Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

‘Asyura’ Sunnah Dan Bid’ah

‘ÂSYÛRÂ’: SUNNAH DAN BID‘AH

Tidak ada hari buruk, hari sial atau hari nahas di dalam Islam. Apa yang ada ialah hari yang lebih utama daripada hari-hari yang lain. Hari Jumaat ialah ‘penghulu’ bagi hari-hari dalam seminggu. Hari Isnin dan hari Khamis mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan. Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Hari ‘Arafah, hari ‘Âsyûrâ’ pun demikian juga mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Begitulah secara ringkasnya bahawa tiap-tiap hari itu, bahkan pada saat-saat tertentu dalam sehari ada kelebihannya yang tersendiri, tetapi tidak ada yang dikatakan hari nahas.

Kesedaran mengenai tiada hari sial dan tiada hari nahas itu adalah berkat pendidikan dan dakwah yang berjalan pada masa ini. Ibnu Majah di dalam Sunannya meriwayatkan:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia telah berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak ada jangkitan, tidak ada sempena baik pada burung, tidak ada sempena buruk dengan sebab burung hantu dan tidak ada sempena jahat pada bulan Safar.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini jelas menolak kepercayaan tentang tahyul, khurafat dan kepercayaan tentang adanya hari-hari tertentu yang membawa mala-petaka ataupun sial.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Al-Fatâwâ Al-Hadîtsiyyah apabila beliau ditanya tentang hari-hari baik dan hari-hari nahas, beliau menyatakan:

“Barangsiapa yang ditanya tentang hari-hari nahas dan apa yang akan terjadi sesudahnya, janganlah ia dijawab melainkan dengan berpaling daripadanya, memperbodohkan apa yang telah dilakukannya dan menerangkan kepadanya keburukan-keburukannya, dan bahawasanya yang demikian itu adalah daripada kelakuan orang-orang Yahudi, bukan daripada petunjuk orang-orang Islam yang bertawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang tidak bersikap memperkira-kirakan (mempersoalkan apa yang terjadi kepada mereka) dan kepadaNya mereka berserah diri. Sementara apa yang dinukilkan daripada Ali Karramallahu wajhah tentang hari-hari yang diramalkan baik buruknya adalah bathil lagi dusta yang tidak mempunyai sandaran daripada agama, maka hendaklah kamu berhati-hati daripadanya.”

Pada masa-masa yang lalu, sebahagian orang kita mempercayai bulan Muharram adalah bulan yang tidak baik, kerana dikaitkan Muharram itu sebagai “haram”. Bulan Safar itu bulan nahas, maka pada bulan-bulan tersebut jarang berlaku kerja-kerja seperti perkahwinan dan membangun rumah baru, tetapi semuanya telah banyak berubah, mengikis anggapan yang silap ini.

Bulan Muharram merupakan salah satu di antara empat bulan (Zulka‘edah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) yang dihormati dan ditegah mengadakan peperangan. Dihormati bulan Zulka‘edah, Zulhijjah dan Muharram kerana bulan-bulan yang tiga itu bulan yang khas untuk mengerjakan haji ke Baitullah. Bulan Zulka‘edah adalah bulan persiapan untuk pergi haji, bulan Zulhijjah pula adalah bulan untuk mengerjakan haji dan bulan Muharram adalah bulan perjalanan pulang dari menunaikan haji.

Sementara bulan Rajab, dijadikan bulan yang dihormati supaya dapat pula mengerjakan ‘umrah di bulan tersebut.

Keutamaan Hari ‘Âsyûrâ’

Di dalam bulan Muharram terdapat satu hari yang dinamakan Hari ‘Âsyûrâ’, iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram (10 haribulan Muharram). Ia dinamakan ‘Âsyûrâ’ kerana ia jatuh pada hari yang kesepuluh.

