Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Irsyad Hukum 2011

BID‘AH

TAWASSUL: BUKAN AMALAN BID‘AH!

Tawassul atau wasîlah ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekati Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.

Menurut Dr. as-Sayyid Muhammad ‘Alwi al-Maliki al-Makki al-Hasani (ulama asal Mekkah) menjelaskan tentang konsep tawassul itu.

Pertama: Tawassul ialah salah satu cara berdo‘a dan satu daripada pintu tawajjuh (menghadap) Allah dengan menggunakan pengantara. Pengantara ini ialah semata-mata bagi mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah.

Kedua: Orang yang bertawassul, tidaklah menjadikan pengantara itu melainkan semata-mata kerana cintanya kepada pengantara itu, dan dengan keyakinan, bahawa Allah mencintai pengantara tersebut.

Ketiga: Orang yang bertawassul, sekiranya dia meyakini bahawa sesiapa yang dijadikan pengantara kepada Allah boleh memberi manfaat atau mudarat, sama seperti Allah, maka keyakinan atau i‘tiqâdnya yang seperti itu adalah salah dan bahkan boleh membawa syirik (menyekutukan Allah).

Keempat: Bertawassul bukanlah suatu yang dharûri atau mesti dibuat ketika berdo‘a, dan bukan juga penerimaan suatu do‘a itu tertakluk atau bergantung kepada tawassul itu.

Hukum Bertawassul

Bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dengan amal salih adalah disyariatkan oleh Islam. Demikian juga, harus bertawassul dengan zat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, para nabi, wali dan orang salih sama ada ketika mereka hidup ataupun sesudah kematian mereka.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalanNya supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Mâ’idah: 35)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad kepada kaum musyrikin itu): “Serulah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain daripada Allah itu, maka sudah tentu mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghilangkan kemudharatan daripada kamu dan tidak (pula) dapat memindahkannya (kepada orang lain). Mereka (seperti malaikat, Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm atau ‘Uzair) yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapakah di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah). Dan mereka mengharapkan rahmatNya dan takut kepada azabNya. Sesungguhnya azab Tuhanmu itu semestinya ditakuti.” (Surah al-Isrâ’: 56-57)

Makna wasîlah dalam kedua-dua ayat di atas ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekati Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.

Perkataan ‘wasîlah’ tersebut adalah umum, mengandungi tawassul dengan amal salih dan “zat yang mulia” seperti para nabi, wali dan orang-orang salih, baik semasa mereka itu hidup ataupun sesudah kematian mereka.

Menurut al-‘Allamah ‘Alwi bin Saqqaf sebagaimana dinaqal dan diringkaskan oleh al-‘Allamah ‘Abdul Rahman bin Muhammad dalam kitab Bughyah al- Mustarsyidîn: “Bertawassul dengan para nabi dan wali Allah pada masa mereka hidup ataupun mati adalah harus pada pandangan syara‘.

Tatacara Dan Contoh Bertawassul

Bertawassul itu dapat dilakukan dengan cara-cara berikut:

1. Bertawassul dengan nama Allah dan sifatNya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan bagi Allah al-Asmâ’ al-Husnâ (nama-nama yang baik lagi mulia) maka bermohonlah (dengan berdo‘a) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyelewengkan (lafaz dan makna) nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-A‘râf: 180)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Apabila Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam disusahkan oleh sesuatu perkara, Baginda membaca: “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada seseorang yang ditimpa keresahan dan kesedihan, lalu dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambuMu lelaki dan anak kepada hambaMu perempuan, ubun-ubunku berada di tanganMu, hukumanMu berlaku kepadaku, ketetapanMu adil terhadapku. Aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang menjadi milikMu, Engkau namakan diriMu dengannya atau Engkau ajarkannya kepada seseorang daripada makhlukMu atau Engkau turunkannya di dalam kitabMu atau Engkau utamakannya dalam ilmu ghaib di sisiMu, supaya Engkau jadikan al-Qur’an penghias hatiku, cahaya dadaku, penghapus kesedihanku dan penghilang keresahanku”, melainkan Allah menghilangkan keresahan dan kesedihannya itu serta menggantikannya dengan kelapangan. (Hadits riwayat Ahmad)

Ayat al-Qur’an dan hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan nama dan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Bertawassul dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

i. Bertawassul dengan do‘a dan syafaat Baginda ketika hayatnya

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Nabi Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.” (Surah an-Nisâ’: 64)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi bimbingan kepada mereka yang berdosa apabila melakukan kesalahan agar datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk memohon ampun kepada Allah dan juga meminta Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memohonkan ampun untuk mereka.

Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila terjadi Hari Kiamat, manusia penuh sesak berhimpit di antara satu dengan yang lain. Mereka datang kepada Adam dan berkata kepadanya: “Berikanlah syafaat kepada zuriatmu.” Dia (Adam ‘Alaihissalâm) menjawab: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Ibrahim ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah kesayangan Allah.” Mereka datang kepada Ibrahim, lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Musa ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah Kalîmullâh.” Musa pun didatangi (oleh mereka), lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah ‘Isa ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah Rûhullâh dan KalimahNya.” ‘Isa pun didatangi (oleh mereka), lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Muhammad Shallallâhu ‘alahi wasallam.” Aku (Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam) pun didatangi (oleh mereka), lalu aku bersabda: “Aku layak untuk berbuat demikian.”

Lalu aku pun pergi dan meminta izin kepada Tuhanku. Setelah aku diberikan keizinan aku berdiri di hadapanNya sambil memujiNya dengan pujian-pujian yang aku tidak dapat menguasainya sekarang, yang diilhamkan Allah kepadaku. Kemudian aku pun menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Lalu Allah berfirman kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Katakanlah, nescaya engkau akan didengar. Mintalah, nescaya akan diberi dan berilah syafaat, nescaya disyafaati.” Aku pun bersabda: “Wahai Tuhanku, ummatku ummatku!” Allah berfirman: “Berangkatlah! Barang siapa di hatinya terdapat iman meskipun hanya seberat biji gandum atau jelai, maka engkau keluarkanlah dia dari neraka.” Aku berangkat dan melaksanakannya. Sesudah itu aku kembali kepada Tuhanku, memujiNya dengan puji-pujian tadi, lalu aku menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Allah berfirman lagi kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Katakanlah, nescaya engkau akan didengar. Mintalah, pasti akan diberi dan berilah syafaat, nescaya disyafaati.” Aku berkata: “Ummatku ummatku!” Allah firman kepadaku: “Berangkatlah! Barang siapa di hatinya terdapat iman meskipun hanya seberat biji sawi, maka engkau keluarkanlah dia dari neraka.”

Aku berangkat dan melaksanakannya. Sesudah itu aku kembali lagi kepada Tuhanku, memujiNya dengan puji-pujian yang sama, kemudian menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Allah berfirman kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Bicaralah, engkau pasti akan didengar. Mintalah, pasti engkau diberi. Berikanlah syafaat, tentu diterima syafaatmu”. Aku berkata: “Wahai Tuhanku, ummatku ummatku!” Allah berfirman kepadaku: “Berangkatlah! Barang siapa yang di hatinya terdapat iman lebih rendah, lebih rendah, lebih rendah daripada seberat biji sawi, maka keluarkanlah dia dari neraka”. Aku pun berangkat dan melaksanakannya.” (Hadits riwayat Muslim) Hadits ini menunjukkan keharusan bertawassul dengan memohon syafaat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

ii. Bertawassul dengan zat Baginda sebelum dan sesudah kewafatannya.

Diriwayatkan daripada ‘Utsman bin Hunaif Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang lelaki yang lemah penglihatannya atau buta datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memohon kepada Baginda untuk berdo‘a kepada Allah agar dia disembuhkan daripada penyakit. Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika engkau mahu (aku berdo‘a) nescaya aku mendo‘akan(mu) dan jika engkau mahu bersabar, maka itu adalah lebih baik untukmu. Lelaki itu berkata: “Berdo‘alah (kepada Allah untuk memohon keafiatan).” (Periwaya)t berkata: “Baginda menyuruh lelaki itu berwudhu’ lalu dia mengelokkan wudhu’nya dan berdo‘a dengan do‘a ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadap kepadaMu dengan NabiMu Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Sesungguhnya aku menghadap kepada Tuhanku denganmu untuk hajatku ini semoga dikabulkan untukku. Ya Allah terimalah syafaat Baginda untukku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat ath-Thabarani, ‘Utsman bin Hunaif Radhiallâhu ‘anhu ada mengajarkan seorang lelaki yang berhajat kepada Saiyyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu tentang do‘a hajat yang pernah diajarkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada seorang lelaki buta. Do‘anya itu ialah:

Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadap kepadaMu dengan Nabi kami Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad!

Sesungguhnya aku menghadap kepada Tuhanku denganmu. Maka tunaikanlah hajatku.

Hadits-hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan zat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam walaupun sesudah kewafatan Baginda.

iii. Bertawassul dengan hak Baginda sebelum kewujudannya.

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ketika Adam berbuat kesalahan yang dilakukannya, dia mengangkat kepalanya ke ‘Arasy dan bersabda: “(Wahai Tuhan), aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku.” Allah mewahyukan kepadanya: “Apa Muhammad dan siapakah Muhammad?” Baginda menjawab: “Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepalaku ke arah ‘arasyMu, dan aku melihat di sana tertulis: “Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Aku pun berkata kepada diriku, bahawa tiada seorang pun yang lebih agung daripada seorang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu. Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya: “Wahai Adam, sesungguhnya dia Nabi yang terakhir daripada keturunanmu dan umatnya adalah umat yang terakhir, dan jika tidak kerana mereka wahai Adam, nescaya Aku tidak menciptakanmu.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Hadits ini menunjukkan bahawa Nabi Adam ‘Alaihissalâm pernah bertawassul dengan hak Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang Baginda belum lagi wujud.

iv. Bertawassul dengan maqam Baginda.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah daripada Malik ad-Dariy, pada zaman Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu kemarau telah melanda. Seorang lelaki datang ke maqam Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan.

Kemudian lelaki itu bermimpi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam datang kepadanya lalu bersabda:

Maksudnya: Pergilah kepada ‘Umar, sampaikan salam(ku) kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, lelaki yang bermimpi itu ialah seorang sahabat bernama Bilal bin al-Harits al- Muzani Radhiallâhu ‘anhu.

Para sahabat juga pernah bertawassul dengan maqam Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh, Saiyyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu mempunyai hajat iaitu apabila beliau meninggal kelak, beliau mengharapkan agar dikuburkan di samping Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Saiyyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu.

v. Bertawassul dengan atsar Baginda.

Dr. as-Sayyid Muhammad ‘Alwi al-Maliki mengatakan bahawa para sahabat telah mengambil berkat (tabarruk) daripada berbagai bekas atau kesan peninggalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Menurutnya, tabarruk hanya mempunyai satu makna, iaitu bertawassul kepada Allah dengan peninggalan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam selesai melontar Jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al- Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut. Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: “Cukurlah!” Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: “Bahagi-bahagikanlah kepada orang ramai.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menunjukkan keharusan bertabarruk dalam makna bertawassul dengan rambut Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

3. Bertawassul dengan para nabi sebelum Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, apabila Fatimah binti Asad (ibu kepada ‘Ali bin Abu Thalib Karamallâhu wajhah) hendak dikebumikan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun berdo‘a:

Maksudnya: Allah yang menghidup dan mematikan, dan Dia sendiri hidup tidak akan mati. Ya Allah, ampunilah ibuku, Fatimah binti Asad, ajarkan hujahnya (menjawab soalan kubur) dan luaskanlah tempatnya (kuburnya) demi hak NabiMu dan nabi-nabi sebelum aku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengasihani daripada segala yang pengasih. (Hadits riwayat ath-Thabrani)

Hadits ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan para nabi di dalam do‘a Baginda.

4. Bertawassul dengan selain Nabi.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Saiyyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu pernah bertawassul dengan bapa saudara Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika kemarau, beliau berdo‘a:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan nabi kami, lalu Engkau turunkan hujan kepada kami. Sesungguhnya sekarang kami bertawassul kepadaMu dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau meminta izin kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk mengerjakan umrah, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Hai saudaraku! Sertakan kami dalam do‘amu dan janganlah engkau lupakan kami. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik para tâbi‘în ialah seorang lelaki yang dipanggil Uwais dan dia mempunyai seorang ibu serta menghidap penyakit sopak. Maka kamu temuilah dia dan kamu minta mohonkan ampun (kepada Allah) untuk kamu. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu al-Malih Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berada dekat dengannya telah mengerjakan sembahyang dua rakaat sunat fajar, kemudian beliau terdengar Baginda berdo‘a sebanyak tiga kali:

Maksudnya: Ya Allah! Tuhan (yang menciptakan) Jibril, Israfil, Mika’il dan Muhammad, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung denganMu daripada seksa neraka. (Hadits riwayat Ibnu as-Sunni)

Adapun disebut secara khusus mereka itu (Jibril, Israfil, Mika’il dan Nabi Muhammad) ialah dalam makna bertawassul dengan mereka. Seolah-olah dia berkata: “Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan aku bertawassul kepadaMu dengan Malaikat Jibril, Israfil, Mika’il dan Muhammad Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung denganMu daripada seksa neraka.”

Hadits-hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan selain Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para nabi seperi bertawassul dengan para malaikat, orang-orang salih dan wali-wali Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

5. Bertawassul dengan amal salih.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang berdo‘a dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Âli ‘Imran: 16)

Ayat ini berkisar tentang bertawassul dengan amal salih iaitu dengan menyebutkan keimanan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kemudian diikuti dengan memohon keampunan serta terpelihara daripada azab neraka.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menceritakan tentang tiga orang yang terkurung dalam gua apabila batu yang besar menimpa tempat masuk gua itu. Kemudian mereka bertawassul dengan amal salih yang mereka lakukan agar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melapangkan kesulitan yang sedang mereka alami.

Do‘a orang pertama:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai ibu bapa yang sangat tua, seorang isteri dan beberapa orang anak kecil yang perlu aku pelihara. Apabila aku hendak kembali kepada mereka, aku memerah susu untuk mereka. Maka aku mulai dengan ibu bapaku, aku beri minum lebih dahulu keduanya, sebelum memberi minum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh mengambil kayu dan baru pulang setelah hari senja, aku dapati kedua-duanya tidur nyenyak. Lalu aku memerah susu sebagaimana biasa dan aku bawa susu itu dan berdiri dekat kepala kedua-duanya. Aku tidak suka membangunkan mereka dan tidak mahu memberi minum anak-anakku lebih dahulu daripada mereka, sedangkan anak-anak itu telah memekik-mekik dekat kakiku (meminta diberi minum). Namun keadaanku dan mereka (anak-anak itu) terus berkekalan begitu sampai terbit fajar. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, maka bukakanlah kami dengan suatu lubang, yang dari situ kami dapat melihat langit! Lalu Allah membukakan suatu lubang yang dari situ dapatlah mereka melihat langit.

Do‘a orang kedua:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai seorang sepupu perempuan sebelah bapa saudaraku, aku sangat mencintainya sebagaimana cinta laki-laki kepada perempuan-perempuan. Aku meminta kepadanya supaya menyerahkan dirinya, tetapi dia menolak sehingga aku dapat memberikannya wang seratus dinar. Kemudian aku pun berusaha dengan susah payah, sehinggalah aku dapat mengumpulkan wang seratus dinar itu. Aku pun mendatanginya dengan wang tersebut. Setelah aku menjatuhkan diriku di antara dua kakinya, dia berkata: “Wahai ‘Abdullah! Bertaqwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau buka ‘cincin’ (merosakkan kehormatan gadis), melainkan dengan haknya (perkahwinan)!” Lalu aku pun berdiri meninggalkannya. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, maka bukakanlah kami dengan suatu lubang. Lalu Allah bukakan untuk mereka suatu lubang.

Do‘a orang ketiga:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah seseorang untuk menugal padi. Setelah dia menyelesaikan pekerjaannya, dia berkata: “Berikanlah hakku (upah)!” Lalu aku berikan upahnya itu. Tetapi dia menolaknya (tidak suka akan upah itu). Maka daripada upahnya itu aku kumpulkan dan belikan seekor sapi sekaligus mengembalanya. Kemudian dia datang kepadaku dan berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan engkau menzalimi hakku!” Aku berkata: “Pergilah engkau kepada sapi dan pengembalanya. Maka ambillah!” Dia berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan aku dipermainkan!” Aku berkata: “Sesungguhnya aku tidak mempermainkanmu. Ambillah sapi itu dan pengembalanya sekali!” Lalu diambilnya dan dibawanya semua. Kiranya Engkau juga mengetahui bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, bukakanlah untuk kami tutup yang masih ada!” Lalu Allah bukakan tutup yang masih ada. (Hadits riwayat Muslim) Ayat al-Qur’an dan hadits di atas jelas menunjukkan keharusan bertawassul dengan amal salih.

Kesimpulan

1. Berdasarkan dalil-dalil syara‘ yang dikemukakan daripada al-Qur‘an dan hadits, jelas menunjukkan bahawa tawassul itu bukanlah merupakan amalan bid‘ah atau perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana anggapan sesetengah pihak.

2. Bertawassul dengan zat Allah, nama dan sifatNya, bertawassul dengan amal salih, bertawassul dengan Nabi Muhammad, para nabi dan wali Allah sama ada ketika mereka hidup ataupun sesudah kematian mereka adalah harus pada pandangan syara‘.

3. Bertawassul bukanlah sesuatu yang dharûriy atau kemestian ketika berdo‘a.

4. Pengantara ialah semata-mata mediator untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

5. Pengantara bukan pemberi manfaat atau mudharat akan tetapi yang memberi manfaat atau mudharat ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

6. Sesiapa beri‘tiqâd atau menyakini bahawa pengantara adalah pemberi manfaat atau mudharat sama dengan Allah, maka ia boleh membawa kepada syirik.

Kekeliruan atau kewahaman setengah orang mengenai keharusan tawassul ini memang sudah lama wujud sebagaimana dipersoalkan amalan bertahlil, sambutan maulidur-Rasul dan sebagainya, sehingga ada yang sanggup mengatakan ia adalah amalan bid‘ah dan bertentangan dengan hukum syara‘.

Mudah-mudahan dengan segala penjelasan mengenai tawassul ini akan dapat menjadi penyuluh kepada hati yang masih was-was dan membuka minda yang masih ragu tentang keharusan bertawassul, sekaligus menolak pendapat sesetengah orang yang menyatakan tawassul itu bid‘ah.

HAJI

MENGHAJIKAN ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Ibadat haji merupakan fardhu ‘ain ke atas setiap orang Islam yang belum menunaikannya dan memenuhi syarat-syarat wajib haji. Kewajipan haji itu ditunaikan sekali dalam seumur hidup.

Orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji iaitu Islam, mukallaf, merdeka dan berkemampuan, sunat ke atasnya untuk tidak menangguhkan ibadat haji. Apabila dia menangguhkan ibadat haji sedang dia berkemampuan untuk menunaikannya dan dia menunaikannya sebelum meninggal dunia, maka dia tidak berdosa. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menangguhkan ibadat haji ke tahun sepuluh hijrah.

Dalam keharusan menangguhkan ibadat haji bagi orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, disyaratkan dia berazam untuk menunaikannya di tahun akan datang. Disyaratkan juga bagi orang yang menangguhkan ibadat haji itu dengan sangkaannya yang kuat bahawa dia berada dalam keadaan selamat sehingga waktu dia menunaikannya daripada perkara yang menghalangnya untuk menunaikan haji seperti selamat daripada lumpuh dan luput harta. Jika dia takut akan terjadi lumpuh ke atas dirinya ataupun dia takut hartanya akan luput maka haram dia menangguhkan ibadat hajinya itu.

Adapun orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, jika dia tidak menunaikan haji lalu meninggal dunia maka dia berdosa kerana dikira satu kecuaian. Jika seseorang itu memenuhi syarat-syarat wajib haji dalam beberapa tahun tetapi dia tidak juga menunaikan haji sehingga meninggal dunia maka dia berdosa pada tahun terakhir itu sahaja. Adapun tahun-tahun sebelum tahun terakhir itu dia tidak berdosa kerana keharusan dia menangguhkan ibadat haji sebagaimana penjelasan sebelum ini.

Salah satu persoalan yang timbul mengenai orang yang telah meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji, adakah boleh ditunaikan haji untuknya ataupun tidak? Untuk menjawab persoalan tersebut berikut adalah penjelasannya.

Haji Fardhu

Hukum menunaikan haji fardhu untuk orang yang telah meninggal dunia adalah seperti berikut:

1. Cukup syarat wajib haji tetapi tidak menunaikannya.

Sesiapa yang meninggal dunia sedang kewajipan haji masih tertanggung ke atasnya (iaitu semasa hidupnya dia mampu untuk menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya), ini termasuklah juga qadha’, nazar atau dia diupah untuk menunaikan haji, maka wajib ditunaikan haji untuk diri si mati daripada harta peninggalannya. Perkara ini sama seperti kewajipan membayar hutang.

Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji lalu dia mati sebelum menunaikan haji, adakah aku tunaikan haji untuknya? Baginda bersabda: “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda Bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Orang yang diwajibkan menunaikan haji untuk si mati itu sama ada dia melakukannya dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain adalah seperti berikut:

i. Orang yang diwasiatkan.

ii. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah kepada ahli warisnya.

iii. Jika tidak ada ahli waris, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah pula kepada hakim.

. Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka sunat bagi ahli warisnya dan orang asing (walaupun tanpa izin ahli waris) menunaikan haji untuk si mati.

2. Cukup syarat wajib haji tetapi tidak sempat menunaikannya

Jika seseorang itu tidak dapat menunaikan haji selepas dia mampu untuk menunaikannya seperti meninggal dunia, gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah menunaikan haji, maka tidak ditunaikan hajinya itu daripada harta peninggalannya. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.

3. Tidak mampu menunaikan haji.

Sesiapa yang meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji kerana tidak mampu, menurut pendapat yang mu‘tamad adalah harus bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.

Haji Sunat

Menunaikan haji sunat untuk orang yang telah meninggal dunia adalah tidak harus melainkan ada wasiat daripada si mati.

Orang Yang Menghajikan Telah Menunaikan Haji

Orang yang hendak melakukan ibadat haji untuk si mati sama ada orang yang diwasiatkan, ahli waris, hakim yang melakukan sendiri atau orang yang diupah untuk melakukannya, hendaklah tidak tertanggung ke atasnya haji fardhu, qadha’ atau nazar. Jika dia berniat ihram untuk si mati sedangkan dirinya sendiri belum menunaikan haji fardhu maka jatuhlah niat ihramnya itu untuk dirinya sendiri bukan untuk si mati.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendengar seorang lelaki berkata:

Maksudnya: Aku bagi pihak Syubrumah datang menyahut panggilanMu. Baginda bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudaraku atau kerabatku”. Baginda bertanya: “Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Demikianlah penjelasan mengenai hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita, terutama sekali bagi mereka yang berkewajipan untuk menunaikan haji orang yang telah meninggal dunia melalui harta peninggalannya. Begitu juga, orang yang hendak menghajikan si mati itu hendaklah dia sudah menunaikan haji fardhu, qadha’ atau nazar.

BILA THAWAF WADA‘ PERLU DIULANG SEMULA?

Amalan atau perbuatan yang dituntut untuk dilakukan dalam ibadat haji terbahagi kepada tiga; rukun haji, wajib haji dan sunat haji. Untuk membezakan di antara rukun dan wajib haji, rukun haji adalah pekerjaan asas yang mesti dibuat dan dilaksanakan oleh setiap orang yang mengerjakan haji.

Rukun-rukun haji itu ada enam perkara iaitu ihram, wuquf di Arafah, thawaf ifadhah, sa‘i, bercukur atau bergunting dan tertib pada kebanyakan rukun-rukunnya. Sekiranya salah satu daripada rukun haji itu tidak dibuat sama ada sengaja atau terlupa, maka ibadat haji itu tidak sah. Misalnya seseorang itu telah melakukan semua rukun haji tetapi dia telah meninggalkan satu pusingan daripada tujuh pusing thawaf haji, maka hajinya tidak sah.

Manakala wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dibuat ketika mengerjakan ibadat tersebut. Wajib haji itu ialah niat ihram di miqât, bermalam di Muzdalifah, melontar Jamrah, bermalam di Mina, thawaf wada‘ dan meninggalkan perkara-perkara yang haram ketika dalam ihram. Sekiranya tidak dikerjakan salah satu daripada wajib haji, maka haji itu tetap sah, tetapi wajib ke atasnya membayar dam dan perbuatan meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa.

Dalam ruangan kali ini, fokus perbincangan ialah mengenai thawaf wada‘, khususnya membincangkan perkara yang dituntut untuk dilakukan selesai daripada melaksanakan thawaf wada‘ dan perkara yang menyebabkan thawaf wada‘ perlu diulang semula.

Perkara Yang Mesti Dilakukan Setelah Selesai Melakukan Thawaf Wada‘

Thawaf wada‘ juga dikenali sebagai thawaf as-sadar, bermaksud thawaf selamat tinggal. Hukum mengerjakan thawaf wada‘ adalah wajib kerana menurut jumhûr ulama, thawaf wada‘ merupakan perkara wajib haji.

Cara melakukan thawaf wada‘ adalah sama seperti melakukan thawaf yang lain dari segi syarat, sunat dan perkara-perkara yang membatalkan. Thawaf wada‘ wajib dikerjakan apabila seseorang itu hendak keluar dari kota Mekkah kerana musafir dan setelah selesai sempurna semua ibadat hajinya. Menurut ulama, tidak dinamakan dan tidak dikira sebagai thawaf wada‘ melainkan setelah seseorang itu selesai mengerjakan kesemua amalan-amalan ibadat haji.

Selain telah menyelesaikan segala ibadat haji, seseorang yang hendak melakukan thawaf wada‘ juga perlu memastikan segala urusan peribadinya telah selesai diuruskannya. Ini kerana setelah selesai melakukan thawaf wada‘, dia dikehendaki terus keluar dari Masjid al- Haram dan seterusnya meninggalkan Mekkah tanpa berlengah. Maksud ‘berlengah’ itu termasuklah seperti diam di suatu tempat, menunggu atau menanti.

Dalil kewajipan thawaf wada‘ telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri seperti yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Baginda apabila selesai daripada amalan-amalan ibadat haji, maka Baginda akan melakukan thawaf sebagai ucapan selamat tinggal. Selain itu diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jangan sekali-kali seseorang itu meninggalkan (Mekkah) sehingga dia (melakukan thawaf wada‘) sebagai amalan yang terakhir baginya di sisi Baitullah. (Hadits riwayat Muslim)

Perkara-Perkara Yang Tidak Menyebabkan Thawaf Wada‘ Perlu Diulang

Dalam keadaan tertentu, seseorang yang selesai mengerjakan thawaf wada‘ kadang-kadang mendapati dirinya tidak dapat terus atau segera keluar dari Mekkah, umpamanya dia perlu menunggu seketika atau terpaksa menguruskan beberapa perkara tertentu. Terdapat beberapa keadaan yang diharuskan bagi seseorang untuk menangguhkan seketika perjalananya atau pemergiannya keluar dari Mekkah, antaranya:

1. Jika dia sibuk mengerjakan sembahyang sunat Thawaf dua rakaat dan perkara-perkara yang disunatkan untuk dilakukan setelah sembahyang sunat Thawaf seperti membaca do‘a di Multazam, pergi ke telaga Zamzam dan minum air Zamzam.

2. Jika dia sibuk menguruskan keperluan untuk perjalanan (musafir) seperti membeli bekalan, bekas atau perkakas, dan mengemas barang-barang sekalipun urusan ini mengambil masa yang agak panjang.

3. Jika dia naik semula ke rumahnya (tempat penginapan) hanya sebentar untuk mengambil barang-barang yang perlu dijaga keselamatannya (tidak diangkat ke dalam kenderaan terlebih dahulu bersama barang-barang yang lain) dan selepas itu dia dengan segera menaiki kenderaan untuk bertolak.

4. Jika dia berkebetulan pada ketika atau setelah dia melakukan thawaf wada‘ sembahyang berjemaah didirikan, dalam hal ini jika dia ikut sembahyang berjemaah, maka tidaklah perlu diulang semula thawafnya. Sekiranya selepas melakukan thawaf wada‘, seseorang itu pengsan, gila yang bukan disebabkan oleh perbuatannya sendiri, tertegah daripada keluar seperti dipaksa, ditahan atau diancam untuk terus menetap atau mendiami Mekkah, jika dia ada kesempatan atau keupayaan selepas itu, maka hendaklah diulang semula thawaf wada‘. Jika sebaliknya, maka tidaklah mengapa (tidak perlu diulang).

Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Thawaf Wada‘ Perlu Diulang

Berbeza hukumnya jika seseorang yang telah mengerjakan thawaf wada‘ dan tidak segera keluar dari Mekkah, sebaliknya:

1. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Mekkah dengan tiada keuzuran dan tidak ada keperluan atau hajat ataupun

2. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Mekkah kerana ada hajat atau sebab, akan tetapi hajat atau sebabnya itu tiada kaitan dengan pelayaran yang bakal ditempuhinya, umpamanya kerana pergi membeli-belah, menziarahi kawan, melawat orang sakit, membayar atau menyelesaikan hutang.

Maka kesemua sebab di atas tidak dianggap sebagai hajat atau keuzuran yang berkaitan dengan pelayaran. Oleh yang demikian, hendaklah dia mengulang semula thawaf wada‘.

Dam Kerana Meninggalkan Perkara Wajib Haji

Seperti yang telah dijelaskan, perbuatan meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa. Menurut pendapat yang ashah bagi orang yang meninggalkan thawaf wada‘ dikenakan dam tertib, iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa selama 10 hari; berpuasa 3 hari di Mekkah dan 7 hari lagi setelah kembali ke kampung atau negerinya.

Sebagai kesimpulan, demi untuk menjaga kesempurnaan ibadat haji, hendaklah diketahui segala tuntutan dan larangan di samping menjaga syarat-syarat serta tata-cara dan tertib apabila melakukan sesuatu amalan atau perbuatan dalam haji. Setelah melakukan thawaf wada‘, terdapat beberapa perkara yang harus dilakukan oleh seseorang yang tidak dianggap sebagai berlengah daripada terus atau segera keluar dari Masjid al-Haram dan meninggalkan kota Mekkah. Sebaliknya jika perkara tersebut dianggap sebagai berlengah, maka boleh menyebabkan seseorang itu perlu mengulang semula thawaf wada‘.

