kafir dan kanak-kanak sekalipun yang belum mumayyiz ialah di antara pusat dan lutut. Perkara ini telah dinyatakan di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang kamu mengahwinkan hamba lelakinya kepada hamba perempuannya atau kepada pekerjanya, maka janganlah hamba perempuan itu memandang kepada sesuatu dari auratnya (aurat tuannya). Maka sesungguhnya apa yang di bawah pusat sehingga lututnya adalah aurat. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Manakala aurat perempuan pula ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan tapak tangan sebagaimana perintah Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah an-Nûr: 31)
Menurut Ibnu ‘Abbas dan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhum yang dimaksudkan dengan “zahir” ialah muka dan dua tapak tangan.
Perintah Menutup Aurat Dalam Sembahyang
Menutup aurat itu adalah menjadi perkara penting dan syarat sah sembahyang. Sebagai contoh, dinukilkan daripada Imam an-Nawawi bahawa apabila aurat terdedah dengan senghaja, sama ada sedikit atau banyak, maka hukum sembahyangnya batal yakni tidak sah. Untuk jelasnya, jika dia senghaja tidak menutup aurat, padahal dia mampu berbuat demikian, maka batal sembahyangnya.
Dengan itu menutup aurat dalam sembahyang adalah wajib, iaitu difahami daripada Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Surah al-A‘râf: 31)
Menurut Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar-Razi, sudah menjadi adat kebiasaan orang-orang Arab jahiliah apabila mereka mengelilingi Ka‘bah, mereka menanggalkan kesemua pakaian mereka. Maka dengan turunnya ayat di atas, umat Islam ditegah daripada melakukan perkara yang serupa. Dengan itu diperintahkan juga supaya memakai pakaian yang elok dan indah apabila pergi ke tempat ibadat atau thawaf di keliling Ka‘bah, termasuk juga ketika mengerjakan sembahyang.
Persoalannya apakah pakaian yang dikatakan indah itu, khususnya bagi wanita? Menurut ijmâ‘ ulama tafsir maksud “pakailah pakaian kamu yang indah berhias”
dalam ayat di atas ialah pakaian yang sempurna menutup aurat sama ada bagi lelaki mahupun perempuan.
Hadits daripada ‘Aisyah Radiallahu ‘anha menjelaskan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa tidak akan diterima sembahyang seorang perempuan itu kecuali dengan menutup kepala. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah tidak menerima sembahyang seorang yang telah haidh (bâligh) kecuali dengan memakai tutup kepala. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Perintah menutup aurat dalam sembahyang adalah berdasarkan riwayat daripada Muhammad bin Zaid bin Qunfudz daripada ibunya, bahawa ibunya pernah bertanya kepada Ummu Salamah Radiallahu ‘anha tentang pakaian perempuan ketika sembahyang.
Maksudnya: Maka Ummu Salamah menjawab: “Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua telapak kakinya.”
Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, ulama sepakat mengatakan adalah wajib bagi perempuan menutup aurat sama ada di dalam atau di luar sembahyang.
Batas Aurat Perempuan Dalam Sembahyang
Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan yang merdeka ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Begitu jugalah aurat perempuan dalam sembahyang. Yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan itu termasuklah hujung jari, tapak tangan bahagian luar dan dalamnya sehingga ke pergelangan tangan.
Manakala yang dimaksudkan dengan muka pula adalah kawasan di antara tempat tumbuh rambut di kepala sehingga bahagian akhir dagu (dua tulang rahang sepanjang tempat tumbuh gigi bawah) dan kawasan muka di antara dua anak telinga.
Begitu juga batas aurat kanak-kanak perempuan yang mumayyiz dan yang belum mumayyiz dalam sembahyang, iaitu seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.
Menutup Muka dan Dua Tapak Tangan Dalam Sembahyang
Muka dan dua tapak tangan bukanlah aurat. Maka makruh hukumnya bagi perempuan yang hendak sembahyang memakai niqab (tutup muka) iaitu kain atau yang seumpamanya yang digunakan untuk menutup muka, kerana muka tidak termasuk anggota aurat.
Larangan menutup muka ini hanyalah sebagai karâhah tanzîh, jika ia dilakukan tidak pula membatalkan sembahyang. Maksud karâhah tanzîh itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya adalah tidak berdosa hanya khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama).
Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab, adalah disunatkan bagi perempuan yang merdeka dan khuntsâ bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, memakai penutup kepala dan leher daripada kain yang tebal dan menggunakan telekung (satu kain tebal yang lain yang menyelimuti pakaian tadi).
Disunatkan juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar sekali itu tebal, agar tidak membayangkan anggotanya. Juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia ruku‘ atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya yang di sebelah dalam.
Khathib asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtâj mensyaratkan pakaian (sâtir) yang digunakan untuk menutup aurat sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang ialah tebal yang boleh menutup anggota aurat. Bahkan ia hendaklah melindungi atau menutup warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain tidak menampakkan atau membayangkan bentuk badan.
Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutup dan menyelubungi seluruh anggota aurat.
Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka berikut adalah beberapa contoh pakaian yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas:
1. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang.
Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat sâtir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.
2. Pakaian yang jarang atau nipis.
Adapun maksud daripada pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila memakainya. Untuk jelasnya adalah tidak tercapai maksud as-sâtir dengan memakai pakaian berikut dalam sembahyang:
i. Sekiranya di dalam sembahyang dia memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan auratnya tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, maka pakaian seperti ini tidak memenuhi syarat sâtir kerana tidak tercapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit. Ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha sesungguhnya Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia memakai pakaian yang nipis. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur bâligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini.. dan ini.. sambil Baginda menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas dengan jelas melarang memakai pakaian yang jarang atau nipis di luar sembahyang, demikian juga dalam sembahyang.
As-Sayyid al-Bakri kemudian menyebutkan, sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ia jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-sâtir.
ii. Begitu juga sekiranya dalam sembahyang dia memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian dia menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya dan warna kulit masih kelihatan, maka samalah juga hukumnya seperti (i) di atas.
Selain daripada jenis-jenis pakaian yang telah disebutkan, harus bagi golongan wanita bersembahyang dengan memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas (lapik sembahyang) ketika sembahyang. Manakala memakai pakaian yang mempunyai gambar atau menjadikannya alas (sembahyang di atasnya) atau menghadap ke arahnya, hukumnya makruh.
Sembahyang di Dalam Gelap
Terdapat andaian apakah kegelapan atau ketiadaan cahaya boleh diistilahkan sebagai sâtir kerana ia menutupi dan melindungi warna kulit dan aurat daripada pandangan mata? Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, kegelapan tidak boleh diertikan sebagai sâtir.
Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang tidak menutup aurat sekalipun dalam gelap.
Ternampak Aurat Sendiri Semasa Sembahyang
Ketika hendak mengerjakan sembahyang pakaian hendaklah diberi perhatian, iaitu menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Ini kerana apabila dia melihat aurat sendiri atau dilihat oleh orang lain semasa sedang bersembahyang kerana kecuaian menutupnya, maka hukum sembahyangnya tidak sah. Sebagai contoh jika seseorang perempuan yang bersembahyang, sekalipun dengan memakai telekung, sedangkan di bahagian leher terbuka luas atau besar sehingga dia boleh nampak auratnya sendiri atau dilihat oleh orang lain ketika dia ruku‘ atau sujud, maka batal sembahyangnya. Oleh itu hendaklah dirapikan, dikancing atau diikat terlebih dahulu dengan sempurna bahagian leher yang terbuka tadi, kemudian barulah mengerjakan sembahyang.
Sekiranya dia mendapati pada pakaian yang digunakannya untuk bersembahyang berlubang atau koyak yang menampakkan auratnya, maka wajib dia mengulangi sembahyangnya tadi, sama ada dia mengetahui tentang koyak tersebut kemudian dia terlupa mengenainya, ataupun dia langsung tidak mengetahuinya. Akan tetapi jika dia menyangka bahawa koyak itu terjadi selepas memberi salam, maka tidak perlu dia mengulangi sembahyang tadi tanpa khilâf.
Terbuka Aurat Dengan Tiba-Tiba
Berbeza hukumnya dengan aurat yang terbuka secara tiba-tiba dan tidak senghaja, maka sembahyang tetap sah dengan syarat hendaklah ditutup dengan segera. Yang dimaksudkan dengan tidak senghaja, seperti ditiup angin atau terbuka oleh haiwan atau kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana dia tidak mempunyai niat atau maksud di sebalik perbuatannya itu. Sebaliknya jika aurat itu terbuka oleh kanak-kanak yang sudah mumayyiz, maka batal sembahyangnya.
Kesimpulan
Adalah menjadi kebiasaan memakai telekung putih ketika sembahyang dan ini menepati ciri-ciri yang digambarkan sebagai pakaian yang sempurna dan digalakkan di dalam Islam. Hendaklah dipastikan bahawa telekung yang dipakai janganlah nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota aurat. Di samping menggunakan telekung, hendaklah juga memakai pakaian yang sempurna menutup aurat di bahagian sebelah dalam sebagai langkah berjaga-jaga.
Daripada penjelasan di atas, nyatalah bahawa rambut, leher, lengan, dua kaki dan tapak kaki adalah aurat bagi perempuan ketika bersembahyang. Oleh itu wajiblah kesemua anggota ini ditutup dan dijaga semasa sembahyang kerana rambut yang terjuntai, lengan yang tidak berlapik, kaki yang terdedah dengan senghaja boleh membatalkan sembahyang.
Di samping menutup aurat, menjaga kebersihan pakaian yang dipakai dan tempat bersembahyang daripada najis merupakan di antara syarat sah sembahyang. Maka hendaklah kita mengambil perhatian yang sewajarnya dan meneliti dengan sempurna perkara-perkara yang bersangkutan dengan syarat sah sembahyang agar ibadat yang dilaksanakan akan diterima dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala hendaknya.
BERSETUBUH KETIKA HAIDH: Penjelasan Syara‘ Mengenainya
Perkara yang diharamkan ke atas perempuan yang haidh antaranya ialah sembahyang, puasa, memegang Mushhaf dan membaca al-Qur’an, duduk dalam masjid, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikâf dan thawaf. Perkara-perkara tersebut juga diharamkan ke atas perempuan yang berjunub. Selain daripada perkara yang telah disebutkan, terdapat juga satu lagi perkara yang ditegah ke atas perempuan yang haidh itu bersetubuh.
Larangan Bersetubuh Ketika Haidh
Larangan bersetubuh dengan isteri ketika haidh telah disebutkan dalam al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haidh. Katakanlah: “Darah haidh itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)
Diceritakan dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar-Râzi bahawa orang-orang Yahudi dan Majusi pada masa dahulu berlebih-lebihan dalam menyisihkan dan menjauhkan diri daripada perempuan haidh di kalangan mereka. Manakala orang Nashrani tidak menghiraukan perkara ini, malah menyetubuhi perempuan mereka sekalipun dalam keadaan haidh. Orang jahiliyah pula tidak makan dan minum bersama perempuan haidh, sehinggakan mereka juga tidak duduk di atas alas yang sama dan tidak tinggal dalam satu tempat atau rumah dengan perempuan haidh sebagaimana juga amalan orang Yahudi dan Nashrani.
Apabila diwahyukan firman Allah Ta‘ala di atas, orang Islam pada ketika itu hanya mengambil zahir ayat tersebut dan mereka mengeluarkan perempuan-perempuan yang haidh dari rumah-rumah mereka. Lalu apabila perkara ini disampaikan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Baginda pun mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah larangan mengadakan persetubuhan dengan perempuan yang haidh dan bukannya mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas, bahawa salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya tentang amalan orang Yahudi terhadap perempuan haidh. Lalu diturunkanlah ayat di atas dan Baginda pun bersabda:
Maksudnya: Lakukanlah segalanya kecuali nikah (bersetubuh). (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan larangan tersebut ulama sepakat mengatakan bahawa hukum bersetubuh dengan perempuan yang sedang haidh adalah haram. Kesepakatan ini bersandarkan dalil-dalil dari al-Qur’an dan hadits-hadits yang shahîh.
Hukum Bersetubuh Ketika Haidh
Menurut Imam asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtâj, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haidh pada farajnya adalah haram sekalipun dengan hâ’il (lapik).
Al-Muhamili menukilkan dalam al-Majmû‘ bahawa Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah berkata: “Sesiapa yang melakukan demikian itu (bersetubuh dengan perempuan yang haidh), maka dia telah melakukan satu (dosa) besar.” Manakala ulama-ulama Syafi‘e dan yang lainnya berkata: “Sesiapa yang menghalalkan bersetubuh dengan perempuan yang haidh, maka dihukumkan dia dengan kufur.”
Dinukilkan petikan pengarang kitab Nihâyah az-Zain fi Irsyâd al-Mubtadi’în yang mengatakan: “Dan kufurlah orang yang menghalalkan jimâ‘ itu sebelum putus darah dan sebelum sampai sepuluh hari.”
Selanjutnya ulama-ulama Syafi‘e mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan demikian itu kerana jahil akan kedatangan darah haidh, jahil akan hukum keharamannya, kerana lupa atau kerana dipaksa, maka tidaklah dia berdosa dan tiada kaffârah ke atasnya. Ini berdasarkan hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana kesilapan, lupa dan (perkara-perkara) yang mereka dipaksa melakukannya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Andainya keadaan sebaliknya berlaku, iaitu sekiranya dia bersetubuh dengan perempuan yang haidh, sedangkan dia mengetahui tentang kedatangan darah haidh itu dan tahu hukum keharamannya serta tiada paksaan (secara rela), maka berdosalah dia. Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e (dalam qaul jadîd), tidak dikenakan kaffârah ke atasnya hanya disunatkan dia membayar kaffârah, bahkan hendaklah dia memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertaubat.
Walau bagaimanapun Imam an-Nawawi menjelaskan ini tidak termasuk bagi orang yang bersetubuh ketika berihram dan pada siang hari di bulan Ramadhan. Ini kerana persetubuhan yang berlaku ketika berihram sebelum selesai umrah atau sebelum tahallul awal bagi ibadat haji, menyebabkan kedua-dua ibadat tersebut menjadi rosak. Maka wajib ke atasnya dam dan wajib diqadha’ ibadat haji atau umrah tersebut dengan segera mengikut pendapat yang ashah, sekalipun haji atau umrah yang dikerjakan adalah sunat.
Manakala persetubuhan yang berlaku pada siang hari di bulan Ramadhan pula selain membatalkan puasa, seseorang itu diwajibkan ke atasnya kaffârah, iaitu memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.
Tujuan kaffarah ini dikenakan adalah kerana larangan bersetubuh dengan perempuan yang haidh. Adapun bagi perempuan mutahayyirah (yang beristihâdhah), maka tidak dikenakan kaffârah sekalipun haram bersetubuh dengannya.
Selain daripada itu, menurut Imam asy-Syarbini, larangan ini juga termasuk bagi perempuan yang nifas.
Kaffârah Bagi Orang Yang Melakukan Persetubuhan Ketika Haidh
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya bagaimana dengan keadaan seseorang yang mendatangi (menjimâ‘ atau menyetubuhi) isterinya pada ketika haidh. Baginda lalu bersabda:
Maksudnya: Dia bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Majah, ad- Daraquthni, ad-Darimi dan an-Nasa’i. Menurut Abu Daud dan al-Hakim, ini adalah hadits shahîh. Manakala yang lainnya mengkategorikan hadits ini bertaraf marfû‘ dan mauqûf.
Manakala hadits mauqûf kepada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu permulaan darah (haidh), maka (dia membayar) satu dinar. Dan jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu darah berhenti (kering), maka (dia) membayar setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kedua-dua hadits di atas, kaffârah yang dimaksudkan itu ialah 1 (satu) dinar jika berlaku persetubuhan pada permulaan haidh, iaitu ketika darah haidh masih kuat warnanya.
Manakala ½ (setengah) dinar jika berlaku persetubuhan pada penghujung atau akhir haidh, iaitu ketika darah haidh beransur lemah warnanya dan hampir-hampir kering atau sudah berhenti.
Adapun maksud dinar di atas adalah dinar mengikut timbangan Islam daripada emas tulin. Satu dinar bersamaan dengan satu misqal daripada emas, iaitu 4.25 gram emas (mengikut timbangan pada zaman sekarang).
Sebagai irsyâd, harga minima bagi satu gram emas 21 karat (setakat Irsyad Hukum ini ditulis) ialah $29.70. Maka nilai satu dinar mengikut nilaian mata wang ringgit ialah 4.25 gram x $29.70 = $126.225. Manakala setengah dinar pula bernilai $63.1125.
Kaffârah yang disebutkan itu hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. Manakala menurut Imam ar- Rafi‘e Rahimahullah, memadai kaffârah tersebut diberikan kepada seorang fakir sahaja.
Bersetubuh Setelah Kering Darah Haidh Tetapi Belum Mandi
Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmû‘ bahawa ulama-ulama asy- Syafi‘e mengatakan apabila perempuan yang haidh itu sudah kering darahnya, maka terangkatlah beberapa perkara yang diharamkan ke atasnya seperti puasa, thalaq dan zhihâr.
Adapun larangan kerana disebabkan hadas seperti sembahyang, thawaf, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikâf, memegang dan membaca al-Qur’an dan tinggal atau duduk dalam masjid, masih dilarang dan masih berjalan hukumnya sehinggalah dia mandi mengangkat hadas besar. Begitu juga larangan bersetubuh dan mubâsyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut.
As-Sayyid al-Bakri menukilkan kata-kata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari dalam Syarh ar-Raudh, sebagaimana diharamkan bersetubuh pada akhir waktu haidh, diharamkan juga bersetubuh setelah darah haidh berhenti atau kering sebelum mandi mengangkat hadas besar.
Menurut jumhûr ulama, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haidh sebelum dia mengangkat hadas sekalipun darahnya sudah kering, berhenti atau bersih adalah haram sehinggalah dia terlebih dahulu mandi mengangkat hadas ataupun bertayammum (pada keadaan sah tayammumnya itu).
Begitu juga dengan mubâsyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut sehinggalah perempuan tadi mengangkat hadas besar. Jika dia tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu bersamaan dengan mandi dalam mengangkat hadas.
Di samping itu jumhûr mengatakan jika seseorang bersetubuh dengan perempuan yang sudah berhenti atau kering darah haidh dan sebelum mandi, maka (sunat) ke atasnya kaffârah, iaitu bersedekah kepada orang fakir miskin dengan ½ (setengah) dinar.
Perintah Untuk Mandi Setelah Kering Darah Haidh
Ulama bersepakat bahawa mandi hadas disebabkan haidh dan nifas adalah wajib, iaitu apabila telah berhenti atau kering darah tersebut.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika Fatimah binti Abu Hubaisy menemui Baginda mengenai masalah haidh dan istihâdhah.
Maksudnya: Jika datang haidhmu, maka kamu tinggalkanlah sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah daripada dirimu darah haidh (mandilah) kemudian sembahyanglah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Secara dasarnya darah haidh itu bukan sahaja menjijikkan kepada orang lain, malah bagi perempuan yang mengalami haidh itu sendiri. Oleh itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haidh walaupun menggunakan kondom adalah sangat wajar, di samping ia mendatangkan mudharat. Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram dan melakukannya dengan senghaja merupakan dosa besar dan pelakunya disunatkan membayar kaffârah.
Menurut Imam al-Ghazali, melakukan persetubuhan sebelum mandi akan mewarisi judzâm (penyakit kusta) kepada anak.
Oleh kerana itu hubungan suami isteri akan terbatas selama mana isteri belum mandi mengangkat hadas, sekalipun darah haidh sudah kering atau berhenti.
Jesteru, apabila darah haidh telah kering, wajiblah menyegerakan mandi untuk mengangkat hadas supaya tidak tertinggal melaksanakan ibadat yang dituntut.
Fahami Ujian Sakit!
Ni‘mat kesihatan dan kelapangan adalah dua perkara yang seringkali dilupakan dan diabaikan, kecuali apabila telah datang waktu sakit dan waktu sibuk. Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Ada dua (jenis) ni‘mat yang kebanyakan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang (senggang). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sepatutnya manusia apabila memperolehi ni‘mat kesihatan dan kesenangan duniawi (kelapangan) akan merasa syukur dan puas, kerana merasakan sebahagian daripada keperluannya sudah mencukupi. Ini dikuatkan oleh hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu ad-Darda’:
Maksudnya: Sesiapa (di antara kamu) pada waktu pagi (berada) dalam keadaan sihat tubuh badannya dan aman jiwanya, mempunyai makanan pada hari itu, maka seolah-olah bagaikan dunia telah menjadi milik baginya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Namun apabila terjadi sebaliknya, seperti ditimpa penyakit atau disempitkan rezeki, apakah cara dan langkah terbaik untuk memahami ujian ini sekaligus menghadapinya? Ikutilah huraian dan penjelasannya yang akan ditumpukan kepada ujian bagaimana jika ditimpa kesakitan dan penyakit jasmani.
Sakit Dan Jenisnya
Sesiapa juga, tanpa pengecualian, pernah sakit dan pasti suatu waktu akan menghadapi sakit. Sama ada seseorang itu menderita sesuatu penyakit akibat sebab-sebab tertentu ataupun ditimpa sakit secara mengejut atau tiba-tiba sahaja tanpa sebab yang jelas. Manakala orang-orang yang tidak pernah menghadapi sakit adalah suatu perkara luar biasa.
Tahap atau jenis penyakit itu juga berperingkat-peringkat, sebahagiannya menghidap penyakit yang ringan saja dan sebahagiannya pula menghidap penyakit yang serius. Manakala proses kesembuhan juga berbeza, sesetengah pesakit ada kalanya sembuh dengan cepat, ada pula yang lambat atau tidak sembuh langsung.
Terdapat ayat-ayat al-Qur’an yang menyebutkan mengenai sakit dan penyakit, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu sakit, atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. (Surah al-Baqarah: 196)
Tafsirnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya dan semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit).” (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu”, (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).” (Surah Shâd: 41-42)
Tafsirnya: Dalam hati mereka (golongan yang munâfiq itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka. (Surah al-Baqarah: 10)
Maka berdasarkan ayat-ayat di atas, antara jenis penyakit itu adalah penyakit jasmani dan rohani. Adapun penyakit jasmani (zahir) ialah penyakit yang dihidapi oleh manusia pada tubuh badannya seperti demam, sakit kepala, sakit perut dan sebagainya. Manakala penyakit rohani (batin) ialah penyakit dalaman yang berkaitan dengan roh atau jiwa seperti penyakit hati yang membawa kepada maksiat seperti hasad dengki, cemburu, tamak dan lain-lain.
Di samping itu, seseorang itu juga tidak terkecuali daripada mengalami perasaan duka nestapa, dukacita, gundah gulana, kesedihan, was-was dan lain-lain yang berkaitan dengan perasaan.
Sakit Merupakan Salah Satu Bentuk Ujian
Sesetengah individu mungkin menyempitkan skop ujian dan dugaan itu sebagai perkara-perkara yang negatif dan yang menyedihkan sahaja. Lalu dia hanya mengkategorikan ujian itu seperti ditimpa penyakit, kesusahan, kesedihan, kemiskinan, kematian, kemalangan, kesempitan, kegagalan dan seumpamanya. Sebenarnya tidak demikian. Ujian itu meliputi semua aspek kehidupan sama ada sesuatu yang baik atau sebaliknya seperti kesihatan atau kesakitan, kebaikan atau keburukan, kegembiraan atau kesedihan, kejayaan atau kegagalan dan kemiskinan atau kekayaan.
Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan bahawa ujian, cubaan dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk:
Tafsirnya: Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiyâ’: 35)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah: 155)
Ujian Itu Mengikut Tahap Keimanan Seseorang
Semakin kuat iman seseorang itu, maka semakin hebatlah ujian ke atasnya. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak terlepas daripada menerima ujian yang sangat berat jika dibandingkan dengan orang lain:
Maksudnya: Sesungguhnya aku belum pernah menyaksikan seseorang (menderita) kesakitan yang lebih parah daripada apa yang dideritai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Abu Sa‘id al-Khudri pula menceritakan bahawa pada suatu hari dia telah pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika itu Baginda sedang demam. Lalu Abu Sa‘id al-Khudri meletakkan tangannya ke atas tubuh Baginda dan mendapati pada tangannya rasa panas, padahal tangannya berada di atas selimut yang menyelimuti tubuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu dia pun berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Alangkah beratnya cubaan (demam) itu kepada Tuan. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kami memang seperti demikian itu. Dilipat-gandakan cubaan itu kepada kami serta dilipat-gandakan pula pahalanya kepada kami”. Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling berat menerima dugaan?” Baginda menjawab: “Para nabi”. Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Kemudian orang-orang salih. Bahkan ada antara mereka yang diuji dengan kefakiran, sehinggakan dia tidak menemukan sesuatu kecuali selembar kain (pakaian) untuk dipakai berselimut. Hinggakan ada antara mereka yang merasa gembira menerima bala (musibah) sebagaimana ada antara kamu yang merasa gembira memperoleh kesenangan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hikmah Di Sebalik Sakit
Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang Muslim yang beriman, perkara utama yang perlu dilakukan ialah muhâsabah diri, mengingati dan menghitung kembali betapa banyak kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya. Apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah bersabar dan menerimanya dengan redha tanpa sebarang keluhan atau rintihan. Jauh sekali menyalahkan qadha dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Setentunya Allah Ta‘ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah di sebalik ujian tersebut.
Ada pula segolongan manusia yang ditimpakan musibah itu dengan maksud agar mereka mendapat kebaikan dan ganjaran, membuatkan mereka lebih muhâsabah diri dalam semua hal dan keadaan, redha dengan Allah dan berserah dengan qadha dan qadarNya. Golongan ini akan merasa redha dan sabar serta taat dengan ujian Allah tanpa keluh kesah dan rungutan, apa lagi untuk merasa kecewa dan berputus asa.
Untuk lebih jelas renungkan hadits-hadits berikut yang menyatakan perbezaan antara dua golongan manusia, yang satu ditimpa musibah dan yang satu lagi tidak pernah ditimpa musibah.
Hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang Allah inginkan padanya sesuatu kebaikan, (Allah) akan mengujinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala hadits lain membawakan mesej yang lain pula, iaitu riwayat Anas bin Malik Radhiallahu ‘ahnu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Besarnya pahala (balasan) adalah seimbang (setara) dengan besarnya cubaan (bala). Dan sesungguhnya Allah, bila menyukai suatu kaum, Dia akan memberi cubaan kepada mereka. Maka sesiapa yang redha, baginya keredhaan Allah. Dan sesiapa yang marah (tidak dapat menerima cubaan), maka baginya kemurkaan Allah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Berbeza pula bagi individu yang tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan. Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu meriwayatkan perbualan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan seorang Arab badwi:
Maksudnya: Adakah engkau (pernah) mengalami ummu mildam? Dia berkata: “Apakah ummu mildam itu?” Baginda bersabda: “Rasa panas yang dirasai di antara kulit dan daging (demam)”. Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya (lagi): “Adakah engkau pernah merasai pening?” Dia berkata: “Apakah pening itu?” Baginda bersabda: “Rasa sakit berdenyut yang dirasakan oleh seseorang pada kepalanya”. Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu”. Maka apabila lelaki itu berpaling (berlalu pergi), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa mahu melihat (contoh) lelaki daripada ahli neraka, maka lihatlah orang ini.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Dalam kitab Shahîh Ibnu Hibban bi Tartîb Ibnu Bulban, Abu Hatim seterusnya menerangkan bahawa ini tidak bermakna orang yang sentiasa sihat di dunia ini bakal menjadi ahli neraka kelak. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah Baginda menerangkan kepada umatnya bahawa seseorang itu tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Perbuatan salah dan dosa itu pasti akan menerima balasannya di akhirat kelak, melainkan jika telah diampunkan. Ini termasuklah menerima sebahagian balasan perbuatan itu semasa di dunia samada berupa penyakit, perasaan dukacita dan perkara-perkara yang menyedihkan.
Lain-Lain Hikmah: Sakit Sebagai Balasan, Penebus Dosa Dan Mengangkat Martabat Seseorang
Sakit adalah satu bentuk balasan terhadap dosa yang telah dilakukan di dunia. Dalam masa yang sama pula, ia menjadi penebus dosa serta mengangkat martabat seseorang hamba. Ini dapat dibuktikan melalui ayat al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
1. Sebagai Balasan Di Dunia (‘Uqûbah wa al-Jazâ’)
Dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar-Razi, sakit itu sebagai salah satu bentuk balasan iaitu akibat daripada kesalahan atau dosa yang telah dilakukan di dunia. Perkara ini disebut dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu. (Surah an-Nisâ’: 123)
Disebutkan dalam kitab tersebut, apabila diturunkan ayat di atas kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka telah timbul pertanyaan serta perasaan takut dikalangan para sahabat dan pengikut Baginda. Antaranya ialah:
i. Pertanyaan Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah (bentuk) kebaikan itu setelah diturunkan ayat ini “sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu”? Apakah setiap kejahatan yang telah kami lakukan kami akan diberi balasan?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Semoga Allah mengampunkanmu wahai Abu Bakar, (Baginda berkata demikian) sebanyak tiga kali. Bukankah engkau jatuh sakit? Bukankah engkau merasa sedih? Bukankah engkau dilanda keletihan? Bukankah engkau ditimpa bala (musibah)?” (Abu Bakar) berkata: “Aku berkata (kepada Rasulullah): “Ya!” Baginda bersabda: “Maka (dengan) itulah kamu diberi balasan semasa di dunia.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
ii. ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa seorang lelaki demi membaca ayat di atas, dia lantas bertanya: “Apakah kami akan dibalas dengan setiap apa yang kami lakukan? Jika demikian, maka kami akan binasa”. Maka kata-katanya itu telah sampai kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Ya, (seseorang itu) akan diberi balasan dengan setiap perbuatan semasa berada di dunia berupa musibah pada tubuh badannya daripada perkara yang menyakitinya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
2. Sebagai Kaffârah (Penebus Dosa)
Allah Ta‘ala menjadikan cubaan dan ujian di dunia ini, sama ada dalam bentuk sakit, dukacita, kesedihan atau selainnya adalah salah satu cara untuk menghapuskan dosa seseorang itu. Adapun setelah menerima pembalasan di dunia, maka pembalasan itu adalah kaffârah, iaitu penebus bagi dosa tersebut. Terdapat banyak hadits yang menyatakan perkara ini dan antaranya ialah: i. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu mengatakan apabila diturunkan ayat 123, daripada surah an-Nisâ’ di atas, kami (orang-orang Islam) merasa sangat sedih. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:
Maksudnya: Bersederhanalah (jangan terlalu berlebih-lebihan atau terlalu lalai) dan berusahalah melakukan (perkara) yang benar. Adapun pada setiap musibah yang menimpa seorang Muslim merupakan suatu kaffârah. Sekalipun (musibah itu berupa) bencana yang menimpanya atau duri yang menyucuknya. (Hadits riwayat Muslim)
Antara bentuk musibah yang dimaksudkan dalam hadits di atas adalah seperti seseorang terjatuh atau terhantuk kakinya yang menyebabkan jari-jari kakinya sakit atau cedera.
ii. Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang Muslim itu tidak ditimpa sesesuatu daripada keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan dukacita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
iii. Dalam hadits yang lain pula:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang mu’min itu jika ditimpa penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah daripadanya (penyakit tersebut), maka ia (penyakit itu) menjadi kaffârah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan baginya untuk masa depannya. Sedang seorang munâfiq, apabila dia sakit lalu disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, lalu mereka melepaskannya. Dia (orang munâfiq itu) tidak tahu mengapa dia ditambat dan dia tidak tahu mengapa dia dilepaskan. (Hadits riwayat Abu Daud)
Maka seorang mu’min apabila sembuh daripada sakitnya, akan menjadikan sakitnya itu sebagai peringatan dan dia mengetahui bahawa penyakitnya itu adalah akibat atau balasan daripada dosa-dosanya yang telah lalu. Kemudian dia menjadikannya sebagai i‘tibâr dan pengajaran. Dia tidak akan mengulangi perbuatan dosa yang telah dilakukannya. Maka ujian sakit itu seterusnya menghapuskan dosanya sebagai kaffârah.
Berlainan orang munâfiq, apabila ditimpa penyakit dia tidak menjadikannya sebagai peringatan dan dia tidak pula bertaubat. Bahkan sakitnya itu tidak memberi faedah pada dirinya sama ada di masa yang lalu atau masa yang akan datang.
3. Diberikan Ganjaran
Para rasul dan nabi adalah ma‘shûm (terpelihara daripada melakukan segala jenis dosa). Antara sebab mereka ditimpa dengan ujian sakit bukanlah sebagai balasan daripada dosa yang dilakukan, akan tetapi untuk meninggikan lagi martabat dan kedudukan mereka.
Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menerangkan bahawa ulama berkata: “Hikmah para nabi lebih berat ditimpa dugaan, kemudian mereka yang di bawah taraf para nabi dan seterusnya mereka yang di bawahnya lagi, adalah kerana mereka telah dikhususkan dengan kesabaran yang sempurna, ketelusan penyerahan diri kepada Allah dan dengan pengetahuan bahawa semua itu adalah ni‘mat daripada Allah Ta‘ala untuk disempurnakan bagi mereka kebaikan yang selayaknya, menggandakan bagi mereka ganjaran pahala dan (bagi mereka) menzahirkan kesabaran dan keredhaan mereka.”
Adapun bagi seorang mu’min, perkara yang sama juga boleh dicapai. Ini berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya ialah:
i. Hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiadalah seseorang mu’min yang tertusuk duri atau lebih daripada itu melainkan Allah mengangkat satu darjat (dengan tertusuk duri itu) atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan. (Hadits riwayat Muslim)
ii. Dalam sebuah hadits qudsiy daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu yang dimarfû‘kan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Sesiapa yang Aku hilangkan kedua matanya lalu dia sabar dan mengharapkan pahala, nescaya Aku tidak suka baginya pahala selain syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii. Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang perempuan telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai penyakit yang dideritainya. Menurut hadits tersebut, perempuan itu akhirnya memilih untuk bersabar sahaja dengan keadaannya agar dia memperolehi ganjaran yang lebih besar dengan bersabar. Perempuan itu berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar menyembuhkanku. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika engkau mahu, aku akan berdo‘a kepada Allah bagimu, maka Allah akan menyembuhkanmu. Dan jika engkau mahu, maka bersabarlah dan (semoga) tiada hisab ke atasmu.” Perempuan itu pun berkata: “Pasti aku akan (memilih untuk) bersabar dan (semoga) tiada hisab ke atasku.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Penutup
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa sakit atau penyakit, termasuk musibah yang lain, bagi para nabi merupakan ujian-ujian yang akan menambah atau mengangkat martabat mereka. Namun bagi yang selain mereka itu, ia merupakan salah satu bentuk ujian atau sebagai balasan terhadap dosa yang dilakukan di dunia. Maka jika ia dihadapi dengan sabar dan redha, pahala dan ganjaran yang lebih baik daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan mereka terima. Kesalahan atau dosa-dosa yang dilakukannya itu akan terhapus, malahan akan mengangkat martabat mereka. Di samping itu juga, ujian dan cubaan yang dihadapi itu adalah sebagai i‘tibâr dan peringatan.
