Irsyad Hukum 2007
Fahami Maksud Air Musta‘mal
Salah satu daripada kepentingan sumber air ialah fungsinya sebagai alat untuk bersuci seperti untuk berwudhu, mandi kerana mengangkat hadas, mencuci najis dan membasuh kotoran, dengan syarat air tersebut mestilah suci lagi menyucikan. Disebut suci kerana air itu bersih pada zatnya dan disebut menyucikan kerana air tersebut dapat digunakan untuk bersuci pada yang lain seperti berwudhu dengannya.
Apa Dia Air Musta‘mal?
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, air musta‘mal adalah air yang telah digunakan dan kurang daripada dua qullah. Apakah yang dimaksudkan dengan air yang telah digunakan dan kurang daripada dua qullah itu?
Maksudnya ialah air yang kurang daripada dua qullah yang sudah digunakan untuk bersuci pada fardhu thahârah seperti wudhu, mandi mengangkat hadas besar dan juga digunakan untuk menghilangkan najis, di mana sifat-sifat yang terdiri daripada bau, warna dan rasa tidak mengalami perubahan dan tidak bertambah timbangannya setelah digunakan.
Apa yang dimaksudkan dengan fardhu thahârah itu ialah cucian yang wajib seperti basuhan yang pertama pada setiap anggota wajib dalam wudhu iaitu muka, kedua tangan sehingga siku, sebahagian kepala dan kedua kaki ataupun basuhan yang pertama pada seluruh badan serta pangkal-pangkal rambut dan kulit ketika mengangkat hadas besar.
Kadar Dua Qullah
Kadar air yang sedikit menurut mazhab asy-Syafi‘e adalah kadar yang kurang daripada dua qullah. Kadar air yang digunakan ketika melakukan fardhu thahârah jika kurang daripada dua qullah, maka air yang sudah digunakan itu sama ada bertujuan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis, adalah dianggap air musta‘mal.
Namun bersuci dengan air yang sampai kadar dua qullah atau lebih, tidaklah menjadikan air tersebut sebagai air musta‘mal. Ini kerana, apabila air tersebut mencapai kadar dua qullah, ia dapat menghalang najis yang boleh merosakkan sifat air tersebut, apalagi jika ia melebihi daripada kadar dua qullah.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: Apabila sampai (kadar) air dua qullah, tidaklah ia menanggung kekotoran. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas menunjukkan bahawa air yang sampai kadar dua qullah tidak akan menjadi najis dengan syarat tidak berubah bau, warna atau rasanya.
Jika air musta‘mal yang tidak berubah bau, warna atau rasanya dikumpulkan sehingga mencapai kadar dua qullah, maka air tersebut adalah suci dan menyucikan.
Kadar dua qullah ialah:
• Sukatan – lebih kurang 216 liter • Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter
Hukum Menggunakan Air Musta‘mal
Air musta‘mal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Maksudnya, ia suci pada dirinya, namun tidak lagi dapat digunakan untuk menyucikan pada fardhu thahârah yang lain seperti tidak boleh melakukan fardhu wudhu atau mandi wajib dengannya. Begitu juga tidak boleh menghilangkan najis mengunakan air musta‘mal, kerana jika air tersebut tidak dapat mengangkat hadas seperti mengangkat hadas junub, maka ia juga tidak dapat menghilangkan najis.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wassalam dan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum tidak menggunakan air musta‘mal walaupun di dalam keadaan dharurat. Mereka berhajat pada air yang banyak dalam perjalanan mereka, namun mereka tidak mengumpulkan air musta‘mal untuk dipakai kali kedua. Ini adalah disebabkan mereka amat menitikberatkan soal-soal ibadat pada sudut yang sempurna.
Kenapa air musta‘mal tidak dapat digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain?
Air yang sedikit dan telah digunakan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis itu tidak boleh digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain, kerana niat menggunakan air tersebut adalah untuk menghilangkan tegahan, umpamanya tegahan orang yang berhadas daripada melakukan sembahyang. Maka dianggap kesan hadas atau najis itu berpindah pada zat air setelah ia digunakan dan ini tidak lagi dianggap air muthlaq.
Air basuhan yang pertama pada setiap anggota wajib dalam wudhu umpamanya, tidak boleh digunakan untuk menyucikan yang lain sebab basuhan pertama adalah untuk mengangkat hadas agar dapat mengerjakan ibadat. Inilah ‘illah (alasan) kenapa air musta‘mal tidak boleh digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain.
Cabang Permasalahan
• Air yang digunakan untuk sunat thahârah seperti basuhan yang kedua dan ketiga dalam wudhu, tidaklah dianggap air musta‘mal kerana hadas yang sebelumnya sudah terangkat dengan basuhan yang pertama, sementara basuhan yang kedua dan ketiga itu adalah sunat sahaja.
Begitu juga air yang digunakan untuk memperbaharui wudhu sedangkan wudhu yang sebelumnya masih lagi ada, maka air yang digunakannya itu tidaklah dianggap air musta‘mal kerana dia tidak berhadas ketika melakukan wudhu yang baru.
• Air yang digunakan untuk membasuh seluruh kepalanya sebagai ganti menyapu sebahagian kepala juga dianggap sebagai air musta‘mal. Walaupun dalam mazhab Syafi‘e, kadar fardhu ialah menyapu sebahagian kepala, namun menambah kadar basuhan pada anggota fardhu seperti membasuh seluruh kepala, tidak menghalang daripada menjadikan air tersebut sebagai air musta‘mal.
• Air yang sudah bercerai daripada anggota dianggap sebagai air musta‘mal. Namun jika air yang digunakan masih mengalir meratai pada satu anggota fardhu dan tidak berpindah kepada anggota yang lain, umpamanya air yang mengalir dari tapak tangan menuju ke lengan tangan atau dari lengan tangan menuju ke tapak tangan, maka tidaklah dianggap air musta‘mal. Ini kerana air tersebut masih mengalir pada anggota yang sama.
• Seandainya air yang digunakan mengalir dari satu anggota fardhu kepada anggota fardhu yang lain, umpamanya air yang digunakan untuk membasuh muka mengalir menuju pada tangan, maka air tersebut sudah menjadi air musta‘mal dan tidak boleh lagi digunakan untuk membasuh tangan.
Jika seseorang mencedok air dari bekasnya dengan tujuan berwudhu, maka perbuatan memindah air dari bekas yang airnya kurang daripada dua qullah dengan menggunakan tangan perlu disertakan dengan niat mencedok air tersebut.
• Apabila niat mencedok disertakan seiring dengan perbuatan memindah air dari bekas air, maka air di dalam bekas tersebut tidak akan menjadi air musta‘mal. Namun jika perbuatan tersebut diniatkan untuk mengangkat hadas, maka air di dalam bekas tersebut akan menjadi air musta‘mal.
Akan tetapi jika air dalam bekas tersebut kadarnya sampai dua qullah atau lebih, maka perbuatan mencedok yang dilakukan tanpa niat mencedok itu tidaklah menjadikan air tersebut musta‘mal.
• Mengenai dengan mandi wajib pula, apabila orang yang berhadas seperti orang junub memasukkan tubuhnya ke dalam air yang sedikit - kurang daripada dua qullah - tetapi air tersebut dapat meratai seluruh badan dan kemudiannya dia berniat, maka terangkat hadasnya. Air yang telah digunakannya itu dianggap air musta‘mal apabila sudah bercerai dari seluruh anggota tubuhnya kerana seluruh tubuh badannya adalah seperti satu anggota. Maka air tersebut tidak dapat digunakan oleh orang lain untuk fardhu thahârah.
• Air yang terpercik, kemudian masuk ke dalam bekas atau baldi penadah air ketika mandi wajib, tidaklah menjadikan air dalam bekas atau baldi itu air musta‘mal. Air dalam baldi itu tetap air muthlaq atau air suci lagi menyucikan. Dengan itu air yang ditadah dalam baldi tersebut masih boleh digunakan untuk mandi wajib.
Jika air dari lantai terpercik masuk ke dalam bekas atau baldi itu, sekiranya lantai itu suci, maka hukumnya sama seperti hukum air dari tubuh yang terpercik masuk ke dalam baldi atau bekas itu. Jika sekiranya pada lantai itu terdapat najis dan air dari lantai tersebut terpercik masuk ke dalam baldi itu maka air di dalam baldi itu adalah najis atau air kena najis.
Tegahan menggunakan air musta‘mal bukanlah sebagai satu pembaziran, tetapi sebagai langkah berhati-hati dalam mengangkat hadas yang merupakan perkara wajib sebelum melakukan ibadat sembahyang atau menyentuh al-Qur’an.
Bila Disunatkan Berwudhu?
Wudhu mempunyai manfaat yang sangat besar dan oleh kerana itu kita sangat dituntut melakukannya. Kita diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadas bagi membolehkan kita melaksanakan ibadat-ibadat yang menjadikan wudhu itu sebagai syarat sah untuk melaksanakannya, seperti sembahyang sama ada fardhu atau sunat, thawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, tuntutan berwudhu bukan hanya untuk tujuan ibadat-ibadat tersebut semata-mata, bahkan kita juga boleh melakukannya pada keadaan-keadaan lain, malah hukumnya adalah sunat, sekalipun kita masih berada dalam keadaan berwudhu.
Apakah keadaan yang menyebabkan seseorang itu disunatkan berwudhu?
Terdapat beberapa keadaan di mana disunatkan seseorang itu berwudhu atau memperbaharui wudhu sekalipun wudhunya yang pertama masih ada, iaitu belum batal. Selain daripada tujuan untuk memperbaharui wudhu, dikatakan terdapat sebanyak 78 perkara yang disunatkan berwudhu kerananya. Namun yang disebutkan di sini hanyalah sebahagiannya sahaja yang telah dinukil daripada beberapa buah kitab fiqh.
Adapun wudhu yang disunatkan untuk dilaksanakan bagi perkara-perkara di atas; yang akan diterangkan di bawah ini, niatnya adalah sama dengan niat wudhu biasa, iaitu seperti berwudhu kerana mengangkat hadas kecil, mengharuskan sembahyang dan sebagainya. Di bawah ini akan dijelaskan beberapa keadaan atau sebab yang disunatkan bagi seseorang itu berwudhu. Antaranya:
1. Memperbaharui wudhu.
Antara keadaan di mana disunatkan bagi seseorang itu berwudhu ialah bagi tujuan memperbaharui wudhunya yang sedia ada.
Ulama mazhab Syafi‘e telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wudhu adalah satu amalan yang dituntut. Maksud memperbaharui wudhu itu ialah seseorang itu masih dalam keadaan berwudhu kemudian dia berwudhu lagi, sedangkan dia tidak berhadas dan wudhunya yang pertama tadi tidak batal. Akan tetapi bilakah masanya perbuatan sedemikian dituntut?
Menurut pendapat yang ashah, memperbaharui wudhu itu disunatkan hanya apabila dia telah mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat dengan wudhunya yang pertama tadi. Al-Qadhi Abu ath-Thaiyib di dalam kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, al-Mutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wudhunya yang pertama dengan melakukan apa jua ibadat, maka hukum memperbaharui wudhu itu adalah makruh. Ibnu Hajar Rahimahullâh pula menegaskan bahawa tuntutan sunat memperbaharui wudhu itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua sembahyang sekalipun yang hanya satu rakaat. Jika dia tidak bersembahyang, walaupun telah melakukan sujud (sajdah atau syukur) ataupun thawaf tidaklah disunatkan memperbaharui wudhu, bahkan hukumnya adalah makruh.
Adapun amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa perbuatan ini hanyalah tuntutan sunat sahaja, berdasarkan hadits daripada ‘Amr bin ‘Amir al-Anshari bahawa beliau pernah mendengar Anas Radhiallâhu ‘ahnu menceritakan:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil wudhu untuk setiap kali sembahyang. Aku (‘Amr bin ‘Amir) berkata kepada Anas: “Maka kamu, apa (pula) yang kamu lakukan?” (Anas) menjawab: “Kami mengerjakan kesemua sembahyang itu dengan satu wudhu (sahaja) selama mana kami tidak berhadas.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitu juga hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jikalau tidak kerana aku akan menyusahkan (memberatkan) ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya mengambil wudhu untuk setiap kali sembahyang atau dengan setiap wudhu (hendaklah) bersiwak. (Hadits riwayat Ahmad)
2. Ketika marah.
Sunat berwudhu ketika marah sekalipun marah itu kerana Allah seperti marah kerana perkara yang mencemarkan syariat Allah. Menurut ‘Urwah bin Muhammad bin as-Sa‘di, seorang lelaki telah mengatakan sesuatu kepadanya yang membuatkannya marah. Lalu ‘Urwah pun berdiri dan mengambil wudhu. Setelah itu dia kembali dalam keadaan berwudhu lalu dia pun meriwayatkan sebuah hadits daripada bapanya daripada datuknya ‘Athiyyah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu dicipta daripada api. Dan sesungguhnya api itu dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kamu marah, maka berwudhulah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, dianjurkan kepada orang yang sedang marah mengambil wudhu sekalipun pada masa itu dia masih mempunyai wudhu, kerana dengan berbuat demikian boleh memadamkan api kemarahannya atau paling kurang dapat mengawalnya daripada bertindak mengikut nafsunya. Selain itu disunatkan juga berwudhu setelah mengeluarkan perkataan keji, kesat, bohong dan kata-kata maksiat.
3. Membaca al-Qur’an atau mendengar bacaan al-Qur’an.
4. Membaca, mendengar atau meriwayatkan hadits.
5. Memegang kitab-kitab tafsir, hadits, fiqh dan untuk menulis ilmu-ilmu tersebut. Memegang atau menulis kitab-kitab tersebut dalam keadaan berhadas hukumnya adalah makruh.
6. Membaca atau belajar ilmu-ilmu syara‘ (agama) dan membacakannya.
7. Melaungkan azan dan iqâmah.
8. Duduk atau masuk dalam masjid (beri‘tikâf).
9. Wuqûf di ‘Arafah.
10. Sa‘i di antara Shafa dan Marwah.
11. Ziarah makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ziarah kubur.
12. Berkhutbah selain khutbah Jumaat.
Antara hadits yang menyokong bahawa wudhu itu disunatkan bagi perkara-perkara atau sebab-sebab di atas ialah hadits riwayat al-Muhajir bin Qunfudz Rahimahullâh mengenai amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Di samping sentiasa menjaga kesinambungan wudhu Baginda, Baginda juga merasa lebih selesa berada dalam keadaan suci dengan berwudhu ketika Baginda menyebut kata-kata yang ada di dalamnya nama Allah atau zikir dan seumpamanya. Al-Baihaqi Rahimahullâh ada meriwayatkan:
Maksudnya: Bahawa dia (al-Muhajir) memberi salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan (pada ketika itu) Baginda sedang berwudhu, maka Baginda tidak membalas salamnya. Apabila Baginda telah selesai mengambil wudhu Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya tiada yang menghalangku daripada membalas salammu, akan tetapi aku tidak suka menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla kecuali (aku) dalam keadaan suci.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
13. Ketika hendak tidur.
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadits riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak (masuk) tidur, Baginda mengambil wudhu sebagaimana wudhu Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Ahmad)
14. Bagi orang yang berjunub atau berhadas besar.
Dalam keadaan tertentu sunat bagi orang yang berjunub mengambil wudhu, antaranya ialah:
i. Sebelum tidur.
‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak tidur dan Baginda dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda dan mengambil wudhu (sebagaimana wudhu) untuk sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Apabila hendak makan atau minum.
Dalam satu riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam keadaan junub, lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sebagaimana wudhu Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
Hal yang serupa juga sunat dilakukan oleh perempuan yang haidh dan nifas apabila telah kering darahnya iaitu sebelum dia mandi mengangkat hadas.
iii. Apabila ingin mengulangi persetubuhan.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu. (Hadits riwayat Muslim)
iv. Sebelum mandi wajib.
Disunatkan berwudhu sebelum mandi wajib. Ia boleh juga dilakukan semasa mandi atau setelah selesai mandi, tetapi yang lebih afdhal ialah melakukannya sebelum mandi.
Adapun niat wudhu bagi orang yang semata-mata berjunub yang tidak didatangi sebarang hadas kecil seperti seorang yang keluar mani kerana melihat perkara yang merangsang nafsunya ialah dengan niat sunat wudhu untuk mandi. Tetapi jika dia telahpun didatangi hadas kecil sebagaimana yang biasa berlaku niat wudhunya ialah mengangkat hadas kecil atau seumpamanya.
15. Mengangkat jenazah dan memegangnya.
Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang memandikan mayat, maka (disunatkan dia) mandi, dan sesiapa yang membawa jenazah, maka (disunatkan dia) berwudhu. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Disunatkan juga untuk berwudhu sebelum mengangkat atau memegang jenazah kerana tujuannya supaya orang yang hendak mengangkat jenazah itu berada dalam keadaan suci daripada hadas.
Penutup
Berdasarkan keterangan di atas, nyatalah bahawa berwudhu itu tidak semestinya dilaksanakan hanya untuk mengangkat hadas bagi mengharuskannya melakukan ibadat yang menuntutnya berwudhu terlebih dahulu seperti sembahyang, thawaf, mengangkat al-Qur’an dan seumpamanya. Bahkan ia sunat dilakukan untuk perkara dan tujuan yang lain dan dalam keadaan tertentu dia akan diberi ganjaran pahala di samping manfaat dan fadhilat yang lain.
Malahan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu itu hukumnya adalah sunat dan merupakan amalan yang digalakkan oleh syara‘. Adapun hikmah dan faedah mengekalkan wudhu itu antaranya ialah meluaskan rezeki, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga pemelihara bagi orang yang mengamalkannya daripada perkara dan perbuatan maksiat.
Perkara-Perkara Sunat Selepas Berwudhu Dan Fadhilatnya
Setiap ibadat dalam Islam mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Dengan rahmat Allah jua, kadang-kadang amalan yang sedikit (pada ukuran dan pertimbangan manusia) namun ganjarannya amat besar di sisi Allah Ta‘ala. Kenalah kita manusia menerokai dan mencarinya supaya jangan terlepas dengan peluang-peluang untuk memperolehi ganjaran yang amat besar itu.
Begitulah halnya dengan fadhilat atau kelebihan yang terdapat dalam perkara-perkara sunat selepas berwudhu. Kenapa peluang itu tidak direbut atau dengan kata lain jangan ia dilepaskan begitu saja. Antara perkara-perkara sunat selepas mengambil wudhu ialah:
1. Membaca Do‘a Selepas Berwudhu
Sunat membaca do‘a setelah sempurna berwudhu. Adapun cara membacanya ialah dengan menghadap qiblat dan mengangkat atau menadah kedua belah tangan ke langit. Manakala pandangan kedua-dua mata ditujukan ke langit sekalipun dia seorang yang buta. Do‘a ini sunat dibaca sebaik sahaja selesai berwudhu tanpa diselangi oleh jangka masa yang terlalu lama menurut kebiasaan. Do‘a ini juga sunat disudahi dengan selawat dan salam ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Adapun lafaz do‘a selepas wudhu itu ialah:
• Kelebihan Membaca Do‘a Selepas Wudhu
Adapun antara kelebihan membaca do‘a ini ada disebutkan dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada sesiapapun di antara kamu yang berwudhu lalu dia menyempurnakan wudhu tersebut (dengan sebaik-baiknya), kemudian dia mengucapkan:
(maka tiada ganjaran) melainkan dibukakan untuknya pintu-pintu syurga yang lapan, dia akan masuk (ke syurga) melalui mana-mana pintu yang disukainya. (Hadits riwayat Muslim)
2. Membaca Surah Al-Qadr
Setelah selesai membaca do‘a selepas berwudhu, sunat dibaca surah al-Qadr sebanyak 3 kali dengan menghadap qiblat tetapi tidak perlu menadah tangan dan memandang ke atas. Ini berdasarkan sebuah hadits yang ditakhrîj oleh ad-Dailami bahawa sesiapa yang membacanya setelah selesai berwudhu sebanyak: • Satu kali: Dia tergolong antara para ash-shiddîqûn, iaitu orang-orang yang benar-benar beriman (zahir dan batin). • Dua kali: Dimasukkan dalam golongan para syuhadâ’. • Tiga kali: Allah mengumpulkannya pada Hari Kiamat kelak bersama-sama para anbiyâ’.
Setelah itu disunatkan membaca do‘a berikut:
Ertinya: Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku (supaya aku merasa selesa), berkatilah rezekiku dan janganlah Engkau fitnahkan aku dengan apa jua perkara yang Engkau jauhkannya daripadaku.
3. Sembahyang Sunat Wudhu
Setelah sempurna berwudhu, sunat mendirikan sembahyang sunat Wudhu sebanyak dua rakaat. Sembahyang sunat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang. Ia dikerjakan dalam waktu yang terdekat, iaitu setelah selesai daripada mengambil wudhu.
Adapun fadhilat (kelebihan) mengerjakan sembahyang dua rakaat setelah berwudhu adalah sangat besar seperti yang telah dinyatakan dalam beberapa hadits antaranya:
i. Memberi peluang untuk masuk ke syurga.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan perbualan antara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan Bilal Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Bilal ketika (selesai) sembahyang Fajar (Subuh): “Wahai Bilal, ceritakanlah padaku amalan apa yang paling kamu harapkan melakukannya dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi sepasang terompahmu di hadapanku di dalam syurga”. Bilal berkata: “Tidak ada amalan yang aku lakukan yang paling aku harapkan kecuali (ada satu amalan, iaitu) aku tidak berwudhu satu wudhu pun pada waktu malam ataupun siang, melainkan aku sembahyang dengan wudhu itu, sepertimana yang telah ditetapkan untukku melakukan sembahyang (samada fardhu atau sunat pada iktikad Bilal).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala dalam riwayat lain daripada Abu Buraidah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanggil Bilal Radhiallâhu ‘anhu lalu bertanya bagaimanakah dia mendahului Baginda di syurga. Bilal Radhiallâhu ‘anhu pun menjawab:
Maksudnya: Dan aku tidak pernah didatangi hadas melainkan aku (segera) mengambil wudhu bilamana aku berhadas. Dan aku mengambil pendirian (kerana rasa syukur, aku membuat pilihan) bahawa demi Allah ke atasku (sembahyang) dua rakaat. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dengan kedua-dua amalan itu (berwudhu apabila berhadas dan sembahyang dua rakaat setiap kali berwudhu maka Bilal memperolehi apa yang didapatnya).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dengan riwayat ini merupakan satu anjuran supaya orang-orang menyukai dan mengamalkan perbuatan yang dibuat oleh Bilal itu.
ii. Diampunkan dosa-dosa kecil.
Riwayat daripada Humran, hamba kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia melihat tuannya itu berwudhu kemudian beliau berkata:
Maksudnya: Aku (‘Utsman) telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil wudhu seperti cara wudhuku ini. Kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa yang berwudhu seperti wudhuku ini, kemudian (setelah berwudhu) dia sembahyang dua rakaat, yang mana dia tidak berkata-kata pada dirinya dalam kedua-dua rakaat sembahyangnya itu, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun maksud “dia tidak berkata-kata pada dirinya” ialah tidak memikirkan perkara yang berkaitan dengan keduniaan dan perkara yang tidak ada hubung-kait dengan sembahyang (dengan senghaja). Manakala yang dimaksudkan dengan “diampunkan baginya dosanya” itu ialah dosa-dosa kecil.
Penutup
Dengan penjelasan ini nyatalah fadhilat atau kelebihan yang terdapat dalam perkara-perkara sunat selepas berwudhu itu adalah sangat besar dan menguntungkan, padahal ia adalah amalan yang amat mudah dan tidak membebankan. Mudah-mudahan dengan penjelasan yang ringkas ini dapat memberi kesedaran dan membuka hati kita semua untuk sama-sama merebut kelebihan-kelebihan ini.
Istilah Tayammum: Jangan Keliru!
Islam telah menentukan cara atau kaifiyyât menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah.
Dalam konteks masyarakat di Negara Brunei Darussalam, ungkapan perkataan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’ merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena anjing atau khinzîr (babi); sama ada najisnya, air liurnya atau sebagainya.
Ungkapan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’ itu tidak tepat menurut istilah syara‘. Ini kerana istilah tayammum tidak merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah itu.
Kekeliruan penggunaan ungkapan dan istilah seumpama ini boleh diperbetulkan dengan penjelasan yang akan diberikan ini. Perbincangan ini akan menjelaskan maksud tayammum menurut istilah syara‘ dan penjelasan istilah-istilah dan ungkapan-ungkapan yang sesuai dan tepat bagi merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah serta hukum-hukum yang berkaitan dengan istilah-istilah tersebut.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Tayammum?
Tayammum ialah suatu syariat yang berbentuk rukhshah atau keringanan bagi orang yang tidak dapat menggunakan air untuk berwudhu atau mandi wajib. Keringanan ini hanya diberi kepada orang yang tidak dapat menggunakan air kerana sakit atau kerana ketiadaan air atau kerana air yang tidak mencukupi.
Adapun maknanya menurut istilah syara‘ ialah menyampaikan debu tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudhu atau mandi dengan syarat-syarat tertentu. Sebagai contoh, apabila berlaku keuzuran kepada seseorang untuk menggunakan air; dengan sebab ketiadaan air atau sakit yang boleh memudharatkannya jika dia menggunakan air, sedang dia hendak menunaikan sembahyang, maka wajib dia bertayammum. Ini kerana dia tidak dapat melaksanakan mandi hadas atau wudhu dengan menggunakan air. Sebagai ganti dia diberikan rukhshah, iaitu dengan bertayammum untuk mengharuskannya menunaikan sembahyang itu atau untuk menyentuh Mushaf dan lain-lain.
Manakala menurut Kamus Dewan, tayammum ialah perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu kerana tiada air atau berlakunya halangan menggunakan air, misalnya sakit.
Maka fungsi tayammum itu ialah sebagai ganti kepada wudhu atau mandi hadas bagi mengharuskan seseorang melakukan ibadat seperti sembahyang, thawaf, menyentuh Mushhaf dan lain-lain.
Cara (Kaifiyyah) Tayammum
Cara bertayammum ialah dengan menepukkan kedua belah telapak tangan kepada debu tanah yang suci, kemudian berniat dan hendaklah berkekalan niat itu sehingga sampai menyapukannya ke muka.
Setelah itu, menepukkannya sekali lagi ke atas debu tanah yang suci, kemudian menyapukannya pada kedua belah tangannya dari hujung jari hingga ke siku.
Caranya bermula dengan menyapu tangan kanan hingga ke siku, iaitu dengan meletakkan perut jari-jari tangan kirinya (selain daripada perut ibu jarinya) sekira-kira bahagian hujung jari-jari tangan kanannya tidak terkeluar atau tidak melimpasi jari telunjuk tangan kirinya. Maka lalukanlah perut jari-jarinya itu pada belakang tapak tangannya yang kanan. Apabila sampai di pergelangan tangan, maka dirapatkan kesemua hujung jarinya itu pada tepi lengannya dan dilalukannya hingga sampai ke sikunya. Kemudian diedarkannya pula perut tapak tangan kirinya itu ke perut lengan tangan kanannya, seterusnya dilalukannya ke atas perut lengannya itu dengan ibu jari tangan kirinya terangkat. Apabila sampai di pergelangan tangannya, maka dilalukannya perut ibu jari tangan kirinya itu di atas belakang ibu jari tangan kanannya.
Setelah itu disapu pula tangan kiri sebagaimana kaifiyyah yang dilakukan semasa menyapu tangan kanan. Kemudian disapukan salah satu perut tapak tangan serta kesemua perut jari-jarinya ke atas perut satu yang lain serta kesemua jari-jarinya, dan diselat-selatkan di antara jari-jari kedua-dua tangannya.
Pengertian Sertu
Menurut mazhab asy-Syafi‘e cara untuk menyucikan tempat yang terkena najis mughallazhah sama ada pada badan manusia, tempat seperti lantai, benda seperti bekas menyimpan barang, pinggan, mangkuk dan sebagainya ialah membasuh dengan air sebanyak tujuh kali, enam kali basuhan dengan air muthlaq dan sekali dengan air yang bercampur dengan tanah. Dalam kitab fiqh, mencampur air dengan tanah untuk dibasuhkan pada tempat yang terkena najis itu disebut tatrîb.
Cara menyertu tempat-tempat yang terkena najis mughallazhah inilah yang sering disebut oleh sebilangan masyarakat Brunei dengan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’. Berdasarkan pendapat ulama asy-Syafi‘e di atas, sudah tentu istilah ‘menayamumkan’ atau ‘mentayammumkan’ dengan maksud menyucikan najis mughallazhah tidak tepat.
Menurut Kamus Dewan ‘sertu’ dan ‘menyertu’ membawa satu maksud, iaitu menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan khinzîr) dengan air bercampur tanah sekali dan air muthlaq enam kali.
Manakala maksud ‘samak’, menurut Kamus Dewan, antaranya ialah sejenis tumbuhan pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak kulit, pukat dan lain-lain. ‘Menyamak’ membawa beberapa maksud dan antaranya ialah maksud yang serupa dengan menyertu.
Oleh yang demikian, menyertu dan menyamak mempunyai pengertian yang sama, hanya perbezaannya menyamak maksudnya lebih umum.
Cara Menyertu Tempat Yang Terkena Najis Mughallazhah
Untuk jelasnya cara mencuci tempat yang terkena najis mughallazhah itu ialah dengan membasuh tujuh kali dengan air muthlaq, iaitu setelah menghilangkan ‘ain atau zat, dan kesan najis seperti bau atau warnanya. Salah satu daripada basuhan yang tujuh itu ialah air yang telah bercampur dengan tanah.
Cara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kesucian bekas air seorang daripada kamu apabila (air di dalamnya) dijilat oleh anjing, ialah dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya dengan (air bercampur) tanah. (Hadits riwayat Muslim)
Akan tetapi para ulama fiqh menyebutkan bahawa basuhan yang dicampur dengan tanah itu tidak ditentukan pada mana-mana basuhan sama ada pada basuhan pertama, pertengahan atau pada basuhan yang terakhir, sebagaimana dalam riwayat lain oleh Daruquthni yang berbunyi:
Maksudnya: Salah satunya dengan tanah. (Hadits riwayat ad-Daruquthni)
Manakala kadar tanah yang wajib dicampurkan kepada air itu ialah sekira-kira dapat mengeruhkan air dan dengan perantaraan air itu ia boleh sampai kesemua bahagian yang bernajis.
Seandainya najis yang dicuci itu hanya hilang sesudah dibasuh berulangkali, maka ia akan dianggap satu basuhan. Oleh itu hendaklah ditambah lagi enam kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air yang bercampur tanah.
Samak Atau Dibagh
Sebagaimana penjelasan di atas, menyamak dalam bahasa Melayu bukan sahaja merujuk kepada cara menyucikan benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah. Menyamak juga merujuk kepada cara membersihkan dan menyucikan kulit binatang. Maka amali ini dalam istilah syara‘ disebut dibagh.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Dibagh? Dibagh menurut istilah syara‘ ialah menghilangkan bau busuk dan lembapan daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan tertentu.
Dalil-Dalil Pensyariatan Dibagh Kulit binatang selain anjing dan khinzîr dengan disamak, sebagaimana dijelaskan boleh menjadi suci melalui petunjuk daripada hadits-hadits berikut: 1. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan katanya:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kulit disamak, maka ia menjadi suci’.” (Hadits riwayat Muslim) Dalam riwayat lain Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apa jua kulit binatang yang disamak, ia menjadi suci. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
2. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma juga meriwayatkan:
Maksudnya: Hamba sahaya milik Maimunah diberi sedekah seekor kambing, lalu kambing itu mati. (Tidak berapa lama) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi bangkai kambing itu, Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu ambil kulitnya, kemudian kamu samak supaya kamu dapat memanfaatkannya”. Mereka berkata: “Sesungguhnya ia sudah menjadi bangkai”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya yang haram itu hanyalah memakannya.” (Hadits riwayat Muslim)
Cara Menyamak Kulit Binatang
Ulama mazhab Syafi‘e mengharuskan semua kulit disamak sama ada kulit binatang yang boleh dimakan atau sebaliknya kecuali kulit anjing dan babi. Begitu juga kulit manusia ia tidak boleh disamak, bahkan haram menyamaknya dan menggunakannya kerana atas dasar kemuliaan dan kehormatannya yang diberikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. (Surah al-Isrâ’: 70)
Cara membersihkan kulit yang diambil daripada bangkai binatang selain kulit anjing dan babi adalah dengan menyamaknya, iaitu menghilangkan segala lendir dan lembapan yang melekat pada kulit yang mana jika dibiarkan akan merosakkan kulit tersebut.
Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyamak atau men‘dibagh’ (kulit binatang) ialah dengan menghilangkan kotoran-kotorannya yang berupa cairan dan lembapan yang masih melekat dan yang terdapat pada kulit binatang, kerana jika tidak dibersihkan atau dibuang ia akan menyebabkan kulit tersebut busuk dan rosak. Kulit yang disamak itu dikatakan suci jika ia direndam semula ke dalam air dan ia tidak akan berbau busuk semula atau rosak.
Bahan yang digunakan ialah sesuatu yang rasanya kelat atau kesat di lidah, jika terkena lidah ia akan terasa sangat pedih kerana rasanya yang kelat atau kesat itu seperti daun akasia (qarazh), manjakani (‘asfh), kulit delima (qusyur ar-rumman), tawas (asy-syabb) dan seumpamanya.
Tidak semestinya bahan yang digunakan itu terdiri daripada benda-benda yang suci, malahan tidak mengapa (harus) menurut hukum syara‘ jika bahan yang digunakan untuk menyamak itu terdiri daripada benda yang najis seperti tahi burung merpati. Apa yang penting, bahan yang digunakan itu dapat mengeringkan kelembapan kulit dan menghilangkan kotoran dan baunya yang busuk.
Semua kotoran dan najis yang ada pada kulit mestilah dihilangkan. Sesuatu yang ada di atas kulit bangkai seperti bulu tidak akan menjadi suci sekalipun ia disamak. Oleh itu, bulu tersebut hendaklah dicabut atau dihilangkan daripada kulit tersebut. Walau bagaimanapun jika bulu itu ada tertinggal sedikit dan susah hendak menghilangkan keseluruhannya, maka ia adalah dimaafkan.
Maka tidak memadai menyamak itu dengan hanya menjemur kulit binatang itu di bawah panas terik cahaya matahari, melumurnya dengan tanah, membekukan dan memasinkannya, kerana cara-cara tersebut tidak mampu membuang segala kotoran yang ada pada kulit, sekalipun kulit itu kering dan harum baunya. Tanda yang menunjukkan bahawa kotoran itu tidak hilang ialah jika kulit itu direndam atau terjatuh ke dalam air, pasti bau busuk akan kembali semula.
Perlukah Dibasuh Dengan Air Setelah Disamak?
Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, tidak disyaratkan membasuh dengan air ketika kulit sedang disamak berdasarkan hadits riwayat Muslim di atas yang bermaksud: “Apabila kulit binatang disamak, ia menjadi suci.”
Walau bagaimanapun, wajib membasuhnya dengan air selepas disamak. Tujuannya ialah supaya kotoran selepas disamak itu akan hilang, sebagaimana pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e.
Sebagai kesimpulan, kita hendaklah menggunakan istilah-istilah syara‘ dengan tepat kerana istilah-istilah yang digunakan dalam syara‘ mengandungi makna, pengertian dan hukum yang tersendiri.
Dengan penjelasan mengenai istilah tayammum ini dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya, maka kesilapan orang awam dalam mengguna pakai istilah-istilah seumpama ini dapat dielakkan dan menghindarkan mereka daripada kekeliruan hukum-hakam yang terdapat di dalamnya.
Perbuatan-Perbuatan Yang Boleh Dan Dilarang Ketika Khatib Menyampaikan Khutbah Jumaat
Khutbah pada hari Jumaat adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam kerana pada hari Jumaat inilah kaum Muslimin tidak kira bangsa, pangkat ataupun rupa duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain.
Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah sembahyang Jumaat. Sungguhpun demikian besarnya peranan khutbah Jumaat itu, terdapat sebilangan orang yang tidak begitu memandang endah akan kepentingannya sehinggakan ada di antara mereka ini yang masih mahu berbual ketika khutbah Jumaat disampaikan. Sebilangannya pula sibuk melakukan amalan-amalan ibadat lain seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Apakah hukum melakukan perbuatan-perbuatan seumpama ini ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan? Adakah ia dibolehkan oleh syara‘ ataupun sebaliknya?
Berikut adalah perbincangan mengenai permasalahan yang bersangkut-paut dengan perkara-perkara yang dibolehkan dan perkara-perkara yang dilarang ketika khatib menyampaikan khutbah.
1. Membaca Al-Qur’an, Berselawat dan Berzikir Ketika Khutbah
Sunat bagi orang yang menghadiri sembahyang Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh, ini adalah adab dan selain itu ia sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat.
Disunatkan juga kepada jemaah untuk diam dan mendengar khutbah dan makruh bagi mereka berkata-kata. Ini sepertimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat: “Dengarkanlah (khutbah)”, padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat itu walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat dharurat, misalnya kerana ingin menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul yang mengatakan diam mendengarkan khutbah itu adalah wajib. Bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh dari imam atau suara imam tidak dapat didengar, adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya surah al-Kahfi, berselawat, bertasbîh, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.
2. Hukum Orang Yang Baru Masuk Masjid Memberi Salam
Ulama-ulama mazhab Imam asy-Syafi‘e Rahimahumullâh bersependapat bahawa orang yang baru masuk ke masjid, tidak makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu khutbah sedang disampaikan selagi dia belum mengambil tempatnya. Apabila dia telah mengambil tempatnya barulah makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu dia belum lagi duduk.
Bagaimanapun, makruh ke atas orang yang baru masuk ke masjid itu memberi salam kepada jemaah yang sedang mendengarkan khutbah dan makruh juga memberi salam kepada khatib yang sedang menyampaikan khutbah walaupun orang tersebut belum lagi mendapatkan tempatnya. Ini kerana perbuatannya memberi salam itu boleh mengganggu orang yang diberi salam sama ada pendengar mahupun pembaca khutbah. Bagaimanapun, jika diberi salam juga ke atas mereka ketika khutbah, maka menurut pendapat yang paling shahîh wajiblah juga dijawab salam tersebut.
3. Mentasymît Orang Yang Bersin
Sunat mentasymît iaitu mengucapkan “ ُ َرْمحَُ ك َ هللا ي ” kepada orang yang bersin setelah dia mengucapkan tahmîd ( ِا ْلَْمْ د ُ هلل) walaupun ketika khutbah sedang disampaikan. Bagaimanapun, ulama mensyaratkan supaya tasymît tersebut mestilah dilakukan jika orang yang bersin itu mengucapkan tahmîd. Jika orang yang bersin itu tidak mengucapkannya maka tidak sunat mentasymîtkannya.
Daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu bersin lalu dia bertahmîd, maka kamu ucapkanlah tasymît kepadanya. Jika dia tidak mengucapkan bertahmîd maka jangan kamu ucapkan tasymît kepadanya (Hadits riwayat Muslim)
Disunatkan juga bagi orang yang bersin ketika khutbah disampaikan itu membalas tasymît tersebut dengan ucapan:
Ertinya: Semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia mengucapkan “ ِ ا ْلَْمْ د ُ ّلِلِه” (segala puji bagi Allah). Dan hendaklah saudaranya ataupun sahabatnya mengucapkan kepadanya “ ُ memberi rahmat kepadamu). Dan apabila dia (sahabatnya) mengucapkan َرْمحَُ ك َ هللا ي” maka hendaklah (orang yang bersin itu) mengucapkan “ ُ وَيَصْ لِح ُ لَلَمُ م” (semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bagaimanapun, jika orang yang ditasymît itu (yang diucapkan “ َُرْمحَُ ك َ هللا ي” ke atasnya) bersin lebih daripada tiga kali, maka dalam hal ini tidak lagi disunatkan mentasymîtkannya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mengucapkan tasymît kepada orang yang bersin itu setakat tiga kali (dia bersin). Adapun jika lebih daripada itu maka dia diserang selesema. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
4. Mengucapkan Selawat Ketika Nama Nabi Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam Disebut dan Menta’minkan Do‘a Khatib
Sunat mengucapkan selawat apabila khatib menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam hal ini, menurut ulama, sunat mengangkat suara ketika berselawat itu secara tidak berlebihan walaupun ketika mendengar khatib membaca ayat berikut:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam). (Surah al-Ahzâb: 56)
Jika nama-nama para sahabat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula disebutkan, maka menurut ulama, sunat juga mengucapkan “ ْ ْهُم رَضِ ي َ هللا ُ عَ ن ”, akan tetapi tidak disunatkan untuk mengangkat suara
Sunat juga menta’minkan (mengaminkan) do‘a khatib dengan tidak mengangkat suara sepertimana yang disebutkan dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, adapun sebab tidak digalakkan mengangkat suara ketika ta’min ini adalah kerana ia mengganggu pendengaran dan jemaah-jemaah yang lain.
5. Mendirikan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan Bagi Orang Yang Sudah Duduk
Sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia bangun mengerjakan sembahyang sunat atau qadha sembahyang fardhu, walaupun qadha sembahyang fardhu yang wajib disegerakan. Misalnya jika ditinggalkan tanpa keuzuran, padahal khatib sudahpun duduk di atas mimbar, maka hukumnya adalah makruh tahrîm (makruh yang hampir kepada peringkat haram), walaupun orang itu tidak wajib Jumaat ke atasnya misalnya orang yang sedang musafir dan kaum perempuan.
