Buang Anak Damit Kegawatan Akhlak Dalam Masyarakat
Isu keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat, yang biasanya dirujukkan kepada golongan remaja, merupakan isu yang sangat serius yang tidak boleh dianggap sebagai isu pinggiran. Kes pembuangan anak damit adalah antara rentetan gejala sosial yang sangat membimbangkan.
Kes pembuangan anak damit ini bukan lagi merupakan isu yang terselindung bahkan sudah menjadi satu perkara yang terang-terangan. Kita dapat melihat, mendengar dan mengikuti kes demi kes melalui media massa; surat khabar, televisyen, radio dan sebagainya, berlaku di mana-mana.
Bermacam-macam cara dilakukan ke atas anak damit yang tidak berdosa. Ada yang dibungkus dengan plastik dan dibuang di dalam tong sampah, ada yang diletakkan di kawasan kebun orang dalam keadaan dikerumuni oleh semut dan ada pula yang dihanyutkan ke sungai. Hasil tindakan yang kejam itu menyebabkan anak damit tersebut terdedah kepada bahaya dan kematian.
Kita juga pernah terbaca di dalam akhbar, di mana salah seorang penduduk sebuah kampung melihat seekor anjing mengheret sebuah beg plastik yang berisi seorang anak damit yang baru lahir. Alangkah kejinya perbuatan orang yang tidak berhati perut seperti ini.
Bukan setakat orang sanggup membuang anak atau langsung membunuhnya selepas dilahirkan, bahkan sebelum kanak-kanak itu dilahirkan pun ada berbagai-bagai percubaan dilakukan untuk membunuhnya seperti menggugurkannya dari kandungan.
Inikah yang dinamakan jahiliah zaman moden?
Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab di zaman Jahiliah membunuh anak-anak perempuan mereka dengan menanam mereka hidup-hidup, kerana berasa malu beroleh anak perempuan. Hal ini ada diceritakan dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu. (Surah Al-Nahl: 58-59)
Tersebut dalam sebuah riwayat yang diriwayatkan oleh Al-Darimi bahawa pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan betapa dahsyat perbuatannya pada zaman jahiliah. Dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami ini pada zaman jahiliah adalah penyembah berhala dan begitu juga membunuh anak kami. Aku sendiri mempunyai seorang anak perempuan. Setelah dia menjadi gadis kecil, dia gembira dengan ajakanku apabila aku mengajaknya. Maka pada suatu hari aku mengajaknya dan dia menuruti aku. Lalu aku bawa dia ke sebuah perigi kepunyaan kaum kami yang tidak begitu jauh dari kediaman kami. Kemudian aku bawa dia ke pinggir perigi itu untuk melihat ke dalamnya. Setelah kepalanya terjulur ke dalam, terus aku angkat kedua kakinya dan aku lemparkan dia ke dalam. Ketika aku meninggalkannya masih lagi kedengaran dia memanggil-manggil: “Ayah, ayah!.”
Mendengar ceritanya itu dengan tidak disedari menitislah air mata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu berkatalah salah seorang yang berada dalam majlis itu: “Cukuplah, engkau telah membuat Rasulullah bersedih hati”. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Biarkan dia, dia menceritakan hal itu kerana tekanan batinnya yang mendalam.”
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pula kepada lelaki itu: “Teruskanlah ceritamu itu.” Maka orang itu pun melanjutkan ceritanya dan Rasulullah pula terus menitiskan air mata hingga menitis ke atas janggut Baginda. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada lelaki itu: “Sesungguhnya Allah telah menghapuskan dosa-dosa zaman jahiliah itu dengan masukmu ke dalam Islam. Mulakanlah penghidupanmu dengan membuat amalan yang baik.”
Demikianlah perbuatan orang-orang Arab di zaman jahiliah, di mana mereka membunuh anak-anak perempuan mereka kerana takut menanggung malu. Di zaman moden ini pula orang membuang anak damit tidak memilih apa pun jantinanya, sama ada dia itu lelaki atau perempuan. Maknanya, perbuatan orang zaman sekarang lebih teruk dan lebih jahat lagi berbanding dengan zaman jahiliah.