JENAZAH

MENGUBUR MAYAT: Bagaimanakah caranya?

Mengubur mayat adalah antara empat perkara dalam pengurusan jenazah dan hukumnya adalah fardhu kifâyah. Walaupun ia merupakan fardhu kifâyah kita juga dituntut mempelajarinya. Mempelajari cara-cara mengubur mayat ini adalah penting terutamanya kepada ahli waris lelaki si mati kerana mereka inilah yang akan banyak melaksanakan perkara yang berkaitan dengan urusan pengebumian jenazah ini.

Tempat Mengubur

Mengubur mayat di kawasan tanah perkuburan adalah afdhal berbanding dengan tempat yang lain. Ini kerana tanah perkuburan itu tidak kosong daripada do‘a orang-orang yang berziarah dan orang-orang yang lalu di sana. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri mengubur mayat kaum kerabat dan para sahabat Baginda di tanah perkuburan Baqi‘. Begitu juga, afdhal mengubur mayat di tanah perkuburan yang masyhur dengan kubur orang-orang yang salih.

Haram mengubur mayat orang kafir di tanah perkuburan orang Islam dan begitu juga sebaliknya mayat orang Islam haram di kubur di tanah perkuburan orang kafir.

Manakala mengubur mayat pada tanah yang di dalamnya ada bekas mayat yang terdahulu adalah haram, kecuali apabila tubuh mayat dan tulang sudah menjadi tanah maka bolehlah dikubur di tempat itu. Jika seorang Islam mati ketika berada di tengah laut dan berada dekat pantai yang membolehkan mereka berlabuh ke daratan, maka adalah wajib bagi temannya atau mereka yang ada bersamanya pergi ke pantai untuk menguruskan jenazahnya seperti lazimnya iaitu memandi, mengkafan, menyembahyangkan dan menguburkannya di pantai atau daratan itu. Akan tetapi jika dirasakan tidak boleh pergi mendarat ke pantai kerana jarak yang jauh atau takut kepada musuh atau binatang buas maka tidak wajib ke pantai untuk menguburkannya. Namun wajib memandikan, mengkafan dan menyembahyangkan kemudian menghanyutkannya dengan mengikat pada dua papan kayu. Tujuannya ialah berkemungkinan mayat itu akan terdampar di pantai dan berharap ada orang yang akan menjumpainya untuk menguburkannya nanti.

Kedalaman Dan Keluasan Kubur

Sekurang-kurang lubang kubur itu ialah lubang yang dapat menahan daripada menimbulkan bau yang busuk dan mencegah binatang buas daripada membongkar kuburan itu untuk memakan mayat yang berada di dalamnya.

Hikmah kewajipan mengubur mayat itu bertujuan supaya tidak membinasakan kehormatan mayat dengan bau yang terbit sehingga boleh menarik perhatian binatang buas untuk memakannya. Justeru itu, perkara ini hendaklah dielakkan.

Untuk menepati maksud mencegah daripada menimbulkan bau dan perhatian binatang buas itu maka sunat meluaskan dengan menambah panjang dan lebar lubang kubur itu serta mendalamkannya dengan kadar berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas. Kadar sukatan berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas itu adalah kira-kira empat hasta setengah.

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda mengenai orang yang syahîd dalam peperangan Uhud:

Maksudnya: Kamu galilah (lubang kubur mereka) dan luaskan serta dalamkanlah. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Jika tanah itu keras maka lebih utama membuat liang lahad di dalam kubur itu, iaitu lubang yang dibuat di dasar sebelah tepi kubur yang ukurannya sekadar muat untuk membaringkan mayat dan menghadapkannya ke arah qiblat.

Liang lahad itu ialah lubang kecil sebesar tubuh mayat yang digali dengan tujuan menghadapkan mayat ke arah qiblat.

Mengangkat Dan Memasukkan Mayat Ke Dalam Kubur

Adalah sunat menutup kubur dengan kain ketika sedang mengubur mayat walaupun mayat itu lelaki, apatah lagi mayat perempuan lebih dituntut lagi kerana ditakuti anggota mayat itu terdedah ketika melaksanakan kerja menguburkannya.

Sunat mengangkat mayat dan mengusungnya sehingga pada bahagian akhir kaki kubur iaitu liang lahad kubur dan meletakkan bahagian kepalanya dahulu dengan perlahan sepertimana sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Sunat membaca sepertimana yang dibaca oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda meletakkan mayat ke dalam kubur atau liang lahad:

Maksudnya: Dengan nama Allah dan dengan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Meletakkan mayat ke dalam liang lahad adalah sunat pada lambung rusuknya sebelah kanan dan wajib menghadapkannya ke arah qiblat. Jika mayat itu dikuburkn dalam keadaan menelentang maka wajib digali jika keadaan mayat itu masih belum berubah. Namun jika sudah berubah, maka tidaklah perlu digali. Akan tetapi jika dikuburkan pada lambung rusuknya sebelah kiri hukumnya adalah makruh dan tidak perlu digali. Keadaan ini adalah seperti berbaring menyiring ketika hendak atau sedang tidur.

Sunat menyandarkan muka dan kaki mayat itu pada dinding kubur dan menyandarkan pada punggungnya dengan batu bata atau seumpamanya seperti tanah untuk mengelak mayat itu daripada (istilqâ’) menelentang. Setelah itu liang lahad itu hendaklah ditutup dengan batu bata kerana lebih terpelihara daripada dibongkar oleh binatang buas.

Setelah selesai meletakkan mayat ke dalam liang lahad dan sudah ditutup dengan batu bata atau seumpamanya, maka disunatkan setiap orang yang hadir atau menyaksikan pengebumian itu meraupkan tanah dengan kedua-dua tangannya dengan tiga kali raup dan dijatuhkan setiap tanah yang diraup itu pada bahagian arah kepala dengan bacaan-bacaan tertentu. Bacaan menjatuhkan tanah yang pertama:

Ertinya: Daripadanya (tanah) Kami ciptakan kamu. Bacaan menjatuhkan tanah yang kedua:

Ertinya: Kepadanya (tanah) Kami kembalikan kamu. Bacaan menjatuhkan tanah yang ketiga:

Ertinya: Dan darinya (tanah) Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Siapa Yang Lebih Utama Mengangkat Mayat? Orang yang mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam kubur hendaklah daripada kalangan lelaki walaupun mayat itu perempuan kerana sememangnya dari segi tenaga kaum lelaki adalah kaum yang kuat, dan kaum perempuan adalah kaum yang lemah. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu untuk memasukkan anak Baginda Ummu Kaltsum walaupun Fatimah sebagai mahramnya ada. Ini jelas menunjukkan bahawa lelaki adalah lebih utama memasukkan mayat ke dalam kubur. Orang yang lebih utama daripada kalangan lelaki itu adalah orang yang ada kelayakan untuk mengerjakan sembahyang iaitu orang yang lebih tinggi ilmu pengetahuannya. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga lebih utama daripada orang tua. Begitu juga keluarga yang berilmu lebih utama daripada keluarga yang tidak berilmu.

Jika yang mati itu si isteri, maka yang utama menyambut di dalam kubur dan mamasukkannya ke liang lahad itu adalah suami, walaupun dia bukanlah daripada orang yang lebih layak dalam mengerjakan sembahyang. Jika tidak ada suaminya maka bolehlah mengikut urutan yang lebih berhak daripada keluarganya iaitu daripada bapanya, neneknya, anaknya, cucu lelaki daripada anak lelakinya, adik beradik lelaki, anak daripada adik beradiknya lelaki, dan seterusnya mengikut urutan yang lebih berhak.

Berapakah Bilangan Orang Yang Masuk Ke Dalam Kubur?

Bilangan orang yang masuk ke dalam kubur untuk menyambut, mengangkat dan mamasukkan mayat ke dalam kubur itu adalah sunat dalam bilangan yang ganjil seperti tiga orang mengikut keperluan hajat sebagaimana Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diangkat dan dimasukkan ke dalam kubur oleh seramai tiga orang iaitu ‘Ali, Ibnu ‘Abbas dan Fadhl. Dalam riwayat yang lain pula Baginda dimasukkan ke dalam kubur oleh lima orang ditambah lagi dengan Usamah bin Zaid dan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf.

Meninggikan Kubur Dan Meratakannya

Sunat meninggikan tanah perkuburan dengan kadar lebih kurang sejengkal kerana kubur Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditinggikan sejengkal. Lebih digalakkan (mustahabb) lagi tanah timbusan itu tidak ditambah lagi dengan tanah lain selain tanah yang dikeluarkan sebelumnya. Namun jika ditambah tidaklah mengapa.

Menurut pendapat yang shahîh adalah lebih utama meratakan kubur daripada meninggikannya. Ini juga sepertimana kubur Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda.

Mengebumikan Mayat-Mayat Dalam Satu Kubur

Tidak boleh mengubur dua mayat dalam satu kubur sama ada mayat lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan ataupun lelaki dengan perempuan melainkan dalam keadaan sangat dharurat.

Keadaan dharurat itu ialah seperti jumlah mayat terlalu ramai dan sukar untuk dikuburkan seorang demi seorang dalam satu kubur dan banyaknya orang mati dalam suatu wabak, mangsa runtuhan atau kapal karam.

Maka dalam keadaan dharurat ini boleh menguburkan dua, tiga atau lebih mayat dalam satu kubur dan hendaklah dibatasi antara lelaki dan perempuan itu dengan tanah.

Apabila dalam satu kubur itu diletakkan lebih daripada satu mayat, maka mayat yang lebih utama untuk diletakkan pada dinding kubur menghala arah qiblat ialah mayat yang mempunyai lebih keutamaan sepertimana keutamaan menjadi imam. Oleh itu, didahulukan orang dewasa daripada kanak-kanak seperti bapa daripada anak lelaki, ibu daripada anak perempuan, tetapi anak lelaki didahulukan daripada ibunya, didahulukan orang muda daripada kanak-kanak, kanak-kanak daripada pondan dan pondan daripada perempuan.

Bilakah Waktu Mengubur?

Boleh mengubur pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam dan waktu-waktu yang makruh mengerjakan sembahyang. Namun yang lebih utama ialah pada waktu siang.

Meletakkan Batu Atau Kayu Atas Kubur

Mengenai perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah meletakkan batu atau kayu pada sisi kepala kubur ‘Utsman bin Mazh‘un Radhiallâhu ‘anhu lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Akan diketahuilah dengannya (batu atau kayu sebagai tanda) bahawa ia adalah kubur saudaraku dan akan dikebumikan padanya sesiapa yang meninggal daripada keluargaku. (Hadits riwayat Abu Daud)

Namun memberi tanda dengan mengkapur, mewarnakan putih dengan kapur atau membuat binaan dan tulisan hukumnya adalah makruh.

Hukum Menziarahi Kubur

Sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur kerana ziarah kubur itu akan mengingatkan kita pada kematian. Sementara bagi kaum perempuan hukumnya makruh kerana mereka kurang sabar dan mudah merasa sedih. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: (Dulu) aku melarang kamu daripada menziarahi kubur namun sekarang berziarahlah. (Hadits riwayat Muslim)

Sunat bagi orang yang menziarahi kubur atau lalu di tanah perkuburan apabila sampai di tanah perkuburan mengucapkan salam dan berdo‘a. Namun adalah afdhal berdo‘a sepertimana do‘a Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Selamat sejahtera ke atas kaum yang beriman, dan kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Beberapa Perkara Yang Berkaitan Semasa Atau Selepas Mengubur Mayat

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui oleh orang-orang yang mengiringi jenazah ke kubur semasa atau selepas mengubur mayat:

1. Duduk dan tidur.

Duduk dan tidur di atas kubur hukumnya makruh melainkan dalam keadaan dharurat. Namun jika berlalu urusan pengebumian itu dalam tempoh masa yang lama sehingga diyakini bahawa tidak ada bekas mayat itu kerana diyakini sudah hancur tidaklah mengapa.

2. Menangisi mayat.

Harus menangisi orang yang akan meninggal, akan tetapi afdhal tidak menangisinya kerana dia sedang dalam keadaan nazak. Namun menangisinya selepas dikubur juga harus.

Ini jelas sepertimana tersebut dalam sebuah hadits bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah dilihat menangis di kubur ibu Baginda sehingga menangislah juga orang di sekeliling Baginda, kemudian para sahabatpun bertanya, lalu Baginda bersabda yang maksudnya: “Aku telah meminta izin kepada Allah ‘Azza wa Jalla untuk meminta keampunan bagi ibuku, namun Allah tidak mengizinkan. Tapi aku dizinkanNya untuk menziarahinya maka kamu ziarahlah kubur kerana akan mengingatkan kamu kepada kematian.”

Namun haram menangis sambil meraung sehingga memukul-mukul dada atau seumpamanya seperti menarik rambut dan pakaian atau memukul pipi.

3. Mengucapkan takziah.

Mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati adalah sunat. Waktu mengucapkan takziah itu ialah dari setelah orang itu meninggal sehingga dikuburkan dan berlalu masanya selama tiga hari. Makruh mengucapkan takziah itu selepas tiga hari kerana mengingatkan kembali kesedihan bagi ahli keluarga yang pada kebiasaannya hilang dalam tempoh tiga hari.

4. Memohon ketetapan bagi si mati.

Sunat berdiri secara beramai-ramai atau berjemaah berhampiran kubur mayat selepas urusan mengubur mayat itu selesai untuk memohon ketetapan dan keampunan bagi si mati, sepertimana yang tersebut dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila telah selesai daripada menguburkan mayat, Baginda berdiri di sisinya lalu bersabda:

“Mohonlah keampunan bagi saudara kamu supaya ditetapkan (dalam menjawab persoalan dalam kubur) kerana sekarang dia disoal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

5. Menambak kubur.

Jika tanah perkuburan itu tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atas dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentengi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekeliling kubur berkenaan).

Manakala jika tanah perkuburan itu tanah milik persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas kubur berkenaan.

Hukum haram mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadits Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegah daripada dikapuri kubur (menandakan kubur dengan kapur putih), duduk di atasnya dan dibina binaan di atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama ini dibolehkan bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.

Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa sebarang mashlahat dan tujuan yang syar‘i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar ibnu al-Khattab Radhiallâhu ‘anhu iaitu selepas beliau itu melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya, maka beliau merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri”.

Demikianlah dihuraikan bagaimana cara menanam atau mengubur mayat. Mudah-mudahan dengan penjelasan tersebut sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada semua. Semua perkara yang kita lakukan khususnya yang berbentuk ibadat, sudah tentu ada cara yang telah diajarkan oleh Islam. Hanya kita saja kadang-kadang kurang memberikan masa untuk mempelajarinya. Jangan sampai kita melakukan ibadat yang salah dan bertentangan dengan syariat Islam. Maka sudah setentunya dengan mendalami ilmu pengetahuan dalam apapun jua bidang agama kita akan terselamat daripada melakukan perkara yang salah.

PUASA

KEDUDUKAN PUASA QADHA’ ORANG YANG MENINGGAL DUNIA

Persoalan mengenai qadha’ puasa Ramadhan sewajarnya sentiasa menjadi perhatian yang penting, sama ada ia berkaitan dengan orang yang telah meninggal dunia apatah lagi bagi mereka yang masih hidup. Jika diketahui terdapat puasa yang masih tertanggung ke atas seseorang yang telah meninggal dunia, maka para wali, termasuk ahli keluarga dan kerabat si mati seharusnya mencari jalan untuk melepaskan tanggungan puasa tersebut, lebih-lebih lagi jika si mati ada meninggalkan wasiat mengenai perkara tersebut atau ada meninggalkan harta pusaka.

Salah satu isu yang berkaitan dalam hal ini ialah jika puasa Ramadhan seseorang yang luput pada tahun tertentu kemudian dia meninggal dunia pada tahun yang sama sebelum masuk Ramadhan yang baru. Apakah langkah yang perlu diambil dan dilakukan oleh wali atau kerabat bagi menyelesaikan tanggungan puasa tersebut?

Perlu dijelaskan bahawa perbincangan ini bukan memfokuskan tentang qadha’ puasa Ramadhan seseorang yang luput pada tahun tertentu, kemudian dia tidak mengqadha’nya sedangkan dia ada kesempatan dan berupaya berbuat demikian sehinggalah datang Ramadhan yang baru, dan setelah itu dia meninggal dunia. Ini kerana dalam perkara ini, individu sedemikian diwajibkan ke atasnya dua perkara, iaitu mengqadha’ puasa dan juga mengeluarkan fidyah kerana melambatkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga datang bulan Ramadhan yang baru.

Wajibkah Diqadha’ Puasa Orang Meninggal Dunia Yang Luput?

Pada dasarnya, mana-mana hari puasa Ramadan yang luput itu wajib diqadha’, sama ada ditinggalkan kerana keuzuran syar‘i ataupun ditinggalkan dengan sengaja. Akan tetapi dalam masalah orang yang luput puasa Ramadhan pada tahun tertentu kemudian meninggal dunia dalam tahun yang sama sebelum masuk Ramadhan yang baru, para ulama telah membahagikannya kepada dua keadaan seperti berikut:

Keadaan Pertama: Meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’ puasa Ramadhan.

Maksud ‘sebelum ada kesempatan’ untuk mengqadha’ itu ialah kerana terdapat sesuatu keuzuran atau berterusan keuzuran tersebut sehinggalah seseorang itu meninggal dunia tanpa peluang atau kesempatan untuk mengqadha’ puasanya. Umpamanya seorang yang meninggal dunia dalam bulan Ramadhan tahun yang sama atau sebelum terbenam matahari pada hari kedua Syawal ataupun seorang yang memulakan pelayarannya pada hari pertama Syawal lalu berterusan dia dalam musafir sehinggalah dia meninggal dunia.

Bagi orang yang termasuk dalam kelompok keadaan yang pertama ini perlu juga dilihat dari aspek sebab-sebab kenapa dia tidak berpuasa Ramadhan, adakah disebabkan keuzuran syar‘i atau sebaliknya.

Antara keuzuran syar‘i meninggalkan puasa Ramadhan ialah sakit, musafir yang diharuskan, perempuan yang didatangi haidh dan nifas, perempuan yang hamil dan menyusukan anak, pengsan dan lupa berniat.

Oleh itu, orang yang termasuk dalam kelompok yang pertama ini terbahagi kepada dua seperti berikut:

1. Luput puasa kerana keuzuran syar‘i lalu meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’.

Jika puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu disebabkan keuzuran syar‘i, maka tidak ada tuntutan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa yang luput itu, malahan dia tidak dihukumkan berdosa kerana ini bukan kecuaiannya.

Para ulama telah membawa beberapa contoh bagaimana seseorang itu dianggap luput sehari atau beberapa hari puasa Ramadhan disebabkan keuzuran syar‘i kemudian meninggal dunia sebelum ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa tersebut. Umpamanya seorang yang tidak berpuasa Ramadhan disebabkan sakit, kemudian:

i. Dia meninggal dunia dalam bulan Ramadhan yang sama.

ii. Dia sembuh, akan tetapi dia meninggal dunia dalam bulan Ramadhan yang sama, sama ada dia berupaya berpuasa semula ataupun tidak.

iii. Dia sembuh, setelah itu berlaku ke atasnya keuzuran yang lain lagi sebelum terbit fajar hari kedua Syawal sehinggalah dia meninggal dunia. Begitu juga halnya jika seorang perempuan itu didatangi haidh sebelum terbenam matahari pada hari kedua Syawal.

iv. Sakitnya itu berterusan sehinggalah dia meninggal dunia.

2. Luput puasa bukan kerana keuzuran syar‘i lalu meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’.

Jika puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu bukan disebabkan keuzuran syar‘i, seperti meninggalkan atau berbuka puasa Ramadhan dengan senghaja, maka dia dihukumkan berdosa kerana meninggalkan puasa Ramadhan dengan senghaja dan kewajipan puasa tersebut masih tertanggung ke atasnya.

Keadaan Kedua: Meninggal dunia setelah ada kesempatan dan berupaya mengqadha’ puasa tetapi tidak mengqadha’nya.

Seseorang yang luput puasa Ramadhan, sama ada disebabkan keuzuran syar‘i ataupun bukan, kemudian dia mempunyai kesempatan dan berupaya untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu, tetapi tidak melaksanakannya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dalam hal ini dia dihukumkan berdosa dan kewajipan puasa itu masih tertanggung ke atasnya.

Cara Melepaskan Tanggungan Puasa Orang Yang Meninggal Dunia

Menurut salah satu pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, terdapat dua cara untuk melepaskan tanggungan puasa orang yang meninggal dunia.

Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, wali kepada si mati wajib memilih dan melakukan salah satu daripada dua cara yang ditetapkan oleh syara‘.

Sebaliknya jika si mati tidak meninggalkan apa-apa harta, maka tidak diwajibkan bagi wali melakukan apa-apa, hanya disunatkan sahaja untuk memilih salah satu daripada dua cara yang ditetapkan.

Cara melepaskan tanggungan puasa orang yang meninggal dunia ialah dengan salah satu cara berikut:

1. Berpuasa bagi pihak si mati sebanyak hari-hari puasanya yang luput.

Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan ke atasnya (tertanggung) puasa (yang wajib diqadha’), walinya boleh berpuasa bagi pihak si mati itu. (Hadits riwayat Muslim)

2. Membayar fidyah, iaitu satu mudd atau satu cupak makanan asasi, seperti beras, bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kadar satu mudd itu bersamaan 15 tahil atau 566.991 gram. Maka satu mudd itu menggantikan satu hari puasa yang luput itu.

Dalil yang mengharuskan untuk mengeluarkan atau membayar fidyah adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan (tertanggung) ke atasnya puasa satu bulan (yang wajib diqadha’), maka hendaklah seseorang bagi pihaknya (si mati) memberi makan seorang miskin sebagai ganti setiap satu hari (puasa yang luput). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut syarah hadits di atas, yang dimaksudkan untuk memberi makan itu ialah wali si mati. Oleh yang demikian, setiap satu hari puasa yang luput itu hendaklah dikeluarkan fidyah, iaitu memberi makan orang miskin sebanyak satu cupak beras.

Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka fidyah itu hendaklah diambil daripada hartanya sebelum pembayaran hutang manusia dan pembahagian harta kepada ahli waris. Sebaliknya jika si mati tidak mempunyai harta pusaka, maka fidyah itu tidak diwajibkan ke atas si mati.

Permasalahan berkaitan:

i. Ulama telah sepakat hanya orang yang sudah meninggal dunia sahaja yang boleh dilakukan puasa bagi pihaknya sebanyak puasanya yang luput. Orang yang masih hidup, walaupun berputus asa (tidak berupaya) untuk mengerjakan puasa, tetap tidak dibolehkan bagi pihak lain berpuasa bagi pihaknya.

ii. Terdapat pengecualian dalam perkara di atas, sekiranya si mati menjadi murtad (keluar daripada agama Islam) sebelum dia meninggal dunia, maka tidak diharuskan untuk berpuasa bagi pihak si mati yang murtad.

iii. Dalam keadaan si mati tidak meninggalkan harta pusaka, masih diharuskan bagi wali atau ajnabiy (bukan wali atau kerabat si mati) untuk membayar fidyah daripada harta mereka sendiri. Namun bagi ajnabiy, keharusan mengeluarkan fidyah daripada hartanya sendiri disyaratkan hendaklah dengan keizinan wali si mati.

iv. Orang yang tertanggung ke atasnya kewajipan puasa tidak termasuk orang yang sangat tua yang tidak lagi berdaya untuk berpuasa, atau orang yang sangat sakit dan tidak ada harapan sembuh. Ini kerana mereka memang pada asalnya diwajibkan mengeluarkan fidyah sahaja dan sekali-kali tidak dituntut untuk berpuasa.

Siapa Yang Dibolehkan Berpuasa Bagi Pihak Orang Yang Meninggal Dunia?

Menurut ulama, ‘wali’ kepada si mati diharuskan untuk berpuasa bagi pihak si mati. Yang dimaksudkan dengan wali si mati itu termasuk kerabat (ahli keluarga) kepada si mati yang tidak hanya terhad kepada waris atau yang menerima ‘ashabah. Maka dapat difahami bahawa individu yang akan mengerjakan puasa untuk si mati itu terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa seorang perempuan telah datang bertemu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan (tertanggung) ke atasnya puasa nazar. Apakah (boleh) aku berpuasa bagi pihaknya (ibuku)?Bersabda (Rasulullah): “(Lakukanlah) puasa bagi pihak ibumu.” (Hadits riwayat Muslim)

Kemudian disyaratkan dia seorang yang bâligh dan berakal. Ini kerana jika seseorang hendak melakukan puasa bagi pihak orang lain, maka hendaklah dia terlebih dahulu menepati syarat wajib berpuasa.

Permasalahan Berkaitan

1. Seorang ajnabiy (bukan wali atau kerabat si mati) juga dibolehkan berpuasa bagi pihak si mati dengan syarat, hendaklah dia mendapat keizinan terlebih dahulu; sama ada daripada si mati; seumpama dengan berwasiat, ataupun wali si mati.

2. Sekiranya wali si mati menyuruh seorang ajnabiy untuk berpuasa bagi pihak si mati, sama ada dengan diberi upah ataupun tanpa upah, maka dengan keizinan wali tersebut hukum puasa yang dikerjakannya adalah sah. Sebaliknya jika seseorang berpuasa bagi pihak si mati tanpa mendapat keizinan, maka menurut pendapat yang sah, hukum puasa yang dikerjakannya itu adalah tidak sah.

3. Berdasarkan pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullâh, yang juga sealiran dan bertepatan dengan qawâ‘id mazhab asy-Syafi‘e, jika ada tiga puluh (30) orang wali atau kerabat si mati, ataupun mereka yang mendapat keizinan daripada si mati (umpamanya dengan berwasiat) atau dengan keizinan wali si mati dan setiap mereka ini melakukan puasa serentak dalam satu hari, maka memadai dan tertunai qadha’ puasa bagi pihak si mati untuk satu bulan Ramadhan (30 hari) yang ditinggalkannya.

4. Jika timbul perselisihan atau permasalahan mengenai wali, umpamanya si mati:

i. Mempunyai wali, akan tetapi terhalang daripada memberikan keizinan, umpamanya wali itu seorang kanak-kanak atau gila;

ii. Mempunyai wali, akan tetapi dilarang daripada memberi keizinan atau berpuasa;

iii. Tidak mempunyai kerabat langsung;

Maka dalam keadaan seperti ini, ditetapkan bahawa sekali-kali tidak diqadha’kan puasa si mati. Oleh yang demikian, jika si mati mempunyai harta pusaka, maka hendaklah dikeluarkan daripada harta pusaka tersebut fidyah. Sebaliknya jika si mati tidak mempunyai harta pusaka, maka wali si mati tidak dituntut melakukan apa-apa. Dengan erti kata lain, tidak dituntut mengeluarkan fidyah.

iv. Cara melunaskan puasa nazar atau kaffârah juga dihukumkan serupa sepertimana puasa Ramadhan. Bermakna seseorang yang masih tertanggung ke atasnya puasa nazar atau kaffârah dan belum melaksanakannya sehingga meninggal dunia, maka cara walinya untuk menyelesaikan puasa nazar dan kaffârah yang masih tertanggung ke atasnya sama seperti yang telah dijelaskan dalam permasalahan melepaskan tanggungan puasa Ramadhan.

Sebagai kesimpulan, seseorang yang luput puasa Ramadhan disebabkan keuzuran syara‘ dan tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadha’nya, kemudian dia meninggal dunia dalam tahun yang sama, dia tidak dituntut untuk menyelesaikan qadha’ puasa tersebut dan tidak dihukumkan berdosa. Ini kerana jelas ketiadaan peluang untuknya mengqadha’ puasa itu dan kelambatan mengqadha’ itu bukan disebabkan kecuaiannya.

Berbeza hukumnya jika puasa si mati yang luput itu ditinggalkan bukan disebabkan keuzuran syara‘, sekalipun dia tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadha’nya, maka dia dihukumkan berdosa dan kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya.

Begitu juga hukumnya jika si mati semasa hidupnya mempunyai kesempatan dan keupayaan untuk mengqadha’ puasa yang luput itu, maka kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya, sama ada puasa yang luput itu disebabkan keuzuran syara‘ ataupun dengan senghaja.

Dalam permasalahan puasa si mati yang masih tertanggung ke atasnya itu, yang menangani masalah ini ialah wali, kerabat atau ahli keluarga kepada si mati. Adapun ajnabiy (selain wali dan kerabat si mati), disyaratkan hendaklah ada keizinan daripada si mati, umpama dengan wasiat atau keizinan daripada wali si mati.

Cara menyelesaikan qadha’ puasa pula ialah dengan dua pilihan, sama ada wali berpuasa bagi pihak si mati sebanyak hari puasanya yang luput atau mengeluarkan fidyah iaitu satu cupak beras (bersamaan 566.991 gram) bagi menggantikan setiap hari yang luput dan diberikan kepada golongan miskin. Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka wali wajib melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya. Sebaliknya, jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka, hanya disunatkan sahaja ke atas wali melakukan sedemikian.

PILIHAN UNTUK BERBUKA PUASA: Keringanan Syara‘ Ketika Dalam Pelayaran

Salah satu syarat wajib berpuasa Ramadhan ialah seseorang itu berdaya atau sihat untuk menunaikan puasa. Orang tua atau orang sakit dibolehkan berbuka puasa jika dengan berpuasa akan mendatangkan mudharat atau kesusahan yang berlebihan kepada mereka.

Begitu juga halnya dengan orang yang dalam pelayaran. Mereka juga dibolehkan oleh syara‘ untuk berbuka puasa selama dalam pelayaran mereka tertakhluk kepada syarat-syarat yang ditentukan. Walau bagaimanapun puasa yang ditinggalkannya itu wajib diqadha’nya kemudian dengan mengikut jumlah hari-hari yang ditinggalkannya berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka), maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)

Syarat-Syarat Yang Membolehkan Musafir Berbuka Puasa

Tidak semua pelayaran itu dibolehkan berbuka puasa. Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ yang membolehkan orang yang dalam pelayaran berbuka puasa. Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Hendaklah jarak perjalanan atau pelayarannya itu tidak kurang dari dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 89.04 kilometer (kiraan jarak pergi sahaja, tidak termasuk kiraan jarak balik).