Tarikh 10 Muharram dianggap sebagai hari besar dan hari istimewa bagi umat Islam. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang dapat dijadikan sebagai contoh teladan, yang mencerminkan kemenangan gemilang bagi pejuang-pejuang yang gigih dan tabah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, di samping peristiwa yang dapat menggerakkan hati umat Islam agar mensyukuri nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.

Dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn menyebutkan bahawa peristiwa yang terjadi pada hari itu ialah: (1) Nabi Adam ‘Alaihissalam bertaubat kepada Allah dan taubatnya diterima sehingga dia bersih daripada dosa dan kesalahan. (2) Nabi Idris ‘Alaihissalam diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi. (3) Nabi Nuh ‘Alaihissalam diselamatkan Allah keluar dari perahunya, sesudah bumi tenggelam selama enam bulan. (4) Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam diselamatkan Allah daripada api Raja Namrud. (5) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam. (6) Nabi Yusuf ‘Alaihissalam dibebaskan dari penjara Mesir, setelah meringkuk selama beberapa tahun akibat fitnah Siti Zulaikha. (7) Pandangan Nabi Ya‘kub ‘Alaihissalam yang kabur dipulihkan Allah kembali sehingga dia dapat melihat dengan jelas. (8) Nabi Ayub ‘Alaihissalam disembuhkan Allah daripada semacam penyakit kulit yang dideritainya. (9) Nabi Yunus ‘Alaihissalam selamat keluar dari perut ikan paus yang besar setelah berada di dalamnya selama empat puluh hari empat puluh malam. (10) Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan pengikut-pengikutnya daripada dikejar oleh Fir‘aun. (11) Kesalahan Nabi Daud ‘Alaihissalam diampuni Allah. (12) Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang besar. (13) Hari pertama Allah menciptakan alam. (14) Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

(15) Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit. (16) Allah menjadikan ‘Arasy. (17) Allah menjadikan Lauh Mahfûzh. (18) Allah menjadikan Qalam. (19) Allah menjadikan Malaikat Jibril. (20) Nabi Isa ‘Alaihissalam diangkat ke langit. Oleh yang demikian, hari ‘Âsyûrâ’ itu mempunyai keutamaan dan kelebihannya yang tersendiri yang patut kita perhatikan dan ambil iktibar. Di antara keutamaan hari ‘Âsyûrâ’ itu, ada disebutkan di dalam sebuah hadis:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Uyainah daripada Abdullah bin Abu Yazid daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia telah berkata: “Aku tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai maksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini iaitu hari Âsyûrâ’ dan berpuasa dalam bulan ini yakni bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Bukhari) Daripada riwayat yang disebutkan, dapat kita rasakan betapa besarnya keutamaan atau kelebihan hari ‘Âsyûrâ’ itu. Lebih jauh Imam Al-Yafi‘ dan Al-Nasyiri dalam Idhahnya menyatakan, satu di antara keajaiban hari ‘Âsyûrâ’ itu ialah binatang liar di hutan berpuasa pada hari itu.

Fatah bin Syukhruf menyatakan, setiap hari dia memberi semut makan sedikit roti. Bila hari ‘Âsyûrâ’ semut itu tidak mahu memakannya (puasa).

Amalan-Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Âsyûrâ’

Amalan utama yang sunat kita lakukan pada hari ‘Âsyûrâ’ itu ialah puasa. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menganjurkan melakukannya, di antaranya:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jubair daripada ayahnya daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang di Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘ Âsyûrâ’. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari baik. Inilah hari yang pada saat dahulu Allah telah menyelamatkan Bani Isra’il (umat Yahudi) daripada musuh mereka. Oleh sebab itu Nabi Musa ‘Alaihissalam berpuasa pada hari ini. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku adalah lebih berhak untuk menghormati Nabi Musa ‘Alaihissalam daripada anda sekalian. Selanjutnya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘ Âsyûrâ’ itu dan menyuruh para sahabatnya agar mereka juga berpuasa pada hari tersebut. (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Daripada Humaid bin Abdul Rahman bahawasanya dia mendengar Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma pada hari ‘ Âsyûrâ’ iaitu pada tahun haji berkata di atas mimbar: “Hai penduduk Madinah, manakah alim ulama kamu sekalian? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘ Âsyûrâ’ dan tidaklah diwajibkan mengerjakan puasa kepada kamu sekalian. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barangsiapa yang menghendaki, bolehlah dia berpuasa dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka.” (Hadis riwayat Bukhari)

