Lailatul Qadar
Lailatul Qadar adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di sepanjang tahun, seperti mana hari ‘Arafah adalah hari yang lebih utama di antara hari- hari yang ada di sepanjang tahun.
Ia merupakan satu malam yang istimewa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala khas untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi memuliakan mereka, yang mana pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelumnya.
Lailatul Qadar ini juga dinamakan sebagai ‘malam penentuan’ atau ‘malam pembahagian’ kerana jumhur ulama mengatakan bahawa malam ini adalah malam di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala mentakdirkan segala urusan, hukum rezeki dan ajal untuk jangka masa setahun akan datang. Kemudian catatan ketentuan itu diserahkan kepada para malaikat, mengikut bidang tugas masing-masing.
Sebab Diturunkan Lailatul Qadar
Terdapat banyak pendapat yang diberikan mengenai sebab-sebab kenapa Lailatul Qadar itu dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja. Menurut beberapa buah hadits, di antara sebab-sebab itu ialah:
(i) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memikirkan tentang umur umat-umat dahulu yang panjang jika dibandingkan dengan keadaan umur umatnya yang pendek. Baginda sangat berdukacita kerana jika umat ini ingin berlumba dalam kesalihan dengan umat-umat yang dahulu maka mustahillah mereka dapat bersaing apatah lagi mengatasinya lantaran umur mereka yang pendek. Maka dengan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dikurniakanlah malam yang penuh dengan keberkatan ini kepada umat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
(ii) Riwayat yang lain menyatakan bahawa suatu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan kepada sahabatnya tentang seorang yang sangat salih daripada kalangan Bani Israel yang telah menghabiskan masanya di dalam jihad selama seribu bulan. Apabila mendengarnya, sahabat-sahabat berasa cemburu kerana mereka tidak dapat mencapai ganjaran yang sama, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala pun menganugerahkan kepada mereka malam kemuliaan ini, di mana beribadat di dalamnya lebih baik daripada seribu bulan.
(iii) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut beberapa orang yang sangat salih daripada kalangan Bani Israel. Setiap daripada mereka menghabiskan masa lapan puluh tahun berkhidmat kerana Allah, menyembahNya dan tidak pernah ingkar sedikit pun. Mendengar kisah ini para sahabat pun merasa takjub dan memikirkan cara bagaimana mahu bersaing dengan kejayaan mereka itu. Kemudian muncullah malaikat Jibril ‘Alaihissalam lalu membaca surah Al-Qadr yang mewahyukan keberkatan malam yang istimewa ini.
Keutamaan Lailatul Qadar
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur’an) ini pada malam Lailatul Qadar. (Surah Al-Qadr: 1)
Ayat ini merujuk kepada suatu kenyataan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Qur’an pada Lailatul Qadar dari Lauh Al-Mahfûzh ke langit dunia secara menyeluruh dengan sekaligus, kemudian menurunkannya dari langit dunia kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam secara beransur-ansur; seayat, dua ayat atau beberapa ayat, atau diturunkan sesurah mengikut mashlahat dan hikmatnya melalui pengetahuan dan kebijaksanaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Turunnya Al-Qur’an pada malam ini sudah memadai untuk menggambarkan kebesaranNya.
Dalam ayat yang berikutnya, sebagai menambahkan lagi kepekaan kita terhadap perkara tersebut, maka diajukan dengan suatu persoalan:
Tafsirnya: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? (Surah Al-Qadr: 2)
Dengan lain perkataan, pertanyaan itu boleh diajukan begini: “Tahukah kamu betapa besar dan pentingnya malam ini?” Atau: “Tahukah kamu apakah kurniaan dan ni‘mat yang terkandung di dalamnya?”.
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Surah Al-Qadr: 3)
Maksud keutamaan di sini ialah keutamaan di dalam mengerjakan ibadat. Ganjaran pahala bagi mengerjakan ibadat pada malam itu adalah terlebih besar daripada ibadat yang dikerjakan selama seribu bulan.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala seterusnya menjelaskan:
Tafsirnya: Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(Surah Al-Qadr: 4-5)
Dalam ayat ini, perkataan ‘al-rûh’ dirujukkan kepada Jibril ‘Alaihissalam. Pada malam itu, Jibril bersama para malaikat yang lain turun ke bumi untuk memberi salam kepada orang-orang mukmin terkecuali kepada peminum arak, orang yang berterusan berbuat maksiat, tukang tenung, pendengki dan orang yang suka bertengkar. Sesiapa yang diberi salam oleh mereka nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Salam yang ditujukan oleh para malaikat itu bermula dari terbenamnya matahari hinggalah terbitnya fajar.
Lailatul Qadar akan kekal untuk selamanya hinggalah ke Hari Kiamat dan kita disunatkan menanti dan memohon untuk mendapatkannya sebagai pernyataan keyakinan dalam diri kita bahawa kedatangannya adalah suatu yang benar. Di samping itu kita mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan ganjaran pahala daripadaNya dengan tidak menampakkan rasa ria, bangga diri dan yang seumpamanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa berdiri (dengan sembahyang dan ibadat) pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisâb (dengan keyakinan yang sempurna dan harapan yang ikhlas untuk memperolehi ganjarannya) nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Perkataan ‘berdiri’ di dalam hadits tersebut bermaksud sembahyang tetapi boleh juga termasuk di dalamnya lain-lain bentuk ibadat seperti zikir, membaca Al- Qur’an dan sebagainya.
