Irsyad Hukum 2008
PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG: Perbezaan Perempuan Dengan Lelaki
Sembahyang fardhu lima waktu adalah tuntutan syara‘ yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mukallaf. Tidak ada perbezaan antara lelaki mahupun perempuan, baik dari segi tuntutan sembahyang itu mahupun dari segi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya dan cara menunaikannya.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan sembahyang ini dikhususkan untuk perempuan, telah digariskan oleh syara‘yang membezakannya dengan lelaki. Perkara-perkara tersebut, antaranya:
1. Azan dan iqâmah.
Disunatkan bagi orang yang hendak mengerjakan sembahyang melakukan azan dan iqâmah. Azan bagi orang yang sembahyang secara bersendirian hukumnya adalah sunat ‘Ain, manakala bagi mereka yang bersembahyang secara berjemaah hukumnya adalah sunat Kifayah.
Walau bagaimanapun, perempuan tidak disunatkan azan sama ada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan dan sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan. Tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki dan khuntsâ, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsâ haram memandangnya. Dengan perbuatannya melaungkan azan itu menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya.
Haram perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, begitu juga jika dia meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi).
Walau bagaimanapun, tidak makruh jika perempuan azan di hadapan jemaah perempuan dengan suara rendah iaitu dengan kadar yang hanya dapat didengar oleh mereka.
Manakala iqâmah adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian mahupun jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dengan kadar suara yang hanya dapat didengar oleh mereka.
2. Aurat dalam sembahyang.
Menutup aurat termasuk salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang walaupun seseorang itu bersembahyang di dalam gelap. Aurat perempuan yang wajib ditutup di dalam sembahyang adalah berbeza dengan aurat lelaki.
Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan di dalam sembahyang ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, al-‘Allamah as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyebutkan bahawa aurat bagi perempuan itu ada empat:
i. Ketika bersama lelaki asing (ajnabi), auratnya ialah keseluruhan badan. ii. Ketika bersama mahram atau bersendirian, auratnya ialah antara pusat dengan lutut. iii. Ketika bersama perempuan kafir, auratnya ialah seluruh tubuh badan kecuali apa yang zahir daripada anggota tubuhnya ketika melakukan pekerjaan. iv. Ketika sembahyang, auratnya ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Apa yang dimaksudkan dengan kedua tapak tangan itu termasuklah yang zhâhir (belakang tapak tangan) dan yang bâthin (perut tapak tangan) dari hujung jari sehinggalah pergelangan tangan.
Manakala maksud kawasan muka, batasnya secara memanjang ialah dari permulaan permukaan dahi hingga bahagian bawah dagu dan batasnya secara melintang ialah kawasan di antara dua cuping telinga.
Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutupi seluruh anggota aurat. Adapun syarat pakaian yang dipakai untuk menutup aurat tersebut hendaklah pakaian yang boleh menghalang daripada terlihat warna kulit. Tidak memadai menutup aurat dengan pakaian yang nipis dan jarang iaitu pakaian yang menampakkan kulit dan bayang susuk tubuh badan.
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh, adalah sunat hukumnya bagi perempuan untuk bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada penutup kepala dan leher daripada kain yang tebal, memakai baju yang labuh atau jubah yang menutup seluruh badan hingga hujung kaki serta kain tebal yang menutup pakaian tersebut.
Dalam sebuah atsar yang disebutkan di dalam Sunan Abu Daud, Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ pernah ditanyakan tentang pakaian perempuan ketika sembahyang lalu beliau menjawab:
Maksudnya: Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua tapak kakinya.
Disunatkan juga bagi perempuan untuk menebalkan baju atau jubah yang dipakainya sehingga tidak menampakkan anggota-anggotanya dan merenggangkan kain tebal yang dipakainya di sebelah luarnya daripada badannya ketika ruku‘ dan sujud sehingga tidak menampakkan pakaiannya di sebelah dalam.
Berdasarkan keterangan di atas, maka wajib hukumnya bagi seseorang itu bersembahyang dengan memakai pakaian yang benar-benar menepati apa yang telah digariskan oleh syara‘, iaitu tidak menampakkan warna kulit dan bayang susuk tubuh badan. Sebaiknya pakailah telekung yang labuh dan tebal ataupun memakai pakaian tebal di sebelah dalam jika telekung yang digunakan itu nipis atau jarang.
3. Shaf sembahyang.
Jumhûr ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan shaf-shaf mereka ketika sembahyang berjemaah, bagi mengisi kekosongan yang terdapat di dalam shaf dan menyamaratakannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Luruskanlah shaf-shaf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan shaf itu termasuk kesempurnaan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
Disunatkan para jemaah untuk memenuhi shaf yang pertama dahulu kemudian barulah diikuti dengan shaf kedua dan seterusnya. Shaf yang pertama dimaksudkan di sini ialah shaf yang pertama di belakang imam.
Bagi golongan perempuan, jika sembahyang dalam jemaah yang hanya terdiri daripada imam dan jemaah perempuan sahaja, maka disunatkan untuk memenuhi shaf yang pertama kemudian diikuti dengan shaf-shaf seterusnya.
Adapun jika mereka sembahyang dengan jemaah yang terdiri daripada orang lelaki dan perempuan tanpa pembatas antara jemaah lelaki dan perempuan, maka shaf yang lebih afdhal bagi perempuan adalah shaf yang akhir.
Untuk lebih jelas mengenai dengan shaf perempuan ketika bejemaah, diterangkan susunan shaf-shaf di dalam sembahyang seperti berikut:
i. Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang bâligh, kanak-kanak lelaki, khuntsâ (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan golongan perempuan, maka didahulukan golongan lelaki yang bâligh kemudian kanak-kanak lelaki kemudian khuntsâ dan barulah diikuti oleh golongan perempuan.
ii. Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang bâligh, seorang khuntsâ dan seorang perempuan, maka didahulukan golongan lelaki, kemudian khuntsâ berdiri seorang diri di belakang golongan lelaki dan kemudian diikuti oleh perempuan berdiri seorang diri di belakang khuntsâ tersebut.
iii. Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsâ dan seorang perempuan, maka kanak-kanak tersebut berdiri di sebelah kanan imam, kemudian diikuti oleh khuntsâ di belakang keduanya dan barulah perempuan tersebut di belakangnya.
iv. Apabila jemaah yang hadir terdiri daripada golongan perempuan, maka disunatkan bagi imâmah (imam perempuan) berdiri di tengah-tengah shaf bersama jemaah perempuan, akan tetapi ke hadapan sedikit untuk membezakan dirinya dengan para makmum.
Apabila yang hadir berjemaah hanya seorang perempuan disunatkan baginya berada di sebelah kanan imâmah (imam perempuan), tetapi hendaklah ke belakang sedikit dari imâmah.
4. Cara mengangkat tangan ketika takbîratul-ihrâm dan takbîr al-intiqâlât.
Takbîratul-ihrâm ialah mengucapkan “ر هللا أك” pada permulaan sembahyang dan merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka bertakbîrlah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Takbîr al-intiqâlât pula ialah mengucapkan “هللا أكر ” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit dari sujud dan tasyahhud awwal.
Mengangkat kedua tangan ketika takbîratul-ihrâm, ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun darinya serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal adalah disunatkan. Perbuatan sedemikian adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan memohon ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala. Inilah jawapan Imam asy- Syafi‘e Rahimahullâh ketika beliau ditanyakan tentang perbuatannya mengangkat kedua tangan ketika hendak ruku‘ dan sujud.
Cara mengangkat kedua-dua tangan yang disunatkan pula ialah dengan mengangkat kedua-dua tangan separas bahu iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua-dua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga serta kedua-dua telapak tangan dihadapkan ke qiblat dan jari-jari dipisah-pisahkan dengan jarak yang sederhana.
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, tidak ada perbezaan cara mengangkat kedua-dua tangan yang disunatkan ketika takbîratul-ihram dan takbîr al-intiqâlât antara lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh mengatakan bahawa adalah lebih disukainya bagi seorang perempuan itu ketika sujud untuk merapatkan sebahagian anggotanya dengan anggota yang lain dan merapatkan perut dengan kedua belah paha. Perbuatan seperti inilah yang disukai pada seorang perempuan ketika ruku‘, duduk dan pada keseluruhan sembahyang.
Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh itu, maka lebih disukai bagi seorang perempuan ketika bersembahyang merapatkan sebahagian daripada anggotanya seperti merapatkan kedua belah siku dengan rusuk ketika ruku‘ dan sujud, malahan dalam keseluruhan sembahyangnya.
Begitu juga ketika mengangkat kedua-dua tangan pada takbîratul-ihram dan takbîr al-intiqâlât iaitu dengan merapatkan kedua-dua belah siku pada rusuk kerana dengan cara sedemikian akan lebih melindunginya.
5. Suara ketika sembahyang jahriyyah dan sirriyyah.
Sunat menjaharkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan meninggikan suara iaitu pada sembahyang jahriyyah (yang disunatkan meninggikan suara) dan mengisrârkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan memperlahankan suara iaitu pada sembahyang sirriyyah (yang disunatkan merendahkan suara).
Menurut ulama asy-Syafi‘eyah perempuan yang sembahyang berseorangan, atau dengan kehadiran perempuan lain atau dengan kehadiran mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan-perempuan lain atau bersendirian adalah dibolehkan dia menjaharkan bacaannya (iaitu dalam sembahyang jahriyyah). Sebaliknya jika ada lelaki asing (yang bukan mahramnya) di tempat dia bersembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrârkan bacaannya.
Walau bagaimanapun, jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat dia bersembahyang itu, tidaklah membatalkan sembahyangnya kerana menurut pendapat yang ashah bahawa suara perempuan itu bukanlah aurat.
Kadar bacaan jahr bagi perempuan itu perlahan sedikit daripada bacaan jahr bagi lelaki. Menurut al-Bandaniji Rahimahullâh bahawa hendaklah bacaan jahr bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahr bagi lelaki.
Adapun bagi khuntsâ, hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrârkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.
6. Menepuk tangan apabila terjadi kepada makmum sesuatu perkara di dalam sembahyangnya.
Apabila terjadi kepadanya sesuatu perkara di dalam sembahyang seperti ketika mengingatkan imam yang terlupa bacaan, memberi keizinan kepada orang yang meminta izin masuk, memberi peringatan kepada orang buta yang ditakuti tertimpa perkara buruk jika tidak diberi amaran, maka disunatkan bertasbîh bagi lelaki dengan menyebut ucapan َ سبْحَانهللا dengan tujuan zikir atau dengan tujuan zikir serta pemberitahuan.
Manakala bagi perempuan pula, disunatkan menepuk tangan iaitu menepuk atau memukul (tidak berapa kuat) belakang tapak tangan kiri dengan perut tapak tangan kanan atau sebaliknya sebanyak tiga kali, ataupun memukul belakang tapak tangan kiri dengan belakang tapak tangan kanan atau sebaliknya.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bertasbîh adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk perempuan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, jika dia menepuk perut tapak tangan kiri dengan perut tapak tangan kanan atau sebaliknya dengan tujuan bermain-main, maka batal sembahyangnya.
Adapun bagi khuntsâ, caranya adalah serupa dengan perempuan iaitu menepuk tangan sebagaimana yang diterangkan di atas apabila terjadi ke atasnya sesuatu perkara di dalam sembahyang.
Begitulah serba sedikit penerangan tentang beberapa perkara mengenai dengan perempuan ketika bersembahyang. Semoga ia dapat memberi pengetahuan khususnya kepada golongan perempuan tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian ketika melaksanakan ibadat sembahyang.
KEPERLUAN AZAM UNTUK MELAKUKAN SEMBAHYANG
Sembahyang fardhu lima waktu merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam yang mukallaf. Kewajipan tersebut tidak boleh diabaikan atau dicuaikan. Oleh kerana itu, kita hendaklah melaksanakan ibadat sembahyang dengan baik dan sempurna, termasuklah dalam menjaga waktu sembahyang.
Menunaikan sembahyang fardhu itu lebih afdhal dilakukan pada awal waktu walaupun sembahyang ‘Isya’, menurut pendapat yang mu‘tamad. Diriwayatkan oleh Ummu Farwah, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, apakah amalan-amalan yang paling afdhal, Baginda menjawab: “Sembahyang pada awal waktunya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits-hadits lain yang menerangkan kelebihan awal waktu itu, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Saya telah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘âlâ, sabda Baginda: “Sembahyang pada waktunya”. Aku (‘Abdullah) bertanya: “Kemudian apa?” Sabda Baginda: “Kemudian berbuat baik kepada ibu bapa”. Aku bertanya: “Kemudian apa?” Baginda bersabda: “Kemudian jihâd pada jalan Allah.” (Hadits riwayat Muslim)
Itulah fadhilat dan kelebihan bagi orang-orang yang menunaikan sembahyang pada awal waktu, akan tetapi bagaimana pula hukumnya bagi orang yang melambat-lambatkan sembahyang?
Hukum Melambat-lambatkan Sembahyang
Harus menangguhkan sembahyang fardhu dari awal waktunya, akan tetapi wajib berazam untuk menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya.
Walaupun harus menangguhkan sembahyang itu setelah berazam, akan tetapi haram melambat-lambatkannya sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Azam?
Menurut ulama ushul fiqh bahawa sebaik-baik sahaja seorang itu mukallaf, maka wajib dia berazam (iaitu berniat atau memutuskan dalam hati) akan mematuhi semua perintah dan larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Azam jenis ini disebut sebagai “azam am”, kerana ia berkaitan dengan apa sahaja jenis kewajipan yang akan wajib dilakukannya apabila tiba waktu melakukan atau meninggalkannya sepanjang hidupnya.
Menurut mereka lagi, selain azam am ada juga azam khas. Azam khas ini berkaitan dengan tibanya waktu untuk melakukan sesuatu yang wajib dalam waktunya. Umpamanya jika masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah terus melakukannya, atau menangguhkannya, akan tetapi wajib berazam untuk menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya.
Tujuan berazam ini ialah untuk tidak dianggap cuai dan supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syar‘i sebelum sempat melakukannya.
Apabila Masuk Waktu Wajib Berazam
Apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara:
1. Terus menunaikannya, atau
2. Berazam dalam hati untuk menunaikannya dalam waktunya.
Menurut pengarang kitab Fath al-‘Allâm Rahimahullâh, beliau berkata:
“Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara: Sama ada melakukannya terus atau berazam akan melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia berdosa.”
Jika sembahyang itu terus ditunaikan, maka kewajipan itu telah terlaksana dan mendapat kelebihan menunaikannya di awal waktu.
Adapun jika ditangguhkan dari awal waktu setelah berazam, ini bermakna kewajipan itu belum terlaksana. Sekiranya meninggal dunia atau ada halangan untuk melakukannya, seperti datang haidh, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syar‘i sehinggalah habis waktu sembahyang, maka tidaklah dia berdosa kerana sudah ada azam, sebagaimana menurut pengarang Fath al-‘Allâm Rahimahullâh, beliau berkata:
“Jika seseorang itu bermaksud untuk melambatkannya dari awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut qaul yang ashah. Sekiranya dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut, sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat melakukannya, dia adalah berdosa.”
Oleh yang demikian, jika kita menangguhkan sembahyang pada awal waktu, hendaklah kita berazam untuk menunaikannya pada waktunya, supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syar’i sebelum sempat melakukannya.
Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal jika kita menunaikan sembahyang itu pada awal waktu, kerana perbuatan itu amat disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
PERSOALAN SEMBAHYANG BERJEMAAH BAGI MUSAFIR
Bermusafir dikategorikan sebagai situasi yang pada kebiasaannya mengandungi pelbagai kesusahan dan kesulitan. Perihal kesusahan atau kesulitan itu tetap ada, tergantung sejauh mana jarak perjalanan dan tujuan safar seseorang itu. Umpamanya melancong tidak sama dengan menunaikan ibadat haji dari sudut kesusahan dan kesulitan yang ditempuh. Oleh itu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah meringankan bagi orang-orang yang bermusafir dalam banyak perkara yang melibatkan hukum-hukum agamaNya, antaranya ialah sembahyang.
Keringanan Bagi Musafir
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memberikan dua bentuk keringanan dalam sembahyang kepada orang yang bermusafir.
Pertama: Mengurangkan bilangan sembahyang fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Ia dinamakan dengan qashar, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Nisâ’:
Tafsirnya: Dan jika kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasharkan’ (memendekkan) sembahyang. (Surah an-Nisâ’: 101)
Kedua: Menghimpunkan dua sembahyang tunai di antara satu sama lain dan ditunaikan dalam satu waktu, supaya orang yang bermusafir mendapat kekosongan waktu yang seluas-luasnya. Ia dinamakan dengan sembahyang jama‘ iaitu menghimpunkan di antara dua sembahyang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia berkata:
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menghimpunkan di antara sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar dan juga di antara Maghrib dan ‘Isya’ ketika musafir. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sembahyang Berjemaah Bagi Musafir
Orang yang bermusafir adalah diharuskan untuk melakukan sembahyang berjemaah dengan orang yang bermuqîm. Bagi orang yang bermuqîm, adalah harus baginya dan tidak menjadi masalah jika dia menjadi makmum kepada musafir sekalipun musafir itu mengqasharkan sembahyangnya. Walau bagaimanapun orang yang bermuqîm itu hendaklah menyempurnakan sembahyangnya setelah imam yang menunaikan sembahyangnya secara qashar itu selesai memberi salam. Sementara itu, disunatkan ke atas imam yang musafir itu memberitahu jemaahnya yang terdiri daripada orang yang bermuqîm dengan berkata: “Kamu sempurnakanlah sembahyang kamu, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bermusafir.”
Berlainan pula halnya jika orang musafir yang mengqasharkan sembahyangnya menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm atau orang musafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya. Para ulama telah menjelaskan, antara syarat mengerjakan sembahyang dengan qashar itu hendaklah orang yang bermusafir itu tidak menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm atau orang musafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya iaitu mengerjakannya dengan bilangan rakaat yang sempurna. Jadi, jika hal sebegini berlaku maka wajib ke atas orang musafir yang menjadi makmum itu mengerjakan sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh imam sembahyang jemaah berkenaan.
Dia tidak diharuskan untuk mengqashar sembahyangnya sekalipun bilangan rakaat sembahyang yang dikerjakan oleh imam itu hanya dua rakaat seperti sembahyang fardhu Subuh, sembahyang Jumaat, dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain kerana sembahyang- sembahyang tersebut merupakan sembahyang-sembahyang yang sempurna bilangan rakaatnya.
Begitulah juga jika orang yang musafir itu menyangka imam itu seorang musafir, tetapi ternyata imam itu seorang yang muqîm dan mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna (tidak mengqashar), maka orang yang musafir itu juga hendaklah menyempurnakan sembahyangnya sepertimana sembahyang imam.
Orang yang musafir itu juga hendaklah mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna jika merasa ragu sama ada imam yang diikutinya itu seorang musafir atau muqîm dan tidak dapat dipastikan akan kedudukannya.
Manakala jika musafir itu menjadi makmum kepada imam yang mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna, kemudian batal sembahyangnya ataupun sembahyang imam maka hendaklah orang yang musafir itu mengulang sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna juga.
Manakah Yang Lebih Afdhal: Sembahyang Qashar Atau Jemaah?
Walaupun orang musafir itu diberi keringanan hukum dengan mengqashar sembahyangnya ketika dalam pelayaran, akan tetapi jika dia ada pilihan untuk bersembahyang di belakang imam yang bermuqîm atau bermusafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya, maka adalah lebih utama dia mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna secara berjemaah daripada dia mengqasharkan sembahyangnya dan mengerjakan secara bersendirian.
Ini adalah berdasarkan perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang telah membandingkan hukum sembahyang berjemaah dengan sembahyang qashar, dan beliau berkata sembahyang berjemaah itu fardhu kifâyah dan sembahyang qashar itu sunat. Fardhu kifâyah itu lebih utama daripada sunat, apatah lagi sembahyang jemaah itu mempunyai kelebihan daripada sembahyang bersendirian sepertimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Masalah Niat Bagi Musafir Dan Muqîm
Dari segi niat sembahyang orang yang musafir, jika dia berniat qashar dengan mengikut imam yang mengerjakan sembahyang sempurna hukumnya adalah sah, akan tetapi niat qasharnya tidak dikira dan dia mesti menyempurnakan sembahyangnya sebagaimana sembahyang imam.
Permasalahan Sembahyang Jama‘ Dalam Sembahyang Jemaah
Dalam masalah sembahyang jama‘ pula, orang yang musafir harus menjama‘ sembahyangnya walaupun dia telah sembahyang berjemaah dengan menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm pada sembahyangnya yang pertama.
Setelah dia selesai mengerjakan sembahyang yang pertama itu, dia hendaklah terus melakukan sembahyang yang kedua (yang dijama‘nya). Orang musafir tersebut boleh mengerjakan sembahyang kedua itu dengan bilangan rakaat yang sempurna ataupun dengan qashar, sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa sembahyang jama‘ boleh dikerjakan sama ada dengan mengerjakan kedua-dua sembahyang itu secara sempurna ataupun kedua-duanya diqashar atau salah satunya sempurna dan salah satunya lagi diqashar.
Sebagai kesimpulan, sembahyang secara berjemaah itu boleh dilakukan di antara orang musafir dan orang yang bermuqîm begitulah juga sebaliknya dengan mengikut aturan-aturan yang telah dijelaskan.
SEMBAHYANG SUNAT: Surah Apa Yang Sunat Dibaca?
Membaca surah selepas membaca al-Fâtihah dalam sembahyang merupakan sunat hai’ah. Ia disunatkan sebagai mengikut (ittibâ‘) perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bahkan menurut Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh meninggalkan membaca surah adalah makruh.
Apabila mengerjakan sembahyang sunat, mungkin timbul pertanyaan apakah surah-surah yang sunat dibaca setelah membaca surah al-Fâtihah. Ini kerana pada sebahagian sembahyang sunat itu telah ditentukan atau dikhususkan ayat atau surah tertentu. Bagaimana pula dengan sembahyang sunat yang lain? Maka penjelasan ringkasnya adalah seperti berikut.
Membaca Surah Selepas Al-Fâtihah Dalam Sembahyang Fardhu Dan Sunat
Menurut ulama, sunat membaca surah selepas membaca al-Fâtihah bagi imam dan munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.
Oleh yang demikian, sunat membaca surah dalam sembahyang yang dua rakaat, sama ada sembahyang fardhu seperti sembahyang Jumaat atau sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Subuh. Disunatkan juga membaca surah pada dua rakaat yang pertama sembahyang fardhu seperti sembahyang fardhu Maghrib dan Zhuhur.
Membaca Satu Surah Lengkap Atau Memadai Beberapa Ayat Sahaja?
Dalam sembahyang fardhu Subuh dan juga dua rakaat pertama dalam sembahyang-sembahyang yang lain, iaitu selepas membaca surah al-Fâtihah, disunatkan bagi imam dan munfarid membaca sesuatu ayat atau surah daripada al-Qur’an. Tuntutan sunat itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada al-Qur’an dan yang afdhalnya adalah sebanyak tiga ayat.
Akan tetapi satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya). Ini kerana apabila dibaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang, boleh jadi dia waqf (memberhentikan) di tempat yang tidak diharuskan waqf, dan ini boleh memutuskan ayat al-Qur’an yang mempunyai kaitan dengan ayat yang selepasnya.
Walau bagaimanapun dalam perkara ini dikecualikan beberapa sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Tarawih dan sembahyang sunat Subuh, kerana dalam sembahyang sunat Tarawih dan sembahyang sunat Subuh telah wârid (disebutkan) di dalam hadits untuk membaca sebahagian ayat daripada surah-surah yang tertentu. Adapun ayat atau surah yang wârid dibaca dalam sembahyang sunat Subuh akan diterangkan kemudian.
Apakah Surah-Surah Yang Dibaca Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat?
Pada dasarnya surah-surah yang dibaca dalam kebanyakan sembahyang-sembahyang sunat selepas bacaan surah al-Fâtihah ialah surah al- Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua.
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh bahawa sunat membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh dalam sembahyang-sembahyang sunat, antaranya ialah sembahyang sunat Maghrib, sembahyang sunat ‘Isya’, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Istikharah, sembahyang sunat dua rakaat ketika hendak belayar (musafir) dan kembali dari musafir, sembahyang sunat Ihram dan diqiyâskan dengannya sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Zawal dan seumpamanya, dalam sembahyang fardhu Maghrib pada malam Jumaat menurut riwayat al-Baihaqi Rahimahullâh dan disunatkan juga membacanya dalam sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat bagi musafir sebagaimana yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani Rahimhullâh.
Maka ini termasuklah juga sembahyang sunat Tahajjud dan sembahyang sunat Hajat.
Berkata al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh bahawa sebahagian ulama berpendapat adalah sebaiknya membaca kedua-dua surah ini dalam setiap sembahyang yang tidak dikhususkan surahnya, seperti yang disebutkan dalam kitab Hâsyiah Fath al-Mu‘în.
Namun ada juga surah-surah yang khusus dibaca dalam sebahagian sembahyang-sembahyang sunat sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Antara sembahyang sunat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
1. Sembahyang sunat Wudhu. Berkata al-Habib Thahir bin Husin Ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam al-Maslak al-Qarîb bahawa pada rakaat pertama selepas bacaan surah al-Fâtihah sunat dibaca:
i. Ayat 64 surah an-Nisâ’:
ii. Selepas itu beristighfâr (membaca َ َغْفِر هللا أَس ْت) sebanyak tiga kali dan kemudian dibaca surah al-Kâfirûn. Pada rakaat kedua selepas bacaan surah al-Fâtihah sunat dibaca: i. Ayat 10 surah an-Nisâ’:
ii. Selepas itu beristighfâr sebanyak tiga kali, kemudian dibaca surah al- Ikhlâsh. 2. Sembahyang sunat Subuh. Terdapat tiga cara yang disebutkan oleh ulama tentang pemilihan ayat atau surah dalam sembahyang sunat Subuh, iaitu:
i. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Majmû‘ bahawa sunat dibaca pada dua rakaat sembahyang sunat Subuh surah yang pendek sebagaimana disebutkan dalam kitab ash-Shahîhain (Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim):
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada rakaat yang pertama (ketika sembahyang sunat Subuh) membaca satu ayat daripada surah al-Baqarah ( pada rakaat yang kedua Baginda membaca satu ayat daripada surah Âli ‘Imran (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)
Ayat yang dimaksudkan pada rakaat pertama ialah dari surah al-Baqarah ayat 136, manakala pada rakaat kedua ialah dari surah Âli ‘Imran ayat 64.
ii. Sunat juga dibaca pada rakaat pertama surah al-Kâfirûn dan pada rakaat kedua pula surah al-Ikhlâsh sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Baginda (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) membaca pada rakaat pertama dalam sembahyang sunat Subuh اْلك َافِرون (surah al-Kâfirûn) dan pada rakaat kedua al-Ikhlâsh). (Hadits riwayat Muslim)
iii. Al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh juga menyebutkan bahawa sunat membaca surah al-Insyirâh ( َْْ أ ََلَْ نَشْ ر ) pada rakaat pertama dan surah al-Fîl ( َ َكَيْفَر أ ََلَْ ت ) pada rakaat kedua.
Sebagai kesimpulan, adalah lebih awlâ (utama) juga menggabungkan surah-surah itu supaya dapat beramal dengan kesemua riwayat yang wârid mengenainya. Dimulakan dengan membaca pada rakaat pertama selepas bacaan surah al-Fâtihah:
a. Ayat ke 136 daripada surah al-Baqarah. b. Surah al-Insyirâh dan c. Surah al-Kâfirûn.
Kemudian pada rakaat kedua selepas bacaan surah al-Fâtihah sunat dibaca:
a. Ayat 64 surah Âli ‘Imran. b. Surah al-Fîl dan c. Surah al-Ikhlâsh.
3. Sembahyang sunat Dhuha.
Menurut Imam Ibnu Hajar, surah-surah yang sunat dibaca selepas surah al- Fâtihah dalam sembahyang sunat Dhuha ialah surah asy-Syams pada rakaat pertama dan surah adh-Dhuha pada rakaat kedua. Jika ia dikerjakan lebih daripada dua rakaat, memadai dengan membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh sesudah itu.
Manakala Syeikh ar-Ramli Rahimahullâh pula menjelaskan adalah lebih utama membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh berbanding surah-surah yang lain, hatta pada dua rakaat yang pertama.
Sebagai alternatif, adalah lebih awlâ menggabungkan surah-surah yang dianjurkan di atas untuk mendapatkan kesemua fadhilat surah-surah itu. Ini disarankan sendiri oleh pengarang kitab I‘anah ath-Thalibin sebagaimana anjurannya untuk dibaca pada rakaat yang pertama selepas surah al-Fâtihah:
i. Surah asy-Syams dan ii. Surah al-Kâfirûn Pada rakaat yang kedua selepas surah al-Fâtihah:
i. Surah adh-Dhuhâ dan ii. Surah al-Ikhlâsh.
Pada rakaat yang seterusnya bolehlah dibaca surah al-Kâfirûn dan surah al- Ikhlâsh sahaja.
Perlu diingat, jika sembahyang sunat Dhuha itu dikerjakan empat rakaat, maka tidak perlu lagi dibaca surah untuk mengiringi surah al-Fâtihah pada rakaat ketiga dan keempat selepas duduk tahiyyat awal pada rakaat yang kedua.
4. Sembahyang sunat Tasbih.
Menurut Syeikh asy-Syarqawi Rahimahullâh adalah lebih awlâ dibaca surah al-Hadîd pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah ash- Shaff pada rakaat ketiga dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah. Jika tidak, bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Âdiyât pada rakaat kedua, surah at-Takâtsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat.
Manakala Syeikh ‘Ali asy-Syabramallisi Rahimahullâh menyebutkan bahawa dalam sembahyang sunat Tasbih dibaca surah at-Takâtsur pada rakaat pertama, surah al-‘Ashr pada rakaat kedua, surah al-Kâfirûn pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat.
5. Sembahyang sunat Hari Raya.
Sunat dibaca dalam sembahyang sunat Hari Raya sama ada Hari Raya Fitri atau Hari Raya Adhha surah Qaf pada rakaat pertama dan surah al-Qamar pada rakaat kedua atau surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al- Ghâsyiah pada rakaat kedua.
6. Sembahyang sunat Istikharah.
Pada rakaat pertama selepas surah al-Fâtihah dibaca surah al-Qashash, ayat 68-69:
Pada rakaat kedua pula dibaca surah al-Ahzâb, ayat 36:
Maka dalam sembahyang yang telah disebutkan di atas, selain surah al-Kâfirûn dan al-Ikhlâsh, telah disunatkan juga untuk membaca ayat atau surah tertentu dari al- Qur’an.
Sebagai kesimpulannya, adalah harus dibaca apa jua ayat atau surah dari al-Qur’an dalam sembahyang untuk memperolehi pahala membaca al-Qur’an. Bagi sembahyang-sembahyang yang telah disunatkan membaca surah-surah yang khusus, maka adalah lebih baik diamalkan agar tidak luput sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu.
Begitu juga sunat dibaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh dalam sembahyang-sembahyang sunat yang diqiyâskan kepada sembahyang-sembahyang sunat yang lain sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh.
Apa yang perlu diingat, membaca sesuatu ayat atau surah selepas membaca surah al-Fâtihah merupakan sunat hai’ah. Maka sebaliknya pula, hukum meninggalkannya adalah makruh menurut Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh.
WASWAS DALAM SEMBAHYANG: Bagaimana Mengatasinya?
Memperolehi kesempurnaan dalam sembahyang merupakan impian setiap Muslim. Mereka cuba sedaya upaya untuk menghadirkan hati agar khusyû‘ dalam sembahyang, di samping melaksanakan perkara rukun dan sunat sembahyang dengan sempurna. Untuk khusyû‘ dalam sembahyang pula bukanlah suatu yang mudah, tetapi ia juga bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.
Khusyû‘ dalam sembahyang boleh terganggu dengan adanya perasaan waswas yang wujud di dalam hati, seperti waswas ketika mengangkat takbîratul-ihrâm, waswas pada bacaan dalam sembahyang dan yang seumpamanya.
Dari manakah punca perasaan waswas ini dan bagaimanakah pula cara mengatasinya? Ikutilah penjelasan berikut mengenai perkara ini.
Apa Dia Waswas?
Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Menurut istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Dalam kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula, waswas bermaksud kesibukan fikiran dengan pemikiran yang mengganggu dirinya dan ini menggalakkannya untuk melakukan perkara-perkara yang bodoh.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, al-waswasah (ة الوسوس) adalah bisikan hati (dalam diri).
Waswas merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan (bertujuan untuk mengganggu manusia). Oleh yang demikian, seorang Muslim itu hendaklah tidak patuh pada (bisikan atau hasutan) syaitan yang mengganggu dirinya dengan perasaan waswas. Bahkan hendaklah dia mengambil langkah berhati-hati yang menghalangnya daripada berperasaan waswas itu.
Waswas Semasa Sembahyang Dan Dalam Sembahyang
Menurut al-‘Allâmah Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran).
Walau bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab individu mencari jalan atau cara untuk mengatasinya agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyû‘.
Antara waswas yang sering terjadi pada sesetengah individu ketika bersembahyang ialah:
1. Waswas pada niat sembahyang dan takbîratul-ihrâm.
Seseorang yang seringkali dilanda waswas ketika mengangkat takbîratul-ihrâm akan menyangka bahawa niat yang dilakukan ketika takbîratul-ihrâm itu tidak sempurna atau iringan antara niat dan takbîr itu salah dan yang seumpamanya. Waswasnya itu menyebabkan dia terpaksa mengulang niat dan takbîratul-ihrâm itu kerana takut sembahyang yang dilakukannya itu tidak sempurna atau batal disebabkan niat dan takbîratul-ihrâm yang tidak sempurna atau salah itu.
Menurut al-‘Allâmah asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh, waswas yang datang ketika takbîratul-ihrâm adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama.
Mengetahui niat sembahyang dengan jelas, cara melafazkannya sama ada sebelum atau seiring dengan takbîratul-ihrâm, sebenarnya membantu mengelak daripada timbulnya waswas ketika berniat dan mengangkat takbîratul-ihrâm.
Lafaz Niat dan Cara Takbîratul-Ihrâm
Niat dari segi syara‘ bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut.
Seseorang yang hendak melakukan sembahyang fardhu wajib menghadirkan di dalam hatinya tiga perkara, iaitu:
i. Qashd (tujuan hendak sembahyang). ii. Ta‘yîn (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya). iii. Ta‘arrudh al-fardhiyyah (pernyataan fardhu).
Maka daripada ketiga-tiga perkara tersebut, inilah contoh niat yang wajib bagi sembahyang fardhu:
Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur.
Begitu juga wajib pernyataan qashar bagi musafir, dan pernyataan “imam” dan “makmum” bagi yang sembahyang berjemaah.
Manakala niat dengan lafaz-lafaz sunat sebagaimana berikut:
i. Ta‘arrudh li adâ’i aw qadhâ’i (pernyataan untuk sembahyang tunai atau qadha’). ii. Ta‘arrudh ‘adadi rak‘ati (pernyataan bilangan rakaat). iii. Idhâfah ilallâhi Ta‘âlâ (disandarkan kepada Allah Ta‘ala).
Contoh niat yang wajib disertakan dengan lafaz yang sunat pula ialah:
Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur empat raka‘at tunai kerana Allah Ta‘ala.
Seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti ِ َ رْض َ الظُّهْ ر أصَلِى ف (ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur) lalu terus mengangkat takbîratul-ihrâm dengan ucapan: َ هللا أَكْ ر (ertinya: Allah Maha Besar) sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih ada niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbîr itu.
Sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm agar lidah dan hati saling bantu-membantu untuk menghadirkan niat, dan mengelak waswas.
Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullâh, pendapat yang mu‘tamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang biasa, kerana melaksanakan yang sedemikian itu dianggap sudah menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabat-sahabat Nabi Radhiallâhu ‘anhum), mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul-ihrâm
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas (ketika takbîratul- ihrâm). Jika terjadi sedemikian atau terjadi di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh sebagaimana di atas, bagi tujuan memudahkan (untuk menghadirkan niat).
2. Waswas pada bacaan dalam sembahyang.
Terdapat juga sebahagian orang ramai yang berasa waswas pada bacaannya dalam sembahyang sehingga menimbulkan sikap yang keterlaluan dalam pengucapan huruf, lantas kurang perhatian untuk memahami apa yang dibaca.
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh: “Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca “د د... اْلم اْلم …” berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar daripada adab sembahyang. Adakalanya Iblis mendatangkan kepadanya waswas ketika membunyikan tasydîd (huruf bersabdu), sehinggakan terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada tasydîd (huruf bersabdu) tersebut dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah “املغضوب” (al-maghdhûb) dalam surah al-Fâtihah.”
Penyebutan huruf secara keterlaluan dan melampui batas adalah waswas yang didatangkan oleh iblis untuk menyibukkan orang mu’min pada sebutan makhraj sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan.
Adapun yang dikehendaki pada bacaan itu adalah menyebut makhraj huruf dengan betul, bukanlah keterlaluan menyebutnya sehingga memberatkan diri sendiri.
Punca Timbulnya Perasaan Waswas Dan Cara Mengatasinya Ketika Bersembahyang
Waswas timbul kerana lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu agama.
Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, seorang Muslim itu hendaklah mengambil langkah-langkah sebagaimana berikut:
1. Mendalami ilmu agama.
Mempelajari ilmu mengenai ibadat secara mendalam, dari sudut kebersihan, kaifiyyah (cara) memasang niat untuk sembahyang, mengangkat takbîratul-ihrâm, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya adalah antara perkara yang boleh membantu menjauhi perasaan waswas yang ditimbulkan oleh syaitan.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas di hatinya) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil). (Hadits riwayat at-Tirmidzî)
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh, kejahilan merupakan jalan utama iblis masuk pada diri manusia, iaitu iblis masuk (menghasut dan membisik-bisik waswas pada) orang-orang yang jahil dengan cara aman (mudah). Manakala pada orang yang berilmu, dia mencuri-curi (lantaran susah untuk dia menghasut atau membisik-bisik waswas).
2. Menghadirkan hati untuk khusyû‘ ketika sembahyang.
Salah satu cara yang boleh membantu menghilangkan rasa waswas adalah menghadirkan hati ketika menunaikan sembahyang.
Apabila hati tidak dapat hadir di dalam sembahyang (tidak dapat menjiwai perkataan dan perbuatan sembahyang), maka ia tidak akan kosong, bahkan berputar memikirkan perkara-perkara dunia. Oleh kerana itulah, terdapat antara kita yang zahirnya sembahyang, namun hati dan fikiran melayang ke tempat lain.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati daripada segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran itu dapat dicegah dengan menolak penyebabnya.
Antara penyebab yang menganggu fikiran sehingga kita tidak mampu menghadirkan hati ketika bersembahyang ialah:
i. Persekitaran.
Penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata.
Seseorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya.
Namun, orang yang lemah niat dan azamnya akan bercelaru fikirannya. Maka cara untuk mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang di tempat gelap, membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelak daripada bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang berukir.
ii. Diri sendiri.
Penyebab daripada diri sendiri juga menghalang daripada menghadirkan hati ketika bersembahyang, umpamanya sembahyang sambil lewa atau hanya untuk menunaikan kewajipan semata-mata. Mengatasi penyebab ini adalah lebih ditekankan.
Antara cara untuk mengatasi penyebab daripada dalam diri adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran daripada hal-hal keduniaan sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibaca dalam sembahyang.
Seseorang yang hendak sembahyang perlu mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kelak.
Zikir-zikir Yang Boleh Diamalkan Untuk Mengelak Waswas
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kita untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia. Dalam surah an-Nâs, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia. (Surah an-Nâs:1-6)
Terdapat beberapa pendapat mengenai maksud al-Khannâs (الخناس) antaranya:
i. Syaitan atau anak iblis. ii. Sifat syaitan yang selalu tersembunyi dan tidak kelihatan. iii. Sifat syaitan yang berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah.
Berikut beberapa amalan yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
1. Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang membaca pada waktu pagi: ِ أَعوذ هللِهلل ِ السَّ مِيع ِ الْعَلِ يم مِ ن َ الرَّجِيم شَّ يْطَان ِ ال (ertinya: “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam”), maka dipelihara dia daripada (gangguan) syaitan sehingga petang. (Hadits dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni)
2. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan cara menghindarkan perasaan waswas sebagaimana dalam hadits riwayat Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utsman bin Abu al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhu menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali”. (‘Utsman berkata:) “Aku pun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Allah pun melenyapkannya daripadaku. (Hadits riwayat Muslim)
Terdapat juga amalan yang diajarkan para ulama, antaranya:
1. Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawi mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Ala’ bin Ziyad: “Aku dapati waswas pada dadaku”. Beliau pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu (lalai) dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya”. Maknanya, jika hati disibukkan dengan zikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai daripada zikir (mengingati) Allah.
2. As-Sayyid al-Jalil Ahmad bin Abu al-Hawari berkata: “Aku mengadu kepada Abu Sulaiman ad-Darani Radhiallâhu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku”. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu.”
3. Al-Ustaz Abu al-Hasan asy-Syazali Rahimahullâh pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Barang siapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm:
Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, Yang Maha Suci (daripada kekurangan), Yang Maha Menciptakan (sekalian makhluk) dan Yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya).
Kemudian membaca surah Ibrahim, ayat 19-20:
Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
4. Menurut sebahagian ulama, digalakkan bagi orang yang berperasaan waswas ketika berwudhu’, sembahyang dan lain-lain untuk membaca ه إال هللا ال إل sebab syaitan berundur apabila mendengar kalimat zikir, lebih-lebih lagi kalimat tersebut adalah induk segala zikir.
Banyak lagi bacaan yang boleh diamalkan untuk melindungi diri kita daripada gangguan dan hasutan syaitan. Sentiasa membaca al-Qur’an di waktu pagi dan petang juga adalah salah satu amalan pelindung diri dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada waswas yang dibisikkan oleh syaitan.
Perlu kita sedar, bahawa perasaan waswas yang wujud dalam hati ketika kita melaksanakan sembahyang, hanya gangguan syaitan semata-mata. Walau bagaimanapun jika waswas dibiarkan di hati, maka keinginan untuk memperolehi kekhusyû‘an di dalam sembahyang tidak akan dapat dicapai.
Oleh itu, berusahalah sedaya upaya untuk menghilangkan perasaan waswas ini dengan memantapkan ilmu agama, agar tidak mudah diri kita dijahilkan oleh syaitan yang berusaha memalingkan manusia daripada beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
SEMBAHYANG SUNAT THAWAF: Bagaimana Cara Mengerjakannya?
Thawaf merupakan salah satu daripada rukun haji dan umrah. Ia dikerjakan dengan mengelilingi Ka‘bah sebanyak tujuh kali dengan syarat-syarat tertentu. Setelah selesai melakukan thawaf, sunat mendatangi Multazam (kedudukannya di antara al-Hajar al-Aswad dan pintu Ka‘bah) lalu berdo‘a dan seterusnya beredar untuk mengerjakan sembahyang sunat Thawaf dua rakaat. Namun begitu bagi sesiapa yang ingin terus mengerjakan sa‘i adalah sah hukumnya mengerjakannya sebelum melakukan sembahyang sunat thawaf dua rakaat. Persoalan yang berkaitan dengan sembahyang Thawaf ini ialah bagaimanakah sebenarnya sembahyang dua rakaat Thawaf ini? Adakah sembahyang ini mempunyai keistemewaan dan perbezaan daripada sembahyang sunat yang lain? Sampai bilakah tempoh waktu mengerjakannya?
Cara Mengerjakan Sembahyang Sunat Thawaf
Sebenarnya sembahyang sunat Thawaf dua rakaat ini sama juga dengan sembahyang sunat dua rakaat yang lain, hanya perbezaannya ialah ia dilakukan selepas mengerjakan thawaf.
Sembahyang ini mempunyai keistimewaan daripada sembahyang-sembahyang lain kerana menurut pendapat yang ashah, orang yang mengambil upah untuk mengerjakan haji boleh melakukan sembahyang ini bagi pihak si pemberi upah. Ini bermakna walaupun orang yang mengambil upah itu yang melakukan sembahyang sunat thawaf ini, tetapi orang yang memberi upah itu juga akan mendapat pahala mengerjakannya.
Manakala hukum mengerjakannya adalah sunat kerana ia adalah antara sembahyang tambahan kepada sembahyang-sembahyang fardhu yang lima. Oleh kerana hukumnya sunat, maka ia juga boleh dikerjakan dalam keadaan duduk walaupun mampu untuk mengerjakannya secara berdiri, samalah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang sunat yang lain.
Sembahyang sunat Thawaf dikira terlaksana dan memadai dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat yang lain, sama halnya seperti sembahyang sunat Tahiyyat Masjid. Jika diniatkan sembahyang fardhu atau sunat yang lain itu dengan sunat Thawaf, maka terhasil pahala untuk kedua-dua yang diniatkannya itu dan jika tidak diniatkan sunat Thawaf berserta dengan sembahyang yang lain itu, maka tiadalah hasil pahala untuk sembahyang sunat Thawaf. Walau bagaimanapun tuntutan mengerjakannya sudah dikira tertunai. Akan tetapi, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini, seeloknya dikerjakan sembahyang sunat Thawaf itu selepas mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat yang lain.
Lafaz Niat Sembahyang Sunat Thawaf
Lafaz niat sembahyang sunat Thawaf:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Thawaf dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Surah-surah Yang Dibaca
Pada rakaat pertama selepas membaca surah al-Fâtihah sunat dibaca surah al- Kâfirûn dan pada rakaat kedua selepas surah al-Fâtihah dibaca surah al-Ikhlâsh.
Maksudnya: Daripada Jaafar bin Muhammad daripada bapanya, adalah Nabi Shallall âhu ‘alaihi wasallam suka membaca dalam dua rakaat sembahyang Thawaf (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Jika sembahyang ini dilakukan pada waktu malam dan setelah terbit fajar, sunat membacanya dengan bacaan yang nyaring (jahr). Manakala jika dilakukan pada waktu siang pula tidak disunatkan membacanya dengan bacaan yang nyaring.
Do‘a Sembahyang Sunat Thawaf:
Selepas selesai sembahyang, sunat dibaca do‘a di bawah ini:
Ertinya: Ya Allah sesungguhnya ini adalah Negeri HaramMu dan Masjid HaramMu serta Baitul-HaramMu (Ka‘bah), dan aku adalah hambaMu, anak hambaMu dan anak daripada hamba perempuanMu, aku datang kepadaMu dengan membawa dosa yang banyak serta kesalahan yang bertimbun dan membawa amalan-amalan yang buruk, dan inilah Maqam orang yang berlindung kepadaMu daripada api neraka (iaitu Maqam Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm), maka ampunilah aku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah memanggil hambaMu ke Baitul-HaramMu ini, sesungguhnya aku datang menuntut kerahmatanMu, mengharapkan keredhaanMu dan Engkaulah yang mengurniakan ke atasku yang demikian itu, maka ampunilah aku dan rahmatilah (kasihanilah) aku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Atau dibaca do‘a yang disebut dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûmiddîn iaitu:
Ertinya: Ya Allah, permudahkanlah bagiku segala kemudahan dan jauhkanlah dariku kesusahan, ampunkanlah (dosaku) yang akhir dan terdahulu, peliharakanlah aku dengan penuh balas kasihMu sehingga aku tidak menderhakaiMu, dan tolonglah aku dalam mentaatiMu dengan taufîqMu, dan jauhkanlah aku daripada melakukan dosa kepadaMu, dan jadikanlah aku daripada kalangan orang-orang yang menyintaiMu, dan menyintai para malaikatMu dan RasulMu dan para shâlihîn. Ya Allah, sepertimana Engkau beri aku petunjuk dengan agama Islam, maka tetapkanlah aku (pada agamaMu) dengan penuh belas kasihMu, kekuasaanMu, taufîq dan petunjukMu, dan perlakukanlah aku supaya mentaatiMu dan RasulMu, dan hindarilah aku daripada segala perkara yang menyesatkan yang datang daripada fitnah-fitnah.
Sembahyang sunat Thawaf dua rakaat afdhal dilakukan pada setiap kali selesai mengerjakan thawaf. Walau bagaimanapun, harus hukumnya melakukan sembahyang sunat thawaf dengan berturut-turut mengikut bilangan jumlah thawaf yang dilakukannya jika thawaf itu dikerjakan beberapa kali (dua kali atau lebih) dengan berturut-turut. Akan tetapi, melakukannya dengan cara demikian itu adalah dikira meninggalkan perkara yang lebih utama (khilâf al-awlâ). Bahkan adalah harus juga jika ia dilakukan dengan dua rakaat sahaja bagi kesemua thawaf tersebut dan tidaklah dihukumkan makruh.
Tempat Yang Afdhal Mengerjakannya
Sembahyang sunat thawaf ini afdhal dikerjakan di belakang Maqam Ibrahim, sebagaimana riwayat hadits daripada Ibnu Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Telah datang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu Baginda thawaf mengelilingi Ka‘bah tujuh kali, kemudian Baginda sembahyang (sunat Thawaf) dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Akan tetapi, tidaklah terhasil pahala sunat atau keutamaan mengerjakannya di belakang Maqam Ibrahim itu jika sembahyang dua rakaat Thawaf itu dilakukan jauh di belakang sekira-kira antaranya dan Maqam Ibrahim itu tiga ratus hasta jaraknya.
Walau bagaimanapun jika di belakang Maqam Ibrahim itu terlalu sibuk, maka bolehlah memilih untuk melakukan sembahyang ini di tempat yang lain mengikut urutan yang afdhal selepasnya, iaitu di kawasan Hijr Isma‘il yang terletak di bawah pancuran air (al-Mizab), kemudian di mana-mana kawasan Masjid al-Haram dan kemudian di mana-mana tempat di tanah haram, dan kemudian di mana-mana tempat yang dikehendakinya selain tempat yang telah disebutkan itu.
Waktu Mengerjakannya
Sembahyang sunat Thawaf ini seperti yang telah dijelaskan, dikerjakan selepas melakukan thawaf dan waktunya tidak luput selagi orang yang mengerjakan thawaf itu masih hidup sekalipun dia telah kembali ke tanah airnya. Akan tetapi, jika sembahyang ini dikerjakan di negerinya iaitu setelah dia kembali ke tanah airnya, maka orang tersebut dikenakan membayar dam kerana kelewatan mengerjakannya bukan di tanah haram. Hukum membayar dam ini pula adalah sunat bukanlah wajib.
Melakukannya Pada Waktu-waktu Ditegah Sembahyang
Sembahyang sunat Thawaf adalah dikategorikan dalam kelompok sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu sama seperti sembahyang sunat Istisqa’, sembahyang Gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Wudhu dan sembahyang sunat Tahiyat al-Masjid. Sembahyang-sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram. Oleh itu, sembahyang sunat Thawaf boleh didirikan dalam waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang.
Sembahyang sunat thawaf ini tidak kurang pentingnya dalam kita mengerjakan segala manâsik haji dan umrah. Ia adalah antara perkara-perkara sunat yang berkaitan dengan thawaf yang sepatutnya kita tidak abaikan. Selain itu, dari segi kelebihannya sembahyang sunat thawaf ini sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain, ia dapat menampal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu yang kita lakukan, sebagaimana hadits Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, yang bermaksud bahawa Allah akan mencukupkan kekurangan sembahyang fardhu hambaNya itu dengan amalan sembahyang sunatnya.
IMAM TIDAK MEMBACA DO‘A QUNUT: Apakah Yang Patut Dilakukan Oleh Makmum?
Membaca do‘a qunut ketika sembahyang Subuh disyariatkan menurut mazhab asy- Syafi‘e dan ia termasuk dalam perkara sunat ab‘adh. Jika do‘a qunut itu ditinggalkan sama ada terlupa atau sengaja, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.
Persoalannya, dalam sembahyang berjemaah jika imam tidak membaca do‘a qunut sama ada dia terlupa atau sengaja meninggalkannya atau do‘a qunut sememangnya tidak disyariatkan menurut mazhab tertentu seperti mazhab Hanafi dan Hanbali sebagaimana yang biasa dialami apabila menunaikan sembahyang fardhu Subuh berjemaah di Masjid al- Haram, Makkah, maka apakah yang perlu dilakukan oleh makmum yang berimam dengan imam tersebut?
Dalam hal ini, Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Jika seorang yang bermazhab Syafi‘e mengikut (berimamkan) seorang yang bermazhab Hanafi di dalam sembahyang Subuh (sedang dia tidak membaca do‘a qunut kerana dalam mazhab Hanafi tidak disunatkan membaca do‘a qunut) dan dia (makmum Syafi‘e) dapat membaca do‘a qunut dan sempat mendapati imam pada sujud pertama, (maka sunat) dia melakukan (perkara tersebut). Jika dia tidak dapat melakukannya, maka tidak (disunatkan dia melakukannya dan batal sembahyangnya jika dia tertinggal dua rukun sembahyang yang panjang). (Walau bagaimanapun) dalam semua hal (tersebut), dia (disunatkan) bersujud sahwi menurut qaul mu‘tamad selepas salam imamnya.
Berdasarkan nash yang disebutkan di atas, jika imam tidak membaca do‘a qunut di dalam sembahyang Subuh, makmum disunatkan membaca do‘a qunut jika dia sempat melakukan sujud bersama-sama dengan imam pada sujud yang pertama. Jika dia tidak sempat berbuat demikian (membaca do‘a qunut dan sujud bersama-sama imam pada sujud yang pertama), maka hendaklah dia mengikut apa yang dilakukan oleh imam. Kemudian selepas itu, sama ada dia sempat membaca do‘a qunut ataupun tidak, disunatkan lagi baginya untuk melakukan sujud sahwi kerana terdapat kekurangan di dalam sembahyang imamnya.
Sujud sahwi tersebut, dilakukan selepas imam memberi salam, sebelum makmum sendiri memberi salam, sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh ‘Abdul Hamid asy-Syarwani Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam Hawasyi kitab Tuhfah al-Muhtâj fî Syarh al-Minhâj katanya:
Ertinya: Disunatkan (ketika sembahyang Subuh) bagi makmum yang bermazhab Syafi‘e melakukan sujud sahwi sebelum dia memberi salam setelah imamnya (yang bermazhab Hanafi atau Hanbali) memberi salam, sama ada makmum itu telah membaca do‘a qunut ataupun tidak, kerana sujudnya (makmum itu) adalah disebabkan imamnya meninggalkan qunut bukannya kerana dia sendiri yang meninggalkannya.
Menurut nash yang disebutkan di atas, apabila seseorang itu menjadi makmum di belakang imam yang bermazhab Hanafi atau Hanbali semasa sembahyang Subuh, maka sunat bagi makmum itu melakukan sujud sahwi sebelum dia memberi salam setelah imam itu selesai memberi salam, sama ada makmum itu membaca do‘a qunut ketika i‘tidâl ataupun tidak membacanya, kerana sujud sahwi yang dilakukannya itu adalah disebabkan imam tersebut tidak membaca do‘a qunut.
Begitulah juga halnya jika mengikut imam yang bermazhab Syafi‘e tetapi dia terlupa atau sengaja meninggalkan do‘a qunut di dalam sembahyang Subuh, sebagaimana Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Bagi makmum di sini (dalam perkara imam terlupa atau tidak membaca qunut Subuh), bolehlah tertinggal (daripada imamnya) untuk membaca qunut selagi tidak didahului oleh imamnya dengan dua rukun fi‘li.
Menurut ulama, untuk mendapatkan pahala bacaan do‘a qunut memadai dengan do‘a dan pujian, seperti:
Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah aku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, dan rahmatilah aku wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Adapun jika makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Subuh mengikut imam yang mengerjakan sembahyang Zhuhur atau sunat Subuh sama ada imam itu bermazhab Syafi‘e atau bukan, sama ada makmum itu membaca qunut ataupun tidak, maka tidaklah dituntut makmum itu mengerjakan sujud sahwi. Perkara ini ada disebutkan dalam Hawasyi kitab Tuhfah al-Muhtâj fi Syarh al-Minhâj:
Ertiya: Dan jika orang yang bersembahyang Subuh bermazhab Syafi‘e mengikut orang yang bersembahyang Zhuhur atau sunat Subuh umpamanya, tidaklah dia dituntut mengerjakan sujud sahwi, sama ada makmum itu membaca qunut ataupun tidak.
Jelasnya, mengikut nash-nash ulama yang telah disebutkan, jika seseorang yang bermazhab Syafi‘e mengikut imam yang bermazhab Syafi‘e tetapi dia terlupa atau sengaja meninggalkan qunut atau mengikut imam yang bermazhab Hanafi atau Hanbali yang menurut pendapat mereka bahawa bacaan qunut tidak disyariatkan ketika mengerjakan sembahyang Subuh, sebagaimana yang berlaku di Kota Makkah, makmum yang bermazhab Syafi‘e disunatkan untuk membaca do‘a qunut jika dia sempat melakukan sujud bersama imam pada sujud yang pertama. Jika dia tidak sempat berbuat demikian (membaca do‘a qunut dan sujud bersama-sama dengan imam pada sujud yang pertama), maka hendaklah dia mengikut apa yang dilakukan oleh imam. Kemudian selepas itu, disunatkan lagi baginya untuk melakukan sujud sahwi sebelum dia memberi salam selepas imam tersebut memberi salam, kerana sujud sahwi itu adalah disebabkan imam tersebut tidak membaca do‘a qunut.
Apa yang perlu diambil perhatian ialah jika makmum itu memilih untuk membaca qunut, maka hendaklah dia memastikan supaya tidak akan tertinggal dua rukun fi‘li daripada imamnya ketika membaca qunut itu kerana jika tertinggal dua rukun fi‘li itu tanpa ada keuzuran, maka batallah sembahyang makmum tersebut.
Demikian serba sedikit penerangan mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh makmum yang bermazhab Syafie ketika mendapati imam di dalam sembahyang Subuh berjemaah tidak membaca do‘a qunut.
PUASA
HARI ‘ÂSYÛRÂ’: Berpuasalah Sehari Sebelum Dan Selepasnya
Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar tahun Hijrah. Maka satu (1) Muharram atau awal Muharram adalah lebih dikenali juga dengan sebutan awal tahun baru Hijrah.
Keutamaan bulan Muharram ialah kerana ia termasuk antara bulan-bulan haram yang mempunyai banyak kelebihan. Bulan-bulan haram itu terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Bulan-bulan haram merupakan waktu yang sangat afdhal untuk mengerjakan dan memperbanyakkan ibadat puasa selain bulan Ramadhan.
Di antara empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa ialah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram. (Hadits riwayat Muslim)
Amalan Berpuasa Di Bulan Muharram
Dalam bulan Muharram, selain daripada hari kesepuluh yang sudah dikenali dan diketahui ramai dengan panggilan hari ‘Âsyûrâ’, terdapat juga beberapa hari lain yang disunatkan untuk berpuasa. Hari-hari yang dimaksudkan itu ialah hari kesembilan (Tâsû‘â’) dan hari kesebelas.
Bahkan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dalam kitab al-Umm dan al-Imlâ’ menyatakan bahawa digalakkan untuk berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut.
Selain daripada tiga hari yang telah disebutkan di atas, adalah sangat digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari terawal di bulan Muharram, bahkan sepanjang bulan Muharram, berdasarkan hadits di atas.
Tuntutan Berpuasa Hari ‘Âsyûrâ’, Sebelum Dan Selepasnya
Tuntutan untuk berpuasa pada sembilan, sepuluh dan sebelas Muharram itu adalah berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya:
1. Puasa hari Tâsû‘â’.
Berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram adalah berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Rahimahullâh ‘anhumâ dia berkata:
Maksudnya: Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan Baginda memerintahkan (para sahabat Baginda) untuk melakukan puasa pada hari itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Âsyûrâ’ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nashrani?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada tahun yang akan datang, insyâ’ Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan”. Berkata (‘Abdullah bin ‘Abbas): “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telahpun wafat.” (Hadits riwayat Muslim)
Adapun antara hikmat berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu bersama-sama dengan hari Tasû‘â’ (hari kesembilan daripada bulan Muharram) itu agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’sahaja. Ini jelas sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram dan jangan meniru (menyerupai) cara orang-orang Yahudi. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
2. Puasa hari ‘Âsyûrâ’.
Puasa hari ‘Âsyûrâ’, iaitu pada hari kesepuluh Muharram, merupakan sunat yang sangat dituntut (mu’akkadah) untuk dikerjakan.
Puasa hari ‘Âsyûrâ’ lebih dikenali oleh masyarakat umum berbanding puasa hari kesembilan dan kesebelas Muharram. Adapun tuntutan untuk berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ telah disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia mendengar Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Ini adalah hari ‘Âsyûrâ’ dan Allah tidak mewajibkan kepada kamu mengerjakan puasa padanya. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barang siapa yang menghendaki (untuk berpuasa), bolehlah dia berpuasa dan barang siapa yang menghendaki untuk berbuka yakni tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sungguhpun berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu hanya merupakan puasa sunat, akan tetapi terdapat banyak hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan keutamaan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Oleh itu jangan dipandang ringan atau disia-siakan. Antara hadits-hadits itu:
i. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan dalam sebuah hadits, katanya:
Maksudnya: Aku (Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ) tidak pernah melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini, iaitu hari ‘Âsyûrâ’ dan berpuasa dalam bulan ini, yakni bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Manakala dalam hadits yang lain pula daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa hari ‘Âsyûrâ’ bahawasanya aku mengharapkan daripada Allah moga mengampunkan dosa-dosaku pada tahun yang sebelumnya. (Hadits riwayat Muslim)
iii. Puasa hari kesebelas Muharram.
Terdapat satu riwayat yang menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Âsyûrâ’. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari ‘Âsyûrâ’ dan janganlah menyerupai orang Yahudi dalam perkara ‘Âsyûrâ’. (Oleh itu) berpuasalah kamu sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun menurut pendapat ulama, disunatkan berpuasa pada hari kesebelas Muharram; sama ada dia telah berpuasa ataupun tidak pada hari kesembilan Muharram.
Bagaimana Jika ‘Âsyûrâ’ Itu Jatuh Pada Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa?
Adapun hari-hari yang dimaksudkan makruh berpuasa itu ialah hari Jumaat, Sabtu atau Ahad semata-mata.
Pada dasarnya hukum berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digandingkan dengan berpuasa sehari sebelumnya (hari Khamis) atau sehari selepasnya (hari Sabtu) adalah makruh. Perkara ini adalah berdasarkan tegahan atau larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melalui hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan (sekali-kali) salah seorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau (sehari) selepasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja tanpa sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Ini kerana hari Sabtu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi, sementara hari Ahad pula adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nashrani.
Walau bagaimanapun jika digandingkan atau digabungkan hari yang dimakruhkan berpuasa tadi dengan hari yang lain; umpamanya Jumaat dengan Sabtu atau Sabtu dengan Ahad, maka tidak dihukumkan makruh. Begitu juga halnya gabungan atau gandingan Jumaat dengan Khamis atau Ahad dengan Isnin.
Namun tidak makruh hukumnya berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad semata-mata jika puasa tersebut ada sebab lain yang dianjurkan. Misalnya pada hari-hari tersebut (Jumaat, Sabtu atau Ahad) bertepatan dengan puasa hari ‘Arafah dan puasa hari ‘Âsyûrâ’ atau hari tersebut bertepatan dengan kebiasaan seseorang itu melakukan puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud ‘Alaihissalâm, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari ataupun dia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha’ atau nazar.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu). (Hadits riwayat Muslim)
Maka jika kita lihat kembali antara tujuan mengapa digandingkan atau digabungkan hari ‘Âsyûrâ’ dengan Tâsû‘â’ itu antaranya ialah untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Juga sebagai langkah berhati-hati; umpamanya jika ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari Jumaat. Oleh itu untuk menghindarkan seseorang itu daripada berpuasa hanya pada 10 Muharram itu (hari Jumaat) semata-mata, maka digandingkan atau digabungkan puasa ‘Âsyûrâ’ itu dengan hari lain, iaitu hari kesembilan (Tâsû‘â’) atau sehari selepas ‘Âsyûrâ’.
Walau bagaimanapun ini bukan bermakna jika hari ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari Jumaat, maka barulah disunatkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya (hari kesembilan) atau hari selepasnya (hari kesebelas). Bahkan jika ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari selain hari Jumaat, maka tetap juga disunatkan untuk berpuasa pada hari kesembilan dan kesebelas Muharram.
Sebagai kesimpulan, selain bulan Ramadhan, bulan Muharram merupakan antara bulan yang paling afdhal untuk melakukan dan memperbanyakkan puasa. Di samping hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram) yang sudah diketahui dan dimaklumi sebagai hari yang disunatkan berpuasa padanya, terdapat juga dalil-dalil yang menggalakkan untuk berpuasa pada hari Tâsû‘â’ (9 Muharram) dan hari kesebelas Muharram. Bahkan digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari awal bulan Muharram dan di sepanjang bulan Muharram.
PUASA SUNAT BULAN SYA‘BAN: Isu-Isu Hukum Mengenainya
Apabila tiba sahaja bulan Sya‘ban, senario yang seringkali terjadi ialah sesetengah individu yang masih ‘berhutang’ puasa akan bergegas-gegas, atau dalam bahasa Brunei berabut-rabut, untuk mengqadha’ puasa mereka di bulan ini. Ini kerana bulan Sya‘ban merupakan ‘peluang terakhir’ untuk mengqadha’ puasa Ramadhan tahun lalu atau beberapa tahun lalu yang belum diqadha’ atau belum dibayar sebelum menjelang bulan Ramadhan yang akan datang. Namun tidak juga dinafikan sesetengah individu lain berpuasa kerana untuk meningkatkan amalan-amalan sunat dan juga sebagai latihan menghadapi bulan Ramadhan, bulan yang dimuliakan lagi penuh keberkatan.
Seringkali ditimbulkan persoalan mengenai hukum berpuasa di bulan Sya‘ban. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah adakah berpuasa yang disunatkan itu pada 15 haribulan Sya‘ban sahaja ataupun pada separuh pertama bulan Sya‘ban ataupun separuh kedua bulan Sya‘ban? Demikian juga, masih timbul pertanyaan tentang hukum berpuasa pada hari syak, iaitu pada hari ke 30 bulan Sya‘ban, adakah dibolehkan ataupun tidak berpuasa pada hari tersebut sama ada berpuasa sunat seperti puasa hari Isnin dan Khamis, ataupun berpuasa wajib seperti puasa qadha’, kaffârah dan nazar?
Sebenarnya memang terdapat beberapa isu hukum yang berkaitan dengan puasa di bulan Sya‘ban khasnya puasa selepas 15 haribulan Sya‘ban (nishfu Sya‘ban) bagi mereka yang memulakan puasa sunatnya selepas 15 haribulan Sya‘ban itu. Inilah sebahagian isu yang akan diberikan penjelasan mengenainya.
Puasa Di Bulan Sya‘ban
Hukum berpuasa di bulan Sya‘ban adalah sunat. Berpuasa di bulan ini merupakan amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri sebagaimana yang telah dinyatakan dalam beberapa hadits, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa lebih banyak daripada (puasa) Baginda pada bulan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa beliau pernah ditanya mengenai puasa yang dikerjakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu ‘Aisyah pun menjawab:
Maksudnya: Saya pernah melihat) Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam kerap berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda berpuasa terus tanpa berbuka. (Namun) Baginda juga pernah berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami mengatakan bahawa Baginda berbuka terus tanpa berpuasa. (Tetapi yang jelas) aku tidak pernah mendapati Baginda berpuasa pada mana-mana bulan yang lebih banyak daripada puasa Baginda pada bulan Sya‘ban. Baginda berpuasa bulan Sya‘ban (hampir) sebulan penuh, (iaitu) Baginda berpuasa bulan Sya‘ban kecuali sedikit sahaja (hari Baginda tidak berpuasa). (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits yang lain pula:
Maksudnya: Bahawa Baginda berpuasa di bulan Sya‘ban keseluruhannya sehingga Baginda menyambungnya dengan puasa bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Adapun maksud “ كلَّه ” (keseluruhannya) pada kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan’ atau ‘hampir kesemuanya’. Perkara ini disebutkan oleh Ibnu al-Mubarak sebagaimana dinukilkan oleh at-Tirmidzi bahawa kebiasaan orang Arab apabila seseorang itu berpuasa hampir keseluruhan bulan tersebut, maka dikatakan dia berpuasa keseluruhannya.
Dapat difahami daripada beberapa hadits yang telah dikemukakan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa pada bulan Sya‘ban hampir sebulan penuh dan juga pernah menyambung puasa bulan Sya‘ban sehingga puasa Ramadhan. Amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa di bulan Sya‘ban dapat dirumuskan seperti berikut:
1. Pada satu tahun itu Baginda berpuasa bulan Sya‘ban sebulan penuh, manakala pada tahun yang lainnya Baginda berpuasa hampir keseluruhannya dan Baginda juga pernah berpuasa sebahagiannya sahaja.
2. Baginda pernah berpuasa pada awal bulan Sya‘ban, pertengahan dan juga pada akhirnya. Namun tidak pernah sekali-kali Baginda meninggalkan berpuasa dalam bulan Sya‘ban.
Adapun rahsia Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid katanya:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat Tuan berpuasa (pada) satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) Tuan berpuasa di bulan Sya‘ban. Baginda bersabda: “Yang demikian itu kerana ia merupakan bulan di mana manusia lalai mengenainya (bahawa ia terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan, dan ia adalah bulan di dalamnya diangkat amalan-amalan manusia kepada Allah Rabb al-‘Âlamîn, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Afdhal Berpuasa Pada Bulan-Bulan Haram
Selain puasa bulan Ramadhan, bulan-bulan haram (Muharram, Rajab, Zulkaedah dan Zulhijjah) juga merupakan bulan yang terlebih afdhal untuk mengerjakan dan memperbanyakkan berpuasa.
Antara keempat-empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa adalah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah, iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada dalil yang dibawakan, timbul pula persoalan kenapa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lebih banyak melakukan puasa-puasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan Muharram, sedangkan bulan Muharram adalah bulan yang lebih afdhal untuk mengerjakan puasa selepas bulan Ramadhan? Dalam hal ini para ulama telah mengemukakan penjelasan mereka seperti berikut:
1. Kemungkinan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam hanya mengetahui kelebihan bulan Muharram itu ketika di akhir hayat Baginda dan tidak sempat mengerjakannya.
2. Kemungkinan pada waktu itu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam kebetulan mendapat keuzuran kerana musafir, sakit atau sebagainya yang menghalang Baginda daripada memperbanyakkan puasa di bulan Muharram.
