Permasalahan Mengenai Puasa
Puasa itu bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shâdiq hingga masuk matahari dengan syarat-syarat tertentu, tetapi juga menahan diri daripada bercakap kotor, tidak berlaku jahat dan lain-lain perbuatan maksiat. Dengan demikian kita akan terselamat daripada tergolong ke dalam golongan yang tidak memperolehi sesuatu pun daripada puasanya selain daripada lapar dan dahaga.
Sayugialah di bulan yang mulia ini, jangan ada orang Islam yang senghaja tidak berpuasa tanpa keuzuran syar‘i, kerana selain suatu dosa, puasa yang ditinggalkannya itu juga tidak boleh diganti walaupun seseorang itu berpuasa sepanjang masa. Alangkah ruginya orang yang sedemikan.
Oleh kerana itu, hayati puasa itu dengan bersungguh-sungguh, supaya datang pertolongan Allah, bahawa puasa itu sebagai pendinding, di samping lain-lain kelebihan yang tiada terhingga banyaknya.
Mengetahui hukum-hakam puasa boleh membantu untuk mencapai matlamat puasa itu. Maka dalam keghairahan kita menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan, kadang-kadang timbul pelbagai persoalan ataupun masalah mengenai hukum sesuatu perkara. Kadang-kadang timbul berbagai masalah yang kita sendiri tidak tahu bagaimana kedudukannya dari sudut hukum syara‘; adakah ia boleh merosakkan atau membatalkan puasa ataupun tidak dan seterusnya berbagai-bagai lagi persoalan yang datang. Oleh kerana itu perlulah diketahui akan hukum-hakam yang bersangkut-paut dengan masalah puasa ini.
Secara ringkas bahawa rukun puasa itu ada tiga iaitu:
(i) Orang yang berpuasa. (ii) Niat. (iii) Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Orang Yang Berpuasa Disyaratkan bagi orang yang berpuasa itu Islam, berakal dan suci daripada haidh dan nifas.
Niat
Diwajibkan berniat itu pada tiap-tiap malam, mulai dari terbenam matahari sehinggalah sebelum terbit fajar shâdiq.
Adapun lafaz niat puasa Ramadhan itu ialah:
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari kerana menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Di samping itu adalah digalakkan juga berniat puasa untuk selama sebulan pada awal bulan Ramadhan bagi tujuan berhati- hati jika seseorang itu terlupa berniat pada suatu malam. Ini adalah bertaqlîd kepada mazhab Maliki.
Mengenai perempuan yang telah menjalani tempoh maksimum waktu haidh atau nifas, jika berniat pada waktu malam untuk berpuasa esok harinya, sebelum kering atau terputus darahnya, lalu kering atau terputus darahnya pada malam itu juga, maka sah puasanya dengan niatnya itu.
Andaikata darah haidh atau nifasnya itu tidak kering walaupun setelah menjalani tempoh maksimum waktu haidh atau nifas, jika dia berniat pada waktu malam untuk berpuasa esok hari, sah puasanya dengan niatnya itu kerana darah yang keluar melebihi tempoh haidh atau nifas itu tidak lagi dikatakan sebagai darah haidh atau nifas, tetapi ia dikatakan sebagai istihâdhah yakni sejenis darah penyakit. Istihâdhah itu pula tidak menghalang daripada sahnya puasa.
Menahan Diri Daripada Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa.
Perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah:
(i) Datang darah haidh atau nifas.
Adapun perempuan yang sedang berpuasa, jika datang darah haidh atau nifas maka batal puasanya dan wajib dia mengqadhanya.
Perlu diketahui juga bahawa perempuan yang haidh atau nifas apabila kering atau terputus darahnya pada malam hari puasa ataupun pada siangnya, bolehlah dia berpuasa keesokannya, walaupun dia belum lagi bersuci dengan mandi hadas atau bertayamum.
(ii) Makan atau minum dengan senghaja.
Haram bagi orang yang berpuasa makan atau minum dengan senghaja di siang hari bulan Ramadhan.
Jika dia makan atau minum dalam keadaan terlupa atau tidak senghaja, perbuatannya itu tidaklah membatalkan puasanya.
(iii) Muntah dengan senghaja.
