Bagaimana Mengisi Ramadhan
Kedatangan bulan Ramadhan pada setiap tahun merupakan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Apa tidaknya, kerana di bulan inilah dibukakan pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat.
Sebagaimana maksud hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu langit. Menurut satu riwayat, apabila datang bulan Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga. Menurut satu riwayat lagi, apabila datang bulan Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu rahmat.
Oleh itu di antara kelebihan Ramadhan itu ialah terbukanya pintu-pintu langit pada bulan tersebut, yang memberi maksud terbukanya pintu-pintu rahmat Allah Ta‘ala. Dengan demikian Allah Ta‘ala melipatgandakan balasan pahala ke atas setiap amalan-amalan yang baik, dibukaluaskanNya pintu pengampunan terhadap dosa-dosa orang-orang yang beriman dan mudah dikabulkanNya doa-doa mereka.
Sepertimana juga di antara kelebihan Ramadhan itu ialah dibukakan pintu-pintu syurga, yang memberi maksud bahawa amalan-amalan yang baik itu dijadikan Allah Ta‘ala sebagai kunci pintu-pintu syurga. Pada bulan Ramadhan ini banyak terdapat kunci-kunci tersebut dan mudah dicapai oleh setiap orang-orang yang beriman. Mereka berhak mendapat kemenangan dan masuk ke dalam syurga Allah Ta‘ala secara mudah dengan limpah kurniaNya iaitu dengan memanjatkan doa memohon keampunan, bertaubat, melakukan puasa, mendirikan sembahyang dan sebagainya dengan hati yang tulus ikhlas keranaNya jua.
Inilah di antara kelebihan yang amat besar yang terdapat di dalam bulan Ramadhan. Oleh itu, mengapa tidak setiap daripada kita mengambil peluang melakukan sebaik dan sebanyak mungkin amal ibadat di samping ibadat-ibadat yang wajib juga ibadat-ibadat yang sunat?
Bagi mencapai kesempurnaan ibadah puasa yang dikerjakan, tidak memadai setakat menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum, melakukan persetubuhan di siang hari dan sebagainya. Walaupun yang demikian itu sudah memenuhi tuntutan kefardhuan puasa dari segi syariat, akan tetapi lebih daripada itu, sebagai orang yang berpuasa hendaklah menjaga adab-adab berpuasa, di samping menyerikan lagi dengan melakukan perkara-perkara sunat yang sewajarnya tidak diabaikan, bersesuaian dengan kelebihan Ramadhan yang amat besar.
Apa yang dikhuatiri, jika seseorang yang berpuasa itu tidak dapat menjaga dan memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dibenci dan dilarang oleh syara‘ - sungguhpun puasa yang dikerjakan itu dihukumkan sah, selama mana dia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa - akan tetapi belum tentu dia memperolehi ganjaran daripada ibadat puasa yang dikerjakannya itu. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Al-Nasa’i dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Berapa banyak orang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga (yakni tidak mendapat pahala).
Adab-Adab Puasa
Di antara adab-adab yang perlu dijaga ketika seseorang menjalani ibadat puasa ialah:
1) Menutup pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘ dan daripada melihat perkara-perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Ta‘ala. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…”
(Surah Al-Nûr: 30-31)
2) Menutup telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang seperti yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong. (Surah Al-Mâ’idah: 42)
3) Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong, lebih-lebih lagi yang dituntut supaya menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang diharamkan, seperti mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah kerana perkelahian, bersumpah bohong dan sebagainya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang batil (dusta) dan melakukan perbuatan itu maka Allah tidak berhajat padanya untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya. (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadis yang lain:
Maksudnya: Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sesungguhnya itu ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
4) Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang diharamkan.
Inilah sebenarnya ciri-ciri orang beriman yang memperolehi kemenangan, di mana mereka sentiasa memelihara pancaindera dan anggota mereka daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan yang dilarang oleh syara‘ pada setiap masa, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyu‘ dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna… (Surah Al-Mu’minûn: 1-3) Firman Allah Ta‘ala dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Dan apabila mereka (ahli-ahli kitab yang beriman) mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya. (Surah Al-Qashash: 55)
Secara umumnya, puasa yang benar-benar diterima itu ialah bukan setakat menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan juga memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara maksiat.