Adapun penyakit rohani yang membawa kepada maksiat dan dosa seperti syak wasangka, hasad dengki, tamak haloba, cemburu dan selainnya, ia tidak akan membawa apa-apa kelebihan dan ganjaran melainkan kerugian dan dosa jua.
QADHA’: Adakah Satu Pilihan Untuk Meninggalkan Sembahyang?
Sembahyang fardhu merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam. Ia adalah amal perbuatan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah terhadap hambaNya di akhirat kelak, kemudian diikuti oleh perhitungan amal-amal yang lain. Ia bukan hanya merupakan satu perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata tetapi ia adalah satu ibadat yang terkandung di dalamnya bermacam-macam hikmah dan kebaikan.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menetapkan sembahyang fardhu lima waktu dan setiap satu mempunyai waktu-waktunya tersendiri sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu‘az bin Jabal ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman:
Maksudnya: Khabarkan kepada mereka sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sembahyang fardhu lima waktu wajib dikerjakan secara tunai kecuali jika ada keuzuran dari segi syara‘. Ia juga perlu dijaga dengan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunat dalam sembahyang.
Namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang kurang menjaga ketepatan waktu sembahyang fardhu sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘ kerana beralasan bahawa mereka akan dapat melakukannya kemudian. Golongan seumpama inilah yang menganggap bahawa qadha’ adalah pilihan dalam melakukan ibadat sembahyang.
Pengertian Qadha’ Dalam Konteks Ibadat
Menurut hukum syara‘, setiap sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha’ sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.
Dari segi istilah fuqahâ’, qadha’ ialah sesuatu (ibadat) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau senghaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.
Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal sembahyangnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan sembahyang yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:“Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku”. (Hadits riwayat Muslim)
Hukum harus mengqadha’ sembahyang itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha’nya pada waktu yang lain. Anggapan bahawa meninggalkan sembahyang dengan senghaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah.
Meninggalkan Sembahyang Fardhu
Orang yang meninggalkan sembahyang tetapi tidak ingkar akan kewajipannya kadang-kadang adalah disebabkan oleh keuzuran yang diiktiraf syara‘. Kadang-kadang pula disebabkan oleh alasan yang bukan syar‘i dan inilah yang sering berlaku. Sebab-sebab meninggalkan sembahyang itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:
Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu sembahyang bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyang yang luput itu dan sunat disegerakan qadha’nya.
Kedua: Meninggalkan sembahyang tanpa keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Orang seperti ini dihukumkan berdosa tanpa diragukan lagi.
Contoh meninggalkan sembahyang kerana keuzuran atau tanpa disenghajakan itu ialah seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajipan sembahyang masih lagi ditanggungnya.
Dalam sebuah hadits shahîh, Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur. Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu sembahyang sudah pun berlalu. Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffârah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan sembahyang. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendengar bisikan mereka lantas bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan sembahyang sampai habis waktunya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia sembahyang ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah dia menunaikan sembahyang ketika waktunya. (Hadits riwayat Muslim)
Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab sembahyang bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna seseorang itu boleh dengan senghaja tidur untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan sembahyang pada waktunya.
As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al- ‘Allâm ketika bercakap mengenai tidur dan hubungannya dengan sembahyang, beliau menyatakan adalah harus tetapi tidak digalakkan tidur selepas masuk waktu sembahyang dan sebelum menunaikan sembahyang, jika mengikut sangkaannya bahawa dia akan bangun daripada tidurnya, sama ada bangun dengan sendirinya atau dikejutkan oleh orang lain, dan masih ada waktu untuk dia menunaikan sembahyang. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram. Bahkan baginya dua dosa; dosa kerana meninggalkan sembahyang dan dosa kerana tidur. Maka jika dia bangun daripada tidur (sebelum tidur dia menyangka bahawa jika bangun daripada tidur tidak ada waktu baginya untuk menunaikan sembahyang) tetapi dia sempat mengerjakan sembahyang, maka terangkat dosa meninggalkan sembahyang. Manakala dosa yang wujud disebabkan dia tidur tidak akan terangkat kecuali dengan beristighfâr.
Adapun meninggalkan sembahyang tanpa uzur syar‘i atau meninggalkannya dengan senghaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha’ dengan segera sembahyang yang luput itu.
Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan sembahyang sehingga luput waktu, begitu juga dengan alasan tidak dapat melakukan sembahyang kerana tidak mampu untuk berdiri, ruku‘ atau lain-lain alasan kerana sakit.
Sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan sembahyang sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Sembahyanglah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka sembahyanglah dengan mengiring.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Akibat Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Perbuatan senghaja meninggalkan sembahyang itu, menurut sesetengah ulama boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir, berdasarkan zahir sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir. (Hadits riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi)
Qatadah Radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad) sembahyang lima waktu, seraya Aku berjanji pada diriKu suatu perjanjian, bahawasanya sesiapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa daripada Aku baginya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Namun akibat yang sudah pasti meninggalkan sembahyang itu adalah suatu dosa besar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan tentang balasan neraka bagi orang-orang yang senghaja tidak mengerjakan sembahyang sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Daripada sahabat, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah dalam keadaan dia dimurkai (oleh Allah). (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Masih banyak lagi nash-nash al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berupa perintah untuk mendirikan sembahyang dan peringatan-peringatan terhadap mereka yang melalaikannya sehingga berlalu waktu sembahyang.
Sembahyang Di Awal Waktu
Sebagai langkah menghindar diri daripada terlepas menunaikan kewajipan sembahyang, maka tunaikanlah sembahyang itu di awal waktunya. Menunaikan sembahyang di awal waktunya itu adalah kerja yang afdhal (lebih utama).
Ummu Farwah Radiallahu ‘anha ada meriwayatkan:
Maksudnya: Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya”. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits di atas, sembahyang pada awal waktunya adalah satu anjuran daripada Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tujuan untuk memperolehi fadhilatnya di samping mengelak daripada kelalaian sehingga berlalunya waktu sembahyang. Walau bagaimanapun jika seseorang itu mengakhirkan sembahyang kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia sentiasa berniat serta berazam akan menunaikannya dalam waktunya.
Dalam hal ini, as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah menjelaskan bahawa sebaik sahaja masuk waktu sembahyang fardhu hendaklah dilakukan salah satu daripada dua perkara, sama ada dengan melakukannya terus (sembahyang) atau berazam melakukannya dalam waktunya. Maka jika dia tidak terus melakukannya dan juga tidak berazam untuk melakukannya (dalam waktunya), maka dia berdosa.
Ditegaskan sekali lagi, bahawa menjaga sembahyang fardhu lima waktu adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama sementara mencuaikannya akan membawa kepada balasan serta azab yang amat besar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagi mereka yang mencuaikan atau melalai-lalaikan sembahyang hingga luput waktunya adalah wajib mengqadha’ setiap sembahyang yang ditinggalkannya. Tidak cukup dengan itu sahaja, malahan dia wajib bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana perbuatannya meninggalkan sembahyang fardhu dengan senghaja itu.
Para ulama berkata: “Taubat dari segala dosa itu wajib. Jika dosa dan maksiat itu berlaku di antara hamba dengan Allah dan tidak berhubung dengan hak manusia, maka baginya tiga syarat:
1. Hendaklah dia keluar (berhenti) daripada dosa itu. 2. Hendaklah dia menyesal di atas perbuatannya. 3. Berazam tidak akan kembali mengerjakan dosa itu selama-lamanya. Jika tidak ada satu daripada tiga syarat itu, maka tidaklah sah taubatnya itu.
Mengqadha’ sembahyang bukanlah satu pilihan untuk seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja atau dengan apa jua alasan sekalipun atau berniat akan melakukannya kemudian pada waktu yang terdekat, umpamanya sembahyang Maghrib akan dilakukannya pada waktu ‘Isya’ atau waktu Zhuhur akan dilakukan pula pada waktu ‘Ashar. Dalam keadaan seumpama ini tetaplah dia berdosa dan yang paling menakutkan, ada ulama yang mengkafirkannya kerana adanya hadits yang menunjukkan sedemikian.
SURAH AL-FÂTIHAH: Persoalan Hukum Membacanya
Kesempurnaan membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang sangatlah dituntut kerana ia adalah salah satu daripada rukun yang wajib dalam sembahyang.
Surah ini sangat mulia sehingga dikatakan bahawa seluruh ilmu al-Qur’an, iaitu tauhid, ibadat, nasihat serta peringatan terkandung dalam surah yang pendek ini. Antara kemuliaannya lagi ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala membahagikan surah ini kepada dua bahagian; satu bahagian untukNya dan satu bahagian lagi untuk hambaNya, begitu juga ibadat sembahyang tidak akan diterima tanpanya.
Memandangkan surah al-Fâtihah ini mudah dihafal dan dibaca, adakalanya faktor inilah yang mengakibatkan sebilangan orang memandang ringan akan kesempurnaannya lalu membacanya tanpa berguru atau didengarkan kepada orang yang dapat memimpinnya ke arah bacaan yang betul.
Memandangkan pentingnya perkara ini, kita akan cuba mengupas mengenai pembacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang sebagai panduan untuk kita semua.
Hukum Membaca Surah Al-Fâtihah Dalam Sembahyang
Menurut pendapat yang paling shahîh ulama mazhab asy-Syafi‘e bahawa membaca surah al-Fâtihah pada setiap rakaat hukumnya adalah wajib ke atas orang yang bersembahyang sama ada imam, munfarid (orang yang sembahyang sendiri) mahupun makmum sama ada dalam sembahyang sirriyyah (yang bacaannya dibaca secara perlahan) mahupun sembahyang jahriyyah (yang bacaannya dibaca secara nyaring).
Adapun bagi orang yang masbûq pula, hukumnya tetap wajib membaca surah al- Fâtihah sekadar apa yang sempat dibacanya sebelum imam ruku‘. Akan tetapi jika imam sudah ruku‘, maka tidaklah perlu baginya untuk membaca surah al-Fâtihah lagi, kerana bacaan surah al-Fâtihah tersebut ditanggung oleh imam dan dikira baginya rakaat tersebut sebagai satu rakaat, dengan syarat makmum yang masbûq itu mestilah sempat thuma’ninah bersama imam ketika ruku‘.
Bacaan surah al-Fâtihah bagi makmum juga ditanggung oleh imam jika makmum itu tidak mempunyai kesempatan membacanya ataupun tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskannya semasa qiyâm imam (sebelum imam ruku‘), sama ada kerana bacaan atau pergerakannya yang lambat, misalnya ketika bangun dari sujud, imam sudahpun ruku‘ kembali, ataupun terlupa bahawa dia sedang bersembahyang atau ragu-ragu adakah dia sudah membacanya ataupun belum sedangkan imam sudahpun ruku‘. Maka dalam keuzuran-keuzuran seperti ini, bacaan surah al-Fâtihah tersebut ditanggung oleh imam walaupun ia berlaku pada setiap rakaat dalam sembahyang.
Tuntutan wajib membaca surah al-Fâtihah itu dilaksanakan sama ada dengan cara hafalan ataupun ditalqînkan kepadanya (dibacakan kepadanya ketika dia bersembahyang, kemudian dia ikut membacanya) ataupun membacanya dengan cara melihat Mushhaf, jika dia pandai membaca. Dalam hal ini, mengadakan Mushhaf itu pula hukumnya adalah wajib, sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula mengadakan lampu, jika tempat dia bersembahyang itu gelap. Tujuannya adalah untuk membolehkannya membaca Mushhaf tersebut. Jika dia enggan melaksanakan perkara-perkara ini, sedangkan dia sebenarnya mampu, maka wajib ke atasnya mengulang semula semua sembahyang yang dikerjakannya sepanjang keengganannya melakukan perkara-perkara tersebut.
Tegasnya, surah al-Fâtihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, sedaya upaya yang termampu. Begitu juga usaha-usaha yang membolehkan ia dilaksanakan, seperti mempelajarinya, mendapatkan Mushhaf mahupun menyediakan lampu adalah wajib jika ada kemampuan untuk melakukannya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Ubadah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fâtihah al- Kitâb (surah al-Fâtihah). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bacaan Surah Al-Fâtihah Yang Sempurna
Secara umumnya, bacaan surah al-Fâtihah yang sempurna itu ialah dengan membacanya mengikut bacaan yang disepakati oleh ahli-ahli al-Qur’an, seperti wajib mad, idgham dan hukum-hukum tajwid yang lain.
Imam al-Baijuri ada menyebutkan secara ringkas sebelas syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang:
1. Bacaan yang dapat didengar dengan jelas oleh telinganya sendiri (bagi yang sihat pendengaran).
2. Membaca dengan tertib (tersusun mengikut susunan ayat-ayatnya).
3. Membaca secara berterusan (muwâlah), iaitu bacaan yang tidak terputus-putus kecuali pada kadar untuk bernafas.
4. Menjaga segala hurufnya, termasuk sabdunya yang empat belas. Tiga daripadanya terdapat pada basmalah ( ََُِّْن ِ ال َّحِيم بِسْم ِ هللا ِ ال).
5. Tidak melakukan kesilapan dalam bacaan yang boleh menukar makna.
6. Tidak membacanya dengan bacaan yang ganjil (syadz) yang merubah makna.
7. Tidak menukar perkataan-perkataannya.
8. Membaca setiap ayatnya termasuk basmalahnya, kerana ia adalah sebahagian daripada surah al-Fâtihah.
9. Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mu‘jizat al-Qur’an itu.
10. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fâtihah, hendaklah membaca penggantinya daripada surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. Lainlah halnya jika gantiannya itu terdiri daripada zikir ataupun do‘a, kerana ia boleh diterjemahkan jika tidak mampu membacanya dalam bahasa Arab.
11. Membacanya dalam keadaan qiyâm (berdiri). Jika tidak mampu berdiri, maka hendaklah dibaca dalam keadaan duduk, berbaring atau sebagainya.
Kaedah Bacaan Yang Disunatkan (Afdhal)
Ada beberapa kaedah bacaan yang disunatkan menurut ulama, iaitu:
1. Sunat waqaf pada setiap ayat, termasuk juga dalam hal ini pada ayat basmalah sebagaimana menurut pendapat mu‘tamad dalam kitab Fath al-Mu‘în.
Imam al-Bujairimi berkata: “Pendapat yang mu‘tamad ialah sunat waqaf pada basmalah kerana ia adalah satu ayat yang sempurna, dan setiap ayat yang sempurna itu disunatkan waqaf padanya.”
Ini berdasarkan hadits shahîh, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan cara waqaf ayat demi ayat.
Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan ketika menjelaskan cara bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memutus-mutuskan (mewaqaf) bacaannya (surah al-Fâtihah) ayat demi ayat. (Hadits riwayat Ahmad)
2. Tidak waqaf pada ayat ( ْ ِ أَناْعَمْت َ عَلَيِْ هم ). Syeikh Ramli berkata dalam kitab an- Nihâyah: “Adalah sunat untuk menyambungnya dengan ayat selepasnya kerana ayat tersebut bukanlah tempat waqaf dan bukan pula penghujung ayat.
Bagaimanapun, tidaklah merosakkan sembahyang jika waqaf dilakukan, menurut Imam asy-Syubramalissi. Jika waqaf juga pada ayat ( ْ أَناْعَمْت َ عَلَيْهِم), maka adalah lebih baik menyambungnya sahaja dengan ayat selepasnya.
3. Membaca secara tartîl dan tidak terburu-buru sehingga merosakkan bacaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Janganlah engkau (wahai Muhammad) – kerana hendakkan cepat menghafaz al-Qur‘an yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu oleh Jibril ‘Alaihissalam). (Surah al-Qiyâmah: 16)
Sebab turunnya ayat ini, menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma ialah kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Baginda, Baginda membacanya dengan cepat sehingga memberatkan diri Baginda sendiri.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: Dan al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. (Surah al-Isrâ’: 106)
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Syibl al-Anshari Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, dan janganlah berlebih-lebih padanya (membaca pantas). (Hadits riwayat Ahmad)
Membaca surah al-Fâtihah dengan tergopoh-gapah dan tidak membacanya ayat demi ayat atau membacanya tanpa berhenti langsung, khususnya semasa sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan tidak memenuhi tuntutan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Membaca dengan tenang ayat demi ayat mengikut kaedah bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini pada hakikatnya, akan lebih mendatangkan kekhusyû‘an, di samping memudahkan kita untuk merenung, menghayati serta memahami maksud ayatnya satu persatu, ataupun sekurang-kurangnya, jika tidak memahami maksud ayatnya, sebagai adab dan tanda hormat kita terhadap Kalâmullah. Ini tidak syak lagi akan menimbulkan rasa kemanisan ibadat terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Imam Ghazali berkata: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya bacaan secara tartîl itu disunatkan bukanlah semata-mata untuk merenung maksud ayatnya sahaja, bahkan orang-orang bukan Arab yang tidak memahami makna ayat al-Qur’an pun disunatkan supaya membacanya secara tartîl dan tenang, kerana ini lebih menunjukkan rasa sopan dan hormat terhadap al-Qur’an, dan akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam di dalam jiwa daripada membacanya secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa.”
4. Mengindahkan dan memerdukan suara.
Diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Hiasilah al-Qur’an dengan (kemerduan) suara-suara kamu.” (Hadits riwayat an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Permasalahan Tertib Dalam Bacaan Surah Al-Fâtihah
1. Wajib membaca surah al-Fâtihah itu secara tertib yakni tersusun mengikut susunan bacaan yang tsâbit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan tertib dan tersusun. Cara Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu wajib diikut berdasarkan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Jika dengan senghaja membaca dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan ayat yang kemudian ataupun sebaliknya, maka batallah bacaan surah al-Fâtihahnya itu, kerana membaca ayat-ayatnya bukan pada tempatnya yang betul. Sembahyangnya tidak batal jika dia isti’nâf (membaca semula dari awal) surah al- Fâtihah itu.
Adapun jika ia tidak disenghajakan, sebagai misal jika mendahulukan membaca ( ِس ِ ِينمَالِك ِ ياَوْم ِ الد) daripada ( ِ ََُّْن ِ ال َّحِيم ال) maka cukup baginya sekadar menyambung ayat tersebut ( ِِ ال َّحِيم ََُّْن ال) dengan ayat selepasnya, iaitu ( ِ س ِ ِينِ الد ِ ياَوْم مَالِك) tanpa perlu membaca semula dari awal surah. Sementara ayat ( ِس ِ ِينمَالِك ِ ياَوْم ِ الد) yang didahulukannya itu tadi tidak dikira. Bagaimanapun, jika sudah jauh jarak waktu kesalahan tersebut berlaku, maka diwajibkan isti’nâf.
Adapun jika bacaannya itu membawa kepada perubahan makna, maka batallah sembahyangnya jika dilakukannya secara senghaja dan dia mengetahui hukum larangan melakukannya. Jika tidak disenghajakan dan dia tidak tahu hukumnya, dalam hal ini bacaannya menjadi batal dan wajib isti’nâf, akan tetapi tidaklah membatalkan sembahyangnya.
2. Orang yang sudah membaca separuh daripada surah al-Fâtihah, lalu dia merasa syak adakah dia sudah membaca basmalah ataupun belum, lalu diteruskannya juga bacaannya itu tanpa mengulangi basmalah, kemudian dia teringat setelah selesai membaca surah al-Fâtihah itu bahawa dia sudahpun membaca basmalah. Dalam hal ini mengikut pendapat yang awjah (paling tepat) menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, wajib membaca semula surah al-Fâtihah dari mula hingga akhir, termasuklah basmalah.
3. Jika berlaku syak kemungkinan tertinggal suatu huruf ataupun lebih setelah habis membaca keseluruhan surah al-Fâtihah dan sebelum ruku‘, maka keraguan tersebut tidak dikira kerana dia dianggap sudah membacanya dengan sempurna dan ia dimaafkan. Berlainan halnya jika dia ragu-ragu bahawa adakah dia sudah membaca surah al-Fâtihah ataupun belum. Jika ini berlaku, wajib atasnya isti’nâf.
4. Jika berlaku syak tertinggal sebahagian ayat daripada surah al-Fâtihah setelah ia selesai dibaca, maka keraguan itu tidak dikira kerana sudah dikira telah membacanya dengan sempurna.
Adapun jika keraguan itu berlaku sebelum selesai membaca surah al-Fâtihah, wajib baginya isti’nâf jika keraguannya itu lama. Jika keraguannya itu tidak lama, maka cukuplah baginya sekadar membaca kembali ayat yang diragukannya itu tadi dan kemudian menyambung kembali bacaannya daripada ayat tersebut sehingga selesai.
Bagaimanapun, jika dia ragu-ragu kemungkinan ada tertinggal suatu ayat daripada surah al-Fâtihah, dan dia sendiri tidak pasti ayat yang mana satu yang berkemungkinan tertinggal itu, maka wajib ke atasnya isti’nâf.
5. Apabila orang yang membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan khayal, lalai atau kurang tumpuan, misalnya membacanya sedangkan ketika itu dia sedang berangan ataupun memikirkan perkara yang lain, kemudian tersedar kembali apabila sampai pada ayat ( َ ص ِ َاط َ الَّذِين), lalu dia tidak yakin dalam waktu terdekat akan kesempurnaan bacaannya ketika lalai itu (keraguannya itu lama), maka wajib atasnya isti’nâf. Adapun jika dia masih yakin akan kesempurnaan bacaannya (ketika lalainya itu) dalam masa terdekat, maka bolehlah dia meneruskan sahaja bacaannya.
Permasalahan Muwâlah (Berturut-Turut) Dalam Bacaan Surah Al-Fâtihah
Wajib muwâlah dalam bacaan kerana mengikut bacaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan sabda Baginda:
Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Maksud muwâlah ialah membaca secara berturut-turut antara satu kalimat dengan kalimat yang lain, dan tidak memisahkan antara keduanya kecuali dalam kadar mengambil nafas.
Adapun perkara-perkara yang boleh memutuskan muwâlah itu ialah:
1. Senghaja diam dalam satu kadar masa yang lama ketika membaca surah al- Fâtihah sehingga dapat dirasakan bahawa dia ingin memutuskan bacaannya, atau dapat dirasakan bahawa dia dengan rela hatinya enggan meneruskan bacaannya, maka putuslah muwâlah dan batallah bacaannya, dan wajib atasnya isti’nâf (mengulanginya). Adapun jika dia berniat untuk memutuskan bacaannya, maka putuslah muwâlah walaupun dia hanya berhenti sekejap sahaja mengikut pendapat yang paling shahîh dan masyhûr dalam mazhab Imam asy-Syafi‘e.
Akan tetapi, jika dia berniat untuk memutuskan bacaannya sedangkan dia tidak melakukannya (tidak juga memutuskan bacaannya), maka tidak terputus muwâlah tersebut.
Berlainan halnya jika orang yang diam lama kerana keuzuran, misalnya tidak tahu hukum, terlalai, gagap, banyak bersin, batuk, menguap ataupun diam kerana mengingati ayat yang terlupa; perkara-perkara seumpama ini tidak memutuskan muwâlah.
2. Membaca tasbîh, tahlîl mahupun zikir-zikir yang lain atau membaca ayat-ayat daripada surah yang lain sama ada banyak mahupun sedikit ketika membaca surah al-Fâtihah. Perkara-perkara sedemikian tidak disuruh kerana boleh memutuskan muwâlah.
Umpamanya juga menyahut seruan azan ketika membaca surah al-Fâtihah, mengaminkan bacaan surah al-Fâtihah yang dibaca oleh bukan imamnya, ataupun mengucapkan “al-hamdulillâh” ketika bersin, kerana perkara ini walaupun sunat dilakukan di luar sembahyang, ia tidak sekali-kali diharuskan dalam sembahyang. Akan tetapi jika ia tidak disenghajakan, misalnya kerana terlupa ataupun terlalai maka tidak terputus muwâlah sebagaimana tersebut di dalam kitab Mughni al- Muhtâj.
Adapun perkara-perkara yang disuruh seperti mengaminkan bacaan imam, sujud tilâwah kerana bacaan imam, membetulkan bacaan imam yang terhenti bacaannya kerana terlupa, sama ada surah al-Fâtihah atau surah-surah yang lain, atau membaca do‘a memohon rahmat ketika imam membaca ayat-ayat rahmat atau membaca do‘a memohon perlindungan ketika dibacakan ayat-ayat azab (dalam bahasa Arab), maka menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), tidaklah memutuskan muwâlah bacaan surah al-Fâtihah itu. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan isti’nâf sebagai mengambil kira pendapat sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e yang mengatakan bahawa perkara-perkara tersebut termasuk juga dalam perkara-perkara yang memutuskan muwâlah. Yang demikian itu sebagai jalan keluar untuk mengelakkan daripada perselisihan pendapat.
3. Membetulkan bacaan imam yang terlupa ataupun salah bacaannya sedangkan imam tersebut belum lagi berhenti membaca, yakni masih lagi mengulang-ulang bacaannya untuk mengingati ayat tersebut.
Akan tetapi, mengikut Imam asy-Syarqawi, boleh membetulkan bacaan imam yang masih lagi mengulang-ulang bacaannya jika telah sempit waktu (waktu sembahyang hampir habis).
Perlu diingat juga di sini bahawa untuk membetulkan bacaan imam, selain disyaratkan supaya memastikan imam sudah berhenti membaca, disyaratkan juga ketika membetulkan itu supaya berniat qirâ’ah (membaca al-Qur’an) semata-mata, ataupun berniat qirâ’ah dan membetulkan bacaan imam. Jika diniatkan untuk membetulkan bacaan imam semata-mata tanpa niat qirâ’ah maka ia akan menyebabkan sembahyang makmum tersebut menjadi batal sepertimana pendapat mu‘tamad dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.
Permasalahan Ta’mîn Selepas Bacaan Surah Al-Fâtihah
1. Ta’mîn ialah mengucapkan (ْيآم ) setelah selesai membaca surah al-Fâtihah. Hukumnya adalah sunat ke atas setiap orang yang bersembahyang setelah selesai membaca surah al-Fâtihah sama ada imam, makmum, munfarid, lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang yang bersembahyang dengan cara berdiri, orang yang bersembahyang dengan cara duduk, orang yang bersembahyang dengan cara berbaring, orang yang bersembahyang fardhu, orang yang bersembahyang sunat, dalam sembahyang jahriyyah mahupun dalam sembahyang sirriyyah tanpa perselisihan pendapat antara ulama mazhab asy-Syafi‘e. Ta’mîn juga sunat ke atas orang yang telah selesai membaca surah al-Fâtihah di luar sembahyang. Bagaimanapun, menurut Imam al-Wahidi, tuntutannya dalam sembahyang adalah lebih utama.
Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Apabila imam membaca ( َِْي “Âmîn”. Maka sesiapa yang bertepatan ta’mînnya dengan ta’mîn malaikat, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Setelah selesai membaca surah al-Fâtihah, sunat diam sekejap (dalam kadar kira-kira membaca subhânallâh) sebelum berta’mîn. Tujuannya supaya membezakan surah al-Fâtihah dengan perkataan “Âmîn”, kerana ia bukanlah sebahagian daripada surah tersebut.
3. Jika sembahyang yang dikerjakan itu ialah sembahyang jahriyyah, maka bacaan ta’mîn pun dibaca secara jahar sebagaimana bacaan surah al-Fâtihahnya dibaca secara jahar. Begitu juga sebaliknya bagi sembahyang sirriyyah, bacaan ta’mîn akan dibaca secara sirr, sama ada bagi imam ataupun makmum.
4. Makmum sunat menta’mînkan bacaan surah al-Fâtihah imam dalam sembahyang jahriyyah sungguhpun imam itu sendiri tidak menta’mînkannya, sama ada dia senghaja meninggalkannya ataupun terlupa, supaya imam itu terdengar lalu turut menta’mînkannya.
5. Sunat ta’mîn makmum serentak dengan ta’mîn imam, supaya ta’mîn mereka itu bersamaan (satu masa yang sama) dan bertepatan dengan ta’mîn malaikat, kerana para malaikat ketika itu turut sama berta’mîn bersama imam.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Shahîhnya daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam berta’mîn, maka berta’mînlah kamu, kerana sesungguhnya para malaikat turut sama berta’mîn bersama ta’mîn imam itu. Maka sesiapa yang bertepatan (masa) ta’mînnya itu dengan ta’mîn para malaikat, nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
6. Jika makmum membaca surah al-Fâtihah bersama-sama imam, misalnya kerana makmum tersebut tahu bahawa imam tidak akan membaca surah selepas membaca surah al-Fâtihah, atau hanya akan membaca surah yang pendek dan khuatir tidak akan sempat menghabiskan surah al-Fâtihah, maka jika makmum tersebut lebih dahulu selesai membaca surah al-Fâtihah, mengikut pendapat yang terpilih dalam mazhab asy-Syafi‘e hendaklah dia menta’mînkan bacaan surah al- Fâtihahnya terlebih dahulu kemudian berta’mîn sekali lagi setelah imam selesai membaca surah al-Fâtihah.
Imam as-Sarkhasi di dalam kitab al-Amali menyebutkan: “Jika seorang makmum itu berta’mîn bersama imam, kemudian makmum itu membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah makmum tersebut menta’mînkan lagi bacaan surah al-Fâtihah nya sendiri. Jika makmum itu membaca surah al-Fâtihah bersama imam dan habis membaca bersama-samanya, maka adalah memadai baginya untuk berta’mîn sekali sahaja.”
7. Sunat bagi imam supaya diam sebentar (saktah lathîfah) setelah ta’mîn ketika sembahyang jahriyyah dalam kadar kira-kira memberi peluang kepada makmum untuk menghabiskan bacaan surah al-Fâtihah mereka. Diam di sini bukanlah bermaksud diam semata-mata, akan tetapi disunatkan bagi imam pada waktu tersebut untuk membaca zikir, do‘a ataupun membaca ayat-ayat al-Qur’an secara sirr. Tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtâj dan Fath al-Mu‘în adalah lebih awlâ (lebih utama) bagi imam ketika saktah lathîfah itu supaya membaca ayat-ayat al-Qur’an (secara sirr).
8. Untuk menta’mînkan bacaan imam dalam sembahyang jahriyyah, makmum disyaratkan supaya dapat mendengar bacaan surah al-Fâtihah imam dengan bunyi suara yang jelas, iaitu sekira-kira dapat makmum itu membezakan huruf-huruf yang dibacakan oleh imam, bukannya semata-mata mengikut ta’mîn imam.
Memadai bagi makmum dalam hal ini untuk mendengar imam membaca ( َِْي َّالس وَال َ ال) sahaja, tidak disyaratkan mendengar keseluruhan bacaan surah al-Fâtihah imam.
9. Ta’mîn akan dikira luput jika dengan senghaja diam melebihi daripada kadar yang disunatkan selepas ( َِْي َّالس وَال َ ال), iaitu dalam kadar kira-kira dirasakan putus nisbah (hubungan )ta’mîn dengan surah al-Fâtihah.
Ta’mîn juga luput sekiranya orang yang bersembahyang itu ruku‘, atau membaca sesuatu yang lain selepas ‘ َِْي َّالس وَال َ ال’ walaupun secara tidak senghaja dan sedikit.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengecualikan dalam hal ini jika orang itu membaca ‘ ْ ِ ِ اغْفسِرَبْ لِي ’ selepas ‘ َِْي َّالس وَال َ ال’ sebelum ta’mîn, kerana pernah dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ‘ ْ ِ ِ اغْفسَلِرَب’ setelah ‘ ِْيَ وَال َ الَّالس ’ dan sebelum ta’mîn.
Kesalahan-Kesalahan Pada Huruf Dan Baris Surah Al-Fâtihah
Imam as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani, iaitu pengarang kitab Fath al- ‘Allâm ada menyebutkan permasalahan ini dalam kitabnya, beliau berkata:
“Jika menggugurkan satu huruf daripada surah al-Fâtihah, misalnya membaca ‘ َ ل َِيَّك ناَعْبد ل َِيَّك َ نَسْتَع’ dengan menggugurkan huruf wau (و), atau menghilangkan sabdu, misalnya membaca ‘ َ ل َِيَك’, atau menukarkan dengan huruf yang lain, misalnya
batallah sembahyangnya jika orang tersebut senghaja dan mengetahui akan hukumnya.”
Adapun jika ianya tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimat tersebut, dan wajiblah ke atasnya sebelum ruku‘ untuk membetulkan bacaannya itu tadi, kemudian menyempurnakannnya jika belum lama waktu kesalahan itu berlaku. Jika sudah lama, maka wajib atasnya isti’nâf (mengulangi semula bacaannya dari awal surah al-Fâtihah).
Jika dia senghaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukumnya bahawa dia wajib memperbetulkan bacaannya sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak senghaja ruku‘ misalnya kerana terlupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.
Jika menukar baris sehingga tertukar makna kalimat tersebut, misalnya membaca ‘ ِ ل َِيَّك’ atau ‘أَناْعَمْت’ atau ‘ ِ أَناْعَمْت’ maka batallah sembahyangnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.
Adapun jika tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimat tersebut, maka wajib atasnya mengulangi bacaan tersebut sebelum ruku‘ selama mana jarak masanya masih lagi hampir. Jika jaraknya sudah jauh, maka wajib atasnya isti’nâf. Jika senghaja tidak mahu memperbetulkannya sebelum ruku‘ sedangkan dia tahu hukum memperbetulkan bacaannya itu wajib sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya sepertimana permasalahan di atas.
Dalam masalah melakukan kesalahan dalam bacaan yang membawa kepada perubahan makna ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan sujud Sahwi jika ia tidak disenghajakan. Ini kerana setiap kesalahan yang jika disenghajakan boleh membatalkan sembahyang, tetapi dilakukan secara tidak senghaja, maka adalah disunatkan untuk melakukan sujud Sahwi.
Manakala jika perubahan baris itu tidak membawa kepada perubahan makna, misalnya membaca ‘َِّ ’ atau ‘ناَعْبِد’ maka tidaklah sekali-kali ia membatalkan sembahyang, akan tetapi haram hukumnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.