Selain faktor malu, faktor ekonomi juga turut bertanggungjawab mendorong orang membunuh anak, iaitu apabila seseorang itu tidak mampu untuk memberi makan anaknya kerana kemiskinan umpamanya. Faktor ini ada dijelaskan dalam Al- Qur’an melalui firman Allah Ta‘ala, yang tafsirannya:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah Al-Isrâ: 31)
Namun kita percaya, gejala yang berlaku sekarang ini tidaklah semestinya atas faktor kemiskinan, tetapi boleh pula atas faktor lain seperti keterlanjuran perhubungan antara pasangan orang muda. Apabila takut malu, maka membunuhlah pilihan mereka.
Inilah akibat zina, boleh mencetuskan berbagai bencana dan bala.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala sudah memberi amaran lebih awal kepada manusia supaya jangan melakukan zina. Hatta mendekatinya pun jangan. Maknanya, segala perbuatan yang boleh membawa kepada melakukan zina adalah dilarang sama sekali. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan sesuatu jalan yang buruk. (Surah Al-Isrâ’: 32)
Zina bukan saja perbuatan keji malahan merupakan suatu jenayah yang besar dalam Islam. Apabila seorang itu terjebak dalam zina, maka ertinya dia telah memilih jalan yang sejahat- jahatnya. Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutuk perbuatan zina itu dengan sekeras-kerasnya. Perbuatan yang terkutuk ini adalah benar-benar perosak masyarakat, perosak keturunan dan penyumbang kepada pencemaran maruah dan keruntuhan institusi keluarga, bahkan penyumbang kepada berbagai penyakit kelamin, HIV/AIDS dan penyakit-penyakit moral yang lain.
Di mana letak martabat manusia dan kemanusiaan seseorang?
Allah Ta‘ala menciptakan makhluk yang bernama manusia dengan sebaik-baik atau seindah kejadian iaitu keindahan dalam kedua-dua unsur; jasmani dan rohani. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah Al-Thîn: 4)
Keindahan kejadian manusia dipandang dari sudut jasmani atau fizikal, sebagaimana yang dapat disaksikan, jelas indah dan sempurna. Memang tidak dinafikan keindahan itu secara langsung daripada ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Namun keindahan fizikal itu belum menepati keindahan dan kesempurnaan insan sebagaimana yang dikehendaki oleh Penciptanya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Justeru itu, keindahan dan kesempurnaan insan juga memerlukan penjanaan rohani. Tanpa keindahan rohani manusia akan jatuh ke taraf yang paling rendah daripada segala yang rendah. Tugas dan tanggungjawab dalam penjanaan rohani ini pula diserahkan kepada manusia sendiri untuk membentuknya mengikut apa yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apabila kedua-dua unsur tadi; fizikal dan rohani terbentuk sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh Penciptanya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka natijahnya akan membawa kepada wujudnya manusia dalam bentuk sebaik-baik atau seindah
Ketinggian dan kemuliaan manusia itu juga dapat dilihat melalui firman Allah:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih- lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah Al-Isrâ’: 70)
Apa yang ingin kita hubungkan di sini, adakah layak seorang itu dipanggil sebagai insan atau manusia yang sempurna jika perlakuannya tidak berjalan atau selari sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Ta‘ala Maha Pencipta? Adakah layak dia mendapat title makhluk yang dijadikan dalam bentuk atau keadaan ‘ْيِف أحسن تقو ’ jika perbuatannya langsung tidak menggambarkan sifat sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan terhadap insan yang lain?
Malahan perbuatan membuang anak damit yang dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia adalah lebih jahat dan lebih keji daripada perbuatan haiwan. Walaupun haiwan tidak mempunyai akal seperti manusia, namun ia juga mempunyai perasaan rahmat, penyayang dan belas kasihan. Ia membela, mempertahankan dan melindungi anak-anaknya daripada sebarang bahaya dan ancaman. Segarang-garang harimau tidak membaham anaknya.