Melalui hadis ini, dapat diambil kesimpulan bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu sunat mu’akkadah.

Adapun kelebihan ataupun fadhilatnya disebutkan di dalam sebuah hadis:

Maksudnya: Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Puasa hari ‘ Âsyûrâ’ bahawasanya aku kira atas Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sebaiknya didahului dengan berpuasa pada hari Tasu‘â’ (hari kesembilan daripada bulan Muharram) agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sahaja.

Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi. (Hadis riwayat Baihaqi)

Di dalam riwayat yang lain, ada menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Âsyûrâ’. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari ‘ Âsyûrâ’ dan buatlah kelainan (jangan disamakan) dengan orang Yahudi. Dan berpuasalah kamu sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya. (Hadis riwayat Ahmad)

Amalan khas yang sunnah pada hari ‘Âsyûrâ’ itu juga ialah menggembirakan keluarga atau saudara mara terdekat. Menggembirakan keluarga yang dimaksudkan boleh dilakukan dengan melebihkan perbelanjaan pada hari tersebut atau menyediakan makanan dan minuman yang lebih sedap daripada biasanya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Barangsiapa yang melapangkan (menggembirakan) keluarganya pada hari ‘ Âsyûrâ’, maka Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun itu. (Hadis riwayat Thabarani dan Baihaqi)

Selain daripada itu, kita juga digalakkan untuk berdoa kepada Allah dalam keadaan kita berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu kerana orang yang sedang berpuasa termasuk orang yang diperkenankan doanya.

Amalan Bid‘ah Pada Hari ‘Âsyûrâ’

Di antara amalan-amalan bid‘ah yang dikaitkan dengan hari ‘Âsyûrâ’ itu ialah:

1. Mandi-mandi dengan niat mandi hari ‘Âsyûrâ’. 2. Memakai pakaian baru. 3. Mencelak mata. 4. Memakai inai. 5. Bersembahyang malam ‘Âsyûrâ’.

Adapun hadis yang menyuruh bercelak mata pada hari itu, menurut Al-Hakim adalah hadis mungkar, sedangkan Ibnu Hajar berpendapat hadis itu maudhû‘.

Al-‘Allamah Al-Ajhuri lebih jauh menyatakan bahawa dia menanyakan masalah bercelak mata itu, serta memasak beberapa jenis biji-bijian, berpakaian baru dan memperlihatkan kegembiraan pada hari itu kepada imam-imam ahli hadis dan ahli-ahli hukum fiqah. Menurut Al-Ajhuri tiada dijumpai satupun hadis shahîh yang menganjurkan hal itu. Tiada dilakukan para sahabat dan tiada digemari oleh imam-imam kaum muslimin.

Begitu juga (kata Al-Ajhuri), tiada dijumpai apa yang dikatakan orang bahawa: “Barangsiapa bercelak mata pada hari itu, nescaya tiada akan sakit mata dalam tahun itu.” Begitu juga anggapan kalangan yang mengatakan bahawa “Barangsiapa yang mandi pada hari itu, tidak akan jatuh sakit dalam tahun itu.”

Mudah-mudahan dengan berpuasa ‘Âsyûrâ’ dan dengan mengamalkan atau melakukan apa yang disunatkan pada hari itu serta mengambil iktibar peristiwa-peristiwa yang berlaku akan menambah keimanan dan taqwa yang dapat merobah corak hidup ke arah yang lebih baik.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6061