Termasuk juga antara lain adab berpuasa itu ialah tidak berlebih-lebihan dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa lebih-lebih lagi jika berlaku pembaziran. Pembaziran hukumnya adalah haram. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Begitu juga, tidak boleh berlebih-lebihan ketika menikmati juadah berbuka puasa. Apabila seseorang itu berlebihan makan boleh menyebabkan dia lalai dan malas untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain. Islam telah menggariskan ‘sukat-sukat’ tertentu dalam perkara ini, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan makanlah dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah Ta‘ala) tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah Al-A‘râf: 31)
Jika tabiat berlebih-lebihan ini berlaku, sudah setentunya matlamat berjimat cermat dalam berbelanja melalui ibadat puasa itu tidak boleh dicapai.
Di antara lain, adab yang perlu ada pada diri orang yang berpuasa itu ialah wujudnya perasaan takut adakah amalan ibadat puasanya itu akan diterima, adakah dia orang yang hampir kepada Allah ataupun sebaliknya, di mana dia akan menjadi orang yang rugi.
Perkara-Perkara Sunat Puasa
Terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa, di antaranya ialah:
i. Melewatkan bersahur
Sunat bagi orang yang hendak mengerjakan puasa itu bersahur dengan sesuatu makanan walaupun sedikit, bahkan walaupun dengan sebiji kurma ataupun seteguk air, kerana bersahur itu mengandungi keberkatan. Tersebut di dalam sebuah hadis shahîh:
Maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu tinggalkan walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta‘ala dan MalaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadis riwayat Ahmad)
Antara keberkatan yang terdapat pada makan sahur itu, di samping ianya dapat membantu seseorang menyiapkan ketahanan dirinya dari segi fizikal untuk mengerjakan ibadat puasa di siang hari, ianya juga dapat membantu mengisi keperluan rohaninya dengan merebut peluang untuk bertahajjud, berzikir, beristighfâr dan berdoa pada waktu sahur yang sangat mubârak, yang dipenuhi dengan seribu rahmat. Apatah lagi jika malam tersebut kebetulan Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan demikian mudah-mudahan kita akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang sebagaimana sebagaimana yang di sebutkan dalam firman Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Âli ‘Imran: 17)
Disunatkan pula melambatkan sahur sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah untuk memendekkan masa menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Tersebut di dalam satu riwayat yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa seorang sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Kami telah bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas Radhiallahu ‘anhu bertanya: “Berapakah jarak waktu di antara keduanya?” Zaid menjawab:
Maksudnya: Kadar lima puluh atau enam puluh, yakni ayat.
Tersebut di dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya: Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Adapun waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur, bahkan ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur.
ii. Menyegerakan berbuka puasa
Apabila masuk waktu berbuka, sunat bagi orang yang berpuasa itu menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang Maghrib kerana menyegerakan berbuka puasa itu merupakan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sentiasa manusia itu dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, sunat berbuka puasa dengan tiga biji kurma basah (ruthab). Jika tidak ada, memadai dengan kurma kering (tamar) dan jika tidak ada, memadai dengan beberapa teguk air. Beginilah cara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa sebelum Baginda menunaikan sembahyang (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah, jika tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering, jika tidak ada kurma kering, maka Baginda meneguk beberapa teguk air. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Di dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berbuka puasa maka berbukalah dengan tamar, (kerana) bahawasanya tamar itu ada padanya berkat. Jika dia tidak memperolehi tamar, maka berbukalah dengan air, (kerana) air itu menyucikan. (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan lainnya)
Kemudian selesai menunaikan sembahyang Maghrib barulah menikmati juadah yang lain.
Apakah rahsia di sebalik anjuran berbuka dengan buah kurma dan air?
Menurut ulama bahawa hikmat mendahulukan berbuka puasa dengan buah kurma, sama ada yang basah atau yang kering, kerana pada kurma itu terdapat benda manis dan sedap lagi mengenyangkan serta mudah hadam.
Pakar perubatan moden pula turut mengesahkan akan kebaikan cara Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa dengan kurma. Kebiasaannya, pada siang hari seseorang yang berpuasa itu akan banyak membuat pembakaran gula yang terkandung di dalam sel-sel badannya. Penurunan nisbah gula di dalam darahnya yang lebih banyak daripada biasa menyebabkan dia merasa lemah dan malas. Oleh sebab itu, betapa perlunya dia memberikan badannya kadar gula yang mencukupi sewaktu berbuka puasa, bukan dengan memberikannya bahan-bahan yang mengandungi minyak dan berkanji.
