Irsyad Hukum 2009
AL-QUR’AN
TULISAN AYAT AL-QUR’AN PADA KAIN PENUTUP KERANDA
Di Alam Melayu dan di sesetengah negara Timur Tengah, menutup keranda jenazah dengan kain atau objek lain yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an atau zikir yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan telah menjadi kebiasaan. Namun pada akhir-akhir ini, kebiasaan ini telah dipersoalkan oleh golongan tertentu. Antara persoalan yang timbul ialah kain yang mengandungi ayat-ayat atau zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan itu adalah haram diletakkan pada keranda.
Mengapakah penutup keranda yang tertulis padanya ayat al-Qur’an atau zikir yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada pandangan mereka diharamkan?
Antara alasan yang dikemukakan golongan yang mengharamkan ini ialah kerana amalan berkenaan bercanggah dengan agama Islam, dengan tanggapan bahawa kain yang bertulis ayat suci al-Qur’an, zikir atau do‘a itu tidak dapat mengelakkan si mati daripada seksaan kubur, di samping sebab-sebab lain yang membuatkan golongan ini mengatakannya haram.
Penutup Keranda
Penutup keranda itu ada yang diperbuat daripada kain, kertas, tikar atau objek-objek lain yang sesuai. Pada asalnya penutup itu tidak mengandungi apa-apa tulisan ayat al-Qur’an atau do‘a kerana tujuannya hanyalah untuk menutup dan melindungi jenazah daripada pandangan orang ramai ketika hendak dimasukkan ke dalam kubur. Sebelum ia digunakan untuk tujuan tersebut, ia diletakkan di atas keranda sebagai penutup sejak dari mula jenazah dimasukkan ke dalamnya sehinggalah sampai di kawasan kubur. Apabila jenazah hendak dimasukkan ke liang lahad dan seterusnya masa menimbus kubur dengan tanah, maka ketika itulah kain keranda atau objek berkenaan digunakan.
Seterusnya dalam kaitan penggunaan penutup keranda ini dengan amali penguburan jenazah, ulama menyebutkannya sunat menutupi jenazah ketika memasukkannya ke dalam kubur dengan sesuatu yang boleh menutupinya. Walaupun sesetengah mereka menyebutkannya sebagai kain penutup, tetapi hukum sunat ini boleh berlaku dengan mana-mana sahaja objek yang dikira dapat menutup daripada pandangan.
Hukum sunat menutupi jenazah ketika memasukkannya ke dalam kubur ini adalah bertujuan untuk menutup sebarang kemungkinan tersingkap mana-mana bahagian mayat yang wajib ditutup. Hukum ini diutamakan ke atas jenazah perempuan sebagaimana disebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menutupi kubur Sa‘ad bin Mu‘adz semasa menguburkannya.
Keranda
Mengikut keterangan ulama, keranda pada mulanya digunakan oleh orang-orang Habsyah, kemudian barulah digunakan oleh orang-orang Islam. Orang Islam yang mula-mula sekali menggunakannya ialah Asma’ binti ‘Umais Radhiallâhu ‘anhâ untuk suaminya. Beliau berbuat demikian setelah melihat di Habsyah keranda digunakan untuk membawa jenazah. Setelah itu, jenazah perempuan Islam yang mula-mula sekali dibawa dalam keranda ialah Zainab Ummul Mukminin Radhiallâhu ‘anhâ.
Penggunaan keranda adalah disunatkan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Disunatkan membuat keranda untuk jenazah perempuan.
Begitu juga Nashr al-Maqdisiy berkata: “ ُ ال َّعْش (keranda) ialahَُّ الْمِكَب iaitu penutup yang diletakkan di atas jenazah perempuan yang berada di atas usungan, dan ditutup pula dengan kain untuk menutupnya daripada pandangan orang ramai.”
Berdasarkan keterangan ini adalah boleh menggunakan keranda dan sunat menutupnya dengan mana-mana objek yang boleh menjaga kehormatan jenazah daripada pandangan orang ramai.
Pandangan Ulama Mengenai Ayat Al-Qur’an Atau Do‘a Pada Kain Kafan
Sesetengah ulama mazhab asy-Syafi‘e ada yang telah membahaskan dan memfatwakan tentang penulisan zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada kain kafan.
Ibnu Hajar Rahimahullâh pernah ditanya tentang adakah boleh menulis zikir dan do‘a berikut pada kain kafan dan adakah zikir dan do‘a ini mempunyai dasar pengambilannya?
Ibnu Hajar Rahimahullâh menjawab dengan berkata bahawa sesetengah ulama menukilkan bahawa penulisan do‘a ini pada kain kafan mempunyai dasar pengambilannya dengan mengqiyâskannya kepada penulisan perkataan “Allah” pada binatang zakat sepertimana yang difatwakan oleh al-Faqih Ibnu ‘Ujail Rahimahullâh.
Do‘a ini juga telah diperakui oleh sesetengah ulama yang lain sehingga dikatakan jika menulis do‘a ini dengan tujuan yang betul dan dikehendaki maka dituntut melakukannya dan diharuskan. Tetapi jika diketahui ia akan terkena najis, ia perlu dipertimbangkan.
Namun pandangan ini telahpun ditolak oleh Ibnu Shalah kerana penulisan perkataan “Allah” pada binatang zakat adalah bertujuan untuk membezakannya daripada binatang lain yang bukan zakat, bukannya untuk tujuan tabarruk (memperolehi berkat), sedangkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan adalah bagi tujuan tabarruk. Menurut fatwa beliau, tidak boleh menulis ayat-ayat al- Qur’an pada kain kafan kerana dikhuatiri terkena danur mayat (air yang keluar dari mayat yang telah busuk).
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa “dituntut melakukannya kerana tujuan yang betul dan dikehendaki, oleh itu ia diharuskan”, adalah pendapat yang ditolak sama sekali kerana alasan yang sedemikian tidak boleh dijadikan hujjah. Hujjah hanya akan nampak jelas sekiranya shahîh riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menuntut melakukannya, sedangkan perkara tersebut tidak demikian.
Itulah jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh sebagaimana yang dinukilkan oleh pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn. Walaupun Ibnu ‘Ujail Rahimahullâh memfatwakan boleh menuliskan do‘a ini dan diperakui oleh sesetengah ulama lain, tetapi berdasarkan mafhûm jawapan yang di atas, kita mendapati Ibnu Hajar Rahimahullâh cenderung kepada pendapat yang tidak membolehkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan. Mafhûm ini secara khusus dapat dirujukkan kepada pendapatnya yang menyebutkan do‘a ini akan terdedah kepada najis dan menuliskannya pula pada kain kafan tidak ada riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyuruh berbuat demikian.
Mafhûm ini selari dengan mafhûm pendapat ulama yang datang selepas Ibnu Hajar Rahimahullâh tentang wajibnya menghormati al-Qur’an dan nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan. Pendapat mereka dapat dirujuk dalam kitab seperti Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah dan Fath al-Mu‘în.
Di dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan:
Ertinya: Mereka (ulama) berkata: “Haram menuliskan sesuatu daripada ayat al- Qur’an atau nama yang diagungkan pada sesuatu objek yang berkaitan dengan mayat kerana ia akan bernajis dengan shadîd (nanah bercampur darah).
Di dalam kitab Fath al-Mu‘în pula disebutkan:
Ertinya: Dan haram menuliskan sesuatu daripada ayat al-Qur’an dan nama-nama Allah Ta‘ala pada kain kafan.
Nash yang terdapat dalam kitab-kitab yang tersebut di atas jelas menyatakan bahawa mana-mana ayat al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan, seperti nama-nama Allah Ta‘ala dan RasulNya, adalah haram dituliskan pada kain kafan mayat dengan alasan ia terdedah kepada kotoran yang menyebabkan kehormatannya tercemar.
Maka berdasarkan mafhûm jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh dan nash-nash pendapat ulama, dan hasil perbincangan ini, penulisan do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan pada kain kafan adalah tidak sesuai dengan kemuliaan zikir dan do‘a-do‘a itu, terlebih-lebih lagi ayat-ayat al-Qur’an.
Ayat Atau Do‘a Pada Kain Penutup Keranda
Adapun persoalan tentang ayat, do‘a atau zikir yang dituliskan pada kain penutup keranda pula tidak banyak berbeza dengan persoalan penulisannya pada kain kafan, terutama dari sudut tujuan penulisan untuk tabarruk dan dari sudut keterdedahannya kepada najis dan sentuhan orang-orang yang tidak berwudhu.
Jika kain atau mana-mana objek yang ditulis padanya ayat-ayat suci al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan dijadikan penutup keranda kerana tujuan tabarruk, sedangkan kehormatan apa yang ditulis itu tercemar atau terabai, seperti terkena najis atau ayat-ayat al-Qur’an itu disentuh oleh orang yang tidak berwudhu, maka yang demikian tentulah tujuan untuk tabarruk ini tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi tidak ada suruhan menuliskannya secara jelas dari syara‘. Tujuan tabarruk hanya akan tercapai jika tidak timbul apa-apa perkara yang boleh membatalkan tujuan itu, misalnya membawa ayat-ayat al-Qur’an dalam saku baju dengan tujuan tabarruk, tetapi tujuan tabarruk ini tidak akan tercapai apabila terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti orang yang memakai baju itu dalam keadaan berhadas besar atau membawanya ke tempat-tempat bernajis.
Maka berkaitan dengan penulisan ayat-ayat al-Qur’an pada kain atau objek yang dijadikan penutup keranda, dari satu sudut ia adalah sama dengan penulisan do‘a-do‘a tersebut pada kain kafan, iaitu dari sudut keterdedahannya kepada kotoran dan tidak adanya nash syara‘nyata yang menyuruh menuliskannya.
Dari sudut lain pula ialah menghormati al-Qur’an itu. Menghormati ayat-ayat al- Qur’an adalah wajib diutamakan sehingga ulama dengan tegas menghukumkan haram meletakkannya pada tempat yang kotor, najis atau yang terdedah kepada kotoran atau najis, atau pada tempat yang hina atau terdedah kepada penghinaan, seperti membawanya ke negeri musuh yang dikhuatiri akan menyebabkannya mendapat penghinaan, menjualnya kepada orang yang bukan Islam dan menyentuhnya tanpa wudhu dan lain-lain adab menghormati al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab mereka.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79)
Hukum ini berlaku dalam keadaan biasa dan hukum menyentuhnya lebih ringan berbanding membawa atau menanggungnya. Adapun dalam keadaan dharurat, ia boleh disentuh dan ditanggung seperti apabila dikhuatiri ia akan tenggelam, terbakar, terkena najis atau jatuh ke tangan orang kafir. Dalam keadaan seperti ini wajib disentuh atau ditanggung untuk menyelamatkannya, sama ada ketika itu ada wudhu atau tidak.
Hukum ini juga berlaku sama ada untuk Mushhaf yang lengkap atau untuk sebahagian ayat sahaja kerana yang dinamakan al-Qur’an itu ialah sama ada untuk semua atau sebahagiannya, semuanya itu tetap dinamakan al-Qur’an.
Itulah sebabnya ulama menyebutkan bahawa kehormatan dan keagungan yang begitu tinggi yang diberikan kepada al-Qur’an al-Karim tidak pernah diberikan kepada mana-mana kitab lain.
Alasan Yang Rapuh
Mungkin ada yang berkata bahawa kehormatan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang ditulis pada kain keranda boleh dijaga. Namun hujjah atau kata-kata ini masih dipertikai kerana tulisan ayat al-Qur’an pada kain keranda boleh sahaja mengundang beberapa persoalan yang akan mencemari kemuliaannya, seperti terdedah kepada sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu dan kepada pengabaian setelah ia selesai digunakan dan lain-lain.
Mungkin orang beranggapan atau mengandaikan bahawa tulisan itu dapat memberi manfaat kepada jenazah dan kepada orang yang masih hidup. Jenazah mendapat berkat dan rahmat atau dengan adanya tulisan ayat-ayat itu, orang yang hidup juga akan berpeluang mendapat pahala dengan membacanya. Orang juga boleh memberi alasan bahawa kain yang bertulis ayat-ayat itu boleh dijaga agar tidak disentuh oleh orang yang tidak berwudhu atau dijaga dari terhina.
Semua anggapan dan andaian ini tidaklah boleh dijadikan dalil syara‘. Perkara rahmat, pahala dan dosa hanya Allah Ta‘ala jua yang mengetahuinya. Adapun kita tidak dapat mengetahuinya kecuali jika ia disebutkan oleh nash-nash syara‘. Pencemaran oleh sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu atau oleh pengabaian atau terkena najis dan kotoran adalah lebih perlu dijaga berbanding andaian-andaian ini.
Jadi penulisannya pada kain yang sentiasa terdedah kepada pengabaian dan sentuhan orang awam itu adalah lebih baik ditiadakan demi menjaga kehormatannya. Daripada huraian di atas disimpulkan bahawa penulisan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a-do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada kain kafan adalah terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti terkena shadid jenazah. Mendedahkan apa yang wajib dimuliakan dan dihormati kepada perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan dan kehormatannya adalah haram. Kemudian penulisan pada kain atau objek yang dijadikan penutup keranda adalah sama tujuannya dengan penulisannya pada kain kafan walaupun mungkin keterdedahannya kurang, namun dari sudut tujuan maksud tabarruk, ia dianggap telah mencemari tujuan tabarruk itu sendiri.
Oleh sebab itu meletakkan kain yang bertulis dengan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan sebagai penutup keranda yang membawa jenazah lebih baik ditiadakan.
Adapun meletakkan kain atau mana-mana objek yang tidak mengandungi perkara-perkara yang dipersoalkan di atas keranda dengan tujuan untuk digunakan sebagai penutup jenazah ketika proses memindahkannya ke dalam kubur hukumnya adalah sunat, dan juga sebagai penghadang tanah daripada terkena orang yang sedang menimbus kubur di dalam kubur.
BAGAIMANA MELUPUSKAN MUSHHAF YANG TIDAK DAPAT DIGUNAKAN LAGI?
Kitab suci al-Qur’an merupakan Kalâmullâh dan wahyu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan membawa kebenaran dan petunjuk kepada umat manusia, sekaligus mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya. (Surah al-Mâ’idah: 48)
Kitab Suci al-Qur’an itu, sehingga ke hari ini dan selama-lamanya terselamat dan terpelihara daripada perubahan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr: 9)
Hukum Memuliakan Al-Qur’an
Umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib memuliakan, mengagungkan dan memelihara Kitab Suci al-Qur’an. Baik dari segi memelihara kesuciannya daripada kotoran ataupun memelihara kemuliaannya daripada sebarang perubahan, penambahan atau sebarang perbuatan yang membawa kepada penghinaannya. Begitu juga dari segi menjaga adab-adab ketika membaca, menulis, membawa, menyentuh, meletak dan menyimpan al-Qur’an, dan menjauhkannya daripada terdedah kepada perkara yang hina umpamanya meletakkannya di tempat-tempat yang tidak munasabah seperti tempat kotor, bersepah di jalan-jalan dan sebagainya.
Menurut Imam Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh, bahawa sesiapa yang memandang ringan terhadap al-Qur’an, Mushhaf atau sesuatu daripada ayat al- Qur’an, mengingkari satu huruf daripadanya, mendustakan sesuatu hukum atau khabar yang telahpun dijelaskan dalam al-Qur’an, mensabitkan sesuatu yang dinafikan dalam al-Qur’an, atau dia menafikan sesuatu yang ditsabitkan dalam al- Qur’an sedang dia tahu atau syak pada perkara itu, maka orang tersebut adalah kafir menurut ijmâ‘ umat Islam.
Demikian juga, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib menjaga dan menghormati Mushhaf. Menurut para ulama asy-syafi‘e dan ulama lainnya Rahimahumullâh, jika seseorang Muslim itu membuang Mushhaf ke tempat-tempat kotor, maka jadilah dia kafir. Menurut mereka lagi, hatta menjadikan Mushhaf itu sebagai bantal hukumnya adalah haram.
Begitulah ketinggian dan kemuliaan al-Qur’an. Kita amat dituntut untuk menghormati dan menjaga kesuciannya. Sehinggakan seseorang itu boleh menjadi kafir apabila mengingkari atau menghinanya.
Memandangkan kedudukan al-Qur’an yang amat tinggi dan mulia itu, bagaimanakah cara yang betul untuk mengendalikan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi? Adakah boleh dilupuskan Mushhaf tersebut?
Melupuskan Mushhaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi
Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi dan sukar untuk dijaga dan dipelihara, boleh dilupuskan dengan tujuan untuk menjaga kehormatannya. Perkara ini pernah dilakukan oleh Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu.
Diriwayatkan bahawa pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, al-Qur’an tidak terkumpul dalam satu Mushhaf akan tetapi ia dihafal oleh para sahabat Baginda. Ada antara mereka yang hafal keseluruhannya dan ada juga yang hanya hafal sebahagiannya. Setelah datang zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu Mushhaf yang akhirnya disimpan di rumah Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ isteri Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Inisiatif tersebut dibuat memandangkan para sahabat yang hafal al-Qur’an ditakuti wafat dan ditakuti juga akan terjadi perselisihan di antara orang-orang Islam selepas mereka.
Sehinggalah pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah memerintahkan supaya Mushhaf yang ada pada Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ itu disalin kepada beberapa Mushhaf. Inisiatif ini pula dibuat memandangkan terjadinya perbalahan dan perselisihan di antara umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Kebanyakan ulama meriwayatkan, Mushhaf tersebut disalin sebanyak empat naskhah. Kemudian naskhah al-Qur’an tersebut dikirim ke Kufah, Bashrah, Syam dan senaskhah lagi disimpan di tempat beliau.
Beliau juga memerintahkan supaya dilupuskan beberapa lembaran kertas yang tertulis padanya al-Qur’an atau Mushhaf selain daripada Mushhaf-mushhaf berkenaan dengan membakarnya. Ini bertujuan bagi mengelakkan terjadinya perselisihan umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Perbuatan beliau membakar Mushhaf itu tidak ada sahabat yang membantahnya.
Cara Melupuskan Mushhaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi
Para ulama ada menyebutkan bahawa cara melupuskan Mushhaf atau sesuatu yang tertulis dengan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi. Ada dua cara melupuskannya iaitu dengan membasuh tulisan ayat-ayat tersebut sehingga tidak kelihatan lagi atau dengan cara membakarnya.
1. Melupuskan Mushhaf dengan cara membasuh tulisannya:
Melupuskan Mushhaf dengan cara membasuh tulisan ayat-ayat al-Qur’an dengan air adalah lebih utama daripada membakarnya iaitu apabila ia mudah dilakukan dan tidak dikhuatiri air basuhan itu tercurah ke tanah. Adapun jika cara membasuh itu menyukarkan dan ditakuti air basuhannya tercurah ke tanah, maka adalah lebih utama ia dibakar.
2. Melupuskan Mushhaf dengan cara membakarnya:
Makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an melainkan bagi tujuan memuliakannya. Bahkan membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an itu boleh menjadi wajib jika yang sedemikian itu sahaja cara untuk menjaga kehormatan dan kemuliaannya.
Adapun melupuskannya dengan cara mengoyak atau mencarikkannya adalah haram kerana cara tersebut memutuskan huruf-huruf dan kalimatnya yang membawa maksud kepada mempersia-siakan dan memandang rendah apa yang tertulis itu.
Maka dari penjelasan di atas dapatlah disimpulkan, cara melupuskan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan itu dan sukar untuk dijaga dan dipelihara ialah sama ada dengan membasuh atau membakarnya. Dalam soal ini perlulah diingat, membasuh atau membakar Mushhaf itu hendaklah disertai niat yang baik dengan tujuan semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al- Qur’an, bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan.
Demikian juga, hendaklah dipastikan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibakar atau dibasuh itu, tidak ada lagi saki-bakinya yang tertinggal sehingga menyebabkan ia terbiar dan sekaligus menyebabkan ia terdedah kepada pencemaran dan penghinaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab seseorang itu untuk memastikan bahawa Mushhaf yang dilupuskan itu benar-benar lupus dan tidak ada lagi saki-baki tulisan ayat-ayat tersebut.
SEMBAHYANG
HUKUM MEMBACA DO‘A SELEPAS SURAH AL-FÂTIHAH
Membaca surah al-Fâtihah merupakan salah satu rukun sembahyang. Jika surah al- Fâtihah itu tidak dibaca, maka sembahyang yang dilakukan tidak sah.
Sementara membaca do‘a pula, secara umumnya adalah dituntut oleh syara‘, malah sesiapa yang enggan berdo‘a adalah dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sembahyang, memperbanyakkan do‘a ketika sujud adalah digalakkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sehampir-hampir hamba dari (rahmat dan fadhilat) Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Sementara membaca do‘a selepas surah al-Fâtihah, seperti membaca “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر” adakah ia disunatkan ataupun sebaliknya? Oleh itu, eloklah dijelaskan hukum membaca do‘a selepas surah al-Fâtihah di dalam sembahyang.
Hukum Membaca Do‘a Selepas Surah Al-Fâtihah
Orang yang membaca surah al-Fâtihah, sama ada al-Fâtihah itu dibaca ketika sembahyang atau di luar sembahyang, adalah disunatkan untuknya membaca do‘a memohon keampunan bagi dirinya iaitu: “ ِ ْ ِلِ رَباغْفِ ر ” atau membaca do‘a memohon keampunan bagi dirinya, ibu bapanya dan keseluruhan umat Islam iaitu: “ ِ رَبِْ َْ اغْفِ ر
mengucapkan “آم” sebagaimana kata Syeikh ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh
Bagaimana pula jika do‘a itu tadi ditambah atau diganti dengan do‘a-do‘a lain seperti do‘a penerang hati dan sebagainya?
Dalam hal ini, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh menjelaskan mengenainya, ketika mensyarahkan perkataan pengarang kitab Fath al-Mu‘în ( َ سِ و رَب ِ اغْفِر ) ertinya: “Kecuali bacaan ِِل ْ رَب ِ اغْفِر” katanya ا
Ertinya: Iaitu dikecualikan daripada melafazkan sesuatu bacaan (selepas membaca ْ ِ وَال َ الض َّ َل dan sebelum menyebut آم ) melafazkan lafaz do‘a ( ِِل ْ maka sesungguhnya ia (bacaan ِِل ْ رَب ِ اغْفِر itu) tidak memudharatkan (tidak menghilangkan hukum sunat menyebut آم) berdasarkan hadits hasan, bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengucapkan sesudah membaca ( َْ ِ
Daripada nas di atas dapat diketahui hukum melafazkan sesuatu bacaan sama ada ia zikir atau do‘a, boleh menghilangkan hukum sunat menyebut ‘âmîn’. Akan tetapi jika bacaan itu do‘a yang lafaznya ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر” ” maka ia terkecuali daripada terjejasnya hukum mengaminkan bacaan al-Fâtihah.
Syeikh ‘Ali asy-Syibramalissi Rahimahullâh pula menjelaskan kedudukan hukum jika lafaz do‘a “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِر” itu ditambah dengan lafaz yang lain, sebagaimana katanyaا Ertinya: Dan sayugia bahawasanya jika dia menambah ( lafaz ) itu, ( ِِل ْ dengan lafaz bacaan ( َّ ِْ الْمُسْ لِم وَجَِمِي ) ia juga tidak memudharatkan dan tidak menggugurkan hukum sunat menyebut “ آم”.
Makmum Hanya Dituntut Mengaminkan Al-Fâtihah Imam
Adapun makmum yang mendengar bacaan al-Fâtihah imam, tidak disunatkan membacaرَب ِ اغْفِر ِْلِ ”” ini. Makmum yang mendengar bacaan al-Fâtihah imam hanyalah disunatkan mengaminkan bacaan al-Fâtihah imam itu.
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin menyebutkan bahawa asy-Syarif al- ‘Allâmah Thahir bin Husein Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Tidak dituntut daripada makmum ketika imam selesai membaca al- Fâtihah, bacaan “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر” bahkan hanya dituntut mengaminkannya sahaja, dan bacaan “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر ” itu hanya disunatkan bagi pembaca al-Fâtihah sahaja sewaktu diam seketika (saktah) di antara bacaan ayat terakhir surah al-Fâtihah dan bacaan amin.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang disunatkan berdo‘a sebelum menyebut amin, memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat Muslimin, iaitu: “ َّ ْ ِلِ وَلِوَالِ دَي ِ َْ رَب ِ اغْفِ ر ِْ الْمُس ْلِم وَجَِمِي” adalah tidak menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fâtihah (menyebut َْ ِ آم).
Namun menambah do‘a memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat Muslimin tersebut dengan do‘a yang lain seperti do‘a penerang hati, do‘a memohon diberikan ilmu dan sebagainya, adalah menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fâtihah (menyebut َْ ِ آم).
THAHÂRAH
MANDI WAJIB KERANA WILÂDAH DAN NIFAS
Persoalan mandi wajib kerana nifas, wilâdah (beranak), haidh dan janâbah (berjunub) bukan hanya persoalan yang patut diketahui oleh wanita atau isteri sahaja, tetapi ia juga patut diketahui oleh lelaki atau suami, lebih-lebih lagi kalau wanita itu kurang maklumat atau pengetahuannya mengenai hal-hal mandi wajib ini.
Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu, iaitu mandi kerana wilâdah (beranak) dan mandi kerana nifas. Mandi kerana nifas itu wajib dilakukan setelah berhenti darah nifas atau habis tempoh masa yang paling maksima bagi nifas, iaitu selama enam puluh hari enam puluh malam.
Mandi Kerana Nifas
Bagi mengelak kekeliruan, darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak, sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seorang perempuan melahirkan anak.
Oleh yang demikian, darah yang di bawah ini tidak dianggap sebagai darah nifas, iaitu:
1. Darah yang keluar semasa hamil.
2. Darah yang keluar semasa sakit hendak melahirkan.
3. Darah yang keluar bersama-sama dengan anak semasa lahirnya.
Ketiga-tiga jenis darah yang disebutkan di atas adalah darah fasad atau darah istihâdhah, ataupun dalam keadaan dan syarat tertentu ia dihukumkan sebagai darah haidh.
Hukum seorang perempuan yang mengalami darah fasad atau istihâdhah adalah sama seperti seorang yang berada dalam keadaan berhadas kecil. Tidak diwajibkan ke atasnya mandi, cuma wajib dibersihkan darah tersebut dan memadai dengan berwudhu untuk membolehkannya menunaikan sembahyang.
Mandi Kerana Wilâdah (Beranak)
Menurut syara‘, wilâdah (beranak) itu sendiri merupakan salah satu sebab yang mewajibkan mandi. Termasuk dalam makna wilâdah yang mewajibkan mandi itu ialah:
1. Melahirkan anak secara normal (biasa), sekalipun melahirkan tanpa basah atau tanpa darah.
2. Melahirkan anak bukan secara normal, umpamanya melahirkan anak secara pembedahan.
3. Perempuan yang mengalami keguguran anak, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau seketul daging (mudhghah).
Menyentuh mengenai tiga perkara di atas, menurut hukum syara‘ seorang perempuan yang melahirkan anak dalam keadaan kering, tanpa diikuti oleh darah nifas sehingga habis tempoh 15 hari daripada hari melahirkan, dianggap sebagai wilâdah (beranak) tanpa basah dan dia juga dihukumkan sebagai tidak mengalami nifas.
Begitu juga jika seorang perempuan mendapati darah nifasnya itu tertangguh untuk jangka masa tertentu, maka dalam hal ini, diwajibkan ke atasnya mandi kerana wilâdah untuk mendirikan sembahyang apabila telah masuk waktu sembahyang.
Walau bagaimanapun jika sekiranya dia telah menunaikan mandi wilâdah, kemudian dia mendapati:
1. Darah keluar dalam lingkungan tempoh 15 hari dari hari melahirkan, maka itu adalah darah nifas. Dalam hal ini, dia diwajibkan mandi sekali lagi setelah kering darah nifasnya. Ini kerana mandi wilâdah yang dilakukannya terdahulu itu adalah tidak memadai untuk mengangkat hadas nifasnya.
2. Darah keluar setelah berlalu 15 hari dari hari melahirkan, maka darah itu bukan lagi dinamakan darah nifas, akan tetapi ia adalah darah haidh. Dalam hal ini, dia diwajibkan untuk mandi sekali lagi setelah kering darah haidhnya.
Cara Mengangkat Dua Hadas Besar
Persoalan yang timbul di sini ialah jika seorang perempuan itu sedang mengalami dua hadas besar dalam satu masa, iaitu wilâdah kemudian dia juga mengalami nifas. Bilakah sepatutnya dia menunaikan mandi wilâdah? Sekiranya dia menunaikan juga mandi wilâdah sebelum darah nifasnya kering, adakah hadasnya kerana wilâdah itu terangkat?
Berdasarkan pendapat Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika seorang perempuan itu sedang mengalami haidh, kemudian dia berjunub, atau sebaliknya, ketika dia berjunub dia didatangi haidh, hukumnya adalah tidak sah jika dia mandi mengangkat hadas junub dalam keadaan dia masih haidh. Ini kerana hadas junubnya itu tidak terangkat dalam keadaan dia masih haidh.
Dapat difahami daripada petikan di atas, bahawa seseorang yang melakukan mandi wilâdah dalam keadaan masih mengalami nifas, hadasnya kerana wilâdah itu tetap tidak terangkat memandangkan dia masih mengalami nifas. Apa yang boleh dilakukannya ialah menunggu sehingga darah nifas tersebut telah kering, kemudian barulah dia mandi kerana wilâdah dan nifas. Memadailah dengan sekali mandi sahaja untuk mengangkat kedua-dua hadas tersebut, iaitu wilâdah dan nifas.
Ini kerana menurut ulama, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja.
Caranya pula ialah sama ada dengan:
1. Meniatkan setiap hadas besar yang dimaksudkan. Sebagai contoh, jika dia mengalami dua hadas, iaitu nifas dan junub, maka diniatkan kedua-duanya seperti:
“Sahaja aku mengangkatkan hadas nifas dan janâbah.”
2. Atau memadai juga hanya dengan satu niat sahaja, iaitu dengan meniatkan salah satu hadas sahaja, tanpa perlu meniatkan setiap hadas besar yang dimaksudkan.
Atau dengan satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas yang dimaksudkan. Contoh niat yang umum itu ialah:
“Sahaja aku menunaikan fardhu mandi” atau “sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar).”
Dengan cara berniat di atas sudah memadai dan merangkumi kesemua mandi yang dimaksudkan dan tidak perlu melakukan dua mandi atau lebih secara berasingan.
Memandangkan mandi nifas itu hanya sah dilakukan apabila darah nifas telah kering atau berhenti, maka mandi wilâdah itu boleh disatukan dengan mandi nifas dalam satu mandi sahaja apabila telah kering darah nifas. Malahan memadai juga dengan hanya satu niat sahaja, sama ada dengan niat mandi kerana beranak ataupun kerana nifas.
Adapun sebab kenapa perkara ini diharuskan ialah kerana kesemua mandi itu (haidh, nifas, junub dan wilâdah) termasuk dalam kumpulan mandi yang diwajibkan oleh syara‘, bagi membolehkan seseorang itu menunaikan sembahyang.
Di samping itu, di bawah ini dibawakan beberapa contoh seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih:
1. Dua hadas besar.
Umpamanya: Seorang yang sedang berjunub kerana bermimpi dan kerana jima‘, atau seorang perempuan sedang berjunub, kemudian dia didatangi darah haidh atau sebaliknya.
2. Lebih daripada dua hadas besar.
Umpamanya: Seorang perempuan yang haidh, nifas dan dalam masa yang sama dia juga berjunub. Perkara ini boleh dibayangkan pada seorang perempuan yang dihukumkan mengalami haidh semasa hamil sehingga melahirkan, kemudian diikuti dengan darah nifas setelah melahirkan dan dia juga berjunub (umpamanya kerana bermimpi).
Sebagai kesimpulan, bagi perempuan yang telah melahirkan anak dan juga yang mengalami keguguran, diwajibkan ke atasnya mandi kerana wilâdah (beranak) dan juga kerana nifas apabila telah kering darah.
Bagi perempuan yang mengalami nifas sepertimana kebiasaannya yang terjadi, maka mandi wilâdah itu boleh disatukan dengan mandi nifas, iaitu setelah kering darah nifas. Malahan memadai juga dengan satu niat sahaja.
SEMBAHYANG
MUSAFIR YANG DIHARUSKAN MENGQASHAR DAN MENJAMA‘ SEMBAHYANG
Orang yang membuat pelayaran atau disebut juga sebagai musafir diberikan rukhshah iaitu keringanan hukum untuk mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu.
Maksud mengqashar sembahyang ialah memendekkan sembahyang fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu memendekkan sembahyang fardhu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’.
Manakala menjama‘ sembahyang pula bermaksud menghimpunkan dua sembahyang fardhu yang beriringan di dalam satu waktu iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashar secara jama‘ taqdîm atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’, sama ada secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr.
Tujuan rukshah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada musafir yang pada kebiasaannya menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang pelayaran mereka.
Walau bagaimanapun perlu difahami tidak semua musafir (orang yang belayar) diharuskan untuk mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu mereka. Ini kerana seseorang yang dalam pelayaran itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhunya.
Jarak Pelayaran Yang Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Seorang musafir dibolehkan mengqashar sembahyangnya apabila jarak perjalanannya (tidak termasuk jarak balik daripada pelayaran) tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer. Jika jarak perjalanan itu kurang daripada kadar tersebut, maka dia tidak dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia belayar ke satu jarak yang jauhnya melebihi dua marhalah, kemudian pada suatu tempat di pertengahan pelayarannya dia berniat untuk pulang, maka pada ketika itu dia tidak boleh mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya selagi dia masih berada di tempat tersebut. Akan tetapi jika dia keluar dari tempat tersebut, sama ada belayar balik semula ke negerinya atau meneruskan pelayarannya ke tempat lain, dan jarak perjalanannya itu dua marhalah atau lebih, maka pada ketika itu diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Tujuan Pelayaran Yang Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Tidak dalam semua perjalanan atau pelayaran diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang. Tujuan perjalanan atau pelayaran itu perlu juga dinilai untuk mendapatkan rukhshah menjama‘ dan mengqashar sembahyang.
Pelayaran yang dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyang itu disyaratkan pelayaran yang mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, tidak ada ruang untuk mendapat rukhshah mengqashar atau menjama‘ sembahyangnya. Menentukan Tempat Yang Dituju Untuk Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Untuk membolehkan seseorang itu mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya, disyaratkan baginya menentukan tempat yang hendak dituju. Oleh itu tidak harus bagi orang yang tidak tahu ke mana hendak ditujunya atau seseorang yang berhenti di suatu tempat yang tidak ditentukannya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Begitu juga halnya bagi orang yang mencari orang yang berhutang atau mencari orang yang lari dan tidak diketahui di mana dia berada dan dia ini tidak berkeinginan untuk membuat pelayaran yang jauh (disebabkan mencari orang tersebut), maka dia tidak boleh mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya dan wajib baginya menunaikan sembahyang secara sempurna sekalipun perjalanannya mencapai dua marhalah atau lebih. Walau bagaimanapun jika dia mengetahui bahawa dia tidak akan menemui orang yang dicari kecuali pada tempat yang jauhnya lebih daripada dua marhalah, maka dibolehkan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu.
Tempoh Menetap Di Sesebuah Tempat Yang Dibenarkan Untuk Mengqashar Dan Menjama‘ Sembahyang
Adapun tempoh menetap pada satu-satu tempat di negeri yang dituju, disyaratkan seorang musafir itu menetap tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) yang diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang.
Jika seseorang itu sampai dan berniat untuk menetap atau bermuqim pada satu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari balik), maka putuslah safarnya (pelayarannya) sebaik-baik sahaja dia tiba di tempat tersebut dan tidak harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik sahaja selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tunggunya setiap hari itu, maka diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik). Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhhar, maka harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu sehingga lapan belas hari sahaja.
Jika dia sampai pada satu tempat dan dia mengetahui bahawa urusan atau hajatnya tidak akan selesai melainkan selepas empat hari (tidak termasuk hari sampai dan balik), maka tidak diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa tidak semua orang yang hendak belayar itu dianggap sebagai musafir yang boleh mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhunya, kecuali setelah memenuhi syarat-syarat qashar dan jama‘ seperti yang telah ditentukan oleh syara‘.
SEMBAHYANG
HUKUM MEMBACA DO‘A SELEPAS SURAH AL-FÂTIHAH
Membaca surah al-Fâtihah merupakan salah satu rukun sembahyang. Jika surah al- Fâtihah itu tidak dibaca, maka sembahyang yang dilakukan tidak sah.
Sementara membaca do‘a pula, secara umumnya adalah dituntut oleh syara‘, malah sesiapa yang enggan berdo‘a adalah dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sembahyang, memperbanyakkan do‘a ketika sujud adalah digalakkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sehampir-hampir hamba dari (rahmat dan fadhilat) Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Sementara membaca do‘a selepas surah al-Fâtihah, seperti membaca “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر” adakah ia disunatkan ataupun sebaliknya? Oleh itu, eloklah dijelaskan hukum membaca do‘a selepas surah al-Fâtihah di dalam sembahyang.
Hukum Membaca Do‘a Selepas Surah Al-Fâtihah
Orang yang membaca surah al-Fâtihah, sama ada al-Fâtihah itu dibaca ketika sembahyang atau di luar sembahyang, adalah disunatkan untuknya membaca do‘a memohon keampunan bagi dirinya iaitu: “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر ” atau membaca do‘a memohon keampunan bagi dirinya, ibu bapanya dan keseluruhan umat Islam iaitu: “ ِ رَبِْ َْ اغْفِ ر
mengucapkan “آم” sebagaimana kata Syeikh ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh
Bagaimana pula jika do‘a itu tadi ditambah atau diganti dengan do‘a-do‘a lain seperti do‘a penerang hati dan sebagainya?
Dalam hal ini, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh menjelaskan mengenainya, ketika mensyarahkan perkataan pengarang kitab Fath al-Mu‘în ( َ سِ و رَب ِ اغْفِر ) ertinya: “Kecuali bacaan ِِل ْ رَب ِ اغْفِر” katanya ا
Ertinya: Iaitu dikecualikan daripada melafazkan sesuatu bacaan (selepas membaca ْ ِ وَال َ الض َّ َل dan sebelum menyebut آم ) melafazkan lafaz do‘a ( ِِل ْ maka sesungguhnya ia (bacaan ِ اغْفِر itu) tidak memudharatkan (tidak menghilangkan hukum sunat menyebut آم) berdasarkan hadits hasan, bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengucapkan sesudah membaca ( َْ ِ
Daripada nas di atas dapat diketahui hukum melafazkan sesuatu bacaan sama ada ia zikir atau do‘a, boleh menghilangkan hukum sunat menyebut ‘âmîn’. Akan tetapi jika bacaan itu do‘a yang lafaznya ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر” ” maka ia terkecuali daripada terjejasnya hukum mengaminkan bacaan al-Fâtihah.
Syeikh ‘Ali asy-Syibramalissi Rahimahullâh pula menjelaskan kedudukan hukum jika lafaz do‘a “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِر” itu ditambah dengan lafaz yang lain, sebagaimana katanyaا Ertinya: Dan sayugia bahawasanya jika dia menambah ( lafaz ) itu, ( ِِل ْ dengan lafaz bacaan ( َْ ِ menggugurkan hukum sunat menyebut “ آم”.
