Ramadhan Akan Menjelang Apa Persediaan Kita
Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Kelebihannya mendorong minat menambah amal ibadat.
Biasanya kita akan gembira menyambut mana-mana tetamu yang akan mengunjungi kita, bahkan akan terlebih dahulu membuat persiapan sambutan yang selayaknya. Begitulah dengan ketibaan bulan Ramadhan ini. Umat Islam yang sebenar pasti akan gembira menyambutnya, dan akan mengalu-alukan dengan membuat berbagai persediaan yang bersesuaian sebagaimana amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan amalan para ulama salafushshâlih ketika menyambut kedatangan tetamu mulia itu.
Berikut ini dicatatkan beberapa perkara yang perlu diketahui dan diamalkan berhubung dengan bulan Sya‘ban sebagai persediaan menyambut bulan Ramadhan yang akan menjadi tetamu kita:
[1] Bergembira dan Berdoa:
Bulan Rajab, Sya‘ban dan Ramadhan merupakan bulan-bulan agung. Bulan Rajab disebut Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai bulan Allah, Sya‘ban sebagai bulan Baginda dan Ramadhan sebagai bulan umat Islam.
Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Rajab adalah bulan Allah, Sya‘ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku. (Hadis riwayat Abu Al-Fath bin Abu Al-Fawaris)
Salah satu daripada ketiga-tiga bulan itu, ialah bulan Sya‘ban telah dinisbahkan kepada diri Baginda dan ini membawa pengertian bahawa keagungan bulan Sya‘ban bertambah kerana ia disandarkan kepada manusia yang paling agung dan mulia. Bahkan dalam satu riwayat Al-Nasa’i daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha disebutkan bahawa bulan Sya‘ban termasuk bulan yang paling disukai Nabi. Dalam bulan ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyak puasa sunat.
Manakala bulan Ramadhan adalah bulan yang dinisbahkan kepada umat Baginda, iaitu umat Islam. Penisbahan Ramadhan kepada umat Islam adalah sebagai simbolik kepada masa dan peluang umat Islam untuk beramal dan melipat-gandakan usaha yang berkebajikan di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan Al-Qur’an diturunkan. Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik darpadai seribu bulan dan lain-lain kelebihan lagi. Maka tujuan daripada simbolik ini, supaya umat Islam melipat-gandakan ibadah di dalamnya dan supaya menyambut ketibaannya dengan suka dan gembira, berdoa dan mengharap supaya sampai ke Ramadhan yang mulia. Sehubungan dengan kegembiraan menyambut Ramadhan ini, Al-Thabarani dan lain-lain meriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum tiba bulan Ramadhan, mulai daripada masuk bulan Rajab, Baginda sering berdoa. Di antara doa Baginda itu ialah:
Maksudnya:Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di bulan Rajab dan Sya‘ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menggembirakan para sahabatnya sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini.
Perkara ini pernah diceritakan oleh Salman Al-Farisi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lain-lain, bahawa apabila tiba akhir bulan Sya‘ban Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan khutbah kepada para sahabat yang antara lain mengandungi beberapa panduan dan dorongan untuk memperbanyak amal ibadah dalam bulan Ramadhan.
Panduan dan dorongan yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini membuatkan para sahabat merasa gembira menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini.
[2] Puasa Sunat:
Salah satu kegiatan ibadah yang perlu dilakukan dalam bulan Sya‘ban ialah memperbanyak puasa sunat, sama ada puasa sunat khas Sya‘ban, puasa sunat hari Isnin dan Khamis ataupun puasa sunat qadha.
Perkara ini telah dipraktikkan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Aku (‘Aisyah) tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa dalam satu bulan, melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat Baginda dalam mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan dalam bulan Sya‘ban. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Banyak lagi hadis-hadis yang memperkatakan bahawa puasa sunat yang paling banyak dilakukan Baginda ialah dalam bulan Sya‘ban. Di samping sebagai menyambut ketibaan bulan Ramadhan, Baginda pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmat puasa yang dilakukan Baginda dalam bulan Sya‘ban. Baginda bersabda:
Maksudnya: Bulan Sya‘ban yang berada di antara Rajab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa. (Hadis riwayat Al-Nasa’i)
Di antara puasa sunat yang dilakukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam termasuklah puasa sunat qadha yang tidak sempat dilakukan Baginda sempena sesuatu yang sudah lepas masanya.
Ibnu Hajar berkata ketika mengulas perkara ini: “Adalah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila luput daripadanya mana-mana amalan sunatnya, Baginda akan mengqadhanya, seperti sunat-sunat yang ada dalam sembahyang dan sembahyang malam. Begitu juga apabila masuk bulan Sya‘ban dan Baginda mempunyai baki puasa sunat yang belum dilakukan, Baginda akan mengqadhanya dalam bulan Sya‘ban itu.”
Dalam perkara puasa sunat di dalam bulan Sya‘ban ini, mengikut pendapat yang muktamad adalah boleh berpuasa sunat walaupun sudah pertengahan bulan Sya‘ban tetapi puasanya itu bersambung dengan hari-hari sebelumnya, yakni dia telah berpuasa sunat mulai sebelum masuk pertengahan Sya‘ban. Adapun berpuasa sunat sebelum masuk pertengahan bulan Sya‘ban saja tidak dipertikai keharusannya.
[3] Mengqadha Puasa Wajib:
Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqadha pada bila- bila masa, tetapi bulan Sya‘ban pada tahun berkenaan merupakan masa atau peluang terakhir buat tahun itu untuk mengqadha puasa Ramadhan yang tertinggal. Maksud peluang terakhir di sini ialah bagi mengelakkan membayar fidyah, kerana jika sudah masuk bulan Ramadhan kedua, sedangkan puasa Ramadhan tahun yang sebelumnya belum diqadha, maka di samping kewajipan mengqadhanya wajib pula mengeluarkan fidyahnya.