Lalu di manakah seseorang yang melakukan perbuatan zalim ini meletakkan kemuliaan dan ketinggiannya selaku manusia?
Sejak mula janin berada di dalam kandungan ibu, Islam sudah melindunginya. Para ulama menegaskan bahawa pengguguran kandungan sesudah janin ditiupkan roh (diberi nyawa), hukumnya adalah haram dan merupakan suatu tindakan jenayah yang tidak halal bagi seorang manusia melakukannya.
Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Ihyâ’, ketika membezakan antara mencegah kehamilan dan pengguguran kandungan, beliau telah menegaskan bahawa mencegah kehamilan adalah berbeza dengan pengguguran dan pembunuhan kerana apa yang dikatakan pengguguran dan pembunuhan itu merupakan suatu jenayah terhadap manusia yang sudah wujud. Kewujudan anak itu sendiri adalah bertahap. Tahap pertama, sperma (benih jantan) bersarang dalam rahim, kemudian bercampur dengan air perempuan, lalu siap untuk menghadapi hidup. Perlakuan merosakkannya merupakan suatu tindakan jenayah. Jika sperma atau nuthfah ini sudah menjadi segumpal daging dan segumpal darah, maka perlakuan jenayah terhadapnya dalam hal ini adalah lebih kejam. Jika telah ditiupkan roh dan sudah sempurna kejadiannya, maka perlakuan jenayah terhadapnya adalah lebih kejam lagi. Yang paling kejam sekali dalam soal jenayah ini ialah apabila anak tersebut telah lahir dalam keadaan hidup.
Dalam soal kehormatan manusia ini, Islam tidak berhenti setakat melindungi dan menjaminnya ketika hayatnya sahaja, malah berlanjutan sehingga nafas manusia itu terhenti (sudah mati), kehormatannya tetap dilindungi, di mana Islam meletakkan fardhu kifayah kepada orang Islam yang hidup untuk menyempurnakan pengurusan jenazahnya dengan cara yang terhormat. Selepas disemadikan digalakkan pula menziarahi pusaranya sebagaimana digalakkan menziarahinya semasa hayatnya.
Kedudukan anak damit yang dibuang dari segi hukum fiqh dikatakan dia sebagai laqîth atau manbûdz, ertinya: Kanak-kanak kecil yang dibuang di jalan atau seumpamanya, dengan tiada diketahui siapa bapanya yang sebenar atau tiada siapa yang mahu mengakuinya sebagai anaknya.
Memungut kanak-kanak laqîth itu adalah fardu kifayah di atas orang-orang Islam. Akan tetapi jika hanya seorang sahaja yang mengetahuinya, maka wajib ke atasnya memungut anak tersebut iaitu sebagai fardu ‘ain ke atasnya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. (Surah Al-Mâ’idah: 32)
Apakah perhitungan terhadap kekejaman dan kezaliman orang-orang yang membunuh anak pada Hari Kiamat? Tersebut di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, dengan dosa apakah dia dibunuh? (Surah Al-Takwîr: 8-9)
Melalui ayat di atas, pada Hari Kiamat kelak, anak- anak yang dikubur hidup-hidup akan ditanya, lantaran apakah ayah mereka sampai hati melakukan kezaliman itu terhadap mereka? Tentu saja anak-anak itu akan menjadi saksi terhadap perbuatan ayah mereka itu.
Menurut ahli tafsir Al-‘Allamah Al-Sayyid Mahmud Al-Alusi, bahawa pertanyaan yang diajukan kepada yang teraniaya, iaitu anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup itu sendiri, di hadapan pelaku yang menganiaya dan menguburkannya itu ialah supaya penganiaya terasa betapa berat dan besarnya dosa yang dilakukannya. Akan terasalah pada dirinya bahawa bukanlah anak yang ditanya itu yang akan menjawab pertanyaan itu kerana bukan dia bersalah, tetapi dirinyalah sebagai pembunuh yang berhak mendapat celaan dan hukuman.
Menurut beliau lagi, bahawa cara pertanyaan seperti ini dikatakan sebagai istidrâj iaitu membawa bicara kepada suatu suasana di mana pesalah merasakan sendiri kesalahannya dengan mengaturkan terlebih dahulu pertanyaan kepada yang tidak bersalah.