Semua permasalahan ini adalah bagi mereka yang pada asalnya mampu membaca dengan betul.
Adapun bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membacanya dengan betul dan tidak pula mampu mempelajarinya, maka sembahyang mereka tetap sah dan tidak menjadi haram bagi mereka membaca sedemikian rupa.
Hukum Jika Tidak Pandai Membaca Surah Al-Fâtihah
Telahpun disentuh di awal-awal lagi bahawa surah al-Fâtihah wajib dibaca sama ada melalui hafalan mahupun ditalqînkan kepadanya ataupun dengan cara melihat Mushhaf. Wajib pula mengadakan Mushhaf itu sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib menyediakan lampu jika tempat dia bersembahyang itu gelap bagi membolehkannya membaca Mushhaf tersebut.
Pendek kata surah al-Fâtihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, disertai juga dengan segala usaha yang membolehkannya membaca surah al- Fâtihah itu dengan seberapa mampu yang boleh. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan perkara-perkara tersebut, Islam telah memberikan kelonggaran ke atas mereka ini untuk menggantikan surah al-Fâtihah itu dengan bacaan-bacaan lain.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)
Dalam hal ini, para ulama telahpun menyebutkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengannya seperti berikut:
1. Jika orang tersebut boleh membaca ayat-ayat al-Qur’an yang lain selain surah al-Fâtihah, maka bolehlah ia dijadikan sebagai pengganti surah al-Fâtihah, dengan syarat ia mestilah sekurang-kurangnya tujuh ayat ataupun lebih baik lapan ayat menurut Imam asy-Syafi‘e sepertimana yang telah dinukilkan daripada beliau oleh Imam al-Mawardi. Huruf-hurufnya pula mestilah tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fâtihah, iaitu tidak kurang daripada 156 huruf.
Tidak disyaratkan setiap huruf pada ayatnya menyerupai jumlah setiap huruf pada ayat-ayat surah al-Fâtihah, bahkan adalah memadai sebagai syarat bahawa ia sekurang-kurangnya tujuh ayat dan huruf-hurufnya secara keseluruhannya tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fâtihah dengan mengambil perhatian bahawa setiap huruf yang bersabdu dalam surah al-Fâtihah itu dikirakan sebagai dua huruf.
Ayat-ayat pengganti daripada al-Qur’an ini, menurut Imam an-Nawawi, boleh dibaca sama ada secara tersusun dalam satu surah, ataupun dibaca bercerai-cerai daripada satu ataupun beberapa buah surah yang berlainan, sama ada makna ayat-ayat tersebut ada kaitan antara satu dengan yang lain ataupun tidak, sungguhpun orang itu hafal secara tersusun dalam satu surah.
Walau bagaimanapun, Imam Ibnu Hajar al-Haitami berpendapat, jika ia dibaca secara bercerai-cerai dengan tidak tersusun makna, orang itu mestilah berniat dengan niat qirâ’ah (membaca al-Qur’an) ketika membaca ayat yang bercerai-cerai itu kerana bacaan yang seumpama itu tidak dinamakan al-Qur’an jika dilafazkan semata-mata tanpa niat qirâ’ah.
2. Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya dengan tujuh macam zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fâtihah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad:
Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al- Qur’an”. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab:
ِ الْعَظِيمسالْعَلِي (Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan
selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar).” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada orang tersebut lima macam zikir, dan ditambahkan lagi oleh ulama sebagai mencukupi syarat tujuh macam zikir itu dengan dua macam zikir lagi iaitu:
Ertinya: Segala apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku.
Ertinya: Dan segala apa yang tidak dikehendakiNya, tidak akan berlaku.
Walau bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), tidaklah ditentukan mana-mana zikir untuk dibaca sebagai badal (ganti) surah al-Fâtihah itu. Adalah memadai sebagai syarat dengan memilih mana-mana tujuh macam zikir dan mengulanginya atau menambahnya dengan zikir-zikir lain sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf surah al-Fâtihah.
Selain zikir, boleh juga surah al-Fâtihah tersebut digantikan dengan do‘a. Imam an- Nawawi berpendapat bahawa do‘a tersebut mestilah (wajib) do‘a-do‘a ukhrawi (yang berkaitan dengan urusan akhirat), misalnya memohon syurga, keampunan, keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagainya dalam bahasa Arab sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fâtihah. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah diterjemahkan do‘a tersebut ke mana-mana bahasa yang dikuasainya.
Jika orang tersebut tidak juga pandai membaca terjemahan do‘a ukhrawi, maka bolehlah membaca do‘a-do‘a duniawi (yang berkaitan dengan urusan keduniaan), misalnya memohon keselamatan dan sebagainya dalam bahasa Arab. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah ianya dibaca dalam mana-mana bahasa yang dikuasainya sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fâtihah.
Selain dibolehkan memilih di antara zikir ataupun do‘a ini, dibolehkan juga untuk mencampurkan kedua-duanya sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Tuhfah al- Habîb karangan Syeikh Sulaiman al-Bujairimi.
3. Sungguhpun ada keringanan untuk membaca terjemahan badal daripada zikir dan do‘a dalam sembahyang jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, perlu diingat di sini bahawa al-Qur’an tidak boleh sekali-kali diterjemahkan ke dalam bahasa lain dalam sembahyang. Ini kerana turunnya al-Qur’an itu dalam bahasa Arab serta keindahan lafaz ayat serta susunannya merupakan satu mu‘jizat. Maka menterjemahkannya ke dalam bahasa lain akan merosakkan keindahannya dan secara langsung akan mencacatkan, bahkan akan menghilangkan nilai kemu‘jizatannya itu.
Oleh kerana itulah terjemahan al-Qur’an itu menurut Imam Khathib asy-Syarbini, tidak lagi dinamakan al-Qur’an berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Yusuf:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab. (Surah Yusuf: 2)
4. Tidak disyaratkan untuk berniat ketika membaca badal daripada zikir mahupun do‘a ini, akan tetapi jika ingin berniat juga maka tidak dibolehkan berniat selain daripada meniatkan bahawa badal tersebut adalah sebagai pengganti bacaan surah al-Fâtihah semata-mata.
5. Sekiranya orang tersebut mampu membaca sebahagian ayat surah al-Fâtihah, maka tidak memadai baginya mengulang-ulang ayat daripada surah al-Fâtihah yang dia tahu itu selagi mana dia tahu membaca badal lain, sama ada daripada al- Qur’an, zikir mahupun do‘a.
Akan tetapi, diberikan kepadanya keringanan untuk mengulangi ayat daripada surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar keseluruhan huruf-huruf surah al-Fâtihah sekiranya orang tersebut langsung tidak pandai membaca mana-mana badal daripada al-Qur’an, zikir dan do‘a.
6. Orang yang mampu membaca sebahagian surah al-Fâtihah dan mampu membaca badal daripada al-Qur’an, zikir ataupun do‘a, maka wajib baginya membaca ayat surah al-Fâtihah tersebut di tempatnya, yakni wajib membacanya secara tertib mengikut tertib susunan ayatnya.
Jika ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu adalah ayat keempat, maka wajib baginya membaca badal sebagai ganti separuh pertama (ayat satu hingga tiga) surah al-Fâtihah dahulu, kemudian barulah membaca ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu (ayat keempat) dan kemudian membaca pula badal bagi separuh terakhir surah al-Fâtihah tersebut (ayat lima hingga tujuh).
Begitu juga halnya jika surah al-Fâtihah yang mampu dibacanya itu bercerai-cerai. Wajib baginya membaca ayat-ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu mengikut tertib susunan ayatnya, dan wajib pula membaca badalnya tepat pada ayat surah al-Fâtihah yang dia tidak tahu membaca itu.
7. Jika langsung tidak pandai membaca surah al-Fâtihah, dan tidak tahu pula membaca mana-mana badal daripada al-Qur’an, zikir mahupun do‘a, dan tidak juga pandai membaca terjemahan zikir dan do‘a serta tidak berkemampuan untuk belajar, maka wajib atasnya qiyâm (berdiri) sahaja dalam kadar bacaan surah al- Fâtihah, iaitu kira-kira kadar bacaan yang sederhana.
Ini kerana bacaan surah al-Fâtihah dan berdiri ketika membacanya itu kedua-duanya wajib, maka jika tidak mampu mengerjakan satu daripada kedua-duanya (membaca surah al-Fâtihah) tidak akan menggugurkan kewajiban yang satu lagi iaitu berdiri.
Penutup
Kesungguhan dalam membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang itu adalah satu perkara yang sangat penting dan wajib dijaga kerana sebarang kesilapan yang berlaku tidak syak lagi akan menjejaskan kesempurnaan sembahyang.
Janganlah kerana surah ini lancar di mulut ia dibaca secara tidak berperaturan dengan tidak menyebutkan setiap hurufnya daripada makhrajnya yang betul, tidak memelihara tajwidnya, bahkan ada yang menghabiskannya hanya dengan satu nafas seolah-olah tiada penghayatan dan tiada rasa hormat terhadap al-Qur’an.
Wajiblah ke atas kita memelihara kemuliaan al-Qur’an ini, dengan membacanya sepertimana Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ’alaihi wasallam membacanya. Iaitu dengan tartîl, penuh penghayatan, memelihara tajwid serta peraturan-peraturannya seperti muwâlah, tertib dan sebagainya, di samping berusaha belajar dan memperbaiki bacaan jika tidak mampu membacanya dengan baik dan sempurna.
Mudahan-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan membaca surah al- Fâtihah dalam sembahyang ini akan dapat menambahkan ilmu kita mengenai sembahyang dan sekaligus membantu kita untuk menyempurnakannya seperti yang dituntut oleh syara‘ dan meningkatkan lagi kualiti peribadatan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
DAHI: Salah Satu Anggota Sujud
Sujud adalah salah satu rukun fi‘li (perbuatan) daripada rukun-rukun dalam sembahyang. Menurut sesetengah kitab seperti Mughni al-Muhtâj dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn, sujud merupakan rukun yang ketujuh dalam sembahyang.
Sujud dalam sembahyang merupakan fardhu berdasarkan al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hajj:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang). (Surah al-Hajj: 77)
Manakala hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang, maka bertakbîrlah, kemudian bacalah sesuatu yang mudah yang ada bersama kamu dari al-Qur’an. Kemudian ruku‘lah sehingga kamu thuma’ninah dalam ruku‘. Kemudian bangunlah (dari ruku‘) sampai kamu tegak berdiri (i‘tidâl). Kemudian sujudlah sehingga kamu thuma’ninah dalam sujud. Kemudian bangunlah (dari sujud) sampai kamu thuma’ninah dalam duduk. Dan lakukanlah demikian itu dalam setiap sembahyangmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan thuma’ninah ketika sujud itu ialah hendaklah setiap satu daripada anggota sujud itu tetap seketika pada tempatnya. Jumhûr mengatakan adalah wajib thuma’ninah ketika sujud berdasarkan hadits di atas. Menurut sebilangan ulama, kadar masa thuma’ninah ketika sujud itu ialah kadar bacaan satu tasbîh sujud iaitu:
Berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan hadits, maka ulama sepakat mengatakan bahawa sujud itu adalah fardhu dalam sembahyang.
Makna Sujud
Sujud dari segi bahasa antaranya bermaksud merendahkan diri; menundukkan kepala; hina (merendahkan kedudukan); miring (condong) ke suatu tempat dan meletakkan dahi ke bumi. Perbuatan sujud seseorang itu ialah apabila dia menundukkan atau merendahkan kepalanya ke hadapan dan membongkokkan badannya ke bawah (tanah).
Sebagai tambahan, sujud yang bermaksud merendahkan diri dan menundukkan kepala ialah sebagaimana sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri penghormatan) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34)
Ulama telah sepakat bahawa sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam itu bukanlah sujud ibadat. Ini kerana melakukan sujud selain kepada Allah Ta‘ala membawa kepada kufur.
Manakala makna sujud dari segi syara‘ ialah menyentuh sebahagian dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud, sama ada tempat sujud itu tanah atau selainnya. Adapun bilangan sujud dalam sembahyang itu ialah sebanyak dua kali dalam setiap rakaat.
Anggota Sujud
Anggota sujud itu ada tujuh sepertimana yang telah disebutkan dalam hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang; pada dahi dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan jari-jari daripada dua telapak kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tertib Sujud
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, sunat melakukan sujud itu dengan meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua-dua tangan, kemudian dahi dan hidung. Sekiranya dia meletakkan kedua-dua tangannya dahulu sebelum kedua-dua lututnya, maka itu adalah memadai cuma dia meninggalkan sunat hai’ah. Ini berdasarkan kepada hadits Wa’il bin Hujr dia berkata:
Maksudnya: Saya melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika Baginda sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua tangan Baginda. Dan jika Baginda bangun (dari sujud), Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut at-Tirmidzi, al-Khathabi dan al-Qadhi Abu ath-Thayyib dalam kitab al- Majmû‘, tertib cara inilah yang disepakati oleh jumhûr ulama. Sementara itu Ibnu Mundzir juga berpendapat demikian.
Menurut asy-Syeikh al-Baijuri, beginilah tertib sujud yang akmal (lebih sempurna). As-Sayyid al-Bakri pula mengatakan adalah makruh menyalahi tertib sujud yang telah disebutkan di atas.
Demikian secara ringkas dijelaskan mengenai hukum sujud dalam sembahyang, anggota sujud dan tertibnya. Adapun penjelasan selepas ini mengenai sujud hanya akan ditumpukan kepada salah satu daripada anggota sujud sahaja, iaitu dahi.
Hukum Sujud Pada Dahi
Hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa perselisihan ulama dan lebih awlâ (baik) jika seseorang itu sujud pada keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana yang dituntut ketika sujud itu ialah menyentuh sebahagian dahi seseorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujudnya. Namun jika kurang daripada itu, maka itu adalah memadai dan hukumnya adalah makruh (karâhah tanzîh). Inilah perkataan Imam asy-Syafi‘e dalam kitab al-Umm dan juga pendapat para ulama Syafi‘e. Maksud karâhah tanzîh itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya, akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya tidak berdosa hanya khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama).
Oleh kerana itu, jika dia sujud pada jabin, iaitu tepi dahi; atau pipi; atau pelipis, iaitu bahagian di antara mata dengan telinga; atau pada atas kepala; atau pada hidungnya sahaja dan dia tidak meletakkan sebahagian apa pun daripada dahinya pada tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu adalah tidak memadai. Beginilah juga yang dinashkan dalam kitab al-Umm.
Di samping itu, tidak memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada dahi tersebut.
Sujud Pada Dahi Yang Tertutup
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dan para ulama asy-Syafi‘e: “Wajib dibuka (yakni tidak ditutup) kawasan dahi supaya dahi itu bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud.”
Kewajiban membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadits Khabab bin al-Art, beliau berkata:
Maksudnya: Kami mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Jika sekiranya dahi itu tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengizinkan mereka menutupnya. Berdasarkan itu, beberapa keadaaan seperti contoh-contoh berikut boleh merosakkan sujud dan membatalkan sembahyang:
i. Sujud pada dahi yang tertutup oleh topi atau songkok, maka tidak sah sujud.
ii. Sujud pada rambut yang jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan dengan rambut yang tumbuh pada dahi, maka itu tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.
iii. Sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan hadapan serban juga tidak sah sembahyang tanpa percanggahan ulama.
Sujud Pada Dahi Yang Terhalang Oleh Hâ’il (Lapik)
Pada kebiasaannya, seseorang yang sembahyang itu akan sujud dengan meletakkan dahinya pada suatu tempat sujud seperti atas sejadah atau seumpamanya.
Namun apabila seseorang itu sujud pada hâ’il, iaitu sesuatu lapik yang menghalang dahi daripada menyentuh tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu tidaklah memadai.
Adakah Sah Sujud Di Atas Hâ’il (Lapik)?
Hukum sah atau tidak perbuatan sujud di atas hâ’il itu berbeza mengikut keadaan hâ’il tersebut, sama ada hâ’il itu ditanggung, iaitu dengan cara malbûs (dijadikan pakaian) ataupun tidak ditanggung. Kemudian hâ’il yang dijadikan pakaian itu, adakah ia bergerak mengikut perbuatan mushalli (orang yang sembahyang) ataupun tidak. Penerangannya adalah seperti berikut:
1. Hâ’il Yang Dijadikan Pakaian Oleh Mushalli.
Contoh dan hukum sujud di atas suatu lapik yang malbûs, iaitu yang dijadikan pakaian, ada dua keadaan:
i. Pakaian yang turut bergerak dengan perbuatan mushalli.
Misalnya hujung baju atau hujung serban dan kedua-dua hujung baju dan serban tersebut bergerak dengan perbuatan mushalli semasa berdiri dan duduk atau selain daripada berdiri dan duduk. Maka jika dia sujud di atas hujung baju atau serban tersebut, ulama sepakat mengatakan tidak sah sembahyangnya. Begitu juga hujung selendang pada bahu.
ii. Pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatan mushalli.
Misalnya hujung pakaian atau hujung serban yang terlalu panjang yang tidak bergerak mengikut perbuatan mushalli, maka itu tidak mengapa dan menurut qaul shahîh sembahyangnya adalah sah. Ini adalah kerana pakaian yang terlalu panjang tadi dihukumkan seperti sesuatu yang munfashil (tidak bersambung) dengan mushalli.
Menurut al-Khathib, jika seseorang itu sembahyang dalam keadaan duduk lalu dia sujud atas pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatannya dalam hal keadaan dia sembahyang duduk, sedangkan jika dia sembahyang berdiri nescaya pakaian itu bergerak, maka itu tidak mengapa. Demikianlah juga menurut Ibnu Hajar al-Haitami: sah sembahyangnya.
Bagaimana pula perbuatan mushalli yang menyebabkan sesuatu pakaian yang dipakai itu bergerak? Mengikut Ibnu Hajar al-Haitami memadailah pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli ketika sembahyang dan bukannya dengan kekuatan.
Jika dia sujud di atas hâ’il dengan senghaja dan mengetahui tentang haramnya, maka batal sembahyangnya. Adapun jika dia lupa atau lalai, maka tidak batal sembahyangnya akan tetapi wajib dia mengulangi sujudnya tadi.
2. Hâ’il Yang Munfashil Daripada Mushalli
Maksud munfashil di sini ialah sesuatu yang tidak bersambung dengan mushalli dan tidak ditanggung olehnya. Berikut diberikan contoh hâ’il yang munfashil dan hukum sujud di atasnya:
i. Sujud di atas tangan orang lain adalah sah kerana tangan tersebut bukan mahmûl (ditanggungnya).
ii. Sujud di atas hujung baju atau hujung serban orang lain adalah sah, begitu juga sembahyangnya sah, jika ada ciri perbuatan sujud.
iii. Begitu juga sujud di atas tongkat atau sapu tangan yang ada di tangannya. Akan tetapi tidak sah sujud jika sapu tangan itu ada pada serban atau pada leher kerana ia adalah malbûs (menjadi pakaian) bagi mushalli.
iv. Jika pada tempat sujudnya itu ada sehelai daun, kemudian dia sujud di atasnya. Ketika dia mengangkat dahi daripada sujud, daun itu masih terus melekat pada dahinya. Dalam keadaan ini, sujud yang pertama adalah sah. Namun daun tersebut wajib dibuang atau ditanggalkan pada sujud yang kedua. Jika tidak ditanggalkan, maka tidak sah sujudnya yang kedua itu.
Jelasnya, hâ’il itu jika tidak ditanggung oleh mushalli, sekalipun ia bergerak mengikut pergerakan mushalli, maka ia tidak memberi kesan ke atas sahnya perbuatan sujud. Sebagai contoh, seseorang sujud di atas katil yang bergerak ketika dia sembahyang, maka ini tidak mengapa kerana katil itu bukan ditanggungnya. Yang memberi kesan pada sah atau tidak perbuatan sujud itu ialah kembali kepada hâ’il yang ditanggungnya.
Mengangkat Dahi Ketika Sujud
Jika seseorang sujud di atas sesuatu (benda atau permukaan) yang kasar yang menyakiti dahinya, lalu dia menjauhkan, memindahkan atau menggerakkan dahinya daripada tempat sujud tadi tanpa mengangkat dahi tersebut, maka perbuatan ini tidak mengapa.
Walau bagaimanapun hukum berulangkali mengangkat dan meletakkan dahi ketika sujud kerana sesuatu sebab atau keuzuran, misalnya sujud pada permukaan kasar yang menyakiti dahi, dilihat dari dua keadaan, iaitu:
i. Mengangkat dahi sebelum adanya thuma’ninah.
Jika dia terus mengangkat dahinya itu dari tempat sujud yang disebutkan di atas sebelum ada thuma’ninah, maka perbuatannya itu tidak mengapa.
ii. Mengangkat dahi setelah adanya thuma’ninah.
Adapun jika keadaan sebaliknya, yakni sesudah thuma’ninah, maka perbuatan mengangkat dahi dan meletakkannya berulang kali boleh membatalkan sembahyang kerana melebih-lebihkan bilangan sujud.
Maka dapat difahami bahawa perbuatan mengangkat dahi dan mengembalikannya semula ke tempat sujud tanpa sebarang keuzuran atau sebab boleh membatalkan sembahyang secara mutlak.
Meletakkan Hidung Ke Tempat Sujud
Hukum meletakkan hidung bersama-sama dengan dahi ketika sujud hanyalah sunat. Sunat juga meletakkan dahi dan hidung secara serentak tanpa mana-mana anggota yang dua ini mendahului ke atas satu yang lain.
Sebaliknya jika dia sujud dengan hanya meletakkan hidung sahaja, tanpa sedikit pun menyentuh mana-mana bahagian daripada dahi, maka tidaklah memadai sepertimana yang telah diterangkan terdahulu.
Sebagai kesimpulan, sujud merupakan rukun fi‘li (perbuatan) dan fardhu dalam sembahyang. Ulama sepakat bahawa hukum sujud pada dahi yang terbuka, yakni tidak tertutup, adalah wajib. Maka sujud pada dahi yang tertutup oleh hâ’il (halangan atau lapik) adalah tidak sah. Contohnya tidak sah sujud di atas songkok yang menutupi dahi dan yang seumpamanya seperti serban atau rambut. Begitu juga tidak sah sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri.
Hukum sujud pada dahi yang terhalang oleh lapik yang ditanggung, iaitu yang dijadikan pakaian, tergantung sama ada pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli dalam sembahyang ataupun tidak. Secara ringkas, sujud di atas pakaian yang bergerak dengan perbuatan mushalli adalah tidak sah. Sujud di atas pakaian yang disebutkan tadi, jika dilakukan tanpa senghaja atau kerana lalai dan lupa, maka wajib diulangi sujud itu sahaja tanpa membatalkan sembahyang. Sebaliknya jika dilakukan dengan senghaja dan mengetahui tentang ketidakharusannya, maka batal sembahyangnya.
Manakala sujud di atas pakaian yang terlalu panjang yang tidak bergerak dengan perbuatan mushalli adalah sah. Begitu juga dengan hâ’il yang munfashil, iaitu yang tidak ditanggung atau tidak dijadikan pakaian, maka sah sujud di atasnya.
Hidupkan Waktu Maghrib Dengan Sembahyang Sunat Awwabin
Waktu di antara dua sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ adalah di antara semulia-mulia dan seafdhal-afdhal waktu untuk dimakmurkan dengan amal ibadat serta menjauhi segala kelalaian dan kebâthilan. Oleh kerana itu, elok benar jika ia diisi dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan lain-lain seumpamanya. Lupakan hiruk-pikuk dunia dengan segala macam perkara yang melalaikan!
Menurut ulama, antara amalan yang paling afdhal dikerjakan pada waktu tersebut ialah mendirikan sembahyang sunat. Sembahyang yang sunat dikerjakan pada waktu tersebut ialah sembahyang Awwabin. Para sahabat yang dikhabarkan mengerjakan sembahyang sunat Awwabin ini antaranya ialah Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Amru, Salman al-Farisi, Abdullah bin ‘Umar dan Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhum.
Apakah sembahyang sunat Awwabin itu dan bagaimana kaifiyyah mengerjakannya?
Siapakah Mereka Golongan Awwabin Itu?
Awwabin bermaksud orang-orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, penuh keikhlasan dalam ketaatan mereka terhadapNya dan meninggalkan kecenderungan serta dorongan hawa nafsu insani semata-mata keranaNya. Sembahyang ini dinamakan juga dengan nama sembahyang sunat Ghaflah kerana orang-orang yang mengerjakannya bertaubat, mengingati serta kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala tatkala orang lain lalai daripada mengingatiNya pada waktu tersebut kerana makan malam ataupun kerana kesibukan menyediakannya, tidur dan sebagainya.
Firman Allah Ta‘ala dalam surah adz-Dzâriyât:
Tafsirnya: Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. (Surah adz-Dzâriyât: 17)
Sebahagian ulama berpendapat bahawa ayat ini diturunkan kepada mereka yang menghidupkan waktu di antara dua sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ dengan mengerjakan sembahyang.
Allah Ta‘ala berfirman lagi:
Tafsirnya: Di antara ahli-ahli Kitab itu ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar); mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). (Surah Âli ‘Imran: 113)
Imam Sufyan ats-Tsauri berkata: “Telah dikhabarkan kepadaku bahawa golongan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah orang-orang yang mengerjakan sembahyang di antara waktu Maghrib dan ‘Isya’.” Awwabin bermaksud membuat amal ibadat dengan bersembahyang dan menghadap Allah Ta‘ala. Digelarkan ia sembahyang sunat Awwabin kerana pada waktu di antara Maghrib dan ‘Isya’, pada lazimnya jiwa manusia lebih cenderung untuk berehat setelah penat bekerja di siang hari dan sebilangannya pula lebih cenderung pada waktu tersebut untuk menikmati ataupun menyediakan jamuan makan malam.
Kaifiyyah Sembahyang Sunat Awwabin
Sembahyang sunat Awwabin ialah sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah. Ia sunat dikerjakan selepas sembahyang fardhu Maghrib dan berakhir dengan masuknya waktu ‘Isya’ dan afdhal sembahyang ini dikerjakan segera setelah selesai sahaja daripada mengerjakan zikir-zikir sembahyang fardhu Maghrib berserta ba‘diyyahnya. Tidak dinamakan sembahyang sunat Awwabin jika ia dikerjakan sebelum sembahyang fardhu Maghrib, kerana waktu untuk menunaikan sembahyang sunat Awwabin belum lagi masuk, begitu juga jika waktu Maghrib sudah habis kerana waktu sembahyang sunat Awwabin itu mengikut waktu sembahyang fardhu Maghrib.
Begitu juga sunat diqadha jika tidak berpeluang menunaikan dalam waktunya kerana sembahyang sunat Awwabin ini terikat dengan waktu (an-nafl al-muwaqqat).
Pada ghâlibnya (kebiasaannya), sembahyang sunat Awwabin ini dikerjakan sebanyak enam rakaat, akan tetapi ianya boleh juga dikerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat, ataupun empat rakaat, dan sebanyak-banyaknya pula ialah dua puluh rakaat dan lebih baik dikerjakan secara dua-dua rakaat sepertimana zahir sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Niat Sembahyang Sunat Awwabin
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Awwabin dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Surah-Surah Yang Diamalkan Oleh Ulama
Tidak terdapat mana-mana nash hadits shahîh mahupun hasan yang menyebutkan tentang surah-surah yang sunat dibaca ketika melakukan sembahyang sunat Awwabin. Kebanyakan haditsnya bertaraf sangat dha‘îf dan sebilangannya pula maudhû‘ (hadits yang senghaja direka-reka).
Bagaimanapun, dalam kitab Fath al-‘Allâm disebutkan surah-surah yang diamalkan oleh para ulama, antaranya ialah pada tiap-tiap rakaat selepas membaca surah al-Fâtihah dibaca surah al-Ikhlâsh enam kali, kemudian dibaca surah al-Falaq sekali dan kemudian surah an-Nâs sekali.
Sebilangan ulama pula membaca ayat al-Kursiy atau surah al-Qadr, kemudian membaca surah al-Ikhlâsh, kemudian membaca surah al-Falaq dan surah an-Nâs.
Sebilangannya pula membaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al- Ikhlâsh pada rakaat kedua berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang mengatakan bahawa surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh ini sunat dibaca dalam mana-mana sembahyang sunat yang tidak dikhususkan bacaannya.
Selepas memberi salam, terdapat beberapa amalan do‘a yang biasa menjadi amalan para ulama, antaranya ialah:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon permeliharaanMu atas keimananku di waktu hidupku, dan ketika matiku, dan selepas matiku, maka peliharakanlah ia (imanku) atas diriku. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ertinya: Ya Allah, aku memohon pemeliharaanMu atas agamaku, maka peliharakanlah ia (agamaku) atas diriku di waktu hidupku, dan ketika matiku dan selepas matiku.
Fadhilat Sembahyang Sunat Awwabin
Banyak hadits yang menjanjikan ganjaran indah dan lumayan kepada mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Awwabin ini. Akan tetapi, hadits-hadits tersebut kebanyakannya sangat dha‘îf dan tidak kurang pula yang maudhû‘. Hadits-hadits sebegini tidak boleh dijadikan iktibar apatah lagi sebagai sandaran.
Maka sebagai jalan untuk menjaga kesucian hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini, adalah lebih baik dan selamat dalam perkara fadhilat sembahyang sunat Awwabin ini, kita bersandar sahaja kepada hadits-hadits yang benar-benar shahîh dan tsabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai fadhilat sembahyang sunat secara umum. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadanya:
Maksudnya: Pohonlah sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: “Aku memohon kepada Tuan untuk menemani Tuan di syurga”. Lalu Baginda bersabda: “Ada lagi?” Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: “Itu sahaja”. Baginda bersabda: “Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).” (Hadits riwayat Muslim)
Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia Lebih Mengetahui: “Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian diperhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.” (Hadits riwayat Ahmad)
SEMBAHYANG SUNAT RAWÂTIB: Fadhilat Serta Akibat Meninggalkannya
Sembahyang sunat rawâtib ialah sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu, apabila dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang fardhu disebut sebagai qabliyyah, apabila dikerjakan selepasnya disebut ba‘diyyah.
Sembahyang sunat ini tergolong dalam jenis sembahyang-sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah. Sungguhpun demikian, bukanlah bererti tidak boleh mengerjakannya secara berjemaah, bahkan tidak makruh mengerjakannya secara berjemaah, akan tetapi adalah awlâ (lebih baik) untuk tidak berjemaah.
Sembahyang sunat rawâtib juga sunat dikerjakan sama ada ketika sedang bermukim mahupun ketika dalam pelayaran, sekalipun sembahyang fardhu yang dikerjakan itu secara qashar.
1. Sembahyang Sunat Rawâtib Subuh
Sunat sembahyang dua rakaat sebelum menunaikan sembahyang fardhu Subuh. Sembahyang ini dikenali juga dengan nama sembahyang sunat Fajar. Menurut ulama, sembahyang sunat Subuh ataupun Fajar ini tergolong dalam sembahyang sunat yang sangat dituntut (sunnah mu’akkadah).
Sembahyang sunat Subuh ini sunat dikerjakan secara ringan (tidak dipanjangkan), dan disunatkan untuk membaca pada rakaat pertama ayat 136, surah al-Baqarah, dan pada rakaat kedua sunat dibaca ayat 64, surah Âli ‘Imran.
Selain dua ayat ini, disunatkan juga untuk membaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama, dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua, ataupun membaca surah al- Insyirâh pada rakaat pertama dan surah al-Fîl pada rakaat kedua.
Disunatkan juga selepas mengerjakan sembahyang sunat Subuh ini untuk berbaring, dan adalah awlâ (lebih utama) untuk berbaring secara mengiring di bahu kanan, dengan menghadapkan muka dan bahagian depan badan ke arah qiblat sepertimana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan salih dan bersiap sedia untuk menghadapi kematian.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau telah berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai mengerjakan sembahyang sunat Fajar (Subuh) dua rakaat, Baginda berbaring (mengiring) di atas bahu kanan Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sebelum berbaring, iaitu setelah selesai sahaja mengerjakan sembahyang sunat Subuh, sebahagian ulama menganjurkan untuk membaca do‘a berikut sebanyak tiga kali:
Ertinya: Ya Allah! Tuhan Jibril, Israfil, Mika’il dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung denganMu daripada api neraka.
Dalam kitab Fath al-‘Allâm turut disebutkan bahawa adalah baik untuk diamalkan do‘a berikut bagi meneguhkan iman sebanyak empat puluh kali dalam waktu di antara sunat Subuh dan sembahyang fardhunya (selepas sembahyang sunat Subuh):
Ertinya: Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.
At-Tirmidzi al-Hakim pula mengajarkan amalan do‘a berikut supaya tidak kehilangan iman dan dibaca empat puluh satu kali selepas sembahyang sunat Subuh, iaitu:
Ertinya: Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki segala kebesaran dan kemuliaan. Ya Allah, tiada tuhan selain Engkau, aku memohon kepadaMu supaya menghidupkan hatiku dengan cahaya ma‘rifatMu. Ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani daripada Yang Mengasihani.
Jika sembahyang sunat Subuh itu dikerjakan selepas sembahyang fardhu Subuh kerana sembahyang fardhu Subuh sudahpun didirikan oleh imam, ataupun takut tidak sempat bertakbîratul-ihrâm bersama-sama imam jika mengerjakannya (sembahyang sunat Subuh) itu terlebih dahulu, maka menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e, adalah disunatkan juga berbaring selepas sembahyang sunat Subuh itu.
Dalam hal ini, sungguhpun sembahyang sunat Subuh yang sepatutnya dikerjakan sebelum sembahyang fardhu Subuh itu dikerjakan selepasnya (sembahyang fardhu Subuh), ia masih lagi dikira tunai kerana ia masih lagi dilakukan dalam waktu Subuh. Begitu juga halnya bagi sembahyang-sembahyang sunat rawâtib qabliyyah yang lain.
Bagaimanapun, sembahyang sunat rawâtib ba‘diyyah tidak boleh sekali-kali didahulukan daripada sembahyang fardhu kerana waktunya (rawâtib ba‘diyyah) belum lagi masuk sekalipun sembahyang fardhu yang dilakukan itu adalah sembahyang qadha. Ini kerana menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e, waktu bagi rawâtib ba‘diyyah itu bermula sebaik sahaja selesai mengerjakan sembahyang fardhu, dengan syarat orang tersebut mestilah yakin bahawa sembahyang fardhunya itu tadi adalah sah dan waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang fardhu tersebut, sedangkan waktu rawâtib qabliyyah itu pula bermula dengan masuknya waktu sembahyang fardhu dan waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang fardhu tersebut. Oleh kerana itulah sembahyang sunat rawâtib qabliyyah itu sungguhpun dikerjakan selepas sembahyang fardhu, ia masih lagi dikira tunai selagimana ia dikerjakan dalam waktunya.