Makmum Hanya Dituntut Mengaminkan Al-Fâtihah Imam
Adapun makmum yang mendengar bacaan al-Fâtihah imam, tidak disunatkan membacaرَب ِ اغْفِر ِْلِ ”” ini. Makmum yang mendengar bacaan al-Fâtihah imam hanyalah disunatkan mengaminkan bacaan al-Fâtihah imam itu.
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin menyebutkan bahawa asy-Syarif al- ‘Allâmah Thahir bin Husein Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Tidak dituntut daripada makmum ketika imam selesai membaca al- Fâtihah, bacaan “ ِِل ْ رَب ِ اغْ فِ ر” bahkan hanya dituntut mengaminkannya sahaja, dan bacaan “ ِِل ْ رَب ِ اغْفِ ر ” itu hanya disunatkan bagi pembaca al-Fâtihah sahaja sewaktu diam seketika (saktah) di antara bacaan ayat terakhir surah al-Fâtihah dan bacaan amin.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang disunatkan berdo‘a sebelum menyebut amin, memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat Muslimin, iaitu: “ َّ ْ ِلِ وَلِوَالِ دَي ِ َْ رَب ِ اغْفِ ر ِْ الْمُس ْلِم وَجَِمِي” adalah tidak menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fâtihah (menyebut َْ ِ آم).
Namun menambah do‘a memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat Muslimin tersebut dengan do‘a yang lain seperti do‘a penerang hati, do‘a memohon diberikan ilmu dan sebagainya, adalah menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fâtihah (menyebut َْ ِ آم).
QUNUT NAZILAH
Qunut dari segi syara‘ bermaksud zikir khusus yang mengandungi do‘a dan pujian. Qunut disyariatkan ketika sembahyang Shubuh dan sembahyang Witir pada pertengahan akhir Ramadhan. Demikian juga, qunut disyariatkan apabila orang Islam menghadapi musibah dan ia disebut sebagai qunut Nazilah.
Hukum Dan Sebab Membaca Qunut Nazilah
Qunut Nazilah hanya disunatkan apabila kaum Muslimin menghadapi musibah seperti diserang wabak, taun, kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan seumpamanya, agar musibah tersebut dilapangkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika tidak ada sebab untuk membacanya iaitu tidak ada musibah, makruh hukumnya membaca qunut Nazilah melainkan pada sembahyang Shubuh. Ini bererti dalam sembahyang Shubuh di samping membaca qunut Shubuh, sunat juga membaca selepasnya qunut Nazilah. Ini kerana sembahyang Shubuh itu lebih mulia daripada sembahyang yang lain dan dikhususkan bagi Shubuh itu azan sebelum waktunya serta disebut dalam azan Shubuh tatswîb (من ال وم الصالة خ). Sembahyang Shubuh itu juga lebih singkat berbanding dengan sembahyang fardhu yang lain. Oleh yang demikian adalah lebih layak untuk ditambah dengan qunut Nazilah. Membaca qunut Nazilah ini bukan sahaja disunatkan ke atas orang yang ditimpa musibah, bahkan juga ke atas orang yang tidak ditimpa musibah agar mendo‘akan orang yang ditimpa musibah itu.
Waktu Membaca Qunut Nazilah
Qunut Nazilah sunat dibaca pada sembahyang lima waktu ketika i‘tidâl di rakaat yang terakhir. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah membaca qunut selama sebulan berturut-turut pada waktu Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib, ‘Isya’ dan Shubuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membaca “ pada rakaat terakhir, Baginda berdo‘a (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas qabilah-qabilah daripada Bani Sulaim, Ri‘l, Dzakwan dan ‘Ushayyah, dan orang di belakang Baginda mengaminkan (do‘a Baginda). (Hadits riwayat Abu Daud)
Ini bererti qunut Nazilah itu dibaca pada rakaat terakhir ketika i‘tidâl. Sebagai contoh sembahyang Zhuhur, dibaca qunut Nazilah itu pada rakaat keempat ketika i‘tidâl. Sementara sembahyang Maghrib, ia dibaca pada rakaat ketiga dan sembahyang Shubuh, ia dibaca pada rakaat kedua ketika i‘tidâl.
Adapun dalam sembahyang jenazah, makruh hukumnya membaca qunut Nazilah walaupun ada sebab untuk membacanya. Ini kerana sembahyang jenazah itu dikerjakan dengan ringan sahaja. Sementara sembahyang disebabkan nazar atau sembahyang sunat, adalah tidak disunatkan membaca qunut Nazilah. Namun jika dibaca juga kerana ada sebabnya (musibah) maka hukumnya tidak makruh. Lain halnya jika ia dibaca pada sembahyang tersebut tanpa sebab, maka hukumnya adalah makruh.
Lafaz Dan Cara Membaca Qunut Nazilah
Lafaz qunut Nazilah itu adalah mengikut kesesuaian musibah yang perlu dihindari. Sebagai contoh, jika kemarau telah melanda sesebuah negara Islam, maka dimuatkan isi kandungan do‘a qunut Nazilah itu memohon agar diturunkan hujan. Contoh yang lain, sesebuah negara Islam telah diperangi oleh musuh, maka dimuatkan isi kandungan do‘a qunut Nazilah itu memohon supaya kemenangan dikurniakan kepada orang Islam dan kekalahan ke atas musuh-musuh Islam.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah membaca qunut Nazilah supaya sahabat-sahabat Baginda dibebaskan daripada tawanan orang kafir, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah membaca qunut pada sembahyang ‘Isya’ selama sebulan. Baginda membaca dalam qunutnya: “Ya Allah, engkau selamatkan (bebaskan) al-Walid bin al-Walid. Ya Allah, engkau selamatkan Salamah bin Hisyam. Ya Allah, engkau selamatkan orang-orang yang lemah di kalangan orang mu’min. Ya Allah, engkau dahsyatkan hukumanMu ke atas (qabilah) Mudhar. Ya Allah, engkau jadikannya (hukumanMu) ke atas mereka bertahun-tahun seperti zaman Nabi Yusuf (tujuh tahun menghadapi kemarau). Abu Hurairah berkata: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak lagi mendo‘akan mereka. Lalu beliau menyebut perkara itu kepada Baginda. Baginda bersabda: “Tidakkah kamu nampak mereka telahpun sampai (bebas daripada tawanan orang kafir)?.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Cara membaca qunut ketika sembahyang Shubuh, terlebih dahulu dimulai dengan do‘a qunut Shubuh kemudian diikuti selepas itu do‘a qunut Nazilah.
Qunut Nazilah sunat dibaca dengan jahr iaitu suara yang nyaring walaupun ketika sembahyang seorang diri. Demikian juga, selain qunut Nazilah itu sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang jahriyah (sembayang yang dibaca dengan suara nyaring seperti Shubuh, Maghrib dan ‘Isya’), ia juga sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang sirriyyah (sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan seperti Zhuhur dan ‘Ashar).
Sunat bagi makmum mengaminkan qunut Nazilah dan menadah kedua tapak tangan ke langit apabila memohon perkara yang diingini dan menterbalikkan kedua tapak tangan apabila memohon perkara yang dihindari. Sementara menyapu muka setelah membaca qunut Nazilah adalah lebih elok tidak dilakukan memandangkan tidak ada wârid daripada hadits.
Merujuk Kepada Imam Besar
Sunat bagi imam masjid râtib (imam yang dilantik) merujuk perkara qunut Nazilah ini kepada imam besar masjid-masjid utama atau penolongnya. Jika qunut Nazilah itu diarahkan oleh imam besar atau penolongnya, maka wajib dibaca qunut Nazilah itu. Perlukah Sujud Sahwi Apabila Terlupa Membaca Qunut Nazilah?
Jika terlupa membaca qunut Nazilah, tidak disunatkan sujud sahwi. Ini kerana qunut Nazilah itu bukan terdiri daripada sunat-sunat ab‘adh (perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan seperti qunut Shubuh, tasyahhud awal dan sebagainya).
Sebagai seorang Muslim kita adalah dituntut untuk tolong-menolong antara satu sama lain. Apatah lagi apabila saudara Islam kita menghadapi kesusahan atau musibah. Tidak kiralah bentuk pertolongan itu sama ada berupa harta benda, makanan, tenaga kita sendiri ataupun dengan berdo‘a.
Oleh itu, adalah wajar di samping kita menghulurkan bantuan atau derma khususnya kepada kaum Muslimin yang menghadapi musibah, supaya kita juga mendo‘akan mereka dengan qunut Nazilah agar musibah itu dilapangkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
BEBERAPA KESILAPAN YANG MENGAKIBATKAN SEMBAHYANG TIDAK SAH
Ibadat sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan di samping perkara-perkara sunat yang tidak sepatutnya diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.
Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.
1. Membaca di dalam hati.
Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia boleh menjejaskan sembahyang?
i. Rukun qauli (bacaan-bacaan yang wajib).
Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhîr dan salam, dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.
Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.
Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.
ii. Bacaan-bacaan sunat.
Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti do‘a iftitâh, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fâtihah, tasyahhud awwal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyang, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.
2. Mengerjakan sembahyang dengan cepat.
Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai daripada mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah.
Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir “بحَن هللا س ” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.
Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidâl, kedua-dua sujud dan duduk di antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa ketika seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:
Maksudnya: Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang. Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan”. Kemudian Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang”. Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali. Lalu berkata lelaki itu: “Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku”. Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.” (Hadits riwayat Muslim)
Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidâl. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidâl ialah tetap anggotanya semasa i‘tidâl sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit dari sujud. Thuma’ninah ketika duduk di antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk di antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.
Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian barulah dia berdiri untuk i‘tidâl.
Sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesa-gesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.
3. Sujud dengan tidak mengendahkan kedudukan jari kaki.
Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi.
Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua-dua tangan, kedua lutut dan kedua kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua-dua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua-dua tangan dan sebahagian perut jari kedua-dua kaki.
Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung.
Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.
4. Dahi tertutup oleh sesuatu.
Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa dahi adalah salah satu anggota sujud. Jika tidak diletakkan sebahagiannya di tempat sujud, maka ia belum dikira sebagai sujud.
Demikian juga, jika seseorang itu melakukan sujud sedang keseluruhan dahinya tertutup oleh songkok, serban atau tempat sujudnya (tempat ia meletakkan dahinya) dilapiki oleh sesuatu yang bersambung dengannya yang ikut bergerak apabila dia bergerak seperti ekor/hujung serban, tudung atau seumpamanya, maka tidak sah sujudnya itu.
Berbeza halnya, jika sesuatu yang bersambung dengannya itu tidak ikut bergerak apabila dia berdiri, duduk atau seumpamanya. Sebagai contoh, hujung kain serban yang dipakainya itu terlalu panjang dan ia menutupi tempat sujudnya sedang hujung kain itu tidak ikut bergerak apabila dia bergerak, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.
Demikian juga, sah sujudnya apabila sesuatu yang menutupi tempat sujudnya itu tidak bersambung dengannya. Sebagai contoh, kain serban yang dipakai oleh orang lain menutupi tempat sujudnya, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.
Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.
5. Berdaham.
Sembahyang menjadi batal apabila seseorang sengaja atau dipaksa berkata-kata, sekalipun dengan melahirkan dua huruf yang boleh difahami ataupun tidak seperti ‘ahem’, atau berkata-kata dengan melahirkan satu huruf yang boleh difahami seperti ‘k’ yang bermaksud ‘okey’ atau setuju.
Begitu juga berdaham tanpa keuzuran jika ia melahirkan dua huruf sama ada difahami atau tidak adalah membatalkan sembahyang. Namun jika tidak melahirkan dua huruf, maka tidaklah batal sembahyang tersebut.
Adapun jika seseorang itu berdaham sedikit ketika sembahyang kerana tidak dapat ditahan, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.
Demikian juga, jika dia tidak dapat membaca rukun qauli seperti surah al-Fâtihah melainkan dengan terpaksa berdaham, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya kerana terpaksa melakukannya untuk kesempurnaan bacaan al-Fâtihahnya.
Namun jika dia berdaham sedang dia boleh membaca rukun qauli itu tanpa berdaham atau dia berdaham bagi membolehkannya membaca dengan suara jahr (nyaring) atau membolehkannya membaca bacaan-bacaan yang sunat, maka yang demikian itu tidaklah dimaafkan kerana bacaan-bacaan sunat atau membaca dengan suara jahr itu adalah perkara sunat sahaja.
6. Salah bacaan.
Rukun-rukun qauliyyah (rukun-rukun yang berupa bacaan) seperti takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhir dan seumpamanya hendaklah dijaga huruf dan sebutan hurufnya dengan betul dan sempurna. Ini kerana bacaan yang tidak betul itu boleh merosakkan sembahyang.
Sebagai contoh pada bacaan surah al-Fâtihah, jika huruf sin “س” pada kalimah “ ُْ ِ نَسْ تَع” dibaca dengan huruf tsa’ (ق) atau bacaan yang mengubah makna seperti baris atas pada kalimah “ َُ ْ ْعَم أَن ”dibaca dengan baris bawah menjadi “ ُِ ْ ْعَم أَن ”maka batal sembahyang jika seseorang itu sengaja berbuat demikian sedang dia tahu perbuatan itu salah.
Adapun jika dia tidak sengaja berbuat demikian, maka hendaklah dia memperbetulkan bacaan yang salah itu sebelum lagi dia ruku‘ tanpa mengulangi dari awal bacaan al-Fâtihah. Itu pun jika waktu dia melakukan kesalahan itu belum lama berlalu. Jika waktu melakukan kesalahan itu sudah lama berlalu, maka hendaklah dibaca dari awal surah al-Fâtihah tersebut.
Jika dia sengaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukum yang dia wajib memperbetulkan bacaan al-Fâtihah itu sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak sengaja ruku‘ misalnya kerana lupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.
7. Kembali melakukan perkara sunat yang tertinggal.
Apabila seseorang itu terlupa melakukan perkara-perkara sunat sembahyang seperti tasyahhud awwal, qunut atau seumpamanya daripada perkara-perkara yang melibatkan perbuatan sunat, maka dalam hal ini sama ada ia menjejaskan sahnya sembahyang atau sebaliknya dilihat kepada dua keadaan, iaitu:
Pertama: Teringat belum melakukan perbuatan sunat yang tertinggal itu setelah sampai ke perbuatan seterusnya.
Kedua: Teringat sebelum sampai ke perbuatan seterusnya. Contoh bagi keadaan pertama; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal setelah dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Maka dalam hal ini, dia tidak boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal. Jika dia sengaja kembali duduk sedangkan dia tahu hukumnya, maka batal sembahyangnya itu kerana menambah perbuatan sembahyang dengan sengaja. Adapun jika dia kembali duduk disebabkan terlupa atau tidak tahu hukumnya, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.
Contoh bagi keadaan yang kedua pula; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal sebelum dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Dalam hal ini, jika dia kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan disunatkan dia melakukannya.
Demikianlah juga halnya, apabila imam atau orang yang sembahyang sendiri itu terlupa membaca qunut. Jika dia teringat setelah sujud dengan meletakkan semua anggota sujud, maka tidak boleh dia kembali berdiri untuk membaca qunut. Namun jika dia teringat sebelum sampai ke perbuatan sujud, maka sunat dia kembali berdiri untuk membaca qunut.
Berbeza pula halnya dengan makmum yang mana makmum jika terlupa tasyahhud awwal, kemudian dia terus berdiri tegak sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awwal ataupun makmum dan imam terlupa tasyahhud awwal akan tetapi imam teringat sebelum berdiri tegak, lalu imam duduk melakukan tasyahhud awwal sedang makmum telah berdiri tegak, maka dalam kedua keadaan ini, makmum wajib kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal kerana mengikut imam. Jika dia tidak kembali duduk untuk bertasyahhud awwal bersama-sama imam, sembahyangnya menjadi batal jika dia tidak berniat untuk mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imam.
Adapun jika imam dan makmum telah berdiri tegak, lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal, maka makmum hendaklah mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imamnya. Jika makmum sengaja mengikut imamnya kembali duduk dan dia tahu akan hukumnya (tidak harus kembali unutk duduk tasyahhud awwal), maka batal sembahyang makmum itu. Adapun jika makmum itu terlupa atau tidak tahu akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya.
Sebagai kesimpulan, laksanakanlah ibadat sembahyang itu dengan bersungguh-sungguh dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya sebagaimana yang dituntut. Sembahyang yang dilakukan sambil lewa dengan tidak melakukan rukun dan syarat yang terkandung di dalamnya dengan sempurna akan mengakibatkan sembahyang seseorang itu tidak sah.
Di samping menjaga rukun-rukun sembahyang, perkara-perkara sunat juga hendaklah dilakukan dengan sebaiknya kerana ia akan menambahkan lagi kualiti sembahyang itu di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dari itu peliharalah sembahyang dan tunaikanlah dengan sebaik-baiknya dan janganlah mengerjakannya bagai melepaskan batuk di tangga.
BEBERAPA PERMASALAHAN SEMBAHYANG ORANG YANG MENANGGUNG NAJIS
Najis ialah segala kotoran yang menghalang kesahan sembahyang ketika tiada kelonggaran yang mengharuskannya. Kerana itu tidak sah sembahyang jika ada bersamanya najis pada waktu tiada kelonggaran. Tetapi jika dalam keadaan ada kelonggaran seperti sembahyang orang yang beristinjâ’ dengan batu, maka hukum sembahyangnya sah kerana ia dimaafkan walaupun kesan istinjâ’ itu dihukumkan najis. Istinjâ’ bermaksud menghilangkan najis yang keluar dari kemaluan.
Sebahagian ulama mentakrifkan bahawa najis itu ialah setiap sesuatu benda yang haram dimakan secara mutlak ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) serta senang dibezakan, ia haram bukan kerana ia dimuliakan, bukan kerana ia kotor dan bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal.
Apa yang dimaksudkan dengan secara mutlak itu ialah tidak termasuk apa yang diharuskan ketika ia sedikit dan apa yang diharamkan ketika ia banyak seperti candu dan ganja kerana ia suci.
Sementara maksud ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) pula ialah bukan waktu dharurat memakannya, kerana ia diharuskan ketika dalam keadaan dharurat itu, akan tetapi ia tetap dinamakan najis.
Adapun yang dimaksudkan dengan senang dibezakan itu ialah ia haram dimakan jika dapat dibezakan benda itu, akan tetapi ulat buah-buahan, keju dan seumpamanya adalah najis tetapi ia harus dimakan kerana ia sukar dibezakan.
Maksud ia haram bukan kerana ia dimuliakan pula ialah tidak termasuk daging manusia kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kemuliaan dan ketinggiannya.
Adapun maksud bukan kerana ia kotor ialah tidak termasuk hingus kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kotornya/jijiknya.
Sementara maksud bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal ialah tidak termasuk apa yang memudharatkan badan seperti racun dan memudharatkan akal seperti candu, kerana ia suci. Ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana mudharatnya.
Najis terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Najis mukhaffafah (najis ringan) iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun, dan belum makan makanan yang mengenyangkan melainkan susu ibu sahaja.
2. Najis mutawassithah (najis sederhana) iaitu seperti tahi, darah, muntah dan sebagainya.
3. Najis mughallazhah (najis berat) iaitu anjing, khinzîr dan kacukan daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya.
Orang yang terkena najis atau ada pada dirinya najis sama ada pada badan atau pakaiannya disebut orang yang menanggung najis. Apabila dia hendak mengerjakan sembahyang, maka hendaklah terlebih dahulu dia menghilangkan najis tersebut dan menyucikan
tempat yang terkena najis itu. Ini kerana dengan adanya najis itu menghalang kesahan sembahyang seseorang itu.
Tetapi sekiranya najis yang ditanggung itu najis yang dimaafkan sama ada pada badan atau pakaiannya, maka sah sembahyangnya tanpa terlebih dahulu dia menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu.
Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan Itu?
Najis yang dimaafkan itu ialah seperti darah kutu, darah nyamuk dan seumpamanya yang tidak mengalir, kerana darah yang ada pada kutu atau nyamuk itu adalah darah yang dihisapnya dari tubuh manusia. Demikian juga, darah atau nanah yang datang daripada bisul atau jerawat. Kesemua contoh najis yang tersebut adalah dimaafkan walaupun banyak darahnya, selagi ia bukan berpunca daripada perbuatannya sendiri. Jika ia berpunca daripada perbuatannya sendiri seperti kutu itu dibunuhnya atau bisul itu dipicitnya sehingga mengeluarkan darah yang banyak, maka darah tersebut tidak dimaafkan melainkan jika ia keluar sedikit sahaja. Selain itu, jika darah tersebut bercampur dengan banyak najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kucing atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi, maka ia termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan melainkan jika ia bercampur dengan sedikit.
Contoh najis yang dimaafkan itu lagi, ialah najis yang sedikit sama ada najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kambing yang mengenai pakaiannya atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi seperti darahnya yang sudah terpisah dari dirinya lalu mengenai pakaiannya. Dalam kedua-dua keadaan ini, najis tersebut adalah dimaafkan jika ia sedikit, akan tetapi jika ia banyak maka tidaklah dimaafkan. Sebagai contoh darah haidh yang sedikit mengenai pakaiannya atau darah yang keluar dari hidungnya dengan hanya sedikit darah itu mengenai dirinya.
Berbeza halnya jika najis itu mughallazhah, ia tidak dimaafkan walaupun hanya terkena sedikit seperti darah anjing.
Adapun kadar banyak dan sedikit yang dimaksudkan bagi najis itu menurut pendapat yang ashah ialah merujuk kepada adat kebiasaannya. Apa yang pada kebiasaannya seseorang itu terkena najis dan sukar untuk menghindarinya adalah dikira sebagai kadar yang sedikit. Adapun apa yang melebihi daripada itu adalah dikira sebagai kadar yang banyak.
Pendapat yang lain pula, kadar banyak najis itu ialah apa yang nampak oleh mata tanpa perlu melihat dan mencarinya dengan teliti. Sementara sebaliknya pula adalah kadar sedikit najis.
Suci Daripada Najis
Masalah najis amat berkait rapat dengan sembahyang kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan.
Suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis menjadi syarat sah sembahyang adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddatstsir: 4)
Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menyucikan pakaian daripada najis dan ia menjadi dalil kepada perintah menyucikan tubuh badan daripada najis secara qiyâs.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) daripada dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas dengan jelas memerintahkan untuk menghindari diri daripada najis ketika hendak mengerjakan sembahyang. Maka adalah wajib berkeadaan suci ketika di dalam sembahyang.
Hukum Sembahyang Dengan Menanggung Najis
Tidak sah sembahyang seseorang itu jika terdapat najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang.
Berikut ialah beberapa permasalahan sembahyang dalam keadaan menanggung najis:
1. Orang yang tidak tahu ada padanya najis.
Jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahuinya sehingga apabila dia selesai mengerjakan sembahyang barulah dia menyedari dan yakin bahawa ada padanya najis ketika dia mengerjakan sembahyang itu, maka tidak sah sembahyangnya. Wajib ke atasnya menyucikan dirinya daripada najis itu dan mengulang sembahyang tersebut.
2. Orang yang tahu ada padanya najis kemudian terlupa.
Seseorang yang mengetahui ada padanya najis sebelum dia mengerjakan sembahyang, kemudian dia terlupa bahawa pada dirinya ada najis, lalu dia pun mengerjakan sembahyang dengan keadaan bernajis itu. Setelah beberapa ketika dia pun teringat bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan keadaannya menanggung najis. Dalam hal ini, tidak sah sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut apabila masih ada waktu sembahyang atau mengqadha’nya apabila sudah di luar waktu sembahyang.
3. Orang yang mendapati ada padanya najis setelah selesai sembahyang.
Jika seseorang itu mendapati atau ternampak najis pada dirinya setelah dia selesai mengerjakan sembahyang dan dia tidak yakin bila adanya najis tersebut, maka tidak wajib ke atasnya mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya itu, kerana menurut kaedah asal bagi setiap kejadian itu terjadi pada waktu yang terdekat. Ini bererti dengan mengambil kira kaedah tersebut najis itu ada padanya atau baru mengenainya setelah dia mengerjakan sembahyang, bukan ketika dalam sembahyang. Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâhu Ta‘âlâ, sunat ke atasnya mengulang sembahyang tersebut sebagai langkah berhati-hati.
Berlainan halnya jika seseorang itu yakin bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan ada padanya najis. Maka wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut.
Demikian juga halnya, wajib diulang sembahyang jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahui yang demikian itu membatalkan sembahyang.
4. Orang yang baru mendapati najis ketika dalam sembahyang.
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis, tetapi dia baru mendapati atau ternampak najis pada dirinya ketika dalam sembahyang, maka batal sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya memulakan semula sembahyangnya.
5. Orang yang tidak tahu ada padanya najis ketika dalam sembahyang kemudian dia meninggal dunia.
Jika seseorang itu meninggal dunia sebelum mengetahui yang dia telah mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis ataupun dia sudah mengetahuinya tetapi belum sempat untuk mengqadha’nya lalu meninggal dunia, maka dalam hal ini semoga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkannya disebabkan keuzurannya itu.
6. Terkena najis ketika dalam sembahyang.
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang, kemudian terkena najis ketika dalam sembahyang dan dia tidak dapat menghilangkan najis itu dengan cara membuangnya dengan serta-merta melainkan dengan cara menyucinya, seperti pakaiannya terkena najis yang basah dan dia tidak dapat menanggalkan dan mencampakkan pakaian itu serta-merta, maka batal sembahyangnya.
Adapun jika dia dapat membuang atau menghilangkan najis itu dengan serta-merta, maka tidak batal sembahyangnya. Seperti najis yang kering jatuh pada pakaiannya, lalu dikibasnya sehingga jatuh, ataupun najis yang basah jatuh pada pakaiannya, lalu dibersihkannya dengan air yang ada berhampiran dengannya (sekira-kira perbuatan yang tidak membatalkan sembahyang), ataupun ditanggalkannya pakaian yang terkena najis yang basah itu kemudian dicampakkannya tanpa menyentuh najis tersebut dengan tangan atau lengan baju ataupun dengan potongan kayu. Jika disentuhnya najis itu dengan tangan atau lengan bajunya atau dengan potongan kayu, maka batal sembahyangnya.
Dalam perkara ini perlu juga diingat, jika seseorang itu terkena najis yang basah pada pakaiannya ketika dalam sembahyang sedang dia mengerjakannya di dalam masjid, dan waktu sembahyang juga masih panjang, maka haram ke atasnya membuang atau mencampakkan pakaiannya itu di dalam masjid kerana pakaiannya yang dilumuri najis yang basah itu akan menjadikan kawasan dalam masjid dicemari oleh najis. Dalam hal ini, hendaklah dia memberhentikan sembahyangnya yang terbatal disebabkan najis yang ada pada pakaiannya, lalu membersihkan pakaiannya dan mengulang semula sembahyangnya itu.
Berlainan halnya jika najis itu kering, maka boleh dibuangnya najis itu di dalam masjid dan segera dibersihkannya najis tersebut selepas dia mengerjakan sembahyang.
7. Ternampak najis pada pakaian orang yang hendak sembahyang.
Jika seseorang yang mukallaf ternampak najis pada pakaian orang yang hendak mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Ini kerana bagi menyuruh kepada perkara yang berkebajikan iaitu menghilangkan perkara yang merosakkan walaupun ia bukan merupakan suatu maksiat.
Demikian juga halnya, jika ternampak najis pada pakaian orang yang sedang mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Itu pun jika diketahui bahawa najis yang ada padanya itu membatalkan sembahyang pada pandangan mazhab orang yang bersembahyang itu.
Sementara orang yang mengerjakan sembahyang itu, wajib menerima perkhabaran atau teguran daripada orang yang ‘âdil mengenai adanya najis pada dirinya itu. Kemudian hendaklah dia menyucikan dirinya daripada najis tersebut dan mengulang sembahyangnya.
8. Mmemegang atau berpaut dengan sesuatu yang bersambung dengan najis.
Seseorang yang memegang atau mengikat sesuatu pada dirinya seperti tali yang di bahagian tali itu mengandungi najis adalah membatalkan sembahyang. Sembahyang tetap tidak sah sama ada tali itu bergerak apabila dia bergerak ataupun tidak bergerak.
Sebagai contoh, imam menyangkutkan pada dirinya pembesar suara yang mempunyai wayar yang panjang dan di bahagian wayar itu ada najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia dikira menanggung najis.
Demikian juga, jika seseorang itu memegang atau mengikat tali pada dirinya sedang tali itu berhubung dengan sesuatu yang menanggung najis dan bergerak apabila dia bergerak seperti tali itu diikat pada sampan kecil atau pada keldai yang membawa najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dikira dia menanggung najis.
Adapun jika tali itu diikat pada sesuatu yang tidak bergerak apabila dia bergerak seperti diikat pada kapal besar yang membawa najis, maka tidaklah batal sembahyangnya.
Berbeza halnya, jika tali itu diletakkan di bawah telapak kakinya, maka tidaklah batal sembahyangnya walaupun tali itu diikat pada sesuatu yang bergerak apabila dia bergerak kerana tidak dikira dia menanggung najis. Ini sama keadaannya apabila dia bersembahyang di atas hamparan yang besar sedang di hujung hamparan itu ada najis.
Demikian beberapa penjelasan hukum mengenai permasalahan sembahyang dalam keadaan seseorang itu terkena najis, sama ada pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya. Perlulah diingat, kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan adalah salah satu syarat sah sembahyang. Jika syarat ini diabaikan atau tidak diambil berat, maka sembahyang tidak sah dan masih tertanggung ke atas orang yang mengabaikan itu untuk mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya.
MENAHAN HADATS KECIL KETIKA SEMBAHYANG
Sentiasalah kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam sembahyang dan dalam waktu yang sama berusaha mengelakkan perkara-perkara yang mengurangkan kesempurnaan itu sekalipun ia nampak kecil, seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan yang seumpamanya iaitu menahan diri daripada hadats kecil.
Apa yang dimaksudkan dengan menahan diri daripada hadats kecil di sini, ialah menahan air kencing, air besar atau angin daripada keluar ketika seseorang hendak mengerjakan sembahyang atau ketika di dalam sembahyang.
Orang yang menahan air kencing dalam bahasa Arab dipanggil haqin, sementara orang yang menahan air besar ialah haqib dan orang yang menahan angin dipanggil haziq.
Menurut kajian perubatan, bahawa perbuatan kerap menahan air kencing dan air besar ini boleh menjejaskan kesihatan. Kerap menahan air kencing boleh menyebabkan penyakit batu ginjal. Ini kerana apabila ia ditahan, air kencing menjadi lebih pekat, atau berlaku jangkitan saluran kencing. Air kencing yang pekat dan jangkitan saluran kencing merupakan faktor penyumbang terbentuknya batu. Sementara menahan air besar pula boleh menyebabkan penyakit sembelit iaitu kesukaran untuk membuang air besar.
Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan hukum menahan diri daripada hadats kecil tersebut, adakah ia membatalkan sembahyang atau boleh mengurangkan kesempurnaan sembahyang?
Sembahyang Orang Yang Menahan Diri Daripada Hadats Kecil
Makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan seseorang itu menahan air kencing, air besar atau angin daripada keluar, kerana ia boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang. Ini samalah juga halnya, jika seseorang itu menahan keinginannya yang bersangatan untuk makan atau minum di dalam sembahyangnya sedangkan ketika itu hidangan sudah terhidang. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak sempurna sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga tidak sempurna sembahyang ketika dia sedang menahan daripada membuang air kecil dan air besar. (Hadits riwayat Muslim)
Bila Ia Makruh?
Hukum makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin itu, dikira semasa wujudnya keadaan menahan itu pada ketika mengangkat takbîratul-ihrâm.
Adapun jika wujudnya keadaan menahan diri daripada hadats kecil itu semasa dalam sembahyang fardhu, maka tidak harus dia memutuskan sembahyangnya itu melainkan ada keuzuran seperti takut mudharat pada dirinya apabila menahan diri daripada hadats kecil. Namun jika dia menahannya ketika dalam sembahyang sunat walaupun dia bernazar untuk menyempurnakan sembahyang sunatnya itu, maka tidak haram dia memutuskan sembahyang tersebut.
Demikian juga, hukum makruh itu hanya terjadi apabila waktu sembahyang masih panjang. Sebagai contoh, ketika seseorang itu hendak mengangkat takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu Zhuhur sedang dia menahan air kencingnya, dalam hal ini, makruh dia mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur jika waktu sembahyang tersebut masih panjang.
Sehubungan dengan itu, sunat ke atas orang yang menahan diri daripada hadats kecil untuk mengeluarkannya terlebih dahulu jika waktu sembahyangnya masih panjang.
Qadha’ Hajat Walau Luput Sembahyang Jemaah
Sunat ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang walaupun sehingga menyebabkan terluput sembahyang berjemaah, itu pun jika waktu sembahyangnya masih panjang.
Sunat Diulang Sembahyang
Sungguhpun makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, namun ia tidak membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengulangi sembahyangnya itu.
Takut Luput Waktu Sembahyang
Jika waktu sembahyang fardhu itu suntuk, maka wajib ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin, mengerjakan sembahyang dalam keadaan tersebut dan tidak mengakhirkan sembahyangnya. Ini kerana untuk menjaga kehormatan waktu sembahyang tersebut. Itu pun jika tidak terjadi mudharat ke atasnya disebabkan menahan hadats kecil itu.
Bila Wajib Mengeluarkan Hadats Kecil?
Jika seseorang itu menyangka apabila dia menahan air kencing, air besar atau angin, akan memudharatkan dirinya iaitu mudharat yang boleh menyebabkan bertayammum, maka wajib dia mengeluarkan hadats kecil itu terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang, sama ada waktu sembahyang itu masih panjang ataupun suntuk.
Sebagai kesimpulan, menahan air kencing, air besar atau angin, bukan sahaja boleh menjejaskan atau memberi kesan buruk kepada kesihatan seseorang, bahkan ia juga menyentuh perkara ibadat terutama sekali kekhusyukan dalam sembahyang. Ini kerana perbuatan menahan hadats kecil itu boleh mengalihkan pemikiran dan hati kepada perkara tersebut dan sekaligus menghilangkan kekhusyukan sembahyang.
Kekhusyukan dalam sembahyang adalah salah satu perkara yang menjamin kesempurnaan ibadah sembahyang. Oleh itu hendaklah dijaga, bukan sahaja menghindarkan diri daripada menahan hadats kecil tersebut, bahkan menghindarkan semua perkara yang boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan seumpamanya.
BOLEHKAH MEMBERHENTIKAN SEMBAHYANG BERSENDIRIAN UNTUK MENYERTAI SEMBAHYANG BERJEMAAH
Mengerjakan sembahyang secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits bahawa kelebihannya ialah dua puluh tujuh kali ganda darjatnya daripada sembahyang secara bersendirian. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Persoalan yang ingin ditimbulkan ialah mengenai orang yang sedang bersembahyang bersendirian, kemudian semasa dia bersembahyang itu ada kumpulan lain datang dan mendirikan sembahyang secara berjemaah. Adakah dibolehkan orang tersebut memberhentikan sembahyang yang dilakukannya secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi mendapatkan kelebihan sembahyang berjemaah itu?
Hukum Memberhentikan Sembahyang
Pada dasarnya memberhentikan sembahyang fardhu sebelum ia sempurna dikerjakan adalah ditegah dan hukumnya haram. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: 33)
Akan tetapi jika dilakukan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh syara‘, maka hukumnya adalah harus.
Adapun memberhentikan sembahyang sunat pula hukumnya tidaklah diharamkan sekalipun ia dilakukan bukan kerana keuzuran. Walau bagaimanapun menyempurnakan sembahyang sunat tersebut sehingga selesai adalah disunatkan.
Apakah Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Pemberhentian Sembahyang?
Antara perkara-perkara yang mengharuskan seseorang itu keluar daripada sembahyangnya ialah:
1. Apabila mendapati seseorang berada dalam bahaya atau kecelakaan. Umpamanya seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi, atau seseorang yang hampir diserang binatang buas dan tidak ada cara lain untuk menegur atau memberi peringatan kepadanya kecuali dengan memberhentikan sembahyang. Jadi dalam situasi atau keadaan ini adalah harus bahkan wajib ke atas orang yang bersembahyang itu menegurnya dengan percakapan sekalipun dengan berbuat demikian membatalkan sembahyangnya demi mengelakkan sebarang kecelakaan, kecederaan, kehilangan atau menyelamatkan nyawa dan harta benda.
2. Khusus bagi orang yang bersembahyang sunat sahaja, adalah harus dia keluar daripada sembahyangnya kerana menyahut panggilan ibu bapa. Bahkan menyahut panggilan ibu bapa itu adalah afdhal. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, menyahut panggilan ibu bapa ketika di dalam sembahyang sunat menjadi satu kewajipan bilamana ibu bapa boleh merasa dukacita sekiranya panggilan mereka itu tidak dijawab atau tidak diendahkan.
3. Untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi orang yang memulakan sembahyangnya secara bersendirian kerana semasa dia sembahyang bersendirian itu sembahyang jemaah mula didirikan.
Syarat Memberhentikan Sembahyang Bersendirian Untuk Menyertai Sembahyang Berjemaah
Hal memberhentikan sembahyang yang dilakukan secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah adalah diharuskan, tetapi hendaklah dengan mengambil kira beberapa perkara seperti berikut:
1. Sembahyang Fardhu.
Apabila seseorang sudah memulakan sembahyang fardhu secara bersendirian, kemudian ketika mengerjakan sembahyang itu dia mendapati sembahyang fardhu yang sama dikerjakan secara berjemaah, maka adalah harus dan afdhal dia memberhentikan sembahyangnya semata-mata untuk mengikuti jemaah.
Begitu juga sunat menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat walaupun dia berniat sembahyang untuk tiga atau empat rakaat. Akan tetapi untuk menukar niat sembahyang fardhu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana menyertai sembahyang jemaah ini hanya boleh dilakukan jika:
i. Waktu sembahyang masih lagi panjang, yang jika dia menukar niat sembahyangnya sebagai sembahyang sunat dua rakaat, dia yakin setelah menyempurnakan sembahyang sunat dua rakaat itu dia sempat melakukan sembahyang jemaah yang akan disertainya itu di dalam waktunya.
ii. Melakukan jenis sembahyang fardhu yang sama dengan sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu. Contohnya seseorang sedang bersembahyang Zhuhur secara bersendirian kemudian datang sekumpulan yang lain untuk mendirikan sembahyang Zhuhur juga secara berjemaah.
iii. Imam sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu harus dan tidak makruh untuk diikuti (dijadikan imam). Misalnya hendaklah imam tersebut bukan seorang yang fâsiq.
iv. Orang yang bersembahyang bersendirian itu belum mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat. Jika rakaat ketiga atau keempat itu sudah dikerjakannya, maka hendaklah disempurnakan sembahyang fardhu berkenaan terlebih dahulu, kemudian bolehlah diulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Namun jika waktu tidak mencukupi ataupun sembahyang fardhu yang dilakukan secara berjemaah itu berbeza dengan sembahyang fardhu yang dilakukannya secara bersendirian maka haram dia menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat. Seperti contoh seseorang yang bersembahyang Zhuhur secara qadha’ haram menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana sembahyang berjemaah yang ingin disertainya itu adalah sembahyang ‘Ashar.