Apabila seorang yang berpuasa itu muntah dengan senghaja, maka batal puasanya. Adapun muntah dengan senghaja itu ialah dia melakukan sesuatu yang menyebabkannya muntah seperti menjolok-jolokkan lidahnya ke langit-langit kemudian dia muntah dengan sebab perbuatannya itu.
Jika muntahnya itu dengan tidak senghaja, seperti muntah yang keluar dengan tiba-tiba disebabkan oleh rasa badannya yang tidak sihat, maka yang demikian itu tidak membatalkan puasa.
(iv) Mengeluarkan air mani dengan senghaja.
Di antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah mengeluarkan air mani dengan senghaja. Tidak kira sama ada diharamkan ke atasnya mengeluarkan air mani itu, seperti berlaku dengan menggunakan tangannya sendiri yakni onani, ataupun perkara tersebut halal bagi dirinya untuk melakukannya, seperti dengan sebab bersentuh, bercumbu atau berpeluk-peluk dengan isterinya dan seumpamanya.
Adapun suami yang mengucup isterinya, lalu keluar air madzi, tetapi tidak menyebabkan keluar maninya, maka tidaklah membatalkan puasa menurut pendapat mazhab Syafi‘e kerana air madzi yang keluar itu tidak mewajibkan mandi, sama halnya seperti air kencing.
Sungguhpun demikian, makruh bagi suami dan isteri berkucupan, berpeluk-pelukan dan seumpamanya, jika yang demikian itu boleh menaikkan syahwat, kerana ditakuti akan membawa kepada perlakuan bersetubuh atau mengeluarkan air mani di siang hari puasa.
Jika air mani itu keluar dengan sebab melihat sesuatu yang memberangsangkan atau berkhayal, maka tidaklah batal puasa seseorang itu. Namun, ada ulama mengatakan bahawa perlakuan melihat sesuatu yang memberangsangkan atau berkhayal itu jika pada kebiasaannya menyebabkan keluar mani bagi seseorang, maka ianya boleh membatalkan puasa. Akan tetapi sebaliknya, jika pada kebiasaannya tidak menyebabkan keluar mani, maka tidaklah membatalkan puasa.
Apabila seseorang bermimpi di siang hari puasa lalu keluar mani, maka tidaklah batal puasanya dengan ijmâ‘ ulama, kerana perbuatannya itu tidak dikira sebagai senghaja. Seperti halnya seseorang yang tertelan lalat yang terbang masuk ke dalam mulut lalu masuk ke dalam perut dengan tiada senghaja, tidaklah membatalkan puasanya.
(v) Menjadi gila atau hilang akal sepanjang hari.
Orang yang sedang berpuasa apabila tiba-tiba dia menjadi gila, maka puasanya adalah batal, sekalipun gilanya itu dalam tempoh yang pendek. Sungguhpun demikian tidaklah wajib qadha baginya.
Bagi orang yang hilang akal kerana pitam, pengsan atau mabuk sepanjang hari yakni dari terbit fajar shâdiq hingga masuk matahari, maka puasanya adalah batal dan diwajibkan baginya mengqadha puasa tersebut. Akan tetapi jika dia ada sedar dalam tempoh tersebut walau sesaat maka puasanya adalah sah.
Adapun orang yang tidur di sepanjang siang hari puasa, tidaklah yang demikian itu merosakkan atau membatalkan puasanya.
(vi) Menjadi murtad.
Apabila orang yang sedang berpuasa itu menjadi murtad (keluar daripada agama Islam), walaupun sekejap, maka batal puasanya dan wajib ke atasnya qadha apabila dia kembali semula kepada Islam.
(vii) Bersetubuh.
Apabila orang yang sedang berpuasa itu bersetubuh pada siang hari dengan senghaja dengan memasukkan hasyafah atau kadarnya pada qubul atau dubur, sama ada manusia atau binatang, maka batal puasa orang yang melakukan persetubuhan itu dan wajib dia mengqadha puasanya serta dikenakan ke atasnya kaffârah.
Begitu juga kepada orang yang disetubuhi adalah batal puasanya dan wajib qadha tetapi tidak dikenakan kaffârah ke atasnya.
(viii) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan senghaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia.
Maksud dengan ‘benda’ di sini ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga (bijan) atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk maksud ‘benda’ itu ialah rasa, warna dan bau. Apabila masuk ke dalam rongga seseorang itu sesuatu yang bukan benda seperti rasa, warna dan bau, tidaklah membatalkan puasa.