Beberapa Persoalan Berpuasa Sunat Di Bulan Sya‘ban
Sungguhpun berpuasa di bulan Sya‘ban adalah sunat, namun terdapat beberapa persoalan hukum yang perlu diperjelaskan, antaranya:
1. Puasa pada 15 haribulan Sya‘ban.
Berdasarkan hadits-hadits yang telah dibawakan bahawa amalan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban bukan hanya dikhususkan pada 15 haribulan Sya‘ban itu sahaja. Bahkan yang disunatkan itu, bermula dari awal bulan Sya‘ban dan termasuklah juga 15 haribulan Sya‘ban.
Sebaliknya apa yang sering terjadi ialah kecenderungan sesetengah individu memilih untuk berpuasa sunat hanya pada 15 haribulan Sya‘ban sahaja, manakala hari-hari yang lain di bulan tersebut dia tidak berpuasa.
Walau bagaimanapun berpuasa pada 15 haribulan Sya‘ban itu juga disunatkan kerana bertepatan juga dengan puasa yang disunatkan, iaitu berpuasa pada hari putih yang jatuh pada setiap 13, 14 dan 15 haribulan, kecuali pada 13 Zulhijjah. Ini kerana 13 Zulhijjah merupakan termasuk hari-hari tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) iaitu hari yang diharamkan berpuasa padanya. Maka sebagai ganti, sunat berpuasa pada 16 Zulhijjah.
Di samping itu, jika seseorang itu hendak berpuasa sunat pada separuh kedua bulan Sya‘ban sedangkan dia tidak mempunyai sebab untuk berpuasa, iaitu disebabkan puasa wajib kerana qadha’, nazar dan kaffârah, dan dia juga tidak mempunyai adat kebiasaan berpuasa sunat sebelum itu, maka berpuasa sekurang-kurangnya pada 15 haribulan Sya‘ban itu merupakan syarat untuk mengharuskan dia berpuasa pada separuh kedua Sya‘ban. Penjelasan lanjut mengenainya akan diterangkan kemudian.
2. Hari-Hari Separuh Kedua Bulan Sya‘ban (Tidak Termasuk 15hb).
Maksud separuh kedua Sya‘ban itu ialah mulai 16 hingga 29 atau 30 haribulan Sya‘ban. Hukum berpuasa pada hari-hari tersebut adalah seperti berikut:
i. Puasa separuh kedua bulan Sya‘ban.
Berpuasa sunat pada hari-hari separuh kedua bulan Sya‘ban (16 hingga 30 haribulan Sya‘ban) tanpa sebab ataupun bukan kerana adat kebiasaan berpuasa sunat adalah haram. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban, maka janganlah kamu berpuasa. (Hadits riwayat Abu Daud)
Maksud “adat kebiasaan berpuasa sunat” akan dijelaskan kemudian.
Namun begitu, bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada separuh kedua bulan Sya‘ban adakalanya diharuskan walaupun dia berpuasa tanpa sebab, jika puasanya itu disambung dengan atau dimulakan dari separuh pertama bulan Sya‘ban.
ii. Puasa pada hari syak.
Maksud hari syak itu ialah pada 30 haribulan Sya‘ban, tersebar berita di kalangan orang ramai bahawa anak bulan Ramadhan telah dilihat, akan tetapi tidak disabitkan oleh hakim (pemerintah) kerana tidak dipersaksikan penglihatan anak bulan itu oleh seorang yang ‘âdil atau ia dipersaksikan oleh dua orang kanak-kanak, beberapa orang perempuan, seorang hamba atau seorang fâsiq.
Hukum berpuasa sunat pada hari syak adalah diharamkan tanpa sebab atau bukan kerana adat kebiasaan berpuasa sunat. Hukum haram tersebut bukan hanya disebabkan ia merupakan hari syak sahaja, bahkan juga kerana ia terkandung dalam hari-hari separuh kedua bulan Sya‘ban.
Dalil yang melarang berpuasa sunat pada hari syak adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Ammar bin Yasir katanya:
Maksudnya: Barang siapa yang berpuasa pada hari yang orang ramai merasa syak padanya (hari syak), maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim (Nabi) Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sebaliknya jika tidak ada tersebar berita tersebut, yakni berita anak bulan Ramadhan telah dilihat, maka tidaklah dikatakan hari itu sebagai hari syak, bahkan ia adalah termasuk hari-hari daripada bulan Sya‘ban.
Persoalan mengenai hari syak ini tidak akan disentuh dengan panjang lebar di sini. Ini kerana di Negara Brunei Darussalam penetapan anak bulan adalah berdasarkan ru’yah, iaitu pensabitan penglihatan anak bulan dan hasil penglihatan anak bulan tersebut disebarkan kepada orang ramai secara teratur dan berkesan. Oleh yang demikian, tidak timbul persoalan hari syak dan hukum berpuasa sunat pada hari tersebut.
Pengecualian Diharuskan Berpuasa Selepas 15 Haribulan Sya‘ban Dan Pada Hari Syak
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu, hukum berpuasa pada hari syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa sebab adalah haram. Sebaliknya, jika dia mempunyai sebab untuk melakukan ibadat puasa, maka tidak dihukumkan haram. Sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu berpuasa pada hari syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban adalah seperti berikut:
1. Sudah menjadi adat atau kebiasaan berpuasa.
Umpamanya pada hari yang dia berpuasa sunat itu (mana-mana hari selepas 15 haribulan Sya‘ban) atau pada hari syak itu kebetulan jatuh bertepatan dengan hari yang pada adat kebiasaannya dia berpuasa, seperti puasa sunat hari Isnin atau puasa sunat Khamis atau puasa sunat berselang-selang, sehari berpuasa dan sehari tidak puasa.
Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu dahului bulan Ramadhan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan mengikut adat kebiasaannya) dia berpuasa (pada hari itu), maka berpuasalah. (Hadits riwayat Muslim)
2. Puasa wajib.
Seperti puasa qadha’, nazar dan kaffârah. Namun jika seseorang itu bernazar berpuasa kerana hari syak, maka hukum bernazar sedemikian adalah tidak sah.
Keharusan berpuasa wajib dalam hal ini adalah diqiyâskan kepada keharusan berpuasa kerana adat kebiasaan yang sabit melalui hadits Nabi Shallallâhu 'alaihi wasallam seperti yang dijelaskan di atas.
3. Bukan kerana puasa wajib atau adat kebiasaan; Dengan syarat hendaklah dia memulakan puasa sunat tersebut pada hari-hari separuh pertama bulan Sya‘ban (1-15 haribulan Sya‘ban), kemudian diteruskan atau disambung puasa tersebut dengan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa putus atau berbuka (tidak berpuasa).
Ini bermaksud jika dia hendak berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban, maka caranya ialah hendaklah dia menyambung puasa sunatnya pada separuh kedua bulan Sya‘ban itu dengan hari-hari pada separuh pertama bulan Sya‘ban, kemudian meneruskan puasanya itu sehingga ke akhir bulan Sya‘ban tanpa berbuka.
Dalam perkara ini, disyaratkan hendaklah puasa sunat itu dimulakan atau dikerjakan sebelum atau pada 15 haribulan Sya‘ban; bukan kemudian daripada itu. Jika dia memulakan puasanya itu hanya selepas separuh kedua Sya‘ban, maka tidak diharuskan (haram) baginya berpuasa sunat pada separuh kedua Sya‘ban (16 haribulan hingga akhir bulan Sya‘ban).
Adalah juga memadai jika sekiranya dia memulakan puasa sunatnya itu hanya pada 15 haribulan Sya‘ban, kemudian menyambung puasanya itu tanpa berbuka di separuh kedua bulan Sya‘ban.
Walau bagaimanapun jika pada mana-mana hari dalam separuh kedua bulan Sya‘ban itu dia berbuka (tidak berpuasa) sekalipun kerana keuzuran, dia ditegah meneruskan puasa sunatnya itu pada baki hari-hari separuh kedua bulan Sya‘ban melainkan jika dia mempunyai sebab. Sebagai contoh seseorang berpuasa pada 15 dan 16 haribulan Sya‘ban, kemudian dia berbuka (tidak berpuasa) pada 17 haribulan Sya‘ban, maka diharamkan dia berpuasa pada 18 haribulan Sya‘ban dan hari-hari seterusnya tanpa sebab.
Adapun bagi sesiapa yang berpuasa bulan Sya‘ban sepenuhnya, maka sudah jelas tidak termasuk dalam larangan ini, kerana itu sudah menjadi adat atau kebiasaan.
Maka dalam tiga keadaan yang telah disebutkan tadi, diharuskan bagi seseorang itu untuk berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban dan pada hari Syak.
Maksud Adat Kebiasaan Berpuasa Di Bulan Sya‘ban
Apabila menyebut adat kebiasaan, seringkali difahami bahawa perbuatan atau amalan itu telah dilakukan berulang-kali dan perbuatan tersebut tidak ditinggalkan dalam tempoh yang lama.
Adapun dalam konteks berpuasa bulan Sya‘ban, adalah dikira atau memadai untuk dinamakan sebagai adat kebiasaan berpuasa itu walaupun ia dilakukan atau dikerjakan cuma sekali; dengan syarat tertentu. Memadai juga jika amalan berpuasa sunat itu dilakukan pada tahun sebelumnya ataupun pada suatu masa atau tempoh yang telah lama berlalu jika mematuhi syarat yang ditentukan. Sekiranya dia mempunyai adat yang berbeza-beza kerana dilakukan pada tahun yang berlainan, maka yang diambil kira ialah adat kebiasaan pada tahun yang terakhir dikerjakan.
Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh ketika menjawab pertanyaan mengenai sukat-sukat adat kebiasaan yang mengharuskan berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban, beliau telah membahagikannya kepada dua, iaitu:
1. Adat kebiasaan yang baru sekali sahaja dilakukan, dengan syarat hendaklah dikerjakan puasa tersebut pada separuh pertama bulan Sya‘ban dan tidak diselangi dengan berbuka (tidak berpuasa) antara separuh pertama bulan Sya‘ban dan separuh keduanya. Jika diselangi dengan berbuka (tidak berpuasa), maka adat itu menjadi batal. Apabila adat tersebut batal, maka hukum berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban adalah haram.
2. Adat kebiasaan yang telah berulangkali dilakukan, dengan syarat hendaklah dikerjakan puasa tersebut pada separuh pertama bulan Sya‘ban atau bulan sebelumnya.
Untuk memahami perkara di atas, penjelasannya secara ringkas seperti berikut:
i. Puasa sunat yang cuma dilakukan sekali sahaja:
a. Apa yang dikira sebagai adat kebiasaan:
Seseorang cuma pernah berpuasa sunat pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan Sya‘ban). Kemudian hari Isnin seterusnya (hari Isnin minggu ketiga), kebetulan jatuh pada 16 haribulan Sya‘ban.
Hukum berpuasa selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Jika dia hendak melakukan puasa pada hari Isnin minggu ketiga itu (16 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah harus. Ini kerana perbuatannya melakukan puasa secara berturutan, bermula pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan) dan akan diikuti lagi berpuasa pada hari Isnin minggu ketiga bulan Sya‘ban (16 haribulan) sudah memadai untuk dianggap sebagai adat kebiasaan.
b. Apa yang tidak dikira sebagai adat kebiasaan:
Seseorang cuma pernah berpuasa pada hari Isnin minggu pertama bulan Sya‘ban (2 haribulan Sya‘ban). Kemudian hari Isnin minggu kedua (9 haribulan Sya‘ban) dia tidak berpuasa.
Hukum berpuasa selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Jika dia hendak melakukan puasa pada hari Isnin minggu ketiga (16 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah haram. Ini kerana di antara hari Isnin minggu pertama dengan hari Isnin minggu ketiga telah diselangi oleh hari Isnin minggu kedua dalam keadaan dia tidak melakukan puasa. Maka yang demikian itu tidak membolehkannya untuk dianggap sebagai adat kebiasaan.
ii. Puasa sunat yang sudah berulang kali dilakukan:
a. Seseorang itu sudah menjadi adat kebiasaannya berpuasa sunat setiap minggu pada setiap hari Isnin. Tetapi dalam pada itu juga, adakalanya dia tidak melakukan puasa pada hari Isnin. Hukum berpuasa pada hari Isnin selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Memandangkan dia telah melakukan puasa sunat itu berulang kali, maka ini sudah dianggap sebagai adat kebiasaan. Oleh yang demikian, jika dia hendak berpuasa sunat hari Isnin pada separuh kedua bulan Sya‘ban hukumnya adalah harus kerana dia mempunyai sebab, iaitu adat kebiasaan. Sekalipun terdapat pada minggu-minggu sebelumnya dia pernah tidak berpuasa pada hari Isnin.
b. Seseorang melakukan puasa sunat pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan Sya‘ban) dan hari Isnin minggu ketiga (16 haribulan Sya‘ban). Kemudian pada hari Isnin minggu keempat (23 haribulan Sya‘ban) dia tidak berpuasa, sebaliknya bercadang untuk berpuasa pada hari Isnin hadapannya (minggu kelima). Kebetulan hari Isnin minggu kelima itu jatuh pada hari syak (30 haribulan Sya‘ban). Apakah hukum berpuasa pada hari syak dalam hal ini?
Memandangkan dia telah melakukan puasa sunat itu berulang kali, maka ini sudah dianggap sebagai adat kebiasaan. Oleh yang demikian, jika dia hendak berpuasa sunat pada hari Isnin minggu kelima itu yang jatuh pada hari syak (30 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah harus kerana dia mempunyai sebab, iaitu adat kebiasaan. Sekalipun terdapat pada minggu sebelumnya dia pernah tidak berpuasa pada hari Isnin.
Oleh itu dapat difahami bahawa tidak semua adat kebiasaan itu, khususnya yang dilakukan cuma sekali, dianggap memadai untuk mengharuskannya berpuasa selepas separuh kedua bulan Sya‘ban. Berbeza dengan kebiasaan yang telah berulang kali dilakukan walaupun pernah diselangi dengan berbuka, maka itu telah memadai dianggap sebagai adat kebiasaan.
Sebagai kesimpulan berpuasa di bulan Sya‘ban adalah disunatkan, bahkan ia merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda tidak pernah sekali-kali meninggalkan amalan berpuasa di bulan Sya‘ban. Berdasarkan kepada amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka sebaiknya janganlah mengkhususkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban itu hanya pada 15 haribulan Sya‘ban sahaja.
Adapun hukum berpuasa sunat pada separuh kedua bulan Sya‘ban, secara ringkasnya, jika dia mempunyai sebab, seperti puasa wajib kerana qadha’, nazar atau kaffârah, atau sudah menjadi adat kebiasaannya berpuasa pada hari tertentu seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis atau puasa sehari berbuka sehari, maka adalah diharuskan berpuasa dan tidak dihukumkan haram.
Adapun bagi mereka yang hendak berpuasa sunat, bukan kerana puasa wajib atau adat kebiasaan, maka hendaklah dia berpuasa sepenuhnya bulan Sya‘ban ataupun sekurang-kurangnya dia berpuasa pada 15 haribulan Sya‘ban dan meneruskan puasanya itu tanpa berbuka. Bagaimanapun jika dia berbuka (tidak berpuasa) pada separuh kedua bulan Sya‘ban, sekalipun kerana keuzuran, maka dia tidak lagi boleh meneruskan puasa sunatnya itu melainkan jika dia mempunyai sebab-sebab yang mengharuskan dia puasa.
Bagi mereka yang masih belum mengqadha’ puasa Ramadhan yang lalu, maka tiadalah masa yang lebih tepat untuk menunaikannya melainkan di bulan Sya‘ban ini. Adapun bagi mereka yang bercadang untuk membiasakan diri sebagai persiapan menghadapi Ramadhan, bolehlah memulakan latihan atau persediaan tersebut pada hari-hari separuh pertama bulan Sya‘ban supaya tidak terhalang apabila masuk separuh kedua bulan Sya‘ban.
BOLEHKAH PUASA SUNAT SEBELUM QADHA’ PUASA RAMADHAN?
Puasa merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain puasa bulan Ramadhan kita juga dituntut supaya mengerjakan puasa-puasa sunat atau tathawwu‘ seperti puasa ‘Âsyûrâ’, hari ‘Arafah, puasa Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Puasa-puasa sunat tersebut mempunyai ganjarannya yang tersendiri.
Antara hadits-hadits yang menyebut mengenai ganjaran melakukan puasa sunat itu ialah:
1. Puasa enam hari di bulan Syawal.
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
2. Puasa hari ‘Arafah (9 Zulhijjah). Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadat haji.
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari ‘Arafah, Baginda bersabda: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun kemudiannya.” (Hadits riwayat Muslim)
3. Puasa hari Tâsû‘â’ (9 Muharram).
Maksudnya: Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram. (Hadits riwayat Muslim)
4. Puasa pada hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram).
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai puasa hari ‘Âsyûrâ’ (yakni hari ke-10 bulan Muharram), lalu Baginda bersabda: “Dihapuskan (dosa orang yang mengerjakannya) setahun yang lalu.” (Hadits riwayat Muslim)
5. Puasa pada bulan Muharram.
Maksudnya: Puasa yang lebih afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. (Hadits riwayat Muslim)
6. Puasa bulan Sya‘ban.
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ: “Aku tidak pernah melihat Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa satu bulan penuh selain bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa daripada bulan Ramadhan seperti Baginda berpuasa pada bulan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jelaslah, orang yang mengerjakan puasa sunat atau tathawwu‘ akan mendapat ganjaran yang besar sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di atas. Tambahan lagi amalan-amalan sunat boleh menampung kecacatan-kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu. Kemungkinan dalam menunaikan amalan fardhu itu tanpa disedari wujud kecacatan atau kurang sempurna, sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang dan lain-lain perkara yang wajib melalui sabda Baginda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang pada Hari Kiamat kelak adalah sembahyang fardhunya. Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya, kemudian segala amalan lain mengikut perkiraan itu (kekurangan daripada amalan fardhu diambil daripada amalan sunat). (Hadits riwayat an-Nasa‘i)
Sekiranya amalan fardhu itu sempurna dikerjakan maka mengerjakan amalan sunat merupakan satu kelebihan besar. Amalan fardhu itu diibaratkan sebagai modal dan amalan sunat itu merupakan keuntungan dan laba.
Akan tetapi, ini tidak bermakna amalan sunat boleh menampung amalan wajib yang belum ditunaikan atau masih perlu diqadha’. Betapapun kelebihan puasa-puasa sunat itu, namun kewajipan mengqadha’ puasa wajib (Ramadhan) sentiasa menjadi keutamaan, tidak boleh diabai-abaikan bahkan dalam keadaan tertentu tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Kewajipan Mengqadha’ Puasa
Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha’ sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Kewajipan mengqadha’ puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak terdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)
Qadha’ Bagi Orang Berbuka Disebabkan Keuzuran
Adapun puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran tidaklah wajib diqadha’ dengan segera. Walau bagaimanapun mengqadha’nya dengan segera adalah lebih baik dan hukumnya adalah sunat (mustahabb) untuk tujuan berjaga-jaga dan berhati-hati. Begitu juga, tidak diwajibkan mengqadha’ puasanya itu dengan berturut-turut, bahkan hanya sunat sahaja. Oleh itu adalah harus melakukan qadha’ dengan berselang-seli harinya.
Melambat-lambatkan qadha’ puasa disebabkan keuzuran itu adalah diharuskan sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat Yahya daripada Abu Salamah, katanya:
Maksudnya: Saya telah mendengar ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata: “Dahulu saya (‘Aisyah) ada qadha’ puasa bulan Ramadhan, namun saya tidak upaya untuk mengqadha’nya melainkan di bulan Sya‘ban”. Yahya berkata: “Disebabkan ada kesibukan yang datangnya daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam atau dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam (kerana khuatir Baginda akan memerlukan ‘Aisyah pada bila-bila masa). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini menunjukkan bahawa orang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran, harus melambatkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga datangnya bulan Sya‘ban iaitu sebelum datangnya Ramadhan yang baru. Ini kerana Siti ‘Aisyah mengqadha’ puasanya pada bulan Sya‘ban sementara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula banyak mengerjakan puasa sunat di bulan Sya‘ban itu.
Perlulah diingat keharusan melambatkan qadha’ puasa itu tidaklah sampai datangnya bulan Ramadhan yang baru, kerana berdosa bagi orang yang melengah-lengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadha’nya. Keuzuran yang dimaksudkan seperti sakit yang berpanjangan.
Manakala waktu mengqadha’ puasa itu, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ adalah harus mengqadha’ puasa Ramadhan pada sepanjang tahun melainkan bulan Ramadhan, Hari-hari Raya dan Hari Tasyriq. Tidaklah menjadi makruh mengqadha’ puasa pada selain waktu-waktu yang tidak diharuskan itu sama ada mengqadha’nya pada bulan Zulhijjah atau selainnya.
Qadha’ Bagi Orang Yang Berbuka Puasa Dengan Sengaja
Manakala orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran adalah diwajibkan mengqadha’ puasanya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fâsiq, dan wajib ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan dia mengqadha’ kesemua puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu. Jika dia melengah-lengahkan qadha’ puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu adalah suatu dosa.
Jelasnya bahawa orang yang berbuka puasa dengan sengaja lalu melengahkan qadha’ puasanya itu tanpa keuzuran sehingga sampai bulan Ramadhan yang baru adalah berdosa dan fâsiq. Begitulah juga setiap perkara yang wajib seperti sembahyang, jika ditinggalkan dengan sengaja lalu dilengah-lengahkan pada mengqadha’nya adalah perbuatan dosa dan fâsiq.
Kewajipan Bagi Orang Yang Melambatkan Qadha’ Sehingga Masuk Ramadhan Baru
Sebagaimana penjelasan di atas, adalah berdosa bagi orang yang tiada keuzuran melengah-lengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk Ramadhan yang baru.
Menurut Imam an-Nawawi, apabila seseorang yang tidak mempunyai keuzuran melengah-lengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, hendaklah orang tersebut mengerjakan puasa bagi bulan Ramadhan yang baru terlebih dahulu kemudian barulah dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya sebelum ini dan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Dalam atsar sahabat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Sesiapa yang melengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga menyusul pula Ramadhan yang lain maka hendaklah dia berpuasa Ramadhan di bulan tersebut, kemudian barulah dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dahulu itu dan memberi makan seorang miskin sebagai (fidyah) pada setiap hari. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri seperti Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.
Orang yang berhak menerima fidyah itu pula ialah orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffârah. Dalam fidyah kaffârah tidak boleh memberi dua cupak untuk seorang miskin bagi membayar kaffârah berkenaan, bahkan hendaklah diberi satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin sebanyak enam puluh orang.
Adapun jika seseorang yang lewat mengqadha’ puasanya sehingga datang Ramadhan yang baru disebabkan keuzuran, seperti dia masih dalam pelayaran, sakit atau lain-lain keuzuran syar‘i, adalah dituntut mengqadha’ puasa tanpa membayar fidyah.
Mengerjakan Puasa Sunat Sebelum Puasa Qadha’
Menurut hukum syara‘, puasa-puasa sunat hanya boleh dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan disunatkan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram baginya melakukan apa jua puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasanya yang luput itu.
Walau bagaimanapun sebagai agama yang penuh hikmat, Islam juga menyediakan jalan atau cara yang baik bagi mendapatkan pahala sunat sekalipun mempunyai qadha’ puasa, umpamanya bagi orang yang hendak melakukan qadha’ puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘) ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa-puasa sunat. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat).
Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha’ atau puasa nazar, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat hari ‘Arafah maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Ibnu Hajar al-Haitami Radhiallâhu ‘anhu dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya:
Ertinya: Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau dia berniat salah satunya maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.
Jelaslah menurut ulama Syafi‘iyyah orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran tidak harus, bahkan haram mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasa yang tertinggal itu. Bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit, diharuskan mengqadha’ di samping berniat puasa sunat bagi mendapatkan ganjaran pahala kedua-duannya.
Sayyidina Abu Bakar pernah berkata kepada Sayyidina ‘Umar Radiallâhu ‘anhumâ, katanya:
Ertinya: Bahawa Allah Ta‘ala mempunyai hak di atas hambaNya pada siang hari maka Dia tidak menerima dibuat hak itu pada malam hari, dan bahawa Allah Ta‘ala itu mempunyai hak di atas hambaNya pada malam hari, maka Dia tidak menerimanya dibuat pada siang hari, dan bahawa Allah tidak menerima perkara yang sunat sehingga ditunaikan perkara yang fardhu.
Perkataan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radiallâhu ‘anhu adalah nyata bahawa perkara-perkara sunat itu ditolak dan sia-sia sahaja diamalkan, apabila tidak diqadha’kan perkara-perkara yang fardhu.
MENAHAN HAIDH UNTUK BERPUASA RAMADHAN SEBULAN PENUH
Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, antaranya ia merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, menjadi rebutan dan idaman bagi orang-orang Islam yang menghargainya. Mereka dengan sedaya upaya memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadhan kerana segala amal ibadat yang dikerjakan pada bulan ini telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat-ganda.
Melihat kepada kelebihan yang tinggi nilainya itu, sepatutnya tiada siapa pun yang mahu melepaskan peluang untuk memperolehi laba dan untung pahala yang dijanjikan, jauh sekali untuk meninggalkan begitu sahaja peluang tersebut.
Menyentuh mengenai puasa fardhu di bulan Ramadhan, antara syarat sah puasa itu hendaklah seseorang itu suci daripada haidh dan nifas pada siang hari Ramadhan. Oleh yang demikian, puasa tidak wajib ke atas perempuan yang haidh dan nifas. Bahkan jika dia berpuasa juga, maka hukum puasanya itu tetap tidak sah, malahan perbuatannya itu adalah haram.
Hukum Mengqadha’ Puasa Yang Tertinggal
Jika seseorang itu mendapati darah haidh atau nifas keluar pada siang hari di bulan Ramadhan, maka puasanya itu menjadi batal.
Berbeza dengan sembahyang fardhu yang ditinggalkan pada hari-hari haidh atau nifas, puasa fardhu yang ditinggalkan kerana haidh atau nifas adalah wajib diqadha’ pada hari lain sebanyak hari yang ditinggalkan itu.
Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pernah ditanya oleh Mu‘adzah mengenai perempuan haidh yang diwajibkan mengqadha’ puasa tetapi tidak dalam perkara sembahyang. Beliau lalu menegaskan jawapan berikut:
Maksudnya: Maka kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa dan kami tidak diperintahkan untuk mengqadha’ sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
Persoalan Memakan Ubat Menahan Haidh Di Bulan Ramadhan
Memandangkan kelebihan dan keberkatan yang terdapat pada bulan Ramadhan, ada sesetengah golongan perempuan mahu untuk melaksanakan ibadat puasa sepanjang bulan tersebut tanpa dihalangi oleh uzur syar‘i yang khusus dialami oleh perempuan, iaitu haidh, walaupun disedari perkara haidh merupakan perkara fitrah dan keadaan semula jadi yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada perempuan.
Atas pertimbangan inilah timbul keinginan sesetengah individu untuk mengambil atau memakan ubat seperti yang dilakukan oleh jemaah perempuan yang pergi menunaikan fardhu haji atau umrah. Tujuannya ialah untuk menahan kedatangan darah haidh atau melambatkannya supaya dapat melaksanakan ibadat puasa sebulan penuh.
Persoalannya apakah hukum perempuan menahan haidh ketika di bulan Ramadhan? Adakah boleh disamakan atau diqiyâskan dengan hukum perempuan memakan ubat menahan haidh pada musim haji? Untuk menjawabnya, maka berikut dibawakan pendapat ulama secara ringkas.
Ulama ada menyebut perkara menahan haidh dengan tujuan agar dapat mengerjakan thawaf fardhu bagi haji dan tidak pula para ulama tadi melarang perbuatan menahan haidh kerana tujuan itu. Ini supaya perempuan berkenaan dapat mengerjakan thawaf haji dan dapat balik ke negerinya bersama-sama rombongan haji dan selesai haji perempuan berkenaan pada tahun itu.
Oleh yang demikian, jika diqiyâskan menahan haidh kerana tujuan thawaf haji berserta tiada larangan atau tegahan daripada para ulama terhadap perempuan yang berbuat sedemikian, maka dari itu dibolehkan juga bagi perempuan menahan haidh dengan tujuan supaya dia dapat berpuasa Ramadhan sebulan penuh.
Sebagai kesimpulan, setakat yang diketahui bahawa tiada nash atau dalil yang melarang perempuan mengambil atau memakan ubat menahan haidh dengan tujuan untuk berpuasa sebulan penuh, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat perbuatan tersebut tidak akan memudharatkan perempuan berkenaan. Hukum ini diqiyâskan kepada perempuan yang menahan haidh dengan tujuan untuk menyempurnakan thawaf fardhu ketika haji.
Akan tetapi, jika sebaliknya, iaitu tindakan tersebut boleh menyebabkan kemudharatan, maka tindakan tersebut adalah dilarang. Untuk mengetahui perkara tersebut, maka adalah dinasihatkan kepada perempuan yang berhajat untuk berbuat demikian, terlebih dahulu meminta nasihat daripada pakar perubatan.
BEBERAPA ISU LUPA SEWAKTU BERPUASA RAMADHAN
Puasa Ramadhan merupakan satu tuntutan fardhu ‘Ain yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Mengerjakan ibadat puasa itu, sudah setentunya kita berusaha dan mengharap agar ia terlaksana dengan sebaik-baiknya.
Walau bagaimanapun, disebabkan ada kelemahan-kelemahan tertentu sesuai dengan sifat semula jadi manusia, kita mempunyai keterbatasan untuk memastikan apa yang dilakukan itu benar-benar terpelihara daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ataupun mempengaruhi kesempurnaan ibadat yang dikerjakan.
Umpamanya sifat lupa, ia boleh menyebabkan tertinggal pada melakukan perkara-perkara yang disuruh, dan ia juga boleh mengakibatkan terlanjur pada berbuat perkara-perkara yang dilarang.
Lupa di sisi syariat Islam, walaupun pada dasarnya merupakan suatu keuzuran yang dapat mengecualikan seseorang itu daripada dosa, tetapi ia bukan bererti seseorang itu terlepas daripada taklîf atau tanggungan sama sekali. Ini kerana ada tanggungjawab ataupun gantian lain yang masih perlu dilakukan semasa di dunia.
Khusus dalam ibadat puasa, ada keadaan lupa yang dimaafkan dan ada juga yang menyebabkan puasa itu tidak sah dan perlu diqadha’. Antaranya ialah:
1. Niat puasa.
Niat adalah salah satu rukun puasa. Ia wajib dilakukan pada setiap malam bulan Ramadhan, iaitu setelah terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar shadiq.
Jika sesorang itu terlupa untuk berniat puasa pada waktu tersebut, maka puasanya tidak sah. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shadiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Jika seseorang itu lupa berniat puasa untuk keesokan harinya, maka wajib ke atasnya imsâk iaitu menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa serta wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut.
Dalam hal ini, di samping kita diwajibkan berniat puasa pada tiap-tiap hari, kita digalakkan juga berniat puasa untuk satu bulan penuh di awal bulan Ramadhan. Ini bertujuan untuk berjaga-jaga, kalau-kalau kita terlupa berniat pada malam-malam berikutnya dengan bertaqlîd kepada mazhab Imam Malik. Contoh lafaz niat satu bulan penuh itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Berniat satu bulan penuh hendaklah dilakukan pada malam pertama puasa sahaja. Tidak dikira niat sebulan penuh itu jika ia dilakukan pada malam berikutnya seperti berniat pada hari kedua puasa.
2. Makan atau minum.
Batal puasa apabila seseorang itu makan atau minum dengan sengaja di siang hari puasa. Wajib ke atasnya imsâk di hari tersebut dan mengqadha’nya.
Adapun jika makan atau minum (sama ada banyak atau sedikit) disebabkan lupa adalah tidak membatalkan puasa. Perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesiapa yang lupa lalu dia makan atau minum sedang dia berpuasa, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah telah memberikannya makan dan minum. (Hadits riwayat Muslim)
3. Bersetubuh.
Orang yang berpuasa jika dia melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadhan dengan sengaja adalah berdosa. Di samping wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut, wajib juga ke atasnya membayar kaffârah dengan mengikut tertibnya iaitu: Membebaskan hamba yang mukmin, jika tidak diperolehinya maka berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak terdaya olehnya maka memberi makan 60 orang miskin atau fakir.
Menurut pendapat yang ashah, kaffârah itu wajib ke atas suami sahaja dan tidak diwajibkan ke atas isteri.
Adapun jika seseorang yang berpuasa itu bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan disebabkan lupa, maka puasanya tidak batal. Ini sama halnya dengan makan atau minum disebabkan lupa. Demikian juga, tidak wajib ke atasnya membayar kaffârah disebabkan lupa itu.
Oleh itu, kita hendaklah berwaspada dan sentiasa berhati-hati khususnya dalam perkara niat puasa, agar tidak terlupa untuk berniat di malam hari. Ini kerana lupa untuk berniat puasa Ramadhan akan menyebabkan puasa tidak sah dan wajib diqadha’.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita agar mencapai kesempurnaan puasa.
BEBERAPA ISU RAWATAN KESIHATAN SEWAKTU BERPUASA
Salah satu perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda dengan sengaja ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka.
‘Benda’ yang dimaksudkan di atas ialah apa-apa jua benda, tidak kira banyak atau sedikit, sama ada benda yang boleh dimakan seperti biji lenga atau yang tidak boleh dimakan seperti batu kecil. Apabila disebut benda, maka tidaklah termasuk rasa atau bau. Sekiranya yang masuk ke dalam rongga seseorang yang berpuasa itu adalah rasa atau bau, maka tidaklah membatalkan puasanya.
‘Dengan sengaja’ bermaksud memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga sama ada dilakukannya sendiri atau dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya.
‘Rongga’ pula adalah rongga yang mempunyai fungsi untuk memproses sama ada makanan atau ubat ataupun tidak, seperti rongga otak, kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu.
‘Lubang yang terbuka’ pula adalah lubang tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu wujud sejak lahir seperti mulut, hidung, telinga dan dubur ataupun lubang yang baru wujud seperti luka.
Berikut ini jawapan kepada beberapa permasalahan mengenai hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka ketika berpuasa lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan rawatan kesihatan yang melibatkan rongga-rongga yang disebutkan di atas.
Secara ringkas, jawapan kepada permasalahan tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu rawatan yang membatalkan puasa, yang tidak membatalkan puasa dan yang tidak membatalkan puasa dengan bersyarat.
1. Antara rawatan yang membatalkan puasa:
i. Menerima rawatan dialisis ‘Haemo’ dan dialisis Peritoneal bagi pesakit buah pinggang.
Pada kebiasaannya pesakit buah pinggang diberikan salah satu daripada tiga jenis rawatan iaitu rawatan tanpa bercuci (bagi buah pinggang rosak tetapi tidak sampai ke tahap yang memerlukan dialisis), rawatan dialisis atau pencucian dan pemindahan buah pinggang.
Bagi pesakit yang menghidapi kerosakan buah pinggang (iaitu apabila kurang 5% daripada bahagian buah pinggang yang berfungsi dan tidak menerima rawatan pemindahan buah pinggang), mereka akan menerima rawatan dialisis atau pencucian buah pinggang. Rawatan dialisis ini dibahagikan kepada dua iaitu dialisis Haemo dan dialisis Peritoneal.