Sementara sebahagian ulama lagi, antaranya Imam al-Mawardi, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahumullâh berpendapat ia bukan hanya makruh tahrîm, bahkan hukumnya adalah haram.
Menurut Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh, larangan ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak mendengar khutbah. Jika dikerjakan juga, maka menurut pendapat yang paling awjah, tidak sah sembahyangnya itu. Menurut as-Sayyid Bakri Rahimahullâh, orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia mengerjakan sembahyang ketika imam sudahpun duduk di atas mimbar, ini jelas menunjukkan keengganannya secara menyeluruh untuk mendengarkan khutbah. Ini kerana orang yang sedang bersembahyang, pada kebiasaannya tidak akan menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara lain selain daripada sembahyangnya itu.
6. Orang Yang Baru Masuk Masjid Mengerjakan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan
Bagi orang yang baru masuk masjid pula, sedangkan pada waktu tersebut khathib sudahpun mula menyampaikan khutbah, sunat baginya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan makruh baginya meninggalkannya menurut kitab al-Majmû‘.
Perlu juga diingat bahawa sembahyang sunat Tahiyyat Masjid itu wajib dikerjakan secara takhfîf iaitu ringkas ataupun ringan. Menurut satu pendapat, takhfîf ini bukanlah bermaksud mempercepatkan sembahyang, akan tetapi ia bermaksud membataskan dalam menunaikan sembahyang itu kepada perkara-perkara yang wajib sahaja sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh daripada Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.
Menurut pendapat yang paling awjah pula, seperti yang disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, maksud takhfîf itu ialah tidak memanjangkan sembahyang. Maka menurut pendapat ini, Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh berkata bolehlah dibaca surah-surah pendek selepas membaca surah al-Fâtihah.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Telah datang Sulaik al-Ghathafani pada suatu hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah lalu dia (terus) duduk. Maka Baginda pun bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik! Bangunlah dan dirikanlah sembahyang dua rakaat dan kerjakanlah ia secara ringan (ringkas)”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Apabila seorang daripada kamu mendatangi (sembahyang) Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dua rakaat dan hendaklah dia mengerjakannya secara ringan (ringkas).” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut as-Sayyid Bakri Rahimahullâh, selain daripada sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, boleh juga dikerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat jika ia belum dikerjakan, dan dalam hal ini adalah lebih utama disatukan niatnya bersama sembahyang sunat Tahiyyat Masjid (dalam satu sembahyang) dan dikerjakan sebanyak dua rakaat. Jika orang itu ingin mengerjakannya dengan satu niat sahaja maka adalah lebih awlâ diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sahaja kerana ia akan luput jika tidak dikerjakan (sebelum duduk). Adapun sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat pula, ia masih dapat dikerjakan sekalipun selepas sembahyang Jumaat dan boleh juga diqadha jika dikerjakan di luar waktu.
Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula menambah, selain kedua-dua sembahyang sunat itu, boleh juga dikerjakan sembahyang qadha yang jumlahnya dua rakaat, misalnya sembahyang qadha Subuh. Adapun sembahyang qadha yang jumlahnya melebihi daripada kadar dua rakaat tidak boleh dikerjakan pada waktu ini, jika dikerjakan juga maka ia tidak sah. Begitu juga tidak sah jika dikerjakan lagi sembahyang-sembahyang yang lain selepas itu.
Manakala bagi orang yang datang ke masjid pada penghujung khutbah pula, jika dia takut apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid itu dia tidak akan sempat bertakbîratul-ihrâm bersama imam, maka dalam hal ini adalah lebih baik (sunat) baginya berdiri sahaja sehingga imam menunaikan sembahyang.
Adapun bagi mereka yang sedang bersembahyang, lalu ketika mereka sedang bersembahyang itu khathib pun naik dan duduk di atas mimbar, menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, wajib ke atas mereka ini mengerjakan sembahyang mereka itu secara takhfîf walaupun sembahyang yang mereka kerjakan itu adalah sembahyang fardhu.
Kesimpulan
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa para ulama sangat menitik-beratkan penerimaan hati serta seluruh anggota tubuh badan terhadap khutbah yang disampaikan. Sehinggakan perbuatan ibadat seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang dapat mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual mengenai perkara yang sia-sia. Bahkan, sekecil-kecil perbuatan yang boleh mengganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan suatu perbuatan yang sia-sia yang akan mengakibatkan kerugian pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) menunaikan sembahyang Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia. (Hadits riwayat Muslim)
Maka sewajarnyalah seorang Muslim itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan kerana selain daripada mengambil manfaat dan i‘tibâr daripadanya, khutbah juga sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang Jumaat seseorang.
Sembahyang Sunat Tahiyyat Masjid dan Persoalannya
Sembahyang sunat Tahiyyat Masjid ialah sembahyang dua rakaat sebelum duduk apabila masuk ke dalam masjid sebagai menghormati masjid. Sembahyang ini sunat dikerjakan berulang kali apabila berulangnya masuk ke dalam masjid.
Akan tetapi tidak disunatkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dalam rumah yang disediakan untuk beribadat (ribâth), sekolah, surau, di atas tanah lapang yang disediakan khas untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya, melainkan di atas tanah yang diratakan untuk dijadikan tempat duduk (dakkah) yang diwakafkan untuk masjid maka hukumnya sama dengan hukum masjid.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang duduk sebelum mengerjakan sembahyang Tahiyyat Masjid apabila masuk ke dalam masjid. Ini adalah kerana apabila seseorang telah duduk dalam jangka masa yang lama iaitu kira-kira dalam jangka masa boleh mengerjakan sembahyang lebih daripada dua rakaat sebelum mengerjakan sembahyang Tahiyyat Masjid setelah masuk masjid, atau duduk dalam jangka masa yang pendek secara sengaja, bukan kerana terlupa, maka terluputlah ke atasnya sembahyang tersebut dan tidaklah disunatkan lagi.
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak terluput sembahyang sunat Tahiyyat Masjid jika duduk kerana hendak minum, kerana minum dalam keadaan berdiri hukumnya adalah makruh.
Begitu juga, tuntutan sembahyang ini akan terluput dengan sebab berdiri di dalam masjid dalam jangka waktu yang panjang (kira-kira dalam jangka masa boleh mendirikan sembahyang lebih dari dua rakaat) sebelum sempat mendirikannya.
Walau bagaimanapun jika masjid itu terlalu luas tetapi ingin melakukan sembahyang Tahiyyat di mihrâb, maka perjalanan yang jauh menuju ke mihrâb itu tidaklah meluputkan tuntutan sembahyang Tahiyyat Masjid.
Surah-Surah Yang Dibaca dan Lafaz Niatnya
Sunat membaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua sebagaimana juga sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Thawaf, Istikhârah, Dhuhâ dan seumpamanya.
Lafaz niat sembahyang sunat Tahiyyat Masjid:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Hukum Meninggalkan Sembahyang Sunat Tahiyyat Masjid
Meninggalkan sembahyang ini tanpa sebarang keuzuran seperti sakit ataupun menjadi khatib (jika masuk masjid dan terus berkhutbah) hukumnya adalah makruh.
Sunat bagi sesiapa yang meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid membaca tasbîh, tahmîd, tahlîl dan takbîr sebanyak sekali atau empat kali sebagai menggantikan tempat sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sepertimana menggantikan tempat sujud tilâwah. Bacaannya ialah:
Ertinya: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya hanya bagi Allah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Menjawab Azan Terlebih Dahulu atau Terus Sembahyang Sunat Tahiyyat Masjid?
Seseorang yang masuk ke dalam masjid disunatkan melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid. Hukum sunat ini berlaku sebelum duduk atau sebelum diam yang lama dalam masjid. Tetapi jika azan sedang berkumandang ketika masuk masjid bolehkah dia berdiri sahaja untuk menjawab azan, kemudian barulah melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid setelah selesai azan?
Menurut al-‘Allamah asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyn Rahimahullâhu Ta‘âlâ: “Sunat menangguhkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sehingga selesai menjawab azan.”
Asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan ketika beliau menukilkan perkataan Ibnu Qasim: “Andainya seseorang yang memasuki masjid pada hari Jumaat ketika azan sedang dikumandangkan setelah khatib naik ke mimbar, maka bolehlah dia menjawab azan itu dengan berdiri sahaja. Kemudian selepas azan selesai barulah dia mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dengan ringkas (sekadar mengerjakan yang wajib sahaja) supaya dia sempat mendengar awal khutbah tersebut.”
Adab Masuk Masjid Ketika Khutbah Jumaat Disampaikan
Makruh melakukan sembahyang Tahiyyat Masjid ketika khutbah sudah hampir selesai kerana ditakuti akan terluput mengangkat takbiratul ihram sembahyang Jumaat bersama imam. Akan tetapi jika tiada anggapan sedemikian maka tidaklah makruh bahkan sunat hukumnya melakukan sembahyang Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat jika belum mengerjakannya. Sebaiknya niatkanlah sembahyang Tahiyyat Masjid bersama Qabliah Jumaat.
Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menegur seorang sahabat bernama Sulaik al-Ghathafani Radhiallâhu ‘anhu kerana tidak melakukan sembahyang Tahiyyat Masjid ini. Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang Sulaik al-Ghathafani (seorang sahabat Nabi) pada hari Jumaat, sedang Nabi Shallalâhu ‘alaihi wasallam berkhutbah, maka Sulaik pun duduk, lalu Baginda bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik, bangunlah engkau kembali, lalu sembahyanglah engkau dua rakaat dan pendekkanlah bacaan pada keduanya”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Bila kamu datang pada hari Jumaat sedang imam berkhutbah, maka hendaklah kamu sembahyang dua rakaat dan pendekkanlah bacaan pada kedua-duanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Adab Masuk Masjid A-Haram
Sesiapa yang masuk mana-mana masjid hendaklah dia beradab dengan melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid. Tetapi jika dia masuk ke Masjidil Haram, maka adabnya ialah dengan melakukan thawaf terlebih dahulu, dan salah satu perkara yang disunatkan selepas thawaf ialah sembahyang sunat thawaf di belakang Maqam Nabi Ibrahim atau di mana-mana di sekitar Baitullah.
Oleh kerana Baitullah terletak di dalam Masjid al-Haram, maka berhimpunlah di dalamnya dua tahiyyat; Tahiyyat Baitullah dan Tahiyyat Masjid. Untuk melakukan kedua-dua jenis tahiyyat ini, jika seseorang itu thawaf bermakna dia telah melakukan Tahiyyat Baitullah, dan jika sembahyang sunat thawaf, bermakna dia telah melakukan Tahiyyat Masjid. Jadi kedua-dua tahiyyat telah dapat dilakukan dan dihimpunkan.
Thawaf hanya dapat dilakukan di Baitullah, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid boleh dilakukan di mana-mana yang dinamakan masjid. Jika dipersoalkan mana yang lebih afdal dilakukan ketika masuk Masjidil Haram di antara thawaf atau sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, maka jawapannya ialah thawaf, bukan sembahyang Tahiyyatnya.
Imam az-Zarkasyi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata: “Sesungguhnya tahiyyat mana-mana masjid ialah sembahyang dan Tahiyyat Baitullah pula ialah thawaf.” (I’lâm as-Sâjid:107). Bolehkah Diqadha Sembahyang Sunat Tahiyyat Masjid?
Sembahyang-sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana Matahari atau Gerhana Bulan, sembahyang sunat Istisqa’ dan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, tidaklah disyari‘atkan untuk menqadhanya kerana sembahyang-sembahyang sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.
Oleh yang demikian, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid adalah antara sembahyang yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang. Oleh itu tidaklah disunatkan mengqadha sembahyang tersebut.
Melakukan Sembahyang Qadha atau Lainnya Sejurus Masuk ke Dalam Masjid
Berkata ulama Syafi‘e: “Tidaklah disyaratkan seseorang yang masuk masjid berniat sembahyang Tahiyyat Masjid dua rakaat, bahkan jika dia sembahyang dua rakaat dengan niat sembahyang mutlak, sembahyang sunat Rawatib atau bukan Rawatib, sembahyang fardhu tunai, qadha atau nazar, maka memadai yang demikian itu dan baginya apa yang dia niatkan dan hasillah juga sembahyang Tahiyyat Masjid secara dhimnan (termasuk juga). Tiada khilâf dalam perkara ini.”
Berkata lagi ulama Syafi‘e: “Jikalau seseorang itu berniat sembahyang fardhu dan Tahiyyat Masjid atau sembahyang Rawatib dan Tahiyyat Masjid, maka hasil semuanya tanpa khilâf ulama. (Al-Majmû‘ li an-Nawawi: 4/45)
Walau bagaimanapun sembahyang Tahiyyat Masjid tidak terlaksana dengan mengerjakan sembahyang yang lain yang hanya serakaat, sembahyang jenazah, sujud Tilâwah dan sujud syukur.
Sembahyang Sunat Yang Afdhal Ketika Masuk Masjid
Apabila seseorang mengambil wudhu di luar masjid, kemudian setelah selesai mengambil wudhu dia masuk ke dalam masjid, apakah yang lebih utama dilakukannya, mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Wudhu?
Menurut al-Allamah asy-Shawbari Rahimahullâhu Ta‘âlâ, memadailah dikerjakan sembahyang dua rakaat dengan meniatkan kedua-dua sembahyang sunat tersebut.
Menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, memadailah dikerjakan sembahyang dua rakaat dengan niat salah satu daripaada niat kedua-dua sembahyang itu ataupun dengan meniatkan kedua-duanya.
Walau bagaimanapun adalah afdhal jika dilakukan kedua-dua sembahyang sunat tersebut dengan mendahulukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan kemudian sembahyang sunat Wudhu.
Keadaan afdhal ini adalah berdasarkan banyaknya amalan tersebut iaitu melakukan sembahyang empat rakaat sudah tentu lebih pahalanya daripada melakukan sembahyang dua rakaat.
Penutup
Sembahyang sunat amat besar fadhilatnya. Selain daripada mengharapkan rahmat serta maghfirah iaitu keampunan, ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Selain itu ia juga dapat menampal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu yang kita lakukan, sebagaimana riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia Lebih Mengetahui: “Periksa lah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka)”, Allah berfirman lagi: “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya”. Kemudian diperhitungkanlah amal perbuatan (yang lain) menurut cara sedemikian.” (Hadits riwayat Ahmad)
Elakkan Perkara Makruh Dalam Sembahyang
Ibadat sembahyang terdiri daripada syarat-syarat, rukun-rukun, perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan lain-lain lagi yang wajib dipelajari dengan mendalam oleh setiap Muslim agar tidak akan berlaku kesilapan ketika melaksanakannya. Kesilapan yang dilakukan dalam sembahyang akan mendatangkan kerugian kerana ia merosakkan kesempurnaan pahala sembahyang.
Salah satu jalan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala sembahyang adalah dengan mengelakkan diri daripada melakukan perkara makruh dalam sembahyang.
Makruh ialah meninggalkan sesuatu perkara yang dibenci dan akan diberi ganjaran pahala bagi orang yang meninggalkannya, sementara itu tidak pula berdosa bagi yang melakukannya. Walau bagaimanapun, melakukannya akan mendatangkan kerugian kerana kehilangan pahala.
Perkara Makruh Dalam Sembahyang
Melakukan perkara makruh dalam sembahyang boleh mendatangkan kesan kepada kesempurnaan pahala sembahyang. Oleh yang demikian, dengan mempelajari secara mendalam tentang setiap perkara yang berkaitan dengan sembahyang akan dapat mengelakkan seseorang daripada melakukan perkara makruh dalam sembahyang itu.
Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang:
1. Meninggalkan perkara sunat dalam sembahyang
2. Menoleh
Makruh menoleh ke kanan atau ke kiri ketika dalam sembahyang jika tidak ada hajat.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang menoleh dalam sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Ia adalah satu curian, iaitu syaitan mencuri (kekhusyu‘an) daripada sembahyang seorang hamba dengan (perbuatan) menoleh itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berkata Adzra‘i Rahimahullâh: “Jika dia senghaja melakukannya, sedangkan dia tahu perbuatan menoleh itu adalah makruh, maka hukumnya haram, bahkan menjadi batal jika dia melakukannya secara olok-olok (main-main).”
Jika seseorang menolehkan mukanya dan berpaling dadanya dari kiblat, maka batal sembahyangnya.
Melirik-lirikkan mata atau mengerlingkan mata tanpa menolehkan muka adalah harus. 3. Mendongakkan muka ke langit.
Makruh mendongakkan muka atau pandangan ke langit ketika di dalam sembahyang, walaupun bagi orang buta.
Anas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bagaimanakah keadaan kaum yang mendongak pandangan mereka ke langit di dalam sembahyang mereka? Baginda mengeraskan percakapannya tentang perkara itu sehingga Baginda bersabda: “Demi sesungguhnya mereka hendaklah menghentikannya (mendongak ke langit ketika sembahyang), atau demi sesungguhnya akan disambar pandangan mereka itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga makruh melihat atau merenung benda-benda yang boleh mengalihkan perhatian daripada sembahyang seperti melihat atau merenung tanda-tanda pada baju atau sebagainya.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sembahyang pada kain segi empat yang ada padanya tanda-tanda. Baginda memandang kepadanya dengan sekali pandangan. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda bersabda: “Pergilah dengan kain segi empat yang ada tanda-tanda ini kepada Abu Jaham, dan bawalah kepadaku kain tebal (yang tidak ada tanda) milik Abu Jaham. Sesungguhnya kain segi empat yang bertanda itu membuatkan aku lengah (lalai) daripada sembahyangku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menghantar kain segi empat yang ada tanda-tanda tersebut kepada Abu Jaham Radhiallâhu ‘anhu kerana beliau yang menghadiahkannya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullâh dalam kitab Muwattha’.
4. Melipat rambut atau melipat baju.
Makruh melipat rambut seperti menyanggulnya atau memasuk-masukkannya ke bawah serban ketika di dalam sembahyang. Begitu juga makruh melipat baju seperti melipat lengan bajunya dan lain-lain lagi.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk bersujud pada tujuh anggota tubuh dan tidak melipat rambut atau pakaian (pada waktu sembahyang). Anggota-anggota itu adalah dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
5. Meletakkan tangan di mulut.
Makruh meletakkan tangan di mulut tanpa hajat atau tujuan. Begitu juga dengan perbuatan mematah-matahkan jari atau mencelah-celahi jari, meletakkan tangan di hidung atau di mulut. Ini kerana, perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan khusyu‘ dalam sembahyang.
Makruh menguap dalam sembahyang pada keadaan dirinya mampu untuk menahan daripada menguap. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Adapun menguap itu, maka sesungguhnya ia adalah daripada (gangguan) syaitan, maka tegahlah ia (tegah diri daripada menguap) selagi mampu. Maka apabila seseorang berkata: “Ha”, ketawalah (kerananya) syaitan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Namun, sunat meletakkan tangan di mulut ketika menguap di dalam sembahyang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tangan yang digunakan untuk menutup mulut ketika menguap:
• Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, boleh menggunakan antara tangan kanan atau kiri bagi tujuan tersebut.
• Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, sunat digunakan tangan kiri.
• Menurut Imam asy-Syabramallisi dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallâh, adalah lebih utama menggunakan belakang telapak tangan sebelah kiri.
6. Menutup mata.
Makruh menutup kedua kelopak mata ketika sembahyang tanpa hajat atau keperluan. Tidak makruh jika menutup kedua-duanya kerana ada hajat, bahkan dihukumkan wajib pada sesetengah keadaan, umpamanya menutup mata agar menegah daripada memandang perkara-perkara yang haram.
Berkata sebahagian ulama: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang dalam sembahyang perbuatan menyapu batu-batu kecil dan menyapu dahi daripada kesan tanah (ketika sujud), meniup-niup, mematah-matahkan jari, menyelat-nyelati jari, menutup mulut dan telinga, menutup mata dan menggeliat.”
7. Berdiri dengan sebelah kaki
Makruh berdiri dengan sebelah kaki iaitu dengan mengangkat sebelah kaki tanpa sebab, kerana ia membebankan serta menghilangkan kekhusyu‘an dalam sembahyang. Namun jika ada sebab atau keuzuran seperti sakit sebelah kakinya atau patah, maka tidaklah dihukumkan makruh.
Begitu juga makruh hukumnya mendahulukan (mendepankan) sebelah kakinya ketika berdiri sembahyang.
8. Sembahyang dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil atau air besar.
Makruh mendirikan sembahyang dengan keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar atau membuang angin (menahan daripada kentut). Bahkan menjadi haram jika menahan itu akan memberi mudharat kepada dirinya.
Sunat membuang air kecil, air besar atau berkentut sebelum menunaikan sembahyang walaupun terpaksa meninggalkan sembahyang jemaah, asalkan tidak keluar dari waktu sembahyang atau masih luas waktunya.
9. Sembahyang dalam keadaan ingin makan atau minum
Makruh menunaikan sembahyang dengan adanya keinginan untuk memakan makanan atau meminum minuman yang sudah terhidang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Jangan (dahulukan) sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga jangan (dahulukan) sembahyang ketika dia sedang menahan daripada membuang air kecil dan air besar. (Hadits riwayat Muslim)
10. Meludah.
Makruh meludah ke hadapan atau meludah ke sebelah kanan sama ada ketika sembahyang mahupun di luar sembahyang.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu berludah kahak, maka janganlah berludah kahak di hadapannya, dan janganlah juga di sebelah kanannya. Hendaklah dia berludah ke sebelah kirinya atau ke bawah kaki kirinya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
11. Meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah).
Makruh meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah) tanpa ada hajat atau keuzuran. Perlakuan seumpama itu adalah sama seperti perbuatan orang kafir dan orang-orang yang menyombongkan diri, begitu juga iblis disingkirkan dari syurga dengan keadaan sedemikian.
12. Berlebihan tunduk ketika ruku‘.
Makruh merendahkan kepala atau meninggikannya daripada paras belakang ketika ruku’.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Dan Rasulullah apabila ruku‘ tidak menaikkan kepalanya dan tidak merendahkannya, akan tetapi di antara keduanya. (Hadits riwayat Muslim)
Makruh meletakkan dua lengan di atas tanah atau tempat sembahyang ketika sujud.
13. Bersandar
Makruh bersandar pada sesuatu sekira-kira jika jatuh tempat bersandar itu, maka diapun jatuh sama, seperti bersandar pada tiang. Dihukumkan makruh jika dia bersandar walaupun berdiri dengan kedua-dua kakinya. Tetapi jika sandaran itu membolehkan dia mengangkat kedua belah kakinya, maka batal sembahyangnya kerana dia dalam keadaan bergantung pada sesuatu dan bukannya berdiri.
14. Sembahyang di tempat-tempat sebagaimana tersebut di bawah:
• Makruh sembahyang dalam bilik mandi yang berdinding dan beratap.
• Makruh sembahyang di atas kubur.
Daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bumi ini keseluruhannya masjid (tempat bersembahyang) kecuali perkuburan dan bilik mandi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
• Makruh sembahyang di tempat maksiat seperti di tempat-tempat hiburan atau tempat yang didatangkan azab ke atasnya, contohnya kota kaum Tsamud dan seumpamanya.
• Makruh sembahyang di jalan-jalan tempat laluan orang ramai, begitu juga di pasar-pasar dan kawasan lapang tempat orang ramai bermain-main.
• Makruh sembahyang di tempat-tempat pembuangan sampah, begitu juga di tempat-tempat penyembelihan binatang dan di tempat-tempat seumpamanya yang diyakini adanya najis.
• Makruh sembahyang dalam kandang unta yang dikelilingi air walaupun bersih.
Daripada Abdullah bin Mughaffal al-Muzaniy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu sembahyang di kandang-kandang unta. Sesungguhnya ia (unta) ada daripada (sifat-sifat) syaitan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Adapun larangan dalam hadits di atas menunjukkan hukum makruh sembahyang dalam kandang unta, kerana unta suka berlari-lari dan tidak aman bagi seseorang mendirikan sembahyang di dalamnya. Sifat suka berlari dengan tergesa-gesa dan sifat membahayakan yang ada padanya adalah serupa dengan sifat syaitan sebagaimana disebut dalam hadits di atas
• Makruh sembahyang dalam gereja sama ada ia tempat beribadat orang Yahudi mahupun Nashrani, begitu juga tempat yang di dalamnya mempunyai gambar-gambar yang diagungkan atau berhala-berhala yang disembah oleh mereka.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mereka itu (orang-orang Yahudi dan Nashrani), apabila ada lelaki saleh yang mati di kalangan mereka, mereka bina di atas kuburnya masjid, dan mereka melukiskan padanya gambar-gambar. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada Hari kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
16. Mempercepatkan sembahyang
Makruh melakukan sembahyang dengan cepat tanpa berhati-hati atau teliti pada setiap perbuatan dan bacaan di dalam sembahyang, sekalipun tidak meninggalkan perkara-perkara yang dituntut dalam sembahyang.
Jika meninggalkan perkara-perkara yang dituntut di dalam sembahyang, umpamanya meninggalkan rukun sembahyang seperti meninggalkan bacaan al-Fâtihah, maka batal sembahyangnya.
Perkara-perkara makruh dalam sembahyang sebagaimana yang disebutkan ini seelok-eloknya dielakkan daripada melakukannya, agar sembahyang yang dilakukan memperolehi ganjaran kesempurnaan sembahyang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âla.
Kerjakan Sembahyang Sunat Taubat Sebelum Terlambat!
Tuntutan Bertaubat
Manusia secara semula jadinya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa sama ada terhadap Tuhannya mahupun sesama makhluk. Tidak kira dosa itu besar ataupun kecil, jiwa dan nafsu manusia itu sangat cenderung dan mudah terdorong untuk melakukan sesuatu yang terlarang, apatah lagi golongan yang tidak teguh iman mereka.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yusuf: 53)
Atas dasar ini, dan atas dasar rahmat dan belas kasihan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap hambaNya yang Maha Mengetahui akan kelemahan makhlukNya ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa membukakan pintu taubat untuk hambaNya yang sedar akan kesilapannya dan menyesal atas ketelanjurannya.
Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat
Terdapat beberapa dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk langsung kepada ketetapan hukum wajib melakukan taubat, antaranya:
1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan taubat nashûha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. rîm: 8)hTa-(Surah at
2. Di dalam sebuah hadits Qudsiy, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Maksudnya: Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu. (Hadits riwayat Muslim)
3. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Definisi Sembahyang Sunat Taubat
Sembahyang sunat Taubat ialah sembahyang sunat dua rakaat yang dikerjakan kerana ingin bertaubat daripada dosa dan kemaksiatan yang telah dilakukan, sama ada besar mahupun kecil, atas rasa kesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan dan ingin membersihkan diri daripada dosa serta berniat akan kembali kepada ketaatan dan berazam tidak akan mengulanginya.
Sembahyang sunat Taubat tidak disunatkan untuk didirikan secara berjemaah. Ia juga tidak terikat dengan waktu, maka bolehlah sembahyang sunat Taubat ini dikerjakan pada bila-bila masa termasuklah di waktu yang diharammkan untuk mendirikan sembahyang sunat.
Niat Sembahyang Sunat Taubat
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Surah-Surah Yang Sunat Dibaca
Tidak ada surah-surah yang dikhususkan untuk dibaca selepas membaca surah al- Fâtihah ketika mengerjakan sembahyang sunat Taubat ini. Dari itu, bolehlah dibaca mana-mana ayat al-Qur’an ataupun surah yang dirasakan mudah ataupun mampu dibaca.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Qur’an (dalam sembahyang). (Surah al-Muzzammil: 20)
Dalam permasalahan sembahyang sunat yang tidak dikhususkan bacaannya seperti sembahyang sunat Taubat ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sunat membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh.
Memperbanyakkan Istighfâr Dan Do‘a Selepas Sembahyang Sunat Taubat
Setelah selesai mengerjakan sembahyang sunat Taubat, dianjurkan untuk memperbanyakkan istighfar dan do‘a. Antara istighfâr dan do‘a yang diamalkan oleh para ulama selepas mengerjakan sembahyang sunat Taubat ialah:
Ertinya: Aku meminta ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia, Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendiriNya dan kepadaNya aku bertaubat.
Ertinya: Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Aku meminta ampun kepada Allah dan kepadaNyalah aku bertaubat.
Ertinya: Ya Allah! Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan selain Engkau. Engkau yang telah menciptakan diriku dan aku adalah hambaMu. Aku tetap dalam ikrar dan perjanjianMu sedaya upayaku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui semua ni‘matMu atas diriku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau.
Fadhilat Sembahyang Sunat Taubat
Fadhilat sembahyang sunat Taubat ini disebutkan dengan jelas dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang hamba pun yang melakukan suatu dosa, kemudian dia membersihkan dirinya (mengambil wudhu) dengan baik, kemudian dia bangun lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah (dengan penuh rasa kesal dan berazam untuk tidak mengulanginya kembali selama-lamanya), melainkan Allah ampunkan baginya. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Abdullah bin Buraidah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan daripada bapanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memanggil Bilal Radhiallâhu ‘anhu, lalu Baginda bertanya kepadanya:
Maksudnya: Wahai Bilal! Dengan (amalan) apa kau mendahului aku masuk syurga? Semalam aku telah memasuki syurga, lalu aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku.
Lalu Bilal Radhiallâhu ‘anhu pun menjawab:
Maksudnya: Aku tidak sekali-kali melakukan suatu dosa kecuali aku bersembahyang dua rakaat (sembahyang sunat Taubat), dan aku tidak sekali-kali didatangi hadas kecuali aku mengambil wudhu kerananya.
Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda:
Maksudnya: (Dengan amalan) inilah sebabnya (kau mendahului memasuki syurga). (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Syarat Sah Taubat
Para ulama telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa syarat taubat yang mesti dipenuhi. Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat berikut:
1. Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:
i. Meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera ii. Menyesali perbuatannya itu iii. Membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
2. Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.
Para ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang disebutkan di atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada tujuan yang lain melainkan semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ataupun semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.
Kesimpulan
Pintu taubat sentiasa terbuka. Sebesar manapun dosa seorang hamba itu, jika dia ikhlas bertaubat dan memohon ampun kepadaNya dengan memenuhi syarat-syarat yang dituntut dalam bertaubat, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mengampunkan dosanya dan menerima taubatnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Surah Âli ‘Imran: 135)
Dari itu selagi hayat masih dikandung badan, janganlah melambat-lambatkan taubat, kerana ajal akan menjemput pada bila-bila masa. Selagi roh belum sampai ke kerongkong, segeralah bertaubat, beristighfar dan kerjakanlah sembahyang sunat Taubat. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai ke kerongkong (nazak).
Sembahyang Sunat Wudhu: Peluang Meraih Pahala
Sembahyang sunat Wudhu ialah sembahyang sunat dua rakaat yang dikerjakan setelah mengambil air sembahyang atau berwudhu. Sembahyang ini akan terluput waktu mengerjakannya jika terpisah oleh jangka masa yang lama antara wudhu dengan sembahyang sunat wudhu menurut pendapat yang arjah (paling kuat).
Kaifiyyât Sembahyang Sunat Wudhu 1. Lafaz niatnya: Lafaz niat sembahyang sunat Wudhu:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Wudhu dua rakaat kerana Allah Ta‘ala. 2. Bacaan dalam sembahyang sunat Wudhu Disebutkan dalam kitab Fath al-‘Allâm bahawa surah dan zikir tertentu yang sunat dibaca dalam sembahyang sunat Wudhu ini sebagaimana yang dipetik daripada kitab al-Maslak al-Qarîb adalah seperti berikut: • Bacaan pada rakaat pertama: i. Membaca surah al-Fâtihah. ii. Membaca surah an-Nisâ’, ayat 64:
iii. Kemudian membaca surah al-Kâfirûn.
• Bacaan pada rakaat kedua: i. Membaca surah al-Fâtihah. ii. Membaca surah an-Nisâ’, ayat 110:
iii. Kemudian membaca surah al-Ikhlâsh. Bacaan ketika ruku’, i‘tidâl, sujud, duduk di antara dua sujud, duduk tahiyyat awal dan akhir adalah seperti biasa. Sesudah selesai sembahyang dibaca zikir-zikir di bawah ini sebanyak sepuluh kali.
Fadhilat Mengerjakan Sembahyang Sunat Wudhu Antara fadhilat mengerjakan sembahyang sunat Wudhu ini: 1. Memberi peluang untuk masuk ke syurga. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan perbualan antara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan Bilal Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Bilal ketika (selesai) sembahyang Fajar (Subuh): “Wahai Bilal, ceritakanlah padaku amalan apa yang paling kamu harapkan melakukannya dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi sepasang terompahmu di hadapanku di dalam syurga.” Bilal berkata: “Tidak ada amalan yang aku lakukan yang paling aku harapkan kecuali (ada satu amalan, iaitu) aku tidak berwudhu satu wudhu pun pada waktu malam ataupun siang, melainkan aku sembahyang dengan wudhu itu, sepertimana yang telah ditetapkan untukku melakukan sembahyang (sama ada fardhu atau sunat pada i‘tiqâd Bilal).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala dalam riwayat lain daripada Abu Buraidah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanggil Bilal Radhiallâhu ‘anhu lalu bertanya bagaimanakah dia mendahului Baginda di syurga. Bilal Radhiallâhu ‘anhu pun menjawab:
Maksudnya: Dan aku tidak pernah didatangi hadas melainkan aku (segera) mengambil wudhu ketika itu. Dan aku mengambil pendirian (kerana rasa syukur, aku membuat pilihan) bahawa demi Allah ke atasku (sembahyang) dua rakaat. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dengan kedua-dua amalan itu” (iaitu berwudhu apabila berhadas dan sembahyang dua rakaat setiap kali berwudhu maka Bilal memperolehi apa yang didapatnya).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Riwayat ini merupakan satu anjuran supaya orang-orang menyukai dan mengamalkan perbuatan seperti yang dibuat oleh Bilal itu.
2. Diampunkan dosa-dosa kecil.
Riwayat daripada Humran, hamba kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia melihat tuannya itu berwudhu kemudian beliau berkata:
Maksudnya: Aku (‘Utsman) telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil wudhu seperti cara wudhuku ini. Kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa yang berwudhu seperti wudhuku ini, kemudian (setelah berwudhu) dia sembahyang dua rakaat, dia tidak berkata-kata pada dirinya dalam kedua-dua rakaat sembahyangnya itu, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun maksud “dia tidak berkata-kata pada dirinya” ialah tidak memikirkan perkara yang berkaitan dengan keduniaan dan perkara yang tidak ada hubungkait dengan sembahyang (dengan senghaja). Manakala yang dimaksudkan dengan “diampunkan baginya dosanya” itu ialah dosa-dosa kecil.
Beberapa Persoalan Sembahyang Sunat Wudhu
1. Adakah sembahyang sunat wudhu ini tertunai dengan mendirikan sembahyang yang lain?
Sembahyang sunat Wudhu ini juga tertunai dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat dua rakaat yang lain sepertimana juga sembahyang sunat Tahiyyat Masjid.
Dalam hal ini al-‘Allamah Shawbari Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata: “Apabila mengerjakan salah satu daripada dua sembahyang tersebut (sembahyang sunat Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Wudhu) maka gugurlah tuntutan mengerjakan sembahyang yang satu lagi itu.”
Begitu juga boleh berniat salah satu daripada dua sembahyang itu atau berniat kedua-duanya sekali dan mengerjakannya sebanyak dua rakaat sahaja.
Walau bagaimanapun adalah lebih afdhal jika dilakukan kedua-dua sembahyang sunat tersebut dengan mendahulukan sembahyang sunat Tahiyyah al-Masjid dan kemudian sembahyang sunat wudhu.
Perkara ini afdhal dilakukan kerana dengan mengerjakan kedua-dua sembahyang itu, seseorang itu telah mengerjakan sembahyang sebanyak empat rakaat dan ini sudah tentu lebih pahalanya daripada melakukan sembahyang dua rakaat sahaja.
2. Bolehkah diqadha sembahyang sunat wudhu?
Sembahyang-sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana, sembahyang sunat Istisqâ’ dan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, tidaklah disyari‘atkan untuk diqadha, kerana sembahyang-sembahyang sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.
Sembahyang sunat Wudhu juga termasuk dalam kategori sembahyang yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang. Oleh itu tidaklah disunatkan mengqadhanya apabila telah berlalu waktu sunat mengerjakannya.
3. Bolehkah sembahyang sunat wudhu dilakukan dalam waktu makruh?
Waktu-waktu yang dimakruhkan mengerjakan ibadat sembahyang padanya ada lima, iaitu:
i. Ketika matahari akan terbit. ii. Ketika matahari akan terbenam. iii. Ketika matahari sedang berada di atas kepala. iv. Sesudah sembahyang Subuh, sama ada sebelum matahari terbit ataupun selepas matahari terbit.
v. Sesudah sembahyang Asar, baik ketika matahari akan terbenam mahupun belum.
Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu makruh ini ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tidak mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian. Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah itu pula kerana membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah.
Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidaklah makruh dan tidak pula haram. Misalnya sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang Jenazah, sembahyang Istisqa’, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhuha, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, sujud tilâwah dan sujud syukur dan lain-lain sembahyang yang sebabnya terdahulu.
Begitu juga sembahyang sunat Wudhu adalah antara sembahyang yang mempunyai sebab terdahulu, maka ia harus dilakukan dalam waktu-waktu yang makruh melakukan sembahyang.
Penutup
Sembahyang sunat amat besar fadhilatnya, di mana selain daripada mengharapkan rahmat serta maghfirah, ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Selain itu ia juga dapat menampal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu yang kita lakukan. Antara sembahyang-sembahyang sunat itu ialah sembahyang sunat Wudhu. Oleh itu hendaklah ia dikerjakan dan dijadikan amalan kerana fadhilatnya amatlah besar.
Awas! Jangan Lalu Di Hadapan Orang Sembahyang
Kekhusyukan dalam sembahyang iaitu menghadirkan hati ketika melaksanakan ibadat sembahyang amat penting kerana pada waktu inilah saat seorang hamba menghadap Tuhannya. Salah satu cara mendatangkan kekhusyukan dalam sembahyang ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan sekalipun bersembahyang di dalam keadaan gelap. Namun adakalanya kekhusyukan dalam sembahyang itu hilang dengan sebab adanya gangguan sekeliling, umpamanya orang lalu atau berjalan di hadapan orang yang sedang bersembahyang.
Di sini timbul persoalan mengenai hukum orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang.
Sembahyang Dengan Meletakkan Sutrah (Pendinding/ Pembatas) Di Hadapan
Sunat bagi orang yang hendak melakukan sembahyang termasuklah sembahyang jenazah, membuat atau meletakkan sutrah (pendinding/pembatas) yang mengarah ke kiblat dan menghadapnya, seperti menghadap dinding atau tiang dan yang seumpamanya seperti kayu yang terpacak. Tinggi sutrah itu pula hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu kira-kira 30.5 sentimeter atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang.
Tujuan pembatasan tersebut adalah sebagai peringatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah dan orang yang sedang bersembahyang.
Jika tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau barang-barang yang dikumpulkannya di hadapannya untuk dijadikan sutrah.
Jika tidak ada, sunat baginya menyediakan sutrah dengan membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat garisan pada kawasan di hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter, atau kurang daripada kadar tersebut.
Cara ini adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan (meletakkan) sesuatu di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat (di hadapannya). Jika tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan demikian, apa sahaja yang lalu di hadapannya, tidak akan memudharatkannya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Walaupun kedudukan hadits ini dha‘îf, tetapi ia boleh dipakai di dalam perkara fadhâ’il A‘mâl kerana cara membuat sutrah termasuk di dalam perkara fadhail a‘mal itu.
Hukum Melintas Di hadapan Orang Yang Bersembahyang Dan Menghalangnya
Jika seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat sebagaimana di atas, maka sunat baginya atau orang lain yang mengetahui sutrah tersebut untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan sutrah tersebut.
Dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullâh, Abu Shalih as- Samman Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa dia telah melihat sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu sedang bersembahyang menghadap sesuatu yang membatasinya daripada (laluan) orang ramai. Lalu seorang pemuda keturunan Bani Abu Mu‘aith ingin lalu di hadapannya, maka Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu pun menghalangnya. Pemuda tersebut melihat sekeliling, namun tidak menjumpai jalan yang boleh dilalui kecuali di hadapan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu yang sedang bersembahyang itu. Maka dia cuba lagi untuk lalu, namun dihalang oleh Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu. Setelah itu dia pergi menemui Marwan dan mengadu mengenai perlakuan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu itu. Abu Sa‘id al- Kudriy Radhiallâhu ‘anhu datang dari belakang pemuda tersebut, lantas Marwan bertanya kepadanya tentang apakah yang berlaku antaranya dan anak saudaranya (pemuda tersebut). Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu menjawab, bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang dengan menghadap sesuatu yang mendindingnya daripada orang ramai, jika ada seseorang yang hendak lalu di hadapannya maka hendaklah dia menghalangnya (semampunya). Jika dia engkar (tidak menghiraukan halangan itu), maka hendaklah menghalangnya sekalipun sampai membunuhnya. Maka sesungguhnya dia adalah syaitan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ada dua tafsiran dengan apa yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’ di dalam hadits di atas iaitu:
1. Orang yang lalu di hadapan orang sembahyang itu lalu bersama-samanya syaitan.
2. Dia adalah syaitan daripada kalangan manusia. Seseorang itu dianggap sebagai syaitan daripada kalangan manusia kerana dia telah melakukan perbuatan syaitan dengan menghalang seseorang daripada melakukan ketaatan.