Jika perjalanan atau pelayaran itu kurang daripada 56 batu atau 89.04 kilometer, tidak ada keringanan baginya untuk tidak berpuasa.

2. Hendaklah perjalanan atau pelayaran itu bagi tujuan yang diharuskan oleh syara‘ seperti untuk menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.

Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, maka tidak ada ruang untuknya mendapat keringanan yang membolehkan berbuka puasa.

3. Hendaklah perjalanan atau pelayarannya bermula dan melewati perbatasan bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya sebelum terbit fajar shâdiq (sebelum masuk waktu subuh).

Jika bandar, pekan atau kampung tempat tinggal itu mempunyai perbatasan yang khusus, maka safarnya bermula setelah melewati perbatasan yang khusus itu.

Jika dia melewati perbatasan perkampungan, kota atau bandar tempat tinggalnya sesudah fajar shâdiq, maka tiada keringanan untuknya berbuka puasa iaitu hendaklah dia mengerjakan puasa pada hari tersebut.

Namun jika berlaku sesuatu kemudharatan apabila dia meneruskan puasa pada hari tersebut, maka dibolehkan baginya berbuka puasa. Perlu diingat bahawa dibolehkan baginya berbuka puasa itu adalah disebabkan kemudharatan yang dihadapinya dan bukan disebabkan keringanan berbuka puasa disebabkan dia di dalam pelayaran.

4. Hendaklah dia berniat bahawa dia berbuka kerana keringanan yang diberikan oleh syara‘ untuknya iaitu membolehkannya berbuka kerana pelayaran.

Tempoh Yang Dibenarkan Berbuka Puasa Bagi Musafir

Orang yang dalam pelayaran dibenarkan berbuka puasa selama dia memenuhi syarat-syarat yang membolehkannya berbuka puasa sebagaimana yang dijelaskan di atas. Tempoh yang dibenarkan baginya untuk berbuka puasa pula ialah:

1. Selama dia berada dalam perjalanan iaitu belum sampai ke tempat atau destinasi yang ditujunya.

2. Selama dia tidak berniat singgah atau tinggal di suatu tempat melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik).

Jika dia berniat untuk tinggal di tempat itu melebihi tiga hari iaitu empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik), maka pelayarannya dikira tamat sebaik saja dia sampai ke tempat itu. Dalam hal ini, tidak dibolehkan lagi baginya untuk berbuka puasa kerana dia tidak lagi dianggap dalam pelayaran.

Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tunggunya setiap hari, maka dibolehkan baginya untuk berbuka puasa dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik). Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhhar, dibolehkan baginya untuk berbuka puasa sehingga lapan belas hari sahaja (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik).

Yang jelas, keharusan berbuka puasa bagi orang yang dalam pelayaran itu akan berakhir jika dia bermukim pada suatu tempat atau berniat tinggal di tempat tersebut lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik) sepertimana juga disyaratkan dalam sembahyang qashar.

Berpuasa Atau Berbuka: Mana Yang Lebih Afdhal Bagi Musafir?

Musafir yang memenuhi syarat untuk berbuka puasa disebabkan keadaannya yang dalam pelayaran adalah diberi pilihan sama ada untuk meneruskan berpuasa atau berbuka.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang puasa ketika dalam pelayaran. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab:

Maksudnya: Jika engkau mahu, maka berpuasalah dan jika engkau mahu, maka berbukalah. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini jelas menggambarkan bahawa orang yang dalam pelayaran dalam bulan Ramadhan diberi kelonggaran sama ada memilih untuk berpuasa atau berbuka.

Namun persoalan yang ditimbulkan ialah mana satukah yang lebih afdhal dilakukan oleh mereka, iaitu adakah afdhal baginya untuk berpuasa atau adakah afdhal baginya untuk berbuka sepanjang tempoh yang membolehkannya untuk berbuka itu.

Kesimpulan bagi jawapan ini adalah berbalik kepada penilaian individu itu sendiri, iaitu:

1. Jika dengan berpuasa itu tidak mendatangkan kemudharatan pada dirinya semasa dalam perjalanan atau pelayarannya, maka melakukan puasa adalah lebih afdhal baginya daripada berbuka.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (walau demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184)

Terdapat beberapa sebab mengapa orang yang musafir itu lebih afdhal baginya berpuasa, antaranya:

i. Melepaskan tanggungan puasa kerana dengan berbuka itu dia akan menanggung qadha’ puasa yang wajib dibayarnya mengikut jumlah hari-hari yang ditinggalkannya. ii. Mengisi waktu (pelayaran) dengan melakukan ibadat (ibadat puasa).

iii. Berpuasa ketika dalam pelayaran merupakan antara perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

2. Jika dengan berpuasa itu memudharatkan dirinya dalam perjalanan atau pelayarannya, maka adalah afdhal baginya untuk berbuka puasa.

Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, Baginda melihat orang ramai berkerumum dan seseorang telah dinaungi (daripada kepanasan matahari). Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Seorang sedang berpuasa.” Maka Baginda bersabda: “Bukanlah daripada perkara kebajikan berpuasa dalam pelayaran.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh, jika dengan berpuasa tidak memudharatkannya secara langsung namun dia takut dia akan lemah jika berpuasa, umpamanya dia belayar kerana menunaikan haji, maka afdhal baginya untuk berbuka puasa.

Adakah Dibolehkan Orang Yang Berpuasa Qadha’ Dalam Pelayaran Untuk Berbuka?

Keharusan berbuka puasa bagi orang yang dalam pelayaran itu sebagaimana yang dijelaskan di atas adalah bagi mereka yang berpuasa Ramadhan. Sementara bagi seorang musafir yang berpuasa qadha’ (membayar puasa Ramadhan yang ditinggalkannya) yang diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa tersebut dengan segera, maka tidak dibolehkan baginya untuk berbuka puasa.

Menurut ulama mazhab Syafi‘e, wajib diqadha’ dengan segera bagi orang-orang berikut:

1. Orang yang berpuasa pada 1 Ramadhan disebabkan dia menyangka bahawa hari itu adalah 30 Sya‘ban. Akan tetapi selepas itu nyata kepadanya bahawa hari tersebut adalah 1 Ramadhan. Dalam hal ini, wajib dia mengqadha’ hari tersebut dengan segera selepas 1 Syawal.

2. Orang yang kesuntukan masa untuk mengqadha’ puasanya disebabkan hari-hari yang berbaki daripada bulan Sya‘ban hanya cukup untuk mengqadha’

puasanya sahaja. Dalam keadaan ini, wajib dia mengqadha’ puasanya dengan segera sebelum masuk bulan Ramadhan yang baru.

3. Orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan senghaja iaitu berbuka puasa tanpa perkara-perkara yang dibolehkan oleh syara‘ untuk dia berbuka.

4. Orang murtad yang kembali semula kepada Islam iaitu batal puasa Ramadhan disebabkan dia murtad.

5. Orang yang meninggalkan niat puasa pada waktu malam dengan senghaja.

Seseorang yang berpuasa qadha’ di dalam pelayaran disebabkan perkara di atas, tidak dibolehkan baginya untuk berbuka disebabkan puasa qadha’nya itu dituntut untuk dilaksanakan dengan segera.

Begitu juga tidak dibolehkan berbuka bagi mereka yang tidak berharap untuk mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya kerana sentiasa dalam pelayaran. Berlainan halnya jika dia berbuka dengan niat mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya selepas balik pelayaran. Maka dalam hal ini, dibolehkan baginya berbuka puasa.

Contoh: Seorang anak kapal yang sentiasa membuat pelayaran dari Brunei ke negeri-negeri lain, iaitu berada di Brunei hanya dua atau tiga hari dalam sebulan. Apabila dia membuat pelayaran di bulan Ramadhan, dia hanya dibolehkan berbuka puasa jika dia berniat akan mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu apabila selesai pelayarannya. Jika dia tidak berharap untuk mengqadha’ puasa jika ditinggalkannya disebabkan oleh keadaannya yang sentiasa belayar, maka tidak dibolehkan baginya berbuka.

Perbezaan Waktu Berbuka Puasa Antara Sebuah Negeri Dengan Negeri Yang Lain

Apabila menyentuh mengenai dengan pelayaran ini, perbezaan waktu berpuasa bagi sesetengah negeri dengan negeri yang lain menimbulkan banyak persoalan di kalangan orang yang melakukan perjalanan atau pelayaran tentang kedudukan mereka apabila sampai di tempat yang dituju. Ini adalah disebabkan waktu berpuasa tidak sama di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain disebabkan perbezaan mathla‘ (tempat terbit anak bulan). Sebagai contoh, penduduk di Negara Brunei Darussalam belum lagi berpuasa kerana anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat pada 29 Sya‘ban, manakala penduduk di Makkah al-Mukarramah sudah mulai berpuasa pada hari tersebut.

Oleh yang demikian, orang yang melakukan perjalanan atau pelayaran ke negeri yang mempunyai mathla‘ (tempat terbit anak bulan) dengan negeri yang ia berada sebelumnya, maka kedudukannya adalah seperti berikut:

1. Jika penduduk negeri itu berpuasa, hendaklah dia mengikut berpuasa ataupun menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa jika dia tidak berpuasa.

Contoh:

i. Jika seseorang itu belayar dari Brunei dalam keadaan tidak berpuasa (disebabkan anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat) menuju ke Filipina pada hari yang sama, dan pada ketika itu penduduk di Filipina sudah mulai berpuasa (disebabkan Ramadhan sudah bermula), maka wajib ke atasnya menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa.

Dalam hal ini, jika dia balik ke Brunei sebelum Hari Raya dan dia berpuasa cukup bilangan, sepertimana bilangan puasa penduduk di Brunei, maka tidaklah dikenakan qadha’.

Namun jika dia masih berada di Filipina sehingga masuk Hari Raya, maka hendaklah diqadha’nya hari tersebut.

ii. Jika seseorang itu belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 30 Ramadhan dan sampai pada malamnya, dan ketika itu penduduk di Filipina baru selesai berpuasa dua puluh sembilan hari dan akan berpuasa lagi keesokan harinya untuk menggenapkan tiga puluh hari Ramadhan (disebabkan anak bulan Syawal tidak sabit dilihat). Dalam hal ini, menurut pendapat yang lebih shahîh, wajib dia ikut berpuasa bersama penduduk di Filipina.

iii. Jika seseorang itu belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 1 Syawal (Hari Raya pertama), dan ketika itu penduduk di sana masih berpuasa, maka dalam hal ini, wajib dia menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, sungguhpun dia sudah berpuasa sebanyak tiga puluh hari. Ini kerana kedatangannya ke negeri tersebut menjadikannya sebahagian daripada penduduk di sana.

2. Jika penduduk negeri itu belum berpuasa (kerana anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat di tempat mereka), hendaklah dia mengikut tidak berpuasa.

Contoh:

Seseorang belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 1 Ramadhan (disebabkan anak bulan Ramadhan sabit dilihat di Brunei pada 29 Sya‘ban) dan sampai pada hari yang sama di Filipina. Pada ketika itu penduduk di sana belum lagi berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak kelihatan pada 29 Sya‘ban, maka dalam keadaan ini, ada dua pendapat yang boleh dipilih, iaitu:

Pendapat pertama:

Imam ar-Ramli Rahimahullâh mengatakan: “Hendaklah dia berbuka sepertimana penduduk di tempat dia berada dan tidak dikenakan qadha’ hari dia berbuka jika dia berpuasa bersama mereka sebanyak 29 hari. Oleh yang demikian, dia hendaklah berpuasa mengikut penduduk di Filipina.”

Pendapat kedua:

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh pula mengatakan: “Dia tidak boleh berbuka puasa, kerana puasanya pada hari itu adalah berdasarkan penglihatan anak bulan dengan yakin, maka tidak harus dia menyalahi semata-mata dia sampai ke suatu tempat lain yang tidak kelihatan anak bulan. Oleh yang demikian, dia hendaklah meneruskan puasanya itu.”

3. Jika penduduk negeri itu berhari raya (kerana anak bulan Syawal sabit dilihat di tempat mereka), hendaklah dia mengikut sama berhari raya (tidak berpuasa).

Contoh:

Jika seseorang itu belayar dari Brunei pada 29 atau 30 Ramadhan, menuju ke Filipina dan ketika itu penduduk di sana mula berhari raya (disebabkan sudah tiba 1 Syawal), maka dalam hal ini hendaklah dia berbuka dan turut berhari raya bersama mereka.

Sekiranya dia sudah berpuasa sebanyak 29 hari, maka tidaklah perlu diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu.

Walau bagaimana sekiranya bilangan puasanya hanya 28 hari sahaja, maka wajiblah diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu bagi mencukupkan bilangan 29 hari.

Contoh-contoh di atas adalah bagi musafir yang membuat perjalanan ke negeri yang ditujunya dan menetap di sana selama beberapa hari atau dalam jangka masa waktu yang lama.

Satu persoalan lain yang juga sering ditimbulkan ialah mengenai kedudukan puasa seseorang yang membuat perjalanan ke sebuah negeri lain yang mempunyai mathla‘ berbeza daripada negerinya dan balik semula ke negerinya pada hari yang sama.

Jika seseorang itu membuat perjalanan dari sebuah negeri ke negeri yang lain pada 29 atau 30 Ramadhan, dan dia mendapati penduduk di tempat yang dia baru sampai sudah berhari raya (disebabkan 1 Syawal jatuh pada hari itu), maka hendaklah dia berbuka bersama mereka. Namun jika dia balik ke negerinya pada hari yang sama sebelum sempat dia berbuka dan berhari raya bersama penduduk di sana, maka dalam hal ini, menurut pendapat muttajah (pendapat yang dicenderungi) puasanya masih saja kekal.

Contoh:

Seseorang membuat perjalanan dari Brunei ke Miri pada 29 Ramadhan kerana urusan yang tidak mengambil masa yang lama. Ketika sampai di Miri, dia mendapati penduduknya sudah berhari raya (1 Syawal), maka dia hendaklah berbuka bersama mereka. Walau bagaimanapun jika dia balik semula ke Brunei pada hari yang sama sebelum sempat berbuka dan berhari raya bersama penduduk di Miri, maka dia masih lagi dianggap berpuasa.

Sebagai kesimpulan, pelayaran tidak menghalang seseorang itu untuk melakukan puasa lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan pelayaran yang canggih di era ini. Namun dengan dalil jelas, Islam tetap memberikan pilihan kepada orang yang dalam pelayaran sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka, dan penilaian untuk memilih salah satu di antara kedua-duanya terpulang kepada individu itu sendiri. Jika tiada kesusahan atau mudharat dalam keadaannya yang berpuasa ketika dalam pelayaran, maka afdhal dia meneruskan puasanya. Manakala jika sebaliknya iaitu adanya kesusahan atau mudharat ke atas dirinya jika dia meneruskan puasanya, maka afdhal dia berbuka dengan adanya rukhshah (keringanan) yang diberikan oleh syara‘ kepada orang yang dalam pelayaran.

REBUTLAH KELEBIHAN PUASA SUNAT HARI ‘ARAFAH

Umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam amat beruntung kerana dikurniakan banyak keistimewaan, antaranya pengkhususan puasa sunat pada hari ‘Arafah yang mempunyai keistimewaan begitu besar bagi sesiapa yang mengerjakan puasa tersebut.

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari ke-9 Zulhijjah. Hukumnya sunat mu’akkadah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.

Manakala orang yang mengerjakan haji tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut walaupun dia berkeupayaan untuk melaksanakan puasa, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri tidak berpuasa ketika Baginda wuquf.

Ummu al-Fadhl bin al-Harits Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan:

Maksudnya: Bahawa beberapa orang di sisinya (di sisi Ummu Fadhl Radhiallâhu ‘anhâ) pada hari ‘Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (pada hari ‘Arafah). Sebahagian mereka mengatakan: “Baginda berpuasa” dan sebahagian mereka pula mengatakan: “Baginda tidak berpuasa”. Maka Ummu al-Fadhl menghantar kepada Baginda segelas susu dan Baginda (pada ketika itu) berada di atas untanya, lalu Baginda meminum susu tersebut.. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selain tidak berpuasa ketika wuquf kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, orang yang wuquf juga tidak disunatkan berpuasa supaya membantunya agar lebih kuat dan untuk memperbanyakkan berdo‘a ketika wuquf di ‘Arafah kerana afdhal berdo‘a pada hari tersebut.

Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir dan orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.

Sunat Berpuasa Pada Hari Ke-8 Zulhijjah

Di samping disunatkan berpuasa pada hari ‘Arafah (hari ke-9 Zulhijjah), disunatkan juga berpuasa pada hari ke-8 Zulhijjah, sebagai langkah berhati-hati kerana kemungkinan hari ke-8 Zulhijjah itu adalah hari ke-9 Zulhijjah.

Berbeza dengan 9 Zulhijjah, puasa pada hari ke-8 Zulhijjah ini tidak hanya sunat dilakukan oleh orang-orang yang tidak mengerjakan haji sahaja, bahkan juga oleh orang-orang yang mengerjakan haji.

Kelebihan Berpuasa Sunat Hari ‘Arafah

Kelebihan berpuasa sunat hari ‘Arafah disebutkan di dalam hadits iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepas itu bagi sesiapa yang mengerjakannya. Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Arafah aku memohon kepada Allah (akan ganjaran kerana melakukan puasa hari ‘Arafah) supaya Allah menebus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan menebus (dosa) setahun sebelum dan setahun selepasnya dalam hadits tersebut ialah diampunkan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu dan setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.

Berkata Imam al-Mawardi Rahimahullâh, bahawa ‘pengampunan’ di dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran:

1. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkan dosanya selama dua tahun tersebut.

2. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memeliharanya selama dua tahun tersebut dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun tersebut.

Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah. Manakala maksud pengampunan dosa-dosa kecil dalam hal ini pula ialah dosa-dosa kecil yang tidak bersangkut-paut dengan dosa-dosa sesama manusia.

Puasa Sunat Hari ‘Arafah Yang Jatuh Pada Hari Jumaat

Pada dasarnya makruh mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja, begitu juga berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya, sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan sekali-kali salah seorang daripada kamu berpuasa sunat (semata-mata) pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, jelas bahawa makruh hukumnya mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja tanpa menggandingkannya dengan hari sebelumnya iaitu hari Khamis atau hari selepasnya iaitu hari Sabtu. Begitu juga makruh hukumnya berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja tanpa digandingkannya dengan hari Ahad berdasarkan hadits-hadits yang melarang berbuat demikian.

Walau bagaimanapun jika puasa sunat hari ‘Arafah jatuh pada hari Jumaat, Sabtu atau pada hari Ahad, maka tidak makruh melakukan puasa sunat pada hari tersebut secara bersendirian (tidak digandingkan dengan hari sebelum atau hari selepasnya). Ini kerana hari tersebut memang sudah jelas dianjurkan oleh syara‘ untuk berpuasa sunat, umpamanya puasa sunat hari ‘Arafah atau puasa sunat hari ‘Asyura jatuh bertepatan pada hari Jumaat atau hari Sabtu.

Perselisihan Tarikh 9 Zulhijjah Dengan Waktu Wuquf Di ‘Arafah

Persoalannya, -inilah yang terjadi- jika tarikh 9 Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam itu tidak bertepatan dengan hari wuquf di ‘Arafah, adakah bagi penduduk Negara Brunei Darussalam berpuasa pada hari ‘Arafah mengikut tarikh 9 Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam atau mengikut waktu wuquf jemaah haji di ‘Arafah?

Dalam hal ini, perlu diketahui bahawa ketetapan awal bulan Hijrah dalam perkara berhubung agama ialah mengikut anak bulan di ufuk setelah berlalu bulan yang terdahulu sebanyak dua puluh sembilan hari atau jika tidak nampak anak bulan pada malam dua puluh sembilan, maka bulan yang terdahulu digenapkan kepada tiga puluh hari. Hari berikutnya dianggap sebagai satu haribulan bagi bulan yang berikutnya menurut dalil-dalil daripada hadits dan amalan umat Islam.

Oleh kerana itu, maka wajiblah diikut ketetapan yang dibuat oleh pihak berautoriti Negara Brunei Darussalam pada menetapkan awal bulan Zulhijjah. Apabila telah ditsabitkan awal Zulhijjah di Negara Brunei Darussalam, maka hari kesembilan Dzulhijah itulah hari ‘Arafah dan pada hari kesembilan Zulhijjah itulah juga hari disunatkan berpuasa hari ‘Arafah. Tidak sah berpuasa hari ‘Arafah mengikut hari jemaah haji wuquf di ‘Arafah, kerana berlainan kedudukan ‘Arafah dan kedudukan Negara Brunei Darussalam pada awal anak bulan sebab berjauhan di antara dua buah negeri.

Jelaslah bahawa puasa sunat hari Arafah merupakan puasa yang bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala sunat bagi sesiapa yang melakukannya, bahkan kelebihannya menjadi penebus dosa-dosa kecil bagi setahun sebelum dan setahun selepas ia dikerjakan. Ia adalah peluang istimewa yang hanya datang setahun sekali. Janganlah kita lepaskan peluang ini. Jika para jemaah haji merebut peluang meraih pahala di bumi Makkah dengan melaksanakan ibadat yang diiringi dengan berbagai kelebihan-kelebihannya, kita pula jangan lepaskan peluang meraih pahala dan kelebihan-kelebihan yang ada di bulan haji ini, antaranya dengan mengerjakan puasa sunat hari ’Arafah.

SEMBAHYANG

WAKTU MELAKSANAKAN SEMBAHYANG ZHUHUR BAGI YANG TIDAK SEMBAHYANG JUMAAT

Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa, hari kebesaran bagi umat Islam dan hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain. Sebagai bukti keagungan hari Jumaat, dalam sebuah hadits telah disebutkan bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Pada hari tersebut juga disyari‘atkan ibadat yang agung, iaitu sembahyang Jumaat yang mempunyai banyak fadhilat, antaranya sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu sebagaimana maksud hadits bahawa sembahyang Jumaat hingga ke Jumaat seterusnya adalah penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.

Melihat kepada keistimewaan hari Jumaat itu, pastinya tiada sesiapapun yang diwajibkan ke atasnya sembahyang Jumaat akan melepaskan dengan sengaja daripada merebut dan meraih segala fadhilat yang dijanjikan pada hari tersebut. Namun dalam sesetengah keadaan, disebabkan ada keuzuran ataupun kerana tidak memenuhi syarat wajib Jumaat, seseorang itu diharuskan oleh syara‘ untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan diwajibkan ke atasnya untuk bersembahyang Zhuhur. Persoalan yang timbul bagi

orang yang termasuk dalam kelompok tersebut ialah bilakah masanya untuk mengerjakan sembahyang Zhuhur? Adakah dia dituntut mendirikan sembahyang sejurus sahaja masuk waktu Zhuhur atau mestikah dia menunggu sehingga sekira-kira imam selesai sembahyang Jumaat?

Dalam perbincangan pada kali ini akan dijelaskan mengenai ketetapan hukum pelaksanaan sembahyang Zhuhur bagi orang yang mempunyai keuzuran Jumaat dan orang yang tiada keuzuran Jumaat.

Kewajipan Sembahyang Jumaat

Hukum mendirikan sembahyang Jumaat secara berjemaah itu adalah wajib ke atas setiap Muslim kecuali beberapa golongan tertentu sahaja. Perkara ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap Muslim (dikerjakan) dalam jemaah, kecuali empat (golongan): Hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit.” (Hadits riwayatkan al-Hakim)

Para ulama menjelaskan bahawa pengecualian sembahyang Jumaat antaranya adalah ke atas golongan perempuan, orang yang tidak mukallaf seperti kanak-kanak, orang gila, orang pengsan, hilang akal bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan syara‘ dan orang yang mempunyai keuzuran dari segi syara‘ antaranya orang sakit dan musafir bukan kerana maksiat.

Kesimpulan daripada penjelasan serta hadits di atas, dapat difahami bahawa mereka yang dikecualikan daripada menghadiri sembahyang Jumaat terbahagi kepada dua:

• Golongan yang pertama pada asalnya diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat, tetapi oleh sebab ada keuzuran syara‘, maka tidaklah diwajibkan ke atas mereka mendirikan sembahyang Jumaat, seperti orang sakit dan musafir.

• Golongan yang kedua pula, sememangnya tidak diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat seperti golongan perempuan dan kanak-kanak. Menurut sepakat ulama, sembahyang Jumaat tidak diwajibkan ke atas golongan perempuan, akan tetapi jika dia meninggalkan sembahyang Zhuhur dan mengerjakan sembahyang Jumaat, maka yang demikian itu adalah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan sembahyang Zhuhur.

Bagaimanapun orang yang musafir juga masih digalakkan untuk menunaikan sembahyang Jumaat supaya keluar daripada khilâf (perselisihan ulama). Begitu juga disunatkan ke atas orang yang sakit jika dia berdaya dan kanak-kanak sebagai latihan dan untuk membiasakannya. Kanak-kanak lelaki apabila mencapai umur tujuh tahun wajib disuruh atau diarahkan untuk bersembahyang Jumaat dan memukulnya jika dia enggan apabila mencapai umur sepuluh tahun, sebagaimana kewajipan menyuruhnya menunaikan sembahyang fardhu.

Kedudukan Sembahyang Zhuhur Bagi Yang Tidak Hadir Jumaat

Pada hakikatnya, mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat itu sebahagiannya adalah mereka yang tidak mempunyai keuzuran untuk tidak mengerjakan Jumaat, manakala sebahagian lagi mempunyai keuzuran syara‘.

Terdapat sedikit perbezaan dari segi waktu menunaikan sembahyang Zhuhur bagi dua golongan tersebut sepertimana dalam penjelasan berikut:

1. Tiada keuzuran meninggalkan Jumaat.

Bagi orang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumaat namun tidak menghadirkan dirinya ke masjid berjemaah tanpa keuzuran, maka wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Zhuhur setelah selesai Jumaat didirikan dengan segera. Tidak harus baginya menunaikan sembahyang Zhuhur sebelum selesai sembahyang Jumaat didirikan. Ini kerana pada asalnya dia diwajibkan dan dituntut untuk sembahyang Jumaat.

Sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang Zhuhur sebelum selesai Jumaat, iaitu sebelum selesai imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat kerana kejahilannya, maka sembahyang Zhuhur yang dikerjakannya itu tidak memadai atau tidak sah, sebaliknya hanya dianggap sebagai sembahyang sunat sahaja. Oleh yang demikian, wajib ke atasnya mengulang semula sembahyang Zhuhur dengan segera.

Namun perlu diingat, jangan dipermudah-mudahkan dan dipandang ringan perkara meninggalkan Jumaat dengan sengaja. Ini kerana mereka yang tidak berjemaah sembahyang Jumaat dengan tiada apa-apa keuzuran untuk meninggalkan Jumaat, sekalipun dia sembahyang Zhuhur secara bersendirian, maka dia dihukumkan berdosa besar. Apatah lagi jika dia meninggalkannya tiga kali berturut-turut, maka hatinya akan dicapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai hati orang munâfiq sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

2. Mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat

Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat, dia diharuskan memilih sama ada untuk menunaikan sembahyang Zhuhur ataupun sembahyang Jumaat.

Ulama menjelaskan bahawa orang yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat terbahagi kepada dua, iaitu orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang dan orang yang keuzurannya tetap atau tidak hilang. Penjelasannya seperti berikut:

a. Orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang sebelum habis sembahyang Jumaat, iaitu sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, disunatkan dan afdhal baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat, yakni sehinggalah dia berputus harapan untuk mengerjakan Jumaat. Tujuan melambatkan Zhuhur itu ialah dengan harapan uzurnya akan hilang dan dia dapat hadir sembahyang Jumaat.

Berikut dibawakan persoalan jika salah satu sembahyang Zhuhur atau Jumaat atau kedua-duanya sekali sudah dikerjakan:

i. Jika dia mengerjakan sembahyang Zhuhur pada awal waktu, kemudian hilang keuzurannya itu sedangkan masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, maka tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat, hanya disunatkan sahaja.

ii. Jika dia mengerjakan sembahyang Zhuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zhuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat baginya.

Secara amnya, orang yang mempunyai keuzuran masih tetap digalakkan untuk hadir Jumaat sekalipun dia sudah menunaikan sembahyang Zhuhur.

b. Bagi orang yang tidak hadir menunaikan sembahyang Jumaat dan keuzurannya tetap atau tidak akan hilang, umpamanya golongan perempuan dan orang sakit yang tidak berupaya, orang yang kena bala atau wabak, wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang Zhuhur dan disunatkan menyegerakan Zhuhur sebaik sahaja masuk waktunya agar tidak kerugian daripada memperolehi ganjaran fadhilat sembahyang pada awal waktu. Malahan disunatkan juga untuk dikerjakan secara berjemaaah pada waktu yang ditetapkan.

Bagi orang yang ada keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian 2 (a) dan (b), jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaatnya itu sudah memadai dan dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang Zhuhur.

Sebagai kesimpulan mereka yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat seperti golongan perempuan, kanak-kanak, orang sakit, musafir, pengsan atau hilang akal yang bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan oleh syara‘, disunatkan baginya untuk menunaikan sembahyang Zhuhur pada awal waktunya untuk merebut ganjaran dan fadhilat sembahyang pada awal waktu. Manakala bagi yang mempunyai keuzuran dan dia mengharap atau menantikan keuzurannya itu boleh atau akan hilang sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, maka disunatkan baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga imam selesai menunaikan sembahyang Jumaat.

Manakala bagi sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar dan diwajibkan ke atasnya sembahyang Zhuhur. Hendaklah dia mengakhirkan sembahyang Zhuhur sehingga imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat. Adapun jika dia mengerjakan sembahyang Zhuhur sebelum imam memberi salam, maka sembahyang Zhuhur yang dikerjakannya itu adalah tidak memadai. Bahkan hendaklah dia mengulang kembali sembahyang Zhuhur yang dikerjakannya itu.