2. Sembahyang Sunat.
Seseorang yang sedang mengerjakan sembahyang sunat, kemudian dia mendapati sembahyang fardhu berjemaah didirikan, maka dalam keadaan ini jika dia tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika dia merasakan bahawa dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan dia ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan menyertai jemaah kerana sembahyang berjemaah itu adalah lebih afdhal.
Sunat Mengulang Sembahyang Berjemaah Walaupun Sudah Sembahyang Bersendirian
Jika kita terlepas untuk melakukan sembahyang fardhu secara berjemaah kerana telah mengerjakan sembahyang tersebut secara bersendirian maka adalah sunat mengulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah kerana hukum mengulang sembahyang itu adalah sunat. Perkara mengulang sembahyang ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin Yazid bin al-Aswad al-‘Amiriy, dari bapanya, dia berkata:
Maksudnya: Aku telah hadir bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada masa haji (Wida‘)nya, maka aku sembahyang bersamanya sembahyang Shubuh di masjid al-Khaif. Dia (bapa Jabir) berkata: “Apabila Baginda telah selesai daripada sembahyangnya dan beredar, Baginda melihat dua orang lelaki dalam kumpulan yang lain tidak mengerjakan sembahyang bersamanya. Baginda bersabda: “Dan hadapkan (bawakan) kepadaku mereka berdua”. Lalu dihadapkan mereka itu dan mereka mula menggigil ketakutan. Baginda bersabda: “Apa yang menghalangi kamu berdua untuk bersembahyang bersama kami?” Mereka berdua berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami telah mengerjakan sembahyang kami di tempat (rumah) kami. Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu. Jika kamu berdua telah mengerjakan sembahyang di tempat kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid di mana sembahyang jemaah sedang dilakukan, maka sembahyanglah kamu berdua bersama mereka, sesungguhnya (sembahyang itu) bagi kamu berdua menjadi sembahyang sunat.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Sebagai kesimpulan, sembahyang fardhu yang dilakukan secara bersendirian harus dan afdhal diberhentikan untuk menyertai sembahyang berjemaah jika merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah itu.
Namun jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah maka sunat menukar niat sembahyang fardhunya kepada sembahyang sunat. Akan tetapi selepas mengerjakan sembahyang sunat itu dia hendaklah yakin akan sempat mengerjakan sembahyang berjemaah itu di dalam waktunya.
Begitu juga jika berada dalam rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat maka hendaklah dia menghabiskan sembahyang fardhunya itu terlebih dahulu dan sunat mengulang sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Dalam sembahyang sunat pula, jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika merasa bimbang dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan terus menyertai sembahyang jemaah.
Maka dengan demikian fadhilat sembahyang berjemaah itu masih dapat diraih walaupun sedang atau setelah sembahyang bersendirian tertakluk kepada keadaan-keadaan yang telah dijelaskan.
JANGAN TINGGALKAN SEMBAHYANG JUMAAT KECUALI TERDAPAT KEUZURAN
Sembahyang Jumaat merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya) adalah penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hari Jumaat juga adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadits bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Daripada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir Radhiallâhu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat ialah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. (Hadits riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi)
Kewajipan Sembahyang Jumaat
Mengerjakan sembahyang Jumaat adalah wajib dan kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munâfiq. Abu al- Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munâfiq. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Keuzuran Yang Mengharuskan Meninggalkan Sembahyang Jumaat
Sekalipun sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, tetapi adakalanya seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat jika terdapat keuzuran yang diharuskan oleh syara‘. Antara keuzuran syar‘i itu ialah:
1. Sakit yang menghalanginya daripada pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan kesembuhannya. Begitu juga sakit cirit-birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.
2. Orang musafir yang sedang dalam pelayaran yang diharuskan, selama dia tidak berniat untuk bermuqim atau menetap pada sesuatu tempat dalam tempoh empat hari atau lebih.
Maksudnya: Tidak wajib Jumaat ke atas orang musafir. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Akan tetapi bagi orang yang baru hendak memulakan pelayarannya pada hari Jumaat sebelum tergelincir matahari, tidak harus bagi mereka meninggalkan sembahyang Jumaat. Waktu sebelum tergelincir matahari itu ialah bermula setelah masuk waktu Shubuh. Begitu juga bagi orang yang belayar selepas tergelincir matahari.
3. Orang yang dipenjara (dikurung). Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mempunyai keuzuran. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)
4. Sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk. Tidaklah disyaratkan orang yang menguruskan jenazah itu terdiri daripada ahli keluarganya seperti anak dan saudaranya. Adapun orang yang hadir, selain daripada orang yang menguruskan jenazah itu, tidak dikira sebagai orang yang mempunyai keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat.
Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat, baginya sama ada untuk menunaikan sembahyang Zhuhur ataupun sembahyang Jumaat. Jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaat sudah memadai, dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang Zhuhur.
Adalah disunatkan bagi orang yang menyangkakan keuzurannya meninggalkan Jumaat itu akan hilang supaya melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga ia berputus harapan untuk pergi ke masjid mengerjakan sembahyang Jumaat kerana keuzurannya itu boleh hilang dan dia dapat menunaikan sembahyang Jumaat itu. Walau bagaimanapun jika dia mengerjakan sembahyang Zhuhur pada awal waktu kemudian hilang keuzurannya tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat walaupun masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.
Adapun jika dia menyangkakan yang keuzurannya itu tidak akan hilang maka disunatkan baginya untuk bersegera mengerjakan sembahyang Zhuhur demi mencapai fadhilat sembahyang pada awal waktu. Jika orang yang ada keuzuran itu telah mengerjakan sembahyang Zhuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zhuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat baginya.
Daripada penjelasan di atas, sembahyang Jumaat merupakan satu kewajipan yang tidak dapat ditinggalkan. Disebutkan dalam beberapa buah hadits bahawa sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya itu seperti hati orang munâfiq. Hanya orang-orang yang mempunyai keuzuran sahaja boleh meninggalkan sembahyang Jumaat itu. Oleh itu, ingatlah bahawa sembahyang Jumaat tidak boleh ditinggalkan melainkan jika ada keuzuran.
MUSAFIR YANG DIHARUSKAN MENGQASHAR DAN MENJAMA‘ SEMBAHYANG
Orang yang membuat pelayaran atau disebut juga sebagai musafir diberikan rukhshah iaitu keringanan hukum untuk mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu.
Maksud mengqashar sembahyang ialah memendekkan sembahyang fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu memendekkan sembahyang fardhu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’.
Manakala menjama‘ sembahyang pula bermaksud menghimpunkan dua sembahyang fardhu yang beriringan di dalam satu waktu iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashar secara jama‘ taqdîm atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’, sama ada secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr.
Tujuan rukshah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada musafir yang pada kebiasaannya menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang pelayaran mereka.
Walau bagaimanapun perlu difahami tidak semua musafir (orang yang belayar) diharuskan untuk mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu mereka. Ini kerana seseorang yang dalam pelayaran itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhunya.
Jarak Pelayaran Yang Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Seorang musafir dibolehkan mengqashar sembahyangnya apabila jarak perjalanannya (tidak termasuk jarak balik daripada pelayaran) tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer. Jika jarak perjalanan itu kurang daripada kadar tersebut, maka dia tidak dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia belayar ke satu jarak yang jauhnya melebihi dua marhalah, kemudian pada suatu tempat di pertengahan pelayarannya dia berniat untuk pulang, maka pada ketika itu dia tidak boleh mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya selagi dia masih berada di tempat tersebut. Akan tetapi jika dia keluar dari tempat tersebut, sama ada belayar balik semula ke negerinya atau meneruskan pelayarannya ke tempat lain, dan jarak perjalanannya itu dua marhalah atau lebih, maka pada ketika itu diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Tujuan Pelayaran Yang Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Tidak dalam semua perjalanan atau pelayaran diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang. Tujuan perjalanan atau pelayaran itu perlu juga dinilai untuk mendapatkan rukhshah menjama‘ dan mengqashar sembahyang.
Pelayaran yang dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyang itu disyaratkan pelayaran yang mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, tidak ada ruang untuk mendapat rukhshah mengqashar atau menjama‘ sembahyangnya.
Menentukan Tempat Yang Dituju Untuk Membolehkan Qashar Dan Jama‘ Sembahyang
Untuk membolehkan seseorang itu mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya, disyaratkan baginya menentukan tempat yang hendak dituju. Oleh itu tidak harus bagi orang yang tidak tahu ke mana hendak ditujunya atau seseorang yang berhenti di suatu tempat yang tidak ditentukannya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Begitu juga halnya bagi orang yang mencari orang yang berhutang atau mencari orang yang lari dan tidak diketahui di mana dia berada dan dia ini tidak berkeinginan untuk membuat pelayaran yang jauh (disebabkan mencari orang tersebut), maka dia tidak boleh mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya dan wajib baginya menunaikan sembahyang secara sempurna sekalipun perjalanannya mencapai dua marhalah atau lebih. Walau bagaimanapun jika dia mengetahui bahawa dia tidak akan menemui orang yang dicari kecuali pada tempat yang jauhnya lebih daripada dua marhalah, maka dibolehkan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu.
Tempoh Menetap Di Sesebuah Tempat Yang Dibenarkan Untuk Mengqashar Dan Menjama‘ Sembahyang
Adapun tempoh menetap pada satu-satu tempat di negeri yang dituju, disyaratkan seorang musafir itu menetap tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) yang diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang.
Jika seseorang itu sampai dan berniat untuk menetap atau bermuqim pada satu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari balik), maka putuslah safarnya (pelayarannya) sebaik-baik sahaja dia tiba di tempat tersebut dan tidak harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik sahaja selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tunggunya setiap hari itu, maka diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik). Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhhar, maka harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu sehingga lapan belas hari sahaja.
Jika dia sampai pada satu tempat dan dia mengetahui bahawa urusan atau hajatnya tidak akan selesai melainkan selepas empat hari (tidak termasuk hari sampai dan balik), maka tidak diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa tidak semua orang yang hendak belayar itu dianggap sebagai musafir yang boleh mengqashar atau menjama‘ sembahyang fardhunya, kecuali setelah memenuhi syarat-syarat qashar dan jama‘ seperti yang telah ditentukan oleh syara‘.
PERBEZAAN SYARAT JAMA‘ TAQDÎM DENGAN JAMA‘ TA’KHÎR
Menjama‘ sembahyang adalah antara rukhshah iaitu keringanan yang diberikan kepada musafir bagi kemudahan mereka kerana pada kebiasaannya di dalam bermusafir akan menghadapi kesusahan dan keletihan di sepanjang pelayaran mereka.
Menjama‘ sembahyang boleh dilakukan dengan dua cara iaitu boleh dilakukan secara taqdîm atau ta’khîr. Walaupun secara umumnya kedua-dua cara jama‘ ini adalah serupa yang bertujuan untuk menghimpun sembahyang, namun terdapat beberapa perbezaan dalam syarat-syarat masing-masing.
Apa Jama‘ Taqdîm Dan Jama‘ Ta’khîr itu?
Jama‘ taqdîm ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur atau sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu Zhuhur atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Maghrib.
Jama‘ ta’khîr pula ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu ‘Ashar atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu ‘Isya’.
Syarat-Syarat Mengharuskan Melakukan Jama‘ Sembahyang
Seseorang yang dalam pelayaran yang ingin melakukan jama‘ sembahyang sama ada secara taqdîm atau ta’khîr, hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:
1. Jarak perjalanannya ke tempat yang akan ditujunya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer.
2. Tujuan pelayarannya pada perkara yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
3. Mengetahui tempat yang hendak dituju.
Perbezaan Syarat-Syarat Jama‘ Taqdîm Dengan Jama‘ Ta’khîr
Seorang musafir yang ingin menjama’ atau menghimpunkan sembahyang-sembahyangnya sama ada secara taqdîm atau ta’khîr hendaklah mengetahui syarat-syarat menjama‘ sembahyang sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘:
1. Niat untuk menjama‘ sembahyang.
Disyaratkan niat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang (Zhuhur atau Jumaat dengan sembahyang ‘Ashar atau sembahyang Maghrib dengan sembahyang ‘Isya’) sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kerana ia adalah syarat sah jama‘ menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang secara jama‘ taqdîm boleh dilakukan ketika takbîratul-ihrâm pada sembahyang yang pertama (Zhuhur, Jumaat atau Maghrib), dan boleh juga niat dilakukan pada pertengahan sembahyang yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama iaitu sebelum memberi salam atau seiring dengan selesai sembahyang yang pertama iaitu ketika memberi salam. Akan tetapi waktu yang lebih afdhal ialah berniat jama‘ ketika takbîratul-ihrâm sembahyang yang pertama.
Untuk menjama‘ sembahyang secara jama‘ ta’khîr pula, wajib berniat jama‘ di dalam waktu sembahyang yang pertama. Umpamanya seorang musafir yang ingin menjama‘ ta’khîr sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar, maka wajib dia berniat dalam waktu Zhuhur untuk menjama‘ ta’khîr kedua-dua sembahyang itu dan melakukan kedua-dua sembahyang tersebut dalam waktu ‘Ashar.
Contoh niat jama‘ ta’khîr yang dilakukan di dalam hati:
Ertinya: Sahaja aku berniat mengakhirkan sembahyang fardhu Zhuhur untuk aku mengerjakannya pada waktu ‘Ashar.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang pada waktu yang kedua hendaklah dilakukan sebelum habis waktu sembahyang yang pertama iaitu sekurang-kurangnya pada kadar waktu yang mencukupi untuk melakukan sembahyang. Sekiranya dia tidak berniat atau dia berniat jama‘ sembahyang pada waktu yang pertama pada kadar waktu yang tidak mencukupi untuknya melakukan sembahyang (Zhuhur atau Maghrib), maka dia tidak boleh melakukan jama‘ ta’khîr. Oleh yang demikian wajib dia mengqadha’ sembahyang pertama (Zhuhur atau Maghrib) yang tidak dilakukan pada waktunya.
2. Dua sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara muwâlah.
Muwâlah adalah salah satu syarat sah jama‘ taqdîm. Muwâlah bermaksud berturut-turut iaitu tidak dipisahkan di antara dua sembahyang yang dijama‘ dengan jarak waktu yang panjang. Jika antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka ia tidak boleh lagi dijama‘ dan sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) wajib dikerjakan di dalam waktunya. Ini kerana ikatan jama‘ sembahyang kedua sudah hilang disebabkan oleh pemisahan jarak masa yang panjang antara kedua-duanya.
Manakala dalam jama‘ ta’khîr pula tidak diwajibkan muwâlah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah sunat jika seseorang itu melakukan sembahyang jama‘ ta’khîrnya dengan muwâlah pada dua sembahyang yang dijama‘.
3. Mengikut tertib.
Di dalam sembahyang jama‘ taqdîm, hendaklah sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang fardhu Zhuhur kemudian sembahyang fardhu ‘Ashar dan mendahulukan sembahyang fardhu Maghrib kemudian sembahyang fardhu ‘Isya’.
Dalam jama‘ taqdîm, sembahyang yang pertama iaitu Zhuhur dan Maghrib dilakukan pada waktu-waktunya, sementara sembahyang yang kedua iaitu ‘Ashar dan ‘Isya’ hanya mengikuti sembahyang yang pertama. Sembahyang yang kedua tidak boleh didahulukan daripada yang pertama. Jika seseorang itu menjama‘ sembahyangnya secara taqdîm dengan mendahulukan sembahyang fardhu ‘Ashar daripada sembahyang fardhu Zhuhur atau mendahulukan sembahyang fardhu ‘Isya’ daripada sembahyang fardhu Maghrib, maka tidak sah sembahyang ‘Ashar dan ‘Isya’ yang dilakukannya itu.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, menjama‘ sembahyang secara tertib tidak diwajibkan. Seseorang itu boleh mendahulukan sembahyang ‘Ashar kemudian baru sembahyang Zhuhur atau sebaliknya ataupun mendahulukan sembahyang ‘Isya’
kemudian baru sembahyang Maghrib atau sebaliknya. Akan tetapi melaksanakannya secara tertib adalah disunatkan.
4. Berkekalan pelayaran sebagai syarat untuk melakukan jama‘ sembahyang.
Untuk melakukan jama‘ taqdîm, disyaratkan pelayaran seseorang itu berkekalan sehingga dia selesai menyempurnakan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’).
Jika seorang musafir itu ketika melakukan jama‘ taqdîm menjadi orang yang bermuqim sebelum melakukan sembahyang yang kedua disebabkan dia berniat untuk menetap atau tinggal di tempat tersebut (lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan balik) atau kapalnya sampai pada tempat dia hendak bermuqim, maka batal sembahyang jama‘nya dan wajib ke atasnya melakukan sembahyangnya yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) pada waktu yang kedua. Walau bagaimanapun sembahyang pertama yang dilakukannya (dengan niat jama‘) adalah sah kerana sembahyang tersebut telah dilakukan pada waktunya.
Jika dia menjadi orang yang bermuqim ketika dia sedang melakukan sembahyang yang kedua atau sesudah dia melakukan sembahyang yang kedua, maka sah jama‘ kedua-dua sembahyang tersebut.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, hendaklah berkekalan pelayaran sehingga selesai sembahyang yang kedua. Oleh itu jika dia berniat untuk menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) atau dia sampai ke tempat dia hendak bermuqim sebelum dia selesai melakukan sembahyang yang kedua, maka batal jama‘ sembahyangnya.
Demikian beberapa panduan mengenai dengan syarat-syarat jama‘ taqdîm dan jama‘ ta’khîr dan perbezaan pada syarat-syarat kedua-duanya yang perlu diambil perhatian. Sebagai peringatan bahawa tidak boleh menjama‘ sembahyang sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kecuali setelah melewati sempadan kampung halamannya dan juga hendaklah dia menetap di tempat tujuan tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) kerana jika lebih daripada itu maka dia sudah dikira bermuqim dan tidak harus lagi menjama‘ sembahyangnya.
MENYEGERAKAN SEMBAHYANG JENAZAH
Islam telah menggariskan cara pengurusan dan penyempurnaan jenazah orang Islam dengan jelas dan terperinci. Secara ringkas, dalam penyempurnaan jenazah orang Islam wajib dilaksanakan empat perkara, iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam.
Pada kebiasaannya perkara memandikan, mengkafankan dan mengebumikan mayat itu dilakukan atau diuruskan oleh orang-orang tertentu sahaja, khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. Akan tetapi dalam perkara menyembahyangkan jenazah, boleh dikatakan sudah ramai orang yang boleh melakukannya, walaupun ada juga yang tidak melaksanakannya.
Antara perkara penting yang perlu diambil perhatian dalam pengurusan jenazah orang Islam ialah menyegerakan pengurusan tersebut termasuklah menyegerakan sembahyang jenazah kecuali dalam beberapa keadaan, harus diakhirkan atau dilambatkan. Perkara menyegerakan dan melambatkan pengurusan jenazah ini bukanlah sekadar adat kebiasaan sahaja akan tetapi mempunyai asas dan dalil yang kukuh dalam syara‘.
Pada dasarnya hukum menyegerakan sembahyang jenazah itu suatu tuntutan, namun ada keadaan-keadaan yang membenarkan untuk melambatkannya.
Menyegerakan Sembahyang Jenazah
Hukum sembahyang jenazah merupakan fardhu kifâyah. Ia boleh dikerjakan secara bersendirian ataupun secara berjemaah. Jenazah yang sudah dimandikan dan dikafankan, wajib disembahyangkan sebelum dikebumikan. Menurut ulama, adalah sunat disegerakan sembahyang ke atas jenazah tanpa melambat-lambatkannya melainkan kerana beberapa keadaan serta syarat-syarat tertentu. Dalil mengenai perkara ini diambil secara umum berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bersegeralah kamu dengan (pengurusan) jenazah. (Hadits riwayat Muslim)
Berikut adalah pendapat ulama mengenai perkara menyegerakan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah:
1. Tidak disunatkan untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah kerana menunggu atau mengharap bertambahnya bilangan orang yang akan menyembahyangkan jenazah tersebut.
Perkara menyegerakan sembahyang jenazah adalah dituntut melainkan jika yang ditunggu itu adalah wali kepada jenazah untuk menyembahyangkan jenazah tersebut. Dalam hal ini, tidak mengapa diakhirkan sembahyang jenazah kerana menantikan kedatangan walinya. Ini kerana menurut pendapat ulama, wali kepada jenazah adalah orang yang berhak (mustahiq) untuk menjadi imam bagi sembahyang jenazah itu. Namun perkara yang penting ialah bukan menjadi suatu kewajipan untuk diakhirkan sembahyang ke atas jenazah hanya kerana menunggu kedatangan wali.
Tambahan daripada itu, ulama telah menggariskan beberapa syarat jika sembahyang jenazah hendak diakhirkan kerana menunggu walinya, iaitu:
i. Jika diharapkan kedatangan wali tersebut dari tempat yang dekat atau berhampiran, maka sunat mengakhirkan sembahyang ke atas jenazah.
ii. Hendaklah selamat daripada terjadinya perubahan terhadap mayat.
2. Sebahagian ulama mengatakan jika tidak ditakuti terjadi perubahan pada jenazah, sepatutnya ditunggu sehingga jemaah itu sempurna bilangannya seratus atau empat puluh orang yang diharapkan kehadiran mereka dari tempat yang dekat. Antara alasan yang dikemukakan ialah:
i. Perkara ini adalah wârid berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada satu mayat yang disembahyangkan ke atasnya oleh sekumpulan Muslimin yang mencapai bilangannya seratus orang, kesemuanya memohon syafaat baginya (mayat), melainkan diterima syafaat mereka itu pada mayat tersebut. (Hadits riwayat Muslim)
ii. Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang Muslim yang meninggal dunia lalu disembahyangkan ke atas jenazahnya oleh empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, melainkan Allah menerima syafaat mereka itu pada mayat tersebut. (Hadits riwayat Muslim)
iii. Diriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ telah mengakhirkan sembahyang jenazah kerana menanti sempurnanya bilangan 40 orang.
iv. Dikatakan bahawa hikmahnya ialah tidak berkumpul 40 orang kecuali terdapat di antara mereka itu seorang wali. Adapun hikmah 100 orang adalah serupa dengan hikmah 40 orang.
v. Dalam ittibâ‘ (mengikut sunnah Nabi), apabila seseorang atau satu jemaah itu hadir setelah jenazah disembahyangkan dan mereka mahu menyembahyangkannya, maka sembahyang ke atas jenazah sunat dilakukan di atas kubur. Walau bagaimanapun, pada masa akhir-akhir ini, sudah menjadi suatu kebiasaan atau kelaziman bahawa sembahyang jenazah itu tidak dilakukan di atas kubur, yakni selepas jenazah dikebumikan.
Atas anggapan bahawa sembahyang jenazah itu tidak akan dilakukan setelah jenazah dikebumikan, maka sunat ditunggu sempurnanya bilangan yang disebutkan, di samping terdapatnya mashlahat untuk jenazah tersebut.
Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifâyah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah dituntut. Namun sunat ditangguhkan atau dilambatkan untuk menunggu kedatangan wali kepada jenazah dan dengan syarat tidak terjadi perubahan kepada jenazah. Manakala wârid daripada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, amalan sahabat dan pendapat sebahagian ulama jika tidak ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, sepatutnya menunggu seketika bagi menyempurnakan bilangan seratus atau empat puluh orang untuk menyembahyangkan jenazah tersebut.
SEMBAHYANG JENAZAH: Bolehkah Dilakukan Berulang Kali?
Antara perkara-perkara yang dituntut untuk dilaksanakan terhadap jenazah ialah menyembahyangkannya. Tuntutan menyembahyangkan jenazah ini adalah fardhu kifâyah. Jika sembahyang ke atas jenazah itu dilakukan oleh seorang sahaja, maka itu pun sudah memadai dan gugur kewajipan tersebut daripada orang lain selainnya. Mereka tidak berdosa jika mereka tidak melakukannya.
Walaupun tuntutan fardhu kifâyah itu sudah tertunai dan memadai dengan dilaksanakan oleh seorang individu sahaja, namun sebilangan besar masyarakat kita begitu prihatin untuk tidak ketinggalan menyembahyangkan jenazah yang mereka ziarahi. Seringkali kita dapati bilangan jemaah yang turut sama menyembahyangkan jenazah tersebut begitu ramai. Kadang-kala kita dapati juga sembahyang ke atas jenazah dilakukan beberapa kali oleh individu atau jemaah yang berlainan oleh sesetengah orang yang terlewat datang. Ini kerana antara tujuan mereka menyembahyangkan jenazah itu adalah sebagai penghormatan mereka terhadapnya dan dengan harapan agar apa yang dilakukan itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memberi rahmat dan keampunan kepada si mati.
Persoalannya, adakah sembahyang jenazah yang dilakukan beberapa kali atau dilakukan secara berulang-ulang ke atas jenazah yang telah disembahyangkan itu, sama ada ia dilakukan oleh individu atau jemaah yang sama ataupun berlainan, dibenarkan oleh syara‘? Tidakkah dengan mengulang-ulang sembahyang itu boleh menjejaskan tuntutan menyegerakan pengebumiannya? Untuk menjawab persoalan terhadap perkara ini, dinyatakan penjelasan ulama mengenainya.
Perbezaan Antara Jenazah Yang Sudah Dan Yang Belum Disembahyangkan
Sembahyang ke atas jenazah merupakan fardhu kifâyah. Manakala berjemaah dalam sembahyang jenazah hanyalah sunat.
Jika jenazah belum disembahyangkan, maka tuntutan sembahyang jenazah masih merupakan fardhu kifâyah ke atas setiap orang Islam yang mengetahuinya. Sembahyang jenazah boleh dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah.
Bagaimana pula dengan jenazah yang sudah disembahyangkan, apakah boleh dilakukan sembahyang ke atas jenazah tersebut berulang-kali, sama ada dilakukan oleh individu yang sama ataupun individu yang berlainan? Penjelasan kepada persoalan ini dibahagikan kepada dua, iaitu:
1. Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah.
Jika seseorang datang dan dia belum menyembahyangkan jenazah tersebut, sedangkan imam dan jemaah yang lain telahpun selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, maka disunatkan bagi orang yang baru datang tadi untuk menyembahyangkan jenazah tersebut secara berjemaah ataupun secara bersendirian.
Niat mengerjakan sembahyang ke atas jenazah bagi yang belum mengerjakannya, hendaklah dengan niat fardhu dan dikira sebagai fardhu kifâyah seperti juga sembahyang yang pertama yang telah dikerjakan oleh jemaah awal, serta diberikan kepadanya ganjaran pahala fardhu, sama ada sembahyang itu dilakukan sebelum ataupun selepas jenazah dikebumikan. 2. Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah.
Menurut pendapat yang shahîh, tidak disunatkan, bahkan ia menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ) bagi sesiapa yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah untuk mengulanginya lagi dalam semua keadaan, sekalipun sembahyangnya yang awal itu dilakukan:
i. Secara bersendirian, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara berjemaah, sama ada kumpulan kedua yang hendak berjemaah dalam sembahyang jenazah itu datang sebelum pengebumian ataupun selepas pengebumian; atau
ii. Secara bersendirian, dan mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara bersendirian; atau
iii. Secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara berjemaah; atau
iv. Secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara bersendirian.
Bahkan mustahabb ditinggalkan perbuatan mengulangi sembahyang ke atas jenazah bagi yang sudah mengerjakannya.
Jika dia mengulangi juga sembahyangnya, sama ada satu kali ataupun lebih, maka sembahyang yang kedua dan seterusnya itu dianggap sah dan dikira sebagai sunat. Walau bagaimanapun sembahyang yang diulanginya itu tetap wajib dikerjakan dengan niat fardhu.
Adapun sesetengah ulama yang membenarkan pengulangan sembahyang jenazah, umpamanya Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang mengatakan harus, adalah kerana tujuan atau sebab sembahyang ke atas jenazah itu dilakukan kerana sembahyang itu sebagai do‘a, syafaat dan memperbanyakkan pahala bagi jenazah.
Disegerakan Pengebumian Jenazah
Apabila jenazah sudah selesai disembahyangkan, maka mengikut sunnah hendaklah disegerakan pengebumiannya tanpa perlu menunggu-nunggu kedatangan sesiapa, kecuali kerana menunggu kedatangan walinya dari jarak tempat yang hampir atau berdekatan. Namun penangguhan sebentar itu dibenarkan dengan syarat jika tidak ditakuti terjadinya perubahan pada mayat. Sebaliknya jika ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, maka tidak ditunggu wali tersebut atau ditangguhkan pengebumiannya. Ini kerana tuntutan menghormati jenazah itu lebih penting daripada menunggu kedatangan wali.
Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifâyah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah dituntut. Sesiapa yang hadir dan belum menyembahyangkan jenazah, maka dia boleh mengerjakannya secara bersendirian ataupun berjemaah, sama ada jenazah tersebut sudah selesai disembahyangkan ataupun belum. Manakala bagi sesiapa yang sudah mengerjakannya, tidak disunatkan untuk dia mengulanginya lagi.
PENGURUSAN JENAZAH ANAK YANG GUGUR DARI KANDUNGAN
Adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam untuk menguruskan jenazah saudara Islam mereka. Orang Islam yang mengetahui akan kematian seseorang sama ada dia terdiri daripada kerabat atau saudara mara si mati ataupun orang lain adalah wajib fardhu kifâyah melaksanakan pengurusan jenazahnya. Pengurusan jenazah itu juga menjadi tuntutan fardhu kifâyah ke atas orang yang tidak mengetahui akan kematian seseorang kerana kecuaiannya untuk mengambil tahu tentang kematian orang tersebut seperti dia tinggal berjiran dengan si mati.
Pengurusan jenazah yang dimaksudkan itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Namun begitu adakalanya terdapat beberapa pengurusan jenazah yang tidak dituntut untuk dilaksanakan ke atas mayat orang Islam umpamanya mayat orang yang mati syahîd, tidak wajib bahkan haram dimandikan dan disembahyangkan.
Bagi jenazah anak yang gugur dari kandungan ibunya, apakah yang wajib dilakukan ke atasnya? Adakah sama dengan apa yang wajib dilakukan ke atas jenazah orang dewasa ataupun terdapat pengecualian tertentu?
Definisi Anak Yang Gugur
Anak yang gugur atau dalam bahasa Arab disebut sebagai as-siqth bermaksud anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup bulan iaitu sekurang-kurang tempoh kehamilan enam bulan.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, anak yang keluar dari kandungan setelah cukup bulan tidak lagi dinamakan ia anak yang gugur.
Pengurusan Jenazah Anak Yang Gugur
Anak yang gugur dari kandungan atau anak yang lahir sebelum cukup bulan itu terbahagi kepada tiga keadaan. Pengurusan jenazahnya adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
1. Nyata hidupnya sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan, jika nyata hidupnya seperti ia menjerit atau menangis sebelum matinya maka pengurusan jenazahnya adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan kerana dia diyakini mati selepas hidupnya.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika anak (waktu dia dilahirkan) menjerit maka hendaklah dia disembahyangkan dan diwarisi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits di atas menunjukkan bahawa anak yang gugur dari kandungan apabila nyata hidupnya sebelum mati seperti menjerit maka dia disembahyangkan.
2. Tidak nyata hidupnya sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan jika tidak nyata hidupnya sebelum dia mati akan tetapi ada tanda-tanda hidup seperti dia bergerak, maka wajib dimandikan, dikafankan dan dikebumikan. Demikian juga wajib disembahyangkan sebagaimana menurut pendapat yang azhhar. Ini kerana anak tersebut berkemungkinan hidup dengan wujudnya tanda yang menunjukkannya hidup dan ia juga dilakukan kerana mengambil langkah berhati-hati.
3. Tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda hidup sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dia hidup sebelum mati terbahagi kepada dua keadaan:
i. Nyata kejadiannya.
Jika anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda hidup sebelum mati akan tetapi nyata kejadiannya sebagai manusia, maka wajib dimandikan, dikafankan dan kebumikan. Sementara itu tidak wajib disembahyangkan anak tersebut sebagaimana menurut pendapat yang azhhar kerana tidak nyata hidupnya.
ii. Tidak nyata kejadiannya.
Jika anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda yang menunjukkan dia hidup sebelum mati serta tidak nyata kejadiannya sebagai manusia, maka tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan kerana tidak ada tanda-tanda hidup. Walau bagaimanapun ia sunat dibungkus dengan kain dan dikebumikan.
Adapun pengurusan jenazah bagi anak yang lahir setelah cukup bulan sebagaimana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, pengurusannya adalah sama seperti pengurusan jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan walaupun anak itu mati ketika dia dilahirkan dan tidak diketahui hidupnya sebelum itu.
Sebagai kesimpulan, anak yang gugur dari kandungan itu adakalanya diwajibkan keempat-empat perkara iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan dan adakalanya juga diwajibkan kesemuanya melainkan sembahyang bahkan ada juga tidak diwajibkan kesemuanya melainkan sunat dibungkus dan dikebumikan sahaja.
CARA MENYEMPURNAKAN MAYAT YANG TIDAK DIKETAHUI IDENTITINYA
Dalam media massa, sesekali terpapar berita mengenai penemuan mayat yang tidak dikenali dan tidak dapat dipastikan identitinya. Antara sebab mengapa timbul kesukaran untuk memastikan identitinya ialah kerana keadaannya yang sudah reput akibat mati lemas atau daripada kesan hangus terbakar, atau mayat hanya tinggal tengkorak dan tulang-belulang dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi jika mayat tersebut dijumpai jauh dari tempat tinggal atau kediaman orang ramai seperti dalam belukar, di pinggir hutan, terdampar di pantai dan sebagainya.
Persoalan yang timbul ialah mayat yang tidak dapat dipastikan identitinya itu sudah tentu tidak diketahui agamanya. Maka menurut Islam, bagaimanakah pengurusan dan penyempurnaan mayat tersebut?
Kedudukan Dan Ketinggian Agama Islam
Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut lagi, terlebih dahulu perkara yang perlu sama-sama difahami ialah tentang kedudukan agama Islam dalam negeri atau tempat mayat itu dijumpai, kerana perkara ini akan mempengaruhi hukum yang diambil.
Agama Islam itu tinggi dan mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya. Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama Islam, maka orang-orang Islam dan negara-negara Islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan, kerana mereka dibangsakan kepadanya. Kemuliaan dan kehormatan orang-orang Islam bukan sahaja semasa hidupnya tetapi juga selepas matinya. Hatta mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai atau didapati dalam negara Islam hendaklah diurus sebagaimana sepatutnya mayat seseorang Islam diuruskan.
Penentuan Agama Bagi Mayat Yang Tidak Diketahui Identitinya
Bagi tujuan pengurusan dan penyempurnaan mayat yang tidak diketahui identitinya, terlebih dahulu perkara utama yang diambil perhatian ialah menentukan sama ada mayat tersebut dihukumkan sebagai beragama Islam atau selainnya. Ulama telah memberikan penjelasan mengenai perkara ini, secara ringkasnya adalah seperti berikut:
1. Mayat Yang Dijumpai Dalam Negeri Islam
Menurut para ulama, mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai dalam negeri Islam, adalah dihukumkan sebagai beragama Islam.
Antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini kerana orang Islam lebih ramai dan kerana kehormatan negeri Islam itu sendiri. Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh menyebutkan bahawa tidak ada perbezaan dalam perkara ini, sama ada pada mayat yang dijumpai itu terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak, dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri orang-orang Islam itu.
Dalam sesetengah keadaan, apa yang dijumpai bukanlah mayat yang lengkap, tetapi cuma sebahagian anggota tubuh badan manusia sahaja. Jika tidak diketahui adakah anggota yang terpisah itu dimiliki oleh seorang yang beragama Islam atau bukan, sedangkan ia dijumpai dalam negeri Islam, maka hukumnya adalah serupa dengan hukum mayat yang tidak diketahui identitinya dijumpai dalam negeri Islam, iaitu hendaklah dimandikan dan disembahyangkan. Namun dalam hal ini, hendaklah diyakini, tanpa syak, bahawa anggota itu bukan terpisah daripada seseorang ketika dia masih hidup. Ini kerana jika anggota itu diyakini terpisah daripada pemiliknya semasa dia masih hidup atau diragui tentang kematiannya, maka ia hanya sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Sunat juga dibungkus anggota tersebut dengan kain tanpa disembahyangkan.
Hukum ini adalah berdasarkan penjelasan para ulama mengenainya, antaranya yang telah disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, iaitu:
Ertinya: Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau sebahagian anggotanya di negeri kita (Islam), maka ia disembahyangkan kerana yang berkuasa di negeri itu adalah orang-orang Islam.
Manakala matan kitab ar-Raudh yang disebutkan di dalam kitab Asnâ al- Mathâlib menyatakan:
Ertinya: Sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau anggotanya di dalam negeri Islam, maka hendaklah dia menyembahyangkannya.
Maka dapat difahami daripada pendapat para ulama, apabila suatu mayat atau sebahagian anggota mayat yang dijumpai itu dikehendaki untuk disembahyangkan, ini bermakna mayat atau pemilik anggota tersebut dihukumkan sebagai beragama Islam. Ini kerana hukum menyembahyangkan mayat orang kafir adalah haram berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah at-Taubah:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati daripada orang-orang yang munafik itu selama-lamanya. (Surah at-Taubah: 84)
2. Mayat Yang Dijumpai Dalam Negeri Kafir
Menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh mayat yang tidak diketahui identitinya atau sebahagian anggotanya dijumpai dalam negeri kafir, hukumnya adalah seperti hukum kanak-kanak laqîth (pungut), iaitu:
i. Jika terdapat orang Islam di dalam negeri kafir itu, maka dia dihukumkan sebagai beragama Islam.
ii. Sebaliknya jika tiada orang Islam di dalam negeri kafir itu, maka dia dihukumkan kafir.
Inilah juga yang dijelaskan oleh Syeikh Ahmad Al-Maghribi Rahimahullâh, katanya:
Ertinya: Maka hukum mayat yang tidak dikenali (atau anggotanya), adalah sama dengan hukum laqîth, dan permasalahannya ialah: Apabila ia dijumpai dalam negeri orang kafir dan di situ ada orang Islam, sesungguhnya ia disembahyangkan.
Penyempurnaan Mayat Yang Dihukumkan Beragama Islam
Seperti yang telah dijelaskan terdahulu, apabila sesuatu mayat atau sebahagian anggota mayat yang tidak diketahui identitinya dan dihukumkan mayat tersebut sebagai beragama Islam, maka cara penyempurnaan jenazahnya adalah mengikut kaedah atau cara Islam.
Para ulama telah meletakkan asas-asas yang kukuh bagaimana menguruskan jenazahnya. Antara dasar-dasarnya itu ialah:
“Sekiranya dijumpai tengkorak, salah satu anggota mayat atau tubuh badan mayat yang lengkap dalam negeri Islam yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah anggota atau mayat itu orang Islam atau bukan Islam, maka wajiblah mayat atau anggota yang dijumpai itu disempurnakan sebagaimana menyempurnakan mayat orang Islam, iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan di perkuburan orang Islam.”
Maka jelaslah daripada petikan di atas bahawa wajib disempurnakan mayat tersebut dengan melaksanakan empat perkara yang telah disebutkan.
