Persoalan Mengeluarkan Kanak-Kanak Daripada Saf-Saf Orang-Orang Dewasa
PERSOALAN: MENGELUARKAN KANAK-KANAK DARIPADA SAF- SAF ORANG DEWASA
Kanak-kanak apabila sampai umurnya tujuh tahun, agama memerintahkan kepada ibu bapa agar melatih mereka itu melakukan ibadat sembahyang sebagaimana perkara ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah di antara mereka itu (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Diqiyâskan dengan ibadat sembahyang itu, supaya kanak-kanak berpuasa untuk beberapa hari yang bersesuaian dengan keupayaannya dan mengerjakan ibadat haji jikalau ibu bapanya mampu berbuat demikian.
Rahsia latihan mengerjakan sembahyang dan lain-lain ibadat di peringkat awal ini agar kanak-kanak itu mengetahui hukum-hukum ibadat tersebut dan supaya mereka terbiasa melaksana dan mendirikannya sejak dari awal-awal lagi. Tujuannya supaya kanak-kanak itu terasuh dan terdidik mentaati Allah, menunaikan hak-hak Allah, bersyukur kepada Allah, berlindung dengan Allah, percaya kepada Allah, mengharapkan semua perkara daripada Allah dan menyerahkan diri kepada Allah. Di samping itu dia akan memperolehi kesucian roh, kesehatan jasmani, kebaikan akhlak, baik dalam perkataan dan perbuatan.
Usaha ibubapa membawa anak-anak mereka yang mumayyiz datang ke masjid untuk sama-sama sembahyang berjemaah tentunya bertujuan untuk mengajar dan mendedahkan anak mereka kepada ibadat sembahyang. Ini adalah satu langkah positif di dalam memberikan penghayatan kepada ibadat sembahyang.
Namun, apa yang menjadi kemusykilan bagi setengah orang awam ialah tentang hukum kanak-kanak yang belum baligh dan belum berkhatan berada di dalam saf orang lelaki dewasa. Adakah kehadirannya itu merosakkan saf atau menghilangkan fadhilat sembahyang berjemaah dan adakah boleh dikeluarkan mereka itu dari saf tersebut supaya diisikan tempatnya itu oleh lelaki dewasa?
Berkata Imam Ibnu Hajar dalam kumpulan fatwanya:
“Menurut qaul yang muktamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang pertama, tiada harus (tiada boleh) bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka (dari saf yang pertama itu), bersalahan dengan orang-orang khuntsâ (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan perempuan-perempuan (hendaklah dikeluarkan mereka dari saf yang pertama), sebagaimana saya (Imam Ibnu Hajar) telah putuskan sedemikian itu di dalam Syarh Al-Irsyâd dan ibaratnya:
“Sunat berdiri membuat saf di belakang imam oleh dua orang lelaki sekalipun keduanya belum baligh atau salah seorang daripadanya sudah baligh dan yang seorang lagi adalah kanak-kanak lelaki yang kedua-duanya itu hendak mengikut imam yang bersembahyang, atau kedua-duanya datang terkemudian daripada kanak-kanak lelaki, atau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu daripada dua orang itu, sebagaimana telah lalu (disebutkan), atau orang-orang dewasa datang bertujuan mengikut imam. Kemudian jika saf orang-orang dewasa telah penuh, kanak-kanak lelaki itu berdiri di belakang saf orang-orang dewasa sekalipun kanak-kanak lelaki itu mempunyai kelebihan daripada orang dewasa, dengan ada ilmu dan seumpamanya, bersalahan bagi pendapat Imam Al-Darimi (yang mengatakan jika kanak-kanak itu afdhal daripada orang dewasa, seumpama orang dewasa itu fâsiq dan kanak-kanak itu salih, maka didahulukan kanak-kanak itu daripada orang dewasa itu) kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.
Jikalau saf orang-orang dewasa itu tiada penuh, dipenuhkan saf itu dengan kanak-kanak lelaki dan jikalau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu duduk dalam saf, tiadalah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki itu (dari saf itu), bagi (diberikan) kepada orang- orang dewasa.
Kemudian berdiri orang-orang khuntsa di belakang saf kanak-kanak lelaki, sekalipun saf kanak-kanak lelaki itu tiada penuh, dengan diihtimalkan (diperkirakan) mereka sebagai lelaki, dan tiadalah boleh dipenuhkan saf kanak-kanak lelaki itu dengan orang-orang khuntsa itu, dengan diihtimalkan (diperkirakan) mereka sebagai perempuan.
Kemudian orang-orang perempuan berdiri di belakang saf orang-orang khuntsa, sekalipun tiada penuh saf orang-orang khuntsa itu juga dan hendaklah didahulukan perempuan-perempuan yang baligh daripada kanak-kanak perempuan berqiyâskan kepada yang telah lalu dalam perkara kanak-kanak lelaki.”
Lebih lanjut lagi Ibnu Hajar menerangkan bahawa bukanlah maksud kehadiran kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa bahkan sesungguhnya mereka hanya mendahului pada saf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tiadalah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki (dari saf mereka) untuk (diberikan kepada) lelaki-lelaki dewasa, daripada apa yang telah ditetapkan bahawa kanak-kanak lelaki itu jenis orang-orang dewasa, bersalahan orang-orang yang selepas mereka (orang-orang khuntsa dan perempuan-perempuan).”
Daripada perkataan Iman Ibnu Hajar di atas ini, apabila kanak-kanak lelaki datang ke masjid dan dia telah duduk di dalam mana-mana saf sembahyang dengan tujuan hendak sembahyang mengikut imam, sama ada sembahyang Jumaat dan sebagainya, maka tidak boleh ke atas orang dewasa mengalih dan mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut dari saf-saf yang mereka berada di dalamnya.
Adapun hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidîn:
“Jika ada di dalam saf sesiapa yang tiada sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fâtihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian), kecuali jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas), maka lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.
Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tiada harus (tiada boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijmâ‘ ulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.”
Maka jika didapati kanak-kanak yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tiada diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau tidak, dan tiada diketahui dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya), maka menurut pendapat atau fatwa Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini tiadalah perkara itu meluputkan fadhilah sembahyang berjemaah dan adalah sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6073