PELIHARALAH WAKTU SEMBAHYANG, JANGAN SAMPAI TERLUPUT!

Sembahyang fardhu itu mempunyai ketetapan atau ketentuan waktunya. Melakukan dalam waktunya bererti sembahyang itu dianggap tunai. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)

Ayat ini antara lain menegaskan bahawa kewajipan sembahyang itu mempunyai ketetapan waktu. Oleh yang demikian adalah berdosa jika ia dilakukan di luar waktunya tanpa uzur syar‘i.

Tempoh bermulanya waktu diwajibkan melaksankan sembahyang ke atas seorang mukallaf adalah sebaik sahaja masuk waktunya secara wajib muwassa‘.

Ibadat wajib muwassa‘ ialah ibadat yang mempunyai tempoh waktu yang luas iaitu tempoh melaksanakan perintah ibadat tersebut tidak meliputi seluruh waktu yang ditetapkan. Sembahyang boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam lingkungan tempoh waktu yang ditetapkan itu. Berlainan dengan ibadat haji yang mesti dilakukan dalam tempoh yang meliputi seluruh waktunya yang telah ditetapkan.

Bolehkah Mengakhirkan Atau Melambat-lambatkan Sembahyang?

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, tidak berdosa jika seseorang sembahyang pada akhir waktunya sama ada disebabkan uzur syar‘i atau tidak, akan tetapi dia mesti berazam (berniat dan memutuskan di dalam hati) terlebih dahulu untuk menunaikannya sebelum habis waktu yang ditetapkan. Begitu juga, tidak berdosa bagi seseorang jika ditakdirkan dia mati sebelum menunaikan sembahyang dengan syarat dia hendaklah terlebih dahulu berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya.

Sebaliknya, jika seseorang itu belum menunaikan sembahyang dan tidak membuat azam untuk menunaikannya dalam waktunya, kemudian dia didatangi uzur syar‘i yang menyebabkannya tidak dapat menunaikan sembahyang di dalam waktunya seperti didatangi haidh atau meninggal dunia, maka dia adalah berdosa.

Salah satu daripada dua perkara yang mesti dilakukan dengan masuknya waktu sembahyang ialah sama ada terus menunaikannya atau berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya.

Menyentuh mengenai azam ini, terdapat dua jenis azam; azam am dan azam khas.

1. Azam Am ialah sebaik sahaja seseorang itu bâligh, maka dia mesti berazam akan melakukan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya untuk sepanjang hidupnya.

2. Azam khas pula ialah jika seseorang itu tidak melakukan dengan segera sesuatu suruhan sebaik sahaja masuk waktu suatu suruhan yang ditetapkan, maka hendaklah dia berazam untuk melakukan suruhan itu. Sebagai contoh apabila masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajib ke atas seseorang itu untuk terus menunaikannya atau terus membuat azam di dalam hati untuk menunaikannya kemudian di dalam waktunya.

Suruhan Mengerjakan Sembahyang Di Awal Waktu

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ menekankan bahawa mendahulukan (menyegerakan) sembahyang adalah antara ciri-ciri memelihara sembahyang kerana mengakhirkan sembahyang itu dikhuatiri akan menyebabkan lupa dan luput masa. Perbuatan memelihara sembahyang ini jelas merupakan suruhan yang dituntut Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berdasarkan firmanNya:

Tafsirnya: Peliharalah (kerjakan dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu khasnya sembahyang wusthâ. Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu)dengan taat dan khusyû‘. (Surah al-Baqarah: 238)

Walaupun ibadat sembahyang itu harus dilakukan di akhir waktu, menunaikannya di awal waktu adalah lebih baik dan mempunyai fadhilat sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku telah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Amalan manakah yang lebih disukai Allah Ta‘ala?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu menjawab: “Sembahyang pada (awal) waktunya”. Aku (‘Abdullah) bertanya: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa”. Aku (‘Abdullah) bertanya lagi: “Kemudian apa?” “Kemudian jihad pada jalan Allah.” (Hadits riwayat Muslim)

Menurut pendapat yang ashah, tempoh awal waktu itu ialah apabila masuk sahaja waktu sembahyang, seseorang itu terus mempersiapkan diri dengan bersuci, azan dan perkara-perkara seumpamanya untuk segera menunaikan sembahyang.

Bila Haram Mengakhirkan Sembahyang?

Sungguhpun harus melakukan sembahyang di akhir waktu, namun kelonggaran ini ada batasnya. Adalah sangat penting untuk diketahui dan diingat, bahawa hukum mengakhirkan sembahyang sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk melakukan semua rukun sembahyang adalah haram.

Bagaimana Kedudukan Sembahyang Di Penghujung Waktu?

Pada dasarnya, sembahyang yang dilakukan di dalam waktu, tidak kira di awal atau di penghujung waktu dengan semua rakaatnya dilaksanakan di dalam tempoh waktu yang ditetapkan, maka sembahyang itu adalah dianggap tunai. Sebaliknya, sembahyang yang dilakukan dengan semua rakaatnya berlaku di luar waktu yang ditetapkan, maka sembahyang tersebut adalah dianggap sembahyang qadha’.

Namun bagaimana pula jika sebahagian sembahyang tersebut dilakukan di dalam waktu dan sebahagian lagi di luar waktu?

Dalam hal ini, pendapat yang ashah mengatakan:

1. Jika terlaksana satu rakaat sembahyang atau lebih di dalam waktunya, maka keseluruhan sembahyang tersebut adalah sah dan dikira tunai.

2. Jika kurang atau tidak sampai satu rakaat, maka keseluruhan sembahyang tersebut adalah sah dan dikira qadha’. Namun di sini perlu diingat, sembahyang yang diqadha’ disebabkan lalai dengan sesuatu yang dilarang atau yang tidak digalakkan seperti lalai dengan bermain catur atau dam, walaupun setelah berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya, hukumnya tetap berdosa.

Contoh sembahyang di penghujung waktu:

• Ahmad bersembahyang ‘Ashar di akhir waktu. Dia melakukan takbîratu-ihrâm, membaca surah al-Fâtihah, membaca surah, ruku‘ dan sujud. Kemudian dia bangkit untuk rakaat kedua. Sebaik sahaja mahu membaca surah al-Fâtihah, azan menandakan masuk waktu Maghrib kedengaran. Sembahyang Ahmad itu sah dan dianggap sebagai sembahyang tunai kerana dia telah memperolehi satu rakaat di dalam waktu ‘Ashar.

• Ahmad bersembahyang ‘Ashar di akhir waktu. Seperti lazim, dia mengangkat takbîr. Sebaik sahaja dia mahu membaca surah al-Fâtihah, azan menandakan masuk waktu Maghrib kedengaran. Maka sembahyang itu sah dan dianggap sebagai sembahyang qadha’ kerana dia tidak memperolehi satu rakaat di dalam waktu ‘Ashar.

Ini berdasarkan hadits muttafaq ‘alaihi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang memperolehi (menyempati) satu rakaat darpadai sembahyang Shubuh sebelum terbit matahari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi sembahyang Shubuh. Dan barang siapa yang memperolehi (menyempati) satu rakaat daripada sembahyang ‘Ashar sebelum terbenam matahari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi sembahyang ‘Ashar. (Hadits riwayat Muslim)

Beberapa Permasalahan Mengenai Sembahyang Di Penghujung Waktu

Seorang yang mendirikan sembahyang di penghujung waktu, tidak harus baginya melakukan perkara-perkara sunat di dalam sembahyang, jika baki waktu yang tinggal hanya mencukupi untuk satu rakaat, bahkan wajib untuk terus melakukan perkara-perkara rukun dengan niat tunai.

Sebaliknya, jika seseorang itu hendak sembahyang dan waktu sembahyang itu hanya cukup-cukup untuk melakukan semua rukun sahaja, maka harus baginya melakukan perkara-perkara sunat dalam sembahyang, bahkan inilah yang afdhal menurut qaul mu‘tamad sebagaimana di dalam kitab an-Nihayah, sekalipun akan terkeluar sembahyang fardhunya atau sebahagiannya daripada waktunya.

Adapun jika memulakan sembahyang dan baki waktu mencukupi untuk melakukan semua rakaat sembahyang, kemudian berlalu (habis) waktu dengan bacaan yang panjang sebelum habis daripada satu rakaat, maka hukum yang paling tepat adalah tidak haram, tidak berdosa dan tidak makruh, akan tetapi menyalahi yang utama.

Dalam keadaan kesuntukan waktu ini juga, sama ada akan terkeluar sedikit dari waktu sembahyang yang ditetapkan, umpamanya terkeluar satu rakaat atau kurang satu rakaat dari waktu sembahyang, maka adalah elok untuk tidak melakukan perkara-perkara sunat ketika berwudhu’ dan terus sahaja kepada rukun-rukun wudhu’ yang dengannya sembahyang itu dikira sah.

Bilakah Dikatakan Satu Rakaat Di Dalam Sembahyang Itu?

Berdasarkan penerangan kitab-kitab fiqh asy-Syafi‘e, yang dimaksudkan dengan satu rakaat itu adalah apabila selesai berlakunya dua sujud di dalam sembahyang iaitu setelah selesai melakukan sujud kedua dan seterusnya berdiri untuk rakaat seterusnya. Menurut kitab an-Nihâyah, kadar selesai dikira satu rakaat itu adalah dengan mengangkat kepala dari sujud yang kedua.

Berdasarkan penjelesan di atas, adalah dituntut untuk mengerjakan sembahyang di dalam waktunya. Hatta dalam keadaan kesuntukan masa, perkara-perkara sunat hendaklah ditinggalkan supaya sembahyang itu dapat dilaksanakan secara tunai. Oleh itu, walaupun mengakhirkan sembahyang itu harus, tetapi perlu diingat, jangan sampai terkeluar dari waktu yang ditetapkan. Menyegerakannya di awal waktu adalah lebih utama dan padanya fadhilat yang besar.

MENINGGALKAN SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT: Melanggar Perintah Allah!

Hari Jumaat adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadits bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Daripada Abu Lubabah bin ‘Abdul Mundzir Radhiallâhu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat adalah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, bâligh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dalam al- Qur’an, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Meninggalkannya Melanggar Perintah Allah

Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit-birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

Namun bagaimana pula dengan orang yang senghaja meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa sebarang keuzuran? Perlu diingat, sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa ada uzur syar‘i adalah perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munâfiq. Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munâafiq. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (meninggalkannya). (Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang fardhu Jumaat, sabdanya:

Maksudnya: Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat. (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat melainkan ada keuzuran syar‘i. Ini kerana perbuatan itu adalah melanggar perintah Allah dan orang yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dicap sebagai orang munâfiq.

20 RAKAAT SEMBAHYANG TERAWIH: Kesepakatan Para Ulama

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengetahui akan keagungan fadhilat dan keberkatan bulan tersebut. Di bulan ini semua pahala bagi amal ibadat yang dilakukan sama ada wajib mahupun sunat dilipatgandakan. Bagi sesiapa yang ingin menambah pahala ibadat, maka bulan Ramadhanlah merupakan peluang yang terbaik untuk digunakan sepenuhnya memandangkan ia hanya datang setahun sekali. Justeru, tidak rugi berkorban lebih banyak masa dan tenaga dalam menunaikan segala apa juga bentuk ibadat dengan tekun di bulan ini, kerana keuntungan ganjaran yang berlipat kali ganda jualah yang akan diperolehi daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Selain daripada berpuasa di bulan Ramadhan, melakukan perkara sunat seperti memperbanyakkan membaca al-Qur’an, bersedekah serta melipatgandakan usaha dalam melakukan sembahyang-sembahyang sunat merupakan pengisian Ramadhan yang tidak boleh dipandang sambil lewa sahaja.

Salah satu sembahyang sunat yang lazim dilakukan oleh umat Islam pada bulan yang mulia ini ialah sembahyang sunat Terawih yang dilakukan bermula malam awal Ramadhan sehingga malam terakhir bulan Ramadhan.

Mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam Dengan Melakukan Sembahyang Sunat Terawih

Sembahyang Terawih merupakan sembahyang sunat mu’akkadah iaitu sembahyang sunat yang dikuatkan untuk umat Islam melakukannya di bulan Ramadhan bertujuan untuk menghidupkan malam-malam pada bulan tersebut. Oleh kerana itulah dinamakan juga sembahyang Terawih dengan nama qiyâmul-lail fi ar-Ramadhân.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam gemar melakukan sembahyang sunat Terawih. Baginda juga menganjurkan umatnya untuk melakukan sembahyang tersebut sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan sembahyang (Terawih) pada bulan Ramadhan tanpa memerintahkan untuk bersembahyang Terawih dengan perintah yang berupa kewajipan. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Jumlah Rakaat Terawih Menurut Para Ulama

Para ulama mazhab Syafi‘e bersepakat bahawa jumlah rakaat sembahyang sunat Terawih adalah 20 rakaat. Jumlah ini juga turut disepakati oleh para ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang lain iaitu mazhab Hanafi dan ia merupakan pendapat yang masyhûr dalam mazhab Maliki serta Hanbali.

Di sini dijelaskan beberapa nash daripada ulama-ulama mu‘tabâr dalam mazhab Syafi‘e mengenai kesepakatan tersebut.

1. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitab al-Majmu‘:

Ertinya: Dalam mazhab kita, bahawa Terawih itu 20 rakaat dengan 10 salam, tidak termasuk Witir.

2. Imam al-Malibari Rahimahullâh menyatakan di dalam kitab Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Sembahyang Terawih ada dua puluh rakaat dengan sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan berdasarkan hadits: “Baran gsiapa yang mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”

3. Imam Ramli Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sembahyang Terawih itu 20 rakaat dengan 10 salam, kerana riwayat mengatakan bahawasanya sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendirikan sembahyang Terawih dalam bulan Ramadhan pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab sebanyak 20 rakaat.

Kesepakatan ini diambil berdasarkan riwayat-riwayat yang menjelaskan bahawa jumlah rakaat Terawih yang dilakukan oleh Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu dan para sahabat yang lain sebanyak 20 rakaat sebagaimana berikut:

1. Diriwayatkan daripada Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Mereka (sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam) mendirikan sembahyang Terawih dalam bulan Ramadhan pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab sebanyak 20 rakaat.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

2. Diriwayatkan daripada Yazid bin Ruman, dia berkata:

Maksudnya: Orang ramai pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang Terawih sebanyak 23 rakaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Malik)

Dua riwayat di atas digabungkan oleh al-Baihaqi sebagai penjelasan bahawa jumlah rakaat Terawih yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Saiyyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat, sementara tambahan 3 rakaat dalam riwayat yang kedua pula ialah sembahyang Witir.

Jelaslah pada zaman pemerintahan Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, beliau memerintahkan untuk mengerjakan sembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat dan seterusnya melakukan sembahyang witir sebanyak 3 rakaat di samping memerintahkan untuk melaksanakan kedua-dua ecara berjemaah.

Sebagai seorang yang rapat dan dipercayai oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, perintah mengerjakan sembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat bukanlah dilafazkan oleh Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu sewenang-wenangnya melainkan bersumber daripada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri sama ada Baginda melakukannya di masjid atau di rumah dengan jumlah sebanyak 20 rakaat. Jika tidak, sudah tentu Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu tidak berani memerintahkan sedemikian!

Apa yang pasti, keterangan riwayat-riwayat di atas menunjukkan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah sepakat (ijmâ‘) bahawa jumlah Terawih yang dilakukan pada zaman Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat. Ijmâ‘ sahabat menurut ushul fiqh adalah hujjah iaitu dalil syariat.

Melaksanakan Sembahyang Terawih Secara Berjemaah

Harus melakukan sembahyang Terawih secara bersendirian sama ada di rumah atau di masjid. Walau bagaimanapun afdhal melakukannya secara berjemaah.

Di dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa pendapat yang shahîh ialah afdhal sembahyang Terawih secara berjemaah.

Sementara Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menyebutkan bahawa disunatkan bersembahyang Terawih secara berjemaah adalah sebagai mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ijmâ‘ sahabat.

Ini berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

1. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha bahawa pada hari-hari awal permulaan sembahyang tersebut dilakukan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendirikan sembahyang Terawih bersama dengan orang ramai di Masjid Madinah sebelum Baginda berhenti melakukan sedemikian. Ini kerana ditakuti bahawa sembahyang Terawih itu akan diwajibkan kepada umat Islam dan kewajipan itu akan memberatkan mereka.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mensyarahkan hadits-hadits Imam Muslim Rahimahullâh menjelaskan bahawa harus berjemaah ketika melakukan sembahyang-sembahyang sunat, akan tetapi yang sebaiknya adalah sembahyang secara bersendirian kecuali pada sembahyang-sembahyang sunat yang dikhususkan iaitu sembahyang ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adhha, sembahyang Kusûf (gerhana) dan Istisqâ’ (meminta hujan) termasuklah sembahyang Terawih menurut jumhûr ulama.

2. Diceritakan oleh ‘Abdul Rahman bin Abdul Qari’i:

Maksudnya: Aku keluar bersama ‘Umar pada suatu malam dalam bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid Madinah. Didapati orang ramai bersembahyang Terawih berkelompok-kelompok, ada yang bersembahyang secara bersendirian dan ada pula melakukannya secara berjemaah. Berkata ‘Umar: “Saya berpendapat kalau dikumpulkan mereka ini dengan satu imam, sesungguhnya lebih serupa (dengan apa yang dipersetujui Rasulullah)”, maka beliau bertekad dan orang ramai dikumpulkan bersembahyang di belakang Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar lagi bersama beliau pada malam yang lain (lantas kami melihat) orang ramai bersembahyang di belakang seorang imam. ‘Umar berkata: “Ini merupakan bid‘ah yang baik.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan dengan ‘lebih serupa’ dalam hadits di atas adalah perintah Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu untuk melaksanakan sembahyang Terawih secara berjemaah itu diambil berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mempersetujui orang ramai bersembahyang Terawih bersama Baginda dalam beberapa hari permulaan Baginda melaksanakan sembahyang tersebut. Walaupun Baginda tidak meneruskan berjemaah bersama mereka pada hari-hari selepas itu dan bersembahyang seorang diri, ini bukanlah disebabkan ia tidak boleh dilakukan secara berjemaah. Adapun sebab Baginda tidak meneruskannya adalah atas dasar Baginda takut sembahyang tersebut akan diwajibkan kepada umat Islam jika Baginda terus melakukan sedemikian.

Perkara ini berlanjutan sehingga kewafatan Baginda dan di zaman pemerintahan Saiyyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu. Hanya selepas Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu melihat keadaan umat Islam yang berkelompok-kelompok ketika melakukan sembahyang Terawih dan ditakuti akan menimbulkan masalah, maka beliau mengambil keputusan untuk mengumpulkan orang ramai bersembahyang Terawih dengan satu imam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang pernah menjadi imam bagi orang ramai ketika bersembahyang Terawih.

Jelas daripada keterangan di atas bahawa jumlah sembahyang Terawih itu adalah sebanyak 20 rakaat dan afdhalnya dilakukan secara berjemaah. Sudahpun beroleh pahala melakukan sembahyang sunat untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan, ditambah lagi dengan gandaan pahala bagi yang melakukan secara berjemaah. Dan jangan lupa pula, bahawa dengan gandaan amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat dan amal kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan menambah lagi timbangan pahala kita dengan mudah. Maka, janganlah lepaskan peluang menghidupkan bulan Ramadhan dengan berpuasa di siang hari dan memperbanyakkan amal ibadat di malam hari termasuklah sembahyang Terawih. Lakukanlah dengan jumlah dan cara yang seperti dilakukan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum, kerana tentulah mereka melakukannya dengan berpandukan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

JANGAN SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA TELEFON BIMBIT

Dalam era perkembangan sains dan teknologi kini, berbagai peralatan baru dan canggih muncul bagaikan cendawan tumbuh. Salah satu daripada peralatan tersebut, yang dimiliki oleh kebanyakan orang ialah telefon bimbit.

Tidak dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba canggih dan moden ini menjadikan penggunaan telefon bimbit seakan-akan satu kemestian kerana kewujudannya banyak membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan. Di samping itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan sesama kaum keluarga, sanak-saudara, rakan, taulan dan sebagainya. Selain aplikasi-aplikasi perhubungan, terdapat juga berbagai jenis dan bentuk aplikasi lain seperti peringatan waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat, berita, permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan hanya petikan jari sahaja.

Penggunaan telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana kemudahannnya tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum syara‘. Namun apa yang merunsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat. Malah ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih dahulu. Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan mengganggu kekhusyû‘kan pemiliknya dan jemaah lain jika mereka berada dalam sembahyang jemaah.

Bukti yang paling nyata dapat dilihat dengan jelas ialah ketika perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan sebagainya. Apakah pandangan syara‘ mengenai perkara ini?

Tuntutan Diam Ketika Khatib Membaca Khutbah Jumaat

Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah sembahyang fardhu Jumaat. Ia adalah wasîlah terbaik untuk menyampaikan dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Ini kerana pada hari Jumaat, kaum Muslimin duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu sama lain, tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.

Sunat bagi orang yang menghadiri sembahyang fardhu Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, ini adalah adab, dan selain itu ia sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus lebih mempermudahkan seseorang itu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.

Disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu: “Dengarkanlah (khutbah)”, padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Dapatlah difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibaca atau disampaikan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat dharurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib. Adapun bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh dari imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya surah al-Kahfi, berselawat, bertasbîh, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah lain.

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyâskan kepada maksud sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya, kemudian dia pergi (ke masjid) untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barang siapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan dia telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyû‘an dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ia mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardhu Jumaat.

Perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu dibawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyû‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan sembahyang fardhu Jumaat.

ATH-THAHÂRAH

MEMOTONG KUKU, RAMBUT DAN BULU KETIKA BERHADAS BESAR

Islam sangat memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota tubuh badannya sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah mengangkut mereka (dengan pelbagai kenderaan) di daratan dan di lautan. Kami juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah al-Isrâ’: 70)

Ini termasuklah juga memuliakan bahagian-bahagian yang tumbuh pada anggota manusia seperti kuku, rambut dan bulu, malah potongan-potongan daripada kuku, rambut dan bulu itu pula sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda menghormatinya.

Kuku, rambut dan bulu yang tumbuh pada anggota manusia itu berhubungkait dengan hukum umpamanya disunatkan ketika hendak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat membersihkan diri terlebih dahulu, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan mencukur bulu ari-ari.

Adapun ketika seseorang itu dalam ihram haji atau umrah pula, haram ke atasnya memotong kuku, rambut dan bulu melainkan kerana sesuatu sebab seperti ada kutu kepala yang menyakiti sehingga terpaksa dia mencukur rambut kepalanya atau kuku jari yang menyakiti sehingga terpaksa dia memotongnya. Bagaimana pula hukum memotong kuku, rambut dan bulu ketika berhadas besar? Apakah hukumnya?

Memotong Kuku, Rambut Dan Bulu Ketika Berhadas Besar

Orang yang berhadas besar seperti kerana haid, nifas dan berjunub sayugia tidak memotong kuku, rambut dan bulunya melainkan setelah melakukan mandi wajib. Ini kerana bahagian-bahagian yang dipotong itu di akhirat kelak akan dikembalikan kepada tuannya dalam keadaan junub.

Ini telah dinyatakan dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn mengenai memotong kuku, rambut dan bulu ketika masih berhadas besar:

Ertinya: Sayugia (orang yang berhadas besar itu) tidak menanggalkan bulu atau kuku dan demikian juga (mengeluarkan) darah sebelum melakukan mandi wajib, kerana semua bahagian yang ditanggalkan itu akan dikembalikan di akhirat kelak dalam keadaan junub.

Al-‘Allamah Ba‘asyin Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Busyra al-Karîm juga menjelaskan hukum menanggalkan mana-mana bahagian badan ketika berhadas besar, katanya:

Ertinya: Disunatkan bagi orang berjunub umpamanya, untuk tidak menghilangkan sesuatu (bahagian atau anggota) daripada badannya, kecuali setelah dia melakukan mandi wajib, kerana bahagian badan itu akan kembali kepada badan (tuan)nya di akhirat kelak, maka ia (anggota itu) akan kembali dalam keadaan junub serta mencela tuannya. Kemudian ia akan pergi daripadanya melainkan bahagian-bahagian (badannya) yang asal (bahagian yang kekal dari awal dia dilahirkan sehingga akhir hayatnya). Dan dikatakan bahawa tiap-tiap helai bulu itu menuntut tuannya dengan sebab ia masih dalam keadaan junub.

Menurut pendapat al-Mudabaghi Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa bahagian yang dikembalikan itu ialah bahagian-bahagian (badannya) yang asal, misalnya tangan yang telah terpotong dan ini berbeza dengan hal kuku dan bulu, kerana ia akan dikembalikan tetapi dalam keadaannya yang terpisah daripada badan tuannya, dengan menangisi dan mencela tuannya kerana (tuannya) telah diperintahkan (semasa hidupnya) untuk tidak menanggalkannya ketika masih dalam keadaan junub.

Maka berdasarkan pendapat ulama di atas adalah sunat untuk tidak memotong kuku, rambut dan bulu ketika masih dalam keadaan junub, haidh atau nifas, supaya di akhirat kelak bahagian-bahagian badannya itu akan kembali kepadanya dalam keadaan suci.

Walau bagaimanapun, jika kuku yang dibiarkan ketika masih dalam berhadas besar itu terlalu panjang sehingga menghalang sampainya air ke batin kuku, maka wajib dia memotong kukunya itu supaya sampai air ketika mandi wajib.

Memandikan Kuku, Rambut Dan Bulu Yang Dipotong Ketika Berhadas Besar

Walaupun kuku, rambut dan bulu yang telah dipotong ketika berhadas besar dibawa mandi wajib bersama-sama, namun tidak akan terangkat hadas kuku, rambut dan bulu yang dipotong itu sebagaimana pendapat asy-Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâhu Ta‘âlâ katanya:

Ertinya: Bahawasanya bahagian-bahagian tubuh badan (orang yang berjunub) yang terpisah sebelum mandi wajib itu tidak terangkat janabahnya dengan memandikannya.

Daripada keterangan ini dapatlah difahami bahawa membawa kuku, rambut dan bulu yang telah dipotong ketika masih dalam keadaan hadas besar mandi wajib bersama-sama tidaklah memberi apa-apa kesan. Ini kerana hadas yang ada pada kuku dan bulu-buluan tersebut tidak akan terangkat.

Oleh yang demikian, apabila seseorang itu dalam keadaan hadas besar, sayugialah jangan memotong kuku, rambut dan bulunya melainkan setelah melakukan mandi wajib.

MENGHILANGKAN NAJIS: Perhatikan Cara Yang Betul

Islam sangat menitik-beratkan kebersihan secara keseluruhannya, pada tubuh badan, pakaian, makanan, minuman, tempat tinggal, persekitaran dan selainnya. Kepentingan menjaga kebersihan itu sangat jelas dalam Islam, lebih-lebih lagi jika perkara mengenai kebersihan itu bersangkut-paut dengan ibadat seperti sembahyang dan thawaf. Ini kerana ibadat seperti sembahyang dan thawaf itu boleh terjejas apabila dikerjakan dalam keadaan tidak suci.

Walau bagaimanapun dari segi syara‘ tidak semua yang bersih itu suci dan tidak semua yang kotor itu najis. Menurut syara‘, kotoran dan najis mempunyai perbezaan di antara kedua-duanya, sebagai misal lumpur adalah kotor tetapi belum tentu ia najis.

Najis ‘Aini Dan Najis Hukmi

Najis terbahagi kepada dua kategori/bahagian, iaitu najis ‘aini dan najis hukmi.

Pertama: Najis ‘aini, iaitu zat (‘ain) najis tersebut atau sifatnya; iaitu rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera.

Kedua: Najis hukmi, iaitu zat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak boleh dikesan dengan pancaindera oleh sebab tersembunyi, tidak kelihatan atau hilang kesan najis tersebut; seperti air kencing yang telah kering.

Selain itu, najis juga dibahagikan kepada tiga peringkat seperti berikut:

1. Najis mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umur dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan air susu ibu sahaja.

2. Najis mutawassithah (pertengahan), iaitu najis selain mukhaffafah dan mughallazhah seperti tahi, kencing, darah, nanah dan selainnya.

3. Najis mughallazhah (berat), iaitu anjing dan babi, termasuk campuran atau kacukan daripada kedua-dua binatang anjing dan babi, sama ada zatnya mahupun (cecair lembapan) peluh, air liur, kencing, tahi dan sebagainya.

Cara Membersihkan Najis ‘Aini Dan Hukmi

Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang mampat (bukan jenis cecair) yang terkena najis adalah seperti berikut:

1. Najis ‘aini.

Sesuatu bahagian atau tempat yang terkena selain najis mughallazhah (anjing dan babi), cara membersihkannya ialah menghilangkan zat najis tersebut terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan cucian atau basuhan (jirusan) menggunakan air muthlaq yang menghilangkan atau menghapuskan sifat najis iaitu rasa, warna dan bau. Jika perlu menggunakan seumpama sabun dan dia mampu mengadakannya, maka hendaklah digunakan.

Manakala sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah (anjing dan babi), maka cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan cara menyertu. Caranya ialah bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut. Perlu juga diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu.

Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila anjing menjilat pada bejana salah seorang di antara kamu, maka cucilah ia dengan tujuh kali cucian, salah satunya (air) yang bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keadaan yang dituntut untuk menyertu sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah ialah apabila salah satu atau kedua-dua pihak itu dalam keadaan basah, sama ada kerana menyentuh atau tersentuh najis tersebut atau suatu bahagian atau tempat itu menjadi najis disebabkan olehnya.

2. Najis hukmi.

Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis hukmi, iaitu yang tidak lagi didapati zat dan sifat (bau, rasa dan warna) najis, seperti kencing yang telah kering, ialah memadai dengan menjirus (mengalirkan) air ke atasnya sebanyak satu kali jirusan. Memadai, yakni terhasil, kebersihan dan kesucian bahagian atau tempat yang terkena najis itu walaupun tanpa dilakukan oleh sesiapa (pelaku), umpama bahagian atau tempat itu dijirus atau disirami oleh air hujan.

Manakala cara menyucikan najis hukmi daripada jenis najis mughallazhah yang sudah hilang zat dan sifatnya ialah dengan cara menyertu sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.