Manakala niat sembahyang ketika menyembahyangkan sebahagian anggota mayat yang ditemui adalah diniatkan ke atas keseluruhan mayat, bukan setakat anggota itu sahaja.
Adapun mayat yang dikenal pasti sebagai bukan beragama Islam, maka tidak wajib ke atas orang Islam untuk memandikan, hanya harus hukumnya. Kemudian wajib dikafankan dan wajib dikuburkan, tetapi haram disembahyangkan sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.
Sebagai kesimpulan, Islam telah menggariskan bahawa mayat atau sebahagian anggota mayat yang dijumpai dalam negeri Islam atau dalam negeri kafir yang ada orang Islam tinggal di dalamnya, walaupun tidak diketahui identitinya, maka hendaklah diuruskan dan disempurnakan mengikut kaedah Islam, iaitu dengan melaksanakan empat perkara: dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.
BOLEHKAH ORANG ISLAM MENGHADIRI UPACARA KEMATIAN ORANG KAFIR?
Agama Islam mewajibkan umatnya supaya berbuat baik, bermuamalat dengan baik dan berlaku adil kepada semua orang termasuklah orang-orang yang bukan beragama Islam, apatah lagi kepada mereka yang ada hubungan kekeluargaan, selama mana mereka tidak memusuhi Islam. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Oleh itu, dalam Islam apabila seseorang telah memeluk agama Islam, bukan bererti dia akan memutuskan hubungannya dengan keluarga, sanak saudara serta rakan-rakannya yang berlainan agama. Islam tidak melarang mereka daripada terus berhubungan antara satu sama lain asalkan mengikut batas-batas syariat Islam dan tidak ada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Ini berdasarkan hadits daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang kepadaku ibuku dan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam) pada masa orang-orang Quraisy ketika mereka mengadakan perjanjian dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersama ayahnya, maka aku meminta fatwa daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu aku berkata: “Dia (ibuku) menginginkan sesuatu daripadaku, adakah aku menghubungkan silaturrahim dengannya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya. Hubungkanlah silaturrahim dengannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menghadiri Upacara Di Hari Kematian Orang Kafir
Dalam hubungan ini, apabila berlaku kematian di kalangan ahli keluarga atau selain keluarga yang bukan beragama Islam, timbul persoalan apakah hukumnya hadir pada hari kematian atau pengebumian orang kafir tersebut. Begitu juga dengan hukum mengucapkan ta‘ziah oleh keluarga atau saudaranya yang Islam.
Untuk menjawab persoalan ini, secara ringkas dibawakan pendapat ulama mengenai perkara ini seperti berikut:
1. Jika yang mati itu orang kafir yang terdiri daripada kaum keluarga kepada orang Islam seperti ibu atau bapa, maka diharuskan baginya hadir pada hari kematian keluarganya yang bukan Islam itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan.
Termasuk orang kafir yang meninggal dunia yang diharuskan untuk menghadiri upacara pengebumiannya itu seperti jiran dan teman.
Adapun dalil bagi pengharusan itu adalah bersandarkan kepada sebuah hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, katanya:
Maksudnya: Aku telah berkata kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya bapa saudara tuan (Abu Thalib) yang sudah tua yang sesat itu telah meninggal dunia.” Baginda bersabda: “Pergilah kamu dan kuburkanlah ayahmu itu. Setelah itu jangan kamu melakukan sesuatu, sampai kamu datang kepadaku lagi.” Maka aku pun pergi. Setelah aku menguburkannya, aku pergi menghadap Baginda dan Baginda memerintahkanku, lalu aku pun mandi, kemudian Baginda mendo‘akanku.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Namun begitu, ketika menghadirinya hendaklah berada jauh dari mayat, termasuklah juga tidak mengikut mana-mana perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumiannya. Lebih-lebih lagi menyertai apa jua acara khusus keagamaan mereka.
2. Jika yang mati itu merupakan orang kafir yang bukan terdiri daripada ahli keluarga, maka adalah haram bagi orang Islam yang hidup hadir pada hari kematian orang kafir itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan.
Ucapan Ta‘ziah Ke Atas Keluarga Yang Kafir
Jika orang yang meninggal itu seorang Muslim atau seorang kafir daripada keluarga kafir yang dihormati, maka mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga yang kafir itu adalah harus. Malahan menjadi sunat jika mengharapkan pengislaman mereka.
Bentuk ucapan ta‘ziah kepada keluarga yang kafir adalah seperti berikut:
1. Jika orang yang meninggal itu daripada kalangan ahli keluarga mereka yang berugama Islam:
Ertinya: Semoga Allah mengampuni mayat keluargamu dan mengelokkan kesabaranmu.
2. Jika yang meninggal itu seorang kafir:
Ertinya: Semoga Allah memberikanmu penggantinya.
Menghadiri majlis pengebumian keluarga bukan Islam adalah diharuskan oleh syara‘ jika mereka mempunyai hubungan keluarga dengan si mati seperti bapa, ibu, teman atau jiran. Mengucapkan ta‘ziah kepada keluarga yang kafir adalah harus. Malahan jika keluarga yang kafir itu adalah terdiri daripada keluarga kafir yang dihormati, mengucapkan ta‘ziah itu disunatkan jika mengharapkan pengislaman mereka. Walau bagaimanapun bentuk ucapan ta‘ziah untuk orang kafir itu adalah berbeza daripada orang Islam.
Namun demikian, haruslah diingat sebarang upacara, adat atau gaya yang dilakukan dalam majlis kematian orang kafir tersebut, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan acara khusus keagamaan mereka, tidak boleh orang Islam turut serta melakukannya ataupun mengikutinya. Perkara ini yang mesti dijaga apabila menghadiri upacara kematian atau pengebumian orang kafir.
MENGHADIRI UPACARA KEMATIAN ORANG BUKAN ISLAM DI DALAM GEREJA
Islam adalah agama kesejahteraan dan toleran dalam perkara sosial dan kemasyarakatan. Walau bagaimanapun ia sangat keras dan tegas dalam soal menjaga dan mempertahankan aqidah. Dalam hal muamalat umpamanya, orang Islam diperintahkan berbuat baik ketika bermuamalat dengan orang bukan Islam selama mana orang bukan Islam itu daripada kalangan orang-orang yang bukan memerangi Islam dan selama mana muamalat itu tidak merosakkan aqidah Islamiah dan tidak pula menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.
Ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Perintah berbuat baik kepada sesama orang Islam meliputi segenap hal, termasuklah menghadiri kematiannya, menguruskan jenazahnya sehinggalah selesai dikebumikan. Namun terhadap orang-orang bukan Islam tidak pula begitu halnya. Syariat Islam telah menentukan batas dan had berbuat baik dengan orang bukan Islam. Antaranya membataskan hukum harusnya menghadiri upacara kematian orang bukan Islam dengan syarat-syarat tertentu, umpamanya menghadiri majlis pengebumian orang bukan Islam adalah diharuskan oleh syara‘ jika mereka mempunyai hubungan keluarga dengan si mati seperti bapa, ibu dan adik-beradik atau hubungan rapat dengannya iaitu jiran atau teman, dan hendaklah tidak mengikut mana-mana perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumiannya.
Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai dengan menghadiri upacara kematian keluarga bukan Islam yang diadakan di dalam gereja. Apakah orang Islam boleh memasuki gereja? Dan apakah pula hukum menghadiri kematian keluarga bukan Islam di dalam gereja itu?
Hukum Memasuki Gereja
Pada kebiasaannya, para penganut Kristian mengadakan upacara-upacara khas keagamaan di dalam gereja seperti upacara perayaan Krismas, pembaptisan, perkahwinan, kematian dan yang seumpamanya.
Menurut para ulama asy-Syafi‘eyyah, hukum memasuki gereja itu harus (boleh) dengan syarat-syarat berikut:
1. Mendapat keizinan atau kebenaran untuk masuk daripada pihak gereja.
2. Tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan oleh orang-orang Nashrani di dalam gereja tersebut, seperti gambar atau patung yang disangkakan sebagai gambar Nabi Isa ‘Alaihissalâm (yang dianggap oleh mereka sebagai anak Tuhan), Sayyidatina Maryam dan lain-lain.
Perkara ini disebut oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al- Muhtaj, tidak harus bagi seorang Muslim memasuki gereja kecuali dengan ada keizinan daripada pihak gereja dan di dalamnya tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan oleh mereka kecuali gambar-gambar yang diukir pada batu-batu yang dihampar di lantai.
Disyaratkan juga perbuatan masuk ke dalam gereja itu tidak akan membawa kesan cenderung atau mengiktiraf ajaran gereja atau akan membawa dia mempersendakan Islam bersama-sama orang kafir sehingga boleh merosakkan aqidahnya.
Oleh yang demikian, jika syarat-syarat ini tidak dapat dipenuhi, maka tidak harus bahkan haram memasuki gereja.
Menghadiri Kematian Keluarga Di Dalam Gereja
Jika seseorang itu datang ke gereja untuk menghadiri upacara kematian seseorang bukan Islam yang terdiri daripada kaum keluarga kepada orang Islam tersebut seperti ibu, bapa, adik beradik atau ada hubungan rapat iaitu jiran atau teman, maka hukumnya adalah harus selama mana dia tidak menyertai upacara keagamaan yang khusus bagi orang bukan Islam, di samping menjaga syarat-syarat yang membolehkan masuk ke gereja sebagaimana yang disebutkan terdahulu.
Manakala menghadiri upacara kematian orang bukan Islam yang bukan terdiri daripada kaum keluarga atau tidak mempunyai hubungan rapat iaitu bukan jiran atau teman adalah haram, sama ada di dalam gereja, di rumah mahupun di tanah perkuburan.
Kesimpulannya, Islam amat tegas dalam soal menjaga aqidah. Di samping perintah berlemah-lembut dan toleransi terhadap orang-orang bukan Islam, orang Islam juga diperintahkan untuk terus menjaga aqidah agar tidak terpengaruh dengan kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Orang Islam tidak dilarang menghadiri kematian orang bukan Islam yang terdiri daripada kaum keluarga, jiran atau teman sekalipun di gereja asalkan memenuhi syarat-syarat yang membolehkan memasuki gereja.
ZAKAT
BERAS: Tanaman Yang Wajib Dizakat
Menunaikan zakat merupakan satu kewajipan dan ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Orang-orang yang berkewajipan menunaikan zakat, tetapi tidak melaksanakan tuntutan ini akan mendapat azab yang sangat dahsyat daripada Allah ‘Azza Wajalla.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memperingatkan tentang balasan bagi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Barang siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak melaksanakan zakat (hartanya), diserupakan hartanya pada Hari Kiamat sebagai ular gondol yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu). Kemudian ular tersebut akan mengambilnya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu) dengan dua tulang rahangnya lantas berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu.” Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca ayat ini, yang tafsirnya: “(Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya) sehingga akhir ayat. (surah Âli- ‘Imran: 180).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Salah satu jenis zakat harta yang diwajibkan ialah zakat tanam-tanaman. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanam-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuai; dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas). (Surah al-An‘âm: 141)
Syarat Wajib Mengeluarkan Zakat Tanam-Tanaman
Orang yang diwajibkan mengeluarkan zakat tanam-tanaman itu hendaklah dia beragama Islam, merdeka dan dia adalah pemilik sempurna bagi tanam-tanaman itu.
Manakala syarat bagi tanam-tanaman yang wajib dikeluarkan zakat itu adalah seperti berikut:
1. Ia merupakan tanam-tanaman yang mengenyangkan.
2. Sesuatu jenis tanaman yang ditanam oleh manusia.
3. Terdiri daripada buah-buahan atau biji-bijian.
4. Tahan lama disimpan.
5. Cukup nishâb.
Beras Wajib Dikeluarkan Zakat
Beras merupakan makanan asasi bagi penduduk Negara Brunei Darussalam. Pada masa kini pihak Kerajaan giat melipat gandakan usaha ke arah pencapaian tahap sara diri pengeluaran beras negara dengan melancarkan penanaman padi secara besar-besaran.
Sebagaimana penjelasan mengenai syarat-syarat wajib zakat tanam-tanaman, beras adalah termasuk dalam kategori tanaman daripada jenis biji-bijian yang wajib dikeluarkan zakat.
Dengan melaksanakan tuntutan mengeluarkan zakat beras ini, semoga hasrat untuk mencapai tahap sara diri itu akan tercapai kerana dengan mengeluarkan zakat sesuatu harta itu pada hakikatnya akan bertambah dan subur dengan keberkatan zakat itu, walaupun nampak pada zahirnya ia mengurangkan kuantiti.
Nishâb Zakat Beras
Nishâb zakat ialah kadar tertentu sama ada dalam bentuk timbangan, sukatan atau sebagainya yang mana apabila suatu harta itu mencapai kadar tersebut, maka harta itu wajib dizakat.
Nishâb zakat tanam-tanaman itu ialah lima wasq, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada (zakat pada tanam-tanaman) yang kurang daripada lima wasq dan tiada (zakat pada unta) yang kurang daripada lima ekor unta dan tiada (zakat pada perak) yang kurang daripada lima uqiyah. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, nishâb zakat beras dan biji-bijian yang lain ialah lima wasq iaitu bersamaan dengan 680.4 kilogram. Jika beras telah mencapai sukatan lima wasq atau mencapai berat timbangan 680.4 kilogram, maka wajib dikeluarkan zakat beras tersebut.
Perkiraan nishâb zakat beras sebanyak lima wasq atau 680.4 kilogram itu adalah selepas beras itu dibersihkan daripada jerami dan kulitnya.
Kulit beras adalah daripada jenis kulit yang menyimpan biji-bijian di dalamnya dan ia tidak dimakan bersama-sama kulit itu, maka kulit beras tersebut tidak dikira dalam nishâb zakat lima wasq atau 680.4 kilogram.
Adapun beras yang tidak dibuang kulitnya (yang masih bergelar padi), maka nishâb zakatnya ialah sepuluh wasq atau 1360.8 kilogram. Ia berbeza dengan nishâb zakat beras yang telah dibuang kulitnya iaitu lima wasq atau 680.4 kilogram.
Bolehkah Pelbagai Jenis Beras Dicampur Bagi Mencukupkan Nishâb?
Jika tanaman beras itu ada bermacam-macam jenis seperti beras wangi dan beras pulut, maka jika sukatan hasil daripada tanaman satu jenis beras itu tidak mencapai nishâb kecuali setelah dicampur sukatannya dengan hasil daripada jenis beras yang lain, maka dicampur sukatan beras-beras yang berlainan jenis itu, kemudian dikeluarkan zakat daripada setiap jenis beras tersebut dengan mengikut kadar banyaknya, itupun jika ia mudah dilakukan.
Sebagai contoh, jika seorang itu mempunyai hasil lima jenis beras yang dituai, masing-masing sukatannya 200 kilogram. Dicampur sukatan kesemuanya bagi mencukupkan nishâb. Selepas dicampur, sukatan kelima-lima jenis beras tersebut berjumlah 1000 kilogram keseluruhannya. Kemudian zakat yang wajib dikeluarkan, umpamanya sebanyak 100 kilogram, maka diambil daripada setiap lima jenis beras itu sebanyak 20 kilogram.
Jika ia sukar untuk dilakukan, kerana terlalu banyak jenis beras dengan kadarnya yang sedikit-sedikit, maka dikeluarkan zakat dari jenis beras yang peringkat pertengahan iaitu antara jenis beras yang tidak terlalu tinggi mutunya dan yang tidak terlalu rendah mutunya. Namun adalah lebih afdhal jika dikeluarkan zakat daripada setiap jenis beras tersebut mengikut kadar banyaknya.
Sementara itu pula, jika tanaman itu berlainan jenis, maka salah satu jenis tanaman itu tidak boleh dicampur sukatannya untuk mencukupkan nishâb dengan satu jenis tanaman yang lain. Sebagai contoh, beras dan gandum tidak boleh dicampur sukatan kedua-duanya kerana berlainan jenis tanaman.
Bolehkah Hasil Tanaman Beras Tahun Pertama Dicampur Dengan Hasil Beras Tahun Kedua?
Tidak harus dicampur sukatan hasil beras yang dituai pada tahun pertama dengan hasil beras tahun kedua bagi mencukupkan nishâb. Akan tetapi harus dicampur sukatan beras yang dituai dalam tahun yang sama walaupun berbeza waktu penanamannya. Apa yang dimaksudkan dengan tuaian dalam tahun yang sama itu, hendaklah jarak masa antara tuaian tanaman pertama dengan tuaian tanaman kedua tidak melebihi daripada dua belas bulan Islam.
Tiada Haul Bagi Zakat Beras
Zakat beras tidak disyaratkan haul sebagaimana ia disyaratkan pada harta zakat yang lain seperti zakat emas atau zakat wang, apabila sampai haul (setahun hijrah) dan cukup nishâb emas atau wang itu maka baharulah wajib dikeluarkan zakat.
Akan tetapi zakat beras atau padi, bermula waktu kewajipan mengeluarkannya ialah apabila biji beras itu menjadi keras (sudah matang) dan selepas menuainya serta bersih daripada jeraminya.
Kadar Zakat Beras
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tanaman yang disirami oleh (aliran) sungai-sungai dan awan (hujan), dibayar zakat satu persepuluh (10%) dan tanaman yang disirami dengan penyiraman (usaha sendiri), dibayar zakat satu perdua puluh (5%). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa kadar zakat yang wajib dikeluarkan bagi tanam-tanaman yang telah mencapai nishâb itu, adalah berbeza kadar peratusnya menurut bagaimana pengairannya:
1. 1/10 (10%):
Tanam-tanaman yang disirami air tanpa diusahakan oleh petani itu sendiri, seperti ia disirami oleh air hujan yang turun, aliran air sungai, aliran air daripada bukit atau mata air atau tanaman itu dengan sendiri menyerap air melalui akar-akarnya, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/10.
Sebagai contoh seorang petani menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram tanpa penyiraman sendiri iaitu dengan dituruni air hujan. Maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/10 atau 10% daripada 1000 kilogram iaitu 100 kilogram.
2. 1/20 (5%):
Tanam-tanaman yang disirami air melalui usaha yang dibuat oleh petani itu sendiri seperti mengambil air dari perigi untuk menyiram tanam-tanaman atau menyiramnya melalui paip air, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/20.
Sebagai contoh seorang petani menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram dengan penyiraman sendiri melalui air paip. Ini bererti nishâb zakatnya sudah melebihi daripada lima wasq atau 680.4 kilogram. Maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/20 atau 5% daripada 1000 kilogram iaitu 50 kilogram.
3. 3/40 (7.5%):
Adapun tanam-tanaman yang disirami air melalui dua cara iaitu di samping penyiramannya diusahakan sendiri oleh pengusaha, penyiramannya juga adakalanya bergantung kepada pengairan semula jadi tanpa diusahakan oleh pengusahanya dengan kadar siraman yang sama atau tidak diketahui kadar banyak siramannya, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 3/40 (7.5%).
Sebagai contoh, usia tanaman itu lapan bulan, empat bulan pertama ia disirami air sebanyak dua kali tanpa diusahakan oleh pengusaha seperti dituruni air hujan, kemudian empat bulan seterusnya ia disirami air sebanyak dua kali juga, akan tetapi dengan diusahakan sendiri seperti menyiramnya dengan air paip. Jika seorang petani itu menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkannya ialah 3/40 atau 7.5% daripada 1000 kilogram iaitu 75 kilogram.
4. Peratus Yang Berbeza-beza:
Jika tanam-tanaman itu disirami air melalui dua cara (usaha sendiri dan juga tanpa usaha sendiri) akan tetapi dengan kadar siraman yang berbeza-beza, maka menurut pendapat yang azhhar, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sekira-kira bahagiannya dengan mengambil kira masa penanaman dan penuaiannya.
Sebagai contoh, selama lapan bulan penanaman padi, 2/3 daripada tempoh itu disirami air hujan dan 1/3 disirami dengan air paip, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 5/60. Iaitu kadar zakat bagi 2/3 yang disirami air hujan ialah 1/10 x 2/3 = 2/30 dan kadar zakat bagi 1/3 yang disirami dengan air paip ialah 1/20 x 1/3 = 1/60. Oleh itu, keseluruhan kadar zakatnya ialah 2/30 + 1/60 = 5/60. Untuk lebih jelas, pengiraannya adalah seperti berikut:-
2/3 x 1/10 (kadar tanpa usaha) = 2/30 1/3 x 1/20 (kadar dengan usaha) = + 1/60 Jumlah kadar zakat 5/60
Ini bererti kadar zakat beras yang wajib dikeluarkan itu ialah 1/10 atau 1/20 atau 3/40 atau kadar yang tertentu dengan mengambil kira bagaimana pengairannya semasa penanaman dan penuaiannya.
Sebagai kesimpulan, beras adalah termasuk jenis hasil tanaman yang wajib dizakat. Adalah menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam yang mempunyai dan mengusahakan tanaman beras atau padi untuk mengeluarkan zakat apabila sudah sampai nishâb zakatnya dengan mengikut kadar zakat yang tertentu sebaik sahaja ia matang dan dituai.
EMAS YANG DIPAKAI PEREMPUAN: Wajibkah Dizakat?
Emas merupakan antara jenis barangan kemas yang digemari oleh sebahagian kaum perempuan. Bermacam aksesori yang direkabentuk daripada emas antaranya gelang, rantai, cincin, subang, bahkan tidak kurang pula ada yang disulam pada pakaian.
Selain daripada kecantikan dan kualiti, emas juga dilihat sebagai satu ciri kemewahan kerana nilai harganya yang tinggi. Pada kebiasaannya masyarakat menilai perempuan yang banyak memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas sebagai golongan yang berada atau yang berkemampuan. Maka tidak hairanlah jika terdapat segelintir orang yang berlumba-lumba ingin memiliki barang perhiasan emas yang banyak tanpa menyedari bahawa Islam melarang penggunaan barang kemas yang berlebihan dan melarang bermegah-megah.
Berhubung dengan perkara di atas, satu isu yang menjadi persoalan ialah mengenai kewajipan zakat pada emas yang dipakai oleh kaum perempuan, sama ada sebagai pakaian atau perhiasan diri.
Kewajipan Mengeluarkan Zakat Emas
Emas adalah jenis galian yang termasuk dalam harta yang wajib dizakat. Emas dianggap mata wang kerana nilai mata wang adalah sama dengan nilai emas. Zakat emas pula digantungkan kepada zakat dinar (kepingan wang emas). Kewajipan mengeluarkan zakat dinar ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka apabila engkau mempunyai dua ratus dirham, dan (dua ratus dirham tersebut) telah sampai haul, maka padanya (wajib zakat) lima dirham, dan tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (yang wajib dizakat) pada emas sehingga engkau mempunyai dua puluh dinar, apabila engkau mempunyai dua puluh dinar dan telah cukup haul, maka padanya (wajib zakat) setengah dinar. Maka apa yang bertambah (daripada jumlah tersebut) adalah dikira mengikut tambahan itu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sempurna Haul Dan Cukup Nishâb Syarat Pengeluaran Zakat Emas
Dalam menentukan wajib zakat pada emas disyaratkan sampai haul dan cukup nishâb.
Haul ialah sempurna tempoh kekal mata benda itu selama setahun hijriyyah. Contohnya emas yang disimpan itu kekal setahun mulai 1 Safar 1430 hijrah sehingga 30 Muharram 1431 hijrah.
Nishâb pula ialah kadar minima harta yang wajib dizakat. Para ulama bersepakat bahawa kadar emas yang diwajibkan zakat itu ialah apabila cukup nishâb 20 mitsqâl (dinar) dan kadar perak pula ialah 200 dirham mengikut timbangan Makkah sebagaimana yang tersebut dalam hadits tadi.
Di dalam kitab Buhûts wa Fatâwâ Islamiyyah fi Qadhâyâ Mu‘assarah, asy-Syeikh al-Azhar menjelaskan bahawa para penyelidik dalam penelitian mereka berkenaan dengan mata wang Islam bahawa satu mitsqâl (dinar) di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah bersamaan dengan 4.25 gram mengikut timbangan pada zaman sekarang. Oleh yang demikian, nishâb bagi zakat emas ialah 20 mitsqâl x 4.25 gram = 85 gram. Manakala satu dirham pula adalah bersamaan dengan 2.975 gram, dan yang demikian nishâb bagi zakat perak itu ialah 200 dirham x 2.975 = 595 gram.
Berdasarkan kesepakatan ulama, wajiblah seseorang itu mengeluarkan zakat jika dia memiliki emas yang mencapai jumlah nishâb 85 gram dan perak yang mencapai nishâb 595 gram. Kadar yang wajib dikeluarkan pula ialah 2.5% atau 1/40 daripada jumlah timbangan emas dan perak tersebut.
Emas Yang Wajib Dizakat
Mengeluarkan zakat emas adalah tertakluk kepada cara pemilikan, penggunaan dan kadar berat emas tersebut.
Jika seseorang itu memiliki emas untuk dijadikannya simpanan bagi tujuan untuk dikembangkan bukannya dipakai atau bertujuan untuk dijual bagi mendapatkan harga (wang) apabila memerlukan, maka wajib dikeluarkan zakatnya apabila cukup haul dan sampai nishâb.
Emas Yang Dipakai Sebagai Barang Kemas Oleh Perempuan
Kaum wanita dibolehkan memakai emas seperti gelang dan rantai leher dengan syarat tidak berlebih-lebihan dan tidak dikenakan zakat pada emas tersebut. Ini disebabkan barangan emas tersebut adalah untuk dipakai. Dalam sebuah atsar sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam iaitu Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau mengatakan:
Maksudnya: Tidak dikenakan zakat pada perhiasan tubuh badan. (Atsar riwayat al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun jika pemakaian barangan emas itu berlebihan sama ada untuk perhiasan diri atau pakaian yang disulam dengan emas, maka wajib dikeluarkan zakat. Adapun maksud berlebihan itu adalah melampui had, contohnya seorang perempuan memiliki gelang yang mencapai timbangannya 200 mitsqâl (850 gram).
Oleh yang demikian, apabila seorang perempuan itu memiliki barang kemas yang diperbuat daripada emas dan setiap satu jenis daripadanya mencapai timbangan 850 gram, maka wajib ke atasnya mengeluarkan zakat pada barang yang mencapai berat timbangan tersebut. Sebagai contoh, seorang perempuan memiliki setiap jenis daripada barangan kemas itu 850 gram rantai emas, 850 gram gelang emas dan 850 gram cincin emas.
Apabila terdapat apa yang dikatakan berlebihan itu dalam setiap jenis emas, maka wajib dikeluarkan zakat pada keseluruhan timbangan berat emas dalam jenis tersebut. Umpamanya seorang perempuan itu memiliki 1000 gram gelang emas, maka wajiblah dia mengeluarkan 2.5% atau 1/40 daripada 1000 gram, bukannya 2.5% atau 1/40 daripada 850 gram sahaja.
Barangan Kemas Yang Bukan Diperbuat Daripada Emas Dan Perak
Selain daripada emas dan perak, terdapat barangan perhiasan diri yang amat diminati oleh golongan perempuan seperti mutiara, berlian, permata dan sebagainya.
Walau bagaimanapun tiada zakat dikenakan pada barangan kemas tersebut walaupun ada sebahagian daripadanya lebih mahal harganya daripada emas. Ini kerana benda-benda tersebut diciptakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk dipakai sebagai perhiasan diri, dan kewajipan mengeluarkan zakat pada benda-benda tersebut tidak dinyatakan.
Kesimpulannya, tidak diwajibkan zakat pada emas yang dipakai oleh perempuan sama ada sebagai pakaian atau perhiasan diri kecuali jika pemakaian tersebut mencapai kadar berlebihan. Jika ini berlaku, tiada pengecualian baginya mengeluarkan zakat pada setiap jenis barangan emas yang mencapai kadar berlebihan itu.
SEMBAHYANG
JANGAN TINGGALKAN SEMBAHYANG JUMAAT KECUALI TERDAPAT KEUZURAN
Sembahyang Jumaat merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya) adalah penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hari Jumaat juga adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadits bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Daripada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir Radhiallâhu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat ialah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. (Hadits riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi)
Kewajipan Sembahyang Jumaat
Mengerjakan sembahyang Jumaat adalah wajib dan kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munâfiq. Abu al- Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munâfiq. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Keuzuran Yang Mengharuskan Meninggalkan Sembahyang Jumaat
Sekalipun sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, tetapi adakalanya seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat jika terdapat keuzuran yang diharuskan oleh syara‘. Antara keuzuran syar‘i itu ialah:
1. Sakit yang menghalanginya daripada pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan kesembuhannya. Begitu juga sakit cirit-birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.
2. Orang musafir yang sedang dalam pelayaran yang diharuskan, selama dia tidak berniat untuk bermuqim atau menetap pada sesuatu tempat dalam tempoh empat hari atau lebih.
Maksudnya: Tidak wajib Jumaat ke atas orang musafir. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Akan tetapi bagi orang yang baru hendak memulakan pelayarannya pada hari Jumaat sebelum tergelincir matahari, tidak harus bagi mereka meninggalkan sembahyang Jumaat. Waktu sebelum tergelincir matahari itu ialah bermula setelah masuk waktu Shubuh. Begitu juga bagi orang yang belayar selepas tergelincir matahari.
3. Orang yang dipenjara (dikurung). Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mempunyai keuzuran. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)
4. Sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk. Tidaklah disyaratkan orang yang menguruskan jenazah itu terdiri daripada ahli keluarganya seperti anak dan saudaranya. Adapun orang yang hadir, selain daripada orang yang menguruskan jenazah itu, tidak dikira sebagai orang yang mempunyai keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat.
Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat, baginya sama ada untuk menunaikan sembahyang Zhuhur ataupun sembahyang Jumaat. Jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaat sudah memadai, dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang Zhuhur.
Adalah disunatkan bagi orang yang menyangkakan keuzurannya meninggalkan Jumaat itu akan hilang supaya melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga ia berputus harapan untuk pergi ke masjid mengerjakan sembahyang Jumaat kerana keuzurannya itu boleh hilang dan dia dapat menunaikan sembahyang Jumaat itu. Walau bagaimanapun jika dia mengerjakan sembahyang Zhuhur pada awal waktu kemudian hilang keuzurannya tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat walaupun masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.
Adapun jika dia menyangkakan yang keuzurannya itu tidak akan hilang maka disunatkan baginya untuk bersegera mengerjakan sembahyang Zhuhur demi mencapai fadhilat sembahyang pada awal waktu. Jika orang yang ada keuzuran itu telah mengerjakan sembahyang Zhuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zhuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat baginya.
Daripada penjelasan di atas, sembahyang Jumaat merupakan satu kewajipan yang tidak dapat ditinggalkan. Disebutkan dalam beberapa buah hadits bahawa sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya itu seperti hati orang munâfiq. Hanya orang-orang yang mempunyai keuzuran sahaja boleh meninggalkan sembahyang Jumaat itu. Oleh itu, ingatlah bahawa sembahyang Jumaat tidak boleh ditinggalkan melainkan jika ada keuzuran.
PUASA
LUPA BERNIAT: Kesannya Kepada Ibadat Puasa
Niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa yang perlu diberi perhatian. Bagaimanapun perkara berniat ini bukan hanya dianjurkan untuk dititik-beratkan dalam ibadat puasa, bahkan dalam semua ibadat kerana kesahan amalan-amalan yang dikerjakan itu bergantung kepada niat. Ini adalah berdasarkan sabda Baginda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya amal semua perbuatan itu hanyalah dengan niat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks ibadat puasa, tanpa niat, seseorang itu tidak dianggap berpuasa walaupun dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Oleh yang demikian, untuk memastikan kesahan ibadat puasa, adalah semestinya seseorang itu mengetahui dan memahami perkara niat.
Waktu Berniat
Waktu berniat bagi orang yang hendak melakukan puasa Ramadhan bermula dari terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu (waktu) fajar. (Surah al-Baqarah: 187)
Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, hatta ketika sedang menunaikan sembahyang fardhu Maghrib.
Berniat puasa Ramadhan itu wajib dilakukan pada tiap-tiap hari di waktu malam. Jika niat itu dilakukan setelah terbit fajar atau sebaya dengan terbit fajar, maka puasa tersebut adalah tidak sah. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sabdanya:
Maksudnya: Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq, maka tidak ada puasa baginya. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni)
Manakala tempat niat itu ialah dalam hati dan sunat dilafazkan niat itu dengan lidah bagi membantu dalam hati sepertimana niat ibadat-ibadat yang lain. Niat puasa Ramadhan itu sekurang-kurangnya ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa Ramadhan.
Niat yang lengkap pula ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Lupa Berniat
Sebagaimana yang telah dijelaskan, niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap hari waktu malam. Oleh itu, orang yang terlupa berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam tidak sah baginya melakukan ibadat puasa. Tetapi dia diwajibkan imsâk, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, pada siang hari tersebut. Dia juga wajib menqadha’ hari puasa yang terluput itu pada hari lain di luar bulan Ramadhan, kecuali jika dia berniat puasa sebulan, iaitu pada malam pertama puasa sepertimana niat puasa dalam mazhab Maliki.
Menurut pendapat mazhab Maliki harus niat puasa itu dilakukan sekali sahaja bagi ibadat-ibadat puasa yang dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan.
Sebagai jalan berhati-hati agar tidak terluput daripada mengerjakan ibadat puasa disebabkan terlupa berniat, adalah digalakkan berniat puasa sebulan penuh pada awal bulan Ramadhan. Bahkan sesetengah ulama mengatakan adalah sunat hukumnya untuk berniat sebulan ini. Sekiranya seseorang itu terlupa berniat pada malam-malam berikutnya, maka dengan adanya niat sebulan, ia akan menampung niat pada hari yang kita lupa itu.
Contoh lafaz niat puasa sebulan itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Namun begitu, mengenai berniat sebulan ini terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui agar ibadat yang dikerjakan itu sah dan sempurna menurut hukum syara‘. Perkara tersebut ialah:
1. Berniat pada awal bulan.
Memandangkan tujuan berniat puasa sebulan adalah kerana untuk mengelakkan seseorang daripada terluput mengerjakan puasa kerana terlupa berniat pada mana-mana malam di bulan Ramadhan, maka niat puasa sebulan itu dilakukan pada awal bulan Ramadhan, iaitu pada malam pertama Ramadhan.
2. Batal niat sebulan kerana terhalang daripada puasa berturut-turut.
Antara perkara penting yang perlu diketahui juga ialah jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syara‘ ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Dengan kata lain tidak lagi boleh dipakai niat sebulan itu. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut. Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari-hari puasa yang berbaki.
Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syara‘ ataupun tidak adalah seperti berikut:
i. Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).
Oleh itu, orang yang berniat puasa sebulan jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaan sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.
Khusus bagi orang yang mengalami situasi seperti ini, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam.
ii. Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.
Jika berlaku ke atas seseorang perkara di atas yang membatalkan puasa, maka niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.
iii. Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘.
Ini kerana ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.
Ragu-Ragu (Syak) Dalam Berniat
Perasaan ragu-ragu (syak) pada siang hari puasa, sama ada sudah berniat puasa pada malam hari ataupun tidak, boleh menjejaskan ibadat puasa seseorang jika dia tidak dapat mengingati kembali apakah dia sudah berniat atau belum. Jika dia boleh mengingat kembali, walaupun setelah berlalu sebahagian besar waktu siang atau setelah masuk hari seterusnya (selepas waktu Maghrib), bahawa dia sudah berniat pada malam hari, maka puasanya dianggap sah.
Sebagai kesimpulan, dalam pelaksanaan ibadat puasa niat merupakan perkara yang amat penting. Malahan puasa akan menjadi tidak sah tanpa niat, sekalipun kerana terlupa. Begitu juga niat tidak sah jika dilakukan di luar daripada masa yang ditentukan syara‘. Untuk mengelakkan seseorang tertinggal melakukan ibadat puasa hanya disebabkan terlupa untuk berniat di malam hari, digalakkan berniat puasa sebulan dengan bertaqlîd kepada mazhab Maliki yang mengharuskan berniat sedemikian bagi puasa yang dilakukan secara berturut-turut, seperti puasa Ramadhan, dengan mengambil kira beberapa perkara yang disyaratkan dalam mazhab Maliki sebagaimana yang telah dijelaskan.
BERHATI-HATI KETIKA MANDI, BERWUDHU DAN BERSIWAK SEMASA BERPUASA
Ketika menjalani ibadat puasa kita dituntut agar mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan terbatal atau terjejas kesempurnaan ibadat puasa yang kita laksanakan. Perkara ini boleh terjadi umpamanya apabila seseorang yang sedang berpuasa melakukan mandi sama ada mandi wajib, mandi sunat atau mandi biasa, berwudhu atau bersiwak.
Perbuatan-perbuatan ini pada dasarnya tidaklah membatalkan puasa, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu kita wajib melakukannya sekalipun ketika kita sedang menjalani ibadat puasa, umpamanya berwudhu atau mandi hadas besar untuk melaksanakan ibadat-ibadat yang dipersyaratkan supaya kita suci daripada hadas. Cuma kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada sewaktu mandi, berwudhu atau bersiwak.
Mandi Ketika Berpuasa
Mandi wajib ialah mandi yang disebabkan oleh haidh, nifas, wilâdah dan junub.
1. Mandi junub setelah terbit fajar shâdiq.
Waktu wajib berpuasa itu ialah apabila terbit fajar shâdiq sehingga terbenam matahari.
‘Aisyah dan Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhumâ pernah ditanya mengenai orang yang masih junub di waktu fajar, mereka menjawab:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mendapati waktu Subuh sedang Baginda dalam keadaan junub (kerana jimâ‘) bukan kerana mimpi, kemudian Baginda berpuasa. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut hadits tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam meneruskan puasa setelah terbit fajar shâdiq walaupun Baginda masih dalam keadaan junub.
Hadits tersebut dijadikan sandaran hukum iaitu apabila seseorang berjimâ‘ atau bersetubuh pada malam hari puasa dan dia masih dalam keadaan junub (belum mandi wajib) setelah terbit fajar shâdiq, maka sah puasanya.
Begitu juga halnya, apabila perempuan yang berhenti darah haidhnya atau nifas sebelum terbit fajar shâdiq dan dia berniat puasa untuk esok harinya, maka sah puasanya itu walaupun dia belum mandi wajib setelah terbit fajar shâdiq.
Sungguhpun demikian, melakukan mandi wajib sebelum masuk waktu puasa adalah sunat, agar seseorang itu menunaikan puasa dari permulaan waktunya dalam keadaan suci dan dapat mengelakkan daripada termasuk air ke dalam rongganya seperti batin telinga atau sebagainya.
2. Air masuk ke dalam rongga ketika mandi.
Maksud rongga ialah apa sahaja yang dinamakan rongga seperti rongga kerongkong atau mulut, rongga hidung, rongga telinga dan sebagainya.
Ketika mengerjakan ibadat puasa, disyaratkan rongga-rongga tersebut supaya tidak dimasuki oleh benda yang membatalkan puasa. Sebagai contoh, memasukkan makanan ke dalam mulut lalu ditelannya sehingga masuk ke had batin mulut iaitu dari tempat keluarnya atau makhraj huruf ‘ء’ atau ‘هـ’ hingga ke bawah (kerongkong) adalah membatalkan puasa.