Jika berbaring ini sukar dilakukan, maka bolehlah sembahyang sunat Subuh itu dipisahkan dengan sembahyang fardhu Subuh dengan cara bercakap, sama ada dengan membaca zikir, do‘a ukhrâwi (hal-hal akhirat) ataupun dengan membaca al-Qur’an. Jika tidak mampu juga, maka memadailah dengan beralih tempat untuk memisahkan di antara kedua sembahyang sunat Subuh dengan sembahyang fardhunya.
Fadhilatnya:
Telah tsabit dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Fajar (Subuh) ini sama ada ketika Baginda sedang bermukim mahupun ketika Baginda dalam perjalanan (musâfir). ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata:
Maksudnya: Tiada suatu sembahyang sunat pun yang dijaga oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melebihi daripada penjagaannya terhadap sembahyang sunat Fajar (Subuh) dua rakaat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah lagi hadits hasan shahîh, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Dua rakaat sembahyang sunat Fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia serta segala isinya. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Lafaz Niatnya:
Niat sembahyang sunat Subuh/Fajar:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Subuh dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
2. Sembahyang Sunat Rawâtib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Zhuhur
Sunat mengerjakan sembahyang empat rakaat (qabliyyah Zhuhur) sebelum menunaikan sembahyang fardhu Zhuhur, dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah dan dua rakaat tambahannya lagi adalah sunnah ghair mu’akkadah (sunat yang tidak dituntut). Begitu juga disunatkan sembahyang sunat empat rakaat (ba‘diyyah Zhuhur) selepas mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur, dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah dan dua rakaat tambahannya pula adalah sunnah ghair mu’akkadah.
Apabila mengerjakan sembahyang sunat empat rakaat qabliyyah mahupun ba‘diyyah Zhuhur ini, adalah disunatkan untuk mengerjakannya secara dua-dua rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramallahu wajhah, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu ‘Ashar sebanyak empat rakaat dengan memisahkan setiap dua rakaat dengan memberi salam (setiap dua rakaat). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sebuah lagi hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dan dihukumkan sebagai hadits shahîh oleh Imam Ibnu Hibban, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Selain mengerjakannya secara dua-dua rakaat, menurut Imam an-Nawawi boleh juga ia dikerjakan empat rakaat sekaligus dengan satu salam, sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu selepas dua rakaat dan empat rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun hanya bertasyahhud selepas empat rakaat (tasyahhud akhir).
Fadhilatnya:
Dalam sebuah hadits shahîh Sunan at-Tirmidzi, Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memelihara (mengamalkan) sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zhuhur dan empat rakaat selepasnya nescaya Allah akan mengharamkan untuknya api neraka. (Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi)
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zhuhur dan dua rakaat sebelum sembahyang fardhu Subuh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Lafaz Niatnya:
• Niat sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur dua rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Zhuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
• Niat sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Zhuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.
• Niat sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur dua rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Zhuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
• Niat sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Zhuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.
3. Sembahyang Sunat Rawâtib ‘Ashar
Sunat melakukan sembahyang empat rakaat sebelum mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar, dan lebih afdhal dikerjakan dua-dua rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat. Boleh juga dikerjakan empat rakaat sekaligus dengan satu salam sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu selepas dua rakaat dan empat rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun hanya bertasyahhud selepas empat rakaat (tasyahhud akhir) seperti sembahyang sunat rawâtib Zhuhur.
Fadhilatnya:
Sungguhpun sembahyang rawâtib ‘Ashar ini adalah sunnah ghair mu’akkadah, akan tetapi adalah perlu ia dikerjakan dengan harapan akan termasuk dalam golongan orang-orang yang dido‘akan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Mudah-mudahan Allah akan merahmati orang yang mengerjakan sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu ‘Ashar sebanyak empat rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah) Lafaz Niatnya: • Niat sembahyang sunat ‘Ashar dua rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Asar dua rakaat kerana Allah Ta‘ala. • Niat sembahyang sunat ‘Ashar empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ‘Ashar empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.
4. Sembahyang Sunat Rawâtib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Maghrib Sunat melakukan sembahyang dua rakaat secara ringan (tidak dipanjangkan) sebelum mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. Hukum sembahyang qabliyyah Maghrib ini adalah sunnah ghair mu’akkadah. Ini berdalilkan hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffil al- Muzani Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Bersembahyanglah kamu sebelum fardhu Maghrib. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Telah tsabit juga diriwayatkan bahawa para sahabat Radhiallahu ‘anhum bergegas menuju tiang-tiang (untuk bersembahyang sunat qabliyyah Maghrib) apabila azan Maghrib berkumandang sehinggakan orang-orang yang baru masuk ke masjid menyangka bahawa sembahyang fardhu Maghrib telahpun didirikan.
Adapun jika azan Maghrib baru saja selesai berkumandang, imam lalu bergegas untuk mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib, sepertimana kebiasaan yang diamalkan di kebanyakan masjid, maka dalam hal ini sebagai mengambil fadhilat bertakbîratul-ihrâm bersama imam, maka bolehlah sembahyang sunat qabliyyah Maghrib ini dikerjakan selepas mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib tanpa menghilangkan fadhilatnya kerana terdapat keuzuran.
Akan tetapi jika orang tersebut mengetahui bahawa akan ada jemaah sembahyang fardhu Maghrib yang kedua, dan dia yakin bahawa dia akan sempat bertakbîratul-ihrâm bersama imam jemaah yang kedua itu selepas mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib, maka dalam hal ini sunat baginya mendahulukan untuk mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib dan meninggalkan jemaah yang pertama, selagi tidak terdapat kelebihan pada jemaah pertama itu tadi daripada jemaah kedua tersebut, seperti jemaah yang lebih banyak ataupun imam yang lebih berilmu dan sebagainya. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang sunat rawâtib qabliyyah yang lain.
Perlu diambil ingatan bahawa kebiasaan yang diamalkan di sesetengah masjid yang imamnya bergegas mengerjakan sembahyang fardhu khususnya sembahyang fardhu Maghrib sehinggakan para jemaah tiada kesempatan untuk mengerjakan sembahyang sunat rawâtib qabliyyah adalah suatu amalan yang tidak patut, bahkan hukumnya adalah makruh.
Selain sembahyang sunat qabliyyah Maghrib, disunatkan juga (sunnah mu’akkadah) melakukan sembahyang sunat dua rakaat selepas sembahyang fardhu Maghrib (ba’dhiyyah Maghrib) dan sunat memanjangkannya di samping dianjurkan supaya menyegerakannya, iaitu dengan mengerjakannya sejurus sahaja selesai sembahyang fardhu Maghrib memandangkan waktu Maghrib yang tidak panjang. Bagaimanapun, tidaklah hilang fadhilat menyegerakan ba‘diyyah Maghrib itu dengan membaca zikir mahupun wirid selepas mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib seperti yang disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în.
Pada rakaat pertama sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib ini, sunat membaca surah al-Kâfirûn, sementara sunat membaca surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua. Menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan juga untuk membaca kedua-dua surah ini pada sembahyang-sembahyang sunat rawâtib yang lain yang tidak dikhususkan bacaannya.
Bagi melaksanakan sunnah yang menganjurkan memanjangkan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib ini, menurut ulama adalah lebih baik menambahnya dengan surah-surah lain mengikut susunan Mushhaf selepas membaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan selepas membaca surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua. Misalnya selepas membaca surah al-Kâfirûn, dibaca surah an-Nashr, kemudian surah al-Masad pada rakaat pertama. Kemudian pada rakaat kedua pula selepas membaca surah al-Ikhlâsh dibaca surah al-Falaq, kemudian surah an-Nâs. Jika tidak mampu melakukan sedemikian kerana tidak hafal, ataupun tidak tahu susunan surah-surah selepas surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh ini, maka bolehlah menambahkannya tanpa perlu mengikut susunan Mushhaf.
Lafaz Niatnya:
• Niat sembahyang sunat qabliyyah Maghrib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
• Niat sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
5. Sembahyang Sunat Rawâtib Qabliyyah dan Ba‘diyyah ‘Isya’
Sunat melakukan sembahyang dua rakaat sebelum sembahyang fardhu ‘Isya’ (qabliyyah ‘Isya’), berdasarkan umum hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Di antara azan dan iqâmah itu ada sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Disunatkan juga sembahyang sunat ba‘diyyah sebanyak dua rakaat selepas sembahyang fardhu ‘Isya’, dan ianya tergolong daripada sunnah mu’akkadah. Manakala babliyyah ‘Isya’ pula sebaliknya iaitu sunnah ghair mu’akkadah.
Lafaz Niatnya:
• Niat sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
• Niat sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
6. Sembahyang Sunat Rawâtib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Jumaat
Sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dan ba‘diyyah bagi sembahyang fardhu Jumaat pula adalah sama kedudukannya dengan sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dan ba‘diyyah Zhuhur, iaitu empat rakaat bagi sembahyang sunat qabliyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah dan empat rakaat bagi sembahyang sunat ba‘diyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah.
Dalil-dalil yang disandarkan oleh ulama selain menqiyâskannya kepada sembahyang fardhu Zhuhur, ialah beberapa buah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya umum hadits Baginda:
Maksudnya: Antara azan dan iqamah itu ada sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan katanya:
Maksudnya: Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang selepas sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat (ba‘diyyah Jumaat) di rumahnya. (Hadits riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila bersembahyang seseorang daripada kamu sembahyang fardhu Jumaat, maka sembahyanglah (ba‘diyyah Jumaat) selepasnya sebanyak empat rakaat. (Hadits riwayat Muslim)
Dikhabarkan juga oleh Imam at-Tirmidzi bahawa Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu bersembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Jumaat dan empat rakaat lagi selepasnya.
Lafaz Niatnya: • Niat sembahyang sunat qabliyyah Jumaat dua rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala. • Niat sembahyang sunat qabliyyah Jumaat empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah Jumaat empat rakaat kerana Allah Ta‘ala. • Niat sembahyang sunat ba‘diyyah Jumaat dua rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ba‘diyyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala. • Niat sembahyang sunat ba‘diyyah Jumaat empat rakaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ba‘diyyah Jumaat empat rakaat kerana Allah Ta‘ala. Beberapa Permasalahan Mengenai Niat Sembahyang Rawâtib: 1. Jika sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dikerjakan selepas sembahyang fardhu, sebahagian ulama berpendapat bahawa boleh dikerjakan sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dan ba‘diyyah itu dengan satu salam sama ada bertasyahhud di setiap dua rakaat atau di setiap empat rakaat. Sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dan ba‘diyyah yang dikerjakan dengan satu salam ini boleh dikerjakan sama ada dua rakaat qabliyyah dan dua rakaat ba‘diyyah (jumlahnya empat rakaat), empat rakaat qabliyyah dan dua rakaat ba‘diyyah (jumlahnya enam rakaat), dua rakaat qabliyyah dan empat rakaat ba‘diyyah (jumlahnya enam rakaat) ataupun empat rakaat qabliyyah dan empat rakaat ba‘diyyah (jumlahnya lapan rakaat).
Misal lafaz niat bagi sembahyang sunat rawâtib Zhuhur adalah seperti berikut:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah Zhuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.
(Niat ini bagi yang mengerjakan dua rakaat qabliyyah bersama dua rakaat ba‘diyyah)
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah Zhuhur enam rakaat kerana Allah Ta‘ala.
(Niat ini bagi yang mengerjakan empat rakaat qabliyyah bersama dua rakaat ba‘diyyah atau dua rakaat qabliyyah bersama empat rakaat ba‘diyyah)
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah Zhuhur lapan rakaat kerana Allah Ta‘ala.
(Niat ini bagi yang mengerjakan empat rakaat qabliyyah bersama empat rakaat ba‘diyyah)
Bagaimanapun, pendapat ini tidak disepakati oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah. Beliau berpendapat bahawa sembahyang sunat rawâtib qabliyyah itu tidak boleh dikerjakan secara berkumpul dengan ba‘diyyah dalam satu niat dan satu salam (mestilah diasingkan) kerana ketiadaan iqtirân (tiada pertautan dan pertalian) pada niat ba‘diyyah dengan perbuatannya. Pendapat Imam Ibnu Hajar ini adalah pendapat yang lebih layak diterima menurut pengarang kitab Fath al-‘Allâm.
2. Tidak disyaratkan membezakan niat sembahyang sunat rawâtib antara yang sunnah mu’akkadah dengan sunnah ghair mu’akkadah.
Dalam sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur misalnya yang asalnya terdiri daripada empat rakaat dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah dan yang dua rakaat lagi adalah sunnah ghair mu’akkadah, jika berniat untuk mengerjakannya sebanyak dua rakaat sahaja, maka secara langsung sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur yang dikerjakannya sebanyak dua rakaat itu adalah dikirakan sebagai sunnah mu’akkadah sungguhpun ia tidak diniatkan sedemikian.
3. Sembahyang sunat rawâtib Subuh dan ‘Ashar tidak disebutkan qabliyyah ketika berniat kerana tiada sembahyang sunat rawâtib ba‘diyyah padanya.
4. Jika tidak disebutkan bilangan rakaat ketika berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat rawâtib yang bilangannya adalah empat rakaat, sebagai misal sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur, maka dibolehkan untuk memilih antara mengerjakannya sebanyak dua rakaat ataupun empat rakaat.
Akan tetapi jika ia telah ditentukan, misalnya empat rakaat, maka mestilah ia dikerjakan sebagaimana yang telah diniatkannya iaitu empat rakaat dan tidak boleh ia dikerjakan sebanyak dua rakaat. Begitu juga halnya jika ia diniatkan sebanyak dua rakaat, maka tidak boleh mengerjakannya sebanyak empat rakaat.
Kesimpulan
Dapatlah diambil kesimpulan bahawa sembahyang sunat rawâtib itu terbahagi kepada dua, iaitu sunnah mu’akkadah dan sunnah ghair mu’akkadah.
Rawâtib sunnah mu’akkadah ada sepuluh:
• Dua rakaat sembahyang sunat Subuh (sembahyang sunat Fajar) • Dua rakaat sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur atau Jumaat. • Dua rakaat sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur atau Jumaat. • Dua rakaat sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib. • Dua rakaat sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’.
Manakala rawâtib sunnah ghair mu’akkadah pula ada dua belas:
• Dua rakaat (tambahan) sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur atau Jumaat. • Dua rakaat (tambahan) sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur atau Jumaat. • Empat rakaat sembahyang sunat ‘Ashar. • Dua rakaat sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. • Dua rakaat sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’.
Sungguhpun ada sebilangan sembahyang sunat rawâtib ini tidak disebutkan fadhilat amalannya secara khusus misalnya sembahyang sunat rawâtib Maghrib dan ‘Isya’, akan tetapi kelebihannya tidak dapat dipertikaikan lagi dengan merenung hadits-hadits yang menyebutkan tentang kelebihan sembahyang sunat secara umum, di samping muâzhabah (amalan secara berterusan) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta para sahabat Baginda Radhiallahu ‘anhum terhadap sembahyang sunat rawâtib ini khasnya dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain amnya.
Imam Muslim meriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Salim Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa bersembahyang dua belas rakaat dalam sehari secara tathawwu‘ (sembahyang sunat rawâtib), dibuatkan untuknya sebuah rumah dalam syurga. (Hadits riwayat Muslim)
Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dalam Shahih Muslim bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadanya:
Maksudnya: Pohonlah sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: “Aku memohon kepada Tuan untuk menemani Tuan di syurga”. Lalu Baginda bersabda: “Ada lagi?” Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: “Itu sahaja”. Baginda bersabda: “Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).” (Hadits riwayat Muslim)
Pandangan Para Ulama Terhadap Orang Yang Biasa Meninggalkan Sembahyang Sunat Rawâtib
Orang yang biasa meninggalkan sembahyang sunat rawâtib tidak diterima syahâdahnya (tidak diterima sebagai saksi) menurut ulama-ulama besar seperti Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam asy-Syarwani, Imam an-Nawawi dan ramai lagi. Sikap sebegini menurut mereka, menunjukkan seseorang itu mengambil mudah serta tidak mengambil peduli terhadap suruhan-suruhan agama, bahkan Imam asy-Syarwani mengkategorikannya sebagai suatu perbuatan yang boleh menjejaskan maruah sungguhpun perbuatan membiasakan untuk meninggalkan sembahyang rawâtib itu tidak haram.
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata dalam kitab Fath al-Bâri: “Barang siapa yang membiasakan dirinya untuk meninggalkan perkara-perkara sunat merupakan satu kekurangan dalam agamanya. Jika dia melakukannya kerana mengambil mudah terhadapnya ataupun kerana tidak menyukainya maka jadilah dia orang fâsiq.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Menqadha Sembahyang Sunat Rawâtib
Sembahyang sunat rawâtib ialah sembahyang sunat yang ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘ (an-nafl al-muwaqqat). Imam al-Khathib asy- Syarbini, seorang ulama mazhab Syafi‘e berpendapat, bahawa adalah sunat menqadha sembahyang sunat yang ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘, sama ada sembahyang sunat tersebut diharuskan untuk berjemaah seperti sembahyang sunat Hari Raya ataupun tidak, seperti sembahyang sunat rawâtib dan Dhuha. Sembahyang-sembahyang sunat ini sunat untuk diqadha meskipun ketika sedang bermusafir.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Kuraib Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya oleh seorang perempuan yang diutus kepada Baginda oleh Kuraib Radhiallahu ‘anhu mengenai sembahyang yang dikerjakan oleh Baginda selepas fardhu ‘Ashar, lalu Baginda pun bersabda:
Maksudnya: Wahai puteri Abu Umayyah, kamu menanyakan tentang dua rakaat (yang aku kerjakan) sesudah fardhu ‘Ashar. Sesungguhnya orang-orang daripada Abdul Qais datang kepadaku, lalu mereka menyibukkan aku (sehingga aku tertinggal) daripada mengerjakan dua rakaat Ba‘diyyah Zhuhur. Itulah dua rakaat yang telah aku kerjakan (selepas ‘Ashar itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas ini juga menjadi dalil bagi ulama-ulama mazhab Syafi‘e, bahawa adalah sunat menqadha sembahyang-sembahyang sunat sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah untuk bersembahyang seperti selepas sembahyang fardhu ‘Ashar dan Subuh. Ini kerana dalam hadits tersebut dinyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menqadha sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur di waktu yang ditegah untuk menunaikan sembahyang sunat iaitu selepas sembahyang fardhu ‘Ashar.
Maka manfaatkanlah peluang ini kerana sembahyang sunat rawâtib mahupun sembahyang-sembahyang sunat yang lainnya amat besar fadhilatnya. Selain daripada mengharapkan rahmat serta maghfirah (keampunan Allah), ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mudâwamah (amalan secara berterusan) terhadap sembahyang sunat ini juga menunjukkan sifat ketaatan serta ‘ubûdiyyah (kehambaan) seorang insan itu terhadap Tuhannya. Selain itu ia juga dapat menampal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat dalam sembahyang-sembahyang fardhu, sebagaimana riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia lebih Mengetahui: “Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang?” Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya”. Kemudian diperhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian. (Hadits riwayat Ahmad)
Kepada Siapa Dikenakan Kaffârah?
Setiap perkara atau perbuatan yang mendatangkan keburukan dan kerosakan pada diri sendiri atau orang lain amat ditegah dalam Islam. Dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam disebutkan tentang perkara-perkara yang dilarang atau ditegah untuk dilakukan dan berdosa sekiranya ketetapan syara‘ itu dilanggar.
Setiap larangan atau tegahan akan diberikan balasan setimpal dengan apa yang dilakukan, sama ada balasan di dunia mahupun di akhirat. Namun begitu terdapat perbuatan yang dilarang atau yang ditegah oleh agama, yang jika dilakukan akan dikenakan kaffârah ke atas orang yang melakukannya.
Apa maksud kaffârah? Bilakah waktu perlaksanaannya? Apakah kesalahan-kesalahan yang menyebabkan seseorang itu dikenakan kaffârah dan apa pula jenis-jenis kaffârah itu?
Kaffârah Dan Tujuannya
Kaffârah ialah ibadat khusus yang diwajibkan syara‘ untuk menghapuskan dosa-dosa atau kesalahan-kesalahan tertentu.
Kaffârah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar sesuatu ketentuan syara‘ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat. Adapun tujuan kaffârah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa tertentu itu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara‘ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang. Namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffârah.
Hukum kaffârah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja. Kaffârah berlaku sebaik-baik saja seseorang itu melakukan kesalahan tersebut.
Apabila berlaku kesalahan yang menyebabkan kaffârah dikenakan kepada si pelaku, maka kewajipan kaffârah itu akan terus berjalan sepanjang hayatnya jika tidak ditunaikan kaffârah tersebut. Contohnya dalam hal kaffârah zhihâr, suami tidak dapat menyetubuhi isterinya selagi kaffârah belum ditunaikannya.
Jika berlaku dua kesalahan yang menyebabkan kaffârah, seperti seseorang yang melakukan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan dan melanggar sumpah, maka baginya dua kaffârah. Maka hendaklah dia melakukan kaffârah mengikut setiap kesalahan yang dilakukannya dan tidak memadai baginya untuk mengumpul dua kesalahan yang dilakukannya itu dengan satu kaffârah sahaja.
Pelanggaran Hukum Yang Menyebabkan Kaffârah
Pelanggaran hukum menyebabkan kaffârah itu ialah:
1. Jimâ‘ pada siang hari di bulan Ramadhan. 2. Zhihâr. 3. Membunuh. 4. Melanggar sumpah. 5. Nazar. 6. Îlâ’.
Keterangannya adalah seperti berikut:
1. Jimâ‘ di bulan Ramadhan.
Wajib kaffârah dan qadha’ puasa bagi seseorang yang merosakkan puasanya kerana jimâ‘ (melakukan persetubuhan) pada siang hari di bulan Ramadhan secara senghaja tanpa dipaksa.
Jimâ‘ yang dimaksudkan di sini ialah apabila dengan senghaja memasukkan hasyafah atau kadarnya pada faraj atau dubur, sama ada perempuan, binatang atau mayat. Jimâ‘ melalui dubur (liwat) juga termasuk dalam maksud jimâ‘ yang boleh menyebabkan kaffârah.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Ketika kami duduk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, datang seorang lelaki kepada Baginda lalu berkata: “Binasalah aku!” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa dengan engkau?” Lelaki itu menjawab: “Aku telah menyetubuhi isteriku sedang aku dalam keadaan berpuasa (Ramadhan)”. Lalu Nabi bersabda: “Adakah engkau mampu memerdekakan seorang hamba?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Lalu Nabi bersabda: “Adakah engkau berdaya melakukan puasa dua bulan berturut-turut?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Nabi bersabda: “Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Abu Hurairah berkata: “Ketika kami duduk dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam didatangi oleh seseorang bersamanya keranjang yang berisi di dalamnya tamar. Baginda bertanya: “Mana si penyoal tadi?” Maka lelaki itu menjawab: “Saya”. Lalu Baginda bersabda: “Ambil (tamar) ini dan sedekahkan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas, kaffârah kerana melakukan persetubuhan di siang hari di bulan Ramadhan ialah dengan memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.
Dalam masalah jimâ‘ di siang hari di bulan Ramadhan, siapakah yang wajib dikenakan kaffârah? Adakah si suami sahaja? Ataupun kedua-dua suami dan isteri? Menurut pendapat yang betul daripada para ulama mazhab asy-Syafi‘e, wajib kaffârah ke atas suami sahaja.
Jika seseorang itu berbuka puasa bukan kerana jimâ‘, contohnya berbuka puasa kerana makan atau minum, maka tidak dikenakan kaffârah ke atasnya. Jika seseorang itu makan pada siang hari di bulan Ramadhan kemudian melakukan jimâ‘, maka tiadalah kaffârah ke atasnya kerana puasanya batal disebabkan dia makan.
Dalam perkara mengeluarkan air mani sama ada dengan senghaja menggunakan tangan atau kerana melihat sesuatu yang boleh mendatangkan syahwat tanpa melakukan persetubuhan, puasanya adalah batal namun tiada kaffârah ke atasnya. Begitu juga tidak dikenakan kaffârah jika seseorang itu melakukan jimâ‘ pada bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan, seperti melakukan puasa sunat atau puasa nazar.
Jika berlaku jimâ‘ beberapa kali dalam sehari, dia hanya dikenakan kaffârah sekali sahaja. Tetapi jika melakukan jimâ‘ pada beberapa hari di bulan Ramadhan, maka bagi setiap hari berlakunya jimâ‘ dikenakan ke atasnya kaffârah.
2. Zhihâr.
Zhihâr adalah ucapan suami yang mengumpamakan atau menyerupakan isterinya atau bahagian daripada tubuh isterinya dengan mahramnya atau dengan bahagian yang diumpamakannya.
Perkataan zhihâr (اَلظسِهَار ) berasal daripada perkataan az-zhahr ( ْ اَلظَّه) yang bermaksud belakang. Dikhususkan perkataan ‘belakang’ kerana ia merupakan objek tunggangan, dan isteri merupakan tunggangan suami.
Pada zaman Jahiliah, zhihâr dianggap sebagai thalaq bagi orang-orang Arab. Apabila seseorang marah atau benci kepada isterinya, dia akan menggunakan lafaz zhihâr yang bermaksud dia menyerupakan isterinya dengan emaknya atau mahramnya yang lain, dengan tujuan supaya haram baginya menggauli isterinya.
Contoh lafaz zhihâr suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti belakang ibuku” ataupun “engkau seperti belakang ibuku”. Begitu juga dengan lafaz: “Jisimmu atau badanmu atau dirimu seperti badan ibuku atau jisimnya atau zatnya.”
Zhihâr termasuk antara dosa-dosa besar kerana ia bertujuan untuk menyakiti jiwa isteri dan menyusahkannya dengan zhihâr yang dilafazkan itu.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Orang-orang yang menzhihârkan isterinya daripada kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain melainkan perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. (Surah al-Mujâdalah: 2)
Hukum zhihâr adalah haram kerana dalam lafaz zhihâr itu mengharamkan yang halal - menyetubuhi isteri - dan kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan bagi zhihâr itu kaffârah.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang menzhihârkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan kamu mendekati perkara-perkara mungkar itu). Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuan akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. (Surah al-Mujâdalah: 3-4)
Berdasarkan ayat di atas, kaffârah bagi suami yang menzhihâr isterinya ialah memerdekakan seorang hamba sahaya dan jika dia tidak mampu hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin dengan kadar secupak (mudd) bagi setiap seorang.
Suami yang menzhihâr isterinya, maka haram bagi suami menyetubuhi isterinya sehingga kaffârah tersebut ditunaikan.
3. Membunuh.
Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani membahagikan perbuatan membunuh kepada tiga bahagian:
i. Membunuh secara senghaja (قت َّ العمد ).
Membunuh itu perbuatan yang zalim kerana si pelaku memang mempunyai niat untuk membunuh seseorang itu secara senghaja tanpa hak atau tanpa alasan syara‘ dengan menggunakan besi atau apa-apa saja alat yang kebiasaannya boleh membunuh.
Membunuh secara senghaja tanpa hak dianggap dalam syariat Islam sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang membunuh seseorang mu’min dengan senghaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 93)
ii. Membunuh syibh al-‘amd (قت َّ شبه العمد )
Iaitu sesiapa dengan senghaja melakukan sesuatu perbuatan dengan niat hendak mencederakan tubuh badan, telah menyebabkan orang itu mati atau orang lain mati, sama ada perbuatan itu dilakukan dengan menggunakan senjata atau tidak, walaupun perbuatan itu pada kebiasaannya tidak mungkin menyebabkan kematian.
Sebagai contoh: A kerana hendak menyebabkan kecederaan, memukul B dengan tongkat yang pada kebiasaannya dengan pukulan itu tidak mungkin menyebabkan kematian. Namun akibat daripada kecederaan tersebut, B telah meninggal dunia.
iii. Membunuh dengan tidak senghaja ( قت َّ اْلطأ )
Iaitu sesiapa dengan tiada niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan telah menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan suatu perbuatan yang tidak disangka boleh menyebabkan orang itu atau orang lain mati, atau dengan melakukan suatu perbuatan salah yang kemudiannya telah menjadi sebab kepada kematian orang itu.
Sebagai contoh: A menembak seekor rusa, tetapi tidak mengenai sasarannya lalu terbunuh B yang berdiri berdekatan dengan rusa itu atau A menembak satu objek yang disangkanya rusa tetapi ternyata ianya manusia. Dalam dua keadaan ini, A telah melakukan pembunuhan dengan tidak senghaja.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seorang mu’min membunuh seorang mu’min yang lain, kecuali dengan tidak senghaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mu’min dengan tidak senghaja, maka (wajiblah dia membayar kaffârah) dengan memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar ‘diyah’(denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika dia (yang terbunuh dengan tidak senghaja) daripada kaum yang memusuhi kamu, sedang dia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffârah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman. Dan jika dia (orang yang terbunuh dengan tidak senghaja itu) daripada kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia, di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar ‘diyah’ (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba sahaya yang akan dimerdekakan), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya daripada Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri) kamu. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (Surah an-Nisâ’: 92)
Ayat di atas menunjukkan bahawa seorang mu’min yang membunuh seorang mu’min yang lain secara tidak senghaja, wajib menunaikan kaffârah sebagai penebus dosanya dan membayar diyah kepada keluarga mangsa.
Jumhûr ulama sepakat bahawa bagi setiap perbuatan membunuh dengan tidak senghaja akan dikenakan kaffârah sebagaimana ayat di atas. Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi‘e juga mewajibkan kaffârah bagi perbuatan membunuh dengan senghaja dan syibh al-‘amd.
Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani menjelaskan bahawa semua bentuk perbuatan membunuh diwajibkan kaffârah. Walau bagaimanapun kaffârah membunuh dengan tidak senghaja tidak disyaratkan untuk ditunaikan dengan segera. Manakala kaffârah membunuh secara senghaja dan syibh al-‘amd hendaklah ditunaikan dengan segera.
Kaffârah membunuh itu ialah memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika dia tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai penebus dosanya.
4. Melanggar Sumpah.
Sumpah ialah mewujudkan suatu perkara yang tidak tetap (tsâbit) pada masa yang telah lalu atau yang akan datang sama ada boleh berlaku ataupun tidak.
Sumpah bukanlah lafaz yang dapat diucapkan sewenang-wenangnya, apatah lagi jika sumpah yang dilafazkan itu dilanggar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya agar sentiasa menjaga sumpah-sumpah mereka sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Sumpah tidak sah kecuali dengan zat Allah atau sifat bagiNya atau semua nama yang khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bersumpah dengan selain zat Allah, sifat-sifatNya dan nama khusus bagi Allah seperti bersumpah dengan nama nabi atau Ka‘bah atau Jibril atau Arasy atau Kursiy atau Lauh atau Qalam adalah tidak sah.
Pada kebiasaannya, sumpah itu dilafazkan dengan nama Allah seperti Billâhi (تِهلل), Wallâhi (وهللا) dan Tallâhi (َتهلل ) dengan huruf ha’ (ه) berbaris bawah, ِْيَ ِ الْعِالَمسوَرَب huruf ba’ (ب) berbaris bawah, dan seumpamanya atau sebagai contoh seseorang berkata: “Saya bersumpah dengan nama Allah atau dengan Allah.”
Sah bersumpah di atas suatu perkara yang sudah berlaku seperti “Wallâhi, tidak saya membuat perkara itu” atau “Wallâhi, saya telah membuat perkara itu” dan sah bersumpah di atas perkara yang akan berlaku, tetapi sumpah sedemikian itu makruh kecuali hendak membuat perkara ketaatan seperti bersumpah pada perkara yang wajib atau sunat atau meninggalkan perkara yang haram atau yang makruh.
Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang wajib seperti meninggalkan sembahyang Subuh atau bersumpah untuk melakukan perkara yang haram seperti mencuri, maka dia berdosa dan tidak wajib ke atasnya menunaikan sumpah tersebut dan baginya kaffârah.
Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang sunat seperti tidak melakukan sembahyang sunat Dhuha atau bersumpah melakukan perkara yang makruh seperti memalingkan mukanya ketika sembahyang, maka sunat ke atasnya melanggar sumpahnya itu dan baginya kaffârah.
Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang harus atau bersumpah untuk melakukannya seperti masuk ke dalam rumah atau memakan makanan atau memakai baju, maka baginya afdhal menunaikan sumpah tersebut.
Kaffârah bagi orang yang melanggar sumpah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firmanNya:
Tafsirnya: Kamu tidaklah dikira salah oleh Allah tentang sumpah kamu yang tidak disenghajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang senghaja kamu buat dengan sungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin, daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Kaffârah sumpah adalah pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka. Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.
Walau bagaimanapun jika seseorang itu bersumpah pada satu perkara yang baik, namun kemudiannya dia melihat adanya perkara lain yang lebih baik daripada sumpah yang dilafazkannya itu lalu dia melakukan perkara yang lebih baik itu, maka itu adalah lebih baik baginya. Walau bagaimanapun hendaklah dia membayar kaffârah kerana melanggar sumpah yang sebelumnya (sumpah yang kurang baik itu).
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Ada seorang lelaki di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia balik ke (rumah) isterinya, lalu dia mendapati anak-anaknya sedang tidur. Maka datang isterinya dengan membawa makanan. Lelaki itu bersumpah untuk tidak memakannya demi anak-anaknya namun kemudian dia memakannya. Lalu dia mendatangi Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan memberitahu Baginda tentang perkara itu. Maka Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dan kemudian dia melihat sesuatu perkara yang lebih baik daripada sumpahnya itu, maka hendaklah dia mendatangkan yang lebih baik daripada sumpahnya (yang terdahulu) itu dan hendaklah dia membayar denda dengan sumpahnya itu.” (Hadits riwayat Muslim)
5. Nazar.
Nazar ialah apabila seseorang mewajibkan sesuatu yang tidak wajib atas dirinya ketika terjadi suatu peristiwa yang diinginkannya atau menjadikan suatu ibadat yang pada mulanya tidak wajib sebagai kewajipan bagi dirinya.
Contohnya, seseorang itu berkata: “Jika aku lulus dalam peperiksaan, maka wajib bagiku menunaikan haji ke Makkah” atau “Jika aku mendapat anak lelaki, maka wajib bagiku menyedekahkan sepertiga hartaku kepada fakir miskin.”