Bagi sesiapa yang masih belum mengqadha puasa Ramadhan tahun lepas, eloklah mengambil kesempatan mengqadhanya pada bulan Sya‘ban ini agar tidak terkena membayar fidyah.
Sehubungan dengan perkara wajib mengqadha puasa Ramadhan bagi wanita-wanita yang sedang haidh di bulan Ramadhan, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah memberi keterangan kepada Mu‘azah Al-‘Adawiyah yang antara lain berbunyi:
Maksudnya: Maka kita diperintahkan mengqadha puasa (kerana kedatangan haidh) dan tidak disuruh mengqadha sembahyang (yang tertinggal semasa kedatangan haidh).
(Hadis riwayat Muslim)
Bagi ‘Aisyah sendiri yang tidak sunyi daripada mengalami tabiat semulajadi wanita itu, mengambil inisiatif mengqadha puasanya yang tertinggal di bulan Sya‘ban sebagaimana dalam hadis:
Maksudnya: Saya (‘Aisyah) mempunyai puasa Ramadhan yang tertinggal dan saya tidak berupaya mengqadhanya melainkan dalam bulan Sya‘ban. (Hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim)
Dalam satu keterangan disebutkan ‘Aisyah tidak berupaya mengqadha puasanya dengan segera kerana kesibukannya melayan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum masuk bulan Sya‘ban. Bagaimanapun apabila bulan Sya‘ban muncul barulah dia berkesempatan mengqadha puasanya kerana pada bulan Sya‘ban ini Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah mulai sibuk hendak menyambut bulan Ramadhan dengan berpuasa sunat.
Fidyah
Di antara makna fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan berikutnya.
Di antara sebab-sebab wajib mengeluarkan fidyah puasa ialah:
i) Tidak berupaya berpuasa, iaitu seseorang yang wajib berpuasa tetapi tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua atau lemah. Sekiranya dia berpuasa tidak akan dapat menanggung kepayahannya.
ii) Orang yang sakit tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya melakukan puasa.
iii) Perempuan hamil atau yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya mereka ini berpuasa maka ditakuti akan mendatangkan mudarat kepada anak yang dikandung atau boleh mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang baik kepada anak yang menyusu.
iv) Orang yang tidak mengqadha puasa Ramadhan pada tahun berkenaan sehingga masuk Ramadhan berikutnya tanpa uzur syar‘i.
Khusus bagi sebab yang keempat ini, bagi sesiapa yang telah terlanjur melambat-lambatkan qadha puasa Ramadhan padahal dia boleh mengqadha puasanya itu dengan tiada uzur sehingga masuk Ramadhan lain, maka tetaplah juga wajib ke atasnya mengqadhanya sebanyak hari-hari Ramadhan yang ditangguhnya itu. Di samping itu wajib pula mengeluarkan fidyah mengikut kadar hari-hari berkenaan, iaitu sebanyak satu mudd atau 15 tahil atau 566.99 gram beras untuk satu hari.
Ertinya, satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan maka fidyahnya satu mudd, jika dua hari maka fidyahnya dua mudd, jika tiga hari maka fidyahnya tiga mudd, begitulah seterusnya.
Walau bagaimanapun kadar jumlah satu, dua atau tiga mudd itu boleh berganda. Umpamanya satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan fidyahnya ialah satu mudd, tetapi jika masuk tahun kedua belum diqadha, fidyahnya akan berganda menjadi dua mudd. Masuk tahun ketiga menjadi tiga mudd sehinggalah diqadha dan begitulah seterusnya.
Jadi bagi sesiapa yang belum mengqadha puasa Ramadhannya eloklah mengqadhanya dalam bulan Sya‘ban ini bagi mengelakkan fidyahnya berganda lagi.
Perlu juga diingat bahawa di samping kewajipan membayar fidyah dan mengqadha puasa Ramadhan adalah wajib bertaubat tidak akan meninggalkan puasa Ramadhan lagi atau melambatkan mengqadhanya jika tidak ada uzur syar‘i, kerana meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur adalah haram. Jika ditingalkan juga tanpa uzur wajiblah diqadha dengan segera, dan jika dilambat-lambatkan mengqadhanya tanpa uzur hukumnya adalah haram.
Orang Yang Sudah Meninggal
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar‘i seperti sakit atau dalam musafir sama ada satu hari atau lebih, kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengqadhanya, maka tidak wajib dikeluarkan fidyah puasa yang ditinggalkannya itu. Dia juga tidak berdosa kerana dia dikira tidak dapat melakukan yang wajib atasnya disebabkan suatu uzur atau halangan yang dibenarkan syara‘.
Bagaimanapun jika dia mati setelah berkeupayaan dan berpeluang mengqadhanya, namun dia tidak mengqadhanya maka pihak walinya tidak perlu mengganti puasanya dan tidak sah hukumnya, kerana puasa itu dikira ibadah peribadi yang tidak dapat diwakilkan semasa hidup.
Imam Nawawi berkata (ertinya): “Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan (kerana uzur syar‘i), kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengqadhanya, maka dia tidak wajib membayar fidyahnya dan tidak berdosa. Dan jikalau dia mati selepas berupaya mengqadhanya, walinya tidak perlu mengganti puasanya mengikut qaul jadîd. Yang perlu ialah membayar fidyah puasanya bagi setiap hari satu mudd makanan yang diambil daripada harta peninggalannya.” (Minhâj Al-Thâlibîn 77)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6158