Yang dimaksudkan dengan ‘lubang yang terbuka’ itu ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu memang semulajadi seperti mulut, hidung dan sebagainya atau yang baru wujud seperti luka.
Adapun maksud ‘senghaja’ itu pula ialah dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain dengan keizinannya.
Manakala maksud ‘rongga’ pula ialah apa sahaja yang dinamakan rongga sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, seperti rongga otak (tempurung kepala), kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-Ihlil).
Untuk jelasnya berikut adalah huraian maksud tiap-tiap satu daripada rongga-rongga yang disebutkan itu.
(a) Rongga otak.
Adapun yang dinamakan rongga otak itu ialah tempurung kepala. Maka jika dimasukkan ubat ke dalam kepala melalui lubang yang ditebuk di kepala atau yang luka, apabila sampai sahaja ubat itu ke tempurung kepala (خريطة الدماغ) adalah membatalkan puasa walaupun tidak sampai ke dalam otak.
(b) Kerongkong atau rongga mulut.
Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) huruf اْلاء hingga ke atas mulut, manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluarnya (makhraj) huruf اهلمزة atau اهلاء hingga ke bawah (kerongkong). Maka yang dikatakan rongga mulut yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut ke had batin (tempat keluar (makhraj) huruf اهلمزة atau اهلاء).
Adapun air liur yang ada pada had zahir mulut itu apabila ditelan tidaklah membatalkan puasa, kecuali air liur yang berpisah dari lidahnya dan meleleh keluar ke bibir, apabila ditelan, membatalkan puasa.
Manakala kahak atau hingus yang sampai (datang) pada had zahir mulut yang seseorang itu berkuasa membuangnya (meludahnya), apabila ditelannya, adalah membatalkan puasa.
(c) Rongga hidung.
Apa-apa jua yang dimasukkan ke dalam hidung yang melebihi pangkal batang hidung (khaisyûm) adalah membatalkan puasa.
(d) Rongga telinga.
Adapun rongga telinga yang membatalkan puasa itu ialah batin telinga. Maka jika dimasukkan sesuatu seperti menitikkan ubat ke dalam telinga dan sampai ke batin telinga adalah membatalkan puasa.
(e) Rongga perut.
Batal puasa seseorang itu apabila dimasukkan sesuatu seperti ubat melalui lubang yang ditebuk pada perut dan sampai ke dalam perut walaupun tidak sampai ke perut panjang ( األمعاء ). Begitu juga jika dia menikam perutnya dengan senghaja atau oleh orang lain dengan izinnya, maka batal puasa dengan sampainya alat seperti pisau yang digunakan untuk menikam itu.
(f) Rongga dubur.
Rongga dubur yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu seperti jari ke tempat yang tidak wajib dicuci ketika beristinjak.
Demikian juga halnya dengan tahi yang telah keluar tetapi tidak terpisah daripada dubur, apabila dikecitkan (dikemutkan) dubur tanpa ada keperluan dan najis itu masuk kembali ke dalam, maka batal puasa seseorang itu, kerana dimasukkan dengan senghaja iaitu perbuatan menarik balik yang tidak diperlukan. Tetapi jika terpaksa seperti orang yang sakit buasir, maka tidaklah batal puasanya.
(g) Rongga faraj.
Adapun rongga faraj yang membatalkan puasa ialah jika masuk sesuatu yang melebihi had zahir faraj.
Had zahir faraj itu ialah apa yang nyata ketika seorang perempuan itu duduk mencangkung di atas kedua betisnya. Sebagai contoh jika dimasukkan jari atau apa-apa benda seperti kapas atau alat pencegah hamil melebihi had zahir, maka batallah puasanya.
(h) Pundi-pundi kencing.
Adalah batal puasa seseorang itu jika sampai sesuatu ke pundi-pundi kencing seperti ditebuk di bahagian ari-ari bagi tujuan memasukkan ubat atau alat ke pundi-pundi kencing itu.
(i) Lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlil).
Apabila dimasukkan sesuatu benda atau menitikkan ubat ke lubang tempat keluar air kencing atau lubang tempat keluar air susu, walaupun tidak sampai ke pundi-pundi kencing atau tidak melebihi hasyafah atau melebihi puting susu adalah membatalkan puasa.