Dalam keadaan ini, jika dia lulus dalam peperiksaan atau dia memperolehi seorang anak lelaki, maka hendaklah dia melaksanakan apa yang dinazarkannya. Jika dia tidak dapat melaksanakannya, maka wajib dia membayar kaffârah nazar.
Kaffârah nazar adalah sama dengan kaffârah sumpah iaitu pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya, memberi makan sepuluh orang fakir atau miskin ataupun memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.
Ini diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu daripada Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Kaffârah (denda) nazar sama dengan kaffârah (denda) sumpah. (Hadits riwayat Muslim)
6. Îlâ’.
Îlâ’ ialah lafaz sumpah suami yang ditujukan kepada isterinya bahawa dia tidak akan meniduri (menyetubuhi) isterinya itu selama waktu tertentu.
Ulama mazhab asy-Syafi‘e mendefinisikannya sebagai sumpah suami yang sah thalaqnya untuk tidak menggauli (menyetubuhi) isterinya secara mutlak atau dalam masa empat bulan, sama ada dia bersumpah dengan nama Allah Ta‘ala atau sifat-sifatNya.
Ulama bersepakat bahawa hukum îlâ’ adalah haram dan berdosa kepada suami yang melakukannya. Ini kerana perbuatannya mendatangkan kemudharatan kepada isterinya dan sumpah yang dilakukannya juga menyebabkan dia tidak boleh menyetubuhi isterinya.
Contohnya, suami berkata pada isterinya: “Demi Allah, saya tidak akan menggauli engkau” atau “Demi ar-Rahim, saya tidak akan menyetubuhi engkau selama empat bulan.”
Jika suami melafazkan îlâ’ kepada isterinya, maka akan bermula tempoh îlâ’ itu sebaik-baik saja lafaz sumpah berlaku. Dalam keadaan ini, bagi suami dua keadaan:
i. Jika sudah berlalu empat bulan, dan suami tidak melakukan apa-apa sama ada ingin rujuk kembali atau menyetubuhi isterinya sepanjang tempoh tersebut, maka isteri akan meminta kepastian daripada suami sama ada:
• Ingin kembali kepadanya sama ada dengan lafaz rujuk atau dengan perbuatan iaitu menyetubuhinya, ataupun
• Menjatuhkan thalaq jika dia berazam untuk menceraikannya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kepada orang-orang yang bersumpah tidak mencampuri isteri-isteri mereka, maka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurkannya), maka sesungguhnya Allah amat Pengampun lagi amat Mengasihi. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan thalaq (menceraikan isterinya), maka sesungguhnya Allah amat Mendengar, lagi amat Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 226-227)
ii. Jika suami melanggar sumpahnya, iaitu dengan kembali kepada isterinya atau menyetubuhinya sebelum selesai tempoh empat bulan, terlepas hukum îlâ’ daripadanya dan baginya kaffârah iaitu kaffârah kerana melanggar sumpah.
Oleh itu baginya pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang fakir atau miskin atau memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.
Jenis-Jenis Kaffârah
Al-Qur’an telah menyebutkan jenis-jenis kaffârah yang wajib ditunaikan. Jenis-jenis kaffârah itu adalah seperti berikut:
1. Memerdekakan seorang hamba sahaya yang dimilikinya.
Ini adalah jenis kaffârah bagi perbuatan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan, suami yang menzhihâr isteri, seseorang yang melanggar sumpah dan juga dosa kerana membunuh.
Dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Maka (wajiblah dia membayar kaffârah) dengan memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 92)
Berdasarkan ayat di atas, kaffârah wajib dilunaskan dengan memerdekakan seorang hamba dan disyaratkan hamba yang hendak dimerdekakan itu beragama Islam.
Hamba sahaya itu juga tidak cacat pada bentuk fizikalnya sehingga menghalangnya untuk melakukan kerja atau usaha lain. Imam Malibari Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya, adalah disyaratkan hamba sahaya itu selamat daripada segala kecacatan yang memudharatkannya untuk bekerja atau berusaha, seperti buta, putus tangan atau kaki atau lumpuh.
Adalah memadai dengan memerdekakan seorang hamba yang masih kecil dengan syarat dia seorang Islam dan tiada kecacatan pada tubuh badannya yang menghalangnya untuk berusaha, kerana dia mempunyai harapan ketika dia dewasa kelak. Begitu juga halnya dengan memerdekakan seorang hamba yang sakit, kerana dia juga mempunyai harapan untuk bekerja apabila dia sembuh kelak.
2. Puasa dua bulan berturut-turut.
Puasa dua bulan berturut-turut adalah antara jenis kaffârah bagi perbuatan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan, suami yang menzhihâr isterinya dan juga perbuatan membunuh, jika tidak mampu untuk memerdekakan seorang hamba.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba sahaya yang akan dimerdekakan), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut. (Surah an-Nisâ’: 92)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, kaffârah orang yang tidak mempunyai hamba sahaya dan dia berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan ke atasnya berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
Maksud dua bulan berturut-turut dalam konteks puasa kaffârah ialah melakukan puasa selama dua bulan berterusan tanpa berselang-selang iaitu tidak boleh dia berbuka walaupun sehari, sekalipun pada hari yang terakhir. Ini tidak terkecuali bagi orang yang berbuka disebabkan sakit, kerana sakit tidak menafikan kewajipan puasa. Maka jika ini berlaku, wajiblah dia mengulangi lagi puasa kaffârahnya dari mula kerana puasa yang dilakukannya sebelum itu sudah tidak dikira lagi.
Berlainan pula halnya jika perempuan yang didatangi haidh ketika menunaikan puasa kaffârah dua bulan berturut-turut kerana membunuh. Imam al-Khathib asy- Syarbini menjelaskan bahawa puasanya yang berturut-turut tidak perlu diulanginya jika dia didatangi haidh kerana haidh menggugurkan kewajipan berpuasa dan memadai baginya untuk meneruskan puasanya apabila darah haidhnya sudah kering.
Wajib seseorang berniat dengan niat puasa kaffârah pada setiap malam sepanjang dua bulan dia melakukan puasa. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, tidak memadai bagi seseorang itu berpuasa kaffârah sehingga disertakan niat puasa kaffârah pada setiap malam sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Siapa yang tidak berniat puasa (wajib) waktu malam, maka tiada puasa baginya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Tidak disyaratkan seseorang yang melakukan puasa kaffârah itu untuk berniat dengan lafaz niat puasa kaffârah dua bulan berturut-turut, tetapi memadai baginya berniat puasa kaffârah sahaja.
3. Memberi makan enam puluh orang miskin.
Jenis kaffârah ini adalah bagi kaffârah jimâ‘ pada siang hari di bulan Ramadhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Akhirnya siapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. (Surah al-Mujâdalah: 4)
Ayat di atas menjelaskan tentang kewajipan memberi makan enam puluh orang miskin. Jika seseorang itu tidak mempunyai hamba sahaya untuk dimerdekakan dan kemudiannya tidak berupaya untuk berpuasa kerana terlalu tua atau sakit yang tiada harapan sembuh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin sebagai penebus kesalahannya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, apabila seseorang tiada kemampuan untuk berpuasa kerana terlalu tua atau sakit, sebagaimana pendapat kebanyakan ulama, iaitu sakit yang tiada harapan sembuh atau jika dia berpuasa akan mendatangkan bebanan yang berat atau takut bertambah sakit, maka kaffârahnya ialah dengan memberi makan enam puluh orang miskin sebanyak enam puluh cupak (mudd) makanan asasi yang sah dijadikan zakat fitrah. Fakir juga termasuk dalam golongan miskin kerana mereka ini lebih memerlukan dan berhajat kepada makanan yang dihulurkan berbanding golongan miskin.
Maksud memberi makan dalam konteks kaffârah ialah memberi makan satu cupak kepada seorang fakir atau miskin daripada makanan asasi di tempat atau di negerinya. Dalam hal ini, perlu baginya untuk memberi makan setiap seorang fakir atau miskin dengan kadar yang sama dan tidak memadai jika diberi seorang dua cupak sementara yang lain satu ataupun setengah cupak sahaja. Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa bagi setiap orang fakir atau miskin diberikan kadar satu cupak daripada makanan asasi tersebut dan tidak dibolehkan mengurangkan daripada bilangan orang-orang fakir atau miskin (enam puluh orang) begitu juga mengurangkan bilangan enam puluh cupak.
4. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka bayaran kaffârahnya (dendanya) ialah memberi makanan yang sederhana yang kamu biasa berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, apabila seseorang membayar kaffârah dengan memberi pakaian, maka hendaklah dia memberi kepada setiap orang fakir atau miskin dengan apa yang dinamakan pakaian. Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah: “Dan sekurang-kurangnya apa yang memadai dengan (lafaz) pakaian ialah setiap apa yang dinamakan pakaian seperti serban, seluar, kain sarung dan sebagainya bagi lelaki, wanita ataupun kanak-kanak.”
Perlu diambil perhatian bahawa setiap kaffârah yang ditunaikan perlu mengikut tertib (susunan) kecuali dalam kaffârah sumpah, contohnya dengan memerdekakan seorang hamba dalam kaffârah jimâ‘ dengan senghaja di bulan Ramadhan. Jika tidak mampu, barulah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak berdaya, baginya kewajipan memberi makan enam puluh orang fakir atau miskin.
Daripada penjelasan di atas, kaffârah merupakan satu tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh seseorang yang melakukan kesalahan yang menyebabkan dirinya dikenakan kaffârah. Kaffârah ini akan tetap ditanggungnya sehingga dia melaksanakan atau menunaikan kaffârah tersebut sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘.
Awas! Jangan Cuba-Cuba Menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Pada masa ini, banyak cara telah digunakan dan dilakukan, sama ada secara langsung atau sebaliknya, yang boleh mencemarkan keperibadian dan kemuliaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lebih menyedihkan lagi ialah apabila perbuatan menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dilakukan secara terang-terangan oleh musuh-musuh Islam. Selaku orang Islam, perkara sedemikian tidak boleh dipandang ringan. Oleh yang demikian, adalah wajib ke atas semua umat Islam mengetahui dengan jelas apakah perkara-perkara yang dianggap boleh menghina atau mendustakan Nabi itu dan kesan serta akibat daripadanya.
Kedudukan Dan Kemuliaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Dalam Al-Qur’an
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Nabi dan Rasul terakhir wajib diimani. Baginda diutus sebagai pembimbing dan pemimpin umat manusia dan alam seluruhnya.
Dalil-dalil yang mewajibkan umat Islam supaya memuliakan, mengagungkan, menghormati dan mentaati Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya dia taat kepada Allah. (Surah an-Nisâ’: 80)
Perintah Allah ‘Azza wa Jalla untuk memuliakan dan menghormati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya. (Surah al-Hujurât: 1)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sesetengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sesetengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. (Surah al-Hujurât: 2)
Bahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan para malaikatNya memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)
Gambaran Yang Sesuai Dengan Fitrah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Meletakkan seseorang itu pada suatu kedudukan yang selayaknya dan memperlakukannya sesuai dengan taraf kemuliaan, martabat dan darjatnya adalah dituntut dalam agama Islam. Perkara ini dinyatakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tempatkan manusia itu (sesuai) menurut kedudukan-kedudukan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Maka sesuai dengan kedudukan dan martabat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia dan tinggi, setiap gambaran yang dinisbahkan kepada Baginda wajiblah dengan gambaran yang baik, indah dan elok. Jauh dari sebarang kekurangan dan kecacatan yang mengaibkan serta tidak pula menyalahi fitrah Baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul.
Maka gambaran yang baik itu merangkumi keseluruhan diri Baginda dari pelbagai segi, antaranya ialah:
Akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah al-Qur’an dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan uswah hasanah, iaitu contoh ikutan yang baik kepada umatnya. Perkara ini telah disebutkan dalam al- Qur’an, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafisrnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzâb: 21)
Manakala Sayyidatina ‘Aisyah dan para sahabat Radhiallahu ‘anhum dalam riwayat mereka telah menceritakan tentang kemuliaan dan ketinggian keperibadian serta akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya:
Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah orang yang paling baik akhlaknya. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu orang yang paling dermawan (dalam hal kebaikan) dan Baginda paling dermawan pada bulan Ramadhan tatkala bertemu (malaikat) Jibril. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah seorang yang keji (dalam percakapan dan perbuatan) dan bukan (juga) seorang yang senghaja membuat keji, bukan seorang yang suka berteriak di pasar dan (Baginda) tidak membalas kejahatan dengan kejahatan (melainkan dengan kebaikan). Akan tetapi Baginda seorang yang suka memaafkan dan (menzahirkannya dengan) berjabat tangan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Antara bukti bahawa Baginda seorang yang suka memaafkan bahkan Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah bahawa dia bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berperang di kawasan Najd apabila mereka tiba di suatu lembah yang terdapat banyak pohon yang berduri. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun beristirahat di bawah salah satu pohon tadi dan menggantungkan pedangnya pada cabang pohon tersebut. Manakala para sahabat yang lainnya berteduh di sekitar kawasan lembah. Selanjutnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki datang kepadaku ketika aku sedang tidur. Lelaki tersebut telah mengambil pedangku yang tergantung pada cabang pohon itu. Ketika aku sedar dia telah berdiri dekat kepalaku dan aku tidak perasan ternyata pedang itu sudah terhunus di tangannya. Lelaki tersebut berkata kepada ku:
Maksudnya: Siapakah yang akan dapat mencegah kamu dariku? Aku (Baginda) menjawab: “Allah”. Kemudian dia berkata untuk kali kedua: “Siapakah yang akan dapat mencegah kamu dariku?”Lalu aku (Baginda) menjawab: “Allah”. Baginda selanjutnya bersabda: “Lelaki tadi pun menyarungkan pedang tersebut lalu terduduk.” Kemudian lelaki tersebut dibiarkan sahaja oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Muslim)
Di samping keindahan dan keelokan akhlak dan keperibadian Baginda, begitu juga rupa fizikal Baginda telah disebutkan dalam banyak riwayat, antaranya ialah:
Âtsâr yang diriwayatkan oleh Ismail bin Abu Khalid bahawa Abu Juhaifah Radhiallahu ‘anhu berkata mengenai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Aku (Abu Juhaifah) memandang (kepada) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan adalah Hasan bin ‘Ali ‘Alaihimassalam itu mirip kepada Baginda. Aku (Ismail) berkata kepada Abu Juhaifah: “(Bayangkanlah) sifat Baginda kepadaku.” Abu Juhaifah berkata: “Baginda itu berkulit putih, berambut hitam yang memutih (mulai beruban).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Al-Jurairi bertanya kepada Abu ath-Thufail apakah dia pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Abu ath-Thufail pun menjawab:
Maksudnya: Ya, Baginda berkulit putih bersih dan berwajah tampan. (Hadits riwayat Muslim)
Penghinaan Terhadap Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Khatib asy-Syarbini dalam bab ar-riddah menjelaskan bagaimana suatu perbuatan atau perkataan daripada seorang Muslim yang dianggap sebagai mendustakan dan menghina mana-mana nabi atau rasul. Antara pendustaan dan penghinaan terhadap para nabi dan rasul ialah:
i. Menafikan (tidak membenarkan) kenabian atau kerasulan mana-mana nabi atau rasul Allah, iaitu daripada 25 orang nabi yang wajib diimani. Begitu juga syak dengan kerasulan salah seorang Rasul. ii. Mendustakan mana-mana nabi atau rasul. iii. Menghina diri rasul atau nabi tersebut. iv. Merendah-rendahkan (memperolok-olokkan) rasul atau nabi. v. Merendah-rendahkan nama rasul atau nabi. vi. Memperkecilkan satu anggota daripada anggota-anggota tubuh nabi dengan maksud penghinaan. vii. Mempersendakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Antara contoh mempersendakan sunnah Rasulullah itu adalah seperti berikut:
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjilat ketiga-tiga jari Baginda apabila telah selesai makan. Adapun sunnah ini berdasarkan riwayat daripada Anas:
Maksudnya: Bahawa (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) jika Baginda telah (selesai) makan sesuatu makanan, Baginda menjilat ketiga-tiga jari Baginda. (Hadits riwayat Muslim)
Lalu seseorang itu mengatakan cara makan Nabi sedemikian itu menjijikkan!
Contoh yang lain, apabila dikatakan kepadanya: “Potonglah kuku kamu kerana itu merupakan sunnah.”
Maka dia berkata: “Aku tidak akan melakukannya sekalipun ia (memotong kuku) adalah sunnah!”
Dia bermaksud dengan jawapan-jawapan tersebut untuk mengejek-ejek atau mempersendakan sunnah.
Contoh-contoh di atas merupakan suatu penghinaan terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Menzahirkan Bentuk Diri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Adalah Dilarang
Menzahirkan bentuk fizikal Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam apa jua bentuk, cara dan niat adalah dilarang dalam Islam. Bahkan hukumnya haram. Sama ada tujuannya adalah untuk menyanjung atau mengagungkan, ataupun dengan niat untuk menghina. Cara menzahirkan itu pula adalah melalui apa jua medium (bentuk atau cara), misalnya:
1. Melalui Ukiran, Lukisan Atau Lakaran
Sejarah telah merakamkan bahawa tujuan sesuatu benda diukir menjadi patung pada mulanya hendak dijadikan iktibar atau mengenang jasa dan sebagai penghormatan, tetapi berakhir dengan ukiran tersebut menjadi objek yang disembah, dipuja, diagungkan dan diletakkan di tempat yang tinggi seolah-olah ia sesuatu yang mulia.
Beginilah yang telah disebut dalam surah Nuh bahawa patung yang pada asalnya diukir sebagai penghormatan untuk orang-orang salih pada zaman Nabi Nuh, disembah dan diagungkan pula oleh orang yang terkemudian. Ini adalah hasil daripada bisikan syaitan dan juga kerana mereka menyangka itulah yang telah dilakukan oleh nenek moyang mereka.
Tafsirnya: Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwâ‘, Yaghûts, Ya‘ûq dan Nasr.” (Surah Nuh: 23)
Oleh kerana itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang dengan kerasnya perbuatan mengukir dan melakar atau melukis objek-objek yang bernyawa sebagaimana sabda Baginda riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar (berjisim iaitu patung atau tidak berjisim iaitu lukisan, tenunan, ukiran dan sebagainya) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertayaan penghinaan): “Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Melukis gambar Nabi merupakan pembohongan dan pendustaan semata-mata kerana mereka yang melukis gambar itu tidak melihat Nabi dan mustahil dia melihat Nabi kerana dia hidup dalam zaman yang berlainan. Perbuatan ini juga dilarang hatta sekalipun semasa hidup Baginda sendiri.
1. Melalui Lakonan Filem, Pentas atau Rakaman Suara
Para ulama di seluruh dunia, dalam fatwa mereka dan juga keputusan persidangan Islam, telah melarang dan membantah dengan keras dan seterusnya mengharamkan sebarang lakonan yang dilakonkan di dalamnya (karakter) Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga Baginda, nabi-nabi yang terdahulu atau para sahabat. Para ulama juga menentang sebarang percubaan untuk melakonkan karakter Baginda dan mereka yang lainnya dalam filem, lakonan pentas atau sandiwara radio.
Perbuatan ini dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap darjat dan merendahkan serta menjatuhkan martabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Berdasarkan penjelasan di atas, ukiran seperti patung dan lukisan (karikatur), lakonan dalam filem atau di atas pentas, suara-suara melalui radio dan sebagainya dalam bentuk apa pun, semua ini dianggap menjatuhkan martabat dan kemuliaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hukuman Daripada Pendustaan Dan Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Menurut Matn al-Minhâj ath-Thâlibîn dalam kitab Mughni al-Muhtâj, apabila seseorang Muslim itu mendustakan mana-mana nabi atau rasul sebagaimana contoh-contoh yang telah disebutkan di atas, maka akibat daripada perbuatannya itu boleh membawa kepada riddah (murtad, iaitu terkeluar daripada agama Islam).
Perkara ini telahpun ditegaskan berulang kali dalam beberapa firman Allah Ta‘ala dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ijmâ‘ ulama. Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan kufur ke atas sesiapa yang menghina Allah dan RasulNya:
Tafsirnya: Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. (Surah at-Taubah: 65-66)
Al-Imam Ibnu al-Mundzir juga menyatakan kesepakatan ulama bahawa sesiapa yang menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka ke atasnya hukuman bunuh.
Manakala dalam firman Allah Ta‘ala yang lain, orang yang mempermain-mainkan para rasul Allah yang terdahulu telah ditimpakan dengan azab, firmanNya:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu. (Surah al-Anbiyâ’: 41)
Adapun pendustaan terhadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menempah tempat yang diperbuat daripada api neraka. Dalam sebuah hadits shahîh daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang mendustakanku dengan senghaja, maka (hendaklah) dia (sendiri) menyediakan tempatnya daripada api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada Abu ‘Ubaid daripada Salmah bahawa beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang membangsakan (mengatakan) perkataan kepadaku (sedang) aku tidak pernah mengatakan perkataan itu, maka (hendaklah) dia (sendiri) menyediakan tempatnya daripada api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pendustaan Dan Penghinaan Daripada Musuh-Musuh Islam
Pendustaan dan penghinaan yang dilakukan oleh sesiapapun tidak terkecuali daripada hukum dalam Islam. Kerana itulah antara sebab yang boleh membatalkan perjanjian keamanan bagi ahli dzimmah ialah apabila mereka secara terang-terangan mencela agama Islam, al-Qur’an, menghina Allah atau menyatakan sesuatu yang buruk mengenai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau rasul-rasul yang lain.
Begitu juga penghinaan yang dilakukan oleh ahli keluarga dan kerabat yang kafir. Pada asalnya, hukumnya adalah makruh bagi seorang yang berperang membunuh ahli keluarganya dan mahramnya yang kafir, bahkan perkara ini sangat ditegah. Namun Imam an-Nawawi berpendapat bahawa jika mereka menghina Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau menghina RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan mengatakan sesuatu yang buruk mengenai Rasul, atau menghina agama Islam, maka pada ketika itu tidak lagi dihukumkan makruh membunuh mereka. Perkara ini sebagaimana dalam Syarh Matn al-Minhâj dalam Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: Dan makruh bagi orang yang berperang membunuh kerabat dan (membunuh) mahram adalah lebih-lebih lagi (makruh hukumnya). Saya berpendapat: Melainkan jika dia (orang yang berperang itu) mendengarnya (kerabat dan mahram yang kafir) menghina Allah atau Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Wallâhu A‘lam.
Ini kerana mendahulukan hak Allah dan hak RasulNya adalah lebih utama dalam semua hal sebagaimana dalam firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Mujâdalah:
Tafsirnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (Surah al-Mujâdalah: 22)
Manakala melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam ayat di atas mencerminkan keimanan seseorang. Itulah juga yang disebut dalam hadits riwayat Anas bin Malik bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Hadits riwayat Muslim)
Perbuatan menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu jika datangnya daripada orang Islam, maka akibatnya adalah selain dia menjadi kufur dan jika tidak segera bertaubat; akan dikenakan hukuman yang amat berat serta dijanjikan dengan azab di akhirat kelak.
Jika penghinaan itu datangnya daripada orang-orang bukan Islam, maka kewajipan kita orang Islam membela dan mempertahankan kemuliaan dan kehormatan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.
MENGADU DOMBA: Peringatan Daripada Peristiwa Isra’ dan Mi‘raj
Mengadu domba merupakan perbuatan yang boleh mengakibatkan persengketaan dan perbalahan antara dua belah pihak. Sikap suka menyampaikan cerita atau menyampaikan percakapan satu pihak kepada pihak yang lain dengan tujuan yang tidak baik sehingga menimbulkan perasaan tidak senang di hati pihak yang lain, dan akhirnya membawa kepada perselisihan faham antara kedua belah pihak adalah sama dengan menabur fitnah.
Dalam peristiwa Isra‘ dan Mi‘raj, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging salah seorang daripada mereka. Kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang daripada mereka itu dan berkata kepadanya: “Makanlah sepertimana yang aku makan”. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril ‘Alaihissalam menjawab: “Mereka inilah pengumpat, pencela serta pengadu domba.”
Mengadu domba adalah maksud daripada perkataan Arab an-namîmah. An-namîmah berasal daripada perkataan an-namma yang bererti mengeluarkan berita dengan tujuan menghasut.
Dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, an-namîmah bermaksud memindahkan atau menyampaikan berita pada orang lain dengan tujuan yang tidak baik.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, perkataan an-namimah pada kebanyakan pendapat adalah menyampaikan percakapan orang lain kepada orang yang dikatakan. Contoh: Seseorang berkata kepada seseorang yang lain “Si Polan mengatakan tentang engkau begini begini.”
Contoh ucapan atau kata-kata lain yang menggambarkan tentang perbuatan mengadu domba, antaranya: “Dia melakukan begini terhadap hakmu”, “dia merancang untuk merosakkan urusan kamu”, “dia merancang untuk membantu musuh kamu” atau “dia memburuk-burukkan tentang hal dirimu.”
Hukum Mengadu Domba
Ulama bersepakat bahawa mengadu domba termasuk antara dosa-dosa besar. Imam al-Ghazali Rahimahullah menyatakan bahawa mengadu domba adalah dilarang kerana ia mendedahkan sesuatu perkara yang tidak boleh didedahkan sama ada perkara itu tidak disukai oleh orang yang mengatakannya atau orang yang mendengarnya atau tidak disukai oleh orang yang ketiga (orang yang dikatakan).
Perbuatan yang dianggap mendedahkan sesuatu perkara itu adalah sama ada dengan kata-kata, dengan tulisan, dengan isyarat atau dengan gerak-geri, sama ada yang disampaikan itu daripada perbuatan atau percakapan, sama ada ia tentang keaiban atau kekurangan pada diri orang yang dikatakan.
Hakikat mengadu domba ialah mendedahkan atau membuka rahsia seseorang yang dia sendiri tidak suka orang lain mengetahuinya. Maka jika seseorang itu melihat sesuatu perkara (hal ehwal orang lain) hendaklah dia mendiamkan diri sahaja tanpa perlu menyebarkannya pada orang lain.
Walau bagaimanapun jika dengan menceritakan sesuatu perkara itu mendatangkan faedah kepada orang Islam atau dapat mencegah daripada berlakunya maksiat, maka tidaklah menjadi kesalahan jika dimaklumkan kepada yang lain. Contohnya: Jika dia melihat seseorang mengambil harta orang lain, maka hendaklah dia menjadi saksi bagi melindungi hak orang yang empunya harta tersebut. Namun jika tujuan sebaliknya, perkara menceritakan hal atau percakapan orang lain dianggap sebagai mengadu domba.
Balasan Mengadu Domba
Mengadu domba merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar kerana perbuatan ini akan mengakibatkan perkelahian antara dua belah pihak. Oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjanjikan balasan azab yang pedih kepada golongan pengadu domba.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menggambarkan tentang kecelakaan dan penghinaan bagi pengadu domba:
Tafsirnya: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji. (Surah al-Humazah: 1)
Penghinaan, azab serta kebinasaan daripada Allah Subhanahu wa Taala ditimpankan ke atas golongan pencaci dan pengeji. Pencaci dan pengeji menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma ialah orang yang suka mengadu domba, merosakkan kasih sayang (sesama manusia) dan penzalim yang membuka keaiban (orang lain).
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: Yang suka mencaci lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk menjahilkan orang ramai). (Surah al-Qalam: 11)
Ayat di atas ditujukan kepada golongan yang suka mencaci dan menyebarkan fitnah untuk merosakkan orang lain yang tergolong di dalam perbuatan mengadu domba. Golongan ini tidak akan memasuki syurga sebagaimana yang diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada sahabat, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan pada suatu tempat lalu mendengar suara dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dua orang (yang berada dalam kubur ini) disiksa, tapi bukan disiksa kerana melakukan dosa besar.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, salah seorang daripada keduanya itu tidak bersuci dengan bersih setelah berkencing, sementara yang satu pula berjalan (di kalangan manusia) dengan mengadu domba.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bedasarkan al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, mengadu domba itu adalah haram dan neraka adalah tempat mereka sebagai balasan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Adalah menjadi kewajipan kita untuk tidak melakukan perbuatan tersebut dan menolak jika didatangi oleh golongan yang suka melakukan sedemikian.
Cara Menolak Jika Didatangi Oleh Pengadu Domba
1. Jangan mempercayainya, kerana orang yang suka mengadu domba adalah orang yang fâsiq. Orang yang fâsiq ialah orang yang ditolak kesaksiannya (syahâdah). Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fâsiq membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurât: 6)
2. Melarangnya supaya tidak mengadu domba dan menasihatinya serta mencela perbuatannya itu sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar. (Surah Luqman: 17)
3. Hendaklah membenci perbuatan mengadu domba itu semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sesungguhnya perbuatannya itu sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Wajib kita membenci perbuatannya sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala membenci perbuatan tersebut.
4. Janganlah bersangka buruk terhadap sesama saudara dalam Islam yang tiada pada ketika itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. (Surah al-Hujurât: 12)
5. Tidak perlu memperbesar-besarkan apa yang disampaikan kepada kamu dengan mengintip atau mencari (keburukan) untuk memastikan (apa yang disampaikan), sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. (Surah al-Hujurât: 12)
6. Jangan kamu menerima apa yang kamu sendiri tidak suka dan melarang daripada perbuatannya dan jangan disampaikan pula cerita tersebut kepada yang lain, contohnya kamu berkata: “Si Polan memberitahu kepadaku begini”. Perkara seumpama ini juga dianggap sebagai mengadu domba dan mengumpat. Dalam keadaan ini, kamu sendiri melakukan apa yang kamu sendiri melarang (orang lain melakukannya).
Peliharalah lidah daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat, seperti mengadu domba atau menyebar fitnah kerana ia merosakkan perhubungan sesama insan. Takutlah terhadap balasan mengadu domba itu. Balasannya adalah api neraka sebagaimana yang diperlihatkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada malam Isra’ dan Mi‘raj.
Bagaimana Menghormati Guru?
Tiada seorang pun dalam kehidupan insan, selain daripada kedua ibu bapa yang lebih berjasa dan layak dihormati melebihi daripada guru. Tetapi guru adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama, sementara ulama pula adalah pewaris para nabi. Begitulah kedudukan ilmu, guru dan ulama adalah saling berkaitan. Mari renungkan firman Allah ini:
Tafsirnya: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Âli ‘Imran: 18)
Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala memulakan dengan namaNya, kemudian dengan para malaikat-malaikatNya dan kemudiannya dengan ahli ilmu – ini sudah cukup membuktikan betapa tingginya martabat ilmu dan ahli ilmu itu.
Imam at-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdo‘a) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Abu al-Aswad berkata: “Tiada suatu pun yang lebih mulia daripada ilmu; raja-raja adalah pemimpin bagi rakyat sedangkan para ulama adalah pemimpin kepada raja.”
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula berkata: “Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam diberikan dua pilihan antara harta dan kekuasaan, Baginda memilih ilmu lalu Baginda pun dikurniakan juga dengan harta serta kekuasaan.”
Kelebihan Mengajar Ilmu Yang Bermanfaat
Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi, sangat mulia dan satu kerjaya yang suci di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta RasulNya.
Firman Allah Ta‘ala dalam surah an-Nahl, ayat 43 dan surah al-Anbiyâ’, ayat 7:
Tafsirnya: Maka bertanyalah kamu kepada أ ََّ الذك jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl: 43 dan surah al-Anbiyâ’: 7)
( ِ َْ َّ السِذْك َأ ) bermaksud orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang-orang yang mengetahuinya.
Imam ath-Thabarani meriwayatkan dalam kitabnya al-Kabîr bahawasanya Mu‘awiyyah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan fiqh itu dengan mempelajari ilmu fiqh. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Akan datang kepada kamu beberapa kaum untuk mencari ilmu, maka apabila kamu melihat mereka hendaklah kamu katakan kepada mereka: “Selamat datang, selamat datang, mengikut wasiat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan hendaklah kamu mengajar mereka.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Amîrul-mu’minîn Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pula berkata: “Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan daripada kematian seorang ‘âlim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan olehNya.
Yahya bin Mu‘az berkata: “Para ulama lebih menyayangi umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ayah-ayah serta ibu-ibu mereka. Lalu ditanyakan kepadanya: “Bagaimana pula begitu?” Lalu Yahya menjawab: “Ibu-bapa menjaga anak-anaknya daripada neraka (kesusahan) dunia, sedangkan para ulama menjaga mereka daripada neraka akhirat.”
Sebahagian ulama berkata: “Para ulama umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka merupakan pelita yang menyinari ahli zamannya.”
Adab Ulama Menghormati Guru
Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah bahawa para ulama sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:
1. Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam setiap urusan mereka.
2. Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir.
3. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan khidmat tersebut.
4. Mereka memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya. Ini lebih membantu mereka sebagai pelajar untuk memperolehi manfaat daripada guru mereka dan akan mengukuhkan lagi apa yang didengar dan diajarkan oleh guru.
Ulama-ulama salaf sangat memuliakan dan mengagungkan guru-guru mereka. Ini jelas termaktub dalam kisah-kisah tentang akhlak mereka dalam majlis-majlis ilmu dan kesopanan mereka terhadap guru-guru mereka. Sebagai contoh:
i. Al-Mughirah berkata: “Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘i seperti mana kami menghormati raja.”
ii. Imam asy-Syafi‘e pula berkata: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).”
iii. Rabi‘ berkata: “Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam asy-Syafi‘e memandang kepadaku.”
iv. Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata: “Antara hak seorang ‘âlim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa.”
5. Mereka sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta beroleh ilmu yang akan tercurah daripadanya pada bila-bila masa serta menjadikannya qudwah (ikutan).
Imam asy-Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam asy- Syafi‘e tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan fiqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan sambil mendo‘akan keselamatannya.
6. Mereka tidak menggunakan ganti nama diri seperti ‘engkau’ dan ‘awak’ dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh.
Al-Khathib berkata: “Hendaklah dia berkata: “wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?” dan kata-kata seumpamanya. Tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.”
Maksudnya di sini, mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta penghormatan. Jika nama guru tersebut Muhammad misalnya, mereka akan memanggilnya dengan nama ustaz, cikgu, guru kami dan sebagainya dan tidak menyebutkan namanya kecuali disertakan dengan gelaran yang penuh penghormatan seperti Ustaz Muhammad, Cikgu Muhammad dan sebagainya meskipun sewaktu ketiadaan guru itu.
7. Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ia adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadat dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut.