Dialisis ‘Haemo’ atau ‘Hemodialysis’ ialah rawatan penyucian darah yang dijalankan di luar tubuh pesakit dan dimasukkan semula ke dalam tubuhnya menyebabkan darah yang dimasukkan akan sampai ke rongga perut, seterusnya ke jantungnya dan kemudian akan diproses untuk sampai ke seluruh badan. Proses ini dijalankan menggunakan mesin. Pada kebiasaannya rawatan ini dilakukan 3 kali dalam seminggu dan setiap rawatan memakan masa selama 4 hingga 6 jam.
Dialisis Peritoneal atau ‘Peritoneal dialysis’ ialah rawatan penyucian darah dilakukan dengan menggunakan cecair khas yang dinamakan dialisat. Benda buangan di dalam darah akan diresap ke dalam dialisat ini. Untuk memasukkan dialisat, satu tiub yang dinamakan ‘catherer’ dimasukkan ke dalam ruang perut si pesakit. Melaluinya, dialisat dapat dimasukkan ke dalam ruang perut dan dibiarkan untuk beberapa waktu bagi proses penyucian darah.
Berdasarkan penjelasan kedua-dua cara rawatan yang disebutkan di atas, maka batal puasa pesakit yang berpuasa ketika menjalani rawatan berkenaan. Walau bagaimanapun, rawatan yang dijalankan itu merupakan suatu keuzuran yang dibenarkan syara‘ (uzur syar‘i), yang membolehkan si pesakit untuk berbuka kerana menjalani rawatan tersebut tetapi wajib baginya mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu.
ii. Menambah darah atau air.
Jika seseorang itu memasukkan darah melalui urat besar ke dalam badannya ketika berpuasa, maka batal puasanya kerana darah itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.
Begitulah juga batal puasa bagi pesakit yang disuntikkan air seperti air gelukos bagi tujuan mengenyangkan kerana air yang disuntikkan itu akan sampai ke perutnya, bahkan sampai ke perut besarnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan.
2. Antara rawatan yang tidak membatalkan puasa:
i. Menderma darah.
Adapun orang yang menderma darah ketika sedang berpuasa, tidak batal puasanya, kerana tempat memasukkan alat mengambil darah tersebut bukan pada lubang yang terbuka seperti mulut, hidung, dubur atau telinga.
ii. Memakai kanta lekap (contact lens).
Adapun memakai kanta lekap (contact lens) di kelopak mata ketika berpuasa tidak membatalkan puasa si pemakainya kerana mata tidak termasuk antara rongga yang terbuka seperti yang dijelaskan di atas.
3. Antara rawatan yang tidak membatalkan puasa dengan bersyarat:
i. Rawatan pergigian.
Rongga mulut merupakan salah satu rongga yang perlu dijaga ketika sedang melakukan puasa. Jika masuk sesuatu benda ke dalam had batin mulut, maka akan batal puasa seseorang itu.
Adapun rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar makhraj huruf ‘ ْ ’ hingga ke atas mulut. Manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) huruf ‘ء’ atau ‘ ه’ hingga ke bawah (kerongkong). Apabila orang yang berpuasa memasukkan sesuatu benda ke dalam mulutnya dan sampai kepada had batin, maka batal puasanya.
Oleh yang demikian, jika seseorang menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian dalam rongga mulut pada bahagian had zahir sahaja dan tidak sampai kepada had batin yang disebutkan di atas, maka puasanya adalah sah dan tidak batal.
Begitu juga suntikan yang dilakukan ketika menjalani rawatan tidak membatalkan puasanya, kerana suntikan yang dilakukan pada bahagian gusi itu tidak sampai kepada rongganya yang boleh membatalkan puasa.
Sebagai langkah berjaga-jaga adalah disarankan supaya benda-benda yang terkumpul ketika dia menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian seperti air liur, kahak atau darah hendaklah sentiasa dibuang atau disedut dengan alat perubatan yang disediakan seperti suction (penyedut cecair iaitu alat untuk memindahkan cecair yang tidak diperlukan melalui satu tiub untuk dibuang). Dia juga hendaklah membersihkan rongga mulutnya dengan air yang bersih. Ini bertujuan untuk mengelak daripada tertelan air liurnya yang bercampur dengan darah kerana ia boleh mengakibatkan puasanya batal.
ii. Ubat titik mata.
Menitikkan air titik mata seperti ubat titik Eye-mo pada mata ketika berpuasa juga tidak membatalkan puasa, kecuali jika diyakini cecair tersebut masuk ke kerongkong, lalu ditelannya, maka batal puasanya. Akan tetapi jika diludahkannya tidaklah membatalkan puasanya. Jika yang sampai ke kerongkong itu hanya rasanya bukan cecair itu, jika ditelan tidak membatalkan puasanya, kerana rasa itu tidak dinamakan benda (‘ain).
Begitulah serba sedikit penjelasan hukum berkaitan rawatan kesihatan yang dilakukan melalui rongga ketika menjalani ibadat berpuasa. Semoga penjelasan ini dapat memberi pengetahuan, terutama kepada mereka yang menjalani rawatan sebagaimana yang disebutkan tadi.
PUASA RAMADHAN: Hukum Dan Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak
Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada, lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala.
Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka yang belum bâligh berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa.
Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyâskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum Kanak-Kanak Berpuasa
Salah satu syarat wajib puasa itu ialah bâligh. Kanak-kanak yang sudah mencapai umur bâligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan.
Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur bâligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha’. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): Orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (bâligh) dan orang gila sehingga dia berakal. (Hadits riwayat Abu Daud)
Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak?
Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:
1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz.
Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.
2. Kanak-kanak yang mumayyiz.
Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila dia berniat puasa di malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.
Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan
Antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan adalah seperti berikut:
1. Bâligh sebelum masuk waktu puasa.
Apabila kanak-kanak mencapai umur bâligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki itu bermimpi (keluar air mani) di malam hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.
2. Bâligh selepas masuk waktu puasa.
Kanak-kanak yang mencapai umur bâligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:
i. Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur bâligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan berpuasa ketika itu.
Sementara kanak-kanak perempuan yang berpuasa di siang hari, lalu mencapai umur bâligh dengan keluarnya darah haidh, maka tidak wajib dia menyempurnakan puasanya itu. Ini kerana perempuan yang haidh tidak diwajibkan berpuasa.
Persoalannya, adakah wajib ke atas mereka ini qadha’? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atas mereka qadha’.
ii. Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur bâligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsâk (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke atasnya imsâk pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsâk.
Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha’? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha’. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut.
Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi iaitu mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanak-kanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadat puasa dengan sesempurnanya.
RAMADHAN: Kenapa Lepaskan Peluang Membaca Al-Qur’an?
Al-Qur’an adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadhan.
Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bulan Ramadhan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan membaca al-Qur’an, sama ada secara bertadârus ataupun berseorangan, lebih-lebih lagi sehingga menamatkan (khatam) bacaan 30 juz al-Qur’an. Ini kerana orang yang membaca al-Qur’an akan mendapat rahmat dan limpah kurnia daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (al- Qur’an) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka daripada limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya). (Surah Fâthir: 29-30)
Menyentuh mengenai amalan membaca al-Qur’an, al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menegaskan di dalam kitabnya al-Adzkâr bahawa hari-hari yang terbaik membaca al-Qur’an ialah pada hari Jumaat, Isnin, Khamis, hari ‘Arafah (9 Zulhijjah), sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Manakala bulan terbaik adalah bulan Ramadhan.
Fadhilat Membaca Al-Qur’an
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak menyebut dalam hadits-hadits Baginda tentang faedah dan fadhilat membaca al-Qur’an itu, antaranya ialah:
1. Pembaca al-Qur’an (hatinya) dikurniakan cahaya oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dipelihara daripada kegelapan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ahmad)
2. Pembaca al-Qur’an memperolehi kemuliaan dan diberi rahmat kepada ibu bapanya. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya, dianugerahkan kedua ibu bapanya mahkota di Hari Kiamat. Cahayanya (mahkota) lebih baik daripada cahaya matahari di rumah-rumah dunia. Kalaulah yang demikian itu matahari berada di rumah kamu (dipenuhi dengan sinarannya), maka apa sangkaan kamu terhadap yang beramal dengan (al-Qur’an) ini? (Hadits riwayat Abu Daud)
3. Pembaca al-Qur’an memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syurga. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Ketika masuk syurga) dikatakan kepada orang yang (sentiasa membaca dan beramal dengan) al-Qur’an: “Bacalah (al-Qur’an), naiklah (pada darjat-darjat syurga) dan bacalah dengan tartîl (tidak cepat) sebagaimana engkau membacanya dengan tartîl di dunia (mengikut tajwid). Sesungguhnya kedudukan darjatmu (di syurga) sehingga pada akhir ayat yang engkau baca (darjat-darjat syurga mengikut bilangan ayat-ayat al- Qur’an). (Hadits riwayat Abu Daud) Belajar Dan Mengajar Al-Qur’an
Orang yang belajar dan mengajarkan al-Qur’an dijanjikan dengan martabat yang sebaik-baiknya di kalangan manusia sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu:
Maksud: Sebaik-baik kamu adalah orang-orang yang mempelajari al-Qur’an dan mengajarkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bagi yang kurang mahir membaca al-Qur’an, maka janganlah merasa rendah diri dengan kekurangan tersebut. Belajarlah dengan tekun dan perbaiki lagi bacaan tersebut sama ada dengan berguru ataupun dengan bertadârus.
Bagi yang baik bacaannya, jauhkan sifat sombong dan hindarkan diri daripada menyimpan perasaan marah atau tidak suka jika bacaannya diperbetulkan, selama mana tujuan mereka yang lain itu adalah kerana Allah Ta‘ala.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri sentiasa bersikap terbuka untuk belajar dan menerima pelajaran. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa pada setiap bulan Ramadhan, Baginda mempelajari al-Qur’an daripada Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm. Bacaan Baginda didengar atau disemak oleh Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm pada setiap bulan Ramadhan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah manusia paling pemurah dan dermawan dan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam paling pemurah pada bulan Ramadhan pada ketika Jibril datang menemui Baginda. Jibril datang menemui Baginda pada setiap malam bulan Ramadhan dengan mengajarkan Baginda al-Qur’an. Bahawa Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada ketika ditemui oleh Jibril itu adalah lebih pemurah dalam berbuat kebaikan daripada angin yang bertiup. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Cara yang dituntut untuk mempelajari al-Qur’an ialah dengan mendapatkannya atau mempelajarinya terus daripada guru-guru al-Qur’an.
Cara beginilah yang dilakukan semenjak dahulu lagi. Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum belajar daripada lisan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mulia. Begitulah juga yang dibuat oleh tabi‘în (pengikut-pengikut sahabat), iaitu mereka belajar al-Qur’an daripada mulut sahabat-sahabat Radhiallâhu ‘anhum dan begitulah seterusnya hingga ke zaman kita ini.
Perlu diambil kira bahawa, membaca al-Qur’an dengan melihat atau meneliti kepada mushhaf adalah suatu perkara yang dituntut. Bahkan sesiapa yang hafaz ayat-ayat al-Qur’an sekalipun, adalah lebih afdhal baginya untuk membaca al- Qur’an dengan melihat kepada Mushhaf berbanding membacanya melalui hafalan dan ingatan. Inilah yang diamalkan oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum bahawa mereka membaca al-Qur’an itu dengan melihat kepada Mushhaf al-Qur’an, sekalipun mereka itu tergolong daripada orang-orang yang hafaz al-Qur’an. Malahan mereka tidak suka sekiranya masa sehari itu berlalu tanpa mereka melihat atau memandang kepada kandungan Mushhaf. Ini bermaksud melihat Mushhaf al-Qur’an itu juga merupakan satu ibadat dan mendapat pahala.
Maka dengan perbuatan sedemikian, bergabunglah dua ibadat yang dituntut, iaitu membaca al-Qur’an dan meneliti atau melihat kepada al-Qur’an.
Memperbanyakkan Bacaan Al-Qur’an
Tidaklah dapat dinafikan lagi, bahawa orang yang membaca al-Qur’an itu akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang amat besar sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sebab itulah orang-orang salih membiasakan diri mereka dalam menambahkan dan meningkatkan amalan pembacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan.
Orang-orang salih menjadikan al-Qur’an sebagai syi‘ar dan wirid mereka. Ia umpama musim bunga bagi hati-hati mereka yang kelam dan umpama taman-taman yang bunganya berkembangan untuk santapan indera mata mereka, taman-taman subur menghijau yang sentiasa mekar untuk mereka, lalu mereka menikmati semerbak harumnya, keindahannya yang mempesona dan kecantikannya yang menawan.
Gambaran ini disifatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Mas‘ud, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya al-Qur’an ini adalah hidangan (anugerah) Allah, maka belajarlah kamu daripada anugerah itu semampu yang boleh. Sesungguhnya al-Qur’an ini juga adalah tali Allah, ia adalah cahaya penerang, penawar yang berguna, pemelihara bagi orang yang berpegang dengannya, dan penyelamat bagi orang yang mengikutinya. Ia tidak bengkok bahkan ia tegak, ia tidak menyimpang bahkan ia lurus dan ia tidak pupus keajaibannya, dan ia tidak menjadi usang dengan sebab selalu diulang-ulang (bacaannya). Maka bacalah ia (al-Qur’an), bahawasanya Allah memberi ganjaran kepada kamu kerana membacanya, bagi setiap huruf dengan sepuluh kebaikan. Saya tidak mengatakan bahawa (َل ا ) satu huruf, tetapi saya mengatakan bahawa alîf satu huruf, lâm satu huruf dan mîm satu huruf (Hadits riwayat ad-Darimi)
Sebagai contoh, para salaf ash-shâlih Radhiallâhu ‘anhum kebiasaannya mengkhatam (menghabiskan bacaan 30 juz) al-Qur’an mengikut kadar kemampuan mereka. Ada antara mereka yang khatam dua bulan atau sebulan sekali. Ada juga pada setiap sepuluh, lapan, enam, lima atau empat hari sekali khatam.
Menurut pengarang kitab al-Adzkâr, kebanyakan daripada salaf ash-shâlih Radhiallâhu ‘anhum mengkhatamkan al-Qur’an setiap tujuh, tiga atau sehari semalam sekali khatam. Ada juga yang khatam dua atau tiga bahkan lapan kali setiap sehari semalam. Diriwayatkan bahawa as-Said al-Jalil Ibnu al-Khatib ash- Shufiy Radhiallâhu ‘anhu, khatam empat kali pada waktu malam dan empat kali pada waktu siang.
Bilakah Waktu Memulakan Dan Mengkhatam Al-Qur’an?
Waktu memulakan dan mengkhatam al-Qur’an itu tertakluk kepada si pembaca untuk memilihnya. Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu, apabila dia khatam seminggu sekali beliau memulakan pembacaan al-Qur’an pada malam Jumaat dan khatam pada malam Khamis.
Menurut al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab al- Ihyâ’, afdhal memulakan waktu mengkhatam al-Qur’an itu sekali pada waktu malam dan sekali lagi pada waktu siang. Menjadikan khatam pada waktu siang itu pada hari Isnin di dalam sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh) atau selepasnya. Manakala khatam pada waktu malam pula, dilakukan pada malam Jumaat di dalam sembahyang sunat dua rakaat Maghrib atau selepasnya.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Daud daripada ‘Amru bin Murrah at-Tabi‘i al-Jalil Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Mereka suka mengkhatam al-Qur’an itu daripada awal malam atau awal siang.”
Sementara riwayat daripada Thalhah bin Musharrif at-Tabi‘i al-Jalil al-Imam pula berkata: “Sesiapa mengkhatam pada suatu masa daripada waktu siang, berselawat malaikat ke atasnya sehingga petang. (Sesiapa mengkhatam) pada suatu masa daripada waktu malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh.”
Al-Imam Abu Muhammad ad-Darimi Rahimahullâh daripada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Apabila bertepatan waktu mengkhatam al- Qur’an itu pada awal malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh. Jika bertepatan waktu khatamnya pada akhir malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga petang.”
Dalam hal mengkhatam al-Qur’an ini, apabila seseorang itu mengkhatam al- Qur’an dengan berseorang diri, sunat dilakukannya ketika berada dalam sembahyang. Adapun jika di luar sembahyang dan mengkhatamnya secara berkumpulan, sunat dilakukan pada awal malam atau awal siang sebagaimana penjelasan sebelum ini. Sunat pula berpuasa di hari khatam tersebut melainkan jika bertepatan pada hari itu dengan hari ditegah untuk berpuasa. Ini kerana para tâbi‘în berpuasa pada hari mereka khatam itu.
Majlis Khatam Al-Qur’an
Apabila hendak mengkhatam al-Qur’an 30 juz, maka adalah wajar diadakan majlis dengan menghimpunkan sanak saudara dalam majlis berkenaan. Perkara ini sangat dianjurkan oleh para sahabat sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah riwayat daripada Qatadah at-Tabi‘i (tâbi‘în) dia berkata:
Maksudnya: “Adalah Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu (sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaih wasallam) apabila dia mengkhatamkan al-Qur’an, dihimpunkannya anaknya dan ahli keluarganya dan dia pun berdo‘a untuk mereka.” (Hadits riwayat ad-Darimi)
Anjuran menghimpunkan sanak-saudara dalam majlis khatam al-Qur’an adalah bagi tujuan untuk sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat hasil daripada bacaan do‘a dalam majlis tersebut kerana di dalam majlis tersebut do‘a diperkenankan dan rahmat diturunkan berdasarkan riwayat daripada Mujahid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah sampai kepadaku (utusan) yang berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa do‘a diperkenankan ketika khatam al-Qur’an.” Dia (Mujahid) berkata: “Maka mereka pun berdo‘a (pada majlis khatam) dengan berbagai do‘a.” (Hadits riwayat ad-Darimi)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga pernah memerintahkan perempuan yang haidh untuk keluar rumah pada Hari Raya dengan tujuan menghadiri majlis yang berkebajikan seperti majlis ilmu dan majlis-majlis yang terkandung di dalamnya do‘a seperti majlis khatam al-Qur’an.
Oleh kerana itu, adalah sunat (mustahabb) hadir ke majlis khatam itu beramai-ramai sama ada yang baik bacaan al-Qur’annya ataupun sebaliknya.
Bertadârus dan Kelebihannya
Selain daripada membaca al-Qur’an secara bersendirian, membaca al-Qur’an secara berkumpulan merupakan perkara yang digalakkan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berpendapat bahawa jika satu kumpulan itu membaca al-Qur’an secara berganti-ganti atau bergilir-gilir, maka itu adalah suatu langkah atau cara yang baik dan diharuskan.
Gambaran yang diberikan mengenai kaedah bergilir-gilir ialah seorang qâri’ (pembaca) al-Qur’an membaca sebanyak sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya, dan apabila dia selesai membaca dia pun diam. Kemudian bacaan ayat seterusnya disambung lagi oleh pembaca selepasnya dan begitulah seterusnya sehingga selesai. Kelebihan membaca dan mempelajari al-Qur’an secara beramai-ramai adalah sangat besar ganjarannya. Ini jelas disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang sering dibawakan sebagai dalil mengenai perkara ini:
Maksudnya: Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid), mereka itu membaca al-Qur’an dan saling bertadârus antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, dikelilingi para malaikat rahmat dan Allah mengingati (mereka) kepada siapa di sisiNya. (Hadits riwayat Muslim)
Selain daripada masjid dan tempat ibadat, maka termasuklah juga di rumah, tempat belajar ilmu, sekolah dan yang seumpamanya.
Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwâdzi, antara maksud ‘tadârus’ itu ialah:
1. Sebahagian daripada pembaca itu membaca dan sekaligus memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an kepada sebahagian yang lain, dengan tujuan untuk pembetulan (tashhîh) lafaz-lafaz al-Qur’an (sekiranya ada kesalahan atau kesilapan) ataupun dengan tujuan untuk mengetahui makna-maknanya.
Berdasarkan kepada pengertian tadârus di sini, serupa dengan apa yang pada kebiasaannya dilaksanakan ketika bertadârus khususnya di bulan Ramadhan. Sebahagian atau seorang daripada kumpulan itu memperdengarkan bacaannya, manakala sebahagian yang lain lagi mendengar sambil menyemak bacaan tersebut. Jika terdapat kesalahan atau kesilapan, maka individu atau kumpulan yang menyemak tadi akan segera memperbetulkannya.
Untuk menambahkan lagi kualiti pembacaan, adalah disarankan, dalam kumpulan itu terdapat seorang yang baik bacaan al-Qur’annya, maka dia boleh pula membimbing pembaca-pembaca yang lain apabila diperlukan.
2. Maksud tadârus itu, membaca al-Qur’an dengan bersungguh-sungguh (komited) dengan cara menjaga dan mengamalkannya agar tidak lupa.
3. Menurut al-Qari’, tadârus itu lebih khusus daripada membaca al-Qur’an semata-mata.
Namun bagi mereka yang enggan memperdengarkan bacaannya kerana sebab-sebab tertentu, seperti kurang mahir dalam bacaan atau alunan suara, janganlah merasa rendah diri dan malu, kerana tujuan asal bertadârus ialah untuk mendapatkan pahala membaca dan mempelajari al-Qur’an, memperbaiki mutu bacaan dan memperbetulkan bacaan qâri’ (si pembaca) jika terdapat lafaz-lafaz atau bacaan yang tidak betul. Perkara ini sukar diperolehi ketika membaca al- Qur’an secara bersendirian. Apatah lagi membaca al-Qur’an secara bertadârus itu mempunyai ganjaran dan kelebihan tersendiri.
Oleh yang demikian, janganlah kita sekali-kali meninggalkan membaca al-Qur’an, kerana membaca al-Qur’an itu mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan bukan sahaja kepada pembacanya, bahkan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Perbanyakkanlah membaca al-Qur’an khususnya pada bulan Ramadhan kerana pada Hari Kiamat al-Qur’an akan datang sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya, sebagaimana riwayat Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya (al-Qur’an) itu datang pada Hari Kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya. (Hadits riwayat Muslim)
Jelasnya, al-Qur’an adalah zikir, do‘a dan juga permohonan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar mengurniakan kebaikan, rahmat dan keampunan kepada orang-orang yang membacanya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah‘Azza wa Jalla berfirman: “Barang siapa sibuk membaca al- Qur’an untuk selalu mengingatiKu, maka Aku beri dia lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta-minta. Dan keutamaan Kalam Allah dan kalam-kalam yang lainnya adalah seperti keutamaan Allah pada makhlukNya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
PUASA SUNAT ENAM: Jangan Biarkan Ia Berlalu
Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para shalihîn di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadhan.
Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.
Cara Mengerjakan Puasa Enam
Puasa yang biasa disebut sebagai puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai cara mengerjakan puasa enam ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:
1. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua dan seterusnya.
2. Sebahagian ulama muta’akhirîn pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Sama ada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal.
Bagaimanapun mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua, adalah lebih afdhal.
Fadhilat Puasa Sunat Enam
Fadhilat puasa enam itu telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun. (Hadits riwayat ad-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini ialah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Orang-Orang Yang Dituntut Mengerjakan Puasa Enam
Puasa enam hari di bulan Syawal sunat dikerjakan bagi orang yang telah berpuasa penuh bulan Ramadhan. Begitu juga bagi orang yang tidak berpuasa penuh Ramadhan kerana sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘. Maksud sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ ialah seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau musafir.
Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, adalah haram baginya melakukan puasa enam, melainkan setelah dia selesai mengqadha’ puasa Ramadhan, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha’ dengan segera.
Menyatukan Niat Puasa Qadha’ Dan Sunat
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ ataupun bukan, hukumnya dia tetap wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu. Adapun menyegerakan mengqadha’ puasa adalah satu amalan dan langkah yang terpuji, malahan dituntut oleh agama. Sesiapa yang mahu menyegerakan qadha’ puasa tersebut di bulan Syawal, maka qadha’ itu boleh dilakukan bermula pada Hari Raya kedua (2hb. Syawal).
Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, jika dia hendak melakukan qadha’ puasa Ramadhan itu pada bulan Syawal, ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya, iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat).
Puasa Sunat Dan Jemputan Makan
Sesetengah individu merasakan, untuk mengqadha’ puasa Ramadhan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam di bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Ini kerana, seperti yang kita semua maklumi, khususnya pada musim Hari Raya ‘Idul Fitri, bagi kita orang Brunei, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu ‘open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan di Hari Raya ini. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah undangan ‘open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.
Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ini kerana Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan bermakna sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi.
Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka do‘a kanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah. (Hadits riwayat Muslim)
Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:
i. Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu merasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan adalah afdhal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.
Adapun dalil yang mentsabitkan perkara ini ialah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, sabda Baginda:
Maksudnya: Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
ii. Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum.
Akan tetapi hukumnya adalah berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardhu, misalnya puasa qadha’ Ramadhan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendo‘akan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadits di atas.
Oleh yang demikian, peluang untuk mengerjakan puasa sunat enam hanya akan diperolehi sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Usahakan agar jangan ia terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa kerana syara‘ juga mengharuskan puasa sunat enam itu dikerjakan secara berselang-seli sepanjang bulan Syawal.
PELUANG MENEBUS DOSA SETAHUN SEBELUM DAN SELEPAS BERPUASA SUNAT ‘ARAFAH
Wuquf di ‘Arafah merupakan salah satu daripada rukun haji. Orang-orang yang mengerjakan haji hadir di padang ‘Arafah walaupun seketika di antara waktu terbenam matahari hari ‘Arafah iaitu hari ke-9 Zulhijjah sehingga terbit fajar pada hari nahar (Hari Raya korban). Walau bagaimanapun mereka disunatkan mengumpulkan malam dan siang di antara kedua waktu tersebut.
Pada waktu wuquf ini, orang-orang yang mengerjakan haji disunatkan memperbanyakkan berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan khusyû‘ serta tawâdhu‘ dan membaca al-Qur’an. Begitu juga disunatkan mereka memperbanyakkan tahlîl (ه َ إِال َّ هللا ال َ إِل) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Manakala bagi orang-orang yang tidak mengerjakan haji pula, selain memperbanyakkan do‘a pada hari ‘Arafah, disunatkan juga melaksanakan puasa sunat yang dinamakan dengan puasa hari ‘Arafah.
Apa Dia Puasa Hari ‘Arafah?
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari ke-9 Zulhijjah. Hukumnya sunat mu’akkadah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.
Manakala bagi orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berkeupayaan untuk melaksanakan puasa, kerana Rasulullah Shallalâhu ‘alaihi wasallam sendiri tidak berpuasa ketika Baginda wuquf.
Ummu al-Fadhl bin al-Harits Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan:
Maksudnya: Bahawa beberapa orang di sisinya (di sisi Ummu Fadhl Radhiallâhu ‘anhâ) pada hari ‘Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (pada hari ‘Arafah). Sebahagian mereka berkata: “Baginda berpuasa”, dan sebahagian mereka pula berkata: “Baginda tidak berpuasa”. Maka Ummu al-Fadhl menghantar kepada Baginda segelas susu dan Baginda (pada ketika itu) berada di atas untanya, lalu Baginda meminumnya (susu tersebut). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain tidak berpuasa ketika wuquf kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, orang yang wuquf juga tidak disunatkan untuk berpuasa supaya membantunya agar lebih kuat dan banyak berdo‘a ketika wuquf di ‘Arafah kerana afdhal berdo‘a pada hari ‘Arafah.
Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir dan orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika (dengan berpuasa itu akan mendatangkan) kepayahan kepada mereka.
Kelebihan Berpuasa Sunat Hari ‘Arafah
Adapun kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah ialah dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun yang selepasnya, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Arafah aku memohon kepada Allah (akan ganjaran kerana melakukan puasa hari ‘Arafah) supaya Allah menebus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. (Hadits riwayat Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan menebus (dosa) setahun sebelum dan setahun selepasnya dalam hadits tersebut ialah diampunkan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu dan setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.
Berkata Imam al-Mawardi Rahimahullâh, bahawa ‘pengampunan’ di dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran:
1. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.
2. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun tersebut.
Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil sahaja, kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah.
Puasa Pada Hari Ke-8 Zulhijjah
Di samping disunatkan berpuasa pada hari ‘Arafah (hari ke-9 Zulhijjah), disunatkan juga berpuasa pada hari ke-8 Zulhijjah, sebagai langkah berhati-hati yang berkemungkinan hari ke-8 Zulhijjah itu adalah hari ke-9 Zulhijjah. Puasa pada hari ke-8 Zulhijjah ini tidak hanya sunat dilakukan oleh orang-orang yang tidak mengerjakan haji sahaja, bahkan juga oleh orang-orang yang mengerjakan haji.
Perselisihan Tarikh 9 Zulhijjah Dengan Waktu Wuquf Di ‘Arafah
Biasa terjadi tarikh 9 Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam itu tidak bertepatan dengan hari wuquf di ‘Arafah. Berdasarkan perselisihan ini, maka timbul persoalan adakah disunatkan puasa hari ‘Arafah bagi penduduk di Negara Brunei Darussalam itu mengikut tarikh 9 haribulan Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam atau mengikut waktu wuquf jemaah haji di ‘Arafah di Negara Arab Saudi?
Dalam hal ini, perlu diketahui bahawa ketetapan awal bulan Hijrah dalam perkara berhubung agama ialah mengikut anak bulan di ufuk setelah berlalu bulan yang terdahulu sebanyak dua puluh sembilan hari atau jika tidak nampak anak bulan pada malam dua puluh sembilan, maka bulan yang terdahulu digenapkan kepada tiga puluh hari. Hari berikutnya pula dianggap sebagai satu haribulan bagi bulan yang berikutnya menurut dalil-dalil daripada hadits dan amalan umat Islam.
Oleh kerana itu, maka wajiblah diikut ketetapan Negara Brunei Darussalam pada menetapkan awal bulan Zulhijjah. Apabila telah ditsabitkan awal Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam, maka hari kesembilan Zulhijah itulah hari ‘Arafah dan pada hari kesembilan Zulhijjah itulah juga hari disunatkan berpuasa hari ‘Arafah. Tidak sah berpuasa hari ‘Arafah mengikut hari jemaah haji wuquf di ‘Arafah, kerana berlainan kedudukan ‘Arafah dan kedudukan Negara Brunei Darussalam pada awal anak bulan sebab berjauhan di antara dua buah negeri.
Sesungguhnya puasa sunat hari ‘Arafah itu dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Janganlah sia-siakan peluang untuk berpuasa pada hari ini kerana ia datang hanya sekali dalam setahun, apalagi ganjaran yang berupa keampunan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan pemeliharaanNya pada setahun sebelum dan selepasnya. Akan rugi jika dibiarkan berlalu begitu sahaja.
ZAKAT
CARA PENYERAHAN HARTA ZAKAT
Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Terdapat banyak firman Allah Ta‘ala yang menggandingkan perintah menunaikan zakat dengan sembahyang. Ini menunjukkan kepentingan dan keutamaan zakat itu seiringan dengan sembahyang. Zakat wajib dikeluarkan daripada harta-harta yang tertentu apabila mencukupi syarat-syarat yang telah ditentukan. Para ulama telah menjelaskan dengan terperinci dan panjang lebar mengenai waktu dan cara mengeluarkan zakat dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.
Mengenai cara mengeluarkannya pula, pemilik harta zakat, iaitu individu, syarikat atau institusi kewangan yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat, diharuskan baginya untuk melaksanakan zakat hartanya sama ada dengan:
1. Menyerahkan zakatnya itu sendiri atau melalui wakilnya kepada pemerintah atau naibnya, iaitu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memungut, mengumpul dan membahagi zakat seperti Baitul-Mal dan ‘âmil-‘âmil yang dilantik.
2. Mengagihkan sendiri zakat tersebut terus kepada mustahiqq (penerima) zakat, iaitu mereka yang berhak menerima zakat yang terdiri daripada golongan (ashnâf) yang lapan.
Adapun pemilik (individu) yang disebutkan di sini ialah pemilik yang rasyîd dalam urusan agama dan hartanya. Dalam makna lain, dia seorang yang bâligh, iaitu yang sudah cukup umur, berakal, cerdik dan boleh (tidak tertegah) menguruskan atau mengendalikan sendiri hartanya.
Termasuklah dalam perkara ini, wali kepada pemilik yang mempunyai harta yang diwajibkan zakat, akan tetapi pemilik tersebut tertegah untuk membelanjakan hartanya kerana tidak sempurna akalnya dalam urusan pengendalian harta seperti kanak-kanak, orang gila, pemboros dan seumpamanya. Maka wali berkenaan adalah orang yang diamanahkan mengurus dan mentadbir harta pemilik yang belum rasyid dan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan zakat hartanya.
Pemilik Harta Mengagihkan Sendiri Zakat
Dalam konteks zakat, harta dikategorikan kepada dua jenis; harta bâthin dan harta zhâhir. Adapun harta bâthin itu termasuk di bawahnya emas, perak, rikâz, harta perniagaan dan zakat fitrah. Manakala harta zhâhir pula termasuk di bawahnya tanam-tanaman, biji-bijian, binatang ternakan dan ma‘din.
Menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab Syafi‘e Rahimâhumullah, pemilik harta bâthin harus menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat hartanya terus kepada mustahiqqq (penerima) zakat yang terdiri daripada lapan golongan yang berhak menerima zakat. Tiada perselisihan pendapat dalam hal ini di kalangan para ulama.
Begitu juga harta zhâhir, hukumnya adalah harus bagi pemiliknya menyerahkan dan mengagihkan sendiri zakat hartanya kepada mustahiqq (penerima) zakat. Inilah pendapat yang ashah dan pendapat ini adalah qaul jadîd Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh.
Namun apa yang dimaksudkan dengan harus menyerahkan dan mengagihkan sendiri zakat harta zhâhir kepada mustahiqq zakat di sini ialah jika zakat tersebut tidak dipungut (dikutip) atau dipinta oleh pemerintah atau naibnya, sama ada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil lain yang dilantik. Akan tetapi jika pemerintah atau naibnya umpamanya ‘âmil, datang meminta atau mengutip, maka wajib bagi pemilik harta zhâhir untuk menyerahkan zakat tersebut kepada mereka.
Bolehkah Pemilik Harta Melantik Wakil?
Dalam keadaan tertentu, pemilik harta zakat itu tidak dapat melaksanakan sendiri penyerahan atau pengagihan zakat apabila tiba waktunya kerana perkara yang tidak dapat dielakkan. Sebagai misal, sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakatnya itu berada jauh dari tempat pemilik itu berada. Dalam keadaan seperti ini, timbul keperluan untuk melantik wakil.
Dari itu hukum melantik wakil adalah diharuskan dan tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama mengenainya. Ini kerana sekalipun zakat itu merupakan perkara ibadat, berwakil dalam mengeluarkan zakat juga serupa dengan berwakil ketika membayar hutang. Wakil tersebut boleh bertindak:
1. Mengeluarkan zakat dan menyerahkan zakat tersebut kepada pemerintah atau naibnya, iaitu Baitul-Mal atau ‘âmil.
2. Atau mengeluarkan zakat dan mengagihkan zakat tersebut terus kepada penerima-penerima zakat.
Yang Mana Lebih Afdhal: Menyerahkan Kepada Baitul-Mal, Mengagihkan Sendiri Atau Melalui Wakil?
Perkara kewajipan dan perkara kelebihan (fadhilat) itu adalah dua perkara yang berbeza. Hukum mengeluarkan zakat itu adalah wajib. Cara mengeluarkannya pula adalah sama ada dengan mengagihkannya sendiri terus kepada penerimanya ataupun melantik wakil untuk melakukan pengagihan tersebut atau menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya, iaitu Baitul-Mal atau ‘âmil. Persoalannya cara manakah yang lebih afdhal? Penjelasannya adalah seperti berikut.