Dalam hal mandi wajib pula, iaitu setelah masuk waktu berpuasa, ketika mandi hendaklah berhati-hati dan memadailah dengan meratakan air ke seluruh badan dan menyampaikannya ke bahagian had yang zahir sahaja.
Sebagai contoh menyampaikan air ke cuping telinga ketika mandi wajib, maka memadailah dengan membasuh bahagian yang zahir sahaja tanpa memasukkan air ke dalam rongga atau lubang telinga (had batin telinga).
Adapun jika air masuk ke dalam had batin rongga, ketika melakukan mandi wajib ataupun mandi sunat adalah dimaafkan, asalkan ia tidak dilakukan dengan sengaja atau tidak dilakukan secara mubâlaghah (berlebih-lebihan).
Ini kerana perbuatan berlebih-lebihan itu ketika berpuasa adalah makruh. Jika air masuk disebabkan berlebih-lebihan, maka batal puasa.
Begitu juga mandi kerana untuk bersejuk-sejuk ataupun hanya untuk membersihkan diri, jika termasuk air ke dalam rongga adalah membatalkan puasa.
3. Mandi dengan menyelam di dalam air.
Menyelam dalam air ketika berpuasa adalah makruh. Jika air masuk ke dalam rongga anggota tubuh badan yang perlu dijaga, batal puasanya, sekalipun dalam perkara-perkara yang dituntut seperti mandi wajib atau mandi sunat apatah lagi mandi kerana bersejuk-sejuk.
Berwudhu Ketika Berpuasa
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu adalah perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika berwudhu walaupun dalam keadaan berpuasa.
Adapun berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebih-lebihan ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sempurnakanlah wudhu (dengan menyampaikan air ke seluruh anggota yang wajib dikenakan air wudhu), bukalah celah-celah jari-jemarimu, dan berlebih-lebihanlah (mubâlaghah) memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika kamu sedang berpuasa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits ini menjelaskan supaya berlebih-lebihan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu, akan tetapi ia dilarang ketika berpuasa.
Apabila air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung disebabkan berlebih-lebihan ketika berwudhu, ia membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan, maka puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan sengaja.
Jika air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung pada perkara yang tidak dituntut agama seperti membasuh anggota wudhu melebihi tiga kali (iaitu kali keempat atau lebih) atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.
Bersiwak Ketika Berpuasa
Mengenai bersiwak, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadits riwayat Muslim)
Perkataan ‘lebih harum’ dalam hadits ini merupakan pujian dan tanda keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap orang yang tidak menghilangkan bau mulutnya akibat berpuasa itu. Ini juga membawa maksud bahawa perbuatan membiarkan bau mulut ketika berpuasa itu merupakan satu perkara yang dituntut. Sebaliknya menghapuskannya pula adalah makruh.
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyatakan sebab mengapa bersiwak itu makruh setelah masuk waktu Zhuhur adalah kerana bau mulut yang terhasil pada waktu itu adalah kesan daripada ibadat puasa yang dikerjakan. Bau mulut yang terjadi sebelum waktu itu pula boleh jadi disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti kesan makanan atau minuman yang diambil sebelum imsak.
Adapun jika bau mulut itu berubah disebabkan tidur atau termakan sesuatu yang berbau busuk secara tidak sengaja selepas masuk waktu Zhuhur, menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, makruh bersiwak selepas masuk waktu Zhuhur sekalipun perubahan bau mulut itu disebabkan tidur atau termakan sesuatu yang berbau busuk secara tidak sengaja.
Atas sebab yang serupa, maka dapat diqiyâskan bahawa memberus gigi selepas waktu tergelincir matahari juga makruh. Bagaimanapun, dalam hal ini seorang yang sedang berpuasa mestilah memastikan bahawa air, ubat gigi dan seumpamanya tidak masuk ke bahagian had batin mulut sewaktu memberus gigi kerana jika ini berlaku ia boleh membatalkan puasa. Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain sama ada ia suci seperti ubat gigi ataupun najis seperti darah jika ditelan air liur tersebut maka batal puasanya.
Daripada penjelasan di atas kita hendaklah berwaspada dan berhati-hati apabila mandi, berwudhu ataupun bersiwak dengan memastikan air yang digunakan tidak termasuk ke dalam rongga-rongga yang boleh membatalkan puasa dan tidak melakukannya pada masa-masa yang makruh.
Semoga dengan apa yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita agar mencapai kesempurnaan ibadat puasa.
ADAB BERSUNGKAI MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WASALLAM
Apabila tiba waktu berbuka puasa atau bersungkai sudah setentunya ia menimbulkan rasa kegembiraan kepada orang yang berpuasa kerana sudah sampai masanya untuk melepaskan diri daripada rasa dahaga dan lapar. Namun yang penting, selain bersungkai itu sebagai menghilangkan rasa kehausan dan lapar di siang hari, bersungkai itu juga akan menimbulkan rasa kegembiraan di atas ibadat puasa yang telah sempurna dikerjakan. Perasaan kegembiraan ketika bersungkai ini ada disebutkan dalam sebuah hadits Qudsi:
Maksudnya: Orang yang berpuasa memperolehi dua kegembiraan yang dia merasa girang dengan kedua-duanya: Apabila bersungkai dia bergembira, dan apabila menghadap Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kegembiraan bersungkai disebabkan tiba masa diharuskan berbuka di samping dapat menghilangkan rasa dahaga dan lapar ini merupakan perkara yang lumrah. Namun bagi sebahagian ulama, kegembiraan ini adalah hasil daripada kesempurnaan ibadat puasa yang mereka kerjakan itu di samping kegembiraan mendapat balasan pahala.
Kita hendaklah bersyukur kerana telah diberi pertolongan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam menyempurnakan ibadat puasa. Perasaan syukur ini dapat kita praktikkan ketika kita bersungkai dengan mengikut adab bersungkai itu. Janganlah kerana terlalu asyik bersungkai kita tidak menghiraukan adab bersungkai itu. Bersungkai itu ada adabnya sepertimana yang diajarkan dan diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Antara adab-adab bersungkai sepertimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah seperti berikut:
1. Menyegerakan bersungkai.
Sunat menyegerakan bersungkai setelah yakin melihat matahari terbenam atau setelah mendengar azan Maghrib yang dilaungkan oleh orang ‘âdil yang tahu mengenai waktu berbuka puasa. Jika seseorang itu sengaja melewatkan bersungkai sedangkan dia tahu fadhilat yang ada pada menyegerakan bersungkai itu, hukumnya adalah makruh. Namun tidak pula menjadi makruh jika dia tidak bermaksud untuk melewatkan bersungkai itu. Maka elakkanlah daripada melewat-lewatkan bersungkai kerana apabila melewatkan bersungkai, akan hilanglah pahala sunat dan hukum bersungkai itu menjadi makruh.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Manusia (umat Islam) akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menunjukkan umat Islam akan sentiasa memperolehi kebaikan selama mereka mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam menyegerakan bersungkai.
2. Bersungkai dengan buah Ruthab.
Sunat memulakan sungkai dengan memakan buah ruthab iaitu kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar dan rasanya lunak manis. Sekiranya tidak ada buah ruthab, mulakanlah sungkai dengan buah tamar iaitu kurma yang telah kering. Adalah lebih sempurna jika buah tamar itu dimakan sebanyak tiga biji dan sekiranya tidak ada buah tamar, mulakanlah sungkai dengan meminum beberapa teguk air.
Urutan memulakan sungkai dengan buah ruthab, kemudian buah tamar, dan seterusnya air ini adalah merupakan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersungkai dengan beberapa biji ruthab sebelum menunaikan sembahyang (fardhu Maghrib), sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada, maka Baginda minum beberapa teguk air. (Hadits riwayat Abu Daud)
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn ada menyebutkan mengenai perkara ini dengan berkata: “Adalah afdhal memulakan sungkai dengan memakan buah ruthab, sekiranya buah ruthab tidak ada, maka dengan buah tamar iaitu dengan mendahulukan buah tamar ‘ajwah (buah kurma yang ditaruh di dalam karung) kemudian buah tamar al-busr (buah kurma mentah sebelum menjadi ruthab), sekiranya buah tamar tidak ada, maka dengan air, jika ada air Zamzam adalah lebih baik, sekiranya tidak ada, maka dengan al-haluw iaitu apa yang belum terkena api seperti kismis, susu dan madu, akan tetapi memulakan sungkai dengan susu adalah afdhal daripada madu, bahkan daging adalah lebih afdhal daripada susu dan madu, kemudian jika tidak ada, dengan al-halwa iaitu dengan juadah manis.
3. Menyegerakan mengerjakan sembahyang Maghrib.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersungkai dengan beberapa biji buah ruthab sebelum Baginda menunaikan sembahyang fardhu Maghrib. Ini menunjukkan bahawa Baginda menyegerakan sembahyang Maghrib selepas berbuka dengan buah ruthab, tamar atau air sebagaimana hadits riwayat Abu Daud yang disebutkan terdahulu. Keadaan ini jika sekiranya makanan belum dihidangkan.
Sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan sembahyang. Ini berdasarkan hadits daripada Anas bin Mâlik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila telah dihidangkan makanan malam, maka kamu mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan sembahyang Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah terhadap makanan malam kamu itu. (Hadits riwayat al-Bukhari) Perkara mendahulukan makan daripada sembahyang apabila makanan telah terhidang di depan mata ini sebenarnya bukan khusus semasa bersungkai atau sembahyang Maghrib sahaja, bahkan hukum sunat ini meliputi semua sembahyang dan waktu makan kerana dikhuatiri akan menghilangkan perasaan khusyû‘.
4. Bersungkai secara sederhana.
Bersungkailah dengan cara yang sederhana dan mengikut kadar yang tidak berlebihan sehingga perut merasa sangat kenyang. Ini adalah kerana tujuan berpuasa itu adalah untuk mengurangkan kadar pemakanan. Namun makan dengan berlebihan juga, sekalipun daripada makanan yang halal, boleh memudharatkan manusia. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bekas yang paling buruk diisi oleh manusia ialah perut. Adalah mencukupi bagi manusia itu beberapa suap yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak pasti, maka (peruntukkanlah bagi perut) satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn ada berkata: “Bagaimanakah orang yang berpuasa mendapat faedah berpuasa untuk melawan musuh Allah dan mengalahkan syahwat sekiranya ketika bersungkai dia mengisi perutnya dengan pelbagai macam makanan yang telah ditinggalkannya di siang hari? Sehingga berterusan pula menjadi kebiasaan menghidang dan memakan pelbagai macam makanan di bulan Ramadhan apa yang tidak pernah dihidangkan di bulan-bulan yang lain.”
Kita perlu mengetahui bahawa maksud berpuasa adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang selera nafsu di siang hari hingga ke masa bersungkai, lalu membiarkan nafsu syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sememangnya nafsu dengan sifat semula jadinya tentulah akan bertambah-tambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Sedangkan ruh puasa dan rahsianya itu ialah melemahkan kekuatan nafsu yang merupakan jalan bagi syaitan untuk menghasut kita kepada melakukan kejahatan. Maka yang demikian itu tidak akan tercapai melainkan dengan bersederhana.
Oleh itu, hendaklah makan malam sebagaimana biasanya ketika tidak berpuasa, kerana jika mengumpul makanan siang ke waktu malam ketika bersungkai (seolah-olah makan dua kali ganda kerana membalas kelaparan di siang hari), maka tidaklah berkesan puasanya.
5. Menjemput orang untuk bersungkai.
Perkara menjemput dan menjamu orang yang berpuasa adalah sunat bahkan mendapat keampunan daripada Allah Ta‘ala. Sekiranya tidak mampu menjamu atau menghidangkan makanan, memadailah jika menyungkaikan dengan bersedekah kurma, air minum ataupun susu. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyungkaikan padanya (bulan Ramadhan) orang yang berpuasa, baginya keampunan bagi dosanya, bebas tengkuknya (dirinya) daripada api neraka dan baginya ganjaran seumpama orang yang disungkaikannya tanpa mengurangi ganjarannya sedikit pun. Mereka (para sahabat) berkata: “Kami semua tidak mempunyai apa-apa untuk menyungkaikan orang yang berpuasa”. Baginda pun bersabda: “Allah mengurniakan ganjaran ini kepada sesiapa yang menyungkaikan orang berpuasa dengan sebiji kurma atau seteguk air atau campuran susu.” (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Selain itu, para malaikat berselawat ke atas orang yang menjamu orang-orang yang berpuasa untuk bersungkai bersamanya sebagaimana hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah datang menemui Sa‘d bin ‘Ubadah. Maka dia (Sa‘d) menghidangkan roti dan minyak zaitun. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun makan dan bersabda: “Orang-orang yang berpuasa telah bersungkai di sisi kamu, orang-orang yang baik telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berselawat ke atas kamu.” (Hadits riwayat Abu Daud)
6. Membaca do‘a selepas bersungkai.
Disunatkan membaca do‘a sejurus selepas bersungkai. Do‘a bersungkai ini biasanya ada disiarkan melalui corong radio ataupun televisyen. Do‘a bersungkai itu adalah seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah! KeranaMu saya telah berpuasa dan di atas rezekiMu, saya telah berbuka puasa.
Sekiranya bersungkai dengan air atau selainnya, bolehlah ditambah dengan do‘a berikut:
Ertinya: Telah hilang kehausan dan telah basah urat-urat dan pasti dikurniakan pahala dengan kehendak Allah.
Begitu juga boleh berdo‘a memohon keampunan semasa bersungkai. Ibnu ‘Amru bin al-‘Ash Rahimahullâhu Ta‘âlâ pernah berdo‘a memohon keampunan ketika bersungkai sepertimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia bersungkai pasti ada do‘a yang tidak ditolak. Berkata Ibnu Abu Mulaikah Rahimahullâhu Ta‘âlâ: “Aku telah mendengar ‘Abdullah bin ‘Amru membaca do‘a ketika beliau telah bersungkai (yang maksudnya): “Ya Allah! Sesungguhnya saya memohon kepadaMu dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan saya.” (Sunan Ibnu Majah)
Hikmat Bersungkai Dengan Mengikut Sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Dalam sesuatu perkara atau kejadian itu, setentunya mengandungi hikmat yang tersurat mahupun tersirat di sebalik perkara atau kejadian itu. Begitulah juga dengan etika bersungkai, sudah tentu ada hikmatnya. Apatah lagi ia merupakan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sememangnya mengandungi hikmat yang jelas.
Hikmat di sebalik segera bersungkai ialah supaya tidak melanjutkan waktu siang ke waktu malam sebagai belas kasihan kepada orang yang berpuasa dengan menyegerakan bersungkai setelah merasa lapar dan dahaga di siang hari, dan akan menambahkan kekuatan untuk melakukan ibadat.
Selain daripada itu, menyegerakan bersungkai akan membezakan amalan umat Islam daripada amalan kaum Yahudi dan Nashrani yang biasa melewatkan sungkai hingga terbit bintang.
Hikmat memakan buah kurma pula ialah mendapat khasiat daripada kemanisan buah kurma itu sendiri kerana sesuatu yang manis itu lebih mudah dicerna oleh perut yang kosong. Tambahan lagi makanan yang manis akan menambahkan kekuatan, ini termasuklah menguatkan kembali pandangan mata yang lemah disebabkan berpuasa.
Menurut Imam asy-Syaukani Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika sebab sunat bersungkai dengan memakan buah kurma adalah kerana kemanisannya dan kemanisan itu memberi kesan kepada tubuh badan, maka demikianlah juga hukum memakan segala benda-benda yang manis ketika bersungkai.
Manakala hikmat bersungkai dengan meminum air pula ialah akan membasahkan semula organ hati yang mengalami proses pengeringan (dehidrasi) dengan berpuasa. Jadi, dengan membasahkan organ hati semula dengan air, atau dalam istilah lain, menambah semula cecair yang kurang, akan menyempurnakan pengambilan makanan setelah itu.
Hikmat bersungkai dengan bersederhana pula ialah untuk mencapai hakikat maksud puasa yang sebenar kerana hakikat dan rahsia puasa adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara untuk menarik manusia kepada kejahatan. Jika segala kemahuan dan keinginan ini dipuaskan semasa bersungkai, maka menunjukkan seolah-olah puasa pada siang hari itu tidak memberi kesan. Hakikat puasa sebenar itu juga tidak sempurna tercapai. Oleh itu, kesan puasa itu hendaklah dikekalkan walaupun ketika bersungkai iaitu dengan cara sederhana bersungkai.
Demikianlah antara adab-adab atau etika bersungkai yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Walaupun kita merasa gembira kerana sudah tiba masa untuk bersungkai tetapi kita perlu juga ingat akan etika bersungkai yang telah diamalkan oleh Baginda.
Di samping mendapat pahala bersungkai dengan mengikut sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kita juga akan mendapat manfaat di sebalik hikmat bersungkai dengan cara demikian.
REBUTLAH PELUANG BERPUASA ENAM HARI DI BULAN SYAWAL
Bulan Ramadhan merupakan bulan mudah untuk mengaut pahala kerana setiap amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan di bulan ini dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan pahala yang berlipat kali ganda.
Walau bagaimanapun pahala yang banyak di bulan Ramadhan tidaklah terputus begitu sahaja dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seseorang yang menekuni bulan Ramadhan dengan berpuasa penuh satu bulan akan dapat terus meraih keuntungan pahala apabila dia melaksanakan puasa enam hari di bulan Syawal.
Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalankan kewajipan ibadat puasa di bulan Ramadhan.
Fadhilat Berpuasa Sunat Enam
Seperti juga halnya dengan puasa-puasa sunat yang lain, berpuasa sunat enam di bulan Syawal juga mempunyai fadhilat tertentu jika dilaksanakan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawwal itu) seperti berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadhan diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa setahun keseluruhannya atau dua belas bulan.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadits riwayat Tsauban Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu menyamai) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal menyamai) dengan dua bulan berpuasa, maka yang demikian itu (apabila dicampurkan menjadi) genap setahun. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardhu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadhan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Cara Mengerjakan Puasa Sunat Enam
Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang-seli hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun afdhal mengerjakannya secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua kerana menyegerakan pelaksanaan ibadat.
Bolehkah Orang Yang Meninggalkan Puasa Ramadhan Melakukan Puasa Enam?
Apabila disebut mengenai puasa enam di bulan Syawal dan kaitannya dengan berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan, timbul persoalan, adakah mereka yang tidak melaksanakan puasa penuh di bulan Ramadhan sama ada kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ atau tidak, juga diharuskan berpuasa sunat enam?
Mereka yang meninggalkan puasa sama ada kerana keuzuran yang diharuskan syara‘ atau tidak, wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya. Oleh itu, bagi orang yang tidak berpuasa sebulan penuh Ramadhan dan ingin melakukan puasa enam hendaklah terlebih dahulu melihat sebab-sebab dia meninggalkan puasa tersebut. Penjelasannya seperti berikut:
1. Orang yang meninggalkannya dengan sengaja.
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja wajib menyegerakan qadha’ puasa dan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqadha’ puasanya.
2. Orang yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘.
Bagi orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haidh dan nifas, musafir atau orang sakit adalah disunatkan berpuasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qadha’. Walau bagaimanapun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.
Cara Berpuasa Enam Bagi Orang Yang Tidak Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh Kerana Uzur Syar‘i
Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ dan tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu seperti berikut:
1. Melunaskan dahulu qadha’ puasa Ramadhan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam, atau
2. Mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha’ puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan akan datang.
Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qadha’ Ramadhan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya, atau
3. Meniatkan puasa qadha’ dan puasa sunat enam sekaligus.
Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qadha’ dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam.
Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha’ puasa Ramadhan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”
Akan tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa qadha’ atau bagi puasa sunat enam sahaja, maka yang terlaksana adalah puasa yang diniatkannya itu.
Mengenai orang yang berniat puasa wajib bersama puasa sunat ini ada disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam fatwanya, menjawab mengenai dengan seseorang yang berniat puasa sunat hari ‘Arafah dengan puasa fardhu seperti qadha’ Ramadhan atau puasa nazar:
Ertinya: Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.
Puasa sunat enam di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadat puasa yang dilakukan di bulan Ramadhan. Tentunya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan olah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi sesiapa yang melaksanakannya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Rebutlah peluang ini dan jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan puasa sunat enam.
FIDYAH PUASA DAN PERMASALAHANNYA
Seseorang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan kerana meninggalkannya atas sebab-sebab keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ atau tidak berdaya menunaikannya, diwajibkan ke atasnya membayar puasa yang tertinggal, iaitu sama ada dengan menqadha’ puasa, atau dengan membayar fidyah ataupun kedua-duanya sekali (qadha’ dan fidyah), tertakluk kepada sebab-sebab dia tidak melaksanakan puasanya.
Qadha’ dan fidyah puasa merupakan tuntutan yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa sebagai menebus atau membayar balik puasa yang telah ditinggalkannya. Namun begitu kedua-duanya dilaksanakan berdasarkan keadaan yang berbeza. Sebagai contoh: Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja wajib mengqadha’ puasanya sejumlah hari-hari yang ditinggalkannya. Akan tetapi jika dia tidak mengqadha’nya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, maka dia tetap diwajibkan melaksanakan qadha’ puasa yang ditinggalkannya dan ditambah lagi dengan membayar fidyah kerana melengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya.
Apa Itu Fidyah Puasa?
Fidyah bermaksud denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadat. Ia juga merujuk kepada menebus ibadat dengan memberi sedekah kepada fakir dan miskin berupa makanan yang mengenyangkan. Dalam ibadat puasa, fidyah dikenakan ke atas beberapa golongan yang tidak melaksanakan puasa kerana keadaan-keadaan berikut:
1. Orang yang sangat tua, maka atas sebab tuanya itu dia tidak berdaya melakukan puasa.
2. Orang yang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, maka atas sebab sakitnya itu dia tidak berdaya melakukan puasa.
3. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya jika dia berpuasa.
4. Orang yang meninggalkan puasa, kemudian dia melengah-lengahkan atau melambatkan qadha’ puasanya sehingga datang bulan Ramadhan yang baru, sedangkan dia berdaya dan berkesempatan untuk mengqadha’nya.
Fidyah Orang Tua Dan Orang Sakit Yang Tidak Berdaya Untuk Berpuasa
Orang yang sangat tua dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh yang tidak berdaya melakukan puasa diharuskan berbuka pada siang hari bulan Ramadhan kerana keuzurannya itu.
Menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh yang susah bagi mereka untuk berpuasa tidak diwajibkan berpuasa. Akan tetapi mereka diwajibkan membayar fidyah. Begitu juga tidak diwajibkan puasa yang dinazarkan oleh kedua-duanya menurut pendapat yang ashah kerana mereka digolongkan orang yang lemah atau tidak berdaya untuk melaksanakan puasa tersebut.
Mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan membayar fidyah ini sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)
Menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa kewajipan membayar fidyah sebagaimana dijelaskan ayat di atas adalah ke atas orang yang membebankan dirinya untuk menunaikan ibadat puasa, walhal dia tidak terdaya menunaikannya, lalu dia pun berbuka dan diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullâh:
Maksudnya: Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan, kedua-duanya tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah kedua-duanya memberi makan orang miskin setiap hari sebagai ganti. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Beberapa permasalahan berkaitan:
i. Kewajipan membayar fidyah bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh menjadi tanggungannya sehingga dia mampu membayarnya walaupun dia seorang fakir.
Menurut pendapat yang ashah apabila seseorang itu diwajibkan fidyah akan tetapi dia tidak mampu membayarnya, maka kewajipan itu tetap ditanggungnya sehingga dia mampu membayarnya sepertimana juga dengan kewajipan kaffârah.
2. Waktu membayar fidyah bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh boleh (harus) membayar fidyah setelah terbit fajar setiap hari di bulan Ramadhan. Begitu juga boleh (harus) dia membayarnya sebelum terbit fajar setiap hari berpuasa iaitu pada malamnya.
Walau bagaimanapun tidak boleh (tidak harus) dia menyegerakan membayar sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh dia hendak membayar tiga puluh cupak untuk tiga puluh hari puasa yang akan ditinggalkannya.
3. Tidak diwajibkan ke atas orang yang sangat tua atau orang sakit mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya walaupun dia mampu dan berdaya untuk berpuasa kemudiannya.
Walau bagaimanapun jika dia berupaya mengqadha’ puasanya dan telah melaksanakan qadha’ tersebut, maka tidak lagi diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Jika dia telah membayar fidyah dan kemudian dia ada keupayaan untuk berpuasa, maka tidak lagi perlu dia mengqadha’ puasanya.
Fidyah Perempuan Hamil Atau Perempuan Yang Menyusukan Anak
Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak jika dia berbuka puasa termasuk antara golongan yang dikenakan sama ada qadha’ atau membayar puasa atau kedua-duanya sekali bergantung kepada keadaan sebagaimana berikut:
1. Jika perempuan tersebut berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya, maka dia hanya diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya.
2. Jika dia tidak berpuasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, maka dia wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dan diwajibkan juga dia membayar fidyah bagi setiap hari yang luput. Kewajipannya membayar fidyah ialah kerana dia berbuka untuk mengelakkan mudharat berlaku ke atas nyawa anak yang dalam kandungannya atau mudharat ke atas nyawa anak yang disusuinya akibat kekurangan air susu jika dia berpuasa.
Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ pernah ditanyakan mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudharat kepada anaknya, adakah ke atas perempuan yang hamil yang takut mudharat kepada anaknya itu berpuasa? Lalu beliau berkata:
Maksudnya: Berbukalah dan berilah satu cupak hinthah (sejenis makanan) kepada orang miskin setiap hari. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Fidyah Orang Yang Melengahkan Qadha’ Puasa
Orang yang meninggalkan puasa bulan Ramadhan dan kemudian dia melengahkan-lengahkan atau melambatkan qadha’ puasanya sehinggalah datang bulan Ramadhan yang baru sedangkan dia berdaya untuk mengqadha’nya, maka dia wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya serta membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Kewajipan fidyah ini adalah disebabkan perbuatannya melengah-lengahkan atau melambatkan qadha’ puasa tersebut.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata: “Dan sesiapa yang mengakhirkan (melengah-lengahkan) qadha’ puasa Ramadhan sedangkan dia berupaya menunaikannya (kerana tidak uzur) sehingga masuk Ramadhan pada tahun hadapannya, maka wajib ke atasnya qadha’ (puasa yang ditinggalkannya) di samping membayar fidyah bagi setiap hari (puasa yang ditinggalkannya) sebanyak satu mudd.”
Kadar Fidyah Puasa
Kadar fidyah puasa bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri. Kadar satu mudd itu adalah bersamaan dengan 15 tahil atau kira-kira 567 gram.
Oleh yang demikian dalam menentukan jumlah fidyah yang perlu dibayar pula, kadar satu mudd itu hendaklah didharab atau diganda dengan jumlah hari-hari puasa yang ditinggalkan.
Untuk jelasnya dibawakan contoh berikut; Seseorang meninggalkan puasa sebanyak 7 hari pada bulan Ramadhan 1427H, akan tetapi dia melambat-lambatkan qadha’nya sehingga datang bulan Ramadhan 1428H sedangkan dia berdaya mengqadha’nya, maka wajib dia membayar fidyah di samping tuntutan mengqadha’ puasanya yang tertinggal pada tahun 1427H yang lalu itu.
Puasa yang ditinggalkan
Fidyah yang perlu dibayar mudd gram/kg 1 hari 1 mudd 567 gram 7 hari 7 mudd x 567 g 3969 g/ 3 kg 969 g
Fidyah Berganda
Fidyah orang yang melengahkan qadha’ puasa akan berganda dari tahun ke tahun yang berikutnya jika belum lagi diqadha’ puasanya dan belum dibayar fidyah yang terdahulu.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan: “Dan sesiapa yang mengakhirkan (melengah-lengahkan) qadha’ puasa Ramadhan sedangkan dia berupaya menunaikannya (kerana tidak uzur) sehingga masuk Ramadhan pada tahun hadapannya, maka wajib ke atasnya qadha’ (puasa yang ditinggalkannya) di samping membayar fidyah bagi setiap hari (puasa yang ditinggalkannya) sebanyak satu mudd. Dan menurut pendapat yang ashah berulang-ulang/berganda fidyah itu (selagi belum dikeluarkan) dengan berulangnya tahun-tahun berikutnya.”
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, perkataan “berulang-ulang” sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu “berulang-ulang atau berganda fidyah itu (selagi belum dikeluarkan) dengan berulangnya tahun-tahun berikutnya” dikaitkan dengan upaya seseorang itu untuk mengqadha’ puasa. Jika seseorang itu mengakhirkan qadha’ puasanya sedangkan dia berdaya untuk mengqadha’nya dan dia masih mempunyai fidyah yang belum dikeluarkannya, maka fidyah tersebut akan berulang dengan kedatangan Ramadhan yang berikutnya.
Untuk lebih jelas dibawakan contoh berikut: Seseorang meninggalkan puasa sebanyak 5 hari pada bulan Ramadhan 1427H, dan dia melengah-lengahkan qadha’nya sehingga datang bulan Ramadhan 1428H sedangkan dia berdaya mengqadha’nya, maka dia diwajibkan untuk membayar fidyah di samping menqadha’ puasanya. Jika dia masih tidak mengqadha’ puasa dan tidak membayar fidyahnya sehingga datang bulan Ramadhan 1429H dan seterusnya sehinggalah datang bulan Ramadhan 1430H, maka fidyah tersebut berganda sebanyak 3 kali iaitu mulai 1428H sehingga 1430H. Oleh itu fidyahnya akan berganda dengan masuknya tahun berikutnya kerana dia belum mengqadha’ puasa dan belum membayar fidyah pada tahun sebelumnya. Untuk lebih jelas lihat rajah di bawah:
Tahun Puasa yang ditinggalkan
Puasa yang sudah diqadha’
Fidyah bagi puasa yang belum diqadha’
Jumlah fidyah
1427H 5 - - - 1428H - - 5 mudd 567 g x 5 = 2835 g 1429H - - 5 mudd x 2 (tahun) = 10 mudd
567 g x 10 = 5670 g
1430H - - 5 mudd x 3 (tahun) = 15 mudd
567 g x 15 = 8505 g
Berdasarkan perkiraan di atas, maka jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak 8505 gram iaitu kira-kira 8 kilogram 505 gram.
Walau bagaimanapun jika dia telah membayar fidyahnya yang awal iaitu fidyah yang dikenakan kerana melengahkan qadha’ sehingga datang bulan Ramadhan tahun 1428H, akan tetapi dia belum mengqadha’ puasanya sedangkan dia berdaya mengqadha’nya, maka fidyah tersebut akan bermula lagi pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1429H dan akan berganda seterusnya jika belum diqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu. Untuk lebih jelas lagi lihat rajah di bawah:
Tahun Puasa yang ditinggalkan
Puasa yang sudah diqadha’
Fidyah puasa
Fidyah puasa yang sudah dibayar
Jumlah fidyah
1427H 5 - - - -
1428H - - 5 mudd 5 mudd 567 g x 5 = 2835 g 1429H - - 5 mudd - 567 g x 5 = 2835 g 1430H - - 5 mudd x 2 (tahun) = 10 mudd
567 g x 10 = 5670 g iaitu 5 kg 670 g
Walau bagaimanapun seseorang yang tidak berdaya mengqadha’ puasanya, umpamanya disebabkan sakit yang bersangatan sepanjang tahun sehingga datang Ramadhan pada tahun berikutnya, maka tidaklah dikenakan fidyah ke atasnya. Sebagai contoh: Seseorang yang belum mengqadha’ puasa Ramadhan dan dikenakan fidyah (fidyah tersebut belum dibayarnya) kerana belum mengqadha’nya, namun pada tahun berikutnya dia masih belum dapat mengqadha’ puasanya disebabkan dia jatuh sakit, maka tidak berganda fidyahnya disebabkan dia tidak berdaya untuk melaksanakan qadha’ puasanya.
Oleh yang demikian dalam menentukan berapa jumlah fidyah yang perlu dibayar, seseorang itu hendaklah tahu berapa hari puasa yang ditinggalkannya dan tahunnya serta jumlah puasa yang tertinggal yang sudah diqadha’nya serta jumlah fidyah yang sudah dibayarnya jika fidyah berganda. Semua ini akan membantu memudahkan pengiraan fidyah apalagi jika fidyah tersebut berganda kerana dia belum mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya pada tahun-tahun sebelumnya.
Kepada Siapakah Fidyah Diberi?
Fidyah itu wajib diberikan kepada fakir atau miskin sahaja. Fidyah yang diberikan pula tidak dimestikan satu cupak untuk setiap seorang fakir atau miskin, tetapi boleh diberi lebih daripada secupak kepada seorang fakir atau seorang miskin. Berlainan dengan kaffârah yang mensyaratkan seseorang itu supaya memberikan sebanyak secupak sahaja bagi setiap seorang fakir atau miskin sehingga enam puluh orang.
Makanan yang diberikan ketika mengeluarkan fidyah pula ialah daripada jenis makanan yang dikeluarkan ketika membayar zakat fitrah iaitu makanan asasi yang ghalib (biasa) dimakan oleh penduduk sesebuah negeri. Oleh yang demikian jenis makanan yang dikeluarkan di Negara Brunei Darussalam ialah beras.
Fidyah Dibayar Dengan Kadar Harga Atau Wang
Mengenai kadar fidyah yang diganti dengan nilai, menurut mazhab asy-Syafi‘e, fidyah tidak sah dikeluarkan dengan harganya atau wang. Akan tetapi sebagai irsyâd, adalah dibolehkan bertaqlîd dengan mazhab Hanafi bagi sesiapa yang hendak membayar fidyah dengan harganya atau wang.
Berdasarkan penerangan itu, maka harga atau wang untuk gantian satu mudd yang bersamaan dengan 15 tahil atau 567 gram bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan ialah:
Puasa Kadar Fidyah Harga Beras Wangi
Harga Beras Siam Mudd Tahil Gram 1 hari 1 mudd 15 tahil 567 gram $0.71 sen $0.48 sen
Membayar fidyah puasa adalah ganti bagi ibadat puasa yang ditinggalkan atau kerana melengahkan qadha’ puasa. Oleh itu, ia bukanlah satu perkara yang boleh diringan-ringankan kerana ia merupakan hutang yang bersangkut-paut dengan hak-hak Allah yang wajib ditunaikan. Ia akan tetap menjadi tanggungan seseorang itu selagi dia belum melunaskannya. Apabila dia meninggal dunia dan meninggalkan harta pusaka, diwajibkan bagi waris mengeluarkan fidyah tersebut. Manakala jika dia tidak meninggalkan harta pusaka, sunat bagi waris membayarkannya.
Sebagai peringatan, meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘, seperti musafir atau sakit yang diharuskan untuk seseorang itu berbuka, merupakan suatu dosa besar dan wajib ke atasnya menyegerakan qadha’ puasa itu sebaik sahaja berlalu Hari Raya ‘Idulfitri.
Adalah menjadi kerugian yang amat besar bagi sesiapa yang sengaja tidak menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadhan. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan kepada umat Baginda, melalui hadits Baginda, bahawa
sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa keuzuran yang mengharuskannya berbuka, maka dia tidak akan memperolehi pahala satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkannya sekalipun dia berpuasa seumur hidup.
TERUSKAN BERIBADAT SUNAT WALAUPUN BUKAN DI BULAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan adalah peluang untuk kita meraih pahala yang berlipat kali ganda melalui amalan-amalan fardhu dan sunat. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Salman Radhiallâhu ‘anhu ia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berkhutbah pada hari terakhir bulan Sya‘ban dengan bersabda: “Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan), iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiyâmullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka dia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka dia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh amalan fardhu.” (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam suka supaya umatnya melakukan ibadat sunat kerana ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukannya sangat besar. Antara hadits yang menyebut tentang ganjaran amalan sunat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Barang siapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tidak hambaKu berdamping kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepadaKu dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku mengasihinya, Aku menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, (Aku menjadi) penglihatannya yang dia melihat dengannya, (Aku menjadi) tangannya yang dia memegang dengannya, (Aku menjadi) kakinya yang dia berjalan dengannya (hatinya dipenuhi dengan kebesaran atau keagungan Allah Ta‘ala sehingga dia mendengar, melihat, memegang dan berjalan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Ta‘ala), jika dia memohon daripadaKu nescaya Aku akan benar-benar memberikannya, jika dia memohon perlindunganKu nescaya Aku akan benar-benar melindunginya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maka jelaslah amalan-amalan sunat itu mengandungi fadhilat yang besar. Sudah setentunya untuk meraih fadhilat-fadhilat itu adalah dengan mengamalkannya.
Tambahan lagi amalan-amalan sunat itu boleh menampung kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang dan lain-lain perkara yang wajib dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang pada Hari Kiamat kelak adalah sembahyang fardhunya, jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya, kemudian segala amalan lain mengikut perkiraan itu (kekurangan daripada amalan fardhu diambil daripada amalan sunat). (Hadits riwayat an-Nasa‘i)
Perkara amalan-amalan sunat boleh menampung kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu ini ada ditekankan lagi dalam hadits Qudsiy sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Maksudnya: Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya”. Kemudian diperhitungkanlah amalan-amalan itu menurut cara sedemikian. (Hadits riwayat Ahmad)
Antara amalan-amalan sunat yang perlu dikekalkan ialah seperti sembahyang berjemaah sama ada di rumah ataupun di masjid, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, menunaikan puasa-puasa sunat, membaca al-Qur’an dan bersedekah.
Sembahyang Berjemaah
Ramai di antara kita menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan dengan sembahyang berjemaah sama ada di rumah, lebih-lebih lagi di masjid. Tuntutan sembahyang berjemaah ini bukan tertumpu pada bulan Ramadhan sahaja bahkan ia juga dituntut pada bulan yang lain, kerana sembahyang berjemaah ini mengandungi fadhilat yang besar sebagaimana hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)
Sembahyang-sembahyang Sunat
Selain sembahyang sunat Tarawih yang khusus dilakukan pada bulan Ramadhan terdapat banyak lagi sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Rawatib, sunat Awwabin, sunat Tahajjud, sunat Tasbih, sunat Dhuha, sunat Istikharah dan sunat Witir.
Kesemua sembahyang sunat ini mempunyai dasar pensyariatannya dan mempunyai fadhilat yang besar. Antara fadhilatnya ialah:
1. Sembahyang Sunat Rawatib
i. Sembahyang sunat Rawatib Subuh.
Telah sabit dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Fajar (Subuh) ini sama ada ketika Baginda sedang bermuqim mahupun ketika Baginda dalam perjalanan (musafir). ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah berkata:
Maksudnya: Tiada satu sembahyang sunat pun yang dijaga oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melebihi daripada penjagaannya terhadap sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah lagi hadits hasan shahîh, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Dua rakaat sembahyang sunat Fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
ii. Sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zhuhur.
Dalam sebuah hadits shahîh Sunan at-Tirmidzi, Ummu Habibah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang memelihara (mengamalkan) sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zhuhur dan empat rakaat selepasnya nescaya Allah akan mengharamkan atasnya api neraka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii. Sembahyang sunat Rawatib ‘Ashar.