Adalah haram bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu. Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang terkenal dengan gelaran asy-Syafi‘e ash-Shaghîr berpegang bahawa tidak ada perbezaan antara yang mukallaf dan bukan mukallaf, kerana kedua-duanya sunat dihalang jika lalu atau melintas di hadapan orang sembahyang. Begitu juga dengan sutrah yang diletakkan oleh orang lain di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah juga haram bagi sesiapa saja untuk lalu pada perbatasan itu.
Sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Juhaim Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanyakan mengenai apa yang didengarnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang orang yang lalu di depan orang bersembahyang, dan dia berkata:
Maksudnya: Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu, tentunya dia akan berhenti (menanti) selama 40, lebih baik baginya daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Berkata Abu an-Nadhr, salah seorang perawi hadits di atas: “Aku tidak pasti adakah Baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.”
Namun begitu tidak haram baginya untuk lalu di luar daripada kawasan yang diletakkan sutrah tersebut. Sembahyang seseorang itu pula tidak batal dengan sebab orang lalu di hadapannya.
Jika seseorang meletakkan sutrah di hadapannya, akan tetapi orang lain tidak mengetahui akan adanya sutrah tersebut, maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu, hendaklah dia menghalangnya.
Jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk lalu di hadapannya, akan tetapi hukumnya makruh iaitu lebih baik untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang itu.
Cara Menghalang Orang Lalu Di Hadapan Orang Bersembahyang
Cara menghalang atau menolak seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu adalah dengan seringan-ringan gerakan. Menurut beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘e, menghalang atau menolak orang yang lalu itu adalah dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.
Sutrah Ketika Sembahyang Di Tempat-Tempat Khas Untuk bersembahyang
Mendirikan sembahyang di tempat-tempat dikhususkan untuk bersembahyang, seperti di dalam masjid atau mushallâ, setiap saf adalah menjadi sutrah kepada orang yang berada di belakang saf itu, jika saf tersebut dekat dengannya. Ukuran dekat di sini ialah jarak di antara dua saf itu adalah 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang.
Jika seseorang masuk ke tempat sembahyang dan dia mendapati ada tempat kosong pada saf yang pertama ketika orang sedang mendirikan sembahyang berjemaah, maka tidaklah mengapa baginya lalu serta berhenti di hadapan orang yang mendirikan sembahyang pada saf yang kedua dengan tujuan memenuhi saf agar tidak menjejaskan kesempurnaan berjemaah.
Adapun mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan manusia, umpamanya pada jalan-jalan yang sering dilalui orang atau pada pintu-pintu masjid pada waktu-waktu sembahyang, maka tidak haram lalu di hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di hadapannya.
Daripada penjelasan di atas, maka jelaslah kepada kita tentang kedudukan dan nilai ibadat sembahyang di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sebaik sahaja sembahyang itu didirikan di satu-satu tempat, maka tidak dibenarkan lalu atau melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang sehinggakan orang yang bersembahyang dibolehkan menggerakkan tangannya untuk menghalang orang yang lalu atau melintas di hadapannya itu.
Sunat-Sunat Hai’at: Jangan Tinggalkan Walaupun Sunat
Peluang untuk memperolehi pahala sembahyang yang sempurna boleh diraih dengan melaksanakan perkara-perkara sunat dalam sembahyang. Selain sunat ab‘adh, terdapat juga sunat yang dinamakan sunat hai’at. Berbeza dengan sunat ab‘adh, sunat hai’at ini tidak perlu diganti dengan sujud sahwi jika ditinggalkan sama ada secara senghaja atau terlupa. Namun jika ditinggalkan, seseorang itu akan mengalami kerugian kerana tidak mendapat pahala sunat dan hikmah yang terkandung di dalamnya.
Sunat Hai’at dalam sembahyang amat banyak, antaranya:
1. Sunat mengangkat kedua tangan separas bahu ketika takbîratul-ihrâm, iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga, kedua telapak dihadapkan ke kiblat serta jari-jari diceraikan pada jarak yang sederhana.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Malik, daripada Ibnu Syihab, daripada Salim bin ‘Abdullah, daripada bapanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan separas bahunya apabila memulakan sembahyang (ketika takbîratul-ihrâm). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Awal permulaan mengangkat tangan adalah pada permulaan takbîr dan berterusan sehinggalah selesai takbîr. Menurut pendapat yang mu‘tamad, sunat menyudahkan kedua-duanya (takbîr dan mengangkat tangan) bersama-sama.
2. Sunat mengangkat kedua-dua tangan ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun dari ruku‘.
Sahabat Ibnu Umar Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan:
Maksudnya: Aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila dia bangkit dalam sembahyang, Baginda mengangkat tangannya hingga separas bahu. Baginda melakukan begitu ketika mengangkat takbîr untuk ruku‘, dan melakukan begitu ketika mengangkat kepalanya dari ruku‘ (sesudah ruku‘). (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Sunat mengangkat kedua-dua tangan selepas bangkit dari tasyahhud awwal iaitu selepas rakaat yang kedua. Tempat mula mengangkat tangan ialah apabila sampai had minima ruku‘. Had minima ruku‘ itu pula ialah badan membongkok sehingga dua tapak tangan dapat memegang dua lutut.
Diriwayatkan daripada Nafi‘ Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma mengangkat kedua-dua tangannya apabila bangkit dari rakaat yang kedua. Perbuatan mengangkat tangan itu diikutnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan mengangkat tangan ketika takbîratul-ihrâm, sebelum dan selepas ruku‘ serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal ini adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, memohon ganjaran pahalaNya dan mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan tersebut adalah isyarat kepada menyingkirkan apa yang selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menghadirkan tumpuan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sepenuhnya dalam sembahyang.
4. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di atas belakang tangan kiri, serta diletakkan kedua-duanya di tengah antara bawah dada dan atas pusat.
Diriwayatkan daripada Thawus Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mendakapkan kedua-duanya pada dadanya, ketika itu Baginda sedang mendirikan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Kedua-dua tangan yang diletakkan pula sunat diletakkan ke kiri sedikit. Hikmah di sebaliknya adalah kerana di kawasan tersebut letaknya semulia-mulia anggota iaitu hati, dan dengan meletakkan tangan di sana seolah-olah seseorang itu menjaga iman yang ada di dalam hatinya. Ini kerana apabila seseorang itu menjaga atau memelihara sesuatu benda, maka kedua-dua tangannya ditemukan pada benda tersebut.
5. Sunat melihat tempat sujud ketika sembahyang, kerana dengan cara tersebut akan memudahkan dan membantunya untuk khusyuk. Begitu juga halnya dengan orang buta atau orang yang sembahyang dalam gelap, adalah sunat bagi mereka untuk menghalakan pandangan kepada tempat sujud seolah-olah mereka melihat tempat mereka sujud.
6. Sunat membaca do‘a iftitâh selepas takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca al-Fâtihah.
Dijelaskan dalam kitab Hasyiah ‘Iânah ath-Thâlibîn bahawa disunatkan do‘a iftitâh dengan lima syarat sebagaimana di bawah:
i. Ia dibaca bukan pada sembahyang jenazah
ii. Yakin tidak akan terluput waktu sembahyang fardhu jika membaca do‘a iftitâh.
iii. Ma’mum yakin sempat membaca al-Fâtihah jika membaca do‘a iftitâh.
iv. Ma’mum yang masbûq mendapati imam masih berdiri ketika dia hendak mengikutnya. Dalam keadaan ini, maka sunat dia membaca do‘a iftitâh, dengan syarat jika dia mendapati imam sedang i‘tidâl atau ruku‘, maka wajib dia mengikut imam.
v. Membaca do‘a iftitâh selepas takbîr, iaitu tidak memulai sembahyang dengan ta‘awwudz ( ِهجِيمر ه ي ْ َان ِ الأَعُ وذ ُ لِهلل ِ مِ ن َ الط) atau selepas bacaan-bacaan lain
Terdapat beberapa hadits shahih daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai bacaan sesudah takbîratul-ihrâm, antaranya:
Ertinya: Allah Maha Besar dengan segala kebesaranNya. Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku pada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan mengakui kebenaran dan menyerahkan diri kepadaNya. Dan aku tidaklah tergolong daripada kalangan orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dengan demikianlah, aku diperintah dan aku tergolong daripada orang-orang Islam. Ya Allah, Engkaulah Penguasa, tiada tuhan selain Engkau. Engkau Tuhanku dan aku hambaMu. Aku aniaya diriku dan aku akui dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku itu kerana tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau. Berilah hidayah kepadaku untuk memiliki akhlak yang mulia, kerana tidak ada yang dapat menuntun kepadanya (kepada akhlak yang mulia) kecuali Engkau. Hindarkan daripadaku akhlak yang rosak, kerana tidak ada yang dapat menghindarkannya kecuali Engkau. Aku menyahut panggilanMu dan aku terima perintahMu. Semua kebaikan berada di tanganMu dan kejahatan tidak kembali kepadaMu, aku bersamaMu dan kembali kepadaMu. Engkau Maha Suci dan Engkau Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan kembali bertaubat kepadaMu.
Do‘a iftitâh sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits-hadits, disunatkan membaca untuk orang yang sembahyang bersendirian. Bagi imam pula, hendaklah ada persetujuan daripada ma’mum jika dia ingin memanjangkan do‘a iftitahnya. Jika tidak mendapat persetujuan ma’mum, maka tidak boleh baginya memanjangkan bacaannya dan memadai baginya membaca sebahagian sahaja. Lebih baik baginya
juga bacaan bagi orang yang sembahyang bersendirian jika dia memilih untuk tidak memanjangkan bacaan do‘a iftitâhnya.
7. Sunat membaca ta‘awwudz sebelum membaca Basmalah: ( ِهحِيمر همحْن ِ الر بِسْ م ِ هللا ِ ال) walaupun pada sembahyang jenazah Lafaz ta‘awwudz:
Ertinya: Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.
Sunat membaca ta‘awwudz pada setiap rakaat, namun membacanya pada rakaat pertama amat ditekankan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Adzkâr: “Disunatkan ta‘awwudz pada rakaat yang pertama. Jika tidak dibaca pada rakaat pertama, maka dibaca pada rakaat kedua. Jika tidak dibaca pada rakaat kedua, dibaca pada rakaat seterusnya. Sekiranya pada rakaat pertama sudah mengucapkan ta‘awwudz, maka membacanya pada rakaat yang selanjutnya pada pendapat yang lebih shahîh adalah sunat. Namun membaca pada rakaat yang pertama lebih mu’akkad (lebih diberatkan).
8. Sunat orang yang sembahyang membaca “ ِِْل ََ ِ اغْفِ ر ر ” selesai membaca al- Fâtihah dan sebelum menyebut “âmîn”.
Menurut Imam Syabramallisi Rahimahullâh ditambah: “ ِْيَ وَلِوَالِد ََّه و َْلَِمِيع ِ الْمُسْلِم”
9. Sunat membaca “amin” (ِْي آم) selesai membaca al-Fâtihah.
Sunat mengucapkan bacaan “âmîn” bagi imam, ma’mum dan orang yang sembahyang sendirian. Di dalam sembahyang yang disunatkan menjahr (menyaringkan) bacaan, imam dan orang yang sembahyang sendirian disunatkan menyaringkan bacaan “âmîn”. Menurut pendapat yang shahih sunat bagi ma’mum, sama ada sedikit atau ramai jemaahnya menyaringkan bacaan “âmîn” bersama-sama dengan imam, iaitu tidak mendahului atau mengakhirkan bacaan “âmîn” daripada “amin” imam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam telah membaca: َ katakanlah “âmîn”, kerana sesungguhnya barang siapa bersamaan bacaan (âmîn)nya dengan bacaan (âmîn) malaikat, diampunkan segala dosa-dosa (kecil)nya yang lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
10. Sunat diam sebentar pada kadar bacaan “ سُبْحَان َ هللا ”pada tempat-tempat berikutأ i. Antara takbîratul-ihrâm dan do‘a iftitâh. ii. Antara do‘a iftitâh dan ta‘awwudz. iii. Antara ta‘awwudz dan Basmalah. iv. Antara akhir al-Fâtihah dan lafaz “âmîn”. v. Antara lafaz “âmîn” dan permulaan surah. vi. Antara akhir surah dan takbîr untuk ruku‘.
11. Sunat dibaca ayat-ayat atau surah al-Qur’an selepas bacaan surah al-Fâtihah pada dua rakaat pertama.
Sunat memanjangkan bacaan ayat-ayat atau surah al-Qur‘an pada rakaat pertama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanjangkan bacaan surah pada rakaat yang pertama ketika sembahyang fardhu Zuhur dan memendekkannya pada rakaat yang kedua.
12. Apabila ma’mum selesai membaca al-Fâtihah pada rakaat ketiga dan keempat, dan imam belum lagi ruku‘, sunat bagi ma’mum mengisikan waktu tersebut dengan membaca do‘a atau membaca ayat-ayat al-Qur’an. Namun yang lebih awlâ (utama) adalah membaca ayat-ayat al-Qur’an. Manakala jika imam belum lagi berdiri selepas tasyahhud awwal, maka sunat bagi ma’mum menyambung selawat untuk ahli keluarga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan seterusnya.
13. Sunat dibaca surah-surah tertentu di dalam sembahyang fardhu yang dilakukan pada hari Jumaat sebagaimana berikut:
i. Di dalam sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang fardhu Isya’, sunat dibaca surah al-Jumu‘ah pada rakaat pertama dan surah al- Munâfiqûn pada rakaat kedua, atau surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
ii. Di dalam sembahyang fardhu Subuh, sunat dibaca surah as-Sajadah pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
iii. Di dalam sembahyang fardhu Maghrib, sunat dibaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua.
14. Bagi imam dan orang yang sembahyang bersendirian adalah sunat menyaringkan suara ketika sembahyang Subuh, pada dua rakaat pertama sembahyang Maghrib, sembahyang Isya’, pada dua sembahyang Hari Raya, Tarawih, Witir di bulan Ramadhan dan ketika sembahyang Gerhana Bulan. Begitu juga disunatkan imam menyaringkan suara ketika sembahyang fardhu Jumaat.
15. Sunat takbîr al-intiqâl (takbîr untuk berpindah dari satu rukun pada satu rukun yang lain) ketika tunduk untuk ruku‘ dan sujud, dan ketika bangkit dari sujud dan tasyahhud awwal.
16. Sunat bagi imam menyaringkan suara pada takbîratul-ihrâm dan takbîr al-intiqal dengan tujuan zikir sahaja atau dengan tujuan zikir serta makluman kepada ma’mum. Manakala bagi ma’mum dan orang yang bersembahyang secara bersendirian, makruh hukumnya mengeraskan suara pada bacaan tersebut.
17. Ketika ruku‘, sunat menyamaratakan kedudukan punggung, leher dan kepala, serta tangan memegang kedua belah lutut.
18. Bagi lelaki sunat merenggangkan kedua belah siku dari rusuk dan merenggangkan perut dari kedua belah paha ketika ruku‘ dan sujud. Manakala bagi perempuan sunat merapatkan anggota-anggota tersebut.
19. Ketika ruku‘, sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika ruku‘:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Agung dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Kemudian sunat disambung lagi dengan do‘a:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku ruku‘, dan hanya kepadaMu aku beriman, dan hanya kepadaMu aku berserah diri. Aku menundukkan kepadaMu pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulang belulangku, urat sarafku, rambut-rambutku, kulitku dan apapun yang dilakukan oleh kakiku, semuanya kerana Allah Tuhan semesta alam.”
Namun begitu, jika tidak mahu menggabungkan bacaan di atas ketika ruku‘, maka membaca tasbîh sebanyak tiga kali adalah lebih awlâ (utama) berbanding bacaan-bacaan yang lain.
20. Ketika bangkit dari ruku‘ sunat dibaca:
Ertinya: Allah mendengar sesiapa yang memujiNya.
Sunat memanjangkan bacaan tersebut bermula dari ketika bangkit dari ruku‘ sehingga berdiri tegak sebelum sujud.
Kemudian sunat dibaca:
Ertinya: Tuhan kami, bagiMu segala puji sepenuh langit, sepenuh bumi, sepenuh apa yang ada di antara keduanya dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki daripada sesuatu selepas itu.
21. Sunat meletakkan kedua-dua lutut ke tempat sujud terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua belah tapak tangan dan dahi. Meletakkan ketiga-tiganya mengikut tertib adalah sunat, tetapi meletakkan ketiga-tiganya di tempat sujud hukumnya adalah wajib.
22. Sunat meletakkan hidung di atas tempat sujud.
23. Sunat membuka kedua kelopak mata ketika sujud agar berterusan memandang tempat sujud bagi mendapatkan kekhusyukan dalam sembahyang.
24. Ketika sujud sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika sujud:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku bersujud, kepadaMu aku beriman dan kepadaMu aku berserah diri. Bersujud wajahku kepada yang menciptakannya dan membentukkannya, dan kepada yang membuka pendengarannya dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kekuatanNya. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta.
Disunatkan memperbanyakkan do‘a ketika sujud sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Antara yang sunat dibaca ketika bersujud:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu daripada seksaanMu. Dan aku berlindung denganMu daripada (azab)Mu. Aku tidak dapat menghitung puji-pujian kepadaMu sebagaimana puji-pujian Engkau terhadap diriMu. Ya Allah, ampunilah aku daripada dosaku keseluruhannya, sedikitnya dan banyaknya, awalnya dan akhirnya, yang nyata dan yang tersembunyi.
25. Sunat duduk al-iftirâsy ketika duduk di antara dua sujud dan juga duduk pada tasyahhud awwal. Duduk al-iftirâsy ialah duduk di atas buku lali kiri yang menghadap ke lantai sambil tapak kaki kanannya ditegakkan dengan anak perut jari-jarinya dihadapkan ke kiblat.
26. Duduk istirahat sebentar dengan kadar duduk di antara dua sujud iaitu ketika selesai sujud kedua sebelum berdiri.
27. Sunat kedua tapak tangan bertelekan pada tempat sembahyang ketika bangun dari sujud dan dari duduk tahiyyat awal atau dari duduk istirahat lepas sujud. Cara ini dapat memudahkan seseorang untuk berdiri dan ia lebih menyerupai dengan maksud tawâdhu‘ (merendahkan diri) kerana yang pasti dengan cara ini seolah-olah seseorang itu berdiri sebagaimana orang yang lemah berdiri iaitu dengan memerlukan bantuan. Cara ini juga yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
28. Sunat duduk at-tawarruk ketika duduk tasyahhud akhir. Duduk at-tawarruk ialah duduk seperti duduk al-iftirâsy, kecuali dalam duduk at-tawarruk sebahagian tapak kaki di sebelah kiri dikeluarkan melalui bawah kaki kanan serta pangkal paha kiri diletakkan ke lantai (tempat sembahyang).
29. Ketika membaca syahadat (أَش ْهَد ُ أَن ْ ل إِل ه َ إِاله هللا) dalam tasyahhud, sunat menaikkan telunjuk dengan mencondongkannya sedikit ketika membaca “ إال هللا” dan mengekalkannya sehingga hendak bangkit dari tasyahhud awwal dan sebelum memberi salam pada tasyahhud akhir. Lebih afdhal, jika digenggam jari-jari yang lainnya ketika telunjuk dinaikkan dan sunat memandang pada telunjuk ketika ia dinaikkan.
30. Ketika memberi salam, sunat diniatkan memberi salam kepada orang yang di sebelah kanan dan kirinya, baik terhadap malaikat serta mukmin yang terdiri daripada kalangan manusia dan jin.
Begitulah antara perkara-perkara sunat dalam sembahyang yang perlu diketahui dan diambil ingatan. Dengan mempelajari dan mengaplikasikannya secara sempurna dalam sembahyang sehari-hari, diharap ibadat yang dilakukan akan memperoleh keredhaan dan keberkatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Di Mana Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang?
Hala pandangan mata ketika sembahyang boleh membantu seseorang itu memperolehi kekhusyukan dalam sembahyang dan adakalanya pula ia boleh menyebabkan kekhusyukan itu hilang, umpamanya jika terpandang sesuatu yang boleh mengganggu fikiran mahupun tumpuan hati terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Maka atas dasar ini, hala pandangan mata ketika sembahyang itu merupakan suatu perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian kerana ia sangat berkait rapat dengan kekhusyukan. Kemanisan ibadat sembahyang tidak akan dapat dirasa atau diperolehi tanpa rasa khusyuk ketika mendirikannya.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak mengangkat takbîratul-ihrâm sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:
1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.
Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.
2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut kerana orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang ditakutinya, seperti musuh dalam peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas hartanya dan sebagainya. Dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.
3. Apabila tempat sujud itu terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping tempat sujud itu pula merupakan suatu tempat yang sangat mulia.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullâh. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullâh.
Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj ialah sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sungguhpun tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu.
Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullâh yang mengatakan bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘îfkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.
Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang
Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘îf.
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama). Ini kerana tidak pernah dikhabarkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Radhiallâhu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.
Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun orang lain.
Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullâh pula memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya. Dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.
Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada terpandang akan sesuatu yang haram.
Hukum Menghalakan Pandangan Mata Ke Arah Langit Ketika Sembahyang
Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika sembahyang? Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas sehinggalah Baginda bersabda: “Hendaklah mereka itu berhenti daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata mereka).” (Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah pakaian ataupun sejadah yang mempunyai lukisan, gambar dan sebagainya.
Hukum Membaca Al-Qur’an Melalui Mushaf Ketika Sembahyang
Membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang, tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada ayat-ayat yang dibaca itu sudah dihafal ataupun belum. Ini berdasarkan suatu riwayat bahawa Zakwan iaitu hamba milik ‘Aishah Radhiallâhu ‘anha pernah mengimamkan beliau dengan membaca al-Qur’an melalui Mushaf pada bulan Ramadhan.
Begitu juga tidak batal sembahyang kerana membalik kertas mushaf mahupun buku ataupun kertas yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca daripadanya ketika sembahyang, selama orang itu dapat menjaga pergerakannya daripada melakukan tiga pergerakan berturut-turut yang menurut mazhab asy- Syafi‘e perbuatan seumpama ini akan membatalkan sembahyang.
Bagaimanapun menurut mazhab asy-Syafi‘e, membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang ini hukumnya adalah makruh kerana ia menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab. Maka sebaiknya perbuatan tersebut dielakkan, kerana selain daripada menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab, ia juga boleh mengurangkan kekhusyukan serta mengganggu tumpuan ketika sembahyang.
Bagi orang yang tidak hafal surah al-Fâtihah pula, wajib baginya membaca surah al-Fâtihah melalui Mushaf ketika sembahyang. Adapun di luar sembahyang pula, menurut sebahagian ulama, membaca dengan cara melihat Mushaf itu adalah lebih afdhal kerana ia menggabungkan dua ibadat dalam satu masa iaitu membaca mushaf dan melihatnya, sebab melihat Mushaf itu pun merupakan suatu ibadat. Di samping itu, membaca daripada Mushaf dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya kesalahan ketika membacanya.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa membaca melalui hafalan itu lebih afdhal kerana ia menjauhkan daripada timbulnya sifat ria‘, di samping itu juga ia lebih menambahkan rasa khusyuk ketika membacanya.
Penutup
Pandangan mata sangat berpengaruh terhadap jiwa, fikiran serta tumpuan seseorang, apatah lagi ketika sedang sembahyang, kerana syaitan itu sering sahaja mencari-cari peluang untuk mencacatkan sembahyang seseorang.
Dari itu, hala pandangan mata ketika sembahyang bukanlah suatu perkara yang remeh. Ia sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang seseorang kerana ia dapat membantu seseorang itu menghadirkan hatinya ketika sembahyang, sekaligus akan mendatangkan rasa khusyuk. Kerana itulah orang yang sedang sembahyang disunatkan untuk menetapkan pandangan matanya ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang kecuali pada tempat-tempat serta keadaan-keadaan tertentu. Ini bagi mengelakkan seseorang itu daripada terpandang segala perkara yang boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuannya ketika sembahyang.
Memakai Minyak Wangi Dan Minyak Rambut Beralkohol Ketika Sembahyang
Islam telah meletakkan kebersihan sebagai kunci bagi sahnya ibadat sembahyang. Oleh karena itu tidak akan diterima sembahyang seorang Muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang digunakan pun dalam keadaan bersih. Kebersihan dikira sebagai menentukan sahnya sembahyang seseorang itu, kerana najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah.
Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?
Pengertian Alkohol
Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara:
1. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)
2. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)
Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.
Kenajisan arak
Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.
Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Oleh itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan. Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram.
Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan yang tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:
Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas berkata:
Ertinya: (Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.
Ibnu Hajar Rahimahullâh menghuraikan lagi:
Ertinya: (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur.
Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.
Hukum Alkohol Daripada Arak
Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa keperluan yang syar‘i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:
Ertinya: Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar‘i).
Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.
Hukum Alkohol Sintetik Atau Tiruan Daripada Campuran Bahan Kimia
Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti racun.
Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.
Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.
Perkara Yang Meragukan Hendaklah Ditinggalkan
Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak wangi atau minyak rambut itu, adakah ia diambil dari sumber yang suci atau najis.
Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang bersabda:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)
Dalam hadits yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharamannya adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Maka barang siapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan barang siapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu jelaslah bahawa menggunakan minyak wangi atau minyak rambut mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak adalah haram, kerana ia adalah najis dan tidak sah dibawa sembahyang. Manakala minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah diharuskan, kerana ia bukan najis dan sah dibawa sembahyang.
Walau bagaimanapun apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi atau minyak rambut, sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan daripada menggunakannya. Tambahan pula di pasaran banyak terdapat minyak wangi atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita.
Sembahyang Jumaat: Jangan Pakai Pakaian Asal Pakai!
Pakaian sering kali dianggap sebagai satu tanda atau lambang keperibadian seseorang. Bukan itu saja, bahkan pakaian juga berperanan menggambarkan identiti sesuatu agama. Umpamanya, berjubah, bertengkolok atau berserban merujuk kepada Islam, malahan banyak lagi pakaian yang merujuk kepada Islam berdasarkan keadaan setempat. Manakala pakaian yang dipakai oleh seorang sami dan paderi pula merujuk kepada agama Buddha dan Kristian, demikian jua pakaian Yahudi dan lain-lain agama ada identitinya tersendiri.
Walaupun kewajipan utama berpakaian dalam Islam itu hanyalah untuk menutup aurat sahaja, namun banyak aspek perlu dititikberatkan kerana perkara berpakaian ini bukanlah suatu perkara yang boleh diringankan dan dianggap remeh. Antaranya dari aspek berhias, kebersihan, kecantikan, cara dan tempat di mana sesuatu pakaian itu hendak dipakai supaya bersesuaian dengan kehendak hukum adat, selain syara‘nya. Umpamanya ketika Hari Raya kita dikehendaki memakai pakaian seindah mungkin. Begitu juga dengan pakaian pasukan keselamatan, ia tidak sama dengan pakaian-pakaian beruniform yang lain. Semuanya merujuk kepada identiti dan mudahnya mengenali mereka untuk sebarang tujuan keselamatan.
Apa yang pasti, ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai untuk pergi ke sesuatu majlis atau tempat adalah merupakan faktor utama yang boleh mengurangkan atau menjatuhkan maruah seseorang. Hal ini diperkuatkan dengan perkataan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.
Selaku orang Melayu yang beragama Islam, kita (orang-orang Melayu Brunei) terikat dengan hukum-hakam syara‘ dan adat budaya. Di samping berpakaian menutup aurat, cara berpakaian dengan sopan dan sesuai dengan majlis yang dihadiri juga telah lama disemai dan dipraktikkan. Apa yang pasti, warga Brunei memang mempunyai budaya berpakaian yang selari dengan kehendak hukum syara‘. Pakaian cara Melayu Brunei sebenarnya amat menepati ciri-ciri menutup aurat dalam Islam, di samping mempunyai nilai seni tradisi yang sopan lagi indah. Adalah lebih indah dan baik sekiranya baju cara Melayu Brunei yang lengkap inilah yang dipakai untuk sembahyang Jumaat dan dipilih yang berwarna putih kerana menurut sunnah.
Namun perkembangan mutakhir cukup merisaukan, dengan merujuk kepada jemaah masjid yang hendak menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana ada jemaah yang berpakaian mengikut sesuka hati. Penilaian berpakaian itu bukan hanya setakat menutup aurat, akan tetapi kesesuaiannya meliputi keindahan dan perhiasan, sesuai dengan tuntutan syara‘ supaya berhias-hias setiap kali sembahyang termasuk ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat.
Di negara kita Brunei Darussalam - pada suatu masa - khususnya apabila bercakap mengenai pakaian sembahyang fardhu Jumaat, mempunyai identitinya yang tersendiri. Seseorang itu akan kelihatan janggal atau ganjil jika dia tidak memakai pakaian cara Melayu yang lengkap dengan samping atau sinjang, lebih-lebih lagi kalau tidak bersongkok atau berketayap putih bagi menandakan dia telah naik haji seperti juga memakai pakaian gamis. Demikianlah pakaian sewaktu menunaikan sembahyang Jumaat.
Tetapi sejak akhir-akhir ini, trend hadir ke masjid pada hari Jumaat dengan ‘cara Melayu’ tanpa samping atau sinjang sudah dianggap tidak apa-apa, sudah menjadi perkara biasa, nampaknya seperti boleh diterima, padahal kita tidak boleh biarkan demikian. Kalau ini terus berlaku dan dibiarkan, ia akan menular di kalangan orang Melayu. Tanpa disedari kita ‘membunuh’ suatu budaya yang indah dan sopan ketika pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat.
Ke masjid pada hari Jumaat dengan memakai pakaian ‘asal pakai’ ini, umpamanya seperti memakai pakaian sukan, pakaian seperti hendak ke pasar atau seperti hendak masuk hutan. Semua pakaian tersebut adalah tidak sesuai, tidak layak serta tidak manis dipakai untuk menghadiri sembahyang fardhu Jumaat. Kita tekankan sekali lagi, kita bukan hanya bercakap tentang pakaian yang sekadar menutup aurat, tetapi yang terbaik, sopan dan manis. Malahan agama juga menganjurkan sedemikian.
Tambah menyedihkan lagi, apabila golongan yang dianggap tua juga mula terikut-ikut ingin mencuba gaya pakaian baju Melayu tanpa samping, ‘asal pakai’ saja. Sepatutnya golongan tua menjadikan diri mereka sebagai contoh ikutan yang baik kepada anak-anak mereka atau generasi muda supaya amalan tradisi dan budaya pakaian orang Brunei yang terkenal dengan baju Melayunya yang lengkap itu tidak hilang, kerana ia menggambarkan suatu identiti pakaian Brunei kita.
Sikap Bank Islam di mana kakitangannya memakai baju Melayu lengkap sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat, patut dipuji. Pihak swasta yang lain pun patut mengambil inisiatif dan langkah yang sama.
Sekalipun berpakaian lengkap bukan sebagai syarat sah atau tidaknya sesuatu sembahyang termasuk sembahyang Jumaat, namun kita patut berfikir bahawa kita sebenarnya berada dalam suatu majlis keramaian, maka patutlah kita berhias-hias dengan pakaian yang selayaknya, lebih-lebih lagi majlis Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Mengenai dengan pakaian sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat ini, para ulama bukan hanya bercakap tentang pakaian yang layak dan sopan, bahkan mereka bercakap tentang pemilihan warna-warna yang sesuai. Atas dasar inilah Irsyad hukum membuka minda kita supaya jangan pakai pakaian ‘asal pakai’ sahaja. Berhias Untuk Sembahyang Fardhu Jumaat
Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardhu Jumaat. Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘id al- Khudri dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman) -sekiranya dia ada - setelah itu dia pergi ke tempat menunaikan fardhu Jumaat tanpa melangkahi kepala orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang (sunat yang dikehendakinya), kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul (untuk menyampaikan khutbah) sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghapus dosanya (yang berlaku) di antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun maksud daripada ‘tanpa melangkahi kepala orang lain’ merupakan anjuran untuk dia datang pada awal waktu supaya dia tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf jemaah.
Bagaimanapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepertimana yang disebutkan dalam firmanNya:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Surah al-A‘râf: 31)
Warna Yang Afdhal Dipakai
Adapun daripada pakaian yang terbaik itu, yang afdhal dipakai ialah yang berwarna putih. Maka adalah sangat jelas warna putih itu afdhal dipakai berdasarkan kepada beberapa hadits antaranya ialah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankanlah padanya (kain warna putih) orang-orang yang meninggal dunia di kalangan kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka pakailah pakaian yang hampir warnanya kepada putih. Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna. Manakala menurut Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullâh daripada pakaian yang berwarna itu diutamakan dahulu warna selain warna hitam.
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, adapun yang akmal (lebih sempurna)
hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih termasuklah serban (atau alas kepala). Bahkan afdhal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai pakaian warna putih itu pada sebelah atas.
Adakah Mesti Pakaian Itu Baharu?
Sesetengah ulama mengatakan sunat memakai pakaian putih yang baharu. Namun jika tiada pakaian putih yang baharu, maka memadailah pakaian putih yang masih dianggap baharu. Ini kerana apa yang dimaksudkan daripada pakaian yang terbaik, bagus dan elok itu bukanlah semestinya pakaian yang baharu setiap minggu sehingga menyebabkan kesusahan kepada individu tersebut. Apa yang dimaksudkan ialah umpamanya dia mempunyai beberapa helai pakaian putih, maka sunat dia memilih pakaian putih yang baharu di antara kesemuanya.
Namun jika dia ada kemampuan untuk menyediakan pakaian yang khusus untuk digunakan pada hari Jumaat sahaja, maka lakukanlah. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyarankan perkara ini dalam hadits yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Yahya:
Maksudnya: Tidak ada salahnya jika salah seorang daripada kamu, atau kamu sekaliannya, (jika ada kemampuan) untuk menyediakan dua pakaian (khusus untuk dipakai) pada hari Jumaat, (iaitu sebagai tambahan) selain daripada dua pakaian kerjanya yang sehari-hari. (Hadits riwayat Abu Daud)
Pakaian Bagi Imam
Begitu juga halnya bagi imam, dia juga disunatkan untuk memakai pakaian yang terbaik. Bahkan disunatkan dan digalakkan untuk menjaga penampilannya, iaitu dengan menambah perhiasan pakaian lain seperti serban dan memakai jubah (tambahan pada bahagian luar) kerana ittibâ‘ (mencontohi perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam). Ini kerana imam itu menjadi perhatian dan sebagai contoh ikutan kepada para jemaah.
Adapun warna pakaian bagi imam pula, ash-shahîh menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah sunat memakai pakaian putih, iaitu seperti mana jemaah yang lainnya. Menurut pendapat beberapa ulama, meninggalkan memakai pakaian hitam itu adalah lebih utama (awlâ) daripada memakainya. Melainkan andaikata jika dia tidak memakai pakaian hitam, maka dia takut ataupun kuat sangkaannya akan mendatangkan akibat buruk kerana dia telah menyalahi (perintah) sultan atau selainnya.
Manakala Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulumuddîn hukumnya adalah makruh bagi khatib (atau imam) memakai pakaian hitam. Diertikan juga makruh itu dengan menyalahi yang utama. Begitu juga bagi para jemaah, hukumnya adalah makruh memakai pakaian hitam.
Periwayatan Pakaian Hitam
Adapun pendapat al-Mawardi Rahimahullâh yang melazimkan pakaian hitam pada hari Jumaat adalah kerana satu kemungkinan atau sebab, iaitu pada zaman tersebut para pemerintah Abbasiyah (‘Abbasiyyîn) menegah pembaca-pembaca khutbah untuk memakai pakaian selain warna hitam.
Di samping itu terdapat juga beberapa riwayat yang dibawakan berkaitan dengan perkara ini, antaranya:
1. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memasuki Makkah pada hari pembukaaan Makkah dengan memakai serban hitam. 2. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memasuki Makkah pada hari pembukaaan Makkah lalu berkhutbah kepada orang ramai dengan memakai serbab hitam.
3. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakai serban hitam pada Hari Raya Adha dan Fitrah.
4. Daripada at-Thabarani menyatakan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakaikan Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah serban hitam, kemudian Baginda mengutus Sayyidina Ali Karramallâhu wajhah ke (peperangan) Khaibar.
5. Telah dinaqalkan (diceritakan) bahawa ramai daripada para sahabat dan para tâbi‘in memakai pakaian hitam.
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj mengatakan bahawa memang benar apa yang dibawakan dalam hadits yang telah disebutkan di atas. Namun beliau juga menyatakan satu kesimpulan sebagai menjawab persoalan ini bahawa kesemua hadits di atas adalah periwayatan dari segi perbuatan berdasarkan satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu. Sedangkan hadits yang menyuruh memakai pakaian berwarna putih adalah periwayatan dari segi pengucapan (suruhan).
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâh, apabila terdapat perbezaan antara dua hadits, iaitu hadits percakapan dan hadits perbuatan Baginda, maka didahulukan atau diutamakan hadits percakapan atau suruhan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Adapun yang dimaksudkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakai serban hitam itu pada ‘satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu’ ialah pemakaian hitam bukan pada hari Jumaat umpamanya:
1. Pada waktu peperangan, iaitu untuk menakutkan musuh kerana warna hitam itu lebih menggerunkan.
2. Pada hari pembukaan Makkah, iaitu sebagai satu isyarat atau pemberitahuan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak akan berubah-ubah seperti juga warna hitam. Berbeza dengan warna-warna yang lain yang boleh berubah-ubah.
3. Pada dua Hari Raya kerana sunat memakai pakaian yang terbaik dan cantik. Ini kerana pada Hari Raya jika ada pakaian yang lebih cantik, bagus atau mahal harganya, maka pakaian itu adalah afdhal dan diutamakan untuk dipakai daripada yang berwarna putih.
Sebagai kesimpulan, hukum memakai pakaian yang terbaik pada hari Jumaat adalah sunat. Manakala warna yang afdhal dan diutamakan ialah yang berwarna putih. Bahkan disunatkan juga supaya kesemua jenis pakaian yang dipakai itu berwarna putih termasuk serban atau alas kepala. Sekiranya dia tidak memperolehi kesemuanya berwarna putih, maka memadailah memakai warna putih itu pada pakaian di bahagian atas. Kemudian jika tiada juga, memadailah memakai pakaian selain putih, iaitu yang berwarna.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh pakaian berwarna putih merupakan warna yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Maka tidak hairanlah sesetengah ulama menggalakkan pakaian serba putih itu dipakai pada apa saja bentuk perkumpulan sekalipun bukan pada hari Jumaat.
Sesetengah ulama mengatakan hukum memakai pakaian hitam; sama ada bagi imam atau para jemaah, pada hari Jumaat adalah makruh dan meninggalkannya adalah lebih utama. Seperti yang diketahui bahawa melakukan perkara yang makruh itu tidak berdosa akan tetapi meninggalkannya pula akan diberikan ganjaran pahala. Maka di samping melakukan ibadat fardhu pada hari Jumaat, wajarlah juga direbut peluang untuk meraih ganjaran pahala kerana melakukan perkara yang disunatkan serta meninggalkan perkara yang makruh.
PUASA
Orang Tua Dan Orang Sakit: Puasa Atau Fidyah?
Umat Islam merupakan umat yang amat beruntung kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menyusahkan atau memberatkan hamba-hambaNya dalam urusan agama.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung suatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)
Dalam konteks ini, orang Islam yang mempunyai keuzuran untuk melaksanakan ibadat yang diwajibkan adalah diberikan rukhshah (keringanan) sebagai alternatif dalam menjalankan kewajipan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh syara‘. Tujuan utama rukhshah ini tidak lain hanyalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh orang yang tiada kudrat atau upaya untuk menjalankan ibadat seperti biasanya. Inilah indahnya Islam. Suatu agama yang penuh rahmat dan amat menitikberatkan kepentingan dan kebajikan umatnya.
Salah satu ibadat yang mempunyai rukhshah ialah puasa. Ini kerana salah satu daripada syarat wajib puasa ialah berkemampuan iaitu sihat dan berdaya menunaikannya. Dalam hal ini, bagi orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan puasa, adalah diberikan rukhshah, seperti orang yang sangat tua dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Mereka ini diharuskan berbuka pada siang hari bulan Ramadhan kerana keuzuran tersebut. Namun begitu, mereka diwajibkan membayar fidyah.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dan sahabat-sahabatnya bahawa orang tua yang susah untuk berpuasa iaitu baginya kesusahan yang bersangatan dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, maka tidak diwajibkan berpuasa ke atas kedua-duanya namun diwajibkan membayar fidyah.
Manakala dalam pendapat yang ashah juga mengatakan bahawa apabila orang yang sangat tua atau orang sakit yang tiada harapan sembuh itu bernazar untuk melaksanakan puasa, maka nazarnya itu tidak dikira, kerana dia lemah atau tidak berkemampuan untuk melaksanakan puasa tersebut.
Mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan fidyah ini ada juga disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang kedua-duanya tidak mampu untuk berpuasa, maka hendaklah mereka memberi makan orang miskin pada setiap hari sebagai ganti. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bilakah Diwajibkan Membayar Fidyah?