Kesan Najis ‘Aini Sukar Dihilangkan Atau Dihapuskan

Dalam keadaan tertentu, walaupun zat najis itu dapat dihilangkan, namun kadang-kala terdapat kesukaran untuk menghilangkan keseluruhan kesan atau sifat najis, seumpama kesan warna darah dan bau arak.

Jika ini yang berlaku, memadailah dengan menghilangkan dua daripada tiga sifat najis, umpamanya rasa dan warna atau rasa dan bau. Akan tetapi hendaklah digosok dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu bahagian atau tempat yang masih ada kesan bau atau warna dengan air sebanyak 3 kali. Setelah dilakukan sedemikian dan masih juga terdapat bau atau warna najis, sekalipun daripada najis mughallazhah, maka bahagian atau tempat itu dianggap sudah bersih atau suci. Sekiranya dia berupaya untuk menghilangkan kesan najis tersebut selepas itu, maka tidak wajib ke atasnya lagi untuk menghilangkannya.

Adapun sifat ‘rasa’ daripada najis tersebut, mestilah dihilangkan, kecuali jika terdapat keuzuran, maka ia adalah dimaafkan. Maksud keuzuran di sini rasa najis itu tidak hilang melainkan dengan dipotong bahagian yang terkena najis itu. Sekiranya kemudian daripada itu dia berupaya untuk menghilangkan ‘rasa’ najis tersebut, maka wajib menghilangkannya.

Manakala dalam menentukan rasa dan bau najis tersebut sudah hilang atau belum, adalah memadai dengan adanya sangkaan yang kuat bahawa rasa dan bau najis itu sudah hilang dan ia tidak wajib diuji dengan merasanya ataupun menghidunya.

Permasalahan Berkaitan

Berikut dibawakan beberapa isu berkaitan najis ‘aini, hukmi dan mutanajjis menurut pandangan syara‘:

1. Tersentuh najis mughallazhah dalam keadaan kering.

Seorang tersentuh anjing dengan tangannya, padahal tangannya itu kering dan anjing itu kering, maka tidaklah dihukumkan tangannya itu bernajis. Berbeza hukumnya jika salah satu pihak itu yang bersentuhan itu dalam keadaan basah, lalu dia memegang anjing itu, maka tangannya itu terkena najis mughallazhah. Oleh yang demikian, wajiblah dia melakukan sertu pada tangannya itu.

2. Tidak yakin sama ada terkena najis atau tidak.

Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis, hendaklah dipastikan ada ‘ain (benda) najis itu atau sifatnya yang terdiri daripada bau, warna atau rasa. Jika telah pasti, maka hendaklah dihilangkan ‘ain najis dan sifat-sifatnya. Jika tidak wujud salah satu daripada perkara-perkara tersebut, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.

Jika kereta seseorang terlanggar anjing atau khinzîr, maka adalah wajib disertu bahagian-bahagian kereta yang diyakini telah dicemari oleh najis mughallazhah, jika kereta itu hendak dipakai atau digunakan lagi, kerana menjauhi najis adalah wajib sekalipun di luar sembahyang.

3. Sertu dengan selain tanah.

Melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai, umpamana dengan menggunakan sabun atau seumpamanya seperti cecair dan bahan pencuci moden. Ini kerana perintah sertu, iaitu mencuci dengan air muthlaq sebanyak 7 kali dan salah satu daripadanya dengan air yang dicampur dengan tanah merupakan perkara ta‘abbudi (semata-mata menurut perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).

Selain menggunakan tanah bercampur air, ia boleh digantikan dengan air yang keruh seperti air mengalir (contohnya air sungai) yang telah bercampur dengan tanah.

4. Perkara mutanajjis.

Dalam keadaan tertentu, sesuatu bahagian atau tempat yang suci yang terkena najis dan salah satu pihak itu dalam keadaan basah, boleh menjadikan bahagian atau tempat yang suci itu mutanajjis (menjadi najis kerana tersentuh dengan najis). Berikut dibawakan beberapa keadaan tersebut sebagai contoh serta penjelasan ringkas mengenainya.

a. Menyentuh benda lain setelah tersentuh anjing.

Seseorang yang tersentuh anjing dengan tangannya dalam keadaan basah, maka tangannya itu telah terkena najis mughallazhah. Apabila dia memegang sesuatu benda lain dalam keadaan tangannya masih basah (setelah memegang anjing tadi) dan sebelum dia menyucikan tangannya itu, maka benda yang dipegangnya itu juga telah kena najis mughallazhah.

b. Menyentuh tangan orang bukan Islam.

Persoalan menyentuh, memegang, menjabat dan seumpamanya tangan orang bukan Islam atau orang kafir yang menyentuh daging babi, maka tetaplah tangan orang bukan Islam itu najis secara hukmi sehinggalah tangan tersebut dicuci atau disertu sepertimana yang dituntut syara‘.

Namun jika tangan orang kafir itu bersih daripada zat najis mughallazhah seperti darah atau apa-apa jua daripada babi atau tidak nampak kesan najis babi itu sekalipun tidak dicuci seperti di atas, maka apa-apa yang disentuh oleh orang kafir itu tidaklah menjadikannya najis.

c. Membersih dengan cara mencelup atau merendam.

Cara membersihkan sesuatu seperti pakaian yang terkena najis, selain najis mughallazhah, adalah dengan mengalirkan atau menjirus dengan air yang menghilangkan zat dan sifat najis; bau, warna dan rasa. Perbuatan merendam atau mencelup pakaian yang masih mempunyai zat atau jirim najis ke dalam air yang tenang (tidak mengalir umpama dalam besen, gayung atau baldi) yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah, adalah tidak memadai. Hasilnya, bahagian yang terkena najis itu belum dianggap suci, manakala air yang digunakan untuk merendam dan mencelup itu pula berubah menjadi najis (mutanajjis).

Selain itu, cara menyertu umpamanya pakaian yang terkena najis mughallazhah, setelah menghilangkan zat najis, ialah dengan merendam atau mencelupkannya ke dalam:

i. Air keruh (yang telah bercampur tanah) yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, iaitu lebih daripada dua qullah, maka memadailah dengan merendam dan menggerak-gerakkannya sebanyak tujuh kali.

ii. Air keruh (yang telah bercampur tanah) yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air padanya sebanyak tujuh kali.

Kadar dua qullah ialah:

• Sukatan – lebih kurang 216 liter. • Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter.

Sebagai kesimpulan, terdapat perbezaan pada cara membersihkan atau menyucikan tempat atau bahagian yang terkena najis ‘aini dan hukmi, sama ada najis mukhaffafah, mutawassithah atau mughallazhah. Jika diyakini sesuatu terkena najis mughallazah anjing dan babi, cara untuk menyucikannya ialah dengan sertu, iaitu dibasuh dengan 7 kali air muthlaq salah satunya dengan air yang bercampur tanah. Manakala selain najis mughallazhah seperti kencing, tahi, darah, nanah dan selainnya, maka cara membersihkannya ialah dengan menjirus atau mengalirkan air ke atasnya. Namun hendaklah dihilangkan terlebih dahulu zat najis dan sifatnya, iaitu warna, bau dan rasa. Perlu diingat, bahawa dalam menggunakan air dan tanah ketika sertu, untuk membersihkan najis, hendaklah menggunakan air muthlaq dan tanah yang bersih.

Cara membersihkan atau menyucikan yang berbeza-beza ini adalah mengikut perbezaan jenis-jenis najis itu sendiri. Perbezaan ini hendaklah diperhatikan supaya tempat atau bahagian yang terkena najis benar-benar dapat dibersihkan atau disucikan dengan cara yang betul. Jika perkara ini tidak diambil perhatian, maka ia boleh menjejaskan ibadat yang disyaratkan suci daripada najis sebelum dan ketika dilaksanakan. Ini kerana cara menghilangkan najis yang tidak betul, umpamanya dengan menganggap ia sudah bersih kerana telah dibuang ‘ain (zat) najis walhal sifat-sifat najis masih lagi ada adalah tidak memadai. Walaupun pada zahirnya ia sudah bersih tetapi belum lagi suci pada pandangan syara‘.

BERISTINJÂ’ BOLEH MEMBATALKAN PUASA

Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan senghaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia boleh membatalkan puasa. Begitulah juga apabila membersihkan kencing dan tahi ketika beristinjâ’ atau bersuci selepas daripada buang air kecil dan buang air besar ketika sedang berpuasa boleh membatalkan puasa. Keadaan ini boleh berlaku apabila masuk sesuatu benda ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia iaitu rongga dubur, faraj dan lubang tempat keluar air kencing. Perkara ini kadang-kadang kita lakukan tanpa kita sedari bahawa dengan berbuat demikian boleh membatalkan puasa. Jadi bagaimanakah keadaan beristinjâ’ atau bersuci yang boleh membatalkan puasa itu?

Keadaan-keadaan yang boleh membatalkan puasa apabila membersihkan kencing dan tahi ketika beristinjâ’ atau bersuci selepas daripada buang air kecil dan buang air besar adalah seperti berikut:

Lubang Tempat Keluar Air Kencing Lelaki

Apabila masuk sesuatu benda ke lubang tempat keluar air kencing, walaupun tidak sampai ke pundi-pundi kencing atau tidak melebihi hasyafah adalah membatalkan puasa sepertimana disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Dan menitikkan atau menitiskan air pada batin lubang telinga dan (batin) pundi saluran iaitu saluran air kencing dan air susu, walau tidak melewati kadar hasyafah (kemaluan lelaki iaitu melebihi tempat yang dikhitan) atau puting susu.

Maka memasukkan air ke dalam batin saluran air kencing membatalkan puasa. Begitu juga jika memasukkan ubat atau alat ke pundi-pundi kencing bagi tujuan perubatan seperti ditebuk di bahagian ari-ari juga membatalkan puasa.

Adapun jika air masuk pada sebahagian zahir lubang yang nampak ketika beristinjâ’ atau bersuci tidaklah membatalkan puasa, kerana lubang yang zahir itu biasanya akan terbuka dan amat sukar mengelak daripada tidak terkena air.

Rongga Faraj

Adapun rongga faraj yang membatalkan puasa ialah jika masuk sesuatu yang melebihi had zahir faraj iaitu apa yang nyata ketika seorang perempuan itu duduk mencangkung di atas kedua betisnya.

Keadaan membatalkan puasa itu ialah jika memasukkan jari atau apa-apa benda seperti kapas atau alat pencegah hamil melebihi had zahir faraj. Maka begitulah juga ketika beristinjâ’ atau bersuci apabila masuk jari atau air ke dalam faraj melebihi had zahir maka terbatallah puasa. Perkara ini juga ada diterangkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Dan jari orang yang beristinjâ’ itu sampai ke dalam anggota yang tidak nampak dari faraj wanita ketika duduk di atas kedua telapak kakinya adalah membatalkan puasa.

Maka jika seorang wanita itu memasukkan air atau jari ketika beristinjâ’ atau bersuci ke dalam rongga faraj melebihi had zahir maka boleh membatalkan puasanya.

Rongga dubur

Beristinjâ’ atau bersuci pada tempat rongga dubur boleh membatalkan puasa iaitu jika sampai sesuatu seperti jari ke tempat yang tidak wajib dicuci ketika beristinjâ’ sepertimana disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Begitu juga sebahagian jari sampai ke dalam lubang atau tempat keluarnya kotoran adalah (membatalkan puasa).

Maka jika seseorang itu memasukkan jari ataupun sesuatu benda seperti air ke dalam rongga dubur ketika beristinjâ’ melebihi had yang diwajibkan beristinjâ’ atau bersuci itu boleh membatalkan puasa.

Namun tepi dubur yang menutupi lubang dubur ketika kita dalam keadaan berdiri tidaklah termasuk dalam kategori rongga dubur. Maka mencuci pada kawasan tepi dubur tersebut tidaklah membatalkan puasa.

Demikian juga halnya dengan tahi yang telah keluar ketika buang air besar tetapi tidak terpisah daripada dubur, apabila dikecitkan (dikemutkan) dubur tanpa keperluan dan najis itu masuk semula ke dalam, maka batal puasa seseorang itu, kerana dimasukkan dengan senghaja iaitu perbuatan menarik balik yang tidak diperlukan. Tetapi jika terpaksa seperti orang yang sakit buasir, maka tidaklah batal puasanya.

Dalam perkara buang air besar, Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada memberikan panduan sebagai langkah berhati-hati supaya tidak membatalkan puasa iaitu dengan menahannya sehingga ke waktu malam jika tidak memudharatkan sepertimana perkataannya dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâhu Ta‘âlâ telah berkata sebagai langkah berhati-hati, hendaklah membuang air besar pada waktu malam kerana (ketika berpuasa) membuang air besar pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang agar tidak masuk sesuatu (zat atau benda) ke dalam lubang duburnya.

Daripada penjelasan ini dapatlah diambil kesimpulan bahawa beristinjâ’ atau bersuci semasa berpuasa daripada kencing dan tahi itu boleh membatalkan ibadat puasa sepertimana keadaan-keadaan yang disebutkan sebelum ini. Maka dengan penjelasan itu juga kita bolehlah berhati-hati ketika beristinjâ’ atau bersuci semasa sedang berpuasa supaya ibadat puasa kita tidak akan batal.

PERCIKAN AIR BASUHAN NAJIS: Adakah Suci?

Suci daripada hadas dan najis merupakan salah satu syarat sah sembahyang. Apabila seseorang menanggung hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar, maka sembahyang yang dilakukannya tidak sah sehinggalah dia bersih daripada hadas tersebut sebelum mendirikan sembahyang. Begitu juga apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang seseorang itu terkena najis, wajib dibasuh kerana dengan adanya benda-benda najis ini boleh menghalang sah sembahyangnya.

Untuk memastikan diri bersih daripada benda najis sebelum mendirikan sembahyang bukanlah perkara yang susah. Ini kerana kebersihan boleh dijaga sebelum sembahyang didirikan sama ada dengan menghilangkan najis terlebih dahulu pada pakaian atau tubuh badan atau menukar pakaian yang terkena najis tersebut dengan pakaian yang bersih.

Namun yang menjadi kekeliruan di kalangan sebahagian orang, jika pakaian atau badan seseorang terkena percikan air daripada basuhan najis, adakah pakaian atau badan yang terkena percikan tersebut dihukumkan bernajis?

Hukum Air Basuhan Najis

Air basuhan najis atau dalam bahasa Arab dipanggil ghusalah an-najâsah bermaksud air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis, sama ada najis hukmiy atau najis ‘ainniy.

Dalam menentukan hukum air basuhan najis tersebut sama ada ia suci atau tidak, ulama mazhab Syafi‘e membahagikannya kepada dua:

1. Jika kadar air basuhan itu sedikit, hukumnya adalah najis kecuali apabila terdapat tiga syarat, iaitu:

i. Tempat bernajis yang dibasuh itu suci seperti tangan yang sebelumnya berdarah menjadi bersih setelah dibasuh.

ii. Tidak berubah sifat air iaitu rasa, bau dan warna.

iii. Tidak bertambah berat timbangan air basuhan setelah digunakan iaitu sesudah diambil kira kadar yang dihisap oleh benda yang dibasuh dan kadar kekotoran yang keluar di dalamnya (tidak menambah berat timbangan).

Daripada penjelasan di atas, air basuhan najis yang sedikit yang sudah terpisah dari tempat yang dibasuh masih dihukumkan suci selama mana memenuhi tiga syarat di atas. Akan tetapi ia tidaklah menyucikan untuk digunakan bagi mengangkat hadas.

Sebaliknya sekiranya sifat-sifat air tersebut berubah sama ada salah satu sifat atau kesemuanya, berat air tersebut menjadi bertambah dan tempat yang dibasuh belum lagi suci bersih, maka ia dihukumkan najis.

2. Jika kadar air basuhan itu banyak, maka dihukumkan suci selama mana sifat air iaitu bau, rasa dan warna tidak berubah walaupun tempat yang dibasuh belum lagi suci.

Adapun kadar air yang sedikit menurut mazhab Syafi‘e adalah kadar yang kurang dari dua qullah. Manakala kadar air yang banyak itu ialah kadar yang sampai dua qullah atau lebih. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: Apabila sampai (kadar) air dua qullah, tidaklah ia menanggung kekotoran. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas menunjukkan bahawa air yang sampai kadar dua qullah tidak akan menjadi najis dengan syarat tidak berubah bau, warna atau rasanya.

Kadar dua qullah ialah:

• Sukatan – lebih kurang 216 liter. • Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter.

Percikan Air Basuhan Najis Pada Pakaian Atau Badan

Apabila air basuhan najis terkena pada pakaian yang ingin dibawa sembahyang atau terkena pada tubuh badan, maka dalam keadaan ini untuk menentukan adakah pakaian dan tubuh badan itu suci daripada najis atau tidak adalah berbalik kepada hukum air basuhan najis itu sendiri.

Jika air tersebut terpercik daripada air basuhan najis yang dihukumkan najis kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang disebutkan di atas, maka pakaian tersebut dianggap bernajis dan tidak sah sembahyangnya jika dia memakai pakaian tersebut. Begitu juga jika percikan air terkena badan, umpamanya terkena anggota kaki, maka dia perlu membersihkan anggota yang terkena najis itu terlebih dahulu sebelum dia mendirikan sembahyang.

Akan tetapi jika air yang terpercik itu daripada air basuhan yang dihukumkan suci, maka pakaian yang terkena percikan air tersebut adalah dihukumkan suci begitu juga dengan anggota tubuh badan yang terkena percikan tersebut.

Oleh yang demikian, dalam menentukan status air basuhan najis itu sama ada najis ataupun tidak, hendaklah dilihat pada aspek kadar air itu sendiri. Kemudian dilihat pula pada aspek-aspek lain seperti; berlaku perubahan pada sifat-sifat air tersebut, berat timbangannya bertambah dan keadaan tempat bernajis yang dibasuh.

MANDI SUNAT SEMBAHYANG JUMAAT: Hukum, Waktu Dan Permasalahannya

Kebersihan merupakan suatu perkara yang sangat diutamakan dalam Islam. Selain menjadi syarat sah ibadat, kebersihan juga sangat dituntut sebagai cara hidup, etika bermasyarakat dan lain-lainnya, bahkan lebih besar daripada itu, kebersihan juga merupakan suatu ibadat. Antara contoh kebersihan yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam ialah pensyariatan mandi ketika hendak menghadiri sembahyang Jumaat. Sesungguhnya mandi sunat sembahyang Jumaat ini adalah mandi sunat yang paling utama di antara kesemua mandi-mandi sunat.

Antara sebab keutamaan mandi sunat sembahyang Jumaat itu ialah kerana kebesaran hari Jumaat itu sendiri. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memilih hari Jumaat sebagai suatu hari yang sangat istimewa bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, dengan menjadikannya sebagai hari besar mingguan bagi seluruh kaum Muslimin, dengan perintah mengadakan satu sembahyang khas bagi menandakan kebesaran hari Jumaat untuk menggantikan sembahyang Zhuhur. Pada hari inilah seluruh umat Islam, terutamanya kaum lelaki, hadir ke masjid-masjid untuk berkumpul dalam satu perkumpulan tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan rupa, bagi mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan sembahyang fardhu Jumaat. Hukum Dan Hikmah Pensyariatan Mandi Sunat Sembahyang Jumaat

Menurut ulama, sunat bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, dewasa ataupun kanak-kanak, merdeka ataupun hamba, bermuqim ataupun sedang musafir. Secara ringkasnya, sunat hukumnya bagi sesiapa sahaja yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi, sungguhpun orang tersebut tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat seperti perempuan atau hamba.

Ini berdasarkan sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa daripada kamu yang datang untuk mendirikan sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi. (Hadits riwayat Imam al-Buhkari dan Imam Muslim)

Dalam sebuah lagi hadits yang diriwayatkan dengan sanad yang shahîh daripada Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ, beliau berkata bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang hendak pergi (sembahyang) Jumaat daripada lelaki mahupun perempuan maka hendaklah dia mandi, dan siapa yang tidak pergi (sembahyang Jumaat) maka tidaklah (disyariatkan) baginya untuk mandi. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi) Daripada dua buah hadits ini, dapatlah difahami bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini hanya disyariatkan bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat sahaja, adapun orang yang tidak menghadirinya, mereka tidak dituntut untuk mengerjakannya.

Walau bagaimanapun, jika ditinggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidaklah ia sampai menjejaskan atau merosakkan sembahyang Jumaat, dan tidak pula ianya menyebabkan berdosa. Akan tetapi makruh hukumnya jika ia ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran.

Adapun antara hikmah mandi sunat sembahyang Jumaat ini disyariatkan, adalah untuk tujuan kebersihan, iaitu menghilangkan bau-bau kurang menyenangkan yang ada di tubuh badan kerana bau-bau ini dikhuatiri boleh mengganggu jemaah Jumaat yang lain. Di samping itu, ia mampu memberikan keselesaan kepada saudara-saudara seagama yang turut sama hadir ke masjid ketika itu.

Sunat berwudhu’ sebelum memulakan mandi sunat sembahyang Jumaat, sebagaimana ianya juga disunatkan dalam kesemua mandi sunat dan mandi wajib. Disunatkan juga mendirikan sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai menyempurnakan mandi-mandi sunat dan mandi-mandi wajib tersebut.

Waktu Mandi Sunat Sembahyang Jumaat

Waktu mandi sunat sembahyang Jumaat itu bermula setelah terbit fajar shâdiq, dan menurut ulama adalah tidak memadai jika ia dilakukan sebelum terbit fajar sadiq. Adapun mengakhirkannya sehingga hendak keluar rumah untuk pergi menghadiri sembahyang Jumaat adalah lebih afdhal, kerana ini lebih dekat dengan maksud pensyariatannya, iaitu untuk menghilangkan bau-bau tubuh badan yang kurang menyenangkan kerana menjaga keselesaan dan kemashlahatan jemaah-jemaah yang lain.

Mandi sunat sembahyang Jumaat ini habis waktunya setelah selesai sembahyang Jumaat, iaitu setelah imam memberi salam.

Jika bertembung dua keutamaan di antara mandi dan awal ke masjid, maka mandi ataupun gantiannya seperti tayammum adalah lebih diutamakan jika tidak dikhuatiri luput sembahyang Jumaat itu.

Permasalahan-Permasalahan Mandi Sunat Sembahyang Jumaat

1. Kaifiyyât yang paling afdhal dalam mengerjakan mandi sunat sembahyang Jumaat mahupun mandi-mandi sunat yang lain ialah dengan mengerjakannya sepertimana kaifiyyât mengerjakan mandi wajib.

2. Para ulama sepakat mengatakan bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidak akan batal dengan sebab berlaku hadas sama ada hadas kecil ataupun besar. Maka jika berlaku hadas kecil, memadailah dia berwudhu’ sahaja bagi mengangkat hadas kecil itu, dan jika berlaku hadas besar, memadailah dia mandi junub sahaja bagi mengangkat hadas besar tersebut.

3. Jika terdapat keuzuran syar‘i untuk menggunakan air, umpamanya kerana sakit ataupun kerana ketiadaan air, maka disunatkan untuk bertayammum, dengan meniatkan bahawa tayammum itu adalah sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat. Lafaz niatnya:

Ertinya: Sahaja aku bertayammum sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, tayammum ini juga boleh menjadi ganti kepada mandi-mandi sunat yang lainnya jika terdapat keuzuran untuk menggunakan air.

Menurut pendapat Imam al-Qalyubi, Imam asy-Syaubari, Imam asy- Syarwani Rahimahumullâh dan lain-lainnya, makruh bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat meninggalkan tayammum ini jika terdapat keuzuran syar‘i untuk menggunakan air. Hukum ini diqiyâskan daripada hukum makruh meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang telah disebutkan sebelum ini.

4. Imam an-Nawawi dan Imam asy-Syarbini Rahimahumullâh berpendapat bahawa barang siapa yang menyatukan dua mandi wajib dan mandi sunat, umpamanya dia berniat mandi junub bersama-sama dengan mandi sunat sembahyang Jumaat, maka sah dan diterima kedua-dua mandi tersebut.

Imam al-Bujairimi Rahimahullâh menambah: “Bahkan jika dituntut mandi-mandi sunat itu (dalam satu masa), umpamanya mandi Hari Raya, mandi sunat sembahyang Gerhana, mandi sunat sembahyang Ististqa’ dan mandi sunat sembahyang Jumaat, lalu dia berniat dengan salah satu daripada mandi-mandi sunat tersebut, maka dia akan memperolehi (pahala) kesemua mandi-mandi sunat yang dituntut daripadanya itu tadi kerana kedudukannya yang sama (semuanya adalah sunat), dan begitulah juga halnya bagi mandi-mandi wajib”.

5. Jika seseorang telahpun mandi sunat kerana sesuatu sebab, misalnya kerana Hari Raya, lalu berlaku lagi selepas itu satu perkara yang dituntut ke atasnya untuk mandi sunat, umpamanya kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat, maka tuntutan mandi sunat kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat itu tidak gugur, bahkan sunat baginya mandi sekali lagi kerana perkara-perkara yang baru berlaku itu.

6. Sunat dan lebih utama seorang yang sedang berpuasa meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini dan mandi-mandi sunat yang lain jika dikhuatiri ianya boleh membatalkan puasa. 7. Jika luput mandi sunat sembahyang Jumaat atau mandi-mandi sunat yang lainnya maka tidak perlu ia diqadha’ kerana waktu dan sebabnya telah luput, sepertimana yang telah difatwakan oleh Imam as-Subki Rahimahullâh. 8.

Kesimpulan

Harus diingat bahawa tatkala kita melakukan ibadat menghadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, pastikan kita berada dalam keadaan yang bersih dan kemas. Salah satu cara terbaik untuk membersihkan diri itu ialah mandi. Antara hikmah pensyariatan mandi yang paling utama, sama ada mandi sunat ataupun wajib, adalah supaya kita sentiasa dalam keadaan bersih dan suci. Ingatlah bahawa Allah Ta‘ala amat suka kepada orang yang sentiasa membersihkan diri sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

Mandi sunat sembahyang Jumaat, sungguhpun ianya hanyalah sunat, yang jika ditinggalkan tidaklah berdosa serta tidak pula menjejas atau merosakkan sembahyang Jumaat, akan tetapi mengerjakannya secara kurang sempurna sepertimana yang dituntut oleh syara’, atau mengabaikannya dengan memandang ringan terhadap tuntutannya merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana kedudukannya yang sangat tinggi di sisi Islam. Dalam satu riwayat muttafaq ‘alaih, Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ telah menceritakan bahawa pada suatu hari Jumaat, sedang bapanya Sayyidina ‘Umar al- Khaththab Radhialâhu ‘anhu menyampaikan khutbah Jumaat, beliau terlihat Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu baru masuk ke dalam masjid, beliau pun menegur:

Maksudnya: Waktu apakah sekarang ini?

Lalu Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu pun menjawab:

Maksudnya: Sesungguhnya tadi aku sangat sibuk, sehinggakan aku tidak sempat pulang dulu kepada keluargaku, lalu aku pun terdengar azan, maka aku tidak menambah (apa-apa selain daripada) berwudhu’.

Lalu Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu pun berkata lagi:

Maksudnya: Dan juga (hanya) berwudhu’? Sedangkan engkau telah mengetahui bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan supaya mandi. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat ini, jelas sekali bahawa Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu kurang menyenangi perbuatan Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu yang tidak mengerjakan mandi sunat sembahyang Jumaat padahal beliau sendiri mengetahui keadaan Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu yang ketika itu sangat sibuk dan telahpun lewat untuk pergi ke masjid. Ini menunjukkan betapa pentingnya mandi sunat sembahyang Jumaat itu sehinggakan Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu tidak menerima alasan yang telah diberikan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu itu tadi.

Riwayat ini sewajarnya menjadi teladan dan penyuntik semangat untuk lebih berusaha mengerjakan amalan-amalan yang disyariatkan, semata-mata kerana mencari rahmat dan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ walaupun ada kalanya suatu amalan itu pada penilaian kasar hanyalah sesuatu yang sangat mudah dan ringan sahaja, dan ada kalanya hikmah serta fadhilatnya hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja. Ingatlah bahawa setiap yang disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

LUQATHAH

PERIHAL LUQATHAH

Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang yang tercicir. Keciciran barang-barang berlaku di mana-mana, seperti di tempat-tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.

Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan bertindak memungut barang tersebut sama ada untuk menyerahkannya kepada polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya. Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau menyedekahkan barang tersebut. Apakah pandangan Islam tentang persoalan luqathah ini?

Definisi Luqathah Menurut Syara‘

Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu fiqh diistilahkan sebagai luqathah.

Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tanda-tanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang daripada pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Menurut ulama mazhab Syafi‘e, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga dipanggil luqathah.

Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu juga harta perang, bahan galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari kehidupannya sendiri.

Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘ seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah luqathah.

Daripada penjelasan di atas jelaslah bahawa barang atau benda yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.

Hukum Memungut Barang Tercicir

Memungut barang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:

1. Sunat.

Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang menjumpai barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.

Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, hukumnya harus menurut pendapat al-ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.

2. Wajib.

Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fâsiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.

3. Harus.

Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.

4. Haram.

Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka hukumnya adalah haram.

5. Makruh.

Makruh memungut barang luqathah ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya untuk menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang itu.

Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fâsiq memungut barang luqathah tersebut.

Orang fâsiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang yang melanggar larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tidak memberi sara hidup kepada isteri dan anak-anak, tidak mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka kepada ibu bapa, sakit hati dan hasad serta dengki kepada orang Islam.

Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?

Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadits-hadits yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh menggunakannya dan ia menjadi barang wadî‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia memungutnya, hendaklah dia melaksanakan langkah-langkah berikut:

1. Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.

2. Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.

3. Menyimpannya jika masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.

4. Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.

Hadits di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih dahulu bagi memudahkan usaha mengenal pasti pemilik sebenar apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.

Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain.

Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau pengakuan palsu.

Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:

1. Barang yang tidak tahan dan mudah binasa.

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan seperti timun dan tomato, maka orang yang menjumpainya boleh memungut dan memilih antara:

i. Memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang menuntutnya; atau

ii. Menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga bayaran barang itu.