Walaupun sembahyang Rawatib ‘Ashar ini adalah sunnah ghair mu’akkadah, akan tetapi adalah perlu ia dikerjakan dengan harapan akan termasuk dalam golongan orang-orang yang dido‘akan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:
Maksudnya: Mudah-mudahan Allah akan merahmati orang yang mengerjakan sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu ‘Ashar sebanyak empat rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)
Sungguhpun ada sebilangan sembahyang sunat Rawatib ini tidak disebutkan fadhilat amalannya secara khusus misalnya sembahyang sunat Rawatib Maghrib dan ‘Isya’, akan tetapi kelebihannya tidak dapat dipertikaikan lagi dengan merenung hadits-hadits yang menyebutkan tentang kelebihan sembahyang sunat secara umum.
Imam Muslim meriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Salim Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang bersembahyang dua belas rakaat dalam sehari secara tathawwu‘ (sembahyang sunat Rawatib), didirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga. (Hadits riwayat Muslim)
Dua belas rakaat sembahyang sunat Rawatib yang dimaksudkan dalam hadits itu ialah empat rakaat qabliyyah Zhuhur dan dua rakaat ba‘diyyah Zhuhur, dua rakaat ba‘diyyah Maghrib, dua rakaat ba‘diyyah ‘Isya’dan dua rakaat Subuh (sembahyang sunat Fajar).
2. Sembahyang Sunat Tahajjud
Di dalam sebuah hadits ada menyebutkan bahawa sembahyang sunat Tahajjud dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kerjakanlah qiyâm al-lail (sembahyang malam) kerana sesungguhnya ia amalan biasa dilakukan oleh orang-orang salih sebelum kamu dan sesungguhnya qiyâm al-lail itu mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada membuat dosa, menghapuskan kejahatan-kejahatan dan dapat menghindarkan daripada penyakit tubuh badan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
3. Sembahyang Sunat Dhuha
Ganjaran mengerjakan sembahyang sunat Dhuha juga sangat besar. Antaranya disebutkan dalam satu riwayat daripada Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Setiap sendi-sendi tulang di tubuhmu adalah sedekah (dengan bersyukur kepada Allah Ta‘ala), setiap tasbîh itu sedekah, setiap tahmîd itu sedekah, setiap tahlîl itu sedekah dan setiap takbîr itu adalah sedekah. Ajakan pada perkara kebajikan adalah sedekah dan cegahan daripada kemungkaran juga adalah sedekah. Semua itu adalah memadai dengan hanya melakukan dua rakaat sembahyang Dhuha. (Hadits riwayat Muslim)
4. Sembahyang Sunat Tasbih
Menyentuh mengenai sembahyang sunat Tasbih pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada ‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib Radhiallâhu ‘anhu, bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Jika engkau membuat yang sedemikian itu (sembahyang sunat Tasbih), Allah menghapuskan dosamu, yang terdahulu dan yang sekarang, yang sudah lama dan yang baru, yang tidak disengaja dan yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan. (Hadits riwayat Abu Daud)
5. Sembahyang Sunat Istikharah
Kelebihan sembahyang sunat Istikharah (memohon ketentuan daripada Allah bagi memilih perkara yang lebih baik) ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sa‘d bin Abu Waqqas Radhiallâhu ‘anhu, Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Antara kebahagiaan anak Adam itu beristikharah kepada Allah, dan antara kebahagiaan anak Adam itu (juga) redha dengan apa yang Allah tentukan, dan daripada kecelakaan anak Adam itu meninggalkan Istikharah kepada Allah dan antara kecelakaan anak Adam itu marah dengan apa yang Allah tentukan baginya. (Hadits riwayat Ahmad)
6. Sembahyang Sunat Witir
Antara fadhilat sembahyang Witir itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah menambahkan bagi kamu satu sembahyang, yang lebih baik untuk kamu daripada humrin ni‘am (semulia-mulia harta di sisi orang-orang Arab) iaitu sembahyang Witir. Allah jadikannya (sembahyang Witir) untuk kamu di antara ‘Isya’ hingga terbit fajar. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Puasa-Puasa Sunat
Selepas menunaikan kewajipan puasa di bulan Ramadhan, kita boleh meneruskan ibadat puasa-puasa sunat di bulan lain seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa hari ’Arafah di bulan Zulhijjah, puasa ‘Asyûrâ’ di bulan Muharram, puasa enam hari di bulan Syawal dan puasa pada bulan Sya‘ban.
Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang hikmat dan kelebihan bagi orang yang melakukan puasa-puasa sunat ini. Antaranya ialah:
1. Puasa Hari Isnin Dan Khamis
Hikmat berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kedua-dua (hari Isnin dan Khamis) itu ialah hari dilaporkan amalan-amalan (manusia) kepada Allah Ta‘ala Rabb al-‘Âlamîn, maka aku suka supaya dilaporkan amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadits riwayat an-Nasa’i) Dalam hadits yang lain, Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, Baginda bersabda:
Maksudnya: Itulah hari (Isnin) yang padanya aku dilahirkan dan padanya aku dibangkitkan (menjadi Rasul) atau padanya (kitab al-Qur’an) diturunkan kepadaku. (Hadits riwayat Muslim)
2. Puasa Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)
Kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah pula ialah menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Dan ditanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang berpuasa pada hari ‘Arafah, maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan (dosa) setahun yang akan datang.” (Hadits riwayat Muslim)
Namun begitu puasa ‘Arafah ini hanya sunat kepada orang yang tidak melakukan ibadat haji.
3. Puasa Hari ‘Âsyûrâ (10 Muharram)
Kelebihan berpuasa di hari ‘Âsyûrâ’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Dan ditanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’, maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu.” (Hadits riwayat Muslim)
4. Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal
Ganjaran puasa enam hari di bulan Syawal disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
5. Puasa Bulan Sya‘ban
Fadhilat berpuasa pada bulan Sya‘ban sama seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bulan (Sya‘ban) itu adalah bulan yang manusia lalai padanya kerana terletak di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan, dan pada bulan (Sya‘ban) itulah diangkat amalan-amalan (manusia) kepada Allah Ta‘ala Rabb al-‘Âlamîn, maka aku suka supaya diangkat amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Membaca Al-Qur’an
Jika kita rajin dan tekun bertadarus di bulan Ramadhan, maka teruskan di bulan-bulan yang lain. Dalam makna yang lain, amalan membaca al-Qur’an itu perlu dikekalkan selepas berlalunya bulan Ramadhan kerana orang yang membaca al- Qur‘an akan mendapat ganjaran dan pahala.
Antara ganjaran membaca al-Qur’an itu, pembacanya akan dikurniakan hati yang bercahaya oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dipelihara daripada kegelapan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di Hari Kiamat.” (Hadits riwayat Ahmad)
Bersedekah Sunat
Amalan bersedekah perlu dikekalkan. Ini kerana terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menerangkan mengenai kelebihan bersedekah. Antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) KurniaNya, lagi meliputi Ilmu PengetahuanNya. (Surah al-Baqarah: 261)
Manakala dalam sebuah hadits pula kelebihan bersedekah ini ada disebutkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi daripada yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala sedekah itu untuk orang yang bersedekah itu, sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali bagaikan gunung (pahalanya semakin dilipat gandakan). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya sangatlah luas. Perkara ini boleh diperolehi walaupun melalui amalan yang sedikit tetapi dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda, bahkan dalam perkara-perkara tertentu ganjaran pahala amalan yang sedikit itu tidak terkira banyaknya. Oleh kerana itu rebutlah peluang meraih ganjaran pahala yang banyak ini khasnya di hari-hari atau masa-masa yang ditentukan ada kelebihan itu. Sentiasalah dalam ingatan supaya melaksanakan amalan-amalan sunat yang menjadi kesukaan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu dengan cuba sedaya upaya, jangan sekali-kali ia ditinggalkan. Jadikanlah suatu prinsip dalam perkara sunat, jika tidak dapat dibuat semua jangan ditinggalkan semua, buat yang terdaya, asalkan berterusan, kesannya tentu akan membuahkan hasil yang lumayan.
HAJI DAN UMRAH
THAWAF IFADHAH DAN WADA‘ BAGI PEREMPUAN HAIDH YANG TERPAKSA MENINGGALKAN TANAH HARAM
Antara syarat sah thawaf ialah suci daripada hadas kecil mahupun besar dan suci daripada najis sama ada pada pakaian, badan dan tempat thawaf. Ini kerana thawaf di Baitullah al-Haram adalah juga seperti sembahyang sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya thawaf di Baitullah al-Haram itu adalah seperti sembahyang, kecuali (pada ketika thawaf) kamu (boleh) berkata-kata. Maka barang siapa yang berkata-kata, janganlah dia berkata-kata melainkan dengan (kata-kata yang) baik. (Hadits riwayat al-Hakim)
Oleh kerana suci daripada hadas dan najis menjadi syarat sah thawaf, maka perempuan yang haidh adalah terhalang daripada melaksanakan tuntutan tersebut. Persoalan yang timbul ialah tentang kedudukan thawaf Ifadhah dan thawaf Wada‘ perempuan yang mengalami haidh sebelum mereka sempat melaksanakan kedua-dua thawaf tersebut kerana terpaksa meninggalkan Tanah Haram dan pulang ke tanah air, walhal mereka masih dalam keadaan berhadas, yakni tidak memenuhi syarat thawaf.
Kedudukan Thawaf Ifadhah Bagi Perempuan Yang Haidh
Thawaf Ifadhah (thawaf haji) adalah salah satu daripada rukun ibadat haji yang wajib dikerjakan. Ibadat haji belum sempurna jika ia tidak dikerjakan. Oleh itu seorang perempuan yang mengalami haidh ketika masih di dalam ihram haji, sedangkan dia belum menunaikan thawaf Ifadhah, maka perempuan itu hendaklah sabar menunggu sehingga darah haidhnya kering. Selepas itu dia mandi hadas dan seterusnya mengerjakan thawaf.
Jika perempuan yang kedatangan haidh itu terpaksa juga keluar dari Tanah Haram dan tidak sempat menunggu darah haidhnya kering kerana pulang ke negaranya, maka ada beberapa jalan keluar yang boleh diikutnya:
1. Jika perempuan yang haidh itu dapat menahan haidhnya dengan menggunakan ubat atau haidhnya terhenti seketika, kemudian mandi hadas dan melakukan thawaf, apabila darah haidhnya kembali semula selepas dia bermusafir, maka dia boleh beramal dengan salah satu daripada dua pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, iaitu pendapat yang mengatakan bahawa perempuan yang kedatangan haidh ketika darahnya terhenti sehari lepas sehari, maka hari darahnya terhenti itu adalah dikira sebagai hari suci.
2. Jika perempuan yang mengalami haidh itu tidak berhenti haidhnya, sedangkan dia takut tertinggal daripada rombongannya yang ditakuti akan mengakibatkan kemudharatan ke atas nafaqah (perbelanjaan ketika musafir) atau ke atas dirinya, maka dia diharuskan mengikut rombongannya tanpa mengerjakan thawaf Ifadhah berkenaan. Apabila tiba di tempat yang dia tidak mungkin lagi kembali semula ke Makkah kerana ditakuti kemudharatan berlaku pada diri atau hartanya jika dia kembali ke Makkah, maka harus dia bertahallul dengan menyembelih seekor kambing (kemudian bergunting dengan berniat tahallul ketika melakukan kedua-dua perkara itu seperti yang dilakukan oleh orang muhshar (orang yang ditahan daripada datang ke Makkah bagi mengerjakan haji). Dengan berbuat demikian maka lepaslah dia daripada segala ikatan ihramnya dan harus dia melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika dia sedang berihram. Akan tetapi kewajipan thawaf tersebut masih lagi tertanggung ke atas dirinya sehingga dia kembali semula ke Makkah untuk melaksanakan thawaf tersebut. Dan jika dia hendak melakukan thawaf tersebut setelah dia kembali semula ke Makkah, dia dikehendaki berihram untuk mengerjakan thawaf itu sahaja tanpa melakukan ibadat-ibadat haji yang telah dilakukannya sebelum itu seperti wuquf dan lain-lain.
Atau boleh juga perempuan itu bertaqlîd kepada pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Rahimahumallâh pada satu riwayat yang mengatakan perempuan haidh itu hendaklah membalut tempat keluar haidhnya supaya tidak keluar darah haidh seperti menitis dan sebagainya kemudian dia melakukan thawaf dan dia menyembelih badanah iaitu unta atau lembu.
Dalam hal ini dia tetap berdosa kerana masuk ke masjid dalam keadaan haidh. Namun thawaf yang dilakukannya itu adalah tertunai.
Mengerjakan Thawaf Wada‘ Bagi Perempuan Yang Haidh
Perempuan yang haidh tidak wajib mengerjakan thawaf Wada‘ berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, antaranya:
1. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Diperintahkan manusia pada akhir masa mereka berada di negeri Makkah (mengerjakan thawaf di keliling) Baitullah (Ka‘bah), kecuali diberi keringanan (untuk tidak berthawaf) kepada perempuan yang haidh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan haji di Baitullah (Ka‘bah), maka hendaklah di akhir masa berada di negeri Makkah (mengerjakan thawaf) di keliling Baitullah (Ka‘bah), kecuali perempuan yang haidh dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memberi keringanan (kelonggaran) kepada mereka itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, maka dapat disimpulkan bahawa perempuan yang kedatangan haidh boleh keluar meninggalkan Makkah tanpa perlu mengerjakan thawaf Wada‘, dan dia tidak dikenakan dam (denda) sebagaimana disebutkan oleh ar-Ruyani Rahimahullâh.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Salamah dan ‘Urwah Radhiallâhu‘anhumâ:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Aisyah berkata: “Shafiyyah binti Huyai datang haidh setelah selesai mengerjakan thawaf Ifadhah”. ‘Aisyah berkata: “Maka aku beritahukan perkara haidhnya itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah dia menghalangi kita?” ‘Aisyah berkata: “Maka aku menjawab: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia telah mengerjakan haji dan thawaf (Ifadhah) di Baitul Haram, kemudian dia datang haidh setelah mengerjakan thawaf Ifadhah”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka biarkan dia berangkat pulang (tanpa melakukan thawaf Wada‘). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits tersebut adalah dalil yang menunjukkan gugurnya kewajipan thawaf Wada‘ terhadap perempuan yang haidh.
Walau bagaimanapun jika semasa meninggalkan kota Makkah, dia suci daripada haidh sebelum keluar dari kota Makkah, maka dia diwajibkan kembali untuk mengerjakan thawaf Wada‘. Berlainan halnya jika dia suci setelah berada di luar kota Makkah, dia tidak diwajibkan kembali ke Makkah untuk mengerjakan thawaf Wada‘, sekalipun dia masih di tanah haram.
Demikian panduan bagi jemaah haji khususnya jemaah perempuan tentang kedudukan perempuan haidh yang terpaksa pulang ke tanah air sedangkan dia belum melakukan thawaf Ifadhah. Dalam mengerjakan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, baik yang fardhu mahupun yang sunat, apa yang kita inginkan ialah kesempurnaannya. Semoga dengan menitikberatkan kesempurnaan itu amal ibadat kita diterima Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
SEMBAHYANG
MENAHAN HADATS KECIL KETIKA SEMBAHYANG
Sentiasalah kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam sembahyang dan dalam waktu yang sama berusaha mengelakkan perkara-perkara yang mengurangkan kesempurnaan itu sekalipun ia nampak kecil, seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan yang seumpamanya iaitu menahan diri daripada hadats kecil.
Apa yang dimaksudkan dengan menahan diri daripada hadats kecil di sini, ialah menahan air kencing, air besar atau angin daripada keluar ketika seseorang hendak mengerjakan sembahyang atau ketika di dalam sembahyang.
Orang yang menahan air kencing dalam bahasa Arab dipanggil haqin, sementara orang yang menahan air besar ialah haqib dan orang yang menahan angin dipanggil haziq.
Menurut kajian perubatan, bahawa perbuatan kerap menahan air kencing dan air besar ini boleh menjejaskan kesihatan. Kerap menahan air kencing boleh menyebabkan penyakit batu ginjal. Ini kerana apabila ia ditahan, air kencing menjadi lebih pekat, atau berlaku jangkitan saluran kencing. Air kencing yang pekat dan jangkitan saluran kencing merupakan faktor penyumbang terbentuknya batu. Sementara menahan air besar pula boleh menyebabkan penyakit sembelit iaitu kesukaran untuk membuang air besar.
Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan hukum menahan diri daripada hadats kecil tersebut, adakah ia membatalkan sembahyang atau boleh mengurangkan kesempurnaan sembahyang?
Sembahyang Orang Yang Menahan Diri Daripada Hadats Kecil
Makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan seseorang itu menahan air kencing, air besar atau angin daripada keluar, kerana ia boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang. Ini samalah juga halnya, jika seseorang itu menahan keinginannya yang bersangatan untuk makan atau minum di dalam sembahyangnya sedangkan ketika itu hidangan sudah terhidang. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak sempurna sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga tidak sempurna sembahyang ketika dia sedang menahan daripada membuang air kecil dan air besar. (Hadits riwayat Muslim)
Bila Ia Makruh?
Hukum makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin itu, dikira semasa wujudnya keadaan menahan itu pada ketika mengangkat takbîratul-ihrâm.
Adapun jika wujudnya keadaan menahan diri daripada hadats kecil itu semasa dalam sembahyang fardhu, maka tidak harus dia memutuskan sembahyangnya itu melainkan ada keuzuran seperti takut mudharat pada dirinya apabila menahan diri daripada hadats kecil. Namun jika dia menahannya ketika dalam sembahyang sunat walaupun dia bernazar untuk menyempurnakan sembahyang sunatnya itu, maka tidak haram dia memutuskan sembahyang tersebut.
Demikian juga, hukum makruh itu hanya terjadi apabila waktu sembahyang masih panjang. Sebagai contoh, ketika seseorang itu hendak mengangkat takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu Zhuhur sedang dia menahan air kencingnya, dalam hal ini, makruh dia mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur jika waktu sembahyang tersebut masih panjang.
Sehubungan dengan itu, sunat ke atas orang yang menahan diri daripada hadats kecil untuk mengeluarkannya terlebih dahulu jika waktu sembahyangnya masih panjang.
Qadha’ Hajat Walau Luput Sembahyang Jemaah
Sunat ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang walaupun sehingga menyebabkan terluput sembahyang berjemaah, itu pun jika waktu sembahyangnya masih panjang.
Sunat Diulang Sembahyang
Sungguhpun makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, namun ia tidak membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengulangi sembahyangnya itu.
Takut Luput Waktu Sembahyang
Jika waktu sembahyang fardhu itu suntuk, maka wajib ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin, mengerjakan sembahyang dalam keadaan tersebut dan tidak mengakhirkan sembahyangnya. Ini kerana untuk menjaga kehormatan waktu sembahyang tersebut. Itu pun jika tidak terjadi mudharat ke atasnya disebabkan menahan hadats kecil itu.
Bila Wajib Mengeluarkan Hadats Kecil?
Jika seseorang itu menyangka apabila dia menahan air kencing, air besar atau angin, akan memudharatkan dirinya iaitu mudharat yang boleh menyebabkan bertayammum, maka wajib dia mengeluarkan hadats kecil itu terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang, sama ada waktu sembahyang itu masih panjang ataupun suntuk.
Sebagai kesimpulan, menahan air kencing, air besar atau angin, bukan sahaja boleh menjejaskan atau memberi kesan buruk kepada kesihatan seseorang, bahkan ia juga menyentuh perkara ibadat terutama sekali kekhusyukan dalam sembahyang. Ini kerana perbuatan menahan hadats kecil itu boleh mengalihkan pemikiran dan hati kepada perkara tersebut dan sekaligus menghilangkan kekhusyukan sembahyang.
Kekhusyukan dalam sembahyang adalah salah satu perkara yang menjamin kesempurnaan ibadah sembahyang. Oleh itu hendaklah dijaga, bukan sahaja menghindarkan diri daripada menahan hadats kecil tersebut, bahkan menghindarkan semua perkara yang boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan seumpamanya.
SEMBAHYANG
BEBERAPA KESILAPAN YANG MENGAKIBATKAN SEMBAHYANG TIDAK SAH
Ibadat sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan di samping perkara-perkara sunat yang tidak sepatutnya diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.
Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.
1. Membaca di dalam hati.
Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia boleh menjejaskan sembahyang?
i. Rukun qauli (bacaan-bacaan yang wajib).
Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhîr dan salam, dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.
Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.
Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.
ii. Bacaan-bacaan sunat.
Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti do‘a iftitâh, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fâtihah, tasyahhud awwal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyang, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.
2. Mengerjakan sembahyang dengan cepat.
Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai daripada mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah.
Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir “س بحَن هللا ” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.
Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidâl, kedua-dua sujud dan duduk di antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa ketika seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:
Maksudnya: Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang. Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan”. Kemudian Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang”. Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali. Lalu berkata lelaki itu: “Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku”. Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.” (Hadits riwayat Muslim)
Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidâl. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidâl ialah tetap anggotanya semasa i‘tidâl sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit dari sujud. Thuma’ninah ketika duduk di antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk di antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.
Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian barulah dia berdiri untuk i‘tidâl.
Sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesa-gesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.
3. Sujud dengan tidak mengendahkan kedudukan jari kaki.
Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi. Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua-dua tangan, kedua lutut dan kedua kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua-dua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua-dua tangan dan sebahagian perut jari kedua-dua kaki.
Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung.
Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.
4. Dahi tertutup oleh sesuatu.
Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa dahi adalah salah satu anggota sujud. Jika tidak diletakkan sebahagiannya di tempat sujud, maka ia belum dikira sebagai sujud.
Demikian juga, jika seseorang itu melakukan sujud sedang keseluruhan dahinya tertutup oleh songkok, serban atau tempat sujudnya (tempat ia meletakkan dahinya) dilapiki oleh sesuatu yang bersambung dengannya yang ikut bergerak apabila dia bergerak seperti ekor/hujung serban, tudung atau seumpamanya, maka tidak sah sujudnya itu.
Berbeza halnya, jika sesuatu yang bersambung dengannya itu tidak ikut bergerak apabila dia berdiri, duduk atau seumpamanya. Sebagai contoh, hujung kain serban yang dipakainya itu terlalu panjang dan ia menutupi tempat sujudnya sedang hujung kain itu tidak ikut bergerak apabila dia bergerak, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.
Demikian juga, sah sujudnya apabila sesuatu yang menutupi tempat sujudnya itu tidak bersambung dengannya. Sebagai contoh, kain serban yang dipakai oleh orang lain menutupi tempat sujudnya, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.
Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.
5. Berdaham.
Sembahyang menjadi batal apabila seseorang sengaja atau dipaksa berkata-kata, sekalipun dengan melahirkan dua huruf yang boleh difahami ataupun tidak seperti ‘ahem’, atau berkata-kata dengan melahirkan satu huruf yang boleh difahami seperti ‘k’ yang bermaksud ‘okey’ atau setuju.
Begitu juga berdaham tanpa keuzuran jika ia melahirkan dua huruf sama ada difahami atau tidak adalah membatalkan sembahyang. Namun jika tidak melahirkan dua huruf, maka tidaklah batal sembahyang tersebut.
Adapun jika seseorang itu berdaham sedikit ketika sembahyang kerana tidak dapat ditahan, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.
Demikian juga, jika dia tidak dapat membaca rukun qauli seperti surah al- Fâtihah melainkan dengan terpaksa berdaham, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya kerana terpaksa melakukannya untuk kesempurnaan bacaan al-Fâtihahnya.
Namun jika dia berdaham sedang dia boleh membaca rukun qauli itu tanpa berdaham atau dia berdaham bagi membolehkannya membaca dengan suara jahr (nyaring) atau membolehkannya membaca bacaan-bacaan yang sunat, maka yang demikian itu tidaklah dimaafkan kerana bacaan-bacaan sunat atau membaca dengan suara jahr itu adalah perkara sunat sahaja.
6. Salah bacaan.
Rukun-rukun qauliyyah (rukun-rukun yang berupa bacaan) seperti takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhir dan seumpamanya hendaklah dijaga huruf dan sebutan hurufnya dengan betul dan sempurna. Ini kerana bacaan yang tidak betul itu boleh merosakkan sembahyang.
Sebagai contoh pada bacaan surah al-Fâtihah, jika huruf sin “س” pada kalimah “ ُْ ِ نَسْ تَع” dibaca dengan huruf tsa’ (ق) atau bacaan yang mengubah makna seperti baris atas pada kalimah “ َُ ْ ْعَم أَن ”dibaca dengan baris bawah menjadi “ ُِ ْ ْعَم أَن ”maka batal sembahyang jika seseorang itu sengaja berbuat demikian sedang dia tahu perbuatan itu salah.
Adapun jika dia tidak sengaja berbuat demikian, maka hendaklah dia memperbetulkan bacaan yang salah itu sebelum lagi dia ruku‘ tanpa mengulangi dari awal bacaan al-Fâtihah. Itu pun jika waktu dia melakukan kesalahan itu belum lama berlalu. Jika waktu melakukan kesalahan itu sudah lama berlalu, maka hendaklah dibaca dari awal surah al-Fâtihah tersebut.
Jika dia sengaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukum yang dia wajib memperbetulkan bacaan al-Fâtihah itu sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak sengaja ruku‘ misalnya kerana lupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.
7. Kembali melakukan perkara sunat yang tertinggal.
Apabila seseorang itu terlupa melakukan perkara-perkara sunat sembahyang seperti tasyahhud awwal, qunut atau seumpamanya daripada perkara-perkara yang melibatkan perbuatan sunat, maka dalam hal ini sama ada ia menjejaskan sahnya sembahyang atau sebaliknya dilihat kepada dua keadaan, iaitu:
Pertama: Teringat belum melakukan perbuatan sunat yang tertinggal itu setelah sampai ke perbuatan seterusnya.
Kedua: Teringat sebelum sampai ke perbuatan seterusnya. Contoh bagi keadaan pertama; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal setelah dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Maka dalam hal ini, dia tidak boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal. Jika dia sengaja kembali duduk sedangkan dia tahu hukumnya, maka batal sembahyangnya itu kerana menambah perbuatan sembahyang dengan sengaja. Adapun jika dia kembali duduk disebabkan terlupa atau tidak tahu hukumnya, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu. Contoh bagi keadaan yang kedua pula; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal sebelum dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Dalam hal ini, jika dia kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan disunatkan dia melakukannya.
Demikianlah juga halnya, apabila imam atau orang yang sembahyang sendiri itu terlupa membaca qunut. Jika dia teringat setelah sujud dengan meletakkan semua anggota sujud, maka tidak boleh dia kembali berdiri untuk membaca qunut. Namun jika dia teringat sebelum sampai ke perbuatan sujud, maka sunat dia kembali berdiri untuk membaca qunut.
Berbeza pula halnya dengan makmum yang mana makmum jika terlupa tasyahhud awwal, kemudian dia terus berdiri tegak sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awwal ataupun makmum dan imam terlupa tasyahhud awwal akan tetapi imam teringat sebelum berdiri tegak, lalu imam duduk melakukan tasyahhud awwal sedang makmum telah berdiri tegak, maka dalam kedua keadaan ini, makmum wajib kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal kerana mengikut imam. Jika dia tidak kembali duduk untuk bertasyahhud awwal bersama-sama imam, sembahyangnya menjadi batal jika dia tidak berniat untuk mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imam.
Adapun jika imam dan makmum telah berdiri tegak, lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal, maka makmum hendaklah mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imamnya. Jika makmum sengaja mengikut imamnya kembali duduk dan dia tahu akan hukumnya (tidak harus kembali unutk duduk tasyahhud awwal), maka batal sembahyang makmum itu. Adapun jika makmum itu terlupa atau tidak tahu akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya.
Sebagai kesimpulan, laksanakanlah ibadat sembahyang itu dengan bersungguh-sungguh dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya sebagaimana yang dituntut. Sembahyang yang dilakukan sambil lewa dengan tidak melakukan rukun dan syarat yang terkandung di dalamnya dengan sempurna akan mengakibatkan sembahyang seseorang itu tidak sah.
Di samping menjaga rukun-rukun sembahyang, perkara-perkara sunat juga hendaklah dilakukan dengan sebaiknya kerana ia akan menambahkan lagi kualiti sembahyang itu di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dari itu peliharalah sembahyang dan tunaikanlah dengan sebaik-baiknya dan janganlah mengerjakannya bagai melepaskan batuk di tangga.
BEBERAPA PERMASALAHAN SEMBAHYANG ORANG YANG MENANGGUNG NAJIS
Najis ialah segala kotoran yang menghalang kesahan sembahyang ketika tiada kelonggaran yang mengharuskannya. Kerana itu tidak sah sembahyang jika ada bersamanya najis pada waktu tiada kelonggaran. Tetapi jika dalam keadaan ada kelonggaran seperti sembahyang orang yang beristinjâ’ dengan batu, maka hukum sembahyangnya sah kerana ia dimaafkan walaupun kesan istinjâ’ itu dihukumkan najis. Istinjâ’ bermaksud menghilangkan najis yang keluar dari kemaluan.
Sebahagian ulama mentakrifkan bahawa najis itu ialah setiap sesuatu benda yang haram dimakan secara mutlak ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) serta senang dibezakan, ia haram bukan kerana ia dimuliakan, bukan kerana ia kotor dan bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal.
Apa yang dimaksudkan dengan secara mutlak itu ialah tidak termasuk apa yang diharuskan ketika ia sedikit dan apa yang diharamkan ketika ia banyak seperti candu dan ganja kerana ia suci.
Sementara maksud ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) pula ialah bukan waktu dharurat memakannya, kerana ia diharuskan ketika dalam keadaan dharurat itu, akan tetapi ia tetap dinamakan najis.
Adapun yang dimaksudkan dengan senang dibezakan itu ialah ia haram dimakan jika dapat dibezakan benda itu, akan tetapi ulat buah-buahan, keju dan seumpamanya adalah najis tetapi ia harus dimakan kerana ia sukar dibezakan.
Maksud ia haram bukan kerana ia dimuliakan pula ialah tidak termasuk daging manusia kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kemuliaan dan ketinggiannya.
Adapun maksud bukan kerana ia kotor ialah tidak termasuk hingus kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kotornya/jijiknya.
Sementara maksud bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal ialah tidak termasuk apa yang memudharatkan badan seperti racun dan memudharatkan akal seperti candu, kerana ia suci. Ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana mudharatnya.
Najis terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Najis mukhaffafah (najis ringan) iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun, dan belum makan makanan yang mengenyangkan melainkan susu ibu sahaja.
2. Najis mutawassithah (najis sederhana) iaitu seperti tahi, darah, muntah dan sebagainya.
3. Najis mughallazhah (najis berat) iaitu anjing, khinzîr dan kacukan daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya.
Orang yang terkena najis atau ada pada dirinya najis sama ada pada badan atau pakaiannya disebut orang yang menanggung najis. Apabila dia hendak mengerjakan sembahyang, maka hendaklah terlebih dahulu dia menghilangkan najis tersebut dan menyucikan
tempat yang terkena najis itu. Ini kerana dengan adanya najis itu menghalang kesahan sembahyang seseorang itu.
Tetapi sekiranya najis yang ditanggung itu najis yang dimaafkan sama ada pada badan atau pakaiannya, maka sah sembahyangnya tanpa terlebih dahulu dia menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu.
Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan Itu?
Najis yang dimaafkan itu ialah seperti darah kutu, darah nyamuk dan seumpamanya yang tidak mengalir, kerana darah yang ada pada kutu atau nyamuk itu adalah darah yang dihisapnya dari tubuh manusia. Demikian juga, darah atau nanah yang datang daripada bisul atau jerawat. Kesemua contoh najis yang tersebut adalah dimaafkan walaupun banyak darahnya, selagi ia bukan berpunca daripada perbuatannya sendiri. Jika ia berpunca daripada perbuatannya sendiri seperti kutu itu dibunuhnya atau bisul itu dipicitnya sehingga mengeluarkan darah yang banyak, maka darah tersebut tidak dimaafkan melainkan jika ia keluar sedikit sahaja. Selain itu, jika darah tersebut bercampur dengan banyak najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kucing atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi, maka ia termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan melainkan jika ia bercampur dengan sedikit.
Contoh najis yang dimaafkan itu lagi, ialah najis yang sedikit sama ada najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kambing yang mengenai pakaiannya atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi seperti darahnya yang sudah terpisah dari dirinya lalu mengenai pakaiannya. Dalam kedua-dua keadaan ini, najis tersebut adalah dimaafkan jika ia sedikit, akan tetapi jika ia banyak maka tidaklah dimaafkan. Sebagai contoh darah haidh yang sedikit mengenai pakaiannya atau darah yang keluar dari hidungnya dengan hanya sedikit darah itu mengenai dirinya.
Berbeza halnya jika najis itu mughallazhah, ia tidak dimaafkan walaupun hanya terkena sedikit seperti darah anjing.
Adapun kadar banyak dan sedikit yang dimaksudkan bagi najis itu menurut pendapat yang ashah ialah merujuk kepada adat kebiasaannya. Apa yang pada kebiasaannya seseorang itu terkena najis dan sukar untuk menghindarinya adalah dikira sebagai kadar yang sedikit. Adapun apa yang melebihi daripada itu adalah dikira sebagai kadar yang banyak.
Pendapat yang lain pula, kadar banyak najis itu ialah apa yang nampak oleh mata tanpa perlu melihat dan mencarinya dengan teliti. Sementara sebaliknya pula adalah kadar sedikit najis.
Suci Daripada Najis
Masalah najis amat berkait rapat dengan sembahyang kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan.
Suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis menjadi syarat sah sembahyang adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddatstsir: 4)
Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menyucikan pakaian daripada najis dan ia menjadi dalil kepada perintah menyucikan tubuh badan daripada najis secara qiyâs.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) daripada dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas dengan jelas memerintahkan untuk menghindari diri daripada najis ketika hendak mengerjakan sembahyang. Maka adalah wajib berkeadaan suci ketika di dalam sembahyang.
Hukum Sembahyang Dengan Menanggung Najis
Tidak sah sembahyang seseorang itu jika terdapat najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang.
Berikut ialah beberapa permasalahan sembahyang dalam keadaan menanggung najis:
1. Orang yang tidak tahu ada padanya najis.
Jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahuinya sehingga apabila dia selesai mengerjakan sembahyang barulah dia menyedari dan yakin bahawa ada padanya najis ketika dia mengerjakan sembahyang itu, maka tidak sah sembahyangnya. Wajib ke atasnya menyucikan dirinya daripada najis itu dan mengulang sembahyang tersebut.
2. Orang yang tahu ada padanya najis kemudian terlupa.
Seseorang yang mengetahui ada padanya najis sebelum dia mengerjakan sembahyang, kemudian dia terlupa bahawa pada dirinya ada najis, lalu dia pun mengerjakan sembahyang dengan keadaan bernajis itu. Setelah beberapa ketika dia pun teringat bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan keadaannya menanggung najis. Dalam hal ini, tidak sah sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut apabila masih ada waktu sembahyang atau mengqadha’nya apabila sudah di luar waktu sembahyang.
3. Orang yang mendapati ada padanya najis setelah selesai sembahyang.
Jika seseorang itu mendapati atau ternampak najis pada dirinya setelah dia selesai mengerjakan sembahyang dan dia tidak yakin bila adanya najis tersebut, maka tidak wajib ke atasnya mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya itu, kerana menurut kaedah asal bagi setiap kejadian itu terjadi pada waktu yang terdekat. Ini bererti dengan mengambil kira kaedah tersebut najis itu ada padanya atau baru mengenainya setelah dia mengerjakan sembahyang, bukan ketika dalam sembahyang. Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâhu Ta‘âlâ, sunat ke atasnya mengulang sembahyang tersebut sebagai langkah berhati-hati.
Berlainan halnya jika seseorang itu yakin bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan ada padanya najis. Maka wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut.
Demikian juga halnya, wajib diulang sembahyang jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahui yang demikian itu membatalkan sembahyang.
4. Orang yang baru mendapati najis ketika dalam sembahyang.
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis, tetapi dia baru mendapati atau ternampak najis pada dirinya ketika dalam sembahyang, maka batal sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya memulakan semula sembahyangnya.
5. Orang yang tidak tahu ada padanya najis ketika dalam sembahyang kemudian dia meninggal dunia.
Jika seseorang itu meninggal dunia sebelum mengetahui yang dia telah mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis ataupun dia sudah mengetahuinya tetapi belum sempat untuk mengqadha’nya lalu meninggal dunia, maka dalam hal ini semoga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkannya disebabkan keuzurannya itu.
6. Terkena najis ketika dalam sembahyang.
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang, kemudian terkena najis ketika dalam sembahyang dan dia tidak dapat menghilangkan najis itu dengan cara membuangnya dengan serta-merta melainkan dengan cara menyucinya, seperti pakaiannya terkena najis yang basah dan dia tidak dapat menanggalkan dan mencampakkan pakaian itu serta-merta, maka batal sembahyangnya.
Adapun jika dia dapat membuang atau menghilangkan najis itu dengan serta-merta, maka tidak batal sembahyangnya. Seperti najis yang kering jatuh pada pakaiannya, lalu dikibasnya sehingga jatuh, ataupun najis yang basah jatuh pada pakaiannya, lalu dibersihkannya dengan air yang ada berhampiran dengannya (sekira-kira perbuatan yang tidak membatalkan sembahyang), ataupun ditanggalkannya pakaian yang terkena najis yang basah itu kemudian dicampakkannya tanpa menyentuh najis tersebut dengan tangan atau lengan baju ataupun dengan potongan kayu. Jika disentuhnya najis itu dengan tangan atau lengan bajunya atau dengan potongan kayu, maka batal sembahyangnya.
Dalam perkara ini perlu juga diingat, jika seseorang itu terkena najis yang basah pada pakaiannya ketika dalam sembahyang sedang dia mengerjakannya di dalam masjid, dan waktu sembahyang juga masih panjang, maka haram ke atasnya membuang atau mencampakkan pakaiannya itu di dalam masjid kerana pakaiannya yang dilumuri najis yang basah itu akan menjadikan kawasan dalam masjid dicemari oleh najis. Dalam hal ini, hendaklah dia memberhentikan sembahyangnya yang terbatal disebabkan najis yang ada pada pakaiannya, lalu membersihkan pakaiannya dan mengulang semula sembahyangnya itu.
Berlainan halnya jika najis itu kering, maka boleh dibuangnya najis itu di dalam masjid dan segera dibersihkannya najis tersebut selepas dia mengerjakan sembahyang.
7. Ternampak najis pada pakaian orang yang hendak sembahyang.
Jika seseorang yang mukallaf ternampak najis pada pakaian orang yang hendak mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Ini kerana bagi menyuruh kepada perkara yang berkebajikan iaitu menghilangkan perkara yang merosakkan walaupun ia bukan merupakan suatu maksiat.
Demikian juga halnya, jika ternampak najis pada pakaian orang yang sedang mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Itu pun jika diketahui bahawa najis yang ada padanya itu membatalkan sembahyang pada pandangan mazhab orang yang bersembahyang itu.
Sementara orang yang mengerjakan sembahyang itu, wajib menerima perkhabaran atau teguran daripada orang yang ‘âdil mengenai adanya najis pada dirinya itu. Kemudian hendaklah dia menyucikan dirinya daripada najis tersebut dan mengulang sembahyangnya.