1. Mana Lebih Afdhal: Agih Sendiri Atau Serahkan Kepada Baitul-Mal?
Seperti yang telah dijelaskan terdahulu, adalah harus hukumnya bagi pemilik sama ada menyerahkan zakat tersebut kepada pemerintah atau naibnya seperti Baitul-Mal atau ‘âmil-’âmil lain yang dilantik, atau mengagihkannya sendiri terus kepada penerima zakat. Walaupun demikian, yang manakah lebih afdhal di antara kedua-dua cara tersebut?
Menurut pendapat yang ashah, bahawa menyerahkan zakat harta bâthin kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya sendiri kepada mustahiqq zakat.
Begitu juga dalam perkara zakat harta zhâhir, menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal.
Malahan ulama berpendapat, menyerahkan zakat kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya sendiri atau melalui wakil; sama ada zakat itu daripada harta bâthin ataupun harta zhâhir.
Pendapat ini juga bertepatan dengan amalan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Antaranya ialah atsar daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dia berkata:
Maksudnya: Serahkanlah sedekah-sedekah (zakat) harta-harta kamu kepada mereka yang Allah perintahkan kepadanya (untuk mengurus) urusan kamu. Kemudian sesiapa yang berbuat baik, maka (ganjaran kebaikan itu) untuk dirinya. Dan sesiapa yang berbuat dosa (zalim), maka ke atasnya (akibat dosanya itu). (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)
Daripada Suhail bahawa bapanya telah bertanya kepada Sa‘id, Ibnu ‘Umar, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhum tentang zakat hartanya, apakah dia akan mengagihkannya sendiri atau menyerahkannya kepada para pemerintah:
Maksudnya: Berkata (bapa Suhail): “Lalu kesemua mereka sepakat menyuruh supaya aku menyerahkan zakat tersebut kepada mereka (para pemerintah).” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah)
Adalah mustahak untuk diketahui antara sebab-sebab mengapa zakat itu afdhal diserahkan kepada pemerintah atau wakilnya ialah:
i. Pemerintah atau naibnya yang diamanahkan itu lebih ‘ârif (mengetahui) tentang mereka yang berhak menerima zakat dan ‘ârif tentang mashlahat, kadar hajat (keperluan) dan mengetahui mana-mana individu yang sudah atau belum menerima zakat sebelum itu.
ii. Dengan menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya, maka dengan yakin telah terlaksana kefardhuan zakat, iaitu dengan penerimaan pemerintah atau naibnya akan zakat tersebut.
Berbeza halnya dengan mengagihkannya sendiri, kerana kadangkala apa yang berlaku ialah zakat itu diserahkan kepada yang bukan berhak menerimanya, iaitu bukan kepada mustahiqq zakat. Lalu jika diserahkan kepada mereka yang bukan berhak menerima zakat, maka perbuatan tersebut tidak memadai atau tidak dikira sebagai menunaikan zakat.
iii. Pemerintah itu sememangnya pelantikannya dimaksudkan untuk menerima, mengumpul dan mentadbir zakat.
iv. Pemerintah atau naibnya mampu menjalankan isti‘âb, iaitu mengagihkan zakat secara menyeluruh dan saksama kepada kesemua lapan ashnâf zakat (jika ada).
2. Cara Manakah Lebih Afdhal: Menyerahkan Sendiri Atau Melalui Wakil?
Adalah lebih afdhal atau lebih utama menyerahkan sendiri zakat tersebut terus kepada pemerintah atau naibnya; sama ada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik, daripada menyerahkannya melalui wakil pemilik zakat, yang setelah itu wakil tadi akan menyerahkan pula zakat harta tersebut kepada pemerintah atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik.
Begitu juga dalam perkara mengagihkannya, maka mengagihkan sendiri terus kepada mustahiqq zakat adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya dengan cara berwakil. Perkara ini adalah jelas tanpa sebarang perselisihan pendapat di kalangan ulama.
Antara sebab mengapa penyerahan dan pengagihan zakat itu afdhal dilakukan oleh pemilik sendiri berbanding wakilnya ialah kerana:
i. Cara sedemikian adalah lebih selamat dan lebih diyakini berbanding penyerahan dan pengagihan yang dibuat oleh wakil.
ii. Andaikata terjadi pengkhianatan di pihak wakil, maka tuntutan mengeluarkan zakat yang difardhukan ke atasnya itu masih belum terlaksana. Ini kerana tindak-tanduk atau perbuatan wakil itu serupa dengan tindak-tanduk atau perbuatan pemilik harta zakat yang berwakil kepadanya. Jika harta zakat itu tidak sampai kepada mustahiqq zakat, maka kefardhuan mengeluarkan zakat masih ditanggung oleh pemilik, bahkan masih wajib dilaksanakannya kerana dia masih belum terlepas daripada kewajipan zakat itu. Berbeza dengan keadaan apabila pemilik menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya. Apabila sahaja pemerintah atau naibnya menerimanya, maka kewajipan zakat itu sudah terlaksana di pihak pemilik.
Sebagai kesimpulan, hukum mengeluarkan zakat itu adalah wajib. Apabila cukup tempoh (haul) dan cukup nishâb bagi harta yang diwajibkan zakat, pemiliknya yang rasyîd atau wali kepada pemiliknya yang bukan rasyîd, wajib mengeluarkan zakat, sama ada dia akan menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya melalui ‘âmil-’âmil yang dilantik ataupun mengagihkannya sendiri terus kepada mustahiqq zakat.
Kadangkala timbul keperluan bagi pemilik untuk melantik wakil dalam melaksanakan segala urusan zakat, maka hukum berwakil itu adalah diharuskan. Jika wakil tersebut merupakan seorang yang amanah, malahan lebih cekap dan berkemampuan dalam pengurusan zakat dibandingkan pemilik harta, maka pelantikan wakil tersebut adalah lebih membawa manfaat dalam mencapai maksud berzakat dan terhindar daripada lalai, lupa, jahil dan sebagainya.
Perlu diingat, hanya individu-individu yang ‘ârif dan cekap dalam selok-belok zakat sahaja yang boleh dan mampu melaksanakannya sendiri tanpa merujuk kepada institusi tertentu atau ‘âmil. Ini kerana perkara yang dikhuatiri terjadi ialah zakat yang dikeluarkan tidak memadai, umpamanya ketiadaan niat ketika berzakat atau zakat itu diserahkan kepada orang yang tidak berhak menerimanya, iaitu mereka yang bukan tergolong dalam ashnâf zakat sebagaimana yang telah dihuraikan oleh para ulama dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fiqh.
Oleh itu adalah afdhal zakat diserahkan kepada Baitul-Mal, iaitu institusi yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta zakat atau ‘âmil-’âmil lain yang dilantik, kerana pihak-pihak ini berperanan selaku naib pemerintah dan atas sebab-sebab yang telah dinyatakan bagi menjamin fungsi dan hikmat pensyariatan zakat itu terlaksana.
Selain itu, penyerahan harta zakat kepada pihak berwajib setentunya mempunyai tujuan yang terbaik, antaranya ia melibatkan perancangan jangka masa pendek dan panjang serta membantu ke arah pengumpulan dan seterusnya pengagihan harta zakat yang lebih efisien dan teratur. Ini juga untuk memastikan bahawa zakat itu nanti akan diserahkan kepada mereka yang memang berhak menerimanya sebagaimana yang telah ditentukan oleh syara‘.
HAJI DAN UMRAH
MAMPU UNTUK MENGERJAKAN HAJI: Maksud Dan Syarat-Syaratnya
Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Antara syarat-syarat wajib haji itu ialah ada kemampuan (istithâ‘ah). Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya (Baitullah). (Surah Âli ‘Imran: 97)
Maksud “Sesiapa Yang Mampu Sampai Ke Baitullah”
Tafsiran ayat di atas “Sesiapa yang mampu sampai ke Baitullah” bermaksud mempunyai bekalan dan kenderaan untuk pergi ke Makkah al-Mukarramah. Diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai firman Allah (sesiapa yang mampu sampai kepadanya). Maka ditanya: “Apa itu as-sabîl?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadits riwayat al-Hakim)
Mampu Untuk Mengerjakan Haji
Mampu untuk mengerjakan haji itu terbahagi kepada dua:
1. Mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri. Ini bermaksud seseorang itu mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri tanpa perantaraan orang lain. Dikatakan juga dia adalah mampu dengan tubuh badan dan harta.
2. Mampu untuk mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain. Ini bermaksud seseorang itu tidak mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri sama ada disebabkan kematian ataupun lemah kerana sakit, tua atau sebagainya, akan tetapi dia mampu mengerjakannya dengan perantaraan orang lain seperti memberi upah kepada seseorang mengerjakan haji untuk dirinya. Dikatakan juga dia adalah mampu dari segi harta sahaja.
• Mampu Untuk Mengerjakan Haji Dengan Diri Sendiri.
Syarat-syarat bagi orang yang mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri adalah seperti berikut:
i. Mempunyai bekalan yang mencukupi semasa pergi dan balik haji. Di samping bekalan yang cukup untuk dirinya mengerjakan haji, bekalan itu juga mencukupi untuk orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji iaitu orang yang wajib diberi nafkah. Bekalan untuk orang yang ditinggalkannya itu termasuk nafkah, pakaian, khidmat pembantu, tempat tinggal, bayaran perubatan dan upah doktor.
Begitu juga, ada lebihan untuk membayar hutangnya kepada seseorang sama ada hutang yang perlu dibayar dengan segera ataupun bertangguh. Demikian juga, hutangnya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti nazar dan kaffârah.
Jika seseorang itu tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk dirinya atau orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji dan tidak ada lebihan untuk membayar hutang, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji.
Rumah kediaman, pakaian dan apa saja yang dalam makna keperluan yang sangat dihajati (dharûri), tidak wajib dijual demi mencukupi bekalan dan kenderaan untuk mengerjakan haji.
Namun jika harta tersebut dijual sebahagiannya untuk perbelanjaan haji dan sebahagian lagi masih dapat memenuhi keperluannya (dharûri), maka wajib ke atasnya haji. Sebagai contoh, seseorang itu memilik tanah lalu dia dapat menjual sebahagian tanahnya itu untuk perbelanjaan haji dan sebahagiannya lagi mencukupi untuk keperluannya, maka wajib ke atasnya haji.
Jika seseorang itu berhajat untuk kahwin kerana takut berlakunya zina, maka utamakanlah kahwin itu daripada haji. Namun jika kahwinnya itu bukan kerana takut berlakunya zina, maka afdhal didahulukan haji daripada kahwin.
ii. Mempunyai kenderaan sama ada dengan dibeli atau sewa. Syarat ini adalah bagi orang yang jauh tempat tinggalnya dari Makkah sejauh dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang diharuskan sembahyang qashar.
Sementara bagi orang yang dekat tempat tinggalnya dengan Makkah iaitu kurang daripada dua marhalah dan dia mampu untuk berjalan kaki, maka wajib ke atasnya mengerjakan haji dan tidak disyaratkan ke atasnya mempunyai kenderaan.
Namun jika orang yang dekat tempat tinggalnya dengan Makkah itu tidak mampu untuk berjalan kaki, maka mempunyai kenderaan itu menjadi syarat ke atasnya sebagaimana orang yang jauh tempat tinggalnya dari Makkah.
Jika seseorang itu tidak mempunyai kenderaan sama ada dengan dibeli atau sewa, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji sebagaimana hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka lelaki itu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah yang mewajibkan haji itu?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii. Selamat dalam pelayaran daripada bahaya sama ada ke atas diri atau anggotanya ataupun diri atau anggota orang yang bersama-samanya.
Demikian juga, selamat harta dan barangnya daripada bahaya. Sebahagian ulama muta’akhkhirîn mengaitkan harta dan barang itu dengan nafkah dan bekalan, iaitu selamat harta dan barangnya yang diperlukan untuk nafkah dan bekalan daripada bahaya. Akan tetapi jika dia membawa bersamanya harta untuk berniaga dan dia bimbang akan keselamatan harta perniagaannya itu daripada bahaya, maka kebimbangannya itu tidak dikira sebagai satu keuzuran.
Jika tidak selamat dalam pelayarannya itu daripada bahaya seperti takut binatang buas, musuh atau pengintai yang ingin menyamun hartanya walaupun sedikit dan tidak ada laluan lain lagi yang selamat, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji kerana ia dikira tidak mampu. Namun jika ada laluan lain yang selamat, maka wajib ke atasnya haji.
Adapun jika tidak ada laluan lain yang selamat melainkan melalui laut, dalam hal ini menurut pendapat yang ashah, sekiranya pada kebiasaannya ia membawa kebinasaan seperti ombak yang bergelora, maka tidak wajib ke atasnya haji bahkan haram melaluinya. Jika pada kebiasaannya ia selamat, maka wajib ke atasnya haji. Namun jika kebiasaan keduanya itu seimbang (kebinasaan dan selamat), maka tidak wajib haji bahkan haram melaluinya.
iv. Tidak menghadapi kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan. Jika seseorang itu menghadapi kesukaran yang keterlaluan seperti kerana sakit, tua atau sebagainya, maka tidak dikira sebagai seorang yang mampu untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri.
Adapun jika kesukarannya itu tidak keterlaluan dan pada kebiasaannya dia mampu menghadapinya, maka ia tidak dikira sebagai satu kepayahan.
Sementara orang yang buta, tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji melainkan ada bersamanya pemandu. Kewajipan ada pemandu bagi orang buta itu sama seperti kewajipan ada mahram bagi perempuan.
v. Ada waktu yang mencukupi untuk sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji mengikut kadar perjalanan biasa. Namun jika waktu tidak mencukupi untuk sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji, maka tidak wajib ke atasnya haji.
Contohnya ialah seperti orang yang mampu untuk mengerjakan haji sebelum wuquf di hari ‘Arafah, tetapi waktu untuk sampai ke ‘Arafah tidak mencukupi mengikut kadar perjalanan yang biasa, maka tidak diwajibkan haji ke atasnya pada tahun itu.
• Mampu Untuk Mengerjakan Haji Dengan Perantaraan Orang Lain.
Orang yang tidak mampu untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri, wajib ke atasnya mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain apabila memenuhi syarat-syarat wajibnya. Mereka yang boleh mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain itu adalah seperti berikut:
i. Sesiapa yang meninggal dunia sedang kewajipan haji masih tertanggung ke atasnya (iaitu semasa hidupnya dia mampu untuk mengerjakan haji tetapi tidak dikerjakannya), ini termasuk juga qadha’, nazar atau dia diupah untuk mengerjakan haji, maka wajib dikerjakan haji untuk diri si mati daripada harta peninggalannya. Ini sama seperti kewajipan membayar hutang. Orang yang diwajibkan mengerjakan haji untuk si mati itu sama ada dia melakukannya dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain adalah seperti berikut:
a. Orang yang diwasiatkan.
b. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka ahli waris.
c. Jika tidak ada ahli waris, maka hakim. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji lalu dia mati sebelum mengerjakan haji, adakah aku mengerjakan haji untuknya? Baginda bersabda: “Ya, kerjakanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jika si mati itu tidak ada harta peninggalan, maka sunat bagi ahli warisnya dan orang asing (walaupun tanpa izin ahli waris) mengerjakan haji untuk si mati.
Apabila seseorang itu tidak dapat mengerjakan haji selepas dia mampu untuk mengerjakan haji seperti meninggal dunia, gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah mengerjakan haji, maka tidak dikerjakan hajinya itu daripada harta peninggalannya. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris dan orang asing mengerjakan haji untuk diri si mati.
Sementara haji sunat pula, tidak harus dikerjakan haji itu untuk diri si mati melainkan ada wasiat daripadanya.
ii. Orang yang lemah atau terbatas kesempurnaan pergerakannya sama ada disebabkan sangat tua, cacat, sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau sebagainya yang mereka tidak mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri seperti ada kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan, adalah dibolehkan mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain. Diriwayatkan oleh al-Fadhl Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang perempuan daripada Khats‘am berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya bapaku sangat tua sedang ke atasnya kewajipan haji dan dia tidak mampu untuk tetap berada di atas untanya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka engkau kerjakanlah haji untuknya.” (Hadits riwayat Muslim)
Orang yang lemah untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri adalah diwajibkan mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain apabila mempunyai harta bagi membayar upah yang berpatutan kepada orang yang diupahnya ataupun tanpa upah jika orang yang diupah itu redha.
Adapun jika upah itu melebihi daripada upah yang berpatutan walaupun hanya lebih sedikit, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji.
Syarat upah itu hendaklah ada lagi lebihan untuk bekalan orang yang lemah itu pada hari dia mengupah. Iaitu segala keperluannya seperti nafkah, pakaian dan khadam sama ada cukup untuk dirinya atau keluarganya pada hari dia mengupah itu.
Demikian juga, disyaratkan ada lebihan untuk semua keperluan orang yang lemah itu melainkan nafkah untuk diri dan keluarganya selepas hari dia mengupah. Ini kerana orang yang lemah itu berada di dalam negeri (bermuqîm bersama keluarganya) dan dia akan dapat memperolehi nafkah tersebut walaupun dengan meminjam.
Jika orang yang lemah itu tidak memenuhi syarat-syarat upah tersebut, maka tidak wajib ke atasnya haji. Namun jika anaknya atau orang asing yang ingin membayarkan upah tersebut bagi pihak orang yang lemah itu, maka menurut pendapat yang ashah tidaklah wajib ke atas orang yang lemah itu menerimanya.
Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela, maka wajib orang yang lemah itu menerimanya (mengizinkannya).
Adapun jika dia tidak mengizinkan mereka mengerjakan haji untuk dirinya, maka tidaklah perlu hakim mengizinkan bagi pihak dirinya dan janganlah dipaksa orang yang lemah itu supaya mengizinkannya, ini kerana haji tersebut tidak wajib dikerjakan dengan segera.
Tidak sah mengerjakan haji untuk diri orang yang lemah itu apabila dia tidak mengizinkan. Ini kerana ibadat haji itu memerlukan kepada niat.
Orang yang lemah itu wajib ke atasnya haji apabila anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela itu memenuhi syarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
a. Hendaklah orang yang sukarela itu terdiri daripada orang yang sah mengerjakan haji fardhu iaitu Islam, bâligh, berakal dan merdeka.
b. Hendaklah orang yang sukarela itu sudah mengerjakan haji dan tidak ada tertanggung lagi ke atasnya kewajipan haji, qadha’ atau nazar.
c. Hendaklah orang yang sukarela itu dipercayai untuk mengerjakan haji untuk diri orang yang lemah itu.
d. Hendaklah orang yang sukarela itu tidak lemah atau terputus kesempurnaan pergerakannya.
Syarat Khusus Bagi Perempuan
Disyaratkan bagi perempuan yang ingin mengerjakan haji hendaklah ditemani oleh suaminya, mahramnya atau perempuan-perempuan lain yang dipercayai (amanah, ‘âdil atau ‘adâlah). Jika tidak ditemani oleh salah seorang daripada mereka itu, maka tidak wajib ke atasnya haji bahkan haram dia bermusafir seorang diri kerana takut dilencongkan ke arah perkara keji dan ditipu. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak boleh seorang perempuan bermusafir melainkan bersama mahram. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Mahram daripada kalangan kanak-kanak tidak memadai untuk menemani perempuan itu mengerjakan haji. Hendaklah mahramnya itu lelaki bâligh atau hampir bâligh yang boleh menjaga keamanan apabila bersamanya. Demikian juga, jika perempuan itu bermusafir bersama dengan perempuan-perempuan yang dipercayai, mereka itu hendaklah juga bâligh atau hampir bâligh. Bilangan perempuan yang menemaninya itu adalah seramai tiga orang (kesemuanya empat orang termasuk perempuan yang ditemani itu). Ini memandangkan bahaya pelayaran tersebut dan untuk mengambil langkah berhati-hati kerana kadang-kadang terjadi kepada salah seorang mereka itu suatu hajat keperluan seperti membuang air kecil atau sebagainya, maka seorang daripada mereka boleh menemaninya dan dua orang lagi boleh tinggal. Sekiranya mereka itu kesemuanya cuma tiga orang, nescaya dalam keadaan tersebut, dia akan pergi seorang diri dan menimbulkan ketakutan pada dirinya.
Walau bagaimanapun jika dia hanya ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai, maka harus (tidak wajib) bagi perempuan itu bermusafir untuk mengerjakan haji fardhu. Demikian juga, harus baginya bermusafir seorang diri untuk mengerjakan haji fardhu apabila dia yakin selamat pada dirinya daripada ditipu dan dilencongkan ke arah perkara yang keji. Berlainan hukumnya, apabila ditemani dengan tiga orang perempuan yang dipercayai adalah wajib ke atasnya haji.
Adapun jika haji sunat ataupun tujuan musafir lain yang bukan wajib, maka haram ke atas perempuan itu bermusafir sama ada jauh ataupun dekat walaupun ditemani dengan jemaah perempuan yang ramai.
Kesimpulan hukum bagi perempuan bermusafir itu adalah seperti berikut:
1. Haji Fardhu:
i. Wajib apabila ditemani oleh suami atau mahram atau tiga orang perempuan yang dipercayai.
ii. Harus apabila ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai.
iii. Harus bermusafir seorang diri apabila dia yakin selamat.
2. Haji Sunat:
i. Haram jika tidak ditemani oleh suami atau mahram.
ii. Haram walaupun ditemani oleh ramai perempuan.
Menurut pendapat yang ashah, apabila mahram perempuan itu tidak mahu menemaninya bermusafir untuk mengerjakan haji kecuali dengan dibayar upah, maka hendaklah perempuan itu memberinya upah. Demikian juga sama keadaan mahram itu, suami dan perempuan-perempuan yang menemaninya, apabila mereka tidak mahu menemaninya melainkan dengan diberi upah maka hendaklah diberi upah.
Namun jika mereka itu tidak mahu menemaninya bermusafir untuk mengerjakan haji walaupun diberi upah, maka tidaklah boleh dipaksa.
Demikianlah penjelasan mengenai mampu mengerjakan haji sama ada mampu mengerjakannya dengan diri sendiri ataupun melalui perantaraan orang lain. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita serta tahu bila dikatakan mampu mengerjakan haji dengan diri sendiri dan mampu mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain.
HUKUM DAN CARA KANAK-KANAK MENGERJAKAN IBADAT HAJI
Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Syarat-syarat wajib haji itu ialah Islam, mukallaf, merdeka dan berkemampuan.
Pada kebiasaannya di Negara Brunei Darussalam, selain orang dewasa yang mengerjakan haji, kanak-kanak pun tidak ketinggalan juga turut dibawa bersama untuk mengerjakan haji.
Persoalannya, adakah sah haji kanak-kanak tersebut dan tidak lagi diwajibkan haji apabila mereka sudah bâligh?
Hukum Kanak-Kanak Mengerjakan Haji
Kanak-kanak yang belum bâligh itu terbahagi kepada dua:
1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz, iaitu kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk.
2. Kanak-kanak yang mumayyiz, iaitu kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk.
Sebagaimana penjelasan sebelum ini, salah satu syarat wajib haji itu adalah mukallaf iaitu bâligh dan berakal. Ini bermaksud haji itu diwajibkan ke atas orang yang bâligh, sementara kanak-kanak yang belum bâligh tidaklah diwajibkan ke atas mereka haji.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang belum bâligh (sama ada yang mumayyiz ataupun belum mumayyiz) adalah sah apabila mereka mengerjakan haji dan haji mereka itu dikira sebagai haji sunat bahkan mereka serta walinya mendapat pahala daripada haji tersebut. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda bertemu sekumpulan penunggang unta di Rauha, lalu Baginda bertanya:
Maksudnya: Siapa kamu? Mereka menjawab: “Orang-orang Islam”. Mereka bertanya: “Siapa awak?” Baginda menjawab: “Rasulullah”. Kemudian seorang perempuan mengangkat seorang kanak-kanak dengan melihatkannya kepada Baginda lalu dia bertanya: “Adakah bagi ini (kanak-kanak) haji?” Baginda menjawab: “Ya dan bagimu pahala.” (Hadits riwayat Muslim)
Haji Kanak-Kanak Haji Sunat
Haji kanak-kanak yang belum bâligh itu tidaklah memadai sebagai haji fardhu. Ini bermaksud apabila mereka telah sempurna mengerjakan haji kemudian mencapai umur bâligh, maka kewajipan haji itu masih lagi dituntut ke atas mereka. Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan haji kemudian mencapai umur bâligh, maka ke atasnya haji sekali lagi. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Bâligh Ketika Haji
Kanak-kanak yang mencapai umur bâligh ketika mengerjakan haji ada beberapa keadaan:
1. Bâligh selepas habis waktu wuquf iaitu selepas terbit fajar Hari Raya Adha. Dalam hal ini, tidaklah memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
2. Bâligh sebelum wuquf atau ketika wuquf. Dalam hal ini, memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
3. Bâligh selepas mengerjakan wuquf. Iaitu setelah kanak-kanak tersebut selesai mengerjakan wuquf lalu beredar dari ‘Arafah. Kemudian dia mencapai umur bâligh lalu dia kembali semula ke ‘Arafah sedang waktu wuquf masih ada, maka memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
Cara Kanak-Kanak Mengerjakan Haji
Cara kanak-kanak yang belum bâligh mengerjakan haji adalah seperti berikut:
1. Niat ihram.
i. Niat ihram kanak-kanak yang belum mumayyiz dilakukan oleh walinya iaitu ayahnya atau neneknya apabila ayahnya tiada. Tidak sah bagi nenek mengihramkan kanak-kanak tersebut jika ayahnya masih ada.
ii. Niat ihram kanak-kanak yang mumayyiz dilakukan juga oleh walinya. Walau bagaimanapun sah bagi kanak-kanak tersebut berniat ihram dengan diri sendiri apabila diizinkan oleh walinya. Tidak sah jika kanak-kanak yang mumayyiz itu berniat ihram dengan diri sendiri tanpa izin walinya.
Orang lain yang ingin mengihramkan kanak-kanak yang belum bâligh itu hendaklah dengan izin wali kanak-kanak tersebut.
Contoh niat wali bagi mengihramkan kanak-kanak yang belum bâligh: “Sahaja aku berniat ihram untuknya.”
2. Wuquf dan tempat-tempat lain.
Wali hendaklah membawa bersama kanak-kanak yang belum bâligh itu ke padang ‘Arafah untuk mengerjakan wuquf. Demikian juga hadir ke tempat-tempat lain seperti Muzdalifah, Masy‘ar al-Haram dan Mina. Ini kerana kanak-kanak tersebut boleh melakukannya.
3. Melontar.
Dalam hal melontar, jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu mampu untuk melontar, maka wajib dia melontar. Jika dia tidak mampu untuk mengambil batu, maka walinya mengambilkan untuknya.
Namun jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu tidak mampu untuk melontar, maka sunat bagi wali meletakkan batu ke tangan kanak-kanak itu lalu melontarnya bersama ataupun diambil batu tersebut dari tangan kanak-kanak itu lalu dilontarkan untuk diri kanak-kanak tersebut.
Dalam hal ini, hendaklah wali tersebut melontar untuk dirinya sendiri terlebih dahulu, kemudian barulah dia melontarkan untuk kanak-kanak itu. Adapun jika wali itu berniat melontar untuk kanak-kanak tersebut sedang dia belum melontar untuk dirinya sendiri, maka lontaran itu dikira sebagai lontaran untuk dirinya sendiri.
Adapun kanak-kanak yang mumayyiz wajib ke atasnya melontar dengan dirinya sendiri.
4. Thawaf dan sa‘i.
i. Wali hendaklah mengerjakan thawaf dan sa‘i untuk kanak-kanak yang belum mumayyiz sesudah wali mengerjakannya untuk dirinya sendiri. Kanak-kanak itu juga hendaklah hadir bersama-sama walinya di tempat-tempat tersebut.
ii. Jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu berada di atas tunggangan ketika thawaf dan sa‘i, maka hendaklah wali menjadi pemandunya. Jika wali tidak menjadi pemandunya maka tidak sah thawaf dan sa‘inya.
Kanak-kanak yang mumayyiz pula, wajib ke atasnya mengerjakan thawaf dan sa‘i dengan dirinya sendiri.
Disyaratkan bagi wali dan kanak-kanak yang belum bâligh suci daripada hadas dan najis serta menutup aurat ketika thawaf.
Demikian juga, hendaklah Baitullah berada di sebelah kiri kanak-kanak tersebut apabila mengerjakan thawaf. Akan tetapi jika kanak-kanak damit (kecil) yang digendong tidak dapat dijadikan sebelah kirinya Baitullah, adalah sah thawafnya kerana dharurat.
Sunat bagi kanak-kanak lelaki beridhthibâ‘ ketika thawaf dan sa‘i, iaitu menjadikan tengah-tengah kain ihram di bawah ketiak kanan dengan bahu kanan dibiar terbuka (tidak ditutup dengan kain) dan kedua hujung kain itu di atas bahu kiri. Jika dia tidak mampu melakukan idhthibâ‘, maka wali melakukan untuknya.
5. Sembahyang sunat Ihram dan Thawaf.
i. Sunat bagi wali mengerjakan sembahyang sunat ihram dan thawaf untuk kanak-kanak yang belum mumayyiz.
ii. Kanak-kanak yang mumayyiz hendaklah mengerjakan sembahyang sunat ihram dan thawaf itu dengan dirinya sendiri.
6. Fidyah dan dam.
Wajib ke atas wali menegah kanak-kanak yang belum bâligh daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika ihram. Perkara yang dilarang itu seperti memakai pakaian yang berjahit, memotong kuku dan rambut, memakai haruman dan sebagainya.
Jika kanak-kanak yang mumayyiz melakukan perkara-perkara tersebut dengan sengaja ketika ihram, maka wali akan membayar fidyah bagi kanak-kanak itu. Sementara jika ia dilakukan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya.
Adapun jika kanak-kanak yang belum bâligh (sama ada yang mumayyiz atau yang belum mumayyiz) mengerjakan haji Tamattu‘ atau haji Qiran, ataupun dia tidak melakukan wajib haji seperti bermalam di Muzdalifah dan Mina, maka wajib ke atas wali membayar dam bagi kanak-kanak itu.
Penutup
Pada kesimpulannya, sah haji kanak-kanak yang belum bâligh dan ia dikira sebagai haji sunat. Apabila kanak-kanak tersebut mencapai umur bâligh, kewajipan haji masih tertanggung ke atas dirinya.
Dalam perkara lain, wali hendaklah juga membawa kanak-kanak tersebut pada segenap perbuatan-perbuatan haji bersamanya iaitu dengan melakukan yang wajib pada perkara-perkara wajib haji dan yang sunat pada perkara-perkara sunat haji.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum haji kanak-kanak serta cara-cara mengerjakannya akan menjadi panduan kepada wali dan kanak-kanak yang ingin mengerjakan haji.
‘ATHIYYAH (PEMBERIAN)
BERSEDEKAH KEPADA ANAK YATIM: Tuntutan Agama
Ganjaran yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah amat besar. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan Allah.
Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya.
Hukum Bersedekah
Hukum bersedekah itu sunat berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya:
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas). (Surah al-Baqarah: 245)
Di dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân disebutkan, antara maksud ayat di atas ialah galakan untuk bersedekah, menginfâq harta kepada orang-orang fakir dan orang-orang yang memerlukan.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa di antara kamu berkemampuan untuk berlindung daripada neraka (dengan melakukan sedekah) walaupun hanya dengan separuh buah kurma, maka lakukanlah. (Hadits riwayat Muslim)
Sedekah sunat dilakukan pada bila-bila masa, namun yang lebih afdhal dilakukan adalah pada bulan Ramadhan dan juga sangat digalakkan pada hari-hari mulia yang lain seperti 10 Zulhijjah, Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Begitu juga afdhal dilakukan pada perkara-perkara yang diberi perhatian seperti ketika gerhana, sakit dan semasa pelayaran.
Siapa Yang Afdhal Diberi Sedekah?
Sedekah afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya nafkah.
Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadits sebagaimana perbualan Zainab Radhiallahu ‘anha dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan untuk diriku, maka aku ingin menyedekahkannya. Ibnu Mas‘ud berpendapat bahawa sesungguhnya dia (Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu) dan anaknyalah yang lebih berhak menerima sedekahku itu. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ibnu Mas‘ud benar, suamimu dan anakmu adalah lebih berhak untuk engkau beri sedekah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits yang lain pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sedekah kepada orang miskin itu mendapat satu pahala sedekah, dan sedekah kepada saudara-mara itu mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim. (Hadits riwayat al-Hakim)
Begitu juga afdhal bersedekah kepada jiran berbanding orang lain. Jika dia mempunyai dua orang jiran, adalah lebih afdhal mendahulukan jiran yang lebih dekat dengan pintu rumahnya. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan:
Maksudnya: Aku berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bagiku dua orang jiran. Maka siapa di antara kedua-duanya aku berikan hadiah?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kepada yang lebih dekat pintu rumahnya dari (pintu rumah) mu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga bersedekah kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan orang-orang yang memerlukan adalah lebih diutamakan.
Bersedekah Kepada Anak Yatim
Anak yatim ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa. Mereka termasuk dalam golongan yang memerlukan kerana telah kehilangan ketua keluarga yang sepatutnya menyara kehidupan mereka. Maka bersedekah kepada mereka adalah sangat diutamakan.
Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak yatim. Daripada penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan dalam al-Qur’an. Kita diperintahkan untuk berlemah lembut dan berbuat baik kepada mereka. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin. (Surah al-Baqarah: 83)
Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak yatim amat besar di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Begitu juga, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga. Malik (periwayat hadits) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu. (Hadits riwayat Muslim)
Menghulurkan sedekah kepada mereka adalah salah satu daripada perlakuan baik yang dimaksudkan itu. Sedekah yang dihulurkan berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan, bukan sahaja mengurangkan bebanan mereka, bahkan dapat menimbulkan kebahagiaan di hati mereka.
Membantu anak yatim terutama mereka yang hidup susah dan tidak mendapat penjaga yang sewajarnya inilah yang dimaksudkan sebagai اون تع (bantu-membantu atau tolong-menolong) yang dituntut oleh Islam. Oleh yang demikian, usaha berbagai-bagai pihak untuk mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.
Hukum bersedekah kepada anak yatim adalah sunat. Namun lebih afdhal jika sedekah itu dihulurkan kepada anak yatim daripada kalangan keluarga atau saudara mara terdekat jika ada. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Antaranya bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba sahaya; atau memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim daripada kaum kerabat. (Surah al-Balad: 12-15)
Maksud ayat ke-15 dari surah al-Balad di atas adalah afdhal bersedekah kepada anak yatim daripada kalangan kerabat berbanding yang bukan daripada kalangan kerabat. Begitu juga afdhal bersedekah kepada anak yatim yang tidak mempunyai penjaga berbanding anak yatim yang mempunyai penjaga.
Bersedekah sama ada berupa wang atau lain-lain merupakan salah satu wadah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Pahala bagi orang yang bersedekah amat besar walaupun sedekah yang dihulurkan hanya dengan nilai yang sedikit. Ini kerana nilai yang sedikit juga menyumbang pada kegembiraan yang dirasakan oleh si penerima.
Dalam suasana kita menyambut kedatangan Hari Raya ini, mari kita gandakan sedekah kepada yang memerlukan terutama anak yatim, agar kita semua dapat merasakan kegembiraan Hari Raya itu bersama-sama.