Agama Sebagai Benteng
Sesungguhnya masalah keruntuhan akhlak merupakan isu ummah yang memerlukan perhatian dan tindakan bersepadu.
Dalam usaha mencapai matlamat pembentukan akhlak yang terpuji, nilai-nilai agama perlulah menjadi teras dalam kehidupan. Tentu sekali agama yang dimaksudkan itu ialah agama Islam kerana Islam satu-satunya agama yang diperakui dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Islam jugalah yang hanya dapat menjamin kebahagiaan dan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.
Jiwa yang sentiasa berubah dan bergoncang mengikut pengaruh keadaan yang datang dari luar atau dari dalam sangat memerlukan pimpinan yang dapat memeliharanya sehingga tetap pada arah yang betul. Agama Islam memberikan bimbingan yang cukup bagi jiwa dan hati yang haus kepada kebenaran dan jalan yang lurus.
Sembahyang merupakan salah satu ibadat yang disyariatkan dalam Islam yang dapat digunakan sebagai pembimbing, pelindung dan benteng pertahanan diri pada setiap masa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memberi petunjuk kepada manusia bahawa sembahyang itu mampu mempertahankan diri manusia dan mencegahnya daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (Surah Al-‘Ankabût: 45)
Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (Surah Al-Ma‘ârij: 19-23)
Firman Allah Ta‘ala lagi di dalam ayat lain:
Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (Surah Al-Mu’minûn: 1-2)
Melalui ayat-ayat di atas, jelas sembahyang itu merupakan jalan, pembimbing, benteng pertahanan yang kukuh yang dapat memandu manusia ke jalan yang betul dan menyelamatkan manusia daripada tergelincir dan terjatuh ke dalam jurang kemungkaran dan kemaksiatan. Maka di sini sembahyang dilambangkan sebagai sumber utama segala kebaikan.
Mungkin ada orang bertanya, mengapa ada setengah orang mendirikan sembahyang tetapi dia juga melakukan kemungkaran?
Di sini cuba kita buat statistik atau bancian, berapa ramai orang yang tetap mendirikan sembahyang lima kali sehari semalam kemudian ditambah lagi dengan sembahyang-sembahyang nawâfil (sunat) dengan penuh khusyuk, kemudian pada masa yang sama melakukan perkara mungkar dan maksiat.
Tidak ada orang yang bermain judi, memberi atau menerima rasuah atau minum arak di siang hari, lalu mendirikan sembahyang Zhuhur dengan penuh khusyû‘ dan tawâdhu‘, kemudian selepas sembahyang balik semula melakukan perkara maksiat tersebut. Tidak ada orang yang melakukan zina di malam hari, lalu bangun di tengah-tengah malam mendirikan sembahyang sunat Tahajjud dengan penuh khusyû‘, kemudian keluar rumah merayau-rayau mencari hiburan dan apabila masuk waktu Shubuh mendirikan sembahyang lagi dengan penuh khusyû‘.
Kalau ada orang yang melakukan sembahyang, di samping itu juga melakukan perkara-perkara mungkar, maknanya masih ada sesuatu yang tidak betul dengan sembahyang yang dilakukannya.
Orang yang tetap mendirikan sembahyang dan khusyû‘ di dalam sembahyangnya tidak menganggap sembahyang semata-mata rukun dan syarat tertentu, yang dimulai dengan takbîratulihrâm dan disudahi pula dengan salam. Di luar sembahyang dia tetap sembahyang, ertinya tetap ada hubungan jiwa dengan Tuhannya, tetap ingat akan Allah Ta‘ala. Dengan sebab melakukan sembahyang, dia akan tetap ingat akan segala kewajipannya sebagai seorang hamba yang mesti patuh kepada perintah dan larangan Tuhannya.
Inilah benteng pertahanan yang paling kebal yang perlu ada pada setiap diri individu bagi menangkis segala serangan dari luar.