Fidyah diwajibkan ke atas orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh kerana berbuka puasa di bulan Ramadhan, dan kewajipan tersebut menjadi tanggungannya walaupun dia seorang fakir. Menurut pendapat yang ashah apabila seseorang itu diwajibkan fidyah akan tetapi dia tidak mampu membayarnya, maka kewajipan itu tetap ditanggungnya sehingga dia mampu membayarnya sepertimana juga dengan kewajipan kaffârah.
Jika dia belum membayar fidyah sehingga dia mati, maka wajib dikeluarkan fidyah daripada harta peninggalannya kerana membayar fidyah (iaitu memberi makan orang miskin) adalah kewajipannya (hak yang perlu dikeluarkannya) sebagaimana kewajipan qadha’ puasa kerana berbuka sebagai kewajipan (hak yang perlu dibayar oleh) orang sakit yang ada harapan sembuh dan musafir.
Menyegerakan Membayar Fidyah Sebelum Masuk Ramadhan
Jika orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh tidak dapat menunaikan puasa pada bulan Ramadhan tersebut, tidak harus (tidak boleh) dia menyegerakan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh, jangan menyegerakan membayar untuk dua hari atau lebih bagi puasa yang akan ditinggalkannya atau membayar 30 cupak untuk tiga puluh hari puasa yang akan ditinggalkannya sebelum masuk bulan Ramadhan berkenaan.
Menurut para ulama, dia harus (boleh) membayar fidyah selepas fajar setiap hari di bulan Ramadhan. Begitu juga harus (boleh) dia membayarnya sebelum fajar setiap hari berpuasa iaitu pada malamnya.
Adakah Berganda Fidyah Yang Belum Dibayar?
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, apabila orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh itu melambat-lambatkan membayar fidyah pada tahun tersebut iaitu sehingga datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya, maka tidaklah dikenakan apa-apa ke atasnya iaitu tidak berganda fidyahnya.
Disebutkan oleh Imam asy-Syarwani Rahimahullâh: “Dan tidak dikenakan apa-apa ke atas orang tua, orang yang ditimpa penyakit kronik dan tidak juga orang yang sangat susah baginya berpuasa, untuk melambatkan bayaran fidyah sekiranya mereka melambatkan pembayaran fidyah puasa itu daripada tahun sebelumnya.” Pendapat ini juga disebutkan oleh al-Khathib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj.
Bagaimana Jika Dia Mengqadha’ Puasa Yang Ditinggalkannya?
Orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa selepas dia berbuka, tidak diwajibkan baginya mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya walaupun kewajipan fidyah masih kekal di bawah tanggungannya.
Menurut Imam al-Baghawi Rahimahullâh bahawa mengqadha’ puasa itu tidak diwajibkan bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh jika kemudiannya dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa.
Perlu diketahui bahawa apabila orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh tidak berpuasa, maka diwajibkan baginya dari sejak awal lagi dengan kewajipan membayar fidyah sahaja. Berdasarkan daripada hukum tersebut, maka tidak wajib qadha’ bagi mereka ini, walaupun ada qudrah (kekuatan) untuk berpuasa sesudah atau sebelum membayar fidyahnya kerana gugur kewajipan berpuasa daripadanya.
Walau bagaimanapun jika dia dikenakan membayar fidyah namun dia menyanggupi berpuasa (untuk mengqadha’ puasanya yang tertinggal kerana keuzuran itu), maka tidak diwajibkan baginya fidyah. Akan tetapi jika dia telah membayar fidyah kemudian dia berdaya, maka dia tidak perlu mengqadha’nya lagi.
Kewajipan membayar fidyah iaitu rukhshah dalam melaksanakan ibadat puasa bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh yang tidak berdaya untuk berpuasa itu adalah bukti bahawa Islam tidak memberatkan umatnya dengan apa yang tidak mampu dilaksanakan oleh mereka.
Walau bagaimanapun keuzuran yang dihadapi janganlah dijadikan alasan untuk tidak menunaikan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kewajipan fidyah yang dikenakan kerana keuzuran itu wajib dikeluarkan. Selama mana fidyah tersebut belum dikeluarkan, kewajipan itu tetap di bawah tanggungannya sehinggalah dia membayarnya.
Fidyah Puasa: Bolehkah Dibayar Dengan Wang?
Fidyah bermaksud denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadat. Ia juga merujuk kepada menebus ibadat dengan memberi sedekah kepada fakir dan miskin berupa makanan yang mengenyangkan.
Seseorang yang tidak mampu berpuasa dengan sebab-sebab uzur yang dibenarkan oleh syara‘ seperti sakit, orang yang dalam pelayaran, orang tua, perempuan hamil yang takut mendatangkan mudharat kepada dirinya atau anaknya atau kedua-duanya dan seumpamanya, maka diharuskan berbuka dengan masing-masing diwajibkan qadha’ sejumlah hari-hari yang ditinggalkan atau dengan membayar fidyah atau kedua-duanya.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam pelayaran, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184)
Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ telah meriwayatkan mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan fidyah. Beliau berkata maksudnya:
Maksudnya: Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang kedua-duanya tidak mampu berpuasa, hendaklah memberi makan orang miskin pada setiap hari sebagai ganti. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan lagi dalam sebuah hadits bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, adakah ke atas perempuan hamil itu berpuasa? Lalu beliau berkata:
Maksudnya: Berbuka dan berilah satu cupak makanan (hinthah) kepada orang miskin setiap hari. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Siapakah Yang Dikenakan Fidyah Puasa?
Menurut hukum syara‘, terdapat beberapa golongan orang yang dikenakan fidyah, iaitu:
1. Wanita hamil atau yang menyusukan anak jika dia berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya, maka wajib dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya tanpa perlu membayar fidyah.
Akan tetapi jika dia berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, maka dia wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dan diwajibkan juga dia membayar fidyah bagi setiap hari yang luput kerana dia berbuka untuk mengelakkan mudharat ke atas nyawa anak dalam kandungannya atau mudharat ke atas nyawa anak susuannya akibat kekurangan air susu jika dia berpuasa.
2. Orang yang sangat tua (yang tidak berdaya melakukan puasa) dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka ini tidak diwajibkan berpuasa, akan tetapi diwajibkan ke atas mereka fidyah.
3 Orang yang meninggalkan puasa kemudian dia melengah-lengahkan atau melambatkan qadha’ puasanya sehingga datang bulan Ramadhan yang baru, sedangkan dia berdaya untuk mengqadha’nya, orang yang semacam ini dia adalah berdosa kerana melambatkan qadha’ puasa yang ditinggalkannya, di samping wajib baginya mengqadha’ puasa yang luput serta membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya itu.
Sukatan Fidyah Puasa
Fidyah puasa itu ialah memberi makan orang fakir dan miskin dan sukatannya ialah sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Adapun satu mudd itu adalah sebagai ganti bagi satu hari puasa yang ditinggalkan. Satu mudd adalah bersamaan 15 tahil atau 567 gram (566.85 gram).
Contohnya seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak enam hari pada bulan Ramadhan 1427H, namun dia melambat-lambatkan qadha’nya sehingga datang bulan Ramadhan 1428H, maka wajib baginya membayar fidyah di samping mengqadha’ puasanya yang tertinggal. Untuk mengetahui jumlah fidyah dalam bentuk sukatan atau timbangan adalah seperti berikut:
Jumlah qadha’ adalah sebanyak enam hari, satu hari puasa yang ditinggalkan dikenakan satu mudd atau 567 gram. 6 hari puasa dikenakan 6 mudd (567 gram x 6 = 3402 gram iaitulah sebanyak 3 kg 402g).
Bolehkah Dibayar Dengan Kadar Harga Atau Wang?
Dari segi gantian nilai pula, perlu diingat bahawa di dalam mazhab asy-Syafi‘e fidyah tidak sah dikeluarkan dengan harganya atau wang. Akan tetapi sebagai irsyâd, adalah dibolehkan bertaqlîd dengan mazhab Hanafi bagi sesiapa yang hendak membayar fidyahnya dengan harganya atau wang.
Oleh yang demikian, gantian harga atau wang kepada satu mudd yang bersamaan 15 tahil atau 567 gram (566.85 gram) bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan; setakat Irsyad Hukum ini ditulis, ialah $0.71 (tujuh puluh satu sen) bagi beras wangi ataupun $0.48 (empat puluh lapan sen) bagi beras Siam.
Berdasarkan penerangan di atas, bagi mereka yang diwajibkan mengqadha’ puasa Ramadhan, maka hendaklah dia menunaikannya dengan seberapa segera bilamana ada keupayaan. Begitu juga bagi wanita hamil atau menyusukan anak, orang yang sangat tua dan orang sakit yang dikenakan fidyah perlulah mengambil perhatian kerana fidyah merupakan kewajipan yang mesti dilaksanakan.
Bahkan bagi mereka yang telah meninggal dunia, jika si mati ada meninggalkan harta-pusaka yang mencukupi, maka fidyah puasa itu merupakan hutang yang bersangkut-paut dengan hak-hak Allah yang wajib didahulukan sepertimana zakat, haji, nazar, kaffârah dan seumpamanya.
Berdasarkan keterangan mengenai kewajipan fidyah puasa terhadap beberapa golongan tertentu, jelas bahawa ibadat puasa merupakan kewajipan yang tidak boleh tidak, wajib dilaksanakan sehinggakan apabila luput satu hari sahaja, wajib diqadha’ atau dibayar fidyah atau kedua-duanya. Perlu diingat bahawa apabila seseorang itu dikenakan fidyah kerana sebab-sebab sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka kewajipan ini akan ditanggungnya selama dia belum melunaskan bayaran fidyahnya.
ZAKAT
Bagaimana Mengeluarkan Zakat Daripada Wang Simpanan?
Zakat merupakan salah satu asas tertegaknya syariat Islam dan termasuk salah satu ibadat daripada rukun Islam yang lima selain sembahyang, puasa dan naik haji ke Makkah bagi orang yang berkemampuan.
Zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan (syarat-syarat) yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang tertentu yang berhak menerimanya.
Mengeluarkan zakat hukumnya adalah wajib ke atas setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat harta ataupun zakat fitrah.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Baqarah: 110)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah memerintahkan kita agar mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyambung tali persaudaraan dan menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hikmat Pensyariatan Zakat
Terdapat banyak hikmat daripada pensyariatan zakat, antaranya:
1. Zakat merupakan ibadat material yang bukan sahaja wajib, malahan sebagai wadah untuk menyatakan rasa syukur atas ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Zakat berfungsi sebagai pembersih harta agar harta yang disimpan itu bersih, kerana apabila harta yang cukup haul dan sampai nishâb itu tidak dikeluarkan zakat bererti ada hak fakir dan miskin di dalam harta tersebut.
3. Zakat membantu pembentukan akhlak mulia dengan mengikis sifat bakhil seorang Muslim.
4. Zakat juga dapat membantu mengurangi kesusahan dan bebanan golongan yang tidak mampu, di samping meningkatkan hubungan persaudaraan di antara golongan kaya dengan golongan yang tidak berkemampuan.
Peringatan Bagi Orang Yang Mengabaikan Zakat
Peristiwa Isra’ dan Mi‘raj Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam walaupun telah lama berlalu, namun kita berharap ia masih dapat memberi kesan positif kepada umat Islam. Kejadian-kejadian berupa pembalasan di Hari Akhirat kelak yang ditonton oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan yang mulia itu merupakan panduan yang mesti kita jadikan i‘tibâr demi mencapai kesempurnaan iman.
Salah satu kejadian yang ditonton oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam peristiwa agung itu, Baginda telah diperlihatkan dengan satu kaum yang hanya menutup kemaluan (dubur dan qubul mereka) dengan tampalan (secebis kain sahaja) dan mereka dihalau seperti binatang ternakan ke tempat pohon-pohon kering, buah zaqqûm dan batu panas Neraka Jahannam. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Siapakah mereka itu, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta mereka.”
Mengambil i‘tibâr daripada peristiwa ini, jelas bahawa kewajipan zakat itu jangan dicuai-cuaikan. Bukan alang-kepalang seksa yang akan ditanggung oleh orang yang mencuaikannya. Mengabaikannya bererti balasan seksa di akhirat kelak pasti menanti.
Ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang pembalasan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat, antaranya:
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksakan) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. (Surah Âli-‘Imran: 180)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasakanlah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak melaksanakan zakat (hartanya), diserupakan hartanya pada Hari Kiamat sebagai ular gondol yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu). Kemudian ular tersebut akan mengambilnya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu) dengan dua tulang rahangnya lantas berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu”. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca: “ َ َبْخَلُ ون َ َيَْس َ َبَه الهذِين َ ي وال” (surah Âli ‘Imran: 180). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Zakat Wang Simpanan
Salah satu jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat apabila mencapai nishâb tertentu dan cukup tempoh haul ialah wang simpanan. Orang yang menyimpan wangnya di bank, dalam peti di rumahnya, diamanahkan di tangan isterinya atau disimpan di mana-mana sahaja atau dia menghutangkan hartanya kepada orang lain dan ada harapan untuk orang itu membayar balik hutangnya kepadanya, apabila simpanan wang itu berlalu setahun Hijrah dan cukup nishâb wajiblah dikeluarkan zakatnya.
Begitu juga keadaannya apabila tiba masa seseorang itu hendak menghitung harta wang simpanannya untuk dikeluarkan zakat, maka tidak boleh dia menghitung setakat harta wang simpanannya di bank sahaja, bukan itu sahaja yang hendak dikeluarkan zakatnya, tetapi hendaklah juga dia mengambil kira semua wang simpanannya yang ada, sama ada wangnya di dalam bank, di dalam peti simpanan di rumahnya, wangnya yang diamanahkan di tangan isterinya atau wang yang dihutangkannya kepada orang lain dan ada harapan untuk orang itu membayar balik.
Sebagai contoh, seseorang mempunyai wang yang disimpan di beberapa tempat atau dihutangkannya kepada seseorang dan ada harapan untuk orang itu membayar balik seperti berikut:
1. Dalam akaun bank A: $1,550.00
2. Dalam akaun bank B: $1, 425.00
3. Dalam peti simpanan di rumahnya: $1, 300.00
4. Dihutangkannya kepada seseorang: $875.00
Semua wang simpanan dan yang dihutangkannya itu hendaklah dijumlahkan keseluruhannya, bukan setakat menjumlahkan wang yang ada dalam simpanan akaun banknya sahaja. Dalam contoh di atas, jumlah keseluruhan wangnya ialah $5,150.00. Dari itu zakat hendaklah dikeluarkan bagi wang simpanannya yang berjumlah $5,150.00 iaitu dengan mengeluarkan 2.5% atau 1/40 daripadanya apabila cukup haulnya.
Contoh lain, seseorang menyimpan wang $5,000.00 pada 1 Muharram 1427H, kemudian dalam bulan Rejab 1427H wang tersebut dikeluarkannya sebanyak $1,000.00 dan dalam bulan Ramadhan 1427H dikeluarkan lagi wang tersebut sebanyak $500.00. Ini menjadikan baki wang simpanannya di bank ialah $3,500.00. Jika baki itu kekal sehingga awal bulan Muharram 1428H, maka wajib dikeluarkan zakatnya, iaitu 1/40 atau 2.5% daripada jumlah baki itu, walaupun berlaku pengeluaran (withdrawal) pada wang simpanan tersebut selama mana ia tidak kurang daripada kadar nishâb semasa yang ditentukan.
Akan tetapi, apabila terputus nishâb sebelum cukup haul, maka tidak wajib dikeluarkan zakat. Sebagai contoh, seseorang menyimpan wang sebanyak $5,000.00 pada 1 Safar 1427H, kemudian dalam bulan Rejab 1427H wang tersebut dikeluarkannya sebanyak $2,000.00 dan dalam bulan Sya‘ban 1427H dikeluarkan lagi wang tersebut sebanyak $1,000.00. Ini menjadikan wang simpanan tersebut berbaki sebanyak $2,000.00 dan baki ini tidak sampai nishâb. Namun pada awal bulan Muharram 1428H, terdapat kemasukan sebanyak $3,500.00 dan ini menjadikan jumlah wang tersebut sebanyak $5,500.00 iaitu kadar yang sampai nishâb. Maka dalam keadaan ini, permulaan pengiraan haul bermula pada awal bulan Muharram 1428H kerana pengiraan permulaan haul yang sebelumnya (iaitu pada 1 Safar 1427H) sudah pun terputus pada bulan Sya‘ban 1427H kerana tidak sampai nishâb.
Begitu juga halnya, orang yang mempunyai lebihan atau baki wang pinjaman, wajib dia mengeluarkan zakatnya jika lebihan wang itu cukup nishâb dan haulnya. Sebagai contoh, A mempunyai hutang kepada B sebanyak $50,000.00. Perbelanjaan yang dibuatnya daripada wang tersebut sebanyak $30,000.00 sahaja dan baki wang itu sebanyak $20,000.00. Maka wajib ke atas A mengeluarkan zakat bagi baki wang yang dipinjamnya sebanyak $20,000.00 itu dengan mengeluarkan 2.5% daripadanya sebagai zakat apabila cukup haul iaitu sebanyak $500.00. Ini kerana wang itu telah menjadi miliknya dan berada di tangannya selama satu tahun Hijrah dan cukup nishâbnya.
Kadar Nishâb
Kadar nishâb mata wang disandarkan kepada kadar nishâb emas iaitu 20 dinar atau 85 gram emas. Mengikut harga pasaran emas (tahun 2007), satu gram emas bernilai $29.70, maka 85 gram emas bernilai $29.70 X 85 = $2,524.50 (dua ribu lima ratus dua puluh empat ringgit dan lima puluh sen). Kadar yang wajib dikeluarkan zakatnya pula ialah 1/40 atau 2.5% daripada jumlah $2,524.50 iaitu $63.10.
Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa nilai emas sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan kiraan nishâb bagi mata wang hendaklah disesuaikan mengikut kiraan yang terkini. Oleh itu umat Islam, terutamanya mereka yang mempunyai kewajipan untuk mengeluarkan zakat, perlu peka akan perubahan nilai emas yang berlaku setiap masa. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam menetapkan kadar zakat, mestilah sentiasa mengikuti harga pasaran emas dan memaklumkannya kepada orang ramai bagi kemudahan mereka untuk menunaikan kewajipan zakat.
Pembayaran Zakat Daripada Harta Yang Lain
Pembayaran zakat tidak semestinya dikeluarkan daripada kumpulan harta yang dikenakan zakatnya. Mengenai wang simpanan, sah dikeluarkan zakat dengan wang lain iaitu bukan dengan wang simpanan itu sendiri. Contohnya seseorang menyimpan wang di bank, dan apabila ia telah cukup nishâb dan haul, sah dibayar atau dikeluarkan zakat bagi wang simpanan itu daripada wangnya yang lain, kerana tidak disyaratkan dikeluarkan zakat daripada wang yang kena dizakatkan itu.
Ancaman-ancaman yang dijelaskan dalam al-Qur’an dan hadits serta kejadian ngeri yang ditonton oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Mi‘raj Baginda bagi orang yang tidak melaksanakan tuntutan zakat sepatutnya dijadikan i‘tibâr dan pengajaran. Ingatlah dalam harta yang cukup syarat-syarat untuk dikeluarkan zakatnya ada hak fakir dan miskin di dalamnya.
Zakat Fitrah Pembantu Rumah: Siapa Yang Wajib Mengeluarkannya?
Zakat fitrah wajib ke atas setiap individu yang beragama Islam, sama ada lelaki atau perempuan, orang dewasa atau kanak-kanak.
Antara hikmat pensyariatan zakat fitrah itu ialah untuk menyucikan jiwa orang yang berpuasa dan menampal kekurangan-kekurangan yang dilakukan semasa berpuasa.
Manakala daripada sudut kemasyarakatan pula, dengan mengeluarkan zakat fitrah akan menimbulkan rasa kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian di dalam suatu kelompok masyarakat, terutama sekali bagi orang-orang fakir miskin dan orang yang berhajat padanya.
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ dia berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji dan untuk memberi makan golongan yang miskin.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada lima:
1. Waktu wajib: Mulai terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
2. Waktu sunat: Sebelum imam mendirikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah.
3. Waktu harus: Dari awal bulan Ramadhan.
4. Waktu makruh: Selepas sembahyang sunat Hari Raya Fitrah, kecuali ada keuzuran syara‘ seperti menunggu kerabat yang akan dibahagikan fitrah kepadanya. Walau bagaimanapun di Negara Brunei Darussalam, telah dilantik ‘âmil-‘âmil bagi tujuan menerima dan mengutip zakat fitrah, maka bagi mengelakkan waktu makruh ini, eloklah diserahkan zakat fitrah itu kepada ‘âmil-‘âmil yang telah dilantik ini dengan sesegeranya.
5. Waktu haram: Setelah jatuh matahari Hari Raya pertama. Bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa dan wajib dibayar juga sebagai qadha’, kerana dikeluarkan di luar daripada waktunya.
Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah
Menurut prinsip syara‘, sesiapa yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya, dia juga wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi orang yang wajib diberinya nafkah (orang-orang yang di bawah tanggungannya).
Sebilangan ulama pula mengatakan bahawa sesiapa yang diwajibkan menanggung nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya, maka dia juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi mereka.
Tanggungan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak orang-orang yang di bawah tanggungan seseorang itu berlaku dengan adanya jalinan ataupun hubungan di antara pihak pengeluar zakat fitrah dengan pihak yang dikeluarkan zakat fitrah baginya melalui salah satu daripada tiga sebab berikut:
1. Pemilikan: Hubungan di antara pengeluar zakat dengan hamba sahayanya.
2. Ikatan kekeluargaan (qarâbah): Hubungan di antara pengeluar zakat dengan anaknya dan hubungan di antara pengeluar zakat dengan kedua ibu bapanya.
3. Ikatan perkahwinan: Hubungan di antara pengeluar zakat (suami) dengan isterinya, sekalipun isteri telah diceraikan dengan talak raj‘i atau talak bâ’in yang dalam keadaan hamil.
Bagaimanapun, ini tertakluk juga jika mereka (orang-orang yang di bawah tanggungan) itu beragama Islam dan orang yang hendak mengeluarkan zakat fitrah itu mempunyai harta untuk dikeluarkan sebagai zakat fitrah orang-orang yang di bawah tanggungannya itu.
Zakat Fitrah Pembantu Rumah
Amah atau pembantu rumah adalah pekerja yang dibayar gaji setiap bulan. Persoalan yang timbul di sini, apakah amah itu tergolong sebagai orang yang di bawah tanggungan majikannya dan zakat fitrahnya wajib dikeluarkan atau dibayar oleh majikannya?
Bagi menjawab persoalan ini, dibawakan di sini pandangan ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e mengenainya.
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Wajib ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah khâdimah (pembantu) isterinya jika khâdimah itu adalah hamba sahaya milik suami, atau milik isteri yang dijadikan oleh suami sebagai khâdimah untuk isterinya, (tetapi) tidak (pula yang demikian hukumnya bagi khadimah yang) diberi upah.
Imam Muhammad Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, dalam syarahnya terhadap perkataan Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh di atas, telah menghuraikannya secara lebih lanjut dengan berkata:
Ertinya: Suami tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah khâdimahnya (pembantu) jika khadimah itu merupakan orang asing yang diberi upah.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula menjelaskan kedudukan zakat fitrah pembantu isteri sama ada dia dimiliki (hamba) atau dibayar upah atau gaji, dengan berkata:
Ertinya: Jika seorang perempuan (isteri) yang pada kebiasaannya dibantu oleh khadam dan dia mempunyai khadam yang dimilikinya, wajib ke atas suami membayar zakat fitrah khadam itu, atas dasar kewajipan suami menanggung nafkahnya (khadam itu).
Ertinya: Dan jika suami menyediakan khadimah yang merdeka (bukan hamba sahaya) untuk menemani isterinya supaya khadimah itu bekerja untuk si isteri dan suami membayar perbelanjaannya, tidak wajib ke atas suami untuk membayar zakat fitrahnya (khadimah itu), kerana (dengan berbuat demikian) khâdimah itu dikira sebagai khadimah yang dibayar upah atau gaji. Dan jika suami menyediakan khadam yang dimilikinya untuk isterinya, maka wajib juga ke atas suami membayar zakat fitrah khadam itu. Dan jika suami mengupah seorang khadam untuk isterinya, sama ada khadam itu merdeka atau hamba sahaya, tidak wajib ke atas suami membayar fitrah khadam itu sebagaimana tidak wajib ke atas suami memberinya nafkah, kerana sewa menyewa atau upah mengupah itu tidak mewajibkan kepada pemberian nafkah.
Berdasarkan pandangan para ulama di atas, dapatlah difahami bahawa seseorang itu hanya berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah bagi khadamnya atau khadam isterinya (bagi suami yang berkewajipan menyediakan pembantu untuk isterinya) apabila khadam itu bersifat sebagai hamba sahaya yang dimilikinya atau yang dimilik oleh isterinya.
Manakala khadam yang bekerja dengan dibayar upah atau gaji sebagai imbalan atas pekerjaan yang dibuatnya, tanpa sebarang jalinan atau hubungan di antara khadam dengan yang memberi upah melalui salah satu daripada tiga sebab yang telah disebutkan terdahulu, maka zakat fitrahnya tidaklah menjadi kewajipan ke atas majikan yang mengupahnya untuk mengeluarkannya.
Oleh yang demikian, dapatlah difahami di sini bahawa amah atau pembantu rumah yang diambil bekerja dan diberi upah atau dibayar gaji pada setiap bulan, sama ada dia tinggal di rumah majikannya atau tinggal berasingan daripada majikannya, tidak wajib ke atas majikan untuk mengeluarkan zakat fitrahnya.
JENAZAH
Hukum Mencium Jenazah
Menziarahi orang meninggal merupakan satu amalan yang sangat baik kerana terdapat banyak faedahnya; antaranya mengucapkan ta‘ziah kepada keluarga si mati, menunjukkan rasa simpati terhadap keluarganya dan menggalakkan amalan tolong-menolong ketika dalam suasana sedih dan musibah. Di samping itu, ia juga boleh mengingatkan kita kepada kematian.
Dalam suasana sibuk menguruskan pengendalian jenazah, seringkali juga terdengar para ahli keluarga, sama ada yang tua atau yang muda, dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir. Maka sebilangan mereka pernah bertanya apakah hukum perbuatan ini?
Mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri dan juga perbuatan seorang sahabat dan khalifah, iaitu Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu. Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium jenazah ‘Utsman bin Mazh‘un, iaitu saudara sesusuan Baginda.
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium ‘Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia dan Baginda menangis, atau katanya (Abdul Rahman): “Bahawa kedua-dua mata Baginda menitiskan air mata.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sementara perbuatan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu pula, sepertimana riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau mencium wajah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam setelah Baginda wafat.
Maksudnya: Bahawa Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu telah mencium (kawasan) antara kedua-dua mata Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, dan Baginda (ketika itu) telah wafat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan an-Nasa’i)
Adapun perbuatan Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu tersebut tidak diingkari oleh sahabat yang lain pada ketika itu.
Hukum Mencium Jenazah
Hukum asal mencium jenazah adalah harus. Perkara ini tsabit sepertimana dalam dua riwayat yang telah dibawakan di atas. Oleh itu adalah harus hukumnya bagi ahli keluarga si mati dan selain mereka; umpamanya sahabat-sahabat, termasuklah juga suami atau isteri dan mahram kepada si mati, mencium wajah jenazah tersebut.
Walau bagaimanapun ulama berbeza pendapat mengenai hukum mencium jenazah sepertimana berikut:
▪ Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berpendapat hukumnya adalah harus, sejajar dengan apa yang disebutkan dalam nash kitab fiqh. Manakala hukum sunat itu hanyalah untuk jenazah orang yang salih. Maka adalah sunat, sama ada bagi ahli keluarga, sahabat dan yang lainnya, untuk mencium jenazah orang salih itu kerana untuk mendapatkan keberkatan daripadanya. Berbeza pula hukumnya apabila jenazah tersebut bukan terdiri daripada ahli keluarga dan bukan sahabat ataupun bukan orang salih, maka hukumnya adalah menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).
▪ Menurut Imam ar-Ramli, Khathib asy-Syarbini dan juga merupakan pendapat as-Subki Rahimahumullâh, berdasarkan kepada dua hadits di atas; iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium wajah saudara sesusuan Baginda dan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu mencium wajah sahabat yang juga bapa mertua beliau, iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, mereka berpendapat hukumnya adalah sunat bagi ahli keluarga si mati dan sahabat-sahabatnya mencium jenazah (walaupun si mati bukan orang salih), manakala hukum harus itu adalah untuk selain daripada mereka ini.
▪ Telah disebutkan pendapat dalam Zawâ’id ar-Raudhah bahawa tidak mengapa mencium wajah jenazah jika dia adalah orang salih. Jika dia bukan orang salih, maka seperti hukum asalnya, adalah harus. Adapun jika dia bukan orang salih dan diketahui bahawa si mati itu orang yang melakukan maksiat, maka hukumnya adalah makruh.
Selain itu antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian oleh orang yang bercadang atau disuruh untuk mencium jenazah ialah:
▪ Jika sekiranya dia bukan terdiri daripada ahli keluarga si mati atau mahramnya, maka hendaklah antara orang yang hidup dengan si mati tersebut daripada jantina yang sama. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan antara perempuan dengan lelaki ajnabiy dan sebaliknya.
▪ Janganlah perbuatannya (orang yang hidup) mencium jenazah itu akan mengakibatkan hilang maruah ataupun merendahkannya.
Di samping itu perlu juga diketahui bahawa kesemua hukum mencium jenazah yang telah disebutkan di atas adalah bagi mereka yang tidak mudah tersentuh perasaan dan boleh mengawalnya. Adapun jika sebaliknya; iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh menyebabkan timbulnya perasaan dukacita dan kesedihan yang keterlaluan dan seterusnya tidak dapat mengawalnya; sepertimana kebiasaan halnya bagi kaum perempuan, maka pada ketika itu adalah haram hukumnya mencium jenazah tersebut.
Ini kerana, perbuatan menangis dengan suara yang kuat atau meratap walaupun tanpa air mata adalah haram dan jelas dilarang dalam Islam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang kami daripada perbuatan meratap. (Hadits riwayat Abu Daud)
Manakala dalam sebuah hadits daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun sedih atau mengalirkan air mata secara thabi‘i kerana kesedihan, tersentuh hati dan keinsafan tanpa diiringi ratapan adalah harus dan tidaklah dilarang, kerana kesemua itu boleh menyedarkan kita akan hakikat kematian yang boleh membawa kepada keinsafan. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga mempamerkan kesedihan Baginda serta mengalirkan air mata ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia. Menurut riwayat Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, sambil menitiskan air mata Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bahagian Anggota Jenazah Yang Dicium
Jika dilihat pada nash yang dibawakan dalam kitab fiqh, secara umumnya mengatakan bahawa harus hukumnya mencium wajah jenazah. Demikianlah juga yang diriwayatkan dalam hadits bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium wajah jenazah saudara susuan Baginda. Di samping itu, ada beberapa pendapat yang lain, antaranya:
▪ Telah disebutkan dalam riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa kawasan atau tempat yang dicium oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu ialah pada kawasan antara kedua-dua mata Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
▪ Pendapat yang mengatakan bahawa mencium kawasan tempat sujud (dahi) adalah awlâ (lebih utama) dan sebaiknya dilakukan tanpa ada lapik.
▪ Pendapat yang mengatakan bahawa harus mencium anggota badan jenazah seperti tangan dan selainnya selama mana tidak menimbulkan syahwat.
Namun dalam hal ini adalah dibataskan kepada bahagian wajah sahaja kerana itulah yang wârid. Ini memandangkan antara sebab untuk mencium jenazah adalah kerana untuk mendapat keberkatan, rasa kasih atau kerana kasihan ke atasnya.
Di samping itu disunatkan menutup wajah jenazah dan tidak membiarkannya terdedah. Daripada Abu Salmah bahawa ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata kepadanya:
Maksudnya: (Ketika mendengar berita kewafatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam,) maka Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu datang dari rumahnya di Sunh dengan berkenderaan kuda. Sesampainya di pintu masjid, beliau pun turun dan segera masuk ke rumah ‘Aisyah tanpa bercakap-cakap dengan seorang pun yang ada dalam masjid sehinggalah beliau menemui ‘Aisyah. (Kemudian) beliau menuju kepada (jenazah) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang telah diselimuti dengan sehelai jubah hibarah (iaitu sejenis jubah atau pakaian Yaman bercorak jalur yang diperbuat daripada kapas atau ‘linen’). Setelah itu beliau membuka (kain) di bahagian wajah Baginda, lalu Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu pun menurunkan kepalanya dan mencium (kening) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seraya menangis…” (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Batalkah Wudhu Apabila Mencium Jenazah?
Jika kita memperkatakan tentang hukum wudhu bagi jenazah tersebut, maka perbuatan ini tidak membatalkan wudhunya.
Adapun hukum wudhu bagi orang yang hidup (yang menyentuh jenazah tersebut), maka perlu diperhatikan apakah dia mahram kepada jenazah tersebut ataupun tidak? Ini kerana antara perkara yang membatalkan wudhu itu ialah bersentuhan kulit seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyyah (bukan mahram) tanpa berlapik (antara keduanya).
Menurut jumhûr (majoriti) ulama, hukum memegang atau menyentuh mayat perempuan atau lelaki yang ajnabiy (bukan mahram) adalah membatalkan wudhu. Ini berdasarkan kepada hukum sentuhan antara kedua mereka (perempuan dan lelaki yang ajnabiy) pada ketika hidup adalah membatalkan wudhu.
Berbeza dengan mahram, iaitu perempuan yang haram dinikahi sama ada mahram secara nasab keturunan atau sesusuan atau perkahwinan, maka persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yang merupakan mahramnya tidak membatalkan wudhu. Maka begitulah juga hukum bagi mereka yang sama jantina.
Sebagai kesimpulan, hukum mencium jenazah itu asalnya adalah harus, bahkan sunat jika si mati adalah terdiri daripada golongan orang salih. Namun perlu diingat bahawa keharusan itu boleh berubah kepada haram, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh membuat seseorang itu hilang kesabaran dan kawalan kerana terlalu sedih atau dukacita dan sehingga membawa kepada ratapan atau tangisan yang kuat. Di samping itu, perlu juga diambil kira bahawa hukum harus atau sunat tadi adalah bagi ahli keluarga, mahram dan mereka yang sama jantina dengan si mati. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang ajnabiy. Adapun sebagai pilihan lain, maka bolehlah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati dan mendo‘akannya.
KUBUR
Perempuan Menziarahi Kubur: Apakah Hukumnya?
Dalam masyarakat kita, amalan menziarahi kubur akan nampak lebih jelas pada bulan Ramadhan dan di awal bulan Syawal; sama ada menziarahi kubur ibu bapa atau sanak saudara. Bahkan sesetengah keluarga membiasakan ziarah kubur ibu bapa mereka pada setiap hari Jumaat.
Amalan menziarahi kubur ini perlu dikekalkan kerana ia sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Di samping menghidupkan hubungan di antara orang yang hidup dengan orang yang telah mati, terdapat lain-lain manfaat atau tujuan yang boleh diperolehi daripada amalan menziarahi kubur itu seperti yang disarankan oleh Islam, antaranya ialah:
1. Supaya dikasihi oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dengan sebab kita mengikuti sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
2. Untuk mengingati asal-usul kejadian kita sebagai manusia, iaitu dari tanah dan akan kembali semula kepada tanah.
3. Menginsafi diri tentang hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, dengan menghisab diri sama ada akan menuju ke syurga atau ke neraka.
4. Mengambil i‘tibâr atau pengajaran daripada apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.
5. Mengingat kembali orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihâd kerana menegakkan kalimat tauhid.
6. Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia seperti dalam hadits riwayat daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Pada mulanya) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, (kini) kamu ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan kehidupan di dunia dan mengingatkan akhirat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
7. Berlaku ihsân kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdo‘a dan memohon keampunan untuk mereka.
Hukum Ziarah Kubur
Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam, terutama sekali menziarahi kubur kedua ibu bapa. Ini berdasarkan kepada hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: (Pada suatu ketika) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menziarahi kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadits riwayat al-Jamâ‘ah)
Berdasarkan hadits ini, jelas bahawa menziarahi kubur itu hukumnya adalah sunat, iaitu sunat bagi lelaki sahaja, tidak bagi perempuan.
Sebagaimana disunatkan menziarahi kaum keluarga terdekat terutama ibu bapa dan saudara-mara pada masa hayat mereka, maka disunatkan juga menziarahi tatkala mereka sudah meninggal dunia dengan menziarahi kubur mereka.
Sungguhpun demikian, bukanlah bermakna menziarahi kubur orang Islam yang lain (yang bukan keluarga terdekat) itu tidak disunatkan, malahan ia juga disunatkan dengan tujuan mengingatkan kepada kematian, memohon rahmat untuknya dan sebagainya.
Walau bagaimanapun tidak disunatkan musâfir (belayar) hanya kerana untuk menziarahi kubur kecuali untuk menziarahi makam Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam.
Hukum Ziarah Kubur Bagi Perempuan
Menurut pendapat jumhûr ulama hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh; kerana sifat mereka yang tidak sabar, cepat tersentuh perasaan dan ditakuti akan menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan sehingga menyebabkan dia menangis, meraung atau meratapi kubur si mati.
Sungguhpun demikian, terdapat dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Dapatlah difahami daripada hadits yang telah disebutkan tadi, bahawa menziarahi kubur bagi perempuan itu tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, nescaya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.
Satu lagi riwayat ialah ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha juga pernah menziarahi kubur. Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Apakah yang patut aku baca kepada mereka, (iaitu ketika melawat perkuburan)?” Jawab Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada mu’minin dan Muslimin dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu daripada kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.” (Hadits riwayat Muslim)
Secara ringkas, hukum menziarahi kubur bagi perempuan itu bergantung kepada tujuannya. Jika tujuannya ialah untuk mengambil i‘tibâr, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat, di samping dia dapat menjaga adab kesopanan dirinya, dapat menahan dirinya daripada kesedihan yang bersangatan, serta aman daripada segala fitnah; baik dari segi persekitaran mahupun masa berziarah, maka dalam hal ini, hukumnya adalah makruh bagi perempuan tersebut menziarahi kubur.
Manakala menurut sesetengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman daripada segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.
Oleh sebab itu, antara adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur itu ialah:
1. Hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.
2. Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.
3. Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.
4. Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: (Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang bâthil. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Berbeza menziarahi kubur Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa menziarahi kuburku, wajiblah baginya mendapat syafaatku. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Menurut sebahagian ulama, sunat juga menziarahi kubur para nabi, para ulama dan auliyâ’.
Amalan Yang Sunat Dilakukan Ketika Menziarahi Kubur
Selain untuk mencapai tujuan ziarah kubur bagi memperolehi faedah daripadanya, terdapat beberapa amalan dan adab yang sunat dilakukan; sama ada sebelum atau semasa berziarah. Amalan ini bukan sahaja menghasilkan ganjaran kepada orang yang berziarah itu sendiri, bahkan juga akan mendatangkan manfaat kepada si mati. Marilah kita perhatikan antara amalan-amalan tersebut secara ringkas:
Antara amalan yang sunat dilakukan sebelum pergi menziarahi kubur ialah: Berwudhu dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian, barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu.
Apabila tiba di tanah perkuburan pula, antara perkara-perkara yang sunat dilakukan ialah:
Pertama: Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur. Maka cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan, dengan membelakangi qiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah:
Ertinya: Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian.
Ataupun, do‘a yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat Muslim, iaitu:
Maksudnya: Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari kalangan mu’minin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami, insyâ’ Allah, akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.
Kedua: Disunatkan membaca al-Qur’an dalam keadaan duduk, terutamanya membaca surah al-Ikhlâsh sebanyak sebelas kali atau membaca surah Yâsîn, kemudian menghadiahkan pahala bacaan itu kepada mereka. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ad-Daraquthni:
Maksudnya: Siapa yang masuk ke kawasan perkuburan lalu membaca surah al- Ikhlâsh sebelas kali, kemudian menghadiahkan, pahala bacaan itu untuk orang-orang yang mati, maka dia akan diberi pahala sebanyak bilangan (pahala) orang-orang yang mati. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Sebuah hadits pula yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Abu Daud, dan dianggap shahîh oleh Ibnu Hibban, berbunyi:
Maksudnya: Bacalah ke atas keluarga kamu yang telah mati akan surah Yâsîn. (Hadits riwayat Abu Daud)
Ketiga: Setelah selesai membaca al-Qur’an, untuk menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati sebaiknya dibaca:
Ertinya: Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang telahku baca ini kepada si Polan.
Keempat: Setelah itu, disunatkan kita berpaling ke arah qiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan untuk berdo‘a. Dalam kita memilih mana-mana do‘a yang akan dibacakan, apa yang lebih penting ialah kesungguhan kita dalam memahami makna-maknanya, kerana ia dapat menolong ke arah melahirkan matlamat ziarah itu sendiri. Antara do‘a-do‘a itu ialah:
Ertinya: Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas kamu, wahai penghuni kubur daripada kalangan mukminin dan Muslimin, dan sesungguhnya, sekiranya diizinkan Allah, kami akan bertemu dengan kamu. Kamu telah mendahului kami, dan kami akan menyusuli kamu, dan kami memohon kepada Allah keafiatan bagi kami dan bagi kamu juga.
