Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Pakaian Yang Memapar Minuman Keras Atau Lambang Kufur

Bagaimana kedudukan orang-orang Islam memakai baju yang memaparkan jenama minuman keras dan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol agama lain?

Inilah persoalan yang akan kita sentuh, disebabkan pakaian seumpama ini, terutama baju ‘T’, banyak dijual dan digemari pula oleh golongan muda memakainya.

Tujuan memapar suatu jenama pastinya bagi maksud mempromosi barangan tersebut. Manakala yang bersimbol keagamaan tentunya bagi tujuan keagamaan itu sendiri.

Sifat tolong-menolong di antara satu sama lain memanglah digalakkan oleh Islam dengan syarat ianya di dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan, bukannya di dalam perkara dosa dan maksiat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong- tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Adapun bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan maksiat bukan sahaja dilarang, bahkan Islam memerintahkan setiap orang Islam itu membanteras segala kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dengan kekuatan tangan (kekuasaan), dengan lidah (nasihat), dan yang sekurang-kurangnya dengan hati iaitu dengan membencinya. Ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Sa‘id Al-Khudri berkata:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya dia tiada berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya dia tiada juga berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami menegaskan di dalam kitabnya Fath Al-Mubîn li Syarh Al-Arba‘în bahawa mengingkari dengan hati itu ialah: “Membenci akan kemungkaran itu dengan hatinya dan dia berazam jika dia berkuasa (mengingkarinya) dengan kata-kata atau perbuatan, (nescaya) dia akan menghapuskannya, kerana membenci maksiat wajib hukumnya. Maka orang yang redha (tidak membenci) maksiat adalah (dikira) bersekutu dan bersyubahat dengan orang yang melakukan maksiat itu. Jika redhanya itu kerana menghalalkannya (beri‘tiqâd bahawa kemaksiatan itu tidak haram) sedangkan hukum kemaksiatan itu haram dengan ijmâ‘ dan telah diketahui umum iaitu ma‘lûm min al-dîn bi al-dharûrah, maka dia dihukumkan kufur. Manakala jika redhanya itu kerana menurutkan hawa nafsu (tidak beri‘tiqâd bahawa kemaksiatan itu tidak haram), maka dia dihukumkan fâsiq, tidak kufur dengannya. Perkara ini (membenci kemungkaran) adalah wajib ‘ain ke atas setiap orang kerana semua orang berkuasa pada melakukannya.”

Adapun hukum arak adalah jelas di dalam Al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘ ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum (ma‘lûm min al-dîn bi al-dharûrah). Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah Al-Mâ’idah: 90)

Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak. Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat berkenaan dengan arak sepuluh golongan: Orang yang memerah arak, orang yang minta diperahkan arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang minta dihantari arak, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang makan harga arak, orang yang membeli arak dan orang yang minta dibelikan arak. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Maka dengan ini adalah jelas bahawa pakaian yang memapar apa sahaja jenama minuman keras yang diharamkan oleh syara‘ haram hukumnya memakai pakaian tersebut kerana dengan demikian secara tidak langsung ia menandakan bahawa dia redha, menyokong, memberi pertolongan kepada penyebaran (mempromosi) minuman tersebut, walaupun dia tidak berniat sedemikian. Malahan wajib bagi orang Islam menghindari berdasarkan kepada mafhûm hadis yang diriwayatkan daripada Sa‘id bin Al-Khudri yang tersebut di atas kerana yang demikian itu adalah di antara tanda-tanda kebencian (mengingkari) dengan hati.

Manakala memakai baju yang memaparkan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol agama lain seperti salib, maka salib ini termasuk pada perkara-perkara atau benda-benda yang dipakai khas bagi orang Nashrani. Menurut pendapat Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin Yahya, bahawa orang Islam yang memakai salib dengan cenderung hatinya pada agama Nashrani atau dia qashadkan menyerupai orang kafir pada cogan-cogan atau adat kufur mereka, maka dia dihukumkan kafir. Dan jika tidak cenderung hatinya pada agama Nashrani dan tidak pula dia qashadkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur bagi orang Nashrani, maka dia telah berbuat haram dan dosa. Dan jika dia menyerupai orang Nashrani dalam perkara yang tersebut dengan serempak (tidak sengaja) atau tiada semena-mena dan tiada qashad sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut, maka dia tiada berdosa tetapi dia telah membuat makruh.

Justeru itu berdasarkan ini juga bahawa memakai baju yang berjenama minuman keras atau memaparkan jenama dan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol agama lain adalah sama hukumnya seperti yang diterangkan di atas. Penggunaan dan pemaparan jenama-jenama dan lambang-lambang itu tidak sunyi daripada tujuan mempromosi dan mengenalkan minuman keras (arak) dan syarikat pembuat arak yang berkenaan, supaya ianya lebih dikenali dan lebih diminati sehingga pada akhirnya membawa lebih laris dan lebih laku minuman arak itu.

Orang Islam mestilah berhati-hati dan peka serta bersikap tegas dengan perkara-perkara yang berhubungkait dengan agama, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan akidah. Kelalaian, meringan-ringan dan mengambil sikap sambil lewa akan perkara agama, boleh menyebabkan orang Islam terutama para remaja selalu terjerumus ke dalam perkara kemungkaran. Mereka ini sebenarnya bukan tidak mahu mengikuti ajaran-ajaran agama, tetapi disebabkan kurang pengetahuan, pendedahan dan penghayatan kepada hukum-hukum agama itu, membawa mereka terpesong dan terjebak kepada perkara-perkara mungkar. Di sinilah peranan ibu bapa dalam menunai dan menanamkan penghayatan Islam ke dalam jiwa anak-anak mereka yang mana ini adalah tugas yang terpenting sekali ke atas para ibu bapa. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). (Surah Al-Tahrîm: 6)

Mengikut para ulama tafsir, bahawa memelihara keluarga daripada api neraka itu ialah dengan cara mengajar dan mendidik mereka dengan perkara-perkara kebajikan serta menyuruh melakukan apa yang diperintah dan menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6079