8. Mmemegang atau berpaut dengan sesuatu yang bersambung dengan najis.
Seseorang yang memegang atau mengikat sesuatu pada dirinya seperti tali yang di bahagian tali itu mengandungi najis adalah membatalkan sembahyang. Sembahyang tetap tidak sah sama ada tali itu bergerak apabila dia bergerak ataupun tidak bergerak.
Sebagai contoh, imam menyangkutkan pada dirinya pembesar suara yang mempunyai wayar yang panjang dan di bahagian wayar itu ada najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia dikira menanggung najis.
Demikian juga, jika seseorang itu memegang atau mengikat tali pada dirinya sedang tali itu berhubung dengan sesuatu yang menanggung najis dan bergerak apabila dia bergerak seperti tali itu diikat pada sampan kecil atau pada keldai yang membawa najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dikira dia menanggung najis.
Adapun jika tali itu diikat pada sesuatu yang tidak bergerak apabila dia bergerak seperti diikat pada kapal besar yang membawa najis, maka tidaklah batal sembahyangnya.
Berbeza halnya, jika tali itu diletakkan di bawah telapak kakinya, maka tidaklah batal sembahyangnya walaupun tali itu diikat pada sesuatu yang bergerak apabila dia bergerak kerana tidak dikira dia menanggung najis. Ini sama keadaannya apabila dia bersembahyang di atas hamparan yang besar sedang di hujung hamparan itu ada najis.
Demikian beberapa penjelasan hukum mengenai permasalahan sembahyang dalam keadaan seseorang itu terkena najis, sama ada pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya. Perlulah diingat, kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan adalah salah satu syarat sah sembahyang. Jika syarat ini diabaikan atau tidak diambil berat, maka sembahyang tidak sah dan masih tertanggung ke atas orang yang mengabaikan itu untuk mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya.
SEMBAHYANG
PERBEZAAN SYARAT JAMA‘ TAQDÎM DENGAN JAMA‘ TA’KHÎR
Menjama‘ sembahyang adalah antara rukhshah iaitu keringanan yang diberikan kepada musafir bagi kemudahan mereka kerana pada kebiasaannya di dalam bermusafir akan menghadapi kesusahan dan keletihan di sepanjang pelayaran mereka.
Menjama‘ sembahyang boleh dilakukan dengan dua cara iaitu boleh dilakukan secara taqdîm atau ta’khîr. Walaupun secara umumnya kedua-dua cara jama‘ ini adalah serupa yang bertujuan untuk menghimpun sembahyang, namun terdapat beberapa perbezaan dalam syarat-syarat masing-masing.
Apa Jama‘ Taqdîm Dan Jama‘ Ta’khîr itu?
Jama‘ taqdîm ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur atau sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu Zhuhur atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Maghrib.
Jama‘ ta’khîr pula ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu ‘Ashar atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu ‘Isya’.
Syarat-Syarat Mengharuskan Melakukan Jama‘ Sembahyang
Seseorang yang dalam pelayaran yang ingin melakukan jama‘ sembahyang sama ada secara taqdîm atau ta’khîr, hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:
1. Jarak perjalanannya ke tempat yang akan ditujunya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer.
2. Tujuan pelayarannya pada perkara yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
3. Mengetahui tempat yang hendak dituju.
Perbezaan Syarat-Syarat Jama‘ Taqdîm Dengan Jama‘ Ta’khîr
Seorang musafir yang ingin menjama’ atau menghimpunkan sembahyang-sembahyangnya sama ada secara taqdîm atau ta’khîr hendaklah mengetahui syarat-syarat menjama‘ sembahyang sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘:
1. Niat untuk menjama‘ sembahyang.
Disyaratkan niat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang (Zhuhur atau Jumaat dengan sembahyang ‘Ashar atau sembahyang Maghrib dengan sembahyang ‘Isya’) sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kerana ia adalah syarat sah jama‘ menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang secara jama‘ taqdîm boleh dilakukan ketika takbîratul-ihrâm pada sembahyang yang pertama (Zhuhur, Jumaat atau Maghrib), dan boleh juga niat dilakukan pada pertengahan sembahyang yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama iaitu sebelum memberi salam atau seiring dengan selesai sembahyang yang pertama iaitu ketika memberi salam. Akan tetapi waktu yang lebih afdhal ialah berniat jama‘ ketika takbîratul-ihrâm sembahyang yang pertama.
Untuk menjama‘ sembahyang secara jama‘ ta’khîr pula, wajib berniat jama‘ di dalam waktu sembahyang yang pertama. Umpamanya seorang musafir yang ingin menjama‘ ta’khîr sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar, maka wajib dia berniat dalam waktu Zhuhur untuk menjama‘ ta’khîr kedua-dua sembahyang itu dan melakukan kedua-dua sembahyang tersebut dalam waktu ‘Ashar.
Contoh niat jama‘ ta’khîr yang dilakukan di dalam hati:
Ertinya: Sahaja aku berniat mengakhirkan sembahyang fardhu Zhuhur untuk aku mengerjakannya pada waktu ‘Ashar.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang pada waktu yang kedua hendaklah dilakukan sebelum habis waktu sembahyang yang pertama iaitu sekurang-kurangnya pada kadar waktu yang mencukupi untuk melakukan sembahyang. Sekiranya dia tidak berniat atau dia berniat jama‘ sembahyang pada waktu yang pertama pada kadar waktu yang tidak mencukupi untuknya melakukan sembahyang (Zhuhur atau Maghrib), maka dia tidak boleh melakukan jama‘ ta’khîr. Oleh yang demikian wajib dia mengqadha’ sembahyang pertama (Zhuhur atau Maghrib) yang tidak dilakukan pada waktunya.
2. Dua sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara muwâlah.
Muwâlah adalah salah satu syarat sah jama‘ taqdîm. Muwâlah bermaksud berturut-turut iaitu tidak dipisahkan di antara dua sembahyang yang dijama‘ dengan jarak waktu yang panjang. Jika antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka ia tidak boleh lagi dijama‘ dan sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) wajib dikerjakan di dalam waktunya. Ini kerana ikatan jama‘ sembahyang kedua sudah hilang disebabkan oleh pemisahan jarak masa yang panjang antara kedua-duanya.
Manakala dalam jama‘ ta’khîr pula tidak diwajibkan muwâlah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah sunat jika seseorang itu melakukan sembahyang jama‘ ta’khîrnya dengan muwâlah pada dua sembahyang yang dijama‘.
3. Mengikut tertib.
Di dalam sembahyang jama‘ taqdîm, hendaklah sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang fardhu Zhuhur kemudian sembahyang fardhu ‘Ashar dan mendahulukan sembahyang fardhu Maghrib kemudian sembahyang fardhu ‘Isya’.
Dalam jama‘ taqdîm, sembahyang yang pertama iaitu Zhuhur dan Maghrib dilakukan pada waktu-waktunya, sementara sembahyang yang kedua iaitu ‘Ashar dan ‘Isya’ hanya mengikuti sembahyang yang pertama. Sembahyang yang kedua tidak boleh didahulukan daripada yang pertama. Jika seseorang itu menjama‘ sembahyangnya secara taqdîm dengan mendahulukan sembahyang fardhu ‘Ashar daripada sembahyang fardhu Zhuhur atau mendahulukan sembahyang fardhu ‘Isya’ daripada sembahyang fardhu Maghrib, maka tidak sah sembahyang ‘Ashar dan ‘Isya’ yang dilakukannya itu.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, menjama‘ sembahyang secara tertib tidak diwajibkan. Seseorang itu boleh mendahulukan sembahyang ‘Ashar kemudian baru sembahyang Zhuhur atau sebaliknya ataupun mendahulukan sembahyang ‘Isya’ kemudian baru sembahyang Maghrib atau sebaliknya. Akan tetapi melaksanakannya secara tertib adalah disunatkan.
4. Berkekalan pelayaran sebagai syarat untuk melakukan jama‘ sembahyang.
Untuk melakukan jama‘ taqdîm, disyaratkan pelayaran seseorang itu berkekalan sehingga dia selesai menyempurnakan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’).
Jika seorang musafir itu ketika melakukan jama‘ taqdîm menjadi orang yang bermuqim sebelum melakukan sembahyang yang kedua disebabkan dia berniat untuk menetap atau tinggal di tempat tersebut (lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan balik) atau kapalnya sampai pada tempat dia hendak bermuqim, maka batal sembahyang jama‘nya dan wajib ke atasnya melakukan sembahyangnya yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) pada waktu yang kedua. Walau bagaimanapun sembahyang pertama yang dilakukannya (dengan niat jama‘) adalah sah kerana sembahyang tersebut telah dilakukan pada waktunya.
Jika dia menjadi orang yang bermuqim ketika dia sedang melakukan sembahyang yang kedua atau sesudah dia melakukan sembahyang yang kedua, maka sah jama‘ kedua-dua sembahyang tersebut.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, hendaklah berkekalan pelayaran sehingga selesai sembahyang yang kedua. Oleh itu jika dia berniat untuk menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) atau dia sampai ke tempat dia hendak bermuqim sebelum dia selesai melakukan sembahyang yang kedua, maka batal jama‘ sembahyangnya.
Demikian beberapa panduan mengenai dengan syarat-syarat jama‘ taqdîm dan jama‘ ta’khîr dan perbezaan pada syarat-syarat kedua-duanya yang perlu diambil perhatian. Sebagai peringatan bahawa tidak boleh menjama‘ sembahyang sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kecuali setelah melewati sempadan kampung halamannya dan juga hendaklah dia menetap di tempat tujuan tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) kerana jika lebih daripada itu maka dia sudah dikira bermuqim dan tidak harus lagi menjama‘ sembahyangnya.
SEMBAHYANG
BOLEHKAH MEMBERHENTIKAN SEMBAHYANG BERSENDIRIAN UNTUK MENYERTAI SEMBAHYANG BERJEMAAH
Mengerjakan sembahyang secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits bahawa kelebihannya ialah dua puluh tujuh kali ganda darjatnya daripada sembahyang secara bersendirian. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Persoalan yang ingin ditimbulkan ialah mengenai orang yang sedang bersembahyang bersendirian, kemudian semasa dia bersembahyang itu ada kumpulan lain datang dan mendirikan sembahyang secara berjemaah. Adakah dibolehkan orang tersebut memberhentikan sembahyang yang dilakukannya secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi mendapatkan kelebihan sembahyang berjemaah itu?
Hukum Memberhentikan Sembahyang
Pada dasarnya memberhentikan sembahyang fardhu sebelum ia sempurna dikerjakan adalah ditegah dan hukumnya haram. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: 33)
Akan tetapi jika dilakukan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh syara‘, maka hukumnya adalah harus.
Adapun memberhentikan sembahyang sunat pula hukumnya tidaklah diharamkan sekalipun ia dilakukan bukan kerana keuzuran. Walau bagaimanapun menyempurnakan sembahyang sunat tersebut sehingga selesai adalah disunatkan.
Apakah Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Pemberhentian Sembahyang?
Antara perkara-perkara yang mengharuskan seseorang itu keluar daripada sembahyangnya ialah:
1. Apabila mendapati seseorang berada dalam bahaya atau kecelakaan. Umpamanya seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi, atau seseorang yang hampir diserang binatang buas dan tidak ada cara lain untuk menegur atau memberi peringatan kepadanya kecuali dengan memberhentikan sembahyang. Jadi dalam situasi atau keadaan ini adalah harus bahkan wajib ke atas orang yang bersembahyang itu menegurnya dengan percakapan sekalipun dengan berbuat demikian membatalkan sembahyangnya demi mengelakkan sebarang kecelakaan, kecederaan, kehilangan atau menyelamatkan nyawa dan harta benda.
2. Khusus bagi orang yang bersembahyang sunat sahaja, adalah harus dia keluar daripada sembahyangnya kerana menyahut panggilan ibu bapa. Bahkan menyahut panggilan ibu bapa itu adalah afdhal. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, menyahut panggilan ibu bapa ketika di dalam sembahyang sunat menjadi satu kewajipan bilamana ibu bapa boleh merasa dukacita sekiranya panggilan mereka itu tidak dijawab atau tidak diendahkan.
3. Untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi orang yang memulakan sembahyangnya secara bersendirian kerana semasa dia sembahyang bersendirian itu sembahyang jemaah mula didirikan.
Syarat Memberhentikan Sembahyang Bersendirian Untuk Menyertai Sembahyang Berjemaah
Hal memberhentikan sembahyang yang dilakukan secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah adalah diharuskan, tetapi hendaklah dengan mengambil kira beberapa perkara seperti berikut:
1. Sembahyang Fardhu.
Apabila seseorang sudah memulakan sembahyang fardhu secara bersendirian, kemudian ketika mengerjakan sembahyang itu dia mendapati sembahyang fardhu yang sama dikerjakan secara berjemaah, maka adalah harus dan afdhal dia memberhentikan sembahyangnya semata-mata untuk mengikuti jemaah.
Begitu juga sunat menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat walaupun dia berniat sembahyang untuk tiga atau empat rakaat. Akan tetapi untuk menukar niat sembahyang fardhu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana menyertai sembahyang jemaah ini hanya boleh dilakukan jika:
i. Waktu sembahyang masih lagi panjang, yang jika dia menukar niat sembahyangnya sebagai sembahyang sunat dua rakaat, dia yakin setelah menyempurnakan sembahyang sunat dua rakaat itu dia sempat melakukan sembahyang jemaah yang akan disertainya itu di dalam waktunya.
ii. Melakukan jenis sembahyang fardhu yang sama dengan sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu. Contohnya seseorang sedang bersembahyang Zhuhur secara bersendirian kemudian datang sekumpulan yang lain untuk mendirikan sembahyang Zhuhur juga secara berjemaah.
iii. Imam sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu harus dan tidak makruh untuk diikuti (dijadikan imam). Misalnya hendaklah imam tersebut bukan seorang yang fâsiq.
iv. Orang yang bersembahyang bersendirian itu belum mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat. Jika rakaat ketiga atau keempat itu sudah dikerjakannya, maka hendaklah disempurnakan sembahyang fardhu berkenaan terlebih dahulu, kemudian bolehlah diulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Namun jika waktu tidak mencukupi ataupun sembahyang fardhu yang dilakukan secara berjemaah itu berbeza dengan sembahyang fardhu yang dilakukannya secara bersendirian maka haram dia menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat. Seperti contoh seseorang yang bersembahyang Zhuhur secara qadha’ haram menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana sembahyang berjemaah yang ingin disertainya itu adalah sembahyang ‘Ashar.
2. Sembahyang Sunat.
Seseorang yang sedang mengerjakan sembahyang sunat, kemudian dia mendapati sembahyang fardhu berjemaah didirikan, maka dalam keadaan ini jika dia tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika dia merasakan bahawa dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan dia ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan menyertai jemaah kerana sembahyang berjemaah itu adalah lebih afdhal.
Sunat Mengulang Sembahyang Berjemaah Walaupun Sudah Sembahyang Bersendirian
Jika kita terlepas untuk melakukan sembahyang fardhu secara berjemaah kerana telah mengerjakan sembahyang tersebut secara bersendirian maka adalah sunat mengulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah kerana hukum mengulang sembahyang itu adalah sunat. Perkara mengulang sembahyang ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin Yazid bin al- Aswad al-‘Amiriy, dari bapanya, dia berkata:
Maksudnya: Aku telah hadir bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada masa haji (Wida‘)nya, maka aku sembahyang bersamanya sembahyang Shubuh di masjid al-Khaif. Dia (bapa Jabir) berkata: “Apabila Baginda telah selesai daripada sembahyangnya dan beredar, Baginda melihat dua orang lelaki dalam kumpulan yang lain tidak mengerjakan sembahyang bersamanya. Baginda bersabda: “Dan hadapkan (bawakan) kepadaku mereka berdua”. Lalu dihadapkan mereka itu dan mereka mula menggigil ketakutan. Baginda bersabda: “Apa yang menghalangi kamu berdua untuk bersembahyang bersama kami?” Mereka berdua berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami telah mengerjakan sembahyang kami di tempat (rumah) kami. Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu. Jika kamu berdua telah mengerjakan sembahyang di tempat kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid di mana sembahyang jemaah sedang dilakukan, maka sembahyanglah kamu berdua bersama mereka, sesungguhnya (sembahyang itu) bagi kamu berdua menjadi sembahyang sunat.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Sebagai kesimpulan, sembahyang fardhu yang dilakukan secara bersendirian harus dan afdhal diberhentikan untuk menyertai sembahyang berjemaah jika merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah itu.
Namun jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah maka sunat menukar niat sembahyang fardhunya kepada sembahyang sunat. Akan tetapi selepas mengerjakan sembahyang sunat itu dia hendaklah yakin akan sempat mengerjakan sembahyang berjemaah itu di dalam waktunya.
Begitu juga jika berada dalam rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat maka hendaklah dia menghabiskan sembahyang fardhunya itu terlebih dahulu dan sunat mengulang sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Dalam sembahyang sunat pula, jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika merasa bimbang dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan terus menyertai sembahyang jemaah.
Maka dengan demikian fadhilat sembahyang berjemaah itu masih dapat diraih walaupun sedang atau setelah sembahyang bersendirian tertakluk kepada keadaan-keadaan yang telah dijelaskan.
RIBA
BERHENTILAH MENGAMALKAN RIBA
Menurut syara‘ setiap sesuatu yang dimakan atau diminum oleh seseorang mampu memberi kesan yang baik ataupun buruk kepada individu tersebut, sama ada pada fizikal, mental mahupun rohani. Oleh kerana itu, pemilihan makanan, khususnya dari aspek kehalalan dan kebaikannya seperti kebersihan, keselamatan, berkhasiat dan menyelerakan merupakan perkara yang dituntut ke atas setiap Muslim. Ini sebagaimana yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. (Surah al-Baqarah: 172)
Namun perlu juga diambil perhatian bahawa Islam bukan hanya setakat menyuruh umatnya untuk memilih makanan dan minuman yang baik lagi halal, akan tetapi lebih daripada itu, Islam juga mengajak dan mengajar umatnya agar berusaha mencari sumber rezeki atau pendapatan yang baik serta halal. Mata pencarian daripada jalan atau sumber yang halal dilihat sebagai suatu keutamaan dan perkara yang sangat penting kerana ia mampu membentuk atau mengubah keperibadian seseorang.
Sebaliknya pula, Islam menekankan agar menjauhi dan meninggalkan perkara yang diharamkan dan tidak terkecuali wang atau hasil pendapatan yang datang daripada sumber yang haram. Ia tiada nilai dan tidak dipandang di sisi syara‘, bahkan akan membawa kepada kebinasaan. Perkara yang lebih ditakuti lagi ialah jika akibat atau kesan buruk daripada sumber yang haram itu turut diterima atau dialami oleh ahli keluarga yang ditanggung dengan hasil yang haram itu.
Akibat Memakan Hasil Yang Haram
Antara akibat menggunakan dan memakan hasil yang haram ialah do‘a seseorang itu tidak diterima Allah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dalam satu hadits yang panjang bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci, bersih daripada segala kekurangan), dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul. (Hadits riwayat Muslim)
Kemudian Baginda bersabda (lalu membacakan) ayat 51 surah al-Mu’minûn, Allah Ta‘ala berfirman tafsirnya: “Wahai Rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik-baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Amat Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan,” dan surah al-Baqarah, ayat 172.
Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang seorang yang mengadakan perjalanan jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan kedua tangannya ke langit, seraya berdo‘a: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!”, sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan dengan yang haram, lalu bagaimana do‘anya itu diperkenankan?
Hasil Yang Bersumberkan Riba
Antara sumber haram yang dimaksudkan ialah pendapatan atau perolehan yang bersumberkan riba. Hukum mengambil dan menggunakan wang riba itu adalah haram, sama ada untuk kegunaan dirinya sendiri atau diberikan kepada orang lain. Ini kerana riba adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada tujuh dosa-dosa besar dalam Islam. Malahan memakan hasil riba adalah sekeji-keji dosa selepas syirik kepada Allah. Perkara ini jelas diterangkan dalam nash-nash al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Riba dari segi bahasa bererti lebih. Manakala dari segi syara‘ dan sebagaimana kata al- Imam ar-Ruyani, bererti: “ Suatu akad di atas suatu ‘iwadh (benda yang jadi tukar ganti)
yang tertentu yang tidak diketahui persamaannya dalam kaedah syara‘ ketika berlaku akad itu, atau serta bertangguh pada kedua-dua ‘iwadh itu atau salah satunya.
Riba itu terjadi pada al-amwâl ar-ribawiyyah, iaitu barang atau harta tertentu yang telah dinashkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Secara umum, riba terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: Riba al-fadhl (al-bai‘), iaitu menjual dua benda sejenis dan sama ‘illah secara tidak sama timbangan, seperti menjual 10 mitsqâl emas dengan 11 mitsqâl emas.
Kedua: Riba an-nasî’ah, iaitu menjual barang ribawi secara bertangguh seperti menjual 10 mitsqâl emas dengan 10 mitsqâl emas secara hutang.
Dalam mazhab asy-Syafi‘e riba al-fadhl (al-bai‘) terbahagi kepada tiga iaitu:
1. Riba al-fadhl, iaitu jual beli berserta tambahan salah satu daripada dua ‘iwadh (tukar ganti) pada jenis yang sama. Contohnya seperti menjual 10 gantang gandum dengan 11 gantang gandum.
2. Riba al-yad, iaitu jual beli berserta melengahkan (melambatkan) penerimaan salah satu tukar ganti atau kedua-duanya sekali tanpa penyataan tangguh. Contohnya seperti dua jenis mata wang adalah berlainan jenis tetapi mempunyai satu ‘illah. Maka jual belinya boleh berlainan nilai akan tetapi hendaklah timbang terima itu berlaku dalam majlis akad itu sendiri, iaitu secara tunai. Sama sekali tidak boleh pertukaran (jual dan beli) barang itu ditangguhkan selepas majlis akad.
3. Riba an-nasa’, iaitu riba yang masyhur yang berlaku dalam zaman Jahiliah sebelum Islam. Maksudnya adalah: “Pertambahan pada hutang dengan bertambahnya tempoh pembayaran”. Ini berdasarkan tafsiran para ulama, dengan ijmâ’, maksud riba Jahiliah adalah kaum Musyrikin Makkah apabila mereka memberi hutang sampai kepada tempoh pembayaran balik, maka mereka memberi pilihan kepada peminjam sama ada membayar hutang tersebut atau menangguhkan pembayaran akan tetapi dengan syarat menambah kadar pembayaran.
Salah satu dalil larangan mengenai riba ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Âli‘Imran: 130)
Sebaliknya, menjauhi riba itu merupakan ketaatan terhadap perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan beringat bahawa syaitan akan sentiasa menghiasi sesuatu yang haram sehingga manusia terlupa dan lalai lalu mengambil atau melakukan perkara yang haram itu dan mengamalkannya tanpa perasaan ragu. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai sekalian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah:168)
Hukum Dan Balasan Terhadap Pengamal Riba
Berdasarkan maksud al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, pengamal riba akan ditimpa berbagai-bagai akibat dan balasan. Antaranya:
1. Harta atau wangnya tidak berkat. Bahkan akan hilang atau habis semenjak di dunia lagi. Manakala di akhirat akan diseksa berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula yang mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (Surah al-Baqarah: 276)
2. Riba mengandungi tujuh puluh macam dosa dan dosanya yang paling ringan sekali ialah seperti seorang berzina dengan ibunya sendiri. Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Riba itu mengandungi 70 macam dosa, yang paling ringan sekali umpama seorang lelaki yang menikahi (menggauli) ibunya sendiri. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
3. Setiap mereka yang berurusan dengan riba atau mengamalkannya akan berada jauh dari rahmat Allah sepertimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi wakil pada riba, dan penulisnya, dan dua saksinya. Sabda Baginda: “Mereka itu semuanya sama (pada hukum mengambil riba).” (Hadits riwayat Muslim)
4. Riba menjadi punca turunnya bala dan bencana di dunia serta azab dan seksa di akhirat. Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jikalau nyata (berleluasa) perbuatan zina dan riba di suatu kampung, maka mereka telah menghalalkan (membenarkan) atas diri mereka sendiri akan turunnya azab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat al-Hakim)
5. Ditakuti mati dalam kesudahan yang buruk والعيَذ ِبهلل.
6. Disebutkan dalam kitab al-Kabâ’ir bahawa pengamal riba akan terus diseksa dari mula masa kematiannya hingga ke Hari Kiamat dengan berbagai-bagai seksaan:
7. Pada Hari Kiamat, pengamal riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhoyong-hayang kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
8. Tidak akan masuk syurga dan tidak dirasakan kepada mereka keni‘matannya berdasarkan hadits Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Empat (golongan) diputuskan oleh Allah bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak dirasakan kepada mereka keni‘matannya, (iaitu) orang yang ketagih minum arak, orang yang makan harta riba, orang yang makan harta anak yatim tanpa hak (cara yang benar) dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Bertaubat Daripada Mengamalkan Riba
Ruang atau peluang untuk bertaubat tetap terbuka luas bagi mereka yang telah sedar dan mengetahui akan keharaman riba. Oleh itu, hendaklah dia berhenti dan tidak berterusan mengamalkan riba. Perkara ini telah diakui dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah: 275)
Kedudukan Wang Hasil Muamalat Riba
Seseorang yang terlibat dengan muamalat riba kemudian bertaubat serta tidak mahu mengulanginya, perkara yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana dengan kedudukan wang interest (faedah) atau bunga yang diperolehi hasil daripada muamalat riba itu? Apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan dengan wang tersebut?
Perlu diketahui bahawa wang riba merupakan wang atau harta yang tidak diketahui siapa yang empunya atau wang yang tidak bertuan. Harta yang tidak diketahui siapa empunyanya atau tidak bertuan itu adalah menjadi harta Baitul-Mal.
Oleh yang demikian, wang riba itu:
1. Diserahkan kepada Baitul-Mal untuk dibelanjakan pada kebajikan atau mashlahat umat Islam.
2. Tidak boleh dijadikan sebagai hibah, sedekah atau derma. Ini kerana jika seseorang mahu melakukan kesemua amalan tersebut, hendaklah harta yang disedekahkan, dihibahkan atau didermakan itu, dimiliki oleh orang yang bersedekah atau yang menghibahkan atau yang mendermakannya itu.
Sebagai kesimpulan, hukum muamalat riba adalah haram dan telah tsabit disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Jika seseorang mengetahui bahawa sesuatu itu dijalankan secara riba atau mengandungi riba, maka wajib dia menjauhkan diri daripada bermuamalat dengan individu atau institusi berkenaan. Bermuamalatlah dengan berpaksikan iman dan bukan semata-mata berpaksikan keuntungan harta.
NUSYÛZ
ISTERI NUSYÛZ BERDOSA BESAR!
Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri.
Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syara‘.
Perintah Supaya Isteri Mentaati Suami
Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu.
Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syara‘.
Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al- Qur’an, dan juga dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Daripada hadits di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suami mereka. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja dan tidak pada yang lainnya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya:
Maksudnya: Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyûz.
Pengertian Nusyûz
Nusyûz bererti keluar daripada ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyyah mentakrifkan nusyûz seorang isteri ialah keluar daripada (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.
Antara perkara-perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyûz itu ialah sebagaimana berikut:
1. Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadhi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika suaminya bukan seorang faqîh dan suami tidak memintakan fatwa untuknya.
Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu, bapa atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.
2. Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa keuzuran yang dibenarkan syara‘ seperti isteri sakit, perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.
3. Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.
4. Tidak menyerahkan diri kepada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa keuzuran seperti sakit.
5. Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
6. Isteri mendakwa suaminya telah menthalaqnya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.
Hukum Nusyûz Dan Kesannya
Para fuqahâ’ bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyûz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyûznya itu kecuali jika dia bertaubat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dengan perbuatan nusyûz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan gugur.
Tindakan Terhadap Isteri Yang Nusyûz
Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyûz isteri ini:
1. Ketika nampak tanda-tanda nusyûz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyûz) hendaklah kamu menasihati mereka. (Surah an-Nisâ’: 34)
Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyûz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:
i. Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya: “Bertaqwalah kepada Allah pada perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”
ii. Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyûz boleh menggugurkan (hak) nafkah daripada suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri.
iii. Menyebut hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyûz.
iv. Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.
2. Apabila berlaku nusyûz, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyûznya.
Jika nusyûz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyûz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (Surah an-Nisâ’: 34)
Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garis pandu tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.
Tujuan pukulan tersebut adalah bagi mashlahat suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.
Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain daripada mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyûz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyûz terhadap suaminya.
Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri salihah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. (Surah an-Nisâ’: 34)
Sesungguhnya ganjaran Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap isteri yang salihah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh keni‘matan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan rasulNya serta dengan mentaati suami.
KORBAN
WAJIB BERKORBAN BILA DINAZARKAN
Hukum berkorban adalah sunat mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut, melainkan jika dinazarkan. Apabila dinazarkan, maka hukum berkorban itu berubah kepada wajib dan individu yang bernazar itu dituntut untuk menunaikannya. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai perkara nazar yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha:
Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sebelum membincangkan korban sunat yang menjadi wajib kerana dinazarkan, terlebih dahulu dibawakan sedikit penerangan mengenai lafaz nazar yang sah menurut syara‘.
Lafaz Nazar Yang Sah
Nazar itu mempunyai lafaz-lafaz yang tertentu. Secara ringkas, berikut dibawakan beberapa contoh lafaz nazar dan penjelasan mengenainya.
Setiap nazar yang dilakukan tidak sah melainkan jika dilafazkan dengan perkataan, seperti katanya:
1. “‘Kerana Allah’ atau ‘demi Allah’ wajib ke atasku puasa tiga hari.”
2. Jika dia berlafaz: “Wajib ke atas diriku puasa tiga hari” tanpa berlafaz ‘kerana Allah’, nazarnya tetap sah dan wajib ke atasnya menunaikannya. Ini kerana nazar itu adalah taqarrub, iaitu amal yang mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan taqarrub itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Maka daripada penerangan ringkas di atas, dapat difahami bahawa tidak sah nazar dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa lafaz. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan. Sebaliknya, sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.
Begitu juga tidak sah nazar setakat berazam di dalam hati untuk melakukan sesuatu kebajikan atau dengan melafazkan perkataan “aku berazam”.
Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap, iaitu orang bisu, bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi hendaklah disertai dengan niat.
Nazar Hakiki
Dalam ibadat korban, apabila seseorang bernazar untuk berkorban, maka hukum berkorban bertukar daripada sunat kepada wajib disebabkan oleh nazar tersebut. Antara contoh lafaz nazar korban yang dianggap sah oleh syara‘ ialah:
1. Dengan nama Allah: “Demi Allah, wajib ke atasku berkorban.” 2. Dengan iltizâm: “Wajib ke atasku berkorban.” 3. Dengan perkataan nazar: “Aku bernazar untuk berkorban.”
Kesemua lafaz nazar di atas adalah berbentuk umum dan sah sebagai nazar. Oleh itu, wajib ke atas orang yang bernazar untuk menunaikan nazar tersebut. Dia boleh berkorban dengan menyembelih apa jua jenis binatang yang sah dijadikan korban, iaitu unta, lembu, kerbau dan kambing. Ini kerana dalam lafaz nazar yang diucapkannya itu dia tidak menentukan atau mengaitkannya dengan binatang tertentu. Binatang yang disembelihnya itu pula menjadi korban wajib.
Di samping itu, seseorang yang memiliki binatang yang sah dibuat korban dan ingin bernazar untuk membuat ibadat korban dengan binatangnya itu, bolehlah dia berlafaz seperti berikut:
1. “Demi Allah, wajib ke atas diriku membuat korban dengan binatang ini.”
2. “Aku bernazar untuk menyembelih unta/lembu/kerbau/kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti.”
3. “Bagi Allah, atasku menyembelih korban dengan unta/lembu/kerbau/kambing ini.”
Apabila dia berlafaz seperti lafaz di atas atau seumpamanya wajiblah dia menyembelih binatang yang telah ditentukannya itu dan jadilah binatang korban itu korban wajib.
Begitu juga sah lafaz nazar seumpama di bawah ini jika dilafazkan oleh seseorang yang belum memiliki binatang korban:
1. “Bagi Allah ke atasku, jika aku membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka aku akan jadikannya korban.”
2. “Jika aku memiliki atau membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka wajib atasku membuat korban dengannya.”
3. “Jika aku membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka demi Allah ke atasku aku jadikannya sebagai nazar.”
Kesan daripada lafaz yang diungkapkannya seperti di atas, apabila dia memiliki atau membeli mana-mana binatang yang ditentukannya itu, wajib dia menyembelihnya sebagai korban wajib.
Akan tetapi tidak menjadi korban wajib sekiranya ketika membeli unta/lembu/kerbau/kambing itu ada niat di dalam hatinya untuk menjadikan binatang itu sebagai korban tetapi tidak dilafazkan niatnya itu.
Berbeza hukumnya jika seseorang itu berlafaz: “Jika aku memiliki atau membeli unta/lembu/kerbau/kambing ini / itu, maka demi Allah ke atasku aku jadikannya sebagai korban.” Tidak wajib ke atasnya untuk menjadikan unta/lembu/kerbau/kambing tersebut sebagai korban, sekalipun setelah itu dia memiliki unta/lembu/ kerbau/kambing yang ditentukannya itu. Ini kerana lafaz seumpama ini tidak dikira sebagai nazar. Ini disebabkan dia telah menentukan unta/lembu/kerbau/kambing dengan lafaz ‘ini’ atau ‘itu’ dan mewajibkan untuk dibuat korban, sedangkan dia belum memiliki unta/lembu/kerbau/kambing tersebut. Mewajibkan sesuatu sebelum dimiliki adalah sia-sia.
Perkara Berkaitan Korban Wajib
Apabila suatu korban itu menjadi korban wajib, umpamanya kerana nazar atau menunaikan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka berlakulah segala hukum yang berkaitan dengan korban wajib. Binatang yang termasuk dalam korban wajib tidak boleh diperlakukan ke atasnya beberapa perkara, antaranya:
1. Ditukar ganti dengan yang lain walaupun dengan gantian yang lebih baik;
2. Disewakan;
3. Dihibahkan (berikan);
4. Dijual;
5. Langsung tidak disembelih dan seumpamanya.
Manakala daging daripada korban wajib itu pula tidak boleh dimakan atau diambil oleh orang yang berkorban walaupun sedikit, sebaliknya wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.
Sebagai kesimpulan apabila ibadat korban itu dinazarkan, maka wajib bagi orang yang melafazkan nazar itu untuk menunaikannya, sama ada seseorang itu bernazar secara umum ataupun sedari awal lagi dia bernazar dengan menentukan jenis binatang tertentu untuk disembelih sebagai korban. Manakala binatang korban yang dinazarkan atau yang ditentukan itu menjadi korban wajib dan kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
PERHIASAN
HUKUM LELAKI MEMAKAI GELANG
Fenomena pemakaian gelang bagi kaum lelaki di kalangan masyarakat kita sememangnya tidak dinafikan sehingga bermacam-macam jenis gelang yang dipakai, sama ada ia daripada emas, perak, besi, tembaga, kayu, getah atau benang. Kalau gelang itu terdiri daripada besi atau jenis logam tertentu ia biasanya dikaitkan dengan tujuan perubatan. Walau bagaimanapun ia mempunyai hukum tersendiri.
Pemakai-pemakai gelang tersebut sama ada terdiri daripada golongan remaja, orang muda mahupun orang tua. Perkara pemakaian gelang bagi kaum lelaki ini pada dasarnya tidak selari dengan apa yang telah ditetapkan dalam hukum syara‘.
Hukum Lelaki Memakai Gelang
Kaum lelaki haram memakai gelang sekalipun bukan diperbuat daripada emas, seperti daripada perak, besi, tembaga, kayu atau sebagainya. Ini kerana gelang itu adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan, seperti juga rantai atau subang (anting-anting).
Oleh yang demikian lelaki yang memakai gelang itu adalah menyerupai perbuatan perempuan. Hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wassalam melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. Laknat bermaksud jauh daripada rahmat, taufîq dan hidayat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya.
Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Dan daripada apa yang haram ialah gelang tangan dan gelang kaki untuk dipakai oleh orang lelaki dan khuntsâ (orang yang mempunyai dua jantina). Maka jelaslah bahawa kaum lelaki haram memakai gelang kerana ia adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan. Akan tetapi, bagaimana pula dalam situasi tertentu seperti memakai gelang ketika majlis perkahwinan atau memakainya kerana tujuan perubatan?
Lelaki Memakai Gelang Ketika Majlis Persandingan
Memakai gelang hukumnya adalah haram walaupun dipakai untuk majlis persandingan atau perkahwinan. Haram bagi pengantin lelaki memakai aksesori baju pengantin seperti gelang dan rantai walaupun ia bukan daripada emas.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyerupai perempuan bahkan ia tidak layak dengan keperkasaan seorang lelaki sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh al- Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Dan bagi kaum lelaki (dibolehkan) memakai cincin perak kerana mengikut sunnah dan ijmâ‘ (keharusannya), bahkan disunatkan bagi kaum lelaki (memakai cincin perak), bukan memakai gelang dan yang seumpamannya seperti dumluj (gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Tidak halal bagi kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya ciri-ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelakian) orang-orang lelaki.
Oleh itu jelaslah memakai gelang ketika majlis persandingan juga tidak dibolehkan dan hukumnya haram.
Lelaki Memakai Gelang Kerana Tujuan Perubatan
Adapun memakai gelang dengan tujuan semata-mata berubat dan ia memang betul-betul ubat, maka tidaklah mengapa kerana ada keperluan dan hajat.
Dalam perkara ini, ia boleh dilihat sebagai satu keuzuran sebagaimana persoalan orang lelaki dibolehkan memakai inai kerana keuzuran. Sehubungan dengan ini Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka haram berinai ke atas kedua-duanya (orang lelaki dan khuntsâ, iaitu orang yang mempunyai dua jantina) kecuali kerana ada keuzuran.
Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh pula menjelaskan, skop pengecualian yang dikatakan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas ialah apabila tidak ada selain inai yang dapat menggantikannya untuk dijadikan ubat.
Jelaslah hukum asal memakai gelang adalah tetap haram ke atas lelaki kecuali ada keuzuran seperti tidak ada ubat lain yang boleh menggantikan gelang tersebut sebagai ubat untuk mengubati penyakit. Dalam makna tanpa keuzuran, ia tetap haram dan dilarang memakainya bagi lelaki dan khuntsâ.
Apa yang penting ialah hendaklah memakai gelang itu dengan niat dan tujuan perubatan semata-mata dan ia memang betul-betul ubat, bukan dengan niat untuk bermegah-megah atau bergaya, kerana yang demikian itu adalah haram, apatah lagi dengan niat untuk bergaya semata-mata.
Kesan Kaum Lelaki Memakai Gelang
Sebagaimana yang dijelaskan, perbuatan lelaki yang memakai gelang adalah menyerupai perempuan dan perbuatan menyerupai perempuan itu adalah berdosa besar. Orang yang seperti ini boleh dicap sebagai fâsiq. Orang yang fâsiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, lelaki yang memakai gelang akan memberi kesan terhadap kelayakannya untuk menjadi seorang saksi dan wali nikah. Kesaksiannya tidak akan diterima, begitu juga tidak sah dia menjadi wali nikah selagi tidak bertaubat dan menyesali perbuatannya. Sebab, salah satu daripada syarat saksi dan wali nikah itu ialah dia hendaklah mempunyai sifat al-‘adâlah iaitu tidak fâsiq.