Ertinya: Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas kamu, wahai ahli kubur, semoga Allah mengampuni kami dan kamu, kamu orang yang mendahului kami, dan kami akan menyusuli kamu.
Selain itu, kita juga disunatkan memberi salam ketika melintasi mana-mana kubur orang-orang Islam; walaupun tanpa niat untuk ziarah, dan juga berdo‘a untuk keselamatan mereka.
Kelima: Selepas berdo‘a, antara amalan yang sunat kita lakukan ialah merenjiskan atau memercikkan air ke kubur dan meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur.
Kesemua perkara ini adalah berdasarkan kepada sunnah atau amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, bahawa sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memercikkan air di kubur anaknya, Ibrahim.
Manakala meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur merupakan ikutan daripada perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda meletakkan pelepah kurma yang masih hijau di atas kubur anaknya, Ibrahim. Disebabkan berkat tasbîh pelepah atau bunga tersebut, maka seksa orang yang telah mati di dalam kubur diringankan.
Larangan-Larangan Yang Perlu Dijauhi
Di samping mengerjakan perkara-perkara sunat, terdapat juga larangan yang perlu dijauhi oleh mereka yang hendak menziarahi kubur. Antaranya ialah:
1. Janganlah meratap, memekik, serta memukul-mukul pipi, kerana terlalu dukacita. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang perbuatan sedemikian, berdasarkan sebuah hadits daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Adapun sedih atau mengalirkan air mata tanpa ratapan tidaklah dilarang, kerana kesedihan dan mengalirkan air mata itu merupakan tanda rasa kasih kepada ahli kubur atau merasa insaf tentang hari kematian.
2. Makruh duduk di atas kubur. Akan tetapi duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tidaklah dilarang. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur. (Hadits riwayat Muslim)
3. Jangan (tidak harus) memijak kubur tanpa keperluan ataupun hajat, kerana memijak itu sama hukumnya seperti duduk. Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu melainkan memijak kubur yang lain, maka ketika itu harus memijak kubur kerana adanya keuzuran.
4. Haram melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan aqidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya.
Berdasarkan penjelasan yang ringkas ini, hukum asal bagi perempuan Islam menziarahi kubur adalah makruh. Ia tertakluk kepada seluruh aspek yang berkaitan dengan hukum ziarah itu; seperti tujuan ziarah, keupayaan menjaga adab dan tuntutan syara‘, serta menjauhi larangan. Mereka juga boleh, bahkan sunat, membaca ayat-ayat al-Qur’an dan berdo‘a untuk si mati.
KORBAN
Berkongsi Binatang Korban Walaupun Niat Berbeza
Korban merupakan suatu ibadat sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Selain merupakan syi‘ar serta peringatan kepada pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm, iaitu dengan menyembelih puteranya Nabi Ismail ‘Alaihissalâm, terdapat juga pelbagai fadhilat serta ganjaran yang bakal diperolehi apabila melaksanakan ibadat ini.
Jika ‘Idul Fitri merupakan hari kegembiraan bagi fakir dan miskin kerana menerima zakat, maka ‘Idul Adha juga membawa kegembiraan serupa kerana memperolehi daging korban.
Di negara kita ‘Idul Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Alhamdulilâh kesedaran tentang kemuliaan dan keutamaan Hari Raya Adha sudah semakin ketara. Di samping sambutan yang meriah, umat Islam di negara ini menyambutnya dengan melaksanakan ibadat korban.
Seringkali juga kita mendengar ahli keluarga berbincang sesama mereka untuk berkongsi binatang korban. Selain dengan niat untuk melakukan ibadat, bagi mereka ini, berkorban juga merupakan sebagai acara tahunan untuk berkumpul beramai-ramai pada hari tersebut serta mengeratkan lagi silaturahim dan memupuk sikap bergotong-royong. Apatah lagi penyembelihan binatang korban memerlukan tenaga yang ramai.
Kadangkala terjadi juga dalam suatu keluarga yang menerima kelahiran anak damit (kecil) tetapi tidak berkesempatan melakukan aqiqah kerana kesempitan masa dan wang. Dalam kesempatan begini mereka tidak ketinggalan ingin turut sama melaksanakan aqiqah ketika Hari Raya Korban.
Malahan pada peringkat kampung atau jabatan, kadangkala persediaan untuk majlis korban sudah dibuat lebih awal lagi. Perancangan dibuat sejak awal tahun dari segi mengatur acara majlis, menentukan hari, tarikh dan tempat berkorban, bahkan menubuhkan tabung kewangan bagi mereka yang bercadang untuk berkorban dan seumpamanya.
Perkara seumpama ini adalah bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimana yang telah disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Sepertimana yang lazim dilakukan, oleh kerana keadaan atau sebab-sebab tertentu, maka seseorang itu pada kebiasaannya akan berkongsi seekor lembu itu dengan individu lain. Apa yang seringkali terjadi ialah mereka yang ingin berkorban akan mencari individu lain yang juga mempunyai niat yang sama, dengan tanggapan bahawa perkongsian yang dilakukan dengan niat yang berbeza-beza di antara mereka adalah diragukan tidak dibenarkan oleh syara‘. Apakah tanggapan ini benar?
Persoalannya apakah boleh dia berkongsi seekor lembu itu dengan yang lain, bahkan dengan niat yang berbeza-beza? Misalnya sebahagiannya berniat untuk berkorban dan sebahagiannya lagi berniat untuk aqiqah. Maka untuk menjawab persoalan ini, berikut akan dibawakan penerangannya secara ringkas. Had Perkongsian Binatang Korban
Adapun binatang yang boleh dijadikan korban adalah unta dan lembu atau seumpamanya seperti kerbau, kambing dan seumpamanya. Memandangkan di negara kita binatang yang sering dijadikan korban adalah kambing, kerbau, lembu atau sapi, maka perbincangan akan lebih menjurus kepada binatang yang telah disebutkan ini.
Had perkongsian binatang korban ini adalah berbeza sepertimana penjelasannya di bawah ini:
1. Kambing Dan Seumpamanya
Seekor kambing sama ada tujuan menyembelihnya adalah untuk korban ataupun aqiqah, maka seekor kambing itu tidak boleh dibahagi atau dikongsi melainkan cuma satu bahagian sahaja.
Walau bagaimanapun harus berkongsi pahala dengan orang lain dalam seekor binatang korban itu, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyembelih dua ekor kibasy dan Baginda berdo‘a:
Maksudnya: Ya Allah! Mohon terima (korban) daripada Muhammad dan daripada keluarga Muhammad. (Hadits riwayat Muslim)
Maka dapat difahami bahawa seekor kambing itu hanya sah dibuat korban atau aqiqah untuk seorang sahaja, tidak boleh lebih daripada itu, tetapi harus berkongsi pahala berkorban itu dengan orang lain.
2. Unta, Lembu Dan Seumpamanya
Seperti yang telah disebutkan dalam kitab fiqh bahawa seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsikan oleh tujuh orang atau dibahagi kepada tujuh bahagian. Ini berdasarkan hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Kami telah menyembelih bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di Hudaibiyah seekor unta bagi tujuh orang dan seekor lembu bagi tujuh orang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Perkongsian Binatang Korban Dengan Niat Yang Berbeza
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa perkongsian pada binatang korban yang dibenarkan, iaitu unta, lembu dan kerbau, dengan niat yang berbeza-beza adalah dibolehkan. Beliau menyatakan dalam kitab al-Majmû’:
Ertinya: Boleh seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan korban dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di Tanah Haram sebagai dam haji atau umrah).
Secara ringkasnya dihuraikan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa harus (dibolehkan) berkongsi unta, lembu dan kerbau, iaitu:
1. Jumlah perkongsian paling maksimum ialah tujuh bahagian, tidak lebih daripada itu. Adapun jika kurang daripada itu, umpamanya enam bahagian, maka itu juga dibolehkan. Maka termasuklah juga makna tujuh bahagian itu perkongsian di antara tujuh orang, setiap seorang mengambil atau menerima satu per tujuh (1/7) bahagian unta, lembu atau kerbau.
2. Sama ada dikongsikan tujuh bahagian itu dengan ahli keluarga sendiri ataupun orang lain. Ini berdasarkan hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu dia berkata:
Maksudnya: Kami keluar bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) berniat untuk mengerjakan haji maka Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor unta. (Hadits riwayat Muslim)
Dapat difahami daripada hadits di atas secara zahirnya mereka yang diperintahkan berkongsi pada unta dan lembu itu bukanlah berasal daripada satu keluarga yang sama.
3. Sama ada niat kesemua mereka yang berkongsi itu adalah:
- Niat yang sama, seperti berkongsi lembu dengan niat untuk korban sahaja atau aqiqah sahaja.
Sepertimana yang telah diketahui bahawa dalam perkara aqiqah disunatkan untuk menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Maka seekor kambing itu menyamai satu per tujuh (1/7), iaitu satu bahagian daripada unta atau lembu. Oleh itu jika seekor unta atau lembu itu disembelih sebagai aqiqah bagi tujuh (7) orang anak atau jemaah seramai tujuh orang, maka itu adalah harus (dibolehkan).
-Niat yang berbeza-beza, seperti:
Sebahagian berniat korban, sebahagian yang lain berniat aqiqah dan sebahagian yang lain pula berkongsi hanya semata-mata kerana untuk mendapatkan dagingnya sahaja. Maka bagi setiap seorang daripada mereka sepertimana yang diniatkannya.
Begitu juga dalam perkara aqiqah, di mana sebahagiannya berkongsi dengan tujuan aqiqah dan sebahagian yang lain hanya semata-mata kerana untuk mendapatkan daging sahaja, maka hukumnya juga adalah harus (dibolehkan).
Sebahagiannya berniat korban atau aqiqah wajib (kerana nazar), sementara sebahagian yang lain lagi berniat korban atau aqiqah sunat.
Sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di tanah haram sebagai dam haji atau umrah).
Dengan penjelasan ini dapat dibuat kesimpulan bahawa hukum melakukan korban adalah sunat yang sangat dituntut bahkan adalah lebih afdhal daripada bersedekah. Bahkan menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh bahawa beliau tidak memberi rukhshah (kelonggaran), bahkan makruh, untuk meninggalkan ibadat korban bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakan korban.
Perkongsian binatang korban seringkali tidak dapat dielakkan misalnya disebabkan ketiadaan kambing maka seseorang itu berkongsi dengan yang lainnya pada seekor lembu atau perkongsian yang dilakukan untuk mencukupkan tujuh bahagian tersebut.
Seekor kambing itu hanya memadai untuk satu bahagian. Seekor kambing itu menyamai satu per tujuh (1/7), iaitu satu bahagian daripada unta atau lembu. Jumlah maksima perkongsian pada seekor unta, kerbau dan lembu itu adalah tujuh bahagian, adapun kurang daripada itu tidak mengapa.
Perbezaan niat tidak menjadi halangan kepada mereka yang ingin melakukan ibadat korban. Sekalipun mereka yang berkongsi binatang korban itu dengan niat yang berbeza, hukumnya adalah dibolehkan (harus).
SEMBAHYANG
Elakkan Perkara Makruh Dalam Sembahyang
Ibadat sembahyang terdiri daripada syarat-syarat, rukun-rukun, perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan lain-lain lagi yang wajib dipelajari dengan mendalam oleh setiap Muslim agar tidak akan berlaku kesilapan ketika melaksanakannya. Kesilapan yang dilakukan dalam sembahyang akan mendatangkan kerugian kerana ia merosakkan kesempurnaan pahala sembahyang.
Salah satu jalan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala sembahyang adalah dengan mengelakkan diri daripada melakukan perkara makruh dalam sembahyang.
Makruh ialah meninggalkan sesuatu perkara yang dibenci dan akan diberi ganjaran pahala bagi orang yang meninggalkannya, sementara itu tidak pula berdosa bagi yang melakukannya. Walau bagaimanapun, melakukannya akan mendatangkan kerugian kerana kehilangan pahala.
Perkara Makruh Dalam Sembahyang
Melakukan perkara makruh dalam sembahyang boleh mendatangkan kesan kepada kesempurnaan pahala sembahyang. Oleh yang demikian, dengan mempelajari secara mendalam tentang setiap perkara yang berkaitan dengan sembahyang akan dapat mengelakkan seseorang daripada melakukan perkara makruh dalam sembahyang itu.
Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang:
1. Meninggalkan perkara sunat dalam sembahyang
2. Menoleh
Makruh menoleh ke kanan atau ke kiri ketika dalam sembahyang jika tidak ada hajat.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang menoleh dalam sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Ia adalah satu curian, iaitu syaitan mencuri (kekhusyu‘an) daripada sembahyang seorang hamba dengan (perbuatan) menoleh itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berkata Adzra‘i Rahimahullâh: “Jika dia senghaja melakukannya, sedangkan dia tahu perbuatan menoleh itu adalah makruh, maka hukumnya haram, bahkan menjadi batal jika dia melakukannya secara olok-olok (main-main).”
Jika seseorang menolehkan mukanya dan berpaling dadanya dari kiblat, maka batal sembahyangnya.
Melirik-lirikkan mata atau mengerlingkan mata tanpa menolehkan muka adalah harus.
3. Mendongakkan muka ke langit.
Makruh mendongakkan muka atau pandangan ke langit ketika di dalam sembahyang, walaupun bagi orang buta.
Anas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bagaimanakah keadaan kaum yang mendongak pandangan mereka ke langit di dalam sembahyang mereka? Baginda mengeraskan percakapannya tentang perkara itu sehingga Baginda bersabda: “Demi sesungguhnya mereka hendaklah menghentikannya (mendongak ke langit ketika sembahyang), atau demi sesungguhnya akan disambar pandangan mereka itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga makruh melihat atau merenung benda-benda yang boleh mengalihkan perhatian daripada sembahyang seperti melihat atau merenung tanda-tanda pada baju atau sebagainya.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sembahyang pada kain segi empat yang ada padanya tanda-tanda. Baginda memandang kepadanya dengan sekali pandangan. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda bersabda: “Pergilah dengan kain segi empat yang ada tanda-tanda ini kepada Abu Jaham, dan bawalah kepadaku kain tebal (yang tidak ada tanda) milik Abu Jaham. Sesungguhnya kain segi empat yang bertanda itu membuatkan aku lengah (lalai) daripada sembahyangku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menghantar kain segi empat yang ada tanda-tanda tersebut kepada Abu Jaham Radhiallâhu ‘anhu kerana beliau yang menghadiahkannya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullâh dalam kitab Muwattha’.
4. Melipat rambut atau melipat baju.
Makruh melipat rambut seperti menyanggulnya atau memasuk-masukkannya ke bawah serban ketika di dalam sembahyang. Begitu juga makruh melipat baju seperti melipat lengan bajunya dan lain-lain lagi.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk bersujud pada tujuh anggota tubuh dan tidak melipat rambut atau pakaian (pada waktu sembahyang). Anggota-anggota itu adalah dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
5. Meletakkan tangan di mulut.
Makruh meletakkan tangan di mulut tanpa hajat atau tujuan. Begitu juga dengan perbuatan mematah-matahkan jari atau mencelah-celahi jari, meletakkan tangan di hidung atau di mulut. Ini kerana, perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan khusyu‘ dalam sembahyang.
Makruh menguap dalam sembahyang pada keadaan dirinya mampu untuk menahan daripada menguap. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Adapun menguap itu, maka sesungguhnya ia adalah daripada (gangguan) syaitan, maka tegahlah ia (tegah diri daripada menguap) selagi mampu. Maka apabila seseorang berkata: “Ha”, ketawalah (kerananya) syaitan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Namun, sunat meletakkan tangan di mulut ketika menguap di dalam sembahyang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tangan yang digunakan untuk menutup mulut ketika menguap:
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, boleh menggunakan antara tangan kanan atau kiri bagi tujuan tersebut.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, sunat digunakan tangan kiri.
Menurut Imam asy-Syabramallisi dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallâh, adalah lebih utama menggunakan belakang telapak tangan sebelah kiri.
6. Menutup mata.
Makruh menutup kedua kelopak mata ketika sembahyang tanpa hajat atau keperluan. Tidak makruh jika menutup kedua-duanya kerana ada hajat, bahkan dihukumkan wajib pada sesetengah keadaan, umpamanya menutup mata agar menegah daripada memandang perkara-perkara yang haram.
Berkata sebahagian ulama: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang dalam sembahyang perbuatan menyapu batu-batu kecil dan menyapu dahi daripada kesan tanah (ketika sujud), meniup-niup, mematah-matahkan jari, menyelat-nyelati jari, menutup mulut dan telinga, menutup mata dan menggeliat.”
7. Berdiri dengan sebelah kaki
Makruh berdiri dengan sebelah kaki iaitu dengan mengangkat sebelah kaki tanpa sebab, kerana ia membebankan serta menghilangkan kekhusyu‘an dalam sembahyang. Namun jika ada sebab atau keuzuran seperti sakit sebelah kakinya atau patah, maka tidaklah dihukumkan makruh.
Begitu juga makruh hukumnya mendahulukan (mendepankan) sebelah kakinya ketika berdiri sembahyang.
8. Sembahyang dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil atau air besar.
Makruh mendirikan sembahyang dengan keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar atau membuang angin (menahan daripada kentut). Bahkan menjadi haram jika menahan itu akan memberi mudharat kepada dirinya.
Sunat membuang air kecil, air besar atau berkentut sebelum menunaikan sembahyang walaupun terpaksa meninggalkan sembahyang jemaah, asalkan tidak keluar dari waktu sembahyang atau masih luas waktunya.
9. Sembahyang dalam keadaan ingin makan atau minum
Makruh menunaikan sembahyang dengan adanya keinginan untuk memakan makanan atau meminum minuman yang sudah terhidang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Jangan (dahulukan) sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga jangan (dahulukan) sembahyang ketika dia sedang menahan daripada membuang air kecil dan air besar. (Hadits riwayat Muslim)
10. Meludah.
Makruh meludah ke hadapan atau meludah ke sebelah kanan sama ada ketika sembahyang mahupun di luar sembahyang.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu berludah kahak, maka janganlah berludah kahak di hadapannya, dan janganlah juga di sebelah kanannya. Hendaklah dia berludah ke sebelah kirinya atau ke bawah kaki kirinya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
11. Meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah).
Makruh meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah) tanpa ada hajat atau keuzuran. Perlakuan seumpama itu adalah sama seperti perbuatan orang kafir dan orang-orang yang menyombongkan diri, begitu juga iblis disingkirkan dari syurga dengan keadaan sedemikian.
12. Berlebihan tunduk ketika ruku‘.
Makruh merendahkan kepala atau meninggikannya daripada paras belakang ketika ruku’.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Dan Rasulullah apabila ruku‘ tidak menaikkan kepalanya dan tidak merendahkannya, akan tetapi di antara keduanya. (Hadits riwayat Muslim)
Makruh meletakkan dua lengan di atas tanah atau tempat sembahyang ketika sujud.
13. Bersandar
Makruh bersandar pada sesuatu sekira-kira jika jatuh tempat bersandar itu, maka diapun jatuh sama, seperti bersandar pada tiang. Dihukumkan makruh jika dia bersandar walaupun berdiri dengan kedua-dua kakinya. Tetapi jika sandaran itu membolehkan dia mengangkat kedua belah kakinya, maka batal sembahyangnya kerana dia dalam keadaan bergantung pada sesuatu dan bukannya berdiri.
14. Sembahyang di tempat-tempat sebagaimana tersebut di bawah:
▪ Makruh sembahyang dalam bilik mandi yang berdinding dan beratap.
▪ Makruh sembahyang di atas kubur.
Daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bumi ini keseluruhannya masjid (tempat bersembahyang) kecuali perkuburan dan bilik mandi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
▪ Makruh sembahyang di tempat maksiat seperti di tempat-tempat hiburan atau tempat yang didatangkan azab ke atasnya, contohnya kota kaum Tsamud dan seumpamanya.
▪ Makruh sembahyang di jalan-jalan tempat laluan orang ramai, begitu juga di pasar-pasar dan kawasan lapang tempat orang ramai bermain-main.
▪ Makruh sembahyang di tempat-tempat pembuangan sampah, begitu juga di tempat-tempat penyembelihan binatang dan di tempat-tempat seumpamanya yang diyakini adanya najis.
▪ Makruh sembahyang dalam kandang unta yang dikelilingi air walaupun bersih.
Daripada Abdullah bin Mughaffal al-Muzaniy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu sembahyang di kandang-kandang unta. Sesungguhnya ia (unta) ada daripada (sifat-sifat) syaitan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Adapun larangan dalam hadits di atas menunjukkan hukum makruh sembahyang dalam kandang unta, kerana unta suka berlari-lari dan tidak aman bagi seseorang mendirikan sembahyang di dalamnya. Sifat suka berlari dengan tergesa-gesa dan sifat membahayakan yang ada padanya adalah serupa dengan sifat syaitan sebagaimana disebut dalam hadits di atas.
▪ Makruh sembahyang dalam gereja sama ada ia tempat beribadat orang Yahudi mahupun Nashrani, begitu juga tempat yang di dalamnya mempunyai gambar-gambar yang diagungkan atau berhala-berhala yang disembah oleh mereka. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mereka itu (orang-orang Yahudi dan Nashrani), apabila ada lelaki saleh yang mati di kalangan mereka, mereka bina di atas kuburnya masjid, dan mereka melukiskan padanya gambar-gambar. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada Hari kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
16. Mempercepatkan sembahyang
Makruh melakukan sembahyang dengan cepat tanpa berhati-hati atau teliti pada setiap perbuatan dan bacaan di dalam sembahyang, sekalipun tidak meninggalkan perkara-perkara yang dituntut dalam sembahyang.
Jika meninggalkan perkara-perkara yang dituntut di dalam sembahyang, umpamanya meninggalkan rukun sembahyang seperti meninggalkan bacaan al-Fâtihah, maka batal sembahyangnya.
Perkara-perkara makruh dalam sembahyang sebagaimana yang disebutkan ini seelok-eloknya dielakkan daripada melakukannya, agar sembahyang yang dilakukan memperolehi ganjaran kesempurnaan sembahyang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Kerjakan Sembahyang Sunat Taubat Sebelum Terlambat!
Tuntutan Bertaubat
Manusia secara semula jadinya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa sama ada terhadap Tuhannya mahupun sesama makhluk. Tidak kira dosa itu besar ataupun kecil, jiwa dan nafsu manusia itu sangat cenderung dan mudah terdorong untuk melakukan sesuatu yang terlarang, apatah lagi golongan yang tidak teguh iman mereka.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yusuf: 53)
Atas dasar ini, dan atas dasar rahmat dan belas kasihan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap hambaNya yang Maha Mengetahui akan kelemahan makhlukNya ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa membukakan pintu taubat untuk hambaNya yang sedar akan kesilapannya dan menyesal atas ketelanjurannya.
Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat
Terdapat beberapa dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk langsung kepada ketetapan hukum wajib melakukan taubat, antaranya:
1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan taubat nashûha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. rîm: 8)hTa-(Surah at
2. Di dalam sebuah hadits Qudsiy, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Maksudnya: Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu. (Hadits riwayat Muslim)
3. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Definisi Sembahyang Sunat Taubat
Sembahyang sunat Taubat ialah sembahyang sunat dua rakaat yang dikerjakan kerana ingin bertaubat daripada dosa dan kemaksiatan yang telah dilakukan, sama ada besar mahupun kecil, atas rasa kesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan dan ingin membersihkan diri daripada dosa serta berniat akan kembali kepada ketaatan dan berazam tidak akan mengulanginya.
Sembahyang sunat Taubat tidak disunatkan untuk didirikan secara berjemaah. Ia juga tidak terikat dengan waktu, maka bolehlah sembahyang sunat Taubat ini dikerjakan pada bila-bila masa termasuklah di waktu yang diharammkan untuk mendirikan sembahyang sunat.
Niat Sembahyang Sunat Taubat
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Surah-Surah Yang Sunat Dibaca
Tidak ada surah-surah yang dikhususkan untuk dibaca selepas membaca surah al- Fâtihah ketika mengerjakan sembahyang sunat Taubat ini. Dari itu, bolehlah dibaca mana-mana ayat al-Qur’an ataupun surah yang dirasakan mudah ataupun mampu dibaca.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Qur’an (dalam sembahyang). (Surah al-Muzzammil: 20)
Dalam permasalahan sembahyang sunat yang tidak dikhususkan bacaannya seperti sembahyang sunat Taubat ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sunat membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh.
Memperbanyakkan Istighfâr Dan Do‘a Selepas Sembahyang Sunat Taubat
Setelah selesai mengerjakan sembahyang sunat Taubat, dianjurkan untuk memperbanyakkan istighfar dan do‘a. Antara istighfâr dan do‘a yang diamalkan oleh para ulama selepas mengerjakan sembahyang sunat Taubat ialah:
Ertinya: Aku meminta ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia, Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendiriNya dan kepadaNya aku bertaubat.
Ertinya: Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Aku meminta ampun kepada Allah dan kepadaNyalah aku bertaubat.
Ertinya: Ya Allah! Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan selain Engkau. Engkau yang telah menciptakan diriku dan aku adalah hambaMu. Aku tetap dalam ikrar dan perjanjianMu sedaya upayaku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui semua ni‘matMu atas diriku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau.
Fadhilat Sembahyang Sunat Taubat
Fadhilat sembahyang sunat Taubat ini disebutkan dengan jelas dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang hamba pun yang melakukan suatu dosa, kemudian dia membersihkan dirinya (mengambil wudhu) dengan baik, kemudian dia bangun lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah (dengan penuh rasa kesal dan berazam untuk tidak mengulanginya kembali selama-lamanya), melainkan Allah ampunkan baginya. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Abdullah bin Buraidah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan daripada bapanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memanggil Bilal Radhiallâhu ‘anhu, lalu Baginda bertanya kepadanya:
Maksudnya: Wahai Bilal! Dengan (amalan) apa kau mendahului aku masuk syurga? Semalam aku telah memasuki syurga, lalu aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku.
Lalu Bilal Radhiallâhu ‘anhu pun menjawab:
Maksudnya: Aku tidak sekali-kali melakukan suatu dosa kecuali aku bersembahyang dua rakaat (sembahyang sunat Taubat), dan aku tidak sekali-kali didatangi hadas kecuali aku mengambil wudhu kerananya.
Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda:
Maksudnya: (Dengan amalan) inilah sebabnya (kau mendahului memasuki syurga). (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Syarat Sah Taubat
Para ulama telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa syarat taubat yang mesti dipenuhi. Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat berikut:
1. Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:
i. Meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera ii. Menyesali perbuatannya itu iii. Membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
2. Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.
Para ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang disebutkan di atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada tujuan yang lain melainkan semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ataupun semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.
Kesimpulan
Pintu taubat sentiasa terbuka. Sebesar manapun dosa seorang hamba itu, jika dia ikhlas bertaubat dan memohon ampun kepadaNya dengan memenuhi syarat-syarat yang dituntut dalam bertaubat, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mengampunkan dosanya dan menerima taubatnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Surah Âli ‘Imran: 135)
Dari itu selagi hayat masih dikandung badan, janganlah melambat-lambatkan taubat, kerana ajal akan menjemput pada bila-bila masa. Selagi roh belum sampai ke kerongkong, segeralah bertaubat, beristighfar dan kerjakanlah sembahyang sunat Taubat. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai ke kerongkong (nazak).
SEMBAHYANG
AWAS! JANGAN LALU DI HADAPAN ORANG SEMBAHYANG
Kekhusyukan dalam sembahyang iaitu menghadirkan hati ketika melaksanakan ibadat sembahyang amat penting kerana pada waktu inilah saat seorang hamba menghadap Tuhannya. Salah satu cara mendatangkan kekhusyukan dalam sembahyang ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan sekalipun bersembahyang di dalam keadaan gelap. Namun adakalanya kekhusyukan dalam sembahyang itu hilang dengan sebab adanya gangguan sekeliling, umpamanya orang lalu atau berjalan di hadapan orang yang sedang bersembahyang.
Di sini timbul persoalan mengenai hukum orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang.
Sembahyang Dengan Meletakkan Sutrah (Pendinding/ Pembatas) Di Hadapan
Sunat bagi orang yang hendak melakukan sembahyang termasuklah sembahyang jenazah, membuat atau meletakkan sutrah (pendinding/pembatas) yang mengarah ke kiblat dan menghadapnya, seperti menghadap dinding atau tiang dan yang seumpamanya seperti kayu yang terpacak. Tinggi sutrah itu pula hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu kira-kira 30.5 sentimeter atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang. Tujuan pembatasan tersebut adalah sebagai peringatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah dan orang yang sedang bersembahyang.
Jika tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau barang-barang yang dikumpulkannya di hadapannya untuk dijadikan sutrah.
Jika tidak ada, sunat baginya menyediakan sutrah dengan membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat garisan pada kawasan di hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter, atau kurang daripada kadar tersebut.
Cara ini adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan (meletakkan) sesuatu di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat (di hadapannya). Jika tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan demikian, apa sahaja yang lalu di hadapannya, tidak akan memudharatkannya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Walaupun kedudukan hadits ini dha‘îf, tetapi ia boleh dipakai di dalam perkara fadhâ’il A‘mâl kerana cara membuat sutrah termasuk di dalam perkara fadhail a‘mal itu.
Hukum Melintas Di hadapan Orang Yang Bersembahyang Dan Menghalangnya
Jika seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat sebagaimana di atas, maka sunat baginya atau orang lain yang mengetahui sutrah tersebut untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan sutrah tersebut.
Dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullâh, Abu Shalih as- Samman Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa dia telah melihat sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu sedang bersembahyang menghadap sesuatu yang membatasinya daripada (laluan) orang ramai. Lalu seorang pemuda keturunan Bani Abu Mu‘aith ingin lalu di hadapannya, maka Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu pun menghalangnya. Pemuda tersebut melihat sekeliling, namun tidak menjumpai jalan yang boleh dilalui kecuali di hadapan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu yang sedang bersembahyang itu. Maka dia cuba lagi untuk lalu, namun dihalang oleh Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu. Setelah itu dia pergi menemui Marwan dan mengadu mengenai perlakuan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu itu. Abu Sa‘id al- Kudriy Radhiallâhu ‘anhu datang dari belakang pemuda tersebut, lantas Marwan bertanya kepadanya tentang apakah yang berlaku antaranya dan anak saudaranya (pemuda tersebut). Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu menjawab, bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang dengan menghadap sesuatu yang mendindingnya daripada orang ramai, jika ada seseorang yang hendak lalu di hadapannya maka hendaklah dia menghalangnya (semampunya). Jika dia engkar (tidak menghiraukan halangan itu), maka hendaklah menghalangnya sekalipun sampai membunuhnya. Maka sesungguhnya dia adalah syaitan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ada dua tafsiran dengan apa yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’ di dalam hadits di atas iaitu:
1. Orang yang lalu di hadapan orang sembahyang itu lalu bersama-samanya syaitan.
2. Dia adalah syaitan daripada kalangan manusia. Seseorang itu dianggap sebagai syaitan daripada kalangan manusia kerana dia telah melakukan perbuatan syaitan dengan menghalang seseorang daripada melakukan ketaatan.
Adalah haram bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu. Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang terkenal dengan gelaran asy-Syafi‘e ash-Shaghîr berpegang bahawa tidak ada perbezaan antara yang mukallaf dan bukan mukallaf, kerana kedua-duanya sunat dihalang jika lalu atau melintas di hadapan orang sembahyang. Begitu juga dengan sutrah yang diletakkan oleh orang lain di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah juga haram bagi sesiapa saja untuk lalu pada perbatasan itu.
Sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Juhaim Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanyakan mengenai apa yang didengarnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang orang yang lalu di depan orang bersembahyang, dan dia berkata:
Maksudnya: Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu, tentunya dia akan berhenti (menanti) selama 40, lebih baik baginya daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu. (Hadits muttafaq ‘alaih)
Berkata Abu an-Nadhr, salah seorang perawi hadits di atas: “Aku tidak pasti adakah Baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.”
Namun begitu tidak haram baginya untuk lalu di luar daripada kawasan yang diletakkan sutrah tersebut. Sembahyang seseorang itu pula tidak batal dengan sebab orang lalu di hadapannya.
Jika seseorang meletakkan sutrah di hadapannya, akan tetapi orang lain tidak mengetahui akan adanya sutrah tersebut, maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu, hendaklah dia menghalangnya.
Jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk lalu di hadapannya, akan tetapi hukumnya makruh iaitu lebih baik untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang itu.
Cara Menghalang Orang Lalu Di Hadapan Orang Bersembahyang
Cara menghalang atau menolak seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu adalah dengan seringan-ringan gerakan. Menurut beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘e, menghalang atau menolak orang yang lalu itu adalah dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.
Sutrah Ketika Sembahyang Di Tempat-Tempat Khas Untuk bersembahyang
Mendirikan sembahyang di tempat-tempat dikhususkan untuk bersembahyang, seperti di dalam masjid atau mushallâ, setiap saf adalah menjadi sutrah kepada orang yang berada di belakang saf itu, jika saf tersebut dekat dengannya. Ukuran dekat di sini ialah jarak di antara dua saf itu adalah 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang.
Jika seseorang masuk ke tempat sembahyang dan dia mendapati ada tempat kosong pada saf yang pertama ketika orang sedang mendirikan sembahyang berjemaah, maka tidaklah mengapa baginya lalu serta berhenti di hadapan orang yang mendirikan sembahyang pada saf yang kedua dengan tujuan memenuhi saf agar tidak menjejaskan kesempurnaan berjemaah.
Adapun mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan manusia, umpamanya pada jalan-jalan yang sering dilalui orang atau pada pintu-pintu masjid pada waktu-waktu sembahyang, maka tidak haram lalu di hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di hadapannya.
Daripada penjelasan di atas, maka jelaslah kepada kita tentang kedudukan dan nilai ibadat sembahyang di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sebaik sahaja sembahyang itu didirikan di satu-satu tempat, maka tidak dibenarkan lalu atau melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang sehinggakan orang yang bersembahyang dibolehkan menggerakkan tangannya untuk menghalang orang yang lalu atau melintas di hadapannya itu.
SUNAT-SUNAT HAI’AT: Jangan Tinggalkan Walaupun Sunat
Peluang untuk memperolehi pahala sembahyang yang sempurna boleh diraih dengan melaksanakan perkara-perkara sunat dalam sembahyang. Selain sunat ab‘adh, terdapat juga sunat yang dinamakan sunat hai’at. Berbeza dengan sunat ab‘adh, sunat hai’at ini tidak perlu diganti dengan sujud sahwi jika ditinggalkan sama ada secara senghaja atau terlupa. Namun jika ditinggalkan, seseorang itu akan mengalami kerugian kerana tidak mendapat pahala sunat dan hikmah yang terkandung di dalamnya.
Sunat Hai’at dalam sembahyang amat banyak, antaranya:
1. Sunat mengangkat kedua tangan separas bahu ketika takbîratul-ihrâm, iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga, kedua telapak dihadapkan ke kiblat serta jari-jari diceraikan pada jarak yang sederhana.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Malik, daripada Ibnu Syihab, daripada Salim bin ‘Abdullah, daripada bapanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan separas bahunya apabila memulakan sembahyang (ketika takbîratul-ihrâm). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Awal permulaan mengangkat tangan adalah pada permulaan takbîr dan berterusan sehinggalah selesai takbîr. Menurut pendapat yang mu‘tamad, sunat menyudahkan kedua-duanya (takbîr dan mengangkat tangan) bersama-sama.
2. Sunat mengangkat kedua-dua tangan ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun dari ruku‘.
Sahabat Ibnu Umar Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan:
Maksudnya: Aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila dia bangkit dalam sembahyang, Baginda mengangkat tangannya hingga separas bahu. Baginda melakukan begitu ketika mengangkat takbîr untuk ruku‘, dan melakukan begitu ketika mengangkat kepalanya dari ruku‘ (sesudah ruku‘). (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Sunat mengangkat kedua-dua tangan selepas bangkit dari tasyahhud awwal iaitu selepas rakaat yang kedua. Tempat mula mengangkat tangan ialah apabila sampai had minima ruku‘. Had minima ruku‘ itu pula ialah badan membongkok sehingga dua tapak tangan dapat memegang dua lutut.
Diriwayatkan daripada Nafi‘ Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma mengangkat kedua-dua tangannya apabila bangkit dari rakaat yang kedua. Perbuatan mengangkat tangan itu diikutnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan mengangkat tangan ketika takbîratul-ihrâm, sebelum dan selepas ruku‘ serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal ini adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, memohon ganjaran pahalaNya dan mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan tersebut adalah isyarat kepada menyingkirkan apa yang selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menghadirkan tumpuan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sepenuhnya dalam sembahyang.
4. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di atas belakang tangan kiri, serta diletakkan kedua-duanya di tengah antara bawah dada dan atas pusat.
Diriwayatkan daripada Thawus Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mendakapkan kedua-duanya pada dadanya, ketika itu Baginda sedang mendirikan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Kedua-dua tangan yang diletakkan pula sunat diletakkan ke kiri sedikit. Hikmah di sebaliknya adalah kerana di kawasan tersebut letaknya semulia-mulia anggota iaitu hati, dan dengan meletakkan tangan di sana seolah-olah seseorang itu menjaga iman yang ada di dalam hatinya. Ini kerana apabila seseorang itu menjaga atau memelihara sesuatu benda, maka kedua-dua tangannya ditemukan pada benda tersebut.
5. Sunat melihat tempat sujud ketika sembahyang, kerana dengan cara tersebut akan memudahkan dan membantunya untuk khusyuk. Begitu juga halnya dengan orang buta atau orang yang sembahyang dalam gelap, adalah sunat bagi mereka untuk menghalakan pandangan kepada tempat sujud seolah-olah mereka melihat tempat mereka sujud.
6. Sunat membaca do‘a iftitâh selepas takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca al-Fâtihah.
Dijelaskan dalam kitab Hasyiah ‘Iânah ath-Thâlibîn bahawa disunatkan do‘a iftitâh dengan lima syarat sebagaimana di bawah:
i. Ia dibaca bukan pada sembahyang jenazah
ii. Yakin tidak akan terluput waktu sembahyang fardhu jika membaca do‘a iftitâh.
iii. Ma’mum yakin sempat membaca al-Fâtihah jika membaca do‘a iftitâh.
iv. Ma’mum yang masbûq mendapati imam masih berdiri ketika dia hendak mengikutnya. Dalam keadaan ini, maka sunat dia membaca do‘a iftitâh, dengan syarat jika dia mendapati imam sedang i‘tidâl atau ruku‘, maka wajib dia mengikut imam.
v. Membaca do‘a iftitâh selepas takbîr, iaitu tidak memulai sembahyang dengan ta‘awwudz ( َ ِأَعُ وذ ُ لِهلل ِ مِ نهجِيمر ه ي ْ َان ِ الالط ) atau selepas bacaan-bacaan lain
Terdapat beberapa hadits shahih daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai bacaan sesudah takbîratul-ihrâm, antaranya:
Ertinya: Allah Maha Besar dengan segala kebesaranNya. Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku pada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan mengakui kebenaran dan menyerahkan diri kepadaNya. Dan aku tidaklah tergolong daripada kalangan orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dengan demikianlah, aku diperintah dan aku tergolong daripada orang-orang Islam. Ya Allah, Engkaulah Penguasa, tiada tuhan selain Engkau. Engkau Tuhanku dan aku hambaMu. Aku aniaya diriku dan aku akui dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku itu kerana tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau. Berilah hidayah kepadaku untuk memiliki akhlak yang mulia, kerana tidak ada yang dapat menuntun kepadanya (kepada akhlak yang mulia) kecuali Engkau. Hindarkan daripadaku akhlak yang rosak, kerana tidak ada yang dapat menghindarkannya kecuali Engkau. Aku menyahut panggilanMu dan aku terima perintahMu. Semua kebaikan berada di tanganMu dan kejahatan tidak kembali kepadaMu, aku bersamaMu dan kembali kepadaMu. Engkau Maha Suci dan Engkau Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan kembali bertaubat kepadaMu.
Do‘a iftitâh sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits-hadits, disunatkan membaca untuk orang yang sembahyang bersendirian. Bagi imam pula, hendaklah ada persetujuan daripada ma’mum jika dia ingin memanjangkan do‘a iftitahnya. Jika tidak mendapat persetujuan ma’mum, maka tidak boleh baginya memanjangkan bacaannya dan memadai baginya membaca sebahagian sahaja. Lebih baik baginya
juga bacaan bagi orang yang sembahyang bersendirian jika dia memilih untuk tidak memanjangkan bacaan do‘a iftitâhnya.
7. Sunat membaca ta‘awwudz sebelum membaca Basmalah: ( ِهحِيمر همحْن ِ الر بِسْ م ِ هللا ِ ال) walaupun pada sembahyang jenazah Lafaz ta‘awwudz:
Ertinya: Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.
Sunat membaca ta‘awwudz pada setiap rakaat, namun membacanya pada rakaat pertama amat ditekankan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Adzkâr: “Disunatkan ta‘awwudz pada rakaat yang pertama. Jika tidak dibaca pada rakaat pertama, maka dibaca pada rakaat kedua. Jika tidak dibaca pada rakaat kedua, dibaca pada rakaat seterusnya. Sekiranya pada rakaat pertama sudah mengucapkan ta‘awwudz, maka membacanya pada rakaat yang selanjutnya pada pendapat yang lebih shahîh adalah sunat. Namun membaca pada rakaat yang pertama lebih mu’akkad (lebih diberatkan).