Maka selain daripada apa yang disebutkan di atas, tidaklah termasuk dalam apa yang disebut sebagai rongga seperti lubang bulu roma, zahir mulut, zahir telinga, zahir hidung dan mata.
Permasalahan
(i) Memakai kontek lens dan bertitik mata.
Mata tidaklah termasuk di dalam apa yang dikatakan sebagai rongga, demikian dijelaskan oleh Al-Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah Al-Thâlibîn. Oleh yang demikian, memasukkan sesuatu ke mata dengan senghaja seperti memakai kontek lens di kelopak mata ketika berpuasa tidak membatalkan puasa.
Begitu juga menitiskan titik mata pada mata ketika berpuasa tidaklah membatalkan puasa, kecuali jika diyakini benda (‘ain) cecair yang dititikkan itu masuk melalui lubang yang ada pada mata itu dan sampai ke kerongkong, maka apabila benda itu ditelan, batal puasanya. Jika diludahkannya tidaklah membatalkan puasa.
Tetapi jika yang sampai ke kerongkong itu hanya rasanya bukan benda cecair itu, walaupun ditelan tidaklah membatalkan puasa, kerana rasa itu tidak dinamakan ‘ain. Hal ini diqiyâskan daripada pembicaraan ulama tentang memakai celak mata ketika berpuasa.
(ii) Pemindahan darah.
Di dalam perkara ini bolehlah dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu mengeluarkan darah dari dalam badan dan memasukkan darah ke dalam badan.
Mengenai hukum mengeluarkan darah dari dalam badan orang yang berpuasa seperti orang yang berbekam, tidaklah membatalkan puasa. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbekam sedang Baginda berpuasa. (Hadits riwayat Bukhari)
Walaupun begitu, perbuatan berbekam ini adalah makruh bagi orang yang berpuasa, kerana ditakuti akan melemahkan dirinya.
Demikian juga hukum berderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa, tidaklah membatalkan puasa, hanya dihukumkan makruh sahaja, kerana perbuatan ini bukan memasukkan sesuatu ke dalam sebarang rongga tetapi sebaliknya iaitu mengeluarkan darah.
Manakala memasukkan darah ke dalam tubuh badan orang yang sedang berpuasa atau penyucian darah dengan menggunakan mesin bagi orang yang mengalami sakit buah pinggang adalah membatalkan puasa, kerana darah yang dimasukkan itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.
Hal ini sama dengan menyuntikkan cecair ubat seperti air gelukos melalui urat darah bagi tujuan memberi tenaga atau lain-lain tujuan pencegahan atau kesihatan adalah membatalkan puasa, kerana dalam hal ini benda (‘ain) itu pasti sampai ke perut panjangnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan, maka sudah tentu perbuatan ini lebih utama membatalkan puasa daripada perbuatan menambah darah.
(iii) Perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak.
Bagi perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak, adalah diharuskan bagi mereka berbuka puasa.
Namun persoalannya, adakah diwajibkan kepada mereka qadha saja tanpa dikenakan fidyah atau diwajibkan kedua-duanya sekali? Maka ini tertakluk kepada hal-hal berikut: (i) Jika dia berbuka kerana merasa takut akan kemudaratan dirinya sahaja atau takut akan kemudaratan dirinya dan juga anaknya, maka wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu sahaja tanpa dikenakan fidyah.
(ii) Jika dia berbuka kerana merasa takut akan kemudaratan anaknya sahaja, maka wajib ke atasnya qadha beserta mengeluarkan fidyah pada tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu.
Harus dikeluarkan fidyah itu selepas masuk malam bagi hari puasa yang dikeluarkan fidyah itu.
Jenis makanan yang dikeluarkan ialah makanan yang mengenyangkan bagi sesuatu negeri itu, seperti beras bagi negeri kita. Kadar fidyah itu ialah 1 mudd (cupak) bersamaan dengan kiraan 15 tahil (566.85 gram).
(iv) Berpuasa dalam keadaan junub (hadats besar).
Orang yang berhadats besar pada malam hari sehingga membawa kepada siangnya dia masih dalam keadaan berhadats besar, adalah sah puasanya itu. Dengan kata yang lain, sah puasa walaupun dalam keadaan berhadats besar.
Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah kedapatan subuh (kesiangan) dalam keadaan junub kerana jimâ‘ bukan kerana mimpi dan Baginda terus saja berpuasa. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6178