Oleh yang demikian, elakkan memakai gelang sekalipun bagi tujuan berubat, kerana dalam tujuan berubat itu ditakuti tidak dapat memenuhi tuntutan maksud keuzuran yang dikehendaki itu.
MENGUKIR INAI DI TANGAN: Apakah Dibenarkan Syara‘?
Sudah menjadi tabiat golongan perempuan, ingin kelihatan cantik dan menawan. Berbagai cara dilakukan untuk tampil menarik, antaranya dengan berpakaian cantik, berhias dengan aksesori yang pelbagai atau berhias dengan peralatan solek dan yang seumpamanya.
Berinai juga dilihat sebagai salah satu cara untuk berhias khasnya sewaktu hendak bersanding. Inai digunakan dengan bermacam cara, dan selalunya cara itu meluas mengikut trend semasa. Jika dahulu inai hanya digunakan untuk memerahkan kuku, jejari dan telapak tangan, tetapi sekarang ia lebih menjurus kepada ukiran seperti ukiran berbentuk bunga, hati, bintang dan seumpamanya.
Kehalusan ukiran inai yang terhasil daripada kreativiti pengukir dilihat sebagai satu seni hiasan yang cantik dan menarik. Tidak hairanlah jika ia menjadi satu trend hiasan yang digemari oleh sebahagian orang hari ini. Apa yang ditakuti ada perempuan Islam yang menghias anggota badannya dengan ukiran yang kekal dalam bentuk tatu.
Apakah hukum berinai dan adakah berinai dengan cara membuat ukiran di tangan itu dibenarkan oleh syara‘?
Hukum Berinai
Terdapat perbezaan hukum berinai bagi lelaki dan perempuan:
1. Hukum berinai bagi lelaki.
Berinai pada dua tangan dan kaki bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram kecuali kerana dharurat seperti berinai untuk berubat.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Salma, khadam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, katanya:
Maksudnya: Tidak mengadu seseorang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang sakit di kepalanya melainkan Baginda berkata: “Berbekamlah”, dan tidak mengadu seseorang kepada Baginda tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda bersabda: “Inaikanlah kedua-duanya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Amalan sesetengah pengantin lelaki berinai di jejari tangannya adalah haram juga hukumnya.
Manakala berinai pada uban dan janggut adalah disunatkan bagi lelaki, sama ada dengan warna merah atau kuning. Akan tetapi bukan dengan warna hitam, kerana berinai dengan warna hitam adalah haram sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Dibawa Abu Quhafah pada hari penaklukan Makkah ke hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban). Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ubahkan (warna rambut dan janggut) kamu dengan sesuatu dan jauhi (warna) hitam.” (Hadits riwayat Muslim)
2. Hukum berinai bagi perempuan.
Hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat, adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram mengikut keadaan, status perempuan itu sama ada bersuami atau tidak dan bagaimana cara perempuan itu berinai.
i. Berinai yang sunat.
Berinai ketika hendak melakukan ihram bagi perempuan sama ada perempuan tua atau yang muda, yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin) hukumnya adalah sunat.
Begitu juga sunat bagi perempuan yang bersuami berinai walaupun dia tidak bermaksud untuk berihram.
ii. Berinai yang makruh.
Berinai bagi perempuan yang tidak bersuami dan dia tidak bermaksud untuk berihram hukumnya adalah makruh.
iii. Berinai yang haram.
Berinai dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syara‘, seperti berinai dengan warna hitam hukumnya adalah haram. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.
Berinai Dengan Membuat Ukiran Di Tangan
Berinai yang disunatkan bagi perempuan bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak dan perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya.
Adapun berinai dengan membuat ukiran di tangan pula, Imam Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâh ada menyebutkan perkara ini dalam kitabnya, Tuhfah al- Muhtâj ‘alâ Syarh al-Minhâj, katanya:
Ertinya: Dan tidak disunatkan baginya (perempuan bersuami yang tidak melakukan ihram) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.
Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa hukum berinai dengan membuat ukiran bukanlah cara yang disunatkan, bahkan perbuatan itu haram dilakukan bagi perempuan yang tidak bersuami dan juga bagi perempuan yang sudah berkahwin yang tidak mendapat keizinan suaminya. Namun jika suami mengizinkannya, makruh jika isteri melakukan yang sedemikian itu.
Selain daripada membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi juga merupakan cara berinai yang tidak dibenarkan oleh syara‘.
Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rif‘ah Rahimahullâh, apa yang dimaksudkan dengan berinai di hujung-hujung jari yang diharamkan itu adalah menginai hujung-hujung jari dengan inai yang berwarna merah dan dicampur dengan yang berwarna hitam. Jika menginainya hanya dengan inai yang berwarna merah, maka yang sedemikian adalah dibolehkan. Begitu juga dibolehkan ukiran yang dibuat dengan inai (warna merah) sahaja menurut Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh.
Kesimpulannya, Islam tidaklah melarang umatnya untuk berhias selama mana berhias itu selari dengan apa yang disyariatkan syara‘. Termasuk dalam hal inai, Islam telah memberikan garis panduan tertentu mengenai cara berinai seperti larangan berinai dengan warna hitam dan waktu yang dibolehkan untuk berinai seperti sunat bagi perempuan berinai ketika berihram.
BERHATI-HATILAH! PINGGAN MANGKUK DARIPADA TULANG
Di zaman ini, tidak dinafikan bahawa sebahagian pengguna amat mementingkan kualiti dalam memilih barang-barang keperluan harian. Mereka sanggup berbelanja lebih pada barang yang berkualiti dengan menilai bahawa barang-barang berjenama adalah barang-barang yang baik dan berkualiti tinggi. Pemilihan barang-barang berjenama, bukan sahaja dari segi pakaian malahan juga dari segi perhiasan rumah mahupun peralatan yang digunakan seharian, termasuklah peralatan dapur seperti pinggan mangkuk.
Apa yang menjadi persoalan dengan jenama pinggan mangkuk berkualiti dan mahal yang berada di pasaran pada masa kini ialah ada di antaranya yang diperbuat daripada abu tulang. Dikatakan bahawa eleman yang terpenting di dalam pembuatan pinggan mangkuk itu ialah 50% daripadanya adalah abu tulang binatang di samping campuran bahan yang lain seperti 25% daripada tanah liat dan 25% daripada batu.
Memandangkan abu tulang binatang adalah antara bahan asas dalam pembuatan pinggan mangkuk, maka perkara yang perlu diambil perhatian ialah memastikan bahawa tulang tersebut adalah suci. Bagaimanakah cara memastikan bahawa tulang yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu benda seperti pinggan mangkuk itu suci? Ada dua cara dalam Islam untuk memastikan bahawa tulang itu suci, iaitu memastikan daripada jenis binatang apakah tulang itu diambil, dan hendaklah binatang yang diambil tulangnya itu disembelih mengikut hukum syara‘. Ini bermakna tulang yang suci itu akan membawa kepada benda yang suci yang terhasil daripadanya. Jika sebaliknya, bahawa tulang itu tidak suci, umpamanya tulang itu daripada binatang yang tidak halal dimakan atau daripada binatang yang penyembelihannya tidak mengikut hukum syara‘, maka tulang itu tidaklah dikira suci dan begitu juga benda yang terhasil daripadanya.
Dalam perkara ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan adapun bejana daripada tulang, maka jika ia suci, menggunakannya adalah harus, dan jika ia tidak suci, maka tidak harus (menggunakannya). Dan kesucian bejana tersebut tidak akan diperolehi kecuali dengan penyembelihan pada binatang yang boleh dimakan dagingnya.
Mengenal suci atau najis sesuatu bejana yang diperbuat daripada tulang adalah tertakluk kepada bagaimana keadaan binatang yang diambil tulangnya itu.
1. Jika abu tulang tersebut berasal daripada babi atau anjing, maka haram menggunakannya kerana babi dan anjing itu adalah binatang yang jelas najis dan haram dalam Islam. Oleh itu, semua barangan yang berasal daripada babi dan anjing itu juga adalah haram secara mutlak.
2. Begitu juga abu tulang yang diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya, tetapi ia mati tanpa disembelih secara syara‘ atau daripada binatang yang tidak dapat dimakan dagingnya sama ada ia disembelih mengikut syara‘ ataupun sebaliknya, maka hukum binatang berkenaan adalah bangkai dan hukum tulangnya juga adalah najis. Dalam keadaan sedemikian, semua bahagian anggota badannya dihukumkan najis kecuali kulitnya yang telah disamak.
3. Jika abu tulang tersebut diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya dan ia telah disembelih mengikut syara‘, maka hukumnya adalah suci dan semua bahagian daripada binatang tersebut juga adalah suci. Bahagian-bahagian tersebut boleh digunakan dan dimanfaatkan tanpa keraguan.
Berdasarkan keterangan tadi, dapat difahami bahawa abu tulang yang dikatakan suci itu ialah abu tulang yang diambil dari binatang yang boleh dimakan dagingnya dan disembelih mengikut hukum syara‘.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa tulang tersebut adalah diambil daripada binatang yang boleh dimakan dan disembelih mengikut syara‘, adalah suatu perkara yang sukar kerana pinggan mangkuk yang diperbuat daripada abu tulang ini telah dihasilkan oleh berbagai negara dengan jenama yang berlainan.
Dalam hal ini, jika kita yakin dan dapat memastikan bahawa abu tulang tersebut adalah suci, maka harus hukumnya menggunakannya dan jika sebaliknya, maka tidak harus menggunakannya.
Namun, jika wujud keraguan atau kesamaran pada abu tulang binatang berkenaan sehingga menimbulkan was-was, maka pemakaian pinggan mangkuk tersebut hendaklah dielakkan, kerana penggunaan pinggan mangkuk itu adalah syubhah. Hukum menjauhi perkara syubhah itu merupakan suatu kewajipan demi memelihara agama dan diri daripada termasuk ke dalam perkara-perkara yang ditegah dan memudharatkan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang meragukan (samar), ia tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa yang memelihara (dirinya daripada) segala kesamaran itu, sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang melakukan atau membuat perkara yang meragukan (kesamaran), jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya… (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Haura as-Sa‘diyyi berkata:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan sesungguhnya dusta itu keraguan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Maka jelaslah, pinggan mangkuk yang harus penggunaannya itu hanyalah pinggan mangkuk yang diperbuat daripada abu tulang yang suci yang diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya dan disembelih mengikut hukum syara‘, dan tiada keraguan atau kesamaran pada abu tulang binatang berkenaan. Oleh itu, berhati-hatilah jika menggunakan pinggan mangkuk.
CARILAH REZEKI YANG HALAL DAN AMALKAN SEBAB-SEBAB DIMURAHKAN REZEKI
Setiap individu memerlukan nafkah hidup bagi menyambung kehidupan seharian. Mencari nafkah adalah dituntut oleh Islam agar kita dapat meneruskan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Untuk mendapatkan nafkah yang halal hendaklah dengan pekerjaan yang dihalalkan atau diharuskan. Berusaha mencari yang halal itu merupakan suatu yang diwajibkan oleh syara‘ sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Mencari yang halal adalah wajib atas setiap Muslim. (Hadits riwayat ad-Dailami)
Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang memerintahkan manusia supaya memakan rezeki yang halal dan baik, antaranya:
1. Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: Wahai manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata. (Surah al-Baqarah: 168)
2. FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Dan makanlah daripada rezeki yang diberi Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman. (Surah al-Mâ’idah: 88)
Dengan memakan yang halal itu akan menambahkan cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan melakukan ketaatan, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambah ingatan terhadap Hari Akhirat. Semua sifat tersebut akan menjadi sebab utama diterima amal salih dan terkabulnya do‘a. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah berkata kepada Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Pilihlah makanan yang halal, nescaya do‘amu dikabulkan. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Pada zaman ini, tidak dinafikan manusia berlumba-lumba mencari rezeki untuk menampung kehidupan. Pelbagai usaha diatur untuk mendapatkannya, malah sebilangan orang ada yang berani melampaui batas-batas syara‘ dalam mencari rezeki daripada pekerjaan yang haram seperti mencuri, menipu, mengamalkan rasuah, memakan riba dan berjudi.
Risiko orang yang memakan harta yang diperolehi dengan cara yang haram telah diberi peringatan oleh Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sepertimana disebutkan dalam beberapa hadits Baginda, antaranya Baginda bersabda:
Maksudnya: Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram. (Hadits riwayat Ahmad)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama menerimanya. (Hadits riwayat at-Thabarani)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Barang siapa yang mengumpul harta daripada jalan yang tidak halal, kelak apabila dia bersedekah dengan harta tersebut tidak akan diterima sedekahnya, dan jika dia membelanjakannya tidak akan diberkati perbelanjaannya dan jika ditinggalkannya sebagai harta pusaka, akan menjadilah harta itu sebagai kayu api yang kekal membakarnya di dalam neraka. (Hadits riwayat Ahmad)
Ibnu al-Mubarak Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata: “Menolak satu dirham yang ada syubhah adalah lebih dicintai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada bersedekah dengan seratus ribu dirham, kemudian ditambah lagi dengan seratus ribu yang lain, seratus ribu yang lain, hingga ia kira enam ratus ribu dirham.”
Sebab-Sebab Dimurahkan Rezeki
Ada di antara kita yang merasa gelisah kerana tidak mendapat rezeki yang mencukupi untuk keperluan hidup walhal dia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Perlulah diingat bahawa yang menganugerahkan rezeki kepada mereka yang dikehendakiNya adalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Kuasa. (Surah asy-Syûrâ: 19)
Kita perlu sedar juga bahawa cukup atau tidak rezeki yang kita terima itu bukanlah diukur dengan kuantitinya semata-mata, tetapi yang penting ialah keberkatannya. Tanpa keberkatan ini rezeki yang banyak sekalipun manusia tidak akan merasa cukup dan puas. Dalam Islam terdapat beberapa sebab yang boleh mendatangkan rezeki yang luas jika kita mengamalkannya. Antara sebab-sebab itu adalah seperti berikut:
1. Bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bertaqwa kepada Allah Ta‘ala itu ialah dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Orang yang tidak mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu mengingkari suruhan dan laranganNya, bererti orang itu tidaklah tergolong daripada orang-orang yang bertaqwa.
Bagi orang-orang yang bertaqwa ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki, malah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan. Ini jelas seperti firmanNya:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkan), serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. (Surah ath-Thalâq: 2-3)
Ayat di atas menerangkan bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah Ta‘ala dengan mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, maka Allah jadikan urusannya ada jalan keluar dan rezeki yang tidak terlintas di hatinya.
Dalam ayat yang lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah melimpahkan keberkatanNya dari langit dan bumi kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa sepertimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘râf: 96)
Ayat di atas menerangkan tentang sebuah penduduk negeri yang tidak beriman apabila diutuskan kepada mereka seorang Rasul. Mereka telah dijanjikan oleh Allah Ta‘ala keberkatan rezeki kepada mereka dari langit dan bumi daripada sumber hujan dan tumbuh-tumbuhan jika mereka beriman dengan kedatangan Rasul itu, mempercayainya, mengikutinya dan bertaqwa dengan membuat ketaatan dan meninggalkan perkara yang haram. Akan tetapi, mereka telah mendustakan Rasul itu maka Allah Ta‘ala menimpakan kepada mereka kebinasaan disebabkan keengganan mereka untuk beriman, bertaqwa dan perlakuan dosa serta perkara haram yang mereka telah lakukan.
Maka jelaslah bertaqwa kepada Allah Ta‘ala adalah antara penyebab diperluaskan rezeki.
2. Bertaubat dan beristighfâr.
Bertaubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, merasa menyesal setelah melakukannya dan berazam untuk tidak melakukannya. Jika berhubung kait dengan hak orang lain, maka hendaklah disertai dengan memohon maaf kepada orang itu agar diampunkan daripada dosa yang telah dilakukan terhadapnya dan mengembalikan hak orang yang telah dizaliminya.
Bertaubat dengan segera daripada segala maksiat hukumnya adalah wajib sebagaimana yang disepakati oleh para ulama, sama ada bertaubat daripada dosa kecil mahupun dosa besar. Ketika bertaubat ini, disunatkan beristighfâr kepada Allah Ta‘ala daripada setiap dosa yang dilakukan.
Jika dosa itu di antara hamba dengan Allah, yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia maka syaratnya ada tiga, jika salah satunya hilang, maka taubatnya tidak sah iaitu:
i. Hendaklah menjauhi maksiat tersebut.
ii. Menyesali perbuatan (maksiat)nya.
iii. Berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.
Jika taubat itu berkaitan dengan manusia maka syaratnya ada empat iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan keempat ialah, hendaklah membebaskan diri dengan memenuhi hak orang tersebut. Jika berbentuk harta benda maka hendaklah dia mengembalikannya. Jika berupa qishâsh maka hendaklah dia memberitahu dan memberi kesempatan untuk orang itu membalasnya dan meminta maaf kepadanya. Jika berupa ghîbah (mengumpat) maka dia harus meminta maaf.
Dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa bertaubat dan beristighfâr adalah antara sebab diperluaskan rezeki. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepadaNya; supaya Dia menurunkan hujan lebat kepada kamu serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu berpaling daripada seruanku dengan terus-menerus melakukan dosa (yang mendatangkan kebinasan). (Surah Hud: 52)
Ayat ini menerangkan bahawa Nabi Hud ‘Alaihissalâm telah memerintahkan kaumnya iaitu kaum ‘Âd untuk beristighfâr dan bertaubat supaya dikurniakan hujan yang lebat dan diampunkan dosa yang telah lalu iaitu dosa menyekutukan Allah dan menyembah berhala. Ini kerana sesiapa yang bertaubat dan beristighfâr maka akan dimurahkan Allah Ta‘ala rezekinya, dipermudahkan urusannya dan mendapat perlindungan daripadaNya dalam keadaan negeri yang kering kontang kerana ditimpa kemarau, manakala hujan pula memang menjadi sebesar-besar rahmat.
Begitu juga dengan memohon ampun kepada Allah Ta‘ala akan mendapat rezeki sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; dan Dia akan memberi kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 10-12)
Tersebut di dalam Tafsîr al-Qurthubi satu riwayat bahawa beberapa orang lelaki pernah datang mengadu kepada al-Hasan al-Bashri Rahimahullâh, seorang daripada kalangan tâbi‘în, mengenai masalah mereka; ada yang mengadu masalah kemarau, ada yang mengadu tentang kefakiran, ada yang mengadu ingin dikurniakan anak dan ada yang mengadu kebunnya kering. Hasan menyuruh mereka semua supaya beristighfâr kepada Allah. Lalu apabila ditanya kepada beliau kenapa perlu beristighfâr, Hasan al-Bashri Rahimahullâh pun menjawab: “Sesungguhnya itu adalah firman Allah Ta‘ala dalam surah Nuh.”
Maka jelaslah bahawa firman Allah Ta‘ala dalam surah Nuh dan surah Hud adalah sebagai dalil yang nyata bahawa mengamalkan istighfâr itu adalah antara sebab dilimpahkan rezeki seperti hujan.
Tambahan lagi Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda, bahawa sesiapa yang selalu beristighfâr maka dilimpahkan oleh Allah Ta‘ala rezeki yang tidak terlintas di hatinya. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda.
Maksudnya: Barang siapa yang selalu mengamalkan istighfâr, Allah jadikan baginya bagi setiap kesempitan, jalan keluar dan bagi setiap kesusahan itu kelapangan dan memberikannya rezeki yang tidak terlintas di hatinya. (Hadits riwayat Abu Daud)
3. Bertawakkal.
Tawakkal ialah berserah diri kepada Allah Ta‘ala dan berpegang teguh kepadaNya dalam semua perkara yang wajib. Perintah bertawakkal ada disebutkan dalam al-Qur‘an sepertimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal. (Surah Âli-‘Imran: 122)
Perkara bertawakkal sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur‘an dan hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah antara sebab diperluaskan rezeki. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah ath-Thalâq: 3)
Dalam sebuah hadits disebutkan bahawa Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar tawakkal, maka akan diberikan rezeki kepada kamu sepertimana rezeki yang diberikan kepada seekor burung yang menjamu makanan di awal pagi ketika sedang lapar dan kembali setelah perut penuh (iaitu sesudah merasa kenyang). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits di atas menerangkan bahawa jika seseorang itu benar-benar bertawakkal kepada Allah Ta‘ala dengan keyakinan bahawa Allah Ta‘ala yang melakukan semua itu dan tiada yang memberi rezeki melainkan Allah Ta‘ala dan tiada yang berkuasa menghalang melainkan Allah Ta‘ala jua di samping berusaha bersungguh-sungguh dengan bertawakkal, nescaya akan dilimpahkan rezeki kepadanya sepertimana rezeki yang dilimpahkan kepada burung.
4. Menghubungkan silaturrahim.
Menghubungkan silaturrahim juga adalah antara sebab-sebab dimurahkan rezeki. Dalil mengenai perkara itu banyak disebutkan dalam hadits-hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, antaranya ialah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (silaturrahimnya). (Hadits riwayat Muslim)
Maka hadits di atas menerangkan bahawa menghubungkan silaturrahim itu memberikan natijah (kesudahan) yang baik seperti diperluaskan rezeki dan dipanjangkan usia.
Ulama bersepakat mengatakan bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya adalah wajib. Kewajipan mengeratkan silaturrahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah Ta‘ala sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (silaturrahimnya). (Hadits riwayat Bukhari)
Sementara hukum memutuskan silaturrahim pula adalah haram dan dikira sebagai melakukan maksiat besar dan mendapat laknat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan jika - kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatan mereka. (Surah Muhammad: 22-23)
Manakala akibat orang yang memutuskan silaturrahim pula, tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. (Hadits riwayat Muslim)
Antara cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim ialah dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, memberi keceriaan muka atau keramahan, mendo‘akan, memenuhi dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.
Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka.
Dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khâthib disebutkan bahawa mengeratkan silaturrahim adalah antara sebab-sebab mendapat rezeki yang berkat dan dipanjangkan umur.
Sebagai kesimpulan tidak diragukan lagi bahawa apa yang diterangkan dalam al- Qur’an dan hadits bahawa bertaqwa kepada Allah Ta‘ala, bertawakkal, beristighfâr atau memohon ampun kepadaNya dan menghubungkan silaturrahim adalah antara penyebab seseorang hamba itu dikurniakan limpahan rezeki dan keberkatanNya. Maka sayugialah kita berusaha untuk beriltizâm dengan perkara-perkara ini, kerana selain ia penyebab atau faktor yang boleh mempeluaskan rezeki, amalan-amalan itu juga adalah amalan yang dituntut dan disukai Allah Ta‘ala.
WABAK: Hikmat Dan Bagaimana Menghadapinya
Pernah pada suatu ketika dunia digemparkan dengan beberapa jenis wabak penyakit yang sangat berbahaya dan menular sehingga membawa maut. Wabak ini telah melanda kawasan di beberapa buah negara antaranya wabak SARS atau dikenali sebagai Sindrom Pernafasan Akut Teruk. Ia merupakan penyakit pernafasan berjangkit (a typical pneumonia) yang tidak diketahui sebabnya.
Demikian juga, wabak selesema burung (Avian Influenza). Ia juga merupakan sejenis penyakit berjangkit di kalangan burung-burung seperti ayam, itik dan burung liar, yang disebabkan oleh virus (Influenza type A). Penyakit ini pertama kali dilaporkan menjangkiti manusia pada tahun 1997 di Hongkong, kemudian pada tahun 2003 berlaku di negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Kemboja dan Indonesia.
Kini dunia dikejutkan pula oleh satu lagi wabak penyakit yang sangat dikhuatiri iaitu wabak selesema babi atau wabak influenza A (H1N1).
Selesema babi adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A. Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia, tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selesema babi pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur. Tanda-tanda penyakit ini adalah serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Penyakit selesema terbaharu ini dikatakan lebih mudharat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini.
Menurut laporan, setakat ini berpuluh buah negara yang terjejas dilanda wabak selesema babi ini antaranya Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Israel.
Negara Brunei Darussalam sehingga kini Alhamdulillâh tidak dijangkiti oleh wabak-wabak tersebut, namun sentiasa berusaha menangani wabak ini daripada dijangkiti. Langkah-langkah pencegahan dan menghindarinya giat dijalankan oleh pihak-pihak berkenaan. Bukan sahaja dari sudut penjagaan kesihatan dan alam sekitar, bahkan juga dengan mengadakan sembahyang hajat di masjid-masjid dan membaca do‘a khusus bagi memohon perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya kita terhindar daripada dilanda wabak-wabak tersebut.
Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam memperkatakan wabak yang melanda dunia kini ialah: Apakah pandangan Islam mengenai wabak dan bagaimanakah Islam mengajar umatnya cara menghadapi sesuatu wabak?
Pengertian Wabak
Wabak berasal daripada perkataan Arab iaitu waba’, yang bermaksud penyakit yang merebak (berjangkit).
Sebahagian ulama mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun.
Penyakit taun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah kudis yang keluar dari jasad sama ada di siku, ketiak, tangan, jari atau seluruh badan. Ia disertai dengan bengkak-bengkak dan kesakitan yang amat sangat. Ia keluar disertai dengan radang dan sekelilingnya menghitam, menghijau atau memerah keungu-unguan dan menyebabkan jantung berdebar-debar dan muntah-muntah.
Menurut sebahagian ulama lagi bahawa setiap penyakit taun itu adalah wabak dan bukan setiap wabak itu penyakit taun.
Berdasarkan pendapat-pendapat ini, dapatlah diambil pengertian bahawa wabak itu terdiri daripda bermacam-macam jenis penyakit yang merebak mengikut peredaran waktu dan zaman. Apa jua jenis penyakit berbahaya dan menular ia diikategorikan sebagai wabak. Pendapat yang mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun, berkemungkinan wabak yang melanda mereka pada zaman atau ketika itu adalah penyakit taun.
Hikmat Ditimpakan Wabak
Wabak yang ditimpakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hamabaNya di muka bumi ini mempunyai hikmat dan tujuan di sebaliknya. Hikmat wabak taun yang melanda manusia adalah berupa azab dan hukuman dan pada saat yang sama ia juga merupakan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas mereka, bergantung ke atas siapa wabak itu diturunkan.
1. Wabak sebagai azab dan hukuman.
Disebutkan di dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa wabak taun yang telah diturunkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merupakan azab atau hukuman ke atas orang-orang kafir dan orang-orang Islam yang melakukan maksiat sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.
2. Wabak sebagai rahmat dan syahâdah.
Manakala bagi orang-orang yang beriman, wabak merupakan rahmat dan shahâdah (ganjaran mati syahîd) daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada mereka.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda ditanya oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengenai penyakit taun:
Maksudnya: Ia (penyakit taun) adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Allah menjadikannya (penyakit taun) rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tidak seorang pun daripada hamba yang berada di negeri sedang ada di dalamnya (penyakit taun) - dan dia tetap tinggal di negeri itu tanpa keluar darinya dalam keadaan sabar dan mengharap pahala daripada Allah dan dia tahu bahawa dia tidak akan menghidapinya (penyakit taun) kecuali apa yang Allah telah tulis baginya -melainkan baginya pahala seperti orang syahîd. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Fath al-Bâri, maksud hadits “ke atas sesiapa yang dikehendakiNya” ialah orang kafir atau orang yang berbuat maksiat. Apabila wabak taun itu melanda orang kafir, ia adalah azab dan hukuman yang disegerakan ke atas mereka di dunia sebelum di akhirat.
Adapun jika wabak taun itu melanda orang Islam yang berbuat maksiat, maka ia adalah sebagai hukuman ke atas mereka disebabkan maksiat dan perbuatan dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Ini termasuklah juga mereka yang tidak melakukan maksiat itu, kerana mereka tidak mengingkari atau melarang orang yang berbuat maksiat. Inilah antara rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam iaitu menyegerakan hukuman di dunia.
Bagaimana Menghadapi Wabak Menurut Ajaran Islam?
Islam telah mengajar umatnya supaya melakukan beberapa perkara untuk diambil tindakan dan peringatan apabila mereka dilanda wabak. Perkara-perkara yang diajarkan oleh Islam sebagai garis panduan untuk kita orang-orang Islam dalam menghadapi wabak ialah:
1. Membaca qunut Nazilah.
Umat Islam disunatkan untuk membaca qunut Nazilah di dalam sembahyang lima waktu apabila berlaku perkara yang ditakuti dan memudharatkan umat Islam seperti kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan termasuklah juga membaca qunut Nazilah supaya dihindarkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada wabak.
2. Dilarang masuk ke negara yang dilanda wabak.
Umat Islam dilarang daripada memasuki atau mendatangi kawasan yang dilanda wabak penyakit itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka sesiapa yang mengetahui berlakunya wabak di suatu tempat janganlah sekali-kali dia datang ke sana. (Hadits riwayat Muslim)
Hikmat Larangan
Hadits di atas melarang daripada masuk ke kawasan yang dilanda wabak taun, ini kerana jika seseorang itu masuk ke kawasan tersebut nescaya dia mencampakkan atau mendedahkan dirinya ke dalam kebinasaan, sedangkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang yang sedemikian itu. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Hikmat larangan ini juga ialah supaya umat Islam mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak daripada berlaku ke atas mereka terhadap perkara yang tidak diingini itu, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh). (Surah an-Nisâ’: 71)
3. Dilarang keluar dari negara yang dilanda wabak.
Orang yang berada di kawasan atau di tempat menularnya wabak demikian hendaklah tidak meninggalkan tempat itu semata-mata untuk melarikan diri.
Larangan ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang berada di tempat berlakunya wabak taun itu, maka janganlah dia keluar untuk lari daripada wabak itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam kitabnya az-Zawâjir menyatakan bahawa tindakan keluar dari negeri yang dilanda wabak taun semata-mata untuk melarikan diri daripada wabak taun tersebut agar tidak dijangkiti merupakan satu dosa besar.
Allah telah mengazab kaum Bani Israel kerana mereka melarikan diri supaya selamat daripada kematian akibat dijangkiti wabak taun.
Al-Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menceritakan dalam kitab tafsirnya bahawa suatu kaum daripada Bani Israel dilanda wabak taun di sebuah kampung yang dikatakan terdiri daripada penduduk Dawardan.
Mereka yang dikatakan seramai 4,000 orang melarikan diri dari kampung itu lalu mereka berkata: “Kita datang ke tempat yang tidak ada kematian padanya.” Sehinggalah mereka sampai ke sebuah lembah, lalu Allah mematikan mereka sebelum sampai ajal mereka sebagai hukuman ke atas mereka.
Apabila seorang Nabi (dikatakan namanya Syam‘un) melintas di kawasan itu, lalu Baginda berdo‘a agar mereka dihidupkan semula, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghidupkan mereka untuk menjadi tauladan dan pengajaran kepada mereka dan orang-orang sesudah mereka bahawa kematian itu di tangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukannya di tangan sesiapa selainNya. Dikatakan mereka mati selama lapan hari dan dikatakan juga tujuh hari.
Kaum Bani Israel inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tidakkah engkau mengetahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halaman mereka kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu.” Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Surah al-Baqarah: 243)
Kematian yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ timpakan kepada mereka itu adalah kematian dalam bentuk ‘uqûbah (hukuman) dan kematian dalam bentuk hukuman ini disusuli dengan kehidupan selepasnya. Ia berbeza dengan kematian disebabkan datangnya ajal, ia tidak disusuli dengan kehidupan selepasnya.
Kematian tersebut adalah untuk meperlihatkan dan memberi pengajaran kepada mereka dan umat selepas mereka bahawa kuasa mematikan itu adalah kuasa mutlak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan pada kuasa selainnya.
Hikmat Larangan
Hikmat larangan ini adalah kerana jika seseorang itu melarikan diri daripada wabak taun itu nescaya dia melarikan diri daripada qadha dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga serupa dengan orang yang melarikan diri daripada peperangan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Orang yang lari daripada (wabak) taun seperti orang yang lari daripada peperangan dan orang yang sabar padanya (taun) seperti orang yang sabar dalam peperangan. (Hadits riwayat Ahmad)
Larangan ini juga bertujuan adalah untuk mengukuhkan sifat tawakkal dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah dalam mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia kerana suatu penyakit itu tidak akan berjangkit kecuali dengan izin Allah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah), tidak ada ramalan hal-hal buruk. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tersebut dalam kitab Hâsyiah al-Bujairimi mengenai wabak taun bahawa haram masuk ke kawasan yang dilanda wabak taun dan haram keluar melarikan diri daripadanya tanpa sebarang hajat.
Oleh itu, adalah wajar dikuarantin orang-orang yang menghidap penyakit tersebut apabila mereka memasuki sesebuah negara yang tidak dilanda wabak itu. Ini untuk mengelakkan mereka daripada menjangkiti orang lain, sebagaimana langkah-langkah yang telah diusahakan oleh mana-mana Kementerian Kesihatan.
4. Boleh keluar untuk sesuatu urusan.
Adapun keluar bukan disebabkan melarikan diri ataupun keluar disebabkan hajat keperluan maka tidaklah dilarang.
5. Sabar dan tawakkal.
Apabila seseorang itu diserang wabak penyakit, hendaklah dia bersabar iaitu tidak merasa cemas dan gelisah bahkan hendaklah dia berserah kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta redha dengan qadhaNya.
Bagi orang yang terkena wabak kemudian dia redha dan sabar dengan apa yang timpakan kepadanya lalu meninggal dunia, dia akan mendapat ganjaran syahîd.
Dalam hadits ada menyatakan bahawa orang yang mati disebabkan penyakit taun adalah mati syahîd, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ketika seorang lelaki berjalan di sebatang jalan lalu dia mendapati di jalan itu dahan kayu yang berduri maka dijauhkannya (dahan itu dari jalan), lalu Allah bersyukur kepadanya dan mengampunkan lelaki itu”, dan Baginda bersabda: “Syahîd itu ada lima: “Orang yang mati kerana menghidap penyakit taun, orang yang mati kerana menghidap penyakit perut, orang yang mati lemas, orang yang mati keruntuhan dan syahîd di jalan Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadits riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Taun itu adalah syahâdah (syahîd) bagi setiap Muslim. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menjelaskan bahawa setiap orang Islam yang mati disebabkan taun adalah mati syahîd. Ini termasuklah juga orang Islam yang melakukan maksiat akan tetapi tahap syahîdnya tidaklah sempurna atau tidak sama dengan tahap syahîd orang yang beriman.
6. Tutup segala bejana dan tempat minum.
Sunat menutup bejana atau tempat menyimpan air, sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya menutup bejana atau tempat menyimpan air supaya tidak dicemari oleh wabak. Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu tutuplah bejana dan kamu ikatlah tempat air minum, kerana sesungguhnya dalam setahun ada suatu malam turunnya wabak. Tidak melewati (wabak itu) bejana yang tidak ada penutup atau tempat air yang tidak ada pengikat melainkan hinggap padanya wabak itu. (Hadits riwayat Muslim)
Apa yang diajarkan Islam dalam menghadapi wabak taun hendaklah dijadikan i‘tibâr dan pedoman kepada umat Islam hari ini. Kita hendaklah menghadapi apa jua jenis wabak penyakit yang melanda kita, seperti wabak influenza babi yang berlaku mutakhir ini, dengan mengambil kira aspek aqidah yang lurus sebagai garis sempadan kita bertindak. Apa jua tindakan yang kita ambil, janganlah lari daripada keyakinan kepada qadha dan qadar Allah yang menuntut kita bertawakkal di samping berusaha menghindarkan diri daripada dijangkiti oleh wabak itu.
KETAHUILAH AMALAN YANG DISUNATKAN PADA 10 MUHARRAM
Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan yang dihormati sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Surah at-Taubah: 36)
Empat bulan dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Manakala diriwayatkan oleh Abu Bakrah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Âsyûrâ’. Pada tarikh ini banyak berlaku peristiwa penting, antaranya Nabi Adam ‘Alaihissalâm bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘Alaihissalâm dan lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan i‘tibâr bagi umat Islam.
Di samping keistimewaan hari ‘Âsyûrâ’ yang berlaku di dalamnya peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Âsyûrâ’ juga merupakan peluang untuk meraih ganjaran daripada amalan-amalan sunat yang dilakukan pada hari tersebut.
Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Âsyûrâ’
Dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ‘Âsyûrâ’ serta fadhilat yang diperolehi oleh sesiapa yang melaksanakan amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan itu ialah melakukan ibadat puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.
1. Puasa Pada Hari ‘Âsyûrâ’
Hukum berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan:
Maksudnya: Aku tidak melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Âsyûrâ’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhum, katanya:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa”. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Âsyûrâ’ dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin ‘Abdul Rahman, dia mendengar Mu‘awiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Âsyûrâ’:
Maksudnya: Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Âsyûrâ’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barang siapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barang siapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’.
Fadhilat berpuasa hari ‘Âsyûrâ’ disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut). (Hadits riwayat Muslim)
Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:
i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Âsyûrâ’.
ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Âsyûrâ’ (iaitu bermula dari hari ‘Âsyûrâ’ sebelumnya).
• Didahului dengan puasa Tâsû‘a’ (9 Muharram).
Bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada hari ‘Âsyûrâ’ sunat mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu pada 9 Muharram.
Hikmat di sebalik mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ ialah:
i. Sebagai langkah berhati-hati pada pengiraan awal bulan Muharram. Ini kerana ditakuti jika berlaku sedemikian, maka kemungkinan sahaja hari yang dikira sebagai Tasu‘a’ adalah sebetulnya hari ‘Âsyûrâ’.
ii. Agar umat Islam tidak menyerupai orang Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sahaja.
iii. Menyambung puasa hari ‘Âsyûrâ’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Âsyûrâ’.
• Meneruskan puasa hingga 11 Muharram.
Apabila seseorang melaksanakan puasa hari ‘Âsyûrâ’, sunat juga menggandingkannya dengan berpuasa pada 11 Muharram, walaupun dia tidak melakukan puasa hari Tasu‘a’. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasalah kamu pada hari ‘Âsyûrâ’ dan janganlah kamu menyerupai padanya dengan orang Yahudi. Puasalah kamu (dengan puasa ‘Âsyûrâ’) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan penjelasan di atas, terdapat beberapa cara melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’ iaitu:
i. Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sahaja.
ii. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan pada hari ‘Âsyûrâ’.
iii. Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan pada 11 Muharram.
iv. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram), hari ‘Âsyûrâ’ dan 11 Muharram. Gandingan berpuasa tiga hari ini (9, 10 dan11 Muharram) adalah digemari sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh.
2. Menyenangkan Hati Kaum Keluarga
Selain daripada melakukan puasa pada hari ‘Âsyûrâ’, orang Islam juga disunatkan menyenangkan dan menggembirakan hati kaum keluarga.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Âsyûrâ’, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadits di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya.
Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadits di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya.
Adapun apa yang selain daripada dua perkara di atas seperti sembahyang malam ‘Âsyûrâ’, mandi hari ‘Âsyûrâ’, bercelak mata dan yang lainnya tidaklah ada disebut melainkan pada hadits-hadits dha‘îf, munkar dan maudhû‘.
Marilah kita bertekad untuk mengisi hari ‘Âsyûrâ’ yang datang sekali setahun di bulan Muharram ini dengan mengambil i‘tibâr peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘. Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Âsyûrâ’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5995