8. Sunat orang yang sembahyang membaca “ ِِْل ََ ِ اغْفِ ر ر ” selesai membaca al- Fâtihah dan sebelum menyebut “âmîn”.
Menurut Imam Syabramallisi Rahimahullâh ditambah: “ ِْيَ وَلِوَالِد ََّه و َْلَِمِيع ِ الْمُسْلِم”
9. Sunat membaca “amin” (ِْي آم) selesai membaca al-Fâtihah.
Sunat mengucapkan bacaan “âmîn” bagi imam, ma’mum dan orang yang sembahyang sendirian. Di dalam sembahyang yang disunatkan menjahr (menyaringkan) bacaan, imam dan orang yang sembahyang sendirian disunatkan menyaringkan bacaan “âmîn”. Menurut pendapat yang shahih sunat bagi ma’mum, sama ada sedikit atau ramai jemaahnya menyaringkan bacaan “âmîn” bersama-sama dengan imam, iaitu tidak mendahului atau mengakhirkan bacaan “âmîn” daripada “amin” imam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam telah membaca: katakanlah “âmîn”, kerana sesungguhnya barang siapa bersamaan bacaan (âmîn)nya dengan bacaan (âmîn) malaikat, diampunkan segala dosa-dosa (kecil)nya yang lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
10. Sunat diam sebentar pada kadar bacaan “ سُبْحَان َ هللا ”pada tempat-tempat berikutأ i. Antara takbîratul-ihrâm dan do‘a iftitâh. ii. Antara do‘a iftitâh dan ta‘awwudz. iii. Antara ta‘awwudz dan Basmalah. iv. Antara akhir al-Fâtihah dan lafaz “âmîn”. v. Antara lafaz “âmîn” dan permulaan surah. vi. Antara akhir surah dan takbîr untuk ruku‘.
11. Sunat dibaca ayat-ayat atau surah al-Qur’an selepas bacaan surah al-Fâtihah pada dua rakaat pertama.
Sunat memanjangkan bacaan ayat-ayat atau surah al-Qur‘an pada rakaat pertama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanjangkan bacaan surah pada rakaat yang pertama ketika sembahyang fardhu Zuhur dan memendekkannya pada rakaat yang kedua.
12. Apabila ma’mum selesai membaca al-Fâtihah pada rakaat ketiga dan keempat, dan imam belum lagi ruku‘, sunat bagi ma’mum mengisikan waktu tersebut dengan membaca do‘a atau membaca ayat-ayat al-Qur’an. Namun yang lebih awlâ (utama) adalah membaca ayat-ayat al-Qur’an. Manakala jika imam belum lagi berdiri selepas tasyahhud awwal, maka sunat bagi ma’mum menyambung selawat untuk ahli keluarga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan seterusnya.
13. Sunat dibaca surah-surah tertentu di dalam sembahyang fardhu yang dilakukan pada hari Jumaat sebagaimana berikut:
i. Di dalam sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang fardhu Isya’, sunat dibaca surah al-Jumu‘ah pada rakaat pertama dan surah al- Munâfiqûn pada rakaat kedua, atau surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
ii. Di dalam sembahyang fardhu Subuh, sunat dibaca surah as-Sajadah pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
iii. Di dalam sembahyang fardhu Maghrib, sunat dibaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua.
14. Bagi imam dan orang yang sembahyang bersendirian adalah sunat menyaringkan suara ketika sembahyang Subuh, pada dua rakaat pertama sembahyang Maghrib, sembahyang Isya’, pada dua sembahyang Hari Raya, Tarawih, Witir di bulan Ramadhan dan ketika sembahyang Gerhana Bulan. Begitu juga disunatkan imam menyaringkan suara ketika sembahyang fardhu Jumaat.
15. Sunat takbîr al-intiqâl (takbîr untuk berpindah dari satu rukun pada satu rukun yang lain) ketika tunduk untuk ruku‘ dan sujud, dan ketika bangkit dari sujud dan tasyahhud awwal.
16. Sunat bagi imam menyaringkan suara pada takbîratul-ihrâm dan takbîr al-intiqal dengan tujuan zikir sahaja atau dengan tujuan zikir serta makluman kepada ma’mum. Manakala bagi ma’mum dan orang yang bersembahyang secara bersendirian, makruh hukumnya mengeraskan suara pada bacaan tersebut.
17. Ketika ruku‘, sunat menyamaratakan kedudukan punggung, leher dan kepala, serta tangan memegang kedua belah lutut.
18. Bagi lelaki sunat merenggangkan kedua belah siku dari rusuk dan merenggangkan perut dari kedua belah paha ketika ruku‘ dan sujud. Manakala bagi perempuan sunat merapatkan anggota-anggota tersebut.
19. Ketika ruku‘, sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika ruku‘:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Agung dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Kemudian sunat disambung lagi dengan do‘a:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku ruku‘, dan hanya kepadaMu aku beriman, dan hanya kepadaMu aku berserah diri. Aku menundukkan kepadaMu pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulang belulangku, urat sarafku, rambut-rambutku, kulitku dan apapun yang dilakukan oleh kakiku, semuanya kerana Allah Tuhan semesta alam.”
Namun begitu, jika tidak mahu menggabungkan bacaan di atas ketika ruku‘, maka membaca tasbîh sebanyak tiga kali adalah lebih awlâ (utama) berbanding bacaan-bacaan yang lain.
20. Ketika bangkit dari ruku‘ sunat dibaca:
Ertinya: Allah mendengar sesiapa yang memujiNya.
Sunat memanjangkan bacaan tersebut bermula dari ketika bangkit dari ruku‘ sehingga berdiri tegak sebelum sujud.
Kemudian sunat dibaca:
Ertinya: Tuhan kami, bagiMu segala puji sepenuh langit, sepenuh bumi, sepenuh apa yang ada di antara keduanya dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki daripada sesuatu selepas itu.
21. Sunat meletakkan kedua-dua lutut ke tempat sujud terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua belah tapak tangan dan dahi. Meletakkan ketiga-tiganya mengikut tertib adalah sunat, tetapi meletakkan ketiga-tiganya di tempat sujud hukumnya adalah wajib.
22. Sunat meletakkan hidung di atas tempat sujud.
23. Sunat membuka kedua kelopak mata ketika sujud agar berterusan memandang tempat sujud bagi mendapatkan kekhusyukan dalam sembahyang.
24. Ketika sujud sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika sujud:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku bersujud, kepadaMu aku beriman dan kepadaMu aku berserah diri. Bersujud wajahku kepada yang menciptakannya dan membentukkannya, dan kepada yang membuka pendengarannya dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kekuatanNya. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta.
Disunatkan memperbanyakkan do‘a ketika sujud sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Antara yang sunat dibaca ketika bersujud:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu daripada seksaanMu. Dan aku berlindung denganMu daripada (azab)Mu. Aku tidak dapat menghitung puji-pujian kepadaMu sebagaimana puji-pujian Engkau terhadap diriMu. Ya Allah, ampunilah aku daripada dosaku keseluruhannya, sedikitnya dan banyaknya, awalnya dan akhirnya, yang nyata dan yang tersembunyi.
25. Sunat duduk al-iftirâsy ketika duduk di antara dua sujud dan juga duduk pada tasyahhud awwal. Duduk al-iftirâsy ialah duduk di atas buku lali kiri yang menghadap ke lantai sambil tapak kaki kanannya ditegakkan dengan anak perut jari-jarinya dihadapkan ke kiblat.
26. Duduk istirahat sebentar dengan kadar duduk di antara dua sujud iaitu ketika selesai sujud kedua sebelum berdiri.
27. Sunat kedua tapak tangan bertelekan pada tempat sembahyang ketika bangun dari sujud dan dari duduk tahiyyat awal atau dari duduk istirahat lepas sujud. Cara ini dapat memudahkan seseorang untuk berdiri dan ia lebih menyerupai dengan maksud tawâdhu‘ (merendahkan diri) kerana yang pasti dengan cara ini seolah-olah seseorang itu berdiri sebagaimana orang yang lemah berdiri iaitu dengan memerlukan bantuan. Cara ini juga yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
28. Sunat duduk at-tawarruk ketika duduk tasyahhud akhir. Duduk at-tawarruk ialah duduk seperti duduk al-iftirâsy, kecuali dalam duduk at-tawarruk sebahagian tapak kaki di sebelah kiri dikeluarkan melalui bawah kaki kanan serta pangkal paha kiri diletakkan ke lantai (tempat sembahyang).
29. Ketika membaca syahadat ( َ أش ْهَد ُ أَن ْ ل إِل ه َ إِاله هللا ) dalam tasyahhud, sunat menaikkan telunjuk dengan mencondongkannya sedikit ketika membaca “ إال هللا” dan mengekalkannya sehingga hendak bangkit dari tasyahhud awwal dan sebelum memberi salam pada tasyahhud akhir. Lebih afdhal, jika digenggam jari-jari yang lainnya ketika telunjuk dinaikkan dan sunat memandang pada telunjuk ketika ia dinaikkan.
30. Ketika memberi salam, sunat diniatkan memberi salam kepada orang yang di sebelah kanan dan kirinya, baik terhadap malaikat serta mukmin yang terdiri daripada kalangan manusia dan jin.
Begitulah antara perkara-perkara sunat dalam sembahyang yang perlu diketahui dan diambil ingatan. Dengan mempelajari dan mengaplikasikannya secara sempurna dalam sembahyang sehari-hari, diharap ibadat yang dilakukan akan memperoleh keredhaan dan keberkatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ DI MANA HALA PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG?
Hala pandangan mata ketika sembahyang boleh membantu seseorang itu memperolehi kekhusyukan dalam sembahyang dan adakalanya pula ia boleh menyebabkan kekhusyukan itu hilang, umpamanya jika terpandang sesuatu yang boleh mengganggu fikiran mahupun tumpuan hati terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Maka atas dasar ini, hala pandangan mata ketika sembahyang itu merupakan suatu perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian kerana ia sangat berkait rapat dengan kekhusyukan. Kemanisan ibadat sembahyang tidak akan dapat dirasa atau diperolehi tanpa rasa khusyuk ketika mendirikannya.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak mengangkat takbîratul-ihrâm sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:
1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.
Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.
2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut kerana orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang ditakutinya, seperti musuh dalam peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas hartanya dan sebagainya. Dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.
3. Apabila tempat sujud itu terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping tempat sujud itu pula merupakan suatu tempat yang sangat mulia.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullâh. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullâh.
Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj ialah sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.
Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sungguhpun tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu.
Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullâh yang mengatakan bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘îfkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.
Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang
Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘îf.
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama). Ini kerana tidak pernah dikhabarkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Radhiallâhu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.
Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun orang lain.
Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullâh pula memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya. Dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.
Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada terpandang akan sesuatu yang haram.
Hukum Menghalakan Pandangan Mata Ke Arah Langit Ketika Sembahyang
Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika sembahyang? Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas sehinggalah Baginda bersabda: “Hendaklah mereka itu berhenti daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata mereka).” (Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah pakaian ataupun sejadah yang mempunyai lukisan, gambar dan sebagainya.
Hukum Membaca Al-Qur’an Melalui Mushaf Ketika Sembahyang
Membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang, tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada ayat-ayat yang dibaca itu sudah dihafal ataupun belum. Ini berdasarkan suatu riwayat bahawa Zakwan iaitu hamba milik ‘Aishah Radhiallâhu ‘anha pernah mengimamkan beliau dengan membaca al-Qur’an melalui Mushaf pada bulan Ramadhan.
Begitu juga tidak batal sembahyang kerana membalik kertas mushaf mahupun buku ataupun kertas yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca daripadanya ketika sembahyang, selama orang itu dapat menjaga pergerakannya daripada melakukan tiga pergerakan berturut-turut yang menurut mazhab asy- Syafi‘e perbuatan seumpama ini akan membatalkan sembahyang.
Bagaimanapun menurut mazhab asy-Syafi‘e, membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang ini hukumnya adalah makruh kerana ia menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab. Maka sebaiknya perbuatan tersebut dielakkan, kerana selain daripada menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab, ia juga boleh mengurangkan kekhusyukan serta mengganggu tumpuan ketika sembahyang.
Bagi orang yang tidak hafal surah al-Fâtihah pula, wajib baginya membaca surah al-Fâtihah melalui Mushaf ketika sembahyang.
Adapun di luar sembahyang pula, menurut sebahagian ulama, membaca dengan cara melihat Mushaf itu adalah lebih afdhal kerana ia menggabungkan dua ibadat dalam satu masa iaitu membaca mushaf dan melihatnya, sebab melihat Mushaf itu pun merupakan suatu ibadat. Di samping itu, membaca daripada Mushaf dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya kesalahan ketika membacanya.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa membaca melalui hafalan itu lebih afdhal kerana ia menjauhkan daripada timbulnya sifat ria‘, di samping itu juga ia lebih menambahkan rasa khusyuk ketika membacanya.
Penutup
Pandangan mata sangat berpengaruh terhadap jiwa, fikiran serta tumpuan seseorang, apatah lagi ketika sedang sembahyang, kerana syaitan itu sering sahaja mencari-cari peluang untuk mencacatkan sembahyang seseorang.
Dari itu, hala pandangan mata ketika sembahyang bukanlah suatu perkara yang remeh. Ia sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang seseorang kerana ia dapat membantu seseorang itu menghadirkan hatinya ketika sembahyang, sekaligus akan mendatangkan rasa khusyuk. Kerana itulah orang yang sedang sembahyang disunatkan untuk menetapkan pandangan matanya ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang kecuali pada tempat-tempat serta keadaan-keadaan tertentu. Ini bagi mengelakkan seseorang itu daripada terpandang segala perkara yang boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuannya ketika sembahyang.
MEMAKAI MINYAK WANGI DAN MINYAK RAMBUT BERALKOHOL KETIKA SEMBAHYANG
Islam telah meletakkan kebersihan sebagai kunci bagi sahnya ibadat sembahyang. Oleh karena itu tidak akan diterima sembahyang seorang Muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang digunakan pun dalam keadaan bersih. Kebersihan dikira sebagai menentukan sahnya sembahyang seseorang itu, kerana najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah.
Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?
Pengertian Alkohol
Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara:
1. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)
2. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)
Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.
Kenajisan arak
Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.
Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Oleh itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan. Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram.
Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan yang tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:
Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas berkata:
Ertinya: (Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.
Ibnu Hajar Rahimahullâh menghuraikan lagi:
Ertinya: (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur.
Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.
Hukum Alkohol Daripada Arak
Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa keperluan yang syar‘i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:
Ertinya: Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar‘i)
Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.
Hukum Alkohol Sintetik Atau Tiruan Daripada Campuran Bahan Kimia
Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti racun.
Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.
Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.
Perkara Yang Meragukan Hendaklah Ditinggalkan
Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak wangi atau minyak rambut itu, adakah ia diambil dari sumber yang suci atau najis.
Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang bersabda:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)
Dalam hadits yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharamannya adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Maka barang siapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan barang siapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu jelaslah bahawa menggunakan minyak wangi atau minyak rambut mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak adalah haram, kerana ia adalah najis dan tidak sah dibawa sembahyang. Manakala minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah diharuskan, kerana ia bukan najis dan sah dibawa sembahyang.
Walau bagaimanapun apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi atau minyak rambut, sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan daripada menggunakannya. Tambahan pula di pasaran banyak terdapat minyak wangi atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita.
‘ATHIYYAH
Pemberian: Perlukah Adil Kepada Anak?
Al-Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu menjelaskan bahawa tabarru‘ (memberi sesuatu kepada orang lain tanpa gantian) seseorang akan hartanya kepada orang lain terbahagi kepada dua:
1. Yang tergantung (tertakluk) kepada kematian iaitu wasiat.
2. Yang terlaksana ketika hidup. Ia terbahagi kepada dua:
i. Memindahkan milik semata-mata, iaitu hibah, hadiah dan sedekah.
ii. Waqaf.
Hibah dalam istilah syara‘ ialah memindah milik sesuatu tanpa perlu menukar ganti. Hibah merangkumi sedekah dan hadiah, kerana ia mempunyai definisi yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan dan maksud semasa menyampaikannya.
Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mengharapkan pahala, maka ia adalah sedekah. Namun jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih, maka ia dinamakan hadiah, dan jika ia tidak dimaksudkan seperti di atas, maka ia hanyalah satu pemberian biasa (hibah).
Hukum hibah (termasuklah hadiah dan sedekah) itu adalah sunat. Ini kerana hibah itu merupakan suatu kebajikan dan ia terkandung dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai perempuan-perempuan Islam, janganlah kamu menghina seorang jiran (yang menghadiahkan) kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing (walau hanya sesuatu yang sedikit). (Hadits riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan kasih-mengasihi sesama kamu. (Hadits riwayat Malik)
Jelaslah bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya bersikap saling beri-memberi, kerana ia boleh melahirkan perasaan kasih sayang. Walau bagaimana kecil sekalipun pemberian itu, namun ia tetap dianggap suatu pemberian bahkan akan mendapat ganjaran pahala. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah az-Zalzalah: 7)
Orang yang lebih utama diberikan hibah itu adalah kaum kerabat dan jiran.
Sunat saling do‘a mendo‘akan memohon keberkatan dan sebagainya antara pemberi dan penerima, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dihadiahkan seekor kambing, Baginda bersabda: “Bahagi-bahagikanlah ia.” Apabila tiba khadam (yang menghantar daging), ‘Aisyah bertanya: “Apa yang mereka katakan (ketika menerima daging)?” Khadam menjawab: “Mereka mengucapkan: (Semoga Allah memberkati apa yang masih tinggal pada kamu).” Maka ‘Aisyah berkata: “(Dan semoga Allah memberkati apa yang ada pada mereka), kita hendaklah menjawab sebagaimana yang mereka ucapkan, dan kekallah pahala kita untuk kita.” (Hadits riwayat Ibnu as-Sunni)
Perlukah Adil Dalam Pemberian Kepada Anak?
Makruh bagi ayah mengutamakan seorang anak daripada anak-anaknya yang lain dalam pemberian sama ada hibah, hadiah, sedekah, waqaf atau derma yang lainnya.
Maka sunat bagi ayah berlaku adil kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan hatta kepada cucu-cucunya dalam memberi suatu pemberian, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Ayahku telah bersedekah kepadaku sebahagian hartanya, maka berkata ibuku ‘Amrah binti Rawahah: “Saya tidak rela sehinggalah engkau mempersaksikannya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam”. Maka ayahku pergi kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk dipersaksikan sedekahku. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ayahku: “Adakah engkau membuat begini (memberi sedekah) kepada semua anakmu?” Berkata (ayahku): “Tidak”. Baginda bersabda: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu”. Maka ayahku kembali dan menarik balik sedekah itu. (Hadits riwayat Muslim)
Selain ayah, disunatkan juga kepada ibu, nenek lelaki dan nenek perempuan berlaku adil kepada anak dan cucu mereka. Jika diutamakan salah seorang daripada mereka dalam pemberian maka hukumnya makruh (tapi pemberian itu sah), kerana ini boleh membawa kepada perasaan hasad, dengki dan sifat menderhaka, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhumâ ketika ayahnya datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk dipersaksikan pemberian yang dia beri kepada anaknya, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Adakah kesemua anakmu engkau berikan pemberian sepertimana yang engkau berikan an-Nu‘man?” (Ayah) berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Maka persaksikanlah pekara ini (kepada orang) selain aku.” Kemudian Baginda bersabda: “Apakah engkau suka mereka berbuat baik yang sama kepadamu?” Dia berkata: “Ya”. Baginda bersabda: “Jika demikian tidaklah (aku mahu mempersaksikannya).” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut ad-Damiri bahawa berlaku adil kepada anak-anak itu adalah dituntut hatta dalam memberi ciuman kepada mereka. Sementara asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal menyebutkan bahawa bukan sahaja adil dalam pemberian bahkan juga berlemah lembut dalam percakapan dan sebagainya.
Ketika Bila Ia Makruh?
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, ayah yang mengutamakan seorang anak daripada anak-anaknya yang lain dalam pemberian adalah makruh, apabila kesemua anak-anaknya itu sama-sama berhajat pada pemberian atau sama-sama tidak berhajat padanya.
Adapun jika tidak sama keadaan mereka seperti salah seorang daripada anaknya berhajat pada pemberian dan anak-anaknya yang lain tidak berhajat, maka tidaklah makruh memberi keutamaan kepada anaknya yang berhajat itu.
Demikianlah juga halnya tidak makruh memberi keutamaan kepada anaknya yang tidak menderhaka, yang tidak fâsiq, yang berilmu dan wara‘, sebagaimana para sahabat Radhiallâhu ‘anhum mengutamakan sebahagian anak-anak mereka.
Adapun jika kedua-dua anaknya itu fâsiq akan tetapi kefâsiqan salah seorang daripadanya lebih berat berbanding yang seorang lagi, seperti seorang anaknya itu peminum arak, penzina dan peliwat dan seorang yang lain hanya peminum arak, maka didahulukan yang lebih ringan kefâsiqannya.
Haram memberi sesuatu pemberian kepada anak yang fâsiq, apabila diketahui bahawa dia akan membelanjakan pemberian itu pada kemaksiatan.
Jika ibu bapa tidak adil dalam pemberian itu, contohnya seorang anak diberi dengan bahagian yang lebih banyak dan yang lain hanya sedikit, maka dalam hal ini ada dua cara penyelesaian:
Pertama: Yang lebih utama, disama ratakan pemberian itu dengan menambah kekurangan pada anak yang mendapat bahagian yang sedikit.
Kedua: Diambil lebihan daripada anak yang mendapat bahagian yang lebih banyak itu supaya menjadi sama rata.
Sebagai kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berlaku adil kepada anak-anak dalam memberikan sesuatu pemberian sama ada berbentuk hadiah, sedekah ataupun waqaf agar tidak menimbulkan di hati mereka perasaan dengki dan penderhakaan.
NAMA KANAK-KANAK
Menamakan Anak: Panduan Dan Hukumnya
Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali dan juga akan dipanggil pada Hari Akhirat. Oleh itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Pada masa ini para ibu bapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir sejak anak itu masih dalam kandungan lagi.
Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula.
Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hakam yang berkaitan dengan pemberian nama ini.
Waktu Yang Paling Afdhal Menamakan Anak
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr, sunat diberikan nama kepada anak pada hari ketujuh ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits yang shahîh dan harus menamakan anak sebelum atau selepas hari ketujuh.
Imam al-Bukhari Rahimahullâh pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Perkara ini berlaku kepada Ibrahim Radhiallâhu ‘anhu putera Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallâhu ‘anhumâ dan beberapa anak para sahabat yang lainnya. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ke tujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri.
Begitu juga sunat diberikan nama kepada anak damit (kecil) yang meninggal dunia sebelum sempat diberikan nama. Sunat juga diberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh. Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk kedua-duanya seperti Hindun (وند) dan Thalhah (طلحة).
Memilih Nama Yang Baik
Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad Rahimahumallâh daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Nama Paling Disukai Oleh Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah (عب د هللا) dan ‘Abdul Rahman ( عب د ال رمحن ) sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd “ د عب ” (hamba) yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asmâ ‘al-Husnâ) seperti ‘Abdul Rahim “عبدالرحيم”, ‘Abdul Malik “ك د املل عب”, ‘Abdul Salam “ الم د الس عب ”, dan yang seumpamanya. (Fatwa: 24/1984)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan). Manakala nama
Muhammad “ مد ”dan kemudian nama Ahmad “ امحد ”pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut. (Fatwa: 24/1984)
Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Malaikat
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa menurut mazhab asy-Syafi‘e dan jumhûr ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi, begitu juga nama-nama para malaikat.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Bernamalah kamu dengan nama-nama para nabi. (Hadits riwayat Abu Daud)
Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm.
Abu Hurairah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhumâ pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama: Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tidak kosong daripada nama Muhammad itu di dalam sesuatu keluarga. (Fatwa: 66/91)
Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.” Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, maksud kata Imam asy- Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman.
Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia. Oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.”, kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Fatwa: 66/1991)
Nama-Nama Yang Makruh Digunakan
Makruh menamakan anak atau menggunakan nama yang tidak elok maknanya dan nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Harb (َحر - perang), Murrah (رة م – pahit), ‘Ashiyah (عاصية - yang membuat maksiat), Kalb ( كل - anjing) dan sebagainya. Menamakan anak dengan nama-nama seperti ini tidak syak lagi akan memberikan impak yang negatif terhadap diri mereka yang mempunyai nama tersebut kerana ia akan membuatkan mereka merasa malu, terhina, rendah diri dan sebagainya. Tidak mustahil juga ia boleh menjejaskan kedudukan orang itu di mata masyarakat.
Nama-Nama Yang Haram Digunakan
Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdul Syams ( مس د الط عب - hamba matahari) ‘Abdul Husain ( د ْي عباْلس - hamba Husain), ‘Abdul Ka‘bah ( د عبة المُب - hamba Ka‘bah) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.
Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Allah ( هللا ), ar-Rahman (رمحن ال ) al-Ilâh (ه ا ل) dan ar-Rabb (َر ال ) kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd (د عب ) sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah ( د عبهللا ), ‘Abdul Rahman ( عبدرمحن ال ) ‘Abdul Ilâh ( د عبا له ) dan ‘Abdul Rabb ( َ عبدالر ). (Fatwa: 96/1982)
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja seperti Malik al-Amlâk (الك ك األم مل - Raja segala raja), Khâliq al-Khalq ( ق ِ الق اْلل - Pencipta seluruh makhluk) dan nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut
Abu Hurairah Radhiallâu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada Hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malik al-Amlâk. Tiada raja yang maha memiliki kekuasaan melainkan Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.
Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik
Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadits yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak menukarkan nama-nama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik. Baginda menukarkan nama ‘Ashiyah ( ية عاص - yang membuat maksiat) kepada Jamilah ( ة َجيل - yang cantik), Harb ( َ ر ح - peperangan) kepada Salim لم س - aman sejahtera), Hazn ( زن ح - sedih) kepada Sahl ( هل س - senang) dan banyak lagi
Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar. (Fatwa: 24/1984)
Memanggil Seseorang Dengan Nama Singkatan
Disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ dan al-Adzkâr bahawa diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati tuannya.
Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah tsabit bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dengan sabda Baginda: “ ر َ أل و ” (wahai Abu Hirr), dan Baginda pernah memanggil Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha dengan sabda Baginda: “ ائ َ ع ” (wahai ‘Aisy).
Memberikan Gelaran Kepada Seseorang
Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan ‘Atîq ( ق عتي - yang dimerdekakan dari api neraka), Sayyidina Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan al-Faruq ( اروق الف - yang membezakan kebenaran daripada kebâthilan), Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu digelarkan sebagai Asadullah ( د هللا أس - singa Allah) dan banyak lagi
Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ia adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan ia merupakan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibu bapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang tidak baik ataupun tidak disukainya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah pula kamu panggil memanggil di antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Surah al-Hujurât: 11)
Manakala jika digunakan gelaran tersebut bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.
Memanggil Orang Yang Tidak Dikenali Atau Tidak Diketahui Namanya
Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.
Penutup
Memberi dan menggunakan nama yang baik dan berunsur keislaman itu sememangnya sangat penting untuk diambil perhatian oleh setiap Muslim. Ini kerana nama yang baik dan berunsur keislaman itu akan mendatangkan pengaruh yang baik. Manakala sebaliknya pula nama-nama yang buruk itu boleh mendatangkan pengaruh yang kurang baik sama ada pada diri sendiri atau keluarganya mahupun masyarakat seperti dipersendaguraukan nama berkenaan.
Dari itu, sewajarnyalah para ibu bapa meneliti dengan lebih mendalam nama-nama yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka menurut panduan yang telah disediakan oleh para ulama. Manakala orang yang memiliki nama yang tidak baik pula sepatutnya menukarkan nama mereka dengan nama yang lebih baik kerana menukarkan nama yang tidak baik dengan nama yang lebih baik itu merupakan suatu sunnah dan saranan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bahkan ada kala menukar nama itu wajib.
PERAYAAN
Ingat! Jangan Terikut-ikut Merayakan Kedatangan Awal Tahun Masihi
Tahun Hijrah dan tahun Masihi merupakan dua tarikh yang masyhur dan dikenali secara meluas di kalangan masyarakat. Walaupun mempunyai sejarah berbeza namun kedua-duanya merupakan tarikh yang diguna pakai dan kadangkala digabungkan dalam satu kalendar.
Tahun Hijrah secara khusus hanya terkenal dalam masyarakat dan dunia Islam. Ia dikaitkan secara langsung dengan Islam. Manakala awal tahunnya pula dijadikan antara hari-hari kebesaran Islam. Ini kerana semenjak dari pengisytiharan Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu mengenai awal tahun bagi umat Islam, maka awal tahun Hijrah telah dianggap salah satu syi‘ar yang disambut khusus oleh umat Islam.
Tahun Masihi pula memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana seluruh dunia menjadikannya tarikh utama di dalam kalendar mereka. Awal tahunnya dijadikan hari besar dan dirayakan.
Di sini timbul satu persoalan tentang sesetengah masyarakat Islam yang turut merayakan awal tahun Masihi dengan sambutan besar-besaran sebagaimana orang bukan Islam merayakannya. Apa yang paling merisaukan ialah orang-orang Islam lebih ‘ghairah’ menyambut tahun Masihi melebihi orang-orang bukan Islam.
Ingatkah kita suatu masa dahulu, kita pernah ber‘JANUARI’ dengan mengadakan berbagai acara suka ria, seperti lumba perahu dan sebagainya? Ber’JANUARI’ dihubungkaitkan dengan awal Januari, iaitu awal tahun Masihi. Sekarang sudah tiada pesta seperti itu, tetapi masih tetap ada pesta-pesta lain, terutamanya pada malam menyambut awal tahun Masihi.
Merayakan Awal Tahun Baru Masihi
Menyambut awal tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang Islam. Ia juga bukan salah satu daripada hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal tahun Hijrah, hari Maulud Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Isra’ dan Mi‘raj, awal Ramadhan, Nuzul al-Qur’an, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha.
Awal tahun baru Masihi hanya perayaan yang sering dirayakan oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negara-negara lain seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam sama ada mereka sedari atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadi satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi dalam masyarakat Islam.
Sambutannya sudah menjadi kebiasaan di mana-mana tempat, secara besar-besaran pula. Bermacam-macam acara diadakan untuk menghidupkan dan memeriahkan kedatangan tahun baru itu. Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan dan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara, sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru melalui saat dan jam menuju ke angka dua belas. Apabila jam sudah menunjukkan angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak-sorai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma.
Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak sesuai dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.
Daripada penjelasan ini, nyatalah Islam dan umatnya tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu, untuk mengalu-alukan dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun Masihi tersebut, lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain daripada Islam.
Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesar-besarkan awal tahun Masihi seperti orang bukan Islam membesar-besarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabbuh (penyerupaan) dengan mereka yang berlainan agama itu di dalam budaya, tujuan dan aqidah mereka. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang daripada (kalangan) mereka. (Hadis riwayat Abu Daud)
Sehingga ke hari ini, kebanyakan negara termasuk sebahagian daripada negara-negara Islam masih menggunakan kalendar Masihi sebagai kalendar asas. Ia memang tidak akan berubah memandangkan kemasyhuran pemakaiannya secara global.
Walau bagaimanapun sudah sepatutnya umat Islam di selurh dunia memikirkan untuk menjadikan kalendar Hijrah sebagai kalendar asas mereka. Kita telahpun diperkenalkan atau dibekalkan dengan kalendar yang mempunyai sejarah tersendiri lagi indah sejak berabad-abad lagi iaitulah kalendar Islam yang bermula dari tarikh hijrah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dari kota Makkah ke kota Madinah. Mengapakah ia harus diletak di belakang dan kurang dipakai oleh umat Islam, sedangkan kalendar Masihi dipakai secara meluas dan menyeluruh sehingga menenggelamkan kalendar Islam itu?
Marilah kita berfikir sejenak dan bertanya di dalam diri kita sendiri: Apakah tanggapan orang lain terhadap kalendar Hijrah orang-orang Islam jika kita sendiri tidak mahu mengagungkannya? Adakah orang lain mahu memakainya sebagaimana orang Islam memakai kalendar Masihi? Dan yang lebih jauh lagi, pernahkah kita mendengar atau berjumpa orang bukan Islam turut merayakan awal tahun Hijrah kita?
Oleh yang demikian, kita umat Islam sendiri patutlah merasa bangga dan komited serta dengan penuh semangat menggunakan kalendar Hijrah sebagai kalendar utama dalam kehidupan kita seharian. Begitu juga tanggungjawab kita membesarkan kedatangan awal tahun Hijrah, bukan sebaliknya merayakan dan membesar-besarkan awal tahun Masihi.
PERMAINAN
Jauhi Permainan Masa Kini Yang Berunsurkan Judi
Judi bermaksud permainan dengan menggunakan wang dan lain-lain sebagai pertaruhan. Bermain judi adalah perbuatan yang amat dicela dan termasuk antara dosa-dosa besar. Ini kerana keburukan akibat perbuatan ini lebih besar berbanding manfaatnya.
Perbuatan berjudi ini sudah wujud sejak zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Judi adalah suatu kesukaan orang-orang Jahiliah. Mereka mempertaruhkan wang, harta benda malahan mempertaruhkan isteri mereka dalam permainan-permainan mereka seperti permainan at-tajzi’ah dan al-mukhâtharah. Contohnya dalam permainan al-mukhâtharah, pemain yang terdiri daripada dua orang lelaki atau lebih menjadikan isteri dan harta masing-masing sebagai pertaruhan dan kesudahannya pihak yang menang akan mengambil isteri dan harta pihak yang kalah sebagai hadiah untuknya. Begitulah antara cara masyarakat Jahiliah mempertaruhkan sesuatu dalam permainan judi mereka.
Walaupun corak atau cara perjudian yang berlaku masa kini atau jenis permainannya berlainan, akan tetapi unsur yang ada di dalamnya tetap sama.
Dalil Pengharaman Judi
Pengharaman judi ada disebutkan dengan jelas dalam al-Qur’an. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)
Dalam ayat di atas, disebut tentang dosa yang terdapat pada arak dan judi. Walaupun kedua-duanya mempunyai beberapa manfaat kepada manusia, namun sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat di atas dosa atau keburukan kedua-duanya lebih besar sehingga syari‘at Islam melarang penganutnya menghampiri kedua-duanya.
Dosa yang nyata daripada perbuatan berjudi ialah memakan harta orang lain dengan bâthil iaitu dengan cara yang salah. Perbuatan ini kemudiannya akan menjerumuskan mereka kepada permusuhan dan kebencian.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat yang lain pula:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib (dengan batang-batang anak panah) adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Dalam ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan supaya tidak mendekati arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah kerana semua perkara yang disebutkan itu merupakan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman.
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil. (Surah al-Mâ’idah: 91)
Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ menjelaskan kepada hamba-hambaNya bahawa syaitan menginginkan untuk mencetuskan permusuhan dan kebencian di kalangan manusia dengan sebab arak dan judi serta melalaikan manusia daripada mengingati Allah dan meninggalkan sembahyang umpamanya seseorang itu mabuk kerana meminum arak maka fikirannya menjadi tidak waras untuk mengingati Allah dan seseorang itu terlalu leka berjudi sehingga meninggalkan sembahyang atau lain-lain kewajipan, bahkan sanggup melakukan
Sesuatu yang keji dan ditegah oleh syara‘ hanya kerana terlalu ketagih berjudi atau dibebani hutang judi.
Keburukan Berjudi
Antara keburukan akibat berjudi itu ialah:
1. Memakan harta orang lain secara bâthil iaitu dengan cara yang salah.
2. Para pelakunya lebih banyak mengalami kerugian daripada keuntungan. Manfaatnya hanya dapat dikecapi oleh pihak yang menang, manakala pihak yang kalah pula akan mengalami kerugian dan kedukaan kerana kehilangan harta yang dipertaruhkan.
3. Berjudi menyebabkan seseorang itu menjadi malas untuk berusaha dan hanya mengharapkan nasibnya (baik) agar menang dalam permainannya.
4. Berjudi merupakan perbuatan syaitan yang keji dan tercela.
5. Berjudi menyebabkan pelaku-pelakunya saling membenci di antara satu sama lain hingga menimbulkan permusuhan akibat rasa tidak puas hati di kalangan mereka, malahan ada yang sanggup berbunuhan sesama sendiri.
6. Berjudi boleh menyebabkan pelakunya lalai daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan lalai daripada kewajipan-kewajipan syara‘ kerana leka dengan permainan demi untuk memperolehi hasil yang banyak pada waktu yang singkat tanpa perlu berpenat lelah.
7. Orang yang sudah ketagih dengan judi mengalami kemiskinan dan hilang tumpuan bekerja.
8. Berjudi menyebabkan seseorang sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan aqidah, seperti berjumpa bomoh untuk mendapatkan nombor yang kononnya membawa tuah kepadanya. Ada juga yang sanggup memuja-muja pokok, pungsu (busut), pergi ke kubur-kubur malahan ada yang sanggup mencabut nombor lesen kereta yang terlibat dengan kemalangan hanya untuk mendapatkan nombor yang dianggap boleh mendatangkan kemenangan untuknya.
9. Dengan berjudi seseorang akan terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah lain seperti menipu, mencuri, berhutang dengan menjanjikan janji-janji manis dan sebagainya.
Apakah Unsur Judi?
Islam mengharamkan segala bentuk perkara yang berunsurkan perjudian. Unsur judi itu ialah adanya pertaruhan, berdasarkan nasib semata-mata dan hanya sebahagian pihak sahaja yang mendapat keuntungan daripada hasil pertaruhan itu. Antara unsur-unsur judi itu ialah:
1. Pertaruhan.
Pertaruhan itu seperti wang dan lain-lain yang digunakan dalam perjudian. Jumhûr ulama berpendapat bahawa unsur penting dalam al-maisir (perjudian) itu adalah pertaruhan. Pada pandangan mereka, adanya unsur pertaruhan ini merupakan ‘illah (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur pertaruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.
2. Kemenangan yang ditentukan oleh nasib.
Berjudi hanya bergantung pada nasib semata-mata. Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ mengharamkan setiap hasil pencarian yang diperolehi oleh manusia berdasarkan nasib walaupun tujuannya untuk disumbangkan kepada orang-orang fakir dan miskin atau bagi tujuan kebajikan. 3. Adanya pihak yang untung dan pihak yang rugi.
Apa yang dipertaruhkan dalam satu-satu permainan judi itu hanya dapat dinikmati oleh pihak yang menang sahaja, manakala yang kalah tidak mendapat apa-apa melainkan hanya kerugian. Pihak yang menang mendapat keuntungan daripada kerugian pihak yang kalah. Gambaran seumpama ini dianggap sebagai memakan harta orang lain secara bâthil dan ia jelas ditegah dalam Islam sebagaimana Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)
Antara Contoh-Contoh Permainan Masa Kini Yang Berunsurkan Judi
1. Penganjur mengadakan permainan kuiz yang dibukakan kepada para peserta melalui penghantaran sistem pesanan ringkas atau SMS. Sesiapa yang banyak menghantar atau mula-mula sekali meneka jawapan itu dengan tepat akan mendapat hadiah yang dijanjikan oleh pihak penganjur.
Permainan yang berbentuk kuiz melalui SMS ini amat berleluasa dan sambutan yang diberikan juga tidak kurang hebatnya. Banyak peserta yang membelanjakan sejumlah wang mereka untuk membayar caj penghantaran SMS dengan tujuan untuk memperolehi kemenangan.
Permainan ini dikategorikan judi kerana terdapat unsur-unsur perjudian yang terkandung di dalamnya, iaitu:
i. Pertaruhan wang peserta yang dijadikan sumber hadiah bagi bakal pemenang.
ii. Pihak yang menang dalam peraduan kuiz ini mendapat untung daripada wang peserta-peserta lain, sedangkan pihak yang kalah akan mendapat kerugian kerana perlu membayar caj SMS yang digunakannya.
iii. Kemenangan berpihak kepada peserta adalah melalui nasib kerana pemilihan untuk menang adalah dari sudut-sudut tertentu seperti siapa yang terbanyak, terpantas dan sebagainya.
Melalui permainan ini, pihak penganjur mengumpul sejumlah besar wang daripada para peserta dengan berbagai cara, antaranya;
▪ Mengenakan caj perkhidmatan penghantaran SMS lebih tinggi daripada kadar biasa;
▪ Mengenakan bayaran bagi setiap SMS yang dikirim oleh penganjur kepada peserta;
▪ Mengenakan bayaran pendaftaran untuk memasuki peraduan melalui kredit peserta dan sebagainya.
Bayaran daripada peserta inilah yang sebahagiannya dijadikan hadiah yang ditawarkan atau dijanjikan penganjur kepada peserta yang bakal memenangi peraduan tersebut dan sebahagiannya menjadi keuntungan bagi penganjur.
Perlu diingat, sekalipun penghantaran SMS bagi permainan ini dikenakan dengan kadar caj biasa, namun sekiranya bayaran caj tersebut dimasukkan dalam nilai hadiah maka ia tetap dianggap perjudian.
3. Sebuah kumpulan ingin mengadakan satu perlawanan dan setiap peserta diarahkan untuk menyediakan wang masing-masing dengan kadar tertentu. Di akhir permainan sesiapa yang menang akan memperolehi semua wang hasil kutipan daripada semua peserta tadi atau mendapat hadiah yang dibeli menggunakan wang kutipan tersebut. Perkara seumpama ini dianggap sebagai judi kerana terdapat unsur-unsur judi iaitu adanya pertaruhan dan hanya seorang sahaja atau sebahagian pihak sahaja mendapat keuntungan hasil pertaruhan, manakala yang sebahagian pula tidak mendapat apa-apa.