2. Barang yang tahan melalui kaedah pemprosesan.

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, atau kepingan susu beku, maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menguntungkan seperti:

i. Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada; atau

ii. Memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk memproses selebihnya lagi.

3. Barang yang tidak mudah rosak atau tahan dengan sendirinya.

Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas, perak, buku atau anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya menjaganya selama tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam tangan, telefon bimbit atau dompet berisi wang yang merupakan antara barang yang sering tercicir pada masa ini.

Tempoh Dan Waktu Penghebahan

Tempoh menghebahkan (mengiklankan) barang luqathah juga tertakluk kepada nilai dan jenis barang tersebut.

Pada dasarnya, tempoh penghebahan barang luqathah adalah selama satu tahun sebagaimana pendapat jumhûr termasuk ulama-ulama mazhab Syafi‘e kerana tempoh satu tahun itu adalah asal mu‘tabar setiap sesuatu di dalam syara‘.

Tempoh satu tahun penghebahan itu bermula dari saat mula menghebahkan. Tidak perlu menghebahkan dengan meratai (meliputi) sepanjang waktu di dalam satu tahun. Tidak perlu menghebahkan pada waktu malam atau pada sepanjang (seluruh) hari, bahkan pada peringkat awal, memadai dengan menghebahkan pada waktu pagi dan petang. Kemudian setelah berlalu satu minggu, cukup melakukan penghebahan sekali sahaja dalam sehari, kemudian dengan dua kali setiap satu minggu atau sekali sahaja setiap satu minggu, kemudian satu kali dalam setiap satu bulan.

Walau bagaimanapun, ulama sepakat membolehkan untuk tidak menghebahkan dan langsung sahaja memiliki dan mengambil manfaat daripada barang luqathah yang remeh, yang dirasakan tidak dihiraukan oleh pemiliknya seperti sebiji kurma, habuk-habuk roti, habuk kayu atau besi, kain-kain perca atau yang seumpamanya.

Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘e, barang luqathah yang sedikit kadarnya, ataupun apabila ditukar menjadi wang juga akan mendapat nilai wang yang sedikit, umpamanya satu dirham, (kira-kira 50 sen), maka tidak usah dihebahkan selama setahun, cukuplah menyiarkannya setakat kadar sekira-kira ada persangkaan bahawa orang yang kehilangan itu sudah tidak lagi mempedulikan barangnya itu menurut kebiasaan.

Batasan sedikit itu pula adalah barang yang sekira-kira orang yang menemukannya mempunyai dugaan kuat bahawa pemilik yang kehilangan itu tidak terlalu susah disebabkan kehilangan barang itu dan biasanya tidak akan mencarinya terlalu lama.

Tempat Menghebahkan

Pada masa dahulu, penghebahan hendaklah dilakukan di pasar-pasar dan pintu-pintu masjid kerana kedua-duanya merupakan tempat yang sering dikunjungi orang ramai dan tempat berkumpul. Besar kemungkinan di situ ada pemilik barang berkenaan.

Begitu juga penghebahan hendaklah dilakukan di tempat barang tersebut dijumpai sebab pemiliknya tentu akan mencari barangnya yang tercicir di sekitar tempat itu.

Dilarang melakukan penghebahan di dalam masjid kerana tujuan penghebahan ialah pemberitahuan kepada orang ramai untuk mencari pemilik barang sedangkan masjid dibina bukan untuk tujuan demikian.

Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mendengar ada orang membuat pengumuman mencari barangnya yang tercicir (hilang) di dalam masjid, maka hendaklah (orang yang mendengar itu) berdoa supaya barang itu tidak dijumpai kerana masjid dibina bukan untuk perkara sedemikian. (Hadits riwayat Muslim)

Pada masa ini, selain daripada tempat-tempat yang dinyatakan, penghebahan juga boleh dibuat dengan mengiklankan di dalam akhbar, radio, televisyen atau yang terkini melalui internet. Cara ini mungkin lebih berkesan.

Alternatif lain ialah dengan menyerahkan barang luqathah itu kepada pihak polis. Ini kerana lazimnya pemilik barang tersebut akan atau telah membuat laporan mengenai barangnya yang tercicir atau hilang itu ke balai polis dan laporan tersebut direkodkan. Apabila kita menyerahkannya kepada pihak polis, usaha mencari barang tersebut menjadi mudah dan pemiliknya akan mendapat balik barangnya yang tercicir itu.

Antara contoh situasi menjumpai luqathah yang sering berlaku pada masa ini:

• Jika menjumpai barang luqathah di kompleks membeli-belah atau yang seumpamanya dan khuatir barang itu akan hilang, maka menyerahkannya kepada pihak pengurusan kompleks berkenaan juga adalah tindakan wajar kerana lazimnya pemilik

barang akan merujuk kepada mereka mengenai barangnya yang tercicir. Tambahan lagi kebanyakan kompleks awam masa ini ada menyediakan ruangan Lost and Found yang juga bertujuan untuk lebih memudahkan.

• Di zaman serba canggih ini orang selalu tercicir atau tertinggal alat-alat elektronik kecil milik mereka seperti telefon bimbit dan komputer riba di tempat-tempat awam. Untungnya, alat-alat seperti ini biasanya ada menyimpan data pemilik juga nombor untuk dihubungi dan ini memudahkan urusan menjejaki pemiliknya. Orang yang menemuinya boleh terus menghubungi pemilik barang untuk menyerahkan kembali barang tersebut.

Tindakan-tindakan seperti ini juga ternyata bermaksud untuk menjejaki pemilik dan mengembalikan barang tercicir itu kepada pemiliknya yang sebenar.

Adakah Boleh Dimiliki Barang Luqathah Yang Dijumpai?

Memungut barang luqathah merupakan suatu amalan yang dituntut, namun orang yang memungutnya tidak boleh mengambil dan memiliki barang yang dipungutnya itu dengan sesuka hati kerana ia adalah barang amanah atau wadî‘ah. Orang yang memungut barang luqathah adalah pemegang amanah.

Wajib ke atas orang yang memungut barang luqathah itu mengeluarkan belanja untuk membuat penghebahan atau pengiklanan barang luqathah tersebut jika dia memungutnya dengan niat untuk memilikinya, walaupun niat untuk memilikinya berlaku setelah niat asalnya untuk menjaga, atau jika tidak sampai dimilikinya sekalipun. Ini disebabkan dia diwajibkan membuat penghebahan.

Jika dia tidak bertujuan hendak memiliki barang luqathah tersebut, seperti dipungut untuk dipelihara dan tiada tujuan untuk memiliki atau ikhtishâsh (khas baginya), maka perbelanjaan untuk membuat penghebahan diambil dari Baitulmal atau tuan punya luqathah.

Apabila orang yang memungut barang itu sudah menghebahkannya dan dia gagal menemukan pemilik barang tersebut, kemudian dia bermaksud untuk memilikinya, maka bolehlah dia memilikinya dengan syarat jika pemilik barang menuntutnya, dia akan mengembalikannya ataupun menggantinya.

Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘e, hendak memiliki luqathah perlu disertakan lafaz seperti: “Aku miliki barang ini” atau dengan lafaz simbolik yang membawa maksud untuk memiliki.

Apabila seseorang menjadikan barang luqathah sebagai miliknya, kemudian pemilik yang sebenarnya datang, jika barang itu berupa barang yang ada bandingannya, maka haruslah dia mengganti dengan yang serupa dengannya. Jika tidak ada bandingannya, maka harus dia mengganti mengikut harganya pada waktu dia memiliki. Hal ini telah ditetapkan oleh Imam Rafi‘i dan lain-lain ulama.

Jika pemiliknya tidak redha dengan barang gantian, maka wajiblah dikembalikan barang luqathah itu berserta tambahan atau lebihan yang berhubung dengannya, dan tambahan yang bercerai dengan barang luqathah tersebut jika tambahan itu muncul sebelum ia (luqathah) dimiliki oleh orang yang memungutnya.

Demikian juga sekiranya barang tersebut rosak ataupun lenyap setelah dimilikinya, wajib ia diganti dengan seumpamanya jika ada, atau harganya jika tidak ada seumpamanya semasa pemilikan.

Wajib juga membayar imbuhan di atas kekurangan disebabkan aib atau kecacatan yang berlaku setelah dimiliki.

Sekiranya barang itu rosak dan lenyap sebelum pemilikan berlaku tanpa kelalaian, maka tidaklah tertanggung ke atas orang yang menjumpai itu untuk menggantinya balik.

Tidak boleh dimiliki sama sekali barang yang dijumpai di tanah haram. Begitu juga tidak boleh sama sekali bagi orang yang berlaku khianat terhadap barang yang dipungutnya itu memiliki barang tersebut.

Selain itu, memperniagakan barang luqathah juga tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati. Dilarang menjualnya selama tempoh penghebahan dilakukan kerana barang luqathah adalah barang amanah dan perbuatan menjual atau seumpamanya boleh menyebabkan barang itu terdedah kepada kerosakan, hilang atau menjadi kurang kerana setiap perniagaan pasti mendatangkan risiko kerugian jika tidak mendapat keuntungan.

Sekiranya barang itu dijual di dalam tempoh penghebahan maka orang yang menjumpai itu bertanggungjawab terhadapnya atau terhadap sebarang kekurangan atau kerugian yang berlaku dan wajib pula ke atasnya mengembalikannya berserta tambahan yang ada jika mendapat keuntungan.

Demikian juga setiap barang luqathah boleh disedekahkan sebagaimana pendapat jumhûr ulama fiqh, dengan syarat tempoh penghebahan hendaklah berlalu dan ia disedekahkan kepada orang-orang fakir dan miskin.

Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa barang luqathah yang bukan remeh dan tidak mudah rosak adalah tidak boleh dimiliki atau dijual dengan sesuka hati. Jika berhajat untuk memiliki atau menjualnya hendaklah ia mengikut lunas-lunas yang telah digariskan syara‘ dan bersedia untuk menggantinya jika ada pemilik yang menuntutnya.

Barang siapa yang terjumpa barang luqathah, lalu dia mengambilnya dengan tujuan untuk menjaganya dan menyerahkannya balik kepada pemiliknya, maka dia telah menolong dan berbuat kebajikan kepada pemiliknya itu, di samping mendapat ganjaran pahala.

Ketahuilah, selain membantu dan menolong harta seseorang, amalan ini juga boleh menjaga dan memelihara harta daripada binasa dan hilang begitu sahaja. Menjaga harta sesiapa pun merupakan amalan yang terpuji.

Pensyaria‘atan memungut barang luqathah dan bertanggungjawab terhadapnya ternyata memberi keuntungan terhadap si pemilik kerana dia mendapat balik barangnya yang hilang, jika tidak pun, orang yang menjumpai barang itu dapat memanfaatkannya ataupun dia boleh menyerahkannya kepada hakim atau Baitulmal agar dapat diuruskan untuk kepentingan dan kebaikan umat bersama. Dengan cara beginilah harta benda individu di dalam Islam terpelihara dan dapat dimanfaatkan bersama.

NIKAH

BOLEHKAH MENIKAHI PEREMPUAN HAMIL KERANA ZINA?

Zina merupakan sekeji-keji perbuatan dan adalah salah satu daripada dosa-dosa besar selain daripada dosa syirik kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dosa membunuh tanpa hak yang dibenarkan oleh syara‘ dan lain-lain lagi. Pengharaman perbuatan zina disebutkan di dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isrâ’:32)

Banyak akibat buruk yang berlaku disebabkan perbuatan zina. Ia menjadi punca kerosakan pada dua perkara yang wajib dipelihara oleh setiap umat Islam iaitu kerosakan terhadap maruah dan kerosakan pada nasab.

Dengan perlakuan zina itu, pasangan yang berzina telah menjatuhkan maruah diri. Ini kerana Islam membenarkan umatnya untuk melakukan persetubuhan hanya dengan suami atau isteri masing-masing. Dengan perlakuan zina juga kadang-kadang menyebabkan terhasilnya kandungan anak di luar nikah. Ini sudah tentu memporak-perandakan jalinan nasab keturunan yang wajib dipelihara.

Bolehkah Menikahi Perempuan Yang Sedang Hamil Disebabkan Zina?

Syariat Islam telah menggariskan syarat-syarat sah bagi seorang perempuan yang hendak dinikahi ialah:

1. Hendaklah dia tidak ada ikatan pernikahan (bukan isteri orang).

2. Bukan dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain.

Jika perempuan tersebut masih lagi isteri orang atau masih dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddah cerai atau kematian suami, maka haram bagi lelaki lain bernikah dengan perempuan tersebut.

Dalam perkara ‘iddah pula, seorang isteri yang ditalak atau kematian suami hendaklah memastikan bahawa tempoh ‘iddahnya telah selesai sebelum bernikah dengan lelaki lain. ‘Iddah bagi isteri yang ditalak suami ialah tiga kali qurû` iaitu tiga kali suci daripada haidh bagi perempuan yang masih haidh dan tempoh tiga bulan bagi perempuan yang sudah putus haidh (menopause) atau belum pernah didatangi haidh (belum bâligh), manakala ‘iddah bagi isteri yang kematian suami pula ialah empat bulan sepuluh hari.

Jika isteri yang ditalak atau kematian suami itu hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah setelah dia melahirkan anak yang dikandungnya. Apabila dia telah selasai melahirkan, maka barulah perempuan tersebut halal bernikah dengan lelaki lain. Tetapi, jika perempuan itu masih lagi hamil, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana masih lagi dalam tempoh ‘iddah.

Adapun hukum bernikah dengan perempuan yang hamil disebabkan zina adalah harus, tidak sama dengan hukum perempuan yang hamil disebabkan pernikahan yang sah. Hukum bernikah dengan perempuan hamil disebabkan zina adalah harus, sebagaimana pendapat para ulama, antara mereka: Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjima‘nya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam).

Imam asy-Syirazi Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Jika seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, tidak haram ke atasnya (lelaki itu) menikahinya berdasarkan firman Allah Ta‘ala: “…Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan yang lain daripada tersebut itu…” (An-Nisâ’: 24). Dan ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan tentang seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang perempuan, kemudian dia berhasrat menikahi perempuan tersebut atau anak perempuannya, maka Baginda pun bersabda: “Yang haram itu tidak mengharamkan yang halal”. Adapun diharamkan (perempuan itu) hanyalah dengan sebab perempuan itu ada ikatan nikah (dengan orang lain).

Zina Tidak Membawa Kepada Hubungan Kekeluargaan Atau Persemendaan

Hubungan pasangan yang melakukan zina terhadap ahli keluarga masing-masing adalah asing. Di dalam kitab al-Majmû‘, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ mengatakan:

Ertinya: Perbuatan zina tidak mengharamkan perkara yang halal.

Bahkan apabila seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan tidaklah haram bagi lelaki tersebut untuk mengahwini anak perempuan atau emak si perempuan yang dizinainya. Begitu juga tidak haram bagi perempuan tersebut untuk bernikah dengan anak lelaki atau bapa si lelaki yang berzina dengannya.

Melainkan jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang dizinanya itu, barulah wujud hubungan kekeluargaan atau persemendaan. Maka haram bagi lelaki berkenaan berkahwin dengan ibu perempuan tersebut, kerana dengan perkahwinan, si ibu telah menjadi mahram kepada lelaki tersebut sebagai ibu mentuanya dan haram berkahwin untuk selama-lamanya. Begitu juga haram ke atasnya mengahwini anak perempuan kepada perempuan tersebut jika telah berlaku ‘dukhûl’ setelah mereka berkahwin. Bagi perempuan itu pula adalah haram berkahwin dengan bapa lelaki berkenaan kerana dengan berkahwin, si bapa telah menjadi mahram perempuan itu sebagai bapa mentuanya dan diharamkan berkahwin buat selama-lamanya.

Jelas di sini bahawa dengan jalan pernikahan sahajalah yang mewujudkan hubungan kekeluargaan atau persemendaan.

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan dan dia tidak menikahi perempuan itu, maka makruh hukumnya bagi lelaki tersebut mengahwini anak perempuan hasil daripada perzinaan dengan perempuan yang dizinanya itu, sebagaimana katanya yang disebutkan di dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Aku tidak menyukai lelaki itu (yang berzina) menikahinya (anak perempuan kepada perempuan yang berzina dengannya). Akan tetapi jika dia menikahinya, aku tidak akan memfasakhkannya.

Di dalam kitab al-Minhâj, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Anak) perempuan yang terjadi daripada perzinaan adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu).

Perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh ini kemudiannya disyarahkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj. Beliau berkata:

Ertinya: (Anak) perempuan yang terjadi daripada air mani secara zina, sama ada perempuan (ibunya) yang dizina itu rela atau sebaliknya, sama ada perempuan itu jelas berasal daripada air maninya (air mani lelaki yang menzina itu) atau tidak, adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang menzina itu) kerana perempuan itu dianggap orang asing kepadanya, kerana air mani menerusi zina tidak mempunyai kehormatan hukum dengan berdasarkan kepada penafian segala hukum nasab, seperti perwarisan dan lain-lain daripada perempuan yang berasal daripada air mani zina itu.

Ini menunjukkan bahawa anak yang lahir hasil daripada perzinaan tidak ada kaitan nasab kepada orang yang berzina dengan ibunya. Maka dengan itu lelaki berkenaan boleh bernikah dengan anak zina itu, kerana anak zina tersebut tidak menjadi mahram kepada lelaki berkenaan.

Melalui keterangan di atas jelas bahawa pasangan yang melakukan zina tidak haram mengahwini ahli keluarga pasangan yang dizinanya selama mana kedua-duanya tidak berkahwin.

Perlu diingat bahawa pengharusan syara‘ kepada lelaki untuk mengahwini perempuan yang hamil disebabkan zina (yang tidak ada ikatan perkahwinan dan bukan dalam tempoh ‘iddah), tidaklah bermakna bahawa perbuatan zina ini boleh sewenang-wenangnya dilakukan. Hukuman sebat bagi lelaki atau perempuan bujang yang melakukan zina dan hukuman rejam bagi yang telah berkahwin yang telah ditetapkan oleh syara‘ bagi sesiapa yang melakukan jenayah zina, jelas menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah perbuatan yang amat keji.

Selain itu juga, balasan di akhirat kelak pula lebih dahsyat lagi jika pelakunya tidak bertaubat, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘), dan tidak pula berzina; dan sesiapa yang melakukan yang demikian, akan mendapati balasan dosanya: Akan digandakan baginya azab seksa pada Hari Kiamat, dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta megerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani. (Surah al-Furqân: 68-70)

MAHRAM

BUKAN SEMUA AHLI KELUARGA BOLEH BERJABAT TANGAN

Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini.

Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram. Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu.

Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya.

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebab-sebab yang tertentu:

Pertama: Mahram kerana keturunan. Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan. Ketiga: Mahram kerana perkahwinan.

Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut:

1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 3. Adik-beradik perempuan seibu sebapa. 4. Adik-beradik perempuan sebapa. 5. Adik-beradik perempuan seibu. 6. Emak saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas.

7. Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan (anak kemanakan).

Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan. (Hadits riwayat Muslim)

Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam al-Qur’an melalui firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an- Nisâ’ ayat 23.

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut:

1. Emak mentua. 2. Anak menantu. 3. Emak tiri. 4. Anak tiri.

Oleh itu, perempuan-perempuan daripada ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah.

Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perempuan mahram.

Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah:

1. Isteri kepada adik-beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa). 2. Isteri kepada adik-beradik emak. (emak saudara sebelah emak). 3. Adik-beradik bapa mertua perempuan. 4. Adik-beradik emak mertua perempuan. 5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik-beradik isteri). 6. Kakak ipar. 7. Adik ipar perempuan.

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah:

1. Sepupu perempuan. (anak adik-beradik bapa atau emak) 2. Sepupu bapa. 3. Sepupu emak.

Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah. Dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata: “Dan tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadits yang lain lagi, diriwayatkan oleh Malik, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu:

Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘at (pengakuan taat setia) dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak- anak kami, tidak menipu dan tidak ingkar kepada Tuan hamba di dalam kebaikan.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya.” Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami daripada diri kami sendiri. Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.” (Hadits riwayat Malik, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Daripada hadits-hadits yang telah disebutkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram. Ini berdasarkan kepada hadits yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isterinya, dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan pada waktu membai‘ah (menerima pengakuan taat setia) daripada mereka. Maka apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak bersalaman dengan para perempuan pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, ini menunjukkan bahawa bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah pada keadaan-keadaan atau perjumpaan-perjumpaan biasa adalah terlebih-lebih utama dilarang.

Oleh kerana itu, kita perlulah memerhati dengan teliti dan berhati-hati dengan siapa kita boleh bersalaman dan dengan siapa kita dilarang untuk bersalaman, kerana apa yang kita dapati dan kita lihat di kalangan masyarakat kita, ramai yang bersalaman dengan orang-orang yang disangkanya boleh bersalaman, akan tetapi sebenarnya ia adalah dilarang (haram).

Ancaman bersalaman atau berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani dan al- Baihaqi iaitu:

Maksudnya: Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.” (Hadits riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)

Bayangkanlah bagaimana seseorang ditusuk atau dicucuk kepalanya dengan sebatang jarum, tentulah amat sakit, dan kesakitan itu terlebih baik baginya daripada dia melakukan dosa menyentuh perempuan ajnabiyyah. Ini membayangkan kepada kita betapa besarnya dosa akibat perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh itu.

Adapun hikmat kenapa kita diharamkan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, antaranya bahawa perempuan itu adalah sebesar-besar fitnah atau dengan kata lain, fitnah yang paling memudharatkan lelaki seperti boleh merangsang syahwat dan menarik perhatian. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku, fitnah yang lebih mudharat ke atas kaum lelaki daripada fitnah kaum perempuan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, kita diharamkan melihat batas-batas yang diharamkan dilihat bagi perempuan-perempuan yang bukan mahram, kerana mereka boleh merangsang syahwat, mendatangkan fitnah dan menarik hati untuk terpaut kepada mereka. Bertolak dari sini, dapatlah kita tanggapi bahawa larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu merupakan jaminan keselamatan bagi kita daripada fitnah. Oleh itu, wajiblah bagi kita menjauhi perkara yang berbahaya itu.

Sebagai kesimpulan, tidak semua dalam kalangan ahli keluarga kita boleh kita bersalaman atau berjabat tangan dengan mereka sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Dengan adanya pengetahuan mengenai batasan bersalaman atau berjabat tangan sesama ahli keluarga yang bukan dikategorikan sebagai mahram kerana perkahwinan ataupun mahram kerana keturunan, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak terjadi perlanggaran batasan-batasan yang telah ditentukan dalam hukum syara‘.

PERAYAAN

JANGAN MEMERIAHKAN PERAYAAN AGAMA LAIN WALAU SEKADAR SUKA-SUKA

Kemeriahan hari-hari perayaan yang disambut oleh penganut agama lain kadang-kadang menggamit sesetengah orang Islam untuk turut sama meraikannya.

Perlu kita sedar bahawa setiap perayaan agama lain yang diadakan itu bukan hanya sekadar sambutan semata-mata, tetapi juga sebagai memperingati sejarah perayaan tersebut yang tentunya mempunyai hubung kait dengan agamanya. Dalam kemeriahan menyambut perayaan seumpama itu, wujud kepercayaan atau amalan yang tidak sesuai dan jelas ditolak oleh Islam. Kadang-kadang kepercayaan itu juga diselitkan dalam bentuk hiburan, dengan membawa maksud sama ada untuk memeriahkan suasana perayaan atau tujuan keagamaan yang tidak disedari.

Oleh kerana itu, orang-orang Islam perlu berhati-hati agar tidak mudah terikut-ikut dengan perayaan sedemikian yang langsung tidak ada kaitannya dengan Islam. Ini kerana apa yang ditakuti daripada perbuatan terikut-ikut ini ialah tasyabbuh (penyerupaan) yang tanpa disedari boleh menyentuh kesucian aqidah umat Islam.

Sebagai contoh, sempena perayaan hari Krismas, terdapat orang-orang Islam yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak, para remaja dan orang-orang dewasa yang kelihatan memakai topi, pakaian ‘Santa Claus’ atau pakaian ikon keagamaan mereka yang lain yang diedarkan oleh beberapa premis perniagaan bagi tujuan memeriahkan suasana perayaan tersebut.

Contoh dari segi penyerupaan yang lain pula ialah terdapat segelintir orang yang turut serta dalam ‘Halloween party’ yang diadakan oleh kawan-kawan, sedangkan dia mengetahui bahawa perayaan tersebut langsung tiada kaitannya dengan Islam. Halloween yang juga dikenali sebagai All Hallows’ Eve atau Evening merupakan antara hari-hari perayaan orang bukan Islam. Ia disambut atau dirayakan pada 31hb. Oktober setiap tahun. Antara tujuan perayaan ini dirayakan adalah untuk menandakan kedatangan roh-roh orang mati melawat semula kediaman mereka dan wujudnya kepercayaan mengenai dengan hantu, tukang sihir, syaitan dan seumpamanya berkeliaran pada hari tersebut.

Persoalannya, apakah pandangan Islam mengenai perkara seumpama ini?

Orang Islam dilarang menyerupai amalan agama lain dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah mereka.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu anhumâ, Rasulullah Shallallâhu alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa menyerupai (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu). (Hadits riwayat Abu Daud)

Di dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abu Daud, disebutkan pendapat Imam al-Munawi dan Imam al-‘Alqami Rahimahumallâh bahawa maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu kaum itu ialah sebagai berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu tidak hanya terhad kepada perayaan keagamaan dan budaya mereka, bahkan orang-orang Islam perlu berhati-hati terhadap maksud penyerupaan tersebut. Umpamanya penyerupaan dari segi pakaian yang khusus pada sesuatu agama atau pakaian khusus yang menjadi kepercayaan sesuatu agama atau menjadi simbol perayaan sesuatu agama, apalagi jika dia suka atau berniat untuk menyerupai sesuatu agama itu.

Menyentuh mengenai penyerupaan dengan orang bukan Islam dari segi berpakaian yang menjadi lambang atau tanda khusus yang membezakan mereka dengan orang-orang Islam; tersebut di dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn, susunan Imam an- Nawawi Rahimahullâh, menurut pendapat yang shahîh bahawa orang yang memakai qalansuwah al-Majus (topi kecil yang dipakai oleh orang Majusi) di atas kepalanya, maka dihukumkan dia kufur.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula, memakai topi orang Majusi atau yang seumpamanya daripada pakaian-pakaian yang menunjukkan tanda atau simbol orang bukan Islam tidak menyebabkan kufur jika tidak disertai dengan niat.

Kesimpulan daripada perbahasan para ulama, pengarang Kitab Bughyah al- Mustarsyidîn, as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi Rahimahullâh mengatakan:

“Hasil daripada apa yang disebut oleh para ulama mengenai berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir (ialah); sama ada seseorang itu berpakaian dengan pakaian mereka (orang kafir) kerana suka atau cenderung kepada agama mereka (orang kafir) dan berniat untuk menyerupai mereka dalam simbol-simbol kekufuran, atau pergi bersama mereka (orang kafir) ke rumah-rumah ibadat mereka (orang kafir), maka yang demikian itu jadilah dia kufur dengan kedua-dua perkara tersebut.

“Dan sama ada dia tidak berniat sedemikian (tidak ada maksud hatinya untuk suka atau cenderung kepada agama kafir) bahkan maksud atau tujuannya hanya untuk tasyabbuh (penyerupaan) semata-mata dengan mereka pada simbol-simbol perayaan mereka atau sebagai penghubung kepada muamalat yang membolehkan (untuk) bersama mereka, maka orang tersebut berdosa.

Dan sama ada dia hanya sama dengan mereka (secara kebetulan sahaja) tanpa apa-apa maksud atau niat, maka hukumnya (adalah) makruh.”

Daripada apa yang dikatakan oleh as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdurrahman di atas dapat disimpulkan beberapa perkara, iaitu:

1. Seseorang itu dihukumkan kufur (keluar dari agama Islam) jika dia berpakaian dengan pakaian agama (yang khusus bagi) orang kafir disebabkan dia suka atau cenderung kepada agama mereka dengan niat untuk menyerupai mereka pada simbol-simbol kekufuran mereka.

2. Jika seseorang itu memakai pakaian orang kafir dengan tujuan menyerupai mereka pada simbol perayaan keagamaan mereka semata-mata tanpa perasaan suka atau cenderung pada agama mereka atau memakainya untuk membolehkannya bermuamalat bersama mereka, maka dia berdosa.

3. Makruh hukumnya dia memakai pakaian orang kafir secara kebetulan sahaja, iaitu tanpa maksud atau niat tertentu.

Daripada keterangan di atas, jelas bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) dengan orang kafir itu adalah dari segi perkara yang menunjukkan simbol-simbol kekufuran sama ada tingkah laku, pakaian, perayaan dan yang seumpamanya yang boleh menjejaskan aqidah Islam.

Walau bagaimanapun, tasyabbuh pada perkara kebaikan tidaklah dilarang. Begitu juga tasyabbuh pada tingkah laku positif selama ia tidak menjejaskan aqidah Islam dan tidak bercanggah dengan apa yang disyariatkan Islam. Perkara ini ada disebut oleh asy-Syaikh Abu Muhammad bin Abu Jamrah Nafâ‘ullâhu bih ketika menjelaskan hadits yang melarang kaum lelaki daripada menyerupai kaum perempuan, begitu juga sebaliknya. Beliau berkata:

“Zahir lafaz (hadits yang melarang kaum lelaki menyerupai kaum perempuan dan sebaliknya) adalah celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) pada semua perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan (celaan tersebut ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat-sifat, tingkah laku (perbuatan) atau pergerakan dan yang seumpamanya, bukan (celaan tersebut pada) tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.”

Sebagai kesimpulan, berhubung dengan perayaan orang-orang kafir ini, umat Islam dilarang untuk merayakan walaupun hanya dengan turut serta memeriahkan perayaan-perayaan keagamaan tersebut. Begitu juga dilarang menyerupai perbuatan-perbuatan khusus yang dilakukan ketika menyambut perayaan-perayaan keagamaan mereka serta dilarang memakai pakaian yang khusus pada sesuatu agama atau pakaian khusus yang menjadi kepercayaan sesuatu agama atau menjadi simbol perayaan sesuatu agama kerana ditakuti boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

MAKANAN

MAKAN YANG HALAL, IKUT CARA ISLAM

Dewasa ini kepentingan kesihatan semakin diambil berat oleh berbagai pihak memandangkan timbulnya pelbagai penyakit kronik yang antaranya boleh membawa kepada kematian. Banyak inisiatif yang dibuat bagi menjamin kesihatan fizikal seperti pengambilan makanan secara teratur dan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, memakan makanan yang halal serta cara pengambilan makanan yang betul menurut Islam juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kesihatan tubuh badan.