Dalam satu hadits riwayat Imam al-Hakim, Ka‘ab bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka dia akan masuk neraka. (Hadits riwayat al-Hakim)
8. Mereka berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya ke atas segala kekurangan atau kemalasan dan sebagainya bagi memperbaiki diri dan mengganggap teguran, asuhan, didikan serta keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga kepada mereka oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika bimbingan serta teguran yang diberikan oleh guru itu sudah diketahui, maka mereka tidak menunjukkan yang mereka sebenarnya sudah mengetahuinya, bahkan mereka menghargai dan berterima kasih atas bimbingan serta keprihatinan guru tersebut terhadap mereka.
9. Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga daripada tidur ataupun selesai daripada berehat.
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadits. Lalu dikatakan kepadanya: “Dia sedang tidur”. Maka duduklah Ibnu ‘Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: “Tidak perlukah kita mengejutkannya?” Ibnu ‘Abbas pun menjawab: “Jangan.”
10. Mereka tidak mendatangi guru di luar daripada majlis ilmu yang umum (di luar daripada jadual waktunya untuk mengajar dan sebagainya) kecuali dengan izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang bersama dengan orang lain.
Jika tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar dan tidak mengulangi isti’dzân (permohonan izin) mereka.
Jika mereka ragu-ragu adakah guru tersebut terdengar ataupun tahu akan isti’dzân mereka untuk mendatangi guru tersebut ataupun tidak, maka dalam hal ini mereka akan mengulang isti’dzân tersebut tidak melebihi daripada tiga kali ketukan di pintu. Mereka mengetuk dengan penuh adab dan perlahan-lahan dengan menggunakan kuku jari.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad bahawa Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: Pintu-pintu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diketuk dengan menggunakan kuku-kuku jari. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jika guru mereka itu jauh dari pintu, maka tidaklah menjadi kesalahan dari segi adab mereka untuk menguatkan sedikit ketukan dalam kadar kira-kira dapat didengar oleh guru tersebut dan jangan sampai melebihi daripada kadar ini.
Jika guru tersebut bertanya siapakah yang berada di luar pintu itu, maka mereka tidak hanya mengatakan ‘aku’ tanpa menyebutkan nama kerana ini tidak disukai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dalam Shahîh Imam al-Bukhari diriwayatkan bahawa Jabir Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: Aku mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk membayar hutang bapaku lalu aku mengetuk pintu. Lalu Baginda bertanya: “Siapa ini?” Kemudian aku menjawab: “aku”. Baginda pun bersabda: “Aku! Aku!” Seolah-olah Baginda tidak menyukainya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Seandainya pintu bilik guru itu terbuka, maka mereka tidak akan mengintip atau menghadapkan muka mereka ke muka pintu, tapi mereka menjadikan muka pintu itu berada di sisi kanan atau kiri mereka atau dalam bahasa Brunei disebutkan ‘menyiring’, kemudian barulah mereka memberi salam. Ini kerana antara adab isti’dzân itu ialah meminta izin untuk melihat. Sahl bin Sa‘ad Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Seorang lelaki mengintip dari lubang kamar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebuah sisir yang digunakannya untuk menyisir rambutnya. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika aku tahu yang engkau mengintip nescaya akan aku tusukkan sisir ini ke matamu! Sesungguhnya isti’dzân (permohonan izin) itu disyariatkan untuk keperluan melihat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
11. Apabila mereka hendak berjumpa dengan guru, mereka akan memastikan diri mereka dalam keadaan yang sempurna dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih, memotong kuku serta menghilangkan bau-bauan yang kurang enak sama ada ketika menemuinya secara persendirian apatah lagi ketika hendak menghadiri majlis ilmu yang umum seperti kelas dan sebagainya yang merupakan sejenis perkumpulan ibadat. Ini kerana dikhuatiri akan mengganggu kesejahteraan guru mahupun rakan-rakan pelajar yang lain.
Imam Malik sepanjang hidupnya, membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali beliau menghadiri halaqah untuk belajar ataupun mengajar.
Mereka juga pada ketika itu akan mengosongkan hati daripada segala urusan di samping mensucikan minda serta fikiran. Pendek kata sempurna jiwa dan raga untuk menerima pengajaran guru. Bukannya dalam keadaan mengantuk, marah atau lapar yang bersangatan ataupun dalam keadaan dahaga dan sebagainya supaya dada mereka dilapangkan untuk menerima pengajaran yang diberikan dan mampu mengingati apa yang telah guru perdengarkan kepada mereka.
Ketika sedang belajar, mereka sentiasa menunjukkan adab terhadap kawan-kawan sekelas dan sesiapa sahaja yang menghadiri majlis ilmu atau kelas guru mereka itu. Hal ini merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlis ilmu ataupun kelasnya.
12. Jika mereka ingin menjumpai guru di luar daripada waktunya mengajar sedangkan di waktu itu guru tersebut sedang bersembahyang, berzikir, menulis atau membaca lalu dia terhenti (terganggu) ketika terlihat mereka atau tidak menegur mereka, maka mereka akan memberi salam kemudian cepat-cepat pergi dari sana kecuali jika disuruh oleh guru itu untuk menunggu di sana.
13. Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya atau jika difikirkan akan menyusahkannya ataupun bukan waktu yang biasa bagi guru tersebut untuk mengajar. Begitu juga pada ketika guru itu sedang letih, bosan, dukacita, mengantuk dan sebagainya kerana ini akan menyusahkannya dan menjadi penghalang kepadanya daripada melaksanakan pengajarannya dengan sempurna.
14. Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawâdhu‘, khusyû‘ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian atau lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap guru. Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak akan bercakap kecuali ketika menjawab soalan guru mereka sehingga diumpamakan duduk mereka ketika belajar itu seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Perumpamaan ini bermaksud mereka duduk diam tanpa bergerak-gerak kerana burung pada kebiasaannya tidak akan hinggap kecuali di atas sesuatu yang tidak bergerak-gerak.
Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.
15. Mereka sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu guru sedang mengajar kecuali jika disuruh atau diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.
16. Mereka tidak malu untuk bertanya jika ada kemusykilan mengenai sesuatu yang diajarkan oleh guru dan apabila bertanya mereka akan menjelaskan persoalan mereka itu dengan terang dan jelas.
Imam Abu Hanifah sering menyeru supaya menuntut ilmu tanpa rasa segan dan malu, dan dalam hal ini hendaklah dia mengajukan pertanyaan-pertanyaannya dengan cara yang baik. Beliau berkata: “Bertanya dengan baik adalah separuh daripada ilmu.”
Jika ditanyakan oleh guru: “Adakah kamu faham?”, maka mereka tidak sekali-kali akan berkata: “ya”, kecuali jika benar-benar jelas maksud apa yang diajarkannya itu supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas dan sempurna dan tidak dikira berdusta kepada guru.
Mereka tidak sekali-kali malu untuk berkata: “aku belum faham”, kerana dengan perkataan ini dia akan beroleh berbagai bentuk kebaikan yang akan diperolehi sama ada pada waktu tersebut mahupun untuk masa depannya.
17. Jika guru mereka berlaku kasar ataupun marah, maka merekalah yang akan terlebih dahulu meminta maaf dengan menunjukkan bahawa merekalah yang patut dipersalahkan. Ini akan memberikan manfaat yang lebih bagi mereka sebagai pelajar di dunia dan akhirat serta ini akan lebih membersih dan menyenangkan hati guru.
18. Mereka sentiasa mendo‘akan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah matinya atas jasa serta segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kerana jasa-jasa pewaris para nabi yang tidak ternilai ini tidak akan dapat dibalas.
Pengarang kitab al-Fawâ’id al-Makkiyyah iaitu as-Sayyid ‘Alawi berkata: “Antara adab pelajar itu ialah tidak lupa mendo‘akannya setiap masa sepertimana dia tidak lupa untuk mendo‘akan ibu bapanya dan berbuat baik kepadanya sepertimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku tidak pernah lupa mendo‘akan Imam asy-Syafi‘e ketika bersembahyang semenjak empat puluh tahun lalu.” Kerana banyaknya do‘a Imam Ahmad bin Hanbal untuk Imam asy-Syafi‘e ini, anaknya bertanya kepadanya: “Siapakah dia asy-Syafi‘e ini sehingga engkau pohonkan segala do‘a-do‘a ini untuknya?” Imam Ahmad pun menjawab: “Anakku, Imam asy-Syafi‘e umpama matahari bagi dunia ini dan merupakan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.”
Pengajaran Daripada Adab Nabi Musa ‘Alaihissalam Terhadap Gurunya
Al-Qur’an menceritakan bagaimana tingginya peradaban dan akhlak Nabi Musa ‘Alaihissalam ketika Baginda ingin menuntut ilmu daripada seorang hamba Allah yang dikurniakan ilmu yang tinggi (menurut kebanyakan riwayat, hamba Allah yang dimaksudkan itu ialah Nabi Khidir ‘Alaihissalam) melalui firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Kahf, ayat 66:
Tafsirnya: Nabi Musa ‘Alaihissalam berkata kepadanya (Nabi Khidir ‘Alaihissalam): “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu (oleh Allah), ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Surah al-Kahf: 66)
Mengikut Imam Fakhr ar-Razi, ayat ini mengandungi adab serta tatacara yang banyak dan halus bagi seorang pelajar ke atas gurunya, antaranya:
i. Menjadikan dirinya sebagai pengikut Nabi Khidir ‘Alaihissalam kerana Baginda mengatakan “bolehkah aku mengikutimu?”
ii. Meminta kebenaran untuk mengikutinya dengan meminta izin terlebih dahulu dengan katanya “bolehkah aku mengikutimu?” dan bukannya berkata dengan kata-kata yang menunjukkan pembebanan ke atas Nabi Khidir ‘Alaihissalam seperti kata-kata “aku ingin mengikutimu”. Ini kerana dengan kalimat yang diucapkan Baginda itu, tiada pihak yang merasa dibebani oleh yang lain. Bahkan, sang muridlah yang harus mengerti kedudukan guru sebagai orang yang patut dihargai.
iii. Kata-kata baginda “supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar” yang menunjukkan pengakuan kejahilan baginda di hadapan gurunya.
iv. Baginda berkata “di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu” dengan menggunakan perkataan “di antara” yang membawa maksud “sebahagian” yang menunjukkan permintaan Nabi Musa ‘Alaihissalam agar Nabi Khidir ‘Alaihissalam mengajarinya sebahagian daripada ilmu yang diajarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini juga mengisyaratkan rasa rendah diri yang seolah-olah baginda mengatakan: “Saya tidak meminta agar kamu mengajariku semua ilmumu, akan tetapi sebahagian daripada ilmumu”. Seperti juga halnya seorang fakir yang meminta sedikit daripada harta si kaya.
v. Kata-kata baginda “ilmu yang telah diajarkan kepadamu” merupakan pengakuan bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala jualah yang mengajari ilmu itu.
vi. Kata-kata baginda “ilmu yang menjadi pertunjuk bagiku” seolah-olah baginda mengharap petunjuk daripada ilmu Nabi Khidir ‘Alaihissalam kerana tanpa irsyâd serta petunjuk maka akan terjerumuslah ke lembah kesesatan.
vii. Sabda baginda “ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu (oleh Allah)” menunjukkan bahawa baginda meminta Nabi Khidir ‘Alaihissalam memperlakukan baginda sepertimana Nabi Khidir ‘Alaihissalam diperlakukan oleh Allah Ta‘ala. Di dalamnya ada isyarat agar dirinya diberi ni‘mat sebagaimana Nabi Khidir ‘Alaihissalam diberi ni‘mat ilmu oleh Allah. Untuk itu ada pepatah mengatakan: “Saya adalah hamba bagi siapa saja yang mengajariku satu huruf.”
viii. “Mengikuti” menunjukkan sikap menurut dan mencontohi guru tanpa membantah. Ini membawa erti bahawa seorang pelajar itu harus mengikuti gurunya hanya kerana guru tersebut berbuat demikian. Ini juga menunjukkan bahawa seorang pelajar harus menyerahkan dirinya terhadap irsyâd seseorang guru tanpa membantah sedikitpun.
ix. Dalam satu riwayat, Nabi Khidir ‘Alaihissalam telah diberitahukan bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalam adalah Nabi Bani Israel yang diturunkan kepadanya kitab Taurat dan yang pernah berkata-kata secara langsung dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dengan kemuliaannya ini, baginda meminta agar Nabi Khidir ‘Alaihissalam mengajarnya. Ini menunjukkan bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalam benar-benar mempunyai keperibadian luhur serta tawâdhu‘. Hal ini sangat sesuai dengan diri baginda yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan sehingga dengan ilmunya itu baginda mengerti tatacara yang tinggi dan halus dalam menghormati ahli ilmu.
Penutup
Guru adalah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, pendek kata guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Sewajarnyalah setiap pelajar mencontohi para ulama salaf dalam menjaga tingkah laku, sopan santun serta akhlak terhadap guru, tidak kira siapapun gurunya itu, walaupun lebih muda ataupun lebih rendah darjat daripadanya. Ini kerana dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala sehingga dijadikan sebagai khalifahNya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi.
Hindarkan Perkara-Perkara Yang Menjejaskan Kesempurnaan Ibadat Puasa
Ibadat puasa bulan Ramadhan merupakan peluang untuk umat Islam mengaut pahala serta ganjaran sebanyak-banyaknya. Ia merupakan satu ibadat rahsia dan peribadi antara hamba dengan Tuhannya. Pahala ibadat puasa pula tidak seperti pahala ibadat-ibadat yang lain. Pahala puasa serta ganjarannya tidak terbatas kerana ia adalah hak milik mutlak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Setiap amal anak Adam itu dilipatgandakan sebanyak sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda. Allah Ta‘ala berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, dia meninggalkan syahwat dan makanannya keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: Satu kegembiraan ketika dia berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau harum kasturi. (Hadits riwayat Ahmad)
Dalam usaha untuk mencapai kebaikan yang telah dijanjikan dalam hadits di atas, seseorang itu mestilah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang dimakruhkan semasa berpuasa. Sungguhpun perkara-perkara itu hanya makruh, akan tetapi sebagai seorang Muslim yang ingin puasanya diterima dengan sempurna oleh Allah Ta‘ala, perkara-perkara tersebut mesti dijauhi kerana hukum makruh itu sendiri membawa maksud sesuatu yang dilarang, sungguhpun tidak berdosa namun dikurniakan pahala kerana meninggalkannya. Ini dapat membantu seseorang itu supaya dapat menjalani ibadat puasanya dengan lebih sempurna agar ianya selari dengan rahsia dan hikmah pensyariatannya.
Perkara-Perkara Yang Makruh Dilakukan Semasa Berpuasa
Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika seseorang itu berpuasa ialah:
1. Meninggalkan adab-adab puasa.
Meninggalkan adab-adab yang dianjurkan dalam ibadat puasa itu bererti melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dihindari untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadat tersebut.
Adab-adab puasa itu termasuklah mengerjakan perkara-perkara yang sunat dikerjakan ketika berpuasa selain meninggalkan perkara-perkara yang dituntut supaya ditinggalkan. Perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang berpuasa itu umpamanya ialah menyegerakan berbuka puasa. Menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang Maghrib adalah sunat, kerana ia merupakan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sebagai contoh lagi bagi perkara-perkara yang disunatkan itu ialah melambatkan waktu bersahur. Kadar waktu yang disunatkan untuk bersahur ialah ketika hampir waktu fajar, iaitu tempoh masanya kira-kira dalam kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat al-Qur’an sebelum terbit fajar.
Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Umatku sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. (Hadits riwayat Ahmad)
Meninggalkan perkara-perkara yang disunatkan sudah tentu kurang menepati apa yang telah dikehendaki oleh syara‘.
Begitu juga makruh melakukan perbuatan-perbuatan yang dituntut oleh agama untuk meninggalkannya walaupun pada dasarnya perbuatan-perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa. Perbuatan yang dimaksudkan itu seperti tidak memelihara anggota tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong, berangan-angan yang terlalu panjang dan sebagainya. Meninggalkan perkara-perkara maksiat adalah lebih-lebih lagi dituntut seperti mengeluarkan kata-kata yang ditegah atau haram umpamanya mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah (berdebat) kerana perkelahian dan bersumpah bohong.
Walaupun meninggalkan perkara-perkara di atas ketika mengerjakan ibadat puasa merupakan perkara sunat, hal ini tidak mengubah kedudukan asalnya sebagai perkara-perkara haram yang wajib dijauhi. Dalam makna yang lain, apabila seseorang menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara di atas, dia akan memperolehi dua pahala; pahala wajib kerana memelihara anggota tubuh badannya daripada perkara yang haram dan pahala sunat kerana meninggalkan perkara tersebut semasa mengerjakan puasa.
Sebaliknya pula, jika orang yang berpuasa itu tidak memelihara lidahnya daripada perkara-perkara yang keji dan terlarang seperti berdusta atau mengumpat, dia mendapat dosa kerana melakukan perkara yang haram dan dia juga telah menyalahi tuntutan perkara sunat kerana tidak menjaga dirinya daripada perkara-perkara di atas ketika berpuasa.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang bâthil (dusta) dan (sebaliknya) melakukannya (pula) maka Allah tidak menghendaki (memerlukan) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
2. Mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Ketika mengerjakan ibadat puasa, menjaga rongga-rongga anggota badan seperti lubang mulut, telinga, hidung, dubur dan sebagainya daripada dimasuki oleh benda-benda yang membatalkan puasa adalah wajib. Oleh kerana itu, mendedahkan rongga-rongga tersebut kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa adalah makruh dan perlu dielakkan.
Antara perbuatan-perbuatan yang boleh mendedahkan rongga-rongga anggota badan kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah mubâlaghah atau berlebih-lebihan semasa berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung, menyelam dalam air, mengunyah dan juga merasa makanan dengan lidah.
i. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung ketika berwudhu asalnya sunat dilakukan hatta ketika mengerjakan ibadat puasa. Bagaimanapun, berlebih-lebihan dalam perkara tersebut ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu mengumur-ngumurkannya sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
‘Ashim bin Laqith bin Shaburah Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya telah berkata: “Wahai Rasulullah! Terangkan kepadaku tentang hal wudhu”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sempurnakanlah wudhu (iaitu dengan menyampaikan air ke seluruh anggota yang wajib dikenakan air wudhu), bukalah celah-celah jari-jemarimu dan bersungguh-sungguhlah memasukkan air ke dalam lubang hidung kecuali jika kamu sedang berpuasa. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Apabila air masuk melalui mulut atau lubang hidung melewati batas yang dibenarkan, iaitu air tersebut masuk ke bahagian had batin mulut (tempat makhraj huruf hamzah (ء) atau ha marbuthah (َا ) atau melebihi pangkal hidung disebabkan mubâlaghah ketika berkumur-kumur atau memasukkan air ke lubang hidung, mengikut pendapat yang ashah (lebih tepat) dalam mazhab asy-Syafi‘e, akan membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama seperti wudhu dalam bilangan yang wajib ataupun sunat. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan senghaja.
Jika air masuk kerana perkara-perkara yang tidak dituntut agama seperti mengambil air wudhu lebih daripada bilangan tiga kali, atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.
ii. Menyelam dalam air akan menyebabkan puasa menjadi batal jika air memasuki rongga-rongga anggota tubuh-badan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, perbuatan tersebut adalah makruh dilakukan sekalipun dalam perkara-perkara yang dituntut seperti mandi wajib atau mandi-mandi sunat.
Jika air masuk dengan tidak senghaja ketika seseorang itu mandi tanpa menyelam dalam air, puasa tidak akan menjadi batal.
iii. Makruh merasa makanan dengan lidah kerana ia boleh menyebabkan makanan tertelan masuk ke dalam perut. Perbuatan itu juga boleh membuka selera makan bagi orang yang berpuasa itu dan ini boleh membawa kemungkinan yang dia tidak mampu menahan dirinya untuk terus berpuasa.
Bagaimanapun, tidaklah makruh bagi orang yang sedang berpuasa untuk merasa makanan yang dimasaknya jika terdapat keperluan untuk merasa dan memperbaiki makanan yang dimasaknya itu.
Begitu juga makruh mengunyah makanan, kerana di samping sebab-sebab di atas, ia boleh menyebabkan air liur berkumpul dan menjadi banyak. Menurut pendapat jumhûr ulama, air liur yang mempunyai rasa atau bau makanan itu tidak membatalkan puasa, walau bagaimanapun apabila ditelan hukumnya adalah makruh.
Makanan yang dikunyah itu juga boleh menyebabkan orang yang berpuasa merasa dahaga. Di samping itu, bau mulut kesan mengerjakan ibadat puasa yang sepatutnya dijaga boleh menjadi hilang.
Dalam sebuah hadits mauqûf, Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: Orang yang berpuasa tidak wajar mengunyah makanan. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Bagaimanapun, tidak makruh mengunyahkan makanan untuk dimakan oleh anak kecil jika tidak dapat dielakkan daripada melakukannya, seperti kerana ketiadaan orang lain ataupun tiada cara lain selain daripada mengunyahkannya.
3. Melakukan perkara-perkara harus yang tidak selari dengan rahsia pensyariatan ibadat puasa.
Antara tujuan pensyariatan ibadat puasa itu ialah untuk melatih diri seseorang supaya lebih mentaati perintah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama, berlapar dan berdahaga itu dapat melemahkan dan mengekang nafsu syahwat daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara maksiat.
Keadaan rasa lapar dan perut kosong itu akan memberi kesan yang besar dalam menjernihkan hati seseorang dan seterusnya akan menggiatkan lagi anggota tubuh badan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebaliknya perut yang kenyang itu akan menyebabkan hati menjadi keras dan mudah alpa daripada mengingati Allah dan ini akan mendorong rasa malas untuk melakukan perintah-perintahNya.
Oleh sebab itu, ketika berbuka puasa seseorang itu dituntut agar tidak makan secara berlebihan sehingga terlalu kenyang kerana ini bertentangan dengan maksud dan rahsia ibadat puasa itu sendiri.
Antara perkara-perkara yang tidak selari dengan rahsia ibadat puasa itu juga ialah tidak menjaga diri daripada apa yang dinamakan sebagai perkara-perkara syahwat yang mubâh. Syahwat yang dimaksudkan dalam hal ini ialah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang dan pada dasarnya hukumnya adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara ini dapat dikategorikan sebagai perkara-perkara yang menyeronokkan sama ada perkara-perkara yang sedap didengar, dilihat, disentuh ataupun dihidu.
Antara contoh perkara-perkara di atas ialah mendengar lagu yang dinyanyikan tanpa alat-alat muzik yang haram digunakan, melihat perhiasan atau ukiran yang cantik atau sedap dipandang dan juga menghidu minyak wangi atau benda-benda yang harum.
Atas sebab yang sama seperti di atas, mandi kerana tiada tujuan yang dituntut oleh syara‘ atau sekadar bersuka-suka pada siang hari bulan Ramadhan juga makruh dilakukan. Bagaimanapun, sekiranya tujuan mandi itu adalah kerana mengerjakan sembahyang Jumaat, tidak sempat mandi junub sebelum terbit fajar, ingin menghadiri perhimpunan orang ramai, bau badan yang busuk atau seumpamanya, maka mandi atas tujuan-tujuan tersebut tidaklah makruh bahkan dituntut dan disunatkan pula.
Sayugia diingatkan dalam perkara ini, jika majlis yang ingin dihadiri itu diadakan pada sebelah malam, maka menurut pendapat sesetengah ulama adalah lebih baik (disunatkan) mandi pada sebelah malam juga dan bukannya pada siang hari ketika mengerjakan puasa.
Menurut ulama juga, lebih awlâ (utama) meninggalkan bercelak mata ketika mengerjakan puasa, kerana ia juga merupakan perbuatan berhias-hias dan bersenang-senang yang tidak sehaluan dengan rahsia ibadat puasa itu sendiri.
4. Bersiwak selepas masuk waktu Zhuhur sehingga sebelum waktu terbenamnya matahari.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu pada Hari Kiamat lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan ‘lebih harum’ dalam hadits ini merupakan pujian dan tanda keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap orang yang tidak menghilangkan bau mulutnya akibat berpuasa itu. Ini juga membawa maksud bahawa perbuatan membiarkan bau mulut ketika berpuasa itu merupakan satu perkara yang dituntut. Sebaliknya menghapuskannya pula adalah makruh.
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menyatakan sebab mengapa bersiwak itu makruh setelah masuknya waktu Zhuhur adalah kerana bau mulut yang terhasil pada waktu itu adalah kesan daripada ibadat puasa yang dikerjakan. Bau mulut yang terjadi sebelum waktu itu pula boleh jadi disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti kesan makanan atau minuman yang diambil sebelum imsâk.
Sesetengah ulama berpendapat jika bau mulut bukan disebabkan kesan ibadat puasa semata-mata contohnya bau mulut kerana tidur atau kerana termakan makanan yang berbau busuk secara tidak sengaja, maka tidaklah makruh bersiwak ataupun memberus gigi walaupun selepas masuknya waktu Zhuhur.
Bagaimanapun, menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, pendapat yang awjah (lebih tepat) menyatakan hukum makruh itu tetap berlaku sekalipun perubahan bau itu bercampur antara kesan berpuasa dengan kesan faktor lain.
Atas sebab yang serupa, maka dapat diqiyâskan bahawa memberus gigi selepas waktu tergelincirnya matahari juga makruh. Bagaimanapun, dalam hal ini seseorang yang sedang berpuasa mestilah memastikan bahawa air, ubat gigi dan seumpamanya tidak masuk ke bahagian had batin mulut sewaktu memberus gigi kerana jika ini berlaku ia akan membatalkan puasa.
5. Mengucup isteri atau sebaliknya.
Makruh ke atas orang yang mudah terangsang syahwatnya untuk melakukan persetubuhan atau mudah inzâl (keluar air mani) mengucup isteri atau suami pada bibir, mencium pipi dan sebagainya ketika sedang mengerjakan puasa. Perbuatan tersebut makruh kerana ditakuti ia boleh mendorong seseorang untuk melakukan persetubuhan.
Sementara orang yang tidak mudah terangsang syahwatnya pula, meninggalkan perbuatan mengucup bibir isteri atau mencium pipinya adalah lebih utama kerana setiap orang yang berpuasa disunatkan untuk menjauhkan dirinya daripada segala perkara-perkara syahwat.
Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, perbuatan mencium bibir itu termasuk dalam kategori karâhah at-tahrîm (makruh yang hampir kepada peringkat haram) kerana ia boleh merosakkan ibadat puasa yang dikerjakan.
Juga termasuk dalam perkara-perkara yang mendorong berlakunya persetubuhan atau inzâl itu ialah berpelukan, bersentuh-sentuhan kulit tanpa dilapiki oleh sesuatu dan sebagainya. Oleh sebab itu, ulama mengqiyâskan perkara-perkara tersebut adalah seperti hukum mencium ketika mengerjakan puasa.
6. Berbekam.
Berbekam pada dasarnya harus dan tidak membatalkan puasa. Bagaimanapun, meninggalkannya adalah lebih utama kerana perbuatan tersebut boleh melemahkan tubuh badan orang yang berpuasa dan ini akan mendorongnya untuk berbuka.
Makruh juga melakukan perkara-perkara yang seumpamanya, seperti menderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa kerana perbuatan ini boleh melemahkan anggota badan.
Abdul Rahman bin Abu Laila berkata bahawa seorang lelaki daripada kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meriwayatkan:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berbekam dan mengerjakan puasa wishal (menyambung puasa secara berterusan tanpa berbuka di malam hari). Bagaimanapun Baginda tidak mengharamkan kedua-dua perkara itu kerana kasih Baginda terhadap sahabat-sahabatnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Penutup
Adalah mustahak bagi setiap Muslim memastikan puasanya itu jauh daripada perkara-perkara yang dilarang walaupun larangan-larangan itu hanya dalam peringkat makruh supaya puasanya itu menjadi suatu puasa yang berkualiti dan bukanlah sekadar menperoleh lapar dan dahaga sahaja.
Sememangnya untuk mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara makruh semasa puasa ini memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Hanya hamba yang bersifat sabar, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam mendirikan puasa sahaja yang mampu dan akan berusaha bersungguh-sungguh menjaga anggota zahir dan batinnya daripada melakukan larangan-larangan ini semata-mata kerana inginkan ganjaran yang lebih dan berlipat ganda serta mengharap keredhaan Allah. Orang-orang yang sabar dan ikhlas ini akan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kurniakan dengan pahala yang tidak terkira.
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah az-Zumar: 10)
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan dan mengetahui batas aturannya serta menjaga perkara-perkara yang patut dijaga maka dihapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Melakukan perkara makruh itu walaupun tidak berdosa, namun ia tetap mempunyai nilai larangan dalam menuju kesempurnaan ibadat puasa.
Jangan Lupa Beristighfâr!
Istighfâr sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfâr yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika dilihat pada pengertian istighfâr, maka tiada perbezaan antara istighfâr dan taubat. Dari satu sudut, istighfâr dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kedua-duanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).
Hakikat istighfâr dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun daripada segala dosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfâr sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi. (Surah an-Nisâ:106)
Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbîhlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. (Surah al-Mu’min:55)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menganjurkan kepada hamba-hambaNya agar sentiasa beristighfâr bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman, lelaki mahupun perempuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan). (Surah Muhammad: 19)
Walaupun istighfâr adalah sunat, namun perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfâr merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfâr bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfâr sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Fadhilat Beristighfâr
Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi mereka yang mengamalkan istighfâr. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfâr.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfâr pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu ni‘mat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)
Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfâr dan taubat ialah Allah akan memberi ni‘mat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfâr dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal. (Surah Âli Imran: 135-136)
Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfâr”.
Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfâr”.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfâr, antaranya:
Dalam sebuah hadits Qudsi, Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdo‘a dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfâr (nya) begitu banyak.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfâr akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfâr. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.
Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadits yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang selalu beristighfâr, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfâr itu antaranya adalah:
i. Memperoleh keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak.
ii. Menyenangkan hati daripada kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
iii. Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfâr bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
iv. Memperolehi perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfâr merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
v. Memelihara diri daripada melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfâr dapat membersihkan hati daripada lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
vi. Memperoleh keutamaan dan anugerah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa ni‘mat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.
Bilakah Waktu Untuk Beristighfâr?
Tiada dihadkan waktu yang khusus untuk beristighfâr. Adalah sunat untuk beristighfâr pada bila-bila masa sahaja. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan bilakah masa-masa yang baik untuk beristighfâr. Maka adalah perlu untuk menjaga waktu-waktu istighfâr tersebut agar permohonan ampun yang dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan diperkenankan.
1. Selepas melakukan sesuatu dosa atau kesalahan.
Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mana-mana sahaja daripada seorang hamba yang melakukan dosa, maka dia pun berwudhu kemudian dia bangun dan mengerjakan sembahyang dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah (atas dosa yang dilakukannya), melainkan Allah akan mengampunkannya”. Kemudian Abu Bakar membaca ayat ini: (tafsirnya): “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Menjadi do‘a dan zikir sepanjang hari.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan istighfâr sebagai amalan harian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ma‘shûm (bebas daripada dosa), namun Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tetap beristighfâr agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa. Hadits ini juga bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang memerintahkan hambaNya untuk sentiasa beristighfâr kepadaNya sepanjang hari:
Tafsirnya: Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbîhlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. (Surah al-Mu’min:55)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan tentang penghulu istighfâr (sayyid al-istighfâr) yang boleh dijadikan amalan sepanjang hari, tidak kira pagi atau petang, siang mahupun malam. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penghulu istighfâr adalah dengan mengucapkan: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan ni‘matMu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau”. Dan siapa yang mengucapkannya (penghulu istighfâr) pada siang hari serta menyakininya, lalu mati pada hari tersebut sebelum menjelang waktu petang, maka dia termasuk antara ahli syurga. Dan siapa yang mengucapkannya pada malam hari dan dia menyakininya, lalu mati sebelum menjelang pagi, maka dia termasuk antara ahli syurga. (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Di waktu sahur.
Waktu sahur yang dimaksudkan di sini adalah satu pertiga yang akhir dari malam hingga terbit fajar.
Maksudnya: Tuhan kita akan turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki satu pertiga yang akhir pada setiap malam, seraya berfirman: “Siapa yang berdo‘a kepadaKu, maka Aku akan mengabulkannya, dan siapa yang meminta daripadaKu, maka Aku akan memberinya, dan siapa yang memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan mengampunkannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
4. Ketika terbenam matahari.
Beristighfâr pada waktu terbenamnya matahari juga antara masa yang digalakkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkannya sebuah do‘a:
Maksudnya: Ya Allah, ini adalah penemuan malamMu, dan perginya siangMu, dan (kedengaran) suara-suara mu’adzdzin menyeruMu, dan kehadiran sembahyang-sembahyangMu, aku memohon kepadaMu agar Engkau memberi keampunan kepadaku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
5. Di waktu Hendak Masuk Tidur.
Daripada Abu Sa‘id Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa membaca ketika dia hendak pergi ke tempat tidurnya: “ َ
selainNya, yang Hidup lagi Berdiri dengan sendirinya, dan aku bertaubat kepadaNya) sebanyak tiga kali, nescaya diampunkan oleh Allah segala dosa-dosanya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
6. Waktu keluar dari tandas.
Diriwayatkan daripada Yusuf bin Abu Burdah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila keluar dari tandas, Baginda membaca: غف انك (aku memohon keampunan Engkau wahai Tuhanku). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
7. Setelah selesai Berwudhu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar umatnya tentang do‘a setelah berwudhu.
Maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya. Ya Allah, jadikanlah aku antara orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku antara orang-orang yang menyucikan diri. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga beristighfâr pada bacaan ketika wudhu. Dalam satu riwayat daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang berwudhu dan mendengar Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdo‘a:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, luaskanlah rumahtanggaku dan berikanlah keberkatan pada rezekiku. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
8. Ketika masuk ke dalam masjid.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila masuk ke dalam masjid, Baginda membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu. (Hadits riwayat Ibnu Majah) 9. Ketika keluar dari masjid. Apabila keluar dari masjid, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu kelebihanMu. (Hadits riwayat Ibnu Majah) 10. Ketika Ruku‘. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika ruku‘ membaca:
Maksudnya: Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku. (Hadits riwayat Muslim) 11. Ketika Sujud. Pada ketika sujud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga membaca:
Maksudnya: Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku. (Hadits riwayat Muslim)
Kemudiannya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah atas semua dosa-dosaku, baik yang halus mahupun yang besar, baik yang awal mahupun yang akhir dan baik yang terang mahupun yang tersembunyi. (Hadits riwayat Muslim)
12. Ketika duduk di antara dua sujud.
Apabila duduk antara dua sujud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, bantulah aku, muliakanlah aku, berikanlah rezeki kepadaku dan berikanlah petunjuk kepadaku dan berikanlah kemaafan kepadaku.