Walau bagaimanapun jika salah seorang daripada peserta menyediakan ganjaran untuk perlawanan tersebut, maka tidak ada unsur perjudian dalam pertandingan tersebut. Misalnya peserta yang menyediakan hadiah tersebut berkata: “Jika engkau mengalahkanku, maka bagimu ganjaran ini” atau “jika aku mengalahkanmu, engkau tidak perlu memberiku ganjaran apapun.”
Jika wang yang dikutip daripada semua peserta bertujuan untuk kegunaan perlawanan tersebut seperti membeli minuman untuk para peserta, membayar pengadil atau hakim perlawanan dan yang seumpamanya selama mana ia tidak membabitkan ganjaran kepada peserta yang menjadi pemenang perlawanan, maka tidaklah ia dianggap judi.
Begitulah antara contoh perkara-perkara yang berunsurkan judi. Walaupun perlaksanaannya berbeza dengan perlaksanaan judi yang dilakukan di tempat-tempat perjudian dan tidaklah mengundang kepada perkelahian, akan tetapi ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara seperti ini diharamkan oleh syara‘.
Penutup
Larangan berjudi sudah jelas disebutkan dalam ayat-ayat di atas. Jika al-Qur’an al- Karim telah mengharamkan arak dan judi itu, maka sudah tentu perkara itu besar bencananya kepada umat manusia. Selain daripada itu akal yang waras pun tidak boleh menerimanya, kerana kesannya yang buruk pada ekonomi, kesihatan dan pergaulan manusia.
Oleh itu, sebelum melaksanakan sesuatu peraduan atau perlawanan pihak penganjur hendaklah memastikan bahawa peraduan atau perlawanan itu hendaklah bersih daripada unsur judi iaitu pertaruhan. Dengan menyediakan hadiah, sama ada yang disediakan oleh para penganjur sendiri atau yang ditaja oleh orang lain, tanpa membabitkan pengutipan wang daripada para peserta adalah cara untuk mengelakkan berlakunya permainan yang berunsurkan judi.
Masyarakat pula perlulah sentiasa peka sebelum menyertai mana-mana peraduan atau permainan. Ini kerana perjudian boleh saja berlaku dalam bentuk yang terselindung. Melalui penjelasan ini, masyarakat boleh menilai sama ada peraduan atau permainan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak bersih daripada unsur judi atau sebaliknya.
ADAB
Dalam Tandas Pun Ada Adab-Adabnya!
Tandas ialah suatu tempat khas yang dibina di dalam sesebuah rumah atau bangunan yang pada kebiasaannya digunakan untuk qadha’ hajat.
Tandas yang bersih, lebih-lebih lagi yang selesa, merupakan suatu keperluan. Kerana itu tidak hairanlah jika sebilangan individu tidak menggemari tandas awam, kerana menganggapnya sebagai antara tempat-tempat yang kotor, menjijikkan atau kurang menyenangkan.
Apapun gambaran yang dibayangkan terhadap tandas, ia tidak mengurangkan dan menjejaskan pandangan Islam terhadap kepentingannya. Oleh kerana itu, telah digariskan beberapa adab yang mudah untuk diamalkan ketika menggunakannya, ketika qadha’ hajat dan setelah selesai qadha’ hajat. Antaranya ialah:
1. Ketika Menggunakan Tandas:
i. Tidak membawa sesuatu yang tertulis padanya perkataan yang mulia seperti ayat-ayat al-Qur’an, bahkan sunat ditanggalkan. Ini termasuklah lafzh al-Jalâlah, Asmâ’ al-Husnâ, nama nabi-nabi sekalipun dia bukan Rasul, nama malaikat dan kesemua nama-nama mulia; sama ada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan seperti ‘al- ‘Aziz’; kerana nama ini digunakan untuk Asmâ’ al-Husnâ dan juga selainnya. Begitu juga ‘Ahmad’ yang menunjukkan nama Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan juga untuk selainnya. Adapun jika nama tersebut dimaksudkan secara umum, maka tidaklah makruh.
Ini berdasarkan kepada hadits Anas Radhiallâhu ‘anhu, iaitu perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menanggalkan cincin Baginda yang telah diukir dengan perkataan ‘Muhammad Rasûlullâh’.
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda (hendak) masuk ke tandas Baginda menanggalkan cincin Baginda. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sekiranya seseorang itu terlupa atau tidak sempat untuk menanggalkan cincin yang mengandungi perkataan mulia tadi, maka hendaklah digenggam dengan telapak tangan atau dimasukkan ke dalam serban dan seumpamanya (disembunyikan atau ditutup). Perbuatan seperti ini adalah adab yang dituntut.
Adapun membawa masuk Mushhaf ke dalam tandas tanpa dharurat, maka hukumnya adalah haram. Begitu juga dengan cincin yang ada perkataan mulia dipakai pada tangan kiri yang digunakan untuk beristinjâ’ (bercebok), kerana sudah pasti akan terkena najis padanya.
ii. Jangan masuk tandas dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak bertudung/berlapik). Hadits mursal daripada Habib bin Shalih Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam jika (hendak) masuk ke tandas, Baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepala Baginda. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
iii. Sunat mendahulukan kaki kiri apabila masuk tandas, sekalipun bukan dengan tujuan untuk qadha’ hajat seperti menyimpan atau mengambil barang.
iv. Sunat mendahulukan kaki kanan apabila keluar dari tandas atau beredar dari tempat qadha’ hajat.
v. Sunat menyediakan air yang akan digunakan untuk beristinjâ’ lebih awal jika tiada kemudahan paip air untuk beristinjâ’.
vi. Sunat membaca do‘a sebelum masuk tandas sepertimana riwayat daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika hendak masuk tandas Baginda berdo‘a:
Maksudnya: Dengan nama Allah, ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada syaitan khubutsi (lelaki) dan syaitan khabâ’its (perempuan). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
vii. Sunat membaca do‘a setelah keluar dari tandas antaranya riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dan Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengucapkan:
Maksudnya: Aku memohon keampunanMu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesusahan (berak dan kencing) daripadaku dan menjadikan aku sihat wal‘afiat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Adapun perkataan “ َ غُفْرَامَك ” itu, maka sunat dibaca sebanyak 3 kali
vii. Sunat mengangkat pakaian satu demi satu ketika hendak duduk qadha’ hajat, melainkan jika ditakuti terkena najis maka memadailah mengikut kadar yang sepatutnya. Begitu juga setelah selesai qadha’ hajat, sunat menurunkan atau melepaskan pakaian satu demi satu sebelum sempurna dia berdiri tegak.
viii. Makruh berlengah-lengah (duduk lama-lama tanpa keperluan) dalam tandas.
ix. Disunatkan untuk tidak makan dan minum.
x. Haram menghadap atau membelakangi qiblat ketika qadha’ hajat khususnya pada tempat yang luas atau terbuka dan tanpa ada pendinding (yang boleh menutup aurat), kecuali jika tempat itu berada dalam suatu bangunan atau binaan dan memang disediakan sebagai tempat qadha’ hajat seperti tandas yang dibina dalam rumah atau bangunan. Maka hukumnya adalah dibolehkan; tidak haram dan tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).
Ini dapat difahami daripada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Aku naik ke atas rumah Hafshah untuk sesuatu hajat (pekerjaan), lalu aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang qadha’ hajat (buang air besar), iaitu Baginda (dalam keadaan) membelakangi qiblat (dan) menghadap negeri Syam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Setelah qadha’ hajat, jika dia ingin berpindah ke tempat lain untuk beristinjâ’, maka tidak haram atau makruh untuk dia menghadap atau membelakangi qiblat.
2. Ketika Qadha’ Hajat:
i. Disunatkan supaya berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan. Kemudian merapatkan kedua-dua paha untuk memudahkan lagi qadha’ hajat.
ii. Makruh buang air kecil dalam keadaan berdiri kecuali ada keuzuran. Pada ketika itu hukumnya tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ). Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Barang siapa yang mengatakan kepada kamu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam buang air kecil dalam keadaan berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya. (Sesungguhnya) Baginda tidak membuang air kecil kecuali dalam keadaan duduk. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii. Disunatkan supaya tidak melihat kemaluan, tidak memandang ke arah langit, tidak memerhatikan apa yang keluar dari dua kemaluan kecuali kerana mashlahat, tidak mengoyang-goyangkan atau memain-mainkan tangan (tanpa faedah atau tujuan) dan tidak (banyak) menoleh ke kiri dan ke kanan.
iv. Ketika sedang qadha’ hajat, makruh berkata-kata walau apapun bentuknya sama ada zikir ataupun bukan; seperti perkataan biasa, kecuali kerana dharurat umpamanya memberi amaran kepada orang buta yang hampir jatuh ke dalam perigi dan seumpamanya. Bahkan kadang-kadang dalam keadaan seperti ini dihukumkan wajib (untuk berkata-kata dan memberi amaran).
Larangan ini difahami daripada sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Janganlah dua orang lelaki pergi (untuk) memasuki satu tandas, (lalu) kedua-duanya membuka aurat mereka (untuk qadha’ hajat sambil) berbual-bual. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla benci dengan (perbuatan) demikian itu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sekalipun bukan dalam keadaan qadha’ hajat, disunatkan juga ketika berada dalam tandas agar tidak membaca sesuatu zikir atau ayat al-Qur’an. Adapun kata-kata biasa sahaja tidaklah makruh (karâhah).
Apabila seseorang itu bersin, maka memadailah dia mengucapkan tahmîd dalam hati sahaja tanpa melafazkannya. Namun jika dia menggerak-gerakkan lidahnya tetapi tanpa mengeluarkan suara, perbuatan seperti ini tidak dihukumkan makruh. Sekiranya dia menyaringkan juga suaranya untuk mengucapkan tahmîd dan didengar pula oleh orang lain, maka tidak dituntut bagi orang yang mendengar tadi untuk mentasymît (mendo‘akan orang bersin yang telah mengucapkan tahmîd, dengan kebaikan dan keberkatan dengan mengucapkan “ ُ يرْمحَُك َ هللا ”.
Manakala hukum berdehem dan berbisik-bisik pula tidak makruh, seperti berdehem apabila pintu tandas diketuk untuk memberi makluman atau isyarat bahawa dia berada di dalamnya.
Di samping itu dapat difahami daripada hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa menjawab salam juga tidak dituntut:
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki telah berjalan melintasi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Baginda (pada ketika itu) sedang buang air kecil, lalu dia pun memberi salam (kepada Baginda). Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak menjawab salamnya itu. (Hadits riwayat Muslim)
v. Disunatkan tidak bersiwak (membersihkan gigi) sambil qadha’ hajat.
vi. Disunatkan tidak meludahi kencingnya.
vii. Disunatkan tidak duduk terlalu lama (tanpa keperluan) kerana Luqman al-Hakim pernah mengatakan bahawa perbuatan tersebut boleh mengakibatkan penyakit limpa/hati dan menyebabkan buasir (penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak). Pesanannya, duduklah (untuk qadha’ hajat) dengan selesa kemudian (segeralah) keluar.
3. Setelah Qadha’ Hajat:
Setelah selesai qadha’ hajat, perkara yang perlu dibuat ialah beristinjâ’ dan hukumnya adalah wajib. Antara adab-adabnya ialah:
i. Sunat beristinjâ’ dengan tangan kiri dan makruh menggunakan tangan kanan. Daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu kencing, maka janganlah sekali-kali dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan (begitu juga) janganlah dia beristinjâ’ dengan tangan kanannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Sunat memulakan membasuh kemaluan (hadapan) kemudian barulah dubur jika beristinjâ’ dengan air.
iii. Sunat menggunakan jari tengah ketika beristinjâ’ pada dubur.
iv. Sunat dibasuh tangan yang digunakan untuk beristinjâ’ dengan tanah dan seumpamanya (seperti sabun) kemudian dengan air. Kemudian membaca do‘a selepas beristinjâ’:
Ertinya: Ya Allah sucikanlah hatiku daripada sifat nifâq dan peliharakanlah kemaluanku daripada perkara-perkara keji.
Inilah antara adab-adab yang telah disepakati oleh para ulama dan dituntut untuk diamalkan ketika menggunakan tandas. Sekalipun hukumnya hanyalah sunat untuk dikerjakan atau ditinggalkan, namun adalah rugi jika diabaikan kerana adab-adab tersebut sangat mudah dan praktikal. Manakala mereka yang mengamalkannya pula adalah orang yang beruntung kerana mendapat ganjaran pahala di samping mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Tidak dinafikan juga mungkin terdapat banyak lagi hikmat yang tersembunyi di sebaliknya yang tidak diketahui dan tidak disebutkan di sini.
PERGAULAN
Tidak Masuk Syurga Memutuskan Silaturrahim
Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, bukan setakat beriman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Hari Akhirat sahaja, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu pengukurnya.
Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat kelak.
Lazimnya, gejala memutuskan silaturrahim berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan, didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan.
Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan pihak yang bermusuhan ini.
Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan. Tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.
Oleh itu binalah ikatan silaturrahim sesama insan dalam apa jua kesempatan. Mungkin suasana Hari Raya merupakan kesempatan yang baik untuk memulakan hubungan yang baik, tetapi menunggu Hari Raya mungkin mengambil masa yang lama. Oleh itu, gunakanlah kebijaksanaan dalam mencari waktu yang sesuai pada bila-bila masa sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan lagi tali silaturrahim.
Persoalannya, apakah hukum dan kesan memutuskan silaturrahim ini? Maklumat ini perlu diketahui supaya dapat dilupakan segala punca pertelingkahan demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pengertian Silaturrahim
Perkataan shilah dari segi bahasa bererti gabung atau kumpul dan makna rahmi pula ialah kaum kerabat yang dekat.
Dari segi istilah pula silaturrahim ialah berlaku ihsan kepada kaum kerabat sama ada daripada pihak si penghubung dan yang dihubungkan.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan sebuah hadits Qudsi, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk sehingga apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan berkata: “Ini adalah tempat orang yang berlindung daripada terputusnya hubungan kekeluargaan,” Allah berfirman: “Ya, jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungkanmu (mendapat belas kasih daripada Allah) dan memutuskan orang yang memutuskanmu (tidak mendapat belas kasih daripada Allah)?” Ia berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka demikianlah untukmu (Allah menyambungkan rahim orang yang menyambungkan rahim dan memutuskan rahim orang yang memutuskan rahim).” (Hadits riwayat Muslim)
Berkata Imam an-Nawawi bahawa menurut ulama, hakikat shilah itu ialah kemesraan dan belas kasihan. Manakala hubungan silaturrahim Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya ialah dengan melimpahkan kemesraan dan belas kasihanNya kepada hambaNya dengan ihsan dan ni‘mat atau dengan melapangkan dada-dada hambaNya kerana taat kepadaNya.
Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silaturrahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram.
Dalam kitab az-Zawâjir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:
1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.
2. Kaum kerabat bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa dan ibu saudara sebelah bapa serta anak-anak mereka, anak bapa dan ibu saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.
Hikmat Pensyariatan Silaturrahim
Hikmat bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barang siapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim). (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga bersilaturrahim itu boleh menambahkan penghormatan dan pahala selepas kematiannya kerana orang-orang akan mendo‘akannya setiap kali disebut kebaikannya.
Hukum Mengeratkan Silaturrahim
Tidak ada perselisihan ulama bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat di bawah ini:
Tafsirnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah an-Nisâ’: 1)
Kewajipan mengeratkan silaturrahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum Memutuskan Silaturrahim
Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.
(Surah Muhammad: 22-23)
Orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. (Hadits riwayat Muslim)
Bagaimana Menghubungkan Silaturrahim?
Menurut Ibnu Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, bersemuka, mendo‘akan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.
Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka.
Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat. Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal daripada orang lain, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Memberi sedekah kepada orang miskin dikira satu sedekah, dan memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu sedekah dan mengeratkan hubungan. (Sunan ad-Darimi)
Bolehkah Menjalinkan Hubungan Silaturrahim Dengan Orang Kafir? Dalam hal ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Keistimewaan Atau Kelebihan Mengeratkan Silaturrahim 1. Orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ redha kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim. 3. Membawa kebahagiaan. 4. Para malaikat gembira dengan eratnya silaturrahim itu. 5. Memperolehi pujian yang baik daripada orang. 6. Mengisi kesedihan Iblis. 7. Dipanjangkan umur. 8. Memperolehi keberkatan rezeki.
9. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.
10. Bertambah-tambah kehormatannya.
Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendo‘akannya setiap kali disebut kebaikannya.
Oleh yang demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang tersebut di atas dan jauhilah daripada perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu akan dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis. Setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: “Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai.” (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana semua orang yang beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua-dua saudara (kamu yang bertelingkah) itu. (Surah al-Hujurât: 10)
MAKANAN
Jangan Mencela Makanan!
Islam menganjurkan umatnya menghargai ni‘mat yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melarang mencelanya. Antara ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap makhlukNya ialah makanan.
Makanan itu suatu ni‘mat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia perlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya. Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut. Apakah hukum mencela makanan?
Larangan Mencela Makanan
Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya.
Dalam hal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan. Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn bahawa seharusnya seorang Muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada.
Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ia bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya. Akan tetapi jika ia bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.
Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan: “Saya tidak menyukai makanan ini” atau “saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah dihidangkan dengan daging dhabb bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya. Khalid bin al-Walid Radhiallâhu ‘anhu lalu bertanya kepada Baginda:
Maksudnya: Adakah dhabb itu haram wahai Rasulullah?
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun menjawab:
Maksudnya: Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi (lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab:
Maksudnya: Makanlah kamu, sesungguhnya ia adalah halal. Akan tetapi ia bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan). (Hadits riwayat Muslim)
Memuji Makanan Yang Telah Dimakan
Di sebalik larangan daripada mencela makanan, Islam menganjurkan pula memuji makanan yang telah dimakan. Bukan sahaja dianjurkan memuji makanan, bahkan Islam turut menganjurkan untuk menyebut-nyebut apa sahaja ni‘mat yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai tanda syukur.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Adapun ni‘mat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah adh-Dhuhâ: 11)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Adzkâr bahawa memuji makanan yang telah dimakan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam dan merupakan suatu sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ini sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah meminta lauk daripada keluarganya, lalu mereka menjawab: “Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka”. Maka Bagindapun memintanya dan memakan (makanannya) dengannya (cuka), lalu Bagindapun bersabda: “Sebaik-baik lauk ialah cuka, sebaik-baik lauk ialah cuka.” (Hadits riwayat Muslim)
Makanan adalah ni‘mat kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ia dicela. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan manusia contoh dan ikutan terbaik yang patut diteladani. Apabila makanan yang dihidangkan kepada Baginda itu disukainya, Baginda akan memakannya dan malah akan memuji makanan tersebut walaupun yang dihidangkan itu hanyalah cuka. Manakala jika makanan itu tidak disukainya ataupun Baginda tidak pandai memakannya, Baginda akan diam dan meninggalkannya ataupun menolaknya dengan penuh kesopanan.
Isi Perut Ikan: Adakah Najis?
Amalan atau sikap memilih makanan yang halal lagi baik (bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan) merupakan suruhan agama. Ia bukanlah tertakluk pada kemahuan atau kehendak individu itu sendiri ataupun sebagai satu pilihan atau kecenderungan sahaja. Perintah ini telah ditegaskan dalam beberapa firman Allah Ta‘ala, antaranya:
Tafsirnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di-bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 168)
Apabila menyentuh mengenai aspek makanan yang menyihatkan dan menyelerakan; di samping sayuran dan buah-buahan, pasti ramai yang akan memilih atau menyebut ikan sebagai menu yang berzat dan berkhasiat. Malah tidak dapat dinafikan bahawa ikan juga yang disebut dalam bahasa Brunei sebagai lauk, merupakan antara makanan kegemaran masyarakat Brunei.
Cara untuk menyajikannya juga berbagai-bagai; rebus, kukus, goreng, bakar, diperap seperti dimasinkan atau diasamkan dan seumpamanya. Manakala cara membersihkan ikan dan menyediakannya sebelum dimasak atau dimakan juga diketahui. Memang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Brunei membersihkan terlebih dahulu ikan tersebut, mengasingkan dan membuang isi perutnya, sekalipun ikan kecil seperti ikan pusu. Perkara ini sudah menjadi amalan biasa kerana cara sedemikian merupakan antara aspek dan langkah penjagaan kebersihan serta kualiti makanan tersebut.
Namun apakah sebenarnya hukum memakan ikan bersama-sama isi perutnya menurut pandangan Islam?
Penjelasan Syara‘ Mengenai Haiwan Laut
Dalam al-Qur’an telah disebutkan bahawa haiwan atau binatang laut itu adalah halal melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati dari laut. (Surah al-Mâ’idah: 96)
Perkataan ‘laut’ dalam ayat di atas termasuklah juga sungai dan seumpamanya, manakala maksud ‘buruan laut’ pula ialah haiwan laut yang diburu, ditangkap atau diperolehi dengan menggunakan apa saja cara ketika binatang tersebut dalam keadaan masih hidup. Adapun maksud ‘makanan yang didapati dari laut’ ialah kehidupan laut yang terapung, yang dikeluarkan oleh laut atau yang terdampar ketika air laut (atau sungai) surut atau kering tanpa perlu ada usaha untuk memperolehinya.
Hukum Memakan Bangkai Ikan
Antara dalil daripada hadits yang menjelaskan perkara ini ialah hadits tentang air laut dan bangkainya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan, (manakala) bangkainya (binatang laut) adalah halal. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits di atas dapat difahami bahawa bangkai ikan adalah termasuk di antara benda yang dihalalkan oleh syara‘. Inilah hukum yang disepakati oleh para ulama, sebagaimana mereka bersepakat bahawa bangkai ikan adalah suci (bukan najis).
Adapun ikan, ia merupakan salah satu spesis haiwan atau binatang laut. Dari segi syara‘ hukumnya adalah halal bagaimana sekalipun cara matinya (tanpa perlu disembelih); sama ada ia mati tanpa sebab ataupun mati kerana sebab yang nyata, dan sama ada kita mendapatinya mati dalam keadaan tenggelam (atau terdampar) ataupun timbul (terapung) di permukaan air.
Yang dimaksudkan dengan ‘mati kerana sebab yang nyata’ ialah seperti mati kerana diburu atau ditangkap, dipotong kepala, terhempas batu, ditusuk dengan alat memburu ataupun lemas kerana ketiadaan air.
Bangkai Ikan Yang Terapung Atau Terdampar
Berdasarkan kepada ayat 96 surah al-Mâ’idah yang telah disebutkan terdahulu, menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh hukum memakan ikan yang telah timbul (terapung) di permukaan laut atau seumpamanya adalah halal. Tambahan daripada itu, terdapat satu riwayat bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakan daging sejenis ikan besar (‘anbar) yang telah mati dan terdampar di pantai. Riwayat ini menunjukkan hukum yang sama, iaitu halal memakan ikan yang sudah mati sama ada ia terdampar di daratan (pantai atau tebing) atau terapung di permukaan air.
Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengutus mereka sebagai satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah Radhiallâhu ‘anhu. Dalam perjalanan tersebut mereka menghadapi masalah kekurangan makanan. Suatu ketika apabila mereka menuju ke tepi laut, mereka telah mendapati seekor ikan besar (‘anbar) terdampar di pantai. Pada awalnya Abu ‘Ubaidah mengatakan bahawa ikan tersebut sudah menjadi bangkai, maka ia tidak halal untuk dimakan. Namun kemudian dia menegaskan bahawa mereka adalah utusan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berada pada jalan Allah (jihâd fî sabîlillâh) dan mereka benar-benar menghadapi kehabisan bekalan makanan. Oleh kerana terpaksa (dalam keadaan dharurat), maka dia mengarahkan juga tentera seramai 300 orang itu memakan daging ikan tersebut sekadarnya sehinggalah mereka boleh bertahan dan menetap di tempat itu selama sebulan lamanya lagi. Tatkala meninggalkan tempat tersebut, mereka masih boleh membawa beberapa potong dagingnya untuk dibawa pulang. Sesampai mereka di Madinah, mereka menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan menceritakan pengalaman tersebut kepada Baginda. Mendengar kisah tersebut, Baginda lalu bersabda:
Maksudnya: Itu (ikan) adalah rezeki yang diberikan Allah kepada kamu. Apakah kamu masih menyimpan sesuatu daripada dagingnya agar kamu boleh memberinya kepada kami untuk kami memakannya? (Jabir) berkata: “Kami lalu mengirimkan daging ikan tersebut kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun memakannya.” (Hadits riwayat Muslim)
Merasa Syak Atau Ragu
Walaupun secara umumnya bangkai ikan adalah suci (tidak najis) dan halal dimakan, namun jika seseorang itu merasa syak atau ragu; seperti mendapati ikan yang timbul atau terapung di permukaan air itu keadaannya sudah kembung dan ditakuti pula akan mendatangkan penyakit atau mudharat, maka dalam keadaan ini menurut pendapat beberapa ulama adalah haram memakannya, sekalipun hukum ikan dalam keadaan sedemikian tetap suci (tidak najis).
Apa yang lebih nyata lagi, jika ikan tersebut adalah daripada jenis yang diketahui mempunyai racun, maka tidak halal memakannya.
Bagaimana Dengan Isi Perut Ikan?
Ikan, sepertimana juga dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan padanya juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Maka dalam perkara ini, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis.
Jadi apakah memakan ikan yang telah dimasak atau dibakar sekaligus dengan isi perutnya itu halal atau sebaliknya? Bagaimana pula dengan ikan yang dimasinkan atau diasamkan dan diperam sekaligus dengan isi perutnya? Berikut disebutkan beberapa pendapat ulama mengenainya:
1. Halal memakan ikan kecil yang digoreng atau dibakar (sekaligus dengan isi perutnya), iaitu tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kandungan isi perutnya. Kandungan (kotoran) dalam isi perut ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Ini merupakan pendapat beberapa orang ulama antaranya Imam an-Nawawi, al-Khathib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli Rahimahumullâh.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh juga berpendapat bahawa tidak wajib membersihkan atau membuang kandungan (kotoran) dalam perut ikan kecil kerana kesukaran.
Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula menjelaskan, ikan besar yang dibakar atau digoreng (sekaligus dengan isi perutnya) hukumnya adalah haram, kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang dihalalkan itu hanyalah pada ikan yang kecil sahaja. Ini bermakna haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya, kerana tiada kesukaran untuk membersihkan isi perutnya daripaada najis (kotoran), berbeza dengan ikan kecil. Najis dalam perut ikan besar adalah tidak dimaafkan.
2. Adapun ikan yang diperam seperti ikan masin atau pekasam dan seumpamanya, menurut pendapat al-Imam ar-Rafi‘i dan an-Nawawi Rahimahumallâh bahawa hukumnya adalah harus memakan ikan masin berukuran kecil (yang diperap) sekaligus dengan isi perutnya kerana kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada dalam isi perut ikan kecil.
Adapun ikan masin yang berukuran besar yang diperam dengan isi perutnya, maka ikan masin yang sedemikian adalah najis.
Apakah Ukuran Yang Dikatakan Sebagai Ikan Kecil?
Kadar atau ukuran ikan yang dikatakan sebagai ikan kecil itu menurut pendapat ulama ialah:
1. Apa yang menurut adat kebiasaannya diakui atau disebut sebagai ukuran ikan kecil.
2. Sekadar dua jari besarnya. Ini adalah pendapat al-‘Allamah ‘Ali asy- Syabramallisi Rahimahullâh.
Lain-Lain Persoalan Yang Berkaitan
Berikut dibawakan beberapa persoalan serta penjelasan ringkas mengenainya:
1. Bangkai Ikan Dalam Perut Ikan Lain
Jika seseorang itu mendapati bangkai ikan dalam perut ikan lain dan bangkai ikan tersebut keadaannya belum terputus-putus (hancur), maka hukum memakan bangkai ikan tersebut adalah halal. Dengan kata lain, halal memakan kedua-dua ikan tersebut. Begitu juga bangkai ikan yang didapati dalam perut binatang lain.
Jika sebaliknya, iaitu jika bangkai ikan dalam perut itu sudah membusuk serta terputus-putus, maka hukumnya tidak halal (haram) kerana ia umpama sudah menjadi muntah dan tahi.
Manakala memakan ikan yang berubah; misalnya bau atau rasa dagingnya, hukumnya adalah makruh (tidak haram) dengan syarat tidak memudharatkan.
2. Memperlakukan Sesuatu Terhadap Ikan Yang Masih Hidup
Kadangkala kerana sebab-sebab tertentu, sesetengah orang memotong, memakan atau memasak ikan ketika ia masih hidup. Maka berikut diterangkan secara ringkas akan hukum perbuatan ini:
i. Memotong.
Makruh memotong, mengerat atau membahagi ikan dalam keadaan ikan tersebut masih hidup. Kemudian memakan bahagian yang dipotong itu adalah halal, namun hukumnya adalah makruh.
ii. Menelan.
Menelan ikan kecil atau besar yang masih hidup (beserta isi perutnya), sama ada dikunyah ataupun tidak, adalah halal namun hukumnya adalah makruh.
Begitu juga halnya menelan bangkai ikan yang kecil, hukumnya adalah harus (halal). Manakala menelan bangkai ikan besar adalah tetap haram, kerana isi perutnya adalah najis.
iii. Menggoreng atau membakar.
Menggoreng ikan yang masih hidup dalam minyak yang panas menggelegak atau membakarnya hidup-hidup hukumnya adalah makruh, kerana ada unsur penyeksaan.
3. Minyak Yang Digunakan Untuk Menggoreng
Oleh kerana (kotoran dalam) isi perut ikan kecil adalah dimaafkan, maka minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan kecil tersebut tidak dikira sebagai najis. Adapun bagi ikan yang besar hukumnya adalah sebaliknya, iaitu minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan besar akan menjadi najis apabila ia digoreng bersama isi perutnya.
Kesimpulan
Hukum memakan ikan adalah halal; sama ada ia mati tanpa sebab atau mati dengan sebab yang nyata, selama mana tidak mendatangkan mudharat. Manakala hukum bangkai ikan itu adalah suci (tidak najis).
Adapun memakan ikan kecil sekaligus dengan isi perutnya, tanpa membuang dan membersihkannya terlebih dahulu, adalah halal dan kotoran dalam kandungan isi perut ikan kecil adalah dimaafkan. Ini kerana adanya kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada pada perut ikan kecil.
Berbeza hukumnya bagi ikan besar, iaitu sekira-kira dua jari lebarnya, maka hukum memakan ikan berukuran besar yang tidak dibuang atau dibersihkan isi perutnya adalah haram dan dianggap najis kerana kotoran dalam isi perutnya adalah najis.
Apabila dilihat dari sudut yang lain pula, ulama juga mengaitkan hukum haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya kerana isi perutnya adalah najis dan tiada kesukaran untuk membuangnya. Manakala halal pada ikan kecil, kerana isi perutnya adalah najis yang dimaafkan dan juga kerana adanya kesukaran untuk membuangnya. Oleh yang demikian dapat difahami, jika isi perut ikan kecil itu mudah dan tiada kesukaran untuk dibuang, maka wajarlah ia dibuang kerana ini bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimanna yang disebutkan dalam ayat 168 surah al-Baqarah ‘ا الال طيب ح’, iaitu halal lagi baik. Baik yang bermaksud bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan.
BINATANG
Awas! Menyeksa Binatang Menempah Neraka
Penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang itu adalah satu kezaliman. Islam melarang keras umatnya melakukan sebarang bentuk kezaliman baik sesama manusia mahupun terhadap binatang. Hatta ketika menyembelih pun, binatang itu hendaklah diperlakukan dengan penuh ihsan. Sebagaimana yang disyariatkan hendaklah menggunakan pisau yang tajam untuk menyembelih binatang. Makruh mengasah pisau di hadapan binatang yang akan disembelih dan menyembelih binatang lain di hadapannya.
Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ahmad)
Antara bentuk-bentuk penyeksaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap binatang ialah:
1. Melagakan binatang.
Melagakan atau menyabung binatang mendedahkannya kepada bahaya, kesakitan bahkan boleh mengakibatkan kematian. Perbuatan ini adalah dilarang oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Larangan tersebut dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang melagakan binatang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
2. Memukul dan menyelar muka binatang.
Muka adalah bahagian anggota badan yang lembut. Memukul dan menyelar pada bahagian muka adalah antara bentuk penyeksaan terhadap binatang. Menyelar muka binatang bagi tujuan meletakkan tanda pengenalan binatang ialah menggunakan besi panas yang telah dibakar. Perbuatan demikian sudah tentu mendatangkan kesakitan yang amat sangat, lebih-lebih lagi pada bahagian muka. Dari itu perbuatan ini adalah dilarang sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang memukul dan menyelar muka. (Hadits riwayat Muslim)
Muka binatang juga termasuk di dalam larangan ini.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melaknat mereka yang menyelar muka binatang. Sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai perkara ini, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya telah melintas di hadapan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam seekor keldai yang telah diselar pada bahagian mukanya. Maka Baginda bersabda: “Allah melaknat orang yang menyelar (pada bahagian muka) keldai.” (Hadits riwayat Muslim)
Adapun menyelar binatang bukan pada bahagian muka seperti badan binatang itu maka tidaklah diharamkan bahkan harus hukumnya.
3. Mengembiri binatang.
Mengembiri binatang yang haram dimakan seperti kucing dan sebagainya adalah dilarang, sama ada binatang itu masih kecil atau pun sudah dewasa. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh.
Adapun binatang yang halal dimakan seperti kambing, lembu dan seumpamanya adalah haram dikembiri jika binatang tersebut sudah dewasa. Berlainan pula jika binatang yang halal dimakan itu masih kecil, maka harus dikembiri binatang tersebut jika tujuan kembiri itu ialah untuk menggemukkan binatang itu dan mendapatkan daging yang lebih enak.
4. Memisahkan anak daripada ibunya.
Perbuatan memisahkan anak binatang yang masih kecil daripada ibunya boleh mendatangkan kesusahan kepada anak binatang tersebut. Ini kerana ia masih memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada ibunya, sama seperti kita manusia. Oleh sebab itulah perbuatan ini dilarang oleh syara‘.
Hal ini pernah diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu mengenai anak burung yang dipisahkan daripada indungnya (ibu), beliau berkata:
Maksudnya: Adalah kami (kata ayahanda ‘Abdullah) bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengebas-ngebas kepaknya. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) anak-anak burung ini (memisahkan) daripada ibunya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya. (Hadits riwayat Abu Daud)
5. Mengurung sehingga mati kelaparan.
Mengurung binatang tanpa memberinya makanan sehingga dibiarkan mati kelaparan adalah dilarang dan ia boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka, sebagaimana diceritakan dalam suatu peristiwa:
Maksudnya: Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu masuklah perempuan itu dalam api nereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
6. Membakar binatang.
Membunuh binatang dengan cara membakarnya sama ada yang boleh dimakan atau tidak adalah dilarang dan berdosa besar. ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:
Maksudnya: Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa membakar ini?” Kami menjawab: “Kami”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak seharusnya diazab dengan api melainkan oleh Tuhan Pemilik api itu (iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).” (Hadits riwayat Abu Daud)
7. Membunuh untuk dipersia-sia.
Membunuh binatang dengan tujuan mensia-siakannya dan bukannya untuk dimanfaatkannya adalah satu penganiayaan. Asy-Syarid Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai hal ini dengan berkata:
Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membunuh burung untuk dipersia-sia, ia (burung) mengadu (dengan suara yang kuat) kepada Allah ‘Azza wa Jalla di Hari Akhirat, dengan katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguh si polan telah membunuhku untuk dipersia-siakan dan dia tidak membunuhku untuk tujuan dimanfaatkan.” (Hadits riwayat an-Nasa’i)
8. Menjadikan sebagai sasaran.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat mereka yang menjadikan binatang sebagai sasaran sama ada dengan melontarnya, memanahnya, menembaknya, melastiknya atau sebagainya. Perkara ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin Jubair di mana Ibnu ‘Umar pernah menegur budak-budak yang melontar burung yang dijadikan sebagai sasaran dengan berkata:
Maksudnya: Sesiapa melakukan ini, Allah melaknat sesiapa yang melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran. (Hadits riwayat Muslim)
Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit. (Hadis riwayat Abu Daud)
Sesiapa yang melakukan belas kasihan atau berlaku rahmat, sekalipun kepada binatang bukan saja Allah menerima amalnya itu, bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu peristiwa:
Maksudnya: Ada seorang lelaki sedang berjalan merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar. Tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata: “ Demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaanku”, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan air), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta‘ala menerima dan memuji di atas budinya dan ihsannya itu dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: “Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang?” Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu (yang bernyawa) diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, janganlah menganiaya, menyeksa dan menzalimi binatang atau tidak ada belas kasihan terhadapnya. Melakukan penganiayaan, penyeksaan dan kezaliman terhadap binatang bukan hanya menjauhkan kita daripada rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bahkan boleh mengundang azab di akhirat kelak.
PERHIASAN
Perempuan Bergincu: Adakah Dilarang?
Kecantikan sering dikaitkan dengan kaum perempuan. Ini kerana sifat semula jadi mereka yang suka kelihatan cantik sehingga ada sesetengah mereka yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan kecantikan seperti perawatan wajah, perawatan tubuh badan dan seumpamanya. Tidak kurang pula yang sanggup membeli barangan kosmetik yang nilainya mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit demi untuk memastikan dirinya kelihatan cantik. Sementara yang tidak mampu akan berbelanja seadanya dan semua ini dilakukan semata-mata untuk berpenampilan cantik serta sedap dipandang mata.
Hukum Berhias Bagi Kaum Perempuan
Islam mengharuskan kaum perempuan berhias bagi meraikan fitrah manusia. Sebagai contoh, Islam mengharuskan perempuan berhias memakai sutera dan emas asalkan tidak berlebihan dan bukan untuk bermegah-megah atau selama mana ia tidak bertentangan dengan syara‘ seperti berhias sehingga mendatangkan fitnah atau menimbulkan keghairahan lelaki.
Berhias Dengan Mengoles Gincu Di Bibir
Salah satu barangan kecantikan kaum perempuan pada zaman ini adalah gincu atau lipstik. Ia adalah bahan yang digunakan untuk mewarnai bibir agar bibir kelihatan segar dan tidak pucat. Maka timbul persoalan mengenai hukum bergincu. Apakah hukum bagi perempuan yang sudah berkahwin dan perempuan bujang atau yang tidak bersuami memakai gincu atau lipstik?
Perlu diingat bahawa hukum bergincu atau memakai lipstik boleh dikaitkan dengan hukum berinai dan berhias bagi perempuan yang tidak berihram:
1. Hukum berinai bagi perempuan bersuami.
Dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan: “Jika seorang perempuan itu mempunyai suami, disunatkan baginya berinai pada semua masa, kerana berinai itu adalah hiasan dan kecantikan, dan dia (perempuan yang bersuami) disunatkan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya sepanjang masa.”
Daripada penjelasan tersebut, maka tidaklah dilarang perempuan bersuami berinai bagi tujuan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya malahan ia adalah sunat.
2. Hukum berinai bagi perempuan yang tidak mempunyai suami.
Adapun bagi perempuan bujang atau yang tidak bersuami adalah makruh berinai kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah kepada dirinya atau kepada orang lain. Ini turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh: “Jika seorang perempuan itu tidak mempunyai suami dan dia bukan hendak berihram, adalah makruh baginya berinai tanpa ada sebab keuzuran kerana ditakuti akan berlaku fitnah ke atasnya dengan sebab inai dan berlaku fitnah ke atas orang lain dengan sebab dia berinai itu.”
Mengambil kira keharusan berinai dan berhias sebagaimana yang telah dijelaskan, maka tidaklah dilarang perempuan bersuami memakai gincu bagi tujuan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya, selama mana gincu itu sendiri suci yakni bukan daripada benda najis atau bercampur dengan bahan najis. Adapun perempuan yang bujang atau yang tidak bersuami adalah makruh memakai gincu kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah.
Tetapi hukum makruh akan bertukar menjadi haram bagi perempuan bujang atau yang tidak bersuami sekiranya dengan bergincu itu boleh menimbulkan fitnah, seperti boleh menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga bagi perempuan yang bersuami jika memakai gincu tanpa keizinan suami, hukumnya adalah haram.
Perempuan Berhias Sehingga Menarik Perhatian Lelaki
Islam melarang kaum perempuan melakukan apa jua perkara yang boleh menarik perhatian atau menimbulkan keghairahan kaum lelaki, seperti berhias dengan berlebihan, memakai wangi-wangian di hadapan lelaki asing, memakai pakaian yang kurang sopan dan memakai perhiasan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki.
Di dalam al-Qur’an, banyak disebutkan mengenai dengan larangan perempuan berhias sehingga menarik perhatian lelaki asing dan menimbulkan keghairahan mereka. Antaranya:
1. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan kaum perempuan supaya tidak melihatkan perhiasan mereka kepada orang lain kecuali kepada mahramnya.