Kewajipan Mengambil Makanan Halal Dan Baik

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat Islam supaya memakan makanan yang halal dan baik sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Wahai manusia, makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. (Surah al-Baqarah: 168)

Perkataan    (lagi baik) bererti enak atau lazat.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap Muslim. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Hikmah Mengambil Makanan Yang Halal Lagi Baik

Kewajipan untuk memakan makanan halal bukanlah disebabkan ia berupa perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata, akan tetapi terkandung di dalam perintah tersebut banyak hikmahnya. Antaranya:

1. Selamat daripada api neraka.

Memakan makanan yang halal merupakan antara perkara yang menyelamatkan umat Islam dari api neraka kerana dengan memakan makanan yang haram ditakuti boleh mengakibatkan balasan api neraka berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tiap-tiap daging dan darah yang tumbuh daripada harta atau makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

2. Do‘a dimakbulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Memakan makanan yang halal menjadi antara penyebab do‘a dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makanan engkau, nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan do‘anya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

3. Menambah cahaya dalam hati dan melembutkannya.

‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘e Rahimahullâh ada menyebutkan bahawa memakan yang halal itu akan menambah cahaya kepada hati serta melembutkannya.

Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka kepada Hari Akhirat.

4. Menjadi penawar atau ubat.

Hikmah memakan makanan yang halal juga antaranya menjadi penawar atau ubat kerana Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh pernah berkata kepada Imam Ahmad Rahimahullâh:

“Wahai Ahmad! Adapun aku makan banyak, kerana aku tahu makananmu adalah daripada yang halal. Dan sesungguhnya engkau juga seorang pemurah, makanan orang pemurah adalah ubat, sedang makanan orang bakhil pula racun atau penyakit. Aku tidak makan (hanya) untuk kenyang, tetapi aku makan (juga) untuk berubat dengan makananmu itu, wahai Ahmad! Supaya aku sembuh (sihat), kerana makananmu daripada yang halal.”

Melalui ungkapan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh menunjukkan bahawa makanan yang halal itu adalah ubat, sementara makanan yang haram itu pula adalah penyakit.

Etika Makan Dan Minum Menurut Islam

Selain memakan makanan yang halal lagi baik, Islam mengajar dan memberikan panduan kepada umatnya dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan perbuatan dan amalan sehari-hari. Umpamanya etika ketika makan dan minum, Islam tidak terlepas pandang mengenainya, bahkan kebanyakannya dapat diambil daripada perbuatan dan teguran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Antara etika yang digariskan oleh syara‘ dalam perkara makan dan minum ialah:

1. Tidak berlebihan dalam pengambilan makanan dan minuman sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan makan serta minumlah dan janganlah berebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-A‘râf: 31)

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang hamba-hambaNya daripada berlebih-lebihan atau melampaui batas ketika makan dan minum. Apa yang dituntut adalah makan dan minum dengan sekadarnya.

2. Membasuh kedua-dua tangan sebelum dan selepas makan untuk memastikannya bersih daripada kotoran.

3. Apabila makanan sudah dihidang dan tersedia untuk dimakan, sunat membaca do‘a yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Ya Allah, berkatilah bagi kami pada apa yang Engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkan kami dari azab (api) neraka. (Hadits riwayat Ibnu as-Sunniy)

4. Memulakan makan dan minum dengan membaca:

Ertinya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Apabila seseorang makan atau minum tanpa menyebut ucapan Basmalah, maka syaitan akan turut sama makan atau minum bersamanya. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”. Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun jika terlupa membacanya pada permulaan waktu makan atau minum, maka memadailah membacanya pada pertengahan makan atau minum dengan lafaz:

Ertinya: Dengan nama Allah pada awalnya dan pada penghujungnya.

Perkara ini diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu makan maka sebutlah nama Allah Ta‘ala pada awalnya. Apabila dia terlupa menyebut nama Allah

(Hadits riwayat Abu Daud)

5. Makan dan minum dengan menggunakan tangan kanan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Wahai budak, sebutlah nama Allah Ta‘ala (ucapan Basmalah) dan makanlah dengan tangan kananmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

6. Sunat makan dengan menggunakan tiga jari mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

7. Tidak menghembuskan nafas di dalam cawan atau gelas minuman ketika minum.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu minum maka janganlah dia bernafas di dalam bejana. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

8. Mendahulukan memakan buah-buahan sebelum memakan makanan yang lain.

Di dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mendahulukan menyebut buah-buahan sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan (juga dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih. (Surah al-Wâqi‘ah: 20)

Kemudian barulah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyebut makanan daging sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini. (Surah al-Wâqi‘ah: 20)

Para ulama menyebutkan bahawa hendaklah didahulukan dengan memakan buah-buahan kemudian daging dan seterusnya halâwah (حالوة) iaitu manisan atau pencuci mulut.

9. Tidak mencela makanan halal yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa sebagaimana yang patut dicontohi daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda tinggalkannya. (Hadits riwayat Muslim)

10. Makruh makan bersandar atau makan berbaring.

11. Tidak berludah ketika sedang makan. Selain daripada larangan syara‘, berludah ketika sedang makan jelas tidak sopan apalagi jika makan bersama orang lain. 12. Tidak meniup makanan atau minuman.

13. Sunat minum secara tiga kali nafas. Pada tegukan yang pertama membaca bismillâh sementara membaca Alhamdulillâh pada tegukan yang terakhir.

14. Menghabiskan sisa makanan sama ada di jari mahupun di pinggan. Ini kerana orang tidak mengetahui di mana keberkatan makanan yang dimakan, ia mungkin saja ada pada sisa terakhir makanan itu.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia menjilat jari-jarinya. Maka sesungguhnya dia tidak mengetahui di mana (pada makanan tersebut) letaknya keberkatan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

15. Mengucap syukur ke hadhrat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atas kurniaan rezeki yang dilimpahkanNya kepada hambaNya.

Terdapat banyak do‘a yang boleh diamalkan ketika selesai makan, antaranya:

Ertinya: Segala pujian bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Kepentingan makanan halal lagi baik bukan hanya untuk kesihatan tubuh badan serta akal fikiran, bahkan yang lebih penting mempunyai hubungan yang rapat dengan penerimaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap ibadat seseorang Muslim. Amat-amatilah semula bahawa daging dan darah yang tumbuh daripada makanan dan harta yang haram, api neraka lebih utama baginya.

Oleh kerana itu, wajarlah setiap orang Islam prihatin terhadap makanan yang disuapnya adalah halal, berkhasiat serta tidak membahayakan serta seimbang menurut keperluan tubuh badan. Demikian itulah tuntutan dalam Islam termasuk etika ketika memakannya dalam keadaan beradab dan sopan.

KORBAN DAN AQIQAH

PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DI ANTARA KORBAN DAN AQIQAH

Pada dasarnya perkara korban dan aqiqah mempunyai banyak persamaan, cuma dalam beberapa perkara sahaja mempunyai perbezaan. Antara titik persamaan yang jelas di antara korban dan aqiqah itu ialah dari segi hukum melaksanakannya. Hukum melakukan korban dan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut).

Selain itu, korban dan aqiqah mempunyai persamaan dari segi jenis dan umur binatang yang boleh dijadikan korban atau aqiqah, keselamatannya daripada ‘aib (kecacatan), cara pembahagian daging, penerima daging, hukum memindahkan daging ke luar negeri, hukum melakukan kedua-duanya di luar negeri, hukum berkongsi binatang dengan niat berbeza dan larangan menjual daging korban dan aqiqah.

Jenis Binatang

Binatang yang sah disembelih menjadi korban, berserta syarat-syaratnya, juga sah disembelih menjadi aqiqah. Binatang yang dimaksudkan ialah unta dan lembu atau seumpamanya seperti kerbau, kambing atau seumpamanya.

Umur Binatang

Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan ibadat korban itu mestilah cukup umur. Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu menyembelih binatang korban melainkan musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah jadza‘ah daripada biri-biri. (Hadits riwayat Muslim)

Musinnah itu ialah ats-tsaniyyah (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing. Manakala jadza‘ah pula ialah anak kambing biri-biri yang berumur enam bulan hingga satu tahun. Secara ringkas, jenis binatang dan ukuran minimum (had paling rendah) umur bagi binatang yang hendak dibuat korban dan aqiqah itu ialah:

1. Unta - lima tahun. 2. Lembu - dua tahun. 3. Kerbau - dua tahun. 4. Kambing - dua tahun. 5. Kibasy satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan.

Selamat Daripada ‘Aib (Kecacatan)

Binatang korban itu mestilah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau ‘aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan.

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai perkara ini:

Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya, dan yang sangat kurus.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada hadits di atas, dapat difahami bahawa binatang yang tidak boleh dijadikan binatang korban itu ialah:

1. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dijadikan korban.

2. Binatang yang jelas tempang kakinya yang jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.

3. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka ia sah dibuat korban.

4. Binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya. 5. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semula jadi kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur dari dagingnya walaupun sedikit. Adapun yang tidak bertanduk atau patah tanduknya adalah sah dijadikan korban.

6. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semula jadi adalah sah dibuat korban. Tidak memadai yang terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong sesuatu yang nyata daripada pahanya.

7. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban.

8. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.

9. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban, manakala binatang yang tidak mempunyai zakar atau yang dikebiri adalah sah dijadikan korban.

Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan aqiqah pula, juga disyaratkan selamat daripada kecacatan sama seperti binatang korban sebagaimana yang diterangkan di atas.

Pembahagian Daging

Dalam korban sunat terdapat tiga pembahagian, iaitu:

1. Bahagian yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin.

2. Bahagian yang sunat diambil dan disimpan oleh orang yang berkorban sendiri, akan tetapi menyedekahkan kesemuanya adalah afdhal, kecuali sedikit untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan daripadanya khususnya hati binatang tersebut.

3. Bahagian yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya seperti kaum keluarga, sahabat handai dan seumpamanya.

Cara pembahagian daging aqiqah sunat pula tidak ada bezanya dengan cara pembahagian daging korban sunat.

Namun jika korban dan aqiqah tersebut adalah yang wajib, seperti korban dan aqiqah yang dinazarkan atau yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang, maka wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin.

Penerima Daging

Penerima daging korban itu, sama ada orang fakir dan miskin atau orang kaya disyaratkan mereka itu adalah orang Islam sebagaimana kata Sayyid al-Bakri Rahimahullâh:

Ertinya: Dan baginya (orang yang berkorban itu) boleh memberi makan orang-orang kaya iaitu memberi sesuatu daripada daging korban kepada mereka sama ada dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak sebagaimana (tersebut) di dalam kitab at-Tuhfah dan an-Nihâyah; dan disyaratkan mereka itu hendaklah terdiri daripada orang-orang Islam.

Begitu juga penerima daging aqiqah, disyaratkan mereka itu adalah orang Islam.

Memindahkan Daging Ke Luar Negeri

Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging itu ialah memindahkannya dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging itu dibahagi-bahagikan atau diagih-agihkan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan.

Dalam perkara ini, bahagian daging korban yang wajib diberikan kepada golongan fakir dan miskin tidak harus dipindah ke negeri lain. Dengan erti kata lain hendaklah diagihkan kepada golongan tersebut di negeri tempat berlakunya penyembelihan.

Adapun bahagian yang sunat disimpan untuk diri sendiri dan yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya adalah diharuskan untuk dipindahkan ke negeri lain.

Oleh itu, hukum dalam perkara memindah daging aqiqah, seperti menyembelih aqiqah di Brunei kemudian dibuat jamuan daripada daging tersebut di Malaysia adalah seperti juga halnya hukum memindah daging korban.

Melakukan Korban Atau Aqiqah Di Luar Negeri

Dalam ibadat korban, sebagaimana perbincangan ulama, perkara ini disebut sebagai memindah wang. Apa yang dimaksudkan dengan memindah wang di sini ialah memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.

Gambarannya ialah seorang orang tempatan yang mahu melakukan ibadat korban di negeri Makkah umpamanya, dengan erti kata dia mahu membeli binatang korban dan seterusnya menyembelihnya di sana. Menurut pandangan ulama perkara ini adalah diharuskan.

Cara pembelian binatang korban pula, sama ada:

1. Orang yang hendak berkorban itu sendiri pergi ke luar negeri dan melaksanakan sendiri segala urusan korban dari awal pembelian binatang korban sehinggalah penyembelihannya, ataupun;

2. Melantik wakil dan menyerahkan wang kepada wakil untuk melaksanakan urusan yang dimaksudkan. Ini kerana menurut syara‘, hukum wakâlah (perwakilan) atau melantik wakil dalam ibadat korban adalah harus.

Menurut ulama, aqiqah dalam perkara ini adalah serupa hukumnya dengan korban.

Berkongsi Binatang Dengan Niat Berbeza

Bagi seekor kambing yang hendak disembelih, sama ada tujuan menyembelihnya untuk korban ataupun aqiqah, maka seekor kambing itu tidak boleh dibahagi atau dikongsi melainkan cuma satu bahagian sahaja. Walau bagaimanapun harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana perkara ini telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri.

Sementara setiap seekor unta, lembu (sapi) atau kerbau pula boleh dibahagikan atau dikongsikan tidak melebihi daripada tujuh bahagian sekalipun dengan niat yang berbeza-beza. Umpamanya sebahagian inidividu menyembelih seekor binatang dengan niat korban, manakala sebahagian lagi dengan niat aqiqah. Begitu juga hukumnya adalah harus jika seekor unta, kerbau atau lembu disembelih sebagai aqiqah daripada seorang individu bagi 7 orang anaknya atau dikongsi oleh 7 orang yang berlainan.

Larangan Menjual Daging Korban Dan Aqiqah

Individu yang melakukan korban sunat dan aqiqah sunat adalah dilarang menjual sesuatu daripada binatang tersebut seperti daging, bulu atau kulit. Malahan hukumnya adalah haram dan jual beli itu dihukumkan tidak sah. Perbezaan Di Antara Korban Dan Aqiqah

Pada asasnya, aqiqah sunat itu kedudukan hukumnya adalah sama seperti korban sunat sepertimana yang telah dijelaskan, kecuali dalam beberapa aspek, iaitu:

1. Sifat daging yang disedekahkan.

Dalam korban sunat, bahagian daging yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin hendaklah dalam keadaan mentah lagi basah.

Berbeza dengan aqiqah sunat, daging aqiqah tidak wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam keadaan mentah akan tetapi sunat dimasak. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang demikian itu adalah sunnah, malahan lebih disukai berbanding menyedekahkannya dalam keadaan mentah. Lebih disukai juga jika daging yang sudah dimasak itu dihantar kepada golongan fakir dan miskin berbanding dengan cara memanggil mereka untuk mengambilnya di rumah orang yang beraqiqah. Hanya bahagian yang hendak diberikan kepada bidan yang menyambut kelahiran diberikan dalam keadaan mentah.

2. Pemilikan daging.

Dalam korban sunat, bahagian daging yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya adalah untuk dimakannya dan bukan untuk dimilikinya. Dengan erti kata lain, orang kaya tersebut tidak boleh menjual atau memberikan daging tersebut kepada orang kaya lain kecuali hanya untuk dimakannya serta tanggungannya.

Berbeza dengan aqiqah sunat, bahagian daging yang dihadiahkan kepada golongan kaya adalah untuk dimilikinya. Oleh yang demikian, harus bagi penerima daging aqiqah sekalipun dia kaya untuk memakan, menjual atau menghadiahkan daging aqiqah sunat yang dihadiahkan kepadanya itu kepada golongan kaya yang lain.

3. Waktu penyembelihan binatang.

Dari segi waktu, masa untuk berkorban hanya terhad pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Berbeza dengan aqiqah, ia tidak terikat dengan hari-hari tertentu. Dilaksanakan demi kelahiran anak dan sunat pada hari ketujuh setelah kelahiran.

Sebagai kesimpulan, korban sunat dan aqiqah sunat mempunyai beberapa persamaan dari aspek jenis dan umur binatang, keselamatannya daripada ‘aib, hukum memakan dan menghadiahkan daging, cara pembahagiannya dan beberapa perkara lagi.

Namun begitu, korban sunat dan aqiqah sunat berbeza dalam tiga perkara iaitu, dalam aqiqah sunat tidak wajib disedekahkan daging aqiqah kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Kedua, bagi golongan kaya yang dihadiahkan daging aqiqah, daging tersebut dimiliki olehnya. Dengan erti kata, penerima yang kaya boleh memakan, menjual atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain. Ketiga, waktu bagi melakukan aqiqah tidak terbatas masanya.

PERHIASAN

LELAKI MEMAKAI GELANG UNTUK TUJUAN PERUBATAN: Adakah Dibenarkan Syara‘?

Kesihatan yang baik merupakan impian setiap insan. Ajaran Islam sendiri menganjurkan supaya umatnya sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga dan meningkatkan kesihatan serta menjauhi segala macam penyakit dan kemudharatan. Bahkan, jika dinilai dan diamat-amati, dalam ibadat-ibadat yang disyariatkan oleh Islam sendiri banyak menyimpan rahsia yang semakin hari semakin terungkai dengan kemajuan ilmu sains dan perubatan. Misalnya ibadat sembahyang, pergerakan-pergerakan di dalamnya merupakan penawar kepada berbagai jenis penyakit zahir dan batin, di samping mampu memelihara tubuh badan dan meningkatkan daya kesihatan sebagaimana yang telah dibuktikan secara saintifik oleh kajian-kajian ahli pakar perubatan.

Bagaimanapun, sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terpesong tanpa bimbingan dan batasan-batasan syara‘ yang penuh dengan hikmah dan rahsia. Atas dasar ini, Islam telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi oleh umatnya dalam berubat mahupun dalam menjaga dan meningkatkan kesihatan. Jadi tidak semua kaedah perubatan mahupun kaedah kesihatan itu dihalalkan atau dibenarkan oleh syara‘.

Salah satu kaedah perubatan dan kesihatan yang mendapat tempat dan perhatian kebelakangan ini ialah pemakaian gelang magnet. Menurut beberapa sumber, ianya dikatakan mampu menjaga kesihatan di samping mampu mengubati dan menjauhi berbagai jenis penyakit. Namun dalam hal ini, timbul satu persoalan, apakah hukumnya jika gelang ini dipakai oleh kaum lelaki? Ini kerana sebagaimana yang dimaklumi, gelang adalah jenis perhiasan yang hanya boleh dipakai oleh kaum perempuan.

Secara fitrahnya, lelaki dan perempuan diciptakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berbeza bentuk rupa kejadian, berbeza kecenderungan, bahkan berbeza jenis pakaian serta perhiasan. Secara dasarnya menurut hukum syara‘, lelaki diharamkan meniru dan mengikut gaya keolahan perempuan dan diharamkan memakai pakaian-pakaian atau perhiasan-perhiasan khusus kaum perempuan dan begitulah juga sebaliknya.

Hukum Lelaki Memakai Gelang

Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan yang dari segi syara‘ hanya dikhususkan bagi kaum perempuan seperti gelang, rantai ataupun subang, tidak kira sama ada perhiasan-perhiasan tersebut diperbuat daripada emas, perak, besi, magnet, kayu atau sebagainya.

Perbuatan lelaki yang menyerupai atau meniru perempuan ataupun sebaliknya ini merupakan suatu dosa besar kerana dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Perkara ini berdasarkan sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam pengertian umum hadits ini, jelas sekali bahawa menurut hukum syara‘ kaum lelaki diharamkan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum perempuan, sama ada gaya keolahan, pergerakan, perbuatan, perhiasan, pakaian, cara bercakap dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya, diharamkan ke atas perempuan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum lelaki.

Hukum Lelaki Memakai Gelang Untuk Kesihatan

Mengikut pengertian hadits yang telah disebutkan tadi, bahawa pada dasarnya kaum lelaki diharamkan memakai gelang kerana ia merupakan perhiasan kaum perempuan.

Walau bagaimanapun, diharuskan bagi kaum lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu untuk memakai gelang jika terdapat keuzuran yang diiktiraf oleh syara‘. Ini diqiyâskan daripada pengharusan syara‘ bagi kaum lelaki untuk berinai apabila terdapat keuzuran yang mengharuskannya sebagaimana yang dikatakan oleh Imam ar-Ramli Rahimahulâh: “Maka haram berinai ke atas kedua-duanya (lelaki dan khuntsâ) kecuali kerana ada keuzuran.”

Adapun keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ itu pula tertakluk kepada dua pensyaratan:

1. Kerana tujuan berubat.

2. Kerana tidak terdapat cara lain lagi untuk mengubat.

Jika kedua-dua syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ ini menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka diharuskan bagi lelaki itu memakai gelang atas dasar keuzuran.

Sebaliknya, jika tuntutan kedua-dua syarat ini tidak menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka tidak ada kelonggaran dari segi syara‘ yang mengharuskan lelaki itu memakai gelang, apatah lagi memakainya kerana mengikut keolahan perempuan, atau kerana suka-suka, atau semata-mata kerana mengikut perkembangan trend atau fesyen semasa.

Perlu diambil perhatian di sini bahawa keshahîhan fungsi gelang itu memang benar-benar ubat dan terbukti keberkesanannya, begitu juga keshahîhan bahawa cara tersebut adalah merupakan satu-satunya kaedah perubatan yang mampu menyembuhkan penyakit yang dihidap oleh si pesakit. Ini hendaklah disahkan oleh seorang ahli perubatan Islam yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘âdil).

Islam tidak menghalang umatnya daripada menjaga kesihatan, bahkan kesihatan itu sangat dititikberatkan oleh Islam. Ini kerana kesihatan yang baik sangat tinggi nilainya dan sangat besar peranannya dalam membantu insan melaksanakan tanggungjawab dan keperluan duniawi dan ukhrawi dengan lebih baik dan sempurna. Akan tetapi jangan sekali-kali dalam keghairahan menjaga kesihatan ini menyebabkan kita mengabaikan dan melanggar batasan syara‘, kerana yang demikian itu selain daripada menyebabkan dosa, ia juga menjauhkan keberkatan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Oleh yang demikian, selagi keberkesanan dan keshahîhan gelang magnet ini belum dapat dipastikan kebenarannya sebagai ubat, maka atas dasar taqwa, penggunaan gelang magnet ini sewajarnya ditinggalkan oleh kaum lelaki supaya tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang dilaknat kerana menyerupai perempuan. Kecuali ada kajian yang membuktikan kebenaran kaedah perubatan tersebut yang diiktiraf oleh seorang ahli perubatan Islam yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘adil).

Sebagai alternatif lain, masih banyak lagi kaedah serta bahan perubatan dan kesihatan yang dianjurkan oleh Islam seperti berbekam, air Zamzam, kurma, madu, habbah as-saudâ’ dan lain-lainnya, di samping kaedah-kaedah perubatan moden lain yang tidak menyalahi syara‘.

ADAB

PELIHARALAH ADAB KETIKA MENZIARAHI PESAKIT!

Islam sangat mengambil berat tentang kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturahim sesama Muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam untuk mengeratkannya ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim (yang lain) ada lima perkara: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.!” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita. Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia daripada kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.

Adab Ketika Ziarah

Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.

Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga ialah:

1. Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

2. Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap melakukan ziarah kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit yang dilawati ataupun orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.

Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa.

Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit. Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan. Begitu juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada orang sakit itu apabila dia tidak dilawati.

Ulama ada mengatakan bahawa melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.

3. Ketika berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepalanya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.

4. Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Disunatkan juga bertanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit itu terutama sekali apabila pesakit dalam keadaan tenat tidak boleh bercakap-cakap. Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.

5. Ucapkanlah kata-kata elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika dia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang.

Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang dialaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan insyâ’ Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi do‘a ialah:

Maksudnya: (Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insyâ’ Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari) 6. Disunatkan untuk mendo‘akan orang sakit supaya cepat sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.

Terdapat banyak hadits shahîh yang menyebutkan mengenai do‘a-do‘a yang boleh dibaca bagi memohon kesembuhan dan ke‘afiatan orang sakit, antara do‘a yang afdhal ialah membaca do‘a yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyembuhkannya:

Maksudnya: Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.

Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan, pengubatan secara ruqyah (jampi) yang merupakan sunnah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga boleh dilakukan apabila berziarah. Antara ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillâh”, kemudian meniup kepadanya seraya membaca mu‘awwidzât (surah al-Ikhlâsh, surah al-Falaq dan surah an-Nâs) atau do‘a perlindungan. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ ada meriwayatkan:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah meniup badan Baginda sambil membaca al-mu‘awwidzât di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca do‘a pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadits Muslim:

Ertinya: Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.

7. Dianjurkan untuk meminta orang sakit itu mendo‘akan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana do‘a orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendo‘akanmu, kerana do‘anya (makbul) seperti do‘a para malaikat.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

8. Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban yang ditanggung kerananya.

9. Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkara-perkara keji, syak, fitnah dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan). Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhumâ yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:

Maksudnya: Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam dirimu? (Hadits riwayat al-Bukhari)

10. Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.

11. Bagi orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan إله إال هللا ال agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.

Menghadapkannya ke arah qiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya dengan menghadapkan ke arah qiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah qiblat. Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah qiblat.

Sunat dibacakan di sisi orang sakit itu surah Yâsîn dengan jahr dan surah ar- Ra‘d dengan isrâr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan isrâr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh diri pembacanya sendiri. Sekurang-kurang jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya dan sekurang-kurang isrâr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa halangan untuk mendengar seperti tuli.

Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai (memupuk) sifat berkasih sayang, ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan sillaturahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri. Insyâ’ Allah dengan mengikut dan menjaga adab-adab yang ditetapkan, amalan menziarahi orang sakit ini akan menjadi lebih berkat. Amalan ini sangat dituntut kerana ia boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.

KAWAL KEMARAHAN: Perolehi Kebaikan, Elak Kerugian

Marah merupakan suatu perasaan semula jadi yang boleh berlaku kerana sebab-sebab tertentu pada bila-bila masa sahaja, sama seperti perasaan gembira, sedih, takut, terkejut dan selainnya. Memandangkan kesemua perasaan ini adalah tabi‘i manusia, agak sukar bagi mereka untuk menimbang atau mengukur sukat-sukat yang dikatakan keterlaluan atau di luar batasan. Bagaimanapun apabila ia berlaku apa yang wajar dilakukan ialah mengawal kembali perasaan-perasaan ini. Khusus memperkatakan tentang marah, jika ia tidak dikawal, boleh mengakibatkan kerugian, kesan negatif dan padah yang tidak diingini, sama ada pada diri sendiri mahupun pada orang di sekeliling.

Dalam Islam, marah secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu marah yang dipuji dan marah yang dikeji.

Marah yang dipuji itu umpamanya seseorang yang marah untuk mempertahankan suatu kebenaran dan perkara yang hak. Inilah di antara ciri-ciri sifat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berkaitan dengan marah, iaitu Baginda tidak marah melainkan pada hak Allah.

Marah yang dikeji itu seperti marah untuk mempertahankan perkara bâthil umpamanya mempertahankan nama, pangkat, kebesaran diri dalam majlis-majlis, bermegah-megah dengan ilmu pengetahuan dan bermegah-megah dengan harta. Hakikatnya, kebanyakan punca orang marah adalah kerana mempertahankan perkara-perkara yang tersebut di atas ini.

Menurut al-Imam Ibnu Hajar dalam az-Zawâjir marah yang dikeji itu merupakan dosa besar.

Penyebab Kemarahan Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Baginda merupakan seorang yang sangat penyabar, tabah, tidak mudah putus asa dan bersungguh-sungguh dalam menyebarkan syari‘at Allah. Namun, di sebalik kesabaran Baginda, terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga pernah marah dan menunjukkan perasaan marah Baginda itu. Namun kemarahan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak lain hanyalah kerana mempertahankan hak Allah dan kebenaran.

Dalam satu riwayat, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan bahawa ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu pelayaran, ‘Aisyah telah menabirkan biliknya dengan tabir nipis bergambar kuda yang mempunyai beberapa sayap. Sekembalinya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada pelayaran dan tiba di rumah, maka pada ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melihat akan gambar tersebut, tergambar di wajah Baginda perasaan tidak suka akan apa yang dilihatnya. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kemudian merosakkan gambar itu dan Baginda lontarkan. Baginda terus memerintahkan agar ‘Aisyah menanggalkannya, lalu ‘Aisyah pun menanggalkannya daripada pintu itu.(Hadits riwayat Muslim)

Adakah Marah Boleh Membatalkan Puasa Ramadhan?

Secara ringkas beberapa perkara yang membatalkan puasa itu antaranya adalah dengan senghaja makan, minum, bersetubuh di siang hari Ramadhan, muntah, memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga terbuka dan selainnya. Daripada penjelasan ringkas di atas, nyatalah bahawa marah itu sekalipun marah yang keji kerana mempertahankan sesuatu yang bathil adalah tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa, akan tetapi marah itu boleh meluputkan atau mengurangkan pahala puasa seseorang.

Perlu diingat bahawa agama Islam tetap menganjurkan untuk sentiasa menjaga lidah daripada berkata bohong, mencaci, memaki hamun, mendo‘akan yang buruk, mengeluarkan perkataan yang menyebabkan fitnah, permusuhan, salah-sangka dan perpecahan. Perkara sedemikian lebih dituntut untuk dielak ketika sedang berpuasa. Ini kerana ketika berpuasa itu kita dituntut untuk menjaga lidah agar tidak melenyapkan keberkatan puasa.

Malahan orang yang tidak dapat mengawal kemarahan dan gagal menanganinya adalah tergolong dalam kalangan orang yang melampaui batas dan orang yang lemah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun jika seseorang yang berpuasa itu terlalu marah sehingga menyebabkan dia pitam, pengsan atau tidak sedarkan diri, maka penjelasannya adalah seperti berikut:

1. Jika dia pengsan berpanjangan sepanjang hari bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, maka tidak sah puasanya.