NAMA KANAK-KANAK
PILIHLAH NAMA YANG BAIK UNTUK ANAK-ANAK
Pemilihan nama yang baik untuk anak-anak merupakan satu perkara yang amat penting. Ia adalah antara perkara yang mula-mula diberi perhatian bagi anak yang baru lahir, malahan sejak ia masih dalam kandungan lagi, para ibu bapa sudah mencari dan memilih nama yang akan diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan.
Islam mengambil berat tentang nama yang akan dipilih untuk anak yang baru lahir kerana ia mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seseorang.
Nama merupakan simbol khusus yang dapat membezakan seseorang itu dengan orang lain. Dengan nama itu dia akan dikenali, dan dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada Hari Kiamat kelak.
Selain perkara-perkara yang disebutkan ini, nama juga dapat mempengaruhi keperibadian atau mencerminkan sifat orang yang empunya nama. Ini kerana besar kemungkinan berlaku penyesuaian antara nama dan keperibadiannya apabila seringkali namanya itu disebut ketika memanggilnya.
Mempunyai nama yang baik juga akan menyebabkan seseorang itu timbul rasa malu untuk melakukan sesuatu yang boleh memburukkan namanya yang baik itu. Daripada rasa malu itulah, ia mampu menyedarkan dirinya untuk terus berusaha memperbaiki akhlak dan keperibadiannya kepada yang lebih baik lagi daripada sebelumnya, agar namanya yang baik akan terus terjaga sampai bila-bila. Oleh yang demikian, pilihlah nama yang dianjurkan oleh Islam atau sekurang-kurangnya nama yang membawa maksud atau makna yang baik, agar peribadi anak tersebut bersesuaian dengan nama yang diberikan kepadanya.
Waktu Menamakan Anak
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sunat menamakan anak pada hari ketujuh selepas kelahirannya ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits shahîh. Sementara harus menamakan anak sebelum dan selepas hari ketujuh daripada hari kelahirannya.
Begitupun Imam al-Bukhari Rahimahullâh berpendapat bahawa waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits-hadits shahîh adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama pada hari ketujuh.
Menamakan Kandungan Yang Gugur
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh adalah sunat memberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya.
Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan, seperti Hindun (د هن), Hunaidah (دة هني), Kharijah (ة خارج), Thalhah (ة طلح), ‘Umairah (عمرية), Zur‘ah (زرعة) dan yang seumpamanya.
Begitu juga sunat hukumnya memberikan nama kepada anak damit (kecil) yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.
Menamakan Dengan Nama Yang Baik
Sunat hukumnya menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Islam menggariskan beberapa hukum mengenai pemberian nama untuk dijadikan sebagai panduan dalam memilih nama yang baik dan bertepatan dengan syara‘. Antaranya:
1. Nama Yang Disukai Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ.
Adapun sebaik-baik nama yang disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah (د هللا عب) dan ‘Abdul Rahman (رْحن د ال عب ). Ini berdasarkan hadits-hadits, antaranya:
i. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik nama yang disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat Muslim)
ii. Sahabat, Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa terdapat seorang lelaki di kalangan para sahabat yang memberikan nama Abu al-Qasim untuk anak lelakinya. Para sahabat melarangnya daripada menamakan sedemikian lalu dia mengkhabarkan perkara itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda:
Maksudnya: Namakanlah anakmu ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Termasuk juga sebagaimana kedua-dua nama di atas iaitu ‘Abdullah (د هللا عب) dan ‘Abdul Rahman (عب د ال رْحن ) nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah (penghambaan) kepada nama-nama khas bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, seperti ‘Abdul Rahim (رِيم د ال عب ) ‘Abdul Khaliq (د اْل الق عب ) dan ‘Abdul
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan).
2. Nama Para Nabi.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa mazhab asy-Syafi‘e dan jumhûr ulama berpendapat adalah harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan agar menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm.
Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menamakan seorang sahabat sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm.
Begitu juga menamakan anak dengan nama Nabi besar junjungan kita, Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku (Abu al-Qasim). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, nama Muhammad (َمد ) kemudian nama Ahmad (أْح د ) adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah (penghambaan) kepada nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdullah (عبد هللا) dan ‘Abdul
Adapun menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama: “Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong daripada nama Muhammad itu di dalam sesebuah keluarga.”
Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.” Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, maksud kata Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman.
Oleh kerana nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia, maka jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.” kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
3. Nama Para Malaikat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menyebutkan bahawa mazhab asy- Syafi‘e dan jumhûr ulama berpendapat tidak makruh (harus) menamakan anak dengan nama para malaikat, seperti Ridhwan (رضوان) dan lain-lain.
4. Nama Tokoh-Tokoh Islam.
Boleh menamakan anak dengan apa saja nama selama mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan syara‘. Oleh yang demikian, menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam seperti Abu Bakr (ر و بك اب), ‘Umar (ر عم), Hamzah (ْح َة ), Fatimah (ة فاطم) Khadijah (خدَي ة ) dan lain-lain lagi adalah dibolehkan.
Menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam juga diharap dapat membentuk keperibadian yang empunya nama sesuai dengan nama tokoh Islam yang diberikan kepadanya. Contohnya seorang yang diberi nama Hamzah (ْح َة ) diharapkan memiliki sikap berani dalam menegakkan kebenaran sebagaimana Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu iaitu bapa saudara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berani menentang musuh-musuh Islam demi menegakkan kebenaran dan kesucian agama Islam.
5. Nama Yang Bagus Maknanya.
Boleh dinamakan kanak-kanak dengan nama-nama yang bagus seperti Muhibbuddin (دين َ ب ال - pencinta/penyayang agama), Zainul ‘Abidin ( ن زيدين العاب - perhiasan orang-orang yang beribadat) dan lain-lain nama yang baik.
Larangan Terhadap Nama Yang Makruh Dan Haram Di Sisi Syara‘
Para ibu bapa atau penjaga hendaklah berhati-hati ketika memilih nama bagi anak-anak. Pemilihan jangan hanya dilihat pada cantik ejaan dan sebutan sahaja, tetapi hendaklah juga dilihat apakah makna atau erti nama tersebut. Inilah asas penting dalam pemilihan nama yang baik.
Jangan menamakan anak dengan nama yang tidak menepati kehendak syara‘ seperti nama-nama yang makruh digunakan, lebih-lebih lagilah dengan nama-nama yang diharamkan oleh syara‘.
Nama Yang Makruh Digunakan
i. Makruh menamakan anak dengan nama-nama yang tidak baik atau tidak elok (pada maknanya) atau nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Syihab (هاب ش - tahi bintang), Harb (ِ رب - perang), Murrah (رة م - pahit), ‘Ashiah (عاصية - yang membuat maksiat), Kalb (كلب - anjing) dan sebagainya.
Nama-nama seumpama ini bukan saja tidak elok dari sudut makna, malahan juga memberi kesan negatif kepada anak tersebut kerana nama tersebut akan menyebabkannya rasa malu, terhina dan rasa rendah diri di hadapan masyarakat.
ii. Makruh menamakan anak dengan nama yang menjadi tidak baik dengan penafiannya seperti nama Yasar (يسار -senang/mewah), Nafi‘ (ْفع - yang berguna), Barakah (كةبر - keberkatan) dan yang seumpamanya.
Ini kerana apabila nama-nama itu disebut dengan cara penafian, ia memberi makna yang tidak baik (negatif). Contohnya apabila orang yang bernama Barakah dicari di suatu tempat, sedangkan dia tidak ada di tempat tersebut, maka orang yang mengetahui akan ketiadaannya akan mengatakan: “Barakah tiada di sini”. Oleh yang demikian, penafian itu memberikan satu makna yang tidak baik.
Nama Yang Haram Digunakan
Menamakan anak dengan nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdul Nabi ( ي د الن عب - hamba nabi), ‘Abdul Ka‘bah (ة د الكعب عب - hamba Ka‘bah), ‘Abdu ‘Ali (ي د عل عب - hamba ‘Ali), ‘Abdul Husain (عبد اْلسني - hamba Husain) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja seperti Malik al-Muluk (ْو ك املل مل ) atau Malik al- Amlak (ْال ك األم مل - raja segala raja) atau nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada Hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malikulamlak kerana tiada raja yang maha memiliki kekuasaan melainkan Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.
Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Allah (هللا) Ar-Rahman (رْحن ال ) Al-Ilah (ه اإلل) dan Ar-Rabb (رب ال), kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd (د عب) sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah (د هللا عب) ‘Abdul Rahman (رْحن د ال عب ) ‘Abdul Ilah (ه د اإلل عب) dan ‘Abdul Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik
Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadits yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak menukarkan nama-nama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik.
Antaranya Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menukarkan nama Hazn (ِ َن -sedih) kepada Sahl (هل س - senang), ‘Ashiah “ية عاص” (yang membuat maksiat) kepada Jamilah “ة َجيل ”(yang cantik), Harb “ِ رب ”(perang) kepada Silm “لم س”(aman sejahtera) dan banyak lagi.
Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar.
Beberapa Permasalahan Berkaitan Dengan Nama
1. Memanggil seseorang dengan nama singkatan.
Diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati yang empunya nama.
Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah sabit bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dengan sabda Baginda “ر ا أهلل ه” (wahai Abu Hirr) dan Baginda pernah memanggil Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dengan sabda Baginda “ا عائش” (wahai ‘Aisy).
2. Memberikan gelaran kepada seseorang.
Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan ‘Atiq (ق عتي - yang dimerdekakan daripada api neraka), Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan al-Faruq (اروق الف - yang membezakan kebenaran daripada kebâthilan), Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu digelarkan sebagai Asadullah ( د أسهللا - singa Allah), Khalid Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan Saifullah (سيف هللا - pedang Allah) dan banyak lagi.
Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ia adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibu bapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang tidak baik ataupun tidak disukainya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Surah al-Hujurât: 11)
Akan tetapi jika gelaran tersebut digunakan bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.
3. Memanggil orang yang tidak dikenali atau tidak diketahui namanya.
Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.
Meletakkan Nama Yang Panjang
Pada asalnya, meletakkan apa saja nama sama ada nama yang panjang atau singkat adalah dibolehkan, selama mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syara‘.
Walau bagaimanapun sebagai irsyâd, adalah lebih baik jika nama yang dipilih untuk anak-anak tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan orang menyebutnya.
Apa yang ditakuti ialah nama yang panjang itu akan dipanggil dengan singkatan lantaran susah disebut, lantas menimbulkan nama serta makna yang lain pula. Tidaklah mengapa jika nama singkatan itu mempunyai makna yang baik, bagaimana pula jika yang berlaku adalah sebaliknya (mempunyai makna yang tidak elok atau nama yang tidak bertepatan dengan syara‘)?
Begitu juga akan berbangkit soal teknikal seperti kesukaran ketika hendak mengisi borang atau dokumen yang hanya menyediakan petak-petak huruf yang terhad untuk ruangan mengisi nama dan yang seumpamanya.
Penutup
Mendapatkan nama yang baik adalah hak anak-anak. Sementara itu pula ia adalah tanggungjawab kedua ibu bapa. Dalam meletakkan nama itu, sebenarnya terkandung cita-cita dan harapan ibu bapanya agar maksud nama itu ada pada diri anak-anak mereka.
Maka bersungguh-sungguhlah untuk mencari nama yang baik yang dianjurkan Islam. Tidak memadai hanya memberi nama yang cantik pada ejaan dan sebutan sahaja, tetapi tidak membawa makna apa-apa atau membawa makna yang tidak baik dan keji.
KORBAN
SETAKAT MANA ORANG KAYA ‘MEMILIKI’ DAGING KORBAN?
Pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, amalan menyembelih korban giat dilaksanakan di sana sini. Kebiasaannya pada waktu tersebut juga dilakukan pembahagian daging-daging korban untuk diagih-agihkan kepada mereka yang berhak menerimanya.
Seperti yang diketahui, pembahagian daging korban adalah berpandukan peraturan sepertimana yang disyariatkan oleh syara‘. Hasilnya, pembahagian daging korban dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati, serta menjaga segala aspek yang dituntut oleh syara‘.
Jika proses ibadat korban bermula daripada pemilikian binatang sehinggalah kepada pembahagian daging korban diberi perhatian agar selari dengan kehendak syara‘, maka adalah wajar jika usaha yang sama ditumpukan juga kepada aspek si penerimanya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah bagaimana daging tersebut diperlakukan setelah berada di tangan orang yang menerimanya, sama ada melalui sedekah ataupun hadiah.
Perbincangan pada kali ini adalah khusus mengenai golongan orang kaya yang dihadiahkan daging korban, serta perkara yang diharuskan dan dilarang oleh syara‘ kepada mereka.
Pembahagian Daging Korban Sunat
Secara ringkas, seorang yang menyembelih korban sunat untuk dirinya, adalah disunatkan membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian seperti berikut:
1. Sepertiga (1/3) untuk dirinya.
Disunatkan bagi orang yang berkorban itu memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korbannya sebagai mengambil berkat. Afdhal baginya memakan hati binatang tersebut kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
2. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir atau miskin.
Sepertiga yang disedekahkan kepada golongan fakir atau miskin itu wajib dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ, maksud fakir dan miskin di sini adalah sesiapa yang dihalalkan baginya (menerima) zakat.
Maka hak orang fakir dan miskin pada daging tersebut adalah untuk dimiliki. Adapun maksud ‘milik’ di sini ialah diharuskan baginya:
i. Memakan daging tersebut;
ii. Menjual dan seumpamanya.
Dapat difahami di sini bahawa golongan fakir dan miskin juga boleh memberikan daging korban tersebut kepada orang Islam yang lain, sama ada dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak, sama ada kepada orang miskin atau orang kaya.
3. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Sepertiga yang terakhir pula dihadiahkan kepada golongan kaya, sama ada masih dalam keadan mentah, ataupun daging tersebut dimasak kemudian dijemput golongan kaya tadi dan dijamu makanan tersebut kepada mereka.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh Ta‘âlâ, maksud orang kaya di sini adalah mereka yang diharamkan (menerima) zakat. Mereka boleh jadi terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, jiran-tetangga, sahabat-handai, para pekerja dan yang seumpamanya (yang bukan daripada golongan fakir atau miskin).
Selain daripada orang kaya itu sendiri, diharuskan juga bagi ahli keluarganya seperti isteri dan anak-anaknya dan seumpamanya untuk menikmati daging korban tersebut.
Sekiranya golongan kaya ini dijemput ke rumah orang yang berkorban (mudhahhi) dan dijamu dengan daging korban yang sudah dimasak, maka haknya pada makanan itu adalah setakat untuk dimakannya sahaja. Oleh itu, adab-adab sebagai tetamu hendaklah juga dijaga dan dipelihara, khususnya semasa dalam majlis tersebut, antaranya dia tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memberi makanan tersebut kepada kucing dan seumpamanya atau menyedekahkannya atau memberikannya kepada orang lain.
Jika makanan tersebut dibawa balik, maka ahli keluarga orang kaya yang dijamu tadi juga termasuk orang yang diharuskan memakannya.
Daging Korban Pada Orang Kaya Melebihi Daripada Mencukupi
Seperti yang sudah dijelaskan, dalam perkara korban sunat, golongan kaya juga menerima pembahagian daging korban. Namun kadang-kala apa yang berlaku ialah daging mentah yang dihadiahkan itu, sama ada yang masih segar atau yang sudah dibekukan, iaitu yang disimpan dalam peti sejuk beku (freezer), dirasakan terlalu banyak atau melebihi daripada mencukupi. Jika golongan orang kaya yang dihadiahkan daging tadi bercadang hendak memberikan pula daging tersebut kepada saudara-mara, jiran, rakan-rakan atau seumpamanya, bagaimanakah cara yang dibenarkan untuknya memberi atau menghadiahkan daging korban tersebut kepada orang lain? Ikutilah penjelasan ringkas mengenai perkara ini.
Perkara Yang Diharuskan Dan Dilarang
Seringkali timbul kekeliruan yang mengatakan bahawa apabila orang kaya dihadiahkan daging korban, ini bererti dia ‘memiliki’nya dan boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap daging tersebut sepertimana orang fakir miskin ‘memiliki’ daging korban.
Hukum golongan kaya yang dihadiahkan daging korban berbeza dengan golongan fakir atau miskin. Ini kerana menurut syara‘, pada asalnya bahagian daging yang dihadiahkan kepada orang kaya itu hanyalah setakat untuk dimakannya sahaja dan bukan untuk ‘dimiliki’ seperti dijual atau untuk tujuan lain seumpamanya.
Hukum mengenai orang kaya tidak ‘memiliki’ daging korban adalah mu‘tamad, sekalipun orang yang berkorban itu berkata kepada penerima yang kaya, umpamanya: “Aku hadiahkan kepada kamu daging (korban) ini (untuk) menjadi milik kamu, dan lakukanlah sepertimana yang kamu kehendaki.”
Menurut beberapa ulama, hukumnya adalah tidak harus, malahan haram bagi golongan kaya untuk ‘memiliki’ daging tersebut, dengan erti kata untuk menjual atau seumpamanya, melainkan terhad kepada beberapa perkara yang diharuskan oleh syara‘.
Oleh yang demikian, menurut syara‘ apabila orang kaya dihadiahkan daging korban yang mentah, maka dia, dan termasuk warisnya, hanya diharuskan setakat:
1. Memakannya.
Dilarang menjual dan yang seumpamanya daging korban tersebut.
2. Menyedekahkannya dalam keadaan mentah kepada fakir miskin yang Islam.
Dilarang menghadiahkan daging korban yang mentah kepada golongan kaya.
3. Menjamu orang Islam, iaitu dengan memasak daging korban tersebut kemudian menjamu makanan tersebut kepada orang-orang Islam sama ada mereka itu terdiri daripada golongan fakir miskin ataupun kaya.
Dilarang:
i. Menjual dan yang seumpamanya daging korban yang sudah dimasak.
ii. Secara mutlak menjamu orang bukan Islam (kafir), sama ada miskin atau kaya. Larangan ini bukan sahaja terhad kepada orang yang berkorban itu sendiri (mudhahhi), bahkan juga oleh fakir dan miskin yang disedekahkan dan orang kaya yang dihadiahkan daging korban.
Antara perkara utama yang perlu diingat ialah bahawa daging korban itu, sama ada yang masih mentah ataupun yang sudah dimasak, dilarang secara mutlak untuk diberikan, disedekahkan atau dihadiahkan kepada orang bukan Islam. Oleh itu, tidak boleh malahan dilarang ke atas orang yang berkorban ataupun fakir, miskin dan juga orang kaya yang menerima daging korban itu memberikan, menghadiahkan atau menyedekahkannya kepada orang bukan Islam.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka sewajarnya bagi mereka yang diberikan atau menerima daging korban, lebih-lebih lagi yang sudah dimasak, supaya berhati-hati agar daging korban itu tidak dijamu atau dihidangkan kepada ahli keluarga, saudara-mara, jiran, sahabat atau pekerja yang bukan beragama Islam.
Selain daripada itu, menurut ulama, sekiranya seorang kaya yang dihadiahkan daging korban itu meninggal dunia sebelum sempat memakannya atau menghadiahkannya, maka ahli waris si mati tadi tetap juga dituntut untuk memelihara perkara yang dilarang dan diharuskan oleh syara‘ terhadap daging korban tersebut sepertimana yang dikenakan ke atas orang kaya yang pada asalnya dihadiahkan daging tersebut. Ini bermakna hak pewaris orang kaya terhadap daging korban tersebut hanya setakat untuk dimakan atau disedekahkan atau untuk dijamu kepada fakir, miskin dan orang kaya di kalangan orang Islam.
Sebagai kesimpulan, golongan orang kaya yang menerima daging korban hendaklah berwaspada dan berhati-hati terhadap daging yang telah dihadiahkan kepada mereka agar terhindar daripada melakukan sebarang perkara yang menyalahi hukum syara‘. Ini kerana sekalipun daging korban itu dihadiahkan, tetapi ia bukan bererti si penerima ‘memilikinya’. Terdapat syarat-syarat yang wajib dipatuhi seperti tidak memberikannya kepada orang bukan Islam sama ada yang mentah ataupun yang sudah dimasak. Dia juga tidak mempunyai hak untuk menjual atau seumpamanya, melainkan hanyalah untuk dimakannya serta keluarganya, atau menyedekahkannya kepada fakir atau miskin dalam keadaan mentah ataupun dimasak kemudian menjamu tetamunya di kalangan orang Islam, sama ada golongan fakir, miskin dan juga orang kaya.
BOLEHKAH MENYIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARIPADA TIGA HARI?
Ibadat korban disyariatkan untuk dilakukan pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq (11, 12, dan 13 Zulhijjah). Binatang korban yang disembelih pada hari-hari tersebut akan diagih-agihkan dagingnya kepada saudara mara, jiran, sahabat, yang kaya ataupun miskin yang beragama Islam.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, daging korban itu seeloknya tidak melebihi sepertiga untuk dimakan dan disimpan oleh orang yang berkorban dan sepertiga daripada daging korban itu untuk disedekahkan serta sepertiga lagi untuk dihadiahkan.
Perkara yang ingin disentuh di sini, ialah persoalan mengenai hukum orang yang berkorban memakan atau menyimpan daging korbannya selepas tiga hari dia berkorban.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Waqid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakan daging-daging korban selepas tiga hari. ‘Abdullah bin Abu Bakar berkata: “Aku memberitahu perkara itu kepada ‘Amrah, lalu dia (‘Amrah) berkata: “Dia (‘Abdullah bin Waqid) benar, aku pernah mendengar ‘Aisyah berkata: “Pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah datang segolongan Arab Badawi (kalangan orang Arab yang miskin) berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat penyembelihan binatang korban.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu simpanlah (daging korban) selama tiga hari, setelah itu sedekahkanlah apa yang masih tersisa. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakan atau menyimpan daging korban (bahagian yang disimpan) selepas tiga hari dan Baginda menyuruh untuk menyedekahkan lebihan daging korban itu.
Walau bagaimanapun setelah berlalu suatu ketika, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak lagi melarang untuk memakan, atau menyimpan daging korban selepas tiga hari. Ini kerana larangan Baginda sebelum itu adalah disebabkan menolong orang Arab Badawi yang miskin tersebut, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Waqid Radhiallâhu ‘anhu iaitu sambungan bagi hadits yang disebutkan di atas:
Maksudnya: Apabila berlalu suatu ketika (iaitu setelah larangan menyimpan daging korban), mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ramai membuat wadah daripada binatang korban mereka dan mengambil lemaknya.” Rasulullah bersabda: “Mengapa kamu bertanyakan hal ini?” Mereka menjawab: “Dahulu Tuan melarang daripada memakan daging korban setelah tiga hari”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya dahulu aku melarang kamu hanyalah kerana (aku mahu kamu menyedekahkannya kepada) orang Arab Badawi yang memerlukan itu. Sekarang kamu makanlah, kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah (daging korban).” (Hadits riwayat Muslim)
Hukum Menyimpan Daging Korban Lebih Daripada Tiga Hari
Harus memakan atau menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari walaupun pada ketika harga barang-barang naik tinggi.
Ini kerana hadits yang melarang untuk memakan atau menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari itu telahpun dibatalkan (mansûkh) dengan suruhan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk memakan atau menyimpannya tanpa menghadkan batas waktu yang tertentu, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya dahulu aku melarang kamu (memakan atau menyimpan daging korban) hanyalah kerana (aku mahu menyedekahkannya) kepada orang Arab Badawi yang miskin. Sekarang kamu makanlah, kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah. (Hadits riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu ingin menyimpan daging korban tersebut, maka sunat yang disimpan itu terdiri daripada sepertiga bahagian daging korban untuk dimakan.
Oleh yang demikian, tidaklah dilarang (tidak makruh) apabila menyimpan daging korban walaupun lebih dari tiga hari. Walau bagaimanapun perlulah diingat, jika ingin menyimpan daging korban sunat, seeloknya ia terdiri daripada bahagian daging yang bukan untuk disedekahkan atau dihadiahkan. (Mugnî al-Muhtâj: 4/366)
ROKOK DAN MEROKOK
MEROKOK BUKAN HANYA MEMUDHARATKAN TETAPI JUGA HARAM!
Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan. Islam juga telah lebih awal membimbing umatnya supaya memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan sentiasa baik, iaitu dengan menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudharatkan, lebih-lebih lagi kepada nyawa.
Perkara menjaga nyawa adalah antara lima perkara asasi untuk mencapai mashlahat dunia dan akhirat iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga harta, menjaga keturunan dan termasuk juga menjaga nyawa. Semua ini wajib dilindungi. Jangan ada satupun yang diabaikan sehingga memungkinkannya terjejas atau tercedera. Inilah ajaran Islam.
Antara amalan buruk yang boleh memudharatkan tubuh badan hatta nyawa ialah merokok. Tabiat merokok telah melanda masyarakat dunia sekarang. Bahaya dan mudharat yang disebabkan oleh rokok telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Dari itu pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak yang berkenaan bagi menghindarkan manusia daripada mudharat disebabkan rokok dan merokok.
Di Negara Brunei Darussalam, sekurang-kurangnya 17.5 peratus penduduk Negara ini (kira-kira 40,000 orang) adalah perokok yang berusia 15 tahun ke atas. Kumpulan perokok terbesar pula adalah mereka yang berusia antara 20 dan 34 tahun. Perangkaan ini dibuat berdasarkan Banci Penduduk 2001. (Borneo Bulletin: 18 Mac, 2008 halaman 3 dan Media Permata halaman 1)
Perkara ini sangat membimbangkan kerana yang terlibat itu kebanyakannya adalah belia remaja.
Bahaya Merokok Dari Segi Kesihatan Kajian para doktor sama ada doktor Islam dan bukan Islam telah mendapati bahawa rokok itu adalah membahayakan kesihatan manusia.
Secara ringkasnya menurut kajian mereka, rokok mengandungi 4000 bahan kimia berbahaya. Yang lebih menakutkan ialah 400 daripadanya berpunca daripada bahan beracun dengan 40 bahan dikesan boleh menyebabkan kanser.
Menurut kajian pakar tersebut, seseorang itu sukar untuk berhenti merokok disebabkan rokok itu mengandungi dadah nikotin yang menjadi punca ketagihan dan nikotin itu pula boleh sampai ke otak dalam masa 10 saat iaitu lebih pantas daripada suntikan intravena. Nikotin merupakan suatu bahan beracun (sejenis dadah yang terdapat dalam daun tembakau) yang lebih bisa (keras) kesannya daripada segala racun. Menurut pakar lagi, satu suntikan yang mengandungi 70 miligram nikotin dapat membunuh manusia dalam beberapa minit sahaja.
Sementara itu menurut perangkaan pihak berotoriti kesihatan, penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam ialah penyakit jantung, kanser, kencing manis, bronchitis, emfisema krinik dan asma, influenza dan pneumonia serta penyakit darah tinggi; dan risiko penyakit-penyakit tersebut lebih tinggi di kalangan perokok.
Pandangan Ulama Mengenai Pengharaman Rokok
Ramai ulama Islam yang terdahulu dan masa kini telah mengeluarkan fatwa, risalah atau tulisan mengenai haramnya rokok, antaranya:
1. Syeikh al-Qalyubi Rahimahullâh pernah mengatakan dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah:
Maksudnya: Bahawa Sultan (pada zaman al-Qalyubi) telah memerintahkan naib Sultan membuat perisytiharan kepada orang ramai supaya tidak merokok di pasar-pasar dan di kedai-kedai kopi. Mereka yang melanggar perintah ini, adalah berdosa. Oleh kerana itu, sekarang (pada zaman al-Qalyubi) diharamkan merokok kerana taat kepada perintah raja.
2. Asy-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf Rahimahullâh, bekas Mufti Mesir dalam kitabnya Fatâwâ Syar‘iyyah wa Buhûts Islâmiyyah ketika mengulas hukum merokok, beliau mengatakan bahawa sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan itu), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram atau makruh. Antara sebab yang mengubah hukum itu ialah kesan bahayanya kepada perokok sendiri sama ada banyak ataupun sedikit, kepada hartanya atau kepada kedua-duanya sekali, atau dengan sebab merokok itu boleh membawa kerosakan dan mensia-siakan hak seperti tidak memberi makanan kepada isteri, anak-anak dan orang-orang yang wajib di bawah tanggungannya.
3. Abdul-Rahman al-Juzairi dalam kitabnya al-Fiqh ‘ala al-Madzâhib al-Arba‘ah (halaman 2-10) antara lain menegaskan bahawa haram menggunakan (makan, minum atau menghisap) setiap bahan yang memudharatkan kepada tubuh dan akal dengan bersangatan haramnya seperti candu, ganja, kokain dan semua jenis bahan yang memabukkan, melesukan fikiran, memudharatkan dan meracuni.
4. Imam al-Akbar Mahmud Syaltut Rahimahullâh, Syeikh al-Azhar, Mesir dalam fatwanya menyebutkan mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta: “Jikalau sesuatu itu pada lazimnya memudharatkan, maka ia dihukumkan haram. Jikalau ia sudah jelas atau pada lazimnya banyak manfaatnya, maka ia dihukumkan harus. Jika kedudukan manfaat dan mudharatnya sama sahaja, maka dalam hal ini “pengawalan dan pencegahan adalah lebih baik daripada perawatan”. (Al-Fatâwâ Dirâsah li Masyâkalât al- Muslim al-Mu‘âshir fî Hayât al-Yaumiyyah wa al-‘Âmmah: 384)
Dalil-Dalil Syara‘ Tentang Pengharaman Rokok
Terdapat beberapa dalil syara‘ yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok di atas, antaranya:
1. Diharamkan segala benda yang menjijikkan.
Dari segi kaedah pemakanan, al-Qur’an telah menyediakan dasar sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk). (Surah al-A‘râf, 157) Menurut al-Imam ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semula jadi dan dianggap kotor oleh jiwa, memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu adalah haram. Oleh yang demikian, asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan. (Tafsîr al-Kabîr: 15/21-22)
Al-Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dalam kitab al-Umm (1/270) menyatakan bahawa apa-apa jua yang mengandungi racun yang boleh membunuh, adalah juga haram kerana Allah Ta‘ala mengharamkan manusia membunuh diri dan mereka itu membunuh diri sendiri dengan cara yang khas (dengan makan atau minum racun). Begitu juga apa-apa yang jijik, keji dan kotor, maka adalah diharamkan kerana kotornya itu. Ini termasuklah juga segala macam jenis najis. Oleh sebab itu beliau tetap tidak menyukainya dan tidak sekali-kali memberi kelonggaran padanya.
Berdasarkan penjelasan ulama, jika setiap yang memudharatkan kerana memakannya itu haram, maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram, kerana ia telah terbukti memudharatkan.
2. Haram memakan atau meminum setiap yang memudharatkan.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada nyawa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga melarang mencipta bahaya. Baginda bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya. (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadits di atas, selama rokok itu membahayakan, maka menghisapnya adalah terlarang (haram).
3. Larangan membelanjakan harta kepada perkara yang tidak bermanfaat.
Merokok telah diakui mengundang bahaya kesihatan dan pembuangan harta tanpa faedah. Orang yang sudah ketagihan rokok biasanya tidak dapat membendung keinginannya untuk mendapatkan rokok walaupun harga rokok itu mahal dan perbelanjaan membeli rokok itu sama harganya dengan jumlah wang yang diperlukan oleh seisi keluarganya.
Imam Ibnu Hazm Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Muhallâ menjelaskan maksud pemborosan, antaranya:
i. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
iii. Membuang-buang wang, walaupun kecil jumlahnya, kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Dalam al-Qur’an, larangan pembaziran itu jelas diperuntukkan sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau. (Surah al-An‘âm: 141)
Apabila rokok disifatkan sebagai bahan yang mendatangkan mudharat, maka ia boleh dianggap sebagai bahan yang tidak bermanfaat. Oleh itu, tidak syak lagi membelanjakan harta untuk membeli rokok adalah termasuk sebagai perlakuan membuang-buang harta atau pembaziran yang ditegah oleh syara‘.
Pengharaman Rokok Di Negara Brunei Darussalam
Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam fatwanya mengenai rokok dan merokok menjelaskan: “Jadi cukup jelas, dari segi kemudharatan, tidak ada lagi alasan untuk meringankan hukum rokok dan merokok itu. Kita tidak boleh mengambil ringan dengan terus membiarkan kebinasaan menimpa umat manusia disebabkannya, kerana agama Islam itu sendiri adalah agama selamat serta penyelamat. Maka oleh hal yang demikian, bersandarkan hujjah-hujjah syara‘ serta alasan-alasan saintifik yang kuat, maka dihukumkan rokok dan merokok itu adalah haram”.
Penutup
Akhirnya, marilah kita berfikir, bahawa jika merokok itu bukan hanya setakat mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan tubuh badan dan hukumnya juga adalah jelas haram, maka apakah lagi keperluan rokok itu berada di pasaran?
SAKIT
BIMBINGAN MENGHADAPI SAKIT
Sewaktu menghadapi sakit, sebahagian orang mengeluh dan berputus asa, lebih-lebih lagi penyakit yang dihidapi itu di peringkat tiada harapan untuk sembuh. Dalam keadaan begini, Islam melarang umatnya bersikap demikian, sebaliknya menganjurkan supaya terus berubat dan berdo‘a serta bertawakkal.
Sakit adalah ujian untuk menguji kesabaran. Sakit juga kadangkala bertindak sebagai penebus dosa, balasan kepada dosa yang dilakukan atau untuk mengingatkannya tentang kematian. Sesungguhnya sakit itu mempunyai hikmat.
Oleh yang demikian, kesakitan yang dihidapi itu sewajarnyalah dijadikan sebagai medan tarbiah diri untuk memupuk keimanan, kesabaran, muhâsabah diri dan memikirkan segala dosa dan perkara-perkara salah yang telah dilakukan, seterusnya mengambil langkah untuk tidak mendekati kesalahan-kesalahan itu lagi.
Bimbingan Ketika Menghadapi Sakit
Islam mengajar dan membimbing umatnya ketika menghadapi sakit. Antaranya ialah:
1. Sunat bagi orang yang sakit berubat atau mendapatkan rawatan sebagai salah satu usaha untuk sembuh selain daripada bertawakkal kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan redha akan ketentuanNya. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan penyakit dan penawar (ubat), dan Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu penawar (ubat). Maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
2. Sunat memperbanyakkan ingatan terhadap kematian bagi setiap mukallaf sama ada ketika dia berada dalam keadaan sihat lebih-lebih lagi orang yang dalam keadaan sakit. Ini kerana dengan mengingati mati akan dapat melembutkan hatinya, mendatangkan rasa takut, meninggalkan kezaliman dan dia tidak akan melakukan perkara-perkara maksiat atau sebarang dosa. Sebaliknya hatinya cenderung untuk memperbanyakkan berbuat ketaatan.
Hadits yang menyebutkan tentang hukum sunat mengingati mati itu antaranya riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kesenangan iaitu mati. (Hadits riwayat al-Hakim)
3. Wajib bagi orang yang sakit itu bertaubat daripada segala perkara dosa yang pernah dilakukannya. Jika perkara itu berkaitan dengan hak anak Adam, umpamanya mengambil barang tanpa pengetahuan tuan empunyanya, maka hendaklah orang yang sakit itu mengembalikan barang yang diambil itu kepada tuannya.