Do‘a seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga membaca:
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunkanlah aku, ampunkanlah aku. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
13. Sesudah tasyahhud.
Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu pernah diajarkan oleh Rasulullah Shalllallahu ‘alaihi wasallam satu do‘a yang dibaca di dalam sembahyang (ketika duduk di dalam tasyahhud):
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku dengan aniaya yang banyak, dan tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunkanlah aku dengan keampunan daripadaMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
14. Sesudah memberi salam di akhir sembahyang.
Diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila ingin berpaling daripada sembahyangnya (selepas memberi salam), Baginda akan beristighfâr sebanyak tiga kali, kemudian berkata: َّ Allah! Engkau Maha Penyelamat dan daripada Engkau keselamatan, dan keberkatan daripadaMu wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
15. Ketika sembahyang jenazah.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak hanya memohon keampunan pada orang yang masih hidup, malahan juga kepada orang yang sudah tiada. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Polan bin Polan dalam perlindunganMu dan dalam jaminanMu, selamatkanlah dia daripada seksa kubur dan azab api neraka. Dan Engkaulah yang menunaikan janji dan segala pujian. Ya Allah, ampunilah dia dan kasihilah dia. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
16. Sesudah mengebumikan mayat.
Memohon ampun untuk mayat yang telah dikebumikan merupakan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang patut dicontohi. Ini merupakan do‘a buat mayat tersebut agar dosa-dosa yang pernah dilakukannya akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Utsman bin Affan Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai mengebumikan mayat, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berhenti lantas bersabda kepada orang yang hadir:
Maksudnya: Mohonlah ampun kepada Allah untuk saudara kamu yang telah dikebumikan, dan pohonkanlah baginya keteguhan dalam menjawab apa yang ditanyakan kepadanya; sesungguhnya dia sekarang sedang disoal. (Hadits riwayat Abu Daud)
17. Ketika berjumpa dengan sesama Muslim.
Daripada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila bertemu dua orang Muslim, kemudian keduanya bersalam, memuji Allah dan memohon ampun kepada Allah, nescaya diampunkan oleh Allah akan keduanya. (Hadits riwayat Abu Daud)
18. Ketika gerhana matahari.
Membaca zikir, do‘a dan istighfâr ketika berlakunya gerhana matahari adalah anjuran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam agar manusia akan terhindar daripada bala dan azab daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Diriwayatkan daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu bahawa pada suatu ketika telah berlaku gerhana matahari. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bangun dari tempat duduknya dalam ketakutan, takut-takut akan berlaku Hari Kiamat. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam lantas pergi ke masjid dan sembahyang dengan berdiri, ruku‘ dan sujud yang panjang. Abu Musa Radhiallahu ‘anhu hanya memerhatikan perbuatan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Baginda kemudiannya bersabda:
Maksudnya: Inilah tanda-tanda yang diutuskan Allah, bukan kerana kematian seseorang, dan bukan kerana hidupnya seseorang (lahir), tetapi Allah menakutkan hamba-hambaNya dengannya (tanda-tanda itu). Maka apabila kamu melihat sesuatu seperti itu, bergegaslah kamu mengingati Allah dan berdo‘a kepadaNya dan memohon ampun kepadaNya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
19. Ketika ditimpa kesempitan rezeki, gundah hati dan kegelisahan jiwa.
Rahsia untuk mendapat keluasan rezeki serta ketenangan hati dan jiwa adalah dengan beristighfâr. Tidak ramai yang mengetahuinya, namun inilah hikmat kalimat istighfâr bagi siapa yang sentiasa mengamalkannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang selalu beristighfâr, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
20. Ketika meminta hujan.
Tafsirnya: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia amat Pengampun. (Kiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak, dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 10-12)
21. Sesudah selesai khutbah, ceramah dan seumpamanya.
Adalah elok beristighfâr setelah selesai menyampaikan khutbah, ceramah, ucapan-ucapan tertentu dan lain-lain lagi sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mengakhiri khutbah Baginda. Ini juga diikuti oleh para sahabat dan ahli salaf ash-shâlih yang lain.
Maksudnya: Setakat inilah percakapan yang aku sampaikan dan aku memohon ampun kepada Allah bagi diriku dan bagi kamu sekalian. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
22. Ketika hendak meninggalkan majlis.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa duduk dalam satu majlis, di dalamnya banyak terjadi percakapan yang boleh mengandungi dosa, maka sebelum bangun daripada majlis tersebut (hendaklah dia berkata): (Maha suci Engkau ya Allah dan dengan memuji Engkau, aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau), nescaya Allah akan mengampunkan dosanya yang terjadi di dalam majlis itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Antara Lafaz Istighfâr Di Dalam Al-Qur’an Dan Hadits
Al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak mengajarkan tentang do‘a-do‘a yang mengandungi lafaz istighfâr yang bertujuan untuk mengharap maghfirah (pengampunan) daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antaranya:
1. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (Surah Âli Imran: 193)
2. Terdapat do‘a yang dibaca oleh Nabi Adam ‘Alaihissalam sebagai memohon pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala selepas baginda dan Siti Hawwa’ ‘Alaihimassalam melanggar perintahNya dengan memakan buah khuldi kerana hasutan Iblis:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi. (Surah al-A‘raf: 23)
3. Do‘a Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam yang memohon keampunan bagi dirinya, kedua ibu bapanya serta bagi orang-orang yang beriman:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan Hari Pembalasan. (Surah Ibrahim: 41)
4. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan oleh sahabat bagaimana untuk beristighfâr, lantas Baginda menjawab:
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah, aku memohon ampun kepada Allah. (Hadits riwayat Muslim)
5. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah, tiada tuhan kecuali Dia, yang tetap hidup dan kekal, dan aku bertaubat kepadaNya. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
6. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar tentang penghulu istighfâr (sayyid al-istighfâr) sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Penghulu istighfâr adalah dengan mengucapkan: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan ni‘matMu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Memang banyak do‘a, zikir dan wirid yang mengandungi lafaz istighfâr. Setiap satu daripadanya berlainan cara atau kalimat yang digunakan, namun tujuannya tetap sama iaitu untuk beroleh maghfirah (pengampunan) dan perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh kerana penting istighfâr itu dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan, apatah lagi dilupakan. Dalam perkara ibadat yang disunatkan, jangan dipermudah-mudahkan, jangan jua ditinggalkan. Jadikan prinsip: Kalau tidak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua. Mulakan langkah: Walaupun sedikit, tetapi berterusan.
Etika Tetamu Dalam Majlis Jamuan
Tiada siapapun akan terlepas daripada etika dalam pergaulan. Bagi Islam semuanya diatur dengan teliti, biarpun perkara itu nampak kecil. Namun jangan dipandang kecil sesuatu perkara itu jika ia tidak digemari oleh Islam, lebih-lebih lagi kalau ia membawa kepada haram. Ini menunjukkan betapa Islam itu suatu syariat yang sangat indah.
Dalam apa jua majlis, Islam telah menggariskan apa etika yang perlu diikut. Tujuannya supaya orang yang dijemput sebagai tetamu bersopan-santun dan beradab, hatta dalam majlis biasa pun setiap tetamu dikehendaki mengikut apa jua yang ditetapkan oleh pihak yang menjemput dari segi waktu kehadiran, pakaian, di mana dia akan duduk, cara yang sopan ketika mengambil makanan, bila dia patut meninggalkan majlis dan selainnya. Oleh kerana itu tetamu dalam apa jua majlis tidak patut mempermudahkan dan mengabaikan sikap mereka sebagai tetamu.
Siapa Dia Tetamu?
Tetamu yang dimaksudkan di sini adalah sesiapa yang hadir dalam walîmah (majlis) atau undangan dengan izin. Manakala menurut Imam al-Qalyubi, tetamu itu ialah sesiapa yang hadir dalam jamuan seseorang atas undangan orang tersebut walaupun secara umum atau seseorang yang tahu akan redha mudhîf (orang yang menjemput atau mengundang, atau tuan punya majlis) dengan kehadirannya.
Menikmati Makanan Yang Terhidang: Perlukah Kepada Izin?
Hukumnya adalah harus bagi tetamu untuk menikmati atau memakan apa-apa makanan yang telah dihidangkan kepadanya oleh mudhîf, walaupun tanpa keizinan secara lafaz. Maka memadailah izin (untuk makan) itu dengan qarînah ‘urfiyyah (isyarat atau tanda mengikut adat kebiasaan) dan memadai juga dengan perbuatan mudhîf tadi, iaitu menghidangkan makanan tersebut.
Walau bagaimanapun sunat bagi mudhîf berkata kepada tetamu ketika membawa atau menghidangkan makanan: “Bismillah” atau “Silakan makan” atau yang seumpamanya daripada ibarat-ibarat yang secara terang-terangan menunjukkan keizinannya membenarkan tetamu untuk menikmati hidangan. Adapun selain daripada itu, iaitu yang bukan dihidangkan kepada tetamu, maka tidak boleh dia memakannya.
Namun terdapat beberapa pengecualian, bahawa tetamu tidak boleh memakan makanan yang dihidangkan tanpa izin mudhîf, iaitu apabila:
1. Mudhîf masih menunggu ketibaan tetamu lain yang belum hadir.
2. Terdapat sufrah (meja atau tempat makan) yang masih kosong yang belum diisi oleh tetamu-tetamu.
3. Mudhîf masih menanti makanan yang belum tiba atau perkara lain yang seumpamanya.
Dalam hal ini, tetamu yang sudah hadir tidak boleh makan melainkan hendaklah menunggu sehingga tetamu yang dinantikan itu tiba. Ataupun sehingga mudhîf, termasuk wakilnya, mengizinkannya makan secara lafaz atau menggunakan isyarat.
Had Memakan Makanan
Apakah had atau kadar makanan yang dibolehkan untuk dimakan dalam sesuatu majlis? Pendapat para ulama dalam perkara ini antaranya ialah:
i. Jika ada qarînah (tanda atau isyarat) yang kuat bahawa makanan yang dihidangkan itu adalah untuk dimakan kesemuanya atau untuk dihabiskan, maka boleh dihabiskan. Jika bukan untuk dihabiskan kesemuanya, maka adalah dilarang berbuat demikian.
ii. Janganlah memperbesarkan suapan dan makan dengan cepat supaya dengan berbuat demikian dia boleh memperolehi makanan yang banyak dan sehingga dengan caranya itu dia menghalang hadirin yang lainnya daripada memperolehi atau menikmati makanan tersebut. Lebih-lebih lagi jika makanan itu sedikit. Malah ada ulama menghukumkannya haram.
iii. Janganlah tetamu makan melebihi daripada apa yang pada lazimnya atau pada kebiasaannya kadar yang dimakan oleh individu selainnya.
iv. Wajib bersikap adil terhadap tetamu lain umpamanya jangan makan dua biji tamar atau dua biji anggur sekaligus, melainkan tetamu yang bersamanya mengizinkannya. Perkara ini telah disebutkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Jangan kamu makan secara qirân (dua biji kurma sekali suap ke mulut) kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang qirân. Kemudian dia (‘Abdullah) berkata: “Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersamanya).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Makan Sehingga Melebihi Had Kenyang
Yang dimaksudkan dengan had kenyang itu ialah apabila seseorang itu tidak dianggap lapar. Malah ada ulama merumuskan bahawa adalah haram makan melebihi had kenyang dalam keadaan sehingga mendatangkan bahaya, sama ada daripada harta (makanan) sendiri atau orang lain. Manakala makruh hukumnya jika dalam keadaan selainnya.
Tujuan Selain Daripada Untuk Dimakan
Bertepatan dengan maksud mudhîf bahawa tujuan makanan itu dihidangkan adalah untuk menjamu tetamu dan untuk dimakan oleh tetamu itu sahaja. Maka tetamu tidak boleh memperlakukan sesuatu ke atas makanan tadi dengan sewenang-wenangnya selain daripada memakannya.
Maka dapat difahami, perkara yang tidak boleh dilakukan oleh tetamu terhadap makanan yang dihidangkan untuknya dalam majlis tersebut antaranya adalah:
1. Melakukan sesuatu terhadap makanan mudhîf, umpamanya dengan:
• Memberi makanan kepada orang yang meminta ataupun yang lainnya seperti memberi makan kucing. Maka hukum berbuat demikian adalah haram melainkan jika dia mengetahui (dengan yakin) atau mengetahui dengan cara zhann (sangkaan) adanya redha mudhîf; maka ketika ini hukumnya tidak haram.
• Membawa makanan balik ke rumah dan memberi makanan tersebut kepada orang lain.
• Menjual makanan atau menghibahkannya.
2. Melakukan sesuatu terhadap makanan yang telah ditentukan oleh mudhîf untuk tetamu yang tertentu, umpamanya:
• Tidak boleh bagi aradzil (orang biasa) untuk memakan hidangan istimewa yang dikhaskan untuk tetamu kehormat.
• Haram bagi orang yang disediakan dengan makanan yang istimewa memberi makanan itu kepada orang yang disediakan dengan makanan yang sederhana. Adapun sebaliknya, maka itu tidak mengapa.
Adapun tetamu yang dihidangkan dengan makanan yang sama nilainya, maka memberi dan mengambil makanan sesama mereka adalah harus.
Bagaimanapun membezakan makanan antara tetamu adalah makruh kerana boleh melukakan hati dan perasaan sebahagian tetamu yang lain.
3. Mengambil makanan yang dihidangkan oleh mudhîf dikecualikan dengan beberapa syarat:
• Harus bagi tetamu mengambil sesuatu daripada makanan yang dihidangkan atau mengambil makanan tetamu yang duduk semeja dengannya dan membawa makanan tersebut pulang ke rumah dengan syarat dia mengetahui keredhaan mudhîf sekalipun secara sangkaan sahaja. Apabila ada keredhaan, maka bolehlah dia berbuat demikian. Maka perlu juga diamati bahawa keredhaan mudhîf itu berbeza menurut keadaan, kadar yang diambil, hal keadaan mudhîf dan bentuk majlis itu.
Jika tetamu merasa ragu atau syak tentang keizinan atau keredhaan mudhîf, maka pada ketika ini haram dia mengambil sesuatu daripada makanan tersebut sepertimana haramnya tathafful (َّ ستطف) iaitu seseorang hadir tanpa diundang.
Adalah haram siapa yang masuk atau datang ke majlis seseorang untuk mengambil makanan orang tersebut tanpa izin dan dia tidak mengetahui keredhaan tuannya sama ada secara pasti ataupun secara sangkaan.
Bagaimana Dengan Wadah Makanan?
Selain daripada makanan dan minuman, wadah atau bekas, piring dan mangkuk atau seumpamanya untuk meletak dan menyimpan makanan di dalamnya, maka ia bukanlah termasuk dalam kategori makanan atau minuman sepertimana yang telah diterangkan di atas.
Oleh itu apabila tetamu mengambil atau memegang wadah yang berisi makanan, lalu wadah tersebut pecah atau rosak disebabkan oleh tetamu, maka wajib diganti wadah tersebut jika diminta. Ini kerana wadah yang di tangan tetamu itu adalah barangan yang dipinjam. Begitu juga jika tetamu membawa pulang wadah tanpa izin, hendaklah diganti atau dikembalikan semula.
Sunat Bagi Tetamu Mendo‘akan Mudhîf
Sunat bagi tetamu, sekalipun dia tidak makan, untuk mendo‘akan mudhîf. Daripada Anas bahawa apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada Sa‘d bin ‘Ubadah, beliau pun membawakan untuk Baginda sekeping roti dan (sejenis) minyak tumbuh-tumbuhan. Baginda pun memakannya dan kemudian bersabda (mengucapkan do‘a):
Maksudnya: Orang-orang yang puasa telah berbuka di sisi kamu, orang-orang yang baik (orang bertaqwa yang salih) telah memakan makanan kamu dan para malaikat telah memohonkan rahmat bagi kamu sekalian. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adab Mudhîf Terhadap Tetamu
Antara adab mudhîf terhadap tetamunya ialah menyambut tetamu dengan mesra dan memuliakannya, mengucapkan alhamdulillah dan menyatakan kegembiraan kerana memperolehi tetamu di sisinya. Juga berterima kasih kerana kesudiannya menjadi tetamu.
Sesungguhnya memuliakan tetamu itu adalah tuntutan agama dan dengan berbuat demikian mudhîf akan termasuk dalam golongan orang yang beriman. Hadits Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya... (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh kerana itu, antara adab dan cara mudhîf memuliakan tetamu yang lebih utama ialah dengan menyambut kedatangan dan mengiringi pemergiannya dari majlis.
Mestikah Mudhîf Makan Bersama Tetamu?
Bukanlah menjadi satu kemestiaan bagi mudhîf untuk makan bersama tetamunya. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu dia berkata:
Maksudnya: Sewaktu aku masih kanak-kanak, aku berjalan-jalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda singgah ke rumah seorang budak yang pandai menjahit. Lalu budak itu menghampiri Baginda dengan membawa piring besar berisi makanan dan di atasnya (hidangan daripada sejenis) buah labu. (Aku lihat) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat menyukai buah labu itu. Anas berkata: “Apabila aku melihat perkara itu, aku pun turut mengambil makanan itu dan meletakkannya pada tangan Baginda”. Anas berkata: “Setelah itu budak tadi pun kembali meneruskan pekerjaannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bagaimanapun makan bersama tetamu boleh menggembirakannya dan menghilangkan ketidak-selesaannya. Manakala beramah mesra dengan para jemputan dalam perbualan dan ikut serta dengan mereka makan juga merupakan adab yang wajar diamalkan oleh mudhîf.
Secara dasarnya adab, cara dan tertib yang diajarkan dan digariskan oleh Islam, sekalipun hukumnya adalah sunat, ia perlu dijaga dan dijadikan budaya supaya tercapai kesempurnaan hidup.
Dalam konteks adab makan umpamanya, Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa menjaga adab-adab tersebut sama ada ketika makan bersendirian, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menjadi tetamu dan berada dalam satu majlis. Ini kerana makan dengan cara yang beradab itu boleh mencerminkan keperibadian seseorang.
Sebagai tetamu, diharuskan makan apa yang dihidangkan sekalipun tanpa izin tuan punya majlis, namun tunggulah dahulu sehingga tetamu yang lain sudah hadir atau meja sudah dipenuhi. Makan pula biarlah sederhana, jangan terlalu kenyang dan jangan pula mengambil makanan berlebihan yang menjadi hak bahagian tetamu lain yang duduk semeja.
Perbuatan ‘menapau’ atau mengambil dan membungkus makanan selepas majlis elok jangan dijadikan trend atau budaya, mana tahu tuan punya majlis ‘berkata-kata’ (tidak redha). Janganlah perkara ini diabaikan dan dipermudahkan kerana tanpa keredhaan mudhîf makanan yang di‘tapau’ boleh menjadi haram. Tambahan dari itu, mengambil dan membungkus makanan lebih-lebih lagi hadirin baru saja menikmati hidangan dan mungkin masih lagi berhajat kepadanya adalah satu sikap yang sangat perlu dihindari.
Hukum Ibadat Kanak-Kanak
Hukum Islam bukan hanya terbatas kepada golongan dewasa malahan juga kanak-kanak. Kanak-kanak merupakan golongan yang tidak kurang pentingnya dalam masyarakat Islam kerana mereka ini akan menjadi aset yang berperanan mencorakkan negara akan datang.
Peringkat umur kanak-kanak adalah antara peringkat yang sesuai dan berkesan dalam proses pembentukan identiti atau syakhshiyyahnya kerana lazimnya kanak-kanak akan mudah mengikut atau terikut-ikut apa yang dilakukan oleh orang-orang sekelilingnya. Di sinilah peranan penting ibu bapa atau penjaga dan para pendidik dalam memastikan pendidikan duniawi dan ukhrawi yang berkesan kepada mereka.
Sebagai langkah permulaan, para ibu bapa atau penjaga perlu membimbing serta membentuk agama kanak-kanak menurut keutamaannya seperti dari sudut thahârah, ibadat sembahyang, puasa, membaca al-Qur’an, pergaulan, menutup aurat dan lain-lain sebagaimana yang dituntut oleh agama.
Peringkat Kanak-Kanak
Menurut istilah para fuqahâ’, bahawa kanak-kanak itu ialah seseorang yang belum bâligh. Bâligh pula bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur, iaitu apabila umurnya sudah mencapai 15 tahun ataupun kanak-kanak lelaki bermimpi sehingga keluar air mani. Manakala bagi kanak-kanak perempuan pula telah keluar haidh dalam jangka umur antara 9 hingga 15 tahun. Orang-orang yang bâligh wajib melakukan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya.
Dari keterangan di atas, bahawa peringkat kanak-kanak itu ialah dari semenjak lahir sehingga mencapai peringkat bâligh.
Bagi usia yang belum mencapai peringkat bâligh, kanak-kanak akan mengalami dua jenis peringkat. Kedua-dua peringkat inilah yang akan membezakan keahlian atau tanggungjawab kanak-kanak dalam menunaikan pelaksanaan agama, iaitu:
1. Peringkat belum mumayyiz.
Peringkat ini bermula dari sejak kelahiran sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur mumayyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak yang belum mumayyiz ini berusia tidak lebih dari 7 tahun.
Mereka ini tidaklah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tuntutan agama seperti sembahyang dan puasa, namun bagi para ibu bapa atau penjaga perlu berusaha menjinak-jinakkan mereka dengan hal-hal agama sebagai langkah persediaan sebelum mereka melalui peringkat mumayyiz kelak.
2. Peringkat mumayyiz.
Peringkat ini bermula dari sejak kanak-kanak itu berkemampuan untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, dalam erti kata lain bahawa kanak-kanak yang mumayyiz itu mempunyai akal, yang dengannya dia dapat membezakan antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudharatkan. Peringkat ini berakhir apabila dia sudah bâligh.
Kanak-kanak yang mencapai tahap mumayyiz ini tiada had umur yang tertentu tetapi berpandukan kepada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan yang hendak dilakukannya. Oleh kerana itu kanak-kanak sudah dianggap mumayyiz apabila dia berkemampuan melakukan ibadat-ibadat wajib seperti sembahyang dan puasa walaupun bukan secara sempurna.
Para ulama Ushûl al-Fiqh membahagikan ahliyyah al-ada’ (orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum) itu kepada dua:
i. Ahliyyah al-adâ’ an-nâqishah (orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum tetapi masih kurang)
ii. Ahliyyah al-adâ’ al-kâmilah (orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum secara sempurna)
Kanak-kanak yang sudah mumayyiz tergolong dalam ahliyyah al-adâ’ an-nâqishah. Walaupun mereka ini masih dianggap kanak-kanak namun mereka sudah mempunyai kebolehan akal yang menyebabkan mereka termasuk dalam golongan orang yang mampu melaksanakan hukum-hukum syar‘i walaupun tidak secara sempurna.
Mendidik Dan Mengajar Kanak-Kanak Menurut Islam
Adalah menjadi kewajipan kepada kedua ibu bapa, penjaga atau wali untuk mendidik dan mengajar anak-anaknya yang masih kecil yang di bawah tanggungan mereka tentang perkara yang bersesuaian dan menjadi keutamaan, sama ada perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat mereka.
Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa atau penjaga bukan hanya terhad kepada menyediakan keperluan mata benda seperti makan, minum, pakaian dan lain-lain lagi, bahkan juga pendidikan mereka termasuklah pendidikan agama yang perlu dititikberatkan.
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah menjelaskan tentang kewajipan bagi kedua ibu bapa atau penjaga untuk mengajar anak-anak mereka yang masih kecil tentang perkara-perkara yang akan diwajibkan setelah mereka mencapai umur bâligh. Antaranya:
i. Hendaklah wali (ibu bapa dan penguasa) kanak-kanak itu mengajarkan thahârah (bersuci), sembahyang, puasa dan perkara seumpamanya.
ii. Hendaklah wali menerangkan pengharaman zina, liwath, mencuri, minum arak, bohong, mengumpat, dengki, hasad, bergaduh, mengambil harta orang, mencuri, dan lain-lain seumpamanya.
iii. Mengingatkan kepada mereka bahawa apabila telah mencapai peringkat bâligh, mereka termasuk ahli taklîf (orang yang berkewajipan menunaikan suruhan-suruhan agama).
iv. Menerangkan tanda-tanda seseorang yang telah mencapai peringkat bâligh, iaitu dengan bermimpi sehingga keluar air mani bagi kanak-kanak lelaki sementara keluar darah haidh bagi kanak-kanak perempuan.
v. Dalam perkara sunat, wali hendaklah mengajar al-Qur’an dan ilmu-ilmu agama seperti mengajar ilmu fiqh dan ilmu adab.
vi. Hendaklah wali menerangkan perkara-perkara yang membawa kebaikan dalam kehidupan kanak-kanak itu pada masa akan datang.
Pendidikan dan penerangan yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e di atas, sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak dalam mengurus hal ehwal kehidupan mereka secara bijak sesuai dengan apa yang disyariatkan oleh agama pada peringkat dewasa mereka kelak.
Mengajar dan mendidik inilah tugas penting setiap individu Muslim dalam menjaga diri dan keluarga mereka daripada ancaman neraka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka. (Surah at-Tahrîm: 6)
Ayat di atas berupa perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam agar menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada seksaan api neraka. Ahli keluarga yang dimaksudkan dalam ayat tersebut termasuklah anak-anak kecil dalam keluarga, umpamanya anak atau cucu. Salah satu cara untuk menjaga ahli keluarga daripada segala perkara yang mengheret mereka ke dalam api neraka ialah mendidik dan mengajar mereka dengan pendidikan agama.
Sebaik-baik sahaja turun ayat tersebut, Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Wahai Rasullullah, kami dapat menjaga diri kami, bagaimana halnya bagi kami dengan keluarga kami?” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Laranglah mereka daripada apa yang dilarang oleh Allah kepada kamu dan perintahkanlah mereka dengan apa yang diperintahkan oleh Allah.”
Apabila kanak-kanak melakukan ibadat, maka tidak syak lagi ibadat mereka itu akan menambahkan saham pahala kepada ibu bapa mereka. Maka berikut adalah antara perkara-perkara ibadat yang berkaitan dengan kanak-kanak:
1. Thahârah.
Thahârah bermaksud menghilangkan halangan yang disebabkan oleh hadas dan najis seperti berwudhu, mandi, tayammum, dan menghilangkan najis. Ia adalah wajib kepada umat Islam kerana di samping untuk menjaga kebersihan diri, thahârah juga adalah syarat penting sebelum melakukan ibadat. Berwudhu misalnya, adalah wajib bagi orang yang hendak melakukan sembahyang kerana ia merupakan syarat sah dalam sembahyang dan juga syarat untuk mengangkat dan membawa al-Qur’an atau pada menunaikan ibadat lain yang mewajibkan wudhu.
Oleh itu, apabila kanak-kanak sudah di peringkat mumayyiz, maka thahârah ini perlu diajarkan umpamanya mengajarkan cara membersihkan atau menghilangkan najis pada tempat keluar najis iaitu qubul dan dubur. Ibu bapa atau penjaga perlu menerangkan cara yang betul membersihkan dan menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Mereka juga perlu diajarkan cara berwudhu yang sempurna.
Langkah mengajar kanak-kanak ini adalah sebagai persediaan apabila mereka mencapai umur bâligh kelak.
Dengan mengajarkan thahârah, secara tidak langsung kanak-kanak ini turut terdedah dengan kebiasaan menjaga kebersihan. Thahârah merangkumi kaifiyyah bersuci, membersihkan najis dan sebagainya dari sudut menjaga kebersihan diri. Sikap menjaga kebersihan inilah yang perlu ditanam dalam diri mereka sebelum mereka bâligh agar menjadi sikap yang berterusan selamanya dalam diri mereka.
2. Air Kencing Kanak-kanak.
Ulama mazhab asy-Syafi‘e membezakan antara kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan yang belum makan apa-apa selain daripada susu ibunya dan belum mencapai usia dua tahun.
i. Jika air kencing kanak-kanak lelaki, maka memadailah membersihkannya dengan memercikkan air pada tempat yang terkena air kencing itu. Dalam sebuah hadits, Ummu Qais Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa dia pernah mengunjungi Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa anak lelakinya yang belum memakan apa-apa makanan, maka Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkannya ke pangkuan Baginda lalu anak lelaki itu kencing. Maka Baginda meminta sedikit air dan memercikkan air tanpa mencucinya.
ii. Jika air kencing kanak-kanak perempuan pula, maka wajiblah dicuci tempat yang terkena air kencing itu.
Manakala bagi kanak-kanak kecil sama ada lelaki ataupun perempuan yang sudah makan makanan selain daripada susu ibunya atau sudah berumur lebih daripada dua tahun, para ulama sepakat bahawa air kencing mereka ini adalah najis sama seperti air kencing orang yang sudah bâligh. Cara membersihkannya hendaklah dicuci tempat yang terkena air kencing tersebut.
3. Azan Kanak-Kanak.
Mumayyiz merupakan salah satu daripada syarat-syarat mu’adzdzin (tukang azan). Oleh itu, jumhûr termasuklah Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah sepakat bahawa sah azan kanak-kanak yang sudah mumayyiz.
Tidak sah azan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak termasuk dalam golongan ahli ibadat. Ini kerana kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak mampu untuk membezakan antara perkara baik dan juga buruk, jauh sekali untuk memahami tujuan azan disyariatkan.
4. Sembahyang Kanak-kanak.
Kanak-kanak yang belum bâligh sama ada lelaki ataupun perempuan tidak diwajibkan untuk menunaikan sembahyang sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak sehingga dia bâligh, orang yang sedang tidur sehingga dia bangun dan orang gila sehingga dia sedar. (Hadits riwayat Abu Daud)
Namun begitu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga membiasakan kanak-kanak yang belum mencapai umur tujuh tahun untuk melaksanakan sembahyang agar mereka akan lebih mudah untuk melakukannya apabila sudah mencapai peringkat bâligh. Mengajak mereka turut sama sembahyang berjemaah, khasnya sembahyang berjemaah di masjid adalah langkah positif sebagai asas permulaan dalam membentuk kebiasaan mereka agar tidak mengabaikan kewajipan sembahyang.
Apabila kanak-kanak sudah mencapai umur tujuh tahun qamariyyah, maka wajib ke atas ibu bapa atau penjaga menyuruhnya supaya mengerjakan sembahyang dengan syarat-syarat dan rukun-rukunnya secara sempurna dan boleh dimarah mereka itu jika mereka enggan untuk mengerjakannya. Jika kanak-kanak itu sudah mencapai umur sepuluh tahun, namun dia masih enggan mengerjakan sembahyang, maka dibolehkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakannya berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadits riwayat Abu Daud)
Suruhan dan pukulan (untuk sembahyang) itu wajib ke atas ibu dan bapa. Jika kanak-kanak itu tiada ibu atau bapa, maka datuknya mengambil tempat bapa dan ibunya, kemudian jika tiada datuknya, maka diwajibkan oleh orang yang dipesankan oleh bapa atau datuknya, kemudian penjaga kanak-kanak itu, kemudian wali-wali kanak-kanak itu yang lebih hampir kepadanya, kemudian raja, kemudian orang-orang Islam yang shalihîn dalam tempat kanak-kanak itu berada. Inilah dia susunan orang-orang yang wajib menyuruh kanak-kanak yang belum bâligh mengerjakan sembahyang dengan sempurna syarat dan rukunnya.
Suruhan untuk mengerjakan sembahyang dan dipukul walaupun belum mencapai peringkat bâligh, begitu juga dengan melatih amalan-amalan yang baik adalah langkah permulaan atau latihan amali kanak-kanak agar mereka terbiasa untuk melaksanakan perintah Allah.
5. Sembahyang Berjemaah.
Adalah menjadi satu perkara yang membanggakan apabila golongan kanak-kanak turut sama berjemaah bagi sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat seperti sunat Tarawih ataupun sunat Hari Raya.
Namun begitu terdapat kemusykilan sesetengah pihak tentang kehadiran kanak-kanak yang mengisi shaf-shaf orang dewasa ketika sembahyang berjemaah. Adakah mereka ini boleh dikeluarkan dari shaf tersebut supaya diisikan tempat mereka itu oleh orang dewasa yang datang kemudian?
6. Susunan Shaf Kanak-Kanak.
Berkata Imam Ibnu Hajar dalam kumpulan fatwanya:
“Sunat berdiri membuat shaf di belakang imam oleh dua orang lelaki sekalipun keduanya belum bâligh atau salah seorang daripadanya sudah bâligh dan yang seorang lagi adalah kanak-kanak lelaki yang kedua-duanya itu dengan tujuan hendak mengikut imam yang bersembahyang, atau kedua-duanya datang terkemudian daripada kanak-kanak lelaki, atau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu daripada dua orang itu, atau orang-orang dewasa datang bertujuan mengikut imam.
Kemudian jika shaf orang-orang dewasa telah penuh, kanak-kanak lelaki itu hendaklah berdiri di belakang shaf orang-orang dewasa sekalipun kanak-kanak lelaki itu mempunyai kelebihan daripada orang dewasa dengan ilmunya dan seumpamanya, bersalahan bagi pendapat Imam ad-Darimi (yang mengatakan jika kanak-kanak itu afdhal daripada orang dewasa, seumpama orang dewasa itu fâsiq dan kanak-kanak itu salih, maka didahulukan kanak-kanak itu daripada orang dewasa itu) kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.
Menurut qaul yang mu‘tamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang bâligh pada shaf yang pertama, tidak boleh bagi orang-orang yang bâligh itu mengeluarkan mereka (dari shaf itu).
Jikalau shaf orang-orang dewasa itu belum penuh, dipenuhkan shaf itu dengan kanak-kanak lelaki dan jikalau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu duduk dalam shaf, tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki itu (dari shaf itu), untuk (diberikan) kepada orang-orang dewasa.”
Jelas daripada perkataan Ibnu Hajar di atas, bahawa apabila kanak-kanak turut bersembahyang di masjid dengan tujuan mengikut imam, sama ada dalam sembahyang fardhu mahupun sunat, maka tidak boleh bagi orang dewasa memindahkan atau mengeluarkan kanak-kanak tersebut dari shaf-shaf yang sudah mereka tempati.
7. Kedudukan Shaf Kanak-Kanak Yang Belum Berkhatan.
Agar tidak menjadi keraguan umum, mengenai hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak dan dia turut sama berjemaah, tidaklah perkara itu meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam shaf-shaf tersebut.
8. Kanak-Kanak Menjadi Imam.
Dalam sembahyang berjemaah, adalah sah berimamkan kanak-kanak yang mumayyiz sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sunat kecuali sembahyang Jumaat. Akan tetapi berimamkan orang yang bâligh adalah lebih baik daripadanya (kanak-kanak yang mumayyiz).