Selain dari itu, melazimkan diri dengan membaca Al-Qur‘an juga merupakan rangkaian pendekatan agama yang boleh dilakukan. Bagi setiap diri, usahakan membaca Al-Qur‘an setiap hari walaupun dengan beberapa ayat sahaja.
Dengan membaca Al-Qur’an akan dapat menerbitkan nûr atau cahaya keimanan dan ketaqwaan, supaya hati mudah terarah untuk melakukan perkara kebaikan dan merasa berat serta benci untuk melakukan perkara mungkar dan maksiat.
Al-Qur’an merupakan syifâ’ atau penawar serta merupakan petunjuk kepada kebenaran, kebahagiaan dan kebaikan bagi manusia, sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al-Baqarah: 185)
Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya. (Surah Al-Isrâ’: 82)
Islam juga menyediakan jalan pernikahan dan puasa sebagai alternatif bagi membendung hambatan jiwa dan hawa nafsu yang bergejolak. Nafsu, sifatnya yang selalu mengarah manusia kepada kejahatan perlu dibuat kawalan dan dipandu supaya sentiasa terarah kepada norma-norma hidup yang murni. Cuba kita perhatikan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:
Maksudnya: Wahai orang-orang muda barangsiapa yang berkuasa di antara kamu (untuk berkahwin) maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu menyekat pandangan (daripada memandang yang haram) dan menjaga kehormatan, dan barangsiapa yang tidak mampu, kerjakanlah puasa kerana puasa itu melembutkan syahwat. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis di atas, disebutkan dua jenis ibadat berbentuk tuntutan pilihan yang boleh dilakukan iaitu sunnah perkahwinan dan ibadat puasa. Walaupun kedua-dua ibadat tersebut bertitik tolak pada pendekatan yang berbeza, namun bersatu pada tujuannya iaitu memelihara kehormatan serta mententeramkan jiwa dan hawa nafsu. Bukankah ini juga merupakan benteng pertahanan diri.
Maka bagi sesiapa yang mampu bolehlah dia berkahwin dan yang tidak mampu bolehlah dia menahan diri dengan berpuasa.
Melembutkan pandangan atau menahan pandangan daripada melihat perkara-perkara yang dilarang juga merupakan tuntutan agama. Allah Ta‘ala memerintahkan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam agar memerintahkan kaum mukminin menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang- orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah Al-Nûr: 30)
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah di dalam kitabnya Al-Jawâb Al-Kâfi menegaskan bahawa kejahatan zina adalah bermula daripada pandangan mata. Maka perintah menahan pandangan didahulukan sebelum perintah memelihara kehormatan. Semua kejadian bermula daripada pandangan, sebagaimana kebanyakan api permulaannya adalah daripada percikan api. Pertama sekadar pandangan, kemudian lintasan atau bisikan hati, kemudian langkah kaki, kemudian terjadilah dosa besar itu.
Oleh sebab itu ada yang mengatakan: “Barangsiapa yang menjaga empat perkara ini nescaya agamanya akan terjaga; pandangan, lintasan atau bisikan hati, tutur kata dan langkah kaki.”
Maka sepatutnya seorang hamba menjadikan empat perkara di atas sebagai pintu pertahanan dirinya, sentiasa bersikap waspada terhadap benteng pertahanannya. Melalui pintu-pintu tersebut musuh akan masuk dan ‘mematai-matai’, kemudian menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai dengan sehancur-hancurnya.
Demikianlah apa yang ditegaskan oleh Ibnu Qayyim Rahimahullahu Ta‘ala.
Banyak lagi ibadat-ibadat lain di dalam Islam yang mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk jiwa dan akhlak manusia. Kesemuanya akan menuju kepada tazkiah al-nafs yakni pembersihan jiwa kerana yang akan dicapai ialah هوَأَنََلَ إَرَبَكَهَى مُنت ال (dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan segala sesuatu).
Sebagai suatu kesimpulan yang boleh kita rumuskan bahawa perlakuan membuang anak ini bukan setakat pelanggaran hukum syara‘ dan undang-undang tetapi juga merupakan suatu pelanggaran etika kemanusiaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6068