4. Sunat bersabar dengan kesakitan atau penderitaan daripada sakit yang dihadapinya. Ini kerana sifat sabar adalah sifat mulia yang bukan saja dapat mendidik seseorang itu untuk tenang dan tabah menghadapi dugaan hidup, malahan dapat mendekatkan dirinya dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Penyakit merupakan satu bentuk ujian yang menimpa manusia. Ia dianggap sebagai ujian, cubaan dan bala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu seseorang yang ditimpa sakit perlu menghadapi ujian ini dengan perasaan redha dan sabar sebagaimana yang diceritakan oleh ‘Atha’ bin Abu Rabah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ memberitahu mengenai salah seorang calon ahli syurga:
Maksudnya: Seorang perempuan berkulit hitam, telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Lantas perempuan itu berkata: “Sesungguhnya aku diserang penyakit ayan (sawan babi) dan sesungguhnya aku takut terbuka auratku (sementara aku tidak sedar). Maka do’akanlah kepada Allah bagi diriku”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kalau kamu mahu bersabar, bagimu adalah syurga, dan kalau kamu mahu, aku mendo‘akanmu kepada Allah supaya menyembuhkanmu”. Perempuan itu berkata: “Aku akan bersabar”. Dan dia berkata lagi: “Sesungguhnya aku takut terbuka auratku (sementara aku tidak sedar). Maka berdo‘alah kepada Allah untuk aku tidak terbuka aurat”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendo‘akan baginya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun fadhilat orang yang bersabar itu antara lain sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah az-Zumar: 10)
5. Makruh bagi orang yang sakit mengeluh kerana kesakitan yang dihadapinya.
6. Sunat memperbanyakkan membaca al-Qur’an dan berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr, bahawa sunat bagi orang yang sakit membiasakan dirinya dengan membaca ayat-ayat al-Qur’an ketika memohon kesembuhan serta membacanya dengan suara yang perlahan, atau orang lain membacakan untuknya, manakala dia pula mendengarkan bacaan tersebut dengan penuh perhatian.
7. Hendaklah bersangka baik kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan bersangka bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa melimpahkan rahmat padanya.
Diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan sampai salah seorang daripada kamu mati, kecuali dia bersangka baik kepada Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)
Para ulama mazhab Syafi‘e sepakat bahawa sunat bagi orang yang sakit atau orang yang ada padanya tanda-tanda kematian untuk bersangka baik kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bagi mewujudkan sangka baik itu, hendaklah dia menghadirkan pada fikirannya bahawa sesungguhnya dia hanyalah seorang hamba yang hina dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Maha Kaya, dan tidaklah dia meminta keampunan, belas kasihan, kesenangan dan pemberian kecuali daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
8. Sunat dia berpesan kepada ahli keluarganya dan kawan-kawannya pada beberapa perkara, antaranya:
i. Berpesan kepada mereka untuk bersabar atas apa yang menimpanya dan bersabar atas kemungkinan yang akan berlaku akibat daripada apa yang menimpanya, dan juga menasihati mereka agar bersabar atas musibah yang menimpa mereka (kerana pemergiannya) serta tidak menangisi pemergiannya.
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya mayat seseorang (yang berwasiat supaya dia ditangisi) itu diazab kerana tangisan ahli keluarganya ke atasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Berpesan kepada mereka untuk mengasihani dan berlemah lembut dengan kanak-kanak dan sesiapa sahaja yang ditinggalkannya.
iii. Berpesan kepada mereka untuk berbuat baik kepada kawan-kawannya (walaupun dia sudah tiada lagi) dan memberitahu mereka bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, berpesan dengan bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kebajikan yang paling baik ialah seorang anak yang menyambung hubungan dengan kawan bapanya. (Hadits riwayat Muslim)
iv. Berpesan kepada mereka agar menjauhi perkara bid‘ah yang menjadi adat atau kebiasaan yang dilakukan ketika menguruskan jenazah.
v. Berpesan kepada mereka untuk menjanjikannya dengan berdo‘a (sentiasa mendo‘akannya) dan tidak melupakan janji itu sepanjang waktu.
vi. Mengatakan kepada mereka pada setiap waktu: “Apabila kamu melihat kelalaianku pada sesuatu perkara, maka peringatkanlah aku dengan lembut, berikanlah aku nasihat kerana kelalaianku itu. Sesungguhnya aku mudah lupa, malas dan cuai. Maka apabila aku lemah dan cuai, maka berikanlah aku semangat dan bantulah aku mempersiapkan diri untuk perjalanan yang jauh (alam barzakh)”. (Antaranya adalah dengan membantunya mengingati lafaz syahâdah).
9. Apabila dia menghadapi nazak, maka hendaklah dia memperbanyakkan mengucap: ه إال هللا ال إل iaitu “tiada tuhan selain Allah”, agar lafaz ini menjadi akhir percakapannya (ucapannya) sebelum dia meninggal dunia.
Demikianlah sebahagian bimbingan ketika menghadapi sakit yang setentunya mengajar umat Islam agar sentiasa bersabar, bersyukur serta menaruh harapan akan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Awaslah daripada perasaan berputus asa yang menyebabkan seseorang itu cenderung melakukan perkara yang tidak disukai oleh agama, seperti bercita-cita untuk mati atau meminta agar kematian disegerakan baginya.
Oleh itu, Islam tidak membenarkan seseorang itu untuk menyerah dan berputus asa sebelum berusaha untuk mencari penawar bagi penyakit yang dihadapinya walau seberat manapun penyakit tersebut. Begitu juga usaha yang dilaksanakan itu pula, perlu diiringi dengan do‘a memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi kesembuhan daripada penyakit tersebut. Islam menggariskan beberapa perkara sebagaimana di atas sebagai langkah persediaan jika berlaku sesuatu kemungkinan ketika menghadapi sakit.
PAKAIAN
FAHAMI SEBENAR-BENARNYA MAKSUD MENUTUP AURAT BAGI WANITA
Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu tsabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.
Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.
Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pendek, pakaian nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.
Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.
Sikap sebahagian wanita-wanita Muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.
Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak mempedulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.
Menutup Aurat Ni‘mat Anugerah Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A‘râf: 26)
Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka.
Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai ni‘mat tersebut.
Banyak kebaikan dan faedah yang boleh diperolehi daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemashlahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.
Antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya rogol dan sebagainya.
Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu ni‘mat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.
Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?
Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu apakah aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.
Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 59)
Dalam ayat di atas telah jelas dinyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya.
Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur bâligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini...” (sambil) Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti berikut:
1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.
2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat daripada kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.
Cara Bertudung Menurut Syara‘
Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudung kepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:
1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.
2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.
Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara‘
Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah Ta‘ala. Bila Allah Ta‘ala dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat seseorang itu, maka ia menunjukkan bahawa orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fâsiq.
Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada Hari Kiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula daripada individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan juga satu ni‘mat yang wajib disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguh-nangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya. Sebaliknya mereka akan istiqâmah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Termasuk dalam misi pelaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (Surah asy-Syu‘arâ’: 214)
Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dengan kesedaran wanita Muslimah kita tentang tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.
PERHIASAN
PEMBEDAHAN PLASTIK: Apa Hukumnya?
Dalam reputasi perkhidmatan perubatan yang semakin canggih dan amat baik, peningkatan bilangan khidmat kesihatan yang ditawarkan oleh pusat-pusat perubatan kerajaan atau swasta dalam memberikan khidmat kepada orang ramai semakin bertambah.
Dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selesa, wang bukanlah menjadi ukuran bagi sebilangan orang bahkan ada antaranya menjalani rawatan perubatan di hospital luar negara bagi mendapatkan perkhidmatan yang memuaskan.
Namun begitu, satu perkara yang tidak boleh terlepas pandang mengenainya ialah pandangan hukum syara‘ tentang suatu jenis perubatan yang dikenali sebagai pembedahan plastik (plastic surgery).
Mengenai pembedahan plastik menurut prosedur yang dilakukan oleh doktor-doktor pakar terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu pembedahan membentuk semula dan pembedahan kosmetik.
Pertama: Pembedahan Membentuk Semula
Prosedur membentuk semula ialah pembedahan untuk memulihkan bentuk dan fungsi bahagian anggota badan yang tidak normal disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kecacatan kongenital (sejak lahir). Membaik pulih luka melecet yang teruk, patah tulang muka dan penggunaan tarik, flap (siat) dan graft (cantuman) tisu badan kerana terbakar dan pemindahan otot belakang ke kaki dan tangan yang cedera adalah antara contoh-contoh prosedur pembentukan semula yang biasa dilakukan oleh doktor pembedahan plastik. Begitu juga membuang kanser kulit dan membaik pulih belahan bibir dan lelangit dan sebagainya.
Pembedahan membentuk semula ini bolehlah diertikan sebagai prosedur pembedahan yang dilakukan ke atas bahagian tubuh yang tidak normal bagi mendapatkan bentuk yang normal dan membetulkan fungsinya. Apa yang dipentingkan di sini ialah bahawa prosedur itu dilakukan ke atas bahagian-bahagian tisu badan.
Kedua: Pembedahan Kosmetik
Prosedur pembedahan kosmetik pula ialah pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk mencantikkan bahagian badan mengikut sukat-sukat rupa dan fungsi badan yang normal. Contoh-contoh prosedur pembedahan yang ada ialah seperti menegangkan muka, mengubah suai hidung untuk kecantikan, membuang lemak dan sebagainya.
Pembedahan kosmetik ialah pembedahan yang dimaksudkan untuk mengelokkan dan mengubah rupa bentuk bahagian atau bahagian-bahagian daripada tubuh badan manusia yang zahir atau mengembalikan semula fungsinya apabila terjadi ke atasnya kecacatan yang memberi kesan yang mendalam kepada fikiran dan perasaan.
Pandangan Islam Mengenai Pembedahan Plastik
Adapun prosedur pembedahan plastik yang dilakukan seperti yang pertama di atas iaitu pembedahan membentuk semula kerana berubat seperti kecedaraan atau memulihkan semula bentuk anggota yang rosak seperti penyakit dan kecacatan sejak lahir, adalah harus dan boleh menurut syara‘. Pembedahan begini tidak ditegah bahkan secara umumnya digalakkan, malah dalam keadaan-keadaan tertentu boleh sampai ke tahap wajib.
Misalnya seperti membetulkan atau membaik pulih tulang yang retak atau patah, menjahit luka yang membahayakan, menampal kulit yang terbakar atau sebagainya. Semua ini adalah bersifat rawatan untuk kesembuhan dan keselamatan, bukan pembedahan yang bertujuan mengubah kejadian dan ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pembedahan membentuk semula ini hanyalah untuk menghilangkan kecacatan yang baru mendatang terhadap kejadian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau penyakit dan sebagainya. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya dengan emas.
Tujuan penggantian hidung itu bukanlah semata-mata untuk kecantikan bahkan untuk mengelak kemudharatan. Menurut Islam, kemudharatan itu wajib dihindarkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Daripada hadits ini, para ulama fiqh telah menetapkan kaedah:
Ertinya: Kemudharatan itu dihindarkan.
Begitu juga bagi menghilangkan atau membetulkan kecacatan yang dihidapi semenjak lahir seperti bertangkup jari-jari tangan atau kaki, atau terdapat tanda pada muka yang boleh mengaibkan dan sebagainya, maka pembedahan bagi tujuan seumpama ini tidaklah dilarang oleh syara‘.
Adapun prosedur pembedahan plastik yang kedua iaitu pembedahan kosmetik yang bertujuan untuk mengubah kejadian asal kepada yang lain daripada yang tidak pernah ada sebelumnya dengan tujuan supaya kelihatan lebih cantik dan sebagainya adalah dilarang. Mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata untuk kecantikan, selain membawa makna tidak bersyukur terhadap ciptaanNya, perbuatan tersebut juga dianggap mengikut petunjuk syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata. (Surah an-Nisâ’: 119)
Ayat di atas antara lain menerangkan bahawa syaitan berusaha untuk menyesatkan manusia ke jalan yang tidak lurus dan dia juga menyuruh merubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ termasuk mengubah agamaNya serta menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan sebagaimana yang disebut oleh sebahagian ulama tafsir, sepertimana juga larangan-larangan hadits mengenai bertatu, menyambung rambut dan sebagainya.
Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan adalah harus. Tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat kemalangan dan seumpamanya selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.
Dalam perkara mengubah ciptaan asal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menggambarkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melaknat ke atas orang-orang yang mengubah ciptaanNya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah melaknat orang-orang yang mentatu dan yang minta ditatu, orang-orang yang mencabut bulu (di wajah), orang-orang yang minta dicabut bulu (di wajah) dan orang-orang yang merenggangkan giginya untuk tujuan kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lagi:
Maksudnya: ِ Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya dan yang minta disambungkan rambutnya, dan orang yang mentatu dan yang minta ditatu (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ, maksud mencabut bulu di wajah itu ialah dikhususkan kepada mencabut bulu kedua-dua kening sahaja bagi tujuan untuk menghaluskan atau menyamakannya. Dengan demikian, mencabut bulu selain daripada bulu kening di muka adalah tidak termasuk dalam pengertian hadits di atas.
Jika terdapat bagi perempuan itu misai dan janggut maka tidak diharamkan membuangnya bahkan hukumnya adalah sunat.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, maksud merenggangkan gigi pula ialah mengikir gigi dengan alat pengikir atau seumpamanya bagi memperelokkan atau menghaluskan gigi dengan tujuan untuk kelihatan cantik dan muda. Perbuatan ini sering dilakukan oleh golongan tua kerana dengan mempunyai gigi yang halus seolah-olah menggambarkan seperti gigi kanak-kanak dan dengan demikian mereka pun disangka masih lagi muda.
Adapun jika dilakukan kerana keperluan perubatan, atau terdapat cacat pada gigi atau yang seumpamanya, tidaklah mengapa.
Sebagai contoh, memakai braces atau pendakap yang digunakan bagi mengikat gigi untuk meratakan kedudukan barisan gigi. Perkara ini biasanya dilakukan jika gigi sudah terlalu rapat dan tidak ada ruang untuk mengalihkan kedudukan gigi, maka salah satu gigi akan dicabut untuk memberi ruang perataan. Proses seperti ini tidaklah termasuk dengan maksud pengikisan atau pengasahan gigi kerana sebab atau illah meratakan gigi tersebut disebabkan kedudukan gigi yang cacat atau terdapat tujuan perubatan. Barisan kedudukan gigi yang lebih rata diandaikan lebih bermanfaat kepada pemilik berbanding sebelum diratakan.
Adapun mengikir gigi iaitu mengasah gigi supaya lebih pendek atau licin atau supaya lebih rata, maka perbuatan tersebut adalah haram kerana Allah Ta‘ala melaknat dan mengutuk orang yang mengikir gigi termasuk orang yang minta dikikirkan giginya sebagaimana pendapat Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di atas.
Apa yang telah diterangkan mengenai dua jenis pembedahan iaitu pembedahan membentuk semula dan pembedahan kosmetik dari aspek pandangan hukum syara‘ mengenainya adalah selari dengan apa yang diputuskan oleh Persidangan Akademi Fiqh Islam kali ke-18.
Menurut Resolusi dan Saranan Persidangan Fiqh Islam Antarabangsa bahawa hukum pembedahan kosmetik itu seperti berikut:
1. Harus dari segi syara‘ menjalankan pembedahan kosmetik yang bersifat dharurat dan keperluan yang antara tujuannya ialah:
i. Mengembalikan bentuk anggota tubuh badan kepada keadaan sebagaimana manusia dijadikan berdasarkan firman Allah Subahânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah at-Tîn: 4)
ii. Mengembalikan fungsi asal anggota tubuh badan.
iii. Membaik pulih kecacatan semula jadi seperti bibir sumbing, hidung yang terlalu bengkok, tanda kelahiran (yang mencacatkan), jari dan gigi yang lebih dan jari-jari yang melekat (synostosis) apabila kewujudannya membawa kepada kesakitan dan kesan yang mendalam kepada jasmani dan jiwa.
iv. Membaik pulih kecacatan yang mendatang (yang diperolehi) akibat daripada kebakaran, kemalangan, penyakit dan sebagainya seperti pemindahan kulit (skin transplant) dan penempelannya, mengembalikan rupa bentuk keseluruhan payudara kerana terpaksa dibuang, atau sebahagiannya jika ukurannya yang besar atau kecil membawa kepada penyakit dan penanaman rambut (hair transplant) khusus bagi wanita kerana masalah rambut gugur.
v. Menghilangkan kehodohan yang mengakibatkan jiwa dan jasmani seseorang itu menderita.
2. Tidak harus menjalankan pembedahan kosmetik untuk kecantikan yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan yang bertujuan mengubah kejadian manusia yang biasa atau normal kerana menurut hawa nafsu dan keinginan untuk meniru orang lain, seperti pembedahan mengubah rupa bentuk muka untuk menonjolkan rupa paras yang tertentu atau untuk tujuan penipuan dan mengelirukan pengadilan, mengubah rupa bentuk hidung, menebal atau menipiskan bibir, mengubah rupa bentuk kedua belah mata dan menggebukan pipi.
3. Harus mengurangkan berat badan (menguruskan badan) melalui cara-cara saintifik yang diperakui antaranya ialah pembedahan (penyedutan lemak) apabila masalah berat badan membawa kepada penyakit dan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan selain pembedahan dengan syarat ia bebas daripada sebarang kemudharatan.
4. Tidak harus menghilangkan kedutan dengan cara pembedahan atau suntikan selama mana kedutan itu bukan penyakit yang syaratnya bebas daripada sebarang kemudharatan.
5. Harus menjahit selaput dara yang koyak yang disebabkan oleh kemalangan, rogol atau secara paksaan. Manakala menjahit selaput dara yang koyak disebabkan oleh perlakuan lacur tidak harus dari segi syara‘, demi menutup pintu kerosakan dan penipuan. Yang lebih utama pembedahan itu dikendalikan oleh para doktor wanita.
6. Doktor pakar hendaklah mematuhi aturan syara‘ dalam menjalankan tugasnya dan memberi nasihat kepada sesiapa yang ingin melakukan pembedahan kosmetik.
Garis Panduan Dan Syarat-Syarat Umum Bagi Pembedahan Kosmetik
Dalam buku Resolusi dan Saranan Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa kali ke-18, yang diadakan di Putrajaya, Malaysia telah menyebutkan beberapa garis dan syarat-syarat umum bagi pembedahan kosmetik itu antaranya ialah:
1. Pembedahan hendaklah merupakan satu mashlahat yang diperakui oleh syara‘ seperti mengembalikan semula fungsi dan memperbaiki kecacatan dan mengembalikan semula kejadiannya ke bentuk asalnya.
2. Pembedahan hendaklah tidak akan membawa kepada kemudharatan mengatasi mashlahat yang diharapkan daripada pembedahan. Perkara ini hendaklah ditetapkan oleh ahli pakar yang dipercayai.
3. Doktor yang melakukan pembedahan hendaklah seorang yang pakar dan berkelayakan. Jika tidak, dia akan menanggung sebarang tanggungjawab.
4. Pembedahan yang dijalankan hendaklah mendapat keizinan pesakit (yang memohon pembedahan).
5. Doktor (pakar) hendaklah sentiasa melakukan pemantauan lagi peka (kepada orang yang akan dibedah) dengan bahaya-bahaya dan komplikasi-komplikasi yang dijangka berlaku dan yang berkemungkinan berlaku daripada pembedahan.
6. Hendaklah tidak ada cara rawatan lain yang memberi sedikit kesan dan kesakitan kepada tubuh badan selain daripada pembedahan.
7. Hendaklah tidak akan terjadi daripada pembedahan itu suatu percanggahan dengan nash-nash syara‘.
8. Hendaklah dipelihara aturan cara berubat dari sudut mematuhi tidak akan berlaku khalwat, hukum hakam membuka aurat dan sebagainya, kecuali kerana dharurat atau keperluan yang mendesak.
Oleh yang demikian, hukum ke atas orang-orang yang melakukan dan yang minta dilakukan perbuatan-perbuatan seperti tatu, mencabut bulu kening, merenggangkan gigi dan menyambung rambut adalah haram.
Manakala pembedahan plastik yang bertujuan bagi pembentukan semula adalah diharuskan, sama ada untuk menghilangkan kecacatan seperti membaik pulih belahan bibir atau ‘aib seperti ketumbuhan pada kulit, mengembalikan atau memulihkan anggota badan yang cedera dan seumpamanya.
Adapun pembedahan plastik yang bertujuan semata-mata untuk mengubah kejadian asal bagi tujuan kecantikan adalah dilarang oleh syara‘ dan hukumnya adalah berdosa.
KESAN BERTATU TERHADAP IBADAT
Tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau.
Tatu pada kebiasaannya dijadikan sebagai perhiasan, adat atau kerana tujuan keagamaan dengan mengukir gambar-gambar, lambang, nama kumpulan atau sebagainya di tubuh badan.
Namun pada hakikatnya, tatu itu boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan orang yang bertatu. Kesan-kesannya adalah seperti berikut:
1. Alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.
2. Jangkitan penyakit Hepatitis B.
3. Jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.
Kesukaran dan kesakitan dalam menghilangkan kesan tatu itu juga tidak dapat dinafikan. Antara kaedah bagi menghilangkan tatu tersebut adalah seperti berikut:
1. Menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit.
2. Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu.
3. Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit.
Pada zaman ini, banyak perkara yang boleh merosakkan akhlak orang Islam umpamanya dengan menjadikan tatu itu sebagai perhiasan. Ditakuti ada belia dan remaja Islam yang terpengaruh dengan gejala ini.
Apakah kesan mentatu itu terhadap ibadat-ibadat seperti bersuci, sembahyang dan sebagainya? Inilah persoalan yang patut diketahui.
Hukum Bertatu
Melakukan tatu itu dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ia adalah haram ke atas orang yang minta dibuatkan tatu dan orang yang membuatkan tatu dan ia tergolong dalam dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘âlâ. (Setelah itu Ummu Ya‘kub bertanya kepada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu mengenai apakah hadits yang beliau melaknat perkara tersebut, beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang ia ada dalam Kitab Allah. {(Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang tafsirnya): “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam kepada kamu maka terimalah serta amalkan}.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: Bahawanya Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang membuat cemara (orang yang menyambungkan rambut), orang yang minta dicemarakan (orang yang minta disambungkan rambut), orang yang membuat tatu dan orang yang minta dibuatkan tatu. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan yang bertatu sama ada orang yang membuat tatu ataupun orang yang minta dibuatkan tatu semata-mata kerana kecantikan adalah dilaknat oleh Allah Subahânhu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.
Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang yang membuatkan itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklîf (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.
Tatu Di Tubuh Badan Adakah Wajib Dihilangkan?
Bahawa hukum bertatu itu adalah haram. Namun bagaimana pula hukum menghilangkan tatu di tubuh badan, adakah ia wajib ataupun tidak? Dalam perkara ini ada beberapa keadaan seperti berikut:-
1. Orang yang mukallaf (bâligh dan berakal) bertatu dengan kehendak atau kerelaannya. Jika dia dapat menghilangkan tatu itu dengan perubatan atau dengan cara pembedahan walau menurut doktor ia mendatangkan mudharat seperti hilang anggota atau fungsinya atau menyebabkan keadaan anggota zahirnya buruk dan jelik akan tetapi dia tidak takut akan mudharat tersebut, maka wajib dia menghilangkan tatu itu.
Adapun jika dia takut akan mudharat tersebut, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu itu dan dia tidak akan berdosa setelah dia bertaubat.
2. Orang yang dipaksa untuk bertatu bukan kehendak atau kerelaannya adalah tidak diwajibkan dia menghilangkan tatu di tubuh badannya itu.
3. Orang yang belum ada taklîf ke atasnya seperti kanak-kanak dan orang gila. Jika seseorang itu bertatu ketika keadaannya belum ada taklîf maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu tersebut.
4. Orang kafir yang memeluk agama Islam. Jika dia bertatu sebelum Islamnya adalah diwajibkan menghilangkan tatu tersebut, sebagaimana keadaan orang yang mukallaf bahagian (1) di atas.
Kesan Tatu Dalam Ibadat
Adapun kesan kepada peribadatan orang yang bertatu itu, antara lain seperti berikut:
1. Bersuci.
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang maka tidak akan terangkat hadasnya itu. Ini kerana anggota-anggota yang ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan celak tatu tersebut.
Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci maka terangkat hadasnya. Ini kerana anggotanya yang ada tatu itu dimaafkan najisnya.
2. Sembahyang.
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia mengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang maka tidak sah sembahyangnya itu. Demikian juga tidak sah apabila dia menjadi imam.
Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, adalah sah sembahyangnya dan dia boleh menjadi imam.
3. Urusan jenazah.
Apabila orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya itu meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidak wajib bahkan haram dihilangkan tatu mayat itu. Ini kerana bagi menjaga kehormatan mayat tersebut dan kerana kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan sembahyang telahpun luput.
4. Kesaksian.
Salah satu syarat saksi itu hendaklah mempunyai sifat al-‘adâlah iaitu tidak fâsiq. Orang fâsiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, orang fâsiq tidak diterima persaksiannya melainkan setelah bertaubat menyesali perbuatannya itu.
5. Wali nikah.
Salah satu syarat wali nikah itu hendaklah juga mempunyai sifat al-‘adâlah iaitu tidak fâsiq. Oleh yang demikian, orang fâsiq tidak sah menjadi wali nikah melainkan setelah bertaubat.
Oleh itu, perlulah diambil peringatan bahawa bertatu itu bukan sahaja dilarang oleh syara‘ bahkan ia juga dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya. Seseorang yang dilaknat akan berada jauh daripada mendapat rahmat, taufîq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan.
Janganlah hanya disebabkan kecantikan atau trend kehidupan terkini, seseorang itu sanggup melakukan perbuatan dosa-dosa besar dengan mengetepikan suruhan dan larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ketahuilah bahawa azab seksa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu amat pedih.
NAZAR
BAGAIMANAKAH LAFAZ NAZAR YANG SAH?
Kekeliruan dan salah faham terhadap sesuatu perkara boleh saja menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang dianggapnya sah atau betul, padahal dari segi syara‘ ia adalah sebaliknya. Contohnya kekeliruan tentang lafaz nazar.
Ada yang beranggapan bahawa dengan berniat untuk membuat sesuatu sahaja sudah dianggap nazar. Tidak kurang pula yang menganggap apabila hendak atau berazam untuk melakukan sesuatu juga dianggap sebagai nazar. Ada juga yang keliru tentang adakah sudah menjadi wajib atau tidak, jika seseorang bernazar dengan menyebut lafaz nazarnya perkataan ‘insyâ’ Allah.
Pengetahuan tentang lafaz nazar yang sah di sisi syara‘ perlu diketahui dan difahami dengan sejelas-jelasnya. Jangan seseorang itu menganggap nazar yang dilafazkannya itu sebagai nazar, sedangkan ia bukan dianggap nazar dari segi syara‘. Begitu juga dia menganggap yang dilafazkannya itu bukan nazar, sedangkan ia sebenarnya adalah nazar.
Lafaz Nazar
Salah satu daripada rukun nazar itu ialah shighah yang bermaksud lafaz. Untuk melaksanakan perkara yang dinazarkan, seseorang itu perlu bernazar dengan cara dan lafaz yang sah di sisi syara‘.
Setiap nazar yang dilakukan tidak sah melainkan jika dilafazkan dengan perkataan, seperti katanya: “Kerana Allah wajib ke atasku berpuasa tiga hari jika aku sembuh daripada penyakit ini.”
Jika dia berlafaz: “Wajib ke atas diriku puasa tiga hari” tanpa berlafaz ‘kerana Allah’ nazarnya tetap sah dan wajib ke atasnya menunaikannya, kerana nazar itu adalah taqarrub, iaitu amal yang mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan taqarrub itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Lafaz nazar itu tidak terbatas kepada contoh yang tersebut di atas, malahan nazar itu tetap sah jika dilafazkan dengan perkataan yang membawa maksud kepada mewajibkan sesuatu perkara kebaikan seperti: “Jika aku lulus dalam peperiksaan, aku akan bersedekah sebanyak seribu ringgit” atau “Aku bernazar menunaikan haji ke Makkah jika mendapat seorang cahaya mata” dan sebagainya.
Oleh yang demikian, tidak sah nazar dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa adanya lafaz. Umpamanya, seorang bernazar dengan hanya berniat di dalam hati: “Kerana Allah wajib ke atasku bersedekah seratus ringgit jika aku lulus dalam peperiksaan ini”, tidak sah nazarnya itu melainkan dengan dilafazkannya. Sebaliknya sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.
Begitu juga tidak sah nazar jika hanya setakat berazam untuk melakukan sesuatu kebajikan, umpamanya berazam menunaikan umrah jika mendapat rezeki yang lebih. Azam seperti itu tidak dikatakan sebagai nazar.
Oleh yang demikian, tidak memadai nazar itu dengan hanya berniat atau berazam di dalam hati, bahkan hendaklah ia dilafazkan dengan perkataan. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan.
Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap iaitu orang bisu bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi hendaklah disertai dengan niat.
Berikut diterangkan beberapa permasalahan mengenai nazar:
1. Jika seseorang itu melafazkan nazarnya, kemudian dalam lafaznya itu disertakan dengan perkataan insyâ’ Allah’, contohnya: “Jikalau aku sembuh daripada penyakitku ini aku bernazar bersedekah sebanyak seribu ringgit insyâ’ Allah”, maka tidak wajib ke atasnya menunaikan nazar itu.
2. Jika seseorang itu bernazar untuk mengerjakan puasa dengan tidak menentukan bilangan harinya, contohnya: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama satu hari sahaja.
Manakala jika seseorang itu bernazar untuk mengerjakan puasa selama beberapa hari tetapi tidak menentukan bilangan beberapa hari itu, seperti dia bernazar: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa selama beberapa hari”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama tiga hari.
3. Jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tertentu seperti bernazar untuk berpuasa pada hari Khamis minggu pertama bulan ini, maka wajib ke atasnya berpuasa pada hari tersebut. Tidak sah baginya berpuasa pada hari sebelumnya.
Jika dia melambat-lambatkannya sehingga luput hari Khamis minggu pertama tersebut, maka wajiblah diqadhanya, tidak kira sama ada luput disebabkan oleh uzur syar‘i atau tidak. Jika dia melambat-lambatkan dengan tiada sebab keuzuran syar‘i, maka berdosalah dia. Sebaliknya jika dia melambatkannya kerana ada keuzuran syar‘i seperti sakit, datang haidh dan sebagainya, maka tidaklah dia berdosa.
4. Jika seseorang itu bernazar untuk menunaikan haji ke Makkah, maka sah hukum nazarnya itu. Akan tetapi bagi orang yang bernazar menunaikan haji sedang dia pada masa itu belum lagi menunaikan fardhu haji yang wajib ke atas dirinya sebagai seorang Muslim, maka tertanggung ke atas dirinya dua ibadat haji, iaitu haji fardhu dan haji kerana nazar. Tidaklah memadai baginya jika dia menunaikan haji sekali sahaja.
Barang siapa yang bernazar menunaikan haji ke Makkah dengan tidak menentukan bila masanya, maka sunat disegerakan nazar tersebut pada mula-mula saat dia berkemampuan.
Jika dia meninggal dunia sebelum ada kemampuan untuk pergi menunaikan haji, tidaklah tertanggung apa-apa ke atas dirinya. Sebaliknya jika dia meninggal dunia setelah ada kemampuan dan belum sempat melaksanakan nazarnya, maka wajib diqadhakan baginya dengan perbelanjaan yang diambil daripada harta pusakanya.
Kesimpulannya, nazar tidak sah hanya niat semata-mata, tetapi hendaklah dilafazkan sama ada dengan niat atau tidak. Berazam untuk melakukan sesuatu kebajikan juga bukan dianggap nazar.
Oleh yang demikian, hendaklah difahami tentang nazar dengan terang dan jelas agar kita tidak keliru tentang lafaz yang membawa maksud nazar atau tidak.
BERNAZAR DENGAN PERKARA WAJIB, HARAM, MUBÂH DAN MAKRUH
Nazar merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Melalui nazar seseorang itu mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ seperti berpuasa sunat, bersedekah, menunaikan umrah dan sebagainya. Nazar yang seumpama ini wajib ditunaikan. Jika ditunaikan, maka orang yang bernazar itu akan mendapat ganjaran pahala. Manakala jika dia tidak menunaikannya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffârah.
Tetapi timbul persoalan, bagaimana jika perkara yang dinazarkan bukan terdiri daripada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘? Contohnya bernazar dengan perkara yang sememangnya diwajibkan oleh syara‘ seperti sembahyang lima waktu, bernazar dengan perkara yang dimakruhkan seperti berpuasa sepanjang tahun atau bernazar dengan perkara mubâh (harus) seperti makan dan minum? Maka penjelasan mengenainya akan dikupas di sini.
Perkara Yang Dinazarkan Adalah Rukun Nazar
Selain daripada an-nadzîr iaitu orang yang bernazar dan ash-shighah iaitu lafaz (nazar), al-mandzûr iaitu perkara yang dinazarkan juga merupakan antara rukun nazar.
Al-Mandzûr iaitu perkara yang dinazarkan terbahagi kepada empat:
1. Perkara yang berupa ketaatan.
2. Perkara yang berupa dosa atau maksiat.
3. Perkara yang mubâh iaitu perkara yang diharuskan.
4. Perkara yang makruh.
1. Perkara Yang Berupa Ketaatan
Bernazar pada perkara yang berupa ketaatan terbahagi kepada dua:
i. Perkara yang wajib dikerjakan menurut syara‘, umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan sebagainya.
Seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut dihukumkan tidak sah nazarnya itu, kerana perkara tersebut sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya. Begitu juga tidak sah bernazar pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘, seperti bernazar meninggalkan meminum khamr (arak) atau bernazar untuk tidak mencuri, dan tidak dikenakan kaffârah jika dia tidak menunaikan nazar tersebut.
ii. Perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat, bersedekah, beri‘tikâf, menziarahi orang sakit, memberi salam sesama Muslim, mendo‘akan orang bersin dan sebagainya.
Bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.
Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barang siapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Perkara Yang Berupa Dosa Atau Maksiat
Tidak sah bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa, seperti bernazar meminum khamr (arak), melakukan zina, membunuh dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram, malah haram hukumnya jika dilaksanakannya. Dia juga tidak dikenakan kaffârah jika dia tidak menunaikannya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba). Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Hadits riwayat Muslim)
Selain daripada itu, bernazar pada perkara maksiat akan menyebabkan berlakunya pelanggaran kepada perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sedangkan maksud atau tujuan nazar adalah untuk menghampirkan diri kepadaNya bukan untuk menjauhiNya dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.
3. Perkara Yang Diharuskan (Mubâh)
Mubâh ialah perkara yang diharuskan dan jika ditinggalkan tidak berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubâh sama ada bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya, hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffârah jika mengingkarinya, kerana melakukan atau meninggalkan perkara mubâh tidak dikatakan sebagai taqarrub.
Perkara ini disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Dan tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Hadits riwayat Abu Daud)
4. Perkara Yang Makruh
Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh, umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudharatan ke atas dirinya atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya yang tertanggung ke atas dirinya.
Kaffârah Nazar
Kaffârah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara‘ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.
Adapun tujuan kaffârah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa-dosa tertentu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara‘ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang, namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffârah.
Hukum kaffârah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja, antaranya tidak melaksanakan nazar.
Kaffârah nazar itu sama dengan kaffârah sumpah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kaffârah (denda) nazar sama dengan kaffârah (denda) sumpah. (Hadits riwayat Muslim)
Kaffârah sumpah dan nazar ialah:
1. Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan daripada jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang membayar kaffârah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.
2. Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban atau sebagainya.