Jika hanya terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang mumayyiz dalam jemaah perempuan, maka hendaklah kanak-kanak lelaki itu menjadi imam kerana tidak sah sembahyang lelaki termasuklah kanak-kanak lelaki yang mumayyiz dengan berimamkan perempuan.
9. Sembahyang Jumaat.
Sembahyang Jumaat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak lelaki sama ada mumayyiz ataupun tidak. Ini kerana mukallaf (orang yang telah cukup umur yang wajib melaksanakan perintah Allah) merupakan salah satu syarat wajib sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan di dalam hadits:
Maksudnya: (Sembahyang) Jumaat adalah hak yang wajib ke atas tiap-tiap Muslim kecuali empat; hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit. (Hadits riwayat Abu Daud)
10. Zakat Kanak-Kanak.
Menurut ulama mazhab Syafi‘e bahawa kanak-kanak yang mempunyai harta yang telah mencapai nishâb dan cukup haul, yakni genap satu tahun Hijriyyah adalah wajib dikeluarkan zakat daripada hartanya itu.
Dalil-dalil syara‘ yang menyokong ketetapan hukum wajib zakat pada harta kanak-kanak, antaranya:
i) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. (Surah al-Baqarah: 43)
ii) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat yang lain pula:
Tafsirnya: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). (Surah at-Taubah: 103)
Daripada kedua-dua ayat di atas, kewajipan zakat itu difardhukan dalam konteks yang umum tanpa membezakan antara kanak-kanak dan orang dewasa atau yang sudah bâligh. Maka mukallaf bukanlah syarat wajib bagi mengeluarkan zakat.
iii) Hadits yang diriwayatkan daripada Yusuf bin Mahak, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Usahakanlah harta anak yatim atau harta-harta anak-anak yatim supaya tidak lenyap atau habis oleh sedekah. (Hadits riwayat asy-Syafi‘e dan al-Baihaqi)
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dan Imam al-Baihaqi bahawa sanad hadits di atas adalah shahîh daripada periwayat Yusuf bin Mahak daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam walaupun secara mursal. Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah mendokong hadits berkenaan dengan umum hadits-hadits shahîh lain yang mewajibkan zakat secara mutlak. Di samping itu, ia juga disokong oleh pendapat yang diriwayatkan daripada para sahabat bahawa mereka mewajibkan zakat ke atas harta anak-anak yatim.
Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat pada harta kanak-kanak bila sudah cukup nishâb dan haul. Para ulama juga bersepakat bahawa orang yang berkewajipan mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak yang sudah cukup nishâb dan haul ialah wali, iaitu penjaga harta kanak-kanak tersebut.
Apabila harta kanak-kanak tersebut sudah mencapai nishâb dan haul, namun wali tidak mengeluarkan zakat daripada harta berkenaan, maka wajib ke atas kanak-kanak itu mengeluarkan sendiri zakat harta mereka yang tertunggak itu apabila sudah bâligh, kerana hak zakat itu masih wujud dalam hartanya.
Sementara wali yang tidak mengeluarkan zakat daripada harta tersebut adalah berdosa kerana menahan kewajipan zakat.
Dalam perlaksanaan zakat fitrah pula, jika kanak-kanak tersebut kaya (mempunyai hartanya sendiri), maka wajib dibayar dengan harta kanak-kanak itu. Namun jika kanak-kanak tersebut tidak mempunyai harta, maka kewajipan membayar zakat fitrah bagi kanak-kanak itu adalah ke atas orang yang membelanjainya atau menanggung nafkahnya sama ada bapa atau penjaganya, dan bagi anak zina (yang lahir daripada hubungan zina) ke atas ibunya atau penjaganya, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bayarkanlah zakat fitrah orang-orang yang kamu belanjai. (Hadits riwayat ad-Dara Quthni dan al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun, jika bapa atau penjaga kanak-kanak itu mengeluarkan zakat fitrah daripada hartanya sendiri (bukan harta kanak-kanak itu) adalah dibolehkan kerana kanak-kanak itu jelas berada di bawah tanggungannya.
11. Puasa Kanak-Kanak.
Adapun kanak-kanak yang sudah mumayyiz, tidak diwajibkan ke atasnya puasa di bulan Ramadhan, dan tidak perlu bagi kanak-kanak tersebut untuk mengqadha’ puasa apabila sudah bâligh, kerana kanak-kanak belum dikenakan apa-apa tuntutan kewajipan agama ke atasnya.
Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz, kerana syarat berakal dan mumayyiz merupakan di antara syarat-syarat sah puasa. Oleh itu apabila kanak-kanak yang telah mumayyiz berpuasa maka sah puasanya, namun puasa belum diwajibkan ke atasnya.
Walau bagaimanapun menjadi kewajipan kepada wali (ibu bapa atau penjaga) untuk menyuruh kanak-kanak yang sudah mumayyiz atau yang mencapai umur tujuh tahun dan sihat tubuh badan untuk mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadhan sebagai satu latihan awal. Bila sudah mencapai umur sepuluh tahun dan mereka enggan berpuasa, maka boleh dipukul dengan pukulan yang tidak memudharatkan dan ini diqiyâskan kepada perintah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang lima waktu.
12. Haji Kanak-Kanak.
Ibadat haji merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut oleh agama kepada setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Namun ia tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak kerana mereka tidak dituntut untuk mengerjakannya.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mumayyiz tetapi belum bâligh, jika dia mengerjakan ibadat haji, hajinya adalah sah dan dikira sebagai haji sunat berdasarkan sabda Rasulullah Shallallalhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Apabila kanak-kanak itu mengerjakan haji, maka baginya (dia mendapat) haji itu sehingga dia berakal, dan apabila dia telah berakal maka ke atasnya (wajib) haji yang lain. (Hadits riwayat al-Hakim)
Kanak-kanak yang belum mumayyiz hendaklah diniatkan hajinya oleh wali (sama ada bapa, datuk atau penjaganya) dengan niat menjadikannya dalam ihram dengan berkata: “Aku berihram bagi si Polan” sekalipun wali belum berihram atau belum pernah melakukan haji.
Bagi kanak-kanak mumayyiz, terdapat pilihan sama ada wali yang akan meniatkan hajinya atau wali mengizinkannya (kanak-kanak yang mumayyiz itu) untuk melakukan sendiri. Manakala kanak-kanak yang sudah bâligh pula, ihram dan niat haji perlu dilakukan sendiri walaupun tanpa izin wali.
Apabila wali sudah melakukan niat haji untuk kanak-kanak tersebut, maka hendaklah wali membawanya pada segenap perbuatan-perbuatan haji bersamanya iaitu dengan melakukan yang wajib pada perkara-perkara wajib haji dan yang sunat pada perkara-perkara sunat haji.
Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini bahawa tidak memadai perbuatan wali hanya dengan meniatkan haji bagi kanak-kanak tersebut sahaja, tetapi menjadi kemestian pada wali untuk menemankannya (dalam melaksanakan ibadat haji). Apabila wali menyediakan tunggangan untuk kanak-kanak tersebut pada ketika thawaf dan sa‘i, hendaklah wali menjadi pemandu tunggangan itu. Jika wali tidak melakukan sedemikian, tidaklah sah thawaf kanak-kanak itu.
Begitu juga jika kanak-kanak itu tidak boleh melakukan lontaran jamrah, maka wali akan melakukannya sebagai wakil seperti melontar jamrah al- ‘Aqabah. Jika kanak-kanak itu tidak berdaya adalah sunat (mustahabb) wali itu meletakkan batu pada tangan kanak-kanak tersebut dan melontar bersamanya, iaitu setelah si wali melontar jamrah tersebut bagi dirinya sendiri.
Jika kanak-kanak tersebut mengabaikan apa-apa perkara daripada perbuatan haji, maka wajib dibayar dam daripada harta wali. Begitu juga wajib ke atas wali untuk menegah kanak-kanak tersebut daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan ihram atau haji. Jika kanak-kanak mumayyiz melakukan perkara-perkara yang merosakkan ihram atau haji, maka kewajipan membayar fidyah adalah daripada harta wali. Jika kanak-kanak yang melakukan itu belum mumayyiz, tidaklah dikenakan fidyah atas perbuatan yang dilakukannya.
Kesimpulannya, kanak-kanak tersebut hendaklah dibawa hadir pada setiap tempat yang dilakukan dalam ibadat haji seperti dibawa kanak-kanak itu melakukan thawaf dan sa‘i dan sebagainya, setelah wali itu melakukan thawaf dan sa‘i dan yang selainnya daripada perbuatan-perbuatan haji bagi dirinya sendiri.
Penutup
Adalah menjadi kewajipan kepada ibu bapa, wali dan para pendidik untuk mendidik dan mentarbiyyah kanak-kanak tentang pengetahuan agama sejak dari awal, bahkan menyediakan suasana rumahtangga yang dapat membentuk peribadi Muslim. Dengan mendedahkan maklumat agama yang asas di peringkat awal, mudah-mudahan akan membentuk mereka dengan pembentukan atau pertumbuhan yang baik selaras dengan tuntuan agama.
Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat
Mendirikan sembahyang adalah antara sebaik-baik jalan untuk meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala selain sifat sabar. Ini kerana dalam sembahyang itu terkumpul berbagai-bagai bentuk ibadat rohani dan jasmani; kebersihan, menutup aurat, menghadap qiblat, ikhlas, membaca al-Qur’an, mengucap syahâdah, selawat ke atas Nabi Shallallahu alaihi wasallam dan banyak lagi.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah), dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang. (Surah al-Baqarah: 45)
Adapun sembahyang yang sunat dikerjakan apabila hendak meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala atau meminta dikabulkan sesuatu hajat adalah sembahyang Hajat. Apakah sembahyang Hajat itu?
Sembahyang Hajat ialah sembahyang sunat yang didirikan jika ingin memohon suatu hajat yang dibenarkan oleh syara‘ (bukan perkara maksiat) kepada Allah Ta‘ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia. Sembahyang Hajat tidak terikat dengan waktu. Ia boleh dikerjakan apabila diperlukan pada bila-bila masa sama ada siang ataupun malam asalkan bukan pada waktu-waktu karâhah (waktu-waktu yang ditegah untuk mendirikan sembahyang sunat).
Maka jika dikehendaki sesuatu hajat daripada Allah Ta‘ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia, sama ada hajat itu mustahak ataupun tidak, sama ada perkara itu berkaitan dengan agama ataupun urusan keduniaan, maka dirikanlah sembahyang ini dengan menyempurnakan wudhu dan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunatnya.
Sembahyang Hajat dikerjakan sebanyak dua rakaat, dan ada pula para ulama yang mengerjakannya sehingga dua belas rakaat sekaligus dengan satu salam, iaitu dengan cara bertasyahhud di setiap dua rakaat atau melakukannya dengan enam kali salam (dua-dua rakaat). Mengerjakannya secara dua-dua rakaat ini adalah lebih afdhal berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Sembahyang Hajat sunat didirikan secara bersendirian. Bagaimanapun, tidak makruh yakni harus mendirikannya secara berjemaah.
Kaifiyyahnya
1. Niat sembahyang Hajat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Jika menjadi imam ditambah dengan perkataan (لِمَاما) ertinya “menjadi imam”, sementara jika menjadi makmum ditambah dengan perkataan (مَأْموما) ertinya “menjadi makmum”.
2. Surah-surah yang sunat dibaca:
Selepas membaca surah al-Fâtihah, dibaca surah al-Kâfirûn sekali manakala pada rakaat kedua selepas surah al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlâsh sekali.
Sebilangan ulama pula mengamalkan membaca surah al-Kautsar pada rakaat pertama enam kali dan surah al-Kâfirûn enam kali selepas membaca surah al- Fâtihah pada rakaat kedua.
Menurut sebahagian ulama, makruh membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya dengan bacaan jahar (suara yang kuat), tidak kira siang ataupun malam. Akan tetapi tidak makruh jika dinyaringkan bacaannya kerana mengajar makmum akan bacaan-bacaan sembahyang.
Ada juga pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah yang mengatakan bahawa sunat imam mengangkat suara sedikit, iaitu dalam kadar di antara bacaan isrâr dan jahar (pertengahan) jika sembahyang Hajat itu dikerjakan di waktu malam dengan syarat tidak mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Jika perbuatannya itu boleh mengganggu maka sunat membacanya dengan isrâr (suara yang perlahan).
3. Do‘a:
Selepas memberi salam dan membaca wirid, dibaca do‘a dengan dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian dibaca do‘a berikut:
Ertinya: Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Bertimbang rasa lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah yang memiliki ‘Arasy yang Agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Aku memohon kepadaMu akan segala yang menyebabkan aku memperoleh rahmatMu dan segala yang menyebabkan aku memperolehi pengampunanMu dan terpelihara daripada segala dosa dan beroleh segala kebajikan serta selamat daripada segala dosa. Janganlah Engkau tinggalkan bagiku suatu dosa melainkan Engkau mengampunkannya, dan tiada suatu kerungsingan melainkan Engkau memberikan kelapangan daripadanya, dan tiada suatu keperluan yang Engkau redhai melainkan Engkau tunaikannya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada sekalian yang mengasihani. Ya Allah!
Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadapkan wajahku kepadaMu dengan perantaraan NabiMu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi rahmat! Wahai Nabi Muhammad, sesungguhnya aku menghadapkan wajahku melalui Tuan kepada Tuhanku bagi menunaikan hajatku (keperluanku) ini agar hajatku ini diperkenankan kepadaku. Ya Allah! Kurniakanlah syafaatnya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) di dalam permohonanku.
Imam an-Nawawi Rahimahullah turut menambah bahawa adalah digalakkan juga untuk dibaca do‘a ketika ditimpa kesusahan yang berikut ini:
Ertinya: Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami daripada seksa api neraka.
KaifiyyahMengerjakan Sembahyang Hajat Dua Belas Rakaat
Imam al-Ghazali Rahimahullah menerangkan kaifiyyah mengerjakan sembahyang Hajat dua belas rakaat dalam kitabnya Ihyâ ‘Ulûm ad-Dîn, beliau berkata: “Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Wuhaib bin al-Wardi Rahimahullah, beliau berkata: “Sesungguhnya antara do‘a yang tidak ditolak itu ialah bersembahyang seorang hamba sebanyak dua belas rakaat, di mana dia membaca Umm al-Kitâb (surah al-Fâtihah), ayat al-Kursiy dan surah al-Ikhlâsh pada tiap rakaat.” Apabila telah selesai bersembahyang, dibaca do‘a ini:
Ertinya: Maha suci Tuhan yang berpakaian dengan pakaian kemuliaan dan menentukan dengannya. Maha suci Tuhan yang berkasih sayang dengan kemuliaanNya dan bermurah dengannya. Maha suci Tuhan yang menghitung segala sesuatu dengan ilmuNya. Maha suci Tuhan yang tiada yang berhak bertasbîh melainkan kepadaNya. Maha suci Tuhan yang memiliki kurniaan dan anugerah. Maha suci Tuhan yang memiliki kemuliaan dan kemurahan. Maha suci Tuhan yang memiliki kekuasaan. Aku memohon kepadaMu dengan daerah-daerah kemuliaan daripada ‘ArasyMu, dan kemuncak rahmat daripada KitabMu, dan dengan namaMu yang Agung dan kemuliaanMu yang Tinggi, dan kalimat-kalimatMu yang sempurna dan meliputi segala, yang tidak dapat dilampaui oleh orang yang baik ataupun jahat. Bahawa Engkau limpahkan selawat atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kaum keluarganya.
Kemudian dia pohonkan hajat yang tidak mengandungi sebarang maksiat padanya, maka insyâ’ Allah hajatnya itu akan dikabulkan.
Wuhaib Rahimahullah berkata: “Telah dikhabarkan kepada kami bahawa telah dikatakan: Jangan kamu ajarkan kaifiyyah ini kepada orang-orang yang bodoh agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan memohon pertolongan dengannya atas perkara maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.”
Amalan ini bersumber daripada sebuah hadits riwayat Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu yang dikeluarkan dalam Musnad al-Firdaus yang mana tarafnya adalah sangat dha‘îf. Bagaimanapun, Imam al-Hafiz Rahimahullah berkata sepertimana yang dinukilkan dalam kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb: “Berpegang dengan amalan ini hendaklah atas dasar percubaan (amalan) para ulama, bukannya atas dasar haditsnya (yang sangat dha‘îf itu).”
Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat
Antara syarat do‘a dan permohonan yang dikabulkan itu ialah bebas daripada dosa, maka sesiapa yang memohon sesuatu kepada Allah sedangkan dia mempunyai satu dosa yang dia belum lagi bertaubat daripadanya maka permintaannya itu adalah lebih cenderung untuk ditolak. Ali al-Khawwas Rahimahullah berkata: “Sembahyang sunat Tasbih perlu dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang sunat Hajat, ini sepertimana yang dikhabarkan bahawa sembahyang sunat Tasbih itu menghilangkan semua dosa. Selalunya, dosa-dosa itu adalah penyebab suatu hajat yang dipohonkan itu lambat dikabulkan.”
Diriwayatkan juga bahawa Ali al-Bujairi Rahimahullah apabila diminta oleh seseorang untuk mendo‘akannya, dia terlebih dahulu akan berkata kepada mereka: “Bacalah oleh kamu:
Ertinya: Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia, yang Hidup dan berdiri sendiri serta aku bertaubat kepadaNya daripada segala dosa.”
Kemudian barulah dia mendo‘akan mereka. Lalu dia pun berkata: “Wahai anak-anakku, bagaimanakah seorang hamba itu memohon suatu hajat daripada Tuhannya padahal Tuhannya sedang murka kepadanya kerana maksiat yang dilakukannya? Jika dia telah bertaubat daripada dosanya itu, maka barulah ada kemungkinan do‘anya itu akan dimakbulkan.”
Berdasarkan kata-kata ulama ini, maka sayugianyalah seseorang itu muhâsabah dirinya dengan bertaubat dan memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukannya sebelum mendirikan sembahyang Hajat supaya permohonannya yang baik itu dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ketahuilah Bahaya Cuai Dalam Sukatan dan Timbangan
Islam menuntut umatnya untuk mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal. Antara jalan mencari rezeki yang halal itu ialah berniaga, Sembilan daripada sepuluh punca rezeki itu adalah bersumber daripada perniagaan. Ia adalah satu pekerjaan yang mulia kerana jika dilihat dari segi sejarah, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan seorang peniaga. Baginda dikenali sebagai seorang pemuda yang sangat jujur, baik dalam hal kehidupan seharian mahupun dalam perniagaan. Disebabkan kejujuran Baginda itu juga, Baginda digelar al-Amîn.
Namun tujuan dan matlamat asal berniaga itu janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang haram seperti memutar-belit, mengelirukan, mengkhianat, memeras pembeli dan menipu seperti mengurangkan timbangan dan sukatan kerana perbuatan itu mengurangkan hak pengguna. Malahan ia juga termasuk di antara dosa-dosa besar.
Walaupun ada undang-undang untuk menyekat dan seterusnya menghalang sebarang penipuan dalam urusan jual beli, namun kerana liciknya penjual terjadi juga penipuan dalam perniagaan dengan berbagai-bagai cara.
Perintah Menyempurnakan Sukatan Dan Timbangan
Syariat Islam telah lebih dahulu memerintahkan dan mengajarkan agar umatnya mengamalkan sikap jujur dalam semua hal dan ini termasuklah jujur dalam menyempurnakan sebarang sukatan, timbangan, takaran dan ukuran. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (Surah ar-Rahmân: 9)
Ini kerana perbuatan mengurangi timbangan itu bermakna mengurangi hak manusia dan perkara ini adalah dilarang. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi. (Surah Hud: 85)
Di samping itu terdapat beberapa ayat lain mengenai sukatan dan timbangan; antaranya surah Yusuf, ayat 59, awal surah al-Muthaffifîn dan satu ayat lagi yang menceritakan bahawa Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam apabila diutus kepada kaumnya penduduk negeri Madyan, baginda ‘Alaihissalam bukan sahaja diperintahkan untuk menyeru mereka kepada tauhîd, bahkan juga menyeru mereka agar menyempurnakan sukatan dan timbangan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syu‘aib. Baginda berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 85)
Antara hadits yang menyebut supaya menyempurnakan timbangan dan sukatan ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sukatlah sehingga kamu memenuhinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kemudian diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya:
Maksudnya: Apabila kamu menjual, maka sukatlah dengan sempurna dan apabila engkau membeli (makanan) mintalah untuk disukat dengan sempurna. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hikmat Di Sebalik Sukatan Dan Timbangan
Mereka yang menyukat dan menimbang barangannya dengan sempurna akan diberkati berdasarkan niatnya semata-mata untuk mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada al-Miqdam bin Ma‘di Karib Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sukatlah atau timbanglah makanan kamu, maka kamu akan diberkati. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, keberkatan yang diperolehi hasil daripada menimbang dan menyukat sesuatu itu adalah selamat dan terpelihara daripada buruk sangka.
Balasan Menepati Timbangan
Orang-orang yang jujur dalam urus niaganya, khususnya dalam menyukat dan menimbang barangan akan memperolehi kebaikan di dunia dan pahala di akhirat. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). (Surah al-Isrâ’: 35)
Secara dasarnya seorang peniaga yang menyempurnakan timbangan adalah seorang peniaga yang jujur. Renungkanlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai ganjaran yang diperolehi oleh seorang peniaga yang jujur sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id:
Maksudnya: Pedagang yang jujur lagi dapat dipercayai, (dia) berserta para nabi, orang-orang yang jujur dan para syuhadâ’ (orang-orang yang mati syahid). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Balasan Mengurangi Timbangan
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, perbuatan mengurangi timbangan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar kerana pelakunya memakan harta secara bâthil. Selain daripada mendapat dosa, antara balasan lain yang telah disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits ialah:
1. Mendapat kecelakaan di akhirat.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka apabila menerima sukatan (gantang-cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada Hari (Kiamat) yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? (Surah al-Muthaffifîn: 1-6)
Ayat ini merupakan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak menepati timbangan. Apakah yang dimaksudkan dengan kecelakaan itu? Ia bererti azab yang amat pedih di akhirat. Menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula ‘wail’ adalah nama sebuah wadi atau lembah dalam neraka Jahannam yang mengalir di dalamnya nanah ahli neraka; disediakan untuk orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan).
Mengapa ayat di awal surah al-Muthaffifîn ini diturunkan? Antara sebabnya ialah ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mula-mula tiba di Madinah:
• Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Baginda mendapati penduduk Madinah tergolong di antara orang-orang yang berkelakuan buruk dalam sukatan. Apabila mereka membeli daripada peniaga lain, mereka meminta supaya disukat dan ditimbang dengan betul dan shahîh, tetapi bila mereka menjual pula, mereka akan mengurangkan timbangan dan sukatan daripada yang sepatutnya. Lalu Allah menurunkan ayat di atas dan setelah itu mereka pun memperbaiki cara mereka melakukan sukatan.
• Seorang lelaki (peniaga) yang bernama Abu Juhainah mempunyai dua set alat sukatan yang berlainan. Salah satunya digunakan untuk menyukat barangan yang dibelinya dari peniaga lain dan yang satu lagi digunakan untuknya menjual barangannya kepada pembeli. 2. Punca turunnya bala.
• Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah datang menemui mereka, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai seluruh orang-orang Muhajirin! Ada lima perkara, bila sudah merata perbuatan itu daripada kamu sekalian (maka akan tiba balasannya), dan aku mohon perlindungan daripada Allah (agar kamu tidak) menemui lima perkara ini. (Salah satu daripadanya ialah): Tidaklah mereka (suatu kaum itu) mengurangi sukatan dan timbangan, melainkan mereka akan mendapat seksa (berupa) kemarau, kesulitan bahan makanan dan penguasa yang zalim ke atas mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
• Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang-orang yang menggunakan sukatan dan timbangan:
Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya kamu semua diberikan kuasa ke atas perkara yang mana bangsa-bangsa dahulu sebelum kamu telah binasa kerananya: Sukatan dan timbangan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
• Antara balasan lain ialah Allah telah membinasakan dan melenyapkan kaum Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam kerana perbuatan mereka menipu orang ramai dalam perkara timbangan dan sukatan.
3. Terkeluar daripada golongan umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan mengurangkan timbangan adalah serupa dengan menipu, manakala penipuan pula adalah dilarang dalam Islam. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan bahawa:
Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu (memperdayakan) kami, maka bukanlah dia daripada (golongan) kami. (Hadits riwayat Muslim)
Manakala dalam hadits lain menyebutkan bahawa orang yang menipu itu balasannya adalah api neraka seperti riwayat daripada ‘Abdullah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menipu (memperdayakan) kami, maka bukanlah dia daripada (golongan) kami. Dan (seorang) penipu dan putar belit (tempatnya) dalam api neraka. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
4. Dihapuskan keberkatan.
Daripada Hakim bin Hizam Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penjual dan pembeli sama-sama bebas menentukan jual-belinya selagi kedua-duanya belum berpisah atau sabda Baginda lagi: “Sehingga kedua-duanya berpisah”. Maka jika kedua-duanya jujur dan berterus-terang, maka jual beli mereka akan diberkati (Allah), dan jika kedua-duanya saling menyembunyikan dan mendustai (curang), maka berkat dalam jual beli mereka akan dihapuskan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berhati-Hati Dalam Sukatan Dan Timbangan
Bagi seorang peniaga, hendaklah berusaha sedaya upayanya supaya memperhatikan ketepatan alat timbangan dan sukatannya. Jangan bersikap cuai, sambil lewa atau kurang mengambil perhatian ketika menimbang, kerana Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu jadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi. (Surah asy-Syu‘arâ’: 181-183)
Dalam kitab az-Zawâjir, diceritakan kisah seorang yang sakit menghadapi sakarât al-maut, akan tetapi dia masih tidak dapat mengucapkan syahâdah sekalipun telah dibimbing oleh seorang salih. Apabila dia sedar (sembuh), orang salih itu pun bertanya: “Wahai saudaraku, mengapakah setelah aku bimbing engkau untuk mengucapkan syahâdah, lidahmu masih tetap tidak dapat mengucapkannya?”
Lantas orang yang sakit itu menjawab: “Wahai saudaraku, (berat) timbangan (mîzân) itu berada di atas lidahku dan itulah yang menghalangku daripada mengucapkan syahâdah.”
Orang salih pun segera bertanya: “Demi Allah! Apakah engkau telah mengurangkan timbangan?”
Dia pun menjawab: “Demi Allah! Tidak demikian! Akan tetapi apabila saya menimbang barang, saya sekadar menimbangnya seketika sahaja dan kurang memperdulikan jarum petunjuk berat timbangan dengan tepat.”
Jika demikianlah berat dan dahsyatnya akibat daripada kelalaian dan kecuaian yang dilakukan ketika menimbang barang, bagaimana pula balasan bagi orang yang memang senghaja mengurangkan, menipu atau senghaja mengubah-suai timbangan dengan maksud untuk melakukan kecurangan (penipuan) dalam timbangan?!
Anjuran Melebihkan Sukatan Dan Timbangan
Adalah diakui bahawa manusia itu tidak memiliki kesempurnaan dan tidak mustahil boleh saja terjadi pengurangan tanpa disenghajakan. Hal ini telah dijelaskan dalam surah al-An‘âm firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya. (Surah al-An‘âm: 152)
Sesiapa yang telah berusaha untuk menyempurnakan hak untuk dirinya, hak pembelinya dan juga membuat sukatan dengan baik, tetapi jika dia tersilap (tanpa disenghajakan) setelah menyempurnakan usaha dan upayanya, maka tiadalah dosa ke atasnya.
Sungguhpun demikian, jika seorang peniaga itu masih merasa was-was dan takut akan risiko yang bakal dihadapi akibat daripada kecuaian atau pengurangan yang tidak disengahajakan ketika membuat timbangan dan sukatan, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan sepertimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Qais bin Abu Gharzah Radhiallahu ‘anhu. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah datang kepada mereka yang pada waktu itu digelar ‘samasirah’ (orang tengah dalam urusan jual-beli). Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun memberi mereka satu nama atau gelaran yang lebih elok, iaitu ‘tujjâr’ (pedagang atau peniaga). Seterusnya Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu (kedua-duanya) selalu mendatangi (tempat) jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kekurangan dalam sukatan atau timbangan, maka eloklah dibuat tambahan; mudah-mudahan tambahan itu akan menjadi sedekah (jika ternyata sukatan atau timbangan sudah mencukupi).
Sesungguhnya harta dan kekayaan pada hakikatnya tidak akan berkurang kerana bersedekah. Abu Kabasyah al-Annamari meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (akan) berkurang harta seorang hamba itu kerana bersedekah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Kesimpulan
Kejujuran itu sangat penting dan perlu ada dalam setiap individu sama ada dia seorang penjual mahupun pembeli. Seorang peniaga yang jujur akan mendapat pahala, keberkatan pada hasil perniagaannya dan memperolehi kemenangan di akhirat. Malah akan membawa kepada keuntungan yang lebih banyak lagi semasa di dunia kerana mendapat kepercayaan orang ramai yang akan terus berurus niaga dengannya. Bahkan pedagang atau peniaga yang jujur itu akan bersama-sama para nabi dan para syuhadâ’.
Di samping itu hendaklah berusaha untuk menyempurnakan timbangan dan mengambil perhatian terhadap ketepatan jarum atau petanda timbangan dengan sebaik mungkin agar menghindari kecuaian dan pengurangan yang tidak disenghajakan.
Seorang peniaga yang menipu timbangan dengan mengurangkannya ketika menjual dan melebihkan sukatannya ketika membeli barang akan mendapat dosa, tidak tergolong dalam umat Islam dan dijanjikan dengan azab yang amat pedih di akhirat. Jika perkara ini berleluasa dan menjadi kebiasaan, maka ia akan menjadi sebab diturunkan bala akibat perbuatan mereka itu. Mahukah seseorang itu menjerumuskan dirinya ke dalam ancaman ini hanya kerana menipu atau mengurangkan satu kadar yang sedikit? Peniaga sedemikian akan menghapuskan keberkatan dalam perniagaannya dan apabila diketahui oleh pembeli, pasti mereka akan menjauhkan diri daripada berjual beli dengannya. Lebih malang lagi, mereka yang berniaga di kawasan sekitarnya akan turut terjejas dan mengalami kerugian kerana disangka terlibat sama dalam penipuan, walhal mereka itu jujur dalam perniagaan mereka.
IBADAT KORBAN: Mendidik Keluhuran Jiwa
Peluang melaksanakan ibadat korban perlu direbut kerana ia hanya datang sekali dalam setahun. Masa perlaksanaan yang terhad janganlah diabaikan. Walaupun hukumnya adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut) bagi orang yang mampu, namun makruh jika meninggalkannya dan kerugian besar baginya kerana kehilangan fadhilat serta ganjaran yang dijanjikan.
Disebutkan di dalam hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang fadhilat berkorban itu, antaranya:
1. Orang yang berkorban akan dikurniakan dengan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorbankannya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim”. Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan”. Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
2. Titisan darah korban yang pertama merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa-dosa yang telah dilakukan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Hakim)
3. Darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, bulu dan kukunya dan Allah memberi pahala ibadat korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Fadhilat berkorban sebagaimana disebutkan di atas sudah menggambarkan betapa beruntungnya mereka yang berkorban, kerana harta yang dibelanjakan untuk melaksanakan ibadat korban akan mendapat pulangan yang besar berupa kebaikan di dunia dan di akhirat.
Hikmah yang terdapat di dalam pelaksanaan ibadat korban ini bukan hanya dikecapi oleh pihak yang berkorban sahaja, tetapi juga oleh pihak yang diagih-agihkan daging korban tersebut, antaranya golongan fakir dan miskin.
Di samping korban dilaksanakan sebagai ibadat yang menghasilkan ganjaran pahala, ia juga adalah medan tarbiyyah dalam membentuk sifat mahmûdah (terpuji) dan nilai-nilai Islam yang luhur dalam diri seseorang. Antara sikap terpuji yang dapat dibentuk melalui ibadat korban ini ialah:
1. Menanam sifat ikhlas dalam melaksanakan apa jua ibadat yang diperintahkan oleh syariat.
Ketika berkorban, syarat-syarat yang perlu dijaga ketika memilih binatang yang hendak dibuat korban itu antaranya ialah binatang tersebut bebas daripada kecacatan atau ‘aib sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Dalam konteks pemilihan ini, biasanya binatang yang baik fizikal dan banyak dagingnya mempunyai nilai yang lebih mahal. Maka orang yang ingin berkorban terpaksa berbelanja lebih untuk mengadakannya. Di sinilah akan menguji sejauh mana keikhlasan seseorang dalam menjalankan tuntutan agama.
2. Menyemai sikap sentiasa bersyukur kerana salah satu hikmah pensyariatan ibadat korban adalah melahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap ni‘mat hidup yang telah diberikanNya.
Ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya tidak terkira, antaranya adalah ni‘mat berupa rezeki iaitu menjadikan binatang-binatang ternak untuk dimanfaatkan oleh manusia, dan diizinkan kepada mereka untuk menyembelihnya sebagai makanan.
3. Mengasuh diri dengan bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang ditimpakan dalam kehidupan.
Bersabar dalam konteks berkorban adalah meneladani sikap Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam yang sabar dengan ujian yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Baginda untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalam. Baginda akur untuk melaksanakan perintah tersebut dan sifatnya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah mengatasi rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anaknya. Nabi Ismail ‘Alaihissalam pula redha dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bersiap untuk dijadikan korban, kerana menganggap semua ini adalah ujian Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka. Kesabaran kedua-dua mereka ini merupakan bukti ketaqwaan mereka yang kukuh terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4. Menyemai sikap belas kasihan dan tolong-menolong terhadap golongan yang tidak berkemampuan.
Pensyariatan ibadat korban boleh memupuk sikap pemedulian terhadap masyarakat terutama sekali fakir dan miskin. Daging korban diagih-agihkan sebagai makanan atau melebihkan rezeki mereka pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq.
Jika korban itu korban sunat, maka disedekahkan satu pertiga daripadanya kepada fakir dan miskin. Manakala jika ia adalah korban wajib, maka daging korban wajib itu akan disedekahkan semuanya kepada fakir dan miskin termasuk kulit dan anggota yang lain.
Banyak keuntungan berupa fadhilat dan hikmah yang dapat diperolehi bagi mereka yang melakukan ibadat korban. Peluang yang datang hanya sekali dalam setahun. Janganlah ia disia-siakan. Lakukanlah ibadat korban selagi berkemampuan demi untuk mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5974