Ungkapan ‘dengan iman dan ihtisâb’ bermaksud bahawa niat seseorang itu mestilah ikhlas dan hendaklah berdiri di hadapan Allah dengan penuh tawâdhu‘. Menurut Khatthabi: “Seseorang itu hendaklah yakin dengan janji Allah bahawa amalan-amalannya akan diberikan ganjaran dan janganlah menganggap ibadat itu sebagai suatu yang membebankan dan janganlah pula ada keraguan bahawa ganjaran yang dijanjikan itu akan diberikan atau tidak”.
Ungkapan ‘akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu’ merujuk kepada dosa-dosa kecil sahaja, kerana menurut apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an bahawa dosa-dosa besar hanyalah dapat diampunkan dengan cara bertaubat secara ikhlas dan berjanji tidak lagi mengulangi dosa-dosa tersebut.
Bilakah Berlakunya Lailatul Qadar Itu?
Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar itu terbatas pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah diandaikan berlakunya Lailatul Qadar, dan besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu iaitu sama ada pada malam ke 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29. Fakta ini berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada pendapat Imam Syafi‘e, di antara malam-malam berangka ganjil itu, pada malam kedua puluh satu atau malam kedua puluh tigalah dijangkakan berlakunya Lailatul Qadar, jika tidak berlaku pada salah satu daripada keduanya, dia mengandaikan pula pada malam kedua puluh tujuh.
Sebahagian besar para sahabat menjangkakan berlakunya Lailatul Qadar itu pada malam kedua puluh tiga.
Sekumpulan para ulama pula berpendapat bahawa berlakunya Lailatul Qadar itu secara berpidah-pindah; jika pada tahun ini berlaku pada malam kedua puluh satu, maka pada tahun yang lain akan berlaku pada malam yang lain pula iaitu pada malam ganjil di antara sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan selain dari malam kedua puluh satu tadi.
Jelas dari sini bahawa Lailatul Qadar itu tidaklah dapat ditentukan secara pasti bila berlakunya, namun di sebalik ketidakpastian itu, terdapat hikmat atau faedah-faedah yang terkandung di dalamnya, di antaranya:
(i) Jika kita mengetahui tarikh yang sebenar malam yang diberkati itu, maka mungkin ramai yang tidak melakukan ibadat pada malam-malam yang lain.
Oleh kerana itulah, seorang itu terpaksalah beribadat tiap-tiap malam sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan sambil mengharapkan mungkin pada setiap malam tersebut adalah Lailatul Qadar. Ini bermakna bahawa seseorang itu kenalah menghabiskan beberapa malam untuk beribadat, insya Allah dia akan memperolehi ganjaran untuk itu.
(ii) Jika terdapat di kalangan kita yang melakukan maksiat pada malam itu, betapa bahaya dan malangnya mereka, jika bertepatan malam tersebut ialah Lailatul Qadar.
Meskipun kita tidak dapat mengetahui secara pasti bilakah Lailatul Qadar itu, namun terdapat banyak tanda-tanda yang dapat membantu kita untuk menentukannya sebagai Lailatul Qadar.
Sifat, rupa atau tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa ia merupakan satu malam yang berkeadaan sunyi sepi penuh ketenangan serta bercahaya. Suasananya segar tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana. Keadaan ini berterusan sehingga terbit fajar. Tanda-tanda yang lain ialah pada waktu pagi, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terik.
Orang yang dapat melakukan apa jua jenis ibadat, sama ada sembahyang, membaca Al-Qur’an, berzikir dan lain-lain pada Lailatul Qadar dengan penuh rasa keimanan, nescaya dia akan mendapat kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tiada terhitung oleh sesiapapun jua.
Oleh yang demikian rebutlah peluang keemasan di malam-malam kesepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan, tanpa terpengaruh dengan ketiadaan tanda-tanda atau alamat-alamat seperti yang diramalkan. Penghayatan setiap malam mempunyai harapan yang besar bahawa salah satu daripada malam-malam itu adalah Lailatul Qadar.
Biar apapun amalan yang kita buat, namun kita jangan lupa untuk berdoa memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada segala dosa yang telah dilakukan. Ini jelas sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan: “Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan Tuan hamba sekiranya aku mengetahui suatu malam itu ialah Lailatul Qadar, apakah yang aku katakan (doa) pada malam itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Katakanlah (berdoalah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku. Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah aku.” (Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Sesungguhnya inilah doa yang mencakup segala-galanya, di mana seorang itu memohon kepada Allah agar menerusi rahmatNya yang abadi mengampunkan dosa-dosanya. Jika ini sudah diperolehi, sudah tentu jalan ke akhirat pasti selamat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6183