Terkecuali larangan tersebut pada perhiasan yang bukan pada anggota aurat iaitu pada wajah dan kedua tapak tangan. ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan tentang kejadian saudaranya Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anha pergi menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang tipis. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memalingkan wajahnya, lantas Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seorang perempuan sudah haidh (bâligh), tidak elok untuk dilihat daripadanya kecuali ini dan ini. Dan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengisyaratkan kepada wajahnya dan kedua tapak tangannya. (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Ayat di atas jelas menunjukkan larangan menghentakkan kaki apabila berjalan dengan tujuan memperdengarkan bunyi gelang kakinya. Perempuan yang melakukan sedemikian dengan tujuan bermegah-megah dan mempamerkan kepada kaum lelaki, maka hukumnya haram dan tercela.
Ibnu ‘Abbas dan Qatadah Rahimahumallâh mengatakan bahawa larangan tersebut adalah disebabkan kaum perempuan pada ketika itu apabila melintasi orang, mereka akan menghentakkan kaki supaya didengar bunyi perhiasan kaki itu. Dan telah maklum bahawa lelaki yang mudah terangsang dengan perempuan, apabila mendengar bunyi perhiasan itu, akan membuatnya semakin ingin untuk melihat perempuan tersebut. Maka berdasarkan ini, dilaranglah kaum perempuan melakukan perkara yang boleh menarik perhatian kaum lelaki sama ada untuk diketahui perhiasannya yang terdiri daripada barang-barang kemas ataupun untuk tujuan yang lain.
Penutup
Keinginan naluri perempuan untuk berhias agar kelihatan cantik dan elok dipandang mata tidak pernah dihalang oleh Islam kerana ia adalah agama yang selaras dengan fitrah manusia. Namun ini tidaklah bermakna seorang perempuan itu boleh berhias diri mengikut seleranya dengan mengenepikan apa yang telah dibataskan dan ditetapkan oleh syara‘.
Bagi perempuan bersuami, Islam telah menetapkan supaya kecantikannya hanyalah dipamerkan untuk seorang lelaki yang menjadi pasangan hidupnya iaitu suami. Hikmat diharuskan bagi perempuan bersuami berhias adalah supaya dia sentiasa nampak menarik di mata suaminya dan sekaligus sebagai salah satu luahan perasaan daripada isteri itu bahawa dia menyayangi suaminya. Dengan demikian, ia akan lebih mengerat dan mengekalkan hubungan kasih sayang di antara suami isteri itu. Hubungan kasih sayang inilah antara matlamat syara‘ dalam hidup berumah tangga. Oleh itu, seorang perempuan yang betul-betul memahami matlamat tersebut akan berhias untuk suaminya ketika berada di rumah, dan bukannya berhias apabila hendak keluar dari rumah.
Batasan berhias yang ditetapkan oleh syara‘ bukanlah sebagai satu penyekatan, tetapi sebagai pemelihara diri dan kemurnian akhlak seperti mengelak diri daripada fitnah atau gangguan lelaki asing, menjauhkan diri daripada sifat berlebih-lebihan, bermegah-megah dan sebagainya.
HARTA PUSAKA
Kes Al-Kalâlah Dalam Pembahagian Harta Pusaka
Apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ditinggalkannya hendaklah diurus sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.
Pembahagian harta pusaka si mati kepada ahli warisnya adalah antara perkara yang dituntut oleh syariat Islam itu. Namun sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan, ada beberapa perkara yang wajib diselesaikan terlebih dahulu seperti zakat harta, nazar, hutang dan wasiat si mati jika ada.
Syariat Islam telah menentukan orang-orang yang berhak menerima harta pusaka dan cara-cara pembahagian harta tersebut kepada yang berhak sebagaimana yang dibahaskan dalam ilmu farâ’idh. Pembahagian harta pusaka kepada ahli-ahli waris wajib dijalankan mengikut hukum farâ’idh. Islam tidak membiarkan manusia sendiri yang membahagikan harta pusaka menurut kemahuan masing-masing. Ini kerana cara pembahagian yang ditentukan oleh syariat Islam itu adalah cara yang seadil-adilnya bagi umat manusia. Mengenai hal ini al-Qur’an telah menyebutkan bahawa pembahagian harta pusaka dan penentuan hak ahli waris itu adalah ketetapan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing) adalah ketetapan daripada Allah Ta‘ala, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisâ’: 11)
Dalam perkara pembahagian harta pusaka ini, terdapat kes si mati tidak meninggalkan ayah selaku ashl (asal keturunan) dan anak selaku fara‘ (cabang keturunan) si mati. Kes ini di dalam ilmu farâ’idh disebut sebagai al-kalâlah.
Pengertian Al-Kalâlah
Al-Kalâlah adalah perkataan Arab yang bermaksud seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak dan bapa. Dengan kata lain, seseorang yang meninggal dunia yang tidak meninggalkan keturunannya, sehingga kematiannya itu merupakan akhir daripada nasab dan keturunannya.
Telah diriwayatkan oleh asy-Sya‘bi bahawa Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanya mengenai al-kalâlah. Beliau berkata: “Aku memberi pendapat tentang al-kalâlah ini dengan pendapatku. Jika pendapatku ini benar, maka ia datang daripada Allah; tetapi jika ia salah, bererti ia datang daripadaku dan daripada syaitan. Sesungguhnya al-kalâlah itu ialah orang mati yang tidak meninggalkan anak dan bapa.”
Pengertian ini sama dengan apa yang dikemukakan oleh Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu dan Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah. Pengertian ini juga disepakati oleh ulama mazhab dan jumhûr ulama salaf dan khalaf yang mengatakan bahawa al-kalâlah adalah orang yang mati tanpa meninggalkan bapa dan anak.
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri menyebutkan riwayat yang ditakhrîj oleh Abu Daud dalam al-Marâsil, daripada Abu Ishaq, daripada Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah dengan berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Apakah al-kalâlah itu? Baginda menjawab: “Sesiapa yang (meninggal dunia) tidak meninggalkan anak dan tidak juga meninggalkan ayah, maka orang yang mewarisi ialah kalâlah (iaitu ahli waris yang tidak ada bersama-sama mereka anak dan juga ayah).”
Al-Kalâlah Dalam Al-Qur’an Dan Hadits
Menurut Tafsîr al-Fakhr ar-Razi dan Tafsîr al-Qurthubi bahawa perkataan al-kalâlah di dalam al-Qur’an disebut di dua tempat sahaja iaitu:
1. Surah an-Nisâ’, ayat 12:
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa (kalâlah) dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam.” (Surah an-Nisâ’: 12)
2. Surah an-Nisâ’, ayat 176:
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad, mengenai masalah al-kalâlah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara kalâlah itu.” (Surah an-Nisâ’: 176)
Al-Imam Muslim Rahimahullâh dalam kitab Shahîhnya meriwayatkan beberapa riwayat mengenai perwarisan al-kalâlah. Antaranya riwayat Muhammad bin al-Munkadir bahawa beliau mendengar Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Ketika aku sedang sakit, Rasulullah Shallallâhu alaihi wasallam dan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu menziarahiku dengan berjalan kaki. Kemudian aku jatuh pengsan. Lalu Baginda berwudhu dan menuang sebahagian air wudhu Baginda kepadaku. Maka akupun tersedar. Lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimana caranya saya menguruskan harta saya?” Baginda tidak menjawab sehinggalah turun ayat mîrâts iaitu: ( (Hadits riwayat Muslim)
Pembahagian Harta Warisan Al-Kalâlah
Pembahagian harta waris al-kalâlah telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Nisâ’ ayat 12 dan 176.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan anak atau bapa dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. (Surah an-Nisâ’:12)
Maksud perkataan “أخ” (saudara lelaki) dan “ ِ أ ” (saudara perempuan) dalam ayat di atas ialah saudara seibu kepada si mati.
Pembahagian harta waris al-kalâlah sebagaimana penjelasan ulama tafsir berdasarkan ayat di atas adalah seperti berikut:
1. Jika seorang lelaki atau perempuan meninggal dunia dalam keadaan kalâlah (tidak meninggalkan ayah dan anak) dan dia hanya meninggalkan seorang sahaja saudara lelaki atau saudara perempuan, maka saudaranya itu berhak mendapat seperenam daripada harta peninggalannya itu.
2. Jika seorang lelaki atau seorang perempuan meninggal dunia dalam keadaan kalâlah dan dia meninggalkan dua orang saudaranya atau lebih sama ada lelaki atau perempuan, maka kesemua mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan) daripada peninggalan hartanya.
3. Pembahagian dilaksanakan setelah dikeluarkan pembayaran wasiat dan hutang si mati.
Dalam ayat 176, surah an-Nisâ’ pula Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad, mengenai kalâlah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara kalâlah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisâ’: 176)
Maksud perkataan “ ِ أ ” (saudara perempuan) dan “إِ وة ” (saudara-saudara lelaki dan perempuan) dalam ayat di atas ialah saudara-saudara seibu sebapa (saudara kandung) atau sebapa kepada si mati.
Penjelasan ulama tafsir mengenai pembahagian harta waris al-kalâlah dalam ayat di atas adalah seperti berikut:
1. Jika orang yang meninggal dunia dalam keadaan kalâlah itu (tidak meninggalkan anak) meninggalkan seorang saudara perempuannya, maka bagi saudara perempuan itu seperdua daripada harta peninggalannya.
2. Jika perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan kalâlah (tidak meninggalkan anak) itu hanya meninggalkan saudara lelakinya (seorang atau lebih), maka saudara lelakinya itu mewarisi seluruh harta si mati.
3. Jika orang yang meninggal dunia dalam keadaan kalâlah itu meninggalkan dua orang saudara perempuannya atau lebih, maka bagi mereka itu dua pertiga daripada harta peninggalannya.
4. Jika orang yang meninggal dunia dalam keadaan kalâlah itu meninggalkan beberapa orang saudara lelaki dan perempuan, maka mereka semua mewarisi seluruh harta peninggalannya, dengan seorang lelaki mendapat dua kali ganda daripada bahagian seorang perempuan.
5. Pembahagian yang dimaksudkan itu ialah setelah dikeluarkan pembayaran hutang dan wasiat si mati.
Kedua-dua ayat di atas menggambarkan bahawa al-kalâlah hanya terbatas kepada kes si mati yang hanya meninggalkan saudaranya sama ada lelaki mahupun perempuan, baik seibu sebapa atau seibu mahupun sebapa, sama ada seorang ataupun lebih. Sedangkan pada sesetengah kes al-kalâlah, si mati selain meninggalkan saudaranya, ada kemungkinan dia juga meninggalkan ibu, isteri atau suami. Mereka ini juga ahli waris yang berhak mendapat harta peninggalan si mati, kerana mereka sama-sama ashhâb al-furûdh atau dzawu al-furûdh iaitu orang-orang yang mempunyai hak perwarisan yang ditetapkan dalam al-Qur’an dan al- Hadits.
Sebagai contoh, seorang suami meninggal dunia dalam keadaan al-kalâlah. Dia meninggalkan seorang isteri dan dua orang saudara seibunya (seorang lelaki dan seorang perempuan). Maka pembahagian harta menurut hukum farâ’idh si isteri mendapat seperempat daripada harta peninggalannya kerana suaminya tidak meninggalkan anak. Manakala dua orang saudara seibunya itu pula mendapat sepertiga daripada harta peninggalan si mati.
Contoh yang lain pula, seorang isteri meninggal dunia dalam keadaan kalâlah. Dia hanya meninggalkan seorang suami, ibu dan saudara lelaki seibunya. Maka suami mendapat seperdua, ibunya mendapat sepertiga dan saudara seibunya itu berhak mendapat seperenam daripada harta peninggalan si mati.
Berdasarkan penjelasan di atas, perlu dinyatakan bahawa dalam pembahagian harta waris, hak bagi ahli waris lelaki dan perempuan tidak sama jika berlaku perkongsian bahagian sebagaimana ditentukan dalam al-Qur’an (ْي ر األمثي ل ح ذكر مث نلل ), bahagian seorang lelaki menyamai dengan bahagian dua orang perempuan, kecuali dalam kes al-kalâlah, para ahli warisnya jika terdiri daripada beberapa orang saudara seibu yang bercampur antara lelaki dan perempuan, maka bahagian yang mereka kongsi dibahagi sama rata, tidak kira lelaki atau perempuan. Inilah pendapat jumhûr ulama.
Penutup
Al-Qur’an telah memberi panduan yang menyeluruh terhadap cara-cara pembahagian harta warisan termasuklah jika si mati tidak lagi mempunyai nasab dan keturunan iaitu al-kalâlah. Pembahagian harta dalam al-kalâlah ini meliputi saudara-saudara si mati baik seibu, sebapa mahupun seibu sebapa. Pembahagian yang ditentukan oleh syariat Islam dalam kes al-kalâlah ini memberi peluang kepada kerabat si mati khususnya saudaranya seibu yang pertalian keluarga dengan si mati melalui sebelah ibu sahaja untuk mendapat hak perwarisan. Dalam masa yang sama, harta si mati masih diwarisi oleh orang-orang yang masih dalam lingkungan ahli keluarganya walaupun si mati tidak meninggalkan anak atau bapanya yang lebih berhak untuk mewarisi harta peninggalannya itu.
ZIKIR
Hidupkan Sunnah: Berzikir Sebelum Dan Selepas Tidur
Berzikir dianjurkan pada setiap hal dan keadaan, sama ada sewaktu hendak duduk, berdiri, ketika hendak tidur, sesudah bangun tidur, ketika mendapat kesusahan atau kesenangan dan sebagainya. Berzikir merupakan tanda seseorang itu mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menunjukkan sifat kehambaan seorang insan yang secara semula jadinya sentiasa memerlukan perlindungan, ‘inâyah serta keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam semua hal dan keadaan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Âli ‘Imran: 190-191)
Antara bukti kebesaran Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta ni‘mat kurniaanNya yang tidak ternilai kepada manusia ialah ni‘mat tidur. Setiap orang memerlukan tidur sepertimana seseorang itu memerlukan makan dan minum. Dengan ni‘mat tidur, seseorang itu akan dapat memulihkan kembali kecerdasan otak serta tenaga setelah digunakan dalam menjalani aktiviti kehidupan sepanjang hari.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seorang insan yang memiliki darjat yang tertinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Baginda sentiasa mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa memohon perlindungan serta keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ termasuklah ketika Baginda hendak tidur mahupun sesudah jaga. Ini merupakan sunnah Baginda yang tidak pernah Baginda tinggalkan. Baginda juga sering mengingatkan para sahabat Baginda supaya sentiasa mengamalkan sunnah Baginda ini.
Tidur Tanpa Berzikir Kepada Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Makruh seseorang itu tidur tanpa berzikir terlebih dahulu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa duduk di suatu majlis tanpa berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka kelak ia pasti akan menjadi sebab sesalannya terhadap dirinya di sisi Allah. Dan barang siapa yang berbaring di suatu tempat pembaringan tanpa berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka kelak ia pasti akan menjadi sebab sesalannya terhadap dirinya di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, maksud “sebab sesalannya” dalam hadits ini ialah kekurangan. Menurut pendapat yang lain pula, ia bermaksud bebanan. Dengan mengambil kira kedua-dua maksud ini maka tanpa berzikir ketika hendak berbaring untuk tidur adalah suatu kekurangan atau bebanan yang akan ditanggungnya ketika berhadapan dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kelak.
Banyak hadits mahupun atsar yang menyebutkan zikir-zikir yang dianjurkan untuk dibaca ketika hendak tidur. Zikir-zikir ini sebahagiannya berupa ayat-ayat al- Qur’an, dan sebahagiannya lagi bukan berupa ayat-ayat al-Qur’an.
Zikir-Zikir Daripada Ayat-Ayat Al-Qur’an Yang Sunat Dibaca Ketika Hendak Tidur
Antara amalan yang biasa dibuat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan yang dianjurkan oleh Baginda kepada para sahabat dan umat Baginda ketika hendak tidur ialah membaca zikir-zikir yang berupa ayat-ayat al-Qur’an. Adapun ayat-ayat ataupun surah-surah yang menjadi amalan Baginda serta para sahabat sebelum tidur ialah:
1. Ayat al-Kursiy. Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah pernah berkata:
Ertinya: Aku tidak pernah melihat seorang Islam yang berakal akan tidur sebelum membaca ayat al-Kursi. (Atsar dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah)
2. Dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah. Iaitu daripada permulaan ayat ke-285 sehinggalah penghujung ayat terakhir surah al-Baqarah, iaitu penghujung ayat ke-286. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Anshari al-Badri Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Ada dua ayat daripada akhir surah al-Baqarah; barang siapa yang membacanya pada malam hari, maka kedua-duanya itu sudah mencukupi baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut satu riwayat daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah pula, disebutkan tiga ayat terakhir daripada surah al-Baqarah. Iaitu bermula daripada ayat ke-284, sehinggalah penghujung ayat terakhir surah al- Baqarah. Oleh itu adalah harus juga memulakannya dari ayat 284 hingga akhir surah al-Baqarah itu berdasarkan riwayat ini.
3. Surah as-Sajdah dan surah al-Mulk. Jabir Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak akan tidur sehinggalah Baginda membaca surah as-Sajdah dan surah al-Mulk. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
4. Surah Bani Isra’il (yang juga dikenali dengan nama surah al-Isrâ’) dan surah az-Zumar. Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak akan tidur di tempat tidur Baginda sehinggalah Baginda membaca surah Bani Isra’il dan surah az-Zumar. (Hadits dikeluarkan oleh at-Tirmidzi)
5. Surah al-Kâfirûn. Naufal al-Asyja‘i Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Bacalah surah al-Kâfirûn, kemudian tidurlah setelah menyelesaikannya. Kerana sesungguhnya surah tersebut merupakan pembebasan daripada kesyirikan. (Hadits riwayat Abu Daud)
Surah al-Ikhlâsh serta al-Mu‘awwidzatan (surah al-Falaq dan surah an-Nâs). Ini dilakukan dengan cara menggabungkan kedua telapak tangan, lalu ditiupkan dengan lembut tanpa mengeluarkan air liur ke kedua telapak tangan, setelah itu dibacakan pada kedua telapak tangan tersebut ketiga-tiga surah ini kemudian disapukan kedua telapak tangan itu ke seluruh anggota tubuh yang mampu dicapai, bermula daripada kepala dan muka serta bahagian hadapan tubuh. Ini dilakukan sebanyak tiga kali.
Hal ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila ingin berbaring di tempat tidur Baginda pada setiap malam, Baginda menggabungkan kedua telapak tangan Baginda dan meniup kedua-duanya, lalu membacakan pada kedua-duanya surah al-Ikhlâsh, surah al-Falaq dan surah an-Nâs, kemudian Baginda menyapukan kedua-duanya pada bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh Baginda. Baginda memulakan sapuan Baginda pada kepala dan wajah Baginda serta bahagian hadapan tubuh Baginda. Baginda melakukan sedemikian sebanyak tiga kali. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Zikir-Zikir Yang Sunat Dibaca Ketika Hendak Tidur
Selain daripada zikir-zikir yang berbentuk ayat-ayat al-Qur’an, terdapat juga zikir-zikir lain yang bukan ayat-ayat al-Qur’an yang berupa bacaan takbîr, tasbîh, tahmîd, istighfâr dan do‘a yang menjadi amalan Baginda dan dianjurkan pula kepada para sahabat dan umat Baginda. Antara zikir-zikir tersebut sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa riwayat adalah seperti berikut:
1. Imam al-Bukhari Rahimahullâh meriwayatkan dalam Shahîhnya, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berpesan kepada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah dan isterinya Sayyidatina Fatimah Radhiallâhu ‘anhâ supaya mengucapkan takbîr (ة هللا أك) tiga puluh tiga kali, tasbîh بحان هللا) (س tiga puluh tiga kali dan tahmîd (د هلل اْلم ) tiga puluh tiga kali apabila mereka berdua berada di tempat tidur mereka
2. Dalam kitab al-Majmû‘ dan kitab al-Adzkâr pula disebutkan satu riwayat yang lain yang menyatakan bahawa tasbîh itu dibaca sebanyak tiga puluh empat kali.
3. Dalam Sunan at-Tirmidzi, Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berpesan supaya membaca istighfâr di bawah ini sebanyak tiga kali apabila berada di tempat tidur:
Ertinya: Aku memohon ampun kepada Allah yang tiada tuhan yang disembah melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya), dan aku bertaubat kepadaNya.
4. Disebutkan juga dalam Sunan at-Tirmidzi, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan do‘a di bawah ini untuk dibaca di waktu pagi, malam dan ketika hendak tidur:
Ertinya: Ya Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata. Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan diriku dan daripada kejahatan syaitan serta sekutunya.
4. Dalam Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim pula diriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan kepada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu supaya berwudhu sebelum tidur, kemudian membaca do‘a di bawah ini setelah berbaring supaya jika dia mati di dalam tidurnya, dia akan mati dalam keadaan fitrah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga bersabda bahawa sebaiknya do‘a ini dijadikan sebagai ucapan yang terakhir sebelum tidur.
Ertinya: Ya Allah, aku serahkan diriku kepadaMu, dan aku serahkan segala urusan kepadaMu, dan aku menyandarkan belakangku kepadaMu kerana penuh harapan serta rasa takut kepadaMu. Tiada tempat berlindung dan tiada tempat selamat daripada kekuasaanMu melainkan kepadaMu. Aku beriman dengan KitabMu yang telah Engkau turunkan, dan dengan NabiMu yang telah Engkau utuskan.
5. Diriwayatkan juga dalam Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berpesan supaya membaca do‘a berikut ketika hendak tidur:
Ertinya: Dengan namaMu wahai Tuhanku, aku meletakkan lambung rusukku; dan dengan namaMu juga aku mengangkatnya. Jika Engkau menahan (mengambil) nyawaku, maka rahmatilah ia; dan jika Engkau melepaskannya (mengembalikannya semula kepadaku), maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hambaMu yang salih.
6. Ummu al-Mukminin Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ pula menceritakan sepertimana yang diriwayatkan dalam Shahîh al-Bukhari dan Sunan Abu Daud, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, Baginda akan meletakkan telapak tangan kanan Baginda di bawah pipi Baginda, kemudian Baginda akan mengucapkan do‘a ini sebanyak tiga kali:
Ertinya: Ya Allah, peliharakanlah diriku daripada azab seksaMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.
7. Diriwayatkan pula dalam Shahîh Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at- Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah menceritakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam selalu membaca do‘a berikut apabila Baginda berada di tempat tidur Baginda:
Ertinya: Ya Allah, Tuhan seluruh langit, dan Tuhan seluruh bumi, yang mempunyai ‘Arasy yang agung. Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Yang menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan buah biji-bijian. Yang menurunkan Taurat, Injil dan al-Qur’an. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan segala sesuatu yang jahat yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya. Engkaulah Yang awal, maka tiada sesuatupun sebelumMu, dan Engkaulah Yang Akhir (kekal), maka tiada sesuatupun sesudahMu. Engkaulah Yang Zahir nyata adanya, maka tiada sesuatupun yang lebih nyata daripadaMu. Engkaulah Yang Batin, maka tiada sesuatupun yang terlindung daripada pengetahuanMu. Lunaskanlah hutang kami dan jauhkanlah kami daripada kefakiran.
8. Dalam Shahîh al-Bukhari, Huzaifah dan Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhumâ telah menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila telah berbaring di tempat tidur Baginda, Baginda akan membaca do‘a berikut:
Ertinya: Dengan namaMu ya Allah aku hidup dan aku mati.
9. Imam Abu Daud Rahimahullâh pula menyebutkan dalam Sunannya, bahawasanya Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah telah menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam selalu mengucapkan do‘a berikut ketika Baginda sudah berada di tempat tidur Baginda:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan wajahMu yang Mulia, dan kalimat-kalimatMu yang sempurna daripada kejahatan segala yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya. Ya Allah, hanya Engkaulah yang dapat membebaskan orang yang berhutang dan orang yang berdosa. Ya Allah, tiada yang dapat mengalahkan bala tenteraMu, dan tiada yang dapat memungkiri janjiMu, dan tiada berguna kekayaan bagi orang yang kaya untuk mempertahankan dirinya daripadaMu. Maha Suci Engkau ya Allah dan dengan memujiMu.
10. Diriwayatkan pula dalam Shahîh Muslim, Sunan Abu Daud dan Sunan at- Tirmidzi, Anas Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila berbaring di tempat tidur, Baginda akan membaca:
Ertinya: Segala puji hanya bagi Allah yang telah memberi kami makan, memberi kami minum, memberi kami kecukupan dan memberi kami tempat berteduh. Betapa banyak pula mereka yang tidak ada siapa yang memberi mereka kecukupan dan tidak pula ada siapa yang memberi mereka tempat berteduh.
11. Abu al-Azhar al-Anmari Radhiallâhu ‘anhu menceritakan sepertimana yang tersebut dalam Sunan Abu Daud, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila ingin berbaring di tempat tidur Baginda, Baginda akan membaca do‘a berikut:
Ertinya: Dengan nama Allah aku meletakkan lambung rusukku. Ya Allah, ampunilah aku akan dosaku, dan usirlah syaitanku serta bebaskanlah bebanan yang aku tanggung; dan jadikanlah diriku dalam kumpulan makhluk-makhluk yang tertinggi.
12. Imam Abu Daud Rahimahullâh menyebutkan dalam Sunannya bahawasanya Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ telah menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca do‘a berikut apabila ingin berbaring di tempat tidur Baginda:
Ertinya: Segala puji hanya bagi Allah yang telah memberiku kecukupan, memberiku tempat berteduh, memberiku makan dan memberiku minum. Dan yang memberikan aku anugerah dengan anugerah yang sebaik-baiknya, dan yang memberikan aku pemberian dengan pemberian yang melimpah-limpah. Segala puji hanya bagi Allah dalam segala hal. Ya Allah, Pemilik, Raja dan Tuhan segala sesuatu. Aku berlindung denganMu daripada api neraka.
Do‘a Yang Sunat Dibaca Apabila Merasa Takut Ketika Tidur
Apabila merasa takut ketika tidur, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan do‘a berikut:
Ertinya: Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemurkaan serta seksaanNya serta kejahatan hambaNya, dan daripada godaan syaitan dan daripada kedatangan mereka kepadaku.
Amalan Yang Sunat Dilakukan Apabila Bermimpi Sesuatu Yang Disukai
Imam al-Bukhari Rahimahullâh meriwayatkan dalam Shahîhnya bahawasanya Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu telah berkata bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang disukainya maka sesungguhnya ia adalah daripada Allah. Maka hendaklah dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdullillâh) atas hal mimpinya itu dan hendaklah dia menceritakannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam suatu riwayat yang lain pula disebutkan:
Maksudnya: Maka janganlah dia menceritakannya (mimpi yang disukainya itu) kecuali kepada orang-orang yang disukainya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Amalan Yang Sunat Dilakukan Apabila Bermimpi Sesuatu Yang Tidak Disukai
Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Dan apabila seseorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang tidak disukainya maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatannya dan daripada kejahatan syaitan. Dan hendaklah dia meludah tiga kali. Dan janganlah dia menceritakan mimpinya itu kepada sesiapapun. Sesungguhnya mimpi tersebut tidak akan memudharatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jabir Radhiallâhu ‘anhu pula menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meludah ke arah kirinya sebanyak tiga kali dan hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan sebanyak tiga kali, dan hendaklah dia berpindah daripada lambung rusuknya yang sebelum itu. (Hadits riwayat Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad)
Zikir Yang Sunat Dibaca Apabila Bangun Daripada Tidur
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘, sunat membaca zikir berikut apabila bangun daripada tidur.
Ertinya: Segala puji hanya bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami, dan kepadaNyalah dibangkitkan (segala makhluk).
Jika terjaga dan ingin tidur semula, disunatkan juga untuk berzikir sehingga tertidur semula. Antara zikir yang sunat dibaca sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Adzkâr ialah:
Ertinya: Tidak ada tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji hanya bagi Allah, dan Maha Suci Allah, dan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tidak ada daya dan upaya melainkan dengan (kekuasaan) Allah.
Barang siapa membaca do‘a di atas lalu dia memohon ampun kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau berdo‘a dengan do‘a-do‘a yang lain nescaya dia akan diampunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan do‘anya itu pula akan dikabulkan. Jika dia berwudhu pula lalu mendirikan sembahyang maka sembahyangnya itu akan diterima.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang terjaga pada malam hari lalu dia mengucapkan (ertinya): Tidak ada tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji hanya bagi Allah, dan Maha Suci Allah, dan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tidak ada daya dan upaya melainkan dengan (kekuasaan) Allah. Kemudian dia membaca (ertinya): “Ya Allah, ampunilah aku”, ataupun dia berdo‘a (dengan do‘a yang lain), nescaya akan diperkenankan baginya (keampunan dan do‘anya itu). Jika dia berwudhu (lalu sembahyang) nescaya sembahyangnya itu akan diterima. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pula menceritakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila terjaga daripada tidur pada malam hari, Baginda akan membaca:
Ertinya: Tiada tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau ya Allah, aku memohon ampun kepadaMu atas dosaku, dan aku memohon kepadaMu rahmatMu. Ya Allah, tambahkanlah ilmuku, dan janganlah Engkau palingkan hatiku sesudah Engkau memberikan petunjuk kepadaku. Dan kurniakanlah rahmat daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah PemberianNya.
Penutup
Sebagai mensyukuri ni‘mat tidur kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini, maka janganlah ia sunyi daripada zikir-zikir, kerana ia merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta bukti penghambaan dan penyerahan diri seorang hamba terhadap Tuhannya. Dengan berzikir juga, seseorang itu akan mendapat keberkatan serta perlindungan yang berterusan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepanjang tidurnya. Mudah-mudahan juga dengan berkat zikir, seseorang itu akan sentiasa diingati oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa mengingati hambaNya yang sentiasa mengingatiNya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Oleh itu, berzikirlah (ingatlah) kamu kepadaKu, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan ni‘matKu). (Surah al-Baqarah: 152)
TAFAKKUR
Kedatangan Hijrah: Bertafakkur Demi Meningkatkan Kualiti Beragama
Lembaran tahun baru Hijrah 1428 telah terbuka, meninggalkan pelbagai kejadian yang dapat dijadikan i‘tibâr oleh manusia sejagat. Kejadian ngeri seperti bencana alam dan peperangan telah melanda banyak negara di seluruh dunia sehingga mengakibatkan korban jiwa yang ramai dan kerosakan harta benda yang bernilai puluhan juta ringgit. Banjir, gempa bumi dan taufan adalah antara fenomena bencana alam yang mengundang ketakutan kepada manusia dan peperangan yang meletus antara negara-negara dan puak-puak yang bertelagah mengorbankan darah orang awam yang tidak berdosa. Apa yang menyedihkan lagi, negara-negara Islam juga tidak terkecuali daripada ditimpa kejadian seumpama ini.
Tangan ditadah bagi memohon do‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan keselamatan para mangsa, bantuan dihulurkan untuk mengurangkan bebanan dan hati dipenuhi perasaan kasihan terhadap penderitaan mereka, namun siapakah di antara manusia yang diam sejenak dan berfikir; apakah sebab kejadian seumpama ini berlaku? Adakah manusia berfikir tentang hikmat di sebaliknya, dan muhâsabah diri (menghisab diri) agar dapat menilai kelemahan pada diri dan memperbaikinya? Tidak dinafikan walaupun ramai yang mengambil ringan terhadap bencana-bencana yang berlaku, namun masih ada manusia yang memikirkannya dan mengambil i‘tibâr daripada kejadian-kejadian tersebut.
Perintah Untuk Bertafakkur
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat Islam untuk tafakkur (memikirkan) dan tadabbur (meneliti) pada perkara-perkara yang tidak dapat dihitung banyaknya dan pujian diberikan olehNya kepada golongan yang selalu berfikir, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada (tanda-tanda kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati semasa mereka berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. (Surah Âli ‘Imran: 190-191)
Al-Qur’an contohnya, tidak hanya dibaca sahaja, malahan hendaklah difahami isi kandungannya. Bertafakkur dalam memahami kandungan al-Qur’an, akan mendekatkan manusia kepada penciptaNya iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Penjelasan tentang semua perkara ada disebutkan di dalamnya, hanya memerlukan penelitian terhadap isi kandungannya untuk mencari rahsia-rahsia alam dan kehidupan yang belum terjawab.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian untuk meningkatkan lagi kekuatan rohani kepada diri seseorang adalah perkara yang disukai dan dibenci oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia terbahagi kepada dua:
1. Perkara Zahir
Ia adalah apa yang berkaitan dengan anggota-anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki serta keseluruhan tubuh badan. Ia terbahagi kepada:
i. Perkara-perkara ketaatan iaitu bertafakkur pada perkara-perkara fardhu yang telah diwajibkan oleh agama, adakah ia telah menunaikannya, bagaimana menjaganya daripada ketidaksempurnaan, bagaimana menampal kekurangannya dengan banyak melakukan perkara-perkara sunat dan lain-lain lagi.
Kemudian pada setiap anggotanya, iaitu memikirkan perbuatan yang dilakukan oleh anggota-anggota yang tujuh dan adakah semua anggotanya melakukan sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
ii. Perkara-perkara kemaksiatan iaitu menyelidiki atau meneliti pada setiap pagi anggota yang tujuh (sebagaimana yang disebut di atas) dan kemudian pada tubuh badannya, adakah ia pada ketika itu sedang berbuat maksiat. Jika ia (anggota atau tubuh badan) melakukan maksiat, maka hendaklah segera ditinggalkannya (maksiat itu). Atau dia melakukan maksiat pada hari sebelumnya, maka hendaklah diinsafinya dengan ditinggalkan (maksiat itu) dan menyesal (kerana telah melakukannya).
2. Perkara Batin
Ia terletak di dalam hati, iaitu:
i. Sifat-sifat yang membawa kepada kebinasaan iaitu syahwat, marah, bakhil, sombong, ‘ujub, riya’, hasad dengki, lalai, tipu daya dan sebagainya.
ii. Sifat-sifat yang menyelamatkan iaitu taubat, menyesali dosa-dosa yang dilakukan, sabar terhadap bala yang ditimpakan, syukur di atas segala ni‘mat, mempunyai rasa takut, sentiasa mempunyai harapan, zuhud di dunia, ikhlas, jujur pada ketaatan, menyintai Allah dan mengagungkanNya, redha atas ketentuanNya, sentiasa rasa rindu padaNya, khusyû‘ dan tawâdhu‘ terhadapNya dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat yang menyelamatkan.
Begitu juga dengan tafakkur dan tadabbur akan segala ni‘mat yang dianugerahkan Allah dan pada setiap kejadian yang ditimpakan ke atas makhlukNya yang merupakan tanda-tanda kekuasaanNya seperti keni‘matan, bala dan seumpamanya, seterusnya memerintahkan manusia untuk mengambil pelajaran dan i‘tibâr daripada semua itu.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik matahatinya. (Surah al-Hasyr: 2)
Perkara atau kejadian di muka bumi tidaklah berlaku dengan sia-sia. Manusia ditunjukkan dengan pelbagai macam keadaan yang berupa ni‘mat, bala, kesenangan hidup, kesusahan atau kesempitan hidup dan lain-lain. Semua ini adalah merupakan ujian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk menguji sejauh mana kemampuan manusia menerimanya dan memikirkan hikmat di sebaliknya.
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata: “Lapangkanlah ke atas percakapan dengan diam dan carilah penghuraian dengan berfikir.”
Beroleh Pengetahuan Dengan Tafakkur
Tafakkur dengan meluaskan pemikiran kepada perkara-perkara yang memerlukan ketelitian untuk difahami adalah permulaan atau kunci kepada seluruh amal kebajikan, yang menyebabkan berkembangnya ilmu pengetahuan dalam diri seseorang dan menghasilkan pengetahuan.
Ilmu adalah buah hasil penanaman minda orang-orang yang berfikir. Apabila ada ilmu di dalam hati, maka akan berubah keadaan hati, dan apabila berubah keadaan hati, berubahlah segala perbuatan anggota tubuh badan.
Dengan ilmu hasil daripada tafakkur inilah, maka manusia akan dapat mengishlâh diri (memperbaiki diri) supaya tidak akan melakukan kemaksiatan dan akan sentiasa mencari ilmu sebagai pelita hidup demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Tafakkur Dapat Meningkatkan Iman Dan Amal
Memperkasa iltizam hidup beragama dapat dilaksanakan jika iman dan amal selalu dipertingkatkan. Tafakkur pada memahami isi kandungan al-Qur’an dan pada keadaan di sekeliling adalah salah satu wasîlah dalam meningkatkan keimanan seseorang terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana melalui keagungan dan kekuasaanNya, manusia dapat mengambil i‘tibâr.
Kejadian bencana alam yang sering menjadi berita hangat, bukanlah hanya kejadian atau malapetaka semata-mata tetapi merupakan petunjuk ke arah kemantapan iman bagi orang-orang yang sentiasa berfikir. Ombak besar Tsunami contohnya, adalah kejadian bencana alam yang dahsyat. Para saintis berpendapat bahwa ia merupakan satu fenomena yang berlaku akibat perubahan pada struktur bumi. Begitu juga pendapat mereka tentang kejadian banjir besar yang dianggap sebagai proses semula jadi bumi yang sememangnya sudah seringkali terjadi sejak berkurun yang lampau. Walaupun dari sudut lahiriah, pendapat para pakar sains ini tidak disangkal kebenarannya, namun pada satu sudut yang lain pula, akal dan hati yang taqwa perlu pula dipertajamkan untuk memikirkan apakah sebenarnya punca dan hikmat yang dapat dijadikan i‘tibâr daripadanya.
Di dalam al-Qur’an, terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai dengan bencana yang ditimpakan kepada umat-umat yang terdahulu. Banjir besar menimpa kaum Nabi Nuh ‘Alaihissâlam, angin ribut ditimpakan ke atas kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm, ribut kencang yang menimpa kaum Nabi Hud ‘Alaihissalâm dan banyak lagi peristiwa yang berupa bala dan petaka yang dapat dijadikan perbandingan dengan bencana yang berlaku pada hari ini. Semua yang berlaku adalah kerana maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, maka bencana ditimpakan sebagai peringatan.
Bagi orang-orang yang berfikir, setiap kejadian atau bencana yang melanda akan mendatangkan keinsafan dan menambah keimanan mereka. Melalui keinsafan dan kesedaran inilah mereka tidak akan lalai dan alpa dengan kesenangan dunia dan beroleh petunjuk agar mendekati kebaikan dan menjauhi maksiat. Mereka akan sentiasa menyebut dan mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta memohon agar diberi perlindungan daripada azab yang lebih dahsyat lagi iatu azab neraka:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, peliharalah kami daripada azab neraka. (Surah Âli ‘Imran: 190)
Dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûmûddin, ada disebutkan mengenai pendapat-pendapat ulama salaf mengenai fadhilat tafakkur dan natijahnya, antaranya:
Berkata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz Rahimahullâh: “Berfikir mengenai ni‘mat-ni‘mat Allah adalah sebaik-baik ibadat.” Berkata al-Bisyar Rahimahullâh: “Jikalau manusia bertafakkur pada keagungan Allah, mereka tidak akan berbuat maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.”
Berkata Hatim Rahimahullâh: “Daripada i‘tibâr dapat menambah ilmu, daripada ingatan dapat menambah kecintaan, dan daripada tafakkur dapat menambah ketakutan.”
Apa yang jelas, tafakkur akan dapat menambah ilmu, dan ilmu tersebut akan dapat menambah kecintaan dan ketakutan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan wujudnya perasaan inilah, maka segala kemungkaran dan kemaksiatan akan ditinggalkan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak menyekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi akan apa yang mereka berikan sedang hati mereka gerun gentar, kerana mereka yakin akan
kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului mencapainya. (Surah al-Mu’minûn: 57-61)
Oleh itu, sudah semestinyalah kedatangan tahun hijrah ini direnungi agar keimanan di jiwa dan amal kebajikan dapat dipertingkatkan lagi demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Hukum Membawa Alat-Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Ke Tandas
Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih. Al-Qur’an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun Mushhaf kini sudah dapat dimuat turun ke dalam alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).
Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA ini sangat penting penggunaannya dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ia sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ke tandas.
Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah Kalâmullâh yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya upaya atau sebaik-baiknya agar ia tidak terdedah kepada sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskan kesuciannya.
Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan berhadas akan mencemarkan kesucian al- Qur’an?
Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas
Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun dzikrullâh ke tandas hukumnya adalah makruh. Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.
Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab: “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut dari dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan “ ول هللا د رس م ” yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat ”
Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al- Muhadzzab ini telah berkata: “Para ulama asy-Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ia dijauhkan dari dirinya (membukanya).”
Imam an-Nawawi Rahimahullâh seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham), emas (dinar), cincin atau lainnya, begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan benda-benda itu dari dirinya ketika hendak memasuki tandas.”
Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat padanya ukiran perkataan “ مد رسول هللا ”.
Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?
Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk membaca atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan membaca atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas.
Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ia diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi daripada alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain.
Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.
Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas
Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhûr ulama tidak menegah daripada membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.
Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak terpapar daripada alat-alat tersebut ketika berada di tandas.
Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempat-tempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’annya tidak terpapar daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.
Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, beliau berkata: “Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an), walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.”
Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ia tidak akan terpapar ketika berada dalam tandas.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat kotor atau tempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari-menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.
Kesimpulan
Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ia masih lagi dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. Maka dalam permasalahan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah sangat mustahak pemiliknya bersikap lebih berhati-hati dalam menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada program lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak wajar seperti tandas ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah dijelaskan tadi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5980