Di antara bahan makanan yang paling cepat diproses sebagai bekalan tenaga, tidak lain ialah kurma. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Begitu juga dengan air, ianya sangat berguna untuk menyucikan perut dan membersihkannya daripada makanan yang tidak cerna, menguatkan isi perut, menggerakkan perut supaya menjalankan fungsinya dengan baik dan membasahkan hati yang telah kering sepanjang hari.
iii. Berdoa sepanjang siang khususnya ketika berbuka puasa
Sunat bagi orang yang berpuasa itu sentiasa membasahkan bibirnya dengan berzikir dan berdoa sepanjang hari dia menjalani ibadat puasa.
Sesungguhnya ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan membolehkan seseorang itu hampir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dengan demikian akan memudahkan lagi segala zikir dan doanya diterima dan dimakbulkan oleh Allah Ta‘ala. Oleh itu, sayugialah diperbanyakkan doa dan zikir di sepanjang hari puasa, lebih-lebih lagi yang dituntut ketika waktu berbuka puasa kerana doa orang berpuasa ketika dia berbuka sangat mustajab dan tidak tertolak. Tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka itu adalah waktu berdoa yang tidak akan tertolak. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnus Sunni)
Di antara doa yang wârid yang elok dibaca ketika berbuka ialah:
Maksudnya: Ya Allah, keranaMu aku berpuasa dan di atas rezekiMu aku berbuka. KepadaMu sahajalah aku berserah diri dan kepadaMu aku beriman. Haus telah hilang, urat-urat telah basah dan semoga tetap memperolehi ganjaran insya Allah. Wahai (Tuhan) Yang Maha Luas kelebihanNya ampunilah aku. Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menolong aku maka aku dapat berpuasa dan telah memberi rezeki kepadaku maka aku dapat berbuka.
Apabila berbuka puasa di tempat orang lain elok dibaca doa sebagaimana yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda berkunjung berbuka puasa di rumah Sa‘ad bin ‘Ubadah:
Maksudnya: Orang-orang yang berpuasa berbuka di tempat kamu, orang-orang yang baik makan makanan kamu, dan semoga malaikat memohonkan rahmat buat kamu.
iv. Membaca Al-Qur’an
Di antara ciri-ciri keistemewaan bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan di dalamnya Kitab Suci Al-Qur’an Al-Karim. Sebagaimana juga tersebut di dalam hadis bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada tiap-tiap malam di bulan Ramadhan bertadarus Al-Qur’an bersama-sama Jibril ‘Alaihissalam.
Oleh itu mengapa tidak direbut peluang yang berharga ini dengan memperbanyakkan membaca Al-Qur’an di sepanjang bulan yang mulia, bulan Al-Qur’an? Kalau boleh dapat mengkhatamkan sekurang- kurangnya sekali.
Al-Imam Al-Nawawi menegaskan di dalam kitabnya Al-Adzkâr bahawa hari-hari yang terbaik membaca Al-Qur’an ialah pada hari Jumaat, Isnin, Khamis, hari ‘Arafah (9 Zulhijjah), sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Kemudian bulan terbaik adalah bulan Ramadhan.
Beliau juga menegaskan bahawa membaca Al-Qur’an di luar sembahyang, yang lebih afdhal ialah membacanya pada malam hari. Waktu separuh malam terakhir adalah lebih afdhal daripada awalnya. Membacanya antara Maghrib dan ‘Isya’ sangat disukai oleh kebanyakan orang. Adapun kalau dibaca pada waktu siang maka waktu yang afdhal ialah selepas sembahyang Shubuh. Sebenarnya tidak ada waktu yang dimakruhkan untuk membaca Al- Qur’an walaupun pada waktu yang ditegah mendirikan sembahyang.
Kelebihan membaca Al-Qur’an terutama membacanya di bulan Ramadhan amatlah besar sekali sebagaimana disebutkan melalui hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dikatakan kepada orang yang membaca Al-Qur’an: “Bacalah dan naiklah pada tangga syurga, dan bacalah Al-Qur’an dengan tartîl sebagaimana engkau membacanya dengan tartîl semasa di dunia, sesungguhnya tempatmu adalah pada akhir ayat yang kamu baca.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud dan Nasa’i)
Hadis di atas menjelaskan bahawa orang-orang yang membaca Al-Qur’an semasa di dunia dapat meninggikan darjatnya di akhirat kelak. Orang yang membaca Al-Qur’an semasa di dunia, di akirat kelak Allah Ta‘ala menyuruhnya membaca Al-Qur’an dan naik di atas tangga syurga. Lalu dibacanya Al-Qur’an sebagaimana dia membacanya semasa di dunia. Demi satu ayat dibacanya maka naik dia satu tangga syurga, sehinggalah habis ayat Al-Qur’an yang dibacanya, maka di situlah penghabisan darjatnya. Oleh itu, sesiapa yang cukup sempurna habis Al-Qur’an itu dibacanya maka dia mendapat setinggi darjat dan sesiapa yang kurang maka kuranglah darjatnya. Demikianlah masing-masing dengan darjatnya dikurniakan Allah Ta‘ala kepadanya. (Bahr Al-Mâzî 20/192).