Berbeza hukumnya jika seseorang tidur sepanjang hari di bulan Ramadhan, maka puasanya adalah sah.

2. Jika dia pengsan hanya sebahagian hari sahaja, maka sah puasanya.

Berbeza hukumnya jika seseorang itu menjadi gila pada siang hari Ramadhan, sama ada lama atau hanya seketika, maka perkara ini membatalkan puasa.

Cara Memadam dan Mengawal Api Kemarahan

Pada dasarnya, jika seseorang yang sedang berpuasa itu berhadapan dengan seseorang yang boleh menimbulkan kemarahannya, maka amatilah hadits berikut:

Maksudnya: Jika salah seorang di antara kamu melaksanakan ibadat puasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan kotor dan jangan menjerit-jerit. Jika dia dicaci oleh orang atau hendak diajak berkelahi, maka hendaklah dia mengatakan: “Aku sedang berpuasa.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selain itu, antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengawal atau memadamkan api kemarahan sebelum mahupun setelah ia terjadi ialah sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri dan juga para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Antaranya ialah:

1. Dengan membaca ta‘awwudz, iaitu:

Ertinya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Inilah ayat yang disuruh oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk dibaca ketika marah.

2. Sunat dibaca do‘a berikut ketika marah:

Ertinya: Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan.

3. Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca yang demikian, perhatikan perkara berikut:

i. Jika seseorang itu marah dalam keadaan dia berdiri, maka hendaklah dia duduk.

ii. Jika dia marah dalam keadaannya sedang duduk, maka hendaklah dia berbaring dan dekatkanlah dirinya dengan bumi, kerana daripada bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.

Perkara ini telah diingatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam dua sabda Baginda:

Maksudnya: Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak, maka hendaklah dia berbaring. (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadits yang lain pula sabda Baginda:

Maksudnya: Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang daripada kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia mendekapkan dirinya ke bumi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

4. Cara yang berkesan untuk menghilangkan penyakit marah itu juga ialah dengan mendiamkan diri, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam. (Hadits riwayat Ahmad)

5. Disunatkan berwudhu’ ketika marah, sekalipun kemarahan itu kerana hak Allah seperti marah kerana perkara yang mencemarkan syari‘at Allah. Menurut ‘Urwah bin Muhammad bin as-Sa‘di, seorang lelaki telah mengatakan sesuatu kepadanya yang membuatkannya marah. Kemudian ‘Urwah pun berdiri dan mengambil wudhu’. Setelah itu dia kembali dalam keadaan berwudhu’ lalu dia pun meriwayatkan sebuah hadits daripada bapanya daripada datuknya ‘Athiyyah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu dicipta daripada api. Dan sesungguhnya api itu dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kamu marah, maka berwudhu’lah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh sebab itu, dianjurkan kepada orang yang sedang marah mengambil wudhu’ sekalipun pada masa itu dia masih mempunyai wudhu’, kerana dengan berbuat demikian boleh memadamkan api kemarahannya atau paling kurang dapat mengawalnya daripada bertindak mengikut nafsunya. Selain itu disunatkan juga berwudhu’ setelah mengeluarkan perkataan keji, kesat, bohong dan kata-kata maksiat.

Kelebihan Mengawal Kemarahan

Dalam sesetengah keadaan, apabila seseorang itu marah, kadang kala dia tidak dapat mengawal perbuatan atau perkataan yang bakal diucapkan atau kedua-duanya sekali. Apa yang pasti, tentu ada hikmah di sebalik anjuran untuk mengawal kemarahan. Malah bagi mereka yang berjaya menghadapi cabaran ini pasti memperolehi kebaikan dan manfaat daripadanya. Antaranya ialah:

1. Mendapat keuntungan di akhirat.

Sesiapa yang berjaya mengawal kemarahannya akan mendapat keuntungan di akhirat kelak seperti sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa sesiapa yang berupaya menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menghentikan kemurkaan terhadapnya pada Hari Kiamat.

2. Menyebabkan masuk syurga.

Disebutkan di dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah meminta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam agar memberitahunya tentang amalan yang boleh menjauhkan dirinya dari neraka, mendekatkannya kepada redha Allah Ta‘ala dan membawanya masuk syurga. Lalu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyatakan sebagaimana di dalam hadits ini:

Maksudnya: Daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata: “Aku telah berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku tentang perbuatan yang membolehkan aku masuk syurga.” Lalu Baginda bersabda: “Janganlah kamu marah, dan bagimu syurga.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

3. Ditakuti mendapat kerugian andaikata do‘a dikabulkan tatkala marah.

Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata bahawa pada suatu masa kami bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang menuju ke medan perang. Dalam kumpulan itu ada seorang Anshar yang merasa tidak selesa terhadap binatang tunggangannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu dengan berkata: “Jalanlah, laknat!” Mendengar perkataan lelaki Anshar tadi, maka Baginda pun marah dan bertanyakan siapakah yang menyumpah-nyumpah untanya itu. Lalu lelaki Anshar itupun menjawab: “Saya wahai Rasulullah.”. Baginda lalu bersabda:

Maksudnya: Turun dari binatang itu! Janganlah kamu menemani kami dengan (binatang) yang telah dikutuk. Janganlah juga kamu mendo‘akan (kecelakaan dan seumpamanya) ke atas dirimu, ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, agar kamu tidak bertepatan dengan suatu saat apabila dipohonkan suatu permintaan (permohonan do‘a) daripada Allah, maka akan dikabulkan (do‘a itu) bagi kamu. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam syarah yang lain, disebutkan bahawa dikhuatiri ketika seseorang itu berdo‘a kecelakaan akan bertepatan dengan saat atau ketika di mana Allah akan kabulkan mana-mana do‘a (yang dipohonkannya itu mustajab).

Oleh yang demikian, seseorang yang sedang berpuasa di siang hari Ramadhan dituntut untuk menjaga lidah daripada berkata bohong, apatah lagi marah sehingga mencaci-maki, memukul seseorang atau merosakkan harta benda. Sekalipun marah itu suatu perasaan yang tabi‘i, namun ia hendaklah dikawal. Seperti yang diketahui, marah

yang dikeji itu tidak membatalkan puasa, tetapi perbuatan tersebut boleh melenyapkan pahala puasa. Jika ini yang terjadi, bermakna seseorang itu berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga tanpa dia memperolehi sebarang ganjaran atau pahala.

ZIKIR

BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WASALLAM: Satu Tuntutan

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah Rasul dan pemimpin Islam yang menjadi kesayangan umat Islam. Di zaman Baginda, umat Islam, terutama para sahabat, sanggup bergadai nyawa untuk melindungi serta berjuang bersama Baginda membela Islam, taat menurut perintah serta amat bersedih dengan kewafatan Baginda. Rasa kecintaan yang mendalam terhadap Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada ketika itu berterusan sehingga ke hari ini dan sampai bila-bila. Ia tersemat kuat di dada umat Islam yang beriman, malahan kasih sayang itu dinyatakan dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan meninggalkan apa yang dilarangnya.

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu pernyataan rasa cinta kita kepada Baginda. Selawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja, bahkan ia juga suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. zâb: 56)hA-(Surah al Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuliakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda wafat. Begitu juga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Adapun maksud Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berselawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam ialah Allah melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda. Selawat para malaikat ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan keampunan. Manakala selawat daripada umat Islam ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan mengagungkan kedudukan Baginda.

Kelebihan Bagi Yang Berselawat Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Banyak disebutkan di dalam hadits mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya:

1. Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada Hari Kiamat kelak.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seutama-utama manusia di sisiku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Apa yang dimaksudkan dengan “seutama-utama manusia di sisiku” di dalam hadits ini ialah manusia yang paling dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam atau manusia yang berhak mendapat syafaat daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah orang yang membanyakkan selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

2. Mendapat syafaat Baginda pada Hari Kiamat kelak.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang berselawat ke atasku di waktu pagi sebanyak sepuluh kali dan di waktu petang sebanyak sepuluh kali, ia mendapat syafaatku pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

3. Digandakan pahala berselawat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas bermaksud bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebanyak satu kali, maka Allah mengurniakan kepadanya rahmat dan melipatgandakan pahalanya.

Amaran Kepada Orang Yang Malas Berselawat Ke Atas Baginda

Turut disebutkan di dalam beberapa hadits mengenai orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada beberapa keadaan yang disunatkan untuk berselawat.

1. Bakhil tidak berselawat apabila disebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam

Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramullâhu wajhah, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Orang yang bakhil adalah orang yang apabila (nama)ku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

2. Dicela tidak berselawat apabila disebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Celaka seseorang (apabila) namaku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

3. Tidak diangkat do‘a yang dipohonkan jika tidak dimulai dan disudahi dengan selawat.

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya do‘a itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak terangkat sesuatupun (yang dipohonkan dalam do‘a itu) sehingga engkau berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut asy-Syeikh Abu Sulaiman ad-Darani Rahimahullâh: “Apabila aku memohon hajat kepada Allah, aku mulakan dengan berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kemudian aku meminta apa yang aku mahukan, kemudian aku menyudahi permohonan itu dengan berselawat ke atas Baginda. Ini kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan kemuliaan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menerima kedua-dua selawat (pada permulaan dan penyudah do‘a).”

Cara Berselawat Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan umat Islam beberapa cara berselawat ke atas Baginda dalam hadits-hadits yang diriwayatkan daripada para sahabat Radhiallâhu ‘anhum:

1. Diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata: “Kami telah menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan pada ketika itu kami dalam majlis Sa‘ad bin Ubadah. Lantas Basyir bin Sa‘ad berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Allah telah memerintahkan kami untuk berselawat kepadamu wahai Rasululllah!” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam. (Hadits riwayat Muslim)

2. Diriwayatkan daripada ‘Abdul Rahman bin Abu Laila, dia berkata: “Ka‘ab bin ‘Ujrah pernah bertemu dengan saya, lalu berkata: “Mahukah kamu jika aku hadiahkan kepadamu sebuah hadiah yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam?” Kemudian aku menjawab: “Ya, saya suka hadiah itu.” Lalu Ka‘ab bin ‘Ujrah berkata: “Pada suatu hari aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, bagaimana Ahlul-Bait (keluarga Baginda) berselawat kepadamu? Dan Allah telah mengajar kami bagaimana untuk bersalam.” Apabila mendengar pertanyaan itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah begini:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Maka sesunggguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah, kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Maka sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selawat ini juga merupakan selawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kerana di dalamnya terkumpul selawat kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dan keluarganya.

3. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau bertanyakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, ini adalah lafaz salam untuk Tuan, maka bagaimana pula lafaz selawat untuk Tuan?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad, hambaMu dan RasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berselawat Di Dalam Dan Di Luar Sembahyang

1. Di dalam sembahyang.

Dalam mazhab Syafi‘e, selawat wajib dibaca pada tempat-tempat tertentu, iaitu:

i. Selepas membaca tasyahhud pada tasyahhud akhir di dalam sembahyang

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Ia dilafazkan sesudah membaca tasyahhud pada rakaat akhir dalam sembahyang dan sebelum salam.

Sekurang-kurang lafaz selawat ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad.

Manakala lafaz yang sempurna ialah selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kemudian kepada ahli keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm serta keluarga baginda. Lafaz tersebut ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

ii. Selepas takbîr kedua di dalam sembahyang jenazah.

Membaca selawat selepas takbîr kedua dalam sembahyang jenazah. Sekurang-kurang bacaan selawat itu ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Nabi Muhammad.

Manakala mengucapkan selawat ke atas kaum kerabat Baginda seperti bacaan dalam tahiyyyat akhir adalah tidak wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

iii. Pada khutbah di dalam sembahyang Jumaat, sembahyang Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adhha.

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula merupakan salah satu daripada rukun pada khutbah pertama dan kedua. Ia disebut selepas kalimat hamdalah iaitu lafaz pujian bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Di luar sembahyang.

Berselawat di luar sembahyang pula bukanlah satu perkara yang diwajibkan, namun ia adalah digalakkan dan dilakukan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu dan tempat bagi umat Islam yang diutamakan untuk berselawat. Antaranya:

i. Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ii. Pada malam dan hari Jumaat. iii. Pada waktu subuh. iv. Pada waktu petang. v. Ketika hendak memasuki masjid. vi. Ketika hendak keluar dari masjid. vii. Ketika berada di maqam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. viii. Ketika hendak berdo‘a. ix. Ketika selesai berdo‘a. x. Di akhir khatam al-Qur’an. xi. Ketika dalam kesedihan dan kesusahan. xii. Ketika memohon keampunan. xiii. Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai. xiv. Ketika memberi nasihat atau tunjuk ajar. xv. Ketika menyampaikan pelajaran. xvi. Dalam perkumpulan orang ramai. xvii. Ketika bersurai daripada perkumpulan. xviii. Pada setiap tempat dan waktu orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya.

Adab Menyebut Nama Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga ada adabnya. Sudah menjadi kebiasaan para ulama salaf jika menyebut atau mendengar nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, mereka selalu berselawat dan disertai dengan ucapan salam kepada Baginda. Dua lafaz yang sering mereka ucapkan dalam berselawat dan salam itu ialah:

Ertinya: Semoga Allah memberikan selawat dan salam kepada Baginda.

Atau:

Ertinya: Ke atas Baginda selawat dan salam.

Para ulama telah berwasiat kepada umat Islam agar selalu berusaha untuk menjaga lafaz (selawat dan salam) tersebut secara sempurna. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab al-Adzkâr:

Ertinya: Jika seseorang berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka hendaklah dia mengumpulkan selawat dan salam (kedua-duanya) sekali, dan janganlah dipisahkan di antara kedua-duanya. Maka tidak boleh dia berkata: ) atau

Begitu juga di dalam penulisan, umat Islam dituntut untuk menulis selawat dan salam tersebut dengan sesempurna mungkin setiap kali menulis nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Sungguh indah kehidupan seorang Muslim yang menghiasi lidahnya dengan selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ia jelas menunjukkan tanda ingatan dan kasih sayang terhadap Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ingatan dan tanda kasih sayang ini pula dibalas oleh Baginda sendiri melalui ganjaran yang tidak terhingga, antaranya mendapat kedudukan yang istimewa dan Syafaat Baginda di Hari Kiamat. Manakala di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pula, curahan rahmat dan kebajikan diperolehi daripada Allah. Rugilah kita apabila peluang ini diabaikan begitu sahaja.

TAHLÎL

PAHALA BACAAN AL-QUR’AN DAN TAHLÎL SAMPAI KEPADA SI MATI

Menziarahi kubur merupakan suatu amalan yang biasa dibuat oleh masyarakat kita terutama pada bulan Ramadhan dan Syawal. Antara tujuan orang menziarahi tanah perkuburan ialah untuk mendo‘akan dan menyedekahkan pahala bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an, dan pahala bacaan zikir-zikir seperti tahlîl, tasbîh, selawat kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Ini kerana apabila manusia meninggal dunia akan terputuslah pahala amalannya sebab setiap manusia tidak akan berhak apapun selepas kematiannya melainkan balasan amalan yang dilakukannya semasa dia hidup di dunia. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang mati terputuslah daripadanya amalnya melainkan dari tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak yang salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Rahmat Allah Ta‘ala itu sangat luas, orang yang sudah meninggal itu masih saja dapat menerima rahmat Allah selepas kematiannya kerana Allah Ta‘ala boleh mengampunkan dan melimpahkan rahmatNya kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dia (Allah) menentukan pemberian rahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Âli ‘Imran: 74)

Kita orang yang masih hidup boleh menyumbang kebajikan kepada mereka yang sudah meninggal, antaranya, dengan menghadiahkan atau menyedekahkan pahala ibadat yang kita lakukan seperti bacaan al-Qur‘an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a semasa menziarahi kubur si mati.

Membacakan al-Qur’an dan mendo‘akan orang yang sudah meninggal dunia itu hukumnya sunat. Ini jelas sebagaimana perkataan Imam asy-Syafi‘e yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj:

Ertinya: Dan Imam asy-Syafi‘e dan para sahabatnya telah menyatakan bahawa sunat membacakan apa yang mudah di sisi mayat dan berdo‘a sesudahnya, kerana (dengan demikian) akan lebih diharap untuk diperkenankan dan juga kerana mayat itu akan mendapat berkat (daripada) bacaan itu seperti orang hidup yang hadir.

Namun pada masa ini, ada di kalangan masyarakat kita mempertikai atau mempersoalkan bahawa hadiah pahala bacaan al-Qur‘an dan zikir seperti tahlîl kepada si mati itu tidak sampai kepadanya kerana terpengaruh dengan golongan yang berpendapat dan berfahaman bahawa amalan-amalan sedemikian tidak sampai kepada si mati. Bahkan mereka mendakwa pendapat tersebut tidak mempunyai dalil dan sandaran.

Mengenai dengan pahala bacaan al-Qur‘an, di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn ada dihuraikan bahawa pendapat yang mengatakan “tidak sampai pahala bacaan kepada mayat” adalah pendapat yang dha‘îf dan pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan “sampainya pahala bacaan kepada mayat” adalah pendapat yang mu‘tamad.

Pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan “sampai pahala bacaan kepada mayat” inilah yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e. Begitu juga fatwa yang mu‘tamad daripada Imam Subki Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Antara dalil yang disebutkan oleh ulama yang menunjukkan bahawa orang yang sudah meninggal boleh mendapat pahala daripada amal orang lain yang masih hidup sama ada dalam bentuk bacaan al-Qur’an, zikir, do‘a, sedekah dan sebagainya ialah:

Dalil Pertama:

Hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah lalu di sebuah kebun di Madinah atau di Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur mereka. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Kedua-duanya sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya itu diazab kerana dosa besar”. Kemudian Baginda bersabda: “Bahkan! Salah seorang daripada kedua-duanya tidak bersuci daripada kencing, sedang yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu domba”. Kemudian Baginda meminta sebatang pelepah tamar maka dipatahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan patahan pelepah tamar itu ke atas kubur kedua-duanya. Lalu orang pun bertanya: “Wahai Rasullullah mengapakah tuan berbuat demikian?” Baginda bersabda: “Semoga diringankan kedua-duanya (penghuni kubur yang sedang disiksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ menerangkan maksud hadits ini dalam kitab Fath al-Bâri dengan berkata: “Telah dikatakan: “Sesungguhnya pelepah itu sentiasa bertasbîh selama masih basah. Maka dengan berkat tasbîh itu, hasillah keringanan bagi si mati. Kalau tasbîh daripada tumbuh-tumbuhan ini memberi manfaat kepada kedua-dua ahli kubur yang diazab, maka lebih utama lagi bacaan zikir dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.”

Daripada huraian hadits ini jelas menunjukkan bahawa berkat tasbîh daripada tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat keringanan kepada mayat selagi masih basah maka jika tasbîh tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat adalah lebih utama lagi zikir seperti tahlîl dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.

Dalil Kedua:

Hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallhu ‘anhu:

Maksudnya: Bacakanlah surah Yâsîn kepada orang yang akan mati. (Hadits riwayat Abu Daud)

Ibnu Rif‘ah Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata dalam Kitab Tuhfah al-Muhtâj fi Syarh al-Minhâj: “Walaupun hadits ini menyuruh kita untuk membacakan surah Yâsîn kepada orang yang akan mati, namun boleh juga dibacakan ke atas mayat orang yang sudah mati kerana mayat itu masih boleh mendapat berkat daripada bacaan al-Qur’an seperti juga orang yang hidup, (ini kerana) kalaulah mengucapkan salam ke atas ahli kubur diterima maka adalah lebih utama lagi bacaan ayat-ayat al- Qur’an kepada mereka (ahli kubur).”

Hadits ini juga jelas menerangkan bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat kepada orang yang sudah meninggal.

Dalil Ketiga:

Membayar hutang puasa bagi orang yang telah meninggal adalah sunat bagi ahli waris atau selainnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Barang siapa meninggal dunia sedang dia berhutang puasa, maka walinya boleh menggantikan puasanya itu. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menerangkan bahawa seseorang yang telah meninggal dunia tetapi mempunyai hutang puasa maka walinya sunat membayarkan puasanya. Maksud wali sepertimana diterangkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ialah kaum kerabat yang dekat atau ahli waris. Inilah pendapat yang telah disepakati oleh para Imam fiqh dan hadits antaranya ialah al-Hasan al-Bashri, Zuhri, Qatadah dan Ibnu ats-Tsauri Rahimahumullâhu Ta‘âlâ.

Dalil Keempat:

Demikian juga dengan sembahyang ke atas jenazah boleh memberi manfaat kepada mayat itu sepertimana disebutkan dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Barang siapa yang disembahyangkan oleh tiga shaff (jemaah) maka wajib (baginya mendapat keampunan). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Jelaslah menurut hadits ini bahawa jika mayat disembahyangkan dengan bilangan keramaian jemaah tiga shaff maka si mayat itu berhak mendapatkan keampunan daripada Allah Ta‘ala.

Jika orang yang bersembahyang jenazah itu sampai bilangannya tiga shaff maka mayat itu berhak mendapat keampunan. Sembahyang jenazah yang dilakukan oleh orang yang masih hidup boleh memberi manfaat keampunan kepada orang yang sudah meninggal. Ini juga merupakan dalil bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat pahalanya itu kepada orang yang sudah meninggal dunia.

Dalil Kelima:

Berdo‘a juga boleh memberi manfaat kepada mayat sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika telah selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri lalu bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudaramu ini dan mohonlah agar diberi ketetapan (dalam menjawab soalan-soalan kubur), kerana dia sekarang sedang disoal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam kitab Asnâ al-Mathâlib disebutkan bahawa sunat bagi sesiapa yang menghadiri pengkebumian mayat di tanah perkuburan ataupun selepasnya supaya berdiri di sisi kubur lalu memohon keampunan kepada Allah dan mendo‘akan mayat itu sepertimana disebutkan dalam hadits ini, begitu juga membacakan mayat itu ayat-ayat al-Qur’an bahkan jika khatam adalah lebih baik. Maka jelaslah bahawa do‘a daripada orang yang hidup itu berfaedah untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Dalil Keenam:

Bersedekah juga boleh memberi manfaat kepada si mati. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Syarh an- Nawawi ‘alâ Muslim dengan berkata:

Ertinya: Barang siapa yang hendak berbuat kebajikan kepada ibu bapanya,d ia boleh bersedekah untuk kedua-duanya, dan pahala sedekah itu sampai kepada mayat, dan mayat mendapat manfaat daripadanya tanpa khilâf (pertikaian) antara kaum Muslimin dan inilah pendapat yang benar.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ seterusnya berkata lagi:

Ertinya: Adapun yang dikhabarkan oleh Qadhi Abu Hasan al-Mawardi al-Bashri al-Faqih asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Hâwi, bahawa sebahagian para sahabat berpendapat bahawa mayat tidak akan menerima pahala sesudah matinya, adalah mazhab bâthil (salah) tanpa syak, kesalahannya jelas nyata berlawanan dengan nash-nash Kitabullâh, sunnah dan ijmâ‘ ummat, maka janganlah perhatikan dan cenderong padanya (pendapat itu).”

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata mengenai luasnya kelebihan atau kemurahan Allah Ta‘ala itu dalam perkara sedekah adalah kerana orang yang diniatkan pahala sedekah itu juga akan mendapat pahala.

Para sahabat Imam asy-Syafi‘e Rahimahumullâhâ Ta‘âlâ berkata dalam kitab Fath al-Mu‘în bahawa sunat meniatkan sedekah itu untuk kedua ibu bapa kerana Allah Ta‘ala akan memberi pahala ke atas kedua-duanya tanpa mengurangkan sedikitpun daripada ganjaran pahala sedekah itu.

Maka jelaslah bahawa dengan dalil-dalil yang disebutkan sebelum ini, pahala bacaan al-Qur’an dan zikir seperti tahlîl yang kita bacakan itu akan sampai kepada si mati dengan membacakan al-Qur’an dan tahlîl itu di sisinya, di atas kuburnya, atau pembacanya meniatkan pahala bacaannya itu kepada si mati dan berdo‘a setelah membaca al-Qur’an dengan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati.

Contoh do‘a yang selalu dibaca ialah:

Ertinya: Ya Allah, jadikanlah dan sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacakan daripada al-Qur’an al-‘Azhim ini, apa yang kami tahlîlkan ini, apa yang kami tasbîhkan ini, apa yang kami selawatkan ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kepada roh polan…

Maka menurut pendapat ulama-ulama sepertimana diterangkan sebelum ini bahawa amalan kaum Muslimin ketika menziarahi tanah perkuburan dengan membacakan beberapa ayat al-Qur’an, bertahlîl, bertasbîh, berselawat kemudian salah seorang daripada mereka berdo‘a dengan berharap semoga pahala bacaan itu akan sampai kepada roh si mati adalah tidak bertentangan dengan syara‘ bahkan dituntut berdasarkan dalil-dalil yang kukuh.

IHTILÂM

KESAN IHTILÂM DALAM IBADAT

Ihtilâm dari segi bahasa bermaksud apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya (mimpi). Menurut fuqahâ’ pula, ihtilâm ialah nama bagi apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya daripada perbuatan jimâ‘ (persetubuhan) dan selalunya disertai dengan keluar air mani.

Ihtilâm Tanda Bâligh

Ihtilâm itu boleh terjadi kepada lelaki dan perempuan. Apabila seseorang itu keluar air mani sama ada ketika dalam jaga ataupun tidur, itu menunjukkan dia sudah mencapai umur bâligh. Segala kewajipan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya mula dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Apabila anak-anak kamu telah sampai umur bâligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang cukup umur) yang tersebut dahulu meminta izin. (Surah an-Nûr: 59)

Kesan Ihtilâm Dalam Mandi

Jika seseorang itu mengalami ihtilâm sama ada lelaki atau perempuan dan menyebabkannya keluar air mani maka wajib ke atasnya mandi wajib. Namun jika ihtilâm yang dialaminya itu tidak disertai dengan keluar air mani, maka tidak wajib ke atasnya mandi wajib.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati basah (air mani) dan dia tidak ingat bahawa dia bermimpi. Baginda bersabda: “Hendaklah dia mandi”, dan (Baginda ditanya) tentang seorang lelaki yang menyangka bahawa dia telah bermimpi dan tidak mendapati basah. Baginda bersabda: “Tidak wajib ke atasnya mandi.” Ummu Sulaim berkata: “Jika perempuan bermimpi sedemikian (keluar air mani) adakah ke atasnya mandi? Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya perempuan-perempuan itu saudara-saudara kepada lelaki.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Bila Perempuan Yang Ihtilâm Mandi Wajib?

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa perempuan yang ihtilâm dan keluar air mani diwajibkan ke atasnya mandi hadas besar. Ini dilihat lagi pada status perempuan itu dan keadaan air mani yang keluar.

Menurut pengarang kitab al-Hâwi bahawa perempuan yang dara diwajibkan mandi apabila keluar air mani sampai di luar farajnya. Namun jika ia keluar tidak sampai di luar farajnya maka tidak diwajibkan mandi. Ini kerana yang di dalam faraj itu mengikut hukum batin, sebagaimana juga perempuan yang dara tidak wajib membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjâ’.

Berlainan halnya dengan perempuan yang bukan dara. Apabila keluar air maninya sama ada keluar sehingga di luar faraj ataupun tidak adalah diwajibkan ke atasnya mandi. Ini kerana perempuan yang bukan dara diwajibkan membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjâ’.

Ternampak Air Mani Di Atas Tilam

Jika seseorang itu ternampak air mani di atas tilam yang dia dan orang lain juga tidur di atas tilam yang sama itu dan orang lain itu ialah orang yang sudah mencapai umur yang boleh keluar air mani, maka tidak diwajibkan ke atas kedua-dua mereka itu mandi wajib. Ini kerana air mani itu boleh sahaja datangnya daripada salah seorang daripada mereka dan mandi itu juga tidak wajib dengan adanya syak.

Walau bagaimanapun sunat ke atas mereka mandi dan tidak harus mereka berdua menjadi imam atau makmum di antara satu sama lain sebelum mereka mandi wajib.

Adapun jika dia seorang sahaja yang tidur di atas tilam tersebut ataupun dia tidur bersama dengan orang lain yang belum mencapai umur yang boleh keluar air mani seperti kanak-kanak, maka wajib ke atasnya mandi wajib.

Ihtilâm Orang Yang Baru Memeluk Agama Islam

Jika seorang kafir mengalami ihtilâm dan keluar air maninya lalu dia memeluk agama Islam, maka wajib ke atasnya mandi wajib. Berlainan halnya jika tidak terjadi perkara-perkara yang mewajibkan mandi ketika dalam kafirnya, maka sunat sahaja ke atasnya mandi.

Kesan Ihtilâm Dalam Puasa

Jika orang yang berpuasa keluar air maninya di siang hari Ramadhan disebabkan ihtilâm maka puasanya tidak batal. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiga perkara yang tidak membuatkan orang puasa itu berbuka iaitu bekam, muntah dan mimpi.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Oleh itu hendaklah dia meneruskan puasanya kerana puasanya itu masih dihukumkan sah akan tetapi hendaklah dia mandi wajib kerana keluar air mani itu.

Kesan Ihtilâm Dalam I‘tikâf

Jika seseorang itu mengalami ihtilâm dan keluar air mani ketika dia sedang beri‘tikâf dalam masjid maka tidak batal i‘tikâfnya. Hendaklah dia segera mandi wajib agar tidak terputus hari yang berturut-turut apabila dia bernazar i‘tikâf dalam beberapa hari yang berturut-turut. Adapun waktu yang dia berada dalam keadaan junub itu adalah tidak dikira sebagai i‘tikâf.

Jika dia tidak dapat melakukan mandi wajib di dalam masjid maka wajib dia keluar daripada masjid kerana duduk diam dalam masjid dengan keadaan berjunub adalah haram. Namun jika dia dapat melakukannya di dalam masjid tanpa duduk diam di dalamnya maka harus baginya berbuat demikian akan tetapi lebih baik dia keluar kerana memelihara muruahnya dan kehormatan masjid.

Demikianlah penjelasan beberapa perkara mengenai kesan ihtilâm dalam ibadat yang perlu kita ketahui bagi memelihara dan mencapai kesempurnaan ibadat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6006