3. Atau memerdekakan hamba.
Orang yang dikenakan kaffârah, boleh memilih salah satu di antara tiga perkara yang tersebut.
4. Jika dia tidak berkemampuan untuk melakukan salah satu daripada tiga perkara yang tersebut, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari.
Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar kaffârah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi hanya mencukupi untuk orang yang di bawah tanggungannya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Maka jelasnya, tidak boleh dan tidak sah bernazar dengan perkara-perkara yang wajib, haram, mubâh dan makruh. Perkara yang dinazarkan hanya dibolehkan dan sah pada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘. Manakala jika orang yang bernazar tidak menunaikan nazarnya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffârah.
ADAB
BERI SALAM SEBELUM MASUK RUMAH RUMAH MENDAPAT BERKAT
Memberi salam atau mengucapkan salam (Assalâmu‘alaikum) kepada seseorang Islam yang lain bukan sahaja disunatkan oleh hukum syara‘, bahkan ia diletakkan dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain. Orang yang tidak mahu mengucapkan salam boleh dianggap sebagai orang yang tidak menunaikan hak tersebut.
Antara masa yang disarankan untuk mengucapkan salam ialah ketika hendak masuk rumah, bukan sahaja rumah orang lain bahkan juga ketika hendak masuk ke rumah sendiri. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah daripada) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam kepada) dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. (Surah an-Nûr: 61)
Menurut asy-Syeikh Nashr bin Muhammad bin Ibrahim as-Samarqandi di dalam kitabnya Bustân al-‘Ârifîn, tuntutan memberi salam menerusi ayat di atas adalah merangkumi dua keadaan, iaitu sama ada memberi salam ke atas ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan jika mereka ada di rumah pada ketika itu, ataupun memberi salam ke atas dirinya sendiri jika tidak ada orang di dalam rumah.
Menurut ulama ahli tafsir, maksud “ ً َُِيَّ ة ” di dalam ayat tersebut ialah ucapan salam yang diperintahkan dan disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sementara maksud “ ً َكَة ً طَيِبَ ةمبَر” pula ialah dengan ucapan salam itu diharapkan akan bertambah kebajikan serta pahala, dan dengan ucapan salam itu juga akan menyejukkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar ucapan salam itu.
Bagaimana caranya memberi salam ke atas diri sendiri? Caranya ialah dengan
kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih.”
Amalan memberi salam ini walaupun pada zahirnya seperti perkara kecil saja tetapi faedah atau fadhilatnya adalah besar dan hebat. Apakah fadhilat atau kelebihan memberi salam itu? Terdapat beberapa jumlah dalil-dalil syara‘ yang menerangkan akan kelebihan memberi salam, sama ada dalil yang menerangkan kelebihannya secara umum iaitu kelebihan memberi salam tanpa mengira masa-masa tertentu ataupun kelebihannya ketika hendak masuk rumah.
Dalil-dalil yang menyebutkan tentang kelebihan memberi salam secara umum itu antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Kamu ucapkanlah salam nescaya kamu selamat (sejahtera). (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Di dalam hadits yang lain Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Kamu ucapkanlah salam, berilah makan dan dirikanlah sembahyang pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Di dalam hadits yang lain lagi Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di antara perkara yang boleh menyebabkan mendapat keampunan (Allah Ta‘ala) ialah memberi salam dan baik percakapan. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Sementara itu, dalil-dalil yang menyebutkan secara khusus tentang kelebihan memberi salam sebelum masuk rumah antaranya sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu 'alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiga golongan yang kesemua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup diberi kecukupan dan jika mati dia masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku:
Maksudnya: Wahai anakku! Apabila engkau masuk ke (rumah) ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: As-Salâm itu adalah nama daripada nama-nama Allah Ta‘ala yang diletakkanNya di bumi, maka sebarkanlah nama Allah itu di antara kamu. (Hadits riwayat al-Bazzar dan ath-Thabarani)
Berdasarkan hadits ini, As-Salâm (السَّ الَم) itu adalah antara nama-nama Allah yang Maha Suci dan kita disuruh untuk menyebarkannya dengan menyebut-nyebutnya. Bertolak daripada petunjuk hadits ini, maknanya memberi salam itu juga boleh disifatkan sebagai mengingati Allah. Apabila kita merujuk kepada kelebihan menyebut nama Allah sebelum masuk rumah, disebutkan bahawa rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu. Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan beberapa hadits yang disebutkan tadi, nyatalah kepada kita akan kehebatan fadhilat memberi salam khususnya memberi salam sebelum masuk rumah. Dengan ucapan salam, rumahtangga akan diliputi keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, diberi kecukupan dan terhindar daripada gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram, rukun dan damai.
Selain diri kita manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar ini, di dalam rumah kita kadang-kadang terdapat penghuni lain yang terdiri daripada makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dengan ucapan salam kadang-kadang terbukti mereka yang memusuhi kita boleh menjadi baik dan tidak mengganggu kita.
Inilah sebahagian daripada adab dan sopan santun dalam Islam yang wajar dijadikan amalan seharian dalam hidup kita. Adab dan sopan santun ini bukanlah terbit daripada hasil pemikiran, tetapi adalah berpandukan dan bersandarkan kepada wahyu Ilahi untuk membimbing kebahagiaan dan keharmonian hidup bermasyarakat.
ELAKKAN DIRI DARIPADA TERGOLONG DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG TIDAK DIPANDANG ALLAH
Manusia diciptakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di muka bumi ini untuk beribadat dan menyembahNya, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah adz-Dzâriyât: 56)
Kita dituntut untuk mentaati segala suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi segala laranganNya. Perkara-perkara suruhan dan larangan itu telahpun jelas di dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, puasa, zakat dan larangan berzina, minum arak, derhaka kepada ibu bapa dan banyak lagi.
Begitu juga, kita dituntut untuk menjaga diri kita sendiri bahkan keluarga kita daripada perkara-perkara maksiat yang menyebabkan kita dimasukkan ke dalam api neraka. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrîm: 6)
Mereka yang beriman, taat dan beramal salih akan mendapat keuntungan yang besar dan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Sementara mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mendapat kerugian, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-‘Ashr: 2-3)
Di samping itu juga, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya ada memberi peringatan, ancaman ataupun kutukan kepada mereka yang melakukan perkara-perkara maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu; Allah Ta‘ala melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam api neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat murka kepada mereka yang melakukannya.
Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredhaanNya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhûr ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat untuk memberi penghormatan kepada mereka.
Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandanganNya daripada mereka. Adapun maksud pandangan Allah kepada hamba-hambaNya ialah rahmat dan taufîq serta perlindunganNya terhadap mereka.
Oleh itu, sebagai renungan dan peringatan kepada kita semua supaya kita tidak tergolong dalam kelompok hamba-hamba Allah yang tidak mendapat perhatian daripada Allah, dan jauh daripada rahmat dan taufiq serta perlindunganNya, eloklah setiap daripada kita mengetahui beberapa perkara atau perbuatan yang menyebabkan Allah tidak akan memandang pelakunya pada Hari Kiamat. Antaranya seperti berikut:
1. Menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab Suci.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak redha dan murka kepada sesiapa yang menyembunyikan segala keterangan yang telah diturunkan ke atas rasul-rasulNya. Ini telah dijelaskan dalam al-Qur’an bahawa golongan ulama Yahudi menyembunyikan keterangan mengenai sifat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang terkandung di dalam kitab Taurat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Baqarah: 174)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga melaknat perbuatan tersebut, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Surah al-Baqarah: 159)
Selain golongan ulama Yahudi itu menyembunyikan keterangan tersebut, mereka juga sanggup mengambil rasuah pada menyembunyikannya.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, walaupun ayat tersebut khusus kepada kaum Yahudi, ia juga ditujukan kepada orang Islam yang menyembunyikan perkara yang hak disebabkan kepentingan dunia. Maka sesiapa yang mengambil rasuah bagi mengubah segala keterangan yang hak atau menyalahkannya, atau enggan mengajar apa yang wajib ke atasnya adalah termasuk dalam maksud ayat itu.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada memperingatkan kita tentang azab seksa orang yang menyembunyikan ilmu yang dia tahu apabila ditanya. Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang ditanyakan mengenai suatu ilmu yang diketahuinya kemudian dia menyembunyikannya maka pada Hari Kiamat dia akan dikekang dengan kekang neraka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menuntut satu ilmu yang dengannya untuk mencari keredhaan Allah ‘Azza wa Jalla, dia tidak menuntutnya (ilmu itu) melainkan untuk mendapatkan harta benda dunia, nescaya dia tidak akan mendapati ‘arf syurga pada Hari Kiamat iaitu baunya. (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Bersumpah dusta.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada Hari Akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah Âli ‘Imran: 77)
Ayat ini menunjukkan bahawa haram ke atas sesiapa yang bersumpah dusta dengan nama Allah bagi tujuan mendapatkan keuntungan dunia. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Para ulama menamakan sumpah dusta itu sebagai al-yamîn al-ghamus, kerana ia menenggelamkan orang yang bersumpah dusta itu dalam dosa dan dalam api neraka.
Hal ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murka kepada orang yang bersumpah dusta itu. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah di atas satu sumpah sedang dia berdusta dengannya (sumpah itu) untuk mendapatkan dengannya (sumpah itu) harta seseorang Islam, nescaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaanNya murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Demikian juga, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak memandang orang yang bersumpah dusta dalam berjual beli, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang yang mempunyai kelebihan air di tanah lapang yang dia menegahnya daripada ibnu sabîl (tidak memberinya minum), dan orang yang menjual barang dagangan kepada seseorang sesudah masuk waktu ‘Ashar lalu dia bersumpah kepadanya dengan nama Allah bahawa dia membeli dengan begini dan begini lalu (orang itu) mempercayainya padahal ia bukan sedemikian, dan orang yang membai‘ah pemerintah yang dia tidak membai‘ahnya melainkan kerana kepentingan dunia; jika dia diberi daripadanya (sesuatu daripada kepentingan dunia) nescaya dia setia, dan jika tidak diberi daripadanya nescaya dia tidak setia. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits di atas, menurut al-Muhallab Rahimahullâh: “Adapun Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhususkan waktu ‘Ashar, kerana sesiapa yang bersumpah dusta pada waktu itu adalah besar dosanya disebabkan para malaikat malam dan siang menyaksikan perbuatan tersebut. Ada juga pendapat lain, bahawa waktu tersebut diangkat segala amal.”
3. Tidak memberi air kepada ibnu sabîl yang memerlukan.
Ibnu sabîl bermaksud orang yang belayar atau musafir yang kehabisan hartanya. Perbuatan tidak memberi air minum kepada ibnu sabîl yang sangat memerlukannya, sedangkan dia mempunyai air yang lebih adalah perbuatan zalim dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini dijelaskan dalam hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Sabda Baginda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang yang mempunyai kelebihan air di tanah lapang yang dia menegahnya daripada ibnu sabîl (tidak memberinya minum). (Hadits riwayat Muslim)
4. Membai‘ah pemerintah semata-mata kerana dunia.
Demikian juga, berdosa besar sesiapa yang membai‘ah (melantik) pemerintah demi kepentingannya atau kerana keduniaan dan dia hanya setia kepada pemerintah apabila diberi sesuatu dan derhaka apabila tidak diberi kemahuannya.
Perbuatan ini termasuk salah satu daripada tiga golongan yang dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Baginda bersabda:
Maksudnya: …dan orang yang membai‘ah pemerintah yang dia tidak membai‘ahnya melainkan kerana dunia; jika dia diberi daripadanya (sesuatu) nescaya dia setia, dan jika tidak diberi daripadanya nescaya dia tidak setia. (Hadits riwayat Muslim)
5. Al-Isbâl dengan tujuan sombong dan takbur.
Diriwayatkan daripada Abu Dzarr, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. Berkata Abu Dzarr: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membacanya tiga kali”. Berkata Abu Dzarr: “Mereka telah kecewa dan rugi, siapakah mereka wahai Rasullullah?” Baginda bersabda: “Orang yang melabuhkan pakaiannya, pengungkit (pemberian) dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta. (Hadits riwayat Muslim)
Al-Musbil bererti orang yang melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya sehingga melimpasi buku lali dengan sombong dan takbur. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar jika disertai dengan sombong takbur, sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah tidak akan memandang pada Hari Kiamat kepada sesiapa yang mengheretkan kainnya dengan sombong dan takbur. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Kain yang terkebawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun jika tidak disertai dengan sombong dan takbur, maka tidaklah termasuk dalam larangan tersebut. Hal ini pernah terjadi kepada Saiyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu yang memakai pakaian tersebut akan tetapi Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak melarangnya, sabda Baginda: “Engkau tidaklah tergolong dengan mereka (orang yang memanjangkan pakaian) kerana engkau memakainya bukan dengan sombong dan takbur.”
Sementara perempuan adalah disyariatkan dengan ijmâ‘ untuk melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya bagi menutup aurat. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengheret pakaiannya dengan sombong takbur, nescaya Allah tidak akan memandang kepadanya pada Hari Kiamat. Berkata Ummu Salamah: “Bagaimanakah hendak dilakukan oleh perempuan dengan hujung pakaian mereka?” Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkan (pakaian itu) sejengkal (dari pertengahan betis)”. Ummu Salamah berkata: “Jika demikian akan terdedah kaki mereka”. Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkannya sehasta tidak lebih dari itu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
6. Mengungkit-ungkit pemberian.
Mengungkit-ungkit pemberian adalah perbuatan yang terkeji, kerana pada kebiasaannya perbuatan ini terjadi daripada kebakhilan, sombong, takbur dan lupa kepada anugerah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Pengungkit yang dia tidak akan memberikan sesuatu melainkan diungkit-ungkitnya, dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta, dan orang yang melabuhkan kainnya. (Hadits riwayat Muslim)
Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian itu juga menyebabkan rosaknya pahala pemberian itu, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Surah al-Baqarah: 264)
7. Orang tua yang berzina, pemerintah yang pembohong dan fakir yang sombong dan takbur.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa). Berkata Abu Mu‘awiyah: “Dan Allah tidak akan memandang kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang tua penzina, dan pemerintah yang pembohong, dan orang fakir yang sombong dan takbur. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh bahawa sebab mengapa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhususkan tiga golongan tersebut, kerana mereka melazimkan perbuatan maksiat itu sedangkan pada mereka tidak ada dorongan, hajat atau alasan yang kukuh untuk mereka melakukannya. Perbuatan maksiat yang mereka lakukan itu adalah seumpama derhaka dan meringan-ringankan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan senghaja melakukannya semata-mata kerana maksiat itu, bukan kerana perkara-perkara lain.
Bagi golongan orang tua, mereka mempunyai pengetahuan dan pemikiran yang sempurna berbanding orang muda disebabkan sudah lama menempuh hidup, dorongan dan sebab-sebab untuk melakukan persetubuhan serta nafsu kepada perempuan sudah berkurangan, maka bagaimana pula mereka sanggup melakukan perzinaan lagi.
Demikian juga pemerintah, untuk apa dia berbohong? Dia tidak memerlukan kepada penipuan dan kepura-puraan kerana tidak ada rakyat jelata yang ditakutinya. Berbeza dengan orang biasa, kadang-kadang mereka menipu dan berpura-pura kepada orang yang mengancamnya kerana takut disakiti atau dianiaya.
Begitulah juga dengan orang fakir, untuk apa dia berlaku sombong takbur? Sedangkan dia tidak memiliki kekayaan dunia.
Oleh itu perbuatan mereka itu tidak lain hanyalah semata-mata maksiat dan meringan-ringankan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
8. Derhaka kepada ibu bapa.
Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga, dan Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang bersifat kelelakian yang menyerupai lelaki, orang yang dayyûts, dan tiga orang yang Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, peminum arak, dan pengungkit dengan apa yang telah diberikan. (Hadits riwayat Ahmad)
Derhaka kepada ibu bapa juga adalah salah satu daripada dosa-dosa yang paling besar. Sabda Baginda:
Maksudnya: Dosa-dosa besar yang paling besar ialah menyekutukan Allah, membunuh jiwa, menderhaka kepada ibu bapa dan perkataan bohong atau sabda Baginda: “Dan persaksian bohong.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu terletak pada keredhaan ibu bapa, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Keredhaan Allah itu daripada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan kedua ibu bapa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
9. Perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya.
Perbuatan menyerupai ini tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ malah tidak akan dimasukkan ke syurga, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini.
Perbuatan menyerupai ini juga dilaknat oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
10. Dayyûts dan peminum arak.
Dayyûts ialah orang yang tahu dan redha akan kemungkaran yang terjadi kepada ahli keluarganya dan tidak ada rasa cemburu terhadapnya. Orang yang dayyûts dan peminum arak tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Ia juga tidak akan dimasukkan ke syurga selama-lamanya, sebagaimana Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga selama-lamanya (mereka ialah): Dayyuts daripada kalangan lelaki, perempuan yang berketerampilan seperti lelaki dan peminum arak. Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Adapun peminum arak itu kami telahpun mengetahuinya, apakah ia dayyuts daripada kalangan lelaki itu?” Baginda bersabda: “Yang tidak menghiraukan sesiapa yang masuk ke dalam keluarganya”. Kami bertanya: “Perempuan yang berketerampilan seperti lelaki?” Baginda bersabda: “Yang menyerupai lelaki.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
11. Lelaki yang meliwat.
Perbuatan meliwat atau mendatangi perempuan ataupun lelaki melalui dubur adalah perbuatan terkutuk. Ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan memandang orang yang melakukannya di Hari Kiamat kelak. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah tidak akan memandang kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau perempuan melalui duburnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitulah sebilangan perkara yang menyebabkan seseorang itu terjauh dari pandangan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di akhirat kelak. Oleh itu sayugia kita elakkan dan jauhkan diri kita dan keluarga kita daripada perkara-perkara keji dan mungkar, semoga kita sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah jua.
DO‘A
FAHAMI SEBENAR-BENARNYA MENGAPA KITA BERDO‘A!
Berdo‘a bukanlah perkara asing dalam kehidupan kita orang Islam. Setiap hari kita tidak lekang daripada berdo‘a. Bahkan masyarakat kita sangat sebati dengan amalan berdo‘a. Dalam apa jua acara, seperti majlis perkahwinan, majlis berpindah rumah dan sebagainya, do‘a menjadi inti dalam acara tersebut. Akan tetapi sejauh manakah kefahaman kita mengenai do‘a itu? Sejauh manakah penghayatan kita ketika berdo‘a?
Kita dapati ada segelintir masyarakat kita yang bersikap cuai, bosan atau tidak bersungguh-sungguh untuk berdo‘a. Ada di antara mereka merungut apabila pembaca do‘a membaca do‘a -do‘a yang panjang, berkata-kata sedang kedua tangannya menadah ke langit, sambil lewa, tidak mengaminkan do‘a dan malah ada juga yang langsung tidak mahu berdo‘a. Do‘a hanya setakat di bibir atau hanya tangan ditadahkan menyambut do‘a tetapi fikiran entah ke mana.
Oleh itu eloklah dijelaskan di sini, apakah sebenarnya hakikat do‘a itu dan kepentingannya bagi seorang hamba serta beberapa perkara berkaitan dengannya.
Do‘a Itu Ibadat Dan Senjata Orang Mu’min
Do‘a adalah permintaan atau permohonan seorang hamba kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sebagai jalan untuk menyatakan hajatnya. Hajat seseorang itu terlalu banyak, tidak terkira, lebih-lebih lagi di saat-saat ia susah, menderita ditimpa bencana. Do‘a itu adalah ibadat kerana ia merupakan pernyataan seorang hamba kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan kelemahan dirinya. Ia juga merupakan pengakuan seorang hamba bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Maha Berkuasa sama ada untuk memakbulkan do‘anya atau sebaliknya.
Daripada an-Nu‘man bin Basyir beliau berkata:
Maksudnya: Aku mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Do‘a itu ibadat”. Kemudian Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah Ghâfir: 60 yang tafsirnya): “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘a lah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan do‘a permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdo‘a kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Do‘a juga merupakan senjata orang mu’min, tiang agama dan cahaya langit dan bumi, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Do‘a itu senjata orang mu’min, tiang agama dan cahaya langit dan bumi. (Hadits riwayat al-Hakim)
Do‘a mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana do‘a itu penyataan seorang hamba akan kefakiran, kelemahan serta kehinaannya dan pengakuannya terhadap kekuatan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sesuatu (zikir dan ibadat) yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘âlâ daripada do‘a. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Allah Murka Kepada Sesiapa Yang Tidak Berdo‘a
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murka kepada sesiapa yang tidak berdo‘a atau tidak memohon sesuatu kepadaNya. Ini kerana orang yang meninggalkan do‘a itu dikatakan sebagai sombong, takbur dan tidak memerlukannya. Menurut ath-Thibiy Rahimahullâh, bahawa kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah kerana Allah menyukai orang yang memohon kurniaanNya, maka sesiapa yang tidak memohon kepada Allah nescaya Dia membencinya, dan orang yang dibenci itu sudah tentu dimurkai. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berkata Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa sebakhil-bakhil manusia adalah siapa yang bakhil memberi salam dan selemah-lemah manusia adalah siapa yang lemah (malas) untuk berdo‘a. (Hadits riwayat Abu Ya‘la)
Janji Allah Memakbulkan Do‘a
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan dan mendorong hambaNya untuk berdo‘a dan memohon kepadaNya. Dia telah berjanji untuk memakbulkan permohonan mereka, bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ malu jika menolak permintaan hambaNya dengan tangan kosong. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu Tabâraka wa Ta‘âlâ Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdo‘a) mengangkat kedua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa (daripada rahmatNya). (Hadits riwayat Abu Daud)
Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada seorang yang memohon kepada Allah dengan satu do‘a melainkan dimakbulkan untuknya, sama ada disegerakan permohonannya itu di dunia, dan sama ada disimpan permohonannya itu di akhirat, dan sama ada diampunkan dia daripada dosa-dosanya dengan kadar yang dipohonkan, selagi dia tidak memohon perkara dosa atau memutus silaturahim atau tergesa-gesa (untuk dimakbulkan do‘anya). Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimana tergesa-gesa itu?” Baginda bersabda: “Dia berkata: “Aku berdo‘a kepada Tuhanku namun Dia tidak memakbulkan untukku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, jelas bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pasti akan memakbulkan permohonan orang yang berdo‘a.
Di dalam kitab Tuhfah al-Ahwâdzi Syarah Jâmi‘ at-Tirmidzi ada disebutkan bahawa pemakbulan do‘a itu mempunyai waktu yang tertentu, sebagaimana diceritakan bahawa jarak di antara do‘a dengan pemakbulan do‘a Nabi Musa dan Nabi Harun ‘Alaihimassalâm ke atas Fir‘aun, adalah selama empat puluh tahun. Terkabulnya do‘a itu pula ada beberapa bentuk antaranya: 1. Memperolehi apa yang dipohon pada waktunya. 2. Memperolehi apa yang dipohon pada waktu lain kerana terdapat hikmah di sebalik kelewatan atau kelambatannya. 3. Menolak keburukan sebagai ganti permohonannya ataupun diberi kebaikan lain yang lebih baik daripada yang dipohonnya. 4. Permohonannya disimpan sehingga hari yang lebih diperlukan pahalanya. 5. Pengampunan dosa-dosa sekadar apa yang dipohonkan.
Berdo‘a Dengan Niat Tulus Ikhlas Dan Jangan Berputus Asa Kita dilarang berputus asa daripada memohon dan mendapatkan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta pertolonganNya. Ini kerana sikap melahirkan kekecewaan dan putus asa daripada memohon kepadaNya itu adalah sikap yang tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87) Apa yang dituntut ke atas orang yang berdo‘a itu ialah jangan bosan dalam berdo‘a. Berdo‘alah dengan niat yang tulus ikhlas, bersungguh-sungguh dengan menghadirkan jiwa dan yakin bahawa do‘anya akan dimakbulkan. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: Berdo‘a lah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dimakbulkan dan kamu ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan do‘a daripada hati yang lalai serta bermain-main (dengan apa yang dipohon atau sibuk dengan urusan selain Allah Ta‘ala). (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Berdo‘a Pada Ketika Kebiasaannya Dimakbulkan Do‘a Do‘a yang mudah dan cepat dikabulkan itu mempunyai waktu, saat-saat atau keadaan-keadaan yang tertentu. Antara waktu dan keadaan tersebut adalah seperti berikut: 1. Lailatulqadar. 2. Satu pertiga akhir waktu malam. 3. Selepas menunaikan sembahyang fardhu. 4. Ketika azan dan iqâmah. 5. Ketika turun hujan. 6. Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan. 7. Hari dan malam Jumaat. 8. Ketika minum air Zamzam. 9. Ketika sujud. 10. Hari ‘Arafah dan setelah melaksanakan manâsik haji yang lain seperti selepas melontar jamrah, berdo‘a dalam Ka‘bah, berdo‘a di bukit Shafa dan Marwah.
11. Pada bulan Ramadhan. 12. Do‘a orang yang dizalimi. 13. Ketika dalam pelayaran. 14. Do‘a orang yang berbuka puasa. 15. Do‘a orang yang sakit. 16. Do‘a imam yang ‘âdil. 17. Do‘a selepas wudhu. Adab-adab dan etika berdo‘a perlulah dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang berdo‘a. Antara adab-adab tersebut adalah seperti berikut: 1. Ikhlas kerana Allah Ta‘ala. 2. Memulakan serta mengakhiri do‘a dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. 3. Bersungguh-sungguh dalam berdo‘a dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. 4. Berdo‘a disertai dengan kerendahan hati, khusyû‘, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya. 5. Menghadap qiblat dan menadah dua tangan. 6. Berwudhu. 7. Berdo‘a dengan jalan bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta‘ala. 8. Bertawassul dengan amal salih yang dikerjakan oleh orang yang berdo‘a. 9. Menjauhi segala maksiat.
Demikian juga, berterusanlah berdo‘a dan mengulang-ulang do‘a sebanyak tiga kali. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam suka mengulang-ulang do‘a itu sebanyak tiga kali. Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyenangi supaya seseorang itu berdo‘a tiga-tiga kali dan beristighfâr tiga-tiga kali. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jenis Do‘a Yang Disukai Nabi
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyukai jenis do‘a yang mencakupi semua kebaikan dunia dan akhirat. Jenis do‘a seperti ini bentuk lafaznya pendek atau sedikit tetapi mempunyai makna yang luas, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyukai do‘a yang mencakupi (kebaikan dunia dan akhirat) dan meninggalkan selain itu (yang tidak mencakupi). (Hadits riwayat Abu Daud)
Contoh do‘a -do‘a yang mencakupi itu, antaranya seperti berikut:
1. Memohon kebaikan di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.
2. Memohon keampunan dan afiat di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keampunan dan keafiatan (selamat daripada bala) pada agama, di dunia dan akhirat.
3. Memohon hidayat, ketaqwaan, kesucian dan kecukupan:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu hidayat, ketaqwaan, kesucian (jauh daripada perkara yang haram) dan kecukupan. 4. Memohon keselesaan di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Ya Allah, limpahkanlah kepadaku keselesaan di dunia dan akhirat.
5. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan kesemuanya, (kebaikan) yang segera (di dunia) dan yang tidak segera (di akhirat), (kebaikan) yang aku tahu dan yang aku tidak tahu, dan aku berlindung denganMu daripada kejahatan kesemuanya, (kejahatan) yang segera (di dunia) dan yang tidak segera (di akhirat), (kejahatan) yang aku tahu dan yang aku tidak tahu.
6. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan sebagaimana yang dipohonkan oleh hamba dan Nabi:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan yang dipohon oleh hamba dan NabiMu, dan aku berlindung denganMu daripada keburukan yang hamba dan NabiMu berlindung daripadanya.
7. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan yang khazanahnya di tangan Allah:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu segala kebaikan yang khazanahnya di tanganMu, dan aku berlindung denganMu daripada keburukan yang khazanahnya di tanganMu.
Hindari Perkara Yang Menolak Do‘a
Perlu diingat juga, selain berdo‘a dengan niat yang tulus ikhlas dan yakin, kita hendaklah juga menghindari dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan do‘a ditolak.
Perkara-perkara yang boleh menyebabkan do‘a ditolak antaranya seperti tiga perkara yang disebutkan sebelum ini iaitu memohon perkara dosa, memutuskan silaturrahim dan tergesa-gesa menganggap do‘a tidak dimakbulkan.
Demikian juga, do‘a tidak dimakbulkan jika makanan, minuman dan pakaiannya datang daripada yang haram. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu bagus (Maha Suci daripada segala kekurangan), tidak menerima sesuatu melainkan yang bagus. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah diperintahkan para rasul. Lalu Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah al-Mu’minun: 51): “(Wahai rasul-rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan)”. Baginda membaca lagi (surah al-Baqarah: 172): “(Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu)”. Kemudian Baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang jauh pelayarannya (pada mentaati Allah seperti haji, berziarah dan sebagainya) yang kusut dan berdebu rambutnya, menadah kedua tangannya ke langit (dan berkata): “Wahai Tuhan, wahai Tuhan”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipelihara (disuap) dengan yang haram, maka bagaimana dimakbulkan (do‘anya) dengan sifatnya yang sedemikian?” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas menyarankan supaya berbelanja di jalan yang halal dan melarang daripada berbelanja di jalan yang haram. Maka makanan, minuman, pakaian dan sebagainya hendaklah yang halal dan tiada perkara syubhah padanya. Begitu juga, do‘a tidak akan dimakbulkan jika makanan, minuman dan pakaian datangnya daripada yang haram.
Ibrahim bin Adham pernah ditanya: “Apa hal bila kami berdo‘a tidak dimakbulkan?” Beliau menjawab: “Kerana kamu tahu akan Allah tapi kamu tidak mentaatinya dan kamu tahu akan Rasul tapi kamu tidak mengikut sunnahnya dan kamu tahu akan al-Qur’an tapi kamu tidak mengamalkannya dan kamu meni‘mati ni‘mat anugerah Allah tapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu tahu akan syurga tapi kamu tidak menuntutnya dan kamu tahu akan neraka tapi kamu tidak lari darinya malah kamu bersetuju dengannya dan kamu tahu akan mati tapi kamu tidak bersedia untuknya dan kamu mengebumikan mayat tapi kamu tidak mengambil i‘tibâr dan kamu meninggalkan keaiban kamu tapi sibuk dengan keaiban orang lain.”
Akhirnya, perbanyakkanlah do‘a, kerana do‘a itu dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mengingati Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa sama ada pada waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdo‘a hendaklah dilakukan pada setiap masa lebih-lebih lagi pada waktu senang dan mewah, kerana dengan cara itu apabila berdo‘a pada waktu susah, do‘a akan mudah diperkenankan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesiapa suka supaya dikabulkan do‘anya oleh Allah pada waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan do‘a pada waktu senang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sesungguhnya do‘a itu adalah untuk memohon keredhaan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dunia dan akhirat, selamat daripada kemurkaan dan seksaNya yang pedih, dan memohon bantuanNya agar dapat beribadat dan bersyukur kepadaNya.
Do‘a itu juga adalah komunikasi langsung antara hamba dan Tuhannya, kerana itu hayatilah do‘a itu dan lakukanlah dengan menjaga adab-adabnya. Berdo‘a lah dengan bersungguh-sungguh, disertai dengan hati yang tulus ikhlas, khusyû‘ dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Janganlah berputus asa dan cepat bosan untuk berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, apatah lagi langsung tidak berdo‘a, kerana perbuatan ini boleh menyebabkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
ZIKIR
TAKBÎR Lambang Kesyukuran Di Hari Raya
Setiap kali tibanya Hari Raya, seruan takbîr akan berkumandang di masjid-masjid, rumah-rumah persendirian dan di kaca-kaca televisyen, begitu juga di corong-corong radio. Dengan bergemanya takbîr itu, semakin terasalah kemeriahan suasana Hari Raya.
Menyambut kedatangan ‘Idul Fitri dengan bermain mercun atau bermain bunga api bukanlah cara yang dianjurkan oleh ajaran Islam dan bukan cara memuliakan kedatangan hari yang mulia itu. Apatah lagi perbuatan ini juga boleh menjurus kepada bahaya dan pembaziran yang dicela oleh Islam. Islam mempunyai caranya yang tersendiri semasa merayakan hari-hari kebesarannya.
Kita umat Islam seharusnya sedar bahawa ‘Idul Fitri adalah kurnia daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam, kerana kita telah berjaya melaksanakan ibadat puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.
Pada hari kemenangan tersebut, kita disunatkan untuk meraikannya dengan melaungkan takbîr. Ini kerana dengan bertakbîr, kurniaan ‘Idul Fitri akan dapat dirasai dan dihayati sehingga melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah Ta‘ala, sesuai dengan maksud takbîr iaitu mengagungkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan melafazkan kalimah ‘Allâhu Akbar’.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185)
Lafaz Takbîr Hari Raya
Lafaz takbîr Hari Raya sebagaimana yang di sebut dalam kitab-kitab fiqh ialah:
Ertinya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Lafaz takbîr tersebut disunatkan membaca sebanyak 3 kali.
Disunatkan selepas bertakbîr tiga kali itu membaca:
Ertinya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah yang teramat banyak, Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada tuhan melainkan Allah, dan tiada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir, tiada tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzâb dengan sendiri (KekuasaanNya), tiada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.
Waktu Melaungkan Takbîr
Takbîr pada Hari Raya ‘Idul Fitri dinamakan sebagai takbîr mursal atau muthlaq iaitu takbîr yang tidak terikat waktunya selepas sembahyang bahkan sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sehinggalah imam mengangkat takbîratul-ihram untuk menunaikan sembahyang Hari Raya.
Takbîr ‘Idul Fitri ini berbeza dengan takbîr Hari Raya Adha. Takbîr pada Hari Raya Adha dinamakan takbîr muqayyad dan ia sunat dilaungkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat dan berterusan sehingga selesai menunaikan sembahyang Ashar pada hari tasyrîq yang terakhir.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang daripada ulama ‘asy- Syafi‘iyyah berkata: “Sunat melaungkan takbîr (‘Idul Fitri) sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara jahr atau yang nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga imam mengangkat takbîratul-ihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbîr itu adalah sebagai syi‘ar bagi menandakan waktu ‘Idul Fitri itu telah tiba maka adalah lebih awlâ dikerjakan atau disambut dengan takbîr.”
Melaungkan takbîr dengan suara jahr adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja, dan bagi perempuan atau khuntsâ, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka.
Manakala had waktu bertakbîr bagi orang yang sembahyang sunat Hari Raya secara bersendirian pula, adalah dikira sehingga dia mengangkat takbîr sembahyang ‘Idul Fitri.
Menurut asy-Syabramallisi Rahimahullâh, apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbîr, membaca surah al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Dengan bertakbîr itu sudah cukup membuktikan bahawa Hari Raya Fitri bukan hari untuk kita berpesta bahkan untuk kita beribadat dengan melafazkan rasa syukur di atas anugerah Allah Ta‘ala melalui takbîr dan ibadat-ibadat lain yang kita lakukan.
Dengan ini juga membuktikan bahawa Hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan Hari Raya orang bukan Islam, apatah lagi ia disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadat puasa. Kalau orang bukan Islam berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya.
Oleh itu, meriahkanlah suasana ‘Idul Fitri itu dengan melaungkan takbîr kerana menyambut ‘Idul Fitri berserta laungan takbîr adalah satu ibadat dan syi‘ar bagi kita sebagai melahirkan rasa syukur kita kepada Allah Subhânhu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5989