Antara lain juga kelebihan membaca Al-Qur’an itu, tersebut di dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa membaca satu huruf daripada Al-Qur’an maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan dilipatgandakan menjadi sepuluh kebajikan. Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lâm Mîm م) (أل satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lâm satu huruf dan Mîm satu huruf.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Darimi)
Hadis di atas memperjelaskan betapa besarnya fadhilat membaca Al-Qur’an, lebih besar pahalanya daripada zikir-zikir yang lain. Betapa tidak! Kerana Ia adalah Kalam Allah. Tiap satu huruf yang dibaca bermakna seorang itu mendapat satu kebajikan, satu kebajikan itu digandakan pula menjadi sepuluh kebajikan. Itu baru satu huruf Al-Qur’an. Bayangkan seorang yang membaca satu surah, atau dua surah, atau seluruh Al-Qur’an maka akan lebih besarlah lagi ganjaran pahala yang diperolehinya. Ini merupakan suatu jaminan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Selain itu juga, orang yang berzikir dengan Kalam Allah itu serta mengambil perhatian terhadap kehendak ayat-ayat yang dibaca pastilah akan melembutkan hati, menerbitkan nûr atau cahaya pada dirinya, merendahkan diri dan tunduk kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta memperhambakan diri kepadaNya.
Di bulan Ramadhan inilah kesempatan yang paling berharga yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baik mungkin untuk memperbanyakkan membaca Al-Qur’an, sama ada secara bertadarus ataupun secara berseorangan.
v. Memperbanyak sedekah
Sebagaimana sabit daripada hadis yang shahîh bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah dan dermawan, lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadhan.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah, lebih-lebih lagi ketika Jibril menemui Baginda di bulan Ramadhan. Jibril menemui Baginda pada tiap-tiap malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus Al-Qur’an. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih bermurah tangan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus. (Hadis riwayat Bukhari)
Lantaran Ramadhan merupakan bulan untuk memperbanyak sedekah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan umatnya memberi makan orang-orang yang berpuasa ketika waktu berbuka kerana pahala orang yang memberi makan orang yang berpuasa ketika waktu berbuka adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa itu, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa ketika waktu berbuka atau mempersiapsediakan orang yang hendak berperang (di jalan Allah) maka baginya pahala seperti pahala yang diperolehi orang yang berpuasa atau orang yang pergi berperang itu. (Hadis riwayat Baihaqi dengan sanad yang shahîh)
Antara lain fungsi sedekah di bulan Ramadhan itu ialah untuk menutupi atau menampal apa-apa jua kecacatan atau kekurangan pada puasa seseorang. Maklumlah kadang-kadang di dalam mengerjakan ibadat puasa terdapat kekurangan ataupun terlajak perbuatan atau kata-kata yang boleh mengurangkan pahala puasa. Lantaran itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala mewajibkan zakat fitrah yang dikeluarkan pada akhir bulan Ramadhan untuk menyucikan orang-orang yang berpuasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang keji. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih puasa daripada perkataan yang tidak berguna dan perkataan yang keji dan sebagai makanan untuk orang-orang miskin. (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Daraqutni dan Al-Hakim)
Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan curahan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan rahmat Allah itu dekat dengan orang-orang yang melakukan amal kebaikan sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu amalan kebaikan yang dilakukan di bulan Ramadhan sama ada yang fardhu atau sunat mendapat balasan yang istimewa daripada Allah semata-mata ianya dikerjakan di dalam bulan Ramadhan yang berkat ini. Daripada Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah dengan bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan satu pekerjaan kebajikan di dalamnya (bulan Ramadhan), samalah dia seperti orang menunaikan satu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya, samalah dia seperti orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu di bulan yang lain. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)
Maka dari itu, perbanyakkanlah ibadat dan kebajikan di bulan ini nescaya rahmat Allah akan mencurah-curah dikurniakan kepada kita. Dengan rahmat Allah, dosa seseorang itu diampunkan dan dengan rahmat Allah juga seseorang itu terlepas daripada siksaan dunia dan akhirat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6166
